1
Cetakan Pertama 2012
Cetaan Kedua 2013
Eboook - 2017
© Hakcipta Terpelihara.
Tiada bahagian daripada terbitan ini
boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau
ditukar ke dalam sebarang bentuk atau dengan sebarang alat,
sama ada secara elektronik, gambar, rakaman atau sebagainya
tanpa kebenaran daripada pihak penerbit.
ISBN 978-967-5870-06-4
Penulis :
MEJAR NAZAR BIN TALIB [BERSARA]
Penerbit:
SNS PRINT & BIND (001939560-K)
SA-FG-16 Jalan BS 11/1 Taman Bukit Serdang
43300 SERI KEMBANGAN
Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-89417645
Faks: 03-89454057
2
Dari Pengarang...
Kisah yang dituliskan di dalam buku ini merupakan pengalaman, dugaan,
keseronokan, kesukaran serta kesengsaraan yang telah dilalui oleh Den untuk
menjadi seorang anggota elit di dalam Tentera Darat Malaysia, GRUP GERAK
KHAS. Apa yang dialami oleh Den mungkin sama atau lebih dan tidak mustahil juga
jika ia kurang dari apa yang telah dilalui oleh komando-komando yang terdahulu
dan yang selepas daripada Den mahupun yang sewaktu dengannya. Segala
pengalaman dan perjalanan untuk menjadi anggota komando ini dibukukan secara
santai dengan tujuan untuk memaklumkan kepada masyarakat umum bahawa
BUKAN SENANG NAK JADI ANGGOTA KOMANDO.
Di kesempatan ini Den ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pengunjung
dan peminat blog Komando Kodai Kopi dan juga warga Panggilan Pertiwi yang
telah memberi sokongan dan inspirasi bagi Den membukukan pengalaman yang
Den lalui untuk menjadi seorang anggota beret hijau ini. Ucapan terima kasih dan
penghargaan ini ditujukan kepada Saudara Hasrul Fariddi Mohd Hashim yang
banyak membantu di dalam menyiapkan reka bentuk kulit dan ilustrasi yang
terdapat di dalam manuskrip asal hingga ia berhasil diterbitkan.
Akhir sekali Den ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Isteri Den, Puan
Fairuza Bte Hj.Osman dan anak-anak Den,Nur Fartini, Ahmad Faize, Ahmad Faris,
Ahmad Fauzan serta Nur Farisha yang telah banyak mendorong Den untuk
menghasilkan buku ini.
Mejar Nazar B Talib [Bersara]
a.k.a Den Comando
3
SUMPAH PERAJURIT KOMANDO
1. Sebagai seorang anggota Tentera Malaysia, saya sanggup berkorban untuk
mempertahankan kedaulatan Negara.
2. Saya akan sentiasa merasa megah dan tampan sebagai seorang anggota tentera
Malaysia.
3. Saya akan sentiasa percaya kepada Tuhan serta taat setia kepada Yang Dipertuan
Agong, Pasukan dan Ketua.
4. Saya akan sentiasa patuh pada undang-undang Negara serta membantu dalam
perlaksanaannya.
5. Saya akan mengutamakan kepentingan Negara daripada keperluan peribadi sendiri.
6. Saya akan sentiasa bersikap sopan, ikhlas dan jujur.
7. Saya akan sentiasa menghormati kepercayaan serta tradisi dan adat resam bangsa-
bangsa lain dalam masyarakat Malaysia.
8. Saya akan sentiasa membantu rakan-rakan seperjuangan saya dan memimpin mereka
jika saya yang terkanan sekali dalam masa yang genting.
9. Jika saya ditawan saya akan terus menentang dengan seberapa daya upaya dan apa
sahaja cara yang sesuai.
10. Saya tidak akan sekali-kali menyerah diri selagi saya masih ada kemampuan untuk
menentang.
11. Sekiranya saya disoal siasat saya akan memberi tahu nombor tentera, pangkat dan
tarikh lahir sahaja dan tidak sekali-kali maklumat-maklumat yang boleh mengancam atau
mendatangkan akibat buruk kepada Negara,pasukan, ketua dan rakan-rakan saya.
12. Saya akan mengharumkan nama Bere Hijau dan juga rakan-rakan seperjuangan yang
memakainya hingga akhir hayat saya.
4
[1]
ZAMAN KANAK-KANAK DAN REMAJA
Alor Gajah, Melaka merupakan kawasan di mana Den dibesarkan. Berasal
dari keluarga yang agak besar yang terdiri dari lapan orang beradik dan
merupakan anak bongsu. Walau bagaimanapun semenjak kecil lagi Den
tidak ‘dimanjakan’ oleh ibu dan didikan yang diterima daripada ibu agak
keras. Ini semua mungkin disebabkan keadaan kami pada waktu itu yang
ketiadaan ayah. Ibulah yang bertindak sebagai ketua keluarga dan sebagai
pencari nafkah untuk kami 7 beradik1. Kehidupan kami sekeluarga agak daif
dan susah pada waktu itu. Ibu bekerja sebagai amah di rumah orang dan
membuat pelbagai kerja sampingan lain seperti membantu sebuah kedai
makan demi menyara kami 7 beradik. Kalau nak diceritakan susah kami
waktu itu memang panjang dan boleh dijadikan satu hikayat pula. Rumah
kami agak uzur dan hanya mempunyai satu tingkap dan sebahagiannya
adalah pangkin papan dan sebahagiannya lagi adalah berlantaikan tanah.
Bila musim hujan, sudah pasti rumah kami akan dipenuhi air dan kalau
waktu malam bermakna kami akan tidur di dalam tempias hujan dari atap
dan dinding rumah yang bocor. Walau bagaimanapun kami telah lali dan
serasi dengan situasi sedemikian dan biasanya keadaan itu tidak akan
mengganggu tidur kami. Bagi kami jika keadaan sejuk lagi sedap tidur
1 Abang Den yang sulung telah meninggal dunia semasa berumur 8 bulan. Ayah pula telah
meninggalkan kami sekeluarga semasa ibu sedang mengandungkan Den 3 bulan.
5
asalkan air hujan itu tidak kena di bahagian mata sudah cukup baik…lelap
tetap lelap. Walaupun kehidupan kami agak susah pada waktu itu, tetapi
kami tidak merasakan ia sebagai satu keadaan yang sukar atau
menyedihkan. Nasib Den agak baik kerana selalu mendapat ‘layanan
istimewa’2dari orang kampung jika dibandingkan nasib abang dan kakak
yang lain. Biasanya sewaktu balik sekolah, kalau nasib baik bolehlah makan
nasi yang dimasak oleh ibu dan kalau nasib kurang baik tidak ada apa-apa
pun yang boleh dijadikan santapan untuk mengalas perut dan biasanya
kami akan berlapar sehingga ke malam.
Zaman persekolahan rendah adalah masa yang paling merunsingkan dan
paling tidak digemari. Pada waktu tersebut Den selalu mencari helah untuk
ponteng sekolah. Bila disebut sahaja fasal sekolah sudah fobia. Kalau boleh
memang tidak mahu bersekolah langsung pada waktu itu. Banyak sebab
dan alasan yang diberikan kepada ibu mengapa tidak mahu ke sekolah.
Walau bagaimanapun ibu amat sukar untuk menerima alasan yang
diberikan dan sebaliknya akan memberi habuan ‘getah paip’ kalau masih
berdegil untuk tidak ke sekolah. Alasan utama yang selalu diberikan adalah
kerana tidak ada buku teks [masa itu skim pinjaman buku teks belum ada
lagi]. Buku tulis yang adapun agak terhad, dan biasanya Den akan gunakan
satu buku tulis untuk dua jenis mata pelajaran. Satu mata pelajaran akan
menggunakan muka hadapan dan satu lagi akan dimulakan dengan
menggunakan muka belakang buku. Den selalu dimarahi cikgu kerana
berbuat demikian. Reaksi Den masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
Pada masa itu Den berpendapat cikgu itu tidak kreatif kerana cara yang Den
buat itu adalah lebih ekonomik dan sesuai untuk anak-anak miskin macam
Den ini. Pendapat peribadi Den pada masa itu, cikgu tersebut adalah kurang
bijak dan kurang prihatin dengan nasib anak-anak istimewa macam Den.
Bila selalu dimarahi guru, hati ini menjadi tawar untuk kesekolah. Selain dari
itu Den menjadi malas dan tidak mahu bersekolah disebabkan selalu diejek
oleh beberapa orang kawan terhadap penampilan Den pada waktu itu.
2 Ini disebabkan semasa di kampung Den selalu menjadi budak suruhan ke pasar oleh kaum
ibu yang tidak mahu ke pasar kerana jaraknya yang agak jauh dari kampung itu.
6
Pakaian sekolah pada waktu tersebut main tangkap muat saja. Baju sekolah
dan seluar sekolah pun agak lusuh. Kasut sekolah adalah daripada jenis
kasut yang orang gunakan untuk pergi menoreh getah sahaja, cuma
bezanya warna kasut itu ialah putih. Bila berpakaian sekolah yang lusuh dan
kasut tanpa stoking ia agak kontra dengan warna kulit yang hitam manis.
Pada waktu itu budak-budak sekolah sering memanggil Den dengan
pelbagai gelaran yang tidak sedap didengar, tetapi bila terkenangkan
kembali ia membuat Den tersenyum. Sebab itu semasa zaman sekolah
rendah Den agak pendiam dan suka berseorangan.
Satu peristiwa yang selalu diingati sehingga waktu sekarang, apatah lagi
ketika menghantar anak ke sekolah adalah semasa tiba waktu rehat semasa
bersekolah rendah. Biasanya Den jarang bawa duit sekolah dan ia semuanya
bergantung kepada nasib. Kalau ada rezeki ibu akan memberikan 5 sen atau
10 sen sebagai duit belanja dan kalau tak ada rezeki jawabnya Den akan
minum air paip sahaja semasa rehat. Tapi pada masa itu Den pun sudah ada
strategi sendiri untuk mengisi perut yang kekosongan pada waktu rehat.
Modus operandi yang biasa digunakan adalah dengan cara Den akan pergi
ke kantin agak lewat dan biasanya sehingga waktu rehat sudah hampir
tamat. Semasa itu biasanya makcik yang menjual kuih di situ, namanya Mak
Cik Tayom, akan mula mengemas dan kalau nasib baik, saki baki kuih yang
tidak habis dijual akan diberikan kepada Den. Masa itu Den tidak akan
menolak pemberian Mak Cik Tayom dan pepatah Melayu ‘Rezeki Jangan
Ditolak Maut Jangan Dicari’diikuti dengan sepenuhnya. Pada waktu itu
fikiran yang bermain di dalam kepala adalah ‘asalkan ia tidak menyalahi
undang-undang dan atas nama ‘untuk terus hidup’ ia tetap akan diteruskan.
Mak Cik Tayom pun sudah faham dengan modus operandi3yang diamalkan
itu. Ada juga masa yang nasib tidak menyebelahi, ia itu ketika semua
kuihmuih Mak Cik Tayom habis dijual. Dan biasanya kalau situasi ini berlaku
Den akan terus masuk ke kelas dengan perut yang hanya dipenuhi dengan
air paip sahaja.
3 Modus operandi adalah frasa Latin. Istilah ini digunakan untuk menggambarkan tabiat
seseorang atau cara bekerja, cara mereka mengendalikan atau berfungsi.
7
Semasa zaman sekolah rendah lagi Den sudah mula belajar mencari duit
sendiri. Biasanya pada waktu cuti sekolah Den akan bekerja sebagai
pembasuh pinggan di Kedai Makan Nor, Alor Gajah. Selain dari itu Den
pernah juga meniaga botol ubat di Hospital Daerah Alor Gajah. Usaha ini
dimulakan dengan mencari botol minuman/sos kaca. Botol-botol tersebut
akan dibasuh dengan sabun dan direndam air panas sehingga hilang
sebarang bau yang kurang menyenangkan. Selepas itu Den akan memotong
pelepah rumbia yang banyak terdapat di hadapan rumah dan batangnya
akan dibuat gabus penutup botol.
Setelah semuanya siap, botol tersebut dibawa dalam bakul dan dengan
beberapa orang kawan yang lain, kami akan pergi ke hospital dan
menunggu dikawasan tempat orang mengambil ubat. Jika ada diantara
pesakit yang diberi resepsi ubat cair, pada zaman itu, biasanya botol tidak
akan dibekalkan oleh pihak hospital, jalan penyelesaiannya ialah dengan
membawa botol sendiri atau jalan yang lebih mudah sambil ‘beramal’ ialah
dengan membeli terus daripada pengusaha-pengusaha botol ubat seperti
Den dan rakan-rakan dengan harga 10 sen sebotol. Hasil jualan botol ubat
itu tidak selumayan mana, tetapi ia cukup untuk Den merasa keenakan mi
rebus Mak Cik Bedah yang terkenal di Alor Gajah itu.
