“Lisa berpisah dengan dia
sebab dia sendiri yang mengaku dia
tak cintakan Lisa! Dia cintakan
perempuan lain. Berapa kali Lisa nak
kena beritahu mak semua ni? Takkan
mak nak hati Lisa pecah tengok suami
Lisa ada hubungan dengan perempuan
lain? Hati Lisa bukan besi mak...”
Gugur juga air mata Malisa akhirnya.
Entah kesekian kalinya dia beritahu
asbab perpisahan dia dan Hizar dulu.
“Dia lelaki, biasalah tergoda
dengan perempuan yang lebih lawa
dan seksi tapi dia dah menyesal. Kalau
dia tak cintakan kamu, dia tak merayu
nak rujuk dengan kamu. Tapi yalah,
macam dia cakap. Mentang-mentang
ada lelaki kaya nakkan kamu. Cinta dia
kamu pandang sepi aje. Langsung tak
mahu beri peluang kedua pada dia.”
Mak Midah basuh tangannya, sedikit
pun dia tak hairan dengan air mata
Malisa. Dia masih bengang Malisa
bantah cakapnya dahulu. Malisa tak
patut bercerai dengan Hizar. Dalam
keturunan keluarganya, belum ada
yang bercerai-berai. Malisa yang
memalukannya!
“Peluang?” Malisa rasa mahu
ketawa. Air mata dia seka dengan
hujung lengan baju.
“Peluang untuk dia sakitkan
hati perempuan lagi? Dia dah ada isteri
mak, isteri dia tengah dalam pantang
tu tau mak. Mak nak Lisa jadi
perampas?”
“Ya! Rampas dia balik seperti
mana perempuan tu rampas Hizar dari
kamu!”
“Mak!”
Ternaik oktaf suara Malisa.
Tak sangka Mak Midah kemaruk nak
bermenantu Hizar sampai begitu sekali!
Oh, Tuhan!
EBRAHIM tarik nafas
dalam-dalam. Tak jadi
dia mahu masuk ke
dapur. Ya, dia tahu bukan mudah
mahu mengambil hati ibu mentuanya
itu.
Sabar Ebrahim... Sabar. Yang
penting Malisa dah jadi isteri kau kan?
Ebrahim pujuk hati.
Fikirnya, hanya menantu
perempuan saja yang selalu
berhadapan masalah begini. Tapi
ternyata menantu lelaki pun tak
terlepas sama. Dialah si menantu itu!
Nasib kau Ebrahim...
Bahu Ebrahim ditepuk
perlahan dari belakang.
“Buat apa kat sini?” Akmal,
abang iparnya menegur dengan kening
terangkat.
“Oh, nak bagi mak kelapa ni.”
Ebrahim pusing ke belakang sambil
menunjuk dua biji kelapa yang sudah
dikopeknya.
“Mak suruh?”
Ebrahim angguk.
Akmal sudah menggeleng kecil.
Mak... Mak... Selama ni elok saja beli
kelapa parut di kedai Pak Malim nun.
Hari ni tiba-tiba suruh menantu
barunya kopek kelapa pula?
“Dah, pergilah bagi. Kamu
bersabarlah sekejap dengan mak tu.”
Akmal menepuk lembut bahu adik
iparnya itu. Dia harap Ebrahim tak
putus asa menawan hati ibunya.
Ebrahim hela nafas sebelum
melangkah masuk ke ruang dapur.
Senyum ditampal manis.
“Mak... Ni kelapa yang mak
nak ya.” Ebrahim letak kelapa itu di
atas sinki. Dari ekor mata, dia nampak
isterinya sedang menyeka air mata. Ah!
Ebrahim tak suka melihat Malisa
menangis begitu. Hatinya ikut pedih.
Mak Midah cuma menjuih bibir.
Meluat dengan keramahan yang
menantu barunya tunjukkan.
“Luas juga ya laman belakang
mak tu. Rajin mak bercucuk tanam.”
Ebrahim cuba beramah mesra sebelum
melabuh duduk ke sebelah Malisa.
“Hurm...” Malas Mak Midah
balas.
“Abang nak air? Lisa
ambilkan.” Malisa bangkit berdiri
sebelum Ebrahim tahan lengannya.
“Tak apa. Abang boleh ambil
sendiri. Sayang sambung buat kerja.
Nak abang tolong?” Lembut Ebrahim
bertanya.
Malisa menjeling Mak Midah,
dari pinggir mata dia nampak Mak
Midah membuat muka. Mak... Mak...
“Abang nak tolong?” Malisa
kembali menumpu perhatian pada
suaminya. Tak apalah, dia yakin
lambat-laun Mak Midah akan
menerima Ebrahim juga. Selagi
Ebrahim ikhlas, dia percaya Mak Midah
akan nampak semua itu.
Ebrahim angguk.
“Abang pandai mesin kelapa?”
Malisa menoleh pada mesin kelapa
yang telah lama tidak digunakan itu.
Sejak arwah ayah tak ada. Mesin itu
memang tak gunakan lagi kerana
selama ini arwah ayahnya yang buat
semua kerja itu.
“Boleh, sayang...”
“Tapi tak tahulah okey ke tak
lagi mesin tu. Dah lama tak guna.”
“Tak apa. Abang tengok dulu
ya.” Ebrahim bangkit berdiri
mendapatkan mesin kelapa yang
berbungkus dengan plastik itu.
Mak Midah hanya memerhati
dari ekor mata. Dia nak tengok apa
yang menantu barunya itu boleh
lakukan. Mesin kelapa itu dah rosak,
dah lama tak guna.
“TERIMA KASIH abang...
