The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by wantasok, 2022-03-24 06:08:39

5_6186134507024811205

5_6186134507024811205

Jodoh

CINTA

Cetakan Pertama - April 2022

© Editor & Panel Penulis 2022

HAK CIPTA TERPELIHARA
Tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan
untuk pengeluaran atau ditukar dalam apa-apa bentuk atau dengan alat apa

jua pun, kecuali setelah mendapat kebenaran daripada penerbit.

Perpustakaan Negara Malaysia Data-Pengkatalogan-dalam-Penerbitan

JODOH: CINTA / EDITOR PENGURUSAN: SRI DIAH SHAHARUDDIN,
NOREZLIN SULAIMAN.

ISBN 978-967-xxxx-xx-xx
1. xxx.
2. xxx.
3. xxx.
4. xxx.
I. Judul.
808.882

Diterbitkan dan diedarkan oleh:
Writers Write Services (SA0490349-X)

No. 12, Jalan Platinum 7/44
Seksyen 7, Shah Alam

40000 Selangor Darul Ehsan
[email protected]
https://writerswriteservices.com/

Urusan Tempahan dan Pemasaran:
Anas Suhaimi Ahmad
Tel: 014- 234 7216

Diurus cetak oleh:
Ultimate Print Sdn. Bhd.
No. 2, Jalan Sepana 15/3,
Seksyen 15, 40200 Shah Alam, Selangor
Tel: 03-51013888 Faks: 03-51013300

Autograf

KATA PENGANTAR

INSAN yang menjadi jodoh kita, bukanlah bermakna Perkahwinan
dia wujud hanya di awal perkahwinan sahaja. dan Zat
Sesungguhnya dia sentiasa ada pada saat kita Cinta
murung atau ketika kita jatuh.

Dia juga selalu ada sepanjang usia kita. Dia sering
menarik tangan kita pada saat mahu tergelincir. Dia
juga yang akan mengangkat kita ke darjat yang lebih tinggi.

Perkahwinan yang penuh CINTA, KASIH, SAYANG dan RINDU
adalah zat yang paling mahal dalam menuju kehidupan hakiki di dunia
dan akhirat.

Momen itulah dan banyak lagi kenangan suka duka, pahit dan
manis telah berjaya dicatat dalam antologi kisah hidup ini untuk
tatapan anak cucu dan legasi akan datang.

Sri Diah Shaharuddin
Pengasas Uniknya Inspirasi Kisah Hidup (UnIKH),
Penulis, Penerbit & Pembimbing Buku Kisah Hidup

SYUKUR ke hadrat Ilahi, atas rahmat dan kasih Cer era
sayang-Nya, akhirnya naskhah Jodoh Cinta ini Cinta Nan
berjaya diterbitkan. Pelbagai latar cerita cinta,
suka dalam duka, bahagia dalam derita, bersulam Mekar
mesra menjadikannya satu coretan indah penuh
bermakna.

Sesungguhnya ceritera cinta ini akan kekal terpahat dan
mekar mewangi dalam laman memori penulis Jodoh Cinta.
Tahniah diucapkan kepada 30 orang pengkarya dan penulis
tamu yang sangat istimewa. Ternyata cinta itu anugerah terindah

Norezlin Sulaiman
Admin Jodoh Cinta

4 JODOH | CINTA

KanIsdi ungan

Kata Pengantar 1: Perkahwinan dan Zat Cinta 4
Kata Pengantar 2: Ceritera Cinta Nan Mekar

01 Persalinan Songket Di Hari Perkahwinan - Sri 7
Diah Shaharuddin
14
02 Mihrab Cinta - Norezlin binti Sulaiman 21
03 Perjalanan Sebuah Jodoh - Abi Nizam 28
04 Aku Jawa, Kau Minang - Akhfa Jalal 35
05 Misteri Cinta ‘Ustaz’ - Andi Noor Munawarah
42
Tms 49
56
06 Cinta Sudu dan Garpu - As Samsudin 64
07 Arjuna Cinta - Atikah Desa 71
08 Editor Kehidupan Kami - Azzira Rahman 78
09 Jodoh Permata Hati - Che Mas 85
10 Roda Cinta - Dr Nor Habibah Kaderan 92
11 Dear Encik Superman - Fatin Amirah AR 99
12 Hikayat Cinta - Halimatun Binti Muhamad Ayob 107
13 Made In Burj - Hamidah Parman 114
14 Cinta Aideen - Idawati Idris 121
15 Jodoh Terindah - Jamilah Karim Khan 128
16 Epistolari Cinta - Maziah Mustapa
17 Sudah Boleh Ya! - Maznah Husin
18 Imamku, Dari Dunia Sampai Syurga - Mumtazah

Sanusi

CINTA | JODOH 5

ISI KANDUNGAN

19 Anugerah Sebuah Munajat Cinta - Nik Fatimah 135
Nik Aznan
20 Tulang Rusuk Encik Ahmad - Noorwisma Shaari 143
21 Jodoh, Cinta Dan Sayang - Nur Azlin Nordin 150
22 Semusim Cinta Di Kenyalang - Nur Hazlina 156
Mohd Fisol
23 Simpul Kama - Nuriazs 163
24 Jodoh Tanpa Cinta - Nurul Aini Hassan 171
25 Cinta Jelapang Padi - Siti Mariam Daud 177
26 Cinta Hati Beta - Tengku Norsilawaty Bt. Raja 184
Hassan
27 Dia Jodohku - Qama Amir 191
28 Berputik Di Menara - Safa Andra 199
29 Kisah Cinta Pokok Ubi - Syakirin Bin Saulani 206
30 Kisah Cinta Kita - Ustazah Cinta 213
31 Cintaku Kembali di Tadom - Asmida Adam 221
Cinta Seikhlas Budi - Datin Hajah Che 228
PeTnaumlius Normadiah Haji Che Abbas

6 JODOH | CINTA

Persalinan Songket Di Hari

Perkahwinan

SRI DIAH SHAHARUDIIN

Dulu, tiga keping gambar
perkahwinan mereka, emak simpan

dalam bungkusan kain pelikat
bersama-sama persalinan
kebaya songket yang mak
pakai masa berkahwin.

PERSALINAN SONGKET DI HARI PERKAHWINAN

SEMASA kami adik beradik masih kecil, emak dan abah
memang jarang ke mana-mana. Waktu itu mereka sibuk
dengan urusan untuk membesarkan kami adik beradik.

Walaupun ketika itu abah ada seorang abangnya yang
bertugas sebagai anggota polis di Balai Polis Kampung Kuala
Pahang di Pekan, Pahang tapi agak jarang dia bawa kami ke
sana.

Abah dan emak juga ada ramai saudara mara di Jeram, Kuala
Selangor dan di Kelang. Namun samalah juga kami jarang ke
sana. Malahan jarang juga berjumpa ketika sambutan hari raya.

Fokus utama mereka ialah mahu memberikan pelajaran
dunia dan akhirat secukupnya buat kami. Apa sahaja keperluan
kami untuk belajar abah dan mak pasti akan sediakan.

Maka abah dan emak bekerja kuat, bersungguh-sungguh dan
sentiasa amalkan sikap berjimat cermah. Elakkan membazir.
Jangan beli jika tak perlu. Makan pakai setakat apa yang ada
sahaja.

“Abah nak semua anak-anak berjaya, masuk universiti,”
kata abah yakin sambal mengasah beberapa mata parang dan
mata pisau yang ditempah orang.

“Abah nak anak-anak semua mesti kerja duduk dalam air
condition. Jangan kerja macam abah. Semua anak abah mesti
ada kereta sendiri nanti.” Begitu antara harapan abah.

