Diterbitkan oleh :
TINTA MELL ENTERPRISE
202003237363 (NS0241589-X)
Email :[email protected]
Facebook : Mell Mariann
Facebook Page : Tinta Mell
Wattpad : Mell_Mariann
Instagram : Mell Novelis
MELL MARIANN
JERAT CINTA TUAN HAJI
HAK CIPTA TERPELIHARA
Rekaan kulit : MELL MARIANN
Susunatur : MELL MARIANN
Editor : NOR AISYAH MJ
Hak cipta terpelihara. Semua idea adalah milik asal penulis. Semua
bahagian dalam cerita ini tidak boleh ditukar dan diterbitkan kembali
dalam mana-mana bentuk tanpa izin. Plagiarisme adalah satu kesalahan
besar dan dilarang sekerasnya. Tindakan akan diambil sekiranya
berlaku.
Sebarang peniruan, jiplak atau pengambilan isi secara elektronik,
fotokopi, mekanik, rakaman dan lain-lain tidak dibenarkan tanpa
kebenaran penulis. Sekiranya berlaku ia adalah sebuah kesalahan di sisi
undang-undang dan Akta Hakcipta 1987.
® All right reserved
Watak-watak dalam cerita ini adalah rekaan semata-mata,
begitu juga ilustrasi grafik di bahagian luar adalah hasil kreativiti pereka.
Ia juga tiada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun mati.
Diminta mereka yang telah mendapat EBOOK ini agar menjaga
hak cipta penulis dengan sejujurnya. Kerjasama anda amat dihargai.
Sebarang pembelian hanya boleh dibuat melalui penulis, seller
dan dropshipper. Terima kasih.
(Agar eBook mudah disimpan dan dicari)
1) Sila muat turun fail dari email atau
whatsapp anda untuk mengelakkan
kehilangan fail yang diterima.
2) Boleh muat turun Applikasi ReadEra
atau Pocketbook di telefon pintar anda
untuk bacaan yang lebih lancar.
Alhamdullillah. Sekali lagi saya keluarkan
ebook hasil karya saya. Tiada apa yang saya nak
ucap melainkan rasa terima kasih pada semua yang
sudi menyokong saya dalam dunia penulisan. Baik
sellers, Team promo, DS dan juga semua para
pembaca. Tanpa anda, mungkin saya tak berada di
sini. Thank you! Muahh!
Akhir kata, semoga terhibur dengan
kisah TUAN HAJI EBRAHIM ini. Sebarang
kekurangan dalam karya ini harap dimaafkan. Mana
yang baik jadikan teladan. Mana yang tak elok
jadikan sempadan.
Bergelar ibu tunggal dengan usia yang
muda bukanlah perkara yang mudah. Namun,
Malisa hadapi semuanya dengan tenang. Walau
apapun hidup harus diteruskan.
Bertemu kembali Hizar, bekas suaminya
membuat Malisa sakit kepala. Di tambah lagi
dengan kerenah isteri lelaki itu. Memang
ketenangan Malisa terganggu dek mereka.
"Sampai bila awak nak marah saya, Lisa?
Saya mengaku saya salah dulu. Tapi saya dah sedar
salah saya. Bila saya bersama Azmira, saya asyik
teringatkan awak." - Hizar
"Apa awak mengarut ni?" - Malisa
"Jadilah betullah apa yang kawan-kawan
beritahu I. You sibuk mengejar janda you kat sini!" -
Azmira
Urgh! Pening Malisa rasakan.
Namun, hadirnya Tuan Haji Muda
membuat Malisa rasa aman dan selamat tetapi lelaki
itu juga membuat hati dan perasaannya huru hara.
Apatah lagi lelaki itu adalah majikannya.
"Saya pecat awak dari jadi PA saya." -
Tuan Haji Ebrahim
"Ya! Saya nak tahu salah saya apa?" -
Malisa
"Salah awak sebab awak dah curi hati
saya. Salah awak, awak buat-buat tak faham apa
yang saya mahu. Salah awak...." - Tuan Haji
Ebrahim.
Salah Malisa kerana sudah membuat si
Tuan Haji Muda itu gila bayang padanya.
Masalahnya, sesuaikah untuk mereka berganding
berdua. Si bujang dan janda anak satu ini?
Mengenakah jerat cinta tuan haji jika di hati Malisa
masih ada kesan trauma dari kegagalan
pernikahannya yang lalu?
"Mama... Icad cuma nak mama
gembira.." - Icad
Wanita itu diciptakan istimewa.
Tetap tabah meski nyaris menyerah. Tetap
sabar meski hampir rebah. Tetap bangkit meski
hampir tersungkur.
SATU hal yang payah
bagi seorang lelaki
adalah memahami
wanita. Wanita itu sulit, menyebalkan
dan menyusahkan. Seperti yang
Ebrahim rasa sekarang. Tetapi tetap
juga dia menghormati dan memuliakan
golongan itu.
Lantas, telefon pintarnya
dikeluarkan dari dalam poket.
Mencari nama yang tertera di
skrin, laju jari Ebrahim menekan
butang panggil.
