195 “Baca ayat pendinding lepastu lurutkan ke kaki dan tangan kau”, kata Ayah Abu. Aku mengikut apa yang Ayah Abu suruh. Kami bergerak semula dan hanya beberapa langkah bergerak,Ayah Abu berhenti. Tangannya yang memegang parang di tegakkan. Aku nampak dengan jelas di bahagian atas tidak jauh dari kami, ada sesuatu yang bergerak laju menuju ke arah kami. Hanya matanya yang merah menyala sahaja jelas kelihatan. Benda itu bergerak ke kanan dan ke kiri untuk mengelirukan kami tapi hayunan parang Ayah Abu tepat mengenai tubuhnya. Tubuh ‘benda’ itu terkulai di lantai dalam keadaan terputus dua. “Teruknya rumah ini ayah..”, kata aku. “Bila ditinggal lama, inilah jadinya”, jawab Ayah Abu. Tiba-tiba lorong yang kami guna terasa bergegar dengan kuat membuatkan aku susah untuk berdiri. Ayah Abu membaca sesuatu dan menikam ke lantai lorong. Gegaran terhenti tapi di hadapan kami muncul kelibat lelaki yang menyerang aku sebelum ini. Matanya merah. Tangannya mencecah lantai. Kukunya tajam berkilat. Kepalanya sekejap terteleng ke kanan dan sekejap ke kiri. Kedua tangannya didepakan ke hadapan sambil dipusing pusingkan. Tubuh aku dan Ayah Abu mula terapung perlahan-lahan bagai disihir. Lelaki itu menghampiri kami sambil ketawa. “Man..” Tiba-tiba aku terdengar suara Aki Lela di telinga memanggil aku. “Aki?” jawab aku dalam hati. Aku pejamkan mata dan tidak menghiraukan apa yang sedang aku hadapi. Dengan mata yang tertutup, aku nampak wajah Aki Lela dengan jelas. Senyumannya cukup manis dengan wajah yang berseri-seri tapi matanya nampak bergenang. “Kenapa aki?” Aku terus berbicara dalam hati seolah-olah aku berbicara berhadapan dengannya. Aki Lela hanya mendiamkan diri. “Ayah, aki panggil Man”, kata aku kepada Ayah Abu. “Aku tahu tapi kita kena lepaskan diri dulu. Jangan lalai”, jawab Ayah Abu. Aku buka mata dan baca sesuatu. Tubuh kami turun ke lantai semula. “Allahuakbar”, jerit Ayah Abu sambil menghayun parangnya dengan laju. Kelibat itu berundur dan kemudian menghilangkan diri. Aku cepat-cepat bersila dan memejamkan mata semula.
196 “Aki...”, aku seru dalam hati. Tiba-tiba aku nampak Aki Lela di dalam biliknya sedang terbaring. Matanya tenang melihat aku. “Aki dah sihat?” tanya aku. Aki Lela hanya tersenyum manis. Tiba-tiba Ayah Abu mengejutkan aku. “Sudah tu, nantilah kita balik. Sekarang kita selesaikan dulu ‘benda’ ni”, jerkah Ayah Abu. Aku membuka mata dan bangun semula. Kelibat itu muncul kembali di hadapan kami sambil memegang lembing bermata tajam di ulu dan di hujung. “Pulang ke tempat asal kau. Tuan rumah ini menuntut balik haknya”, jerkah Ayah Abu. “Rumah ini sudah jadi milik aku”, jawab lelaki itu dengan suara garau. “Keluar kau dari sini sebelum terlambat”, jerkah Ayah Abu lagi. “Tiada siapa pernah berani ganggu aku”, jawabnya lalu menyerang kami dengan ganas. Ayah Abu menangkis serangan dengan parangnya dan aku pula dengan kerisku. Bunyi besi berlaga membingitkan telinga. Ayah Abu berjaya memegang lengan lelaki itu dan melibas parangnya. Lelaki itu juga pantas melibas lembingnya. Siku lelaki itu pula tepat ke muka Ayah Abu. Ayah Abu jatuh terguling menahan sakit. “Ayah..”, jerit aku. Ayah Abu memberi isyarat dia tidak apa-apa. Tiba-tiba tubuh kami terangkat semula perlahan-lahan hingga paras dada. Lelaki itu menghampiri kami dengan lembingnya. Ayah Abu memegang bahu aku sambil memejamkan mata. Aku terus berzikir dalam keadaan tubuh yang masih terapung. Lelaki itu menusuk lembingnya ke tubuh Ayah Abu tetapi kemudiannya mendengus marah kerana tusukannya tidak memberi kesan. Tiba-tiba aku dan Ayah Abu berjaya turun ke lantai lorong. Satu hentakan dari Ayah Abu tepat ke kepala lelaki tersebut. Ayah Abu memeluk tubuh dan kemudian memusingkan tubuhnya sekali.Suasana jadi gelap gelita. Perlahan-lahan suasana menjadi terang semula dari cahaya lampu suluh. Tiada lagi lorong seperti tadi. Apa yang aku lihat adalah seperti suasana dalam bilik. Lelaki itu hilang entah ke mana. “Mana dia hilang ayah?” tanya aku. “Ada je dalam rumah ni tapi tak nampak dengan mata kasar”, terang Ayah Abu. Kami keluar dari bilik. Tiada lagi bunyi berdentum-dentam, semua jadi sunyi.
197 “Kita bersila di sini. Kau berzikir”, kata Ayah abu lalu duduk di tengah-tengah rumah. Aku yang duduk di belakang Ayah Abu mula berzikir. Ayah Abu membaca sesuatu yang pernah di ajar kepada aku. Lebih kurang sepuluh minit berlalu tanpa ada gangguan apa-apa. “Jangan lalai, ‘benda’ tu hanya menunggu peluang”, bisik Ayah Abu. Tiba-tiba seluruh rumah bergegar dengan kuat seperti digoncang. Aku dan Ayah Abu terpelanting ke serata rumah. Kami seperti berada di dalam botol yang dibolak-balik. Beberapa kali tubuh aku terperosok ke dinding. Kini aku dan Ayah Abu berada berjauhan antara satu sama lain. Tubuh aku melekat pada dinding tidak boleh bergerak. “Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huas sami’un alim” Sekuat hati aku enjut tubuh aku. Aku berjaya melepaskan diri dari dinding. Mata aku melilau mencari Ayah Abu tetapi tidak kelihatan. Aku berlari turun ke tingkat bawah bila mendengar bunyi sesuatu yang bising dari sana. Setibanya di tingkat bawah aku nampak Ayah Abu sedang bertarung dengan lelaki yang aku nampak di lorong tadi. Dengan ekor mata, Ayah Abu mengisyaratkan aku supaya jangan masuk campur. Pertarungan mereka memang sengit. Aku tak tahu siapa atau apa lelaki ini kerana dari gerak gayanya, dia bukan lembaga atau kelibat yang biasa aku nampak. Dia kelihatan seperti manusia biasa, cuma ilmunya memang tinggi. Aku cukup risau bila melihat Ayah Abu kerana dia masih belum sembuh sepenuhnya. Aku tak mahu Aki Lela dan Ayah Abu tercedera lagi.Cukuplah Aki Lela sedang terbaring di rumah tak sedarkan diri. Aku mengintai peluang untuk aku membantu Ayah Abu jika ada. Berhempas pulas juga aku lihat Ayah Abu mempertahankan diri. Satu tumbukan pada perut Ayah Abu dari lelaki itu membuatkan Ayah Abu terundur ke belakang. Ayah Abu memegang perutnya. “Ayah...”, jerit aku. Amarah aku membuak buak. Aku hunuskan keris aku dan melompat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu tidak bersedia dengan serangan aku. Sepakan aku tepat ke kepalanya hingga tersembur darah dari mulutnya. Dia berpaling ke arah aku sambil memandang penuh kemarahan. Disapu mulutnya yang berdarah dengan tangannya dan kemudian menjilatnya. “Kau memang cari maut”, katanya kepada aku. Dia berpusing dan menyerang aku. Tiba-tiba satu sepakan singgah di kepalanya sekali lagi. Kali ini dari Ayah Abu. Lelaki itu hampir tersungkur tetapi masih mampu bertahan. Aku dan Ayah Abu kini berdiri
198 sebelah-menyebelah.Aku menyerangnya terlebih dahulu dengan keris aku. Aku mengasaknya hingga dia terundur ke belakang. Giliran Ayah Abu pula menyerang dengan hayunan parangnya tapi masih mampu di elak oleh lelaki itu. Lelaki itu bertambah marah. Mulutnya membaca sesuatu dan kemudiannya dia menepuk ke lantai.Satu tiupan angin kuat menerpa ke arah kami. Aku terundur ke belakang tapi ‘kuda-kuda’ aku mampu bertahan. Tiupan angin itu tidak memberi kesan kepada Ayah Abu. Aku nampak Ayah Abu membaca sesuatu dan mendepakan kedua dua tapak tangannya ke arah lelaki itu. Kepala lelaki itu bagai ditumbuk hingga kepalanya terpaling. Peluang sudah terhidang di depan mata,aku menyerangnya dalam keadaan dia tidak bersedia. Satu sepakan aku tepat ke dadanya. “Ughh” Bunyi lelaki itu lalu terpelanting ke belakang hingga tersandar di dinding. Aku melompat sekali lagi, kali ini lutut aku pula tepat ke dadanya.Darah tersembur dari mulutnya buat sekian kalinya. Dia cuba bangun tapi aku sekali lagi menghentak belakangnya dengan lutut aku. Dia jatuh tersembam. “Kullu nafsin za’iqatul maut” Sehebat mana pun makhluk, pasti akan merasai kematian. Aku menikam keris aku ke belakangnya tetapi malangnya aku terpelanting jauh ke belakang. Lelaki itu bangun dan bergerak laju ke arah aku. Aku masih tak berdaya untuk bangkit. Darah menitik dari kepala aku. Entah dari mana, Ayah Abu tercegat berdiri antara aku dan lelaki itu. “Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huas sami’un alim” Ayah Abu membaca dengan kuat lalu menetak dengan parangnya. Lelaki menahan dengan tangannya. Parang itu seolah-olah berlaga dengan besi. Ayah Abu terus berdiri dan melindungi aku. “Cepat bangun”, kata Ayah Abu. Aku gagahkan diri untuk bangun dengan cepat. “Lasysyamsu tajri limustaqarrillahaa dzalika taqdirul’azizil ‘alim” Aku meraba kepala aku dan menekan ditempat yang berdarah. Aku membuka semula kuda-kuda aku untuk bersedia menghadapi serangan. “Wallahu ghalibun alal amrih,Ya zaljalali wal ikram”, aku baca dan hembus perlahan-lahan. Semoga ia menimbulkan kegerunan. Lelaki itu bergerak untuk menyerang tetapi kemudian menghentikan
199 langkahnya. Dia berundur sedikit demi sedikit. Aku melompat tinggi tanpa mempedulikan kepala yang berdarah. Dia menghayun tangannya ke arah aku tapi aku mengelak dan menyepak belakang pelipat lututnya hingga dia jadi melutut sebelah kaki. Aku menyepak sebelah lagi pelipat lututnya. Kini dia hanya berdiri dengan kedua lututnya. Ayah Abu pula melompat tinggi sambil mengangkat sikunya. Dengan satu hentakan kuat, siku Ayah Abu tepat singgah di tengah kepala lelaki itu. “Prakkk..” Kedengaran bunyi benda pecah di kepala lelaki itu. Lelaki itu terdiam kaku. Perlahan-lahan darah mula mengalir di dahi dan turun ke muka. Matanya buntang dan kemudiannya rebah ke lantai. Tiba-tiba sesuatu meluru laju dan menarik tubuh lelaki itu masuk ke dalam salah satu bilik. Aku tercengang sambil melihat ke arah Ayah Abu. “Itu sahabatnya. Rumah ini dijadikan tempat pemujaan”, kata Ayah Abu. “Kita nak buat apa ni?” tanya aku. “Kita kena cari dan musnahkan”, jawab Ayah Abu sambil bergerak menuju pintu bilik tadi. “Buka pintu ni”, kata Ayah Abu pada aku. Aku membaca sesuatu dan kemudian menolak daun pintu dengan tapak tangan aku hingga terbuka luas. Kali ini aku tidak lagi meluru masuk. Ayah Abu tersenyum melihat aku. “Hati-hati”,pesan Ayah Abu. Kami mula bergerak masuk. Aku menyuluh sekeliling dan ternampak ada lagisatu pintu. Aku membaca lagisesuatu dan membukanya. Di muka pintu jelas aku ternampak banyak lilin yang diatur mengikut bentuk. Di tengah-tengah susunan lilin, terbaring tubuh lelaki tadi. “Mana ‘benda’ yang menarik orang ni?” tanya hati aku. Aku menoleh ke arah Ayah Abu. “Tengok atas”, kata Ayah Abu sambil menunjuk ke atas dengan bibirnya. Aku terus memandang ke atas dan nampak sekujur tubuh sedang terlentang seperti melekat di siling. Matanya tajam memandang ke arah kami. Tiba-tiba kelibat itu terbang ke arah kami. Aku dan Ayah Abu melentengkan diri untuk mengelak. Kelibat itu hinggap pula di siling di luar bilik. Kelibat itu mengeluarkan bunyi seperti seekor kelawar. “Kau uruskan dia, aku selesaikan kat dalam bilik ni”, bisik Ayah Abu. Aku hanya mengangguk. Ayah Abu masuk ke dalam bilik lalu menutup pintu. Kelibat itu terbang
200 untuk masuk ke dalam bilik tetapi aku sudah bersedia untuk menghalang dengan keris di tangan. Kukunya yang panjang cuba mencakar aku tetapi aku berjaya mengelak sambil menyepak mukanya. Kali ini kelibat itu hinggap di dinding. Air liurnya meleleh-leleh ke lantai. Kelibat itu menyerang semula. Kali ini dengan wajah yang bertambah ganas. Dia berpijak di lantai di hadapan aku sambil berjalan laju. Tangannya melilau untuk mencakar aku yang terhimpit ke pintu bilik. Aku cuba bertahan kerana tidak mahu dia masuk ke dalam bilik mengganggu tugas Ayah Abu. “A’udzu bikalimaatillaahit taammaati min syarri maa khalaq” Aku menangkis setiap serangan yang tak berhenti-henti. Aku sudah tidak boleh berundur lagi untuk mempertahankan diri. Tersilap langkah, aku akan menempah maut. “Berpantang maut sebelum ajal” Aku mengambil keputusan untuk menyerang. Aku hayun keris aku ke arah kelibat itu. Sekejap menikam ke bahagian atas dan sekejap ke bahagian bawah. Sesekali kaki aku berjaya menyepak perutnya tetapi tidak berjaya menjatuhkannya. Aku tersilap langkah. Kaki kanan aku berjaya di tangkap oleh kelibat itu dan kemudian dia membaling aku ke dinding. “Allah”, jerit aku. Aku terhentak dengan kuat di bahagian kepala. Kepala terasa pening dan berdarah semula. Mata aku berpinar. Aku memandang ke arah kelibat itu tapi ia sudah tiada. Pintu bilik terbuka luas. Aku cuba bergerak tapi akhirnya rebah ke lantai tak sedarkan diri. Bila aku sedarkan diri, aku berada di dalam bilik aku. Aku raba kepala aku yang berbalut. Badan terasa sakitsangat. Aku bangun perlahan-lahan untuk melihat Aki Lela tetapi aku rebah semula. Kepala terasa berat. “Dah tak larat tu, tak yah lah bangun”, Tiba-tiba Kak Nurul berdiri di muka pintu bilik. “Dah pukul berapa sekarang?” tanya aku perlahan. “Dah isyak, kau dah pengsan semalaman”, jawab Kak Nurul. Aku bergegas bangun dalam keadaan sakit kerana teringatkan Aki Lela.Sambil memegang dinding, aku menuju ke bilik Aki Lela. Aki Lela tiada di biliknya. Tikarnya kosong dan dikemas rapi. “Aki pergi mana?” tanya aku. Kak Nurul hanya menggelengkan kepala dan berlalu pergi. Aku terduduk sambil menangis tersedu-sedu.
