The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by NOR AZURA BINTI MIOR DAUD (ISM), 2023-01-18 01:01:54

Di Sebalik Kenangan Itu

Di Sebalik Kenangan Itu

‘Karen, I miss you!’ Hatinya mula berlagu sendu. Jendela rindu yang terkatup kini terbuka lagi. Seperti hari-hari yang dilalui sebelum ini, dia akan menyimpulkan rindu itu dengan harapan untuk bertemu kembali. “Mary! Mary! Datang ke sini segera!” Aku meninggalkan basuhan baju yang masih belum selesai. Aku lihat Karen sedang memegang perutnya yang besar itu. Lantai sudah dibanjiri cecair jernih. “Cepat! Telefon Alan, sudah sampai masa pergi hospital.” Serta-merta aku ke rumah jiran sebelah untuk meminjam telefon. Sebaik selesai memberitahu Alan, aku berlari pulang ke rumah. Beg baju bayi yang awal-awal lagi kukemaskan semalam kugapai. Aku lihat wajah Karen dibasahi peluh. Sekejap dia menjerit kesakitan, seketika kemudian berusaha mengawal pernafasannya. Mujurlah Alan hanya berniaga di blok sebelah flat kami. Tidak sampai sepuluh minit Alan sudah datang bersama Abang Leman. Laju kereta Abang Leman membelah jalan raya yang mujur agak lengang. Karen dibawa ke hospital berdekatan. Aku tidak mengikuti mereka. Aku mengambil alih segala urusan kerja rumah. Memang itulah rutin aku semenjak tinggal bersama mereka. Karen sahaja yang aku ada. Dialah kakak, kawan baik dan kawan bergaduh. Aku beruntung setelah Karen berumah tangga, suaminya menerima dan melayan aku dengan baik. 38 DI SEBALIK KENANGAN ITU Harga Sebuah Pengorbanan


Sekitar jam 9:00 malam, Alan pulang dengan wajah keletihan. “Macam mana?” “Selamat. Anak saudara kau lelaki.” Senyuman penuh terukir di bibirnya. Setin minuman ringan diambil dari dalam peti sejuk kecil di ruangan dapur yang terbuka. “Mary, tahun ini nasib kita akan berubah. ‘Lu percayalah. Itu anak akan bawa ‘ong’ pada kita semua.” Kelahiran anak mereka pada tarikh lapan haribulan memang menggembirakan, kami percaya angka lapan memberi tuah di dalam kehidupan. Aku juga berharap tuah keluarga ini akan memberi tempias kepada kehidupanku di masa akan datang. “Termenung lagi!” Dia tersentak. Katty sudah berdiri di sebelahnya dengan sepiring kek mentega. “Masih rindu kakak? Sudahlah, nanti mereka pasti datang jika mereka ada masa lapang. Tak perlu rasa sedih selalu.” “Mana ada. Dia pun sudah tua. Anak-anak dia pun sudah berkawin, sudah jaga sama dia. Saya pun tak mahu susahkan dia fikir tentang diri saya lagi.” “Baguslah. Kita tunggu masa saja mahu mati. Buat baik sebanyak mungkin.” “Betul. Saya cuma kesal satu perkara saja dalam hidup saya.” Katty mengambil sepotong kek dan dihulurkannya kepadaku. Aku cubit sedikit untuk menjaga hatinya. 39 DI SEBALIK KENANGAN ITU Harga Sebuah Pengorbanan


“Apa yang awak kesalkan?” Aku mengeluh perlahan sebaik mendengar soalan itu. Selama ini, soalan tersebut tidak pernah diajukan kepadaku. Mungkin kerana aku sendiri tidak pernah menjangka akan tercampak di sini. “Saya kesal Katty, ketika usia remaja saya tidak habis belajar. Ketika dewasa pula saya tidak pernah ada keinginan untuk belajar hidup sendiri.” “Saya habiskan usia saya untuk membantu kakak dan keluarganya. Membesarkan anak-anaknya adalah kegembiraan saya tetapi, saya lupa mungkin saya akan hidup sendiri. Saya tidak bersedia langsung.” “Now, I do not have money, no family, no career. Tiada langsung kejayaan dalam hidup untuk diraikan. My life is failure!” Air mata yang tertahan di tubir mata meluru jatuh. Terasa belakangku digosok perlahan. Segala sesak yang bertahun-tahun terpenjara di hati kulepaskan semahunya. Katty memeluk diriku dengan erat. Aku mengongoi seperti anak kecil yang kehilangan ibu. “Mary, listen. It is okey to feel like that but it is also not okey when keep telling yourself that you are fail in your life.” Tisu yang dihulur Katty kuambil. Sisa air mata kukesat dengan perlahan. “The past is past. God knows what the best for you. Tuhan balas kebaikan awak selama ini dengan berikan awak tempat tinggal yang baik sekarang. Awak mungkin tidak kaya harta tetapi awak kaya dengan kasih sayang.” 40 DI SEBALIK KENANGAN ITU Harga Sebuah Pengorbanan


