The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by qolbi1979, 2018-12-20 02:13:22

Dinamika full book with cover

Dinamika full book with cover

Bab 21 383

sebagai rukun (arkān ar-rimāyah), terdapat perkara-perkara
asas (usūl ar-rimāyah), terdapat perkara-perkara cabang (furū‛),
terdapat perkara-perkara pilihan (sunnah), adab dan etika, dan
terdapat perkara-perkara yang bersifat objektif (maqāsid) di dalam
ilmu dan amalan memanah Islam. Terdapat juga perkara-perkara
rahsia yang hanya diberitahu guru kepada murid-murid yang lulus
semua pelajaran dan ujian sahaja(Paul E. Klopsteg,1987).

Sejarah Memanah Tradisi Pada Zaman

Para Nabi

Manusia pertama diciptakan oleh Allah SWT yang diturunkan ke
bumi sebagai hamba, khalifah dan Nabi ialah seorang pemanah,
dan semulia-mulia malaikat yang diutuskan kepada manusia juga
memanah (Faris,N.A.,& Elmer,R.P.,1945). Sebagaimana yang
disyarahkan oleh Imam Khatib Abdullah Efffendi menyebutkan,
sepertimana yang tercatat di dalam Kitab Sirah al-Halabiyah
oleh Imam Thabrani bahawa Sayyidina Jibril AS telah datang
membawakan kepada Nabi Adam AS busur panah yang pertama
yang diperbuat daripada pohonan kayu syurga, dan membawa
bersamanya beberapa batang anak panah untuk kegunaan Adam
AS sebagai senjata untuk menjaga tanam-tanamannya daripada
serangan burung-burung yang merosakkan tanamannya. Jibril
AS telah mengajarkan Nabi Adam AS ilmu menggunakan
panah dan anak panah yang pertama (Radhia Shukrullah, 2005).
Panah dan ilmu memanah ini kemudiannya diwariskan kepada
para nabi seterusnya sehinggalah ke zaman Nabi Ibrahim AS,
yang kemudian mewariskan ilmu memanah dan membuat panah
kepada anak-anaknya Nabi Ismail AS dan Nabi Ishaq AS (J.D
Latham&W.F.Patterson, 1970).

384 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Sejarah Memanah Tradisi Zaman

Rasulullah SAW dan Para Sahabat

Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang menyatakan
mengenai; kelebihan-kelebihan memanah, menggalakkan belajar
memanah dan mengajarkan anak-anak memanah, menghadiri
latihan memanah dan pertandingan memanah, berdoa ketika
memanah, dan lain-lain. Baginda SAW adalah seorang pemanah
dan memiliki panah-panah yang dinamakan oleh baginda SAW
dengan nama-nama masing, antaranya ialah, Ṣafrā’, Bayḍā’,
Saddād/ Dhu’s Saddād, Zawrā’ (katum), dan Rawjā’ (Radhia
Shukrullah, 2005). Para sahabat Baginda SAW juga ramai yang
terdiri daripada pemanah-pemanah yang mahir, berdisiplin,
dan bertaqwa. Antara kalangan sahabat Rasulullah SAW yang
terkenal sebagai pemanah ialah Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq
RA di mana beliau menggunakan pedang dan panah pada hari
Peperangan Uhud (www.Islamicbulletin.com). Begitu juga
sahabat baginda SAW iaitu Sayyidina Umar bin al-Khattab,
antara orang yang pertama memasang mata anak panah besi
(temren) dan hasilnya ialah anak panah yang dapat ditembakkan
atau meluncur dengan lebih lurus (Radhia Shukrullah, 2005).
Antara sahabat-sahabat lain yang masyhur dalam imu memanah
pada zaman Rasulullah SAW ialah Sa‛ad bin Abi Waqqas, ‘Uqba
bin Amir al-Juhaniy, Abdullah bin ‘Abbas, ‘Utba bin Abdullah
as-Sulami, Zubayr bin ‘Awwam ‘Ali bin Abi Talib, Hassan dan
Hussein bin ‘Ali, Muhammad bin Abi Bakr, ‘Aun bin Shabir,
Talhah bin ‘Ubayd Allāh, Qatadah bin Nu’man, Rāfi‛ bin Khadīj,
Khalid bin ‛Abd Allāh dan Jabir bin ‘Amru al-Ansari, ‛Ukkasyah
bin Miḥṣan, ‘Abd Allāh bin Jubayr, Salamah bin al-Akwa’, Ummu
Umara Nusayba binti Ka’ab, Ummu Sulaym binti Milḥān, dan

Bab 21 385

ramai lagi. Daripada sejumlah besar daripada kalangan sahabat
yang dinyatakan sebelum ini, Sa’ad bin Abi Waqqas RA adalah
yang paling terkenal dengan kemahiran memanah yang tinggi.
Beliau adalah orang yang pertama melepaskan anak panah ke
arah kaum musyrikin di satu tempat bernama Batn Rabigh, dan
selepas peristiwa tersebut Rasulullah SAW memberikan beliau
gelaran Farisu’l Islam yang bermaksud Pahlawan Berkuda Islam
(Radhia Shukrullah, 2005). Pada hari perang Uhud, setelah
memberi arahan kepada lima puluh orang pemanah yang bertugas
mengawal dari di atas bukit, Rasulullah SAW telah memilih tiga
orang pemanah terbaik untuk baginda, iaitu yang akan mengikuti,
mengawasi dan mempertahankan baginda kemana sahaja baginda
bergerak di medan perang Uhud. Sayyidina Sa‛ad RA adalah
seorang daripada tiga pemanah yang di pilih untuk tugas ini
(www.Islamicbulletin.com) . Semasa duel pembukaan pada hari
perang Uhud, para pahlawan musyrikin mencabar para pahlawan
muslimin di dalam pertarungan permulaan untuk mendapatkan
kelebihan psikologi dan morale, panahan Sa‛ad RA salah tepat
menembusi leher salah seorang jaguh kaum musyrikin. Kecekapan
beliau sebagai pemanah memang tidak pernah dipertikaikan oleh
sesiapa.

Namun begitu, jika kita meneliti sirah atau perjalanan
hidup Sa‛ad RA, seolah-olah kemahiran memanah beliau hanya
merupakan salah satu aspek sahaja daripada pelbagai aspek
perjalanan hidupnya yang luas dan kompleks. Beliau bukan
sahaja merupakan seorang pemanah yang mahir, tetapi juga
mempunyai daya kepimpinan yang tinggi, dan daya menyusun
strategi yang efektif, seperti yang di tunjukkan di dalam siri-
siri peperangan menentang Sassanid-Parsi, iaitu pada Perang
al-Qādisiyyah dan Perang Nahāwand. Beliau juga mempunyai

386 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

daya mengurus, mentadbir, dan menghakimi yang tinggi, seperti
yang di tunjukkan semasa menjadi gabenor di wilayah baru
Islam. Beliau juga seorang yang mempunyai kebijaksanaan
dalam hubungan diplomasi keagamaan-kenegaraan-kebudayaan,
seperti yang di tunjukkan ketika mengetuai misi dakwah ke
Negara China. Paling utama, beliau mempunyai kekuatan iman
dan akhlaq, serta sifat-sifat tawqa yang harus di contohi. Ini
terbukti pada zaman pemerintahan Rasulullah SAW, dan pada
zaman Khulafa’ al-Rasyidin. Pada tahun 55H (674-675M) beliau
telah kembali ke Rahmatullah pada umur tujuh puluh sembilan
tahun, dan di maqamkan di Jannatul Baqī‛ di perkarangan Masjid
Nabawi Madinah. Beliau adalah orang yang terakhir wafat di
kalangan sepuluh orang yang mendapat berita jaminan syurga
oleh Rasulullah SAW.

Terdapat beberapa riwayat di dalam sirah para sahabat
yang penting untuk diketahui oleh para pemanah. Kisah-kisah
sirah mengenai Sayyidina Sa‛ad RA ini telah menyebabkan
ramai para tabi’in mengambil ilmu memanah dari beliau, dan
mencontohi sirah hidup beliau, dan diangkat sebagai guru utama
kepada kesemua guru-guru memanah sepanjang zaman. Beliau
telah di gelarkan ‘Pir’, yang bermaksud ‘Wali’ oleh para pemanah
Turki. Yakni wali di kalangan para pemanah sepanjang zaman
(Radhia Shukrullah, 2005), khususnya di dalam disiplin ilmu
memanah saddad, atau target archery, iaitu disiplin memanah
tepat ke arah sasaran khusus.

Jelaslah di dalam pandangan kita sekarang bahawa Ilmu
memanah Islam itu telah lahir dan tumbuh daripada dasar-dasar
Agama Islam itu sendiri, yang disampaikan dan dicontohkan oleh
Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang meneruskannya.

Bab 21 387

Pada zaman tersebut sudah ada dua disiplin atau dua cabang ilmu
memanah yang dikenalpasti dan dinisbahkan kepada para sahabat
tertentu. Pertama, disiplin memanah tepat ke arah sasaran yang
khusus, saddad atau target archery, seperti yang di amalkan oleh
Sayyidina Sa‛ad bin Abī Waqqās, ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhaniy,
dan lain-lain sahabat. Kedua, disiplin memanah jarak jauh, atau
menzil – iaitu pemanah melepaskan anak panah ke arah barisan
musuh dari jarak jauh atau secara volley, atau melepaskan anak
panah samada secara beramai-ramai atau berseorangan ke dalam
kawasan benteng atau kubu musuh. Para sahabat yang terkenal
pernah memanah dengan cara ini ialah ‘Abdullah bin ‘Abbas,
dan ‘Utba bin Abdullah as-Sulami. Acara memanah menzil yang
terkenal pada zaman Turki ‛Uthmaniyyah sejak kurun ke 10H/16M
hingga sekarang, telah mengambil simbolik atau iktibar daripada
peristiwa-peristiwa sirah ini. Maka demikianlah tumbuhnya
disiplin Ilmu Memanah Islam menurut sirah, dan bermulalah
proses mengajar dan belajar. Menurut tradisi Islam, ilmu memanah
itu diajarkan hanya selepas memahami sirah Rasulullah SAW
dan para sahabat RAH, dan diakhiri dengan wasiat dan nasihat
guru ke atas murid-muridnya. Iaitu, ianya bermula dengan sirah,
diikuti oleh teknik serta latihan, dan diakhiri dengan wasiat iman
dan nasihat akhlak dan budi pekerti. Kemudian murid-murid
mereka pula mengajarkan ilmu memanah yang dipelajarinya
kepada generasi yang seterusnya, menyambung aliran ilmu, dan
menyuburkan cabang dan ranting (uṣūl dan furū‛) ilmu memanah
Islam ini, sehingga zaman berganti zaman, kurun berganti kurun
sehinggalah disiplin-disiplin ilmu memanah mereka sampai juga
sedikit sebanyak kepada pengetahuan kita hari ini. Iaitu, di dalam
era dunia postmodern abad ke 21.

