The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

1 SET_Content_PERADABAN dan ISU-ISU SEMASA_CRC PKENINGAU_27 OGOS 2021_FINAL

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by surayasin12, 2021-08-27 22:38:33

1 SET_Content_PERADABAN dan ISU-ISU SEMASA_CRC PKENINGAU_27 OGOS 2021_FINAL

1 SET_Content_PERADABAN dan ISU-ISU SEMASA_CRC PKENINGAU_27 OGOS 2021_FINAL

Peradaban dan Isu-isu Semasa

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya,
bahawa Dia menghantarkan angin sebagai pembawa berita
yang menggembirakan dan untuk merasakan kamu sedikit
dari rahmat-Nya dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan
perintah-Nya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari
limpah kurnia-Nya dan seterusnya supaya kamu bersyukur”
(Surah al-Rum 30:46).

Ketiga, sumber alam merupakan hak milik mutlak Allah SWT yang
tiada hadnya dan dikurniakan kepada hamba-Nya yang dikehendaki.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“(Pengutusan Nabi Muhammad SAW, kepada umat manusia
seluruhnya) itu (yang menjadi rahmat) adalah limpah kurnia
Allah SWT, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya
dan sememangnya Allah SWT mempunyai limpah kurnia yang
besar” (Surah al-Jumu‘at, 62:4).

Segala sumber yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia
mempunyai tujuan yang tertentu. Menurut Mohd Shukri Hanapi (2013),
terdapat tiga tujuan utama Allah SWT menjadikan sumber alam ini
ialah pertama, untuk kerohanian iaitu merujuk bagaimana kewujudan,
keesaan, kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah SWT.
Kedua, untuk pembangunan intelek, iaitu akal yang merujuk kepada
kejadian sumber alam sebagai bahan untuk difikirkan oleh manusia
yang diciptakan oleh Allah SWT dengan kebolehan berfikir. Dengan
kewujudan sumber alam, manusia boleh menggunakan akalnya untuk
meneliti, mengkaji, memerhati dan memahami segala kejadian untuk
dimanfaatkan sebagai peralatan pembangunan. Ketiga, untuk kegunaan
manusia dalam aspek jasmani yang merujuk kepada peranan sumber
alam untuk memenuhi keperluan hidup manusia seperti makanan,
pakaian, perhiasan, peralatan, tempat tinggal dan sebagainya. Bagi
memenuhi keperluan manusia ini, Allah SWT menjadikan sumber
alam ini agar tunduk dan patuh kepada manusia. Firman Allah SWT
yang bermaksud:

134

Konsep Latihan sebagai Strategi Pembangunan Insan Berteraskan Islam

“Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah SWT telah
memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan
yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-
nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di
antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat)
Allah SWT dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau
sebarang petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab
Allah SWT yang menerangi kebenaran” (Surah Luqman, 31:20).

“Allah SWT yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya
kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya dan supaya
kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya dan juga supaya
kamu bersyukur” (Surah al-Jathiyyat, 45:12).

Hal ini menunjukkan sumber alam mempunyai kedudukan yang
lebih rendah berbanding dengan manusia bagi memudahkan manusia
untuk memanfaatkannya. Secara umumnya, sumber alam merupakan
alat pembangunan semata-mata. Segala sumber alam yang wujud
merupakan hak milik mutlak Allah SWT yang dikurniakan kepada
manusia untuk digunakan mengikut kadar keperluan dan etika yang
telah ditetapkan oleh Allah SWT. Segala kurniaan ini pula sebagai
pengukur untuk melihat kemampuan manusia yang diberikan hak
milik sementara itu dapat menguruskannya dan menyempurnakan
tugasnya sebagai hamba Allah SWT dan seterusnya melaksanakan
tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah SWT dalam memakmurkan
dan mentadbir alam ini (Muhammad Syukri, 2003a; Mohd Shukri
Hanapi, 2013).

Dalam konteks pembentukan asas-asas latihan dari perspektif
Islam, sumber alam perlu diletakkan sebagai salah satu komponen
utama dalam kandungan latihan dari perspektif Islam ini. Berasaskan
hakikat bahawa sumber alam merupakan entiti yang diamanahkan
oleh Allah SWT kepada manusia, maka ia perlu diurus dengan baik
dan manusia perlu dididik dan dilatih dalam menggunakan dan
memanfaatkan sumber alam yang diamanahkan kepada manusia.

135

Peradaban dan Isu-isu Semasa

iv. Kesepaduan Dunia dan Akhirat dalam Latihan dari Perspektif Islam

Dalam konteks latihan dari perspektif Islam, setiap perkara yang
dilaksanakan hendaklah mengambil kira keseimbangan dunia dan
akhirat ini dengan menyeimbangkan pembangunan jasmani dan rohani.
Pelaksanaan latihan dari perspektif Islam adalah berasaskan keperluan
pembangunan Islam yang melibatkan skop yang luas meliputi kesemua
aspek panduan hidup dan pembangunan insan secara menyeluruh demi
mencapai keseimbangan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat (Nordin,
2013). Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan
Allah SWT kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat
dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan
bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-
hamba Allah SWT) sebagaimana Allah SWT berbuat baik
kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-
limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka
bumi; sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang-orang
yang berbuat kerosakan” (Surah al-Qasas, 28:77).

Menurut Haron Din (2015), maksud firman Allah SWT ini dapat
menolak anggapan segelintir umat Islam yang hanya menumpukan
urusan akhirat semata-mata dan menyaksikan amaran Allah SWT
kepada golongan manusia yang hanya menumpukan kehidupan dunia
sahaja. Manusia tidak dilarang untuk menikmati hal-hal kehidupan
dan tuntutan jasmaniah, selagi yang diperolehnya itu menurut cara
yang halal dan yang diambil itu dalam lingkungan yang sederhana
dan munasabah. Prinsip kesepaduan dunia dan akhirat merupakan
aspek yang amat penting, terutamanya dalam melaksanakan latihan
dari perspektif Islam dan dapat dilihat melalui kandungan latihan
tersebut. Setiap latihan yang dilaksanakan seharusnya menitikberatkan
kedua-dua pembangunan dalam aspek dunia dan akhirat. Hal ini
bermakna, setiap latihan yang dilaksanakan seharusnya meletakkan
matlamat akhir, bukan semata-mata untuk pembangunan kemahiran,
pengetahuan dan keupayaan, bahkan aspek pembangunan kerohanian
seharusnya menjadi antara matlamat yang utama.

136

Konsep Latihan sebagai Strategi Pembangunan Insan Berteraskan Islam

v. Penekanan Nilai-nilai Islam dalam Latihan dari Perspektif Islam

Nilai didefinisikan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang
atau institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan
nilai-nilai utama masyarakat. Sesuatu tingkah laku atau asas pemikiran
manusia yang bertepatan dengan sistem nilai Islam diterima sebagai
perbuatan yang Islamik. Jika dilihat sistem nilai-nilai murni dalam skop
syariat Islam, ia berasaskan akidah tauhid yang menjadi acuan kepada
falsafah sistem nilai (Wan Mohamad, 2011; INTAN, 1991).

Penekanan unsur nilai menurut Islam sememangnya telah banyak
dibincangkan oleh sarjana dan para ilmuwan Islam terdahulu. Aspek
nilai dalam Islam lebih menyeluruh dan sempurna berbanding nilai-
nilai konvensional. Hal ini bertitik tolak daripada tanggapan bahawa
setiap perkara yang dilakukan oleh manusia dikira sebagai ibadah,
termasuklah ketaatan dan tanggungjawab kepada Allah SWT, ketua,
keluarga, institusi dan negara. Kesempurnaan nilai dalam Islam terletak
pada asas dan sumbernya. Asasnya ialah akidah, syariah dan akhlak.
Sumbernya pula ialah al-Quran dan hadis. Hal ini juga bermakna,
nilai dalam Islam mempunyai kekuatan rohaniah yang paling kukuh
(Mustafa, 1994). Nilai-nilai tersebut hanya benar-benar dapat dihayati
sekiranya dihubungkan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah
SWT. Sekiranya ia tidak dapat dihubungkan dan disepadukan, bermakna
nilai-nilai tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik (Shaharom, 1997).

Walaupun secara umumnya penekanan nilai tidak ditonjolkan
dalam prinsip-prinsip pembangunan Islam, ia tetap menjadi salah
satu aspek penting khususnya dalam konteks latihan dari perspektif
Islam. Melalui sorotan yang telah dilakukan terhadap beberapa karya
oleh sarjana Islam, terdapat beberapa nilai yang menjadi prinsip dalam
pembangunan Islam yang telah dikenal pasti. Antaranya ialah nilai
ihsan, nilai keadilan, nilai amanah, nilai kesederhanaan, nilai toleransi
dan nilai muhasabah diri yang meletakkan akidah tauhid sebagai teras
utama. Nilai-nilai ini dikaitkan dengan amalan sifat-sifat mahmudah
atau sifat-sifat terpuji yang bertentangan dengan sifat-sifat mazmumah
atau sifat-sifat terkeji.

137

Peradaban dan Isu-isu Semasa

Nilai-nilai Islam begitu penting ditekankan dalam latihan dalam
pengurusan insan. Hal ini membolehkan kebajikan awam umumnya
dan para pekerja khususnya lebih terjamin. Sebagai contoh, nilai
amanah dalam menguruskan masa, harta dan wang rakyat. Pekerja
yang melengahkan kerja membawa kepada pembaziran masa dan wang
masyarakat. Penekanan nilai-nilai Islam mementingkan kualiti umat
Islam sendiri yang bakal menjadi contoh dan teladan kepada golongan
lain. Dalam konteks latihan dari perspektif Islam, aspek kemahiran,
keupayaan dan pengetahuan dalam pekerjaan perlu dilengkapkan,
malah perlu dimulakan dengan pembinaan dan penekanan nilai-nilai
Islam yang berpaksikan akidah tauhid terlebih dahulu agar insan atau
pekerja yang dilahirkan menjadi lebih unggul dan berkualiti.

Matlamat Utama Latihan dari Perspektif Islam

Mencapai keredaan Allah SWT atau mardhatillah merupakan matlamat
utama, sekali gus matlamat akhir pembangunan berteraskan Islam
(Muhammad Syukri Salleh, 2003a; Mohd Shukri Hanapi, 2013).
Keredaan Allah SWT bermaksud setiap amal dan perbuatan yang
dilakukan oleh manusia sentiasa mempunyai hubung kait dengan
peraturan, kaedah, prinsip, hukum-hakam dan syariah yang diaturkan
oleh Allah SWT (Sidek, 2012). Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah
seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa
Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang
percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,
hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah
dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada
Tuhannya” (Surah al-Kahfi, 18:110).

“Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang,
tidak ada sebarang syak padanya dan bahawa sesungguhnya Allah
akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang
di dalam kubur” (Surah al-Hajj, 22:7).

138

Konsep Latihan sebagai Strategi Pembangunan Insan Berteraskan Islam

Perbincangan berkenaan mardhatillah sebagai matlamat utama
dan akhir pembangunan berteraskan Islam ini telah dibincangkan
dengan terperinci oleh Muhammad Syukri Salleh (2003b), Mohd Shukri
Hanapi (2013) dan Kamarul Arifin Ithnan (2015). Keputusan sama
ada berjaya ataupun tidak dalam sesuatu pembangunan material atau
spiritual adalah hak milik mutlak Allah SWT. Sesuatu kejayaan iaitu
al-falah bukanlah semestinya kejayaan yang hakiki di sisi Allah SWT.
Kejayaan di dunia tidak semestinya akan mendapat kejayaan di akhirat.
Ia bergantung kepada keredaan Allah SWT iaitu mardhatillah. Menurut
Muhammad Syukri Salleh (2003b), pembangunan yang berjaya hanyalah
pembangunan yang pelakunya, iaitu manusia diberikan ganjaran syurga
oleh Allah SWT di akhirat nanti. Jika manusia diganjarkan dengan
neraka, pembangunan yang mereka bangunkan tidaklah dikira berjaya
walaupun telah membangunkan material dan fizikal dengan jaya dan
banyaknya di dunia.

Walau bagaimanapun, kejayaan memasuki syurga juga bukanlah
matlamat utama dalam pembangunan berteraskan Islam. Matlamat
yang utama dan hakiki dalam pembangunan berteraskan Islam
adalah untuk mendapatkan mardhatillah. Keredaan Allah SWT atau
mardhatillah ini merupakan kemuncak pengharapan manusia dan
nikmat paling besar dan paling utama daripada Allah SWT. Matlamat ini
sebenarnya membuka luas skop pembangunan yang meliputi kejayaan
fizikal dan spiritual asalkan tidak bercanggah dengan sumber, kejayaan
individu sebagai insan, hamba dan khalifah Allah SWT, serta kejayaan
institusi sebagai matlamat bekerjasama untuk kejayaan yang utama
dan hakiki. Ia berkaitan dengan matlamat sampingan pengurusan dan
pembangunan berteraskan Islam yang tidak berbeza dengan matlamat
yang dituju oleh masyarakat Islam itu sendiri (Muhammad Syukri,
2003b; Mohd Shukri Hanapi, 2013; Ab. Aziz, 2012).

Matlamat masyarakat Islam merangkumi empat perkara yang
termasuk dalam al-falah yang merupakan natijah daripada matlamat
utama, iaitu untuk mendapatkan mardhatillah atau keredaan Allah
SWT. Pertama, dapat melaksanakan undang-undang Islam dalam semua
aktiviti berbentuk ibadah, muamalat dan pelaksanaan hukum Islam.
Kedua, dapat memakmurkan bumi Allah SWT dengan menggunakan

139

Peradaban dan Isu-isu Semasa

sepenuh usaha, tenaga, fikiran dan kewangan bagi mencari dan menggali
segala rezeki dan nikmat pemberian Allah SWT di dunia ini. Ketiga,
dapat melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah SWT di dunia ini,
termasuklah menegakkan undang-undang, melaksanakan pengurusan
pembangunan dan pentadbiran yang adil serta menyusun perhubungan
baik antara sesama manusia; dan keempat, dapat melahirkan masyarakat
yang berwibawa dan adil dalam sebuah kerajaan Islam, iaitu masyarakat
yang mempunyai keupayaan maksimum yang seimbang dari segi rohani
dan jasmani, meneruskan ibadah mengikut ketetapan syarak (Ahmad
Ibrahim,1991).

