The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by norizan sohok, 2022-02-08 01:28:03

Jerat Cinta Tuan Haj

Jerat Cinta Tuan Haj

Iris mata Malisa mengawasi
lelaki tak dikenali itu. Nampak macam
baik tapi tak keluar suara pula.

Berhenti di depan Malisa,
bebola mata jejaka itu menghala pada
bekas di tangan Malisa.

Malisa ikut mengarah pada
hala pandangan lelaki itu. Oh!

“Maaf encik. Ini untuk tuan
haji. Dia suka sangat tart telur yang
saya buat. Tu yang saya bawak. Mana
tahu saya dapat kerja ni.” Malisa
tersengih segan. Memberitahu isi
bekas yang dibawanya.

“I see... Awak nak rasuah
dialah ni ya? Supaya dapat kerja?”
Menjongket senyum senget, Ebrahim
buat ayat tuduhan. Sengaja.

Terbeliak mata Malisa. Ke situ
pula!

“Eh! Mana ada. Takkanlah nak
minta kerja tea lady aje pun saya nak
kena rasuah tuan haji pula. Kelakarlah
encik ni.” Malisa ketawa kekok.

“Tea lady? Macam tak sesuai
aje awak ni jadi tea lady.”

“Huh? Ya ke?” Malisa gigit bibir.

Kalau tak sesuai jadi tea lady, dia nak

kerja apa? Sudahlah bisnes dia tengah

terdesak ni. Dia perlukan kerja untuk

pusing modal.

“Ya. Tapi awak ni sesuai jadi

my lady.” Perlahan, tapi Ebrahim

tertawa kecil dengan ucapannya

sendiri sebelum bergerak memusing

meja. Kau ni Ebrahim, kawal diri!

Terpinga-pinga Malisa

mendengarnya. Makin tercengang

apabila lelaki itu selamba duduk di

kerusi milik Tuan Haji Ebrahim.

“Duduk Cik Malisa. Pak Haji
Rahim awak ni nak mula interview.”

Apa? Jatuh rahang Malisa.

“Mak... Maksud encik?”

Tergagap Malisa menyoal.

Terkebil-kebil dia memandang muka

jejaka tampan di depannya itu

sebelum mendongak ke arah gambar

lelaki tua yang terpampang di

belakang lelaki yang mengaku sebagai
Tuan Haji Ebrahim.

Ebrahim ikut menoleh ke

belakang. Hampir terlepas tawa dari
bibirnya namun dikawal sehabis

mungkin.
“That's my dad. Haji Musa.”
Pusing semula ke depan. Dia

kenalkan bapanya dengan selamba.

“Oh.” Malisa gigit bibir
menahan malu. Mati-mati dia ingat

Tuan Haji Ebrahim itu lelaki tua!

Sekurang-kurangnya dalam 40-an.

Tetapi lelaki ini seperti dalam usia awal
30-an.

“Maafkan saya, tuan haji. Jadi,

tuan haji bolehlah ambil tart ni.” Kelam
kabut Malisa tolak kotak berisi tart

telur itu ke arah haji muda itu.

Ebrahim koyak senyum.
“Thanks. Rohaya ada beritahu
saya awak yang buat tart telur ni.

Awak tahu ke saya ni pelanggan tetap

awak?” Tajam iris mata Ebrahim

merenung Malisa yang kelihatan
gelabah itu.

Malisa senyum segan seraya

mengangguk kecil. Memang dia tahu
majikan Rohaya selalu memesan tart

telurnya. Tapi tak tahu pula ini

orangnya.
Ebrahim tarik nafas dalam

sebelum hembus nipis.
“Baiklah. Kita mula. So, awak

minta kerja apa tadi?” Ebrahim angkat
kening sambil membelek fail resume
yang dibawa Malisa.

“Tea lady, tuan haji.” Perlahan
Malisa jawab. Tiba-tiba rasa kerdil

menyelinap dalam hati.
“Hurm... Ikut result SPM awak

ni agak bagus. Kenapa tak sambung

belajar?” Ebrahim letak fail ke meja

semula.

Jemari disulam ke bawah dagu,
menopang tangan mencari wajah

Malisa. Seperti yang dia jangka, riak

wanita itu berubah suram.

Malisa tunduk bermain dengan
jemarinya. Perlu ke dia jawab soalan
itu?

“Saya.... Saya kahwin awal
waktu tu.” Malu. Panas rasa pipi Malisa.
Mesti Tuan Haji Ebrahim ini fikir yang
bukan-bukan. Gatal sangat kahwin
muda sampai tak sambung belajar.

“I see... pilihan keluarga atau
pilihan sendiri? Still married?”

Kali ini Ebrahim duduk
bersandar santai. Tatapan matanya
masih tak lepas menjelajah wajah
jelita Malisa.

Malisa angkat muka. Seketika,
anak matanya bertembung dengan iris
mata lelaki di hadapannya itu.

Kenapa lain macam aje bentuk
soalan Tuan Haji Ebrahim ini?

“Pilihan keluarga. Dah
berpisah.” Usai menjawab, dia tunduk
semula. Dalam hati, dia sudah
bersedia untuk menerima penolakan
buat sekian kalinya.

“Baiklah, awak diterima
bekerja. Bukan sebagai tea lady. Tapi
sebagai PA saya.”

“Huh?” Spontan Malisa
terangkat kepala semula.

