201
Sementara novelnya adalah Sebelum Berhujungnya Musim Bunga (Pustaka Melayu
Baru, 1972), Jalur Sinar Di Celah Daun (Berita Publishing, 1984), Persisir Hitam (Pustaka
Cipta, 1985), Menuju ke Puncak (DBP, 1987), Selamat Datang Adzie Farahah (Marwilis
Publisher, 1988), Panglima Saleh Selempang Merah (DBP, 1988), Anugerah (DBP, 1995),
Cinta, Penyerahan dan Tragedi (ditulis bersama Hamidah Kamaruddin (Haqaf, 2003), Hujan
Sudah Teduh (DBP, 2004), Haruman Kencana (DBP, 2004) dan Bulan dan Mentari (DBP,
2007). Zaharah Nawawi juga menulis karya kanak-kanak, antaranya novel Ebe dan Eme
(DBP, 1988), Wira dan Tuah (DBP, 1993) dan kumpulan cerpen kanak-kanak Komputer
Baru untuk Mama (DBP, 1998).
Sebuah kumpulan puisinya berjudul Warna dan Wajah (Haqaf, 2003). Dua
autobiografinya pula, iaitu Merentas Laluan (DBP, 2004) dan Paksi: Autobiografi Zaman
Remajaku (DBP, 2005). Beliau juga menulis biografi tokoh yang dihormatinya Budayawan
Azah Aziz dalam Azah Aziz: Kartika di Langit Seni (DBP, 2001).
Kedua, latar bidang beliau sebagai wartawan. Penglibatan awalnya sebagai wartawan
dan kemudian editor dari majalah Wanita, Mastika (Utusan Melayu), Berita Publishing (The
New Straits Times) ke Jelita, Jaguh, Penghibur dan Timang. Menarik juga ditinjau
bagaimana turut teradun latar kewartawanannya ini dalam beberapa karya kreatif seperti
dalam cerpen “Kasut” (Mingguan Malaysia, 1997) atau novel Selamat Datang Adzie Farahah
(Marwilis Publisher, 1988) dan yang terkini novel Hari Ketiga Belas Bulan Lima (DBP,
2016). Ketiga-tiganya memanfaatkan protagonis yang merupakan wanita sebagai pemberita.
Kedua-dua latar bidang yang diceburinya, rata-rata membawa Zaharah Nawawi
hampir ke mana-mana penjuru dunia. Kembara dan merantau sama ada untuk tugas rasmi
atau sebaliknya perjalanan peribadi, menjadi ilham yang bukan sedikit dalam hasil nukilan
karyanya seperti novel dan cerpen. Banyak catatannya yang bersifat travelog.
Menumpukan perhatian terhadap hubungan kesusasteraan dan kembara tersebut,
kertas ini memanfaatkan kerangka menarik iaitu, sastera pelancongan dan keterkaitannya
dengan psikogeografi. Tiga cerpen Zaharah Nawawi, iaitu “Sehangat Montmarte”, “Gadis
Bunga di Tasik Dal” dan “Suara Kemenangan”, ditinjau latar tempatan khas yang diangkat.
Dalam perbincangan ini dikemukakan bagaimana latar yang ditumpukan Zaharah Nawawi
dalam beberapa cerpen itu berhubung rapat sebagai pancingan pelancongan kepada pembaca.
Begitu juga merujuk latar tempatan yang diperagakan itu turut terkait akrab dengan
emosi dan psikologi watak yang dibangunkan Zaharah Nawawi. Bagaimana watak-watak
tersebut terkesan daripada dampak sekitaran. Apakah Zaharah Nawawi sendiri memberikan
tanggapannya juga lewat protagonis yang dibawa masuk. Beberapa kecenderungan ini
diperhatikan menerusi lensa psikogeografi.
Sastera Pelancongan dan Psikogeografi
Konsep sastera pelancongan (literary tourism) ini bermula di United Kingdom pada sekitar
penghujung abad ke-18. Namun lebih awal daripada itu dirakam sejarah, Petrarch semasa
Empayar Rom berlangsung sudah melihat jalinan hubungan antara kesusasteraan dengan
pelancongan (Akarcay, 2017). Fahaman ini terus tersebar di Eropah dan Amerika, sehingga
apa yang difahami umum sekarang.
Kesusasteraan pelancongan meniruskan perhatian terhadap karya sastera yang
mempunyai beberapa tarikan yang “menjerat” pembacanya untuk mengetahui lebih lanjut
tentang beberapa perihal tentang latar yang dinyatakan di dalamnya. Misalnya menjejaki
nama jalan yang tercetak pada halaman buku, nama bangunan, nama kedai, perkampungan,
sungai, pantai atau pergunungan.
Begitu juga tumpuan pembaca terhadap latar diri pengarang berhubung dengan tempat
lahirnya, sekolah, meja tulisnya, kafe yang dikunjungi untuk membaca atau menulis, malah
202
tempat persemadian pengarang. Kesemua ini dinikmati dalam proses pembacaan. Kesedaran
bahawa wujud hubungan di antara latar bacaan dengan lingkungan realiti, maka ia mahu
didatangi secara bersemuka. Ia selama ini hanya diikuti pada baris halaman buku; namun saat
berhadapan dengan kenyataan merupakan detik yang mengujakan. Dapat melihat sendiri
tapak rumah kelahiran pengarang, merupakan satu kepuasan estetika. Pembaca dapat melalui
pengalaman batiniah menyatukan diri mereka dengan karya pengarang, malah diri pengarang.
