The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Menghimpunkan artikel Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menyentuh pelbagai topik berkaitan dakwah dan khidmat JAWI kepada ummah

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Rak Buku Maya Al-Busyra JAWI, 2023-05-25 21:21:59

DAKWAH TAK USAH LELAH 3

Menghimpunkan artikel Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menyentuh pelbagai topik berkaitan dakwah dan khidmat JAWI kepada ummah

93 Asbab hidayah Islam Antara amalan yang amat digalakkan untuk dilaksanakan dalam bulan Ramadan adalah memperbanyakkan membaca al-Quran. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bermaksud ‘Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan al-Quran bersama Nabi SAW pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi SAW, Jibril mengulangnya sebanyak dua kali.’ (Riwayat Al-Bukhari). Para salaf al-soleh mengagungkan al-Quran dengan membaca serta mengkhatamkannya apabila tiba bulan Ramadan. Banyak kelebihan dan keutamaan mengkhatamkan al-Quran antaranya adalah mendapat rahmat, ketenteraman, dan didoakan oleh para malaikat serta mendapat pujian daripada Allah SWT. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘Tidaklah suatu kaum berkumpul di antara rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling mempelajari di antara mereka. Kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, dan diberikan rahmat serta malaikat akan menaunginya. Dan mereka akan diingat di sisi Allah.’ (Riwayat Muslim). Al-Quran mesti dibaca dengan mengutamakan kualiti bacaan seperti hukum tajwid serta bertadabbur dengan memahami dan menghayati maknanya. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘Daripada Abdullah bin Amr bertanya kepada Nabi SAW: Berapa hari saya harus menyelesaikan pembacaan seluruh al-Qur’an, Ya Rasulullah? Baginda menjawab: Dalam satu bulan. Beliau berkata: Saya lebih bertenaga untuk menyelesaikannya dalam tempoh kurang daripada ini. Beliau (Abdullah) terus mengulangi kata-kata ini dan meminta dikurangkan tempoh sehingga baginda berkata: Lengkapkan


94 pembacaannya dalam tujuh hari. Beliau sekali lagi berkata: Saya lebih bertenaga untuk melengkapkannya dalam tempoh yang kurang daripada ini. Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang mengakhiri pembacaan Al-Quran dalam waktu kurang dari tiga hari maka dia tidak akan mengerti.’ (Riwayat Abu Daud). Bulan Ramadan menjadikan kita berasa semakin hampir dengan al-Quran. Alunan merdu ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan oleh imam-imam di masjid dan surau ketika solat sunat Tarawih misalnya, menarik minat orang ramai untuk hadir solat berjemaah bersama-sama di masjid. Begitulah keagungan dan kebesaran mukjizat al-Quran. Kesan al-Quran terhadap jiwa manusia tidak dapat disangkal lebih-lebih lagi bagi mereka yang memahami isi kandungannya. Perkara tersebut dapat dilihat melalui kisah pengislaman Saidina Umar RA yang tersentuh hatinya apabila mendengar bacaan al-Quran surah Taha ayat 1-6 yang bermaksud ‘Taa’ Haa. Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.’ Justeru banyak kisah menceritakan tentang ramai orang di seluruh pelusuk dunia yang mendengar bacaan ayat suci alQuran lalu terdetik hati untuk menerima hidayah Islam. Pelbagai asbab hidayah bagi orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam termasuklah dengan mendengar keindahan maksud ayat al-Quran. Tahun lalu, kisah bekas paderi yang bernama Samuel Shropshire dari Amerika Syarikat menarik perhatian apabila difahamkan mendapat hidayah kerana pekerjaannya sebagai


95 penterjemah al-Quran dalam bahasa Inggeris di Arab Saudi. Disebabkan tugasan yang memerlukan beliau membaca alQuran berulang kali, beliau pada awalnya langsung tidak tahu apa-apa tentang Islam akhirnya tertarik hati kepada ajaran Islam setelah membaca pelbagai kisah dan mukjizat Nabi yang diceritakan dalam al-Quran. Sebahagian ulama’ membenarkan golongan bukan Islam membaca dan mempelajari al-Quran agar dapat membuka jalan kepada lebih ramai lagi untuk memeluk Islam. Imam Nawawi menyatakan bahawa ‘Para Ashab (Fuqaha’ Shafie) kami berkata: orang kafir tidak sepatutnya dihalang daripada mendengar alQuran, tetapi dilarang daripada menyentuh mushaf. Adakah diizinkan untuk diajarkan kepadanya al-Quran? Bergantung kepada keadaan, jika tiada diharapkan untuk dia menjadi seorang Muslim, maka tidak dibenarkan, tetapi jika ada harapan untuk dia menjadi seorang Muslim, maka ia dibenarkan mengikut pandangan yang paling sahih; ini adalah pandangan Al-Qadhi Husain, dan diiktiraf oleh Al-Baghawi dan yang lain.’ Jika orang bukan Islam digalakkan mempelajari al-Quran, apatah lagi kita yang memang dilahirkan sebagai seorang muslim. Sudah tentulah lebih wajar untuk kita membiasakan diri dengan amalan membaca dan memahami maksud ayat al-Quran. Barubaru ini tular video tentang penghantar makanan yang membaca al-Quran ketika sedang menunggu lampu isyarat. Kegigihan beliau berusaha mencuri masa untuk membaca al-Quran di jalanan walaupun ketika dalam perjalanan mencari rezeki untuk menghantar tempahan kepada pelanggan mendapat pujian ramai. Begitu juga tular video seorang pemuda yang bekerja sebagai penghantar makanan apabila dilihat sempat meluangkan masa seketika untuk membaca al-Quran semasa menunggu pesanan. Melalui gambar yang dikongsikan di laman facebook, pemuda tersebut dirakam sedang membaca al-Quran