201 “Aki dah tak ada. Tak sempat nak jumpa aki kali terakhir”, tangis aku terketar-ketar. Baru aku tahu kenapa Aki Lela memanggil aku ketika aku berada di rumah dua tingkat tersebut. Aku terbaring di atas tikar Aki Lela sambil memeluk bantalnya. Fikiran aku kosong.
202 Lama aku terbaring sambil memeluk bantalnya. Aku tak berhenti menangis seperti budak kecil yang kehilangan barang mainan. Tubuh aku terasa longlai sama sekali. Bantal Aki Lela basah dengan air mata aku. “Kanapa aki tinggalkan Man, kenapa tak tunggu Man balik?” aku bercakap dengan bantalnya. Aku baring terlentang di atas tikarnya sambil memandang ke arah kain perca siling. “Aku kena balik ke rumah ayah. Tak ada guna lagi aku berada kat sini lagi”, kata hati aku sendirian. Kemudian aku memejamkan mata, cuba mengingati kembali kenangan aku bersama Aki Lela. Semuanya bagai meluncur laju masuk ke dalam ingatan aku. Aku tersenyum sendirian bila teringat Aki Lela menjentik telinga aku. Aku menangis semula bila teringat pelukannya ketika datang menziarahi Arwah Aki Karim yang meninggal dunia. Semuanya kosong dan sunyi. Mata aku masih terpejam bila aku merasakan seseorang mengusap kepala aku dengan lembut. Aku membuka mata perlahan-lahan. “Aki...!!!” aku menjerit terkejut. Aku bingkas bangun dan memeluknya sambil menangis tersedu-sedu. Aku lepaskan pelukan aku dan memandang wajahnya. Aku tepuk-tepuk pipinya sambil mulutnya tersenyum manis. “Sepatutnya kau tampar muka kau sendiri kalau kau takut kau bermimpi, bukan tepuk muka aku”, kata Aki Lela. Aku terus memeluknya sekali lagi. Kali ini lebih erat. “Sudahlah tu, rimas main peluk-peluk ni”, bebel Aki Lela. Aku lepaskan pelukan aku. Aku bangun dan mencari Kak Nurul di dalam biliknya. “Kenapa akak tak bagi tahu Aki Lela dah sihat?” bebel aku. “Akak geleng kepala aje kan. Tak cakap apa-apa. Maksud akak, akak tak tahu Aki pergi mana. Dia yang salah faham, nak salahkan kita”, Kak Nurul pula membebel. Lantaklah, yang penting Aki Lela masih hidup. Aku masuk semula ke bilik Aki Lela. Ayah Abu juga sudah ada bersila di situ. Aki Lela dan Ayah Abu tersenyum melihat aku. 113
203 “Yang kau ni macam ayam makan sabun, kenapa?” tanya Ayah Abu yang melihat aku serba tak kena. Aku sekejap duduk, sekejap berdiri, sekejap memeluk Aki Lela dan sekejap memeluk Ayah Abu, memang serba tak kena. “Suka hati sangat ni”, kata aku. “Kau tu perlu hati-hati lagi bila berlawan. Mudah lalai. Zikir tu paling penting untuk mengelak kita dari sifat lalai”, bebel Ayah Abu. Aku hanya mampu tersengih. “Aki dah sihat?” Baru aku teringat untuk bertanya. “Dah sihat lah ni. Tadi aku dengan Ayah Abu kau ni duduk kat bangsal berbincang pasal dia nak bawak kau bertapa”, terang Aki Lela. “Nak...nak..”, jawab aku teruja. “Kau ingat tempat tu tempat main-main? Ilmu di dada kena cukup. Berat ujiannya. Aku belum buat keputusan samada nak bagi atau tak. Jika selepas ini kau masih lalai, tak payah pergi”, tegas Aki Lela. Aku buat muka simpati. “Kau ingat buat muka macam tu nanti ‘benda-benda’ kat tempat bertapa tu kasihankan kau?” Ayah Abu pula membebel. “Dua-dua marah je ni”, bebel hati aku. “Marah sebab sayangkan kau. Kau tu tanggungjawab kami sekarang”, kata Aki Lela. Aku tersenyum bila mendengar mereka sayangkan aku. “Pergi basuh badan, lepas tu kita makan”, kata Aki Lela. Aku bangun dan menuju ke telaga. Sambil mandi, aku terfikirkan Aki Lela. “Macam tak ada apa-apa langsung Aki Lela, macam orang dah sihat sangat”, kata hati aku. Aku tak hiraukan rasa pedih pada seluruh tubuh aku. Selepas menunaikan kewajipan, aku hanya berehat di dalam bilik. Tubuh terasa sakit-sakit dan keletihan melampau. Alah bisa tegal biasa. Aku merehatkan tubuh aku puas-puas. Tiga hari berlalu tiada apa-apa aktiviti seperti yang biasa aku lalui. Setiap malam aku hanya mendalami ilmu agama. Ayah Abu pula telah pulang ke rumahnya selepas lama berada di rumah Aki Lela. “Nanti aku datang semula ambil kau” Itulah kata-kata Ayah Abu sebelum dia bergerak pulang. Aku menunggu saat itu dengan penuh keterujaan. Tubuh aku semakin sihat manakala Aki Lela juga nampak semakin kuat dan bertenaga. Cuma aku terasa bosan bila hanya terperuk di rumah. Pada suatu hari selepas solat asar,
204 aku hanya berehat di bangsal bersama Aki Lela. “Aki, Man rasa macam ada orang nak datang”, kata aku kepada Aki Lela. Aki Lela tersenyum. “Kita tunggu, betul tak firasat kau”, sambil Aki Lela menepuk bahu aku. Kami berbual sambil bergelak ketawa, suasana yang sudah lama kami tidak lalui bersama. Memang benar firasat aku, ketika kami sedang asyik berbual kelihatan sebuah kereta sedang menuju ke rumah Aki Lela. “Aki, kan betul kata Man”, kata aku sambil tersenyum. “Kau sudah semakin bagus tapi ingat, jangan ujub dan riak”, pesan Aki Lela. Aku hanya mengangguk. Apabila kereta berhenti berhampiran bangsal,seorang lelakisebaya Aki Lela menghampiri kami. “Assalaamualaikum”, orang tua memberi salam. “Waalaaikummusalam wbt”,jawab kami serentak. “Awak ni Tok Lela?” tanya orang tua itu sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. “Ya, saya” jawab Aki Lela. “Saya Bakar, ketua kampung Rantau. Saya datang ni nak mintak tolong Tok Lela.Kampung saya diserang orang minyak”, kata orang tua itu tanpa berlengah-lengah. “Lajunya orang tua ni bercakap. Tak ada mukadimah langsung”, bebel hati aku. Memang cari pasal sungguh aku bila bercakap begitu. Aki Lela mengetap bibirnya melihat aku. Aku tersengih sambil menjauhkan diri. Aku berjalan ke gelanggang silat. Entah apa yang mereka bualkan, aku pun tak pasti. Tidak lama kemudian Pak Bakar berlalu pergi. Aku bersilat sendirian. Aki Lela mendekati aku dan kemudian menarik telinga aku. “Sakit...”, jerit aku perlahan. “Tak baik ajar hati cakap macam tu. Lain orang lain caranya bercakap. Dia mungkin tengah risau,sebab tu dia cakap tanpa berselindung. Hati yang bersih akan selalu berbaik sangka”, bebel Aki Lela. Aku tak menjawab tapi terus menumbuk ke arah Aki Lela. Aki Lela mengelak dan kami mula bertarung. Aku menyerang Aki Lela sungguh-sungguh. Beberapa kali juga aku berjaya menumbuk perut Aki Lela dan beberapa kali juga aku terguling dijatuhkan Aki Lela. Akhirnya satu kesilapan dari aku memberi peluang untuk Aki Lela mengunci pergerakan aku dari belakang. Aku cuba melepaskan diri tapi tidak berjaya. Akhirnya Aki Lela melepaskan aku.
205 “Gerakan kau semakin bagus tapi kena lebih berhati-hati. Bila kau menumbuk, tarik tangan cepat-cepat. Kalau kau lambat, macam inilah jadinya”, pesan Aki Lela. “Aki kan hebat, mestilah Man kalah”, jawab aku. “Bukan macam tu. Kita memang jarang sangat tahu apa kelebihan lawan kita. Paling penting,kita kena tahu apa yang mesti kita buat. Tumpukan kepada apa yang kita ada dan bukan apa yang lawan kita ada”, pesan Aki Lela lagi. Aku hanya mampu tersengih sambil berjalan ke bangsal. “Kita nak keluar ke selepas maghrib nanti?” tanya aku. “Ya tapi kali ni kena lebih hati-hati. Silap langkah, buruk padahnya. Jangan lalai”, pesan Aki Lela. Selepas maghrib, seperti yang dijanjikan kami mula bergerak menaiki kereta yang sama datang waktu petang tadi. Kali ini aku berjaya bertahan untuk tidak tidur. Mungkin kerana berehat agak lama di rumah. Hampir sejam, kami sampai di sebuah kampung dan turun di hadapan sebuah rumah yang sederhana besar. Ramai juga orang-orang kampung yang kelihatan di halaman rumah. Pak Bakar menghampiri kami. “Terima kasih Tok Lela sebab datang. Sekarang saya serahkan kepada tok untuk membuat rancangan”, kata Pak Bakar. Aki Lela memerhati ke arah penduduk kampung yang hadir. “Assalamualaikum wbt semua. Saya minta maaf jika tindakan saya bercakap ni melampaui hak saudara-saudara semua. Saudara semua berhak menolak cadangan yang akan saya beritahu”, Aki Lela memulakan percakapan. Penduduk yang ada menjawab serentak salam yang di beri Aki Lela. “Begini, saudara-saudara semua boleh balik ke rumah dan jaga ahli keluarga masing-masing. Mana-mana yang belum ada keluarga, bolehlah membantu menjaga saudara mara yang terdekat. Tugas mencari orang minyak ni serahkan kepada saya dan cucu saya ni” Aki Lela meneruskan rancangannya. Ada penduduk kampung yang berpandangan sesama sendiri. “Apa yang Tok Lela nak buat?” tanya salah seorang penduduk kampung. “Itu rahsia saya”, jawab Aki Lela ringkas. “Dua orang aje dengan budak kecik tu?” seorang lagi menyampuk. Aki Lela hanya tersenyum. “Kelebihan seseorang bukan pada bentuk tubuhnya tapi pada ilmunya. Jangan menilai pada apa yang kamu semua nampak dengan mata kasar sebab kita biasa tertipu dengan pandangan mata”, tegas Aki Lela.
206 “Beginilah, kamu semua ikut cakap Tok Lela. Biar dia usahakan dengan cara dia”, kata Pak Bakar. Perlahan-lahan semua penduduk yang ada mula beredar. “Terima kasih tok ketua. Izinkan saya memulakan usaha saya”, kata Aki Lela dengan lembut. “Silakan Tok Lela”, jawab Pak Bakar. Kami mula bergerak menuju ke arah hutan belakang kampung. Kami berhenti di satu kawasan yang agak lapang. “Man, kita berpecah. Aku yakin kepada kau tapi berhati hati. Orang yang kita cari ni ilmunya bukan sebarangan juga. Dia boleh menghilangkan diri dan dia sanggup buat apa sahaja untuk melepaskan diri”, terang Aki Lela. “Kenapa aki tak beritahu rancangan aki kat orang kampung tadi?” tanya aku. “Kita sedang diperhati dari jauh tadi. Ini pun kita sedang diperhati juga. Kau akan terima sesuatu dari aku melalui angin”, jawab Aki Lela lagi. Aku mula faham. “Ingat, buat sesuatu dengan akal dan bukan sesuka hati, kita bergerak sekarang. Padamkan lampu, melihat dengan mata hati”, pesan Aki Lela lagi lalu bergerak pergi. Aku membaca sesuatu dan memulakan langkah dengan perlahan berpandukan gerak hati dan dibantu cahaya bulan yang samar-samar. Aku melepasi pokok-pokok pinang dan kelapa yang tinggi-tinggi. Mata aku melilau melihat sekeliling. Aku akui hati aku juga berdebar debar. Aku pernah mendengar pasal orang minyak dan kini aku mengalami pengalaman ini sendiri. Suasana memang cukup sunyi. Di hadapan aku kini kelihatan kebun pisang yang luas. “Hati-hati bila melalui kebun pisang” Aku terdengar bisikan di telinga aku. Aku hunuskan keris di tangan bila langkah aku mula memasuki kebun pisang tersebut. Tiba-tiba gerak hati aku menangkap satu pergerakan yang laju sedang mengelilingi aku. Bunyi pokok-pokok pisang di langgar sesuatu semakin jelas kedengaran. Aku memberhentikan langkah bila melihat satu susuk tubuh berdiri tidak jauh di hadapan aku. Aku menyalakan lampu suluh di kepala aku.Lelaki itu memakai sepasang pakaian baju melayu. Tubuhnya jelas nampak tegap dan sasa. Matanya merenung tajam ke arah aku. Di tangan kanannya terdapat satu jantung pisang. “Jangan ganggu aku kalau mahu selamat.Aku tiada urusan dengan kau”, jerkah lelaki itu.