Selain dari itu terdapat pelbagai kerja buruh kanak-kanak yang telah
lakukan semata-mata kerana hendak berdikari dan mencari duit sendiri. Di
antara kerja–kerja sampingan yang Den rasa paling sengsara adalah semasa
bekerja dengan Pakcik Salleh Jerman. Pada masa itu Den sudah bersekolah
menegah dan tinggal di asrama di Sekolah Tinggi Melaka. Setiap cuti
penggal Den akan bekerja dengan Pakcik Salleh Jerman. Bagaimana beliau
mendapat nama gelaran Jerman itu tidak pula dapat dipastikan. Hendak
ditanya kepada beliau pun tidak berani kerana takut dimarahinya. Beliau
mempunyai susuk tubuh yang besar dan mempunyai suara yang agak garau.
Kenderaan rasminya ialah motor beroda tiga dan perkara yang menjadi
trend beliau ialah memakai topi keledar yang menyerupai topi tentera
Jerman pada zaman Perang Dunia Kedua. Pada tanggapan Den mungkin
disebabkan penampilan beliau inilah maka beliau digelar Salleh Jerman.
8
Kerja bersama dengan Pak Cik yang di maksudkan itu adalah sebagai
Pembantu Jurujual Ikan.
Rutin harian bermula dengan menunggu ketibaan lori Pak Cik Salleh di
hadapan pejabat pos di pekan Alor Gajah jam 4:00 pagi pada setiap hari.
Dari sana kami bergerak menuju ke pasar Borong Melaka untuk
mendapatkan bekalan ikan. Den tidak terlibat di dalam proses tawar
menawar mendapat ikan yang hendak dibeli.Tugas Den adalah hanya untuk
mengangkat ikan-ikan yang telah dibeli oleh Pak Cik Salleh ke lori yang sedia
menunggu. Suasana pasar borong pada waktu itu memang sibuk dan agak
bising dengan suara jerit perit para penjual dan pembeli ikan yang dibuat
secara borong dan segala transaksi adalah secara tunai.
Setelah selesai, kami akan bergerak balik menuju ke lokasi tempat jualan
gerai ikan Pakcik Salleh yang berhampiran dengan Pejabat Pos di pekan Alor
Gajah. Dari situ Den akan memulakan kerja-kerja pemunggahan tong-tong
ikan dan kemudiannya menyusunnya di petak-petak yang disediakan.
Selepas itu Pak Cik Salleh Jerman akan memberi taklimat kepada Den. Pada
masa itu Den sudah biasa dan mula memahami skil dan teknik memberi
taklimat yang baik dari Pak Cik Salleh. Semasa itu sedikit pun tidak terlintas
di dalam fikiran bahawa skil dan teknik dalam memberi taklimat itu akan
selalu digunakan di dalam kerjaya sebagai seorang anggota tentera suatu
masa nanti. Apa yang diperhatikan Pak Cik Salleh Jerman ini memang
mantap dan bagus dalam memberi taklimat perniagaan. Taklimat tersebut
biasanya dimulakan dengan penetapan harga setiap jenis ikan yang akan
dijual pada pagi itu, diikuti dengan harga terendah yang boleh diberikan
sekiranya berlaku sebarang penawaran dan juga jumlah potongan diskaun
yang dibenarkan jika pembelian melebih sesuatu jumlah yang telah
ditetapkan oleh Pak Cik Salleh Jerman.
Selain dari itu semasa bekerja dengan Pak Cik Sallehlah buat pertama kali
nya Den mendengar penggunaan gelaran skot. Pak Cik Salleh biasanya akan
memanggil Den dengan gelaran skot. Dan Den memanggilnya dengan
9
gelaran Bos. Arahan yang rutin yang biasa didengar daripada jeritan beliau
adalah:
“Skot…Kasi tambah air batu sama ikan Mambung dan ikan Uji Rashid.”
Biasanya Den akan ulangi arahan itu untuk mendapat kepastian.
“Air batu kasi tambah pada cik Mambung dan kak Uji Rashid Bos!”
“Skot kasi siang ikan Merah, kepala dia kasi belah.”
Balas Den:“Kasi siang ikan merah, kepala dia kasi belah”
Tapi ada ketika yang Pak Cik Salleh Jerman ini akan menjerit dengan nyaring
kepada Den dan waktunya adalah antara jam 8:30 sehingga 9:00 pagi, di
mana beliau akan menjerit:
“Skot…naikkan layar….matahari dah terbit !”
Balas Den:“Makcik /Pakcik [ Kalau ada pelanggan semasa itu] minta maaf
...kasi laluan layar nak dinaikkan kami nak belayar…!”
Arahan itu dikeluarkan bila keadaan cuaca sudah mula panas dan Den
dikehendaki menaikkan kanvas untuk dijadikan bumbung gerai bagi
melindungi cuaca panas. Pada masa itu Den akan bertindak dengan pantas
untuk mengeluarkan kanvas dan mula memacakkan tiang dan diikuti
dengan menaikkan kanvas tersebut untuk dijadikan bumbung. Dan beliau
juga akan menjerit pada waktu petang dan kalau jualan ikan habis cepat
dengan arahan;
“Skot ! Turunkan layar..kita nak balik dah !”
Balas Den“Layar akan diturunkan … ..kita nak balik dah….!”
10
Dan itu menandakan tamatnya penugasan Den pada hari tersebut. Pendek
kata semua arahan yang Bos berikan Den kena sebutkan balik sebagai
pengesahan bahawa Den faham apa arahan yang telah Pak Cik Salleh
berikan. Pendekatan ini kadangkala juga diamalkan semasa Den berkhidmat
di dalam ATM bagi memastikan anak buah faham akan arahan yang
diberikan. Ilmu ini Den belajar daripada pengalaman semasa berkhidmat di
bawah panji-panji Pakcik Salleh Jerman.
Setelah selesai mengemas, dan jika ada ikan yang lebih biasanya PakCik
Salleh akan menyuruh Den membawa balik ikan tersebut dalam sekati dua
untuk dibuat lauk. Upah yang diterima untuk kerja yang bermula dari jam
0400 pagi itu sehingga jam 4 atau 5 petang adalah sebanyak 3 ke-5 ringgit
sahaja ! Pada masa itu Den tidak terfikir sama ada jumlah upah yang
diterima itu adalah berpadanan atau tidak dengan tenaga, masa dan
keringat yang telah dicurahkan. Pada dasarnya jumlah RM 5.00 pada waktu
itu sudah merupakan satu jumlah yang cukup besar. Dan biasanya Den akan
memberi sebahagian dari wang upah itu kepada ibu dan selebihnya dalam
seringgit dua akan digunakan untuk belanja sendiri.
Bila terkenangkan balik situasi itu Den akan tersenyum sendirian dan jika
masa berputar kembali dan disuruh untuk bekerja dengan Pak Cik Salleh
semula, sudah pasti ia tidak akan dilakukan lagi. Cukuplah sekali,hendak
kata berbaloi memang tidak berbaloi, tapi masa itu Den masih lagi naif dan
dalam keadaan daif pula, kerja apa pun pada masa itu tidak kisah janji
benda itu halal dan fikiran yang ada pada masa itu hanyalah nak cari duit
...nak cari.....duit! Walau bagaimanapun pengalaman tersebut banyak
membantu Den untuk menjadi seorang yang lebih tabah dan cekal di dalam
kehidupan seharian terutamanya semasa berkhidmat di dalam ATM.
Semasa zaman persekolahan Den bukan terdiri di dalam golongan pelajar
yang cerdik pandai. Keputusan peperiksaan Penilaian Darjah Lima yang
telah diduduki hanya cukup untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi
Melaka.Semasa di sana, pada tahun pertama dan kedua Den sering dibuli
oleh senior-senior di asrama. Semasa itu pernah terlintas hendak lari sahaja
11
dari asrama tersebut. Entah kenapa ada segolongan senior yang suka sangat
mendera dan membuli Den. Pada masa itu alasan yang boleh terfikir dan
terlintas di kepala adalah kerana Den bukan terdiri daripada golongan
‘jambu’.Bila terkenangkan situasi itu membuatkan Den senyum sendiri.
Penampilan Den yang agak kekampungan dan juga perwatakan yang banyak
mendiamkan diri, mungkin menyebabkan Den menjadi sasaran utama
kumpulan senior yang kaki buli.
Semasa di sana bukan takut sehingga tidak berani melawan senior yang
membuli itu, tetapi pada masa itu Den teringatkan asal usul dan harapan
ibu yang telah bersusah payah mengumpul duit untuk menghantar belajar
di situ membuatkan niat ‘ingin melawan’ yang membuku di dalam hati
terpendam begitu sahaja. Kalaulah pada masa itu Den datang daripada
latar belakang keluarga yang berada, sudah tentu ada dua atau tiga orang
senior yang jadi kaki buli sudah bergelar arwah waktu itu. Tetapi mungkin
itu semuanya perancangan Allah dan ujiannya.Den tetap sabar dan
meneruskan persekolahan seperti biasa walaupun sering dibuli semasa
tahun pertama dan kedua di sana. Semasa di sana jugalah Den telah mula
mengenali alam ketenteraan bila memasuki Persatuan Kadet Bersatu.
Secara kebetulan kadet sekolah kami dilatih oleh Pasukan Rejimen 21
Komando. Dari situ Den sudah mula mengetahui dan mendengar kisah-
kisah menarik dan kemasyhuran menjadi seorang anggota komando. Pada
masa itu juga kami berpeluang melawat kawasan latihan komando di Kem
Sungai Udang dan mengetahui serba sedikit mengenai kredibiliti dan
kebolehan unit tersebut. Pada masa itu tidak terlintas pula dalam hati
bahawa satu hari nanti Den akan menyertai unit tersebut.
Semasa peringkat awal remaja ini, Den sudah mula bercampur gaul dengan
rakan-rakan sekampung. Walau bagaimanapun masa yang ada hanyalah
pada masa cuti penggal persekolahan sahaja. Ini adalah kerana kebanyakan
masa dihabiskan dengan bersekolah di Melaka yang terletak kira-kira 15
batu dari rumah. Justeru itu biasanya kami akan mengambil kesempatan
semasa cuti penggal persekolahan untuk berkumpul dan bertemu semula.
Semasa percutian ini, kebanyakannya daripada kami akan bekerja sebagai
12
buruh kanak-kanak pada waktu siang dengan pelbagai macam kerja seperti
bekerja di restoran, menjual air tebu, menjual kuih, dan pelbagai kerja lagi
asalkan mendatangkan duit kepada kami. Pada sebelah malamnya kami
akan keluar dan menjadi kutu rayau di pekan. Biasanya pada jam 8:00 kami
akan berkumpul di hadapan sekolah Cina yang terletak di penghujung pekan
Alor Gajah.Setelah semua kawan sampai, kami akan bergerak menuju ke
kawasan hospital dan bersembang. Biasanya kegiatan kami itu akan
berakhir pada jam 10:00 malam dan dari sana tempat tujuan kami yang
pertama ialah gerai makan yang popular dengan keenakan kuih udang Haji
Baha yang kami semua panggil ‘pasar menggong.’ Biasanya kami akan
mengumpulkan duit yang ada di antara kami dan kemudiannya kami akan
buat bajet untuk makan di gerai tersebut. Bagi yang menyumbang lebih
biasanya akan makan besar malam itu bagi yang tidak biasanya akan hanya
dibenarkan memesan minuman sahaja.
Dan biasanya pada musim cuti sekolah, banyak kerja kahwin yang akan
dibuat.Masa itu adalah masa yang sangat-sangat kami nantikan. Pada
zaman itu, biasanya selepas sahaja kerja kahwin dilangsungkan satu majlis
tari menari yang kami panggil ‘cak kuncak’atau joget lambak akan diadakan
pada waktu malam. Tujuan acara tersebut adalah sebagai hiburan kepada
masyarakat kampung yang telah banyak membantu tuan rumah secara
bergotong royong didalam melaksanakan kenduri kahwin pada waktu
sebelah siangnya. Den dan kawan-kawan pasti tidak akan melepaskan
peluang untuk menghadiri dan menyaksikan setiap majlis cak kuncak yang
diadakan di kawasan Alor Gajah dan kampung-kampung yangberdekatan
dengannya. Kehadiran kami adalah lebih kepada sebagai pemerhati sahaja
dan tidak turut serta beraksi di dalam majlis tersebut. Bagi Den secara
peribadi,tidak berani hendak beraksi disebabkan ia merupakan satu
larangan oleh ibu Den. Walau pun Den agak nakal pada waktu itu, tetapi
Den tidak pernah dan tidak berani hendak melanggar larangan ibu kerana
takut akan kepedihan getah paip yang bakal diterima jika melanggar
larangan ibu.
