The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Menghimpunkan artikel Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menyentuh pelbagai topik berkaitan dakwah dan khidmat JAWI kepada ummah

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Rak Buku Maya Al-Busyra JAWI, 2023-05-25 21:21:59

DAKWAH TAK USAH LELAH 3

Menghimpunkan artikel Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menyentuh pelbagai topik berkaitan dakwah dan khidmat JAWI kepada ummah

ISTIMEWA REJAB: BULAN IBADAH SOLAT 08 43


44


45 Istimewa Rejab: Bulan ibadah solat Kedatangan bulan Rejab mengingatkan kita tentang ketibaan Ramadan yang semakin hampir. Bulan Rejab juga lazimnya diingati dengan peristiwa penting yang berlaku di dalamnya seperti perintah kefarduan solat serta Israk dan Mikraj. Bulan Rejab mempunyai kelebihan yang tersendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Taubah ayat 36 bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orangorang yang bertakwa.” Bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (Riwayat al-Bukhari) Ibn Kathir di dalam tafsirnya menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Manakala amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.


46 Hakikatnya, kewajipan untuk melaksanakan segala ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT bukanlah terbatas pada waktu dan musim tertentu. Namun kedatangan bulan Rejab yang merupakan salah satu daripada bulan istimewa bagi umat Islam boleh dijadikan iktibar dan detik penting agar kita berusaha memanfaatkan peluang dan kesempatan untuk meningkatkan amalan dan ibadah kepada Allah SWT sebagai tanda kesyukuran dan kecintaan kepada-Nya. Perintah solat yang pertama kali diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dalam bulan Rejab adalah ibadah paling utama yang menjadi asas hubungan antara hamba dengan Pencipta serta menjadi kunci kesejahteraan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Oleh itu umat Islam dituntut agar memelihara solat pada setiap waktu dan ketika. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 238 bermaksud: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.” Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dibina Islam atas lima perkara; penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa Ramadan.” (Riwayat alBukhari dan Muslim). Pelbagai peringatan dan ancaman dinyatakan kepada golongan yang sengaja meninggalkan ibadah solat tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Firman Allah dalam surah al-Muddatthir ayat 42-47 bermaksud: “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-


47 orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini.” Ibadah solat adalah perkara utama yang dipertanggungjawabkan kepada manusia di akhirat kelak seperti hadis yang bermaksud: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang Hari Akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka dia akan berjaya dan menang dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal.” (Riwayat al-Tirmizi) Ulama berpendapat sesiapa yang meninggalkan solat sama ada kerana keuzuran atau tanpa keuzuran, maka wajib mengqadakan solat tersebut. Di Malaysia, umat Islam dapat melaksanakan ibadah solat dengan aman dan sejahtera. Pelbagai kemudahan disediakan bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat melalui pembinaan masjid dan surau, tempat solat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya serta pusat membeli-belah dan pelbagai lagi. Di Wilayah Persekutuan sejumlah 89 masjid, 123 surau Jumaat dan 611 surau disediakan bagi kemudahan umat Islam menunaikan solat. Anak-anak didedahkan dengan ilmu asas dan praktikal solat di peringkat sekolah rendah lagi melalui pengajaran kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). Justeru, sesibuk mana pun kita dalam urusan pekerjaan, jangan sesekali meninggalkan ibadah solat lebih-lebih lagi dalam situasi getir menghadapi pelbagai ujian dan musibah kehidupan.


48 Bersempena kedatangan bulan Rejab juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi-agensi agama peringkat persekutuan telah melancarkan kempen Bulan Solat Peringkat Kebangsaan dengan tujuan menjadi pemangkin untuk meningkatkan kualiti ibadah dalam amalan solat. Inisiatif tersebut diharapkan menjadi ruang bagi umat Islam untuk bersama-sama mempelajari dan mengulangkaji tentang fiqh solat, kaedah bagi mendapatkan solat yang khusyuk, saling memperingati tentang kewajipan solat dan sebagainya. Kempen tersebut juga penting agar masyarakat Islam tidak mengambil ringan tentang kepentingan ibadah tersebut yang menjadi resipi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Selain daripada melaksanakan dan mempergiatkan amalan seperti ibadah solat, umat Islam juga dianjurkan untuk merebut peluang meningkatkan pelbagai amalan yang lain seperti berpuasa dan membaca al-Quran, mengikuti kelaskelas pengajian, majlis ilmu dan program pengimarahan yang dilaksanakan setiap hari di semua masjid dan surau di seluruh negara dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kita juga boleh mengambil peluang untuk menghulurkan derma dan sumbangan melalui aktiviti kutipan derma di masjid dan surau serta berinfaq dan berwakaf melalui pelbagai kemudahan teknologi terkini yang disediakan.


