143 Tuhan, yang tidak akan menjadi gerhana kerana kematian atau hidupnya seseorang. Sekiranya melihat kejadian tersebut maka berlindunglah dengan berzikir kepada Tuhan dan berdoa. Peristiwa bencana alam sering dikaitkan dengan kemungkaran dan penentangan manusia ke atas ajaran rasul dan nabi. Akibat keingkaran manusia untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan menjauhi perbuatan mempersekutukan- Nya, maka turunlah bala bencana yang tidak mampu menyelamatkan manusia. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 78 bermaksud: “Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.” Ayat tersebut mengisahkan tentang kisah kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Soleh yang menerima azab seksa daripada Allah akibat perbuatan mereka. Namun umat Islam juga dianjurkan supaya melakukan muhasabah diri serta mengambil iktibar daripada fenomena bencana alam sebagaimana firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 56 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” Kerosakan alam juga adalah disebabkan oleh perbuatan dan tindakan manusia. Justeru memelihara alam sekitar adalah sebahagian daripada tuntutan agama bagi menjamin kelestarian kehidupan seiring dengan matlamat maqasid syariah. Selain itu, peristiwa israk dan mikraj yang diperingati baru-baru ini juga mengajak manusia untuk berfikir tentang kekuasaan Allah SWT dalam menciptakan alam semesta yang terdiri daripada tujuh tingkatan langit dan perjalanan nabi Muhammad SAW
144 sehingga ke langit ketujuh untuk bertemu dengan Allah bagi menerima perintah ibadah solat. Perkara tersebut dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” Di dalam surah al-Najm ayat 13-18 pula Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi Sidratul-Muntaha; Yang di sisinya terletak Syurga Jannatul-Makwa. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa Sidratul Muntaha itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.” Sesungguhnya segala peristiwa keajaiban fenomena alam semesta kepada manusia adalah asbab untuk mendekatkan diri hamba kepada Pencipta.
ISLAM AGAMA SYUMUL 25 145
146
147 Islam agama syumul Menyoroti kembali sejarah kewujudan agama dalam kalangan umat manusia, pelbagai jenis kepercayaan dianuti sama ada agama yang menyembah dewa-dewa dan berhala mahupun agama yang tidak mempunyai tuhan serta berasaskan budaya dan falsafah. Kebanyakan manusia percaya bahawa di sebalik kewujudan alam semesta, terdapat kekuatan dan kekuasaan supranatural yang mengatur dan menciptakan alam. Kekuatan dan kekuasaan tersebut tidak dapat dilihat secara fizikal, namun dipercayai dan diyakini kewujudannya. Secara umumnya agama difahami sebagai suatu konsep penyerahan diri kepada sebuah kepercayaan dan kuasa luar biasa yang lazimnya tidak dapat dilihat. Sebahagian pengkaji pula berpandangan, umat manusia mempercayai kewujudan banyak tuhan sebelum kedatangan agama Islam yang membawa ajaran tentang keyakinan bahawa hanya ada satu Tuhan yang mentadbir alam semesta. Kepercayaan terhadap keesaan Tuhan disandarkan kepada sebuah kisah yang dinyatakan di dalam al-Quran surah Al-An’am ayat 74-79 bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhalaberhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.” Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia daripada orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.” Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata:
148 “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku daripada kaum yang sesat.” Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: `Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). “Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku daripada orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).” Manusia secara fitrahnya diciptakan oleh Allah SWT dengan naluri kehidupan beragama. Firman Allah SWT dalam surah Rum ayat 30 yang bermaksud: “Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut- pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” Agama dapat memberikan jawapan dan makna yang jelas kepada tujuan kehidupan manusia, menunjukkan kebenaran yang hakiki, menenangkan perasaan cemas dan gundah gulana, serta menyemai pengharapan dan dorongan bagi jiwa. Walaupun manusia diciptakan dengan akal fikiran, namun tidak semua persoalan boleh diselesaikan atau ditangani oleh akal semata-mata. Tanpa agama manusia tidak mampu memahami sepenuhnya tentang asal-usul, erti dan matlamat kehidupan, cara terbaik untuk menjalani kehidupan, persoalan tentang
149 ketuhanan, kehidupan selepas mati, perkara-perkara ghaib seperti malaikat, syurga dan neraka, pembalasan amal dan sebagainya. Bahkan kegemilangan sesebuah tamadun manusia seringkali dikaitkan dengan faktor agama dan kerohanian. Agama ialah suatu keyakinan dan kepercayaan di dalam hati yang kemudian mendorong kepada amal perbuatan. Ia juga adalah sebuah peraturan atau undang-undang yang wajib dipatuhi supaya umat manusia dapat hidup dengan aman dan tenteram berdasarkan kehendak agama tersebut. Di dalam al-Quran, agama diistilahkan sebagai ad-din yang bermaksud suatu cara hidup atau way of life yang diredai oleh Allah. Perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.” Sewaktu Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan ujian getir dalam menyampaikan risalah Islam, Allah SWT memberikan jaminan bahawa umat manusia akan berbondong-bondong menerima ajaran Islam sebagai agama yang benar yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui nabi dan rasul. Firman Allah SWT dalam surah Al-Nasr ayat 1-2 yang bermaksud: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramairamai.”