Aku tundukkan kepala sambil mengurut dada. Mencuba untuk menerima nasihat indah itu sebagai terapi kebahagiaan hati ini. “This is what we called faith. We just need to be happy and gracefully. Trust me, what is said to be a failure in life is when we are not good at being grateful for God’s blessings.” “Terima kasih Katty. Saya akan ingat pesanan awak ini sehingga saya menutup mata.” Tangannya aku genggam erat. Akan aku kebumikan rasa penyesalan itu tanpa ada jejak. Tiada lagi derai air mata. Ya, tiada kekesalan. 41 DI SEBALIK KENANGAN ITU Harga Sebuah Pengorbanan


IBRAH ◆ Sentiasalah berbuat baik kepada ahli keluarga. ◆ Tidak ada kegagalan di dalam hidup selagi kita berusaha untuk memperbaikinya. ◆ Jangan memendam perasaan terlalu lama. Ia tidak baik untuk kesihatan. Berceritalah kepada mereka yang rapat. ◆ Sentiasa bersyukur dan bergembira dengan kehidupan yang dijalani setiap hari. ◆ Membahagiakan orang lain adalah perkara yang baik tetapi belajar juga untuk membahagiakan diri sendiri.


HATIMU BERSELIMUT DENDAM (Karya: Adi Taufik, S.Pd (Ridho An Nizar) Sorot matamu memerah tajam Bagai Singa yang sedang geram Dalam diammu engkau mengancam Kala hatimu berselimut dendam Dendammu tiada bertepi Menghujat hati nurani Tanpa sedikit pun engkau sadari Kegilaan yang engkau jalani Telah menghadirkan kontradiksi Wahai jiwa yang bergejolak Tak adakah terselip dalam benak? Tentang akibat dari perbuatan Diperbudak angkara nafsu setan Sadarlah! Bahwa damai itu indah Ketahuilah! Tabah itu berbuah hikmah Bertahanlah sembari bersyukur Amarah pasti melebur Ambisi akan tersungkur Kegilaan lemah terbujur Selagi masa itu masih ada Jalani hidup sayang sesama Kerana dengan rasa damai Harapan indah akan tercapai.


HATIMU BERSELIMUT DENDAM I sh, mereka ini tak pandai mengemas gamaknya selepas memasak?” Dia membebel, semerta itu dicapainya penyapu di tepi dinding. Ligat perlakuannya. Usai menyapu, dibuangnya sampah tersebut ke dalam tong sampah besar yang terletak di luar dewan. “Allah! Mesti mereka tak buang sampah semalam. Busuk betul!” Dia membebel lagi. Di dewan makan Rumah Seri Kenangan inilah tempat paling digemarinya. Selesai solat subuh di sinilah badannya akan berlabuh. Membantu pekerja di situ melakukan apa sahaja pekerjaan. Hatinya puas. Masa senggangnya yang sunyi terisi dengan melayan ulah pekerja-pekerja di situ. Hidup sebatang kara bukanlah hal yang menyeronokkan. Kesunyian yang mencengkam membuatkan dirinya mudah merindui masa silam yang kelam. Ingin “ 44 DI SEBALIK KENANGAN ITU Hatimu Berselimut Dendam


dibunuh sahaja segala momen hitam, tetapi sukar kerana ia kejap bertapa di kotak memori. “Assalamualaikum Pak Yeob!” Dia menoleh ke arah si pemberi salam. Seperti selalu Salleh yang digelar Si Kerang Busuk akan sampai tepat pada jam 6:50 pagi. Tukang masak yang suka melawak ini memang gemar sangat tersengih tanpa sebab. Itulah sebabnya dia menggelarnya Si Kerang Busuk. “Waalaikumusalam. Nak buat sarapan apa pagi ini Salleh? Menu tengah hari menu apa?” Dicapainya pisau di atas meja bankuet pendek yang terletak di sudut kiri dapur. “Buat Nasi Goreng Cina Pak Yeob. Air teh o dan kopi o sahaja. Kinah datang jam 10.00 pagi nanti. Anak Kinah tak berapa sihat hari ini. Sara pula masuk jam 9.00 pagi.” Salleh membuka api dapur dan mula memanaskan minyak di dalam kuali. Segala bahan memasak sudah tersedia di tepinya. Dia pasti itu kerja Pak Yeob. Kerjanya menjadi ringan sejak 5 tahun ini dengan kehadiran Pak Yeob. Walaupun tidak bergaji, Pak Yeob sangat ringan tulang dan suka membantu kerja-kerja di dapur. Cuma kadangkala dia tidak tahan mendengar bebelan Pak Yeob. Datang angin bekeng Pak Yeob dia akan segera lari sebelum disumpah seranah. 45 DI SEBALIK KENANGAN ITU Hatimu Berselimut Dendam