PIAGAM MADINAH DAN ANJURAN TOLERANSI 09 49


50


51 Piagam Madinah dan anjuran toleransi Kemerdekaan adalah suatu nikmat yang perlu disyukuri kerana membawa kemakmuran dan keamanan dalam sesebuah negara. Bagi mengekalkan kemakmuran tersebut, negara yang dibangunkan haruslah menepati prinsip ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur’ iaitu sebuah negara gemilang yang bukan sahaja dilimpahi kekayaan dan kemajuan, tetapi juga menjadi negara yang dinaungi rahmat dan mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Kemakmuran negara dapat dipertahankan dengan mengutamakan pendekatan Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta dalam segenap aspek pemerintahan berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan. Pendekatan tersebut menekankan kepentingan nilai-nilai sejagat seperti keadilan dan kesaksamaan ke arah melahirkan suatu umat yang sejahtera dan harmoni. Dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur dan harmoni, sebarang perbezaan tidak wajar diperbesarkan sebaliknya berusaha mencari jalan untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama. Natijah daripada perpaduan tersebut, kemajuan negara dapat dipertingkatkan secara seimbang dan menyeluruh dalam segenap bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial. Setiap warganegara harus berfikir dan bertindak sebagai sebuah Keluarga Malaysia manakala segala tindakan yang diambil perlulah mengambil kira kehendak dan kepentingan bersama. Teras perpaduan masyarakat pula mesti berlandaskan prinsip kenegaraan seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Nilai-nilai murni seperti persefahaman, ketaatan kepada pemimpin, keprihatinan dan penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama diterapkan setiap masa.


52 Kemakmuran negara juga dapat dipertahankan melalui sifat tasamuh atau toleransi iaitu dengan cara menghargai, menghormati dan menerima perbezaan yang berlaku dalam kalangan masyarakat majmuk. Usah dibiarkan nilai-nilai murni tersebut dicemari dengan berita palsu dan provokasi melampau yang dilakukan oleh segelintir pihak terutamanya di media sosial. Prinsip tasamuh atau toleransi telah diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam Piagam Madinah sewaktu baginda mendirikan negara Islam pertama, Madinah al-Munawwarah. Piagam tersebut mengiktiraf hak-hak kebebasan beragama dan kepercayaan, kebebasan bersuara serta hasrat warga negara yang mahu melihat keadilan dilaksanakan dalam kehidupan bermasyarakat sekali gus menghapuskan tradisi dan peraturan berasaskan perkauman yang sempit dan merugikan. Di dalam piagam tersebut terdapat prinsip-prinsip yang mengatur urusan kepemimpinan dan dasar sosio politik untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu. Tiga perkara yang menjadi teras utama di dalam Piagam Madinah ialah keadilan undang-undang tanpa mengira kedudukan, toleransi beragama dan semangat kebersamaan dalam situasi senang mahupun susah. Kebijaksanaan Rasulullah SAW menguruskan perbezaan dalam situasi kemajmukan kaum dan agama menjadi kekuatan penting yang membangunkan masyarakat Madinah. Piagam tersebut perlu dijadikan panduan sepanjang zaman dalam menguruskan negara agar dapat membentuk ikatan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan masyarakat. Ajaran Islam tidak melarang kaum Muslimin untuk berbuat baik terhadap kaum bukan Islam yang tidak memusuhi umat Islam. Perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran surah Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud: “Allah


53 tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” Berdasarkan ayat tersebut, toleransi hanya berlaku apabila keduadua pihak saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara haruslah berpandukan kaedah dan prinsip yang jelas berkaitan kehidupan bersama (ta’ayush) iaitu tiada kompromi dalam soal akidah umat Islam, pergaulan hendaklah dalam suatu yang ma’ruf bukan mungkar, mengelakkan perkara yang memudaratkan orang Islam dan tidak melakukan suatu perbuatan yang haram secara qat’ie. Dalam konteks Malaysia, Perdana Menteri sering menyeru rakyat untuk mengamalkan konsep tasamuh atau toleransi agar keharmonian dan perpaduan sentiasa terpelihara. Tasamuh adalah sikap yang dituntut dalam Islam kerana bukan hanya membolehkan rakyat terus membangun sehingga dihormati, tetapi juga dapat mengelakkan daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan. Konsep tasamuh berteraskan ajaran Islam yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan adalah selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat Malaysia menghargai dan memahami perbezaan. Pembudayaan konsep tasamuh dalam kehidupan bermasyarakat menjadi pemangkin untuk negara bergerak ke hadapan seiring


54 dengan peredaran zaman. Kewujudan manusia yang menganuti pelbagai agama dan terdiri daripada pelbagai etnik dan keturunan merupakan lumrah penciptaan Allah SWT. Perkara yang lebih utama adalah peranan semua pihak untuk mengamalkan sifat toleransi serta menyemai sifat berkasih sayang merentasi kaum dan warna kulit. Sifat toleransi atau tasamuh sangat penting bagi sebuah negara yang memiliki kepelbagaian bangsa dan budaya seperti Malaysia sebagai alat untuk menyatupadukan masyarakat. Firman Allah SWT dalam al-Quran surat Al-Hujurat Ayat ke-13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”


BINA KEKUATAN RUHIYYAH 10 55


56


57 Bina kekuatan ruhiyyah Dalam kesibukan dan cabaran tugasan harian di tempat kerja atau di mana-mana sahaja, kadangkala kita berasa penat dan tercari-cari kekuatan untuk melangkah ke hadapan. Justeru Allah SWT memberikan jawapan bahawa dengan sifat sabar dan mengerjakan solat menjadi kunci kekuatan bagi orang Mukmin sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. Solat yang dilaksanakan terutamanya ketika qiamullail merupakan amalan ruhiyyah bagi membina sebuah institusi keluarga yang sejahtera serta memperkukuhkan jati diri dan kekuatan kepada sesiapa sahaja bagi melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat pada waktu malam.” (Riwayat Muslim). Qiamullail adalah ibadah yang menjadi amalan kebiasaan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda, salafus soleh dan orang Mukmin terdahulu hingga kini. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk menunaikan ibadah qiamullail dan memberikan khabar gembira kepada sesiapa yang mengerjakannya dengan ganjaran pahala dan anugerah kemuliaan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Hendaklah kamu melakukan qiamullail kerana qiamullail adalah kebiasaan orang-orang yang soleh sebelum kamu, kerana qiamullail mendekatkan diri kepada


