“Kita nak buat apa kak? Pelik sangat tiba-tiba hantar mesej macam ni. Kamal tak kenal pun dia,” ujar Kamal sambil menunjukkan pesanan itu kepada Dahlia. Masing-masing hanya mengangkat bahu, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Untuk menghilangkan gundahnya, Kamal ikut arahan pengirim dan simpan nombor itu seperti biasa. “Engkau simpan nombor tu, nanti adalah dia wasap apa-apa kalau ada perkara penting.” “Okaylah kak, jom balik, selesai sudah urusan kita. Esok result PT3 keluar. Berdebar pula rasa.” “Kau dah usaha, Insha Allah. Serahkan pada Allah sahaja semuanya.” Kamal dan Dahlia berjalan pulang seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku, namun dalam hati dan fikiran mereka pasti tertanya-tanya siapa pemilik nombor misteri itu. Malam semakin gelap. Tidak berbintang. Ruang angkasa gelap pekat dan sang purnama silu-silu memaparkan wajahnya. Lorong-lorong bangunan semakin suram apabila lampu jalan banyak yang tidak berfungsi, Begitulah biasa terjadi di kawasan kampung. Untuk membaiki sebarang kerosakan kemudahan awam akan mengambil masa yang lama. Mujurlah Kamal dan Dahlia membawa lampu picit, bolehlah suluh di tempat kelam. Di satu sudut lantai bumi yang dingin, Azri sedang mengatur langkah sumbangnya untuk ‘kenakan’ Kamal. Hatinya sakit dan cemburunya terhadap Kamal semakin menjadi-jadi hanya kerana Kamal menjadi pilihan jurulatih sebuah kelab bola sepak remaja bawah 17 tahun peringkat daerah dan bukan dia. Jurulatih pasukan memilih Kamal yang lebih profesional ketika beraksi berbanding Azri yang suka bermain kasar sewaktu menggelecek lawan. Pemain kelab juga mahu Kamal dalam pasukan. Mereka lebih senang bekerjasama dengan Kamal yang lebih terbuka dan sedia mendengar pendapat pemain lain dalam mengatur strategi menentang lawan. 38
Dendam terhadap Kamal bermula. Pelbagai cara digunakan namun tidak memberi kesan kepada reputasi Kamal. Bintang Kamal semakin menyerlah dan mengundang cemburu yang bukan sedikit di hati Azri. Azri mula mengatur rancangan ‘membunuh’ karier Kamal secara halus. “Kamal, kau tengok ni, muka engkaukan. Apa kerja gila kau dah buat?” soal Nazri. Kamal segera menarik handphone Nazri untuk melihat apa yang dimaksudkan. Mengucap panjang Kamal dibuatnya. Wajah profile picturenya bertindih dengan gambar wanita tanpa pakaian! Aksi terkejut Kamal menarik perhatian beberapa kawannya yang lain lalu menghampirinya untuk melihat apa yang ada dipaparkan di handphone berkenaan. “Teknik super imposed!, pandai betul budak ni buat, macam real,” kata Nazri. Penghantaran pelekat lucah itu berlaku dalam tempoh tiga minggu tanpa pengetahuan Kamal. Dalam tempoh itu juga, Kamal tidak terima sebarang pesanan atau panggilan daripada individu misteri yang pernah hubunginya. ‘Adakah ini orang yang sama? Apa yang dia nak daripada aku?’ “Kau tahu siapa punya kerja?” tanya Kamal kepada Nazri. Nazri merenung skrin telefon sambil menggelengkan kepala. Beberapa rakan yang lain juga membelek telefon masing-masing untuk membuat kepastian untuk memastikan mereka tidak terima pelekat berkenaan. “Aku rasa aku cam nombor ni...ya...ya...aku ingat dah. Dia ada suruh aku simpan nombor ni tapi aku tak buat.” Nazri berkata dengan penuh yakin. “Biar betul, budak mana ‘tu, nahas dia aku kerjakan!” Marah Kamal semakin memuncak. 39
“Tapi, kita kena selidik dulu, betul atau tidak owner nombor ‘ni yang buat kerja, kalau salah orang naya kau, Kamal,” Nazri cuba menenangkan Kamal. Untuk seketika Kamal diam. Nazri dan rakan yang berkumpul di tepi pintu tadika adik Kamal berlalu pergi untuk mengambil keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di sekolah mereka. Calon-calon telah dimaklumkan melalui kenyataan media Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), mereka boleh mengambil keputusan selepas jam 11 pagi. Sebelum bergegas pergi, Nazri sempat beritahu Kamal nama pemilik nombor misteri itu. Ternyata Kamal tidak mengenalinya. “Engkau Nazri, aku tak kenal, macam mana nak cari!” jerit Kamal. ‘Nanti kita cari sama-sama. Dia satu sekolah dengan aku! Jerit Nazri yang sudah agak jauh dari Kamal. Deruan enjin motosikal Kamal menenggelamkan suara Nazri. Hati Kamal membahang sama seperti mentari yang mula memancarkan cahaya di seluruh alam. ‘Siapa punya kerja ni.’ Matanya melilau mencari adiknya, Maisarah yang belum kelihatan di celahan murid yang keluar dari kelas tadika. ‘Kalau aku dapat budak ni, tahulah aku nak ajar macam mana,’ bisik-bisik syaitan mula kedengaran di telinga Kamal. Sebaik melihat Maisarah menuju ke arahnya, sepantas itu juga Kamal menghidupkan enjin motorsikalnya. “Adik, jom pergi sekolah kawan abang dulu, baru kita balik, sekejap saja.” Maisarah sekadar mengangguk menuruti kehendak abangnya. Kamal hampir terlupa untuk mengambil keputusan PT3nya kerana mahu terus ke sekolah Azri. “Abang, ambillah result PT3 dulu, nanti mak tanya,” pesan Maisarah tidak diendahkannya. Motorsikal ditunggang Kamal meluncur laju memasuki perkarangan sekolah Azri. Maisarah yang baru berusia enam tahun itu memeluk erat pinggang Kamal bimbang terjatuh. 40
Sesi persekolahan berjalan seperti biasa manakala calon PT3 sibuk mengambil keputusan peperiksaan masing-masing. Azri yang baru mengambil keputusannya tidak menyedari kehadiran Kamal kerana berbeza sekolah. Kamal terpaksa meminta bantuan pelajar yang mengenali Azri. “Aku nak jumpa Azri, ada hal sikit dengan dia.” Beritahu Kamal kepada beberapa pelajar yang berada di luar pintu Dewan Multaqa. Namun, belum sempat pelajar melangkah pergi, Azri sudahpun muncul. “Kau nak jumpa aku? Kenapa?” Soal Azri yang muncul dari belakang Kamal. Maisarah mula takut dan menyorokkan dirinya di belakang Kamal. Matanya terkebilkebil melihat abangnya bertengkar dengan Azri. Rakan masing-masing cuba meleraikan bibit-bibit pergaduhan. Sebolehnya tidak mahu sampai ke pengetahuan guru. Muka Kamal berubah. Penuh amarah. Tiap soalan yang diutarakan tiada satupun berjawab. Azri enggan mengaku itu perbuatannya. Kamal hilang pertimbangan lalu membelasah Azri sepuas hatinya dan pulang ke rumah. Diheretnya Maisarah yang mula menangis ketakutan melihat abangnya memukul Azri tanpa belas. Kamal puas hati kerana berjaya membalas dendam terhadap perbuatan khianat Azri itu. Namun, Kamal tidak bernasib baik kerana kejadian itu telah dirakam dan diviral di media sosial Facebook dan Instagram beberapa hari selepas insiden itu. “Kamal, apa yang engkau dah buat. Masuk sekolah, lepas tu senang-senang pukul anak orang. Cari gaduh!” soal Hamdan pada Kamal yang baru terima rakaman video itu yang dikirim Nazri selepas kesnya diviralkan. “Dia yang mulakan dulu. Sebar sticker lucah yang ada gambar Kamal. Malulah Kamal. Bila tanya tak nak mengaku. Memang nahaslah.” jawab Kamal. 41
“Kau yakin dia yang buat? Dah selidik?” soal Hamdan lagi. “Yakin bah, kawan Kamal sendiri yang beritahu siapa budak tu.” “Apa tujuan dia buat macam tu? Kau ada gambar sticker tu?” “Kamal tidak tahu apa tujuan dia, sticker tu pun Kamal tak ada,” ujar Kamal sambil melabuhkan punggungnya di sofa. Hamdan diam. Memikirkan apa yang perlu dilakukan. Hendak juga ditanya apakah Azri berdendam dengan Kamal sehingga sanggup buat macam tu kepada anaknya, walhal mereka tidak kenal antara satu sama lain. “Kamal, kau dah buat silap besar.” Hamdan tiba-tiba bersuara membuatkan Kamal tersentak. “Maksud abah? Apa yang Kamal silap?” “Sepatutnya engkau buat laporan polis pasal sticker lucah tu, bukan terus ‘rembat’ si Azri.” Kamal terkejut apabila Hamdan berkata begitu. “Kalau Azri yang buat report macam mana abah, terang-terang Kamal yang salah.” Kamal mula tidak senang duduk. Dia galau. Tindakan membabi butanya mungkin mengundang sesuatu yang luar biasa daripada pihak Azri. “Apa kita nak buat ni, bah?” “Kau duduk di rumah je, jangan keluar,” pesan Hamdan. Kamal sekadar mengangguk. Kehadiran sebuah kereta polis di perkarangan rumah Kamal petang itu mencetus tanda Tanya di kalangan jiran tetangga. Masing-masing cuba menjadi private investigator kepada kes Kamal. Memanjangkan kepala untuk melihat situasi di rumah Kamal. Ada yang berpandangan sesama sendiri mencari punca kehadiran anggota polis di rumah seorang buruh kasar. Ada yang mencebikkan bibir dan ada yang menggelengkan kepala. 42