150 Ajaran Islam dapat bertahan sebagai sebuah agama yang dianuti oleh ramai umat manusia semenjak berzaman kerana sifatnya yang syumul, dikenali sebagai sebuah cara hidup sempurna yang mengatur tata cara kehidupan meliputi aspek akidah, ibadah, mua’malah, siasah, sosial dan ekonomi. Islam dikenali sebagai agama yang membawa mesej keamanan, keselamatan dan kesejahteraan, sebaliknya bukan membawa pendekatan paksaan atau berasal daripada ideologi ciptaan manusia yang tertakluk dengan kekurangan dan kelemahan. Namun begitu, mengapakah masih wujud golongan manusia yang mencipta atau menjadi pengikut kepada agama baharu? Perasaan tidak berpuas hati, protes dan penentangan, ingin mendapatkan pengaruh dan sokongan dan akal fikiran yang tidak dipandu dengan wahyu adalah antara faktor yang mendorong kepada perbuatan tersebut. Sesetengah agama baharu cuba berselindung di sebalik nama keamanan, pertukaran budaya serta kerja-kerja amal dan sukarelawan. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap individu, keluarga, institusi pendidikan seperti sekolah, universiti, masjid dan surau serta lain-lain bergandingan untuk memperkukuhkan jati diri seorang Muslim dengan menyampaikan kesedaran tentang ajaran dan kepercayaan yang menyeleweng daripada ajaran Islam agar tidak mudah terjebak dan terpengaruh dengan anasir yang merosakkan akidah. Dalam hal ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terus komited dalam melaksanakan pelbagai program dakwah dan penerangan tentang ajaran Islam kepada masyarakat serta menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap sebarang ajaran yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam. Hakikatnya iktikad yang mapan terhadap ajaran Islam membebaskan manusia daripada kepercayaan agama palsu. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 83 yang bermaksud:
151 “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya mereka dikembalikan.”
CARI ILMU SUMBER SAHIH 26 152
153 Cari ilmu sumber sahih Peranan dan tanggungjawab utama pendakwah adalah untuk menyampaikan keterangan tentang ajaran Islam, menjernihkan kekeliruan, merungkai kekusutan dan menyelamatkan umat manusia daripada kesesatan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud: “(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” Justeru pendakwah haruslah mewarisi sifat nabi sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abi alDarda’ RA berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.” (Riwayat Abu Daud). Antara persediaan penting yang perlu dimiliki oleh pendakwah ialah ilmu, akhlak dan kebijaksanaan dalam penyampaian. Firman Allah dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” Ilmu yang disampaikan kepada masyarakat pula haruslah bersandarkan sumber hukum syarak iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak, dan juga qiyas serta
154 manhaj yang sahih berpandukan akidah Ahl al-Sunnah wal Jama’ah yang menjadi aliran arus perdana umat Islam masa kini. Manhaj tersebut mempunyai ciri-ciri ilmiah dalam berinteraksi dengan nas agama serta pendekatan yang sederhana dalam mengimbangi kedudukan wahyu dengan potensi akal manusia dalam menerima sesuatu kebenaran.Pendakwah harus bijak menangani pelbagai isu khilaf atau perbezaan pandangan serta isu furuk atau persoalan cabang dalam kewajiban agama dengan mengikut panduan dan adab yang telah digariskan agar masyarakat tidak keliru dan jemu dengan perbalahan yang berlaku sekali gus menjauhkan masyarakat daripada agama. Perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau dalam penyampaian ilmu hendaklah dielakkan. Selain itu, ilmu yang hendak disampaikan juga perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan pemikiran masyarakat agar ia tidak menimbulkan polemik yang berpanjangan. Perkara tersebut bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemarkan kesucian agama dan umat Islam. Pendakwah perlu mengambil kira kemampuan akal manusia yang berbeza-beza agar tidak menjauhkan mad’u dengan seruan dakwah sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Ibnu Mas’ud yang bermaksud: “Tidaklah kamu berbicara kepada sesuatu kaum dengan perbicaraan yang tidak mampu dijangkau akal mereka, kecuali akan terjadi fitnah pada sebahagian mereka.” (Riwayat Muslim) Masyarakat awam pula haruslah menjauhkan diri daripada sifat taasub yang boleh menjerumuskan manusia kedalam kesesatan. Pendakwah perlu mengamalkan sifat tawaduk atau merendah diri dengan mengakui kekurangan dan kelemahan yang ada. Sifat tawaduk akan menyuburkan perasaan kasih sayang sesama Muslim sekali gus dapat membantu pendakwah menyatupadukan
155 umat Islam. Medium untuk pendakwah menyampaikan ilmu pada zaman kini lebih luas dan terbuka terutamanya melalui platform media sosial seperti YouTube, TikTok dan pelbagai lagi. Sesiapa sahaja boleh bercakap tentang apa-apa sahaja dan dapat menarik minat dan pengikut tersendiri. Perkara tersebut adalah suatu perkembangan yang baik jika dimanfaatkan dengan sifat tanggungjawab dan amanah terhadap ilmu serta dapat merancakkan program keilmuan dan dakwah apatah lagi kebanyakan khalayak di media sosial adalah golongan remaja dan anak muda. Sebuah kajian baru-baru ini mendedahkah Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara yang mempunyai kadar ketagihan telefon pintar tertinggi di dunia. Perkara tersebut menunjukkan bahawa masyarakat banyak menghabiskan masa dengan penggunaan telefon pintar untuk pelbagai tujuan termasuklah melayari media sosial. Walau bagaimanapun proses menuntut ilmu mestilah dilakukan melalui sistem dan disiplin pengajian yang betul dan tersusun. Oleh itu carilah ilmu dari sumber yang berautoriti melalui institusi pengajian seperti sekolah, kolej, universiti dan pondok atau pengajian ilmu secara bermodul yang dianjurkan di masjid dan surau. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad) melainkan daripada kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”Di dalam sebuah hadis daripada Amru bin al-As, beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara sekaligus daripada hamba-hamba-Nya, tetapi mengangkatnya dengan cara mematikan ulama sehingga tidak ada lagi orang alim, orang ramai mengangkat pemimpin
