Walaupun kakinya sakit, dia perlahan-lahan
bangun dan mengangkat semua makanan untuk
pulang ke rumah. Setibanya di rumah, Tobi disambut
oleh ibunya yang sudah sampai kerumah terlebih
dahulu. Melihat Tobi yang jalan terhenjut-henjut,
ibunya menjadi risau.
"Ada apa dengan kaki kamu Tobi?" tanya ibunya
dengan risau. Tobi memberitahu ibunya bahawa dia
terkehel dan sakit pada kakinya tidak teruk sambil
menyusun makanan. Hakikatnya, kakinya terasa
sangat sakit. Keesokan harinya, Tobi dilarang oleh
ibunya untuk mencari makanan tetapi Tobi tetap
mahu pergi.
Dia berfikir bahawa simpanan tidak akan cukup
jika hanya ibunya yang mencari makanan.
Tambahan pula, mereka tidak tahu bilakah hujan
akan berhenti. Justeru, Tobi tetap berjalan
mencari makanan. Sebelum pergi, Tobi membawa
Boba untuk mencari makanan.
"Badan dan tangan saya sakit. Lagipun, ibu dan ayah sudah
pergi mencari makanan, pasti cukup untuk kami sekeluarga"
kata Boba memberi alasan. Tobi memujuknya beberapa kali
tapi tidak berjaya. Tobi pun pergi seorang diri. Kakinya yang
sakit tidak menjadi alasan untuk membantu ibunya mencari
makanan. Hari berganti, Tobi tetap tidak lupa mengajak Boba
tetapi Boba tetap memberi pelbagai alasan.
"Aduh! Sakitnya kakiku" Toba menjerit kecil apabila kakinya
tersilap langkah. Kakinya bertambah sakit apabila terpijak duri
yang tajam. Tobi berehat sebentar untuk mencabut duri pada
kakinya. Walaupun sakit, Tobi berusaha untuk berdiri
mengangkat makanannya dan perlahan-lahan menuju ke busut
mereka. Setelah beberapa langkah, cuaca mulai mendung dan
angin bertiup kencang. Awan-awan yang sudah sarat tidak
sabar untuk memuntahkan isinya.
Tobi mempercepatkan langkah agar tidak dibasahi hujan. Malangnya,
sakit di kakinya menyukarkan pergerakannya. Tidak lama kemudian, titis-
titis hujan mula membasahi tubuh Tobi. Makanan yang dibawanya
bertambah berat dek kerana air hujan. Namun, Tobi tetap bertahan dan
meneruskan perjalanan sambil mengingati pengorbanan ayahnya mencari
makanan pada musim hujan yang lalu. Itulah menjadi penyuntik
semangatnya. Setibanya di rumah, Ibu memarahi Tobi kerana keluar
mencari makanan padahal masih sakit. Tobi meminta maaf dan berusaha
meyakinkan ibunya bahawa dia baik-baik sahaja.
Musim hujan pun bermula. Penduduk Kerajaan Merah hanya
berada di rumah berbekalkan makanan yang sudah
dikumpul masing-masing. Hari berganti hari, makanan
penduduk mula berkurangan. Tiba-tiba, pintu rumah Tobi
diketuk beberapa kali. Tobi bergegas membuka pintu dan
terkejut melihat Boba di depan rumahnya dengan muka
tertunduk.
“Ada apa Boba? Kenapa kamu sedih?” tanya Tobi. Boba
terus menangis sambil memeluk Tobi. Dia menyatakan
penyesalannya tidak mencari makanan sebelum ini.
Makanan yang dikumpulkan oleh ibu bapanya sudah habis
kerana ibu bapanya yang sudah berusia tidak mampu
mengumpul bekalan makanan yang banyak. Tobi dan
Ibunya memahami akan tujuan Boba datang ke rumah
mereka.
Tanpa diminta, Tobi menghulurkan sejumlah makanan kepada Boda
dengan harapan mereka mampu bertahan sehingga musim hujan
berakhir. Boba mengucapkan terima kasih dan berjanji tidak akan
berdalih lagi dalam mencari makanan. Tobi pula amat bersyukur kerana
hasil dari usaha dan pengorbanannya, bekalan makanan masih banyak.