“Assalamualaikum tuan.” Kedengaran satu suara memecah sunyi senja. “Waalaikumsalam wbt,” jawab Hamdan sambil bangun mengintai melalui jeriji tingkap ruang tamu rumahnya. ‘Agak dah.’ Hamdan membuka pintu dan melihat dua anggota polis berdiri betul-betul di depannya. Gayanya seperti mahu menerkam mangsa di hadapan. “Ada penghuni bernama Muhammad Kamal bin Hamdan?” soal anggota polis itu kepada Hamdan. “Ya, ada dan saya bapa Kamal. Ada apa tuan nak jumpa anak saya?” “Dia dikehendaki hadir ke balai polis untuk beri keterangan berkait kes gaduh di sekolah.” “Gaduh? Dengan siapa?” soal Hamdan dengan nada serius. Kamal keluar dari biliknya dengan tenang. Hamdan hanya melihat sahaja Kamal melangkah pergi diiringi dua anggota polis berkenaan. “Kenapa dengan Kamal? Tengok polis bawa dia.” Hamdan menoleh ke belakang untuk melihat tuan punya suara. “Abang Man, ingat siapa tadi. Kamal kena ke balai beri keterangan fasal kes gaduh. Saya nak ke sana juga ni.” “Bergaduh? Abang Man ada juga dengar cerita. Kecoh jugalah dalam group WhatsApp taman. Si Kamal rupanya, tapi belum dipastikan sahih atau tidak Kamal bergaduh kan?” “Saya masuk dululah, nak solat sebelum ke balai,” ujar Hamdan tergesa-gesa meninggalkan Abang Man. Tidak disangka begitu cepat berita terbesar mengundang rasa malu yang bukan sedikit buat Hamdan sekeluarga. Kamal anak kelima daripada enam beradik tidak mempunyai masalah dengan penduduk kampung malah dia disenangi rakan sebaya. Kamal juga seorang pelajar yang aktif bersukan dan dia adalah salah seorang pemain bola sepak yang mewakili sekolah dan peringkat daerah di Kelantan. 43
Kamal seorang anak yang terdidik dengan disiplin dan patuh pada mereka yang lebih dewasa daripadanya. Sebagai remaja yang aktif bersukan, Kamal tidak merokok, melepak dan tidak merempit. Perjalanan hidup Kamal tidak pernah tersasar sehingga dia terbabit dalam kes pergaduhan itu. Kawannya tidak ramai dan dia rapat dengan Ramli. Ibu Kamal pula, Zaharah sudah meninggal dunia kerana kanser payudara sewaktu Kamal berusia 15 tahun. Walaupun kehilangan kasih sayang seorang ibu, Kamal masih ada ayah yang sangat menyayanginya. Selepas selesai beri keterangan, Kamal direman selama lima hari empat malam. Bilik yang agak sempit dan suram menyesakkan Kamal dan beberapa tahanan lain. Situasi itu amat sukar untuk Kamal lalui. Kamal terfikir untuk melarikan diri. Siang dan malam yang menyakitkan fizikal dan mental Kamal tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kecuali berdoa. Kamal didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (kes gaduh). Kamal faham mengenai sabitan kes berkenaan dan sedia menerima apa juga keputusan hakim. “Abah, Kamal dah bersedia berdepan apa sahaja keputusan mahkamah kerana Kamal yang mulakan pergaduhan itu walaupun Azri yang menjadi punca semua ini terjadi.” “Abah yakin Kamal dapat melalui semuanya dengan hati terbuka. Ada hikmah di sebalik semua yang terjadi ini, yakinlah cakap abah,” kata Hamdan yang menemani Kamal pada hari perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Sesyen di Pasir Mas, Kelantan pada 20 Mei 2020. Kamal sekali lagi menghadiri perbicaraan pada 11 Jun 2020. Atas perintah mahkamah dan di bawah peruntukan Akta Kanak-kanak 2001, Kamal ditempatkan di 44
Sekolah Tunas Bakti (STB) selama tiga tahun mulai 11 Jun 2020 hingga 11 Jun 2023. Aku hanya mampu mendengar dan berkongsi rasa apa yang Kamal luahkan. Sepatutnya aku bertemu anak saudaraku yang turut ditempatkan di sini kerana terbabit dalam kes pecah kedai. Namun, Allah telah menghantar seorang remaja lain yang cuba melepaskan ‘duri’ yang mencengkam dirinya. Kamal mencari seseorang untuk melepaskan beban yang sarat bersarang dihatinya. “Awak ada jumpa dia selepas bebas ikat jamin sementara tunggu hari perbicaraan?” soalku ingin mengetahui lebih lanjut. “Lepas kejadian itu, saya tak jumpa dia kerana saya rasa tidak perlu pun berbuat demikian.” “Awak tak simpan dendam?” “Tak. Untuk apa saya nak menyimpan dendam,” Kamal tahu, dendam akan lebih membawa keburukan. Kalau adapun dendam itu, Azri sudahpun terima balasan daripadanya. “Dia bukan kawan saya dan saya rasa tidak perlu untuk minta maaf kerana dia yang menjadi punca saya masuk sini. Saya hilang tiga tahun daripada waktu yang ada. Banyak benda saya boleh lakukan kalau saya di luar,” Simpati aku padanya semakin menebal. Hanya kerana sekeping stiker lucah yang bukan miliknya, Kamal terima hukuman kerana kesilapannya sendiri. Kerana kegopohannya bertindak melulu! Kamal memandang aku jauh menembusi anak mata sehingga serba salah aku dibuatnya. “Apabila masuk sini, saya rasa kehilangan. Rindu keluarga dan kawan-kawan. Silap saya ialah melulu ambil tindakan tanpa fikirkan kesannya. Apabila sudah jadi begini, pelajaran saya turut terganggu. Kejadian itu berlaku ketika saya berusia 16 tahun,” ceritanya lagi. 45
“Tidak lama lagi awak akan dibebaskan. Tak sampai setahun pun waktu itu bakal muncul,” sambungku sekadar memujuk. “Betul pak cik, tiga tahun ‘tu sekejap je. Pejam celik pejam celik, habis tempoh kena kurung, dah boleh bebas macam burung terlepas dari sangkar,” ujar Kamal cuba berseloroh menghiburkan hati. “Kanvas kehidupan kita tidak sama. Setiap orang diuji dengan ujian yang berbeza-beza.” Cubaan aku untuk memujuk diri juga sebenarnya. “Saya anggap semua yang berlaku ini ujian untuk saya. Takdir yang sudah tertulis untuk saya. Saya terima dengan hati terbuka.” Kata-kata Kamal yang bersahaja itu memberi kesan yang cukup mendalam buat diriku. Bijak betul Kamal menyulam kata. Gerimis yang hadir petang itu cukup menyamankan. Kamal mula berdamai dengan takdirnya. Menjalani hidup baru di bumi asing dengan penuh tabah tanpa keluarga tersayang. Hanya ditemani rakan senasib yang silih berganti. Baginya, setiap ujian yang Allah hadirkan pasti muncul sang pelangi mewarnai alam penuh keriangan. Aku kagum dengan pendirian Kamal. Walaupun terpaksa berdepan hukuman yang membawa perpisahan dengan keluarga, Kamal ikhlas menerimanya. “Pak cik, terima kasih sudi mendengar cerita saya. Saya tak tahu kenapa saya nak share dengan pak cik kisah hidup saya,” kata Kamal sambil menyeka air matanya yang sudah lama bertakung di kelopak mata. 46
“Sekurang-kurangnya awak dapat luahkan apa yang terbuku di hati awak selama berada di sini,” ungkapku sambil memeluk bahunya. Langit yang tadinya mendung dengan awan kelabu yang terlalu jelas tompokannya bertukar cerah dan dadanya kembali membiru. Sama seperti hati Kamal yang sedang berbunga menunggu hari dibebaskan untuk kembali ke pangkuan keluarganya. 47
Jangan melibatkan hatimu dalam kesedihan atas masa lalu atau kamu tidak akan siap untuk apa yang akan datang - Ali bin Abi Thalib
DALAM GELAP ADA TERANG HAZIQ merenung jam berwarna putih yang tergantung di dinding biliknya. Dalam masa yang sama tangannya diletakkan di atas dahi seperti memikirkan sesuatu yang sangat berat. Sesekali jari kakinya dikuis-kuis antara satu sama lain mungkin kerana gigitan nyamuk. ‘Di mana aku nak cekau duit beli barang ni, badan dah seram sejuk.’ ‘Semalam dah ambil, kenapa hari ni aku rasa nak ambil lagi, pil jenis apa Kamal beri pada aku.’ Badannya dipusingkan ke kiri dan kanan. Serba tidak kena. Apakah disebabkan bahan terlarang itu diambil secara berlebihan siang tadi. Haziq terasa nak muntah. Tekaknya loya. Dadanya mula sakit. Haziq membayangkan semua bahan-bahan yang sudah masuk ke perutnya dimuntahkan semula. Lama Haziq menahan kesakitan. Hampir sejam kemudian Haziq berasa lebih tenang dan baru boleh lelapkan mata. Suasana sekeliling taman perumahan yang sunyi sepi itu dipecahkan dengan deruman sebuah kenderaan tertera logo Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memasuki perkarangan rumah Haziq yang kebetulan pagarnya tidak bertutup. Enjin kenderaan dimatikan. Dua anggota polis yang segak berpakaian seragam melangkah perlahan ke depan pintu rumah Haziq. Salam diberi beberapa 49
kali namun tidak bersambut. Sudah pasti isi rumah sedang lena diulit mimpi. “Betul ke ini rumah suspek?” “Betullah kalau dilihat pada kertas ini. Tidurlah tu, tengoklah jam, kita datang pukul berapa. Sekarang pukul 3 pagi. Memang orang tengah syok tidur. Kita je yang tak reti nak tidur. Kerjanya menangkap orang pula. Macam tak ada esok siang!” “Jangan merungut, tak ikhlas kerja tu nanti.” “Beri salam sekali lagi.” “Assalamualaikum wbt.” jerit anggota polis berkenaan sambil mengetuk pintu. Bunyi ketukan itu mengejutkan Haziq yang baru hendak lena tetapi dia tidak segera ke arah pintu. Takut. Haziq menuju ke bilik ibu bapanya dengan langkah perlahan-lahan bimbang didengar si pemanggil yang berada di luar. “Umi, abi,” suara Haziq yang agak perlahan itu tidak didengari kedua-duanya. Mahu atau tidak Haziq menolak pintu bilik ibunya lalu rapatkan diri ke bucu katil. “Umi, abi bangunlah. Ada orang ketuk pintu depan. Haziq takut,” Haziq bertenggek di bucu katil menunggu mereka bersiap untuk keluar. Osman keluar menuju ke pintu lalu membuka sedikit sahaja untuk melihat tetamu tidak diundang itu. Usai memberi salam, kedua-duanya menyatakan tujuan ke rumah Osman. “Encik, kami nak bawa Muhammad Haziq ke balai untuk memberi keterangan lanjut berkaitan kes dadah,” Osman terdiam kaku. ‘Bila pula anak aku hisap dadah.’ “Sila beri kerjasama encik. Kami nak bawa anak encik sekarang. Encik boleh ikut kami ke balai tapi...guna kenderaan encik ya. Kami pergi sekarang. Terima kasih.” Tangan Haziq digari di depan Osman. 50
