1 KENEGARAAN MALAYSIA SADN1033/MPU1042 Zulhilmi Paidi Sharifah Ismail Haslinda Hasan Jazliza Jamaludin Mohamed Ali Haniffa Salmah Omar Siti Alwaliyah Mansor Shahrol Aman Ahmad Mohd Ismandi Wasli A231 – 2023/2024
2 Bismillahirrahmanirrahim Kami bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya buku ini dapat disiapkan. Buku ”Kenegaraan Malaysia” merupakan buku yang dihasilkan oleh tenaga akademik Kursus Kenegaraan Malaysia di Universiti Utara Malaysia (UUM). Walaupun buku ini khusus bagi para mahasiswa UUM, namun para mahasiswa institusi pengajian tinggi awam lain yang mengambil kursus Kenegaraan Malaysia dan Pengajian Malaysia turut sesuai menggunakannya. Ia juga sesuai untuk penuntutpenuntut di institut pengajian tinggi swasta, pelatih-pelatih perguruan, pelajar-pelajar sekolah menengah tinggi dan pra-universiti dan juga orang perseorangan yang meminati sejarah dan perkembangan Malaysia. Buku ini mengandungi sepuluh bab yang membincangkan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan memahami negara dan tanah air di samping peristiwa-peristiwa penting mengenai sejarah dan perkembangan negara dari zaman tradisi hingga kini. Ia merangkumi pelbagai peristiwa dan perubahan yang berlaku kepada masyarakat dan negara yang boleh dijadikan iktibar dan panduan dalam menentukan hala tuju sebuah negara yang kita ingin dan miliki bersama pada masa akan datang. Buku ini penting dalam memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia yang berbagai kaum dan budaya tentang keperluan mengetahui sejarah dan perkembangan negara. Akhir sekali, kami berharap buku ini mampu menjadi pengisi kepada keperluan para pembaca dalam usaha untuk mengetahui dan memahami negara yang kita cintai ini. Zulhilmi Paidi Sharifah Ismail Haslinda Hasan Jazliza Jamaludin Mohamed Ali Haniffa Salmah Omar Siti Alwaliyah Mansor Shahrol Aman Ahmad Mohd Ismandi Wasli
3 KANDUNGAN BAB 1: PENGENALAN KEPADA KENEGARAAN MALAYSIA (PEMBINAAN NEGARA BANGSA) BAB 2: MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL BAB 3: KOLONIALISME BAB 4: NASIONALISME BAB 5: KEMERDEKAAN BAB 6: DARURAT BAB 7: PENUBUHAN MALAYSIA BAB 8: STRUKTUR PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIA BAB 9: PERLEMBAGAAN MALAYSIA BAB 10: DASAR-DASAR KERAJAAN
4 Pendahuluan Sepuluh artikel yang dimuatkan dalam buku ini merupakan kumpulan hasil tulisan para akademia Kursus Kenegaraan Malaysia, Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun & Falsafah, Universiti Utara Malaysia dari pelbagai disiplin ilmu. Pencernaan idea dari disipin ilmu yang berbeza ini sangat bersesuaian dengan bidang pengajian Kenegaraan Malaysia itu sendiri kerana ia merupakan satu subjek yang merangkumi beberapa disiplin ilmu utama. Perbincangan disiplin utama ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian atau tema, iaitu konsep dan definisi, kronologi peristiwa dan pengukuhan negara. Bab satu merupakan topik pertama yang memberikan pendedahan definisi dan konsep berkaitan kenegaraan Malaysia kepada pelajar. Di dalam bab ini perbincangan tentang negara bangsa dari sudut konsep hinggaIah kepada proses pembinaan negara bangsa dibuat secara mendalam. Selain itu persolan negara bangsa Malaysia turut dibincangkan berserta dengan cabaran-cabarannya. Bab dua pula meneruskan perbincangan berkaitan bahagian definisi dan konsep. Pada bab ini penulis membincangkan mengenai topik berkaitan Masyarakat Melayu Tradisional yang merupakan asas kepada pembentukan negara dan bangsa di Malaysia kini. Konsep, rupa bentuk dan sejarah masyarakat Melayu tradisional disentuh menerusi perbincangan tamadun Melayu sebagai tamadun terawal di wilayah ini. Selanjutnya pada bab tiga sepertimana dua bab terawal meneruskan perbincangan dan tema konsep dan definisi dengan mengupas konsep Kolonialisme. Turut disentuh ialah kehadiran kuasa kolonial di negara ini bermula dengan kehadiran kuasa Portugis, Belanda hinggalah kepada kuasa British. Perubahan dari satu masyarakat Melayu yang dominan dan ancaman penjajahan dimuatkan dalam bab ini bagi memberi gambaran sebenar sifat buruk penjajahan atau kolonialisme. Bab empat menjadi topik transisi atau peralihan dari bahagian satu berkaitan definisi dan konsep kepada bahagian dua berkaitan kronologi peristiwa penting yang berlaku di negara ini. Bab ini mengupas perkembangan semangat kebangsaan di negara ini sebagai reaksi terhadap kebiadapan penjajah. Perbincangan konsep Nasionalisme dan Patriotisme juga urutan sejarah perjuangan tokoh-tokoh nasionalis negara di bincang dengan teliti. Bab lima secara jelasnya merupakan bahagian penting kepada tema kedua berkaitan kronologi peristiwa apabila ianya mengupas proses dan usaha-usaha perjalanan kearah kemerdekaan bagi negara ini. Bermula dengan perkembangan demokrasi dengan pelaksanaan pilihanraya tempatan 1951-1953 dan pilihanraya persekutuan 1955 hinggalah kepada pembentukan suruhanjaya Reid untuk membentuk perlembagaan. Diakhiri dengan perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
5 Bab enam merujuk kepada salah satu peristiwa penting yang berlaku dalam negara ini seiring dengan perjalanan negara ini kearah kemerdekaan. Darurat dibincang dari sudut konsep dan peristiwa yang berlaku dari 1948 hingga 1960. Pemberontakan Parti Komunis Malaya dan Strategi Counterinsurgency atau tindakbalas British dibincang secara teliti dan mendalam sehinggalah kepada perjanjian Baling 1955 dan Perjanjian Hadyai 1989. Bab tujuh merupakan topik terakhir untuk bahagian kedua buku ini dan ianya memberikan kesinambungan kepada proses pembinaaan negara bangsa dengan berlakunya pembentukan ataupun penubuhan Malaysia. Bermula dengan idea-idea awal tentang penubuhan sebuah persekutuan yang menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dan negeri-negeri di wilayah Borneo hinggalah kepada proses mewujudkan persekutuan yang baru ini. Peranan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Referendum di Singapura, Suruhanjaya Cobbold dan pemasyhuran Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 dikupas dengan jelas dan mendalam. Seterusnya bab lapan memulakan perbincangan bagi tema pengukuhan negara. Bab ini memberi gambaran tentang jentera pentadbiran kerajaan yang menjadi tulang belakang kepada negara ini. Perbincanga tentang kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dikupas dengan mendalam dan jelas. Bab ini penting untuk menggambarkan sistem yang lengkap dan kukuh bagi sebuah negara merdeka seperti Malaysia. Tema pengukuhan negara diteruskan dengan bab sembilan yang memuatkan perbincangan berkaitan perlembagaan persekutuan Malaysia. Bermula dari sejarah dan latar belakang juga ciri-ciri utama perlembagaan negara sehinggalah kepada aspek-aspek kepentingan unsur- unsur tradisu kepada negara ini. Tema ini berakhir dengan perbincangan bab sepuluh yang membincangkan dasardasar yang menjadi sandaran penting kepada kelangsungan hidup negara ini. Dasardasar ini telah membentuk nilai–tambah (value-added) kepada perkembangan politik dan kemasyarakatn di Malaysia. Selain dari itu , isu-isu semasa juga turut dimuatkan sebagai satu rentetan cabaran yang perlu dihadapi oleh negara kita sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat dalam era globalisasi.
6 TOPIK 1 PENGENALAN KEPADA KENEGARAAN MALAYSIA (PEMBINAAN NEGARA BANGSA) Pendahuluan Kita sering mendengar orang memperkatakan tentang kenegaraan. Kenegaraan sangat penting dan berkait rapat dengan rakyat, budaya, politik, ekonomi dan sejarah sesebuah negara. Tahukah anda apa maksud kenegaraan? Kenegaraan merupakan satu kursus yang mengajar tentang hal ehwal sesebuah negara untuk melahirkan warganegara yang baik dan bertanggungjawab. Warganegara yang baik mesti mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Sementara dalam disiplin sains politik pula, kenegaraan selalu di rujuk sebagai pembinaan negara bangsa. Umumnya kenegaraan adalah satu bidang pengajian yang matlamatnya melahirkan rakyat atau warganegara yang baik dan bertanggungjawab dalam usaha membentuk sebuah negara dan bangsa yang bersatu padu dan dihormati di peringkat antarabangsa melalui pembelajaran dan penghayatan kursus kenegaraan. Warganegara yang baik dan bertanggungjawab perlu mengetahui latar belakang warisan budayanya, perkembangan sejarah bangsa dan negaranya. Pengetahuan sejarah perlu diketahui, difahami dan dihayati untuk membantu ke arah menanam dan mengembangkan kesedaran dan kebanggaan terhadap negara. Dengan mempelajari sejarah tanah air, ia menimbulkan rasa kecintaan dan dapat mendedahkan kepada semangat kesetiaan, rasa kesyukuran serta sedia berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara. Di samping itu juga, intipati sejarah dapat membantu golongan muda memahami dan menghargai perjuangan kemerdekaan dan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh negara. Pengetahuan atau pemahaman terhadap sejarah boleh membentuk jati diri yang akan menjadi kebanggaan masyarakat, lantas mempengaruhi sikap kesetiaan (loyalty), dan patriotisme, iaitu sanggup berkorban kerana negara. Pemupukan semangat kesetiaan dan patriotisme di kalangan generasi baru di Malaysia sangat penting dan perlu dipergiatkan setiap masa kerana corak dan keadaan masyarakat Malaysia yang majmuk lagi kompleks. Mereka dipisahkan oleh budaya dan cara hidup yang berbeza. Jurang perbezaan yang besar di antara mereka hasil daripada tinggalan Inggeris ini telah menghalang perpaduan dan integrasi kaum. Perasaan cintakan negara dan semangat sanggup berkorban untuk negara sepatutnya dipupuk di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Kesedaran yang mendalam tentang perlunya masyarakat yang telah diintegrasikan ke dalam satu bangsa dapat dibuat dengan lebih berjaya jika generasi sekarang sedar bahawa negara kita telah melalui pelbagai zaman dan cabaran melalui pendidikan dan penghayatan Kenegaraan Malaysia.
7 Kandungan kursus Kenegaraan Malaysia meliputi sejarah pembinaan bangsa dan negara ini sejak zaman pra merdeka hingga kepada pembentukan dasar-dasar kerajaan selepas merdeka. Kursus ini terdiri daripada beberapa gabungan disiplin ilmu seperti sejarah, politik dan ekonomi. Kesemua disiplin ilmu ini diadun menjadi satu kursus Kenegaraan Malaysia yang mengamalkan konsep pengajaran dan pembelajaran yang merentas sempadan ilmu secara bijaksana. Bagi kebanyakan orang, kenegaraan adalah satu kursus yang di dalamnya penuh dengan peristiwa dan fakta sejarah. Kita tidak boleh lari daripada mengetahui sejarah negara dan masyarakat sebagai latar belakang untuk memahami sesuatu bangsa dan negara. Ia akan berfungsi sebagai pelengkap kepada keperluan untuk memahami segala perkara mengenai sesebuah bangsa dan negara. Namun ada banyak lagi perkara yang terkandung dalam masyarakat dan negara itu selain daripada sejarah itu sendiri yang perlu diketahui seperti ekonomi, politik dan sosial yang menjiwai masyarakat dan negara itu. Dengan lain perkataan, kita harus menggabungkan berbagai disiplin ilmu yang berbeza ke dalam satu kursus yang dipanggil Kenegaraan Malaysia. Kombinasi beberapa disiplin ilmu yang membentuk kursus Kenegaraan Malaysia menjadikan kandungannya terlalu luas dengan batasan waktu yang sangat terhad telah memaksa pengajaran dan pembelajaran merentas sempadan ilmu menjadi begitu relevan. Sehubungan itu, fakta-fakta penting dari pelbagai disiplin ilmu perlu diolah dan dihubungkaitkan secara menyeluruh untuk menerangkan sesuatu fenomena yang berlaku. Pendekatan ini juga diharap boleh menghindarkan suasana membosankan kepada sesetengah pelajar. Lumrah bagi manusia mempunyai minat dan kemahuan yang berbeza, begitu juga dengan pelajar mempunyai minat yang berbeza mengenai subjek yang diajar oleh guru. Jika kita mengambil pendekatan mengajar sesuatu topik secara terpisah mengikut keperluan disiplin ilmu masingmasing, maka isi kandungan menjadi panjang dan mendalam. Selain masa yang terhad dan kandungan kursus yang panjang, sikap turut memainkan peranan penting. Sikap sambil lewa kerana merasakan sudah tahu tentang subjek yang diajar telah mendorong tindak-tanduk negatif di dalam kuliah seperti tidur, berbual, ponteng dan sebagainya. Menginsafi kepentingan perkara ini, kursus ini secara sedar cuba menghindarkan diri daripada mengulangi atau menjadi seperti disiplin ilmu yang berdiri sendiri dengan mempelbagaikan teknik pengajaran supaya lebih menarik tanpa mengetepikan kesesuaian dengan matlamat dan objektif kursus, iaitu mewujudkan negara bangsa yang bersatu padu. Negara Bangsa Sejak akhir-akhir ini perkataan negara bangsa tidak asing lagi kepada kebanyakan orang khususnya bagi mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang sains politik dan sejarah. Secara mudah, negara bangsa mesti mempunyai tiga komponen utama iaitu negara, individu, dan bangsa. Negara merujuk kepada wilayah kewujudan kelompok manusia, individu ialah manusia, sementara bangsa pula satu kesatuan manusia yang hidup dalam sesebuah negara.
8 Negara bangsa adalah dua perkataan yang berbeza, iaitu negara, dan bangsa. Negara atau ‘state’ adalah satu unit politik yang mempunyai kedaulatan dan mempunyai tanggungjawab dan kuasa menjalankan hal ehwal pentadbiran sendiri. Mengikut undang-undang antarabangsa, terdapat empat elemen penting yang mesti ada dalam menentukan kewujudan sesebuah negara. Negara biasanya ditakrifkan sebagai kawasan tertentu yang mempunyai sempadan yang jelas, ada penduduk tinggal di situ, terdapat sebuah kerajaan yang sah memerintah, dan kerajaan itu pula mestilah berkesan dalam menjalankan pemerintahan. Bangsa atau ‘state’ pula selaluya diertikan sebagai kewujudan dalam kumpulan manusia tertentu dengan beberapa ciri yang sama. Persamaan ini boleh terjadi daripada berbagai perkara seperti unsur-unsur jasmani, politik, dan kebudayaan. Etnik yang hidup dalam keadaan yang terintegrasi tanpa perbezaan yang wujud di antara mereka dapat menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara kerana mereka terhindar daripada sebarang konflik kaum yang merugikan. Bagaimanapun dari segi praktikal, kedua-dua definisi di atas ada kekecualiannya. Sebagai contoh, tidak ada satu negarapun di dunia ini yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada satu keturunan etnik sahaja. Malah ada negara yang mengiktiraf semua etnik yang sama dengannya di sebarang laut sebagai warganegara, sebagai contoh Israel dan China. Ciri-Ciri Negara Bangsa Adalah tidak tepat jika kita membuat kesimpulan bahawa jika ada negara dan ada penduduk yang tinggal di negara itu, maka wujudlah sebuah negara bangsa. Sebuah negara itu akan dikategorikan sebagai sebuah negara bangsa apabila ia telah memenuhi beberapa syarat yang diperlukan. Sebuah negara bangsa mempunyai tiga syarat utama sebelum ia dikategorikan sebagai sebuah negara bangsa. Pertama, masyarakat yang tinggal di situ hidup dalam bersatu padu tanpa dipisahkan oleh fahaman perkauman yang sempit seperti kedaerahan, kepercayaan, bahasa, budaya, pekerjaan, tempat tinggal dan sebagainya yang boleh membawa kepada perpecahan. Penduduk mesti menerima hakikat bahawa mereka tinggal dalam satu negara yang berbilang kaum dan budaya. Satu nilai kebangsaan yang boleh mengikat mereka sebagai satu kelompok manusia mesti diterima dengan hati yang terbuka. Sebagai contoh Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan−kedua-dua dasar ini bertujuan menyatukan penduduk dengan mewujudkan nilai yang sama sebagai nilai kebangsaan di kalangan mereka untuk dikenali sebagai bangsa Malaysia. Kedua, sebilangan besar rakyat mesti berpegang kepada ideologi politik yang sama iaitu demokrasi liberal. Perbezaan yang wujud di kalangan mereka hanya berbeza dari segi kaedah atau cara untuk mencapai matlamat sahaja. Tidak akan wujud kegawatan politik kerana sebilangan rakyat mempunyai matlamat politik yang sama, iaitu demokrasi. Syarat ketiga ialah kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada sistem pemerintahan dan undang-undang negara. Rakyat mematuhi kepada undang-undang dan yakin bahawa undang-undang dan sistem pentadbiran yang diamalkan mampu memberi perlindungan dan keadilan kepada mereka.
