The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Menghimpunkan artikel Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menyentuh pelbagai topik berkaitan dakwah dan khidmat JAWI kepada ummah

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Rak Buku Maya Al-Busyra JAWI, 2023-05-25 21:21:59

DAKWAH TAK USAH LELAH 3

Menghimpunkan artikel Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menyentuh pelbagai topik berkaitan dakwah dan khidmat JAWI kepada ummah

JAHIL, EGO, TAASUB 33 193


194


195 Jahil, ego, taasub Sebahagian manusia masih terjebak dalam kesesatan sama ada disebabkan belum menerima seruan Islam mahupun sudah sampai dakwah Islam kepadanya. Kesesatan terbabit berpunca dari pelbagai faktor seperti kejahilan dalam aspek akidah, syariah ataupun akhlak. Masyarakat Arab jahiliah suatu ketika dahulu digelar sebagai jahil kerana mereka mencampuradukkan kepercayaan agama dengan penyembahan berhala, amalan sihir dan khurafat. Jahil adalah salah satu sifat keji kerana mendorong kepada tindakan mendustakan Allah dan rasul, sombong, degil, syirik dan melampau. Kejahilan dalam beragama pula adalah suatu keadaan yang tercela sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 198-199 yang bermaksud: “Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat. Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).” Seseorang yang jahil tidak mempunyai pengetahuan sebenar terhadap sesuatu perkara atau kepercayaan. Lebih parah lagi jika golongan ini mendakwa bahawa mereka berada di pihak benar, sekali gus menimbulkan keraguan kepada pihak lain. Kesesatan juga berpunca dari sumber ilmu yang tidak sahih dan diragui seperti dakwaan atau mimpi individu tertentu, laman web dan media sosial yang tidak berautoriti serta bahan rujukan yang tidak ditashihkan oleh mana-mana ilmuwan dan pakar dalam bidang agama. Selain itu, mempelajari ilmu daripada guru dan pembimbing yang tidak mempunyai keahlian dalam agama


196 juga menjadi punca terjerumus ke lembah kesesatan. Sebagai contoh, sebahagian golongan mendakwa mengikuti ajaran tasawuf dan tarekat, tetapi menyeleweng sehingga tidak lagi menunaikan solat kerana kononnya sudah mencapai maqam tertentu, menyanjungi guru setaraf dengan Rasulullah SAW dan pelbagai lagi. Justeru cari guru yang memiliki ilmu dan salasilah yang betul, takut kepada Allah SWT, muktabar dan menepati ciriciri guru yang mengajar dan mendidik. Sifat taasub dalam beragama juga boleh membutakan mata dan hati kepada kebenaran, enggan menerima teguran serta tidak mahu mengakui kesalahan dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Sifat fanatik dan taasub adalah dilarang Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Maidah ayat 77 yang bermaksud: “Katakanlah Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” Kaum Nabi Nuh AS suatu ketika dahulu begitu taasub sehingga membuat patung dan menamakan dengan nama orang soleh yang mereka kagumi dan ikuti serta akhirnya menjadi berhala sembahan. Kesesatan juga disebabkan oleh sifat ego, degil, menentang dan menolak kebenaran sebagaimana yang berlaku ke atas kaum keluarga Nabi Nuh AS. Perkara terbabit dijelaskan Allah SWT dalam surah Hud ayat 46 yang bermaksud: “Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya


197 Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil.” Sifat ego juga digambarkan melalui penolakan iblis terhadap perintah Allah SWT sehingga akhirnya diusir dari syurga seperti firman Allah dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 34 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.” Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” Sebahagian orang pula terjebak dalam kesesatan kerana mengutamakan kepentingan duniawi seperti kekuasaan dan pengaruh, keuntungan kebendaan dan hasutan hawa nafsu. Perkara terbabit dijelaskan dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 175- 176 yang bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi, ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.” Sebahagian riwayat menyatakan ayat terbabit merujuk kepada kisah mengenai seorang lelaki yang bernama Bal’ah atau Barsisah, pengikut Nabi Musa AS. Beliau adalah seorang yang menguasai kitab Taurat, tetapi terpesona dengan keindahan dunia sehingga sanggup mengutamakan dunia berbanding akhirat.


