LELAKI DURJANA S aya tidak ada salah, puan. Semuanya okay.” Itulah ucapan pertama daripada aunty Durga sewaktu dia muncul di hadapanku. “Jangan takut, aunty tak salah. Saya cuma ingin berbual sahaja,” ujarku. Cuak juga melihat raut wajah ketakutannya. Kasihan sungguh kumelihat gelagat wanita berketurunan India bertubuh kecil ini. Dia kelihatan takut dengan orang yang tidak dikenali dan cuba mengelak daripada bertentang mata denganku. Tidak seperti warga emas yang lain, aku mengambil masa yang agak lama untuk berjaya membuatkan dia bercerita. Sepeket biskut berjenama Jacob kuhulurkan kepadanya namun ditolak dengan baik. Lama kumenantikan dia bersuara, akhirnya dia sudi juga bercerita. Aku mula tenggelam dalam penceritaan kisah hidupnya. Kusyuk. “Itu lelaki jahat. Dia bawa saya ke India. Dia ambil duit bapa saya. Dia pukul saya. Duduk sana hari-hari kena marah, pukul dan macam-macam lagi. Hati sakit, badan sakit. Nangis saja.” Diseka air matanya. Aku pula sebak melihat dirinya. Air mataku mula mengalir lesu, kisah hidupnya penuh ranjau. Aku semakin tertarik untuk mengetahui lebih mendalam kisah hidupnya. “ 88 DI SEBALIK KENANGAN ITU Lelaki Durjana
“Puan, saya ini anak yang tak diiktiraf.” Dia mula selesa berbicara. Setelah umurnya 19 tahun, ayahnya mengahwinkan dirinya dengan seorang lelaki yang berasal dari India. Setelah dibayar dowry sebanyak RM10,000 suaminya terus membawa dia pulang ke India. Prolog baru hidupnya yang tragis dan derita. Setiap hari dia didera dari segi mental dan fizikal. Suaminya adalah penagih tegar alkohol. Dia dikurniakan tiga orang anak lelaki. Duit hantaran sepuluh ribu ringgit dihabiskan tidak bersisa. Suatu hari, Durga berjaya keluar dari rumah untuk menelefon kakaknya di Malaysia, dia memohon bantuan kakaknya untuk membawa dia balik ke tanah air dengan segera. Kasih kakak yang tiada tolok bandingnya. Bantuan kakaknya berjaya menyelamatkan dirinya daripada terus menderita. Dia berjaya kembali ke Malaysia tetapi terpaksa berpisah dengan anak-anaknya kerana mereka bukannya warganegara Malaysia. Melalui kerjasama beberapa NGO, empat orang ahlinya telah bertolak ke India untuk proses membawa pulang dirinya. Bukan mudah prosedurnya. Bantuan Wisma Putra memainkan peranan penting. Dia menjadi pembantu rumah di rumah kakaknya, demi membalas jasa yang sangat besar buat dirinya. Hatinya bahagia kerana layanan yang baik daripada abang ipar dan anak-anak saudara, kerinduan menggebu kepada anak-anaknya sedikit terubat. 89 DI SEBALIK KENANGAN ITU Lelaki Durjana
Umurnya sudah melepasi 50 tahun. Kudratnya juga tidak seberapa akibat penderaan yang lama. Kebahagiaannya diragut apabila kakaknya menghembus nafas terakhir kerana penyakit diabetes dan buah pinggang kronik. Dia mulai berasa tidak selesa lagi tinggal di rumah itu. Mengapa? Hanya tinggal berdua bersama abang ipar, baginya tidak manis kerana tiada ikatan. Walhal anak-anak saudaranya tidak kisah. Dia pula rasa berdosa kepada kakaknya. Akhirnya, dia memohon memasuki Rumah Seri Kenangan, Cheras. Seronok hatinya apabila berjaya diterima masuk setelah menjalani sesi temuduga. Jujur dia bercerita kisah silamnya. Tempoh sebulan sebelum diterima, debaran kuat kerap menyapa dirinya. Hidupnya kembali indah. Hubungannya dengan keluarga kakaknya sentiasa terjalin baik. Dia diuji pula dengan masalah mental hingga terpaksa berjumpa psikiatri. Dia selalu mengalami mimpi ngeri. Mungkin mainan tidur pada awalnya bagi memujuk hatinya yang tidak tenteram. Setelah ketemu psikiatri dia mula makan ubat penenang agar masalah mentalnya terkawal. Dia semakin sembuh apabila kerap menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti sehingga dia sanggup memohon menjadi pencuci pejabat di rumah orang tua ini. Peristiwa silam bagaikan sirna dari kotak memorinya. Sejarah hitam yang memeritkan. 90 DI SEBALIK KENANGAN ITU Lelaki Durjana
“Mengapa aunty senyum?” soalku, setelah tempoh diam yang lama, kerana khusyuk mendengar ceritanya. Tanganku laju menulis aksara demi aksara di buku nota kecilku. “Tarak pa, hati ada seronok saja. Esok anak saya dari India mahu mari. Lama suda tarak jumpa, rindu, rindu, rindu banyak.” Kulihat keterujaan dan kebahagiaan di wajahnya. Aku pula jadi seronok melihat ulahnya. “Esok mau balik rumah kakak, kasi masak anak punya makan suka. Ini petang anak kakak mari ambil, maaf saya mau pigi siap-siap.” Sambil bangun dan mengucapkan terima kasih kerana sudi mendengar ceritanya. Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Senang. Aku mula berdiri dan mengemas baranganku. Tiba-tiba pintu terkuak kembali. “Puan, boleh tolong sikit ka?” “Ya, Aunty Durga. Aunty mahu wang kah?” Sengaja aku mengusik dirinya. Kulihat segaris kecil senyuman terlakar dari bibirnya. “Bukan. Saya tarak mau wang. Bolehkah puan doa dekat Tuhan Ala (Allah) supaya anak-anak saya selamat?” Kulihat matanya berkaca. Kasih seorang ibu terserlah apabila dia masih risau akan keadaan anak-anaknya yang jauh daripada pandangan. 91 DI SEBALIK KENANGAN ITU Lelaki Durjana
Dia risau akan keselamatan anak-anaknya kerana bekas suaminya masih lagi hidup. Peristiwa semalam masih lagi menghantui hidupnya walaupun sudah hampir lima belas tahun dia menetap di rumah orang tua ini. Parut yang masih berbekas di dalam hatinya, menjadikan dia sukar mempercayai dan berasa takut untuk berbual dengan orang yang tidak dikenali. Dalam hatiku berdoa agar Aunty Durga sentiasa diberi kesihatan yang baik. Walaupun jarang dapat ketemu anak-anaknya. Kebahagiaan sentiasa menyinari hidupnya. 92 DI SEBALIK KENANGAN ITU Lelaki Durjana
IBRAH ◆ Pengalaman hidup mematangkan seseorang. ◆ Air dicincang tidak akan putus. Kasih sayang sesama adik-beradik akan terserlah sewaktu ditimpa musibah. ◆ Cuma masa yang mampu merawat luka di hati yang parah membarah. ◆ Rindu yang paling sakit adalah rindu seorang ibu kepada anak-anaknya. ◆ Kunci utama untuk beroleh bahagia adalah dengan menyayangi diri sendiri.