Selain itu urusan akhirat juga menjadi tumpuan utama
mereka. Abah yang bertugas sebagai imam akan memastikan

8 JODOH | CINTA

PERSALINAN SONGKET DI HARI PERKAHWINAN

kami turut dilengkapkan dengan pengetahuan agama, hal fardu
kifayah dan fardu ain.

“Kalau dah sampai masa wajib tunaikan solat, tak boleh
bertangguh. Penat, mengantuk, sakit ke, kena buat jugak.”
Begitulah selalu pesan mak, menyambung kata-kata abah.

Biasanya abah dengan mak macam berpakat. Kalau mak
tengah marahkan kami dek kenakalan atau kemalasan siap
dengan rotan dan sebagainya, abah hanya akan diam sahaja.

Abah tak pernah masuk campur kalau mak tengah
naik angin terhadap kami. Samada abah diam atau abah
pelan-pelan bangkit, tinggalkan kerusi dan masuk ke
bilik. Ataupun abah akan capai serban, terus pergi surau.
Kami juga tak pernah lihat emak dan abah berkelahi. Tak pernah
sekali pun! Sebenarnya kami langsung tak tahu, bilakah masa
abah dengan mak bermasam muka.

Mak pun tak pernah tunjuk yang dia merajuk. Mak langsung
tak pernah tonjolkan yang dia berkecil hati dengan abah. Abah
tak pernah tinggikan suara. Mak pun sama.

Memang perkahwinan dan kebahagiaan mak dan abah
adalah rumah tangga yang kami cemburui. Paling selalu kami
lihat ialah emak dan abah akan selalu duduk makan bersama-
sama.

Mereka akan duduk semeja. Makan berhadap-hadap. Kalau
mak masak asam pedas ikan parang, mesti letak bendi yang
banyak sebab itu kegemaran abah.

CINTA | JODOH 9

PERSALINAN SONGKET DI HARI PERKAHWINAN

Mak pun tahu abah mesti nak telur dadar bersama-
sama dengan gulai asam pedas. Tapi kalau mak tak sempat
masak telur dadar, abah akan masak sendiri ‘telur geletek’
kegemarannya.

Bab telur geletek ini, memang kami selalu kalah dengan
abah. Jika kami yang masak, selalu sahaja tak sedap rasanya.
Tak macam telur geletek yang abah buat.

Rasa telurnya kekal sedap, tak hanyir. Rasa bawang dan cili
kisarnya selalu tepat, tak telebih atau terkurang. Paling penting
abah tak letak serbuk perasa.

Selalunya hasil gorengan telur geletek abah selalu perfect!
Kenyal dan kental rasanya. Tak benyek lembik, tak lembut
sangat atau tak hangus. Fuhh!

Aduhai, mak pun kalah kalau bab masak telur geletek ini.

Perkahwinan mak dan abah bermula ketika emak berusia 15
tahun dan abah lingkungan 19 tahun. Begitulah anggaran kami
adik beradik berdasarkan surat beranak kakak sulung.

Di surat beranak kak long itu tertera umur emak 16 tahun
dan umur abah 20 tahun ketika kak long kami Dato’ Noriah
Shaharuddin dilahirkan.

Kami masih menyimpan gambar perkahwinan emak dan
abah. Gambar hitam dan putih itu sangat istimewa bagi kami.
Momen yang sangat manis dan bersejarah.

Mak dan abah memakai pakaian songket sedondon.
Selendang mak terletak di bahu dan ada veil untuk hiasan di

10 JODOH | CINTA

PERSALINAN SONGKET DI HARI PERKAHWINAN

kepala. Abah pula pakai songkok tinggi dan berkasut kulit
buaya.

Waktu perkahwinan itu berlangsung mungkin ketika musim
hujan. Sebabnya dalam gambar itu emak dan abah duduk di atas
kerusi yang diletakkan di atas pangkin dan ada air bertakung di
sekeliling tempat bersanding itu.

Saudara mara yang turut bergambar pula sedang memegang
payung. Begitulah, momen indah perkahwinan itu tatap menjadi
tatapan kami adik beradik dan cucu-cucu emak abah.

Dulu, tiga keping gambar gambar perkahwinan mereka, emak
simpan dalam bungkusan kain pelikat bersama-sama dengan
persalinan kebaya songket yang emak pakai masa kahwin dahulu.

Allahhu… mak menjaga sangat gambar-gambar perkahwinan
mereka. Bungkusan kain pelikat itu mak simpan baik-baik
dalam almari pakaian.

Emak, Allahyarhamah Hajah Halijah Ibrahim meninggal dunia
pada 19 Januari 2009 kerana komplilkasi buah pinggang yang
serius. Beberapa bulan kemudian kami mengambil keputusan
supaya abah berkahwin lagi.

Tujuannya tidak lain tak bukan ialah supaya ada insan yang
dapat menjaga abah memandangkan abah tinggal sendirian di
rumah kerana kami adik beradik tinggal di kediaman masing-
masing.

Ya, kami carikan jojdoh abah. Abah bernikah dengan Mak
Gayah, yang kematian suami (suaminya ialah kawan baik abah).

CINTA | JODOH 11

PERSALINAN SONGKET DI HARI PERKAHWINAN
Kami berjiran. Anak-anak Mak Gayah juga adalah kawan-
kawan kami, bersekolah bersama dan naik bas sekolah yang
dulunya dipandu oleh bapa mereka yang kami panggil Abang
Man.
Perkahwinan itu kekal selama 13 tahun sehinggalah Allah
menjemput abah embali ke negeri abadi pada 13 Februari 2022
kerana kanser kerongkong.
Pemergian abah ialah 13 tahun setelah emak meninggal
dunia. Ya, Allah satukanlah mereka berdua di syurga-Mu.
Berilah kebahagiaan dan kegembiraan buat mereka, dapat
menyambung kembali cinta yang tak pernah habis.

12 JODOH | CINTA

PERSALINAN SONGKET DI HARI PERKAHWINAN

Cinta Yang Abadi,
Tidak Di Dunia Berjumpa

Di Syurga.

Almarhumah emak kami ialah ialah anak tunggal
yang dibela oleh almarhumah nenek, Hajah Minah
Hassan. Emak ialah anak angkat daripada keturunan

Cina.

Rumah pekerja Kilang Atlas Ice di Sungai Besi, Kuala

Lumpur ialah tempat awal emak dan abah tinggal dalam

membesarkan kami. Waktu itu hanya ada tiga orang

adik beradik, saya anak bongsu (anak ketiga) waktu itu. HemSaHulailkjaaaa,GjibhiAmaaSl@amhmhn,abAaAhabrtlhraeiljraruaksuhhmeadynmaIdaabhirannrh-aHgsaHhaamanimajmajaih.

Emak pandai berbahasa Cina dialek kung fu.

Allahyarham abah ialah anak bongsu
daripada sebelas orang
adik beradik, berasal dari

Kelang, Selangor.

Allahyarham abah seorang yang mahir besi.

Saya bersama-sama abah dan
isteri kedua abah, yang kami
panggil Mak Gayah.

CINTA | JODOH 13

Mihrab Cinta

NOREZLIN SULAIMAN

Mihrab cinta, semua dengan izin-Nya,
saling mencintai kerana Allah.

Dahulu, kini dan selama-lamanya.

MIHRAB CINTA

SEORANG anak muda yang naif berkelana menuntut ilmu
ke selatan tanah air pada usia 18 tahun. Tanpa sahabat
atau saudara mara, bersendirian di daerah asing. Cinta.
Ada apa dengan cinta?

“Awak, boleh saya pinjam buku nota kimia tak?” sapa
seorang rakan sekuliah lelaki.

