Dakwah Tak Usah Lelah! 3 Disusun oleh: Saiful Azhar Saadon Diterbitkan oleh: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kompleks Pusat Islam Jalan Perdana, 50676 Kuala Lumpur ©Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi dan kandungan buku ini dalam apa-apa jua bentuk dan cara sekalipun sama ada fotokopi, mekanikal, rakaman, elektronik atau cara-cara lain tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan bertulis daripada penerbit. Cetakan Pertama 2023 Foto oleh: Siti Sakinah binti Hayat Mohammad Irfan Amin Chang bin Abdullah Dicetak oleh: Alamedia Sdn. Bhd.
i PENGENALAN Buku ‘Dakwah Tak Usah Lelah !’ Siri Ke-3 ini menghimpunkan artikel Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail yang menyentuh pelbagai topik berkaitan dakwah dan khidmat JAWI kepada ummah.
ii Sekalung penghargaan kepada media khususnya Akhbar Harian Metro yang sudi memberikan ruang untuk artikel-artikel dalam buku ini disiarkan.
iii Prakata Pelbagai detik penting dan peristiwa bersejarah telah dirakamkan sepanjang tahun 2022. Fasa Peralihan ke Endemik, Pilihan Raya Umum ke-15, dan Festival Bola Sepak Piala Dunia Qatar adalah di antara peristiwa yang harus dijadikan iktibar untuk terus memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang berteraskan ajaran Islam. Buku ini merupakan penerbitan siri ketiga yang menghimpunkan 38 artikel menyentuh pelbagai topik relevan berkaitan Islam dan umat Islam khususnya di Malaysia. Penulisan dalam buku ini digarap bagi memberikan respon terhadap beberapa isu dan perkembangan semasa yang melibatkan kepentingan umat Islam. Perbahasan yang diketengahkan juga turut menyentuh berkaitan peranan agensi agama khususnya JAWI dalam menganjurkan pelbagai program dan inisiatif demi memastikan pengamalan cara hidup Islam dapat terus dipertahankan dan keindahan ajaran Islam dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat. Selamat membaca dan semoga beroleh banyak manfaat yang mendorong ke arah kebaikan. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
iv Isi Kandungan o Pengenalan o Penghargaan o Prakata 1. Usah berlengah buat kebajikan 2. Persiapan diri hadapi fitnah akhir zaman 3. Berlaku adil dalam bisnes 4. Doa rumah tangga bahagia 5. Dampingi alim ulama 6. Jauhi terpalit fitnah 7. Ayuh imarahkan masjid, tingkat mutu ibadah 8. Istimewa Rejab: Bulan ibadah solat 9. Piagam Madinah dan anjuran toleransi 10. Bina kekuatan ruhiyyah 11. Bersatu mendepani badai 12. Rindu bertemu Rasulullah 13. Bangun akhlak terpuji 14. Sebarkan pesanan khatib 15. Malam ini dah tarawih! 16. Asbab hidayah Islam 17. ‘Post mortem’ Ramadan 18. Ganjaran seribu bulan Halaman i ii iii 1 7 13 19 25 31 37 43 49 55 61 67 73 79 85 91 97 103
v 109 115 121 127 133 139 145 152 157 164 169 175 181 187 193 199 205 211 217 223 19. Patuhi tuntutan agama 20. Istimewa 10 awal Zulhijah 21. Penawar masalah ummah 22. Keutamaan nafkah 23. Karya saham akhirat 24. Bukti keagungan pencipta 25. Islam agama syumul 26. Cari ilmu sumber sahih 27. Istiqamah dalam beribadah 28. Serlahkan keindahan Islam 29. Pelihara kehormatan isteri 30. Tegur biar beradab 31. Kebajikan “dibawa pulang” 32. Usah kaburi kebaikan dengan keburukan 33. Jahil, ego, taasub 34. Fatwa sumber rujukan ummah 35. Buat pilihan tepat 36. Bola sepak dan penyatuan 37. Suburkan agenda islah 38. Ganjaran besar berbuat ihsan sesama makhluk
1 USAH BERLENGAH BUAT KEBAJIKAN 01
2
3 Usah berlengah buat kebajikan Tahun 2021 baru sahaja melabuhkan tirainya. Kini tiba pula tahun baharu 2022 dengan pelbagai cabaran dan ujian yang mendatang. Sebagai seorang Muslim, perubahan waktu, hari, bulan dan tahun serta peredaran malam dan siang bersilih ganti adalah sunatullah yang telah ditetapkan sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 190 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tandatanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” Justeru orang yang bijak akan sentiasa menggunakan peluang yang ada untuk melaksanakan kebaikan dan tidak membiarkan masa berlalu dengan melakukan perkara yang tidak bermanfaat dan sia-sia. Pelbagai peristiwa suka, duka, pahit dan manis yang dilalui dalam kehidupan adalah ujian yang mematangkan fikiran untuk maju ke hadapan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Insyirah ayat 5-6 bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Di sebalik pelbagai peristiwa musibah dan ujian yang melanda negara sepanjang tahun lalu, terselit beberapa kisah yang memberikan inspirasi dan membangkitkan semangat ketika berhadapan dengan ujian kehidupan seperti kisah selebriti Ebby Yus yang reda dengan kemusnahan rumah akibat banjir dan ketabahan Shuib Sepahtu yang menerima dengan pasrah pemergian isterinya ke rahmatullah akibat Covid-19. Begitu juga kisah kecekalan hati seorang wanita tua yang menyaksikan sendiri rumah pusakanya berusia 52 tahun lenyap dilanda banjir besar.