9 Faktor yang Boleh Mempengaruhi Negara Bangsa Ketiga-tiga ciri utama di atas menjadi asas pembentukan negara bangsa mungkin akan tinggal sebagai impian sahaja jika sepuluh perkara berikut tidak diberi perhatian dalam usaha membentuk sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, dan mempunyai nilai yang sama demi kebaikan dan kemakmuran generasi mendatang yang lebih gemilang iaitu: 1) Integrasi Integrasi kaum dan wilayah adalah perkara asas bagi mengukuhkan perpaduan dan penyatuan masyarakat dalam sesebuah negara. Kaum-kaum yang telah di integrasi tidak mampu lagi mengekalkan sikap kenegerian, perkauman dan faham kebangsaan yang sempit tetapi mengutamakan matlamat kebangsaan. 2) Nasionaliti Elemen penting dalam kenegaraan dan kewarganegaraan ialah nasionaliti. Konsep asas di sini ialah pemilikan nilai-nilai bersama akan mengikat seorang warganegara yang baik menjadi satu bangsa yang mempunyai kesetiaan, sayang dan sanggup berkorban untuk negara. Perkara yang dimiliki bersama seperti budaya kebangsaan, sistem politik dan bahasa boleh menyatupadukan rakyat yang diiktiraf sebagai nasionaliti kebangsaan. 3) Nasionalisme Nasionalisme sebagai asas membina semangat kekuatan, keyakinan diri, penyatuan dan perpaduan nasional. Nasionalisme kebangsaan yang kuat boleh mengembelengkan semangat, tenaga, keazaman dan cita-cita serta usaha untuk maju. Semua kaum mesti mengutamakan kepentingan nasional daripada kepentingan kaum masing-masing. 4) Patriotisme Patriotisme adalah semangat sanggup berkorban kerana negara. Ia lahir dari perasaan nasionalisme iaitu cintakan negara. Elemen ini menjadikan bangsa itu kuat dan mampu berjuang membangunkan bangsa daripada kemunduran dan penindasan. Sebuah negara bangsa yang kuat perlu kepada rakyat yang mempunyai keberanian, ketahanan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan nasional. 5) Globalisme Dalam dunia semakin kecil akibat daripada perkembangan teknologi maklumat telah menjadikan globalisasi sebagai satu ancaman kepada negara bangsa. Pertukaran maklumat yang cepat dan pantas telah menjadikan dunia begitu kecil tanpa
10 sempadan. Oleh yang demikian, nasionalisme dan patriotisme mestilah menjadi benteng terakhir untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh akibat proses globalisasi. 6) Kepelbagaian Budaya Aliran kepelbagaian budaya yang diamalkan oleh pelbagai kelompok etnik boleh menimbulkan cabaran yang serius kepada usaha pembinaan bangsa dan negara. Satu budaya kebangsaan yang boleh diterima oleh semua kaum patut dipupuk dan dimajukan untuk mewujudkan satu budaya yang boleh diterima oleh semua sebagai satu identiti kebangsaan. 7) Pluralisme Sifat pluralisme telah didukung oleh masyarakat bermula sejak zaman penjajahan Inggeris lagi. Dasar pecah dan perintah Inggeris yang membahagikan kaum mengikut sektor telah menghalang perpaduan kaum sebelum merdeka. Sifat pluralisme ini boleh dihapuskan atau dikurangkan melalui penyusunan semula masyarakat. Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan pelbagai dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sebagainya. 8) Liberalisme Fahaman liberalisme yang memberikan kebebasan kepada individu, kelompok dan organisasi tertentu yang tidak terkawal mampu menghalang pembentukan negara bangsa. Keutamaan mengejar kekayaan dan kebendaan telah menjadikan manusia terlalu mementingkan diri sendiri. Sikap seperti ini jika tidak dikawal boleh membelakangkan matlamat dan kepentingan nasional. 9) Neo-Feudalisme Penjelmaan neo-kolonialisme dalam sistem budaya, sosial dan politik menyekat demokrasi. Suasana ini mewujudkan sebilangan kecil elit birokrat dan ahli politik yang kuat dan kebal dari segi undang-undang dalam kerangka perubahan yang mereka buat sendiri perlu diatasi untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia moden. 10) Demokrasi Syarat utama membina negara bangsa ialah mewujudkan dan menyebarluaskan fahaman dan amalan demokrasi. Rakyat boleh mengambil bahagian yang aktif dalam membentuk segala keputusan dalam segala hal supaya tidak timbul perasaan tidak puas hati. Kritikan yang membina dan bertanggungjawab harus dibenarkan seluasluasnya untuk kebaikan bersama. Amalan demokrasi ini boleh melahirkan warganegara yang tahu kebebasan dan tanggungjawab kepada bangsa dan negara.
11 Proses Pembinaan Negara Bangsa Proses pembentukan sebuah negara bangsa memakan masa yang panjang. Sesebuah negara bangsa hanya terbentuk setelah melalui empat proses berikut: i) State-building (bina negara) ii) Nation-building (bina bangsa) iii) Mass participation (penyertaan rakyat) iv) Politics of distribution (pengagihan nilai-nilai dalam masyarakat) Perubahan dari satu tahap kepada satu tahap di atas adalah berbeza dari satu negara ke satu negara yang lain. Perubahan ini berlaku kerana konflik yang terjadi antara etnik atau kaum disebabkan oleh wujud jurang perbezaan yang terlalu besar di antara mereka semasa atau selepas penjajahan Inggeris. Sebarang tindakan untuk memenuhi kehendak dan kepentingan kaum tertentu akan sentiasa disalahertikan oleh kaum yang lain. Apabila berlaku konflik, maka perubahan perlu dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut dan proses pembinaan negara dan bangsa akan memasuki tahap selanjutnya sehinggalah pembentukan sebuah negara bangsa menjadi kenyataan. Di Malaysia pembentukan negara atau ‘state’ yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum hanya dimulakan pada tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan mula melonggarkan pemberian kerakyatan bersyarat kepada penduduk bukan Melayu. Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 yang diperoleh dari Inggeris mengukuhkan lagi asas itu dan diikuti pula penubuhan Malaysia pada tahun 1963 sebagai tanda pembentukan negara Malaysia yang berdaulat. Pada waktu itu, Malaysia hanya mendapat sebuah negara ‘state’ daripada Inggeris sebagai simbol kemerdekaan. Malaysia diperintah oleh Parti Perikatan yang sah dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Bagaimanapun, penduduk yang tinggal di Malaysia masih belum diintegrasikan sebagai sebuah bangsa. Mereka masih dikenali mengikut kaum dalam segala bidang. Pada tahap pertama ini, interaksi dan perpaduan kaum berada pada tahap yang paling rendah. Pada tahap kedua, memperlihatkan berlakunya perhubungan awal yang longgar antara kaum. Perhubungan longgar antara kaum yang dipisahkan oleh jurang perbezaan yang sangat besar ini dijelaskan oleh Furnivall sebagai mempunyai ciriciri masyarakat majmuk apabila terdapat lebih daripada satu etnik termasuk penduduk bumiputera yang tinggal di situ, mereka bercampur tetapi tidak bersatu, tinggal berdekatan tetapi terpisah, mengamalkan budaya, pekerjaan dan pendidikan yang berbeza. Pada tahap ini, interaksi antara mereka berada pada paras minimum seperti mereka hanya bertemu di pasar ketika menjalankan urus niaga sahaja. Pada tahap ketiga, perhubungan kaum menjadi agak rencam, pelbagai dan saling bergantung yang akhirnya memerlukan kepada satu iklim persefahaman yang harmoni bagi mendamai dan memenuhi kepentingan kaum supaya perpaduan dapat diwujudkan. Kemudian jurang perbezaan yang wujud di antara mereka cuba
12 dirapatkan, persamaan dan kerjasama antara kaum dicari serta diperluaskan sebagai ikhtiar mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Pada tahap ini, masyarakat telah diintegrasikan ke dalam satu bangsa yang bersatu dengan memiliki nilai-nilai yang sama, dan membentuk sebuah negara bangsa Malaysia. Negara Bangsa Malaysia Dunia sekarang sedang memasuki “gelombang ketiga” itu ledakan teknologi maklumat. Teknologi yang berkembang pesat ini menyediakan rangkaian lebuh raya maklumat yang membolehkan manusia berhubung dan bertukar maklumat di seluruh dunia dalam masa yang pantas. Fenomena ini telah menjadikan dunia begitu kecil seperti ‘desa sejagat’. Perkembangan mutakhir ini telah menimbulkan banyak persoalan mengenai perlunya sebuah negara bangsa Malaysia. Pendapat yang mengatakan Malaysia tidak perlu negara bangsa dan rakyat yang bersatu padu, mempunyai semangat nasionalisme serta patriotisme adalah tidak tepat. Nasionalisme masih perlu sebagai senjata untuk memelihara keutuhan negara dan membina kekuatan dalaman daripada ancaman asing dalam bentuk baru seperti globalisasi. Kita harus menerima hakikat bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dengan pelbagai budaya serta bimbang akan dijajah, maka nasionalisme masih perlu ditanam setiap jiwa rakyat Malaysia. Jurang perbezaan besar yang wujud antara kaum telah sengaja dibuat sejak zaman penjajah Inggeris lagi bagi memenuhi kehendak dan matlamat mereka untuk mencari keuntungan. Perpecahan dan perasaan kekitaan yang begitu tebal di kalangan rakyat pada di waktu itu menjadi penghalang wujudnya semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme sebelum perang adalah berteraskan kepada kaum. Orang bukan Melayu masih menumpukan perhatian mereka ke tanah besar China dan India kerana mereka tidak menganggap Tanah Melayu sebagai tanahairnya, sementara orang Melayu menumpukan perhatian kepada Timur Tengah dan Indonesia sebagai teras perjuangan mereka. Keadaan berpuak-puak penduduk Malaysia masih jelas kelihatan walaupun negara telah mencapai kemerdekaan. Semasa kita mencapai kemerdekaan sebenarnya kita hanya mendapat sebuah negara ‘state’ daripada penjajah Inggeris. Konsep bangsa ‘nation’ yang sebenarnya belum wujud lagi kerana penduduk pada masa itu didukung oleh faham perkauman yang terlalu tebal. Perasaan iri hati dan tidak percaya antara kaum berleluasa sehingga akhir meletus tragedi 13 Mei 1969. Banyak dasar kerajaan dijalankan seperti Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK), Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang bertujuan menyusun semula masyarakat. Namun sehingga hari ini jurang perbezaan antara kaum masih lagi besar. Struktur sosial, ekonomi dan politik masih tidak banyak yang berubah. Justeru itu tidak hairanlah jika ada sarjana yang membuat kesimpulan bahawa Malaysia belum lagi mencapai taraf negara bangsa tetapi sebagai satu negara banyak bangsa. Menyedari hakikat ini, tibalah masanya bagi negara mengorak langkah untuk melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang belum terlaksana. Keperluan untuk Malaysia melahirkan sebuah bangsa ini pernah disokong oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya semasa pelancaran Rancangan Pemasyarakatan Perpaduan di Kuala Lumpur:
13 “… kita menjadi bangsa Malaysia hanya sebagai politikal identiti sahaja, … matlamat kita ialah satu bangsa Malaysia yang mudah dikenali sebagai unik bagi warganegara Malaysia tanpa menghapuskan unsur-unsur budaya kaum-kaum yang berlainan keturunan”. Walaupun pada zahirnya kita tidak nampak usaha penjajahan seperti yang pernah dilakukan oleh penjajah akan berlaku lagi, namun kita harus waspada kepada ancaman luar dan neo-kolonialisme. Apakah jaminan negara yang sudah merdeka tidak akan dijajah lagi? Nikmat yang dikecapi akan hilang dalam sekelip mata sekiranya berlaku kecuaian, kelalaian dan sebab-sebab lain. Dalam keadaan dunia memasuki zaman semakin maju dan canggih, penjajahan, penindasan dan penghinaan ke atas kita boleh dirangka dalam pelbagai bentuk baru sama ada melalui minda, gaya hidup dan sebagainya. Musuh negara ada di mana-mana, mereka sentiasa mencari jalan untuk memecahbelahkan keharmonian kaum dan ingin menjatuhkan negara dengan apa cara sekalipun. Jika kita leka, cuai dan lupa kepada sejarah, tidak mustahil Malaysia akan jatuh sekali lagi ke tangan musuh. Perpecahan dan konflik kaum yang berlaku di dunia akhir-akhir ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita supaya lebih waspada. Di sinilah letaknya kepentingan semangat nasionalisme dan patriotisme di kalangan rakyat yang boleh dipupuk melalui pendidikan sejarah yang terdapat dalam kursus Kenegaraan Malaysia. Nasionalisme mesti dipupuk dan disebarluaskan kerana ia akan melahirkan pula semangat patriotisme, iaitu sanggup berkorban demi negara seperti berjuang mempertahankan negara daripada ancaman asing. Bagaimanapun, nasionalisme yang hendak ditanam mestilah melihat nasionalisme yang positif. Nasionalisme sempit yang berpaksikan perkauman hendaklah ditolak. Ia hanya mendorong kepada perpecahan lantas mengundang kepada kemunduran kerana konflik dan peperangan yang berpanjangan. Nasionalisme Malaysia yang tidak berteraskan kepada perkauman diharapkan dapat mengikat rakyat menjadi bangsa Malaysia yang bersatu padu. Usaha mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan adil pada masa depan perlu bermula dari sekarang yang penuh dengan kebimbangan dan ketidakpastian. Masa depan bangsa Malaysia yang unggul dengan kerjasama, perpaduan, tolak ansur hanya wujud jika batas-batas perkauman dan jurang ketidaksamaan pembahagian antara kaum menjadi kabur melalui dasar-dasar kerajaan yang dijalankan. Perasaan mencintai negara akan wujud jika rakyat mengetahui fakta sejarah negara. Melalui sejarah seseorang itu akan dapat mengetahui dan memahami berbagai peristiwa termasuk pertumbuhan, perkembangan dan pembangunan malah kemerosotan sesebuah negara, bangsa dan masyarakat. Penghargaan ini boleh mendorong seseorang itu memiliki perasaan bangga dan sayang kepada diri, keluarga, bangsa dan tanah air sendiri. Di samping itu, ia juga boleh dijadikan panduan untuk kita menjalani masa depan yang lebih cemerlang dengan mengambil iktibar supaya kita terlepas daripada mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh generasi yang terdahulu. Pendidikan sejarah Malaysia boleh menjamin
14 kestabilan politik dalam bentuk mewujudkan asas jati diri, meningkatkan rasa kepunyaan dan seterusnya membangkitkan perasaan cinta dan bangga yang agung kepada negara. Perasaan cinta kepada negara boleh timbul jika kita memahami latar belakang sejarah sesebuah negara. Sebagai contoh, orang bukan Melayu dengan lapang dada akan menerima Malaysia sebagai negaranya jika mereka tahu pengorbanan orang Melayu dan UMNO semasa pilihanraya umum tahun 1955. Orang Melayu boleh memenangi pilihanraya tanpa perlu bekerjasama dengan MCA dan MIC, kerana majoriti pengundi pada masa itu adalah orang Melayu. Masyarakat Melayu merupakan teras negara, namun kita tidak harus menafikan kewujudan masyarakat lain yang telah turut sama menyumbang kepada kekukuhan dan kemantapan negara Malaysia sehingga hari ini. Kepentingan sejarah sesuatu bangsa khasnya harus berteraskan kepada sejarah masyarakat peribumi bagi pemantapan pembinaan negara bangsa. Dalam hal ini, masyarakat Melayu harus menjadi tunggak ketuanan, patriotisme dan nasionalisme negara bangsa. Ini boleh memastikan keutuhan negara dan bangsa akan terjamin. Budaya sebagai teras keutuhan dan kekuatan bangsa amat penting walaupun setelah pencerobohan kuasa asing. Ia akan terus berperanan walaupun ketika masyarakat khususnya orang Melayu berada di luar rantau Melayu. Sebab itulah sejarah penting bagi melanjutkan usaha pembinaan bangsa dan negara berdasarkan peristiwa masa lampau, dan membentuk perubahan yang bersesuaian dengan keadaan semasa dalam membina dan menghadapi cabaran paradigma baru. Kesimpulan Walaupun Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara maju dan terdedah kepada globalisasi yang melanda akibat daripada ledakan teknologi maklumat, pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu masih diperlukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada masyarakat majmuk. Jika penduduk Malaysia masih ditentukan dengan garis perkauman yang tebal di antara mereka bermakna Malaysia terdedah kepada konflik perkauman yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja seperti sebutir bom jangka. Begitu juga dengan ancaman luar yang akan datang tidak kira masa dalam berbagai bentuk sama ada secara langsung atau tidak langsung. Negara tidak akan maju kerana masa dan kos yang tinggi digunakan untuk menangani masalah ini. Usaha kerajaan dalam menyusun semula masyarakat melalui dasar-dasar yang dijalankan selepas peristiwa 13 Mei 1969 merupakan langkah baik menuju pembentukan sebuah negara bangsa. Semangat nasionalisme menjadi pemangkin dan pelengkap kepada usaha kerajaan ini. Setiap warganegara sepatutnya bersedia menggantikan nasionalisme sempit berasaskan perkauman kepada nasionalisme kebangsaan lantas melahirkan pula semangat patriotisme yang tidak berbelah bagi terhadap negara. Generasi hari ini harus menilai kedudukan masyarakat pada masa dahulu dan menjadikannya sebagai iktibar untuk membentuk sebuah negara bangsa Malaysia baru yang bersatu padu, dihormati dan berdaulat melalui pembelajaran dan penghayatan kursus Kenegaraan Malaysia.
15 TOPIK 2 MASYARAKAT MELAYU TRADISI Pendahuluan Masyarakat boleh ditafsirkan sebagai sekumpulan manusia yang hidup dalam satu kelompok dan berinteraksi serta mengamalkan satu nilai hidup yang sama. Manakala masyarakat Melayu tradisional adalah merujuk kepada orang-orang Melayu yang hidup semasa zaman sebelum penjajahan barat di negara ini. Melayu dari segi bangsa merupakan satu kelompok masyarakat yang mewarisi kumpulan manusia pertama datang dan menetap negara ini. Para pengkaji berpendapat bahawa kumpulan ini dikenali sebagai bangsa Yunan. Mereka dikatakan mengembara melalui jalan laut menerusi Formosa, Filipina dan Indonesia. Walau bagaimanapun terdapat kemungkinan mereka melalui jalan darat dengan merentasi Vietnam, Kemboja dan Siam untuk sampai ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya merebak ke Filipina, Indonesia dan gugusan kepulauan lain di Asia Tenggara. Oleh yang demikian didapati banyak persamaan antara tamadun awal manusia di Malaysia dengan beberapa kawasan di Tanah Besar Asia Tenggara dan Indonesia. Manakala istilah tradisi sering berkaitkan dengan pelbagai perkara seperti sesuatu yang bersifat asal, lama, teradat, diamalkan sejak turun temurun dan lain-lain. Manakala masyarakat tradisi pula merupakan masyarakat atau kelompok manusia yang hidup dalam nilai-nilai lama dan kehidupan mereka sangat terikat dengan budaya dan adat resam setempat. Walaupun pengertian masyarakat tradisi dikaitkan dengan kehidupan masyarakat yang terpinggir, pencapaian teknologi yang rendah dan terdiri dari kumpulan manusia yang menghuni kawasan-kawasan tanah tinggi sebagaimana yang dinyatakan oleh Marshall (1998), namun dalam konteks masyarakat Melayu tradisi, ketradisionalan yang menjadi ciri utama mereka bukan membawa konotasi keciciran, mundur dan tidak bertamadun. Sebaliknya masyarakat pada zaman tersebut merupakan kelompok yang telah mempunyai sistem politik, ekonomi dan sosial yang lengkap dan boleh dicirikan sebagai telah maju dalam ertikata pencapaian masyarakat pada zaman tersebut. Faktor sejarah dan kebolehan mengadaptasikan diri dengan perubahan telah menyebabkan bangsa Melayu berjaya membentuk tamadun Melayu berbanding dengan kumpulan lain (A. Aziz, 1994). Perkara yang membezakan antara masyarakat Melayu tradisional dengan masyarakat selepasnya ialah cara hidup dan nilai-nilai yang diamalkan oleh mereka merupakan cara hidup dan nilai yang murni, indah dan tersendiri dan ia merupakan gambaran utama kepada akal budi orang Melayu. Keadaan ini berbeza dengan cara hidup dan amalan masyarakat Melayu kini yang lebih terbuka kepada pengaruh barat yang disifatkan sebagai moden dan ia sebenarnya tidak mengambarkan nilai-nilai masyarakat Melayu yang sebenarnya.