156 yang jahil (menjadi pemimpin mereka). Pemimpin itu ditanya tentang sesuatu isu, lalu mereka mengeluarkan fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, tauliah mengajar agama disyaratkan kepada asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah selain pemantauan dari semasa ke semasa dilaksanakan bagi memastikan kesahihan sumber dan manhaj dalam penyampaian ilmu kepada masyarakat. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga melaksanakan program Multaqa Dai iaitu suatu pertemuan dengan selebriti pendakwah media sosial dengan mengambil kira peranan penting golongan tersebut dalam menyebarkan kefahaman berkaitan Islam serta memperkukuh perpaduan dalam komuniti dan masyarakat. Perkara paling penting yang harus menjadi ingatan buat semua pendakwah dan golongan masyarakat ialah ilmu dan amal seharusnya menjadi elemen yang menyatupadukan bukan memecahbelahkan dan menjadikan masyarakat semakin berpuak-puak serta akhirnya tersasar daripada panduan yang sebenar. Al-Quran melarang umat Islam berpecah-belah serta menyeru agar mereka sentiasa bersatu-padu dan berpegang kepada agama Islam. Selain itu, al-Quran juga mengajar agar memberikan jalan keluar jika timbul sesuatu permasalahan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya yang menyebabkan orangorang terdahulu binasa adalah kerana banyak pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka.” (Riwayat alBukhari) Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang berpegang teguh kepada alQuran dan al-Sunnah serta terselamat daripada segala bentuk perpecahan dan perselisihan.
ISTIQAMAH DALAM BERIBADAH 27 157
158
159 Istiqamah dalam beribadah Allah SWT memerintahkan hamba-Nya agar beristiqamah dalam melaksanakan segala perintah-Nya sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran surah Hud ayat 112 yang bermaksud: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang sedikit tetapi istiqamah dan berterusan. Perkara tersebut berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah RA yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian berasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari). Dalam situasi kehidupan yang penuh mencabar, antara perkara yang paling sukar untuk dilaksanakan ialah beristiqamah dalam mengerjakan ibadah kerana pelbagai sebab dan alasan. Boleh jadi disebabkan alasan kesibukan dan kekangan tugas, keuzuran, dan godaan hawa nafsu yang tidak dapat dikawal. Selain itu, pelbagai bentuk dan medium baharu hiburan dan aplikasi media sosial yang mudah diakses di hujung jari juga kadangkala boleh menjadi sebab yang melalaikan daripada mengerjakan ibadah. Bahkan sebahagian orang gagal meneruskan kerajinan beribadah dalam bulan Ramadan pada bulan-bulan yang lain, begitu juga gagal meneruskan kesungguhan dalam beribadah
160 sebaik sahaja pulang ke tanah air daripada menunaikan haji dan umrah. Istiqamah dalam melaksanakan ibadah dan perintah Allah adalah suatu tuntutan sebagaimana firman-Nya dalam surah Yunus ayat 89 yang bermaksud: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya) dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku).” Oleh itu, umat Islam haruslah berusaha untuk mendapatkan istiqamah dalam beribadah dengan menjadikan solat sebagai teras. Firman Allah dalam surah Hud ayat 114 yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” Bagi mendapatkan istiqamah dalam beribadah, ia hendaklah dilaksanakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT bukan kerana paksaan. Ibadah juga tidak hanya dilaksanakan kerana musim dan ganjaran tertentu, apatah lagi bagi mendapatkan pujian manusia. Allah SWT berfirman dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.” Istiqamah juga boleh diperoleh melalui persekitaran yang dapat mendorong kita melaksanakan sesuatu amal ibadah. Ia termasuklah rakan dan ahli keluarga yang saling mengingatkan
161 serta kediaman, tempat kerja atau masjid dan surau yang selesa untuk melaksanakan ibadah. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan baju anda berlubang atau mendapat bau yang busuk.” (Riwayat al-Bukhari). Allah SWT juga berfirman dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud: “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” Sifat sabar juga penting dalam melaksanakan sesuatu ibadah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” Selain itu, setiap Muslim haruslah memahami dan menghayati segala hikmah yang terkandung di sebalik sesuatu ibadah yang dilaksanakan. Amal ibadah bukanlah suatu perbuatan yang
