Jati Diri Melayu dan Peradaban Dunia 43 givenness that stems from being born into a particular religious community, speaking a particular language, or even a dialect of a language, and following particular social practices.” Dengan itu masyarakat membentuk dan menurunkan ‘basic group identity’ yang membina peribadi dan jati diri individu bersamaan antara keduanya. Namun golongan ‘relativist’ – nisbiah - tidak menerima kemutlakan identiti atau jati diri individu apa lagi kelompok yang mengandungi jutaan individu. Meskipun peribadi individu itu terbentuk daripada proses sosialisasi keluarga dan pelbagai agen di sekitarnya namun individu manusia tidak selamanya tunduk kepada ikatan dan tekanan masyarakatnya. Individu manusia bertindak menurut keperluan dirinya pada masa dan keadaan yang strategi. Dia adalah penentu kepada kewujudannya. Dia membina strategi hidupnya demi kewujudan dan survivalnya. Dia adalah seorang ‘pembina’ – constructivist – yang menentukan sekitarannya. Jadi, antara manusia dengan sekitaran sosio-budaya serta fizikalnya, berlaku saling interaksi yang dinamik disebut oleh Giddens sebagai proses ‘structuration’ – membina dan dibina antara keduanya. Dalam sekitaran sosiobudayanya, manusia membina dan dibina peribadi individunya sebagai anggota masyarakat oleh sistem kemasyarakatannya, dan sebaliknya, peribadi individu dewasa manusia yang menjadi anggota masyarakatanya itu akan memberi pula sumbangan serta membina pula peribadi masyarakatnya secara citra kolektif. Himpunan perilaku sekumpulan anggota masyarakat akan memancarkan atau memberi citra kepada perilaku masyarakatnya. Masyarakatnya dikenali dan difahami berdasarkan corak perilaku kelompok yang kelihatan. Proses antara kedua-dua pembinaan itu adalah ‘structuring’ dan ‘restructuring’ dalam ikatan yang bertimbal–balik. Maka terdapat bahagian peribadi individu membayangkan masyarakatnya dan masyarakatnya pula membayangkan kesan pengaruh peribadi individu anggotanya. Dalam interaksi inilah muncul pelbagai struktur masyarakat yang memberi rupa dan ciri kepadanya lalu menjadi identiti atau jati dirinya dalam pelbagai sudut pandangan. Segala itu menjadi pula semacam himpunan simbol yang melambangkan masyarakat dan anggotanya. Lambang itu menjelma sebagai emergent structures ‘struktur bermunculan’ sebagai petanda kehadiran masyarakat. Maka melalui makna dan kepastian akan maksud pelbagai struktur itu seperti yang diterima dan dilaksana oleh semua anggota, maka mereka bergaul
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 44 sesama mereka dalam pelbagai suasana. Interaksi seperti inilah yang bukan sahaja relatif kerana sentiasa berubah menurut strategi para pelaku bahkan menjadi simbolik bagi seluruh proses pergaulan atau interaksi sesama anggota masyarakat. Maka tidak berlaku simbol dan petanda mutlak yang menjadi ciri sepanjang masa. Setiap masa simbol itu berubah sesuai dengan perubahan keadaan dan maknanya turut berubah dalam pengertian yang muncul sesama keperluan dan strategi para pelaku. Binaan Jati Diri – Homogen dan Heterogen Anak adalah pendokong jati diri keluarganya. Badan dan perawakan tabienya adalah refleksi daripada gene ibubapa. Dia adalah ingatan masa lampau keturunannya. Segala corak dan bentuk warna kulit, wajah, tubuh badan, rambut adalah warisan dari sejarah biologi pewarisnya yang telah lampau. Dia adalah juga bayangan bangsanya. Dia lahir di tempat lahirnya, di kampung halaman dan komunitinya, di negaranya. Segala ini adalah menjadi bahagian dari pengenalan dirinya; dikenali sebagai anak si-anu, di kampung si-anu dengan wajah hitam manis, putih cerah atau rambut keriting, ikal atau lurus. Atau dia menjadi anak ‘bangsa’ itu – Melayu, India, atau Cina – sebagai pengenalan dirinya. Segala ini adalah himpunan endowments atau givens (warisan) yang dibawanya atau diturunkan sejak lahir. Segala ini dinamakan oleh Erikson sebagai shared sameness (persamaan bersama) dengan keluarga, komuniti dan bangsanya. Nama adalah pengenalan yang paling jelas. Ia menjadi identitinya yang berpanjangan. Sebagai lanjutan dari kelahiran itu, dia menerima pula segala layanan dalam rangka adat istiadat dan obligasi sistem sosio budayanya. Segala macam upacara dan adat istiadat akan dikenakan kepadanya, menyambut kelahirannya – dia diazan atau diiqamatkan jika seorang Muslim. Dia dibedong, dibuai, diendoikan, dipotong rambutnya kemudian, diaqiqahkan, dibacakan ‘riwayat’ nabinya dalam bentuk ‘berzanji’ dengan sebuah acara kenduri yang amat elaborate – panjang lebar. Segalanya menjadi bahagian dari simbol pengenalan diri untuk menerimanya itu sebagai anggota baru masyarakat. Dia masuk menjadi anggota baru masyarakatnya melalui upacara itu.
Jati Diri Melayu dan Peradaban Dunia 45 Semakin dewasa semakin pula dia menerima ajaran adat dan istiadat komunitinya dengan sentuhan nilai dan norma yang menjaga serta mengatur hidupnya. Dia dididik dan ditegur dengan norma komunitinya lalu terbentuk semacam peribadi yang ‘baik’ atau ‘nakal’ atau ‘pemalu’, ‘penakut’ atau ‘berani’ atau sebagainya. Sebagai peribadi unggul dalam komunitinya dia mesti diharap untuk menjadi ‘budak baik’, ‘berbudi bahasa’, ‘berbudi pekerti’ dan ‘berkelakuan mulia’. Dia akan dikenali dengan perangai dan tabiatnya dan dipanggil oleh ibubapa, rakan, jiran dan masyarakat dengan pengenalan peribadi dan perilaku itu. Jadilah ia seorang yang ‘amat baik’, ‘amat nakal’, ‘amat pemalu’ atau sebagainya. Atau malah dia mendapat jolokan ‘gelaran’ yang memancarkan secara ringkas akan ciri unggul dirinya, sebagai nama ‘timangan’ yang sentiasa dipanggil: ‘bujang’, ‘manja’, ‘intan’ atau apa saja. Dia akan dewasa dalam masyarakatnya. Satu masa dia keluar dan bergaul dengan ‘orang lain’ maka terpancar pula pada dirinya akan ciri dan nama bangsa, sejarah bangsanya, bahasa dan pertuturan bangsanya, agama dan kepercayaan bangsa. Dia seorang ‘Melayu’, atau ‘Muslim’, atau seorang berbahasa Melayu. Dia telah mendapat seluruh jati diri atau pengenalan bangsanya di tengah-tengah kehadiran pelbagai jenis manusia yang juga mewarisi pelbagai bentuk jati diri bangsa mereka. Maka dia sudah berada dalam konteks kemasyarakatan dan menjadi bahagian dari kehidupan yang amat pelbagai, plural, heterogen. Dia tidak lagi berada dalam suatu lingkungan yang sama, homogen tetapi amat beragam. Apakah ia akan kekal seperti dahulu di zaman berada dalam kalangan bangsanya yang seragam; ataukah akan berubah sesuai dengan lingkungan baru yang amat beragam? Pengalaman hidup manusia yang berubah kediaman dan perluasan pengalaman akan menerima kedua-dua proses: kekal dengan jati diri asalnya sambil menerima ciri-ciri baru yang meluas dan memperkaya pengalaman, akal dan mindanya. Dia akan membina strategi baru untuk hidup dan suvival – menerima ciri sekitaran baru untuk kekal dengan kediaman baru sambil memelihara pelbagai ciri asal jati dirinya. Namun identiti kelompoknya akan berubah. Dia menjadi anggota kelompok baru maka dia mendokong jati diri kelompok baru. Jadilah dia seorang ‘Cina Peranakan’ atau ‘India Peranakan’ kerana berada di tengah sekitaran yang beragam dan asing di Malaysia. Dia tidak lagi semata-mata ‘Cina’ atau ‘India’ tetapi sudah mendapat tempekan gelaran atau affinity lain dan baru.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 46 Justeru itu, jika dia kekal dalam kelompok asalnya maka jati diri asalnya akan mengawal hidupnya sambil memberi kesempatan kepadanya untuk membina komuniti baru dangan ciri kehidupan baru pula. Dalam konteks berada dalam dua ‘alam’ atau ‘dunia’ inilah berlakunya dinamika jati diri kelompok yang ‘berayun’ atau oscillate antara esensi asal dengan tempekan gelaran baru (affinity). Bagaimana pula pergaulan atau interaksi dengan kelompok yang berdampingan? Persoalan ‘ayunan’ jati diri dalam hubungah antara kelompok adalah ditentukan oleh nisbi hubungan kuasa antara kelompok. Semakin berkuasa suatu kelompok maka semakin muncul jati dirinya yang akan menakrif dan menentukan pula suasana jati diri yang lain. Kekuasaan kelompok dalam banyak hal amat bergantung kepada bilangan anggota atau pegangan kuasa politik. Jadi ukuran power atau powerlessness – kemampuan dan ketidakmampuan - suatu kelompok akan menjadi penentu kepada pegangan terhadap jati dirinya dalam suasana yang beragam dan majmuk. Persaingan dan pergolakan antara kelompok dalam menentukan corak hubungan kuasa antara mereka akan mempunyai natijah – konsekwensi - yang amat kuat terhadap kewujudan dan kehadiran jati diri kelompok itu. Pergolakan inilah yang sedang diperhatikan dalam suasana kebudayaan di Malaysia kini. Sejauh mana satu gugusan jati diri kelompok dapat dipegang sebagai esensi diri atau terkesan oleh pengaruh gugusan ciri dari kelompok lain. Kekuatan persaingan dan persoalan (contestation) antara kelompok itu akan menentukan arah ayunan jati diri itu. Pergolakan Jati Diri Setiap satu ciri jati diri yang telah dibicarakan akan sentiasa bergolak dan dinamik, dengan erti sering mengalami perubahan. Pergolakan itu akan amat bergantung juga kepada ‘maruah’ atau ‘harga diri’ atau martabat dan juga kepada kesatuan atau ‘rasa bersama’ – seiya sekata - antara anggota kelompok. Harga diri adalah cara seseorang menghargai dirinya atau memandang dirinya (self-esteem) ataupun dipandang boleh ‘orang lain’. Kesatuan adalah keupayaan merasa menjadi anggota kelompok – merasa bangga dan yakin akan keanggotaan itu. Ada individu amat bergantung kepada
Jati Diri Melayu dan Peradaban Dunia 47 keanggotaan dengan bangsa atau komunitinya untuk mendapat ‘maruah’ atau harga diri. Ada juga bangsa atau kelompok yang amat memerlukan individunya yang bermaruah atau ‘tokoh’ untuk membangun kebanggaan dan harga diri kelompoknya. Jadi kedua faktor ini saling berfungsi dalam membina kewibawaan dan sekali gus menegakkan jati diri kelompok di tengah suasana majmuk atau plural. Keperluan untuk membina maruah dan harga diri itulah yang menjadi landasan serta dorongan terkuat kepada pergolakan politik dalam masyarakat majmuk dan sekali gus juga menentukan kelangsungan jati diri dalam pergolakan dinamik antara kelompok. Dengan demikian terdapat suatu macam daya saing dan daya tahan dalam diri kelompok untuk mempastikan survival dengan mempertahan jati diri daripada tergelek dan luput oleh landaan kekuasaan kelompok lain. Pertembungan jati diri antara kelompok tidak merupakan ‘durian’ dan ‘mentimun’, tergelek luka, menggelek luka. Tetapi, keadaannya adalah lebih dinamik serta anjal dengan daya hidup persistency yang amat kuat walaupun terpaksa tenggelam menjadi ‘tersirat’ dan latent. Demikian itu adalah sifat manusia yang dapat kekal survive – serta menyesuaikan diri (adaptable) dalam pelbagai suasana serta keadaan. Jati Diri Melayu dalam Sejarah Berlandaskan takrif di atas kita dapat meneliti pelbagai aspek kehidupan bangsa Melayu bukan sahaja sebagai ciri kebudayaan bahkan sebagai apa yang tadi difahami sebagai jati diri, yakni ciri utama yang menjadi pengenalan kepada bangsa dan masyarakat Melayu itu. Nama Melayu itu adalah ciri utama yang memberinya satu kesatuan dalam pelbagai cirinya bahkan juga sebutan ringkas bagi segala bangsa lain yang bertembung dengannya. Sejak zaman dulu lagi nama itu sudah digunakan sebagai pengenalan diri dan bangsa Melayu. Sekurang-kurangnya sejak abad ke-7 nama Melayu telah digunakan sebagai jati diri bangsa Melayu di zaman kerajaan Sriwijaya/Jambi. Dengan demikian bukan sahaja ‘Melayu’ sebagai satu jenis bangsa bahkan semua anggota masyarakatnya dalam erti yang terbatas dan juga Melayu dalam erti yang meluas sebagai ‘Rumpun Melayu’ telah dikenali dengan nama ini sehingga seluruh wilayah geopolitik di rantau ini terkenal di luar kawasannya sebagai ’Malaiyur’ (prasasti
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 48 Tanjore) (Wikipedia: “Melayu Kingdom”; “Tamil and Sanskrit Inscription in the Malay World”) ‘the Malay Archipelago’ atau Gugusan Kepulauan Melayu. Penggunaan nama itu sudah pasti melekat juga kepada semua anggota masyarakat dan bangsa Melayu dan mereka mengenal diri kita sebagai ‘Orang Melayu’. Maka nama itu sudah berfungsi sebagai pengenalan yang mantap dan diiktiraf sebagai nama yang wajar digunakan oleh sebuah bangsa Melayu yang wujud di dunia dengan segala kesatuan ciri budaya dan bentuk peribadi yang telah muncul sejak berkurun lamanya. Dari penelitian bahasa-bahasa oleh sarjana Eropah seperti Otto Dempwolff dan Welhem Schmidt penggunaan nama Melayu sebagai pengenalan bahasa-bahasa ‘Malayo-Polinesia’ sebagai sub-kelompok dari bahasa-bahasa “Austronesisch” (Austronesian) dan masyarakat di rantau alam Melayu telah meliputi kawasan yang amat luas termasuk seluruh kepulauan yang sekarang menjadi negara-negara terpisah seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Vietnam, Selatan Kampuchea serta kepulauannya. Penjajahan kolonial telah memecahbelahkan semua wilayah Melayu ini menjadi tanah jajahan pelbagai kuasa Eropah dan Asia: Sepanyol, Portugis, Belanda, Inggeris dan Siam, hingga mereka tidak lagi dapat memahami kedudukan mereka sebagai sebuah bangsa yang besar, mempunyai tanah air yang luas dan kesatuan budaya yang masih berakar umbi pada bahasa dan ciri adatistiadat yang saling berkaitan. Dengan demikian bangsa itu sudah merasakan dirinya kecil, sempit serta terasing antara satu sama lain. Hanya penelitian sejarah serantau melalui ilmu bahasa perbandingan dan kini kajian DNA umpamanya, akan dapat menyatupadukan gagasan serta tanggapan kesatuan yang luas dan diajarkan kepada semua anak Melayu dan bangsa Malaysia untuk memahami peranan dan misi sejarah bangsa yang sekian lama telah berlaku. Dengan demikian amat perlu dikaji dan ditulis sejarah Melayu yang panjang sejak bertapaknya bangsa itu di rantau Alam Melayu ini pada zaman pra-sejarah, proto-sejarah dan zaman sejarah awal hingga kini. Sebuah sejarah nasional Melayu yang memakan tempoh masa kira-kira 5000 tahun perlu dikaji dan dirakam untuk memahami akan keutamaan bangsa Melayu itu di bumi dan tanah air yang didiami oleh pelbagai bangsa asli serta pendatang dan membentuk pula pelbagai negara yang berasingan serta berdaulat.