4 Orang yang beriman digesa untuk bangkit daripada kesedihan dan perasaan dukacita dengan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran dan pendorong semangat. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 153 bermaksud: “(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu daripada kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.” Ayat itu menceritakan kisah kesalahan dalam peperangan Uhud dan Allah SWT memberitahu bahawa Dia telah memaafkan mereka supaya tidak berterusan dalam kesedihan lantaran kekalahan dan musibah yang menimpa. Oleh itu, perasaan kesedihan tidak harus dibiarkan sehingga mendatangkan kemurungan dan kemudaratan. Manusia yang beruntung adalah yang bermuhasabah setiap masa untuk memperbaiki diri dan mengambil iktibar peristiwa yang berlaku. Perubahan tahun baharu hakikatnya melatih kita untuk selalu mengingatkan diri agar bersyukur di atas segala nikmat Allah SWT. Sifat syukur bakal mengundang balasan kebaikan daripada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
5 Di dalam surah al-Hadid ayat 16 Allah SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.” Seorang Muslim tidak perlu menunggu kedatangan tahun baharu untuk melakukan kebajikan, atau menunggu waktu senang untuk beribadah, atau menunggu menjadi kaya untuk bersedekah. Sebaliknya bersegeralah untuk melaksanakan sebarang bentuk kebaikan yang boleh memberikan manfaat kepada diri dan orang lain. Ajaran Islam memerintahkan bersegera melakukan kebaikan kerana ia mendatangkan ketenangan dan ketenteraman hati. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 133 bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” Dalam surah al-Baqarah ayat 148 Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Allah SWT memberikan panduan agar segera melaksanakan kebajikan yang lain setelah selesai melaksanakan suatu tugasan
6 sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Insyirah ayat 7 yang bermaksud: “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).” Laksanakanlah setiap tugasan yang diberikan dengan sebaik-baiknya seperti hadis yang bermaksud “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.” (Sunan alBaihaqi). Marilah kita berazam menjadi Muslim yang lebih baik sama ada sebagai pemimpin, ibu bapa, suami isteri, anak-anak, pekerja atau majikan dalam sebuah keluarga, masyarakat dan negara. Perbaharui dan perbetulkan niat agar sentiasa istiqamah melakukan amal soleh supaya dapat menjalani kehidupan yang bermanfaat sebagaimana hadis yang bermaksud: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Rasulullah lalu menjawab: Lelaki yang dipanjangkan umur dan (semakin) baik amal (soleh)nya. Lalu lelaki itu bertanya lagi: Siapa pula manusia yang teruk? Rasulullah menjawab: Lelaki yang dipanjangkan usianya, (tetapi semakin) buruk amalan mereka.” (Sunan alTirmizi).
