Di Sebalik kenangan itu Diinspirasikan daripada kisah-kisah benar
Di Sebalik kenangan itu
Di Sebalik kenangan itu Diinspirasikan daripada kisah-kisah benar
DI SEBALIK KENANGAN ITU Diterbitkan oleh: Institut Sosial Malaysia (ISM) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lot PT13856, KM6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban Sungai Besi 51700 Kuala Lumpur MALAYSIA Tel: 03-7985 3333 Faks: 03-7985 3300 E-mel: info@ism.gov.my Laman Web: www.ism.gov.my Cetakan Pertama 2022 Penerbitan © Institut Sosial Malaysia © Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian, artikel, ilustrasi dan isi kandungan buku ini dalam apa jua bentuk dan dengan apa cara juga sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman ataupun cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada pihak Institut Sosial Malaysia. Perpustakaan Negara Malaysia Penyelaras: Kluster Respositori dan Dokumentasi Hamidah Hassan Noorhafiza Ahmad Sarimah Ahmad Mohd Shah Mokhtar Mimie Natasha Saifuanuar Dicetak di Malaysia oleh: Zaftech Sdn. Bhd. NO.90, Jalan Brunei Off Jalan Pudu, 55100 Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan EMAIL: zaftechsb@gmail.com ISBN: 978-967-5472-55-8
Kandungan APRESIASI 1- KETUA SETIAUSAHA vi KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT APRESIASI 2 vii PENGARAH INSTITUT SOSIAL MALAYSIA APRESIASI 3 viii KETUA PENGARAH KEBAJIKAN MASYARAKAT KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT PRAKATA ix SINOPSIS xii Perhaps 2 Amah Cantik 9 Berikan Aku Jawapan 16 Biarlah Rahsia 23 Ceritera Cinta 111 Hari 31 Harga Sebuah Pengorbanan 37 Hatimu Berselimut Dendam 44 Kad Biru 52 Kalau Sebelum Ajalnya 60 Kasih Yang Hilang 67 Keldai Dadah 74 Kerana Sebiji Durian 81 Lelaki Durjana 88 Merenung Langit 95 Miskinkah Aku? 102 Monumen Rindu 110 Surat Terbuka Buat Pembaca 116 Takdir Untukku 123 Untaian Rindu 130 Warkah Buat Aina 136
vi APRESIASI YBHG DATUK DR MAZIAH CHE YUSOFF KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat serta keizinan-Nya jua maka terhasillah buku Di Sebalik Kenangan Itu. Ucapan setinggi tahniah dan syabas kepada Institut Sosial Malaysia kerana telah berjaya menghasilkan penerbitan buku ini dalam tempoh masa yang singkat. Penerbitan buku Di Sebalik Kenangan Itu amat signifikan dengan ekspektasi masyarakat berkenaan warga emas yang mendiami Rumah Seri Kenangan (RSK) atau lebih dikenali sebagai rumah orang tua. Seringkali kita dimomokkan dengan rumah orang tua adalah untuk orang tua yang dibuang keluarga. Hakikatnya, tidak semua warga emas realitinya begitu. Justeru, penghasilan buku ini diharap mampu membuka mata dan minda masyarakat umum bahawa penghuni yang menghuni RSK mempunyai kisah tersendiri dan pelbagai yang menjadi punca mereka mendiami RSK. Kisah-kisah yang dipaparkan dalam buku ini diharap dapat dijadikan pengajaran dan panduan dalam menyantuni warga emas yang merupakan kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Tahniah sekali lagi atas penerbitan buku ini.
vii APRESIASI DR FARIDAH AWANG PENGARAH INSTITUT SOSIAL MALAYSIA Alhamdulillah, akhirnya tercapai hasrat Institut Sosial Malaysia untuk menerbitkan buku Di Sebalik Kenangan Itu. Penerbitan buku Di Sebalik Kenangan Itu merupakan inisiatif yang mampu menampilkan sisi lain penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK). Terima kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana sudi berkolaborasi dengan ISM untuk memberikan responden warga emas yang ada di institusi untuk ditemu bual bagi dapatan penghasilan data deskriptif primer dalam penulisan ini. Melalui penerbitan buku ini, dapat kita telusuri kisah-kisah pelbagai ragam penghuni RSK. Selari dengan tajuk buku ini juga, dapat kita menjangkakan di sebalik kenangan yang disimpan rapi oleh warga emas yang menghuni RSK ini, ada kisahnya yang tersendiri. Di sebalik wajah yang dimakan usia itu, tersembunyi seribu rasa yang mungkin tidak dapat diluah hanya tersemat dipendam rasa. 20 kisah warga emas ditulis dengan gaya penulisan santai dalam genre ini dengan harapan agar masyarakat dapat mengambil iktibar serta cakna tentang isu-isu warga emas di persekitaran mereka, terutamanya ibu bapa sendiri. Kisah suka, duka penghuni RSK ini menjanjikan emosi sedih, lucu, malah terhibur saat membacanya. Bacalah! Terima kasih atas sokongan dan dorongan daripada YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, KSU KPWKM, sehingga penerbitan buku ini menjadi kenyataan. Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada Kluster Repositori dan Dokumentasi ISM yang menyelaras penghasilan buku ini sehingga diterbitkan walaupun dalam tempoh masa yang singkat. “Ilmu Sejahterakan Masyarakat” Semoga bermanfaat kepada semua!
viii APRESIASI YBHG DATO’ SHAHARUDDIN ABU SOHOT KETUA PENGARAH KEBAJIKAN MASYARAKAT KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT Alhamdulillah, puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi atas penerbitan buku Di Sebalik Kenangan Itu. Penerbitan buku ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan Insya Allah memberi manfaat kepada pembaca. Saya sangat berbesar hati dan mengalu-alukan apabila Institut Sosial Malaysia (ISM) menyuarakan hasrat untuk membukukan kisah warga emas yang menghuni Rumah Seri Kenangan (RSK). Sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab terhadap perlindungan dan penjagaan warga emas di negara ini, JKM menerusi Bahagian Warga Emas menyediakan institusi yang memberi perkhidmatan penjagaan dan perlindungan kepada warga emas. Saya yakin dan pasti setiap mereka mempunyai banyak kisah yang tersendiri. Adalah diharap melalui paparan pelbagai kisah yang disajikan dalam buku ini dapat dijadikan pedoman dan ibrah juga kepada kita semua yang akhirnya akan meniti usia emas. Semoga kisah benar penghuni yang dinarasikan secara santai ini mampu meruntun hati setiap pembaca. Hayati pembacaan ini. Tahniah dan syabas kepada Institut Sosial Malaysia!