13
Selain daripada aktiviti yang dinyatakan di atas, aktiviti lain yang sering kami
lakukan yang mana sehingga hari ini menjadi ingatan adalah ‘operasi
membersihkan buah oren dan limau’ terutamanya sewaktu sambutan tahun
baru Cina di kawasan pekan Alor Gajah. Memang sudah menjadi tabiat
kami, setiap kali musim Tahun Baru Cina kami akan keluar dan membuat
‘operasi besar-besaran’mencuri limau dan oren yang diletakkan di tempat
sembahyang kaum Tionghoa di kawasan pekan Alor Gajah. Entah apa yang
menyeronokkannya sehingga kami sanggup berbuat demikian kami pun
tidak tahu, yang pasti kami akan merasa ‘trill’ dan puas hati kalau dapat
mengambil limau tersebut. Kami akan lebih berbangga lagi kalau semasa
proses kami melaksanakan jenayah itu, kami tidak dikesan oleh tuan rumah
atau tidak disalak oleh anjing-anjing liar yang berada di persekitaran
tersebut. Walau bagaimana kami bersyukur kerana tidak pernah terlibat
dengan kes-kes jenayah lain. Selain daripada kenakalan yang dinyatakan di
atas, kami tidak pernah terlibat dengan unsur-unsur negatif yang lain
seperti dadah dan sebagainya.Begitulah kehidupan Den semasa diawal
peringkat remaja.
14
[2]
MENJADI ‘BUDAK BOI’
Budak boi ialah nama yang biasa dipanggil terhadap pelajar-pelajar
Cawangan Putera Maktab Tentera Diraja. [MTD]. Secara rasminya mereka
dikenali sebagai Putera, tetapi panggilan Budak Boi menjadi begitu sinonim
dengan mereka. Den sendiri tidak pasti bagaimana perkara ini boleh terjadi.
Kalau mengikut kefahaman Den perkara ini mungkin disebabkan istilah
budak boi sering digunakan oleh jurulatih-jurulatih tentera yang bertugas di
Cawangan Putera yang kebanyakan daripada mereka lebih gemar
memanggil kami budak boi daripada menggunakan perkataan
putera.Sehingga ke hari ini panggilan tersebut telah menjadi sinonim
dengan pelajar Cawangan Putera MTD.
Kemasukan Den ke Maktab tersebut adalah secara ‘tidak sengaja dan
kebetulan sahaja.’Pada masa tersebut sebenarnya Den tidak mengetahui
langsung tentang kewujudan Maktab Tentera Diraja. Tetapi seorang
sahabat telah memberitahu Den berkaitan dengan iklan tawaran
kemasukan ke maktab tersebut bagi pelajar tingkatan tiga yang bakal
menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajar pada tahun itu. Sahabat baik itu
telah mengajak Den untuk memohon memasuki Cawangan Putera. Pada
masa itu Den ragu-ragu kerana tidak pasti dengan pencapaian keputusan
SRP yang bakal dihadapi, tetapi disebabkan desakan daripada kawan Den
15
itu, Azlan Yunos, [sekarang ini Cikgu di Sekolah Dato Dol Said Alor Gajah,
Melaka ) maka Den pun bersetuju. Kalau tidak silap pada masa itu ada 12
pelajar lain dari Sekolah Tinggi Melaka yang memohon untuk memasuki
Maktab Tentera Diraja.
Dengan kuasa Allah, Den telah lulus Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran
dengan keputusan yang agak baik. Keputusan tersebut telah membolehkan
Den dipanggil untuk menjalani ujian akhir dan temu duga di Maktab Tentera
Diraja. Dari 12 orang pemohon, hanya Den seorang sahaja yang lulus untuk
melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 di Maktab Tentera Diraja.
Semasa dua tahun di sana, banyak yang telah dipelajari berkaitan dengan
adat budaya dan kehidupan sebagai seorang anggota tentera. Di Maktab ini
jugalah banyak membantu dan membimbing dalam membentuk jati diri
sebagai seorang anggota tentera. Selain daripada budaya positif dan
membina yang dipelajari semasa di sana, Maktab ini juga banyak mengajar
dan mendidik Den tentang ilmu-ilmu ‘menuang4’dan menggunakan inisiatif
di dalam menyelesaikan atau menghadapi satu-satu permasalahan atau
cabaran. Tanpa disedari banyak daripada ilmu-ilmu hitam yang dipelajari
semasa berada di Maktab ini telah banyak membantu di dalam karier Den
sebagai seorang anggota ATM. Semasa di sini kenakalan Den sudah mula
berputik dan menyerlah. Sifat dan kecenderungan ke arah ‘trill and
adventure’ itu mungkin disebabkan ‘ajaran-ajaran songsang’ yang diajar
oleh senior di sini dan juga mungkin ia timbul dengan sendirinya di dalam
usaha untuk melepaskan diri daripada kegiatan ‘ragging’ senior pada masa
itu.
Semasa di Cawangan inilah kami belajar bagaimana hendak membuat sakit
pada diri sendiri dan seterusnya dikecualikan daripada mengikuti latihan
ketenteraan seperti kawad, jasmani dan sebagainya. Ada pelbagai teknik
dan skil yangboleh digunakan untuk membuatkan diri kita seolah-olah sakit
dan sekiranya kita membuat pemeriksaan kesihatan semasa ‘melapur
4 Istilah yang digunakan di kalangan anggota tentera berkaitan dengan ponteng kerja, atau
tidak melaksanakan penugasan yang diberi dengan sempurna.
16
sakit’pasti akan di beri cuti sakit [MC] atau dikecualikan dari memakai kasut
atau bot. Sebagai contoh kami diajar supaya memakan ubat gigi yang
berjenama terkenal untuk menaikkan suhu badan dan seolah-olah kita
sedang demam. Ini adalah kerana jika kita mengambil ubat gigi tersebut
sebelum pemeriksaan suhu badan dibuat dengan meletakkan termometer
di dalam mulut kita, apabila diperiksa, hasil pemeriksaan akan menunjukkan
kita demam kerana suhu badan akan naik di sekitar mulut kesan daripada
ubat gigi tadi. Walau bagaimanapun teknik ini tidak berkesan kalau suhu
badan kita diambil dari celah ketiak. Ada teknik yang sesuai untuk
membolehkan kami dikecualikan memakai bot atau kasut yang mana ini
secara tidak langsung akan mengecualikan kami daripada latihan kawad
atau PT. Ini boleh dilaksanakan dengan menyapu ‘cecair pengilat logam’
perak [brasso] dicelah-celah kaki pada malam hari sebelum melapur sakit.
Sekiranya perkara ini dilaksanakan biasanya kaki kita akan pecah dan
merah-merah pada keesokannya apabila dibuat pemeriksaan. Walau
bagaimanapun teknik penipuan kami itu biasanya tidak berkesan pada
waktu itu, jika staf perubatan yang memeriksa kami pada hari itu ialah
Koperal Muniandy aka Andy, ini adalah kerana dia sudah faham dan masak
dengan situasi itu. Dan daripada sejarah. kalau dia lah yang ada semasa
pemeriksaan lapor sakit dibuat, bermakna, kami akan mendapat M & D
yang membawa maksud Medical and Discharge, dan biasanya jika kami
mendapat M & D kami akan dikenakan kawad tambahan.
Selain dari ‘terdidik’ dan terpengaruh dengan ajaran-ajaran negatif ’kami
juga dilatih dengan beberapa ajaran-ajaran yang positif yang amat berguna
terutamanya semasa tempoh Den berkhidmat di dalam ATM. Sebagai
contoh kami dilatih dan amat mahir di dalam teknik dan skil ‘change
parade’. Change Parade adalah merupakan satu bentuk hukuman di mana
kami akan berbaris di padang bola keranjang, kemudiannya Pemegang
Pangkat yang bertugas akan memberi arahan kepada kami untuk menukar
pakaian rasmi, sebagai contoh dari pakaian kawad ke pakaian ‘Baju Melayu’.
Biasanya masa yang diberikan adalah sangat singkat ia itu dalam masa 5 ke
10 minit. Kami akan berlari ke bilik dan menukar pakai tersebut dan akan
kembali semula beratur di padang kawad dalam masa yang ditetapkan. Jika
17
kami gagal, kami akan di denda, jika kami berpakaian tidak lengkap atau
tidak kemas kami akan didenda.Perkara tersebut akan dibuat secara
berulangan dan melibatkan beberapa jenis pakai seperti pakaian tempur,
pakaian Jasmani, pakaian Outing dan sebagainya. Walaupun ia sesuatu yang
berunsur menghukum dan ia amat menyeksa, akan tetapi dari beberapa
hukuman change parade yang kami lalui, Den telah memperoleh teknik dan
skil untuk menukar pakai dengan cepat di dalam masa yang singkat.
Sifat nakal dan suka kepada adventure berkembang semasa Den menuntut
di Cawangan Putera. Dan pengalaman-pengalaman dan ilmu-ilmu itu
banyak gunakan semasa di dalam perkhidmatan. Banyak aktiviti dan
kegiatan kenakalan yang dilakukan yang masih menjadi ingatan manis
dalam kenangan sehingga ke hari ini. Pendek kata semasa zaman budak boi
banyak membentuk jati diri dan keperibadian sebagai seorang remaja pada
waktu tersebut. Dari situ perasaan dan minat terhadap ketenteraan
semakin bertambah.
18
[3]
MENJALANI LATIHAN PEGAWAI KADET
Semenjak berada di Cawangan Putera, Den telah membuat pilihan
berhubung dengan kerjaya yang bakal dilakukan selepas peperiksaan SPM,
ia itu untuk menjadi seorang anggota tentera. Dan sebagaimana yang telah
dijangka, keputusan SPM Den walaupun memperoleh Pangkat Pertama
tetapi ia tidak cukup baik untuk memperoleh biasiswa bagi melanjutkan
pelajaran ke luar negara seperti kebanyakan rakan-rakan yang lain. Selepas
keputusan SPM diumumkan sebahagian besar daripada rakan sama maktab
telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran keluar negara melalui
Biasiswa ATM. Sebahagianya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran
ke pusat pengajian tinggi tempatan, termasuk Den. Pada mulanya Den
bercadang untuk mengikuti pengajian berkaitan dengan kejuruteraan
petroleum, Walau bagaimanapun pada waktu tersebut sebagai budak boi
Den terikat dengan perjanjian yang telah dimeterai bersama pihak ATM.
Den cuba memohon kursus pengajian petroleum semasa temu duga dengan
pihak Lembaga No 3, yang memilih calon Pegawai Kadet pada waktu
tersebut.Malangnya Den hanya diberi kata dua ia itu sama ada memilih
untuk mengikuti kursus yang telah ditawarkan oleh ATM atau bertindak
melanggar perjanjian yang telah dimeterai dengan pihak ATM. Pada masa
tersebut Den tidak mempunyai pilihan lain lagi kerana jika tidak menerima
tawaran yang diberikan oleh pihak ATM Den terpaksa membayar sejumlah
wang di atas kegagalan untuk berkhidmat dengan pihak ATM sebagaimana
19
yang telah dipersetujui di dalam perjanjian semasa memasuki MTD. Yang
menjadi masalah pula pada masa itu Den hanya diberi peluang sama ada
untuk mengikuti pengajian sama ada kejuruteraan elektrik, kejuruteraan
aeronautik atau kejuruteraan marin. Keadaan menjadi lebih parah lagi bila
ketiga-tiga kursus yang ditawarkan itu tidak menarik minat Den. Walau
bagaimanapun atas sebab mengikut kawan-kawan yang lain, Den telah
memilih untuk mengikuti kursus Kejuruteraan Marin di Universiti Teknologi
Malaysia, Kuala Lumpur dan ia secara automatik menjadikan Den sebagai
Pegawai Kadet Tentera Laut pada waktu itu. Disebabkan ketiadaan minat
terhadap kursus yang diambil maka Den telah kecundang pada tahun kedua
pengajian di sana. Walau bagaimanapun ia bukanlah satu titik akhir Den
untuk meneruskan karier sebagai anggota ATM pada waktu itu. Sebenarnya
perkara tersebut telah membawa rahmat di sebaliknya, kerana setelah
gagal di UTM Den telah ditemu duga sekali lagi dan diberi peluang kedua
untuk menyertai pegawai kadet sepenuh masa. Dan pada masa tersebut
Den tidak ragu-ragu lagi, pilihan pertama Den adalah menyertai pegawai
Kadet Tentera Darat. Sebagaimana yang telah dijangkakan permintaan Den
itu telah diluluskan dan Den telah dipilih untuk memasuki Cawangan Kadet,
Maktab Tentera Diraja dan mula menjalani latihan sebagai seorang Pegawai
Kadet.
Dari situ bermula kehidupan sebagai seorang anggota ATM secara rasminya.
Tempoh masa dua tahun menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet, telah
banyak membantu dan membimbing dalam membentuk jati diri Den
sebagai seorang anggota tentera. Kehidupan semasa zaman latihan
pegawai kadet, adalah ‘mudah’ bagi Den dan tidak menghadapi sebarang
masalah. Ada sesetengah pegawai kadet berpendapat bahawa latihan
sebagai pegawai kadet tentera darat di Maktab Tentera pada waktu
tersebut adalah sukar dan amat keras. Ada di antara mereka yang telah
kecundang di peringkat awal dan memohon untuk menarik diri daripada
menjadi pegawai kadet. Tetapi bagi Den pada masa itu, ia tidaklah sesukar
mana, cuma mungkin di sebabkan jadual latihan yang ketat dan padat dan
ditambah lagi dengan program akademik membuatkan ia agar sukar untuk
dilalui oleh sesetengah pegawai kadet. Sepanjang dua tahun menjadi
20
pegawai kadet, selain daripada kami dididik dan diasuh di dalam pelbagai
aspek ilmu ketenteraan kami juga dilatih untuk menjadi pegawai dan
pemimpin muda di dalam ATM.