Jati Diri Melayu dan Peradaban Dunia 49 Keperluan ini agak mendesak kini kerana ternyata kefahaman terhadap sejarah yang panjang itu serta keberfungsian sejarah sebagai fakta pengiktirafan akan status Melayu sebagai bumiputera di rantau ini sering dipertikaikan dan tidak difahami oleh pelbagai bangsa serta generasi muda Melayu. Malah terdapat usaha untuk ‘merebut’ kebumiputeraan oleh golongan luar yang melihat pelbagai pengaruh dari India sebagai ‘penaklukan’ dan ‘penempatan’ masyarakat India di rantau Alam Melayu. Kenapa hal ini perlu ialah kerana pengiktirafan diri dan oleh golongan lain terhadap status itu akan menerapkan suatu kenyataan fakta yang tegas dan ulung akan keutamaan diri bangsa Melayu terhadap kewujudan mereka di rantau ini dan juga menanam pengertian kasih dan taat yang mendalam tehadap wilayah yang kini menjadi negara dan para penghuninya sebgaai warganegara dalam negara bangsa yang moden. Malangnya sejarah yang diajarkan kepada anak-anak sekolah adalah terlalu cetek dan ringkas sehingga soal yang mendasari pelbagai tuntutan Melayu dalam perundangan Perlembagaan negara juga dalam pelbagai dasar awam yang sedang dilaksanakan kini tidak difahami sebaiknya. Ciri-ciri kebudayaan pelbagai bentuk terutama bahasa, seni tampak, seni persembahan dan sistem sosial termasuk kekeluargaan, politik dan pentadbiran tradisional dan juga himpunan ribuan hasil tulisan manuskrip Islami serta karya seni sastera adalah pernyataan pelbagai ciri budaya yang memberi petanda tegas dan bukti teguh akan keupayaan serta kreativiti bangsa Melayu menghuni dan berinteraksi dengan alam sekitarnya sehingga bukan sekadar menjadi penghuni pasif dalam alam itu bahkan mempengaruhi dan membangun peradaban atau tamadun dalam alam fizikalnya sehingga membina pengenalan rantau ini sebagai ‘Melayu’. Dari sejak awal tamadunnya di zaman ‘kepawangan’ (shamanism) kepada HinduBuddha dan kemudian Islam dan Barat, bangsa Melayu itu telah merupakan kelompok manusia yang aktif membina dan menggunakan segala sumber alam sejak ribuan tahun hingga merubah wajah alam ini dan memberi nama kepadanya sebagai Alam Melayu. Maka keupayaan menguasai dan mempengaruhi bentuk muka bumi dan alam sekitar sehingga membina unit politik, pemerintahan dan kenegaraan sehingga ke tahap empayar, di dalam kawasan geopolitik itu memberi bangsa Melayu suatu status atau kedudukan sebagai satu-satunya kelompok yang diiktiraf sebagai bangsa asal bumiputera yang membina negara dan empayar, sekali gus peradaban atau tamadun rantau ini.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 50 Walaupun pelbagai suku bangsa yang berkaitan dengan Melayu seperti ‘Mongolid Selatan’ ataupun golongan ‘Orang Austronesia Barat’, dan juga ‘Austro-Asiatik’ dikatakan telah pernah terdahulu menempatkan diri di rantau Alam Melayu namun mereka tidak membina negara apalagi memberi pengenalan atau identity sebagai petanda keutamaan kuasa dan wibawa kelompok itu. Sebahagian suku Melayu itu tetap merupakan golongan perantau yang berpindah-randah sehingga tidak wujud kesatuan negara dan wilayah, kekuasaan serta kewibawaan sebuah negara. Kelompok ini tidak membina dan pemerintahan dan tidak memberi identiti atau pengenalan kepada rantau wilayah ini kecuali pelbagai penempatan terbatas di lembah sungai dan pesisiran pantai. Hanya suku bangsa Melayu dan Jawa dalam Rumpun Melayu telah berupaya meletakkan segala kewibawan dan kekuasaan ini dan membentuk kenegaraan dan memberi nama kepada rantau ini sebagai Melayu atau Jawa. Fakta kuasa dan wibawa ke atas wilayah ini amat penting disedari kerana sejarah manusia sejak dahulu hingga kini hanya mengiktiraf dan memberi legitimacy terhadap kewibawaan bangsa ke atas wilayah itu sebagai faktor penentu kepada identiti dan kewujudan negara dan bangsa. Amerika, Australia, New Zealand atau Filipina, Columbia, China, India dan sebagainya tidak wujud tanpa kewibawaan bangsa yang mencipta pemerintahan ke atasnya meskipun telah ada kuasa atau penduduk lain lama sebelum datang dan hadirnya bangsa yang dominan dan memerintah sebagai penguasa kenegaraan. Justeru demikian sejarah akan memainkan peranan dan fungsi yang amat utama dan penting dalam menjelaskan gagasan kenegaraan dan pemerintahan sebagai landasan legitimacy suatu tuntutan dalam negara dan bangsa masa kini. Pelbagai ciri kebudayaan termasuk bahasa, kesenian dan sistem kemasyarakatan kekeluargaan, politik, ekonomi dan perundangan serta kepercayaan yang bertunjang kepada alam sekitarnya adalah penentu kepada kesatuan dan keutuhan bangsa itu sebagai sebuah kelompok manusia yang aktif dan berwibawa di wilayah kekuasaannya. Kebudayaan dan peradaban adalah petanda kepada territorial imperatives atau tuntutan kewilayahan manusia ke atas suatu kawasan bumi yang digagaskan oleh bangsa Melayu, dalam pepatah ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Itulah yang difahami dan dimengerti mereka sebagai ikatan emosi dan kuasa di atas muka bumi yang bernama ‘tanah air’. Daya cipta yang melahir dan menghasilkan pelbagai
Jati Diri Melayu dan Peradaban Dunia 51 bentuk dan ciri kebudayaan itu adalah petanda kepada kreativiti serta dinamika bangsa, dan wibawa kebudayaan serta peradabannya yang menyebabkan bangsa itu dapat membina bukan sekadar peradaban tinggi, agung dan besar bahkan juga memberi kesan dan pengaruh yang nyata dan jelas terhadap penggunaan serta kewujudan ciri muka bumi dan pelbagai binaan fizikal di mana mereka telah meneroka dan berkuasa. Inilah tuntutan Melayu yang sah dan legitimate terhadap negara ini sebagai hak bumiputera dalam sejarah, tradisi dan jati dirinya kini. Melayu Konteks Tamadun Dunia Kesahihan tuntutan bangsa Melayu itu dari sudut geo-politik dunia menerima pengiktirafan semua bangsa di dunia dan berlaku pada pengiktifaran kedaulatan negara di mata dunia melalui PBB. Malaysia sudah diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat (sovereign state) di persada antarabangsa atas nama Melayunya. ’Malaysia’ adalah “Kepulalaun Melayu” seperti digagaskan asalnya oleh peneliti di Perancis terhadap Kepulauan Alam Melayu: “Following his 1826 expedition in Oceania, French navigator Jules Dumont d’Urville invented the terms Malaysia, Micronesia and Melanesia, distinguishing these Pacific cultures and island groups from the already existing term Polynesia. In 1831, he proposed these terms to The Société de Géographie. Dumont d’Urville described Malaysia as “an area commonly known as the East Indies”. In 1850, the English ethnologist George Samuel Windsor Earl, writing in the Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia, proposed naming the islands of Southeast Asia as Melayunesia or Indunesia, favouring the former. (D’Urville dll, 1850) Dalam fenomena yang serupa, tuntutan atas sebuah wilayah berstatus negara telah memakan ribuan nyawa sebelum dapat membina sebuah wilayah sebagai negara bagi bangsa yang berdaulat. Bangsa Palestin yang beribu tahun mendiami dan memberi
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 52 identiti kepada Palestine direbut hak mereka oleh penjajahan sehingga saat ini masih berjuang di mata semua penduduk dunia untuk sebuah negara. Perjuangan bangsa Gypsy bagi mendapatkan sebuah negara bagi bangsa mereka untuk menghentikan kehidupan berkelana, merana dan menderita penghinaan pelbagai bangsa Eropah terhadap mereka akan berterusan selagi ada keinginan untuk mempertahankan bangsa. Akan terus berlalu peperangan antara bangsa Kurdish dengan semua jirannya di Turki, Iran dan Iraq sebelum mereka dapat membina sebuah negara Kurdistan sebagai pengiktirafan akan jati diri mereka sebagai bangsa Kurdis di tanah air mereka. Orang Ireland akan terus bersengketa sesama mereka atas nama jati diri Irish yang dipecahkan oleh penjajahah Brtitish ke atas Ireland Utara yang kini menjadi negara Katholik Ireland dan Northern Ireland yang Anglikan. Segala itu adalah fungsi dan peranan wibawa jati diri bangsa dalam menuntut kedaulatan mereka ke atas muka bumi yang dapat dinamakan sebagai tanah air dan negara berdaulat. Para ilmuwan Islam dalam bidang menyebut ikatan manusia dengan wilayah politiknya sebagai sebahagian dari iman: hubbul watan minal iman – kasihkan watan sebahagian iman. Atas landasan keimanan ini maka kita yang sudah bernegara wajib mempertahankannya sebagai negara Melayu, yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian menjadi Malaysia. Itulah keimanan yang dituntut sebagai Muslim. Tidak ada negara lain di muka bumi yang bernama Melayu. Pelbagai kesenian, bahasa dan sistem kemasyarakatan adalah landasan keunggulan bangsa Melayu untuk menonjolkan ciri-ciri unggul kepada semua bangsa di dunia akan keupayaannya di mata dunia. Segala ciri itu adalah bukti yang nyata dan tegas bahawa ia sudah cukup kreatif dan dinamik untuk membentuk wilayah serta corak kehidupan yang tersendiri dan bangga akan keupayaan itu. Ciri-ciri seni dan sistem kemasyarakatan mereka bukan sekadar untuk menjadi saluran kehidupan harian yang biasa bahkan adalah penunjuk dan petanda kepada kesanggupan dan keupayaan bangsa Melayu mencipta dan membina corak hidup dalam acuan kepandaian serta kebijaksanaan mereka sendiri tanpa bergantung kepada bangsa lain. Namun tidak ada suatu pun bangsa yang tulen dan jati dengan daya cipta sendiri sahaja tanpa pinjaman dan penyerapan dari budaya asing. Maka bangsa Melayu telah sedia menyerap segala kebijaksanaan bangsa lain sesuai dengan gaya hidup serta sistem nilai budaya mereka.
