The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by norizan sohok, 2022-02-08 01:28:03

Jerat Cinta Tuan Haj

Jerat Cinta Tuan Haj

rasa tersentak. Betul ke dia dah lama
tak ketawa?

“Jangan berhenti senyum.
Senyum tu pengubat jiwa yang sakit
dan awak nampak cantik bila
tersenyum.”

Terus anak mata Malisa
mencari wajah majikannya itu.
Seketika saling bertatapan, Malisa
lekas mengalih muka ke sisi. Tiba-tiba
pipi rasa panas dan pijar.

“Icad...” Ebrahim panggil Icad
di belakang.

“Ya!” Icad jawab semangat.

“Lepas ni jangan panggil pak
cik aji lagi ya.”

“Habis tu nak panggil apa?”
Icad tayang muka bingung.

“Panggil papa pun okey.”

“Tuan haji!” Terjegil mata
Malisa spontan berpaling semula pada
Ebrahim.

Ebrahim ketawa besar.

“Gurau! Gurau! Janganlah
marah. Kita gerak okey?” Ebrahim
angkat tangan separas bahu sebelum
mula memandu dengan sisa tawa.

Mengecil anak mata Malisa
memandang sisi Ebrahim. Tak padan
dengan gelaran tuan haji. Sempat lagi
nak masuk jarum!

SAMPAI di rumah, Malisa
nampak Rohaya sedang sibuk
memunggah barang dan meletaknya di
luar rumah. Baru dia teringat yang
gadis itu akan berpindah dalam
minggu ini.

“Sorry sayang. Aku tak tolong
kemas barang.” Malisa memeluk
Rohaya dari belakang. Timbul rasa
bersalah kerana dia tak banyak
membantu Rohaya sedangkan gadis
itu sudah terlalu banyak menolongnya.
Sampai tak terhitung.

“Aku okey jelah. Bukan banyak
pun barang yang tinggal. Tunang aku
dah angkut separuh dah pun.”

“Rohaya, awak perlukan
bantuan lagi tak? Kalau perlu, saya nak
tolong.” Tiba-tiba saja suara Ebrahim
mencelah antara mereka.

Malisa lepaskan pelukannya.
Tak teringat yang majikannya itu
masih belum pulang selepas
menghantar mereka tadi.

“Eh! Tuan haji pun ada? Buat
apa kat sini?” Rohaya pandang
keduanya kehairanan.

“Saya hantarkan kawan awak
ni haa. Kereta dia rosak tadi.” Ebrahim
santai masukkan tangan ke dalam
poket. Kening diangkat penuh bangga
pada Rohaya.

Rohaya kulum senyum
menahan tawa. Wah, wah. Dah hampir
mengena nampaknya umpan pak aji
kita ni.

“Ooo... Terima kasih tuan haji
hantarkan kawan saya dengan selamat.
Kalau tak ada tuan haji, apalah nasib
kawan saya ni. Baik sungguh tuan haji
ni.” Bersungguh Rohaya melobi
Ebrahim. Bahu Malisa, Rohaya paut
dan diusap dari sisi.

“Pak cik, jomlah masuk dulu.
Minum-minum, mama kita pandai buat
kek tau.” Icad yang cuma
terpinga-pinga dengan ragam orang
dewasa itu menarik tangan Ebrahim.
Mempelawa lelaki itu masuk ke dalam
rumah.

“Err...” Ebrahim pandang ke
arah Malisa. Ikut hati nak je dia jawab.
Ya nak, pak cik nak sangat terima
pelawaan awak tu.

“Aah, lupa pula nak pelawa.
Jomlah masuk dulu tuan haji. Buat
susah-susah bantu kawan saya ni.
Jangan risau, kita buka pintu luas-luas.
Lagipun jiran-jiran tahu yang saya
tengah sibuk nak berpindah.” Laju
Rohaya tolong pelawa sebelum sempat
Malisa menghalang. Bukan Rohaya tak
tahu yang Malisa tak selesa lelaki asing
masuk ke dalam rumah mereka.
Memang Malisa haramkan dari dulu.
Tunang Rohaya nak masuk pun tak
boleh. Ini kira Tuan Haji Ebrahim
pencemar duli jejak kaki dalam rumah
sewa mereka itu.

Ebrahim cuma menurut
apabila Icad menarik tangannya
dengan ceria. Dia nampak riak tak
selesa Malisa. Tapi, peluang keemasan
ini bukannya datang selalu kan?

“Kenapa kau ajak dia masuk
rumah? Apa kata jiran-jiran nanti!”
Sampai ke dapur, seperti yang
dijangka Rohaya. Malisa hambur
soalan tak puas hati padanya.

“Tak ada siapa nak kata apalah.
Bukannya kita buat benda buruk pun.
Benda baik tau. Tetamu kena rai.
Lagipun, dia dah tolong kau kan?”
Selamba Rohaya balas.

“Ish! Kau ni. Ada je jawapan
kau.” Malisa merengus nipis. Namun
dikeluarkan juga jag air dari dalam
almari sebelum mengambil gula dan
kopi.