388 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Sejarah Memanah Tradisi Selepas Zaman

Para Sahabat Sehingga ke Zaman

Ketamadunan Islam

Di dalam kitab-kitab, manuskrip-manuskrip dan kesusateraan
ilmu memanah yang muncul selepas zaman para sahabat, dapat
diperhatikan munculnya tokoh-tokoh generasi baru pemanah.
Nama-nama seperti,Abu Hasyim al-Mawardi, Ishaq al-Raqqi, Tahir
al-Balkhi, at-Tabari, al-Syafi‛ie, Muhammad ‛Isa al-Samarqandi,
‛Abd ar-Rahman al-Farawi, Abu Sa‛id al Khwarizmi, Mardi bin
‛Alī aṭ-Ṭarṣūsī, Muhammad al-Aqṣarā’ī, di dapati telah dirujuk
berulang-ulangkali di dalam kitab-kitab ilmu memanah bermula
selewat kurun ke-7H. Mustafa Kani (1847) dalam kitabnya Talhis
Rasa’il Rummat juga telah menambah senarai tokoh-tokoh ilmu
memanah pada zamannya, iaitu Hussein Bunayni, abu Musa as-
Sarkhasi, Abu Ja‛far bin Hassan al-Harawi, Abu Ja‛far al-Harwari,
Abu Musa al-Kharrazi, Abu Musa al-Khurasani, Sa‛id bin Hanif
as-Samarqandi, Muhammad bin Yusuf ar-Razi, Taybugha al-
Ashrafi, ‛Abd Allah bin Maymun, Haji Mustafa al-Bosnawi, dan
Katib ‛Abd Allah Effendi. Nama-nama tokoh ini belum termasuk
nama-nama pemanah masyhur yang memegang rekod acara
menzil, dan nama-nama pembuat busur panah terkenal di zaman
Kesultanan Uthmaniyyah yang di rekodkan oleh Unsal Yucel
(Adam Karpowicz, 2008). Penggunaan busur dan anak panah
telah mula ditinggalkan sedikit demi sedikit bermula dari kurun
yang ke 16M oleh pasukan-pasukan tentera seluruh dunia. Sejak
kurun ke 18M di Turki, tumpuan aktiviti memanah menggunakan
busur dan anak panah telah mula beralih untuk digunakan sebagai
peralatan sukan dan riadah bagi golongan elit-bangsawan, pasha

Bab 21 389

atau padishah dan sultan, dan untuk aktiviti memburu. Pada
kurun ke 19-20M, menyaksikan busur dan panah lenyap di
dalam mana-mana catatan sejarah peperangan-peperangan besar
dunia, dan mula dipamerkan di muzium-muzium seluruh dunia
sebagai artifak sejarah dan bahan kajian ilmiah. Namun, zaman-
berzaman, masih ada komuniti yang tetap memelihara aktiviti
dan acara memanah dengan peralatan busur dan panah tradisi
seperti yang pernah digunakan di dalam peperangan-peperangan
bersejarah tamaddun-tamaddun dunia. Pada kurun ke 20-21M,
peralatan memanah moden mula dihasilkan oleh pengilang untuk
digunakan sebagai peralatan sukan dan riadah.

Memanah Tradisional Pada Zaman Moden

Pada kurun ke 20-21M, ilmu memanah telah dikenalpasti terbahagi
kepada dua cabang utama; iaitu yang pertama, ilmu memanah
tradisional (traditional archery), dan kedua, ilmu memanah moden
(modern archery). Masing-masing mempunyai pembahagian
cabang ranting ilmu yang khusus. Secara umumnya, ilmu
memanah moden merangkumi pengetahuan mengenai peralatan,
peraturan dan teknik memanah menggunakan tiga jenis busur
panah moden iaitu; busur recurve (recurve bow), busur kompaun
(compound bow) dan busur tanpa aksesori (bare bow). Oganisasi
antarabangsa yang bertanggungjawab mengawal,menyelenggara
dan menetapkan peraturan-peraturan serta syarat-syarat mengenai
peralatan dan pertandingan di dalam bidang ilmu memanah
moden ialah FITA (Federation of International Target Archery).

Manakala bagi ilmu memanah tradisional, ruang lingkup
dan spektrum kepelbagaian berkenaan peralatan, teknik dan tata-
cara memanah, dan peraturan-peraturan pertandingan adalah lebih

390 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

luas. Peralatan memanah tradisional seperti busur dan anak panah
dikenalpasti dan dinisbahkan menurut suku kaum, tempat, zaman,
kebudayaan, dinasti, kerajaan, kesultanan, negara, benua, dan/atau
bangsa-bangsa yang mencipta, menggunakan dan mempelopori
jenis-jenis peralatan memanah (i.e. busur, anak panah, dll) dan
kaedah-kaedah memanah tertentu di dalam sejarah. Grayson
umpamanya, telah membahagikan pelbagai peralatan memanah
tradisional di dalam koleksi beliau – berjumlah melebihi lima ribu
unit – menurut “enam benua”, iaitu; Asia Timur, Islam (Islamic
Crescent), Suku-suku kaum Asia dan Oceania, Afrika, Amerika,
dan Eropah (Charles E. Grayson, 2007). Oleh kerana kepelbagaian
ini, pertandingan-pertandingan memanah tradisional di peringkat
antarabangsa menyaksikan pelbagai jenis busur dan peralatan
memanah dari pelbagai latarbelakang tradisi dan kebudayaan-
bangsa telah di gunakan oleh para peserta dari pelbagai negara
sewaktu bertanding. Mungkin kerana pertimbangan ini, syarat-
syarat dan peraturan-peraturan pertandingan memanah tradisional
samada di dalam Malaysia ataupun di peringkat antarabangsa
adalah agak santai dan tidak begitu ketat berbanding pertandingan
memanah moden. Walaubagaimanapun, pada kebiasaannya
penganjur pertandingan akan memaklumkan para peserta terlebih
awal mengenai syarat-syarat, peraturan-peraturan dan peralatan-
peralatan yang dibenarkan bagi kegunaan pertandingan.
Organisasi-organisasi antarabangsa yang menaungi penganjuran
pertandingan-pertandingan memanah tradisional di peringkat
antarabangsa antaranya ialah WTAF (World Traditional Archery
Federation) yang berpusat di Korea, dan Society for Turkish
Archery di Turki. Di Malaysia pula, organisasi-organisasi dan
badan-badan yang menaungi aktiviti-aktiviti, dan penganjuran
pertandingan memanah tradisional antaranya ialah PERTAMA,

Bab 21 391

dan SELEKTA. Di dalam dunia panahan tradisional Islam, silsilah
ilmu pembuatan busur panah, dan ilmu memanah Islam dan
dipercayai telah terputus dengan kewafatan Necmeddin Okyay
pada tahun 1976M, iaitu pemanah dan pembuat panah terakhir
Kesultanan Uthmaniyyah (www.wikiart.org>necmeddin-okyay).
Namun begitu, generasi baru pemanah Turki hari ini , walaupun
telah kehilangan bimbingan terus daripada guru-guru zaman
Uthmaniyyah namun mereka telah berjaya menghasilkan semula
replika busur panah Turki berdasarkan kajian terhadap busur-
busur panah lama Uthmaniyyah yang banyak terdapat di dalam
koleksi muzium-muzium di Istanbul, Turki; dan berdasarkan
kajian manuskrip-manuskrip lama ilmu memanah khususnya
kitab Talhis Rasa’il Rummat telah menggali dan memperolehi
semula ilmu yang hampir-hampir pupus ini – dan kajian ini masih
berlangsung.

Kesimpulan

Sejarah sukan memanah tradisi Islam telah bermula sedari zaman
para nabi, diteruskan sepanjang kegemilangan pemerintahan
Rasulullah SAW sehinggalah zaman para sahabat baginda SAW.
Kehebatan dan keunikan sejarah memanah tradisi berterusan
hingga ke zaman-zaman ketamadunan Islam dan hari ini dikaji
semula sorotan sejarahnya untuk dikuasai dan diamalkan oleh
masyarakat Islam. Menerusi dalil –dalil yang dibentangkan
menjelaskan sukan memanah tradisi sangat dianjurkan dalam
Islam dan melalui sejarah-sejarah yang dijelaskan menunjukkan
betapa unik dan hebatnya Islam dengan kesenian memanah
tradisi. Keghairahan masyarakat Islam dalam sukan memanah
tradisional,perlu diseiringkan dengan penguasaan sejarah

392 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

mengenai memanah tradisi Islam khususnya di Malaysia dan
dunia amnya sangat baik untuk diteruskan legasinya ke zaman-
zaman yang akan datang agar masyarakat Islam menghargai nilai
ketinggian sejarah memanah tradisi Islam disamping mendapat
kelebihan dan manfaat daripada sukan memanah tradisional
terhadap pendidikan mental, fizikal dan rohani umat Islam.

BAHAGIAN VI :
ISLAM & UNDANG UNDANG



BAB 22

Isu-Isu Fiqh Di Pusat Pemindahan Banjir
Menurut Persepsi Petugas

Irwan Mohd Subri, Mohd Azhar Ibrahim Residi,
Mohd Nur Adzam Rasdi, Mohd Hapiz Mahaiyadin

& Zulfadhli Salleh

Pendahuluan

Pada awal November 2017, sekali lagi Pulau Pinang dilanda
banjir besar yang merupakan banjir terburuk dalam sejarah
bencana alam di negeri tersebut. Hujan lebat dan angin kencang
yang berterusan menyebabkan Pulau Pinang lumpuh selepas
puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri
ini dilanda banjir selain turut menyebabkan ratusan pokok dan
beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh. Kejadian
tersebut mengakibatkan seramai 3365 mangsa banjir ditempatkan
di pusat pemindahan sementara. Selain kerosakan serta kehilangan
harta benda, turut mengorbankan beberapa nyawa pada kejadian
banjir kali ini (Sinar Harian, 2017).