Firman Allah SWT; “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya sematamata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau keduaduanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’ ayat 23)
MERENUNG LANGIT Zir, pasai apa hang tak kawin? Hang takut perempuan ka?” “Tak adalah Yob. Mana ada takut perempuan. Aku sudah terbiasa sendiri sejak muda.” “Hang tipulah Zir. Hang bukan tak segak. Marka lalu mesti toleh hang banyak kalikan?” “Zaman muda memanglah Yob. La ni tak adanya ditoleh lagi. Lari bagai nampak buaya tua adalah.” Mengekek Yob mendengar ayat aku. Teman sebilikku ini memang suka sangat menyakat. Kadang-kala naik penat juga melayan. Tetapi, itulah kawan untuk bercerita apa sahaja. Sama-sama bujang terlajak jadi tiada hal yang perlu disembunyikan. “Betulkah hang dulu kerja atendan hospital? Berapa lama hang kerja Zir?” Yob mencapai baju kemeja berbunga-bunga besar di atas katilnya. Baju yang hampir lusuh itu dipakainya. Nampak gedoboh benar, tak padan dengan badannya yang kecil dan kurus. “Betul. Mana ada aku bohong. Kau boleh tanya orang-orang lama di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Petani. Sebut aje nama Haizir Lipas Kudung mesti mereka kenal.” 95 DI SEBALIK KENANGAN ITU Merenung Langit
“Wah, siap ada gelaran lagi. Mesti hang laju buat kerja.” “Memanglah Yob. Sekali ambulans masuk bahagian kecemasan, bukan sebuah sahaja. Itu belum lagi kes-kes luar biasa yang masuk. Nak ke tandas pun boleh terbantut. Kejap disuruh ke makmal hantar sampel darah. Kadang-kadang sampai lima tempat sekali perlu pergi dalam satu masa.” “Ish, begitu rupanya kerja hang. Habis mak ayah tak bising ke hang tidak berkahwin?” Novel Kelapa Nan Sebatang yang baru aku beli disambarnya. Tak sempat aku hendak sembunyikan, dia sudah nampak pula. Sudahlah cetakan limited edition. Buah limau yang aku ambil ketika sarapan pagi tadi aku kupas kulitnya. Seulas sudah selamat masuk ke mulut sebelum aku menjawab soalan Yob. “Nak bising apa Yob. Adik-beradik aku selepas bekerja terus duduk jauh. Mereka semua pandai. Ada yang bekerja sebagai Eksekutif MAS dan ada yang bekerja sebagai pegawai tinggi kerajaan. Akulah yang menjaga mak ayah di kampung.” Aku melepaskan nafas yang terasa tersekat di kerongkong. “Balik kerja aku bawa mereka keluar berjalan-jalan. Kadangkala bila dapat cuti, aku jugalah yang membawa mereka berjumpa cucu-cucu. Nak harap mereka balik kampung masa hari raya sahajalah.” Terbayang kegembiraan kedua orang tuaku di depan mata. Aku gembira melayan kerenah mereka kerana itulah keramat hidupku. Sekarang mereka telah tiada untuk kujaga dan menyantuni mereka seperti dahulu. “Adik-beradik hang tak pelawa tinggal bersama mereka ke? Mesti rumah mereka besar dan selesa untuk kau menumpang. Lagipun kau bukan kuat makan. 96 DI SEBALIK KENANGAN ITU Merenung langit
Sepinggan nasi pun mau setengah jam untuk kau habiskan.” Sempat juga dia berseloroh. “Ada Yob. Adik aku si Din memang selalu pelawa aku. Anak dia yang bekerja pramugara itu pun memang selalu belikan pelbagai hadiah untuk aku ketika travel ke luar negara. Tapi itulah, aku tak betah tinggal di rumah mereka. Lagipun jika aku sakit tiada yang boleh urus.” Kenangan ketika aku kemalangan sehingga tulang betis patah kembali menari di kotak fikiran. Betapa masa itu, aku kesian melihat adik-adikku menguruskan aku. Banyak duit mereka habis untuk membiayai kos rawatan dan perubatan diri ini. Cukuplah apa yang telah mereka korbankan. Akhirnya aku memohon untuk tinggal di sini. Aku melihat Yob menarik kerusi plastik dan mula duduk di hadapan aku. Entah apa yang hendak ditanya lagi. “Zir, selama kau bekerja di hospital, hang tak pernah jumpa hantu ke? Kau pernah jaga mayat tak?” Sudah, ke situ pula soalan dia kali ini. Nak jawab ke tidak ni? Tak jawab nanti dikatanya aku membohong sahaja. Jawab sahajalah. “Ada Yob. Masa itu aku kena ganti sekejap jaga mayat untuk post-mortem sebab ada kes polis. Patutnya member aku yang jaga tetapi dia ada hal lain masa itu. Dia minta aku cover dia tiga jam jadi aku tolonglah.” “Apa yang terjadi Zir, mayat itu bangun ke, kau nampak benda atau dengar bunyi yang menakutkan ke?” 97 DI SEBALIK KENANGAN ITU Merenung Langit
Wajah Yob bertukar menjadi lebih serius. Rasa hendak ditutup sahaja dengan tuala yang tersidai di birai katil bujang ini. “Mayat itu hilang semasa aku keluar membeli makanan!” Terlopong mulut Yob mendengar apa yang aku katakan tetapi memang betul mayat itu hilang. “Tutuplah mulut kau tu Yob. Berapa lama kau tak berus gigi ni?” Aduh! sabar sahajalah dengan perangai Yob. Memang aku sudah masak dengan perangainya yang jarang mahu menggosok gigi walaupun sudah hampir berusia 70-an. “Mayat itu bangun dan berjalanlah ya? Seramnya. Mesti macam pocongkan?” “Mayat itu bukan berjalan tetapi dibawa lari warisnya. Hantu takut dengan manusialah, bukan kita takut pada hantu. Hantu itukan jelmaan syaitan dan iblis.” “Laaa, dibawa lari rupanya. Kenapa boleh macam itu?” “Mereka tak mahu mayat tersebut dibedah, Biasalah Yob, ada sesetengah daripada orang kita masih belum terbuka mindanya. Mereka anggap ia akan menyeksa mayat, sedangkan ia perlu dibuat demi mendapatkan kebenaran dan keadilan apabila melibatkan kes polis.” Kepalanya diangguk-anggukkan. Dia bangun dan berbaring di katilnya pula. “Zir, hang dengan aku sama, sebatang kara dan berjiran di dorm ini. Jika Tuhan panggil aku dulu, aku harap hang sudi sembahyangkan jenazah aku. Aku tak punya sesiapa di dunia ini.” Dia buat dah ayat-ayat sedih. Seperti selalu sengaja hendak bagi aku larut dalam emosi yang sama. 98 DI SEBALIK KENANGAN ITU Merenung langit
“Iyalah Yob. Aku juga minta begitu dengan kau. Mudah-mudahan hari tua kita ini dihabiskan untuk menambah amal walau sentiasa melakukan dosa.” Kami merenung langit yang kosong tidak berawan. Begitulah diri kami yang telah kehilangan satu demi satu kasih sayang yang dicari pada manusia. Seperti mana kami diizin hadir ke dunia dengan kosong, begitulah ketika akan pulang kepada-Nya. Yang dibawa hanya amalan semata-mata. Moga Allah memberi kami keampunan dan rahmat-Nya. 99 DI SEBALIK KENANGAN ITU Merenung Langit
IBRAH ◆ Amalan yang paling dicintai oleh Rasullah ialah berbakti kepada ibu bapa. ◆ Berbuat baik kepada ibu bapa adalah tanda kasih kepada mereka. ◆ Sebesar mana pun dosa seorang insan, selagi tidak mensyirikkan Allah dan memohon keampunan, Dia pasti memberi pengampunan. ◆ Apa jua pengorbanan yang dilakukan janganlah mengharap pembalasan daripada manusia. Buatlah kerana Allah jua. ◆ Apabila punyai sifat ringan tulang ketika bekerja, kita mudah disukai dan diingati oleh semua orang.
