menimpanya. Ketika adiknya meminta baju raya baharu, dia masih
dalam tingkatan 6 Atas. Manakala adiknya berumur 8 tahun. Ketika
mereka berpisah di lapangan terbang untuk melanjutkan pengajian,
air mata Helmi dan Hana banyak yang keluar. Inilah kali pertama
mereka berpisah lama dengan keluarganya. Dia telah mendapat
sumbangan daripada wakil rakyat untuk melanjutkan pelajaran ke
luar negeri kerana keputusan STPM Hana cemerlang.
Tiba-tiba Ju masuk. Cepat-cepat Hana mengesat air
matanya yang bergenang di kelopak sambil membawa poskad
yang tertera gambar Gunung Kinabalu. Dia yakin bahawa poskad
itu ialah dari keluarganya.
“Ada poskad untuk awak. Saya menerimanya dari seorang
posmen tadi.” Kata Ju tanpa disoal oleh Hana.
“Terima kasih Ju” ucap Hana. Hana pun membuka poskad
itu ternyata tanggapannya memang benar, poskad itu ialah
daripada keluarganya di Sandakan. Dia pun membaca poskad
kiriman ibunya itu dengan khusyuk. Sebaik sahaja selesai membaca,
Hana tiba menangis.
“Kenapa ni Hana?” tanya Ju yang kehairanan melihat
kawannya tiba-tiba menangis sebaik sahaja membaca poskad dari
keluarganya.
“Awak nak tahu tak?”
“Kalau awak mengizinkan saya tahu apa yang terjadi. Kalau
tidak pun tak apa” balas Ju.
“Nah, awak bacalah poskad dari ibu saya ni” arah Hana
sambil menghulurkan poskad itu kepada Ju. Ju mengambi poskad
itu dan membacanya.
Assalammualaikum Hana yang berada di UKM. Apa khabar Hana? Ibu berharap
Hana yang berada di negeri orang itu sentiasa sihat. Doa ibu akan sentiasa
mengiringi kamu. Untuk makluman kamu, ibu ingin menyampaikan berita sedih
yang telah menimpa keluarga dan kampung kita. Ibu berharap kamu tabah
mendengar berita ini.
Pertama sekali, Hana mesti tahu melalui kaca televisyen. Kampung kita telah
diceroboh oleh sekumpulan pengganas yang berasal dari Selatan Filipina. Mereka
telah menceroboh rumah penduduk kampung dan merampas harta benda mereka.
Ini termasuklah harta kepunyaan kita yang tidak seberapa. Kebanyakan kapal yang
digunakan oleh ayah kamu untuk menangkap ikan telah rosak akibat terkena bom.
Polis dan tentera banyak menghuni di kawasan kampung kita untuk menjaga
keselamatan. Kami sekeluarga telah ditempatkan di pusat perlindungan untuk
119
sementara waktu. Sebaik sahaja keadaan semakin reda, kami dibenarkan pulang ke
kediaman masing-masing. Tetapi sayangnya, banyak rumah di kampung kita
rosakakibat terkena bom dan mortar. Kami sekeluarga menumpang di rumah bapa
saudara kamu di Sandakan sementara menunggu kediaman di kampung dibina
semula. Maaflah ibu kerana tidak menyampaikan berita ini kepada kamu kerana
takut kamu tidak menumpukan perhatian terhadap pengajian.
Yang seterusnya ialah berkenaan dengan adik kamu. Penyakit adik kamu semakin
parah dari semasa ke semasa. Doktor kata kos untuk pembedahan adik kamu ialah
RM 40,000. Kami sekeluarga tidak mampu untuk membayar kos sebanyak itu.
Kami sekeluarga semakin sedih kerana adik kamu menurut kata doktor cuma boleh
hidup setahun lagi sahaja. Ibu selalu berdoa agar adik kamu dipanjangkan umur
dan penyakitnya disembuhkan. Sampai disini sahaja warkah ibu untuk kamu. Ibu
berharap kamu berjaya dalam pengajian dan akan mengubah nasib keluarga kita
nanti.
Yang Benar,
Ibumu
Terkedu Ju semasa membaca surat itu. Dia terus memeluk
lalu memujuk Hana agar berhenti menangis. Hana hanya mampu
berdoa agar keluarganya sentiasa sihat dan adiknya cepat sembuh.
Dia amat merindui keluarganya. Hana berharap agar penyakit
adiknya sembuh dan sihat seperti sediakala. Setelah menerima
warkah daripada ibunya, Hana berazam untuk belajar bersunggu-
sungguh demi mengubah nasib keluarganya.
NURUL SYAFIQAH BINTI MUNAHIR
120
SI GADIS BUTA
Gelap. Aku tidak dapat melihat sedikit pun. Ayah! Tolong aku. Aku
tak ingat apa yang terjadi, tolong aku.
“Lina, boleh nampak ayah nak?” suara ayah! Tapi aku tidak
dapat melihat ayah dengan jelas, “Ayah, Lina tak nampak ayah.
Gelap, ayah matikan lampu?” ayah tak menjawab, aku berasa
gementar untuk mendengar jawapan ayah. “Tidak,ayah tidak
matikan lampu nak. Lina nampak ayah tak?” aku menggeleng.
Tangisan ayah pun mulai memenuhi bilik tersebut. Aku tahu kini aku
telah buta dan tidak mampu melihat apa-apa. Petang itu ayah
membawa aku mengambil angin di sekitar hospital. “Ayah, Lina
lapar.” pinta aku yang sedang duduk di kerusi roda sambal ditolak
oleh ayah dengan perasaan sedih. Mendengarkan permintaan aku
ayah terus menjawab “baiklah nak. Lina nak makan apa?” aku
terdiam. Fikiranku melayang-layang kerana memikirkan nasib diri
yang telah menjadi si buta. Tanpa menunggu jawapan daripada
aku, ayah terus menolak kerusi roda tersebut ke sebuah kantin
berhampiran dengan hospital. Selesai makan, kami diminta untuk
berjumpa seorang doktor yang merawat aku. Perasaan sedih dan
gusar semakin bermain di dalam fikiranku apabila doktor tersebut
menyatakan bahawa aku mengalami kecederaan yang teruk pada
bahagian mata dan mengakibatkan kegagalan pada mata untuk
melihat dengan sempurna. Selepas mendengar penjelasan
daripada Doktor tersebut, aku hanya mendiamkan diri dan tidak
berkata apa-apa. Aku tidak dapat melihat kesedihan ayah tetapi
dari cara percakapannya aku tahu ayah sedang menyembunyikan
seribu satu kesedihan. Aku tidak dapat menghiburkan hati ayah
pada ketika itu dan aku merasakan bahawa aku hanya akan
menyusahkan ayah dan keluarga. Setelah selesai menjalani semua
ujian kesihatan, doktor pun membenarkan ayah untuk membawa
aku balik ke rumah. Sepanjang perjalanan hatiku semakin resah dan
gelisah memikirkan nasib aku yang tidak dapat melihat seperti orang
lain.
Setelah seminggu berada di rumah, aku terdengar suara
ayah dan ibu sedang bertengkar tentang aku. “Bang, saya dah tak
sanggup nak jaga anak abang yang buta tu.” Ujar ibu dengan
perasaan yang amat marah kerana ayah meminta ibu menjaga aku
disebabkan ayah perlu bekerja dan menguruskan perniagaannya.
Ibu kandung aku telah lama meninggal dunia kerana menghidap
kanser otak tahap empat dan setelah itu ayah berkahwin dengan
ibu tiri aku ketika aku berumur 10 tahun. Namun, hubungan aku
dengan ibu tiriku tidak berapa baik kerana dia sering mendera aku
ketika ketiadaan ayah dirumah. Setelah setengah jam mendengar
121
pertengkaran mereka, aku dikejutkan dengan satu bunyi yang amat
kuat. Rupa-rupanya bunyi tersebut disebabkan oleh tumbukan ayah
kearah pintu kerana tidak dapat menahan kemarahannya
terhadap ibu yang bersikap pentingkan diri. Hari berganti hari dan
kebencian ibu terhadap aku semakin membuak-buak. Ketika ayah
sedang bekerja, ibu akan menyuruh aku untuk mengemaskan
rumah dan mencuci kesemua pakaian kotor yang ada. Aku
dianggap sebagai orang gaji ketika ketiadaan ayah di rumah
namun apabila ayah pulang dari kerja, ibu akan berlakon seolah-
seolah sedang menjaga akau dengan baik. Namun dengan izin
Allah, suatu hari ketika ibu memaksa aku untuk menyapu sampah di
luar rumah tiba-tiba bahu aku disentuh oleh seseorang dari arah
belakang seraya dia berkata, “Maafkan ayah nak, ayah tak dapat
jalankan tanggungjawab ayah untuk menjaga kau. Ayah buta.
Ayah sibuk dengan urusan kerja tanpa menyedari kau dijadikan
seperti hamba abdi dirumah ini.” Ujar ayah yang tiba-tiba berada
dibelakang aku. Dengan suara marah ayah berteriak memanggil ibu
yang berada di dalam rumah. Dengan nada suara yang cukup
keras ayah berkata “Mulai hari ini, aku ceraikan kau dengan talak
satu”. Mendengarkan ucapan tersebut aku terus menangis dan
cuba mengahalang ayah daripada mengambil tindakan yang
melulu. Namun, ayah berkata bahawa Allah telah perlihatkan
segala kebenaran kepadanya dan dia telah memerhatikan ibu
selama beberapa hari sebelum mengabil tindakan tersebut. Ibu
yang berada dalam keadaan terkejut dan menagis memberikan
beribu penjelasan kepada ayah tetapi tidak dihiraukannya. Selepas
kejadian tersebut, ibu telah pergi meninggalkan kami berdua dan
aku telah dijaga oleh seorang pembantu rumah yang diupah oleh
ayah.
5 tahun kemudian,
Kini aku berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda dalam
bidang pendidikan khas buta dan bekerja sebagai seorang guru
pendidikan khas yang mengajarkan kanak-kanak bermasalah
penglihatan cara untuk membaca dan mengenali huruf. Zaman
kesedihan telah berlalu dan aku kini adalah seorang guru yang akan
membanggakan ayahku. Dengan kekurangan yang ada aku
mampu untuk mencapai impianku dan berbakti kepada orang lain.
Walau bagaimanapun aku sentiasa berpesan kepada diriku
bahawa kekurangan bukan lah penghalang tetapi cabaran yang
menjadikan kita lebih kuat untuk terus maju kedepan.
MOHD FITRI CHIA
122
SAHABAT BERSAMA
Pada suatu hari, Atan mengajak Usop pergi bersiar – siar di sekitar
kampung. Sambil mereka berjalan – jalan mereka ternampak
sebuah kedai runcit di seberang jalan. Usop pergi membeli air di
kedai runcit tersebut, manakala Atan yang sedang menunggu di
bawah pokok berdekatan di seberang jalan.
Ketika Atan menoleh ke kanan, dia ternampak Abu sedang
membuang sampah ke dalam longkang besar di tepi jalan lalu Atan
berkata “Hoi, Abu kenapa kau buang sampah dalam longkang itu?”,
lalu Abu menjawab “apa masalahnya aku buang sampah ke dalam
longkang ini, bukan aku buang sampah atas jalan”.
Kemudian datang Usop sambil membawa air sambil berkata
“apa yang berlaku Atan.” Atan menjawab “Ini Abu buang sampah
ke dalam longkang besar”.
Atan menasihati Abu supaya membuang sampah pada
tempat yang telah disediakan. Usop mencelah “betul apa yang
Atan katakan tu Abu, barulah persekitaran kita bersih dan terhindar
dari penyakit”.
Abu pulang ke rumahnya yang berdekatan dengan kedai
tempat Usop membeli air tadi tanpa mempedulikan apa yang
dikatakan oleh Atan dan Usop.
Beberapa hari kemudian, hujan turun dengan lebat sehingga
menyebabkan banjir. Hujan lebat itu berlanjutan selama seminggu.
Kebanyakkan rumah yang berada berdekatan dengan longkang
besar itu ditenggelami banjir. Rumah Abu merupakan antara rumah
yang ditenggelami air banjir.
Setelah beberapa hari banjir pun surut. Atan mengajak Usop
untuk pergi melawat Abu. Atan dan Usop pergi melawat Abu untuk
membantunya mengemaskan rumahnya yang kotor disebabkan
banjir.
Abu terus meluru Atan dan Abu lalu berkata “Aku minta
maaf Atan dan Usop, aku benar – benar menyesal akan perbuatan
aku membuang sampah ke dalam longkang besar itu,” Atan dan
Usop terkejut lalu berkata “kenapa Abu?”. Abu menjawab “orang
kampung mengatakan sebab berlakunya banjir kerana longkang
yang menyalurkan air hujan itu tersumbat disebabkan sampah yang
banyak lalu menyebabkan banjir berlaku.” Usop menjawab “tidak
mengapalah Abu perkara dah lepas, cuma aku harap lepas ini kau
jangan lagi membuang sampah di dalam longkang tetapi buang di
tempat yang sepatutnya.
Atan dan Usop bersama – sama membantu Abu
membersihkan rumahnya. Setelah itu, Atan, Usop dan Abu menjadi
kawan rapat.
MUHAMMAD HAFIZZUDIN BIN ZAINUL AMIRUDIN
123
ELA
Malam itu, seisi keluarga sibuk menyediakan barang-barang seperti
tikar, pakaian, makanan dan banyak lagi. Ela juga tidak ketinggalan
dalam melakukan persiapan. Adik, si bongsu lelaki yang berumur 13
tahun pun giat membantu walaupun kedengaran keluhan kecil
dilepaskan dari bibirnya yang kemerahan itu. Keluarga kecil mereka
yang terdiri daripada Ibu, Ayah, Abang, Ela dan Adik sedang
melakukan persiapan untuk berkelah pada hari esok. Walaupun
hidup dalam keluarga yang kecil, Ela amat bersyukur kerana
dikurniakan dengan keluarga yang amat penyayang dan bahagia.
Jika dibandingkan dengan kehidupan orang lain, hidup mereka
sekeluarga agak daif ibarat kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang. Meskipun begitu, tidak pernah timbul sekelumit pun
rasa tidak bersyukur dalam diri mereka kerana mereka tidak pernah
menafikan nikmat yang sudah dianugerahi oleh Yang Maha Esa
kepada mereka sekeluarga. Bahkan mereka sedar, pasti ada yang
lebih susah dan lebih memerlukan dari mereka di luar sana.
Jam menunjukkan 12.30 malam. Dingin malam yang
menggigit tubuh memaksa Ela untuk menutup mata layunya. Ela
mengemas barang-barangnya yang telah disusun rapi di dalam beg
kegemaran Ela dan bersiap-siap untuk tidur. Sebelum tidur, Ela
terlihat kelibat seseorang di beranda rumah ketika hendak menutup
tingkap biliknya. Kepalanya dijengukkan ke luar dan mendapati
Abang sedang duduk mengelamun sepertinya sedang memikirkan
sesuatu. Walapun sudah mengantuk, Ela menggagahkan diri untuk
pergi ke tempat abangnya. Sambil melabuhkan punggungnya di
kerusi kayu yang terletak berhadapan dengan Abang, Ela bertanya,
“Apakah yang sedang Abang fikirkan?”. “Tak ada apa-apa, Abang
cuma gembira memikirkan tentang hari esok.” Jawab Abang
dengan nada yang mendatar. Ela hanya mengangguk kosong.
Beberapa saat kemudian, Abang bertanya “Adikku cinta hatiku, Ela
pasti Ela akan baik-baik sahaja?” Mendengar persoalan Abang, Ela
pun tersenyum dan berkata, “Takpa, selagi Ela masih bersama
keluarga kita, Ela akan baik-baik sahaja.” Senyuman Ela itu
membuatkan Abang ikut tersenyum. Malam itu, entah mengapa
suasana menjadi sebak.
“Bangun! Bangun!” Kedengaran suara Ibu nyaring
membangunkan anak-anaknya yang masih lena dibuai mimpi.