Kejadian bencana alam ini juga berpunca daripada
sistem perparitan dan saliran yang tidak setaraf pembangunan.
Pembangunan yang bermula sejak 2008 telah memusnahkan
ekologi dan ekosistem di negeri berkenaan. Didapati infrastruktur
seperti parit dan saliran tidak dinaiktaraf setanding dengan

396 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

pembangunan yang ada pada masa kini di Pulau Pinang yang
juga menyebabkan kejadian banjir ini berlaku. Menurut Menteri
di Jabatan Perdana Menteri berkata, pembangunan yang rancak
selepas tahun 2008 telah memusnahkan ekosistem dan ekologi
di negeri itu. Kejadian bencana ini juga diburukkan lagi dengan
pembangunan di cerun atau lereng bukit serta penambakan laut.
Pengurusan kawasan tadahan hujan perlu diambil kira kerana
pembangunan mengurangkan keupayaan tanah untuk menyerap
air. Ini menyebabkan air larian bertambah. Kesan daripada
pemotongan bukit untuk pembangunan inilah yang mengakibatkan
air turun bersama selut dan berwarna kuning (Shahidan Kassim,
2017).

Akibat daripada bencana alam ini, mangsa-mangsa
banjir terpaksa berpindah meninggalkan kediaman mereka
ke pusat pemindahan mangsa banjir yang telah disediakan.
Keberadaan mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan ini telah
menimbulkan beberapa persoalan penting berkaitan isu-isu fiqh
dalam pengurusan hal ehwal mangsa banjir. Antaranya isu yang
sering kali berulang adalah isu pergaulan, isu aurat, pengisian
rohani dan bimbingan agama, pengetahuan terhadap air dan
ṭahārah (bersuci), isu kecurian, solat jumaat, kebersihan dan
pengurusan najis, pelupusan al-Qurān dan pengurusan jenazah
(Irwan et. Al,2016).

Tujuan Kajian

Kajian ini dijalankan bagi mengumpulkan isu-isu fiqh di pusat
pemindahan mangsa banjir menurut persepsi petugas di daerah
Seberang Perai Utara, Pulau Pinang ketika dilanda banjir pada
November 2017 yang dikatakan antara yang terburuk selepas

Bab 22 397

20 tahun lalu (ZahidHamidi.com, 2017). Kajian ini juga
memfokuskan kepada isu-isu yang ditimbulkan dikalangan
mangsa sendiri melalui pemerhatian petugas di pusat pemindahan
banjir tersebut dengan kaedah temubual yang dijalankan.

Pada kebiasaannya, pihak berwajib cenderung untuk
memberi lebih tumpuan kepada pengurusan fizikal dan mental
dalam kalangan mangsa banjir seperti pengagihan makanan,
kesihatan, keselamatan dan khidmat sukarelawan. Namun, isu-
isu keagamaan sering kali disisihkan serta mengambil sikap tidak
ambil peduli oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang
menganggap bahawa dengan suasana darurat, perkara ibadah
boleh dianggap tidak serius. Perkara ini sepatutnya tidak terjadi
kerana dengan keadaan sebegini, mangsa semestinya lebih dekat
dengan pencipta bukan sebaliknya. Isu-isu fiqh yang sering kali
timbul di dalam pusat pemindahan banjir adalah antaranya adab-
adab pergaulan, tempat beribadah serta bersuci, privasi mangsa dan
aktiviti kerohanian yang juga merupakan antara yang diutarakan
oleh petugas di pusat pemindahan banjir di Pulau Pinang.

Penyelidik berharap agar kajian ini dapat membuka pintu
hati pihak-pihak yang bertanggungjawab serta mangsa-mangsa
kejadian banjir yang lain agar sedar akan tanggungjawab kita
sebagai seorang muslim dan dapat melaksanakan garis panduan
ibadah yang lengkap kepada mangsa banjir agar sedia menghadapi
bencana alam ini untuk memberi keselesaan dalam menunaikan
ibadah.

398 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Penyelidikan Lepas

Sekitar tahun 2016 yang lalu, penyelidikan berkenaan fiqh banjir
dilihat baru mula dijalankan secara meluas. Kajian perintis yang
dijalankan dengan menumpukan kepada bencana banjir menurut
persepsi petugas telah menghasilkan kajian bertajuk Menangani
Masalah Banjir di Daerah Padang Terap, Kedah: Analisis
Persepsi dan Tindakan Pemimpin Masyarakat Tempatan. Dalam
kajian ini, penyelidik telah mengumpulkan beberapa tema isu
yang dibangkitkan oleh responden dari kalangan petugas di
pusat pemindahan banjir antaranya isu mangsa banjir tidak mahu
berpindah lebih awal ke pusat pemindahan, sesetengah bantuan
tidak sampai kepada mangsa banjir, kesukaran mendapatkan
kerjasama daripada mangsa banjir, pengurusan yang tidak
sistematik di pihak pengurusan kawasan, kekurangan alatan
menyelamat, kurang badan-badan sukarelawan, pihak Jabatan
Kesihatan tidak datang membuat pemeriksaan semasa dan
selepas banjir, tandas sangat terhad di pusat penempatan khas
banjir, bercampur antara lelaki dan perempuan, tiada sumber
elektrik dan air bersih serta kes kecurian (Zulhafiz et.al, 2013).
Berdasarkan tema ini, terdapat lima isu yang dilihat utama oleh
responden adalah pusat pemindahan tidak terurus, ada sampah
dan bau busuk, makanan tidak mencukupi, penempatan mangsa
banjir kurang keselesaan serta sikap mangsa banjir (Zulhafiz et.al,
2013).

Seterusnya Irwan Mohd Subri, Wan Mohd Fazrul, Walid
Mohd Said, Nisar Mohammad, Amir Shaharuddin dan Mohd
Aizuddin Abdul Aziz dalam kajian kuantitatif mereka yang
bertajuk Kefahaman Fiqh di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir:
Kajian Perintis di Daerah Temerloh dan Maran, Pahang telah

Bab 22 399

mencatatkan tahap pengetahuan dan kefahaman fiqh mengenai
banjir yang mana di kalangan responden terdiri daripada mangsa
banjir dengan nilai keseluruhan sebanyak 3.87. Kajian ini bertujuan
untuk mengetahui tahap kefahaman dan pengetahuan ilmu fiqh
mengenai banjir dalam kalangan warga pusat penempatan mangsa
banjir di daerah Temerloh dan Maran. Oleh yang demikian, ini
juga telah membawa kepada penghasilan suatu garis panduan
ibadah semasa banjir yang mana kegunaannya boleh dimanfaatkan
secara meluas terutama ketika bencana khususnya musim banjir.

Salah satu rujukan lain yang menulis penyelidikan
berkenaan perubahan persekitaran dan aspek ibadah ketika
bencana ialah kajian tesis sarjana yang dikarang oleh Abdul
Rahman Salman Nasr Dyat yang bertajuk Athar al-Taghayyurat
al-Bi’iyyah fi Ahkam al-Ibadat al-Syar’iyyah Dirasah Fiqhiyyah
Muqaranah (Nasr Dyat, 2010). Di dalam tesis ini, beliau telah
menyebutkan mengenai kesan perubahan cuaca dan bencana
alam termasuk peperangan yang akan memberi impak kepada
perubahan beberapa bentuk ibadah asas seperti solat dan puasa.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan dalam tesis beliau
ialah berkenaan sekitar hukum-hukum solat ketika hujan, jamak
solat, meninggalkan solat Jumaat dan melewatkan solat, keadaan
solat di dalam kenderaan yang bergerak sama ada di daratan
mahupun di lautan atau atas air serta hukum solat berjemaah ketika
hujan dan banjir. Namun, perbahasan mengenai permasalahan
ibadah ketika bencana khususnya banjir adalah amat ringkas dan
tidak menyeluruh memandangkan kejadian fenomena ini jarang
berlaku di kawasan negara-negara Arab.

Antara salah satu rujukan lain yang boleh digunakan
sebagai kajian literatur untuk memahami aspek ibadah dalam

400 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

bencana ialah kitab al-Ashbah wa al-Nazha’ir karangan Imam
Jalal al-Din Abdul Rahman al-Suyuti (1983). Dalam karya Imam
al-Suyuti ini, beliau telah menyatakan beberapa kaedah-kaedah
fiqh untuk mejadikan garis panduan bagi menghadapi kesusahan
dan musibah, antaranya ialah kaedah al-mashaqqah tajlibu al-
taysīr  dan al-ḍarar yuzal . Al-masyaqqah atau kesukaran dalam
kaedah al-mashaqqah tajlibu al-taysīr ini didefinisikan sebagai
kesukaran yang melampaui atau melangkau had biasa dan di
luar kemampuan yang ditanggung oleh manusia seperti adat
kebiasaannya, bahkan ia juga boleh membawa risiko dan mudarat
kepada diri sendiri lalu terhalang dari melakukan kerja amal
yang bermanfaat. Oleh kerana itu, melalui kaedah al-masyaqqah
inilah yang akan menjadi sebab-sebab kepada keringanan dalam
menjalankan perintah Allah (SWT) namun tidak menghilangkan
kefarduan aspek ibadah asas, yakni solat dan puasa tersebut.
Melalui kaedah ini jugalah terbentuknya hukum rukhṣah  atau
keringanan dalam syariat Islam.

Metodologi Kajian

Kajian ini dijalankan melalui kaedah kualitatif dengan
menggunakan temubual tidak berstruktur bagi membolehkan
kajian ini berjalan dengan lancar. Menurut (Hamzah, 2010),
penyelidikan kualitatif merujuk kepada kajian yang dijalankan yang
memerlukan pemerhatian yang teliti. Temubual tidak berstruktur
adalah fleksibel sedikit batasan dikenakan kepada jawapan
responden. Sekiranya soalan yang dirancang ditanya, penyoalan,
perbendaharaan kata dan aturan diubah untuk disesuaikan dengan
keadaan dan subjek. Kadangkala subjek digalakkan supaya
bercakap bebas dan sepenuhnya tentang isu, kejadian atau

Bab 22 401

perhubungan tertentu. Penemubual bertindak sebagai pendengar
yang baik yang sekali-sekala menggunakan perkataan-perkataan
galakan seperti “ini menarik” atau “teruskan”. Tujuannya ialah
untuk merangsang aliran perbualan. Apabila temubual hampir
tamat, penemubual boleh bertanya secara terus mengisi beberapa
ruang dan untuk membuat kesimpulan terhadap perbincangan itu.