“Tuan haji tu baik kan?”
Rohaya tolong keluarkan kek keju yang
Malisa buat malam tadi dari dalam peti
ais. Sambil itu sengaja dia memberi
soalan cepu emas buat Malisa. Nak
tahu pandangan Malisa pada bekas
majikannya itu.

“Uhum. Baik je.” Acuh tak
acuh Malisa jawab sambil membancuh
kopi.

“Dia dulu pernah bertunang
tapi putus. Kemudian dapat tawaran
pergi haji sama dengan emak ayah dia.
Sebab tu dia dapat haji muda.” Rohaya
cuba menarik minat Malisa. Mana tahu
Malisa berminat nak tahu lebih lanjut
tentang Tuan Haji Ebrahim tu. Kan
makin cerah peluang pak haji muda
itu.

Malisa berhenti membancuh
air. Dah pernah bertunang rupanya.
Pernah kecewa agaknya hingga
membujang sampai sekarang.

“Oh... Gitu ceritanya.” Malisa
bawa jag air lalu diletakkan di hadapan
Rohaya yang sedang memotong kek di
meja makan.

“Kau tak berminat dengan dia?
Handsome orangnya tu. Mana tahu
layak jadi bapa tiri Icad.” Kali ini,

Rohaya terus tanya soalan panas. Tak
sabarlah dia nak main kias-kias.

Terjegil iris mata jernih Malisa.

“Merepek apa kau ni!”

BUNGA lagi... Malisa
lepas keluhan. Hizar ni
dah kenapa? Buang
tabiat ke?

“Wah! Dapat bunga lagi?”
Maznah menyendeng ke meja Malisa.
Bunga ros merah itu dihidu olehnya.

“Kak Nah nak, ambiklah.”
Malisa tawarkan pada Maznah. Sakit
mata dia tengok bunga ros itu.

“Betul ni? Tak sayang ke?
Mesti romantis kan orang yang bagi ni.
Jangan-jangan tuan haji tak?” Maznah
serkap jarang.

Membulat mata Malisa.
Kenapa pula lelaki itu yang dapat nama?
Sedangkan terang-terang nama yang
tertera di kad adalah nama Hizar.
Cuma, Malisa sudah buang kad tu
terlebih dahulu selepas membacanya.

“Malisa! Masuk.” Suara dingin
Tuan Haji Ebrahim tiba-tiba menyapa.

“Err... Kak Nah buat kerja dulu.
Bunga ni Kak Nah ambil tau.” Terus
Maznah mencicit lari ke tempatnya.

Malisa lekas capai fail dan
membontoti langkah majikannya itu.
Angin kus-kus apa yang mengena
lelaki itu. Pagi-pagi dah berasap.
Tegang semacam.

“Awak datang sini nak bekerja
atau bercinta?” Ebrahim hempas

duduk. Panas hatinya apabila bekas
suami Malisa itu sudah mula bertindak.

“Bercinta? Mana ada. Saya
datang untuk bekerja.” Sangkal Malisa
tegas. Ini pastinya sebab bunga yang
Hizar beri tadi.

“Habis apa yang saya nampak
sebelum ni? Hari-hari awak dapat
bunga dari dia.” Tajam Ebrahim
menatap wajah Malisa. Mencari
bunga-bunga bahagia dari wajah itu.
Mana tahu Malisa seronok dipikat
bekas suaminya.

“Bukan saya minta. Dia yang
tak faham bahasa.” Malisa silang
tangan ke dada. Sakit hati pula apabila
dipersalahkan atas benda yang dia tak
suka.

Ebrahim lepas keluhan lemah.

“I'm sorry... Saya cuma tak
senang tengok dia cuba pikat awak

semula.” Perlahan suara Ebrahim
meluahkan rasa gusarnya.

Anak mata Malisa spontan
mencari wajah Ebrahim.

Ya, Ebrahim tahu siapa Hizar
padanya.

Dia terpaksa beritahu Ebrahim
apabila beberapa kali kebetulan
Ebrahim nampak sikap Hizar padanya.

Jadi, dia beritahu A sampai Z
tentang hidupnya. Dia sendiri pun tak
faham kenapa begitu mudah dia
ceritakan semuanya pada Ebrahim.

“Saya tak terpikat pun pada
dia.” Nafi Malisa. Memang betul dia tak
terpikat pun dengan perubahan sikap
Hizar itu.

“Betul?”

“Betullah! Tak ingin saya.
Serik!”

“Jadi, saya yang sedang pikat
awak ni kenapa awak buat-buat tak
nampak?” Soalan Ebrahim melencong
ke arah lain. Tiba-tiba berbunga hati
dengan jawapan Malisa.

Gulp! Malisa telan liur. Bukan
dia tak nampak tapi memang dia
buat-buat tak nampak.

Begitu pun, Ebrahim tidaklah
seperti Hizar itu. Hizar ingat dengan
beri bunga dan segala hadiah itu
Malisa akan terpikat? Malam sikit!