Semasa tempoh dua tahun tersebut kami juga terpaksa menduduki
peperiksaan STPM. Walaupun latihan ketenteraan yang dilaksanakan agak
keras dan ia amat menyukarkan bagi sesetengah pegawai kadet ia dapat
diharungi dengan jayanya kerana Den tahu bahawa ia merupakan “core
bussines” sebelum Den layak ditauliahkan sebagai pegawai di dalam ATM.
Justeru itu, sekiranya gagal atau tidak mempunyai potensi sebagai pegawai
tentera, maka Den pasti akan digugurkan dan tidak akan ditauliahkan
sebagai pegawai di dalam ATM. Situasi ini adalah berbeza sekali apa bila
Den mengikuti ‘sesi akademik’. Semua pegawai kadet diwajibkan untuk
menduduki peperiksaan STPM pada waktu tersebut. Walau bagaimana pun
kami hanya dikehendaki mengambil sekurang-kurangnya dua mata
pelajaran sahaja dan tidak termasuk subjek Inggeris 121 dan 122.
Bagi kebanyakan daripada kami sesi akademik ialah masa untuk kami
berehat dan bersantai berbanding ketika waktu subjek ketenteraan.Oleh
sebab itu ramai di antara kami yang tidak menumpukan sepenuh perhatian
semasa sesi itu dijalankan, hatta semasa menduduki peperiksaan STPM pun
ramai di antara kami yang tidak membuat persediaan dengan secukupnya.
Justeru itu tidak harianlah semasa keputusan STPM diumumkan, daripada
jumlah 40 orang pegawai kadet yang mengambil dua mata pelajaran STPM
tersebut hanya seorang sahaja yang lulus kedua-dua subjek yang diambil
dengan Prinsipal A dan B dan pegawai Kadet itu adalah Den. Keputusan
tersebut telah melayakkan Den untuk memenangi Anugerah Akademik
Terbaik bagi Tauliah Jangka Tetap Pengambilan Ke 27.
Semasa era kadet ini boleh dikatakan antara masa-masa yang dikategorikan
sebagai zaman kegahan Den. Sebaik sahaja kami menjadi Pegawai Kadet
Kanan, ia itu selepas senior kami ditauliahkan, Den telah diberi jawatan
sebagai Pegawai Rendah Kanan, iaitu ketua kadet bagi kompeni Alam Shah.
Zaman sebagai pegawai kadet kanan ialah zaman yang mudah bagi Den.
21
Masa itu semangat untuk menjadi pegawai tentera semakin tinggi dan Den
begitu yakin akan ditauliahkan sebagai seorang pegawai. Walau
bagaimanapun ada satu ketika itu Den rasakan bahawa harapan Den untuk
ditauliahkan hampir-hampir terpadam berikutan berlakunya satu peristiwa
yang menimbulkan kemarahan pegawai Den.
Pada waktu itu, Cawangan Kadet sedang mengadakan pertandingan
merempuh halangan. Memang menjadi kebiasaan bahawa pertandingan
tersebut biasanya akan dimenangi oleh kompeni Syed Putera sebagaimana
beberapa tahun sebelumnya. Seminggu sebelum pertandingan, sebagai
Ketua Kompeni Alam Shah, Den telah memberi jaminan kepada pegawai
atasan bahawa dalam pertandingan kali ini, Kompeni Alam Shah akan
memenangi piala tersebut. Kenyataan itu disambut dengan senyuman sinis
oleh Kapt John [ Pegawai Kompeni Shah Alam] dan beliau menyatakan
bahawa jika Kompeni Alam Shah menangi pertandingan itu, kami semua
akan diberi cuti hujung minggu, sebaik sahaja selesai pertandingan tersebut.
Waktu itu, sebagai Pegawai Kadet, cuti hujung minggu adalah saat-saat
yang paling dinantikan kerana pada waktu tersebut kami akan dibenarkan
keluar dari kawasan maktab. Ia biasanya diberi sebulan sekali sahaja.
Disebabkan terlalu yakin dengan keupayaan kompeni Alam Shah pada
waktu tersebut, dua hari sebelum pertandingan, Den sudah arahkan supaya
semua anggota kompeni mengisi borang cuti hujung minggu untuk minggu
tersebut. Pada masa itu Den berpendapat dengan cara itu ia akan
menaikkan semangat dan menambahkan keyakinan anggota-anggota yang
akan menyertai pertandingan merempuh halangan itu nanti.
Bila tiba hari pertandingan, ia itu pada hari Sabtu, jangkaan dan jaminan
yang diberikan kepada Kapt John menjadi kenyataan, di mana Kompeni
Alam Shah telah berjaya muncul sebagi juara di dalam pertandingan
Merempuh Halangan tersebut. Kompeni Alam Shah telah berjaya
merampas piala yang secara tradisinya menjadi milik Kompeni Syed Putera.
Sebaik sahaja acara tersebut tamat Den telah berjumpa dengan Kapt John
dan meminta supaya dia meluluskan cuti hujung minggu untuk kadet Alam
Shah sebagaimana yang telah dijanjikan. Walau bagaimanapun, Kapt John
22
menyatakan bahawa dia akan berjumpa Den di Wisma Kadet pada jam
2:00petang untuk menandatangani pas tersebut dan meluluskannya. Pada
waktu itu Den pun tidak banyak soal dan terus memaklumkan perkara
tersebut kepada semua anggota Kompeni Alam Shah yang sedang bersorak
gembira meraikan kemenangan yang baru dicapai.
Pada sebelah petangnya, tepat jam 2:00 Den telah berada di Wisma Kadet
menunggu kedatangan Kapt John, Walau bagaimanapun Kapt John tidak
muncul-muncul sehingga jam 3:00 petang. Pada jam 3:15 Den telah hilang
sabar dan mengambil keputusan untuk berjumpa Kapt John di Wisma
Pegawai walau pun diketahui pada waktu tersebut bahawa Wisma Perwira
merupakan kawasan larangan kepada semua pegawai kadet. Sebaik sahaja
sampai di sana, didapati keadaan agak bising di Wisma Perwira, maklumlah
waktu itu adalah waktu ‘Happy Hours’.Pada zamanitu waktu happy hours
masih lagi diadakan dan biasanya pada hari Sabtu selepas waktu kerja .
Biasanya semua pegawai akan berada di Wisma Perwira untuk menghadiri
‘happy hours’ dan ia akan berlarutan sehingga sampai ke petang atau di
sesetengah wisma mungkin berlanjutan sampai malam. Walau
bagaimanapun budaya happy hours ini telah semakin berkurangan sejak
kebelakangan ini. Melihat keadaan itu, Den pun terus masuk dan berjumpa
dengan salah seorang pegawai yang berada di situ. Tindakan itu telah
menimbulkan kemarahan kepada pegawai tersebut dan terus memarahi
Den:
“Ooii SUO5Naza kenapa kau datang di sini, kau tak tahu ke ini kawasan
larangan bagi semua pegawai kadet?”
Den pun jawab dalam kegugupan:
“Eehtahu Tuan tapi saya ada hal penting untuk berjumpa dengan Kapt
John.”
5 S.U.O adalah membawa maksud Senior Under Officer atau dalam bahasa Melayunya
Pegawai Rendah Kanan [PRK] ia itu jawatan pegawai Kadet yang paling terkanan sekali di
dalam satu kompeni kadet.
23
Bila mendengar alasan Den itu, pegawai tersebut terus memaklumkan
kepada Den supaya tunggu di luar sahaja dan beliau akan memanggil Kapt
John.Kira-kira 5 minit menunggu di luar Wisma,tiba-tiba Denterdengar satu
suara yang sedang dalam kemarahan:
“Hoit..Cel#$@ kau SUO, apa fasal cari saya kat di sini, kan saya kata saya
akan luluskan nanti !”
Dan suara itu ialah suara Kapt John yang pada waktu itu baru sahaja keluar
dari Wisma dan kelihatan mukanya sudah merah padam. Pada masa itu hati
kecilterdetik dan terfikir bahawa keadaan muka dan cara pertuturan Kapt
John mungkin bukan fasal marah tetapi mungkin akibat daripada
rangsangan minuman yang sedang dipegangnya. Den pun terus menjawab:
“Heh ..Sorry Sir,...the time now is almost 4:00 o’clock, I have promised the
cadets that they will have theirs pass before 4:00 so they can go out for
theirs weekends.”
Semasa itu Kapt John membalas, katanya:
“I don’t care what you have promised to them, I want you to wait at Wisma
Kadet I will be thereshortly.”
Den pun terus bergerak balik ke Wisma Kadet dan menunggu kedatangan
Kapt John. Semasa di Wisma Kadet kelihatan ramai anggota kadet dari
Kompeni Alam Shah yang berada di situ untuk mengambil pas kebenaran
cuti hujung minggu sebagaimana yang telah dijanjikan. Sebaik sahaja
sampai di sana Denmemaklumkan kepada mereka bahawa pas cuti masih
belum diluluskan dan Kapt John berjanji akan datang sekejap lagi untuk
meluluskan cuti tersebut. Berita itu telah menghampakan sebahagian besar
dari pegawai kadet yang telah lama menunggu sejak jam 2:00 petang lagi.
Kami pun terus menunggu dan menunggu sehingga jam 5:00, tetapi kelibat
Kapt John masih tidak juga kelihatan.
24
Pada jam 5:15 Den telah memaklumkan kepada semua kadet yang berada
di situ bahawa jika Kapt John gagal untuk menghadirkan diri pada jam 5:30,
semua kadet akan diberi kelulusan untuk mereka bercuti hujung minggu
dan Den sendiri akan menandatangani pas permohonan cuti tersebut. Tepat
jam 5:30, Kapt John tidak muncul-muncul, lalu Den mengambil keputusan
drastik dan telah menandatangani pas kebenaran keluarhujung minggu
untuk semua pegawai kadet kompeni Alam Shah. Ada di antara pegawai
Kadet yang senior yang ragu-ragu terhadap tindakan itu, dan tidak berani
untuk keluar, tapi bagi junior kadet mereka tidak banyak soal lagi, sebaik
sahaja mereka memperoleh pas yang telah ditandatangani, mereka terus
keluar tanpa sebarang persoalan mahupun keraguan.
Pada hari Isnin berikutnya jam lebih kurang pukul 0900 pagi,Den telah
dipanggil untuk berjumpaKetua Cawangan Kadet. Den sudah menjangkakan
yang perkara tersebut akan berlaku tetapi tidak bersedia untuk memberi
sebarang helah atau jawapan yang boleh menyelamatkan diri. Walau apa
pun yang bakal berlaku, Den telah bertekad untuk menyatakan keadaan
yang sebenarnya dan bersedia menanggung apa juga risiko akibat daripada
perbuatan itu. Sebaik sahaja masuk, Ketua Cawangan terus bertanyakan
sama ada Den tahu atau tidak kenapa dipanggil untuk berjumpa dengan
beliau pada pagi itu. Den pun terus menjawab tahu dan seterusnya beliau
memberi peluang untuk menceritakan apa yang telah berlaku pada hari
Sabtu yang lepas.
Semasa itu kelihatan Ketua Cawangan [KC] tidak banyak bercakap selain
dari mengangguk-angguk seolah-olah bersetuju atau faham dengan apa
yang telah diperkatakan dan sesekali menggeleng-gelengkan kepalanya
seolah-olah beliau tidak bersetuju dengan beberapa bahagian daripada
penerangan yang diberikan. Selain daripadamengangguk dan menggeleng
KC tidak berkata apa-apa sehingga selesai Den memberi hujah pembelaan
berkaitan dengan tindakan yang diambil pada hari Sabtu itu. Agak panjang
dan lebar juga hujah pembelaan yang diberikan, kerana pada waktu itu Den
tahu bahawa tindakan Den telah melampaui kuasa yang ada pada seorang
Pegawai Rendah Kanan Kompeni dan ia lebih merupakan satu tindakan
25
seolah-olah mencabar Kapt John sebagai pegawai kompeni Alam Shah.
Walau bagaimanapun pada masa tersebut Den sudah bertekad untuk
menceritakan keadaan sebenar dan berserah nasib kepada Allah serta
bersedia untuk menerima sebarang hukuman akibat daripada tindakan itu.
Setelah selesai berhujah, KC telah bertanya kepada Den:
“Apakah yang membuat kamu berani memberi kelulusan dan
menandatangani pas kebenaran keluar hujung minggu tersebut?”