162 sia-sia dan memenatkan sebaliknya mengandungi pelbagai manfaat dan kelebihan dari segi rohani dan jasmani. Ibadah solat misalnya dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar, amalan berpuasa dapat menjadi perisai daripada melakukan maksiat, ibadah berzakat boleh menyucikan harta dan jiwa, dan ibadah haji dapat mendidik jiwa bagi menginsafi kedudukan diri yang kerdil di sisi Allah SWT. Melaksanakan ibadah secara bersama seperti solat berjemaah dan berbuka puasa beramai-ramai juga dapat memberikan motivasi dan semangat antara satu sama lain berbanding melaksanakannya secara bersendirian. Istiqamah juga boleh diperoleh dengan cara memperingati nikmat dan balasan bagi golongan yang melaksanakan dan meninggalkan perintah Allah sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah Fussilat ayat 30 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): ‘Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.’ Orang Mukmin yang berjaya beristiqamah dalam melaksanakan ibadah telah merasai kemanisan iman sebagaimana maksud hadis: Daripada Anas bin Malik daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana
163 Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka.” (Riwayat al-Bukhari). Marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT agar diperteguhkan hati dan dikurniakan sifat istiqamah dalam beribadah dengan mengamalkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Mu’az bin Jabal yang bermaksud: “Aku wasiatkan kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau tinggalkan di setiap akhir solat untuk mengucapkan: ‘Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah sebaiknya kepada-Mu.” (Riwayat Abu Daud).
SERLAHKAN KEINDAHAN ISLAM 28 164
165 Serlahkan keindahan Islam Setiap orang yang beriman wajib mempercayai Islam adalah satu-satunya agama paling sempurna yang membawa rahmat dalam kehidupan sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” Justeru nikmat Islam dan iman adalah suatu yang harus disyukuri dengan cara mengamalkan dan menyebarkan ajarannya kepada seluruh umat manusia. Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 58 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal).” Manusia hakikatnya diciptakan dengan fitrah semula jadi yang suci dan murni iaitu mentauhidkan Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam al-Quran Surah al-A’raf ayat 172 bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): ‘Bukankah Aku Tuhan kamu?’ Mereka semua menjawab: ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada Hari Kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.’” Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci
166 bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al- Bukhari). Namun sebahagian manusia mengingkari kebenaran dan ajaran Islam walaupun selepas menerima bukti dan keterangan disampaikan oleh nabi dan rasul. Firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 40 bermaksud: “Dan di antara mereka ada yang beriman kepada al-Quran dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang yang melakukan kerosakan.” Golongan yang enggan menerima seruan Islam dan kekal dalam kekufuran akan menanggung azab akibat perbuatan terbabit kerana hanya Islam agama yang dapat menyelamatkan manusia dari kesesatan serta sama sekali tidak sama kedudukannya dengan agama dan kepercayaan yang lain. Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 19 bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.” Namun begitu, orang beriman dan kafir sudah berinteraksi dan bermuamalah sejak dahulu lagi sama ada dalam keluarga, masyarakat dan negara. Allah SWT tidak melarang umat Islam untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan golongan bukan Islam dengan syarat mereka tidak mengancam Islam serta umatnya. Nabi Muhammad SAW juga mengambil berat terhadap mereka yang menyakiti golongan kafir zimmi sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Sesiapa menzalimi kafir yang
167 diikat perjanjian setia kepada kerajaan Islam atau mengurangkan haknya atau membebankannya di luar keupayaannya atau diambil sedikit daripada haknya tanpa kebenarannya, maka aku menjadi pembelanya pada Hari Kiamat.” (Riwayat Abu Daud). Ajaran Islam menggariskan kaedah dan pendekatan terbaik berkaitan amalan bertoleransi dalam suasana berbilang agama dan kepercayaan. Contohnya antara perkara terawal yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebaik tiba di Madinah ialah mewujudkan perjanjian dengan golongan Yahudi. Antara kandungan perjanjian terbabit ialah negara Islam Madinah menghormati kepercayaan mereka, mempertahankan dari segala bentuk ancaman dan mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Madinah yang akan mempertahankan tanah airnya. Bahkan Rasulullah SAW sendiri menyantuni jiran dalam kalangan ahli kitab dengan kebajikan. Perbuatan menghina, ugutan serta mencetuskan perasaan kebencian kepada penganut agama lain adalah tindakan yang dicela oleh al-Quran kerana boleh mengundang permusuhan yang tidak akan mendatangkan keuntungan. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 108 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” Menghormati serta mengakui kewujudan penganut agama lain bukan menjadi lesen untuk mengiktiraf kebenaran agama selain dari Islam. Sebaliknya tugas utama kita adalah untuk
168 menzahirkan keindahan ajaran Islam melalui akhlak yang terpuji dalam muamalah seharian supaya mereka terpaut hati untuk kembali kepada agama fitrah ini seperti firman Allah dalam alQuran surah Ali Imran ayat 64 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah’. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.’” Di Malaysia, kedudukan Islam sebagai agama yang tertinggi dijamin dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Namun perkara terbabit bukan menjadi penghalang hubungan baik sesama insan walaupun berbeza bangsa, budaya dan agama atas prinsip kemanusiaan. Perbezaan dan kepelbagaian terbabit diharmonikan berlandaskan nilai-nilai dan semangat yang terkandung dalam Rukun Negara dan gagasan Keluarga Malaysia yang mempereratkan kesatuan antara warga negara.