58 Allah, mencegah daripada dosa, menghapuskan kesalahankesalahan dan menghalau penyakit dari tubuh.”  (Riwayat alTirmizi dan al-Hakim). Rasulullah SAW menyarankan umatnya untuk bangun mengerjakan ibadah qiamullail dan baginda sendiri menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakannya sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, wahai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.” (Riwayat al-Bukhari). Qiamullail juga memberikan kekuatan kepada pasukan tentera dalam medan peperangan. Pada malam sebelum meletusnya peperangan Badar, Saidina Ali menyatakan: “Tidak ada di kalangan kami yang menunggang kuda melainkan Miqdad. Pada malam itu, kami melihat semuanya tidur melainkan Rasulullah SAW terus menerus menunaikan solat di bawah sebatang pokok dan menangis sehingga ke Subuh.” (Riwayat ad-Damsyiqi). Walaupun Rasulullah SAW sahaja yang menunaikan solat pada malam itu, tetapi inilah gambaran penting yang perlu diteladani oleh semua pimpinan Islam hari ini. Program tarbiah Islam ini diteruskan oleh Rasulullah SAW dengan mengajar mereka menunaikan solat, sebagai ibadah pertama dan utama yang ditunaikan oleh para sahabat (al-Mubarakfuri). Qiamullail merupakan amalan yang sangat dituntut dan tinggi ganjarannya di sisi Allah SWT. Ibadah tersebut boleh dikerjakan secara bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah ataupun


59 secara berjemaah di masjid dan surau. Waktu terbaik untuk menunaikan qiamullail adalah di sepertiga malam sekitar jam 3 pagi. Setelah bangun daripada tidur dan mengambil wuduk, disunatkan untuk terus mengerjakan solat sunat Tahajud diikuti solat sunat yang lain seperti solat sunat Hajat, solat sunat Taubat, solat sunat Tasbih, dan solat sunat Witir. Antara amalan lain yang boleh dilakukan semasa qiamullail termasuklah membaca alQuran, berwirid, berzikir, beristighfar dan berselawat. Bagi memudahkan kita untuk bangun malam mengerjakan qiamullail, beberapa amalan digalakkan seperti qailulah iaitu berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari sebelum masuknya waktu Zuhur. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kuatkan puasa di siang hari dengan makan sahur dan qailulah untuk bangun malam.” (Riwayat Ibnu Majah). Azam yang kuat perlu ada dalam diri seorang Mukmin yang mahu bangun malam bagi beribadah. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seseorang yang terbiasa mengerjakan solat Tahajud, lalu dia tertidur (tidak melaksanakannya), kecuali akan dicatat baginya pahala solat tahajud dan tidur tersebut dianggap sebagai sedekah. (Riwayat Abu Daud). Sesiapa yang berazam untuk bangun malam juga perlu menjauhi perbuatan maksiat sebelum mendapatkan kemuliaan munajat pada malam tersebut. Menjaga amalan pemakanan juga dapat membantu memberikan kekuatan untuk bangun malam. Rasulullah SAW menasihati para sahabat supaya bersederhana dan tidak berlebihan dalam pemakanan sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya


60 tidak dapat, maka (paling maksimum hendaklah) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” (Riwayat al-Tirmizi). Selain itu, kita juga digalakkan untuk berwuduk sebelum tidur sebagaimana hadis daripada Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seorang hamba tidur di malam hari dalam keadaan suci (berwuduk), kemudian ia terbangun di tengah malam, lalu ia memohon sesuatu kepada Allah dari perkara dunia atau perkara akhirat, nescaya akan diberikan kepadanya.” (Riwayat Ibu Majah). Di Wilayah Persekutuan, program Putrajaya Berqiamullail Bersama Agensi Hal Ehwal Islam dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Jun yang lalu dan memasuki siri kedua pada 13 Ogos depan. Program tersebut selaras dengan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 yang berhasrat untuk membudayakan amalan berqiamullail dalam kehidupan seorang Muslim di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat, mahupun pemimpin. Marilah kita bersama-sama memburu kelebihan qiamullail dengan memperbanyakkan berdoa pada malam tersebut serta mengharapkan keampunan dan mendambakan ketenangan jiwa daripada Allah SWT. Semoga program ini dapat dipergiatkan di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan bagi menggalakkan lebih ramai ahli kariah hadir berqiamullail bukan sekadar pada musim tertentu. Pihak masjid dan surau boleh melaksanakan inisiatif sebagai galakan untuk ahli kariah melazimi amalan qiamullail dalam kehidupan.