Menurut Nordin Ibrahim (2013), dalam konteks matlamat
latihan dari perspektif Islam bertujuan menumbuhkan keperibadian
manusia yang utuh secara seimbang melalui latihan jiwa, intelek
dan rasional, perasaan dan pancaindera manusia yang tidak terlalu
mementingkan keuntungan serta menafikan aspek nilai dan moral.
Insan yang berkualiti merujuk kepada pembangunan pekerja yang
mempunyai nilai dan ciri-ciri yang baik seperti mempunyai akhlak
dan etika yang baik, berperwatakan sopan dan berkemahiran tinggi.
Oleh itu, latihan dalam pengurusan insan yang dilaksanakan mampu
memberikan kebaikan kepada manusia tersebut dari segala aspek
termasuk aspek jasmani dan rohaninya. Dalam konteks pengurusan
Islam juga, rangkuman semua kejayaan inilah yang dimaksudkan
dengan al-falah, iaitu kejayaan yang mendapat keredaan Allah SWT atau
mardhatillah (Nor ‘Azzah, 2006). Oleh hal yang demikian, teraju kepada
konsep pengurusan pembangunan berteraskan Islam ialah mendapat
mardhatillah. Keadaan ini akan melahirkan kepuasan dalam kalangan
pekerja untuk bekerja, hormat-menghormati, nasihat-menasihati dan
menjalinkan perhubungan sesama pekerja dengan majikan atas dasar
keikhlasan dan sebaliknya menolak segala aktiviti yang haram (Fadzila
Azni, 2013; Ahmad Bashir, 2015). Sekiranya seseorang pengurus jujur
terhadap pengurusannya, kesan kejujuran tersebut bukan sahaja
dapat dirasai oleh pekerjanya tetapi pada masa yang sama akan dapat
memelihara hubungan diri dan institusi dan seterusnya meningkatkan
kualiti dan produktiviti. Pengurus dan pekerja yang jujur tidak akan
melakukan pecah amanah, penindasan, rasuah dan pembaziran masa.

140

Konsep Latihan sebagai Strategi Pembangunan Insan Berteraskan Islam

KESIMPULAN

Berdasarkan keseluruhan perbincangan dalam bab ini, dapat
disimpulkan bahawa bab ini bertujuan mencapai dua objektif utama.
Perbincangan dimulakan dengan pembentukan asas-asas latihan dari
perspektif Islam, diikuti dengan pembentukan acuan, prinsip-prinsip
dan matlamat utama latihan dari perspektif Islam. Dalam konteks
latihan dari perspektif Islam, pelaksanaannya harus selari dan tidak
bertentangan dengan tiga komponen utamanya. Pertama, acuan
pembangunan berteraskan Islam yang meletakkan akidah tauhid sebagai
paksi. Kedua, prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam, iaitu
manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT, ibadah sebagai kaedah
pembangunan, sumber alam sebagai alat pembangunan, keseimbangan
dunia dan akhirat dan penekanan nilai-nilai Islam. Ketiga, matlamat
utama dan akhir pembangunan berteraskan Islam iaitu mardhatillah
atau keredaan Allah SWT. Kesemua komponen ini menjadi asas kepada
pembentukan asas-asas latihan dari perspektif Islam.

PENGHARGAAN

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Geran Penyelidikan
FRGS-RACER007-2019.

RUJUKAN

Ab. Aziz Yusof. (2012). Pembangunan holistik dari perspektif Islam. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abderrahman Hassi. (2012). Islamic perspectives on training and professional
development. Journal of Management Development, 31(10), 1035–1045.

Abu Hamid Al-Ghazaliy. (1973). Ihya ’Ulum al-din. Kaherah: Matba’ah Bulaq.
Ahmad Bashir Aziz. (2015). Pengurusan Islam alternatif pengurusan moden.

Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Ahmad Ibrahim Abu Sin. (1991). Pengurusan dalam Islam. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Kilan@ Ahmad Kilani Mohamed & Yahaya Jusoh. (2013). Pembangunan

modal insan menurut perspektif Al-Quran. Skudai: Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia.

141

Peradaban dan Isu-isu Semasa

Ahmad Munawar Ismail, & Kamarul Azmi Jasmi. (2016). Akidah dan akhlak
dalam pendidikan Islam. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia .

Beach, D. S. (1980). Personnel: The management of people at work. London: Collier
Macmillan Ltd.

Fadzila Azni Ahmad. (2013). Konsep pengurusan institusi pembangunan
berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Flippo, E. B. (1961). Principles of personnel management. New York: McGraw
Hill Education.

Haron Din. (2015a). Manusia dan Islam: Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Haron Din. (2015b). Manusia dan Islam: Jilid 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Hisham Altalib. (1991). Training guide for Islamic workers. Virginia: The
International Institute of Islamic Thought.

Ilhaamie Abdul Ghani Azmi. (2013). Amalan pengurusan sumber manusia
mengikut Al-Quran dan hadis. Nilai: Penerbit Universiti Sains Islam
Malaysia.

INTAN. (1991). Nilai dan etika dalam perkhidmatan awam. Kuala Lumpur:
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Ishak Mad Shah. (2002). Pengenalan psikologi industri dan organisasi. Skudai:
Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Jucius, M. J. (1954). Personnel management. Connecticut: Richard D. Irwin, Inc.
Kamarul Arifin Ithnan. (2015). Matlamat akhir pembangunan berteraskan

Islam: Analisis pandangan-pandangan tokoh. Workshop Antarabangsa
Pembangunan Berteraskan Islam (WAPI) Ke-8, Medan.
Md. Zhahir Kechot. (2000). Ekonomi dan pengurusan organisasi. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Affandi Hassan. (1992). The tawhidic approach in management and
public administration: Concepts, principles and an alternative model. Kuala
Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Mohd Shukri Hanapi. (2013). Tasawur Islam dan pembangunan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Yusri Ngah. (2004). Latihan dalam pembangunan kerjaya dari perspektif
pengurusan Islam: Kajian di Institut Latihan Kakitangan MARA (ILHAM),
Majlis Amanah Rakyat, Kuala Lumpur. Tesis Sarjana (tidak diterbitkan).
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Muhammad Syukri Salleh. (2003a). 7 prinsip-prinsip pembangunan berteraskan
Islam. Pulau Pinang: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
(ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM).

142

Konsep Latihan sebagai Strategi Pembangunan Insan Berteraskan Islam

Muhammad Syukri Salleh. (2003b). Pembangunan berteraskan Islam. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Mumtaz Begam Abdul Kadir. (2009). Learning organisation: Membangun budaya
belajar dalam organisasi. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd.

Mustafa Daud. (1994). Pengurusan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distributors.

Nor ‘Azzah Kamri. (2006). Pengurusan sumber manusia menurut perspektif
Islam. Dlm. Ab Mumin Ab Ghani & Fadillah Mansor (Eds.), Dimensi
Pengurusan Islam: Mengurus Kerja dan Mengurus Modal Insan. Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Nor ‘Azzah Kamri. (2015). Etika pengurusan Islam: Aplikasi dan implikasi. Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Nordin Ahmad. (2012). Identiti latihan perkhidmatan hal ehwal Islam antara
realiti dan harapan. Konvensyen Pusat Latihan Islam Pertama. Bangi:
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Nordin Ibrahim. (2013). Sistem kawalan standard latihan Islam: Ke arah
kualiti latihan bertaraf antarabangsa. Konvensyen Latihan Islam
Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2. Bangi: Institut Latihan Islam Malaysia
(ILIM).

Poon, J. M. L. (2002). Pengurusan sumber manusia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Razaleigh Muhamat@ Kawangit. (2015). Pengurusan modal insan dari perspektif
Islam. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rohana Hamzah. (2010). Mengenali manusia. Skudai: Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia.

Rozhan Othman. (1991). Pengurusan personel dan perancangan guna tenaga.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shaharom TM Sulaiman. (1997). Pengurusan Islam dan pembangunan manusia.
Batu Caves: Thinker’s Library Sdn. Bhd.

Shapiro, S., Thakur, S., & de Souza, S. (2014). Mindfulness for healthcare
professionals and therapists in training. Dlm. R. A. Baer (Ed.),
Mindfulness based treatment approaches: Clinicians’s guide to evidence base
and applications. Amsterdam: Elsener Academic Press.

Sidek Baba. (2012). Pengurusan Islami. Aplikasi ihsan dan insan. Kuala Lumpur:
Techknowlogic Trading Sdn. Bhd.

Supyan Hussin. (2012). Latihan rabbaniyyah: Falsafah dan aplikasi Institut
Latihan Islam Malaysia (ILIM). Konvensyen Pusat Latihan Islam Pertama.
Bangi:Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Syamsul Bahri Andi Galigo. (2007). Beberapa isu dalam pemikiran Islam. Nilai:
Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia.

143

Peradaban dan Isu-isu Semasa
Wan Liz Ozman Wan Omar. (1996). Pengurusan Islam untuk abad ke-21: Revolusi

pengurusan untuk keunggulan sektor awam dan korporat. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors.
Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz. (2011). Pemahaman dan penghayatan nilai
menjana kepada prestasi: Pengalaman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM). Pemahaman dan penghayatan nilai menjana kepada prestasi.
Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Yoder, D. (1942). Personnel management and industrial relations. New Jersey:
Prentice Hall.

144

10Bab

SYAIR ULAMA BRUNEI PEHIN SIRAJA KHATIB
ABDUL RAZAK BIN HASANUDDIN: MELAKAR

SEJARAH KESULTANAN BRUNEI
Norhayati binti Haji Abd Karim

PENGENALAN

Bab ini membincangkan karya ulama Brunei prolifik yang terulung
pada era akhir kurun ke-19 yang hidup pada empat zaman
pemerintahan Kesultanan Brunei, iaitu Sultan Abdul Momin, Sultan
Hashim Jamalul Alam Aqamaddin, Sultan Muhammad Jamalul Alam
II dan Sultan Ahmad Tajuddin kerana mampu menghasilkan karya
dalam bentuk syair. Beliau selaku Kadi Brunei dan diberikan gelaran
sebagai Pehin Siraja Khatib merupakan satu-satunya ulama Kampong
Ayer yang mampu menghasilkan syair berbanding ulama-ulama Brunei
yang seangkatan dengan beliau.

Objektif penulisan ini adalah untuk mengetengahkan kebitaraan
Pehin Siraja Khatib dalam bidang syair yang sangat menyerlah semasa
zaman kegemilangan beliau, iaitu sewaktu di bawah pentadbiran
Residen British. Beliau telah menghasilkan karya syair dalam bentuk
sejarah yang perlu dihargai oleh bangsa Brunei sendiri memandangkan
nilai adat istiadat Brunei banyak, terutama dalam menyambut majlis
kebesaran diraja seperti majlis menyambut kedatangan Prince of Wales

Peradaban dan Isu-isu Semasa

ke Brunei dalam Syair Yang Di-Pertuan begitu juga majlis perpuspaan
Sultan Ahmad Tajuddin dalam Syair Sultan Ahmad Tajuddin.

Walaupun keaslian hasil tulisan tangan beliau tidak dapat
diselamatkan disebabkan kebakaran yang berlaku semasa pendudukan
Jepun di Brunei, karyanya sempat disadur dan disalin oleh Awang
Haji Damit bin Sulaiman pada tahun 1941 apabila beliau diberikan
keizinan dan kebenaran untuk menyalinnya oleh kerabat Pehin Siraja
Khatib, iaitu bapa mentua Pehin Siraja Khatib, sendiri (Matussin,
2003) sehinggalah karya Pehin Siraja Khatib dalam tulisan tangan
anak didiknya ini diterbitkan oleh pihak Muzium Negara pada tahun
1979 sebagai buku monolog sempena memperingati kedatangan tahun
Hijrah 1400.

Kajian ini pada dasarnya menggunakan kaedah kualitatif dengan
berpandukan buku rujukan daripada perpustakaan dan manuskrip di
bahagian sumber arkib dan Pusat Sejarah. Data dan maklumat turut
diperoleh menerusi sesi temu bual bersama dengan penduduk tempatan
yang mempunyai kaitan dengan penyelidikan terdahulu tentang Pehin
Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin yang dibuat pada tahun 90-
an yang bersumberkan makalah yang dibuat oleh mantan penyelidik
Dewan Bahasa, iaitu Awang bin Ahmad serta keluarga anak angkat
Pehin Siraja Khatib Abdul Razak sendiri.

SYAIR PEHIN SIRAJA KHATIB

Shaer Yang Di-Pertuan dan Syair Sultan Ahmad Tajuddin hasil nukilan
Pehin Siraja Khatib merupakan syair Brunei yang melambangkan ciri-
ciri khas calak Brunei seperti menggambarkan adat istiadat diraja dalam
menyambut hari kebesaran yang berlaku semasa di bawah Residen
British, iaitu keberangkatan pelayaran Sultan Brunei ke luar negara
serta majlis menyambut ketibaan wakil Queen Elizabeth ke Brunei
pada tahun 1924 dan persiapan majlis perpuspaan Sultan Ahmad
Tajuddin merafak adat istiadat diraja Kesultanan Brunei ketika itu.
Bukan itu sahaja, bermula dari menyambut persiapan majlis besar-
besaran termasuklah persiapan menyediakan alat kebesaran diraja,
peranan pembesar-pembesar negara dan tanggungjawab sehinggalah

146

Syair Ulama Brunei Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin:
Melakar Sejarah Kesultanan Brunei

mengadakan mesyuarat negara, Pehin Siraja Khatib menceritakan
dengan penuh beradat dalam berkarya seolah-olah beliau hadir di setiap
acara sama ada di dalam dan luar negeri.

