The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Fatini, 2024-02-20 11:54:51

Buku Kenegaraan A231 BM H9_unlocked

Buku Kenegaraan A231 BM H9_unlocked

151 dengan dasar-dasar kerajaan dan struktur masyarakat sendiri. Orientasi dasar kerajaan yang berubah mengikut keadaan semasa dalam negeri dan globalisasi memerlukan jentera pentadbiran yang kuat dan mantap. Namun rangka jentera pentadbiran yang kukuh sahaja tidak cukup untuk menjamin kelancaran pengurusan negara ini. Negara kita amat memerlukan masyarakat, pemimpin dan pekerja-pekerja awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara yang bertolak ansur, faham memahami dan dapat menerima perubahan yang dilakukan ke arah kebaikan. Dalam kerangka awal pemerintahan negara kita, hanya kelompok kecil dalam masyarakat yang berkisar di antara kuasa sultan dan para pembesarnya. Golongan ini memberikan impak yang besar dalam kehidupan rakyat samada baik ataupun sebaliknya. Kedatangan penjajah merubah sistem politik, pentadbiran dan juga perundangan. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, evolusi sistem pemerintahan dan pentadbiran negara merupakan gabungan tiga dimensi sistem yang telah dipraktikkan di Malaysia. Sistem pemerintahan dan pentadbiran negara selepas merdeka menjadi lebih dinamik terutama selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kesedaran mengenai pemisahan kaum dan jurang ekonomi yang melebar serta keperluan-keperluan sosio-ekonomi dan politik yang lain telah mendorong kerajaan lebih inovatif dan progresif dalam mengatasi masalah masyarakat. Asas yang kukuh yang telah wujud dalam sistem pentadbiran negara telah dibugarkan lagi melalui pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan terutamanya di era 1980-an seperti elemen pengurusan yang lebih berorientasikan kepada nilai ketimuran melalui Dasar Pandang Ke Timur, memperkukuhkan lagi ciri-ciri ke Islam yang telah sedia ada dalam masyarakat melalui Penerapan Nilai-Nilai Islam, pelaksanaan Sistem Kaunter dan lain-lain lagi. Secara keseluruhannya pembaharuan-pembaharuan ini merupakan satu tuntutan yang.perlu dilaksanakan dalam usaha untuk membawa negara dalam arus perdana kemajuan dan permodenan antarabangsa.


152 TOPIK 9 PERLEMBAGAAN MALAYSIA Pendahuluan Setiap negara yang merdeka dan berdaulat mempunyai perlembagaan khusus untuk memastikan pentadbiran kerajaan dapat dijalankan dengan licin dan saksama. Secara umumnya, perlembagaan merangkumi suatu kumpulan peraturan dan undang-undang dasar yang menentukan bagaimana pemerintahan sebuah negara itu mesti dijalankan. Ia juga merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi punca rujukan kepada semua undang-undang sama ada yang sedia ada atau yang bakal digubal. Perlembagaan sesebuah negara menerangkan dan memperuntukkan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh pelbagai anggota negara itu, seperti bidang kuasa yang dimiliki oleh kerajaan serta hak-hak yang dipunyai oleh rakyat. Sebagaimana negara lain yang berdaulat di dunia, Malaysia juga mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang berfungsi sebagai undang-undang tertinggi negara. Reka bentuk perlembagaan Malaysia merangkumi pelbagai aspek kehidupan sama ada politik, perundangan, pemerintahan, pentadbiran, kebudayaan, kehakiman, ekonomi, pendidikan, bahasa, sosial dan lain-lain. Perlu ditekankan juga bahawa kewujudan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia mempunyai kesan, pengaruh dan kepentingan terhadap pembentukan perlembagaan negara ini. Dengan mengambil kira sejarah dan latar belakang negara, perlembagaan yang ada sekarang merangkumi nilai-nilai yang utama bagi negara dan masyarakatnya yang berbilang bangsa. Perlembagaan Malaysia kini merupakan perlembagaan bertulis yang berlandaskan sistem kerajaan demokrasi berparlimen. Ia diasaskan daripada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan kemerdekaan tahun 1957. Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menjadi detik bersejarah setelah British bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Serentak dengan itu perlembagaan ini dikuatkuasakan di Tanah Melayu dan kemudiannya diperkemaskan setelah penubuhan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963. Definisi Dan Konsep Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi undang-undang dasar dan diangkat menjadi undang-undang tertinggi untuk mewujudkan suatu sistem pentadbiran kerajaan yang teratur dan stabil. Sesetengah sarjana mentakrifkan perlembagaan sebagai kumpulan peraturan-peraturan atau undang-undang sama ada secara bertulis atau tidak bertulis yang menentukan organisasi kerajaan dan pembahagian kuasa antara badan-badan pemerintah. K. Ramanathan (1998)


153 menyebut perlembagaan sebagai dokumen atau sekumpulan dokumen tertentu yang menetapkan dasar atau asas undang-undang dan institusi sistem politik. Perlembagaan turut menetapkan had-had kewibawaan kerajaan dan cara-cara pemilihan serta pelantikan dan pembentukan kerajaan. Menurut Tun Salleh Abas (2006), perlembagaan ialah suatu suratan atau surat cara yang mengandungi semua undang-undang tertinggi yang difikirkan mustahak bagi mewujudkan sebuah negara. Undang-undang tertinggi inilah yang akan menjadi punca bagi semua undangundang sama ada yang sudah atau yang akan dibentuk. Semua undang-undang yang lain hendaklah tidak bertentangan dengan perlembagaan kerana jika bertentangan, terbatallah undang-undang itu. Perlembagaan berperanan untuk menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat. Dengan kata lain, Perlembagaan mengandungi satu set hak, kuasa dan prosedur yang mengawal hubungan antara autoriti awam dalam sesebuah negara, dan antara autoriti awam dengan rakyat. Selain itu, Perlembagaan mengandungi peruntukan-peruntukan umum tentang corak pemerintahan negara, hak-hak asasi rakyat, kewarganegaraan, agama, bangsa, pilihanraya dan perkara-perkara lain. Menurut Md. Bohari Ahmad (1997), perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang semasa dan diasaskan oleh kebolehan kerajaan untuk menjamin semua yang terkandung di dalam perlembagaan itu. Ini jelas menunjukkan bahawa perlembagaan yang dirangka mengandungi undang-undang yang selaras dengan kehendak rakyat dan keadaan semasa. Pada umumnya, perlembagaan sesebuah negara digubal berasaskan kepada beberapa perkara yang penting seperti latar belakang sejarah, keperluan rakyat dan masyarakat, dan lain-lain lagi. Bagi Malaysia, perlembagaan negara yang dibentuk telah mengambil kira sejarah negara ini sebelum dan selepas penjajahan yang akhirnya disusun menjadi sebuah perlembagaan bertulis. Kebanyakan perkara yang terkandung dalam perlembagaan merupakan amalan yang diwarisi daripada zaman pra-penjajahan kecuali peruntukan-peruntukan pentadbiran, parlimen dan kewarganegaraan. Abdul Aziz (1996), menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah sebuah dokumen yang tidak terpisah dari sejarah, perkembangan dan tradisi negara, dan walaupun bentuk perlembagaan kelihatan asing, intisari pentingnya sebenarnya berasal dari negara ini sendiri. Sejarah Perkembangan Perlembagaan Malaysia Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai tulang belakang negara wujud hanya setelah negara melalui liku-liku perjuangan yang getir. Sebelum penjajahan Barat, masyarakat tempatan menggunakan perundangan dan perlembagaan Melayu bagi setiap negeri. Antara teks undang-undang yang diguna pakai ialah Hukum Kanun Melaka (Undang-undang Melaka), Undang-Undang Pahang, Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Johor dan Undang-undang Perak. Secara amnya, teks undangundang tersebut memperlihatkan ciri-ciri perundangan Islam. Terdapat juga dua adat utama yang diamalkan pada masa itu iaitu adat Temenggung dan adat Perpatih.


154 Sistem perlembagaan moden di Malaysia dilihat bermula secara jelas pada penghujung abad ke-19 setelah Tanah Melayu berada di bawah pemerintahan British. Perlembagaan yang diperkenalkan oleh British telah pun diperkenalkan melalui Perjanjian Pangkor 1874 (Mohd Aris Hj. Osman (1983). Perjanjian Pangkor ini telah memberi kuasa kepada pihak British untuk menentukan undang-undang mengikut kehendak mereka dan menghadkan kuasa Sultan dan Pembesar Melayu hanya dalam urusan agama dan adat istiadat Melayu sahaja. Ia dinyatakan dalam Perkara 6 dalam Perjanjian Pangkor 20 Januari 1876 iaitu Residen adalah berkuasa penuh dalam semua hal dan bertindak sebagai mahkamah manakala Sultan haruslah meminta nasihat daripada Residen Inggeris dan wajib mematuhinya kecuali untuk hal-hal berkaitan dengan agama dan adat istiadat Melayu. Perjanjian ini menunjukkan bahawa bermula tahun 1874, Sultan dan pembesar telah kehilangan kuasa dan dirampas oleh British dengan alasan melindungi atau menaungi. Kerajaan British juga telah menubuhkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada Perak, Selangor, Pahang serta Negeri Sembilan pada tahun 1895 dan negeri-negeri ini adalah Persekutuan yang pertama di Malaysia. Sebuah badan perundangan pusat yang dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) turut ditubuhkan pada tahun 1905. Semua undang-undang yang dibuat oleh mana-mana negeri mestilah bersesuaian dan tidak bertentangan dengan undang-undang yang dibuat oleh MMP ini. Sungguh pun begitu MMP tidak mempunyai kuasa ke atas halehwal agama Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu. Pada tahun 1909, melalui Perjanjian Bangkok, British dapat meluaskan kuasa di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan yang sebelum ini berada di bawah naungan Siam. Seorang penasihat British ditempatkan di setiap negeri-negeri utama. Dengan kemasukan Johor pada tahun 1914 akhirnya terbentuklah Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang terdiri daripada Johor, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan. Pemusatan kuasa diberikan kepada Residen-Jeneral telah merugikan negeri-negeri yang berkenaan dan ini memang disedari oleh pemerintah Melayu. Namun, perlembagaan negeri telah diisytiharkan oleh pihak Inggeris dan sejak itu telah dikuatkuasakan. Sungguhpun beberapa pindaan telah dibuat, peruntukan tentang kerajaan bagi setiap negeri adalah lebih kurang selaras bentuknya. Malayan Union 1946 Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Jepun berundur dari Tanah Melayu dan pemerintahannya diambil alih semula oleh British melalui Pentadbiran Tentera British (BMA). Ini diikuti dengan pembentukan Kesatuan Tanah Melayu (Malayan Union) pada 1 April 1946 untuk memudahkan sistem pentadbiran British. Kesatuan ini terbentuk hasil dari cadangan Sir Harold MacMichael pada tahun 1945. Walau bagaimanapun, dalam usahanya mendapatkan persetujuan Raja-raja Melayu, MacMicheal sebagai wakil khas kerajaan British telah didapati membuat ugutan dan paksaan untuk mendapatkan tandatangan sultan-sultan. Ini jelas menunjukkan Rajaraja Melayu ketika itu berada dalam satu keadaan terpaksa bersetuju dengan rancangan ini kerana dibimbangi tidak akan diiktiraf oleh Kerajaan British.


155 Perlembagaan Malayan Union menetapkan segala kuasa terletak di tangan gabenor termasuk kuasa memberi ampun pada pesalah. Gabenor boleh membatalkan segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Perundangan. Majlis Perundangan Negeri di setiap negeri pula hanya boleh membuat undang-undang tentang perkara tempatan sahaja dan ia boleh dibatalkan oleh Majlis Perundangan Malayan Union. Ini bermakna kuasa Raja-raja Melayu dihadkan dan hak orang Melayu juga telah terjejas. Peristiwa ini telah menyebabkan orang-orang Melayu bersatu bangkit menentang cadangan penubuhan Malayan Union. Sebagai protes, beberapa tunjuk perasaan secara besar-besaran diadakan di beberapa buah negeri. Satu perjumpaan besar telah diadakan di Perak dan dihadiri oleh sultan-sultan yang terdiri daripada negeri-negeri yang tidak bersekutu terutama Negeri Johor dan Kedah telah menjadi pusat penentangan Malayan Union. Perjumpaan besar ini telah melahirkan Kongres Melayu Se-Malaya dan dengan kerjasama raja-raja Melayu telah mengambil keputusan memulaukan istiadat pelantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union. Disebabkan tentangan yang hebat daripada orang Melayu, Malayan Union telah dimansuhkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) atau Federated Malay Stated (FMS). Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 merupakan satu perjanjian baru yang telah dibuat oleh penjajah British dan raja-raja Melayu untuk menggantikan Malayan Union. Hasil daripada perjanjian ini, satu perlembagaan baru digubal dan berkuat kuasa pada 1 Februari 1948 yang dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Perlembagaan yang terkandung dalam Persekutuan Tanah Melayu 1948 menjadi asas bagi Perlembagaan Malaysia yang ada pada masa sekarang. Persekutuan ini ditubuhkan menurut perjanjian yang telah ditandatangani oleh rajaraja Melayu dan King George VI. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu boleh dikatakan sebagai satu era baru ke arah berkerajaan sendiri bagi Tanah Melayu. Ini kerana dalam tempoh tersebut, proses dekolonisasi iaitu penyerahan pentadbiran secara beransur-ansur telah berlaku. Mengikut perjanjian ini, Kerajaan Pusat akan diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British serta mengandungi sebuah Majlis Mesyuarat dan sebuah Majlis Perundangan. Majlis Perundangan (Legislative Council) mempunyai anggota rasmi dan sebilangan besar anggota tidak rasmi akan dipilih dan dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Di bawah format 1948 ini, Tanah Melayu menjadi sebuah persekutuan secara formal dengan Pesuruhjaya Tinggi British sebagai pihak berkuasa tertinggi. Beliau di sisi undang-undang menjalankan autoriti yang diamanahkan oleh Raja Britain dan 9 orang Raja-raja Melayu. Manakala Akhbar Majlis menerangkan bahawa perjanjian ini penting bukan sahaja kerana ia memansuhkan Malayan Union tetapi ia juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali. Di antara lain, Perjanjian Persekutuan itu menyatakan:


156 i) Persekutuan Tanah Melayu akan dianggotai oleh sembilan buah negerinegeri Melayu dan dua buah negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Untuk kepentingan politik dan keselamatan, Singapura telah dikeluarkan dari Persekutuan Tanah Melayu dan dijadikan sebuah koloni Inggeris. ii) Perkara yang tidak kurang pentingnya terkandung dalam dokumen itu ialah pembukaan Dewan Perundangan Negeri akan mengikut peraturan yang serupa dengan Dewan Perundangan Persekutuan. iii) Berkenaan kewarganegaraan, Perjanjian Persekutuan memberi dasar yang longgar. Di antara lain orang-orang yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanah airnya akan diberi kewarganegaraan dengan beberapa syarat tertentu. iv) Perjanjian Persekutuan juga menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal-hal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. Sultan diberikan kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat-istiadat Melayu. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dipegang oleh kerajaan Inggeris. Persekutuan Tanah Melayu 1957 Kemenangan Parti Perikatan dalam pilihanraya 1955 memaksa penjajah British mengadakan satu pertemuan dan rundingan tentang masa depan Tanah Melayu. Hasilnya, pertemuan itu juga telah melahirkan satu rundingan tentang kemerdekaan dan juga cadangan penubuhan suruhanjaya bagi merangka perlembagaan di London. Persidangan ini berlangsung dari 18 Januari hingga 6 Februari 1956 dengan dihadiri oleh satu perwakilan yang terdiri dari empat orang wakil raja-raja Melayu, ketua menteri Persekutuan Tanah Melayu (PTM) berserta tiga orang menteri lain, Pesuruhjaya Tinggi British dan penasihat-penasihatnya. Persidangan ini telah mencadangkan supaya dilantik sebuah suruhanjaya yang bebas untuk menggubal satu perlembagaan untuk PTM yang berkerajaan sendiri dan merdeka. Cadangan ini telah diperkenankan oleh Queen of British Empire dan Raja-raja Melayu. Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ini di pengerusi oleh Lord Reid, seorang hakim Mahkamah Rayuan yang ternama dari England dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings (United Kingdom), Sir William Mackell (Australia), B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan) (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009). Pelantikan orang luar sebagai penggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu itu dibuat agar cadangan perlembagaan itu tidak berat sebelah. Ini kerana terdapat pergeseran dan percanggahan pendapat di kalangan anggota Parti Perikatan, terutama perkaraperkara berkaitan kerakyatan, bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu, dasar pelajaran kebangsaan dan lain-lain. Walau bagaimanapun, pembentukan suruhanjaya yang ditubuhkan pada bulan Mac 1956 ini mendapat kritikan hebat dari Dato Onn.


