The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by qolbi1979, 2018-12-20 02:13:22

Dinamika full book with cover

Dinamika full book with cover

Bab 18 333

alatan ini boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seperti
bunyi, paparan skrin, gambar dan maklum balas. Perkembangan
dunia dalam teknologi mudah alih telah memberi impak yang
besar dalam kehidupan setiap pelajar mahu pun individu (Nurul
Syazwani et al., 2015). Lantaran teknologi ini, pengguna telefon
pintar di Malaysia dijangka mencecah 11 juta selepas mencatat
kadar pertumbuhan tahunan majmuk sebanyak 10 peratus dari
2013 hingga 2017 (www.utusan.com.my).

Kita juga sedia maklum, gajet (smartphone) bukan saja
digunakan oleh golongan dewasa dan remaja, malah kanak-
kanak yang berusia bawah lima tahun sudah terdedah kepadanya.
Malah tidak hairan bayi yang baru lahir juga diperkenalkan
dengan teknologi ini. Begitu juga kebanyakan orang mampu
miliki ditambah lagi dengan pelbagai bentuk dan saiz yang
menarik. Harganya yang murah serta terdapat pelbagai aplikasi
di dalamnya seperti games yang amat diminati terutamanya oleh
kanak-kanak sehingga leka bermain tanpa menghiraukan keadaan
sekelilingnya. Selain itu tidak dinafikan juga dengan pencapaian
teknologi yang canggih ini, ia juga memberi impak positif kepada
kanak-kanak terutamanya yang baru diperkenalkan dengan dunia
pelajaran. Oleh itu terletak di tangan kita sebagai pendidik dan
ibu bapa dalam mencorakkan anak-anak dengan kemewahan
teknologi gajet ini.

Generasi X,Y dan Z

Istilah generasi X, Y dan Z digunakan untuk merujuk kepada
kelompok generasi dalam kumpulan umur tertentu. Don Tapscott
dalam bukunya “Grown Up Digital” membahagikan demografi
penduduk kepada beberapa kelompok antaranya:

334 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Pre Baby Boom

Generasi ini lahir pada 1945 dan tahun-tahun sebelumnya. Billings
dan Kowalski menganggap generasi ini sebagai adaptive. Mereka
mudah menerima dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa
dan mempunyai banyak pengalaman.

The Baby Boom

The Baby Boom ialah generasi yang lahir antara tahun 1946
hingga 1964. Istilah ini digunakan oleh Don Tapscott kerana ia
merujuk kepada kadar kelahiran yang tinggi selepas Perang Dunia
Kedua. Generasi ini hidup berdikari, tidak terlalu bergantung
kepada keluarga serta mementingkan kerjaya. Televisyen, radio
dan akhbar mempengaruhi keputusan mereka.

The Baby Bust

Istilah ini juga disebut “Generation X” iaitu mereka yang lahir
antara 1965 hingga 1976. Mereka merujuk kepada kumpulan yang
terpinggir dalam masyarakat walaupun mendapat pendidikan
yang lebih baik berbanding the baby boom. Gen X ialah generasi
internet, di mana mereka menganggap internet sebagai media yang
tidak memerlukan kepakaran dan sesiapa saja boleh melahirkan
pandangan.

The Echo of the Baby Boom

Dikenali sebagai Gen Y iaitu yang lahir antara tahun 1977 hingga
1997.

Bab 18 335

Generation Net

Dikenali sebagai Gen Z iaitu yang lahir antara 1998 hingga 2010

Generation Alpha

Dikenali juga Gen A yang lahir dari 2010 hingga sekarang. Kajian
pakar sosiologi mengatakan bahawa Gen A merupakan generasi
yang paling terpelajar di dalam sejarah generasi manusia. Generasi
ini juga dijangka lebih materialistik dan mementingkan gaya hidup
berteknologi tinggi. Menurut Mark McCrindle dalam bukunya
yang berjudul “The ABC of XYZ” , mereka ini merupakan anak
kepada generasi X dan Y, yang lebih berkemampuan, dengan
bilangan anak yang sedikit, pelbagai pilihan hiburan dan teknologi
(www.google.com. Generasi apakah anda).

Walau apa pun generasi yang berada sekarang kita sebagai
ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik mereka
sepertimana didikan generasi sebelumnya yang mendidik dengan
penuh nilai sosial dan agama. Sepertimana firman Allah SWT
yang bermaksud:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan
kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita dan
anak-anak”

(Ali ‘Imrān 3:14)

336 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Cabaran Gajet Dalam Pendidikan Awal

Kanak-Kanak

Penggunaan gajet, termasuk media interaktif dan sosial semakin
berkembang. Menurut Salmah Omar (2015), gajet adalah sebuah
objek atau alat elektronik kecil yang memiliki fungsi khusus.
Gajet berbeza dengan teknologi lain kerana ada unsur ‘kebaruan’.
Dari hari ke hari gajet selalu muncul dengan teknologi terkini
yang membuatkan gaya hidup manusia menjadi lebih mudah dan
praktis. Contoh gajet ialah telefon bimbit, telefon pintar (ipad,
iphone, iPods, tablets). Kajian menunjukkan bahawa media baru
ini menawarkan manfaat dan risiko kepada kesihatan kanak-
kanak dan remaja. Antara manfaat yang dapat dikenalpasti dari
penggunaan media digital dan sosial adalah termasuk pendedahan
idea dan pembelajaran awal, peningkatan peluang untuk hubungan
sosial dan sokongan, dan peluang untuk mengakses sesuatu
promosi dan maklumat.

Pembangunan teknologi maklumat memberikan banyak
kebaikan namun perubahan cara gaya hidup yang bersandarkan
teknologi telah mewujudkan satu bentuk budaya baru. Penggunaan
internet dan pergantungan kepada gajet tanpa kawalan boleh
mengakibatkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Hal ini menyebabkan, ibubapa hari ini berhadapan dengan satu
cabaran baru dalam mendidik dan mengawal anak-anak. Hal
ini kerana penggunaan gajet di rumah secara berleluasa tanpa
peraturan masa pada setiap hari akan menyebabkan ketagihan
terhadap anak-anak dan memberi kesan terhadap tingkah laku
anak-anak.

Bab 18 337

Melalui kajian yang telah dijalankan, daripada 32 juta
penduduk Malaysia, dianggarkan 24.5 juta daripada mereka
merupakan pengguna Internet (76.9 peratus). Manakala
selebihnya 23.1 peratus tidak memiliki akses kepada Internet.
Mengikut kajian SKMM, ‘Smartphone’ merupakan medium
utama untuk pengguna Internet iaitu sebanyak 89.4 peratus
(21.9 juta orang), berbanding medium-medium yang lain seperti
laptop, netbook, PC desktop, dan sebagainya (www.iamk.com.my
statistik-penggunaan-internet-di-malaysia-2017). Rajah 1 dan 2
menunjukkan senarai penuh medium yang digunakan oleh rakyat
Malaysia untuk mengakses Internet beserta agihan pengguna
internet mengikut status.

Rajah 1. Peratusan peranti yang digunakan oleh pengguna Internet untuk mengakses
Internet, pada tahun 2015, Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

338 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Rajah 2. Pengagihan peratusan pengguna Internet mengikut status pada tahun 2016,
Sumber : Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia

Dalam kajian lain MCMC (2017), melaporkan sebanyak
83.2 peratus kanak-kanak di Malaysia yang berumur 5 hingga
17 tahun adalah merupakan pengguna internet. Manakala
93.0 peratus daripada mereka mengakses internet untuk tujuan
komunikasi teks, rangkaian sosial, mendapatkan maklumat dan
menonton video.

Oleh itu, peringkat pendidikan awal kanak-kanak adalah
sesuatu yang sangat penting. Dr. Laura Jana, seorang pakar
kanak-kanak di Amerika Syarikat dalam temu bual bersama-sama
CBS News pada tahun 2015, menzahirkan rasa kebimbangan
melihat peningkatan statistik penggunaan gajet elektronik dalam
kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun memandangkan
pada tahap ini keberkesanan pendidikan ialah melalui interaksi
dengan manusia dan bukan interaksi dengan skrin (Md Nasir
Ibrahim, 2017).

Sementara kajian yang dilakukan oleh American Academy
of Pediatrics (AAP) Council on Communications and Media,

Bab 18 339

kanak-kanak dibawah usia 2 tahun adalah tidak wajar didedahkan
dengan pendidikan media tanpa kawalan. Pada usia ini, interaksi
ibubapa lebih banyak membawa kesan dalam membentuk
kemahiran dan kefahaman kanak-kanak (Yolanda, 2016).

Kesan Gajet Terhadap Pendidikan Awal
Kanak-Kanak

Terdapat pelbagai kesan teknologi gajet terhadap perkembangan
awal kanak-kanak, antaranya:

Ketagihan

Menurut satu laporan kajian yang telah dijalankan, kanak-kanak
berusia 9 hingga 12 tahun yang telah didedahkan dengan gajet,
berkemungkinan besar menghabiskan 7 hingga 10 jam sehari
dengan gadjet mereka tidak kira television, komputer mudah
alih, permainan video, peranti multimedia dan sebarang mainan
teknologi lain. Ketagihan alat ini mempengaruhi kemahiran
sosial dan peribadi anak-anak contohnya, terdapat sebahagian
kanak-kanak yang mempunyai kemahiran menghantar mesej
menggunakan alat komunikasi tetapi lemah dalam berkomunikasi
secara bersemuka (face to face). Begitu juga, ada diantara mereka
memberi tumpuan sepenuhnya melalui permainan komputer
tetapi tidak mempunyai minat atau tidak dapat menumpukan
perhatian dalam permainan di padang atau di luar komputer.
Keterlaluan dalam melihat paparan screen atau istilah yang di
sebut sindrom skrin elektronik akan mempengaruhi otak dan
badan pada pelbagai peringkat. Kanak-kanak yang menghabiskan
waktu berjam-jam menatap skrin biasanya akan hilang tumpuan

340 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

dan mengalami masalah tidur. Selain itu, kanak-kanak ini akan
mengalami masalah mudah marah, agresif dan mereka tidak
menyedari apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka. Penggunaan
gajet tanpa kawalan bukan sahaja membunuh kemahiran sosial,
peribadi dan kreatif mereka tetapi juga memberi impak negatif
terhadap kesihatan dan emosi (Dunckley, 2015).