“Haa! Rashid. Meet PA baru.”
Malisa toleh ke arah pintu. Seorang
lelaki berkaca mata masuk ke dalam

ruang pejabat.

“Cik Malisa, ini Rashid. PA
saya.”

“Tuan haji gurau ke ni?”

Rashid betulkan cermin mata.

Terpinga-pinga kerana tak tahu
apa-apa.

Ebrahim mula mengukir

senyum penuh makna diam-diam.

“KENAPA kau tak
bagitau aku yang
Pak Aji Rahim kau
tu haji muda?” Suara Malisa keluar dari
celah gigi. Selepas dia keluar dari bilik
Tuan Haji Ebrahim, perkara pertama
sekali dia buat ialah menelefon Rohaya.
Pandai betul Rohaya scam dia!

Rohaya di sebalik sana sudah
mengekek tawa. Kalau dekat, memang
dia luku dahi jendol Rohaya. Geram
betul!

“Aku tak pernah cakap pun dia
tua.”

“Habis tu kau dok tuan haji,
tuan haji dah kenapa? Aku ingat dia
dah tualah!”

“Dah memang dia tuan haji.
Habis tu kau dapat tak kerja ni?” Tawa
Rohaya semakin meledak sebelum
cepat dia redakan dan tanyakan
tentang kerja yang diminta Malisa.

“Dapat... Ni yang aku pelik lagi.
Kau kata kerja tea lady. Tapi kenapa
dia bagi aku jadi PA? Mana aku tahu
kerja tu. Lepas tu, Encik Rashid tu
bukan PA dia juga ke?” Ini lagi
persoalan pelik yang berlegar
sepanjang temuduga tadi. Sudahlah
dari awal dia pelik dengan syarikat itu.
Nak minta jadi tea lady pun sampai
kena interview dengan bos besar.
Makin menjadi pelik, tiba-tiba dapat
kerja PA pula. Dia cuma ada SPM aje
kut! Bukan pandai apa. Buat kek, kuih
tart, bancuh air tahulah.

“Really? Kau tak tanya pak aji
tu?”

“Tanyalah! Kau tau dia jawab
apa?”

“Apa? Apa?” Berkerut dahi
Malisa. Lain macam pula keterujaan
Rohaya.

“Dia kata... Encik Rashid tu
professional PA. Aku ni PA yang kena
depan mata. Pelik wey!”

“Ish! Kau ni. Tak yah
pelik-pelik. Janji dapat kerja. Kerja
bagus-bagus tau. Kalau pak haji tu
buat hal, kau bagitau aku. Tahulah aku
nak buat apa.”

Malisa tergelak dengan
pesanan Rohaya. Tahulah dia tu bekas
pekerja Tuan Haji Ebrahim. Dia punya
berani tu macam tuan haji tu kawan
dia pula.

Malisa bersandar ke dinding.
Lucu membayangkan muka Rohaya
saat itu.

“Lisa! Awak buat apa kat sini?
Tak puas hati apa lagi?”

Bebola mata figura yang
menegur itu membulat besar
memandang Malisa.

“Hizar? Awak buat apa kat
sini?” Malisa pula yang hampir gugur
jantung. Hizar buat apa kat sini?

“Saya yang patut tanya awak.
Ini tempat kerja saya Malisa! Kalau
awak tak puas hati dengan saya, tak
perlu awak cari saya sampai sini.”
Telinga Hizar mula merah menahan
marah. Tak sangka yang Malisa
sanggup cari dia sampai ke sini.

“Kejap! Kejap! Bila pula saya
cari awak ni? Saya baru dapat kerja kat
sini.” Malisa angkat telapak tangan

menghentikan tuduhan bekas
suaminya.

Hizar cekak pinggang. Nafas
dihela keras sebelum tajam anak
matanya mencerlung Malisa. Jadi
benarlah kata isterinya. Malisa tak
akan pernah berhenti menagih
perhatiannya.

“Kerja sini? Sampai macam tu
sekali awak kejar saya ya? Kerja apa
yang awak boleh buat kat sini? Awak
tu cuma ada SPM aje. Jangan nak
menipulah Malisa.” Hujung bibir Hizar
ternaik sinis. Kerja apa yang Malisa
tahu melainkan buat kuih.

“Cik Lisa... Jom, saya beritahu
kerja apa yang awak perlu buat.” Baru
Malisa mahu menjawab Tuan Haji
Ebrahim muncul dari arah
belakangnya.

Malisa kalih ke belakang.
Lelaki itu sedang berdiri tenang
dengan tangan yang dimasukkan ke

dalam kocek seluar. Gaya hero novel
pula Malisa nampak. Eh! Sekejap! Ini
bukan masanya dia nak mengagumi
haji muda itu.

“Err... baik, tuan haji.” Malisa
angguk kecil sambil mengoyak senyum
pada lelaki itu sebelum dia melirik pada
Hizar. Oh, tolonglah! Hizar ingat dia
masih nak jilat ludah sendiri ke?

Ebrahim pandang kedua figura
itu bersilih ganti.

“Ada masalah ke?” Anak mata
Ebrahim berhenti pada salah seorang
pekerjanya itu. Dia seperti dapat
menghidu sesuatu. Memandang lama
pekerja lelaki itu, minda Ebrahim
memutar kotak ingatannya. Oh damn!