“Encik, ‘tak akan sampai tangannya digari. Tolonglah buka gari itu encik.” “Tak boleh encik, ini peraturan. Mereka perlu digari. Sedih sungguh Osman melihat anaknya itu. Mariam meluru keluar dari bilik apabila mendengar bunyi bising di luar. “Kenapa gari tangan anak saya encik. Apa salah dia,” Mariam terkejut. Air matanya tidak mampu ditahan lagi. Turun bagai air sungai yang mengalir laju. “Anak puan diminta hadir ke balai polis untuk beri keterangan berkaitan kes dadah seperti mana kami terima laporan, puan,” kata anggota polis itu dengan lembut. “Saya sudah maklumkan pada suami puan, yang puan berdua boleh ke balai untuk dapatkan keterangan lanjut,” sampuk seorang lagi anggota polis. Haziq dipegang dan dibawa masuk ke kenderaan polis lalu dibawa pergi dalam suasana dingin pagi itu. Osman dan Mariam hanya mampu memandang kosong sahaja. Tidak menyangka langsung anak mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah. “Kalau awak nak ikut siaplah. Takkan nak tunggu pagi esok.” “Abang pergi dululah, siapa nak jaga Haziqah dengan Hafizi pula kalau saya ikut.” “Oklah kalau macam tu. Ada apa-apa nanti, abang telefon.” ujar Osman. Mariam terus menutup pintu dan menguncinya semula sebaik sahaja Osman menghidupkan enjin kereta. Mariam tidak dapat melelapkan mata kerana hari sudah hampir Subuh. Haziq anak sulung tiga beradik terdidik dalam keluarga bahagia yang menetap di sebuah taman perumahan di bandar Kuantan. Kenakalan Haziq sedikit sebanyak menggusarkan hati Osman dan Mariam. Walaupun bekerja sebagai pemandu lori, Osman belum pernah menolak setiap permintaan anak-anaknya. Sedaya upaya dia cuba memenuhi kehendak anak-anak. Namun, kebahagiaan yang dikecapi belum tentu menggembirakan hati anak-anaknya termasuk Haziq yang dilihat agak berbeza penampilannya berbanding dua adiknya. 51
“Awak ada ambil dadah?” soal pegawai penyiasat. “Ada.” Haziq membalas dengan nada perlahan. Sekali lagi pegawai penyiasat itu bertanya, Haziq tegas sekali dengan jawapannya ‘ada.’ Sebaik terima jawapan, Haziq diarahkan menukar pakaian untuk ditahan. Sementara menunggu keputusan ujian air kencing, Haziq duduk di bangku menanti kehadiran ibubapanya. Haziq teringat perbualannya dengan Sazwan beberapa hari lalu. Petang itu, mereka duduk di taman permainan seperti biasa. Berbual sambil memerhati sekumpulan kanak-kanak bermain bolasepak. “Ziq, aku ada barang baru. Kau nak cuba? Aku bagi free je ni.” “Pil ke serbuk atau cucuk?” “Pil. lagi kuat banding Eramin 5.” “Kau jangan telan semua sekali. Teruk nanti. Simpan sikit. Edisi terhad. Barang baru mesti best.” “Mana kau dapat barang ni?” Haziq cuba mencungkil rahsia tapi Sazwan enggan nyatakan. Pil itu disimpan kemas dalam poket seluar sukannya. ‘Balik nanti baru telan.’ bisik hatinya. Haziq dan Sazwan dua sahabat karib yang jarang berenggang sejak keluarga Haziq yang baru berpindah dari Kelantan menetap di taman perumahan berkenaan. Mereka rapat sejak Haziq berusia 10 tahun lagi. Kebanyakan kawan Haziq lebih berusia daripadanya tetapi itu tidak menjadi masalah kerana Haziq pandai membawa diri. Haziq seorang yang peramah dan mudah mesra dengan mereka yang baru dikenalinya termasuk Sazwan yang berusia lebih dua tahun daripadanya. 52
Haziq mudah termakan pujukan Sazwan yang tidak bersekolah. Sazwan anak yatim yang kematian bapa ketika berusia 10 tahun. Sazwan bekerja di kedai runcit di sekitar taman itu. Sazwan juga dikenali sebagai ‘budak dadah’ kalangan penduduk kampung. Walaupun begitu, belum pernah sekalipun, dia mencuri atau ditangkap polis. Sazwan bekerja untuk membantu ibunya dan baki gajinya digunakan untuk membeli ‘makanan’ yang akan membuat dirinya segar sepanjang masa dan mampu bekerja dengan baik. Haziq yang sentiasa bersama Sazwan mula tertarik dengan sikap Sazwan yang melayannya dengan baik. Walaupun tidak bersekolah, tutur kata Sazwan sopan dan menghormati Haziq sebagai kawan barunya. Ada ketikanya, Sazwan belanja Haziq makan dan belikan baju baharu untuknya. Kebaikan Sazwan mencuit hati Haziq untuk mengetahui siapa remaja berusia 18 tahun itu sebenarnya. “Aku biasa-biasa sahaja Haziq. Aku anak yatim. Ayah aku dah lama meninggal dunia. Eksiden masa bawa lori.” “Terus meninggal dunia atau macam mana?” “Ayah aku sempat dibawa ke hospital tetapi dia meninggal bila sampai wad kecemasan. Aku tak sempat pun jumpa ayah.” “Kau di mana masa tu?” “Waktu ayah kemalangan tu, aku sedang khayal pil kuda. Mak aku call pun aku tak angkat. Bila aku dah kembali normal baru aku tengok skrin telefon. Penuh peti mesej, status Whatsapp dan voice maill dalam handphone aku.” “Kau buat apa lepas tu?” “Terus ke bilik mayat hospital. Aku menyesal sangat time tu. Bodohnya aku ambil dadah. Tapi, kalau tak dapat, badan aku lemah, tak stabil.” “Masa kejadian ‘tu, mak kau tahu tak kau ambil dadah?” 53
“Tak. Itu yang aku rasa. Mak aku mana ambil tahu sangat fasal aku adikberadik. Dia sibuk dengan kerja.” “Tapi, sampai sekarang kau masih ambil kan barang tu? Kenapa lepas ayah kau meninggal ‘tu, kau tak stop terus.” “Benda dah jadi darah daging kita ni susah nak buang. Kalau takat ganja, syabu, air ketum, Eramin 5 tu, boleh bawa berkira lagi.” “Banyaknya kau ambil. Tapi, setahu aku, barang-barang ni tak teruk sangat kalau ambil sikit-sikit kan kecuali yang serbuk dan jenis cucuk tu. Aku dengar orang berceritalah. Aku bukan tahu sangat.” “Kau nak try ke? Aku ada.” “Tak nak. Aku takut jadi ketagih nanti. Lagipun aku mana ada duit sangat.” “Tak apa, mula-mula ni aku bagi kau try dulu. Ada duit nanti kau beli dengan aku.” “Nanti dulu. Aku tak berani. Aku kan sekolah lagi.” “Pandai makan, pandai simpan, Ziq.” “Apa-apa roger. Aku ada je kat kedai Pak Sood tu.” “Ok.” Kanak-kanak yang bermain bola sudah tidak kelihatan. Bermakna hari sudah menjelang senja. Langit mulai gelap sebaik matahari terbenam. Cuaca pula dingin seperti mahu hujan. Angin mendesir membuaikan dedaunan ke kiri dan kanan. Begitu halnya dengan Haziq dan Sazwan jalan beriringan pulang ke teratak masingmasing waktu hujan mulai renyai membasahi bumi. Dalam perjalanan pulang itu pelbagai persoalan bermain di minda Haziq mengenai Sazwan. 54
Haziq tidak dapat mengelak daripada Sazwan. Ke mana sahaja dia pergi, Sazwan pasti mengekorinya. Sazwan cuba ‘mencucuk’ Haziq dengan cara menghisap dadah secara berdepan. Akhirnya Haziq terpengaruh. Sejak mengenali dadah, Haziq sudah pandai ponteng sekolah dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuk menjadi pelayan kedai makan bagi mendapatkan wang untuk membeli bahan terlarang itu. Bagi Haziq, selagi ada duit mudah baginya mendapatkan bekalan dadah daripada Sazwan. Osman dan Mariam masih tidak mengetahui kegiatan anaknya kerana tiada sebarang perbuatan janggal dilakukan Haziq ketika berada di rumah. Wang gaji sebagai pelayan turut digunakan membeli barang dapur bagi mengaburi mata Mariam. Sergahan seorang anggota polis membuatkan Haziq tersentak dan menggenyeh-genyehkan matanya. Lama juga Haziq tertidur sementara menunggu keputusan ujian air kencing itu. Anggota polis itu tersenyum melihat Haziq yang terpinga-pinga seperti mencari sesuatu. “Awak tunggu mak ayah datang ke? Mereka belum sampai lagi. Awak tunggu di sini dulu.” “Baiklah.” Pendek sahaja jawapan Haziq. Dia tidak berani untuk bertanya apaapa selagi umi dan abinya belum tiba. Haziq menjeling ke kiri dan kanan malah sesekali menoleh ke belakang melihat mereka yang hadir dengan masalah masingmasing. ‘Lambatnya umi dengan abi nak sampai. Kalau ujian aku positif, habislah aku.’ Haziq membetulkan duduknya di deretan bangku putih dan licin di ruang menunggu itu. Sudah berjam Haziq menunggu umi dan abi. Entah apa yang mereka buat di rumah tak dapat diteka Haziq. Seorang anggota polis menghampiri Haziq dan memegang tangannya yang 55
masih bergari berjalan memasuki satu bilik yang kedudukannya agak jauh sedikit daripada orang awam yang berada di ruang menunggu itu. “Abi,” jerit Haziq sebaik melihat Osman sedang berdiri menunggunya. Wajah Osman masam mencuka namun tetap menyambut huluran tangan Haziq untuk bersalam. Panahan mata Osman tepat ke mata Haziq membuatkan anaknya tertunduk dan menangis. “Kau hisap dadah? Air kencing kau positif!” “Ampunkan Ziq, abi. Ampunkan Ziq.” Haziq merayu-rayu Osman sambil melutut di depan Osman. Osman terpaku. Membatu. Tidak menyangka anak sulungnya itu sanggup mengambil bahan terlarang yang amat dibencinya itu. ‘Patutlah kelakuannya pelik-pelik sejak akhir-akhir ini.’ Osman dapat menebak perubahan diri Haziq apabila dilihat anaknya semakin malas ke sekolah dan asyik tidur jika berada di rumah. “Encik, Haziq akan direman di lokap balai ini sehingga encik jelaskan wang ikat jamin sebanyak RM2,800.” “Baik tuan, saya ambil maklum. Saya akan bincang dengan isteri terlebih dahulu sebelum buat keputusan. Semua ini sangat mengejutkan saya.” “Sabar encik. Fikir dan buat keputusan terbaik kerana ini melibatkan anak encik yang masih di bawah umur. Masa depannya masih panjang. Kalau tersilap langkah masih boleh diperbaiki.” “Betul tuan. Insha Allah. Terima kasih tuan.” Suasana sepi seketika. Osman memandang Haziq tetapi kini bukan pandangan penuh emosi marah sebaliknya sebuah pandangan sayu. Simpati atas nasib anaknya. Osman perlu buat keputusan tepat demi masa depan Haziq. Tidak 56