207 “Assalamualaikum”, aku memberi salam. Ini salah satu cara untuk melembutkan hati. “Aku tak perlu jawab salam kau”, jerkah lelaki itu lagi. Aku hanya tersenyum. “Kau seorang Islam, belum terlambat untuk berpatah balik”, jawab aku. Lelaki itu meratah jantung pisang mentah-mentah. “Aku sudah hampir sampai ke hujung ilmu aku. Bodohlah aku jika berpatah balik sekarang ini”, katanya lagi. “Ilmu yang Allah kurniakan seharusnya untuk kebaikan, bukan untuk keburukan. Bertaubatlah sebelum terlambat”, kata aku lagi sengaja melambatkan sebarang tindakan untuk memberi masa Aki Lela sampai ke tempat aku. Tiba-tiba lelaki itu mencampak jantung pisang ke tanah dan melompat tinggi ke arah aku. Aku mengelak ke tepi sambil melepaskan satu sepakan tepat ke belakangnya. Lelaki itu berpusing semula ke arah aku. “Boleh tahan jugak ilmu kau berbanding umur kau”, kata lelaki itu. Lelaki itu menyerang lagi tapi kali ini dengan gerakan tangan yang laju.Satu tumbukan tepat ke perut aku hingga aku terundur ke belakang. Aku berjaya untuk bertahan daripada rebah ke tanah. “Kau pergi balik dan belajar lagi”, kata lelaki itu sambil ketawa. Kali ini aku pula yang menyerang dengan melompat tinggi ke arahnya.Lelaki itu juga serentak melompat ke arah aku. Tangannya yang lebih panjangmemberi kelebihan kepadanya. Satu tamparan dari belakang tangannya singgah tepat ke muka aku. Aku jatuh tersembam ke tanah. Mulut aku berdarah. Belum sempat aku berdiri, lelaki itu menyerang lagi. Belum sempat sepakannya terkena tubuh aku, tubuh lelaki itu terpelanting kuat. Aki Lela tegak berdiri di hadapan aku. “Budak ni bukan lawan kau”, kata Aki Lela. Lelaki itu bangun dan berdiri sambil membaca sesuatu. Tiba-tiba dia hilang dari pandangan. “Jaga-jaga, dia ada dekat-dekat kita”, bisik Aki Lela. Aki Lela bergerak untuk mengelak sambil tangannya seperti memukul sesuatu. “Argg...” Terdengar satu jeritan tapi aku tak tahu di mana. “Tengok dengan hati dan rasa”, kata Aki Lela lagi. Belum sempat aku bersedia, satu pukulan kuat terasa di perut aku hingga aku jatuh terduduk. Perut aku terasa senak. Aku cuba bangun tetapi
208 sekali lagi perut aku disepak dengan kuat. Aki Lela menghampiri aku dan menepuk bahu aku dua kali. Serta merta pandangan aku menjadi terang. Aku ternampak satu susuk tubuh berwarna hitam seperti sedang bercangkung dan melompat dari satu tempat ke satu tempat tapi lompatannya amat jauh dan tinggi. Aku cuba memintas dari depan tetapisatu pelanggaran yang kuat dengan orang minyak tersebut membuatkan kami berdua terpelanting. Kepala aku mula berdarah. Kepala aku menjadi pening. Darah mengalir laju ke muka aku. Aku gagahkan diri untuk bangun. Orang Minyak itu sudah tegak berdiri. Tiba-tiba Aki Lela tercegat di hadapan aku. “Kau ke belakang. Hentikan darah tu seperti yang aku ajar”, bisik Aki Lela. Aku terasa huyung hayang bila cuba bergerak jauh. Aku gagahkan diri walaupun kepala terasa sakit yang amat sangat. Aku meraba kepala aku, tangan aku berlumuran darah. “Lasysyamsu tajri limustaqarrillahaa dzalika taqdirul’azizil ‘alim” Aku tekan dengan kuat ibu jari aku di tempat yang aku rasa punca pendarahan. Mata aku semakin kabur dan aku semakin tidak boleh berdiri dengan betul.
209 Aku cuba bertahan sedaya mungkin. Aku ambil tanah dan lumurkan atas kepala aku. Kemudian aku buka baju dan ikat dengan ketat pada kepala aku. “Tabbat yada abi lahabi watab” Aku tepuk sekali kepala aku. Aku mula mengalihkan perhatian kepada pertarungan antara Aki Lela dan orang minyak. Pertarungan yang menemukan dua orang yang berilmu tinggi. Aku cuba perhatikan jika ada ruang untuk aku membantu Aki Lela. Sesekali aku nampak Aki Lela menjeling ke arah aku. Aku faham maksud jelingannya. Aku berundur ke belakang semula. Tiba-tiba satu sepakan dari Aki Lela tepat ke kepala orang minyak hingga dia tersembam ke tanah lalu hilang. “Jangan sesekali kau masuk campur dalam keadaan kau tak kuat. Bahaya”, tegas Aki Lela pada aku. Aku hanya menundukkan kepala. “Ke mana dia hilang?” tanya aku. “Bila dia rasa dia tak boleh menang, dia akan hilangkan diri tapi dia pasti akan mencari mangsanya malam ini juga sebab ilmunya memaksa dia buat begitu”, terang Aki Lela. “Kita nak buat apa sekarang ni?” tanya aku. Aki Lela menarik aku dekat kepadanya dan membaca sesuatu di kepala aku. Dia melurutkan tangannya di kepala aku. Aku terasa segar semula. “Kita akan cari dia tapi kali ini kita jangan berpecah. Dia akan mengelak untuk terjumpa dengan kita”, terang Aki Lela lagi. “Apa yang perlu kita buat jika jumpa dengan dia lagi?” Banyak pula aku bertanya kerana ini pengalaman pertama aku berhadapan dengan orang minyak. “Kau pegang kain pelikat aku ni. Bila aku berjaya menangkapnya, kau selubungkan dia dengan kain pelikat ini”, pesan Aki Lela sambil menghulurkan kain pelikat yang membalut kepalanya kepada aku. Aku mengikat kain tersebut ke pinggang aku. Kami mula bergerak semula ke arah hutan kampung tersebut tapi tidak jauh masuk ke dalam. Tujuan kami adalah untuk melihat setiap rumah dari jarak yang tidak dapat dikesan. 114
210 Dari jauh kami lihat ada nyalaan jamung tanda orang kampung berkawal. Kami sesekali mengintai dari dalam semak samun. “Kau tengok, kita tak jauh pun dari orang kampung yang berjaga tetapi mereka tak tahu kita ada di sini. Benda ni bukan boleh dilihat dengan mata kasar. Lagi pun semua orang kampung bukan lawan orang minyak, semua akan dipukau”, terang Aki Lela. Aku hanya mengangguk. “Bergerak sambil berzikir”, pesan Aki Lela. Kami beralih ke rumah yang lain. Tiba-tiba Aki Lela berhenti lalu tangannya menunjuk ke satu arah. Dari tempat kami berdiri, aku nampak sesuatu sedang bergerak dari atas pokok. Aki Lela menepuk bahu aku dua kali. Aku tahu Aki Lela membuat kami tidak kelihatan dengan mata kasar. Kami menghampiri rumah tersebut. Orang minyak tiba-tiba berhenti pada satu dahan sambil memandang ke arah kami seketika.Aki Lela memberi isyarat supaya aku menahan nafas. Orang minyak mengalihkan pandangan dan bergerak semula. “Benda ni mengesan pergerakan melalui nafas dan angin”, kata hati aku. Kami bergerak perlahan sambil menahan nafas. Aku nampak dengan jelas dua orang lelaki di luarrumah terbaring kaku. Pintu rumah tersebut terbuka luas. Kami mencepatkan langkah. Aki Lela memberi isyarat supaya aku menunggu di luar. Aki Lela masuk ke dalam rumah. Tiba-tiba terdengar bunyi yang amat bising dari dalam rumah. Aku bersedia untuk apa sahaja. Tiba-tiba dari lapisan dinding rumah, muncul orang minyak tersebut. Dia terkejut melihat aku lalu menyerang. Aku berjaya mengelak dan menyepak perutnya. Dia terundur ke belakang tetapi cuba menyerang semula. Aku mengelak sambil berpusing ke arah belakangnya. Satu hentakan di belakangnya menyebabkan dia jatuh tersembam. Peliknya walau dia jatuh tersembam, tubuhnya bahagian hadapan serta merta mengadap ke depan semula. “Kau ke tepi” Tiba-tiba Aki Lela muncul di sebelah aku. Aku bergerak ke tepi seperti disuruh. Aki Lela membaca sesuatu dan kemudian menumbuk ke tanah. Tanah bergegar. Orang minyak tiba-tiba bagai terkunci. Aki Lela menghampirinya lalu meletakkan jarinya di dahi orang minyak tersebut sambil membaca sesuatu. “Cepat Man, selubungkan kain tu”, jerit Aki Lela kepada aku. Aku bergegas membuka kain pelikat yang aku ikatkan di pinggang lalu meyelubungkan orang minyak itu dari kepala. Orang minyak
211 meronta-ronta cuba melepaskan diri. Aki Lela menyimpul hujung kain pelikat dan akhirnya orang minyak itu berjaya diselubungkan hingga ke paras peha. Tidak lama kemudian Orang Minyak tidak bergerak lagi, kaku dan terkunci. “Apa kita nak buat ni aki?” tanya aku. “Tugas kita belum selesai. Guru dia akan datang sebentar lagi. Hati-hati”, pesan Aki Lela. “Tak habis lagi rupanya”, bebel hati aku. “Seorang guru ilmu yang salah akan tercabar bila ada muridnya berjaya dikalahkan” Aki Lela menjawab bisikan hati aku. Tak lama kemudian seperti yang Aki Lela katakan, terdapat tiupan angin yang kuat menyerang kami hingga menyebabkan kami terpaksa bertahan agar tidak melayang. “Allahumma inni as-aluka khairaha wa khaira ma fiha wa khaira ma arsalta bihi wa a’uzubika min syarriha wa syarri ma arsalta bihi”, semoga angin yang datang ini juga memberikan kebaikan kepada kami berdua. Angin berhenti bertiup tiba-tiba. Di hadapan kami berdiri seorang tua bersama satu lembaga yang bertanduk dua. “Kalau kau nak tahu, itulah iblis” Aku terdengar bisikan ditelinga. Aku menoleh ke arah Aki Lela. “Jangan takut, iblis tidak akan berani buat apa-apa. Dia hanya berani munculkan diri bersama pengikutnya” Terdengar bisikan Aki Lela lagi. Aku mula membaca ayatul Kursi. Tiba-tiba iblis bertanduk nampak gelisah tak tentu hala. “Jangan baca ayat quran lagi”, jerit lelaki tua itu. “Kami orang Islam, jadi kami berhak untuk membacanya”, jawab Aki Lela dengan tegas. “Kau fikir ayat quran kau tu boleh selamatkan kau?” jerit lelaki tua itu. “Kami hanya memohon pertolongan Allah dan ayat quran itu qalam Allah. Kau tanya iblis di sebelah kau tu”, jawab Aki Lela. Orang tua dan iblis itu kelihatan terkejut. Rupa-rupanya orang tua dan iblis itu tidak menyangka kami boleh melihat iblis tersebut. “Kau jaga orang minyak tu”, bisik Aki Lela pada aku. Aki Lela yang mula menyerang. Iblis itu tidak kelihatan lagi. Orang tua itu nampak kesulitan untuk mengelak serangan Aki Lela. Aku pula berdiri di sebelah orang minyak yang tidak mampu bergerak. Beberapa kali juga buah
212 pukul Aki Lela mengena tubuh lelaki tua itu tapi setakat ini tidak memberi kesan. Satu pukulan tapak tangan Aki Lela tepat ke dada orang tua tersebut membuatkannya terundur ke belakang sambil memegang dadanya. Orang tua itu membaca sesuatu. Tiba-tiba kain yang menutup orang minyak mula bergerak-gerak. Kain itu perlahan-lahan terangkat. Aku membaca sesuatu dan meletakkan tapak tangan aku pada kain pelikat tersebut. Kain itu turun semula. Aku tak berkesempatan lagi untuk melihat ke arah Aki Lela. Orang minyak mula bergerak-gerak dari dalam kain pelikat tersebut. “Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syai un fil ardi wala fisamaie, wa huwas sami’ul ‘alim” Aku terus bertahan sedaya mungkin hingga tapak tangan aku menggeletar. Rontaan semakin kuat. Kain pelikat semakin terangkat. Aku mula memikirkan cara lain untuk mematikan pergerakan orang minyak. Aku menarik tapak tangan aku sambil bergerak ke arah belakang orang minyak. “Waqul jaa’al haqqu wazahaqal baathilu Iinnal baathila kaana zahuuqaa” Aku menyepak di belakang pelipat lutut kirinya sehingga dia kini berdiri tinggi sebelah. Aku beralih pula ke belakang pelipat kanannya dan mengulang tindakan yang sama. Kini dia hanya berdiri beralaskan lutut dan sama paras tingginya dengan aku.Aku beralih ke depannya. “Qul a‘udzu birabbn nas, malikin nas, ilahin nas, min syarril waswasil khannas, alladzi yuwaswisufi sudurin nas, minal jinnati wan nas” Aku letak tapak tangan aku di atas kepalanya. Semakin kuat dia meronta. Aku alihkan tapak tangan aku dan menyepak ke kepalanya hingga dia jatuh ke tanah. Aku cuba untuk menyepaknya sekali lagi tetapi kali ini aku tidak berjaya untuk mengangkat kaki aku. Kaki aku bagai terkunci. Aku menoleh ke arah Aki Lela. Aki Lela masih sedang bertarung dengan orang tua tersebut. “Ini bukan kerja orang tua tu”, bisik hati aku. “Audzubillah himinasyaitonirrajim” Aku cuba sekali lagi mengangkat kaki aku tetapi masih tidak berjaya. “La hawla wala quwwata illa billa hil aliyil azim” Aku terus berusaha. Aku rendahkan diri dan kemudian menepuk tangan aku ke tanah. Tanah bergegar dan akhirnya kaki aku terlepas. Aku cuba mendekati orang minyak tetapi tiba-tiba tubuh aku terpelanting ke belakang. Aku bingkas untuk bangun semula. Aku terkejut kerana di hadapan aku berdiri orang minyak dengan matanya yang tajam melihat aku. Tiba-tiba dia menyerang aku. Aku mengelak sambil cuba membentes kakinya tapi aku gagal menjatuhkannya.
213 Aku bernasib baik kerana sepakan balasnya berjaya aku elak. Dia berpusing ke arah aku. Matanya tiba-tiba bertukar kemerahan dan berkedip beberapa kali. Fikiran aku tak semena-mena melayang jauh. Aku teringatkan keluarga aku di kampung dan pengalaman-pengalaman aku sebelum ini. Aku tidak lagi menumpukan perhatian kepada orang minyak di hadapan aku. Satu sepakan tepat di perut aku hingga aku terpelanting ke belakang. Kepala aku terhentak kuat ke tanah. Perut aku terasa sakit yang amat sementara pandangan aku menjadi kabur. Aku gagahkan diri untuk bangun. Aku tak boleh mengalah. “La yusadda’una ‘anha wala yunzifun” Aku sapukan tangan aku ke muka dan kepala aku. “Jangan pandang mata dia, itu pukau” Aku terdengar suara Aki Lela di telinga aku. Baru aku faham kenapa tadi fikiran aku melayang memikirkan perkara lain. Aku bersedia untuk serangan seterusnya. Aku tidak lagi memandang matanya dengan tepat. Beberapa kali dia cuba menumbuk aku tapi aku berjaya mengelak. Kegagalan menumbuk aku membuatkannya semakin marah. Dia menumbuk aku sekali lagi tetapi kali ini aku mengelak dan berpusing ke belakangnya. Lutut aku tepat ke bahagian belakang pinggangnya. Tubuhnya melenting ke belakang. Dalam keadaan tubuhnya melenting, aku alas lehernya dengan paha aku lalu menghentak siku aku tepat ke lehernya. Aku mengalih paha aku menyebabkan orang minyak itu jatuh terlentang sambil memegang lehernya. Aku melompat ke atas tubuhnya dengan harapan aku dapat terus melemahkannya tapi aku tersilap langkah. Tangannya yang lebih panjang berjaya mencekik leher aku dengan kuat. Aku mula sesak nafas. Pandangan aku menjadi kabur. Aku cuba mengalihkan tangannya dari leher aku tetapi gagal. Dengan sisa kekuatan, aku hayun penumbuk aku tepat sekali lagi ke arah lehernya. Tangannya melepaskan leher aku. Aku melompat menjauhi dirinya. Aku berpaling ke arah Aki Lela. Aki Lela juga masih gagal mengalahkan lelaki tua itu. Aku memandang semula ke arah orang minyak tetapi dia sudah tiada. “Fakashafnaa Anka Ghita’aka Fabasarukal Yauma Hadeed” Aku bangun dan mula bergerak untuk menjejaki orang minyak. Aku terus berlari tanpa arah tuju kerana yang aku tahu, aku harus mencari orang minyak hingga terjumpa. Aku hanya mengikut gerak hati. Tiba-tiba aku memberhentikan langkah. Ada sesuatu yang tidak kena pada firasat aku. Aku bergerak berhati-hati. Mata aku sekejap memerhati di kawasan rendah dan sekejap ke atas pokok-pokok.
