The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by NOR AZURA BINTI MIOR DAUD (ISM), 2023-01-17 23:38:17

STB KIDZ

STB KIDZ

Diinspirasikan daripada kisah-kisah benar


Diinspirasikan daripada kisah-kisah benar


STB KIDZ Diterbitkan oleh: Institut Sosial Malaysia (ISM) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lot PT13856, KM6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban Sungai Besi 51700 Kuala Lumpur MALAYSIA Tel: 03-7985 3333 Faks: 03-7985 3300 E-mel: [email protected] Laman Web: www.ism.gov.my Cetakan Pertama 2022 Penerbitan © Institut Sosial Malaysia © Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian, artikel, ilustrasi dan isi kandungan buku ini dalam apa jua bentuk dan dengan apa cara juga sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman ataupun cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada pihak Institut Sosial Malaysia. Perpustakaan Negara Malaysia Penyelaras: Kluster Respositori dan Dokumentasi Hamidah Hassan Noorhafiza Ahmad Sarimah Ahmad Mohd Shah Mokhtar Mimie Natasha Saifuanuar Dicetak di Malaysia oleh: Zaftech Sdn. Bhd. NO.90, Jalan Brunei Off Jalan Pudu, 55100 Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan EMAIL: [email protected] ISBN: 978-967-5472-54-1


Kandungan APRESIASI 1 KETUA SETIAUSAHA v KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT APRESIASI 2 vi PENGARAH INSTITUT SOSIAL MALAYSIA APRESIASI 3 vii KETUA PENGARAH KEBAJIKAN MASYARAKAT KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT PRAKATA ix SINOPSIS xi ADA SINAR DI HUJUNG PELANGI 2 AMPUNKAN AKU, ADIK 12 ASBAB SETANDAN PISANG 24 BERDAMAI DENGAN TAKDIR 37 DALAM GELAP ADA TERANG 49 HANYA KAU YANG MEMAHAMI 61 HILANG GELAP TIMBUL TERANG 71 HITAM PUTIH KEHIDUPAN 83 KASIH YANG TERLERAI 95 KEMBALIKAN KASIH ITU 106 KU PENDAM SEBUAH DENDAM 118 MARUAH YANG DIINJAK 128 MENCARI JALAN PULANG 141 MENCARI SINAR BAHAGIA 153 SALAM TERAKHIR UNTUKMU, SAHABAT 164 SESAL YANG MEMBAHAGIAKAN 175 YANG KHILAF ITU AKU 185


APRESIASI YBHG DATUK DR MAZIAH CHE YUSOFF KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT Alhamdulillah segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, atas limpahan rahmat serta keizinan-Nya jua maka terhasillah buku STB Kidz ini. Tahniah dan syabas kepada Institut Sosial Malaysia kerana telah berjaya menghasilkan penerbitan buku ini untuk tahun 2022. Penerbitan buku STB Kidz adalah amat bertepatan dengan komitmen Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat terhadap kumpulan sasarnya iaitu kanak-kanak. Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menjaga hal ehwal kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pemulihan. Semoga dengan terhasilnya buku STB Kidz dapat memberi peluang kepada seluruh masyarakat baik golongan penjaga, pendidik dan masyarakat seluruhnya agar memberi peluang serta kasih sayang kepada kanak-kanak ini untuk tidak mengulangi kesilapan dan terus maju untuk membina kehidupan yang lebih bermakna dengan sokongan masyarakat melalui pemulihan dan perlindungan yang diberikan di bawah institusi JKM. Tahniah sekali lagi kepada seluruh Jawatankuasa Kerja di atas penerbitan buku ini. Tahniah Institut Sosial Malaysia. vi


APRESIASI DR FARIDAH AWANG PENGARAH INSTITUT SOSIAL MALAYSIA Alhamdulillah, puji dan syukur yang tidak terhingga atas kepercayaan YBhg. Datuk Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM atas amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada ISM untuk menghasilkan buku STB Kidz ini. Banyak kisah yang tidak dibukukan namun perlu diceritakan untuk pengetahuan dan pengajaran kepada seluruh golongan masyarakat tentang kehidupan dan persekitaran yang mendorong kepada tindakan kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang di negara ini. Kisah bagaimana pembesaran dalam situasi keluarga, didikan, persekitaran, persekolahan, gaya hidup, pengaruh rakan sebaya boleh membawa kepada tingkah laku yang menyebabkan kepada salah langkah kanakkanak ini dalam usia yang belum matang. Penceritaannya telah digarap dengan gaya penulisan santai sesuai untuk semua peringkat untuk dijadikan iktibar dan kesedaran. Semoga akan ada lagi terbitan yang seumpama ini di siri yang akan datang. ISM akan terus berusaha untuk mengangkat ilmu dalam  mensejahterakan masyarakat.  Semoga bermanfaat kepada semua. Selamat menghayati pembacaan dengan penuh keinsafan! vii


APRESIASI YBHG DATO’ SHAHARUDDIN ABU SOHOT KETUA PENGARAH KEBAJIKAN MASYARAKAT KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT Puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi atas penghasilan buku STB Kidz yang sangat memberi manfaat kepada semua. Buku ini boleh dijadikan satu rujukan dan inspirasi untuk warga kerja di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khususnya yang bertugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ianya juga berguna kepada pendidik, ibu bapa dan anggota masyarakat dalam memahami konteks kanak-kanak yang berada dalam institusi pemulihan Jabatan Kebajikan Masyarakat, khasnya di Sekolah Tunas Bakti. Semoga lebih banyak usaha sebegini dibukukan dalam memahami kumpulan sasar jabatan serta tugas-tugas pegawai di lapangan. Tahniah dan terima kasih kepada Institut Sosial Malaysia yang berjaya menerbitkan buku yang cukup hebat ini yang diadaptasi daripada kisah benar kanak-kanak yang ditempatkan di institusi kebajikan.  Semoga terus berkat berjasa dan terus menebarkan ilmu serta kesedaran demi tanggungjawab bersama dalam melindungi kanak-kanak. Kanak-kanak harapan bangsa. Mereka bakal pemimpin masa hadapan. viii


PRAKATA Sekolah Tunas Bakti adalah merupakan sebuah institusi Sekolah Diluluskan bagi pendidikan, latihan dan penahanan kanak-kanak yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 65 (sekolah diluluskan) Akta Kanak-Kanak 2001. Penubuhannya adalah bertujuan untuk: 1. Memberi pemulihan kepada kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah atau berkonflik dengan undang-undang; 2. Mendidik kanak-kanak membina sikap positif, membentuk peribadi yang kukuh dan melengkapkan diri dengan keterampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat. Berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, Kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berusia 18 tahun dan ke bawah. Kanak-kanak yang ditetapkan untuk memasuki institusi Sekolah Tunas Bakti adalah kategori mereka yang:- • Berumur sepuluh tahun ke atas, • Didapati bersalah atas apa-apa kesalahan, • Mendapat perintah kemasukan ke pemulihan institusi dan • Bukan di bawah kesalahan yang berdasarkan keputusan Mahkamah di bawah Perenggan 91 (f) Akta Kanak-Kanak 2001 untuk dihantar ke Sekolah yang Diluluskan - dan dirasakan oleh mahkamah mempunyai suai manfaat untuk tujuan pemulihan akhlak. ix


Kanak-kanak merupakan harapan bangsa dan bakal pemimpin masa depan negara. Kitalah yang sewajarnya mencorakkan anak-anak bangsa kita sama ada putih mahupun hitam atau berwarna warni. Institusi ini adalah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Peranan dan fungsi JKM termasuklah sebagai penyediaan perkhidmatan pencegahan dan pemulihan dalam isu-isu sosial serta pembangunan masyarakat. Ini seiring visi JKM adalah untuk menjadi peneraju utama kebajikan dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. Terdapat lebih kurang enam buah Sekolah Tunas Bakti di seluruh Malaysia di Kuala Lumpur, Perak, Kota Kinabalu, Terengganu, Melaka dan Pulau Pinang. Sekolah Tunas Bakti menempatkan kanak-kanak lelaki yang berkonflik dengan undang-undang. Kisah di dalam buku ini adalah merupakan 17 kisah benar yang diolah kepada naratif cerpen untuk menjadi pengajaran kepada seluruh masyarakat bahawa menjaga anak-anak adalah tanggungjawab semua kepada agama, bangsa dan negara. Data yang digunakan adalah hasil temu bual bersama setiap pelatih di institusi daripada sumber primer. Atas faktor kerahsiaan setiap identiti mereka tidak didedahkan untuk menjaga prinsip kerja sosial yang diamalkan oleh profesion kerja sosial. Hamidah Hassan Ketua Kluster Kluster Repositori dan Dokumentasi Institut Sosial Malaysia x