Terkejut dengan suara Ibu, Ela segera bangkit dan bergegas untuk
bersiap. Tompok, si kucing sibuk menggosok-gosokkan badannya ke
badan si bongsu tampaknya hendak mengejutkan si bongsu dari
tidurnya. Ayah pula sedang memasukkan barang-barang ke dalam
kereta Kancil yang dipinjam dari jiran sebelah rumah. Pagi itu, selesai
sahaja menjamah sarapan untuk mengalas perut, mereka
berangkat ke destinasi perkelahan yang dituju. Masa yang diambil
untuk sampai ke destinasi adalah lebih kurang 30 minit. Setibanya di
124
tempat yang dituju, Ela dan keluarga kecilnya segera
membentangkan tikar dan menyusun barang yang sepatutnya.
Setelah selesai, mereka sekeluarga duduk menikmati pemandangan
sungai yang begitu indah sambil mendengar bunyi arus sungai yang
menenangkan. Puas berehat, Ela mengajak Abang dan Adik
bermain di tepi sungai.
Merasa kelelahan, Ela duduk berehat di bawah pokok yang
rendang. Ela berada tidak begitu jauh dan tidak begitu dekat
dengan Ibu tapi masih boleh melihat pergerakannya dengan jelas.
Dari tempatnya, Ela mengintai gerak-geri Ibu yang pada ketika itu
sepertinya sedang bersiap-siap untuk menyediakan makan
tengahari. Sedang fokus memerhatikan Ibu, tiba-tiba Ela ternampak
air mata Ibu menitis dan bagaimana Ibu berusaha menyembunyikan
kesedihannya dengan mengesat air matanya yang jatuh berkali-kali.
Ela tertunduk sedih melihat keadaan Ibu. Ela faham benar dengan
apa yang Ibu rasakan sekarang walaupun beliau cuba untuk
menyembunyikan perasaannya.
Sebenarnya, perkelahan mereka sekeluarga ini diadakan
atas permintaan Ela. Ela merupakan seorang remaja yang paling
baik, paling cantik dan paling disayangi bagi keluarganya. Namun,
Ela menghidap penyakit leukemia tahap akhir dan tidak boleh
keluar dari biliknya di hospital apatah lagi terlalu terdedah dengan
cahaya dan udara luar. Sudah hampir setahun Ela terperap di
dalam wad dan Ela memohon untuk berkelah di luar bersama-sama
ahli keluarganya. Rawatan kemoterapi kesembilan Ela yang
dijadualkan pada minggu hadapan mengukuhkan lagi
keinginannya untuk pergi berkelah walapun sebentar bersama
keluarga tercintanya. Ela ingin menghabiskan masanya bersama
dengan ahli keluarga sebelum menjalani rawatan kemoterapi
tersebut.
Ela bangun dari tempat berehatnya kemudian meluru
memeluk Ibu. Ibu terkejut dan cuba untuk mengelap air matanya
kerana dia tidak mahu Ela melihat dirinya lemah. “Ibu, Ela sayang
Ibu.” Ucap Ela dengan nada sayu. Ibu mengangguk sedih dan
memeluk Ela dengan erat. Masa terus berdetik, begitu lama mereka
berpelukan. Tiba-tiba, Ibu merasakan longlai badan anak gadisnya
itu. Panggilan Ibu berulang-ulang kali tidak bersahut. Bagai dihiris
dengan sembilu, tangisan Ibu memecah suasana. Abang, Ayah dan
si bongsu berlari ke tempat Ibu dan Ela setelah mendengar tangisan
Ibu dan melihat Ela yang berada di pangkuan Ibu seperti sedang
lena tertidur. Ayah terus memeluk Ibu dengan erat sambil
memegang tangan Ela yang pucat bagai warna kapur. Abang dan
si bongsu hanya terduduk menangis melihat Ela yang sudah tidak
bermaya. Ibu tidak melepaskan Ela dari pelukannya. Hati mereka
pecah berderai tetapi apakan daya, ketentuan Allah itu lebih baik.
Sungguh, Ibu, Ayah, Abang dan Adik menyayangimu Ela.
DYG.KU AZIRA SHAZIRA BINTI GHANI
125
SI ROKO YANG TAMAK DAN BEBIRI CERDIK
Di sebuah desa yang dingin, ada seorang gembala bernama Pak
Ramzi menternak sekawan kambing biri-biri. Mereka hidup dengan
bebas dan santai di kawasan yang indah. Bekalan makanan seperti
rumput dan pucuk kayu yang tumbuh di tempat itu sangat subur
dan menghijau. Meskipun Pak Ramzi sudah tua dan sedikit rabun
matanya, tetapi dia menjaga mereka sangat baik sehingga mereka
dapat membiak dengan banyaknya.
Kawasan penternakan itu, terletak berhampiran dengan
sebuah sungai yang dipanggil, Sungai Kroko. Penduduk kampung
menjuluk sungai itu dengan nama tersebut kerana dalamnya
terdapat banyak buaya. Ada yang kecil, ada yang besar. Ada
warna hijau, ada warna hitam. Ada juga yang panjang, ada juga
yang pendek. Mereka sudah lama mengintai dan mengidam
hendak membaham kambing-kambing yang ada di kawasan itu.
Dalam banyak-banyak kambing, ada seekor kambing hitam yang
tinggal bersama mereka. Kambing itu sangat gemuk kerana terlalu
banyak makan dan malas. Sifat tamaknya membuat kawanan
kambing biri-biri yang lain tidak suka dengannya. Dia diberikan
nama Roko kerana sifatnya yang penting diri dan busuk hati.
Walaupun Pak Ramzi sudah memisahkan Roko dengan
kawanan kambing yang lain, tetap sahaja bekalan makanan tidak
cukup kerana Roko selalu membuli kambing yang kecil dan muda
dengan merebut makanan dari mereka sehingga kadang-kadang
ada kambing yang kebuluruan. Kambing-kambing di situ selalu
minum di sungai tersebut, namun tetap sahaja buaya-buaya tidak
dapat membaham mereka. Kambing biri-biri veteran selalu
mengingatkan kawanan muda agar sentiasa berwaspada dengan
buaya di dalam sungai tersebut. Namun Roko selalu bongkak dan
degil tidak mendengarkan kata-kata kambing yang lebih tua
daripadanya. Nasib sahaja tidak dibaham buaya ketika itu. Roko
berfikir bahawa ia tidak akan dimakan oleh buaya kerana berasa
kuat dan muda.
Pada suatu masa yang lain, tibalah waktu kemarau. Pak
Ramzi semakin tua dan tidak larat menguruskan mereka semua.
Rumput-rumput di kawasan itu tidak sesebur seperti dahulu. Mereka
sangat bersusah hati untuk mencari makanan. Setiap pagi mereka
terpaksa mengunyah rumput dan kayu kering. Si tamak Roko pun
tidak berdaya lagi untuk bersaing.
Bagaimanapun beberapa kumpulan kambing biri-biri
tersebut melihat di kawasan seberang sungai terdapat rerumput
yang tumbuh segar dan hijau. Timbul di benak kambing tersebut,
alangkah baiknya jikalau dapat meredah sungai untuk pergi ke sana.
Akan tetapi mereka tidak dapat menyeberang sungai tersebut
kerana banyak buaya yang sedang menunggu peluang untuk
membaham mereka.
126
Apabila Roko mendapat tahu hal tersebut, lantas ia berlari
ingin menyeberang sungai tersebut. Tunggu dulu!! Bahaya Roko!!!!
Kata seekor bebiri veteran. Tanpa mendengarkan kata-kata itu,
langsung sahaja Roko terjun ke sungai. Dari jauh terlihat buaya-
buaya yang ingin membaham si kambing hitam tersebut. Menyedari
hal itu, Roko yang sedang berenang santai pun terkejut dan panik.
Akibat terlalu cemas, Roko terkapai-kapai ingin mencapai sesuatu
sebagai pautan. Tolong!! Tolong!!! Tolonggg!!!! jeritnya dengan nafas
yang hampir putus sambil berenang pantas ke tebing. Malang sekali
tidak terkena sesuatu kerana sudah sedikit jauh ke tengah sungai.
Melihat kejadian itu, bebiri verteran itu dengan cepat
membahagikan kawanan tersebut kepada beberapa kumpulan
untuk mengalihkan perhatian buaya tersebut di tebing sungai.
Kawanan buaya pun terlihat gembira melihat banyak kambing di
tepi sungai. Pada fikiran mereka, tidak perlulah mengejar seekor
kambing ini lebih baik makan yang banyak ini. Teralihlah perhatian
mereka.
Dalam masa yang sama, tindakan cerdik bebiri veteran
dengan pantas menggigit kayu untuk menolong si Roko bagi
mencapai tebing. Akhirnya kambing hitam itu pun terselamat.
“Terima kasih atas pertolongan tadi. Kalau tidak ada kau, sudah
pasti aku mati dibaham buaya.!” ucapnya sambil tercungap-
cungap. “Tula kau, terjun lagi, pergi lagi. Padan muka. Aku dah kata
banyak kali tak nak dengar. Jangan tamak!. Jangan penting diri lagi!
balasnya kepada Roko dengan nada yang sedikit marah. Bebiri
yang lain pun berjaya dan selamat mengambil perhatian buaya-
buaya itu tadi.
Seketika kemudian, Pak Ramzi pun datang dengan hairan mengapa
kawanan kambing biri-biri beramah mesra dengan si Roko. “Eh, pelik.
Dulu tak macam ni. Selalu gaduh. Hmm, agaknya mata saya yang
rabun agaknya” bisiknya sambil menggaru kepala. Menyedari
musim kemarau, Pak Ramzi pun mengarahkan anak-anak buahnya
yang datang melawat untuk membina sebuah jambatan untuk
menghubungkan dua tebing yang terpisah. Akhirnya, kesemua
kambing itu dapat menyeberang sungai itu. Mereka terlalu gembira
kerana dapat makan rumput hijau serta pucuk kayu muda di
kawasan itu. Berkat pertolongan bebiri itu, si Roko pun insaf dan
meminta maaf kepada semua kambing-kambing yang ada di situ.
Mereka pun hidup aman damai.
ALLOON J. BASINAU
127
KISAH TIGA BERADIK
Suatu masa dahulu, terdapat tiga adik beradik kembar yang
bernama, Sardan, Sarden dan Surdun. Mereka tinggal di pinggir
hutan bersama ayahnya. Ibu mereka telah meninggal dunia semasa
melahirkan tiga beradik ini. Jadi, mereka telah biasa hidup berdikari
hasil daripada didikan ayah mereka.
Ketiga-tiga adik beradik ini telah dibahagikan tugas oleh
ayah mereka dalam meneruskan kehidupan seharian. Sardan dan
Sarden telah ditugaskan untuk mencari sumber makanan. Setiap
pagi, Sardan dan Sarden akan pergi ke kebun untuk mencari hasil
buahan dan sayuran dan memburu haiwan di hutan. Surdun pula
hanya ditugaskan untuk bekerja di rumah sahaja. Dia
bertanggungjawab untuk mengemas rumah dan menjadi tukang
masak dalam keluarga mereka.
Surdun selalu disisihkan oleh kedua-dua abangnya kerana
mereka mengatakan Surdun seorang lelaki yang lemah. “Hei Surdun!
Kau janganlah tahu buat kerja perempuan saja. Tengok kami
berdua, sudah gagah kerna kerap memburu setiap hari. Main
masak-masak bukan kerja kami. Ha! Ha! Ha!” kata kedua-dua
abangnya dengan bongkak sekali.
Kadang kala, Surdun berasa sangat sedih kerana dipandang
remeh oleh abang-abangnya. “Apa boleh buat, inilah sahaja
amanah yang telah ayah beri kepadaku. Huh!” keluh Surdun
seorang diri. Dia hanya mampu bersabar dengan sikap abang-
abangnya yang selalu memandang rendah kepadanya.
Pada satu hari, semasa sedang makan malam di ruang
dapur, si ayah telah menyampaikan pesanan kepada mereka
bertiga. “Esok, ayah nak pergi ke pekan selama tiga hari kerana ada
urusan yang perlu diselesaikan. Kamu bertiga pandai-pandai jaga
diri, selesaikan kerja masing-masing sepanjang ketiadaan ayah”.
Pesanan daripada ayah telah dijawab secara serentak oleh mereka
bertiga, “Baik ayah.”
Keesokan harinya, si ayah telah bertolak ke pekan seusai
waktu Subuh. Sardan dan Sarden mempunyai rancangan yang
jahat untuk mengambil kesempatan terhadap adik mereka.
“Surdun, sepanjang tiga hari ni, kau sahaja lah yang pergi
mencari buah dan sayur di kebun. Abang nak berehat pulak” kata
Sardan kepada Surdun.
“Benar, kau tak tahu ke kami dah penat keluar rumah setiap
hari mencari makanan? Kau senanglah, main masak-masak di
dapur sahaja. Selama tiga hari ni, kau buat pulak kerja kami,
kemudian sediakan makanan untuk kami berdua!” kata Sarden pula
untuk menyokong abang sulungnya. Perbuatan mereka berdua
diibaratkan seperti menangguk di air yang keruh kerana mereka
sewenang-wenangnya membuli Surdun.
128
Surdun terpaksa akur dengan arahan abangnya. Dia tidak
ingin engkar kerana tidak mahu bergaduh dengan abang-
abangnya. Pada masa yang sama, dia juga tidak mahu melupakan
amanah ayahnya iaitu tugas hakikinya adalah mengemas rumah
dan memasak.
Pada pagi yang muram itu, angin bertiup kencang dan
hujan mulai turun. Sardan dan Sarden sedang nyenyak tidur dibuai
mimpi, manakala Surdun pula sudah bersiap untuk ke kebun. Dia
menggunakan daun pisang sebagai alas untuk berlindung daripada
hujan. Misinya pada pagi itu adalah untuk mengutip sayur di kebun
dan mendapatkan buah rambutan.
Surdun yang tidak mempunyai asas kemahiran memanjat
terus memanjat sebuah pokok rambutan di kebun. Dia memanjat
dengan berhati-hati kerana permukaan pokok tersebut licin akibat
basah terkena hujan pagi tadi. Setelah sampai pada dahan yang
tinggi, dia memetik buah rambutan yang ada lalu disimpan ke
dalam karung yang dibawanya.
Tiba-tiba, Surdun terdengar bunyi sesuatu. “Krek! Krek!”.
Dahan pada tempatnya berpijak mulai patah. “Alamak. Tolong
abang! Tolong ayah!” jeritnya sekuat hati kerana dia tahu dia akan
terjatuh dari pokok tersebut.
Sardan dan Sarden serentak terjaga daripada tidur akibat
dentuman guruh seperti bunyi halilintar di langit. Mereka memanggil
Surdun untuk memastikan dia telah pulang ke rumah. Namun,
panggilan mereka tidak bersahut. Sardan mulai rasa tidak sedap
hati dan mengajak Sarden untuk pergi ke kebun dan mencari adik
mereka.
Setelah sampai sahaja di kebun, mereka terlihat Surdun yang
terbaring di bawah sebuah pokok rambutan dalam keadaan
pengsan. Keadaan tersebut telah merisaukan mereka kerana
mereka melihat tangan Surdun telah patah. Mereka bergegas
memapah Surdun ke rumah untuk diberikan rawatan kecemasan.
Surdun tersedar daripada pengsannya setelah hampir senja.
Sardan dan Sarden segera memeluk adiknya sambil menangis
teresak-esak. “Maafkan kami Surdun, kami gagal menjagamu
sepanjang ketiadaan ayah” kata mereka berdua. Pada masa yang
sama, mereka turut merasa bersyukur kerana adik mereka telah
sedar daripada pengsan.
Tidak lama kemudian, terdengar suara ayah dari luar rumah
tanda sudah balik dari pekan. Si ayah bergegas meluru ke arah
mereka setelah melihat tangan Surdun yang berbalut dan
keadaannya yang agak lemah. Kedua-dua abangnya telah
menceritakan situasi sebenar kepada si ayah dengan penuh
perasaan kesal.
“Takpa abang, benda kan sudah berlaku. Lagipun Surdun
tak mahir memanjat pokok seperti abang berdua” kata Surdun
sambil tersenyum. Sardan dan Sarden terus meminta maaf kepada
129
Surdun dan berjanji tidak akan menyisihkan adik mereka lagi. Surdun
merasa gembira dan bersyukur kerana abang-abangnya telah insaf
dan tidak mahu mengulangi perbuatan mereka.
Sejak hari itu, hubungan tiga beradik ini semakin akrab. Jika
berkelapangan, Surdun akan menolong abangnya untuk bersama
mencari sumber makanan. Setelah selesai, abang-abangnya pula
menolong Surdun untuk memasak di dapur. Mereka telah berjanji
untuk saling menolong agar kerja menjadi lebih mudah.