BERSATU MENDEPANI BADAI 11 61


62


Bersatu mendepani badai Antara teladan terpenting dalam peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW lebih 1400 tahun lalu adalah pengorbanan nyawa, harta benda dan ahli keluarga yang dilakukan oleh baginda dan sahabat demi memastikan kesinambungan dakwah Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Umat Islam di Makkah ketika itu terpaksa berhadapan tekanan dan seksaan kaum musyrikin kerana mempertahankan akidah Islam. Mereka dipulaukan dari segi ekonomi dan dihalang dari melakukan penghijrahan serta dipisahkan dari ahli keluarga yang disayangi, dikurung dan ditangkap, juga disekat harta benda dan kekayaan yang dimiliki dari dibawa bersama untuk berhijrah ke Madinah. Pengorbanan meninggalkan kampung halaman dan tanah air tercinta demi agama diiktiraf oleh Allah SWT dengan kurniaan ganjaran yang amat besar. Firman Allah SWT dalam alQuran surah al-Nahl ayat 41 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.” Dalam  surah al-Hasyr ayat 8  Allah SWT turut berfirman yang bermaksud: “(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam) untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).” Ayat terbabit menggambarkan dengan jelas 63


64 mengenai keadaan golongan Muhajirin yang berhijrah ke Madinah dengan dihalau keluar secara zalim dari kampung halaman mereka. Penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah adalah salah satu bentuk pengorbanan dalam menghadapi tekanan dan penindasan kaum Musyrikin di Makkah. Teladan kedua terpenting dalam peristiwa hijrah adalah ikatan persaudaraan yang dijalinkan antara golongan Muhajirin dan Ansar yang mempunyai latar belakang agama dan budaya berbeza. Kesediaan golongan Ansar menghulurkan bantuan dan pertolongan ketika saat memerlukan dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” Persaudaraan Islam yang dibina dalam kalangan Muhajirin dan Ansar menjadi teras kepada kesatuan masyarakat Islam di Madinah dan menjadi model persaudaraan yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai panduan kepada masyarakat Islam sepanjang zaman. Hubungan persaudaraan terbabit sudah memperkuatkan umat Islam Madinah dalam menghadapi tentangan musuh serta mendorong sifat tolong-menolong dan saling membantu sehingga sanggup mewariskan harta peninggalan masing-masing kepada saudara mereka tanpa mengira keturunan, warna kulit, tempat asal dan sentimen


65 kenegerian. Kemuliaan insan adalah terletak kepada kebajikan yang dilakukan dan ketakwaan di sisi Allah SWT. Teladan ketiga terpenting dalam peristiwa hijrah adalah perpaduan yang dikecapi melalui perjanjian persefahaman atau sahifah yang utuh dalam kalangan masyarakat Madinah. Perpaduan yang dibina atas asas solidariti, takaful serta perasaan kasih sayang yang dimulakan dari kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara amat penting bagi melahirkan negara yang baik yang diredai Allah SWT. Dalam konteks negara Islam Madinah, sahifah adalah perjanjian persefahaman yang perlu dipatuhi semua pihak bagi memastikan matlamat kemakmuran masyarakat tercapai. Perkara yang sangat ditekankan dalam sahifah terbabit ialah berkaitan keamanan dan ketenteraman hidup. Justeru, sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan masalah kepada keamanan amat diberikan perhatian supaya dapat dielakkan lebih awal. Oleh itu, sifat bekerjasama, menjaga hak bersama, menghormati hak berbeza, perselisihan dan pencerobohan sangat dititikberatkan supaya kesatuan, keharmonian dan keamanan masyarakat sentiasa terjamin. Sesungguhnya ramuan untuk membangunkan sebuah masyarakat dan negara yang makmur adalah melalui sifat bersedia berkorban di segenap lapisan sama ada masyarakat mahupun pemimpin. Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukan semata-mata untuk melarikan diri daripada tekanan Musyrikin Makkah, tetapi mencari tempat baharu supaya Islam dapat terus berkembang dengan lebih cepat. Kerana itu Nabi Muhammad SAW memulakan gerakan dan usaha baginda melalui program pembentukan masyarakat dan pengisian bagi membina kesatuan ummah melalui pembinaan masjid, ikatan persaudaraan dan sahifah Madinah.


66 Sesuai dengan tema Ma’al Hijrah tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’, elemen pengorbanan, persaudaraan dan perpaduan yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah perlu menjadi asas utama dalam membangunkan masyarakat melalui nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Umat Islam perlu menjauhi segala perkara yang boleh merosakkan keharmonian hidup beragama dan bermasyarakat serta menjauhi persengketaan yang memecahbelahkan. Dalam peristiwa hijrah, golongan Ansar di Madinah menunjukkan sifat yang baik dengan mengutamakan saudara mereka dari golongan Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri dengan memberikan bantuan tanpa sebarang hajat dan muslihat. Peristiwa hijrah juga mengajarkan sifat keprihatinan dan kepedulian masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keturunan. Mengambil pengajaran dari petunjuk terbabit, sepanjang tempoh negara kita berdepan musibah seperti penularan wabak Covid-19 dan bencana alam, seluruh rakyat Malaysia sudah berjaya mempamerkan sifat keprihatinan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan dan memerlukan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. Semangat perpaduan dan kebersamaan ini mesti diteruskan bagi mendepani apa-apa jua ujian dan badai kehidupan yang melanda. Ketibaan tahun baharu hijrah saban tahun perlu menjadi medan untuk kita semua memperbaharui niat, azam dan matlamat dalam kehidupan. Jadikan detik terbabit sebagai peringatan supaya kita sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi Muslim yang taat kepada perintah Allah SWT dan menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.