Benarlah kata ayahnya suatu ketika dulu, kalau kita mahukan sesuatu,
kita harus berusaha dengan seribu daya dan bukannya seribu dalih.
TAMAT
Cerpen Kanak-kanak
AKHIRNYA MENYESAL
(NASI SUDAH MENJADI
BUBUR)
NAJAH ALIAH BINTI ABDUL RAHMAN
Suasana pagi di sekolah kelihatan tenang dan
damai. Cuaca pagi itu juga cerah seolah-olah
gembira melihat telatah dan air muka murid-
murid di situ yang begitu tekun menjalani
senaman pagi semasa kelas Pendidikan
Jasmani.
“Kring..kring”.. loceng masa kedua pun
berbunyi menandakan waktu bagi Pendidikan
Jasmani sudah berakhir dan disambung pula
dengan kelas Bahasa Melayu.
“Ssstt…Cikgu Aisyah dah datang!” kata Zaid
sambil meletakkan jari telunjuknya di atas bibir.
Terus saja murid tahun 4A Sekolah
Kebangsaan Cahaya itu bergegas ke tempat
masing-masing.
“Selamat pagi, murid-murid” sapa Cikgu
Aisyah dengan ramah sebaik kakinya melangkah
masuk ke dalam kelas tersebut.
“Selamat pagi, cikgu!” balas murid di kelas itu
dengan suara yang nyaring.
“Murid-murid, semalam cikgu telah memberikan kamu kerja Bahasa
Melayu. Kamu diarahkan untuk mencipta pantun, semua sudah ada
pantun yang cikgu suruh buat tu?” tanya Cikgu Aisyah.
“Sudah cikgu!” terdengar suara ramai di hadapannya. Cikgu Aisyah
tersenyum girang. “Aiman, kamu sudah cipta pantun yang cikgu suruh
tu?”
“Sudah cikgu!” jawab Aiman.
“Cuba kamu bacakan supaya rakan-rakan kamu dengar pantun yang
kamu hasilkan” minta Cikgu Aisyah kepada Aiman.
Dengan wajahnya yang nakal, Jalan ke hutan melihat
Aiman terus bangun lalu salak,
membacakan pantunnya sambil
tersengih. Ada juga pohon-pohon tua,
Ayan jantan terbahak-
bahak,
Lihat Aina giginya dua.
“Ha...ha...ha...ha!” mendadak saja
rakan-rakan sekelasnya tertawa
terbahak-bahak sambil menepuk-
nepuk meja. Hanya seorang saja
murid yang tidak ketawa iaitu Aina.
Wajahnya masam mencuka sambil
merenung tajam kepada Aiman.
“Aiman, kamu tak boleh macam tu dengan
rakan sekelas.” tegur Cikgu Aisyah yang sedar
bahawa Aina tentu sekali telah tersinggung.
Aiman segera tunduk merenung meja di
hadapannya.
“Kekurangan orang lain itu bukan untuk
ditertawakan. Cuba kamu buat pantun yang lain,”
tegas Cikgu Aisyah.
“Baiklah, cikgu,” jawab Aiman sambil menahan
ketawa.
Hari itu, sebaik pulang dari sekolah,
Aina pergi berjumpa Aiman dengan
wajah yang sangat marah.
“Aiman, kenapa kamu selalu sangat
mengata aku? Kenapa kamu selalu
mengejek aku? Kamu gembirakah
kalau kamu diejek begitu?” tanya Aina
dengan nada yang marah.
Aiman tersengih-sengih, “Aduh..maaflah! Aku tak
sangka pula kamu marah. Aku ingat kamu seronok
dengan gurauan aku,” ujarnya bersahaja.
“Oooo..seronok? Kamu ingat aku seronok ke?
Kamu pula, seronok ke kalau aku mengejek kamu
begitu?” balas Aina.
“Aku tak kisah… siapa pun nak ejek aku, ejeklah.