16 Melayu Berbalik kepada soal siapa orang Melayu, ia merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu berkemungkinan berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatra. Menurut setengah sumber, di sana wujud sebuah kerajaan Melayu sekitar 1500 tahun yang lalu sebelum atau sewaktu kemunculan kerajaan Srivijaya. Dari segi etimologi, perkataan “Melayu” dikatakan berasal dari perkataan Sanskrit “Malaya” yang bermaksud “bukit” atau tanah tinggi (Harun, 1966) Merujuk kepada istilah bangsa Melayu juga, menurut Abdullah (1993), pembahagian istilah “Melayu” sebagai satu istilah yang berfungsi sebagai nama kolektif bagi merujuk kepada suatu kesatuan bahasa dan bangsa iaitu “Melayu” berdasarkan kepada kerajaan-kerajaan Melayu yang pernah wujud seperti kerajaan Melayu di Jambi dan lain-lain kerajaan Melayu semasa dan selepas kerajaan Srivijaya, kerajaan Melayu Melaka dan selepas kejatuhannya, pemerintah dan orang-orang Melayu Melaka, bahasa Melayu yang dipertuturkan di Melaka dan rantau ini pada zaman kerajaan Melayu Melaka. Sementara itu, istilah “Melayu” ditakrif oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar. Manakala Abdul Rahman (2000), menyatakan terdapat tiga pendekatan dalam membincangkan konsep Melayu iaitu: i) Persamaan akar budaya iaitu bangsa Melayu yang secara fizikal mempunyai kulit yang sawo matang, terdiri dari pelbagai suku bangsa yang mendiami alam Melayu. Mereka secara linguistik menuturkan bahasa yang pada asasnya dikenali sebagai bahasa Melayu-Polinesia. ii) Berdasarkan kepada asas nama “Melayu” yang dilihat sebagai satu kontruksi sosial. Berdasarkan kepada buku Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah “Melayu” merupakan mereka yang menjadi pengikut raja yang berketurunan Bukit Siguntang yang mengasaskan kerajaan Melayu Melaka pada abad yang ke 15. iii) Berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1957 Fasal 160 dan Fasal 89 (6) iaitu mereka yang berbahasa Melayu, mengamalkan agama Islam dan kebudayaan Melayu. Dari segi pentakrifan antropologi pula, menurut Syed Husin Ali, orang Melayu seringkali merupakan mereka yang berkulit sawo matang dari segi zahirnya, berbadan sederhana besar dan tegap serta selalu brsifat lemah-lembut dan berhemah tinggi.
17 Manakala bahasa Melayu pula ialah bahasa yang berasal dari bahasa yang dipertuturkan oleh bangsa Indo-Melayu atau Austronesia yang datang ke alam Melayu menggunakan bahasa yang dikenali sebagai bahasa Melayu Proto yang merupakan asal kepada bahasa Melayu hari ini. Bahasa Melayu yang asal juga telah berkembang kepada beberapa bahasa Melayu yang lain seperti bahasa Jawa, bahasa Batak, Minang dan lain-lain. Cabang bahasa yang dihasilkan oleh bahasa Melayu Proto dikatakan berjumlah kira-kira 150 cabang bahasa. Pemantapan sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu adalah jelas apabila beberapa kerajaan Melayu tua kerajaan Kedah Tua, Gangganegara, Ganggayu atau Klang Kiu, Langkasuka, Pan Pan, Chih Tu dan Temasik. Sementara itu kesultanan yang pernah muncul di Semenanjung Malaysia seawal kurun ke 14 seperti kerajaan Naning, kerajaan Negeri Sembilan, Kerajaan Perlis, Kesultanan Johor, Kesultanan Kedah, Kesultanan Kelantan, Kesultanan Perak, Kesultanan Pahang, Kesultanan Patani, Kesultanan Selangor, Kesultanan Terengganu dan Kesultanan Melaka. Walaupun terdapat banyak kerajaan yang telah wujud, namun kerajaan Melayu Melaka sering dijadikan sebagai rujukan dalam perbincanganperbincangan, kupasan dan analisis mengenai masyarakat Melayu tradisional. Ini kerana ia mempunyai susunan politik, corak pentadbiran serta sistem ekonomi dan sosial yang telah lengkap bersesuaian dengaan zamannya. Kerajaan Melayu Melaka juga merupakan permulaan tradisi sosio-politik orang Melayu di negara ini (INTAN, 1991). Sistem Politik Masyarakat Melayu Tradisi Corak serta sistem pemerintahan kerajaan masyarakat Melayu tradisi banyak mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakatnya. Terdapat dua golongan utama yang terdapat dalam masyarakat Melayu tradisi iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan yang memerintah terdiri daripada raja, kerabat diraja dan pembesar. Golongan ini boleh dibahagikan kepada kumpulan yang lebih kecil lagi, berdasarkan taraf kedudukan dan fungsi seseorang dalam masyarakat. Manakala golongan yang diperintah pula ialah golongan rakyat. Mereka juga boleh dikelaskan kepada beberapa kategori mengikut taraf dan fungsi masing-masing. Unit Politik dan Pentadbiran A) Negeri dan Raja Unit politik yang terbesar dalam masyarakat Melayu tradisional ialah negeri. Pada zaman Kesultanan Melaka, perkataan negeri membawa maksud bandar raya. Tetapi menjelang abad ke-19 ia merujuk kepada sebuah kawasan di bawah pemerintahan yang merdeka. Perkataan negeri biasa digunakan sebagai kata awalan seperti negeri Perak, negeri Selangor, negeri Kedah dan sebagainya (Gullick, 1958). Kawasan negeri biasanya berkait dengan keadaan geografi Semenanjung Tanah Melayu dan menggunakan sungai sebagai alat perhubungan dan perdagangan. Ibu negerinya
18 terletak di muara-muara sungai. Tujuannya untuk mengawasi pergerakan orang yang masuk atau keluar dari negerinya, mengutip cukai ke atas barang import atau eksport dan mempertahankan negeri daripada serangan luar. Sementara itu dari aspek politik pula, kerajaan Melayu tradisional berbentuk sistem feudal yang membawa maksud raja ataupun sultan yang memerintah mempunyai kuasa mutlak. Menurut Ali (1977), pemerintahan kerajaan Melayu disifatkan sebagai berbentuk feudal kerana ia tidak mementingkan pandangan dan hak rakyat. Dari segi teorinya dalam sistem politik yang mengamalkan sistem feudal raja terletak di puncak kuasa. Baginda memiliki dua unsur utama iaitu kuasa dan wibawa (Idris, 1975). Ketua negara yang digelar sebagai raja merupakan istilah yang berasal dari perkataan Sanskrit. Institusi beraja bertapak dalam masyarakat Melayu seiring dengan pengaruh HinduBuddha yang mula meresap masuk serta menguasai organisasi politik alam Melayu ini. Konsep raja yang berkembang dalam masyarakat Melayu adalah sebagai ketua kerajaan dan raja dikatakan sebagai berketurunan dewa-dewa atau tuhan-tuhan yang disebut sebagai Devaraja. Hal ini terkandung di dalam Hikayat Pendawa Lima yang merupakan saduran dari kitab Mahabhrata (Shellabear, 1961). Sistem politik Melayu tradisional yang menerima pengaruh Hindu telah meletakkan kedudukan raja di tempat yang paling tinggi dan mempunyai kuasa mutlak tanpa dapat dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Walau bagaimanapun berikutan dengan kedatangan Islam tanggapan raja-raja sebagai berketurunan dewa-dewa telah tidak lagi relevan dengan ajaran Islam. Manakala gelaran raja telah digantikan dengan gelaran sultan yang berasal dari perkataan Arab yang bermaksud pemerintah. Sesuai dengan ajaran Islam, kedudukan sultan tetap pada tingkat yang paling atas dalam sistem politik Melayu dan dianggap sebagai khalifah Allah di muka bumi ini serta menjadi ketua serta pelindung agama Islam. Seterusnya apabila dunia politik Melayu telah semakin kukuh khususnya apabila kerajaan Melayu Melaka telah bertapak dan berkembang di seluruh Nusantara, institusi kesultanan telah menjadi antara identiti penting bagi sistem politik Melayu tradisional. Sehubungan dengan peranan mereka yang sangat signifikan, Khoo Kay Kim (1972), menyatakan bahawa sultan ataupun raja merupakan punca kewibawaan dalam sistem politik tradisional. Kekuasaan raja dalam institusi pemerintahan Melayu dalam masyarakat tradisional merupakan suatu bentuk kuasa yang unggul dan terpelihara melalui unsur-unsur spiritual dan material. Unsur spiritual secara umumnya ia merujuk kepada sistem nilai dan tanggapan masyarakat terhadap raja itu sendiri. Sehubungan dengan itu dalam masyarakat Melayu, raja dianggap sebagai wakil Allah di muka bumi ini. Tanggapan ini telah diperkukuh lagi oleh konsep daulat dan derhaka yang diletakkan ke atas diri raja itu sendiri. Raja pada pandangan masyarakat Melayu dahulu adalah merupakan subjek yang sangat mulia dan hampir tidak ada cacat celanya. Malah walaupun terdapat sebarang kekurangan sama ada dari segi tingkah laku mahupun kewibawaan sebagai pemerintah, mereka tidak boleh pertikaikan apalagi dicela.
19 Sementara itu apa sahaja perintah raja merupakan sesuatu yang wajib dituruti walaupun ia bercanggah dengan hukum agama mahupun nilai-nilai kemanusiaan. Konsep daulat yang mendasari unsur spritual terhadap kemuliaan dan kedaulatan raja merupakan kualiti yang dimiliki oleh raja-raja ataupun sultan Melayu. Menurut Zainal Abidin bin Abdul Wahid (1971), daulat memberikan raja-raja Melayu banyak hak dan kemudahan serta meletakkan mereka di tempat yang lebih tinggi daripada masyarakatnya. Ia telah menyebabkan mereka tidak boleh ditegur ataupun dicela. Tanggapan daulat juga bermakna kesetiaan yang mutlak daripada rakyatnya. Daulat juga merupakan perlambangan terhadap kuasa dan keutuhan serta kewibawaan yang dimiliki oleh mereka. Ini kerana daulat adalah konsep tradisi Melayu yang memperkukuhkan kedudukan raja. Ia merupakan satu sumber kuasa dan hak yang penting bagi raja-raja Melayu. Daulat juga telah meletakkan kuasa raja sebagai kuasa yang paling unggul dan ia bersesuaian dengan kedudukan raja dalam hirarki yang paling atas dalam kelas sosial masyarakat Melayu tradisi. Daulat seseorang raja itu bukan sahaja terhad dari segi undang-undang sahaja malah ia turut mengaitkan aspek kebudayaan dan agama. Konsep daulat sering dipadankan dengan konsep derhaka. Kedua-dua konsep ini berasal dari perjanjian ataupun waadat antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba apabila Sang Sapurba ingin mengahwini Wan Sendari iaitu anak Demang Lebar Daun (Shellabear, 1975). Dalam perjanjian ini, Demang Lebar Daun yang boleh dianggap sebagai mewakili golongan rakyat memohon agar pihak raja akan menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dan berlaku adil terhadap mereka mengikut hukum syarak. Manakala di pihak Sang Sapurba pula yang boleh dianggap sebagai mewakili pihak raja meminta agar rakyat iaitu anak cucu Demang Lebar Daun tidak menderhaka kepada pihak raja. Demang Lebar Daun bersetuju dengan permintaan tersebut dan menegaskan sekiranya pihak raja yang terlebih dahulu mengingkari perjanjian ini, maka pihak rakyat juga akan turut mengingkarinya. Mana-mana pihak yang mengingkari perjanjian ini akan ditimpa bencana. Waadat atau persetiaan ini boleh dianggap sebagai satu kontrak sosial antara raja dengan rakyat. Daulat juga membawa maksud bahawa rakyat jelata mesti taat dan mematuhi segala perintah raja. Unsur ini telah diindoktrinasikan oleh masyarakat Melayu sendiri ke dalam pemikiran mereka. Ia telah mencetuskan satu lagi nilai di kalangan mereka iaitu kepantangan menderhaka kepada raja disebabkan oleh daulat tadi. Legenda raja-raja Melayu memperkuatkan unsur daulat yang ada pada mereka. Menurut Salalatus-Salatin raja-raja Melayu berasal dari keturunan Raja Iskandar Dzulkarnain dari Makaduniah. “Bahawa kami ini bangsa manusia, asal kami daripada anak cucu Raja Iskandar Dzu’l-Karnain, nisab kami daripada Raja Nushirwan Adil, raja masyrik dan maghrib, dan pancar kami daripada Raja Sulaiman alaihi’s-salam…” Falsafah yang cuba disampaikan ialah pemerintah Melayu merupakan mereka yang berketurunan agung dan bukannya dari kalangan rakyat biasa. Manakala derhaka pula ialah satu perbuatan yang disifatkan sebagai ingkar terhadap perintah raja ataupun membelot. Perbuatan tersebut merupakan satu perkara yang
20 tidak dapat dimaafkan dan merupakan satu kepantangan dalam masyarakat Melayu tradisional. Ia juga dianggap sebagai satu dosa dan akan mendapat ketulahan kerana dianggap sebagai mencabar daulat raja (Cheah Boon Kheng, 1985). Beberapa peristiwa yang digambarkan dalam magnum opus mengenai Kesultanan Melayu iaitu Salalatus-Salatin mengenai perkara ini. Contohnya bagaimana Sang Rajuna Tapa dan keluarganya telah menjadi batu akibat belot dan menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kerajaan Majapahit. Pembelotan ini disebabkan oleh tindakan raja Singapura pada masa itu iaitu Raja Iskandar Syah yang telah termakan fitnah dan memerintahkan anak Sang Rajuna Tapa yang menjadi gundik raja dihukum sula di hujung pasar. “Sang Rajuna Tapa pun terlalu amat malu nya melihat hal anaknya itu. Maka katanya ,”Jika sungguh sekalipun anak hamba berbuat jahat, bunuh saja; mengapakah diberinya malu demikian?’ (Shellabear, 1996). Walau bagaimana pun selari dengan persetiaan yang telah termetrai antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun bahawa perlu wujud perimbangan yang adil antara raja dengan rakyat iaitu rakyat perlu patuh dan setia kepada raja dan raja pula perlu berlaku adil kepada rakyat, maka berikutan dengan kezaliman raja Singapura itu, negaranya telah jatuh ke tangan tentera Majapahit. Sementara itu unsur material pula ialah peruntukan-peruntukan istimewa yang dikhususkan untuk raja-raja seperti adat-istiadat, bahasa yang digunakan dalam pertuturan seharian, jenis-jenis perhiasan diri dan senjata, warna-warna dan pakaian dan lain-lain lagi. Contohnya, dari segi ungkapan yang dipertuturkan oleh golongan raja seperti santap, beradu, bersiram dan berangkat tidak boleh dipertuturkan oleh rakyat biasa. Malah dari segi kepantangan warna-warna, telah termaktub dalam Hukum Kanun Melaka mengenai larangan ke atas rakyat biasa terhadap pemakaian dan penggunaan warna kuning yang dikhaskan hanya untuk golongan raja sahaja. Sehubungan dengan itu juga adalah telah menjadi ketetapan dalam adat-istiadat diraja Melayu sejak zaman dahulu bahawa rakyat kebanyakan tidak boleh ataupun dilarang memakai sebarang pakaian kuning ataupun kekuning-kuningan walaupun mereka terdiri dari para pembesar melainkan pakaian tersebut merupakan kurniaan raja. Selain dari itu juga, golongan rakyat tidak dibenarkan memakai pakaian yang nipis hingga menampakkan kulit badan seperti memakai pakaian yang diperbuat dari kain kasa semasa berada di balairong kecuali atas perintah raja. Namun demikian pakaian ini boleh dipakai di majlis-majlis keraian di tempat lain. Kedudukan status yang kedua tinggi selepas sultan ialah golongan anak raja dan kerabat diraja. Hak-hak istimewa politik sebahagian besarnya dikhaskan untuk golongan ini. Dalam sesebuah kerajaan Melayu dahulu terdapat ramai anak-anak raja kerana sebahagian besar dari pemerintah Melayu dahulu mengamalkan poligami. Dari segi adat-istiadat, sesuai dengan kedudukannya yang merupakan kedudukan yang tertinggi dalam hiraki masyarakat Melayu, sultan dan keluarga juga mendapat peruntukan yang khusus dalam adat istiadat Melayu. Dari segi penggantian raja, pada kebiasaannya sistem perwarisan takhta adalah mengikut sistem patrimonial iaitu keturunan ataupun jurai sebelah bapa yang lebih
21 dipentingkan. Dalam hal ini, sudah tentu sekali anak lelaki yang akan mendapat keistimewaan dan dipentingkan dalam semua perkara berhubung dengan hak dan perwarisan takhta kerajaan. Merujuk kepada perkara ini, kerajaan Melayu Melaka contohnya telah mengamalkan ketetapan mengikut Adat Temenggung yang diwarisi dari Palembang. Dari segi strukturnya jawatan pemerintah biasanya akan digantikan oleh putera sultan itu sendiri ataupun oleh adik lelaki baginda keluarga seseorang sultan itu tidak mempunyai putera. Sesuai dengan kedudukannya yang berada di hirarki tertinggi dalam sistem politik tradisional, tugas utama raja ialah sebagai ketua pemerintah dan berkuasa penuh dalam pentadbiran. Malah titah perintah raja merupakan undang-undang bagi sesebuah negara. Selain dari itu raja juga berkuasa dalam menjatuhkan hukuman mati. Baginda juga berkuasa melantik para pembesar negeri. Selain dari itu kebanyakan dari raja-raja Melayu yang terulung seringkali mengepalai tenteranya dalam membuat serangan ke atas negeri lain dan juga mengetuai rakyatnya dalam mempertahankan negeri dari serangan musuh. Dalam hal-ehwal agama Islam peranan sultan bukan hanya sebagai ketua agama sahaja. Sultan sebenarnya boleh dikatakan sebagai pemangkin serta memainkan peranan yang cukup penting terhadap perkembangan penyebaran agama Islam. Sebagai contoh, penyebaran dan pengukuhan ajaran Islam di Melaka telah berlaku dengan giat berikutan dengan penabalan Sultan Muzafar Shah sebagai pemerintah Melaka. Baginda dikatakan sebagai sangat berperanan besar dalam kebangkitan Islam kerana telah menjadikan hukum Islam sebagai asas dalam pemerintahan baginda. Sehubungan dengan perkembangan ini dan juga galakan serta sokongan yang telah ditunjukkan oleh baginda serta sultan-sultan yang selepasnya maka Melaka telah muncul sebagai pusat penyebaran dan perkembangan Islam yang terunggul di Asia Tenggara pada zaman kegemilangannya. B) Daerah dan Pembesar Unit politik seterusnya ialah daerah atau jajahan. Seperti juga negeri, daerah menggunakan sungai sebagai alat perhubungan. Daerah biasanya didirikan di keduadua tebing sungai negeri atau di kuala-kuala sungai seperti lembah tepi yang bertemu pada kuala sungai yang besar. Daerah ditadbir oleh seorang pembesar dan tugasnya secara umum ialah menjalankan keadilan, memungut hasil dan menjalankan perintah raja ataupun sultan. Beliau dibantu oleh beberapa orang penolong lain yang mana perlantikan mereka turut mendapat persetujuan dari pihak istana. Selain daripada berperanan besar dalam pentadbiran sama ada di peringkat pusat mahupun daerahdaerah yang diberikan kuasa kepada mereka, mereka juga turut mempunyai peruntukan-peruntukan tertentu yang khusus dalam masyarakat seperti soal-soal pemilikan harta dan adat-istiadat. Walau bagaimanapun peruntukan tersebut tidaklah setinggi dan semulia peruntukan yang dikhususkan kepada golongan raja. Namun demikian aspek yang penting apabila membincangkan mengenai kedudukan pembesar dalam sesebuah kerajaan ialah dari segi fungsi mereka dalam pentadbiran.