ix PRAKATA Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan sebanyak 12 institusi perkhidmatan jagaan dan perlindungan kepada warga emas yang tidak mempunyai sebarang waris. Perkhidmatan institusi ini adalah merupakan penyelesaian terakhir dalam satusatu intervensi kes kepada kumpulan sasar kementerian di bawah perkhidmatan kebajikan sosial. Rumah Seri Kenangan adalah institusi yang menempatkan warga emas (berumur 60 tahun ke atas). Rumah Seri Kenangan (RSK) ditubuhkan untuk memberi jagaan dan perlindungan kepada warga emas yang daif demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka. Perkhidmatan yang disediakan di RSK adalah termasuk aspek jagaan dan perlindungan, bimbingan dan kaunseling, aktiviti rekreasi, rawatan perubatan, terapi cara kerja dan fisioterapi. Terdapat sepuluh (10) buah RSK di bawah JKM RSK Kangar, Perlis. RSK Taiping, Perak. RSK Kinta, Perak. RSK Seri Iskandar, Perak. RSK Cheras, Selangor. RSK Seremban, Negeri Sembilan. RSK Cheng, Melaka. RSK Johor Bahru, Johor. RSK Kemumin, Kelantan. RSK Bedong, Kedah.
x Kemasukan ke institusi hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia, Berumur 60 tahun ke atas, tidak ada sumber pendapatan / tidak mampu menyara diri sendiri, tidak menghidap penyakit yang berjangkit, tidak mempunyai sanak saudara/waris, tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan berupaya mengurus diri sendiri. Kaedah kemasukan adalah secara i) Sukarela : Permohonan kemasukan akan diproses mengikut Kaedah-Kaedah Bagi Pengurusan Rumah Orang-Orang Tua 1983, dan melalui ii) Perintah Mahkamah : Kemasukan adalah melalui perintah Mahkamah mengikut peruntukan Akta OrangOrang Papa 1977 Warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Takrifan ini berpandukan kepada takrifan yang dibuat di World Assembly On Ageing 1982 di Vienna. Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Resolusi No. 45 / 106 mengisytiharkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa. Manakala, kerajaan Malaysia mengisytiharkan 1 Oktober setiap tahun mulai tahun 1992 sebagai Hari Warga Emas Kebangsaan di negara ini. Kajian mendapati bahawa warga emas sangat terdedah kepada risiko untuk mengalami kesunyian. Kesunyian sekiranya tidak dicegah dan dirawat boleh membawa kepada penurunan daya tahan kepada jangkitan, kemerosotan kognitif dan membawa kepada masalah kesihatan mental seperti kegelisahan dan kemurungan.
xi Menjelang tahun 2030 Malaysia akan mencapai populasi negara tua. Pertumbuhan urbanisasi dalam kalangan penduduk yang lebih muda dan perubahan sistem keluarga di Malaysia telah menyebabkan kesan yang besar terhadap penjagaan warga emas, termasuk penempatan semula rumah kebajikan warga emas. Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menyediakan kemudahan penjagaan warga emas dengan menyediakan rumah kediaman yang dikenali sebagai Rumah Seri Kenangan. Kemudahan yang disediakan termasuklah penjagaan, pemulihan dan pembangunan bagi meningkatkan kualiti hidup warga emas yang aktif dan masih mampu berdikari. Terdapat pelbagai aktiviti yang dirancang bagi penghuni rumah tersebut. Antaranya merangkumi senaman (setiap pagi), bermain permainan atau karaoke dan bermain alat muzik tradisional. Penghuni digalakkan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijadualkan. Dalam buku ini dikisahkan perjalanan hidup 20 warga emas yang mengakhiri sisa-sisa hidupnya di institusi kebajikan ini. Pergolakan keluarga, isu peribadi, isu sosial diceritakan dalam gaya penyampaian yang santai agar mudah difahami oleh khalayak pembaca. Diselitkan iktibar dengan memahami punca, proses dan kesan serta pengalaman yang dilalui oleh individu yang didefinisikan sebagai warga emas itu sendiri daripada sumber primer. Semoga warga emas tetap disantuni dan disayangi oleh setiap kita di negara ini. Hamidah Hassan Ketua Kluster Kluster Repositori dan Dokumentasi Institut Sosial Malaysia
xii SINOPSIS Hidup tidak selamanya muda, sampai masa renta menjengah. Takdir setiap manusia juga tidak sama. Ada yang hari tuanya berakhir dengan kesenangan, kebahagiaan dan kegembiraan. Ada pula derita menahan rindu yang tak terluah. 20 buah kisah yang dihidangkan di dalam buku antologi ini bukanlah hanya sebagai bacaan ringan di waktu senggang bahkan sarat dengan ibrah dan kisah realiti yang dihadapi setiap pengkisahnya. Tajuk “Di Sebalik Kenangan Itu” dipilih berdasarkan kisah hidup warga emas yang pelbagai. Cantuman cermin kasih sayang yang pernah retak atau sengaja dihempas oleh seseorang yang pernah hadir di dalam hidup mereka. Mereka mencari bahagia tetapi ada halangan, ada harga yang perlu dibayar. Apa yang dinukilkan di dalam buku ini sangat dekat dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini. Bagaimana seorang ibu dipisahkan daripada anaknya tanpa rela di dalam kisah bertajuk Monumen Rindu atau pun seorang abang yang berkorban mahu menghabiskan hari tua di rumah jagaan pada kisah Takdir Untukku, ia adalah kebenaran yang pahit untuk ditelan. Penggunaan gaya bahasa yang sederhana dan adanya elemen drama menjadikan pembaca larut dalam emosi penceritaan. Perasaan libang-libu dek kerana pengkisahan yang pelbagai rentak dan ujian kehidupan yang berbeza. Tema kasih sayang yang diangkat sangat bertepatan dengan matlamat Institut Sosial Malaysia (ISM) sendiri iaitu ingin menyalurkan bahan pembacaan yang memberi input dan impak yang dapat mendidik dan memberi ibrah kepada golongan sasar. Semoga buku ini mampu menjadi tembok ampuh kepada kalbu yang merindui secebis kasih yang hilang. Moga ukhuwah yang terjalin dan kasih sayang yang terzahir dapat mengubati jiwa lesu yang merindui sebuah keluarga yang jauh di mata tetapi dekat di hati.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 216)