SINOPSIS Buku ini menceritakan kisah hidup sebenar 17 pelatih Sekolah Tunas Bakti yang terjebak dengan ‘gelora dan nafsu’ jiwa muda hingga mendorong mereka melakukan ‘kekejaman’ ke atas diri sendiri tanpa sedar. 17 kisah hidup pelatih yang terpalit dengan pelbagai kes yang menyalahi peraturan dan undang-undang serta membelakangi ajaran Islam seperti kes sumbang mahram, cabul, rogol, mencuri, merompak, lumba haram dan penyalahgunaan dadah pastinya meruntun hati pembaca. Bagaimana mereka mencari semula identiti diri yang sudah tergadai dan bagaimana pula persiapan mental untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat. Bagi mengelak sebarang tohmahan, fitnah, sindiran dan syak wasangka pembaca, nama sebenar, latar belakang, waktu kejadian dan apa sahaja berkaitan pelatih dalam setiap kisah telah ditukar. Bagaimanapun, rentetan kejadian adalah berdasarkan kisah benar yang diceritakan sendiri oleh pelatih. Semoga kisah-kisah ini menjadi iktibar kepada semua peringkat masyarakat terutama dalam kalangan ibu bapa dalam mencorak masa depan anak-anak. ‘Anak ibarat sebutir mutiara yang amat tinggi nilainya yang perlu dijaga dan dilindungi sentiasa.’ xi


Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan): maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihari. Surah al-Baqarah 2:160


ADA SINAR DI HUJUNG PELANGI MAZLI duduk termenung di tepi tangga yang menghala ke padang. Melihat sekumpulan pelatih asyik berkejaran berebutkan sebiji bola berwarna hitam dan putih. Saat bola dirembat melepasi palang gol, ada suara riuh berteriakan. Gol!!! Suasana bingit itu tidak menjanjikan apa-apa kepada Mazli. Namun, aksi pelatih saling berlarian itu mengingatkan Mazli kepada seorang sahabat baiknya yang kini meringkuk dalam tembok besi tidak lama selepas dia menghuni rumah barunya itu. Mazli kembali menghirup memori lama bagaimana setiap hari dia mencari sahabatnya untuk mendapatkan bekalan dadah yang telah mula meresapi setiap inci batang tubuhnya. Tanpa pil itu, hidup Mazli tidak lengkap. Deritanya hanya Tuhan yang tahu. Rasa kesal yang panjang kerana dipertemukan dengan insan yang tidak mencerminkan dirinya yang sebenar. Bagaimana sahabatnya telah mempengaruhinya berbuat sesuatu yang amat ditakutinya yang telah menjerumuskan dia di lembah hina! Membentuk peribadinya menjadi seorang individu yang tidak bermaruah! Menjadi penagih dadah! Kasih sayang yang dialirkan dalam dirinya disunting menjadi benci yang berpanjangan! Engkaukah itu yang layak menjadi sahabat aku? 2


Kehidupan Mazli bersama ibu bapa, empat abang dan kakaknya penuh bahagia. Namun, kerana kawan, Mazli menanggung duka yang berpanjangan. Terpengaruh dengan sahabat yang lagaknya sangat baik tetapi membuat onar dalam diam. Tidak jujur dalam persahabatan. Daripada belajar berbuat kebaikan, Mazli terdorong berbuat kejahatan yang akhirnya mengundang duka yang tidak dijangka. Zaidi, kawan baik Mazli tidak lagi bersekolah selepas dibuang kerana terlibat dalam kes penagihan dadah. Undang-undang dan peraturan sekolah wajib dipatuhi. Zaidi pula memang ambil kesempatan apabila dimaklumkan mengenai perkara itu. ‘Kalau dah tak minat sekolah baik berhenti. Tak perlu habiskan duit mak bapa. Membazir.’ Mazli teringat kata-kata itu. Zaidi jugalah yang menjadikan dia hamba dadah selama setahun. Remaja itu jugalah yang menjadi punca dia ditangkap polis dan akhirnya menjadi penghuni ‘istana permai’ ini. Dunia baharu untuk anak-anak yang berdepan pelbagai masalah dalam hidup. Baginya, Zaidi menjadi punca atas segala apa yang berlaku ke atas dirinya. Zaidi yang mula-mula adjust dia supaya mengambil pil khayal dengan alasan boleh menghilangkan tekanan dan menambah tenaga. ‘Boleh telan’ masa nak exam. Keinginan Mazli untuk mengambil pil kuda pada awalnya untuk mengurangkan rasa gementarnya ketika menduduki peperiksaan. “Kalau kau ambil time exam, hilang stress kau sekali tau!” Mazli teringat katakata Zaidi. Mazli buat keputusan ‘songsang’ buat pertama kali dalam hidupnya. “Aku nak try pil kuda.” kata Mazli ketika bertemu Zaidi di pekan sehari di kampungnya yang terletak di pinggir bandar pekan itu. “Apa mimpi kau nak ambil ni.” “Aku nak try, mana tahu jiwa aku lebih tenang, tak perlu fikir masalah yang berserabut dalam kepala aku,” ujar Mazli tanpa selindung. 3


“Harga pil tu tak mahalkan. Aku dengar dalam RM8 sebiji.” “Ye. Aku jual harga patut-patut je. Korang senang dapat barang kalau aku ada di kampung ni. Tak perlu susah-susah keluar cari.” Daripada hanya ingin mencuba, Mazli semakin ketagih. Apa sahaja yang aktiviti yang dilakukan selalunya bermula dengan menelan sebiji pil kuda untuk kelihatan segar membugar. “Di, badan aku seram sejuk. Beri aku sebiji dua. Aku dah tak tahan ni.” Ada getar di bibir Mazli. “Kau bawa duit? Ada duit ada barang. Kalau tak ada, kau berambus!” Zaidi enggan melayan Mazli yang agak tidak terurus penampilannya. “A...ku tak ... tak ada duit sekarang, nanti dah ada aku bayar, kau ...beri...lah dulu. Tolongla.” Tergagap-gagap Mazli menjawab. “Apa jaminan kau boleh bayar pada aku. Kawan, kau pernah tipu aku dulu.” “Aku tak...tak... tipu kau. Aku kata ...bila aku ada duit, aku ba...bayarlah hutang aku. Apa kau ni tak per...caya ka...wan sen...di...ri.” terkial-kial Mazli menyusun kata. Itulah permulaan kemusnahan hidupnya. Bahagia yang dicari akhirnya mengundang derita berpanjangan. Najis dadah mula menguasai hidup Mazli. Mazli sudah pandai ponteng sekolah. Keluar beruniform namun tidak sampai ke destinasinya. Dia terlebih dahulu mencari Zaidi untuk dapatkan bekalan. Keengganan Mazli ke sekolah tidak diambil peduli oleh kedua ibu bapanya. Mazli kecewa kerana ibunya kurang beri perhatian kepadanya kerana kesibukan mengurus bapanya yang lumpuh, sekaligus memerlukan penjagaan 100 peratus. 4


Situasi itu antara sebab Mazli mula menghabiskan masa dengan kawankawannya termasuk Zaidi yang sedari awal lagi sudah terbabit dengan kegiatan dadah. Bosan duduk di rumah, Mazli membuat keputusan untuk bekerja dengan kawannya berniaga ikan di pasar basah. “Tempat kau ada nak nak pakai orang tak?” Aku ingat nak kerja, bosanlah duduk rumah tak buat apa-apa. Kerja ‘ni dapatlah duit buat belanja sendiri.” “Nanti aku tanya Pak Mahat, kalau-kalau dia nak pakai orang lagi kat sini,” Lebar senyuman Mazli apabila Ramli membalas. ‘Kalau dapat kerja, adalah duit untuk belanja sendiri tak perlu tipu mak lagi.’ “Pak Mahat bagi kau kerja, sebagai pembantu aku sebab seorang pekerjanya baharu saja berhenti, balik kampung. Rezeki engkau Li,” kata Ramli sambil tangannya laju memasukkan ikan yang dibeli pelanggan ke dalam plastik. Suasana pasar pagi itu agak sunyi kerana bahagian jualan ayam ditutup setiap Jumaat. Tumpuan pelanggan terarah di bahagian jualan ikan dan daging. Mazli dan Ramli menjadi agak sibuk melayan pelanggan. Keramahan Mazli melayan pelanggan membuatkan ramai antara mereka memilih membeli ikan dan hasil laut yang dijualnya. Setiap jenis ikan dilonggok atas batu. Kemas dan memudahkan pelanggan memilih. Tawar menawar antara peniaga dan pelanggan semakin rancak dan ia adalah situasi biasa yang boleh dilihat. Lantai pasar yang licin menjadikan pergerakan pelanggan agak lambat. Ada yang berselisih bahu dan berlaga punggung kerana laluan yang agak sempit. “Apa polis buat kat gerai Abang Rahman ‘tu, datang buat check-up or nak beli ikan?” soal Dahlan yang berniaga pelbagai jenis ikan sungai kepada Mazli. Mazli dan Ramli tertinjau-tinjau dengan menjengkitkan kedua-dua belah kakinya untuk melihat apa yang berlaku sebenarnya. “Saya pun tak tahu,” balas Mazli pendek. Pengunjung pasar yang perasan kehadiran anggota polis itu mula bertanya sesama mereka. Seperti biasa, semangat ingin tahu amat kuat kalangan rakyat Malaysia. Sepantas itu juga kejadian akan diviralkan di media sosial terutama 5