Lainlah Tuan Haji Ebrahim ini.
Pikatnya cara lain, susah Malisa nak
sangkal yang Ebrahim sebenarnya
seribu kali lebih baik dari Hizar. Tapi
lelaki kan? Sebelum dapat semuanya
manis belaka. Bila dah dapat,
entah-entah dia kena alami perkara
yang sama. Itu yang Malisa takutkan.

“Tengok… termenung lagi.”
Ebrahim petik jari depan muka Malisa.

“Ops! Sorry. Err... Kalau tak
ada apa, saya keluar dulu.” Malisa
peluk fail. Lebih baik dia cari alasan
dari menjawab soalan Ebrahim tadi.
Lagipun, dia sedar diri. Untuk
menerima Ebrahim, banyak yang dia
perlu fikirkan. Terutama keluarga
Ebrahim. Mahu ke mereka
bermenantukan janda anak satu ini?

“Buatkan saya kopi juga ya.”
Ebrahim ukir senyum. Dia tak mahu
terlalu memaksa. Cukup Malisa sedar
akan perasaannya.

Malisa angguk. Tak lupa
membalas senyum Ebrahim juga. Lega
apabila Ebrahim tidak mendesak.

“SAMPAI BILA awak nak
marah saya, Lisa? Saya mengaku saya
salah dulu. Tapi saya dah sedar salah
saya. Bila saya bersama Azmira, saya

asyik ingatkan awak. Saya teringat
kelembutan awak waktu awak layan
saya. Tak macam Azmira. Dia langsung
tak sama dengan awak.”

Berderau darah Malisa apabila
mendengar suara Hizar yang dekat
dengannya. Spontan Malisa mengitari
sekeliling pantri. Cuma ada dia dan
Hizar.

“Apa awak mengarut ni?”
Cepat Malisa sudahkan bancuhannya.
Sungguh dia tak senang dengan sikap
Hizar sekarang. Dia lebih rela Hizar
menyinis atau membenci dia.
Bukannya bersikap seperti lelaki gila
talak ini.

“Saya tak mengarut. Awak
tahu tak betapa saya macam nak gila
fikirkan awak. Fikirkan kemesraan
awak dengan tuan haji. Dia tu tak
padan dengan awak Lisa, mustahil dia
nakkan janda anak satu macam awak
ni.” Bersungguh Hizar menyatakan
rasa hatinya. Mata dan perasaannya

begitu sakit melihat betapa mesranya
hubungan Malisa dengan majikan
mereka itu saban hari. Senak betul
hatinya memikirkan semua itu. Dia fikir
takkan ada yang mahukan Malisa
selepas dia ceraikan wanita itu.
Ternyata Malisa sekarang makin cantik,
bergaya dan penuh pesona. Malisa
sekarang bukan lagi wanita yang dia
kenal dulu.

Meremang bulu roma Malisa
mendengar yang Hizar fikirkan dia
sampai begitu. Geli.

Tapi hey! Ingat janda anak
satu seperti dia tak laku ke? Apa hak
Hizar nak hakimi sama ada dia padan
atau tak dengan Ebrahim?

“Hizar! Tolong ya. Jangan nak
fikir bukan-bukan tentang saya. Awak
tak layak nak masuk campur hal saya.
Saya nak mesra dengan sesiapa pun
tiada kaitan dengan awak.” Malisa
hembus nafas keras selepas memberi
peringatan pada Hizar. Dulang air

diangkat olehnya. Baik dia layan
Ebrahim dari melayan Hizar.

“Siapa cakap tak ada kaitan?

Ada! Awak tu bekas isteri saya. Kita ni

dah pernah sekatil. Setiap inci tubuh

awak tu saya dah pernah sentuh. Tuan

haji awak tu cuma menagih bekas saya
je!” Kali ini Hizar tak mampu menahan

hati lagi. Bukan main Malisa berlagak

dengannya sekarang.

Mentang-mentang Tuan Haji Ebrahim

itu lebih segalanya dari dia.

Senang-senang saja Malisa tolak dia

tanpa perasaan.

Malisa letak dulang ke meja
semula sebelum satu layangan dari
telapak tangannya ke pipi Hizar.

“Jaga mulut awak sikit! Jangan
fikir awak bekas suami saya, awak
layak nak memperlekehkan saya!”
Merah menyala anak mata Malisa
menahan marah. Menggigil tubuhnya
mahu membelasah Hizar semahunya.

Hizar tergamam. Baru sedar
yang dia sudah terlanjur kata.

“Tak... Lisa! Buk... bukan
macam tu. Tolong saya. Kita rujuk ya?
Saya rindu awak Lisa.” Hizar cuba
mendekat. Tangan Malisa cuba
diraihnya.

“Hizar!”

Serentak itu, Hizar dan Malisa
mengalih pandang ke arah pintu bilik
pantri.

“Jadilah betullah apa yang
kawan-kawan beritahu I. You sibuk
mengejar janda you kat sini!”

Azmira menempik kuat.

Iris mata Malisa jatuh pada
perut besar Azmira. Huh! Bini tengah
mengandung, kau kejar aku pula ya?
Makin benci Malisa pada bekas
suaminya itu.