198 Mari kita semua kembali kepada ajaran Islam dengan merujuk kepada ilmuwan sebenar dalam agama seperti yang ditegaskan Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 43 bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” Rasulullah SAW memberikan amaran bahawa memperkatakan sesuatu tanpa ilmu akan membawa kepada kesesatan sebagaimana maksud sebuah hadis daripada Amru bin al-As beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara sekaligus daripada hamba-hamba-Nya, tetapi mengangkatnya dengan cara mematikan ulama sehingga tidak ada lagi orang alim, orang ramai mengangkat pemimpin yang jahil (menjadi pemimpin mereka). Pemimpin itu ditanya mengenai sesuatu isu, lalu mereka mengeluarkan fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain.” (Riwayat alBukhari dan Muslim). Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) beriltizam untuk terus memberikan kesedaran, kefahaman dan pengukuhan terhadap pegangan ajaran Islam berlandaskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah supaya dapat menjadi benteng kepada ancaman pelbagai ajaran dan kepercayaan yang menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar. Selain memperkukuhkan kefahaman akidah melalui program penerangan dan pendidikan, JAWI turut melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 bagi mengelakkan umat Islam terjerumus dalam kesesatan dan penyelewengan.


FATWA SUMBER RUJUKAN UMMAH 34 199


200


201 Fatwa sumber rujukan ummah Fatwa seringkali menjadi perhatian dan rujukan umat Islam apabila berhadapan dengan pelbagai isu semasa berkaitan hukum agama. Sesuatu fatwa diperlukan bagi menjawab sebarang permasalahan yang dikemukakan masyarakat tentang perkara yang tidak mempunyai hukum jelas daripada sumber al-Quran dan al-Sunnah. Sebagai contoh, beberapa bulan yang lalu, fatwa berkaitan pengharaman rokok, vape dan e-cigarette kembali menarik perhatian apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat dalam usaha melahirkan generasi yang bebas daripada tabiat merokok. Fatwa secara umumnya dapat difahami sebagai pandangan atau penjelasan mengenai hukum syarak daripada mufti dan institusi kefatwaan sama ada diwartakan oleh pihak kerajaan ataupun tidak. Amalan merujuk kepada pandangan ilmuwan dan mufti dalam merungkai permasalahan agama adalah selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran pada Surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan daripada kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” Perkara itu juga bersesuaian dengan kaedah yang dibahaskan oleh ulama iaitu mazhab orang awam adalah berdasarkan fatwa muftinya. Ulama yang muktabar memberikan fatwa berdasarkan manhaj dan pendekatan tertentu melalui keilmuan, keikhlasan, amanah serta berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Misalnya Imam al-Syafii diketahui dengan fatwa yang mengambil kira situasi masyarakat setempat sehingga menghasilkan dua


202 himpunan pandangan ketika berada di Iraq iaitu ‘qaul qadim’ dan ketika berada di Mesir iaitu ‘qaul jadid’. Dalam hal itu, Ibn Qayyim al-Jawzi menyatakan terdapat satu kaedah bahawa fatwa boleh berubah berdasarkan perubahan tempat, zaman, situasi, motif (niat) dan risiko. Justeru kajian dan penelitian amat diperlukan di samping menguruskan khilaf atau pandangan yang berbeza dan mentarjihkan dalil yang bercanggahan agar fatwa yang dikeluarkan benar-benar berperanan menyantuni permasalahan yang dihadapi oleh ummah. Perkara itu seiring dengan pandangan Imam al-Syafii sendiri yang menyatakan bahawa sesuatu ilmu (hukum) itu diambil daripada dalil yang lebih kuat. Ajaran Islam melalui keseluruhan syariatnya adalah bersifat syumul (menyeluruh) dan murunah (anjal) yang sesuai pada setiap zaman serta tempat. Justeru sifat itu mesti diterjemahkan dalam kehidupan seharian masyarakat melalui pandangan hukum atau fiqh yang meraikan keperluan zaman. Perkara itu juga demi mengelakkan hukum-hakam Islam menjadi jumud dan beku ketika berhadapan dengan perubahan zaman, situasi serta tempat. Satu fatwa yang berkualiti dibuat dengan mengambil kira metode yang digunakan oleh ulama silam, menganalisis penulisan kitab silam dan mengambil kira situasi hukum yang diguna pakai. Dalam hal ini, Imam al-Shafii menyatakan bahawa seseorang itu tidak diperintahkan agar berhukum dengan sesuatu kebenaran sehinggalah dia (benarbenar) mengetahui kebenaran tersebut. Pendekatan inilah yang digunakan oleh ilmuwan terkemuka seperti Yusuf al-Qaradawi, Muhammad Abu Zahrah dan Muhammad al-Ghazali yang mengeluarkan pandangan hukum berpandukan analisis nas serta konteks semasa dengan mengutamakan proses saringan data serta mengambil kira penemuan baharu.