96 di bawah pokok di tepi lebuh raya. Oleh itu, apakah lagi alasan yang mampu diberikan untuk kita tidak berusaha meluangkan masa membaca al-Quran dalam kehidupan seharian? Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, aktiviti tadarus al-Quran kembali digerakkan di masjid dan surau dalam bulan Ramadan. Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk menghidupkan amalan membaca al-Quran di pejabat dan kediaman masingmasing samada sendirian atau bersama rakan-rakan dan ahli keluarga. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut memperkenalkan program tadabbur al-Quran sepanjang bulan Ramadan bagi menyuburkan budaya membaca dan memahami al-Quran. Program tersebut selaras dengan firman Allah dalam surah Sod ayat 29 yang bermaksud ‘Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.’ Umat Islam perlu bertadabbur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran agar petunjuk yang diberikan dapat memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT. Al-Quran dan segala ilmu yang berkaitan dengannya perlu disuburkan pada setiap masa. Pemergian beberapa orang tokoh terkenal dalam bidang al-Quran baru-baru ini begitu menginsafkan kita supaya mengambil iktibar untuk sentiasa menghidupkan budaya mempelajari al-Quran agar ilmu dan kemahiran tersebut tidak lenyap bersama-sama perginya tokohtokoh tersebut. Jadikanlah diri sendiri, ahli keluarga dan rakan taulan melazami al-Quran dalam kehidupan. Dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. (Riwayat Muslim).


‘POST MORTEM’ RAMADAN 17 97


98


99 ‘Post mortem’ Ramadan Alhamdulillah, hari ini kita sudah memasuki Syawal dan hampir memasuki minggu kedua bulan Syawal yang diraikan serta dinantikan bersama. Sebahagian masyarakat seakan-akan melepaskan dendam setelah dua tahun tidak dapat menikmati suasana kemeriahan persiapan hari raya. Mengimbau kembali menjelang Syawal, kebanyakan pusat membeli-belah utama dan bazar Aidilfitri kembali sesak dikunjungi. Sesetengah tempat menganjurkan ekspo jualan 24 jam tanpa henti. Keadaan tersebut sudah tentu menjadi khabar gembira buat peniaga yang mencari rezeki serta kembali merancakkan kegiatan ekonomi. Orang ramai pula berpusupusu di lebuh raya mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setelah sekian lama tidak dapat menyambut hari raya bersama sanak saudara. Namun dalam suasana kemeriahan tersebut, perlu kita lihat semula Ramadan yang sudah berlalu pergi dan mungkin kita akan bertemu dengan bulan mulia berkenaan tahun depan atau ia menjadi Ramadan terakhir. Seandainya kita mengetahui bilakah waktu terakhir diberikan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan lagi, nescaya kita berusaha sedaya upaya melaksanakan amal ibadah yang terbaik supaya dapat meraih sebanyak mungkin ganjaran yang dijanjikan. Kita akan bermujahadah dengan melaksanakan amalan secara bersungguh-sungguh serta menepis sebarang halangan dan rintangan yang menghalang diri daripada mengerjakan ibadah. Golongan yang bermujahadah dalam beribadah akan diberikan petunjuk oleh Allah SWT ke jalan yang diredai-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami


100 akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” Sifat mujahadah akan mendorong semangat dalam beribadah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang sering menunaikan solat malam. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA berkata maksudnya: “Adapun Nabi SAW solat sebanyak sebelas rakaat, kadar satu sujud Nabi SAW adalah selama tempoh seseorang itu membaca 50 ayat sebelum Baginda SAW mengangkat kepalanya. Nabi SAW rukuk (solat) sebanyak dua rakaat sebelum solat Subuh. Kemudian Baginda SAW berbaring pada sebelah kanan sehingga didirikan solat.” Setelah melaksanakan segala amal ibadah, berdoalah agar amalan yang dipersembahkan diterima di sisi Allah SWT sebagaimana doa yang pernah diucapkan oleh Nabi Ibrahim AS ketika baginda dan anaknya, Ismail telah siap mendirikan Kaabah. Doa tersebut dipanjatkan supaya Allah menerima setiap amal kebaikan dan pembinaan Kaabah tersebut. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 127 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Justeru setiap kali selesai melaksanakan amal kebajikan, tanamkanlah azam agar amalan tersebut diterima oleh Allah serta dapat menjadi penolong buat kita di akhirat kelak. Jauhilah sebarang perbuatan yang merosakkan amal ibadah di bulan Ramadan yang mulia setelah kita berpenat lelah


101 mengerjakannya. Perbuatan seperti hiburan yang melampau, penghasilan lagu-lagu dan video muzik yang tidak selari dengan semangat dan matlamat Ramadan dan Aidilfitri hanya menjadikan amalan kita sia-sia. Sematkanlah niat yang ikhlas dalam beramal semata-mata kerana Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah al-Baiyyinah ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.” Sesungguhnya bukti bahawa kita benar-benar terkesan dengan tarbiyah Ramadan adalah perasaan berat hati untuk melepaskannya pergi dan rindu untuk merebut peluang beribadah dan ganjaran pahala yang diberi. Tetaplah beristiqamah melakukan amal kebajikan sama ada banyak ataupun sedikit walaupun Ramadan berlalu pergi. Antara tanda-tanda seseorang mendapat kemanisan iman ialah apabila dia sangat senang dan cinta untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT pada setiap masa. Melalui kemanisan iman, seseorang akan mempunyai sifat istiqamah dalam dirinya untuk kekal melakukan amalan ibadah serta sentiasa menunggu-nunggu dan rindu untuk melakukan ibadah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain, siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi) dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim).


