The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by NOR AZURA BINTI MIOR DAUD (ISM), 2023-01-17 23:38:17

STB KIDZ

STB KIDZ

“Adik tak nak pergi, adik tak nak pergilah. Abang jahat,” Shafiza terdiam. Terkejut mendengar lontaran suara keras anak kecil itu. ‘Apa yang budak-budak ni buat sebenarnya. Kenapa Nadia kata si kembar tu jahat. Shafiza merapati Nadia dan bertinggung di depan anak kecil itu. “Jangan macam ‘ni adik, mama dah lewat nak pergi office. Kalau lambat, mama kena marah dengan bos mama,” Shafiza masih dalam skil memujuk Nadia. Selang beberapa minit, Nadia tewas dan anggukkan kepala tanda setuju. Pulang ke rumah pada petang yang sama, Nadia menangis sekali lagi dan enggan ke rumah Mak Nani keesokan harinya. Shafiza mula memikirkan yang bukan-bukan apa yang berlaku di rumah Mak Nani sehingga Nadia menolak ke rumah pengasuhnya. Diperhatikan juga tingkah laku Nadia. Dibeleknya anggota tubuh Nadia namum tiada sebarang tanda atau sebarang kesan mencurigakan. “Adik tak nak pergi rumah Mak Nani. Adik takut…” Sekali lagi Nadia berkeras dan membatukan diri di birai katil sebelum tidur. “Adik takut apa?” Laju Shafiza memotong cakap Nadia. Hatinya mula cuak. Dipegangnya kedua-dua belah bahu Nadia dan dihinggutnya ke depan dan ke belakang. “Cakap dengan mama, abang-abang ada usik adik tak? Ada pegang-pegang adik tak?” Nadia mula menangis. Ketakutan. Begitu juga Shafiza yang mula menghamburkan air mata kerana terkejut dengan apa yang dikatakan Nadia. Esak tangis kedua beranak itu mencuri perhatian Safuan, suami Shafiza. “Kenapa ni yang sampai menangis-nangis?” soal Safuan kehairanan. “Nadia ni...asyik beritahu tak nak pergi rumah Mak Nani.” 188


“Kenapa pula tak nak pergi. Yang awak menangis tu kenapa,” soal Safuan. “Dia beritahu saya semalam, dia takut Farhan dan Fahrin buat dia, jadi dia tak nak pergilah esok,” kata Shafiza. Safuan duduk di sebelah Nadia sambil memujuk anaknya berhenti menangis. “Adik ta...kut A…bang Aan dan ...Abang... Arin, dia suka usik adik...,” ungkap Nadia perlahan. Shafiza dan Safuan menarik nafas panjang dengan riak muka terkejut. Shafiza memeluk Nadia dan tangisan berulang kembali. “Abang Aan dengan Abang Arin usik kat mana?” Perlahan jejari comel Nadia menunjuk bahagian yang disentuh sekali gus membuat Shafiza menjerit dan mengucap kalimah Allahuakhbar. Kepalanya bagai dihempap sebuah bongkah batu yang sangat besar. Shafiza lemah dan tidak bermaya. Safuan segera membetulkan kedudukannya di birai katil. Esakan Nadia dan Shafiza semakin kuat. Safuan bungkam. Mencari jalan untuk selesaikan ribut yang datang melanda seperti badai tsunami. Jeda. Shafiza dan Safuan telah membuat keputusan. Pagi itu, mereka tidak ke rumah Mak Nani seperti biasa tetapi ke balai polis untuk membuat laporan mendakwa Farhan dan Fahrin telah melakukan gangguan seksual terhadap Nadia. Shafiza dan Safuan tekad mencari kebenaran untuk Nadia walaupun terpaksa bersemuka dengan Rosnani yang amat baik itu. Baru Shafiza tahu, anaknya bukan sengaja enggan ke rumah Mak Nani, tetapi perbuatan tidak bermoral anak kembar Mak Nani yang menjadi penyebabnya. Tidak tahulah sudah berapa lama Nadia terpaksa merelakan dirinya menjadi bahan ‘usikan’ Farhan dan Fahrin. 189