Menurut Johnson dan Johnson (2008), kanak-kanak
yang menggunakan internet untuk tujuan pembelajaran dan
berkomunikasi menunjukkan prestasi penguasaan bahasa lebih
baik berbanding dengan kanak-kanak yang tidak menggunakan
pembelajaran atas talian (online). Namun kajian yang di lakukan
oleh AAP (2011) melaporkan bahawa, program pendidikan
elektronik memberi kesan peningkatan kemahiran sosial, bahasa
serta mutu pembacaan kepada kanak-kanak berusia di atas
daripada dua tahun. Walaubagaimana pun, keberkesanan melalui
kaedah yang sama terhadap kanak-kanak berusia di bawah dua
tahun, masih tidak dapat dibuktikan lagi.

Gangguan Kesihatan dan Mental

Kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
pada Mei 2011, mengklasifikasikan gajet tanpa wayar seperti tablet
dan telefon bimbit sebagai risiko ejen kanser disebabkan oleh
radiasi yang dihasilkan. Radiasi ini juga berupaya melemahkan
sistem imunisasi kanak-kanak jika mereka terdedah kepada radiasi
yang tinggi atau erti kata lain terlalu lama terdedah sedari bayi
lagi. Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Datuk
Dr Zulkifli Ismail berpendapat bahawa, kanak-kanak yang terlalu
kerap didedahkan dengan teknologi akan berhadapan masalah
obesiti dan penglihatan kerana kurang pergerakan disebabkan

Bab 18 341

banyak tertumpu kepada paparan skrin pada tablet (Berita Harian
,2016). Manakala menurut Dunckley (2015), penggunaan gajet
atau alat elektronik juga boleh mengakibatkan gangguan emosi
kerana melibatkan anggota penting manusia iaitu mata, mental
dan fizikal.

Cara Hidup

Menurut Hasnah Hussiin (2015), ancaman gajet boleh
menyebabkan kurangnya kecenderungan ahli masyarakat untuk
membaca bahan bacaan yang bermutu dan ilmiah. Ini disebabkan
mereka lebih selesa mencari maklumat dalam talian tanpa perlu
membeli buku, majalah atau akhbar. Tambahan beliau lagi,
ancaman paling besar ialah usaha kerajaan untuk memupuk
budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sukar tercapai
disebabkan mereka tidak lagi membaca buku untuk mendapatkan
ilmu yang bermanfaat. Jika keadaan ini berterusan, ia secara tidak
langsung dapat meningkatkan risiko obesiti, aktiviti menulis serta
kemahiran pergerakan tubuh yang lain.

Sementara itu, Dunckley (2015) menyatakan dengan
melihat screen dalam tempoh yang lama boleh mengakibatkn
seseorang ‘metabolic syndrome’ atau sindrom metabolisme hasil
gabungan tekanan darah tinggi, masalah keseimbangan berat
badan, kolestrol yang tidak seimbang, risiko kencing manis
sehingga membawa kepada masalah diabetis, sakit jantung dan
strok. Keadaan ini jarang berlaku, namun menjadi penyakit yang
biasa di hidapi oleh kanak-kanak pada ketika ini. Walaupun
penyebab utama tidak dapat dipastikan, namun hasil kajian
mendapati bahawa perubahan tidak sihat ini berpunca daripada
kurangnya aktiviti berbentuk fizikal.

342 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Metod Pendidikan

Pendidikan merupakan asas terpenting bagi setiap individu. Tanpa
pendidikan, individu dianggap tidak bertamadun dan dipandang
rendah oleh sebahagian masyarakat yang lain. Sekiranya salah
pendidikan yang diberikan, ia boleh menghakis nilai-nilai murni
yang ingin diterapkan. Oleh itu, usaha ke arah mempertingkatkan
kesedaran dalam pendidikan awal kanak-kanak perlu ke arah
membentuk individu atau insan soleh seimbang di masa hadapan.

Tidak dapat dinafikan pendidikan bermula dari bayi lagi.
Sepertimana hadith Rasulullah (SAW) yang bermaksud:

“setiap anak yang dilahirkan adalah suci maka
terpulanglah kepada ibu bapanya dalam mencorakkan
masa depan anaknya, samada menjadi Yahudi, Nasrani
atau Majusi. Daripada hadith Rasulullah (SAW) juga
berbunyi: “suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia
tujuh tahun dan pukullah pada usia mereka 10 tahun serta
pisahkanlah tempat tidur mereka.”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)

Terdapat tiga pendekatan dalam mendidik anak-anak
antaranya:

Pendekatan Kasih Sayang

Pelbagai maksud dapat digambarkan dengan kasih sayang.
Antaranya melihat dengan pandangan mata, senyuman, bahasa,

Bab 18 343

suara, meluangkan masa mendengar, ketawa bersama selalu
bergurau senda. Selain itu juga perlu ada pujian antara ibubapa
dengan anak-anak serta sentuhan. Sepertimana berkata Saidina
Ali:

“Bermainlah dengan anak kamu pada umurnya 7 tahun
yang pertama, didiklah ia pada 7 tahun yang kedua dan
berkawanlah dengannya pada 7 tahun ketiga.”

Pendekatan Disiplin

Ibu bapa boleh mendisplinkan anak-anak dari pelbagai sudut.
Antaranya penyediaan jadual teratur yang bersesuaian dengan
rutin harian anak-anak serta hukuman mengikut tahap umur
sekiranya perlu diberi dan setelah peringatan berulangkali.
Sepertimana sabda Rasulullah (SAW) yang bermaksud:

“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia
tujuh tahun, dan pukullah dia kerana (tidak) sembahyang
pada usia sepuluh tahun, dan pisahkan mereka di tempat
tidur” (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud)

Rasulullah (SAW) tidak menggunakan pendekatan
memukul. Daripada hadith Rasulullah (SAW) yang bermaksud :

Dari Muawiyah al-Qusyairi (RA): Saya mendatangi
Rasulullah (SAW), aku bertanya,

344 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

“Nasihat apa yang akan engkau katakan (yang harus
kami lakukan) terhadap isteri-isteri kami?” Rasulullah
(SAW) menjawab, “Berilah mereka makan dari apa-apa
yang kalian makan, dan berilah mereka pakaian dari apa
yang kalian pakai. Janganlah kalian memukul mereka dan
jangan pula mencaci mereka.” (Sahih Abu Daud)

Begitu juga hadith lain yang bermaksud :

Aisyah berkata:

“Rasulullah (SAW) tidak pernah memukul seorang pun
dari pembantu beliau dan tidak juga isteri dan Beliau
tidak pernah memukul apa pun dengan tangan beliau.”
(Riwayat Ibnu Majah)

Pendekatan Percaya

Saling percaya mempercayai antara apa yang dilakukan oleh
anak-anak merupakan salah satu pendekatan yang terbaik dalam
pendidikan awal kanak-kanak. Ibu bapa juga perlu menghormati
pendapat, kebebasan berfikir serta memberikan tanggungjawab
yang sesuai mengikut peringkat umur anak dan menghormati
setiap keputusan yang dibuat oleh mereka. Dengan wujudnya
pendekatan ini anak-anak akan rasa lebih dihargai dan sentiasa
menghormati kedua ibu bapa.

Bab 18 345

Kesimpulan

Berdasarkan kajian di atas, semua pihak perlu memainkan
peranan penting dalam pendidikan awal kanak-kanak. Walaupun
ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan mereka, namun
golongan pendidik, masyarakat dan juga badan-badan pemimpin
juga perlu bersama-sama turun padang dalam menangani isu ini.
Kita tidak boleh menyalahkan pembangunan dan perkembangan
teknologi semata-mata, tetapi perlu lihat peranan atau pendekatan
yang bersuaian dalam pendidikan generasi sekarang. Sepertimana
pepatah melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bermula
di usia bayi lagi kita perlu serapkan pendidikan terutamnya
berkaitan dengan nilai sosial agama pada diri anak-anak. Justeru
dengan wujudnya kerjasama dan cakna semua pihak, kita mampu
menangani cabaran dan rintangan mendatang .

BAB 19

Pemerkasaan Taa’dib sebagai Matlamat
Menuntut Ilmu di Institusi Pengajian Tinggi
Mahfuzah Mohd Zabidi & Asmaa’ Mohd Arshad

Pendahuluan

Perbahasan para sarjana pendidikan secara serius mengenai
matlamat sebenar pendidikan Islam sejak lebih tiga dekad lalu
masih relevan untuk diteliti. Hal ini berikutan krisis nilai dalam
masyarakat semakin membimbangkan. Jenayah kolar putih,
kekeliruan pemikiran dalam beragama, keruntuhan institusi
keluarga, perpecahan masyarakat dan cara hidup melalaikan
menjangkiti bukan sahaja golongan yang tidak berpendidikan,
tetapi juga golongan berpendidikan tinggi. Masalah tersebut
menunjukkan sistem pendidikan dualisme yang diperkenalkan
oleh Barat gagal melahirkan insan yang sepadu sifatnya.

Kepekaan sarjana Muslim mengenai akibat bawaan faham
sekular yang mengenepikan nilai rohani dan ketuhanan telah
mendorong usaha Islamisasi ilmu dalam pendidikan. Bermula
dari menetapkan matlamat dan objektif pendidikan sehingga
merangka kurikulum di institusi pengajian tinggi (Ab. Halim &
Zaharah, 2010), semua usaha digiatkan agar matlamat penciptaan
manusia sebagai hamba dan khalifah dapat dicapai. Persoalannya,
adakah halatuju institusi pengajian tinggi kini menjurus ke arah

Bab 19 347

memenuhi matlamat tersebut? Adakah para pelajar di institusi
pengajian tinggi memiliki matlamat menuntut ilmu yang jelas dan
selari dengan matlamat pendidikan dalam Islam? Apakah strategi
asas yang wajar digerakkan untuk memastikan pelajar yang tamat
pengajian di institusi pengajian tinggi dapat berperanan sebaiknya
sebagai hamba dan khalifah dalam masyarakat?

Artikel ini mambincangkan taadib sebagai matlamat
akhir pendidikan dalam Islam. Selain itu, artikel ini juga
membincangkan kepercayaan pelajar Institusi Pengajian Tinggi
tentang tujuan mereka menuntut ilmu. Berdasarkan dapatan
kajian tersebut, artikel ini seterusnya mencadangkan pengukuhan
semula kurikulum yang berteraskan ilmu fardhu ain sebagai
teras perkembangan ilmu fardhu kifayah bagi mencapai tujuan
pendidikan yang dihasratkan.