102 Apabila seseorang merasakan kemanisan dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, ia adalah petanda bahawa dia mengingati Allah dan Allah juga mengingatinya. Seseorang yang merasai kemanisan beribadah akan merasakan kerinduan yang tinggi apabila leka dan alpa daripada menunaikan amalan ibadah kepada Allah. Mudah-mudahan segala penat lelah, ujian dan kesabaran yang kita semua lalui dalam melaksanakan ketaatan menjunjung titah perintah Allah SWT sepanjang Ramadan akan diganjari balasan syurga sebagaimana firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 75 bermaksud: “Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.” Firman Allah dalam ayat yang lain surah al-Insan ayat 12-13 bermaksud: “Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan daripada) sutera. Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk.”


GANJARAN SERIBU BULAN 18 103


104


105 Ganjaran seribu bulan Umat Islam kini menuju fasa terakhir bulan Ramadan. Tumpuan seharusnya diberikan kepada misi memburu Lailatulqadar iaitu suatu malam yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan yang berlaku hanya dalam bulan Ramadan. Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1-3 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.” Pada malam Lailatulqadar, Malaikat Jibril AS menampakkan dirinya kepada Rasulullah SAW bagi menyampaikan wahyu. Malaikat turun ke dunia menyertai manusia pada malam tersebut kerana kelebihan dan keberkatannya. Justeru umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh terutamanya pada malam-malam terakhir bulan Ramadan agar dapat merebut ganjaran pahala berlipat ganda pada malam tersebut. Ulama berpendapat sebaik-baik amal soleh yang dilaksanakan adalah pada malam qadar kerana ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan.” Selain itu, Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut seperti kata Imam Qurtubi: “Mereka turun dari setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.” Pada malam berkenaan turunnya malaikat dan Jibril AS yang membawa rahmat dengan perintah Tuhan. Pada malam tersebut juga dijamin keselamatan dan kebaikan tanpa sebarang kejahatan hingga terbit fajar. Al-


106 Qurtubi menukilkan pandangan Mujahid yang menyatakan: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Sebahagian ulama telah menjelaskan dalam kitab masing-masing tentang tanda-tanda yang mungkin dapat dilihat oleh hamba Allah yang diizinkan-Nya pada setiap tahun di bulan Ramadan. Banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat yang membincangkan tanda-tanda tersebut antaranya Ubadah bin al-Somit RA berkata: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.” Daripada Ubay bin Kaab RA menyatakan daripada Nabi Muhammad SAW sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.” Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” Bagi memburu kelebihan Lailatulqadar, kita hendaklah sentiasa berusaha melakukan amalan ibadat dengan bersungguhsungguh sepanjang bulan Ramadan. Peliharalah tingkah laku dan pertuturan pada setiap masa. Penuhilah kesempatan waktu dan sibukkanlah diri dengan aktiviti qiamullail, beriktikaf, membaca al-Quran, bersedekah, berzikir, bermunajat dan berdoa terutamanya doa keampunan dan kerahmatan daripada Allah SWT. Antara doa yang digalakkan adalah yang ringkas dan padat sebagaimana hadis daripada Aisyah RA bahawa beliau bertanya


107 kepada Nabi Muhammad SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar, maka apa yang sepatutnya aku ucapkan? Baginda bersabda maksudnya, “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” - (Riwayat al-Tirmizi). Dalam sebuah hadis yang lain daripada ‘Aisyah RA katanya bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya).” (Riwayat Muslim). Pada 10 malam terakhir Ramadan ini, setidak-tidaknya berusahalah untuk beristiqamah menunaikan solat fardu terutamanya Isyak dan Subuh secara berjemaah. Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan bahawa sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA maksudnya: “Menghidupkan malam Lailatulqadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat Isyak secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua.” Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: “Sesiapa yang bertemu dengan Lailatulqadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu.” Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie Rahimahullah dalam pendapat lamanya: “Sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh pada malam Lailatulqadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Allah SWT merahsiakan malam al-Qadar daripada pengetahuan hambanya supaya ia menjadi pendorong kepada kita untuk berusaha pada setiap masa bagi mendapatkannya. Selain itu, ia juga menjadi rahsia Allah SWT agar umat Islam sentiasa melaksanakan ibadah


108 dengan bersungguh-sungguh pada setiap malam di bulan Ramadan dengan harapan dianugerahkan Lailatulqadar yang diimpikan. Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan dan memperbaiki kualiti amal ibadah pada setiap masa. Tunaikanlah pelbagai amal soleh sepanjang bulan Ramadan yang masih berbaki sama ada secara bersendirian, bersama rakan-rakan di pejabat, ahli keluarga di rumah atau melaksanakannya secara berjemaah di masjid dan surau berhampiran kediaman mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing. Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, masjid dan surau juga mengadakan pelbagai program bagi menghidupkan malam Ramadan seperti kempen bersedekah, tadarus dan tadabbur al-Quran, solat sunat Tarawih, dan qiamullail secara berjemaah. Rebutlah peluang dan kesempatan yang diberikan dengan menjadikan Ramadan kali ini sebagai yang terbaik dalam kehidupan serta berdoa agar dianugerahkan malam al-Qadar dan dapat bertemu dengan Ramadan yang akan datang.