Proses rentas-kod (trans-codification) di antara “kenyataan” dengan “jejak naratif” itu
sebenarnya yang memasuki wilayah emosi dan memori pembaca/pelancong dan inilah yang
mendasari falsafah asas kesusasteraan pelancongan.
Fenomena pelancongan sebagai pergerakan manusia ke merata tempat yang dihajati
dan disenangi, menjadi pulangan ekonomi yang luar biasa, dan pada masa yang sama
membentangkan aneka bentuk pelancongan. Antara ragam pelancongan itu seperti
pelancongan tani (agritourism), pelancongan eko (ecotourism), pelancongan kesihatan
(medical tourism), pelancongan pendidikan (education tourism) termasuk pelancongan yang
terkait secara langsung dengan kesusasteraan (literary tourism). Keanekaragaman
pelancongan ini memberikan isyarat betapa wilayah ekonomi ini wajar diberikan perhatian
sebaiknya. Tumpuan dalam penulisan ini, pelancongan kesusasteraan adalah sebahagian
daripada pelancongan budaya dan warisan yang mewakili lokasi sebenar di sesebuah
kawasan berikutan daripada latar dan tokoh yang masyhur (Hoppen, Brown, & Fyall, 2014;
Ghetau, Leontina, & Esanu, 2011).
Kesendengan terhadap sastera pelancongan ini dikemukakan dalam tiga cerpen yang
dibincangkan pada kesempatan ini. Tiga cerpen itu adalah “Sehangat Montmarte” dengan
latar Paris, “Gadis Bunga di Tasik Dal” membentangkan latar indah pergunungan dan tasik di
Kashmir dan “Suara Kemenangan” yang mengambil latar nama-nama tempat di Batu Pahat,
Johor.
Rentetan daripada konsep sastera pelancongan itu, ditinjau bagaimana dalam ruang
naratifnya, pengarang seperti Zaharah Nawawi dapat mempamerkan jalinan yang akrab di
antara watak-wataknya dengan persekitaran. Memanfaatkan ungkapan yang pertama kali
dikemukakan Guy Debord (1955) sebagai satu kaedah untuk membaca dampak perbandaran
ke atas sikap dan tingkahlaku manusia. Menurut Debord psychogeography adalah “The study
of the specific effects of the geographical environment, consciously organised or not, on the
emotions and behaviour of individuals” (Coverley 2006:10). Psychogeography mempertaut
dua lapangan yang mempunyai kesalingan, iaitu “psikologi” dan “geografi.” Ia menjadi satu
wahana untuk menekuni peribadi, bangun tumbuh watak yang terkesan dengan kehidupan,
gerak nafas manusia yang ditemuinya ataupun secara umum pertelingkahan dengan alam
yang didepani.
Maka perbincangan ini menuju kepada watak-watak yang ditampilkan Zaharah
Nawawi seperti Gemawan dalam “Sehangat Montmarte”, Fatma dalam “Gadis Bunga di
Tasik Dal” dan Apai dalam cerpen “Suara Kemenangan.” Perhatikan nanti bagaimana ragam
sastera pelancongan yang berlaku dalam ketiga-tiga cerpen dan secara khas dihayati
bagaimana pula lokaliti setiap latar tersebut didepani protagonis.
Perbincangan
Cerpen “Sehangat Montmarte”
Cepen ini disiarkan kali pertama pada 27 Ogos 2002 di Mingguan Malaysia dan kemudian
memenangi Hadiah Sastera Darul Ta’zim 3 (2001) untuk kategori cerpen eceran. Menariknya
cerpen ini kemudiannya menjalani proses intertekstualiti, dikembangkan menjadi novel
Haruman Kencana (DBP, 2004) (Rajah 1) yang merupakan projek Geran Penulis DBP (2001)
untuk penghasilan novel penyelidikan/novel industri. Watak utama dalam cerpen, Gemawan
203
diubah namanya menjadi Kencana dalam novel. Ruang naratif novel masih mengekalkan
watak penting, iaitu Dominique, latar Montmarte, Paris, dan tema kasih sayang, persahabatan
dan perjuangan yang dipindahkan dari cerpen.
Rajah 1: Novel Haruman Kencana
“Sehangat Montmarte” menampilkan watak Gemawan yang sedang mencari-cari
rakan serumah dan “penyelamatnya”, Dominique, yang menghilangkan diri berhari-hari sejak
taufan Ally mengamuk di Paris. Sambil Gema mencari-cari, pengarang menggunakan teknik
showing mengiklankan kedudukan Montmarte. Maka dalam cerpen ini menerusi judulnya,
“Sehangat Montmarte”, Zaharah Nawawi mula memancing perhatian pembaca. Latar beikut
memperkenalkan Montmarte sebagai,
Pusat pelancongan Montmarte semakin sesak. Gema berjalan bersama ribuan
pelancong menghala ke Place du Terte. Lingkaran tengah yang kecil dan padat
dan hangat dengan pelukis berbaur ribuan pelawat datang dan pergi pada setiap
minit itu menjadi tempat dia bersama Domi mencari rezeki lewat bakat seni yang
ada. (hlm. 195)
Zaharah Nawawi banyak menyebut nama-nama di sekitar Montmarte seperti Sacre-Coeur, Ru
de la Bonne, Place du Terte, restoran terbuka Crepes Glaces Buvette, restoran Sympa dan
Rue Lamarck. Sama ada ia mahu menghidupkan ruang naratif, atau ia juga menjadi senarai
yang harus dikenalpasti dan dilawati suatu hari nanti oleh pembaca cerpen ini.