“Yang mana satu ni? Tak
tahulah!” Sebal Ebrahim rasa. Tebal
muka pun ada. Bukan dia tak perasan
beberapa orang sedang melihat dia
sambil tersenyum-senyum simpul.
Mendengar suara di sebalik
panggilan membebel-bebel. Makin
buat Ebrahim rasa panas muka.
Sudahnya dia letak terus panggilan.
“Nak saya tolong encik?”
Suara wanita yang
mendekatinya menarik perhatian.
Spontan Ebrahim mengalih pandang
ke sisi.
Iris mata Ebrahim melirik dari
atas hingga ke bawah figura itu. Tak
ada rupa pekerja di situ pun.
“Belikan untuk isteri ke? Nak
yang wing ke biasa?” Manis wanita
bertudung bawal warna pink belacan
itu tersenyum.
Ebrahim tunduk segan.
Sebelah telapak tangan dibawa ke
belakang leher mengawal rasa tak
selesa disoal begitu. Tapi kalau tak
dijawab, sampai ke sudah dia pening
sendiri.
“Wing. Overnight.” Bibir
bawah Ebrahim ketap. Malunya!
“Oh! Ada banyak jenama ni
encik. Isteri encik pakai yang mana?”
Berkerut dahi Ebrahim
menatap deretan paket yang tersusun
di rak itu. Ah, sudah! Benda alah ni pun
ada jenama?
Ligat otak Ebrahim cuba ingat
apa yang dipesan tadi.
“Apa entah? Lotex?” Kedua
tangannya kemudian dibawa masuk ke
dalam poket jeansnya. Menjongket
bahu tanda tak tahu.
“Kotex kut. Haa... Yang ni.
Untung isteri encik sebab encik
sanggup belikan pad untuk dia...”
Ebrahim menangkap nada
sayu dari suara wanita itu.
Teragak-agak dia mahu menyambut
huluran paket berbentuk petak yang
dihulur wanita.
Sambut saja pad jenama Kotex
itu, wanita itu bergegas pergi apabila
tiba-tiba mendapat panggilan telefon.
Tak sempat Ebrahim nak ucap terima
kasih pun.
Pandangan Ebrahim jatuh
pada paket di tangannya. Haih! Tak
pasal-pasal aku kena cop laki orang!
Melihat jam tangan Rolex di
pergelangan tangan, Ebrahim lepas
keluhan. Entah kenapa dia boleh
buang masa di sini. Nasib badan!
Sedang Ebrahim melayan
perasaan, suara kuat seorang lelaki
yang berbaris di hadapannya menarik
perhatian.
“Dah tahu tak ada duit. Tak
payahlah pandai-pandai nak tambah
itu ini! Kau ingat aku ni cop duit ke?
Dasar tak sedar diri!”
Tiba-tiba Ebrahim rasa panas
hati. Pantang betul apabila dia melihat
seorang lelaki, tambah-tambah
seorang suami sanggup memaki isteri
hadapan orang ramai begitu.
Pandangan Ebrahim mengitari
sekeliling. Masing-masing sudah
berbisik sesama sendiri dan
menyaksikan babak suami isteri itu.
Paling menyesakkan dada,
Ebrahim nampak si isteri cuma tunduk
seolah menahan tangis.
Sekejap! Itu bukan perempuan
yang tegur dia tadi ke? Bukan pekerja
pasaraya ni ke? Aduh! Tengoklah
pakaian dia. Tentulah dia bukan
pekerja di situ!
Tapi isteri kepada jantan tak
guna tu? Kenapalah perempuan
lawa-lawa ni jadi bini jantan keparat
macam tu? Aku yang handsome ni
juga yang single.
Bergerak menghampiri,
Ebrahim keluarkan kad debitnya.
“Saya bayarkan semua ni.”
Dengan penuh gaya gentleman
Ebrahim beritahu.
“Ini semua ke encik?”
Terpinga-pinga si juruwang. Datang
mana pula lelaki tampan ini. Prank ke?
“Hoi! Kau ni siapa? Tetiba nak
bayar barang aku?”
“Ni sekali.” Buat tak tahu,
Ebrahim tolak barangnya dan buat
bayaran melalui paywave.
“Hoi!” Tahu-tahu bahu
Ebrahim ditolak kasar lelaki itu.
“Saya nak cepat ni encik. Kalau
rasa tak mampu, jangan berbini.
Jangan malukan diri sendiri depan
orang.”
Habis membidas, Ebrahim
menjeling si isteri yang terkebil-kebil
melihat dia.
Haih! Kenapalah naif-naif
begini jadi isteri jantan tak guna.
Tanpa Ebrahim sedar,
jelingannya itu memberi tanggapan
lain pada si suami.
“Oh! Nilah sebab awak hilang
tadi. Pergi mengurat jantan ni!”
Terbeliak biji mata Ebrahim.
“Sudahlah awak! Kalau awak
kedekut nak keluarkan duit awak, tak
payah sampai nak tuduh saya
bukan-bukan! Saya boleh cari duit
sendiri!”
Habis menempik, wanita yang
menjadi isteri lelaki ego itu melangkah
lebar pergi dari situ.
