31 dan berpengaruh adalah melalui contoh teladan yang baik. Seseorang Muslim akan mengikut keteladanan yang diperoleh dari pengaruh persekitarannya untuk dijadikan model atau dicontohi dalam menerapkan nilai-nilai positif dalam keperibadiannya. Teladan dalam kajian ini bermaksud contoh teladan yang ditunjukkan oleh guru-guru, staf sokongan dan rakan sebaya atau warga sekolah. Pelajar akan mencontohi perkara baik yang ditunjukkan oleh warga sekolah dalam membina persekitaran positif berkaitan dengan amalan wajib atau amalan sunat serta nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran agama. Amali Amali dalam kamus bahasa merupakan perbuatan yang dikerjakan. Menurut Ibnu Khaldun (1993) amali ialah tingkah laku, perilaku atau perbuatan yang akan memberi kesan kepada pembentukan akhlak pelajar. Dalam kajian ini, amali bermaksud setiap perbuatan yang dilakukan dan diamalkan oleh pelajar di dalam sekolah sama ada perbuatan tersebut merupakan perkara yang wajib atau yang sunat sehingga menjadi rutin dalam dirinya dan membentuk keperibadiannya. Kaedah amali merupakan pengamalan atau pelaksanaan sebenar sesuatu ilmu pengetahuan dengan melibatkan diri secara langsung. Kaedah ini bersamaan juga dengan latihan dan pembiasaan. Dengan erti kata lain, amali merupakan proses pengajaran melalui penyertaan dan pemerhatian pelajar secara langsung yang kemudiannya mereka membuat kesimpulan sendiri daripada apa yang telah dipelajarinya (refleksi kendiri). Amali juga adalah amalan atau perbuatan yang dilakukan untuk membersihkan jiwa serta mendekatkan diri kepada Allah dan rasul sebagaimana yang telah ditetapkan dalam manhaj al-Quran bahawa ilmu yang diperoleh melalui proses ta’lim perlu dilaksanakan dalam bentuk amalan.
32 Pelaksanaan iklim dini Pelaksanaan adalah suatu proses untuk menggerakkan, menjalankan, mengorganisasikan, dan mengarahkan usaha manusia untuk memanfaatkan secara efektif serta mencapai tujuan-tujuan yang tertentu. Pelaksanaan dalam konteks kajian ini pula merupakan usaha-usaha yang dilakukan untuk membentuk rangkaian kegiatan dalam mencapai visi dan misi dalam sesuatu program atau projek seperti iklim dini di sekolah. Kepimpinan Kepimpinan merupakan amalan yang berfokus dalam pengoperasian dalaman sekolah dan lain-lain organisasi pendidikan. Operasi dalaman ini mempunyai hubungan dengan persekitaran masing-masing dalam komuniti yang telah dibentuk di mana ia bertanggungjawab secara rasmi (Black 2010). Kepimpinan juga berfungsi untuk menetapkan tujuan organisasi, penentuan matlamat dan tujuan sekolah termasuk visi dan misi sekolah tersebut dalam mencapai iklim dini. Kepimpinan sekolah berperanan sebagai pemimpin berimpak tinggi dan berupaya menggembleng dan menggerakkan warga sekolah secara bersepadu untuk memajukan sekolah dan meningkatkan kualiti kecemerlangan organisasi (Norhannan 2016). Persekitaran Fizikal Persekitaran sekolah secara umum dicirikan oleh kemudahan bilik darjah, sokongan kesihatan, dan amalan disiplin yang dipraktikkan di sesebuah sekolah. Ia menetapkan tahap bagi faktor luaran yang mempengaruhi pelajar. Persekitaran sekolah yang positif ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai kemudahan yang sesuai, bilik darjah yang
33 diuruskan dengan baik, sokongan kesihatan berasaskan sekolah yang ada, serta dasar disiplin yang jelas dan adil. Persekitaran fizikal merupakan suasana sekolah yang mencerminkan ciri keislaman yang sebenar yang menekankan perkembangan akal dan fizikal serta pemantapan rohani. Persekitaran sekolah yang bersih, selesa, dan selamat akan memberi peluang kepada warga sekolah menikmati kualiti hidup yang lebih baik serta mewujudkan pelajar lebih produktif dan berwawasan (Rudasill et al. 2017; Zakaria et al. 2012; Mahi Din 1998). Keadaan fizikal dan penyelenggaraan bangunan sekolah yang berterusan merupakan faktor penting dalam menetapkan nada sekolah yang positif dan harapan yang tinggi untuk semua anggota komuniti sekolah. Bangunan dan susun atur yang bersih dan terjaga dengan baik adalah asas kepada persekitaran yang optimum untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan (Konstan 2014). Kurikulum Dan Kokurikulum Kurikulum dan kokurikulum merupakan satu konsep atau pelan strategik terancang dalam melaksanakan aktiviti berdasarkan matlamat skop dan isi kandungan yang digunakan di institusi pendidikan. Kokurikulum mengikut Kamus Dewan edisi keempat (2010) merupakan kurikulum asas atau kegiatan (aktiviti) yang diajarkan dalam dan luar bilik darjah tetapi dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah. Kurikulum dan kokurikulum adalah satu komponen penting dalam sistem pendidikan kerana mempunyai kriteria dan objektif pembelajaran yang harus difahami dan dicapai oleh setiap guru dan pelajar. Kebiasaannya, kegiatan kurikulum dan kokurikulum sesebuah sekolah atau institusi pendidikan ditentukan oleh kementerian pendidikan
34 negara masing-masing (Thapa et al. 2013 dan Sanjaya & Supriadi 2016). Dalam konteks kajian ini, kurikulum dan kokurikulum ini merupakan perancangan strategik yang di rancang oleh pihak sekolah dalam susun atur sesi pengajaran dan pembelajaran dengan menerapkan nilai-nilai Islam yang tinggi terhadap pelajar. Hubungan Komuniti Komuniti merupakan warga yang tinggal bersama di sekitar sekolah yang merangkumi guru, pelajar, staf, pentadbir, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat sekeliling seperti penjual di kantin, tukang sapu, pekebun sekolah, pengawal keselamatan dan sebagainya. Hubungan yang baik antara warga komuniti sekolah akan wujud perasaan kekeluargaan dan kasih sayang dalam kalangan warganya. Secara tidak langsung, komuniti juga turut menyumbang dalam pembentukan iklim sekolah yang berkesan (Hoy et al. 1997; Cohen et al. 2009). Kemenjadian Pelajar Kemenjadian pelajar merupakan Standard kelima dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia gelombang kedua (SKPMg2). Kemenjadian pelajar bermaksud pelajar yang dididik secara holistik dalam pengurusan sekolah yang cekap serta berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Terdapat banyak tafsiran terhadap kemenjadian pelajar. Namun, kemenjadian pelajar yang dinilai dalam konteks kajian ini terdiri daripada tiga aspek utama iaitu akademik, kokurikulum dan juga sahsiah pelajar. Penilaian terhadap aspek ini adalah untuk menaksir pelajar secara holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras
35 dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelaporan terhadap kemenjadian pelajar bukan sahaja dinilai dari aspek akademik semata-mata, tetapi merupakan pelaporan yang lebih seimbang merangkumi semua komponen dan memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran pelajar dan keupayaan mereka dalam memberikan respons kepada soalan yang memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Sekolah Menengah Agama Sekolah menengah agama adalah sekolah yang menggabungkan kurikulum akademik dan juga kurikulum dini. Dalam konteks kajian ini sekolah menengah agama merangkumi keseluruhan jenis sekolah agama yang terdapat di negeri Kelantan. Terdapat tiga jenis sekolah-sekolah menengah agama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), dan juga Sekolah Agama Negeri (SAN). SMKA SMKA ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Sejarah penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bermula dengan pengambil alihan 11 buah Sekolah Agama Negeri dan Rakyat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1977. Dari 11 buah sekolah SMKA telah berkembang kepada 55 buah SMKA. (Bahagian Pendidikan Islam, 2012). Salah satu matlamat yang perlu dicapai atas penubuhan SMKA ialah untuk mendidik serta membimbing pelajar dengan keperibadian Islam, bertunjangkan objektifnya untuk melahirkan pelajar yang mengamalkan akhlak mulia dan bermisikan usaha mewujudkan prasarana yang mencukupi dan persekitaran yang kondusif berteraskan Iklim Dini.
36 SABK Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) merupakan Sekolah Menengah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang telah didaftarkan serta ditadbir oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). SABK merupakan satu usaha kerajaan untuk membantu dan memperkasakan sekolah-sekolah agama di Malaysia. SABK diwujudkan dengan tujuan untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran, pengurusan sumber manusia, serta prasarana dan kemudahan. Walau bagaimanapun, SABK masih mengekalkan konsep yang lama dengan menggunakan kurikulum agama, bahkan menambah baik dari segi kemudahan. SAN Sekolah Agama Negeri (SAN) merupakan institusi pendidikan agama yang di tubuh oleh pihak berkuasa agama negeri (Jabatan Agama Islam/ Majlis Agama Islam/ Yayasan Islam) dan didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama dan ditadbir sepenuhnya oleh pihak berkuasa agama negeri. SAN di negeri Kelantan ini dimiliki oleh kerajaan negeri yang dikelolakan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK). Sekolah-sekolah ini merupakan institusi pendidikan agama yang mempunyai bahasa pengantar nya bahasa Arab yang terulung dan tertua di negeri ini. 1.11 Kesimpulan Secara keseluruhannya bab ini menjelaskan tentang latar belakang kepada permasalahan kajian iaitu strategi dan pelaksanaan iklim dini terhadap kemenjadian pelajar di sekolah menengah agama. Permasalahan kajian ini dibincangkan berdasarkan kajian-kajian lepas. Berdasarkan kepada gabungan teori dan kajian lepas, hipotesis dibentuk untuk diuji selaras dengan objektif dan soalan kajian. Walaupun kajian yang
37 meluas terhadap iklim sekolah dilakukan di barat, namun di Malaysia, kajian terhadap iklim sekolah serta kesannya terhadap pelajar ini masih kurang dikaji dan jika ada pun tidak melihat kemenjadian pelajar secara holistik. Kajian-kajian lepas tidak melihat secara menyeluruh seperti aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah. Adalah diharapkan kajian ini dapat mengisi jurang yang wujud dalam bidang pendidikan ini di Malaysia dan dapat menambahkan dapatan saintifik berkaitan strategi dan pelaksanaan iklim dini di sekolah.