IZZAT HARRITH BIN IDERIS
130
ADIKKU
Setiap kali pulang dari sekolah, aku melihat ibuku sibuk menyiapkan
tempahan jahit baju. Ayah pula kerja di pejabat. Kadang-kadang
ayah balik apabila matahari berganti bulan. Hidupku lengkap
dengan alat permainan tetapi aku berasa tidak seronok. Aku tidak
mempunyai kawan untuk bermain kecuali berada di sekolah.
Kedudukan rumahku yang jauh daripada kawan yang lain
menyebabkan aku tidak dapat melangkah kaki ke rumah mereka.
Aku menyimpan perasaan iri hati mendengar kisah kawanku
menceritakan gelagat adik mereka di rumah. Aku menatap foto
kami sekeluarga yang berbingkai segi empat di dinding. Aku
membayangkan sekiranya aku mempunyai adik, aku tidak akan
keseorangan di dalam rumah. Ibu dan ayah sangat sibuk dengan
urusan masing-masing menyebabkan aku putus asa untuk mengajak
mereka bermain bersamaku. Mujur pada hujung minggu, ibu dan
ayah membawaku pergi makan angin. Hujung minggu merupakan
hari yang aku tertunggu-tunggu.
Kini, aku telah berumur 11 tahun. Kewujudan seorang insan
yang bergelar “adik” telah memasuki dalam kehidupan kami empat
tahun yang lalu. Ketika itu, aku berusia 7 tahun. Adik telah menjadi
penyeri dalam kehidupan kami. Setiap kali adik menangis, kami
akan berusaha untuk memenuhi kemahuan adik. Tangisan adik
yang kuat sehingga memecah gegendang telinga telah membuat
kami sekeluarga tidak tentu hala. Namun begitu, gelak tawa adik
juga telah berjaya mencuit hati kami. Ibu berhenti menerima
tempahan jahit baju untuk menjaga adik. Hari demi hari, adik
semakin membesar. Semakin menjadi-jadi kenakalan adik. Kadang-
kadang aku sendiri naik rimas! Ibu dan ayah tetap melayan kerenah
adik.
Aku perasan ibu dan ayah membelai adik bagai menatang
minyak yang penuh. Aku tidak faham kenapa adik sering masuk ke
dalam bilik dan curi-curi menconteng bukuku. Aku selalu
membangkit hal ini kepada ibu dan ayah. Namun, aku pula
dipersalahkan kerana tidak menjaga dengan baik barang sendiri.
Aku sebak dan terdiam kerana ibu dan ayah tidak
mempertahankan aku di pihak yang benar. Malah, adikku tidak
pernah salah di mata kedua-dua orang tuaku. Tanggapan aku
dengan kehadiran adik akan mewarnai hari-hariku. Ternyata aku
silap. Ustazah pernah pesan bahawa “Setiap yang berlaku pasti ada
hikmahnya”. Kata-kata hikmat itu masih terngiang di telingaku.
Pada suatu malam, mataku berat lalu terlelap di ruang tamu.
Ketika itu, aku telah selesai menghasilkan buku skrap yang
dianjurkan oleh Kelab Sejarah. Aku memang minat mata pelajaran
Sejarah. Hal ini kerana aku suka menerokai peristiwa yang berlaku
pada zaman lampau. Jadi, aku telah menyertai pertandingan buku
131
skrap. Buku skrap yang mendapat tempat akan dipamerkan semasa
menyambut Hari Kemerdekaan pada bulan hadapan.
Aku berusaha untuk melakukan yang terbaik. Keesokkan
pagi, aku telah membuka mataku seluas-luasnya. Aku mengetap
bibir. Tanpa kusedari air mataku membasahi pipi. Aku terkaku. Hatiku
renyuk melihat buku skrap yang aku hasilkan malam tadi penuh
dengan contengan. “Ini mesti kerja adik!’ dengusku. Aku pun pantas
bangun lalu menuju ke dapur. Aku melihat adikku duduk di meja
dapur. “Kenapa adik conteng buku skrap kakak? Kakak sudah
berapa kali pesan jangan kacau barang kakak!” tengking aku
kepada adik.
Lalu, ibu dan ayah lekas menuju ke dapur kerana terdengar
huru-hara antara aku dan adik. Adik menunduk kepala dan
menangis. Hatiku bagai kaca terhempas ke batu. Hari itu aku tidak
mahu pergi ke sekolah. Buku skrap yang sepatutnya aku hantar
pada hari itu tinggal mimpi. Tambah lagi, sikap ibu dan ayah
menjunjung adik secara berlebihan membuat hatiku semakin sakit.
“Kakak, ibu nak bicara sekejap.” kata ibu lalu masuk ke dalam bilikku.
“Kakak, ibu tahu kakak masih sedih. Tetapi, adik masih kecil.
Ibu yakin apabila adik sudah besar nanti, adik tak kacau barang
kakak lagi. Jadi, ibu harap kakak dapat maafkan perbuatan adik.”
Kata ibu dengan nada sayu. Aku berfikir sejenak. Kata ibu benar.
Namun begitu, aku masih perlu ruang untuk menerima hakikat. Aku
memahami adik yang masih kecil belum mentah. Aku menghela
nafas panjang. Aku cuba untuk bersabar.
Pada hujung minggu, sesuatu peristiwa telah berlaku.
Keegoaanku telah menjatuhkan aku ke lembah penyesalan. Ibu
dan ayahku pergi ke kedai untuk membeli barang keperluan. Ibu
memberi amanah kepadaku untuk menjaga adik yang sedang
dibuai lamunan mimpi. Aku pun mengangguk. Aku menonton
televisyen setelah ibu dan ayah beredar. “Kakak, oh kakak. Mana
ibu dan ayah?” tanya adik sambil menggosok mata. “Keluar”
jawabku sepatah kerana sedang leka menonton rancangan kartun
kesukaan Spongebob Squarepants.
Adik mengajakku untuk bermain patung bersamanya. Akan
tetapi, aku menolak. Aku masih teringat peristiwa tempoh hari buku
skrap yang aku hasilkan hancur disebabkan adik. Jadi, aku tidak
menghiraukan permintaan adikku kerana hatiku masih terluka. Ini
bermakna aku juga tidak menghiraukan amanah yang diberikan
oleh ibu kepadaku.
“Kakak, adik rasa lapar. Adik nak makan biskut.” Ujar adikku
lagi. Adik mengulang ayat yang sama sebanyak tiga kali.
Permintaan adik tidak aku hiraukan. Beberapa minit kemudian, aku
mendengar bunyi tangisan yang kuat di dapur. Aku bergegas lari ke
dapur dan melihat adikku di atas lantai dengan kerusi yang jatuh.
Adik mengaduh kesakitan kerana kakinya terseliuh. Ini semua
salahku!
132
Aku sengaja tidak mendengar permintaan adiku. Aku
abaikan dia. Aku berasa cemas apa yang akan aku jawab ketika
menghadap ibu dan ayah. Aku mengerah kudrat untuk
mengangkat adikku dan membaringkannya di atas sofa. Mujur
kepala adik tidak terhantuk cuma kaki adik saja yang terseliuh.
“Kakak, kenapa kakak tak mahu bermain dengan adik? Adik tengok
kakak selalu menulis. Adik pun nak juga.” tanya adikku dengan
nada yang sayu. Kata-kata adik buatku terharu. Aku sedar aku
selalu tidak melayan adikku kerana aku rimas dengannya. Akhirnya,
aku sedar kenapa adikku berbuat demikian.
Selang beberapa minit, aku terdengar bunyi kereta di
hadapan rumah. Rupa-rupanya, ibu dan ayah telah sampai. Tiba-
tiba aku merasa bersalah. Adikku tidak mengadu kepada ibu dan
ayah bahawa aku tidak mempedulikannya. Malah, adik
memberitahu kakinya terseliuh kerana terjatuh. Aku ingin
menyatakan kejadian sebenar tetapi adik memulakan langkah awal
mengaburi kesilapanku.
Jauh dari sudut hatiku timbul kesedaran. Sejak daripada
peristiwa itu, aku membahagikan masa untuk meluangkan masa
bersama-sama dengan adik. Aku mengajar adik menulis. Aku
senang hati melihat adik yang suka baca buku. Aku yakin adik akan
mengikuti jejakku rajin belajar dan menyiapkan kerja sekolah.
Aku harap adikku akan menjadi orang yang rajin dalam
menuntut ilmu suatu hari kelak. Aku sepatutnya bersyukur kerana
Tuhan telah menganugerahkan adik dalam kehidupan kami.
Memang benar tanggapanku! Hidupku akan berwarna-warni
dengan kehadiran adik. Namun begitu, hidup berwarna-warni juga
akan berbaur suka dan duka kehidupan.
NUR NASUHA BINTI KEBEHI
133
GIGI
"Bapaku pulang dari kota,
Bapaku beli gula-gula
Gula-gula yang aku suka
Makan sambil duduk bersila"
Nyanyian itu dinyanyikan oleh Selamat dengan penuh girang sebaik
sahaja melihat bapanya yang baru sahaja tiba di rumah pada
petang itu. Lalu Selamat bergegas lari ke arah bapanya seraya
menghulurkan tangan untuk meminta sesuatu. Maka, bapanya
mengeluarkan sebungkus gula-gula daripada kereta dan
memberikannya kepada Selamat. Lalu selamat berkata "Yey! Ayah
belikan gula-gula lagi".
Kakaknya yang baru selesai memasak di dapur pula datang
ke halaman rumah untuk melihat apa yang sedang berlaku. "eeee…
jangan makan gula-gula itu banyak-banyak nanti gigi kamu rosak.
Gula-gula itu tak baik untuk gigi kamu." Tegur kakaknya kepada
Selamat. Selamat tidak menghiraukan teguran itu. "eh! namaku kan
Selamat, sudah tentu aku akan selamat. Gigi-gigiku juga akan
selamat walaupun aku makan gula-gula sebanyak mana aku mahu.
Aku pasti akan selamat kerana namaku Selamat." Ujar selamat
kepada kakaknya. “ish! kamu ini degil betul. Kalau gigimu sakit nanti,
padan muka kamu.” balas kakaknya. Namun, Selamat masih tidak
menghiraukan teguran kakaknya itu sambil mengerutkan muka
tanda tidak bersetuju dengan kata-kata kakaknya.
Selamat menghabiskan sebungkus gula-gula itu dalam masa
satu malam sahaja. keesokan harinya, kakak menuju ke bilik Selamat
untuk mengejutkannya dari tidur. Namun, sebelum mencapai
tombol pintu, kedengaran bunyi tangisan daripada bilik tersebut.
Setelah kakak membuka pintu tersebut, kelihatan Selamat sedang
menangis teresak-esak sambil menahan sakit pada giginya.
"Hahaha! Padan muka kamu. Kakak sudah pesan jangan makan
gula-gula terlalu banyak, tapi kamu tak mahu dengar. Ha! Makanlah
lagi gula-gula itu! Makan lagi banyak-banyak." Kata kakaknya
kepada Selamat. Lalu kakak pergi dari bilik itu dan menuju ke dapur
untuk membancuh air garam.
Selamat bersendirian di dalam biliknya sambil bercakap di
dalam hati “Aduh! Sakitnya gigi ini… rasanya seperti lumpuh seluruh
badan! Jika aku dengar pesanan kakak semalam pasti gigi aku tidak
akan sakit.” Lalau dia menangis semula sambil mengusap-usap
pipinya yang kelihatan semakin bengkak. Kesakitan pada giginya
yang teramat itu menyebabkan dia tidak berdaya untuk melalukan
apa-apa dan hanya menahan sakit sambil menangis. Gigi
Gerahamnya menjadi semakin rosak lalu Gigi Geraham pun berkata
“Aduh! Sakitnya! Tolong aku! Aku cedera!”. Lidah yang sedang
memerhati Gigi Geraham sedang kesakitan itu pun berkata
134
“Geraham, aku lihat semalam bukan main ya kamu mengunyah
gula-gula begitu banyak. Ha! Inilah akibatnya jika kamu mengunyah
gula-gula terlalu banyak. Lain kali, jangan buat lagi! Mujurlah kamu
seorang sahaja yang tercedera. Kalau adik-beradik kamu cedera
juga macam mana? Kamu tidak sayang mereka? Gigi Taring, Kacip,
Susu dan yang lain-lain? Kamu itu ada 20 orang adik beradik,
sayangilah antara satu sama lain.”.
“Aku minta maaf, lidah… Aku merayu… Aku juga ingin
meminta maaf kepada adik beradik aku. Maafkan aku ya… Aku
janji aku tidak akan mengunyah gula-gula terlalu banyak lagi.
Huhuhu…” Balas Gigi sambil menangis menahan sakit. Gigi Susu
membalas “Kami maafkan kamu Geraham, tapi kamu janji tidak
buat lagi ya.”. Lidah yang berasa simpati dengan Gigi Geraham pun
berkata “Baiklah Geraham, saya maafkan kamu. Saya akan bantu
kamu. Sebentar ya, saya akan memberikan ubat untuk merawat
retak pada badan kamu itu.”. “Terima kasih Lidah. Terima kasih
semua” Jawab Gigi Geraham kepada Lidah dan adik-beradiknya.
Sementara itu, kakak Selamat datang semula ke bilik Selamat
sambil membawa segelas air garam. “Nah, kumur air garam ini.”
Kata kakaknya kepada Selamat. “Mengapa aku perlu kumur air
garam?” soal Selamat. Kakanya pun menjelaskan “Secara
saintifiknya air garam mempunyai mineral dan mineral ini
merupakan unsur yang penting bagi menguatkan struktur gigi.” Lalu
Selamat pun mengumur air garam tersebut dan bergegas ke tandas
untuk terus berkumur.” Setelah itu, Keadaan giginya menjadi
semakin sembuh. Sejak dari hari itu, Selamat tidak lagi ingin meminta
gula-gula daripada bapanya.
MUHAMMAD FIRDAUS BIN MOHD. PU’AD
135
ANGKARA ALPA
Dalam sebuah belukar di halaman Masjid An-Nur di Kampung Sri
Mawar, tinggallah dua ekor ular berbisa. Ular itu ialah Ular Air dan
Ular Tanah. Dahulunya dua ekor ular ini tidak berani mematuk
manusia kerana dimarahi oleh Ular Senduk.
Namun ketiadaan Ular Senduk mendorong Ular Air dan Ular
Tanah menjadi haiwan pemangsa yang cukup bengis dan kejam.
Pantang berjumpa makhluk yang hidup, habis dipatuknya. Dek
kerana taringnya begitu berbisa dan setajam pisau mampu
merobek daging mangsanya. Alkisahnya, ikan di kolam ternakan,
lembu dan kambing di kandang yang dipenuhi dinding konkrit tetap
menjadi mangsa patukan keangkuhan Ular Air dan Ular Tanah, mati
dalam sekelip mata.
Kekejaman Ular Air dan Ular Tanah makin menjadi-jadi. Habis
puaskan nafsu ke atas haiwan, kini selera berubah selera kepada
manusia. Kisah mangsa pertama mereka bermula di kolam ternakan
kampung berdekatan dengan Masjid An-Nur.
Suatu pagi, matahari belum memancarkan sinarannya, Pak
Ali dan dan isterinya, Mak Limah, sudah turun ke sungai untuk
menangkap ikan. Malang tidak berbau, kehadiran pasangan suami
isteri ini dapat dihidu oleh dua sekawan itu. Ular Air mula
membelitkan dirinya di badan Mak Limah.
“Abang, abang, abang. Tolong!” jerit Mak Limah sekuat hati.
Pak Ali yang sudah sampai di benteng, akhirnya menyedari
situasi itu. Tidak sempat dirinya menolong isterinya, Ular Tanah pula
mematuk kaki tuanya yang berlumuran tanah liat berwarna merah.
Sedangkan gajah tumbang inikan pula manusia.
Kocakan air sungai dan deruan angin terus membisik dan
membujuk suasana hening pada subuh itu melihat tubuh yang tidak
berdaya. Akhirnya Wak Joko, ketua Kampung Sri Mawar dan
beberapa orang kampung membantu pasangan tua itu. Kerakusan
Ular Air dan Ular Tanah menyebabkan kematian Pak Ali sementara
Mak Limah, isterinya mengalami kelumpuhan.