Lisa tak tahu pun abang pandai pomen
barang.” Malisa hulur gelas berisi sirap
ais pada Ebrahim. Rupanya, Ebrahim
pandai membaiki barang elektrik. Dah
elok pun mesin kelapa itu dibetulkan
Ebrahim.
Ebrahim mendongak pada
Malisa, menyambut gelas yang dihulur
isterinya itu.
“Tak ada apalah. Benda basic
je ni. Terima kasih sayang.
Susah-susah je bawa air untuk abang.”
Ebrahim kenyit mata sebelah.
Tersipu Malisa jadinya. Waktu
macam ni pun sempat nak menggoda.
“Sayang pergi tolong mak
masak. Abang mesinkan kelapa ni dulu.
Tunggu sekejap ya.” Ebrahim hulur
semula gelas yang sudah kosong itu
pada Malisa sebelum mula
meneruskan kerjanya. Kacang je nak
mesin kelapa.
Malisa angguk bahagia. Rasa
bangga kerana suaminya itu serba
boleh. Harap emak nampak semua itu.
Kalau emak nampak Hizar lagi, Malisa
tak tahu nak kata apa. Kerana dari
awal pernikahannya dengan Hizar lagi,
lelaki itu tak pernah mahu menolong di
dapur. Dia lebih seronok merokok di
luar sana.
“Baru bernikah semuanya pun
indah.” Mak Midah mengomel perlahan
tetapi cukup didengari Malisa.
“Mak tak suka Lisa bahagia?”
Malisa tanya lembut sambil menolong
Mak Midah menggoreng ikan cencaru
sumbat yang menjadi kegemaran
emaknya itu.
“Bukan aku tak suka. Aku
cuma nak kamu beringat... Lelaki kaya,
bujang, kacak macam laki kamu tu
pasti ada sebab dia pilih kamu yang
janda ni.” Mak Midah lepas keluhan.
Dia masih belum mempercayai suami
baru Malisa itu. Lelaki itu nampak
terlalu sempurna untuk anak
perempuannya yang pernah
berkahwin ini.
“Kalau dah jodoh mak, mana
mampu Lisa nak menolak kalau dia
takdir yang Allah tetapkan buat Lisa.”
Malisa jawab perlahan.
“Hurm... kita tengok lama
mana dia nak layan kamu elok-elok.
Esok-esok dia dah jemu... dia cari yang
lebih sesuai dengan dia. Kamu
tengoklah nanti.” Mak Midah masih tak
berpuas hati dengan jawapan Malisa.
“Mak... tak baik doakan
buruk-buruk pada anak sendiri. Mak
doalah jodoh Lisa kali ini diredai Allah.
Bahagia sampai syurga. Boleh kan
mak?” Malisa berpaling pada Mak
Midah. Dia tak mohon banyak. Dia
cuma meminta Mak Midah doakan
kebahagiaannya sahaja. Bukannya
mendoakan dia gagal sekali lagi.
Mak Midah diam.
MALISA asyik memerhati
Ebrahim yang sedang melayan Icad
makan itu. Cukup prihatin Ebrahim
membuang tulang ikan buat Icad.
Bukan dia mahu membanding tetapi
Hizar dulu tak pernah peduli pun pada
anak mereka itu. Jangankan melayan
Icad makan, nak temankan pun tak
pernah. Boleh Malisa kira berapa kali
saja Hizar tolong menjaga Icad sejak
anak itu dilahirkan.
“Papa nak tahu tak? Kari ayam
opah Icad... Paling seeedap di alam
semesta.” Icad begitu teruja
memberitahu itu ini pada bapa tirinya.
“Papa setuju. Tengok ni dah
berapa pinggan papa tambah. Kalau
lama lagi kita kat sini, mesti perut papa
buncit makan masakan opah Icad.”
Ebrahim sahut ceria. Sesudu lagi kuah
dimasukkan ke dalam pinggan.
“Mak kamu tak pandai masak
ke?” Selamba Mak Midah menyampuk.
Akmal senggol pinggang
ibunya. Boleh pula Mak Midah tanya
menantunya begitu. Geram pula Akmal
dengan sikap ibunya itu. Menjeling
Malisa, dia nampak muka adiknya itu
berubah.
Ebrahim tersenyum.
“Umi tak berapa pandai masak
masakan Melayu. Selalunya umi masak
masakan timur tengah.” Tenang
Ebrahim membalas.
“Kenapa? Keluarga kamu dah
lupa asal usul ke?” Sinis Mak Midah
memerli. Tak hairan dengan jegilan
anak lelakinya itu.
“Taklah, umi memang ada
darah dari sana. Jadi, dia memang
suka masak makanan tradisi sana.
Kalau masakan Melayu selalunya abi
yang masak.” Jujur Ebrahim menjawab
lagi. Ebrahim tahu Mak Midah sedang
cuba menduga kesabarannya. Tak
apa, selagi Mak Midah tak melampaui
batas dia akan kekal bertenang.
“Ooo... patutlah kamu
handsome. Ada darah kacuk-kacuk
rupanya. Abang Mal jugaklah Melayu
jati. Sebab tu tak laku kut.” Akmal
menyampuk sambil ketawa kecil. Cuba
menceriakan suasana. Tak mahu adik
iparnya itu terasa hati dengan sikap si
ibu.
“Kamu tu yang memilih,
semua pilihan aku kamu tolak.” Mak
Midah menjeling anak bujangnya itu.
“Tak mahulah orang. Jodoh ni
mak, biar dia datang di saat yang tepat.