Saya mengalih pandangan kepada suara itu. Mendongak!
‘Tinggi betul dia ni!’ monologku.
“Okey, boleh. Tapi esok jangan lupa bawa dan pulangkan
ya,” jawab saya menunduk.
Sebagai seorang siswi yang agak asing di negeri ini, saya
lebih banyak berdiam. Rata-rata rakan sekuliah dari negeri yang
sama, mereka kelihatan sangat rapat dan serasi. Personaliti
saya yang agak pemalu menyebabkan saya selalu mengambil
tempat di kerusi bahagian hadapan sahaja setiap kali mengikuti
kuliah. Lebih baik tidak nampak orang, boleh berikan tumpuan
kepada pensyarah!
Hairan! Ceritera meminjam nota kuliah dari sahabat baharu
saya yang seorang ini tidak berlaku hanya sekali. Sudah tidak
ada orang lainkah yang sudi memberi pinjam?
‘Ah! Jangan kedekut ilmu. Ikhlaskan saja nanti dapat pahala,’
saya memujuk hati.

CINTA | JODOH 15

MIHRAB CINTA

Akhirnya saya mulai sedar, rakan-rakan asyik memerhatikan
gerak laku kami. Sesekali terdengar juga usikan mesra. Saya
abaikan saja, perasaan malu pun ada. Tambahan pula saya
kurang bergaul dengan rakan lelaki, mungkin disebabkan latar
belakang keluarga dikelilingi adik-beradik perempuan, sepupu
dan saudara- mara yang juga ramai perempuan. Kekok!

Hari berganti hari. Saya semakin dapat menyesuaikan diri
dengan situasi di sini. Di kolej matrikulasi saya bertemu sahabat
karib, Nadeha, Elyana dan Azlina. Kami seperti belangkas,
ke mana-mana sahaja. Ada yang menggelarkan kami geng
ulat buku kerana sentiasa duduk di kerusi hadapan kuliah
dan membawa buku nota yang tebal. Selain itu, antara rakan
sekelas lelaki yang masih saya ingat antaranya Arief, Amir,
Fahmi, Khalid, Azlene dan Zaharin.

Pelajar matrikulasi Sains Fizik UPM sesi 1998-1999 tidaklah
ramai mana. Kami menumpang kuliah di Kolej Islam YPJ, Johor
Bahru. Di sinilah kisah percintaan kami bermula.

Menginjak ke semester dua, lelaki peminjam nota terus
berusaha mendekati saya. Dek usikan rakan-rakan akhirnya
saya menerima kehadiran beliau sebagai sahabat rapat. Nota-
nota saya tetap menjadi pujaan hatinya. Pelik betul!

Dipendekkan cerita, perjalanan matrikulasi kami sampai
ke akhirnya. Masing-masing berjaya bergelar mahasiswa dan
mahasiswi di kampus induk Universiti Putra Malaysia.

“Lin, tadi nampak Khalid, dia cari Lin. Dia kat kolej kita
jugalah!” sapa sahabat saya, Nadeha.

16 JODOH | CINTA

MIHRAB CINTA

“Oh, ye ke?” balas saya sambil tersipu malu.

Dipendekkan cerita, selama tiga tahun di kampus,
persahabatan kami berjalan dengan baik namun kami
masih menjaga adab dan pergaulan. Sering kali kami
mengingatkan antara satu sama lain akan tujuan dan
matlamat ke menara gading. Sesekali berjumpa, kami
saling memberikan semangat dan tidak mahu tumpuan
teralih hanya kerana percintaan. Bahkan ramai juga yang
tidak tahu kami sebenarnya pasangan kekasih kerana
selalu berlagak seperti orang asing apabila bertembung di
kampus. Profesional kononnya!

Saya amat bertuah kerana dikelilingi sahabat yang baik
semasa di kampus. Miza, Suria, Nor, Atikah dan ramai lagi
peneman setia saya berjalan kaki ke kuliah. Kenangan pahit
dan manis di blok Kalui, Kolej Kelima, UPM Serdang bersama
Kak Yati, Kak Ja, Sujae, Noor, Aqma, Ua dan Tina sentiasa
segar dalam ingatan. Terima kasih kerana selalu menjadi
penasihat tidak bergaji dalam kisah percintaan pertama saya
ini.

Tahun silih berganti, kami telah pun tamat pengajian di
universiti. Saya mendapat penempatan sebagai guru di kampung
halaman saya, Pahang Darul Makmur sementara teman lelaki
saya (kini suami) membuat pelbagai jenis pekerjaan untuk
mencari pengalaman di selatan tanah air sebelum mempunyai
pekerjaan tetap.

CINTA | JODOH 17

MIHRAB CINTA

Semasa mula berkhidmat, ramai juga rakan di sekolah
bertanya sama ada saya sudah berpunya atau belum kerana
ingin memperkenalkan saya dengan seseorang.

Suatu hari saya dipanggil oleh Tuan Pengetua ke biliknya.
Saya melangkah ke bilik pengetua dengan perasaan takut
dan serba tidak kena. Dalam libang-libu rasa hati, saya asyik
mengingat kembali, apakah kesalahan yang telah saya lakukan
sampai dipanggil ke bilik Pengetua. Akhirnya, semua debaran
beransur pergi apabila Tuan Pengetua hanya bertanya dan
memberikan pandangan tentang beberapa perkara berkaitan
unit kaunseling dan program. Saya meminta diri untuk keluar
selepas selesai perbincangan. Lega!

Selang beberapa hari, saya didatangi seorang staf pejabat
yang memang terkenal dengan personalitinya yang suka
mengusik.

“Cikgu, ada orang berkenan nak jadikan cikgu calon
menantu,” kata beliau sambil senyum meleret.

“Apa?” Saya menjegilkan mata seakan-akan tersentak
dengan kata-katanya.

“Ya cikgu. Dia nak perkenalkan cikgu dengan anak lelakinya.
Kalau cikgu setujulah,” sambung beliau lagi.

“Oh, ada-ada saja akak ni.” Saya membalas sambil
menganggap kata-kata itu sekadar gurauan.

“Cikgu dah ada yang punya ke?” tanya beliau lagi.

‘Eh! Beria-ia pula kakak ni’, saya bermonolog.

18 JODOH | CINTA

MIHRAB CINTA

Saya senyum sahaja lantas berlalu keluar dari pejabat.
Soalan itu saya biarkan tanpa jawapan.

Setelah beberapa orang bertanya soalan yang hampir sama
kepada saya, akhirnya saya memberanikan diri bercerita kepada
teman lelaki saya ketika itu.

Kedengaran sedikit kerisauan pada nada suaranya.
Maklumlah, zaman itu perbualan hanya melalui kiriman surat,
telefon rumah atau telefon bimbit tanpa kamera. Jarak kami
pula beratus-ratus kilometer. Akhirnya, kerana khuatir teman
wanita diambil orang, beliau mengambil kata putus supaya
kami bertunang dahulu. Syukur, perbincangan antara kedua-
dua keluarga juga berjalan lancar.

Setahun tiga bulan selepas mengikat tali pertunangan, kami
diijabkabulkan dalam majlis sederhana tetapi meriah dengan
kehadiran ahli keluarga dan sanak saudara. Tanggal 21 Mei
2005, maka rasmilah saya sebagai isteri kepada Khalid bin
Zahrom, si peminjam nota yang setia.

Persahabatan alam kampus selama tujuh tahun hasil usikan
rakan-rakan pada awalnya, membawa kami ke jenjang pelamin.
Kami tidak sempurna namun sentiasa saling melengkapi.