Jati Diri Melayu dan Peradaban Dunia 53 Keupayaan menyerap pelbagai ciri asing dan menyesuaikannya dengan sistem budaya dan masyarakat sendiri menjadikan ‘Melayu’ atau ‘masuk Melayu’ adalah proses dinamika Melayu. Hingga kini, pelbagai ciri asing telah diserap dan disesuaikan namun jati diri dan nama Melayu tetap wujud, kekal dan unggul. Maka dalam hubungan dengan pelbagai bangsa dan dalam konteks peradaban dunia, Melayu itu telah mengekalkan jati dirinya di rantau Melayu dan menjadikan tradisi dan sejarah berlangsung dan dapat dipertahankan. Kekuatan dinamika budaya Melayu untuk menerima serta menyerap pelbagai unsur luaran dan menapis nilai baik untuk megkayaka kebudayaan bangsa harus disedari dan dipelihara demi survival bangsa Malaysia. Survival bangsa Malaysia amat bergantung kepada nilai budaya Melayu. Sejarah lama dan moden amat jelas memberi iktibar bahawa bangsa Barat adalah bangsa sentiasa bersedia untuk berperang dan menjajah bangsa lain seperti mana bangsa Babarian yang terdahulu dari mereka di Eropah. Kini mereka mewarisi nilai Barbarian itu atas nama peradaban bangsa moden. Mereka akan mengadakan sebab (pretext) sebagai memberi ancaman terhadap keselamatan mereka walaupun berada jauh bagi melakukan penyerangan, peperangan dan penaklukan. Di zaman moden yang dikatakan amat bertamadun serta beradab, naluri liar ‘imperialisme’ telah menakluk Iraq atau sebarang negara Asia Barat atau negara Islam tidak pernah mengancam Amerika atau Eropah. Namun semua negara mereka bersedia untuk menakluk negara Islam atas nama peradaban mereka itu. Malaysia sebagai pengenalan konkrit dan sebuah unit geopolitik di muka bumi akan kekal bersatu sebagai sebuah bangsa dan negara atas nilai budaya Melayu yang amat altruistik yang meletakkan keperluan orang lain sebagai penting. Altruisme adalah nilai asasi Melayu yang tidak ada tolok bandingnya. Sikap assertive dan ‘kurang ajar’ ataupun ‘kiasu’ asing yang kini disaran agar diterap ke dalam nilai Melayu dan Malaysia akan membawa kepada padah pergaduhan serta sengketa yang tidak berputusan antara warganegara dan antara negara. Justeru demikian, demi keutuhan bangsa dan negara maka nilai ‘budi’ Melayu yang amat universal sebagai nilai peradaban tertinggi manusia yang beradab itu harus dipertahankan dan dimajukan sebagai nilai kebangsaan dalam negara dan dunia.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 54 Melayu dan Islam Sejak abad ke-11 Masihi, Islam sudah menjadi intisari jati diri Melayu. Meskipun Islam menyerap secara beransur-ansur ke dalam diri bangsa Melayu; dengan erti penyerapannya berlaku dari penerimaan golongan atasan di istana ke lapisan bawahan masyarakat dari kota ke desa pedalaman. Pelbagai anasir ‘animisme’ kekal berfungsi di dalam masyarakat, namun Islam itu sudah menyatu beridentifikasi dengan seluruh kehidupan Melayu. Islam berupaya membentuk jati diri Melayu dan menjadi penentu (determinant) kepada setiap yang bernama Melayu. Pelbagai anasir dalaman dan luaran yang telah lama terserap telah mendapat ‘saringan’ dan ketetapan Islami untuk menjadikannya Melayu, termasuk pelbagai anasir yang dilihat sebagai ‘khurafat’ atau ‘bid’ah’ dari saringan hukum Islam. Intisari nilai yang dulu diterima dari sejarah HinduBuddha kini telah tersaring di dalam tapisan Islam dengan kandungan spiritualisme atau kerohanian Islam meskipun pada permukaannya dan bentuk gagasan itu masih memperlihatkan warisan asalnya dari zaman pra-Islam. Gagasan rukun Islam seperti ‘sembahyang’ atau ‘puasa’ dan hukum seperti ‘dosa’ dan ‘pahala’ ataupun alam semesta seperti ‘syurga’ dan ‘neraka’ adalah warisan dari zaman pra-Islam itu yang telah dibersihkan intisari kerohanian asalnya dan kini sepenuhnya difahami sebagai tulen Islami dengan ‘keesaan’ Tuhan sebagai asas ‘tauhid’ yang mendasari semua gagasan itu. Justeru demikian, Islam sebagai asas jati diri Melayu tidak lagi menjadi persoalan meskipun masih terdapat keberfungsian pelbagai anasir masyarakat dan kebudayaan Melayu yang memperlihatkan bentuk pra-Islaminya. Anasir yang paling jauh dari kandungan Islam pun perlu mendapat kesahihannya dan kemujarabannya (efficacy) berasaskan kerohanian Islam, seperti ‘jampi’, ‘serapah’, ‘mantera’ yang dari sudut Islam adalah merupakan doa. Setiap ucapan yang bernama jampi atau serapah akan mengandungi ucapan asasi wibawa memohon kuasa Allah, Rasul, Nabi dan pelbagai watak para sahabat Nabi untuk mempastikan kemujaraban serapah itu. Ini bermakna, Islam dan seluruh sifatnya adalah bahagian dari personaliti (sahsiah), sistem dan ciri kehidupan Melayu. Hanya yang menjadi persoalan ialah betapa kognisi dan alam fikiran Melayu, daya pengetahuan, masih kekal Melayu melalui bahasa Melayu. Bahasa Arab sebagai bahasa
Jati Diri Melayu dan Peradaban Dunia 55 al-Quran menjadi kemahiran golongan ilmuwan dan sebahagian para pelajarnya yang kekal melangsungkan keilmuan Islam dalam masyarakat Melayu. Justeru demikian, ilmu Islam yang terserap ke dalam alam fikiran Melayu melalui bahasa Melayu seringkali tidak mencapai kedalaman ilmu Islam dalam tradisi bahasa Arab meskipun telah berlaku terjemahan dan saduran pelbagai pemikiran klasik Islam ke dalam bahasa Melayu. Kelihatan berlaku semacam jurang pemahaman dan pengertian antara golongan terdidik dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab dari sudut pengertian Islami. Hasilnya wujud lapisan pengertian yang berbeza dalam kalangan lapisan masyarakat dan golongan ilmuwan Melayu terhadap Islam itu sebagai hukum, anasir kehidupan dan kepakaran. Positifnya telah banyak usaha menerbitkan buku risalah Islam dalam bahasa Melayu untuk merapatkan jurang pengertian dalam kalangan masyarakat awam agar lebih substentif dan berisi. Melayu-Islam dan Global Kesan dari perkembangan semasa, kedalaman pengertian Islam dalam masyarakat ialah kemunculan usaha dan saranan terkini untuk menegakkan nilai ‘wasatiyyah’ sebagai intisari nilai dalaman masyarakat Melayu dan diperluas pula ke seluruh dunia yang bertunjangkan Islam dan ajaran al-Quran, sebagai petanda kepada peranan dan keberfungsian jati diri Melayu dan kenegaraannya di mata dunia. Maka berlaku suatu sentesis baru pada jati diri Melayu-Islam di persada global. Melayu sebagai rupa bangsa terawal dan nama etnik yang hanya berfungsi dalam lingkungan negara, telah bertukar kepada Islam dengan sistem kenegaraannya (Malaysia) menjadi identiti global Melayu itu. Kita melihat suatu perkembangan linear, kaitan erat antara Melayu dan Islam, sebagai gagasan jati diri itu untuk berfungsi pada tahap global. Sebahagian dari fenomena ini pastilah kerana kemunculan Islam sebagai ‘nama’ penting dalam sejarah dan peradaban dunia dan kini mendapat label atau jolokan yang kontroversi: dari peradaban hingga kepada keganasan. Dan, Malaysia memberikan rupa dan wajah ‘moden’ serta ‘moderate’ kepada tanggapan global itu.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 56 Dalam konteks sedemikian maka amat wajar Malaysia sebagai sebuah negara Melayu memainkan peranan yang besar dan bermakna untuk membentuk kembali wajah dan esensi Islam pada tahap global kerana belum terdapat depiction atau gambaran citra negatif terhadap wajah Melayu-Islam di mata dunia. Setakat ini wajah Islam-Melayu yang tersebut dan tergambar adalah amat positif, aktif dan proaktif dalam mencorakkan kehidupan global melalui pelbagai peranan di PBB serta serba macam tindakannya dari segi ekonomi, pendidikan, sosial mahupun politik dan ketenteraan. Dari sudut itu, Malaysia yang intisarinya adalah Melayu adalah citra terbaik dan terulung bagi Islam pada tahap dunia dan global. Perkembangan sedemikian mempunyai dua lapis makna serta fungsi yang amat positif serta mendalam bagi perkembangan peradaban Melayu di Malaysia dan pada tahap global. Pertama, anjakan jati diri Melayu sebagai wakil dan wajah Islam di luar negara menegaskan sepenuhnya akan berfungsi Islam sebagai intisari Melayu seluruhnya. Hal ini membawa kesan baik bagi identifikasi dalam negara: Malaysia sebagai negara Islam untuk meneguhkan pembinaan bangsa serta pelbagai institusi Islam. Kedua, Melayu sebagai wajah Islam global dan antarabangsa memberi alternatif terhadap citra Islam yang lebih benar dan wajar berasaskan intisari nilai Islami yangn hakiki – salam, selamat, aman, penyerahan - di mata dunia. Penonjolan ‘wasatiyyah’ sebagai citra baru Islam berlandaskan sahsiah, peribadi atau personality Melayu adalah gerakan positif membentuk kognisi dan pengertian baru masyarakat dunia terhadap Islam. Lebih utama lagi ialah penonjolan bahawa konsep ‘wasatiyyah’ itu mengandungi bukan sekadar gagasan ‘moderate’ atau ‘pertengahan’ bahkan ‘keadilan’ dan ‘perimbangan’ sebagai hakikat dan esensi seluruh gagasan itu (al-Baqarah: 143). Gerakan Melayu sebagai wajah Islam pada tahap global itu amat wajar dan wajib dilakukan kerana ia dapat membina kembali atau rekonstruksi wajah yang telah lama dihitamkan atau kini dikatakan demonised sejak zaman Perang Salib yang mengejutkan tamadun Barat akan keliaran dan barbarism mereka. Islam merupakan spiritualisme subversif bagi mereka yang mempersoal serta memberi tafsiran baru dan lain dari gagasan iman mereka berasaskan trinity ataupun original sin. Sejak itu, Islam adalah musuh dan mesti dihancurkan. Hingga kini sikap bermusuh terhadap Islam kekal sebagai gerakan Barat, yang diperteguh dengan tindakan ganas segolongan
Jati Diri Melayu dan Peradaban Dunia 57 masyarakat Islam yang melampaui batas hukum Islam sendiri sehingga membentuk citra atau imej Islamophobia global dan eurobia di Eropah. Maka wajah dan sahsiah Melayu, yang esensinya terbentuk dalam gagasan-gagasan Islami ‘berbudi bahasa’, ‘berbudi pekerti’ dan ‘berbudi bicara’ dengan kefahaman ‘bahasa’ sebagai esensi yang bukan sahaja wajah itu baik bahkan berilmu serta bijaksana, adalah wajah yang amat positif pada tahap global. Wajah ‘aman’ dan ‘selamat’ dalam bentuk ‘budi’ itu harus kembali dinamik dengan suntikan dinamika ‘jihad’ yang benar dan hakiki. Pada tahap ini, jihad sudah menjadi esensi terburuk yang melahirkan ‘citra ganas’ bagi wajah Islam. Padahal, anasir keganasan yang sama tetap berlaku dalam semua kuasa dan bangsa terutama Barat. Semua kuasa besar kini memperteguh citra ‘perkasa’ mereka terutama Amerika untuk mengingatkan semua bangsa lain akan ‘awe and shock’ layanan mereka terhadap sebarang usikan terhadap dari luar. Citra ganas yang membunuh ratusan ribu manusia asing itu adalah ‘kemanusiaan’ dan ‘keamanan’ bagi mereka. Jihad dan segala bentuk penentangan terhadap keganasan mereka adalah terrorism yang mesti perangi. Justeru itu, jihad sebagai dinamika membela, memelihara dan mengekalkan ‘salam’, ‘wasatiyyah’ serta Islam melalui ‘bela diri’ dan pertahanan yang sentiasa ‘siap siaga’ dari serangan manusia lain terhadap masyarakat Islam wajar ditanam ke dalam sahsiah dan personaliti Islam-Melayu sebagai pancaran sahsiah dinamik untuk memastikan tidak berlaku penindasan dan sekali gus menghancur dan menghapuskan umat Islam di dunia. Justeru demikian, sintesis Melayu-Islam adalah merupakan sinergi citra dan esensi nilai yang amat positif untuk menjadi landasan baru keberfungsian jati diri Melayu-Islam itu bahkan memberi sumbangan kepada citra Islam sejagat. Inilah misi jati diri MelayuIslam pada zaman ini. Dinamika jihad dalam bentuk yang benar dan betul dapat mengelak dari berlakunya sikap dan tindakan negatif yang telah lama tertanam dalam peribadi Melayu-Islam di Alam Melayu. Lanjutan daripada nilai budi dari warisan lampau Buddha itu, telah muncul pelbagai gagasan terbitannya dalam pelbagai bentuk terutama ‘tolak-ansur’ atau altruisme itu mempunyai akhiran atau terminal logis, seringkali menjadi kalah atau menyerah. Dalam pada itu berlaku juga personaliti atau peribadi yang bertegas dan
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 58 berkeras setelah terlalu banyak bertolak ansur, terlampau mengakomodasi kepentingan dan keperluan orang lain. Justeru gagasan ‘beri betis hendakkan peha’ muncul, sebagai peringatan dan membina sikap menentang permintaan yang terlampau melebih dari yang patut, yang tidak wajar atau yang tidak adil. Pada tahap itu, nilai asasi keadilan, berpatutan atau padan dengan keperluan akan beroperasi untuk mengimbangi altruisme Melayu. Perubahan nilai dan norma dari mengalah serta menyerah kepada menentang dan menuntut keadilan atau keberpadanan layanan dan sikap akan menyebabkan muncul sikap yang lebih keras dan nekad seperti ‘menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang mandi biar basah’, ‘alang-alang berdakwat biar hitam’ atau lebih keras dan nekad ialah niat ‘amuk’. Jika terlampau ditolak dan diansur hingga terdesak ke sudut tembok dan tidak dapat lagi jalan keluar maka yang terakhir ialah pengorbanan diri yang tidak mengalah: mengamuk. Ibarat kata, ‘rajanya mati, negerinya alah’. Rakyat Melayu sudah mempertontonkan kesetiaan terhadap nilai budi dan amuk itu dalam jiwa keperwiraan Melayu di mata dunia dengan jati dirinya. Keperwiraan itulah yang harus menjadi panduan dalam menghadapi desakan dan cabaran dunia masa kini. Sementelahan pula Melayu itu adalah Muslim, maka pengorbanan dijalan Tuhannya telah dijanjikan pahala tertinggi, dan syurga. Keperwiraan itu adalah ‘jihad’ yang benar yakni perjuangan di landasan yang diredhai membela yang tertindas dan terpinggir serta terdesak. Inilah intisari kemelayuan di hati Melayu-Islam yang kini menjadi wajah ‘wasatiyyah’ untuk tatapan dan keberfungsian di mata dunia yang sedang bertemu serta berhadapan dengannya dalam kalangan warga Malaysia dan warga dunia di PBB.