boleh salahkan Haziq 100 peratus. Dia dan Mariam juga perlu dipersalahkan dalam hal ini. Selepas bersalam dan memeluk Haziq, Osman pulang ke rumah. Haziq dimasukkan ke lokap bersama beberapa pesalah lain. Terkurunglah Haziq di situ untuk beberapa hari sehingga Osman hadir menyatakan keputusannya. “Tuan, saya dan isteri telah membuat keputusan untuk tidak ikat jamin. Kami bimbang dia akan menagih semula.” “Betul keputusan yang encik buat?” “Ya, betul. Demi masa depan dia, keputusan kami sudah muktamad.” “Baik, kami akan maklumkan apakah tindakan selanjutnya terhadap anak encik. Kami akan hubungi encik semula.” Haziq akhirnya ditempatkan selama lima bulan di sebuah asrama akhlak di Terengganu bagi menjalani proses pemulihan dan membentuk jati dirinya semula. Haziq tidak punya pilihan lain dan pasrah dengan keputusan Osman dan Mariam yang mahu melihat dia kembali menjadi ‘manusia’ dalam ertikata sebenar. Tidak lagi bergelumang dengan najis dadah. Di asrama akhlak, begitu banyak perkara baru dilaluinya dan Haziq gembira dengan situasi dialaminya. Menjalani sesi motivasi dan kaunseling berjaya membentuk peribadi dan penampilan Haziq yang lebih baik. Haziq juga sudah pandai bergaul dengan rakan-rakan daripada pelbagai negeri. Ada ketikanya Haziq berkongsi kisah hidupnya dengan rakan yang dirasakan sesuai untuk bercerita mengenai masa lalu mereka. 57
Kerinduan Haziq terhadap Osman, Mariam dan dua adiknya tidak dapat dirungkaikan kerana mereka tidak pernah berpisah sebelum itu. Terkadang, apabila dimaklumkan akan berlangsungnya perbicaraan pada tarikh tertentu, Osman dan Mariam akan turut serta berada di mahkamah bagi melepaskan kerinduan antara mereka. Walaupun sedih dengan situasi sedemikian, sekurang-kurangnya Haziq tahu kedua ibubapanya tetap menyayangi dan tidak menyisihkannya walaupun Osman pernah berkata dia telah menconteng arang kemukanya. Masih terngiang-ngiang di telinga Haziq waktu Osman memarahinya sebelum dihantar ke asrama akhlak. “Abi dan umi tidak sangka betul Ziq ambil dadah. Ia betul-betul mengejutkan kami sampai kami tak tahu nak buat macam mana untuk betulkan keadaan,” kata Osman dengan nada suara yang agak tinggi. “Umi harap, di sana nanti Haziq boleh menjadi insan yang lebih baik,” lembut sekali nada suara Mariam memujuk Haziq jika dibandingkan dengan Osman. “Belajarlah jadi insan yang lebih baik, jangan bergaduh, bermasam muka atau melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan Ziq,” sambung Osman lagi. “Baiklah, Ziq akan ikut semua nasihat umi dan abi. Doakan Ziq selamat menjalani proses pemulihan,” kata Haziq sambil menyalami Osman dan Mariam sebelum menaiki kenderaan yang membawanya ke asrama akhlak itu. Selepas tamat tempoh menjalani proses pemulihan di asrama akhlak selama sembilan bulan, atas perintah mahkamah berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, Haziq ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti (STB) selama tiga tahun. 58
Sebuah lagi perjalanan penuh liku yang perlu ditempuhi Haziq juga penghuni lain. Rutin hidup yang berbeza dengan di rumah akhlak berjaya membentuk akhlak Haziq ke arah yang lebih baik lagi. Bagi Haziq, keberadaannya di sekolah itu membawa sinar baru dalam hidupnya. Haziq mendapat kembali sinar yang menghilang sejak sekian lama dalam hidupnya waktu terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Waktu-waktu yang dilalui di persinggahan sementara itu memberi makna yang bukan sedikit untuk mengembalikan keyakinan dirinya. Kelas-kelas agama, kaunseling, aktiviti riadah, latihan kemahiran yang diikutinya berjaya membentuk semangat dan jati diri yang tinggi dalam dirinya. Asbab tersilap pilih kawan telah membentuk kanvas kehidupan baru dalam diri Haziq. Bagi Haziq, walaupun Sazwan yang menjadi penyebab dia terjebak dalam penyalahgunaan dadah, Sazwan jugalah yang memberi sinar baru dalam hidupnya. Andai Sazwan tidak dikenalinya, entah bila Haziq akan berubah atau terus menjadi ‘mayat hidup’ akibat terus menerus bergelumang dengan najis dadah! 59
Masa lalu memberi kita pengalaman dan membuat kita lebih bijaksana sehingga dapat menciptakan masa depan yang indah dan cerah. -Debasish Mridha
HANYA KAU YANG MEMAHAMI RUTIN harian Rajan sejak berusia 13 tahun sehingga dia masuk perangkap polis tidak banyak berbeza. Tidak ubah seperti pekerja kilang melakukan tugas yang sama setiap hari. Rajan akan bangun, menghisap dadah, bersihkan diri dan mulakan aktiviti menjual dadah tanpa rasa bimbang atau takut ditahan polis. Namun, sepandaipandai tupai melompat, ke tanah juga akhirnya. Puas teman wanitanya merayu Rajan berhenti daripada mengambil dan menjual dadah tetapi tidak diendahkan sehinggalah dia ditahan polis pada Disember 2021. Pelbagai onak dan ranjau berduri dilalui Rajan dan Devi demi mempertahankan cinta mereka. 2019 Pergerakan licik Rajan yang terbabit dalam aktviti penyalahgunaan dadah langsung tidak diketahui ibunya, Nalini kerana Rajan jarang berada di rumah. Rajan lebih suka merayau dan berkumpul dengan rakan-rakan selain menghabiskan masa dengan berhibur di pusat-pusat hiburan atau melepak di kompleks membeli belah. Tiada siapa yang berani mengganggu mereka. 61
Hidup Rajan yang hanya bersekolah setakat tingkatan satu itu dikawal nafsu mudanya sehingga mendorongnya terjebak dalam aktiviti penagihan dadah. “Rajan, kau ada ambil dadah ke? Mama tengok sejak akhir-akhir ini perangai kau lain macam. Selalu balik lewat, bangun lambat, jadi malas.” “Mana ada mama, biasa saja. Raj selalu lepak dengan kawan-kawan saja. Tak ada ambil dadah semua.” Rajan berdalih. “Kalau mama tahu kau ambil dadah, siap!” Satu amaran keras masuk ke gegendang telinga Rajan yang asyik mengetik skrin telefon bimbitnya. Sentap dengan kata-kata ibunya, Rajan terus keluar tanpa memandang ke arah Nalini yang terpinga-pinga melihatnya berlalu begitu sahaja. Malam itu Rajan tidak pulang ke rumah sebaliknya menyertai satu perlumbaan motor haram di sebuah bandar di Kuala Lumpur. Habuannya sudah pasti dadah dan perempuan. Itu yang membuatkan Rajan semakin aktif menjual dadah di bandaraya. Rajan mempunyai hubungan baik dengan pengedar-pengedar dadah berskala besar sekali gus memudahkan dia mendapat bekalan dan menjualnya semula. “Murali, aku mahu cari bilik sewa area KL untuk proses dan jual dadah.” “Nanti aku cari, kau nak duduk berapa orang dan berapa lama?” “Mana boleh lama-lama, satu minggu cukup. Aku nak duduk tiga orang.” Rajan tidak mempunyai perasan takut dengan aktiviti haram yang dilakukannya kerana baginya polis tidak akan menahannya tanpa sebab! Walaupun Rajan belum terjebak sepenuhnya dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, dia dapat mengenali nama dan jenis dadah tersebut. “Kau nak try?” soal Murali yang asyik membungkus daun ganja yang 62
sudah diproses ke dalam plastik kecil untuk mudahkan ia dijual kepada penagih yang membeli dalam kuantiti yang lebih kecil. Rajan seronok tengok penagih menikmatinya. “Aku nak try tapi aku takut mak aku tahu. ‘Lalok’ depan dia memang cari penyakit jawabnya. Kau tahulah mak aku macam mana orangnya. Kalau dia marah, orang yang tidak ada kena mengena pun kena marah sekali.” “Kau try la sekali. Aku guarantee mak kau tak perasan, percayalah,” Murali terus memujuk. Antara mahu dan tidak, Rajan ambil juga. Bermula daripada cubaan pertama itulah Rajan terjebak secara serius dengan aktiviti pengedaran dadah. Semakin hari wang yang terkumpul hasil menjual dadah semakin banyak dan Rajan mula gelap mata. Rajan perlahankan rentaknya menjual dadah yang bekalannya diperoleh daripada ‘jerung-jerung’ yang terkenal di kalangan mereka. Rajan lebih selesa mendapatkam bekalan untuk dirinya sendiri. Akhirnya Rajan membuat keputusan untuk menghentikan kegiatan menjual dadah yang dia mulakan pada usia 15 tahun! Rajan mula mencari kerja untuk menutup rahsianya menghisap dadah daripada Nalini. Rajan diterima bekerja sebagai kelindan lori. Rajan tetap menghisap dadah dan gaji yang diterima digunakan untuk membeli dadah dan selebihnya diberikan kepada Nalini yang masih tidak tahu Rajan seorang penagih dadah kerana penampilannya yang kemas. Bagaimanapun, nasib tidak sentiasa menyebelahi dirinya. Rajan kecundang juga apabila berjaya ditangkap polis pada 21 November 2019. Rajan ditahan selama lima hari sebelum dihantar ke sebuah penjara di Selangor. Rajan tidak mengaku barang yang ditemui adalah kepunyaannya. “Appa, terima kasih datang ikat jamin saya. Banyak wang appa sudah habis 63