PATUHI TUNTUTAN AGAMA 19 109


110


111 Patuhi tuntutan agama Tradisi Rumah Terbuka Aidilfitri yang menjadi budaya dan amalan dalam kalangan Keluarga Malaysia kini kembali memeriahkan suasana selepas 2 tahun wabak pandemik Covid-19 melanda negara. Acara tersebut dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada di rumah, pejabat mahupun lokasi yang lain terutama sekembalinya orang ramai ke bandar dan tempat kerja masing-masing selepas pulang menyambut hari raya di kampung halaman. Tradisi tersebut adalah salah satu cara untuk menzahirkan perasaan gembira dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT setelah sebulan umat Islam memberikan tumpuan sepenuhnya bagi melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadan. Segala bentuk kegembiraan dan kemeriahan dalam suasana sambutan Aidilfitri adalah sebahagian dari tuntutan ajaran Islam selagi bersesuaian dan selaras dengan panduan syariat. Rasulullah SAW sendiri membenarkan penduduk Madinah bergembira apabila tiba hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA berkata yang bermaksud: “Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermainmain (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: “Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Sabdanya lagi: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasa’i). Tradisi menganjurkan acara rumah terbuka dari sudut pandangan Islam mengandungi beberapa amalan mulia seperti menjamu makanan, mengeratkan hubungan silaturahim,


112 ziarah-menziarahi, menghulurkan sedekah serta memuliakan dan meraikan tetamu. Dalam hal memberikan makanan kepada orang lain, perkara tersebut dianggap sebagai amalan sedekah yang dituntut oleh agama sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru RA bercerita, bahawasanya ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Apakah amalan yang paling baik dalam Islam? Beliau menjawab: “Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal mahupun kepada orang yang tidak engkau kenal.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari). Hadis tersebut menjelaskan tentang kelebihan amalan memberikan makanan kerana menjadi tanda kemurahan hati dan akhlak yang terpuji serta dapat memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan dan kelaparan. Selain itu, budaya meraikan dan memuliakan tetamu pula adalah perbuatan yang mulia sepertimana maksud sebuah hadis daripada Abi Syuraih al-K’bi, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya di bahagian istimewanya iaitu hari dan malam pertama. Menghormati tetamu itu yang wajib tiga hari, lebih daripada itu adalah sedekah baginya dan tidak boleh seorang tetamu tinggal lama sehingga membebankan tuan rumah. (hingga mengeluarkannya).” (Riwayat Al-Bukhari) Amalan menghubungkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat juga mempunyai fadilat yang besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari). Suasana kemeriahan majlis rumah terbuka juga lebih bermakna apabila orang ramai kembali dapat berjabat tangan dan bersalaman memohon kemaafan. Dalam sebuah hadis daripada Al


113 Bara` ia berkata: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah dua orang muslim bertemu lalu berjabat tangan kecuali Allah akan memberi ampunan kepada keduanya sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud) Walaubagaimanapun, beberapa perkara perlu dielakkan ketika kesibukan menganjurkan acara rumah terbuka seperti amalan pembaziran, makan secara berlebihan, tidak menghormati tuan rumah, meminta-minta hidangan dan menjalankan aktiviti hiburan yang keterlaluan. Perlu diingat bahawa rumah terbuka bukanlah amalan yang diwajibkan tetapi digalakkan mengikut kemampuan masingmasing. Justeru tidak perlulah sibuk bertanya jika tidak dipelawa. Namun menjamu orang makan dan memuliakan tetamu itu adalah amalan yang disukai. Adab-adab bertamu ke majlis rumah terbuka mestilah dipelihara pada setiap masa. Hindarilah perbuatan berebut-rebut makanan dan tamak, makan secara berlebihan dan elakkan berada terlalu lama di rumah atau sesuatu majlis. Ingatlah bahawa hidangan yang disediakan adalah untuk dikongsi bersama orang lain. Selain itu, dalam kesibukan meraikan atau menganjurkan acara rumah terbuka, puasa sunat enam hari di bulan Syawal jangan pula dilupakan di penghujung hari yang masih berbaki. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis tentang kelebihan amalan tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim). Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri sehingga kini masih terasa. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sewaktu mengulas isu berkaitan meraikan Syawal sepanjang sebulan, menyatakan bahawa Aidilfitri merupakan hari bergembira seluruh umat Islam. Amalan ziarah-menziarahi, menjamu makan, bermaaf-maafan dan bertukar-tukar hadiah sepanjang bulan Syawal adalah


114 harus hukumnya. Ia sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia. Oleh itu marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk kembali menyatukan hati serta menyuburkan perasaan saling mencintai dan menyayangi dalam segenap lapisan masyarakat. Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut mengambil inisiatif menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri@Dataran Merdeka yang menghimpunkan masjid dan surau Jumaat bagi menyediakan gerai jamuan pelbagai juadah untuk disajikan kepada masyarakat yang terdiri dari pelbagai latar belakang bangsa, budaya dan agama. Penganjuran program tersebut diharapkan dapat menjalinkan silaturahim dalam kalangan Keluarga Malaysia khususnya masyarakat sekitar Wilayah Persekutuan, membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan, menyemai sifat cakna dan prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan, serta memasyarakatkan dan mempromosikan masjid-masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat penyatuan ummah.