“Tak... tak ada apa tuan
haji.” Hizar geleng kecil. Nampaknya
Malisa benar-benar bekerja di sini. Hati
Hizar mula rasa tak sedap. Bagaimana
jika Azmira dapat tahu yang dia

bekerja di bawah satu bumbung
dengan bekas isterinya? Mati!

“Kalau tak ada apa, jom Cik
Malisa. Ikut saya.” Ebrahim pusing
badan. Dalam hati, dia beristighfar
panjang. Kenapa dunia ini terlalu kecil?
Sebelum ini dia tak pernah ambil tahu
pun perihal pekerja yang bekerja di
syarikat bapanya itu. Yang dia tahu
cuma datang untuk bekerja dan
bekerja. Tak terlintas langsung dalam
fikirannya yang bekas suami wanita
idamannya boleh bekerja di situ.

Mulalah dia

ternampak-nampak tangisan Malisa

yang dulu. Tangisan yang membuat

hatinya meruntun-runtun mahu

melindungi wanita itu. Namun sayang,

mereka dipisahkan waktu dan

keadaan.

“Tuan haji... Tuan haji!” Suara
merdu itu kembali menerjah minda.

“Haa... ya?” Ebrahim berhenti
melangkah. Mengalih pandang pada
wanita di belakangnya itu.

“Errr...” Iris mata Malisa
menunjuk ke arah hadapan Ebrahim.
Pandang ke depan, Ebrahim nampak
dinding putih yang cuma berjarak
beberapa inci dengan batang
hidungnya. Aduh Ebrahim! Hilang
macho kau macam ni.

“Ehem!” Lekas dipusing
langkah ke arah kanan dengan
selamba. Mengawal rasa malunya.

Malisa pula tahan tawa. Entah
apa yang majikan barunya itu fikirkan
sampai nak langgar dinding.

“Awak ketawakan saya ke?”
Ebrahim melirik wanita yang sedang
terkedek-kedek mengejar langkahnya
itu.

Gulp! Malisa tertelan liur.
Nasib dia tak hambur tawa tadi.

“Taklah. Saya faham tuan haji
pasti banyak berfikir.” Malisa bagi
jawapan selamat.

“Yup! Banyak saya fikir...
banyak sangat.” Ebrahim menjawab
penuh makna. Kalaulah Malisa tahu
hampir separuh bahagian otaknya
asyik fikirkan wanita itu...

“EHEM! Lain macam
lebar senyum tu,
tuan haji. Sabar...
tak larinya bakal permaisuri hati tu.”
Rashid berdeham halus. Bukan main
majikannya itu pandang ke pintu
dengan senyuman lebar yang terukir di
bibir.

Lekas Ebrahim mengetatkan
muka.

“Jangan nak sibuk.” Terus dia
ambil fail yang berada di atas meja.
Serba tak kena!

Rashid kulum tawa. Pertama
kali dia lihat Tuan Haji Ebrahim
berperangai begitu. Kena tulis dalam
diari ni! Dia baru dapat tahu itulah
wanita yang dicari-cari majikannya
selama ini.

Tetapi entah apa jampi yang
Malisa guna. Hati Ebrahim seperti tidak
puas dengan sesi temuduga mereka
tadi. Sekejap sangat. Dia dah lama
tahan hati untuk mendekati Malisa.

Bangkit berdiri, Ebrahim
betulkan tekak.

“Ehemm... Biar saya je
tunjukkan kawasan pejabat pada Cik
Malisa.” Merah telinganya menawar
diri. Ah, peduli apa jika Rashid tahu
agendanya. Eh, memang Rashid dah
tahu pun!

Rashid ketawa halus.

“Silakan tuan.” Tunduk sedikit,
Rashid beri laluan buat majikannya itu.

“Good luck, tuan haji.
Cepat-cepat tawan hati pemaisuri hati
tu. Lawa dan muda lagi orangnya.
Bimbang disambar orang.” Sempat lagi
Rashid beri pesanan.

“Kau ke?” Tajam Ebrahim
mencerun Rashid. Bukan boleh harap.
Seperti yang Rashid sendiri cakap,
Malisa itu masih muda dan jelita.

“Ish! Saya pula. Saya tak
sampai hati nak tikam tuan haji dari
belakang. Tapi, staf yang lain saya tak
tahu.”

Kecil anak mata Ebrahim
mendengar jawapan Rashid. Buat dia
makin panas hati dan risau!

Sampai di muka pintu,
Ebrahim terdengar perbualan Malisa

dengan seseorang. Berdebar-debar
jadi jantungnya.

“Tuan haji... Tuan haji!”

“Hah!” Sekali lagi Ebrahim
tersedar dari lamunan.

“Air dah penuh.” Malisa juih
mulut pada gelas yang diisi tuan haji
muda itu. Lelaki itu bawa dia ke pantri
pejabat. Di mana setiap hari kerjanya
akan bermula dari sini. Sediakan air
buat Tuan Haji Ebrahim ini.

“Oh.” Sambil duduk ke kerusi,
cepat-cepat Ebrahim meneguk air
kosong itu. Entah kenapa dia merasa
gemuruh sebegini. Dia bos kut, Malisa
yang pekerja!

“Err... Awak tak mahu
minum?” Baru Ebrahim teringat nak
pelawa wanita itu.