Ular Air dan Ular Tanah pun berlalu dengan riangnya. Sambil
berkata, “Wahai ular tanah, senang kerja kita kerana kita ada
banyak tempat persembunyian. Nampaknya penduduk kampung ni
malas membersihkan kawasan kampung,” ujar Ular Tanah.
136
“Betul tu sahabat seperjuanganku, orang kampung ni
memudahkan kerja kita. Dengan adanya semak rumput panjang
pasti mereka tak melihat kita. Hahahaha” balas Ular Air dengan
angkuhnya.
Kekejaman Ular air dan ular tanah semakin menjadi-jadi.
Mereka menyerang kanak-kanak yang bermain di padang
kampung. Gembira ria sorakan kanak-kanak yang bermain bola
sepak petang itu bertukar menjadi tangisan tersak-esak. Setelah lima
minit berlalu, akhirnya Wak Joko dan anaknya, Abdullah tiba di
padang itu.
”Ayah pastinya ni kerja terkutuk ular yang sama mematuk
Pak Ali dan Mak Lemah. Lihat ni ada kesan lebam biru yang sangat
besar dan dua bintik kesan gigitan,” kata Abdullah dengan penuh
api kemarahan.
”Jika benarlah ni angkara dua haiwan terkutuk itu, akan ku
cari dan bunuh serta ku panggang tubuhnya biar menjadi abu.
Tidak cukup haiwan ternakan, manusia kini mangsanya. Sudah
cepat kamu letakkan ramuan daun Pokok Ekor ini pada bahagian
sengatan itu!” balas Wak Joko sambil cuba mencari kelibat Ular Air
dan Ular Tanah.
Kisah kejahatan Ular Air dan Ular Tanah telah tersebar ke
seluruh kampung hingga ke kampung sebelah, Kampung Melati.
Berita ini tidak disenangi oleh Ular Senduk yang sedang berada di
Kampung Melati.
"Kau akan terima padahnya nanti Ular Air dan Ular Tanah,"
kata ular senduk.
Keesokan harinya, ular senduk datang menjenguk Ular Air
dan Ular Tanah di tempat persembunyian mereka. Namun
kedatangan ular senduk seakan tidak diterima oleh dua sekawan ini.
Ular senduk kemudiannya menegur,
“Wahai Ular Air dan Ular Tanah, sudah-sudahlah kamu
berkelakuan jahat, kelak kamu kan terima padahnya. Sepandai-
pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Aku ni sudah
insaf setelah terima padahnya. Habis semua keturunanku dibunuh
oleh penduduk kampung,” pesan Ular Senduk kepada Ular Air dan
Ular Tanah.
"Jika kau tak hargai bisa kau lagi, aku cabar kau luahkan bisa
kau tu sekarang," kata Ular Air kepada Ular Senduk. Tujuan cabaran
137
licik untuk memastikan hanya mereka berdua sahaja yang paling
berkuasa di kampung itu.
"Aku sahut cabaran kau tu. Mari luahkan bisa kita di atas
daun keladi ni," kata Ular Senduk tanpa berfikir panjang.
Ia pun menjalar ke sehelai daun keladi yang lebar. Ular Air
dan Ular Tanah juga meluahkan bisanya. Sebaik sahaja kedua-
duanya selesai meluahkan bisa, tiba-tiba muncul seorang lelaki di
usia pertengahan yang tidak jauh dari situ. Meilhat manusia yang
berjalan kaki ayam, Ular Air dan Ular Tanah menjalar sepantas kilat
lalu mematuk kedua-dua kaki lelaki itu.
Melihat kejadian itu, Ular Senduk segera menyedut bisanya
kembali. Lalu, menterbalikkan daun keladi yang penuh dengan bisa
Ular Air dan Ular Tanah. Kemudiannya, ia bersembunyi dalam semak
berhampiran. Menyedari patukan mereka tidak berkesan, barulah
Ular Air dan Ular Tanah menyesal.
“Aduhai nasib malangku,” rintihan Ular Tanah dengan sayu
sekali.
Alangkah hampanya mereka apabila melihat bisa di atas
daun itu sudah habis tumpah ke tanah. Ular Air berasa amat
kecewa. Tanpa bisa, kesombonggannya mereka tidak bermakna
lagi. Sudah jatuh ditimpah tangga. Ular Air dipukul oleh orang
kampung.
Kecatatan pada badan Ular Air seakan bersifat selama-
lamanya. Ekornya bengkok menyebabkan ia tidak boleh menjalar
dengan laju seperti dulu. Merayaulah ia ke hulu ke hilir tanpa arah
tujuan. Lain pula dengan Ular Tanah. Oleh kerana terlalu kecewa,
dia selalu bersembunyi di bawah tanah. Begitu juga dengan Ular
Senduk menghilang.
Setelah bedepan dengan berita duka, penduduk kampung
akhirnya sedar akan kealpaan mereka menjaga kebersihan
kawasan kampung. Satu perhimpunan diadakan di perkarangan
Balai Raya Kampung Sri Mawar pada jam 8.
“Selamat datang semua warga kampung. Aku faham kesedihan
dalam diri masing-masing akibat kematian ahli keluarga. Mari, mari
mari kita semua ambil iktibar dari bencana yang melanda kampung
kita. Mulai saat ni, aku akan mengerahkan beberapa pemuda untuk
melakukan kerja pembersihan di kampung ini,” kata Wak Joko.
Kemudian sahutan ketua kampung disambut dengan penuh
bersemangat. “Ayuh mari kita mengambil iktibar agar pisang tidak
berbuah dua kali,” sahut Abdullah, anak ketua kampung.
138
Encik Mahmud pula berkata, “Ada baiknya kita berganding
bahu mengeluarkan peluh bersama-sama. Tidak berbaloi keringat
membakar tubuh jika semangat kerjasama kita lupakan.
Penglibatan seluruh warga kampung pastinya dapat menguatkan
lagi silaturahim antara kita semua,”
“Betul, betul, betul. Bangkit Semua,” jawab orang kampung
dengan penuh bersemangat dan begitu lantang seolah-olah ingin
melawan suara guruh yang berdentak-dentum diikuti kilat yang
melancarkan cahayanya dengan terang sekali.
Sejak itu, orang kampung bergotong-royong membersihkan
kampung. Kisah Si Ular Air dan Ular Tanah tinggal menjadi sebuah
cerita penglipur lara di Kampung.
PENGAJARAN:
Kita mestilah menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal agar
terhindar dari binatang berbisa.
RASMAH BINTI MAT LAWA
139
KALAU TAK BERSIH DAN SIHAT?
”Ayu, bangun Ayu! Lambat dah ni pergi sekolah!”
Seperti biasa, ibu Ayu akan mengejutkan Ayu setiap pagi. Ayu akan
mengeliat sebelum bangun dan mandi.
“Malaslah mandi… malasnya nak pergi sekolah…,” kata Ayu masih
mamai.
Ayu memang tidak suka mandi awal pagi. Menurutnya, air
sangat sejuk pada waktu pagi. Pada hujung minggu atau cuti
sekolah, memang Ayu akan bangun lambat dan kadang-kadang
mandi pada sebelah petang. Ibunya sudah beberapa kali
menasihatinya tetapi seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
“Jangan lupa makan sarapan tu. Ibu dah sediakan bekal
juga untuk kamu,” kata ibu Ayu.
“Tak naklah. Tak ada selera.,” kata Ayu.
Ayu pun berjalan menuju kereta setelah mengambil bekal di
atas meja. Sekolah Ayu hanya lima minit dari rumahnya, namun Ayu
lebih suka menumpang ayahnya setiap pagi. Alasannya ialah dia
tidak suka berpeluh pada awal pagi.
Di sekolah, Ayu sangat rapat dengan Rosa dan Dayang.
Mereka bertiga sangat rapat dan sentiasa bersama-sama. Rosa dan
Dayang sering menegur gaya hidup Ayu yang tidak mengamalkan
pemakanan yang sihat. Hal ini adalah kerana walaupun ibunya
telah menyiapkan bekal untuknya, Ayu masih lagi membawa
keropok dan air berkarbonat secara curi-curi. Hal ini tidak diketahui
ibunya kerana Ayu sering membeli secara senyap-senyap dari
penjaja di hadapan sekolah mereka setiap kali sebelum masuk ke
sekolah. Dia menunggu sehingga ayahnya berlalu pergi untuk
membeli keropok dan air berkarbonat tersebut.
Pada suatu hari, iaitu pada hujung minggu, Ayu mengajak
Rosa dan Dayang untuk bermain di rumahnya. Sesampainya Rosa
dan Dayang di rumah, Ayu belum bangun dari tidur lagi.
Sehinggalah ibu Ayu mengejutkan Ayu berkali-kali barulah Ayu
bangun.
“Eh, saya terlupa ada mengajak kamu berdua semalam.
Jadi kita nak main apa?” kata Ayu sambil menguap.
“Tunggu awak mandi dululah Ayu. Nanti kita main.” Kata
Dayang. Rosa hanya mengangguk.
“Eh, tak apa. Saya tak rasa nak mandi lagi. Lagipun
bukannya kotor sangat pun.” Kata Ayu tersengih-sengih.
Lalu mereka pun bermain. Rosa dan Dayang seperti kurang
selesa dan meminta untuk pulang setelah seketika. Ayu kehairanan
kerana mereka berdua sangat teruja apabila diajak bermain di
rumahnya pada hari sebelumnya.
Pada hari Isnin, sekolah bermula seperti biasa. Ayu
meneruskan rutin hariannya di sekolah seperti biasa. Namun, pada
hari itu, Rosa dan Dayang seperti mengelak daripadanya. Dia
140
merasakan bahawa perkara tersebut ada kaitan dengan peristiwa
pada hari Sabtu yang lalu. Ayu cuba bertanya namun Rosa dan
Dayang mengelak daripadanya. Ayu berasa sedih.
Sesampainya di rumah, Ayu mengadu kepada ibunya. Ayu
sangat sedih dan kecewa kerana kawan-kawannya
meminggirkannya. Ibunya memberikan nasihat supaya berbincang
dengan mereka baik-baik pada keesokan hari.
Keesokan harinya, Ayu sampai awal di sekolah untuk
berjumpa dengan Rosa dan Dayang. Dia menunggu mereka
berdua di tempat duduk Rosa. Setelah Rosa dan Dayang sampai,
mereka berdua langsung tidak menegur Ayu. Ayu sangat sedih dan
bertanya punca mereka berdua memperlakukan Ayu sedemikian.
Rosa dan Dayang masih berdiam. Ayu bingkas bangun dan berlari
ke tandas sambil menangis. Tiba-tiba, Ayu terjatuh lalu pengsan.
Guru kelas Ayu melihat kejadian tersebut lalu menghantar Ayu ke
hospital.
Ayu sedar setelah diberi rawatan. Rosa dan Dayang melihat
Ayu dengan wajah sedih dan meminta maaf. Ibu dan ayah Ayu pun
turut berada di situ.
“Doktor cakap kamu kurang tenaga sebab kamu tak ambil sarapan.
Sarapanlah yang membekalkan tenaga waktu pagi. Ayu, doktor
cakap kamu kena jaga pemakanan selepas ini sebab kamu ada
darah tinggi dan kolesterol tinggi. Doktor juga cakap, kalau kamu
tak jaga pemakanan mungkin kamu akan dapat lebih banyak
penyakit seperti kencing manis dan sebagainya.” Kata ayah Ayu
yang tampak risau.
Ayu mengangguk dan seperti nekad untuk mengubah
pemakanannya serta gaya hidupnya selepas itu.
“Sebenarnya, kami berdua kurang selesa kamu bermain
dengan kami Ayu hari itu. Kami tidak selesa kalau kamu tidak mandi
atau menggosok gigi sebelum bermain dengan kami. Mak saya
cakap, kalau ada tetamu di rumah kita harus tampil bersih dan
wangi.” Kata Rosa. Dayang menundukkan kepalanya.
Ayu lalu menangis dan berjanji untuk menjaga kebersihannya
selepas ini. Dia percaya bahawa jika dia bersih, orang sekeliling
akan selesa. Semenjak daripada hal itu, Ayu rajin mandi dan
mengamalkan gaya hidup yang sihat.
STEWARD ANAK MOHAMMAD
141
MUDARAT DIRI
“Kring,…kring,…” bunyi jam loceng tepat jam enam pagi
menandakan waktu untuk bangun dan bersiap ke sekolah. “Safwan,
bangun cepat solat subuh, siap-siap nanti lambat pula nak ke
sekolah” itulah dialog ibu setiap hari dari hari Isnin hingga Jumaat.
Selepas bersiap, aku meninggalkan bilik kemudian mengambil
sarapan sebelum ke sekolah.
“Wan, kenapa tak kemaskan katil tu dulu, bersepah bilik
kamu tu dengan pakaian kotor dan mainan”.
Bebelan ayah itu bukan satu perkara baharu tapi boleh
dikatakan setiap hari aku dibebel perkara yang sama. Itu lah sikap
aku yang tak endah tentang kebersihan.
“Ermm..., dah berbuih mulut saya nasihatkan dia bang, tapi
tak makan saman” kata Ibu kepada ayah.
Aku ketawa bila ibu berkata begitu sebab memang betul apa yang
ibu katakan itu. Acap kali ibu ingatkan aku supaya jaga kebersihan.
Mana tidaknya, keadaan bilik bersepah, pakaian sekolah selekeh,
kasut tidak dicuci, dan lain-lain lagi.
Ayah memanggil “Wan, cepat sikit nanti lambat pula sampai
sekolah” menunjukkan masa untuk bergerak ke sekolah. Aku cepat-
cepat menghabiskan sarapan lalu bersalam dengan ibu.
Apabila sampai ke sekolah, aku berbual bersama rakan-
rakan sementara menunggu cikgu masuk ke kelas. Semasa rancak
berbual, aku baru perasan bahawa salah seorang rakan karib aku,
iaitu Hakim yang tidak hadir ke sekolah. Aku tertanya-tanya kenapa
dia tidak hadir pada hari ini bahkan semalam dia juga tidak datang
bermain bola bersama kami di padang pada waktu petang.
Aku bertanya kepada kawan-kawan yang lain namun
mereka juga tidak mengetahui apakah sebab dia tidak hadir pada
hari ini. Aku berfikir sejenak tentang apa yang berlaku kepada Hakim
sebab kalau tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang.
Tepat jam satu tengah hari, sesi persekolahan telah tamat.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku sempat berbual dengan
ayah tentang pelajaran di sekolah hari ini. Aku juga turut
memberitahu bahawa Hakim tidak datang ke sekolah pada hari ini.
Ayah berkata “Mungkin Hakim tak sihat hari ini”. Mungkin benar apa
yang dikatakan oleh ayah itu.
142
Sebaik sahaja tiba di rumah, aku meletakkan beg sekolah di
atas katil manakala pakaian sekolah aku lemparkan saja di dalam
bakul. Pakaian kotor di dalam bakul itu semakin menggunung tinggi
kerana aku sendiri yang malas mencuci. Begitu juga dengan cadar
katil yang sudah berbau hapak kerana sudah beberapa bulan tidak
ditukar. Aku keluar dari bilik lalu menuju ke dapur dan mengambil
pinggan untuk makan tengah hari.
Tiba-tiba, belum sempat aku menyentuh makanan “Pap!”
tangan aku dipukul oleh ibu seraya berkata, “Kamu dah cuci
tangan ke belum?” lalu aku pergi ke singki dan mencuci tangan.
Kemudian, aku sambung makan di meja makan sambil
mendengar leteran ibu, “Kenapalah dengan kamu ni Wan, cubalah
belajar jaga kebersihan”. Aku hanya mampu menjawab “Baiklah Ibu”
sambil menyuap makanan.
Pada petang itu, aku mengajak kawan-kawan untuk pergi ke
rumah Hakim. Setibanya kami di rumahnya, ayahnya menyambut
kedatangan kami kerana kebetulan beliau baru pulang dari luar.
“Assalamualaikum, pak cik. Hakim ada di rumah?” ujar salam
dan pertanyaan aku kepada ayah Hakim. “Waalaikumsalam, kamu
semua cari Hakim ya? Marilah duduk dulu” jawab ayahnya kepada
kami.
Ayah Hakim telah menceritakan musibah yang telah
menimpa diri Hakim. Sebenarnya, Hakim tidak hadir ke sekolah pada
hari ini kerana dia telah disyaki menghidap demam denggi dan kini
sedang dirawat di hospital.