Montmarte merupakan sebuah perbukitan pelancongan di Paris (Rajah 2). Pendakian
bukit setinggi 130 meter itu, menemukan beberapa pujukan pelancongan yang terdiri
daripada deretan kedai minum berbumbung terbuka sederhana di sepanjang jalan. Sacre-
Coeur adalah gereja putih di puncak bukit yang menjadi pemandangan latar Montmarte.
204
Rajah 2: Montmarte dalam Peta Paris sebagai Pusat Pelancongan
Pelawat juga menyaksikan kemeriahan Place du Terte yang merupakan tapak
himpunan pelukis atau seniman jalanan mengambil upah melukis potret pelancong yang
datang. Peratusan pelancong yang datang ke Paris masih menggalakkan walau pada musim
wabah 2020-2021 (Rial, Jean-Francois & Menegaux, Corrine. 2021). Kehadiran para
pelancong ke Paris pada 2018 berjumlah lebih 40 juta. Sebelumnya pada 2016, Perancis
menjadi negara yang kerap dilawati. Sumbangan industri pelancongan mereka adalah
sebanyak 198.3 billion euros dengan menyediakan 2.8 billion peluang pekerjaan (France
Tourism 2020-2021).
Dalam cerpen ini, latar menarik sekitar Montmarte itu sering ditinjau dari mata Gema
dan beberapa watak pelukis jalanan lain seperti Mama Sophia, Naqib dan Natelia. Membaca
petikan berikut, Zaharah Nawawi membawa pembaca mengenali lanjut watak Gema atau
Gemawan sebagai,
… Dia datang ke Paris awalnya sebagai seorang graduan kelas pertama dan
peraih hadiah emas universiti. Dia menjadi kepercayaan dan harapan sebuah
syarikat korporat untuk menjalankan misi mempelajari formula membuat
haruman dari pelbagai jenis bunga-bungaan dan tumbuhan herba di kota minyak
wangi Grasse, 1000km jauhnya dari Paris. (hlm. 203)
Namun akibat bencana alam taufan, Gema terkapai di Paris. Gema ditemui
Dominique di Jambatan Pont d’Iena berhampiran Menara Eiffel. Membaca lebih lanjut dan
rinci beberapa baris dalam cerpen ini dipindahkan dengan beberapa anjakan plot dan makna
dalam Haruman Kencana. Beberapa kritikan tentang hubungan Kencana (Gemawan) dan
Dominique, perihal Dominique dengan “keghairahannya” dalam mendermakan anggota
badan sendiri. Begitu juga mainan emosi Kencana, banyak dibincangkan dalam kotak-kotak
patriarki (Mawar Safei, 2008; Saleeh Rahamad, 2008).
Dari sisi psikogeografi watak Gema/Kencana dibina Zaharah Nawawi sebagai gadis
Melayu dari Malaysia yang cekal, berani dan cepat belajar dari situasi yang dihadapinya. Saat
syarikat La Harum Corporation tersungkur akibat taufan (hlm. 203), Gema bangkit menyertai
pelukis jalanan di perbukitan Montmarte. Walaupun didukung perhatian dan perlindungan
Dominique atau Mama Sophia, perwatakan berdikari Gema masih dipertahankan penulis
misalnya ketika Gema menghulur 100 franc kepada Naqib untuk minum pagi dan
keupayaannya mendapatkan wang upah melukis 500 ke 1000 franc sehari.
205
Gema berdiri sebagai flâneur – ungkapan yang diilhamkan Charles Baudelaire,
penyair Perancis abad ke 19 untuk merujuk pengembara kota (urban wanderer). Dirapikan
watak Gema yang banyak menyesuaikan dirinya “berunding” dan “bersahabat” dengan alam
barunya di Paris. Bagaimana pengarang menggubah watak anak muda ini sebagai
pengembara kota besar Paris. Gema tegar menerima takdir malah diperteguh sewaktu
bersemuka dengan susuk manusia seperti Dominique yang banyak “memberi” dalam hidup.
Gema belajar banyak dalam kembaranya. Paris yang sering diberikan gelaran “Kota Cinta”,
kali ini melalui perbukitan Montmarte merupakan landskap cinta dan kasih sayang
manusiawi – ini ditanggap Zaharah Nawawi menerusi pandangan watak Gemawan.
Montmarte yang disebut sebagai “hangat” antara lain mengundang hawa “mesra” dan
“menyenangkan” antara watak-watak dalam cerpen ini yang saling bersahabat dan berkasih
sayang.