157 Beliau dikatakan kurang senang dengan sikap Parti Perikatan yang menyerahkan kuasa itu kepada Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya Reid telah meminta cadangan daripada semua penduduk Tanah Melayu, baik dari kalangan parti politik, badan awam dan orang perseorangan. Cadangan mereka sangat penting kerana perlembagaan kemerdekaan adalah langkah yang sangat mustahak dalam sejarah politik Tanah Melayu. Sambutan daripada penduduk Tanah Melayu terhadap pelawaan suruhanjaya ini sangat menggalakkan. Sehingga Oktober 1956, Suruhanjaya Reid telah menerima sebanyak 131 cadangan dari kalangan penduduk Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Reid telah menggunakan cadangan Parti Perikatan sebagai asas pembentukan Perlembagaan Tanah Melayu kerana disifatkan seimbang dan menyeluruh. Berdasarkan ringkasan Sir Ivor Jenings, antara terma rujukan suruhanjaya ini ialah mengesyorkan supaya perlembagaan persekutuan dirangka berasaskan demokrasi berparlimen, selain perlu mengadakan Majlis Mesyuarat yang mempunyai dua dewan. Terma lain ialah keperluan membentuk kerajaan persekutuan yang kuat dengan kebanyakan kuasa penting ditumpukan kepada kerajaan persekutuan. Pada masa yang sama, suruhanjaya ini juga disaran mengambil kira pelbagai elemen tradisi serta hak masyarakat Melayu di Tanah Melayu. Antaranya jaminan kedudukan serta hak istimewa orang Melayu serta hak yang sah bagi semua kaum lain (Mohd Rizal Yaakob, 2014). Terdapat 100 perkara yang disentuh tercatat dalam penyata Suruhanjaya Reid. Ini termasuklah tentang pembentukan Parlimen, pelantikan Yang Di-pertuan Agong (YDPA) dan timbalan YDPA, kuasa-kuasa YDPA, kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu, pelantikan perdana menteri, hal-hal kerakyatan, hak-hak asasi rakyat, hak istimewa orang Melayu, pilihanraya, bahasa, agama rasmi dan lainlain. Tempoh selama lapan bulan telah diambil oleh Suruhanjaya Reid dengan sebanyak 118 kali bersidang untuk menyiapkan draf perlembagaan itu yang diterbitkan pada 21 Februari 1957. Sebelum laporan itu disiarkan, beberapa pindaan telah dibuat berdasarkan pandangan dan teguran pihak-pihak tertentu. Laporan ini kemudian disemak dan diberi pertimbangan awal oleh sebuah jawatankuasa kerja yang mengandungi 11 orang ahli yang terdiri daripada empat orang wakil Raja-raja Melayu, empat orang wakil kerajaan Perikatan, ketua setiausaha dan peguam negara sebagai wakil kerajaan British dan Pesuruhjaya Tinggi Sir Donald MacGillivray sebagai pengerusi. Jawatankuasa kerja ini memulakan tugasnya meneliti laporan itu dalam bulan Mac 1957 dan mengeluarkan cadangannya sendiri hasil dari penelitian itu pada 1 Mei 1957. Laporan itu kemudiannya dikemukakan untuk pertimbangan Majlis Raja-raja dan dibentangkan dalam Majlis Perundangan (Persekutuan) untuk dibahaskan. Sebaik tamat perbahasan Majlis Perundangan Persekutuan pada 27 Ogos 1957, Perlembagaan diluluskan dan kemudiannya dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 sempena dengan pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu.


158 Penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 Perkembangan seterusnya ialah apabila timbul usaha-usaha untuk mewujudkan Malaysia dengan membebaskan Singapura, Borneo Utara dan Sarawak dari kuasa British. Pada 9 Julai 1963, kerajaan-kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, UK, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura telah menandatangani satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Malaysia. Perjanjian ini memperlihatkan persetujuan Borneo Utara, Sarawak dan Singapura untuk bersekutu dengan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada dan menubuhkan persekutuan Malaysia. Pada 26 Ogos 1963, Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Akta Malaysia untuk meminda Perkara 1(1) dan Perkara (2) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Antara Akta Malaysia sebelum berlaku pindaan adalah: i) Hal-hal luar negeri menjadi tanggungjawab kerajaan pusat. ii) Agama Islam agama rasmi tetapi diberi kebebasan beragama. iii) Bahasa Melayu bahasa rasmi tetapi bahasa Inggeris dan bahasa lain boleh digunakan. iv) Kerajaan di Borneo beransur-ansur diubah mengikut Persekutuan Tanah Melayu. v) Negeri Borneo diberi peluang mencapai kerajaan. vi) Borneo mengawal kuasa Imigresen, perkhidmatan awam. vii) Semua warganegara Persekutuan dan Singapura boleh mendapat kewarganegaraan automatik dan akan mendapat hak yang sama. viii) Bumiputra Borneo akan mendapat hak sama seperti orang Melayu. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, telah dijadikan asas kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang telah diisytiharkan pada 16 September 1963. Bagi Sabah dan Sarawak, draf Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah dilampirkan dalam Jadual Perjanjian Malaysia dan perlembagaan itu kemudiannya telah diisytiharkan sebagai Perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak. Secara umumnya terdapat banyak persamaan dalam Perlembagaan Malaysia dengan British yang dianggap sebagai Westminster Model. Konsep Ketinggian Dan Keluhuran Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi sumber bagi memerintah negara dan menentukan corak sistem kerajaan kita. Sebagai undang-undang agung negara (supremacy of the constitution), Perlembagaan Persekutuan menjadi asas dan sumber kepada semua undang-undang sama ada yang sudah atau yang bakal digubal (Mohd Ayob Abd Razid (2011). Sehubungan dengan itu, semua undang-undang lain adalah tidak bertentangan dengan perlembagaan. Jika bertentangan maka ia akan terbatal setakat yang bertentangan itu. Hal ini ada disebut dalam Perkara 4 (1) Perlembagaan yang berbunyi:


159 “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undangundang yang diluluskan selepas hari merdeka dan yang berlainan dengan Perlembagaan ini maka hendaklah membatal setakat yang berlawanannya itu.” Antara hujah yang dikemukakan sebagai alasan ketinggian dan keluhuran perlembagaan dalam sistem pentadbiran negara ialah: i) Perlembagaan sebagai instrumen yang melahirkan institusi-institusi atau kuasa-kuasa di dalam negara. Perlembagaan yang seharusnya menjadi rujukan untuk segala batasan dan kesahan institusi dan kuasa tadi. ii) Perlembagaan digubal hasil persetujuan sebuah badan atau keseluruhan rakyat. Oleh sebab itu, segala kandungan perlembagaan semestinya adalah nilai-nilai yang dianggap tinggi dan tidak boleh ditolak ansur. iii) Perlembagaan adalah manifestasi kehendak rakyat keseluruhannya dan dengan itu ia mengikat semua pihak. Kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi memudahkan kerajaan persekutuan menjalankan kuasa pemerintahan dan pentadbiran dengan licin tanpa terpaksa bersaing dengan pihak lain. Walaupun Yang diPertuan Agong menjadi ketua negara, baginda juga tertakluk kepada perlembagaan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati, sebaliknya perlu menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di dalam perlembagaan Ciri-Ciri Asas Perlembagaan Malaysia Ciri-ciri Perlembagaan Malaysia adalah seperti berikut: i) Perlembagaan Malaysia bersifat ketat dan sukar dipinda. Pindaan yang hendak dibuat tidak sama dengan pindaan akta-akta lain yang diluluskan oleh Parlimen. Perkara 159 memperuntukkan bahawa beberapa peruntukan yang hendak dipinda hendaklah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu dan lain-lain hendaklah mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. ii) Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang utama dan tertinggi. Ia memperuntukkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang yang berlawanan dengannya hendaklah terbatal dengan sendirinya. iii) Dalam perlembagaan Malaysia terdapat idea pengasingan kuasa sebagaimana doktrin itu diamalkan di England. Pembahagian itu dapat dibahagikan kepada tiga bahagian yang berlainan dalam sistem pemerintahan negara, iaitu kuasa menggubal undang-undang, pemerintah dan kuasa kehakiman.


160 iv) Perlembagaan turut memperuntukkan kebebasan asasi. Bahagian-bahagian dalam perlembagaan Malaysia mengenai kebebasan asasi individu adalah bahagian yang mustahak dalam perlembagaan Malaysia bertujuan menjamin hak asasi seseorang warganegara yang sah dari segi undang-undang. Peruntukan ini merupakan salah satu ciri perlembagaan bertulis iaitu menjelaskan dengan nyata mengenai jaminan perlindungan yang diberikan kepada setiap warganegara dan orang-orang lain dalam negara itu. Perlembagaan digubal untuk memastikan sistem pentadbiran negara lebih terancang dan sistematik di samping memberikan jaminan perlindungan kepada rakyat. Perlembagaan Malaysia yang dikuatkuasakan pada 16 September 1963 ini mengandungi pelbagai peruntukan kepada Badan Perundangan iaitu Parlimen dan Badan Pemerintahan seperti jemaah menteri dan juga mahkamah. Perlembagaan juga memperuntukkan perkara-perkara lain seperti kewarganegaraan, agama, hak asasi, bahasa kebangsaan dan sebagainya (Mohamad Idris Saleh et al 1994). Menurut Tun Mohamed Suffian (1990), terdapat beberapa ciri-ciri utama yang mewakili perlembagaan persekutuan Malaysia: a. Malaysia adalah merupakan sebuah Persekutuan atau federalisme. Konsep ini menjelaskan kuasa dibahagikan antara sebuah kerajaan Pusat (Persekutuan) dengan 13 buah kerajaan Negeri. Kedua-dua kerajaan mempunyai had bidang kuasa masing-masing serta bebas daripada campur tangan pihak lain. Selain menentukan tanggungjawab Persekutuan dan mengatur perhubungan antara Persekutuan dan Negeri, perlembagaan Malaysia juga menentukan kuasa-kuasa perundangan dan kuasa-kuasa pemerintahan antara kerajaan pusat dan negeri melalui tiga senarai yang dipanggil Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Ia diterangkan melalui: i) Senarai Persekutuan – meliputi hal-ehwal luar negeri, pertahanan, keselamatan dalam negeri, undang-undang dan acara sivil jenayah serta pentadbiran keadilan, kewarganegaraan dan beberapa perkara lain; ii) Senarai Bersama – senarai ini menyenaraikan perkara-perkara yang membolehkan badan perundangan negeri membuat undang-undang tetapi jika ada pertentangan antara undang-undang negeri dengan undang-undang Persekutuan, undang-undang Persekutuan hendaklah dipakai. Antaranya ialah perlindungan bagi kanak-kanak, biasiswa, perlindungan bagi binatang liar dan burung liar, perancangan bandar dan kampung, kesihatan awam dan lain-lain; dan iii) Senarai Negeri – senarai perkara-perkara yang diserahkan kepada negeri semata-mata bertujuan untuk membuat undang-undang. Ia meliputi hukum


161 syarak dan undang-undang diri dan keluarga orang Islam, hari kelepasan negeri, jentera kerajaan negeri dan beberapa perkara lain. b. Malaysia adalah negara raja berperlembagaan. Raja berperlembagaan umumnya merujuk kepada raja atau sistem beraja yang kuasa dan autoritinya terbatas (YAM Raja Azlan Shah, 1986). Batasan ini boleh bersumberkan peruntukan di dalam perlembagaan, tradisi serta nilai yang tertentu di dalam negara atau masyarakat berkenaan. Meskipun demikian, dalam dunia moden konsep atau definisi raja berperlembagaan sering dilihat sebagai raja yang dibatasi oleh peruntukan-peruntukan tertentu di dalam perlembagaan. Raja berperlembagaan juga bermaksud sejenis kerajaan yang ditubuhkan di bawah sistem perlembagaan yang mengiktiraf raja sebagai ketua negara yang berasaskan demokrasi berparlimen. Dalam hal ini, Perkara 32 dalam perlembagaan persekutuan menjelaskan mengenai Kepala Utama Negara atau YDPA bagi Persekutuan. c. Pemerintahan berdasarkan prinsip demokrasi. Sistem demokrasi melibatkan sistem pilihanraya yang bebas dan adil di mana rakyat boleh memilih pemerintah. Kerajaan dibentuk oleh parti yang memenangi majoriti dalam pilihanraya tersebut. d. Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan beragama. Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan pada masa yang sama menjamin kebebasan beragama kepada penganut lain. Raja menjadi ketua agama Islam atau YDPA akan menjadi ketua agama untuk negeri-negeri tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. e. Konsep ketertinggian perlembagaan dan kebebasan undang-undang. Ini bermaksud apa-apa sahaja undang-undang atau segala tindakan hendaklah tidak melampaui Perlembagaan Persekutuan. Dengan lain perkataan, sebarang undangundang yang berlawanan dengan perlembagaan akan terbatal dengan sendirinya. YDPA dikecualikan dari tindakan undang-undang secara peribadi sahaja tetapi secara rasminya segala tindakan baginda adalah berdasarkan perlembagaan. Parlimen boleh menggubal undang-undang tetapi ia juga berdasarkan kuasa yang diberikan oleh perlembagaan. Badan perundangan boleh menggubal dan meminda undangundang seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan sahaja. Contohnya, prosedur dari Dewan Rakyat ke Kabinet memerlukan kelulusan 2/3 ahli. Badan perundangan negeri hanya boleh menggubal undang-undang selaras dengan undang-undang Persekutuan. Eksekutif dan badan kehakiman adalah badan- badan bebas tetapi setiap tindakan mereka tertakluk pada perlembagaan.