Facebook. Ada yang kepoh nak tahu, ada yang tidak ambil peduli dan ada yang terus menghampiri gerai yang dikunjungi anggota polis berkenaan. Selang beberapa minit kemudian, anggota polis berkenaan mula bergerak ke arah Mazli tanpa disedarinya. “Siapa Mazli?” tanya seorang daripada anggota polis berkenaan. “Saya tuan.” Mazli menghampiri anggota polis berkenaan dengan muka sedikit cuak. “Sila ikut kami ke balai sekarang untuk memberi keterangan.…” “Keterangan apa tuan,” potong Mazli sebelum anggota polis itu menghabiskan ayatnya. Mazli jadi panik. “Tunggu, sampai balai awak akan tahu.” “Baik tuan,” jawab Mazli yang masih terpinga-pinga kerana tidak tahu hujung pangkalnya. Ditanggalnya apron yang dipakainya itu lalu digantung ke paku di dinding dan berjalan di sebelah anggota polis sambil menundukkan kepalanya. Ramli dan Pak Mahat hanya terkebil-kebil memandang Mazli dibawa pergi. “Kenapalah Mazli tidak telefon mak ayah dia dulu beritahu polis datang bawa dia pergi balai,” kata Pak Mahat kepada Ramli. “Kita tak tahu cerita lagi, biarlah dia, lagipun polis tu mesti nak cepat.” Setelah Mazli dibawa pergi, keadaan pasar kembali normal seperti biasa. Masing-masing terus dengan urusan mereka sama ada membeli barangan basah, sayur-sayuran atau makanan kering. Mazli dibawa ke sebuah balai polis di daerah Besut. Sebaik tiba, Mazli yang bergari tangannya dibawa ke sebuah bilik sementara menunggu giliran untuk di soal siasat. Mata Mazli melilau melihat persekitaran bilik itu. Hanya tersedia deretan 6


bangku panjang untuk diduduki tahanan. ‘Siapa yang buat report dan macamana polis tahu aku kerja di pasar ini.’ Mazli mula fikir yang bukan-bukan. Suasana dalam bilik itu merimaskan Mazli. Nafasnya turun naik dengan laju. Jantungnya berdegup kencang. Ada titisan peluh di dahi Mazli yang sedikit jendul itu. Tangannya yang bergari kebelakang itu menyukarkan Mazli mengesat peluhnya. Ditundukkan kepalanya dan meletakkan dahinya di atas paha lalu mengesat peluhnya. Sesekali Mazli menundukkan mukanya ke lantai. Memikirkan sesuatu. Dia masih tertanya-tanya siapa lagi yang tahu dia menagih selain daripada Zaidi. ‘Adakah Zaidi yang bocorkan rahsia ini.’ Pelbagai persoalan menerjah masuk ke fikiran Mazli sehingga dia tidak boleh berfikir dengan waras. Terbayang pula pil khayal yang boleh menenangkannya. “Ikut saya sekarang!” Sergahan seorang anggota polis itu membuatkan Mazli terkejut dan terus mengangkat mukanya. Terpinga-pinga. “Kita nak ke mana tuan?” Soalan tidak berjawab. Anggota polis itu terus memegang bahu Mazli dan dibawa ke sebuah bilik untuk soal siasat. Tombol pintu dipusing dan Mazli ditolak perlahan memasuki bilik yang agak gelap itu. ‘Bilik apa ni.” bisik Mazli sendirian apabila dilihatnya anggota polis itu sudah jauh darinya. Mazli terpisat-pisat berfikir berapa lagi dia perlu duduk di balai polis itu. Teriakan ‘gol!!!’ yang bergema di persekitaran padang bola itu mengejutkan Mazli yang asyik bercerita mengenai kisah hidupnya sewaktu terjebak dengan pengambilan dadah. Selang beberapa minit, bunyi wisel penamat menandakan pertandingan bolasepak sudah berakhir. Pasukan STB 1 menang 2-1 ke atas STB 3. Mazli dan Shafiq 7


saling berpelukan gembira kerana rumah sukan mereka beroleh kemenangan. “Begitulah serba sikit perjalanan hidup aku sebelum aku temui bahagia yang aku cari selama ini, ujar Mazli kepada Shafiq yang khusyuk mendengarnya bercerita. Aksi di padang bola sebelum itu tidak lagi menarik perhatian Shafiq. Shafiq lebih berminat untuk ketahui nasib Zaidi. “Zaidi di mana sekarang?” “Dia di penjara selepas kena tangkap masa polis serbu port dadah dia. Berat juga hukuman yang dia terima tapi tak adalah sampai ke tali gantung. Dia penagih dan pengedar tahap marhaen saja,” seloroh Mazli. “Seram pula aku mendengarnya. Kes kita lebih kurang sama sahaja. Aku pun mula-mula nak try, lepas tu ketagih. Kena tangkap, sebab bawah umur duduklah kita di sini sehingga dibebaskan,” kata Shafiq. “Itulah pengajaran yang kita dapat bila berbuat perkara membelakangkan undang-undang. Tahu benda ‘tu haram, nak ambil juga,” kata Mazli dengan nada kesal. “Mak ayah engkau macamana? Reaksi dia orang selepas polis call? Mesti terkejutkan.” “Memang terkejut sangat. Kakak dengan abang aku apa lagi, meletup terus. Dia orang memang tak tahu aktiviti gelap aku.” Mazli diam. Dirasakan dirinya benarbenar anak yang menyusahkan keluarga. Ibunya terpaksa membayar wang ikat jamin RM2,000 untuk bebaskannya sementara menunggu hari perbicaraan. Wang yang disimpan berdikit-dikit hasil jualan kuih dan yang diberi abang dan kakaknya, habis dalam sekelip mata. “Kes aku tu berjalan waktu PKP, asyik tertangguh dan buat aku serba tak kena duduk rumah. Rasa nak cepat je naik mahkamah.” 8


“Bila tarikh kau jatuh hukum?” “Dalam masa satu hari sahaja kes aku tamat. Bicara, jatuh hukum dan dihantar ke sini. Semuanya berlaku pada 29 September 2020.” “Wow, macam special pula kes kau, satu hari boleh selesai,” Mazli tersenyum diusik Shafiq. “Apa rancangan kau lepas keluar nanti? Dah ada plan ke?” “Aku nak balik kampung terus. Aku nak jaga mak ayah aku. Ayah aku lumpuh. Dia tak boleh buat kerja. Sebab itu masa mak aku datang jamin aku, aku rasa bersalah sangat.” “Kenapa kau kata macam tu?” “Keluarga aku orang susah. Mak aku tak boleh kerja sebab nak kena jaga ayah. Belanja rumah pun abang-abang aku bagi.” “Sebab tu kau kerja dengan kawan kau. Jual ikan?” Mazli mengangguk. Namun, wang yang diharap dapat bantu keluarga diguna pula untuk membeli pil kuda. Setiap kali menerima upah, Mazli akan bertemu Zaidi untuk mendapatkan bekalan dadah dan membayar hutang lama. Baki yang ada akan diberikan kepada ibunya. Begitulah rutin harian Mazli. Bagi Mazli, semua kejadian yang menimpa dirinya adalah takdir yang telah ditentukan. Itu adalah jalan terbaik untuknya berubah demi masa depan dirinya sendiri. ‘Aku takkan leka lagi. Aku akan lebih berhati-hati dalam memilih kawan. Bukan semua kawan yang mendampingi aku itu baik dan begitulah disebaliknya.’ bisik hati kecil Mazli Keadaan padang kembali sepi. Tiada kelibat pemain yang sudahpun pulang ke asrama kerana hari hampir senja. Cuaca semakin redup seakan memberi isyarat kepada awan untuk memuntahkan kandungannya. Mazli dan Shafiq bangun serentak berlari anak menuju ke bilik masing-masing kerana hujan sudah mula membasahi bumi. 9


“Hari nak hujan. Langit mulai mendung. Janganlah engkau terus mendung pula Li. Lupakan perkara yang dah berlalu itu. Kau buka buku baru pula lepas ni. Aku doakan kau sentiasa berada dalam jagaan Allah,” gurau Shafiq. Mazli sedar dan akui kesilapannya yang berbuat sesuatu tanpa memikirkan kesan dan akibatnya terhadap diri sendiri dan keluarga. Perpisahan dengan keluarga walaupun hanya sementara menjadikan Mazli lebih matang, mampu berfikir dengan kebih baik dan berkeyakinan tinggi. Mazli lebih bersemangat dan bertenaga menghadapi hari mendatang. Mazli tidak sedih lagi. Ziarah kasih ibunya membawa semangat baru kepadanya di situ. Mazli juga tidak lagi bersendirian kerana ada rakan yang sedia mendengar luahan hatinya itu. Berkongsi detik waktu perjalanannya meredah onak dan duri sebelum dirinya terdampar di bumi asing. 10


Jangan sesekali pernah membenci seseorang yang telah melukakan hati kita kerana mungkin orang yang telah melukakan hati kita itu juga pernah buat kita tersenyum pada suatu ketika dahulu.