214 Mata aku tertumpu kepada sebatang pokok yang sederhana tinggi. Tiada pergerakan atau kelibat tetapi kata hati aku berlawanan dengan pandangan mata kasar. Aku maju sedikit demi sedikit sambil menghunuskan keris. Aku membaca sesuatu dan hentakan kaki kanan aku ke tanah. Pokok di hadapan aku bergoyang dengan kuat. Tiba-tiba aku mendengar bunyi seperti ada sesuatu benda jatuh ke tanah. Aku berlari untuk mencari. Tiba-tiba angkah kaki aku terhenti kerana kelihatan lembaga bertanduk dua sedang berdiri di hadapan aku. “Iblis laknat”, kata hati aku. Aku tidak gentar kerana aku tahu iblis hanya berupaya untuk menghasut tetapi bukan bertarung secara fizikal. Iblis hanya menggunakan manusia sebagai suruhan. Maka bodohlah setiap manusia yang kalah dengan hasutannya. Aku mara ke depan. “Audzubillah himinasyaitonirrajim. Allahu Ahad..Allahu Ahad” Aku terus berzikir. Iblis itu hanya ketawa melihat aku. “Sudah lama aku tidak berjumpa manusia yang berani macam kau”, ketawa iblis. Aku meludah tiga kali ke kiri. “Apa kata kalau kau ikut aku. Kau jadi kuat, kau jadi sanjungan orang. Kau akan hidup senang”, hasut iblis. “Alhamdulillah”, aku menjawab pendek. “Kau ada ilmu, ikut aku. Kau akan jadi manusia hebat”, hasut iblis lagi sambil ketawa. Perlahan-lahan aku membaca ayatul Kursi dan hembus ke arahnya. Tiba-tiba iblis menjerit kuat dan terus hilang. “Manusia bodoh. Kau buang peluang untuk jadi raja” Aku terdengar suara tanpa jasad. Aku lebih rela jadi hamba daripada menjadi raja. Tiba-tiba aku terasa bagai ada sesuatu di belakang aku tetapi tiada kelibat apa-apa bila aku menoleh. Aku mula bergerak semula perlahan-lahan. Akhirnya aku nampak sebuah rumah yang gelap. Aku menghampiri rumah tersebut kerana firasat aku merasai sesuatu. Aku bergerak dalam keadaan membongkok supaya kehadiran aku tidak disedari. Akhirnya aku berjaya menghampiri rumah tersebut dalam jarak 20 langkah. Suasana nampak sunyi. Mata aku menangkap satu pergerakan di atas atap. “Di situ rupanya. Jenis iblis yang tak takut langsung walau tahu sedang dicari”, bebel hati aku.
215 “Allahu Ahad”, lafaz aku sambil bergerak semakin dekat. Tiba-tiba orang minyak memandang ke arah aku. Aku tidak berlengah lagi cuba membuka langkah untuk menyerang. Malangnya apabila aku cuba untuk bergerak, seluruh tubuh aku bagai terkunci. Kedua tangan aku tersepit rapi di pinggang. Di hadapan aku kini muncul orang minyak dengan muka seperti mengejek. Semakin lama semakin menghampiri aku. Aku tidak mampu berbuat apa-apa apabila tubuh aku dijulang tinggi di atas kepalanya. Aku hanya mampu menunggu dengan penuh debaran.
216 Tubuh aku dilontar bagai sebatang kayu buruk ke arah sebatang pokok yang pada perkiraan aku sebesar dua pemeluk aku. “Hasbiyallahu laailaha illa huwa, ‘alaihi tawakkaltu, wahuwa rabbul ‘arsyil ‘aadziiim” Hanya itu yang mampu aku buat. Tubuh aku terhentak kuat ke batang pokok tersebut. “Allah..” Kalimah yang keluar dari mulut aku. Tubuh aku bergolek jatuh seperti batang pisang. Aku bersyukur kerana aku masih mampu sedar dan bukannya pengsan. Aku nampak orang minyak sedang berjalan ke arah aku. “Wallahu ghaalibun ‘ala amrih” Aku terus meletakkan harapan hanya kepada Allah. Orang minyak menegakkan tubuh aku dihadapannya. Mulutnya membaca sesuatu. Aku juga membaca sesuatu. “Wa ja ‘alna mim baini aidihim saddaw wa min kholfihim saddan fa agsyaina hum fa hum la yubsiruun” Aku hembus perlahan-lahan. Orang minyak itu cuba menumbuk dada aku dengan sepenuh tenaganya. Aku menahan nafas menanti tumbukannya tiba di dada aku. Serentak tangannya sampai di dada aku, serentak juga aku menjerit. “Allahu Ahad...” Nyaring dan sekuat hati aku. Orang minyak terpelanting ke belakang dan tangan aku terlepas bebas. Aku melompat tinggi ke arah orang minyak yang sedang terlentang sambil keris tegak di atas kepala.Aku mendarat betul-betul di atastubuhnya. Kedua-dua kaki aku menindih tangannya. “Qul hu allahu ahad, allahu samad, lam yalid wa lam yulad, wa lam ya kulahu kufuwan ahad” Aku menikam keris aku tepat ke kepalanya. Matanya terbeliak. Aku mencabut kembali keris aku. Lubang di kepalanya kesan tikaman keris aku mula mengeluarkan asap. Semakin lama semakin tebal. Tubuh orang minyak mula 115
217 mengejang. Aku menjarakkan diri dari tubuhnya. Tidak lama kemudian asap mula hilang. Aku terasa lega yang amat. Aku duduk melepaskan lelah. Baru sahaja aku nak berlunjur tiba-tiba aku melihat jasad orang minyak tiba-tiba bergerak. Perlahan-lahan kepalanya terangkat dan kini dia duduk berlunjur. Tiada langsung kelihatan kesan tikaman aku di kepalanya. Matanya terpejam. Aku bangun dan bersedia walau sangat keletihan. Aku bergerak untuk menghampirinya dan menyelesaikan apa yang belum selesai. Tiba-tiba matanya terbuka luas. Hampir keseluruhan matanya kehitaman kecuali ada satu titik kecil berwarna merah di tengah-tengah mata. Kuku tangannya tajam berkilat. Aku berundur sedikit demi sedikit sambil memikirkan sesuatu. “Mana Aki Lela ni, tak kan tak selesai lagi?” tanya hati aku. “Kau boleh selesaikan. Yakin pada diri sendiri. Gunakan apa yang kau dah belajar” Aku terdengar bisikan dari Aki Lela. “A’udzu bikalimaatillaahit taammaati min syarri maa khalaq” Aku perlu hadapi makhluk ini menggunakan apa sahaja yang telah dianugerahkan. Orang minyak itu mula berdiri tegak. Aku mengelak dari memandang matanya. Orang minyak itu menyerang aku dengan ganas. Aku berusaha sedaya upaya untuk mengelak dari terkena kukunya yang tajam. Libasan kukunya beberapa kali hanya beberapa inci dari tubuh aku. Aku yakin dan pasti orang minyak ini tidak berapa mahir dalam seni persilatan kerana melihat dari pergerakannya tetapi libasan kukunya tetap merbahaya. Aku masih dalam kedudukan bertahan sambil menunggu jika ada peluang. Akhirnya peluang untuk aku menjelma juga. Satu tikaman dari aku tepat ke perutnya. Dia jatuh dalam keadaan satu tangannya menahan ke tanah dan satu tangannya memegang perut. Cecair berwarna hitam menitik ke tanah. Dia menjilat jarinya dan kemudian menyapu ke arah perutnya yang luka. Perutnya pulih seperti sedia kala. “Aku perlu mencari cara untuk membunuhnya”, bisik hati aku. Orangminyak berdirisemula.Matanyamula berkedip kedipmelihat aku. “Aku tak akan tertipu buat kali kedua”, bebel hati aku. Aku pula yang menyerangnya. Aku mengambil keputusan untuk memutuskan tangannya kerana pada pendapat aku di situ punca kelebihannya. Aku menyepak dan pada masa yang sama tangan aku mencari sasaran. Tipu helah aku berjaya. Dia cuba menepis kaki aku tapi aku menghayunkan keris ke arah tangannya. Tangan kanannya terputus dari pergelangan dan jatuh ke tanah. Dia meraung dengan kuat. Dia mengutip tangannya yang terputus
218 kemudian menjilat pergelangan tangannya yang telah kudung lalu menyambungkannya semula. Tangannya pulih semula. “Kau tak akan berjaya mengalahkan aku”, ketawanya dengan suara bergetar. Tiba-tiba orang minyak membuat satu pergerakan mengelilingi aku. Semakin lama semakin laju.Aku agak keliru untuk menyerang tubuhnya. Aku terpaksa berpusing keliling untuk mempertahankan diri. “Rabbi a’uzu bika min hamazatisy-syayatin, wa a’uzu bika rabbi ay yahdurun” Aku bersedia untuk sebarang kemungkinan. Sambil berpusing mengelilingi aku, beberapa kali juga orang minyak cuba memukul curi tapi aku berjaya menepis dan mengelak. “Tak boleh jadi macam ni, boleh membahayakan aku”, aku berkata dalam hati. Aku mengambil keputusan untuk menyerang pula. “Fakashafna Anka Ghita aka fabasarukal yauma hadeed” Aku menumpukan perhatian. Aku menunggu gerak hati. “Allahuakbar” Aku melompat sambil melibas keris aku ke arah orang minyak. Dalam kejadian yang pantas pada pandangan mata kasar, aku nampak dengan jelas kedua-dua pergelangan tangan orang minyak terputus dan jatuh ke tanah. Satu raungan kuat kedengaran. Aku tahu ini peluang terbaik untuk aku menyelesaikan tugas aku. Sekali lagi aku melompat tinggi dan kali ini aku menyasarkan ke lehernya. Orang minyak kelihatan terkejut dengan serangan aku tapi tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Hayunan keris aku tepat ke lehernya. Sekali lagi satu raungan kuat kedengaran dan selepas itu terus senyap. Kepala orang minyak tergolek ke tanah sementara tubuhnya kekal berdiri untuk seketika dan kemudian perlahan lahan rebah ke tanah. Aku masih perlu memastikan orang minyak tidak mampu lagi untuk hidup semula. Aku mengutip kepala orang minyak dan meletaknya di tepi jasadnya. “Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un, Allahu la ilaha illa huwal hayyul qayyum” Aku menikam dada orang minyak itu sambil memusingkan keris aku. Kejadian pelik mula berlaku. Aku menikam jasadnya tapi kepalanya yang terpisah dari jasad masih mampu menjerit kesakitan. Aku terus merodok dada orang minyak membuatkan matanya terus terbeliak dan akhirnya kepala itu tidak bergerak lagi. Aku letak kepalanya di atas dadanya yang berlubang aku kerjakan.
219 “Wayuhiqqu Allahu alhaqqa bikalimatihi walaw kariha almujrimun” Aku tegakkan keris aku di atas perutnya dan aku lepaskan. Keris aku tegak tanpa dipegang. Ini adalah sekadar untuk tindakan sementara bagi menghalang orang minyak hidup semula dan aku berdoa semoga Aki Lela datang dalam kadar segera. Malangnya aku memang tidak tahu apa yang terjadi kepada pertarungan antara Aki Lela dan orang tua itu. Aku hanya mampu berharap semoga Aki Lela berjaya dengan pertarungannya. Tiba-tiba telinga aku berdesing dengan kuat. “Allahumma Salli Ala Sayyidina Muhammad Wa Ala Ali Sayyidina Muhammad” Selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Gerak hati aku dapat merasakan sesuatu yang tak kena. Jantung aku berdegup laju. “Ya Allah, selamatkanlah Aki Lela aku” Hanya itu yang mampu aku lakukan. Baru sahaja aku mahu melangkah mendekati jasad orang minyak tiba-tiba ada satu pergerakan dari satu pokok ke satu pokok. Aku dengan cepat mendapatkan kerisku. Aku pusing keliling untuk memerhati. “Apa pulak lagi ni”, bisik hati aku. Pergerakan itu amat pantas hingga aku gagal memastikan apa sebenarnya yang bergerak mengelilingi aku. Aku hanya nampak dahan-dahan yang bergoncang kuat tetapi tiada langsung kelibat yang kelihatan. “Benda ni memang tak nampak dengan mata biasa”, bisik hati aku. Aku mengambil keputusan untuk membuat bulatan dengan keris aku. Memagar diri adalah jalan terbaik yang aku ada buat masa ini. Aku sedar aku masih mentah dan dalam keadaan ini aku memerlukan bantuan Aki Lela. Semoga Allah melindungi aku. Aku terasa lega kerana sempat ‘memagar’ diri. Dahan-dahan pokok masih bergoncang dengan kuat menandakan ‘benda’ tersebut masih ada. Mata aku sekali sekala memerhati orang minyak kerana aku tidak tahu samada dia masih boleh bergerak semula atau sebaliknya. “Aki kat mana?” bisik hati aku sambil mata terpejam. Aku yakin jika Aki Lela tidak apa-apa, dia akan mendengar bisikan hati aku. Tiba-tiba suasana jadi sunyi. Tiada kedengaran dahan pokok bergoncang dan bunyi unggas hutan. Peluh semakin membasahi bajuku. Bulu roma aku tegak berdiri. Aku tahu ‘benda’ itu berhampiran dengan aku tetapi aku tidak nampak apa yang akan aku hadapi. Sekejap mata aku memandang jasad orang minyak, sekejap aku memerhati sekeliling. Tiba-tiba kepala orang minyak tergantung tinggi melebihi ketinggian aku seperti ada sesuatu yang menjinjingnya. Aku membaca ayat Kursi.