Malisa geleng. Sebenarnya, dia
masih hairan dengan sikap lelaki itu.
Asyik termenung. Kadang-kadang dia

tenung wajah Malisa. Tapi entah ke
mana fikiran lelaki itu pergi.

Iris mata Malisa diam-diam
membelek wajah lelaki yang sedang
kembali meneguk air itu. Entah kenapa
dia rasa seperti pernah nampak wajah
itu. Tapi itulah, di mana?

“Cik Malisa… Hai... Sekarang
awak pula yang termenung? Ingat
siapa?”

Suara Ebrahim pula yang
menyentak dia. Haa! Kan dah terkena
balik. Tadi hairan sangat lelaki itu
termenung. Sekarang dia pun sama!

Malisa carik senyum.

“Tak adalah. Saya tanya
sesuatu boleh tak tuan?” Malisa
beranikan diri untuk bertanya.

“Ya. Tanyalah.” Ebrahim mula
rasa selesa. Dia balas semula
senyuman Malisa tadi semenawannya.

Tiba-tiba terasa seperti pintu-pintu
bahagia sedang mula terbuka.

“Kita pernah jumpa ke? Saya
rasa macam pernah nampak tuan haji
kat mana-mana.” Malisa suarakan apa
yang terbenak di hati.

“Uhuk! Uhuk!” Tersedak
Ebrahim jadinya. Ah sudah! Malisa
ingat dia ke?

“Tuan haji okey ke?” Kalut
Malisa jadinya.

“Okey... Saya okey.” Ebrahim
angkat tangan separa. Tanda dia
baik-baik aje.

Fuh! Lega Malisa rasa. Orang
tua ni buat aku terkejut aje.

Berdiri semula, Ebrahim atur
selangkah mendekat di hadapan
Malisa.

“Awak rasa?” Anak mata
Ebrahim mencari iris mata Malisa.

Bertaut seketika, lekas
Ebrahim alih pandangan. Tak boleh
Ebrahim. Kau kena kawal diri kau!

“Err...”

“Jom! Saya tunjuk bahagian
pemasaran pula.” Tak sempat Malisa
menjawab. Ebrahim bawa langkah
keluar dari ruang pantri. Makin lama
berdua dengan Malisa di tempat
sebegitu, makin huru hara hatinya.
Macam mana dia nak bertahan
sehingga Malisa terbuka hati untuk dia
nanti? Argh! Stress!

KEBAS PIPI Malisa tak
habis-habis mengoyak senyum buat
semua orang. Alhamdulillah... Ramai
yang boleh menerima kehadirannya
sebagai orang baru di situ kecuali Hizar.
Bukan Malisa tak perasan bagaimana

tajamnya renungan Hizar. Seperti nak
bunuh dia pun ada.

Selepas Tuan Haji Ebrahim
tunjukkan mejanya, lelaki itu hilang
entah ke mana bersama Rashid.
Tinggal dia terkontang-kanting sendiri.
Macam tak percaya. Hari pertama
interview terus dapat kerja. Terus
masuk kerja pula tu. Langsung tak
sempat dia nak bersedia! Tapi tak
apalah. Asalkan dia ada kerja kan?

Malisa labuh duduk di kerusi.
Meja kerjanya betul-betul di hadapan
bilik pejabat tuan haji muda itu.
Memang sah tak boleh nak mengular
kerana yang memisahkan dia dan
majikannya itu cuma dinding kaca
yang menerus nampak segala isi di
dalam.

“Hai! PA baru tuan haji ya?
Malisa? Akak Maznah. Panggil Kak Nah
aje. Sorry, tadi akak ke tandas
memerut. Tak sempat nak sesi
kenal-kenal.”

Malisa mendongak

memandang wanita yang baru

memperkenalkan diri itu.

“Ya kak. Panggil Lisa je.”

Maznah tunduk sedikit hampir
dengan muka Malisa.

“Kak Nah excited sebenarnya
nak jumpa Malisa. Pertama kali tau

tuan haji ambil staf perempuan sendiri.
Selalu dia prefer lelaki jadi pembantu
dia. Macam si Rashid tu.”

Terangkat kening Malisa.

“Ya ke?” Manalah dia tahu
yang Tuan Haji Ebrahim itu begitu.
Tapi betul ke? Haih! Awal lagi dah ada
aura mak cik-mak cik bawang di
kalangan pekerja di situ.

Maznah angguk bersungguh.

“Ya. Tapi ya lah kan. Kalau
lawa macam ni, pak aji pun boleh
terbang kopiah.” Sambung Maznah

ketawa mengilai. Kus semangat Malisa
mendengarnya. Ya Allah, orang tua ni!

“Sorry! Sorry!” Laju Maznah
menekup mulutnya. Haih! Celupar
betul kau ni Maznah!

“Kak Nah gurau je. Jangan
ambil hati ya.” Maznah usap lembut
bahu Malisa.

“Tak apa.” Kekok Malisa ukir
senyum paksa.

Bukan dia tak suka dipuji
cantik. Tapi dijadikan bahan gurauan
itu kadang-kala menjengkelkan.

Cantik juga tak menjanjikan
kebahagiaan. Kalaulah cantik itu
menjanjikan kebahagiaan, tentu dia
tak bergelar ibu tunggal sekarang.