38 SOROTAN LITERATUR 2.1 Pengenalan Bab ini memberi tumpuan kepada tinjauan kepustakaan berkenaan beberapa perkara seperti sosiologi pendidikan Islam, teori ekologi persekitaran, pandangan tokoh-tokoh sosiologi mengenai pengaruh persekitaran yang dibahagikan kepada tokoh sarjana Islam dan tokoh sarjana Barat. Tinjauan kepustakaan ini juga merangkumi tinjauan tentang strategi dan pelaksanaan iklim dini (ID) di sekolah serta kesan terhadap kemenjadian pelajar yang merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah. Setiap bahagian menumpukan kepada kupasan isu semasa yang berlaku dalam bidang yang dinyatakan dengan meneliti kajian-kajian lepas. Tinjauan ini juga perlu untuk mengenal pasti teori yang mendasari kajian ini serta untuk melihat pengaruh persekitaran dalam membentuk kemenjadian pelajar di sekolah-sekolah menengah agama berdasarkan kajian-kajian lepas. 2.2 Sosiologi Pendidikan Pendidikan merupakan proses transmisi sama ada berlaku secara formal atau tidak formal untuk memupuk serta mendidik sesuatu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam kehidupan manusia ke arah yang lebih baik. Proses pentarbiahan ini melibatkan metode dan sistem yang merujuk kepada proses yang disampaikan secara beransur-ansur antara satu generasi kepada generasi yang lain. Proses ini berkaitan dengan isi kandungannya
39 yang ingin dipupuk serta diterapkan dalam diri manusia tersebut (al-Attas 1977). Ia bergantung pada tujuan dan objektif hidup seseorang individu. Sosiologi merupakan salah satu sumbangan mutakhir yang diberikan oleh Peradaban Barat kepada intelek manusia. Meskipun kajian mengenai masyarakat sudah lama, namun bidang ini merupakan ilmu-ilmu yang berusaha memahami perilaku manusia. Sosiologi sebagai satu disiplin bertujuan untuk mengkaji interaksi kemanusiaan, meliputi tajuk-tajuk dari pelbagai bidang. Pakar sosiologi amat prihatin terhadap konflik dan persefahaman, persaingan dan kerjasama, organisasi dan perpecahan, penyimpangan dan persesuaian, penyusunan dan perubahan, serta lain-lain proses yang melibatkan interaksi kemanusiaan. Sosiologi berkait rapat dengan konsep kehidupan dan interaksi masyarakat sosial. Ia memerlukan hubungan individu antara satu sama lain (Amir Hasan 2009). Ilmu sosiologi amat sesuai untuk mengkaji fenomena yang berlaku dalam dunia pendidikan. Secara realitinya, terdapat banyak unsur-unsur kemanusiaan yang boleh dikaji dalam pendidikan. Sosiologi pendidikan pula merupakan satu proses penting yang berlaku antara pengetahuan, persekitaran, pemikiran serta perlakuan. Perkaitan antara komponenkomponen ini akhirnya membentuk watak dan identiti seseorang individu. Sosiologi merupakan suatu bidang kajian yang secara saintifik mengkaji masyarakat daripada pelbagai sudut seperti melihat fungsi masyarakat, bentuk organisasi sosial, perkembangan kebudayaan dan jenis-jenisnya (Jary & Jary 1995; Russell 2013). Amir Hasan (2006, 2009) pula memberi kesimpulan sosiologi sebagai suatu kajian yang sistematik dan saintifik mengkaji tentang manusia dan interaksi sosial mereka dalam masyarakat daripada pelbagai sudut.
40 Selain itu, Alsagoff (1987) menyatakan sosiologi ialah sains kemasyarakatan yang termuda. Sosiologi bukan falsafah kemasyarakatan yang merumuskan satu set idea bagaimana masyarakat harus bertingkah laku dan bertindak, sebaliknya ilmu ini ialah cabang sains kemasyarakatan yang mengkaji realiti tingkah laku dan tindakan manusia dan akibat daripadanya. Menurut F.G Robbins (1953) sosiologi pendidikan ialah sosiologi khusus untuk menyelidiki struktur dan dinamika proses pendidikan yang merangkumi teori dan falsafah pendidikan, sistem kebudayaan, keperibadian dan hubungan dengan sosio budaya masyarakat. Definisi sosiologi pendidikan menurut S. Nasution (2009) pula ialah satu ilmu yang berusaha untuk mengetahui cara-cara mengendalikan proses pendidikan untuk memperoleh perkembangan keperibadian individu. Berdasarkan huraian di atas, sosiologi Pendidikan Islam ialah satu bidang yang amat luas definisi nya. Sosiologi Pendidikan Islam dapat dianggap sebagai bidang yang mengkaji sosiologi pendidikan dari kaca mata Islam. Menjadi kebiasaan bagi penyelidik kini yang menjadikan tokoh-tokoh Barat sebagai rujukan tokoh-tokoh yang hidup dalam abad kedua puluh satu sebagai penyumbang utama yang melahirkan teori-teori sosiologi dan antropologi moden. Deretan nama-nama itu seperti Auguste Comte (1798-1857M), Herbert Spencer (1820-1903M), Emile Durkheim (1858-1917M) dan Max Weber (1864-1920M) dalam bidang sosiologi. Walau pun Ibnu Khaldun lebih awal memperkenalkan sains kemasyarakatannya ('Urn al-'Umran) pada sekitar tahun 1377M, namun Comte, dengan metodologi positifnya tetap dianggap oleh sarjana-sarjana Barat sebagai rujukan mereka. Hal ini kerana sosiologi Pendidikan Islam mengkaji dan mengemukakan pelbagai fenomena pendidikan, sosial, dan kemasyarakatan dalam konteks masyarakat, negara,
41 dan antarabangsa dengan bertunjangkan perintah dan larangan Allah sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran, hadis, ijmak, mahupun Qias. Matlamat sosiologi Pendidikan Islam adalah jelas, iaitu mempertingkatkan atau membetulkan keperibadian manusia dan masyarakat dengan wadah pendidikan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT untuk mendapatkan keredaan Allah di dunia dan di akhirat. Pandangan Tokoh-Tokoh Sarjana Islam Pembentukan keperibadian seseorang turut dipengaruhi oleh pelbagai pengaruh yang wujud dalam persekitaran kehidupan manusia sebagaimana yang telah dijelaskan dalam al-Quran surah al-Shams, ayat 8 hingga 10 yang bermaksud: Maka Allah mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya. (as-Syams: 8-10) Berdasarkan maksud ayat di atas dapat difahami bahawa proses pembentukan keperibadian manusia dipengaruhi oleh elemen persekitaran. Pengaruh persekitaran ini bergantung kepada ketakwaan seseorang individu sama ada memilih kepada jalan yang baik mahupun yang buruk. Walau bagaimanapun, manusia dibekalkan dengan akal untuk memilih jalan mana yang harus diikuti. Pengaruh-pengaruh jalan kebaikan dan kefasiqan ini pada hakikatnya merupakan pengaruh-pengaruh yang wujud daripada persekitaran dalam kehidupan seseorang. Rasulullah SAW juga telah menghuraikan betapa pentingnya elemen pengaruh persekitaran sosial terhadap proses pembentukan keperibadian seseorang. Baginda menjelaskan tentang pentingnya seseorang memperhatikan dengan siapakah dia bergaul dalam kehidupan sehariannya kerana pergaulan tersebut akan memberi kesan terhadap keperibadiannya. Setiap orang yang beriman itu dituntut untuk mencontohi sifat-sifat
42 yang terpuji. Ini kerana, agama Islam amat menitikberatkan keindahan akhlak. Dalam perspektif Islam, akhlak atau moral memiliki kedudukan yang tinggi. Demikian tingginya kedudukan akhlak dalam Islam sehingga Nabi SAW dijadikan sebagai pengukur keimanan sebagaimana dalam hadis berikut; ا قً ُ ُهْم ُ خل ْح َسنُ َ ِ َيمانًا أ ُمْؤ ِمنِ َ ين إ ْ َ ْكَم ُل ال أ “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” (HR. Abû Dâwûd dan Tirmidzî). Dalam Islam, akhlak sangat berkait dengan keimanan kepada Allah SWT. Seseorang yang mempunyai akhlak yang baik dengan sendiri nya akan membenci seluruh perbuatan atau sifat yang dimurkai oleh Allah. Suatu hal yang ditekankan dalam Islam adalah pendidikan akhlak wajib bermula di awal usia kerana masa kanak-kanak adalah masa yang paling kondusif untuk menanamkan kebiasaan akhlak yang baik (Bafadhol 2017). Disebabkan itu, antara sebab Nabi SAW diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Hal ini disebut berdasarkan sebuah hadis yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: ْخََل ِق َح ْ اِلَ َ َ ص ِال تَ ِ مم ُت ِ ِلُ ْ َما بُ ِعث ِنَّ إ Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)] Di dalam al-Quran juga, Allah SWT telah mengakui bahawa kekasih-Nya Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang terbaik untuk diikuti. Berdasarkan dalil tersebut, jelas disebut di dalam kitab-kitab yang menyeru agar berakhlak dengan akhlak Allah SWT dengan mengikuti sifat-sifat mahmudah (terpuji) serta menjauhi sifat-sifat mazmumah (terkeji).
43 Terdapat beberapa pandangan tokoh-tokoh Islam tentang teori sosiologi serta pembangunan masyarakat dan ummah yang ada menyentuh berkaitan akhlak dan pembentukan jati diri. Oleh itu, beberapa pandangan daripada tokoh-tokoh cendekiawan Islam akan dibincangkan dalam kajian ini. Ibnu Khaldun (1332-1406 M) Para cendekiawan Islam lebih sedekad yang lalu ada menjelaskan bahawa persekitaran yang baik perlu bagi menghasilkan akhlak yang baik. Akhlak yang baik itu perlu lahir dari diri sendiri berdasarkan pengamatannya kepada faktor-faktor persekitaran yang boleh mempengaruhi tabiat hidup manusia (Ibnu Khaldun 1993). Persekitaran mampu memberi kesan terhadap penghayatan nilai akhlak seseorang yang merupakan peringkat akhir dari proses pengukuran sosial yang dibentuk melalui pembelajaran sosial yang menggabungkan asas-asas pembelajaran sosial seperti rangsangan, tindak balas, peneguhan, kepatuhan, identifikasi, pemodelan dan peniruan. Proses ini selanjutnya memerlukan kewujudan faktor-faktor motivasi luaran seperti galakan dan ancaman serta motivasi dalaman seperti kepuasan diri dan keinginan untuk dilihat benar (Ab. Majid 1996). Perubahan sosial menjadi ciri terpenting dalam menentukan kehidupan sosial itu kekal dan berkembang. Dengan adanya perubahan, mampu mencapai keseimbangan dan kestabilan sosial seperti mana yang disebut oleh al-Attas bahawa dunia merupakan tumpuan segala usaha yang bersifat duniawi. Berdasarkan pandangan dan teori Ibnu Khaldun lagi, beliau menegaskan bahawa persekitaran amat mempengaruhi pembentukan akhlak, perkembangan ekonomi dan sosiobudaya dalam sesebuah masyarakat. Kesan daripada persekitaran yang didiami seterusnya akan menghasilkan satu budaya yang sebati dalam kehidupan sesebuah