Dalam temubual yang tidak formal dan tidak berstruktur,
kita boleh mendapat maklumat tentang perangai, sikap, motif,
perasaaan dan kepercayaan responden dan juga kita boleh
mengesan motivasi dan sikap yang tidak diiktiraf. Kita boleh
menyelami di sebalik jawapan permulaan, meninjau petunjuk-
petunjuk yang tidak disangka, mengubah pertanyaan kepada
saluran yang lebih berfaedah berdasarkan data yang didapati dan
mengubahsuai kategori untuk menyediakan analisis data yang
lebih bermakna. Walau bagaimanapun mentaksir data kualitatif
yang sudah terkumpul adalah sukar (Deobold B. Van Dalen,
1993).

Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999) menyatakan
bahawa salah satu cara yang paling mudah dan telah lama
digunakan untuk mengukur adalah dengan menjalankan temubual
(temuduga, ujian lisan dan sebagainya). Penyelidik mendapat
data secara berhubung terus dengan subjek secara bersemuka,
menggunakan telefon atau sebarang alat komunikasi yang sesuai
seperti email. Antara kebaikannya ialah kaedah ini fleksibel di
mana seseorang yang ditemubual boleh menerangkan perkara
yang tidak difahami dengan lebih lanjut. Kedua, penemubual
boleh membuat pemerhatian terhadap orang yang ditemubual dan
dengan ini boleh menentukan sesuatu perkara berdasarkan reaksi
yang diberi. Ketiga, seperti mana dalam kaedah perbualan biasa,
pertukaran penerangan boleh berlaku antara kedua-duanya.

402 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Bagi membolehkan perbualan ini berlaku, penyelidik
menemubual lima petugas daripada lelaki dan seorang daripada
petugas perempuan bagi membantu mengungkap isu-isu fiqh yang
timbul di pusat pemindahan ketika banjir berlaku. Penyelidik
menggunakan teknik persampelan mengikut kesenangan
(convenience sampling) dengan memilih mana-mana individu
dari dua buah pusat pemindahan mangsa banjir secara rawak
yang sedia memberi kerjasama untuk ditemu bual.

Dapatan Kajian

Bagi menghimpunkan data isu-isu fiqh ibadah ini, penyelidik
telah mengunjungi dua pusat penempatan mangsa banjir yang
berada di daerah Seberang Perai Utara iaitu di Tasek Gelugor.
Menurut rekod banjir Pulau Pinag kali ini, terdapat 71 buah pusat
pemindahan yang dibuka dengan jumlah mangsa yang terjejas
seramai 7,680 orang di seluruh pulau Pinang. Berikut adalah dua
buah pusat pemindahan yang dikunjungi penyelidik:

Jadual 1: Pusat Pemindahan Mangsa Banjir

Pusat Pemindahan Daerah Jumlah Mangsa

Sekolah Kebangsaan Padang Menora, Tasek Tasek Gelugor 302
Gelugor.
Tasek Gelugor 107
Sekolah Agama Rakyat Labuh Banting,
Permatang Berangan Tasek Gelugor

Populasi kajian ini adalah mereka yang terdiri daripada
mangsa yang terjejas dan terlibat dengan operasi pemindahan ke
pusat-pusat pemindahan yang berdekatan di daerah Tasek Gelugor,
Seberang Perai Utara. Seberang Perai Utara merupakan kawasan
yang dikatakan paling teruk terjejas ketika bencana alam tersebut
berlaku. Dinilaikan hampir sebanyak Rm14.5 juta melibatkan

Bab 22 403

4,557 pesawah yang memiliki keluasan tanah padi sebanyak
7.088 hektar mengalami kerugian (astro awani, 9 November
2017). Langkah mengenal pasti populasi sasaran ini amat penting
kerana bertujuan menjamin kualiti sampel dan kualiti generalisasi
dapatan daripada mengandungi keraguan (Lim, 2007).

Seperti mana yang diketahui, kajian ini melalui kaedah
temubual dengan para petugas sahaja. Analisa demografi hasil
daripada kajian yang dijalankan di pusat pemindahan banjir di
SK Padang Menora dan Sekolah Rakyat Labuh Banting, Tasek
Gelugor Pulau pinang ini melibatkan jantina, umur, pusat
pemindahan, status perkahwinan, tahap pendidikan dan pekerjaan
yang dijalankan responden. Dapatan kajian bagi kategori
jantina responden adalah seperti yang dapat dilihat pada Jadual
2 dibawah. Sebanyak 5 responden terdiri daripada lelaki dan
seorang responden terdiri daripada perempuan yang melibatkan
peratusan responden lelaki begitu ketara berbanding perempuan.

Jadual 2: Jantina responden

Jantina Kekerapan Peratus
Lelaki 5 83%

Perempuan 1 17%
Jumlah 6 100%

Seterusnya, bacaan demografi berkaitan umur responden
pada jadual 3 menunjukkan hanya seorang sahaja yang berumur
lingkungan 21 hingga 30 dengan peratusan sebanyak 16.7%
juga terdapat seorang yang berumur 31 hingga 40 yang memiliki
peratusan yang sama. Manakala responden yang berumur
lingkungan 41 hingga 50 dan 51 hingga 60 masing-masing
terdapat dua orang responden dan mewakili peratusan sebanyak
33.4%.

404 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Jadual 3 : Umur Responden

Umur Kekerapan Peratus
21-30 1 16.7%

31-40 1 16.7%

41-50 2 33.4%

51-60 2 33.4%
Jumlah 6 100%

Manakala Jadual 4 pula, data demografi bagi kategori pusat
pemindahan menunjukkan bacaan taburan para petugas di pusat-
pusat pemindahan yang dilawati penyelidik. Majoriti responden
dalam kajian ini adalah responden yang menjaga serta bertugas di
Pusat Pemindahan Mangsa Banjir SAR Labuh Banting. Seramai
empat orang petugas atau sukarelawan yang membentuk 66.8%
adalah dari pusat pemindahan tersebut manakala selebihnya iaitu
sebanyak 33.4% petugas adalah dari Pusat Pemindahan Mangsa
Banjir Padang Menora.

Jadual 4: Pusat Pemindahan Para Petugas

Pusat Pemindahan Kekerapan Peratus
SK Padang Menora 2 33.4%

SAR Labuh Banting 4 66.8%
Jumlah 6 100%

Pada Jadual 5 pula, maklumat mengenai tahap pendidikan
tertinggi petugas merangkumi pendidikan daripada tahap sekolah
rendah sehingga tahap pendidikan di alam Universiti. Tahap
pendidikan ini dapat dipecahkan kepada empat kategori iaitu
bermula dari sekolah rendah, peringkat SPM, peringkat diploma
dan yang tertinggi ialah peringkat Degree (Ijazah Sarjana Muda).

Bab 22 405

Pendidikan tertinggi yang direkodkan adalah Degree iaitu seramai
dua orang petugas yang membentuk 33.4%. peringkat pendidikan
SPM juga mempunyai seramai dua orang petugas yang juga
membentuk 33.4%. Selain itu, peringkat pendidikan sekolah
rendah dan diploma masing-masing mempunyai seorang petugas
yang mewakili 16.7%.

Jadual 5: Pendidikan Tertinggi Responden

Pendidikan Tertinggi Kekerapan Peratus
Sekolah Rendah 1 16.7%

SPM 2 33.4%

Diploma 1 16.7%

Degree 2 33.4%
Jumlah 6 100%

Seterusnya pada Jadual 6 menunjukkan tentang status
perkahwinan para petugas. Hasil kajian mendapati bahawa
kesemua petugas 100% memegang status telah berkahwin dan
mempunyai keluarga masing-masing. Data tersebut sebagaimana
yamg ditunjukkan dalam jadual di bawah.

Jadual 6: Status Perkahwinan Petugas

Status Kekerapan Peratus
Bujang - -

Berkahwin 6 100%

Janda/Duda - -
Jumlah 6 100%

Dari segi sektor pekerjaan pula, hasil kajian mendapati
bahawa kesemua petugas mempunyai pekerjaan asal masing-

406 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

masing. Kesemuanya terdiri daripada sektor kerajaan dan seorang
yang bekerja sendiri. Pekerjaan petugas daripada sektor kerajaan
terdiri daripada pegawai psikologi, pengawal keselamatan
sekolah, ketua pembantu tadbir, Driver DHL dan seorang guru.
Manakala bagi yang bekerja sendiri terdapat seorang dimana
petugas ini mengusahakan kedai makannya sendiri. Peratusan
menunjukkan bahawa 83% terdiri daripada yang bekerja di sektor
kerajaan manakala 17% adalah dari yang bekerja sendiri.

Jadual 7: Pekerjaan Petugas

Jenis Pekerjaan Kekerapan Peratus
Sektor Kerajaan 5 83%

Sektor Swasta - -

Bekerja Sendiri 1 17%

Tidak Bekerja - -
Jumlah 6 100%

Seterusnya, segala temubual yang direkodkan dalam
jadual-jadual yang dibuat adalah berdasarkan jenis temu bual
mendalam. Menurut Taylor dan Bogdan (1984), temu bual yang
terperinci berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan. Apa-
apa yang disebutkan oleh responden merupakan data penting
kajian. Tindak balas yang relevan akan dicatatkan kata demi
kata. Melalui kaedah ini seseorang pengkaji boleh memperoleh
kefahaman yang meluas dan sempurna dengan cara “mendalami”
sesebuah topik tertentu. Segala perbualan telah direkodkan bagi
memperoleh satu set kategori yang dapat membina balik secara
munasabah data yang dipungut seperti yang dicadangkan oleh
Lincoln dan Guba (1985). Penyelidik telah mengklasifikasikan
maklumbalas yang diterima kepada lima tema berkaitan isu-isu
fiqh yang telah dibentuk dalam Jadual 8 berikut.