162 f. Doktrin pengasingan kuasa. Pengasingan kuasa merupakan satu doktrin perlembagaan yang mengesyorkan pengasingan fungsi dan kuasa kerajaan mengikut institusi atau individu yang berlainan. Setiap cabang pentadbiran (Parlimen, Eksekutif dan Kehakiman) mempunyai kuasa dan tanggungjawab yang berbeza. Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang. Manakala Eksekutif berperanan memerintah dan bertanggungjawab atas perjalanan undang-undang dan Kehakiman memutuskan pertikaian antara rakyat, antara negeri dan lain-lain. Ketiga-tiganya mempunyai status yang sama, tiada satu pun yang lebih tinggi daripada yang lain dan setiap satunya mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang berbeza. Ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya ketidakadilan, penyalahgunaan atau pemusatan kuasa. g) Perlembagaan memperuntukkan sebuah badan Kehakiman yang berasingan dan bebas. Badan kehakiman ini bebas daripada kawalan Parlimen dan Eksekutif malah mempunyai bidang kuasa yang eksklusif untuk menentukan pertikaian dan hak-hak serta liabiliti lain dalam Perlembagaan. Badan kehakiman berhak membuat keputusan sendiri tanpa cengkaman serta kawalan eksekutif dan parlimen selagi apa yang diputuskan adalah tidak melampaui perlembagaan. Pindaan P.121 di mana frasa “kuasa kehakiman Persekutuan akan berdasarkan atas ….” dimansuhkan. Oleh sebab itu, badan kehakiman akan mempunyai kuasa yang bebas tanpa tertakluk kepada mana-mana badan lain. Perlembagaan Persekutuan turut menekankan kebebasan asasi individu yang bertujuan untuk menjamin hak asasi seseorang warganegara yang sah di sisi undangundang. Setiap individu mempunyai hak-hak tertentu yang dilindungi dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak. Kandungan Penting Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan yang bertulis yang dikanunkan dalam sebuah buku. Keadaan ini berlainan daripada perlembagaan United Kingdom yang mengamalkan perlembagaan tidak bertulis. Perlembagaan Malaysia mengandungi 16 bahagian, 183/131 Perkara dan 13 Jadual. Perkara adalah untuk mentakrifkan hak dan kewajipan pemerintah atau warga negara secara kasar. Manakala Jadual pula berfungsi menerangkan secara terperinci mengenai sesuatu perkara itu. 16 Bahagian yang dimaksudkan ialah:


163 Bahagian I: Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang bagi Persekutuan Malaysia adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga belas negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan, tetapi agamaagama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni. Perlembagaan adalah undangundang utama persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah. Bahagian II: Kebebasan Asasi Bahagian ini menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita miliki; hak untuk hidup dan kebebasan; kebebasan daripada perhambaan dan menjadi buruh paksaan; kesamarataan di sisi undang-undang; kebebasan bergerak; kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu; kebebasan agama; hak untuk berpendidikan; dan hak untuk memiliki harta. Bahagian III: Kewarganegaraan Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara; dilahirkan di sini; berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia; tinggal secara sah di dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan. Bahagian III juga menyatakan bagaimana seseorang boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegaraan. Bahagian IV: Persekutuan Bahagian ini memberi panduan kepada sistem kerajaan di Malaysia. Ketua utama persekutuan adalah Yang diPertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja negeri-negeri dan juga Yang Di-Pertua bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja. Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan Pejabat Perdana Menteri. Bahagian ini juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang diPertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bahagian V: Negeri-Negeri Setiap negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan masing-masing. Bahagian VI: Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri Bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara persekutuan dan negerinegeri. Terdapat perkara yang membolehkan Parlimen menggubal undang-undang


164 dan terdapat pula perkara yang membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang. Terdapat juga perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang. Bahagian VII: Peruntukan Kewangan Bahagian ini menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang. Bahagian VIII: Pilihan Raya Bahagian ini menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita. Badan yang ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihan raya dan menyediakan daftar pemilih dikenali sebagai Suruhanjaya Pilihanraya. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang diPertuan Agong. Bahagian IX: Badan Kehakiman Bahagian IX mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan menyatakan perkaraperkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia. Bahagian IX juga menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dilantik. Bahagian X: Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam Bahagian ini mengenal pasti perkhidmatan awam di Malaysia, termasuklah pasukan polis, angkatan tentera dan perkhidmatan pelajaran. Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian serta kerajaankerajaan persekutuan dan negeri-negeri. Pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh “Suruhanjaya– suruhanjaya” dan anggota Suruhanjaya-suruhanjaya ini secara umumnya dilantik oleh Yang diPertuan Agong. Bahagian X juga mewujudkan Pejabat Peguam Negara. Bahagian XI: Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat. Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang boleh membelakangi hak-hak lain dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas sebabsebab keselamatan awam. Bahagian XII: Am Dan Pelbagai Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Yang diPertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak dan memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti


165 lain. Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh dilakukan ke atas Perlembagaan. Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak. Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak, contohnya perizaban tanah peribumi bagi masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak. Bahagian XIII: Peruntukan Sementara Dan Peralihan Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal sebelum merdeka masih berkuat kuasa sehinggalah Parlimen menggubal undang-undang baru untuk menggantikan mereka. Bahagian XIV: Kecualian Bagi Kedaulatan, dsb., & Raja-Raja Kedaulatan, kuasa, perogratif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara dalam Bahagian XIV. Bahagian XV: Prosiding Terhadap Yang diPertuan Agong Dan Raja-Raja. Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang diPertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas ”. Sumber: Buku Malaysia 2009, Buku Rasmi Tahunan, Jabatan Penerangan Malaysia http://www.kptg.gov.my/sites/default/files/article/perlembagaanpersekutuan.pdf Tujuan Perlembagaan Malaysia Kewujudan sebuah perlembagaan bagi sesebuah negara yang berdaulat sangat penting. Ia akan menentukan perjalanan sesebuah negara berjalan dengan lancar atau sebaliknya. Antara tujuan utama perlembagaan diwujudkan ialah: i) Menjamin keutuhan dan kedaulatan negara Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi yang perlu dipatuhi oleh setiap rakyat dalam sesebuah negara. Ia berperanan penting dalam memastikan keutuhan dan kedaulatan negara terus terjamin serta kekal berdaulat. Perlembagaan juga memberi peluang kepada warganegara untuk menumpahkan taat setia kepada negara. Sikap ini boleh mendorong kepada semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan rakyat bagi memastikan kecemerlangan masa depan negara. Rakyat yang berpegang kepada satu perlembagaan yang seragam juga membantu memudahkan proses perpaduan nasional dan pembinaan identiti negara bangsa. Dengan yang demikian, pemerintahan kerajaan menjadi lebih utuh dan kedaulatan negara lebih terjamin.


166 ii) Sebagai sumber rujukan Perlembagaan menjadi sumber rujukan utama bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam negara khususnya berkaitan undang-undang . Pihak-pihak yang tidak sependapat boleh merujuk kepada undang-undang dan peraturan yang terdapat dalam perlembagaan bagi memudahkan urusan. Ini boleh mengelakkan rasa tidak puas hati atau konflik dalam kalangan pemimpin terlibat dan rakyat. iii) Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil Perlembagaan yang dirangka juga bertujuan untuk membentuk satu bentuk pemerintahan yang adil dan saksama. Kewujudan perlembagaan dari segi sejarah adalah berdasarkan tolak ansur antara kaum khasnya yang melibatkan beberapa perkara seperti hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan lainlain lagi. Walaupun perlembagaan memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara (Bahagian 1, Perkara 3 (1),tetapi agama lain juga bebas diamalkan di Malaysia. Peruntukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara (Perkara 152) juga ada kelonggarannya apabila bahasa-bahasa lain juga boleh digunakan. Manakala dalam perkara hak keistimewaan orang Melayu, YDPA bukan sahaja menjaga kepentingan orang Melayu tetapi kaum lain juga mendapat perlindungan yang sewajarnya. Jelas peruntukkan-peruntukkan ini adalah untuk melahirkan satu bentuk pemerintahan yang adil dan tidak menitikberatkan sesebuah kaum sahaja. iv) Mewujudkan kestabilan negara Perlembagaan berfungsi sebagai alat penyelesaian masalah serta mengawal kedudukan rakyat dan pemerintah bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin. Hal ini banyak melibatkan peraturan-peraturan yang terdapat dalam perlembagaan yang mengawal pergerakan setiap warganegara Malaysia supaya tidak melampaui batas sehingga boleh mendatangkan huru-hara. Selain sekatan yang dikenakan kepada rakyat, proses pindaan undang-undang yang ketat juga membantu mengurangkan situasi tegang dalam negara yang boleh menjejaskan keharmonian. v) Mengawal perjalanan kerajaan Perlembagaan berperanan menentukan perjalanan dan hala tuju kerajaan. Ini adalah disebabkan oleh perlembagaan mempunyai undang-undang dasar yang menentukan arah politik negara. Perubahan pucuk pimpinan yang berlaku selepas proses pilihan raya seharusnya tidak akan menyebabkan sebarang kesan ke atas negara mahupun corak pemerintahan. Ini kerana setiap pemimpin dari parti politik yang menang meletakkan matlamat kepentingan negara yang selari dengan agenda pemimpin terdahulu. Pematuhan pada undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan juga boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin.


167 vi) Perlembagaan menjamin keamanan sesebuah negara Perlembagaan Persekutuan Malaysia bukan sahaja memperuntukkan kuasa kepada pemerintah, tetapi juga kepada rakyat melalui kebebasan asasi (bahagian 2, Perkara 5-13). Keadaan ini secara tidak langsung membentuk pembahagian kuasa yang adil dan dapat mengelakkan dominasi kuasa oleh sesetengah pihak. Selain itu, ia juga dapat menjamin tidak akan wujud unsur diskriminasi atau penindasan dalam kalangan rakyat. Perlembagaan melangkaui batasan umur, bangsa, agama dan status. Pemerintah dan rakyat mempunyai had dan batasan terhadap perkara-perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan. Justeru itu, setiap pihak wajib mematuhi dan menghormati perlembagaan negara. Sikap ini boleh membantu mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat sebagai syarat untuk hidup aman dan damai (Zainal Abidin Ahmad, 2003). Pindaan Perlembagaan Perlembagaan Malaysia bersifat ketat dan sukar dipinda. Walau bagaimanapun, perubahan masa dan keperluan semasa membolehkan pindaan dibuat. Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda dengan cara yang berbeza daripada cara pindaan yang diperuntukkan dalam Akta Parlimen. Terdapat tiga cara yang membolehkan perlembagaan dipinda iaitu: i) Sesetengah perkara boleh dipinda dengan suara dua pertiga atau lebih dalam tiap-tiap Dewan Parlimen tanpa berkehendakkan persetujuan sesiapa pun di luar dewan Parlimen. Peruntukan ini dijelaskan dalam Perkara 159 (4). ii) Sesetengah perkara yang mempunyai kepentingan khas terhadap Sabah dan Sarawak boleh dipinda dengan suara dua pertiga atau lebih dalam tiap-tiap Dewan Parlimen, jika ia dipersetujui oleh Yang Di-pertua bagi mana-mana negeri. Peruntukan ini terkandung dalam Perkara 161E iaitu pemeliharaan kedudukan dari segi perlembagaan negeri-negeri Sabah dan Sarawak. iii) Sesetengah perkara hanya boleh dipinda dengan suara dua pertiga atau lebih dalam tiap-tiap Dewan Parlimen, dengan syarat ia mendapat persetujuan Majlis Raja-raja. Perkenan Majlis Raja-raja diperlukan dalam membuat apaapa pindaan terhadap perkara yang menyentuh kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan beberapa perkara yang dianggap sensitif dalam perlembagaan. Kadangkala keputusan mahkamah juga menyebabkan perlembagaan dipinda. Sejak Perlembagaan Persekutuan tanah Melayu digubal, ianya telah mengalami beberapa perubahan dan pindaan. Namun begitu, pindaan dan perubahan yang dibuat itu, sehingga kini masih kekal dengan sifat dalam lingkungan rangka perlembagaan asal yang telah diwujudkan itu. Antara contoh pindaan perlembagaan yang pernah dibuat


168 ialah apabila Persekutuan Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia dengan kemasukan Sabah dan Sarawak. Perlembagaan telah dipinda supaya dapat disesuaikan sesuatu undang-undang itu dengan konsep Malaysia. Tragedi berdarah 13 Mei 1969 turut menyebabkan berlakunya pindaan perlembagaan berkaitan dengan soal kebebasan hak asasi serta kesetiaan kepada Raja dan Perlembagaan. Parlimen pada tahun 1984 telah meluluskan akta meminda Perkara 10 Perlembagaan Malaysia mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Terdapat empat perkara yang dilarang bagi perbincangan umum iaitu perkara-perkara yang dianggap sensitif. Ini termasuk soal kewarganegaraan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Kebangsaan, dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Sebagai undang-undang tertinggi negara, pindaan perlembagaan Malaysia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Ini untuk memastikan kestabilan dan keharmonian terus terjamin dan tidak menjejaskan masa depan negara. Unsur-Unsur Tradisi Di Dalam Perlembagaan Malaysia Kebanyakan negara di dunia memasukan unsur-unsur tradisi dan sejarah dalam perlembagaan mereka kerana ia adalah sebahagian daripada proses membentuk perlembagaan negara tersebut. Dalam konteks Perlembagaan Malaysia, perkataan tradisi digunakan untuk menerangkan unsur-unsur tempatan yang dikekalkan oleh perlembagaan. Unsur-unsur ini telah lama wujud sebelum perlembagaan diisytiharkan pada tahun 1957. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas (1997) menyatakan terdapat empat unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu: i) Sistem Beraja. ii) Agama Islam. iii) Bahasa Melayu. iv) Hak-hak Istimewa Orang-orang Melayu. Unsur-unsur tradisi berkenaan berperanan untuk menstabilkan sistem politik negara. Ini dibayangkan oleh laporan Suruhanjaya Reid sendiri yang menekankan betapa pentingnya perlembagaan mengambil faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957 (Abdul Aziz Bari, 2008). Salah satu daripada peranan unsur-unsur tersebut ialah memberikan identiti kepada negara baru yang muncul. Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 pada asasnya ialah negara baru yang sebelum itu tidak pernah wujud. Ciri-ciri baru seperti pengenalan sistem demokrasi berparlimen, pentadbiran awam yang diasaskan oleh British dan seumpamanya mendesak negara memiliki rupa bangsa, imej dan identitinya sendiri. Faktor-faktor ini penting bagi melambangkan bahawa sistem dan nilai-nilai asal negara dikekalkan meskipun kemerdekaan bererti demokrasi dan kesamarataan di antara kaum. Di sinilah pentingnya peranan empat unsur tradisi yang kesemuanya menekankan ciri-ciri ke-Melayuan dan ke-Islaman di bumi yang baru merdeka.