44 masyarakat. Jelas ini membuktikan bahawa pengaruh persekitaran berperanan penting dalam mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik. Kajian Ibnu Khaldun terhadap sejarah dunia dan apa yang berlaku di dunia Islam khususnya memberikan kepadanya satu natijah, bahawa segala peristiwa yang berlaku yang berupa fenomena sosial mengikut kaedah yang tetap sama seperti fenomenafenomena lain yang tunduk kepada hukum yang tetap. Lalu tidaklah keterlaluan kalau dikatakan kajian Ibnu Khaldun ini menjadi cetusan idea sarjana Barat 400 tahun selepas itu untuk mengkaji fenomena sosial yang menjadi subjek kajian sosiologi pada masa kini (Ab. Majid 1996). Al- Farabi (872-950M) Pandangan sosiologi turut melibatkan penyebaran prinsip Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran dan hadis. Banyak ayat-ayat membincangkan sistem-sistem sosial seperti institusi keluarga, perkahwinan, ekonomi, agama, politik, akhlak, hak milik dan zakat. Malah perbincangan selanjutnya sepanjang sejarah pemikiran Islam turut membincang apa itu kebaikan, keburukan, keadilan, hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia sesama manusia. Kalau mahu disenaraikan tokoh Islam sebelum Comte, sekurang-kurang dua nama boleh di tonjol iaitu al-Farabi (870-950 M) dan Ibn Khaldun (1332-1406 M) merupakan dua tokoh yang banyak membincangkan pemikiran sosial ini (Ab. Majid 1998). Al-Farabi merupakan antara tokoh sosiologi Islam yang terkenal dalam pemerhatian terhadap perubahan sosial masyarakat. Dalam bukunya Ara' Ahl-al-Madinah al-Fadilah membincang persoalan falsafah, politik dan sosial. Di mana antara lain, beliau menyebut keperluan manusia kepada perkumpulan dan bekerjasama serta kesan keperluan ini dalam perkembangan masyarakat manusia. Beliau sebenarnya
45 mengulangi kata-kata Aristotle bahawa manusia itu adalah makhluk sosial. Dalam hubungan ini katanya: Setiap seorang manusia itu dijadikan berhajat kepada banyak perkara bagi mencapai kesempurnaan hidup. Malah memerlukan satu-satu kaum mengadakan keperluannya. Jadi ini semua hanya tercapai dengan perkumpulan-perkumpulan kelompok manusia yang saling bantumembantu. Al-Farabi menganggap falsafah sebagai suatu yang boleh mereput dan pupus. Kerana itulah beliau berharap agar dapat menghidupkan semula ilmu ini serta mengembalikannya. Beliau menganggap falsafah sebagai suatu yang sangat penting untuk kebaikan masyarakat, walaupun sesebuah masyarakat itu ditadbir oleh undangundang wahyu. Para sarjana pemikiran Islam mengiktiraf al-Farabi sebagai pengasas politik dalam tamadun Islam. Beliau bukan sahaja dianggap sebagai pengasas dalam konteks sejarah Islam, malah juga dalam konteks dunia. Al-Farabi menyatakan dalam “Madinah Fadilah”: “Falsafah sepatutnya terasing daripada kerajaan, sungguhpun setiap kelayakan lain memerintah mungkin boleh ditunjukkan, negara yang baik ialah yang kurang bilangan pemimpinnya, pemimpin negara yang sebenarnya bukannya (bersifat seperti) raja yang sebenar dan (jika sebaliknya) negara akan menemui kehancuran; dan jika tiada orang yang bijak yang membantu pemimpin negara, maka kemudiannya selepas suatu tempoh masa, negara itu akan musnah”(al-Farabi 1959). Pengajian sosiologi di dunia memang telah melihat sudut-sudut positif dalam pemerhatian beliau terhadap segala fenomena. Antaranya terdiri daripada pelbagai jenis perlakuan, cara hidup dan naluri manusia, akhlak dan keadaan jiwanya yang mendorong manusia untuk melakukan sesuatu perkara. Perlakuan ini melibatkan tujuan, matlamat
46 yang hendak dicapai menerusi tingkah laku nya. Beliau berusaha menemukan hukumhukum tertentu terhadap fenomena yang berulang kali berlaku sehingga menjadi tabiat. perlakuan manusia berubah dengan pengaruh persekitaran dalam kalangan masyarakat dan akhirnya menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian mereka (Ab. Majid 1996). Al-Ghazali (1058-1111M) Imam al-Ghazali juga turut menitik beratkan faktor pembelajaran sosial. Antara perkara yang digalakkan oleh beliau ialah pergaulan dengan orang-orang yang soleh sebagai salah satu daripada tiga kaedah untuk membentuk akhlak yang mulia dalam diri seseorang. Hal ini disebabkan oleh manusia itu sendiri mempunyai sifat meniru secara semula jadi di mana seseorang itu memperoleh sifat baik dan sifat buruk daripada keadaan persekitaran orang lain (Umaruddin 2003). Setiap manusia juga berbeza berdasarkan keadaan sekelilingnya. Sesiapa yang mendapati dirinya berada dalam persekitaran dan pendidikan yang membantunya ke arah kebaikan, maka dia lebih cenderung untuk menjadi golongan yang baik dan begitu juga sebaliknya. Al-Ghazali dalam kitab ihya ulumuddin banyak menulis berkaitan ukhrawi berbanding dengan pengetahuan duniawi sahaja. Beliau memandang pendidikan sebagai suatu medium untuk mendekatkan diri lagi kepada Allah serta untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Hal ini dibuktikan dengan tujuan pendidikan yang dinyatakan oleh al-Ghazali iaitu; 1) melahirkan insan yang sempurna yang bermatlamat serta mendekatkan diri kepada Allah SWT, 2) melahirkan insan yang sempurna yang bermatlamat untuk mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat (Yussof 2003). Corak pemikiran al-Ghazali mengenai sosiologi pendidikan lebih cenderung kepada pemikiran sufi dan lebih bersifat rohaniah. Ini kerana ciri khas pendidikan Islam itu lebih menekankan pentingnya menanamkan nilai moral yang dibina berdasarkan dari
47 akhlak-akhlak Islam. Walau bagaimanapun, al-Ghazali juga menekankan pentingnya penguasaan ilmu keduniaan untuk kepentingan hidup manusia. Beliau memandang ilmu pengetahuan sebagai tanda aras keberhasilan pendidikan Islam pada masa kini dan juga akan datang (Yussof 2003). Selain itu, pemikiran al-Ghazali mengenai pendidikan Islam juga merupakan jalan bagi pembentukan manusia yang mampu mengenal Tuhannya dan berbakti kepada Nya. AlGhazali menyatakan bahawa manusia yang dididik sehingga menjadi pintar, namun tidak berakhlak, maka orang itu dikategorikan sebagai seorang yang bodoh atau jahil, di mana sepanjang kehidupannya akan ditimpa kesusahan. Berdasarkan penelitian mengenai pemikiran al-Ghazali mengenai pendidikan menunjukkan betapa pentingnya manusia itu untuk berilmu dan ilmu itu juga harus di sebarkan kepada manusia lain serta di amalkan (al-Ghazali 2003). Dengan erti lain, pendidikan itu mestilah menjadi satu keperluan kepada umat Islam kerana Islam menghendaki pendidikan berterusan sepanjang hayat seseorang manusia itu. Dengan pendidikan juga, menjadikan umat Islam sebagai insan kamil yang mempunyai moral dan akhlak yang tinggi yang dibangunkan berdasarkan nila-nilai akhlak yang diajarkan oleh Islam dalam melahirkan generasi rabbani. Pandangan Tokoh-Tokoh Sarjana Barat Sejak empat dekad lagi, para sarjana barat telah menekankan tentang peranan persekitaran dalam pembentukan peribadi seseorang individu. Terdapat beberapa tokoh yang amat meneliti perihal hubungan persekitaran dengan perkembangan sikap dan tabiat manusia. Antaranya ialah:
48 Albert Bandura (1977) Teori pembelajaran sosial bandura telah menyatakan bahawa sesuatu tindakan tingkah laku itu merupakan hasil interaksi antara ketiga-tiga faktor iaitu manusia, persekitaran dan tabiat manusia. Bandura (1977) berpendapat walaupun wujud interaksi antara ketiga-tiga faktor ini, namun ia tidak boleh bertindak secara berasingan. Salah satu daripada ketiga-tiga ini mungkin akan ada yang lebih berpengaruh dari yang lain pada masa tertentu untuk menghasilkan sesuatu tindakan. Seterusnya, manusia pula akan membentuk perasaan, nilai dan tingkah laku melalui pemerhatian terhadap apa yang dilakukan oleh ahli masyarakatnya. Bandura (1997) juga berpendapat, kanak-kanak dan remaja banyak belajar melalui peniruan. Tingkah laku remaja terhasil akibat daripada pengalaman pengasuhan kanak-kanak. Oleh itu, kebanyakan tingkah laku remaja adalah mengikut kehendak ibu bapa dan masyarakat. Tingkah laku yang menyeleweng pula adalah akibat pengasuhan dan proses sosialisasi yang kurang sempurna. Perubahan-perubahan dalam masyarakat seterusnya menghasilkan perubahan dalam persepsi terhadap masyarakat. Berasaskan pembelajaran remaja melalui peniruan ini, maka remaja akan mengalami masalahmasalah sosial di mana mereka terjebak dengan unsur-unsur peniruan yang negatif seperti merokok, mengambil dadah dan budaya-budaya negatif yang lain. Auguste Comte (1798-1857) Auguste Comte merupakan orang yang pertama mengembangkan konsep sosiologi. Beliau merupakan seorang ahli falsafah Perancis yang dikenali sebagai pengasas sosiologi dan positivisme. Comte memberi nama sains sosiologi dan menetapkan subjek baru secara sistematik untuk pembinaan semula masyarakat. Beliau juga mendefinisikan sosiologi sebagai sains positif. Positivisme adalah pencarian untuk
49 "undang-undang yang tidak berubah dari dunia semula jadi dan sosial." Comte mengenal pasti tiga kaedah asas untuk mengetahui perubahan masyarakat melalui pemerhatian, eksperimen, dan perbandingan (Comte 1975). Comte meletakkan asas untuk Sosiologi serta membuka jalan untuk para ahli sosiologi lain untuk diikuti dan diperbaiki pada masa akan datang. Oleh itu, beliau juga dikenali sebagai ‘Bapa Sosiologi’. Sebagai seorang ahli falsafah, ahli matematik, dan saintis sosial, Comte terkenal sebagai pencetus positivisme, pendekatan terhadap falsafah dan sejarah sains serta teori perkembangan masyarakat yang mengenal pasti pengetahuan asal sebagai hasil pemerhatian dan eksperimen empirikal dan sosial sebagai satu revolusi ilmiah. Beliau memainkan peranan penting dalam pengembangan ilmu sosial dan sangat berpengaruh pada pemikiran tentang kemajuan pada abad kesembilan belas dan kedua puluh dalam meningkatkan kemajuan intelektual sebagai peralihan dari agama ke metafizik ke sains (Comte 1858). Dalam sosiologi, positivisme berpandangan bahawa fenomena sosial (seperti tingkah laku sosial manusia dan bagaimana masyarakat disusun) harus dikaji dengan hanya menggunakan kaedah sains semula jadi. Jadi, positivisme adalah pandangan tentang metodologi sains sosial yang sesuai serta menekankan pemerhatian empirikal. Positivisme adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan pendekatan untuk kajian masyarakat yang bergantung secara khusus pada bukti ilmiah, seperti eksperimen dan statistik, untuk mengungkapkan sifat sebenar bagaimana masyarakat beroperasi. Herbert Spencer (1820-1903) Herbert Spencer merupakan seorang ahli falsafah dan ahli sosiologi Inggeris yang aktif secara intelektual semasa zaman Victoria. Beliau terkenal dengan sumbangannya terhadap teori evolusi dan menerapkan nya di luar biologi, falsafah, psikologi, dan