Allahuakbar, sudah subuh rupanya.’ Bergegas Mak Bedah bangun dari sofa menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dia mengerjakan solat sunat subuh diikuti dengan solat subuh. Kali ini lama sungguh dia berteleku di atas tikar sejadah. “Ya Allah, aku mohon ampun di atas kekhilafan diri. Aku sangat sombong dengan-Mu. Wang yang banyak ini tidak pernah terlintas untuk digunakan ke arah jalan kebaikan. Tidak sempat juga digunakan untuk mengerjakan umrah. Sebaliknya aku cuma memikirkan untuk menjalankan perniagaan. Sekiranya ini adalah jentikan dari-Mu agar aku berubah, aku terima dengan reda.” Basah telekungnya di pagi yang hening itu dengan air mata. Sesekali dikesatnya air mata yang mengalir itu dengan hujung lengan baju. Peristiwa dia melempar wang ke atas riba Kak Timah tiba-tiba muncul. Benci sungguh dia melihat perempuan gemuk yang selekeh sedang menunggu di hadapan pagar rumahnya. Sudahlah berbaju kurung besar dan mengelebeh, muka pun tidak bercalit bedak ataupun lipstik. Malu nanti diketahui jiran bahawa mereka bersaudara. ‘PERHAPS’ 2 DI SEBALIK KENANGAN ITU Perhaps
Kak Timah, kakak sulungnya yang bersuamikan mekanik itu sentiasa tidak mempunyai wang yang cukup. Pasti kakaknya tahu dia akan mendapat wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak lama lagi kerana umurnya akan masuk 60 tahun minggu hadapan. Dipandangnya bungkusan buah rambutan dan pulasan yang dibawa oleh Kak Timah. “Tak boleh kak. Aku nak pakai duit tu. Nak buat modal berniaga beg tangan dari Siam,” ujar Bedah sambil membuka pintu pagar rumahnya. “Sekejap saja Bedah, nanti abang hang dapat duit hasil padi, aku bayarlah. Budak Aiman nak masuk universiti. Cikgu kata dia pandai. Aku tak sampai hati tengok muka dia. Nampak dia bersungguh nak belajar.” Kak Timah merayu sambil membontoti Bedah masuk ke dalam rumah. “Nah, ambik 50 ringgit. Ini saja yang aku ada.” Dengan kasar dicampak wang itu kepada kakaknya, tanpa rasa bersalah. Walhal itulah kakak yang pernah membelanya suatu ketika dahulu. “Aku sibuk ni, kak. Sat lagi nak keluar jumpa pelanggan. Nak cepat. Nanti kalau kau nak balik, jangan lupa tutup pintu rumah aku ni. Nanti masuk pencuri pula.” Bedah langsung menuju ke bilik tidurnya meninggalkan Kak Timah terkapaikapai sendirian. Suhu di biliknya malam itu terasa panas, sepanas hatinya. Bibirnya diketap menahan sakit di hati. Hilang seleranya untuk menjamah nasi seharian ini. 3 DI SEBALIK KENANGAN ITU Perhaps
Meskipun selama ini banyak dugaan yang ditempuhnya, kali ini terlalu besar ujian yang diterima. Habis wang simpanan KWSP yang baru saja dikeluarkan bulan lepas. Bagaimana mungkin dia boleh ditipu oleh sahabatnya, Liyana. Seorang isteri yang kononnya dizalimi oleh suaminya sendiri. Wanita yang dikenali di facebook lantas menjadi rapat kerana sering berkongsi masalah. Peristiwa siang tadi benar-benar membuatkan emosinya terganggu. Terkejut Bedah apabila dia berkunjung ke kedainya yang baru dibuka sebulan lalu. Sudah tiada beg tangan yang diatur cantik di atas rak. Lantai bersepah dengan kertas dan habuk. Yang lebih memeranjatkan perabot dari IKEA yang menghiasi kedainya pun turut lesap. Bagaimanakah dia akan meneruskan lagi kehidupan? Dia takut untuk memberitahu kakak-kakaknya kejadian tadi. Pasti dia akan dimarah teruk jika mereka tahu bahawa, wang sebanyak 130,000 ringgit yang baru dikeluarkan dua bulan lepas telah lebuh begitu sahaja. Pelaburan yang sia-sia. 4 DI SEBALIK KENANGAN ITU Perhaps
‘So, if you really love me, say yes, But if you don’t dear, confess And please don’t tell me Perhaps, Perhaps, Perhaps, Perhaps, Perhaps, Perhaps, Perhaps, Perhaps Tidak seperti sebelum ini, lagu Perhaps dendangan penyanyi kegemarannya, Doris Day yang berkumandang dari rumah jiran sebelah, tidak lagi menarik minatnya untuk turut menyanyi. Mak Bedah masih lagi tidak percaya, Liyana yang dianggap seperti adiknya sendiri boleh menipu dirinya. Bagaimana dia, seorang peguam yang selalu mengendalikan kes penipuan boleh tertipu dengan mudahnya. Sudah seminggu juga dia cuba mencari Liyana. Menggunakan nombor telefon yang selama ini digunakan tetapi sia-sia. Dia tidak putus asa lalu dia mencari alamat Liyana. “Liyana sudah lama tidak pulang ke kampung. Kenapa anak mencari dia, ada berhutang ke?” tanya seorang perempuan yang duduk di atas tangga kayu, sewaktu Mak Bedah menjejaki alamat lama Liyana. Tidak sampai hati rasanya untuk dirunsingkan hati seorang ibu mengenai anaknya yang penipu. Dia menyalami ibu tua tersebut dan menghulurkan 50 ringgit. 5 DI SEBALIK KENANGAN ITU Perhaps
Mak Bedah pulang dengan hampa ke rumahnya di Apartmen Vista Angkasa, Kuala Lumpur. Malam itu dia tidur dengan lampu yang tidak dipasang. Dia cuma ingin tenang. Kesal dengan peristiwa yang terjadi, Bedah memilih untuk menyendiri di rumah orang tua. Faktor bujang dan tidak mempunyai sesiapa untuk menjaga menyebabkan Bedah diterima masuk dengan mudah. Dia bahagia di Rumah Seri Kenangan Cheras ini. Dia dapat mendalami ilmu agama. Sesekali dia memikirkan ‘Perhaps’ atau mungkin pengakhiran kehidupannya pasti berbeza sekiranya dia tidak salah percaturan dahulu. Kini, suaranya yang serak-serak basah tidak lagi melagukan ‘Perhaps, perhaps’ sebaliknya digunakan untuk mengalunkan ayat suci al-Quran. Hasil daripada belajar taranum daripada ustazah di situ, dia berjaya mendapat tempat ketiga Musabaqah al-Quran, Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2019. Kehidupannya semakin tenang dan sesekali anak saudaranya, Aiman datang menziarahinya membawa buah tangan berupa makanan. 6 DI SEBALIK KENANGAN ITU Perhaps
IBRAH ◆ Hendaknya kita reda kepada takdir Allah yang dirasakan menyenangkan atau tidak menyenangkan. ◆ Musibah yang diterima manusia adalah kerana kelalaian masing-masing. ◆ Pentingnya kasih sayang dan tolong menolong sesama saudara. ◆ Ikatan saudara tidak akan putus walaupun berbagai rintangan yang dilalui. ◆ Berusahalah untuk mencari reda Allah di masa yang berbaki.