Hanya berpandukan cerita-cerita pembesar negara tentang
negara-negara di bawah Residen seperti Singapura dan Tanah Melayu
yang lainnya, beliau menjelaskannya dalam bentuk syair dengan bait
yang indah dan tidak berlebih-lebihan. Ia bermula daripada pemakaian
Melayu diraja sehinggalah kemuncak acara majlis Pehin Siraja Khatib
menggambarkannya dengan penuh adat istiadat termasuk kelengkapan
alat istiadat diraja.

PEHIN SIRAJA KHATIB ABDUL RAZAK BIN HASANUDDIN,
PENULIS PROLIFIK KURUN KE-19

Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hassanuddin ialah seorang ulama
Melayu Brunei yang tersohor dalam Kerajaan Brunei serta di beberapa
bekas wilayah Brunei ketika di bawah naungan Residen British di Tanah
Melayu. Beliau dilahirkan di Kampung Burung Pingai Ayer pada tahun
1879 dan meninggal dunia pada bulan November 1941 semasa usianya
62 tahun. Beliau hidup dalam empat pemerintahan Kesultanan Brunei,
bermula dengan Sultan Abdul Momin (1852-1888), Sultan Hashim
Jalilul Alam Aqamaddin (1885-1906), Sultan Muhammad Jamalul Alam
II (1906-1924) dan Sultan Ahmad Tajuddin (1924-1950) (Tokoh-tokoh
agama di Brunei Darussalam, 1979).

Nama pena beliau dalam persuratan dipanggil sebagai ‘Abdul
Fatah’ dan telah menghasilkan lapan buah syair yang musnah akibat
kebakaran yang berlaku semasa penaklukan Jepun di Brunei iaitu:

1. Syair Yang Di-Pertuan (Melawat ke Labuan).
2. Syair Yang Di-Pertuan (Berpuspa).
3. Shaer Yang Di-Pertuan (Ke Singapura) – ditulis dalam tahun 1922,

diterbitkan oleh Jabatan Muzium Brunei dalam penerbitan khas
sempena memperingati kedatangan tahun Hijrah 1400.
4. Syair Ahmad Tajuddin (ditabalkan).
5. Syair Awang Alak (sejarah Negeri Brunei).

147

Peradaban dan Isu-isu Semasa

6. Syair Pulau Berambang.
7. Syair Rajang Dagang.
8. Syair Rajang Berahi.

Syair yang terselamat merupakan usaha anak muridnya dalam
menyalin karyanya dan dijadikan sebagai bahan koleksi peribadi masing-
masing sehingga menyebabkan buku beliau kurang diketahui umum.

Selain dinobatkan sebagai penulis prolifik pada abadnya, beliau
juga menghasilkan dua buah kitab pengajian Islam bagi penduduk
kampung yang dihasilkan pada tahun 1939, iaitu Kitab Risalah Yang
Kecil Bagi Mengetahui Ilmu Usuluddin dan Kaifiyah Bernikah-nikahan
Supaya Mudah Bagi.

SHAER YANG DIPERTUAN

Buku syair ini diterbitkan bersempena memperingati kedatangan tahun
Hijrah 1400, yang dikeluarkan oleh Muzium Brunei pada tahun 1979.
Ia dihasilkan dalam bentuk monograf Jurnal Muzium. Syair sejarah
ini dikarang pada hari Isnin, 15 Rabiulakhir 1340H/ 4 Disember 1920,
pukul 7.00 pagi. Bait syair ini mengandungi kira-kira 1022 rangkap
dan dihasilkan dalam tulisan jawi sekali gus ditransliterasikan dalam
bahasa rumi.

Baitnya dimulakan dengan:

Hijratan Nabi Junjongan kita
Saribu tiga Ratus bilangan nyata

Empat puloh satu lagi berserta
Jumlah hitongan segala pendeta

Bersamaan dengan hijratun Masehi
Seribu sembilan ratus jauh seliseh

Dua puloh dua lagi di-kaseh
Hitongan Padri yang amat faseh

148

Syair Ulama Brunei Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin:
Melakar Sejarah Kesultanan Brunei

Rabiul Akhir lima belas hari
Yau mil Isnin kalam berlari

Empat Disember sudah berdiri
Gutika besok bukannya sari
(Shaer Yang Di-Pertuan, 1979)

Diakhiri dengan:

Habislah pesan dagang mengarang
Hatamlah shaer lebih dari kurang

Wallau a’alam sempurna tarang
Kalam dan dakwat sudah terlarang
(Shaer Yang Di-Pertuan, 1979)

Tulisan penyalin sendiri dikekalkan dengan dihiasi iluminasi
petak segi empat di dalamnya mengandungi tiga segi tiga tengah
bahagian segi tiga berkenaan ditulis kalimah Allah dan dilakar dengan;

“Hambalah Yang Bernama Shaer Yang Di-Pertuan Brunei.”

Buku berkenaan mengandungi transliterasi rumi dan bersebelahan
dengan kandungan syair berkenaan dalam tulisan jawi bagi memudahkan
pembaca untuk mengenalinya.

Menerusi buku tokoh-tokoh agama di Brunei Darussalam yang
menerangkan serba ringkas mengenai profil Ulama-ulama Brunei ada
mencatatkan karya Pehin Siraja Khatib antaranya:

a. Syair Yang Di-Pertuan (Melawat ke Labuan).
b. Syair Yang Di-Petuan (Berpuspa).
c. Syair Yang Di-Pertuan (ke Singapura) (Simat Angas, Suhaili Hassan,

Ismail Ibrahim, 1992).

Syair berkenaan merupakan syair berangkai yang dimuatkan
dalam sebuah buku yang telah diterbitkan oleh Muzium Brunei pada
tahun 1979. Ketiga-tiga peristiwa berkenaan tercatat lengkap di dalam
buku Shaer Yang Di-Pertuan. Kandungan buku ini mengandungi enam

149

Peradaban dan Isu-isu Semasa

upacara yang bersejarah yang telah dikupas oleh penulis iaitu:

- Lantikan pembesar negara.
- Penganugerahan bintang kebesaran British KCMG kepada Sultan

Muhammad Jamalul Alam II.
- Meraikan kedatangan Prince of Wales ke Singapura pada tahun

1922.
- Pelayaran Sultan Muhammad Jamalul Alam II ke Singapura

dan menjadikan Labuan sebagai destinasi transit menuju ke
Singapura.
- Ketibaan Sultan Muhammad Jamalul Alam II ke Singapura.
- Sambutan keberangkatan balik Sultan Muhammad Jamalul Alam
II ke Brunei.
- Keberangkatan Putera Mahkota Wales ke Brunei 19 Mei 1922.

PEMERINTAH KESULTANAN BRUNEI DALAM SHAER YANG DI-
PERTUAN

Sultan Muhammad Jamalul Alam II merupakan putera kepada Sultan
Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (Yura Halim, 2002) dilahirkan pada
tahun 1888 serta lindung pada hari Juma’at, 14 Safar 1343/19 September
1924 (Al-Sufri, (2002)(a). Layuan Baginda dimakamkan di Makam Besar
Diraja, Pekan Brunei (Zainuddin Hassan). Baginda berkahwin dengan
Raja Isteri Pengiran Anak Isteri Fatimah binti Pengiran Tua Omar Ali
(Yura Halim, 2002) serta Pengiran Isteri Tengah. Hasil perkongsian
hidup dengan kedua-dua isteri baginda telah dikurniakan enam orang
putera dan empat orang puteri.

SYAIR SULTAN AHMAD TAJUDDIN

Syair berkenaan masih dalam bentuk manuskrip yang ditulis dalam
buku latihan sekolah. Manuskrip asal syair berkenaan tersimpan rapi di
Arkib Muzium Negara (Abdul Razak Hasanuddin, (ANB/MS1980.054).
Namun, penulis merujuk transliterasi rumi syair berkenaan di Pen Borneo
di bawah Pusat Sejarah Brunei dengan kod PS/A/MS/5/00000121 yang

150

Syair Ulama Brunei Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin:
Melakar Sejarah Kesultanan Brunei

ditransliterasikan oleh Haji Sabtu bin Surat, Jurutulis Jawi Bahagian
Perkembangan dan Pembelajaran pada Julai 2007.

Muka depan manuskrip berkenaan dilakar dengan lambang
bendera Brunei dan iluminasi syair berkenaan, iaitu hiasan halaman
terawal dihiasi dengan gambar bendera Brunei dan England
memandangkan Syair Sultan Ahmad Tajuddin berkaitan dengan
pembangunan negara di bawah pentadbiran Residen British. Ia
melambangkan hubungan diplomasi yang erat antara Brunei dengan
Great Britain yang terjalin sekalian lama.

Syair ini dimulakan dengan memperkenalkan Syair Sultan Ahmad
Tajuddin, iaitu:

“Hambalah yang bernama Syair Bawah Duli Sultan berlantik
adanya.”

Mukadimah syair ini dibaca dengan kalimah bismillah, puji-pujian
kepada Allah Subhanahu Wata’ala seperti:

Bismillah itu mula karangan
Puji sempurna dunia kayangan

Termaktub kisah kekasih sayangan
kemudian hari jadi kanangan

Diakhiri dengan:

Khatam syair sudah menempuh
Bulan rejab dua puluh tujuh

Hari Isnin lagi memubuh
Tatkala nabi meraj sungguh

Hijratunnabi rasul junjungan
Seribu tiga ratus banyak bilangan

Lima puluh betul tetap keterangan
jam pukul tiga berbunyi karangan

151

Peradaban dan Isu-isu Semasa

Abdul Fatah ampunya rancana
Karang mengarang balum sempurna

Sejuk dan susun tiada terkena
Boleh ubahkan supaya terkena

Khatam syair kepada hari
Dakwat kertas kalam berlari

Ketiganya mufakat demikian pari
Habislah cerita mahkota negeri

Kertas berkata kepada kalam
serta dakwat permata nilam

Berhenti dahulu kepada malam
habislah kisah Wallahua’lam

Kandungan yang terdapat dalam Syair Sultan Ahmad Tajuddin
adalah seperti yang berikut:

- Lantikan pembesar negara.
- Pertabalan Pengiran Muda Besar Ahmad Tajuddin kepada Sultan

Ahmad Tajuddin.
- Perkahwinan Sultan Ahmad Tajuddin.
- Pelayaran Sultan Ahmad Tajuddin ke Labuan.
- Pelayaran Sultan Ahmad Tajuddin ke Singapura.
- Pelayaran Sultan Ahmad Tajuddin ke Tanah Melayu (Malaya).
- Sultan Ahmad Tajuddin ke England.
- Keberangkatan balik Sultan Ahmad Tajuddin.

PEMERINTAH KESULTANAN DI DALAM SYAIR SULTAN AHMAD
TAJUDDIN

Sultan Ahmad Tajuddin ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam
diputerakan pada 22 Ogos 1913 di Istana Kota Pekan Brunei (Al-Sufri
2002 (b), dan lindung pada 17 Syaaban 1369 / 4 Jun 1950 (Muhaimin
Mohamed, 2011) serta dimakamkan di Kubah Makam Diraja, Bandar
Brunei (Yura Halim, 2002).

152

Syair Ulama Brunei Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin:
Melakar Sejarah Kesultanan Brunei

Baginda menaiki takhta ketika berusia 11 tahun dan memerintah
sehingga tahun 1950. Oleh sebab baginda terlalu muda, maka dua
orang Wazir telah dilantik oleh Kerajaan selaku Pemangku Raja bagi
menguruskan hal ehwal pemerintahan Negara Brunei. Mereka itu
terdiri daripada Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman
ibni Pengiran Muda Omar Ali Saifuddin dan Pengiran Pemancha
Pengiran Anak Haji Muhammad Yasin bin Pengiran Omar Ali. Pada masa
Istiadat Mengangkat dan Memasyhurkan Raja, Sultan Ahmad Tajuddin
didukung oleh Pengiran Abu Bakar (nenda kepada bonda baginda) sebab
baginda pada masa itu masih kecil.

Baginda telah berkahwin dengan Tengku Raihani, puteri sulung
Sultan Alauddin Sulaiman Shah, sultan dan Yang Di-Pertuan Negeri
Selangor Darul Ehsan. Istiadat perkahwinan ini telah berlangsung di
Negeri Selangor Darul Ehsan pada 30 April 1934 ketika baginda berusia
20 tahun. Tengku Raihani ditabalkan sebagai Tengku Ampuan Brunei
pada 17 Mac 1940. Hasil perkahwinan ini telah dikurniakan dengan
seorang puteri iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Noor
Ehsani yang dilahirkan pada 15 Oktober 1935 (Al-Sufri, 2002 (b)).

KESINAMBUNGAN SHAER YANG DI-PERTUAN DAN SYAIR
SULTAN AHMAD TAJUDDIN

Memandangkan syair ini dikarang oleh Pehin sendiri, penulis
mengamati terdapat persamaan pada plot penceritaan bagi kedua-dua
syair ini. Pehin Siraja Khatib menceritakan terlebih dahulu peranan dan
gelaran para pembesar negara, kemudian mengetengahkan peranan
sultan sebagai pentadbir negara dan sejarah penting dalam adat istiadat
diraja seperti pertabalan sultan dan perkahwinan diraja serta pelayaran
Sultan Brunei ke luar negeri.

Shaer Yang Di-Pertuan merupakan karya manifestasi yang
terunggul di Brunei dari kalangan karyawan ulama. Syair Yang Di-Pertuan
menceritakan keadaan di Brunei dalam pelbagai aspek seperti ekonomi,
pembangunan, infrastruktur dan lain-lain lagi. Hal ini demikian kerana
Sultan Muhammad Jamalul Alam II Sultan merupakan sultan pertama
menerima Residen British sebagai penasihat negara.

