The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by wantasok, 2022-03-24 06:08:39

5_6186134507024811205

5_6186134507024811205

CINTA AIDEEN

“Ok. Jangan balik lambat, “saya berpesan seperti seorang
kakak.

“Tak nak ikut Su?”

“Hah! Nak ikut buat apa? Nanti jadi lalat. Kacau orang
dating.”

“Ida, ambil ni. Saya tahu awak bosan.” Suhaila menghulurkan
sekeping kertas putih bersaiz kecil. Kelihatannya seperti nombor
telefon talian tetap.

Sebelum sempat saya bertanya, Suhaila sudah bergegas
meninggalkan saya.

“Call dia tau. Sepupu Su, Fadlie!” jerit Suhaila sebelum
menutup pintu.

Dapat saya menangkap bunyi derapan langkahnya. Seperti
berlari. Bingkas saya membaringkan tubuh di atas katil.

Terkebil-kebil saya memandang nombor telefon yang
tertera. Seingat saya beberapa hari lepas, sepupu Suhaila ada
menelefon. Menurutnya, Fadlie ingin mengenali saya tetapi
saya tidak ambil pusing. Saya tidak berminat untuk mengenali
mana-mana lelaki dalam waktu terdekat. Mungkin kerana sakit
putus cinta sewaktu di kampus masih berbekas di hati.

“Argh! Bosannya.” Saya berpusing ke kanan, sekejap ke kiri.

Akhirnya saya memutuskan untuk bangun dari katil,
melangkah perlahan menuju meja tulis. Gagang telefon dicapai.
Lalu nombor yang diberi saya dail.

CINTA | JODOH 101

CINTA AIDEEN

“Helo, boleh saya bercakap dengan Fadlie?”
“Ya. Saya Fadlie. Siapa di sana?”
Otak saya ligat memikirkan satu nama.
“Nina. Saya Nina,” spontan nama itu meluncur dari bibir.
“Nina mana ya?”
“Awak tak kenal saya tapi saya kenal awak,” dengan pantas
saya menjawab.
“Hmm… menarik. Saya kenal abang awak? Kakak awak?”
“Saya tak ada abang atau kakak.”
“Oh!”
“Dulu sekolah di mana?” soalnya.
“Sultanah Asma,” saya ketawa kecil.
“Awak tipu saya, ya?”
“Eh, tak,” saya tertawa lagi. Terasa sukar hendak menipu.
“Saja saya telefon. Saya di kampung ni. Balik sebab kena
chicken pox.”
Betul kata peribahasa Inggeris, ‘One lie leads to another’.
Seronok pula mereka-reka cerita.
“Saya bosan sebab itu saya telefon,” jujur pula saya
memberitahu. Tiba-tiba saya ingin mematikan perbualan.

102 JODOH | CINTA

CINTA AIDEEN

“Esok saya telefon lagi.”
“Alahai, baru nak kenal.”
“Tak apa, esok tunggu saya telefon.”
Gagang diletak.
Malam esok seperti dijanjikan, saya mengotakan janji.
Ternyata dia menunggu panggilan daripada saya. Salam saya
dijawab dalam nada teruja.
Perbualan kami tidak lama kerana saya memberikan alasan
ada kerja yang perlu saya selesaikan.
“Orang sakit, nak buat kerja apa? Bukan kena berehat
ke?”
“Esok saya telefon lagi,” lalu gagang telefon diletak tanpa
menjawab soalannya.
Malam ketiga, saya tidak mahu menipu lagi. Saya perlu
berterus-terang tentang siapa saya sebenarnya.
“Nama saya Ida. Saya rakan serumah Suhaila, sepupu awak.
Dah tentu saya dapat nombor telefon awak daripada Suhaila.”
Lalu saya ketawa.
Diam.
“Awak marah?” Saya bertanya setelah saya berasa suasana
sunyi buat seketika.
“Tak. Saja saya nak dengar awak ketawa.”

CINTA | JODOH 103

CINTA AIDEEN

Saya tersenyum kerana saya pasti dia juga tersenyum di
sana.

“Awak sebaya Suhaila, kan? Saya lebih tua daripada awak.”
“Awak lahir 25 Disember, kan? Saya lahir 2 Februari tahun
berikutnya. Saya lahir, awak masih merah lagi.”
Nah! Dialog itu buat saya terdiam.
‘Betul juga,’ bisik saya.
Saya membiarkan dia dia terus berbicara.
“Awak tak balik minggu ini? Tak jumpa emak awak?”
Senyap.
“Tak,” katanya lemah.
“Emak saya dah lama meninggal. “
“Maafkan saya. Suhaila tak beritahu pun.”
“Saya cemburu lihat anak dan ibu berpelukan, “ dia
menyambung perbualan.
Teringat emak di kampung. Saya mencium tangan emak.
Memeluk emak. Betapa bertuahnya saya kerana masih memiliki
emak.
“Emak meninggal sewaktu saya di tingkatan dua.”
Saya cuba untuk menceriakan suasana, “Unik nama awak,
Fadlie Aideen.”

104 JODOH | CINTA

CINTA AIDEEN

“Aideen nama gabungan emak dan abah. Daripada nama
Melayu emak, Aida. ‘Deen’ pula diambil daripada Nordin.”

Melalui Suhaila, saya mendapat tahu bahawa ibunya
berketurunan Cina, berasal dari Seremban.

Suhaila juga pernah menunjukkan gambarnya kepada saya.
Saya kurang berminat dengan lelaki berkulit putih dan bermata
sepet. Mungkin kacak di mata orang tetapi tidak bagi saya
ketika itu.

Saya berkenalan dengan dia, Fadlie Aideen selama sebulan
sebelum dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan
keluarga saya.

Setelah empat bulan mengenali hati budi masing-masing,
kami mengikat tali pertunangan. Setahun kemudian, kami
disatukan. Alhamdulillah, Allah permudahkan. Itu yang
dinamakan jodoh.

Benarlah, Allah beri apa yang kita perlu. Tidak memberi apa
yang kita mahu.

Terima kasih cinta hati saya, Fadlie Aideen.
Esok saya akan melapor dirikan di Pejabat Pendidikan
Daerah, di daerah kelahiran saya.

CINTA | JODOH 105

CINTA AIDEEN

Nota Cinta

Saya berkahwin pada bulan Januari 2001 dan melahirkan anak sulung
pada bulan Oktober tahun yang sama.

Allah menganugerahkan perkahwinan kami dengan dua orang anak
perempuan dan dua orang anak lelaki.

Sewaktu melahirkan anak pertama dan kedua, saya tidak bekerja,
menjadi suri rumah sepenuh masa. Setelah anak kedua berumur setahun,

saya diterima mengikuti KPLI.
Jarak umur anak sulung dan anak kedua cuma setahun sebulan. Ketika

kecil, mereka kelihatan seperti kembar.
Anak ketiga saya, menghidap Sindrom Asperger dan anak keempat

seorang kanak-kanak autistik.

Kenangan manis bersama keluarga.

106 JODOH | CINTA

Jodoh Terindah

JAMILAH KARIM KHAN

Macam mana mama kenal
dengan abah? Seorang tinggal di utara,

seorang di selatan.

JODOH TERINDAH

“MACAM mana mama kenal dengan abah? Seorang
tinggal di utara, seorang di selatan,” tanya puteri
bongsu.
“Masa tu, tiada telefon bimbit macam sekarang,” puteri
sulung pula mencelah.

“Dulu, kawan-kawan mama pun ramai yang tanya, adakah
kami sama universiti? Bila mama kata tidak, mereka pun teringin
nak tahu,” kataku.