PELIHARA KEHORMATAN ISTERI 29 169
170
171 Pelihara kehormatan isteri Antara tanggungjawab lelaki sebagai ketua yang paling utama adalah memelihara ahli keluarga daripada perbuatan dosa dan maksiat sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Di dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga yang telah Allah haramkan baginya syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya.” Berdasarkan hadis tersebut, dayus juga bermaksud suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan mengambil peduli perbuatan maksiat yang dilakukan oleh ahli keluarganya. Justeru kaum lelaki perlu sentiasa diperingatkan tentang peranan utamanya sebagai qawwam atau pemimpin dan pelindung dalam rumah tangga seperti firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.”
172 Istilah qawwam berasal daripada perkataan qaim yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela. Seseorang yang qawwam adalah orang yang memiliki sifat qaim secara berterusan, iaitu berterusan mengambil berat, bertanggungjawab, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela kaum wanita. Tugas seorang lelaki yang qawwam ialah melindungi keluarganya daripada sebarang bahaya di dunia dan akhirat serta tidak mengabaikan keluarga. Selain memastikan keperluan jasmani dan rohani dipenuhi, Islam memerintahkan suami untuk memelihara kehormatan isteri. Suami seharusnya melindungi dan memelihara ahli keluarga daripada perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT serta menyeru mereka untuk taat kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya termasuk budaya yang tidak berakhlak dan bercanggah dengan ajaran Islam. Baru-baru ini media melaporkan tentang trend ‘unboxing isteri’ yang tular di aplikasi TikTok iaitu perlakuan pasangan pengantin baharu yang memuat naik video menunjukkan pengantin lelaki membantu membukakan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada bahagian kepala pengantin terlebih dahulu. Hakikatnya amalan tersebut boleh mengheret suami dalam perbuatan dayus kerana mendedahkan keaiban isteri. Lebih malang lagi, amalan tersebut disebarkan di media sosial sedangkan mendedahkan keaiban adalah perbuatan yang ditegah oleh ajaran Islam. Justeru persiapan ilmu amatlah penting kepada pasangan suami isteri agar dapat mengelakkan diri dari terjerumus dalam perbuatan maksiat lebih-lebih lagi dalam arus media sosial tanpa batasan. Ajaran Islam mengajarkan beberapa amalan terbaik
173 buat pasangan pengantin baharu selaras dengan tuntutan syariat, bukan amalan yang tidak diketahui asal usulnya. Antara amalan yang diharuskan untuk dilakukan oleh pasangan pengantin baharu adalah seperti melaksanakan solat sunat dua rakaat selepas pernikahan. Perbuatan tersebut menjadi permulaan yang baik dalam melayari bahtera rumah tangga yang sejahtera. Solat sunat selepas nikah digalakkan berdasarkan amalan sahabat sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya yang mana seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Abdullah bin Mas’ud RA lalu berkata: “Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang hamba perempuan yang masih dara dan aku takut dia akan membenciku. Berkata Abdullah bin Mas’ud: “Sesungguhnya rasa kasih sayang serta kelembutan itu daripada Allah dan kebencian itu daripada syaitan. Dia (syaitan) mahu menyemai rasa kebencian kepada kalian apa yang telah Allah halalkan. Sekiranya kamu mendatangi isterimu, arahkan dia untuk solat dibelakangmu dua rakaat.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah). Selain itu, sunat hukumnya mendoakan isteri yang baru dinikahi sambil meletakkan tangan di atas ubun-ubun isteri dengan doa yang bermaksud: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya.” (Hadis riwayat Abu Daud) Abdullah Ibn Mas’ud juga mengajarkan doa yang bermaksud: “Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku. Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku dan rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku. Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan dan jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga)
174 ke arah kebaikan.” (Hadis riwayat Abdurrazzaq) Semua amalan yang dianjurkan ini bukanlah bertujuan dipertontonkan kepada umum sebaliknya bagi meraih keredaan Allah SWT dalam perkahwinan dengan memelihara adab dalam beramal. Bagi memastikan kaum lelaki mempersiapkan diri dengan bekalan secukupnya dalam memimpin bahtera rumah tangga dan keluarga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif membincangkan isu pemerkasaan peranan kaum lelaki melalui Persidangan Meja Bulat Inisiatif Lelaki Qawwam. Antara resolusi yang dicapai adalah untuk mempergiatkan program pemantapan akidah supaya dapat berperanan sebagai khalifah yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab yang berkualiti berpaksikan nilai-nilai ajaran Islam serta mempraktikkan nilai-nilai kekeluargaan Islam. Di Wilayah Persekutuan, semua pasangan yang bakal melangsungkan pernikahan diwajibkan untuk mengikuti Kursus Praperkahwinan Islam berpandukan modul khusus bertujuan memberikan pendedahan tentang pelbagai ilmu dan kemahiran yang dapat menjadi bekalan agar kebahagiaan yang dibina dalam rumah tangga selaras dengan tuntutan agama.