AMPUNKAN AKU, ADIK Muaz berbaring di katil usai solat Isyak berjemaah bersama rakan-rakan. Sambil memandang ke arah siling yang kosong, Muaz teringat kandungan tazkirah disampaikan benar-benar menyentuh hatinya. Mendera jiwanya. Membugarkan terus ingatannya kepada keluarga di kampung yang baru ditinggalkan beberapa bulan lalu. Ustaz bercerita mengenai hubungan kekeluargaan daripada perspektif Islam. Sudut pandang yang bagaimana harus diteladani dan diikuti agar silaturahim antara keluarga terutamanya hubungan adik beradik tidak putus walau badai datang melanda. Tazkirah itu seolah-olah ditujukan tepat kepada Muaz. Apa yang sedang Muaz lalui dan alami. ‘Benar kata ustaz, aku tidak boleh pentingkan diri sendiri. Saling memaafkan itu lebih baik daripada menyimpan dendam yang tidak akan padam.’ Muaz bangun menuju ke almari pakaiannya lantas mengambil sebatang pen dan sehelai kertas. Dicubanya untuk menggarap aksara jauh daripada lubuk hatinya yang paling dalam. Bukan untuk sesiapa tetapi untuk dirinya sendiri. Muaz mahu menyatakan isi hatinya yang sedang galau dengan kejadian yang terlalu berbekas dalam kamus hidupnya. 12


Tulisan ini untuk aku. Ditujukan kepada aku. Andai sesiapa yang temui catatan ini, tolonglah jangan dihina dan dikeji aku. Aku juga manusia biasa yang ada khilafnya sendiri. Aku cuba untuk tulis sebaik mungkin. Layakkah aku menerima kemaafan daripadanya? Sebesar zarah pun aku pasti adik belum bersedia untuk maafkan aku atas apa yang berlaku. Wajah ibu, ayah, abang, kakak dan adik terus terbayang di mata. ‘Kalaulah boleh aku putarkan kembali masa yang telah berlalu pergi ini, ingin aku perbetulkan semua kekeliruan ini.’ ‘Ampunkan aku dik, kau tak bersalah pun dalam hal ini. Aku yang khilaf dan kekhilafan itu memakan diri kau dik! Ku mohon ampun sekali dik atas dosa yang aku lakukan terhadap dirimu. Aku menyesal. Sangat-sangat menyesal kerana terlalu mengikut nafsu lelaki aku sehingga kau menjadi korban serakah aku! Aku tak tenang dik sejak kejadian itu. Aku tak sanggup melihat wajahmu kerana aku rasa teramat berdosa. Aku jijik dengan diri aku sendiri. Hanya satu yang aku pinta darimu agar kau ampunkan segala kesalahan dan dosa aku terhadap kau dik. Sebelum aku menutup mata satu hari nanti, aku harap kau sudi terima aku sebagai abang kandungmu. Gelaran apakah selayaknya yang aku terima atas dosa yang aku lakukan terhadapmu adikku. Aku seorang abang bertopengkan syaitan? Abang yang sanggup menodai adik kandung yang lahir daripada rahim ibu yang sama. Berayahkan bapa kandung yang sama. Kau darah daging aku yang sempurna. Allahuakhbar, sesaknya dada aku dik bila teringatkan kau! Selayaknyakah aku setia sebagai abang kandungmu sehingga ke akhir hayat 13


aku. Sejujurnya aku dapat rasakan kau begitu membenci aku. Memandang aku pun pasti kau dah tak sudi. Aku jijik dan hina di mata kau dik. Aku sedia terima apa sahaja yang kau katakan mengenai aku. Aku dah buruk sangat di mata kau. Aku sayang kau sampai mati adik. Aku sayang kau sangat-sangat. Aku tak akan benci kau kerana bukan kau yang salah. Aku yang salah! Dalam sujud aku adik, aku berdoa suatu hari nanti kau ampunkan aku.’ Abangmu, Muaz. Kertas putih itu dilipat kemas dan disimpan dalam kotak empat segi berhias cantik. Beberapa cenderahati istimewa tersimpan dalam kotak berwarna biru laut. ‘Insha Allah, suatu hari nanti adik pasti terima helaian istimewa ini.’ Muaz kembali ke katilnya dan cuba untuk tidur dengan tenang. Muaz menyeka airmata yang merembes. Kasih sayang Muaz pada Afifah semakin segar membugar walaupun adiknya kini begitu membencinya! Itu yang Muaz rasa sebelum berlaku perpisahan yang dirancang untuk mereka berdua demi masa depan bersama. Muaz teringat titipan nasihat seorang kenalan bapanya bahawa ikatan persaudaraan tidak akan pernah putus ibarat bidalan Melayu ‘air yang dicincang tak akan putus’. Air akan sentiasa mengalir. Alirannya cepat atau perlahan, ia tetap mengalir. “Muaz ingat bidalan ini. Jangan benci sesama adik-beradik. Tak ke mana perginya.” Laporan polis sudah dibuat. Timbul satu lagi masalah. Mencari pelakunya pula. Sesi memujuk Afifah bermula. Sehalus mungkin Faridah menyusun kata-kata agar Afifah tidak trauma untuk berterus terang. 14


“Siapa budak lelaki tu, Fifah?” soal Bahari dengan sedikit nada lembut. Afifah tunduk. Serba salah dibuatnya. “Abah tanya sekali lagi, siapa yang buntingkan engkau?” Nada suara Bahari mula berbeza. Nafsu amarahnya sudah menguasai diri. Afifah tersentak. “Muaz abah, abang Muaz,” spontan jawab Afifah. Nampak ekspresi wajahnya dalam ketakutan. “Astaghfirullahalazim Fifah, betul ke Fifah, jangan main-main dengan mama!” Mengucap panjang Faridah mendengar pengakuan Afifah yang baru berusia 12 tahun itu. Muaz yang berada di dapur diam membatu. Tidak berani untuk bersuara. Hatinya tidak keruan. Ketakutan. ‘Apa yang harus aku lakukan. Fifah dah bocorkan rahsia aku. Mati aku mama dan abah kerjakan.’ ‘Fifah mengandung! Anak aku? Allahuakhbar, apa yang dah aku lakukan pada Fifah?’ Perasaan kesal mula bermain-main di fikiran Muaz. Muaz seperti orang hilang akal. Jeritan Bahari mengejutkan Muaz yang asyik memikirkan kesan perbuatannya. “Muaz mana? Mati dia aku kerjakan nanti. Adik sendiri pun dia nak makan!” Bahari naik angin sekembalinya mereka dari hospital tengah hari itu. Tidak disangka langsung, Muaz sanggup menodai adik kandung sendiri sehingga hamil.  “Di mana letaknya sifat dan nilai kasih sayang engkau Muaz, kamu berdua masih terlalu muda untuk lalui semua ini,” suara Bahari semakin meninggi. Dadanya seakan terbakar menyimpan amarah yang sukar dikekang dan akan meledak pada bila-bila masa sahaja. “Sabar abang, bawa mengucap. Kesianlah sikit pada Fifah, letih sangat nampaknya,” Faridah bersuara sambil cuba merendahkan api kemarahan Bahari. 15