169 Pemerintahan Beraja (Raja Berperlembagaan) Sultan atau Raja-raja Melayu merupakan elemen terpenting dalam sejarah pembentukan Perlembagaan. Baginda merupakan tonggak politik dan kedaulatan kuasa Melayu sejak zaman Kerajaan Melayu Tradisional lagi. Raja berkuasa mutlak dalam semua urusan pemerintahan dan pentadbiran negeri. Kedudukan dan kepentingan Raja-raja Melayu tetap terpelihara dari segi status mereka walaupun sejarah negara berubah setelah kedatangan British. Sehingga hari ini, kedudukan Raja-raja Melayu sebagai pemerintah terus dikekalkan dengan sedikit pengubahsuaian. Berasaskan kepada sejarah pembentukan tamadun bangsa dan negara serta kepentingan kuasa raja dalam masyarakat Melayu, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bentuk pemerintahan negara adalah secara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Yang diPertuan Agong (YDPA) Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong (YDPA) adalah ketua negara Malaysia. Jawatan YDPA telah diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. YDPA merupakan seorang raja berperlembagaan yang memerintah mengikut kuasa yang diberikan kepada baginda oleh Perlembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Ketua Utama bagi Persekutuan ialah YDPA, iaitu seorang raja yang dipilih daripada kalangan sembilan orang raja-raja Melayu oleh Majlis Raja-raja Melayu mengikut aturan yang terkandung dalam Jadual Ketiga, Perlembagaan. Sebagai Ketua Negara Malaysia, YDPA berada di kemuncak ketiga-tiga bidang kuasa; eksekutif, perundangan dan kehakiman. Baginda mempunyai keutamaan yang melebihi semua individu di Malaysia dan tidak boleh didakwa dalam perbicaraan mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas Raja-raja. Baginda merupakan lambang kedaulatan dan perpaduan negara. Yang Di-pertua Negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka tidak berkelayakan untuk berbuat demikian. Setiap raja boleh dipilih menjadi YDPA kecuali baginda belum cukup umur atau sengaja tidak mahu dipilih atau difikirkan tidak layak oleh Majlis Raja- raja Melayu dengan undi sulit atas sebab-sebab kelemahan akal atau tubuhnya atau oleh kerana apa-apa sebab lain. Raja yang pertama dalam senarai pemilihan dan mendapat sokongan daripada sekurangkurangnya empat orang raja akan ditawarkan jawatan ini selama lima tahun melainkan baginda meletakkan jawatan sebelum tempoh berkenaan atau dilucutkan jawatan oleh Majlis Raja-raja. Pemilihan jawatan YDPA dibuat secara giliran dan raja di sesebuah negeri tidak boleh dipilih dua kali dalam pusingan yang sama. Jawatan ini dibuat secara bergilirgilir untuk menjamin bahawa rakyat di semua negeri boleh “menghubungkan diri mereka dengan lebih rapat lagi dengan Persekutuan”. Isteri YDPA digelar Raja Permaisuri Agong dan mempunyai keutamaan selepas Yang diPertuan Agong (Ranjit


170 Singh Malhi, 1988). Kuasa eksekutif adalah terletak pada YDPA. Namun demikian, baginda harus bertindak atas nasihat kabinet atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Kabinet (biasanya Perdana Menteri). Baginda berhak mendapat apa- apa maklumat berkenaan Kerajaan Persekutuan yang boleh diperoleh melalui Kabinet semasa Majlis Raja-raja membincangkan perkara-perkara tentang dasar negara. Ketika mesyuarat Majlis Raja-raja, YDPA diiringi oleh Perdana Menteri. Baginda merupakan satu daripada tiga komponen Parlimen (di samping Dewan Rakyat dan Dewan Negara). Baginda juga boleh memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen. YDPA boleh juga memberi ucapan dalam mana-mana Majlis Parlimen atau dalam kedua-dua Majlis Parlimen bersama. Rang UndangUndang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mendapat persetujuan (kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 66) YDPA sebelum dijadikan undang-undang. Ketua Hakim Negara, Hakim Mahkamah Agung, hakim-hakim besar Mahkamah Tinggi dan hakim-hakim lain di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh YDPA yang bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja. YPDA mempunyai kuasa mengampun segala kesalahan yang dibicarakan dalam mahkamah tentera, segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Labuan) dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam Mahkamah Syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. YDPA juga merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Bersenjata dan Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan negeri baginda sendiri. Selain itu, perkara 153 telah mengamanahkan YDPA bertanggungjawab memelihara kedudukan hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Majlis Raja-Raja Majlis Raja-raja yang mula-mula ditubuhkan pada tahun 1948 terdiri daripada semua raja Melayu dan Yang Di-pertua Negeri. Tugas-tugas Majlis Raja-raja di antara lain, adalah seperti berikut: i) Memilih atau memecat YDPA dan melantik Timbalan YDPA. ii) Menimbang perkara-perkara berkaitan dengan dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa jua perkara lain yang difikirkannya patut. iii) Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan.


171 iv) Mempersetujui atau tidak rnempersetujui apa-apa undang-undang atau pelantikan yang menurut perlembagaan memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja atau perundingan dengannya. v) Mempunyai kuasa mengampun segala kesalahan yang dibicarakan dan melantik anggota Mahkamah Khas. Dalam hal pelantikan atau pemecatan YDPA dan pelantikan Timbalan YDPA, hanya raja-raja yang berhak mengundi. Semasa Majlis Raja-raja membincangkan perkaraperkara berkaitan dengan dasar negara, YDPA diiringi oleh Perdana Menteri manakala raja-raja dan Yang Di-pertua Negeri pula diiringi oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing. Dalam konteks ini, Majlis Raja-raja merupakan satu landasan tertinggi di mana segala kerumitan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan Negeri dapat diputuskan secara bijak. Persetujuan Majlis Raja-raja harus diperolehi bagi sesuatu undang-undang yang mengubah sempadan sesebuah negeri atau berkaitan dengan kedudukan raja-raja, perlembagaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Majlis Raja-raja harus dirunding bagi perkara-perkara pelantikan hakim-hakim, Ketua Audit Negara, ahli suruhanjaya-suruhanjaya seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pendidikan dan Suruhanjaya Keretapi. Majlis Raja-raja lazimnya bersidang tiga atau empat kali setahun. Setiausaha Majlis Raja-raja ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja yang dilantik sendiri oleh majlis tersebut. Segala persetujuan, pelantikan dan nasihat yang diputuskan oleh Majlis Raja-raja akan dimaklumkan kepada Penyimpan Mohor untuk tindakan selanjutnya. Korum mesyuarat bagi Majlis Raja-raja ialah lebih daripada separuh anggota majlis itu dan keputusan yang tidak dapat diputuskan secara sebulat suara akan dibuat secara undian. Secara keseluruhannya Institusi beraja relevan kerana ia melambangkan kesinambungan dan identiti bangsa dan negara. Peranan ini penting kerana demokrasi tidak menyediakan aspek-aspek tersebut. Menurut Abdul Aziz Bari (2006), keperluan meneruskan sistem beraja sebagai kesinambungan dan memberikan identiti negara tidak bertentangan dengan demokrasi. Ini kerana demokrasi juga bermakna keharusan membuat pilihan dan jika pilihan itu tidak menentang prinsip utama demokrasi – iaitu kedaulatan rakyat – maka sistem beraja boleh terus wujud dan memainkan peranan tertentu. Agama Islam Unsur tradisi yang kedua terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia ialah agama Islam. Islam telah lama bertapak di negara ini sebelum Melaka ditakluki oleh Portugis pada tahun 1511. Ia menjadi sebahagian daripada perkembangan sejarah pemerintahan beraja di Tanah Melayu. Semasa pemerintahan British, agama Islam tidak diganggu, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab raja-raja Melayu untuk


172 mempertahan dan memelihara agama ini. Oleh yang demikian, Perlembagaan Malaysia mengikut perkara 3 (1) memperuntukkan bahawa agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Namun, pada masa yang sama juga perlembagaan menjamin kebebasan kepada setiap rakyat untuk mengamalkan agamanya sendiri secara aman dan harmoni. Jika diteliti dengan mendalam tentang sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu, kita akan dapati bahawa kedudukan istimewa agama Islam dalam perlembagaan Persekutuan merupakan kesinambungan daripada kedudukan agama Islam itu sendiri dalam masyarakat Melayu. Islam telah menjadi agama orang Melayu sejak 500 tahun dahulu dan dengan demikian ia sudah menjadi identiti yang mencorakkan budaya, pemikiran dan sistem hidup masyarakat ini. Agama Islam dikatakan dibawa oleh pedagang-pedagang Arab yang berasal dari Timur Tengah yang datang ke Melaka dalam abad ke-15. Bukti yang jelas adalah tentang tindakan Parameswara iaitu pemerintah Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang telah memeluk Islam. Bertitik-tolak dari itulah agama Islam mula tersebar dan ramai orang Melayu yang memeluk agama Islam. Masyarakat Melayu pada masa itu amat kuat pegangannya terhadap Islam. Hal ini menyebabkan usaha-usaha kolonial Eropah yang datang ke Tanah Melayu seperti Portugis, Belanda dan Inggeris yang antaranya membawa misi untuk menukarkan agama orang Melayu gagal. Melihat kepada kegagalan misi-misi Portugis dan Belanda itu, British yang turut menjajah Tanah Melayu selepas itu tidak lagi mengganggu hal-hal yang berkaitan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Misalnya. Perkara 2 perjanjian di antara kerajaan Negeri-Negeri Selat dan pembesar-pembesar yang memerintah Negeri Sembilan bertarikh 20 Jun 1895 telah bersetuju bahawa mereka “mengaku janji untuk menurut nasihat (Residen British) dalam semua hal-ehwal pentadbiran selain daripada soal yang menyentuh agama Islam.” Perkara yang sama juga didapati di dalam semua perjanjian lain yang dipersetujui oleh raja-raja Melayu dengan Great Britain (Mohd Salleh, 1985). Perkara ini berlanjutan sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua apabila British menukar peranan mereka daripada penasihat kepada pentadbir negara ini secara langsung dengan memperkenalkan Perlembagaan Malayan Union dalam tahun 1946 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 di mana adat-istiadat orang Melayu dan agama Islam juga tidak disentuh. Kedudukan agama Islam akhirnya diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Malaysia yang mengisytiharkan bahawa “Islam merupakan agama bagi Persekutuan”. Walaupun begitu, Perlembagaan juga menimbangkan hak terhadap agama dan kepercayaan yang lain seperti agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain lagi. Oleh itu, peruntukan dalam Perlembagaan di bawah Perkara 3 mengusulkan satu fasal yang menyebut: “Tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” (Perlembagaan Persekutuan 1995; 1) Fasal ini menerangkan tentang kebebasan beragama walaupun Islam adalah agama yang rasmi. Setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.


173 Bagaimanapun terdapat undang-undang yang menyekat penyebaran agama atau kepercayaan di kalangan orang-orang Islam (Perkara 11 (4)). Setiap kumpulan agama mempunyai hak untuk menguruskan hal-ehwal agamanya sendiri, menubuhkan dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud agamanya sendiri atau khairat dan memperolehi dan memiliki harta-benda serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang. Fasal tersebut antara lain menerangkan: i) Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya. ii) Tiada sesiapapun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatan dan cukai itu adalah diuntukkan khas sama ada kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud-maksud sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri. iii) Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak: Menguruskan hal-ehwal agamanya sendiri; • Menubuhkan dan menyelenggara yayasan-yayasan bagi maksud-maksud agama atau khairat; dan • Memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang. (Perlembagaan Persekutuan 1995:8) Amalan agama Islam di negara ini hanya mengiktiraf empat mazhab yang khusus iaitu mazhab-mazhab dalam lingkungan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan umumnya di Malaysia masyarakat Islamnya mengikuti aliran mazhab Shafie. Maka bagi yang selain daripada empat mazhab ini dianggap bertentangan dengan agama Islam yang sebenar (Mohd Salleh, 1985). Dalam Ordinans Pelajaran 1957, Seksyen 49 menyatakan bahawa disebabkan kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, kerajaan Pusat atau kerajaan Negeri mempunyai kebebasan dan kuasa untuk menubuhkan, menyelenggara atau hanya membantu penubuhan dan penyenggaraan institusi- institusi Islam atau mengadakan serta membantu mengadakan ajaran dalam agama Islam. Kerajaan juga berkuasa untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan tersebut. Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) Bahasa Melayu turut diangkat sebagai unsur tradisi yang terus terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca (bahasa perantaraan) di Tanah Melayu dan Asia Tenggara pada satu masa dahulu. Semasa penjajahan British, Bahasa Melayu telah digunakan dengan meluas di kebanyakan negeri-negeri Melayu terutama bekas Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor. Ia digunakan untuk tujuan rasmi


174 contohnya dalam majlis-majlis, mesyuarat, surat-menyurat dan penyediaan minit termasuk perjanjian yang ditandatangani antara sultan dengan pihak Inggeris. Walau bagaimanapun, selepas Perang Dunia Kedua, keadaan mula berubah. Penubuhan Malayan Union pada tahun 1946 dan juga Perjanjian Persekutuan 1948 telah menyebabkan Bahasa Melayu mula terpinggir. Di bawah Perlembagaan Malayan Union 1946, bahasa rasmi untuk Majlis Mesyuarat Sultan-sultan yang kini disebut sebagai Majlis Raja-raja adalah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Demikianlah halnya dengan bahasa rasmi bagi Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan Selat. Namun begitu, bagi bahasa rasmi untuk Majlis Mesyuarat Malayan Union adalah dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab itulah penubuhan Malayan Union telah ditentang kerana ia dikatakan mengetepikan bahasa Melayu. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menggantikan Malayan Union meletakkan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan Persekutuan akan tetapi apa- apa yang perlu dicatat atau ditukar ke dalam bentuk penulisan perlu dilahirkan dalam bahasa Inggeris (Mohd Salleh, 1985). Bahasa Inggeris telah diterima dan digunakan dalam hal-hal pentadbiran meskipun bahasa Melayu masih diguna pakai. Penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas apabila terdapat peningkatan pelajar dalam sekolah-sekolah Inggeris. Peningkatan ini disebabkan oleh peluang pekerjaan di sektor pentadbiran dan jabatan awam melalui sekolah-sekolah Inggeris yang lebih cerah berbanding dengan pelajar-pelajar sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah-sekolah vernakular. Daripada hal ini dapat dikesan penggunaan bahasa Melayu sesudah era Perang Dunia Kedua kelihatan mula terhakis sedikit demi sedikit dari segi tugas dan peranannya. Pada tahun 1957, semasa menyediakan perlembagaan terdapat usul yang mencadangkan supaya bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa Persekutuan dan bukan bahasa kebangsaan. Peruntukan ini tidak memuaskan hati pemimpin-pemimpin Melayu pada masa itu dan dengan demikian ia telah diluluskan dalam Perkara 152(1) yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan. Taraf kebangsaan yang diberikan kepada bahasa Melayu adalah lebih luas dan memberi kesan yang mendalam berbanding dengan pengiktirafannya sebagai bahasa rasmi sahaja. Kesan yang paling ketara adalah apabila bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dan digunakan dalam semua perkara-perkara rasmi. Walaupun begitu, bahasa lain boleh digunakan tetapi bukan untuk tujuan yang formal. Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia adalah peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Manakala Perkara 152 (1) memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi sesiapa tidak dilarang dari bertutur, mengajar atau belajar bahasa lain. Kemudian pada tahun 1967 satu akta telah digubal iaitu Akta Bahasa Kebangsaan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan seterusnya pada tahun 1969, nama Bahasa Melayu ditukar kepada Bahasa Malaysia.