Cerpen “Gadis Bunga di Tasik Dal”
Cerpen ini disiarkan julung kalinya pada 4 Disember 2005 di Mingguan Malaysia dan
kemudian memenangi hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005. Ia
diterbitkan semula dalam Kumpulan Cerpen Remaja Pelangi, Kami ingin ke Sana (Utusan
Publications and Distributors, 2006), menghimpunkan 10 buah cerpen remaja yang mendapat
tempat dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005.
Seperti yang terperaga pada judulnya, cerpen ini mengambil latar Tasik Dal, sebuah
tasik yang masyhur di Srinagar, Kashmir. Kelihatannya strategi naratif Zaharah Nawawi
menggembleng nama tempat pada peragaan kedua-dua judul cerpennya – Montmarte dan
Tasik Dal. Kedua-duanya merupakan lokasi tarikan pelancongan di negara masing-masing.
Pemerian judul ini pula digandingkan dengan subjek yang menjadi tumpuan. Misalnya
Montmarte dikaitkan dengan “hangat” bagi membayangkan kehangatan kasih sayang dan
kemanusiaan antara watak-wataknya. Kali ini Tasik Dal pula dihubungkan dengan “gadis
bunga” yang merujuk susuk dan ketokohan watak Fatma yang pekerjaannya terkait secara
langsung dengan pelancongan di Tasik Dal, Kashmir.
Cerpen “Gadis Bunga di Tasik Dal” menampilkan watak Fatma, pendayung sampan
di Tasik Dal. Fatma ditemukan Zuhra, watak gadis Melayu Malaysia yang berkunjung ke
Kashmir. Menerusi dialog mereka, penulis banyak memperkenalkan latar Tasik Dal dan
persekitarannya, keindahan pemandangan – gunung dan taman bersama-sama kisah
penderitaan hidup Fatma dan keluarganya. Kedua-dua mereka bersahabat dan Zuhra berjanji
akan datang lagi pada hari perkahwinan Fatma. Plot cerpen ini bergerak dalam garis imbas
kembali dan masa kini. Peleraian cerpen ini sama ada dapat ditebak atau merupakan kejutan,
Fatma tidak dapat ditemui Zuhra lagi apabila dia kembali ke Kashmir setahun selepas
perkahwinan Fatma. Zaharah Nawawi secara tipis memuatkan konflik politik di Jammu
Kashmir yang sekian masa. Perebutan kuasa di antara Pakistan dengan India, malah turut
melibatkan negara China ke atas wilayah Jammu Kashmir membayangi nasib yang menimpa
rakyat bawahan seperti Fatma dan ahli keluarganya.
Satu kajian tentang pelancongan di Tasik Dal oleh Shamim A. Shah (2012)
memberitahu tentang kedudukan tasik ini sebagai yang tercantik di India dan kedua terbesar
di negeri Jammu dan Kashmir selepas Tasik Wular (Rajah 3). Keistimewaan Tasik Dal
sebagai pancingan pelancongan adalah dengan ratusan rumah perahu sebagai pilihan
penginapan kepada para pelancong. Taman Mogul dan kampus Universiti Kashmir juga
terletak di pinggir tasik. Titik tumpu di tasik ini juga adalah latar dua perbukitan yang
terbangun kuil Shankaracharya dan Hari Parbat yang masyhur.
206
Rajah 3: Tasik Dal dalam Peta India-Kashmir
Tasik Dal juga menjadi sumber ekonomi perikanan dan pertanian untuk penduduk
tempatan. Kajian Shamin A. Shah juga adalah perihal pelestarian tasik ini yang didukungi
sistem perairan yang baik bagi mengelakkan banjir dan membekalkan sumber air yang
sebaiknya kepada penduduk. Konsep spatiotemporal yang melibatsama ruang dan masa,
memberikan dampak keseimbangan kepada biosistem, ekologi, persekitaran Tasik Dal
dengan Sungai Jhelum. Kelestarian Tasik Dal jelas bergantung terhadap pengurusan alam
sekitar dan ia akhirnya membentangkan lapangan yang sangat menjanjikan kepada belahan
pelancongan dalam ekonomi tempatan.
Berikut didapati daripada kajian Shamim A. Shah (2012) (Rajah 4) terhadap
penziarah tempatan dan asing sepanjang tahun 2000 hingga 2008. Dikemukan pertambahan
bilangan pelancong keseluruhan dalam lapan tahun itu dari 46,657 kepada 61,580. Tahun
2005 menunjukkan bilangan pelancong yang paling tinggi, iaitu sebanyak 247,072 orang.
Walau bagaimana pun menurut dapat Shamim A. Shah, bagi jumlah pelancong yang
mendadak turun seperti yang berlaku pada tahun 2002, iaitu hanya 11,613 orang antara lain
disebabkan oleh suasana politik tempatan yang tidak nyaman di samping keadaan
persekitaran tasik yang kurang memuaskan.