“Sebelum kahwin, mama dan abah dah kenal sembilan
tahun. Masa tu, mama di tingkatan 4 dan abah menuntut di
Institiut Belia Negara (IKBN), Dusun Tua,” aku memulakan cerita.

“Oh, lamalah mama dan abah bercinta ya?”
“Tak adalah. Tak pernah bercinta. Jumpa pun dua kali
sahaja.”
“Peliklah mama. Dah kenal sembilan tahun, tak pernah
bercinta. Dah tu, macam mana boleh kahwin?”
Lima orang puteri dan seorang putera yang sudah remaja
teruja untuk mengetahui kisah jodoh mama dan abah mereka.

Selepas tamat peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, aku
mengisi masa senggangku dengan mendengar radio. Daripada
carta penyanyi terkenal, drama bersiri, hinggalah kepada
mencari kenalan.

108 JODOH | CINTA

JODOH TERINDAH

Aku sering ternanti-nanti siaran radio Indonesia Malaysia
yang memperkenalkan mereka yang ingin mencari sahabat
pena dari Malaysia dan Indonesia.

“Saya ingin mencari abang angkat. Siapakah antara abang
bertiga yang sudi?” Begitulah antara isi surat pertama yang
kuhantar setelah mendapat nama tiga orang jejaka yang
menggunakan satu alamat (IKBN) melalui siaran tersebut.

“Abang sudi jadikan Milah sebagai adik angkat abang.”
Surat yang kuhantar segera dibalas oleh salah seorang jejaka
tersebut.

Sejak itu kami sering berutus surat. Isinya berkisar kepada
kisah hidup masing-masing. Dia sering menasihatiku agar
belajar bersungguh-sungguh.

Ketika di tingkatan enam, aku tinggal di asrama. Warden
asrama tidak membenarkan kami menerima surat, menyebabkan
aku terputus hubungan dengan sahabat penaku yang lain.

Hanya untuk abang angkat, aku berikan alamat kawan
sekelas yang berulang-alik dari rumah ke sekolah. Kami pernah
terputus hubungan apabila dia berpindah rumah. Mungkin jodoh
masih panjang, ketika aku bercuti, aku menerima suratnya yang
dialamatkan ke kampungku.

Apabila aku melanjutkan pengajian ke UKM, surat digantikan
dengan telefon awam. Untuk memudahkan kami berbual
panjang, dia sanggup membayar panggilan telefon yang aku
buat melalui operator.

CINTA | JODOH 109

JODOH TERINDAH

Perbualan kami masih berkisar kisah-kisah biasa, hanya
ditambah dengan kisah cinta kami sendiri. Hatiku sudah
dimiliki. Begitu juga dengan dirinya. Kami saling menasihati
dan mendoakan semoga jodoh dengan pasangan hati masing-
masing akan berkekalan. Betul-betul macam adik-beradik
kandung walaupun kami bukan sedarah sedaging.

Ketika aku di penghujung tahun satu, kami pernah berjanji
untuk bertemu di Hentian Puduraya sebelum dia balik ke rumah
sewanya di Pulau Pinang selepas tamat kursusnya di Kuala
Lumpur. Kerana tidak pernah bersua muka, kami berpandukan
gambar dalam simpanan. Kami menetapkan tempat pertemuan
dan menyatakan warna pakaian.

Malangnya pertemuan itu tidak kesampaian apabila aku
dimasukkan ke hospital beberapa hari sebelumnya. Aku
memberitahu sahabat-sahabat yang mengunjungiku tentang
pertemuan pada hari tersebut. Mereka berjanji untuk mencarinya
di Hentian Puduraya ketika pulang ke asrama, tetapi tidak
ketemu kerana mereka tidak pernah melihat gambarnya, apatah
lagi ramainya orang di hentian tersebut.

Takdir mengizinkan kami bersua muka buat pertama kalinya
semasa aku berada pada tahun tiga pengajian. Dia datang
mengunjungi sepupunya yang bekerja sebagai kerani di UKM.
Kami keluar bertiga.

“Abang dah diberhentikan kerja. Ekonomi meleset. Duit
pampasan tu abang gunakan untuk berniaga. Doakan abang,
ya.”

110 JODOH | CINTA

JODOH TERINDAH

“Insya-Allah, doa saya sentiasa mengiringi abang. Moga
abang berjaya.”

Malangnya tidak lama kemudian, perniagaannya terpaksa
gulung tikar. Kesemua wang simpanannya telah habis
digunakan dalam perniagaan tersebut. Demi kelangsungan
hidup, dia bekerja semula di kilang walau terpaksa bermula dari
bawah iaitu sebagai mekanik.

Percintaan kami dengan pasangan masing-masing juga
tidak berakhir dengan kebahagiaan. Badai yang melanda
memusnahkan bahtera yang mahu dibina. Namun, ratib
kedukaan tidak mahu kami panjangkan.

Selepas tamat pengajian, dengan bantuan seorang sahabat,
aku mendapat pekerjaan sementara di Dewan Bahasa dan
Pustaka. Aku ditugaskan mencari bahan penulisan di Pulau
Pinang. Dia yang menyambutku di perhentian bas dan setia
membantuku selama dua minggu aku berada di sana.

Pertemuan di Pulau Pinang telah membuka pintu hati kami
untuk menoktahkan kisah kami sebagai suami isteri. Ketika aku
pulang ke kampung, dia ikut serta untuk menemui ayah dan
ibuku. Keluargaku menerima baik kehadirannya.

“Pak cik tak kisah pasal hantaran. Janji anak-anak hidup
bahagia.” Penjelasan ayahku menggembirakan hatinya.

Ayahku memang risaukan keselamatan anak gadisnya.
Apabila aku berkahwin, dia tahu ada orang akan menjagaku.
Kami bersyukur, kerana ayah dan ibunya juga memberikan

CINTA | JODOH 111

JODOH TERINDAH

persetujuan. Latar belakang keluarga yang sama-sama hidup
susah memudahkan urusan kami.

Tarikh lahirku yang ke-25 menjadi pilihan hari bersejarah
kami. Walaupun persediaan hanya berbaki tiga minggu, ayahku
tidak membantah. Dia terus menemui imam yang merupakan
tuan kadi di kampung kami. Tuan kadi pula memberinya jalan
untuk memudahkan urusan pernikahan kami.

14 Oktober 1988, aku sah bergelar isteri kepada Mohd Khairi
bin Osman. Hanya kenduri kecil dibuat di rumahku, dengan
dihadiri oleh saudara mara terdekat dan jiran tetangga sahaja.
Di pihaknya pula, majlis berlangsung di rumah datuknya dua
bulan selepas itu.

Usai bernikah, aku terus mengikutnya berhijrah ke
Pulau Pinang. Aku yang belum mempunyai pekerjaan tetap,
memudahkan ku untuk sentiasa berada di sisinya. Kami
mengukir cinta selepas bergelar suami isteri. Puteri sulung
yang hadir dua tahun kemudiannya melengkapkan kebahagiaan
kami.

112 JODOH | CINTA

JODOH TERINDAH

Nota Cinta

Dia tidak pernah berkira untuk pulang ke kampungku yang jaraknya
hampir 500 km setiap kali menjelang perayaan.
Gemar memasak dan salah satu masakannya
yang digemari oleh ayahku ialah tomyam.

Ketika aku mengikuti KPLI di IPDA, suamiku sanggup menghantarku
pulang ke kampus pada setiap minggu walaupun kadangkala terpaksa

berhenti di tepi lebuh raya kerana mengantuk.
Suamiku menolak peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara yang
ditawarkan oleh majikannya kerana aku tidak memiliki lesen memandu

untuk menguruskan anak-anak sendirian.
Suamiku merupakan menantu lelaki yang mendapat

tempat istimewa di hati ayahku.