Ayahnya menceritakan terdapat beberapa simptom yang
dialami oleh Hakim menyebabkan mereka membawanya ke
hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Kami sempat bertanya
tentang keadaan Hakim dan bilakah dia akan kembali sihat.
Ayahnya mengatakan bahawa keadaan Hakim stabil
namun perlu rehat di wad terlebih dahulu sehingga benar-benar
sihat bergantung kepada antibodi dirinya kerana penyakit demam
denggi tiada vaksin atau ubat yang khusus.
Walau bagaimanapun, ibu dan ayah Hakim bersyukur
kerana anak mereka tidak mengalami demam denggi berdarah
kerana penyakit itu boleh mengancam nyawa. Mereka juga ada
menyatakan bahawa punca demam denggi itu adalah penyakit
bawaan nyamuk aedes. Setelah berbual dengan ibu bapa Hakim
kami pulang ke rumah.
143
Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, kami terlihat
ada sepasukan anggota jabatan kesihatan daerah sedang
melakukan penyemburan bahan kimia yang berdebu di kawasan
perumahan Hakim. Kami tidak tahu akan tujuan tindakan itu
dilakukan. Tanpa berlengah lagi, kami pulang ke rumah kerana hari
sudah menjelang senja.
Selepas makan malam, aku menyiapkan kerja rumah yang
diberikan oleh guru manakala ibu dan ayah duduk bersama sambil
berbual-bual. Aku bercerita tentang apa yang berlaku terhadap
Hakim kepada ibu dan ayah.
“Ibu, ayah! petang tadi Wan dengan kawan-kawan pergi
rumah Hakim, kesian dia” kata aku. “Kenapa dengan Hakim?” balas
ayah. Lalu aku menceritakan pekara sebenar yang telah ditimpa
oleh Hakim kepada ibu dan ayah. Lantaran ibu berkata “Ya Allah,
kesiannya Hakim”.
Tidak lama selepas itu, aku bertanya kepada ibu, “Ibu,
tadikan masa balik dari rumah Hakim, Wan nampak ada orang
tengah sembur asap putih yang tebal”. “Itu pengabutan namanya
untuk membunuh nyamuk aedes” jawab ibu. Barulah aku mengerti
tujuan aktiviti itu dilakukan.
Tidak lama kemudian, ayah memanggil nama aku dengan
nada yang tegas seolah-olah ada perkara penting yang ingin
diperkatakan. Perasaan aku mula menjadi takut kerana ayah
bersikap tegas seperti singa dalam situasi tertentu.
“Wan, ada perkara ayah nak cakap dengan kamu”. Bila
dengar sahaja ayah berkata begitu, aku terus kaku dan diam seribu
bahasa. “Kenapa kamu tak hiraukan nasihat ibu? Kamu tengok
keadaan bilik kamu tu, kemas atau bersepah?” tanya ayah dan aku
hanya diam saja sebab memang aku dah melakukan kesalahan.
“Ayah selalu perhatikan perangai kamu yang sambil lewa
dan acuh tak acuh tentang kebersihan. Tengoklah kuku kamu tu
kotor dan panjang, pakaian kotor kamu pun dan bertimbun, bilik
bersepah dan cadar katil pun berbau. Apa nak jadi dengan kamu ni
wan”.
Aku akui semua perkara yang ayah katakan itu adalah
benar kerana sikap aku yang sering ambil mudah tentang
kebersihan walaupun sering ditegur oleh ibu berulang kali.
“Ibu dengan ayah nasihatkan kamu untuk jaga kebersihan
supaya kamu sentiasa sihat” kata ibu. “Bukan sahaja kebersihan diri,
144
kebersihan pakaian, persekitaran dan alam pun kita kena jaga
bahkan sebagai umat Islam kebersihan adalah separuh daripada
iman” kata ayah.
Ada benarnya kata ibu dan ayah itu, jika persekitaran dan
kawasan rumah Hakim bersih sudah pasti kawan baik aku tidak akan
menghidap demam denggi.
“Ayah nak selepas ini, kamu berubah sikap kepada orang
yang pentingkan kebersihan diri supaya kesihatan diri terjamin,
faham?” kata ayah lalu aku membalas “Faham ayah” sambil
menganggukan kepala.
Benarlah apa yang dinasihatkan oleh ibu dan ayah itu, jika
kebersihan diabaikan, kesihatan diri kita juga turut terancam
dengan pelbagai penyakit. Mulai saat ini, aku berjanji akan menjaga
kebersihan demi kesihatan diri, keluarga dan juga masyarakat.
MUHAMMAD FIRDAUS BIN JAMAN
145
MATAHARI SENJA BUAT AFIQ
Afiq duduk termenung melihat pemandangan dari ruangan bilik
miliknya. Bangunan-bangunan yang pesat di kota metropolitan itu
memenuhi ruangan bandar. Sama seperti fikirannya yang penuh
dengan kisah duka kehilangan keluarganya 10 tahun lepas.
Ingatannya terus melayang di angkasa meninjau kembali zaman
remajanya.
Afiq duduk di kampung bersama ibu bapa dan adik kecilnya
bernama Afiqah. Semasa Afiq berumur 12 tahun adiknya berumur 4
tahun. Afiq sering meluangkan masa bersama adiknya selepas
sahaja pulang dari sekolah, mereka akan bermain layang-layang
atau berkejar-kejaran di perkarangan rumah. Namun begitu, Afiq
tidak pernah melupakan pelajarannya dan Afiq merupakan seorang
pelajar cemerlang dan sering mendapat nombor teratas dalam
kelas. Di samping itu, Afiq juga dijadikan sebagai pelajar contoh
dalam kelas dan sekolahnya. Akibat prestasinya yang cemerlang,
ibu dan ayahnya sering dipanggil ke sekolah untuk menerima
anugerah atas pencapaian cemerlang Afiq. Pesanan ayah Afiq
sentiasa terngiang-ngiang difikirannya, “Anakku Afiq, satu-satunya
cara yang Afiq boleh lakukan untuk bantu mengubah nasib hidup
keluarga kita ialah ilmu kerana ilmulah yang mampu mengubah
segalanya.”
Walaupun Afiq merupakan pelajar contoh dan pelajar
cemerlang di sekolah, tetapi ada sahaja manusia yang membenci
dirinya. Ini telah menjadi lumrah kehidupan, setiap kejayaan diri pasti
akan ada yang akan iri hati dan dengki. Tetapi, Afiq selalu masuk
telinga kanan, keluar telinga kiri dengan kata-kata mereka kerana
niat Afiq hanyalah ingin menuntut ilmu dan mengubah nasib
keluarganya. Di sekolah, Afiq sering meluangkan masa bersama
dengan sahabat karibnya iaitu Aiman. Aiman seorang rakan yang
baik dan sering membantu Afiq meskipun masalah itu melibatkan
wang. Afiq pula sering membantu Aiman dalam mata pelajaran
Sains dan Matematik.
Begitulah kehidupan mereka sehari-hari dan tiba pada masa
Aiman memberitahu Afiq, bahawa dia perlu mengikuti keluarganya
berpindah ke Kuala Lumpur. Afiq akur walaupun hatinya sangat
berat untuk berpisah dengan Aiman kerana baginya Aiman adalah
seperti keluarga kandungnya sendiri. Semenjak perpisahan itu,
perangai Afiq mulai berubah dan keputusan peperiksaannya
semakin merosot dan sering terlibat dengan kes pergaduhan
dengan murid lain. Pengetua sekolah tersebut hairan dan bimbang
dengan prestasi Afiq lalu mencari tahu punca perubahan itu berlaku.
Hal ini hanya diketahui oleh Aiman, satu-satunya sahabat yang Afiq
percayai dan tempat Afiq meluahkan segala masalahnya.
Walaupun mereka berdua terpisah kerana jarak, namun mereka
selalu berhubung melalui Whatsapp.
146
Aiman mengadu dan memberikan penjelasan kepada guru
kaunseling bekas sekolahnya itu melalui telefon. Aiman menjelaskan
bahawa pergaduhan itu berlaku disebabkan oleh salah faham dan
rasa tidak puas hati pelajar-pelajar itu terhadap pencapaian yang
diperolehi Afiq setiap kali peperiksaan atau apa-apa sahaja
pertandingan yang diikuti oleh Afiq. Hal ini sudah berlaku sejak
sekian lama, tapi belum pernah lagi sehingga tahap seteruk ini
kerana dulu Aiman sentiasa ada menyebelahi Afiq. Setelah
mendapat keterangan daripada Aiman, lima orang pelajar yang
terlibat dalam kes pergaduhan dengan Afiq pun dipanggil dan
ditanyakan soalan yang sama dan mereka mengaku bahawa
mereka yang bersalah terhadap Afiq. Setelah mendengar daripada
kedua-dua pihak akhirnya mereka pun disuruh untuk berdamai dan
akibat daripada perbuatan mereka, mereka akan digantung
selama seminggu dan orang tua mereka akan dipanggil ke sekolah.
Afiq turut digantung sekolah tetapi pelajarannya di rumah
tetap dijalankannya seperti biasa, malah ibu dan ayahnya tetap
memberikan Afiq peluang untuk belajar dan memaafkan kesilapan
anak mereka dan berharap agar menjadikan apa yang berlaku
atasnya sebagai pengajaran. Setiap hari, Afiq sering bertukar-tukar
cerita bersama Aiman dan Aiman pula tidak pernah jemu
memberikan kata-kata semangat kepada sahabat karibnya itu.
Mereka berdua telah berjanji untuk mendapatkan keputusan yang
cemerlang supaya dapat menyambung pelajaran bersama-sama di
universiti nanti.
Setelah tamat hukuman gantung sekolah selama seminggu,
Afiq pun pergi ke sekolah semula seperti biasa dengan semangat
dan azam yang baru.
Walaupun Afiq digantung sekolah baru-baru ini, guru-
gurunya berasa kagum dengan kebolehan Afiq yang melepasi
peperiksaan percubaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah)
dengan jayanya. Setelah tiba hari peperiksaan sebenar UPSR, Afiq
telah menjawab peperiksaannya dengan bersungguh-sungguh.
Setelah sekian lama menunggu, hari yang dinanti-nantikan
pun telah tiba. Afiq sangat terkejut apabila namanya disebut dan
mendapat keputusan yang cemerlang iaitu mendapat 5A. Afiq
sangat terkejut dan menangis gembira apabila mengetahui
keputusannya itu. Kecemerlangan Afiq dalam pelajaran berlanjutan
sehingga ke sekolah menengah. Afiq berjaya mendapat 9A dalam
PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3).
Dua tahun kemudian berlalu, Afiq telah pun tamat
menghabiskan pelajaran tingkatan 5. Afiq masih ingat lagi, semasa
keputusan peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) diumumkan,
Afiq pulang dengan segera untuk memberitahu ibu dan ayahnya
mengenai keputusannya yang cemerlang.
Tiba di rumah, Afiq berpura-pura sedih di hadapan ibu dan
ayahnya. Ayahnya bertanya bagaimana dengan keputusan Afiq
147
sambil memeluk anak mereka itu menyuruh Afiq bersabar dan
jangan bersedih. Afiq pun memberikan sehelai kertas kepada ibu
dan ayahnya iaitu kertas keputusan SPM Afiq yang mendapat 10A
itu. Kedua-dua ibu bapa Afiq sungguh bangga dan memeluk erat
anak harapan mereka itu. Sempena dengan kejayaan Afiq,
ayahnya mengajak mereka sekeluarga untuk makan di restoran
kegemaran mereka iaitu Restoran Seafood yang terkenal di pekan
tersebut. Ibunya yang mendengar suaminya berkata begitu
langsung terkejut kerana restoran yang dipilihnya merupakan
restoran yang mahal tetapi ayah Afiq tetap ingin pergi kerana ingin
mendorong anaknya untuk belajar lebih bersemangat lagi.
Semasa dalam perjalanan ke restoran, malang tidak berbau.
Kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh ayah Afiq terbabas
ke arah pokok di tepi jalan kerana mengelak seekor lembu yang
melintas. Semuanya seolah-oleh berlaku sekelip mata sahaja. Afiq
yang duduk di belakang ayahnya, tersedar dan melihat ramai orang
di sekeliling telah mengerumuni kereta mereka, lalu Afiq tiba-tiba
berasa pitam dan tidak sedarkan diri.
Sebaik sahaja Afiq tersedar, kini dia melihat dirinya berada di
hospital lalu dia bertanya kepada jururawat yang ada di sebelahnya.
Afiq langsung bertanya mengenai dirinya dan jururawat tersebut
mengatakan bahawa Afiq sudah sebulan tidak sedarkan diri. Afiq
pun bertanyakan mengenai ahli keluarganya. Jururawat itu
menghampiri Afiq lalu menepuk bahu Afiq, “Adik banyakkan
bersabar ya. Ibu bapa adik tidak dapat diselamatkan dalam
kemalangan itu. Afiqah adik kamu pula mengalami kecederaan
kepala yang sangat teruk dan meninggal seminggu yang lepas.”
Mendengar penjelasan itu, Afiq menjerit sekuat hati dan menangis
seperti orang gila. “Tidak mungkin! Ini hanya mimpi! Mereka tidak
boleh tinggalkan saya. Ibu! Ayah! Julia! Jangan tinggalkan Afiq.”
Beberapa hari kemudian, Afiq pun berusaha mencuba untuk
menerima kenyataan tersebut lalu meminta izin kepada salah
seorang jururawat untuk menziarahi ahli keluarganya. Jururawat
tersebut membawa Afiq ke bilik mayat dan menunjukkan
keberadaan ahli keluarganya. Afiq yang dalam keadaan lemah
menangis teresak-esak apabila melihat mayat ibu, ayah dan
adiknya itu terbujur kaku. Afiq minta dihantarkan ke wad semula dan
sedikit tertekan akibat kehilangan ahli keluarga yang satu-satunya
dimilikinya. Afiq kini pandai bercakap seorang diri dan sering ketawa
dan menangis bersilih-ganti. Apabila melihat keadaan Afiq, doktor
mengesahkan bahawa Afiq mengalami gangguan mental lalu
dihantar ke rumah sakit jiwa.
Afiq mengalami mimpi berjumpa dengan ahli keluarganya di
sebuah taman yang cantik. Ibunya berkata, “Afiq, bangunlah nak.
Afiq kena kuat dan teruskan cita-cita Afiq. Demi ibu, ayah dan adik
Afiq.” Ayah Afiq tersenyum sambil berkata, “Afiq kena buat ayah
dan ibu bangga. Tiba masa kita akan bertemu semula. Afiq jaga diri
148
ya.” Ibu, ayah dan Afiqah adiknya perlahan-lahan menghilang dari
pandangannya.
Afiq lalu tersedar dan melihat baju yang dipakainya. Dia
tertanya-tanya mengapa dia boleh berada ditempat ini. Pintu bilik
Afiq dibuka dan Afiq melihat seorang lelaki berpakaian kot putih ala-
ala seorang doktor dengan tanda namanya bernama AIMAN. Afiq
sedikit terkaku dan terkejut melihat semua itu.
Afiq cuba mengingati dan mengecam muka doktor
bernama AIMAN tersebut. Doktor itu bersuara dan bertanyakan
khabar Afiq. “Aiman? Kau Aiman sahabatku? Bagaimana kau…?”
Doktor Aiman mengangguk dan menangis. Mereka berdua
berpelukan sesama sendiri. Aiman tidak menyangka Afiq masih
mengenalinya dan disebabkan ingatan Afiq itulah, keadaan Afiq
semakin pulih.
Beberapa minggu kemudian, Afiq menanyakan apa yang
terjadi pada dirinya lalu Aiman menceritakan bahawa Afiq telah
mengalami gangguan mental akibat terlalu tertekan selama 8 tahun
akibat kehilangan keluarga tercinta. Selain itu, Aiman yang
menyambung pelajaran jurusan doktor telah mengambil Afiq di
rumah sakit jiwa dan membawa pulang ke rumahnya untuk jagaan
yang rapi. Itulah sebabnya Afiq berada di rumah Aiman. Akhirnya,
Afiq pun menyambung pelajarannya dan mengambil jurusan
kedoktoran juga. Dia berazam untuk membuka hospital sendiri
bersama sahabat karibnya itu.