Aku seronok sebab hidup dalam dunia ni, kita
mesti seronok. Lagipun, kita mesti bergurau. Aku
memang suka bergurau dengan kamu. Janganlah
marah sebab aku cuma bergurau saja”.
“Aku tak suka kamu mengejek
aku. Aku tak suka kamu bergurau
dengan aku macam tu!” bentak
Aina.
“Eh, kamu betul-betul marah?
Jangan Aina..”
“Kenapa aku tak boleh marah?”
cantas Aina.
“Sebab doktor kata, kalau marah
akan melambatkan pertumbuhan
gigi, nanti gigi kamu dua terus
sampai tua,” suara Aiman bernada
mengejek.
Abu yang berada di sisi Aiman
turut ketawa.
“Huh! Kamu memang jahat. Aku benci kamu!” jerit Aina.
Dengan wajah merah padam, Aina meninggalkan kedua-
dua murid yang masih ketawa itu.
“Sudahlah Aina, tak usah difikirkan budak-budak itu,
perangai Aiman tu memang begitu dari dulu. Asyik nak
mengejek orang sahaja. Kalau buat kerja sekolah pula asyik
nak meniru. Nanti kalau kita marah, dia lagi seronok. Lebih
baik kita abaikan saja,” ujar Aqila, sahabat baik Aina.
Hari berikutnya, Aqila pula yang menjadi mangsa kenakalan
Aiman. Hari itu, sewaktu rehat, Aiman duduk di sisi Aqila dan
bertanya, “Nah, nama kamu memang bagus tau! Nak eja nama
kamu macam mana ya?”
“Kenapa pula nak mengeja nama aku? Ejalah nama orang
lain,” balas Aqila sungguh kurang senang.
“Sebab aku tak tahu nak eja nama kamu. Sebab itulah aku
tanya,” jawab Aiman bersahaja.
“A-Q-I-L-A.. ha..puas? Itu pun tak tahu?!’
“Kah..kah..kah..itu bukan nama kamu, nama kamu G-E-N-D-U-T..”
jawab Aiman sambil meneruskan ketawanya.
Aqila terus mencebik.
“Badan kamu kan gemuk gedempul…nama gendut memang
sangat sesuai untuk kamu. Apalah kamu ni, dah besar pun masih
belum pandai eja nama sendiri,” perli Aiman dengan wajah yang
sinis.
Aqila sangat sedih dengan ejekan begitu.
“Maaflah gendut, aku hanya bergurau saja!” ujar Aiman sambil
ketawa.
“Aiman, kamu memang dah terlalu biadap! Kamu ada di sekolah
ni pun buat menyakitkan hati orang saja!” marah Aqila tidak dapat
ditahan-tahan lagi.
Aiman tetap saja tersengih seolah-olah tidak ada apa-apa
yang berlaku. Kemudian, dia meminta Aqila untuk membuat kerja
sekolahnya kerana dia malas untuk menyiapkan kerja itu.
“Gendut, tolong aku buat kerja ni. Kalau kau buat mesti kau akan
jadi kurus,” mintanya sambil tertawa. Aqila tidak mempedulikan
Aiman lalu beredar dengan muka yang masam.
Suatu hari, semasa keputusan ujian
diumumkan, Aiman gagal dalam semua
peperiksaannya dan mendapat kedudukan
yang terakhir. Dia dipanggil oleh guru besar
dan dimarahi dengan teruk sekali. Sikapnya
yang nakal dan malas menyebabkan dia
berada pada kedudukan yang tercorot dalam
keseluruhan kelas tahun 4. Dia kembali ke kelas
dengan muka yang agak marah dan
menyedihkan.
“Kring..kringg” loceng menandakan waktu balik sudah
berbunyi. Aiman yang masih marah terus keluar kelas
sambil menendang meja dan kerusi. Aina dan Aqila turut
keluar dan berjalan pulang. Tiba-tiba di belakang mereka
terdengar bunyi loceng basikal berdering-dering.
“Hoi! tepilah aku nak jalan ni..sempitlah” Aiman menjerit
sambil menggerakkan tangannya menyuruh Aina dan Aqila
ke tepi.