22 Pembesar dilantik oleh sultan melalui pemberian surat tauliah. Pemilihan seorang pembesar ditentukan oleh dakwaan zuriat, biasanya anak lelaki, sanak saudara nisab bapa kepada pembesar yang terdahulu. Misalnya di Melaka, jawatan Bendahara yang disandang oleh Tun Perak diwarisi oleh anaknya, adiknya dan anak saudaranya. Pembesar-pembesar yang diberi hak untuk mentadbir daerah biasanya dapat mempertahankan daerahnya dengan kekuatan sendiri tanpa sebarang sokongan daripada sultan dan kebanyakan daripada mereka lebih kaya daripada Sultan (Gullick, 1978). Ini mungkin disebabkan oleh kelemahan sultan sendiri dan juga sistem perhubungan yang kurang baik. Sebagai orang kuat dalam sesebuah kerajaan, kebanyakan daripada pembesar Melayu mendapat banyak keistimewaan seperti penguasaan terhadap daerah yang tertentu dan hak mengutip cukai sebagai sumber mendapatan tetap mereka. Selain dari itu, setiap pembesar Melayu mempunyai pengikut masing-masing. Mengikut Gullick lagi, kekuatan pembesar bergantung kepada bilangan pengikutnya dan mereka akan dianggap sebagai lebih berkuasa dan berwibawa sekiranya mereka mempunyai jumlah pengikut yang lebih ramai. Para pengikut mereka sama ada terdiri dari kaum kerabat sendiri, hulubalang atau askar-askar, petani, pelombong dan juga hamba. Mereka merupakan penyumbang tenaga yang paling utama bagi golongan pembesar Melayu. Kebanyakan dari pengikut para pembesar ini secara sukarela akan bekerja untuk para pembesar iaitu tuan mereka tanpa sebarang upah. Kesanggupan ini berlaku adalah disebabkan oleh nilai rasa dan ketaatan dari rakyat iaitu pengikut tadi terhadap para pembesar tersebut. Namun begitu mereka diberikan perlindungan dan ada di antara mereka disediakan kemudahan tempat tinggal, makan minum dan sara hidup yang lain. Para pengikut ini biasanya sangat taat kepada para pembesar dan adakalanya mereka sanggup mati demi mempertahankan tuan mereka. Dari segi demografi, tempat tinggal para pembesar dan juga golongan bangsawan ini selalunya terletak berhampiran dengan kawasan istana sultan dan kerabat-kerabat diraja yang lain. Kawasan tempat kediaman mereka biasanya merupakan kawasan yang eksklusif dan setiap kediaman mereka dikelilingi oleh rumah-rumah para pekerja masing-masing. Sebenarnya golongan ini berada dalam dua keadaan yang berbeza dari segi hirarki sosialnya dalam masyarakat Melayu tradisi. Dalam konteks hubungannya dengan golongan raja dan para kerabat, mereka merupakan kumpulan yang diperintah, manakala dalam konteks hubungan mereka dengan golongan rakyat mereka merupakan golongan yang memerintah. Sebagaimana yang dinyatakan di bahagian awal, golongan pembesar ini merupakan kumpulan yang memainkan peranan yang sangat penting sebagai penggerak jentera pentadbiran dan pemerintahan negara. Dalam konteks ini, Kerajaan Melayu Melaka mengamalkan sistem ‘Empat Lipatan’ iaitu sistem terawal dalam sejarah perkembangan politik tradisional Melayu. Sistem ini dimulai dengan Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Seterusnya Pembesar Empat ini akan dibantu oleh Pembesar Lapan, Pembesar 16 dan Pembesar 32 serta Pembesar 64 Lapis.
23 Dalam sistem politik dan pentadbiran di Melaka, sistem pembesar di negeri itu diketuai oleh Bendahara. Pada kebiasaannya Bendahara merupakan tokoh yang agak berusia dan sangat berpengalaman dalam hal ehwal negeri dan selok belok politik negeri yang berkenaan. Contohnya Tun Perak iaitu Bendahara Melaka yang mula dilantik menjadi Bendahara Melaka sejak Sultan Muzaffar Syah. Beliau merupakan anak kepada tokoh Bendahara Melaka yang bertanggungjawab terhadap pengasasan sistem pentadbiran Melaka iaitu Bendahara Seri Wak Raja. Tun Perak juga merupakan abang kepada Tun Kudu iaitu permaisuri Sultan Muzaffar Syah yang kemudiannya dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja Tun Ali (Shellabear, 1996). Ketokohan dan perkaitan tali kekeluargaan dengan raja yang memerintah ataupun keturunannya merupakan faktor penting dalam menjamin hubungan raja dengan Bendahara. Hal ini penting kerana Bendahara merupakan tokoh pentadbir yang paling berperanan dalam menasihati dan mempengaruhi raja dalam segala urusan pemerintahan dan pentadbiran negara. Selain daripada menjadi penasihat sultan, tugas utama Bendahara ialah sebagai ketua eksekutif atau sebagai Perdana Menteri. Seseorang Bendahara juga merupakan tokoh yang paling berpengaruh sama ada ke atas raja mahupun di kalangan pembesar ataupun di khalayak rakyat. Malah dikatakan juga Bendahara juga turut memberi kesan ke atas perlantikan raja. Contohnya ialah Sultan Mansor Syah telah menghantar puteranya Raja Muhamad ke Pahang apabila Bendahara Tun Perak seolah-olah berjauh hati terhadap Raja Muhamad yang telah membunuh anak Tun Perak dalam satu peristiwa permainan sepak raga. Bendahara merupakan tonggak jentera pentadbiran negara. Bendahara juga bertanggung jawab menyelia hampir kesemua hal ehwal negara dan dibantu oleh pembesar-pembesar yang lain. Taraf Bendahara juga sangat tinggi dan sekiranya ketiadaan raja, Bendahara bertanggjawab memangku jawatan tersebut dengan dibantu oleh Penghulu Bendahari. Bendahara juga mengepalai angkatan tentera dalam sebarang peperangan ke atas negeri lain atau pun menangkis serangan dari luar. Pada kebiasaannya Bendahara merupakan tokoh yang berani dan mempunyai darah kepahlawanan yang tinggi. Dalam hal ini tokoh yang paling sesuai dijadikan contoh ialah Tun Perak. Malah kepahlawanan dan kebijaksanaan beliau telah menjadi faktor kepada kebangkitan Melaka sebagai sebuah empayar yang terkenal di Nusantara pada zamannya. Hirarki kedua dalam sistem pembesar negeri diduduki oleh Penghulu Bendahari. Jawatan ini biasanya merupakan jawatan yang diwariskan. Penyandang jawatan ini berasal dari keluarga diraja Melaka dan memakai gelaran Seri Nara Diraja. Tugas utama Penghulu Bendahari ialah menjaga dan menyelia kewangan dan hasil mahsul negara. Dalam urusan menjaga hasil-hasil kerajaan, Penghulu Bendahari juga bertanggungjawab terhadap bendahari-bendahari, syahbandar-syahbandar dan hamba-hamba raja. Penghulu Bendahari juga berfungsi sebagai wakil pemerintah bagi menerima ufti dari wilayah-wilayah jajahan. Beliau juga bertanggungjawab menjaga bangunan
24 istana, menyelia dan memeriksa senarai jemputan diraja sekiranya terdapat acaraacara rasmi sultan serta menguruskan perhiasan istana juga jamuan keraian. Di samping itu, Penghulu Bendahari juga bertindak sebagai ketua istiadat dan ketua acara rasmi diraja. Dalam hal ini boleh dikatakan bahawa di kalangan para pembesar, Penghulu Bendahari merupakan tokoh yang paling berperanan dalam segala perjalanan dan protokol istana. Selain dari itu juga Penghulu Bendahari merupakan setiausaha kepada Sultan yang memerintah. Dalam aspek keselamatan pula tanggungjawab dalam bidang ini dipikul oleh Temenggung. Ia berfungsi sebagai Ketua Polis Negara dan bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara. Sehubungan dengan tugas ini juga, Temenggung juga bertanggungjawab penuh dalam memastikan perjalanan dan perlaksanaan undang-undang dalam negara. Temenggung juga memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan keamanan dalam negeri kekal dan stabil bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negeri. Oleh yang demikian, soal-soal seperti kecurian di pasar, orang mengamuk, hal timbang menimbang, ukur mengukur dalam hal ehwal perdagangan adalah di bawah bidang kuasa Temenggung. Ia juga turut berfungsi sebagai Ketua Majistret. Dari segi bidang kuasanya Temenggung dapat disifatkan sebagai Menteri Dalam Negeri dan bertanggungjawab dalam kebanyakan hal keselamatan negeri. Semasa menjalankan tugas, Temenggung boleh membunuh seseorang tanpa mendapat kebenaran dari pihak raja. Dalam Hukum Kanun Melaka terdapat penerangan mengenai kuasa Temenggung seperti menafahus (menyelidik dengan teliti dan menggeledah) barang yang ada di dalam negeri serta menangkap orang-orang jahat di dalam negeri. Dalam sejarah kerajaan Melayu Melaka salah antara Temenggung yang sangat terkenal dalam kecekapan serta keberaniannya menjaga keselamatan negeri Melaka ialah Temenggung Seri Maharaja. Malah dalam Sejarah Melayu dengan jelas menyatakan bahawa Temenggung Seri Maharaja yang telah bertanggungjawab membenteras kegiatan mencuri yang sedang berleluasa di Melaka pada zamannya dan beliau juga yang dikatakan telah berperanan besar dalam mengembalikan semula keamanan di Melaka pada masa itu. Selain dari soal-soal keselamatan dalam negeri Temenggung juga berfungsi sebagai ketua adat-istiadat dalam urusan jamuan di istana. Temenggung juga berperanan dalam memilih individu dan menentukan tugas-tugas mereka sekiranya terdapat apa-apa urusan rasmi.Dari segi perlantikan, adakalanya penjawat jawatan Temenggung ini dipilih dari kalangan hulubalang negeri. Sebagai satu jawatan yang tinggi dan terhormat, ia menjadi idaman bagi kebanyakan satria dan hulubalang Melayu dahulu. Berhubung dengan tugas dalam mengawal sepadan dan perairan negara, peranan ini dipikul oleh Laksamana. Pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka Laksamana yang paling terkenal dengan kebijaksanaan dan kepahlawanannya ialah Laksamana Hang Tuah. Beliau yang bertanggungjawab mempertahankan jajahan takluk, sungai dan pelabuhan dari serangan perompak dan lanun juga serangan dari kuasa luar sama ada Siam, Jawa dan lain-lain.
25 Sebenarnya jawatan Laksamana telah diwujudkan pada awal pemerintahan Sultan Melaka yang ketiga iaitu Sultan Muhammad Shah. Jawatan ini diadakan atas kesedaran sultan pada zaman itu terhadap kepentingan pertahanan laut Melaka sebagai sebuah negeri yang mempunyai sempadan perairan yang luas. Sementara itu, kepentingan jawatan peranan Laksamana dalam angkatan tentera terutamanya angkatan laut dikatakan lebih besar dari jawatan Bendahara sendiri. Sebagai sebuah kerajaan agung dan mempunyai jajahan takluk yang besar maka tidak dapat dinafikan bahawa peranan Laksamana dalam aspek pertahanan negara serta strateginya sangat besar. Ini kerana perluasan kuasa Melaka banyak bergantung kepada kekuatan angkatan tenteranya dan kebijaksanaan Laksamana itu sendiri. Dalam lapisan golongan pembesar, terdapat satu golongan yang tidak kurang penting peranannya iaitu ulama. Pada peringkat awal perkembangan dan penyebaran agama Islam di Tanah Melayu, kebanyakan ulama terdiri dari para mubaligh dan saudagarsaudagar Arab. Mereka telah tiba di sini disebabkan oleh tujuan perdagangan dan juga penyebaran agama Islam. Pada zaman sebelum agama Islam bertapak kukuh dan diterima menjadi agama rasmi bagi negeri-negeri Melayu, peranan ulama tidak begitu penting dan hanya khusus bagi penyebaran agama Islam sahaja. Namun demikian, apabila Sultan Muzaffar Shah menaiki takhta kerajaan Melaka dan menerima Islam sebagai agama rasmi, peranan ulama telah menjadi penting sama dengan kepentingan politik dan pentadbiran negara yang lain. Pada masa inilah kita dapati peranan ulama istana di Melaka seperti Maulana Sadar Jahan dan Maulana Abu Bakar sangat menonjol terutama dalam memberikan pandangan nasihat mengenai perkara yang berkaitan dengan agama kepada sultan. Sejarah Melayu banyak mencatatkan peranan-peranan yang dimainkan oleh golongan ini di sepenjang sejarah kegemilangan Melayu Melaka. Contohnya peranan seorang yang berbangsa Arab yang bernama Sidi Arab yang tinggal di Melaka yang telah membantu kerajaan Melaka dalam membunuh panglima Siam iaitu Cau Pandan yang dikatakan akan menyerang Melaka (Shellabear, 1976). C) Kampung dan Penghulu Unit politik yang terkecil ialah kampung. Kampung membawa maksud satu kelompok atau satu kumpulan. Biasanya kampung merupakan unit tempat kediaman, masyarakat, ekonomi dan unit penguasaan politik. Ketua kampung ialah penghulu kecuali di Negeri Sembilan. Penghulu menjadi perantaraan di antara anak buahnya dengan pembesar daerah. Peranan utama ialah menjaga keamanan dan menjadi lambang perpaduan sesebuah kampung. mereka merupakan orang pengantaraan di antara golongan atasan dengan rakyat. Jawatannya biasanya dipenuhi secara askriptif atau warisan. Penghulu berperanan menyelesaikan pertikaian, menjaga keamanan kampung, memungut cukai, mengarah rakyat melaksanakan tugas pembesar dan raja dan sebagai lambang perpaduan di sesebuah kampung. Oleh kerana penghulu merupakan wakil raja di sesebuah kampung dan perlantikannya juga dibuat oleh raja, maka bersesuaian juga dengan tugasnya sebagai pemimpin setempat, maka kita dapati bahawa penghulu juga boleh dikategorikan sebagai golongan pembesar dalam masyarakat Melayu tempatan.