Jati Diri Melayu dan Peradaban Dunia 59 Bibliografi Bellwood, Peter, Fox, James, Tryon, Darrell, 1995. The Austronesians: Historical and Comparative Perspectives. Australian National University Department of Anthropology. During, Simon, 2003. The Cultural Studies Reader. 2nd ed. London New York: Routledge. D’Urville, Jules-Sébastien-César Dumont; Isabel Ollivier, Antoine de Biran, and Geoffrey Clark. “On the Islands of the Great Ocean”. The Journal of Pacific History (Taylor & Francis, Ltd.) 38 (2). JSTOR 25169637. ; Earl, George S. W. (1850). “On The Leading Characteristics of the Papuan, Australian and Malay-Polynesian Nations”. Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia (JIAEA): 119) – Wikipedia: Malaysia) Isaacs, Harold Robert, 1975. Idols of the Tribe: Group Identity and Political Change. Harvard University Press, 1975. Lyotard, Jean-François, 1979. The Postmodern Condition: A Report on Knowledge. Trans. Geoffrey Bennington and Brian Massumi. Minneapolis: University of Minnesota Press, 1984 [La Condition postmoderne: Rapport sur le savoir. Paris: Éditions de Minuit]. Malaysia: Wikipedia. the free encyclopedia. Oppenheimer, Stephen, Journey Of Mankind - The Peopling of the World, http://www. bradshawfoundation.com/journey/ Winstedt, R.O., 1996. A History of Classical Malay Literature, MBRAS, (Y. A. Talib).
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 60
Peradaban Dan Jati Diri Melayu Zainal Abidin Borhan* Yayasan Karyawan Malaysia * Datuk Zainal Abidin Borhan adalah Pengarah Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia merangkap Ketua Dua GAPENA
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 62 Pendahuluan Artikel ini akan membincangkan tiga perkara pokok iaitu konsep peradaban, peradaban Melayu dan jati diri Melayu. Konsep peradaban boleh disamakan dengan konsep tamadun. Kata peradaban berakar kata adab yang berasal dari kata Arab yang bermaksud kesusasteraan. Tetapi adab dalam bahasa Melayu bermaksud perilaku atau pekerti yang baik, sopan, halus dan bertatasusila. Tamadun pula berasal dari kata Arab maddana, satu kata-kerja yang merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota serta perbuatan memperhalus budi pekerti. Dari kata kerja maddana, terdapat perkataan madani yang merujuk kepada sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta budi pekerti yang halus. Kata maddana dan madani berasal dari kata deen yang bermaksud kehidupan beragama. Kehidupan beragama dan daya keberagamaan bukan sekadar perilaku yang ritualistik sahaja, tetapi menuntut interaksi yang amat mendalam antara makhluk dengan Khalik. Suatu tuntutan yang habluminallah, yang menyatu antara yang ritualistik dengan ketaqwaan dan keimanan, juga interaksi perilaku dan tutur kata yang habluminannas sesama manusia. Natijah dari pentakrifan ringkas di atas, peradaban ialah pencapaian tatasusila, moral dan etika yang tinggi. Peradaban di dalam kerangka natijah berkenaan menuntut manusia untuk melaksanakan nilai yang tauhidik dan manusiawi. Manusia sebagai makhluk Allah diberikan fungsi yang amat besar iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebenaran Tuhan di muka bumi sebagai khalifat-ul-ardh atau wakil Tuhan di muka bumi. Sebagai khalifah, manusia bukan sahaja tunduk dan taat kepada perintah Allah S.W.T., melaksanakan fungsi memakmur dan membawa kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Kemakmuran dan kesejahteraan sewajibnya dengan memanfaatkan seluruh khazanah bumi yang dianugerah Allah untuk kemanusiaan. Kemakmuran dan kesejahteraan juga dilaksanakan melalui hukum peraturan dan perundangan untuk memastikan kemanusiaan di atas landasan akhlak, susila, moral dan etika. Oleh sebab itu peradaban bukan sahaja persoalan pencapaian kehidupan melalui kemajuan kota dan bandar yang penuh pencakar langit atau kemajuan ekonomi yang berasaskan sains dan teknologi, tetapi apa yang lebih
Peradaban dan Jati Diri Melayu 63 penting ialah kejayaan manusia memanusiakan dirinya pada masyarakatnya di dalam kehidupan yang berakhlak, bertatasusila, bermoral, beretika dan beradab. Seluruh natijah peradaban dan ketamadunan adalah suatu yang ideal yang telah diungkapkan oleh para pemikir dan sarjana peradaban serta ketamadunan. Di Malaysia secara khusus di universiti awam dan swasta terdapat kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dan terdapat juga buku teks khasnya yang diedit oleh Chandra Muzaffar dan lain-lain pada tahun 2001 kemudian diulang cetak pada 2002. Buku ini menjadi panduan kepada seluruh siswa pengajian tinggi di Malaysia. Walau bagaimanapun persoalan peradaban atau ketamadunan digerakkan dan dikembangkan oleh manusia melalui masyarakat dan kebudayaan. Secara evolusi kebudayaan berkembang dari masyarakat sederhana (tribe) atau puak ke masyarakat yang kompleks, dari budaya rendah ke budaya tinggi. Peradaban atau ketamadunan dengan rancaknya berkembang di masyarakat yang kompleks dan berbudaya tinggi. Di dalam kerangka tatasusila dan hukum peraturan, masyarakat sederhana mempunyai tatasusila dan hukum peraturan yang mengutamakan permuafakatan dan nilai-nilai kolektif serta egalitarian, walau pun terdapat puak yang memiliki sistem hierarki. Masyarakat kompleks memiliki tatanan (struktur) sosial, ekonomi dan politik yang kompleks; lazimnya berhieraki dan jauh lebih maju berbanding masyarakat sederhana. Lazimnya masyarakat kompleks dan maju bermukim di kawasan bandar atau kota manakala masyarakat sederhana di desa atau di luar bandar atau pendalaman. Peradaban Melayu Peradaban Melayu telah lama bertapak di Asia Tenggara. Peradaban ini telah berkembang dari kebudayaan Melayu, dan orang Melayu merupakan di antara penduduk asal rantau ini (Nik Hassan Suhaimi, 1993). Wilayah peradaban atau ketamadunan tersebut dikenali dengan pelbagai nama seperti gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago), Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi. Dua perkara penting yang mewarnai peradaban wilayah ini ialah bahasa Melayu yang menjadi lingua franca dan agama Islam yang merupakan pelengkap pembentukan peradaban ini.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 64 Memperkatakan peradaban Melayu, merujuk kepada kemunculan masyarakat yang mempunyai struktur sosial yang kompleks seperti masyarakat yang pernah wujud di pusat-pusat kerajaan Melayu awal. Pusat-pusat berkenaan wujud di pelbagai negarakota (city-states) atau pusat bandar (urban-centres). Srivijaya, Pasai dan Melaka adalah antara negara-kota Melayu pada zaman lalu. Di Asia Tenggara manifestasi peradaban Melayu terawal berlaku semasa pembentukan kerajaan Melayu awal (Ahmad Hakimi, 1998). Antara kerajaan Melayu pra-Islam awal ialah Funan, Langkasuka, Kuala Selinsing (Perak) dan Lembah Bujang (Kedah). Dengan sokongan sistem ekonomi yang kuat khasnya dalam penghasilan sumber makanan mampu menampung keperluan penduduk kota atau bandar. Walaupun terdapat peradaban di Asia Tenggara yang berasaskan pertanian atau masyarakat agraris, namun sebahagian besar kerajaan Melayu awal merupakan kerajaan maritim. Kerajaan-kerajaan Melayu awal telah wujud sekurang-kurangnya 2500 tahun lalu di Malaysia seandainya berasaskan penemuan kesan-kesan arkeologi di Lembah Bujang dan Kuala Selinsing (Ahmad Hakimi, 1998, Bellwood, 1997). Kedua-dua kerajaan awal tersebut meninggalkan bukti arkeologi yang membuktikan terdapat pelabuhan yang didirikan oleh mereka yang terlibat dalam perdagangan jarak jauh. Perdagangan jarak jauh ini memerlukan rangkaian perhubungan yang besar dan petempatan yang agak lama dan tetap serta sistem kepimpinan yang efektif, satu tanda wujudnya masyarakat yang kompleks. Petempatan yang wujudnya di bahagian utara Sumatera dan di Segenting Kera serta di Semenanjung Tanah Melayu mewujudkan jaringan masyarakat dan komuniti yang disebut oleh Andaya (2008:14) sebagai the sea of Malayu. Kebudayaan dan peradaban orang Melayu wujud dan muncul pada masa itu kerana teknologi perkapalan Melayu pada masa itu mampu untuk menguasai perdagangan jarak jauh yang melalui perairan yang dikuasai oleh kerajaan Melayu, khasnya Selat Melaka. Empayar Funan dan Srivijaya menguasai laluan perdagangan di kawasan mereka. Salah satu cara pemikiran sosio-politik Melayu pada masa itu adalah pembentukan kerajaan-kerajaan dan empayar-empayar berdasarkan pengaruh. Konsep ini berbeza dengan pemikiran Eropah Barat yang mengembangkan wilayah melalui penaklukan dan penetapan sempadan wilayah secara fizikal. Oleh sebab masyarakat Melayu
Peradaban dan Jati Diri Melayu 65 pada dasarnya adalah kumpulan manusia yang tinggal di kawasan kepulauan, mereka kurang memberi perhatian kepada penguasaan fizikal wilayah mereka. Seandainya ada yang tidak setuju dengan mana-mana jua kekuasaan mereka boleh keluar dari sesuatu tempat untuk menuju ke tempat lain. Penguasaan kawasan bukannya semata-mata berdasarkan kepada penguasaan tanah, tetapi juga berteraskan kepada penguasaan laluan air serta kebolehan menarik orang datang ke sesuatu tempat. Sebelum kedatangan agama Islam, peradaban Melayu terawal dipengaruhi oleh agama-agama Hindu dan Buddha. Sentiasa terdapat persaingan antara peradaban Melayu yang beragama Hindu dengan peradaban Buddha untuk menguasai laluan perdagangan, dengan kemunculan agama Islam telah mengubah bentuk-bentuk peradaban Melayu dan dengan memeluk agama Islam membolehkan mereka menguasai perdagangan di kawasan ini. Selepas Funan, Srivijaya, Kutei, Langkasuka, dan Majapahit, telah muncul kerajaan dan kesultanan Melayu seperti Pasai, Brunei, Melaka, Johor-Riau, Sambas, Aceh, Manila, Pagarruyung, Palembang, Jambi, Bugis-Makassar, Buton, dan lainlain dari abad ke-14 hingga ke-18. Kesemua kesultanan ini telah berkembang dari pelabuhan kecil di pelbagai terusan perdagangan sehingga menjadi pelabuhan yang ternama yang kemudiannya pada abad ke-16 dikuasai oleh kuasa Eropah. Dari abad ke-14 hingga ke-17 adalah abad yang penting kepada Ismail Hussien (1990:72) sebagai zaman keemasan kesedaran Melayu. Pada zaman inilah yang disebut oleh Ried (1993) sebagai zaman perdagangan yang hebat (the age of commerce). Selain dari perdagangan, kesultanan ini juga berperanan sebagai pusat peradaban Melayu khasnya dari segi persuratan. Hikayat Raja-Raja Pasai, Salalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah, Hikayat Sambas, Hikayat Aceh, Hikayat Siak, Hikayat Banjar, Hikayat Patani, Hikayat Merong Mahawangsa, Misa Melayu (Perak) dan lain-lain salasilah seperti Salasilah Melayu-Bugis atau syair seperti Syair Perang Makasar dan Syair Awang Semaun (Brunei) adalah di antara hasil-hasil kesusasteraan yang muncul dari abad ke-14 hingga ke-19, meriwayatkan pelbagai pensejarahan atau historiografi Melayu yang meriwayatkan asal-usul kerajaan atau kesultanan berkenaan. Hikayat, salasilah mahupun syair tersebut melengkapi kitab-kitab agama, naskhah saduran dan pelbagai naskhah kepustakaan Melayu yang ditulis dan disalin dalam
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 66 tulisan Jawi. Teuku Iskandar (1995) telah menyenaraikan sejumlah besar kitab-kitab dan naskhah yang telah dihasilkan sama ada secara saduran dan ditulis oleh penulis tempatan. Pada zaman transisi Hindu-Islam telah disesuaikan kitab Ramayana ke Hikayat Sri Rama; kitab Mahabharata ke Hikayat Pendawa Jaya. Dengan masuknya Islam dihasilkan Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Iskandar Dzulkarnain. Pada zaman kesultanan Melaka disebut dalam Sulalatus Salatin, ada kitab yang datang dari Pasai bernama Durr al-Mandhum. Di kurun ke-16, di Aceh disalin kitab Aqaid al-Nasafi, di samping karya-karya Hamzah Fansuri seperti Asrar al-Ariffin, Syair Perahu dan lainlain. Seorang lagi ulama Aceh, Syamsuddin Pasai telah menulis di antaranya Mir’at-alQulub; Nuruddin al-Raniri pula dengan Sirat al-Mustaqim, Bustan-al-Salatin dan lainlain lagi. Di samping kitab-kitab agama terdapat juga naskhah-naskhah perundangan seperti Undang-Undang Melaka (Hukum Kanun Melaka), yang kemudiannya menjadi asas kepada Undang-Undang Johor, Undang-Undang Aceh, Undang-Undang Pahang dan Undang-Undang Kedah. Terdapat juga kitab-kitab ketatanegaraan seperti Taj-ul-Salatin, Thamarah al-Muhimmah dan Kitab Nasihat Raja-Raja. Kitab-kitab ini dikatakan disadur dari Nasihat al-Mulk (karya al-Ghazali) dan lain-lain karya Parsi seperti Qabusnama (Jelani Harun, 2003). Seluruh kitab-kitab atau naskhah-naskhah yang dihasilkan di dalam tulisan Jawi yang berkembang sebagai tulisan Melayu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu berasal dari hulu sungai Kapuas di Kalimantan Barat (Adelaar, 1995; Collins, 1995). Hipotesis ini berdasarkan andaian bahawa di Hulu Kapuas terdapat lebih banyak variasi bahasa Melayu. Hipotesis ini mungkin benar namun belum ditolak oleh para pengkaji bahasa dan linguistik Melayu. Bahasa Melayu menjadi lingua franca lantaran terdapatnya peranan kesultanan Melayu yang mengembangluaskan bahasa berkenaan melalui perdagangan serantau dan antarabangsa pada masa itu. Surat-surat raja-raja dan sultan-sultan Melayu serta pembesar Melayu kepada pegawai-pegawai British dan Belanda ditulis dalam bahasa Melayu (Gallop, 1994; Drakard, 1999). Kitab-kitab dan naskhah-naskhah Melayu ditulis dengan aksara Jawi membantu menyebarluaskan bahasa Melayu. Di Aceh, bahasa Melayu adalah bahasa istana, malah Hikayat Aceh juga ditulis dalam bahasa Melayu (Braginsky, 2003).