Cabaran pemikiran Barat dalam Matlamat
Pendidikan

Dalam Persidangan Dunia Pertama tentang Pendidikan Islam
(First World Conference on Islamic Education) yang diadakan
di Mekah pada tahun 1977, Syed Muhammad Naquib al-Attas
dalam ucapannya yang bertajuk Preliminary Thoughts on the
Nature of Knowledge and the Definition and Aims of Education
menegaskan matlamat akhir pendidikan dalam Islam adalah untuk
melahirkan insan yang baik. Beliau menggunakan istilah “insan
adabi” bagi mensifatkan insan baik, iaitu insan yang beradab pada
Tuhan, rasulnya, diri beserta masyarakat dan persekitarannya.

Menurut beliau, kepincangan yang berlaku dalam
kalangan umat Islam sama ada dari aspek politik, ekonomi

348 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

mahupun sosial, berpunca dari kekeliruan ilmu yang melanda
umat Islam. Kekeliruan ilmu tersebut terjadi kerana umat Islam
terputus dari tradisi keilmuan ulama serta terpengaruh dengan
faham kebudayaan Barat yang menyelinap masuk ke dalam
perbendaharaan ilmu dan budaya hidup Muslim. Akibatnya,
berlaku kekaburan dan kekeliruan dalam perkara asas hidup
seperti konsep Tuhan, agama, insan, ilmu dan pendidikan dalam
kalangan umat Islam.

Elemen asing seperti dualisme dan sekularisme (Al-
Attas, 1978) disuntik masuk dalam bidang kemanusiaan seperti
pendidikan, sejarah, psikologi, bahasa, sastera, ekonomi dan
sosial (Al-Attas, 2001) telah menyebabkan umat Islam terkeliru.
Umat Islam tidak berupaya membina satu kerangka pemikiran
dan keyakinan yang tepat mengenai makna kewujudan diri dan
alam. Akibatnya wujud gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan
pemimpin dan masyarakat apabila sesuatu perlakuan, tindakan
atau keputusan yang diambil bertentangan dengan syariat.

Dengan mengambil bidang pendidikan sebagai fokus,
kekeliruan yang disebabkan oleh dualisme dan sekularisme
ini dapat diamati menerusi halatuju matlamat pendidikan yang
mengenepikan unsur rohani dalam pendidikan. Kekeliruan ini
mempunyai kaitan dengan kesilapan memahami istilah modenisasi
dan pembangunan yang lazimnya diisi dengan pandangan alam
Barat (Adian, 2012). Pandangan Barat yang melihat nilai material
sebagai ukuran kemajuan dan kejayaan menyebabkan faham
utilitarian dan pragmatisme bertapak kukuh dalam pendidikan
tinggi. Kesannya, pendidikan tinggi digerakkan ke arah menjana
pendapatan yang tinggi untuk negara melalui penghasilan tenaga
pakar dan berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang. Di sisi

Bab 19 349

yang lain pula, berlaku pengabaian kepada pembangunan spiritual
individu.

Meskipun faham utilitarian dan pragmatisme tidak
sepenuhnya bercanggahan dengan pandangan alam Islam, namun
tahap kebergunaan yang ditampung oleh faham utilitarian dan
pragmatisme ini ditafsir dari sudut kebendaan. Ukurannya
berbentuk kuantitatif. Hal ini dapat dilihat menerusi penekanan
berat terhadap bidang sains dan teknologi berbanding bidang
seperti sejarah, falsafah dan agama yang dianggap tidak memberi
pulangan ekonomi yang dikehendaki. Tujuan pendidikan dihadkan
kepada melahirkan warganegara yang bertanggungjawab
(responsible citizen) (Adler, 1976) dan kompeten untuk
kepentingan sosio-ekonomi. Pendidikan yang berdiri atas nilai
Barat yang bersifat sekular tidak berupaya memberi jawapan
yang benar terhadap persoalan “untuk apa aku hidup.”

Matlamat pendidikan yang tidak disepadukan dengan
keperluan insan dari aspek rohani, mengenepikan nilai akhlak,
mengabaikan kehidupan selepas mati dan meminggirkan Tuhan
sebagai fokus dan tujuan kehidupan dianggap sebagai matlamat
pendidikan yang tidak sempurna dan tidak berupaya membawa
kepada kebahagiaan yang sebenar untuk umat manusia (Wan
Mohd Nor, 2013).

Kepercayaan pelajar institusi pengajian
tinggi terhadap tujuan menuntut ilmu

Sebagai mengenalpasti kewujudan nilai Barat ini dalam kalangan
pelajar, satu kajian terhadap 1313 orang pelajar diploma tahun
akhir mengenai tujuan mereka menuntut ilmu telah dilakukan.

350 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Responden pelajar dipilih berdasarkan persampelan strata
berkelompok. Instrumen soal selidik yang digunakan telah melalui
proses semakan panel pakar rujuk dan analisis faktor bagi setiap
item, kajian rintis dan ujian Cronbach Alpha bagi mendapatkan
kesahan dan kebolehpercayaan instrumen dan dapatan. Bagi
mendalami kepercayaan pelajar mengenai tujuan menuntut ilmu
juga, temubual secara kumpulan fokus turut diadakan.

Analisis deskriptif yang ditunjukkan dalam Jadual 1
mendapati bahawa item yang mendapat skor min tertinggi adalah
KIB2 iaitu“mengenali Allah sebagai Pencipta” (min=4.80,
s.p.=0.47). Seterusnya, item yang kedua tertinggi adalah KIB3
iaitu “mensyukuri nikmat akal” (min=4.72, s.p.=0.57). Item
KIB5 iaitu “mengelakkan syirik kepada Allah SWT” pula
mencapai skor min yang ketiga tertinggi (min=4.66, s.p.=0.62).
Selanjutnya, item KIB7 iaitu “menyiapkan diri untuk kehidupan
akhirat” (min=4.61, s.p.= 0.70). Seterusnya adalah KIB6 iaitu
“melaksanakan amanah sebagai khalifah” (min=4.56, s.p.=0.71).
Item yang mendapat min kedua terendah adalah KIB4 iaitu
“menghiasi peribadi dengan akhlak mulia” (min=4.53, s.p.=0.63).
Akhir sekali, min yang terendah dicapai oleh item KIB1 iaitu
“mengetahui tujuan penciptaan diri” (min=4.46, s.p.=0.74).
Manakala, dalam temubual bersama kumpulan fokus, beberapa
isu mengenai tujuan menuntut ilmu ditemui dan ditemakan dalam
Jadual 2.

Secara umumnya, kajian ini menunjukkan pelajar
pengetahuan dan kefahaman yang baik mengenai tujuan sebenar
menuntut ilmu dalam Islam. Walaupun demikian, dapatan
temubual mendapati kebanyakan pelajar menonjolkan beberapa
aspek tujuan menuntut ilmu yang lain. Tujuan menuntut ilmu

Bab 19 351

yang ketara dalam dapatan temubual adalah menjurus kepada
pencapaian peperiksaan dan pekerjaan dalam bidang pengajian
yang diikuti.

Jadual 1:Kekerapan, peratusan, skor min dan sisihan piawai bagi subkonstruk tujuan
menuntut ilmu

Kod Item Kekerapan (Peratusan) Min S.P
KIB2 STS TS AS S SS
Tujuan
menuntut ilmu 1 3 28 188 1093 4.80 0.47
adalah… (0.10) (0.20) (2.10) (14.30) (83.20)

Mengenali
Allah SWT

KIB3 sebagai 2 8 43 252 1008 4.72 0.57
Pencipta

Mensyukuri
nikmat akal
fikiran

(0.20) (0.60) (3.30) (19.20) (76.80)

KIB5 Mengelakkan 9 4 38 320 942 4.66 0.62
KIB7 syirik kepada (24.40) (71.70)
Allah SWT (0.70) (0.30) (2.90)
KIB6 9 12 78 283 931 4.61 0.70
KIB4 Menyiapkan (21.60) (70.90)
KIB1 diri untuk (0.70) (0.90) (5.90)
359 863 4.56 0.71
kehidupan 10 15 66 (27.30) (65.70)
akhirat
(0.80) (1.10) (5.00) 458 778 4.53 0.63
Melaksanakan 2 6 69 (34.90) (59.30)
amanah sebagai
khalifah (0.20) (0.50) (5.30) 416 765 4.46 0.74
5 22 (31.70) (58.30)
Menghiasi 105
peribadi dengan (0.40) (1.70) (8.00)
akhlak mulia

Mengetahui
tujuan
penciptaan diri

Keseluruhan 4.62 0.44

N=1313

352 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Sebagai contoh, salah seorang responden menyatakan,
“Banyak sangat persaingan…nak kejar markah..kita kena
score lah…jadi, memang saya akuilah, belajar tu untuk final
exam. Belajar nak ikhlas betul-betul kerana Allah tu sikit je..”
(Responden 3).

“Saya masuk bidang ni atas pendapat ibu saya…sebab
peluang pekerjaannya banyak,” (Responden 9).

Selain itu, dapatan juga temubual menunjukkan dorongan
dan motivasi yang diberikan oleh ibubapa dan pensyarah juga
terfokus kepada peperiksaan dan pekerjaan. Ujar salah seorang
responden,

Jadual 2: Tema kepercayaan terhadap tujuan menuntut ilmu

Tema Penjelasan

Prospek Pelajar memilih bidang pengajian semasa atas
pekerjaan dorongan, kehendak dan pilihan keluarga,
khususnya ibubapa berdasarkan prospek kerjaya

Peperiksaan Pelajar belajar atas faktor keinginan mencapai
keputusan yang baik dalam peperiksaan

Masalahah umat Pelajar memahami kepentingan bidang
Islam pengajian semasa untuk kemaslahatan umat
Islam
Minat Diri
Sendiri Pelajar mempunyai keinginan yang mendalam
dalam bidang yang dipilih

Tiada pilihan Pelajar hanya mengikuti bidang pengajian
Mengikut kawan semasa disebabkan hanya bidang tersebut yang
ditawarkan

Pelajar tiada matlamat yang jelas dan hanya
mengikut tindakan dalam pilihan kawan-kawan.

Sumber : Temubual Kumpulan Fokus

Bab 19 353

“Pensyarah memang beri pendedahan tentang bidang
ni…pensyarah nak tarik minat kami pun dengan memberitahu
tentang gaji..pensyarah cakap, awak dapat position ni, awak
akan dapat gaji banyak ni” (Responden 7).