Sebaik sahaja soalan itu diajukan, Den tidak dapat hendak berfikir panjang
dan terus memberi jawapan yang terlintas di kepala pada waktu itu:
‘Maaf Tuan, saya telah membuat janji dengan Pegawai Kadet Alam Shah
berdasarkan janji yang telah diucapkan oleh Kapt John kepada saya. Dalam
hal ini, saya sebagai seorang ketua berpendapat bahawa sayamesti
memenuhi janji saya dan itulah yang telah diajar kepada saya oleh Maktab
in . Dalam konteks ini, saya merasakan yang saya tidak boleh menjadikan
alasan bahawa Kapt John tidak memenuhi janjinya sebagai sebab bagi saya
untuk tidak menepati janji yang telah saya berikan kepada pegawai kadet
saya. Saya tahu matlamat tidak menghalalkan cara, tetapi sebagai
pemimpin, prinsip yang saya mesti patuhi adalah bahawa janji mesti
dipenuhi supaya kredibiliti saya sebagai pemimpin tidak tercalar. Untuk itu
saya bersedia menghadapi balasan akibat daripada tindakan saya ini.”
Masa itu Den berucap dengan penuh semangat macam seorang pemimpin
politik layaknya. Sebaik sahaja selesai memberi jawapan kepada soalan yang
dilemparkan oleh KC, diperhatikan KC diam sebentar dan seterusnya
menangguk-anggukan kepalanya. Sejurus kemudian KC berkata :
“OK kamu dah buat apa yang patut kamu buat. Saya secara peribadi tidak
bersetuju dengan tindakan kamu dan saya anggap ia sebagai satu tindakan
yang tidak bijak kerana cuba menyelesaikan masalah di luar bidang kuasa
kamu. Walau bagaimanapun saya hormat sikap kamu di mana sebagai
26
pemimpin kamu sanggup mengambil risiko kerana semata-mata hendak
memenuhi janji yang telah kamu berikan kepada anggota bawahan kamu.”
Sebaik sahaja mendengar hujah itu, perkara yang terlintas di dalam kepala
ialah; “Wah ! ini dah kira bagus nie. ! mungkin Den akan dimaafkan kali
ini.”
Tetapi sangkaan Den meleset pada waktu itu, bila mana KC kata :
“Walau bagaimanapun kamu mesti hukum di atas tindakan kamu itu, dan
sebagai hukumannya kamu dikehendaki menjalani “gating” selama 7 hari
bermula dari hari ini.”
[Hukuman gating adalah di mana Pegawai Kadet dihendaki memakai pakai
tempur lengkap bersenjata [FSMO] dan dikehendaki melapur ke Balai
Pengawal Utama yang terletak kira-kira 1km dari Cawang Kadet pada
setiap 2 jam. Semasa di Balai Pengawal biasanya satu pemeriksaan
terhadap pakaian dan kelengkapan akan dibuat oleh anggota pengawal
dan akanmemberi senaman ringan sebagai hukuman jika terdapat
sebarang kesalahan]
Selepas daripada insiden tersebut, kehidupan Den sebagai Pegawai Kadet
berjalan dengan lancar tanpa sebarang permasalahan sehinggalah
ditauliahkan. Hari pentauliahan menandakan tamatnya latihan kadet yang
dilalui selama dua tahun dan menandakan bermulanya karier Den sebagai
pegawai di ATM. Hari pentauliahan merupakan satu hari yang amat
membanggakan kerana sebagai seorang anak kampung Den telah berjaya
memenangi dua anugerah utama dari tiga anugerah yang diadakan. Berkat
kesabaran dan kegigihan di sepanjang tempoh latihan Den telah di
anugerahkan Pedang Kehormat [Sword ofHonours] sebagai Pegawai Kadet
Terbaik Keseluruhan dan Pemenang Hadiah Akademik Terbaik. Apa yang
membanggakan nama Den sudah tercatat dalam ‘Halls of Fame’ Maktab
Tentera Diraja.
Dalam pada masa itu, Den ada mendengar berita daripada sumber-sumber
yang tidak dapat disahkan bahawa sepatutnya Den juga memenangi hadiah
27
sebagai Pegawai Kadet Terbaik di dalam Pengajian Tentera tetapi
disebabkan ada pihak yang tidak mahu dan merasakan tidak sesuai untuk
Den membolot ketiga-tiga hadiah utama itu, maka hadiah terbaik
ketenteraan telah diberi kepada Pegawai Kadet lain. Walau bagaimanapun
ia merupakan berita angin yang tidak boleh disahkan sumbernya. Walau
apa pun, pada hari tersebut Den tetap bersyukur dan berbangga kerana
telah memenangi dua anugerah yang berprestij sebagai seorang pegawai
kadet. Perkara tersebut amat membanggakan Den kerana keesokannya
berita tersebut dikeluarkan di muka hadapan kebanyakan surat khabar
utama di seluruh Malaysia. Dan seluruh kampung Den kecoh pada minggu
tersebut sebab berita kejayaan Den masuk surat khabar!!!
Tetapi di dalam pada itu, ramai yang tidak mengetahui bahawa Den berjaya
mengharungi latihan di Cawangan Kadet kerana, sebelum itu, Den pernah
mengalami perkara yang lebih susah dan sukar lagi.Sepanjang latihan yang
dilalui ada banyak kenangan pahit manis yang dilalui masadi sana. Kadang-
kadang Den gelak sendiri bila mengenangkannya. Banyak susah dari
senangnya. Susah senangnya masa itu Tuhan sahaja yang mengetahuinya.
Walau bagaimanapun Den tetap bersyukur kerana akhirnya dapat juga
menamatkan latihan pegawai kadet tersebut dan ditauliahkan sebagai
Pegawai di dalam ATM.
Sebaik sahaja selepas tamat latihan, Den begitu bersemangat untuk
berjuang dan terlibat di dalam operasi menghapuskan perjuangan komunis.
Pada mulanya Den bercadang untuk memasuki unit Rejimen Askar Melayu
tetapi semasa peringkat akhir sebagai pegawai kadet Den lebih tertarik
untuk menyertai unit komando. Pada masa itu, Den selalu didendangkan
dengan kehebatan dan kemasyhuran menjadi anggota komando oleh salah
seorang pegawai komando yang menjadi jurulatih di Cawang Kadet,Maktab
Tentera Diraja. Dari situlah bermulanya minat yang mendalam berkaitan
dengan unit yang dibanggakan oleh ramai orang ini. Sehubungan dengan itu
Den secara sukarela telah menyertai unit komando sebaik sahaja tamat
latihan sebagai pegawai kadet. Dan dari situ bermula kisah hidup Den
sebagai anggota komando.
28
[4]
MELAPUR KE JABATAN ARAH GERAK KHAS
Begitu pantas masa berlalu, beberapa tahun yang lalu Den hanyalah
seorang budak kampung yang amat naif tentang kehidupan dunia. Memang
sejak dilahirkan pengetahuan Den tentang dunia luar amat terbatas sekali.
Kini Den sudah bergelar Pegawai dan selepas selesai urusan pentadbiran di
Cawangan Kadet, Den telah melapur ke Jabatan Arah Gerak Khas di
Kementerian Pertahanan. Den tiba di sana bersama 5 orang pegawai muda
yang lain. Sebaik sahaja sampai, kami telah dipanggil oleh seorang Kapten
untuk masuk ke pejabatnya. Kapten tersebut seterusnya telah memberi
taklimat berkaitan kerjaya kami, di mana unit yang akan kami berkhidmat
dan pelbagai perkara lagi berkaitan tradisi dan keperluan kerja untuk
menjadi seorang pegawai komando.
Pada mulanya Kapt Mamat ini agak baik dan bersopan, tapi entah mengapa
agaknya, semakin lama kami di sana, semakin ‘berlagak’ lah pula dia. Masa
itu Den tak ambil pusing sangat, bila Den perhatikan perangai dan tingkah
laku Kapt Mamat pada masa itu, dia macam orang ada masalah psikiatri
sahaja . Dalam hati Den pada masa itu teringat akan kata-kata jurulatih
semasa di Cawangan Kadet bahawa ‘anggota komando biasanya otak
mereka ini ada kurang sikit!’...apa yang dimaksudkan sebagai ada kurang
29
sikit, Den sendiri tak pasti, dan dalam hati Den berdetik mungkin inilah yang
dimaksudkan sebagai ’ada kurang sikit.’ Sangkaan Den memang tepat
terhadap Kapten Mamat itu, sebab sebaik sahaja selesai taklimat, dia
bertanya, kepada Den:
“Kau yang jadi Pegawai Kadet Terbaik tu ke ?” Masa itu Den terus jawab
Dengan ringkas . “ Ya Tuan !”
“Oh kau yang paling bagus ya,tapi kau ingat dalam komando tidak ada
yang paling bagus. Kalau nak jadi komando, tak boleh nak bangga-bangga
diri tahu tak ?”
Masa itu Den keliru sekali dengan apa yang dicakapkan oleh Kapt Mamat
ini, fasal apa pula dia marah sangat kepada Den? Fasal apa pula
dipersoalkan anugerah yang diperoleh itu? Den rasa mungkin otak Kapt
Mamat ini ada ‘kurang sikit’ Den pun tak pasti bagaimana semuanya
bermula bila Den lihat Kapt Mamat marah-marah dan kata yang bukan-
bukan pada Den. Lepas itu yang Den ingat dia koyak-koyakkan surat khabar
yang ada berita berkaitan dengan perbarisan tamat latihan Den dan
seterusnya menyumbatkan keratan kertas tersebut ke mulut Den. Rasa nak
tercekik pun ada, marah pun ada dan nak gelak pun ada bila Kapten Mamat
suruh Den telan kertas tersebut. Nak tak nak Den telan juga kertas tersebut
dengan dibantu segelas air nescafe yang diminta dari Kapt Mamat untuk
mengelakkan dari tercekik. Masa itu mata Den pejam celik pejam celik
macam cicak tertelan kapur, dan terasa amat seksa sekali nak menelan
keratan surat khabar tersebut. Masa itu Den ingat lagi kata Kapt Mamat.
“Ingat ini baru salam pengenalan, kalau kau orang semua melapur unit
nanti, ia akan lebih teruk lagi daripada apa yang kau lalui sekarang.”
Setelah selesai semua taklimat dan dua jam lebih kami berada di bilik Kapt
Mamat, kami berenam dibawa menghadap Pengarah Gerak Khas. Semasa di
pejabat Pengarah kami diberi taklimat ringkas berkaitan kerjaya sebagai
pegawai komando. Semasa perjumpaan tersebut Pengarah telah bertanya
30
kepada kami jika ada di antara kami yang ingin menarik diri daripada
menjadi pegawai komando. Pada masa itu, salah seorang daripada kami Lt
M Kamal telah memohon untuk menarik diri dan yang lainnya terus
menyatakan bahawa kami tetap mahu menjadi pegawai komando. Selepas
dari itu kami dibawa semula ke bilik Kapt Mamat. Dari situ kami telah diberi
cuti dua minggu dan telah diarahkan untuk melaporkan diri ke unit masing-
masing sebaik sahaja tamat cuti . Den dan Lt M Asri telah di arahkan untuk
melapur di unit Rejimen 21 Komando, Kem Sungai Udang dan 3 orang lagi
rakan Den telah diarahkan melaporkan diri ke unit Rejimen 22 Komando,
Kem Eksrine, Kuala Kubu Baru, Selangor.
Selepas itu Den pun balik ke kampung dan mula menghabiskan cuti Den.
Semasa cuti Den tidak pergi ke mana-mana selain banyak menghabiskan
masa bersama rakan-rakan lama di pekan Alor Gajah. Den gunakan
kesempatan itu untuk bertemu rakan-rakan lama yang telah sekian lama
tidak berjumpa. Pada waktu itu bermacam-macam cerita yang Den dengar
berkaitan rakan-rakan yang pernah menjadi teman karib sewaktu dahulu.
Ada di antara mereka yang telah merantau ke Kuala Lumpur, ada juga yang
telah menyertai pasukan beruniform dan juga Angkatan Tentera Malaysia
dan tidak kurang yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi di ibu
negara. Dalam pada itu ada juga berita sedih tentang dua orang rakan karib
yang telah meninggal dunia akibat daripada mengambil dadah secara
berlebihan. Pada saat itu rasa bersyukur kerana tidak terlibat di dalam
kegiatan tidak bermoral seperti itu. Sepanjang cuti dua minggu tersebut
kebanyakannya dihabiskan dengan bertemu rakan di kampung atau duduk
berehat di rumah sahaja.
31
[5]
HARI PERTAMA DI KEM SUNGAI UDANG
Sebaik sahaja tamat cuti Den telah melaporkan diri ke Kem Sungai Udang
yang terletak tidak berapa jauh dari kampung Den. Pagi itu Den telah
menaiki teksi dan telah sampai ke destinasi, Kem Sungai Udang kira-kira 45
selepas berlepas dari kampung. Sebaik sahaja sampai di pintu masuk utama
Kem Sungai Udang, Den terlihat terbentang papan tanda yang mana tertulis
dengan jelas kata-kata berikut:
"KEDATANGAN MU TAK DI UNDANG, JIKA RAGU-RAGU HARAP PULANG ".