Terkebil-kebil Ebrahim
menyaksikan babak itu. Entah kenapa
dia rasa bangga. Bangga kerana si
isteri bangkit menentang lelaki seperti
itu. Tiada perempuan yang patut
dimalukan dan dilayan sebegitu di
khalayak ramai.
KENCANG jantung
Malisa berdebaran.
Sesekali anak mata
Malisa menghala ke arah pintu bilik air
yang bertutup rapi. Di mana lelaki
bergelar suaminya sedang menyirami
diri.
Malisa tak tahu patut atau
tidak dia ikut kata hatinya.
Tapi itulah, sampai bila dia
mahu tanggung rasa curiga dan tak
sedap hatinya. Yang paling penting,
sampai bila dia kena berdiam diri?
Berat helaan nafas yang terbit
dari bibir Malisa. Kornea mata Malisa
tertumpu pada telefon pintar jenama
iPhone yang berada di atas meja milik
Hizar, suaminya.
Pandangan Malisa jatuh pula
pada telefon pintar milik Malisa sendiri
di tangan. Retak. Sudah bertahun
Malisa tak tukar gajet itu. Selagi boleh
guna Malisa guna. Banyak lagi perkara
yang Malisa kena dahulukan dari
buang duit pada alat komunikasi itu.
Tapi Hizar? Bangga dengan
apa yang dia ada. Telefon bimbit.
Aksesori sendiri. Aksesori kereta.
Semuanya untuk kepentingan dirinya
sendiri.
Sedangkan untuk Malisa dan
Icad anak mereka, langsung Hizar tak
peduli.
Makan ke tidak. Ada duit ke
tidak. Memang Hizar buat tak tahu.
Hizar betul-betul berubah.
Sekurang-kurangnya setahun dua
lepas Hizar masih peduli lagi pada
mereka dua beranak. Ini tidak. Makin
lama makin tak wujud pula mereka di
mata Hizar.
Bunyi dentingan tanda bunyi
mesej yang masuk dalam telefon
pintar buat Malisa tersentak.
Malisa kuatkan jiwa. Dicapai
juga telefon pintar Hizar itu.
Kecut hati Malisa bukan main,
menggeletar jemari Malisa menekan
skrin iPhone siri terbaru Hizar itu. Tak
berkunci pula hari ini.
Sengaja atau tidak Hizar buat
begitu, Malisa tak pasti. Entah-entah
Hizar lupa.
Perlahan Malisa selusur jemari
menolak atas bawah skrin sebelum
terhenti apabila ada pesanan dari
WhatsApp yang masuk.
Pandangan ditoleh ke arah
pintu. Bunyi air mencurah ke lantai
masih kedengaran. Tandanya Hizar
masih mandi.
Perlahan nafas ditarik
dalam-dalam. Menghela kuat selepas
itu. Seketika dia memejam mata
sebelum menekan pesanan itu.
Love.
Hah... terbit satu senyum sinis
di bibir Malisa. Pedih, dengan dia pun
Hizar letak nama saja. Sebutir nama
‘Isteri’ pun Hizar tak letak.
Payah ke Hizar nak berterus
terang kalau hati dah berpaling tadah?
Kenapa perlu rahsiakan darinya?
Kenapa Hizar mesti kejam begini? Dia
sedar duduk letak dirinya dalam hati
Hizar. Tapi pedih jiwanya dikhianati
suami tetap dia rasai. Dia cuma mahu
Hizar jujur dengannya. Besar sangat
ke permintaannya dari seawal
pernikahan dulu? Hizar lupa ke semua
itu?
Lagi sekali, telefon pintar di
tangan Malisa itu berbunyi.
Kali ini, anak mata Malisa
meluas lebar selebarnya. Tekak Malisa
mengembang serta merta. Menggigil
seluruh tubuhnya.
Kurang ajar! Tersangat kurang
ajar!
Kau dah kenapa sangap
sangat ni? Dah hilang ke maruah kau
sebagai seorang perempuan? Kau
ingat satu kebanggaan ke kau hantar
gambar kau tanpa seurat benang pada
lelaki bukan mahram kau?
Malisa mahu menjerit. Mahu
memekik memaki hamun kekasih
simpanan suaminya itu. Tapi untuk
apa? Suaminya pun melayan sama!
Sesi berbalas mesej mereka.
Jelas-jelas saling dikuasai hawa nafsu.
Ya. Malisa tahu Hizar
berselingkuh dengan wanita lain. Hati
Malisa memang dah lama rasa macam
tu. Naluri seorang isteri. Tapi taklah
sampai sejijik begini yang Malisa
bayangkan.
Diam-diam, Malisa capai
telefon bimbitnya. Ambil gambar bukti
kecurangan Hizar. Sebagai langkah
berjaga-jaga darinya. Lelaki, selalu
licik bila bab mahu menyelamatkan diri.
Banyak yang Malisa dengar begitu.
Hujung-hujung mereka salahkan isteri
yang menjadi asbab mereka berpaling
tadah. Alasan.
Telinga Malisa menangkap
suara nyanyian kecil Hizar dari bilik air.
Terus Malisa letak semula iPhone
kesayangan Hizar itu.