TEGUR BIAR BERADAB 30 175
176
177 Tegur biar beradab Ajaran Islam menganjurkan agar umat manusia saling menegur dan menasihati antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat. Budaya menegur dan menasihati adalah perbuatan yang terpuji dengan tujuan supaya menyedari kelemahan, kealpaan dan kesalahan yang dilakukan. Amalan menegur dan menasihati juga boleh berlaku sama ada daripada orang tua kepada orang muda atau sebaliknya, ibu bapa kepada anak-anak atau sebaliknya, suami kepada isteri atau sebaliknya, pemimpin kepada rakyat atau sebaliknya serta majikan kepada pekerja atau sebaliknya. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Agama itu nasihat. Kami bertanya: ‘Kepada siapa?’ Baginda bersabda: “Kepada Allah, kepada kitabNya, kepada rasul-Nya, kepada pemimpin kaum Muslimin dan kaum Muslimin secara umum.” (Riwayat Muslim). Sekiranya amalan saling menegur tidak dibudayakan dalam kehidupan, maka tiada tindakan pembetulan yang dilakukan, tiada usaha penambahbaikan, tiada agenda pembaharuan, bahkan kejahilan, kealpaan, kezaliman dan kesesatan dibiarkan berterusan. Kejatuhan beberapa pemerintahan pada zaman silam juga turut berpunca dari keengganan kelompok tertentu untuk berlapang dada dan berjiwa besar dalam mendengar saranan, nasihat dan teguran yang disampaikan oleh para ilmuan yang ikhlas dan jujur. Justeru nasihat dan teguran mestilah dilaksanakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan pendekatan yang berhemah agar dapat diterima dengan hati yang terbuka. Sesetengah pihak menamakan teguran sebagai kritikan, aduan, pandangan dan pelbagai istilah yang lain. Walau apa pun istilah
178 yang digunakan, teguran mestilah disampaikan berlandaskan sifat yang rasional, tidak dipengaruhi sentimen dan emosi yang berlebihan, bersifat keterlaluan sehingga mendedahkan keaiban dan mempersendakan orang lain, terjerumus dalam perbuatan memfitnah serta dikuasai nafsu amarah yang membinasakan dan merendahkan martabat insan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud: Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW dan Nabi bersabda: “Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.” Walaupun amalan saling menegur dapat memberikan manfaat ke arah kebaikan, namun adab dan akhlak dalam menyampaikan teguran mestilah sentiasa dipelihara. Teguran haruslah disampaikan dalam keadaan yang tenang bukan dalam keadaan marah dan dipengaruhi emosi sehingga mengeluarkan kata-kata yang kesat dan makian yang mengeruhkan keadaan sekaligus mengakibatkan sesuatu permasalahan bertambah buruk. Tanpa adab dan kaedah yang betul, teguran bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham bahkan akan mencetuskan kemarahan dan perasaan kurang senang sehingga menyebabkan berlakunya pertengkaran dan pergaduhan. Antara kaedah dan adab yang perlu diberikan perhatian dalam menyampaikan teguran adalah seperti memberikan nasihat dan teguran dengan bahasa dan nada yang sopan, bukan dengan nada yang kasar dan angkuh kerana nasihat dan teguran bukanlah bertujuan untuk mengaibkan seseorang. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 43-44 yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”
179 Elakkanlah dari menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di depan orang ramai jika perkara tersebut tidak didedahkan kepada pengetahuan umum, sebaliknya berikanlah nasihat dan teguran ketika bersendirian atau berada di tempat yang tertutup, dengan adab yang cermat bukan dengan perbuatan yang boleh menimbulkan perasaan malu akibat teguran tersebut. Gunakanlah perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang lain serta berhati-hatilah dalam memilih perkataan yang sesuai agar kita tidak membuatkan orang lain merasa terhina dan rendah diri. Sampaikanlah nasihat dan teguran dengan fikiran yang rasional bukan dengan emosi yang tidak terkawal agar mengelakkan orang lain berkecil hati di atas nasihat dan teguran yang diberikan. Sampaikanlah nasihat dan teguran sebagaimana kita inginkan diri sendiri ditegur atau dinasihati. Sentiasalah bersangka baik terhadap orang yang menerima nasihat dan teguran kerana mungkin mereka tidak menyedari kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hurujat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah laranganlarangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Perubahan gaya hidup masyarakat yang dikuasai oleh penggunaan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter,
180 Instagram, TikTok dan lain-lain menyediakan ruang interaksi dan komunikasi tanpa batasan yang kadangkala membuatkan kita terleka tentang adab dan akhlak dalam menyampaikan teguran. Sesetengah orang merasa berhak melakukan teguran kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja tanpa berfikir dengan kewarasan dan kematangan, sebaliknya dikuasai nafsu untuk menyerang sehingga tidak lagi berupaya mempertahankan akhlak sebenar seorang Muslim. Oleh itu, marilah kita bermuhasabah agar mengembalikan semula tujuan sebenar sesuatu teguran dilakukan agar memberikan manfaat kepada orang lain bukan mengundang kemudaratan yang menyemarakkan api perbalahan dan permusuhan. Sedangkan permusuhan adalah perbuatan yang dibenci dan ditegah oleh agama sebagaimana hadis daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan.” (Riwayat Muslim). Terimalah nasihat dan teguran yang disampaikan dengan perasaan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan sampaikanlah nasihat dengan adab terbaik agar hubungan persaudaraan sesama insan terpelihara.