ISTIMEWA 10 AWAL ZULHIJAH 20 115


116


117 Istimewa 10 awal Zulhijah J umaat lalu umat Islam menyambut tanggal 1 Zulhijah 1443H sebagaimana yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Justeru Hari Raya Aidiladha bakal disambut oleh umat Islam khususnya di Malaysia pada 10 Zulhijah bersamaan 10 Julai 2022. Dalam kalendar Islam, bulan Zulhijah merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan oleh Allah SWT, di samping tiga bulan Islam yang lain iaitu bulan Zulkaedah, Muharam dan Rejab. Antara peristiwa terbesar dalam bulan Zulhijah adalah ibadah haji dan korban yang disyariatkan ke atas umat Islam terutamanya bagi golongan yang berkemampuan sebagai lambang ketaatan kepada perintah Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bermaksud: “Seorang lelaki berkata: ‘Wahai Rasulullah, apakah amalan yang afdal,’ Baginda menjawab: “Beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.” Kemudian dia berkata, ‘selepas itu, apa?’ Baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah.” Dia berkata lagi, ‘seterusnya apa?’ Baginda menjawab: “Haji yang mabrur.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Firman Allah SWT dalam al-Quran  surah al-Hajj ayat 34  yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang- binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.” Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan ibadah korban bermula selepas


118 selesai menunaikan solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah 1443H sebelum berakhir waktu Asar. Walaubagaimanapun masjid, surau dan mana-mana pihak yang melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban hendaklah mematuhi peraturan atau ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kemaslahatan semua pihak sentiasa terpelihara. Kebenaran tersebut adalah selaras dengan situasi semasa negara yang kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik. Pada tahun ini, umat Islam juga kembali berpeluang menunaikan ibadah haji di Makkah al-Mukarramah setelah dua tahun hasrat tersebut tertangguh akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Kuota Haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia bagi musim haji tahun ini berjumlah 14,306 orang jemaah. Semoga dengan ketetapan dan kemudahan tersebut, umat Islam dapat bersama-sama merebut peluang meraih ganjaran pahala serta meningkatkan penghayatan terhadap ibadah haji dan korban sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT. Kedatangan bulan Zulhijah amat besar maknanya di dalam kalendar tahunan umat Islam. Allah SWT juga menjadikan 10 hari terawal Zulhijah sebagai tempoh yang dapat dikongsi bersama bagi orang yang mengerjakan haji dan mereka yang tidak mengerjakannya. Sesiapa yang tidak mampu mengerjakan haji dalam tahun tersebut, masih boleh melaksanakan pelbagai bentuk ibadah dan amal soleh di tempat masing-masing sepanjang 10 hari berkenaan. Pada 10 hari pertama dalam bulan Zulhijah adalah hari yang paling istimewa sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang amal solehnya lebih dikasihi Allah selain daripada hari yang 10 ini. Sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah


119 bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”  (Riwayat Ahmad dan Al-Tirmizi) Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan ibadah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah) Antara amalan yang dianjurkan pada 10 hari terawal bulan Zulhijah adalah seperti memperbanyakkan bertaubat dan beristighfar, membaca al-Quran, berpuasa, qiamullail, bersedekah, berzikir dan berselawat, memelihara silaturahim, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan solat berjemaah di awal waktu. Amalan berdoa untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat serta berzikir dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir adalah selari dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 200-201 yang bermaksud: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebutnyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia.” (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.” Berkenaan ibadah puasa, antara yang dituntut untuk dilaksanakan adalah Puasa Hari Arafah iaitu puasa pada hari kesembilan Zulhijah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan Hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan


120 amalan-amalan sunat yang lain. Berpuasa sunat Arafah diganjari pahala yang sangat besar, sebagaimana maksud sebuah hadis daripada Abu Qatadah al-Anshari RA, Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di Hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim) Justeru masjid dan surau khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh menganjurkan program dan aktiviti seperti majlis iftar, qiamullail, infaq dan sedekah, zikir dan selawat serta pelbagai lagi sebagai pengisian yang bermanfaat kepada masyarakat. Selain menggalakkan ahli kariah masjid dan surau masing-masing merebut peluang bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam bulan Zulhijah, aktiviti tersebut juga dapat menyokong usaha yang berterusan dalam mengimarahkan masjid dan surau lebih-lebih lagi setelah pelbagai kelonggaran kembali diberikan menuju fasa endemik.


PENAWAR MASALAH UMMAH 21 121


122


123 Penawar masalah ummah Bulan Zulhijah telah pun berada di penghujungnya. Kini bulan Muharam yang menjadi permulaan tahun baharu bagi umat Islam pula menjelang tiba. Jemaah haji yang terpilih menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Makkah mulai beransur pulang ke tanah air. Semoga dianugerahkan ibadah haji yang mabrur serta menjadi detik perubahan ke arah kebaikan dalam kehidupan. Dalam hal tersebut, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Barangsiapa berhaji ke Baitullah tanpa berkata keji, tanpa bersetubuh, dan tanpa berbuat kefasikan (selama ihram), maka dia pulang (tanpa dosa) bagaikan bayi yang baru lahir.” (Riwayat al-Bukhari). Antara peristiwa penting dalam bulan Zulhijah yang perlu diambil iktibar oleh umat Islam ialah khutbah terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam yang dikenali sebagai Khutbatul Wada’ (Khutbah Perpisahan). Khutbah tersebut sarat dengan pesanan dan peringatan kepada umat Islam yang seharusnya dijadikan panduan dan pedoman dalam segenap aspek kehidupan. Penghayatan terhadap isi kandungan yang disampaikan dalam khutbah tersebut menjadi penawar yang paling mujarab bagi menghadapi pelbagai isu yang melanda umat Islam masa kini seperti jenayah pembunuhan, kebejatan akhlak dan penghinaan agama. Peringatan yang disampaikan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW perlu dijadikan asas untuk kita bermuhasabah bagi memperbaiki kepincangan ummah. Salah satu peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam Khutbatul Wada’ adalah larangan membunuh jiwa dan mengambil harta orang lain tanpa alasan yang dibenarkan.