Gpuabtmeerrbsaaarmsekaret-ansaa3mnogaraa5nnogkreamlnueganrpagunatteupralidedlaaakOnigsdeoaosnr2ac0nu2gc0u, .

CINTA | JODOH 113

Epistolari
Cinta

MAZIAH MUSTAPA

Ini hidup dan mati, syurga dan neraka.
Aku mesti tunaikan solat istikharah

meminta petunjuk kepada Allah, ya Wadud,
Allah Yang Memiliki Cinta

EPISTOLARI CINTA

MALAM itu, hatiku tergerak mengemas gerobok
pakaian. Mataku tertancap pada sehelai sampul besar
berwarna oren. Tanganku laju mengobek-ngobek isi
di dalamnya. Aku tersentuh sehelai sampul berwarna putih.
Bibirku tersungging senyuman. Hatiku berbunga riang. Laju
tanganku membuka dan mula membaca isinya.  

Assalamualaikum,

Apa khabar? Agaknya apabila awak membaca surat ini saya sedang
berada di Sabah kerana menghadiri majlis perkahwinan kawan saya.
Sengaja saya minta posmen saya untuk memberi surat ini pada hari ini,
kerana saya tahu ia hari istimewa buat awak. Hehehe.

Maziah, bila saya membaca buku ini, saya rasa banyaknya
kekurangan pada diri saya jika dibandingkan dengan Dr. Mohd Hadi.
Apatah lagi jika dibanding dengan kekasih kita berdua, Muhammad bin
Abdullah SAW. Saya tertanya-tanya adakah cara saya untuk memenangi
hati awak salah? Moga Allah sahaja yang tahu adakah diri saya benar-
benar ikhlas kerana itu adalah rahsia Yang Maha Esa. 

Apabila awak bertanya kepada diri saya, bila saya ingin berjumpa
dengan orang tua awak, saya berfikir sejenak. Ini kerja besar yang
perlukan orang besar untuk melakukannya. Jadi untuk soalan itu, saya
ingin menjawab dengan soalan juga. Bila awak benar-benar bersedia?
Kalau sekarang, sekarang juga saya akan pergi bersama-sama orang tua
saya.

Saya pernah bercita-cita yang saya ingin bercinta dengan perempuan
yang telah menjadi isteri saya, lebih halal dan berkat. Jadi apabila saya
membaca buku yang awak beri, ia benar-benar meruntun hati saya.

CINTA | JODOH 115

EPISTOLARI CINTA

Maziah, saya tidak memaksa awak untuk menerima diri saya
seadanya. Tapi, jika awak menerima diri saya seadanya, saya amat
berbahagia sekali. Pisau dan mentimun di tangan awak. Kalau awak kata
ya, alhamdulillah, kalau tak, alhamdulillah juga. Kita hanya merancang,
jodoh dan pertemuan di tangan Allah. Kalau awak dah baca surat ini,
beritahu saya, apa jawapan awak.

Sebelum saya mengakhiri surat ini, saya ingin mengucapkan selamat
hari lahir yang ke-22. Moga dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur.
Saya juga ada sebuah lagu untuk awak, iaitu lagu Kasihku Abadi dari
Inteam. Hayati bait liriknya. 

Sekian.

MEI 2010. MALAM.
“Mak, kenal tak Cikgu Ridhwan?” ringkas soalanku sambil
tersenyum.

Boleh jadi lelaki yang ingin kuketahui ini pernah makan di
kedai abah dan mak. 

“Siapa tu Maz? Mak tak kenallah. Kenapa Maz, ada apa-apa
ke ni?” bertubi-tubi emak menyoal.

“Maz dapat mesej daripada lelaki yang Maz tanya emak tulah,
ingatkan mak tahu. Tak apalah, mak.” Kubiarkan persoalan itu
berlalu begitu sahaja. 

Hantaran mesej tersebut membuatkan aku terus-terusan
berfikir. Permainan teka-tekinya menyesakkan fikiranku. Akhirnya
persoalanku terjawab setelah dia mengajakku untuk berjumpa.

116 JODOH | CINTA

EPISTOLARI CINTA

Perjumpaan pertamaku itu ditemani Ita, adikku, di sebuah
restoran yang terletak di Rahman Putra. Sedang rancak berbual,
abah menghubungiku. Dadaku berdebar kencang kerana aku
tahu, aku telah melakukan satu kesalahan yang tidak pernah
dibuat sebelum ini – keluar bertemu lelaki. 

Peristiwa ini bagaikan satu hukum karma kerana aku
membuat sesuatu di luar keizinan abah, hinggakan aku tersasul
menyebut nama restoran yang salah. 

Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata sehinggalah
aku menghantar mesej kepadanya dan bertanya,

“Awak, saya nak cakap sesuatu, kalau betul-betul sukakan
saya, jumpalah emak dan abah saya.” 

Beberapa minggu kemudian, sepucuk surat bersampul putih
kuterima daripada “posmennya.” Debar hatiku tidak tertanggung
rasa. Terketar-ketar tangan memegangnya.

20 Jun 2010 ternoktahnya sebuah keputusan. Aku akan
ditunangkan. Hatiku libang-libu tatkala mendengar keputusan
perbincangan antara kedua-dua orang tua kami. Enam bulan
dari sekarang kami akan ditunangkan.

Di benakku mula terdetik, mampukah aku? Lagipun
pengajianku belum tamat lagi, hanya tinggal satu semester.
Kerisauan mula menjengah ruang rasa. 

‘Mana nak cari duit? Kalau dah kerja, bolehlah aku beli
sendiri persiapan perkahwinan. Aduh, nak kena bayar PTPTN
lagi!’ Galau hatiku memikirkannya.

CINTA | JODOH 117

EPISTOLARI CINTA

Ini hidup dan mati, syurga dan neraka. Aku mesti tunaikan
solat istikharah meminta petunjuk kepada Allah, ya Wadud,
Allah Yang Memiliki Cinta yang menghadirkan rasa cinta tanpa
simpati ini.

Alhamdulillah, kami ditunangkan ketika aku sedang
bergelut menamatkan pengajian yang berbaki satu semester.
Persediaan pertunangan bagaikan satu perkara kecil yang
tidak perlu kufikirkan, tetapi tetap menganggu perjalanan
jadual hidupku.  

Sewaktu pertunangan inilah aku mengenali hampir
keseluruhan ahli keluarganya, termasuk nenek kesayangannya
yang dipanggil Mak Timah. Gementar hatiku tatkala jari
manisku disarung cincin pertunangan belah rotan yang
berkilau indah.  

Enam bulan kemudian. 

Alhamdulillah, kami selamat diijabkabulkan dengan
berwalikan abah bersaksikan pak uda, jiran dan seorang
jurunikah. Ramai tetamu lelaki yang hadir di ruang tamu
semasa upacara itu. Patutlah abah biarkan aku menunggu di
bilik sahaja. 

“Assalamualaikum Maziah, boleh saya masuk?” Aku
tersentak tatkala mendengar suara garau seorang lelaki.
Mindaku tidak tercerna dengan lambaian salamnya. Aku seperti
kabur.

Aku membalas salamnya dengan suara yang bergetar.
Dadaku berombak kencang bagaikan badai yang ganas

118 JODOH | CINTA

EPISTOLARI CINTA
menghempas pantai. Aku diiring keluar sambil ditemani emak
dan umi mentuaku. Di belakangku suami setia menemani.