guarantee saya.” Selepas dua bulan meringkuk dalam penjara, bapanya, Ramesh membayar wang ikat jamin sebanyak RM2,500. “Appa buat semua ni untuk kamu, Raj. Appa dengan mama sayang kamu. Appa harap kamu berubah jadi budak baik,” ujar Ramesh sambil memeluk Rajan. Rajan tidak dapat menyimpan perasaan sayu dan sedih selepas mendengar kata-kata yang diungkapkan Ramesh. Bagaimanapun, takdir mengatasi segalanya apabila Ramesh meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan beberapa hari selepas Rajan dibebaskan. “Appa, Raj sayang appa sampai bila-bila. Terima kasih atas semua perkara dan kasih sayang yang appa curahkan pada Raj selama ini,” ungkap Rajan ketika menziarahi kubur Ramesh. 2020 Kematian bapanya itu. Bagaimanapun tidak membawa kesedihan berpanjangan buat Rajan yang semakin ‘galak’ mengambil dadah. Banyak wang dihabiskan untuk mendapatkan bekalan seolah-olah dadah itu menjadi makanan hariannya. Lebih daripada itu, Rajan sudah pandai membawa balik perempuan yang didakwa kekasihnya menyebabkan marah Nalini semakin memuncak. “Sampai bila kau nak habiskan hidup dengan menghisap dadah, Raj. Masa depan kau hancur kalau hidup bertuhankan dadah ni.” Nasihat Nalini umpama mencurahkan air di daun keladi. “Raj tahulah mama. Sampai masanya nanti, Raj akan berhenti.” “Berapa banyak lagi masa yang kau ada. Mama takut nanti keadaan kau makin teruk.” “Sudahlah mama. Raj malaslah nak dengar mama bising-bising. Sakit telinga Raj. Raj nak pergi jumpa Devi.” 64
“Kau nak tambah beban mama lagi ke Raj. Mama tak suka kau bawa balik budak tu!” Rajan bangun meninggalkan ibunya. Sudah berbuih mulut Nalini menasihatinya tetapi langsung tidak dipedulikan. Sia-sia sahaja nasihat Nalini kerana ia langsung tidak memberi kesan kepada Rajan yang tetap dengan egonya yang tinggi. Hampir satu jam menunggu, kelibat Rajan kelihatan juga akhirnya. Dengan wajah manis sambil menguntum sebuah senyuman, Devi mempersilakan Rajan duduk di sebelahnya. Namun, lagak Rajan tidak seperti Devi harapkan. Rajan langsung tidak senyum. Wajahnya kusut masai dengan rambut tidak bersisir rapi dan kemeja-T yang berkedut. Devi amat yakin Rajan baru lepas bergaduh dengan Nalini. “Raj, sampai bila nak bergaduh dan bermasam muka dengan mak awak. Dia sayang awak sebab tu dia nak awak berhenti ambil dadah. Saya pun nak awak berhenti.” “Diamlah. Semua orang suruh saya berhenti hisap dadah. Awak ingat senang nak stop kalau dadah sudah duduk dalam badan. Macam mana mahu buang?” rengus Rajan sambil mengesat peluh yang mercik di dahinya. Hari ini Rajan menunggang motosikal Yamaha RXZ yang dibelinya hasil jualan dadah setahun yang lalu. Itu yang menyebabkan dia berpeluh kepanasan. Sayang sungguh Rajan dengan jenteranya yang satu ini. Jentera itulah juga yang digunakan untuk memikat Devi menjadi kekasih hatinya. “Pergilah berubat.” Dewi memberi cadangan namun disindir Rajan. “Awak tahu mana tempat? Ok, bawa saya pergi situ kalau ada.” “Raj, awak jangan marah-marah macam ni. Saya sayang awak. Saya nak awak pulih daripada dadah. Itu saja.” Keadaan kembali tenang. Rajan dan Devi memesan makanan dan sama-sama menikmatinya. Pasangan muda dan masih di bawah umur. Rajan berusia 16 tahun dan Devi hanya 15 tahun namun nikmat bahagia di alam percintaan itu didalangi najis dadah yang sedang memakan diri Rajan. 65
Devi berusaha mencari jalan untuk memulihkan Rajan. Devi enggan mengalah dan terus setia di sisi Rajan. “Raj, saya akan tetap berada di sisi awak sampai bila-bila walaupun awak seorang penagih. Saya tidak rela berpisah dengan awak. Saya sayang awak Raj. Saya nak ikut awak balik dan duduk dengan awak dan mak awak,” kata Dewi sambil menyuap makanan ke mulut Raj dengan penuh mesra. “Awak dah gila atau apa ni? Mana boleh duduk dengan saya. Kita belum kahwin. Muda lagi.” Tersembur air yang sedang diminum tatkala Devi menyatakan keinginannya untuk tinggal bersama Rajan. “Awak tanyalah mak awak dulu. Tapi, saya ikut awak balik hari ini.” Devi berkeras hendak mengikut Rajan balik. Rajan tidak mempunyai alasan menghalang Devi mengikutnya. Dia akhirnya akur dengan kehendak Devi. Dalam perjalanan, otak Rajan giat bekerja mencari mencari alasan untuk memujuk Nalini menerima Devi tinggal bersama mereka. Sudah beberapa kali Rajan membawa Devi ke rumahnya, namun Nalini enggan menerimanya kerana Dewi masih di bawah umur dan bimbang dituduh sebagai penculik. “Rajan, mama tak suka awak bawa balik perempuan. Dia kecil lagi, awak pun sama, belum besar sangatlah, baru 16 tahun.” “Tapi mama, Dewi yang nak duduk dengan kita. Raj pun sayang dia.” “Awak hantar dia balik rumah, mama tak mau tengok dia duduk sini.” “Kalau mama tak terima dia duduk sini, saya pun tak mau duduk sini. Saya pindah dan tak balik sini lagi.” Alasan yang diberikan Rajan mematahkan kata-kata Nalini dan akhirnya Nalini bersetuju Devi tinggal bersama. Devi yang menetap di Cheras teruja dapat tinggal bersama Rajan. Itu yang dicita-citakannya sejak mengenali Rajan. Dewi sendiri tidak tahu mengapa Rajan jadi pilihannya walhal dia tahu Rajan seorang penagih dadah dan hidup tidak tentu arah. Walaupun sudah hidup bersama, Rajan dan Devi tidak boleh berkahwin kerana masih di bawah umur. 66
Setahun sudah berlalu, umur masing-masing sudah meningkat, Devi yang kini berusia 16 tahun kerap pulang ke rumah keluarganya di ibu kota untuk minta izin berkahwin namun tidak dipersetujui dengan alasan Rajan seorang penagih dadah. “Mummy dan daddy tak izinkan kamu berkahwin. Kamu masih di bawah umur. Tolonglah jangan buat perkara yang bukan-bukan Devi. Rajan penagih dadah. Kamu nak bersuamikan seorang penagih?” soal Wilma lagi. Begitu sukar Devi hendak membuat keputusan. Antara keluarga yang disayangi dengan Rajan yang dicintai. Devi tahu kedua ibu bapanya sangat sayang padanya dan mahukan yang terbaik tetapi hatinya memilih Rajan yang perlukan bantuannya untuk pulih daripada ketagihan dadah. “Raj, tolonglah berhenti hisap dadah sekarang. Awak boleh pulih. Awak muda lagi, tolonglah. Saya sayang dan cintakan awak,” rayu Devi penuh harapan. Ayat yang sentiasa diulang-ulang ketika memujuk Rajan berhenti daripada mengambil dadah. Sekonyong-konyong itu jugalah Rajan akan mengamuk dan memarahi Devi tanpa mengira di mana mereka berada. “Awak diamlah. Nanti saya mahu stop, saya stoplah,” bentak Rajan. Rajan bangun meninggalkan Devi sendirian di meja makan. Air mata Devi menitis. Sedih dengan kata-kata Rajan yang suka bercakap ikut hati tanpa memikirkan perasaannya. Tempoh 10 bulan tinggal bersama Rajan telah membuka mata hati Devi untuk terus membantu kekasihnya keluar daripada ketagihan melampau. 2021 Hubungan Devi dan Nalini beransur pulih dan keadaan itu menggembirakan hati Rajan. Namun, Rajan masih belum dapat melarikan diri daripada dadah. Ketagihannya semakin menjadi-jadi. Walaupun sudah berbuih mulut Nalini dan Devi menasihatinya, dia tetap tidak ambil peduli. 67
Setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya. Begitu juga dengan Rajan apabila sahabatnya, Murali ditangkap polis selepas memecah sebuah kenderaan. “Rajan, kawan awak Murali kena tangkap polis sebab samun satu kereta perempuan,” kata Nalini sebaik sahaja Rajan tiba di rumah. “Betul ke mama? Samun kereta di mana?” Rajan mulai cuak kerana apa yang diceritakan Nalini sama seperti yang dilakukannya. “Samun tu minggu lepas. Awak ada sekali ke masa tu?” Rajan terdiam. Nalini menjeling ke arah Devi yang kebetulan ada di rumahnya waktu itu. Rajan pasti tuduhan yang dibuat terhadap Murali itu sama hari dengan kejadian dia menyamun sebuah kereta dimiliki seorang penagih wanita India. Rajan serba salah. Sepatutnya dia yang ditangkap polis tetapi lain pula jadinya. Rajan yang dihimpit rasa bersalah akhirnya menyerah diri di sebuah balai polis di Kuala Lumpur selepas tamat menjalani tempoh tempoh kuarantin kerana menjadi contact rapat dengan Nalini yang positif COVID-19. Rajan direman dan diarahkan memberi keterangan berkaitan kes berkenaan. 2022 Rajan yang masih mengikut aturan hidupnya tetap mengambil dadah terlebih dahulu untuk kelihatan segak dan bergaya. Walaupun dirinya sudah ‘kebal’ dengan benda haram itu,Rajan tetap memastikan orang ramai di kompleks mahkamah dan di dalam bilik perbicaraan tidak tahu mengenai hal itu. Rajan betul-betul bertuah pagi itu. Hakim memutuskan kes Rajan yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 digugurkan dan Rajan dibebaskan. Namun, Rajan diperintahkan menjalani proses pemulihan akhlak berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001 di Sekolah Tunas Bakti (STB) selama tiga tahun mulai 6 Januari 2022 hingga 5 Januari 2025. 68