Lagipun, perempuan-perempuan
pilihan mak tu cuma pandang kerja Mal
je. Mentang-mentang kita kerja
offshore. Dia orang ingat Mal ni
kaya-raya.” Akmal basuh tangan
sebelum menyandar. Kenyang betul...
Bukan selalu dia dapat makan
masakan ibunya itu.
“Ada sajalah alasan kamu.”
Mak Midah menjeling.
Malisa berbalas pandang
dengan Akmal. Thank you... bibir
Malisa mengucap terima kasih pada
satu-satunya abang yang dia ada itu
tanpa suara. Dia tahu Akmal cuma
mahu mengalih perhatian emak
mereka itu.
Akmal memang abang yang
baik. Waktu dia baru mula hidup
sebagai ibu tunggal dulu, abangnya
itulah yang banyak membela dan
menyokongnya. Cuma Malisa saja tak
suka menyusahkan abangnya itu.
Sebab itu, dia cuma beritahu yang dia
dan Icad baik-baik saja selalu.
BERHATI-HATI Malisa
berpimpin tangan
dengan Ebrahim saat
meniti batas hingga mereka sampai di
pondok kecil di tepi bendang yang
terbentang indah.
Ebrahim angkat tubuh genit
Malisa ke atas pondok.
Terjerit kecil isterinya itu.
Ebrahim ketawa kecil sebelum
melompat naik duduk di sebelah
Malisa.
“Kecil sangat isteri abang ni.
Senang abang nak penyet-penyet.”
Ebrahim rangkul kuat tubuh Malisa dari
sisi.
“Abang… orang nampak
nanti.” Malisa tepuk dada Ebrahim
sebelum lelaki itu hambur tawa
bahagia dan lepaskan tubuhnya.
Ebrahim depang tangan ke
belakang. Udara segar yang bertiup
lembut disedut penuh nikmat.
“Lama abang tak hidu udara
macam ni.” Ebrahim pejam mata
menghayati.
“Abang suka balik kampung
Lisa?” Malisa pandang sisi wajah
suaminya itu.
“Mestilah suka... Siapa yang
tak suka lari dari kesibukan?” Buka
mata, Ebrahim menatap wajah manis
isterinya itu.
Hizar, bekas suaminya itu yang
tak suka balik ke kampung. Padahal
Hizar sendiri asalnya dari situ.
Tiap-tiap minggu dulunya, cuma Malisa
yang selalu berulang alik melawat
nenek Hizar. Hizar lepas tangan begitu
saja. Ada saja alasan Hizar beri.
Banyak kerjalah. Itu inilah. Padahal
pergi berseronok dengan perempuan
simpanannya waktu itu.
“Lisa pun suka. Dulu tiap-tiap
minggu Lisa balik kampung tengok
mak dan nenek.” Malisa tersenyum
melihat ke arah Icad dan pak longnya
yang sedang bermain drone. Akmal
nak masukkan dalam tik tok lagilah tu.
“Nenek?” Terangkat kening
Ebrahim.
Malisa ketap bibir. Dia sudah
terlepas cakap.
“Nenek Hizar... Dia duduk
hujung kampung sana. Tapi tu dulu.
Lepas berpisah dengan Hizar, dia tak
izinkan Lisa jejak kaki kat rumah dia
lagi,” jawab Malisa perlahan dan jujur.
“Oh, nak jenguk dia?” Ebrahim
tunduk sedikit mencari anak mata
Malisa.
“Untuk apa?” Polos Malisa
bertanya semula.
“Sayang benci nenek Hizar
sebab halau sayang?”
“Eh, taklah.” Laju Malisa
menggeleng. Langsung tak terlintas
dalam hatinya mahu membenci orang
tua itu.
“Kita pergi ziarah nak? Abang
dapat tahu nenek dia tinggal seorang
diri.” Ebrahim meloncat turun ke
tanah.
“Mana abang tahu?” Pelik pula
Malisa mendengarnya.
Ebrahim hela nafas. Tangan
dikepung ke sisi kiri kanan Malisa yang
masih duduk di lantai pondok itu.
“Sayang nak tahu?”
Malisa angguk menanti
jawapan Ebrahim.
“Sejak dari hari pertama
sayang jadi pekerja abang. Abang dah
selidik semuanya tentang latar
belakang sayang, tentang bekas suami
sayang dan semuanyalah.”
“Hah?” Terkebil-kebil Malisa
mendengar pengakuan Ebrahim.
“Sebab sayang dah lama curi
hati abang. Jadi, abang kena tahu
semua tentang wanita yang curi hati
abang ni.” Jemari telunjuk Ebrahim
naik mencuit puncak hidung Malisa.
“Mujurlah dia tak ada lelaki lain
masa tu. Kalau tak, tak mengena
umpan abang.” Ebrahim dekatkan
mukanya ke wajah Malisa. Riak
bingung Malisa sangat comel di
matanya. Geram pula dia tengok.
“Kejap-kejap!” Malisa tahan
dada bidang Ebrahim. Sikit lagi puncak
hidung suaminya itu mahu mengena
pipinya.
“Hurm?” Ebrahim menadah
telinga.
“Abang selidik sampai nenek
Hizar pun?” Bingung Malisa bertanya.
Amboi! Takkan Ebrahim sukakan dia
sampai begitu sekali.
“Tak... Rashid yang selidik.
Bagus PA abang tu buat kerja. Semua
detail dia korek.” Ebrahim ketawa
kecil.
“Samalah tu. Seramlah abang
ni. Stalker!” Malisa buat gaya
merinding. Seram tiba-tiba.
“Amboi! Macam abang jahat
sangatlah pula ya. Abang stalk sebab
nak pastikan abang tak ganggu hak
sesiapa. Salah ke?”