Dilihatnya Afifah terbaring lesu di sofa keletihan selepas melalui hari yang panjang untuk jalani pemeriksaan kesihatan. “Nasi sudah menjadi bubur. Menyesal pun dah tak ada gunanya. Benda dah nak jadi. Cuma kena fikirlah jalan penyelesaiannya,” tutur Bahari menjeling ke arah Muaz yang muncul dari dapur. Muaz menundukkan kepalanya. Rasa bersalah yang amat sangat terhadap Afifah.  “Engkau ni Muaz, sanggup buat kerja terkutuk dengan adik sendiri. Kau sedar tak apa yang kau lakukan. Kau sedar tak kesan daripada perbuatan kau?” Bertubitubi soalan keluar daripada mulut Bahari. “Fifah benci abang. Anak dalam perut ni anak abang mama...anak abang.” Ngongoi Afifah semakin kuat. Afifah tidak mampu lagi untuk berdiam diri. Saban hari wajah Muaz bermain di matanya. Mengganggu tidurnya. Walaupun hanya sekali kejadian itu, benih sudah tertanam tanpa disedari. Dada Bahari berombak menahan marah. Faridah hanya memerhati sahaja gelagat Bahari yang nampak jelas kecewa dengan Muaz. Anak yang diharap melindungi adik-adik perempuannya. “Bang, kita mesti cari jalan selesaikan masalah ini sebelum orang kampung tahu. Mulut orang, kalau cerita buruk cepat nak dijajanya,” omel Faridah. Bahari cuma anggukkan kepala tanpa suara. Suasana kediaman Faridah yang bekerja sebagai pegawai kerani di syarikat swasta dan Bahari bertugas sebagai pengurus syarikat pendawaian kelihatan sunyi tidak seperti biasa. Bunyi riuh di pagi hari sudah tiada. Masing-masing hanya melayani hati dan perasaan sendiri dalam kamar masing-masing. Perasaan terbeban dengan masalah Muaz dan Afifah menghantui diri masing-masing. Kerana terdorong dengan nafsu jiwa muda yang suka melihat gambar dan video porno dan lucah, Muaz secara halus bagaikan sebatang jarum berjaya 16


memujuk Afifah untuk melakukan hubungan yang terlarang. Afifah yang masih belum mengerti apa-apa termakan rayuan Muaz langsung tidak menolak dan dengan rela hati melakukannya. Tiada ugutan dan tiada kekerasan sebaliknya Muaz bijak bermain dengan kata-kata manis sehingga Afifah termakan pujuk rayu Muaz. Satu kesilapan besar yang berlaku antara dua beradik kandung itu tanpa pengetahuan keluarga. Afifah galau. Periodnya tidak muncul selepas dua bulan. ‘Pregnant? Takkanlah. Aku muda lagi kot. Baru 12 tahun. Takkan cepat sangat lekatnya. Anak abang? Ya Allah, apa aku patut buat kalau betul-betul pregnant? Pergi sekolah dengan perut buncit.’  Afifah menjadi tidak tentu arah. ‘Baik pergi hospital beritahu doktor dah dua bulan tak datang period, takut ada masalah hormon. Ok, ok, nanti aku beritahu mama malam nanti. Harap-harap tak ada apa’. Malam itu, Afifah menghampiri Muaz yang asyik menonton televisyen untuk nyatakan sesuatu. Muaz merenung Afifah dengan pandangan tajam. ‘Nak apa lagilah budak ni’ getusnya. “Muaz, Fifah tak datang period ni. Dah dua bulan.” “Kau nak aku buat apa?” “Fifah takut pregnant.” “Apa kau merepek ni, takkan sekali masuk dah pregnant, mengarutlah!” “Esok Fifah cadang buat check-up period kat hospital. Nak periksa mana tahu time period tu tak betul.” Afifah cuba memujuk hati apabila dilihatnya Muaz tidak pedulikan masalah yang mengganggu fikirannya. 17


Perkhabaran Afifah hamil 10 minggu diterima bagai halilintar membelah bumi oleh Faridah selepas anaknya itu membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Pengkalan Chepa. “Anak puan hamil, 10 minggu. Siapa bapa bayi yang dikandung anak puan? Kes ini dikategorikan kes rogol kerana Afifah masih di bawah umur, walaupun ia berlaku atas kerelaan sendiri.” Terang Doktor Zurida. Faridah terkejut. Terkejut yang amat sangat sehingga dia hampir terjelepok di bilik doktor. Faridah tidak mampu berkata. Dia memandang ke arah Afifah yang juga terdiam selepas dimaklumkan keadaan dirinya. “Sabar puan, sekali lagi saya nasihatkan puan membuat laporan polis secepat mungkin bagi mengenal pasti siapa pelakunya,” ujar Dokfor Zurida menenangkan Faridah. Selepas keadaan pulih, Faridah terus hubungi Bahari dan berjanji bertemu di balai polis untuk membuat laporan. Afifah hanya menuruti sahaja kerana dia tidak nampak jalan untuk memberitahu kisah sebenarnya dan dalam masa sama takut dengan tindakan Muaz terhadapnya pula. ‘Apa yang harus aku lakukan sekarang? Berterus terang dengan mama dan abah yang Muaz lakukan. Macam mana aku? Aku yang setuju. Kalaulah aku menolak dulu, perkara ini tidak akan berlaku. Perbuatan suka sama suka tapi sebab aku bawah umur dah jadi kes rogol! Berhubungan seks antara adik-beradik pula digelar sumbang mahram. Itu yang dipelajari Afifah menerusi subjek Pendidikan Islam. ‘Aku dan Muaz kategori sumbang mahram? Ya Allah, apa yang kami lakukan?’ Sepanjang perjalanan menuju balai polis, Afifah asyik memegang perutnya. Semua menjadi serba tak kena pada dirinya. Pelbagai perkara buruk mula mendatangi fikirannya. Macam mana kalau cikgu, kawan sekolah, jiran tetangga, 18


saudara mara, pak cik jual ikan, mak cik kedai runcit tahu aku pregnant, habis satu taman perumahan ni kecoh, anak Faridah dan Bahari mengandung. Dahla tengah sekolah! Air mata Afifah mula bergenang. Esakannya semakin kuat. Faridah yang sedang memandu kenderaan sesekali menoleh ke arah Afifah. Perjalanan menuju balai polis di Pengkalan Chepa itu dirasakan terlalu jauh. “Sabar Fifah. Nanti kita selesaikan masalah ini. Apa-apa kita buat laporan polis dulu,” Faridah cuba memujuk. ‘Kalaulah mama tahu siapa yang buat Fifah pregnant, pasti mama terkejut sangat.’ Mujur Faridah tidak mendengar apa yang dikatakan Afifah. Di balai polis, Bahari membuat laporan sepertimana disarankan Doktor Zurida. Malu memang malu ketika memberi keterangan namun digagahi juga demi sebuah kebenaran. Afifah tidak mampu berfikir secara realistik selepas Dr. Zurida memaklumkan dia hamil. ‘Hamil dalam usia yang terlalu muda. Aku baru Darjah 6. Masih di sekolah rendah. Aku tak boleh nak fikir dah. Apa aku nak buat?’ Afifah termenung panjang menyesali perbuatan terkutuk itu bersama Muaz. Entah apa yang meracuni fikirannya sampai sanggup mengikut gelojak nafsu yang akhirnya memakan diri sendiri. “Mama, apa perlu Fifah buat sekarang? Fifah malu nak pergi sekolah. Nanti kawan-kawan nampak perut Fifah besar.” 19


“Afifah sabar ye nak. Mama dengan abah tengah berbincang ni…cari jalan terbaik untuk Fifah.” Akhirnya keputusan dicapai dan Faridah akan menghantar Afifah ke rumah rakannya yang sudah bersetuju untuk menjaga sehingga melahirkan. “Mama, hantarlah Fifah jauh dari sini. Fifah malu dan tak nak semua orang tahu keadaan Fifah. Mama fikirlah nak beri siapa anak Fifah nanti. Fifah tak kisah. Fifah tak nak anak ini, dia ingatkan Fifah pada Muaz,” ujar Afifah selepas diberitahu Afifah akan menetap di utara tanah air. “Sejahat-jahat abang, Muaz tetap abang Fifah, Fifah tak boleh nafikan hak itu.” Teguran Faridah semakin menyesakkan dada Afifah. “Dia buat tak baik pada Fifah. Fifah bodoh, ikut cakap Muaz. Kalau Fifah tahu begini buruk padahnya, Fifah dah beritahu mama perangai buruk Muaz.” Sakitnya hati Afifah diperbodohkan Muaz waktu itu. Faridah terpaksa bersemuka dengan guru besar sekolah Afifah memaklumkan Afifah terpaksa diberhentikan sekolah atas sebab yang tidak dapat dinyatakan. Puas guru besar bertanya dan alasan diberikan tetap sama. Akhirnya persetujuan tercapai, Afifah berpindah ke sebuah negeri di utara tanah air. Muaz diminta hadir ke balai polis untuk beri keterangan berkaitan kes rogol bawah umur. Muaz direman selama beberapa hari sementara menunggu hasil siasatan yang dijalankan. Bagi mengelak kes Muaz diketahui ramai, Bahari tidak mengambil masa lama membayar wang ikat jamin RM1,500 untuk membebaskan Muaz daripada terus direman. Begitu juga ketika menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Majistret, Bahari perlu menjelaskan wang ikat jamin sebanyak RM2,500 untuk mengelak daripada dipenjarakan. 20