50 sosiologi. Dalam karya ini, dia mencipta istilah "survival of the fittest." Di samping itu, ia membantu mengembangkan perspektif fungsionalisme, yang merupakan salah satu kerangka teori utama dalam sosiologi. Psikologi fungsional atau fungsionalisme merujuk kepada aliran pemikiran psikologi yang merupakan pertumbuhan langsung pemikiran Darwin yang memusatkan perhatian terhadap tujuan tingkah laku yang telah diubah selama bertahun-tahun kewujudan manusia. Fungsionalisme adalah teori sosial yang telah diterapkan dalam pendidikan. Dalam paradigma fungsionalisme, masyarakat difahami sebagai stabil dan komponen masyarakat seimbang antara satu sama lain. Fungsi fungsionalisme merujuk kepada falsafah psikologi umum yang mempertimbangkan kehidupan mental dan tingkah laku dari segi penyesuaian aktif terhadap persekitaran seseorang. Sebagai contoh, evolusi dapat dilihat dari jejak evolusi manusia yang belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran dan juga sentiasa menemui dan mengembangkan perkara dan pengetahuan baru dalam kehidupan (Russell 2013). Spencer juga menulis buku pertamanya “Sosial Statics” dan menerbitkannya pada tahun 1851 yang bertajuk “August Comte Concept”. Dalam karya ini, Spencer menggunakan idea Lamarck mengenai evolusi dan menerapkan nya kepada masyarakat serta menunjukkan bahawa manusia menyesuaikan diri dengan keadaan sosial kehidupan mereka. Oleh kerana itu, Spencer berpendapat bahawa persekitaran boleh mengubah tingkah laku masyarakat serta perubahan moral dalam kehidupan. Buku ini dianggap sebagai karya falsafah yang menjadikan Spencer sebagai pemikir perspektif fungsionalisme dalam sosiologi (Crossman 2020). Buku kedua Spencer “Principles of Psychology” diterbitkan pada tahun 1855 dan membuat hujah bahawa undang-undang semula jadi mengatur fikiran manusia. Dalam
51 karya ini, Spencer menjelaskan bagaimana prinsip evolusi telah diterapkan tidak hanya biologi, tetapi dalam psikologi, sosiologi, dan juga pembelajaran moralisasi. Secara keseluruhan, karya ini menunjukkan bahawa masyarakat adalah organisma yang maju melalui proses evolusi yang serupa dengan yang dialami oleh spesies hidup. 2.3 Teori Ekologi Persekitaran Teori merupakan satu bentuk intelektualisme dalam idea dan konsep yang dimiliki oleh seseorang menerusi asas pekerjaannya seperti pengalaman, pembacaan dan juga penyelidikan. Terdapat banyak teori yang memerihalkan tingkah laku manusia, yang merangkumi teori pembelajaran dan juga teori tingkah laku. Namun, berdasarkan penyelidikan terdahulu dalam konteks kajian ini menunjukkan bahawa Teori Ekologi Persekitaran merupakan teori yang lebih tepat dengan kajian yang melibatkan ekologi persekitaran dan perkembangan seseorang individu. Ibnu Khaldun Dipanggil sebagai “Bapa Sejarawan” dan “Bapa Sosiologi” kerana dianggap pengasas sosiologi dunia, iaitu orang pertama yang memulakan kajian tentang pembangunan, struktur, fungsi masyarakat manusia dan masalah sosial. Ibnu Khaldun dianggap sebagai orang yang pertama dan salah satu ahli falsafah sejarah yang paling hebat. Dilahirkan di Sepanyol dan berpendidikan di Tunis, beliau bertugas sebagai hakim dan setiausaha dalam perkhidmatan pemerintah di Sepanyol dan Afrika Utara. Ibnu Khaldun mendapat banyak pengiktirafan untuk karya tujuh jilid nya mengenai sejarah sejagat, Kitab al-Ibar (Buku Pelajaran). Dalam karya tersebut, kebanyakannya tertumpu pada dunia Muslim. Ibnu Khaldun berusaha menjadikan sejarah sebagai ilmu yang dicipta melalui pemerhatian, eksperimen, hipotesis, dan logik yang bertujuan untuk
52 menerangkan dan menjangkakan sesuatu kajian pada masa akan datang. Beliau memberikan sumbangan yang paling penting dalam bahagian pertama karya, Mukadimah (Pengantar), di mana menggariskan falsafah sejarahnya, menganalisis penyebab peristiwa dan menetapkan konteks sosial, geografi, dan ekonomi untuk perubahan sejarah. Ibnu Khaldun merupakan tokoh sarjana Islam yang banyak membincangkan berkenaan sosiologi, sains sosial dan persekitaran hidup manusia. Namun begitu, tidak ramai yang melihat tokoh Islam sebagai tokoh sosiologi sedangkan ilmu ini telah wujud beratus tahun lamanya iaitu tahun 1300 an. Dalam bukunya yang berjudul Mukadimah banyak menerangkan berkaitan proses perkembangan manusia yang dipengaruhi oleh persekitaran sosial. Rajah 2:1: Teori Ekologi Persekitaran Ibnu Khaldun (1993, 2006) Urie Bronfenbrenner Teori ini melihat perkembangan seseorang pelajar dalam konteks sistem hubungan yang membentuk persekitarannya. Teori Bronfenbrenner mendefinisikan terdapat pelbagai lapisan kompleks dalam persekitaran, masing-masing mempunyai kesan ke atas
53 perkembangan seseorang individu. Teori ini mula dikembangkan oleh Urie Bronfenbrenner lebih 10 dekad lalu yang menjelaskan bahawa pembangunan manusia berlaku melalui hasil interaksi timbal balik yang kompleks antara individu dan persekitarannya. Teori ini menekankan bahawa biologi individu adalah persekitaran utama yang memajukan perkembangannya. Interaksi antara faktor-faktor dalam biologi kanakkanak yang matang, persekitaran keluarga atau komuniti terdekatnya, dan landskap masyarakat yang akan menggerakkan perkembangannya. Perubahan atau konflik dalam mana-mana satu lapisan akan berlaku di seluruh lapisan lain. Untuk mengkaji perkembangan kanak-kanak itu, kita mesti melihat bukan sahaja pada kanak-kanak dan persekitarannya yang terdekat, tetapi juga pada interaksi persekitaran yang lebih besar juga. Para sarjana barat telah membangunkan teori yang melibatkan pengaruh persekitaran sejak berdekad lamanya. Bronfenbrenner (1979, 1989, 1992) telah memperkenalkan teori ekologi yang menekankan pengaruh persekitaran terhadap perkembangan individu. Fokus utama teori ekologi Bronfenbrenner ini menjelaskan tentang perkembangan pelajar yang dipengaruhi oleh orang yang berada di sekitarnya atau di sekelilingnya di mana pelajar tersebut membesar. Setiap pelajar mempunyai identiti yang berbeza disebabkan konteks sosial yang berbeza dalam perkembangan sepanjang hayatnya (Bronfenbrenner 1960). Berdasarkan konsep dalam teori ini, sama ada disedari atau tanpa disedari individu yang berada di ruang lingkup tengah iaitu mikro sistem akan dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Oleh sebab itu, dalam konteks iklim sekolah tingkah laku individu terbentuk hasil daripada persekitaran sekolah. persekitaran sekolah bukan hanya dari aspek fizikal
54 sahaja malah aspek sosial, kepimpinan, spiritual dan lain-lain. Sebagai contoh, struktur dan keadaan sekolah, penggunaan amalan sekolah tertentu dan hubungan interpersonal antara pelajar dan guru. Semuanya memainkan peranan dalam mempengaruhi perkembangan pelajar. Beliau menjelaskan perkembangan pelajar melalui interaksi ataupun perhubungan secara zahiriah dengan alam persekitaran dan masyarakat setempat. Pada asasnya, teori ini seperti merujuk kepada sikap semula jadi kanak-kanak yang dianggap sering menggunakan persekitaran untuk melatih kemahiran dalam diri sendiri. Teori Bronfenbrenner menetapkan lima ciri-ciri penting yang perlu diambil kira. Kelima-lima ciri ini adalah sistem tetap dalam teori ekologi dan merupakan satu keutamaan. Kelimalima sistem ini adalah mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem. Sistem-sistem ini merupakan perkaitan atau kesinambungan yang dikaitkan dengan persekitaran pelajar dengan hubungan interaksi pelajar itu sendiri. Oleh itu, teori ini merupakan kepercayaan berasaskan kepada kajian mendalam yang mengaitkan hubungan pelajar dengan persekitaran mereka sama ada dengan masyarakat, pengaruh alam sekitar, iklim, budaya dan bahasa, kepercayaan dan lain-lain. Penekanan teori ekologi ini adalah kepada keupayaan seseorang pelajar dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran di samping dapat memanfaatkan kemahirankemahiran yang lain berasaskan kepada persekitaran setempat. Lantaran itu, Bronfenbrenner telah membuat penegasan terhadap hubungan dengan kelima-lima sistem ini berdasarkan ciri pelajar, hubung kait dan kesan kepada pelajar itu sendiri. Mikrosistem merupakan persekitaran yang terdekat di mana para pelajar mempunyai interaksi secara langsung dan menghabiskan banyak masa bersama. Sistem ini melibatkan jenis aktiviti yang dijalankan oleh pelajar, contoh teladan, dan juga
55 hubungan interpersonal dalam pembentukan karakter seseorang pelajar dari segi fizikal dan juga dalaman pelajar. Ia melibatkan ibu bapa, guru, adik-beradik, jiran, dan rakanrakan. Dalam sistem ini, masyarakat akan dapat melihat dengan jelas peranan-peranan yang dimainkan oleh keluarga, rakan-rakan, kawasan kejiranan, masyarakat umum dan sebagainya. Mesosistem terdiri daripada hubungan dan proses yang berlaku antara dua atau lebih dalam perkembangan seseorang individu. Sistem ini merupakan perhubungan antara mikrosistem dengan mikrosistem yang lain. Sebarang perkara yang berlaku dalam satu mikrosistem akan mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Sebagai contoh hubungan antara rumah dan sekolah, sekolah dan tempat kerja. Dengan erti kata lain, mesosistem juga merupakan sistem yang ada dalam mikrosistem. Sistem ini melibatkan kesan kepada penglibatan dan komunikasi dua hala dalam membuat sesuatu keputusan antara guru dan keluarga. Seterusnya, ekosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan pelajar secara langsung tetapi keputusannya akan memberi kesan kepada pelajar tersebut. seterusnya, pengalaman pelajar tersebut akan turut mempengaruhi orang lain. sebagai contoh, persekitaran sekolah, pengurusan sekolah, kemudahan fizikal sekolah, dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di sekolah secara tidak langsung turut mempengaruhi perkembangan sosial pelajar. Makrosistem melibatkan perkembangan individu yang dipengaruhi oleh norma, nilai, dan amalan masyarakat. Ia melibatkan sistem persekitaran yang abstrak. Sistem ini terdiri daripada ideologi negara, pemerintah, tradisi, agama, hukum, adat istiadat, budaya dan lain-lain. Terdapat sesetengah masyarakat memandang penting terhadap perbezaan jantina. Sebagai contoh ibu bapa yang berfikiran konservatif terhadap jantina,
56 tidak memberikan hak pendidikan yang sama rata antara anak lelaki dan perempuan. Perbezaan ini wujud kerana ia dibentuk dan dicipta oleh persekitaran sosial itu sendiri. Kronosistem pula merujuk kepada perubahan keadaan dalam suatu tempoh masa. Ia melibatkan pola peristiwa dan transisi yang berlaku dalam persekitaran individu di sepanjang hayatnya. Perkembangan dan pembangunan sesebuah negara menyumbang pengaruh yang besar kepada perkembangan individu terutamanya para pelajar yang merupakan aset negara. Implikasi daripada sistem ini jelas dibuktikan dengan perubahan teknologi ke arah mencapai revolusi 4.0. Jika dilihat para pelajar hari ini lebih minat dan tertarik dengan kaedah pengajaran yang menggunakan ICT berbanding dengan kaedah lama ‘chalk and talk’. Apa yang lebih ketara lagi, kanak-kanak lebih gemar bermain permainan komputer berbanding bersukan atau permainan tradisional. Justeru, berdasarkan perkaitan kelima-lima teori di atas membuktikan bahawa persekitaran dan amalan (perbuatan) seseorang individu dalam masyarakat mempengaruhi kehidupannya sendiri dan orang di sekelilingnya. Oleh itu, dalam konteks pendidikan khususnya di sekolah setiap amalan (perbuatan) baik yang dilakukan oleh warganya akan menjadi ikutan yang membawa kepada penghayatan akhlak mulia yang dikehendaki oleh syariat. Rajah 2.2 menunjukkan teori ekologi persekitaran Bronfenbrenner.