PERSIAPAN DIRI HADAPI FITNAH AKHIR ZAMAN 02 7
8
9 Persiapan diri hadapi fitnah akhir zaman Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang benar dengan yang salah. Keadaan tersebut bertambah parah dengan kemunculan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram dan pelbagai lagi yang membuka lebih banyak ruang kepada penyebaran fitnah. Perbuatan fitnah boleh terjadi apabila seseorang mereka-reka sesuatu berita dan menyebarkannya dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah pihak lain. Fitnah juga boleh berlaku apabila kita menerima berita tentang sesuatu perkara tanpa memastikan kesahihannya kemudian menyebarkannya sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan ataupun tidak. Allah SWT memperingatkan tentang bahaya perbuatan fitnah dalam suatu peristiwa besar berkenaan tohmahan terhadap Saidatina Aisyah RA sebagaimana yang dirakamkan dalam alQuran surah al-Nur ayat 11-12 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan daripada kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.” Masyarakat kini terutamanya generasi muda mudah terdedah
10 dengan pelbagai anasir yang mendorong mereka untuk melakukan amalan buruk serta menyukarkannya untuk berbuat kebaikan. Bagi golongan yang telahpun melakukan amalan kebajikan pula, pahala amalan tersebut sering disia-siakan kerana bercampur aduk dengan perbuatan mungkar yang dilakukan. Rasulullah SAW telah memberikan amaran dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang pada pagi harinya beriman dan pada petangnya telah menjadi kafir atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir, menjual agamanya dengan kepentingan dunia.” (Riwayat Muslim). Imam Nawawi RA ketika menghuraikan hadis berkenaan menyatakan bahawa: “Makna hadis ini ialah suatu galakan supaya bersegera untuk beramal, sebelum mengalami kekangan untuk melaksanakannya berdasarkan apa yang terjadi seperti ujian yang menyibukkan dan berganda-ganda, yang diselubungi kegelapan malam yang menggelap, tanpa cahaya bulan. Bahkan Nabi Muhammad SAW menyifatkan ia sebagai salah satu kepayahan fitnah ujian tersebut, ialah seorang yang beriman pada petang hari boleh menjadi kafir pada subuh esoknya ataupun sebaliknya. Ini disebabkan dahsyatnya ujian ini, yang membolak-balikkan manusia dalam satu hari.” Sebahagian masyarakat kini seolah-olah telah hilang rasa malu kerana sanggup melakukan perbuatan maksiat secara terangterangan dengan penuh bangga atas alasan hak asasi manusia. Sebaliknya mereka menyalahkan dan menentang pihak yang menyampaikan teguran serta turut berkeras mempertahankan kebatilan. Firman Allah dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 103-105 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang
11 yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orangorang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada hari kiamat kelak.” Sebahagian masyarakat pula semakin gemar mengikuti budaya yang bercanggah dengan syariat dan tidak jelas asal usulnya seperti kebanyakan pesta hedonisme, perayaan Halloween barubaru ini dan pelbagai lagi yang dianggap sebagai trend terkini. Benarlah peringatan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri bermaksud: “Kalian benarbenar akan mengikut jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya.” Kami (iaitu para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?.” (Riwayat al-Bukhari). Sedarilah bahawa pembalasan terhadap segala perbuatan maksiat dan mungkar yang dilakukan bukan hanya menimpa golongan tertentu sahaja sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Ummul Mu’minin, Zainab binti Jahsy beliau berkata: “(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab daripada kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini,” dan Baginda menemukan hujung jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan.
12 Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda: “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis tersebut menjelaskan bahawa apabila kejahatan dan kemungkaran berleluasa maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat tersebut. Bencana bukan hanya diturunkan kepada golongan yang melakukan kemungkaran sahaja, tetapi juga ke atas orang soleh dan beriman walaupun masing-masing akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan pada hari kiamat kelak. Justeru segala kemungkaran dan kemaksiatan hendaklah sentiasa dicegah dan dihapuskan agar tidak terjadi malapetaka yang menimpa seluruh masyarakat. Marilah kita beriltizam untuk kembali mendekatkan diri kepada ajaran Islam yang sebenar dan beristiqamah untuk melakukan kebaikan lebih-lebih lagi dalam situasi kehidupan yang mencabar di akhir zaman ini. Teruskanlah amalan untuk menegakkanlah amar makruf dan nahi mungkar dalam masyarakat melalui pelbagai program dakwah dan penguatkuasaan undang-undang syariah demi keselamatan hidup di dunia dan akhirat.
BERLAKU ADIL DALAM BISNES 03 13
14
Berlaku adil dalam bisnes I slam amat menggalakkan masyarakat menceburi bidang perniagaan kerana merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji. Rasulullah SAW sendiri terkenal sebagai seorang peniaga sama ada sebelum mahupun setelah baginda dilantik menjadi rasul. Berdasarkan catatan yang direkodkan di dalam kitab-kitab sirah, Nabi Muhammad SAW mengikuti rombongan bapa saudara baginda iaitu Abu Talib ke Syam bagi tujuan berniaga. Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah membantu isteri tercinta iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan. Terdapat ramai dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW yang melibatkan diri di dalam kegiatan perniagaan seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan pelbagai lagi. Barang dagangan Rasulullah SAW laris dijual dan mendatangkan banyak keuntungan lantaran sifat ramah dan mesra baginda dalam berniaga. Baginda gemar melemparkan senyuman kepada orang lain dan banyak bersedekah serta menghulurkan bantuan kepada pelanggannya yang benar-benar memerlukan. Keistimewaan yang dimiliki oleh baginda membuatkan setiap perniagaan atau jualannya sentiasa menghasilkan keuntungan besar. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.” Islam memerintahkan agar umat manusia berlaku adil dalam 15