Peradaban dan Jati Diri Melayu 67 Kemunculan dan kehadiran Islam dalam peradaban Melayu tidak boleh dipisahkan daripada Islamisasi yang lebih luas yang berlaku di Asia Tenggara, khususnya di Nusantara atau alam Melayu. Berdasarkan fakta sejarah yang telah ada, dapat dirumuskan bahawa lautan ini telah menerima pengaruh Islam dari pelbagai penjuru, dari Tanah Arab, China, India dan Parsi yang dibawa oleh para pendakwah sama ada peniaga, ahli sufi atau para mubaligh. Islam berkembang di pelbagai tempat, bukan di satu tempat sahaja (Mohammad Abu Bakar, 2000: 23-24). Islam telah membawa perubahan yang transformatif, dari mengamalkan kepercayaan tradisi yang animistik kepada kepercayaan yang tauhid dan bertaqwa kepada Tuhan yang esa. Walaupun Islam berkembang secara sinkretis namun secara beransur-ansur transformasi tersebut berlaku secara menyeluruh, mensenyawakan satu sintesis yang amat erat sehingga menjadi faktor yang mentakrif Melayu sama ada dari segi kebudayaan dan konstitusi. Sintesis atau transformasi kebudayaan tidak akan berlaku seandainya pengaruh yang datang itu tidak kuat, tidak praktikal berbanding dengan kepercayaan yang sedia ada. Penerimaan Islam oleh kesultanan Melayu, seperti Melaka sebagai contoh, membuka lembaran baru dalam sejarah Islam umumnya dan sejarah masyarakat dan budaya Melaka khasnya. Penerimaan Islam melalui istana maka rakyat turut sama menerimanya seperti terakam di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Transformasi terpenting ialah konsepsi dan pandangan dunia bahawa raja adalah bayangan Tuhan di muka bumi telah ditukar kepada wakil Tuhan di muka bumi (khalifat-ul-ardh). Nilai politik Islam diubahsuai seperti mana terkandung di dalam Hukum Kanun Melaka. Yang menarik Adat Raja yang dibawa dari Palembang, atau ada yang menyebutnya sebagai Adat Temenggung yang diwarisi oleh Melaka terus berfungsi dengan orientasi Islam. Kedatangan Islam bukan sahaja telah membawa kebudayaan berpangkal kepada ajaran Tauhid bahkan menukarkan kepercayaan tradisi dari Hindu-Buddha kepada Islam. Jiwa kebudayaan Melayu dan Islam dapat dilihat dari cara pemakaian, minum, pengembangan ilmu pengetahuan, kesenian dan persuratan dan falsafah. Islam menjadi jiwa dan roh Melayu dan kemelayuan, malah menjadi ideologi Melayu.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 68 Persoalan peradaban Melayu menjadi fokus Anthony Milner (2008) untuk membicarakan persoalan kemelayuan. Terdapat empat perkara yang menjadi fokus kemelayuan, iaitu raja atau sultan Melayu, agama Islam, bahasa dan kebudayaan atau adat (Reid, 2004; Shamsul Amri, 2004). Jati Diri Melayu Sering terdengar dan terbaca bahawa apa itu Melayu. Di Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perkara 160 perlembagaannya menyatakan bahawa Melayu itu “ertinya seseorang yang menganut agama Islam, lazim bercakap Melayu, menurut adat istiadat Melayu”. Pentakrifan yang konstitusi ini juga digunakan secara kebudayaan di alam Melayu, walaupun Melayu itu dikatakan satu etnik di Singapura dan Indonesia. Pentakrifan ini membuktikan bagaimana sintesis antara Melayu dan Islam berlaku. Islam menjadi faktor pentakrif Melayu. Ia juga boleh merupakan takrif kebudayaan sehingga yang bukan Melayu, apabila memeluk Islam dan berkahwin dengan perempuan atau lelaki Melayu dikatakan masuk Melayu dan akhirnya jadi Melayu. Ia bukan sekadar penanda kultural tetapi juga ideologikal. Dari takrifan berkenaan dapat dikesan tiga perkara pokok yang menentukan Melayu, iaitu Islam, bahasa dan adat Melayu. Dari perbincangan di atas persoalan kemelayuan yang diperkatakan di atas turut mengesahkan faktor yang sama. Selain daripada raja atau sultan Melayu, yang masih kekal pada masa kini di Persekutuan Malaysia, Islam turut berperanan mentakrif Melayu. Walaupun faktor raja dan sultan tidak menjadi faktor di Singapura dan Indonesia serta juga daerah Melayu lain, namun Islam, bahasa dan adat Melayu tetap menjadi teras kemelayuan. Sembilan raja-raja Melayu yang sedia ada di Persekutuan Malaysia adalah lanjutan dan kesinambungan masa lalu. Sultan Kedah dan kesultanannya adalah di antara yang terawal dan tertua. Walaupun Kesultanan Melaka telah tiada dialahkan oleh Portugis pada tahun 1511, namun disambung oleh Kesultanan Johor (1528) dan Kesultanan Perak (1528). Kelang yang pada abad ke-15 merupakan Jajahan Melaka dan pada abad ke-16 hingga 17 menjadi jajahan takluk Johor-Riau, namun pada tahun 1743 Raja
Peradaban dan Jati Diri Melayu 69 Lumu menjadi Sultan Selangor pertama. Seandainya disemak dari Sulalat-al-Salatin kerajaan dan Kesultanan Pahang Inderapura, Terengganu dan Kelantan sudah sedia wujud sezaman dengan Melaka. Sebagai pelajar bidang Pengajian Melayu, amat disedari bahawa bahasa dan adat Melayu itu dinamik. Bahasa Melayu yang berkembang ribuan tahun lalu mungkin berbeza dengan bahasa Melayu kini dari segi kosa-kata, tata-bahasa, pembangunan dan perkembangannya. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Persoalan yang bakal dikemukakan di antara kedinamikan bahasa Melayu ialah persoalan kesantunannya yang menjiwai kemelayuan itu. Maka isu jati diri Melayu sewajarnya juga dibincangkan bukan sahaja dari sudut jati diri lahiriah sahaja tetapi juga dari sudut batiniah. Dari sudut lahiriah Melayu itu lazimnya bersawo-matang warna kulitnya. Walau pun ada orang Melayu yang putih kuning dan hitam manis; kadang kala ada juga yang hitam legam mahupun putih melepak. Orang Melayu lazimnya tidak tinggi yang rata-rata sekitar antara 1.5 meter hingga 1.6 meter. Ada yang tinggi lampai walaupun ada yang rendah dan jarang pula katek. Ada yang langsing, berisi, gempal, gemuk dan agam. Rambut mereka ikal mayang, kerinting dan halus. Bahawa jati diri Melayu itu ada jiwa dan rohnya. Kemelayuan bukan sahaja dilihat dari sudut siratan yang bertali kepada asal usul sejarah, bahasa, budaya, agama dan wilayah. Penerokaan selanjutnya ialah menyelusuri aspek dalaman atau batiniah Melayu. Aspek batiniah ini bukan sekadar rasa atau emosi, atau sekadar persoalan cinta kasih sayang seperti yang dihadapi oleh remaja Melayu kini. Ada persoalan yang besar dari rasa atau emosi. Apakah yang mendasari atau persoalan utama di dalam the Malay mind itu, atau di dalam the Malay psyche itu(?). Untuk meneroka persoalan ini, perlu disedari, terdapat khazanah kepustakaan seperti mitologi, kesusasteraan lisan dan tulisan, perundangan dan adat, malah ideologi dan falsafah yang terkandung di dalam pepatah, peribahasa gurindam, pantun dan sebagainya boleh dikaji untuk memahami persoalan ini. Tenas Effendy (2004, 2007), Harun Mat Piah (2001) di antaranya telah menghimpun dan mengkaji pemikiran Melayu dari sumber-sumber berkenaan. Muhammad Haji Salleh (1991, 1999, 2000) sebagai
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 70 contoh juga telah berusaha menyelongkar dari perut khazanah kesusasteraan Melayu akan persoalan ini. Di dalam naskhah Adat Raja-Raja Melayu yang dikarang oleh Datuk Zainuddin pada 1779, terdapat satu fasal khusus “Asal Mulanya Nama Melayu”, yang di antaranya tercatat: “Fasal pada menyatakan, ada-nya erti Melayu ini ada-lah ia melayukan diri-nya, iaitu yang di-ibaratkan orang dahulu kala daripada erti Melayu, ada-lah sa-umpama puchok kayu yang melayukan diri-nya dan bukan layu-nya itu kerana kena panas atau api. Bahasa-nya dengan sahaja2 ini juga yang melayukan diri-nya, ya’ani ia merendahkan diri-nya dan tiada ia mahu membesarkan diri-nya, baik daripada adab-tertib-nya atau daripada bahasa peratoran-nya atau daripada adab makan minum-nya dan perjalanan-nya dan kedudukan-nya sama ada di-dalam majlis atau pada tempat yang lain. Maka daripada perkara itu, tiada di-perbuat-nya itu dengan mamang, melainkan ada-lah dengan perangai-nya yang lemah lembut, tiada dengan berlebih-lebihan dan dengan kekurangan itu-lah ada-nya. Hamba terima daripada Tuan Haji Abdul ‘Arif di-dalam Riau ada-nya. Entah al-kalam daripada sa-genap perkara-nya, itu-lah erti Melayu yang dibahagikan orang dahulu. Shahadan maka lagi ada-lah yang di-kehendaki oleh isti’adat orang Melayu itu dan di-bilangkan anak yang majlis, ia itu apabila ada ia mengada ia atas sa-suatu kelakuan melainkan dengan pertengahan jua ada-nya, ya’ani daripada segala kelakuan dan perbuatan dan pakaian dan perkataan dan makanan dan perjalanan-nya sekalian itu tiada dengan berlebih-lebehan dan dengan kekurangan melainkan sekalian di-adakan-nya dengan keadaan yang sederhana juga adanya. Maka orang itu-lah yang di-bilangkan anak yang majlis; tambahan pula dengan adab pandai ia menyimpan diri-nya, maka berlebih2 lendib atau sidib ada-nya, seperti kata hukama: “Hendak-
Peradaban dan Jati Diri Melayu 71 lah kamu hukum-kan kerongkongan kamu di-dalam majlis makan dan hukumkan mata-mu tatkala melihat perempuan dan teguhkan lidah-mu daripada banyak perkataan yang sia2 dan tulikan telingamu daripada perkataan yang keji2. “Maka apabila sampai-lah saorang kepada segala syarat ini, iaitu-lah orang yang majlis namaanya dan demikian lagi perkataan segala orang yang ‘arif budiman kepada hamba yang daif ini.” Apa yang telah dirakamkan bukanlah satu rakaman mengenai ciri-ciri fizikal atau tempat asal usul tetapi lebih merupakan catatan mengenai adat, adab, perangai, tingkah laku, peribadi, perlakuan dan pengucapan. Satu kenyataan yang menggambarkan perwatakan atau karakter Melayu yang cukup khas. Beberapa perkara yang menarik untuk direnungkan mengenai jati diri Melayu antaranya: a) Melayukan diri – iaitu merendahkan diri, tiada mahu membesarkan diri, baik dari segi adab tertib, bahasa pertuturan, adab makan minum, perjalanan dan kedudukan. b) Tidak mamang – iaitu lemah lembut (tidak kasar), tidak berlebih-lebihan, tidak berkurangan. c) Anak atau orang yang majlis – dengan pertengahan (sederhana) sama ada perlakuan, perbuatan, perkataan, pakaian, makanan dan perjalanannya. d) Adab pandai menyimpan diri – mengawal perasaan Apa yang dikemukakan oleh fasal yang berkenaan merupakan ciri keunggulan perwatakan kemelayuan. Frasa-frasa ‘melayukan diri’ dan ‘anak yang majlis’ adalah penghuraian kepada keunggulan akhlak dan budi pekerti Melayu. Persepsi pengarang terhadap watak unggul Melayu itu terpancar ke dalam maksud bahawa Melayu itu beradab dan beradat, berakhlak dan beretika. Sesuai dengan persepsi tersebut, terdapat satu konsep yang sudah sebati dengan Melayu dan kemelayuan iaitu budi. Budi merupakan satu fakulti, alam jiwa, yang mengamal, mengatur akhlak atau pekerti, etika, adab dan moral manusia. Sebagai fakulti ia adalah hikmah yang menerangkan,