“Aku nak pergi tandas dulu. Yang lain aku dah siapkan.” “Beres Pak Yeob. Terima kasih tolong saya.” Dia berjalan laju ke arah tandas tetapi kemudian mengubah haluan ke arah biliknya pula. Badannya sudah mula menggigil. “Jahanam! Masa ini pula ia datang. Sampai bilakah aku dapat bertahan?” “Budak jahanam! Kau kemas balik. Bersepah macam kapal karam. Kalau beginilah perangai kau, memang esok lusa hidup kau merempat. Duduklah kau di rumah orang tua-tua tak berjaga!” Itulah mantera sumpahan yang meniti di bibir ibu saban waktu tatkala aku melakukan kesilapan. Telinga aku dijinjit semahunya oleh ibu tiri. Aku melolong meminta ampun. Baru semalam aku disesah dengan rotan kerana bajuku kotor akibat bermain di hujung kampung yang masih bertanah merah. Birat di kaki masih belum hilang. Bencinya aku dengan ibu hingga kadangkala aku biarkan adikku itu menangis sehingga tiada suara. Akibatnya aku dibiar kelaparan di luar rumah. Ehsan jiran tetangga membuat aku bertahan. Merekalah yang memberi aku makan dan menyapu ubat pada setiap luka di badan. Mengadu dengan ayah memohon perhatian hanya disambut dengan pesanan, “Dengar nasihat ibu. Dia bukannya benci tetapi mendidik kamu.” ‘Ayah, tidak nampakkah badanku sudah mula berparut. Tidak dengarkah tangisan kerinduan aku pada emak di setiap malam?’ Hati kecilku mendesah sayu. Ah! Mana mungkin ayah nampak jika pulangnya hanya setiap hujung bulan. Kerjanya di luar pekan Ipoh, mudah ibu menjadi permaisuri di rumah yang bagiku seperti istana neraka. Derita yang aku sahaja tahu. 46 DI SEBALIK KENANGAN ITU Hatimu Berselimut Dendam


Di suatu malam yang kelam, aku nekad melarikan diri dari neraka itu. Usia 13 tahun, masih muda tetapi aku sudah masak dengan sepak terajang sebagai budak pasar. Bermula di pasar Ipoh hinggalah menjadi raja di pasar Kuala Lumpur. Penaklukan ini menjadikan aku raja di dalam lumpur kota metropolitan yang hitam. Dadah, arak dan perempuan menjadi peneman setia. Aku semakin hanyut. Dipenjara tiga kali bahkan diajari ilmu agama sewaktu di penjara serta ditauliahkan sijil sebagai guru mengaji, ia tiada erti, gagal mengubah diriku menjadi insan yang lebih baik. Keluar dari penjara, aku hilang arah. Sendirian tiada tempat bergantung. Tiada tempat untukku melampiaskan rasa kasih. Situasi ini membuatkan aku bertambah benci kepada seorang perempuan bernama ibu! Aku benci sumpahan dan perbuatannya terhadap diriku! Aku benci apabila manusia lain menghukum aku sedangkan ia bukan salah aku! “Yeob! Yeob! Engkau sedar tak ni?” Dia terasa mukanya ditampar berulang kali. Pakaiannya lencun dibasahi air pancuran tadi. Dia mengangguk lemah. “Sabar Yeob. Kau bertahanlah.” Perlahan bahuku diraih dan Mat memapah aku ke katil. 47 DI SEBALIK KENANGAN ITU Hatimu Berselimut Dendam