16 perniagaan serta memberikan layanan yang baik kepada pelanggan. Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan dan tidak pernah menyakiti hati peniaga yang lain. Amalan tersebut bersesuaian dengan konsep persaudaraan dalam Islam sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” Sebaliknya Islam menegah dari melakukan perbuatan terkeji dalam perniagaan misalnya melaksanakan jual beli dengan bersumpah dan menyatakan sesuatu yang tidak benar. Dalam hal tersebut Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sumpah itu melariskan barang dagangan akan tetapi menghapuskan keberkatannya” - (Riwayat Al-Bukhari). Selain itu, Islam juga melarang umatnya dari melakukan perbuatan monopoli iaitu penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan ataupun tindakan menyorok barangan (ihtikar) kerana perbuatan tersebut boleh menaikkan harga sesuatu barangan akibat kesukaran mendapatkannya di pasaran. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menyorok (barangan), dia telah melakukan kesalahan” - (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Muslim). Sebarang unsur tipu daya atau helah juga mesti dielakkan oleh peniaga kerana amalan tersebut akan menghilangkan keberkatan di dalam perniagaan. Rasulullah SAW memberikan amaran dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada golongan kami.” (Riwayat Muslim). Para pelanggan atau pengguna mesti dilindungi daripada ditipu oleh peniaga melalui kadar sukatan dan timbangan. Perkara
17 tersebut ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran Surah al-Isra’ ayat 35 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).” Allah SWT mencela golongan yang mengurangkan sukatan dan timbangan di dalam jual beli sebagaimana firman-Nya dalam alQuran Surah al-Mutaffifin ayat 1-3 yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.” Ajaran Islam menganjurkan akhlak yang terpuji supaya dapat dijadikan amalan oleh para peniaga pada setiap masa. Golongan tersebut seharusnya saling membantu antara satu sama lain, menjauhi pergaduhan dan persengketaan yang merugikan serta dikuasai sifat tamak sehingga tergamak melakukan perbuatan khianat dan sihir untuk menjatuhkan perniagaan orang lain. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Mukmin dengan Mukmin yang lain umpama sebuah bangunan, sebahagian mengukuhkan sebahagian lain” - (Riwayat Muslim). Jauhilah perasaan hasad dengki yang merosakkan sebaliknya menjadi insan yang turut bergembira dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Takutlah kamu pada sifat dengki (hasad dan iri hati), sesungguhnya dengki itu dapat memakan kebaikankebaikanmu sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud).
18 Ketika negara berada dalam fasa peralihan ke endemik, peniaga kembali melaksanakan pelbagai aktiviti perniagaan untuk mencari rezeki dan merancakkan kembali kegiatan ekonomi. Perniagaan yang dahulunya terpaksa ditutup dan dihentikan akibat pandemik Covid-19 kini bernafas kembali. Dari kedai di pasar raya besar sehingga gerai nasi lemak di tepi jalan. Justeru, setiap peniaga mesti menanamkan niat dalam diri untuk berniaga mengikut contoh teladan ditunjukkan Rasulullah SAW agar sentiasa dipermudahkan urusan perniagaan oleh Allah SWT. Turutilah garis panduan yang ditetapkan ajaran Islam agar setiap perkara dilakukan sentiasa diberkati dan diredai. Perkara tersebut bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid” - (Riwayat al-Tirmizi). Renungilah juga peringatan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada peniaga dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.” (Riwayat al-Tirmizi).
DOA RUMAH TANGGA BAHAGIA 04 19
20
Doa rumah tangga bahagia Tujuan utama perkahwinan dalam Islam adalah supaya suami dan isteri dapat melaksanakan kewajipan dan peranan secara adil dan saksama bukannya untuk menyakiti dan menganiayai pasangan. Justeru tanggungjawab untuk berlaku adil dalam melayari bahtera rumah tangga diperingatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya di dalam alQuran Surah Al-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuanperempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” Perkahwinan yang dijalinkan melalui akad nikah yang sah di sisi syarak hadir bersama syarat-syarat yang wajib ditunaikan oleh suami dan isteri. Walaupun ajaran Islam membenarkan perkahwinan melebihi daripada seorang isteri, kebenaran tersebut berasaskan maslahah agar kaum lelaki memelihara diri daripada hubungan yang terlarang dan kebajikan bagi kaum wanita yang dikahwini terjamin dengan penekanan terhadap aspek keadilan dalam sesebuah perkahwinan. Perkahwinan sebenar yang dibina berlandaskan syariat akan mendidik individu membangunkan sifat kepemimpinan, memupuk kebersamaan dalam menghadapi cabaran, kematangan dalam membuat keputusan, melatih sifat sabar serta saling membantu dalam mencari nafkah untuk keluarga. Sebuah perkahwinan yang diredai oleh Allah SWT merupakan ikatan kekeluargaan yang 21
22 kukuh dan berkekalan berteraskan kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Seorang Muslim wajib berlaku adil kepada suami atau isteri dengan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan masingmasing sama ada keperluan fizikal, mahar, nafkah, pergaulan yang baik, bimbingan agama, nasab keturunan dan lain-lain. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: “dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” Di dalam Surah Al-Nisa’ ayat 19 Allah SWT juga berfirman yang bermaksud “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” Seorang suami hendaklah menyantuni para isteri dengan penuh kemesraan agar dapat menyuburkan perasaan kasih sayang antara satu sama lain sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sebaikbaik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku…” (Riwayat Tirmizi). Kaum wanita pula wajib berlaku adil kepada suami sebagaimana pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW yang bermaksud “Siapakah wanita yang paling baik?” Jawab baginda, “Iaitu yang paling menyenangkan jika dilihat suaminya, mentaati suami jika diperintah dan tidak menyelisihi suami pada diri dan hartanya sehingga membuat suami benci.” (Riwayat An-Nasa’i).