Muaz akhirnya menerima hukuman di atas kesalahannya. Bagaimanapun, mahkamah memutuskan Muaz yang berusia 14 tahun ketika melakukan perbuatan itu dihantar ke Sekolah Tunas Bakti (STB) bagi menjalani proses pemulihan. Muaz membuka semula bingkisan kiriman Faridah untuk ditatapnya entah kali yang ke berapa. Muaz benar-benar rindukan keluarganya. Assalamualaikum Muaz, semoga Muaz baik-baik sahaja. Muaz rindu mama tak? Rindu abah, kakak dan adik? Kali ini mama ada kiriman istimewa untuk Muaz. Gambar anak Muaz. Muhammad Qayyum bin Abdullah. Usianya dalam tiga bulan macam tu. Comelkan dia, mata bulat macam Muaz. Kulit putih macam Afifah. Kawan mama kirimkan gambar ini sebagai kenangan. Nanti, kalau Muaz dah dibebaskan, Mama bawa jumpa Qayyum ye. Harinya akan sampai juga. Macam mana keadaan Muaz di sana? Pegawai dan kawan-kawan ok ke? Muaz jangan nakal-nakal tau. Jadilah penghuni yang bijak, berkawan dengan semua orang. Tidak pilih kasih. Muaz dah hafal al-Quran ke? Apa lagi aktiviti yang Muaz sertai? Makan minum semua ok? Mama harap Muaz dapat sesuaikan diri dengan kehidupan di sana. Oh ye, lupa mama nak beritahu, Afifah dah mula bersekolah di tingkatan satu. Dia pun dah balik rumah kita. Anak dia bersama keluarga angkat. Afifah belum ada keinginan nak tengok anak dia. Dia pun dah maafkan kesalahan Muaz terhadapnya tetapi belum bersedia nak jumpa Muaz lagi. Kena ambil masa untuk bertemu. Panjang coretan mama kali ini untuk Muaz. Mama rindu Muaz sangat. Tak ada hari yang mama boleh lupakan Muaz. Sayang Muaz. 21


Selang beberapa bulan di STB, Muaz belajar banyak perkara terutama pembersihan rohani dan jasmani. Setiap apa yang dijadualkan dilaksanakan tanpa bantahan. Ia membentuk jati diri dan disiplin yang tinggi. Menjalin hubungan dalam persahabatan juga sangat penting kerana ia membantu dalam menyelesaikan masalah secara bersama. Muaz tahu, dia perlu kuat berada di balik jaring besi itu. Ukhwah yang terjalin membuatkan dia sentiasa teringat kehidupan bersama keluarga. Tiada persengketaan, tiada pergaduhan dan tiada perasaan benci. 22


Dalam hidup kita lebih banyak mendapatkan apa yang tidak kita inginkan. Dan ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan, akhirnya kita tahu bahawa yang kita inginkan terkadang tidak dapat membuat hidup kita menjadi lebih bahagia. 23


ASBAB SETANDAN PISANG I ZWAN memerhati sekumpulan kanak-kanak bermain bola sepak di padang taman perumahan itu. Sang mentari masih asyik memancarkan sinarnya walaupun hari hampir menjelang Maghrib. Anak-anak kecil yang leka bermain tidak menghiraukan langsung waktu yang sedang berlalu pergi itu. Sambil membetulkan kedudukan punggungnya di tepi sebatang pokok, Izwan membelek telefon bimbitnya dan pada masa sama kedua ibu jarinya rancak scroll skrin ke atas dan ke bawah. Sesekali matanya menjeling ke arah padang yang masih ditakluki si pemain comel. Mata Izwan yang redup itu tajam merenung sekeping gambar di skrin telefon bimbit langsung mengingati insan istimewa dalam hidupnya. Insan yang tidak sempat mencurahkan kasih sayang dan rasa cintanya kepada Izwan. Insan yang banyak menderita menyusuri relung hidupnya. Insan yang banyak mengorbankan dirinya menjadi lilin menerangi hidup orang lain. “Mak, Wan rindu mak. Rindu sangat-sangat. Cepat sangat mak pergi. Wan tak sempat nak bermanja dengan mak. Sekalipun Wan tidak dapat rasai pelukan hangat mak.” Izwan mengongoi sendirian. Tidak banyak kenangan bersama ibunya yang amat dirinduinya itu. 24


Air matanya laju mengalir daripada tubir matanya yang agak sepet itu saat mengingati detik waktu bersama ibunya sebelum wanita itu meninggal dunia. Ibunya pergi dalam diam selepas bertahun menghidap kanser. “Abang, kenapa ‘nangis. Saya perhati abang dari tadi asyik kesat air mata.” “Tak adalah, abang tak menangis pun. Mata abang masuk habuk. Angin tiup kuat sangat.” “Abang jangan tipulah, saya tahu abang menangis bila tengok handphone ‘tu.” “Abang teringat arwah mak abang. Dia dah lama meninggal dunia. Abang dapat jaga dia seminggu sahaja sebelum dia pergi. Itu yang abang sedih sangat.” “Mak saya pun dah meninggal dunia ‘bang, eksiden.” “Allahuakhbar.” “Saya balik dulu abang, nanti kita jumpa lagi. Abang jangan sedih-sedih tau.” Izwan menyeka airmatanya. Walaupun hubungannya dengan arwah ibunya tidak rapat, dia tetap merasai kehilangan itu. Izwan bangun meninggalkan kawasan taman permainan itu lalu pulang ke rumah. ‘Tidak elok duduk di luar rumah waktu senja. Syaitan banyak.’ Izwan teringat pesan neneknya, Nek Midah. Usai menikmati makan malam bersama Nek Midah, Izwan berbaring di atas kerusi panjang yang sudah ‘tua dan uzur’ agak sebaya dengan usia neneknya. Rumah kampung yang didiaminya itu pun sudah agak uzur ditelan zaman. Disitulah Izwan membesar selepas dilahirkan. “Nek, kenapa mak beri Wan pada nenek. Kenapa mak tak jaga sendiri?” “Nenek yang nak jaga. Mak kamu ‘tu hidup susah. Makan pagi kais pagi, makan petang kais petang. Semuanya serba susah.” “Sebab susah nak makan, dia bagi Wan pada nenek?” 25


Hamidah terdiam. Menjeling dengan ekor mata ke arah Izwan. ‘Nenek pasti ada rahsia lagi yang dia tak cerita. Takkan semudah itu, mak serahkan aku padanya.’ “Wan, kenapa aku tengok kau asyik bersedih sahaja. Dah berapa bulan kau kat sini, tapi tak ceria langsung.” “Tak ada apalah, cuma aku belum dapat sesuaikan diri dengan cara hidup di sini. Asyik buat benda sama tiap hari, jemu.” “Kalau kau ada masalah, ceritalah pada aku. Jangan segan-segan.” Izwan hanya tersenyum dan menganggukkan kepalanya. ‘Nak cerita pada engkau, macamlah kau tak ada masalah. Engkau dan aku sama sahaja. Terkepung dalam penjara yang kita cari sendiri.’ Izwan tersenyum pahit apabila teringat kejadian yang menimpa dirinya sehingga dia terkurung di Sekolah Tunas Bakti (STB) untuk tempoh dua tahun. Bukan satu kes yang perlu dilaluinya. Dua kes berbeza. Mencuri dan menghisap dadah. Sampel air kencing Izwan menunjukkan dia positif dadah. Menjalani kehidupan bersama datuk dan neneknya di kampung, sedikit sebanyak Izwan terikut-ikut perangai dan cara budak kampung bersosial. Rokok dan pil khayal menjadi bahan paling mudah untuk mencari kawan. Tidak terkecuali Izwan yang terjebak dengan penagihan dadah seawal usia 10 tahun! Rahsia Izwan mengambil pil khayal terbongkar selepas dia ditahan kerana mencuri setandan pisang di kebun milik penduduk kampung. Izwan disabit kesalahan mencuri dan menghisap dadah! 26