Di sebalik tekanan peperiksaan yang menjadi dilema dalam
penetapan tujuan menuntut ilmu yang sebenar, dapatan kajian ini
tidak dapat menolak bahawa pelajar tetap memiliki kesedaran
bahawa mengenali Allah SWT sebagai matlamat utama ilmu.
Hal ini berdasarkan dapatan soal selidik yang menunjukkan item
KIB2 iaitu “Mengenali Allah SWT sebagai Pencipta” mencapai
skor min tertinggi. Ini bermakna hampir kesemua pelajar bersetuju
bahawa niat utama dalam menuntut ilmu adalah untuk mengenali
Allah SWT. Dapatan ini menggambarkan bahawa pelajar
masih mempunyai kesedaran bahawa mengenali Allah SWT
adalah sesuatu tujuan yang amat penting dalam hidup. Malah,
dapatan tersebut juga boleh membayangkan wujudnya hasrat
pelajar supaya pembelajaran mereka di universiti mengukuhkan
hubungan dengan Tuhan.

Namun begitu, hal ini agak sukar kerana terdapat faktor
persekitaran yang lebih dominan sehingga menyebabkan
kesedaran tersebut tidak begitu diberi peneguhan (Sulaiman,
Ismail, & Yusof, 2013). Faktor persekitaran yang dimaksudkan
merujuk kepada pelan pengajian dan kurikulum yang tidak begitu
mendokong tujuan tersebut kerana wujud desakan industri ke
atas universiti bagi menghasilkan tenaga mahir sebagaimana
yang diulas sebelum ini. Akibatnya, meskipun semakan
kurikulum kursus dilakukan setiap tiga hingga lima tahun, tujuan
mengenali Allah SWT tidak dimasukkan secara jelas sebagai
hasil pembelajaran yang disasarkan. Hal ini akhirnya turut

354 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

mempengaruhi corak dan isi kandungan pengajaran dan penilaian
kursus yang menjurus kepada pembinaan ilmu dan kemahiran
dalam bidang pekerjaan yang disasarkan.

Kelemahan sistem pengajian tinggi mengisi tujuan
mengenali Tuhan tersebut dalam dilihat kesannya apabila
item KIB4 iaitu “menghiasi peribadi dengan akhlak mulia”
mencatatkan skor terendah dalam aspek tujuan menuntut ilmu.
Dapatan ini adalah sesuatu yang agak ironi kerana mengenali
Allah SWT dan membina peribadi yang berakhlak adalah sesuatu
yang sepatutnya berjalan secara seiring dalam Islam. Skor min
yang rendah ke atas tujuan yang bersabit dengan akhlak ini
boleh menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan yang pelajar
kurang merasakan pengajian di universiti mementingkan aspek
pemupukan akhlak Islam secara serius. Malah, hal ini boleh
diperhatikan berdasarkan penilaian dan pemarkahan bagi tugasan
kursus di universiti yang tidak mengambil kira aspek akhlak (Md.
Nawi, 2015). Terdapat juga kebarangkalian yang pelajar sendiri
tidak merasakan kepentingan akhlak dalam mendapatkan kerjaya
impian, kerana kompetensi melakukan kerja secara profesional
dan efisyen dilihat lebih utama untuk berjaya dalam bidang yang
diceburi (Ismail, Hasan, Muhamad, Wan Ali, & Konting, 2013).
Maka, dapatan ini boleh menjelaskan salah satu faktor wujudnya
masalah salah saku dan jenayah kolar putih dalam masyarakat
lantaran persoalan akhlak kurang ditekankan sebelum pelajar
memasuki alam pekerjaan (Hassan, Zainal Abiddin, & Ahmad,
2011).

Bab 19 355

Matlamat Pendidikan Islam: Insan Beradab

Dalam memberi makna yang tuntas mengenai pendidikan Islam,
Al-Attas (2001) menghimpunkannya dalam istilah ta’dib yang
berasal daripada kalimah Arab, addaba – yuāaddibu – ta’dib.
Addaba bermaksud mendisiplinkan seseorang itu dengan adab.
Penggunaan kalimah ‘adab’ dan ‘ta’dib’ dapat diertikan dengan
pendidikan, berdasarkan hadis “Addabani Rabbi fa-ahsana
ta’dibi” yang bermaksud: “Aku telah dididik oleh Tuhanku
maka didikanku adalah yang terbaik.” Hadis ini menjelaskan
pendidikan yang diterima secara langsung oleh Rasulullah SAW
melalui wahyu Ilahi sehingga akhlak Al-Qurān bersebati dalam
diri baginda. Pendidikan daripada Allah SWT buat kekasih-Nya
juga menjadikan baginda seorang insan kamil yang memancarkan
rahmat ke seluruh alam.

Sayugia Al-Qurān itulah sumber ilmu dan pendidikan
buat seluruh manusia. Hal ini menepati perumpamaan bahawa Al-
Qurān itu merupakan hidangan Allah di muka bumi bagi mereka
yang berilmu dan beriman. Akhlak Al-Qurān yang terzahir pada
setiap perwatakan baginda SAW juga menjelaskan kesempurnaan
akhlak sebagai tujuan utama pendidikan. Malah Rasulullah
SAW sendiri menyatakan tujuan perutusan baginda adalah untuk
menyempurnakan akhlak. Lantaran itu, pendidikan dalam Islam
ini tidak dapat dipisahkan sama sekali daripada akhlak, malahan
akhlak yang mulia merupakan hasil utama yang ingin dicapai
dalam sistem pendidikan tersebut.

Penegasan ini selari dengan pandangan Imam Abu Hamid
al-Ghazali yang menafsirkan adab sebagai pendidikan diri jasmani
dan ruhani (ta’dib al-zahir wa’l batin) (Al-Ghazali, 1998), yang
merangkumi empat perkara, iaitu, perkataan, perbuatan, akidah

356 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

dan niat seseorang. Walaupun jasad dan ruh adalah dua entiti yang
berbeza, namun keduanya saling berkaitan. Sesuatu perbuatan
zahir yang dilakukan akan meninggalkan kesan terhadap hati
atau ruh. Jika perbuatan tersebut dilakukan berulang kali, ia
akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam terhadap hati
atau ruh. Sebagai contoh adalah perlaksanaan solat. Rasulullah
SAW mengumpamakan solat lima waktu dengan mandi lima
kali sehari di sungai yang jernih mengalir airnya. Jika air sungai
diibaratkan dengan air yang menyucikan kekotoran badan, maka
solat pula menyucikan kekotoran rohani atau hati. Hati yang
bersih seterusnya membenihkan akhlak dan budi pekerti mulia
pada perkataan dan perbuatan seseorang.

Ta’dib diangkat sebagai istilah yang paling tepat (Al-
Ghazali, 1998) untuk menggambarkan proses pendidikan yang
sebenar memandangkan ianya merangkumi empat ciri penting
pendidikan iaitu, (i) proses penyempurnaan insan secara
berperingkat (al-tarbiyyah), (ii) pengajaran dan pembelajaran (al-
ta’lim wa’l ta’allum) yang menumpukan kepada aspek kognitif,
intelek atau akliah seseorang murid, (iii) disiplin diri (riyadah
al-nafs) yang merangkumi jasad, ruh dan akal serta (iv) proses
penyucian dan pemurnian akhlak (tahdhib al-akhlaq).

Ini memberi pemahaman bahawa adab adalah sesuatu
perbuatan, tindakan atau keputusan yang didasari oleh ilmu yang
benar. Seorang yang beradab pada dirinya sendiri adalah seorang
yang berjaya mendidik diri hayawaninya atau diri jasmaninya
untuk tunduk kepada diri akali atau diri ruhaninya. Manakala
seseorang yang beradab terhadap sesama insan adalah seorang yang
menunaikan hak terhadap keluarganya serta ahli masyarakatnya
menurut rencana dan martabat yang telah disusun oleh Allah

Bab 19 357

SWT. Seseorang yang beradab terhadap alam semesta pula akan
mengiktiraf alam ini sebagai ayat atau tanda penciptaan Ilahi yang
dijadikan-Nya untuk manusia memakmurkan mukabumi ini. Ini
bermakna insan beradab meletakkan sesuatu itu pada neracanya
yang benar, iaitu menurut martabat dan hierarki penciptaan yang
diatur oleh Allah SWT.

Selain itu, akhlak sebagai tujuan dan matlamat pendidikan
tidak pernah diperdebatkan dalam tradisi keilmuan Islam. Islam
melihat akhlak sebagai kemuncak amal dan iman. Walaupun
sesetengah tokoh ulama dan cendekiawan terdahulu berbeza
pendirian dalam masalah akidah sekalipun, namun mereka tidak
pernah mempersoalkan keutamaan akhlak sebagai teras pendidikan
untuk membentuk kesempurnaan insan. Malah, pendidikan yang
gagal melahirkan manusia yang berakhlak adalah sesuatu yang
sia-sia. Sama ada seorang sufi seperti Al-Ghazali, seorang ahli
falsafah seperti Ibn Sina, sejarawan seperti Ibn Khaldun, ataupun
seorang ahli kalam seperti Ibn Qayyim, semuanya sepakat
mengutamakan akhlak sebagai teras pendidikan walaupun mereka
berbeza pandangan, mazhab dan pendekatan.

Ibn Sina sendiri, contohnya, sebagai seorang ahli falsafah
dan juga ahli perubatan, telah menggunakan istilah ta’ddub untuk
merujuk kepada pendidikan. Malah menurut beliau, proses untuk
melahirkan insan beradab (ta’ddub) ini seharusnya bermula seawal
usia seseorang bayi itu menyempurnakan tempoh penyusuannya.
Seawal usia ini, anak-anak seharusnya dibiasakan dengan adab-
adab yang telah diamalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. agar
hati yang diibaratkan seperti cermin itu sentiasa suci daripada
karat-karat dosa. Proses ini berterusan sehinggalah anak tersebut
mencapai umur mumayyiz, apabila fakulti akalnya mula disinari

358 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

cahaya ilmu sehingga ia dapat berfungsi untuk membezakan
antara sesuatu yang baik dan yang buruk. Menurut al-Ghazali,
latihan dan kebiasaan ini adalah merupakan suatu persiapan
bagi kesempurnaan akalnya (kamal al-‘aql) untuk proses
pembelajaran yang lebih serius sewaktu usia matangnya (baligh).
Sewaktu pertuturan dan pendengarannya telah sempurna, maka
bermulalah baginya proses menuntut ilmu sebagai seorang murid
yang menerima pengajaran daripada gurunya.