MASUK minggu kedua
bekerja, Malisa mula
selesa. Tak susah pun
nak layan haji muda bernama Ebrahim
itu. Cepat saja dia mula belajar
tentang lelaki itu.

Umur Tuan Haji Ebrahim baru
saja mencecah 32 tahun. Dapat
gelaran tuan haji kerana dia sudah
menunaikan haji kira-kira 2 tahun dulu.
Untung betul Tuan Haji Ebrahim, muda
lagi sudah dapat menunaikan rukun
islam kelima itu. Entah bilalah Malisa

dapat jejak kaki ke sana. Moga-moga
suatu hari nanti.

Sungguhpun begitu, jejaka itu

sudah tekankan padanya yang dia

cuma lelaki biasa. Serba serbi

kekurangan. Jangan kerana gelaran itu,

Malisa pandang dia serba sempurna

seperti orang lain memandangnya.

Ebrahim tak gemar sebenarnya

dipanggil tuan haji. Tapi apabila

semakin ramai pekerjanya

menggelarnya begitu, akhirnya dia

mengalah. Itu rahsia yang Ebrahim

beritahu. Baru saja bekerja, dia sudah

dapat rahsia Ebrahim. Hebat bukan?

Sebut pasal lelaki itu, muncul
sudah Ebrahim dengan gaya kacaknya
bersama Rashid. Cepat Malisa bangkit
berdiri dan bawa fail yang Ebrahim
minta dia sediakan pagi tadi.

“Assalamualaikum.” Manis
Ebrahim menyapanya sebelum
membuka pintu bilik pejabatnya.
Rashid pula sudah ke meja kerjanya.

“Waalaikumussalam.” Malisa
balas dengan senyuman semula.
Sebolehnya dia mahu menyenangkan
majikannya itu. Adat bekerja, kenalah
ambil hati pihak atasan kan?

“Ini ya tuan. Fail yang tuan
minta.” Malisa letak fail yang dia bawa
itu ke atas meja.

“Terima kasih, Lisa.” Ebrahim
ambil dan mula membelek isi
kandungannya. Berpuas hati, dia letak
semula.

“Good job, askim. Dah lunch?”
Ebrahim dongak memandang Malisa
yang masih berdiri.

Malisa geleng kecil.

“Belum tuan.” Tuan haji ni
lupa ke yang sejak dia bekerja di sini,
wajib untuk Malisa temankan lelaki itu
makan tengahari. Bukan itu arahannya
ke?

Ebrahim lihat jam di
pergelangan tangan. Satu keluhan
terbit dari bibirnya.

“My apologies, I totally forgot.
Kita pergi lunch sekarang ya.” Ebrahim
bangkit berdiri. Rasa bersalah pula
pada wanita itu. Lupa pula dia nak
suruh Malisa pergi makan tengahari
dahulu.

“Kalau tuan haji dah makan,
saya okey je pergi makan seorang.”
Malisa tahan majikannya itu. Tak
perlulah Ebrahim baik sangat sampai
mahu temankan dia makan jika lelaki
sudah pun makan tengahari.

“Saya pun belum makan. Sibuk
sangat tadi. Kita makan di tempat yang
awak suka. Tanda minta maaf saya.”
Ebrahim tunduk sedikit dengan gaya
budiman.

Haih! Kalau perempuan lain ni,
mesti dah cair dengan pak aji ni.
Mujurlah Malisa ini jenis sedar diri.

Tahu yang Tuan Haji Ebrahim itu
memang budiman orangnya. Baik
Ebrahim pada semua orang, bukan
cuma untuk dia seorang. Itu pada
pandangan Malisa setakat ini.

Malisa senyum seraya
menggangguk.

“TUAN HAJI betul ke ni okey
makan tempat macam ni? Kalau tak
okey, kita pergi makan kat tempat
biasa.” Malisa gigit bibir. Bukannya apa,
untuk beberapa hari ini Ebrahim asyik
bawa dia menjamu selera di
restoran-restoran mewah. Risau juga
kalau-kalau lelaki itu tak selesa.
Teragak-agak Malisa nak buka pintu
kereta.

“Ebrahim, Lisa. Berapa kali
saya nak pesan ni? Di luar, bila kita
berdua aje awak tak perlu bertuan haji

dengan saya.” Tak menjawab soalan
Malisa, lain pula hal yang Ebrahim
bangkitkan.

“Tapi... saya pekerja tuan. Tak
manis kan kalau saya panggil nama
macam tu je?”

Ebrahim lepas keluhan nipis.
Kalau boleh dia mahu hubungan
mereka makin rapat. Tapi jika Malisa
asyik bertuan haji dengan dia, makin
dia rasa hubungan mereka akan
terbatas sebagai majikan dan pekerja
buat selamanya. Tak pasal-pasal dia
gigit jari jika ada yang masuk jarum
lebih dahulu dari dia.

“Kan saya kata saya tak
kisah...” Melerek suara Ebrahim ibarat
menarik perhatian Malisa.

“Err... dah lambat ni. Tuan haji
tak kisah kan kita makan kat sini?”
Malisa alih arah perbualan pada soalan
awalnya tadi. Lain yang dia tanya, lain
yang Ebrahim balas pula.

“Saya ikut je, askim...”
Ebrahim senyum meleret sebelum
membuka pintu kereta dan berlari
anak menuju ke arah pintu tempat
duduk penumpang. Cepat-cepat dia
bukakan pintu buat Malisa sebelum
wanita itu sempat membuka pintu
dengan sendiri.