Hidup Rajan yang huru hara kerana penangan najis dadah sudah berubah dan kini bahagia menjalani kehidupan baru di STB. Rajan gembira kerana Nalini dan Devi kerap datang menziarahinya bagi memberi sokongan moral sebagai usaha membantunya membina keyakinan dan peribadi yang lebih baik. Walaupun pada awalnya Rajan berasa janggal dengan suasana baru itu, dia tetap berusaha menyesuaikan dirinya dengan persekitaran sekeliling dan rakanrakan baru. Rajan teringat nasihat Nalini sebelum dia dihantar ke STB. “Awak duduk sana baik-baik, kerja elok-elok, mesti awak selamat. Paling penting, awak jangan cari gaduh.” “Ya mama, saya sudah sedia duduk sana. Saya tahu, kalau duduk luar, mungkin saya masih hisap dadah lagi dan keadaan saya makin teruk.” Rajan yakin perubahan yang dilaluinya itu tidak akan diperoleh andai dia terus bergelumang dengan najis dadah dan masih berkawan dengan pengedar dan penagih dadah. ‘Mama, aku sudah berhenti hisap dadah. Aku betul-betul sudah berubah. Ramai yang menyokong aku di sini. Mama tidak perlu risau lagi.’ ‘Devi kesayanganku. Aku amat menghargai cinta yang kau berikan padaku. Aku amat berharap kau setia menunggu aku dibebaskan. Kita akan membina keluarga bahagia. Aku harap apa yang kita rancangkan sebelum ini akan menjadi kenyataan.’ 69
Lakaran Kanvas Kehidupan Meniti kehidupan separuh abad pelbagai cabaran menjelma pelbagai rintangan ditempoh hidup ibarat roda sesekali kita di puncak bahagia sesekali kita di lembah derita. Hidup ini umpama lakaran kanvas kadangkala terpancar warna-warna sang suria pagi kadangkala terlihat awan mendung hitam kelam. Inilah yang dikatakan lumrah kehidupan berbekalkan minda yang cerdas fizikal yang cergas ketakwaan yang menebal pasti dapat kita tempuhi liku-liku kehidupan dan pasti akan kelihatan sinar di penghujung penantian. Noraini Ismail,Tangkak,Johor (Dipetik daripada Buku Terbang Kenyalang Ke Halaman Serikandi, karya Noraini Ismail)
HILANG GELAP TIMBUL TERANG MARIA seorang gadis sunti berusia 13 tahun tidak betah duduk di rumah dan suka berpelesiran dengan rakan-rakan sebaya juga yang lebih dewasa daripadanya. Maria juga berkawan baik dengan Raimi adik Raziman. Mereka berdua kerap bertemu jika ada kesempatan. Maria penuh dengan alasan tersendiri sehingga Raimi sukar melepaskan diri daripada pandangannya. “Abang, aku nak keluar ambil Maria. Dia kata nak jumpa aku, ada hal katanya,” jerit Raimi kepada Raziman yang baru hendak menikmati hidangan tengah hari. Raimi mencapai helmet dan sepantas kilat terjun melangkau beberapa mata anak tangga rumah mereka. “Hati-hati bawa motor,” balas Raziman pendek. Kedengaran deruman enjin motosikal mengaum meluncur laju menuju ke rumah Maria yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya. Raimi bersiul keriangan dapat bertemu Maria anak Pak Cik Hisham yang diminatinya sejak keluarga itu berpindah ke kampung mereka yang terletak di sebuah daerah di Kuala Terengganu beberapa tahun lalu. “Assalamualaikum, Maria...Maria,” jerit Raimi sambil mematikan enjin motosikal MRR2 betul-betul di tepi tangga rumah papan dua tingkat itu. Dipanjangkan 71
lehernya mengintai kalau-kalau ternampak kelibat Maria. ‘Mana pulak budak ni, tadi tak menyempat suruh aku ambil. Ni dah ke laut ni.’ “Waalaikumsalam,” jerit Maria sambil melangkah keluar dari biliknya. Cantik Maria berpakaian, jeans tight digayakan dengan blouse berwarna biru air. Bau pewangi yang melekat di pakaian Maria begitu mempersonakan. Raimi melihat dari atas ke bawah tubuh Maria yang kecil molek dengan pandangan menggiurkan. “Jomlah, kata nak keluar. Kau nak pergi mana sebenarnya. Mak abah kau tahu tak aku ambil kau?” Bertalu soalan keluar daripada mulut Raimi yang menghidupkan kembali enjin motosikal empat lejang yang tidak sampai lima minit dimatikan itu. “Aku dah beritahu abang. Mak abah aku tak ada di rumah. Abang aku bagi aku keluar dengan kau,” balas Maria sambil menguntum sebuah senyuman. Motosikal Raimi membelok kembali ke rumahnya. Raziman yang duduk di beranda hanya memerhati sahaja gelagat Maria dan Raimi. ‘Cantik manis orangnya,’ Raziman melirikkan matanya sewaktu Maria menaiki anak tangga membontoti Raimi daripada belakang. Kedua-duanya duduk berbual di ruang tamu rumah papan tiga bilik itu. Suasana sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi putaran kipas siling yang agak uzur bersahutsahutan. Raziman hanya tinggal berdua dengan Raimi kerana bapa mereka, Hashim bekerja di Johor manakala ibunya, Hamidah sedang bercuti daripada kerja kerana menjaga ibunya di kampung. Tiga lagi anaknya dibawa bersama kerana sekolah masih menggunakan kaedah online untuk proses pembelajaran dan pengajaran (PdPR) berikutan pandemik COVID-19 yang belum berakhir. Di beranda, Raziman masih duduk termenung melamun mengingati kisahkisah lama sementara Raimi dan Maria semakin galak bertukar-tukar cerita. Entah apa yang dibualkan mereka, Raziman tidak ambil peduli. Baginya, dia tidak perlu 72
ambil tahu perihal adiknya yang mesra dengan Maria kerana menganggap hubungan mereka tidak lebih daripada seorang kawan. Raimi seorang remaja peramah, senang berkawan dan mudah mesra tanpa mengira lelaki atau perempuan. Raimi miliki aura tersendiri dengan wajah yang agak keanak-anakan. “Assalamualaikum Man, jauh menung,” tegur Fazli yang muncul secara tibatiba di hadapannya. Tidak kedengaran pula sebarang bunyi kenderaan memasuki halaman rumahnya yang terletak agak jauh ke dalam daripada jalan utama berbanding rumah jiran yang lain, sebelah menyebelah tanpa sempadan pemisah. Mereka menetap di rumah pusaka arwah neneknya yang kini diserahkan kepada ibunya untuk diduduki. “Bila masa kau sampai, aku tak perasan. Alih-alih kelibat kau ada depan aku, tak dengar bunyi kereta pun,” sambung Raziman selepas menjawab salam Fazli. Sambil melabuhkan punggungnya di tepi tangga, Fazli menyedut rokok yang ada di mulutnya dengan rakus sekali. “Maria ada datang sini tak?” terpacul soalan lazim daripada mulut Fazli. Setiap hari atau selang sehari Fazli akan ke rumah Raziman bertanyakan Maria. Entah apa mantera yang keluar daripada mulut Maria sehingga Raimi dan Fazli terpaut dan tidak boleh berjauhan dengan gadis genit itu. “Ada, kat dalam dengan Raimi. Kenapa kau tanya, ada apa-apa ke antara kau dengan Maria? Dia budak lagi tau,” kata Raziman memuncungkan mulutnya ke arah Maria dan Raimi yang semakin rancak berbual. Sesekali dilihatnya Maria melentokkan kepalanya di bahu Raimi yang baru berusia 15 tahun itu. “Tak adalah. Aku tengok Maria cantik, dia macam ada aura yang tersendiri, penampilan dia kalah budak kampung yang sebaya dengan dia…nampak dia lagi dewasa,” tersengih-sengih Fazli memuji Maria. Maria bangun meninggalkan Raimi menuju ke arah Fazli. Dengan lirikan mata seakan menggoda, Maria mendekati dan mencuit bahu Fazli. Semerta itu juga seperti di cas kuasa elektrik, Fazli bangun tanpa berkata apa-apa melangkah di belakang Maria menuju ke bilik tidur Raziman. Raimi bangun dengan muka terkejut 73
dan membulatkan mata hanya mampu melihat sahaja Fazli dan Maria masuk dan mengunci bilik dari dalam. Raziman pula menggenyeh matanya seakan tidak percaya apa yang dilihatnya. ‘Apa yang dia orang buat dalam bilik aku?’ Raziman mengesyaki sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. “Mi, dia orang buat apa?” Raziman cuba bertanya namun Raimi menjawab acuh tak acuh sahaja. “Mana aku tahu, tunggulah dia orang keluar sekejap lagi,” selamba sahaja jawab Raimi sambil terus bermain PUBG di telefon bimbitnya. Cuaca semakin panas dan sinar mentari semakin galak menerobos masuk di celahan siling yang berlubang. Bahang yang sama dirasai Raziman yang tidak tenteram menunggu Maria dan Fazli keluar dari biliknya. Sesekali digelengkan kepalanya dan sesekali dia tersenyum seperti dapat menebak sesuatu. Suasana kembali sepi. Tidak lama kemudian Fazli keluar dengan lontaran senyum penuh makna. Duduk bersandar di sofa usang. Langsung menutup matanya tanpa berkata apa-apa. Maria masih di bilik. Entah apa yang dibuat, di luar pengetahuan Raziman. Matanya terarah pula kepada Raimi yang bangun lalu melangkah masuk ke bilik yang sama membuatkan Raziman semakin cuak. Fikirannya mula membayangkan perkara yang bukan-bukan. ‘Muda lagi si Maria ni, baru 13 tahun, takkan lah dah pandai buat perkara tidak senonoh. Rumah aku pula.’ Raziman memejamkan matanya seolah-olah enggan berfikir apa yang sedang berlaku. Gelagat Fazli dan Raimi secara tidak langsung menarik perhatian Raziman. Raimi keluar daripada bilik tanpa Maria. Raziman mula berpeluh. Telapak tangannya basah. Peluh jantan mula menitik di dahi. Perlahan Raziman masuk ke biliknya dan dilihat Maria duduk di kerusi malas. 74