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, jangan sekali-kali berdua-duaan dengan wanita (bukan mahram) tanpa disertai oleh mahramnya kerana yang ketiga adalah syaitan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
AMAH CANTIK Kehilangan dua peneman hidup sangat mudah untuk diri menjadi galau. Kesepian yang sukar diceritakan. Isteri pertamaku, seorang ustazah di sebuah sekolah rendah. Cintaku berputik sewaktu pengajian di sebuah universiti yang terkenal terletak di utara tanah air. Malangnya jodoh kami tidak panjang. Dia dijemput pulang ke negeri abadi. Pemergiannya bagaikan membawa jiwaku sekali. Syukurnya, aku tidak ditinggalkan sendirian. Isteriku yang cantik lagi solehah ini meninggalkan benih-benih cinta kami seramai tiga orang yang bukan sahaja mirip wajahnya bahkan juga akhlak mereka persis dirinya, didikan agama yang dibentuk sedari kecil membentuk sahsiah yang baik dan terpuji dalam diri mereka. Perginya bidadariku ke daerah abadi asbab kekhilafan orang lain, cuai memandu, isteriku kehilangan nyawa dilanggar kenderaannya. Melihat sekujur tubuh yang tersenyum di pembaringan, aku yakin Tuhan amat mengasihi bidadariku ini. Aku belajar menerima takdir dan reda dengan ujian ini demi meneruskan perjuangan bersama permata hati kami. 9 DI SEBALIK KENANGAN ITU Amah Cantik
Masih kuingat seminggu selepas kematiannya, sunyi dan sedih menusuk hingga ke tulang. Perpisahan dengan isteri masih bersisa, tetapi aku perlu melepaskan anak-anakku pulang ke asrama. Hanya doa seorang ayah mengiringi mereka, “Anak-anakku, kuatlah hati kalian menerima ujian ini. Tabahlah dan jangan sesekali bertanya kepada Allah mengapa kita diuji.” Aku seorang yang tidak betah tanpa seorang bergelar perempuan di sisi. Selama ini aku dilayan mesra seorang bidadari pinjaman. Makan, minum dan segala kehendak batin ditunaikan sepenuhnya. Hanya seorang diri selepas waktu kerja di rumah membuatkan aku sudah masuk ke alam kemurungan. Pil tidur sudah mula menjadi peneman bagi menukarkan keresahan dan racauan dalam diri yang tak terkawal kepada tidur yang lena. Aku sering terbangun ketika tidur kerana bermimpi ngeri melihat sebuah lori yang dipandu laju menghentam tanpa rasa belas kereta isteriku. “Allahuakbar”, teriakku sehingga terjaga dengan badan dibasahi peluh ketakutan. Mimpi ini tidak pernah berhenti menemani malam-malamku. Hidupku sudah tidak terurus dengan teruknya. Ketenangan hanya datang apabila menghadap Ilahi di waktu solat fardu. Setelah dua tahun menduda dan kami berempat sudah boleh meneruskan hidup tanpa belaian isteri dan ibu, aku ditemukan dengan seorang wanita lain. Anak-anakku bersikap terbuka dan positif untuk aku mencari pengganti ibu mereka. Syarat mereka mudah sahaja, jangan lupakan mereka dan jangan bandingkan dengan ibu mereka. Bersyukur aku, Allah menganugerahkan zuriat yang baik budi bahasa dan pemikiran. 10 DI SEBALIK KENANGAN ITU Amah Cantik
Kusangka berat jodohku untuk kali kedua, rupa-rupanya ringan. Seorang gadis berumur 29 tahun yang baharu bertukar kerja di tempatku menjadi perhatian. Peringkat awal hanya sampaikan salam melalui orang tengah. Lama-kelamaan melalui panggilan telefon bagi mengaburi tajamnya lirikan mata mereka. Anakku hairan dengan perubahanku. Bahagia sungguh aku rasakan. Isteri keduaku seorang yang pandai mengambil hati dan ikhlas menerima anak-anakku. Hiduplah kami seperti merpati dua sejoli. Tahun kedua, lahirlah lagi seorang puteri jelita. Dinamakan Aisyah oleh kakak-kakaknya. Aku dan ibu mereka menurut sahaja. Genapnya 25 tahun, perkahwinan kami sekali lagi diuji. Isteriku diserang angin ahmar hingga menjadi lumpuh dari bahagian kepala ke pinggang. Dia tidak mampu bergerak dan hanya bergantung kepada mesin pernafasan sebagai bantuan hidup. Selepas tiga tahun menanggung derita, akhirnya Maria pergi jua meninggalkan kami. Kehilangan wanita di sisi buat kali kedua menjadikan aku lebih tabah. Sebulan selepas pemergian Maria, anak-anak mengajakku tinggal bersama mereka. Niat mereka sungguh suci namun masalah besar buatku. Anak-anak perempuanku bekerjaya dan mereka mempunyai amah untuk menguruskan rumah tangga. Di sinilah punca masalahku. Setiap kali menziarahi anak-anak, aku ditinggalkan bersendirian dengan amah di rumah. Tua-tua keladi, makin tua makin menjadi. Melihat amah yang hanya berkain batik dan berkemeja-T yang terbongkok-bongkok mengemas rumah sudah memberahikan. Nafsu syaitan mulai beraja. 11 DI SEBALIK KENANGAN ITU Amah Cantik
Sukar kutepis bisikan nafsu apabila melihat perempuan, walaupun yang dilihat itu tidaklah seksi dan menggiurkan. Selepas sendirian bertahun tanpa belaian isteri, godaan syaitan mudah menyapa menguasai detak fikir dan nafsuku. Semakin lama ia bertambah sukar untuk melawan runtunan nafsu yang inginkan belaian. Kewarasan dan keimanan yang mengawal diri membuatkan aku memohon ke hadrat Ilahi agar diberikan petunjuk supaya dapat kuhindari dosa yang masih belum terjadi. Allah maha mendengar. Aku diberikan lintasan hati untuk memohon tinggal di Rumah Seri Kenangan ini. Permohonan masuk ke sini dibuat secara terus dengan berjumpa pegawai yang menguruskannya. Dicerita asbab mengapa kuingin tinggal di sini. Permohonanku diterima tetapi bersyarat. Sehinggalah tiba hari yang ditetapkan baharulah dikhabarkan kepada anak-anak dan menantu. Konflik bermula, semua anak-anak dan menantu terkejut apabila diterangkan punca-puncanya. Namun, demi kebaikan bersama dan kebahagiaan seorang ayah, mereka melepaskan aku menjadi penghuni rumah ini dengan syarat setiap hari aku akan menghubungi mereka menceritakan keadaan diri. Aku bersetuju. Kini aku selesa di sini bersama sahabat-sahabat yang juga kematian isteri. Dengan teknologi, anak-anak sentiasa dimaklumkan tentang rutin harianku. 12 DI SEBALIK KENANGAN ITU Amah Cantik