Bila terbaca saja papan tanda tersebut, hati Den sudah mula rasa tidak
senang. Pelbagai perasaan mula bermain di kepala pada waktu itu, gerun
ada, takut ada. Hati dan perasaan Den pada waktu itu berada di dalam
keadaan resah gelisah. Sebaik sahaja menghampiri pintu balai pengawal
Den, telah mengarahkan agar pemandu teksi tersebut memberhentikan
kenderaan. Den terus keluar dari teksi tersebut dan bergerak menuju ke
seorang pengawal yang berada di pintu masuk utama kem itu.
Pada masa itu, hati Den terkedu kerana buat pertama kalinya Den berjumpa
dan berhadapan dengan seorang pengawal Komando. Daripada
pengamatan Den, pengawal tersebut nampak agak segak dan garang.
Penampilannya yang bersenjatakan pistol di sisi kanan, dengan pisau
32
komando tersemat di bahagian dada kiri,sambil memegang senjata M 16
Carbine menampakkan lagi ke ‘gah’annya sebagai seorang anggota elit
ATM. Sebaik sahaja menghampiri pengawal tersebut Den terus
memperkenalkan diri dan menyatakan tempat arah tujuan Den. Pengawal
tersebut memberi panduan secara ringkas laluan yang harus diikuti untuk
sampai ke Wisma Sri Perkasa, ia itu wisma untuk para pegawai komando.
Sebaik sahaja sampai di tempat yang dituju, Den turun dari teksi tersebut
dan kemudiannya Den menurunkan barang-barang Den yang berada di
dalam teksi Pada waktu itu jam menunjukkan lebih kurang pukul 12:00
tengah hari dan hari itu ialah hari Ahad. Sebaik sahaja selesai menurunkan
barang-barang. Den lihat beberapa orang keluar dari satu pintu kaca di
bahagian tepi Wisma tersebut. Mereka keluar dengan cara terburu-buru
sambil menjerit:
“Selamat datang orang muda ! Apa fasal kau menempah maut tengah hari
buta ini ?”
Selain daripada ada juga Den mendengar suara lain yang menyatakan:
“Wah senang banyak kau...teksi hantar sampai ke dalam.!!”
Dikuti dengan jerit pekik beberapa orang yang lain yang pada masa itu Den
jangkakan mereka semua merupakan pegawai-pegawai senior yang
menunggu kehadiran pegawai baru macam Den. Tindak tanduk mereka
pada waktu itu tidak ubah seperti red indian yang berjaya menangkap
seorang koboi, dan dikuti dengan jeritan perang [war cry] dan juga pelbagai
kata yang seolah-olah cuba menakutkan Den yang sudah memang kecut
perut pada waktu itu. Belum sempat lagi mengalihkan barang-barang ke
bawah porch kenderaan yang terdapat di situ terdengar satu suara jeritan
memanggil Den:
“Hoi lahabau kau, ke mari kau, jangan nak lari !”
33
Sebaik sahaja mendengar panggilan tersebut, Den terus meninggalkan
barang-barang di kawasan lapang tempat Den turun dari teksi tadi dan
berlari ke arah pegawai-pegawai tersebut yang pada masa itu sedang duduk
di kerusi di luar kawasan ‘bar’ Wisma Perkasa6. Sebaik sahaja sampai ke
tempat mereka berhimpun, Den telah diajukan dengan satu soalan oleh
salah seorang daripada mereka:
“Berapa lama kau dah bercuti ?”
Den terus menjawab: “Dua minggu Tuan !”
Tiba-tiba Den terasa berdesing di bahagian pipi kanan seolah-olah seperti di
tampar dan beberapa saat kemudian baru Den dapat pastikan bahawa
sebenarnya memang Den baru saja di tampar oleh salah seorang daripada
mereka. Entah kenapa otak Den begitu lambat hendak memberi jawapan di
atas reaksi penampar tersebut tidak dapat dipastikan. Mungkin juga pada
waktu itu otak tidak dapat berfikir secara fokus kerana ia sedang bercelaru
disebabkan sedang dikelilingi oleh sekumpulan serigala yang hendak
meratah mangsanya. Beberapa saat kemudiannya beberapa tumbukan yang
bertubi-tubi singgah di bahagian perut dan dada, situasi itu tidak memberi
kesan kerana keadaan fizikal Den yang waktu itu masih mempunyai six abs
muscle tidak merasa sebarang kesakitan terhadap tumbukan yang bertubi–
tubi sampai itu. Maklumlah masa itu usia muda belia lagi, semuanya masih
tegap dan sasa. Mungkin disebabkan tiada sebarang reaksi yang diberikan
semasa menerima tumbukan tersebut, serangan telah bertukar lokasi di
mana dengan tidak semena-mena penampar dan penumbuk telah sampai
ke muka.
Serangan tersebut melemahkan Den, reaksi pertama yang mampu
dilakukan adalah menutup muka yang telah mula membengkak dan
dilumuri dengan darah. Semasa itu pandangan telah menjadi agak kabur
akibat daripada tumbukan dan penampar yang datangnya secara bertubi-
6 Wisma Sri Perkasa adalah nama yang diberikan kepada Wisma pegawai unit Gerak Khas,
bagi unit yang lain ia dipanggil Wisma Perwira.
34
tubi tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Pada masa tersebut kepala pun mula
rasa tidak sedap dan bila Den tunduk sahaja di dapati darah telah keluar
dengan banyaknya dari hidung. Mungkin disebabkan pendarahan yang
dialami itu telah menyebabkan serangan tadi terhenti dengan sendirinya.
Pada masa itu Den mengambil kesempatan untuk ‘melakonkan’ adegan
sakit yang teramat sangat dengan harapan untuk mendapat simpati
daripada mereka. Dalam pada itu kedengaran suara yang menyatakan:
“Baru dua minggu sudah tidak pandai nak bercukur ..?”
Semasa cuti dua minggu Den telah menyimpan misai dengan kefahaman
bahawa setelah ditauliahkan Den boleh berbuat demikian. Tujuannya
adalah agar penampilan Den akan kelihatan garang sebagai seorang
pegawai komando. Semasa menjalani latihan di pusat latihan dahulu kami
tidak dibenarkan untuk menyimpan misai. Pada masa itu tidak ada di dalam
pengetahuan bahawa pegawai-pegawai muda komando yang belum lulus
kursus Asas Komando [AK] tidak dibenarkan untuk menyimpan misai. Dan
atas sebab itulah Den telah dihujani dengan penampar dan penumbuk
sebentar tadi, hanya kerana mempunyai misai ! Pada ketika itu, ingatkan
bila hidung sudah berdarah dan mata kanan sudah lebam, kumpulan
serigala lapar itu akan mengasihani, tapi sayangnya sangkaan itu meleset
sama sekali.
Selepas itu Den telah diarahkan untuk membasuh muka dengan air kolam
yang berhampiran. Selepas membersihkan darah yang berlumuran di muka,
Den terus bergerak menuju ke kawasan di bahagian luar wisma di mana
tempat pegawai-pegawai tersebut sedang berkumpul. Pada masa tersebut
Den berpendapat sesi salam pengenalan telah tamat dan Den sudah boleh
duduk berbual-bual dengan mereka. Walau bagaimanapun jangkaan itu
meleset sama sekali, sebaik sahaja menghampiri mereka salah seorang dari
pegawai tersebut berkata:
“OK lap dan keringkan air yang ada di muka kamu sekarang !”
35
Pada masa itu Den tidak membawa sebarang sapu tangan, lalu Den gunakan
lengan baju yang dipakai sebagai pengelap. Bila melihat keadaan itu, salah
seorang daripada pegawai telah bangun dan menghampiri Den, dan
berkata:
“Mana pergi sapu tangan kamu, kamu tak diajar supaya sentiasa
membawa sapu tangan ke semasa di maktab dulu ?”
Pada masa itu tidak dapat hendak menjawab apa-apa sebab memang Den
tidak membawa sapu tangan. Seterusnya pegawai tadi terus meluku kepala
Den. Entah beberapa kali kepala diluku tidak dapat dipastikan, kerana
pegawai tersebut suka sangat meluku sehingga Den merasakan kepala ini
sudah berbenjol dibuatnya. Setiap kali dia bertanyakan soalan dan biasanya
jawapan yang diberikan tidak pernah betul, maka setiap kali itulah dia akan
meluku kepala Den.
Pada masa itu sudah menjadi fobia pula, bila melihat pegawai itu
menaikkan tangannya seolah-olah hendak meluku dan tindak serta merta
[TSM] adalah dengan cuba memendekkan leher seolah-olah sedang
bersedia untuk menerima lukuan selanjutnya dari beliau. Situasi itu menjadi
bahan gelak pula kepada pegawai yang lain bila melihat tindakan
mengangkat bahu dan dalam masa sama kepala akan ke bawah seperti
kura-kura yang ingin memasukkan kepala di dalam kantungnya. Selepas itu
bermacam-macam denda, hukuman yang diterima sehingga waktu petang
agak sukar juga untuk menceritakannya satu persatu tentang apa yang
dialami pada waktu itu. Secara ringkasnya, daripada masa mula-mula
sampai tidak henti-henti dipermainkan oleh mereka.
Ada satu ketika itu, salah seorang daripada mereka telah menyamar sebagai
‘batman’7 Pada masa itu Den tidak pasti tentang kelayakan untuk seorang
7 Dalam perkhidmatan tentera seorang batman adalah seorang anggota yang ditugaskan
untuk berkhidmat dengan seorang pegawai bertauliah sebagai pembantu peribadi. Walau
bagaimana budaya ini telah tidak diamalkan sejak kebelakangan ini. Istilah ini berasal
daripada perkataan bahasa Inggeris kuno bat, sejenis tempat duduk untuk penunggang
kuda (dari Bahasa Perancis bast, dari Bahasa Latin bastum).
36
pegawai tentera itu diberi seorang Batman. Pegawai yang menyamar
sebagai batman itu memang pandai membawakan wataknya. Dia kelihatan
keliru, gugup dan seperti tidak keruan bila memperkenalkan diri sebagai
Truper Deraman dan bersedia untuk bertugas sebagai batman Den. Pada
waktu itu Den sedikit pun tidak mengesyaki sesuatu. Bagai diaturkan skrip
dan lakonannya, Truper Deraman yang berada di sisi pada waktu itu telah
memainkan peranannya dengan begitu bagus sekali. Ada kalanya ketika Den
dihukum, beliau turut membuat hukuman yang sama seperti ‘push up’, ‘star
jump’‘commando rest’ dan sebagainya, malah dia berjaya membuat lebih
baik daripada apa yang Den lakukan. Ada satu ketika itu Den telah
diarahkan untuk membuat change parade dengan menukar dari pakaian
yang sedang dipakai ke pakaian Bush Jacket [ No 2]8. Semasa hendak
mengambil pakaian tersebut yang berada di bawah porch kereta
berhampiran, Den telah ditegur oleh salah seorang daripada mereka dan
menyatakan.
“ Woi pegawai bi@# ! Kenapa kau nak kena ambil pula pakaian tu, kan kau
ada batman suruh saja dia mengambilnya !”
Pada masa itu perasan menjadi serba salah, jika tidak mematuhi arahan
tersebut takut akan diluku lagi, akhirnya Den telah mengarahkan Truper
Deraman untuk mengambil pakaian No 2 tersebut yang berada di dalam
beg di bawah porch kenderaan”. Sebaik sahaja menerima arahan tersebut,
Truper Deraman berlagak ‘confuse’ dan keliru dan terus berlari ke arah
barang dan beg Den untuk mengambil pakaian yang dikehendaki. Sejurus
kemudian Truper Deraman kembali dan membawa baju loreng dan
bukannya baju No 2 seperti yang dihendaki. Akibat daripada kesalahan itu,
Den telah dihukum kerana gagal memberi arahan yang jelas kepada
anggota bawahan. Perkara tersebut berlaku berulang kali, setiap kali Truper
Deraman datang dia pasti membawa baju yang salah, pada masa itu Den
pula yang akan dihukum dan keadaan itu membuat Den menjadi sangat
8 Di dalam tentera setiap pakaian diberi nombor pengenalan tertentu seperti No 1 Dress,
untuk pakaian istiadat, No 2 untuk pakai bush jacket, No 3 untuk pakai Kerja, No 4 untuk
pakaian kawad dan sebagainya sehingga ke No 10 kalau tidak silap Den.
37
geram kepada Truper Deraman di atas kebebalannya memahami arahan
yang telah Den berikan. Reaksi marah pada Truper Deraman dapat dibaca
oleh salah seorang pegawai yang berada di situ lalu pegawai tersebut
berkata
“OK Naza fasal batman kau bebal sangat dan suka ‘sabo’9kau, sekarang aku
hendak kamu hukum batman kamu’.
Pada masa itu fikiran yang terlintas di kepala bahawa ia merupakan peluang
baik untuk ‘mengajar’ batman itu. Tetapi pada masa itu Den tak terfikir pula
apa hukuman yang bersesuaian dengan kesalahan ‘menyabo’ . Akhirnya
Den mengambil keputusan untuk menghukum batman dengan 30 push up
dan 30 star jump sahaja. Tindakan itu seolah-olah telah menimbulkan
kemarahan kepada pegawai-pegawai tersebut kerana Den bertindak
‘lenient’10. Kemudian terdengar salah satu suara yang mengarahkan agar
Den bertindak lebih ganas dengan menampar muka Truper Deraman. Den
yang dalam kekeliruan pada waktu itu terus menampar muka Truper
Deraman, walau bagaimanapun tamparan itu tidak lah sekuat mana dan
lebih kepada ‘tamparan sayang’. Melihat keadaan itu salah seorang
daripada pegawai tersebut berkata,
“Woi itu bukan cara komando menampar orang, Deraman sekarang kau
tunjukkan kepada pegawai kau tu macam mana komando menampar
orang!”