203 Di dalam mengeluarkan sesuatu fatwa, al-Shatibi menegaskan bahawa pentarjihan di antara pandangan yang ada itu perlu dilakukan demi menjauhkan diri daripada mengikut hawa nafsu di samping menjamin hukum yang dikeluarkan lebih mencapai matlamat syarak atau maqasid al-syariah. Fatwa dan ijtihad itu akhirnya akan membawa umat Islam amnya dan ulama serta ahli akademik Islam khususnya kepada percambahan pemikiran dengan memanfaatkan kekuatan akal, perdebatan dan perbincangan serta kajian yang bertujuan membawa kebaikan kepada ummah. Perkara itu, sekali gus menyerlahkan bahawa syariat Islam adalah sesuai diamalkan sepanjang zaman. Golongan cendekiawan, ahli akademik dan alim ulama perlu memainkan peranan untuk melihat permasalahan yang timbul serta menerangkan hukumnya berdasarkan pandangan mazhab tertentu. Jika tidak ada perbahasan dalam perkara berkenaan, maka mereka perlu menggunakan daya pemikiran untuk mengeluarkan hukum berdasarkan sumber perundangan syariat dan pandangan ulama muktabar dengan syarat memenuhi tuntutan maqasid syariah. Dalam sesetengah kes berkaitan kesalahan jenayah syariah, fatwa diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang dilakukan. Bahkan kesalahan melanggar fatwa turut disenaraikan sebagai satu kesalahan jenayah syariah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997. Di Malaysia apabila sesuatu fatwa telah diwartakan, ia dianggap sebagai undangundang dan setiap individu Muslim di negeri berkenaan terikat dengan fatwa itu. Sebagai contoh di Wilayah-Wilayah Persekutuan, sesiapa yang melanggar fatwa yang diwartakan akan dianggap melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 9 iaitu menghina atau mengingkari pihak berkuasa


204 agama dan Seksyen 12 iaitu pendapat yang bertentangan dengan fatwa berdasarkan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WilayahWilayah Persekutuan) 1997 Akta 559. Di peringkat Persekutuan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) atau nama lamanya iaitu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ditubuhkan sejak awal 1970 sebagai platform yang membincangkan isu semasa daripada perspektif hukum-hakam agama. Pelbagai kajian dibentangkan oleh ahli yang berkepakaran dalam bidang masing-masing termasuk sains dan perubatan sebelum sesuatu pandangan hukum dimuktamadkan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut membangunkan portal Sumber Maklumat alAhkam al-Fiqhiyyah atau e-SMAF yang menghimpunkan fatwa dan pandangan hukum bagi rujukan masyarakat. Di peringkat Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menyediakan kemudahan portal e-Fatwa di samping Irsyad Fatwa, Bayan Linnas dan Al-Kafi Li-Al-Fatawi yang boleh dijadikan sumber rujukan hukum berkaitan isu semasa sebagai pencerahan kepada ummah.