SALINA BINTI AZIZ
149
CIPIN
Kampung Bahagia, sebuah kampung terpencil yang jauh dari
kawasan bandar. Di Kampung Bahagia tinggal Cipin bersama-
sama ibunya bernama Mak Limah dalam pondok buruk yang
usang. Terdapat sebuah sungai berdekatan dengan rumah Cipin.
Sungai tersebut dinamakan Sungai Indah. Namun, sungai tersebut
tidak seindah nama yang diberi kerana Sungai Indah dipenuhi
dengan beberapa ekor ikan yang sudah mati mengembung
terapung di atas air. Air sungai itu juga telah bertukar menjadi keruh
dan terdapat limpahan minyak di permukaan atas air. Hal tersebut
amat mengejutkan Cipin dan Mak Limah apabila mereka melihat
sungai tersebut telah tercemar. Ini kerana, Sungai Indah
merupakan salah satu tempat yang selalu dikunjungi Cipin dan
ibunya apabila hendak membasuh pakaian dan mendapatkan
bekalan air untuk mandi.
“Ibu, apa yang sudah terjadi dengan sungai ini? Kenapa
banyak ikan yang mati terapung ibu?” kata Cipin kepada Mak
Limah.
“Ibu pun tak tahu nak, ibu juga terkejut melihat sungai ini jadi
begini,” ujar si ibu.
Kedua-dua mereka kelihatan sangat sedih kerana sungai
tersebut dianggap banyak berjasa terhadap mereka.
“Pappp!” Tiba-tiba, bakul yang berisi pakaian yang
diangkat oleh Mak Limah jatuh ke tanah. Keadaan menjadi sunyi
seketika, hanya terdengar dengusan daun melambai-lambai.
Mendengar bunyi tersebut, Cipin terus mengalihkan
pandangan kepada ibunya dan bertanya, “Ibu, kenapa bakul itu
ibu jatuhkan?” Mak Limah tidak mampu menjawab pertanyaan
anaknya dan hanya berdiam diri kerana sangat sedih melihat
sungai yang menjadi sumber hidup mereka sudah tercemar.
“Apalah nasib aku jadi begini?” bisik hati Mak Limah.
“Ibu, lihat di sana itu!” ujar Cipin sambil mengarahkan jari
telunjuknya ke arah kelibat sekumpulan lelaki yang sedang
menuang tong yang berisi bahan pepejal kimia ke dalam sungai.
Dengan perasaan yang marah dan sedih, Mak Limah terus
berlari ke arah sekumpulan lelaki tersebut dan meninggalkan Cipin
jauh di belakang. Cipin hanya mampu berdiam diri dan melihat
kelibat ibunya yang semakin menjauh meninggalkannya.
150
“Ciss, apa yang sedang kalian lakukan!” gertak Mak Limah
dengan suara nada yang tinggi.
“errr, errrr, kami…kami tidak melakukan apa-apa makcik,
kami hanya datang melihat sungai ini,” kata salah seorang lelaki
dengan nada suara yang tersekat- sekat.
“Apa? Hanya melawat sungai ini? Jadi apa yang kalian
pegang itu? Bukankah itu adalah bahan kimia yang telah
mencemarkan sungai ini? Lihat tu di sana! Banyak ikan yang sudah
mati! Air bertukar warna! Sungai ini sudah tercemar! Kalian tidak
sedar? Betapa rumitnya betapa seksanya kehidupan kami tanpa
sungai ini! Sengsara hidupku,” ujar Mak Limah dengan nada marah.
Sekumpulan lelaki tersebut hanya berdiam diri sambil
memandang antara satu sama lain. Mereka sangat takut kerana
perbuatan mereka sudah diketahui.
“Maaa….maafkan kami makcik. Kami sedar perbuatan
yang kami lakukan ini adalah salah di sisi undang-undang dan
menyebabkan kesan yang dapat memudaratkan alam sekitar dan
juga penduduk kampung,”jawab salah seorang lelaki berkenaan
dengan kesal.
Mereka berharap agar perkara ini tidak disebarkan dengan
penduduk kampung yang lain. Mak Limah tidak mampu berkata
apa-apa dan hanya menatap muka lelaki-lelaki tersebut. Semasa
perjalanan pulang ke rumah, Si Cipin tidak ingin menimbulkan apa-
apa persoalan kepada ibunya, kerana melihat raut wajah ibunya
yang sangat sedih,
Perbuatan yang tidak bermoral sekumpulan lelaki tersebut
telah diketahui orang kampung. Mendengar perbuatan yang
dilakukan tersebut mencetuskan kemarahan orang kampung.
Orang kampung terus melaporkan perkara tersebut kepada pihak
yang berkuasa. Mereka telah didenda dan dihukum mengikut
undang-undang yang telah ditetapkan kerana telah
mencemarkan alam sekitar. Si Cipin dan Mak Limah masih tidak
mengetahui tentang perkara tersebut. sehinggalah Mak Sennah,
yang merupakan ibu saudara Cipin datang ke rumah mereka.
Melihat Cipin sedang bermain di luar rumah, Mak Sennah menyapa
Cipin.
“Cipin mana ibu kau?” ujar Mak Sennah.
“Ibu ada kat dapur tengah masak. Sebentar Cipin
panggilkan ibu ya Mak Sennah,” kata Cipin sambil bergegas
menuju ke arah dapur untuk memanggil ibunya.
151
“Ibu! Ibu! Mak Sennah datang. Ada kat luar tu haa.” ujar
Cipin. “Eh Sennah, ada apa datang ke mari?” Kata Mak Limah.
“Tiada Limah, aku saja nak datang rumah kau, nak
khabarkan yang budak- budak tu dah kena tangkap,” kata Mak
Sennah.
“Apaaa? Dah kena tangkap? Bila Sennah?” jawab Mak
Limah dengan nada terkejut.
“Kemarin dulu Limah mereka kena tangkap, terima kasihlah
sebab dah bagitau kat aku tentang perkara tempoh hari tu, kalau
tak mungkin budak-budak tu dah terlepas,” ujar Mak Sennah.
Mak Limah berasa sangat bersyukur kerana pelaku tersebut
sudah tertangkap. Mak Limah berharap perkara tersebut tidak
akan berulang kembali. Keesokan harinya, Cipin dan Mak Limah
menuju ke Sungai Indah dengan penuh harapan agar sungai itu
kembali jernih seperti sedia kala.
“Ibu, harap-harap sungai kita tidak tercemar lagi, kesian
Cipin lihat ikan-ikan mati terapung di atas air tempoh hari, tak
sampai hati Cipin, ibu,” luah Cipin terhadap Mak Limah.
Mak Limah hanya mengukir senyuman terhadap Cipin
dengan berbekalkan harapan yang sangat tinggi. Cipin terus
melepaskan gengaman tangan Mak Limah dan berlari ke arah
sungai tersebut.
“Ibuuuuuu! Oh ibu! Lihat sungai ini dah jernih ibu, tiada lagi
ikan yang mati,” jerit Cipin.
Mendengar jeritan Cipin tersebut, Mak Limah membesarkan
langkahnya dan senyuman di raut wajah Mak Limah terukir kembali
setelah melihat Sungai Indah kembali jernih dan seindah nama
sungai tersebut.
“Terima kasih ya Allah, terima kasih engkau telah
mengabulkan permintaan hamba mu ini,” ujar Mak Limah sambil
menadah tangannya dengan penuh kesyukuran.
Dia juga amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak
yang telah bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut.
Kini Cipin dan ibunya dapat kembali lagi untuk membasuh
pakaian di sungai tersebut. Kedua-dua mereka pulang dengan
senyuman lebar di wajah kerana sangat gembira melihat Sungai
Indah kembali pulih.
MAZILAH BINTI UTI
152
KITA JAGA KITA
Di sebuah kampung yang terpencil, tinggal tiga sekawan yang
sangat akrab dan sentiasa bersama-sama walau di mana mereka
berada. Razi, Kumar dan Ching sering meluangkan masa bersama-
sama seperti bermain, mandi di kolam dan melepak di kebun
hujung Kampung Sinar Harapan. Mereka terkenal di serata
kampung kerana persahabatan mereka yang sangat akrab.
Mereka bertiga digelar sebagai Sahabat Satu Malaysia oleh orang
kampung kerana perbezaan bangsa mereka. Mereka umpama isi
dengan kuku dalam persahabatan mereka. Razi merupakan orang
Melayu, Kumar berbangsa india dan Ching pula berbangsa cina.
Ke manapun mereka pergi, mereka akan sentiasa bersama-sama.
Pada suatu hari, berlaku kejadian yang aneh di Kampung
Sinar Harapan. Semua penduduknya tiba-tiba sahaja mengalami
sakit yang agak pelik dan membimbangkan. Mereka semua
muntah-muntah dan sakit perut yang agak teruk. Keadaan itu
berterusan sehingga beberapa hari tanpa mengetahui sebabnya.
Razi, Ching dan Kumar merasa pelik akan gejala yang menimpa
kampungnya itu. Mereka bersyukur kerana mereka tidak
mengalami sakit perut dan muntah-muntah tersebut. Namun, ibu
dan bapa Ching terkena gejala itu. Ching amat bimbang sambal
menangis teresak-esak semasa memberitahu hal itu kepada
sahabatnya, Razi dan Kumar. Atas rasa persahabatan, Razi dan
Kumar berpakat dengan Ching untuk mencari punca gejala
tersebut. Hari demi hari, orang kampung yang terjebak dengan
gejala tersebut semakin ramai sehinggakan klinik yang ada di
kampung tersebut tidak dapat menampung jumlah pesakit yang
bertambah.
Seusai Ching menyediakan makanan dan mengurus ibu
dan bapanya yang terdampar di atas katil kerana gejala pelik itu,
mereka bertiga berjalan keliling kampung untuk mencari punca
penyakit tersebut. Menurut Razi, setiap penyakit mesti ada
puncanya dan mereka berusaha untuk membantu orang
kampung untuk mencari puncanya. Kampung Sinar Harapan
secara umumnya bergantung kepada sumber hutan untuk
mendapatkan hasil makanan dan air sungai untuk bekalan air
bersih juga untuk mandi. Razi tiba-tiba mendapat idea untuk
memeriksa air sungai yang menjadi sumber air bersih mereka di
kampung itu. Mereka bergegas menuju ke sungai di kampung itu.
Setibanya mereka di sana, mereka terkejut melihat sebuah lori
tangki bersama dengan dua orang pemuda yang sedang
melakukan sesuatu yang mencurigakan. Razi dan Kumar
153
bercadang untuk melihat dengan lebih dekat. Ching pula disuruh
untuk melaporkan dan memanggil beberapa orang kampung
untuk pergi ke sungai itu.
Razi dan Kumar bergerak secara perlahan-lahan mendekati
lori tersebut. Terdengar perbualan mereka, “ dah habis buang
semua sisa minyak ni?”, tanya pemuda itu. Kemudian kawannya
menjawab, “sikit sahaja lagi ni, sabarlah.” Pemuda-pemuda ini
bukan orang kampung Sinar Harapan, Razi dan Kumar tidak
pernah melihat meeka. Rupanya, mereka sedang membuang sisa
minyak daripada kilang di kampung sebelah di sungai itu. Razi dan
Kumar tiba-tiba merasa sangat marah terhadap perbuatan
pemuda-pemuda itu. Razi tidak dapat menahan kemarahannya
lalu menjerit kepada pemuda-pemuda itu. “Woi, apa yang kamu
lakukan ini? Rupanya kamulah punca kepada merebaknya gejala
sakit perut dan muntah-muntah dalam kampung ini. Kamu
cemarkan air sungai sumber air bersih kami? Pemuda-pemuda itu
terkejut lalu berlari bertempiaran menaiki lori mereka. Namun, niat
mereka untuk melarikan diri tidak berhasil. Beberapa orang
kampung bersama dengan Ching sudah tiba di sana. Pemuda-
pemuda itu dikepung dan dilaporkan kepadapolis.
Gejala muntah-muntah dan sakit perut itu rupanya
berpunca daripada pencemaran air sungai sumber air bersih
Kampung Sinar Harapan yang dilakukan oleh pemuda-pemuda itu.
Mereka membuang sisa minyak ke dalam sungai dan
menyebabkan air sungai tercemar. Orang kampung menjadikan
sungai itu sebagai sumber kepada bekalan air bersih namun
kerana tercemarnya air itu telah menyebabkan orang kampung
ditimpa kesusahan. Pemuda yang bertanggungjawab untuk
pencemaran itu sudah ditangkap. Orang-orang kampung yang
sakit sudah mula sembuh termasuk ibu bapa Ching. Orang
kampung berterima kasih kepada Sahabat Satu Malaysia iaitu
Ching, Kumar dan Razi kerana bertindak berani menyiasat hal
tersebut. Mereka bertiga merasa sangat bangga kerana telah
mengetahui punca yang menyebabkan orang kampung sakit dan
menyelamatkan kampung mereka. Ketua kampung sempat
menasihatkan kepada semua warga kampung agar sentiasa
menjaga kebersihan diri, makanan, tempat tinggal dan
sebagainya untuk memastikan kbersihan dan kesihatan setiap
warga kampung terpelihara. Penyakit berbahaya juga boleh
dielakkan. Kita jaga kita. Utamakan kebersihan dan jangan abaikan
penjagaan kesihatan.
154
Sejak kejadian itu, Kampung Sinar Harapan sering membuat
aktiviti kemasyarakatan dan membuat gotong royong untuk
membersihkan kampung mereka. Razi, Kumar dan Ching selalu
membantu warga kampung untuk menjayakan aktiviti tersebut.
Akhirnya, kampung mereka pulih dan masyarakatnya hidup dalam
keadaan aman damai dalam suasana kampung yang bersih dan
ceria. Razi, Kumar dan Ching meneruskan kehidupan mereka seperti
kanak-kanak biasa dan terus bersahabat, namun berjiwa besar
untuk sentiasa menjadi harapan dan kebanggaan Kampung Sinar
Harapan. Keberanian mereka telah membuatkan orang kampung
sayang dan hormat dengan mereka walaupun masih kecil.
Begitulah persahabatan mereka yang telah menyelamatkan
kampung mereka daripada pencemaran dan penyakit yang
membahayakan. Hero kampung Sinar Harapan, Razi, Kumar dan
Ching.
ALBANI BIN ARTARI
155
PEMBERSIHAN PANTAI CAHAYA
Cuaca kelihatan begitu cerah sekali. Pohon-pohon
menghijau yang tumbuh di Pantai Cahaya seperti menari-nari
apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih
ke kiri. Mengikut rentak angin yang bertiup. Butiran pasir yang halus
kelihatan berkilauan umpama mutiara di dasar lautan apabila
disinari matahari yang terik. Hari ini Persatuan Alam Sekitar SK Taman
Jasmin mengadakan program membersihkan pantai. Program ini
bukan sahaja disertai oleh ahli persatuan namun kesemua murid
dan guru SK Taman Jasmin serta sebilangan penduduk berdekatan
Pantai Cahaya. Tujuan utama program ini adalah bertujuan untuk
memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat serta warga SK
Taman Jasmin akan kepentingan menjaga alam sekitar.
“Alhamdulillah, program yang kita adakan pada hari ini
mendapat sambutan yang menggalakkan. Ramai yang turut hadir
bagi bersama-sama untuk menjadikan Pantai Cahaya ini sentiasa
bersih dan indah,” kata Encik Wahed yang merupakan Guru Besar
SK Taman Jasmin.
“Tanggungjawab menjaga alam sekitar merupakan
tanggungjawab kita bersama. Pantai Cahaya ini hendaklah
dikekalkan keindahan dan kebersihannya agar dapat menarik
minat orang ramai untuk datang ke sini. Perasaan cinta dan
sayang terhadap alam sekitar hendaklah dipupuk dalam diri kita
agar dapat mengekalkan tempat indah sebegini,” ujar Encik
Ahmad yang merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Alam
Sekitar SK Taman Jasmin.
‘Memang betul kata En Ahmad! Jika bukan kita siapa lagi
yang akan membersihkan Pantai Cahaya ini,” angguk Encik Amir
yang merupakan Setiausaha Persatuan Alam Sekitar SK Taman
Jasmin.
Suara desiran ombak yang menghempas pantai jelas
kedengaran. Walapun cahaya matahari terik memancar, namun
Encik Wahed, Encik Ahmad dan Encik Amir serta warga SK Taman
Jasmin tetap bersemangat untuk memastikan Pantai Cahaya
bersih dan indah. Rasa nyaman dan dingin angin laut jelas terasa
meniup seluruh kawasan pantai. Daun-daun kering yang gugur
apabila ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi
permukaan pasir yang memutih dan halus.