Pada masa itu perhatian terus tertumpu pada Deraman dan dalam hati
berkata,
“Den nak tengok sama ada si Deraman ini berani atau tidak untuk
melempang Den.”
9 Sabotage adalah tindakan pemusnahan yang dilakukan secara dirancang, disengajakan
dan tersembunyi. Dalam jargon tentera sabo membawa maksud sengaja memberi masalah,
menyusahkan dan menyakitkan anggota lain atau sesuatu kumpulan.
10Di dalam jargon tentera ia membawa maksud lembut, lebih toleran di dalam satu-satu
tindakan.
38
Tiba-tiba tidak sempat hendak menghabiskan jangkaan yang bermain di
kepala pada waktu itu, kelihatan Deraman terus mengangkat tangan
kananya dan terus melempang dengan sekuat hatinya.
“Pinngggg..!!!”
Kepala terasa pening dan bunyi yang didengari selepas itu hanyalah
desingan akibat daripada penampar yang diberikan oleh Si Deraman,
batman Den. Pada masa itu darah sudah semakin panas dan sambil
menahan kesakitan dalam hati Den berkata:
“Woit Deraman berani kau tampar Den sebagai seorang pegawai kau ya!
siap kau nanti akan Den kerjakan kau cukup-cukup.”
Sejurus kemudian terdengar gelak ketawa daripada mereka yang
menyaksikan seorang pegawai di tampar oleh seorang truper. Perkara
tersebut tidak habis di situ sahaja. Entah macam mana ada di antara
pegawai tersebut yang mendengar keluhan dan hajat isi hati untuk
membalas tindakan Deraman itu. Sejurus kemudian kedengaran satu suara
dengan jelas dan nyata yang menyatakan bahawa.
“ OK Naza, sekarang giliran kamu pula menampar batman kamu dan
tunjukkan yang terbaik yang kamu boleh buat.”
Sebaik sahaja mendengar suara ‘good samarithan‘ itu Den pun tidak
berlengah lagi terus memberi satu tamparan yang paling baik yang mampu
dibuat sebagai balasan kepada tamparan yang baru diterima tadi. Den pun
mengayun sekuat hati dan selaju yang boleh dan dalam masa sekelip mata
sahaja penampar Den yang cukup bertenaga itu singgah di muka Deraman.
Sebaik sahaja selesai, tidak kedengaran sebarang suara yang ketawa
sebaliknya diperhatikan terdapat beberapa orang pegawai yang berada di
situ telah beredar dan selebihnya hanya senyum dan tidak memberi
sebarang reaksi lain. Pada masa itu Den lihat si Deraman sedikit pun tidak
berganjak dan hanya tersenyum menerima tamparan hebat dari Den. Ketika
39
itu Den sudah terasa sedikit perasaan pelik apabila melihat situasi itu.
Dalam hati Den pun sudah mula timbul keraguan dan seribu pertanyaan
tentang:
“Siapakah sebenarnya Truper Deraman ini ? Adakah dia benar-benar
seorang Truper yang ditugaskan sebagai batman Den ? Atau adakah dia
seorang pegawai yang sengaja berlakon sebagai seorang truper dengan
tujuan untuk mengenakan Den ? ”
Keadaan menjadi lebih pelik lagi apa bila selepas kejadian itu, beberapa
orang pegawai yang pada mulanya kelihatan garang dan ganas telah
beredar meninggalkan lokasi tersebut. Akhirnya salah seorang daripada
pegawai yang masih berada bersuara dan memberi arahan kepada Truper
Deraman:
“ OK Deraman kamu boleh balik hari dah petang, kamu boleh balik ke berek
untuk makan dan minum.”
Deraman yang pada ketika itu tidak berkata apa-apa terus mengikuti arahan
yang diberi dan meninggalkan Den keseorangan di situ. Situasi itu agak
merunsingkan Den, kerana pada waktu itu terlintas pula di fikiran bahawa
mungkin Truper Deraman sebenarnya merupakan seorang pegawai yang
menyamar sebagaimana truper dengan tujuan untuk mempermainkan Den.
Walau bagaimanapun sesi ‘salam pengenalan’ diteruskan juga tanpa
kehadiran beberapa orang pegawai yang telah mula beredar dan juga
Truper Deraman yang difahamkan telah balik ke berek beliau dipasukan.
Kira-kira pada jam 5 petang Den telah diarahkan untuk menukar pakaian
sukan dan kemudiannya telah disuruh berlari keliling kem sejauh lebih
kurang 2.4 km. Den dikehendaki sampai di dalam masa yang ditetapkan ia
itu di bawah 14 minit, Sebaik sahaja mendapat arahan Den pun terus berlari
dan berlari seperti ‘Forest Gump’ dengan sekuat hati. Ini adalah kerana
takut jika tidak sampai pada masa yang telah ditetapkan, Den akan
dikenakan hukuman lagi. Pada masa itu keadaan Den teramat penah sangat
40
kerana aktiviti salam pengenalan itu telah bermula sejak jam 12:00 tengari
lagi dan sejak waktu itu Den tidak berpeluang untuk makan atau minum
walau seteguk air lagi.
Semasa menghampiri blok penginapan bujang Skuadron Bantuan kira-kira
800 meter ke garisan penamat Den sudah terasa tidak berdaya, kaki pun
sudah terasa penat yang teramat sangat dan tidak mampu untuk melangkah
lagi. Mulut Den pada waktu itu tidak ubah seperti ikan kaloi yang terdampar
di tepi tebing sungai. Tercungap-cungap umpama naga yang kehabisan
oksigen, Bagi memastikan Den terus bernafas Den telah berhenti berlari dan
mula menghirup oksigen sebanyak mungkin . Tiba-tiba terdengar satu suara
menjerit dari belakang
“Woit...lari laa, mana boleh jalan dalam kem komando....nampak langit
mesti kena berlar.i”
Masa itu di belakang kelihatan ada dua orang yang tidak dikenali dan
dipastikan identitinya.11 Dari segi penampilan mereka yang berpakaian
track suit dan kasut berjenama kedua-dua makhluk tersebut kemungkinan
besar adalah pegawai komando juga. Sebagai membalas teguran yang telah
diberikan, Den berkata,
"Maaf Tuan, saya terlampau penat!"
Dalam pada itu seorang daripada mereka telah menghampiri dan terus
meluku kepala Den dan berkata:
“Kamu mesti sentiasa ingat dan simpan di dalam kepala kamu bahawa di
dalam kem komando, kalau nampak langit, kena berlari dan tidak
dibenarkan berjalan, lagi sekali aku nampak kau berjalan siap kau.”
11 Den hanya menyedari bahawa mereka berdua rupanya adalah anggota yang berpangkat
Lkpl setelah sebulan Den berada di sana. Den rasa tertipu tetapi Den tak pernah
berdendam kepada mereka sebaliknya mereka pula yang melarikan diri bila berjumpa
dengan Den kerana mungkin takut Den akan mengenakannya pula.
41
Beliau seterusnya mengarahkan supaya membuat ‘push up’ sebanyak 30
kali, Setelah selesai salah seorang daripada mereka mengarahkan supaya
berlari semula dan meninggalkan tempat tersebut. Den pun terus berlari
dengan sekuat hati untuk sampai ke garisan penamat. Sebaik sahaja sampai
Den telah di denda lagi kerana gagal sampai pada waktunya. Selain dari itu
Den juga dikehendaki menangkap 5 ekor katak yang berada di kawasan
kolam ikan yang berhampiran. Dengan penuh kesusahan Den telah berjaya
menangkap dua ekor katak dan meletakkannya di dalam kedua belah poket
seluar Beberapa minit kemudian dua ekor lagi berjaya ditangkap. Walau
bagaimanapun, Den menghadapi masalah yang besar untuk menangkap
katak yang kelima kerana tidak dibenarkan meletakkan katak-katak
berempat yang telah ditangkap tadi. Ia hanya boleh disimpan hanya di
dalam kocek seluar sementara dua lagi dipegang di tangan. Dengan keadaan
demikian agak sukar untuk menangkap katak yang kelima. Permasalahan
yang dihadapi itu rupanya diketahui oleh pegawai yang mendera dan beliau
pun memberi jalan penyelesaian yang baik dengan berkata.
“Kamu masukan salah sekor katak yang telah ditangkap itu ke dalam mulut
kamu dengan itu baru mudah untuk kamu menangkap katak yang kelima!”
Wah ! itu satu cadangan yang baik untuk mereka yang mencadangkan
tetapi tidak kepada mereka yang akan melaksanakan. Suka atautidak Den
beranggapan bahawa cadangan tersebut merupakan satu arahan. Bagi
mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, Den terus
melaksanakan cadangan yang telah dikemukakan tanpa banyak soal. Seekor
katak dimasukkan ke dalam mulut, pada masa itu timbul perasaan geli
geleman yang amat sangat bila katak tersebut mengerakkan kakinya untuk
melepaskan diri dari cengkaman mulut. Akhirnya setelah puas berhempas
pulas Den berjaya juga menangkap katak yang kelima. Beberapa minit
kemudian Den telah dibebaskan setelah hampir 6 jam ditahan untuk
menjalani sesi salam pengenalan pada hari pertama di Kem Sungai Udang.
42
[6]
MAKAN MALAM YANG ISTIMEWA
Sebaik sahaja sampai di bilik didapati seorang lagi kawan ia itu Lt M Asri
telah berada di dalam bilik tersebut. Menurutnya dia telah sampai lebih
awal daripada Den, iaitu pada sebelah pagi. Semasa dia sampai suasana di
Wisma tersebut masih sunyi lagi dan tiada kelibat seorang pegawai pun
yang dia ketemui. Memandangkan dia juga masih baru seperti Den, maka
dia tidak berani untuk keluar dari bilik tersebut kerana takut terserempak
dengan pegawai senior. Dia memaklumkan bahawa dia mengetahui apa
yang telah dilalui oleh Den semasa mula-mula tiba tadi tetapi dia tidak
berani untuk keluar kerana takut akan turut didera sama. Sedang kami asyik
berbual, tiba-tiba terdengar pintu bilik diketuk oleh seseorang. Bila
mendengar sahaja ketukan tersebut, kami saling pandang memandang
antara satu sama lain.
Pada masa itu terfikir mungkin ada pegawai yang hendak berjumpa dengan
Den, Sebaik sahaja Den bangun untuk membuka pintu kelihatan Asri terus
menyelinap masuk ke bawah katil seolah-olah sedang cuba untuk
menyembunyikan diri . Den yang faham dengan keadaan tersebut, sengaja
melambat-lambatkan masa untuk membuka pintu untuk memberi ruang
kepada Asri menyembunyikan diri, kerana sebenarnya kehadiran Asri masih
belum diketahui oleh mana-mana pegawai dan kami curiga dan takut jika
kehadirannya diketahui maka Asri akan menimpa nasib yang sama seperti
Den. Sebaik sahaja pintu dibuka, kelihatan seorang anggota berdiri di
hadapan pintu bilik dan memperkenalkan dirinya:
43
“Maaf Tuan, saya Kpl Mohd Nor, ‘barman’ bertugas malam ini. Saya nak
menyampaikan pesan Kapt Ariffin bahawa batman yang Tuan tampar tadi
sebenarnya adalah Mejar Deraman . Kapt Ariffin mahu tuan menulis surat
memohon maaf di atas perlakuan Tuan tadi , dan serahkan kepada Mejar
Deraman malam ini sebelum jam 8:00 malam, Tuan.”
Sebaik sahaja mendengar maklumat tersebut, Den menjadi panik dan
terkedu. Dalam hati Den berkata:
“Memang dah agak dah, kira bertuah juga kerana dapat menampar
seorang pegawai kanan komando berpangkat Mejar walaupun pada masa
itu Den hanya seorang Lt Muda.”’
Perasaan pada waktu itu berbaur geli ada, resah pun ada. Dalam hati
berdetik:
“..Nasib kau laa Deraman siapa suruh kau menyamar jadi batman Den ! Tak
fasal-fasal kau kena penampar Den.”
Walau bagaimanapun Den sempat menganggukkan kepala tanda faham
dengan maklumat yang telah disampaikan. Den seterusnya menutup pintu
dan duduk kembali di katil. Pada masa itu Den rasa hendak tergelak pula
bila melihat si Asri yang masih lagi menyorok di bawah katil. Den seterusnya
memaklumkan kepada Asri supaya keluar dari situ kerana keadaan adalah
selamat. Seterusnya Den mengambil kertas kajang dan mula mengarang
surat memohon sejuta kemaafan kepada Yang Berbahagia Mejar Deraman.