BUAT PILIHAN TEPAT 35 205


206


207 Buat pilihan tepat Setiap manusia diberikan kebebasan untuk membuat pilihan dalam kehidupan dan menanggung kesan serta akibat daripada sesuatu pilihan yang dibuat. Pilihan tersebut adalah antara perkara kebaikan dan keburukan atau jalan kebenaran dan kebatilan. Allah SWT menciptakan manusia secara fitrahnya cenderung ke arah kebaikan dan kebenaran sebagaimana firman Allah dalam  surah al-A’raf ayat 172  yang bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada Hari Kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” Walaubagaimanapun Allah SWT juga memberikan kebebasan kepada manusia untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Justeru terpulanglah kepada kita untuk memilih sama ada mahu menerima petunjuk yang disediakan dan bersyukur dengannya ataupun menjadi orang yang ingkar terhadap kebenaran yang telah ditunjukkan. Firman Allah SWT dalam al-Quran  surah al-Insan ayat 3  yang bermaksud: “(Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat) ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).” Selain membuat pilihan antara pegangan iman dan kufur,


208 manusia juga diberikan kebebasan untuk memilih ketua dan pemimpin bagi mentadbir kehidupan bermasyarakat. Namun ajaran Islam menggariskan ciri-ciri kepemimpinan yang perlu dipertimbangkan iaitu Al-Qawiy dan Al-Amin atau kuat, cekap dan berintegriti. Perkara tersebut dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran  surah al-Qasas ayat 26  yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” Kuat bermaksud mempunyai kemampuan untuk mentadbir dari sudut fizikal dan sihat tubuh badan, kemampuan berfikir dan menyelesaikan permasalahan, mempunyai daya kreativiti yang tinggi, memiliki kebijaksanaan dan melaksanakan keadilan kepada semua tanpa mengira agama dan bangsa. Manakala amanah atau berintegriti pula bermaksud seseorang yang boleh dipercayai, tidak mengambil kesempatan dengan kedudukan yang diperoleh untuk kepentingan peribadi serta menunaikan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin, jujur dalam kata-kata dan tidak memungkiri janji. Selain daripada kuat dan amanah, seorang pemimpin yang baik juga wajar dipilih dalam kalangan mereka yang komited melaksanakan tuntutan dan syariat Islam. Kita juga disarankan untuk membuat pilihan bagi menyokong sebarang kempen dan seruan ke arah kebajikan. Ajaran Islam menggalakkan umatnya agar saling membantu dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan. Allah SWT memerintahkan setiap manusia untuk saling tolong-menolong di dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, sebaliknya melarang dari saling membantu di dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-


209 Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” Antara pilihan terpenting yang perlu dibuat dalam muamalah seharian pula ialah memilih untuk memelihara hubungan silaturahim dan menjauhkan diri daripada sebarang perbalahan dan perpecahan yang merugikan. Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 103  yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Janganlah engkau semua saling benci-membenci, saling dengki-mendengki, saling belakang-membelakangi dan saling putus-memutuskan (ikatan persahabatan atau kekeluargaan) dan jadilah engkau semua hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidaklah halal bagi seseorang Muslim kalau ia meninggalkan (yakni tidak menyapa) saudaranya lebih tiga hari.” (Muttafaq ‘alaih) Kita juga diperintahkan agar memilih untuk memelihara lisan dengan berdiam diri daripada berkata-kata yang tidak bermanfaat atau mengguris perasaan orang lain. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau lebih baik diam (jika tidak mampu berkata baik)” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru


210 tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). Segala bentuk dosa yang berlaku akibat daripada pertuturan lisan yang tidak terkawal hendaklah dijauhi seperti pembohongan, ucapan yang sia-sia dan melalaikan, pertengkaran, penghinaan, mempersendakan, mengaibkan, memfitnah dan pelbagai lagi. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Waspadalah terhadap pembohong! Sebab pembohong dan orang-orang yang zalim sama-sama dalam neraka” -  (Riwayat Ibnu Majah). Firman Allah SWT dalam al-Quran  surah al-Mu’minun ayat 3 yang bermaksud: “Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” Hanya manusia yang membuat pilihan tepat dalam segenap urusan hidupnya serta menjadikan syariat Islam sebagai panduan akan dapat menikmati ketenangan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Sebaliknya mereka yang melakukan kesilapan dalam membuat pilihan akan sering menyesal dan berharap diberikan peluang untuk membuat pilihan berulang kali sebagaimana firman Allah dalam  surah al-Mu’minun ayat 99 yang bermaksud: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia).”