153

Peradaban dan Isu-isu Semasa

Adapun ayahanda baginda, Sultan Hashim Jalilul Alam sering
membuat perjanjian. Antaranya adalah tentang perdamaian dan
keselamatan serta jaminan daripada pihak Britain agar menjaga Brunei
daripada serangan musuh. Apabila salah seorang pegawai Great Britain
datang ke Brunei iaitu Mc Arthur meninjau perkembangan Brunei,
beliau berpendapat Brunei berpotensi untuk berkerajaan mendiri
dengan menstabilkan ekonomi Brunei ketika itu. Hasil laporan inilah
salah satunya penyebab Brunei menerima Residen British menjadi
tulang belakang pentadbiran negara, selain daripada gunboat policy
yang dihadapkan kepada Sultan Muhammad Jamalul Alam II bagi
menghadapi dan menangani krisis kemelut yang dihadapi oleh Kerajaan
Brunei ketika itu. Akhirnya, Residen British diterima dalam pentadbiran
Kerajaan Brunei sebagai penasihat sultan kecuali dalam urus tadbir
pentadbiran tradisi beraja, iaitu adat istiadat dan keugamaan seperti
yang terkandung dalam perjanjian tambahan antara Brunei dan British
pada tahun 1905/1906.

Kesudahan daripada perjanjian itu bermulalah era pentadbiran
baharu menjadi corak pentadbiran monarki kerajaan bersultan berubah
dengan adanya sistem pentadbiran Residen British dalam pemerintahan
beraja. Dominasi kekuasaan pihak Barat dalam pentadbiran Brunei
sangat jelas kerana Residen British memberikan keputusan berbanding
sultan, kecuali dalam bidang berkaitan keagamaan dan adat istiadat.
Oleh itu, pihak istana sedaya upaya mengekalkan dan menerapkan
adat istiadat diraja dalam majlis-majlis kebesaran khususnya dalam
bidang diplomatik seperti menerima kunjungan para delegasi asing. Ia
menunjukkan keramahan dan kesantunan adat Brunei memberikan
penghormatan kepada mereka. Adat istiadat diraja ini diamalkan sejak
turun-temurun, iaitu sejak Kesultanan Brunei yang pertama (Sultan
Muhammad Shah) termasuklah penggunaan alat kebesarannya sesuai
dengan majlis atau upacara yang diadakan.

Alat kebesaran diraja ini sebilangannya merupakan warisan
daripada generasi Kesultanan Brunei yang lampau serta sebahagiannya
pula merupakan hadiah daripada Kerajaan Gergasi Kuno. Contohnya
Nobat Diraja merupakan alat kebesaran diraja tertua yang diwarisi
daripada Kerajaan Sriwijaya Palembang. Warisan itu ada disebutkan

154

Syair Ulama Brunei Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin:
Melakar Sejarah Kesultanan Brunei

dalam Salasilah Raja-Raja Brunei:

“…segala anak cucunya, Raja-Raja yang mempunyai takhta
Mahkota Kerajaan dalam kendang Daerah Negeri Berunai
Darussalam yang mengambil pusaka Nobat Nakara dan Ganta
Alamat dari Negeri Johor Kamalul Maqam; dan mengambil
lagi pusaka Nobat Nakara dan Ganta Alamat dari Negeri
Minangkabau iaitu Negeri Andalas…” (Sweeney, PLA,1968)

Ketegasan pihak istana dalam mengekalkan adat warisan
bersultan turut diamalkan dalam mesyuarat rasmi yang dihadiri oleh
para pembesar negara. Inisiatif Kerajaan Brunei dalam mengamalkan
adat istiadat diraja seperti yang digambarkan dalam buku Shaer Yang
Di-Pertuan ini tidak menyulitkan pelaksanaannya.

Sebagai contoh, acara yang disambut dengan penuh adat istiadat
diraja dan diraikan dengan gilang-gemilang ini menjadi perhatian dunia
atas kunjungan King Edward VIII, perwakilan Queen of Elizabeth ke
Brunei. Inilah peluang yang sesuai untuk memperkenalkan adat Brunei
yang dipraktikkan dalam institusi beraja, iaitu adat istiadat diraja dengan
cara yang tersendiri sebagai tanda bahawa Brunei mampu mengekalkan
kedaulatan beraja tanpa dicacatkan oleh campur tangan pihak luar.

Selain mempromosikan kebudayaan adat istiadat negara, ia juga
melibatkan kesetiaan rakyat. Adat ini membolehkan rakyat bersatu
taat setia dan menjunjung baginda. Mentaati perintah sultan dan
melaksanakan tanggungjawab yang diberikan berdasarkan pangkat
jawatan dalam bidang pentadbiran serta gelaran merupakan amanah
yang wajib dipikul walaupun pentadbiran Brunei berkompromi dengan
politik British. Secara tidak langsung, ia merupakan lambang keberanian
dan keperkasaan jati diri bangsa Brunei.

Setiap alat kebesaran diraja juga mempunyai fungsi dan sejarahnya
yang tersendiri, di samping menyerlahkan lagi keindahan adat istiadat
itu dijalankan. Ukiran-ukiran yang dihasilkan di setiap alat kebesaran
diraja mempunyai maksud yang tersendiri yang melambangkan ciri-ciri
khas adat istiadat Kerajaan Melayu serta mengandungi ciri-ciri Islamik
seperti potongan ayat-ayat Al-quran yang terpilih yang diukir di atas
perisai, kain sesandang dan kiyap (kipas).

155

Peradaban dan Isu-isu Semasa

KEBITARAAN PEHIN SIRAJA KHATIB DI SEBALIK KARYA SYAIR

Kebitaraan Pehin Siraja Khatib dalam mencatat peristiwa penting lagi
bersejarah dalam syair berkenaan jelas menunjukkan kepintaran dan
kebijaksanaan Pehin dalam menghasilkan karya seni tanah air kita.
Apatah lagi beliau menggambarkan peristiwa yang telah diceritakan
kepada beliau melalui pegawai-pegawai Istana, para kerabat diraja
yang lainnya seolah-olah beliau hadir dalam acara berkenaan, seperti
pelayaran Sultan Muhammad Jamalul Alam II ke Singapura dan
pelayaran Sultan Ahmad Tajuddin ke England. Beliau bukanlah antara
pegawai yang dibawa belayar akan tetapi beliau hanya mendengar
cerita daripada pegawai yang terpilih dan menulisnya dalam syair
sehinggalah syair beliau ini dipuji dan diiktiraf oleh sultan serta pihak
Residen British sehingga pihak pentadbir Kerajaan Brunei menyarankan
pegawai-pegawai mereka menghasilkan syair setanding dengan syair
Pehin Siraja Khatib. Ada yang cuba menghasilkan syair Yang Dipertuan
dengan versinya tersendiri tetapi nama penulisnya tidak diketahui ini
yang ditemukan oleh pengkaji di Pen Borneo fotokopi manuskrip dalam
kod PS/PnB/MS/0000155 yang disalin oleh Abdul Wahid bertarikh
5 Mei 1938, iaitu pada hari Jumaat dengan diberikan judul Syair
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Dipertuan Sultan Muhammad Jamalul
Alam ke Singapura Lawatan Prince of Wales ke Negeri Brunei.

Syair tulisan Pehin Siraja Khatib sangat bermutu dan pemilihan
perkataannya bersesuaian iaitu terdiri daripada bahasa Melayu dan
Inggeris serta dialek Brunei lama tidaklah mencacatkan keindahan
syair berkenaan. Malah, ia menghidupkan lagi penceritaan dan watak
yang ada dalam syair tersebut. Sehinggakan orang yang membaca syair
berkenaan tergambar akan pantulan kehidupan masyarakat Brunei di
bawah pentadbiran Residen British. Visual silam ini boleh menimbulkan
keterujaan dan kekaguman kepada pembaca.

156

Syair Ulama Brunei Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin:
Melakar Sejarah Kesultanan Brunei

PEMBANGUNAN NEGARA DALAM SHAEIR YANG DI-PERTUAN
DAN SYAIR AHMAD TAJUDDIN

Dari aspek pembangunan negara, Brunei semasa Sultan Muhammad
Jamalul Alam II menghadapi krisis ekonomi negara dan keadaan
Brunei ketika itu menghadapi zaman kemalapan. Demi keselamatan
dan kedaulatan beraja, akhirnya Kerajaan Brunei terpaksa menerima
Residen British sebagai perisai pentadbiran negara dalam menangani
isu semasa serta pembangunan negara sehinggalah penduduk Brunei
yang tinggal di kampung air dikerahkan untuk berpindah ke darat
demi meningkatkan produktiviti kehidupan yang lebih baik berbanding
sebelum ini serta konsep kebersihan alam sekitar sangat diutamakan
ketika itu demi menjaga kesihatan penduduk. Dalam usaha menstabilkan
ekonomi negara, Residen British juga masuk campur dalam undang-
undang tanah di Brunei serta wilayahnya dengan menarik balik sistem
tanah Kuripan Tulin dan Kerajaan kembali kepada pihak Kerajaan
Brunei. Bukan setakat itu sahaja infrastruktur seperti jalan raya,
sekolah, bangunan kerajaan seperti pejabat residen British, hospital
didirikan dan dipantau mengikut perkembangan masing-masing sebagai
salah satu prioriti kemajuan negara dan direkodkan dalam buku Report
of Brunei termasuklah hasil belanjawannya setiap tahun.

Malah, faktor keselamatan negara juga sangat diutamakan
dengan menawarkan kepada rakyat untuk menjadi tentera dan polis
bagi menjaga keamanan negara. Hasil campur tangan Residen British
ke atas pembangunan negara membolehkan Brunei mengalami arus
pemodenan secara tidak langsung.

Walau bagaimanapun, dengan arus kemodenan yang dibawa oleh
pihak asing dan pengaruhnya dalam kehidupan masyarakat tempatan,
Kerajaan Brunei dalam pentadbiran tradisi beraja tidak menolak
kemajuan yang dikecapi ketika itu sehinggalah Kerajaan Brunei mampu
membayar hutang serta memberikan keberuntungan kepada pihak
Residen British apabila minyak telah dijumpai di Seria pada tahun 1920.

157

Peradaban dan Isu-isu Semasa

Dalam mengekalkan calak Brunei dalam pentadbiran negara,
dengan kebijaksanaan Sultan dan para pembesarnya setiap upacara wajib
ada adat Istiadat Diraja sehinggakan dalam mesyuarat sekalipun tetap
dikekalkan adat istiadat diraja termasuklah kelengkapan alat kebesarannya
seperti yang dicatatkan di dalam syair ulama berkenaan.

Calak Brunei yang diamalkan dan dibudayakan dalam pentadbiran
tidak membataskan kekuasaan sultan walaupun pada masa yang sama
menerima keputusan daripada pihak Residen British. Dengan falsafah
Melayu Islam Beraja yang ada pada jati diri rakyat dan pembesar negara
Brunei itulah mengukuhkan dan mempertahankan adat istiadat Brunei
daripada pupus.

Inilah keunikan dalam pentadbiran diraja Brunei sehinggakan
Residen British tidak dapat masuk campur apatah lagi mempengaruhi
budaya Barat dalam adat istiadat diraja. Faktor inilah yang membuatkan
Kerajaan Brunei yang menjadi kerajaan tertua yang masih berdaulat dan
menjulang sultan sebagai raja pemerintahan negara.

Seperti yang diceritakan berkenaan pelayaran Sultan Muhammad
Jamalul Alam II berangkat ke Singapura, iaitu semasa hari keberangkatan
Sultan Muhammad Jamalul Alam II berserta rombongan yang turut
menghimpunkan Cheteria dan Menteri di Lapau ia yang baharu
dibina pada Disember 1915 bersebelahan dengan tapak Lapau Lama.
Atas usaha itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Muhammad Jamalul Alam berbesar hati dan amat menghargai
usaha Kerajaan membina Lapau tersebut yang diketuai oleh Pengiran
Pemancha dan Pengiran Bendahara.

Majlis ini juga dilengkapi dengan alat kebesaran diraja seperti
tombak, benderangan, pedang tersula, kaskul dan payung berwarna
hitam dan putih. Tugas memegang payung bagi wazir pertama
dipertanggungjawabkan oleh Pengeran Besar Putera Kesuma dan yang
akan memayungi wazir kedua iaitu Pengiran Pemancha adalah Pengiran
Apong. Begitu juga Menteri Perdana mempunyai sebuah bidar setiap
seorang dengan sempurna.

158

Syair Ulama Brunei Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin:
Melakar Sejarah Kesultanan Brunei

Apabila sudah keesokan hari
Menghantar berangkat Sultan bistari

Segala Raja-Raja Cheteria Menteri
Berhimpun naik isi-nya negeri.

Pengiran Pemancha Pengiran Bendahara
Naik-nya awal pada kira-kira

Semayam di Lapau sudah ketara
Menantikan berangkat seri betara.

Serta chukop halat terala
Tumbak benderangan pedang tersula

Kaskul dan payong ada segala
Hitam dan Puteh warna bernyala.

Sebelum Sultan Muhammad Jamalul Alam II berangkat ke Lapau,
baginda terlebih dahulu menunaikan solat dan memakai pakaian
diraja berwarna hitam kain mastul bunga seganda, berbutangkan
emas paun Belanda serta dilengkapi dengan keris kerajaan. Sepanjang
menuju ke Lapau, baginda diiringi dengan kelengkapan Alat Kebesaran
Diraja seperti tombak Tunggal, Pedang Bersarung Emas, Puan serta
Payung Diraja bewarna kuning berumbai pudi dengan mutiara serta
Bintang petian termasuklah Pedang dan tombak yang dibawa oleh
Awang-Awang. Tombak Tunggal diamanahkan kepada Pengiran
Ahmad untuk membawanya, manakala Pedang Bersarung Emas pula
dipertanggungjawabkan kepada Pengiran Damit dan Pengiran Metassan
membawa Puan dan Payung Diraja ditugaskan kepada Pengiran Damit
untuk memayungi Baginda dan Bintang petian yang diangkat oleh
Pengiran Mujun yang ditutupi dengan kain bersulam berwarna kuning.

Bacaan doa selamat dibacakan oleh Dato’ Seri Mahraja Alam
Pendita, Tuan Imam Kerajaan Brunei. Baginda kemudiannya dijunjung
oleh Residen British naik ke kapal Mutu ‘Adil. Laungan bacaan selawat ke
atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dibacakan sebanyak
tiga kali sebelum pelayaran dan selepasnya serta di Pulau Hambok Pasir
(Syaer Yang Di-Pertuan, 1979).