Rajah 4: Aliran Masuk Pelancong ke Tasik Dal (2000-2008)
(Sumber: Shamin A. Shah, 2012)
207
Membaca cerpen “Gadis Bunga di Tasik Dal” awalnya memperkenalkan khalayak
dengan “gadis bunga” yang dimaksudkan penulis, iaitu Fatma, watak yang ditumpukan dalam
cerpen ini. Gambaran keindahan Tasik Dal banyak dibangunkan Zaharah Nawawi dalam
cerpennya ini melalui peragaan watak Fatma. Dalam beberapa bahagian baris, Fatma itu
adalah seperti bunga padma di Tasik Dal. Zaharah Nawawi memerihalkan Fatma sebagai,
… seorang gadis berusia sekitar tujuh belas tahun mengayuh perahu sederhana
panjang yang sarat dengan bunga padma. Bunga-bunga itu dihulurnya ke tangan
pelancong dari dalam perahu. Ceria wajahnya seceria kelopak padma yang segar
di tangan. (hlm. 91)
Kegigihan Fatma bekerja untuk menyara keluarga – lima adiknya yang masih belajar
dan ibunya yang lumpuh; ayah yang meninggalkan mereka. Perhatikan lagi bagaimana
pengarang memberitahu pembaca tentang Fatma, gadis Kashmir yang bekerja sebagai
pendayung perahu di Tasik Dal,
“Aku sebenarnya mendapat gaji bulanan daripada Perbadanan Pelancongan.
Kerjaku mudah, membawa bunga seperahu penuh untuk memikat hati pelancong
dengan satu kelainan dan keistimewaan Tasik Dal. Aku hanya perlu menghampiri
mana-mana perahu atau bot yang membawa pelancong bersiar-siar di tasik ini
yang menyusuri jauh sehingga ke pulau-puau kecil di hujung sebelah timur sana.”
“Ketika tubir perahuku hampir bersentuhan dengan tubir bot-bot berenjin itu, aku
campakkan tangkai-tangkai seroja ini kepada yang kelihatan ralit memerhatikan
bunga-bungaku atau yang asyik mengetik kameranya. Ada yang membalas
dengan rupee, ada yang mengambil dan mencium bunga yang cantik itu tanda
terima kasih.” (hlm. 94)
“Aku di sini setiap hari.” Fatma mula menolak perahunya ke tengah lalu
mendayung santai menuju ke pesisir melalui deretan rumah-rumah rakit yang
panjang, melewati kawasan kehidupan di pepohon lembayung yang luas dengan
bunga-bunganya berwarna ungu bagaikan memberi salam kepada Zuhra yang
sedang kagum itu. (hlm. 93)
Zuhra sepertimana Gema dalam “Sehangat Montmarte”, turut menjadi seorang
flaneur. Zuhra, watak gadis Malaysia yang melawat Tasil Dal (tidak dinyatakan pengarang,
Zuhra datang dalam bentuk lawatan sosial, bercuti atau bekerja) menjadi jurucakap kepada
apa yang terjadi ke atas Fatma dan politik Jammu Kashmir. Janji Zuhra untuk datang lagi
pada hari perkahwinan Fatma, namun tragedi yang menimpa Fatma dan bakal suaminya pada
hari istimewa mereka. Pengembaraan Zuhra ke Tasik Dal menemukan dia dengan keteguhan
hati perempuan Fatma berdepan dengan kemiskinan.
Lebih besar daripada itu Fatma akhirnya harus bersemuka dengan pertelingkahan
politik negaranya apabila mereka menjadi mangsa pengebom berani mati. Fatma terkorban
sewaktu cuba menyelamatkan bakal suaminya. Zaharah Nawawi melalui watak Zuhra dan
Fatma, sekali lagi perempuan, cuba menyuarakan getir rakyat murba yang menjadi mangsa
kepada dahsyatnya keserakahan siasah. Ia turut terakam dalam kajian Shamim A. Shah yang
dibawakan. Kemerosotan jumlah pelancong yang datang ke Tasik Dal banyak disebabkan
krisis politik tempatan, malah digambarkan Zaharah Nawawi keadaan dan hawa tasik yang
kurang menyenangkan mata pelancong, turut menjadi faktor utama. Ia dinyatakan pengarang
dalam lawatan Zuhra yang kedua, Tasik Dal seakan jiwa Zuhra yang rawan dan kehilangan
Fatma,
208
... Angin tasik yang selalunya dingin enak, terasa kering berbahang, Zuhra tidak dapat
lelap. Peluh terasa pengit-lekit menyengat kulit. Zuhra mandi dan bertukar pakaian. Dia
bersantai di jeti.
Cahaya berkilauan yang mewarnai kocak dan riak air di permukaan Tasik Dal bagaikan
lahar gunung berapi yang menyilau dan menyakitkan mata. Pandangan dialihkan ke
kawasan lembayung berbunga ungu. Bunga-bunga yang dahulunya segar indah, kali ini
tampak layu tanpa seri. Dedaun pokok jut runduk kering bagaikan sakit beragan. Zuhra
menyeka matanya. Memang dia tidak percaya dengan aura dan matanya. (hlm. 101)
Cerpen “Gadis Bunga di Tasik Dal” ini merupakan satu contoh bahan sastera
pelancongan yang “sangat alami.” Ada jatuh bangun kedudukan pelancongannya dan ia
adalah realistik. Menarik sekali tautan latar sastera pelancongan itu dengan fahaman
psikogeografi. Bagaimana dilukiskan susuk Fatma sangat terhubung secara batiniah dengan
Tasik Dal. Sehingga ditulis dialog Fatma sewaktu pertama kali berperahu dengan Zuhra,
“Tasik ini padang permainanku. Tiada istilah takut sedikit pun, sebaliknya aku
gembira dengan kehidupan ini. Di sinilah rezekiku. Mungkin di sini juga tempat
persemadianku.” (hlm. 93)
Cerpen “Suara Kemenangan”
Cepen ini disiarkan pertama kali pada majalah Pahlawan, Julai 1993. Ia dibukukan dalam
kumpulan cerpen Suara Ombak (DBP, 1994) dan Wangian di Bukit Peranginan (DBP, 2001).