“Assalamualaikum.” Serentak itu juga bunyi ketukan di pintu kedengaran agak kuat. “Waalaikumsalam,” Jawab Badrul yang ketika itu berada di ruang tamu menonton televisyen. Badrul tergamam beberapa ketika apabila melihat dua anggota polis terpacak betul-betul di depan rumahnya sebaik membuka pintu. “Encik Badrul bapa kepada Farhan dan Fahrin? Kami terima laporan keduaduanya terbabit dalam kes cabul kanak-kanak bawah umur.” “Apa? Cabul? Cabul siapa?” “Kita cerita di balai nanti. Sila panggil anak-anak encik sekarang.” “Kenapa encik? Apa salah anak saya?” Rosnani bergegas ke muka pintu dari dapur apabila mendengar suara tetamu yang tidak dikenalinya. “Kami terima laporan anak-anak puan terbabit dalam kes cabul. Kami nak bawa mereka ke balai untuk diambil keterangan.” Ulang anggota polis itu sekali lagi. “Siapa buat report ni encik?” soal Rosnani lagi. Anggota polis itu tidak menghiraukan pertanyaan Rosnani sebaliknya mengarahkan pasangan kembar itu menuruti mereka. “Farhan dan Fahrin sila ikut kami sekarang.” Seorang daripada anggota polis itu berdiri di antara kembar berkenaan lalu berjalan beriringan masuk ke dalam kenderaan polis. “Ibu, ayah nanti datang balai,” jerit Farhan ketika menjenguk ke luar tingkap kereta. “Tunggu ibu, Aan,” balas Rosnani yang sudah bergenang air matanya. “Abang, apa yang anak kita dah buat ni. Siapa pula budak yang dicabulnya itu, jangan-jangan si Nadia.” 190


“Mulut awak ni cepat sangat nak buruk sangka pada anak sendiri. Kita ke balai dahulu, baru tahu siapa yang buat laporan. Abang nak bersiap ni, nak ikut tak?” soal Badrul kepada Rosnani yang masih terpaku di muka pintu. Farhan dan Fahrin dibawa ke sebuah balai polis di Kuala Terengganu untuk memberi keterangan berkaitan kes cabul tersebut. Peluh jantan mula menitik di dahi masing-masing. Kedua-duanya hanya menundukkan kepala menunggu giliran memberi keterangan dan diam tanpa suara kerana ada beberapa anggota polis sedang memerhati. ‘Macam manalah nak beritahu polis, bahagian badan Nadia yang aku pegang ‘tu. Malunya,’ Naluri Farhan berbisik perlahan. Farhan tersentak ketika namanya yang dipanggil terlebih dahulu. Langkah kakinya sedikit perlahan seperti ada yang menghalang dari belakang. Dipalingkan wajahnya dan melihat wajah Fahrin yang agak sugul. Sebaik sahaja mengambil tempat duduk menghadap pegawai penyiasat, pelbagai soalan diaju kepada Farhan yang sesekali menunduk apabila perlu menjawab soalan sensitif. “Saya tanya, awak sentuh mangsa di bahagian mana? Awak perlu jawab soalan saya.” Farhan mengangguk lemah dan memberikan jawapan sebagaimana dikehendaki. Biarlah dia mengaku daripada diserang oleh pegawai yang mula memberang kalau soalan tidak mendapat jawapan memuaskan. Fahrin menanti giliran dengan penuh debar. ‘Apa aku nak jawab kalau polis tanya?’ Fahrin cuba mengintai tetapi tiada apa yang dapat dilihatnya kerana bilik bertutup rapat. Dilihat sekeliling. Keadaan senyap sunyi. Yang didengarinya hanyalah derap kasut anggota polis yang lalu lalang di hadapannya. Sesi soal siasat antara kedua-duanya berlangsung dalam tempoh dua jam sahaja kerana mereka mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan. “Beri nombor telefon mak ayah awak. Soal jawab dah selesai. Ikut anggota ni dan balik ke tempat tadi.” Jelas kelihatan wajah lesu kedua-dua beradik kembar itu. 191