175 Perkara 152(2) pula menyebut bahawa penguatkuasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi selama sepuluh tahun selepas kemerdekaan dan selepas itu, kecuali jika diperuntukkan sebaliknya oleh Parlimen bahawa Bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam Parlimen dan apa sahaja maksud rasmi yang lain. Perkara 152 (3) dalam Perlembagaan Malaysia memperuntukkan naskhah sahih bagi Rang Undang-Undang dan akta-akta Parlimen hendaklah dalam bahasa Inggeris. Manakala bagi Perkara 152 (4) pula menyatakan perbicaraan kes mahkamah hendaklah menggunakan Bahasa Inggeris. Ia disebut dengan jelas dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1969 (Perlembagaan Persekutuan, 1995). Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 telah memperuntukkan bahawa status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Sesiapa yang menyoal tentang perkara ini boleh didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan, 1984. Perkara 152 tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja. Usaha-usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu kemudiannya telah memberi idea kepada kerajaan untuk menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang mana semua kursus yang dijalankan adalah dalam Bahasa Malaysia dan menekankan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan. Alasan utama di sebalik penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara bertujuan untuk memenuhi keperluan untuk menyatupadukan kaum-kaum di bawah satu bahasa. Ini kerana penggunaan bahasa masing-masing dilihat sebagai akan menghalang interaksi terbuka dan seterusnya cita-cita untuk mencapai perpaduan tidak dapat tercapai sepenuhnya. Kedudukan Istimewa Orang Melayu (Kiom) Kedudukan istimewa orang-orang Melayu merupakan unsur tradisi yang keempat. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tanggungjawab ke atas YDPA untuk memelihara hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Hak istimewa orang Melayu telah diperkenalkan dalam perlembagaan supaya pembelaan dan bantuan dapat diberikan kepada orang Melayu dan bumiputera sebagai penduduk peribumi. Bagi orang Melayu, peruntukan ini mempunyai makna yang cukup penting. Selain ia mengiktiraf kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini, ia juga menjadi jalan untuk meletakkan mereka setanding dengan kaum-kaum lain khususnya dari aspek ekonomi. Kelemahan ekonomi dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera ini perlu ditangani demi mengekalkan perpaduan negara. Ini kerana kemiskinan golongan ini merupakan masalah negara dan bukan menjadi masalah orang Melayu semata-mata. Perkara 153 yang dipersetujui oleh Suruhanjaya Reid semasa perlembagaan negara digubal dilihat sebagai satu langkah British untuk melunaskan ‘hutang moral’ (Mohd Ayop Abd Razid, 2011: 87) terhadap orang Melayu yang telah di diskriminasi dan dipinggirkan daripada arus pembangunan sosioekonomi sepanjang penjajahan mereka ke atas Tanah Melayu. Sebelum beberapa perjanjian dengan kerajaan British


176 dibuat, perjanjian-perjanjian awal di antara raja-raja Melayu dengan kerajaan British tidak memperuntukkan keutamaan kepada penduduk berbangsa Melayu. Disebabkan negara ini secara tradisinya merupakan sebuah negara Melayu dan tiada siapa pada masa itu berhak menyoal hak dan kedudukan istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu. Akan tetapi, akibat beberapa perjanjian dengan kerajaan British, raja-raja Melayu dikehendaki menurut telunjuk British dalam semua perkara kecuali adatistiadat Melayu dan agama Islam. Perkara ini menyebabkan hak dan kedudukan istimewa orang Melayu telah berkurangan sedikit demi sedikit tanpa disedari. Pembukaan lombong-lombong bijih timah dan ladang getah serta dasar “pintu terbuka” imigresen British menyebabkan orang-orang Melayu semakin ketinggalan di kampung-kampung mereka. Dari segi ekonomi dan pendidikan, orang Melayu jauh ketinggalan di belakang berbanding kaum imigran yang masuk ke Tanah Melayu pada ketika itu. Perlembagaan Malayan Union 1946 juga merupakan satu cubaan pihak Inggeris menukar taraf negeri-negeri di Tanah Melayu daripada status negeri naungan kepada tanah jajahan. Di bawah perlembagaan ini, bukan sahaja hak dan keistimewaan orang Melayu tidak disebut malah apa jua kuasa, keistimewaan dan kedudukan yang dimiliki oleh kedaulatan sultan Melayu telah dihapuskan oleh Kerajaan British kecuali terhad kepada hal-ehwal serta adat-istiadat orang-orang Melayu sahaja. Apabila Malayan Union digantikan dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, orang Melayu mendapat semula kedudukan dan tempat mereka di negara ini. Sehubungan dengan itu, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan di bawah Perlembagaan baru ini bertanggungjawab untuk melindungi “kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain”. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tanggungjawab ini telah diletakkan ke bahu YDPA dan baginda turut bertanggungjawab terhadap kaum bumiputera negeri Sabah dan Sarawak apabila kedua-dua negeri tersebut menyertai Malaysia pada tahun 1963. Di dalam batas-batas Perlembagaan dan undang-undang Persekutuan, YDPA melaksanakan dasar melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri Sabah dan Sarawak serta membuat persiapan untuk mereka dari segi jawatan di dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan bantuan atau lain-lain kemudahan pelajaran dan permit serta lesen yang diperlukan untuk perniagaan dan perdagangan. YDPA diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan-arahan yang perlu kepada pihak berkuasa untuk memastikan dasar sedemikian rupa dipatuhi. Tetapi ia tidak boleh dilaksanakan sekiranya ia mengakibatkan kehilangan sebarang jawatan awam yang dipegang oleh sesiapa pun atau penarikan sebarang biasiswa atau keistimewaan yang dinikmati atau perlucutan atau penamatan permit dan lesen yang dipegang oleh orang lain. Selain itu, hak istimewa orang Melayu termasuklah peruntukan Perkara 86 dan 90 berhubung dengan tanah rizab orang Melayu. Kemasukan perkhidmatan oleh orang Melayu ke dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu dikuatkuasakan oleh Perkara 8 (5) boleh juga dianggap sebagai sebahagian dari kedudukan istimewa orang Melayu (Mohd Salleh, 1985).


177 Kedudukan istimewa orang Melayu ini diseimbangkan dengan kepentingan sah lainlain kaum termasuklah hak-hak mendapatkan kewarganegaraan Malaysia. Hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk menggunakan bahasa ibunda dan yang paling utama ialah hak untuk mendapat layanan yang sama rata. Seperti juga kedudukan istimewa orang Melayu, hak-hak ini juga dibatasi oleh beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan. Hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971). Peranan Unsur Tradisi Unsur-unsur tradisi yang terdapat di dalam perlembagaan negara dianggap unik kerana ia melambangkan identiti negara kita yang berdaulat. Unsur-unsur tradisi ini merupakan sebahagian daripada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini semasa merangka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Hal ini dikenali sebagai tolak ansur kaum atau kontrak sosial atau pakatan murni yang lebih merupakan politik kompromi antara kaum di Tanah Melayu. UMNO sebagai wakil orang Melayu telah melonggarkan syarat kerakyatan yang diberikan kepada kaum bukan Melayu. Sebagai balasan, pemimpin bukan Melayu yang diwakili M.C.A dan M.I.C bersetuju untuk mengiktiraf kedudukan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu di dalam perlembagaan. Saranan Suruhanjaya Reid supaya perkara-perkara tersebut dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan juga membuktikan bahawa mereka turut mengiktiraf sejarah dan warisan orang Melayu. Perkara-perkara tersebut menjadi sebahagian daripada unsur-unsur sensitif yang dilarang dijadikan isu perdebatan awam dan dilindungi di bawah akta hasutan. Keempat-empat unsur tradisi ini mencerminkan ciri-ciri kemelayuan yang merupakan asas bagi kelicinan perjalanan Perlembagaan Malaysia. Orang Melayu menganggap unsur-unsur ini sebagai satu jalan yang penting untuk menjadikan mereka setanding dengan masyarakat lain dan untuk mendapatkan kembali kedudukan mereka yang telah hilang akibat penjajahan British. Pihak British seolaholah menafikan hak orang Melayu dengan memberi banyak keistimewaan kepada kaum imigran. Pengekalan unsur-unsur tradisi khususnya berkenaan hak istimewa orang Melayu ini dilihat memberi ruang dan peluang sama rata kepada orang Melayu dan bumiputera untuk sama-sama terlibat dalam perkembangan ekonomi negara. Hak ini adalah sebagai jaminan kepada orang Melayu supaya mereka dapat bersaing secara adil dan dapat memperoleh kekayaan ekonomi di bumi mereka sendiri yang sejak sekian lama dimonopoli orang bukan Melayu. Keadaan ini dapat memperkecilkan jurang ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu yang seterusnya memperbaiki hubungan kaum di negara ini. Penghapusan hak istimewa orang Melayu dikhuatiri akan menjejaskan perpaduan kaum dan kestabilan negara. Manakala konsep Raja Berperlembagaan pula bertujuan mengekalkan warisan orang Melayu yang telah sebati dengan sistem pemerintahan beraja. Raja bagi orang


178 Melayu adalah lambang kedaulatan dan tempat menumpahkan taat setia. Baginda turut berfungsi sebagai unsur penyatuan kepada orang Melayu dan sekali gus penduduk Malaysia dengan memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada ketua negara. Walaupun kuasa raja-raja Melayu kini tertakluk kepada Perlembagaan, orang Melayu percaya kedudukan raja-raja Melayu tetap menjadi lambang politik dan ketuanan Melayu yang perlu dipertahankan. Justeru itu, setelah negara mencapai kemerdekaan kedudukan raja-raja Melayu masih dikekalkan bagi mewujudkan kestabilan dan keamanan negara. Bagi agama Islam pula, Islam menjadi tonggak budaya dan identiti Melayu yang menyumbang kepada pentakrifan konsep Melayu dan orang Melayu itu sendiri. Oleh yang demikian, agama Islam akan terus dipertahankan selaras dengan kedudukan orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini. Manakala bagi Bahasa Melayu, pengiktirafan yang diberikan kepada Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi persekutuan dalam Perlembagaan menjadikan Bahasa ini secara automatik menjadi Bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Lebih dari itu, pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini adalah bertujuan untuk menyatupadukan pelbagai kaum yang berbeza latar belakang ke arah sebuah negara yang harmoni. Ini juga bermakna Bahasa Melayu turut menjadi identiti bangsa Malaysia keseluruhannya. Jelas di sini bahawa unsur-unsur ini penting kerana ia menjamin kestabilan politik dan sistem pemerintahan yang cekap lagi adil. Tanpa unsur-unsur tersebut, keseimbangan negara tidak akan dapat dicapai. Peranan ini turut dipersetujui oleh Mohd Salleh Abas (1985) iaitu unsur-unsur tradisi diperlukan untuk kestabilan serta kemajuan dan memainkan peranan penting dalam perjalanan perlembagaan. Sehubungan itu, sebarang percubaan untuk mempersoalkan mana-mana daripada unsur-unsur ini berkemungkinan besar akan mencetuskan perpecahan dan menjejaskan keharmonian kaum. Sebagai contoh, orang Melayu melihat tuntutan persamaan hak kepada semua rakyat Malaysia sebagai satu percubaan untuk mempersoalkan dan mengurangkan kedudukan mereka. Pengembangan usul ini menyebabkan Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965. Pengalaman peristiwa 13 Mei 1969 juga memberi kita satu pengajaran yang pahit. Sikap provokasi dan mempersoalkan unsur-unsur tradisi yang telah dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan ini telah mengakibatkan negara berada dalam keadaan huru-hara. Ini memperlihatkan bahawa negara kita boleh ditimpa bencana yang buruk sekiranya generasi hari ini dan akan datang melupakan sejarah negara. Kesimpulan Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi sumber bagi memerintah negara dan menentukan corak sistem kerajaan kita. Ia digubal untuk memastikan sistem pentadbiran negara lebih terancang dan sistematik di samping memberikan jaminan perlindungan kepada rakyat. Perlembagaan adalah simbol kemerdekaan juga menjadi identiti negara. Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah teguh kerana mempunyai bentuk dan peruntukan yang sangat relevan untuk


179 masyarakat yang berbilang kaum di negara kita dan juga bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Tidak sebagaimana di negara-negara lain di mana perpaduan antara pelbagai golongan etnik dan agama berasaskan kepada ideologi atau falsafah tertentu seperti sekularisme dan nasionalisme, asas perhubungan kaum di Malaysia merujuk kepada hak-hak yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia. Prinsip tolak ansur yang merupakan asas pembentukan perlembagaan menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin pelbagai kaum terdahulu memahami akan pentingnya perpaduan dan keharmonian. Tolak ansur kaum ini dikenali sebagai kontrak sosial yang mana orang Melayu telah bersetuju memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu atas dasar Jus Soli. Sebagai balasan, orang bukan Melayu menerima kedudukan raja-raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi. Perjanjian persetujuan bersama ini perlulah difahami serta dihayati oleh setiap individu di Malaysia dengan menghormati hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Sikap mentaati perlembagaan merupakan salah satu aspek yang perlu ada bagi setiap warganegara. Dengan yang demikian, generasi muda boleh meneruskan perjuangan untuk mempertahankan negara demi masa depan yang gemilang.


180 TOPIK 10 DASAR-DASAR KERAJAAN Pendahuluan Bekas Perdana Menteri Keempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam buku Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (1991) menyatakan bahawa, ‘Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana ia merupakan satu-satunya negara di dunia ini, yang dalam tempoh dua dekad, telah berjaya mewujudkan satu perubahan corak sosio-ekonomi masyarakat yang telah membolehkan rakyatnya mendapat manfaat daripada pembangunan dan menikmati taraf hidup yang lebih baik…..Kita perlu meneruskan usaha yang gigih untuk menghapuskan saki baki ketidakseimbangan ekonomi di kalangan kaum serta menghapuskan kemiskinan bagi mendirikan asas yang lebih kukuh untuk perpaduan kaum’. Kenyataan di atas, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana kita telah menikmati banyak perubahan terutama dari segi kedudukan sosioekonomi yang telah dimulakan semenjak kemerdekaan lagi sehingga kini dalam pelbagai pelan pembangunan yang telah dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan demi untuk kesejahteraan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Ini adalah juga untuk memastikan negara kita berada dalam tahap kemakmuran ekonomi dan keamanan politik yang stabil. Sayugia juga bahawa kesenangan dan kebebasan yang sedang kita nikmati kini, merupakan keistimewaan-keistimewaan yang amat berharga yang senantiasa perlu dikekal dan dipertahankan. Kerjasama erat dan keharmonian yang terjalin di antara rakyat di negara ini telah membawa Malaysia ke tahap kemajuan ekonomi yang membanggakan. Semua ini merupakan perancangan yang begitu teliti dan komprehensif kerajaan Malaysia terutama sekali sejurus selepas negara merdeka apabila kerajaan memberi perhatian terhadap pembanterasan habis-habisan anasir komunis di negara ini. Hal ini jika tidak ditangani terlebih dahulu boleh mengganggu gugat keselamatan dan kerukunan perpaduan kaum malah boleh juga merencatkan kelancaran pembangunan negara Malaysia. Oleh yang demikian, pembangunan dan kemajuan negara adalah sangat penting bukan sahaja untuk menangani unsur-unsur subversif malah berkaitan dengan kemunduran, kemiskinan, ketidakseimbangan jurang ekonomi antara kaum, ketidakharmonian sosial antara kaum serta pelbagai lagi. Justeru itu, perkara yang dititikberatkan dalam pembangunan negara adalah pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang efisien. Bab ini akan membincangkan Dasar-Dasar Kerajaan Malaysia iaitu dasar awam dan dasar antarabangsa. Keduanya sangat penting menentukan hala tuju pembinaan