Aina dan Aqila cuma menoleh jengkel. Aiman lalu di tepi
mereka sambil menunjukkan muka yang berang kepada
mereka. Tiba-tiba… Gubrak! Basikal Aiman melanggar
sebatang pokok jati yang ada di pinggir jalan. Aiman
tersembam jatuh. Mukanya mencium tanah.
“Rasakan!” jerit Aina.
“Itulah balasan untuk orang yang suka mengejek orang dan
pemalas macam kamu!”. “Iya,” tambah Aqila.
Aiman termonyeh-monyeh malu sambil menyeringai
kesakitan.
“Aduh! Tolonglah, aku tak boleh bangun ni,” rayunya minta
bantuan. Aiman tidak dapat bangun kerana badan serta
kakinya terkena pokok dan basikal.
“Tak ingin kami nak tolong kamu, Aiman! Kamu suka
mengejek dan meniru kerja sekolah kami. Biar kamu tahu
rasa sakit sekarang. Sakit kamu tu tak seberapa
dibandingkan dengan sakit hati kami ni tau tak?” kata Aina
sambil menjuihkan bibirnya.
“Aduh! Aku tak main-main. Kakiku sakit sungguh.
Tolonglah,” rintih Aiman. “Aku janji tak akan mengejek dan
meniru kerja sekolah kamu berdua lagi.”
Aina dan Aqila hanya berlalu pergi tanpa menghiraukan
Aiman yang sedang kesakitan. Aiman menangis teresak-
esak dan menyesal kerana sikapnya yang suka mengejek
orang serta malas belajar menyebabkan dia tidak
dihiraukan dan dibantu oleh orang semasa dia dalam
kesusahan serta gagal dalam peperiksaannya. Namun nasi
sudah menjadi bubur. Semuanya sudah terlanjur berlaku.
Namun, Aina kasihan melihat Aiman meringis kesakitan
dan tidak boleh berdiri itu.
“Baiklah, kami akan tolong kamu dengan syarat kamu perlu
ubah sikap kamu itu,” ujar Aina.
“Aina, pergi cari Pak Ahmad yang jaga sekolah. Dia ada
motor. Aiman boleh dibawa ke hospital. Pergilah, aku di sini
jaga Aiman,” kata Aqila.
Setelah daripada kejadian tersebut, Aiman betul-betul
menyesal dan menepati janjinya. Dia tidak pernah
mengganggu rakan-rakannya lagi dan Aiman juga mula
fokus untuk belajar.
TAMAT
Wafi Di Alam
Gamifikasi
"Sakit menimpa, sesal terlambat"
MOHD KHAIRUL NA'AIM
Wafi merupakan seorang budak lelaki
berumur 12 tahun. Wafi dan
keluarganya tinggal di sebuah bandar
moden. Bandar tersebut dikenali
sebagai Cyber Gaya. Cyber Gaya
mempunyai pelbagai teknologi sains
yang canggih. Sebut sahaja teknologi
moden. Semuanya pasti ada di kota ini.
Robot pelayan, kenderaan canggih,
bangunan pencakar langit, dan segala
macam hiburan permainan dalam talian
ada di kota ini. Namun, kecanggihan
teknologi menyebabkan penduduk di
kota ini sentiasa leka dan alpa dengan
keadaan sekeliling.
Oleh sebab itu, ibu bapa Wafi sangat
risau jika anak mereka lalai dengan
permainan dalam talian sehingga
mengabaikan nilai moral dan ilmu
pengetahuan. Ibu Wafi sering berpesan
kepadanya. “Wafi anak ibu...
sentiasalah berpada dalam tindakan,
jangan leka dan alpa dengan kemajuan
teknologi ini”, pesan ibu Wafi penuh
harapan.“Baiklah ibu. Wafi akan
sentiasa beringat dan berpada dalam
tindakan”, ujar wafi dengan sopan.
Awalnya, Wafi seorang anak yang taat, bertanggungjawab
serta cemerlang di sekolah. Namun, sikap Wafi banyak
berubah selepas wabak penyakit Sigma-19 menyerang
Cyber Gaya tanpa diduga. Virus ini sangat berbahaya.