26 Susunan dan keluasan kampung itu ditentukan oleh kehendak penghidupan kampung tersebut. Rumah kampung didirikan di sepanjang tebing sungai kerana sungai merupakan jalan, sumber bekalan air, tempat mandi dan parit. Keluasan kampung juga berbeza-beza iaitu dari perkampungan yang kecil yang terdiri daripada lebih kurang lima buah rumah sampai ke perkampungan yang besar yang terdiri daripada beratus-ratus buah rumah. Dalam sistem masyarakat Melayu tradisi, perkampungan yang kecil biasanya terdiri daripada satu kumpulan saudara-mara yang dipimpin oleh seorang daripada anggota yang tertua dan berpengalaman. Manakala sesebuah perkampungan yang besar biasanya terdiri daripada kumpulan asas dan beberapa keluarga saudara-mara yang berasingan. Mereka tinggal bersama-sama dalam satu kelompok. Jikalau sebauh kampung yang cukup besar dan teristimewa biasanya merupakan tempat tinggal seorang pembesar. Sistem Sosial Masyarakat Melayu Tradisi Berdasarkan kepada taraf serta kedudukan serta fungsi seseorang dalam masyarakat, maka dapat juga dikatakan bahawa masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat yang berkelas-kelas. Selain dari itu, kelas sosial dalam masyarakat Melayu juga boleh ditentukan melalui pola demografi yang wujud. Selain dari itu juga ia juga ditonjolkan melalui jumlah pemilikan harta, rekabentuk rumah atau tempat tinggal, gaya berpakaian dan penggunaan istilah dalam pertuturan seharian. a) Golongan Rakyat Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini dalam masyarakat Melayu tradisional terdapat dua kelas yang utama iaitu golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Bagi golongan yang diperintah mereka terdiri dari golongan rakyat biasa. Walaupun merupakan kumpulan atau golongan yang diperintah, namun rakyat merupakan kumpulan majoriti dalam masyarakat tempatan pada masa dahulu. Mereka merupakan asas kepada kekuatan bagi sesebuah negeri atau kerajaan. Sehubungan dengan hal ini juga kita dapati bahawa setiap kerajaan akan dianggap sebagai kuat dan berkuasa sekiranya jumlah rakyat atau orang awam di negeri lebih ramai berbanding dengan negeri-negeri lain. Contohnya Sejarah Melayu ada mencatatkan bahawa jumlah rakyat Melaka pada awal kurun ke 16 adalah seramai sembilan belas laksa ataupun 190 000 orang. Jumlah ini adalah bagi bandar Melaka sahaja dan tidak termasuk jumlah kesemua rakyat jelata di seluruh jajahan takluk Melaka (Zainal Abidin ,1996). Dalam masyarakat rakyat terdapat tentera kerajaan, pedagang, petukang, petani dan nelayan. Rakyat harus patuh dan setia kepada pemerintah. Segala permintaan raja mesti dijunjung dan kerja sendiri ketepikan. Hal ini jelas dilihat dibawah sistem kerah di mana rakyat terpaksa menyumbangkan tenaga kerja secara percuma. Dalam sistem kerah rakyat telah disuruh membina masjid, parit, benteng dan membersih sungai tanpa dibayar gaji. Pengendalian sistem kerah yang sewenang-wenang banyak mengganggu kegiatan lain misalnya pengeluaran pertanian terjejas akibat kerja paksa
27 yang tidak tentu masanya. Keadaan ini juga menimbulkan tekanan di pihak rakyat. Namun demikian mereka tidak mampu untuk membantah sebaliknya akan berpindah ke tempat lain bagi mengelakkan diri dari terlibat dalam sistem ini. Secara umumnya, walaupun mereka terlibat dalam sistem kerah, mereka adalah orang awam yang bebas dan merdeka. Malah golongan ini juga kadangkala di kenali sebagai orang merdeheka. Kebanyakan dari orang awam ini melakukan tugas-tugas biasa untuk menyara diri dan keluarga mereka seperti bertani, bertukang dan berdagang. Dalam masyarakat Melayu tradisi di Melaka, terdapat sekumpulan rakyat yang sangat giat dan mahir menjalankan urusan jual beli yang dikenali sebagai kiwi (Zainal Abidin, 1996). Mereka merupakan golongan pertengahan dalam kumpulan yang diperintah. Selain dari itu golongan pertengahan ini terdiri dari saudagarsaudagar tempatan, nakhoda, pegawai kerajaan, sida-sida, bentara, ceteria, hulubalang, pemungut cukai, anak-anak tuan serta saudagar asing. Sementara itu golongan yang diperintah dari kelompok rakyat pula terdiri daripada dua kumpulan iaitu rakyat peribumi dan rakyat asing. Rakyat peribumi terdiri dari mereka yang merupakan suku-sakat keturunan bangsa Melayu di Kepulauan Melayu. Mereka antara lain seperti orang Melayu jati, Minangkabau, Jawa, Mendahiling, Orang Laut dan Orang Asli. Manakala rakyat asing pula ialah mereka yang terdiri dari penghijrah luar dan datang bermaustautin di negeri-negeri Melayu. Contoh yang paling jelas ialah orang-orang Arab, India, Cina, Farsi dan lain-lain lagi. Kehadiran mereka ke negeri-negeri Melayu adalah untuk tujuan perdagangan dan pengembangan agama Islam. Kebanyakan dari mereka mudah dikenalpasti kerana perbezaan yang sangat ketara dari segi fizikal serta budaya berbanding dengan masyarakat tempatan. Kumpulan ini juga merupakan golongan minoriti dalam masyarakat tempatan dahulu. Mereka kemudiannya berjaya mengasimilasikan diri dengan masyarakat tempatan melalui perkahwinan dengan wanita-wanita tempatan. Hasil dari perkahwinan mereka inilah kemudiannya lahir generasi-generasi yang dikenali sebagai “darah keturunan Arab”, “darah keturunan Keling” dan lain-lain lagi. b) Golongan Hamba Golongan yang menduduki hiraki terbawah dalam masyarakat Melayu tradisional ialah golongan hamba. Golongan ini adakalanya merupakan satu kelas yang terpisah dan merupakan kelas yang khusus dan adakalanya tergolong dalam golongan rakyat biasa. Dari segi pengertian, hamba pada umumnya merujuk kepada individu iaitu rakyat biasa yang telah kehilangan taraf kebebasan di sebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Faktor-faktor inilah yang nanti akan menentukan kategori hamba. Hamba dianggap sebagai keupayaan orang lain dari segi undang-undang dan adat, tidak mempunyai sebarang hak dan dianggap sebagai barangan yang boleh dipindahpindahkan (Mohd Taib, 1989). Institusi perhambaan merupakan amalan kemasyarakatan yang dilakukan sejak zaman pra-Melaka lagi. Perhambaan dalam masyarakat Melayu dahulu bukanlah
28 merupakan perhambaan yang berlaku dalam rupa bentuk yang berlaku di Eropah. Ia sebaliknya lebih merupakan satu bentuk ikatan sosial yang berlaku terutamanya di antara golongan pemerintah dengan rakyat (Hanapi, 1982). Tugas seorang hamba meliputi segala kerja yang disuruh oleh tuan mereka seperti menanam padi, melombong, menjalankan kerja-kerja rumahtangga dan lain-lain. Setengah dari hamba-hamba wanita yang cantik telah menjadi gundik kepada pembesar dan juga raja Melayu dahulu. Dalam masyarakat Melayu tradisi, hamba telah digunakan oleh pembesar untuk melambangkan status dan kuasa mereka. Dari segi jenis-jenis hamba pula, terdapat dua jenis hamba dalam masyarakat Melayu iaitu iaitu hamba berhutang dan hamba abdi. Hamba berhutang dikatakan lebih tinggi statusnya berbanding dengan hamba abdi kerana mereka masih diakui sebagai anggota masyarakat yang sama dengan tuan mereka selepas hutangnya dijelaskan. Manakala hamba abdi pula mempunyai berbagai jenis dan berbeza antara satu sama lain. Beberapa kategori hamba abdi ialah; a) Hamba tawanan ialah hamba yang ditawan semasa peperangan. b) Hamba diranggah merupakan mereka yang dijadikan hamba setelah ditangkap secara paksa. Mereka yang menjadi mangsa terhadap perbuatan ini selalu terdiri dari kumpulan kaum seperti orang Asli dan Batak. Mereka selalunya ditangkap oleh lanun dan dijadikan hamba. c) Hamba habshi merupakan hamba kulit hitam yang dibeli oleh para pembesar Melayu di Mekah atau dibawa oleh pedagang-pedagang dari Timur Tengah ke kawasan ini. d) Hamba hulur terdiri dari pesalah-pesalah kesalahan jenayah dan tidak mampu membayar denda atau hutang nyawa. Oleh yang demikian mereka telah diberi pilihan untuk menyerah diri kepada raja dan menjadi hamba. e) Hamba serah iaitu mereka yang sangat miskin dan tidak mampu untuk menyara hidup sendiri. Oleh yang demikian mereka telah memilih jalan dengan cara menjadi hamba terhadap orang yang sanggup memberi makan dan minum serta menyediakan tempat tinggal untuk mereka. Sementara itu bagi hamba berhutang pula terdapat empat kategori yang utama iaitu: a) Orang berhutang iaitu mereka akan menjadi hamba selagi tidak berjaya melunasi hutang mereka. b) Anak mas iaitu orang yang menjadi abdi melalui perkahwinan dengan abdi wanita dan terikat kepada tuan abdi wanita yang menjadi isterinya. c) Hamba waris terdiri dari isteri dan anak-anak hamba berhutang. d) Hamba bayar ialah abdi yang diserahkan oleh tuannya kepada orang lain sebagai membayar hutang tuannya terhadap orang itu. Terdapat satu hirarki status dalam institusi perhambaan iaitu hanya orang bukan Islam boleh dijadikan hamba abdi, orang muslim dilarang memperhambakan orang muslim yang lain, dan seorang aristokrat yang berhutang kepada penaungnya
29 biasanya tidak dianggap orang berhutang. Hal ini merupakan satu contoh penebusan konsep status dalam sistem sosial orang Melayu (Gullick, 1978). Berdasarkan kepada penerangan di atas, didapati masyarakat Melayu tradisi memperlihatkan sebahagian daripada unsur-unsur masyarakat feudal. Semua fungsi eksekutif iaitu politik, ekonomi dan sosial telah dimonopoli oleh golongan pemerintah secara askriptif. Oleh yang demikian, terdapat jurang yang luas di antara rakyat jelata dengan golongan pemerintah. Jurang ini telah dipelihara pula oleh faktor-faktor adat dan kuasa. Di samping itu, perkahwinan campur jarang berlaku di antara golongan atasan dengan golongan bawahan. Begitu juga dengan kenaikan pangkat seorang anggota kelas yang diperintah kepada kelas pemerintahan. Kedudukan individu dalam masyarakat selalunya secara taraf tersedia ataupun secara warisan keluarga. Walau bagaimanapun, ada juga status seseorang boleh berubah secara taraf capaian kerana kebolehan istimewa yang dimilikinya tetapi ini jarang terjadi. Kenaikan pangkat seseorang diperolehi apabila seseorang menerima anugerah sultan berdasarkan khidmat istimewa dan baktinya kepada sultan atau pembesar. Ini jelas dilihat seperti apa yang berlaku kepada Hang Tuah yang berasal dari rakyat biasa telah dilantik menjadi Laksamana. Adat dan Undang-Undang Masyarakat tradisional dikawal oleh adat dan undang-undang. Ia sama ada bertulis atau tidak telah menjadi amalan dan wajib dipatuhi. Adat merupakan amalan yang diperturunkan sejak zaman berzaman dan dianggap penting sebagai satu alat pengawalan hubungan masyarakat dan tingkah laku ahlinya. Masyarakat Melayu tradisional merupakan kelompok masyarakat yang sangat mementingkan adat. Ia digambarkan dengan jelas melalui satu pepatah yang dipegang kuat oleh mereka dan berbunyi “biar mati anak, jangan mati adat”. Oleh kerana penggubalan satu-satu undang-undang itu atas perintah dan kehendak raja, maka seringkali didapati bahawa golongan raja mendapat banyak peruntukan istimewa dalam undang-undang tersebut. Raja juga tidak boleh didakwa tetapi baginda merupakan hakim tertinggi dalam mana-mana pengadilan ke atas kesalahan yang dibuat oleh rakyat jelatanya. Undang-undang yang terdapat dalam masyarakat Melayu tradisi mempunyai banyak pengaruh Hindu. Namun demikian, berikutan dengan kedatangan Islam, maka undang-undang Melayu telah diubah-suai mengikut hukum-hukum Islam. Apa yang penting ialah baik adat mahupun undang-undang, kedua-duanya merupakan gambaran pemikiran masyarakat Melayu pada zaman itu. Kebanyakan ahli masyarakat pula menerima baik adat mahupun peraturan sebagai sebahagian dari kehidupan mereka. Masyarakat Melayu tradisional mempunyai undang-undang sendiri untuk menjamin keamanannya. Terdapat banyak adat yang diamalkan dalam masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Antaranya ialah Adat Perpatih dan Adat
30 Temenggung manakala undang-undang yang paling terkenal ialah Undang-Undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka. a) Adat Perpatih Adat Perpatih dipercayai berasal dari Sumatera dan dibawa oleh orang-orang Minangkabau yang telah berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu di sekitar abad yang ke 15. Adat Perpatih ini dipercayai bermula apabila seorang pembesar di Sumatera membahagikan pentadbiran kawasannya kepada dua orang anak lelakinya iaitu: a) Datuk Ketemenggungan - menjaga kawasan persisiran pantai dan laut iaitu pusat pemerintahan di Palembang. b) Datuk Perpatih Nan Sebatang - menjaga kawasan tanah di sebelah darat iaitu pusat pemerintahan di Pagar Ruyong. Adat Perpatih boleh dibahagikan kepada dua iaitu undang-undang atau peratutan yang digunakan di Negeri Sembilan, Melaka dan Perak. Terdapat dua buah teks iaitu Undang-Undang Sungai Ujung dan Undang-undang Adat dari Rembau. Dari Melaka terdapat sebuah teks iaitu Minangkabau Custom- Malacca. Dari Perak pula terdapat An Old Minangkabau Legal Digest from Perak dan Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan yang lebih merupakan campuran daripada undang-undang Adat Perpatih dengan Adat Temenggung (Abu Hasan dan Mariyam, 1995). Selain dari itu, terdapat juga undang-undang yang terdapat di Sumatera khususnya dari Tanah Minangkabau seperti Undang-undang Adat dan Undang-undang Minangkabau . Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan kawasan tertentu terutama di Melaka seperti Naning. Adat Perpatih merupakan sekumpulan pepatah dan hukumhukum dalam Adat Perpatih tidak bertulis tetapi dihafal oleh Ketua Adat. Adat ini sangat disanjungi dan diikuti. Susunan hukum dan adat ini dikenali sebagai ketua pembilang adat. Hukum dalam Adat Perpatih berdasarkan dua sumber iaitu: a) Resam dan adat-temurun yang diwarisi. b) Hukum syarak yang dipetik daripada Mazhab Shafie. Adat Perpatih bukanlah sekadar kebiasaan cara hidup sahaja bahkan meliputi bidang yang lebih luas yang merangkumi seluruh aspek yang berkait rapat keperluan dan tindakan-tindakan serta perilaku individu serta masyarakat . Pada umumnya, Adat Perpatih ini merupakan satu peraturan hidup yang berlandaskan kepentingan hidup bersama, bergotong royong dan berdemokrasi, merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuklah undang-undang pentadbiran dan pembahagian kuasa politik, pembahagian harta pusaka, penyusunan prinsip-prinsip nikah kahwin dan lain-lain lagi. Oleh kerana segala peraturan yang terdapat dalam adat ini begitu terperinci maka ia juga boleh dikategorikan sebagai
31 sebuah perlembagaan. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, antara perkara penting yang diutamakan dalam Adat Perpatih termasuk soal-soal pemerintahan, bentuk hukuman, jurai keturunan dan perwarisan harta. Selain dari itu adat ini juga amat mementingkan prinsip demokrasi dan permuafakatan. Dalam soal kepimpinan, tidak ada satu kuasa yang boleh memegang teraju perintahan secara mutlak kerana setiap jawatan akan dilantik oleh jawatan yang lain contohnya: a) Yamtuan Besar akan dilantik oleh empat Undang b) Undang yang dipilih oleh Lembaga c) Lembaga yang dipilih oleh Buapak d) Buapak akan dipilih oleh anak buahnya Dari segi hirarki pemerintahan yang terkandung dalam Adat Perpatih, puncak kuasa pentadbiran dan pemerintahan dipegang oleh Yamtuan Besar. Yamtuan Besar dipilih secara demokrasi oleh ketua-ketua suku yang dikenali sebagai Undang. Dari segi kedudukannya, Yamtuan Besar dianggap sebagai raja yang memerintah alam dan peranan baginda juga sama seperti raja-raja Melayu yang lain. Walaupun dari segi bidang kuasa Yamtuan Besar merupakan pemerintah yang tertinggi namun baginda tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan orang besar negeri yang lain. Ini kerana perlantikan tersebut akan dibuat oleh pembesar-pembesar yang berada dihiraki yang lebih ke bawah dari Yamtuan Besar iaitu Undang, Lembaga, Buapak dan Perut. Selain dari itu setiap keputusan yang diambil oleh Yamtuan adalah juga berdasarkan kepada keputusan yang dibuat bersama dengan Undang. Undang pula ialah satu hiraki politik dalam Adat Perpatih yang terbentuk hasil gabungan dari beberapa penghulu dari beberapa daerah. Gabungan ini juga dikenali sebagai Lembaga Penghulu. Di Negeri Sembilan, Undang juga dikenali sebagai Luak. Antara tugas utama Undang ialah menentukan siapakah yang akan dilantik sebagai Yamtuan Besar. Manakala Undang sendiri dipilih oleh Lembaga. Undang merupakan pemerintah seluruh Luak dan menjadi raja di daerahnya dan Undang yang terbesar ialah Undang Sungai Ujung (Zainal Abidin bin Abdul Wahid, 1978). Lembaga pula merupakan sekumpulan wakil suku ataupun keluarga yang mendapat kuasa melalui pemilihan yang dibuat oleh Buapak. Lembaga juga berperanan memilih individu yang layak menjadi Undang ataupun Penghulu. Selain dari itu, Lembaga juga berfungsi sebagai badan yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah-masalah yang bersabit dengan adat dan hukuman (ringan) yang berlaku di kalangan suku mereka. Buapak pula merupakan Ketua Perut dan setiap anggota Perut akan dikenali sebagai anak buah Buapak.Sebagai ketua dalam kumpulannya, peranan Buapak yang paling penting ialah menjadi tempat rujukan kepada setiap masalah terutamanya yang berkait dengan soal adat dan hukum yang berlaku dalam kumpulannya. Hukuman dalam Adat Perpatih pula bertujuan membaiki keadaan dan tidak bertujuan menghukum pesalah. Pesalah akan dihukum mengikut kesalahannya dan mangsanya akan diberi ganti rugi. Contohnya sekiranya seseorang didapati bersalah atas
32 kesalahan membunuh, maka keluarga si pesalah itu dituntut supaya membayar gantirugi kepada keluarga si mangsa. Hubungan antara ahli-ahli suku dalam masyarakat Minangkabau sangat rapat dan mereka dianggap bersaudara oleh yang demikian perkahwinan sesama suku dilarang dalam Adat Perpatih.. Ia juga mementingkan konsep kerjasama dan jalinan kekeluargaan yang rapat. Adat Perpatih mengutamakan kaum perempuan dalam banyak hal. Perempuan menjadi ketua keluarga dan perwarisan harta diberatkan kepada pihak perempuan. b) Adat Temenggung Adat Temenggung telah diasaskan oleh Dato’ Ketemenggungan dari Minangkabau iaitu saudara kepada Dato’ Perpatih Pinang Sebatang. Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke 15 dan telah berkembang di seluruh Negeri-Negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih. Pada awalnya adat ini banyak menerima pengaruh unsur-unsur Hindu terutamanya dalam Undang-Undang Manu. Apabila Islam berkembang, Adat Temenggung menerima pengaruh Islam melalui hukum-hukum syarak dalam Mazhab Syafie. Kebanyakan Negeri-Negeri Melayu mengamalkan Adat Temenggung dalam hal ehwal politik dan pentadbiran mahupun dalam adat-adat seharian. Dalam adat ini pihak yang mahir melaksanakan hukum ialah Tok Sidang, Tok Penghulu atau Tok Penggawa. Dari aspek politik, Adat Temenggung merupakan satu sistem pemerintahan yang berbentuk dari atas ke bawah iaitu puncak pemerintahan dan kekuasaan terletak di tangan pemerintah. Sehubungan dengan bidang kuasanya setiap pemerintah dalam Adat Temenggung diberikan gelaran masing-masing mengikut negeri-negeri tertentu iaitu gelaran sultan ataupun raja. Dalam Adat Temenggung terdapat banyak peruntukan yang khusus mengenai hak dan bidang kuasa raja ataupun Sultan. Hukum Kanun Pahang misalnya menyatakan bahawa raja diumpamankan sebagai khalifah di muka bumi dan bertanggungjawab terhadap semua hal-ehwal rakyat jelata di alam ini. Sesuai dengan kedudukannya yang begitu tinggi, maka Adat Temenggung juga turut memuatkan keistimewaan khusus raja seperti unsur-unsur daulat dan derhaka, raja-raja yang dikatakan mempunyai kuasa sakti dan sesiapa yang melanggar perintah raja akan dihukum dengan hukuman yang begitu berat termasuklah hukuman bunuh. Seterusnya juga terdapat banyak pantang-larang yang ditujukan terhadap rakyat jelata dalam aspek hubungan mereka dengan raja ataupun sultan. Contohnya Hukum Kanun Pahang juga turut memuatkan larangan diraja terutama dari segi pemakaian warna kuning dan penggunaan emas. Sesiapa yang melanggar larangan ini akan dihukum dan barangannya akan dirampas. Sebagai ketua pemerintah, seseorang sultan itu merupakan ketua pemerintah dan pentadbiran, ketua agama dan juga simbol kedaulatan sesebuah negeri dan perpaduan rakyatnya. Secara keseluruhannya, kuasa yang dimiliki oleh sultan adalah bersifat otokratik iaitu
33 baginda memiliki kuasa yang hampir mutlak dalam kebanyakan urusan. Sehubungan dengan itu, sultan berhak melantik pembesar-pembesar sama ada di peringkat negeri, jajahan mahupun diperingkat mukim mahupun kampung. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, kuasa tertinggi dalam Adat Temenggung ialah raja. Seseorang raja ataupun sultan dilantik melalui istiadat pertabalan. Apabila seseorang raja itu mangkat, pewaris takhta biasanya merupakan putera sulung yang dilahirkan oleh permaisuri ataupun isteri raja yang merupakan berketurunan raja juga atau dikenali sebagai anak gahara. Dalam konteks ini biasanya anak lelaki raja ataupun sultan yang bukan berketurunan raja akan diketepikan. Bagi mengelakkan kesulitan dan pertelingkahan dari segi pewarisan takhta, biasanya perlantikan raja muda dibuat terlebih dahulu semasa raja yang memerintah masih ada. Gelaran untuk penganti raja pula berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Contohnya terdapat negeri yang menggunakan gelaran Raja Muda, ada juga yang menggunakan gelaran Tengku Besar dan ada juga yang memakai gelaran Yang Dipertuan Muda. Selain dari mengenai raja atau sultan serta para pengantinya, Adat Temenggung juga turut menggariskan peranan-peranan yang dimainkan oleh para pembesar dalam membantu sultan untuk mentadbir negeri. Para pembesar yang kadangkala dikenali sebagai menteri ini terbahagi kepada beberapa lapisan yang membentuk satu piramid hiraki. Mereka ialah Orang Besar Berempat, Orang Besar Berlapan, Orang Besar Enam Belas dan akhir sekali ialah Orang Besar Tiga Puluh Dua. Dari segi perlaksanaan hukuman, jika dalam Adat Perpatih kita dapati fungsi hukuman adalah lebih bertujuan untuk mendidik, tetapi dalam Adat Temenggung ia bertujuan untuk menghukum. Oleh yang demikian perlaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas. Ia bertujuan memberikan iktibar kepada orang lain dan merupakan pembalasan kepada seseorang yang bersalah. Secara umumnya Adat Temenggung merupakan satu adat yang memberikan peruntukan melakukan kekerasan dalam pelaksanaan undang-undang kerana ia difikirkan dapat memberikan kesan kepada orang lain iaitu sebagai amaran dan pengajaran. Setengah pandangan juga menyatakan bahawa elemen kekerasan yang terkandung dalam perlaksanaan undang-undang dalam adat ini adalah kerana ia banyak mengambil contoh-contoh yang terkandung dalam perundangan yang terdapat dalam agama Hindu. Dalam Adat Temenggung, hukuman yang paling berat ialah hukuman bunuh. Pada kebiasaannya, hukuman ini dikenakan terhadap pesalah yang didapati bersalah melakukan kesalahan seperti membunuh,mencuri, menfitnah, menikam, tidak menurut perintah raja dan menderhaka. Namun demikian sebahagian besar dari bentuk-bentuk hukuman ini tidak diikuti dengan sewenang-wenangnya tetapi telah diubahsuai mengikut kesesuaian masyarakat setempat. Contohnya dalam Hukum Kanun Melaka telah melonggarkan hukuman bagi seseorang yang didapati bersalah mencuri sedikit wang dari dihukum bunuh kepada potong tangan atau kaki sahaja.