Saat gelang disarungkan pada tanganku, aku tahu jambatan
kebebasanku telah berakhir, dan jambatan kehidupan baharu
pula bermula. Inilah perjuangan baharuku dalam merempuh
mehnah duniawi yang tidak kutahu rona warnanya.

Ah! Kenangan ini sangat indah apabila dikenang.
Kumasukkan kembali surat itu ke dalam sampul. Selembut
salju jemariku meletakkan surat itu kembali ke tempatnya.  Aku
berdoa semoga mahligai cinta yang dibina berkekalan hingga
ke syurga-Nya. Amin ya rabbal alamin.

CINTA | JODOH 119

EPISTOLARI CINTA

Nota Cinta

Buku Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul oleh Ustazah Fatimah
Syarha menjadi hadiah pertemuan pertama. 

“Posmen” dan pemberi nombor telefonku ialah anak kepada angah, Kak
Yah yang baru berusia 11 tahun ketika itu.

Kami bertunang, 12/12/2010 dan bernikah, 5/6/2011 bersamaan
dengan tarikh kelahiranku. 

Kerana suka menyakat anak murid, teman sekerja menyarankan suami
agar mencari jodoh, akulah yang menjadi “mangsanya”. 
Kejujuran dan keikhlasannya merantai jiwaku

Ayah, umi, suami, aku, abah dan mak.

120 JODOH | CINTA

Sudah
Boleh,Ya!

MAZNAH HUSIN

Allah yang menjadikan mati dan hidup
supaya menguji antara kamu
yang lebih baik amalannya.

SUDAH BOLEH, YA!

“MAZ! maaf, lambat sedikit. Jalan raya sesak tadi.
Ada kemalangan” kata Zarin.
“Kemalangan? Bagaimana keadaan Zarin?”
tinggi suaraku bertanya.

“Usah risau. Alhamdulillah. Jom duduk, kita pesan makanan
dulu,” ajak Zarin.

“Zarin! Apa kata lepas sarapan kita pergi Muzium Diraja
Sultan Abu Bakar! Setuju tak?” tanya saya.

“Boleh! Muzium masih dibuka untuk orang umum?” tanya
Zarin.

“Tak tahulah, cuba kita lihat laman sesawang rasmi kerajaan
Johor,” balas saya.

“Masih dibuka. Alhamdulillah,” kata saya dengan nada
gembira.

“Abang! Katakan ya! Katakan ya!” teriak saya manja.
Mendengar dirinya dipanggil abang, hidung Zarin kembang
kempis, tapi dahinya mengernyit.
“Ya! selesai makan, kita pergi” kata Zarin.
“Bermacam-macam makanan dan minuman ada di sini.
Maz nak pesan apa?” tanya Zarin.
“Roti telur bawang,” jawab saya pantas.
“Minuman? Panas atau sejuk?” tanyanya lagi.

122 JODOH | CINTA

SUDAH BOLEH, YA!

“Teh tarik.”

Dari jauh, pelayan kedai, berjalan menuju meja kami.
Mencatat pesanan sambil tersenyum dan tidak bercakap
banyak.

“Saya nak order roti canai telur bawang, bihun goreng telur
mata, teh tarik dan nescafe ais,” kata Zarin.

Akhirnya, makanan dan minuman kami sampai.

“Maz, cuba rasa bihun goreng ini, sedap sangat,” pelawa
Zarin sambil menyuap ke arah mulut saya.

“Alamak! Nak buka mulut atau tidak?” getus hati saya.

“Sedap sangat bihun ini,” puji saya dengan rasa hati yang
berbunga-bunga menerima suapan.

“Alamak! Perlukah aku menyuapnya juga?” detik hati saya.

“Ah! Tak perlu! Malu jika orang tengok. Aku belum jadi
isterinya lagi!” Jawab saya bertimbal.

Sambil berborak, kami segera menghabiskan hidangan.
Keinginan untuk melawat muzium meluap-luap.

Kami sampai ke muzium tepat jam 11:00 pagi. Teruja
sungguh saya untuk melihat sendiri 22 ruang dalaman istana,
dari balai rong seri, pejabat, ruang makan hinggalah tempat
istirahat ketua negara.

“Abang, dahulu istana ini sangat dikawal rapi,” beritahu
saya.

CINTA | JODOH 123

SUDAH BOLEH, YA!

“Betul! Ada pegawai berkuda dan muzium ini tidak dibuka
untuk orang umum. Tapi sekarang, kita boleh masuk ke dalam
istana dan mendengar sendiri penerangan bekas pengawal
istana sewaktu lawatan berpandu ke sini,” tambah Zarin.

Begitu indah sekali pengalaman ini. Apabila kita suka akan
sesuatu terutama tentang sejarah, semuanya berlangsung
dengan gembira dan tidak menjemukan. Tempat ini sangat
istimewa bagi saya. Bukan saja lita boleh masuk ke tempat-
tempat biasa, tetapi juga boleh masuk ke ruang beradu Yang
di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Abang, kawasan ini dulu memang kawasan terlarang.
Pengawal yang telah puluhan tahun berkhidmat pun tidak
dibenarkan masuk, sehinggalah istana ini dijadikan muzium,”
hurai saya.

“Betul. Kita sungguh bertuah,” kata Zarin.

“Sayang, tunjukkan kad pengenalan. Abang dah tuliskan
nama dan nombor telefon sayang,” arah Zarin.

“Abang dah bayar tiket walk-in,” beritahu Zarin lagi.

Terpana saya melihat kepimpinan Zarin. Terkuaklah misteri
perasaan Zarin terhadap saya. Dia serius ingin menjadikan
saya jodoh cintanya. Akhirnya, panggilan nama sudah bertukar
kepada ‘Abang’ dan ‘Sayang’.

“Ya Allah, semoga usaha takdir jodoh ini adalah yang terbaik
buat kami, ya Allah,” doa saya.

124 JODOH | CINTA

SUDAH BOLEH, YA!

Saya sentiasa berdoa agar dimudahkan mendapat pasangan,
seperti doa yang ada dalam Al-Quran. Doa ini telah lama saya
amalkan sejak saya menunaikan haji pada tahun 2007 yang lalu.

“Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan
kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan
jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”
(QS. Al-Furqan 74).

Seharian pertemuan kami dihabiskan untuk saling mengenali
dan membuka ruang membina kesefahaman, serta meraih
matlamat perkahwinan yang sama. Hendaknya kami berkasih
sayang, cinta dan jodoh kerana Allah.

Allah Al-Bari, Yang Maha Perancang. Setiap jodoh ialah
isyarat daripada Allah. Kita yang perlu berusaha untuk takdir
jodoh kita dengan menunaikan solat istikharah, barulah kita
membuat pilihan. Carilah yang sepadan dan kukuh agamanya.

Perlahan-lahan kami keluar dari muzium. Pagi yang cerah, langit
terang dan bunyi burung-burung menyanyi riang semakin rancak.

Saya meninjau keadaan di sekeliling. Ramai pelawat keluar
masuk muzium. Sepanjang jalan, dipenuhi dengan orang yang
berlalu-lalang dan gelak tawa anak-anak sekolah yang berlari
riang. Sungguh, walaupun terasa penat tetapi banyak manfaat
yang saya peroleh.

“Sayang, sambil kita jalan-jalan boleh abang pegang tangan
sayang?” tanya Zarin

“Amboi! Sekarang tak boleh. Kita dah nikah nanti baru
boleh,” tingkah saya.

CINTA | JODOH 125

SUDAH BOLEH, YA!

“Barangkali Zarin mahu menguji keimanan saya,” detik hati
saya.