Sesekali mereka akan datang menziarah. Setiap kali cuti perayaan, aku akan dibawa pulang ke rumah dan pastinya aku tidak akan ditinggalkan sendirian dengan amah mereka. Wanita? Pasti ada di rumah Seri Kenangan Cheras ini namun aku sudah tidak lagi seperti enam tahun lalu. Berkat pengajian agama di sini, aku sudah dapat mengawal diri. Cuma sesekali sahaja aku mengusik mereka yang sudah kuanggap seperti keluarga sendiri. Bagiku, kerana iman dan Islam yang dicintai aku sanggup berkorban. Semoga pengorbanan ini menjadi jalan yang mudah untuk ke syurga Allah. Aku bangga kerana berjaya menahan diri daripada nafsu dan tipu daya syaitan yang menyesatkan. Terima kasih Rumah Seri Kenangan, Cheras kerana menerima aku menjadi penghuni di sini. 13 DI SEBALIK KENANGAN ITU Amah Cantik
IBRAH ◆ Menerima ketentuan atau ujian daripada Allah SWT dengan reda dan ikhlas. ◆ Kuatkan amalan demi menepis godaan syaitan dalam apa jua keadaan. ◆ Berbincang sesama ahli keluarga sekiranya ada kesukaran yang tak dapat dirungkai dengan baik. ◆ Tetapkan keputusan yang diambil demi perjuangan berkorban dengan keimanan. ◆ Anak-anak perlu memberi ruang dan peluang buat ibu bapa berjuang demi hidup di usia yang masih berbaki.
“Ayah, di banyak cerita yang kudengar, di banyak filem yang kutonton, anak perempuan akan menyandarkan kepalanya pada bahu tegas milik ayahnya, membiarkan air matanya membasahi bahu milik ayahnya. Tapi ayah, kenapa bahumu itu terlalu jauh untukku bersandar?” Anonymous
BERIKAN AKU JAWAPAN Assalamualaikum, S aat ini degup jantungku kencang bagaikan paluan gendang perang. Terlalu sukar menyatakan rasa, tetapi sebelum kupejam mata, kembali kepada-Nya, ingin kuluahkan segalanya. Ayah, sepuluh jari kurapatkan, memohon kemaafan andai apa yang terluah di dalam surat ini, mungkin egomu terhentak dan runtuhnya penafianmu akan kewujudan ini di hati dan mindamu. Masihkah kau ingat? saat dirimu menghilangkan diri kerana mabuk cinta barumu, Mak Melah. Ketika itu, emak lebih mengutamakan aku, usiaku 6 bulan, bayi yang baru mengenal dunia. Saban waktu terdengar rintihan emak, sepanjang usia pembesaranku, dari kanak-kanak sehingga ku mula mengenali mehnah duniawi yang mencabar ini. Bukan rintihan kesalan dek suami tidak bertanggungjawab, ia rintihan doa memohon Tuhan mengembalikanmu ke pangkuan kami semula. Pertama kali aku dan emak terserempak denganmu di pekan, emak menggenggam erat tanganku. Namun apalah yang mampu kuluahkan pada usia lapan tahun itu. 16 DI SEBALIK KENANGAN ITU Berikan Aku Jawapan
Tahukah ayah? sekembalinya kami ke rumah, tiada setitis pun air mata emak jatuh. Emak senyum sepanjang hari. Dia mengemas rumah dan menggantikan sarung bantal. Aku dipesan untuk tidak membuat sepah di halaman rumah. Kemudian kulihat emak terburu-buru ke dapur dan memasak rendang maman. Aku kenal baunya kerana ia bukan makanan kesukaanku. Selepas Asar, emak sudah siap berbaju kurung dan duduk di beranda rumah. Tahukah ayah kenapa? Rupanya emak mengharap dirimu pulang sekembalinya daripada pertemuan di pekan. Sayangnya, hanya tinggal harapan, hanya mimpi indah seorang isteri yang bagai dilupakan. Ayah, emak membesarkanku dalam keadaan kekurangan tetapi mewah kasih sayang. Saat rakan-rakan pandai berhias diri, aku disaluti haruman getah sekerap. Ketika mereka mulai pandai bermelodi indah menyulam sayang, aku pula berhempas pulas bekerja sebagai pembantu rumah. Majikan terakhir yang aku sayang akhirnya pergi menghadap Ilahi. Aku kembali ke dunia kasih sayang yang pudar warnanya. Tidak terhenti di situ, usia 30-an, aku tekad menyandang gelaran ‘minah kilang’. Aku cuba mengisi kekosongan kasih seorang ayah, kuterima lamaran seorang jejaka menjadi kekasihnya. Ikatan pertunangan terpatri, tetapi kulepaskan dengan rela dek kerana, cintanya bukan padaku tetapi pada dadah durjana. Daripada kubiarkan diriku terseksa di kemudian hari, lebih baik kulepaskan dia pergi. Demi membiayai rawatan emak yang sakit, kulenyapkan jiwaku yang berantakan, kecewa dalam percintaan. Tidak kuturutkan duka yang menjerba. Aku kembali ke kampung atas permintaan emak. 17 DI SEBALIK KENANGAN ITU Berikan Aku Jawapan