Cepat Malisa bangkit menuju
ke ruang tamu.
Mereka bertembung di muka
pintu.
“Makan malam dah siap?” Aih!
Bukan ke dah sedap makan kat luar
dengan kekasih hati tadi? Nak saja
Malisa perli Hizar macam tu.
“Dah,” jawab Malisa sepatah.
Bukan Malisa tak mahu hamburkan
rasa marahnya tadi. Belum masanya
lagi. Malisa nak tengok sejauh mana
permainan lelaki itu.
“Sejukkan nasi.” Lepas beri
arahan wajib itu, Hizar masuk dalam
bilik. Tinggal Malisa yang sedang
mengejek membuat memek muka di
belakang lelaki itu.
Sejukkan nasi. Apa lagi yang
tak cukup? Sampai nasi pun Malisa
sejukkan untuk Hizar. Hizar cuma
tinggal suap masuk mulut saja.
Kurang lagi ke layanan Malisa
sebagai isteri sampai Hizar sanggup
curang dengan perempuan itu?
Sekarang Malisa mula sedar
yang selepas ini pahala yang dia harap
hanya tinggal sia-sia. Dia dah tak
ikhlas lagi buat semua itu untuk Hizar.
Lelaki yang tak kenal erti syukur.
Sedang Malisa menghidang
lauk, Hizar keluar hanya dengan
berseluar katak. Kalau tengok, Malisa
pun hairan apa yang perempuan lain
nampak pada suaminya. Bukannya
kacak mana pun. Selepas hampir lima
tahun bernikah, perut Hizar sudah ke
depan. Orang kata Malisa jaga Hizar
dengan baik. Maklumlah, kebahagiaan
suami pada perutnya. Itu kata
oranglah.
Ah! Bagi Malisa, kalau dah
namanya nafsu lelakinya diagung,
ikatlah suami di batang pokok pun.
Kalau kelemahannya wanita, tetap
juga bahagia itu direnggut wanita lain.
“Anak dah tidur?” Hizar tarik
kerusi meja makan. Melabuh duduk
dan memandang Malisa semacam.
“Dah. Kenapa?” Malisa jeling
Hizar dengan ekor mata.
“Jom. Masuk bilik.” Baru Malisa
mula faham maksud pandangan dan
soalan Hizar tadi.
“Kata nak makan. Orang dah
sejukkan nasi dah.” Malisa tahan hati.
Air teh dituang ke dalam cawan.
“Kejap lagilah makan.
Sekarang jom. Masuk bilik.”
Bersungguh Hizar ajak sebelum
bangkit berdiri mendekatinya.
Bahu Malisa, Hizar sentuh.
Terasa helaan nafas keras Hizar di
belakang lehernya. Tangan Hizar
mengelus-ngelus bahunya.
Malisa kemam bibir kuat-kuat.
Dasar lelaki bajingan.
Lepas kau tengok gambar tak
senonoh kekasih kau, kau nak
lempiaskan nafsu dekat aku?
Membuak-buak rasa marah Malisa.
Tapi, dikemam rasa kuat-kuat. Dia
perlu bertenang dulu.
“Pergilah masuk dulu. Saya
nak tukar pad. Rimas, tak boleh solat
ni.” Untung Malisa tengah datang
bulan. Dapat dia beri alasan.
Terus jatuh tangan Hizar dari
bahunya. Terjongket senyum sinis di
bibir Malisa. Padan muka!
“Masa nilah pun nak datang
bulan.” Malisa dengar Hizar
menggumam perlahan sambil berjalan
menuju ke kerusinya tadi.
“Nak buat macam mana? Dah
Allah bagi cuti dekat saya.” Sempat
Malisa menjeling Hizar yang sedang
melabuh duduk semula ke kerusi.
Marahlah tu.
“Yalah! Yalah! Tak payah
banyak cakap. Bak air basuh tangan
tu.” Punya dasar pemalas. Air basuh
tangan pun Malisa sediakan. Padahal
singki belakang dia saja.
Malisa tolak air basuh tangan
yang Hizar mintak itu sebelum berlalu
masuk dalam bilik.
Perlahan Malisa bersandar di
belakang pintu. Menyentuh dadanya.
Sakit dan pedih. Remang anak mata
Malisa dengan air jernih yang mula
bergenang.
Kenapa? Kenapa hidupnya jadi
begini? Dia rindukan dirinya yang dulu.
Yang ceria. Yang sentiasa gembira kala
waktu remaja.
Bukan dirinya yang sekarang.
Yang kelam. Yang gelap. Yang kosong
tiada rasa. Yang terpaksa kuat demi
anaknya yang tidak tahu apa-apa.
Aki... Lisa rasa Lisa dah tak
boleh tahan lagi hidup dengan dia.
Maafkan Lisa, Aki.
AWAL subuh lagi Malisa
sudah sibuk menyusun
kek cawan dan juga tart
telur air tangannya untuk tempahan.
Ada dua tempahan yang sudah dia
siapkan sejak malam tadi. Bisnes kek
dan tart secara kecil-kecilan itu Malisa
usahakan dari rumah dan iklankan di
Instagram dan juga laman sosial.