Zarin tersenyum termangu di tepi pohonan bunga raya,
menangkap rasa cintanya untuk saya terima dengan tulus hati.

Setahun kami terpisah. akhirnya bertemu kembali. Kami
berbuka puasa bersama-sama. Ketika itu Zarin mengengam
kata-kata keramatnya.

“Sayang! Jom kita kahwin. Katakan ‘ya’ atau ‘tidak’!”
Nadanya serius.

Doa dan istikharah terjawab. Allah mahu menganugerahi
saya jodoh yang terbaik.

Firman Allah dalam Al-Quran surah Al-Mulk ayat ke-2:
“Allah yang menjadikan mati dan hidup supaya menguji
antara kamu yang lebih baik amalannya.”
Manusia ikhlas dan iktiba’ adalah lebih diredai dan dikasihi
Allah. Alhamdulillah. Itulah pertemuan pertama kami pada
14 Jun 2009. Pada 16 Ogos 2009 kami melangsungkan
pertunangan dan pada 29 November 2009 kami sah bergelar
suami isteri.
Zarin sudah boleh memegang tangan saya.

126 JODOH | CINTA

SUDAH BOLEH, YA!

Nota Cinta

Zarin penyayang dan romantik. Sudu di tangannya menghampiri tepat
ke mulut saya. Tidak berkedip mata Zarin memandang saya. Kelihatan

ikhlas dan romantik. Saya tergamam, lantas membuka mulut,
menerima suapannya.

Zarin bertanggungjawab dan mengambil berat tentang saya. Meski
sibuk memegang telefon, Zarin sentiasa mendengar kata-kata saya.
Telinganya terpasang matanya tak lepas memandang saya. Inilah salah
satu menyebabkan jantung saya berdegup-degup kencang dan gembira

apabila bertemunya.
Berpegang teguh kepada agama menjadikan Zarin dijauhkan

daripada tipu daya syaitan.
Dalam pergaulan perlu menjaga adab dan agama. Firman Allah dalam
surah An-Nisa ayat 84. “Allah sangat besar kekuatan-Nya dan amat keras
siksaan-Nya). Kita perlu takut dan malu melakukan kemungkaran.

Keprihatinan Zarin menjadikan
saya berasa cukup selesa dan
selamat. Saya yakin bahawa isyarat
jodoh saya ada dengannya.

menyGamambubtarulZaanrginta&huMnapzekrkeatihkwa inan
yang ke-9.

CINTA | JODOH 127

Imamku,
dari Dunia

Hingga Syurga

MUMTAZAH SANUSI

Beliaulah lelaki kiriman Tuhan
yang menjadi tulang belakang kerjayaku

meneruskan agenda ummah.

IMAMKU, DARI DUNIA HINGGA SYURGA

“UMI, macam mana umi boleh kenal ayah? Umi jalan-
jalan lepas tu buku terjatuh, ayah tolong ambil
ya?” teka si anak yang tak habis-habis bertanya
bagaimana kedua-dua ibu dan ayahnya bertaut rasa.

Aku menyambutnya dengan ketawa. Imaginasi si anak
saling tidak tumpah seperti yang dipaparkan dalam drama.
Almarhumah ibu mentua juga pernah bertanyakan soalan yang
sama. Aku sekadar menjawab dengan senyuman.

“Ala, kenal masa belajar, ma. Masa di KL dulu,” jawabku
sekadar jawapan yang umum.

Aku sangat yakin sekiranya berterus-terang pun beliau tidak
mampu memahami bagaimana sebuah jodoh yang bermula
dari dalam skrin, berakhir ke jenjang pelamin.

“Aku nikahkan dikau, Aria Satmi bin Ramli dengan anakku
Mumtazah binti Sanusi dengan mas kahwinnya...”

Akhirnya lafaz kali kedua yang diucapkan ayahanda,
disambut bekas tunangku dengan penuh yakin. Terpancar
kelegaan di riak wajah masing-masing.

Namun, seperti ada satu kuasa aneh menyerap masuk ke
dalam diriku. Barangkali itulah kuasa bernama tanggungjawab
yang amat besar untuk dipikul.

Detik 20 Disember 2002, aku dengan rasminya bergelar
seorang isteri. Ketika itu aku hanya bekerja secara kontrak di
Pejabat Agama Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

CINTA | JODOH 129

IMAMKU, DARI DUNIA HINGGA SYURGA

Aku kemudiannya berhenti untuk berpindah mengikut
suami yang bertugas di Jabatan Alam Sekitar Putrajaya.
Kami menyewa sebuah rumah kecil di Seri Kembangan
namun sudah cukup membesarkan rasa cinta. Ikatan suci ini
kian erat apabila aku kemudian disahkan mengandung anak
pertama.

“Tahniah puan. Comelnya baby. Putih. Cuba tengok apa
jantinanya?” tanya doktor yang menyambut anakku.

“Alhamdulillah doktor, anak lelaki,” jawabku dalam keletihan.

Tarikh keramat 18 Oktober 2003, si kacak Ahmad Uwais
Qarni bin Aria Satmi selamat dilahirkan di Hospital Putrajaya.
Aku kini memakai ‘topi’ seterusnya bernama umi.

Kini hampir 19 tahun kami melayari bahtera perkahwinan
yang pastinya merupakan sebuah perjalanan panjang yang
tidak selalunya diiringi langit yang cerah dan laut yang
tenang. Ada ketikanya ribut kecil datang menyapa. Gelora
ujian sesekali menjenguk sehingga menjadikan kembara kasih
menjadi penuh warna. Kadang-kadang bersulam kepayahan,
namun Allah yang Maha Baik sering menyusulinya dengan
kemudahan.

Antara momen yang melatari memori adalah ketika sekitar
tahun 2009.

“Azah, lutut abang cedera masa main futsal hari itu. Kata
doktor kena buat pembedahan cepat. Kalau di hospital kerajaan
mesti lambat lagi ni.”

130 JODOH | CINTA

IMAMKU, DARI DUNIA HINGGA SYURGA

“Insya-Allah, tak ada masalah abang. Insurans syarikat
tempat Azah kerja boleh tanggung. Sakit abang boleh baik,
abang jangan risau.” Kegusaran suami aku tamatkan.

Operasi pembedahan lututnya selamat dilakukan. Lebih
sebulan imamku tidak dapat berjalan. Buang air kecil terpaksa
dibuang melalui corong. Ke mana-mana perlu dipapah, bertongkat.

Dengan latihan fisioterapi beberapa kali, encik suami
akhirnya sembuh seperti sediakala. Namun rupa-rupanya
kemudian aku dimaklumkan, syarikat tidak dapat menanggung
keseluruhan kos pembedahan. Lalu, satu-satunya pilihan,
gajiku dipotong setiap sebulan, selama setahun.

Pada bulan Oktober 2010, aku menamatkan kerjaya di institusi
perbankan tersebut apabila ditawarkan sebagai pegawai agama
JAKIM. Dua bulan selepas memasuki kerjaya yang diidamkan
itu, aku dimaklumkan bahawa aku perlu menjalani kursus wajib
Diploma Pengajian Islam selama enam bulan.

“Puan nak berkursus tahun ini juga atau bagaimana ya?”
Begitulah sebaris ayat bernada arahan yang aku terima.

Lalu, kepada suami kusandarkan keputusan.

“Pergi sajalah. Lagi lambat lagi susah. Macam mana pun
kena pergi juga. Tentang budak-budak jangan risaulah.”