Ebrahim renung dalam-dalam
anak mata Malisa. Seketika bertautan
mata, tangan Malisa naik mengusap
pipi Ebrahim. Dia rasa dia dah jatuh
cinta dengan lelaki ini. Tak sangka
masih ada yang sudi menerima dia
seadanya.
“Tak... Terima kasih sudi
mahukan Lisa yang serba serbi
kekurangan ini.” Malisa carik senyum
manis buat Ebrahim.
“Sama-sama kasih, askim.
Sayang tak kurang apa, abang yang
bertuah dapat sayang.” Ebrahim tarik
tangan Malisa dan mengucupnya
lembut.
“Askim... Askim... Apa
maknanya tu bang?”
“Maksudnya...”
“Hoi! Dah-dahlah
berasmaradana. Jom balik!” Suara
laungan Akmal mengejutkan mereka.
“Aku jeles ni tau!” Sambung
Akmal membuat mereka terlepas tawa.
“Siapa suruh tak mahu kahwin.
Padan muka!” Malisa balas dengan
laungan juga. Sengaja mengejek
abangnya itu.
Ebrahim ketawa bahagia
sebelum tarik pinggang Malisa
menurunkan wanita itu.
“Jom.” Tangan Malisa
digenggam erat. Seerat cintanya buat
Malisa.
“ASSALAMUALAIKUM...”
MALISA beri salam biarpun dadanya
berdebar hebat. Sudah dua tahun dia
tak menjejak kaki ke rumah papan itu.
Rumah yang pernah menjadi tempat
mainnya ketika kecil dahulu.
Basah tangannya
menggenggam tangan Ebrahim
mengumpul kekuatan.
“Waalaikumuss... salam.”
Muncul seorang wanita tua membuka
pintu. Gamam kaku melihat Malisa di
hadapan pintu rumahnya.
“Nek...” Malisa maju ke
hadapan. Tangan dihulur mahu
bersalam dengan Nek Besah. Wanita
tua itu hanya membiarkan dia meraih
tangannya.
“Kamu buat apa kat sini?”
Dingin soalan yang terbit dari bibir Nek
Besah.
“Nek sihat?” Malisa menyoal
lembut.
“Masuklah. Ajak suami kamu
sekali.” Tak menjawab soalan Malisa,
Nek Besah menjemput Malisa dan
Ebrahim masuk ke dalam rumahnya.
Ebrahim cuma mengangguk
memberi isyarat mata pada Malisa
supaya mengikut Nek Besah masuk ke
dalam rumah.
“Anak kamu mana?” Soal Nek
Besah apabila Malisa dan Ebrahim
melabuh duduk ke kusyen.
Tercari-cari juga dia akan
cicitnya itu.
“Ada dengan pak longnya.
Kejap lagi sampai. Tadi dia ikut Abang
Akmal ke kedai.” Malisa balas sopan.
“Aku pergi buat air dulu.” Nek
Besah cuma mengangguk sebelum
terbongkok-bongkok menuju ke dapur.
“Lisa tolong.” Malisa lekas
membuntuti Nek Besah.
Malisa mengitari sekeliling.
Jarinya menyentuh kabinet dapur yang
pernah menjadi tempat dia
menyediakan makanan buat Nek
Besah. Ada debu yang tebal tidak
bersapu.
Melihat belakang Nek Besah,
hati Malisa tumbuh simpati. Pastinya
Nek Besah benar-benar rasa
kehilangan selepas Tok Alang
meninggal tahun lalu.
Waktu itu, Malisa cuma dapat
melihat Nek Besah dari kejauhan
kerana masih terkesan dengan semua
yang berlaku.
“Kamu ada jumpa Hizar?” Nek
Besah menanya perlahan.
Malisa yang baru mengambil
cerek menggeleng kecil.
“Tak, nek. Dia tak balik tengok
nenek?”
Malisa pusing menghadap Nek
Besah dengan kening berkerut.
“Mana mahunya bini dia balik
kampung. Aku ni kan orang tua jijik,
kotor...” Nek Besah labuh duduk ke
kerusi meja makan yang terletak di
tengah dapur itu.
Ada nada berkecil hati yang
keluar dari suara tuanya.
“Dah lama dia tak balik?”
Malisa sambung menjerang air
sebelum tarik kerusi dan duduk
berhadapan dengan Nek Besah.
“Ini balasan aku agaknya
sebab selalu cari buruk kamu dahulu.
Baru aku tahu mana permata, mana
kaca. Ada anak cucu pun macam hidup
sebatang kara.” Nek Besah luah rasa
kesalnya sebelum mengesat air mata
yang mula turun dari pinggir mata
tuanya dengan hujung baju kurung
Kedahnya.
“Kenapa nek tak bagitahu mak?
Tak bagitahu Lisa yang Hizar tak balik
jenguk nenek?” Malisa sentuh kekura
tangan berkedut Nek Besah.
“Aku malu... Aku hina kamu
bila kamu minta fasakh dari Hizar. Aku
percaya kata dia yang kamu bencikan
dia. Yang kamu tak boleh hidup susah
dengan dia. Tapi bila dia bercerai
dengan kamu dan bernikah dengan
perempuan tu, dia terus lupa aku. Aku
yang bela dia dari kecil ni.” Nek Besah
tepuk dadanya. Dia malu!
Sungguh-sungguh malu pada Malisa
dan keluarganya. Betullah kata arwah
suaminya, Hizar lelaki paling rugi
kerana melepaskan isteri sebaik
Malisa.