Dapatlah juga duit poket untuk dirinya
dan juga Icad. Hizar bukan faham pun
tentang makna nafkah. Tapi berangan
nak berbini dua. Eeii! Sakit pula hati
Malisa.
Kemudian, Malisa masukkan
pula kotak kek cawan dan juga tart itu
ke dalam bungkusan plastik. Malas nak
fikir tentang Hizar lagi. Semalam Kak
Zuriah buat tempahan. Mahu
disedekah pada anak-anak yatim.
Bernazar sempena anaknya masuk
universiti kata wanita itu. Kak Zuriah
memang pelanggan tetap Malisa.
Selalu Kak Zuriah order kek atau
manisan dari Malisa.
“Icad! Dah siap ke belum ni?
Cepat! Mama dah lambat ni. Mama nak
hantar kek lagi ni.” Kuat suara Malisa
melaung memanggil anak bujangnya
yang seorang itu yang sedang mandi.
Sekejap lagi, Malisa kena hantar Icad
ke tadika pula. Anak lelakinya itu
sudah berusia lima tahun. Seusia itu
jugalah usia rumah tangganya
bersama Hizar. Bunting pelamin kata
orang. Dalam tak suka pun dia
terpaksa juga jalankan
tanggungjawabnya sebagai isteri. Nak
kejar syurga Ilahi awalnya, tapi dapat
suami seperti Hizar, wanita selembut
mana pun mungkin jadi sekeras kerikil
akhirnya.
Diam. Tak menyahut pula si
anak bujangnya itu. Laju Malisa
menapak ke bilik air. Icad sedang
termenung atas mangkuk tandas.
Picing anak mata Malisa mencerun si
kecil itu.
“Muhammad Irsyad! Berapa
kali mama nak cakap? Jangan
termenung dalam bilik air. Syaitan
banyak dalam ni tahu tak. Dah mandi
ke belum ni?” Mulalah Malisa keluar
kuasa bebelan. Budak ni memang tau.
Orang tengah sibuk, dia
melambat-lambatkan kerja kita lagi.
Malisa rasa nak penyet-penyet aje
anak lelakinya itu.
“Ala mama… Icad ngantuklah.
Tak payah pergi sekolah boleh tak,
mama?” Icad tayang muka kesian.
Petah betul dia menjawab.
“Tak ada! Tak ada! Cepat
mandi. Mama bagi masa 5 minit saja.
Cepat!” Budak ni bukan boleh bagi
muka. Sekali ponteng sekolah, nanti
berkali-kali dia nak ponteng.
Bergerak semula ke dapur.
Kalut Malisa bancuh air untuk si bapa
pula. Bukan dia tak kenal suaminya
yang seorang itu. Semuanya harus
terhidang depan mata. Mengalahkan
anak raja. Pemalas! Anak raja pun
tahu rajin.
“Awak bising apalah pagi-pagi
buta ni. Saya nak tidur pun tak
senang.” Muncul lelaki itu sambil
mengorek hidung. Mulutnya terbuka
luas menguap. Malisa menoleh pada
Hizar seketika sambil mengacau air.
Bangun-bangun tahu nak kompelin
saja, kutuk Malisa dalam hati sebelum
mengalih semula pandangan. Bibir
Malisa mencebik meluat. Macam inilah
apabila hati dah tawar. Dia dah tak
boleh pandang Hizar dengan
pandangan hormat. Dia tahu dia
berdosa tapi hatinya masih tak dapat
menerima perbuatan Hizar.
“Pagi buta apanya? Dah pukul
7 setengah. Awak tak kerja ke? Saya
kejut awak dari subuh tak
bangun-bangun.” Malisa kerling Hizar
dengan hujung mata. Air dituang ke
dalam cawan sebelum menghidangnya
ke atas meja makan.
“Tak, saya ada urusan lain.”
Selamba saja Hizar duduk di kerusi
meja makan. Malisa perhati saja
perangai lelaki itu. Dengan tak basuh
muka, tak apa terus Hizar teguk air teh
yang Malisa hidang tadi. Tak senonoh
punya perangai. Tak berubah-ubah.
Tapi pelik pula Malisa, hari biasa
macam ni Hizar cuti. Dah kenapa pula?
“Urusan apa?” Soal Malisa
berbasa-basi sambil mengemas apa
yang patut. Kejap lagi Icad siap, boleh
terus pergi. Cepat juga selesai
urusannya.
“Awak tak payah sibuklah nak
tahu hal saya. Ni, kereta yang saya
bagi awak tu saya nak jual nanti. Nanti
awak kemas-kemas sikit. Orang dah
bagi guna, tak reti jaga elok-elok
pulak.”
Terhenti tangan Malisa dari
mengelap meja. Terkejut. Padahal
dulu, Hizar juga yang hadiahkan kereta
itu untuknya. Senang untuk Malisa ke
mana-mana katanya. Ini tiba-tiba nak
jual pula kereta itu. Tidak ke Malisa
terkejut.
Malisa berpaling menghadap
Hizar.
“Awak kata kereta tu jadi hak
saya dah. Kenapa pula awak nak jual?