Mihrab cinta, semua dengan izin-Nya, saling mencintai
kerana Allah. Dahulu, kini dan selama-lamanya.

CINTA | JODOH 19

MIHRAB CINTA

Nota Mohrab
Cinta

M – Mendengar, saya setia menjadi pencatat dan penterjemah kepada
semua buku/artikel yang dibaca sehingga kini kerana suami seorang
berciri auditori. Beliau lebih suka mendengar berbanding membaca.

I – Indahnya perhubungan kami kerana dia selalu menghiburkan dan
menenangkan saya saat dalam kerisauan.

“Usik-mengusik bawa bahagia,” ungkapan dari rakan-rakan di matrikulasi
membawa kami hingga ke alam rumahtangga.

H – Hormat. Seorang ayah yang sentiasa menghormati pandangan,
mengambil berat akan kebajikan isteri dan anak-anak serta ringan tulang.

RA – Rajin, kuat berusaha, berfikiran jauh, seorang yang tidak mudah
mengalah dan sentiasa memberi galakan dalam setiap apa yang saya

lakukan.

B - Belangkas. Kami
umpama sahabat karib yang
selalu berkongsi pendapat

dan pandangan dalam
semua perkara.

Bersama-sama teamnpgagtaokraamngi cahaya mata penyeri
rumah hingga kini.

20 JODOH | CINTA

Perjalanan

Sebuah Jodoh

ABI NIZAM

Cinta kepada sahabat,
cinta kepada orang tua
dan cinta kepada ikatan persaudaraan
ialah cinta-cinta yang membawa

kepada jodohku.

PERJALANAN SEBUAH JODOH

CINTA ASAS JODOH BERKEKALAN

BERCERITA tentang jodoh maka ramai mengaitkannya
dengan perkahwinan. Ada jodoh maka mereka berkahwin.
Jika jodoh telah tiada maka mereka bercerai.

Apakah faktor yang menyebabkan jodoh berkekalan?

Cinta. Ya. Faktor keutuhan jodoh ialah cinta.

Cinta kepada anak-anak menjadi alasan jodoh dipertahankan
oleh ibu dan ayah mereka, cinta kepada harta menjadi alasan
jodoh berkekalan demi kepentingan keperluan diri dan cinta
kepada ibu bapa sehingga memilih untuk menjaga hati orang
tua adalah sebahagian contoh jodoh atau perkahwinan tanpa
cinta yang berkekalan.

Contoh-contoh tersebut menjelaskan bahawa selain cinta
kepada pasangan juga kadang-kadang mendorong kepada
jodoh yang berpanjangan.

Oleh itu, terhapusnya jodoh adalah lebih didominasi oleh
ketiadaan cinta. Tidak menjadi ukuran adakah cinta terhadap
pasangan atau cinta terhadap selain pasangannya. Selagi ada
yang namanya cinta maka jodoh mereka berkekalan.

Ungkapan yang aku kongsikan ini ialah hasil daripada
penelitian dalam kisah perkahwinan ibu bapaku. Mereka
dijodohkan oleh datuk dan nenek yang kemudiannya bercinta
selepas perkahwinan terjalin.

CINTA EMAK DAN ABAH
Bagaimana mereka boleh bercinta selepas pernikahan? Rasa cinta

22 JODOH | CINTA

PERJALANAN SEBUAH JODOH

kepada atuk dan nenek menjadikan emak dan abah taat kepada
mereka sehingga wujudlah putik-putik cinta selepas pernikahan.

Abahku bukanlah orang kaya atau berkelulusan tinggi. Begitu
juga emak, bukanlah daripada keluarga kaya atau bangsawan.

Latar belakang keluarga yang setaraf menjadi ruang
mereka dijodohkan dengan restu orang tua. Selepas menjalani
kehidupan berumah tangga yang bertunjangkan rasa hormat
dan cinta kepada orang tua akhirnya bertambah dengan rasa
cinta terhadap anak-anak.

Emak sangat sayang akan anak-anak. Emak menyokong
pernikahanku meskipun masih belajar di universiti. Itu bukti
terbesar bahawa emak sayang akan anaknya.

Abah juga sayang akan anak-anak. Apabila motosikal
dan kereta kesayangannya digunakan oleh anak hingga
menyebabkan kerosakan, abah tidak pernah marah, sebaliknya
menunjukkan tindakan yang patut kami lakukan sebagai tanda
bertanggungjawab.

Hal ini berbeza dengan lelaki pada hari ini yang kelihatan
lebih menyayangi kereta daripada anak. Peristiwa tangan
anak dipukul oleh ayah gara-gara mencalarkan kereta pernah
menjadi tular. Penderitaan anak kehilangan tangan tidak dapat
ditebus oleh bapa walau penyesalan sebesar isi dunia ini.

CINTA SEPANA TANPA JODOH
Jodohku dengan peralatan mekanik sejak menengah rendah
lagi menyebabkan aku berhasrat untuk menukarkan aliran
pengajian Islam kepada aliran automotif.

CINTA | JODOH 23

PERJALANAN SEBUAH JODOH

Emak tidak bersetuju dengan cadanganku, maka kekallah
aku dalam aliran pengajian Islam namun tetap mempelajari
hal berkaitan automotif melalui tunjuk ajar abah. Mungkin
ungkapan baharu boleh aku kongsikan iaitu jika sudah cinta,
tiada jodoh pun tercapai juga untuk hidup bersama. Yang lebih
menarik ialah hasrat emak untuk aku kekal dalam pengajian
Islam menjadi ruang kepada aku bertemu dengan jodoh sejati.

JODOH DENGAN ISTERI
Tidak menarik jika bercerita tentang jodoh tetapi tidak disertakan
kisah jodohku dengan isteri.

20 Julai 1997 ialah tarikh pernikahan kami. Emak dan
abah bercinta selepas pernikahan, tetapi aku bercinta selepas
bertunang pada 25 September 1992. Kami puas bercinta dalam
tempoh lima tahun tersebut.

Hasrat emak untuk aku kekal dalam aliran pengajian Islam
mempertemukan aku dengan dua beradik iaitu Adam dan Ismail.
Mereka ialah sepupu kepada isteriku. Kami tinggal di Asrama
Larkin ketika menuntut di Maahad Johor pada tahun 1987.

Mereka tertarik untuk lebih akrab denganku setelah
mengetahui aku lulusan Madrasah Arabiah Kluang.

“Zam, abang ada bapa saudara di Kluang, tapi abang tak
pernah ke rumahnya. Namanya Saberan bin Md. Dom,” Adam
memulakan perbualan.

“Apalah Abang Adam ni. Saya bukan kenal semua orang di
Kluang. Nama kampung dia apa?” sahutku dengan gaya seolah-
olah Kluang sudah berada di tanganku.

24 JODOH | CINTA

PERJALANAN SEBUAH JODOH

“Yap Tau Sah, kau tahu di mana?” sambung Adam dengan
lebih teruja.

“Naik bas mini kalau nak ke sana,” jawabku seolah-olah
profesor serba tahu.

“Hujung minggu ini kita pergi ke sana boleh?” Adam bersuara
sambil menatap wajahku dengan penuh harapan.

“Abang tanggung semua perbelanjaan, jadi ya?”
sambungnya lagi tanpa memberikan peluang kepada aku
untuk berfikir.

KALAU DAH JODOH TAK KE MANA
Bas mini memasuki kawasan Yap Tau Sah. Aku menekan
loceng untuk turun. Ketibaan kami disambut dengan laungan
azan waktu zuhur.

“Kita solat zuhur dahulu, yok!” Adam mengajak aku menuju
ke arah suara laungan azan. Aku hanya menuruti Adam dari
belakang.