124 Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya darah dan harta kamu, semua itu adalah haram ke atas kamu sebagaimana kesucian hari kamu ini (hari Arafah) pada bulan ini (Zulhijah) dan di negeri yang suci ini (Arafah).”  (Riwayat alBukhari dan Muslim). Justeru peristiwa seperti pembunuhan yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga, kemalangan jalan raya yang berlaku akibat kecuaian, lumba haram dan pelbagai lagi perbuatan yang mengancam keselamatan nyawa sendiri dan orang lain adalah suatu perbuatan yang amat dikeji. Budaya berbunuhan juga merupakan tradisi dan amalan masyarakat jahiliyah terdahulu yang mesti ditinggalkan. Firman Allah SWT dalam  surah al-Isra’ ayat 33  yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).” Imam al-Syatibi menjelaskan bahawa semua ajaran yang ditetapkan dalam syariat Islam adalah untuk memelihara kemaslahatan lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Justeru Rasulullah SAW juga telah mengingatkan dalam Khutbatul Wada’ tentang kewajipan menjaga agama serta sentiasa berwaspada dengan gangguan syaitan yang menyesatkan dalam kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 168-169  bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-


125 perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).” Perbuatan menghina agama yang dilakukan oleh segelintir individu adalah disebabkan kejahilan atau keterlanjuran mereka menurut hasutan syaitan yang menyesatkan. Oleh itu, mereka tidak lagi bertindak berpandukan kewarasan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW mengingatkan agar umat Islam berpegang teguh kepada dua sumber utama yang menjamin kehidupan manusia agar tidak sesat di dunia dan akhirat iaitu al-Quran dan sunnah. Perkara tersebut selaras dengan wahyu yang diturunkan pada hari Arafah iaitu  surah al-Maidah ayat 3  yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” Sesungguhnya benteng kepada segala amalan kesesatan adalah keteguhan iman dan kecintaan yang tidak berbelah bagi terhadap akidah Islam. Rasulullah SAW memberikan peringatan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah, senantiasa taat dan dengar meskipun yang memerintah adalah seorang budak Habsyi yang hitam. Sesungguhnya orang-orang yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah khalifah yang lurus dan mendapat petunjuk, berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham. Jauhilah oleh kalian perkara-perkara baharu (dalam urusan agama), kerana setiap perkara yang baharu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud). Pada akhir zaman ini, golongan yang berpegang kepada sunnah baginda akan diremehkan, dianggap ketinggalan, tidak mengikuti perkembangan semasa dan terasing.   Kerana itulah


126 Rasulullah SAW menggunakan kiasan gigitlah dengan gigi geraham bagi menandakan bahawa pegangan yang kukuh terhadap sunnah dan akidah Islam diperlukan dalam situasi yang mencabar agar maruah agama tidak mudah digadaikan. Marilah kita semua berusaha membanteras segala perbuatan yang mungkar dan menyeru masyarakat kepada kebaikan agar kemaslahatan sejagat terpelihara sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” Bagi menyahut seruan tersebut, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menjaga kemaslahatan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan beriltizam untuk terus mempergiatkan program dakwah di pelbagai medium bagi menyampaikan kesedaran tentang ajaran Islam kepada segenap lapisan masyarakat. Selain itu, tindakan penguatkuasaan undangundang akan terus dilaksanakan terhadap sebarang perbuatan dan tindakan yang mencemarkan kesucian syariat Islam.


KEUTAMAAN NAFKAH 22 127


128


129 Keutamaan nafkah Perkahwinan bukan sekadar suatu trend popular yang menjadi ikutan pada musim tertentu, tetapi ia sebuah keputusan dan tindakan bersama tanggungjawab dan peranan besar dalam membina institusi keluarga. Dalam ajaran Islam, pernikahan bertujuan mewujudkan perasaan damai dan sejahtera sebagaimana firman Allah SWT dalam  surah Ar-Rum ayat 21  yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Bagi mencapai tujuan tersebut, Islam menetapkan kaedah serta peranan yang perlu dilaksanakan pasangan suami dan isteri dalam membangun dan menjalankan fungsi sesebuah keluarga termasuk menyempurnakan keperluan kebajikan dan ekonomi rumah tangga. Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).”  (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Sebahagian ulama menjelaskan istilah al-ba’ah dalam hadis tersebut bukan sahaja bermaksud kemampuan dalam melakukan hubungan intim tetapi juga kemampuan untuk menanggung segala keperluan perkahwinan merangkumi mahar dan tanggungjawab


130 memberikan nafkah. Kepentingan memelihara hak dan kebajikan isteri melalui tanggungjawab memberikan nafkah amat ditekankan dalam sesebuah perkahwinan sehingga dinyatakan dalam lafaz taklik yang dibacakan suami setelah selesai melaksanakan akad nikah. Pelanggaran terhadap perjanjian dalam lafaz taklik tersebut boleh menyebabkan jatuhnya talak atau pembubaran perkahwinan. Terdapat banyak hadis yang memberikan peringatan agar mengawasi tindak tanduk supaya tidak menzalimi golongan wanita khususnya yang bergelar isteri. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah dalam urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan perhubungan kamu dengan mereka telah dihalalkan dengan perkataan-perkataan Allah.” (Riwayat Muslim). Allah SWT juga berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.” Kemuliaan lelaki dan suami terletak pada sifat bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela kaum wanita. Bahkan berdasarkan ayat al-Quran tersebut Allah SWT juga menerangkan