Jadual 8: Isu-isu fiqh Bab 22 407

Isu Fiqh Kekerapan Peratus
Aurat dan percampuran antara 4 33%

lelaki dan perempuan di pusat 3 25%
pemindahan/penempatan banjir. 17%
2 17%
Pengisian rohani dan bimbingan 2
agama.

Kebersihan dan pengurusan najis.

Penyediaan khas tempat untuk
beribadat

Penyediaan garis panduan ibadah

1 8%
Jumlah jawapan yang diterima 12 100%

Berdasarkan Jadual 8, terdapat dua isu yang paling banyak
dibangkitkan oleh para petugas dari kedua-dua pusat pemindahan
banjir yang terlibat. Isu aurat dan percampuran antara lelaki dan
perempuan serta isu pengisian rohani dan bimbingan agama
adalah yang paling kerap disebut oleh para petugas berkenaan isu
di pusat pemindahan mangsa banjir. Antara isu yang paling ketara
adalah aurat dan percampuran antara lelaki dan perempuan yang
membentuk peratusan tertinggi iaitu sebanyak 33% dalam maklum
balas yang diberikan oleh para petugas. Manakala kedua paling
tertinggi adalah isu pengisian rohani dan bimbingan agama yang
membentuk sebanyak 25% . Bagi isu kebersihan dan pengurusan
najis dan penyediaan khas tempat beribadat pula masing-masing
membentuk 17% diikuti pula isu mengenai penyediaan garis
panduan ibadah yang membentuk peratusan paling rendah iaitu
8%.

408 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Penutup

Diharapkan kajian ini dapat membuka lebih besar pintu
penyelidikan kepada pengkaji lain dalam meneroka bidang fiqh
banjir ini. Masyarakat awam amat memerlukan satu panduan
yang jelas dalam melaksanakan ibadah terutama ketika sesuatu
bencana melanda. Kewajipan seseorang terhadap agama amat
dititikberatkan oleh Islam kerana pedoman agamalah yang
akan menuntun masyarakat untuk hidup dalam keadaan yang
terkawal dan harmoni hatta ketika berlaku musibah. Hasil kajian
dalam bidang ini masih di peringkat awal kerana melibatkan
pengumpulan data dan maklumat yang sangat terhad disebabkan
limitasi masa dan kelemahan-kelemahan lain yang mungkin
timbul ketika kajian dijalankan. Kajian ini juga memerlukan lebih
banyak perbincangan-perbincangan lanjutan bagi menghasilkan
solusi yang menyeluruh, tepat dan lebih komprehensif.

Oleh itu, secara umumnya penyelidikan ini berjaya
memberi gambaran yang jelas mengenai situasi sebenar keadaan
mangsa di pusat pemindahan banjir berkenaan isu fiqh dalam
ibadah. Selain itu, kajian ini juga menyokong kajian lepas yang
juga menyentuh aspek ibadah yang berlaku di pusat pemindahan
banjir bagi memandang tegas terhadap isu ini dalam memenuhi
tuntutan agama. Garis panduan ibadah hendaklah dilaksanakan
bagi persediaan menghadapi bencana alam ini supaya isu-isu fiqh
dalam ibadah tidak timbul seterusnya mampu membina peribadi
seorang muslim yang terbaik. Pandangan serta tindakan dari
institusi keagamaan memainkan peranan yang penting dalam
memastikan isu-isu yang dibangkitkan tidak berlaku pada masa
akan datang.

BAB 23

Jenis-Jenis Hibah; Perbahasannya Menurut
Ulama Fiqh

Noor Azura Zainuddin, Rusnadewi Abdul Rashid,
Nadiyah Hashim, Basri Abd Ghani & Noraini
Ismail

Definisi Hibah

Dari sudut Bahasa, perkataan hibah diambil dari kata kerja wahaba
yang bermaksud tabarru’ (Al-Jurjani, 1998).Iaitu sumbangan
samada berbentuk harta atau bukan harta (Ibn Rushd, 1996). Dari
segi istilah, ulama fiqh dari empat mazhab mendefinasikan hibah
sebagi pemberian harta semasa hidup kepada seseorang secara
sukarela tanpa balasan (Ibn Rushd, 1996).

Berdasarkan takrifan tersebut, ulama fiqh menghuraikan
bahawa hibah yang dimaksudkan itu bukanlah berbentuk jual
beli, pinjaman, hutang, atau pemberian wajib seperti zakat dan
kaffarah. (Noor Lizza Mohamaed Said, Adnan Mohamed Yusoff,
2017)

410 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Hukum Dan Hikmah Hibah

Hukum asal hibah adalah sunat dan amat digalakkan dalam Islam.
Hikmah di sebalik pemberian hibah adalah untuk memupuk rasa
kasih sayang serta membebaskan manusia dari sifat tamak dan
haloba. (Noor Lizza Mohamaed Said, Adnan Mohamed Yusoff,
2017)

Rukun Hibah

Rukun hibah hanya empat (4) sahaja iaitu pemberi hibah, penerima
hibah, barang yang dihibahkan serta ijab dan qabul.

Pemilikan (Qabad)

Hibah dianggap tidak sempurna tanpa pemilikan (qabad). Iaitu
harta yang dihibahkan telah diserahkan kepada penerima hibah
samada secara langsung seperti penukaran nama pemilik harta,
atau secara tidak langsung seperti harta tersebut telah dipakai,
diguna, didiami dan diterokai oleh penerima hibah (Noor Lizza
Mohamaed Said, Adnan Mohamed Yusoff, 2017).

Jenis-Jenis Hibah

I. Hibah Mutlak
Hibah mutlak iaitu pemberian tanpa apa-apa balasan, syarat
dan seumpamanya seperti seorang ibu memberi rumah kepada
anaknya tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan dan
syarat. (Al-Zuhayli, 2007)

II. Hibah dengan Syarat

Bab 23 411

Hibah dengan syarat mempunyai 3 jenis iaitu hibah dengan
syarat balasan, hibah ‘umra dan hibah ruqba.

a. Hibah dengan syarat balasan

Adalah pemberian yang dikaitkan atau digantikan
dengan balasan seperti seseorang berkata:

“saya hibahkan rumah ini kepada kamu dan
gantikannya dengan kereta ini.”

Para ulama dari mazhab Syafei, Hanbali dan Zufar
menghukumkan hibah seperti ini adalah seperti hukum
jual beli. (Al-Zuhayli, 1989)

b. Hibah ‘umra

Ialah hibah yang dikaitkan dengan tempoh umur
pemberi atau penerima hibah. (Al-Baji Al-Andalusi,
T.Th) Contohnya pemberi hibah berkata

“Rumah ini untuk kamu selagi saya masih hidup
ataupun sepanjang hidup kamu. Apabila saya mati
atau kamu mati, rumah ini akan menjadi hak milik
waris saya”

Menurut jumhur fuqaha mazhab Hanafi, Syafei dan
Hanbali, bahawa akad hibah tersebut sah. Namun
syarat ‘umra terbatal. (Al-Kasani, 1998) Ini kerana
syarat yang fasid itu,dengan sendirinya terbatal. (Al-
Zuhayli, 2007). Oleh itu, harta yang dihibah akan
menjadi milik penerima hibah dan waris-warisnya.

412 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

(Nadir Abd Aziz, 2001) Pendapat ini bersandarkan
kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Umra diharuskan (dibenarkan)

(Hadis Riwayat Muslim)

Jabir meriwayatkan bahawa Nabi SAW memutuskan
bahawa ‘umra adalah hak orang yang menerima
hibah. Manakala Imam Malik dan Al-Layth pula
mengharuskan akad dan syarat ‘umra dan berpendapat
bahawa hibah ‘umra merupakan pemberian manfaat
barang (Ibn Rushd, 1996) kepada penerima hibah
sepanjang hayatnya. Oleh itu, harta yang dihibahkan
akan kembali kepada pemberi hibah selepas kematian
penerima hibah. Titik perselisihan hukum ini adalah
pada tempoh masa. Iaitu syarat pemilikan harta tidak
boleh bertempoh. Manakala Imam Malik dan Al-Layth
tidak berhujah dengan tempoh masa tetapi berhujah
dengan manfaat harta. Iaitu hibah manfaat.

Kesimpulannya, pendapat jumhur lebih dominan
kerana hibah manfaat sama seperti pinjaman yang
bersifat sementara dan tidak termasuk dalam bab
hibah.

c. Hibah dengan syarat ruqba

Hibah ruqba ialah apabila seseorang berakad hibah
seperti

“Sekiranya saya mati terlebih dahulu, maka harta

Bab 23 413

ini untuk kamu dan sekiranya kamu mati sebelum
saya, ia kembali kepada saya”. (Al-Jurjani, 1998)

Hukum bagi hibah ruqba ini menjadi perselisihan
ulama. Bagi mazhab Syafei dan Hanbali berpendapat
bahawa hukum hibah ini sah tetapi syarat ruqba
tersebut terbatal. Ini bermaksud harta yang dihibahkan
itu akan menjadi milik penerima hibah dan kekal
sebagai pusaka selepas kematiannya. (Ibn Qudamah,
Al-Sharbini, 1994) Pendapat ini berdalilkan hadis nabi
Muhammad SAW yang bermaksud:

“Tiada ruqba. Barangsiapa membuat ruqba sesuatu
harta, maka harta tersebut untuknya (penerima
hibah) sepanjang hidup dan matinya”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Imam Malik, Abu Hanifah dan qawl qadim Imam
Syafei berpendapat hibah ruqba tidak sah (Al-Sharbini,
1994) kerana syarat ruqba ini menghalang pemilikan
kekal. (Al-Sharbini, 1994). Rumusannya, hibah
ruqba dewasa ini amat popular dalam produk-produk
takaful di Malaysia dan sekaligus meletakkan hibah
ruqba sebagai hibah amanah yang sangat reliven. Ini
kerana fuqaha di kalangan tabiin yang mengharuskan
syarat ruqba seperti Al-Qasim bin Muhammad dan
Ibn Al-Arabi mereka berhujah bahawa setiap manusia
berpegang kepada syarat yang telah ditetapkan dalam
urusan harta dan pemberian (Ibn Qudamah, T.Th)

414 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Penutup

Kepelbagaian jenis hibah telah memberi ruang yang luas kepada
masyarat untuk mempelbagaikan urusan transaksi harta agar
ianya tidak terkeluar dari batas hukum syarak, agar harta tersebut
dapat dimanfaatkan sebagai instrument pemindahan harta yang
dapat menjana kemajuan ummah.