Penduduk kota berkurung di dalam rumah. Arahan pihak
berkuasa mewajibkan pelitup muka sentiasa dipakai. Virus
ini telah banyak meragut nyawa dan jiwa yang tidak
berdosa. Keadaan yang aman sentosa telah berubah
menjadi cemas dan tak keruan.
Wabak yang dijangka reda tak kunjung tiba. Penduduk
kota semakin gelisah. Wafi juga semakin berubah. Dia
hanya berkurung di dalam bilik dan menghabiskan masa
bermain permainan video berjam-jam lamanya. Ibu dan
ayahnya sering menasihati Wafi. Namun dia melawan kata
dan sentiasa berdalih.
“Wafi anak ibu... Ibu khuatir dengan
keadaan kamu. Ibu lihat
kebelakangan ini, kamu berkurung
saja di dalam bilik”, ibunya menegur
Wafi.
“Betul tu Wafi... Ayah lihat kerja
sekolah punkamu tak buat.
Walaupun sekolah ditutup kerana
wabak, namun pelajaran tidak boleh
diabaikan”, Tegas ayahnya.
Namun, Wafi hanya berdiam diri
dan masih larit dengan permainan
video di tangannya. Dia tidak
mengendahkan nasihat ibu dan
ayahnya.
“ Wafi! kamu dengar tak apa yang
ayah dan ibu cakap ini ?”, ulang
ayahnya dengan nada marah.
“ Ahh! Ayah ibu ni. Wafi baru je main
game ni sebentar.. Ayah ibu
memang dah tak sayang Wafi”,
bentak Wafi pula lantas berlalu ke
biliknya sambil menghempas pintu.
Tindakan Wafi mengherdik ibu dan ayahnya
adalah salah. Namun, dia masih tidak
menyedari kesalahannya. Malah, dia terus-
terusan bermain permainan video
kegemarannya sehingga lupa akan perilaku
buruknya tadi.
Dalam keadaan leka bermain. Wafi tidak
menyedari berlakunya litar pintas pada
peranti permainannya. Arus elektrik yang
berlebihan telah menyebabkan sistem
peranti permainan berubah fungsi.
“Aik, dah kenapa permainan ni? Lain macam
je perginya”, getus hati Wafi.
Wafi menekan butang amaran
pada peranti permainannya. Tiba-
tiba, tanpa diduga sebuah “Portal
Raksasa” terbuka luas dan
menarik wafi masuk ke dalamnya.
“Arhhhh! Tidak. Ibu... Ayah...
tolong Wafi...”, jerit Wafi
sekerasnya mengharapkan
bantuan daripada ibu dan
ayahnya.
Portal Raksasa tersebut telah
membawanya ke tempat yang asing.
Tempat yang tidak pernah wujud di
dunia nyata. Segalanya terlihat aneh
dan janggal. Di belahan langit terdapat
kumpulan unggas berterbangan
mengepak sayap warna-warni
mereka. Di samudera pula, terlihat
haiwan akuatik yang sangat besar
mendengus keras. Hanya tumbuhan
renek yang hidup di tanah tandus ini.
Bangunan pencakar langit kelihatan
kosong tanpa penghuni. Semua
keadaan ini persis landskap
permainan kegemaran Wafi.
Wafi mula gelisah, dahinya berkerut. Dia
memulakan langkah kaki untuk mencari tahu
perihal tempat yang didudukinya sekarang.
Namun, semakin jauh dia melangkah, dia
hanya menjumpai jalan buntu. Tiada tempat
bertanya. Tiada manusia bernyawa. Hanya
haiwan aneh dan menakutkan di sepanjang
perjalanannya. Wafi bersandar di sebuah
pokok berhadapan dengan sebuah gaung
yang dalam. Dia melampiaskan kekecewaan
dengan menjerit sekerasnya.
“Ahhhhh! Aku nak pulang. Ini bukan rumah
aku. Kalaulah aku dengar kata ibu dan
ayah, pasti aku tidak ditimpa musibah
seteruk ini”, Wafi menjerit sekuat hatinya
sambil menangis teresak-esak.
Tanpa disedarinya, jeritan kuat itu telah
membangkitkan seekor raksasa ganas.