Setelah selesai solat, semua jemaah saling bersalaman.
Aku melihat Adam sedang berpeluk-pelukan dengan imam
yang memimpin jemaah.

“Zam, inilah Pak Andak abang,” suara ceria Adam
memecahkan alunan selawat para jemaah.

“Kalau dah jodoh tak ke mana,” bisik hatiku sambil tersenyum
melihat mereka berpelukan.

CINTA | JODOH 25

PERJALANAN SEBUAH JODOH

MESRA SEPERTI KELUARGA
Kami makan tengah hari di rumah Pak Andak. Keluarga Pak
Andak sangat gembira dengan kehadiran kami. Waktu dahulu
tidak seperti hari ini. Perjalanan menziarahi adik-beradik agak
sukar kerana tidak mempunyai kenderaan. Hanya motosikal
yang ada untuk bergerak dan anak-anak tidak ikut bersama. Hal
ini menyebabkan anak-anak tiada kesempatan untuk mengenali
sepupu mereka.

Banyak cerita yang dikongsikan oleh Adam kepada Pak
Andak sekeluarga. Sesekali Pak Andak bertanya perihal
keluargaku. Dia yakin dia pernah berjumpa dengan abah
sewaktu bertugas mengendalikan jentera di Batu Pahat. Setelah
selesai menikmati juadah tengah hari, kami memohon diri untuk
meneruskan perjalanan ke rumahku di Air Hitam.

Sepanjang perjalanan, Adam dan aku tidak berbicara.
Mungkin Adam sepertiku, melayan kenangan bersama-sama
Pak Andak yang sangat mesra. Aku terasa seperti aku adalah
sebahagian daripada keluarga mereka.

JODOH CINTA
Sepuluh tahun kemudian, secara rasminya aku menjadi
keluarga mereka setelah menikahi sepupu sahabatku. Cinta
kepada sahabat, cinta kepada orang tua dan cinta kepada
ikatan persaudaraan ialah cinta-cinta yang membawa kepada
jodohku. Jodohku ialah jodoh cinta.

26 JODOH | CINTA

PERJALANAN SEBUAH JODOH

Nota Cinta

Pada 1987, aku bertemu dengan Adam dan Ismail
ketika belajar di Maahad Johor.

Pada 1997, aku menikahi sepupu mereka.
Keindahan 10 tahun kurniaan Allah.

Ketulusan cakna anak-anak saudara hasil rasa cinta
yang disemai orang tua.

Aku melihat kesucian cinta ibu yang membesarkan
tujuh anak kecil seorang diri.

Persahabatan dan kepercayaan menghasilkan cinta kekeluargaan.

gampbroavrindiecgoarmrubpat rtaskemboulleah, copy.
ya.

Keluarga bahagia.

CINTA | JODOH 27

Aku Jawa,

Kau Minang

AKHFA JALAL

Jodoh dan cinta itu unik,
kadangkala hadir kepada kita

dalam keadaan yang tidak
disangka-sangka.

AKU JAWA, KAU MINANG

JODOH dan cinta itu unik, kadangkala hadir kepada kita
dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Aku masih
ingat lagi bagaimana pertama kali hatiku terbuka untuk
bercinta.

Senja itu, rakan sekuliahku Irma menemuiku.

“Fa, ada surat untuk kau.” Irma tersenyum sambil
menghulurkan sekeping surat berlipat dua kepadaku.

Aku segera meneliti surat yang sampai di tanganku. Di
bahagian luarnya tertera perkataan ‘STEADFAST CLUB’.

“Eh, aku bukan ahli Steadfast. Betulkah surat ini untuk aku?”
tanyaku kebingungan.

“Betul. Kau bukalah dahulu. Tengok apa yang ditulis di
belakangnya,” jawab Irma.

Aku terkejut selepas membaca kandungan surat itu. Kata-
katanya jujur, jelas dan hanya ditulis menggunakan pensel.

“Red?” tanyaku kehairanan.

“Ya. Red beritahu yang dia nak berkenalan dengan kau
dengan lebih dekat lagi. Kalau boleh bukan sekadar kawan
biasa. Kalau kau nak tahu, dia rakan sekelasku semasa di
SMAKL. Baik orangnya. Dia anak tunggal dan tinggal bersama
dengan ibunya. Ayahnya pula sudah lama meninggal.” Irma
memberikan informasi tanpa ditanya.

Aku tahu, Red agak popular di universiti. Tutur katanya
mempersona, ringan tulang dan punya aura kepimpinan yang

CINTA | JODOH 29

AKU JAWA, KAU MINANG

tersendiri. Aku sendiri pernah menumpang keretanya ketika
belajar di matrikulasi dahulu. Tidak sangka pula dia benar-
benar serius ingin menawan hatiku.

Walaupun tatkala itu aku resah gelisah, namun kejujuran
yang dizahirkannya melalui surat itu membuatkan hatiku
terpaut untuk mengenalinya dengan lebih dalam.

Fa, esok jangan lupa. Saya ambil awak jam 7.30 pagi.
Pakai sports gear.

Aku seng nguyuh,
Red

Aku ketawa terbahak-bahak ketika membaca nota yang
ditulis di atas tisu dan diselitkan bersama-sama dengan
bungkusan sup tulang kirimannya. Pasti ada rakannya yang
sengaja hendak mengenakannya.

“Red, ‘aku seng nguyuh’ itu bermaksud aku yang sedang
kencing. Awak sebenarnya nak cakap yang awak rindukan
saya bukan?” tanyaku kepadanya setelah ada kesempatan
menelefonnya. Serentak itu dia memohon maaf.

Kami sedar kami berbeza. Aku berketurunan Jawa, manakala
dia pula Minang. Aku tidak suka makanan pedas, dia pula
sebaliknya. Aku benci kota metropolitan. Sayangnya, dia pula
dilahirkan dan bermaustautin di Kuala Lumpur.

Selepas insiden itu, kami lebih berhati-hati dan sentiasa

30 JODOH | CINTA

AKU JAWA, KAU MINANG

merujuk antara satu sama lain sekiranya terbit apa-apa
keraguan.

Ibuku juga sentiasa berpesan, apabila berkasih nanti,
sentiasalah berlapang dada untuk memahami kerenahnya,
perbezaan pendapat, budayanya serta hubungan
silaturahimnya.

Sepanjang perkenalan dengannya, aku belajar untuk
meraikan perbezaan dan menghargai titik persamaan dalam
mengukuhkan ikatan percintaan.

“Red, boleh tak tolong mintakan resepi gulai jengkol dengan
sambal sotong daripada mak awak?” Aku memberanikan diri
bertanya kepadanya selepas meneguk sebotol air mineral dek
keletihan berjoging mengelilingi Bukit Komanwel.

Sebelum ini, aku jarang menikmati gulai jengkol dan sambal
sotong yang enak, apatah lagi menyediakannya. Aku balun juga
sampai habis walaupun makanan kegemarannya itu pedas.

“Eh, mana boleh bagi free. Jadilah isteri saya dahulu kalau
nak resepi mak tu,” balasnya berseloroh.

Aku terdiam cemas. Sejujurnya, aku tak pasti sama ada dia
mahu mengusikku atau benar-benar memaksudkannya. Jika
benar jodohku sudah tertulis dengannya, aku harus menetap
bersama-sama dengan ibunya di Kuala Lumpur.

CINTA | JODOH 31

AKU JAWA, KAU MINANG

“Awak ingat perkahwinan tu senang? Kalau nak memperisteri
saya, datanglah menghadap mak dan bapak saya. Mintalah
restu mereka dan hasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk
mereka.” Tona suaraku di telefon sudah bertukar seperti mercun
papan dibakar.