RINDU BERTEMU RASULULLAH 12 67


68


69 Rindu bertemu Rasulullah Nabi Muhammad SAW adalah personaliti unggul yang menjadi ikutan dan sebutan sepanjang zaman. Michael H Hart pengarang buku yang berjudul The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History pernah menyenaraikan baginda sebagai tokoh paling berpengaruh dalam sejarah. Bagi umat Islam, mencintai Rasulullah SAW menjadi sebahagian daripada tanda keimanan kepada Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia lebih mencintaiku daripada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kesempurnaan iman bergantung kepada sejauh mana kecintaan seseorang kepada Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 24 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumahrumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasu-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah perasaan rindu untuk bertemu dengan baginda. Perkara tersebut berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Demi Dzat yang jiwa Muhammad ada dalam genggaman-Nya, sungguh akan datang suatu masa, di mana seseorang tidak akan melihatku


70 lagi, kemudian jika seandainya dia mahu melihatku, maka hal itu lebih ia cintai daripada keluarga dan hartanya” - (Riwayat Muslim). Rasulullah SAW sendiri amat rindu untuk bertemu dengan umatnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sangat aku kasih untuk bertemu dengan saudaraku. Maka berkata sahabat Nabi SAW: Bukankah kami ini saudara-saudaramu? Jawab Nabi: “Bermula kamu semua adalah sahabatku akan tetapi segala saudaraku ialah sekalian orang yang telah beriman denganku dan pada hal mereka belum melihatku” (Riwayat Ahmad) Sebahagian orang sanggup berbelanja besar dan meninggalkan keluarga tercinta untuk ke Tanah Suci menziarahi makam Nabi Muhammad SAW bagi mengubati kerinduan kepada baginda. Tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW juga ditunjukkan melalui tindakan mempertahankan baginda pada setiap masa. Generasi sahabat terdahulu membuktikan mereka sanggup mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad SAW daripada difitnah sama ada secara fizikal mahupun katakata. Zaid bin Harithah sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan Rasulullah SAW daripada dicederakan oleh penduduk Thaif semasa melaksanakan seruan dakwah manakala Talhah dan Abu Dujanah sanggup menjadi perisai untuk melindungi Rasulullah SAW daripada serangan golongan musyrikin dalam peperangan Uhud. Saidina Abu Bakar pula diberikan gelaran istimewa iaitu ‘al-Siddiq’ yang bermaksud sentiasa ‘membenarkan’ kerana beliau sangat mempercayai dan meyakini segala kata-kata dan perbuatan baginda terutamanya dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang tidak dipercayai oleh sesiapa pun ketika itu. Selain itu, seorang Muslim yang mendakwa mencintai Rasulullah SAW perlu melaksanakan perintah baginda dalam segenap


71 aspek kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah Ali-’Imran ayat 31 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” (Riwayat Malik). Manusia akan mula menyimpang dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar apabila meninggalkan salah satu daripada sumber rujukan tersebut dalam kehidupan. Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga dibuktikan dengan cara menghidupkan sunah baginda dan menjadikan cara kehidupan seharian Nabi Muhammad SAW sebagai model ikutan. Segala bentuk sunah baginda harus ditegakkan setiap masa manakala ajaran yang menyeleweng dan bercanggah dengan sunah baginda hendaklah dibanteras habis-habisan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” Perkara paling mudah untuk diamalkan sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah berselawat kepada baginda. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan tentang kelebihan dan ganjaran berselawat yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh


72 kali.” (Riwayat Muslim) Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 56 bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” Peristiwa penghinaan terhadap baginda Nabi Muhammad SAW dalam apa jua cara pada bila-bila masa adalah suatu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh sesiapa pun. Menghormati kepercayaan dan pegangan agama lain adalah suatu prinsip sejagat yang harus diamalkan oleh setiap manusia agar keamanan dunia sentiasa terpelihara. Justeru tindak balas kemarahan dan bantahan umat Islam terhadap isu tersebut adalah tindakan yang amat wajar. Namun tindakan yang lebih utama dari itu adalah usaha kita semua untuk terus menyebarluaskan keindahan akhlak dan mempromosikan ketinggian budi pekerti Rasulullah SAW yang ditunjukkan dalam sirah baginda agar lebih ramai manusia dapat mengenali susuk agung yang diiktiraf dunia dan dimuliakan oleh Allah SWT. Semoga dengan iltizam menghidupkan sunah baginda dalam kehidupan menjadikan kita sebahagian daripada umat yang mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.


BANGUN AKHLAK TERPUJI 13 73


74


75 Bangun akhlak terpuji Tahun ini umat Islam berpeluang kembali menunaikan ibadah haji di Makkah al-Mukarramah. Pusat Konvensyen Movenpick, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa minggu ini kembali meriah dengan suasana penghantaran jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci. Masingmasing begitu teruja selepas dua tahun hasrat menunaikan ibadah fardu tersebut terpaksa ditangguhkan akibat wabak pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia. Pemergian bakal haji diiringi dengan perasaan sebak dan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dikurniakan rezeki menunaikan haji pada kali ini. Sama ada baru pertama kali atau beberapa kali ke Tanah Suci, hakikatnya setiap Muslim mempunyai niat dan menyimpan cita-cita untuk melaksanakan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Masing-masing mengimpikan perasaan damai dan menenangkan mahu melihat sendiri Kaabah dan Masjidil Haram tersergam indah di depan mata. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Islam diasaskan atas lima perkara, iaitu: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu mengunjunginya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Tuntutan menunaikan ibadah haji dijelaskan dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.’ Istita’ah (berkemampuan) yang dimaksudkan dalam ayat tersebut merangkumi kemampuan dari segi rohani