BOLA SEPAK DAN PENYATUAN 36 211


212


Bola sepak dan penyatuan Acara perasmian pembukaan kejohanan bola sepak Piala Dunia di Qatar baru-baru ini adalah sesuatu yang mengujakan dan menarik perhatian banyak pihak. Buat pertama kalinya majlis gilang-gemilang dan berprestij yang dianjurkan semenjak tahun 1930 itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari Ghanim al-Muftah iaitu seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang dilahirkan dengan penyakit gangguan perkembangan bahagian bawah badan (CDS). Beliau membacakan potongan ayat al-Quran beserta maksud sejurus selesai tayangan filem digital mengenai peradaban kuno padang pasir dengan paus yang terbang di langit dinaratifkan oleh pelakon terkenal Amerika Syarikat, Morgan Freeman. Kisah tersebut menceritakan tentang kemanusiaan dan penyatuan manusia selaras dengan mesej ayat al-Quran yang dibacakan iaitu  surah al-Hujurat ayat 13  yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” Persembahan memukau penonton pada malam tersebut menyerlahkan identiti negara dan warganya yang komited memartabatkan bangsa, budaya dan agama. Pebagai media melaporkan bahawa penganjur turut menyediakan kemudahan dengan pengisian penyebaran mesej dakwah bil hal yang dilakukan secara tidak langsung. Antara aktiviti tersebut adalah seperti mempromosikan keindahan Islam di bilik-bilik hotel melalui kod bar yang memperkenalkan ajaran Islam, hadis dan definisi mudah akidah Muslim. Qatar juga menukar bilal masjid dan membawa masuk mereka yang bersuara indah untuk melaungkan azan. Mikrofon juga disediakan di stadium untuk 213


214 laungan azan. Pusat Pengunjung Qatar juga menyediakan pasukan seramai 2,000 orang untuk menyeru kepada ajaran Islam serta memperuntukkan kereta bergerak dan khemah khusus untuk tujuan tersebut. Pameran Islam turut dianjurkan dalam pelbagai bahasa oleh Kementerian Wakaf, selain menyediakan tempat solat dan berwuduk di stadium buat pertama kali dalam sejarah Piala Dunia. Selain itu, Fifa juga mengesahkan tiada penjualan alkohol di lapan stadium yang menganjurkan 64 perlawanan sepanjang kejohanan tersebut. Mengimbas kembali situasi di dalam negara kita Malaysia, beberapa siri perlawanan bola sepak dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil seperti Piala AFC yang melibatkan pertembungan di antara pasukan KL City dan Al Seeb dan terbaharu perlawanan akhir Piala Malaysia melibatkan pasukan Johor menentang Selangor. Bagi memastikan kemaslahatan umat Islam serta tuntutan maqasid syariah sentiasa terpelihara, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut bertindak menyediakan kemudahan Surau Bergerak di pekarangan stadium bagi pengunjung menunaikan solat dan berwuduk sebagai tambahan kepada kemudahan sedia ada. Inisiatif tersebut adalah selaras dengan saranan Ketua Setiausaha Negara di dalam Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama seluruh Malaysia supaya para pentadbir agama menyemarakkan budaya inovasi dan meningkatkan kreativiti agar bukan sekadar menyediakan perkhidmatan sebaliknya menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat Islam dan pelanggan sekali gus membantu menyuburkan penghayatan agama dalam kehidupan dengan memelihara tiang utamanya iaitu solat pada bila-bila masa walau di mana-mana jua berada. Sukan bola sepak seringkali mempertemukan kawan dan lawan


215 daripada pelbagai latar belakang yang berbeza namun disatukan atas semangat kesukanan dan setiakawan. Para penyokong hadir beramai-ramai dari jauh dan dekat memberikan sokongan kepada pasukan yang diminati lebih-lebih lagi apabila pasukan masing-masing mewakili negeri atau negara di persada asia dan dunia. Suatu ketika dahulu, filem tentang bola sepak bertajuk Ola Bola iaitu sebuah karya yang dihasilkan oleh pengarah filem tempatan memenangi pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara kerana bukan sekadar menceritakan tentang sejarah kecemerlangan dan prestasi membanggakan yang pernah dikecapi oleh negara di rantau Asia, tetapi juga menggambarkan bahawa sukan bola sepak dapat bertindak sebagai wadah yang menyatukan pelbagai bangsa dan agama di atas semangat muhibah. Begitulah iktibar yang boleh dijadikan pedoman dari sebuah perlawanan bola sepak. Acara tersebut bukan sekadar menjadi medan yang menyaksikan sorakan dan tempat para penyokong mengekspresikan emosi, tetapi menyeru semua pihak untuk menyusun dan merapatkan kembali saf kesepaduan yang menjadi asas kemenangan dan kecemerlangan. Firman Allah SWT dalam surah al-Saf ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” Dalam konteks negara kita Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu dijadikan panduan pada setiap masa demi memelihara kesepaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mesti terus dipertahankan di samping membenarkan hak-hak penganut agama lain untuk terus bebas mengamalkan agama secara berhemah dan aman sebagaimana yang diperuntukkan.