BAB 24

Pendekatan Amar Ma’ruf Dan Nahi
Munkar Dalam Kerangka Hisbah :Tinjauan
Terhadap Penguatkuasaan & Pencegahan

Jenayah Khalwat
Alias Azhar & Muhammad Hafiz Badarulzaman

Pendahuluan

Hisbah bermaksud pelaksanaan al-amr bi al-ma‘ruf (menyuruh
kepada kebaikan) apabila jelas ia ditinggalkan dan al-nahy ‘an
al-munkar (pencegahan kemungkaran) apabila jelas ia dilakukan.
Prosedur pencegahan maksiat yang menimbulkan polemik ialah
tajassus atau mengintip. Prinsip asas larangan dalam Islam
ialah tidak mendedahkan keaiban orang lain selagi keburukan
itu tidak dilakukan secara terang-terangan. Hakikatnya, Islam
memang mengharamkan zina dan maksiat seks. Namun, Islam
turut mengharamkan perbuatan mendedahkan aib orang lain yang
bersifat peribadi dan tidak mengancam keselamatan awam serta
pelaku telah berusaha melindungi perlakuannya.

Hisbah perlu diinstitusikan secara realistik dan sistematik
sebagai sebuah badan yang menjalankan tanggungjawab yang
selari dengan konsep hisbah sebenar. Secara umum, negara
kita telah melaksanakan konsep hisbah dalam bentuk yang
tersendiri tanpa penjenamaan sesebuah institusi secara khusus

416 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

sebagai “institusi hisbah”. Peranan dan fungsi hisbah diberikan
kepada jabatan penguatkuasaan sebagai contoh, Bahagian
Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Agama Islam di negeri-negeri.
Isu penguatkuasaan dan pencegahan merupakan masalah utama
dalam usaha menjayakan konsep hisbah yang sebenar.

Konsep Amar Ma‘ruf Nahi Munkar

Maksud amar ma‘ruf ialah mengajak manusia melakukan perkara
kebaikan, manakala nahi munkar pula ialah mencegah manusia
dari melakukan perkara yang tidak baik. Oleh itu, perkataan
dakwah dan amar ma‘ruf nahi munkar selalu digunakan untuk
merujuk kepada maksud yang sama, iaitu mengajak manusia ke
arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Dalam al-Qurān,
perkataan amar ma‘ruf dan nahi munkar digunakan sekurang-
kurangnya lapan kali (lihat al-Qurān , surah Ali-‘Imran 3:104,
110, 114; al-A‘raf 7:157; al-Taubah 9:71, 112; al-Hajj 22:41;
Luqman 31:17, semua merujuk kepada tanggungjawab kolektif
setiap Muslim dalam melaksanakan kewajipan di atas. Maksud
firman Allah (SWT):

”Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang
menyeru dengan kebaikan dan mencegah dari kemunkaran.
Itulah golongan yang berjaya”

(Ali-‘Imran 3:104, 114)

Kewajipan Muslim melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi
munkar sebagai tugas dakwah juga disebut dalam sebuah hadith
bermaksud:

Bab 24 417

“Siapa yang melihat kemunkaran hendaklah dia
mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika dia tidak
mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika dia
tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati,
dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”

(Ѕahih Muslim, ‘Kitab al-iman’, 380).

Dalam hadith di atas, Rasulullah (SAW) menggunakan
istilah taghyir yang bermaksud kewajipan untuk mengubah
perkara yang tidak baik kepada yang lebih baik dan mencegah
sesuatu kemungkaran dari berlaku. Juga hadith itu menunjukkan
bahawa setiap Muslim harus melaksanakan amar ma’ruf
dan nahi munkar secara berperingkat: pertama ialah dengan
tindakan; kedua ialah dengan perkataan; ketiga ialah dengan hati.
Berdasarkan hujah ini, perkataan dakwah mencakupi perbuatan
amar ma’ruf dan nahi munkar kerana amar ma’ruf ialah ajakan
untuk melakukan amalan yang baik, manakala nahi munkar ialah
ajakan untuk menjauhi perbuatan tidak baik.

Berdasarkan ayat al-Qurān di atas (Q3:104), kewajipan
melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar menjadi kewajipan
ke atas sebahagian sahaja dari kalangan umat Islam. Dalam erti
kata yang lain, ia bermaksud tugas amar ma‘ruf dan nahi munkar
adalah fardu kifayah. Namun, ia juga boleh bertukar menjadi
fardu ain berdasarkan kes seperti berikut: apabila seorang
individu sahaja yang tahu bahawa perkara yang sedang berlaku
itu adalah salah dan dia sahaja yang mempunyai kemampuan
untuk menanganinya (al-Nawawi, 1994).

418 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

Ayat al-Qurān yang kedua (Q3:114) dan juga hadith
di atas menunjukkan bahawa kewajipan amar ma‘ruf dan nahi
munkar itu wajib ke atas setiap individu Muslim. Selain itu,
Muhammad b. Jarir al-Tabari (2001) menegaskan bahawa umat
Islam tidak dibenarkan membiarkan sahaja kemungkaran berlaku
supaya dapat mengelakkan dari mendapat bencana Allah (SWT)
(al-Tabari, 1997). Al-Nawawi (1994) berpandangan bahawa
perkataan taghyir itu memberi maksud arahan yang wajib
dilaksanakan. Ibn Taymiyyah (1976) pula menambah, tugas
mencegah kemungkaran yang disebut dalam hadith itu adalah
fardu kifayah berdasarkan kepada kemampuan yang ada pada
setiap individu. Ketiga-tiga pandangan ini memberikan konklusi
yang jelas bahawa amar ma’ruf dan nahi munkar adalah wajib ke
atas setiap Muslim.

Oleh itu, dengan mengambil kira pandangan beberapa
fuqaha’ di atas, wujud beberapa kriteria. Kriteria yang pertama
ialah tugas amar ma’ruf dan nahi munkar itu hukumnya fardhu
kifayah. Kriteria yang kedua ialah fungsi amar ma’ruf dan nahi
munkar adalah tonggak kepada keunggulan umat Islam sejagat
(umat terbaik yang pernah dilahirkan di kalangan manusia).
Kriteria yang ketiga ialah tugas amar ma’ruf dan nahi munkar
berkait rapat dengan proses ta’dib (mendidik).

Konsep Hisbah

Manusia sebagai hamba dan khalifah Allah (SWT)
dipertanggungjawabkan untuk menegakkan yang makruf
dan mencegah yang mungkar. Namun manusia mempunyai
kecenderungan untuk lalai dan lupa. Di dalam tradisi Islam, hisbah
ialah instrumen khusus untuk memainkan peranan membetulkan

Bab 24 419

kepincangan bagi memastikan makruf ditegakkan dan mungkar
dicegah. Tujuan asas hisbah untuk mengawasi masyarakat
daripada melanggar syariat. Peranan ini adalah merupakan tugas
manusia di muka bumi. Firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu kelompok yang
menyeru manusia kepada kebajikan dan yang menyuruh
manusia berbuat segala perkara baik dan melarang
manusia daripada segala perkara buruk. Dan manusia
yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.”

(Ali-Imran 3: 104)

Setiap individu memikul tanggungjawab untuk
pengawasan peringkat pertama terhadap dirinya sendiri. Namun
masyarakat memikul tanggungjawab bersama untuk saling ingat
mengingati satu sama lain apabila berlaku pelanggaran syariat
dan hukum. Malah al-Qurān menyatakan ciri ini ialah sifat asasi
bagi memenuhi kriteria umat terbaik.

Keperluan untuk tegur menegur dan melarang perbuatan
mungkar ini adalah amat kritikal dan diberikan perhatian yang
berat di dalam Islam. Malah manusia diingatkan bahawa kegagalan
melaksanakannya akan mendatangkan natijah yang sangat buruk.
Firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Orang-orang kafir Yahudi telah dilaknat melalui lidah
Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Hal ini berlaku
kerana mereka menderhaka dan selalu menceroboh
serta tidak saling larang melarangi perbuatan (buruk)

420 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

yang dilakukan oleh mereka. Sesungguhnya amat buruk
perbuatan yang telah dilakukan mereka.”

(al-Maidah 5: 78-79)

Al-Imam al-Ghazali (1990) (meninggal 505H) dalam
kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menggariskan rukun-rukun
pelaksanaan hisbah. Rukun ketiga aplikasi konsep hisbah ialah:

“Hendaklah kemunkaran tersebut zahir (jelas) kepada
ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa
yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya,
dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita
mengintipnya. Allah Ta‘ala telah melarang hal ini”. 

Prof. Dr Yusof al-Qaradhawi (1984) telah merekodkan
kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf sebagai panduan
umum dalam menjelaskan konsep hisbah. Kisahnya seperti
berikut:

“Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar (RA)
telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya
dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah
membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai
Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah
menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa
dia?”. Dia berkata: Allah telah berfirman (maksudnya:
Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain).
Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah

Bab 24 421

berfirman: (Maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-
pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari
bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu
masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah
kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta
memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya
engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun
meninggalkannya. Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang
mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik
dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa
izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan
maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh
sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..” 

Pelaksanaan hisbah dewasa ini cenderung memberi
fokus kepada pengawasan individu dan pencegahan daripada
melakukan maksiat. Konsep hisbah jelas menunjukkan bahawa
setiap individu mempunyai hak untuk tidak dihebahkan maksiat
yang dilakukan. Bahkan pelaku maksiat diberikan ruang dan
peluang oleh Allah untuk bertaubat atas dosa dan maksiat yang
telah dilakukan.

Kesalahan Jenayah Khalwat

Dalil-dalil pensyariatan pengharaman khalwat telah dinyatakan
secara jelas dalam al-Qurān  dan al-hadith. Hukum berkhalwat
antara lelaki dan perempuan ajnabi adalah haram. Ini berdasarkan
kepada beberapa nas qat’i mengenai kes ini (al-Isra 17, ayat
32). Nabi (SAW) menjelaskan bahawa khalwat yang dilakukan

422 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

di antara ipar dengan perempuan yang merupakan isteri kepada
salah seorang kaum keluarganya, adalah dilarang sama sekali
sehingga ia diibaratkan seperti menemui maut (Abu al Husayn
al-Qushairi al-Nisaburi Muslim Ibn al-Hajjaj,1981). Ini adalah
kerana perbuatan tersebut boleh membawa kemusnahan kepada
agama dan talian persaudaraan di antara mereka. Al-Qurtubi
menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan maut kepada
agama atau maut kepada wanita itu apabila diceraikan oleh
suaminya ataupun mungkin dia akan direjam sekiranya berzina
dengan ipar tersebut (al-‘Ayni, t.t).