Pada Malam itu, jam 8: 00 kami orang bergerak menuju ke dewan makan.
Pada mulanya Asri enggan pergi bersama, akhirnya beliau pergi juga setelah
mendengar nasihat dan pujuk rayu dari Den, Nasihat yang diberikan kepada
beliau adalah lebih baik beliau bertemu dengan pegawai-pegawai senior itu
sekarang kerana lambat laun kehadiran Asri akan tetap diketahui juga. Den
beria-ia mengajak Asri untuk makan bersama di dewan pada malam itu
kerana berpendapat kalau ada senior yang hendak mendera nanti,
44
sekurangnya-kurang beban penderaan tersebut akan dikongsi bersama dan
tidak tertumpu pada Den sahaja. Kalau dalam istilah pengurusan risiko Den
panggil ‘perkongsian risiko dan pengagihan beban’.
Lebih kurang jam 8:30 baru ada beberapa orang pegawai senior masuk,
seorang demi seorang ke dalam dewan makan. Pada masa itu kelihatan
pelbagai lauk pauk yang dihidangkan dan amat membuka selera Maklumlah
Den tidak menjamah sebarang makanan semenjak jam 12:00 tengah hari
tadi. Walau bagaimanapun pada masa itu kami masih tidak boleh
menjamah makanan kami sehingga mendapat kebenaran daripada pegawai
lain yang berada di situ. Pada masa itu mata kami terkebil-kebil memandang
lauk pauk yang terhidang di hadapan mata sambil menelan air liur sahaja.
Kira-kira jam 9:00 malam selepas semua pegawai yang ada di situ selesai
makan, kami diarahkan supaya duduk dan dibenarkan untuk mengambil
nasi dan lauk yang terhidang di hadapan kami. Walau bagaimanapun belum
sempat hendak menyuapkan nasi ke mulut Den, terdengar satu suara yang
mengatakan:
“Oppss nanti, nanti dulu, sebelum makan, aku nak kau letakkan kicap ke
dalam pinggan nasi kau sehingga aku berikan arahan untuk berhenti. Lepas
itu kau letakkan cili sos, kemudiannya tomato sos, dan diikuti dengan
serbuk lada hitam dan garam yang ada di depan kau itu.”
Kami pun lakukan sebagaimana yang telah diarahkan sehingga habis semua
kicap, tomato sos, cili sos, garam dan serbuk lada hitam. Sebaik sahaja
selesai, pinggan kami penuh dengan bahan-bahan tambahan yang telah
dicampurkan bersama nasi dan lauk yang hendak kami makan. Dan sekali
lagi sebaik sahaja Den nak menyuapkan nasi ke mulut ada satu lagi suara
berkata:
“Opsss, tak cukup lagi, campurkan dengan air kopi dan air sirap dulu baru
boleh makan.”
45
Masa itu darah di kepala sudah panas semacam, walau bagaimanapun demi
menjaga keharmonian pada malam itu kami ikutkan juga arahan yang
terbaru kami terima itu. Kami secara rela dalam paksaan mencampurkan air
kopi dan air sirap ke dalam pinggan nasi kami. Pada masa itu kalau nak
ikutkan selera memang sudah tidak ada selera hendak makan bila melihat
makanan yang ada di dalam pinggan kami pada waktu itu, tetapi disebabkan
kelaparan yang amat sangat , Den telan juga. Selepas habis makanan yang
berada di dalam pinggan, kami telah diarahkan untuk menjilat pinggan
tersebut sampai bersih. Arahan tersebut diikut dengan reda, dan pada
waktu itu, Den sempat menjeling Asri yang berada di sebelah. Dari jelingan
itu jelas kelihatan air mata Asri bergenang dan riak mukanya yang amat
sedih dan sayu. Pada masa itu Den juga merasa sedih dan terharu, tetapi
Den tetap tabahkan hati dan cuba tersenyum, walaupun senyuman Den
agak pahit pada waktu itu.
Selepas makan kami diarahkan untuk pergi ke bar yang berada di dalam
Wisma tersebut. Di sana sesi penderaan diteruskan lagi tetapi kali ini di
dalam suasana yang agak relaks dan ceria. Malam itu kami seperti lembu
dicucuk hidung, disuruh joget kami berjoget, disuruh menyanyi kami
menyanyi dan pelbagai aktiviti-aktiviti tambahan lain lagi. Pada jam lebih
kurang 2 pagi, kami diberi masa untuk berehat dan diarahkan untuk berdiri
di sekeliling senior-senior kami yang sedang rancak berbual di antara
mereka. Semasa mereka berbual, kami ditugaskan untuk mencatat segala
inti pati perbualan mereka dan selang beberapa minit kami diarahkan untuk
membacakan semula apa yang telah berjaya kami catatkan sepanjang
perbualan mereka tadi. Bila dibaca semula catatan tersebut, pelbagai
perkataan yang keluar yang mana kebanyakannya tidak ada kena mengena
langsung dengan inti pati perbualan mereka tadi. Pada masa itu semua yang
berada di situ tergelak termasuk kami, maklumlah semasa mengambil
catatan tadi badan kami dah penat, kepala kami pun dah pening! Kami catat
apa yang terlintas di pendengaran kami tanpa membuat sebarang
pemeriksaan semula sebagai pengesahan, kerana jika kami berbuat
demikian kami akan diluku setiap kali kami mengajukan sebarang perkara
sebagai pengesahan.
46
Dalam jam 4 pagi, kami dibenarkan balik ke bilik untuk tidur. Pada malam
itu semasa berada di bilik, Asri telah berkata kepada Den:
“Zar .aku tak tahan untuk berada di sini, aku tak nak jadi komando, esok
semasa perjumpaan dengan Pegawai Memerintah12 aku nak minta balik
unit asal.”
Pada masa itu Den cuba memberi semangat kepada beliau dengan berkata:
“Kenapa tak sabar dulu, kita tengok dalam masa seminggu dua ini kalau
tidak boleh tahan juga ....kita buatlah keputusan.”
Tetapi Asri pada waktu itu seolah-olah tidak mengendahkan cadangan yang
di beri. Den berpendapat beliau telah nekad untuk mengambil keputusan
tersebut. Sebenarnya pada masa yang sama Den juga merasa tidak
bersemangat dan terfikir untuk mengikuti cadangan Asri tetapi bila
mengenangkan ibu dan orang kampung yang sudah tahu bahawa Den
menyertai komando. Den terus tabahkan hati dan bertekad untuk
meneruskan perjuangan menjadi seorang anggota komando. Den tidak tahu
apa alasan yang boleh diberikan kepada ibu serta kawan-kawan kalau keluar
daripada komando. Disebabkan tidak sanggup untuk menghadapi situasi itu
Den telah memujuk hati kecil untuk terus bertahan dan meneruskan niat
untuk menjadi seorang anggota komando. Dan pagi tu sebelum sempat Den
melelapkan mata, Den terdengar sayu-sayu suara esakan Asri yang mungkin
menyesali dirinya kerana telah memilih untuk menyertai unit komando.
Walau bagaimana pun situasi itu tidak melemahkan semangat Den
sebaliknya telah menguatkan lagi azam Den untuk jadi komando dan
berkata pada diri sendiri bahawa:
“Apa nak jadi-jadilah...Hidup nekad mati muda....Den tetap dengan niat
Den...untuk menjadi anggota komando.....!!’
12Pegawai Memerintah [Comanding Officer - CO} . Pegawai yang memerintah unit/rejimen
komando.
47
[7]
SERANG HENDAP PERTAMA
Den rasa seolah-olah baru saja terlelap bila tiba-tiba terdengar bunyi jam
loceng berbunyi. Jam waktu itu dah menunjukkan pukul 5:30 pagi. Kalau
membuat kiraan masa yang sebenarnya, Den baru merasakan nikmat tidur
dalam masa 45 minit. Tidak ada apa yang boleh kami lakukan melainkan
kami pasrah dengan situasi sebegini kerana sudah menjadi kelaziman di
dalam kehidupan sebagai seorang anggota komando bahawa ‘sekelip mata
adalah tidur namanya.’ Kalau hendak ikutkan kata hati rasa hendak
meneruskan sahaja tidur kami memandangkan kami memang tak merasa
lagi nikmat kepuasan tidur, tetapi disebabkan tuntutan tugas digagahkan
juga diri ini untuk bangkit dan membuat persiapan bagi melaksanakan misi
yang telah diamanahkan kepada kami untuk dilaksanakan pada pagi yang
hening itu. Misi itu merupakan serangan hendap pertama Den sebagai
seorang anggota komando.
Sebenarnya semasa menjalani latihan sebagai pegawai kadet dahulu Den
sudah banyak kali melaksanakan latihan serangan hendap. Walau
bagaimana pun latihan serangan hendap yang bakal dilaksanakan pada kali
ini adalah agak berlainan sedikit dengan apa yang telah dilalui dahulu. Salah
satu prinsip yang utama dan penting di dalam melaksanakan serang hendap
selain daripada kerahsiaan adalah, persiapan dan perancangan yang rapi .
48
Justeru itu dalam konteks ini, bagi memastikan serangan hendap yang
pertama dilakukan sebagai seorang anggota komando ini berjaya, satu
persiapan yang rapi telah dibuat. Maka atas dasar itulah Den kena bangun
awal pagi ini demi mencapai kejayaan dalam melaksanakan misi yang diberi.
Tindakan pertama sebaik sahaja terjaga daripada tidur adalah mengejutkan
Asri. Walaupun pada masa itu Den mengetahui bahawa Asri sebenarnya
sudah tidak ada minat lagi untuk menyertai komando, tetapi dalam misi ini,
Den kena pastikan bahawa Asri mesti turut sama kerana kami telah
diarahkan untuk melaksanakan misi itu bersama. Beberapa minit kemudian
Asri yang sedang lena tidur telah dikejutkan. Asri pada ketika itu seperti
orang yang tidak bermaya telah bangkit dari perbaringannya dan terus
menuju ke singki untuk membasuh muka. Semasa itu terdengar keluhan
dari Asri,
“Apa lah bodoh sangat kita ini , dah boleh hidup senang, saja mencari fasal,
Kan bagus kalau masuk unit lain aje, tentu masa ini kita sedang senang
lenang !”
Bila mendengar keluhan itu, Den pasti bahawa Asri masih lagi berada di
dalam tahap penyesalan kerana telah memilih untuk memasuki unit
komando sebagai kerjayanya. Lalu Den berkata:
“Asri aku malas nak memikirkan fasal isu itu lagi. Memandangkan sekarang
kita sudah termasuk ke dalam kandang harimau, maka kita kenalah
mengaum dan berlagak sebagai harimau kalau kita hendak terus survive,
Dan kalau kita terus berlagak seperti kambing, sentiasa mendengus dan
mengeluh maka di kesudahannya nanti aku pasti, kita akan menjadi gila
kerana masih terus berada di sini.”
Pada masa itu Asri yang sedang memakai kasut ‘spike boot’ nya terhenti
sebentar dan terus berkata:
49
‘‘Zar, aku dah buat keputusan dan nekad bahawa aku akan keluar daripada
unit ini. Perkara ini akan aku katakan semasa perjumpaan kita nanti dengan
CO”.
Pada waktu itu Den terus cuba untuk menasihati Asri supaya bersabar dan
tidak terburu-buru membuat sebarang keputusan yang boleh merosakkan
masa depan dan kariernya di dalam ATM.
“Asri, apa-apa pun aku rasa kita tidak boleh menyerah sekarang kerana ia
terlalu awal, sekarang ini masih awal lagi dan kita tidak patut membuat
keputusan secara terburu-buru. Kita tengok dan lihat dulu, lagipun ini baru
hari pertama di sini, kita perlu lebih masa lagi untuk menyesuaikan diri.
Kalau boleh kita menghadiri kursus Asas Komando dahulu dan jika kita
gagal juga sekurang-kurangnya kita tidaklah dianggap sebagai bacul dan
penakut. Aku rasa malu kalau nak berjumpa dengan kawan-kawan kita
kalau mereka tahu bahawa kita hanya bertahan selama satu hari sahaja di
Kem Sungai Udang ini, Perkara ini melibatkan maruah dan harga diri kita,
nanti akan menjadi sebutan mereka sehingga ke akhir kita.”
“Kalau macam itu OK lah, aku mengikut saja, tapi kalau aku rasa tak boleh
pergi juga aku akan tunggu masa yang sesuai dan dalam keadaan ini
adalah semasa kita menghadiri kursus AK untuk menarik diri.”
Akhirnya Den berasa lega juga kerana Asri termakan juga nasihat yang
diberikan.
“Ok lah Asri, kita jangan buang masa lagi, masa sudah sampai untuk kita
memasuki kawasan operasi. Kalau lambat masuk nanti banyak lagi ‘songel’
pak komando kita. Aku harap kau dah bersiap dan bersedia untuk kita
bergerak ke lokasi operasi kita.”
Pada masa itu kelihatan Asri sudah lengkap berpakaian loreng sambil
membetulkan beret hijau tanpa pelapik yang dipakainya. Setelah semuanya
50