220 “Tiada kekuatan kecuali Allah SWT”, bisik hati aku. Apa yang ditakdirkan Allah tetap akan terjadi dan tiada sesiapa pun yang mampu menghalangnya. Mahu atau tidak, berani atau takut, aku harus hadapi semua ini sendiri. Selagi belum ajal, aku tak akan mati. Keberanian aku kembali memuncak. Aku keluar dari bulatan kerana aku sudah nekad. Kekal dalam bulatan hanya melambatkan apa yang ditakdirkan untuk aku. Aku bersedia walau tubuh kecil ini mungkin bukan tandingan ‘benda’ tersebut. “Fakashafna anka ghita aka fabasarukal yauma hadeed” Aku bersedia untuk melihat apa yang ada di hadapan aku. Terbeliak biji mata aku bila melihat apa sebenarnya ‘benda’ tersebut tapi aku tak gentar. “Sesuatu itu hanya kuat jika kita menganggapnya kuat. Kita yang memberinya kekuatan jika kita takut” Pesanan Aki Lela menjadi sumber inspirasiku. Mukanya cengkung ke dalam, matanya tersembul ke luar, mulutnya tersusun gigi-gigi yang tajam. Tangannya panjang melebihi pinggang dan ketinggian aku hanya setakat pahanya sahaja. Sekali dia melangkah, terasa tanah bergetar. Aku bersedia untuk mati berlawan. Aku lafazkan dua kalimah syahadah sebagai persediaan jika ini adalah penamat hidup aku. Dengan kepala orang minyak bagai melambai-lambai di tangan kanannya, dia menuju ke arah aku. Tiba-tiba aku terasa sentuhan di bahu aku. “Kau ke tepi, ini bukan lawan kau” Aku terdengar satu suara di belakang aku. Suara yang sangat menggembirakan aku. “Ayah..” Aku menoleh ke belakang dan Ayah Abu tersenyum melihat aku. Aku berundur ke belakangnya. Ayah Abu mara ke depan aku dengan parangnya. Tanpa menunggu lama, Ayah Abu menyerang lembaga tersebut. Hayunan parangnya berlaga beberapa kali dengan tangan lembaga itu tetapi tidak memberi kesan. Ayah Abu tidak berputus asa, dia terus menyerang sambil aku lihat mulutnya tak berhenti membaca sesuatu. Satu hayunan parangnya tepat mengenai kepala lembaga itu tapi tetap tidak memberi kesan. Kaki aku bergerak-gerak untuk turut campur bertarung. “Falamma alqaw qala mụsa ma ji`tum bihis-siḥr, innallaha sayubṭi luh, innallaha la yuṣliḥu ‘amalal-mufsidīn” Semua sihir ini adalah kerja iblis. Aku mara mendekati lembaga itu sementara Ayah Abu bersedia di belakangnya. Badan sekecil aku sebenarnya tetap ada kelebihan kerana memudahkan aku untuk mengelak. Aku masih memikirkan kelemahan lembaga ini.
221 “Mesti ada sesuatu yang menjadikannya sekebal ini. Kenapa dia memegang kepala orang minyak, bukan boleh buat senjata pun”, bisik hati aku. Aku menyerang tangan kanannya yang memegang kepala orang minyak. Gerak hati aku di situlah punca kekebalannya. Aku menyepak tangan kanannya supaya pegangannya terlepas tetapi lembaga itu masih bertahan. Sesekali dia menghayun tangan kirinya untuk menangkap aku tapi aku berjaya untuk mengelak. Aku memandang ke arah Ayah Abu. Ayah Abu mengangguk seperti memberi isyarat. Aku menyerang lagi dan kali ini aku nampak Ayah Abu juga menyerang sama. Aku menyepak pergelangan tangan lembaga itu dan Ayah Abu menyepak bahunya. Tindakan serentak itu menyebabkan kepala orang minyak terlepas dari pegangan lembaga tersebut. Aku cepat-cepat melompat untuk menyambar kepala tersebut untuk menjauhkannya dari lembaga itu. Walau terasa geli tetapi aku terpaksa juga memegang kepala tersebut. Lembaga itu kelihatan semakin marah. Ayah Abu tanpa berlengah menyerang sekali lagi. Kali ini hayunan parangnya berjaya melukakan kaki lembaga itu hingga dia jatuh bertongkat lutut sebelah. “Jaga kepala tu, jangan biarkan ‘benda’ ni dapat kepala itu semula” Aku terdengar suara Ayah Abu. Aku tidak jadi untuk membantu Ayah Abu. Lembaga itu tetap menuju ke arah aku tanpa mempedulikan sangat serangan Ayah Abu. Aku terpaksa berundur sedikit demi sedikit untuk berada jauh dari lembaga itu. Ayah Abu bersedia untuk menyerang lagi. Dia melompat tinggi dan menghayunkan parangnya ke bahagian belakang lembaga tersebut. Lembaga itu meraung kuat bila tetakan parang Ayah Abu tepat ke belakangnya. Dia berpusing ke arah Ayah Abu pula. Cecair berwarna hitam menitik-nitik dari belakangnya. Lembaga itu menyerang Ayah Abu seperti orang mengamuk. Berhempas pulas juga aku melihat Ayah Abu cuba mengelak. Tiba-tiba lembaga itu menghentak kakinya ke tanah dengan kuat. Walaupun aku berada jauh, gegarannya tetap dapat aku rasakan. Ayah Abu hampir terjatuh. Tangan kanan lembaga itu dengan cepat menyambar leher Ayah Abu. Tubuh Ayah Abu kini tergantung tinggi dari tanah. Semakin lama aku nampak muka Ayah Abu semakin berubah. Ayah Abu nampak semakin lemah. Matanya semakin terpejam. Tangannya terkulai ke bawah.
222 Aku letakkan kepala orang minyak yang aku pegang ke tanah. “Qul huwa Allahu ahad, allah hu samad, lam yalid wa lam yulad, wa lam yakun lahu kufuwan ahad” Aku mara ke arah lembaga itu lalu melompat dengan tinggi sambil keris aku tegak di atas kepala. Aku hayun sekuat hati aku kepada lengan kanannya. “Yaa hayyu yaa qayyuumm. Bi rahmatika astaghiiths, wala hawla wala quwwata illa billahil aliyyil azim” “Tiada kekuatan selain Allah” Hayunan keris aku berjaya memutuskan lengan lembaga itu disusuli dengan jeritan kuat. Ayah Abu terjatuh ke tanah. Lembaga itu berpusing-pusing sambil mengeluarkan bunyi dengusan yang kuat. Ayah Abu masih terbatuk batuk sambil cuba bernafas dengan sempurna. Aku menarik Ayah Abu jauh dari lembaga itu dan kemudian aku menghampiri lembaga itu semula. Aku akan selesaikan apa yang telah aku mulakan. Lembaga itu mengamuk dengan ganas. Pokok-pokok kecil habis dipatah patahkannya walau dengan sebelah tangan sahaja. Aku harus berhati-hati. “Kita serang serentak” Tiba-tiba Ayah Abu menepuk bahu aku. Aku tersenyum lebar bila aku nampak Aki Lela juga ada bersama. Semangat aku kembali berapi. Serentak kami bertiga menyerang lembaga itu. Aki Lela di sebelah kanan, Ayah Abu di sebelah kiri dan aku bagai diberi penghormatan menyerang dari hadapan. Aku tidak lagi nampak apa yang mereka berdua lakukan kerana aku menumpukan kepada serangan aku. Tikaman keris aku tepat ke bahagian pahanya. Setiap tikaman yang mengenai sasaran,aku robek sekuat hati aku. Melolong-lolong lembaga itu menahan sakit, di tambah lagi apa yang Aki Lela dan Ayah Abu buat. “Man, tuju belakangnya”, jerit Aki Lela. Aku berpusing ke arah belakang lembaga itu. Dengan sebelah tangan aku berpaut pada lehernya, aku menikam tepat ke belikatnya. Lembaga itu meronta dengan kuat tapi aku juga berpaut dengan kuat juga pada lehernya. Aku kini bersedia untuk mensasarkan kepalanya. Aku melonjak tinggi dan kini berdiri betul-betul berdiri di atas bahunya. Kepalanya berada di bawah 116
223 kelangkang aku. Sebelah tangan aku memegang rambutnya untuk mengelakkan aku dari jatuh. Aku memandang Aki Lela dan Ayah Abu yang melemahkan lembaga. Aku memandang Aki Lela dan Ayah Abu yang melemahkan lembaga itu dari bawah. Lembaga itu jatuh bertongkat lutut. “Allahuakbar” Dengan sisa tenaga yang ada, aku menikam sekuat hati ke kepala lembaga itu. Keris aku terpacak kukuh.Kali ini satu raungan yang cukup nyaring memecah kesunyian hutan. Aku memegang keris itu apabila lembaga itu semakin kuat meronta. Aku gagal bertahan apabila rontaannya semakin kuat. Aku tercampak ke tanah tapi keris aku masih terpacak di kepalanya. Aku berjaya jejak ke tanah dalam keadaan selamat. Aki Lela menghampiri lembaga itu sambil membaca sesuatu. Satu tikaman keris dari Aki Lela tepat ke leher lembaga tersebut. Tiada lagi raungan tapi tubuh lembaga itu mula berasap.Aki Lela mencabut kerisnya dan juga keris aku. Tiba-tiba tubuh lembaga itu mula terbakar dan akhirnya keseluruhan tubuhnya hangus menjadi abu. Aku terduduk keletihan. Ayah Abu menggosok kepala aku. Aki Lela juga tersenyum melihat aku. “Kau semakin hebat. Hati kau tu bukan sahaja dah semakin ‘kering’ tapi juga semakin bijak berfikir”, kata Ayah Abu. Tiba-tiba aku teringat kepada kepala dan jasad orang minyak. Aku bangun dan cuba mencari tetapi semua sudah hilang. “Aki, badan dan kepala orang minyak tu dah hilang”, kata aku. “Tak apa lah, nak buat macam mana. Bukan salah kau. InshaAllah orang minyak tak akan mengganggu lagi”, jawab Aki Lela. “Ayah pun tiba-tiba aje muncul. Man dah tak tahu nak buat apa lagi tadi”, kata aku sambil memeluk Ayah Abu. “Ini kelebihannya bila berilmu tapi jangan salah guna ilmu, buruk padahnya”, pesan Ayah Abu. Aku terus memeluk Ayah Abu lebih erat. “Aki, orang tua tadi macam mana?” Tiba-tiba aku teringat kepada orang tua itu. “Alhamdulillah tapi memang liat”, jawab Aki Lela pendek. Kami bergerak menuju ke arah rumah Pak Bakar. “Assalamualaikum wbt”, Aki Lela memberi salam. “Waalaikummusalam”, sayup jawapan dari dalam rumah. Pintu rumah Pak Bakar terbuka. Pak Bakar muncul di beranda dan turun ke tanah. “Haa Tok Lela, macam mana?” tanya Pak Bakar.
224 “Alhamdulillah, semua dah selesai. InshaAllah selepas ini tak ada lagi orang minyak akan mengganggu”, kata Aki Lela. “Alhamdulillah syukur. Tunggu sekejap, saya nak panggil orang kampung”, jawab Pak Bakar. “Eh tak payah lah. Saya cuma minta tolong hantar kami balik ke rumah aje. Pasal orang kampung tu, nantilah Tok Ketua beritahu”, balas Aki Lela. “Erm, kalau macam tu tunggu sekejap ye. Anak saya akan tolong hantarkan”, kata Pak Bakar lalu naik semula ke rumah. Tak lama kemudian dia turun bersama anak lelakinya. Selepas bercakap seketika, kami bergerak pulang. Sepanjang perjalanan, aku hanya tidur melepaskan penat. Aku hanya tersedar bila kereta masuk ke jalan kecil menuju ke rumah Aki Lela. Sampai di halaman rumah, aku terus naik ke rumah dalam keadaan mamai. Selepas menunaikan kewajipan, aku menikmati kopi panas dangan ubi rebus. Siap makan, aku masuk ke bilik aku untuk berehat. Terasa tenang dan lega dapat baring atas katil. Entah kenapa otak aku asyik memikirkan tentang keluarga aku dan tok. “Ada sesuatu yang tak kena”, bisik hati aku. Aku baring mengiring ke kanan dan ke kiri namun gagal melelapkan mata. Fikiran aku masih melayang jauh memikirkan tentang tok. “Esok je lagiseharisekolah. Sempat kalau aku nak balik tengok mak dan ayah” Aku mula terfikir untuk balik. Aku tak pasti jam berapa aku terlelap malam itu. Selepas pulang dari sekolah,aku masuk ke bilik Aki Lela.Ayah Abu pula sudah pulang ke rumahnya. “Aki, Man rasa nak balik ke rumah ayah sekejap lagi, mungkin sehari dua. Ada sesuatu yang mengganggu fikiran Man”, aku berterus terang pada Aki Lela. Aki Lela memandang aku dengan pandangan yang aku tak faham dan kemudian tersenyum. “Elok juga kau balik. Lama kau tak tengok mak dan ayah kau. Ada sesuatu yang menanti kau kat sana nanti. Hati-hati dan jangan bertindak dengan perasaan marah”, nasihat Aki Lela. “Kenapa aki?” Aku mula rasa tak sedap hati. “Nanti kau akan tahu”, jawab Aki Lela. Aku masuk ke bilik aku semula untuk mengemas barang-barang yang perlu. Aku turun ke bangsal bila aku lihat Aki Lela tiada di dalam biliknya.
225 “Aki, Man balik dulu. Doakan semoga segalanya dipermudahkan”, kata aku. “InshaAllah kau akan dapatselesaikan semuanya dengan kebijaksanaan kau. Kirim salam pada ayah dan mak kau”, jawab Aki Lela lalu memeluk aku. Kak Nurul menghantar aku ke jalan besar untuk menunggu bas. Akhirnya aku tiba di kampung aku. Aku berjalan laju kerana tak sabar untuk berjumpa dengan keluarga aku. Dari jauh aku nampak mak berada di tanah sedang mengangkat pakaian di jemuran. “Anak mak dah balik”, kata mak sebelum sempat aku memberi salam. Aku salam dan peluk mak. “Ayah kerja ke?” tanya aku. “Kerja lah” jawab mak. “Pergi tengok Pak Anjang kau panjat kelapa kat belakang nun”, kata mak lagi. Pak Anjang atau aku panggil Pakjang kerana dia tinggi dan kurus adalah dua pupu mak. Umur lebih sedikit dari Mak Kecik dan masih bujang. Orangnya lembam dan lurus bendul sedikit tapi baik hati. Aku melangkah menuju ke arah pokok kelapa belakang rumah mak. “Pakjang...banyak lagi ke?” jerit aku dari bawah pokok. “Siapa tu?” tanya suara dari atas pokok. “Man”, jawab aku. “Tak banyak dah”, katanya lagi. Aku mengutip buah kelapa yang gugur dan susun di satu tempat. Ada beberapa lagi kelapa yang digugurkan dan tak lama selepasitu Pakjang turun ke tanah. “Tok kau ada balik dah semalam. Ada kat rumah dia. Mak Kecik pun dah ada kat sana. Mak pergi tengok sekejap aje pagi tadi” Tiba-tiba mak muncul dari belakang aku. Aku tidak menjawab apa-apa. Betul gerak hati aku. “Mak, Man tidur rumah tok malam ni boleh tak?” tanya aku. “Elok jugak tu sebab pagi tadi tok kau ada tanya pasal kau”, terang mak. “Terima kasih mak. Malam esok InshaAllah Man tidur sini”, jawab aku. “Mak tahu kau belajar tapi mak harap kau pandai-pandailah nak berurusan dengan tok”, kata mak lagi. “Pakjang, malam ni kita tidur rumah tok nak tak?” pelawa aku pada Pakjang. “Boleh aje. Nak makan apa kat sana nanti?” tanya Pakjang. “Pakjang ni belum apa-apa dah tanya pasal makan. Kita makan aje apa yang kita boleh makan”, jawab aku.