Dahi Malisa berkerut seribu.
Dia masih gamam sebenarnya. Dia
seperti pernah dengar perkataan yang
Ebrahim sebut. Boleh kata kerap juga
Ebrahim guna. Seolah Ebrahim beri
satu gelaran buatnya. Nak bertanya
maksudnya dia segan pula. Askim?
Apa maknanya tu?

Dan satu lagi sikap Ebrahim
yang kadang-kala membuat Malisa
keliru, lelaki itu begitu gentleman
dengannya. Tengoklah, siap bukakan
pintu kereta. Terlebih baik pak haji ni!
Memang padanlah Rohaya asyik
memuji. Agaknya masa Rohaya masih

bekerja dahulu, Ebrahim layan Rohaya
begitu juga.

“Tuan haji nak makan apa?
Saya ambilkan.” Malisa bergerak ke
tempat mengambil makanan layan diri
itu. Hari ini dia bawa Tuan Haji
Ebrahim itu ke kedai makanan Melayu
yang terletak tak jauh dari pejabat
mereka. Dahulu, sebelum Malisa
bekerja di situ, kadang-kala Malisa
akan hantar kek coklat dan tartnya ke
kedai makan itu.

“Lisa! Ya Allah. Lamanya tak
jumpa kamu. Orang dah mula tanya
kek dan tart kamu ni. Bila lagi kamu
nak letak kat sini?” Baru Malisa mahu
mengambil pinggan, Mak Timah,
pemilik kedai makan yang selalu
ramah itu menegur Malisa.

Malisa pusing menghadap Mak
Timah. Bibir mengukir senyum buat
wanita itu.

“Mak Timah… apa khabar?
Maaf Mak Timah. Bukan Lisa tak mahu
hantar... tapi Mak Timah tahulah...”
Malisa tunduk tersenyum tawar. Mak
Timah bukan tak tahu masalahnya.
Dulu pun berkali-kali dia minta maaf
pada semua termasuk Mak Timah.

“Lisa... Mak Timah tak pernah
percaya fitnah tu semua. Mak Timah
tahu kerja kamu bagaimana. Kamu
jangan give up disebabkan orang yang
iri dengan kamu. Mak Timah ni dah
lalui macam-macam. Fitnah, jatuh
bangun semua dah. Adat berniaga
memang macam ni Lisa.” Tangan
Malisa, Mak Timah gapai dan usap.
Mengalirkan semangat buat wanita
muda itu.

Dia ingat lagi satu masa dulu
Malisa datang dengan penuh harapan.
Ketika itu, Malisa masih dengan anak
kecilnya. Tak lama kemudian, dia
dapat tahu Malisa berpisah dengan
suaminya. Cekalnya Malisa, wanita itu

tak pernah tunjukkan dia berputus asa.
Tapi apabila fitnah bertebaran, Malisa
berhenti dari usahanya selama ini.
Mana Mak Timah tak rasa kecewa.
Ibarat Malisa mengalah pada penabur
fitnah itu.

Tersentuh hati Malisa dengan
keprihatinan Mak Timah. Tangan Mak
Timah, Malisa genggam semula.

“InsyaAllah... Lisa akan mula
semula. Lisa pun tak mahu putus asa.
Tapi buat masa ni Lisa nak kumpul
semangat dulu sebelum mula semula.
Mak Timah doakan Lisa ya?”

Mak Timah mengangguk kecil
sebelum anak matanya menangkap
deheman seseorang di belakang
Malisa.

“Ehem.” Ebrahim berdeham
kecil. Dari tadi dia cuma memasang
telinga mendengar perbualan dua
orang wanita itu.

“Siapa? Bakal ke? Handsome
macam hero Turki.” Mak Timah
menyoal dengan senyum penuh
makna. Sempat juga dia memuji lelaki
itu.

Terjegil iris mata Malisa.

“Oh, bukanlah. Bos Lisa ni.
Err... Tuan haji, kenalkan ni Mak Timah.
Pemilik kedai makan ni.” Malisa lekas
menyangkal langsung kenalkan Mak
Timah pada majikannya itu.

Ebrahim tunduk sedikit pada
Mak Timah. Nak saja dia mengaku, ya!
Sayalah bakal suami Malisa nanti. Haih!
Parah kau Ebrahim.

“Tuan haji... muda lagi dah
jadi haji.”

“Rezeki Mak Timah.” Sopan
Ebrahim membalas.

“Jemput... jemput makan. Hari
ni Mak Timah belanja.” Ceria Mak
Timah mempelawa.

“Tak apa, tak apa. Saya
belanja. Saya belanja semua
pelanggan hari ni.”

Tercengang Malisa
memandang Ebrahim.

CUACA mulai

mendung, tanda

langit mungkin akan

menangis sebentar lagi. Malisa mula

gelisah. Kancil buruk yang banyak

berbakti padanya itu buat hal lagi.

Harap Icad tak merajuk dia lambat

ambil nanti.

Telefon pintar yang

dihadiahkan Rohaya dulu Malisa

keluarkan. Nombor Kak Ani, Malisa dail

sebelum dia keluar dari perut kereta.

Selesai memberitahu yang dia
mungkin lambat mengambil Icad pada
Kak Ani, Malisa melepas keluh sebelum
bersandar ke tepi kereta. Macam mana
dia nak balik ni?