181 pembangunan negara pada masa kini dan akan datang. Justeru itu, dalam membuat dasar kerajaan memerlukan komitmen bersepadu dari pihak kerajaan dan rakyat. Kerajaan sebagai pihak yang memerintah, mendengar suara dan kehendak rakyat dalam mempertimbangkannya untuk membuat tindakbalas berupa dasar. Apakah Maksud Dasar? Mengikut James E. Anderson (2000) menyatakan tentang maksud dasar secara umumnya sebagaimana berikut, ‘...the term policy designates the behavior of some actor or set of actors, such as an official, a government agency, or a legislature, in an area of activity such as public transportation or consumer protection’. Berdasarkan kenyataannya memperlihatkan bahawa dasar adalah dibentuk dari pandangan kerajaan atau badan-badan bertanggungjawab untuk membuat dasar terhadap sesuatu perkara yang berlaku dalam masyarakat. Secara tidak langsung ia menjelaskan hubungan antara pihak pembuat dasar seperti kerajaan dengan masyarakat awam iaitu rakyat. Ini juga sebagaimana yang dinyatakan oleh K. Ramanathan (1993), menjelaskan bahawa, ‘dasar memperuntukan nilai-nilai kepada rakyat dan pemilihan dasar yang rasional adalah ditentukan oleh pihak kerajaan atau badan-badannya yang mempunyai tujuan untuk meningkatkan pembangunan negara dalam latihan dan program ke arah matlamat dasar’. Hal ini menerangkan bahawa sesuatu dasar yang bersesuaian adalah ditentukan oleh kerajaan atau badan-badan yang bertanggungjawab di peringkat atasan sebagai pihak pembuat keputusan untuk rakyat. Sepertimana yang dinyatakan oleh Paul H. Appleby (1970) iaitu ‘...policy is defined as decision-making at top levels’. Pihak pembuat keputusan dasar perlu memahami tujuan serta matlamat dasar yang dibuat kerana kebiasaan dasar akan dilaksanakan melalui program atau aktiviti. Tambahan pula, perlaksanaan dasar mengambil masa yang kadangkala lama atau kurang dari tempoh yang dicadangkan. Ini dijelaskan oleh Richard Rose (1969) menerangkan dasar adalah ‘a long series of more-or-less related activities’. Sehubungan itu, dasar seharusnya mempunyai pola rancangan yang jelas seumpama pelan atau strategi perlaksanaan kerana dasar dibuat untuk menangani dan mengatasi permasalahan yang wujud di sesebuah negara serta kehendak dasar lazimnya dijelaskan dalam objektif dasar. Apapun dasar seharusnya menekankan apa yang sebenarnya akan dilakukan dalam pelan atau strategi dasar daripada terlalu menumpukan tujuan utama sesuatu dasar itu. Secara keseluruhan dari pendapat di atas, umumnya dasar mempunyai matlamat dan tujuan dasar serta dalam dasar terkandung aktiviti atau program yang ditentukan oleh pembuat dan pelaksana dasar iaitu kerajaan atau badan-badan lain yang bertanggungjawab. Dasar akan diimplementasikan kepada rakyat dalam bentuk


182 strategi pelaksanaan demi untuk pembangunan negara dan menangani permasalahan yang timbul dalam masyarakat. Tuntutan dalam Pembuatan Dasar Dalam proses pembuatan dasar tuntutan utama adalah pengaruh persekitaran atau apa sahaja yang terjadi di sekelilingnya. Tuntutan dalam pembuatan dasar ini boleh dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu: i) Keadaan Geografi contohnya seperti iklim, sumber semulajadi dan topografi, ii) Demografi contohnya seperti saiz populasi, umur dan lokasi, iii) Politik iv) Struktur Sosial v) Sistem Ekonomi vi) Hubungan antarabangsa dan pertahanan Dasar dibuat menyentuh pelbagai aspek dalam masyarakat dan pembangunan negara seperti aspek ekonomi, kemasyarakatan, sains dan teknologi dan pendidikan. Dasar akan dibuat mengikut pandangan kerajaan dan tuntutan rakyat berasaskan keperluan semasa dan perkembangan negara. Siapakah yang Membuat Dasar? Adakah orang biasa atau rakyat boleh mempengaruhi dalam pembuatan dasar? Adakah pilihanraya adalah mekanisme untuk parti politik tertentu membuat dasar? Atau dasar adalah satu elemen untuk menggambarkan kekuasaan kepentingan golongan politik yang tertentu? Dalam memahami perkara ini Charles E.Lindblom (1980) menyatakan bahawa ‘...one must understand the characteriscs of the participants, what parts or roles they play, what authority and other power they hold, and how they deal with and control each other’. Ini menggambarkan bahawa dalam proses pembuatan dasar terdapat pelbagai pihak yang terlibat dalam memainkan peranan masing-masing samada dari orang awam iaitu rakyat, pegawai undang-undang, badan perundangan, aktivis parti, pekerja awam dan lain-lain pihak lagi (Charles E. Lindblom, 1980). Perkara yang diterangkan oleh beliau ini menjelaskan setiap pihak yang terlibat dalam proses pembuatan dasar mempunyai fungsi masing-masing. Proses pembuatan dasar secara umumnya dapat dijelaskan menerusi ilustrasi Gambarajah Proses Pembuatan Dasar sebagaimana di bawah ini:


183 Gambaran Ringkas Proses Pembuatan Dasar ISU/PERMASALAHAN Contoh : keadaan geografi, demografi, keadaan politik, struktur sosial, perkembangan ekonomi, sains, teknologi, pendidikan hubungan antarabangsa dan pelbagai lagi. BADAN PEMBUAT DASAR Badan perundangan BADAN PELAKSANA DASAR Badan Eksekutif DASAR DIBENTUK & DILAKSANAKAN PENCAPAIAN/PENILAIAN DASAR


184 Sebenarnya dasar dibuat oleh pihak yang terlatih dan berkemahiran dengan mempunyai pengetahuan profesional. Dalam konteks ini badan perundangan akan membuat dasar dalam bentuk undang-undang kemudian dikuatkuasakan oleh badan eksekutif sebagai pihak yang membuat keputusan dasar. Dasar perlu dibuat secara adil dan saksama merangkumi keseluruhan masyarakat tanpa membeza-bezakan kumpulan dan taraf kehidupan. Ini juga adalah untuk mengelakkan dasar yang tidak mencapai objektif dan tidak dapat menyelesaikan masalah serta isu. Justeru itu, setiap badan yang membuat dasar perlu peka dengan permasalahan yang timbul dari sesuatu isu supaya apa jua keadaan yang berlaku dapat diatasi. Contohnya kejadian trajedi 13 Mei 1969 menyebabkan kerajaan telah membuat beberapa dasar untuk mengatasi masalah di kalangan kaum di negara ini contohnya Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Dalam proses pembuatan dasar, terdapat beberapa proses, pertama; berkenaan perkara yang perlu diberi perhatian seperti bagaimana sesuatu permasalahan dasar itu timbul dalam agenda kerajaan, kedua; peranan badan perundangan memformulasikan isu yang timbul untuk tindakan, ketiga; peranan badan pemerintah melaksanakana dasar dan akhirnya adalah penilaian terhadap pelaksanaan atau pencapaian dasar tersebut (Harold Lasswell, 1962). Kadangkala dasar dibuat atas tolak ansur di kalangan pembuat dasar yang melihat tidak semestinya ia bergantung kepada sesuatu isu pemasalahan yang timbul sahaja tetapi juga pada peluang baru yang boleh diperolehi dari dasar yang dibuat itu (Charles E. Lindblom, 1980). Perlu juga diingat bahawa dalam membuat dasar terdapat kumpulan tertentu yang bukan terdiri dari badan kerajaan contohnya individu dan kumpulan pensendirian tetapi mereka ini dapat membantu dan memberi pandangan, maklumat dan idea lain yang bernas sewaktu proses pembuatan dasar tersebut. Justeru itu, dalam memilih dasar, pembuat dasar (kerajaan/badan bertanggungjawab) perlu tahu semua nilai keistimewaan masyarakat dan kepentingan mereka serta perlu meliputi kefahaman nilai sosial. Dasar yang mencapai matlamat, merupakan kejayaan yang dapat dimanfaat oleh pihak kerajaan dan rakyat dalam memperbaiki taraf sosio-ekonomi. Ini dapat meningkatkan kesejahteraan serta kemakmuran negara kearah kehidupan yang lebih efisien. Di Malaysia dasar-dasar kerajaan mempunyai keunikan tersendiri kerana ia dirancang secara teliti dengan menyatupadukan rakyat melalui pelbagai program sosio-ekonomi bagi membela dan memaju rakyat khususnya penduduk luar bandar. Objektif Umum Dasar Asasnya dasar merupakan manfaat untuk rakyat kerana itu kerajaan akan campurtangan pada isu yang sangat penting melibatkan hal rakyat. Perhatian kerajaan dalam dasar yang dibuat dan diputuskan dapat meredakan masalah kemiskinan, memberi perlindungan kepada yang miskin dan kumpulan yang mudah terdedah pada masalah ekonomi. Dasar dibuat untuk membolehkan kerajaan


185 menyediakan kemudahan infrastruktur seperti air, makanan, tenaga, membangunkan ekonomi, meningkatkan pekerjaan dan pelaburan. Jenis Dasar Dasar terdapat dua jenis iaitu dasar awam dan dasar antarabangsa. a) Dasar Awam – dalam negara Menurut James E. Anderson (2000) menyatakan dasar awam adalah ‘...whatever governments choose to do or not to do’. Berdasarkan petikan ini Thomas R. Dye (1995) menerangkan bahawa ‘Note that we are focusing not only on government action but also on government inaction, that is, what government chooses not to do. We contend that government inaction can have just as great an impact on society as government action’ Dalam hal ini, Ahmad Atory Hussain (2000) pula menjelaskan bahawa ‘dasar awam ialah program atau projek yang dirancang oleh kerajaan yang mempunyai tujuan dan matlamat tertentu’. Berdasarkan definisi dan penerangan di atas, dasar awam adalah tanggungjawab pihak pentadbir yang membuat dasar berpandukan pada kehendak dan situasi yang berlaku dalam masyarakat namun kerajaan yang akan memutuskan nanti perlaksanaan sesuatu dasar awam tersebut kerana perancangan dasar ditentukan oleh kerajaan. Dasar awam boleh dilihat dari segi tindakbalas isu-isu awam. Sebelum sesuatu dasar awam dibuat terdapat dua persoalan iaitu ‘bagaimana sesuatu masalah itu menjadi sesuatu isu dan apakah faktor yang menentukan isu yang boleh menarik tindak balas dasar atau tidak’. Perkara ini merujuk kepada pembuatan dan perancangan dasardasar awam adalah berkaitan dengan peristiwa serta isu yang terjadi pada ketika itu dalam masyarakat dan negara. Ia memberi kesan terutama dalam aspek sosioekonomi, kemanusiaan serta kemasyarakatan misalnya kenaikan harga tol, kenaikan harga minyak, kesan kemasukan pendatang tanpa izin, penderaan kanak-kanak dan lain-lain lagi. Dalam pelaksanaan dasar biasanya terdapat perubahan dan sebaikbaiknya perubahan tersebut perlu mengelak dari timbulnya kontroversi akibat isu pertikaian terhadap perubahan yang berlaku (Jack Harward, 1975). Harus juga diketahui perubahan dalam aspek-aspek yang mempengaruhi masyarakat menjadi bahan perancangan pembuatan dasar-dasar awam. Apapun setiap isu ini perlu dikaji terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan diambil oleh pihak kerajaan. Contoh, seperti 39 pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diberi kebenaran untuk bekerja di rumah dengan menggunakan internet. Berikutan dengan hal ini, kerajaan akan memaksimumkan penggunaan teknologi dan internet yang akan diselaraskan dalam dasar awam pada masa depan. Isu seperti pekerja dapat mengurangkan bebanan kos pengangkutan, masa berulang-alik ke tempat kerja dan perhatian lebih erat dalam hubungan kekeluargaan dapat ditangani. (Utusan Malaysia, 22 Disember 2009). Ini menunjukkan keprihatian kerajaan terhadap kehendak rakyat berbanding dengan kehendak politik. Meskipun membentuk dasar awam juga boleh dipolitikkan tetapi sesungguhnya pembangunan eknomi negara


186 harus dipisahkan dari politik kerana penumpuan khusus pada perancangan pembangunan adalah penting untuk pengurusan yang berkesan. Justeru itu, pihak yang berminat dalam membangunkan ekonomi negara seperti kerajaan, korporat dan organisasi pekerja harus bekerjasama dalam membuat dasar awam daripada memikirkan untuk kepentingan politik. Pemikiran para Perdana Menteri Malaysia juga amat penting dalam pembentukan dasar-dasar awam kerana ia merupakan gambaran idea terhadap tuntutan dan tindakbalas isu-isu yang ditimbulkan oleh rakyat dalam situasi sosial, politik dan ekonomi (Abdul Rahman Abdul Aziz, 2009). Contohnya, peranan Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selepas merdeka sangat mencabar dalam membentuk pemerintahan negara dengan acuan kita sendiri yang merupakan tanah bekas jajahan Inggeris. Ini ditambah lagi usaha beliau dalam menangani pergerakan komunis di Tanah Melayu menerusi idea pembentukan Malaysia bertujuan untuk dapat memelihara keselamatan negara ini. Kemudian kesinambungan kepimpinan negara diteruskan oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak yang sesungguhnya menghadapi cabaran yang sama kuat apabila pada zamannya berlaku masalah perkauman yang tercetus akibat tragedi hitam 13 Mei 1969. Beliau yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan ini telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengatasi masalah sosioekonomi rakyat pelbagai kaum. Fokus pembangunan di luar bandar menjadi keutamaan untuk mengimbangkan jurang hubungan antara kaum menerusi pengenalan FELDA bagi membantu penduduk luar bandar meneroka tanah rancangan. Usaha-usaha Tun Abdul Razak ini diteruskan oleh Perdana Menteri Malaysia Ketiga, Tun Hussien Onn yang telah melanjutkan lagi DEB ini dalam memperkukuhkan peranan kerajaan untuk rakyat. Perpaduan dan integrasi adalah dua perkara utama yang ditekan oleh beliau dalam pemerintahannya. Oleh kerana itu beliau dikenali sebagai Bapa Perpaduan Malaysia apabila telah melaksana dan meneruskan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan selepas kembalinya Tun Abdul Razak ke rahmatullah. Pembangunan Malaysia kemudian dipermodenkan pula pada zaman Perdana Menteri Malaysia Keempat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad menerusi Dasar Pembangunan Nasional yang menggantikan DEB yang telah tamat tempohnya pada tahun 1990. Tun Dr. Mahathir dikenali sebagai seorang yang dinamik dan progresif telah memperkenalkan Wawasan 2020 untuk Malaysia dalam persediaan kearah sebuah negara maju di tahun tersebut. Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian Berat, Dasar Wawasan adalah antara dasar yang diperkenalkan pada zamannya. Keseimbangan pembangunan dan pemodenan material perlu diseiringkan dengan peningkatan nilai kerohanian dan insani dalam diri rakyat Malaysia. Hal ini ditekankan oleh Perdana Menteri Malaysia Kelima, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi gagasan Islam Hadhari. Beliau menegaskan pemodenan akan