57 Rajah 2:2: Teori Ekologi Persekitaran Bronfenbrenner (1979) Justifikasi Pemilihan Teori Jadual 2.1 merujuk kepada jadual matriks penggunaan teori yang paling dominan dalam kajian berkaitan iklim sekolah. Analisis penggunaan teori telah dibuat sebagai panduan berasaskan teori tersebut. Berdasarkan teori-teori yang sering digunakan dalam kajian berkaitan persekitaran sejak kebelakangan ini, teori ekologi Bronfenbrenner lebih sesuai dan jelas dengan kajian ini untuk digunakan dalam pembentukan iklim dini di sekolah. Teori ini lebih berfokus kepada persekitaran yang terdekat di mana pelajar mempunyai interaksi secara langsung antara individu dengan persekitaran sekeliling dan juga menghabiskan masa bersama yang paling lama dengan orang yang berada di sekelilingnya seperti ibu bapa, guru, adik-beradik, rakan-rakan dan jiran. Pemilihan teori ini amat bersesuaian dengan kajian ini yang melihat iklim sekolah sebagai fokus kajian. Teori ini juga telah digunakan dalam kajian Mujahadah (2015), Salsabila (2018) dan Muhyatun (2019) yang melihat teori ini sebagai sebuah pendekatan dalam mengembangkan kurikulum pendidikan Islam di Indonesia serta membantu meningkatkan kualiti karakter pelajar . Kajian ini menggunakan gabungan teori tokoh
58 Islam dan Barat yang sesuai dalam menghasilkan satu konsep yang baru dan sesuai diguna pakai oleh semua jenis sekolah, komuniti, masyarakat dan juga ummah. Jadual 2.1: Matriks Penggunaan Teori Iklim Sekolah 2.4 Konsep Pembudayaan Iklim Dini di Sekolah Iklim sekolah adalah konsep luas yang merangkumi persepsi guru mengenai persekitaran kerja sekolah, organisasi formal dan tidak rasmi, dan kepimpinan organisasi (Hoy & Miskel 2010). Iklim sekolah merupakan gambaran keseluruhan dalam membentuk watak sesebuah sekolah. Pembentukan watak sesebuah sekolah bergantung kepada pelajar, guru, ibu bapa, pengalaman sekolah dan persekitarannya. Iklim sekolah juga mencerminkan norma, matlamat, nilai, dan hubungan interpersonal seseorang individu (Cohen & Thapa 2017; American Educational Research Association 2013; Cohen & Pickeral 2009; Freiberg 1999, National School Climate Council 2007). Sebuah sekolah yang mempunyai iklim yang baik adalah seolah-olah mempunyai pelajar yang bersemangat, bekerja keras, kakitangan pengajar yang berdedikasi, rasa kepercayaan, dan sokongan terhadap para pentadbir. Keadaan ini secara tidak langsung akan mewujudkan suasana yang positif.
59 Pembentukan dan pembinaan sesebuah iklim sekolah positif banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan suasana sekolah yang kondusif. Ini kerana iklim sekolah dapat menggambarkan sosial interaksi, hubungan, nilai, dan kepercayaan yang dipegang oleh pelajar, guru, pentadbir, dan kakitangan dalam sebuah sekolah (Rudasill, Snyder, Levinson, Adelson 2017). Lebih dua dekad kajian berkenaan iklim sekolah telah mula dikaji dan sehingga kini isu iklim sekolah ini terus dikaji kerana ia memberi impak yang besar dalam menentukan kejayaan pelajar dan sekolah (Freiberg 1999: Lauren, Louis, & Tony 2017). Seterusnya, para sarjana di Malaysia juga turut berpendapat bahawa iklim sekolah merupakan nadi atau jiwa sesebuah sekolah. Pengaruh persekitaran merupakan elemen penting dalam pembentukan watak, cara berfikir, sikap dan pembangunan para warga sekolah (Mahi 1998; Norhisham 2015; Raihan 2016; Ridzuan et al. 2017). Oleh itu, konsep membudayakan iklim dini dan persekitaran Islam di sekolah merupakan perkara penting yang perlu diambil tindakan segera bagi membentuk jati diri pelajar sekolah menengah agama yang baik. Persekitaran Islam yang baik juga mempengaruhi penghayatan agama dari aspek tingkah laku dan cara hidup (Mohamed, Wan Mamat & Yusoff 2012; Huda & Azizah 2014). Iklim dini juga mempunyai perkaitan dalam menghasilkan keperibadian unggul serta penghayatan nilai dan cara hidup Islam di samping mengejar pencapaian akademik yang cemerlang. Kedua-dua aspek ini sangat diperlukan oleh pelajar masa kini bagi melahirkan kemenjadian pelajar yang dapat dibentuk sebagai generasi rabbani yang seimbang. Perbahasan dan perbincangan tentang iklim sekolah telah berlaku sekian lama. Perbincangan tersebut bukan sahaja berlaku dalam kalangan sarjana barat, malah Islam dan para sarjana Muslim sejak sekian lama yang telah memberi penekanan tentang iklim.
60 Dalam ajaran Islam, iklim sangat dititikberatkan. Pelbagai konsep hidup dan bersosial diperkenalkan seperti hidup bersatu padu, berkasih sayang, bertegur sapa, berbincang, bergotong royong dan sebagainya (Ibnu Khaldun 1993, 2006; Kasdi 2014; Amin 2018). Semua ini dikira sebagai ibadah dan apabila dilaksanakan dengan ikhlas akan memperoleh pahala di sisi Allah. Ibnu Khaldun (1993) sangat menitik beratkan peranan iklim bagi pembentukan akhlak yang baik. Menurut Ibnu Khaldun, iklim yang baik perlu bagi menghasilkan akhlak yang baik dan akhlak yang baik itu perlu lahir dari diri sendiri berdasarkan pengamatannya kepada faktor-faktor iklim yang boleh mempengaruhi tabiat hidup manusia. Ini kerana manusia berbeza berdasarkan iklim di mana dia berada. Oleh itu, sesiapa yang berada dalam iklim yang membantunya ke arah kebaikan, maka dia lebih cenderung untuk menjadi golongan yang baik dan begitu juga sebaliknya. Malah, Imam al-Ghazali (2003) juga memberi penekanan yang utama terhadap faktor iklim bagi membentuk sahsiah mulia dalam diri seseorang melalui kaedah pemerhatian dan pergaulan. Menurut al-Ghazali (2003), manusia secara fitrah bersifat meniru di mana seseorang itu boleh memperoleh kedua-dua sifat baik dan buruk daripada keadaan seorang yang lain. Jika seseorang itu bergaul dengan seorang yang soleh di dalam tempoh tertentu, dia akan memperoleh dalam dirinya sesuatu kebaikan daripada orang tersebut dan secara tidak disedari banyak mempelajari sesuatu daripadanya (Amin 2018). Antara perkara yang Islam berusaha tegakkan adalah iklim atau persekitaran yang soleh. Ia disebut dalam bahasa Arab sebagai “al-iklim al-solehah” atau “biah solehah”. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik dan takwa akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada dalamnya. Insan apabila hidup
61 dalam sesuatu suasana, secara kebiasaannya suasana itu akan mempengaruhinya. Jika seseorang yang kurang bijak hidup dalam kalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya (Kasdi 2014). Demikian juga jika seseorang yang kurang baik, tetapi hidup dan bergaul dengan mereka yang baik-baik, kemungkinan besar budaya dan akhlak yang baik akan mempengaruhinya. Perkara yang sebaliknya juga mungkin berlaku. Insan yang tidak jahat, tetapi jika terbiasa dengan mereka yang melakukan aktiviti atau akhlak yang jahat, maka tidak mustahil pengaruh-pengaruh jahat itu akan menyerap ke dalam jiwanya nanti. Oleh itu, tidak hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab para pemerintah agar memelihara iklim dan persekitaran agar dihiasi dengan perkara-perkara yang makruf dan dipelihara dari kemungkaran yang nyata lagi merosakkan masyarakat. Justeru, kajian ini akan mengupas secara jelas berkaitan dengan strategi dan pelaksanaan yang perlu diteliti berdasarkan kepada kajian-kajian terdahulu yang berlandaskan cara hidup Islam. Definisi Iklim Dini Iklim sekolah telah lama dikaji sejak berdekad lamanya. Namun begitu, definisi iklim sekolah masih mempunyai pelbagai tafsiran dan pandangan mengikut kesesuaian masing-masing. Walau bagaimana pun, definisi yang telah di keluarkan masih lagi berkait dan boleh diguna pakai secara amnya. Ibn Khaldun menganalisis juga tentang “pengaruh iklim terhadap moral manusia”. Apa yang dimaksudkan oleh Ibnu Khaldun ialah persekitaran amat mempengaruhi perwatakan warganya. Sebagaimana beliau
62 memberi contoh masyarakat yang berasal dari teluk dengan udara panas seperti Sudan dan negara Arab, biasanya mereka kurang berhati-hati dan banyak bergembira. Sedangkan penduduk yang wilayah yang mempunyai cuaca kering biasanya mereka mempunyai tabiat selalu merasakan kesedihan. Fenomena ini disebabkan perbezaan iklim yang mampu mempengaruhi akhlak dan peribadi seseorang (Kasdi 2014). Majlis Iklim Sekolah Kebangsaan (2007) mendefinisikan iklim sekolah sebagai "norma, nilai-nilai, dan harapan yang menyokong orang-orang yang sihat, emosional dan selamat dari segi fizikal ". Iklim sekolah adalah hasil hubungan antara pelajar, keluarga, guru, kakitangan sokongan, dan pentadbir. Iklim sekolah positif dipupuk melalui visi bersama mengenai penghormatan dan penglibatan oleh seluruh sistem pendidikan. Penekanan juga diberikan kepada pengertian keselamatan dan penjagaan kolektif bagi persekitaran fizikal sekolah. Konsep yang berkaitan adalah budaya sekolah, yang merujuk kepada "peraturan dan harapan yang tidak tertulis" dalam kalangan kakitangan sekolah (Gruenert 2008). Meskipun tidak terdapat satu set domain atau ciri teras yang dipersetujui secara universal, kajian oleh Pusat Iklim Sekolah Nasional (National school climate council 2007) telah mengenal pasti lima unsur iklim sekolah: (1) keselamatan (peraturan dan norma, keselamatan fizikal, keselamatan sosial-emosi); (2) pengajaran dan pembelajaran (sokongan untuk pembelajaran, pembelajaran sosial dan sivik); (3) hubungan interpersonal (menghormati kepelbagaian, sokongan sosial daripada orang dewasa, penyokong sosial daripada rakan sebaya); (4) persekitaran institusi (keterkaitan sekolah, penglibatan, persekitaran fizikal); dan (5) perhubungan kakitangan (kepimpinan, hubungan profesional). Berdasarkan lima unsur ini, kajian berkaitan iklim dini dijadikan sebagai panduan dan disesuaikan dengan faktor budaya sekolah di