76 dan fizikal seperti kewangan, kesihatan, keselamatan dan urusan perjalanan ke Makkah. Dari aspek persediaan rohani, bakal jemaah haji hendaklah mengikhlaskan niat kerana Allah, melatih diri dengan sifat sabar, memohon keampunan dan kemaafan sesama manusia serta menyucikan diri dan bertaubat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” Ayat tersebut mengingatkan kita semua agar memperbetulkan niat untuk beribadah bukan bertujuan mendapatkan status atau bercuti dan melancong semata-mata. Justeru umat Islam harus mengambil peluang dan memanfaatkan masa dengan melaksanakan sebanyak mungkin ibadah seperti solat dan berdoa memohon segala hajat dan keampunan di samping merebut ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu agung Allah SWT, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah SWT perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya, nescaya Allah SWT ampunkan mereka.” (Riwayat Ibnu Majah) Selain itu, jemaah juga perlu menjauhkan diri daripada sifat riyak dan mempamerkan ibadah yang dilakukan kepada khalayak untuk bermegah-megah agar pahala amalan tidak menjadi sia-sia. Ibadah haji membawa mesej dan pengajaran yang amat penting tentang kesatuan ummah yang harus dihayati oleh seluruh umat Islam. Walaupun umat Islam di seluruh dunia terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit, budaya dan negara, namun kita adalah umat yang satu dan menyembah Tuhan Yang Esa iaitu Allah SWT dan mengikuti sunah Baginda Nabi Muhammad SAW. Umat Islam perlu mengambil iktibar betapa pentingnya


77 memelihara kesatuan dan perpaduan serta memahami tentang kedudukan manusia yang sama di sisi Allah SWT. Perkara yang membezakan darjat manusia di sisi Allah hanyalah ketakwaan yang dimilikinya. Penyatuan ummah dari seluruh pelosok dunia bukan hanya melancarkan proses ibadah dan aktiviti spiritual yang dilakukan, tetapi juga lambang kekuatan dalam mempertahankan ajaran Islam pada setiap masa. Jauhkanlah diri daripada perbuatan yang membatalkan ibadah haji dan perlakuan buruk dan terkeji ketika menunaikan haji seperti berkelahi, berbalah, memaki hamun dan mencerca serta pelbagai perbuatan mungkar yang menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah lain. Sekiranya perbuatan tersebut tidak dijaga, dikhuatiri akan merencatkan usaha kita untuk memperoleh haji yang mabrur. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa melaksanakan haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasik (keluar daripada ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa).” (Riwayat Al-Bukhari). Kemudian pulanglah ke tanah air dengan membawa keberkatan dalam amalan yang telah dilaksanakan di Makkah melalui hijrah dan perubahan diri kepada kebaikan. Perbanyakkan bersedekah, melazimi solat berjemaah dan mengimarahkan masjid, menjauhi perbuatan mungkar dan sia-sia serta beristiqamah melakukan kebaikan. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (Riwayat Al-Bukhari). Di antara tanda-tanda haji mabrur adalah sekembalinya dari ibadah haji, seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan zuhud


78 dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam melaksanakan amalan sebagai bekalan akhirat. Semoga kita semua termasuk dalam golongan tersebut dan dikurniakan haji yang mabrur. Buat seluruh umat Islam di Malaysia, doakanlah keselamatan dan kesejahteraan semua para tetamu Allah. Bagi yang belum berpeluang ke Tanah Suci, berdoalah agar diberikan peluang dan rezeki untuk menunaikan ibadah haji pada masa akan datang. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 200-201 yang bermaksud: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebutnyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia.” (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.”


SEBARKAN PESANAN KHATIB 14 79


80


81 Sebarkan pesanan khatib J umhur ulama menjelaskan bahawa Khutbah Jumaat merupakan syarat sah bagi solat Jumaat. Imam al-Nawawi menegaskan: “Tidak sah solat Jumaat sehingga ia didahului oleh dua khutbah, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda: “Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat.” Tidak boleh didirikan solat Jumaat kecuali didahului dua khutbah, yang mana berdasarkan hadis yang diriwayat daripada Ibn Umar RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW sentiasa berkhutbah pada hari Jumaat, Baginda SAW duduk di antara kedua-duanya.” Rasulullah SAW menegah daripada melakukan sebarang perbuatan lain sewaktu khatib menyampaikan khutbah dan dianggap berdosa serta tidak mendapat kelebihan dan ganjaran pahala. Perkara tersebut berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu.” (Riwayat al-Bukhari). Mengapa Khutbah Jumaat menjadi begitu penting bagi umat Islam? Secara umumnya Khutbah Jumaat mengandungi peringatan dan nasihat keagamaan yang disampaikan setiap minggu meliputi ibadah, akidah, tarbiyah, muamalah, kemasyarakatan dan sebagainya agar jemaah dapat memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Terdapat dua elemen utama dan saling berkaitan dalam penyampaian khutbah iaitu khatib dan teks khutbah. Keduadua elemen ini memainkan peranan besar bagi menghasilkan khutbah yang menarik. Teks khutbah yang baik menjadi tidak menarik apabila disampaikan oleh khatib tanpa menjiwai khutbah tersebut, apatah lagi jika disampaikan tanpa persediaan. Justeru ciri-ciri khutbah yang baik bergantung kepada khatib