Definisi Khalwat

Perkataan khalwat dalam bahasa Arab berasal daripada kata kerja
iaitu berseorangan (al-Bustani, t.t). Terdapat juga penggunaannya
yang membuat maksud lain, sebagai contoh di dalam kata
terbitan yang bermaksud sunyi (al-Marbawi, t.t). Kamus Dewan
mendefinisikan perkataan khalwat sebagai perihal perbuatan
pengasingan diri berdua-duaan di tempat yang terpencil atau
tersembunyi, oleh lelaki dan perempuan yang bukan mahram
dan bukan pula suami isteri sehingga dapat dianggap sebagai
suatu perbuatan yang sumbang (Teuku Iskandar,2000). Menurut
Kamus Besar Bahasa Melayu, khalwat bermaksud perbuatan
mengasingkan dan memencilkan diri, duduk seorang diri dan
berdua-duaan di dalam keadaan sumbang di tempat yang terpencil
di antara lelakidanperempuanyangtidakberkahwin(ZainalAbidin
Safarwan, t.t) Menurut istilah pula para ‘ulamā’ mentakrifkannya
sebagai berseorangan atau sebagai tempat menenangkan fikiran
daripada pelbagai hal dengan hanya mengingati Allah (SWT)
semata-mata (Said al-Syartibi, t.th). Mengikut Hanafi, Maliki,
Shafie dan Hambali istilah ini dirujuk kepada hubungan suami

Bab 24 423

isteri yang tinggal berdua-duaan sama ada berlaku persetubuhan
atau sebaliknya. Namun ia akan terkecuali jika wujud sebab-
sebab yang menghalang berlakunya persetubuhan (Mahy ad-Din
Sabir et al., t.t).

Menurut istilah, pengertian khalwat ini boleh dikategorikan
kepada dua bahagian iaitu khalwat sahihah dan khalwat ihtida’
(‘Abd Rahman al-Jaziri,1969). Menurut hukum Islam yang tidak
dikanunkan seperti mana yang terdapat di dalam kitab-kitab fiqh
dan hadith-hadith Rasulullah (SAW), pengertian khalwat diberikan
dalam bentuk yang berbeza-beza daripada pengertian khalwat
yang dinyatakan menurut hukum Islam yang telah dikanunkan
dan diperundangkan di dalam undang-undang Pentadbiran
Agama Islam negeri-negeri di Malaysia. Pengertian khalwat
menurut kitab-kitab fiqh dan hadith-hadith Rasulullah (SAW)
adalah merujuk kepada perbuatan khalwat atau bersekedudukan
di antara pasangan yang ajnabi, iaitu pasangan yang belum ada
sebarang ikatan yang menghalalkan kedua-duanya. Merujuk
kepada khalwat yang berlaku di antara pasangan suami isteri,
‘ulamā’  terdahulu seperti Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali
mendefinisikan suami isteri yang bersekedudukan (tinggal
bersama) sama ada berlaku persetubuhan atau sebaliknya, kecuali
wujud sebab-sebab yang boleh menghalang daripada berlakunya
persetubuhan (Muhamad Amin Syahir Ibn ‘Abidin,1996).

Hukum zina adalah haram, justeru apa sahaja yang
membawa ke arah melakukan perbuatan tersebut di dalam mana-
mana kes perbuatan khalwat adalah haram. Selain itu pengharaman
khalwat memiliki hikmah aspek menjamin keturunan yang baik.
Perbuatan zina boleh mempengaruhi perkahwinan dan hubungan
kekeluargaan. Perzinaan ini akan mengakibatkan berlaku

424 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

percampuran nasab.Anak yang lahir hasil perbuatan ini sukar untuk
ditentukan nasab keturunannya (Zaid Hussin Al-Hamid,1984).
Melalui perbuatan zina ini juga akan mengakibatkan kelahiran
keturunan yang tidak terjaga. Mereka yang melakukan zina akan
mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak yang lahir
daripada perbuatan tersebut. Anak-anak itu juga akan mewarisi
sifat buruk ibunya dan pastinya tidak mendapat pendidikan yang
sempurna dan tersisih daripada ahli keluarga yang lain. Mereka
juga akan menjadi mangsa kebencian dan cemuhan masyarakat.
Di dalam soal menjatuhkan hukuman, al-Syeikh Muhammad
Abu Zahrah menyatakan terpulanglah kepada pemerintah atau
hakim untuk mengenakan apa-apa hukuman dengan mana-mana
kadar yang difikirkan sesuai (Muhammad Abu Zahrah,1958). Ini
kerana ta’zir adalah merupakan hukuman yang tidak ditentukan
oleh shara’ kadar hukumannya. Peruntukan hukumannya adalah
terletak di bawah kuasa pemerintah atau hakim yang mujtahid
(Abu Bakr Muhammad al-Sarkhasi,t.th.). Jelaslah bahawa
pemerintah atau hakim berkuasa untuk menjatuhkan hukuman
mengikut budi bicaranya.

Peranan Institusi Hisbah

Peranan institusi hisbah dalam perkembangannya dan kejayaannya
menstruktur suasana dan keadaan ekonomi di negara Islam agar
berjalan di atas landasan yang mantap dan dibenarkan shara’.
Peranannya bukan sahaja membanteras perkara-perkara mungkar
yang bersifat luaran tetapi menjangkau soal-soal spiritual, akhlak
dan moral individu yang berurusan dalam sistem ekonomi Islam
tersebut. Prinsip amar ma’ruf dan nahi munkar yang menjadi
asas utama kepada institusi ini ialah prinsip yang universal dan

Bab 24 425

sesuai dilaksanakan pada semua peringkat kehidupan dan zaman.
Tambahan pula ia termasuk dalam kategori siyasah shar’iyyah
yang boleh diubahsuai pelaksanaannya mengikut peredaran masa
dan tempat.

Institusi hisbah merupakan sebuah institusi yang
pernah memainkan peranan penting dalam negara Islam sedikit
masa dahulu. Ia ialah institusi yang menjaga dan mengawasi
kemaslahatan umum masyarakat Islam termasuk kegiatan
politik, sosial dan ekonomi. Sehubungan itu, ada di kalangan ahli
ilmuan Islam mendefinisikan institusi hisbah sebagai satu badan
pengawasan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengawasi
kegiatan individu dalam perkara yang berkaitan dengan akhlak,
agama dan ekonomi (kehidupan sosial secara umumnya) dengan
tujuan mengekalkan keadilan dan kemuliaan sebagaimana yang
dianjurkan oleh syariat Islam dan bersesuaian pula dengan
suasana persekitaran dan masa.

Sejarah menunjukkan bahawa kewujudan institusi
hisbah berjalan seiring dengan perkembangan agama Islam itu
sendiri. Ini kerana Islam ialah satu agama yang menganjurkan
manusia supaya melakukan amar ma’ruf dan mencegah daripada
melakukan kemungkaran yang boleh merosakkan masyarakat.
Amalan hisbah telah dibuktikan dengan jelas pada zaman Nabi
(SAW) di mana terdapat hadith-hadith yang menunjukkan
perlakuan hisbah. Antaranya hadith yang diriwayatkan daripada
Abu Hurairah (RA) (Al-Tirmizi, 1980):

“Bahawa Rasulullah (SAW) pada suatu ketika telah
berjalan melalui satu longgokan makanan (di pasar), lalu
baginda Rasulullah (SAW) telah memasukkan tangannya

426 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

ke dalam longgokan tersebut, jari baginda (SAW) tersentuh
sesuatu yang basah lantas Rasulullah (SAW) bertanya
kepada penjual itu: “Apakah semua ini?” Jawab penjual
tersebut: Makanan ini terkena hujan. Nabi Muhammad
(SAW) bersabda: “Kenapa engkau tidak meletakkannya
di atas supaya dapat dilihat oleh orang ramai, baginda
(SAW) menyambung lagi: Sesiapa yang menipu maka dia
bukan dari kalangan kami.”

Selepas kewafatan Rasulullah (SAW) tugas hisbah
diteruskan lagi oleh para Khulafa’ al-Rasyidin. Kebanyakan
daripada mereka melakukan sendiri tugas hisbah ini, di samping
melantik beberapa orang pembantu untuk melancarkan lagi
perjalanan tugasan mereka. Diriwayatkan bahawa Saidina Umar
(RA) telah melantik al-Sa’ib bin Yazid bersama-sama Abdullah
bin Utbah sebagai penguasa pasar Madinah dan beliau juga telah
melantik wanita sebagai pembantunya di mana Sayyidah al-Syifa
dan Sayyidah Samra’ binti Nuhaik telah ditugaskan mengawasi
pasar Madinah (Muhammad Abd. Al-Qadir,1986)

Pengasingan institusi ini daripada institusi-institusi lain
dalam kerajaan Islam dikatakan berlaku pada masa pemerintahan
kerajaan ‘Abbasiyyah tahun 157 Hijrah, di mana khalifah Abu
Ja’ far al-Mansur telah memberi ruang kepada penguasa hisbah
(muhtasib) untuk mentadbir institusi ini secara penuh sambil
dibantu oleh pembantu yang dikenali sebagai “arif” dan “amin”.
Khalifah Abu Ja’ far telah melantik Abu Zakariyyah Yahya bin
Abdullah sebagai ketua para muhtasib pada ketika itu. Apabila
penjajahan kuasa-kuasa barat berlaku di kebanyakan negara
Islam maka institusi hisbah telah mengalami perubahan dan mula

Bab 24 427

kehilangan identiti asalnya. Pada masa tersebut, institusi hisbah
ada yang diserapkan ke institusi lain dan ada juga terus dikekalkan
tetapi tidak lagi berfungsi sebagaimana biasa.