“Hey perempuan! Kau ni tak
reti malu ke nak goda suami orang?
Banyak-banyak tempat, kenapa kau
nak kerja kat sini juga?” Azmira
mendekat pada Malisa. Tangannya
terangkat tinggi mahu menampar
Malisa sebelum wanita itu lebih dulu
menahannya.

Lengannya dilempar keras ke
bawah oleh Malisa.

“Tanya suami kau dulu!
Kenapa dia nak kejar aku sedangkan
dia dah ada isteri? Oh, lupa. Memang
hobi dia kejar perempuan lain
walaupun dah ada bini.” Sinis Malisa
membalas. Entah macam mana
perempuan ini boleh masuk sini. Pasti
ada mata-mata Azmira yang
menyampaikan pada wanita itu.
Semaklum Malisa, Azmira dulunya
pernah menjadi rakan sekerja Hizar
sebelum wanita itu berhenti kerja
dengan alasan hamilkan anak Hizar.

“Lisa? Apa bising-bising ni? Are
you okay?”

Ebrahim muncul mendekati
Malisa. Anak matanya mencari anak
mata Malisa.

“Saya okey tuan.” Perlahan
Malisa jawab. Entah ada rasa sebak
menyelinap dalam hati. Pasti Ebrahim
pandang dia dengan pandangan jelik
selepas ini. Maklumlah, ada
perempuan gila datang menyerang
Malisa di sini. Di tempat dia mencari
rezeki.

MALISA mundar-mandir di
hadapan Ebrahim. Pening
memikirkan cadangan lelaki
itu.

“Tak bolehlah. Mana boleh
sampai macam ni. Tuan dah banyak
tolong saya.” Malisa berhenti di
hadapan Ebrahim. Dia tak mahu
terhutang budi dengan lelaki itu.

“Saya betul ikhlas nak tolong.
Anggap saja saya ni rakan kongsi awak.
Saya tahu itu semua minat awak.

Lagipun saya tahu air tangan awak tu
sedap. Rugi pelanggan setia awak tak
dapat merasa.” Tenang saja Ebrahim
membalas.

“Saya tahu... Tapi saya nak
bermula dengan usaha saya sendiri.”
Akhirnya Malisa labuh duduk ke sofa.
Hatinya berbelah bagi sama ada mahu
terima bantuan Ebrahim atau
menolaknya dengan cara baik.

“Saya faham... Semuanya pun
atas usaha awak juga. Saya cuma
pinjamkan modal. Nanti awak dah
berjaya awak bayarlah semula. Kalau
macam ni awak setuju?” Ebrahim
senyum. Harap-harap dengan
penyataan begini, Malisa setuju
dengan pelawaannya.

“Lagipun, saya tahu awak tak
selesa dengan mulut mak cik bawang
kat sini.”

Malisa mencebik.

“Kalau saya terima bantuan
tuan tu, lagi dia orang mengata saya
sengaja ambil kesempatan pada tuan.”

Ebrahim ketawa kecil.

“Janganlah beritahu dia orang.
Kita berdua aje yang tahu sudahlah.”
Sempat lagi dia kenyit mata sebelah
pada Malisa.

Mencerun anak mata Malisa
pada lelaki itu. Adalah agendanya tu.

“Okey! Kalau susah sangat,
awak jadi je isteri saya. Stoplah orang
mengata tu.” Ebrahim depang tangan
ke belakang kepala. Selamba saja dia
tawarkan Malisa jadi isterinya.

“Saya dah agak! Mesti tuan
cakap macam tu. Jangan main-main
boleh tak?” Malisa silang tangan ke
dada. Makin kecil anak matanya mahu
menelan Ebrahim.

Orang tengah serius, dia
main-main pula!

Ebrahim tegakkan tubuh.

“Saya serius. Sampai bila awak
nak mengelak Malisa? Dah beberapa
bulan awak kerja sini. Awak
sepatutnya tahu tentang isi hati saya
pada awak.” Kali ini nada Ebrahim
bertukar serius.

Berubah air muka Malisa.
Alamak! Pak haji muda ni dah mula
bertukar watak.

“Err... Saya... Saya nak
sambung kerja.” Kalut Malisa bangkit
berdiri. Seperti biasa, apabila
perbualan mereka bertukar serius dia
mahu melarikan diri.

“Saya pecat awak dari jadi PA
saya.”

Terbeliak anak mata Malisa.

“What?” Terkejut, Ebrahim
serius ke ni? Tapi muka lelaki memang
serius sekarang ni.

“Cukuplah ada Rashid. Saya
dah tak perlukan awak.”

Ebrahim capai fail dan
pura-pura membeleknya.

Malisa hembus nafas. Rasa tak
percaya dengan pemecatan tiba-tiba
itu.

“Mana boleh tuan haji pecat
saya macam tu saja. Saya buat salah
apa? Saya ikut semua arahan tuan haji
tau!” Bentak Malisa geram. Dia tak
bersedia lagi nak berhenti kerja!

“Awak tanya awak ada salah
apa?” Ebrahim angkat kening menatap
wajah Malisa.

Malisa ketap bibir sebelum
melangkah mendekat ke hadapan
meja Ebrahim.