187 menghakis sistem nilai dalam diri manusia maka penekanan konsep Islam Hadhari ini akan menerapkan pembinaan nilai murni di kalangan rakyat pelbagai kaum yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya. Meskipun berbeza agama dan budaya dalam masyarakat berbilang kaum namun asas moral dan etika seperti ketelusan, kejujuran, integriti, adil, beramanah dan akauntabiliti adalah sangat penting dalam hidup pelbagai kaum di bawah satu negara. Konsep 1 Malaysia diperkenalkan pada zaman pemerintahan Perdana Menteri Malaysia Keenam, Dato’s Seri Najib Tun Abdul Razak yang mementingkan kesejahteraan dan integrasi rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa sebarang prejudis (Abdul Rahman Abdul Aziz, 2009). Tegasnya di sini peranan para Perdana Menteri Malaysia bukan sahaja sebagai pentadbir utama negara tetapi juga pembuat keputusan perlaksanaan dasar-dasar awam. Antara Pelaksanaan Dasar-Dasar Kerajaan Bahagian ini menerangkan di antara dari dasar-dasar kerajaan yang telah dibentuk dan dilaksanakan semenjak tahun 1970-an lagi. Keterangan di bawah ini akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama Dasar Awam iaitu Dasar Pembangunan Negara, Dasar Sains dan Dasar Sosial serta bahagian kedua Dasar Antarabangsa atau Luar Negara. Dasar-Dasar Awam : Dasar Pembangunan Negara Dasar Ekonomi Baru Dasar Ekonomi Baru (DEB) menyimpan pelbagai latarbelakang tersirat yang menjadi sejarah dalam dasar pembangunan negara. Malaysia telah mengalami proses peralihan struktur sosio-ekonomi yang implikasinya lebih mendalam melalui perlaksanaan DEB selama 20 tahun mulai tahun 1970. Penjajahan Inggeris telah mewujudkan jurang perbezaan antara kaum di negara kita melalui dasar kolonialisme iaitu ‘Pecah dan Perintah’. Pengasingan kaum mengikut kawasan dan ekonomi menambahkan jarak hubungan antara kaum yang berbeza dari segi agama, bahasa dan latar belakang budaya. Kesukaran memahami dan menerima hubungan antara kaum menyebabkan timbulnya pergeseran perkauman sehingga ke penjajahan Jepun yang menambahkan jarak hubungan sosial ini. Perbezaan kawasan ekonomi antara bandar dan kampung menyebabkan keresahan dan tidak puas hati di kalangan masyarakat. Semua ini adalah kesan dari kolonialisme di negara kita. Sehingga selepas kemerdekaan bahang bekas kolonialisme meninggalkan kesan yang mendalam di kalangan rakyat di Malaysia. Ini jelas dilihat dalam perbezaan dan pertumbuhan ekonomi di antara kaum di Semenanjung Malaysia adalah begitu jelas. Meskipun orang-orang Melayu mempunyai kedudukan politik yang kukuh namun


188 kebanyakan daripada mereka adalah miskin. Orang Melayu masih lagi meneruskan sektor ekonomi yang kurang produktif iaitu warisan turun temurun dari keluarga mereka. Kebanyakan orang Melayu tinggal di kawasan luar bandar iaitu kampung. Orang Melayu tidak didedahkan langsung oleh penjajah Inggeris dengan sektor ekonomi komersil. Hal ini adalah berkaitan dasar penjajahan Inggeris yang enggan penduduk asal menuntut kuasa dari mereka nanti. Keadaan ini berbeza dengan kaum Cina yang agak bernasib baik. Orang Cina kebanyakannya adalah orang-orang kaya dan mereka menjalankan sektor ekonomi yang komersil seperti dalam sektor perlombongan dan industri. Sementara kaum India yang merupakan kaum yang kecil peratusnya namun mereka juga telah didedahkan oleh Inggeris dengan sektor perladangan dan industri (Ahmad Idriss, 1988). Situasi ini secara langsungnya telah mewujudkan jarak dan jurang penguasaan ekonomi yang begitu ketara di antara kaum Melayu sebagai penduduk asal berbanding kaum migrasi. Sehingga tragedi 13 Mei 1969, pembangunan di bandar dan luar bandar memperlihatkan jurang yang besar (Sanusi Ahmad, 1991). Punca kejadian tragedi ini juga berlaku kerana parti pembankang Democratic of Action Party (DAP) dan GERAKAN telah menyoal kedudukan orang Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain yang telah dipersetujui sewaktu merdeka iaitu dalam Persetujuan 1957. Orang-orang Melayu sudah bertolak ansur untuk memberi kelonggaran syarat kerakyatan kepada bukan Melayu untuk terus tinggal di negara ini. Di pihak orang Melayu, bukan Melayu harus menerima hak-hak keistimewaan orang Melayu yang sudah sedia ada sejak negara belum dijajah namun sewaktu penjajahan hak orang Melayu ini dinafikan oleh penjajah Inggeris. Pengembalian hak keistimewaan ini adalah untuk juga menyeimbangkan kedudukan dan taraf ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu. Namun apa yang berlaku dalam 13 Mei 1969 ini, orang bukan Melayu telah mencabar kedudukan orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan secara terlindung atau terbuka. Persetujuan 1957 (Kontrak Sosial) ini sebenarnya jika difahami adalah memberi keseimbangan dan kestabilan kepada negara serta untuk kebaikan semua (disunting Muhkriz Mahathir & Khairy Jamaluddin, 2004). Setelah pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14 Mei 1969 maka tanggungjawab yang berat ini diserahkan pada Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak. Kebanyakan orang Melayu dan Cina menyedari sektor ekonomi menjadi punca utama terhadap masalah yang timbul di samping pertumbuhan ekonomi yang amat perlahan sejak tahun 1965 mendorong kepada peningkatan pengangguran. Tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam ekonomi selepas Mei 1969 adalah pembentukan DEB. Ia mengambil kira tentang masalah-masalah ketidakseimbangan ekonomi daripada apa yang dilakukan sebelumnya (Ahmad Idriss, 1988). Laporan perlaksanaan DEB dijelaskan dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991-2000 terhadap Rangka Rancangan Panjang Pertama (RRJP1) 1971-1990 yang menyentuh mengenai soal sosio-ekonomi yang dicapai secara


189 keseluruhannya. Penilaian dalam RRJP1 mendapati bahawa jumlah isirumah masih dalam garis kemiskinan. Kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia pada tahun 1970 adalah sebanyak 49.3 peratus daripada jumlah isirumah dan matlamat untuk mengurangkannya kepada 16.7 peratus menjelang tahun 1990. Bilangan isirumah miskin yang terbesar adalah di kawasan luar bandar dengan kadar kemiskinan sebanyak 58.7 peratus berbanding dengan 21.3 peratus di kawasan bandar. Kumpulan etnik Bumiputera adalah golongan miskin yang terbesar merangkumi 74 peratus daripada isirumah miskin pada tahun 1970 di Semenanjung Malaysia. Kadar kemiskinan di kalangan Bumiputera juga adalah tertinggi iaitu 65 peratus berbanding dnegan 26 peratus di kalangan kaum Cina dan 39 peratus di kalangan kaum India. Laporan ini menunjukkan bahawa kaum Bumiputera masih lagi amat jauh ketinggalan dari segi status sosio-ekonomi berbanding kaum bukan Bumiputera. Persoalannya adakah kesan penjajahan yang menyebabkan keadaan ini begitu ketara? Justeru itu, tidak hairanlah jika pihak kerajaan bersungguh-sungguh berusaha untuk mengatasi ketidakseimbangan ini supaya tidak ada kaum di negara Malaysia ini yang ketinggalan dalam meraih manfaat ekonomi bersama (Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua 1991-2000, 1991). Dalam pemilikan modal saham oleh golongan Bumiputera pada tahun 1970 adalah 2.4 peratus dan meningkat kepada 20.3 peratus pada tahun 1990 sedangkan golongan bukan Bumiputera pemilikan modal saham pada tahun 1970 adalah 32.3 peratus meningkat kepada 46.2 peratus pada tahun 1990. Keadaan ini menggambarkan bahawa DEB tidak dapat mencapai sasaran pemilikan saham oleh golongan Bumiputera pada kadar 30 peratus sebagaimana yang menjadi matlamat asal dasar ini dilaksanakan dalam tempoh duapuluh tahun (Shukor Omar, 2006) Justeru itu untuk membentuk masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan golongan Bumiputera maka kerajaan telah menyediakan pelbagai program dan latihan menerusi penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengutamakan pemberian tender-tender oleh agensi-agensi kerajaan kepada pembekal Bumiputera dan menyediakan kemudahan kredit menerusi institusi-institusi kewangan yang disahkan oleh kerajaan. Begitu juga dengan peranan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri masing-masing yang turut memberi sumbangan kepada pembentukan masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan Bumiputera (Rancangan Malaysia Kelima 1986-1990, 1986). Objektif i) Membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum khususnya di kawasan luar bandar, ii) Membasmi pengenalan kaum mengikut jenis pekerjaan mereka, iii) Menambahkan lagi penglibatan rakyat tempatan, khususnya orang-orang Melayu dalam sektor syarikat berhad.


190 Strategi Strategi yang disusun dalam DEB adalah berhasrat untuk memenuhi dan mencapai objektif pertama dan keduanya di atas atau Serampang Dua Mata tersebut yang digariskan berdasarkan sebagaimana strategi-strategi di bawah ini: i) Memodenkan kehidupan di luar bandar melalui pembangunan wilayah baru seperti DARA, KEJORA dan JENGKA, ii) Memperbaiki mutu dan taraf hidup rakyat khususnya orang Melayu melalui pendidikan, latihan dan kesihatan, iii) Meningkatkan lagi daya pengeluaran dan pendapatan khususnya di sektor luar bandar, iv) Mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua kaum, v) Mewujudkan kelas peniaga, perdagangan dan perusahaan Melayu. Perlaksanaan i) Menambahkan penyertaan ekuiti Melayu/Bumiputera dalam syarikat perindustrian telah banyak menimbulkan persoalan, ii) Menempatkan pekerja bumiputera dalam perusahaan perindustrian, iii) Penubuhan syarikat dalam sektor perkilangan perlu mencerminkan komposisi penduduk Malaysia, iv) Galakan pada pemodal termasuk perlindungan tarif terutama yang bergiat dalam perindustrian penggantian import. Pencapaian i) Purata pendapatan isi rumah telah berubah, ii) Kadar kemiskinan telah dapat dikurangkan, iii) Pengenalan kaum mengikut jenis pekerjaan di kalangan orang Melayu berkurangan, iv) Berlaku peningkatan migrasi dari luar bandar ke bandar kerana peningkatan orang Melayu dalam sektor-sektor moden di bandar dan aktiviti yang penting serta kritikal. Ini menunjukkan akan ada peningkatan produktiviti menerusi persaingan ekonomi secara keseluruhan. Dasar Pembangunan Nasional DEB yang berakhir pada tahun 1990 cukup memberi kesan dalam tempoh perlaksanaannya selama duapuluh tahun. Meskipun DEB memberi kesan terhadap perkembangan ekonomi Malaysia namun terdapat pelbagai cabaran dan masalah. Justeru itu, untuk meneruskan perlaksanaan objektif DEB maka pada 17 Jun 1991, kerajaan telah melancarkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) yang meliputi tempoh 1991-2000. Dalam RRJP 2 ini satu dasar yang menggantikan DEB iaitu Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah diperkenalkan oleh Tun Dr.


191 Mahathir Mohamad. Ia adalah titik permulaan era baru ke arah membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 (Malaysia Kita, 2002). DPN kemudian dipanjangkan lagi tempohnya dalam RRJP3 iaitu dari tahun 2001- 2010. Objektif i) Mewujudkan perpaduan negara ii) Membolehkan Malaysia mencapai taraf sebagai sebuah negara maju, iii) Memperkukuhkan lagi kestabilan sosial, politik dan ekonomi negara. Strategi Perlaksanaan DPN bergantung sepenuhya pada sektor swasta yang dapat meningkatkan status sosio-ekonomi negara. Namun demikian, pihak kerajaan memberi sokongan dan bantuan menerusi penyediaan infrastruktur fizikal yang mencukupi. DPN menggariskan empat dimensi ke arah pendekatan strategi ekonomi iaitu : i) Mengagihkan tumpuan membasmi kemiskinan di kalangan golongan termiskin, ii) Mewujudkan gunatenaga dan pembangunan pesat sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, iii) Meningkatkan penyertaan sektor swasta, iv) Memberikan tumpuan kepada pembangunan sumber manusia. Ia juga ditambah dengan beberapa strategi yang lain untuk memantapkan lagi perlaksanaan DPN iaitu: i) Menjadikan sains dan teknologi sebagai asas penting dalam pembangunan sosio-ekonomi, ii) Mewujudkan keseimbangan yang optimum bagi sektor-sektor utama ekonomi, iii) Membasmi kemiskinan, iv) Mewujudkan masyarakat penindustrian bumiputera. Pelaksanaan Beberapa program dalam menjayakan DPN telah dilaksanakan sebagaimana di bawah ini: i) Hasil Pencapaian yang Berkualiti dan Berkekalan, ii) Persaingan dalam Pasaran Antarabangsa, iii) Wawasan 2020 (Chamhuri Siwar, 1985).


192 Pencapaian i) Mewujudkan keseimbangan di antara pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama, ii) Memastikan pembangunan yang seimbang, iii) Menggalakan perkongsian yang adil dan saksama, iv) Mengukuhkan integrasi nasional antara negeri dan kawasan bandar dengan luar bandar, v) Membangunkan masyarakat yang maju yang menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi. vi) Memajukan pembangunan sumber manusia, vii) Menjadikan sains dan teknologi sebagai teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi negara, viii) Memastikan perlindungan terhadap alam sekitar dan ekologi dalam jangka panjang. Dasar Wawasan Negara Dasar Wawasan Negara (DWN) telah dipekenalkan oleh Perdana Menteri Keempat Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed pada 28 Februari 1991 sewaktu di Persidangan Majlis Perdagangan Malaysia. Dasar ini bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan bersatu pada tahun 2020. Pandangan beliau ini telah dikemukakan dalam kertas kerjanya yang berjudul ‘Malaysia: The Way Forward’. Pandangan dan hasrat beliau ingin melihat Malaysia maju telah menjadi gagasan negara menerusi WAWASAN 2020 (Zurinah Hassan, 1994). Konsep yang dikemukakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju adalah mengikut acuan negara Malaysia bukan berdasarkan pada negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Kanada atau Sweden serta Jepun yang sememangnya telah diakui maju. Dalam DWN ini kemajuan material bukan sahaja menjadi keutamaan tetapi dasar ini turut menekankan mengenai tuntutan kerohanian dan kejiwaan dalam menyeimbangkan kemajuan di negara ini (Syed Omar, 1995). DWN menggabungkan dua dasar pembangunan iaitu Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dengan objektif utama untuk menjadikan Malaysia benarbenar maju dari segala segi iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Dasar ini mengharapkan Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju dengan mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara (Zurinah Hassan, 1994). Fasa pertama Dasar Wawasan Negara berjaya dicapai melalui Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan Rangka Rancangan Jangka Panjang ke-2 (1991-2000). Fasa Kedua Dasar Wawasan Negara akan dijayakan melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang ke-3 (2001-2010).


193 Objektif i. Membentuk masyarakat Malaysia yang hidup dalam harmoni serta berkongsi untung nasib sepenuhnya dengan saksama. ii. Membina bangsa yang berdaya tahan. iii. Menggalakkan pewujudan masyarakt yang saksama. iv. Mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi. v. Mempertingkatkan daya saing. vi. Membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan. vii. Mengukuhkan pembangunan sumber manusia. viii. Meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan. Strategi i. Meneruskan pengurusan ekonomi makro yang mantap, ii. Memperkukuh dan menyelaras program dan strategi pengagihan bagi memastikan penyertaan seimbang di kalangan kumpulan etnik, kumpulan pendapatan dan wilayah, iii. Meningkat pertumbuhan produktiviti melalui pemantapan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran pekerja, iv. Mengukuhkan Penyelidikan dan Pembangunan, v. Memperluas penggunaan ICT, vi. Memperkukuhkan asas sumber manusia, vii. Melaksanakan pendekatan menyeluruh dan bersepadu, viii. Meningkatkan kualiti hidup melalui peningkatan akses kepada perkhidmatan sosial, ix. Mempergiatkan usaha bagi memupuk dan menyemai nilai-nilai positif dan sifat murni. Pelaksanaan i. Kerajaan akan menyemarakkan semangat patriotik, menaikkan kematangan politik dan membina masyarakat yang bertolak ansur, ii. Memberi keutamaan kepada pembangunan yang mampan dan mesra alam untuk memastikan alam sekitar yang bersih, sihat dan menarik serta berupaya memennuhi aspirasi negara. Pencapaian i. Kerajaan akan menyemarakkan semangat patriotik di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. ii. Kerajaan akan menyekat aliran modal jangka pendek yang bersifat spekulatif. iii. Kerajaan menggalakkan pelaburan asing dalam industri yang berintensif modal dan berteknologi tinggi.