Kumpulan cerpen Suara Ombak memenangi Hadiah Sastera Darul Ta’zim 1 (1966) kategori
buku. Sementara Wangian di Bukit Peranginan mendapat tempat dalam kategori dan hadiah
yang sama untuk tahun 2003. Dalam bab pendahuluan kumpulan cerpen Wangian Bukit
Peranginan, Zaharah Nawawi menegaskan bahawa cerpen “Suara Kemenangan”,
… memaparkan kisah seorang pejuang parang panjang yang berjuang menentang
pengganas komunis bersama Panglima Salleh Selempang Merah pada zaman
Bintang Tiga dalam tahun 1945, di Batu Pahat. (hlm. x)
Seperti cerpen “Sehangat Montmarte”, cerpen “Suara Kemenangan” juga menjalani
kembara intertekstualnya dalam novel Panglima Salleh Selempang Merah (DBP, 1988).
Novel ini jelas dibangunkan menerusi titik tumpuan naratifnya tentang watak utamanya,
Panglima Salleh yang berjuang menentang komunis di Batu Pahat. Ini juga yang menjadi
antara latar dalam cerpen “Suara Kemenangan.”
Rajah 5: Novel Panglima Salleh Selempang Merah
209
Novel Panglima Salleh Selempang Merah (Rajah 5) pula mengangkat kisah
perjuangan orang Melayu di Batu Pahat, Johor menentang komunis atau Bintang Tiga pada
dekad 40-an melalui watak seorang pemuda. Beliau yang dimaksudkan adalah Salleh Abdul
Karim sebagai wira yang mengetuai penentangan berkenaan. Pengarang memulakan struktur
naratif novel dengan latar diri Salleh seperti yang tercatat dalam dua bab pertamanya,
“Dilanda Peperangan Dua Penjuru” dan “Rumah Salleh Dikepung Komunis”. Salleh Abdul
Karim diperagakan sebagai seorang pemuda berusia dua puluh enam tahun (lahir tahun 1916)
yang rajin berusaha menampung kehidupan keluarga. Pemergiannya dari Air Bemban ke
Batu Pahat untuk berniaga, membenarkan Salleh Abdul Karim mengenali Haji Kadri, yang
kemudian menjadi saudara angkatnya. Di Batu Pahatlah bermulanya perjuangan Salleh
menentang Bintang Tiga (Mawar Safei, 2010).
Dari satu tulisan lain, Muhamad Shafiq Mohd Ali dan Abdul Latif Samian (2020),
memperkenalkan khalayak dengan ketokohan Panglima Salleh, iaitu,
Salleh bin Abd. Karim dilahirkan pada tahun 1916 di Tanjung Olak, Bukit Pasir
Muar. Bapanya, Abd. Karim bin Kassim seorang India Muslim yang bekerja
sebagai buruh kasar manakala ibunya Hajah Lebar bt. Mahmud pula berketurunan
Banjar. Salleh mempunyai empat orang adik-beradik, tiga lelaki dan seorang
perempuan (Mohd Said 2012). Beliau telah mengukir namanya dengan mendapat
gelaran seperti Panglima, Kiyai dan Datuk Penghulu pada tahun antara 1945
hingga 1957. Beliau terkenal dengan perjuangannya menentang kezaliman
komunis sewaktu di akhir-akhir penjajahan Jepun dan sewaktu komunis
berleluasa pada 1945. Beliau banyak berjuang di daerah Batu Pahat sehingga
dianggap wira oleh masyarakat Melayu dan Islam sehingga mendapat anugerah
daripada Sultan Johor ketika itu kerana berjaya menyelamatkan masyarakat
daripada keganasan yang dilakukan oleh pihak komunis. (hlm. 176)
Berdasarkan beberapa sumber berkenaan, beberapa latar terkait dengan ketokohan Panglima
Salleh Selempang Merah di Johor, iaitu Batu Pahat, Muar dan Air Bemban.
Secara khusus merujuk cerpen “Suara Kemenangan” pula menyebut dua nama latar,
iaitu Bukit Alam dan Jorak (hlm. 59). Latar ini dihubungkan Zaharah Nawawi dengan watak
Apai, salah seorang pengikut utama Panglima Salleh. Plot cerpen bergerak dengan latar
imbasan Apai berhadapan dengan komunis. Aksi Apai mahu menetak musuh, semangat
mengangkat parang panjang dan sering bertakbir. Bukit Alam dan Jorak ditampilkan penulis
dengan bayangan perjalanan kumpulan Selempang Merah dari “Bukit Alam” ke “Jorak”,
Perjalanan dari Bukit Alam ke Jorak begitu pantas dilalui. Dalam kepala Apai
tergambar senyum kebanggaan di bibir Panglima Salleh. Bangga, pertama kerana
dia sendiri selaku orang harapan yang pertama kali duji turun ke medan
pertempuran, berjaya melaksanakan tugasnya yang antara hidup dan mati itu.