34 Sementara itu dari segi kekeluargaan, mengikut Adat Temenggung, perkahwinan dengan sesiapa sahaja dibenarkan kecuali dengan orang yang ada pertalian darah. Adat ini mengutamakan pihak lelaki dan perempuan tetapi pihak lelaki dilebihkan kerana mengikut hukum syarak. Lelaki akan dilantik menjadi ketua keluarga dan berhak mewarisi harta lebih banyak daripada perempuan. Dalam adat ini tidak ada sistem kekeluargaan yang bersifat kesukuan. Hukum Kanun Melaka Hukum Kanun Melaka merupakan satu dokumen yang pernah diwujudkan dalam sebuah kerajaan Melayu bagi mengatur pentadbiran negeri. Ia juga merupakan rangka dasar yang sangat penting bagi kebanyakan undang-undang di negeri-negeri Melayu yang lain seperti Hukum Kanun Pahang, Undang-Undang Johor, Undangundang Inderagiri, Undang-undang Riau dan lain-lain lagi. Dari segi teori, wilayahwilayah dalam empayar Melaka itu tertakluk kepada Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Kelautan Melaka. Kedua-dua hukum ini adalah meliputi semua keadaan kemasyarakatan dalam kurun ke-15. Walaupun boleh didapati kejadian yang menunjukan kuasa itu disalahgunakan dan keadilan tidak dijalankan namun ia memberikan pengertian yang dalam tentang kehidupan masyarakat pada masa tersebut turut tertakluk kepada peraturan dan undang-undang. Hukum Kanun Melaka (Undang-undang Melaka) adalah teks undang-undang yang mempunyai 44 fasal yang dipecahkan kepada tambahan-tambahan dan pecahanpecahan yang lebih kecil. Ia merupakan satu cara pemerintahan yang ditulis semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1422-44) dan telah diperkembangkan oleh Sultan Muzaffar Syah (1445-58). Terdapat beberapa bahagian dalam Hukum Kanun Melaka dikenali sebagai: a) Isi utama Hukum Kanun Melaka b) Undang-undang Laut c) Undang-undang Perkahwinan Muslim d) Undang-undang Jualan dan Peraturan Muslim e) Undang-undang Negeri f) Undang-undang Johor Hukum Kanun Melaka menunjukkan tentang keadaan pertanian di kalangan masyarakat pada zaman itu. Hukum itu, umpamanya adalah mengenai soal perlunya diawasi kerbau, lembu dan kambing kepunyaan seorang supaya jangan merosakan tanaman padi di sawah. Satu lagi yang penting mengenai Hukum Kanun Melaka ialah tentang perakuannya akan kedudukan hamba abdi. Ia adalah bertentangan dengan sangkaan orang ramai kerana hamba-hamba itu tidak diperlakukan seperti barang tetapi mereka mempunyai hak yang tertentu. Sebenarnya ada disebut di dalam Sejarah Melayu bahawa seorang daripada Bendahara Melaka telah menyangkakan seorang daripada hambanya sebagai seorang saudaranya kerana hamba itu berpakaian cukup elok. Walaupun demikian, mungkin
35 disebabkan dalam hiraki masyarakat hamba merupakan individu ataupun kumpulan yang menduduki tempat yang paling bawah maka dalam menerima hukuman, hamba merupakan kumpulan yang paling berat menerima hukuman berbanding dengan kumpulan masyarakat yang lain sekiranya mereka melakukan kesalahan. Selain dari itu Hukum Kanun Melaka juga turut memberikan peruntukan yang jelas mengenai kesalahan mencuri hamba orang lain. Hukuman bagi kesalahan ini adalah mengikut taraf tuan bagi setiap hamba yang telah dicuri. Semakin tinggi taraf tuan hamba itu, maka semakin berat hukuman yang bakal diterima oleh orang yang mencuri hamba tersebut. Contohnya, sekiranya seseorang nakhoda itu mencuri hamba raja maka ia akan menerima hukuman bunuh. Manakala pencuri kepada hamba Bendahara akan didenda sepuluh tahil sepaha (Ronkel dalam Abu Hasan dan Mariyam, 1995). Dalam Hukum Kanun Melaka, sebahagian besar dari peruntukan yang terdapat di dalamnya membincangkan mengenai undang-undang perhambaan. Kebanyakan dari peruntukan tersebut memperlihatkan pengaruh Hindu dan tempatan tetapi apabila membincangkan mengenai hukum syarak, ia berdasarkan kepada hukum Islam. Undang-Undang Laut Melaka Undang-undang Laut Melaka dikatakan telah disusun pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Undang-undang ini dinamakan sebagai Undang-undang Laut Melaka kerana kebanyakan naskah versi ini merupakan bahagian kedua daripada Undang-Undang Melaka. Peraturan dan pentadbiran dalam Undang-undang Kelautan Melaka hampir sama dengan pentadbiran dalam sebuah negeri kerana mempunyai beberapa orang pembesar yang memainkan peranan penting. Antara pembesarpembesar di laut termasuklah : a) Nakhoda (Sultan/Raja) b) Jurukemudi (Bendahara) c) Pengawas Disiplin (Temenggung) d) Pegawai (Pembesar) e) Anak-anak kapal (Rakyat jelata) Manakala ciri-ciri utama dalam Undang-undang Kelautan Melaka ialah merangkumi paraturan pelayaran dan tugas-tugas serta bidang kuasa pegawai pelayaran. UndangUndang Kelautan Melaka juga menerangkan tentang kuasa nakhoda dan hak anakanak kapal. Peraturan undang-undang yang khas ini juga menunjukkan kewujudan satu kumpulan pedagang dan peraturan yang mengawasi kegiatan mereka. Bagi perdagangan tidak terhad kepada kumpulan orang-orang ini sahaja tetapi adalah juga dijalankan oleh nakhoda dan anak-anak kapal.Undang-undang Kelautan Melaka sangat penting kerana Melaka terlibat dalam perdagangan antarabangsa dengan pedagang asing. Undang-undang ini memastikan segala pelayaran dapat diatasi mengikut undang-undang.
36 Perhubungan Melaka dengn negeri lain telah wujud bagitu lama dengan mengenakan peraturan yang tertentu. Tatatertib protokol mengenai sambutan utusan yang datang dari negeri luar telah mula digunakan. Utusan dari Pasai atau Haru umpamanya akan disambut dengan upacara sambutan yang mengandungi nobat besar dan perutusan serta bingkisan mereka akan diarak di atas gajah tetapi sesetengah utusan daripada negeri lain mungkin disambut dengan nobat kecil sahaja dan perutusan serta bingkisannya dibawa dengan kuda sahaja. Tempat duduk semasa mengadap raja turut diatur. Setengah raja dari negeri yang kecil hanya dibenarkan duduk setimpal dengan Bendahara sementara seorang raja pula telah diletakkan bersama dengan Temenggung. Selain itu, tiap-tiap satu jajahan yang baru ditakluki itu ditadbirkan oleh seorang wakil ataupun gabenor yang dilantik oleh Raja Melaka. Panggilan kepada gabenorgabenor itu adalah Mandulika. Menurut Winstedt, terdapat catatan oleh Tome Pires memberitahu menyatakan bahawa ada dilantik Mandulika-Mandulika Cinyojum (Sungai Ujung), Kelang, Selangor, Bernam, Mjmjam (Manjong), Beruas dan Perak (Winstedt, 1965). Tiap-tiap seorang Mandulika itu adalah berkuasa penuh di dalam kawasan yang ditadbirkan. Ia hanya dikehendaki membayar bayaran tahunan kepada kerajaan pusat atau menyediakan tenaga buruh demi kepentingan sesuatu. Ini adalah penyataan kepada tanggungjawab tadi. Tetapi bukanlah pula bererti yang raja itu berkuasa di atas semua aspek kehidupan orang-orang di kawasan luaran itu. Sistem Kepercayaan Kepercayaan beragama telah menjadi agen pengubah sosial yang sangat penting bagi masyarakat Melayu tradisional terutama dalam membetulkan akidah mereka. Kepercayaan pertama orang Melayu ialah animisme. Animisme membawa maksud kepercayaan kepada makhluk-makhluk halus. Ia merupakan asas kepercayaan agama yang mula-mula tumbuh dalam pemikiran manusia primitif (Aziz dan Wan Ramli, 1995). Animisme meletakkan masyarakat Melayu tradisional kepada kepercayaan terhadap kuasa-kuasa dan alam ghaib. Ia antara lain seperti kepercyaan terhadap jin, dewa, semangat dan hantu. Pada pandangan mereka kuasa-kuasa ini boleh samada memberikan rezeki ataupun membinasakan mereka. Kepercayaan ini wujud disebabkan oleh pergantungan yang kuat masyarakat Melayu dahulu terhadap alam dan pada masa yang sama masih belum ada sebarang perkembangan agama di kawasan ini. Pergantungan yang kuat oleh masyarakat Melayu dahulu terhadap alam boleh dilihat contohnya dalam usaha penanaman padi. Bagi memastikan hasil padi mereka sentiasa banyak dan bertambah, mereka telah mengadakan upacara memuja semangat padi. Selain dari itu juga, penduduk tempatan pada zaman dahulu seringkali mengadakan upacara-upacara pemujaan seperti puja pantai bagi mengelakkan sebarang bala
37 bencana yang akan menimpa mereka dan boleh menjejaskan mata pencarian mereka. Adakalanya upacara-upacara begini menjadi amalan tahunan dan dituntut oleh kepercayaan mereka dan mesti diadakan setiap musim bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Oleh kerana kepercayaan yang mendalam terhadap kuasa-kuasa ghaib ini maka muncul satu pihak yang berperanan menjadi perantara bagi penduduk dengan kuasa-kuasa tersebut. Mereka dikenali sebagai bomoh dan pawang. Mereka mempunyai kebolehan dalam menghubungkan kuasa-kuasa ghaib dengan orang yang memerlukannya dan juga mententeramkan gangguan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa itu terhadap anak-anak kecil contohnya. Peranan yang dimainkan oleh golongan pawang dan bomoh boleh disamakan dengan peranan doktor dalam masyarakat sekarang. Oleh kerana kepentingan peranannya dalam agak besar maka kedudukan mereka juga menjadi penting dan dihormati. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu menganut agama Hindu dan Buddha yang berasal dari India. Sebahagian dari mereka juga mengamalkan kepercayaan animisma. Sehubungan dengan kemunculan dan perkembangan agama Islam pada abad ke 13M maka kita dapati pengaruh Hindu-Buddha dan animisme telah mulai luntur dan akhirnya hampir luput dari masyarakat Melayu. Dari segi kemasukan Islam pula, terdapat banyak pandangan yang diberikan mengenai kemasukkan Islam ke Tanah Melayu khususnya dan alam Melayu amnya. Namun demikian boleh dikatakan bahawa kemasukan Islam ke negara ini adalah melalui dua cara utama iaitu perdagangan dan gerakan dakwah. Dari segi dakwah Islamiah di Tanah Melayu banyak pandangan yang menyatakan bahawa peranan ini dimainkan dengan begitu berkesan oleh para pedagang dari Semenanjung Tanah Arab. Walaupun begitu, sebenarnya huubungan antara bangsa Arab terutamanya di kalangan para pedagang ini dengan penduduk di Kepulauan Melayu telah wujud sebelum kemunculan agama Islam lagi. Pada masa ini juga para pedagang Arab telah merentasi jalan darat dan laut untuk datang berdagang ke rantau ini. Peranan utama mereka dalam konteks perdagangan adalah sebagai orang tengah di antara saudagar-saudagar Eropah dengan Asia dari Benua India dan Barat Kepulauan Melayu (Abdullah, 1989). Bukti terawal kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu adalah berikutan dengan penemuan Batu Bersurat di Terengganu yang bertarikh 1303/702H dengan tulisan Melayu Arab (A. Aziz, 1994). Ramai pengkaji sejarah telah bersetuju bahawa perhubungan Arab–Parsi dengan rantau ini telah berlaku sejak sekian lama dan menyumbang kepada penyebaran agama Islam walaupun kepentingan perniagaan merupakan tujuan utama dalam hubungan ini. Apabila Melaka telah muncul sebagai pelabuhan entrepot yang paling utama menjelang pada 14 dan ke 15M maka peranan pedagang-pedagang Islam Arab ini menjadi sangat penting terutama dalam meluaskan ajaran Islam di kalangan penduduk Melayu di Melaka dan kawasan sekitarnya pada masa itu. Sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal tadi, kedatangan Islam telah memberikan kesan yang sangat besar terhadap masyarakat Melayu. Selain dari
38 memperbetulkan akidah orang-orang Melayu, agama Islam juga telah berjaya mengubah sistem politik dan pentadbiran masrakat Melayu. Kedatangan Islam telah memperbertulkan doktrin sistem pemerintahan Hindu yang menganggap ketua negara sebagai manusia luar biasa atau berketurunan dewa-dewa. Berikutan dengan kedatangan Islam juga, gelaran pemerintah-pemerintah Melayu telah ditukarkan dari raja kepada sultan. Selain dari itu dalam aspek pentadbiran, Islam telah memainkan peranan yang sangat penting. Kesultanan Melayu Melaka telah memperlihatkan dominasi Islam dalam banyak aspek contohnya dalam Hukum Kanun Melaka. Antara yang disentuh dalam hukum tersebut ialah aspek-aspek seperti hukuman yang bersabit dengan perbuatan zina, membunuh, memfitnah, minum arak, murtad dan lain-lain. Banyak faktor yang telah menyebabkan masyarakat Melayu menerima Islam sebagai agama anutan mereka. Antara lain ialah sifat ajaran Islam itu sendiri yang menekankan keadilan, kesamaan dan bersifat sederhana. Selain dari itu peranan pemerintah juga penting . Contohnya, berikutan dengan pemelukan agama Islam oleh Parameswara, maka kita dapati langkah ini diikuti oleh sebilangan besar rakyat Melaka. Faktor-faktor lain ialah peranan dan sikap gigih para pendakwah Islam juga turut mempengaruh penyebaran dan penerimaan agama Islam oleh masyarakat setempat. Sistem Ekonomi Masyarakat Melayu Tradisi Sistem ekonomi tradisional terbahagi kepada dua iaitu pertanian dan perdagangan. Rata-rata kegiatan ekonomi di zaman ini dijalankan dalam bentuk secukup hidup. Perdagangan dijalankan dalam bentuk sistem barter atau kaedah tukar barang. Pertukaran adalah dalam bentuk yang ringkas samada secara terus ataupun melalui perantara. Sistem ekonomi di zaman ini juga banyak dihidupkan oleh semangat gotong royong yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Masyarakat Melayu tradisional juga merupakan masyarakat pertanian dan bidang pengeluarannya bergantung kepada unit keluarga sebagai satu unit asas pengeluaran dan kerana itu penghasilan akan juga bergantung kepada keluasan tanah (A.Aziz , 1994). Sementara itu bagi penduduk yang tinggal di pedalaman kegiatan utama mereka ialah mengumpulkan hasil-hasil hutan. Hasil-hasil ini juga merupakan menyumbang kepada perkembangan perdagangan antarabangsa di rantau ini kerana sumbersumber semulajadi di kepulauan Melayu telah memperuntukkan banyak barang dagangan dalam kegiatan perdagangan khususnya di Melaka. Kebanyakan dari mereka merupakan orang-orang Asli yang mempunyai kemahiran mengenali spesis pokok dan menentukan kegunaannya. Sumber yang paling penting sekali ialah hasilhasil hutan seperti kayu-kayan yang dijadikan sebagai bahan pewangi seperti kayu cendana, rotan dan hasil-hasil yang lain. Orang-orang Melayu pula bertindak sebagai orang tengah dalam mendapatkan bekalan hasil-hasil hutan ini daripada orang Asli dan seterusnya menjual kepada