Allah SWT berfirman; “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi, dan tidak pula pada diri kalian sendiri, melainkan yang telah tertulis dalam kitab (Lauh al-Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid ayat 22)
MISKINKAH AKU? S atu kampung mengatakan aku miskin. Mereka membenci dan memandang hina akan aku. Kerana kemiskinan inilah Jamilah, kekasih hati yang aku cintai mengahwini sahabat baikku sendiri, Samad. Kerana kemiskinanlah, aku membawa diri merantau jauh ke Kuala Lumpur 40 tahun dahulu. Namun, kerana tidak berpelajaran tinggi, aku sukar mendapat pekerjaan. Kini, kerana miskinlah, dia berada di lembah ini, sebatang kara, tanpa saudara mara yang datang melawat. Dia sangat membenci dirinya kerana dia miskin! Ramadan 2015 “Tak boleh Ali, kau dah tua. Aku perlukan orang muda yang lebih kuat dan bertenaga. Kerja ini berat. Kena berjaga malam.” “Bolehlah Muthu. Gaji sikit pun tak apa. Cukuplah untuk beli makanan dan bayar duit sewa bilik aku ni. Tolonglah Muthu.” Puas dipujuk majikannya untuk terus mengekalkannya bekerja sebagai guard di kilang rempah tetapi gagal. Sedih sungguh hatinya mengenangkan penat lelahnya selama ini tidak langsung dihargai dan berakhir begitu sahaja. Malam itu Ali tidak dapat melelapkan mata, memikirkan bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup. “ 102 DI SEBALIK KENANGAN ITU Miskinkah Aku?
Dia tidak mempunyai wang simpanan untuk digunakan sewaktu kecemasan seperti ini. Wang gaji yang diterima selama ini cuma cukup untuk makan minum sahaja. Itu pun kadang-kadang dia terpaksa berhutang dengan si Muthu. Setelah empat dekad di Kuala Lumpur, dia masih lagi Ali yang miskin dan tidak berharta dan kini, dia tidak mempunyai pekerjaan. Seawal pagi, Ali meninggalkan bilik sewa yang dihuninya selama ini. Hartanya yang ada cuma beberapa helai pakaian yang dimasukkan ke dalam beg berjenama Abibas yang dihadiahkan oleh sahabat baiknya, Daud suatu ketika dahulu. Tanpa arah tujuan, Ali berjalan menuju ke stesen bas Pudu. Wang di dalam poket cuma berwarna biru. Tidak cukup untuk membeli tiket pulang ke kampung halaman di Tanjung Malim. Dia duduk di atas bangku panjang memerhati gelagat manusia yang lalu-lalang. Buntu dan keliru. Akhirnya dia terlelap dan hanya tersedar apabila mendengar azan maghrib. Ali memandang jam besar di dinding. Sudah lama rupanya dia berada di situ. Perlahan-lahan dia menuju ke kedai makan dan membeli nasi ekonomi untuk berbuka puasa. Malam itu buat pertama kalinya dia tidur di stesen bas berbantalkan beg pakaian yang dibawa. 103 DI SEBALIK KENANGAN ITU Miskinkah Aku?
Buat pertama kali juga di dalam hidupnya, Ali menjadi peminta sedekah di tepi jalan. Meski sedih dengan keadaan ini, dia terpaksa melakukannya demi mengisi perut dan mendapat tempat untuk bermalam. Untuk mengatasi perasaan malu di dalam dirinya, Ali memejamkan mata dan tenggelam di dalam dunia yang direkanya sendiri. Tidak dihiraukan hiruk pikuk pejalan kaki yang lalu-lalang. “Lari ... lari ... Masuk ke dalam van sekarang!” Kedengaran suara garau memberi arahan keras. Keadaan di Stesen LRT Masjid Jamek menjadi kecoh dengan tiba-tiba. Lima buah kenderaan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat berjujuk beratur sekali gus menutup laluan untuk pengunjung membeli-belah. “Beratur ikut barisan. Masuk ke dalam van.” Pak Ali mengira wang yang ada di dalam tuala tangan di hadapannya lalu dimasukkan ke dalam poket. Semua gelandangan yang dapat ditangkap telah dipaksa memasuki van menuju ke destinasi yang tidak diketahui. “Aku baru hari pertama buat kerja ini, dah kena tangkap. Malang sungguh nasib aku.” Mukanya cemberut, matanya memandang duit oren yang dipegangnya, tidak puas hati menjerba. “Tidak berbaloi langsung!” 104 DI SEBALIK KENANGAN ITU Miskinkah Aku?
Mei 2022 Seperti minggu-minggu sebelum ini, dia melihat rakan-rakannya menerima tetamu. Ada anak yang datang membawa kelengkapan membersihkan diri seperti yang diminta. Ada saudara-mara yang menjinjit bakul berisi makanan yang dimasak khas untuk dimakan bersama. Sesekali kedengaran gelak tawa penghuni bersama tetamu mereka. Pasti ada cerita yang menarik dikongsi bersama. ‘Ah, sudah lima tahun dia menjadi saksi suasana seperti ini.’ Jangan mengharapkan makanan atau wang ringgit sebagai habuan, tiada seorang pun pelawat yang datang menziarahinya. Disuntik dek mantera negatif, kerana dirinya miskin. ‘Gelandangan’ status yang tidak pernah difikirkan, telah diletakkan di dalam fail dirinya di Rumah Seri Kenangan Cheras ini. Di sini dia belajar banyak perkara. Ditemani sahabat-sahabat yang mempunyai sejarah sendiri, mereka dibekalkan dengan ilmu agama yang cukup. Tempat tinggal yang selesa dan bersih serta makan minum yang cukup ditambah dengan suasana yang mendamaikan malangnya tidak mampu membahagiakan diri Pak Ali. 105 DI SEBALIK KENANGAN ITU Miskinkah Aku?