159

Peradaban dan Isu-isu Semasa

KESIMPULAN

Karya Ulama Pehin Siraja Khatib merupakan karya nadir yang
sukar didapati walaupun di Brunei Darussalam. Hal ini disebabkan
tidak banyak penulisan yang membincangkan karya beliau kecuali
segelintir daripada para karyawan sasterawan memandangkan karya
syair beliau lebih menonjol berbanding karya kitab ugama yang
diajarkan di Balai. Karyanya yang asli dalam syair tidak diketemukan,
cuma yang ada hanyalah salinan yang diusahakan oleh anak
didik beliau. Walaupun disalin, karyanya ini masih dalam bentuk
manuskrip dan belum banyak yang membincangkannya secara
mendalam kecuali para penyelidik pada awal abad ke-20. Dengan
penyelidikan semula mengenai Pehin Siraja Khatib membuka jalan
kepada pengkaji sehingga menemukan salinan karya beliau yang
lainnya hasil koleksi peribadi penduduk tempatan. Dengan dapatan
yang diperoleh sebagai “raw material” menjadikan kajian ini sebagai
pengenalan awal serta mengetengahkan kembali karya-karya beliau
yang semakin terpinggir agar tidak asing dalam pengajian akademik
kita sekarang ini. Walaupun ia penyelidikan dalam kajian terawal
akan tetapi jasanya dalam sumbangan berkenaan sudah cukup besar
manfaatnya kerana merupakan masterpiece karya yang terunggul
dan merupakan ilmu pendidikan umum kepada rakyat tempatan
semasa era Residen British yang cuba mengalihkan aliran pendidikan
dari balai ke sekolah. Karya syair yang beliau hasilkan merupakan
catatan sejarah Brunei yang mana hampir keseluruhannya menepati
dengan apa yang tercatat di dalam Report of Brunei. Kelebihan dalam
syair ini dapat menggambarkan kehidupan masyarakat tempatan
dengan lebih menyeluruh serta menggambarkan pembangunan
Brunei berbanding daripada catatan British dari kaca mata luar
tempatan. Akan tetapi catatan Pehin Siraja Khatib dalam bentuk
syair merupakan pandangan dari prospektif tempatan Brunei yang
tidak boleh diketepikan faktanya. Hanya dengan gabungan fakta dari
pihak luar dan tempatan ini menjadikan fakta sejarah kehidupan
rakyat Brunei ketika itu menjadi lebih menarik diperbincangkan.
Diharapkan dapatan penulis ini akan dapat memperluaskan lagi

160

Syair Ulama Brunei Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin:
Melakar Sejarah Kesultanan Brunei

kajian selanjutnya untuk menghidupkan kembali karya-karya ulama
Brunei seperti Pehin Siraja Khatib dari segi pemikiran beliau dalam
karya penulisan.

RUJUKAN

____________. PS/A/MS/5/00000121 Transliterasi syair Sultan Ahmad Tajuddin
(manuskrip). Brunei Darussalam: Pen Borneo Pusat Sejarah.

__________. ANB/MS1980.054. Salinan Syair Sultan Ahmad Tajuddin,
(manuskrip). Brunei Darussalam: Arkib Muzium.

Abdul Razak Hasanuddin. (1979). “Shaer Yang Di-Pertuan”. Monograph Jurnal
Muzium Brunei. Brunei Darussalam: Muzium Brunei.

Awang Ahmad. (1989). Manuskrip lama Brunei: Sumbangan dan penglibatan
tokoh-tokoh ugama masa lalu. Seminar Antarabangsa Islam di Alam
Melayu. Brunei Darussalam: Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Matussin Omar. (2003). Syair Yang Di-Pertuan: Pancaran sekilas panang
sosio-budaya Brunei. Seminar Pengajian Manuskrip Lama Melayu. Brunei
Darussalam: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Jamil Al-Sufri, Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama
Dr. Haji Awang. (2002). Sejarah Sultan-Sultan Brunei Menaiki Takhta.
Brunei Darussalam: Pusat Sejarah Brunei.

Mohd. Jamil Al-Sufri, Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama
(Dr.) Haji Awang. (2002). Latar belakang sejarah Brunei. Brunei
Darussalam: Pusat Sejarah Brunei.

Muhaimin Haji Mohamed. (2011). Pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin 1924-
1950: Kerajaan, masyarakat dan perubahan. Brunei Darussalam: Pusat
Sejarah Brunei.

Simat bin Angas, Suhaili bin Haji Hassan, Haji Ismail bin Ibrahim. (1992).
Tokoh-tokoh agama di Brunei Darussalam: Pengenalan ringkas. Brunei
Darussalam: Muzium Brunei.

Sweeeney, P.L.A. (1968). Silsilah Raja-Raja Brunei. JMBRAS, 41(2).
Yura Halim. (2002). Ririsej Brunei Darussalam. Brunei Darussalam: Dewan

Bahasa dan Pustaka.
Zainuddin bin Hassan. (t.t). Kompilasi Sultan Muhammad Jamalul Alam II

(tidak diterbitkan).

161

Peradaban dan Isu-isu Semasa
Temu Bual
Keluarga Haji Damit bin Patih Jalil, 15 Ogos 2019.
Tuan Haji Yaakub, Pegawai transliterasi, Pen Borneo Pusat Sejarah Brunei, 10

Ogos 2019.

162

11Bab

PERKEMBANGAN PENYEBARAN ISLAM
DALAM KALANGAN MASYARAKAT
PEDALAMAN DI SABAH

Siti Aidah Hj. Lukin @Lokin, Suraya Sintang,
Budi Anto Mohd. Tamring & Halina Sendera Mohd. Yakin

PENGENALAN

Pada tahun 1960-an, penduduk Sabah yang beragama Islam hanya
berjumlah kira-kira 38.7 peratus. Jumlah itu agak kecil berbanding
penduduk negeri Sabah yang tidak beragama Islam (Muhiddin, 1990).
Sebelum kegiatan penyebaran agama Islam secara terancang dilaksanakan
pada sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an di ketiga-tiga kawasan
pedalaman, khususnya di kawasan lokasi kajian, iaitu di daerah Tenom,
Tambunan dan Nabawan, majoriti penduduknya tidak beragama
Islam. Justeru, makalah ini cuba menyingkap sejarah perkembangan
penyebaran Islam dalam kalangan masyarakat pedalaman di Sabah yang
tertumpu di ketiga-tiga daerah tersebut. Makalah ini juga cuba meneliti
isu-isu dan cabaran yang dihadapi dalam usaha penyebaran Islam dalam
kalangan masyarakat pedalaman di daerah berkenaan terutamanya ketika
kegiatan gerakan pengislaman secara beramai-ramai dijalankan di daerah
berkenaan. Isu-isu dan cabaran ini agak meluas sifatnya meliputi isu dan
cabaran dalam proses penyebaran Islam itu sendiri dan isu serta cabaran
yang dilalui oleh saudara baru sebagai kesan daripada pengislaman mereka.

Peradaban dan Isu-isu Semasa

Kajian ini bersifat kualitatif yang menggunakan kaedah sejarah
dalam meneliti dan merujuk penulisan-penulisan awal tentang
perkembangan penyebaran Islam di daerah pedalaman Sabah. Selain itu,
kaedah pemerhatian dan temu bual di lokasi kajian juga dijalankan bagi
mendapatkan lebih banyak data bagi mengukuhkan lagi hasil kajian. Temu
bual bersama para informan dijalankan di Pejabat Daerah dan Jabatan
Hal Ehwal Agama Islam di ketiga-tiga daerah berkenaan. Data-data yang
diperoleh daripada kaedah temu bual sangat penting dalam menjelaskan
isu dan cabaran dalam perkembangan penyebaran Islam di kawasan
pedalaman. Informan yang dipilih terdiri daripada individu-individu
yang terlibat dalam proses penyebaran Islam dan yang mengalami sendiri
cabaran daripada proses pengislaman tersebut.

KAJIAN TENTANG PERKEMBANGAN ISLAM DI SABAH

Kajian tentang perkembangan Islam di Sabah telah dijalankan oleh
Muhiddin Yusin dan diterbitkan dalam buku beliau yang bertajuk
Islam di Sabah, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990.
Menerusi penulisan tersebut, dijelaskan bahawa sebelum merdeka
kesedaran Islam dalam kalangan penduduk di Sabah dapat dibuktikan
menerusi penubuhan persatuan-persatuan Islam pada era 1960-an
seperti Persatuan Islam Putatan, Persatuan Islam Tawau dan Persatuan
Islam Sabah. Walau bagaimanapun, kegiatan persatuan-persatuan ini
agak terbatas dan kebanyakannya ditubuhkan di kawasan bandar atau
pinggir bandar. Hal ini menyebabkan penyebaran Islam berlaku agak
perlahan terutamanya di kawasan pedalaman Sabah. Selepas merdeka,
berlaku perubahan yang sangat besar dari segi penyebaran Islam di
Sabah menerusi peranan Kerajaan Negeri Sabah dalam menjalankan
gerakan pengislaman secara besar-besaran terhadap penduduk bukan
Islam khususnya mereka yang tidak beragama atau masih mengamalkan
kepercayaan animisme. Peranan yang dimainkan oleh pemimpin politik
daripada kalangan masyarakat Islam seperti Tun Mustapha bin Datu
Harun (Ketua Menteri Sabah) dan menteri-menteri kabinet yang
lain juga amat penting dalam meramaikan bilangan ahli politik atau
Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) yang beragama Islam

164

Perkembangan Penyebaran Islam dalam Kalangan Masyarakat Pedalaman di Sabah

melalui pengislaman ahli politik. Gerakan pengislaman bagi rakyat
jelata pula dilaksanakan melalui penubuhan United Sabah Islamic
Association (USIA) atau Pertubuhan Islam Seluruh Sabah dan Majlis
Ugama Islam Sabah (MUIS). Kedua-dua badan ini sangat penting
dalam menggerakkan proses penyebaran Islam di seluruh Negeri
Sabah. Menurut Muhiddin (1990), kemunculan USIA dan sejarah
perjuangannya dalam kegiatan dakwah di Sabah tidak dapat dipisahkan
dengan sejarah dan perkembangan Islam di Sabah. Kesan penting
penyebaran Islam dalam konteks negeri Sabah selepas merdeka adalah
kejayaan pihak kerajaan meminda undang-undang negeri Sabah yang
telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi di Sabah pada tahun 1973.

Dapatan berikutnya pula berkaitan dengan politik dan agama di
Sabah yang dijalankan oleh Ismail Yusof dan telah diterbitkan melalui
hasil penulisannya yang bertajuk Politik dan Agama di Sabah, terbitan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2004. Makalah
ini memfokuskan kaitan rapat antara pertubuhan parti-parti politik
dengan kepentingan agama kumpulan etnik masing-masing. Menurut
beliau, konflik politik di Sabah seolah-olah berlaku di antara dua
golongan besar, iaitu penganut Islam dan Kristian. Segala tindakan
yang dibuat oleh pemimpin Islam, contohnya dalam penyebaran Islam
dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi di Sabah dilihat sebagai
tindakan dominasi Islam terhadap masyarakat bukan Islam. Dalam
membincangkan isu dan cabaran penyebaran Islam dalam kalangan
masyarakat pedalaman di Sabah, tidak dinafikan bahawa faktor politik
merupakan salah satu daripada punca wujudnya isu dan cabaran yang
dihadapi. Hal ini demikian kerana gerakan penyebaran Islam di Sabah
tidak terlepas daripada matlamat politik kerana USIA dikendalikan
oleh tokoh-tokoh politik yang memberi kesan dari segi kaedah dakwah
Islam yang dilihat kejayaannya lebih bersifat kejayaan politik berbanding
kejayaan dakwah itu sendiri. Dalam bab ini, isu dan cabaran penyebaran
Islam di kawasan pedalaman cuba diteliti dan dibincangkan berdasarkan
data-data daripada kajian lapangan di lokasi kajian.

165

Peradaban dan Isu-isu Semasa

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN PENYEBARAN ISLAM DI
DAERAH PEDALAMAN SABAH

Penduduk Islam terawal di daerah Tenom, Tambunan dan Nabawan
merupakan individu-individu yang datang dari luar daerah seperti dari
Kota Kinabalu, Papar, Beaufort dan Ranau yang berada di daerah-daerah
berkenaan kerana menjalankan tugas sebagai kakitangan perkhidmatan
awam ataupun mereka yang berkahwin dengan penduduk tempatan.
Majoriti penduduk tempatan di daerah berkenaan adalah penduduk
bukan Islam yang terdiri daripada etnik Dusun dan Murut. Misalnya
di Tambunan, pada tahun 1960-an hanya terdapat lima buah keluarga
Islam yang menetap di Pekan Tambunan. Mereka terdiri daripada etnik
Bajau dan Melayu Brunei dari daerah Papar dan Kota Kinabalu (Temu
bual dengan Ustaz Jalil Rusiman, Pegawai JHEAINS Tambunan). Di
daerah Tenom pula, penduduk Islam yang awal terdiri daripada buruh-
buruh tempatan Sabah yang beragama Islam dari daerah lain di Sabah
dan buruh-buruh keturunan Jawa serta Banjar yang bekerja di estet-
estet seperti di Sapong dan Melalap. Perkahwinan campur penduduk
yang beragama Islam ini dengan penduduk bukan Islam di daerah-
daerah berkenaan menyebabkan Islam dapat dikembangkan tetapi
dalam skala yang agak kecil dan perlahan. Pengislaman di Nabawan
pula agak perlahan berbanding di daerah Tambunan dan Tenom kerana
kedudukan Nabawan yang begitu jauh di pedalaman. Penduduknya
majoriti etnik Murut yang masih kuat berpegang teguh kepada adat
resam tradisional nenek moyang mereka dan pada peringkat awal
penyebaran Islam, mereka agak sukar untuk meninggalkan amalan dan
kepercayaan tradisional mereka.