216 Ajaran Islam menggariskan kaedah dan prinsip yang jelas berkaitan kehidupan bersama (ta’ayush) dalam kemajmukan masyarakat. Fiqh  ta’ayush  seharusnya dijadikan pedoman sebagai jambatan yang mempertautkan. Sifat persefahaman dan bertolak ansur dalam kalangan masyarakat walaupun berlainan agama menarik minat golongan bukan Islam kepada ajaran Islam. Hubungan baik antara masyarakat Islam dan bukan Islam akhirnya membentuk integrasi nasional yang menyumbang kepada kesejahteraan negara. Perbezaan agama dan budaya bukanlah menjadi alasan permusuhan yang merenggangkan hubungan. Melalui kefahaman sebenar, bertolak ansur dalam berkomunikasi serta sifat santun dalam pergaulan menjadi jambatan mempererat hubungan. Walauapapun agenda dan ikhtiar kita dalam membangunkan bangsa dan negara, kunci utamanya adalah semangat kesepaduan yang tidak dikesampingkan dan pegangan agama yang sentiasa menjadi paksi dan teras kehidupan. Ayuh kita bersama-sama berganding bahu dalam membina negara agar hasil mahsulnya dapat dinikmati bersama. Usaha tersebut penting untuk dilaksanakan agar lahir negara yang makmur sekali gus menepati ciri-ciri negara ‘Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur’ iaitu sebuah negara gemilang yang bukan sahaja kaya dan maju, bahkan merupakan sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada Allah. Firman Allah SWT dalam  surah al-A’raaf ayat 96  yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi) sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”


SUBURKAN AGENDA ISLAH 37 217


218


Suburkan agenda islah Perkongsian di Facebook rasmi Perdana Menteri Malaysia tentang lukisan oleh seorang kartunis tersohor tanah air iaitu Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat baru-baru ini menarik perhatian banyak pihak terutamanya dalam kalangan warganet. Lukisan tersebut menggambarkan budaya membaca dalam kalangan kakitangan di pejabat Perdana Menteri suatu masa dahulu. Kata Perdana Menteri, budaya membaca perlu dipupuk terutama dalam kalangan generasi muda malah karya-karya besar perlu ditelaah oleh golongan tersebut supaya dapat mencambah daya fikir yang kritis sekali gus membuang jauh sifat bebal. Dalam amanat yang disampaikan sempena Program Pertemuan Mahabbah Ulama dan Asatizah yang lalu, Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman beliau meluangkan masa untuk menelaah kitab Munyatul Musolli karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau juga menekankan tentang peranan ulama dan umara serta guru-guru agama bagi mendidik, berdakwah, memberikan kesedaran serta mempertahankan tradisi ilmu dan akliah agar lahir umat pertengahan seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” Membaca sememangnya menjadi jambatan yang menghubungkan manusia dengan ilmu dan amal. Seorang sarjana dan pemikir Islam terkemuka iaitu Ali Syariati 219


