Jati Diri dan Patriotisme Berdasarkan Nilai-Nilai Murni Global 193 Bagi melicinkan dan memantapkan pengurusan, maka terdapat ilmu gelagat organisasi dalam era globalisasi dan berbilang budaya, peranan individu dalam organisasi, peranan kumpulan dalam organisasi, sistem organisasi dan dinamika organisasi dalam perubahan dan perkembangan pengurusan. Sistem Kualiti MS ISO 9001-2000 Bagi menjamin kualiti dan etika kerja dalam sesuatu pengurusan dan pentadbiran, telah diadakan satu sistem yang selaras seluruh dunia yang dikenali sebagai sistem MS ISO 9001 dengan mengikut siri-sirinya yang tertentu. Misalnya, sesebuah fakulti di universiti yang berhasrat mendapatkan taraf ISO ini, diperlukan memenuhi beberapa syarat yang tertentu untuk diteliti oleh Audit Kualiti Dalaman dan pegawai dari SIRIM. Skop audit meliputi tiga perkara: 1. Pengurusan akademik iaitu perancangan proses pengajaran, pembelajaran, penilaian pelajar dan pengurusan akademik yang meliputi penawaran kursus fakulti, rancangan instruksional, persiapan kuliah awal semester, pengambilan staf, pengkuliahan dan penyediaan kertas soalan dan peperiksaan akhir. 2. Pengurusan akademik iaitu selepas proses pengajaran, pembelajaran dan penilaian pelajar yang termasuk penilaian kerja kursus, pengurusan praktikum, pemprosesan dan perakuan markah. 3. Sistem pengurusan kualiti yang meliputi perkara-perkara kawalan dokumen, kawalan rekod, audit dalaman, kawalan produk tidak memenuhi spesifikasi, tindakan pembetulan dan tindakan pencegahan. Oleh itu, fakulti berkenaan perlu mempunyai perkara-perkara berikut: dasar kualiti fakulti, misi, dan visi fakulti, matlamat fakulti dan nilai kualiti fakulti.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 194 Kesimpulan Demikianlah satu perbincangan bagaimana jati diri dan patriotisme mampu dimantap dan digemilangkan berteraskan nilai-nilai murni, etika dan akhlak sejagat atau sejagat universal bagi menghadapi globalisasi. Surah-surah dalam Al-Qur’an banyak membicarakan tentang cara hidup beretika. Dalam Surah al-Fatihah (1) terdapat ayat-ayat memuji kebesaran Allah, pengakuan kekuasaan Allah, penyembahan kepada Allah dan permohonan pertolongan daripada Allah, petunjuk jalan yang lurus daripada Allah, perbandingan dengan manusia lalu yang sesat dan dimurkai, dan permohonan limpahan pemakbulan doa. Surah pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W−Surah Iqra (96) menitikberatkan kepada ilmu pengetahuan iaitu dengan seruan membaca dan manifestasi kejadian manusia daripada segumpal darah secara empirikal dan saintifik. Selanjutnya Allah menyeru supaya manusia berkomunikasi dengan qalam dan hari ini manusia berjaya dalam teknologi maklumat yang serba canggih. Surah al-Tiin (95), Surah al-Falaq (113), Surah al-Ma’un (107) dan Surah al-Quraisy (106) membicarakan tentang kejadian manusia dan sifat-sifatnya. Surah al-Lahab (111) dan Surah Fiil (105) membicarakan tentang sifat-sifat kejahatan manusia. Surah Al-Asr’ (103) jelas mengajak manusia supaya menjaga atau menguruskan masa (time-management) dengan bijaksana. Kalau tidak, manusia mengalami kerugian yang besar dalam hidupnya. Dalam Surah Alam Nasyrah (94), Allah menjelaskan kepada manusia bahawa di dalam sesuatu kesusahan itu ada penyelesaiannya-“When there is a problem, there is always a solution.” Surah ini amat baik menjadi panduan manusia dalam bidang pengurusan problem-solving, decision-making dan art of negotiation. Terdapat ramai penulis dan pemikiran Barat dan Timur memperkatakan tentang pemupukan jati diri dan patriotisme dalam bidang pendidikan dan pemikiran bagi diri, negara dan dunia amnya. Dalam bahagian kemahiran pemikiran lahir ini, dimulakan dengan memahami teori-teori tentang akal dan minda. Mengikut Roger Sperry, iaitu seorang pengkaji sains neuro iaitu sains otak, otak kita terbahagi kepada dua hemisfera: hemisfera otak kanan atau hoka dan hemisfera otak kiri atau hoki. Howard Gardner juga bersetuju dengan teori Sperry yang mengemukakan sembilan jenis kemahiran manusia
Jati Diri dan Patriotisme Berdasarkan Nilai-Nilai Murni Global 195 iaitu melalui teori multiple-intelligences. Edward de Bono yang membawa teori Enam Topi Pemikiran iaitu enam stail atau kebolehan pemikiran manusia. Ternyata dari teoriteori ini terdapat persamaan di antara ketiga-tiga pengkaji pemikiran, Roger Sperry, Howard Gardner dan Edward de Bono bahawa otak atau pemikiran manusia terbahagi dua kemahiran−sains atau sastera atau kedua-duanya sekali. Tokoh seperti Dorothy Low Notle membawa teori bahawa anak-anak boleh menjadi positif atau negatif melalui alam dan suasana di rumah dengan pendapatnya; Children learn what they live. Gale Maleskey, seorang tokoh pendidikan percaya bahawa kita boleh menjadikan anak-anak kita bestari dengan 15 cara−15 ways to make your child smarter. Jane Walmsley dan Jonathan Margolis percaya bahawa manusia boleh dibentuk seperti seolah-olah kita menanam tomato dalam rumah panas. Mereka berdua menulis buku bertajuk: Hot House People: Can We Create Super Human Beings? Jawabnya pasti boleh! Keluarga Covey mementingkan tabiat dan habit yang paling efektif. Stephen Covey menulis dua buah buku: The 7 Habits of Highly Effective People dan The 7 Habits of Highly Effective Families dan anak remajanya Sean Covey menulis: The 7 Habits of Highly Effectives Teens. Selain itu, hari ini kita berdepan dengan satu ilmu baru iaitu futuristik atau ilmu wawasan. Ilmu ini mempunyai teori, kaedah dan penyelidikan untuk meramalkan masa depan yang berlaku kepada dunia, manusia dan alamnya. Banyak buku yang dihasilkan untuk ramalan dan wawasan masa depan. Buku-buku tersebut ialah seperti Future Shock, Power Shift dan The Third Wave oleh Alvin Toffler; The End of History oleh Francis Fukuyama; Head to Head; The Coming Economic Battle Among Japan, Europe and America oleh Lester Thurow; Megatrends, Global Paradox, Megatrend Asia dan High Tech High Touch oleh John Nasbitt, Islam and Challenge of the 21st Century oleh Seyyed Hossien Nasr; The Closing of the American Mind oleh Bloom, dan The Japan That Can Say No oleh Shintaro Ishihara. Dengan kehebatan Malaysia hari ini yang dipenuhi dengan projek MSC, Putrajaya, Cyberjaya, KLCC, KLIA, dengan sains dan teknologi tinggi tercanggih dan terkini dengan e-mail, e-commerce, e-access, kita meramalkan bahawa satu hari nanti akan lahir sebuah negara Malaysia dengan formula Malaysia sebagai sebuah citra antara
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 196 warisan dan wawasan. Hari ini bekas Perdana Menteri Malaysia,Tun Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis buku ilmu futuristiknya bertajuk A New Deal for Asia. Dengan buku satu gagasan besar ini, ia menjadi bukti bahawa kita adalah bangsa besar dan bangsa gagah yang tidak bisa tunduk kepada sebarang kuasa luar yang boleh diberi gelaran yang gah. “The Malaysia That Will Never Say ‘Yes!’ “sebarangan!
Jati Diri dan Patriotisme Berdasarkan Nilai-Nilai Murni Global 197 Bibliografi A. Samad Ahmad (peny.), 2010. Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ahmad Kamal Abdullah et al. (ed), 1992. History of Modern Malay Literature, 2 vols. Kuala Lumpur: Dewa Bahasa Pustaka. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, 1978. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia. Al-Faruqi, Ismail Raji, 1988. Pemikiran Islam Al-Faruqi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asmah Haji Omar, 1996. Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. A. Rahim Abdullah, 1995. Pemikiran Sasterawan Nusantara: Satu Kajian Perbandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Bannard, Timothy P. (ed.), 2004. Contesting Malayness. Singapore: Singapore University Press. Eaglestone, Robert, 2000. Doing English: Al Guide for Literature Students. London: Routledge. Gaskell, Philip, 1999. Landmarks in English Literature. Chicago: Fitzroy Dearborn Publishers. Ghazali Darusalam, 1998. Dakwah Islam dan Ideologi Barat: Ancaman Post Modernisme Terhadap Umat Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Harris, Raymond, 1994. Best Selling Chapters: Middle Level. Illionis: Jamestown Publishers. Hooker, Virginia Matheson, 2000. Writing A New Society: Social Change Through the Novel in Malay. St. Leornards; NSW. Hamzah Hamdani (ed.), 1982, Novel-Novel Malaysia dalam Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka. Hashim Awang, 1998. Penciptaan dan Kemanusiaan Dalam Cerpen dan Novel. Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hashim Awang A.R. et.al (ed.), 1990. Pengajian Sastera dan Sosiobudaya Melayu Memasuki Alaf Baru. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Johns. A.H., 1979. Cultural Options and the Role of Tradition. Canberra: ANU Press. Maulana Abdullah Yusuf Ali dan Abu Salah Muhammad Uthman El-Muhammady (terj.). 1993. Al-Quranu’l – Karim: Terjemahan dan Huraian Maksud. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. _____________, 1989. Novels of the Troubled Years. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 198 _____________, 1990. Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. _____________, 1995. Koleksi Terpilih Shahnon Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. _____________, 2000. Dunia Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. _____________, 2004, Pembinaan Paradigma Pemikiran Peradaban Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris. _____________, 2006. Teori Pendidikan Pemikiran Global. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris. _____________, 2007. Islam Hadhari Menangani Gelombang Globalisasi. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris. _____________, 2008. Pemikiran Mahathir Mohamad: Kesinambungan Gelombang Keintelektualisme Melayu Global dari Munshi Abdullah dan Za’ba. Shah Alam: Universiti Teknologi Mara. _____________, 2009. Pemikiran Global Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris. _____________, 2010. Wacana Akademik. Tanjong Malim: Diterbitkan oleh Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki. Universiti Pendidikan Sultan Idris. _____________, 2011. Iktibar dari Dubai. Tanjong Malim: Penerbitan HEPA, Universiti Pendidikan Sultan Idris. _____________, et. al. 2010. Wajah Insan Bitara. Tanjong Malim: Penerbitan HEPA, Universiti Pendidikan Sultan Idris. _____________, 2011. Kemasyhuran Kg. Tebing dan Ketokohan Nai Sin di Peringkat Global Awal Abad ke 20. Tanjong Malim: Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki. Universiti Pendidikan Sultan Idris. _____________. et. al, 2012. Minda Melayu Global. Tanjong Malim: Penerbit, Universiti Pendidikan Sultan Idris. _____________, dan Siti Khairiah Mohd Zubir, 2012. Pemikiran Global 11 Sasterawan Negara Malaysia. Penerbit, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Shahnon Ahmad, 1981. Kesusasteraan dan Etika Islam. Kuala Lumpur: Fajar Bakti. Shahnon Ahmad, 1988. Gubahan Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Tunku Abdul Rahman, 1969. May 13 Before and After. Kuala Lumpur: Utusan Melayu Press.
Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Kebangsaan (Nasional) Teo Kok Seong* Universiti Kebangsaan Malaysia * Profesor Dr. Teo Kok Seong adalah Felow Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 200 Secara umumnya, bab ini membincangkan satu tema penting dalam bidang sosiolinguistik/ sosiologi bahasa, iaitu bahasa dan nasionalisme. Secara rincinya, ia dibincangkan dalam kerangka teoritis bahawa bahasa mempunyai kuasa untuk membentuk jati diri nasional. Dalam hal ini, beberapa persoalan tentang kekitaan (sebagai rakyat dalam sesebuah negara) dan kesetiaan (terhadap tanah air) diteliti di beberapa buah negara Asia, termasuklah Malaysia, untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang tema ini. Ini dilakukan dalam konteks perbincangan tentang masalah dan cadangan penyelesaiannya dengan meninjau kerelevanan bahasa untuk pemupukan perasaan nasional, sama ada secara positif, iaitu bahasa didapati membantu membentuk jati diri nasional, atau sebaliknya, yakni ia dilihat sebagai penghalang. Pendahuluan Penelitian tentang nasionalisme selalunya mendapati bahasa, khususnya yang dimiliki bersama, adalah komponen asas lagi utama, untuk membentuk satu populasi sebagai satu bangsa. Sebagai penanda simbolik dan bukti nyata jati diri/identiti seseorang atau kumpulan, bahasa mempunyai potensi untuk berfungsi sebagai alat pemersatu melalui perasaan yang dikongsi bersama tentang jati diri serta perasaan tentang kepentingan kelompok (Smith, 2001). Nasion (nation) yang merupakan konsep teras kepada ideologi nasionalisme, merujuk kepada satu populasi yakni sekelompok manusia yang secara unggulnya (i) terdiri daripada satu kumpulan etnik yang memiliki salasilah dan sejarah yang sama, (ii) kini mengamalkan satu budaya yang dimiliki bersama (termasuklah bertutur dalam satu bahasa), (iii) berada dalam satu wilayah yang jelas sempadannya, (iv) kebajikan mereka diuruskan oleh satu pentadbiran pusat/wilayah, dan (v) menikmati manfaat sebagai rakyat. Selain semua ini, satu kualiti penting tentang nasion ialah kelompok manusia ini wajib memiliki perasaan sayang serta taat terhadap kelompok manusia yang mereka anggotai itu (Simpson, 2007). Sehubungan ini, tugas bagi merangsang kesedaran untuk bersatu dalam kalangan rakyat dalam sesebuah negara yang berdaulat, dan untuk menggalakkan perasaan
Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Kebangsaan (Nasional) 201 kekitaan serta kesetiaan terhadap negara yang merupakan tanah air/ibu pertiwi, bukan sahaja dilakukan dengan memberi perhatian kepada usaha pembinaan jati diri nasional, tetapi yang lebih penting lagi ialah ia ikut memberi perhatian kepada usaha pemupukan keinsafan dalam kalangan rakyat, tentang peri pentingnya pembentukan satu populasi yang memiliki pelbagai ciri nasional yang dikongsi bersama, selain daripada membentuk satu arah tuju yang dimiliki bersama (Birch, 1989). Dalam pembinaan jati diri nasional, bahasa tidak dapat dinafikan mempunyai peranan penting. Pada satu pihak, pengetahuan dan penguasaan satu bahasa yang dikongsi bersama dalam sesebuah negara, didapati baik untuk menyatupadukan rakyatnya, selain mempamerkan jati diri nasional yang dikongsi bersama. Tetapi pada satu pihak lain, penggunaan pelbagai bahasa lain, khususnya dalam domain rasmi dalam negara berkenaan, didapati boleh menjadi penghalang kepada usaha penyatuan itu, dan lebih penting kepada usaha pembinaan jati diri nasional. Dalam usaha pembinaan jati diri nasional ini, banyak aspek bahasa yang berkaitan dengan ideologi nasionalisme dari Barat, dipinjam oleh negara-negara Asia semasa mencapai kemerdekaan, mengharungi pembangunan serta memburu kemodenan. Antaranya termasuklah penganjuran satu bahasa yang perlu digunakan dalam semua domain di seluruh pelosok negara, walaupun dalam populasi yang berbilang etnik di sesetengah negara Asia. Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Bahagian ini meneliti pelbagai interaksi antara bahasa dan jati diri nasional (serta pelbagai bentuk jati diri lain) yang berlaku di beberapa negara Asia. Ini dilakukan dengan meninjau sejauh mana bahasa boleh menyatupadukan rakyat dalam sesebuah negara itu, ataupun sebaliknya, iaitu memisahkan mereka. Sehubungan ini, pelbagai keadaan etnolinguistik, politik dan sejarah ikut dibincangkan (secara ringkas) untuk meninjau faktor-faktor pendorong dan penghalang. Persoalan-persoalan tentang bahasa dan nasionalisme berikut juga memperlihat pelbagai pendekatan yang diterima pakai, selain pelbagai reaksi dan kesan yang timbul
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 202 ekoran daripada langkah dan keputusan yang diambil oleh sesetengah negara Asia. Reaksi dan kesan ini berbentuk konflik (yang kadangkalanya ganas), selain pemisahan/ pengasingan, sehinggalah membawa kepada sikap pasif tidak peduli/minat (selaku masalah yang dibincangkan), dan beberapa kes kejayaan untuk membina jati diri nasional (sebagai cadangan penyelesaian yang dibincangkan). Pendorong dan Penghalang Pembinaan Jati Diri Nasional Beberapa keadaan dan elemen didapati boleh, sama ada menjadi pendorong dan penghalang dalam pembinaan jati diri nasional. Berikut ada sesetengah keadaan dan elemen itu. Jenis Populasi Dasar perancangan bahasa di sesetengah negara Asia didapati didorong oleh faktor jenis populasi yang terdapat dalam sesebuah negara itu. Usaha pembentukan negara bangsa (rakyat) dan negara itu sendiri didapati senang, jika populasinya rata-rata terdiri satu kelompok etnik sahaja. Dengan ini, populasi homogen di Jepun dan Korea misalnya, tidak dapat dinafikan merupakan sebab penting dalam usaha pembinaan jati diri nasional, yang didapati tidak merupakan masalah langsung. Walau bagaimanapun, banyak negara Asia tidak memiliki populasi homogen. Dengan ini, terdapat pelbagai kelainan dalam komposisi populasi nasional di beberapa negara. Ini antaranya disebabkan oleh faktor sejarah, iaitu negara-negara ini dijajah. Faktor migrasi dalaman juga didapati menyebabkan kemasukan melalui penghijrahan pelbagai kumpulan etnik ke dalam wilayah, yang dahulunya dikawal/dihuni oleh satu kumpulan etnik sahaja. Dalam kedua-dua hal ini, Malaysia adalah satu contoh yang baik. Pada zaman moden, penjajah British membawa masuk buruh asing dari China dan India dalam
Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Kebangsaan (Nasional) 203 bilangan yang besar, sehingga merubah demografinya dari sebuah negara monoetnik kepada sebuah negara majmuk. Beberapa dahulu, beberapa kelompok etnik peribumi Nusantara juga berpindah untuk bermastautin di sini, sebuah wilayah Melayu atau Nusantara lain. Antaranya adalah kelompok etnik Jawa. Untuk negara-negara yang mempunyai populasi tidak homogen pula, terdapat dua jenis populasi bercampur ini. Jenis pertama ialah negara-negara di mana terdapat satu kelompok majoriti yang besar saiznya dalam populasi nasional, dan yang selebihnya terdiri daripada banyak kelompok minoriti yang setiap satunya bersaiz kecil sahaja. Keadaan begini terdapat di Thailand, Laos dan Myanmar. Jenis kedua pula terdiri daripada negara-negara di mana walaupun sesuatu kelompok etnik itu merupakan majoriti dalam populasi nasional, ia sebetulnya masih merupakan kelompok minoriti apabila dibandingkan dengan kelompok-kelompok etnik lain yang didapati lebih dominan di dalamnya. Keadaan ini boleh ditemui di Malaysia yang memperlihat kelompok etnik Cina adalah minoriti penting, walaupun etnik Melayu itu merupakan kelompok majoriti. Hal yang sama juga ditemui di Sri Lanka di mana kelompok etnik Tamil yang merupakan minoriti penting di Sri Lanka, walaupun etnik Sinhala itu adalah kelompok majoriti. Sehubungan ini, usaha pembinaan jati diri nasional di negara-negara yang populasinya tidak homogen, didapati tidak semudah dan selancar yang berlaku di negara-negara yang terdiri/dihuni rata-ratanya oleh oleh satu kelompok etnik sahaja. Hal ini tidak terkecuali di Malaysia. Sempadan Negara Bilangan besar sesuatu kelompok etnik yang dipisahkan oleh sempadan antarabangsa dan diasingkan pula ke dalam dua politi yang berbeza, mempunyai kesan ke atas usaha pembinaan jati diri nasional. Hal begini berlaku kepada kelompok etnik Lao. Mereka boleh didapati dengan ramainya di dua negara yang bersempadan, iaitu Laos dan Thailand. Sebetulnya jumlah kelompok etnik Lao ini lebih ramai di Thailand daripada di Lao.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 204 Sehubungan ini, jati diri nasional kelompok etnik Lao di Laos tidak sama dengan jati diri nasional kelompok etnik Lao di Thailand. Hal yang demikian ini disebabkan oleh aspirasi nasional masing-masing yang didukung oleh Laos dan Thailand. Hal yang sama juga berlaku dengan bilangan kelompok etnik Tamil di Sri Lanka yang agak besar. Mereka ini didapati menerus dan mengekalkan hubungan dengan kelompok etnik Tamil di Selatan India. Dengan ini, mereka didapati lebih menonjolkan jati diri nasional India daripada jati diri nasional Sri Lanka. Contoh paling ketara dalam persoalan sempadan negara ialah kelompok etnik Korea yang kini dibahagikan kepada dua entiti politik yang amat berbeza di antara satu sama lain. Walaupun terdiri daripada populasi homogen dan merupakan penghuni Semenanjung Korea, oleh sebab soal sempadan negara, kelompok etnik Korea melalui pembinaan jati diri nasional yang tidak sama di antara populasi Korea Utara dan populasi Korea Selatan. Dasar Bahasa Negara Terdapat dua jenis dasar bahasa yang dijalankan pada peringkat nasional di kebanyakan negara Asia. Yang pertama ialah pendekatan ekabahasa, yakni satu bahasa sahaja yang digunakan sepenuhnya. Ini dilakukan dengan memilih hanya satu bahasa yang diangkat menjadi bahasa negara, yang dimandatkan untuk digunakan dalam semua domain rasmi/formal. Jenis kedua pula adalah sistem yang menganjurkan penggunaan pelbagai bahasa, yakni memilih lebih daripada satu bahasa untuk digunakan dalam majlis rasmi/formal negara. Dasar ekabahasa untuk bahasa negara didapati diamalkan di negara-negara yang mempunyai populasi homogen. Antaranya adalah di Jepun dan Korea. Walau bagaimanapun, beberapa negara yang populasinya tidak homogen, yakni terdiri daripada pelbagai etnik, didapati ikut mengamalkan dasar ekabahasa ini. Ini termasuk Malaysia. Walaupun demikian, bahasa-bahasa etnik lain terus dibenarkan diajar dalam sistem pendidikan negara dan digunakan melalui status sebagai bahasa sukuan. Semua ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 152 yang membicarakan
Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Kebangsaan (Nasional) 205 status bahasa Melayu selaku bahasa negara, yakni sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi. Untuk kumpulan negara ini, tujuan pemilihan dasar ini ialah untuk membentuk negara bangsa (rakyat) yang bersatu padu daripada satu populasi yang terdiri daripada pelbagai kelompok etnik, untuk membangun dan memajukan negara itu sendiri. Sehubungan ini, rakyat diharap dapat bersatu padu untuk memajukan negara, melalui ilmu pengetahuan yang diungkap dan disebarkan dalam satu bahasa sahaja. Untuk ini, hanya satu bahasa dipilih dan dipromosikan sebagai bahasa negara. Meskipun demikian, pelaksanaan dasar ekabahasa ini dipengaruhi oleh dinamik populasi di negara-negara tertentu. Oleh itu, kadar kejayaannya didapati berbeza-beza di antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya tiga jenis model wujud ekoran daripada dinamik populasi ini (Abdullah Hassan, 1994). Yang pertama ialah di Thailand dan Myanmar, di mana kelompok etnik majoriti wujud bersama-sama dengan banyak kelompok etnik lain, tetapi bilangan mereka ini tidak besar, dan bahasa kelompok etnik majoriti dipilih sebagai bahasa negara. Model kedua pula melibatkan Malaysia dan Sri Lanka, di mana kelompok etnik minoriti penting wujud bersama-sama dengan kelompok etnik majoriti, dan bahasa kelompok etnik majoriti dijadikan bahasa negara. Model ketiga wujud dalam bentuk bahasa negara yang dipilih itu tidak pun merupakan bahasa kelompok etnik majoriti yang merupakan sekurang-kurangnya 50% daripada populasi di sesebuah negara itu. Ini berlaku di Indonesia dan Filipina. Bertentangan dengan dasar ekabahasa ini, beberapa negara mengamalkan dasar multibahasa, yang memperlihat penggunaan lebih daripada satu bahasa untuk bahasa negara. Ia dilakukan antaranya untuk memberi representasi linguistik secara formal kepada sebilangan kelompok etnik penting dalam populasi sesebuah negara itu. India dan Singapura didapati mengamalkan dasar multibahasa ini. Sehubungan ini, India mengiktiraf sekitar 20 bahasa sebagai bahasa negara di benua kecil itu. Ini bermakna India membenarkan penggunaan 20 bahasa ini secara berleluasa dalam bidang pendidikan dan pentadbiran di beberapa wilayah di benua kecil itu, untuk tujuan kenegaraan, khususnya dalam kapasiti sebagai bahasa rasmi.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 206 Dasar multibahasa ini juga merupakan sebahagian daripada dasar kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya, yang diamalkan di sesetengah negara Asia. Ini dapat diteliti pada Dasar Bahasa Negara di Singapura. Untuk ini, republik Singapura ini memilih empat bahasa, yakni Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil, sebagai bahasa negara yang sama tinggi martabatnya dalam konteks sebagai bahasa rasmi. Sehubungan pemilihan sedemikian, Singapura ingin membentuk negara bangsa (rakyat) dan membangunkan republik itu, sebagai negara yang bercitra multietnik dan multibudaya yang mendukung sistem nilai Asia, dan bukan berdasarkan jati diri mana-mana kelompok etnik utama dalam populasinya, sama ada Cina, Melayu atau India. Seperkara penting yang perlu diutarakan di sini ialah terdapat pelbagai kadar penggunaan yang sebenar pada bahasa (bahasa-bahasa) yang dipilih sebagai bahasa negara, dalam bidang pendidikan dan pentadbiran, serta domain-domain rasmi/formal lain untuk tujuan kenegaraan, khususnya sebagai bahasa rasmi. Dalam hal ini, terdapat beberapa buah negara di Asia ini yang melengkapi penggunaan hanya satu bahasa sebagai bahasa negara itu, dengan bahasa (bahasa-bahasa lain), misalnya bahasa Inggeris. Gangguan daripada bahasa penjajah, misalnya bahasa Inggeris dalam pengembangan bahasa negara di banyak negara di Asia ini, dalam sistem perundangan, birokrasi pemerintah dan pendidikan, adalah antara cabaran penting dalam usaha pembangunan dan pengembangannya secara penuh. Ini adalah kerana ia tidak boleh berfungsi sebagai satu-satunya bahasa negara tanpa berkongsi peranan ini dengan bahasa penjajah dan/atau bahasa antarabangsa/dunia yang lain, untuk memperlihat potensi penuhnya. Isu Pemilihan Bahasa Negara Pemilihan sesebuah bahasa itu untuk dijadikan bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam populasi tidak homogen, sering kali menimbul pelbagai isu yang dikaitkan dengan pewajaran pemilihan berkenaan. Ini dapat dilihat di India sewaktu benua kecil itu mencapai kemerdekaannya pada 1947. Bahasa Hindi yang dipilih sebagai bahasa
Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Kebangsaan (Nasional) 207 negara itu adalah bahasa yang rata-ratanya dituturkan di utara India. Justeru ia tidak dapat diterima oleh kelompok etnik Tamil yang merupakan majoriti di selatan India. Tambahan lagi, pemilihan bahasa Hindi ini tidak dapat dinafikan memberi kelebihan sosioekonomi kepada kelompok etnik Hindi. Ini dilihat sebagai tidak adil oleh yang lainlain, khususnya etnik Tamil yang agak besar bilangannya. Isu pewajaran pemilihan bahasa Hindi ini tidak dapat dinafikan mempunyai kesan ke atas usaha pembinaan jati diri nasional di India. Ia akhirnya dapat diselesaikan pada 1967 apabila India memperkenal semula penggunaan bahasa Inggeris sebuah bahasa neutral etnik dalam hal ini sebagai bahasa rasmi, selepas 20 tahun cuba dan gagal mempromosi hanya satu bahasa negara, iaitu bahasa Hindi dalam kapasitinya sebagai bahasa rasmi. Hal yang sama juga berlaku di Filipina, sebuah negara yang berpopulasi multietnik yang tidak mempunyai kelompok etnik yang merupakan majoriti yang jelas. Dalam keadaan dinamik populasi begini, pemilihan satu bahasa sahaja sebagai bahasa negara, daripada kalangan beberapa bahasa di negara itu, boleh mencetuskan reaksi negatif daripada kelompok-kelompok etnik yang bahasa mereka tidak dipilih. Dalam hal ini, apabila bahasa Tagalog, yakni bahasa yang dikatakan dituturkan oleh sebilangan besar populasi Filipina dan dipilih menjadi bahasa negara, ramai pihak khususnya yang bukan daripada kelompok etnik Tagalog membantah dengan mengatakan pemilihan ini menguntungkan para penutur bahasa Tagalog sahaja, yang dilihat sebagai mempunyai kelebihan sosioekonomi ekoran daripada penguasaan bahasa itu. Penamaan semula yang simbolik sifatnya daripada bahasa Tagalog kepada bahasa Filipino, yakni bahasa kepunyaan rakyat Filipina, didapati tidak banyak membantu. Ini adalah kerana populasi Filipina tidak dapat diyakini bahawa bahasa Filipino adalah tidak sama dengan bahasa Tagalog. Bagi mereka, bahasa Filipino (atau nama lamanya Tagalog) adalah bahasa yang dipaksakan ke atas majoriti rakyat Filipina, yang rataratanya bukan daripada kelompok etnik Tagalog. Untuk menyelesaikan masalah ini, pada 1987, Filipina memperkenal semula penggunaan bahasa Inggeris untuk berfungsi bersama-sama dengan bahasa Filipino sebagai bahasa negara, khususnya sebagai bahasa rasmi negara itu. Perkembangan linguistik begini sudah tentu mempunyai kesan negatif ke atas usaha pembinaan jati diri nasional di Filipina.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 208 Hal sebaliknya yang positif sifatnya berlaku di Indonesia yang juga mempunyai populasi multietnik. Bahasa negara yang dipilih itu diterima baik oleh seluruh rakyat republik itu (Collins, 1998). Kelompok etnik Jawa yang merupakan majoriti yang jelas tidak membantah langsung apabila bahasa Melayu, sebuah lingua franca perdagangan yang digunakan dengan popularnya di republik itu, dipilih sebagai bahasa negara. Sehubungan ini, bahasa Melayu kemudiannya diberi nama bahasa Indonesia dipelajari dengan bangganya, selain digunakan dengan setianya dan dengan penuh prestij dan cinta pula oleh semua lapisan rakyat Republik Indonesia. Sikap positif ini bukan sahaja diperlihat untuk komunikasi kebangsaan sebagai wahana neutral etnik. Tetapi yang lebih penting lagi ia juga diamalkan untuk komunikasi antarabangsa (yang kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa antarabangsa lain, seperti bahasa Inggeris dalam majlis antarabangsa di luar republik itu, antaranya di Perhimpuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) dalam usaha pembinaan jati diri Indonesia yang kuat. Isu Pengembangan Pemilihan sesebuah bahasa sebagai bahasa negara ikut membabitkan pelbagai proses pengembangan dan pembakuan, yang sering kali boleh mencetus pelbagai isu. Salah satu proses ini ialah pengembangan kosa kata agar bahasa peribumi yang baharu dipilih sebagai bahasa negara itu, dapat digunakan dengan berkesan dalam semua domain kehidupan, baik yang domestik mahupun nasional. Isu penting di sini ialah bagaimana kosa kata itu dibentuk. Kaedah kata/istilah itu dibentuk adalah penting kerana ia mempunyai kesan ke atas persepsi terhadap martabat kenegaraan pada bahasa negara itu. Salah satu kaedahnya ialah pencarian/ penggubalan kata-kata asli sepenuhnya untuk mengungkapkan segala macam hal dalam bahasa berkenaan pada zaman moden ini. Ini dapat dilakukan melalui pelbagai strategi linguistik (Kaplan & Baldauf, Jr., 1997). Kaedah lain yang popular melibatkan penggubalan kata/istilah melalui penggunaan sumber bahasa kedua atau bahasa asing. Kaedah ini berlaku pada beberapa bahasa
Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Kebangsaan (Nasional) 209 moden di Asia dengan menggunakan sumber daripada bahasa-bahasa klasik/lama, misalnya Sanskrit, Persia dan Arab. Penggunaan sumber begini tidak dianggap sebagai tindakan yang boleh menjejaskan sifat nasional atau jati diri nasional pada bahasa negara berkenaan. Ini adalah kerana kata/istilah yang digubal daripada sumber bahasa-bahasa klasik/lama ini, rata-ratanya dipersepsikan secara positif. Persepsi begini wujud kerana bahasa-bahasa klasik/lama ini amat dihormati kerana berprestij tinggi ekoran daripada nilainya yang menjulang, selain gaya persuratannya yang juga luhur. Walau bagaimanapun, kata/istilah yang digubal daripada sumber bahasa Inggeris, sebuah bahasa moden, sama ada untuk unsur budaya kontempori dan/atau sains dan teknologi, tidak selalunya dipersepsikan secara positif. Ini antaranya adalah kerana pengambilan kata/istilah sebegitu boleh menyebabkan kehadiran elemen asing dalam bahasa negara berkenaan. Ini dilihat sebagai boleh menjejaskan martabat kudusnya sebagai sistem linguistik asli yang merupakan simbol yang mewakili rakyat negara berkenaan. Sehubungan ini, isu kemurnian bahasa negara selalu dan banyak diperbahas sewaktu semangat nasionalisme membara kuat/tinggi, dan ini diikuti pula dengan seruan untuk menolak peminjaman/penyerapan unsur asing, selain anjuran untuk “menyucikan” bahasa negara berkenaan. Sebagai contoh, tindakan mengeluarkan elemen asing, yakni kata atau istilah Cina dan Jepun berlaku di Korea Utara semasa negara berkenaan berusaha mencipta “bahasa natifnya yang berbudaya sendiri” pada tahun 1950-an dan 1960-an. Hal yang sama juga berlaku di Sri Lanka pada tahun 1940-an apabila berlaku tindakan untuk mengeluarkan kata/istilah daripada sumber bahasa Sanskrit dan lain-lain, daripada bahasa Sinhala. Tujuannya adalah untuk mengembalikan bahasa Sinhala kepada bentuknya yang asli, sesuai dengan peranannya selaku wahana budaya kelompok etnik Sinhala. Kesannya, bahasa Sinhala ingin ditonjolkan sebagai bahasa hebat lagi unik, yang tidak pun diperturun daripada mana-mana bahasa lain, apatah lagi “dinodai” oleh bahasa-bahasa lain.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 210 Promosi dan Penindasan Promosi meluas dan penyebarannya ke seluruh populasi boleh menjamin penggunaan berkesan sesuatu bahasa negara itu. Ini lazimnya tercapai dengan penggunaan bahasa negara berkenaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, lebihlebih lagi sebagai satu-satunya bahasa pengantar dalam kurikulum pembelajaran pelajar. Literasi umum, khususnya yang meliputi kebolehan membaca dan menulis dalam bahasa negara berkenaan, perlu juga diusahakan dalam kalangan golongan dewasa. Ini antaranya dapat dilakukan melalui penggunaan pelbagai jenis media, untuk menyampaikan pendidikan sosial tentang bahasa negara berkenaan. Antara media itu termasuklah program radio dan televisyen, surat khabar dan bahan-bahan bacaan yang lain. Di Thailand pada tahun 1930-an, siaran radio digunakan secara khusus untuk menghebahkan mesej nasionalisme yang berkenaan dengan peri pentingnya bahasa ‘Thai Standard’. Kepentingan bahasa Thai yang baku sifatnya itu ditegaskan sebagai alat penyatuan negara bangsa (rakyat) Thai untuk membangun dan memajukan negara Thailand. Promosi ini didapati bukan sahaja berkesan dan berjaya menyatupadukan rakyat Thai di seluruh Thailand, melalui penggunaan satu ragam bahasa Thai yang dikongsi bersama, tetapi yang penting lagi ialah ia dapat membina jati diri nasional dalam kalangan rakyat Thailand yang menghubungkaitkan bahasa ‘Thai Standard’ dengan nasionalisme Thailand. Natijah yang ingin disampaikan di sini ialah progam promosi ke seluruh pelosok negara, yang menyebarkan gagasan tentang peri pentingnya bahasa negara, sebetulnya bukan sahaja sekadar membina jati diri nasional, tetapi yang kuat pula. Sehubungan ini, pada masa promosi terhadap bahasa negara giat dijalankan, hal yang sebaliknya boleh juga berlaku, iaitu penindasan terhadap bahasa (bahasa-bahasa) lain. Sering kali, ikut berlaku bersama-sama dengan penindasan ini ialah usaha untuk mengasimilasikan kelompok-kelompok etnik yang berbagai-bagai, ke dalam satu jati diri nasional yang disasarkan. Hal ini didapati berlaku di Thailand dan Indonesia di mana sekolah-sekolah Cina ditutup secara beransur-ansur pada abad ke-20.
Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Kebangsaan (Nasional) 211 Penerimaan, Prestij Serta Nilai Pragmatik Bahasa Negara (Peribumi) dan Bahasa Inggeris (Asing) Bagi bahasa negara diterima untuk digunakan oleh populasi dalam sesebuah negara, ia perlu mempunyai nilai positif yang boleh dihubungkaitkan dengan kemajuan, kemodenan, kejayaan, pendidikan dan status sosial yang tinggi. Dengan memiliki kesemua nilai positif ini, bahasa negara berkenaan dapat merangsangkan penyebarannya dan menyerlahkan kepentingannya dalam kehidupan harian. Selain prestij nilai umum yang ada pada bahasa negara berkenaan, potensi kegunaan pragmatiknya, yakni kecekapan di dalamnya adalah faktor besar yang boleh membantu dalam penyebarannya agar lebih berleluasa dalam populasi di negara berkenaan. Sehubungan ini, pergerakan ke arah penguasaannya akan kelihatan lebih jelas lagi, khususnya dalam kalangan generasi muda, apabila terdapat keuntungan ekonomi kalau seseorang itu cekap dalam bahasa negara berkenaan. Di beberapa buah negara Asia, kecekapan dalam bahasa negara pada tahap tertentu, dijadikan syarat untuk menyandang jawatan dalam sektor awam atau kerajaan. Perkhidmatan awam di beberapa buah negara di Asia yang merupakan sumber pekerjaan yang paling besar lagi penting, menyebabkan dorongan yang tinggi untuk rakyatnya menguasai bahasa negara berkenaan dengan baik. Dengan perkembangan ekonomi nasional yang baik, sektor swasta dan kuasa pasaran di sesetengah negara Asia menggalakkan pengetahuan yang baik dalam bahasa negara tertentu, dalam kalangan pekerjanya. Ini adalah kerana kepentingan urusan pada peringkat domestik, khususnya untuk kegunaan industri perkhidmatan selain untuk kegunaan domestik, memerlukan penggunaan bahasa negara berkenaan. Nilai pragmatik bahasa Inggeris di Asia, seperti di kebanyakan tempat dalam dunia, adalah senantiasa tinggi. Ini antaranya adalah kerana kepentingan dan kekuasaan bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia (Crystal, 2003). Walaupun negara-negara yang pernah dijajah oleh British (misalnya Malaysia) dan oleh Amerika (misalnya Filipina) telah lama merdeka, pengekalan bahasa penjajah, yakni bahasa Inggeris sebagai wahana untuk majlis rasmi, termasuk pendidikan, masih
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 212 diteruskan; atau diperkenal semula setelah diberhentikan penggunaannya dalam bentuk rasmi semenjak beberapa tempoh yang lalu. Ini bermakna penyingkiran penuh terhadap, khususnya kekuasaan bahasa penjajah, tidak pernah berlaku. Ia masih wujud dalam pelbagai bentuk, kerana kewujudannya sebagai alternatif kepada bahasa negara dalam situasi rasmi. Pada 2003, Malaysia telah memperkenal semula bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk dua mata pelajaran, yakni Sains dan Matematik dalam kurikulum pendidikan nasional, setelah berjaya menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara, untuk beberapa dekad lamanya. Hal yang sebaliknya berlaku di Filipina pada 1987. Bahasa Inggeris diperkenal semula setelah Filipina gagal mencuba penggunaan bahasa Filipino untuk satu tempoh, sesudah bahasa itu dipromosi sebagai bahasa negara yang satu-satunya. Kini bahasa Filipino masih merupakan bahasa negara di Filipina, tetapi sebagai bahasa kebangsaan sahaja. Manakala fungsi bahasa rasmi pada bahasa Filipino itu didukung oleh bahasa Inggeris. Melaui peranan sebagai bahasa rasmi ini, bahasa Inggeris mengekalkan kebanyakan kekuasaan dan kepentingannya, dalam semua domain rasmi di Filipina, seperti yang berlaku sebelum negara itu memperoleh kemerdekaan. Antara sebab mengapa bahasa Inggeris diperkenal semula adalah respons daripada rakyat dan tuntutan pengguna untuk integrasi yang lebih banyak dengan pasaran antarabangsa, selain pemaksaan dari atas, yakni oleh pihak pemerintah. Contoh respons daripada rakyat dapat dilihat di Singapura. Negara itu yang menawarkan pendidikan kepada rakyatnya dalam empat bahasa pengantar (seiringan dengan empat bahasa rasminya) sebaik sahaja memperoleh kemerdekaan, akhirnya terpaksa menukar sekolah-sekolah aliran Melayu, Cina dan Tamil kepada sekolah aliran Inggeris disebabkan oleh kekurangan pelajar di sekolah-sekolah itu. Contoh pemaksaan dari atas boleh dilihat pada Malaysia apabila pihak pemerintah mengenakan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003, secara tiba-tiba tanpa apa-apa perbincangan yang bernas, apatah lagi persediaan yang rapi setelah diumumkan pada pertengahan 2002. Walau bagaimanapun, dasar ini dimansuhkan pada Julai 2008 dan berkuasa pada 2012, setelah perbincangan meja bulat diadakan beberapa kali dalam kalangan pelbagai pihak yang berkepentingan (Teo Kok Seong, 2010 & 2011).
Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Kebangsaan (Nasional) 213 Peningkatan penggunaan bahasa Inggeris dalam domain rasmi sesebuah negara perlu dilihat sebagai isu serius, bukan sahaja dari segi kesan yang timbul terhadap jati diri nasional rakyat (Teo Kok Seong, 2007). Tetapi juga dari segi cabaran yang ditimbulkan oleh bahasa Inggeris terhadap bahasa negara, khususnya dalam mendukung peranan memajukan negara bangsa (rakyat) dan negara itu sendiri, selain dalam melaksanakan tugas penyatupaduan populasi di dalam negara berkenaan. Impak peningkatan ini didapati berbagai-bagai. Pada satu ekstrem yang positif sifatnya, rakyat Jepun didapati tidak banyak teruja dengan kekuasaan bahasa Inggeris apabila mempelajarinya. Mereka didapati mempelajari bahasa itu kerana ia penting dalam domain-domain tertentu kepada mereka. Pada ekstrem yang lain yang negatif sifatnya, terdapat ramai golongan elit di banyak negara, baik di Asia mahupun di mana-mana negara lain, yang didapati hanya boleh berfungsi sepenuhnya jika mereka menggunakan bahasa Inggeris (Edwards, 1985). Ini adalah kerana mereka tidak fasih, tidak boleh dan/atau tidak bangga menggunakan bahasa negara mereka. Yang lebih memudaratkan lagi ialah ada dalam kalangan mereka ini yang menjadi pemimpin tertinggi negara. Ini didapati berlaku pada ucapan sesetengah pemimpin yang perlu diterjemahkan ke dalam bahasa negara tertentu, daripada teks asalnya dalam bahasa Inggeris. Tekanan dan Kehebatan Dalam membina jati diri nasional, khususnya melalui promosi bahasa negara, penegasan yang dirancangkan khas untuk memperlihat kehebatan bahasa negara berkenaan, lebihlebih lagi dari segi prestijnya, perlu bukan sahaja diadakan pada setiap masa, malah dipertingkat dari semasa ke semasa. Ini adalah penting untuk menjamin penerimaan dan penghayatan bahasa negara berkenaan oleh rakyat. Lebih penting lagi ialah penegasan begini tentang ciri dan sifat positif bahasa negara berkenaan, boleh membawa kepada wujudnya nasionalisme bahasa/linguistik, yang antaranya menganjurkan gagasan bahawa bahasa rasmi sesebuah negara itu, sebetulnya adalah hebat, malah jauh lebih hebat daripada bahasa (bahasa-bahasa) lain.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 214 Sikap positif terhadap bahasa negara yang dipromosikan oleh pihak pemerintah, didapati boleh menegaskan kehebatan segala macam ciri dan sifat yang dimiliki oleh bahasa negara berkenaan. Ini antaranya boleh dilakukan dalam ucapan para pemimpin negara, lebih-lebih lagi yang tertinggi kedudukan mereka, yang selalu merujuk kepada peri hebatnya bahasa negara, sebagai tema yang sengaja diulang-ulang tanpa jemujemu. Sehubungan ini, keghairahan nasionalisme bahasa ini tentang kehebatan bahasa negara dalam ucapan para pemimpin, perlu diselaraskan dengan kelakuan bahasa mereka. Ini adalah penting agar mereka tidak kelihatan terpisah daripada sentimen kebahasaan negara bangsa (rakyat) yang diwakili mereka, dan lebih penting lagi nasionalisme bahasa negara yang perlu dipertahan. Kesimpulan Untuk mengakhiri perbincangan tentang peranan bahasa negara dalam pembinaan jati diri nasional, perlu dinyatakan dan diperingat di sini tentang kecenderungan dan cabaran semasa yang boleh menjejaskan usaha murni ini. Antara yang terbesar ialah kesan globalisasi ke atas pola penggunaan bahasa, warisan dan budaya tradisional dan semestinya jati diri nasional (Maurais & Morris, 2003). Tidak dapat dinafikan peningkatan dalam perdagangan dan komunikasi antarabangsa ikut memperlihat peningkatan dalam penggunaan bahasa Inggeris, yang mempunyai pelbagai kesan. Antara yang dahsyat ialah penurunan prestij tinggi yang dianugerahkan bahasa negara serta kehilangan warisan budaya bangsa sesetengah kelompok etnik. Walau bagaimanapun, reaksi daripada rakyat jelata, dalam bentuk perbincangan ilmiah yang tinggi mutunya dan keprihatinan tulen daripada pihak pemerintah tentang ancaman bahasa dan budaya Inggeris (barat), adalah petanda baik yang boleh menjamin persekitaran yang kondusif untuk kita terus membina dan mempertahan jati diri nasional masing-masing.
Penghayatan Bahasa dan Pembinaan Jati Diri Kebangsaan (Nasional) 215 Bibliografi Abdullah Hassan (Penyusun), 1994. Language Planning in Southeast Asia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Brich, Anthony H, 1989. Nationalism and National Integration. London: Unwin Hyman. Collins, James T, 1998. Malay, World Language: A Short History. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Crystal, David, 2003. English as a Global Language. Second Edition. Cambridge: Cambridge University Press. Edwards, John, 1985. Language, Society and Identity. Oxford: Basil Blackwell. Kaplan, Robert & Baldauf, Jr, 1997. Language Planning: From Practice to Theory. Clevedon (UK): Multilingual Matters Ltd. Maurais, Jacques & Morris, Michael A. (Editor), 2003. Languages in a Globalising World. Cambridge: Cambridge University Press. Simpson, Andrew. (Editor), 2007. Language and National Identity in Asia. Oxford: Oxford University Press. Smith, Anthony D, 2001. Nationalism: Theory, Ideology, History. Cambridge: Polity. Teo Kok Seong, 2007. Bahasa Melayu dalam Pembangunan Ekonomi Malaysia: Aset atau Liabiliti? Jurnal Persatuan Linguistik (Malaysia), Jilid 8, 2007. Halaman 173-189. Teo Kok Seong, 2010. “Pemansuhan PPSMI pada Tahun 2012: Memartabatkan Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan”. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Kolokium Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan, anjuran Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 11 - 12 Mei 2010, di UMS. Teo Kok Seong, 2011. “Sinar Baharu Bahasa Kebangsaan”. dlm. Pelita Bahasa, Januari 2011. Halaman 9-11.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 216
Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia Awang Sariyan* Dewan Bahasa dan Pustaka * Profesor Dr. Awang Sariyan adalah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 218 Pendahuluan Bagi orang yang mengagungkan dan mengutamakan bahasa Inggeris dalam ranah kehidupan penting di negara ini, salah satu senjata yang digunakan ialah membesarbesarkan kekurangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu dikatakan miskin ilmu, bahasa Melayu bahasa setempat dan bukan bahasa antarabangsa, bahasa Melayu bahasa estetik dan bukan bahasa dinamik, bahasa Melayu kekurangan istilah, dan bahasa Melayu kekurangan itu dan ini. Orang yang membesar-besarkan kekurangan bahasa Melayu (malangnya sebilangannya orang Melayu sendiri) sama ada tidak sedar atau tidak pernah berusaha mengambil tahu akan perkembangan bahasa Melayu sejak bahasa itu dirancang secara rasmi menjelang dan sesudah kemerdekaan negara ini. Jika sekalipun benar ada kekurangannya, bukankah tanggungjawab semua orang yang memiliki kad pengenalan Malaysia, lebih-lebih lagi golongan pemimpin dan cendekiawan, memajukan bahasa kita itu? Adakah bahasa Melayu akan maju dengan sendirinya tanpa usaha, iltizam, dan kesungguhan kita sendiri? Adakah bahasa-bahasa maju yang lain, hatta bahasa Inggeris yang asalnya bahasa masyarakat petani itu maju dengan sendirinya tanpa usaha cendekiawannya? Dalam makalah ini, saya mengajak semua warganegara Malaysia menjejaki ceritera kejayaan tentang bahasa Melayu sejak dirancang secara rasmi, khususnya sejak setahun sebelum kemerdekaan, apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan di negara ini. Pada tahun itu juga kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai persiapan menjadikan bahasa Melayu wahana komunikasi yang berkesan dalam pelaksanaan jentera pentadbiran negara (bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi), dalam perundang-undangan dan kehakiman, dalam pendidikan dan dalam pelbagai sektor kehidupan yang lain. Selain itu, ditubuhkan juga oleh kerajaan Institut Bahasa (kini Institut Bahasa Melayu Malaysia) sebagai langkah mempersiapkan tenaga pengajar bahasa Melayu untuk mendidik generasi muda di negara ini.
Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia 219 Perancangan Bahasa Perancangan bahasa merujuk kepada proses pembinaan dan pengembangan sesuatu bahasa untuk tujuan tertentu. Dalam konteks di Malaysia, perancangan bahasa melibatkan bahasa Melayu yang dirancang untuk menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa bagi segala aspek tamadun negara. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam bentuk undang-undangnya, perancangan bahasa Melayu diasaskan pada Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan. Pembinaan bahasa merujuk kepada usaha melengkapkan bahasa daripada sudut korpus bahasanya, iaitu kosa kata umum, istilah, tatabahasa, ejaan, sebutan, dan laras bahasa agar dapat bahasa itu memainkan peranan sebagai wahana komunikasi yang cekap dan berkesan dalam konteks pembangunan bangsa dan negara. Pengembangan bahasa pula berkaitan dengan usaha memasyarakatkan bahasa yang dibina korpusnya itu kepada para penggunanya dalam sektor perkhidmatan awam, sektor pendidikan, sektor swasta dan sektor antarabangsa. Perancangan bahasa di Malaysia, sebagaimana yang telah saya sentuh lebih awal, secara rasmi telah bermula satu tahun sebelum kemerdekaan apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) merumuskan usul-usul ke arah pembentukan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Usul Jawatankuasa Razak berserta usul penegasan Jawatankuasa Rahman Talib (1960) telah dijadikan asas Akta Pelajaran 1961 yang selama puluhan tahun menjadi asas pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini; malah Akta Pendidikan 1996 yang menggantikan Akta Pelajaran 1961 pun mengekalkan semangat yang diusulkan oleh Penyata Razak. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Bahasa pada tahun itu juga merupakan usaha perancangan bahasa yang dilakukan oleh Kerajaan untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi bagi pembinaan negara. Sehingga kini, sudah lebih setengah abad negara ini membangun dengan berasaskan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi utamanya, terutama dalam bidang pentadbiran dan pendidikan, dan secara beransur-ansur dalam bidang perundang-undangan dan kehakiman serta swasta. Apabila dalam Wawasan 2020
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 220 diungkapkan gagasan pembinaan negara maju dengan berteraskan acuan sendiri, maka peranan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi pembangunan merupakan salah satu pemenuhan gagasan itu kerana bahasa Melayu merupakan acuan falsafah, pemikiran, sistem nilai, kreativiti, inovasi dan kegiatan kehidupan rakyat Malaysia. Kejayaan Dalam Pembinaan Bahasa Melayu Pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa moden untuk mengisi keperluan pembangunan negara telah dilakukan secara terancang apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956, mula-mula sebagai jabatan kerajaan dan kemudian dengan lulusnya Akta DBP 1959, bertukar tarafnya menjadi badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan. Pembinaan bahasa yang dikenal juga dengan nama perancangan korpus bahasa dilakukan dalam bidang ejaan, peristilahan, kosa kata umum, tatabahasa, sebutan, dan laras bahasa. 1. Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Ejaan: Usaha pengemaskinian sistem ejaan dilakukan untuk mengatasi masalah tidak selarasnya beberapa sistem ejaan Rumi yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Sistem Ejaan Rumi yang sedia ada sejak tahun 1940-an ialah sistem ejaan Za’ba, tetapi kemudian ada pula sistem ejaan Universiti Malaya, sistem ejaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan versi lain yang digunakan oleh pelbagai pihak lain. Sesuai pula dengan semangat penyatuan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia untuk memenuhi kerjasama dan persefahaman serantau, sistem ejaan Rumi baharu yang dirasmikan ialah sistem ejaan yang diselaraskan bersama antara Kerajaan Malaysia (melalui Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu) dengan Pemerintah Indonesia (yang diwakili oleh Panitia Kerjasama Kebahasaan), melalui badan rasmi kerjasama kebahasaan antara negara, iaitu Majlis Bahasa Indonesia - Malaysia (MABIM) yang ditubuhkan pada tahun 1972. Pengisytiharan Sistem Ejaan Rumi Baru (di Indonesia disebut sebagai Sistem Ejaan Yang Disempurnakan) berlangsung secara serentak di Kuala Lumpur dan di Jakarta pada 16 Ogos 1972. Di Kuala Lumpur, majlis pengisytiharan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak bin Hussein.
Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia 221 Dengan adanya sistem ejaan Rumi yang dikemaskinikan itu, segala dokumen pentadbiran, bahan pengajaran dan pemelajaran serta bahan untuk segala bentuk komunikasi tertulis diasaskan pada satu sistem yang relatif seragam dan hal ini membantu berlangsungnya komunikasi yang cekap dan berkesan, khususnya dalam pelaksanaan pentadbiran negara dan sistem pendidikan negara. Sebagai pedoman kepada masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan sejumlah buku dan risalah, antaranya Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (1975), Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981), dan Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan - Jawi (2001). Dalam konteks persefahaman dan kerjasama serantau dan antarabangsa, sistem ejaan Rumi itu, selain dirasmikan di Malaysia dan di Indonesia, telah diterima sebagai sistem ejaan yang rasmi di Brunei Darussalam dan di Singapura, dan diterima sebagai ejaan yang baku di Thailand Selatan dan di Kemboja serta di kira-kita 30 buah negara sedunia yang mempunyai pusat pengajian Melayu/Indonesia yang sejak tahun 2000 menjadi anggota Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia sebagai Urus Setianya. Selain usaha menyempurnakan sistem ejaan Rumi yang menjadi ejaan rasmi, usaha dilakukan juga untuk menyempurnakan sistem ejaan Jawi dan meluaskan penggunaannya dalam bidang-bidang tertentu, khususnya dalam bidang pendidikan dan di tempat awam. Pada tahun 1984, Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Konvensyen Tulisan Jawi dan bertitik tolak daripada konvensyen itu telah diusahakan pengemaskinian sistem ejaan Jawi hingga dapat diterbitkan Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan (1986) dan daftar kata lengkapnya dalam Daftar Kata: Rumi - Sebutan - Jawi (2001) dan edisi keduanya terbit pada tahun 2008 dengan tambahan 8200 entri baru. Daftar Kata: Rumi-Sebutan-Jawi untuk Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Daftar Kependekan (Singkatan dan Akronim) juga sedang giat diusahakan dan dijangka terbit pada tahun 2013. Untuk kegunaan yang lebih berkesan dan praktis, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan usaha sama pihak swasta telah menerbitkan perisian komputer Dewan Eja dan Dewan Eja Pro yang merupakan penyemak ejaan Rumi bahasa Melayu yang sudah mantap penggunaannya.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 222 2. Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Peristilahan: Usaha menggubal istilah dalam bahasa Melayu untuk mengisi peranannya sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu di negara ini telah bermula pada tahun 1957, dengan dua bidang terawalnya Istilah Kerajaan dan Istilah Ilmu Sains dan Teknik. Sehingga kini, istilah yang terhasil dalam bahasa Melayu hampir mencecah jumlah 1 juta dan meliputi ratusan bidang ilmu dan profesional (Bidang istilah yang sedang diupayakan di peringkat Majlis Bahasa Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia berjumlah 250 bidang. Jumlah buku istilah dalam bahasa Melayu yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja ialah 288 judul. Seluruh peringkat dalam sistem pendidikan negara telah pun memanfaatkan penggunaan istilah yang digubal untuk penyampaian dan pengembangan ilmu kepada pelajar semua peringkat itu. Daripada hampir seluruh bidang moden yang digubal istilahnya itu, baik dalam bidang ilmu sains sosial mahupun ilmu sains tabii, terdapat bidang baharu yang berkaitan dengan kemajuan negara yang mutakhir, iaitu aeroangkasa, kejuruteraan kapal terbang, dan kejuruteraan automotif. Pengerusi Jawatankuasa Istilah Aeroangkasa, Dr. Ahmad Sabirin merupakan pakar yang mereka bentuk, melancarkan, dan mengoperasi mikro satelit pertama Malaysia, iaitu TiungSAT-1. Keperluan terhadap istilah-istilah baharu dalam bidang tertentu dan keperluan terhadap istilah bidang ilmu dan profesional yang baharu terus-menerus ditangani oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama pakar-pakar ilmu yang sebilangan besarnya terdidik dalam sistem pendidikan Kebangsaan, sekurangkurangnya di peringkat sekolah. Dalam usaha memperkaya istilah dalam bahasa Melayu untuk menjadikannya berupaya menjadi bahasa ilmu moden, ribuan pakar dalam ratusan bidang, yang kesemuanya merupakan aset negara telah dan sedang terlibat secara intensif melakukan penggubalan istilah, menyusun glosari dan kamus istilah, serta mengembangkannya dalam kuliah mereka di institusi pengajian tinggi dan juga dalam pengurusan institusi profesional masing-masing. Dalam usaha memperluas sumbangan kepakaran mereka untuk memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka sudah pun merancang dan memulakan gerak
Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia 223 langkah melibatkan pakar-pakar ilmu dan profesional dalam penghasilan karya ilmiah dalam bentuk buku dan kamus ensiklopedik dalam bidang masing-masing, iaitu sebagai peningkatan dan peluasan daripada kerja penggubalan istilah selama ini. Dijangka bahawa dengan strategi bersepadu dan terancang itu, penghasilan karya ilmu dalam bahasa Melayu akan menjadi cukup pesat dan diharapkan dapat memenuhi keperluan mengilmukan generasi pembina negara. 3. Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Kosa Kata: Usaha merakamkan kekayaan kosa kata atau perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu secara terancang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bermula sejak awal tahun 1960-an. Namun lama sebelum itu kekayaan kosa kata bahasa Melayu telah dirakamkan oleh para sarjana asing sejak beberapa abad silam dalam bentuk daftar dan kamus, misalnya Daftar Kata Melayu - Cina (abad ke-15), Kamus Melayu - Itali oleh Antonio Pigafetta pada suku pertama abad ke-16, Kamus Melayu - Inggeris oleh Thomas Bowry pada awal abad ke-18, A Dictionary of the Malay Language oleh Marsden pada tahun 1821, dan beberapa buah kamus lain oleh R.J. Wilkinson (1901, 1908, 1932), W.G. Shellabear (1902, 1916) dan R.O. Winstedt (1913). Usaha ini dilanjutkan lagi dengan terbitnya Tesaurus Umum Bahasa Melayu DBPUSM (1990), Tesaurus Bahasa Melayu Dewan (1998) dan Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Baharu (2008). Usaha pertama Dewan Bahasa dan Pustaka yang bermula pada tahun 1964 terhasil pada tahun 1970 dengan terbitnya Kamus Dewan, iaitu kamus ekabahasa bahasa Melayu yang dianggap berwibawa sebagai rujukan. Kamus yang entrinya berjumlah kira-kira 30,000 patah itu kemudian diterbitkan dalam edisi baharu pada tahun 1984 dan 1989 (masing-masing dengan tambahan 900 entri dan 2,000 entri), edisi ketiganya pada tahun 1994 (dengan tambahan 6,000 entri) dan edisi keempatnya pada tahun 2005 (dengan tambahan 5,843 entri). Untuk pelajar sekolah menengah, Dewan Bahasa dan Pustaka menyusun dan menerbitkan Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar pada tahun 1975, sementara pada tahun 1989 dan pada tahun 2003 ini dijangka terbit edisi baharunya dengan judul Kamus KBSR Dewan. Kamus ekabahasa bahasa Melayu yang dirancang memuatkan
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 224 67,000 entri, iaitu Kamus Besar Bahasa Melayu Dewan sedang disusun dan dirancang terbit pada tahun 2014. Untuk keperluan penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris - Bahasa Malaysia (1979, edisi kedua 2002), Kamus Inggeris - Melayu Dewan i (1991), dan Kamus Inggeris - Melayu Dewan Edisi Ringkas (1995) dan Kamus Bahasa Melayu - Bahasa Inggeris (2012). Kamus dwibahasa lain yang telah terbit ialah Kamus Perancis - Melayu (1996) dan kini sedang diusahakan edisi keduanya. yang sedang disusun ialah Kamus Bahasa Mandarin - Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Tamil - Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Thai - Bahasa Melayu, dan Kamus Bahasa Khmer - Bahasa Melayu. Kamus istilah dalam pelbagai bidang ilmu yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pula telah menjangkau jumlah 72 judul setakat ini dan banyak lagi yang dalam proses penerbitan dan penyusunan. Menurut kajian yang telah dibuat tentang keputusan kamus Melayu di Malaysia, setakat ini tidak kurang daripada 552 judul kamus telah diterbitkan oleh pelbagai penerbit di negara ini. Untuk memastikan pengembangan bahasa Melayu yang lebih berkesan, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama swasta telah menerbitkan kamus elektronik, iaitu Kamus Telapak BESTA DBP-1 (1998), Kamus Pena Quicktionary (2000) dan Kamus Pro versi 1.1 hingga 1.5 (2007-2011). 4. Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Tatabahasa: Tatabahasa Melayu sebagai asas sistem bahasa Melayu yang berkaitan dengan proses pembinaan kata dan ayat telah menjadi perhatian dan kajian sarjana Eropah, iaitu Belanda dan Inggeris sejak abad ke-17. Usaha penyusunan tatabahasa Melayu yang meninggalkan kesan dan pengaruh yang cukup besar ialah yang dilakukan oleh Pendeta Za’ba. Karyanya yang berjudul Pelita Bahasa Melayu sebanyak tiga jilid telah membantu memantapkan perkembangan bahasa Melayu apabila buku tersebut menjadi rujukan utama dalam sistem pendidikan di negara ini selama puluhan tahun sejak 1940-an. Pada tahun 2000, buku itu diterbitkan semula oleh
Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia 225 Dewan Bahasa dan Pustaka dalam ejaan Rumi baharu sebagai buku edisi mewah. Dewan Bahasa dan Pustaka berusaha mengemaskinikan tatabahasa Melayu dengan menerbitkan Tatabahasa Dewan Jilid 1 (1986), Tatabahasa Dewan Jilid 11 (1989), Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993) dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008). Selain itu, banyak buku dan risalah tatabahasa lain yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit lain. Dewan Bahasa dan Pustaka juga melaksanakan kajian Tatabahasa Praktis Bahasa Melayu berdasarkan korpus melalui kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan hasilnya buku Aspek Nahu Praktis Bahasa Melayu (2008) diterbitkan oleh UKM, untuk menjadi rujukan masyarakat umum. Sesuai dengan keperluan semasa, Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Universiti Multimedia telah menerbitkan CD-ROM Tatabahasa Melayu yang interaktif sifatnya dan telah dilancarkan oleh Canselor Universiti Multimedia pada bulan Julai 2002. 5. Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Sebutan: Usaha membakukan sebutan bahasa Melayu telah mula dibincangkan dan dirumuskan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956. Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1984 telah mula mengerakkan perumusan sebutan baku yang berasaskan rumusan Kongres dan bersempena dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu di sekolah pada tahun 1988, sebutan baku yang dirumuskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka telah diintegrasikan dalam sukatan pelajaran baharu mata pelajaran Bahasa Melayu. Bahan terbitan yang telah dihasilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka antaranya termasuklah Pedoman Sebutan Baku Bahasa Melayu, Sebutan Baku Bahasa Melayu (berserta kaset), dan Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan -Jawi. 6. Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Laras Bahasa: Laras bahasa berkaitan dengan pelbagai bentuk penggunaan bahasa menurut bidang-bidang khusus, misalnya bahasa dalam bidang undang-undang, bahasa dalam bidang sains, bahasa dalam bidang kewartawanan, bahasa dalam bidang pentadbiran, dan