226 “Ayam goreng ada?” tanya dia lagi. Ini yang aku malas ajak Pakjang, fikir pasal makan sahaja. “Nak ikut ke tak nak?!” aku tinggikan suara. “Nak...nak..ayam goreng yer”, jawab dia. Malas aku nak layan. Selepas asar, aku dan Pakjang berjalan ke rumah tok. Berdebar-debar juga rasa dalam hati. Banyak benda yang aku fikirkan. “Man, boleh makan banyak tak nanti?” tanya Pakjang sambil berjalan. “Tak ada benda lain lagi dia ni nak tanya”, bebel aku dalam hati. “Makan je banyak mana nak makan”, jawab aku. Semakin laju Pakjang berjalan. “Laju-laju ni nak kejar apa?” jerkah aku. “Nak makanlah”, jawab Pakjang tanpa ragu-ragu. “Mana masak lagi. Nanti kita sembelih ayam, baru boleh masak”, jawab aku sambil ketawa. “Oo..tak masak lagi”, katanya lagi. Akhirnya kami sampai kat rumah tok. Hati aku semakin berdebar. Aku cuma berharap tok sudah berubah. “Assalamualaikum” Suara Pakjang memberi salam dari jauh sebelum sempat aku bersuara. Joni berlari ke arah kami sambil menyalak. Pakjang sudah bersedia hendak melarikan diri. “Dia tak gigitlah”, kata aku. Pakjang berdiri di belakang aku sambil berpusing-pusing mengelilingi aku bila melihat Joni menghampirinya. “Waalaikumsalam” Aku terdengar suara Mak Kecik menjawab salam. “Anjang, Man. Bila kau balik Man?” tanya Mak Kecik. “Sampai awal petang tadi”, jawab aku sambil duduk tangga lambur. “Tok mana?” tanya aku. “Cari kayu api” jawab Mak Kecik. “Macam mana tok?” tanya aku lagi. “Nampak biasa aje tapi tak tahulah bila dia nampak kau”, jawab Mak Kecik. Dari jauh aku nampak susuk tubuh tok dari arah hutan sedang memikul kayu api di atas bahunya. Aku berlari ke arah tok. “Biar Man angkat tok kayu api tu”, kata aku. Tok tersenyum melihat aku sambil menurunkan kayu api dari bahunya
227 dan letak di atas tanah. Lega bila nampak senyuman tok. Aku mengangkat kayu api tersebut ke atas bahu. “Boleh tahan jugak berat kayu api ni”, kata hati aku. Aku memikul kayu api tersebut hingga ke dapur. “Tok, malam ni nak mintak Mak Kecik masak ayam goreng boleh tak? Pakjang nak makan”, tanya aku. “Pergi tangkap ayam, pastu sembelih”, jawab tok. Aku ambil pisau dan mengajak Pakjang menangkap ayam. Bertungkus lumus aku dan Pakjang menangkap ayam. “Pakjang, kejar dari sana. Man tunggu sini”, jerit aku lalu Pakjang mengejar dengan bersungguh-sungguh. Joni hanya melihat kami mengejar ayam. Tiba-tiba bunyi ‘berdentum’ dan bangsal bergoyang. Cepat-cepat aku berlari ke arah bangsal. Pakjang sedang menggosok dahinya. “Aku langgar tiang”, kata Pakjang. Aku ketawa sehingga keluar airmata bila melihat dahinya benjol. Selepas membaca sesuatu, aku tiup di dahinya. “Dah, kita kejar lagi. Sekejap lagi, surutlah benjol tu”, kata aku sambil ketawa lagi. Selepas bersusah payah, akhirnya kami berjaya menangkap seekor ayam jantan dan susah payah juga aku menyembelihnya bila Pakjang jadi tukang pegang ayam tersebut. Tak kering gusi aku melihat gelagat Pakjang. Selepas selesai semuanya, aku dan Pakjang mengait buah kuini. Selepas maghrib, aku, Mak Kecik dan Pakjang makan bersama-sama. Tok masih belum berubah, masih berada di luar rumah. “Sedapnya ayam goreng ni, pandai Mak Kecik masak”, kata Pakjang. “Tok yang masak tadi”, jawab Mak Kecik. Tiba-tiba aku terasa lain. “Kenapa tok yang masak, biasanya Mak Kecik yang masak?” tanya aku. “Entah, tadi tok yang beriya-iya nak masak”, jawab Mak Kecik. Aku ke tempat basuh pinggan dan mengorek mulut aku hingga ke anak tekak. Banyak yang aku muntahkan semula. “Kenapa Man?” tanya Mak Kecik. “Lekat tulang ayam”, aku bagi alasan. Aku tak sedap hati. Ada sesuatu yang tak kena. Tiba-tiba tok naik ke rumah bersama 2 baldi air sama seperti sebelum-sebelum ini. “Sedap ayam tu?” tanya tok dengan lembut tapi pandangan matanya tajam ke arah aku.
228 “Sedap sangat tok, sampai terlekat tulang”, jawab aku. Dari ekor mata aku nampak tok tersenyum sinis. Malam itu aku tidur di sebelah kiri Pakjang. Awal lagi Pakjang sudah tertidur, mungkin sebab terlampau kenyang. Tok dan Mak Kecik juga mungkin sudah tidur di sebelah kanan, jauh dari aku. Aku sahaja yang masih tidak dapat melelapkan mata. Suasana memang sunyi. Pintu bilik larangan sudah tidak tertutup lagi seperti sebelum ini. Aku mengangkat kepala sedikit melihat ke arah tok. “Lena dah semua”, bisik hati aku. Aku memejamkan mata untuk cuba tidur. Tiba-tiba aku terdengar suara Pakjang. “Hantu...”, jerit dia. Aku menoleh ke arah Mak Kecik dan sepintas lalu aku nampak satu kelibat hitam menuju ke dapur. Aku bingkas bangun dan berlari menuju ke dapur tapi tiada apa-apa yang aku nampak. “Tak habis-habis lagi rupanya”, bebel hati aku. Aku menuju ke bahagian tengah dan aku dapati tok sudah tiada di tempat tidurnya. Aku ambil barang-barang aku dan ambil keputusan untuk turun ke tanah. “Nak ke mana?” tanya Mak Kecik. “Cari tok. Mak Kecik tunggu kat sini dengan Pakjang”, balas aku sambil turun ke tanah. Baru sahaja aku hendak melangkah bila aku terdengar suara Pakjang. “Nak ikut”, jeritnya. “Jangan”, jerkah aku tapi Pakjang tak menghiraukan jeritan aku dan terus mengekori aku. “Nak ikut, dengar cakap Man”, kata aku. “Kita nak lawan hantu kan, Pakjang tahu. Pakjang pernah lawan dulu, kalah hantu tu”, jawab Pakjang. Memang masalah aku macam ini tapi aku terpaksa bawa Pakjang bersama. Kami menuju ke hutan. Belum jauh kami masuk ke dalam, tiba-tiba aku nampak tok sedang berdiri seperti memang sedang menunggu aku. Di belakangnya kelihatan satu susuk tubuh yang tinggi tapi mukanya tidak kelihatan kerana ditutup rambut yang panjang. “Apa lagi ni tok, sudah-sudahlah. Bertaubatlah”, kata aku. “Tak apa Man, Pakjang lawan yang kat belakang tu”, sampuk Pakjang. Aku tarik telinga dia supaya berdiri di belakang aku. “Berdiri diam kat situ”, jerkah aku.
229 “Kau ingat semudah itu aku lupa apa yang kau dah buat. Aku suruh kau belajar bukan untuk ganggu hidup aku. Malam ini ilmu kau tak berguna lagi bila kau makan ayam yang aku masak”, kata tok sambil tersenyum sinis. Betul sangkaan aku tentang ayam goreng tersebut, cuma tok tak tahu aku sudah memuntahkannya. Tiba-tiba aku terasa tangan Pakjang mencekik leher aku dari belakang dengan kuat. Tubuh aku kini tergantung dari tanah.
230 Nafas aku mula tersekat-sekat dan pandangan aku mula kabur. “Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huas sami’un alim” Aku cuba bertahan sambil menahan nafas selama mungkin. Aku bengkokkan kedua-dua kaki aku ke belakang dan dengan sekali enjut, aku tolak kaki aku ke tubuh Pakjang sekuat hati. Pegangannya di leher aku terlepas. Aku tercampak ke depan tapi aku berjaya bangun dengan cepat. Aku kini berdiri tidak jauh dari tok. Aku berpusing ke belakang dan melompat ke arah Pakjang yang kaku berdiri. Aku berpusing ke belakangnya dan menyepak kedua-dua pelipat belakang lututnya. Pakjang kini berdiri dengan lututnya sahaja. Aku baca sesuatu dan letak tapak tangan kanan aku ke belikatnya. Pakjang mula terbatuk-batuk. “Mana hantu tadi, tahu dia takut” Ayat pertama yang keluar dari mulut Pakjang. Aku membiarkan dia bercakap seorang diri. Aku bergerak ke arah tok tapi bila hampir sahaja dengan dia, kelibat di belakangnya bergerak ke hadapan tok. “Lantoi, kau habiskan riwayat budak ni. Aku dah tak nak tengok lagi muka dia depan aku”, kata tok pada kelibat yang ada di hadapan aku. Lembaga itu mara ke arah aku dan aku nampak tok menghilangkan diri ke arah hutan. “A’uzubika lima tillahit tammati min syarri ma khalaq” Aku bersedia dengan keris di tangan. Malam ini aku bertekad untuk selesaikan semuanya. Bagi aku, tok tak boleh diselamatkan lagi. Ini adalah jalan yang dipilihnya walaupun arwah Aki Salleh bukan calang-calang ilmu agamanya. Lembaga itu mula menerkam ke arah aku dengan ganas. Kuku tangannya cuba mencakar tubuh aku tetapi aku masih berjaya mengelaknya dengan melompat ke kanan dan ke kiri. Sekali sekala libasan keris aku mengenai tubuhnya tapi tidak memberi kesan apa-apa.Pakjang hilang entah ke mana. Tiba-tiba lembaga itu berhenti menyerang dan cuma memandang tajam ke arah aku. Entah dari mana, Pakjang muncul bersama sebatang kayu yang panjang sambil menjerit menyerang lembaga itu. 117
231 “Pakjang, jangan pergi”, jerit aku tapi tak diendahkan langsung oleh Pakjang. Aku terpaksa melompat tinggi dan kemudian membentes kakinya sehingga dia jatuh tersembam ke tanah, betul-betul di depan lembaga itu. Pakjang berjaya bangun dengan cepat dan berdiri di belakang aku. “Bodoh punya hantu, main tarik-tarik kaki pulak”, jerkah Pakjang yang tak menyedari sebenarnya aku yang menjatuhkannya. “Pakjang pergi jauh sedikit, biar Man yang selesaikan benda ni”, bisik aku. “Apa-apa nanti panggil Pakjang”, jawab Pakjang sambil berlari memanjat pokok di belakang. Aku biarkan kerana sekurang kurangnya dia tidak lagi buat tindakan bodoh. Lembaga itu menyerang semula. Kali ini setiap hentakan tapak kakinya menggegarkan tanah yang aku pijak. Tubuh aku bergoyang dan terhuyung- hayang. Tiba-tiba aku terdengar bunyi benda jatuh di belakang aku. “Aduhhh...” Aku menoleh dan nampak Pakjang tergolek atas tanah, mungkin dia jatuh kerana gegaran yang berlaku. Aku berundur sedikit. “Pakjang tak apa-apa ke?” tanya aku. “Tak ada apa. Pakjang panjat pokok lain pulak”, jawabnya lalu memanjat pokok yang rendang. Letih aku melayan kerenah Pakjang. “Rabbi a’uudzibika min hamazaatisy syayaathiini wa a’uudzubika rabbi an yahdhuruun” Aku mara ke depan semula. “Wa ja ‘alna mim baini aidihim saddaw wa min kholfihim saddan fa agsyaina hum fa hum la yubsiruun” Kali ini aku menumbuk ke tanah dengan kuat. Satu gumpalan angin seolah-olah keluar dari tanah dan menuju ke arah lembaga itu. Lembaga itu berhenti bergerak. Tangannya meraba-raba ke kanan dan ke kiri seperti orang buta. Dia cuba melangkah tapi jatuh beberapa kali. Aku berjaya mengaburkan penglihatannya. “Allahuakbar”, jerit aku lalu melompat tinggi ke arahnya sambil keris aku tegak di atas kepala. Lembaga itu kelihatan terkejut bila mendengar jeritan aku. Satu tikaman tepat ke dadanya. Satu raungan kuat kedengaran. Lembaga itu menggelupur di atas tanah. Tiba-tiba aku terdengar suara Pakjang menjerit. “Tepi....”, jerit Pakjang sambil berlari membawa kayu yang besar.
232 Belum sempat aku berbuat apa-apa, Pakjang memukul lembaga yang sedang menggelupur dengan kayu yang dibawanya. Pada pukulan yang ketiga, tiba-tiba tubuh Pakjang tercampak jauh dan terhentak pada batang pokok. Tiada jeritan yang aku dengar dari Pakjang. Entah datang dari mana, tok berdiri di hadapan lembaga itu. Aku cuba berlari ke arah Pakjang tetapi seperti ada sesuatu yang memegang kaki aku. “Wa ja ‘alna mim baini aidihim saddaw wa min kholfihim saddan fa agsyaina hum fa hum la yubsiruun” Aku pegang benda ghaib yang memegang kaki aku. Terasa seperti tulang-tulang lengan yang menghalang aku dari bergerak. Aku tetak tangan ghaib tersebut sehingga kaki aku mula terasa bebas. Cepat-cepat aku mendapatkan Pakjang sambil mata aku sekali sekala memerhati ke arah tok. Aku tepuk sekali di bahagian belakangnya. Pakjang mula sedar dan terbatuk-batuk. “Pakjang tunggu di sini, jangan pergi ke mana-mana, jangan campur urusan Man. Dengar tak?” jerkah aku. “Ya”, jawabnya pendek. Aku bangun dan bergegas untuk berhadapan dengan tok. “Ish hilang pulak orang tua ni”, bebel aku bila aku dapati tok dan kelibat itu sudah tiada. “Pakjang, balik ke rumah tok. Duduk dengan Mak Kecik”, jerit aku dari jauh. Tanpa menunggu jawapan Pakjang, aku mula bergerak lebih jauh ke dalam hutan. Gerak hati aku yakin mereka berada tidak jauh dari aku. Aku bergerak perlahan-lahan bila menghampiri kawasan yang banyak akar yang berjuntai. Mata aku melilau melihat sekeliling termasuk ke atas pokok. Keadaan memang menyeramkan dan memberi kelebihan kepada yang sedang bersembunyi. Suasana memang sunyi, tiada langsung bunyi cengkerik dan riang-riang. “Tok ambil di mana pulak benda ni?” tanya hati aku. Sebelum ini tok hanya mengharapkan belaannya tapi kali ini aku tahu, dia juga belajar sesuatu dari cara dia bertindak tadi. Aku perlu berhati-hati. Tiba-tiba ada sesuatu yang bergerak laju menuju ke arah aku. Mujur aku sempat melompat untuk mengelak. Benda itu hilang sekelip mata. “Iblis ni main pukul curi pulak”, bebel hati aku. Serangan beginilah yang membahayakan. Aku lebih rela bertarung berhadapan dari menghadapi serangan seperti ini.