Dia ingin pulang ke kampung halaman, namun keadaan dirinya yang miskin dan sebatang kara, menyebabkan dia tidak mampu melakukan apa-apa. Dia benci dan menyesal kerana terpaksa melalui kehidupan yang menyedihkan di waktu usia tuanya. “Mat, kau agak berapa ya tambang untuk aku pulang ke Tanjung Malim. Aku rindu kampung halaman aku.” “Ali, kalau rindu, baliklah Rabu depan.” “Aku tak ada duit. Aku ni bukan orang kaya macam kau yang ada duit pencen.” “Kalau macam tu, minggu depan anak aku datang, aku tumpangkan kau nak tak?” Tawaran yang membuatkan Pak Ali termenung beberapa hari. ‘Masih adakah rumah pusaka tersebut, tidak rindukah mereka kepada aku, atau sebenarnya mereka sudah melupakan aku?’ Dia bermonolog. Galau jiwanya. Malam itu Pak Ali tidak tidur semalaman. Sudah puas dia memujuk matanya untuk lena, ia tetap juga segar. Fikirannya jadi serabut memikirkan tawaran daripada Pak Mat. Dia sukar untuk membuat keputusan. Rindu terlalu membuak di dada akan ahli keluarga dan kampung halaman. Namun dia runsing sekiranya terjumpa Jamilah di kampung. Dia tidak mahu bekas kekasihnya melihat keadaan hidupnya yang miskin ini. Sifat malu masih ada di hatinya. 106 DI SEBALIK KENANGAN ITU Miskinkah Aku?
“Mat, aku rasa aku tak jadi ikut engkau balik. Biarlah aku di sini. Orang miskin macam aku siapa yang akan pandang?” “Ali, engkau tidak miskin. Ingat tu. Sebenarnya engkau sangat kaya. Engkau sihat tanpa sebarang penyakit!” “Engkau ingat tak sebelum COVID-19, sewaktu Rumah Seri Kenangan mencari orang untuk diberi hadiah mengerjakan umrah. Engkau dapat pergi kerana engkau sihat. Walaupun engkau miskin wang tetapi engkau kaya dengan kesihatan. Berapa ramai orang yang teringin mengerjakan umrah dan mempunyai wang yang banyak tetapi tidak dijemput. Bukan semua orang dapat menjadi tetamu Allah, Ali.” Air mata Pak Ali bergenang mendengar kata-kata tersebut. Dia sepatutnya bersyukur kerana Allah menyayangi dirinya. Asbab berada di Rumah Seri kenangan, Cheras lah dia dapat mendalami ilmu agama melalui kelas pengajian agama di surau. 107 DI SEBALIK KENANGAN ITU Miskinkah Aku?
IBRAH ◆ Setiap perancangan Allah itu adalah yang terbaik. ◆ Berdamai dengan takdir yang telah ditetapkan Allah ◆ Zahirnya, miskin di mata manusia tetapi kaya di mata Allah ◆ Bersyukurlah apabila diberi peluang untuk berubah oleh Tuhan Yang Maha Esa. ◆ Berdoalah agar sentiasa dipermudahkan urusan dan diberi ketenangan.
“I will be your greatest fan. I will always defend you. I will be your protector. I will be your best friend and I will always be proud of you. I will love you unconditionally and will always be there for you.” Anonymous
MONUMEN RINDU Fikiran dan hatinya kosong seperti langit yang tiada berawan. Bangku kosong di hadapan gereja Methodist Ipoh itulah teman setia sejak sebulan lalu. Dari jauh dia melihat Father Wallace berjalan menuju ke arahnya. Father Wallace yang berkulit cerah dan berbangsa cina itu selalu meluangkan masa untuk berbual dan bertanya khabar dirinya. “Good morning Chytia. Do you take your breakfast?” Aku merenung father dan menggelengkan kepala. “Chytia, you cannot be like this. Awak harus kuat dan jaga kesihatan. Apa pun masalah, Tuhan akan tolong.” Air mata aku luruh kembali. Aku sudah hilang harapan. Aku buntu! “We will find the way. Awak jangan sesekali putus harapan, teruskan usaha dan berdoa setiap hari.” Aku menganggukkan kepala dengan lemah. Mungkinkah masih ada sinar itu? 110 DI SEBALIK KENANGAN ITU Monumen Rindu
Tahun 1983 “Chytia, you must understand one thing, I am never accepting you in this family.” Mak mentua yang aku hormati mengulang kembali ayat yang bagaikan mantera di telingaku dan ia sangat menyakitkan jiwaku. Cawan dan piring yang bersepah di atas meja makan aku kutip satu persatu. Mataku mengerling dia yang kembali melabuhkan badannya di sofa. Surat khabar dicapainya dan langsung tidak mempedulikan diriku. “Amma! Amma! Saya lapar.” Pandangan aku segera beralih ke arah Anand yang muncul secara tiba-tiba. Segera kutarik tangannya ke dapur. Pinggan kosong kucapai dan sekeping capati yang masih hangat kuletakkan ke dalam pinggannya. Anakku yang berusia hampir tiga tahun itu tidak mengerti, betapa hati emaknya ini sedang terluka. Sesungguhnya, aku bukanlah menantu pilihannya. Diriku disisih dan dihina semahunya. Semenjak hari pertama aku berkahwin, aku dijaga dengan baik oleh suami dan seluruh ahli keluarga mentua. Hinggalah aku mengandungkan Anand, sikap ibu mentuaku mula berubah. Layanannya semakin dingin setelah kelahiran Shasikala setahun kemudian. Tidak sesekali aku melawan apa jua penghinaan atau perbuatan kasar yang dia lakukan kepadaku. Aku memilih untuk berdiam dan menjadi menantu yang baik di matanya. 111 DI SEBALIK KENANGAN ITU Monumen Rindu
“Cyhtia! Datang sini cepat.” Aku tersentak mendengar namaku dipanggil. Cawan di tangan hampir terlepas. Entah bila Anand selesai makan tidak aku sedari. Aku bergegas ke arah ibu mentuaku. “Ada apa Amma?” Sekeping kertas diserahkan kepadaku tanpa memandang wajahku. “Pergi pasar sekarang. Pak cik Maniam akan datang untuk makan malam. Nanti rassam Telur biar aku yang masak. Kau tak pandai masak nanti masin seperti selalu. Kau kan memang suka darah tinggi aku naik. Senanglah hati kau jika aku cepat mati.” Aku hanya diam terkulat-kulat. Hatiku pedih. Bagaikan terhina. Tahun 1988 “You get out from my house! You get out now!” Badanku terdorong dek tolakannya. Sebuah beg sandang berisi helaian pakaianku turut dicampak keluar. Pintu utama dihempas dengan kuatnya. Aku meraung dan merayu supaya dibuka kembali pintu. “Amma, please! Buka pintu ini Amma. Tolonglah, jangan halau saya. Apakah salah saya, kenapa Amma pisahkan saya dengan anak-anak? Bukalah pintu Amma!” “Kaulah punca anak aku mati. Kau tak layak jaga cucu-cucu aku. Go to hell, you not deserve to be their mother!” Terasa bagaikan nyawaku melayang dibawa pergi. Hatiku bagai disiat-siat. Sakitnya dirasakan. Mengapa kejamnya manusia yang bergelar seorang ibu, tidak mengerti hati seorang ibu yang lain. 112 DI SEBALIK KENANGAN ITU Monumen Rindu