194 Wawasan 2020 Wawasan 2020 menggariskan Sembilan Cabaran Utama iaitu : 1. Cabaran untuk mewujudkan Bangsa Malaysia bersatu yang dapat hidup dengan aman dan bahagia dan sentiasa taat setia kepada negara Malaysia. 2. Cabaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas dan penuh keyakinan dri dan sentiasa pula sanggup menghadapi cabaran demi menuju kecemerlangan yang akan dihormati oleh negara luar. 3. Bacaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang demokratik supaya boleh menjadi model kepada negara luar. 4. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral tinggi, berpegang kepada nilai murni yang berlandaskan agama. 5. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat yang toleren, dapat menerima hakikat yang negara mengandungi berbagai kaum yang menganuti berbagai-bagai agama. 6. Cabaran untuk melahirkan sebuah masyarakat saintifik, progresif, innovatif dan berpandangan jauh kemudiannya menjadi penyambung kepada peradaban teknologi dan bukan sebagai pengguna teknologi. 7. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat penyayang yang merupakan pasak kepada sistem berkeluarga. 8. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat adil yang sedar tentang keperluan pembahagian hasil negara secara adil yang boleh dipraktikkan melalui perkongsian dalam pembangunan ekonomu di samping menghapuskan fahaman dan prasangka yang mengaitkan sesuatu sektor ekonomi dengan sesuatu kaum tertentu. 9. Cabaran untuk mewujudkan masyarakat makmur yang dapat dicapai melalui kegiatan ekonomi yang kompetitif, dinamik, giat dan kental (Abu Hassan Adam, 1991). Dasar Perindustrian Negara Dalam tempoh 1971-80, dasar-dasar yang menggalakkan perkembangan sektor perindustrian telah dilaksanakan dengan tujuan untuk mewujudkan perubahan penting dalam struktur sektor ini sebagai langkah untuk mempelbagai dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Usaha tersebut telah bermula dengan menyediakan tapak-tapak perindustrian di kawasan tertentu dan meberi galakan kepada pelabur asing untuk meningkatkan pertumbuhan sektor ini. Pihak swasta diberi peranan penting sementara pihak kerajaan pula menyediakan kemudahan sosioekonomi yang diperlukan dalam perkembangan sektor ini. Justeru dalam menggalakkan perkembangan perindustrian negara ada empat perkara yang dipertekankan iaitu strategi perlindungan tarif, galakan pelaburan, jaminan dan penyediaan dari segi infrastrutur dan institusi (Chamuri Siwar, 1985) Dalam meningkatkan sosio-ekonomi negara, bidang perindustrian adalah menjadi tumpuan kerajaan dalam pembentukan dasar seterusnya. Contohnya dalam tempoh perlaksanaan DEB kerajaan telah memberi tumpuan yang khusus ke atas


195 pertumbuhan industri terutamanya industri yang berorientasikan eksport dan industri yang menggunakan tenga buruh yang banyak. Bermula tahun 1980, penggalakan industri berat telah dimasukkan ke dalam program perindustrian negara bagi memperkukuhkan lagi asas perindustrian negara dan meningkatkan kepakaran rakyat dalam bidnag yang lebih sofisikated. Kerajaan telah menggubal Pelan Induk Perindustrian (PIP) pertama yang meliputi tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 1986- 1995. PIP pertama telah diumumkan pada Februari 1986. Kemudian ia diteruskan dengan Pelan Induk Perindustrian Kedua (PIP 2) pada tahun 1996. Pendedahan ke arah perindustrian ini adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri pada abad ke-21. Dasar Pandang ke Timur Satu dasar kerajaan yang agak unik sewaktu dalam pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Dasar Pandang Ke Timur. Ia diumumkan pada 8hb Februari 1982 di persidangan ‘5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA’ di Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini secara keseluruhannya adalah bertujuan untuk menggalakan pembangunan ekonomi menerusi proses perindustrian yang pesat dengan menggalakkan rakyat untuk mempelajari teknologi dan etika kerja Jepun dan Korea Selatan (Anuwar Ali & Rajah Rasiah, 1996). Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat, menjelaskan bahawa Dasar Pandang ke Timur yang diamalkan oleh Malaysia merupakan satu rangka untuk mempelajari dan menyesuaikan pengalaman negara-negara Timur yang berjaya dengan keperluan kita sendiri. Tujuan utama Dasar Pandang ke Timur ialah untuk menyemai nilai, etika kerja dan amalan pengurusan di kalangan rakyat Malaysia yang menitikberatkan kerja bersungguh-sungguh, kesetiaan kepada perusahaan, dedikasi dan sikap berdikari menerusi usaha yang penuh keazaman dan mempunyai daya usaha (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat, 1984). Penekanan antara hubungan pengurus dan pekerja juga dinyatakan dalam Dasar Pandang ke Timur ini. Ia bertujuan untuk mengelakkan jurang hubungan antara dua pihak ini yang boleh memberi kesan dalam perusahaan atau industri. Hubungan menerusi semangat bermasyarakat adalah penting dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti. Meskipun nilai dan etika kerja dari timur akan digarapkan dalam sistem nilai bekerja di negara ini namun tidak semestinya perlu mengikut negara Jepun dan Korea Selatan sepenuhnya kerana nilai dan etika tersebut perlu disesuaikan dengan nilai timur di negara kita. Ia juga bukan bermaksud Malaysia tidak lagi meneruskan hubungan dengan negara-negara yang ada kini (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat, 1984). Dasar Penswastaan Dasar Penswastaan diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1983. Dasar ini melibatkan pemindahan perkhidmatan atau perusahaan kerajaan kepada sektor swasta dan ia bertentangan dengan konsep pemiliknegaraan. Tujuan utama Dasar Penswastaan ini dibentuk dan dilaksanakan adalah untuk mengurangkan


196 beban kewangan dan kos pentadbiran kerajaan serta meningkatkan mutu dan daya pengeluaran perkhidmatan-perkhidmatan yang terlibat memandangkan sektor swasta adalah lebih cekap. Sektor swasta diberi peranan penting dalam Rancangan Malaysia Ketiga bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan kadar perkembangan pesat yang perlu bagi mencapai matlamat penyusunan semula masyarakat di bawah DEB. Dasar-Penswastaan secara umum dapat mempercepatkan pembangunan ekonomi negara menerusi pelaburan daripada pihak swasta dengan mengambil langkah-langkah tertentu iaitu penyusunan semula modal, peranan pelaburan asing dan penyelarasan sektor-sektor swasta (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketiga, 1979). Dasar-Dasar Awam : Dasar Sosial Dasar Pendidikan Kebangsaan Semenjak dari penjajahan Inggeris di Tanah Melayu sistem pendidikan negara adalah tidak seragam yang mempunyai pelbagai aliran iaitu pendidikan Melayu, Cina, Tamil, dan sekolah Inggeris. Menjelang kemerdekaan kesedaran timbul untuk membentuk satu aliran pendidikan kebangsaan. Justeru itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan dibentuk dan dilaksanakan adalah untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah. Dasar ini lahir dari Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pendidikan 1957. Laporan Rahman Talib 1960 digunakan untuk memperkemaskan Ordinan 1957 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta diperkukuhkan lagi melalui Akta Pendidikan 1961. Kurikulum yang dilaksanakan pada hari ini adalah berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Negara yang dinyatakan sebagaimana berikut: ‘Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara’ (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1987). Objektif i) Berdasarkan sepertimana dalam pendahuluan Akta Pelajaran 1961, ii) Melahirkan masyarakat bersatu padu, iii) Melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, iv) Memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat,


197 Strategi dan Pelaksanaan i) Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan pengantar. ii) Mewujudkan satu kurikulum dan peperiksaan yang sama. iii) Memperkenalkan KBSR dan KBSM. iv) Menggalakkan perkembangan yang baik dalam bidang ko-kurikulm dan bersatu padu. v) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan. vi) Meningkatkan mutu pendidikan, vii) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun, viii) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu, ix) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), x) Meluaskan pendidikan teknik dan vokasional, xi) Mempelbagai dan membanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti, xii) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin, xiii) Menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib dan memberi peluang yang sempurna kepada bahasa Tamil dan bahasa Cina, xiv) Menggalakkan aktiviti kokurikulum yang memupuk disiplin seperti kadet tentera, kadet polis dan lain-lain (Ruslan Zainuddin dkk., 2005). Pencapaian i) Bahasa Melayu telah dikuasai oleh kebanyakan generasi muda tanpa mengira kaum, ii) Penggunaan Bahasa Melayu yang meluas telah berjaya memupuk semangat perpaduan dan integrasi di kalangan masyarakat pelbagai kaum dengan adanya sekolah kebangsaan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan Kebudayaan merupakan mekanisme untuk membentuk bangsa yang dapat mencerminkan jatidiri Malaysia. Menerusi kebudayaan dapat dijadikan sebagai medium untuk mengenal budaya masing-masing dan saling memahami di kalangan rakyat pelbagai kaum. Kandungan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah juga berdasarkan penduduk yang berbilang kaum di Malaysia. Ini dapat memupuk semangat perpaduan dan intergrasi antara kaum. Unsur-unsur yang negatif dari barat ditolak dari meresapi dalam diri bangsa Malaysia. Berhubung dengan itu, penggubalan dasar ini adalah mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan georgrafikal yang strategik. Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah berteraskan pada tiga prinsip yang utama iaitu pertama; berdasarkan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini, kedua; unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai; ketiga Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudyaan kebangsaan.


198 Sebagai sebuah negara Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum, dasar ini diharapkan dapat memupuk semangat perpaduan dan integrasi di kalangan masyarakat. Objektif i) Membantu mencapai perpaduan di kalangan rakyat Malaysia, ii) Memupuk dan menjamin keutuhan identiti kebangsaan, iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan mutu kehidupan manusia dan menanam sikap kerohanian yang seimbang dengan pembangunan kebendaan di Malaysia. Strategi dan Perlaksanaan i) Mengadakan program pemulihan, pemeliharaan dan pengembangan usaha sama penyelidikan, pembangunan, pendidikan dan pengembangan kebudayaan, ii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalismen Malaysia, iii) Meningkatkan pembinaan sosio-bduaya tempatan ke seluruh negara, iv) Meningkatkan taraf kesenian dengan bersunguh-sungguh. v) Mencirikan sifat-sifat persamaan batas suku kaum dalam memperlihatkan sebuah negara yang merdeka (Mohamad Idris Saleh dkk., 1994) Pencapaian i) Terdapat pencampuran, adaptasi dan pembelajaran budaya kaum-kaum lain di Malaysia yang dapat dilihat dalam aspek pemakanan, pemakaian dan bahasa, ii) Walaubagaimanapun masih jauh lagi pencapaian yang diharapkan dari matlamat asal dasar ini di kalangan rakyat Malaysia. Dasar Wanita Negara Perjuangan wanita dalam memartabatkan pembangunan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial kini tidak boleh dipandang rendah kerana mereka juga adalah golongan yang bersama-sama mencorakan kemajuan negara Malaysia. Jadi sumbangan kaum wanita adalah sangat penting dan tidak boleh dinafikan dengan kelahiran ramai tokoh-tokoh wanita yang terkenal samada sewaktu perjuangan ke arah kemerdekaan, dalam bidang kemasyarakatan, kewangan dan banyak lagi.Wanita yang berkerjaya dan bekerja sendiri juga turut membantu menjana ekonomi rumahtangga. Justeru itu, terdapat beberapa agensi yang ditubuhkan untuk mengintegrasikan wanita seperti Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan di JPM, Urusetia Hal Ehwal Wanita (HAWA) di bawah Perpaduan Negara dan pertubuhan NGO lain seperti Majlis Kebangsaan


199 Pertubuhan-pertubuhan Wanita, Perkumpulan Wanita dan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam. Sehubungan dalam memelihara martabat kaum wanita satu dasar berkenaan wanita telah dibentuk dan dilaksanakan. Dasar Wanita Negara telah diperkenalkan pada tahun 1989. Ia adalah sebagai satu hadiah menghargai jasa dan pengorbanan kaum wanita yang menyumbang ke arah pembangunan negara. Dasar ini adalah untuk membantu kaum wanita dalam mengintegrasikan aktiviti ekonomi untuk kepentingan bangsa. Sebagai merealisasikan dasar ini kerajaan juga telah memperkenalkan jawatan menteri di Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga pada awal tahun 2000. Objektif i) Menjamin perkongsian yang saksama antara lelaki dan wanita. ii) Meningkatkan mutu kehidupan wanita. iii) Menghapuskan buta huruf. iv) Mengikut arus pembangunan negara. Strategi dan Pelaksanaan i) Memperkukuhkan HAWA, ii) Memastikan terdapat peruntukan yang memuaskan untuk wanita dalam semua program ekonomi, penggubalan dasar dan perundangan negara, iii) Mendapat pendidikan dan latihan yang mencukupi, iv) Mendapat bantuan kewangan, teknikal dan nasihat melalui pelbagai agensi kerajaan, v) Membasmi diskriminasi. Pencapaian i) Ramai wanita Malaysia yang telah berjaya dalam pelbagai sektor, ii) Wanita Malaysia menjadi aspek utama dalam pembangunan negara, iii) Wanita adalah sebahagian untuk membantu negara mencapai wawasan 2020 Dasar Belia Negara Golongan belia adalah golongan harapan negara. Sesebuah negara yang tersusun dengan baik pada masa depan perlu dilihat pada generasi belianya pada masa kini. Justeru itu, sumbangan belia dalam membangunkan negara juga tidak boleh diketepikan. Sehubungan dengannya, perhatian terhadap golongan belia juga perlu diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan. Peranan belia boleh dilihat dalam bidang pendidikan, ekonomi, kemasyarakatan bahkan juga dalam bidang politik. Bagi merealisasikan peranan belia terhadap negara maka Dasar Program Induk Belia Negara dilancarkan pada bulan Jun 1991. Ini kerana belia merupakan separuh


200 daripada penduduk di Malaysia. Kemajuan belia adalah menentukan hala tuju kemajuan negara di masa depan. Objektif i) Untuk menyemarakkan semangat Rukunegara, ii) Untuk mendedahkan dengan semangat perpaduan, kesukarelaan dan kekitaan, iii) Untuk melahirkan kerjasama dalam proses perancangan nasional, iv) Menanam sifat dan nilai moral yang tinggi bagi kesejahteraan mental dan fizikal, v) Pengetahuan yang diamalkan secara mendalam. Strategi dan Perlaksanaan i) Mempertingkatkan latihan kepimpinan di kalangan pelajar universiti, ii) Membangunkan kerjaya masa depan di institusi pendidikan vokasional bagi yang tidak berjaya ke universiti, iii) Pembangunan keusahawanan bagi melahirkan ramai usahawan di kalangan belia, iv) Penglibatan badan bukan kerajaan yang membantu belia. Pencapaian i) Belia merupakan sebahagian besar dari penduduk Malaysia menjadi harapan untuk kepimpinan dan pembangunan negara, ii) Penubuhan Rakan Muda menjadi pengerak ramai belia menyertainya. Dasar Sosial Negara Dasar Sosial Negara diluluskan pada 19 Februari 2003 adalah dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap. Objektif Umum i) Dasar ini adalah bermatlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan mapan dari aspek sosial, ekonomi dan teknologi, ii) Menjamin setiap individu, keluarga dan komuniti tanpa mengira kumpulan etnik, agama, budaya, gender dan fahaman politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan.


Click to View FlipBook Version