“Terima kasih Mat. Terima kasih bersabar dengan keadaan dan kerenah aku.” Aku pandang Mat yang berkumis nipis dan berbadan tegap. Walaupun usianya hampir sama dengan aku tetapi masih segak. Jauh berbeza dengan aku yang kelihatan seperti 80-an walau baru mencecah 70-an. Tubuhku kurus dan wajahku cengkung. Kedutan jelas ketara mengurati wajahku. “Yeob, kau patut berterima kasih pada diri kau sendiri. Lima tahun aku sebilik dengan kau. Aku lihat bagaimana kau melawan ketagihan itu. Bersyukurlah kerana kau masih punyai peluang untuk menjadi insan yang lebih baik.” Dia mendiamkan diri. Bukan tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan Mat tetapi siapalah dia. Hanya seorang insan yang sentiasa menutup mata hati untuk sebuah kemaafan. “Sampai bila kau mahu menyimpan dendam Yeob? Ibu kau pun sudah meninggal. Kita ini pun entah bila akan menyusul dia.” “Mat, aku bukan tak mahu memaafkan. Aku sudah cuba dan berusaha melupakan tetapi tidak boleh Mat. Sumpahan itu selalu meratib di telingaku. Kau tengok, hidup aku tunggang langgang, aku tercampak di sini bukan sebab sumpahan dia ke?” Aku bangun bersandar di kepala katil besi. Kain pelekat di hujung kepala katil kucapai lantas mengantikan pakaian yang aku pakai. 48 DI SEBALIK KENANGAN ITU Hatimu Berselimut Dendam


“Yeob, apa yang berlaku adalah atas kehendak Allah jua. Tidak ada benarnya kita berada di sini kerana sumpahan manusia lain. Ini takdir kita. Tuhan beri kau merasai neraka dunia pasti bersebab. Bagaimana kita bermula tidak penting tetapi pengakhiran hidup paling utama.” Dia terduduk di birai katil. Dicapainya al-Quran kecil pemberian pegawai rumah jagaan itu. Hati kerasnya seperti disiram air gunung, sejuk dan menyegarkan. “Doakan aku agar dapat memaafkan dan melupakan kisah silam, aku akan berusaha belajar reda pada takdir Tuhan. Aku mahu ke syurga-Nya Mat.” “Aku juga sama Yeob.” Bahuku ditepuk perlahan. Tanganku digengam erat. Moga pengakhiran hidup kami adalah yang terbaik di sisi Tuhan. 49 DI SEBALIK KENANGAN ITU Hatimu Berselimut Dendam


IBRAH ◆ Ketenangan dalam hidup tidak tercapai dengan wujudnya dendam di dalam hati. ◆ Usahalah untuk pengakhiran hidup yang terbaik di sisi Tuhan. ◆ Takdir yang Tuhan susun itu adalah terbaik untuk setiap hamba-Nya. ◆ Mereka yang terjebak dengan dadah perlukan sokongan, bimbingan dan kasih sayang untuk berubah. ◆ Jadilah sahabat yang menyokong dan menarik sahabatnya ke jalan yang benar.


“Adapun terhadap seorang anak yatim piatu, maka janganlah engkau berlaku sewenang-wenangnya. Dan terhadap pengemis janganlah mengherdik.” (Surah ad-Dhuha ayat 9-10)


KAD BIRU Keluar kau dari rumah ini. Mulai sekarang, ini bukanlah rumah kau lagi.” Abang Ali melempar sebuah beg beserta bajunya ke atas lantai. Kemudian diheretnya aku ke pintu rumah dan ditolak ke tanah. Jatuh terjelepuk aku. Sambil menggosok kaki dan tangan yang terluka, aku memegang kepala yang sakit kerana terhentak di tanah. Baru tiga hari suamiku meninggal dunia, aku telah dihalau keluar oleh abang iparku. Rumah papan yang kecil di dalam kebun getah ini pernah menjadi istana buat aku dan suami, Abang Budi. Aku tidak ingin bergaduh dengan dia, lelaki panas baran yang sudah tiga kali bercerai dengan isterinya. Tanpa Abang Budi, pastinya aku tidak akan selamat tinggal di rumah ini lagi. Demi keselamatan, aku tinggalkan rumah kecil itu. Sambil memasukkan pakaian ke dalam beg, aku berjalan perlahan-lahan menuju ke jalan besar tanpa arah tuju. Tidak mungkin aku boleh balik ke rumah mak cik yang telah membuangku, kutahu dia terpaksa membelaku kerana aku ini yatim piatu, tiada penjaga. “ 52 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kad Biru