KEBAJIKAN “DIBAWA PULANG” 31 181
182
183 Kebajikan “dibawa pulang” Saban waktu kita sering mendengar berita tentang kematian dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai, saudara mara, jiran tetangga mahupun tokoh terkemuka. Hakikatnya, perkara yang akan dikenang dan dibawa ‘pulang’ hanyalah bekalan kebajikan sepanjang hayat yang dilakukan kerana Allah SWT. Sebaik sahaja jenazah kita kelak dikebumikan, datanglah dua malaikat yang ditugaskan untuk bertanya beberapa persoalan. Sekiranya berjaya menjawab pertanyaan tersebut dengan baik, maka kita telah pun dianugerahkan dengan kebaikan akhirat. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA bermaksud “Si mati itu diikuti oleh tiga golongan. Akan kembali dua golongan dan satu golongan akan tetap menemaninya. Dia akan diikuti oleh keluarganya, hartanya dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya akan kembali pulang sementara amalnya akan tetap menemaninya”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Kebajikan boleh dilakukan sama ada dalam bentuk ibadah ataupun akhlak. Muslim yang baik amat menjaga kebajikan dari sudut ibadah seperti memelihara solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Selain itu dia juga menjaga kebajikan dari sudut akhlak seperti memelihara hubungan dengan keluarga dan masyarakat, bersedekah kepada golongan yang memerlukan serta menyantuni anak yatim dan orang miskin. Perbuatan menghadap ke arah kiblat dalam solat adalah perkara yang penting, namun ia juga perlu diseimbangkan dengan amal kebajikan yang lain kerana Islam adalah agama yang sempurna merangkumi segenap aspek kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada
184 Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anakanak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjakan seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.” Maksud kebahagiaan sebenar dalam kehidupan ialah apabila kita dikurniakan kebaikan atau hasanah di dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 201 bermaksud “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. Kebaikan di dunia bermaksud diberikan kesihatan, rezeki yang melimpah, dan ilmu yang bermanfaat agar bertambah amal kebaikan yang dilakukan. Manakala kebaikan di akhirat pula bermaksud diselamatkan dari siksa dan penderitaan di dalam kubur, dipermudahkan ketika perhitungan (hisab), keamanan pada hari pengadilan di padang mahsyar, dan masuk syurga serta mendapat reda Allah SWT. Perkara tersebut dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Insyiqaq ayat 7-9 yang bermaksud “Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, - Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.”
185 Terdapat pelbagai cara dan bentuk kebaikan yang boleh dilakukan dalam kehidupan. Menghubungkan silaturahim dan memberikan senyuman kepada orang lain misalnya dianggap sebagai amalan kebajikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud “Senyummu di hadapan saudaramu adalah (bernilai) sedekah bagimu.” (Riwayat Tirmizi). Begitu juga amalan memberikan makanan kepada haiwan atau menyiram tanaman. Apatah lagi sesekali ‘belanja’ kenalan di kedai makan, bersedekah ke masjid sesikat pisang. Sekiranya tidak mampu untuk menulis atau bercakap perkara yang baik-baik, kita boleh berkongsi ilmu yang diperolehi kepada orang lain melalui pelbagai cara seperti platform media sosial. Jika terlihat ada sampah di jalanan, boleh sahaja kita kutip dan buang di dalam tong sampah berhampiran. Jika ternampak ada halangan di jalanan yang boleh mengganggu, boleh sahaja dialihkan. Walaupun sesetengah perkara tersebut kelihatan remeh, namun ganjarannya besar di sisi Allah SWT kerana kita telah membantu memudahkan urusan orang lain. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bermaksud “Aku telah melihat seseorang yang bersenang-senang di dalam syurga kerana dia telah membuang kayu yang berjuntai di jalan dan kayu tersebut mengganggu orang yang lalu.” (Riwayat Muslim). Sesungguhnya banyak ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka yang yang melakukan kebaikan. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa ada seseorang yang menemui Nabi SAW, lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah, sedekah yang mana yang lebih besar pahalanya?” Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka janganlah kamu menundanya hingga tiba nyawamu berada di halkum. Lalu kamu berkata, yang ini milik si polan dan yang itu milik si polan. Padahal harta itu sudah menjadi
186 milik si polan (ahli warisnya).” (Riwayat Al-Bukhari). Firman Allah dalam al-Quran surah Fussilat ayat 46 yang bermaksud “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” Justeru marilah kita semua mengerjakan amal kebaikan secara beristiqamah sehingga ke akhir hayat walaupun mungkin tidak diketahui ramai orang. Allah SWT amat menyukai amal kebajikan yang dilaksanakan secara berterusan sehingga menjadi rutin kebiasaan. Berdoalah agar diberikan keteguhan dalam melakukan kebaikan sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud “Ya Allah, Engkau yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepadaMu!”. (Riwayat Muslim).