“Betul ni? Jangan nanti, awak tolak cinta saya ni,” balasnya
bersahaja.

“Awak ikhtiarkanlah!” Aku sengaja mencabarnya.

Aku sesekali tidak menyangka dia menyahut cabaranku.
Pada tahun 2002, aku panik apabila dia dan tiga orang
sahabatnya bukan sahaja datang beraya dan bermalam di
rumahku, malah menjadi imam solat subuh keesokan harinya.

Setahun kemudian, aku dikejutkan lagi dengan kehadirannya
sebagai pengarah program Baktisiswa UIAM di kampungku.
Tidak cukup dengan itu, dia sengaja memilih keluargaku sebagai
keluarga angkatnya.

Insiden yang paling mendebarkan aku ialah kehadirannya
dengan keluarganya menghantar cincin merisik ke rumahku
ketika semester akhir pengajian undang-undangku di universiti.
Kali ini, dia memang tidak main-main dengan keputusannya
untuk memperisterikan aku!

Aku merenung tepat ke mata suamiku yang setia menjagaku
sepanjang aku berada di wad hospital. Hatiku umpama dilanda
tsunami. Hal yang satu ini bagai merentap kebahagiaan kami.

32 JODOH | CINTA

AKU JAWA, KAU MINANG

“Sayang, I tak boleh mengandung normal. Doktor beritahu
yang kedua-dua tiub fallopian I sudah dibuang sebab rosak
teruk kerana Endometriosis.”

“Tak mengapa sayang, Allah itu Ar-Razzaq. Apa yang
paling penting sekarang, kesihatan you,” pujuknya lembut dan
kemudian mengucup dahiku.

Begitulah lumrah alam berumah tangga, pasti ada turun
naiknya. Ketika itu, tipulah jika aku berasa aman, lebih-lebih
lagi ia melibatkan zuriatnya. Namun, kami yakin semua ini ada
hikmahnya. Tanpa sedar, kami menjadi lebih matang dalam
perhubungan.

Lagu Kasih Kekasih dendangan kumpulan Inteam bergema
memenuhi ruang keretaku. Kami tersenyum bertentangan mata
sambil menikmati lagu kegemaran kami sewaktu bercinta
dahulu. Kami masih ingat lagi bagaimana riuh-rendahnya majlis
perkahwinan kami ketika dikunjungi oleh empunya lagu itu.

“Sayang, sudah 16 tahun rupa-rupanya kita berumah tangga.
Setiap kali nampak McDonald tu, rindu pula nak makan aiskrim
dengan you seperti waktu bercinta dulu.” Red berbicara manis
ketika pemanduanku menghampiri simpang Rehat & Rawat Genting
Sempah selepas menghantar anak tunggalku pulang ke asrama.

Aku segera mengeyakan kerinduannya itu. Hatiku berbunga
mekar. Tangan kanannya segera kugengam erat. Dalam diam,
aku berdoa agar jodoh kami dirahmati-Nya dan kekal hingga ke
syurga-Nya.

CINTA | JODOH 33

AKU JAWA, KAU MINANG

Jodoh Yang
Terindah

Kami berdua mendaftar di matrikulasi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada Semester 01/1999. Red

mengambil jurusan psikologi.
Kami berdua menggemari aktiviti lasak dan sering menghadiri

program-program kepimpinan anjuran universiti.
Selepas bertunang pada tahun 2004, Red memulakan kerjayanya
sebagai pegawai kaunselor. Aku pula menghabiskan latihan dalam

kamarku.
Kami bernikah pada 5/3/2005 yang juga merupakan

tarikh ulang tahun kelahiran ibu Red.
Kami percaya bahawa komunikasi, adab dan toleransi

ialah kunci kebahagiaan dalam rumah tangga.

34 JODOH | CINTA Ibu Rpeedrtukentaiknagamnekneyajarurinpgeknaunlicsi.ncin

Misteri ’

Cinta ‘Ust

ANDI NOOR MUNAWARAH TMS

Ternyata mahligai yang terbina atas
dasar cinta sesudah pernikahan

membenihkan kasih sayang yang lebih telus
dan tulus. Aku bahagia.

MISTERI CINTA ‘USTAZ’

TANGGAL 23 Januari 1990, bilik kuliah C1 menyimpan
memori sayu dalam sejarah pengajianku di Maktab
Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI).

Jam 7:30 pagi itu, aku melangkah ke bilik muzik dengan
teman-teman sekuliah dengan yakin, tenang dan ceria. Setelah
jarum jam mengengsot ke angka 1, aku menjadi insan lemah,
lesu, layu dan tidak bermaya.

Apabila tersedar, aku telah berada di gedung batu bata
bertingkat lima berhampiran dengan Tepian Tebrau ditemani
rakanku Najah serta seorang pensyarah yang setia memujukku
tak ubah seorang ibu yang membelai sayu si anak yang sedang
menanti saat dijemput ajal. Kiranya aku telah menghuni gedung
batu bata 5 tingkat, Wad 3, Kelas 2, Katil 19 Hospital Sultanah
Aminah (HSA).

“D, kenapa ni? Apa yang terjadi sebenarnya?” Najah
menyoalku mohon penjelasan.

Najah merupakan teman akrabku. Aku mengenali Najah
sewaktu memulakan pengajian di MPTI. Najah seorang sahabat
yang sangat mengambil berat tentang diriku. Soalan Najah
kubiarkan berlalu tanpa jawapan. Biarlah waktu yang berbicara.

Aku seakan-akan pasrah. Semakin kukenang, dadaku kian
sebak. Manik jernih bergenang di bibir mata.

Fikiranku bercelaru dan buntu. Perasaanku tidak keruan. Aku
sedang berusaha untuk melupakan seseorang. Namun semakin
aku mencuba, raut wajah itu pasti hadir dan mengganggu minda
fikirku.

36 JODOH | CINTA

MISTERI CINTA ‘USTAZ’

Aku merupakan tunangan orang. Pada zaman serba maju
dan moden ini, masih ada pertunangan seperti yang aku
tempuhi.

Aku tidak mengenali tunanganku. Ikatan pertunangan
kami diatur dan direstui kedua-dua belah pihak atas alasan
kekeluargan dan perniagaan. Aku akur dengan pilihan keluarga.
Sejak kecil aku tidak pernah membantah atau berkata ‘tidak’.

Lima tahun menjalinkan pertunangan, aku reda dan pasrah
apabila menerima perkhabaran bahawa tunanganku telah
mendirikan rumah tangga bersama cinta hatinya. Tangisan
tiada ertinya. Aku bertukar watak daripada seorang yang
periang menjadi seorang yang sangat pendiam.

Sahabatku Najah menyedari perubahanku. Najah dengan
segenap usahanya ingin melihat aku kembali gembira dan
ceria.

“D, ustaz tu baik orangnya. Sesuai sangat dengan D”, Najah
menabur hujah untuk meyakinkanku.

Aku diam. Tidak semudah itu hatiku terlebur.

“D, Najah kenal ustaz tu. Najah yakin dia pilihan terbaik
untuk D,” tambah Najah.

“Najah, D masih ada mak ayah. Kalau betul berhajat, temuilah
mereka,” ringkas aku membalas.

Aku keliru. Kiranya jawapan ringkasku kepada Najah
memulakan episod baharu dalam hidupku.

CINTA | JODOH 37

MISTERI CINTA ‘USTAZ’

Najah benar-benar mempertemukan ‘ustaz’ dengan
keluargaku. Ternyata keluargaku tidak membantah. Najah
berusaha untuk meyakinkan keluargaku, sama seperti Najah
cuba membina keyakinan dalam diriku. Ternyata Najah sangat
tulus ingin melihat aku kembali ceria seperti sebelumnya.