“Sanggup kamu mencuri pisang milik Pak Kassim? Kamu dah tak ada duit sangat sampai buat kerja mencuri ni. Nenek tak ajar kamu mencuri!” “Wan teman Ziqri nek.” “Bersubahat namanya. Berpakat mencuri.” “Izwan menundukkan wajahnya sambil menggenggam tangan Nek Midah. Air matanya berjuraian sambil menangis teresak-esak. Bahunya terhingguthinggut menahan tangisan. Beberapa anggota polis yang berada di balai polis itu berpandangan sesama sendiri. Suasana kembali sepi. Hanya kedengaran esak tangis Izwan sahaja. Ada rasa simpati datang mengundang. Makcik boleh bawa cucu mak cik balik. Tunggu tarikh perbicaraan, makcik pergi ke mahkamah. Izwan, kamu jangan ke mana-mana sementara tunggu tarikh bicara.” “Baik tuan, terima kasih.” Nek Midah bangun dibantu Izwan melangkah keluar bangunan mahkamah pulang ke kampung mereka di Besut. Kasih sayang Hamidah terhadap Izwan bagai tiada galang gantinya. Kasihnya benar-benar tertumpah kepada Izwan walaupun ada cucu yang lain. Izwan dipelihara sejak tubuhnya masih merah lagi. Izwan membesar sebagai anak manja yang nakal. Segala kemahuannya dituruti Nek Midah. Perubahan ketara Izwan dapat dilihat selepas ibunya meninggal dunia. Daripada menghisap rokok dia mula berjinak dengan pil khayal waktu usianya 13 tahun. Keadaan semasa membuatkan Izwan mudah terpengaruh apatah lagi dia lebih suka berkawan dengan remaja yang lebih dewasa daripadanya. 27


Akhirnya Izwan terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Kawan baiknya, Rizqi bijak mengaburi mata Izwan dengan memujuknya mengambil pil khayal untuk mencari ketenangan. “Cubalah barang ni, sampai syurga kau boleh pergi. Kau pun tak perlu nak susah hati sangat.” “Apa ni, kau jangan beri aku benda bukan-bukan, aku tak berani ambil.” Bagaimanapun, Izwan tewas selepas termakan pujukan rayu Rizqi. Semakin hari Izwan semakin dihantui keinginan mengambil bahan terlarang itu. Nek Midah masih tidak melihat perubahan dialami Izwan. Cuma dia perasan Izwan kerap meminta wang belanja daripadanya. “Wan dah selalu sangat minta duit dengan nenek, nak beli apa? Makan pakai Wan semua nenek tanggung.” “Ala nek, adalah benda Wan nak beli, buat belanja makan dengan kawan, takpun beli barang dapur.” “Jangan boros sangat belanja. Kita bukan banyak sangat duit. Orang kaya pun boleh bankrap kalau hari-hari belanja mewah. Kita ‘ni harapkan duit dari kebun atok je.” “Terima kasih nek, sayang nenek.” Izwan berlalu selepas Nek Midah menghulurkan sekeping not RM50 kepadanya. Nek Midah memandang Izwan dengan pandangan sayu seperti ada sesuatu yang buruk akan menimpa cucunya. Dia tidak sanggup berpisah dengan cucunya itu. Izwan ibarat racun dan penawar bagi dirinya selepas suaminya, Haji Din meninggal dunia kerana sakit tua. “Nek! nek! Izwan dengan Ziqri kena tangkap curi pisang dalam kebun Pak Kassim.” Jeritan seorang pemuda mematikan lamunan Nek Midah di tengah rumah. Dalam pekat malam, Hamidah dibawa ke rumah Pak Kassim oleh pemuda 28


berkenaan. Jarak antara rumah Hamidah dan Pak Kassim tidak jauh, lebih kurang satu kilometer sahaja. Hamidah mula gelisah. ‘Tadi dia minta aku duit. Sekarang kena tangkap curi pisang. Apa nak jadi dengan cucu aku ni,’ getus Hamidah dalam degup jantung yang kencang. Perlahan dia hembuskan nafasnya. Rumah Pak Kassim terang benderang. Beberapa penduduk kampung kelihatan berbual sesama sendiri sambil mata masing-masing terarah kepada Izwan dan Rizqi yang tangannya berikat dan berdiri dalam kepungan. Sebaik tiba, Nek Midah terus menjerit memanggil Izwan. Izwan tidak mampu berbuat apa-apa. Matanya terarah kepada wajah tua Hamidah. “Apa kau dah buat ni Wan. Dah pandai mencuri. Nenek ‘tak pernah ajar kau lakukan kerja haram ni.” “Wan teman Ziqri je nek. Wan tak tahu pun dia nak curi pisang.” Pak Kassim cuba tenteramkan Nek Midah yang duduk terjelepok di tanah. Tiada daya untuk mengangkat muka memandang Pak Kassim. Malu sungguh Nek Midah dengan perbuatan Izwan. Pak Kassim memandang Izwan. Ziqri hanya diam membantu. “Betul kamu ada sekali dalam kebun aku?” “Saya ikut Ziqri, Pak Kassim. Saya tak curi pun. Saya tunggu dia atas motor kat tepi jalan masuk kebun tu.” “Kau nak kata yang Ziqri ambil pisang tu?” “Ya. Dia yang nak ambil pisang dan saya tunggu kat situ. Tapi, penjaga kebun nampak Ziqri tengah nak potong tandan pisang.” “Apa kau orang buat lepas tu?” soal Pak Kassim lagak polis menyoal. “Kami cuba nak lari tapi tak sempat. Dia dapat tahan kami lalu bawa ke sini.” 29


Walaupun takut-takut, Izwan tetap berterus-terang biarpun dia tahu Ziqri pasti memarahinya. Ziqri merenung ke arah Izwan. Semakin ramai penduduk berkampung di rumah Pak Kassim membuatkan Izwan dan Ziqri semakin takut. Mereka berdua diam membantu dalam kepungan berbentuk bulatan itu. Keadaan semakin tegang. Dalam diam Pak Kassim menghubungi pihak polis untuk menahan Izwan dan Ziqri. Biarlah polis yang membuat keputusan selanjutnya. “Izwan dan Ziqri, ikut kami ke balai sekarang,” kata seorang daripada empat anggota polis yang muncul kira-kira 20 minit selepas terima panggilan daripada Pak Kassim. Nek Midah menjerit mohon Izwan dilepaskan. Selepas dipujuk, baru Hamidah melepaskan tangan Izwan yang digenggam sejak mula sampai. Seorang dua wanita yang kebetulan berada di situ cuba menenangkan Nek Midah yang masih menangis sambil memerhati Izwan dibawa masuk ke kenderaan polis dengan tangan bergari. “Maafkan aku Kassim kalau betul cucu aku yang curi pisang di kebun engkau tu.” “Yelah Kak Midah, apa-apa kita tunggu hasil siasatan polis kalau betul Izwan turut sama mencuri dengan kawan dia,” balas Pak Kassim. “Aku harap semuanya tak betul. Cucu aku tak buat semua benda tu,” kata Nek Midah menyedapkan hatinya. “Kak Midah, kau jangan terlebih manjakan Izwan sangat. Aku tengok dia makin rapat dengan Ziqri anak Mat Dali. Budak tu nakal. Suka mencuri. Hisap dadah.” Teguran Pak Kassim membuatkan Nek Midah terkejut. “Budak-budak Kassim, dari kecil membesar bersama, takkanlah tiba-tiba aku nak pisahkan dia orang pula,” balas Nek Midah. “Saya cuma ingatkan Kak Midah. Terserahlah nak percaya atau tidak dengan 30


perangai si Ziqri tu. Saya risau kalau-kalau Izwan terpengaruh... Ziqri tu penagih, cuma tak ditangkap polis lagi.” Pesan Pak Kassim sebelum masuk ke rumah sebaik Izwan dan Ziqri hilang dari pandangan. Akhirnya rahsia Izwan menghisap dadah terbongkar juga apabila dia diminta melakukan ujian air kencing selepas dibawa ke balai polis malam itu. Nek Midah apa lagi, terkejut sampai pengsan apabila dihubungi pihak polis selepas keputusan ujian diperoleh. Dia langsung tidak menyangka cucunya yang baru berusia 15 tahun itu sudah terjebak dengan dadah. Lebih mengejutkannya, Izwan juga seorang tokan dadah di kampungnya! Enggan membiarkan cucu kesayangannya itu berlama-lama direman di balai polis, Nek Midah bersetuju membayar wang ikat jamin. Dia tidak sanggup membiarkan cucunya keseorangan di lokap. Dia sanggup korbankan simpanannya demi Izwan. Izwan memandang wajah neneknya yang sedang lena diulit mimpi. Sesusuk tubuh tua berusia 65 tahun dengan kedut di pipi dan tangan itu tidak pernah menyakitkan hatinya. Apa sahaja permintaan akan dipenuhi. Nakal Izwan tidak mengurangi curahan kasih sayangnya sementelah Izwan tidak pernah dilimpahi kasih seorang ibu apatah lagi kasih ayah. “Wan belum tidur lagi? Lewat malam dah ni,” soal Hamidah sebaik membuka kelopak mata dan terlihat Izwan disisinya. Ditatapnya wajah Izwan dengan penuh kasih sayang. Diusap manja pipi cucunya yang tidak menolak langsung sentuhan jemarinya. Belum nek, Wan tak boleh tidur. Tak mengantuk lagi. Digenggamnya kedua belah tapak tangan Hamidah lalu dilekapkan di kedua belah pipinya. ‘Lembutnya telapak tangan nenek selembut hati nenek.’ “Nek, terima kasih atas kasih sayang yang nenek curahkan pada Wan selama ini. Walaupun nenek tahu Wan nakal, nenek tetap sayang Wan.” 31