Apakah memang aku malang sedari kecil? Semenjak usia lima tahun aku telah diserahkan kepada keluarga angkat. Kesakitanku kerana kematian suami sebulan yang lalu masih belum terubat, kini kehilangan anak-anak pula. Empat anak yang kukandung dengan penuh kasih sayang, dirampas dengan kejamnya. Apakah lagi yang tinggal buat diriku? Mengapakah Tuhan kejam membuatkan nasib diriku sebegini? Laluan penjalan kaki di depan bilik sudah siap disapu. Aunty Marry yang menjadi teman sebilik telah melambaikan tangannya. Pasti ada sesuatu yang dimahukan. “Yes, aunty mahu apa?” Aku melaung bertanya. Aunty Marry bermasalah dengan pendengaran, jadi sesiapa pun perlu bercakap kuat dengannya. “How you feel today? Are you happy live at here now?” “Yes, I am very happy and peaceful now aunty.” “Good. Cythia, awak mesti selalu ingat. Tuhan tidak kejam. Mesti percaya awak akan bertemu kembali dengan anak-anak. Keep praying. Always believe the faith.” “I always believe!” Aku bersyukur ditemukan dengan Father Wallace ketika aku menjadi gelandangan sebaik dihalau keluar oleh ibu mentuaku. Atas jasa beliaulah aku dapat menetap di rumah kebajikan. Di Rumah Seri Kenangan inilah aku berharap menjadi tempat terakhir untuk aku berlabuh. Biarlah di sini juga akan menjadi saksi pertemuan aku dengan anak-anak yang kurindui nanti. 113 DI SEBALIK KENANGAN ITU Monumen Rindu
IBRAH ◆ Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. ◆ Kasih sayang seorang ibu tidak boleh diganti dengan siapa jua atau apa jua. ◆ Siapa jua pilihan pasangan si anak, terimalah dengan baik dan hormati pilihan mereka. ◆ Keyakinan kepada Tuhan akan membuat kita sentiasa tenang dan berjaya hadapi apa jua dugaan hidup. ◆ Tidak ada istilah ‘NASIB MALANG’ dalam hidup. Yang ada hanyalah ujian dan hikmah, qada dan qadar.
“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah al-Hadid ayat 20)
SURAT TERBUKA BUAT PEMBACA Assalamualaikum. Doaku agar kalian yang membaca surat ini akan sentiasa gembira dan bahagia di samping keluarga. Sebelum aku menulis lebih panjang, izinkan aku mengenalkan diri terlebih dahulu. Namaku Md. Fazil dan berasal dari Jitra, Kedah. Fizikal diriku sempurna, Alhamdulillah. Berkulit sawo matang dan tinggiku sekitar 6 kaki lalu tidak melayakkan aku menjadi pujaan hati perempuan di zaman remajaku. Aku merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Tahun ini usiaku genap 64 tahun. Pada usia begini ramai kenalanku yang menghabiskan masa bermain dengan cucu. Aku? Lebih banyak masa untuk diri sendiri. Kediaman mewahku kini bukanlah rumah besar yang dipenuhi tawa riang ahli keluarga, sebaliknya Rumah Seri Kenangan Cheras inilah syurga buatku. Rumah yang lebih mewah dengan pelbagai prasarana dan para penghuninya yang pelbagai ragam. 116 DI SEBALIK KENANGAN ITU Surat Terbuka Buat Pembaca
Rumah ini adalah rumah jagaan untuk orang tua yang terbuang, gelandangan ataupun yang kehilangan keupayaan untuk menyara hidup. Mengapa aku memilih menghabiskan umurku di sini? Adakah aku dibuang atau ditangkap ketika mengemis mencari rezeki? Usahlah kalian banyak sangkaan. Aku mahu berkongsi cerita yang benar di dalam warkah ini. Bacalah dengan hati nurani agar sangkaan kalian tidak membunuh kegembiraan hidup kami yang masih bersisa. Bagaimanakah hubungan aku dengan adik-beradik sehingga tercampak di rumah ini? Hubungan aku dengan adik-beradik biasa sahaja. Antara mereka ada yang bergelar profesor dan ada juga yang menjawat jawatan tinggi di Permodalan Nasional Berhad (PNB). Yang paling rapat denganku adalah adik nombor enam. Entahlah, mungkin dengan dia, aku boleh bercerita apa sahaja. Aku juga disayangi oleh anak-anak saudara. Daripada mula bekerja aku sudah terbiasa membawa diri. Tidak sesekali aku mahu menyusahkan adik-beradik. Mungkin juga tahap pendidikan aku yang rendah menjadikan aku terlalu berdikari hingga ke usia sebegini. Sebelum wabak COVID-19 melanda, aku bekerja sebagai pengawal keselamatan di Setapak dengan gaji sekitar seribu lima ratus ringgit. Bagi aku itu sudah cukup besar untuk menampung kehidupan seorang diri. Ia tahun ke-19 aku di dalam sektor pekerjaan ini. Sayangnya, ia juga menjadi tahun terakhir aku. Wabak COVID-19 menjadi asbab rezeki aku terhenti dan seperti dirampas. Perit! Ketika itu aku tidak punya simpanan wang. Sewa bilik pun aku tidak 117 DI SEBALIK KENANGAN ITU Surat Terbuka Buat Pembaca
mampu membayarnya. Makan minum atas ehsan rakan-rakan dan bantuan NGO. Masih segar di dalam ingatan pada bulan Jun tahun 2020, aku memohon untuk tinggal di Rumah Seri Kenangan. Aku bertahan dan bertawakal semampu mungkin. Aku hanya diterima selepas enam bulan penantian yang menyeksakan. Bagaikan hidup tetapi tidak bernyawa ketika itu. Mengapa aku tidak tinggal dengan adik-beradik? Bukan mereka tidak mempelawa tetapi aku sendiri yang menolak. Ibarat katakata orang lama, kasih ibu hingga ke syurga, kasih ayah selamanya, kasih saudara kandung bagai ombak yang ada pasang surutnya. Seboleh mungkin aku tidak mahu menyusahkan mereka atau terasa hati jika ada yang terlepas cakap di belakang nanti. Cukuplah sekali aku terdengar ayat “dia tu menumpang sahaja” dari mulut saudara sendiri ketika mula berdikari. Terasa jantungku bagai dirobek belati tajam. Sakit hingga ke tulang hitam. Sombongkah aku? Jawapannya tidak. Demi kasih sayang yang kuat di hati, itulah pilihan terbaik yang aku buat di dalam sisa hidup yang masih berbaki. Oleh itu, aku selesa dengan kehidupan sekarang. Tiada tanggungjawab sebagai suami dan bapa sehingga kini. Bukan aku menolak jodoh di usia muda tetapi kerana aku yakin Allah lebih tahu apa yang terbaik buatku, sehingga aku dipanggil pulang bertemu Dia. 118 DI SEBALIK KENANGAN ITU Surat Terbuka Buat Pembaca