Gerakan penyebaran Islam secara besar-besaran di seluruh
negeri Sabah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada awal
tahun 1970-an. Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Tun Datu
Mustapha bin Datu Harun begitu prihatin terhadap bilangan penduduk
Islam di Sabah yang agak kecil berbanding bilangan penduduk bukan
Islam iaitu hanya lebih kurang 38 peratus pada tahun 1960-an. Dalam
konteks politik negeri Sabah, keadaan ini boleh menghalang kejayaan
sesuatu perjuangan untuk orang Islam khususnya yang melibatkan

166

Perkembangan Penyebaran Islam dalam Kalangan Masyarakat Pedalaman di Sabah

perlembagaan negeri Sabah. Tambahan pula pada masa itu Ahli-
ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak mencapai majoriti dua
pertiga di Dewan Undangan Negeri Sabah (Muhiddin,1990). Oleh
itu, penubuhan USIA menjadi strategi Tun Mustapha dan pemimpin-
pemimpin beragama Islam dalam Parti USNO untuk melaksanakan
gerakan penyebaran Islam di Sabah. USIA ditubuhkan selepas Kongres
penubuhan USIA pada 14-16 Ogos 1969 di Dewan Masyarakat Kota
Kinabalu dan didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
Sabah pada 19 Ogos 1971. Pada akhir tahun 1971, USIA mempunyai
254 cawangan dan cawangan ini semakin bertambah pada tahun 1972
menjadi 294 cawangan dengan ahli seramai 49,449 orang. Pada tahun
1975, cawangan USIA meningkat ke 357 cawangan dan pada tahun 1976
terdapat sebanyak 384 cawangan dengan ahli seramai 60,000 orang di
seluruh Sabah (Muhiddin,1990).

USIA memainkan peranan penting untuk menjadikan kegiatan
dakwah dalam kalangan orang-orang bukan Islam sebagai strategi
perjuangannya yang pertama. USIA melancarkan gerakan dakwah
secara besar-besaran kepada orang bukan Islam di seluruh negeri Sabah.
Tujuan kegiatan ini adalah untuk meningkatkan jumlah penganut
Islam di Sabah dan ADUN yang beragama Islam, sekurang-kurangnya
boleh ditambah kepada majoriti dua pertiga daripada jumlah ADUN
keseluruhannya. Sasarannya bukan sahaja terhad kepada masyarakat
umum, tetapi juga kepada pemimpin-pemimpin politik khususnya
menteri-menteri kabinet dan wakil rakyat serta pegawai-pegawai
perkhidmatan awam negeri Sabah. Gerakan ini dijalankan secara
berkelompok dan perseorangan oleh para pendakwah USIA yang
berusaha memberi penerangan tentang agama Islam kepada kumpulan
sasaran dakwah mereka.

Tenaga pendakwah yang memainkan peranan penting dalam
gerakan penyebaran Islam ini kebanyakannya terdiri daripada penduduk
tempatan yang terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama
ialah pegawai gerakan dakwah yang dibayar gaji oleh USIA termasuk
pegawai penerangan dan mubaligh USIA serta orang perseorangan
yang dilantik untuk menyertai gerakan itu. Mereka bertanggungjawab
memberi penerangan tentang ajaran Islam kepada orang bukan

167

Peradaban dan Isu-isu Semasa

Islam untuk menarik mereka supaya memeluk Islam. Golongan yang
kedua pula terdiri daripada orang perseorangan yang bertugas secara
sukarela untuk menjalankan tugas yang sama seperti tugas-tugas
yang dijalankan oleh golongan pertama. Mereka tidak menerima gaji
daripada USIA namun menyokong gerakan ini sebagai tanggungjawab
orang Islam. Mereka menjalankan usaha-usaha persendirian mengikut
kemampuan dan kegigihan masing-masing (Muhiddin, 1990). Pada
keseluruhannya hanya sebahagian kecil daripada golongan pendakwah
ini yang mempunyai pendidikan agama Islam secara formal dan
mendalam. Namun demikian, kegigihan mereka menjalankan tugas
masing-masing telah menghasilkan kejayaan yang paling besar dalam
sejarah perkembangan Islam di Sabah pada jangka masa yang singkat.

Pada peringkat awal menerusi gerakan secara individu dan
kelompok-kelompok kecil, USIA telah berjaya mengislamkan seramai
1,579 dalam tempoh awal selepas penubuhannya. Lanjutan daripada
itu usaha digiatkan lagi menerusi gerakan dakwah secara berkelompok
dan secara besar-besaran. Pegawai gerakan dakwah diberikan taklimat
atau kursus singkat oleh pegawai USIA pada peringkat pusat berhubung
dengan tugas dan pelaksanaannya sepanjang gerakan tersebut. Gerakan
dakwah yang dijalankan memakan masa selama tiga hingga empat bulan.
Gerakan ini dijalankan serentak di seluruh negeri Sabah terutamanya
di kawasan majoriti penduduknya bukan Islam. Hasilnya pada tahun
1971, dianggarkan seramai 30,000 orang yang telah memeluk Islam.
ADUN yang beragama Islam meningkat kepada jumlah dua pertiga
daripada keseluruhan jumlah ADUN dalam DUN Sabah (Muhiddin,
1990). Sejak penubuhan USIA sehingga tahun 1976, USIA telah berjaya
mengislamkan seramai lebih daripada 50,000 orang penduduk di Sabah.
Kemampuan USIA mengislamkan sejumlah pemeluk Islam yang besar
dalam tempoh enam hingga tujuh tahun merupakan satu kejayaan yang
boleh dibanggakan dan membawa kesan besar terhadap masyarakat Sabah.

Di Tambunan, menerusi kegiatan pengislaman secara beramai-
ramai pada tahun 1972, pada tahun 1984 dan dengan adanya peranan
yang dimainkan oleh USIA, 80 peratus penduduk Tambunan telah
memeluk Islam. Meskipun terdapat kes keluar agama Islam, tetapi 30
peratus daripada kalangan penduduk Tambunan yang masuk Islam

168

Perkembangan Penyebaran Islam dalam Kalangan Masyarakat Pedalaman di Sabah

secara beramai-ramai itu masih kekal beragama Islam sehingga kini.
Pada tahun 2014, penduduk Islam di daerah Tambunan berjumlah
10,000 orang daripada 33,000 orang jumlah keseluruhan penduduk
di daerah tersebut. Berdasarkan rekod JHEAINS Tambunan pada
tahun 2017, terdapat orang Islam di semua kampung di Tambunan.
Daripada 89 buah kampung, terdapat dua buah kampung yang kesemua
penduduknya beragama Islam iaitu Kampung Kumawanan dan Kiporing.
Antara kampung yang mempunyai ramai penduduk Islam di Tambunan
ialah Kampung Nukakatan, Kampung Libang Ulu, Kampung Babagon,
Kampung Desa Permai dan Kampung Watang (Temu bual dengan Ustaz
Jalil Rusiman, Pegawai JHEAINS Tambunan).

Di daerah Tenom pula, kampung yang penduduknya hampir
seratus peratus beragama Islam ialah Kampung Jawa Sumbiling. Selain
itu kampung-kampung yang majoriti penduduknya beragama Islam
ialah Kampung Makaniton, Kampung Jawa Ului, Kampung Chinta Mata
dan Kampung Angan-angan. Di kebanyakan kampung lain di daerah
Tenom terdapat penduduk yang beragama Islam walaupun dalam jumlah
yang kecil. Antara tokoh pendakwah Islam awal di Tenom ialah Tuan
Imam Kassim yang berasal dari daerah Beaufort dan beliau merupakan
imam pertama daerah Tenom. Antara tokoh pendakwah USIA yang
pernah berkhidmat di daerah Tenom ialah Tuan Hj. Jurip dan Tuan
Hj. Ongki dari daerah Kuala Penyu dan Imam Amit Matzin dari daerah
Beaufort. Terdapat juga pendakwah tempatan daripada etnik Murut
seperti Tuan Hj. Sani Puasa, pendakwah daripada etnik Lundayeh yang
dikenali sebagai Upai Balang dan pendakwah berketurunan Cina iaitu
Tuan Hj. Zamri Yong dan Tuan Hj. Ahmad Voo. Tuan Hj. Zamri Yong
pula telah mewakafkan tanahnya untuk pembinaan masjid di Kampung
Bamban, Tenom (Temu bual dengan Ustaz Yacob Ismail, Pegawai
JHEAINS Tenom, 14 Disember 2017).

Di daerah Nabawan, meskipun penyebaran Islam oleh USIA dan
MUIS sudah berjalan sejak tahun 1974, tetapi bilangan penduduk Islam
di daerah berkenaan masih kecil. Bilangan penduduk Islam pada tahun
2014 hanya sembilan peratus sahaja atau lebih kurang seribu orang
sahaja daripada 12,470 orang penduduk daerah berkenaan (Temu bual
dengan Ustaz Firdaudi Lining @ Azizi, Pegawai JHEAINS Nabawan).

169

Peradaban dan Isu-isu Semasa

Walau bagaimanapun, pada masa kini terdapat kecenderungan untuk
penduduk bukan Islam Nabawan memeluk Islam. Berdasarkan rekod
Pejabat JHEAINS Nabawan, setiap tahun dianggarkan seramai 30
hingga 40 orang yang memeluk Islam. Perkembangan penyebaran Islam
melalui pelbagai pendekatan dakwah menjadi faktor yang menjayakan
gerakan dakwah dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Nabawan.
Misalnya kegiatan dakwah Islam digerakkan bersama-sama dengan
aktiviti sosial dan budaya masyarakat tempatan. Peluang untuk saling
berinteraksi dan bekerjasama dalam menggerakkan kegiatan budaya
setempat mewujudkan hubungan harmoni antara penganut pelbagai
agama dan membuka ruang untuk mereka mengenali agama Islam
(Suraya et al., 2019).

Secara umumnya, perkembangan penyebaran Islam di kawasan
pedalaman Sabah terus berkembang seiring dengan perubahan semasa.
Peranan yang dimainkan oleh USIA, MUIS, JHEAINS dan tokoh-tokoh
pendakwah Islam dalam menyebarkan agama Islam menyebabkan
bilangan penduduk beragama Islam di kawasan pedalaman semakin
meningkat dari tahun ke tahun. Penubuhan sekolah-sekolah agama dan
usaha membimbing golongan saudara baru mendalami ajaran Islam di
Pusat Latihan Dakwah di Sabah dan PERKIM di Semenanjung Malaysia
mengukuhkan lagi kefahaman Islam dalam kalangan saudara baru ini.

ISU DAN CABARAN PENYEBARAN ISLAM MASYARAKAT
PEDALAMAN SABAH

Perkembangan penyebaran Islam di daerah Tenom, Tambunan dan
Nabawan telah berjaya meramaikan bilangan penganut agama Islam di
kawasan pedalaman yang sebelum ini majoriti penduduknya sama ada
mengamalkan kepercayaan animisme ataupun sebagai penganut agama
Kristian. Malahan, ajaran Islam telah berjaya menembusi kampung-
kampung yang sebelum ini tidak terdapat walau seorang pun penganut
agama Islam. Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan yang dikecapi,
terdapat juga isu dan cabaran seperti isu keluar daripada agama Islam,
konflik agama dan kecelaruan identiti yang telah dikenal pasti sebagai

170

Perkembangan Penyebaran Islam dalam Kalangan Masyarakat Pedalaman di Sabah

kekangan dalam proses penyebaran Islam serta pengukuhan kefahaman
Islam dalam kalangan golongan saudara baru.

Isu keluar daripada agama Islam merupakan satu cabaran yang
besar dalam proses penyebaran Islam khususnya dalam kalangan
masyarakat pedalaman Sabah. Tindakan mengisytiharkan keluar
daripada agama Islam bagi penganut yang sebelumnya telah memeluk
Islam ini berlaku disebabkan oleh banyak faktor. Antara puncanya adalah
kerana pegangan agama Islam yang tidak kukuh lantaran memeluk Islam
pada peringkat awalnya disebabkan oleh faktor-faktor lain bukannya
kerana kesungguhan sendiri untuk memeluk Islam dan mengamalkan
ajaran Islam sebenar. Terdapat juga kes individu yang dikesan berulang
kali masuk Islam ketika pengislaman beramai-ramai kerana memeluk
Islam atas tujuan tertentu seperti untuk mendapatkan bantuan
berbentuk material yang diberikan kepada saudara baru. Misalnya dalam
daftar nama kemasukan Islam pada tahun 1984 di Tambunan, terdapat
senarai nama yang sama dengan daftar pengislaman pada tahun 1972.

Ada juga individu bukan Islam yang memeluk Islam kerana tujuan
berkahwin dengan orang Islam dan kembali kepada anutan asal sebelum
Islam apabila berlaku kes penceraian. Terdapat kes anak-anak perempuan
yang beragama Islam akhirnya bertukar agama apabila dikahwinkan
oleh ibu bapa mereka dengan lelaki yang tidak beragama Islam. Selain
itu, kelemahan dari segi dakwah Islam pada era 1970-an juga menjadi
punca yang menyebabkan kurangnya tindakan susulan membimbing
golongan saudara baru untuk mengukuhkan kefahaman mereka terhadap
ajaran Islam. Meskipun USIA dan MUIS melantik pendakwah untuk
membimbing saudara baru ini tetapi mereka juga berhadapan dengan
masalah kelayakan dan kualiti para pendakwah serta bilangan pendakwah
yang agak kecil terutamanya di kawasan pedalaman yang sangat jauh dari
kawasan pekan. Sebahagian besar daripada saudara baru terbiar tanpa
menerima pendidikan agama selepas diislamkan. Akibatnya mereka
kembali kepada agama asal mereka.

Isu keluar daripada agama Islam juga berkait dengan isu
kecelaruan identiti terutamanya dalam kalangan anak-anak dan ahli
keluarga lain yang tidak mengetahui status pertukaran agama ibu bapa
atau ahli keluarga mereka yang lain. Kes kecelaruan identiti ini biasanya

171

Peradaban dan Isu-isu Semasa

ditemui ketika anak-anak mendaftarkan kad pengenalan dan mendapati
bahawa agama bapa mereka didaftarkan sebagai Islam sedangkan cara
hidup bapa mereka selama ini tidak mengikuti ajaran Islam. Proses
untuk mendaftarkan kad pengenalan akan mengambil jangka masa
yang lama kerana mereka perlu merujuk kepada pihak JHEAINS dan
Mahkamah Syariah untuk mengesahkan identiti agama bapa mereka.