“Wei Ina, hang nak pergi mana tu bawa beg besar?” Terkejut aku dengan sergahan daripada Mariam, kawan sekolahku dulu. “Bukan hang dalam edah ka, Ina? Hang tak boleh keluar rumah ni, jom aku hantar hang balik rumah hang.” Aku cuma mampu menggeleng kepala. Mariam kemudiannya mengambil beg di tanganku dan membawa aku ke kedai Mak Besah. Dibelinya aku nasi yang diletakkan gulai ikan temenung dan sambal belacan. Berselera sekali aku makan setelah semalaman berlapar. “Cuba hang cerita dekat aku apa yang terjadi, Ina.” Jelas riak ingin tahunya dan rasa prihatinnya padaku. “Bagi aku simpan. Lepas ni ingat, hang tak boleh lari dari aku sebab kad pengenalan hang aku pegang. Setiap bulan bagi duit kerja hang kat aku.” Mak cik merampas kad berwarna biru yang baru aku dapat sebentar tadi dari Pejabat Pendaftaran Sungai Petani. Itulah kali pertama dan terakhir aku memegang kad yang membuktikan aku warganegara Malaysia. Mak cik mengarahkan aku untuk bekerja sebagai orang gaji harian di rumah orang kampung semenjak usiaku tujuh tahun lagi. 53 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kad Biru


Berbeza dengan anak-anaknya, aku tidak pernah disekolahkan dan kerana itu aku tidak tahu membaca atau menulis. Aku seorang yang buta huruf. Rutin harian hidupku hanyalah bekerja di rumah orang dan pulang lewat petang untuk mengemas rumah mak cik pula. Anak-anak mak cik yang sebaya dengan aku pula dibiarkan bebas menikmati kehidupan kanak-kanak mereka. Satu hari, mak cik membawa aku ke bandar Sungai Petani untuk membelibelah. Dibelinya aku sepasang baju kurung berwarna putih yang dipadankan dengan selendang juga berwarna putih. Kasut aku dibeli dari kedai Bata. Itulah persalinan aku yang paling cantik pernah aku miliki. Sampai sahaja di rumah, mak cik berkata, “esok hang nak kahwin dah tapi kad pengenalan hang tetap aku pegang sampai bila-bila. Hujung bulan, hang balik ke sini bagi aku duit.” Meskipun bersuamikan seorang yang kurang upaya (OKU) pendengaran, kami bahagia. Setiap hari Abang Budi akan bekerja di kedai runcit dan aku menguruskan rumah tangga dengan memasak dan mengemas. Hidup kami susah tetapi cukuplah buat kami berdua. Aku reda dengan perkahwinan kerana sekurang-kurangya aku tidak lagi perlu tinggal di rumah mak cik yang bagaikan neraka itu. 54 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kad Biru


Sebulan sekali Abang Budi akan memberi aku wang untuk diberi kepada mak cik. Aku tidak pernah tahu berapa nilai wang hantaran yang dibayar oleh bapa mertuaku, seorang tua yang berharta hanya kerana ingin anaknya yang pekak berkahwin. Semua wang diambil oleh mak cik. “Kita ke rumah mak cik hang ambil kad pengenalan hang, senang nanti hang nak bekerja dekat mana-mana Ina.” “Aku takut. Nanti mak cik pukul aku lagi. Aku sudah tak tahan.” “Kalau macam tu, hang duduk dengan aku sajalah. Tolong aku masak nasi lemak dekat rumah tapi aku yang jual. Takut juga nanti mak cik nampak hang dekat kedai aku.” Aku sangat gembira menumpang di rumah Mariam walaupun kehidupan kami kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Gigih bekerja siang dan malam demi sesuap rezeki. Sehinggalah suatu hari Mariam diserang demam panas, “Ina, aku sudah minta tolong dekat tok penghulu untuk menghubungi rumah kebajikan orang tua. Hang tinggallah di sana. Nanti makan minum hang terurus dan tempat tinggal pun selesa.” Betapa baiknya Mariam terhadap aku. Di saat dia sakit, dia masih memikirkan kebajikan diriku yang sebatang kara ini. 55 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kad Biru


Tok penghulu datang mengambil aku untuk dihantar ke rumah kebajikan. Aku berpelukan dengan Mariam yang berusaha untuk bangkit menghantar aku ke muka pintu. Itulah kali terakhir aku melihat sahabat baikku, Siti Mariam binti Jaafar. Moga hidupmu sentiasa di bawah lindungan kasih dan rahmat Allah. “Mak cik, boleh saya tahu nama penuh makcik?” “Roslina binti Puteh.” “Boleh saya tahu umur mak cik?” “Mak cik tak tahulah anak.” Ina mula membetulkan tudungnya yang dirasakan senget, tidak kemas di kepala. “Boleh saya tahu tarikh lahir mak cik?” “Mak cik, mak cik.” Ina mengeluarkan tuala kecil dan mula mengesat hidungnya. “Kenapa mak cik?” “Mak cik tak tahu tarikh lahir mak cik!” Tuala kecil itu berpindah ke matanya yang semakin memerah, menahan daripada jatuhnya manik yang sudah mula bertakung di tubir mata. Perbualan yang selalu menyesakkan jiwa dan ragaku. Soalan yang paling kubenci. Tidak tahukah mereka, betapa aku sendiri ingin sangat mengetahui usiaku? 56 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kad Biru