(hlm. 59)
“Jorak” di negeri Johor antaranya merupakan nama,
(i) salah sebuah mukim di daerah Muar – Mukim Jorak
(ii) nama sebuah kampung dan masjid – Parit Jorak Elahi, Bukit Pasir, Batu Pahat
(iii) nama sebuah kampung – Parit Jorak Senawi di Jalan Parit Jalil, Tongkang
Pechah, Batu Pahat
210
Berdasarkan tulisan Muhamad Shafiq Mohd Ali dan Abdul Latif Samian (2020), Panglima
Salleh menerima pendidikan sehingga sekolah rendah di Sekolah Melayu Jorak, Muar.
Terkait dengan cerpen dan novel yang mengangkat keperwiraan Panglima Salleh,
karya Zaharah Nawawi ini dapat dijadikan sebagai sebahagian daripada gubahan sastera
pelancongan. Pemeragaan tokoh, tempat kelahiran, latar perjuangan atau nama-nama jalan,
kampung atau sungai yang dilalui, malah persemadiannya di perkuburan Islam Bukit Cermai,
Batu Pahat, dapat dijadikan literary path sebagai pancingan pelancongan. Nama-nama tempat
yang berhampiran juga dapat saling mendukung pelancongan yang berhubungan dengan
kesusasteraan. Misalnya titik tumpu pelancongan di Batu Pahat lain seperti yang
berhubungkait dengan pantai, hutan, taman, makanan atau sejarah.
Bagaimana ditunjukkan Panglima Salleh atau Apai dalam cerpen ini menjadi flaneur
dalam wilayah bacaan dan kajian psikogeografi. Apai dan kumpulan Selempang Merah
bukan sahaja merentas perjalanan pelbagai daerah dan mukim dengan hanya berjalan kaki.
Mereka sebenarnya juga adalah “pengembara” dengan semangat mempertahankan negara dan
agama. Ia merupakan sebuah rakaman pengembaraan spiritual juga. Perhatikan lakaran yang
disediakan Zaharah Nawawi dalam membangunkan watak Apai dengan keyakinan akan
kebesaran Allah ya Mutakabbir,
“Allahhuakbar!” Beberapa suara lain menerjah gegendang telinganya. Apai tidak
melihat apa-apa. Yang dia Nampak hanya kebesaran Allah. Allah yang berkuasa
menghidupkannya. Allah yang berkuasa mematikannya.
Dengan kebesaran dan kekuasaan Allah yang menjadikan tubuhnya besar agam,
tangan dan kakinya yang besar agam. Apai berada di barisan hadapan. (hlm. 52)
“Hanya Allah yang boleh memati dan menghidupkan aku,” katanya perlahan
sambal menjalankan tugas membela bangsa, agama dan negara (hlm. 53-54)
Apai berjalan laju di hadapan. Pejuang-pejuangnya berjalan laju di belakangnya.
Apai meredah pepohon mempelas dengan kasut yang dibuat daripada getah asap
keeping berbunga. Pejuang-pejuang jembel di belakangnya ada yang memakai
kasut upih, ada yang membungkus kaki dengan kain guni, namun kebanyakannya
berkaki ayam.
Sesungguhnya kulit kaki mereka sudah kematu digilap tanah. Cacing lapar pun
tidak dapat menembusi kulit tebal yang sudah mati itu. (hlm. 59)
Pengembaraan spiritual dalam mempertahankan watan seperti yang dilakukan Apai
atau Panglima Salleh Selempang Merah merujuk esei Muhamad Shafiq Mohd Ali dan Abdul
Latif Samian (2020) adalah menerusi ilmu kebatinan. Mereka mengamalkan bacaan khas dan
mengikut masa tertentu; dan ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Misalnya membaca
surah Yaasin sebanyak 40 kali selepas waktu Isya’. Kembara spiritual watak-watak ini adalah
rentetan daripada keadaan Batu Pahat yang menjadi sasaran komunis di Johor pada tahun-
tahun 1940-an (Mohamed Ali Haniffa, Zulhilmi Paidi dan Nor Azlah Sham Rambely. 2017).
Kesimpulan
Daripada sejumlah banyak cerpen yang dihasilkan, Zaharah Nawawi kerap merakam
perjalanan dan kembaranya lalu dimuatkan sebagai latar cerita, hasil pengalaman
kewartawanannya juga. Tulisan ini mengambil beberapa contoh cerpennya yang membawa
khalayak ke merata lokasi; tempatan dan luar negara. Beberapa cerpen yang dibincangkan
adalah “Sehangat Montmarte”, “Gadis Bunga di Tasik Dal” dan “Suara Kemenangan.”