“Dah nek. Lupakan hal lama ya.
InsyaAllah, Lisa akan kerap bawa Icad
balik jumpa nenek.” Malisa pujuk
lembut. Hizar... Hizar... Sampai hati
lelaki itu abaikan nenek kandungnya
sendiri padahal orang tua itulah yang
membela dia dari kecil.
MALISA sapu
pelembab muka ke
wajah
sambil
mengerling suaminya yang sedang
bersandar di kepala katil. Tengah
membelek Ipadnya. Adalah kerja yang
Ebrahim buat itu.
Teringat akan Nek Besah yang
diziarahnya siang tadi, Malisa
mengeluh perlahan. Memang Nek
Besah tak pernah sukakan dia dari
dahulu tapi untuk membenci orang tua
kerana sikap jelik Nek Besah itu jauh
dari sifatnya. Malah, pada Hizar pun
dia tak benci. Cuma terbit rasa kesal
apabila Hizar abaikan neneknya itu.
Sedang mengelamun jauh,
Malisa terasa pipinya dikucup lembut.
“Askim? Fikir apa ni sayang?”
Ebrahim tunduk menyangkut dagu ke
bahu Malisa selepas menghadiahkan
satu kucupan buat isterinya itu.
Malisa tertunduk segan. Cuma
mengerling figura suaminya dari bias
cermin.
“Tak, tak fikir apa.” Malisa jadi
serba tak kena. Lekas dia mengambil
losyen pula dan disapukan ke lengan.
Ebrahim makin merapat,
puncak hidung mancungnya
menggesel tulang selangka Malisa.
“You’re tempting me, askim.”
Malisa menggeliat geli.
“Mak tak tidur lagi.” Perlahan
Malisa berbisik. Yalah, bukan dia naif
untuk tak perasan bahasa tubuh lelaki.
Masalahnya, rumah emak rumah
kampung. Kentut pun boleh dengar
tau!
Ebrahim cuma ketawa kecil
sebelum mencempung tubuhnya tanpa
dia bersedia. Mujurlah Malisa cepat
menekup mulut sebelum nyaris
terlepas jeritan terkejut.
Meletak Malisa ke atas katil,
Ebrahim hadiahkan satu kucupan
lembut ke ubun-ubunnya.
“Biar mak tahu kita nak bagi
cucu lagi kat dia. Mana tahu mak
lembut hati terima abang.” Ebrahim
sengaja mengusik sebelum baring di
sebelah Malisa. Kepala Malisa, Ebrahim
sauk dan letakkan ke atas lengannya.
“Lisa minta maaf kalau abang
banyak terasa hati dengan mak...”
Rasa hati Malisa sedikit tersentak
dengan gurauan Ebrahim. Dia tahu
Ebrahim pasti banyak terasa hati
dengan sikap ibunya.
“Hey! Berapa kali abang nak
beritahu ni... Abang okey je. Sayang
jangan risau, abang akan pastikan
abang akan jadi menantu kesayangan
mak sebelum kita balik rumah kita.
Trust me okay?” Hidung Ebrahim
menyentuh sisi kepala Malisa.
Mengeratkan pelukan, dia mahu Malisa
yakin dengannya.
Malisa pejam mata sebelum
tangannya dengan sendiri melingkar
ke pinggang Ebrahim. Seingat dia,
Hizar tak pernah melayan dia sebegini.
Tak pernah mententeramkan begini.
“Lisa percaya abang...” Ucap
Malisa yakin.
Saat jemari Ebrahim mula
bergerak ke kulit badannya, Malisa
terima dengan rela hati. Entah
mengapa dia rasakan sentuhan
Ebrahim membawa rasa yang berbeza.
Yang tidak tergopoh gapah hanya
mahu melunaskan nafsu sendiri tanpa
memikirkan perasaan si isteri. Kala
halwa telinganya mendengar selafaz
doa dari bibir lelaki itu, hati Malisa
kembang dengan rasa terharu dan
bahagia.
Ya Allah, jika lelaki ini kau
hadirkan untuk membimbing aku ke
syurga, Kau tetapkanlah jodoh kami
hingga ke jannati yang hakiki.
BANGUN pagi keesokkan
harinya, Malisa terdengar suara orang
berbual dari dapur. Celik mata, Malisa
beristighfar panjang. Ya Allah, dia
terlajak tidur lepas subuh tadi. Matilah
Mak Midah marahkan dia. Kelam kabut
Malisa bangkit dari atas katil. Cardigan
disarungkan ke tubuh menutup baju
tidurnya yang nipis. Salah dia juga
nampaknya, pakai baju tidur yang
seksi hadiah dari Rohaya itu. Kan
suaminya tak lepaskan dia malam tadi.
Menggeletar kaki Malisa dek penangan
tuan haji muda itu.
“InsyaAllah mak. Saya akan
jaga Lisa dan Icad baik-baik. Demi
Allah, saya sangat sayangkan mereka
berdua dengan sepenuh hati. Mak nak
tahu satu rahsia?”
Malisa berhenti melangkah,
tak jadi turun ke dapur yang berada di
tingkat bawah rumah kampung itu.
“Apa?” Sahut Mak Midah.
Malisa mengendap sedikit.
Suaminya itu sedang mengurut kaki
emaknya.
“Saya jatuh cinta pandang
pertama pada Lisa dua tahun dulu.
Waktu dia masih isteri orang...”
Malisa tekup mulut mendengar
apa yang keluar dari bibir suaminya itu.
Ebrahim dah lama kenal dia?
“Tapi, mak jangan marah dulu.
Lisa tak tahu, dia tak ingat pun saya.”