Dua tahun aku di sini, segalanya sempurna pada pandangan mata tua ini. Tiada lagi kerisauan keperluan diri dan sakit pening. Keadilan Tuhan itu sentiasa ada untuk setiap hamba-Nya. Tidak dikurniakan aku jodoh dan kemewahan hidup, tetapi diberikan aku ketenangan dan silaturahim yang bersinar umpama berlian. Siapakah yang aku rindu saat bersendirian di malam hari? Tidak lain dan tidak bukan adalah arwah emak. Sejak kebelakangan ini susuk tubuh dan kenangan bersama dia begitu kuat menjerut ingatan dan hati. Rindunya Ya Allah! Pernah jua beberapa kali bermimpikan mereka. Memori yang sentiasa hidup bersama arwah emak ialah saat dia menyediakan juadah untuk kami adik-beradik. Arwah emak akan membahagikan sama adil dan menyimpan di dalam bekas khas untuk setiap anak. Itulah cara emak mengelakkan pergaduhan antara kami. Juadah emak walaupun sekadar cekodok pisang, kelazatannya kekal hidup sehingga kini, di dalam memori. Al-Fatihah buat emak. Aku harap ceritaku ini tidak menjemukan kalian. Inilah kisahku dan pilihanku. Tiada paksaan dan tiada kesalan. Pesanku jagalah silaturahim dan kasih sayang keluarga. Ia mahal dan tidak dapat dinilai dengan harta material walaupun untuk hidup selesa kita memerlukan harta. Sayangi pasangan dan jagalah amanah Tuhan iaitu anak-anak. Ingatlah ketika jasad ke liang kubur hanya kain kapan dan amalan yang kita bawa. Itu juga belum tentu kita ada jika hidup sentiasa sombong, takbur dan kufur nikmat. 119 DI SEBALIK KENANGAN ITU Surat Terbuka Buat Pembaca
Doakan yang baik-baik buat aku dan penghuni di sini. Tiada apa yang lebih menggembirakan kami selain layanan baik dan kunjungan kasih sayang. Itulah yang menghidupkan tunas kegembiraan kami setiap hari. Itulah jua pengubat kerinduan buat sebahagian kami yang telah hilang segalanya. Aku mengundur diri dahulu. Maaf untuk setiap khilaf yang ada. Buat ahli keluargaku yang membaca surat ini, sudah kumaafkan kalian sehabisnya. Aku mahu ke syurga tanpa tertahan kerana adanya dendam di hati. Md Fadzil 18 Jun 2022 10.00 malam Rumah Seri Kenangan, Cheras 120 DI SEBALIK KENANGAN ITU Surat Terbuka Buat Pembaca
IBRAH ◆ Allah sudah tentukan rezeki untuk setiap hamba-Nya. Tidak ada lebih dan kurang, cukup sekadar kemampuan penerimanya. ◆ Kita bertanggungjawab atas setiap pilihan yang telah dibuat. ◆ Kesenangan dan kesusahan adalah ujian dari-Nya. Banyakkan bersyukur itu lebih menenangkan hidup. ◆ Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Begitulah ikatan kekeluargaan. Maaf-memaafkan. ◆ Buang sikap berburuk sangka. Belum tentu yang dilihat mempamerkan kebenaran yang terselindung.
“Keluarga, mereka adalah orang-orang dalam hidup anda yang tidak bisa anda pilih. Hal-hal yang diberikan kepada anda, bukan yang dapat anda pilih.” Sarah Dessen
TAKDIR UNTUKKU Aku memandang Kalsum yang sedang termenung jauh di depan pintu. Tak tergamak hendak mematikan lamunan si adik. Kuambil cawan berisi air kopi yang terletak di sebelah tilam nipis tempat pembaringan. Kuhirup penuh nikmat... “Bang Teh, Sum minta maaf. Bukan Sum tak mahu jaga abang, tetapi abang pun tahu keadaan keluarga Sum. Abang Kamil pun hanya kerja kampung. Ada kerja adalah duitnya.” Aku menundukkan pandangan sebaik melihat Kalsum mengesat air mata dengan hujung lengan bajunya. Dia satu-satunya adik perempuan yang paling rapat denganku. Sembilan lagi adik-beradik yang lain jarang sekali bertemu muka. Mungkin juga aku puncanya, kami tidak betah untuk bertanya khabar. Prinsip aku yang suka membuat keputusan sendiri selalu tidak disenangi oleh mereka. “Sudahlah Kalsum. Tak perlulah kau susah hati atau rasa bersalah.” Wajah adik yang semakin sugul menambahkan duka di hati aku. “Abang Teh hanya menumpang sementara. Lagipun semalam semasa Pak cik Kamal datang melawat, dia ada beritahu dia akan bantu abang untuk dapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.” “Benarkah? Bantuan yang bagaimana?” 123 DI SEBALIK KENANGAN ITU Takdir Untukku
“Entahlah. Abang pun tak pasti bantuan yang bagaimana boleh dapat, yang pasti dapatlah meringankan beban kau sekeluarga nanti.” Kalsum mencapai minyak urut di kakiku. Dituangnya sedikit di tapak tangannya. Aku membetulkan bantal dan mula mengiringkan badan ke kiri. Kesakitan akibat jatuh ketika menukang sebulan yang lepas masih belum sembuh sepenuhnya. Kali ini sakitnya lebih lama. Mungkin disebabkan faktor usiaku yang sudah mencecah 50-an. Bising mulutku mengaduh kesakitan sebaik jemari Kalsum mula menekan sekeliling kawasan pinggang. Aku cuba memejamkan mata dengan harapan sakitku ini akan hilang dan boleh kembali mengambil upah menukang rumah. Sekonyong-konyong itu juga ingatan terhadap Taukeh Chong muncul di kotak kenangan. Seandainya dia muncul di hadapanku saat ini pasti sudah aku tampar pipinya yang dipenuhi jerawat pasir itu. Geram! “Haiya Ateh! Itu Pak Samsul mahu rumah dia siap hujung minggu ini. Awak mesti siapkan cepat.” “Taukeh, macam mana mahu cepat. Saya seorang kerja. Ali sudah balik kampung. Bini dia sakit.” Aku melihat Taukeh Chong menggaru-garu kepalanya yang sudah hampir 124 DI SEBALIK KENANGAN ITU Takdir Untukku