23 Keharmonian rumah tangga dapat dinikmati dalam suasana sakinah, mawaddah dan rahmah apabila pasangan suami isteri berlaku adil iaitu saling menunaikan hak dan kewajiban selaras dengan tuntutan agama dan kesepakatan bersama. Dalam hal tersebut, Allah SWT menyifatkan hubungan suami isteri umpama pakaian sebagaimana firmanNya dalam Surah AlBaqarah ayat 187 yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” Pakaian yang baik tidak semestinya ditentukan daripada bahan buatan yang mahal, tetapi kerana faktor individu yang bijak menggayakannya sesuai dengan tempat dan masa. Begitu juga pasangan suami isteri yang perlu meletakkan pasangannya mengikut fungsi dan peranan masing-masing agar keadilan dalam rumah tangga dapat ditegakkan. Lafaz taklik yang dibacakan oleh seorang suami selepas akad nikah menjadi bukti komitmen dalam sesebuah perkahwinan serta jaminan yang diberikan oleh Islam terhadap kebajikan wanita sebagaimana contoh lafaz taklik di Wilayah Persekutuan iaitu “Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu.” Oleh itu marilah kita berdoa sebagaimana yang disarankan dalam al-Quran Surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara
24 yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” Laksanakanlah urusan pernikahan mengikut ketetapan dan saluran yang betul dengan mematuhi prosedur dan undang-undang yang ditentukan agar maslahah semua pihak terpelihara. Perkahwinan yang dilaksanakan dengan tidak mengikut lunas undangundang akan menyusahkan banyak pihak dan memberikan kesan buruk kepada individu, keluarga serta masyarakat. Dalam konteks Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan terus komited memastikan undangundang dan peraturan berkaitan pernikahan umat Islam dapat dipatuhi dengan sebaik-baiknya oleh masyarakat agar lahir keluarga yang sejahtera.
DAMPINGI ALIM ULAMA 05 25
26
Dampingi alim ulama Tradisi perjuangan ulama di sepanjang zaman bukan sekadar menerima pujian dan sanjungan serta dihamparkan permaidani merah, tetapi mereka juga mendapat tentangan dan ancaman keselamatan dalam menyeru manusia ke jalan kebenaran. Sebahagian daripada mereka terbunuh dan terbuang ke negeri orang. Begitulah lumrah ulama yang menuruti sunah nabi dan rasul dalam menyebarkan risalah Islam dan menegakkan kebenaran agar ummah dapat diselamatkan daripada kesesatan. Dalam sebuah hadis daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya daripada Abdillah bin Amru bin al-As RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua mereka daripada kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Begitu besar tugas ulama dalam menyampaikan ilmu pengetahuan tentang agama dan memberikan pencerahan kepada ummah. Peranan yang dimainkan oleh mereka mewarisi misi nabi dan rasul demi memastikan ummah sentiasa menjalani kehidupan berpandukan landasan yang betul agar tidak terpesong daripada syariat yang telah ditetapkan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud: “(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang 27
28 membacakan ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” Ulama adalah golongan yang menguasai ilmu agama, memahami segala perbahasan syariah, membimbing ummah mengenal Allah dan Rasul, bersifat tawaduk serta takut kepada Allah. Firman Allah SWT dalam al-Quran Surah Faatir ayat 28 yang bermaksud: “Dan demikian pula di antara manusia dan binatang yang melata serta binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” Ulama hakikatnya adalah suatu gelaran yang diberikan oleh masyarakat dan pengiktirafan daripada Allah SWT kerana kemuliaan sifat dan keilmuwannya. Justeru berwaspadalah dengan peringatan tentang kewujudan ulama yang tergelincir daripada landasan sebenar sebagaimana peringatan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali Rahimahullah yang bermaksud: “Sesungguhnya rakyat rosak disebabkan pemerintah (yang zalim) dan pemerintah pula rosak disebabkan ulama (yang jahat). Sementara ulama pula akan rosak jika mereka tamakkan harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apatah lagi kepada pemerintah dan pembesar.” Dalam konteks negara Malaysia khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, ilmuwan dalam bidang agama tertakluk dengan syarat tauliah menyampaikan ilmu seperti yang ditetapkan oleh Pejabat Mufti demi memastikan kesahihan ilmu yang