Habis tu, macam mana saya nak
hantar anak ke sekolah. COD kek-kek
saya tu?”
Bertubi-tubi Malisa tanya.
Kereta Axia yang Hizar belikan
untuknya dulu itu ibarat kaki Malisa.
Senang untuk Malisa berurusan ke
sana ke mari. Kalau dah tak ada kereta,
macam mana Malisa nak buat kerja?
“Bukan masalah saya. Saya
tak pernah kata saya belikan untuk
awak. Saya beli sebab awak asyik nak
pinjam kereta Honda saya tu. Tapi
sekarang saya nak pakai duit. Saya nak
jual kereta tu.” Hizar pandang kosong
saja pada Malisa sebelum bangkit
berdiri apabila telefon bimbitnya
berbunyi.
“Esok beri saya kunci kereta
tu.” Sempat lagi Hizar beri pesan
sebelum susuk tubuhnya menghilang
ke dalam bilik. Langsung tak beri
peluang untuk Malisa mempersoalkan
tindakannya.
Kemudian, Malisa dengar
suara Hizar ketawa-ketawa. Sudah
tentu Hizar bersembang dengan
perempuan itu.
Dengan dia pun dah lama
Hizar tak ketawa macam tu. Hizar
memang dah banyak berubah. Dia
bukan lagi suami Malisa yang dulu.
Sekurang-kurangnya suaminya yang
dulu masih melayannya dengan
hormat.
Sebenarnya mereka bernikah
tanpa cinta. Di pihak Malisa, emaknya
dan arwah Akinya yang suruh. Di pihak
Hizar pula, Tok Alang yang suruh.
Kiranya, Aki dan Tok Alang bersahabat
baik dari zaman muda lagi. Satu tika
dulu, mereka nak padankan emak
Malisa dan ayah Hizar. Tapi ayah Hizar
bernikah dengan wanita lain. Hasrat
terbantut begitu saja. Tak lama
selepas itu, emak Hizar bersalinkan
Hizar. Mereka serahkan Hizar pada Tok
Alang dan Nek Besah.
Jadinya, Hizar itu cucu
kesayangan atuk dan neneknya. Sebab
itu, Hizar terpaksa bersetuju bernikah
dengan Malisa biarpun mulanya Nek
Besah membantah keras. Malisa pula
terpaksa ikut cakap emaknya dan juga
Aki. Sebab Malisa sayangkan mereka
berdua dan yakin dengan pilihan
mereka. Malisa terima Hizar tapi
nampaknya Malisa silap. Janji Hizar
yang mahu mereka berusahasama
jayakan rumah tangga mereka itu
hanya tinggal janji.
Dahulu di awal perkahwinan,
Hizar layan Malisa baik juga. Tapi
lama-lama Hizar sudah mula pandai
balik lewat malam. Kadang-kadang
subuh baru pulang ke rumah. Malisa
tahu Hizar dengan perempuan itu.
Cuma dia tak ada bukti.
Bab nafkah pula, lagi malas
Malisa nak ingat. Setahun dua dulu
elok juga Hizar bagi Malisa nafkah.
Sempatlah Malisa merasa. Selepas
itu, makin lama makin Hizar buat tak
peduli. Itulah sebabnya Malisa
terpaksa buat business keknya. Malisa
nak kerja, Hizar tak beri izin. Jatuh air
mukanya kata Hizar kalau isteri
bekerja. Ego tak bertempat. Kalau
boleh Hizar nak nampak hebat depan
mata orang. Tapi habuk pun tarak!
Entah apa yang nak jadi
dengan rumah tangganya pun Malisa
tak tahu. Sungguh! Malisa dah tawar
hati. Tak ada rasa lagi.
Sebab itu Malisa siapkan diri.
Diam-diam Malisa menyimpan duit.
Mana tahu Hizar buang dia nanti demi
perempuan tak malu itu. Tambah pula
antara mereka tak ada cinta. Malisa
sedar semuanya.
Sekarang, kereta yang jadi
kaki Malisa pula Hizar nak jual.
Sebelum ini habis barang kemas yang
Hizar beri pada Malisa dulu dia ambil
semula dan gadai. Malisa diam saja.
Sebab Hizar kata semua itu dia beli
dengan duit dia. Tak apalah, Malisa
boleh beli sendiri. Malisa kemam
dalam-dalam rasa kecil hatinya.
Waktu ini, Malisa hanya
tunggu dan lihat dulu. Kalau Hizar
masih lagi begitu, jangan terkejut,
mungkin Malisa akan ambil tindakan
drastik. Siapa tahu?
“Mama, Icad dah siap!” Icad
muncul dengan siap berpakaian tadika.
Entah bila dia bersiap Malisa pun tak
perasan. Asyik sangat melayan
perasaan.
“Okey, dah pergi pakai kasut.
Nanti mama datang,” arah Malisa
sebelum mengemas cawan bekas yang
Hizar minum. Lelaki itu memang begitu.
Cawan sebiji pun tak pandai nak
basuh!
SELEPAS hantar Icad ke
tadika, Malisa pandu kereta menghala
ke sebuah kedai kereta terpakai. Dia
nak survey kereta murah. Ada sedikit
duit simpanan hasil menjual kek di
kawasan sekitar rumahnya sebelum ini.