1 Mac 1990, kami disatukan dengan ikatan pertunangan.
Sememangnya aku tidak pernah mengenali tunanganku.
Meskipun telah rasmi ditunangkan, kami jarang sekali bertemu
apatah lagi untuk saling mengenali satu sama lain.

Pertunangan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak.
Mereka memutuskan agar kami perlu segera disatukan. Tanggal
25 Disember 1990 menjadi pilihan. Segala urusan berkaitan
majlis pernikahan diuruskan oleh baba dan mama. Aku seakan-
akan berada dalam duniaku sendiri. Pasrah.

Pada saat pernikahan kami, pelbagai misteri ‘ustaz’
terungkai. Sememangnya aku tidak penah meletakkan syarat
untuk menjadi teman hidupku bagi mengemudi bahtera kasih
yang bakal dibina. Aku hanya mengetahui dia seorang guru
agama yang bertugas di sekolah yang sama dengan sahabatku
Najah.

“Angah, betul ke nama sebenar tunang Angah, Tengku Shafie
Ibni Tengku Zainal?” Pak Long bertanya tegas.

Pak Long ialah abang kepada mama yang diamanahkan
sebagai wakil pihak pengantin perempuan. Pak Long mengakui
bahawa dia sangat terkejut apabila dimaklumkan bahawa
rombongan pengantin lelaki daripada kerabat Diraja Terengganu.

38 JODOH | CINTA

MISTERI CINTA ‘USTAZ’

“Angah tak tahu, Pak Long. Baba yang uruskan semuanya.
Angah hanya menurut pilihan baba dan mama.” Aku menjawab
tegas sambil tanganku menyeka air mata yang kian tumpah.

“Angah, maafkan baba kerana tidak berterus terang. Baba
sengaja sembunyikan semuanya kerana bimbang angah
menolak. Sebelum ini angah pernah menolak pinangan kerabat
Pahang. Mungkin angah serik kerana bekas tunangan angah
dahulu adalah kerabat Johor. Jadi, untuk kali ini baba tak mahu
angah menolak. Sebab itu baba rahsiakan. Maafkan baba, ya
sayang,” nada sayu mengiringi pengakuan baba.

Aku pasrah. Manik jernih yang kian sarat di bibir mataku
tumpah jua. Majlis pernikahan kami berlangsung lancar dengan
sekali lafaz oleh lelaki yang kini rasmi menjadi imamku.

Banyak persoalan yang bersarang di benakku kian terjawab.
Tarikh pernikahanku ditentukan oleh pihak istana. Persiapan
pernikahanku juga mengikut adat istiadat dan garis panduan
pihak istana. Aku keliru tetapi tidak pernah mempersoalkan
kerana semuanya diuruskan oleh baba. Memang silapku. Aku
perlu mengakui kesilapan itu.

Semuanya telah berlalu. Aku didakap erat oleh bonda dan
ayahanda mentuaku usai upacara pernikahan selesai. Mereka
menerimaku seadanya. Kuntuman bahagia mula berputik.
Hatiku mula berbunga.

25 Disember 2020, telah 30 tahun mahligai cinta kami
terbina. Kini binaannya terus gah bersama-sama lima orang
zuriat, tiga putera dan dua puteri, seorang menantu dan dua

CINTA | JODOH 39

MISTERI CINTA ‘USTAZ’
orang cucunda puteri sebagai penyambung generasi dan legasi
keluarga. Ternyata mahligai yang terbina atas dasar cinta
sesudah pernikahan membenihkan kasih sayang yang lebih
telus dan tulus. Aku bahagia.

Bahtera kasih kami belayar tenang menuju pulau kehidupan
yang damai. Kehidupan kami kini ibarat taman kasih yang
diserikan dengan kembangan cinta dan siraman kasih seorang
adiwira yang cekal, sabar dan penyayang. Dialah imamku.
Dialah syurgaku.

40 JODOH | CINTA

MISTERI CINTA ‘USTAZ’

Nota Cinta

Saya menyedari bahawa restu ayahanda bonda amat penting dalam
melayari kehidupan bahagia dunia dan akhirat.

Saya ikhlas menerima pasangan seadanya meski tidak mengenalinya,
begitulah sebaliknya.

Saya meyakini sahabat yang ikhlas merupakan aset yang memberi
nafas lega dalam persahabatan.

Saling menghargai merupakan formula bahagia dalam
sesebuah rumah tangga.

Kebahagiaan ibu bapa adalah kebahagiaan saya menjadikan saya
berpegang kepada prinsip tidak berkata ‘TIDAK’ kepada setiap pilihan

atau pandangan ibu dan bapa.

Ceria Bersama:HPigehrclauntidasn2K0e2l1u.arga Cameron CINTA | JODOH 41

Cinta

Sudu dan Garpu

AS SAMSUDIN

Betul ke dia nak kat hang?
Muda sangat dia tu, macam langit

dengan bumi.

CINTA SUDU DAN GARPU

“BETUL ke dia nak kat hang? Muda sangat dia tu,
macam langit dengan bumi.”

Itulah reaksi ayah apabila aku menyuarakan
hasrat untuk berkahwin dengan lelaki yang kukenali dalam
acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah.

Suamiku, Ku Aliff Aiman berumur 22 tahun semasa kami
berkahwin. Aku, 42 tahun. Beza 20 tahun membuatkan ayah
ragu-ragu dengan pilihanku.

“Abang tidak kisah tentang umur. Tua atau muda bukan
ukurannya. Apa yang penting adalah hati, abang tahu hati
sayang baik,”

“Nabi Muhammad juga berkahwin dengan wanita yang lebih
berusia. Salahkah kalau abang pilih sayang?”

Ah, klise kan. Namun aku bukanlah seorang yang mudah
terbuai-buai dengan perasaan. Sebagai wanita yang pernah
gagal dalam perkahwinan, aku lebih realistik.

Ada yang bertanya, tidak takutkah memilih lelaki muda?
Setiakah dia sehingga hujung nyawa?

Bohonglah kalau aku katakan aku tidak goyah. Suamiku
muda dan hensem, juga seorang atlet yang dikenali.

Namun, aku positif. Untuk apa aku takutkan masa hadapan
yang belum pasti? Takut kecundang kali kedua?

Ah, ada pasangan bagaikan pinang dibelah dua tetapi
jodohnya seketika. Ada yang bagaikan belangkas, namun tak
sampai setahun berpisah jua.

CINTA | JODOH 43

CINTA SUDU DAN GARPU

“Bagaimana kalau umur sayang tidak panjang?” tanyaku.

“Sayang yakin sayang yang akan pergi dulu, bukan abang?”

Akhirnya, aku akur. Siapalah aku untuk menolak takdir.
Rezeki, jodoh dan ajal semuanya rahsia Allah. Aku percaya
pada qada’ dan qadar. Cukuplah aku mengenali siapa suamiku.
Berada di sisinya membuatkan aku lupa tentang umurnya.

Sungguh.

Sikapnya yang matang sangat menyenangkanku. Namun
dalam kematangannya, sisi manjanya tetap ada. Aku teringat
momen lucu sebelum majlis pernikahan kami.

“Kak As cepatlah, Aiman dah menangis ni,” kata Nadia.

“Eh, janji pukul 11:00 kan?”

Bukan aku yang terlewat ke Masjid Al-Irshad Serdang
Kedah tetapi suamiku yang sampai lebih awal. Keluarganya dari
Langkawi dan keluargaku juga ada.

“Kenapa abang menangis tadi?” soalku semasa makan di
dewan masjid.