Memandangkan ilmu itu ibarat cahaya (nur) yang
menerangi hati, maka objek ilmu itu akan lebih jelas kelihatan
pada cermin hati yang bersih daripada segala debu-debu kotoran.
Lantaran itu, proses pengajaran dan pembelajaran ini (al-ta’alim
wa’l ta’allum) menuntut seseorang guru dan juga muridnya untuk
menghayati adab terhadap ilmu, kerana ilmu yang benar itu adalah
milik dan anugerah Allah yang hanya layak dikurniakan-Nya
kepada mereka yang beradab terhadap ilmu. Maka sesungguhnya
ilmu yang benar itu adalah anugerah kurniaan Tuhan yang
mengajar hamba-hamba-Nya dengan perantaraan Qalam.

Peranan Institusi Pendidikan Tinggi

Institusi Pendidikan Tinggi berperanan besar sebagai pemacu yang
menerajui matlamat dan objektif pendidikan Islam sepertimana
yang telah disepakati dalam Persidangan Dunia Pertama Tentang
Pendidikan Islam pada 1977 di Mekah. Institusi Pendidikan
Tinggi juga seharusnya menjadi pemangkin dalam usaha-usaha
penggubalan kurikulum dan pelaksanaaan konsep ilmu fardu
Ain dan ilmu fardu kifayah di semua peringkat terutamanya di
peringkat pengajian tinggi (Wan Daud, 2013). Ini adalah kerana
graduan peringkat pengajian tinggi inilah yang akan menjadi

Bab 19 359

pemimpin dalam keluarga dan masyarakat dan seterusnya menjadi
pemimpin dalam bidang mereka masing-masing. Pendidikan
peringkat tinggi ini seharusnya menuju ke arah melahirkan insan
beradab yang akhirnya menerajui kesejahteraan suatu peradaban
dan bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran atau negara.

Maka ilmu teras (fardu ain) yang bersumberkan Wahyu
itulah sajian bagi ruh seorang insan, manakala ilmu pengkhususan
(fardu kifayah) itu adalah sajian bagi jasadnya. Sebagaimana jasad
tidak akan hidup selagimana ia terpisah daripada ruh (Al-Attas,
2015), maka begitulah juga ilmu pengkhususan semata-mata tidak
akan membuahkan natijah yang sempurna bagi akal budi manusia
tanpa ilmu teras yang memandunya. Lantaran itu, penghayatan
adab yang sebenar terhadap ilmu ini bakal melahirkan akhlak dan
budi-pekerti luhur yang menepati konsep Ta’dib sebagai teras
falsafah pendidikan dalam tradisi keilmuan Islam. Dengan itu,
keagungan tamadun umat utusan terakhir Nabi Muhammad saw
dapat dikembalikan semula.

Merujuk kepada rajah-rajah berikut, dapat difahami
bahawa strutur dan pembahagian ilmu menurut Islam berpadanan
dengan pandangan Islam terhadap kewujudan manusia yang
terdiri dari unsur jasad dan rohani.

360 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam
Rajah 1: Unsur rohani dan jasmani pada manusia

Rajah 2: Kesepaduan ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah

Bab 19 361

Rajah 3: Bentuk kurikulum yang bersepadu untuk universiti

Ilmu Fardhu ‘Ain merupakan asas yang mendasari
setiap cabang Ilmu Fardhu Kifayah (Rajah 2), sebagaimana ruh
menjadi teras dalaman bagi jasad seseorang manusia (Rajah 1).
Ilmu fardhu ain merupakan ilmu yang utama dan kemuncaknya
membawa kepada pengenalan diri dan Tuhan. Ilmu fardhu ain
juga menyentuh perbahasan hakikat ruhaniah bersumberkan
wahyu yang bertujuan membimbing insan ke arah kesempurnaan
(Al-Attas, 2007). Manakala ilmu pengetahuan atau ilmu fardhu
kifayah pula adalah alat untuk menyempurnakan kehidupan
manusia di dunia. Namun, ilmu fardhu kifayah perlu dibimbing
oleh ilmu fardhu ain.

Atas perkaitan tersebut, ilmu Ilmu Fardhu ‘Ain melalui
kursus-kursus teras perlu dipelajari oleh setiap pelajar di peringkat
universiti memandangkan ilmu ini yang mengisi keperluan roh
manusia agar dapat memandu jasad mencapai kesejahteraan

362 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

(Rajah 3). Subjek-subjek seperti Aqidah dan Pemikiran Islam,
Epistemologi Islam, Sejarah dan Tamadun Islam, Kerangka
pemikiran Ahli Sunnah wa’l Jama’ah serta cabaran-cabaran
pemikiran yang mendasari sains moden haruslah dibincangkan
secara matang di peringkat pengajian tinggi. Perkara-perkara teras
ini merupakan bekalan dan asas agama seorang muslim apabila
berhadapan dengan pengaruh dualisme yang berlaku tanpa sedar
di peringkat pengajian tinggi dewasa ini.

Maka, institusi pendidikan tinggi mempunyai
tanggungjawab besar untuk menghidupkan semula ruh
pendidikan Islam ini dengan melaksanakan semula pembahagian
ilmu berdasarkan konsep fardhu ‘ayn dan fardhu kifayah
tersebut. Manakala elemen-elemen asing khususnya dualisme
dan sekularisme yang mendasari ilmu-ilmu moden seharusnya
dianalisa secara kritis agar tujuan pendidikan Islam iaitu
membentuk generasi yang beradab dapat dicapai.

Penutup

Artikel ini merumuskan bahawa tujuan menuntut ilmu dan
pendidikan berpusat kepada pembangunan insan baik yang
mengenali kebenaran mengenai kewujudan dirinya, Tuhan dan
alam. Tumpuan kepada penggubalan kurikulum di peringkat
pengajian tinggi adalah untuk mengatasi kelemahan dari aspek
falsafah dan halatuju pendidikan di peringkat yang lebih asas.
Penggubalan kurikulum di peringkat pengajian tinggi yang
berdasarkan struktur pembahagian Ilmu Fardhu ‘Ain dan Fardhu
Kifayah bertujuan mendidik pelajar menjadi insan beradab yang
memahami tanggungjawab kekhalifahan agar menjadi pemangkin
kepada pembangunan negara yang sejahtera dan holistik sifatnya.

BAB 20

Hajar Isteri Nabi Ibrahim AS : Ikon Wanita
Kalis Masa Depan

Najah Nadiah Amran, Latifah Abdul Majid, Rozita
Ibrahim, Haziyah Hussin, A’dawiyah Ismail &
Fazilah Idris

Pendahuluan

Kajian berkaitan wanita Islam telah banyak dilakukan terutamanya
tentang status wanita dalam agama dan syariah. Wanita dianggap
kurang akal dan beragama (Andek Masnah, 2001), pasif, terpinggir
dan kelas kedua (Tanya Gulevich, 2004), dan hanya memainkan
peranan di rumah. Segelintir umat Islam berpandangan wanita
tidak berhak bersosial kerana akan berhadapan dengan fitnah.
Penulis dan pengkaji barat dan timur telah menyentuh persoalan
wanita Islam yang dianggap sebagai ‘mangsa’ agama serta tradisi
dan mereka dikongkong serta ditindas dengan adat budaya
tertentu (Saba Mahmood, 2005, Hamayun Ansari, 2004; Najah
Nadiah Amran, 2014). Islam telah dipersalahkan sebagai agama
yang menindas wanita dan sumber nas Islam dijadikan hujah
oleh segelintir orang Islam untuk mengongkong kaum wanita
(Ansari, 2004). Islam sebenarnya mengangkat martabat wanita
dan memberi mereka hak dan taraf yang istimewa. Wanita ialah
makhluk ciptaan Allah yang mempunyai kelebihan khusus untuk
mengandung, melahirkan dan menyusukan anak. Wanita juga

364 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

mempunyai sifat unik seperti penyayang, lembut dan tabah (Mek
Wok Mahmood, 2014). Sebelum Islam, kaum wanita dianggap
sebagai barang yang boleh dijual dan diwariskan. Malah, Al-
Qurān iaitu sumber nas Islam yang utama menyebut nama
dan kisah wanita untuk diteladani baik dari aspek pengabdian,
kepimpinan, pengorbanan dan sumbangan (Andek Masnah,
2001). Oleh itu, dakwaan yang mengatakan terdapat sumber nas
wanita harus dikongkong adalah tidak berasas kerana sumber
Islam menunjukkan mereka sebagai individu yang aktif, berdaya
saing, boleh memimpin, berfikiran tajam dan kalis cabaran.

Kajian lepas mengenai wanita dalam Al-Qurān
menonjolkan ciri keteguhan iman, kesetiaan, kepimpinan,
dan pengabdian yang dikategorikan sebagai sifat wanita soleh
(Misbah Em Majidy, 2016). Tidak kurang juga dipaparkan
bentuk akhlak hina yang berusaha menghancurkan usaha
dakwah, mengkhianat amanah dan penyebab kejatuhan (Misbah
Em Majidy, 2016). Paparan ini bertujuan menjadikan kategori
pertama sebagai contoh dan panduan manakala kategori kedua
menjadi pedoman dan sempadan. Wanita boleh memilih untuk
tinggal menguruskan rumahtangga ataupun melaksanakan
pekerjaan luar di lapangan dengan syarat mereka mematuhi
peraturan, adab dan etika (A’dawiyah Ismail, 2016). Sumbangan
wanita dalam pembangunan insan khususnya dalam membina
keluarga dan memastikan pendidikan anak yang sempurna amat
penting (A’dawiyah Ismail, 2016). Artikel ini menganalisa secara
tekstual kisah Hajar yang bersendirian membina keluarga setelah
ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Insiden dan personaliti Hajar
ditinjau dari aspek reaksi beliau semasa ditinggalkan oleh suami
dan tindakan yang diambil selepas mendapati bahawa dirinya
berada dalam ujian dan permasalahan.

