“Untunglah tuan haji. Lepas ni
gemuklah tuan haji kita ni kan. Dapat
isteri serba boleh.”
Malisa cuma tersenyum
mendengar pujian demi pujian dari
pekerja-pekerja Tuan Haji Ebrahim itu.
“Ya. Saya memang beruntung.
Kalau saya buncit, harapnya masih
kekal handsome dan buat isteri saya
gila bayang kat saya selalu.” Ebrahim
menyahut berlelucon. Bahu Malisa
dipaut mesra.
“Mestilah isteri tuan haji gila
bayang. Gila bayang sampai tak mahu
lepas.” Malisa dakap erat pinggang
Ebrahim.
Makin pelik Ebrahim dengan
sikap isterinya itu. Namun, dilayan
juga kerana dia sangat suka Malisa
menunjukkan perasaannya sebegitu.
“Amboii… dah macam
belangkas aku tengok korang berdua
ni. Tadi hilang pergi mana hah?”
Rohaya muncul menyergah Malisa.
“Aya! Ya Allah. Rindunya aku
kat kau. Bila nak meletup ni?” Malisa
lepaskan pinggang Ebrahim sebelum
menyentuh perut besar Rohaya. Dah
nak beranak pun kawan baiknya itu.
Dia pula masih belum ada tanda-tanda
ada isi. Usia perkahwinan dia pun
sudah hampir setahun. Walaupun ada
bunyi-bunyi yang bertanya dan
memerli namun setakat ini Ebrahim
selalu menyuruhnya bersabar. Tak
perlu tergesa-gesa kata Ebrahim. Allah
akan beri mereka zuriat di waktu yang
tepat.
“Tunggu hari je beb.” Sahut
Rohaya tersengih.
“Tahniah Lisa, akhirnya impian
kau tercapai juga. Aku tumpang
happy untuk kau.” Rohaya genggam
tangan Malisa. Sungguh dia sangat
bersyukur akhirnya Malisa mendapat
lelaki yang melindungi dan
mencintainya sepenuh hati.
“Thanks Aya… Hari ni kau
makan puas-puas tau. Nanti dah
meletup, dah tak dapat makan dah.”
Malisa peluk Rohaya erat sebelum
mempelawa sahabatnya itu menjamu
selera.
“Mesti!” Rohaya jawab ceria
sebelum ada seseorang menepuk bahu
Malisa dari belakang.
“Mira…” Malisa pusing
menghadap isteri Hizar yang datang
bersama anak kecilnya itu.
“Dah makan?” Malisa ramah
bertanya.
“Terima kasih jemput saya,
Lisa.” Tawar senyum Azmira. Dia malu,
selepas pelbagai luka dia beri pada
Malisa, wanita itu masih melayan dia
dengan baik. Malisa tak pernah jemu
membantu dia sejak dari hari dia teruk
dibelasah Hizar dulu.
“Ish! Mestilah saya jemput.
Rindu kat si comel ni tau. Ishan, Ishan
rindu mama tak?” Malisa mencuit pipi
si montel yang berada dalam
dukungan Azmira itu. Mengagah anak
kecil itu.
Azmira senyum. “Thank you
for everything, Lisa. Urmm… saya nak
beritahu awak sesuatu.”
“Apa?” Malisa mencari wajah
Azmira. Pasti ada sesuatu yang
penting yang mahu dibicarakan
Azmira.
Menoleh pada suaminya, lelaki
itu cuma mengangguk tanda faham
yang Malisa mahu beri ruang buat
Azmira.
“Bagi Ishan kat saya. Saya
bawa dia main dengan Abang Icad.”
Ebrahim ambil si kecil Ishan, anak
kepada Hizar itu dari dalam dukungan
Azmira.
Lalu lengan Azmira, Malisa
tarik ke kawasan yang sedikit jauh dari
para tetamu.
Malisa menanti bicara Azmira.
Azmira tarik nafas
dalam-dalam sebelum menatap wajah
bersih dan bahagia Malisa.
“Saya dah bercerai dengan
Hizar secara rasmi. Saya dah bebas,
Lisa.” Akhirnya jatuh air mata Azmira.
“Saya minta maaf atas
segalanya. Saya tahu apa yang berlaku
pada saya kerana dosa saya pada
awak. Saya bodoh, saya percaya
bulat-bulat kata-kata Hizar dulu.
Padahal awak wanita paling baik yang
saya kenali. Maafkan saya, ya.” Azmira
genggam tangan Malisa. Meminta
maaf dengan sesungguh hatinya.
“Hey… saya dah lama
memaafkan awak. Saya happy
akhirnya awak buat keputusan untuk
diri awak. Untuk kebahagiaan awak.”
Azmira angguk.
“Ya. Bukan saya tak mahu beri
peluang pada dia. Tapi luka di hati
saya ni mustahil untuk sembuh. Dia
pukul saya setengah mati. Itupun
sebab saya suruh dia ingat janji-janji
dia sewaktu mahukan saya dulu. Dia
kata dia cintakan saya… tapi…”
Azmira makin tersedu sedan.