“Sedihnya melihat keadaan Pantai Cahaya begini. Kenapa
masih ada yang sanggup melakukan pencemaran terhadap alam
sekitar,” kata Wong yang merupakan murid Tahun 6 SK Taman
Jasmin.
156
“Itulah akibatnya apabila jika tiada rasa cinta akan alam
sekitar,” celah Danial yang merupakan rakan sekelas Wong.
Danial dan Wong serta rakan sekelasnya rancak berbual
sambil membersihkan kawasan pantai. Angin yang tadinya bertiup
sepoi-sepoi bahasa lalu bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon
yang tumbuh di sekitar kawasan pantai kelihatan seperti
melambai-lambai apabila ditiup angin yang datang daripada arah
laut yang membiru.
Aktiviti sebegini memang merupakan aktiviti tahunan yang
dianjurkan oleh Persatuan Alam Sekitar SK Taman Jasmin. Program
yang diadakan selaras dengan tujuan utama penubuhan
persatuan iaitu untuk memastikan alam sekitar terutamanya pantai
sentiasa bersih dan terhindar daripada pencemaran sekaligus
mengindahkan kawasan sekeliling.
Encik Wahed membahagikan bidang tugasan kepada
warga SK Taman Jasmin serta murid yang hadir dalam program
tersebut. “Murid kelas Tahun 6 Orkid akan membersihkan tepi
pantai, manakala murid Tahun 6 Mawar akan membersihkan
kawasan tengah pantai. Murid kelas Tahun 6 Cempaka pula
membersihkan bahagian tempat duduk di sekeliling Pantai
Cahaya.” Semua warga SK Taman Jasmin diberikan sarung tangan
dan plastik sampah untuk mengutip sampah yang bertaburan di
sekeliling Pantai Cahaya. Maka semua warga SK Taman Jasmin
pun pergi ke lokasi masing- masing yang telah ditetapkan untuk
membersihkan dan mengindahkan sekeliling kawasan Pantai
Cahaya.
Sememangnya pantai yang bersih akan dapat menjadi
faktor untuk menarik pelancong dari dalam negara mahupun luar
negara. Suasana yang bersih serta cantik akan menjadi buah mulut
kepada mereka untuk dibawa pulang nanti dan menceritakannya
kepada kaum keluarga dan sahabat handai. Hal ini secara tidak
langsung akan menarik minat kaum keluarga dan sahabat handai
untuk datang melancong sambil menikmati keindahan dan
kecantikan kawasan peranginan terutamanya pantai yang
terdapat di negara kita. Kawasan sebegini akan sentiasa menjadi
tempat pelancongan untuk pelancong beristirehat sambil
menikmati keindahan alam semula jadi.
“Kita seharusnya gembira dan bangga apabila kawasan
pantai yang ada di negara kita dapat menarik pelancong.
Kawasan sebegini akan mampu menaikkan nama negara kita di
mata dunia luar. Usaha sebegini hendaklah diteruskan agar dapat
memastikan keindahan dan kebersihan Pantai Cahaya ini sentiasa
terjaga,” ujar Encik Wahed kepada warga SK Taman Jasmin.
157
“Sebenarnya tidak cukup dengan sekadar warga SK Taman
Jasmin hanya menyertai program sepertimana yang kita anjurkan
ini. Mereka juga perlu terlibat dalam program seperti ceramah,
seminar, bengkel, pertandingan dan sebagainya. Hal ini untuk
meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuan mereka
mengenai alam sekitar,” Encik Wahed menyambung lagi dengan
penuh panjang lebar.
Matahari kelihatan semakin meninggi di puncak langit.
Cahayanya yang terang benderang menerangi seluruh kawasan
pantai. Bahang matahari yang semakin panas memijar sedikit pun
tidak melemahkan semangat warga SK Taman Jasmin yang
menyertai program sejak daripada awal pagi tadi. Bagi mereka
cuaca panas yang melanda pantai bukannya menjadi halangan
mahupun cabaran sepanjang menyertai program ini. Tetapi yang
paling utama adalah untuk memastikan alam sekitar terutamanya
kawasan pantai sentiasa bersih dan indah apabila mata
dipandang.
Jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Encik
Wahed meminta seluruh warga SK Taman Jasmin untuk berkumpul
di bawah khemah. Beliau memandang ke seluruh kawasan
persekitaran Pantai Cahaya. Kelihatan begitu amat bersih dan
indah sekali. Hatinya berasa begitu gembira dan tenang dengan
komitmen dan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh ahli
Persatuan Alam Sekitar serta warga SK Taman Jasmin yang telah
menjayakan program ini. Segala sarung tangan dan plastik sampah
dikumpul di suatu tempat agar dapat dibuang ke satu tempat
untuk membersihkannya. Semua warga SK Taman Jasmin berasa
penat namun gembira dengan usaha mereka dalam
membersihkan Pantai Cahaya. Encik Wahed mempengerusikan
majlis penutupan dan penyampaian sijil juga telah disempurnakan.
Program tersebut diakhiri dengan jamuan makan tengah hari serta
Encik Wahed mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga SK
Taman Jasmin yang telah datang menjayakan program ini.
MOHAMMAD AMIR ASHRAF BIN SAMAWI
158
SAKIT YANG DISYUKURI
Malam sudah larut tetapi aku masih tidak dapat memejamkan
mataku. Mungkin aku terlalu teruja untuk menanti hari esok tiba. Aku
bakal menjejakkan kaki ke sekolah buat pertama kali setelah lama
bercuti. Segala persiapan dan keperluan persekolahan sudah aku
sediakan lebih awal. Aku sepertinya tidak mahu melelapkan mata
pada malam ini kerana risau sekiranya aku tidak dapat bangun
awal keesokan hari. Aku sungguh takut akan hal ini. Aku merenung
keindahan bintang dari jendela kecilku. Ternyata perasaanku juga
sama sinar dan gemerlapannya dengan bintang-bintang itu. Aku
mengira satu persatu jumlah bintang di langit itu, tanpa aku sedari
aku akhirnya tertidur.
Aku mendengar sayup-sayup suara ibu di hujung telingaku.
Suara itu tidak aku endahkan sehinggalah ibu menyentuh pipi
mulusku. Aku tersentak lalu membuka mata. Mimpi gelapku kini
menjadi nyata. Aku telah lewat untuk ke sekolah. Kakiku tangkas
mengatur langkah ke bilik mandi. “Aduh, air ini sejuk sekali”, kataku
di dalam hati. Setelah itu, ibu segera membantuku mempersiapkan
diri. Ayah tidak aku temui lagi, mungkin sedang sibuk memanaskan
enjin keretanya. Aku berdiri dengan wajah yang riang di hadapan
cermin. Sesungguhnya aku sudah lama merindukan saat ini. Wajah
rakan-rakan dan guruku sudah terbayang-bayang di ingatanku.
Mereka pasti sudah tidak sabar-sabar untuk menemuiku. Setelah
bersarapan, aku meluru masuk ke dalam kereta. Ibu dan ayah
gembira melihat telatahku pagi ini. Air mata ibu berlinang lagi tanpa
disedari. Ibu memelukku dengan erat dan mencium dahiku. Ibu
berpesan untuk tidak berkelakuan nakal di sekolah. Aku angguk
tanda akur, tangan kanannya ku gapai dan ku cium.
Kelibat Nora, Ahmad dan Ravi dapat aku lihat dari jauh.
Mereka menunggu aku tepat di hadapan pagar sekolah. Aku
malambai ayah dan terus menyapa mereka. Kami bercerita
umpama tiada hari esok. Aku menerima layanan istimewa dan
perhatian sepenuhnya di dalam kelas. Semua ternanti-nanti untuk
mendengar kisah yang akan aku ceritakan sepanjang ketiadaanku
di sekolah. Cikgu Syahira memintaku berdiri di hadapan kelas dan
berkongsi pengalamanku. Segala pahit manis kehidupanku selama
hampir tiga minggu di dalam wad aku ceritakan dengan penuh
penghayatan. Kebersihan rumah yang diambil sambilewa telah
menyebabkan aku dijangkiti wabak demam denggi berdarah. Saat
itulah bermulanya episod hitam dalam hidupku apabila aku
terpaksa menghabiskan hampir tiga minggu di hospital. Nilai
kebersihan yang aku abaikan itu akhirnya memakan diri. Aku
berpesan kepada rakan-rakan dan juga guruku untuk tidak
mengulangi kesalahanku. Aku tidak mahu melihat mereka
merasakan pengalaman pahit yang sudah aku lalui itu. Aku
159
mengucapkan terima kasih kepada semua kawan-kawanku dan
guru yang sentiasa mendoakan kesembuhanku.
Aku menarik nafas panjang. Penderitaan yang mengajarku
banyak perkara akhirnya sudah berakhir. Fikiranku melayang lagi
sambil menatap keindahan bulan. Hari pertama aku dimasukkan ke
dalam wad adalah titik permulaan kepada nilai kesyukuran yang
aku amalkan hari ini. Aku berasa amat sedih apabila doktor
mengesahkan aku positif demam denggi berdarah. Aku terpaksa
berpisah dengan kedua ibu bapaku dan diasingkan di wad. Hampir
seluruh badanku dipenuhi wayar-wayar dan alatan yang
merimaskan. Jiwaku yang masih muda meronta-ronta untuk
dikeluarkan dari tempat itu. Aku menjadi muak dan benci terhadap
petugas-petugas yang berada di situ. Aku menganggap mereka
sebagai punca perpisahanku dengan ibu bapaku dan rakan-
rakanku. Malah, aku juga menuduh mereka sengaja tidak mahu
merawat aku dengan segera. Dunia umpama tidak berputar lagi
pada ketika itu. Namun hakikatnya kesakitan yang aku alami itu
banyak memberi pengajaran kepada aku.
Di sana, aku belajar bersyukur dengan apa yang aku miliki
selama ini. Aku melihat banyak kanak-kanak yang sebaya
denganku menghidap penyakit yang lebih kronik. Aku juga
berpeluang melihat warga tua yang berjuang melawan sakit untuk
meneruskan kehidupan. Aku juga melihat kegigihan para petugas
menjalankan tanggungjawab mereka. Layanan yang kurang sopan
oleh para pesakit tidak dipedulikan. Mereka tetap memberikan
rawatan dan ubat mengikut jadual. Malah, aku juga merasakan
kesedihan berpisah dengan kedua ibu bapaku. “Aku berpisah baru
tiga minggu sudah berasa sedih seperti ini, bagaimana pula dengan
rakan-rakanku yang sudah kehilangan ibu bapa?”, detikku dalam
hati. Sebagai kanak-kanak yang baru berusia sebelas tahun ini, aku
ternyata belum mengerti nilai bersyukur. Aku tidak tahu berterima
kasih dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah selama ini. Aku
sering menyalahkan takdir atas perkara buruk yang terjadi
kepadaku.
Minggu terakhir sebelum aku discaj dari hospital itu, aku telah
mempunyai ramai kenalan baharu yang terdiri daripada pelbagai
peringkat umur. Kami menjadi rapat dan saling berpesan untuk
menjaga kesihatan. Aku bersyukur kerana diberikan peluang
menemui insan-insan hebat di hospital. Keadaanku yang semakin
pulih menyebabkan aku tidak mahu lagi menyusahkan jururawat
dan doktor di situ. Aku sudah tidak perlu dipaksa untuk mengambil
ubat. Jadual pengambilan ubat sudah hampir aku hafal. Aku
gembira apabila melihat jururawat tersenyum melihat perubahan
positif dalam diriku. Kegembiraanku pula adalah apabila melihat
mereka tersenyum. Aku tidak dapat menafikan kerinduanku kepada
ibu bapaku. Telefon pintar dengan kecanggihan “video call”
sahajalah yang menjadi pengubat rinduku. Ibu bapaku juga
160
menyatakan permohonan maaf kerana mengabaikan kebersihan di
rumah sehinggalah aku menjadi mangsa. Tetapi, aku tidak sesekali
menyalahkan mereka. Aku mulai percaya bahawa setiap apa yang
terjadi adalah ketentuan Allah. Pesanan Cikgu Syahira, “Setiap yang
berlaku pasti ada himahnya”, masih terngiang-ngiang di telingaku.
Sepanjang tempoh kuarantin itu juga, aku menerima banyak
mesej daripada rakan-rakan sekelasku terutamanya Nora, Ahmad
dan Ravi. Aku terharu dengan setiap ucapan dan doa yang
diberikan. Hal itulah yang memberikan aku semangat untuk
berjuang melawan sakitku. Demam denggi berdarah bukanlah
suatu penyakit yang mudah untuk dirawat. Hasil carianku dalam
internet amat menakutkan. Ada yang mengatakan bahawa sakitku
ini tidak dapat disembuhkan dan boleh berakhir dengan kematian.
Walaupun begitu, aku tetap percaya dengan kepakaran doktor
yang merawatku. Beliau berkata bahawa percaya adalah kunci
utama untuk aku terus berjuang. Tegasnya, aku harus percaya
dengan keupayaannya dan kekuasaan Allah. Aku tidak begitu
memahami maksudnya. Aku mula bertanya di dalam hati, “Adakah
doktor ini sudah malas merawatku?”. Aku cuba memahami
maksudnya tetapi gagal. Aku buntu. Apa yang aku tahu, aku cepat-
cepat ingin keluar dari hospital itu.
PANGGGGGGG! Pintu bilikku terbuka dan menghempas
dinding. Aku terkejut lantas membuka mata. Aku melihat ibu masuk
dalam keadaan tergopoh-gopoh. Ahhhhh! Aku bangun lewat lagi!
Sudah dua kali diriku sendiri menjadi punca aku bangun lewat. Aku
terlalu seronok mengimbau kenangan sepanjang di hospital
sehingga aku lewat tidur. Aku tersenyum sinis di dalam bilik mandi.
Kali ini, aku bersiap lebih cepat dari yang sebelumnya. Setibanya di
sekolah, aku menceritakan semula kejadian pagi ini. Ravilah yang
paling suka sekali. Dia gelak tidak henti-henti. Aku pula menjadi malu.
Reaksi wajahku bertukar umpama ayam berak kapur. Aku
ditenangkan oleh Nora, “Tidak mengapalah Zahid, malam nanti
jangan tidur lewat lagi”. Pandanganku masih terarah pada Ravi
yang belum berhenti ketawa. Tidak lama selepas itu, aku turut
ketawa. Aku tidak sangka ceritaku ini mampu menghiburkan kawan-
kawanku pagi ini.
Keesokan harinya, aku bangun lebih awal. Aku sungguh
bersemangat untuk menjalani hari ini kerana ibu dan ayah sudah
berjanji untuk membelikan aku aiskrim selepas aktiviti hari ini berakhir.
Sebenarnya, ayah mencadangkan untuk kami membersihkan
halaman rumah setiap dua minggu sekali. Aku dan ibu menurut
sahaja kerana aktiviti ini amatlah penting untuk menjamin kesihatan
kami sekeluarga. Kami berjanji untuk tidak membiarkan pengalaman
lalu berulang lagi. Aku mula menyapu daun-daun kering, ayah
membersihkan longkang dan ibu membersihkan pasu-pasu bunga.
Ayah juga sibuk mengosongkan air takungan yang terdapat pada
tayar-tayar terpakai dan tangki air hujan. Setelah membersihkan diri,
161
ibu menghidangkan aiskrim kesukaanku. Aku merasa amat gembira.
Pandanganku beralih ke luar tingkap melihat dedaunan melambai
ditiup angin, akhirnya fikiranku melayang sekali lagi. “Mesti seronok
kalau aku mengajak Nora, Ahmad, Ravi dan semua warga sekolah
bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah nanti”, detikku di
dalam hati.
NURAZLIEN BINTI MUKTAR
162
TUAH SEORANG PENTERNAK MUDA
Hassan merupakan anak kepada Pak Ajib dan Mak Timah. Hassan
seorang anak yang berbakti kepada orang tua. Setiap hari Hassan
akan pergi ke kebun untuk menolong ibu dan bapanya disana.
Bukan itu sahaja, Hassan juga sering membantu ibunya memberi itik-
itik ternakan mereka makanan. Walaupun bilangan itik yang mereka
ternak dalam kuantiti yang sedikit, Hassan sangat yakin bahawa
suatu hari nanti dia pasti akan dapat menternak itik dengan jumlah
yang banyak.