131 salah satu ciri terpenting ialah tanggungjawab lelaki memberikan nafkah kepada anak dan isteri. Manakala kemuliaan wanita dan isteri pula terletak pada ketaatan dan usaha mereka dalam menjaga maruah dan kehormatan diri. Setiap pasangan mestilah mengamalkan sikap bertolak ansur dalam melaksanakan tanggungjawab memberikan nafkah serta saling membantu dalam urusan rumah tangga. Tujuan perkahwinan dalam Islam adalah supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan secara adil dan saksama bukan untuk menyakiti dan menganiayai pasangan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteriisteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” Perkahwinan melatih individu membangunkan sifat kepemimpinan, memupuk kebersamaan dalam menghadapi cabaran, kematangan dalam membuat keputusan, melatih sifat sabar serta saling membantu dalam mencari nafkah untuk keluarga. Perkahwinan yang didirikan berpandukan syariat akan mewujudkan ikatan kekeluargaan yang kukuh dan berkekalan berteraskan kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Bagi memastikan kaum lelaki mempersiapkan diri dengan bekalan secukupnya dalam memimpin bahtera rumah tangga dan keluarga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil inisiatif membincangkan isu pemerkasaan


132 peranan lelaki melalui Persidangan Meja Bulat Inisiatif Lelaki Qawwam. Antara resolusi terpenting adalah mendayaupayakan peranan lelaki sebagai bapa yang boleh menjadi ikon keluarga bagi mengukuhkan kestabilan institusi kekeluargaan dalam pembinaan bangsa dan negara serta meningkatkan keupayaan dan kemahiran kaum lelaki dalam memikul tanggungjawab lebih besar melalui pelbagai bidang pekerjaan terutama dalam sektor kritikal. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini pula mengeluarkan arahan khusus kepada semua ketua jabatan di sektor awam bagi melaksanakan perintah mahkamah dalam kes tuntutan nafkah. Perkara tersebut bagi menyahut pengumuman Perdana Menteri untuk membantu golongan wanita yang terkesan disebabkan isu perceraian khususnya dari aspek pembayaran nafkah. Kerajaan juga meminda akta Pembiayaan Kewangan yang membolehkan pihak bank membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah dan pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri membuat tuntutan yang melibatkan wang ringgit di mahkamah melalui kaedah yang dikenali sebagai Hiwalah. Melalui arahan ini, ketua jabatan bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap sebarang perintah terutama arahan pemotongan gaji yang diputuskan Mahkamah Syariah. Kesedaran tentang tanggungjawab memberikan nafkah dalam rumah tangga ditangani lebih awal melalui ilmu dan pendidikan yang disampaikan dalam Kursus Pra Perkahwinan dan Pasca Perkahwinan Islam serta sesi runding cara yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di WilayahWilayah Persekutuan. Penguatkuasaan undang-undang dan hukuman sentiasa menjadi jalan terakhir setelah aspek pendidikan dan rundingan tidak berhasil.


KARYA SAHAM AKHIRAT 23 133


134


135 Karya saham akhirat Seni dalam pelbagai bentuk seperti lakonan, nyayian, tarian dan lukisan adalah saluran dakwah bagi menyampaikan mesej kebaikan dalam masyarakat. Sebahagian golongan menjadikan seni sebagai punca rezeki dan meraih pendapatan. Justeru ramai juga penggiat seni khususnya dalam industri filem dan drama yang terkesan ketika negara berhadapan wabak pandemik Covid-19 kerana tidak dapat menjalankan sebarang penggambaran dan produksi. Namun kelonggaran yang ditetapkan susulan situasi negara yang semakin pulih memberikan ruang kepada golongan seni untuk kembali beraksi. Sebelum kewujudan pelbagai teknologi media dalam pembikinan filem dan drama, al-Quran menjadi sumber utama yang merakamkan dan menggambarkan pelbagai kisah pengajaran bagi menyampaikan mesej peringatan kepada umat manusia agar menjalani kehidupan berlandaskan syariat. Kini seni lakonan sering digunakan sebagai medium mempromosi, mempengaruhi dan meraih populariti. Maka tercetuslah pelbagai idea kreatif yang kemudian menghasilkan jalan cerita menarik dan mengujakan untuk tontonan ramai. Lakonan yang dipersembahkan dalam drama dan filem sering dilihat mampu membentuk persepsi dan budaya masyarakat sehingga menjadi bahan yang diperdebatkan. Hakikatnya ajaran Islam sudah memberikan panduan tentang kandungan penyampaian melalui filem dan drama agar selaras dengan matlamat dakwah iaitu menjauhi elemen kemungkaran, mematuhi adab dan akhlak Islamiyah, membudayakan tanggungjawab sosial dan prinsip bekerjasama dalam melakukan kebajikan dan menentang keburukan serta mempromosikan keadilan sejagat. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104


136 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” Namun malang sekali apabila umat Islam disajikan dengan kandungan hiburan yang yang menyalahi norma dan moral sehingga mempengaruhi gaya hidup serta akhirnya menjadikan jiwa masyarakat tidak sensitif dan peka terhadap ajaran agama. Filem dan drama menyumbang kepada pembentukan akhlak kerana masyarakat dari pelbagai peringkat usia sama ada kanakkanak sehinggalah orang tua mudah tertarik dan terpengaruh dengan apa yang ditonton dan disajikan di media. Justeru bantahan pelbagai pihak terhadap klip video sebuah drama tempatan yang tular baru-baru ini adalah tindakan yang wajar sebagai tanda kegusaran dan keprihatinan masyarakat untuk turut sama mengekang amalan yang bercanggah dengan panduan agama. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan alMujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini”. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya” - (Riwayat Al-Bukhari). Berbangga dengan perlakuan maksiat dan menganggap perkara biasa dalam masyarakat disifatkan sebagai petanda akhir zaman. Allah SWT berfirman dalam surah