82 yang menyampaikan, topik yang dibicarakan, wujud unsur teguran, nasihat atau galakan, gaya penulisan yang menepati kaedah bahasa yang betul, serta wujud unsur tarikan melalui persoalan yang dapat menyentuh hati dan minda pendengar supaya berfikir. Pelbagai versi penyampaian khutbah dapat dilihat di masjid kariah masing-masing. Sebahagian khatib menyampaikan khutbah dengan cara yang kaku dan baku, sebahagiannya pula begitu bersahaja seperti menyampaikan ceramah biasa, seolaholah menyapa jemaah dan bercerita dengan pelbagai gaya. Di Wilayah Persekutuan, doa yang diselitkan dalam Khutbah Jumaat agar dijauhkan daripada perbuatan salah guna kuasa dan rasuah, serta kerahmatan bagi mereka yang menunaikan kewajiban berzakat dan berwakaf bagi membantu umat Islam dalam kesulitan adalah antara perkara yang dekat di hati jemaah. Sebahagian khatib berjaya membangkitkan semangat, mendorong niat melakukan perubahan serta mencetuskan perasaan sebak dan keinsafan dalam kalangan jemaah. Begitulah jika Khutbah Jumaat berkesan menyampaikan isu yang benarbenar dekat dengan masyarakat setempat. Bagi memastikan perhimpunan mingguan umat Islam dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya serta menjadi medium penyampaian ilmu dan maklumat yang berkesan kepada masyarakat, beberapa strategi disusun agar penyampaian khutbah dapat dilaksanakan secara berkesan. Dalam konteks Wilayah Persekutuan, penulis khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terdiri daripada pakar dan ilmuwan daripada pelbagai bidang. Kursus dan latihan juga diberikan kepada khatib dan penulis teks khutbah secara berkala. Teks khutbah disediakan berdasarkan isi dan fakta melalui bengkel penyediaan khutbah serta mengikut


83 beberapa dokumen rujukan seperti Garis Panduan Penulisan Teks Khutbah Jawi dan Manual Panduan Penyediaan Teks Khutbah dan Khutbah Multimedia. Prosedur penyediaan Teks khutbah Jumaat JAWI menggariskan beberapa peringkat yang perlu dilalui sebelum sesuatu teks khutbah diterbitkan seperti pemilihan tajuk, bengkel sinopsis khutbah, penulisan oleh panel penulis teks khutbah, menaip dan menjawikan teks khutbah, semakan teks khutbah oleh panel penyemak, pengesahan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, kelulusan pejabat Mufti, bacaan pruf dan pengesahan akhir, cetakan dan pembukuan, edaran, sehinggalah bacaan di atas mimbar Jumaat. Arkib serta teks khutbah JAWI setiap minggu juga boleh dimuat turun melalui laman web JAWI. Bagi memastikan khutbah sentiasa menarik dan terbaik, pendekatan yang digunakan oleh JAWI termasuklah menetapkan agar hanya menggunakan hadis yang sahih sebagai hujah di samping keizinan menggunakan hadis daif sebagai pendorong mendapatkan kelebihan beramal. Selain itu ketetapan masa dan jumlah halaman teks khutbah turut diambil kira sebagai kawalan agar khutbah tidak terlalu panjang. Khutbah juga ditulis berdasarkan pembahagian teks kepada tiga bahagian utama dengan saranan isi kandungan yang baik untuk dimuatkan di setiap bahagian tersebut. Khatib yang bertugas diberikan kebebasan dalam gaya penyampaian yang lebih fleksibel, namun haruslah berpandukan teks khutbah yang disediakan agar lebih berfokus dan mengutamakan maslahah jemaah. Bagi golongan yang menepati syarat dan berkewajiban, hadirlah awal ke masjid dengan persediaan untuk mendapatkan ilmu dan mendengar khutbah, bukan sekadar menjadi tempat melepaskan lelah. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang mandi dengan


84 sempurna pada hari Jumaat, pergi awal ke masjid dan tiba awal dan berjalan kaki serta tidak menunggang kenderaan ke masjid, duduk berhampiran imam, mendengar khutbah dan tidak berkata-kata yang sia-sia; maka setiap langkahnya ke masjid akan diberi ganjaran pahala setahun berpuasa dan solat malam.” - (Sunan Tirmizi, Sunan Abi Daud dan Sunan Ibn Majah). Kini Khutbah Jumaat juga boleh diikuti di platform media sosial seperti Facebook selain televisyen dan radio. Justeru peranan dan tanggungjawab jemaah pula ialah menyampaikan mesej khutbah kepada ahli keluarga dan jiran tetangga, sama ada secara bersemuka ataupun melalui perkongsian di media sosial seperti TikTok, Facebook dan Twitter agar dapat diambil manfaat dan diamalkan dalam kehidupan. Beberapa media arus perdana sesekali kelihatan turut melaporkan isi kandungan khutbah di media. Sebahagian ciapan di Twitter tentang isi kandungan Khutbah Jumaat juga pernah tular dikongsikan oleh jemaah. Sebagai contoh, ketika musim bantuan musibah banjir dahulu, tular ciapan di Twitter tentang Khutbah Jumaat di Masjid Negara yang menitipkan doa buat seorang pemuda yang dikenali sebagai ‘Abang Viva’ kerana usaha dan kegigihannya menghulurkan bantuan dalam misi kemanusiaan, terkesan di hati jemaah. Begitulah peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak jika mahu melihat Khutbah Jumaat benar-benar meninggalkan impak kepada masyarakat. Laksanakanlah kewajiban kita sebagai agen yang menyebar mesej dakwah daripada Khutbah Jumaat sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Abbas yang bermaksud: “Maka hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir.” (Riwayat Al-Bukhari).