USAH KABURI KEBAIKAN DENGAN KEBURUKAN 32 187
188
189 Usah kaburi kebaikan dengan keburukan Saban hari kita seakan semakin keliru untuk memilih antara teladan yang baik dengan yang buruk apabila melihat pelbagai tingkah laku menjengkelkan dan menyalahi ajaran agama seperti yang dipertontonkan oleh sebahagian masyarakat. Situasi tersebut ditambah lagi dengan budaya tidak sihat khususnya di media sosial yang mendorong manusia berlumbalumba mengejar populariti bagi mendapatkan sokongan sekali gus meraih keuntungan. Golongan itu mempromosi berlebihlebihan, meminta-minta serta menagih simpati orang ramai dengan alasan untuk membantu orang susah dan memerlukan. Mereka sengaja mencipta kontroversi untuk lebih dikenali dalam masa yang sama berbangga mencanang segala amalan kebajikan. Sedangkan perbuatan tersebut bercanggah dengan kaedah fiqh yang menetapkan bahawa “Tujuan tidak membenarkan cara.” Sebahagian amalan kebajikan dilakukan dicampuradukkan dengan perbuatan dosa dan maksiat bukan bertujuan untuk bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Lebih parah lagi apabila kebajikan dilakukan untuk mengaburi mata orang ramai agar melupakan perbuatan dosa dan maksiat yang dikerjakan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 42 yang bermaksud “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” Ajaran Islam menegah perbuatan mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan bukan hanya dalam aspek akidah, tetapi syariah dan akhlak kerana akan mengelirukan dan mengaburi kebenaran. Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di
190 antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” (Riwayat al-Bukhari). Perbuatan mengaburi kejahatan dengan kebaikan merupakan jejak langkah Iblis sebagaimana kisah Iblis diusir dari syurga dan berpura-pura baik menggoda nabi Adam AS dan Hawa agar perbuatan derhakanya tidak dilihat salah. Firman Allah dalam Surah Taha ayat 120-121 yang bermaksud: “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masingmasing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).” Namun perbezaan antara nabi Adam AS dan Hawa dengan Iblis ialah mereka berdua bertaubat kepada Allah SWT setelah melakukan kesalahan sedangkan Iblis berterusan kufur dan ingkar. Perkara tersebut dijelaskan dalam al-Quran Surah Taha ayat 122 yang bermaksud: “Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.” Manakala Iblis kekal dalam kesesatan dan menyesatkan umat manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Hijr ayat 39 yang bermaksud: “Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku
191 sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.” Justeru, sudah menjadi tabiat Iblis mengaburi perbuatan buruk manusia agar kelihatan baik dan membisikkan pujian terhadap perbuatan tersebut agar manusia seronok melakukan maksiat dan kejahatan. Jika seseorang mendakwa melakukan kebajikan untuk bertaubat, dia perlu berazam tidak mengulangi perbuatan dosa dan maksiat. Imam Nawawi menjelaskan jika kemaksiatan berlaku antara seorang hamba kepada Allah SWT, maka untuk bertaubat haruslah memenuhi tiga syarat iaitu segera hentikan semua kemaksiatan, merasa menyesal kerana melakukan kemaksiatan, dan berniat tidak mengulangi perbuatan maksiat itu untuk selama-lamanya. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 17 yang bermaksud: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Jauhilah sifat orang munafik seperti talam dua muka, mencampuradukkan antara perbuatan iman dan kufur serta melakukan amalan kebaikan untuk menyembunyikan kejahatan agar menjadi asbab terus menerus melakukan perbuatan dosa. Kebaikan yang dilakukannya hanyalah untuk mendapat pujian manusia bukan bertujuan mentaati perintah Allah SWT. Sifat golongan munafik ini digambarkan dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 14-16 yang bermaksud: “Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-
192 olok (akan orang-orang yang beriman).” Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.” Marilah kita memperbetulkan niat dan melakukan tindakan yang selaras dengan panduan syariat agar rezeki dan kehidupan mendapat keberkatan. Setiap perbuatan yang dilakukan tanpa menitikberatkan aspek keimanan menjadikan amalan dibuat sia-sia sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Wahai orang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”