29 disampaikan dan kewibawaan golongan ilmuwan agama sentiasa terpelihara. Dalam dunia serba moden dan medium penyampaian maklumat yang meluas dan pelbagai, banyak pihak mengambil kesempatan dengan mendakwa dirinya sebagai ulama dan mengumpulkan pengikut untuk kepentingan peribadi dan duniawi seterusnya menjerumuskan manusia ke lembah kesesatan. Justeru tauliah yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti dengan pemantauan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selaku pihak berkuasa agama negeri bukan hanya bertujuan memelihara maslahah masyarakat, tetapi juga mempertahankan kemuliaan institusi ulama. Sumbangan ulama di sepanjang zaman dibuktikan dalam pelbagai peristiwa bersejarah. Mereka menyumbang kepada kegemilangan sesebuah negara dan tamadun, meraih kemenangan dalam peperangan serta meneruskan kesinambungan pendidikan akidah serta perkembangan dakwah. Mereka berjihad menggunakan pena melalui pelbagai karya dan khazanah keilmuwan serta berjuang mengangkat senjata di medan perang. Hubungan ulama dan masyarakat perlu sentiasa erat agar dapat menjadi tempat rujukan ummah pada bila-bila masa serta memberikan respons dalam setiap persoalan di pelbagai media yang menjadi pilihan generasi masa kini. Tanggungjawab masyarakat pula adalah untuk menghormati ulama dan institusinya dan beradab dengan mereka kerana setelah ketiadaan nabi, ulama menjadi pewaris nabi. Sesungguhnya nabi tidaklah mewariskan dinar atau dirham melainkan mewariskan ilmu. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris nabi. Sesungguhnya sekalian nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan berkenaan, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.” (Riwayat Abu Daud).
30 Pemergian ke rahmatullah ulama tersohor dunia Al- ʿAllamah Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan beberapa ulama di dalam dan luar negara baru-baru ini adalah suatu kehilangan besar dan amat dirasai oleh seluruh umat Islam. Semoga Allah merahmati dan menempatkan mereka dalam kalangan anbia dan solihin. Bersempena sambutan Maulidur Rasul SAW esok, marilah kita memuliakan ulama yang menjadi pewaris kepada nabi dalam segenap urusan kehidupan serta menjadikan alim ulama dan orang soleh sebagai insan yang didampingi pada setiap masa agar kebaikan mereka terkesan dalam hidup kita. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi berkenaan) atau kamu membeli daripadanya atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
JAUHI TERPALIT FITNAH 06 31
32
Jauhi terpalit fitnah Para pendakwah atau kadangkala digelar sebagai ‘orang agama’ harus menjaga perwatakan dan tutur bicaranya pada setiap masa. Jika terlebih ketawa dan bergurau senda mungkin dikatakan tidak menjaga batas pergaulan, sebaliknya terlalu pendiam dan serius mungkin dikatakan sombong dan tidak mesra dengan masyarakat. Jika terlebih berfesyen dan bergaya mungkin dikatakan tidak sesuai dengan keperibadian, sebaliknya jika tidak pandai bergaya dan berfesyen mungkin dikatakan ketinggalan dan tidak seiring dengan peredaran zaman. Begitulah gambaran betapa pentingnya keterampilan seorang pendakwah pada penilaian masyarakat iaitu mad’u atau orang yang didakwah. Merasa thiqah dan percaya kepada pendakwah melalui akhlak yang baik serta peribadi yang mulia akan memudahkan lagi penerimaan dakwah dalam kalangan masyarakat. Berdakwah adalah suatu tugas dan tanggungjawab yang mulia sehingga digandingkan dengan gelaran umat terbaik sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenarbenar iman).” Justeru segala persiapan perlu dilakukan sebelum seseorang terjun ke tengah-tengah masyarakat, menggalas amanah besar untuk menjadi pendakwah. Antara persiapan terpenting bagi seorang pendakwah adalah penguasaan ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Ilmu fardu ain adalah perkara yang berkait rapat dengan kewajiban yang dituntut ke atas setiap insan seperti ilmu berkaitan akidah, ibadah dan seumpamanya 33
34 yang melibatkan persoalan asas Islam. Manakala ilmu fardu kifayah pula adalah seperti pengetahuan semasa, penguasaan teknologi dan sebagainya yang diperlukan agar dakwah dapat disampaikan secara berkesan seiring dengan perubahan generasi dan peredaran zaman. Menjadi pendakwah sepertimana dinyatakan oleh Dr Yusuf alQaradhawi dalam Thaqafah al-Da’iyah, memerlukan penguasaan ilmu yang bukan kepalang. Pelbagai persoalan dan permasalahan berkaitan hukum-hakam agama datang daripada pelbagai latar belakang masyarakat. Jawaban dan respon yang diberikan kepada setiap pertanyaan pula haruslah mengikut situasi dan kesesuaian tahap pemikiran masyarakat sebagaimana kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam dakwah Baginda. Di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah sekali-kali kamu berbicara kepada sebahagian manusia dengan kata-kata yang tidak sampai kepada akal mereka kecuali hal itu hanya akan menjadi fitnah atas sebahagian mereka.” (Riwayat Muslim) Selain ilmu pengetahuan, sifat sabar merupakan senjata utama yang diperlukan oleh seorang pendakwah dalam melaksanakan tanggung jawabnya sama ada sabar ketika menghadapi kerenah para mad’u mahupun sabar dengan ujian kehidupan dan godaan keduniaan. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Jika seorang Muslim bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar atas gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang Muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar atas gangguan mereka” - (Riwayat Tirmizi). Seorang pendakwah yang bijak tahu bagaimana untuk menempatkan dirinya dalam masyarakat dan bersabar dengan kerenah dan gangguan yang ada. Bahkan perjalanan dakwah
35 para nabi dan rasul juga tidak sunyi daripada gangguan manusia namun mereka tetap bersabar dan sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT. Seorang pendakwah harus membiasakan dirinya untuk menempuh pelbagai ujian dan kesukaran serta beristiqamah dan tidak berputus asa dalam menyampaikan seruan kebaikan di jalan Allah SWT. Allah SWT memberikan jaminan kepada para nabi dan rasul bahawa kesabaran dalam usaha dakwah akan sentiasa mendapat pembelaan daripada-Nya. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahqaf ayat 35 yang bermaksud: “(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul ‘Ulil-Azmi’ (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu).” Pendakwah juga perlu mempersiapkan diri dengan akhlak dan adab yang terpuji. Perbuatan jahat dan keji adalah tidak selari dengan sifat para pendakwah sebagaimana kata Abu al-Aswad al-Du’ali: “Jangan kamu tegah mana-mana orang sedangkan kamu lakukan perbuatan tersebut, maka aib besarlah ke atas kamu apabila kamu lakukan juga larangan kamu.” Allah SWT memperingatkan bahawa sangat besar dosanya bagi orang yang menyatakan sesuatu, tetapi dia sendiri tidak melaksanakannya. Perkara tersebut bukan sahaja buruk pada pandangan Allah tetapi juga pada pandangan masyarakat. Firman Allah SWT dalam surah al-Saf ayat 3 yang bermaksud: “Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” Cabaran yang perlu dilalui oleh para pendakwah pada zaman kini mungkin berbeza jika dibandingkan dengan zaman sebelumnya.
36 Pada zaman media sosial menguasai hampir segenap urusan, tutur kata dan gerak-geri para pendakwah juga sentiasa mendapat perhatian sama ada dalam aspek kehidupan peribadi ataupun bersosial. Sesetengah isu yang kurang enak didengar mudah menjadi tular kerana cepat disebarkan dalam kalangan masyarakat melalui platform media sosial. Isu-isu tular tersebut mungkin dalam bentuk petikan kenyataan dan pandangan yang tidak disiarkan sepenuhnya, rakaman video yang tidak menggambarkan situasi sebenar ataupun berita tentang perbuatan buruk yang benar-benar dilakukan. Bahanbahan cerita ini boleh ditonton dan diikuti oleh segenap lapisan masyarakat di mana-mana sahaja tidak lagi terhad di tempat tertentu. Justeru para pendakwah mesti sentiasa mengingati peranannya dalam memberikan suluhan dan pencerahan kepada ummah, menyumbang kepada keharmonian dalam kalangan masyarakat dan bukan mencetuskan kekeliruan dan memecahbelahkan. Para pendakwah wajib memelihara akhlak dan maruah sebagai penyampai risalah Islam pada setiap masa serta berusaha menjauhkan diri daripada terpalit dengan pelbagai tuduhan melakukan perbuatan tidak bermoral supaya tidak menjadi fitnah kepada agama. Hakikatnya para pendakwah juga adalah manusia biasa namun mewarisi misi kenabian, menjadi tempat rujukan ummah dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
AYUH IMARAHKAN MASJID, TINGKAT MUTU IBADAH 07 37
38
39 Ayuh imarahkan masjid, tingkat mutu ibadah Pengumuman yang dibuat oleh pihak kerajaan berhubung peralihan negara ke Fasa Endemik bermula 1 April depan adalah perkara yang dinanti-nantikan lebih-lebih lagi berkaitan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau yang kembali dibenarkan tanpa penjarakan fizikal. Berita gembira menjelang ketibaan bulan Ramadan yang semakin hampir ini sudah tentu dibuat berasaskan fakta dan data serta mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan yang dikemukakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sebagai tanda menzahirkan rasa kesyukuran, umat Islam haruslah merebut peluang yang diberikan dengan meningkatkan penyertaan serta kehadiran ke masjid dan surau untuk menunaikan solat secara berjemaah, mengikuti kuliah dan kelaskelas pengajian, serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung dan negara Malaysia berada dalam kesejahteraan dan perlindungan Allah SWT. Perkara tersebut selaras dengan firman Allah dalam surah al-Duha ayat 11 yang bermaksud ‘Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.’ Justeru melaksanakan segala perintah Allah SWT dengan mengerjakan pelbagai bentuk amal ibadah adalah sebahagian dari cara mensyukuri nikmat kurniaanNya dalam kehidupan. Bagi golongan yang melazimi solat berjemaah di masjid dan surau, kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diumumkan sudah tentu menambahkan lagi kenikmatan dalam beribadah kerana ia bukanlah amalan yang dilakukan secara bermusim. Antara tanda-tanda seseorang mendapat
40 kemanisan iman ialah apabila dia sangat senang dan cinta untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT pada setiap masa dan ketika. Dengan kemanisan iman, seseorang mampu beristiqamah dan kekal mengerjakan amal ibadah serta sentiasa menunggu-nunggu dan rindu untuk melakukan ibadah seperti solat, puasa, membaca al-Quran, berzikir dan menjauhi perbuatan maksiat. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud ‘Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain, siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi) dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api neraka.’ (Riwayat Muslim). Keprihatinan dan kerinduan orang ramai untuk kembali merapatkan saf dalam solat haruslah diterjemahkan dan diubati dengan cara menghadirkan diri beramai-ramai ke masjid dan surau bagi mengimarahkannya pada setiap waktu terutamanya waktu Subuh. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud ‘Berikanlah khabar gembira kepada orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat.’ (Riwayat Abu Daud). Maksud perkataan ‘dalam kegelapan’ dalam hadis tersebut ialah solat Isyak dan solat Subuh dan ayat ‘menuju masjid’ bermaksud menuju solat berjemaah yang dilaksanakan di masjid. Pihak masjid dan surau pula perlu sentiasa menganjurkan program pengimarahan dan pengisian kerohanian dan keilmuan dengan pelbagai pendekatan baharu seiring peredaran zaman agar menarik minat untuk dikunjungi oleh ahli kariah. Setiap warga masyarakat harus saling mengingatkan antara satu
41 sama lain untuk meluangkan masa bagi mengunjungi dan mengimarahkan masjid dan surau sekaligus merebut ganjaran besar yang telah dijanjikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud ‘Sesiapa yang pergi ke masjid atau pulang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga sepertimana pergi dan pulang.’ (Riwayat Muslim). Jadikanlah masjid sebagai tempat utama untuk dikunjungi agar peranannya dalam mentarbiah insan, memperbaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredaan Allah dapat dijayakan. Selaras dengan perkembangan terbaharu ini serta bagi menyemarakkan lagi pesta ibadah dalam kalangan umat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) barubaru ini telah melancarkan Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan dengan pelbagai pengisian menarik. Program tersebut dilaksanakan bertujuan menyeru umat Islam untuk meningkatkan dan memperbaiki kualiti ibadah solat dalam kehidupan serta menghayati hikmah dan kepentingan solat dalam pembentukan akhlak dan sahsiah insan. Antara pengisian dan aktiviti menarik sepanjang Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan adalah kempen Masjid Dihatiku, kemudahan Surau Bergerak yang disediakan di tapak pasar malam yang dikenalpasti sekitar Kuala Lumpur, Bengkel Solat Sempurna serta aktiviti solat berjemaah bersama Komuniti Disayangi seperti mualaf, Orang Kurang Upaya (OKU), pesakit HIV, transgender, rakan gelandangan dan lain-lain termasuk golongan kanakkanak dan remaja. Beberapa buah masjid dan surau di Wilayah Persekutuan turut menganjurkan program Subuh Perdana, Solat Duha Perdana serta pengajian khas berkaitan ibadah solat. Selain itu, Kursus Pengurusan Ibadah Pesakit juga diadakan di hospital dan pusat perubatan bagi mendedahkan ilmu berkaitan rukhsah solat kepada para pesakit.
42 Sekarang bukanlah masanya untuk kita terus berpolemik dan berdebat sesama sendiri atau menjadi pejuang papan kekunci yang galak mengkritik dan melemparkan kecaman di laman media sosial semata-mata. Sebaliknya ayuhlah kita menjadi pejuang sejati dengan merebut peluang untuk melipatgandakan amal ibadah khususnya dalam mengimarahkan masjid dan surau agar ia menjadi bekalan berharga di akhirat kelak. Firman Allah dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud ‘Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.’