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 72 mengetahui dan mampu membuat pilihan. Lantaran itu budi adalah struktur batiniah Melayu yang terpancar dari hikmah yang Maha Tinggi (Allah). Dalam hal yang demikian ‘akal budi’, ‘hati budi’, ‘budi bicara’ adalah fakulti atau alam fikiran yang menentukan kewarasan akal dan kejernihan perasaan (hati atau qalbu) untuk membuat tindakan yang bijaksana. Lantaran itu akhlak atau budi pekerti atau ‘melayukan diri’ atau ‘anak yang majlis’ adalah satu keseluruhan kesan struktur lahiriah dari pancaran struktur batiniah. Struktur lahiriah tersebut dapat dilihat dari pengucapan, tatatertib, kesantunan, adab, adat, resam, sambaan cakap, perangai, tindakan dan keputusan, atau keseluruhan perlakuan fizikal manusia yang berlaku di pelbagai tahap interaksi sosial setiap insan. Persepsi ‘melayukan diri’ dan ‘anak yang majlis’ adalah persepsi yang menjelaskan watak manusia Melayu yang ‘budiman’. Penerapan nilai ‘budiman’ bertujuan untuk melahirkan manusia Melayu yang bermoral, berakhlak, beretika, beradab, beradat, berhati mulia, berakal, berilmu, bijaksana, tahu membalas budi, cukup ajar dan yang paling penting ialah beriman dan bertakwa kepada Allah. Lantaran itu ‘melayukan diri’ dan ‘anak yang majlis’ atau ‘budi’ dan ‘budiman’ ialah teras kemanusiaan, moraliti dan etika Melayu yang berpaksikan ketauhidan atau ketuhanan. Kata kunci penting ialah budi dan segala gugusan berhubung dengannya iaitu akal budi, hati budi, budi bicara, budi bahasa, dan budi pekerti. Budi adalah suatu konsep yang menyeluruh yang menyatakan persoalan tatasusila yang dibincangkan awal di atas. Namun kadangkala persoalan ini sering bertindih dengan satu lagi konsep tatasusila Melayu iaitu adat. Walaupun berasal dari kosa-kata Arab iaitu addah namun perkataan ini sudah sedia ada dalam masyarakat di Alam Melayu. Lantaran perkataan atau kosa kata tersebut sudah menjadi kosa kata Melayu, tetapi makna asal kosa kata itu ialah kebiasaan, namun ia merupakan salah satu daripada kategori dan tahap makna adat. Secara generic atau secara umum adat merujuk kepada satu cara hidup atau budaya. Orang Melayu di Alam Melayu sering menyebut mengenai sesuatu fenomena budaya sebagai “ini adat kami” atau “ini cara kami”. Adat ialah satu konsepsi yang menjelaskan satu keseluruhan cara hidup orang Melayu di Alam Melayu. Perlu disedari sebelum kata budaya atau kebudayaan digunakan, orang Melayu menyebut adat untuk maksud budaya tau kebudayaan.
Peradaban dan Jati Diri Melayu 73 Adat juga bermaksud usaha atau cara manusia mengatur kehidupan. Setiap masyarakat di dunia bermatlamat agar kehidupan mereka aman, rukun, teratur, tersusun dan sejahtera, dan mereka berusaha menghindari hidup yang penuh kacau bilau serta porak peranda. Masyarakat mengadakan pelbagai institusi seperti sosial, ekonomi, politik, sistem nilai, sistem hukum dan sebagai untuk mengatur kehidupan bermasyarakat. Masyarakat Melayu mengatur kehidupan dengan adat, seperti hukum adat yang meliputi adat beraja, adat bernegeri, adat memerintah dan sebagainya. Konsep adat dalam masyarakat Melayu di Alam Melayu memancarkan kesan hubungan yang mendalam lagi bermakna antara sesama manusia, antara manusia dengan alam sekeliling, termasuk alam tabie, alam sosial, dan alam ghaib. Setiap hubungan diucapkan sebagai adat yang dapat dilihat dalam perlakuan, sikap, dan acara atau upacara. Seperti budi, adat merupakan struktur atau binaan asas yang menghubung seluruh kehidupan manusia Melayu yang menegaskan sifat atau ciri keperibadian sesebuah masyarakat. Lantaran itu dalam masyarakat tradisi Melayu di Alam Melayu adat mempunyai cerita asal-usulnya, ada legenda, ada watak asal-usul yang gagah, bijaksana dan unggul. Cerita asal-usul ini memberi asas makna dan mengabsah setiap perkara atau peristiwa yang berlaku dalam pusingan kehidupan manusia, kewujudan setiap institusi dalam masyarakat. Adat memancarkan kepada masyarakatnya tata-perlakuan yang betul dan halus, suatu kehidupan yang bermatlamat kesejahteraan sosial, bukannya keporak-perandaan, untuk mengekal kesejahteraan sosial, maka adat mewujudkan sistem hukum dan peraturannya. Sistem hukum dan peraturan Melayu berlandaskan perbilangan “biar mati anak jangan mati adat”, yang bermaksud menegakkan keadilan dan kebenaran walau pun anak sendiri yang bersalah. Adat di dalam perbilangan tersebut bermaksud hukum peraturan. Adat bukan sahaja merupakan struktur terkuat masyarakat Melayu tetapi juga memberi jati diri kepada mereka. Adat adalah jati diri yang menyatupadukan seluruh anggota masyarakat. Adat adalah struktur atau binaan yang mengukuh keperibadian setiap anggota masyarakat seperti seorang yang ‘beradat’, atau “tahu adat”. Adat adalah satu kehalusan perlakuan, sikap, tindakan, yang dapat diterima sebagai betul
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 74 dan wajar. Seorang yang beradat atau tahu adat ialah seorang yang bersahsiah tinggi, berwatak, mempunyai karakter yang baik, bermoral, beretika, yang semuanya diperoleh dari satu proses sosialisasi dan enkulturasi atau pembudayaan yang telah diatur dan ditetapkan oleh adat. Setiap anak Melayu akan menempuh pelbagai adat istiadat rites de passage seperti cukur jambul, bersunat, mengaji, bertunang, kahwin dan mati. Istiadat ini bukan sekadar satu upacara peningkatan tahap, dari tahap dalam perut ibu, ke tahap bayi, ke tahap kanak-kanak, remaja dan dewasa. Ia adalah lambang kepada peningkatan kemelayuan yang berlaku di dalam pusingan kehidupan mereka. Dia dimelayukan melalui istiadat atau upacara berkenaan. Adat Melayu mengalami perubahan lantaran perubahan masyarakat, di samping prinsip adat mengizinkan perubahan, “sekali air bah, sekali pandai berubah”. Adat yang berubah disebut sebagai adat baru, seperti yang berlaku di dalam istiadat perkahwinan Melayu. Di dalam adat perkahwinan Melayu setiap tetamu akan dibekalkan kuih-muih, pulut dan telur. Sekarang ini diganti dengan buah-buahan, jeli, coklat dan gula-gula. Telur dan bunga telur yang dibekalkan merupakan satu perlambangan tentang kehidupan dan kesuburan. Telur di dalam masyarakat Melayu adalah lambang kejantanan, keberanian di samping lambang kesuburan dan kehidupan; bunga telur pula adalah pohon kesuburan atau kehidupan. Lantaran itu perkahwinan adalah usaha meneruskan kehidupan dan membuktikan kesuburan. Apabila diganti dengan gulagula atau coklat, maka makna perlambangan itu sudah berbeza. Gula membawa erti manis, ibarat manis tebu, atau ibarat manis di bibir. Manis tebu di pangkal tidak serupa ke pucuk, sedangkan manis di bibir tidak kekal ia sementara. Perkahwinan bukannya penyatuan kesementaraan dalam konteks orang Melayu, ia adalah hubungan antara keturunan untuk mendapat zuriat. Perkahwinan adalah di antara institusi yang melanjutkan kemelayuan. Melalui hubungan perkahwinan orang Melayu menyusur-galurkan zuriat dan keturunan. Orang Melayu tidak melihat semata-mata dari pihak ibu sahaja atau pihak bapa sahaja. Orang Melayu menyusur-galurkan keturunan melalui kedua-dua pihak, iaitu pihak bapa dan ibu. Sistem ini dinamakan sebagai sistem bilateral atau duasisi atau duanisab. Ada juga orang Melayu yang melihat kerabatnya dari satu nisab, iaitu nisab ibu seperti orang Minangkabau atau nisab bapa seperti orang Batak.
Peradaban dan Jati Diri Melayu 75 Di atas tadi telah menyebut di antara psyche orang Melayu, dan cuba memberi penjelasan dengan memetik fasal usul nama Melayu dari teks Adat Raja-Raja Melayu. Kekuatan semangat, jiwa dan roh Melayu dan kemelayuan dimantapkan oleh Islam, selain dari apa yang telah dihuraikan di atas. Islam dan adat Melayu merupakan dua elemen yang saling melengkapi, terintegrasi di dalam wadah kemelayuan. Kedua-dua bukan sahaja boleh wujud sendirian, bukan sahaja dualistik, tetapi diintegrasi ke dalam wadah kemelayuan itu. Wadah yang terintegrasi ini dapat dilihat secara luaran apabila kita melihat tafsiran Melayu dan kemelayuan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 160. Sedangkan wadah batiniah atau dalamannya dapat dilihat di dalam seluruh akal budi, hati budi Melayu itu. Adat Melayu meletakkan keutamaan orang yang majlis, yang halus pekertinya, santun bahasanya, berilmu, waras akalnya, adil dan saksama hati budi serta budi bicaranya. Seluruh aspek akhlak dan moral Melayu itu terpancar daripada karektor Melayu yang berkualiti tinggi. Kualiti atau nilai tertinggi yang perlu ada di dalam diri seorang Melayu ialah nilai keilahian atau ketauhidan seperti yang dituntut oleh Islam. Paling tidak kesempurnaan lahiriah ini membentuk seseorang menjadi manusia, menjadi orang. Di satu sisi, seorang yang beradat ialah seorang yang tahu mengatur tuntutan fardhu ‘ainnya, dan sisi lain pula tahu tuntutan fardhu kifayahnya. Seorang Melayu yang beradat tahu di dalam paksi vertikal kehidupannya, ia tidak memutuskan hubungan sejati lagi abadi dirinya dengan Allah, dan sentiasa pasrah kepada Allah. Secara horizontal tahu akan kewujudan orang lain. Melayu tahu apa yang dimaksudkan dengan habluminallah dan habluminannas. Pancaran Islam ke dalam diri Melayu, khasnya ketamadunan Melayu di Alam Melayu cukup kuat dan mantap. Islam berkembang melalui bahasa Melayu dan perdagangan maritim, di samping menjadi agama rasmi kesultanan Melayu. Islam memancar cahayanya ke dalam tradisi keintelektualan Melayu seperti yang terkandung di dalam korpus kesusasteraan Melayu. Islam memancarkan cahaya ketauhidan dan ilmu kepada Melayu dan kemelayuan sehingga sukar untuk memisahkan Melayu dari Islam, dan Islam jadi faktor denitif kemelayuan. Benarlah kata perbilangan adat Melayu untuk membuktikan betapa terintegrasi Melayu dan Islam:
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 76 Adat bersendikan hukum Hukum bersendikan syara’ Syara’ bersendikan kitabullah Perbilangan atau ungkapan di atas membuktikan betapa sintesis Melayu Islam itu berlaku di dalam sistem perundangan Melayu. Namun di dalam menghadapi cabaran kehidupan moden sama ada Melayu di Malaysia atau di Singapura, terdapat ungkapan menyebut Agama dijunjung Adat dipangku Moden dikelek Sebagai satu masyarakat dan budaya yang bijak menyesuaikan (adaptif) diri, mewarisi unsur keterbukaan lantaran hidup di dalam suasana kepulauan, maka Melayu tahu menghadapi kemodenan. Walaupun mereka kadangkala lemas di dalam arus kemodenan, tetapi perlu dihadapi. Perubahan-perubahan yang berlaku secara reformatif mahupun transformatif telah ditanggapi oleh para penggerak obor perubahan ialah para intelektual mereka. Abdullah Munshi pada abad ke-19; Syed Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin dan Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) telah turut mengemukakan pandangan kepada persoalan transformasi pada awal abad ke-20; termasuk juga buku Malay Dilemma (1970) karangan Mahathir Mohammad; Revolusi Mental (1970) oleh Senu Abdul Rahman. Para intelektual yang terdiri daripada para pendidik (guru), wartawan, sasterawan, agamawan malah ahli-ahli politik merupakan para pejuang yang menyeru kepada kebijaksanaan Melayu mengekalkan jati diri yang sesuai untuk menghadapi perubahan. Di sebalik akan segala perubahan yang transformatif, budayawan agung Riau, Tenas Effendy (2004) di dalam karya besarnya Tunjuk Ajar Melayu, telah menggariskan tanda-tanda kejatian Melayu.