220 memperkenalkan istilah Rausyan Fikr untuk menggambarkan tentang kepentingan fungsi dan peranan ilmu serta amal dalam membina tamadun dan peradaban manusia. Terdapat banyak ayat di dalam al-Quran yang memerintahkan untuk menggunakan potensi akal yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Golongan yang menggunakan akal fikiran disifatkan sebagai Ulul-Albab iaitu manusia yang menyedari keberadaan dirinya serta tanggungjawab terhadap Tuhan untuk membawa perubahan dalam kalangan masyarakat ke arah kebaikan. Manusia yang digelar sebagai Ulul-Albab melalui proses pengembangan keilmuan, pemikiran dan akhirnya membentuk sebuah keperibadian yang unggul. Golongan yang berilmu dan beriman dimuliakan di sisi Allah SWT serta menjadi tempat rujukan ummah sebagaimana firman Allah dalam  surah al-Nahl ayat 43  yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan daripada kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” Selain itu, Allah SWT juga memuliakan golongan tersebut sebagai orang yang paling takut terhadap-Nya seperti dinyatakan di dalam surah al-Fatir ayat 28 yang bermaksud: “Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” Seseorang individu yang mempunyai ciri-ciri Rausyan Fikr atau Ulul-Albab mestilah menguasai ilmu pengetahuan, mengambil iktibar dari peristiwa sejarah dan kejadian alam dengan mengkaji fakta-fakta penting yang terkandung di dalamnya. Firman Allah


221 SWT dalam surah Az-Zumar ayat 21 yang bermaksud: “Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan-Nya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orangorang yang berakal sempurna.” Ulul-Albab atau Rausyan Fikr juga adalah golongan manusia yang mempunyai kesedaran dan gerak hati yang tinggi untuk membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik. Justeru golongan tersebut bukan sahaja memiliki daya intelektual melalui pemahaman dan penguasaan ilmu tetapi juga melibatkan diri secara aktif dalam menangani isu dan permasalahan yang dihadapi oleh ummah seperti penjajahan, penindasan, dan kesenjangan ekonomi. Mereka juga komited melaksanakan pelbagai usaha dan agenda islah atau perubahan demi kemajuan negara dan masyarakat selaras dengan firman Allah dalam al-Quran  surah al-Ra’d ayat 11  yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Budaya membaca mesti dimulakan dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Di Wilayah Persekutuan, persekitaran budaya ilmu dan membaca dihidupkan melalui pelbagai program keilmuwan dan pengimarahan di institusi masjid dan surau. Di Masjid Wilayah Persekutuan, program pengajian Jilsah Ulama diadakan bertujuan menyemarakkan kembali tradisi ilmu berasaskan kitab-kitab turath seperti kitab Minhaj Al-Talibin karya Imam Al-


222 Nawawi. Selain itu, program Pondok Masjid juga menawarkan pengajian agama bermodul berpandukan kitab rujukan yang muktabar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu. Sesetengah masjid turut menyediakan perpustakaan mini bagi kemudahan jemaah dan ahli kariah sebagaimana disarankan di dalam Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2021-2024. Penerbitan kitab-kitab lama sebagai rujukan kelas-kelas pengajian di masjid diusahakan misalnya Kitab Matla’ al-Badrain yang pernah dirumikan dan diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 1993. Buku tersebut disusun semula dengan bahasa yang moden dan mudah supaya lebih senang difahami. Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jakim juga beberapa kali menganjurkan program membedah buku bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga agensi agama. Semua inisiatif yang dilakukan bagi melahirkan generasi celik ilmu sekali gus menjayakan agenda islah.


GANJARAN BESAR BERBUAT IHSAN SESAMA MAKHLUK 38 223


224


Ganjaran besar berbuat ihsan sesama makhluk Negara Malaysia tercinta kini dilanda beberapa tragedi dan musibah yang menuntut kerjasama dan kebersamaan semua pihak bagi menanganinya. Pertengahan bulan ini kita dikejutkan dengan peristiwa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali yang melibatkan 92 mangsa dan mengorbankan 31 nyawa. Pada masa yang sama, fenomena banjir juga melanda beberapa kawasan terutama di negeri pantai timur. Musibah banjir itu juga turut mengorbankan beberapa nyawa. Di sebalik peristiwa dan tragedi yang berlaku di seluruh negara, sering kali khidmat pasukan penyelamat yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa yang terkesan. Pasukan berkenaan melaksanakan tugas dan berjuang membantu orang ramai dalam misi mencari dan menyelamat di lokasi bencana seperti banjir dan tanah runtuh. Sebahagian daripada mereka terpaksa menanggung kesukaran dan kepayahan seperti meninggalkan ahli keluarga dan anak isteri, ditimpa kecederaan dan kepenatan bahkan ada yang turut terkorban. Media melaporkan seorang anggota APM yang cedera sewaktu operasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali manakala Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor juga dikejarkan ke hospital akibat mengalami keletihan dan strok ringan. Justeru ketahanan fizikal dan mental amat diperlukan sewaktu melaksanakan misi bantuan di lapangan. Situasi itu dapat 225