39 pedagang-pedagang. Adalah dipercayai satu saluran perdagangan dalaman sudah wujud di antara hutan dengan kawasan luar. Selain daripada hasil-hasil hutan, tanahtanah Melayu juga kaya dengan bahan-bahan galian terutamanya emas dan bijih timah. Oleh itu, banyak penduduk tempatan menjadi pelombong-pelombong. Pada masa itu, kepulauan Melayu adalah sangat terkenal dengan pengeluran emasnya dan sehubungan dengan itu ia juga dikenali sebagai Golden Khersoness atau Semenanjung Emas. Sementara itu bagi penduduk yang tinggal di sepanjang pinggir sungai atau laut pula, mereka biasanya mencari rezeki dengan menangkap hidupan laut. Salah satu jenis hasil laut yang cukup penting ialah karang. Permintaan terhadap hasil-hasil laut semakin bertambah akibat perkembangan pasaran China. Perdagangan antarabangsa mula menjadi menjadi salah satu bidang ekonomi yang penting di kalangan masyarakat Melayu tradisional pada awal abad ke-15. Ia juga menjadi penyumbang besar terhadap kebangkitan Melaka sebagai sebuat pusat kuasa bagi empayar Melayu-Islam di Nusantara. Duarte Barbosa, seorang pengarang Portugis telah mengatakan bahawa Melaka merupakan sebuah pelabuhan yang mempunyai bilangan pedagang dan kapal yang banyak sekali di dunia ini. Dalam tulisannya beliau mencatatkan “...this city of Malacca is the richest seaport with the greatest number of wholesale merchants and abundance of shipping and trade that can be found in the whole world...” (Barbosa dalam Zainal Abidin, 1997). Dalam Sejarah Melayu banyak bahagian yang menyatakan mengenai kemasyhuran Melaka kepada dunia luar. Kegemilangan dan kemasyhuran ini juga menyebabkan Melaka telah mendapat pelbagai gelaran dari pedagang-pedagang asing. Orang-orang Arab memanggil Melaka sebagai Malakat yang bermaksud tempat perhimpunan segala dagang. Ada juga di kalangan mereka menggelarkan Melaka sebagai mulagah yang memberikan maksud yang sama. Dalam dokumen-dokumen persejarahan China sumber-sumber mengenai Melaka juga banyak dibincangkan. Antaranya ialah nama Melaka di kenali sebagai Man La Chia. Dalam sumber-sumber pensejarahan China juga dihuraikan mengenai kedudukan Melaka pada zaman awalnya. Menurut sumber ini, Melaka pada mulanya merupakan sebuah pulau kecil yang menjadi tempat berjual-beli. Keadaan Melaka pada masa itu sempit dan tidak banyak kawasan yang sesuai untuk kegiatan pertanian. Kemudian kedudukan Melaka telah dialihkan ke kawasan baru iaitu di muara Sungai Bertam atau Sungai Melaka yang merupakan tempat yang lebih luas dan sesuai untuk aktiviti pertanian juga begitu strategik bagi kegiatan perdagangan. Menurut sumber China lagi, Melaka kemudiannya semakin berkembang dan diketahui oleh para pedagang luar serta menjadi sebuah pelabuhan entrepot. Antara barangan yang giat diperdagangkan di sini seperti timah, cendana, gading, lada hitam dan bahan-bahan hutan. Pada masa ini juga logam timah telah digunakan sebagai matawang dan ukuran menilai harga. Namun demikian perniagaan yang menggunakan sistem tukar barang ataupun sistem barter juga merupakan cara perniagaan yang digunakan secara meluas. Kejayaan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot bermula apabila Parameswara yang kemudiannya bergelar Iskandar Syah memeluk agama Islam. Langkah ini telah
40 berjaya menarik pedagang-pedagang Islam telah datang berniaga di pelabuhan Melaka. Langkah-langkah yang telah dijalankan oleh pemerintah Melaka seterusnya seperti Sultan Muzaffar Shah dan Sultan Mansur Shah seperti menjemput alim ulama dan cendikiawan-cendikiawan Islam ke Melaka juga telah menjadi daya tarikan utama terhadap tumpuan para pedagang Islam ke negeri itu. Faktor Islam telah menarik ramai saudagar Islam ke Melaka kerana perdagangan di Lautan Hindi dikuasai oleh orang Islam seterusnya membawa kepada pengembangan Islam ke seluruh Tanah Melayu dan Nusantara. Selain daripada faktor agama Islam, corak pentadbiran kerajaan Melaka yang sistematik, cekap dan stabil turut memberi sumbangan terhadap perkembangan perdagangan antarabangsa di Melaka. Perlantikan pegawai-pegawai khas dan syahbandar untuk menguruskan hal-hak perdagangan memberi banyak kemudahan kepada para pedagang dan kepentingan mereka adalah terjamin. Cukai ke atas perdagangan adalah tetap dan adil iaitu 6% untuk kapal-kapal asing dan 3% untuk kapal-kapal tempatan.manakala pedagang dari Timur seperti China, Jepun, Jawa dan Maluku tidak perlu membayar cukai tetapi dikehendaki memberikan hadiah (Zainal Abidin, 1997). Hubungan diplomatik yang diasaskan dengan negeri China memberi jaminan keselamatan kepada Melaka kerana berhubungan rapat dengan sebuah kuasa besar di rantau ini. Penguasaan politik Melaka ke atas negara-negara sekitar telah menyebabkan wilayah-wilayah naungannya turut menyumbang kepada perdagangan negeri ituDi samping itu, faktor geografi yang meletakkan Melaka di Selat Melaka, iaitu jalan utama bagi jalinan perdagangan timur-barat telah menjadikan Melaka sebuah pelabuhan yang paling strategik kedudukannya. Pelabuhan Melaka juga terlindung daripada angin monsun dan selat yang sempit memudahkan angkatan laut empayar Melaka mengawal kegiatan pelanunan di kawasan itu. Kegemilangan Melaka semasa kerajaannya berada di puncak kekuasaan telah menjadi daya tarikan utama kepada pedagang, cerdik-pandai serta ulamak serta masyarakat biasa untuk datang dan bermaustautin di Melaka. Orang-orang asing yang datang ke Melaka pada masa ini terdiri dari pelbagai kaum dan mereka antaranya berasal dari China dan Arab serta India. Jumlah penduduk Melaka dikatakan pada awalnya hanya berjumlah 1,000 orang meningkat kepada 40,000 orang dan dikatakan sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis, jumlah penduduk Melaka adalah seramai 190,000 orang. Ciri kosmopolitan yang terdapat di Melaka juga digambarkan oleh Tome Pires dalam Suma Oriental yang menyatakan bahawa terdapat 84 bahasa yang dipertuturkan di Melaka dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kerajaan dan pentadbiran. Selain dari itu, bahasa Melayu juga telah dijadikan sebagai lingua franca di rantau ini pada zaman Kegemilangan empayar Melaka. Kesimpulan Secara umumnya masyarakat Melayu tradisional merupakan satu masyarakat yang telah mempunyai sistem politik, ekonomi dan sosial yang teratur. Ia jelas dapat
41 dilihat melalui beberapa contoh sistem politik dan kemasyarakatan Melayu tradisional yang telah wujud seperti kerajaan Melayu Melaka. Kegemilangannya telah menjadi satu mercu tanda kepada kejayaan masyarakat Melayu di zaman tradisional. Namun begitu dengan kedatangan regim penjajahan Inggeris ke Tanah Melayu telah membentuk satu pertembungan budaya antara budaya tradisional dengan budaya kolonial yang disifatkan sebagai moden di kalangan masyarakat Melayu. Natijahnya ia telah mengakibatkan kelunturan nilai-nilai tradisi dalam budaya tempatan. Walau bagaimanapun kedatangan penjajah juga boleh dikatakan sebagai telah membentuk penerusan dan membawa perubahan terhadap nilai-nilai tradisi tersebut sehingga ke hari ini. Secara keseluruhan peranan dan kesan “keMelayuan” ke atas pembinaan dan pembentukan negara dan bangsa Malaysia adalah sangat besar. Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan awal negara kita dimulakan oleh bangsa Melayu. Sehubungan dengan itu teras “ke-bangsa-an” Malaysia merupakan apa yang telah disumbangkan oleh bangsa Melayu.
42 TOPIK 3 KOLONIALISME (GERAKAN PENJAJAHAN BARAT) Pendahuluan Sebagaimana yang anda sedia maklum, penjajahan oleh kuasa-kuasa asing ke atas Tanah Melayu telah berlaku sejak ratusan tahun yang lalu. Penjajahan kuasa asing dari Eropah telah bermula pada tahun 1511 apabila Portugis menghancurkan keagungan Empayar Melayu Melaka. Kemudian diikuti oleh kedatangan kuasa Belanda, Inggeris dan Jepun. Penguasaan kuasa-kuasa asing terutamanya dari Eropah, secara khusus dan umumnya telah meninggalkan kesan kepada corak kehidupan masyarakat atau penduduk asal di negara ini. Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kuasa asing terutamanya British benar-benar telah mengubah corak kehidupan di Tanah Melayu apabila kita bandingkan dengan kehidupan tradisi masyarakat Melayu seperti yang telah dibincangkan dalam Bab 2: Masyarakat Melayu Tradisi. Di samping itu juga, dasar-dasar yang dilaksanakan telah memberi kesan kepada struktur pentadbiran yang sedia wujud dalam masyarakat. Segala perubahan ini berlaku didorong oleh matlamat, usaha, dan juga ketamakan serta kerakusan pihak penjajah yang ingin menguasai hasil mahsul dan keuntungan di negara ini. Hasil daripada perbincangan yang dibuat kelak diharap dapat memberikan gambaran kepada pelajar berkenaan dasar penjajahan yang kita kenali sebagai kolonialisme dan imperialisme. Seharusnya generasi sekarang dan akan datang dapat menjadikan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa negara di bawah pengaruh penjajahan barat sebagai satu pengajaran yang benar-benar bermanfaat. Pengenalan Kepada Gerakan Penjajahan Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah wajar untuk kita bersama-sama membincangkan definisi bagi istilah-istilah yang berkait rapat dengan apa yang kita kenali sebagai gerakan penjajahan. Kolonialisme atau kadangkala kita sebut juga sebagai imperialisme merupakan dua perkataan yang sering disinonimkan dengan gerakan penjajahan ini. Jika di lihat secara umum, kedua-dua perkataan atau istilah ini seolah-olah menggambarkan makna yang sama. Bagaimanapun pada hakikatnya, ianya hanyalah hampir sama pada makna kerana amat berkait rapat. Definisi Apakah yang tergambar dalam fikiran anda apabila kita memperkatakan tentang istilah kolonialisme dan imperialisme? Tidak dapat tidak saya nafikan, bahawa perkataan pertama yang pasti terlintas difikiran anda ialah perkataan penjajahan.
43 Cheah Boon Kheang dan Abu Talib bersetuju bahawa tidak salah untuk kita menanggap kedua-dua istilah sebagai sama kerana kedua-dua istilah ini sering digunakan saling bertukar ganti. Walau bagaimanapun, kedua-dua istilah mewakili makna dan maksud yang berbeza dan tersendiri, biarpun ianya mempunyai kaitan yang amat rapat. Kaitan yang dimaksudkan ialah bagaimana konsep bagi satu istilah iaitu imperialisme, pada hakikatnya mungkin adalah lanjutan atau mempunyai kesinambungan dengan istilah kolonialisme ataupun sebaliknya. Bagi memudahkan pemahaman anda, saya bawakan beberapa definisi yang diberikan oleh kalangan sarjana sebagai panduan untuk memahami dan mengenali istilahistilah tersebut. 1. Kolonialisme Secara umum, dapatlah kita jelaskan bahawa kolonialisme bermaksud dasar sesebuah negara yang mengeksploitasi sesuatu kawasan serta masyarakatnya yang dianggap lemah. Pengeksploitasian itu meliputi berbagai sudut seperti ekonomi, sosial, budaya, corak pentadbiran, serta politik atau secara ringkasnya meliputi kesemua cara hidup masyarakat tersebut. Plano dan Olton di dalam tulisannya mentafsirkan kolonialisme sebagai satu bentuk pemerintahan ke atas sesebuah kawasan dan penduduknya oleh sebuah kuasa asing dengan menjalankan polisi imperialisme. Migrasi turut terlibat (dari negara asal ke kawasan baru) yang seterusnya membentuk satu entiti politik baru ke atas kaum asal yang mempunyai pengetahuan dan teknologi (kemajuan) yang rendah seperti di Asia dan Afrika. Tafsiran Plano dan Olton jelas dipersetujui Evans dan Newham yang menggambarkan sifat dasar kolonialisme yang memberi ruang rakyat asing yang minoriti mendominasikan politik dan ekonomi negara tersebut. Ia memisahkan pusat kota metropolitan bagi mengukuhkan kekuasaan dan menindas golongan bawahan. Tidak hairanlah Nadel dan Curtis beranggapan kolonialisme sebagai satu penindasan, penghinaan atau eksploitasi terhadap penduduk peribumi oleh penjajah di tanah jajahan. Berasaskan pandangan Nadel dan Curtis, jelas dapat kita lihat dasar utama tindakan kolonialisme adalah lebih menjurus kepada bentuk penjajahan yang buruk terutama di sudut penindasan, penghinaan dan pengeksploitasian. Penjajah datang hanya untuk mengeksploitasi pelbagai sudut kehidupan masyarakat peribumi seperti dalam bidang ekonomi, sosial, politik, petempatan dan sebagainya. 2. Imperialisme Imperialisme secara umum membawa pengertian perluasan kekuasaan atau pengaruh suatu bangsa terhadap bangsa lain. Manakala, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka secara ringkas mentakrifkan imperialisme sebagai dasar meluaskan sesebuah empayar dengan menjajah negara lain. Negara-negara besar atau kuasa-kuasa besar
44 telah wujud sejak awal sejarah manusia lagi seperti di Mesir, Mesopotamia, Assyria, dan Persia. Imperialisme kuno mencapai kemuncak di zaman Rumawi dan Byzantium (Rumawi Timur). Manakala falsafah imperialisme hari ini lebih menjurus kepada definisi moden yang wujud hasil daripada kebangkitan faham nasionalisme moden. Konsep imperialisme yang diterima ramai pada hari ini adalah merupakan kesan letusan kebangkitan gerakan merkantilisme yang juga merupakan kesinambungan sifat kolonialisme dan asas kepada kapitalisme moden. Karl Marx menyatakan imperialisme sebagai satu tingkatan dalam perkembangan kapitalisme sewaktu perluasan kuasa Eropah ke Asia dan Afrika di sekitar tahun 1750an – 1914. Nadel dan Curtis pula mentakrifkan imperialisme sebagai satu perkembangan kuasa atau kawalan, sama ada secara langsung atau tidak dalam politik atau ekonomi oleh sesuatu kerajaan, bangsa, atau masyarakat ke atas bangsa atau masyarakat yang lain. Proses ini di dokong oleh idea tersendiri. Secara umumnya, definisi-definisi yang diberikan di atas seakan-akan mempunyai persamaan makna dengan istilah kolonialisme. Namun begitu, terdapat perbezaan di mana konsep imperialisme dibentuk di negara asal kuasa penjajah dan kemudiannya dikembangkan ke negara jajahan. Ini disokong oleh penjelasan Fieldhouse yang mendefinisikan imperialisme sebagai satu kecenderungan sesuatu masyarakat atau pemerintahan untuk mengawal masyarakat lain dalam pelbagai tujuan. Perkembangan Kolonialisme Kedatangan kuasa Eropah ke benua sebelah timur adalah bermatlamatkan penjajahan, tetapi adakah hanya hendak mengaut segala keuntungan sahaja tanpa peduli tentang tanah jajahan tersebut atau sebaliknya? Ciri-ciri yang dilahirkan oleh perlakuan penjajah akan menggambarkan wajah atau rupa setiap dasar yang akan kita bincangkan ini. Faktor-Faktor Penggalak Kolonialisme Para sarjana melihat tindakan-tindakan penjajahan kolonialisme berpunca daripada beberapa faktor. Kebanyakan mereka bersetuju faktor-faktor kedatangan kuasa Eropah ke benua Asia adalah untuk memenuhi inspirasi konsep kolonialisme yang dipengaruhi slogan "Gold, Glory and God". Perry Marvin telah menjelaskan teori kebangkitan kuasa Eropah sebagai kolonialis atau penjajah sebagaimana berikut: a) Gold (Keperluan kepada tanah) Hasil kemajuan ilmu pengetahuan di Eropah, lebih-lebih lagi kesan daripada pengaruh tamadun Islam dan Asia telah mempercepatkan perkembangan masyarakat Eropah. Pada masa yang sama juga, sistem pertanian telah berkembang maju, begitu juga dengan sistem kesihatan dan perubatan yang bertambah baik. Faktor kemajuan