63 Malaysia agar penerimaannya disenangi oleh masyarakat umum dalam membentuk iklim sekolah yang positif. Iklim sekolah yang positif diiktiraf sebagai sasaran penting untuk pembaharuan sekolah dan meningkatkan hasil tingkah laku, akademik, dan mental untuk pelajar (Thapa et al. 2012). Di samping mengurangkan pendedahan pelajar kepada faktor risiko, iklim sekolah dapat menggalakkan pembangunan belia yang positif. Sebagai contoh, iklim sekolah yang menguntungkan dikaitkan dengan motivasi dan penglibatan akademik pelajar yang lebih tinggi serta peningkatan kesejahteraan psikologi. Tidak menghairankan, sekolah-sekolah yang mempromosikan persekitaran pembelajaran yang menarik cenderung mempunyai ketidakhadiran pelajar yang kurang (Gottfredson, Gottfredson, Payne, & Gottfredson 2005) serta penambahbaikan dari aspek pencapaian akademik. Iklim sekolah yang positif juga mempunyai manfaat untuk guru dan profesional sokongan pendidikan (Bradshaw, Waasdorp & O’Brennan 2010). Penyelidikan menunjukkan bahawa apabila para pendidik merasa disokong oleh pentadbiran mereka, mereka melaporkan tahap komitmen yang lebih tinggi dan lebih banyak kesepakatan (La Salle 2018). Begitu juga, sekolah-sekolah di mana pendidik secara terbuka berkomunikasi dengan satu sama lain, merasa disokong oleh rakan-rakan dan pentadbir mereka serta dapat membina hubungan yang kuat antara satu sama lain. Iklim sekolah amat perlu diberi perhatian dengan baik. Sarjana barat menggambarkan iklim sekolah sebagai personaliti seseorang individu dan cara guru dan pelajar tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan dengan baik (Halpin & Croft 1963). Iklim sekolah merupakan keadaan sosial dan budaya sekolah yang mempengaruhi tingkah laku orang yang tinggal di dalamnya (Howard 1974: La Salle
64 2018). Ia disifatkan sebagai faktor dalaman sekolah termasuklah perhubungan sosial antara guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar, pengetua dengan guru dan pelajar, gerak kerja kokurikulum dan bentuk perhubungan manusia yang lain. Iklim sekolah juga merujuk kepada kualiti dan ciri kehidupan di dalam sekolah termasuk norma, nilai dan harapan di sekolah. Ia secara meluas mengakui bahawa iklim sekolah adalah faktor utama yang boleh menjejaskan dan meningkatkan prestasi sekolah serta merupakan usaha untuk membawa perubahan di sekolah (Bryk & Schneider 2003; Sailes 2008; Schoen & Teddlie 2008; Van Houtte 2005). Dalam konteks kajian ini, iklim dini memberi maksud persekitaran yang berlandaskan syariat Islam yang wujud dalam budaya sekolah-sekolah agama dengan penghayatan dan pengamalan akhlak Islamiyah yang seterusnya menjadi kebiasaan dalam diri warganya. Jadi secara tidak langsung konsep iklim dini ini menjadi pembentuk watak seseorang individu yang tinggal di dalamnya. Kepentingan Konsep Iklim Dini di Sekolah Iklim dini di sekolah merupakan manifestasi amalan dan penghayatan Islam oleh warga sekolah yang beragama Islam. Nilai budaya atau iklim dini dalam pendidikan khususnya dalam kurikulum mata pelajaran di sekolah boleh membentuk serta mengukuhkan pembentukan generasi muda masa kini yang mempunyai budaya tersendiri dan budaya warisan mereka. Iklim dini dapat melatih sifat intrinsik pelajar supaya sikap, tindakan, dan keputusan mereka dipengaruhi oleh nilai-nilai kerohanian dan etika Islam. Sejak tiga dekad lamanya, para penyelidik barat menganggap bahawa iklim sekolah merupakan faktor penting dalam membentuk tingkah laku positif (George & Bishop,
65 1971; Othman, Hussien, Ahmad, Abd Rashid & Badzis 2017). Adalah dipercayai bahawa iklim sekolah mampu menerapkan persekitaran sekolah yang kondusif, dan secara tidak langsung dapat mengubah pandangan individu serta personaliti warga sekolah tersebut. Ini kerana iklim bukan sahaja menunjukkan personaliti yang unik, bahkan juga menentukan kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah (Stronge & Jones 1991). Iklim sekolah yang positif akan menampakkan persekitaran sekolah yang selesa, struktur organisasi yang baik dan secara konsistennya membakar semangat yang tinggi kepada warga sekolah. Selain itu, iklim sekolah juga mempunyai hubungan yang signifikan dalam membentuk sahsiah pelajar. Gunbayi (2007) menegaskan bahawa iklim yang positif sangat perlu wujud di sesebuah sekolah untuk membentuk pemikiran serta tingkah laku yang positif. Pelaksanaan iklim dini bukan hanya menumpukan kepada aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti perhiasan persekitaran Islam, budaya dan amalan harian pelajar serta warga sekolah, malahan turut melihat dari sudut kepimpinan, kurikulum, kokurikulum, dan juga hubungan dengan komuniti sekolah masing-masing yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Justeru, Mahi Din (1998) telah menyenaraikan empat ciri iklim dini sekolah iaitu: pertama, sekolah dapat menghidupkan budaya ilmu mengikut perspektif kesepaduan ilmu dalam Islam. Kedua, menyediakan suasana hubungan manusia berasaskan prinsip ukhuwah Islamiah dengan semua warga sekolah. Ketiga, warga sekolah dapat menghidupkan budaya ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ dengan menghayati dan mengamalkan cara hidup Islam dalam semua jenis aktiviti di sekolah. Keempat, pengurusan sekolah dapat menyediakan iklim dan fizikal sekolah yang kondusif, bersih, dan ceria.
66 Ukuran terhadap iklim sekolah boleh dilihat dari sudut iklim organisasi atau pengurusan sekolah. Ia dapat dilihat melalui kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah berdasarkan norma dan nilai yang wujud dalam sekolah tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa iklim merupakan faktor asas dalam membentuk pelajar menjadi insan yang optimis, berani, bermoral serta berjaya dalam bidang akademik mahupun sahsiah. Para sarjana barat mempercayai bahawa terdapat banyak faktor yang mendorong berlakunya iklim sekolah positif. Antaranya ialah program kurikulum atau aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah, amalan dan penghayatan yang diamalkan pelajar, proses stail pengajaran dan pembelajaran serta bahan rujukan yang digunakan dan kemudahan persekitaran fizikal sekolah yang selesa dan menyenangkan (Howard, Howell & Brainard 1987). Ini secara tidak langsung akan membentuk budaya sesebuah sekolah apabila pelajar merasakan persekitaran sekolah mereka seronok, selesa, selamat, dan senang digunakan. Persekitaran sekolah yang berbentuk Islamik dan kepimpinan yang turut terlibat secara langsung dalam menggerakkan budaya pentarbiahan di sekolah melalui aktiviti-aktiviti kerohanian dan keagamaan (Othman et al. 2017). Pengintegrasian ilmu akademik dan Islam akan mewujudkan satu konsep iklim dini yang seimbang. Iklim sekolah dilaporkan mempunyai hubungan langsung dengan prestasi akademik pelajar dan produktiviti guru. Hakikat yang patut dicatat adalah bahawa iklim sekolah melibatkan hubungan sesama manusia, persekitaran dan bahan yang penting. Interaksi antara entiti manusia dan material menentukan iklim sekolah yang akan memberi kesan kepada pencapaian akademik, kokurikulum, sahsiah pelajar serta produktiviti warga sekolah seperti guru dan staf.
67 Para pemikir barat pada masa kini mengambil Inisiatif global untuk memikirkan semula bagaimana pengetahuan dan pembelajaran dapat membentuk masa depan umat manusia pada masa kini (UNESCO 2020). Namun begitu, bukan itu sahaja yang ingin kita lihat kepada kemenjadian pelajar. Kemenjadian pelajar seharusnya seimbang dari sudut akademik dan juga sahsiah serta mampu menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada untuk digunakan selepas sesi persekolahan dan juga pada masa akan datang. Oleh itu, fenomena ini menjadi satu perbincangan yang sedang hangat diperdebatkan di peringkat global (UNESCO 2020). Budaya Pentarbiahan Budaya sekolah merupakan sebahagian budaya masyarakat yang dihasilkan oleh pelajar dan guru supaya aktiviti dalaman sekolah dapat dikawal. Pembudayaan di sekolah amat mengutamakan corak idea, norma, pemikiran dan nilai-nilai yang menyumbang kepada pembentukan kelakuan pelajar. Ting dan Sidek (2007) dan Ridzuan et al. (2017) melihat budaya adalah satu cara hidup yang dikembangkan oleh sesuatu masyarakat untuk memenuhi keperluan asasi untuk hidup, meneruskan zuriat, kepercayaan dan aktiviti lain yang berkembang dalam mengatur pengalaman sosialnya. Tarbiah adalah asas binaan yang kukuh ke arah pembentukan individu, masyarakat, negara dan dunia bagi tujuan menyebar luaskan dakwah Islam ke seluruh pelosok bumi bagi memenuhi matlamat membawa rahmat ke seluruh alam. Tarbiah dari segi bahasa ialah pendidikan atau asuhan. Tarbiah merupakan suatu proses pembentukan diri manusia supaya ia dapat berinteraksi dengan persekitaran di mana ia tinggal dengan cara membangunkan potensi diri dan kemampuan intelek mereka. Tarbiah lebih menekankan kepada dimensi pembudayaan tarbiah untuk membangunkan potensi
68 pelajar dan persekitaran ke arah membentuk suatu budaya yang baik dalam kawasan sekolah. Tarbiah terdiri daripada pelbagai aspek iaitu tarbiah jasmaniah, tarbiah ruhiyyah dan juga tarbiah akhlak dan adab. Tarbiah jasmaniah pula merujuk kepada pelbagai program dan aktiviti kokurikulum yang melibatkan pergerakan seluruh anggota badan seperti bersukan, berpersatuan, terlibat dengan unit beruniform dan sebagainya. Ini adalah kerana aktiviti-aktiviti yang dijalankan memberi pengaruh kepada keperibadian, kesihatan jasmani dan rohani pelajar. Tarbiah dari sudut akhlak dan adab yang mempunyai dua aspek iaitu, sifat semula jadi yang dimiliki oleh individu itu sendiri dan juga sifat yang dimiliki oleh seseorang melalui latihan dan persekitaran yang akhirnya menjadi adat, tabiat dan budaya dalam dirinya. Ia juga memainkan peranan yang besar dalam (a) membentuk semangat dan ghairah melakukan kebaikan sehingga akan selalu memberi komitmen dengan tingkah laku mulia, (b) membentuk persaudaraan sesama manusia, (c) membentuk kesedaran terhadap keperluan hidup bersama berkaitan kesihatan, moral dan kepentingan umum, (d) menumbuhkan semangat ketaatan terhadap aturan moral, (e) membentuk semangat dan ghairah bermasyarakat, dan (f) membentuk keperibadian yang kuat dan jiwa yang kukuh. Budaya pentarbiahan amat penting dalam membangunkan agama Islam. Ia merupakan langkah yang paling efektif untuk proses ke arah kebaikan dalam membina peribadi Muslim serta nilai-nilai Islam dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah lalu membentuk masyarakat Muslim, seterusnya membentuk negara Islam yang menegakkan syariat Allah SWT. Oleh kerana itu, adalah penting untuk memberi perhatian yang khusus kepada budaya pentarbiahan di sekolah terutamanya di sekolah