Namun apa daya, hanya kerana takut akan mak cik, aku tidak berjaya mengambil kad pengenalan yang selama ini disimpan olehnya. Kini sudah lima tahun mak cik meninggal dunia namun kad pengenalan aku tidak ditemui langsung. Begitulah yang dinyatakan tok penghulu yang datang melawat aku. Mak cik meninggal dunia kerana dipatuk ular sewaktu ke kebun. Di akhir nyawanya, sempat dikirimkan pesanan agar aku memaafkan perbuatannya yang menzalimi aku sebagai anak yatim. Dia menyesal dengan perbuatannya selama ini. Walaupun sedih dengan apa yang aku alami, aku sudah lama memaafkan mak cik di atas perbuatannya. Meskipun aku tidak pernah menyambut hari lahirku tetapi aku bahagia. Di akhir usiaku ini, hanyalah ketenangan yang kuimpi. Di sinilah kutemui ketenangan itu, Rumah Seri Kenangan Cheras bersama rakan-rakan yang senasib denganku. Walaupun tiada ahli keluarga di sisi, tetapi aku ada Allah menemani jiwaku yang kosong. 57 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kad Biru


IBRAH ◆ Santunilah anak yatim sewajarnya. ◆ Anak-anak yatim adalah lubuk berharga untuk merebut ganjaran daripada Allah SWT. ◆ Sungguh besar ganjaran pahala untuk orang yang menyantuni anak yatim. ◆ Beranilah dalam mempertahankan hak, agar tidak rugi di kemudian hari. ◆ Memaafkan perbuatan orang lain adalah medium untuk mencapai ketenangan dalam hidup.


“Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hambaNya dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawalpengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan) sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat), sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya). (Surah al-An’am, ayat 61)


KALAU BELUM AJALNYA S aya rasa, pak cik patut berterima kasih kepada Tuhan pak cik kerana memberi peluang sekali lagi kepada pak cik. Selalunya hukuman yang dikenakan adalah gantung sampai mati, tetapi pak cik terselamat kerana tidak cukup bukti. Ini bukan peluang kedua tetapi ketiga!” kata hakim berbangsa Sikh itu kepada aku. Kata-kata itu benar-benar membuatkan tangkai jantungku bagai terhenti. Itulah kata-kata yang aku rasakan seperti klimaks yang tidak mungkin kulupakan seumur hidupku. Perasaannya sama seperti mendapat perkhabaran menghidap kanser, bagaikan nyawa di hujung tanduk. Bila-bila masa akan dipanggil pergi. Kisah 15 tahun lalu masih segar dalam ingatanku. Mana mungkin kulupakan detik itu. Detik yang telah mengubah sepenuhnya hidupku. Aku dihantar ke pusat serenti buat kali ketiga. Benarlah kata orang, setiap ujian yang Allah beri pasti ada hikmah di sebaliknya. Aku mengaku, sebagai insan yang lemah, aku selalu tidak bersyukur dengan rahmat yang Allah beri kepadaku. Darah muda menjadikan aku cuma ingin bersuka ria. Siapa tidak kenal ‘Manap anak tok penghulu’. Masa remajaku dihabiskan dengan melepak di hujung kampung dan mengusik anak-anak dara kampung. 60 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kalau Belum Ajalnya


Tiada siapa yang berani melaporkan tingkah laku aku kepada ayah kerana menghormati kedudukannya sebagai orang kaya kampung. Aku dibuang sekolah sebelum sempat menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia kerana ditangkap merokok beberapa kali. Aku tidak perlu khuatir tentang wang ringgit kerana ayah mampu menyediakan segalanya sementelah aku anak lelaki tunggal. Meningkat usia, kenakalan aku semakin menjadi-jadi. Dari rokok aku mencuba kepada dadah yang dibekalkan oleh beberapa sahabatku yang selalu melepak bersama. Mereka mencari bekalan menggunakan wang yang aku minta daripada ayah. Tidak cukup dengan dadah, aku mula mengunjungi sarang-sarang pelacuran. Dengan wang, aku mampu melakukan apa sahaja. Diriku bagaikan di syurga. “Manap, mak ada khabar sedih untuk hang,” ujar mak sewaktu mengunjungi aku di pusat serenti. Aku rasa pelik, biasanya mak pasti berdua dengan ayah mengunjungiku. “Kenapa mak?” Dadaku mula berdebar, redup pandangan mata mak kepadaku. “Ayah hang dah meninggal dunia minggu lepas. Sebab itu kami tak datang tengok hang. Hang duduk sini elok-elok ya. Jangan buat perangai supaya hang boleh keluar cepat.” 61 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kalau Belum Ajalnya