Namun, tiada apa yang perlu dikesalkan lagi ibarat peribahasa Melayu sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Semua sudah terjadi. Rosnani dan Badrul terpaksa menanggung malu kerana kisah anak kembar mereka yang terlibat dalam kes cabul kanak-kanak menjadi bualan penduduk tidak kira di surau atau kedai runcit. Di mana-mana sahaja ada yang bercerita malah sehingga ke tahap ‘lebih sudu dari kuah.’ Yang tiada diadakan secara berlebihlebihan. “Susah abah nak percaya dengan apa yang telah kamu berdua lakukan. Sanggup kamu malukan abah dan ibu. Syaitan mana yang mendorong kamu berdua buat macam ni pada Nadia. Sepatutnya kamu jaga Nadia seperti adik kamu sendiri, bukan buat benda-benda tidak senonoh tu!” Badrul betul-betul naik angin. Direnungnya wajah Farhan dan Farhrin tidak berkelip. “Jangan buat kerja gila macam ‘tu, senang-senang pegang anak dara orang. Satu lagi, awak ada kakak, cuba kalau orang buat benda tak elok pada kakak, mesti marahkan!” sampuk Rosnani. “Sementara abah nak cari duit bayar ikat jamin korang, duduklah dulu dalam lokap. Muhasabah diri. Mohon ampun dan maaf banyak-banyak pada Allah. Kalau kamu berpegang pada tali Allah, tak berlaku semua benda ‘ni, iman ‘tu kena kuat,” Badrul menitipkan pesanannya sebelum melangkah pergi. Farhan mengambil sedikit waktu yang ada untuk muhasabah diri usai solat Asar berjemaah. Dibiarkan semua rakan keluar sebelum beralih ke tepi dinding untuk bersandar sambil bersila. Matanya menatap surah Yassin di tangan. Diangkat ke muka lalu diciumnya sebelum meletakkannya di atas sebuah rehal yang ada AlQuran di atasnya. Terbit rasa kesal di hati kerana terpengaruh dengan kawan yang akhirnya mengundang bala pada dirinya sendiri. 192


‘Aku silap berkawan dengan kau Hadi. Tak sepatutnya aku ikut cakap kau. Kerana kau, aku melakukan satu kesalahan yang makan diri aku sendiri. Ini adalah kesalahan paling besar yang pernah aku dilakukan. Aku berjanji pada diri aku yang aku tak akan ulang lagi perbuatan tidak bermoral ini.’ Sebaik sahaja membuka helaian pertama surah Yassin, Farhan tersentak apabila terdengar namanya dipanggil dari muka pintu surau. “Mak dengan ayah kau datang Aan. Dia orang ada di ruang menunggu,” kata Muaz. Farhan mengesat airmata rindunya yang sarat bertakung di tubir matanya yang merah. “Ok. Terima kasih beritahu, nanti aku ke sana. Tak sabar nak jumpa mereka,” Farhan berlalu sambil menepuk bahu sahabatnya itu. “Dari jauh lagi Farhan mendepangkan tangannya untuk memeluk kedua ibubapanya yang amat dirindui. Pertemuan kali pertama selepas Farhan di hantar ke Sekolah Tunas Bakti (STB). “Ibu, Aan rindu ibu sangat-sangat. Rindu abah, abang, kakak dan Arin,” ungkap Farhan sambil mencium kedua belah pipi Rosnani. Pelukan dan kucupan yang sudah lama didambakan selepas berpisah kerana mematuhi hukuman dan undang-undang. Pelbagai kisah diceritakan Farhan sepanjang dia berada di STB. Rosnani dan Badrul khusyuk mendengar. Ceritanya seperti keretapi bergerak perlahan sebelum meluncur laju bagai ETS. Segalanya hendak diluahkan. “Ibu, abah, Aan selesa duduk sini. Macam-macam Aan belajar. Dulu Aan malaskan, sekarang Aan dah rajin solat, mengaji, cuci pakaian, masak, kemas dan macam-macam lagi.” “Satu persatu Aan, ibu baru sampai, letihpun belum hilang lagi,” Rosnani menepuk-nepuk bahu Farhan sambil diperhati Badrul. Ada nada rindu yang cuba dileraikan Farhan. 193