Selain kes kecelaruan identiti, kes keluar daripada agama Islam
juga meninggalkan konflik agama antara waris keluarga dengan pihak
jabatan agama Islam dan penganut agama Islam di sesebuah kampung
apabila berlaku kematian kepada individu yang tidak diketahui status
agamanya. Konflik perebutan mengurus keluarga mualaf ketika berlaku
kematian sering berlaku dan ada ketikanya kes tersebut tidak dapat
ditangani secara aman dan bertoleransi. Di Nabawan misalnya, surat
pengesahan Islam si mati dikoyak oleh ahli keluarga bukan Islam
kerana anggapan mereka surat pengesahan itu direka-reka oleh pihak
JHEAINS sebab bagi mereka si mati tidak mengamalkan agama Islam
ketika hayatnya. Berlaku juga pergaduhan kakitangan JHEAINS
dengan waris si mati sehinggakan waris si mati mengancam dengan
mengacukan senjata parang kepada kakitangan JHEAINS (Temu bual
dengan Ustaz Firdaudi Lining @ Azizi, Pegawai JHEAINS Nabawan, 15
Disember 2017).

Selain cabaran yang dihadapi oleh pendakwah dan kakitangan
JHEAINS, terdapat juga cabaran besar yang dihadapi oleh saudara
baru selepas mereka memeluk Islam. Konflik dengan keluarga,
dipulaukan oleh rakan-rakan sekampung boleh menggugat keteguhan
jiwa mereka. Misalnya pengalaman yang dikongsikan oleh Cikgu
Azmi ketika keluarganya memeluk Islam beliau masih menuntut di
sekolah rendah mubaligh Kristian. Beliau dan kakaknya diejek dengan
gelaran yang menyakitkan hati oleh rakan-rakan bukan Islam, mereka
dipulaukan sehinggalah bapa beliau memindahkan mereka ke sekolah
kebangsaan (Temu bual dengan Encik Floris @ Azmi bin Benedict @ Hj.
Sidek, 10 Julai 2019). Encik Floris @ Azmi bin Benedict @ Hj. Sidek,
berusia 45 tahun dan merupakan salah seorang informan yang dipilih
dalam kajian ini kerana beliau berlatarbelakangkan keluarga campur
yang mempunyai ahli keluarga pelbagai anutan agama. Beliau juga

172

Perkembangan Penyebaran Islam dalam Kalangan Masyarakat Pedalaman di Sabah

merupakan anak kepada mantan Ketua Anak Negeri (KAN) Hj. Sidek
yang terlibat dalam program pengislaman pada zaman USNO tahun
1970-an. Beliau kini bertugas sebagai seorang guru di SMK Nambayan,
Tambunan. Pada tahun 1970-an dan 1980-an, terdapat kes di daerah
Tambunan, orang Islam tidak dilayan dengan baik. Pendakwah Islam
dilempari batu. Penganut Islam yang memakai baju Melayu untuk pergi
solat Jumaat tidak dibawa menaiki kenderaan oleh pemandu van yang
mengangkut penumpang ke Pekan Tambunan (Temu bual dengan Ustaz
Jalil Rusiman, Pegawai JHEAINS Tambunan, 14 Disember 2017).

Walau bagaimanapun, di sebalik pelbagai pengalaman pahit
yang menjadi cabaran kepada saudara baru untuk terus menjaga
akidah Islam mereka, terdapat juga kes-kes konflik agama yang dapat
ditangani dengan baik melalui kompromi antara waris keluarga Islam
dan bukan Islam dalam penyelesaian tempat pengebumian jenazah
yang beragama Islam. Di daerah Tenom misalnya, keluarga bukan
Islam bersetuju jenazah bapa mereka diuruskan cara Islam tetapi
dikebumikan di sempadan tanah perkuburan Islam dan bukan Islam.
Kebanyakan konflik antara saudara baru dengan ahli keluarga mereka
yang bukan Islam berlaku ketika awal kemasukan mereka dalam Islam.
Perkembangan semasa dan interaksi baik antara ahli keluarga yang
berbeza agama menunjukkan banyak penerimaan positif terhadap
perbezaan dalam ajaran agama dan dapat meredakan konflik agama
yang wujud.

KESIMPULAN

Kegiatan dakwah secara terancang dan penyebaran Islam di kawasan
pedalaman Sabah telah berjaya meramaikan bilangan penganut agama
Islam di kawasan pedalaman yang sebelum ini majoriti penduduknya
tidak beragama Islam, iaitu sama ada mengamalkan kepercayaan
animisme ataupun sebagai penganut agama Kristian. Penyebaran
Islam telah berjaya menembusi kampung-kampung yang sebelum ini
tidak terdapat walau seorang pun penganut agama Islam. Peranan
kerajaan melalui USIA dan MUIS sangat penting dalam menggerakkan
penyebaran Islam secara besar-besaran pada tahun 1970-an dan

173

Peradaban dan Isu-isu Semasa

awal tahun 1980-an. Meskipun terdapat pelbagai isu dan cabaran di
sepanjang usaha penyebaran Islam seperti isu keluar agama Islam,
kecelaruan identiti dan konflik agama tetapi proses penyebaran
Islam terus berjalan di kawasan pedalaman Sabah. Interaksi seharian
dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam yang berterusan
berperanan penting dalam mengeratkan kembali hubungan keluarga
dan memupuk hubungan harmonis antara agama sehingga konflik
dapat diredakan atas dasar wujudnya sikap mudah berkompromi dalam
kalangan masyarakat setempat.

PENGHARGAAN

Sekalung penghargaan ditujukan kepada Universiti Malaysia Sabah
menerusi Geran Penyelidikan UMS SBK0341/2017 yang telah
membiayai kajian lapangan untuk pengumpulan data dalam makalah ini.

RUJUKAN

Ismail Yusoff. (2004). Politik dan agama di Sabah. Bangi: Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Muhiddin Yusin. (1990). Islam di Sabah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Suraya S., Budi Anto Mohd. Tamring, Nur Farhana Abd. Rahman, Siti Aidah
Hj. Lukin & Halina Sendera Mohd. Yakin. (2019). Kesepaduan sosial
dalam hubungan antara agama di pedalaman Sabah. Borneo International
Journal. 2(1), 5-15.

Temu Bual

Encik Floris@Azmi bin Benedict@Hj. Sidek, Guru di SMK Nambayan, Tambunan.
Ustaz Firdaudi Lining @ Azizi, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Nabawan.
Ustaz Jalil Rusiman, Pegawai JHEAINS, Tambunan.
Ustaz Mohd. Yacob Ismail, Pegawai Tadbir JHEAINS, Tenom.

174

12Bab

PENGHAPUSAN ETNIK:
PENGALAMAN MALAYSIA

Hashim Fauzy Yaacob

PENGENALAN

Sejarah peradaban manusia menunjukkan terlalu banyak peristiwa
tragis yang meragut berjuta-juta nyawa berpunca daripada tindakan
manusia itu sendiri seperti peperangan dan pembunuhan beramai-
ramai. Membunuh dalam skala besar memperlihatkan manusia sebagai
ganas dan tidak berperikemanusiaan sehingga ramai sarjana dan
penyelidik bidang sains sosial merujuk kepada tingkah laku kejam, tidak
beretika dan tidak bertamadun. Ahli antropologi dari Universiti Rutgers
Alexander Laban Hinton (2005) meletakkan penghapusan etnik pada
senarai paling atas dengan anggaran lebih daripada 100 juta kematian di
seluruh dunia. Sebagai sebahagian daripada kajian tentang penghapusan
etnik karya ini akan menumpukan kepada pembunuhan beramai-ramai
yang telah berlaku di Malaysia pada tahun 1945. Walaupun pengalaman
Malaysia berkaitan pembunuhan beramai-ramai adalah dalam skala
kecil, ia mempunyai kesan yang signifikan terhadap hubungan etnik
dan pembinaan negara Malaysia.

Peradaban dan Isu-isu Semasa

PENGALAMAN DUNIA BERKAITAN PENGHAPUSAN ETNIK

Genosid atau penghapusan etnik adalah konsep moden yang digunakan
pada awal abad ke-20 khusus merujuk kepada pembunuhan Nazi dalam
Perang Dunia II (Feierstein, 2014). Ramai sarjana telah membuat
pendekatan yang holistik dalam penelitian terhadap pembunuhan
beramai-ramai seperti melihat dari perspektif undang-undang, politik,
sejarah dan sosiologi. Terdapat juga definisi yang cuba menggabungkan
beberapa perspektif seperti dikemukakan oleh Feierstein (2014) yang
menggabungkan dua perspektif, iaitu sejarah dan sosiologi kerana
kesamaran dalam definisi asal yang dikemukakan pada Konvensyen
Genosid pada tahun 1948. Walau bagaimanapun, definisi yang diterima
dalam konvensyen masih relevan. Konvensyen Genosid telah diterima
pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
pada bulan Disember 1948 dan mula berkuat kuasa pada bulan Januari
1951. Konvensyen ini mendefinisikan genosid atau penghapusan etnik
sebagai satu atau lebih peristiwa yang dikaitkan dengan “tindakan yang
dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau
sebahagian, kumpulan bangsa, etnik, kaum atau agama;

1. Membunuh ahli kumpulan;
2. Menyebabkan bahaya secara fizikal atau mental yang serius

kepada ahli kumpulan;
3. Sengaja menimbulkan kesukaran untuk membawa kemusnahan

fizikal secara keseluruhan atau sebahagiannya terhadap sesuatu;
4. Mengambil langkah-langkah yang bertujuan untuk mengelakkan

kelahiran dalam kumpulan;
5. Memindahkan anak-anak sesuatu kumpulan secara paksa ke

kumpulan lain.

Berdasarkan definisi di atas, persoalannya berapa banyak
nyawa yang perlu diambil kira untuk menentukan sama ada ia boleh
diklasifikasikan sebagai penghapusan etnik atau tidak terutamanya
dalam kes Malaysia yang melibatkan hanya antara 1,500-5,000 orang

176

Penghapusan Etnik: Pengalaman Malaysia

dalam tempoh dua minggu. Hal ini demikian kerana beberapa tindakan
penghapusan etnik melibatkan sejumlah besar orang seperti Holodomor
(Ukraine) 1932-1933 dari 1.8 - 7 juta, pembunuhan Nazi di Poland
(1939-1945) 1.8 hingga 3 juta, pembunuhan beramai-ramai Serbia
(1941-1945) 357 - 600,00, Holocaust oleh Jerman (1941-1945) lebih
daripada 5 juta, penghapusan etnik dan agama di Kemboja (1975-1979)
1.3 hingga 3 juta dan Rwanda (1994) 500,00 - 1 juta.

PENGALAMAN MALAYSIA

Penduduk Tanah Melayu, khususnya orang Melayu, mengalami
pelbagai kekejaman apabila Parti Komunis Malaya (PKM) melalui
Tentera Anti-Jepun Tanah Melayu (MPAJA) melakukan pembunuhan,
penyeksaan, kekejaman dan keganasan ke atas penduduk sebaik
sahaja Jepun menyerah kalah. Kekejaman dan kesusahan yang
dialami semasa pemerintahan Jepun diteruskan oleh MPAJA yang
memerintah selama 14 hari.

Tentera Anti Jepun Tanah Melayu (MPAJA) adalah nukleus
pergerakan komunis di Tanah Melayu. Organisasi ini dibentuk melalui
kerjasama British dan PKM dalam menghadapi Jepun. Ahli MPAJA
dilatih di Sekolah Latihan Khas (STS 101) di Singapura. PKM merekrut
200 orang pemuda Cina pada peringkat awal penubuhan MPAJA. Setelah
tiga tahun jumlah tentera meningkat menjadi 7,000 (Mohd Reduan,
2008). Penubuhan MPAJA adalah peluang besar bagi PKM kerana pada
hakikatnya mereka tidak mahu berjuang secara bersungguh-sungguh
menentang Jepun kerana mereka juga bertujuan untuk menghalang
British mendapatkan kembali kuasa di Tanah Melayu (Mohd Reduan,
2008). Hal ini tidak diduga oleh PKM sendiri yang beroleh peluang
bekerjasama dengan British kerana British sejak awal curiga dengan
pergerakan komunis di Malaya sejak penubuhannya.

Tindakan komunis/MPAJA adalah seragam di seluruh Tanah
Melayu. Secara umumnya, tindakan MPJA dapat diringkaskan
seperti berikut:

177

Peradaban dan Isu-isu Semasa

1. MPAJA mengawal bandar-bandar dan hampir 70 peratus daripada
bandar dikuasai oleh MPAJA. Komunis / MPAJA cuba mengambil
alih pentadbiran dan balai polis. Berlaku di Kluang, Muar, Batu
Pahat, Johor Bahru (Johor), Klang (Selangor), Tampin (Negeri
Sembilan), Bidor, Lenggong dan Kroh (Perak), Gua Musang dan
Kota Bahru, Kelantan (Ho Hui Ling, 2004). Terdapat percubaan
MPAJA yang gagal seperti usaha mengambil alih balai polis Alor
Setar tetapi digagalkan oleh penduduk, peniaga Pekan Rabu dan
anggota SEBERKAS (Azmi Saad, 1979).