“Abang tunggu sayang lama sangat. Abang takut sayang tak
datang. Manalah tahu, sayang tak mahu kahwin dengan abang.”

Lucu, kan? Itulah, tengok drama Melayu banyak sangat.
Suamiku memang penggemar drama Melayu, aku pula peminat
cerita Hindustan. Suamiku seorang extrovert, aku pula introvert.
Namun kami berkongsi minat yang sama, iaitu berlari.

44 JODOH | CINTA

CINTA SUDU DAN GARPU

Dalam perkahwinan, ada banyak sisi yang amat
membahagiakan. Suami banyak menolongku menguruskan
kerja rumah. Pengalamannya tinggal di asrama sekolah sukan
Kedah dan Pulau Pinang membuatkan dia seorang yang ringan
tulang.

Mandi, masak dan makan bersama-sama sudah menjadi
satu kemestian. Suap-menyuap perkara biasa walaupun di
tempat awam. Kami tidak lupa untuk solat berjemaah jika
berkesempatan. Suami akan menyebut namaku dalam doanya.

Suamiku juga seorang yang romantik, selalu memanjakan
aku, kelakar, suka buat lawak dan suka menyakatku.

“Isteri siapa yang kecik-kecik ni?” Suami kerap mengusikku
begitu.

Aku pula menggelarnya ‘Abang Busuk’ walaupun dia
sebenarnya wangi.

Dalam membuat sesuatu keputusan, kami banyak
berbincang. Ada kalanya kami tidak sependapat namun masing-
masing dapat menerima hujah yang rasional.

Kawan-kawan sangat admire dengan hubungan kami.
Sweet dan sepadan, kata mereka. Keluarga kedua-dua belah
pihak juga merestui dan menerima kami seadanya.

Namun, panas yang diharapkan sampai ke petang rupanya
hujan di tengah hari. Dugaan yang paling besar dalam hubungan
kami ialah perkahwinan jarak jauh. Sebelum berkahwin, suami
mendapat kerja di Penjara Sungai Buloh.

CINTA | JODOH 45

CINTA SUDU DAN GARPU

Dia menetap di Selangor dan aku di Kulim Kedah. Terpisah
ribuan batu bukanlah sesuatu yang aku inginkan dalam
perkahwinan. Kami hanya berjumpa dua kali sebulan.

Pada awal perkahwinan, semuanya nampak smooth. Kami
sepakat bahawa aku yang akan bertukar ke Kuala Lumpur.
Namun, entah di mana silapnya, semuanya sukar.

Dugaan datang silih berganti. Tiada kekosongan, jawatan
tidak sesuai dan pelbagai alasan lagi. Keadaan semakin
rumit apabila negara diuji dengan Covid19. Perintah Kawalan
Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan membuatkan
kami semakin jauh.

Rentas negeri tidak dibenarkan. Tambahan pula tugas kami
sebagai frontliner membuatkan kami sibuk dengan tugas hakiki.
Tiada istilah work from home, dan cuti dibekukan.

Mujurlah ada panggilan video. Dalam sehari, berpuluh-puluh
kali namun semua itu tidak mampu menghapus kerinduanku.
Aku sangkakan kami kuat dan mampu bertahan, namun lama-
kelamaan kami mula terasa perit.

Bertikam lidah, syak wasangka, tuduh-menuduh mula
menjadi asam garam kehidupan kami berdua. Bohonglah kalau
aku katakan semuanya indah. Sedangkan lidah lagi tergigit,
inikan pula suami isteri.

Dugaan demi dugaan terus bertandang. Tidur malamku
banyak berendam air mata. Hanya doa yang menjadi
penemanku. Aku yakin Allah tidak akan menguji lebih daripada
kemampuanku.

46 JODOH | CINTA

CINTA SUDU DAN GARPU

“Abang berjanji akan setia sampai hembusan nafas terakhir.”
Ayat yang bagaikan jampi untukku.
18 FEBRUARI 2021.
Aku tidak mungkin lupa tarikh keramat itu. Suamiku akhirnya
berpindah ke Kulim, meninggalkan segala kenangan suka duka
di Penjara Sungai Buloh.

Betapa besarnya rahmat-Mu, Ya Allah. Di sebalik setiap
ujian dan dugaan, Kauselitkan rahmat dan kasih sayang. Di
sebalik kepahitan Kauberikan kemanisan. Sujud syukur aku
kepada-Mu.

Allah sebaik-baik perancang. Dia tahu apa yang terbaik
untuk hamba-Nya. Sampai masa semuanya akan tersusun
mengikut aturan-Nya.

Perjalanan kami bagaikan baru bermula. Aku berdoa semoga
rumah tangga kami kekal bahagia hingga ke syurga.

“Dah sampai masa untuk kita fokus dengan perancangan
masa depan,” suamiku tersengih nakal.

CINTA | JODOH 47

CINTA SUDU DAN GARPU

Nota Cinta

#akudankamu
Saya dan suami merupakan pelari maraton. Perkenalan kami bermula

di event larian pada 2017, bertunang pada 2018,
dan berkahwin pada 2019.

Kami tidak pernah terfikir akan bertemu jodoh dengan pasangan yang
berbeza umur dan status. Namun kami reda, perancangan Allah
adalah yang terbaik.

Dugaan PJJ selama hampir tiga tahun banyak menumpahkan air mata.
Kami tidak putus berdoa, doa adalah senjata orang mukmin.
Suami anak sulung, adik bongsu berumur tujuh tahun.
Anak bongsu kami, kembar, 17 tahun.
Kami berpegang kepada
prinsip 3K -kesetiaan,
kepercayaan dan kasih
sayang. Dugaan itu lumrah
dalam kehidupan namun
tanpa 3K ini, kami mungkin
hanyut ditelan gelombang.

kGaammi.bTarerkpeannacnsaagryasanindsaaernlekpseuabsaammhiaa.gjliiasapnerdni iwkaahjaahn

48 JODOH | CINTA

Arjuna Cinta

ATIKAH DESA

Masam manis dalam perkahwinan.
Segala kisah berbalut cinta dan kasih sayang.

Semuanya mengulit kenangan.

ARJUNA CINTA

MASAM manis dalam perkahwinan. Segala kisah
berbalut cinta dan kasih sayang. Semuanya mengulit
kenangan.

Hampir lima tahun arwah mak dan ayah pergi, maka
bermulalah episod hidup berdikari. Sebagai anak bongsu, aku
telah diberikan hak penjagaan rumah pusaka keluarga yang
ditinggalkan.

Ketika usiaku meningkat 27 tahun, aku terfikir siapakah
lelaki yang sudi untuk sehidup semati bersama. Aku ini
sudahlah pemalu, teman lelaki pun tiada. Entah sampai bila
aku bergantung harap dengan adik-beradik yang lain. Mereka
pun mempunyai kehidupan dan keluarga masing-masing yang
wajib diuruskan.

“Tikah, hang nak kenal daq kawan suami aku? Hang tau,
budak nih baik. Bukan kaki perempuan, wei!” beritahu kawanku,
Mishah.

Aku buat acuh tak acuh.

Aku tidak yakin untuk menyulam cinta apatah lagi aku tidak
cantik rupa. Rasa kecewa selepas putus tunang, menjadikan
aku lebih berhati-hati untuk menempuhinya lagi. Semuanya
masih berbekas di hati.

Kawanku tetap beria-ia menceritakan perihal lelaki tersebut,
seolah-olah dia begitu mengenali hati budi lelaki tersebut.
Alahai, siapa sebenarnya yang mahu bercinta ni? Dia atau aku?
Ngomelku sendirian.

50 JODOH | CINTA


Click to View FlipBook Version