Suasana bertukar sepi seketika sebaik Rosnani menyebut nama Nadia. Terbayang kembali saat fikirannya dikawal nafsu nakal. Namun, sesalan sudah tiada gunanya. Bertindak mengikut hawa nafsu pasti membawa akibat buruk dan itulah yang sedang dialami Farhan. “Sabar Aan, ini ujian dan dugaan yang perlu Aan tempuhi.” “Aan belum bersedia lagi nak jumpa budak perempuan tu mak. Aan malu sangat. Sepatutnya Aan lindungi dia bukan lakukan perkara tidak elok,” “Nasi dah jadi bubur Aan. Tak guna simpan lagi rasa kesal tu.” “Cuma satu yang Aan terkilan angat-sangat apabila Aan disabitkan dengan kesalahan rogol sedangkan Aan tak buatpun. Aan berani bersumpah junjung alQuran, Aan tak buat kerja terkutuk ‘tu.” Perasaan malu dan kesal bersilih ganti memenjara diri Farhan. “Aan peliklah ibu, kenapa Aan kena dua kes tapi Arin satu je. Memang Aan tak puas hati betul. Senang-senang tuduh Aan rogol Nadia. Mana ada bukti. Kenapa tak ada laporan pemeriksaan hospital kalau betul Aan buat semua tu?” Farhan kesal kerana dirinya difitnah namun dia tidak berpeluang membuktikan dirinya tidak bersalah. “Kes pun dah selesai, tak guna kita panjangkan lagi. Kalau nak diikutkan hati marah mama ni, mama nak ‘je suruh Mak Cik Shafiza tu buat check-up betul-betul si Nadia tu.” “Sebab tu Arin lepas sebab dia tidak disabitkan dengan kes rogol.” “Aan perlu kuat, walaupun Aan berada jauh dari ibu, ibu tak akan sesekali lupakan Aan. Ibu sayang Aan sampai ke hujung nyawa ibu. Percayalah.” “Aan kuat ibu tapi Arin macam mana? Boleh ke dia hidup tanpa Aan di sisinya? Ibu tahukan kami berdua tidak pernah berpisah sehingga kes ini.” 194


“Arin kena belajar hidup sendiri. Ibu tahu dia berdepan waktu sukar selepas Aan dihantar ke sini sampaikan demam berhari-hari, murung dan tak lalu makan rindukan Aan.” kata-kata Rosnani semakin menyesakkan dada Farhan. ‘Rindu betul dia pada aku. Tunggu aku Arin, aku pasti kembali.’ Fahrin menekup mukanya dengan kedua belah telapak tangannya sambil menghela nafas yang panjang. Rosnani merenung Farhan dengan pandangan rindu seorang ibu yang terpaksa berpisah dengan cinta hatinya. ‘Akal singkatmu telah memusnahkan kepercayaan ibu padamu, sayang. Sukar untuk ibu telan semua tohmahan yang dilemparkan. Namun, ibu tetap bahagia anak. Menanti waktu kamu kembali ke ribaan ibu.’ Rosnani menutup diarinya. Luahan hati seorang ibu yang reda dan pasrah dengan ujian yang diharunginya dalam membesarkan anak-anak. Apa yang terlintas jauh di sudut hatinya disimpan kemas dalam diari khas berwarna biru laut itu. “Sempat lagi ibu menulis ya.” “Aan, tiap detik perjalanan kita adalah sebuah pengalaman. Sangat manis kalau kita dapat melihat kembali memori ini suatu masa nanti.” “Aan tahu ibu, apa yang Aan lalui ini adalah sebahagian daripada kehidupan yang kita tempuhi. Cerita kita adalah untuk kita,” ujar Farhan yang semakin bijak menggaris kata-kata selepas mengikuti kelas-kelas agama, motivasi dan kaunseling. 195


Akukah mentari itu menanti cahaya yang masih malu-malu menyuluh dunia. Akukah beburung itu menagih kasih hingga ke akhirnya atau aku sirna yang terus tenggelam tanpa rela? Ya Allah, andai ini sudah tertulis untukku, aku sedia kembali kepada-Mu dan berdamai dengan takdir yang dicipta untuk aku. Andai ini suratan hidup aku, aku pasrah dan reda.’ Mereka kini kembali kepada fitrah dan berazam untuk menjadi insan yang lebih baik walau tidak sempurna. ISBN 978-967-5472-54-1 STB Kidz 9789675472541 STB KIDZ


Click to View FlipBook Version