233 “Falamma alqaw qala musa, ma ji’tum bihil sihr, innallah ha syayup tiluh, innallahala yuslihu amalal mufsidin” Sihir macam ini adalah kerja iblis tapi hanya Allah Yang Maha Berkuasa atas segalanya. Sekali lagi serangan mengejut datang ke arah aku. Kali ini aku mengelak sambil menghayunkan keris aku. Satu raungan kuat kedengaran tetapi aku tak pasti dari mana arah raungan itu. Tak lama kemudian suasana jadi sunyi semula. “Iblis penakut”, bebel aku. Aku cuba bertenang dan hilangkan amarah. “Man...Man..” Tiba-tiba aku terdengar suara Pakjang dari belakang. Dia sampai dekat aku dalam keadaan termengah-mengah. “Tok ada kat sana”, katanya sambil menunjuk ke arah belakang. “Man dah cakap, Pakjang tunggu je kat sana”, marah aku. “Aku ingat kau cari tok, tok selamat aje aku nampak”, katanya lagi. Nampak sangat Pakjang ini tak faham apa-apa. “Mari tunjukkan kat Man”, jawab aku. Kami berpatah semula ke belakang. “Eh..tadi ada kat sini”, kata Pakjang bila kami sampai di tempat yang dikatakannya sebelum ini. “Kalau ada, ada lah ni”, jerkah aku. Aku rasa aku yang bodoh bila mendengar cakapnya. “Man hantar Pakjang balik dulu. Bahaya kat sini”, kata aku. “Aku nak ikut kau. Aku boleh je lawan, nampak tak tadi aku pukul hantu tu”, jawab Pakjang. “Ishh..Pakjang ni, susah benar nak ikut cakap orang”, aku membebel. Pakjang hanya tersengih. “Pakjang tunggu kat sini, mana tahu hantu tu datang sini. Pakjang lawan dengan dia” Aku sengaja buat begitu supaya dia tidak mengikut aku. “Kalau hantu tu datang, nak buat apa?” tanya dia lagi. Ya Allah, aku lebih letih melayan Pakjang daripada berlawan dengan lembaga dan tok. “Ambil kayu ni, ketuk kepala dia”, jawab aku sambil menghulurkan sebatang dahan kecil. “Panjat pokok tu dan tunggu kat situ. Kat atas lagi senang nampak”, arah aku.
234 Pakjang terus memanjat pokok. Selesai sedikit masalah. Aku menuju semula tempat tadi. “Buang masa betul Pakjang ni, satu hal pulak nak cari tok”, aku tak habis-habis membebel. Aku mengikut gerak hati tapi berhati-hati. Bila-bila masa sahaja aku boleh diserang. Suasana yang sunyi sepi memudahkan aku mendengar jika ada bunyi benda bergerak. “Man...Man...”, aku terdengar seolah-olah suara Pakjang memanggil aku. “Ini tipu daya iblis, sengaja nak perangkap aku”, bisik hati aku. Aku tahu, aku sudah tidak jauh lagi dari tok. “Fakashafna anka Ghita aka fabasarukal yauma hadeed” “Semoga pandangan mata aku tidak ditipu.Aku melangkah laju. “Man...Man...” Aku masih terdengarsayup-sayup suara Pakjang. Aku abaikan. Di dalam hutan dan di dalam keadaan begini, bermacam suara kita akan dengar. Tiba-tiba aku ternampak lembaga tadi berdiri betul-betul di hadapan aku. Matanya yang merah tak berkedip melihat aku. “Mana tok?” tanya aku dalam hati. Lembaga itu menyerang aku dengan bergerak ke kanan dan ke kiri seperti orang bermain kasut roda. Laju dan mengelirukan. Hayunan tangannya hampir sahaja merobek muka aku jika aku lambat mengelak. Libasannya betul-betul hanya sejengkal dari muka aku hingga aku boleh terasa angin di muka aku. Dia berpusing semula bila serangannya tak berjaya. Aku bersedia untuk menghadapi serangan seterusnya. Kali ini dengan jeritan yang kuat, lembaga itu menyerang aku. Kedua-dua tangannya yang berkuku tajam melilau mencari sasaran. Libasan tangannya umpama parang yang dilibas. Habis sahaja aku mengelak libasan tangan kanan, tangan kirinya pula datang mencakar. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri, sekejap melompat dan sekejap menunduk lembaga itu memaksa aku mengelak. Aku masih belum berpeluang untuk menyerang. Aku hanya mampu mengelak kerana tenaga aku tak sepadan untuk menahan dengan tangan aku. Dengusan lembaga itu semakin kuat, tanda amarahnya semakin membuak bila gagal mencederakan aku. Aku berundur sedikit untuk mengambil angin sambil memikirkan helah. Lembaga itu merenung tajam ke arah aku.
235 “Qul huwa allahu ahad, allah hu samad, lam yalid wa lam yulad, wa lam yakun lahu kufuwan ahad” Aku hembus perlahan-lahan ke arah lembaga itu. Lembaga itu mula kelihatan tidak keruan dengan menggelengkan kepalanya seperti kepanasan. Aku mengambil kesempatan itu dengan melompat tinggi ke arahnya. Tangan aku bersedia untuk menikamnya. Hampir sahaja keris aku merodok tubuhnya, tok muncul betul-betul di hadapan aku. Dia bernasib baik aku berjaya menghentikan tikaman, kalau tidak malam ini aku telah membunuh tok aku sendiri.Aku melompat semula ke belakang. “Sudahlah tok, bertaubatlah. Nyaris Man tikam tok tadi. Jangan paksa Man”, jerkah aku. “Bunuh aku jika kau nak selamat. Kau bukan cucu aku lagi”, balas tok. “Tapi Man masih anggap tok adalah tok Man. Bertaubatlah tok sebelum ajal datang. Kasihanlah arwah aki”, nasihat aku. “Jangan kau sebut nama tu. Dia dah menyusahkan aku selepas dia mati”, jerit tok lagi. Aku hampir menangis bila sampai tahap itu tok sanggup mencaci arwah aki. “Baiklah tok. Ini jalan yang tok pilih. Demi zat Allah Yang Maha Mengetahui, Man akan tamatkan semuanya malam ini. Sama ada Man yang mati atau tok yang mati”, jawab aku dengan perasaan yang penuh hiba. Aku nekad menyerang tok. Tok beralih ke belakang dan membiarkan lembaga belaannya mempertahankannya. Aku sudah tidak peduli. Aku libas dengan bersungguh-sungguh, tiada lagi jalan untuk berpatah balik. “Allahhu Ahad...Allahhu Ahad...”, Itu sahaja yang keluar dari mulut aku. Akhirnya serangan aku membuahkan hasil. Satu tikaman dari aku tepat ke dada lembaga itu. Lembaga itu menjerit dengan kuat. Aku menikam sekali lagi dan kali ini di bahagian belakangnya. Tubuh lembaga itu meleding menahan tikaman aku. Tiba-tiba aku juga terdengar suara tok menjerit dengan kuat. “Sakit...”, jerit tok. Aku tak peduli, aku menikam sekali lagi ke tubuh lembaga itu. Kali ini satu hirisan membelah perut lembaga itu. Tubuh lembaga itu mula terhuyung- hayang tak tentu arah. “Berhenti, jangan bunuh dia. Kau bunuh dia seperti kau bunuh aku”, jerit tok. Aku tak termakan lagi dengan rayuannya. Aku melompat tinggi dan kali ini keris aku terpacak tepat di kepala lembaga itu. Aku bergayut dengan
236 tangan kiri pada keris aku betul-betul di depan muka lembaga. Dengan jelas aku nampak anak matanya yang semakin terpejam. “Wa iza qilalahut taqillahha a’khazat hul izzatu bil ismi, fahasbuhu jahannam,walabiq’ sal mihad” Aku tepuk tangan kanan aku sekuat hati ke dadanya. Tubuh lembaga itu semakin kuat bergoncang. Aku cabut keris yang terlekat di kepalanya dan melompat ke tanah. Aku berundur sedikit bila lembaga itu semakin kuat menggelepar. Tidak lama kemudian, tubuhnya hanya tegak berdiri dan mula berasap dan akhirnya mula terbakar. Suara tok menjeritsemakin kuat. “Panas....panas...”, jerit tok. Aku sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Akhirnya tubuh lembaga itu hangus. Aku cepat-cepat menghampiri tok bila nampak dia terbaring di atas tanah. Nafasnya turun naik dengan laju. Matanya terbeliak. Aku membaca sesuatu dan letak tapak tangan aku di dahinya. Perlahan-lahan matanya tertutup dan nafasnya mula turun naik secara perlahan. “Macam mana aku nak bawak balik tok ni, jauh sangat nak pikul sorang-sorang ni”, bisik hati aku. Aku teringatkan Pakjang. Aku bangun dan menuju ke arah tempat Pakjang bersembunyi tadi tapi tiada kelibatnya. Aku berpusing-pusing di kawasan sekitar dan akhirnya nampak tubuh Pakjang sedang tergantung kaku dari atas pokok menggunakan akar hutan, kaki ke atas dan kepala ke bawah. Tiada pergerakan langsung dari Pakjang. Aku terpaksa memanjat pokok dan memotong akar tersebut. Dengan seluruh tenaga yang aku ada, aku cuba menahan dari menjatuhkan tubuh Pakjang ke tanah dengan kuat namun dalam keadaan begini, aku tidak mampu bertahan lama. Akhirnya tubuh Pakjang jatuh ke tanah dengan kuat.
237 Tiada jeritan mahu pun tindakbalas dari Pakjang. Aku melompat turun dari atas pokok dan menghampiri Pakjang. Aku membaca sesuatu dan letak dua jari aku di dahinya. Kemudian aku menepuk sekali di dadanya. Tiba-tiba Pakjang terbatuk-batuk dan terus bingkas bangun. “Mana hantu tu? Aku memang pantang kalau jenis hantu degil ni”, jerit Pakjang. Aku tak tahu sama ada hendak ketawa atau marah. “Hantu tu dah mati. Sekarang kita kena bawak balik tok ke rumah. Tok ada kat sana”, kata aku sambil menunjuk ke arah tempat tok terbaring. Kami menuju ke arah tok. “Biar aku yang dukung tok. Tulang besi urat dawai ni”, kata Pakjang sambil menunjukkan otot lengannya. “Lantak dia lah, janji dia sanggup pikul tok”, bisik aku dalam hati. Pakjang menggendong tok di belakangnya seperti memikul budak-budak. Aku mengikat tubuh tok kepada tubuh Pakjang dengan akar kayu supaya tidak jatuh. Kami mula bergerak pulang. Aku berjalan di hadapan sebagai penunjuk jalan. “Boleh ke Pakjang?” tanya aku sekali sekala. “Boleh aje, bukan berat sangat tok ni”, jawab Pakjang. Walaupun Pakjang ada kekurangan dari segi akal tetapi Allah kurniakannya dengan tenaga. Selepas bersusah payah meredah hutan, akhirnya kami sampai di rumah tok. “Assalamualaikum Mak Kecik”, jerit aku dari tanah. “Waalaikummusalam”, jawab Mak Kecik sambil membuka pintu. “Kenapa dengan tok?” tanya Mak Kecik dengan muka yang terkejut. “Tok pengsan. Pakjang, bawak tok naik ke atas rumah”, kata aku. Pakjang terus memikul tok dan meletakkannya di atas tikar yang sudah siap terbentang. Nafas tok semakin perlahan. Tiada kesan luka pada tubuhnya tapi aku tahu tok mengalami luka dalaman berpunca dari tikaman yang aku buat kepada lembaga tadi. Aku membaca sesuatu dan meletakkan tapak tangan aku di dahinya. Muka tok nampak berkerut seperti menahan sakit. Hanya itu yang mampu aku doakan. Aku dapat rasakan tok sedang bertarung dengan kesakitan yang aku tidak nampak. 118
238 “Mak Kecik, tok mungkin akan begini dalam masa yang lama. Kita hanya mampu berdoa semoga Allah memberikan takdir yang terbaik untuknya”, kata aku kepada Mak Kecik. Mak Kecik hanya mampu menundukkan kepala. Air matanya nampak bergenang. “Tak apalah Man, apa sahaja yang Allah tentukan, Mak Kecik reda”, jawabnya perlahan. Aku menoleh mencari Pakjang. Pakjang sudah terbungkang tidur di atas tikar. “Memang tak ada masalah langsung orang macam ni”, kata hati aku. Mak Kecik mengelap tubuh tok dan menukar pakaian tok dengan pakaian yang baru. Aku turun ke telaga untuk membersihkan tubuh aku. Mata aku sekali sekala memandang ke arah hutan. “Ada lagi iblis yang memandang”, bisik hati aku tapi kali ini aku abaikan sahaja kerana aku lebih memikirkan pasal tok. Malam itu aku tidak tidur hingga ke subuh kerana membaca Al Quran di sisi tok dan setiap kali ayat-ayat suci di baca, tok seperti menahan sakit. “Ya Allah, aku berdoa kepadaMu, apa sahaja kesalahan tok sebelum ini, Kau ampunkanlah. Demi Zat Mu Yang Maha Pengasih, kasihanilah dia” Hanya doa itu sahaja yang aku panjatkan. Selepas solat subuh, aku pulang ke rumah mak untuk memberitahunya tentang tok. Pakjang masih berdengkur di tempat tidurnya. Tiada perubahan pada diri tok, malahan nafasnya semakin perlahan dan tubuhnya terbaring kaku. Ayah dan mak bergegas ke rumah tok apabila aku menceritakan setiap inci apa yang terjadi. “Ayah, nak hantar tok ke hospital ke?” tanya aku. Ayah tidak menjawab dan kemudian berbincang sesuatu bersama mak dan Mak Kecik. “Biarkanlah tok kat rumah ni sahaja. Tak ada gunanya kalau kita hantar ke hospital pun”, jawab ayah, sama seperti yang aku fikirkan. Ini bukan sakit biasa yang boleh nampak melalui mata kasar. Dari pagi aku berusaha untuk buat apa sahaja yang aku tahu untuk mengubati tok tapi segalanya terserah kepada Allah. Hanya dia yang memberi mudarat dan dia juga yang akan menyembuhkan. Mak dan Mak Kecik kelihatan reda. Aku juga tak pasti masa bila Pakjang pulang ke rumahnya. “Tok, Man mintak ampun atas segala salah dan silap Man pada tok. Man tak pernah membenci tok walau apa yang telah tok buat. Masih belum terlambat untuk tok mohon keampunan Allah”, aku berbisik ke telinga tok.