69 agama dan menjadikannya sebagai keutamaan di setiap kegiatan, bahkan menjadikan aktiviti yang berterusan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi kerana sistem tarbiah bersifat bersepadu dan komprehensif serta mencakupi seluruh aspek kehidupan dengan penuh terperinci. Justeru, kita perlu menyandarkan kehidupan di dunia ini kepada cara hidup Islam secara menyeluruh dan mampu menghayati serta memahami al-Quran sebagai panduan hidup dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Namun realiti kehidupan hari ini banyak dipengaruhi dengan anasir-anasir barat sehingga jauh dari tuntutan Islam malah tidak berbangga dengan Islam (Nor & Rashed 2018). Di sinilah perlunya budaya pentarbiahan dalam diri pelajar-pelajar sejak di bangku sekolah lagi agar mudah di bentuk dan menjadi tabiat yang baik seterusnya menjadi pegangan yang kukuh apabila meningkat dewasa nanti. 2.5 Strategi Iklim Dini di Sekolah Kajian awal mengenai iklim sekolah dikaji sekitar awal 60-an lagi yang melihat kepada kesan iklim sekolah dengan pencapaian akademik pelajar semata-mata. Namun dalam konteks kajian ini melihat kepada strategi yang digunakan berpandukan model persekitaran Ibnu Khaldun (1993) dalam kitab Mukadimah. Model persekitaran ini telah di analisis berdasarkan kitab tersebut dan telah diguna pakai dalam kajian Nor Hisyam (2015) dalam kajian nya yang berkaitan biah solehah. Iklim sekolah merujuk kepada kualiti dan karakter kehidupan sekolah. Ia telah digambarkan sebagai "hati dan jiwa sekolah (...) bahawa inti pati sekolah yang membawa anak, guru, dan pentadbir untuk mencintai sekolah dan berharap untuk berada di sana setiap hari sekolah." Iklim sekolah yang positif membantu pelajar berasa
70 selamat dari segi sosial, emosi dan fizikal di sekolah. Perkara ini termasuk norma, kepercayaan, hubungan, pengajaran dan pembelajaran, kakitangan, pelajar, ibu bapa, sekolah serta ciri-ciri organisasi dan struktur sekolah (Brookover 1982). Menurut Majlis Iklim Sekolah Kebangsaan, iklim sekolah yang mapan dan positif menggalakkan pembangunan akademik dan sosial pelajar. Banyak faktor boleh menjejaskan kualiti dan ciri kehidupan sekolah. Walau bagaimanapun, faktor yang membentuk iklim sekolah sering dikelompokkan kepada empat dimensi utama. Dimensi ini adalah: keselamatan, pengajaran dan pembelajaran (iklim akademik), hubungan (iklim komuniti), dan alam sekitar. Iklim sekolah positif dapat meningkatkan hasil positif pelajar. Sebagai contoh, iklim sekolah yang positif dikaitkan dengan prestasi akademik yang lebih tinggi, kesihatan mental yang lebih baik, kurang buli dan ponteng sekolah (Van Eck et al. 2017; Hamlin 2020). Oleh itu, strategi iklim dini digunakan untuk meningkatkan iklim sekolah sebagai pendekatan dan pencegahan untuk mengurangkan kelakuan yang mengganggu dan meningkatkan kehadiran, pencapaian, dan kepuasan pelajar dan ibu bapa dengan sekolah. Aktiviti Aktiviti memainkan peranan penting dalam membentuk suasana pembelajaran di sekolah agar pelajar merasa lebih selesa dan berkeyakinan. Aktiviti merupakan sesuatu perbuatan yang berfaedah yang dilakukan oleh para pelajar. Aktiviti atau program yang diadakan untuk para pelajar ini dapat membantu perkembangan sosial serta memberi pengaruh yang positif kepada keperibadian dan kerohanian pelajar. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan secara rutin harian, mingguan, dan bulanan supaya dapat menyuburkan
71 kemahiran dalam kalangan pelajar (Norhisham 2015; Hailan 2015). Menurutnya lagi, kepimpinan sekolah yang baik sentiasa berusaha untuk mewujudkan iklim sekolah yang positif dengan meletakkan visi dan misi sekolah untuk dihayati oleh semua warga sekolah. Penyediaan aktiviti seperti usrah, solat hajat, dan aktiviti keagamaan lain turut digalakkan untuk meningkatkan iklim dini di sekolah. Menurut Ibn Khaldun (1993) aktiviti atau program merupakan satu keperluan untuk menyuburkan kemahiran yang ada dalam kalangan pelajar. Aktiviti yang dijalankan dapat membentuk sifat berdikari, bekerjasama dengan orang lain, berkemampuan untuk bertindak dan menangani permasalahan hidup yang dihadapi. Hasil daripada aktiviti akan dapat melahirkan pelajar yang berkebolehan dan berakhlak yang mulia. Berdasarkan teori Bronfenbrenner (1994) juga telah memfokuskan aktiviti yang dilakukan oleh seseorang pelajar di sekolah mempengaruhi corak perkembangan keperibadiannya. Dalam ekologi persekitaran yang telah dikelompokkan dalam mikrosistem juga berperanan sebagai agen sosialisasi yang paling penting dalam kehidupan seseorang pelajar dan mempunyai pengaruh yang besar ke atas tingkah laku pelajar. Sebagai contoh, pelajar yang berkelakuan baik akan disenangi oleh semua rakan dan guru di sekolah serta akan memberikan tindak balas yang positif dalam iklim di sekolah. Selain itu, Horton (1964) juga turut menjelaskan kegiatan atau aktiviti di sekolah yang sentiasa dipenuhi oleh interaksi sosial, komunikasi dan kerjasama antara ahli-ahli akan membantu pembentukan personaliti atau sahsiah para pelajar dalam satu organisasi sekolah tersebut. Kepentingan aktiviti atau program keagamaan sememangnya mempengaruhi penghayatan akhlak pelajar apabila dapatan kajian Mat Zain dan Mazlan (1989) yang membandingkan pelajar MRSM dengan pelajar SMKA. Secara
72 keseluruhan kajian tersebut mendapati pelajar-pelajar MRSM mempunyai pekerti atau akhlak yang kurang baik berbanding dengan pelajar di sekolah SMKA. Antara faktor yang dikenal pasti dalam kajian tersebut ialah pembelajaran agama yang tidak mencukupi dan pelajar tidak berpuas hati dengan aktiviti dan perkembangan dakwah yang dijalankan di sekolah-sekolah berkenaan. Ini menunjukkan pembentukan sahsiah pelajar lebih banyak dipengaruhi oleh sistem hidup asrama. Kajian yang dijalankan oleh Halim Tamuri (2003, 2007) menyokong kepentingan dilaksanakan aktiviti keagamaan. Kajian beliau mendapati pelajar bersetuju bahawa aktiviti-aktiviti surau sekolah berjaya membentuk semangat setia kawan sesama pelajar. Ini bermakna aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan berjaya mewujudkan satu suasana interaksi sosial yang positif di kalangan pelajar. Wadah tarbiah bukan hanya melalui pengajaran Pendidikan Islam di dalam kelas sahaja tetapi ia juga melibatkan pelajar dalam bidang kokurikulum khususnya aktiviti keagamaan yang menjadi wadah pembinaan dan penyuburan insan yang seimbang dan akhlak yang mulia (Masribanun Duki 2004). Penglibatan pelajar dalam aktiviti keagamaan yang dilaksanakan di sekolah-sekolah akan dapat memberi pengisian dan penyuburan jiwa dengan nilai-nilai agama yang lebih mendalam di samping dapat memantapkan kefahaman Islam dengan lebih jelas. Jelaslah bahawa aktiviti memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan Biah Solehah di sekolah. Setiap aktiviti atau program yang bakal dijalankan perlu dirancang dengan teliti supaya matlamat yang dirancang tercapai dan dapat menghasilkan satu natijah yang baik untuk pelajar dalam membentuk akhlak yang mulia.
73 Contoh Teladan Strategi teladan ataupun dikenali juga sebagai qudwah merupakan strategi yang perlu ada dalam diri seseorang. Setiap manusia dilahirkan dengan mempunyai pelbagai kelebihan dan kepakaran tersendiri. Hal ini menjadi contoh teladan atau ikutan bagi orang lain. Dalam Islam banyak menekankan contoh teladan yang bukan sekadar untuk dikagumi, namun Islam menyarankan contoh teladan yang baik yang perlu diikuti serta diterapkan dalam diri sendiri. Medium pendidikan yang paling efektif dan berpengaruh adalah melalui contoh teladan yang baik. Seseorang Muslim akan mengikut keteladanan yang diperoleh dari pengaruh persekitarannya untuk dijadikan model atau dicontohi dalam menerapkan nilai-nilai positif dalam keperibadiannya. Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah teladan yang paling baik untuk kita contohi. Kredibiliti yang ada pada Nabi Muhammad SAW menjadi ikutan para sahabat dan pengikutnya dalam segala aspek kehidupan. Sebagai contoh Rasulullah menjadi ikon utama untuk dicontohi dan diteladani. Dengan akhlak dan keperibadian yang mulia, Islam mengajar umatnya untuk mempelajari serta mengikuti teladan Rasulullah SAW sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (al-Ahzab; 33:21) Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang diri Rasulullah yang memiliki contoh teladan yang baik. Bagi orang yang ingin mengharapkan keredaan Allah SWT, perlu mengikuti contoh Baginda. Ibn ‘Ashur (2000) dalam mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa ikutan yang baik ini membawa maksud seseorang mengikut apa yang dilakukan oleh
74 seseorang dengan cara mengamalkan apa sahaja amalan seperti yang diamalkan oleh orang yang diikutinya. Pada asalnya ayat ini dikhususkan oleh Allah SWT bagi memuji para sahabat yang tetap berpegang teguh mempertahankan Islam bersama Rasulullah SAW dalam peperangan serta menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang baik dalam kehidupan mereka ketika berjuang. Kemudian maksud ini diumumkan kepada semua ikutan yang baik pada perbuatan dan suruhan baginda. Maksud daripada perbuatan khususnya dalam bentuk kesabaran, keberanian, dan tetap pendirian. Selain itu, ikutan yang baik juga mengikut nabi menjauhi perkara yang ditegah dan dilarang olehnya. Terdapat contoh hadis yang berbentuk qudwah hasanah yang menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW menunjukkan tingkah laku kepada para sahabat dan orang yang di sekitarnya untuk mereka contohi dan ikuti dengan sempurna. Semua bentuk tingkah laku Nabi SAW sebagai pemerintah, ketua tentera, bapa, suami, imam di Masjid adalah termasuk dalam kategori ini. Contoh hadis yang bersifat qudwah hasanah ini boleh dilihat dalam hadis ini (Al-Bukhari, 1987: 635): ُت َ عائِ َشةَ ْ ل َ َ ال َ سأ ْسَوِد قَ ي صلى الله عليه وسلم يَ ْص ُ نَع فِي : َع ْن ْ اِلَ ُّ ِ َم َ ا ك َ ان النَّب ِ بَيْتِ ِه قَال ذَا َ ْت َ ك ْهِل ِه فَإ َ ْعنِ ِي خ ْدَمةَ أ ْهِل ِه تَ َ ُك ُون فِ ِي مْه ِنَة أ َ ان يَ َّ ى الصََل َح َض َر ةِ ْت َّ الص لَ ِ َ خَر َج إ . ََلةُ Maksud: “Al-Aswad berkata bahawa aku pernah bertanya kepada ‘A’ishah RA: “Adakah nabi SAW membuat kerja rumah di rumahnya? ‘A’ishah RA menjawab, “Baginda sentiasa sibuk berkhidmat untuk ahli keluarganya. Namun apabila waktu solat tiba, baginda segera keluar untuk pergi bersolat.” (Sahih al-Bukhari)