Bahang mentari semakin menguasai ruang tamu. Panas dan merimaskan. Sebaik keluar daripada biliknya, percikan cahaya menerobos tubuh Raziman sekaligus membuat Raziman tidak selesa. Fazli juga entah ke mana menghilangnya. Hanya Raimi yang sedang tidur di kerusi panjang dalam keadaan tidak berbaju. “Maria, aku rasa elok kau balik rumah kau dulu, aku tak nak mak bapa aku tahu kau datang sini, tolonglah,” Raziman yang berusia 17 tahun itu cuba memujuk Maria yang sedang berehat di beranda rumahnya namun tidak diendahkan Maria. Maria mengeraskan dirinya enggan dihantar pulang. Malam itu, Maria tidur di bilik Raziman manakala Raimi memilih tidur di ruang tamu. Raziman langsung tidak dapat melelapkan matanya kerana bimbang abang Maria datang mencari. Menjelang pagi, usai membuat sarapan, Raziman mengejut Raimi dan memintanya menghantar Maria pulang ke rumah. “Raimi, aku nak keluar pergi jumpa Khalid. Kau kejut Maria, lepas dia bangun kau hantar dia balik terus, jangan nak menenggek lagi,” beritahu Raziman kepada Raimi sebelum keluar pagi itu. Walaupun diminta pulang untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku, Maria tetap berdegil sebaliknya meminta Raimi menghantarnya ke rumah kawannya yang lain pula sebelum ditemui abangnya. Cerita Maria bermalam di rumah Raziman mula tersebar luas di kawasan kampung terutama selepas gambar seorang remaja lelaki yang berada di rumah itu diviralkan di Facebook dan Instagram. “Satu kampung dah kecoh gara-gara si Maria ‘ni bang,” ungkap Raimi yang bimbangkan keselamatan mereka berdua. Bimbang dipukul atau apa sahaja oleh ahli keluarga Maria. Raimi semakin risau kerana dia yang mengambil Maria dari rumahnya. “Kita diam-diam sudah. Tak perlu keluar rumah kalau tak ada benda penting. Aku pun tak sedap hati ni, apa Maria dah buat pada kita sebenarnya,” kata Raziman 75
cuba menenangkan hati mereka berdua. Apa sebenarnya yang dimahukan Maria. Apakah Maria cuba sembunyikan sesuatu daripada mereka berdua. Apakah mereka berdua dikambinghitamkan Maria? Sukar untuk menebak hati seorang gadis cilik bernama Maria itu. “Bang, ada polis serbu rumah Din. Aku pun tak tahu macam mana polis boleh sampai situ. Ramai geng kat rumah Din yang bertempiaran lari. Dengar cerita Din kena tangkap,” Raziman panik. Adakah dia juga akan terperangkap dengan permainan licik Maria. Tindakan dan serbuan polis yang giat menjalankan operasi selepas menerima laporan kes rogol itu akhirnya sampai ke pengetahuan kedua ibu bapa Raziman. “Engkau pun terbabit sama? Macam mana boleh jadi macam ni?” “Maria datang rumah semalam, tapi dia tak nak balik. Seboleh-boleh dia nak tidur kat rumah kita.” “Korang bagi dia masuk ke? Mak dah beritahu, jangan mudah bagi siapasiapapun masuk dalam rumah kita.” “Walaupun Maria? Dia kawan Raimi la ibu. Takkan tak boleh datang rumah kita,” soal Raimi. “Maria perempuan, kamu berdua lelaki, memang tak boleh bergaul berlebihlebihan,” balas Hamidah tanpa mengetahui Raimi dan Raziman telah melakukan hubungan terlarang itu. Raimi dan Raziman saling memandang antara satu sama lain. Perasaan bersalah mula menghantui diri. Hamidah yang baru pulang dari rumah ibunya belum mengetahui kejadian sebenarnya sehingga menerima satu panggilan daripada balai polis. Tidak lama selepas itu, sebuah kenderaan polis memasuki perkarangan rumah Hamidah. “Assalamualaikum.” kedengaran satu suara garau memberi salam dari luar “Waalaikumsalam,” balas Hamidah keluar menjengah dan agak terkejut dengan kehadiran anggota polis di rumahnya. 76
“Saya nak jumpa anak puan, Raziman dan Raimi. Mereka ada di rumah?” “Ada encik, saya panggil mereka,” kata Hamidah. “Boleh saya jumpa mereka?” Hamidah mengangguk lalu memanggil Raziman dan Raimi yang sebenarnya sudah mengetahui kehadiran anggota polis berkenaan sewaktu mereka mengintai dari tingkap dapur. “Kamu dikehendaki ke balai polis sekarang untuk beri keterangan berhubung kes rogol gadis bawah umur.” Raimi dan Raziman terkejut. ‘Siapa buat laporan? Tidak ada angin tidak ada ribut, masakan pokok bergoyang?’ “Apa yang engkau berdua dah buat? Rogol siapa? Allahuakhbar,” Bagai nak gugur jantung Hamidah mendengar penjelasan anggota polis berkenaan. Tidak terfikir langsung yang anaknya turut terlibat dalam kes itu. Redup di laman rumah Hamidah tidak mampu meredupkan hati dan perasaan Hamidah. Wajahnya kosong, pucat. “Puan, bawa bertenang. Kami nak bawa anak puan untuk diambil keterangan berkaitan kes berkenaan. Harap beri kerjasama.” ujar anggota polis berkenaan sambil menggari tangan dua beradik itu. “Koperal, bawa budak-budak ‘ni sekarang. Puan boleh ke balai juga ya.” Berjurai-jurai airmata Hamidah melihat dua anak kesayangannya dibawa pergi. “Baik, saya akan menyusul kemudian.” Bagai nak luruh jantungnya mendengar anggota polis itu menyebut perkataan ‘rogol budak bawah umur. Semoga anakanak aku tidak bersalah.’ Hamidah yang bekerja sebagai pencuci pejabat sebuah syarikat swasta di bandar itu menelefon suaminya, Zahari memaklumkan berita penahanan anak pertama dan kedua mereka. 77
“Saya tak tahu bang, bila polis telefon nak jumpa budak-budak tu baru saya tahu,” ujar Hamidah. “Tunggu saya balik, hari ni juga. Awak jangan pergi sendiri,” ujar Zahari di hujung talian. “Baik, saya tunggu abang balik. Hati-hati memandu.” Hamidah menamatkan panggilan dan melepaskan satu keluhan panjang. Sesak nafasnya memikirkan hal anak-anak. Sejak kedua-duanya menginjak kaki ke sekolah menengah, perangai dan tingkah laku mereka berbeza jika dibandingkan dengan tiga lagi anaknya yang lain. Raziman dan Raimi kurang berminat ke sekolah. Dalam seminggu, ada sahaja hari-hari tidak hadir. Minat belajar pun semakin berkurangan. Pergi sekolah atas nama pergi sahaja. Setiap kali peperiksaan, warna merah mengatasi warna biru. Hamidah dan Zahari sudah mati akal memujuk anak mereka untuk fokus dalam pelajaran. Dalam diam Raziman mula mengambil pil khayal ice dan pil kuda selepas terpengaruh dengan kawan-kawan yang sama menagih. Walaupun begitu, Raziman mengambilnya dalam kuantiti yang kecil kerana tidak mempunyai wang untuk mendapatkan bekalan dalam kuantiti yang besar. Pilpil khayal berkenaan hanya diambil pada waktu tertentu sahaja termasuk ketika menduduki peperiksaan. Hamidah dan Hashim langsung tidak mengetahui kegiatan anaknya itu. Raziman dan Raimi serta pesalah lain dibawa masuk ke perkarangan balai polis dan diarahkan membuat barisan sebelum ke ruang menunggu untuk disoal siasat. Kedua-duanya terpaksa menerima hakikat mereka telah melakukan kesilapan besar dalam hidup. Melakukan hubungan terlarang. Walaupun perbuatan itu atas kerelaan mangsa tetapi mereka tetap didakwa dan tetap disabitkan dengan kesalahan merogol gadis bawah umur mengikut undang-undang. 78
Kegelisahan dan ketakutan silih berganti di fikiran Raziman. Apakah yang merasuk dirinya sehingga gagal mengawal nafsu. Bagaimana hendak berdepan dengan masyarakat sekeliling. Tetapi adakah dia sahaja yang bersalah? Mangsa pula bagaimana? Terlepas begitu sahaja. Soalan inilah yang merenggut damai di hati Raziman. Raziman terlebih dahulu dipanggil ke bilik siasatan. Peluh jantan mula memercik di dahi walaupun alat pendingin hawa di ruang menunggu itu berfungsi dengan baik. Ekor mata Raziman mula meliar ke kiri dan kanan. Sesekali dia menggerakkan pergelangan tangannya yang bergari besi itu. “Bangun,” seorang anggota polis memegang bahu Raziman dan serentak itu juga Raziman bangkit mengekori anggota berkenaan menuju ke sebuah bilik yang lebih kecil. “Masuk,” kata anggota polis yang mengiringi Raziman masuk ke bilik kecil itu. Matanya sekali lagi meliar dan badannya berpusing 360 darjah untuk melihat sekeliling. Raziman melihat di tengah bilik itu ada sebuah meja, neon dan kipas yang tergantung di siling. Badan Raziman seram sejuk dan peluh jantan mula memercik sekali lagi di dahi. Berderau darah Raziman apabila diajukan soalan yang ‘agak menekan.’ Satu persatu soalan diaju untuk dijawab. “Awak kenal mangsa?” “Tak berapa kenal. Dia kawan adik saya.” “Mangsa pergi rumah awak atau awak ambil dia?” “Adik saya pergi rumah mangsa dan bawa ke rumah kami.” “Mangsa setuju ikut balik?” “Dia yang suruh adik ambil.” 79
“Awak lelaki ke berapa masuk ke bilik?” Ah, malunya Raziman nak menjawab soalan. Mukanya ditundukkan dan dalam keadaan serba salah memberitahu pegawai penyiasat dia adalah lelaki ketiga masuk ke bilik. “Apa yang awak buat dalam bilik?” Raziman terdiam. Dia masih tidak dapat lupakan apa yang berlaku antara dia dengan Maria tetapi dia tidak mempunyai kekuatan untuk bercerita. Bagaimanapun, selepas diberi nasihat Raziman berjaya menamatkan sesi siasatan itu dengan sebaiknya. Begitu juga Raimi, menjawab soalan dengan tenang dan siasatan berakhir dalam tempoh dua jam. Selesai mengambil keterangan, Raziman dan Raimi ditahan reman selama beberapa hari dan dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM5,000 manakala Raimi RM10,000. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 376(1) dan 377(B) Kanun Keseksaan (KK). Sementara menunggu hari perbicaraan, Raziman dan Raimi kembali ke rumah dan menjalani kehidupan seperti biasa. Namun, mulut manusia bukan seperti mulut tempayan yang boleh ditutup begitu sahaja. Orang kampung pula memandang serong terhadap Hamidah dan Hashim malah ditohmah tidak pandai menjaga anak sehingga terlibat dalam perbuatan sumbang. Walaupun dihina, Hamidah dan suaminya tidak berdiam diri. Mereka cuba bangkit membetulkan keadaan. Ternyata, ada sebahagian penduduk yang tidak menyalahkan mereka 100 peratus sebaliknya mempersoalkan bagaimana Maria yang hanya berusia 13 tahun boleh terjebak dalam kes rogol itu. “Aku tahu, bukan salah anak kau 100 peratus, si Maria itu pun salah juga. Kalau dia tak menggedik sana sini, tak adalah sampai jadi macam ni.” kata Salmi ketika bertemu Hamidah di tempat kerja mereka. “Sabarlah Midah, ujian buat kau dan anak-anak. Sepatutnya mak ayah Maria pun kena jaga anak dara dia, bukan lepas bebas macam ‘tu,” balas Suraya pula cuba 80