2. Menghukum rakyat, terutama orang Melayu yang dianggap
bekerjasama dengan Jepun, menahan pegawai kerajaan yang
tidak mahu menyokong mereka dan mereka yang dianggap
bersalah. Sebagai contoh, hukuman mati di Batu Kikir dikenakan
terhadap Zainal bin Lahin dan Ujang bin Deraji, pegawai kerajaan
British dan empat yang lain kerana mereka adalah guru agama.
Dianggarkan seramai 2,542 orang Cina, Melayu dan India dibunuh
kerana didakwa menjadi talibarut Jepun (Ho Hui Ling, 2004).
Banyak pegawai kerajaan, polis, guru sekolah, ketua kampung,
guru agama diseksa dan dibunuh tanpa sebarang pertimbangan.
Pengumuman penyerahan Jepun pada 15 Ogos 1945, pada bulan
Ramadan, telah mendorong MPAJA dan Malayan People Anti
Japanese Union (MPAJU) berani mengisytiharkan pemerintahan
mereka. MPAJA mula menghukum penduduk kampung,
terutama orang Melayu. Sebahagian daripada mereka diikat
kaki dan tangan, dimasukkan ke dalam karung dan dibuang
ke laut atau sungai. Tindakan ini berlaku seperti di Selama,
Taiping, Parit, Sitiawan (Perak) dan Terengganu. Dalam insiden
di Sitiawan, tujuh orang Cina terbunuh, dua cedera dan beberapa
rumah terbakar. Keesokan harinya komunis membunuh dan
mencederakan beberapa penduduk kampung. Di Batu Kikir
MPAJA bertindak kasar terhadap tiga kumpulan utama (1) pro
British (2) bekerja dengan Jepun dan tidak bekerjasama dengan
MPAJA (Md. Ali & Norhalim, 2002).

178

Penghapusan Etnik: Pengalaman Malaysia

3. Selain daripada pembunuhan, mereka akan menyeksa terutama
guru agama. Kegiatan pengganas Komunis/MPAJA seperti
pembunuhan yang berterusan pada tahun 1950-an berlaku di
kawasan-kawasan dengan sedikit tentangan daripada penduduk
seperti yang berlaku di Bukit Tambun, Seberang Perai dan Bukit
Junun, Pendang, Kedah (Baharom & Abu Bakar, 1984).

4. Merompak, membakar rumah, menuntut wang serta memaksa
penduduk untuk menyokong mereka seperti yang telah dilakukan
di Hulu Jempol, Negeri Sembilan (Ho Hui Ling, 2004). Mereka
yang melakukan tugas tersebut dikaitkan dengan anggota Min
Yuen (Baharom & Abu Bakar, 1984).

5. Menyebarkan propaganda dan memberi ceramah termasuk di
masjid dan sekolah. Mereka juga memaksa pemimpin Melayu yang
dianggap sebagai pemimpin seperti guru besar untuk menyebarkan
propaganda bagi pihak mereka. Di Baling, Kedah, mereka memberi
ucapan di masjid, propaganda mereka adalah “Jepun adalah orang
kulit putih, kita Melayu, Cina, India harus bersatu hati, negeri
ini orang Cina jadi raja” (Yaacob, 1981). Mereka merujuk istilah
Malaya sebagai Ma-le-a yang bermaksud “Malaya adalah milik kita
(Cina)”. Menurut Md Ali dan Norhalim (2002) di Batu Kikir, Negeri
Sembilan komunis menyebarkan propaganda:

i. Orang Melayu, Cina dan India mesti bersatu.
ii. Tentera Cina dari China dan Rusia akan tiba di Tanah Melayu.
iii. Bersatu untuk mengusir pihak British jika mereka kembali

ke Tanah Melayu.
iv. Tidak memerlukan perkhidmatan orang Melayu di

peringkat tertinggi termasuk tidak ada sultan.
v. Kerajaan dan pentadbiran BMA tidak diiktiraf dan semua

jawatan di semua negeri di bawah kaum Cina termasuk raja
dan para bangsawan orang Melayu akan digantikan oleh
kaum Cina.

179

Peradaban dan Isu-isu Semasa

6. Mengadakan perhimpunan dan protes jalanan. Di Taiping, Perak
komunis / MPAJA mengadakan perarakan selama tiga hari.

7. Secara sengaja mencemarkan kesucian Islam dan masjid atau
surau. Komunis / MPAJA sengaja menyembelih babi di kawasan
masjid Ayer Hitam Johor (Hairi, 1973; Mohd Zamberi, 2009).

Dalam banyak kes penghapusan etnik, penduduk asal yang
majoriti melakukannya dengan tujuan menjadikan mereka penduduk
dan penguasa tunggal dalam sesuatu negara. Kes seperti di Rwanda
melibatkan persaingan antara puak Tutsi dan Hutu. Ia bermula dengan
pendudukan Belgium di Rwanda. Orang Belgium meletakkan Tutsi
sebagai puak yang dominan walaupun puak Hutu membentuk 80 peratus
daripada penduduk Rwanda. Pada tahun 1950-an, pentadbiran Belgium
menggantikan kedudukannya dengan puak Hutu. Hal ini berterusan
sehingga Rwanda mendapat kemerdekaan pada tahun 1962. Sejak
itu, penghapusan etnik berlaku ke atas Hutu di Burundi pada tahun
1965 dan 1972 dan ke atas Tutsi di Rwanda pada tahun 1994 kerana
tribalisme, perkauman dan nasionalisme.

Menurut Melasevic (2013), nasionalisme bukan sahaja mencetuskan
revolusi dan perang tetapi juga menimbulkan keganasan, kezaliman,
pembersihan etnik dan genosid. Contoh golongan nasionalis yang
menggunakan pendekatan ini ialah seperti Euzkadi Ta Askatasuna (ETA),
Provisional Irish Republican Army (PIRA), Angkatan Tentera Pembebasan
Kosovo (KLA), Pembebasan Harimau Tamil Elam (LTTE) dan etnik Serbia
yang melakukan pembersihan etnik di Bosnia Herzegovina. Pemimpin
seperti Prabakaran (LTTE) dan Milosevic telah menjadi tonggak utama
nasionalisme bentuk ini. Perkara ini tidak jauh berbeza daripada MPAJA
dan pemimpinnya Chin Peng. Terdapat beberapa sebab mengapa komunis
/ MPAJA telah mencetuskan sentimen perkauman yang kuat yang telah
membawa kepada ‘nasionalisme ganas.’ Seperti yang diketengahkan oleh
buku dan kajian sejarah, ia berpunca daripada tindakan Jepun sama ada
di China atau di Malaysia dan Singapura. Jepun telah membunuh 70,000
orang Cina di Singapura (Mohammed Ali Haniffa & Redzuan, 2013). Oleh
itu, kemarahan telah diarahkan bukan sahaja kepada orang Jepun tetapi
kepada orang Melayu selepas kekalahan Jepun.

180

Penghapusan Etnik: Pengalaman Malaysia

Ironinya, dalam strategi penghapusan etnik di Malaysia, ia
dilakukan oleh imigran, iaitu komunis melalui MPAJA dan bukan
penduduk asal yang majoriti. Nasionalisme ganas (violence nationalism)
telah mempengaruhi komunis/MPJA sehingga mereka telah melakukan
pelbagai keganasan kepada penduduk. Sebagai contoh, paksaan untuk
taat kepada kepimpinan Cina sehingga orang Cina dipanggil tuan,
raja dan sebagainya. Slogan-slogan yang digunakan di seluruh Tanah
Melayu hampir sama. Satu perkara penting ialah nasionalisme-ganas
adalah anti ras dan agama. Tindakan kejam dan tingkah laku yang
dipaparkan menggambarkan kebencian yang melampau. Sebagai
contoh, komunis memberi tumpuan lebih kepada prasangka terhadap
orang Melayu, merogol, merompak dan mencetuskan konflik agama
seperti menyembelih babi di kawasan masjid. Walaupun komunis
menyebar propaganda dalam kalangan orang Melayu menggunakan
pemimpin-pemimpin Melayu, ia lebih daripada melaksanakan strategi
menarik orang Melayu untuk menyokong kehendak mereka. Oleh itu,
natijah daripada strategi MPAJA lebih menyemarakkan kemarahan
orang Melayu terhadap komunis dan bukannya memperoleh sokongan
kerana propaganda mereka menekankan orang Cina menjadi raja di
Tanah Melayu.

Sokongan yang diterima daripada orang Cina sendiri tidak
berasaskan ideologi tetapi disebabkan oleh perkauman dan, kebencian
yang telah disasarkan kepada kumpulan orang lain daripada sebab
sebenar yang dibuat oleh orang Jepun. Hakikat bahawa Kerajaan
Jepun yang membiakkan perkauman antara orang Cina dan orang
Melayu boleh diperdebatkan lagi kerana kedua-dua negara ditindas oleh
pencerobohan Jepun. Malah, orang Melayu dilihat lebih tidak berdaya
berbanding orang Cina yang mempunyai organisasi seperti MPAJA.
Nampaknya tidak terdapat unsur ‘komunisme’ dalam slogan mereka
walaupun MPAJA adalah komunis dari sudut pegangan ideologi.

Peperangan telah berlaku antara orang Melayu dan Cina. Perang
tersebut melibatkan dua kumpulan etnik utama di Tanah Melayu dan
Singapura. Orang Melayu adalah orang peribumi, menurut bancian Del
Tufo pada tahun 1947 penduduk China adalah 2,379,200 (43 peratus)
berbanding dengan 2,278,600 (41 peratus) orang Melayu pada tahun

181

Peradaban dan Isu-isu Semasa

1941, manakala pada tahun 1931 penduduk Melayu adalah 1,962,00
(44.7 peratus) berbanding kepada orang Cina 1,769,400 atau (39
peratus). Penduduk China yang mengatasi penduduk peribumi pada
tahun 1941 menunjukkan potensi mereka untuk memperoleh kuasa
di Tanah Melayu. Oleh itu, tindakan MPJA semata-mata kerana orang
Melayu diperlakukan lebih baik oleh orang Jepun hanyalah sebahagian
daripada alasan, tetapi pada hakikatnya bertujuan mendapatkan kuasa
di Tanah Melayu. Oleh itu, pihak British sendiri dalam perbahasan di
parlimen British pada 10 April 1946 melihat keganasan MPAJA adalah
satu bentuk gangguan perkauman. Kebencian terhadap MPAJA oleh
Melayu-Muslim sebenarnya berlaku semasa pemerintahan Jepun
kerana sikap mereka yang mengancam orang Melayu. Permusuhan
yang berlaku menyebabkan orang Melayu bersandar pada orang Jepun
yang kuat. Oleh itu, tingkah laku subversif anti-Jepun telah dilaporkan
ke pihak Jepun (Md Ali & Norhalim, 2002). PKM yang dipimpin Cina
adalah pendatang yang datang ke Tanah Melayu. Rintangan kepada
rancangan mereka adalah bahawa orang Melayu adalah peribumi,
jadi langkah pertama untuk mengambil alih Tanah Melayu adalah
menghapuskan etnik Melayu melalui cara-cara tertentu seperti
melakukan pembunuhan beramai-ramai.

MPAJA menerima sokongan yang menggalakkan daripada orang
Cina, akibat tindakan ganas Jepun terhadap kaum Cina di Tanah
Melayu dan kebencian masyarakat Cina akibat pendudukan Jepun di
Manchuria (Ho Hui Ling, 2009: 111). Terdapat anggota MPAJA dalam
kalangan orang Melayu yang kemudiannya menjadi ahli Rejimen ke-10
CPM seperti Abdullah C.D. dan Rashid Mydin tetapi kerana kekejaman
MPAJA terhadap orang Melayu yang mereka sebut, ‘The Fourteen Days
Savage” dan pertempuran perkauman pada bulan Ogos dan September
1945 orang Melayu meninggalkan MPAJA (Cheah Boon Kheng, 1982).

Tindakan MPAJA atau komunis lebih bersifat perkauman
daripada melaksanakan atau merealisasikan ideologi komunisme itu
sendiri. Kekejaman yang dilakukan tidak melibatkan banyak etnik lain
seperti kaum India atau bukan Melayu yang lain. Oleh itu, orang Cina
mengalu-alukan kedatangan MPAJA di tempat mereka (Baharom &
Abu Bakar, 1984).

182

Penghapusan Etnik: Pengalaman Malaysia

KEGAGALAN PENGHAPUSAN ETNIK DAN REAKSI KEPADA
PENGHAPUSAN ETNIK

Keganasan terhadap orang Melayu-Muslim mengalami kegagalan besar
kerana tiga faktor; (1) tindak balas Melayu-Muslim dengan perang
yang dikatakan sebagai perang sabil (2) ketidakupayaan MPAJA / PKM
untuk menghadapi British kuasa dominan yang kembali ke Tanah
Melayu selepas Perang Dunia II, serta perjanjian antara MPAJA dan
British semasa pendudukan Jepun dan (3) ketidakpastian MPAJA /
PKM dalam merangka strategi untuk mengambil alih Tanah Melayu.
Kemudian, mereka memulakan kempen baharu terhadap British melalui
pengedaran propaganda dalam kalangan rakyat Malaya, sabotaj ekonomi
dan perang gerila.

Tindakan komunis / MPAJA telah mencetuskan tindak balas
daripada orang Melayu. Rasisme semakin meningkat sehingga berlaku
peperangan di antara orang Melayu dan komunis / MPAJA. Pada 21
Ogos 1945, pertempuran sengit berlaku di Batu Pahat di mana lebih
daripada 400 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera. Pada 6 November
1945, dalam serangan balas, sekumpulan 300 hingga 400 orang Melayu
menyerang orang Cina di Padang Lebar, Kuala Pilah. Dalam kejadian
itu, 40 orang Cina terbunuh. Kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Peperangan Melayu-Cina merebak ke negeri-negeri lain seperti Perak
dan Pahang. Berlaku kejadian perkelahian di Batu Malim, Raub, Pahang
pada 11 Februari 1946, melibatkan 200 orang Melayu dan 150 orang
Cina. Sebanyak 30 orang Cina terbunuh, termasuk sepuluh orang anak-
anak Cina dan dua orang Melayu.

Ternyata tindakan komunis/MPAJA yang rasis dan ganas telah
mendapat tindak balas daripada masyarakat Melayu-Islam. Namun,
paling ketara dalam sejarah Malaysia adalah di empat negeri iaitu Johor,
Negeri Sembilan, Perak dan Kedah. Dari semua kebangkitan itu, yang
terbesar adalah di Johor. Di Perak ia lebih banyak dari segi kawasan
kejadian, terutama disebabkan oleh pergaduhan yang berlaku di banyak
tempat di negeri tersebut. Di Negeri Sembilan telah menjadi perkara
biasa dalam tempoh 14 hari tersebut, sementara di Baling ia menjadi
signifikan kepada sejarah Malaysia kerana penduduk kampung berjaya

183


Click to View FlipBook Version