Memanfaatkan kerangka sastera pelancongan dan psikogeografi, kertas ini mendapati
211
bagaimana latar seperti Paris, Kashmir dan Batu Pahat memberi dampak khas ke atas
pembacaan karya sastera dan jalinannya dengan pelancongan.
Tinjauan ini juga mendapati Zaharah Nawawi rata-rata rinci dalam memerihalkan
latar tempat yang diangkat. Nama tempat sebenar, pemerian latar yang rinci, malah
pewarnaannya didukung dengan kemahiran berbahasa Zaharah Nawawi, memperkukuh dalil
sastera pelancongan. Nukilan cerpennya dapat menjadi wadah kepada jejak pelancongan
terhadap psikogeografi watak-watak seperti Gema, Fatma (dan Zuhra) dan Apai. Masing-
masing adalah pengembara dengan membangunkan sahsiah, semangat dan harga diri manusia
yang terkait erat dengan persekitaran yang mendampingi mereka.
Rujukan
Baleiro, Rita & Quientera Silvia. 2018. Key concepts in literature and tourism studies.
Lisbon: Centro de Estudos Comparatistas, Faculdade de Letras da Universidade
de.
Chen Nanfei. 2012. Cinta dalam Novel Eileen Chang dan Zaharah Nawawi. Tesis Sarjana
Progam Persuratan Melayu.
Coverley, M., 2006. Psychogeography. Harpenden: Pocket Essentials.
Faradi Mohd Ghazali. 2012. Transeksualiti dalam Karya Zaharah Nawawi. Tesis Sarjana
Progam Persuratan Melayu.
Ghetau, Leontina & Esanu, L. (2011). Literary tourism as a promoter of cultural heritage.
345-353. 10.2495/SDP110291.
Hewitt, Nicholas. 2017. Montmartre: A Cultural History. Liverpool: Liverpool University
Press
Hoppen, A., Brown, L., & Fyall, A. (2014). Literary tourism: Opportunities and challenges
for the marketing and branding of destinations? Journal of Destination Marketing &
Management, 3(1), 37–47. http://dx.doi.org/10.1016/j.jdmm.2013.12.009
Mawar Safei. 1999. Ilmu Bantu dalam Cerpen Zaharah Nawawi. 11 Mac. Berita Harian.
Mawar Safei. 1999. Zaharah Nawawi Warnai Kanak-kanak 3 Dekad. 2 April. Berita Harian.
Mawar Safei. 2008. Haruman Kencana: Pembikinan Sebuah Novel Idealistik dalam Zaharah
Nawawi dalam Esei dan Kritikan. Bangi: Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Mawar Safei. 2010. Novel Intertekstual Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Mawar Safei, and Noordeyana Tambi, and Ermy Azziaty Rozali. 2021. Usman Awang dan
Sedili: Hubungan daripada Pelancongan Kesusasteraan Dunia. Geografia:
Malaysian Journal of Society and Space, 17 (2). 340-354.
Mawar Safei, and Noordeyana Tambi, and Ermy Azziaty Rozali. 2021. Sastera Pelancongan
dalam Cabaran Wabah. Prosiding The 8th International Seminar on Nusantara
Heritage, ASWARA.
Mohamed Ali Haniffa, Zulhilmi Paidi dan Nor Azlah Sham Rambely. 2017. Survival Orang
Melayu di Johor Berikutan Kekejaman Komunis, 1945. Jebat: Malaysian Journal
of History, Politics & Strategic Studies, Vol. 44 (1) (July): 141-163.
Mohd Fadhli Shah Khaidzir, Ruzy Suliza Hashim & Noraini Md. Yusof. 2022.
Psychogeographical Experience Between the Self and the Place. Journal of
Nusantara Studies, Vol 7(1) 243-263.
Mohamad Saleeh Rahamad. 2008. Haruman Kencana: Meruntuhkan Wacana Patriarki dalam
Zaharah Nawawi dalam Esei dan Kritikan. Bangi: Fakulti Sains Sosial dan
Kemanusiaan.
212
Muhamad Shafiq Mohd Ali & Abdul Latif Samian. 2020. Kiyai Salleh Bin Abd. Karim:
Amalan Kebatinan Kumpulan Selempang Merah. MALIM: Jurnal Pengajian
Umum Asia Tenggara 21: 175-181.
Nor Azah Abd Aziz dan Rozlan Mohamed Nor. 2006. Pelangi, Kami Ingin ke Sana. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Rial, Jean-Francois & Menegaux, Corrine. 2021. Tourism in Paris - Key Figures 2021. Paris:
Office du Tourisme Et Des Congres de Paris.
Rosnah Baharudin dan Mawar Shafei (peny.). 2008. Zaharah Nawawi dalam Esei dan
Kritikan. Bangi: Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Shamim A. Shah. Tourism and Lake Sustainability: A Case Study of Dal Lake. International
Journal of Environmental Sciences Vol. 1 No. 4. 2012. Pp. 230-234.
Tureac, Cornelia Elena. 2008. Types and Forms of Tourism. Acta Universitatis Danubius.
Œconomica, 1, 92-103.
Laman Sawang
France Tourism 2020-2021 https://www.condorferries.co.uk/france-tourism-statistics
Conversable Economist https://conversableeconomist.blogspot.com
213