Fungsi asal institusi hisbah amat luas seluas pengertian
ma’ruf dan munkar itu sendiri. Mohd Parid Sheikh Ahmad &
Mohd Azmi Omar (1991) pula menjelaskan bahawa bidang tugas
institusi ini amat luas di mana terkandung di dalamnya hak-hak
berkaitan Allah SWT, hak-hak manusia dan hak-hak bersama.
Imam al-Mawardi (1989) ketika mengulas berkaitan hak-hak
yang berkaitan dengan institusi hisbah telah mengemukakan
contoh-contoh seperti berikut:

Perkara yang berkaitan dengan hak-hak Allah
(SWT)

Perkara berkaitan dengan hak-hak Allah (SWT) dalam soal ma’ruf
meliputi semua jenis ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji
dan ibadat-ibadat lain. Muhtasib dalam hal ini bertanggungjawab
memastikan hak-hak Allah (SWT) ini ditunaikan oleh orang
Islam yang berada di bawah jagaannya. Manakala dalam soal
mencegah mungkar pula perkara yang bersangkutan dengan hak-
hak Allah (SWT) ini terbahagi kepada tiga iaitu perkara yang
berkaitan dengan ibadat, tegahan (mahzurat) serta muamalat dan
munakahat (al-Mawardi:Ibid.)

Dalam soal ibadat contohnya muhtasib berhak mencegah
orang yang tidak berpuasa dengan sengaja, orang yang tidak
membayar zakat, orang yang tidak menunaikan sembahyang atau
ibadat lainnya. Dalam soal mahzurat pula muhtasib diberi kuasa
untuk mencegah perbuatan yang boleh menimbulkan syak seperti

428 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

melarang lelaki dan perempuan daripada berbual di tempat-
tempat yang sunyi dan melarang daripada mempamerkan arak
dan alat hiburan yang diharamkan. Seterusnya dalam perkara
muamalah, muhtasib berhak mencegah perbuatan zina, nikah
yang diharamkan Islam, riba dan penipuan dalam urusan jual beli.

Perkara yang berkaitan dengan hak-hak manusia

Menegakkan ma’ruf dalam perkara yang berkaitan dengan hak-
hak manusia ini terbahagi kepada dua iaitu hak umum dan hak
khusus. Hak umum melibatkan perkara yang berkaitan dengan
kepentingan awam, sebagai contohnya kerosakan benteng di
sempadan, masalah bekalan air dan musafir. Muhtasib dalam soal
ini perlu menangani setiap masalah awam yang berbangkit itu
dengan sebaiknya sama ada mendapatkan bantuan kerajaan atau
bantuan lain. Hak khusus pula membabitkan masalah individu
seperti masalah hutang yang gagal dijelaskan pada masanya,
dalam hal ini muhtasib boleh bertindak mendesak orang yang
berhutang membayarnya. (al-Mawardi,1966)

Perkara kemungkaran yang berhubung dengan hak-hak
manusia pula meliputi semua jenis urusan yang berlaku antara
manusia dengan manusia. Perbuatan yang menimbulkan kesulitan
dan memudaratkan manusia lain ketika berurusan adalah
dilarang dan boleh dicegah oleh muhtasib. Contohnya, perbuatan
menyakiti hati jiran dengan cara mencerobohi hak miliknya, sikap
sambil lewa ketika bertugas, tidak amanah, tidak cekap dan tidak
menjaga mutu barangan.

Bab 24 429

Perkara berkaitan dengan hak-hak bersama

Bidang ma’ruf dalam perkara yang berkaitan dengan akhlak
bersama ini antaranya adalah dengan menyuruh para wali
mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki yang sekufu
dengannya, memastikan perempuan yang beridah mematuhi
tempoh iddahnya dan memastikan pemilik haiwan memberi
makanan yang secukupnya kepada haiwan ternakannya (Mohd
Parid Sheikh Ahmad & Mohd Azmi Omar (1991)).

Bidang mungkar dalam hak-hak bersama pula termasuklah
kewajipan mencegah manusia daripada mencari keaiban orang lain.
Contohnya, menegah imam daripada memanjangkan sembahyang
sehingga menyusahkan makmum yang uzur dan berkepentingan.
Termasuk juga melarang pemilik haiwan membebani haiwannya
dengan muatan yang berat dan berlebihan.

Peranan umum yang dimaksudkan ialah peranan institusi
hisbah dalam menegakkan ma’ruf dan mencegah mungkar yang
bersifat umum iaitu pelaksanaannya menyeluruh dan tidak terbatas
kepada tempat-tempat tertentu sahaja. Biasanya ia melibatkan
perkara-perkara yang bersangkutan dengan nilai-nilai keagamaan
dan kepentingan awam.

Antara peranan umum institusi hisbah yang ada hubung
kaitnya dengan skop kajian kesalahan khalwat ialah:

Menjaga dan mengawasi kesahihan akidah dan
ibadat umat Islam

Akidah dan ibadat merupakan dua perkara pokok dalam ajaran
Islam. Umat Islam wajib dan mesti menetapkan dirinya berada

430 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

dalam akidah Islam yang betul dan seterusnya wajib pula
mengerjakan segala ibadat yang difardukan oleh Allah SWT.
Oleh itu, dalam memastikan umat Islam sentiasa beriltizam
atas landasan Islam yang sebenar dan mengikuti segala
ajarannya serta menjauhi segala larangannya maka institusi
hisbah bertanggungjawab untuk mengawasi, menasihati, dan
memperbetulkan keadaan sekiranya terdapat orang-orang yang
jahil dan ingkar dalam kedua-dua perkara ini walau di mana ia
berlaku. Contoh yang biasa berlaku ikhtilat atau pergaulan bebas
lelaki dan perempuan bukan mahram di tempat awam. Dalam hal
ini muhtasib boleh memantau dan mengambil tindakan ke atas
mereka yang ingkar.

Mengawasi akhlak dan moral masyarakat

Antara tanggungjawab institusi hisbah adalah untuk memastikan
setiap anggota masyarakat di bawah jagaannya mematuhi dan
mengamalkan akhlak dan moral Islam dalam setiap perkara.
Untuk tujuan tersebut muhtasib boleh mengambil tindakan
menasihati, menangkap atau mendenda individu yang didapati
perlakuannya mencurigakan seperti berdua-duaan lelaki dan
perempuan, mengintai keaiban orang, mengunjungi pusat-pusat
hiburan dan seumpamanya.

Pendekatan Amar Ma’ruf Nahi Munkar
Dalam Kerangka Hisbah

Secara umumnya hisbah bermaksud pelaksanaan al-amr bi al-
ma‘ruf (menyuruh kepada kebaikan) apabila jelas ia ditinggalkan
dan al-nahyu ‘an al-munkar (pencegahan kemungkaran) apabila

Bab 24 431

jelas ia dilakukan (al-Ghazali, 1980). Prinsip al-amr bi al-ma’ruf
wa nahyu ‘an al-munkar ini merupakan asas kepada perlaksanaan
al-siyasah al-shar’iyyah dan menepati kehendak maqasid al-
shari’ah. Perlaksanaan prinsip ini tidak hanya tertumpu kepada
institusi hisbah tetapi melibatkan seluruh institusi Islam samada
ketenteraan, polis, kehakiman, kewangan dan institusi hisbah
sendiri (Ibn Taymiyyah, 1982). Imam Ghazali (1980) telah
menyatakan bahawa terdapat empat elemen (rukun) di dalam
institusi hisbah iaitu muhtasib (pegawai penguatkuasa), muhtasab
‘alaih (pihak yang melakukan kemungkaran), muhtasab fih
(bidang kuasa pegawai penguatkuasa) dan ihtisab (tindakan atau
penalti yang dikenakan terhadap orang melakukan kemungkaran).

Hal yang sama turut ditegaskan di dalam Al Ahkam

Al Sultaniyyah Wa Al Wilayah Ad Diniyyah bahawa wujudnya

rukun-rukun tersebut walaupun tidak tersusun sepenuhnya seperti

penulisan Imam al Ghazali (Al Mawardi, 1966). Ibn al

Farra’ juga bersetuju dengan kewujudan rukun hisbah seperti

yang dinyatakan di dalam Ihya Ulumuddin (Ibn Al Faraa’, 1938).

Malahan Yahya Ibn Umar (1956) yang banyak menceritakan salah

satu rukun hisbah iaitu muhtasib turut memuatkan elemen yang

sama namun elemen tersebut bercampur aduk dan tidak tersusun.

Keempat-empat rukun ini amat penting bagi memastikan institusi

hisbah berjalan menurut syariat Islam.

Pensyariatan hisbah dapat dilihat melalui prinsip utama
hisbah iaitu al-amr bi al-ma’ruf wa nahyu ‘an al-munkar. Prinsip
utama ini yang mengangkat konsep mengajak kepada kebaikan
dan melarang daripada melakukan kejahatan perlu dilakukan oleh
setiap strata masyarakat di Malaysia mahupun mana-mana negara
Islam. Justeru, setiap ayat yang berkaitan dengan prinsip al-amr

432 Dinamika Pemikiran dan Kefahaman Islam

bi al-ma’ruf wa nahyu ‘an al-munkar serta konsep keadilan dan
kebenaran adalah dianggap sebagai dalil-dalil yang mensyariatkan
hisbah (Abd. Allah Muhammad `Abd Allah, 1996).

Nas-nas yang berkaitan prinsip utama hisbah ini
merupakan pensyariatan yang perlu dilaksanakan dalam sesebuah
negara Islam (Abd al-Karim Zaydan, 1998). Ini dapat dijelaskan
melalui firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang
menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan
Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik,
serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan
keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-
orang Yang berjaya”

(Surah Ali-Imran 3:104)

Mengikut Tafsir Al-Jalalain, perkataan ‘segolongan’
membawa maksud suatu kelompok yang bertanggungjawab dalam
melaksanakan prinsip tersebut dan hukumnya fardu kifayah (As
Suyuti, 2003). Manakala Tafsir Al Quran Al Adzim menyatakan
bahawa ayat tersebut merupakan tuntutan Allah (SWT) terhadap
segolongan umat Islam yang bertugas untuk mengembangkan
urusan al-amr bi al-ma’ruf wa nahyu ‘an al-munkar, sekalipun
urusan tersebut memang diwajibkan ke atas setiap individu di
kalangan umat hari ini (Ibn Kathir, 1999).


Click to View FlipBook Version