Memang berat rasa hati meninggalkan anak ketiga yang
ketika itu masih menyusu bersama-sama dengan dua lagi
abang dan kakak yang masih kecil. Siapa lagi pengasuh utama
kalau bukan si ayah.

CINTA | JODOH 131

IMAMKU, DARI DUNIA HINGGA SYURGA

“Umi, ayah masak macam-macam tapi tak sedap sangatlah
macam umi. Ni baju ni, ayah yang basuh dan lipat semua ni.
Besar-besar, kan? Hahaha!”

Begitulah antara butir laporan yang aku terima daripada
anak-anak setiap kali pulang pada hujung minggu. Namun aku
menyambutnya dengan penuh syukur.

Sepenuh harapan aku letakkan kepada si suami yang perlu
menggalas dan menguruskan segala hal ehwal rumah dan
anak-anak usai pulang dari kerja. Hanya pada hujung minggu
sahajalah aku dapat melunaskan tanggungjawab.

Cabaran menyeimbangkan kerjaya dan rumah tangga kian
terasa apabila aku terlibat dengan pelbagai program. Suami
juga perlu ke luar kawasan hampir setiap bulan.

“Tak apa, tak apa. Abang dah susun jadual. Hari yang Azah
ada program abang tak ke mana-mana, insya-Allah.”

Kata cinta dan sayang memang jarang diluahkan dengan
lisan. Mungkin latar keluarga kedua-dua kami begitu menjadikan
kami sedemikian. Tidah terluah panggilan “ayang” atau “anja”,
namun sikap ringan tulang suami, rasa prihatin serta memahami
akan kerjaya si isteri, sudah lebih daripada cukup.

Beliaulah lelaki kiriman Tuhan yang menjadi tulang
belakang kerjayaku meneruskan agenda ummah. Ada kalanya
percutian pulang ke kampung mentua di Terengganu terpaksa
ditangguhkan apabila bertembung dengan program. Walaupun
aku boleh sahaja memilih untuk tidak menjadi urus setia,
tetaplah suami mengizinkan tanpa banyak soalan.

132 JODOH | CINTA

IMAMKU, DARI DUNIA HINGGA SYURGA

Benar, kedua-dua kami ialah pasangan yang ada kelebihan
dan pastinya ada banyak kelemahan juga, apatah lagi dalam
mendidik dan membesarkan lima orang anak yang kini berada
pada tiga tahap; remaja, kanak-kanak dan bayi.

Semuanya memerlukan kesabaran yang amat tinggi.
Sekiranya ditanya apakah antara resipi kekuatan sebuah rumah
tangga, salah satunya jawapannya adalah dengan menguatkan
hubungan dengan Allah.

Suamiku orang yang istiqamah dalam melazimi solat jemaah
di masjid. Barangkali inilah barakah kepada mereka yang solat
di masjid yang didoakan oleh para malaikat untuk diampunkan
dosa, dirahmati hidupnya dan diterima taubatnya.

Terima kasih abang! Imamku, dari dunia sampai syurga.

CINTA | JODOH 133

IMAMKU, DARI DUNIA HINGGA SYURGA

Nota Cinta

Aku kecil orangnya. Anak sulungku kini sudah 18 tahun. Orang
menyangka si along ini sebagai adik, bukan anak.

Suami orangnya sangat tidak cerewet. Dia tidak kisah jika lauk yang
sama dihidang tiga hari!

Walau berkunjung ke rumah orang, masjid tetap menjadi pilihan
berbanding solat di rumah orang.

Sebagai rakyat Terengganu, pastinya ‘ikang’ ialah kegemaran utama
suami, diratahnya sehingga hancur sehancur-hancurnya.

Anak bongsu kami berumur dua tahun dan soalan yang kerap diajukan
kepada suami yang semakin putih janggutnya ialah “Ini cucu ya?”

Kenangan manis bersama-sama keluarga.

134 JODOH | CINTA

Anugerah Sebuah

Munajat Cinta

NIK FATIMAH NIK AZNAN

Abang, nukilan ini istimewa buatmu
yang banyak berkorban untukku.
Abang menyempurnakan hidupku
dengan limpahan kasih sayang.

ANUGERAH SEBUAH MUNAJAT CINTA

“YA ALLAH, kenapakah aku begitu sukar berasa
bahagia? Kenapakah hatiku sering disakiti dan
dikecewakan?”

“Ya Allah, kasihanilah mamaku. Aku tidak mahu mama
bersedih keranaku.”

Air mata yang mengalir deras, kubiarkan membasahi wajah.
Tanganku menggenggam erat stereng kereta yang dipandu.

“Ya Allah. Jika takdirku tidak memiliki cinta, Kau jauhkanlah
aku daripada terus mengejarnya. Bawalah aku pergi jauh dari
semua ini.”

Air mataku terus berjuraian. Hatiku hiba dan bercelaru.

Esok, aku akan menggenggam segulung ijazah hasil perit
jerih selama empat tahun ini. Aku gagahkan dengan hatiku
yang luka berdarah demi seorang insan yang berkorban segala-
galanya untukku. Ijazah ini adalah demi mama.

Aku nekad. Mulai esok, aku tidak mahu lagi dibelenggu janji
nista atas nama cinta. Aku mahu menutup babak hidupku yang
lalu dan membuka episod baru.

Dan keretaku terus meluncur laju membelah kegelapan
malam membawa jiwaku yang suram.

17 APRIL 2005
Kegembiraan terpancar di wajahku yang rapi berdandan. Galak
aku bergambar dengan sahabat-sahabat sepengajian. Riuh
rendah kami bergurau senda. Masing-masing teruja menanti

136 JODOH | CINTA

ANUGERAH SEBUAH MUNAJAT CINTA

detik istimewa menerima ijazah daripada Canselor Universiti
Teknologi Malaysia (UTM).

“Eh, awak?” Tiba-tiba aku ditegur.
Di hadapanku, seorang lelaki lengkap berjubah konvo
sepertiku. Matanya cerlung memandangku, jarinya mengunjuk
tepat ke wajahku.
“Eh!” Spontan aku terkejut.
“Macam pernah jumpa. Di mana ya?” Hatiku tertanya-tanya.
“Wah, tahniah! Tak sangka kita konvo sama-sama.”
Mukanya bersinar bagai orang mengantuk disorongkan
bantal.
“Oh, dia!” Ingatanku menerpa.
Belum sempat aku membalas, lenganku dicuit. Kami hanya
sempat berbalas senyuman sebelum aku dan dia segera kembali
ke barisan untuk berarak ke dewan Sultan Iskandar.
Seusai majlis istiadat penganugerahan ijazah, lelaki itu
sudah menanti di sisi pintu utama dewan. Kami saling bertukar
nombor telefon dan sempat bergambar bersama-sama. Tanpa
disangka, dia menghubungiku pada malam itu.

TUJUH BULAN YANG LALU …
“Student UTM?” Seorang lelaki sedang memakai kasut
menyapaku.

CINTA | JODOH 137

ANUGERAH SEBUAH MUNAJAT CINTA

Aku mengangguk. Sedikit mengah kerana berkejaran ke situ.
Aku duduk di bangku luar surau untuk membuka kasut. Betul-
betul bertentangan dia.