Raksasa itu digelar sebagai Barkoba.
Raksasa tersebut telah tidur selama 313
tahun lamanya. Disebabkan jeritan
tersebut, Barkoba bangkit ingin membaham
dan mencari makanan kerana terasah
sangat lapar.
“Grrrrrr! Gerangan siapa yang telah
membangunkan aku? Ingin aku
membahamnya menjadi santapan.
Hahahahahha...” - pekik Barkoba penuh
kebengisan.
Seusai itu, Barkoba memetik jarinya
mengumpulkan beratus bala tenteranya.
Maka, segenap haiwan dan hidupan
berhimpun menunggu arahan daripada
Barkoba. Terdapat ular gergasi bermata
merah, harimau bergigi tajam, burung
berkuku besi serta himpunan makhluk yang
menggerunkan.
“Wahai sekalian bala tentera, hari ini aku
telah dikejutkan daripada lena yang
panjang. Aku telah menghidu bau yang
asing dalam kalangan kita.. Aku ingin kamu
memburunya dan persiapkan dia menjadi
santapanku. Hahahahha”, arah Barkoba
penuh angkuh.
Apabila mendengarkan suara
tersebut, perasaan Wafi bercampur
baur. Dia seperti lipas kudung
mengatur langkah mencari tempat
bersembunyi. Perasaan gerun, sedih
dan menyesal hadir dalam benak
hatinya. Jika bukan disebabkan
kelalaian dan sikapnya yang kurang
ajar, Wafi pasti sedang berkasih
sayang bersama keluarganya.
“Ibu.. Ayah.. Wafi rindu dengan ibu
dan ayah. Wafi nak balik rumah. Wafi
nak peluk ibu dan ayah..”, getus hati
Wafi penuh pengharapan.
Derapan kaki bala tentera Barkoba semakin kedengaran.
Hati wafi semakin tak keruan. Dia cuba mengatur langkah
berlari kearah semak samun yang merimbun. Namun,
seperti sudah jatuh ditimpa tangga, Wafi terperosok dan
terjatuh ke dalam lubang yang dalam. Dia kehabisan
tenaga, kakinya luka berdarah terkena batu-batuan
tajam. Dia hanya mampu berbaring sambil mengerang
kesakitan.
Wafi mula merangkak perlahan sambil cuba meminta
pertolongan. Namun, disebabkan kehilangan darah dan
tenaga yang banyak, dia akhirnya pengsan dan tidak
sedarkan diri. Mujurlah seekor tupai yang baik hati
terlihat tubuh kecil Wafi. Tupai yang dikenali sebagai Tok
Pai merupakan ketua di sebuah kampung dalam Kota
Gamifikasi.
Tok Pai dan pembantunya membawa Wafi ke tempat
mereka dan merawatnya sehingga sembuh. Setelah
dirawat, Wafi terjaga dan terkejut melihat disekelilingnya
terdapat sekumpulan tupai yang fasih bertutur dalam
bahasa Melayu. Tok Pai menghampiri Wafi dan
menceritakan segalanya.
“Assalamualaikum cu.. nama atok Tok Pai. Atok ketua di
kampung ini. Jangan risau, Barkoba dan bala tenteranya
tidak mampu menembusi benteng kampung ini”, sapa
Tok Pai menenangkan hati Wafi yang tidak keruan.
“Waalaikumsaa... salamm.. Tok. Terima kasih kerana
telah merawat dan menyelamatkan saya”, balas wafi
terketar-ketar.
“Baiklah, melihat keadaan kamu ini, atok
pasti kamu bukan dari Kota Gamifikasi ini.
Boleh atok tahu bagaimana kamu boleh
tersesat ke sini?” tanya Tok Pai.
“Sebenarnya tok, saya telah terperangkap
di sini selepas saya leka bermain
permainan video. Sebuah portal raksasa
telah menarik saya dan menyebabkan saya
terperangkap di sini. Saya sangat rindu
akan ibu dan ayah saya. Saya telah
melakukan kesalahan yang besar kepada
mereka”, terang Wafi penuh emosi.