Bab 20 365

Definisi Istilah-Istilah Penting

Maksud Kalis Masa Depan

Perkataan kalis ialah kata adjektif yang menunjukkan kepada
sifat unik atau ciri tertentu terdapat pada objek atau manusia
dalam keadaan tertentu (Kamus Dewan Online). Objek yang kalis
cahaya, cuaca, gas, air, penyakit dan sebagainya menunjukkan (a)
ia tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh faktor luar, keadaan
dan perubahan sekeliling. Jika dalam suatu keadaan biasa
objek yang tidak kalis menjadi rosak, berubah warna, pudar,
ditembus, diserap atau dipengaruhi oleh sesuatu objek, individu
atau keadaan yang lain, hal ini tidak berlaku kepada objek atau
individu yang kalis. Kalis juga merujuk kepada (b) terbiasa
dengan sesuatu disebabkan ia telah menjadi kelaziman (Kamus
Dewan Online). Contohnya seseorang yang sudah biasa memakan
lauk mentah tidak sakit perut kerana perutnya sudah kalis dengan
menu seumpama itu. Kalis dalam keadaan ini merujuk kepada
keupayaan untuk menerima dan menghadapi situasi dan cabaran
sukar. Satu sifat yang jelas di sini adalah sifat keupayaan untuk
bertahan sehingga apa jua pengaruh, penyakit mahupun anasir
negatif yang muncul ataupun menyerang, ia tidak dapat masuk,
tembus ataupun memudaratkan. Seorang yang kalis dalam artikel
ini merujuk kepada wanita yang berkemampuan untuk terus-
menerus kekal bernilai ataupun bersinar biarpun berhadapan
dengan kesukaran.

Istilah ‘kalis masa depan’ diterjemahkan dari perkataan
Bahasa Inggeris, ‘future proof’. Istilah ini berasal dari bidang
kejuruteraan, binaan, rekabentuk industri serta pengkomputeran;
namun kini digunakan secara meluas dalam bidang pendidikan

366 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

dan latihan. Sistem pendidikan dan pengurusan bakat yang
berkesan dilihat sebagai sangat penting dalam memastikan
sesebuah negara adalah ‘future proof’ dari segi ekonomi.
Perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan tinggi perlu
diberikan perhatian demi melahirkan graduan yang ‘future
proof’. Yeoh (2017) mengenalpasti lima perubahan yang akan
berlaku iaitu (1) pilihan yang banyak dari segi kepelbagaian
universiti, (2) pencapaian akademik semata-mata tidak menjamin
kejayaan, (3) pendidikan berterusan, (4) pembelajaran atas talian,
dan (5) pembinaan institusi hibrid yang menawarkan kampus
fizikal dan atas talian yang mantap. Lantaran itu, banyak pihak
menekankan kepentingan ‘future proof education’ demi melatih
para graduan dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan pada
masa hadapan (Bloomberg, 2017; Duchatellier, 2017; The British
Academy, 2017 dan The Star Online, 2017). Antara kemahiran-
kemahiran yang dikenalpasti bagi ‘future proof graduates’ adalah
(1) komunikasi dan koloborasi, (2) penyelidikan dan analisis, dan
(3) kebolehan bekerja sendiri dan kebolehan beradaptasi (British
Academy, 2017).

Kecerdasan Personal

Definisi Kecerdasan

Kamus Dewan mendefinisikan kecerdasan (cerdas) merujuk
kepada kesempurnaan akal budi untuk berfikir dan mengerti, tajam
fikiran sehingga mampu membuat tindakan dan memimpin serta
pintar. Kecerdasan juga merujuk kepada kepandaian, kecerdikan
dan kepintaran. Kepandaian merujuk kepada kebolehan ataupun
kemahiran. Ia juga merujuk kepada kemampuan dan kecekapan.
Perkataan Inggeris yang berkaitan dengan kecerdasan ialah

Bab 20 367

intelligence (noun) dan intelligent (adjective). Intelligence
merujuk kepada kemampuan untuk mempelajari sesuatu dan
mengatasi kelemahan diri. Ia bermakna mempunyai pengertian
mendalam tentang sesuatu (insight), kemampuan untuk membuat
pertimbangan (judgement) dan mempamerkan hikmah dan
kebijaksanaan (wisdom) (Webster Collegiate Thesaurus 1976:
452-453). Intelligent pula merujuk kepada hal, sifat, ciri seseorang
yang rasional ataupun waras, penuh pertimbangan kepada kesan-
kesan, berfikiran logik, matang dan diterima, serta waras lagi
benar. Kecerdasan merujuk kepada ‘keupayaan seseorang untuk
menerima, memproses dan menilai maklumat serta menggunakan
inisiatif untuk menyelesaikan masalah dalam persekitaran tertentu’
(Arbaiyah Md Zin, 2006; Syed Najmuddin Syed Hassan, 2005;
Emli Baharruddin dan Zainab Ismail, 2015). Seseorang yang
mempunyai kecerdasan mampu untuk memahami sesuatu secara
tepat dan sempurna (Ramayulis, 2004 dan Md. Said Suleiman,
2002) bertindak secara rasional dan berinteraksi secara positif
dengan persekitaran (David Wechsler, 1958). Selanjutnya, Elmi
Baharuddin dan Zainab Ismail (2015) menjelaskan bahawa dalam
Islam, kecerdasan dinilai apabila akal budi insan didukungi oleh
kekuatan zikir (naqliyyah) dan fikir (aqliyyah).

Kategori Kecerdasan

Kosa ilmu Islam mentakrifkan kecerdasan kepada enam maksud
iaitu (a) al-Fatanah (bijak dan memahami), (b) al-Dhakaa’ (tajam
dan faham secara sempurna dan konprehensif), (c) al-Hadhaqah
(mahir dalam pekerjaan dan pembuatan tertentu), (d) al-Nubl
(cerdik) dan (e) al-Najabah (cerdas) serta (f) al-Kayyis (seseorang
yang bijaksana) Abdul Rokhim Hasan (2011). Jelas dari takrifan
ini kecerdasan merujuk kepada kemampuan kognitif, afektif dan
psikomotor.

368 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Kebolehan untuk menguruskan proses kognitif seseorang
memerlukan kepada kecerdasan. Kecerdasan dapat ditafsirkan
sebagai kebolehan untuk melakukan pemikiran secara mujarad,
kebolehan membuat penyeluruhan dan cara tindakan terhadap
sesuatu situasi yang bermasalah. (Atan Long, 1983). Kecerdasan
diambilkira apabila upaya berfikir menggabungkan faktor kognitif
dan afektif secara seimbang (Elmi Baharuddin dan Zainab Ismail,
2015). Seseorang yang cerdas dapat berfikir secara rasional dan
menangani sesuatu perkara dengan baik sekiranya terjadi sesuatu
cabaran atau ujian yang dihadapi (Toplak, M. E., West, R. F., &
Stanovich, K. E. (2014). Gardner (2003: 23-24) mengesyorkan
tujuh komponen kecerdasan iaitu (a) Kecerdasan linguistik
merangkumi kebolehan mengolah kata dan berbahasa; (b)
Kecerdasan logik terutamanya melibatkan perkiraan dan angka;
(c) Kecerdasan visualisasi, boleh membuat gambaran secara visual
(d) Kecerdasan seni seperti kemahiran bermain alatan muzik dan
penciptaan irama lagu; (d) Kecerdasan kinestetik melibatkan
pergerakan dan perimbangan secara fizikal; (e) Kecerdasan
interpersonal iaitu kemahiran untuk bekerjasama dengan orang
lain dan (f) Kecerdasan intrapersonal iaitu kemampuan yang ada
dalam diri sendiri.

Definisi Personal Dan Personaliti

Menurut American Physiological Association, perkataan
‘personal’ dan ‘personaliti’ merujuk kepada kualiti-kualiti tertentu
dalam diri seseorang yang memberikan kesan kepada ciri-ciri dan
gaya tingkah-laku yang dizahirkan dan tidak dizahirkan dalam
kontek dan masa tertentu. Personal merujuk kepada seorang
individu dan sesuatu yang berkaitan dengan dirinya. Personaliti
pula merujuk kepada identiti diri, ciri-ciri, sifat, perwatakan dan

Bab 20 369

juga seseorang yang istimewa (Webster Collegiate Thesaurus
1976: 596). Personaliti menurut Islam seperti Uthman Najati dalam
bukunya Al-Qurān wa ‘ilm al-Nafs menjelaskan personaliti atau
sahsiah bermaksud susunan dinamik dalam diri individu manusia
yang menentukan watak tersendiri sewaktu menyesuaikan diri
dengan persekitaran. Personaliti dipupuk dari dengan keimanan
dan ketaqwaan (Fariza Md. Sham et.al 2008).

Nor Hafifah Abdul Rasid (2013) mentakrifkan personaliti
sebagai himpunan pola emosi, pemikiran dan perlakuan yang
unik untuk seseorang dan tekal dengan masa. Menurut Mahmood
(1992), personaliti merupakan sifat-sifat yang ada pada seseorang
individu seperti cara dia berfikir, beraksi, beremosi, berpersepsi
dan lain-lain lagi yang membolehkannya berbeza dengan orang
lain. Personaliti juga merujuk kepada tindak-tanduk seseorang
yang menzahirkan ciri-ciri kawalan emosi dan pemikiran. Oleh itu
personaliti mengambarkan keseluruhan seseorang (Nor Hafifah
Abdul Rasid, 2013). Jelas di sini, pengkaji bidang psikologi
mendapati manusia memiliki ciri-ciri personaliti yang berbeza-
beza.

Rajah 1: Pengertian Maksud Personaliti dan Personal

370 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Kecerdasan Personal

School Leadership Collaborative (t.t) menjelaskan bahawa
kepintaran personal merupakan keupayaan untuk berfikir secara
matang dan mendalam tentang personaliti dan pengetahuan diri
serta mengaplikasikannya sesuai untuk memperkembangkan
pemikiran, perancangan dan pengalaman hidup. Terdapat
empat kebolehan ataupun kemahiran tertentu yang dimiliki
oleh seseorang yang mempunyai kecerdasan personal iaitu;
(a) wellness, (b) growth mindset, (c) self-management dan (c)
innovation (School Leadership Collaborative).