Ebrahim ketawa kecil.
“Dua kali saya jumpa dia,
waktu dia tolong saya pilih tuala
wanita yang saya kena beli untuk adik
saya dan juga waktu dia menangis
apabila nampak suaminya dengan
wanita lain...”
Ebrahim tunduk seketika
menyambung mengurut kaki ibu
mentuanya itu.
Mak Midah pula cuma diam.
Tadi, dia ke kebun yang terletak di
halaman belakang rumahnya itu.
Tahu-tahu dia terseliuh ketika
mencangkul. Sakit kakinya setengah
mati. Mujurlah menantunya itu ada di
situ sedang mengambil angin pagi.
Ebrahimlah yang mencempung dia
masuk ke dalam rumah dan urutkan
kakinya itu.
“Masa tu mak, saya tak faham
kenapa hati saya pun turut sakit
tengok dia menangis. Tapi anak
perempuan mak tu kuat orangnya.
Berkali-kali dia kesat air mata.
Berkali-kali dia pujuk hati dia. Saya
tahu dia wanita yang kuat.”
Letakkan kaki Mak Midah ke
bawah, Ebrahim angkat muka.
“Tapi saya tahu dan sedar
saya bukan siapa-siapa masa tu. Umi
tak ajar saya ganggu rumah tangga
orang. Sebab tu saya pilih untuk
simpan saja rasa yang ada dalam hati
untuk dua tahun itu sebelum kami
bertemu kembali. Rahsia Allah, saya
tak sangka wanita yang saya letak
dalam doa akhirnya jadi isteri saya
juga, mak.”
Mak Midah tunduk sebelum
mula tersedu-sedu.
“Mak tahu kamu jodoh yang
terbaik buat Malisa. Mak tahu dia kuat.
Cuma mak yang tak dapat terima
rumah tangga dia pernah gagal. Mak
tak dapat terima Hizar buat anak mak
macam tu. Mak rasa gagal didik anak
mak untuk jadi isteri yang sempurna
sampai dia bercerai-berai.” Mak Midah
luah isi hatinya.
“Mak tak gagal. Malisa wanita
paling tabah yang saya kenal. Mak dah
didik dia jadi wanita yang kuat. Saya
yakin Malisa dah buat yang terbaik
untuk rumah tangganya dulu. Cuma
Allah tetapkan jodoh mereka setakat
itu.” Ebrahim sentuh kekura tangan
tua Mak Midah. Memujuk lembut hati
tua ibu mentuanya itu.
“Nanti... kalau kamu dah tak
suka anak mak, kamu pulangkan
baik-baik pada mak. Pada abangnya.
Jangan buat dia dihina orang macam
dulu. Hati mak sakit sangat anak mak
kena hina macam tu. Orang kata anak
mak tak pandai jaga laki.”
“Ssyyhh... jangan menangis
mak. Saya akan jaga anak dan cucu
mak sampai mati dan saya yakin Malisa
akan jadi sebaik-baik isteri untuk
saya.”
“Mak...” Malisa meluru
mendakap tubuh emaknya dari
belakang. Banjir wajahnya dengan air
mata yang mengalir ke pipi.
“Lisa tak mahu apa-apa mak.
Lisa cuma nak doa mak. Doakan Lisa
bahagia dengan anak dan suami Lisa.
Itu aje mak... doakan rumah tangga
kami selalu diredai Allah.”
“Mak doakan... Demi Allah,
mak doakan. Maafkan mak, Lisa.”
Ebrahim senyum nipis,
ubun-ubun Malisa dikucup lembut
sebelum telapak tangannya menyeka
air mata yang mengalir di pipi
isterinya.
EBRAHIM mengelap
pinggir bibir Malisa
dengan ibu jarinya.
“Makan apa comot macam ni
sayang...” Tegur suaminya itu, Malisa
cepat menyapu dengan ibu jarinya
pula sambil tersengih malu.
“Sedap sangat laksa Kak Inas
buat ni.” Esok mereka akan pulang ke
kediaman mereka semula selepas
hampir seminggu di kampung.
Maklumlah cuti kahwin mereka cuma
dua minggu saja. Minggu depan majlis
di pihak Ebrahim pula dan selepas itu
mungkin Ebrahim akan sibuk dengan
kerjanya semula.
Jadi, hari ini mereka ambil
kesempatan untuk berkelah di tepi
bendang bersama dengan jiran Mak
Midah, Inas.
“Biasa ajelah, Lisa.” Inas
tunduk malu apabila dipuji Malisa
begitu.
“Biasa apa macam ni? Sedap
sangat tau... tu tengok Abang Akmal
makan tak tengok kiri kanan dah.”
Malisa menjuih bibir ke arah abangnya
yang sudah ke berapa kali tambah itu.
Akmal tersedak sebelum
cepat-cepat mengambil air minum.
Terpinga-pinga apabila namanya
disebut tiba-tiba.
“Itulah, aku suruh balik dok
kampung je. Sedap-sedap Inas ni
masak bagi aku makan selalu.” Mak
Midah menyampuk selamba.
Akmal tersengih.
“Terima kasih ya Inas. Selalu
tolong tengok mak abang bila kami tak
ada.” Tak lupa dia ucap terima kasih
pada jiran Mak Midah itu.
“A'ah kak. Kalau akak tak ada,
memang Lisa bawa mak ikut kami.”
Malisa sentuh kekura tangan Inas. Mak
Midah dapat jiran yang baik ini pun dia
sangat bersyukur. Mak Midah
bukannya mahu tinggalkan rumah
peninggalan arwah Tok Akinya.