MALAM INI DAH TARAWIH! 15 85


86


87 Malam ini dah tarawih! Malam ini umat Islam khususnya di Malaysia akan kembali bertarawih menjelang kedatangan bulan Ramadan. Tahun ini amat istimewa kerana kita menyambut Ramadan ketika negara telahpun mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April. Justeru pelbagai kelonggaran yang ditetapkan memberikan lebih ruang kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai tradisi kemeriahan Ramadan yang dinantikan. Setiap Muslim perlu menyambut ketibaan Ramadan dengan perasaan gembira dan teruja seperti menerima kehadiran tetamu yang amat ditunggu-tunggu. Di dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA bermaksud: “Rasulullah berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab. “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadan.” (Riwayat Ahmad). Perkara yang lebih penting adalah untuk memastikan tujuan utama ibadah puasa seperti melatih sifat sabar dan berdisiplin, memupuk perasaan empati terhadap kesusahan insan lain serta membentuk kesihatan jasmani dan rohani dapat dicapai supaya kita semua menjadi Muslim yang bertakwa sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” Setiap Muslim bertanggungjawab untuk mentaati perintah dan syariat berpuasa serta menghormati kemuliaan Ramadan dengan memelihara adab-adab yang ditetapkan. Rukhsah atau keringanan hanyalah diberikan kepada golongan tertentu dengan syarat yang ditetapkan seperti firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “Dan


88 sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” Selain menunaikan ibadah puasa, ketibaan Ramadan juga bertujuan mendatangkan keinsafan dan menyemai perasaan empati terhadap golongan yang memerlukan seperti dilanda kesusahan, kekurangan harta benda dan kelaparan. Justeru di dalam al-Quran dan hadis banyak dirakamkan mengenai kelebihan dan keutamaan menghulurkan bantuan dan meringankan kesusahan orang lain. Setiap amalan baik yang dilakukan dengan niat yang ikhlas pasti akan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT termasuk perbuatan memberi dan bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ ayat 114 yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” Antara sebab bulan Ramadan sering ditunggu-tunggu adalah kerana ganjaran berlipat ganda yang diberikan oleh Allah berbanding bulan-bulan yang lain. Amalan Nabi Muhammad SAW yang banyak bersedekah pada bulan Ramadan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan tersebut mempunyai kelebihan tersendiri. Di dalam sebuah hadis riwayat Anas RA menyebutkan


89 maksudnya: “Ditanyakan Nabi puasa apakah yang terbaik selepas Ramadan? Jawab Nabi, puasa di bulan Syaaban untuk mengagungkan Ramadan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Nabi, sedekah di bulan Ramadan.” (Riwayat Al-Tirmizi). Ramadan juga boleh dijadikan titik perubahan untuk melakukan penghijrahan dengan memperbaiki diri ke arah kebaikan. Perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan memperbanyakkan taubat iaitu berniat untuk meninggalkan perbuatan yang menyalahi syariat serta berazam melaksanakan perubahan kerana Allah SWT bukan kerana paksaan sesiapa. Usahlah dipersendakan mereka yang mula berusaha mendekatkan diri ke jalan kebaikan di bulan Ramadan kerana mungkin menjadi asbab perubahan yang berpanjangan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Tahrim ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’ mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Prosedur operasi standard (SOP) terkini dalam fasa peralihan ke endemik berkaitan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan telahpun dikeluarkan berdasarkan titah perkenan Kebawah Duli Yang


90 Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Antara aktiviti yang dibenarkan adalah tazkirah, kuliah, ceramah, forum, solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tadarus al-Quran, qiamullail, majlis berbuka puasa, moreh, sahur serta majlis penyampaian bantuan dan sumbangan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga merancang pelbagai program menarik sempena bulan Ramadan meliputi pengisian ibadah, kerohanian, pembudayaan ilmu dan kemasyarakatan di semua premis di bawah seliaan Jawi seperti masjid, surau dan Sekolah Rendah Agama (SRA) serta aktiviti turun padang menyantuni golongan sasaran yang memerlukan. Program tersebut dilaksanakan bertujuan memberikan peluang kepada orang ramai untuk melipatgandakan amalan ibadah, mendalami ilmu berkaitan ibadah puasa serta menzahirkan keprihatinan dan perasaan empati terhadap kesusahan yang dialami oleh insan lain terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia. Marilah kita menanamkan tekad dan azam menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik serta berusaha memburu ganjaran malam lailatul qadar yang dijanjikan Allah SWT iaitu lebih baik daripada seribu bulan.


ASBAB HIDAYAH ISLAM 16 91


92


Click to View FlipBook Version