Malisa rasa cukup agaknya untuk beli
kereta terpakai yang murah. Dapat
Kancil pun jadilah. Kata orang,
sediakan payung sebelum hujan.
“Boleh murah lagilah, taukey.
Saya ada dua ribu saja. Bolehlah…”
Malisa tayang muka kasihan pada
taukey kedai berbangsa Cina itu.
Harga sebenar kereta Kancil terpakai
warna biru itu dua ribu setengah. Tapi
Malisa tahu dia boleh dapat lagi
murah.
Sebab itu, Malisa tayang muka
kasihan. Sayang kalau dia tak dapat
beli kereta itu. Masih nampak cantik
dan macam baru. Mesti tuan kereta
sebelum ini jaga elok kereta itu.
Taukey Lim pandang Malisa
sambil garu dagu.
“Okeylah… okeylah. Wa tolong
you. Wa kesian sama lu.”
Bersinar terus mata Malisa bila
Taukey Lim mahu menolongnya. Rasa
nak menangis!
“Thank you taukey! Thank you!
Saya harap business taukey makin
maju. Minggu depan saya datang
ambil ya? Jangan jual pada orang lain.”
Syukur! Syukur! Malisa tak perlu
bergantung harap pada Hizar lagi.
“Ya. Ya. Jangan lisau ma. Wa
simpan ini kereta sama lu.” Taukey Lim
tepuk-tepuk bumbung kereta Kancil
itu.
Malisa juga mengusap tepi
kereta itu seolah mengusap anak kecil
yang bakal berada dalam pelukannya.
Lega hati Malisa apabila
Taukey Lim beri jaminan begitu.
MALISA mengekori
langkah dua manusia
yang
memporak-perandakan hidupnya itu.
Dari tadi dia nampak mereka begitu
mesra. Kalaulah dia tak keluar hari ini
untuk berurusan tentang kereta yang
dibelinya tadi, tentu dia tak nampak
dengan mata kepala sendiri onar Hizar.
Saat tangan Hizar merangkul
pinggang wanita itu, hati Malisa
bagaikan mentimun yang disagat.
Sakit!
Dia fikir dia sudah bersedia
apabila tiba saat ini. Tapi jujurnya, hati
Malisa tika ini, seperti dicarik-carik
lumat melihat kemesraan Hizar dengan
wanita lain.
Malisa tersandar di sebuah
kereta yang yang terparkir tidak jauh
dari kedai emas itu. Air matanya
mengalir tanpa sedar.
Jangan menangis Malisa.
Jangan menangis! Badannya dipusing
menghadap cermin kereta yang gelap
itu. Melihat bias mukanya yang
sembab di situ buat Malisa jadi benci
dengan diri sendiri.
Keras Malisa mengelap air
mata yang menuruni ke lekuk pipi.
Nafas ditarik dalam-dalam sebelum
dihembus keluar.
"Kau kena kuat Lisa! Air mata
kau tak patut mengalir untuk lelaki
macam tu!" Malisa beri kata-kata
semangat untuk dirinya sendiri.
Tangan Malisa naik
menepuk-nepuk perlahan pipinya.
Pandangan Malisa menghala
lagi pada kedai emas yang Hizar dan
kekasihnya kunjungi tadi.
Sekali lagi air mata Malisa
bergenang, lekas dia seka lagi dengan
kekura tangannya
“Tolonglah… tolonglah jangan
menangis Lisa. Dia tak peduli pun air
mata kau ni.” Merah hidung Malisa
menahan sendu.
Sedang Malisa melayan
perasaan, tak semena-mena cermin
gelap kereta yang menjadi cerminnya
tadi turun ke bawah.
Buntang mata Malisa. Ada
orang rupanya. Malunya dia!
“Tisu?” Seorang lelaki berkaca
mata hitam dari dalam kereta hulur
sekotak tisu padanya. Anak mata
Malisa jatuh pada kotak tisu itu. Dia
perli aku ke?
“Ta… tak apa. Maaf.” Laju
Malisa berlari pergi dari situ.
“Eh! Cik!” Malisa dengar lelaki
itu memanggilnya tapi langsung Malisa
tak menoleh. Malu gila kut! Mesti lelaki
itu nampak muka buruk dia menangis
tadi. Ini semua sebab Hizar yang
bodoh itu!
JAM 11 malam. Hizar masih
tak muncul-muncul. Malisa henyak
punggung di katil dengan rengusan
keras. Pergi berdating sampai tak ingat
anak isteri!
Fikiran Malisa mula
menerewang kembali pada
perbualannya dengan Kak Zuriah siang
tadi. Waktu dia pergi menghantar kek
pada pelanggan tetapnya itu.
“Kak Zu kata ada hal nak
cakap dengan saya. Hal apa?” Soal
Malisa sambil membawa gelas air ke
bibir apabila melihat riak Kak Zuriah
mula serba tak kena. Mulalah Malisa
rasa tak sedap hati.
“Kak Zu nak cakap pun serba
salah Lisa. Tapi, Kak Zu rasa Kak Zu
patut cakap dekat kamu.”