“Ehem! Kenapa tak balik lagi?
Kereta rosak? Bernyawa lagi kereta
buruk awak ni ya.” Tiba-tiba saja
Malisa disapa seseorang. Mengalih
pandang pada pemilik suara itu, makin
berat helaan nafas yang terbit dari
bibir Malisa. Dia buat apa kat sini?

Tak menjawab, anak mata
Malisa meliar ke sana sini. Tak selesa
dilihat berdua dengan lelaki itu.

“Icad sihat?” Hizar makin
mendekat. Entah kenapa hatinya
bergetar melihat Malisa kembali.
Wanita itu semakin pandai bergaya.
Semakin berseri-seri sampaikan dia tak
puas memandang. Jadi sebagai
memancing Malisa, tentulah soal anak
yang boleh menarik perhatian wanita
itu.

Terangkat kening Malisa
dengan hujung bibir kiri yang
terjongket sinis. Baru teringat yang
mereka punya anak bersama rupanya.

“Ada kena mengena dengan
awak ke kalau anak saya sihat ke tak?”
Malisa pulang soalan menyindir.
Berubah air muka Hizar.

“Salah ke saya nak tanya pasal
anak saya?” Sedikit tersentak Hizar
mendengar sindiran Malisa.

“Tak salah... tapi selepas
hampir dua tahun. Rasa macam
mimpi.” Malisa tergelak kecil. Rasa
macam kelakar dengan soalan Hizar itu.
Selama ini jangankan tanya khabar,
Hizar seperti hilang ditelan bumi
biarpun mereka masih dalam daerah
yang sama. Bukan Hizar tak tahu yang
dia masih di situ, menyewa dengan
Rohaya di bandar berdekatan. Malah,
sekolah Icad pun masih di kawasan
yang sama.

“Tak kelakar Malisa. Saya ni
masih bapa Icad. Saya masih ada hak
nak tanya tentang anak saya.” Hizar
mencerun tajam pada bekas isterinya
itu. Sakit hati pula dengan sikap Malisa
padanya. Makin mencengkam jiwa,
apabila melihat Malisa bahagia dan
abaikan dia seolah antara mereka tak
pernah punya kisah bersama.

“Then, tunaikan hak Icad yang
selama ini awak abaikan. Boleh Hizar?”
Tajam semula anak mata Malisa
membalas cerlungan Hizar. Selama ini
dia diam sebab dia tak mahu
menyerabutkan kepala otaknya
dengan isteri Hizar yang cemburu buta
itu. Apabila dia bangkitkan soal nafkah
anak, wanita itu yang berlebih-lebih
menyoal dan menuduh itu ini. Konon
Malisa yang minta diceraikan. Kenapa
Hizar kena bertanggungjawab pada
anak mereka itu?

“Kenapa? Dah tak mampu nak
tanggung anak awak tu? Siapa suruh

minta cerai dulu. Tanggunglah
sendiri.” Sinis pula Hizar membalas.

“Jadi, jangan sebut soal hak

dengan saya. Awak tak ada hak.”

Habis bercakap, kebetulan pula kereta

Tuan Haji Ebrahim melalui jalan di

hadapannya. Terus Malisa

menahannya.

Berhenti saja kereta mewah
itu, Malisa lorek semanis mungkin
senyuman buat majikannya itu.

“Dah lama tunggu?” Berkerut
dahi Malisa. Macam tahu-tahu saja
Malisa mahu gunakan si tuan haji ni.

“Tak lah.” Malisa bergerak laju

melolos masuk ke dalam perut kereta.

Mengerling keluar tingkap, dia nampak

Hizar sedang mencerunnya tajam. Nak

cakap soal hak konon! Mazhab mana

entah yang Hizar pakai. Jika isteri yang

meminta dilepaskan, maka

tanggungjawab pada anak jatuh pada

si ibu seorang? Gila!

“Are you okay, askim?”
Ebrahim menegur lembut setelah
beberapa ketika Malisa cuma diam.

“Hah? Okey! Okey! Maaf tuan
haji. Kereta saya rosak sebab tu saya
tahan kereta tuan haji.” Tebal pula pipi
Malisa. Rasa bahang panas naik ke
muka. Lekas dia menekap pipi dengan
kedua telapak tangannya.

Perbuatan kecil Malisa itu buat
Ebrahim hampir nanar. Mujurlah dia
pakai kaca mata hitam. Jadi, dapatlah
dia sorok kegugupannya.

“It's okay. Awak nak tumpang
kereta saya hari-hari pun saya okey.”
Ebrahim senyum senget. Sengaja
mengusik Malisa. Nampak dari ekor
matanya Malisa menjelingnya dengan
kurang senang.

Pandai nak bergurau sekarang
tuan haji ni. Kecil anak mata Malisa
menjeling lelaki itu. Janganlah keluar
mulut naga, masuk mulut harimau pula.

Dia tak mahu terjebak dengan
mana-mana lelaki lagi. Serik!

“Maaf-maaf. Saya gurau je.
Janganlah pandang saya macam nak
telan begitu. Takut saya.” Ebrahim
ketawa kecil. Niat nak bergurau tapi
dapat jelingan maut pula.