Jadual 1: Empat Kompetensi Individu yang Mempunyai Kecerdasan Personal

Kualiti Ciri Implikasi
Kuat dan sihat
Wellness Keseimbangan jasmani dan
akal Berusaha mencari jalan
penyelesaian
Growth Mindset Menerima cabaran dan mampu Keupayaan untuk
bertahan sekalipun sukar mengawal keadaan, diri dan
keselamatan orang lain.
Self-management Teratur, seimbang, mampu Mendapat solusi samada
menguasai diri, berkeyakinan kesan jangka pendek
ataupun/dan panjang.
Innovation Menjana idea dan solusi

Salovey, Brackett, & Mayer (2004) dan Mayer & Solovey (1997)
mengkategorikan kecerdasan personal kepada lima kebolehan
iaitu:

I. Keupayaan mengenali emosi diri pada saat terjadi sesuatu
insiden.

II. Keupayaan mengelola dan menangani emosi agar ia dapat
disalurkan sewajarnya.

Bab 20 371

III. Kemampuan memotivasi diri untuk mencapai tujuan dengan
inisiatif dan kreativiti.

IV. Kebolehan mengenali emosi orang lain / ada perasaan empati.

V. Berupaya menangani keadaan dan suasana semasa
menghadapi peristiwa/insiden agar dapat tanganinya secara
efisien.

Kecerdasan personal terbahagi kepada dua pembahagian
iaitu kecerdasan intrapersonal dan kecerdasan interpersonal
(Gardner, 1983). Kecerdasan intrapersonal berkaitan kemampuan
untuk akses kepada perasaan sendiri (Fitri Mares Efendi, 2015)
dan pengetahuan diri (Armstrong 1997 & 2000). Seseorang yang
ada kecerdasan intrapersonal mampu untuk bertindak secara
adaptif berdasarkan pengetahuan dan emosi diri yang seimbang.
Hasilnya beliau mempunyai kesedaran yang tinggi, matlamat
yang jelas, ada wawasan, mampu mendorong diri secara positif,
memelihara harga diri dan kenali batas dan disiplin. Kecerdasan
intrapersonal itu juga mampu membentuk diri seseorang untuk
membezakan kepelbagaian emosi yang berlaku kepada diri dan
bijak membimbing dan mengimbangi diri sendiri (Armstrong
1997 & 2000).

Kecerdasan interpersonal pula adalah kemampuan
seseorang untuk menyedari dan membezakan keunikan-
keunikan yang terdapat pada orang lain terutamanya mood,
perasaan, motivasi dan kehendak mereka. Kesannya, seseorang
itu bertindak dan berfikir dengan mengambilkira gaya peribadi
dalam bekerjasama dengan orang lain agar dia boleh bekerja lebih
efektif, bekerjasama dan penuh empati dan juga mengambilkira
keadaan semasa, perasaan, dan motivasi (Gardner, 1993).

372 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Rajah 2: Dua Bentuk Kecerdasan Personal (Sumber: Garderner, 1983)

Terdapat pertindanan pada ciri dan definisi kecerdasan
personal dengan kecerdasan emosi. Kecerdasan emosi merujuk
kepada keupayaan untuk mengetahui dan mengenalpasti emosi
sendiri dan orang lain dalam memahami, menguasai, mengurus
emosi tersebut supaya stabil serta memotivasi diri. Impaknya
seseorang itu dapat menjaga hubungannya dengan orang lain
(Goleman, 1995; Mayer & Salovey, 1997). Berdasarkan definisi,
pembahagian dan ciri kecerdasan personal, dapat dikenalpasti
apabila seseorang itu menyedari dan menyelami emosi sendiri,
mencari jalan penyelesaian solusi semasa buntu, memantapkan
potensi diri dan ketrampilan, mempunyai motivasi untuk mencapai
tujuan dan sasaran, menjalani kehidupan seharian berlandaskan
nilai-nilai agama dan berusaha atau bekerja untuk menampung
kelangsungan kehidupan maka itu menunjukkan dia mempunyai
kecerdasan tersebut. Selain itu, dia juga jelas tentang matlamat,
tujuan kehidupan dan seorang yang berwawasan. Impaknya
dia membuat perancangan untuk mempelajari sesuatu secara
berterusan untuk perkembangan diri, berusaha untuk memahami
kemahuan diri dan pengalaman yang ditempuhi. Dia juga tidak
hanya berfikir dan merancang untuk diri sendiri tetapi turut berasa
bertanggungjawab terhadap orang lain bersamanya. Dengan erti
lain, dia mempunyai tanggungjawab kemanusiaan.

Bab 20 373

Perbincangan berikutnya adalah mengenai Siti Hajar, isteri
kedua Nabi Ibrahim a.s. dan bagaimana wanita ini mempamerkan
kemahiran-kemahiran personal yang melangkau zamannya
serta boleh dijadikan pengajaran pada masa kini. Ringkasnya,
ketokohan Hajar masih lagi relevan hingga kini dan wajarlah
beliau diangkat sebagai salah seorang ikon kalis masa depan.

Hajar Ikon Kalis Masa Depan

Latar Belakang Peristiwa Hajar Ditinggalkan Di Padang
Pasir

Di dalam riwayat ahli tafsir menukilkan bahawa wanita berkualiti
hebat ini bernama Hajar merupakan isteri kedua Nabi Ibrahim
AS. yang dinikahi baginda ketika lanjut usia. Perkahwinan ini
diatur oleh Sarah, isteri pertama baginda setelah mereka tidak
dikurniakan zuriat. Dari segi latar belakang Hajar disebut sebagai
khadam Sarah. Setelah berkahwin, Nabi Ibrahim telah mendapat
anak bernama Ismail (Ibn Kathir t.t: 46-47). Terdapat riwayat
menjelaskan bahawa sebenarnya Hajar berketurunan bangsawan
Mesir. Apabila Mesir jatuh kepada raja yang baharu, seluruh
keluarganya menjadi tahanan. Hajar bebas dari tahanan apabila
raja baharu pada ketika itu menghadiahkannya kepada Sarah.
Ayat Al-Qurān yang berkaitan dengan kisah Hajar terdapat dalam
ayat 37 Surah Ibrahim.

Bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku
telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku
di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada
tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan

374 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka di
tempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang
(dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu,
jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar
kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ)
dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai
jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka
bersyukur.

Insiden dalam kontek ayat ini merujuk kepada kejadian
Nabi Ibrahim membawa Hajar dan Ismail ke lokasi baharu yang
jauh dari Mesir. Usia Ismail masih dalam tempoh penyusuan.
Mereka telah melalui kawasan lembah yang subur, padang pasir
dan kawasan berbukit. Baginda sekeluarga akhirnya tiba di satu
kawasan berpadang pasir gersang di Semenanjung Arab. Kawasan
itu tidak berpenghuni dan tidak ada kesan ia pernah didiami. Ada
pentafsir menyatakan ketika Hajar ditinggalkan, bekalan air dan
makanan yang ditinggalkan kepada Hajar dan anaknya mencukupi
untuk dua hari sahaja (Ibn Kathir t.t). Sewaktu Nabi Ibrahim AS
berangkat meninggalkan daerah itu, Hajar telah bertanya ke mana
hala tuju baginda dan mengapa dirinya ditinggalkan bersendirian
bersama Ismail. Tetapi, tiada respon daripada baginda terhadap
semua soalan tersebut. Reaksi Nabi Ibrahim AS itu difahami oleh
Hajar dengan kepastian bahawa semuanya adalah dari perintah
Allah SWT. Sebagai wanita berpesonaliti hebat dan beriman,
beliau secara tidak langsung telah mententeramkan kesedihan
mereka suami isteri dengan menyerahkan segalanya kepada Allah
SWT. Sebagai respon, Hajar menyatakan Allah akan menjaga
mereka berdua. Respon Hajar tersebut telah meringankan
kesedihan mereka suami-isteri. Schwartz, S. (2013) menyatakan

Bab 20 375

bahawa sikap toleransi kedua belah pihak mewujudkan dan
memberi impak yang positif kepada individu yang mengalami
sesuatu situasi mencabar.

Di dalam Al-Qurān dipaparkan bahawa penempatan yang
akan didiami oleh Hajar merupakan kawasan yang gersang dan
tiada tumbuhan. Justeru, Nabi Ibrahim AS berdoa seperti di dalam
ayat 37 tersebut. Ada pendapat menjelaskan, apabila tiba di satu
tempat bernama Thaniya, jauh dari lokasi Hajar dan Ismail, Nabi
Ibrahim AS mengangkat tangannya dan berdoa kepada Allah
SWT. Bagaimanapun menurut al-Sya’rawi, doa ini dititip oleh
Nabi Ibrahim AS sebaik sahaja baginda tiba di situ. Nabi Ibrahim
a.s mengetahui dengan jelas bahawa tempat tersebut gersang tidak
bertumbuhan. Bagaimanapun baginda meninggalkan mereka
berdua di situ kerana perintah Allah. Ayat ini menggambarkan
terdapat banyak perkara dalam kehidupan hatta kehidupan seorang
Nabi sekalipun, baginda harus menyerahkan aturan kehidupan
kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Secara fizikalnya, Nabi Ibrahim AS meninggalkan mereka
kepada Allah SWT untuk tinggal di sisi kaabah (al-Sya’rawi t.t).
Dengan penuh pengharapan, baginda berdoa agar pada suatu
masa kelak, daerah terpencil tersebut akan mencuri tumpuan
manusia sehingga mereka bergerombolan pindah dan tinggal di
sana. Salah satu keajaiban doa ini pada permintaan Nabi Ibrahim
agar tempat yang gersang itu dikurniakan dengan buah-buahan.
Doa ini dimakbulkan oleh Allah SWT setelah Hajar menemui
telaga zamzam.

Ibnu Kathir (t.t) memetik riwayat daripada Ibnu Abbas
yang menjelaskan sepeninggalan Nabi Ibrahim AS, Hajar
mendapati bekalan air dalam bekas mereka habis. Mereka berdua

376 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

mula berasa dahaga. Persekitaran gurun juga telah menambah
rasa haus. Panas terik menjadikan fizikal mereka memerlukan
air lebih dari kebiasaan. Ismail menunjukkan rasa lapar dan
menangis. Hajar terpaksa meninggalkan Ismail dan mencari
lokasi paling tinggi. Hajar menemui Bukit Safa dan mendakinya
dengan harapan dapat mengesan punca air ataupun melihat jika
ada rombongan musafir dari jarak jauh. Dari puncak Bukit Safa,
Hajar mendapati ada satu lagi lokasi yang tinggi. Lalu Hajar ke
sana dengan harapan yang sama. Lokasi itu ialah Bukit al-Marwa.
Harapan Hajar untuk mendapatkan bekalan air dan menemui
orang lain telah membuatkan dia turun naik kedua-dua bukit
itu sebanyak tujuh kali. Setelah berusaha berulang-kali, Hajar
menyedari terdapat satu punca air tidak jauh dari mereka. Dengan
pantas, Hajar mencari jalan untuk menakung air yang sedang
keluar. Dengan kudrat yang ada, Hajar mengangkat batu dan
menyusunnya bagi menakungkan air tersebut. Nabi Muhammad
s.a.w bersabda: Semoga Allah merahmati bonda Nabi Ismail.
Jika beliau tidak berbuat sedemikian, nescaya air (zamzam) akan
mengalir di permukaan dan hilang begitu sahaja.