“Course apa?”
“Aduh. Ramah pula dia ni. Aku dahlah nak cepat,” getus
hatiku.
“Sains Komputer,” jawabku acuh tidak acuh.
“Samalah. Nama apa? Batch berapa?” Dia tersenyum lebar.
Kalaulah bukan kerana mengejar masa, mahu juga aku
melayan borak. Tidak pernah pula melihat dia di fakulti.
“Nik Fatimah. Batch 2000. Sorry. Saya nak cepat ni. Takut
habis waktu.” Terpaksa aku menamatkan perbualan kami.
“Haaa. Sila! Sila!” Dia tersengih membetulkan tag promoter
dan berlalu pergi.
Jam 12:00 tengah malam barulah aku dan sahabat-
sahabatku bersedia untuk pulang. Kami benar-benar keletihan.
Kaki sudah tidak terasa menjejak bumi. Mujurlah ini hari terakhir
kami bekerja sempena tiga hari Jcard Day.
Dari jauh aku ternampak kelibat lelaki yang di surau tadi.
Dia sedang bercakap dengan seorang wanita. Terbantut niatku
untuk pergi menegurnya. Lagipun kami perlu segera pulang ke
kolej.

138 JODOH | CINTA

ANUGERAH SEBUAH MUNAJAT CINTA

Majlis konvokesyen membibitkan persahabatan kami.
Setiap hari berbalas e-mel di tempat kerja, berkongsi kisah
peribadi masing-masing.

Dua bulan selepas itu, dia menyuarakan hasrat hatinya.
Tidak pernah terfikir, lelaki ini mahu melamarku sebagai suri
hatinya. Ketika itu, aku menganggap dia kawan biasa sahaja.

“Saya tak suka couple main-main. Kalau nak couple mesti
untuk kahwin. Kalau serius, datang jumpa baba,” tegasku.

Lalu dia datang seorang diri ke rumah menyuarakan hajatnya
kepada mama dan baba.

“Hujung bulan ni, saya bawa awak balik kampung. Jumpa
mak dan abah.”

Aku menjejak rumah kelahirannya ditemani adikku.

Tiga bulan kemudian, rombongan keluarganya datang
memeterai pertunangan kami pada hari ulang tahun
kelahiranku.

“Awak simpan duit dengan saya ni, tak takut ke kalau saya
larikan duit awak?”

“Saya tahu, awak takkan buat macam tu.”

Kepercayaan dia terhadapku sentiasa mendorongku
menjadi baik.

“Biar orang buat kita, kita jangan buat orang.” Aku kagum
dengan ketulusan hatinya.

CINTA | JODOH 139

ANUGERAH SEBUAH MUNAJAT CINTA

“Saya manusia, bukan malaikat. Insya-Allah saya akan
berusaha sedaya upaya.”

Dia bersikap realistik apabila aku menuntut dia menjanjikan
kesetiaan. Dia tegas dan berprinsip. Kata-katanya ikhlas dan
tajam adakalanya membuatkan aku menangis. Namun, hatiku
tidak terguris. Aku yakin dia boleh memimpinku.

“Bila awak mula suka saya?”
“Depan lif. Suka tengok awak bertudung litup.”

LIMA BULAN SEBELUM MAJLIS KONVOKESYEN…
Pintu lif fakulti terbuka dan mata kami bertemu. Aku bergegas
keluar.

“Eh, awak!”
Aku berpapasan dengan lelaki tempoh hari. Langkahku
terhenti. Dia tersenyum manis.
“Ehh!” Kaki bagaikan mahu terus melangkah. Aku kesuntukan
masa.
“Dari mana?”
“Saya baru hantar tesis yang binding hardcover tu. Ni dah
nak terus balik Shah Alam for good,” pantas aku memberikan
penerangan.
“Oh!”

140 JODOH | CINTA

ANUGERAH SEBUAH MUNAJAT CINTA

“Okey, bye!” Aku memintas dia yang seperti mahu berkata
sesuatu. Aku melajukan langkah meninggalkan dia terpinga-
pinga. Hatiku lega untuk pulang setelah segalanya selesai
dengan baik. Tanpa aku ketahui, dia mencari-cariku selepas itu.

4 JUN 2006
Aku dan lelaki itu, Mohamad Sokhri Anuar diijabkabulkan
sebagai pasangan suami isteri yang sah dengan restu kedua
ibu bapa kami.

Kebaikan dan kelembutan hatinya menambat hatiku. Dia
menghormatiku dan mementingkan pendapatku dalam semua
perkara. Sikap mengambil beratnya, membuatkan aku berasa
selamat dan hatiku sentiasa berbunga cinta.

Suamiku bagaikan ‘jatuh dari langit’. Allah hadirkan dia pada
saat aku sudah berputus asa dengan kehidupan. Hakikatnya,
dia anugerah sebuah munajat cinta. Munajat seorang hamba
dan cinta Allah kepada hamba-Nya.

“Abang, nukilan ini istimewa buatmu yang banyak berkorban
untukku. Abang menyempurnakan hidupku dengan limpahan
kasih sayang. Memilih untuk hidup bersama-sama dengan
abang, ialah keputusan terbaik yang pernah aku lakukan. Ya
Allah, izinkan cinta ini membawa kami ke syurga-Mu. Amin.”

CINTA | JODOH 141

ANUGERAH SEBUAH MUNAJAT CINTA

Nota Cinta

Cinta kami diserikan dengan empat cahaya mata yang diberi nama;
Asiah, Zaid, Maryam dan Umar. Suamiku menemaniku sepanjang proses

kelahiran mereka.
Mama dan adik-adik banyak memberikan sokongan dan bantuan awal
awal kehidupan berumah tangga aku sebagai ibu berkerjaya dan pelajar

sarjana, malah ketika aku memulakan bisnes.
Setiap hari aku berkesempatan untuk meluangkan masa bersama-sama
dengan mama. Setiap bulan kami pulang ke kampung menziarahi mak.

Kami menyambut Aidilfitri di kampung suamiku setiap tahun.
Setelah 15 tahun berkahwin, aku sedar nikmat cinta adalah pada saat
melihat perhubungan erat penuh kasih sayang antara suamiku dan anak-
anak kami. Perkahwinan ialah satu ibadah yang panjang, perlu kepada
matlamat yang jelas dan saling melengkapi. Resipinya ialah kesabaran,

toleransi dan empati.

142 JODOH | CINTA bkmeiuar(erisDtanauanimnrpgiagask.gdeAiaarblliukJ-–FalaannaBntuakishabaeraambih,ei2Alb0dubu0amaa7nht.ap,AInuMnlalliaakainhaksgyludaalkahurenhngapgMamakmnauAbmg,aknAaruus)taiaAeanrrhrabIwkdliaanhilhhiaAriha,hkiblmraeakbmhaaihdin.

Tulang Rusuk

Encik Ahmad

NOORWISMA SHAARI

Tidak kusangka dialah
yang dikirimkan Allah sebagai jodohku.

Daripada benci, bertukar suka.

TULANG RUSUK ENCIK AHMAD

“WIS! Wis!” Jeritan Ennie membuatkan aku hampir
terlepas kain yang ingin dijemur. Panahan mentari
di Kolej Cempaka Lima pada petang itu hampir
menyilaukan mataku memandangnya.

“Ya Allah, kau terjerit-jerit ni dah kenapa?” Aku sengaja
mengibaskan kain basah ke arahnya.

“Kau satu kumpulan dengan Encik Ahmadkan? Ala
bestnya. Aku cemburu,” muncung mulutnya menandakan
kekecewaannya.

“Kenapa? Kau suka dia? Huh aku tak suka. Benci!” Spontan
mulutku memberikan komen.

“Tak kisahlah beb, yang penting aku suka. Badannya tegap,
kulit putih, muka chinese look. Kau tu, jangan benci sangat.
Satu hari nanti jadi suami!” Aku mencebik.

“Oh please, he is not my taste!”