Peradaban dan Jati Diri Melayu 77 Apa tanda Melayu jati dengan Islam ia bersebati Apa tanya Melayu jati kepada ibu bapa ia berbakti Apa tanda Melayu jati adil dan benar pelita hati Apa tanda Melayu jati belajarnya tekun sampai mati Apa tanda Melayu jati orang berilmu ia dekati Apa tanda Melayu jati berkorban tidak mengharap ganti Seandainya ditelusuri secara mendalam akan seluruh bingkai-bingkai ungkapan Tenas Effendy akan ditemui nilai yang essential (pati atau sari) kepada jati diri kemelayuan, khasnya yang mengisi aspek lahiriah dan batiniah Melayu.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 78 Kesimpulan Nilai-nilai essential yang di antaranya dikemukakan sama ada tatasusila, akhlak, moral dan etika yang dikemukakan di atas menggambarkan suatu kehalusan manusia Melayu yang dicernakan melalui budi dan adat. Namun amat disedari bahawa jati diri adalah suatu yang dinamik, boleh dikenal pasti dari pelbagai sudut serta dimensi dan secara berterusan akan sering berubah dan akan ditakrif lagi sesuai dengan konteks zaman. Kedinamikan tersebut amat bergantung pada perkembangan sosio-budaya yang berlaku. Melayu sebagai satu konsep kebudayaan dan kemelayuan sebagai unsur essential peradaban akan menghadapi cabaran perubahan. Adalah amat diharapkan jati diri batiniah Melayu akan terus kekal. Namun seandainya bahasa Melayu atau dialek Melayu ditarik keluar dari jiwa raga serta benak akal Melayu, akan mengurangkan salah satu unsur kemelayuan. Begitu juga jika agama Islam ditolak keluar dari jiwa dan roh Melayu, maka runtuhlah benteng utama kemelayuan. Jarang terdapat di dunia jati diri seseorang itu ditakrif berdasarkan bahasa dan agama. Konsep etnisiti yang digunakan di tempat lain tidak dijiwai oleh faktor bahasa dan agama.
Peradaban dan Jati Diri Melayu 79 Bibliografi Adelaar, K.A, 1995. “Borneo as a Crossroad for Comparative Austronesian Linguistic”, dlm. Belwood. P, Fox. J and Tryon. D, (ed.)s. The Austronesian. Canberra: Department of Anthropology, PSPAS, ANU, hlm. 75-95. Ahmad Hakimi Khairuddin, 1998. “Arkeologi Pra-Sejarah dan Pengajian Melayu”, dlm. Hashim Awang, Zahir Ahmad dan Zainal Abidin Borhan, (ed.). Pengajian Sastera dan SosioBudaya Melayu: Memasuki Alaf Baru, Universiti Malaya: Akademi Pengajian Melayu. Andaya, L.Y, 2008. Leaves of the Same Tree, Trade and Ethniaty in the Straits of Melaka. Honolulu: Universiti of Hawaii Press. Bellwood. P, 1997. Prehistory of the Indo-Malaysian Archipelago. Honolulu: University of Hawaii Press. Braginsky. V.I, 2003. Satukan Hangat dan Dingin, Kehidupan Hamzah Fansuri: Pemikir dan Penyair Sufi Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Collins. J.T, 1995. “Pulau Borneo Sebagai Titik Tolak Pengkajian Sejarah Bahasa Melayu” dlm. Dewan Bahasa, 39 vol. hlm. 868-879. Drakard, Jane, 1999. A Kingdom of Words: Language and Power ini Sumatera. Kuala Lumpur: Oxford University Press. Gallop, Annabel Teh, 1994. The Legacy of Malay Letters. London: The British Library, Harun Mat Piah, 2001. Pantun Melayu, Bingkisan Permata. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. Ismail Hussein, 1990, “Between Malay and National Culture”, dlm. Malay Literature 3, 2, vol. 54-74. Jelani Harun, 2003, Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka. Mahathir Mohammad, 1970. The Malay Dilemma. Singapore: Donald Moore Milner, Anthony, 2008; The Malays; Wiley-Blackwell; United Kingdom. Mohammad Abu Bakar, 2000. “Islam dalam Pembinaan Tamadun di Malaysia”, dlm. Mohd Taib Osman dan A. Aziz Deraman, (ed), Tamadun Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 21-65. Muhammad Haji Salleh, 1991. Yang Empunya Ceritera: Mind of The Malay Author. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. ___________________, 1999. Menyeberang Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. ____________________, 2000. Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 80 Nik Hassan Suhaimi, 1993. “Menyusuli Asal Usul Orang Melayu: Dari Perspektif Arkeologi Semenanjung Malaysia”, dlm. Nik Hassan Suhaimi, Mohd. Samsuddin dan Kamaruzzaman Yusoff, ed, Sejarah dan Proses Pemantapan Negara Bangsa, Prosiding Kongres Sejarah Malaysia Kedua, Jilid II, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur. Reid, Anthony, 1993. Southeast Asia in the Age of Commerce. New Haven: Yale University Press. ___________, 2004. “Understanding Melayu (Malay) as a Source of Diverse Modern Identities”, dlm. Barnard, Timothy, (ed.). Contesting Malayness, Malay Identity Across Boundaries. Singapore: Singapore University Press, National University of Singapore. Senu Abdul Rahman, 1970. Revolusi Mental. Kuala Lumpur: Utusan Publication. Shamsul, A.B, 2004. “A History of an Identity, an Identity of a History: The Idea and Practice of Malayness Malaysia Reconsidered, dlm Barnard, Timothy (ed.). Contesting Malayness, Malay Identity Across Boundaries. Singapore: Singapore University Press, National University of Singapore. Tenas Effendy, 2004. Tunjuk Ajar Melayu. Jogjakarta: Balai Kajian Pengembangan Budaya Melayu dan Penerbit Adicipta. ____________, 2007. Khazanah Pantun Melayu Riau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Teuku Iskandar, 1995. Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad. Selangor: Malindo Printers, Shah Alam. Zainal Kling, 1997a. “Adat Collective Self Image”, dlm. Hitchock and King, Victor, (ed.). Images of Malay Indonesian Identity. Kuala Lumpur: Oxford University Press, hlm. 45-52. ___________, 1997b. “Adat: Dasar Budaya Melayu”, dlm. Parnikel, Boris, (ed.). Kebudayaan Nusantara Kepelbagaian dalam Kesatuan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka hlm. 42-65.
Jati Diri Melayu Dan Semangat Patriotisme Mengikut Kacamata Islam Shaykh Muhammad ‘Uthman El-Muhammady* ISTAC IIUM, IIM, Yayasan Karyawan * Dr. Syeikh Muhammad ‘Uthman El-Muhammady adalah felo ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Yayasan Karyawan
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 82 Pendahuluan Bi’awnika ya Latif! Dalam ceramah ringkas ini saya menegaskan dan berhujah bahawa jati diri Melayu-Islam itu adalah sesuatu hakikat yang ada dan ‘real’, bukan khayalan dalam sejarah bangsa ini dan budayanya semenjak berlakunya penerimaan Islam di rantau ini dan penerimaan faham alam (worldview) berdasarkan tauhid-Nya. Takrif ‘jati diri’ dalam Kamus Dewan (2007: 613) sangat jelas; ia ‘sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dsb.) yang menjadi teras dan lambing keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dsb., identiti’. Takrif ini digunakan dalam artikel ini. Kemudian akan dibicarakan juga bagaimana jati diri ini dan kemudiannya semangat kebangsaan atau patriotisme membawa kejayaan kepada Malaysia dan ia serasi dengan ajaran Islam, bukan bercanggah dengannya. Seterusnya tanpa menggunakan masa untuk melihat sejarah itu saya rasa lebih baik saya terus pergi kepada konsep jati diri Melayu antaranya sebagaimana yang ada dalam isi kandungan hikmah kebijaksanaannya. Dalam kertas kerja penulis di Brunei tidak lama sebelum ini saya berbicara berkenaan dengan isi kandungan kebijaksanaan Melayu. Dalam memperkatakan tajuk itu antaranya, saya ulangi di sini, iaitu saya menyatakan bahawa maksud hikmah kebijaksanaan Melayu itu ialah nilai-nilai, kata-kata dan tingkah laku serta perbuatan yang menunjukkan kebenaran dan kebaikan yang tinggi dalam pemikiran, pegangan, sikap, renungan dan perbuatan dalam kalangan orang Melayu. Ini adalah sebagaimana yang terbayang dalam kata-kata terkenal: Hidup bersendikan adat, adat bersendikan syarak dan syarak bersendikan kitabullah. Ia menggabungkan dalam satu kesepaduan antara panduan wahyu dan nubuwwah, faedah daripada pengalaman manusia yang terjelma dalam adat yang serasi dengannya serta percubaan dalam hidup yang dianggap terbaik dan paling unggul dalam hidup mereka. Pada hemat penulis, ini sangat harmonis dan selaras dengan pegangan dan amalan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi anutan rantau ini. Hikmah kebijaksanaan Melayu boleh didapati dalam pantun-pantun, katakata pepatah, ungkapan-ungkapan tradisional dan sudah tentu dari segi agamanya ia terkandung dalam teks-teks yang menerangkan Qura’n, hadith-hadith nabi, pegangan
Jati Diri Melayu dan Semangat Patriotisme Mengikut Kaca Mata Islam 83 akidah, hukum-hakam, prinsip-prinsip akhlak, tatacara menyusun masyarakat dan negeri serta penyuburan ilmu pengetahuan dengan kepelbagaian cawangan. Dalam Qur’an diterangkan dalam ayat; Dan antara ayat-ayat-Nya ialah (Ia) menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan pada pertuturan bahasa kamu dan warna kulit kamu (ar-Rum:22); dengan itu kita melihat kenyataan dari Allah Taala berkenaan dengan adanya ayat-ayat Tuhan pada bahasabahasa pertuturan dan juga warna kulit umat manusia. Ini terbayang lagi dalam ayat Qur’an Dan sesungguhnya Kami (Allah) menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenal antara sesama kamu (atau saling pelajari ilmu pengetahuan antara sesama kamu) dan sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah orang yang paling bertaqwa (al-Hujurat:13). Nampaknya yang boleh disimpulkan sebagai ‘hikmah kebijaksanaan Melayu’ ialah intisari pengajaran yang terkandung dalam ‘tunjuk ajar Melayu’ itu. Ini digunakan oleh Pak Tenas Effendy antaranya dalam bukunya ‘Tunjuk Ajar Melayu’ (terbitan Dewan Kesenian Riau, percetakan Yayasan KBMR Keluarga Besar Melayu Riau, 1994). ‘Tunjuk ajar Melayu’ itu ialah ‘segala jenis petuah, amanah, petunjuk, nasehat, amanat, pengajaran, contoh tauladan, yang bermanfaat bagi kehidupan manusia dalam arti luas’. (1994: 5). Ini diikuti dengan kenyataan bahawa pada orang tua-tua Melayu ‘tunjuk ajar Melayu adalah segala petuah dan amanah, suri tauladan, nasihat dan amanat, yang membawa manusia kejalan yang lurus dan diredhai Allah, yang berkahnya menyelamatkan manusia dalam kehidupan di dunia dan di akhirat’.(1994:5).