Malisa meletak gelas air,
menumpu perhatian pada Kak Zuriah.
Melihat Malisa, Kak Zuriah sambung
lagi bicaranya.
“Pasal Hizar... Abang Sani dan
Kak Zu ada nampak dia dengan
seorang perempuan ni. Mesra lain
macam... Kak Zu tak sedap hati
kalau-kalau dia…” Bicara Kak Zuriah
terhenti. Malisa nampak Kak Zuriah
telan liurnya dengan gerak tubuh yang
serba salah.
Dari situ Malisa tahu, sah!
Pastilah sebab Hizar. Kalau tadi pun
Hizar tak segan silu tayang mesra
depan orang. Memanglah lambat laun
orang tahu juga. Lagi-lagi kalau Hizar
berdating mesra di pekan atau bandar
berdekatan perumahan mereka.
Bangkai kalau tak disorok, memang
ketahuan juga. Serupalah dengan apa
yang Hizar buat.
“Saya tahu kak.” Pintas Malisa
tenang. Kalau tadi puas sudah Malisa
menangis dan marah. Sekarang
apabila sudah bertenang, Malisa cuma
mahu pandang ke hadapan saja.
Biarlah apa nak jadi pun. Dia tahu apa
yang perlu dibuat.
“Kamu tahu? Bila kamu tahu?”
Membulat mata Kak Zuriah.
Bertubi-tubi menanya Malisa.
“Baru tadi saya Nampak, Kak
Zu. Dia belikan perempuan tu barang
kemas. Tak hairanlah dia nak jual
kereta yang dia beri pada saya tu…”
Malisa pamir senyum senget. Orang
tengah mabuk cinta. Semua pun
sanggup beli untuk perempuan
kesayangannya. Hizar siap nak jual
kereta kedua mereka untuk
kesenangan wanita itu. Ah, Malisa
bukannya naif sangat sampai tak tahu
apa yang ada dalam akal Hizar itu.
“Belikan barang kemas pada
perempuan tu? Hizar ni memang
melampau! Kamu punyalah bersusah
tolong dia. Macam ini dia buat kamu?
Haish! Tak sangka betul akak.
Rupa-rupanya dia pura-pura je layan
kamu baik depan orang. Konon-konon
dialah lelaki paling sempurna.” Berapi
amarah Kak Zuriah terhambur.
“Ke perempuan tu perangkap
dia?” Dari marah berapi, Kak Zuriah
tanya soalan gusar pula.
Malisa mengangkat muka
memandang Kak Zuriah.
Perangkap? Huh? Entah-entah
Hizar yang perangkap perempuan itu.
Mana tahu! Kalau dua-dua tak melayan
tak menjadi juga. Perkara bukannya
bertepuk sebelah tangan.
Bunyi pintu utama rumah
dibuka melenyapkan lamunan Malisa.
Punggung diangkat dari atas tilam.
Langkah dibawa ke muka pintu.
Menanti Hizar.
“Pergi mana?”
Hizar yang baru membuka
kasut sedikit terkejut. Pantas dijeling
isterinya itu.
“Ish, awak ni. Terkejut saya.
Kan saya cakap ada urusan tadi. Tak
kan dah lupa?” Balas Hizar sambil
membuka stokin sebelum dilempar ke
lantai.
“Sampai malam macam ni?”
Tak dapat menahan hati, Malisa tanya
juga. Bukan sebab dia cemburu. Cuma
dia mahu Hizar hentikan semua
sandiwaranya.
Terangkat kening Hizar. Tak
pernah-pernah Malisa tanya dia ke
mana. Tiba-tiba aje ni? Malisa dapat
tahu dah ke?
Hizar betulkan tekak.
“Eham. Yang awak sibuk
kenapa? Saya penat ni. Jangan banyak
tanya.” Serius Hizar menjawab
sebelum melangkah masuk ke dalam
bilik tanpa pedulikan isterinya itu.
Malisa ketap bibir menahan
hati. Baiklah. Tak apa, dia akan biar
Hizar meneruskan lakonan
terhebatnya. Langkah Hizar diekori.
Malisa masuk ke bilik juga. Punggung
dilabuh semula ke tilam. Ekor matanya
hanya memerhati tingkah Hizar yang
serba tak kena keluar masuk bilik.
“Awak tak masak ke?” Hizar
muncul semula ke dalam bilik sambil
membuka bajunya sebelum dicampak
ke lantai. Perangai buruk Hizar yang
lagi satu.
Makin lama makin naik
menyampah Malisa dengan sikap Hizar.
Novel yang berada di meja sisi Malisa
capai.
Ini, balik-balik tahu tanya
pasal makan pula. Takkan tak makan
dengan kekasih hati tu? Hati Malisa
merontak mahu menyumpah.
“Tak, saya tak masak. Hari ni
kami makan dekat rumah Kak Zu. Dia
ajak makan sana.” Selamba Malisa
menjawab sambil berpura-pura
membaca novel.
Dari hujung mata, Malisa
nampak Hizar bercekak pinggang
memandang dia seperti mahu menelan
dia jam-jam itu juga. Garang.