menenangkan Hamidah yang sukar menerima ujian yang datang tanpa dipinta. Hamidah hanya merenung lantai pejabat yang mereka bersihkan tanpa sebarang reaksi. Dibiarkan dua rakannya itu berbual sesama sendiri. Desir angin yang bertiup lembut mengelus pipi Hamidah seakan memahami isi hati seorang ibu yang sedang terguris dengan perbuatan anaknya namun cuba mengembalikan kekuatan diri kembali kepada fitrah. Raziman sudah menerima hukuman dan sedang menjalani proses pemulihan yang akan merubah dirinya ke arah yang lebih baik. Raziman kini ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti (STB) selama tiga tahun mulai 19 Oktober 2021 sehingga 5 Oktober 2024. Raziman yang kini berusia 18 tahun sedang mengikuti latihan kemahiran elektrik bagi memenuhi cita-cita berkhidmat di syarikat gergasi, Panasonic. Semua kenangan pahit di kampung disimpan kemas dalam lipatan sejarah hidupnya. Raziman kini semakin yakin dengan penampilan dirinya yang lebih matang dan berkeyakinan. Raziman juga enggan mengambil tahu keadaan Maria sama ada masih meneruskan aktiviti gelapnya atau sudah kembali ke pangkal jalan. Raziman hanya mampu berdoa agar Maria sentiasa berada dalam keadaan baik-baik sahaja. 81
Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang:- - Cecil B De Mile
HITAM PUTIH KEHIDUPAN ADLI duduk sendirian di bangku yang menghadap taman permainan berhampiran rumahnya. Cuaca yang agak panas membuatkan Adli berasa tidak selesa. Rimas. Ditanggalnya selipar dan duduk bersila sambil mendepangkan kedua-dua belah tangannya. Adli menarik nafas dan dilepaskan perlahan-lahan. Diulangnya beberapa kali sehingga berasa lega seperti teralirnya satu masalah yang bersarang di benak fikirannya. Sekumpulan kanak-kanak yang dikenalinya melambai tangan mengajaknya bermain bola tetapi ditolak dengan baik. Kebiasaannya, Adli tidak menolak ajakan kanak-kanak itu kerana itu peluang baginya untuk meredakan tekanan yang dilalui sejak dibuang sekolah beberapa bulan lalu. “Abang nak rehat, nanti hari lain kita main sama-sama,” jerit Adli kepada kanak-kanak berkenaaan. Matanya kemudian terarah kepada beberapa remaja lelaki yang asyik berbual penuh ceria. Adli teringat beberapa orang rakan yang baik dengannya tetapi kini tidak lagi menghubunginya sejak dia dibuang sekolah kerana menghisap dadah. Angkara dadah, Adli dipinggirkan. Kawan-kawan mula menyisihkan diri bimbang terpengaruh. Adli juga menolak untuk dihantar ke sekolah swasta. Dia nekad untuk terus berhenti daripada meneruskan persekolahannya. Adli tidak dapat menjauhkan dirinya daripada mengambil bahan terlarang itu. 83
Adli masih tidak dapat melupakan pertemuannya dengan pengetua sekolah selepas perhimpunan pagi sekolahnya. Itulah hari terakhir dia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Mariah sebelum dibuang sekolah. Angkara dadah, semuanya berakhir dalam sekelip mata. “Tahu kenapa saya panggil kamu?” Tuan Haji Abd Rahim mula bertanya. Wajahnya agak garang tapi nada suaranya lembut. “Tak tahu cikgu, saya minta maaf.” balas Adli. Mukanya ditundukkan. Dadanya berdebar. Tapak tangannya berpeluh malah tubuhnya agak menggeletar. “Saya terima aduan daripada pelajar sekolah ini mengatakan kamu cuba mencuri motosikal dan menghisap dadah, jawab dengan jujur. Saya tidak suka pelajar sekolah ini berbohong,” lembut sahaja kata-kata yang dilontarkan tuan pengetua. “Er…er...betul cikgu,” jawab Adli. “Saya tidak perlu tanya kenapa kamu mengambil dadah, kamu sendiri ada jawapannya tetapi kes cubaan mencuri motosikal itu ketika kamu dalam pakaian seragam sekolah, secara tidak langsung sudah mencemar nama sekolah ini. Kesalahan ini berat!” “Saya juga difahamkan, pemilik motosikal itu sudah menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap kamu hasil perbincangan dengan bapa kamu di balai polis. Betul?” “Betul cikgu,” “Apa yang saya hendak beritahu kamu sekarang, akibat mengambil dadah atau apa sahaja bahan terlarang oleh pelajar sekolah ini, mereka akan dihukum. Hukumannya berat. Pelajar terbabit akan dibuang sekolah serta merta selepas 84
terbukti dia menghisap dadah, tiada rayuan.” Penjelasan daripada tuan pengetua sangat mengejutkan Adli. Dia tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan bapanya, Aminuddin dan ibunya, Syafiqa. “Baik cikgu, saya faham.” “Saya akan maklumkan perkara ini kepada ibu bapa kamu dan sehingga ujian air kencing kamu belum diperoleh, kamu masih boleh ke sekolah seperti biasa. Jika keputusan negatif, kamu boleh teruskan sekolah tetapi jika sebaliknya, kamu onthe-spot akan dibuang! “Jauhnya termenung,” tegur Kamarul sambil menepuk bahu Adli sekali gus mematikan ingatannya terhadap sekolah. Adli melontar senyuman tawar kepada Kamarul yang bertenggek di atas motosikalnya. Adli seorang pelajar yang bijak dan aktif di sekolah. Adli juga seorang atlet olahraga dan pemain bola sepak. Kelincahannya di padang seringkali menambat hati pelajar perempuan. Penampilannya yang kemas sebagai pengawas sekolah, berketinggian mencecah 1.68 meter dan berkulit sawo matang, mata anak dara mana sahaja yang tidak menoleh untuk kali kedua. Namun, segalanya berakhir apabila Adli terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Karismanya hilang begitu sahaja. Digugurkan daripada team bola sepak sekolah malah dilucutkan jawatan sebagai pengawas disiplin. Maruahnya hilang begitu sahaja. Adli terus berhenti sekolah. Malunya bukan kepalang. Maruah yang sedia tercela itu dirobek pula sepucuk surat rasmi mengatakan dia digugurkan daripada mewakili team bola sepak peringkat remaja negeri yang sangat disayanginya. 85
“Kau pernah try hisap ganja tak?” soal Aziz ketika bertemu Adli buat kali pertama di taman permainan berhampiran rumah Adli. “Tak pernah lagi, tengok adalah.” “Nak try ganja? Hari ni aku beri percuma sahaja. Next turn, kau beli dengan aku, senang dapat,” ulang Aziz sekali lagi. “Boleh juga. Aku dah lama nak try tapi tak berani, takut mak bapa aku perasan.” Petang itu Adli ke rumah Aziz untuk mencuba ganja sepertimana yang dijanjikan. “Rasa dia macam mana?” soal Adli ketika Aziz menghulurnya daun ganja persis tembakau dalam bentuk sebatang rokok. “Kau sedutlah dulu baru kau tahu nikmatnya,” balas Aziz sambil menyedut ganja. Adli takut-takut untuk menyedut daun ganja yang sudah diproses halus itu. Diperhatikan Aziz yang sudah hilang mengecapi bahagia malam. Entah apa yang difikirkan ketika dalam khayal itu, hanya dia yang tahu. Kerana kawan, hidup Adli berputar 360 darjah. Semakin hari, ketagihan Adli semakin teruk. Pantang dirinya berada serba tak kena, Aziz akan dicarinya. “Baru aku tahu kenapa ayah aku benci sangat dengan dadah. Dia pernah bercerita dengan kami bab dadah ni dalam hidup dia.” Adli cuba berbual sambil menikmati enaknya ‘makanan’ haram itu. “Ayah kau pernah ambil dadah ke?” selamba Aziz bertanya. “Hampir-hampir terjebak. Itupun ayah aku cerita sikit je... dia frust sangat bila dapat tahu tunang dia tapi bukan mak aku...curang. Ayah aku ambil pil kuda. Kesan dia tidaklah terlalu teruk. Bila dia jumpa mak aku, ketagihnya pun dah tak ada. Ayah aku ‘bersih dadah’ waktu mereka kahwin. Sebab ‘tu dia benci sangat orang yang ambil dadah ni. Cepat je dia gelar orang tu mayat hidup. 86
“Mana kau dapat duit beli dadah ni?” “Aku kumpul sikit-sikit duit belanja sekolah, dicampurkan dengan upah aku kerja cuci kereta.” “Mak kau tak syak apa-apa, kau selalu minta duit dengan dia?” “Aku bagi la apa-apa alasan yang sesuai dan dia percaya.Yang penting aku tak curi duit mak ayah aku.” Perhimpunan pagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Mariah berjalan lancar seperti biasa. Ketua Pelajar, Muhammad Nashruldin tampil memberi ucapan diikuti tuan pengetua pula mengambil tempat. Sebelum perhimpunan berakhir, Guru Disiplin, Cikgu Hisham membuat beberapa pengumuman. Pelajar mula menggeliat kerana sang mentari sudah mula mendongak ke langit. Sinaran Vitamin C mula membahang. Wajah pelajar pula berkerut menahan panas. “Bila nak habis assembly cikgu, panas ni.” Suara nakal pelajar mula kedengaran daripada beberapa sudut. “Sabar, cikgu nak buat pengumuman penting dan yang terakhir pagi ini,” ujar Cikgu Hisham. Ketegasannya sesuai untuk memegang jawatan berkait disiplin pelajar. “Muhammad Adli Aminuddin dari Tingkatan 4 Kreatif diminta hadir ke pejabat Hal Ehwal Pelajar selepas perhimpunan ini selesai.” Serentak itu juga kepala pelajar tertoleh ke kiri dan kanan antara satu sama lain. Kemudian memanjangkan leher masing-masing mencari arah kedudukan pelajar tingkatan 4. Perlahan-lahan Adli menundukkan mukanya. Tidak sanggup bertentang mata dengan pelajar lain. Nama Adli bergema di setiap penjuru sekolah yang ada dipasang alat pembesar suara. Ekoran peristiwa di perhimpunan dan selepas bertemu pengetua, Adli terus 87