226 difahami berdasarkan pengalaman penulis sendiri ketika terlibat dalam tugasan pengurusan jenazah orang Islam susulan tragedi penerbangan MH17 di Kiev Ukraine dan Den Haq, Belanda sekitar 2014. Mengambil kira pengalaman dalam menguruskan jenazah Covid-19 yang berisiko tinggi dan penglibatan pasukan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memberikan beberapa khidmat kaunseling keagamaan kepada mangsa musibah dan bencana, JAWI dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan Pelan Tindakan Strategik Pemerkasaan Daya Tahan Psikologi Pegawai dan Kakitangan Dalam Menguruskan Kes Bencana, Wabak dan Kerja Berisiko 2022-2026 sebagai sokongan psikologi serta memantapkan daya tahan bagi menangani sebarang situasi musibah. Dalam sebahagian situasi bencana, bukan hanya sekumpulan manusia yang bertindak sebagai anggota penyelamat bahkan aksi haiwan seperti anjing juga digunakan bagi operasi pencarian di lokasi kejadian. Daripada sudut pandangan syarak, penggunaan khidmat anjing berkenaan adalah diharuskan kerana mempunyai ciri yang sama seperti anjing yang digunakan untuk memburu. Keharusan itu bersandarkan terdapatnya maslahah atau keperluan bagi membantu mempercepatkan proses pencarian serta menjadi sebahagian tanda rahmat Allah SWT untuk memudahkan urusan manusia. Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di dalam portal pandangan hukum Al-Kafi menegaskan adalah lebih baik diuruskan oleh individu yang bukan beragama Islam. Sekiranya diuruskan oleh orang Muslim, dia perlu melakukan sertu jika menyentuh anjing berkenaan. Allah SWT mengurniakan ganjaran yang besar kepada golongan yang berusaha menjaga keselamatan dan menyelamatkan nyawa orang lain sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Maidah ayat


227 32  yang bermaksud “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” Dalam mentafsirkan ayat itu, sebahagian ahli tafsir berpandangan bahawa orang yang menyelamatkan nyawa satu sama lain seperti menyelamatkan seluruh manusia. Ini seperti menyelamatkan orang tenggelam atau terbakar, doktor yang mengubati pesakit, pihak polis menghentikan kegiatan jenayah dan kejahatan sebelum terjadi, hakim mengenakan hukuman mati terhadap pembunuh dan semua pihak yang memainkan peranan dalam menyelamatkan nyawa. Golongan itu juga mendapat pahala seakan-akan menyelamatkan seluruh manusia bahkan orang lain wajib untuk berterima kasih serta mengelakkan diri daripada melontarkan tohmahan dan kata-kata kesat kepada mereka. Menghulurkan bantuan dan berbuat kebajikan atau ihsan sesama insan atas sifat kemanusiaan merentasi sempadan agama dan bangsa amatlah digalakkan lebih-lebih lagi sesama Muslim. Perbuatan itu selaras dengan saranan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Seorang Muslim ialah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat…”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, JAWI juga terlibat membantu menguruskan pengebumian jenazah seorang mangsa yang terkorban dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh Gombak. Skuad Musaadah agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menziarahi waris terdekat dan menyampaikan sedikit sumbangan untuk meringankan beban.


228 Syabas dan tahniah atas pengorbanan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pasukan penyelamat sepanjang melaksanakan tugasan yang amat mencabar. Marilah kita bersama-sama mendoakan kemudahan dan keselamatan buat pasukan penyelamat yang berada di lapangan agar sentiasa di bawah naungan dan perlindungan Allah SWT berbekalkan semangat daripada firman-Nya dalam  Surah ali Imran ayat 200 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara yang berkebajikan), kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan), bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah sempadan) dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).


Click to View FlipBook Version