75 Hadis di atas menunjukkan contoh ikutan yang perlu kita contohi ialah Rasulullah SAW. Metodologi Islam yang sempurna terbentuk hasil daripada metode teladan berdasarkan akhlak yang di tunjukkan oleh keperibadian Rasulullah SAW. Metode ini dianggap penting dalam pembinaan didikan akhlak. Abdullah bin Mas’ud ada menyatakan, “Sesiapa ingin mencari contoh ikutan, contohilah Rasulullah SAW dan juga para sahabat.” Contoh teladan yang baik memberi pengaruh yang penting terhadap pendidikan dan peradaban individu, terutama kepada kanak-kanak dan remaja sekolah. Kesimpulannya, contoh teladan merupakan satu strategi yang boleh digunakan untuk membentuk akhlak dan keperibadian pelajar. Semua pihak berperanan penting menjadikan diri masingmasing sebagai contoh teladan yang baik terhadap golongan muda dalam membentuk keperibadian yang unggul. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menerangkan berkaitan contoh ikutan yang baik untuk di jadikan contoh teladan dalam kehidupan. Antaranya ialah surah As-Saff ayat 2-3. Dalam ayat ini menunjukkan contoh teladan yang baik bagi seorang Muslim ialah dengan melakukan apa yang telah diperkatakannya. Sebagai contoh, seorang guru yang ingin mengajak pelajarnya berbuat kebaikan seharusnya melakukan juga apa yang di ajarkan nya kepada para pelajar. Dengan ini secara tidak langsung pelajar akan mengikut contoh teladan yang ditunjukkan oleh guru nya berdasarkan pemerhatian nya sendiri tanpa perlu di suruh. Muhammad Qutb (1984 ) menjelaskan ayat 21 surah al-Ahzab menerangkan bahawa di dalam diri Rasulullah terbentuk satu metode teladan yang menjadi metodologi Islam yang sempurna, suatu bentuk yang hidup dan abadi sepanjang zaman. Metode ini dianggap penting kerana dalam agama pembinaan akhlak merupakan satu perkara yang
76 amat penting. Keteladanan adalah salah satu cara didikan yang paling efektif dan berkesan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Nasih Ulwan (1981, 2015) telah menerangkan tentang contoh teladan Rasulullah SAW dengan mengatakan keteladanan dalam bidang pendidikan adalah satu metode yang berkesan dan paling meyakinkan keberhasilan nya dalam mempersiapkan dan membentuk anak didik dalam didikan moral, spiritual dan sosial. Rasulullah SAW menekankan prinsip Qudwah Hasanah iaitu contoh teladan yang sesuai dengan isi kandung pendidikan yang menekankan mata pelajaran akidah dan akhlak melalui metode yang diucapkan dan dilakukan oleh Rasulullah SAW dan diamalkan dengan lebih bersungguh-sungguh. Dalam pada itu Nasih Ulwan (1981, 2015) juga menyarankan kaedah pendidikan yang berkesan daripada perspektif Islam ialah pendidikan melalui contoh teladan. Contoh teladan amat besar pengaruhnya dalam proses pembinaan peribadi seseorang individu terutama pelajar. Keteladanan mesti ditunjukkan oleh guru sama ada guru agama atau akademik, mereka perlu menjadikan diri mereka sebagai sumber teladan utama kepada pelajar. Ini dijelaskan lagi oleh kajian yang dilakukan oleh Masribanun Duki (2004) mendapati guru melaksanakan didikan dengan kaedah contoh teladan seperti yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Al-Kharraj (2009) menyatakan bahawa perbuatan Rasulullah SAW dalam hadis menunjukkan suri teladan dengan melaksanakan perintah Allah SWT dalam memberi khidmat kepada ahli keluarganya dalam bentuk kehidupan harian. Amalan ini merupakan budi dan akhlaknya, iaitu akhlak al-Quran. Sifat Baginda SAW yang sangat memberi khidmat kepada ahli keluarganya melambangkan sifat tawaduknya. Antara bentuk khidmat yang dilakukan ialah Baginda SAW ialah menjahit baju yang berlubang,
77 menyambung kasutnya yang terputus, dan segala bentuk amalan yang biasanya dilakukan oleh kaum lelaki di rumah pada adat kebiasaan orang Arab. Selain itu, Hailan (2010, 2015) juga menjelaskan bahawa pengetua sebagai “role model” yang mendorong warga sekolah khususnya guru-guru mencontohinya, kemudian guruguru akan menjadi “role model” kepada pelajar. Bertepatan dengan pandangan Sidek Baba (2009) yang menjelaskan teladan merupakan satu faktor penting yang boleh memberi kesan terhadap pembentukan minda dan sahsiah pelajar. Bentuk-bentuk keteladanan terbahagi kepada dua iaitu: 1. Keteladanan yang disengajakan iaitu keteladanan yang diberikan penjelasan atau arahan supaya diteladani. Konsep keteladanan ini dilakukan secara formal, sebagaimana pendidik harus menunjukkan contoh tauladan kepada pelajarnya dengan teladan yang baik. Seorang pendidik perlu menyampaikan contoh bacaan al-Quran kemudian diikuti oleh pelajarnya. Rasulullah SAW telah memberikan teladan kepada para sahabat sehingga mereka telah menguasai setiap permasalahan keagamaan sesuai dengan permintaan Rasulullah SAW agar mereka meneladani beliau. 2. Keteladanan yang tidak di sengaja ialah keteladanan dalam keilmuan, kepemimpinan, sifat dan keikhlasan. Contohnya seorang guru dapat berjumpa dengan pelajarnya, walaupun keteladanan ini tidak formal tetapi pendidik selalu saja menjadi perhatian pelajarnya. Pengaruh keteladanan ini terjadi secara spontan dan tidak di sengaja, ini bererti bahawa setiap orang yang ingin dijadikan contoh teladan oleh orang lain harus sentiasa mengawal dirinya dan perbuatannya supaya diikuti oleh pelajar atau ditiru oleh orang-orang yang mengaguminya.
78 Selain itu, para guru, rakan-rakan, staf, pentadbir dan masyarakat boleh dijadikan sebagai contoh teladan dalam menjalani kehidupan beragama dan kehidupan berakhlak di sekolah. Dengan itu, pelajar akan lebih mudah terkesan kerana orang di sekelilingnya menunjukkan contoh teladan yang positif untuk di ikuti yang secara tidak langsung akan membawanya bersama terikut dengan cara tersebut. Begitulah peri pentingnya pengaruh orang di sekeliling terhadap sikap seseorang individu. Apabila para pelajar merasakan selesa dan senang dengan guru nya, secara tidak langsung juga pelajar akan berpegang teguh dengan ilmu dan agama dari segi aspek kebiasaan harian, ibadat, adabadab dan panduan agama (Ishak Ismail 2012). Terdapat kajian kes di sebuah sekolah agama di Indonesia yang dilakukan oleh Permadi (2019) menunjukkan bahawa penerapan metode contoh teladan oleh para guru telah meningkatkan karakter diri pelajar. Penerapan ini dilakukan oleh guru bersama dengan pelajar secara istiqamah setiap hari. Kajian ini dijalankan untuk melihat langkah untuk meningkatkan kemenjadian pelajar kerana dilihat kebanyakan ibu bapa dan guru hanya menyuruh pelajarnya melakukan sesuatu tanpa menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka. Kanak-kanak atau remaja amat mudah meniru tingkah laku atau akhlak seseorang yang dikaguminya sama ada secara sedar ataupun tidak. Di rumah, anak-anak suka meniru tingkah laku ibu bapa mereka manakala di sekolah pula, para pelajar suka meniru tingkah laku gurunya yang dijadikan sebagai idola mereka (Permadi 2019). Justeru, pendidikan melalui teladan adalah antara kaedah yang paling berkesan dalam mendidik akhlak, psikologi, dan sosial pelajar. Allah SWT telah menjadikan peribadi Rasulullah SAW sebagai gambaran lengkap cara hidup Islam supaya boleh dijadikan contoh
79 teladan oleh semua umatnya iaitu generasi yang akan datang dari sudut kesempurnaan akhlak (Ulwan 2015). Dari sudut psikologi, jiwa dan perasaan, para pelajar juga mudah terikat dengan gambaran kata-kata dan perbuatan gurunya sama ada yang berbentuk dalaman atau pun luaran. Oleh itu, para pendidik juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada pelajarnya kerana ia boleh menentukan sama ada seseorang itu menjadi ke arah yang baik ataupun jahat (Ibnu Khaldun 1967, 1993; Ulwan 2015). Walaupun fitrah semula jadi kanak-kanak bersih, namun jika tiada contoh teladan yang baik dalam persekitaran perkembangan tumbesarannya, lama-kelamaan mereka akan mudah terikut dengan gejala yang negatif lagi menyesatkan. Tabiat semula jadi manusia mempunyai baik dan buruk sebagaimana yang di sebut dalam al- Quran yang bermaksud: “Dan telah kami tunjukkan dia dua jalan, maka Allah SWT mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketakwaan.” (al-Balad 90:10) Oleh itu, kejahatan juga merupakan sifat yang paling dekat dengan manusia apabila dia gagal dalam memperbaiki kebiasaannya dan jika tidak hidup dalam suasana atau cara hidup yang telah diajarkan oleh Islam. Hal ini akan memudahkan seseorang itu terjerumus ke jalan yang salah (Ibnu Khaldun 1993). Oleh sebab itu, para pelajar seharusnya didedahkan dengan contoh teladan yang baik sejak dari kecil iaitu bermula di rumah seterusnya di sekolah dengan mendapat contoh didikan yang sempurna. Kesimpulannya, contoh teladan merupakan satu strategi yang boleh digunakan untuk membentuk akhlak dan keperibadian pelajar. Semua pihak berperanan menjadikan diri masing-masing sebagai contoh teladan kepada golongan muda generasi akan datang dalam membentuk keperibadian unggul golongan remaja.
80 Amali / Amalan Manhaj al-Quran telah menetapkan bahawa ilmu yang diperoleh melalui proses ta’llim perlu dilaksanakan dalam bentuk amalan. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran seseorang akan sampai ke tahap kefahaman yang mantap dan jitu sebaik sahaja ilmu yang diperoleh melaluinya dilaksanakan dalam bentuk amalan (Janzarli 1991). Strategi amali amat dititikberatkan dalam teori Ibnu Khaldun (1993) kerana perilaku atau perbuatan persekitaran sekeliling akan memberi kesan kepada pembentukan akhlak para pelajar. Selain perbuatan, peristiwa yang berlaku di sekeliling pelajar juga akan mempengaruhi amali mereka. Sekiranya mereka berada dalam situasi yang baik, secara tidak langsung pelajar juga akan mencontohi amali yang baik tersebut dan begitulah sebaliknya. Sebagaimana yang telah disebut dalam kitab mukadimah halaman 86: “Menurut kadarnya jiwa itu dipengaruhi untuk pertama kalinya oleh salah satu daripada kedua-dua sifat (baik buruk) tersebut. Jiwa itu menjauhi daripada satu sifat lainnya dan mendapati amat sukar untuk mendapatkannya. Apabila kebiasaan berbuat kebaikan terbentuk buat pertama kalinya ke dalam jiwa seseorang yang baik, dan jiwanya akan terbiasa dengan kebajikan. Maka orang tersebut akan menjauhkan dirinya daripada perbuatan buruk dan berasa sukar untuk melakukan apa-apa yang bersifat jahat. Hal yang sama berlaku dengan orang yang jahat.” Walau bagaimanapun, proses mentarbiahkan pelajar untuk membentuk akhlak yang baik memerlukan usaha yang berterusan serta membuat latihan amali supaya dapat membiasakan diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan menjauhi segala sifat yang terkeji (Ghazali 1997). Justeru, untuk mengenal keaiban diri ialah dengan sentiasa bermuhasabah dan membuat refleksi diri untuk menyemak kembali apa yang telah dibuat sepanjang hari serta mengamalkan amalan-amalan harian seperti berzikir, membaca al-Quran dan memahami pengertiannya, qiamullail dan sebagainya. Amalan-