Abangnya pula hidup tak menentu
sekejap di darat, sekejap di lautan. Ini
pun, bulan depan Akmal akan bertugas
semula.
“Tak mahu aku. Kebun aku
nanti siapa nak jaga?” Mak Midah
menggeleng laju.
“Tengok, dengan kaki terseliuh
tu pun masih nak ingat kebun.” Malisa
mencebir.
Inas ketawa kecil.
“Tak apa, nanti Kak Inas
tolong Mak Midah di kebun.”
“Haih! Untunglah siapa jadi
suami kamu ni Inas. Serba serbi cukup.
Nanti kalau kamu kahwin, jangan
lupakan Mak Midah tau.”
“Inas dah ada boyfriend ke?”
Akmal tiba-tiba menyampuk.
Malisa berpandangan dengan
suaminya. Tersenyum-senyum sesama
sendiri.
“Icadlah boyfriend Cik Inas.”
Icad yang duduk bersila di sebelah
Inas, selamba menyahut soalan bapa
saudaranya itu.
“Sibuklah Icad ni. Pak long
tanya Cik Inas, bukan tanya Icad.”
Akmal jegil mata pada Icad.
Malisa lepas tawa.
“Amboi anak mama ni. Dah
pandai basuh baju sendiri ke tu?”
Sengaja dia menyakat Icad pula. Sama
naik anak dan bapa saudara ni.
“Kamu jangan nak sibuk tanya
hal anak dara orang kalau kamu tak
mahu mula langkah. Kamu ingat Inas
nak tunggu kamu yang ragu-ragu
dengan perasaan kamu sendiri tu?”
Mak Midah bagi setepek pada Akmal.
Entah apa yang anak lelakinya itu
takutkan dengan perkahwinan. Umur
tu sudah boleh beranak ramai.
Telinga Akmal mula merah.
Aduh mak ni... bikin malu dia aje.
Baru Akmal nak buka mulut.
“Kak Lisa! Mak Midah!”
Seorang remaja berlari anak
mendapatkan mereka.
“Hah, Azam. Dah kenapa
kamu ni?” Masing-masing sudah pelik
apabila Azam termengah-mengah
berhenti di hadapan mereka.
“Polis... polis datang nak
tangkap Abang Hizar kat rumah Nek
Besah!”
“Apa?” Serentak mereka
semua terkejut.
SESAMPAI mereka ke
halaman rumah Nek Besah, polis
sedang menggari Hizar.
“Nek!” Malisa berlari anak
mendapatkan Nek Besah yang sedang
ditenangkan oleh salah seorang
penduduk kampung.
“Lisa! Tolong saya Lisa. Saya
tak sengaja. Saya tak ada niat nak
pukul dia. Betul saya tak sengaja.
Sampai hati kau nek, buat aku macam
ni! Lisa, tolong saya Lisa!” Hizar
meronta mahu dilepaskan. Meliuk-liuk
tubuhnya mahu mendapatkan Malisa.
Terpinga-pinga Malisa
jadinya.
“Apa yang berlaku ni tuan?”
Malisa menyoal pegawai polis yang
sedang memegang kuat lengan Hizar
yang meronta itu.
“Kamu gila! Kamu dah pukul
bini kamu setengah mati. Kamu nak
aku sorokkan kesalahan kamu?
Memang patut Malisa tinggalkan kamu.
Kamu tak layak jadi suami atau bapa
orang!” Nek Besah menempik marah.
“Lisa... tolong saya Lisa. Awak
mesti tak mahu anak kita ada bapa
yang bergelar banduan kan? Tolong
saya…” Hizar merayu lagi sebelum
tubuhnya ditolak masuk ke dalam
kereta peronda polis.
Malisa cuma tergamam
sebelum bahunya dipaut oleh
seseorang.
“Sayang okey?” Ebrahim usap
lembut bahu Malisa. Menenangkan
isterinya itu.
Menoleh pada Ebrahim, Malisa
soal perlahan.
“Apa yang berlaku sebenarnya
ni bang?” Sungguh! Beku otaknya
untuk mencerna apa yang berlaku.
“ALHAMDULILLAH. Nek
Besah tak apa apa. Inas temankan dia
malam ni. Mak Midah dan Lisa jangan
risau. Esok Pak Cik Rahman sampai dia
tengokkan Nek Besah. Hari ni tak
sempat katanya.” Inas melabuh duduk
di sofa. Memberitahu tentang anak
Nek Besah yang baru dihubunginya
tadi.
“Terima kasih kak.” Malisa
mengangguk kecil. Nek Besah
sudahpun tertidur selepas penat
menangis tadi.
“Mak tak sangka Hizar jadi
begitu. Padahal dulu dialah cucu
kesayangan Mak Besah. Malu mak
dengan orang kampung. Bekas
menantu mak macam tu.” Mak Midah
mengeluh perlahan. Siapa sangka
Hizar yang nampak baik dulunya jadi
sebegitu rupa.
Mereka dapat tahu Hizar pukul
isterinya sehingga hampir parah. Hizar
lari ke rumah Nek Besah. Kononnya
mahu neneknya itu selamatkan dia.
Tapi, belum sempat apa-apa polis
sudah berjaya menjejak Hizar.
“Benda dah jadi, mak. Biar
polis buat kerja mereka. Mulut orang
lama mana kita nak tutup. Biar dia
duduk dalam penjara. Kalau dia tak
belajar lagi dari kesilapan, Mal tak tahu
nak jadi apa dengan menantu
kesayangan mak tu.” Akmal menyahut
keluhan ibunya itu. Sempat juga dia
memerli.