“Ya! Saya nak tahu salah saya
apa?” Tegas Malisa bertanya. Banyak
cantik punya majikan. Dia dah buat
setiap tugasan yang Ebrahim suruh

walaupun kadang-kala dia rasa pelik
dengan tugasan yang diberi.
Contohnya buat tartlah, keklah, buat
bekallah. Kerja PA ke tu? Tak pernah
pula dia nampak Rashid bawa bekal
untuk Tuan Haji Ebrahim itu.

Ebrahim dekatkan badan pada
meja. Wajah didongak menatap riak
tegang Malisa.

“Salah awak sebab awak dah
curi hati saya. Salah awak, awak
buat-buat tak faham apa yang saya
mahu. Salah awak...”

“Cukup!” Malisa tahan Ebrahim
dari menyambung ayat. Telapak
tangan naik ke hadapan muka
Ebrahim.

Merah mukanya mendengar
ayat serupa luahan itu.

Tengok muka Ebrahim yang
tenang dan sedang memancing

perasaannya itu membuat dia termati
kata.

Rasa nak marah tapi tak
termarah. Kenapa ni? Arghh!

“Dahlah! Suka hati tuanlah.
Tuan dah pecat saya kan? Saya nak
balik!” Grrr! Malisa tarik balik
tangannya dan melangkah laju keluar
dari bilik pejabat Ebrahim.

“Eh! Askim! Cenim!”
Kelam-kabut Ebrahim mengejar.

TAK CUKUP Ebrahim yang
memeningkan kepala, muncul pula
kisah lain.

Rohaya ajak Malisa berjumpa
kerana isu yang sedang viral di media
sosial. Topik utama? Malisa!

Rohaya sedut air teh lemon di
hadapannya. Hilangkan dahaga
dahulu.

“Minah tu gila ye? Dah kenapa
nak perhatian sangat acah-acah play
victim macam tu? Minta maaf konon.
Insaf taik kucing!” Rohaya sudah
panas hati lepas melihat posting yang
dibuat Azmira.

“Yang Hizar tu pun bodoh! Biar
je bini malukan bekas isteri macam tu.
Hey! Aku tak bolehlah. Aku rasa nak
cekik je perempuan tu.” Tak senang
duduk Rohaya dibuatnya. Rasa nak
pergi terjah rumah Hizar dan bagi
penumbuk pada perempuan perampas
itu.

“Rilek Aya. Janganlah marah
sangat. Nanti kena darah tinggi baru
tahu.” Malisa ketawa kecil dengan
lentingan Rohaya. Itu baru Rohaya
nampak posting isteri Hizar.

Rohaya tak nampak lagi
bagaimana gila talak Hizar padanya.
Tak pandai serik! Pening Malisa nak
hadap perangai suami isteri itu. Yang
seorang dah rupa gila talak. Yang
seorang lagi tak habis tuduh dia belum
move on. Tak cukup dengan itu,
Azmira buat drama sedih pula di media
sosial sekarang ni. Kononnya sudah
dapat balasan dengan perbuatannya
dulu. Dia cuma nak bahagia dengan
Hizar. Tapi Malisa seperti masih tak
dapat menerima qada dan qadar. Eh!
Dia yang merampas. Dia pula yang
acah jadi mangsa. Dia ingat Malisa nak
lagi ke si Hizar tak guna tu? Tak kuasa!

“Kau ni tenang sangat. Sebab
tu orang sedap mengata kau!” Sudah!
Sekarang Rohaya marah dia pula.
Bohong Malisa tenang. Dia cuma
berlagak tenang!

Apa lagi yang akan Azmira
buat selepas ni? Bila wanita itu akan
berhenti memprovokasi dia?

Ebrahim yang mencuri dengar
mengusap jambang nipisnya. Hurm...
Nampaknya dia perlu buat sesuatu.
Segera.

Tak sia-sia dia ikut Malisa
diam-diam ke restoran itu.

Kalau si Hizar itu gila talak
pada Malisa, dia pula tengah gila
bayang. Sebelum Hizar mula bertindak,
dia kena bertindak dahulu!

BALIK dari restoran tadi,
Rohaya ikut Malisa balik
ke rumah. Sudah
hampir dua bulan Rohaya bernikah.
Dua bulan ini juga selain Ebrahim,
Rohayalah tempat dia mengadu
masalah tentang Hizar dan isterinya
yang tak habis mahu memprovokasi
Malisa.

Malisa hidangkan kek lobak
yang dibuatnya malam tadi pada

Rohaya. Kek kegemaran sahabat
baiknya itu.

“Yeay! Kek favorite aku. Lisa,
aku tidur sini tau. Laki aku outstation.”
Rohaya tersengih lebar.

Patutlah sibuk mengekor dia
balik rumah.

“Ni rumah kau jugaklah.
Tidurlah lama mana kau nak tidur.”
Malisa ikut menyuap kek ke mulut.