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 84 Berkenaan dengan ‘tunjuk ajar’ atau hikmah kebijaksanaan ini ia sedemikian rupa sifatnya sehingga dikatakan tentangnya ‘Yang disebut tunjuk ajar tua: Petunjuknya mengandung tuah Pengajarannya berisi marwah Petuahnya berisa berkah Amanahnya berisi hikmah Nasehatnya berisi manfaat Pesannya berisi iman Kajinya mengandung budi Contohnya pada yang senonoh Teladannya di jalan Tuhan’ (1994: 6) Apakah kandungan tunjuk ajar itu? Tunjuk ajar itu mengandungi nilai-nilai unggul (dari agama Islam), budaya dan nilai-nilai kemasyarakatan yang menjadi pegangan ahli masyarakatnya. Dikatakan oleh orang tua-tua ‘di dalam tunjuk ajar agama memancar’ atau ‘di dalam tunjuk ajar Melayu tersembunyi berbagai ilmu’ (1994: 6-7). Tentang isi kandungan tunjuk ajar itu diungkapkan: Apalah isi tunjuk ajar ilmu yang benar apalah isi tunjuk ajar segala petunjuk ke jalan yang benar apa isi tunjuk ajar Melayu kepalanya Syara’ tubuhnya ilmu apa isi tunjuk ajar Melayu: penyuci akal penenang kalbu apa isi tunjuk ajar Melayu pendinding aib
Jati Diri Melayu dan Semangat Patriotisme Mengikut Kaca Mata Islam 85 penjaga malu apa isi tunjuk ajar Melayu sari akidah patinya ilmu mengekalkan tuah sejak dahulu (1994: 7) Tentang kepentingan dan nilai tunjuk ajar (atau hikmah kebijaksanaan) itu jelas daripada kata-kata bijaksana seperti di bawah: Apa tanda Melayu jati Tunjuk ajarnya dipegang mati Apa tanda Melayu amanat Memegang tunjuk ajar sampai ke lahat Apa tanda Melayu berbudi Tunjuk ajarnya dijunjung tinggi Apa tanda melalu bertuah Terhadap tunjuk ajar tiada lengah Apa tanda Melayu budiman Tunjuk ajar dijadikan pakaian Apa tanda Melayu berakal Tunjuk ajar dijadikan bekal Apa tandanya Melayu terpilih Tunjuk ajarnya tiada beralih (1994: 7) Demikianlah seterusnya untaian kata-kata yang menunjukkan hikmat bijaksana dijadikan pegangan yang sebati dengan peribadi dan tidak berubah-ubah melainkan elemen-elemen yang memerlukan sebenarnya kepada perubahan. Demi untuk memastikan bahawa tunjuk ajar ini kekal dalam masyarakat sebagai tradisi yang dipegangi dan dilaksanakan maka diajarkanlah untaian kata-kata: Kalau duduk duduk berguru Kalau tegak tegak bertanya Lalu pergi mencari ilmu (1994: 10)
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 86 Sikap berpegang kepada ilmu dan pengalaman yang berharga dan teruji dalam hidup terbayang dalam kata-kata berikut: Bersua ulama minta petuah Bersama guru meminta ilmu Bersua raja meminta daulat Bersua hulubalang minta kuat Bersua orang tua minta nasehat (1994: 10) Pewarisan dan kesinambungan tunjuk ajar itu dipastikan dengan berlakunya amalan pada generasi yang terdahulu sebelum ia diturunkan ilmunya kepada generasi yang berikutnya. Ini dapat difahami daripada untaian kata-kata yang penuh bermakna seperti di bawah: Sebelum mengajar, banyak belajar Sebelum memberi contoh Bersifat senonoh Sebelum memberi teladan Betulkan badan Sebelum menasehati orang Nasehati diri sendiri (1994: 13) Mudarat mengajarkan ilmu tanpa tauladan yang baik terlebih dahulu dijelaskan dalam kata-kata: Kalau contoh tidak senonoh Yang mencontohi akan bergaduh atau: Bila mengajar tidak benar Yang diajar akan bertengkar (1994: 13)
Jati Diri Melayu dan Semangat Patriotisme Mengikut Kaca Mata Islam 87 Pewarisan tunjuk ajar itu, demi memastikan kesinambungannya dalam peradaban, dijadikan kemestian oleh adat, seperti berikut: Petunjuk wajib ditunjukkan Pengajaran wajib diajarkan Yang petunjuk dipanjangkan Yang pengajaran dibendangkan (asal tebal) dengan tunjuk ajar adat berakar dengan tunjuk ajar imu mengakar dengan tunjuk ajar yang kecil menjadi besar dengan tunjuk ajar agama menjalar apa tanda orang beriman tunjuk ajar ia turunkan (1994: 13) Dalam pengertian yang senada dengan yang di atas dikatakan: Tanda orang hidup beradat Mewariskan tunjuk ajar ia ingat Supaya hidup selamat Tunjuk ajar diingat-ingat Diturunkan bercepat-cepat Diwariskan ketika ingat Disampaikan di mana sempat (1994: 14) Prinsip mementingkan contoh tauladan yang dilihat secara nyata adalah jelas diungkapkan: Mencontoh kepada yang nampak Meniru kepada yang nyata (1994: 15)
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 88 Prinsip ini menyebabkan orang-orang yang bicaranya baik-baik tetapi tauladan dan amalannya sebaliknya tidak diambil berat oleh orang dalam masyarakat Melayu tradisional. Dengan itu terkenal untaian kata-kata: Mulut bermadu perangai macam hantu, atau mulut manis, kelakuan macam iblis. Terkenal juga kata-kata berkenaan dengan orang ‘lidah bercabang’: Bila bercakap lidah bercabang Seumur hidup tak dipercaya orang Atau dikatakan: Bila bercakap bercabang lidah Pantang sekali memegang amanah Menarik juga dalam prinsip kebijaksanan Melayu ini ialah konsep ‘tua’ dalam erti intelektual dan budaya. Ini jelas ternyata dalam ungkapan berikut: Kalau menjadi tua orang Langkahnya dilihat lidahnya dipegang Kalau menjadi orang tua Sesuaikan langkah dengan bicara Kalau sudah dituakan orang Lahir batin jangan bercabang Kalau menjadi tua orang Pantang sekali berlaku sumbang (1994: 20)
Jati Diri Melayu dan Semangat Patriotisme Mengikut Kaca Mata Islam 89 Gambaran tentang manusia berbahagia pula, disebut sebagai ‘manusia bertuah’ ialah: Apa tanda manusia bertuah Kecil menjadi tuah rumah Besar menjadi tuah negeri Bertuah hidup bertuah mati (1994: 20) Dan orang yang mendapat faedah yang paling banyak daripada ‘tunjuk ajar’ ialah orang yang berakal yang cepat mendapat iktibar: Untuk memahami tunjuk ajar Banyakkan faham serta iktibar Untuk memahami tunjuk ajar Tajamkan mata banyak mendengar Untuk memahami tunjuk ajar Tekunkan menyemak, kuat belajar Untuk memahami tunjuk ajar Banyak ilmu perlu didengar Dan ketepatan dalam faham sangat diutarakan seperti berikut: Salah tangkap Badan mengidap Salah makna Badan celaka Salah erti Rusak pekerti
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 90 Salah pakai Kerja terbengkalai Salah tafsir Kerja membazir. (1994: 22) Berkenaan dengan kandungan tunjuk ajar itu ia jelas seperti berikut: Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah Adat adalah syarak semata Adat semata Quran dan sunnah Adat sebenar adat ialah kitabullah dan sunnah Nabi Syarak mengata adat memakai Ya kata syarak , benar kata adat Adat tumbuh dari syarak, syarak tumbuh dari kitabullah Berdiri adat kerana syarak … Apa tanda Melayu jati Bersama Islam hidup dan mati (1994: 25) Dalam teks Pak Tenas Effendy, ini diikuti dengan beberapa hakikat dalam kehidupan Melayu yang menunjukkan kesebatian hikmah kebijaksanaan yang meresap dan sebati dalam hidup yang pada gambaran ini ia menjadi ‘malakah keagamaan’ (istilah ibn Khaldun dalam Muqaddimah) pada diri Melayu itu. Antaranya bagaimana Islam ‘melekat dihati’nya, ‘dengan Islam ia bersebati’, ‘hidup taqwa kepada Allah’, ‘hidup mati bersama akidah (Ahli Sunnah Wal-Jamaah)’, ‘memeluk Islam ianya kekal’, ‘membela Islam tahan dipenggal’, ‘hidup matinya dalam beriman’, ‘taat setia menyembah Tuhan’, ‘memeluk Islam tidak beralih’, ‘membela Islam tahan sembelih’, ‘kepada Allah tercurah kasih’, ‘membela Islam tahan dipijak’, ‘di dalam Islam beranak pinak’, ‘kepada Allah tempatnya ingat’, ‘syarak dipegang sunnah diingat’, ‘mengingat Allah tiada bertempat’, ‘membela Islam tahan dibakar’, ‘ajaran Islam ia mengakar’, ‘kepada syarak ia menepat’ dan seterusnya (1994: 26-27).
Jati Diri Melayu dan Semangat Patriotisme Mengikut Kaca Mata Islam 91 Tanda orang Melayu ialah ‘membela Islam tahan dicincang’, ‘mendirikan Islam tiada bercabang’, …’dengan Islam ia menyatu’, ‘Islam menjadi kain dan baju’, ‘Islam semata dalam kalbu’ (1994: 28). Cara hidup Melayu mengikut hikmat kebijaksanaannya ialah: ‘yang kaji dihalusi, yang amal diperkekal, yang syarak disimak, yang sunnah dimamah, yang iman dipadatkan, yang hati disucikan, yang akal disempurnakan’ (1994: 29). Butir-butir tunjuk ajar itu cukup untuk menjadikan Melayu sebagai bangsa yang mempunyai prinsip-prinsip kehidupan bagi menjaga hubungannya dengan Tuhannya, dengan sesama manusianya, dengan alam sekitar dan sejarah, serta dengan keabadiannya. Ia berupa panduan yang digabungkan daripada ajaran wahyu, nubuwwah, pengamatan manusia dengan kelengkapan-kelengkapan dirinya serta sejarah yang berlaku dan pengalaman manusiawinya. Dalam teks Tunjuk Ajar Melayu itu terdapat bimbingan kebijaksanaan Melayu tentang ketaqwaan kepada Tuhan, ketaatan kepada ibu bapa, ketaatan kepada pemimpin, persatuan dan kesatuan dengan gotong-royongnya, tentang keadilan dan kebenaran, kelebihan menuntut ilmu pengetahuan (bab-bab 1-6), berkenaan dengan nilai-nilai pembentukan peribadi dan kalbu dengan sifat-sifat ikhlas dan rela berkorban, sifat rajin dan tekun dalam pekerjaan, sikap mandiri, sikap berbudi, bertanggungjawab, sifat malu bertempat, kasih sayang, (bab-bab 7-13), berkenaan dengan hak dan milik, mesyuarat dan muafakat, keberanian dan kejujuran, sifat berhemat dan cermat, sifat rendah hati, bersangka baik terhadap makhluk, sifat rajuk, tahu diri, keterbukaan, sifat pemaaf dan pemurah, sifat amanah, sikap memanfaatkan waktu, berpandangan jauh ke depan, mensyukuri ni’mat Ilahi, sikap hidup sederhana (tidak terpengaruh dengan kepenggunaan untuk menunjuk-nunjuk – ‘conspicuous consumerism’) (bab 14-29). Sifat-sifat serta sikap yang tersebut itu datang daripada bangsa Melayu yang sifat-sifat unggulnya ditarbiah dengan kesempurnaan agama Islam. Melayu dan agama Islam adalah kesebatian yang sukar digambarkan. Dalam teks yang sama (1994: 397-610) terdapat prinsip-prinsip kebijaksanaan Melayu berhubungan dengan amanah, yang sekarang banyak diperkatakan dalam hal memantapkan budaya integriti: amanah guru kepada murid, amanah orang tua kepada anaknya, amanah dalam hidup rumahtangga atau kekeluargaan, amanah yang am,
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 92 amanah dalam mendidik dan membela anak-anak, amanah dalam kesetiakawanan, amanah berhubungan dengan alam yang kekal abadi, pembinaan rumahtangga dan keluarga yang bahagia, tentang kepimpinan, alam sekitar (bab 1-10). Nampaknya sifat-sifat dan prinsip-prinsip inilah yang tergambar dalam ‘Sejarah Melayu’, ‘Hikayat Hang Tuah’, ‘Tuhfatun Nafis’, ‘Gurindam Dua Belas’, ‘Taj al-Salatin’, ‘Sair al-Salikin’, ‘Turjuman al-Mustafid’, teks-teks seperti ‘as-Sirat al-Mustaqim’, ‘Kash al-Litham’, ‘Furu’ al-Masa’il’, ‘Nihayah al-Zain’, ‘Asuhan Budi’ dan ‘Hadiqatul-Azhar’ dan beberapa naskhah lain termasuk hikayat-hikayat, yang berupa catitan abadi tentang prinsip-prinsip dan nilai-nilai pegangan Melayu sepanjang zaman. Nilainilai ini dalam sastera klasik ada pada Hang Tuah yang berupa lambang peribadi terunggul dan prinsip-prinsip yang mengekalkan jati diri Melayu dan tamadunnya adalah kesejatian dalam kesetiaan, amanah, kebenaran, keberanian, keteguhan azam, kesungguhan dalam juang, kesetiakawanan, kemampuan komunikasi taraf tinggi dan rendah, kelicinan usaha bertugas dengan tepat, kematangan rohani dan fikir, jiwa mementingkan bangsa dan umat mengatasi kepentingan diri yang sempit, pandangan yang jauh dan tajam. Sayangnya setengahnya menganggap ini nilai-nilai feudalisme yang wajib digantikan dengan ‘nilai-nilai progresif’ tanpa menyedari ini adalah nilai sarwajagat dan bukan ‘nilai-nilai feudal’. Ia bukan time-bound tetapi reality-bound dalam pengertian fitrah yang universal itu’. Apabila dan bila menyebut Hang Tuah – apapun juga kedudukannya dari segi sejarah - ia melambangkan nilai-nilai universal yang menjamin keutuhan dan kesinambungan hidup peribadi dan tamadun umat. Ia bukan nilai-nilai feudal; kesetiaan Hang Tuah kepada raja adalah kesetiaan kepada institusi atau tonggak peradaban Islam di kalangan bangsa Melayu yang tanpanya Melayu akan menjadi cultural barbarian - meminjam kata rakan kita Haji Ghazali PK, ‘kaum biadab dalam budaya’. Ia dari institusi yang disahkan oleh tradisi dalam ajaran dan sejarah Islam. Ia gabungan antara Islam dan Melayu seutuhnya. Kita memerlukan Hang Tuah abad ke-21 dalam kalangan kita; kita mesti mengelak daripada peribadi Hang Jebat yang merupakan pemberontakan tanpa prinsip (unprincipled rebellion). Dalam psikologi rohaniah tradisional ia melambangkan nafsu ammarah bissu’, yang yang mengarah kepada kejahatan, manakala Hang Tuah adalah