“Kereta awak rosak apa?”
Lekas dia mengalih tajuk sebelum
keluar asap pula dari telinga Malisa.
Maklumlah tak semua perempuan
boleh terima gurauan manja.
Walaupun gurauan manja darinya, itu
cuma buat Malisa seorang saja.

Malisa lepas keluhan.

“Tak tahulah. Asyik meragam
aje. Dah tua sangat agaknya.” Tanpa
sedar, Malisa seolah mengadu pada
majikannya itu.

“Tak apa. Nanti saya suruh
mekanik tengokkan. Mesti awak
sayang sangat kan kereta tu? Mesti

banyak jasanya.” Harapan Ebrahim
terlihat makin cerah. Malisa sudah
mula selesa bersembang dengannya.
Kalau tidak, sepatah ditanya sepatah
dijawabnya.

Malisa mengalih pandang pada
Ebrahim. Pertama kali ada lelaki yang
berfikiran begitu. Selalunya nampak
saja keretanya, mereka kutuk lagi ada.
Macam si Hizar tadi. Sedikit rasa
terharu menyelinap dalam hati.

“Ya. Banyak jasa kereta tu
pada saya.” Malisa ukir senyum tawar.

Memang kereta Kancil itu
banyak berjasa. Itu kereta pertama
yang dia beli dengan hasil jualan kek
dan tart yang dikumpulnya ketika
masih bergelar isteri Hizar. Biarpun
cuma kereta terpakai, Malisa sayang
sangat kereta itu. Dia ingat lagi dia beli
kereta itu sebagai persediaannya
sebelum diceraikan Hizar. Memang tak
salah percaturannya ketika itu. Kerana

tanpa kereta Kancil buruk itu, dia
ibarat patah kaki.

“Jangan risau. Selagi kita
boleh baiki, kita baiki ya.” Lembut
Ebrahim memujuk.

“Terima kasih, tuan haji.”
Malisa ukir senyum manis. Orang
berbudi dia sangat menghargai.

“Sama-sama kasih, askim.”
Ebrahim tarik senyum lebar.

“Kenapa tuan asyik panggil
saya askim? Nama saya Malisa.”
Akhirnya terkeluar juga pertanyaan itu
dari bibir Malisa. Entah apa yang
Ebrahim gelarkan untuk dia.

“Err... Kita nak ke mana?
Rumah awak terus ke?” Menggelabah,
terus Ebrahim aju soalan melencong.
Bukan sekarang masanya.

“Oh! Ke Taman Wawasan.
Saya nak kena ambil anak saya dulu.
Kalau menyusahkan, tuan turunkan

saya di bus stop. Saya naik teksi.” Baru
Malisa teringat dia belum beritahu
Ebrahim tempat tuju mereka. Tiba-tiba
dia rasa dia banyak menyusahkan
Ebrahim.

“Ish! Dah saya alang-alang
hantar ni. Apa pula menyusahkan? Nak
juga saya jumpa bakal anak… Tak,
maksud saya nak juga saya jumpa
anak awak. Mesti comel macam mak
dia kan?” Ebrahim turunkan kaca mata
hitamnya ke hujung pangkal hidung.
Satu kenyitan mata sebelah dia beri
pada Malisa.

Jatuh rahang Malisa. Maigod!
Pak aji ni, boleh tahan miangnya!

“PAK CIK Aji ni
kawan mama ke?”

“Pak cik
aji?” Ternaik kening Ebrahim apabila
ditanya si bujang kecil yang
menjengah dari tempat duduk
belakang.

“A'ah. Pak cik aji kan yang Icad
jumpa hari tu kat mall? Aunty Aya
dengan mama selalu sembang pasal
pak cik tau.”

“Uhuk! Uhuk! Icad. Duduk
elok-elok. Pakai seat belt.” Terbatuk
Malisa sebelum menjegil mata pada
anak bujangnya itu. Mulut tak pandai
diam!

“Ya? Mama sembang apa?”
Tiba-tiba hati Ebrahim rasa berbunga.
Maknanya Malisa selalu ingatkan
dialah kan?

“Err... Tuan haji. Saya
penatlah. Boleh tak kita gerak
sekarang? Icad. Duduk diam-diam.”
Lekas Malisa memintas sebelum Icad
buka mulut melayan soalan Tuan Haji
Ebrahim itu.

Icad tersengih.

“Nanti Icad bagitahu.” Sempat
Icad berbisik di tepi telinga Ebrahim
sebelum cepat-cepat duduk diam.
Takut mama mengamuk pula nanti.

“Awak mengata saya ke
dengan Rohaya tu?” Ebrahim

menjeling Malisa. Sengaja nak cari riak
Malisa.

Terbeliak iris mata Malisa yang
cantik itu. Comel sangat!

“Mana ada. Tak kuasa saya
nak mengata tuan haji.” Sangkal
Malisa laju.

“Kalau tak mengata, awak
mesti puji saya kan? Awak… kalau nak
puji saya, jangan belakang-belakang.
Puji depan pun tak apa. Saya okey je.”

Terlepas tawa halus Malisa.

“Perasannya...”

Ebrahim senyum lebar.
Berjaya buat Malisa ketawa terasa
bagai satu kejayaan buat dia.

“Yeayy! Mama ketawa. Dah
lama Icad tak tengok mama ketawa.”

Senyum Malisa termati serta
merta. Kata-kata anaknya itu buat dia


Click to View FlipBook Version