Ayah, tahukah dikau? Hingga hujung nafas suri hatimu, sempat dititipkan pesanan kepadaku agar memaafkan dirimu. Mulianya hati emak, tetapi engkau? Rindunya terhadap dirimu dibawa hingga ke liang lahad. Sejak itu aku sendirian di rumah. Makan pakaiku sekadar perlu. Seiring dengan peningkatan usia, sakit peningku diubati sendiri. Saat jatuh di bilik air, aku hanya termangu-mangu seperti orang bodoh. Akhirnya aku akur dengan nasihat Pak Andak untuk menghantarku ke rumah jagaan ini. Mahu mengharapkan keluarganya menjaga aku, tidak mungkin, ayah. Mereka sendiri terbeban dengan ahli keluarga yang sakit. Tidakkah kau pernah berasa bersalah terhadap kami berdua? Tidak adakah secebis memori indah tentang kami dalam lipatan kenangan hidupmu? Tidak rindukah kau kepada rumah lama kita? Tidak adakah namaku di dalam doa-doamu? Ayah, tidakkah kau ingin menjadi wali buatku? Tiadakah setitis kasih sayang dan keinginan untukmu melihat diriku? Jawablah ayah! Jawablah pertanyaanku ini! 18 DI SEBALIK KENANGAN ITU Berikan Aku Jawapan
Ayah, aku tidak mahu berdendam tetapi jiwaku menuntut jawapan pada setiap persoalan. Datanglah ayah walau hanya di dalam mimpiku. Akan kulepaskan rantai persoalan ini sebaik kau memberi jawapannya. Aku mahu ketenangan hidup. Aku sudah tiada keinginan untuk memiliki bahagia kecuali itu sahaja jawapan kepada persoalanku? Maafkanku ayah untuk luahan rasa ini. Akan kunantikan kehadiranmu bersama jawapan untuk setiap persoalan yang kulontarkan. Kerana apa? Aku punyai hak sebagai seorang anak yang berbintikan kamu. Apa yang kumahu, kau kembalikanlah hak itu kepadaku. Ayah, kuakhiri surat ini, doaku dan harapanku agar dirimu sentiasa sihat, walaupun tidak kupasti, kau masih lagikah mengingati diriku. Anak yang merindui dirimu, Awi binti Rahman 6 Ogos 2022 Rumah Seri Kenangan 19 DI SEBALIK KENANGAN ITU Berikan Aku Jawapan
Surat itu dilipat kemas dan dimasukkan ke dalam sampul berwarna putih. Telah kering air matanya. Akan diberikan surat itu kepada penjaga Rumah Seri Kenangan ini nanti. Walau dia sendiri tidak pasti adakah ayahnya masih hidup atau tidak, sekurang-kurangnya apa yang disimpan selama ini sudah terluah. Tiada lagi bebanan emosi dan rintihan hati. Dia hanya mahu ketenangan yang abadi. Sampai saat malaikat Izrail menyapa, mencabut nyawanya. Berakhir sudah kisah hidupnya yang penuh duka. 20 DI SEBALIK KENANGAN ITU Berikan Aku Jawapan
IBRAH ◆ Allah memberi ujian yang berbeza untuk setiap hamba-Nya. Berlapang dadalah untuk menerima aturan-Nya. ◆ Memaafkan adalah perbuatan mulia tetapi memaafkan tanpa melupakan hanya akan membuat jiwa gundah. ◆ Sejahat mana pun seorang ayah, dia tetap perlu dihormati. Itulah ujian dalam sesebuah institusi kekeluargaan. ◆ Perkahwinan menuntut pengertian, kesetiaan dan pengorbanan kedua belah pihak. ◆ Kasih sayang orang luar tidak akan pernah sama dengan kasih sayang keluarga sendiri.
“Hubungan persaudaraan itu bagaikan jalanan, kadang jalannya cantik, kadang juga bersimpang siur dengan selekoh yang sangat tajam.” Anonymous
BIARLAH RAHSIA Ruang bilik ini pengap kurasa, merimaskan. Walau pendingin udara dihidupkan, sejuknya tidak mampu mendinginkan resah yang menggila di dada. Aku memandang pegawai di hadapanku ini. Seorang wanita berkaca mata tebal, berbadan sedikit berisi serta wajahnya yang bersih tanpa sebarang calitan solekan. Saat bicara bermula, dia memaklumkan aku bahawa dia ditugaskan untuk menulis kisah hidup kami di sini. Tidak lain dan tidak bukan hanya untuk berkongsi ibrah dengan pembaca di luar sana. Sudah hampir sepuluh minit dia menemu bual diriku. Aku lihat sifatnya yang sabar apabila kerap kali soalan yang dilontarkan tidak diberikan jawapan yang sepatutnya. Dia masih tetap melontarkan senyuman dan sesekali cuba memberikan jenaka kecil untuk membuatkan aku tertawa dan selesa dengan dirinya. “Puan, boleh ceritakan mengapa puan boleh memilih untuk berada di rumah Seri Kenangan ini?” Aku menggaru tangan yang tidak gatal. Tidak senang duduk jadinya. Perlukah rahsia yang tersimpan didedahkan? “Puan, maafkan saya jika soalan itu agak peribadi. Saya perlu tahu kisah puan supaya saya tidak salah fakta di dalam penulisan nanti. Puan jangan risau, identiti 23 DI SEBALIK KENANGAN ITU Biarlah Rahsia
puan dirahsiakan.” Aku lihat dia mematikan perakam suara di hadapannya. Hanya di kepala, lintasan doa ini kuharapkan dari-Nya, ‘Allah, Ya Allah. Mudahkanlah aku bercerita jika kisahku ini memberikan kebaikan dan teladan kepada orang lain.’ “Maaf saya tidak tahu hendak berkongsi cerita apa. Saya berasal dari Terengganu. Ayah berkahwin dua. Pada usia 15 tahun saya mengikut kakak angkat ke Petaling Jaya. Saya dijaga beliau hinggalah beliau meninggal dunia setahun yang lalu kerana COVID.” Entah mengapa air mata mulai bergenang mengingati kebaikan insan itu. Kakak angkat yang kupanggil Kak Asmah memang sangat budiman. Tidak pernah sekali pun beliau berkasar atau melayanku sebagai hamba, walhal aku bagaikan orang gaji di rumahnya. “Tidak apa puan. Setiap orang pasti punya kisah hidup yang memberi inspirasi kepada orang lain. Saya mulakan rakaman semula ya.” Jemarinya yang runcing mula menekan kembali perakam suara itu. Aku menarik nafas dan mengumpul kekuatan untuk mula membuka cerita yang kusimpan selama ini. “Saya tidak percaya kepada nasib malang puan, tetapi itulah, semenjak ayah berkahwin dua, keluarga kami berpecahbelah. Pernah ketika saya pulang di hari raya pada tahun kedua merantau bersama Kak Asmah, saya dihalau keluar oleh ipar duai. Umur saya 18 tahun ketika itu. Saya balik hendak menjenguk emak yang sakit tetapi dilayan sebegitu rupa puan.” 24 DI SEBALIK KENANGAN ITU Biarlah Rahsia