botak. Kemeja-T berwarna kuning yang dipakainya dipenuhi debu-debu tanah merah. “Lu kasi siap cepatlah. Tinggal bahagian dapur sahaja. Nanti saya up lagi sikit upah.” Bahuku ditepuk-tepuk oleh Taukeh Chong. “Iyalah, saya cuba.” Aku menjawab ringkas. Genap seminggu kerja-kerja menyiapkan rumah Pak Samsul selesai. Puas hatiku melihat hasil kerja sendiri disukai olehnya. Selama seminggu itu jugalah aku bekerja sehingga jam 10 malam. Baik juga Pak Samsul benarkan aku tidur di rumahnya yang hampir siap ketika itu. “Bang, kerja sudah siap. Saya mahu beransur pulang dah ni. Jadi saya mahu baki upahnya dibayar hari ini. Boleh ya bang?” Aku melihat Pak Samsul mengerutkan wajahnya. Hampir bercantum keningnya yang tebal itu. “Ateh, saya sudah selesaikan baki bayaran seminggu yang lalu. Saya bayar kepada Taukeh Chong sebab dia kata jika mahu cepat siap perlu membuat bayaran dulu.” Aku tersandar ke dinding rumah berwarna biru itu. “Jangan main-main bang. Janganlah tipu saya. Kesianlah pada saya. Duit itu saya mahu berikan pada adik saya. Mereka tengah susah.” “Saya tak tipu Ateh. Kau boleh tanya dengan Kasim Simpang 5. Dia saksi semasa saya serahkan duit itu.” ‘Allah, aku sudah ditipu sekali lagi!’ jeritan itu bergema di dalam hati. Berpinar rasanya pandangan mata. Penat yang baru menghilang bagai kembali memijakmijak tubuh badan ini. 125 DI SEBALIK KENANGAN ITU Takdir Untukku
Hendak menghubungi Taukeh Chong untuk mendapatkan kepastian aku tidak tahu keberadaannya sekarang ini. Baki bayaran sebanyak dua ribu ringgit yang sepatutnya aku terima telah lesap. Apa lagi yang boleh kulakukan selain pasrah. “Kau rasa bagaimana hari ini? Kau sudah boleh bangun?” Aku senyum dan cuba bangun perlahan-lahan. Kamal cuba membantu tetapi segera aku tolak. Dia duduk kembali di tepi meja kecil yang terhidang biskut kering bersama secawan teko berisi air teh. “Kau tengok ni, aku dah beransur pulih.” Dia menganggukkan kepalanya. Sebatang rokok dikeluarkan dan dihulur kepadaku. Aku menolak dengan baik. “Maaf, aku lupa kau sudah tidak merokok.” Dinyalakan pemetik api dan segera dicucuh kepada rokok yang sedia tersepit di bibirnya itu. Melihat dia menyedut dan menghembuskan asap rokok tersebut membuatkan aku sedikit tertawa. “Kau ni seperti sudah berbulan-bulan tidak merokok.” Kamal tersengih mendengar usikan aku. “Ala Teh, kau bukan tak tahu, Si Aini tu pantang kalau mulut aku berbau rokok. Berminggu-minggu disuruhnya aku tidur di luar. Masak pun tak mahu. Boleh mati keras aku dibuatnya.” Aku sambut dengan ketawa panjang sebaik mendengar keluhan dia. “Ha, aku datang ni ada berita baik. Permohonan kau untuk masuk ke pusat jagaan orang-orang tua sedang diproses. Minggu depan akan ada pegawai yang datang melawat.” 126 DI SEBALIK KENANGAN ITU Takdir Untukku
“Betul ke Kamal?” “Betul. Aku nak tolong duit aku sendiri pun cukup-cukup makan pakai. Inilah yang boleh aku tolong.” “Alhamdulillah. Ini pun sudah cukup meringankan beban aku dan keluarga Kalsum.” “Kalsum tidak marahkah dengan keputusan kau ini Ateh?” Aku terdiam seketika. Mungkin Kalsum akan berasa sedih dan marah tetapi pada aku, ketika ini ia adalah keputusan yang terbaik. Sekurang-kurangnya hal kesihatan, makan pakai aku terjaga dan beban yang ditanggung Kalsum sekeluarga akan berkurangan. Biarlah aku mengalah demi kebahagiaan dan keselesaan mereka. Aku yang memilih untuk hidup sendirian, apapun yang akan terjadi selepas ini adalah atas pilihanku sendiri. Aku tidak membuang keluarga dan bagiku juga mereka tidak membuang aku. Biarlah sisa hidup yang masih ada, aku habiskan untuk memburu cinta Ilahi di rumah jagaan itu. 127 DI SEBALIK KENANGAN ITU Takdir Untukku
IBRAH ◆ Walau susah bagaimanapun jagalah ikatan kekeluargaan. ◆ Membantu orang lain di dalam kesusahan adalah hal yang sangat dituntut di dalam agama. ◆ Perbuatan menipu bukan perbuatan yang baik. Ia menghancurkan dan memusnahkan kepercayaan insan lain terhadap diri sendiri. ◆ Berusahalah menepati janji yang diberikan. Ia sikap yang terpuji. ◆ Mengalah bukan bermakna kalah sekiranya ia memberi makna kebahagiaan kepada orang lain.
Sabda Nabi Muhammad SAW; “Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri”. Riwayat Bukhari dan Muslim
UNTAIAN RINDU Rindu yang menggigit tangkai hati membuatkan air mataku selalu berjuraian. Begini rupanya hidup ditemani kesepian dan kerinduan. Aku terpisah daripada adik dan juga anak-anak saudara kesayangan. Bukan ini yang aku doakan pada setiap kali usai solat. Tidak pernah aku terfikir yang aku akan berada di sini menghabiskan sisa hidup dan menunggu jemputan terakhir dari-Nya. Masih segar di dalam ingatan, ketika aku pitam secara tiba-tiba di rumah Azmi, adikku itu. Isterinya bersusah payah mengangkat aku bersama anaknya bernama Hasan. Dua hari aku tidak mampu bangun. Mira, isteri Azmi terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk menjaga aku. Dibawanya aku ke klinik dengan meminta bantuan Pak Ali Teksi di hujung lorong Melur kampung Jeram. Penempatan setinggan inilah dunia kami adik-beradik dan beberapa kenalan lama. Mahu menyewa tidak mampu kerana gaji mereka suami isteri sekadar cukup makan pakai sekeluarga. Akulah yang menjaga anak-anaknya ketika mereka keluar bekerja. Dengan cara itulah kami dapat berjimat. Masa itu gaji sekitar lapan ratus ringgit sudah dianggap mewah oleh kami di awal tahun 90-an. Ketika doktor mengesahkan aku mempunyai darah tinggi, aku termenung 130 DI SEBALIK KENANGAN ITU Untaian Rindu