Di sinilah permulaan aku mengenali dia. Dia belajar satu
universiti, satu kursus dan satu kelas denganku. Walaupun
sebaya, rakan sekelas menggelarnya ‘Encik Ahmad’ kerana
ada iklan di televisyen menggunakan nama itu. Terus
melekat gelaran Encik Ahmad hingga hari ini. Namun yang
pasti aku tak berkenan langsung kerana sikapnya yang suka
menyakatku.

“Wis, boleh saya iring awak balik?”

144 JODOH | CINTA

TULANG RUSUK ENCIK AHMAD

Pelik! Dia menaiki motorsikal takkan nak berjalan kaki pula
denganku.

“Ada saya mintakah? Tak payah. Saya ikut jalan jauh,”
jawabku, malas melayan kerenahnya.

“Lagi jauh lagi baik. Lagi lama saya dapat bersama-sama
awak.” Pandangan matanya mengharap jawapanku.

‘Kenapalah dia ini. Kau nak mengorat akukah? Aku tak suka
kaulah.’ Hatiku memprotes tindakannya.

Tanpa mempedulikannya aku terus berjalan bersama-sama
dengan Ennie yang tersenyum simpul memandangnya.

Sejak itu, bermulalah rutinnya menemani kami pulang ke
kolej bagaikan bodyguard, sehingga dia sanggup meminta
rakan sebiliknya membawa pulang motosikalnya.

Ada satu kenangan istimewa kami semasa di semester
satu. Masihku ingat lagi betapa marah dan malunya aku
apabila didenda untuk bersanding dengan Encik Ahmad.
Ini semua gara-gara senior semester enam yang mahu
mengenakan junior semasa Majlis Suai Kenal. Siap ada acara
makan beradab dan bersanding bersama dengan pasangan
lain di hadapan dewan.

Selepas hari itu aku cuba untuk mengelakkan diri daripada
Encik Ahmad. Namun jika sudah jodoh bak kata orang, aku
dan Encik Ahmad dipertemukan sekali lagi dalam projek
akhir kami. Projek pementasan drama di Auditorium FSSR.
Aku bergandingan dengannya sebagai murid dan guru. Maka

CINTA | JODOH 145

TULANG RUSUK ENCIK AHMAD

sudah tentulah banyak latihan lakonan yang perlu kami jalani
bersama-sama.

Tepukan gemuruh para penonton di Auditorium FSSR
menandakan tamatnya projek terakhir kami semester ini. Air
mataku mengalir tanda berpuas hati dan benar-benar tidak
menyangka drama ‘Suria’ hasil garapan ideaku mendapat
pujian daripada pensyarah dan rakan-rakan.

“Alahai Wis, rupanya aku bertepuk sebelah tangan!” Ennie
mencuit dan tersenyum kepadaku.

“Kan aku dah cakap jangan benci sangat!” Aku ketawa
mendengar bebelan Ennie.

Ketika itu dadaku bergetar saat melirik ke arah Encik Ahmad
yang tersenyum memerhatikanku.

Selama berlatih dengannya baru aku mengenali perwatakan
dirinya yang sebenar. Dia bukanlah ‘pengacau’ seperti yang aku
sangkakan. Dia baik, sopan dan selalu membantuku. Walaupun
orang lain bergosip mengenai kami, namun dia tenang dan tidak
mudah melatah.

“Eh, korang ni berkawan ke berkasih? Nak kata couple, tiada
rupa couple. Nak kata kawan, tiada rupa kawan. Korang main
tarik tali?”

Itulah yang selalu ditanya oleh rakan-rakan kami. Aku hanya
mengangkat bahu dan ketawa.

Ujian demi ujian kami lalui selepas tamat pengajian di
universiti. Aku pernah ditugaskan bekerja di luar negara selama

146 JODOH | CINTA

TULANG RUSUK ENCIK AHMAD

tiga bulan. Pada waktu itu tiada lagi kecanggihan komunikasi
seperti masa kini. Kami terputus hubungan tanpa khabar berita.
Namun dia masih setia menunggu diriku.

Bekerja dalam bidang penyiaran juga menjadikan jadualku
berlawanan waktu pejabat yang normal. Kami sukar untuk
bertemu. Persekitaran kerjayaku juga dimonopoli lelaki. Maka
tidak hairanlah jika ada rakan sekerja yang menaruh hati
kepadaku. Bahkan ketuaku pernah merisik untuk anak buahnya.
Namun dia masih mempercayai diri ini dan memahami suasana
kerjaku.

Setelah bertukar tempat kerja, aku diuji tidak mendapat gaji
selama beberapa bulan. Pada ketika itu aku tertekan dengan
masalah kewangan dan sewa rumah yang tidak dilunaskan.

Dia menghulurkan perbelanjaan sepanjang aku dalam
kesempitan. Pernah aku meminta putus hubungan dengannya
kerana tidak mahu menjadi beban kepadanya. Namun dia tidak
berputus asa dan memberikan semangat kepadaku.

Suasana kenduri perkahwinan di kampung itu sedang
berlangsung dengan meriahnya. Dengarnya tuan rumah
menumbangkan seekor lembu untuk santapan tetamu. Kenduri
anak perempuannya yang nombor dua. Dua adiknya sudah
berkahwin. Patutlah meriah!

“Ate nape akaknya kahwin lambat?” Opah Jenab bertanya
sambil tangannya mengacau jelatah di dalam besen besar.

CINTA | JODOH 147

TULANG RUSUK ENCIK AHMAD

“Entahle, katanye keroje dulu. Eh, orghang sekarang bukan
macam kite. Dema cari reta dulu.”

Mak Lang Kiah sibuk menambah lauk di talam hidangan.
Bunyi kompang saling bertingkah. Rombongan pengantin
kian tiba. Debar di dadaku bagai nak pecah. Teringat momen
waktu kami dinikahkan pagi tadi oleh bapaku sendiri.
“Alhamdulillah akhirnya lengkap sudah tulang rusuk saya.”
Dia berbisik sewaktu menyarungkan cincin dalam upacara
membatalkan air sembahyang.
“Tulang rusuk?” Aku berpura-pura tidak mengerti.
“Saya tulang rusuk bengkok tau.”
Dia tersenyum mengeyakannya dalam kekecohan saudara
mara yang sibuk mengambil gambar dan mengusik kami.
Inilah suamiku Encik Ahmad. Tidak kusangka dialah yang
dikirimkan Allah sebagai jodohku. Daripada benci, bertukar
suka. Walau bertentangan karektor dan kecenderungan namun
Allah satukan agar kami saling melengkapi dan memahami.
Alhamdulillah empat putera menjadi penyeri.

148 JODOH | CINTA

TULANG RUSUK ENCIK AHMAD

Nota Cinta

Ketentuan jodoh antara kami berpadanan sebagai anak sulung
dan anak kedua, untuk itu kami saling memahami walaupun berbeza

perwatakan.
Karektor kami berdua sangat berbeza. Dia berdisiplin, sabar dan
berjimat cermat manakala saya pula berlawanan dengannya.
Cara kehidupan kami juga jauh berbeza kerana dia anak orang bandar

manakala saya budak kampung.
Hobi dan kecendungan kami juga berbeza. Dia meminati bidang sukan
dan teknologi manakala saya bidang kesenian dan kesusasteraan.

Kekuatan dia pada kesabarannya. Dia banyak bertolak ansur pada
kerenah dan kedegilan saya.

Keluarga Encik Ahmad dengan empat putera sebagai penyeri.

CINTA | JODOH 149

Jodoh, Cinta

Cinta dan Sayang

NUR AZLIN NORDIN

Dalam jodoh ada cinta,
dalam cinta ada sayang,
dalam sayang ada benci

ada segalanya.


Click to View FlipBook Version