“Ish! Apa pula menantu
kesayangan aku? Tak kuasa aku nak
sayang menantu hantu macam tu.”
Mak Midah menjeling Akmal kurang
senang.
“Ooo… maklumlah orang dah
dapat menantu kesayangan yang
baru.” Terkekeh Akmal ketawa
mengusik emaknya itu.
Ebrahim tersengih
menyenggol pinggang isterinya.
Kening diangkat dua kali sengaja
menarik perhatian isterinya itu.
Malisa mencebir. Banggalah
tu!
Rambut Icad yang sudah
terlena di paha papanya itu diusap
lembut. Entah apa dia nak beritahu
Icad nanti. Yang bapanya mungkin
akan dipenjarakan angkara perbuatan
salah lelaki itu.
Malisa teringat perbualannya
sebelum memilih untuk bernikah
dengan Ebrahim.
“Icad… Kalau mama kahwin
dengan papa aji, Icad terima tak?”
“Nanti papa aji jadi papa
Icad?”
“Ya, sayang. Tapi Icad jangan
salah faham. Ayah… tetap ayah Icad.”
“Mama… mama gembira tak
dengan papa aji?”
“Mestilah mama gembira. Icad
nampak kan mama selalu ketawa bila
dengan papa aji.”
“Mama, Icad cuma nak mama
gembira.”
MALISA'S COTTAGE
CAFÉ…
MALISA tarik nafas
lega. Akhirnya, impian
yang dia bina sejak
dari kecil dulu sekarang sudah menjadi
kenyataan.
“Thank you, abang.” Lengan si
suami diraih dan didakap erat.
Kepalanya dilentokkan manja ke
lengan Ebrahim.
“Welcome, askim. Semua ni
atas usaha sayang. Abang cuma bantu
sikit-sikit aje.” Sebelah tangan Ebrahim
naik mengusap lengan Malisa. Dia
mahu isterinya tahu yang semua itu
atas usaha Malisa sendiri.
“Kocam sensin, seni
seviyorum.” Malisa mendongak
mengucapkan kata-kata istimewa buat
Ebrahim. Senyum dibibir merekah
manis. Maksudnya suamiku sayang,
aku cinta padamu dalam bahasa Turki.
Terangkat kening Ebrahim
tinggi. “You learned...” Pusing
menghadap Malisa, tangan besarnya
meraih pinggang genit isterinya itu.
“Tentulah, Lisa pun nak beri
panggilan istimewa buat abang.
Macam abang beri gelaran istimewa
buat Lisa.” Malisa mengaku bangga.
Askim, sayangku dalam
bahasa Turki. Selama ini, punyalah dia
bingung kenapa Ebrahim asyik gelar
dia begitu. Rupanya itulah maksudnya.
Ebrahim beritahu yang dia
belajar tentang gelaran itu ketika
bercuti di Istanbul dan dia rasa ianya
sangat istimewa. Apabila berjumpa
Malisa, terus dia gelarkan Malisa
begitu.
Oh, my dear husband.
Romantis dalam diam rupanya selama
ini. Belum lagi Ebrahim buat dia
terharu dengan pengakuannya pada
Mak Midah dulu. Setulus itu cinta
Ebrahim buatnya. Betapa indahnya
rasa yang Tuhan beri ini. Dari
kesakitan, DIA limpahkan pula dengan
kasih sayang.
“Ben de seni seviyorum canım,
askim, bebegim.”
Ah, sudah! Nak kena Google
lagi Malisa selepas ni. Sejak bila
Ebrahim bertukar jadi mamat Turki ni?
Yang dia tahu Ebrahim berdarah Arab
sebelah umi aje.
Tak kisahlah, yang penting dia
tahu lelaki itu cintakan dia.
Malisa mengitari sekeliling.
Yakin, tak ada yang lalu lalang.
Kakinya menginjit sedikit sebelum
bibirnya menyapa pipi Ebrahim.
Terbuntang mata Ebrahim.
Tiba-tiba darah menyerbu ke muka.
Malu! Mana pernah Malisa seberani
begini di tempat umum.
“Oh, sorry.” Malisa gigit bibir
bawah. Macam mana dia boleh
terlepas laku begitu?
Tapi, siapa suruh Ebrahim
kacak sangat hari ni. Hormon apa pun
Malisa tak tahu, asyik nak melekap
dengan suaminya itu.
“No, no. Abang okey je. I'm
just speechless. Are you okay? Nak
balik? Atau book hotel? Hurm?”
Ebrahim mula menayang senyum
nakal.
“Abang...” Rengek Malisa.
Mengada tau Ebrahim ni. Dada
Ebrahim ditepuk manja.
“Mama! Papa! Cepatlah,
semua orang tengah tunggu mama
dan papa.” Icad panggil mama
papanya. Kepalanya digeleng kecil
dengan bercekak pinggang. Apalah
mama dan papa ni buat. Boleh pula
berdating kat sini!
“Ya! Ya! Papa dengan mama
datang ni. Our hero dah panggil.”
Ebrahim menyahut sambil ketawa kecil.
Tangan halus Malisa diraih ke dalam
genggamannya. Masuk ke dalam kedai
kek yang baru dirasmikan mereka itu.
Para tetamu dah mula menyantap
agaknya. Mereka pula sibuk
berasmaradana di luar.
SEPERTI yang dijangka,
suasana meriah dengan para tetamu.
“Ya Allah… Lisa. Sedapnya kek
kamu ni. Kak Nah yakin business kamu
ni akan meletup kebaboom.”
“Ya lah, Lisa. Patutlah Tuan
Haji tak pernah miss tart awak ni.
Hari-hari teringat.”