45 ini telah menggalakkan lagi jumlah kelahiran dan mengurangkan jumlah kematian, dan telah menambah bilangan penduduk. Akibatnya, wujud masalah iaitu kekurangan pada tanah-tanah untuk didiami dan dikerjakan. Sementara itu, golongan bangsawan yang banyak menguasai tanah-tanah, mula melihat pilihan yang lain bagi menambahkan hasil kekayaan mereka. Mereka mula melihat penerokaan tanah yang baru di luar negara khususnya di Asia dan Afrika sebagai cara terbaik memenuhi ketamakan mereka. Tidak dapat dinafikan, Asia dan Afrika merupakan kawasan yang kaya dengan sumber ekonomi seperti rempah dan juga galian seperti emas. Selain itu, Asia juga merupakan pusat tumpuan persinggahan pedagang (seperti di Melaka) antara China dan India. Kesan daripada penambahan hasil keuntungan melalui perdagangan secara langsung membuat para bangsawan ini tamak dan tidak lagi mahu berurus niaga dengan orang tengah. Bagi mereka, adalah lebih baik terus keluar membuat urus niaga secara langsung dengan pihak pemilik sumber asal terutamanya para pedagang Arab dan Asia yang lain. b) Glory (Permusuhan tradisi di antara negara-negara Eropah) Penggabungan kuasa Ferdinand The Castille dan Isabella The Aragon di Sepanyol dan perlaksanaan konsep pemusatan kuasa dalam pemerintahan telah berjaya menjatuhkan kerajaan Granada di Andalusia, iaitu kerajaan Islam terakhir di benua Eropah. Faktor ini telah menggalakkan lagi kerajaan Sepanyol yang baru itu untuk meluaskan lagi tanah jajahan mereka. Mereka merasa megah dengan kejayaan penggabungan dan kemakmuran yang dirasai di dalam negeri. Walau bagaimanapun, Sepanyol kemudiannya merasa bimbang dan iri hati melihat negara jiran mereka, Portugal yang menjadi lebih berjaya daripada mereka menerusi aktiviti penerokaan dunia baru seperti kejayaan Vasco Da Gama, Putera Henry dan Bartholomiew Diaz. Kejayaan Portugal ini dirasakan sebagai satu usaha mendapatkan kelebihan sekaligus menjadi satu ancaman kepada Sepanyol. Justeru itu, adalah menjadi keperluan Sepanyol untuk mendahului Portugal dalam persaingan mendapatkan tanah jajahan yang baru. Sepanyol ingin menunjukkan bukti kekuatan dan pengaruh mereka sebagai satu kuasa besar, ditambah lagi selepas kejayaan menghancurkan kerajaan Islam terakhir di bumi Sepanyol. Persaingan yang asalnya adalah untuk memenuhi keperluan hidup dan kekayaan telah bertukar menjadi satu persaingan memburu kemegahan. Kerakusan memburu kemegahan ini kemudiannya disertai pula oleh negara-negara Eropah lain yang turut tidak mahu ketinggalan meletakkan nama mereka sebagai kuasa besar seperti Belanda, Jerman, Perancis dan Britain. c) God (Agama) Satu faktor utama yang membantu perkembangan penguasaan kuasa Eropah terhadap kawasan-kawasan di sebelah benua Asia dan Afrika ialah agama. Usaha terhadap
46 pengembangan agama diperkukuhkan oleh legenda dan mitos akan wujudnya kerajaan Kristian di Timur yang diketuai oleh seorang "Messiah" atau "The Great Saviour" atau seorang ‘penyelamat’ bernama Prester John. Pihak gereja yang mewakili pihak berkuasa agama di negara-negara Eropah yang berlumba-lumba menuju ke benua sebelah timur, percaya akan wujudnya sebuah kerajaan Kristian di situ. Mereka percaya dan yakin apabila ditemui kelak, kerajaan Kristian di benua sebelah timur ini akan dapat bergabung dengan negara-negara Kristian di Eropah untuk mengalahkan kuasa Islam yang pada ketika itu menguasai kebanyakan kawasan di Eropah, Asia dan Afrika. Perasaan sebegini dapat difahami kuat melekat di hati para peneroka seperti Putera Henry dan juga mereka yang berasal dari kawasan Semenanjung Liberia atau Sepanyol dan Portugal. Selama 500 tahun mereka berjuang untuk mengalahkan dan menjatuhkan Islam sehinggalah musnahnya kerajaan Islam Granada. Perasaan kuat menyokong unsur keagamaan ini amat berkait rapat dengan sistem juga normanorma kehidupan masyarakat Eropah yang pada ketika itu kuat diikat oleh pengaruh penguasaan gereja terutamanya di Sepanyol dan Portugal. Faktor-Faktor Penggalak Imperialisme Biarpun wujud seakan persamaan dari segi konteks gerakan penjajahan di antara kolonialisme dan imperialisme, namun imperialisme pada hakikatnya mempunyai faktor-faktor tersendiri yang menjadi asas dorongan kepada kebangkitannya. Dasardasar imperialisme adalah lebih di dorong oleh perkembangan semasa di Eropah yang sibuk memperjuangkan faham nasionalisme dan negara bangsa (nation states). Di antara faktor-faktor penggalak yang digariskan oleh ramai sarjana ialah: a) Etnosentrisme Hasil perkembangan nasionalisme moden yang hebat di kebanyakan negara Eropah pada tahun-tahun 1750an hingga 1914, konsep kemegahan melalui penjajahan berbentuk kolonialisme telah berubah corak menjadi lebih agresif dengan memandang kemegahan dan ketinggian bangsa masing-masing. Walaupun tidak dinafikan idea bangsa terpilih atau ummatan mukhtarah telah lama diwujudkan oleh kaum bani Israel tetapi dalam tempoh yang tersebut, pemikiran sebegini telah semakin bertambah subur. Penjajahan dilakukan bagi memuaskan hati megah mereka dan dilakukan dengan anggapan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Ini dilakukan pada asalnya sebagai sumber kemegahan dengan menjadikan benua Asia sebagai sasaran uatam diikuti dengan benua Amerika dan Afrika. Senario ini kemudiannya telah bertambah agresif apabila mereka mula memandang hina bangsa lain di dalam benua mereka sendiri dan pada kemuncaknya berlakulah Perang Dunia Pertama.
47 b) Jingoisme Kesan secara langsung akibat daripada etnosentrisme ini ialah pemupukan semangat patriotisme melampau yang timbul di kalangan kuasa-kuasa Eropah. Akibatnya, perasaan benci yang tinggi timbul di antara kaum dan bangsa yang hidup di Eropah pada ketika itu dan mengakibatkan mereka mula meluaskan percakaran mereka keluar negara dan menjadikan negara-negara yang lemah di Asia, Amerika dan Afrika sebagai sasaran menunjukkan keegoan juga bahan penindasan bagi menunjukkan kuasa mereka. c) Agama Agama turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran manusia di Eropah yang mengakibatkan berlakunya imperialisme. Misi agama Kristian yang membawa tugas suci menyelamatkan umat manusia daripada penindasan dan ketidakadilan terutama di negara-negara mundur seperti di Asia dan Afrika telah mewujudkan fahaman "the white men burden" atau "tugas suci orang kulit putih". Fahaman ini memberi maksud bangsa selain orang kulit putih atau Kristian adalah lebih merupakan beban yang ditakdirkan Tuhan kepada mereka (orang kulit putih) untuk di uruskan. Ini telah membawa mereka ke tanah-tanah baru yang diteroka oleh negara mereka. Ditambah pula dengan perasaan megah dan bangga diri yang sedia wujud hasil perkembangan nasionalisme moden, maka kuasa-kuasa Eropah ini lebih agresif melaksanakan aktiviti imperialisme di atas nama untuk menyelamatkan bangsa lain yang mundur. d) Keinginan Mencapai Kuasa Besar Kemegahan dan kegilaan yang dihasilkan daripada semangat nasionalisme yang tebal telah menggalakkan kepada wujudnya keinginan menjadi kuasa besar yang menguasai semua manusia di muka bumi ini. Jerman merupakan contoh terbaik bagaimana perasaan nasionalisme yang dipupuk oleh Bismarck pada tahun-tahun 1800an telah mengakibatkan dunia terheret ke dalam kancah Perang Dunia Pertama. Ini berlaku kerana ketamakan untuk menguasai seluruh Eropah. Justeru itu, penaklukan di buat bukan sahaja kerana hasil mahsul yang hendak diperoleh di negara tersebut tetapi juga penguasaan terhadap rakyat dan pemerintahan di negara tersebut. Ini dilakukan lebih-lebih lagi berdasarkan kemunculan faham imperialisme ini yang berkait rapat dengan peranan mendapatkan kebanggaan menerusi perluasan kuasa dan pengiktirafan sebagai bangsa terulung dan terunggul di dunia. Pentadbiran biasanya bercorak pemusatan di mana dasar-dasar yang hendak dilaksanakan di negara yang dijajah akan di rujuk dan dibuat di ibu negara yang terlibat seperti London atau Paris.
48 Kolonialisme Barat di Tanah Melayu Sejarah perkembangan gerakan penjajahan di negara ini telah wujud sejak awal lagi— dilakukan oleh kerajaan atau empayar besar yang terdiri dari negara-negara jiran seperti Srivijaya, Majapahit, Pasai, dan Siam. Bagaimanapun, negara atau empayar yang menawan kawasan-kawasan di Tanah Melayu pada waktu itu tidaklah memberi kesan yang jelas terhadap penguasaan mereka berbanding dengan kuasa barat yang datang kemudian. Kedatangan Penjajah Barat Adakah anda tahu, negara barat manakah yang mula-mula sekali meluaskan kuasa mereka di Tanah Melayu? Portugis yang membuka lembaran baru penerokaan memulakan proses penjajahan barat di Tanah Melayu pada tahun 1509 apabila mereka datang untuk berdagang. Ketamakan dan rasa iri hati yang wujud secara berleluasa di kalangan orang-orang Melayu akhirnya mengakibatkan penaklukan Empayar Melayu Melaka oleh kuasa Portugis pada tahun 1511. Sejarah kemudiannya mencatatkan jatuhnya kuasa Portugis di Melaka ke tangan Belanda pada tahun 1641. Penguasaan Belanda ini berterusan sebelum British mengambil alih Melaka setelah perjanjian Straits Settlement ditandatangani pada tahun 1824. Persoalan di atas sering ditimbulkan kerana sejarah telah membuktikan bahawa Tanah Melayu sememangnya menarik perhatian penjajah sama ada dari Timur atau Barat. Sarjana telah menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan Tanah Melayu menjadi tumpuan tarikan, iaitu: 1. Kedudukan Geografi Tanah Melayu Kedudukan Tanah Melayu yang merupakan sebuah semenanjung dan betul-betul terletak di antara jalan perdagangan di antara benua sebelah timur dan benua sebelah barat amatlah strategik sebagai sebuah pusat perdagangan. Kawasannya yang meliputi hampir keseluruhan Selat Melaka dan dilindungi pula oleh Pulau Sumatera memberikan satu ruang atau jalan laut yang selamat dan terlindung dari taufan, ribut dan gelora lautan. Keadaan ini memudahkan para pelaut dan pedagang untuk berlabuh dan berlindung pada waktu perjalanan mereka apabila diserang angin monsun sama ada timur laut atau pun barat daya. Ciri-ciri geografi ini menjadi faktor penarik kepada sebarang kuasa besar yang memerlukan keselamatan untuk jalan perdagangan dan perlindungan bagi keselamatan dari ancaman semula jadi ataupun yang dilakukan manusia. 2. Bahan Mentah Tanah Melayu yang kaya dengan pelbagai bahan mentah seperti bijih timah telah menjadi sasaran kuasa-kuasa besar menjajahnya dan menguasai sepenuhnya sumber ekonomi di Tanah Melayu. Tanah Melayu telah terkenal dengan gelaran Golden
49 Chersoneves ataupun Suvarnabhumi yang menggambarkan hasil buminya seperti emas dan timah yang banyak. Manakala, Tanah Melayu juga sering digunakan sebagai pelabuhan entrepot yang mengumpulkan hasil-hasil hutan terutamanya untuk para pedagang sejak awal kewujudan tamadun di tanah semenanjung ini. Bahanbahan seperti kayu manis, buah pala, rotan, sagu dan lain-lain diperlukan oleh para pedagang selain bekalan air dan makanan untuk bekalan perjalanan mereka. Selepas kedatangan kuasa barat dan penemuan bijih timah secara meluas, Tanah Melayu menjadi bertambah penting bagi kuasa-kuasa penjajah ini. 3. Pasaran Baru Sementara itu, di Eropah pada abad ke-14 dan 15 sedang rancak dengan projek penjelajahan dan penemuan (Exploration and Discoveries). Revolusi perindustrian telah menyebabkan kuasa-kuasa besar di Eropah keluar dari benua Eropah dan mencari penempatan dan pasaran baru bagi perdagangan mereka. Kedudukan Tanah Melayu di tengah jalan perdagangan menjadi tarikan kepada kuasa-kuasa Eropah untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai salah sebuah pusat pasaran dan perdagangan mereka. Pasaran di Eropah menjadi sukar akibat semua kuasa besar mula mencipta dan mengeluarkan bahan baru. Ini mewujudkan persaingan sengit untuk mendapatkan lokasi dan pasaran baru pengeluaran masing-masing. Selain itu, keperluan terhadap bahan mentah yang berkaitan dengan industri seperti bijih timah dan besi juga meningkat dengan mendadak. 4. Pangkalan Tentera Anda telah sedia maklum kedudukan Tanah Melayu di Selat Melaka yang merupakan jalan perdagangan penting di Asia. Faktor kedudukan ini juga sebenarnya amat penting kepada kesesuaiannya menjadi pangkalan tentera. Kalau di lihat sejarah awal kedatangan kuasa penjajah barat ke Tanah Melayu, mereka datang bukan sahaja untuk mencari sebuah pelabuhan persinggahan tetapi juga adalah kerana strategi ketenteraan. Ini boleh anda fahami jika anda bayangkan kedudukan negara mereka yang jauh di Eropah dan kawasan-kawasan yang mereka lawati untuk tujuan perdagangan atau mendapatkan kekayaan adalah jauh di benua Asia. Di dalam konteks ini, perkara utama yang difikirkan oleh kuasa-kuasa besar ini tentulah keselamatan angkatan atau rombongan mereka. Oleh itu, satu cara terbaik yang perlu mereka lakukan ialah mencari sebuah tempat yang dapat menjadi pelabuhan persinggahan dan sekaligus memenuhi keperluankeperluan keselamatan dan ketenteraan. Contoh terbaik yang boleh anda lihat ialah kedatangan Kapten Francis Light ke Pulau Pinang yang dipajak oleh British dari Kerajaan Kedah sebagai pelabuhan persinggahan, dan juga sebagai pangkalan tentera untuk mengawal ancaman pelanunan serta kuasa asing yang lain seperti Belanda, Perancis, dan Jerman dari menggugat kapal-kapal perdagangan mereka yang menggunakan laluan di Selat Melaka. Pulau Pinang kemudiannya kalau anda lihat telah menjadi antara tempat terawal dalam senario perluasan kuasa British di Tanah Melayu.
50 5. Prester John Akhirnya, mungkin anda masih ingat apa telah saya jelaskan pada bahagian awal bab berkenaan kepentingan agama dalam menggalakkan aktiviti penjajahan. Sebagaimana yang anda maklum, pada waktu itu orang-orang Kristian di Eropah sedang rancak menentang penguasaan empayar Islam. Pihak gereja telah menjanjikan kedatangan seorang Messiah atau The Great Saviour atau penyelamat agung. Di antara versi yang timbul dari janji pihak gereja itu ialah kehadiran seorang yang bernama Prester John yang akan muncul di benua sebelah timur. Kepercayaan ini telah menyebabkan orang-orang Kristian seperti Putera Henry dari Portugal telah melancarkan gerakan mencari Prester John di sebelah timur dengan harapan gabungan kerajaan Kristian sebelah timur dan kerajaan Kristian mereka dapat menjatuhkan empayar Islam secara keseluruhannya. Dasar Campur Tangan British di Tanah Melayu Dasar awal pihak penjajah barat termasuk British adalah jelas, iaitu mereka datang hanya untuk mengaut hasil keuntungan di Tanah Melayu tanpa peduli dan campur tangan dalam hal ehwal urusan orang Melayu dan negeri-negeri Melayu. Hanya pada tahun 1874 secara rasmi British mula campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu. Ini dilakukan setelah termeterainya Perjanjian Pangkor, di Perak pada tahun 1874. Bermula daripada perjanjian tersebut, pihak British bukan sahaja mengekalkan kuasanya, malahan terus meluaskan pengaruh mereka di negeri-negeri Melayu yang lain sehinggalah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. Sesungguhnya perjanjian 1874 itu merupakan titik permulaan kepada satu perubahan besar di Tanah Melayu. Berdasarkan perkara-perkara yang telah kita bincangkan sebelum ini, dapatkah anda bayangkan apakah sebab-sebab yang memungkinkan campur tangan tersebut?. Pada hakikatnya, dasar campur tangan British ini dilakukan berdasarkan beberapa faktor yang banyak dipengaruhi oleh keadaan di Tanah Melayu pada masa itu. Di antara faktor-faktor yang digariskan ialah 1. Faktor Ekonomi Sememangnya sebagaimana yang anda ketahui, ekonomi adalah faktor paling penting mengapa British campur tangan di Tanah Melayu. Ini banyak dikaitkan dengan perkembangan revolusi perusahaan atau perindustrian yang berlaku di Eropah. Perusahaan yang membabitkan keperluan bahan mentah seperti bijih timah sedang berkembang pesat dan ini memaksa British memberi perhatian yang lebih terhadap Tanah Melayu yang kaya dengan bijih timah, ditambah pula dengan sektor perlombongan bijih timah yang kebanyakannya dikuasai oleh saudagar-saudagar British dan Cina yang berkerakyatan British. Selain itu, sekatan-sekatan perdagangan yang dilakukan oleh Belanda terhadap pengaruh kuasa lain di Indonesia turut menyekat kemaraan British di kawasan lain di