Pagi itu, selepas ayah kamu keluar dari rumah untuk mengopi dan pastinya bermain mahjung, kita keluar dari pintu dapur menuju ke stesen bas. Berbekalkan wang dapur yang disembunyikan selama ini, mak telah membeli tiket bas untuk ke rumah datuk kamu di Klang. Namun sampainya kita di kampung, nenek telah menghalau kita sekeluarga kerana mak telah dianggap menconteng arang di muka atok, seorang yang berpengaruh di kampung. Puas mak melutut memohon maaf dan meminta atok untuk mengasihani anakanak mak yang kecil dan tidak berdosa ini namun hampa. Mak tidak boleh kembali bekerja di kelab malam kerana mak takut bapa kamu akan menjumpai kita. Pilihan yang ada ketika itu adalah tidur di kaki lima. Malam itulah bermulanya hidup kita sebagai gelandangan. Hidup sebagai gelandangan tidak mudah. Siang dan malam mak tidak dapat melelapkan mata langsung, khuatir ada yang akan menculik anak-anak mak untuk dijadikan peminta sedekah. Mak sembunyikan Aina, abang dan kakak di belakang kedai makan Ah Chong, penjual nasi ayam Hainan sementara mak pergi mengemis untuk membeli makanan. Mak tidurkan kamu adik-beradik dengan meletak sedikit ubat batuk agar kamu tidur dengan nyenyak. Selepas itu, mak tutup kamu bertiga dengan kotak yang mak kutip dari pasaraya berdekatan. 138 DI SEBALIK KENANGAN ITU Warkah Buat Aina
Keadaan memaksa mak melakukan perbuatan itu. Tidak ada sesiapa yang tahu apa yang mak lakukan kecuali Aunty Dorinne, penyanyi kelab malam berbangsa Filipina yang selalu memberi wang untuk kamu bertiga. Aina, Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Kita ditangkap sewaktu ‘Operasi Menyelamat Gelandangan’. Hari Sabtu yang malang. Luka di kaki mak yang bernanah akibat kencing manis menyebabkan pergerakan mak agak lambat dan kita ditangkap. Kamu tiga beradik dihantar ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah di Cheras dan mak dihantar jauh ke Mersing. Aina, Menjadi gelandangan bukan pilihan mak, sama seperti mak tidak pernah memilih untuk berkahwin dengan bapa kamu yang jahat itu. Mak terperangkap kerana ubat guna-guna yang dipakai oleh bapa kamu. Mak sanggup melepaskan kamu semua kerana mak sudah tidak mampu menjaga kalian. Mak mahu kamu dapat pergi ke sekolah dan menjadi orang yang berjaya. Mak tidak mahu masa depan kamu berakhir di lorong-lorong gelap dan kotor. Aina, Sudah lima tahun mak dipindahkan ke sini. Mak banyak menghabiskan masa dengan berzikir dan beristighfar memohon ampunan di atas dosa-dosa mak yang lampau. Bersama sahabat-sahabat yang senasib dengan mak dan kami sama-sama belajar ilmu agama. 139 DI SEBALIK KENANGAN ITU Warkah Buat Aina
Namun, kebelakangan ini, keadaan kesihatan mak semakin merosot dan mak terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit. Penyakit kencing manis mak juga sudah melarat sehingga sebelah kaki mak terpaksa dipotong. Buah pinggang mak yang rosak menyebabkan mak terpaksa menjalani dialisis setiap dua hari. Aina, anak yang mak sentiasa rindui, Mak sentiasa mendoakan kamu adikberadik di dalam solat mak setiap hari dan mak sentiasa mendoakan agar kita sekeluarga dipertemukan di syurga nanti. Salam Sayang, Mak, Rumah Seri Kenangan, Cheras 16 Julai 2022 140 DI SEBALIK KENANGAN ITU Warkah Buat Aina
IBRAH ◆ Ikut hati mati, ikut rasa binasa. ◆ Jangan silap buat pilihan sewaktu muda jika ingin hidup dalam rahmat. ◆ Dahulukan akal bila membuat keputusan dan kawal nafsu dengan iman. ◆ Tidak pernah terlambat untuk bertaubat. ◆ Manfaatkan usia yang masih tersisa dengan beribadah kepada-Nya.
ISBN 978-967-5472-55-8 Di Sebalik Kenangan Itu 9789675472558 Perjalanan hidup setiap manusia itu berbeza. Ada yang cantik jalannya ada pula yang bersimpang-siur. 20 antologi kisah kehidupan ditulis dengan pelbagai warni-warni emosi di dalam buku ini. Ia bukan hanya tentang kisah mereka tetapi boleh sahaja menjadi kisah kehidupan kita. Apa yang terakam sebagai memori tetap menjadi kenangan yang tidak terpadam selamanya. “Mat, aku bukan tak mahu memaafkan. Aku sudah cuba dan berusaha melupakan tetapi tidak boleh Mat. Sumpahan itu selalu meratib di telingaku. Kau tengok, hidup aku tunggang langgang! Aku tercampak di sini bukan sebab sumpahan dia ke?” Apakah sumpahan menjadi nyata hanya daripada kata-kata orang yang dibenci? Bacalah dengan mata hati, ambilah ibrah di sebalik hidup yang penuh pancaroba. Selamat menelusuri kisah kehidupan ini. Di Sebalik kenangan itu