Pada hujung minggu, Hassan akan membawa itik-itiknya ke sebuah
kolam yang terbiar agar itik-itiknya dapat mandi dan mencari
makanan semula jadi di situ. Suatu pagi, seperti biasa Hassan
mengikut Pak Ajib dan Mak Timah untuk mengumpul hasil daripada
kebun mereka. Pelbagai jenis sayur yang mereka perolehi berkat
kerajinan mereka mengusahakan kebun tersebut. Hassan juga tidak
melepaskan peluang untuk mengutip lebihan sayur di kebun mereka
untuk diberi kepada itik-itiknya. Hassan sangat gembira melihat itik-
itiknya memakan semua sayur yang diberikan olehnya. Selain itu, itik-
itiknya juga memiliki badan yang sihat serta bulu yang cantik kerana
pemakanannya terjaga dan sering dibawa mandi di kolam terbiar.
Suatu malam, ketika Hassan dan keluarganya sedang berkumpul,
Pak Ajib menyatakan cadangannya untuk menjual sebilangan itik-
itik kepunyaan mereka tersebut. Pak Ajib menyuruh Hassan untuk
menjual itik-itiknya di pekan pada keesokan paginya. Hassan tidak
dapat melawan kehendak orang tuanya. Pagi-pagi lagi dia sudah
bergegas ke pekan sambil membawa itik-itik untuk dijual. Di pekan,
banyak yang memuji itik-itik Hassan kerana badan dan bulu itik-
itiknya sangat cantik dan sihat. Sungguhpun begitu, tiada
seorangpun yang membeli itik-itik Hassan. Pada petang hari, Hassan
pulang dengan hati yang sedih kerana tiada seorangpun yang
membeli itik-itiknya.
Sesampainya di rumah, dia menceritakan apa yang berlaku di
pekan kepada Pak Ajib dan Mak Timah. Mak Timah hanya
tersenyum mendengar cerita yang disampaikan oleh anaknya itu.
Mak Timah menyuruh Hassan agar sentiasa bersabar kerana
rezekinya akan sentiasa ada jika tiba masanya. Pada hari yang
seterusnya, Hassan memberi itik-itiknya makan sebelum membawa
sebilangan daripadanya ke pekan untuk dijual. Sesampainya di
pekan, Hassan menanti dengar sabar kalau-kalau ada pelanggan
yang ingin membeli itiknya. Setelah lama menunggu, tiba-tiba
datang sebuah kereta lalu berhenti di hadapannya.
163
Seorang lelaki turun daripada kereta tersebut lalu menghampiri
Hassan. Lelaki itu memuji cara Hassan menjaga dan memberi
makanan kepada itik-itiknya. Lelaki itu mengatakan bahawa itik-itik
Hassan sangat sihat dan mempunyai bulu yang cantik. Dia berniat
untuk membeli semua itik-itik yang dijual oleh Hassan. Selain itu, dia
juga ingin menawarkan kerjasama dengan Hassan dengan memberi
modal untuk mengembangkan usaha penternakannya. Lelaki itu
sangat yakin bahawa Hassan mampu mengurus dan menternak itik-
itik dengan bilangan yang lebih besar. Tanpa Hassan sedari, lelaki
yang menawarkan kerjasama dengannya adalah seorang
penternak itik yang berjaya. Hassan pulang ke rumahnya dengan
hati yang gembira. Dia menceritakan segala peristiwa yang berlaku
di pekan dengan Pak Ajib dan Mak Timah. Mereka mengucapkan
syukur atas rezeki yang diberikan kepada mereka melalui Hassan.
Kini, Hassan merupakan penternak itik yang berjaya. Dia memiliki itik
ternakan sebanyak 5000 ekor. Selain itu, Hassan juga mempunyai
pekerja sendiri yang membantunya memberi itik-itik makan dan
membawa itik-itik mandi di kolam terbiar. Hasil daripada usaha
Hassan, dia semakin maju dan terkenal dalam bidang penternakan.
Dia juga mampu membeli tanah menggunakan hasil ternakannya
untuk Pak Ajib dan Mak Timah meluaskan kawasan perkebunan
milik mereka. Hassan juga menyewa beberapa orang kampung
untuk menolong Pak Ajib dan Mak Timah mengusahakan kebun
mereka. Pak Ajib dan Mak Timah sangat bahagia melihat kemajuan
anak mereka dalam bidang penternakan. Mereka sangat bersyukur
kerana memiliki anak yang berdikari, rajin serta berbakti kepada
orang tua seperti Hassan. Kehidupan Hassan dan keluarganya kini
semakin bahagia dan mereka menjadi orang yang dihormati di
kampung mereka.
ALEX KALANG
164
MAAFKAN AKU
Encik Hisyam dan Puan Atirah merupakan sepasang suami isteri yang
sangat dikenali di Kuala Pilah. Encik Hisyam merupakan seorang Ceo
di syarikatnya sendiri dan mempunyai cawangan di seluruh negeri di
Malaysia. Manakala Puan Atirah pula merupakan pembantu
suaminya sendiri di syarikat tersebut. Mereka mempunyai seorang
anak tunggal yang diberi nama Mohd Saiful Rashid Bin Hisyam. Saiful
merupakan pelajar sekolah menegah tingkatan 4 di SMK Kuala Pilah.
Saiful merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya dan sering
mendapatkan kuputusan yang sangat baik dan mendapat tempat
pertama di sekolahnya.
Saiful juga merupakan seorang yang sangat aktif bersukan
dan sering menyertai pelbagai pertandingan seperti bola sepak,
taekwondo, dan tennis. Saiful juga seorang yang sangat berbakat
kerana dia pandai bernyanyi, memainkan alat muzik dan melukis.
Disebabkan kebolehan Saiful yang sangat banyak dan tambahan
pula dia seorang pelajar cemerlang, dia merupakan seorang yang
sangat disegani oleh rakan-rakannya dan mempunyai ramai
peminat di sekolah tersebut. Encik Hisyam merupakan seorang ayah
yang sangat tegas dalam mendidik anaknya. Berbeza dengan Puan
Atirah yang sangat peramah dan bersopan santun.
Pada satu hari, datanglah seorang pelajar baru di sekolah
Saiful dan pelajar tersebut dimasukkan ke dalam kelas 4 Amanah
iaitu kelas Saiful sendiri. Pelajar tersebut bernama Haikal. Haikal
berkeperibadian sangat misteri. Dia sering menyendiri dan tidak suka
menonjolkan dirinya di khalayak ramai. Wajah Haikal sangatlah
kusam tidak seperti wajah-wajah remaja pada umumnya. Saiful
cuba untuk mengenali Haikal dan cuba untuk menyapa Haikal
namun Haikal hanya termenung melihat ke luar jendela dan tidak
berkelip mata. Melihat perangai Haikal yang sebegitu, niat Saiful
yang pada mulanya ingin berkenalan kian terbatal oleh kerana
sapaanya tidak dilayan oleh Haikal. Keesokan harinya merupakan
cuti hujung minggu, dimana satu-satunya waktu untuk Saiful berehat
di rumah dengan bermain permainan video di biliknya. Tidak lama
kemudian, Saiful mula berasa bosan dengan hidupnya yang selalu
dikawal oleh ayahnya kerana dia tidak boleh keluar kemana mana
selain waktu persekolahan. Saiful berniat untuk melanggar perintah
ayahnya dan mengambil keputusan untuk keluar senyap-senyap
daripada rumahnya untuk pergi ke taman yang berhampiran
dengan kawasan rumahnya.
165
Sewaktu tiba di taman, Saiful terkejut melihat Haikal yang
duduk bersendirian di taman tersebut. Saiful mencuba sekali lagi
untuk menyapa Haikal. Langkah demi langkah Saiful begerak
kearah Haikal, tinggal beberapa meter lagi Saiful tiba di tempat
Haikal, tiba-tiba Haikal berdiri lalu masuk ke hutan yang berhampiran
dengan taman tersebut. Saiful mula berasa hairan dan mengambil
keputusan untuk mengekori Haikal. Alangkah terkejutnya Saiful bila
melihat Haikal duduk di atas batu dan tengah menyedut sebatang
penyedut plastik sambal membakar hujung penyedut tersebut. Saiful
dengan cepat belari balik ke rumah dan seperti tidak percaya
dengan apa yang dilihatnya bahawa Haikal sedang menghisap
dadah. Saiful bru sedar bahawa sebab Haikal sering menyendiri dan
suka termenung adalah akibat daripada pekara yang dilakukannya.
Saiful mula berfikir bahawa dia perlu menyembunyikan pekara ini
atau perlu melaporkannya ke guru atau ibubapanya. Kemudian,
Saiful mengambil keputusan untuk menyembunyikan apa yang telah
diihatnya kerana takut jika dia melaporkan pekara itu maka
ayahnya tahu bahawa Saiful telah curi-curi keluar dari rumah
sewaktu beliau sedang kerja.
Seminggu lagi sebelum peperiksaan akhir tahun dijalankan.
Akmal merupakan rakan karib Saiful telah mencuri kertas jawapan
matematik di atas meja Cikgu Roslan yang merupakan jurulatih Bola
Sepak sekolah serta guru matematik kelas 4 Amanah dan
kemudiannya meletakkan kertas jawapan tersebut di dalam beg
Saiful tanpa diketahui oleh Saiful. Akmal dalam diam sebenarnya
memendam hasrat dengki kepada Saiful oleh kerana Akmal tidak
dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan Bola Sepak
namun Saiful telah dipilih dan menjadi ketua pasukan walaupun
mereka sering berlatih bersama-sama. Hal ini menyebabkan Akmal
mengambil keputusan untuk memburukkan nama Saiful supaya
Saiful disingkirkan daripada pasukan dan Akmal berharap dia akan
dipilih untuk menggantikan Saiful. Setelah kejadian itu, Cikgu Roslan
menyedari bahawa skema jawapan yang diletakkannya di atas
meja telah hilang. Beliau sangat yakin bahawa beliau pasti tadinya
beliau meletakkan skema tersebut betul-betul di atas meja dan
kemudiannya beliau melaporkan kejadian tersebut kepada guru
disiplin di sekolah itu. Tidak lama kemudian, guru disiplin tersebut
membuat pemeriksaan ke setiap kelas.
166
Sewaktu pemeriksaan dilakukan di kelas 4 Amanah, semua
pelajar diminta untuk menunggu di luar kelas sementara guru disiplin
bersama-sama dengan pengawas sekolah tersebut memeriksa satu
persatu beg pelajar. Guru disiplin sangat terkejut kerana menjumpai
skema jawapan tersebut di dalam beg Saiful. Saiful lekas dibawa ke
bilik disiplin dan dimarahi serta dirotan dengan sangat kuat. Cikgu
Roslan yang melihat Saiful dipukul sambal samful menyatakan
bahawa bukan dia pelakunya sangat kecewa dengan sikap Saiful
yang mencuri skema jawapan tersebut. Setelah selesai masa
persekolahan, Saiful seperti biasa balik ke rumah dengan menaiki
kereta yang dipandu oleh pekerja ayahnya. Setelah sampai di
rumah, ayah Saiful telah menunggu Saiful di hadapan pintu sambal
memegang tali pingang. Saiful terus dipukul berkali-kali sehingga
meninggalkan kesan leban yang sangat banyak di tubuhnya. Pada
malam itu, Saiful mengurungkan dirinya di dalam bilik sehingga tidak
memperdulikan panggilan daripada ibunya untuk makan malam.
Saiful sangat kecewa dan tertekan denga napa yang sudah berlaku.
Keesokkan harinya, Saiful tidak pergi ke sekolah. Saiful masih
mengurungkan dirinya di dalam bilik.Setelah ayah dan ibunya pergi
ke kerja, Saiful pergi ke taman dan menenangkan diri di sana.
Secara kebetulan, Haikal juga berada di situ pada masa itu. Haikal
melihat Saiful yang tengah termenung sambal mengalirkan air mata
cuba untuk menghampiri Saiful. Saiful terkejut setelah disapa oleh
Haikal lalu mngusapkan air matanya. Haikal bertanyakan kepada
Saiful sebab Saiful bersedih dan kemurungan lalu Saiful
menceritakan kejadian yang telah menimpa dirinya. Haikal pun
menyatakan dia juga pernah mengalami hal yang sama. Lalu Saiful
bertanya bagaimana Haikal boleh melalui semua cabaran itu dan
Haikal pun lekas menarik tangan Saiful dan membawanya ke hutan
dimana tempat Haikal sering menghisap dadah. Haikal pun
mengatakan kepada Saiful untuk mencuba dadah dam dia
menyatakan bahawa nescaya nanti Saiful akan berasa tenang dan
nyaman. Saiful tanpa berfikir panjang terus mencuba dadah yang
diberkan oleh Haikal sambal Haikal menunjukkan caranya.
Beberapa minit kemudian Saiful terus tidak sedarkan diri kerana telah
khayal setelah menghisap dadah tersebut. Selepas daripada
kejadian itu, Saiful sering bertemu dengan Haikal di taman dan
kadang kala Saiful sanggup untuk ponteng sekolah demi mengambil
dadah. Pelajarannya semakin terabai dan ianya membuatkan ayah
dan ibunya semakin risau melihat keadaan dirinnya.
Pada suatu hari sewaktu Saiful tiada di rumah, Puan Atirah
mengemas bilik Saiful yang makin hari makin malas untuk mengemas
biliknya sendiri. Sewaktu Puan Atirah membuka laci meja belajar
Saiful. Sungguh terkejut apabila Puan Atirah menemukan sebungkus
plastik yang berisikan nakoba di dalamnya. Puan Atirah terus
terduduk dan tidak mampu berkata apa. Puan Atirah kemudianya
167
menelefon suaminya yang sedang ada urusan di pejabat dan
menyatakan bahawa dia menemukan sebungkus plastik berisikan
nakoba di dalamnya. Encik Hisyam terus bergegas ke rumah untuk
memastikan apa yang dikatakan oleh isterinya. Tiba saja Encik
Hisyam di rumah dan melihat bungkusan itu, Encik Hisyam berasa
sangat marah dan segera pergi mencari Saiful. Sewaktu mencari
Saiful di sekitar kawasan perumahan, Encik Hisyam telah dilanggar
oleh motosikal dan menyebabkan beliau terjatuh dan kepalanya
terhentak dengan keras di bahu jalan. Encik Hisyam terus tidak
menyedarkan diri. Jiran-jiran yang melihat kejadian tersebut terus
membantu Encik Hisyam dan menelefon ambulans.
Tidak lama kemudian Saiful balik ke rumah dan melihat
ibunya sedang menangis mengenang perbuatan Saiful. Saiful yang
tidak mengendahkan pekara tersebut terus masuk ke bilik untuk
berehat. Tidak lama selepas itu, Puan Atirah menerima pangilan
daripada Hospital dan beliau berasa sangat terkejut mendengar
berita yang disampaikan lalu menangis teresak-esak. Saiful yang
mendengar ibunya menangis berasa hairan dan kemudiannya pergi
menanyakan ibunya lalu ibunya mengatakan bahawa ayahnya
telah dimasukkan ke dalam Hospital dan Encik Hisyam didapati telah
mengalami koma. Saiful yang mendengar berita tersebut terdiam
dan tidak mampu berbuat apa. Lalu ibunya mengatakkan bahawa
sebentar tadi ayahnya pergi mencarinya oleh sebab menemukan
bungkusan itu. Saiful terus menitiskan air mata, dan memohon maaf
kepada ibunya di atas perbuatannya.
Enam tahun telahpun berlalu, Saiful telah berjaya
menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Terengganu dalam
bidang Kaunseling. Ayah Saiful masih belum menyedarkan diri
daripada koma dan Saiful berasa sungguh sedih kerana ayahnya
tidak mampu menghadiri majlis konvokesyen nya. Perusahaan Encik
Hisyam kini diuruskan oleh Puan Atirah. Saiful sangat menyesal
dengan perbuatannya sewaktu dirinya masih remaja. Saiful hanya
mampu berharap ketika ayahnya telah sedar dari koma akan
berasa bangga dengan dirinya yang telah berjaya dalam hidupnya.
Saiful tidak akan mampu memaafkan dirinya sampai bila-bila
sehingga ayahnya memaafkan dirinya.
ALLEN KUBA
168