Rohaya tatap lama wajah
Malisa. Dari tadi Malisa cuma tenang
saja dengan provokasi Azmira di media
sosial. Dia masih tak puas hati dengan
posting Azmira yang seolah
menampakkan Malisa ini sebenarnya
masih terhegeh pada Hizar. Padahal
Azmira tahu Hizar yang sedang gila
talak pada Malisa. Tak habis nak
ganggu Malisa. Konon alasan anak,
padahal nak mengurat janda lama. Bini
tengah perut besar pun tak sedar diri
lagi! Tuan Haji Ebrahim lagi seorang.

Lambat sangat nak bertindak tu
kenapa? Aku ni dah bagi jalan kut!
Berbulan-bulan dah… masih tak masuk
umpan lagi ke?

“Dah nak dekat 2 tahun, Lisa.
Dah boleh buka pelan-pelan hati kau
tu...” Rohaya sengaja menduga
sahabatnya itu. Tak boleh jadi! Dia
kena usahakan mereka berdua bersatu
cepat-cepat sebelum Hizar buat gila.
Lelaki kalau dah gila talak boleh jadi
gila!

“Nak buka hati untuk siapa?
Kau ni...”

“Untuk bang haji kau tulah.
Kau tak nampak ke sinaran cinta di
mata dia untuk kau?”

“Sinaran cinta ngek kau!”
Malisa bangkit berdiri.

Dari melayan Rohaya, baik dia
pergi iron baju kerjanya siap-siap. Esok
tak adalah dia terkial-kial nak

berdandan. Lantaklah Ebrahim pecat
dia. Rashid kata selagi dia tak dapat
surat pemecatan, dia berhak datang
kerja dan dapat gaji.

“Tak sabar nampaknya tu nak
jumpa bang haji.” Rohaya giat lagi
mengusik. Malisa jegil mata sebelum
telefon pintar yang berada di atas meja
menyanyi minta diangkat.

“Panjang umur bang haji.”
Makin suka Rohaya menyakat apabila
melihat nama Tuan Haji Ebrahim yang
tertera. Cepat Malisa mencapai telefon
pintarnya dan masuk ke dalam bilik.
Pak haji ni pun, masa ni juga nak
hubunginya.

“Assalamualaikum tuan haji...”
lembut Malisa memberi salam sebaik
menjawab panggilan.

Marah-marah pun dia tak
sampai hati nak berkasar dengan
Ebrahim.

“Waalaikumussalam... Lisa, I
need you. Boleh saya ambil awak
sekarang? Urgent.”

Malisa menatap skrin telefon
seketika. Dah kenapa Tuan Haji
Ebrahim ni?

“Ada apa tuan?” Melekap
semula ke telinga telefon pintarnya itu,
hati Malisa meronta ingin tahu. Cemas
lain macam majikannya itu.

“Bawa Icad sekali. Saya bagi
masa satu jam je ya. Assalamuaikum.”
Pap! Ebrahim meletak panggilan.
Terpinga-pinga Malisa dibuatnya. Ya
Allah! Orang tua ni kenapa?

“APA? NAK saya berlakon jadi
girlfriend tuan haji? Jangan nak
merepek boleh tak?” Rasa tak percaya
Malisa dengar. Ebrahim nak dia
berpura-pura jadi kekasih lelaki itu.

Kononnya umi dan abinya sibuk nak
kenalkan dia dengan wanita lain.
Itupun apabila mereka sudah sampai
di hadapan rumah ibu bapa Ebrahim
sekarang ni. Pandai Ebrahim buat
agenda. Malisa nak larikan diri pun dah
tak boleh.

“Please? Saya minta tolong
sangat ni. Saya tak mahu kahwin
dengan orang lain. Saya nak nikah
dengan awak je.” Ebrahim tekapkan
kedua telapak tangannya memohon
Malisa membantunya.

“Kenapa saya?”

“Sebab awak aje yang terlintas
dalam hati dan fikiran saya.” Takkan
tak faham pula Malisa ni, kan dia dah
tegaskan yang dia cuma mahukan
Malisa.

“Tak boleh! Tak boleh! Tak
boleh! Tuan Haji cari orang lain. Saya
tak mahu.” Malisa geleng laju. Tak

boleh. Dia tak boleh ikut kemahuan
haji hipster ini.

“Lisa! Come on... Tak
handsome ke saya ni?” Tengok! Malisa
buat-buat tak faham lagi. Cepat
Ebrahim tahan lengan Malisa yang
berlapik blaus lengan panjang itu.
Malisa berhenti melangkah. Spontan
menoleh ke arah Ebrahim yang tayang
muka kasihan. Ke situ pula dia!

“Bukan soal handsome tak
handsome. Sebab tuan haji
handsomelah saya suruh cari orang
lain. Cari yang lagi layak. Tak mahulah.
Saya ni ibu tunggal, tuan haji lupa ke?”

“Apa pula lupa? Kalau lupa,
saya tak ajak Icad sama. Kan Icad?”
Ebrahim alih pandang Icad yang
terpinga-pinga. Terkebil-kebil si bujang
kecil itu melihat dua orang dewasa
yang sedang bikin drama.

Iris mata Malisa jatuh pada
anak lelakinya itu. Aduh! Dia yang lupa
Icad ikut juga.