Tindakan Hajar menakung air menyebabkan lokasi
tersebut mendapat perhatian. Para penghuni padang pasir yang
hidup secara nomad melihat pergerakan burung-burung yang
terbang ke arah sumber air. Mereka memohon izin untuk berpindah
dan menetap berdekatan dengan tempat Hajar dan anaknya. Hajar
memberikan keizinan bersyarat iaitu mereka dibenarkan menetap
tetapi tidak berhak menguasai sumber air tersebut. Kumpulan itu
bersetuju dan mula hidup bersama mereka. Itulah kabilah Jurhum
yang akhirnya menjadi sebahagian keluarga Hajar dan Ismail.
Dari daerah terpencil, Kota Mekah menjadi tumpuan pedagang
dan petani membawa dagangan dan hasil bumi mereka dari empat

Bab 20 377

penjuru semenanjung tanah Arab. Carta alir berikut menjelaskan
perjalanan dan cabaran dihadapi oleh Hajar.

Rajah 3: Perjalanan dan Cabaran Hajar

Analisis Dan Perbincangan

Kualiti Dan Personaliti Hajar
Dalam bahagian pertama artikel ini telah menyenaraikan definisi
kecerdasan dan juga kecerdasan personal. Pengkaji mendapati
rumusan daripada School Leader Continuum @ School
Leadership Collaborative bertepatan dengan semua penjelasan
mengenai kecerdasan personal yang telah diberikan. Bahagian
ini akan membincangkan tentang empat ciri kompetensi yang ada
pada seorang yang mempunyai kecerdasan personal.

Kualiti pertama yang dibincangkan di sini ialah Wellness.
Ia merujuk kepada keseimbangan jasmani dan mental. Dalam
hal ini, Hajar mempamerkan kemampuan fizikal beliau untuk

378 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

bermusafir jauh dari negeri Mesir sehingga ke Mekah dan
mampu mendaki dua bukit Safaa dan Marwah secara berulang-
ulang. Kesusahan dan kesukaran mencari punca dan sumber air
mesti diselesaikan walaupun terpaksa melakukan gerakan fizikal
berulangkali. Oleh kerana dia mempunyai kekuatan jasmani dan
kesejahteraan mental, maka Hajar mampu menghadapi cabaran
iklim padang pasir dan menyempurnakan pergerakan fizikal yang
secara berulang-ulang.

Kualiti kedua yang berkaitan personaliti Hajar adalah
growth mindset. Seorang yang ada growth mindset menunjukkan
ciri-ciri tertentu seperti boleh menerima cabaran, mampu
bertahan sekalipun sukar, memandang usaha-usaha sebagai jalan
untuk solusi ataupun menguasai sesuatu, dan mendapat inspirasi
daripada orang lain. Dalam kontek ini, Hajar membuktikan
kemampuannya menempuh cabaran dengan menjaga anak yang
masih menyusu berseorangan tanpa suami di sisi. Selain itu,
Hajar memperoleh inspirasi dari suaminya yang mengesahkan
bahawa Allah yang memerintahkan mereka berdua harus berada
di situ. Berbekalkan usaha dan tawakkal kepada Allah SWT Hajar
menempuh cabaran di hadapannya termasuk cabaran persekitaran
baharu, cuaca gurun, kehabisan bekalan dan sumber dan ketiadaan
sistem sokongan sosial.

Sepeninggalan Nabi Ibrahim, Hajar perlu mengurus
keperluan keluarga bersendirian (self-management). Ismail masih
kecil untuk ditaklifkan dengan apa-apa tugas. Maka, sebagai
ibu, dialah yang mesti bertanggungjawab untuk diri sendiri dan
anaknya. Dalam memahami keperluan pengurusan diri, School
Leadership Collaborative (t.t) telah menyenaraikan empat lagi ciri
yang berkaitan bagi memberi gambaran tentang bagaimanakah

Bab 20 379

corak keupayaan mengurus itu. Empat ciri tersebut adalah (a)
organized (teratur), (b) balanced (memandang dan membuat
sesuatu setelah meninjau pelbagai sudut dan mengetahui impak
kepada tindakan), (c) self-controlled (mengatur tindakan dan
rancangan dengan penuh strategik, mampu bertenang sekalipun
ada banyak desakan) dan (d) self-confident (sedar dan tahu kekuatan
dan kelemahan, mencuba mencari apa peluang yang ada, terima
cabaran mendatang, menerima pandangan dan bijak membuat
keputusan). Keempat-empat ciri self-management ini ditonjolkan
oleh Hajar. Contohnya, Hajar mampu bertenang semasa diasak
dengan ujian tiada sumber air, ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim,
bersendirian dengan anak yang masih kecil di lokasi yang tidak
berpenghuni dan gersang. Dengan kekuatan yang ada, Hajar
meninjau dan mencari peluang dengan mendaki dan menurun dua
bukit berdekatan dengan dengan fikiran positif bahawa akan ada
kelibat manusia kafilah ataupun sang pengembala yang hampir
dan sumber air yang akan ditemui.

Ciri keempat yang boleh ditinjau dalam kes ini ialah
kemahiran menjana idea sehingga berhasil melakukan inovasi.
Perhatikan tindakan-tindakan proaktif yang dilakukan Hajar
setelah dia dan anaknya menemui sumber air zamzam. Pertama,
Hajar menyusun batu-batan dengan tujuan menakungkan air untuk
jangka pendek dan panjang. Air itu tidak boleh dibiarkan mengalir
dan hilang begitu sahaja. Dia menjana idea secara praktikal. Batu
disusun untuk menakung air. Takungan itu mendapat perhatian
burung-burung berterbangan. Bagi masyarakat gurun, arah
burung-burung terbang menunjukkan indikasi sumber air samada
untuk pengembalaan ataupun pertanian. Hajar menunjukkan
contoh seorang wanita beragama yang tidak pasif malah mampu
berfikir dan bertindak di luar kotak.

380 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Kesimpulan

Tindakan yang dipamerkan oleh Hajar ini menunjukkan bahawa
dia bukan sahaja memiliki kesempurnaan akal untuk berfikir dan
mengerti, bahkan ada kemampuan untuk mempelajari sesuatu
dan mengawal emosi dan tindakan diri dan orang lain. Dia juga
dapat memahami sesuatu dengan mendalam dan berkemampuan
untuk membuat pertimbangan, mempamerkan hikmah dan
kebijaksanaan melalui tindakan-tindakan. Kajian mengenai wanita
dalam Al-Qurān menunjukkan terdapat kecerdasan, keunikan,
kualiti dan kemahiran tertentu yang boleh dicontohi. Antara ciri
ketara kepada diri Hajar adalah berkemampuan dan berkemahiran
untuk (a) mencari solusi (b) berkeupayaan mengawal emosi (c)
berkemahiran merancang (d) ada kemahuan untuk mencuba
dan berusaha secara berulang sehingga berhasil (e) berwawasan
dalam kehidupan. Sebagai wanita, dia kalis dengan cabaran dan
mampu menyempurnakan tugas-tugas tertentu samada secara
bersendirian ataupun berkumpulan.

BAB 21

Sukan Memanah Tradisi Dalam Islam :
Satu Sorotan Sejarah

Jamalia Aurani,Sharipah Isa & Ashraf Mohd
Arshad

Pendahuluan

Perbahasan sirah dan sejarah Islam mengenai memanah tradisi
dalam Islam jarang diperbincangkan walaupun umum mengetahui
bahawa memanah seringkali dikaitkan dengan istilah sukan
sunnah yang sangat dianjurkan dalam Islam. Semenjak tamadun
manusia mula berkembang, memanah dilihat sebagai suatu aktiviti
yang disandarkan kepada tujuannya untuk mencari makanan
dan alat mempertahankan diri daripada serangan binatang buas
(Ervina Alfian,2015). Kemudian, memanah diperkembangkan
sebagai alat atau senjata yang digunakan dalam medan jihad
dan peperangan. Apabila zaman terus berkembang, misalnya
pada zaman moden ini, aktiviti memanah diangkat sebagai salah
satu daripada kegiatan mengisi masa lapang selain untuk amalan
beriadah. Maka, memanah secara umum telah mengalami proses
evolusi dalam aspek tujuan dan matlamatnya (Ervina Alfian,
2015). Menerusi pandangan Islam secara umum, memanah
merupakan salah satu amalan sukan yang dinukilkan dalam
Al-Qurān dan Sunnah Rasulullah SAW. Terdapat banyak dalil

382 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

yang membicarakan anjuran mengenai memanah dan tentunya
terselit kelebihan dan keunikan tersendiri. Antaranya ialah sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa
sahaja yang kamu sanggupi. Ketahuilah bahawa kekuatan
itu adalah memanah, Ketahuilah bahawa kekuatan itu
adalah memanah, Ketahuilah bahawa kekuatan itu adalah
memanah! (Riwayat Abu Daud)

“Setiap sesuatu yang tidak termasuk mengingat Allah,
ia merupakan permainan yang sia-sia kecuali empat
hal, seorang lelaki berjalan di antara dua tujuan (untuk
memanah), melatih berkuda, bermesraan dengan keluarga,
dan mengajarinya berenang.” (Riwayat al-Tabrani)

Justeru, melihat kepada perbahasan umum tersebut
membawa kepada perlunya pengkajian ringkas mengenai sorotan
sejarah mengenai ilmu dan kegiatan memanah tradisi Islam agar
umat Islam tidak hanya melihat ianya sebagai sukan sunnah,
namun turut menguasai pensejarahan berkaitan memanah tradisi
dalam Islam.

Hukum belajar ilmu memanah ialah fardhu kifayah,
dan ianya tidaklah wajib dipelajari oleh semua orang Islam.
Namun ianya adalah suatu sunnah yang di sukai, diamalkan, dan
digalakkan oleh Rasulullah SAW.

Para Imam di dalam bidang ilmu memanah Islam telah
membahagikan pengajian dan pengamalan ilmu memanah kepada
beberapa perkara. Terdapat perkara-perkara yang di letakkan


Click to View FlipBook Version
Previous Book
MANUAL PENGURUSAN DAN TAKWM 2019
Next Book
Sample 20-12