jauh. Bukan setakat darah tinggi tetapi aku juga disahkan kekurangan vitamin di dalam badan. Rupanya itulah punca mengapa aku mudah letih dan lesu semenjak memasuki usia 50-an. Tidak aku lupa di satu hari minggu ketika sedang memasak, secara tiba-tiba aku terasa seluruh ruang dapur rumah papan tersebut berpusing. Aku terjelepuk ke lantai. Dahiku luka kerana terhantuk bucu meja dapur. Aku terjerit dan terus sahaja berbaring di atas lantai simen yang sejuk itu lalu memejamkan mata dek kerana kepalaku yang terasa pening. Kemudian aku terasa badan digoncang oleh seseorang. Sayup-sayup kuterdengar suara Hasan memanggil namaku. Aku dibangunkan dan ketika mata dibuka aku lihat ubat yang biasa dimakan sudah ditangannya. Tanpa bersoal jawab, kutelan ubat yang dihulurnya. “Mak Long tak boleh tak makan ubat. Hasan sudah banyak kali pesankan?” Itulah anak saudaraku yang penyayang. Begitu juga dengan kembarnya Husin. Walau jarang berada di rumah tetap ambil tahu keadaanku. Apabila aku selalu jatuh sakit, keadaan rumah menjadi tidak terurus. Mira dan Azmi semakin susah mahu menjaga diri ini. Kesukaran membawa aku menjalani rawatan pada setiap bulan menjadikan kesihatan aku semakin teruk. Suatu hari, jiranku yang baik datang melawat setelah hampir sebulan kuterlantar. Kak Rohana memang rajin berjalan dan ramah dengan semua orang. Orangnya berbadan gempal dan berlesung pipit. Sambil berjalan dia akan memakai cermin mata hitam. Gayanya persis pelakon Yusni Hamid. 131 DI SEBALIK KENANGAN ITU Untaian Rindu
“Siti, kak dengar awak selalu tak sihat. Tak pantang makankah? Orang darah tinggi tak boleh makan yang masin-masin. Perlu cukup rehat.” “Ya kak, memang tak berapa sihat. Nak rehat macam mana kak. Tengok keadaan rumah ni, jika bukan saya yang menolong Mira dan Azmi, nak harap siapa lagi.” “Macam inilah Siti. Apa kata kak tolong mintakan bantuan dengan tok ketua nanti. Cuba mohonkan untuk awak untuk duduk di rumah jagaan sementara. Biarlah kesihatan awak pulih betul.” “Ish, boleh ke kak? Kesian pula dengan anak-anak mereka jika saya tiada nanti.” “Fikir diri awak Siti. Kita nak tolong orang perlu lihat diri kita juga. Lagipun di sana makan minum dan rawatan diberikan. Sesekali boleh balik atau ahli keluarga dapat datang melawat.” “Baiklah kak. Terima kasih sudi bantu saya. Saya ni tidak bersekolah. Banyak yang tidak tahu hal di luar sana.” Itulah antara perbualan aku dengan Kak Rohana yang masih aku ingat sehingga kini. Dua bulan kemudian, aku dikhabarkan akan diambil oleh pegawai kebajikan, untuk ditempatkan di Rumah Seri Kenangan, Cheras. Memang betul apa yang diberitahu oleh Kak Rohana. Aku dijaga dan dirawat dengan baik. Cuma aku terkilan kerana sehingga kini Azmi, Mira dan anakanaknya tidak pernah datang melawat aku di sini. 132 DI SEBALIK KENANGAN ITU Untaian Rindu
Aku rindukan mereka. Yang lebih menyedihkan lagi, aku tidak tahu bagaimana mahu menghubungi mereka. Aku mahu pulang ke rumah itu. Biarpun ia kecil dan tidak mewah, tetapi ia membahagiakan aku sebagai seorang kakak dan saudara tua. Hatiku bertambah hiba ketika hari raya yang lalu, tiada ketupat dan rendang serta sambutan hari raya sangat hambar di rumah jagaan ini. Masing-masing membuat hal sendiri selepas solat sunat Aidilfitri. Aku memujuk hati dengan zikir dan tasbih. Hari ini, aku masih tetap berharap mereka akan datang mengambil aku untuk tinggal bersama mereka semula. Moga Allah makbulkan. 133 DI SEBALIK KENANGAN ITU Untaian Rindu
IBRAH ◆ Tidak pernah rugi berbuat baik sesama saudara. ◆ Hati orang tua sangat sensitif, jagalah adab ketika berbicara dan pergaulan. ◆ Indah dan selesa mana pun rumah orang, lebih selesa rumah sendiri walaupun buruk. ◆ Jangan pernah berhenti berdoa dan mengharap doa-doa itu dimakbulkan. ◆ Kesihatan adalah harta paling berharga di dalam hidup.
“Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiya ayat 35)
WARKAH BUAT AINA Kehadapan anakanda Aina yang mak sayangi, S emoga anakanda sentiasa sihat dan di dalam perlindungan Allah SWT hendaknya. Ketika surat ini sampai ke tangan Aina, pastinya mak sudah tiada lagi di dunia ini. Janganlah dimarahi kakak kamu, Aini dan abang kamu Ammar kerana tidak memberi surat ini terlebih dahulu. Aina, Hidup ini seperti sebuah buku yang mempunyai pelbagai bab suka dan duka dan Aina adalah salah satu bab yang menggembirakan hati mak. Anak comel yang dilahirkan berkulit putih mulus dan berlesung pipit. Mempunyai mata yang galak dan mudah tertawa, menyebabkan semua yang memandang mudah terpikat. Aina, Mak tidak pernah berasa kecewa kerana Aina tidak datang menziarahi mak selama mak berada di Rumah Seri Kenangan, Cheras ini. Mak tahu dengan kedudukan dan jawatan yang Aina pegang, pastinya Aina tidak mahu terpalit dengan latar belakang mak yang hitam ini. Tambahan pula, Aina bakal berkahwin tidak lama 136 DI SEBALIK KENANGAN ITU Warkah Buat Aina
lagi dengan anak seorang yang berpengaruh. Aina juga pasti tidak mahu orang tahu bahawa Aina adalah anak ‘Cik Mah, Ratu Dangdut’ yang terkenal di kelab-kelab dangdut sekitar Klang suatu masa dahulu. Aina sayang, Maafkan mak kerana tidak menjaga kamu seperti ibu yang lain. Kamu terpaksa membesar di rumah kebajikan dan kemudiannya dijadikan anak angkat. Maafkan mak, sayang. Mak tahu Aina marahkan mak tetapi mak terpaksa, sayang. Tidak pernah sehari dalam hidup mak, mak tidak menyesal akan kesilapan ini. Aina, Ibu mana yang mahu membesarkan anak-anak mereka di kaki lima. Perjalanan yang sangat menyedihkan ini tidak pernah menjadi pilihan mak tetapi keadaan dan takdir yang menjadikannya. Hanya kerana keseronokan mak di usia muda dan ketamakan mak kepada wang ringgit menyebabkan mak menjadi penyanyi di kelab dangdut. Di situlah juga mak berjumpa dengan bapa kamu, pelanggan tetap di situ. Namun langit tidak selalu cerah. Selepas kamu dilahirkan, ayah kamu menjadi tidak suka kepada mak dan selalu memukul mak. Itu yang menyebabkan mak membawa kamu bertiga lari jauh meninggalkan rumah yang telah menjadi neraka buat kita. Mak masih ingat bagaimana tekadnya mak untuk menyelamatkan kamu tiga beradik daripada dijual oleh ayah kamu demi menebus hutang judinya. 137 DI SEBALIK KENANGAN ITU Warkah Buat Aina