“Lama lagi ke mama dengan
papa aji nak berdiri kat sini? Icad lapar
ni. Kalau Icad lapar Icad rasa nak
marah. Kalau Icad marah, Icad dapat
dosa sebab marah. Icad tak mahu
berdosa.” Icad sudah bercekak
pinggang. Perut dia sudah
berkeroncong minta makan. Mama
dengan papa aji buat drama cinta-cinta
pula kat sini.

“Errr... Icad, kita makan kat
rumah ya? Jom.”

“Takde! Takde! Saya tak
izinkan awak balik. Kita dah sampai sini
pun. Esok-esok ini jadi rumah awak
juga. Awak mesti tak mahu Icad marah
kan? Dia lapar tu. Berdosa nanti dia.”
Tak peduli, Ebrahim tarik tangan
Malisa menuju ke pintu.

Kecil anak mata Malisa
menatap belakang tubuh Ebrahim.
Geram tapi terpaksa menurut.
Kenapalah muncul lelaki ini
menghuru-harakan hidup dan hatinya!

“YA ALLAH, Lisa? Dah lama
umi cari Lisa. Menyesal umi tak minta
nombor telefon Lisa tau. Rupa-rupanya
Lisa yang anak umi angaukan… Allahu!
Happynya umi!”

Gamam Malisa dipeluk ibu
Ebrahim.

“Umi?”

“Ya? Ini umi. Ingat tak kita
pernah jumpa dekat mall dulu? Tengok,
ini kan baju yang sama kita beli dulu
tu.”

Hajah Kamariah pegang
bajunya dan juga baju Malisa.

“Ya Allah, maafkan Lisa umi.
Lisa tak lupa, Lisa cuma terkejut.”
Malisa tekup mulutnya. Kebetulan apa
ni? Dia tak pernah lupa akan Hajah
Kamariah yang membahasakan diri
sebagai umi itu. Wanita yang dia kenal
di sebuah butik beberapa bulan yang
lalu. Sebelum dia bekerja di syarikat
Ebrahim. Hajah Kamariah siap belanja
dia hari itu walaupun itulah kali
pertama dan terakhir dia berjumpa
wanita itu. Memang Malisa pun
menyesal juga tak minta nombor
telefon Hajah Kamariah. Rasa ralat
sampai ke hari ini.

Entah kenapa, dia tergerak
hati pula memakai pakaian yang
dihadiahkan Hajah Kamariah itu hari
ini.

“Umi kenal Malisa?” Ebrahim
buat-buat terkejut. Padahal dia sudah
menjangka Lisa yang umi kenal adalah
Malisa.

“Im, kalau ini calon kamu, umi
setuju seratus peratus!”

Yes! Ebrahim senyum lebar.

Untukmu yang selalu kusebut dalam doa,
izinkan aku menjadi sebahagian dari
hidupmu.

JODOH itu rahsia Allah.
Tak pernah Malisa
mempertikaikan takdir
dalam hidupnya. Mungkin dia pernah
kecewa, pernah terkilan dengan apa
yang dilaluinya sebelum ini. Namun,
jauh di sudut hati dia mensyukuri
segala tetapan jalannya.

“Askim... Sayang...” Ada
tangan kekar melingkar di

belakangnya.

“Termenung ingat abang ke?
Abang baru je pergi berak tadi. Dah
rindu ya?” Seperti biasa, lelaki itu

memang suka mengusiknya.

Malisa tepuk lengan suaminya
itu. Ya. Suami, suami yang baru saja
berjabat dengan tok kadi tiga hari
lepas untuk menghalalkannya.

“Perasan je dia. Awak okey
ke?” Malisa pusing menghadap

suaminya itu.

Cup! Satu kucupan hinggap ke
bibirnya.

“Abang sayang… abang.”
Pinggang Malisa ditarik merapat ke
dadanya. Geram juga Ebrahim dengan
isterinya itu. Dari malam pertama kut
dia suruh Malisa panggil dia dengan
panggilan yang lebih sedap di telinga.

Isteri? Ah! Bahagianya
Ebrahim rasa. Tak sangka, akhirnya si
ibu tunggal anak satu yang dia kejar
selama ini menjadi isterinya juga.
Biarlah apa orang kata. Yang pasti dia
tahu apa isi hatinya buat Malisa
seorang.

“Ya... Abang aji.” Malisa tarik
hidung mancung Ebrahim. Sengaja
mengusik suaminya itu pula.

“Cium lagi kang!” Ebrahim
ugut sebelum dekatkan bibirnya lagi.
Lekas Malisa mengelak.

“Janganlah! Nanti mak
dengar.” Malisa ingatkan Ebrahim di
mana mereka berada.

Ebrahim berhenti mengusik,
sebaliknya dia dakap Malisa erat ke
dadanya.

“What’s wrong? Sayang risau
abang tak selesa kat sini?” Ebrahim
menebak perasaan isterinya itu.

Malisa angguk di dalam
pelukan Ebrahim. Mana dia tak berasa
begitu, sampai hari mereka bernikah
emaknya masih belum menerima
Ebrahim. Masih mengharap pada
bekas menantunya itu. Dia risau jika
Ebrahim terasa hati dengan sikap
emak.