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 226 sebagainya. Pengayaan laras bahasa Melayu dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui penerbitan karya ilmu dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan juga penerbitan karya kreatif. Dari permulaan pembabitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam penerbitan, hampir 10,000 judul buku telah berhasil diterbitkan. Daripada koleksi Perpustakaan Negara Malaysia (1966-2012), sejumlah 251,233 judul direkodkan sebagai buku yang didaftarkan di bawah Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1964 dan Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1966. Walaupun jumlah lebih seratus ribu judul itu turut merangkum buku dalam bahasa lain, namun jumlah yang paling besar adalah terbitan dalam bahasa Melayu dengan 136,664 judul. Kejayaan Dalam Pengembangan Bahasa Melayu Pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui program pengembangan di sektor awam, pengembangan di sektor swasta, dan pengembangan di sektor antarabangsa. Pengembangan Bahasa di enam sektor berimpak tinggi, iaitu sektor pendidikan, perkhidmatan kewangan, penyiaran dan komunikasi, tempat awam, kewangan dan insurans dan, perdagangan dan kepenggunaan. Program Audit Bahasa juga sudah dimulakan dengan sesi audit dalam DBP sendiri sebagai program rintis. Jabatan Perkhidmatan Awam merupakan jabatan kerajaan yang pertama akan diaudit pada tahun 2013. 1. Pengembangan Bahasa Melayu di Sektor Awam: Pengembangan dalam sektor ini meliputi usaha mengadakan kursus, ceramah, forum, dan seminar bahasa Kebangsaan, pembentukan pegawai bahasa di setiap kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan, program Munsyi Dewan (Pengembangan bahasa daripada
Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia 227 kalangan guru di seluruh negara), khidmat nasihat bahasa, penghargaan dan pengiktirafan (seperti anugerah dan hadiah kepada tokoh ilmuwan dan sebagainya), pemantauan penggunaan bahasa di tempat awam, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Usaha pengembangan bahasa Melayu di sektor awam meliputi kerajaan pusat, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa awam. Daripada penilaian yang dibuat, terdapat kemajuan yang nyata tentang darjah kelulusan penggunaan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi jentera pentadbiran kerajaan dan juga tentang mutu bahasa yang digunakan tetapi masih perlu terus ditingkatkan usaha pemantapannya. 2. Pengembangan Bahasa Melayu di Sektor Swasta: Usaha dalam sektor ini dimulakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1996 melalui Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta. Empat bidang utama diberi tumpuan perhatian, iaitu Perdagangan Dalam Negeri, Industri Khusus, Industri Perkhidmatan Kewangan, dan Media Massa. Dalam setiap bidang utama itu, terdapat beberapa subbidang hingga akhirnya terdapat lebih 10 bidang yang ditangani untuk mengembangkan bahasa Kebangsaan dalam sektor swasta. Di bawah Perdagangan Dalam Negeri, terdapat subbidang Kompleks BeliBelah, Perniagaan Francais, Produk Makanan dan Minuman, dan Telekomunikasi, Elektrik dan Elektronik. Di bawah Industri Khusus, terdapat subbidang Perhotelan dan Penginapan, Pengiklanan, dan Pengangkutan Awam. Di Industri Perkhidmatan Kewangan terdapat subbidang Perbankan, Syarikat Kewangan dan Insurans. Di bawah Media Massa, terdapat Media Elektronik Kerajaan, Media Elektronik Swasta dan Pengeluaran Filem, Video dan Muzik. Antara program yang dihasilkan termasuklah kempen penggunaan bahasa Kebangsaan, pemantauan penggunaan bahasa Kebangsaan di sektor swasta, khidmat nasihat bahasa, anugerah dan penghargaan, peraduan, khidmat pengeditan dan penerjemahan dokumen perniagaan dan kursus bahasa. Sejak digerakkan pada tahun 1996, secara beransur-ansur telah tampak kepekaan pihak swasta tertentu untuk ikut serta melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Usaha yang berterusan dan intensif sedang diperhebat.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 228 3. Pengembangan Bahasa Melayu di Sektor Antarabangsa: Kegiatan bermula dengan kerjasama antara negara Malaysia dengan Indonesia apabila termeterai Pernyataan Bersama Pemerintah Indonesia dan Kerajaan Malaysia pada 23 Mei 1972 dengan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia dan Menteri Pelajaran Malaysia sebagai wakil kedua-dua buah negara. Pernyataan Bersama itulah yang menjadi asas terbentuknya Majlis Bahasa Indonesia - Malaysia (MABIM) pada tahun yang sama untuk melaksanakan penyelarasan sistem ejaan Rumi dan peristilahan antara kedua-dua buah negara. Pada tahun 1985, majlis tersebut diperluas keanggotaannya dengan masuknya Brunei Darussalam dan namanya berubah menjadi Majlis Bahasa Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia (MABBIM). Republik Singapura menjadi anggota pemerhati sejak tahun 1983. Dengan tertubuhnya MABBIM, kekuatan bahasa Melayu di peringkat serantau semakin menyerlah kerana perkongsian kepakaran di peringkat supranasional dapat dilakukan, khususnya dalam bidang ilmu. Sejak tahun 1999, MABBIM telah merancang peluasan skop kerjanya daripada kerjasama ejaan dan peristilahan kepada penelitian dan penyusunan serta penerbitan karya ilmiah. Dalam meningkatkan citra bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Sasaran Kerja Utama 1996 - 2000 telah memasukkan program pengantarabangsaan bahasa Melayu sebagai salah satu tumpuan. Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dalam tahun 1997 dan pada tahun 2000 telah dilancarkan penubuhan majlis tersebut dengan dihadiri oleh wakil dari 21 buah negara di seluruh dunia. MABM telah menggariskan empat bidang utama gerak kerjanya, iaitu Kegiatan, Penelitian dan Penerbitan, Hak Ehwal Pengajaran, dan Anugerah dan Pengiktirafan. Bidang Kegiatan antara lain meliputi Program Pertukaran Tenaga Pengajar dan Pelajar, Pelbagai Pertandingan/Peraduan, Khemah Bahasa, Program Lawatan Sambil Belajar, Promosi Bahasa dan Persuratan Melalui Pameran dan Minggu Bahasa Melayu. Bidang Penelitian dan Penerbitan antara lain meliputi Penyelarasan Penyelidikan tentang Pelbagai Aspek Linguistik dan Persuratan Melayu di Semua Pusat Pengajian Melayu Sedunia dan Penerbitan Jurnal, Monograf, Buku dan
Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia 229 Bahan Terbitan Elektronik tentang Bahasa dan Persuratan Melayu. Bidang Hal Ehwal Pengajaran antara lain meliputi Penyediaan Sukatan Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing Pelbagai Peringkat, Penyediaan Bahan Ajar, Penyediaan Ujian Setara, dan Penyediaan Pengujian dan Penilaian. Akhirnya, bidang Anugerah dan Pengiktirafan meliputi Penghargaan kepada Tokoh Pengembangan Bahasa Melayu di Peringkat Antarabangsa, Penghargaan kepada Pelajar Terbaik Bidang Pengajian Melayu di Luar Negara, Penghargaan, kepada Institusi Pengembangan Bahasa Melayu di Luar Negara, dan Biasiswa serta Geran. Program Pengkomputeran Bahasa Melayu dan Pemanfaatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden diseiringkan juga dengan pemanfaatan teknologi canggih, melalui program pengkomputeran. Ada juga bentuk program yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang pertama ialah pembinaan prasarana atau sistem untuk penyelidikan bahasa Melayu, sementara yang kedua ialah penyelidikan dalam bidang linguistik korpus dan linguistik komputeran. Setakat ini koleksi korpus bahasa Melayu digital (Korpus DBP) dengan saiz 105 juta patah kata daripada pelbagai teks (akhbar, buku, novel, majalah, dan lainnya) telah dibina dan diletakkan pada http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp untuk kegunaan penyelidikan bahasa di dalam dan di luar negara. Di peringkat kerjasama serantau, melalui MABBIM, dilakukan pembinaan Gerbang Bahasa Melayu/Indonesia pada www. Gerbang atau portal telah direalisasikan menerusi www.dbp.gov.my/mabbim dan menjadi wadah bagi segala kemudahan untuk pengajaran, pemelajaran, penyebaran, dan penelitian bahasa Melayu. Selain itu, laman Bahasa Melayu untuk Semua (BMUS) juga telah diwujudkan dalam usaha menyediakan pelbagai kemudahan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu secara dalam talian.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 230 Di peringkat antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mula menyertai projek Universal Networking Language Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Projek ini tertumpu pada usaha mentakrifkan suatu bahasa interlingua yang dapat digunakan untuk mengekodkan teks dalam sesuatu bahasa supaya teks tersebut dapat dibaca dalam pelbagai bahasa di Internet. Dijangka bahawa projek ini dapat meluaskan penyebaran bahasa Melayu di mata dunia. Pemanfaatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi telah dimulakan juga dengan Projek Karya Net (yang menjadi wadah sarjana dan penulis berkarya di medan Internet), penerbitan pelbagai karya ilmu, pedoman bahasa dan karya kreatif dalam bentuk digital dan pengajaran bahasa dan persuratan Melayu melalui talian (Internet). Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama pelbagai pihak sedang memperbanyak perisian komputer dan karya dalam bentuk digital dan elektronik dalam bahasa Melayu untuk membantu pencapaian misi negara dalam mengejar kemajuan pada era globalisasi. Program tersebut yang sementara waktu ini tidak aktif akan diolah dan dilaksanakan semula. Semua bahan rujukan yang telah diterbitkan oleh DBP sudah diletakkan pada www.prpm.dbp.gov.my untuk memudahkan masyarakat menggunakannya. Sistem Pengesahan Bahasa DBP pula diwujudkan untuk meneliti, menilai dan meluluskan permohonan iklan secara dalam talian. Aduan Pengguna Bahasa dan Pantau Tegur dalam Talian dalam memudahkan masyarakat mengemukakan sebarang aduan dan pandangan dalam aspek penggunaan bahasa di negara ini. Pakej Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) yang meliputi aspek bahasa, sastera dan penerbitan juga dikemas kini dari semasa ke semasa.
Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia 231 Penutup Huraian di atas memperlihatkan keupayaan dan kejayaan bahasa Melayu sebagai wahana tamadun moden bagi bangsa dan negara, khususnya dalam konteks pencapaian kemajuan dengan berasaskan acuan sendiri. Bukanlah semua kejayaan itu sudah cukup memuaskan dan bukan pula tiada kekurangan dan masalahnya. Namun, segala kekurangan yang masih ada menjadi tanggungan kita mengatasinya dan dengan kepercayaan bahawa ikhtiar mesti dijalankan terus, yakinlah kita bahawa kekurangan di sana sini itu tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk mengurangkan, apatah lagi meminggirkan peranan bahasa Melayu dalam proses pembinaan negara. Proses pembinaan negara dengan berasaskan dasar-dasar negara, seperti Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, di samping Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Perkongsian Kuasa Politik, dan yang lainnya sejak kemerdekaan ternyata telah berjaya meletakkan negara pada tahap yang cukup membanggakan. Dasar-dasar tersebut, termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan akan tetap relevan dan ampuh untuk kelangsungan tamadun bangsa dan negara ini selanjutnya dan menjadi kesilapan besar apa-apa percubaan untuk melemahkan apatah lagi merobohkannya. Usahlah dilupakan sejumlah lebih 5 juta lepasan tingkatan lima (1975 - 2001) yang terhasil daripada Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan itulah yang menjadi tenaga pembina dan pembangunan negara ini. Kita barangkali memerlukan waktu puluhan tahun, malah mungkin lebih, untuk membina semula kekuatan bangsa dan negara yang telah utuh itu andai kata dasar-dasar kenegaraan yang terbukti berkesan itu diabaikan.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 232
GAGASAN 1Malaysia SEKRETARIAT 1MALAYSIA* Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia * Sekteriat 1Malaysia berpusat di Jabatan Penerangan Malaysia
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 234 Pendahuluan Pemimpin terdahulu seperti Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengasaskan perpaduan dalam kalangan berbilang kaum dan keturunan. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah mengambil alih pentadbiran negara dan meneruskan tradisi menyatupadukan rakyat melalui pendekatan Gagasan 1Malaysia. APAKAH 1MALAYSIA? • Gagasan untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara, mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa. “Tidak kira perbezaan pegangan politik, kita seharusnya bersatu dibawah panji-panji bendera tanah air 1Malaysia” - Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim KENAPA? • Bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. “Komposisi kaum di negara ini merupakan kekuatan kerana setiap kaum saling memerlukan dan bergantungan antara satu sama lain”. - Tun V.T. Sambanthan
Gagasan 1Malaysia 235 • Untuk membentuk Negara maju dengan mengambil kira keperluan rakyat tanpa mengira kaum. WAWASAN 2020….. 10 tahun lagi Malaysia akan menjadi negara maju mengikut acuan kita sendiri. “Bangsa Malaysia pada tahun 2020 akan mempunyai identitinya sendiri, tidak bercorak negara asal mana-mana kaum. Kita akan mempunyai budaya dan seni yang khusus berbentuk Malaysia. ‘Confidence’ semua warga Negara akan kebolehan mereka adalah sama dalam semua bidang. Pencapaian juga tidak lagi dikaitkan dengan kaum”. (Tun Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Konvokesyen Kolej Tunku Abdul Rahman, 5 Oktober 1991.) Sumber: Madah Perdana Penggerak Bangsa – Jabatan Penerangan Malaysia • Persediaan menghadapi sebarang cabaran terhadap rakyat dan negara daripada anasir yang boleh memecah-belah dan menghancurkan negara. KONSEP “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia (one people), kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita, kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik disamping tidak mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan” - Datuk Sri Mohd Najib Tun Hj Abd Razak Perdana Menteri Malaysia
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 236 HURAIAN KONSEP • Mengutamakan rakyat merentasi seluruh lapisan masyarakat. • Memastikan perkongisan nikmat secara bersama tanpa dipinggir. • Tidak mengetepikan dasar pembangunan Bumiputera. • Rakyat dan negara mencapai tahap kejayaan yang diiktiraf. • Perlembagaan Negara dan Prinsip Rukun Negara menjadi teras serta menerima kemajmukan masyarakat sebagai suatu reality. • Rakyat mempunyai hak dan bertanggungjawab kepada Negara (togetherness and sense of belonging). TUJUAN • Mengukuhkan perpaduan rakyat (Perpaduan Nasional) serta meningkatkan nilai dalam kesejahteraan kehidupan rakyat. • Membina Negara bangsa yang mantap jati diri dengan semangat patriotism berlandaskan Rukun Negara dan Perlembangaan Persekutuan. STRATEGI 1. Rakyat Didahulukan (Meletakkan kepentingan rakyat di hadapan) 2. Pencapaian Diutamakan Mencapai sasaran dan impak/outcome yang cemerlang yang berbalik faedahnya kepada rakyat seluruhnya tanpa seorang pun tercicir daripada arus pembangunan negara.
Gagasan 1Malaysia 237 ASPEK-ASPEK UTAMA Aspek Pertama Penerapan Teras-Teras Perpaduan Aspek Kedua Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi Aspek Pertama Penerapan Teras-Teras Perpaduan • Penerimaan • Keadilan Sosial • Kenegaraan Penerapan Nilai-Nilai Murni • Berbudi Bahasa • Hormat menghormati • Kesederhanaan • Rendah hati (Tawadhuk) Aspek Kedua Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi Lapan Nilai Aspirasi 1Malaysia • Budaya Inovasi • Budaya Berprestasi Tinggi • Budaya Ketepatan • Budaya Ilmu • Integriti • Ketabahan • Kesetiaan • Kebijaksanaan
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 238 HALANGAN • Lanskap budaya masyarakat berubah akibat perbandaran, modenisasi dan juga perindustrian kerana keterhakisan jati diri. • Perubahan lanskap Budaya digunakan untuk menggugat perpaduan rakyat dan kestabilan negara dengan apabila unsur-unsur tradisi dan kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikaikan PERANAN KITA • Mengutamakan perpaduan • Membesarkan persamaan nilai-nilai yang wujud & mengecilkan perbezaan • Semangat Patriotik telah terbukti sejak Negara mencapai kemerdekaan apabila ibubapa mengabdikan nama-nama anak mereka sempena kemerdekaan Negara seperti: - Wang Merdeka - Sarah Merdeka - Merdeka Nadeson - Sarakup Malaysia anak Samak “Our future depends on how well many different kinds of people can live and work together”. - Tun Abdul Razak • Berusaha mencapai matlamat dengan meningkatkan keupayaan “Kekuatan sesebuah Negara yang memiliki komposisi rakyat pelbagai agama, kaum dan kebudayaan bergantung kepada kefahaman dan sikap saling menghormati di antara satu sama lain.” - Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi
Gagasan 1Malaysia 239 KESIMPULAN Gagasan 1Malaysia dapat membina kekuatan bangsa Malaysia untuk menghadapi ancaman dari luar dan dalam Negara. Tujuan, konsep, prinsip dan nilainya memerlukan dokongan semua lapisan masyarakat sama ada pemimpin atau pun rakyatnya. “Bersatu Teguh Bercerai Roboh” “Ondru Pattal Undu Vaalve” “Tuan Ceh Ciu Zhe Lee Liang” RAKYAT (NKRA) 1. Akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan 2. Mengurangkan kadar jenayah 3. Memerangi rasuah 4. Taraf hidup rakyat berpendapatan rendah ditingkatkan 5. Prasarana luar bandar dan pendalaman diperkasakan 6. Menambahbaik pengangkutan awam 1. Meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. • Semua kanak-kanak menguasai kemahiran membaca menulis dan mengira ketika melangkah ke tahun 4 sebelum hujung 2012. • Menjelang tahun 2012, 80% kanak-kanak disasarkan mendapat akses kepada pendidikan prasekolah. 2. Mengurangkan kadar jenayah • Pengurangan sebanyak 20% jenayah jalanan pada akhir tahun 2010.
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 240 3. Memerangi Rasuah • Pengagihan perolehan dibuat melalui tender terbuka atau terhad. • Memulihkan Indeks Persepsi Rasuah yang diletakkan Transparency International. 4. Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah • Mulai Januari 2010 semua bantuan kebajikan akan dibayar tepat 1 hari bulan. • Bilangan usahawan wanita akan ditambah dari 717 kepada 4,000 melalui AIM menjelang 2012. 5. Memperkasa prasarana luar bandar dan pendalaman • Kemudahan jalan, bekalan air bersih dan elektrik khususnya di Sabah dan Sarawak akan ditambah. • Sebanyak 50,000 lagi rumah golongan miskin dan miskin tegar akan dibina atau dibaik pulih menjelang 2012. 6. Menambahbaik pengangkutan awam • Mensasarkan 25% daripada penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam menjelang 2012 berbanding 16% sekarang. • Menjelang 2012 – 35 set 4 – car train akan beroperasi untuk laluan Kelana Jaya. PENERIMAAN • Penerimaan dan toleransi mempunyai perbezaan yang ketara. • Penerimaan bererti menerima sesuatu secara positif dan penuh kerelaan. • Rakyat perlu beralih dari konsep toleransi semata-mata kepada penerimaan. • Nilai penerimaan boleh mengikis dari dipengaruhi oleh sebarang tanggapan melulu yang negatif dan mahu pula melihat kemampuan terbaik yang boleh diberikan. Menerima legasi terdahulu……… Kontrak sosial asas kesejahteraan negara
Gagasan 1Malaysia 241 MERDEKA….. Merdeka dengan semangat tolak ansur antara kaum. Buktinya • Kerakyatan UMNO bersetuju dimasukkan prinsip Jus soli di dalam perlembagaan persekutuan. • MCA & MIC menerima peruntukan tentang ‘kedudukan Istimewa orang-orang Melayu’ dalam perlembagaan. Suruhanjaya Reid • Pandangan dari rakyat • Menguruskan 131 referandum • 188 pertemuan (4 bulan) Jun hingga Oktober 1956 • Februari 1957 kemukakan syor (15 Bahagian dan 183 Perkara) • Jun 1957 Diperkenan Majlis Raja-Raja • Syorkan Perlembagaan MERDEKA DENGAN KONTRAK SOSIAL • Struktur Kerajaan; 4 ciri utama i. Ketua Negara – Yang Dipertuan Agong ii. Ketua Kerajaan – Perdana Menteri iii. Badan Perundangan – Dewan Rakyat & Dewan Negara iv. Ketua Perlembagaan peringkat Negeri – Raja-Raja dan Yang Dipertuan Negeri • Kewarganegaraan Pemberian taraf kewarganegaraan berasaskan Jus soli. i. Telah menjadi warganegara Persekutuan sebelum merdeka. ii. Dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu pada atau selepas Hari Merdeka. iii. Berumur 21 tahun ke atas yang dilahirkan di luar persekutuan, tetapi telah bermastautin selama 8 daripada 12 tahun boleh memohon dengan syarat boleh bertutur Bahasa Melayu. iv. Pemilik dua kerakyatan tidak dibenarkan kecuali memiliki kerakyatan komanwel
Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban Malaysia 242 • Bahasa Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, penggunaan bahasa lain secara umum tidak dilarang. • Peruntukan-Peruntukan Lain i. Agama Islam dijadikan agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas ii. Kedudukan Istimewa orang-orang Melayu dijamin oleh perlembagaan, iaitu berhubung dengan pemberian tanah di kawasan simpanan, kouta 4/5 dalam perkhidmatan awam serta 3/5 dalam perkhidmatan lain, keutamaan dalam pemberian biasiswa, lesen perniagaan dan lain bantuan kerajaan. “Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang Negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka dimana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain” - Tun Tan Siew Sin, 30 April 1969 PENERIMAAN • Masyarakat Melayu adalah masyarakat peribumi. • Masyarakat Cina & India adalah warganegara. • Unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan mesti diterima oleh semua rakyat. • Panduan adalah teras kesejahteraan negara. • Keseimbangan adalah faktor penting dalam membina kekuatan negara.