“Sudahlah Wan, nenek akan buat apa sahaja untuk Wan asalkan Wan tidak lakukan perkara yang bukan-bukan.” “Nek, Wan masuk bilik dulu ye, nak tidur, esokkan Wan kerja,” ujar Izwan sambil berlalu meninggalkan Nek Midah. Kisah setandan pisang yang hampir dibawa lari oleh Izwan dan Ziqri mula meniti di bibir penduduk kampung. Tempiasnya pasti terkena muka Nek Midah. Lama juga Nek Midah berkurung dalam rumah. Malu betul Nek Midah dengan perangai Izwan yang mula belajar mencuri. Sesuatu yang tidak enak mula menyinggah ke cuping telinga Nek Midah. Sakit juga hatinya mendengar ejekan dan tohmahan penduduk kampung. Ada penduduk kampungnya menganggap Izwan adalah Sazali versi moden di zaman kanak-kanaknya. “Perangai si Izwan tu tak ubah macam dalam cerita Anakku Sazali juga. Kalau Nek Midah masih nak menangkan cucunya macam bapaknya Sazali tu, aku rasa dia menyesal seumur hidup,” ujar Pak Kassim kepada isterinya, Zaiton sehari selepas Izwan dan Ziqri dimasukkan ke lokap. “Awak ni bang aji, kalau bercakap macam orang tak sayang mulut,” sindir Zaiton. Hati Nek Midah berbelah bahagi antara percaya atau tidak dengan kata-kata Pak Kassim. Namun selepas sedikit demi sedikit Izwan mula menunjukkan perubahan pada dirinya, Nek Midah berusaha memujuk cucunya hentikan perbuatannya 32


namun perkara sebaliknya pula yang berlaku. Nek Midah tersepit antara kasih sayang seorang cucu dan undang-undang. Izwan pula bijak memujuk Nek Midah untuk tidak meneruskan hasratnya membuat laporan polis terhadap Izwan. “Kalau nenek buat report polis, Wan lari. Wan tak nak jumpa nenek dah!” “Jangan macam ‘ni Wan. Nenek sayang Wan. Nenek tak mahu Wan rosak angkara dadah. Menyerahlah Wan.” “Tak nak nek, Wan tak nak masuk penjara. Wan kecil lagi.” “Sebab Wan kecillah nenek nak Wan berubah. Bahaya hisap dadah. Nanti kamu ketagih teruk,” pujuk Nek Midah lagi. Kasih sayang Nek Midah akhirnya memakan diri sendiri. Izwan semakin galak menghisap dan menjual dadah. Wang yang diperoleh hasil jualan dadah turut dibelanjakan membeli barang keperluan Nek Midah termasuk membeli barangan dapur. Andai terbongkar, pasti Nek Midah terkejut yang teramat sangat. Masakan tidak, wang haram digunakan untuk membeli barang yang dijadikan makanan. Saat hakim membacakan keputusan jatuh hukum itu, riak muka Nek Midah benar-benar berubah. Sedih. Akhirnya kebenaran jelas terbukti. Nek Midah terpaksa terima keputusan mahkamah. Izwan terdiam. Matanya merah. Air mata mengalir dipipinya. “Nek, Wan rela duduk dalam ni. Kalau Wan masih di luar, mungkin keadaan Wan akan jadi lebih teruk lagi. Nenek doakan Wan kuat untuk belajar hidup bersama penghuni lain.” 33


Tutur kata Izwan meruntun hati Nek Midah. Selama 15 tahun dia menjaga Izwan dan tidak pernah berpisah kecuali ketika cucunya itu menemani arwah ibunya yang sedang tenat. Kata orang, perpisahan amat menyakitkan. Namun, bagi Izwan perpisahan itu akan membentuk dirinya menjadi lebih berdisiplin dan lebih bertanggungjawab. Izwan yakin tiada apa yang akan mengubah dirinya melainkan dia sendiri yang berbuat demikian. ‘Tidak susah untuk memulakannya melainkan aku malas dan aku tidak boleh malas.’ kata hati kecilnya. Sambil menikmati suasana pagi usai bersarapan, Izwan teringat Nek Midah di kampung. Masih terngiang-ngiang di telinganya titip pesan Nek Midah sebelum dia dibawa pergi selepas selesai penghakiman terhadapanya. “Duduk sana jangan nakal-nakal. Jangan cari gaduh dengan kawan-kawan. Dengar cakap pegawai.” “Insha Allah nek. Wan janji akan ikut apa sahaja kehendak nenek. Wan janji akan jadi budak baik di sini. Wan takkan lupakan nasihat nenek.” Nek Midah menyeka air matanya dengan sehelai sapu tangan pemberian Izwan sempena hari jadinya yang ke-65. Pastinya sapu tangan itu menjadi pengubat rindunya terhadap Izwan untuk tempoh dua tahun. Sewaktu roll call tiap pagi, titipan pesanan yang memberi seribu pengertian kepada pelatih STB dianggap sebagai terapi jiwa mereka. Izwan suka mendengar pesanan daripada pegawai bertugas kerana baginya itu adalah peluang terbaik untuknya mendapatkan ilmu baru sebagai bekalan hari muka. ““Kamu semua patut bersyukur kerana ditempatkan di sini. Sebagai pesalah bawah umur, hukuman yang dikenakan terhadap kamu berbeza jika dibandingkan dengan hukuman untuk mereka yang usianya lebih tua daripada kamu.” 34


“Di sini, kamu adalah anak-anak kami. Kami didik dan jaga kamu seperti bayi yang baru dilahirkan. Kami ajar kamu pelbagai perkara asas dalam semua sudut kehidupan.” “Kamu semua harus ingat bahawa STB kini adalah rumah pertama kamu, tugas dan tanggungjawab kamu banyak di sini. Tugas diberi mengikut kesesuaian dan minat kamu, bukan?” “Betul!” Serentak itu juga laungan ‘Amin’ memecah dingin pagi. Setiap pagi suasana di sekolah itu cukup ceria. Izwan merasakan dirinya bertuah menjadi penghuni STB. Banyak perkara baru dipelajarinya. 35


Berakhirnya Suatu Penantian Suatu ketika dahulu kuingin kau hadir kuingin kau kembali kembali dalam hidupku yang dahulunya kesepian yang dahulunya kesedihan yang dahulunya kekecewaan. Aku terus menanti dan terus menanti namun kabus terus menyelubungi hidupku aku hilang kewarasan aku hilang arah tuju. Kini hidupku telah kembali ceria kembali bahagia kerana tiada yang lebih bererti dalam hidup ini hanyalah bersyukur dan reda dengan ketentuan Ilahi. Noraini Ismail,Tangkak,Johor (Dipetik daripada Buku Terbang Kenyalang Ke Halaman Serikandi, karya Noraini Ismail) 36


BERDAMAI DENGAN TAKDIR KAMAL merenung jam di dinding. Hatinya resah dan jiwanya tidak tenang. Pelbagai persoalan bermain di benak fikirannya. Suasana malam yang kian pekat di atas bukit itu mengembalikan ingatannya pada peristiwa hitam yang telah memutar hidupnya 360 darjah. Dalam sekelip mata sahaja, jalur kehidupannya berubah. Tiada ehsan, tiada belas dan tiada simpati. Namun Kamal reda dan berdamai dengan takdir yang telah tertulis untuknya. Perjalanannya masih panjang dan Kamal tidak akan mensia-siakan peluang yang menanti dirinya di saat dia menelusuri terowong baru kehidupannya. Kamal dan kakaknya Dahlia berjalan beriringan menuju ke mesin ATM di sebuah bank. Jam menunjukkan pukul 9 malam. Deretan kedai masih disinari neon yang bergemerlapan, sekali gus menghilangkan kegusaran adik beradik itu mengharungi malam yang semakin dingin. Sewaktu Dahlia mengeluarkan wang, Kamal terima satu mesej di aplikasi WhatsApp yang tertera ayat pendek hanya empat patah perkataan, ‘Engkau simpan nombor ini, jangan delete.’ Namun bisa aksara itu telah merubah hidup Kamal sama seperti percikan tsunami menghempas pantai yang tenang. Sepotong ayat yang menyebabkan Kamal terkurung dalam pagar besi tanpa rela. 37


Click to View FlipBook Version