“Lisa minta maaf. Lisa dah
cakap dengan mak... Lisa...”

“Ssyy.... Jangan risau okey?”
Ebrahim diamkan Malisa. Bahu Malisa
ditolak sedikit untuk menatap wajah
isterinya itu.

“Ini Pak Haji Berahim tau.
Siapa aje yang tak dapat dia tawan?
Hati beku Cik Puan Malisa pun dia
dapat jerat. Inikan pula mak
mentuanya.” Ebrahim berlelucon lagi.

Malisa ketawa kecil. Yakin
benar Ebrahim dengan diri sendiri.

“Ingat kita ikan ke main
jerat-jerat?” Malisa cubit pinggang
Ebrahim. Selalu sangat tak serius.

“Ya lah! Jerat cinta pak haji.”

“Pak haji hipster.” Sambut
Malisa mengejek.

Ebrahim ketawa besar.
Gelaran yang tak disangka keluar dari
bibir mungil isterinya itu.

“Papa!” Icad muncul dari
sebalik pintu bilik mereka.

Lekas Malisa jarakkan tubuh
mereka. Dia masih segan mahu
bermesra dengan Ebrahim di depan
anak bujangnya itu.

“Ya, Icad. Ada apa?” Ebrahim
membongkok sedikit setara Icad.

“Opah suruh papa kopekkan
buah kelapa. Opah nak masak kari.”
Icad beritahu arahan dari opahnya itu.

Ebrahim dan Malisa
berpandangan sesama sendiri.

“Err... Boleh. Papa boleh buat.
Jom.”

“Abang tahu ke?” Malisa mula
gelisah. Apa lagi yang emak nak
kenakan suaminya ini?

“Tak tahu boleh belajar.”
Selamba Ebrahim balas sebelum
pimpin tangan Icad.

Arghh! Ingat dah selamat
bernikah, hilang stress. Tapi emak
makin buat dia sakit kepala! Mak...
Malisa lepas keluhan.

“HIZAR dulu aku tak payah
ajar, semua ni dia tahu. Maklumlah,
dia kan budak kampung. Lasak!” Mak
Midah, emak kepada Malisa itu sudah

mula buka perliannya sambil
menenyeh rempah ke lesung.

Malisa yang sedang menolong
memotong sayur kangkung mengeluh
kecil. Dia tahu emaknya masih tak
berpuas hati apabila dia memilih
Ebrahim berbanding Hizar.

“Abang Im pun budak
kampung mak...” Malisa menjawab
perlahan. Memang Ebrahim asalnya
dari kampung. Cuma mereka
sekeluarga berhijrah ke bandar ketika
Ebrahim remaja. Itu yang Ebrahim
beritahu tentang hidupnya.

“Yalah tu, orang kaya. Dia
tahu apa? Sogok orang dengan duit.
Semuanya selesai.”

“Mak! Apa lagi ni mak...”
Malisa letak pisau ke meja. Belakang si
emak ditatap lemah. Penat! Dia penat
nak bergaduh dengan Mak Midah.

Dari hari dia bercerai dengan
Hizar, Mak Midah tak puas hati. Mak
Midah siap marahkan dia kerana
menjanda serta tak mahu bertoleransi
dengan Hizar.

Pendek kata Mak Midah lebih
rela Malisa makan hati hidup bermadu
berbanding diceraikan dan hidup
sebagai ibu tunggal.

“Kamu tahu tak Hizar tu
kecewa setengah mati bila kamu pilih
budak bujang tu? Jangankan sebab
kamu dibutakan dengan harta, kamu
lupa yang Hizar tu bapak anak kamu!”
Makin laju Mak Midah menonyoh
rempah seolah membuang rasa sakit
hatinya.

“Lisa tak pernah lupa mak. Dia
yang lupa Icad tu anak dia!” Malisa
membentak membela diri. Emak
benar-benar ingat Malisa memilih
Ebrahim kerana harta ke? Sampai hati
mak!

Emak lenyek hati Malisa
seperti emak melenyek rempah itu.
Sakit!

“Bila masa dia lupa? Dia kata
kamu yang tak bagi dia jenguk Icad.
Kamu kata dia tak ada hak!” Mak
Midah pegang bangku plastik di
sebelahnya untuk bangkit berdiri.
Pusing ke arah Malisa, tajam dia
mencerun anak perempuannya itu.
Apa lagi yang Malisa nak bohongkan?
Hizar dah ceritakan semuanya!

“Mak percaya cakap dia? Lisa
ni anak mak, bukan dia!” Malisa rasa
mahu menangis. Hati anak mana yang
dapat menahan sakit bila mana si ibu
lebih percayakan orang lain dari
dirinya.

“Sebab aku kenal kamulah!
Aku percaya dia. Ingat aku tak tahu
kamu tu dari dulu tak reda bernikah
dengan dia. Sebab tu gamak kamu
minta cerai!” Mak Midah hambur
marah.


Click to View FlipBook Version