137 Al-Nur ayat 19 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)”. Ayat tersebut menjelaskan golongan yang suka menghebahkan perbuatan keji dan memalukan seperti zina akan dikenakan azab oleh Allah SWT. Di dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyediakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang dikemaskini pada 2015, hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-107 sebagai rujukan kepada pelbagai pihak yang terlibat di dalam industri hiburan. Ia dapat dijadikan panduan di dalam usaha mewujudkan masyarakat yang dapat mengamalkan, menghayati dan menikmati hiburan berteraskan nilai akhlak dan syariat Islam. Di dalam garis panduan tersebut ditegaskan bahawa hiburan sepatutnya mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Selain bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan, sesuatu program hiburan yang dianjurkan harus mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam. Hiburan juga tidak harus melalaikan dan jauh dari sebarang unsur syubhah atau situasi yang boleh mengundang kepada fitnah selaras dengan kaedah yang bermaksud ‘berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan’. Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA yang maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.” Oleh itu, sebarang perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk untuk jangka masa pendek mahupun panjang.


138 Tanggungjawab penggiat seni adalah menghasilkan kandungan yang baik manakala peranan masyarakat adalah memilih bahan tontonan yang bermanfaat. Kebijaksanaan menggarap idea dalam menyampaikan mesej dakwah diperlukan agar masyarakat tidak hanyut dengan pengisian yang tergelincir daripada landasan Islam. Berhadapan dengan pelbagai medium dan saluran hiburan masa kini, masyarakat harus bijak memilih dan meletakkan syarat kepada diri sendiri dan ahli keluarga agar tidak tersasar dalam membuat pilihan. Tanggungjawab berkenaan juga berlandaskan prinsip untuk bersama-sama menyumbang dalam membina tamadun umat yang berkualiti dan berakhlak tinggi. Perkara tersebut bukanlah mustahil kerana sudah terbukti banyak drama dan filem yang dihasilkan dapat meninggalkan kesan yang baik kepada masyarakat. Karya seni dan hiburan yang mendorong kepada perubahan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang menjelang tiba, memberikan makna yang besar kepada penonton dan memberikan saham akhirat yang besar buat pembikin drama dan filem. Ia adalah sebuah perhitungan dosa dan pahala yang berpanjangan sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang baik, maka ia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang melakukannya setelahnya; tanpa berkurang sesuatu apapun dari pahala mereka. Dan barangsiapa yang mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang buruk, maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya setelah dia, tanpa berkurang sesuatu pun dari dosa-dosa mereka.” (Riwayat Muslim).


BUKTI KEAGUNGAN PENCIPTA 24 139


140


141 Bukti keagungan pencipta Mutakhir ini pelbagai kejadian dan fenomena alam yang berlaku mengejutkan dan menarik perhatian orang ramai seperti gempa bumi di pantai barat Utara Sumatera yang turut dirasai di sebahagian kawasan di Malaysia, kejadian tanah runtuh yang menenggelamkan kenderaan di Serdang Selangor, angin ribut yang memusnahkan kediaman di Chemor Perak, hujan batu sekitar Kuala Lumpur, salji di Gunung Kinabalu dan banjir besar yang melanda beberapa negeri. Lantas fenomena dan peristiwa tersebut sering dikaitkan dengan pelbagai teori dan andaian tentang tanda-tanda usia bumi yang semakin menuju ke penghujung. Walau apapun teori dan andaian yang diberikan namun perkara lebih utama bagi seorang Muslim adalah menginsafi bukti kekuasaan dan keagungan Allah SWT pada setiap kejadian yang berlaku di langit dan bumi. Firman Allah dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 117 bermaksud: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.” Justeru tiada perkara yang mustahil di sisi Allah dan boleh berlaku dalam sekelip mata dengan kehendak dan keizinan-Nya. Segala kejadian alam yang berlaku bukanlah semata-mata untuk direnungkan, sebaliknya mengajak umat manusia untuk bertadabbur iaitu berfikir, mengkaji dan meneliti hikmah di sebaliknya bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT. Firman Allah dalam surah al-Fussilat ayat 10-11 yang bermaksud: “Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya serta Ia melimpahkan berkat padanya dan Ia menentukan ada pada-Nya bahan-bahan


142 keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa. Kemudian Ia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela.” Ayat tersebut menggambarkan mengenai permulaan kejadian alam semesta bahawa langit dan bumi sentiasa tunduk dan patuh kepada ketetapan Allah SWT. Fenomena alam yang terjadi juga mengajak manusia untuk memuji kebesaran Allah SWT dengan cara berzikir, bertasbih, berdoa, dan mengabdikan diri kepada-Nya. Perkara tersebut selaras dengan firman Allah dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 190-191 yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada siksa neraka.” Antara contoh ibadah sunat yang dilakukan berikutan fenomena alam adalah seperti solat sunat gerhana matahari dan bulan (Khusuf), solat minta hujan (Istisqa’) dan lain-lain. Kejadian alam yang berlaku bukanlah semata-mata dikaitkan dengan bala dan kesedihan. Rasulullah SAW sewaktu melihat golongan yang menyatakan kejadian gerhana matahari berlaku kerana kematian anak kesayangan baginda Ibrahim, Rasulullah SAW lantas mengingatkan matahari dan bulan ialah tanda kebesaran


Click to View FlipBook Version