239 Aku nampak air mata tok mengalir perlahan dari matanya yang terpejam. Aku lafazkan dua kalimah syahadah ke telinganya berulang kali. Aku genggam tangan tok yang lemah. Mak Kecik selalu membersihkan tubuh tok yang berterusan mengeluarkan najis. “Ya Allah, ampunkanlah tok, terimalah taubatnya, permudahkanlah urusannya”, doa aku yang ditemani air mata yang bercucuran. Aku tetap sayangkan tok aku walau apa pun yang terjadi. Siang itu aku hanya duduk di sebelah tok sambil membaca Al Quran dan kadang-kadang membersihkan mukanya. Aku cium pipinya setiap kali aku membasuh mukanya dan setiap kali juga air matanya nampak berlinangan bila aku menciumnya.Tinggal lah aku dan Mak Kecik sahaja di rumah tok menjelang maghrib. Ayah dan mak sudah balik ke rumah kerana Abang Long dan adik aku tak biasa tinggal sendirian. Selepas maghrib, aku menyambung membaca Al Quran di sebelah tok. Selepas 3 ayat aku baca dari surah Yasin, tiba-tiba tubuh tok meleding seperti orang sedang di panggang. Tiada suara jeritan tapi aku tahu dari gerak tubuhnya, tok sedang menahan sakit yang amat. Aku meneruskan bacaan aku kerana aku mahu tamatkan semuanya. Aku tidak mahu lagi tok terus hidup seperti sebelum ini. Jika di izinkan Allah dirinya panjang umur, maka panjanglah umurnya dan begitu juga sebaliknya. Tubuh tok semakin kuat meleding hingga bahagian pinggangnya tidak jejak lagi ke atas tikar. Air mata tok menitis laju di pipinya seolah-olah merayu minta dikasihani. Air mata aku juga mula bergenang tapi aku tabahkan hati demi kebaikan tok. “Allahumma mattiqni bi sam’i wa bashari waj’alhumal warisa minni wanshurni ‘ala ‘aduwwi wa arini fihi saq’ri” Semoga aku boleh mendengar dan melihat apa yang Allah izinkan. Aku memejamkan mata sambil membaca lagi satu ayat yang cukup istimewa yang pernah Aki Lela ajarkan. Tiba-tiba fikiran aku bagai melayang jauh seolah-olah menyusup masuk ke dalam tubuh tok. Kekuasaan Allah melampaui logik akal manusia. Aku mendengar sayup-sayup suara tok menjerit penuh kesakitan. “Sakitnya Ya Allah...sakitnya, ampunkan aku” Aku mendengar rayuan tok. Mata aku pula melihat tulang-temulangnya bagai dipatah patahkan oleh satu makhluk kecil tapi amat kuat. Mereka memandang ke arah aku tapi tidak berkata apa-apa. Wajah mereka amat bengis dan menggerunkan. Suara jeritan tok semakin jelas di telinga aku. “Ya Allah Ya Ghaffar, Ya Ghafur” Aku berdoa semoga tok diampunkan.
240 Tiba-tiba makhluk itu berhenti mengerjakan tulang temulang tok. Suara jeritan tok terhenti. Aku seperti tersedar dari satu mimpi. Aku buka mata dan melihat nafas tok kembali seperti biasa. Air mata aku semakin menitis laju. Beginilah agaknya bila seseorang itu menuju ajalnya. Aku menggeletar ketakutan. Takut kepada seksaan Allah. Aku menyambung lagi bacaan ayat-ayat suci Al Quran tapi kali ini aku mengelak untuk memandang ke arah tok. Tak sanggup aku melihat kesakitan yang tok tanggung. Hanya telinga aku menangkap rintihan dan raungan kesakitan dari tok. “Tolong tok, Man...tak tertanggung rasa sakit ni” Sayup-sayup terdengar rayuan tok tapi aku tak mampu untuk buat apa-apa. Aku hanya mampu berdoa. “Kasihanlah tok, hentikanlah mengaji tu”, jerit tok lagi. Aku abaikan rayuan itu tapi kali ini aku pegang tangannya yang kasar. Terasa bagai ada satu gegaran dari tangannya. Aku lepaskan dan kemudian membaca sesuatu lalu melurutkannya dari bahu hingga ke hujung jari tangan. Tubuhnya nampak semakin kejang. Nafasnya semakin laju tapi matanya masih terpejam. Tiba-tiba matanya terbuka dan terbeliak. Tok bangun dari pembaringannya dan berdiri. Matanya liar melihat sekeliling dalam rumah. Pandangannya seperti mencari sesuatu. Aku bingkas bangun dan meletakkan tapak tangan kanan aku ke belakangnya sambil membaca sesuatu. Dia cuba berpusing tapi gagal. Aku terus menekan dengan sekuat hati aku. Tok kini berdiri seolah-olah hanya kerana tapak tangan aku. “Wa-qul jaa-al haqqu wa-zahakal baatil innal baatila kaana zahuqa” Aku lepaskan tapak tangan aku yang menekan di belakangnya dan kemudian menepuk di kedua-dua betisnya. Tok jatuh terjelepuk di atas tikar. Matanya terpejam semula. Mak Kecik berlari masuk ke bahagian tengah bila mendengar bunyi benda jatuh. “Kenapa Man?” tanya Mak Kecik. “Tak ada apa, tok bergerak sedikit tadi”, jawab aku sambil membetulkan kepala tok dan mengalasnya dengan bantal. Tiba-tiba terdengar bunyi angin yang kuat dari luar rumah dan menerobos masuk ke dalam rumah melalui celah-celah zink. Rumah bergegar dengan kuat. Mak Kecik berlari dan duduk di belakang aku. Aku nampak tubuh tok mula bergerak-gerak. Aku membaca sesuatu dan meletakkan tapak tangan kanan aku ke dahinya. Terasa seperti ada sesuatu yang cuba menarik tangan aku dengan kuat. Aku bertahan sedaya upaya aku. Peluh aku mula menitik-nitik.
241 “Qul huwa allahu ahad, allah hu samad, lam yalid wa lam yulad, wa lam yakun lahu kufuwan ahad” Aku tekan lagi sekuat hati. Rumah bergegar semakin kuat. Atap seola- olah hendak tercabut. “Allahumma ‘inni ‘as’aluka khayraha, wa khayra ma fiha, wa khayra ma ‘ursilat bihi wa a’udhu bika min sharriha, wa sharri ma fiha, wa sharri ma ‘ursilat bihi.” “Milik Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi.” Tiba-tiba tubuh tok terangkat sedikit demi sedikit. Kini tubuh tok terapung lebih kurang dua jengkal dari tikar pembaringannya. Aku membaca ayat Kursi dan tepuk sekali ke bahagian perut tok. Tubuh tok jatuh semula ke atas tikar. Angin kuat tadi berhenti dengan tiba-tiba. Aku perhati ke arah perut tok, tiada lagi pergerakan perut tanda seseorang sedang bernafas. Peliknya tok seperti sudah tidak bernafas tetapi kelopak matanya bergerak-gerak, cuma tidak terbuka. Aku membaca sesuatu dan dengan 3 jari, aku sapu kelopak matanya dari kanan ke kiri. Matanya berhenti bergerak. Perutnya mula turun naik dengan perlahan. “Mak Kecik, tolong ambil air. Nak basuh muka tok”, pinta aku. Mak Kecik ke dapur dan tak lama kemudian datang semula bersama air yang aku minta. Aku membaca sesuatu dan basuh muka tok 3 kali. Aku duduk bersandar pada dinding sambil termenung melihat tok. “Ya Allah, permudahkanlah urusan tok” Hanya itu yang mampu aku lakukan buat masa ini. Malam itu masa bila aku terlelap disudut dinding, aku sendiri pun tidak pasti. Penat tubuh aku seperti orang baru sahaja lepas berlari jauh. Malam itu aku tertidur sambil bersandar pada dinding. “Siang nanti buka atap yang mengadap tok kau sedang baring. Biarkan mukanya seperti memandang langit” Aku terdengar satu suara berbisik di telinga. Aku abaikan sehinggalah menjelang waktu subuh. Aku nampak Mak Kecik sedang tidur jauh dari tok. Aku teringat semula pesanan yang aku dengar ketika tidur. Tok pula tidak banyak perubahan. Nafasnya tetap perlahan seperti malam tadi. Selepas menunaikan kewajipan, aku duduk di beranda menunggu cerah menyuluh tanah. Bila suasana sudah cerah, aku memanjat ke atas atap dan membuka dua keping atap, betul-betul di atas kepala tempat tok terbaring. Dari atas seolah olah ternampak mata tok seperti terbuka memandang ke arah aku tetapi aku abaikan. Aku cuma berharap cuaca tidak hujan sehingga malam. Siap urusan di atas bumbung, aku berehat sebentar di atas beranda. Dari jauh
242 aku nampak kelibat Emak aku dan adik beradik aku sedang menuju ke arah rumah tok. “Mak Kecik kau mana?” tanya mak. “Ada kat dalam rumah”, jawab aku. Mak naik ke atas rumah. Abang Long dan adik aku duduk berdekatan dengan aku. “Long, ayah kerja ke?” tanya aku. “Aah...”, jawab dia, pendek. Aku tinggalkan mereka berdua dan masuk ke dalam rumah. Kelihatan mak sedang membasahkan tubuh tok. Aku duduk bersandar dinding tidak jauh dari mak. “Ayah kerja jugak hari ni mak?” tanya aku kepada mak. “Ayah kau kena masuk Singapura hari ni hantar barang. Memang tak boleh diganti orang lain”, jawab mak. Aku faham kerana memang bukan mudah bila hendak keluar masuk ke luar negara. “Kau yang buka atap tu?” tanya mak pula. “Aah”, jawab aku. Mak tidak bertanya apa-apa lagi sambil terus mengelap tubuh tok. Siang itu Mak memasak di rumah tok dan berada seharian menemani tok. Abang Long dan adik aku leka bermain-main di halaman rumah. “Mak balik lah, Man dengan Mak Kecik tunggu tok”, kata aku pada mak. “Ye lah, nanti kalau ada apa-apa beritahu mak”, jawab mak. Aku tahu mak terpaksa menunggu ayah yang biasanya pulang tidak tentu masa. Kasihan ayah yang terpaksa memandu jauh mencari rezeki. Selepas mak dan adik-beradik aku pulang, aku siap-siap mandi sebelum maghrib. Joni seperti biasa setia menemani aku. “Sekejap lagi Pakjang datang ni..”, bisik hati aku. Aku tak tahu samada gembira atau tidak jika Pakjang datang. “Biarlah, bukan orang lain pun dengan tok”, jawab hati aku sendiri. Memang tepat, menjelang maghrib sayup-sayup aku mendengar suara Pakjang memberi salam. “Naiklah aje lah Pakjang, jangan duduk kat tanah maghrib-maghrib ni”, jawab aku. Pakjang duduk di sebelah aku. “Pakjang tak makan lagi ni” Ayat pertama yang keluar dari mulut dia. Aku tersengih sahaja.
243 “Lepas solat maghrib nanti kita makan. Solat dulu. Guna air tempayan kat tangga ambil wuduk”, kata aku. Pakjang bangun dan sekejap sahaja sudah ada semula di sebelah aku.Aku dan Pakjang solat berjemaah. Selepas maghrib, aku terus berzikir tetapi aku terasa tidak sedap hati. Selepas makan malam dan solat isyak, aku sambung mengaji pula. Pakjang dan Mak Kecik masih berada di dapur. Aku berhenti mengaji dan memejamkan mata bila gerak hati aku merasakan sesuatu. Mata aku seolah-olah nampak sesuatu yang besar sedang terbang di atas atap tapi tiada bunyi yang kedengaran. Aku tutup Al Quran dan bangun menghampiri tok. “Mak Kecik..Pakjang...datang duduk kat sini”, jerit aku. Cepat sahaja kedua-duanya datang dan duduk berhampiran aku. “Duduk diam-diam”, bisik aku. Aku capai lampu suluh dan keris lalu turun ke tanah. Aku menyuluh ke atas atap dan terkejut besar. Satu lembaga besar bersayap lebar sedang bertenggek di hujung atap, berhampiran atap yang aku tanggalkan. Matanya tepat memandang aku. “Au’dzubika limatillah hitammati min syarri maa khalaq” Aku tak tahu iblis apa lagi yang datang kali ini. Aku undur setapak untuk mencari ruang yang luas. Aku tahu lembaga itu akan menyerang aku bila-bila masa. Lembaga itu bergerak sedikit mengikut pergerakan aku. “Wa ja ‘alna mim baini aidihim saddaw wa min kholfihim saddan fa agsyaina hum fa hum la yubsiruun” Lembaga itu terbang laju ke arah aku tanpa sempat aku menyiapkan bulatan pendinding.
244 Bunyi angin yang terhasil bila sayapnya dikibarkan amat memekakkan telinga. Tiba-tiba Joni menyalak dan menerkam ke arah lembaga itu. “Joni...jangan..”, jerit aku tapi sudah terlambat. Tubuh joni yang kecil terpelanting jauh. Bunyi Joni dalam kesakitan kedengaran seketika dan kemudian senyap. Lembaga itu turun berdekatan Joni. Pandangan aku terlindung oleh sayapnya yang besar. Bila lembaga itu berpaling ke arah aku,mulutnya berlumuran darah.Amarah akumembuak-buak. Tubuh aku menggeletar menahan marah. Tiada lagi rasa takut dalam diri aku. Lembaga itu terbang dan hinggap semula di atas bumbung. Dia berdiri tegak sambil menjeling tajam ke arah aku dan terus melompat masuk dari celah atap yang terbuka. “Man..cepat tengok tok” Aku terdengar suara Mak Kecik menjerit. Aku bergegas masuk ke dalam rumah. Langkah kaki aku terhenti di muka pintu tengah. Aku nampak Mak Kecik menggigil duduk rapat ke dinding dan Pakjang seperti terbaring tak sedarkan diri. Tubuh tok kelihatan terapung paras pinggang aku. Lembaga itu pula berdiri betul-betul di bahagian tengah tubuh tok. “Qul huwa allahu ahad, allah hu samad, lam yalid wa lam yulad, wa lam yakun lahu kufuwan ahad” Aku hembus perlahan ke arah tok dan lembaga itu. “Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, laa hawla wa laa quwwata illa billah” Aku mara ke arah mereka. Hati aku tak henti-henti berzikir. Lembaga itu tidak mempedulikan kehadiran aku. Tangannya bergerak-gerak seperti sedang menjampi sesuatu pada tubuh tok. Tak lama kemudian tangan kanannnya di angkat tinggi dan bersedia merobek tubuh tok. Aku membaca sesuatu dan menumbuk ke lantai. Tiba-tiba tubuh lembaga itu terpelanting ke belakang dan tubuh tok jatuh semula di atas tikar. Lembaga itu memandang tajam ke arah aku. “Jangan kacau aku, aku hanya menuntut janjinya”, tiba-tiba lembaga itu menjerit dengan suara bergetar. “Janji dengan iblis seperti kau tak perlu ditunaikan”, jawab aku. 119