Masih trauma dengan apa yang dia
alami. Lelaki yang menabur cinta, yang
menjanjikan cinta mereka adalah suci.
Rupa-rupanya cuma bersandarkan
dusta. Bukan hanya dia, malah ada
beberapa lagi wanita yang Hizar
taburkan kata-kata manis. Bezanya,
Hizar terpaksa menikahinya kerana
abang-abangnya yang mengugut Hizar
setelah mereka dapat tahu Hizar telah
merosakkan dia.
Azmira kesat air matanya. “But
I’m okay now. Mak ajak saya pergi
buat umrah. Awak doakan saya
istiqamah berubah ya?” Azmira mohon
doa wanita itu.
“Saya doakan. Selalu.” Malisa
koyak senyum. Erat menggenggam
tangan Azmira. Menyakinkan wanita
itu.
EBRAHIM membantingkan
diri ke tilam. Lega akhirnya dapat
meluruskan pinggang setelah seharian
penat menguruskan perasmian kafe
isterinya itu.
Baru mahu melelapkan mata,
dia terasa ada tangan sedang menjalar
masuk ke bawah baju tidur pagodanya.
Gulp! Ebrahim telan liur.
“Askim?” Ebrahim buka mata
menoleh ke sisi mencari wajah
isterinya itu.
“Ssyyy… Biar Lisa layan
abang.” Jari telunjuk Malisa hinggap ke
bibirnya. Terdiam Ebrahim jadinya.
Tak! Tak! Dia kena tanya
Malisa. Lain macam miangnya Malisa
sekarang ni. Tak pandai penat ke?
“Wait! Wait! Sayang…”
Ebrahim bangkit duduk. Sekali lagi dia
tertelan liur. Bila masa Malisa salin
baju tidur ni? Terbonjol sana sini.
Memang pandai Malisa mengusik
nalurinya.
“Are you okay sayang?”
Ebrahim sentuh dahi Malisa.
“Apa abang ni?” Malisa sudah
memuncungkan bibir. Tangan Ebrahim
ditepis dari dahinya. Orang tengah ada
mood, Ebrahim potong pula. Tangan
dibawa menyilang dada.
Fuh! Makin membesar iris
mata Ebrahim melihat gaya merajuk
isterinya itu. Ini bukan merajuk. Ini
menggoda namanya.
“Tak… abang peliklah.
Hari-hari sayang nak ni…” Ebrahim
gigit bibir bawah. Berhati-hati dengan
bicaranya.
Pipi Malisa memerah serta
merta. Alamak! Ebrahim perasan ke?
“Mana tahu!” Malisa
sembamkan muka ke dada Ebrahim.
Malu kut!
Ebrahim ketawa kecil.
“Are you pregnant?”
“Huh?” Malisa angkat muka
mendongak memandang wajah
tersenyum-senyum suaminya itu.
“Dah check kalendar? Abang
rasa macam dah lama sayang tak cuti.”
“You know… abang ada
terbaca artikel ni. Memang ada
hormon ibu mengandung yang
pantang nampak suami dia. Nak
terkam aje.” Ebrahim berbisik di tepi
telinga isterinya itu.
“Abang!” Malisa kembali
sembamkan muka ke dada suaminya
itu. Mana dia tahu itu semua sebab
hormon. Yang dia tahu dia tak tahan
bila nampak aje suaminya itu!
“So, teruskan apa yang sayang
mulakan tadi. Esok kita jumpa doktor.
Abang yakin firasat abang betul.”
Ebrahim berbaring semula.
Mendepangkan tangannya ke
belakang kepala.
Kening diangkat-angkat
menanti tindakan seterusnya dari si
isteri.
Malisa menjeling manja
sebelum tunduk mendekat ke tepi
telinga suaminya.
“Actually, yes. I’m pregnant,
papa haji.” Bisik Malisa sebelum
mencari bibir suaminya.
Ebrahim tergamam sebelum
menyambut kucupan isterinya.
“Thank you, askim.”
Tak tergambar betapa
bahagianya Ebrahim saat ini.
“Tuan haji…” Malisa menyeru
panggilannya kepada Ebrahim satu
ketika dulu.
“Hurm?”
“Terima kasih menjerat cinta
saya ke dalam kurungan cinta dan
kasih tuan haji.”
“Terima kasih masuk ke jerat
cinta saya, askim.” Ebrahim dakap erat
isterinya itu.
Malisa panjatkan rasa syukur.
Terima kasih Tuhan atas pinjaman
terindahmu ini.
Aku mungkin bukan yang
pertama hadir dalam hidupmu.
Namun aku akan menjadi lelaki
terakhir yang melindungimu dan
mencintaimu sehingga akhir
nanti.
-EBRAHIM-
TAMAT
EBOOK MELL MARIANN