“Puan Zai tak bertanya mengapa mereka bersikap begitu?” “Mereka kata saya anak tak berguna. Saya diam sahaja sebab dengar emak memanggil nama saya berulang kali ketika itu.” Aku cuba menahan daripada empangan air mataku pecah. Ah! Itu sudah lama berlalu, untuk apa aku sedihkan lagi. “Apa yang Puan Zai buat selepas itu, puan bekerja?” “Saya mengikut Kak Asmah kembali ke Petaling Jaya. Dialah yang menjaga saya dari dia bujang hinggalah bercucu. Saya memang tidak bekerja di mana-mana, hanya uruskan rumah beliau dan anak-anaknya.” Aku membuang pandang ke luar tingkap. Cuaca yang mendung umpama hatiku yang kelabu. Ketika aku menoleh kembali, aku melihat pegawai itu masih sibuk menulis di buku nota kecilnya yang berwarna biru. “Puan Zai, selama puan tinggal dengan kakak angkat itu, tidakkah puan teringin untuk belajar kemahiran atau cuba untuk hidup berdikari?” Aku terdiam. Ingatan lama kuputarkan dengan laju. Tiada satu pun bayangan impian tersebut pernah aku suarakan atau ada tertanam di dalam diri ini. Aku menggelengkan kepala beberapa kali. Dahinya berkerut melihat aku menggeleng kepala. “Mengapa Puan Zai tiada keinginan seperti itu?” “Saya orang miskin dan tidak berpelajaran. Hidup pula menumpang dan mendapat belas ehsan orang lain. Saya malu mahu meminta-minta. Apa yang dia beri kepada saya sudah cukup untuk saya teruskan hidup. Dia pun tidak pernah mengungkit selama ini.” 25 DI SEBALIK KENANGAN ITU Biarlah Rahsia
“Begitu, jadi mengapa Puan Zai boleh berada di sini?” “Sebab tiada siapa boleh menjaga saya lagi. Sejak Kak Asmah meninggal dunia, saya sebatang kara. Saya tidak berkahwin. Saya tiada pilihan. Anak dia yang mendaftarkan saya ke rumah ini. Lagipun saya sudah hampir 71 tahun. Hendak buat kerja-kerja rumah juga tidak larat. Sakit darah tinggi pun ada. Saya ikutkan sahaja nasihat anak-anak arwah.” Pegawai tersebut mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia membetulkan pelitup muka yang hampir terlorot. Seketika kemudian dia merenung wajahku. Entah apa yang dicarinya pada wajah yang dipenuhi garisan kedutan ini, aku pun tidak tahu. Perakam suara kembali dimatikannya. “Puan Zai, maafkan saya. Saya harap puan berkata benar. Saya tidak memaksa dan tidak boleh memaksa tetapi percayalah kebenaran mampu memberi ketenangan kepada hati kita.” Aku kembali menggaru tangan yang tidak gatal. Apakah dia tidak mempercayai ceritaku ini? “Begini Puan Zai. Daripada maklumat rasmi yang saya perolehi, puan dimasukkan ke sini kerana sebatang kara. Puan tiada adik-beradik. Jadi, apabila puan berkata puan tinggal bersama kakak angkat sehingga umur begini, saya berpendapat puan merahsiakan sesuatu. Lagipun ketika permulaan cerita puan maklumkan ada adik-beradik. Jadi yang mana satukah yang benar puan?” Aku tunduk membisu. Di fikiranku mula berlagu sendu, bagaimana harus aku membuka aib yang disimpan. Hanya bahagian itu sahaja yang aku bohongi. Aku tidak boleh berkongsi cerita yang memalukan keluargaku kepada orang luar. Tidak boleh sama sekali!’ 26 DI SEBALIK KENANGAN ITU Biarlah Rahsia
“Tidak mengapa puan. Saya anggap kebisuan puan adalah jawapan yang ada rahsia yang perlu disimpan. Saya hormati.” Tisu yang dihulur aku ambil untuk mengelap mutiara yang luruh. ‘Terima kasih kerana memahaminya wahai pegawai yang baik budi.’ Pandangan mataku ini, kuharap dapat menjawab segala persoalan yang tersembunyi itu buat dirinya. “Puan Zai, sebelum saya akhiri temu bual ini, saya hendak bertanya puan. Semenjak duduk di sini apakah yang puan mahu dalam hidup di usia begini, apa yang selalu puan fikirkan?” “Saya tidak minta banyak puan, saya hanya mahu ketenangan. Saya mahu sihat. Biarlah semua orang membenci atau mengata saya di belakang, saya tidak ambil kisah. Saya hanya fikir masih adakah yang sudi untuk melawat saya di sini? Saya memang mengharapkan akan ada yang datang menjenguk saya nanti.” 27 DI SEBALIK KENANGAN ITU Biarlah Rahsia
“Baiklah Puan Zai. Terima kasih atas kerjasama. Saya doakan semoga harapan dan keinginan puan dikabulkan oleh Allah. Semoga pengakhiran hidup kita nanti tetap di jalan yang diredai oleh-Nya.” “Ya, insya-Allah.” Huluran tangannya kusambut. Lama tangan itu kugenggam. Mata kami bertentangan. Bahuku ditepuk lembut. Aku menerima pelukan hangat darinya. Bagai hilang kesedihan yang bertahun aku simpan. ‘Manap, Kinah dan Usop, biarlah hanya aku yang tahu apa yang terjadi sebenarnya kepada keluarga kita. Tidak akan aku sebarkan keburukan diri kalian kepada dunia luar. Doaku sebagai saudara kandung tetap sentiasa ada untuk kalian. Aku sudah berdamai dengan takdir. Moga kalian terus bahagia dan tidak mengalami nasib yang sama seperti aku di hari tua.’ 28 DI SEBALIK KENANGAN ITU Biarlah Rahsia
IBRAH ◆ Simpanlah aib saudaramu kerana diri sendiri juga punya aib yang Allah jaga dan simpan. ◆ Kesusahan bukan bererti perlu mundur ke belakang. ◆ Jadilah manusia yang sentiasa mencari ilmu walaupun di dalam serba kekurangan. ◆ Kebenaran sentiasa menggembirakan dan mendamaikan hati yang sedang berdendam. ◆ Sentiasalah berdoa semoga pengakhiran hidup kita adalah yang terbaik di sisi Tuhan.
“Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu-sedan. Tetapi menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan” Buya Hamka
CERITERA CINTA 111 HARI 1 April 2022 Leha yang abang ingati. Hari ini sudah genap setahun abang di Rumah Seri Kenangan. Entah kenapa hari ini hati abang kuat merindukan Leha. Sejak 3 bulan yang lepas abang terfikir, perlukah untuk abang menulis kisah cinta kita? Bertahun lamanya abang menyimpan kisah itu di dalam kotak memori yang dikunci kejap, hinggakan kuncinya abang lupa di mana letaknya. Leha, Jumaat minggu lalu abang jumpa kembali kunci kotak memori itu. Abang cuba membukanya dan hari ini abang beranikan diri menulis catatan cinta kita. Tapi Leha, abang perlu berhenti dulu ya. Kawan baik Abang, Cik Mus sudah memanggil abang untuk ke surau. Cik Mus itu orangnya tegas, berkumis nipis dan suka memakai baju pagoda. Abang pula masih sama seperti dulu. Segak, kurus dan suka tersenyum. Kami ada kelas usrah sekejap lagi. Nanti abang sambung ceritera kita. 31 DI SEBALIK KENANGAN ITU Ceritera Cinta 111 Hari
5 April 2022 Leha, malam ini bintang tak kelihatan di langit. Kawan-kawan abang sudah ada yang lena. Mata abang masih segar bugar kerana kopi yang diminum tadi. Abang teringat ketika keluarga abang merisik Leha, abang seperti kucing yang kehilangan anak. Gelisah tak terperi. Sebaik pakcik memijak tangga rumah, abang terus bertanya apa jawapan keluarga Leha. Bukan bibir abang sahaja tersenyum tetapi hati abang seperti letupan bunga api yang cantik di dada langit. Abang telah melalui kekecewaan dengan tujuh orang gadis sebelum Leha. Iyalah, dengan kerja abang sebagai penghantar surat, apalah jaminan mereka akan bahagia. Bahagia menjerba tatkala keluarga Leha menerima diri abang seadanya. Aduh Leha! Sudah tua begini memang ada sahaja turun naik kesihatan diri. Perut abang sudah meragam. Tandas memanggil abang segera ke sana. Nanti abang sambung semula. 10 April 2022 Abang tak sangka Leha, impian kita bersepai bagai kaca terhempas. Penat abang menyulam harapan selama 111 hari. Demi janji sehidup semati, abang bekerja tanpa henti. Akhirnya ia terkubur begitu sahaja. Kenapa Leha? Kenapa Leha mungkir janji untuk menjadi suri hidup abang? Mengapa Leha mengunci mulut ketika abang meminta jawapan? Abang masih tertanya-tanya sehingga kini. 32 DI SEBALIK KENANGAN ITU Ceritera Cinta 111 Hari
Pantai Teluk Cempedak menjadi saksi pertemuan terakhir kita. Dinginnya sikap Leha malam itu mengguris hati abang yang sudah sedia berdarah. Sesekali abang teringat kenangan itu, hati abang bagai dilapah tidak bersisa. Abang cuba melupakan Leha tetapi abang tidak mampu. Maafkan abang. 22 April 2022 Sudah 12 hari abang tidak menyambung menulis. Kesihatan abang merosot dan tidak mampu hendak bangun. Sudah lanjut usia kan, beginilah keadaannya. Abang hendak menyambung cerita. Sejak kecewa merudum, abang berhenti kerja dan mencari alternatif pengubat jiwa. Abang menjadi seniman jalanan. Menghiburkan orang setiap petang di bandar Kuantan. Hati abang yang parah bagaikan terubat. Inilah kebahagiaan abang di waktu itu. Pelbagai ragam manusia yang abang perhatikan setiap hari. Kadangkala ada insan yang baik hati menaja makan minum abang sebaik tamat persembahan. Pernah abang mendapat rezeki sehingga 500 ringgit untuk tempoh seminggu bekerja. Mesti Leha fikir abang sudah kaya. Tidak Leha, kekecewaan itu membuatkan abang lebih menderita. Abang tidak ada simpanan wang. Semua hasil pendapatan yang abang ada dilaburkan untuk hiburan semata. Begitulah sehingga abang mula jatuh sakit. Tiada siapa yang boleh menjaga abang. Kehidupan bertambah sukar apabila menjadi gelandangan. Kotor, tidak 33 DI SEBALIK KENANGAN ITU Ceritera Cinta 111 Hari
terurus, tiada wang hingga adik-beradik sendiri memandang rendah pada abang. Abang telah kalah dalam berjuang untuk bangkit melawan kekecewaan itu. Akhirnya di Rumah Seri Kenangan inilah abang menyerah diri. Di sinilah abang mula belajar menghargai erti hidup. Mengenali Allah dengan lebih dekat. Jiwa yang luka semakin terubat. Abang tenang. Inilah janji abang ceritera cinta kita, akan abang abadikan di dalam sebuah novel yang sedang abang garap kini. “Man! Berhentilah menulis. Tak adanya kekasih hati kau akan baca novel kau itu.” Pak Man memandang Karim yang sedang berdiri di depan dewan. Dia sudah lali disindir sebegitu. Tiada sekelumit rasa marah menyinggah di dasar hatinya. Para penghuni yang berada di Rumah Seri Kenangan inilah keluarganya kini. Tiada apa lagi yang mahu dikejarnya. Impian terakhir adalah menyiapkan manuskrip novel kisah cintanya. Semoga segala rahsia hati yang terpendam selama ini, akan sampai kepada si dia, walaupun jasadnya telah dimamah bumi. 34 DI SEBALIK KENANGAN ITU Ceritera Cinta 111 Hari
IBRAH ◆ Belajar memaafkan khilaf orang lain. ◆ Jangan mudah dikelabui dek rasa cinta yang melampau. ◆ Berlapang dada atas setiap ujian yang Allah beri. ◆ Setiap insan pasti punyai impian, tetaplah percaya ia akan dicapai walaupun di usia tua. ◆ Ketenangan akan tercapai sekiranya mengenali diri dan Tuhan dengan sebenar-benarnya.
“It is impossible to live without failing at something unless you live so cautiously that you might as well not have lived at all, in which case you have failed by default.” J.K Rowling
HARGA SEBUAH PENGORBANAN Matanya semakin layu, surat khabar di tangannya melurut jatuh. Usianya kini sudah menginjak 77 tahun membuatkan dirinya mudah letih tidak cergas seperti dahulu. ‘Ke mana pula Katty pergi?’ benaknya tertanya-tanya. Tidak kelihatan dari tadi usai mereka bersarapan. Kebosanan menjerba, sunyi terasa apabila bersendirian di bilik sebegini. Di Rumah Seri Kenangan Cheras ini kebiasaanya sarapan akan tersedia sebelum jam 8:00 pagi. Walaupun makanannya ringkas dan tidak banyak pilihan namun ia tetap mengenyangkan. Kotak kenangannya diketuk. Pita memori mula berputar laju. Tergambar di hadapan matanya seorang wanita berkulit cerah dengan sepasang mata yang kecil bersama seulas bibir yang sentiasa mengukir senyuman. 37 DI SEBALIK KENANGAN ITU Harga Sebuah Pengorbanan