Itulah perbualan terakhir aku dengan mak sehinggalah aku dibebaskan dua bulan berikutnya. Tidak ada sesiapa yang datang menjemput aku pagi itu. “Mana mak ni. Tak ingat aku keluar hari ini, bukan sudah berjanji untuk menjemput aku pulang. Nak buat kenduri pulut kuning bagailah. Penipulah mak ni.” Aku mengomel sendirian. Berbekalkan duit 20 ringgit yang diberi kepada aku oleh warden penjara, aku menaiki bas ke Kota Kuala Muda. “Mak, mak, Manap balik ni,” laung aku dari hujung jalan. Malangnya tiada siapa yang muncul di muka pintu. Aku hairan. Puas aku mengelilingi rumah kayu kami itu namun kelibat mak tidak kelihatan langsung. Rumah aku bertutup rapat. “Mak pergi kendurikah sampai tingkap pun tak buka?” Aku membuat andaian sendiri. “Ohhh hang, Manap. Ingatkah sapa tadi. Jom kita duduk dekat pelantar dulu.” Ajak Mak Kiah, jiran mak di sebelah rumah. Dengan suara yang perlahan sambil tangan mengesat air mata dengan hujung lengan baju, Mak Kiah menceritakan misteri mak yang aku cari dari pagi tadi. Menggeletar badan aku apabila mengetahui mak telah meninggal dunia dilanggar bas selepas pulang melawat aku dua bulan lepas. “Innalillah, maafkan Manap, mak. Manap tak tahu.” 62 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kalau Belum Ajalnya


Hidup sebatang kara tanpa ibu bapa bukanlah satu masalah kerana kini tiada siapa yang akan melarang aku. Aku tenggelam dalam keseronokan bersama kawankawan yang satu hobi denganku. Sekeping demi sekeping tanah warisan ayah aku jual, untuk memuaskan nafsu aku yang suka bergembira. Namun bukit kalau setiap hari ditarah pasti habis juga. Begitulah yang terjadi kepadaku. Aku hilang bukan sahaja harta ayah tetapi juga semua kawan-kawan. Bermulalah kehidupan aku sebagai gelandangan. Gelaran juga telah berubah. Aku kini adalah “Manap, bekas penagih dadah.” Setiap hari aku akan menelusuri lorong-lorong belakang untuk mengemis dan wang itu digunakan untuk kembali membeli dadah dan melanggan pelacur. Allahuakbar. Hinanya hidup aku di waktu itu. Aku masih tidak insaf dengan apa yang telah berlaku. Tetapi Allah itu Maha Pengasih. Suatu hari, sewaktu aku terburu-buru melarikan diri daripada ditangkap penguatkuasa kerana mengemis, aku dilanggar lori sehingga menyebabkan tulang kakiku patah. Tiga bulan dirawat di Hospital Kuala Lumpur sangat menginsafkan dan aku mula belajar solat. Selepas sembuh aku dihantar ke Rumah Seri Kenangan, Cheras kerana tiada penjaga. Di sini, aku memilih untuk menyendiri dan menghabiskan masaku dengan bertaubat. Keadaan badanku menjadi lemah kesan daripada dadah yang pernah menjarah badanku. 63 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kalau Belum Ajalnya


Meskipun kini aku terpaksa bergantung kepada tongkat untuk bergerak dan menghidap bermacam-macam penyakit, aku bersyukur kerana Allah masih menyayangiku. Dia menghantar aku ke rumah ini supaya aku dapat belajar ilmu agama sebelum tibanya ajalku. Dalam ibadahku, sering kumohon agar Allah mengampunkan dosa kedua orang tuaku, kusedar diri ini bukanlah anak yang baik. Kuharap taubatku saban waktu diterima-Nya agar dapat kupejam mata dengan aman. Ditempatkan pula di kalangan hambaNya yang beramal soleh. 64 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kalau Belum Ajalnya


IBRAH ◆ Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui ajal yang ditentukan oleh Allah di loh mahfuz lagi. ◆ Ajal maut itu rahsia Allah SWT. ◆ Setiap Muslim perlu mempersiapkan diri dengan persediaan dan bekalan sebelum menghadapi kematian. ◆ Hanya dengan ilmu sahajalah, seseorang Muslim dapat memantapkan imannya kepada Allah. ◆ Anak soleh adalah harta yang paling berharga kepada kedua orang tua apabila mereka telah meninggal dunia.


“Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘Kami beriman,’ sedangkan mereka belum diuji (bagi membuktikan keimanan mereka)” (Surah al-Ankabut ayat 29)


KASIH YANG HILANG S udah sebulan, suri hatiku pergi meninggalkanku sendirian. Sunyi sungguh hidup ini kurasakan. Kupandang sekeliling ruang tamu yang tidak bernyawa ini, mataku terhenti di jambangan bunga orkid kesayangan arwah. Aku tidak mampu lagi berada di sini. Ke mana-mana kupergi, akan ternampak wajah putih mulus itu tersenyum memandang. Rumah berkembar dua tingkat di Kajang Impian ini, bagaikan penjara buatku. Lemas, sesak terasa tidak bernafas jadinya. Ikutkan rasa hati, ingin kuikut jejak langkahnya. Mati bersama lebih baik pada hematku. Bagiku dia wanita hebat. Tidak pernah berkata ‘Ah’ kepadaku. Sentiasa menyenangkan aku meskipun kesakitannya lebih merajainya. Barah payudaranya asbab perpisahan kami. “Mokhtar, jom ikut rombongan ke Jakarta. Kita pergi geng lelaki sahaja,” pujuk Haji Md. Nor, sahabatnya sewaktu di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dahulu. “Jomlah. Jangan dilayan sangat hati yang galau itu.” Haji Ayob pula menyampuk, pengarah kastam yang baru pencen dua bulan. 67 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kasih Yang Hilang


Di sinilah permulaannya kembara Haji Mokhtar. Kalau dahulu berdua dengan Hajah Saadiah ke mana-mana, kini dia bersama sahabat-sahabat yang sudah pencen menjadi peneman pengembaraannya. Hilang duka yang beraja. “Seronok juga jalan-jalan begini. Teringat aku zaman muda-muda kita dahulu, Ayob. Bulan hadapan kita nak ke negara mana pulak ya, kawan-kawan?” aku bertanya penuh teruja. “Maaf bulan hadapan aku ada kenduri di kampung. Bising nanti orang rumah kalau asyik berkepit dengan engkau sahaja, Mokhtar.” “Aku pun sama. Bulan hadapan nak bawa anak-anak pergi bercuti. Cuti semester dah bermula. Sorry tau,” jawab Haji Md. Nor pula. “Adik, minggu depan cuti semester kan, adik nak ayah ambil hari apa ya?” “Maaf ayah. Adik dah janji nak pergi panjat Gunung Kinabalu di Sabah. Tiket kapal terbang pun adik sudah beli. Ayah okaykan adik tak balik cuti kali ini?” Apalah yang mampu dijawabnya kepada anak perempuan bongsu itu. Haji Mokhtar diam di hujung panggilan telefon. Tangannya terus mendail nombor kedua. “Angah, minggu depan cuti sekolah kan, angah balik kampung tak? Angah baliklah. Ayah rindu dengan cucu-cucu. Sudah lama ayah tak tengok Airis dan Aidan.” Bersemangat Haji Mokhtar mengajak anak perempuan yang bekerja sebagai guru dan kini menetap di Perlis. “Allahuakbar. Maaf ayah. Angah lupa nak beritahu ayah. Kami tak balik cuti ni sebab angah kena buat kelas tambahan di sekolah. Ayah okaykan angah tak balik kali ini?” 68 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kasih Yang Hilang


“Ayah okay ngah. Kirim salam dekat Fendy dan peluk cium ayah untuk cucucucu ayah yang comel.” Miskin sungguh dirasa dirinya ketika itu, kerana mempunyai cuma tiga orang anak. Bila situasi begini terjadi, dia rasa rugi tidak mempunyai anak yang ramai. ‘Mana mungkin along boleh balik,’ Haji Mokhtar bermonolog. Rindu sungguh kepada anak sulungnya yang kini menyambung pengajian kedoktoran di Australia. Perlahan-lahan Haji Mokhtar mengesat air mata yang turun di pipi. Tidak pernah dibayangkan hidupnya sesunyi ini. ‘Ini tak boleh jadi, kalau apa-apa berlaku kepada aku, tiada siapa yang tahu. Rumah ini bukan lagi menjadi istana kepadaku.’ detak fikirnya bermonolog. Jiwanya tidak aman. Meskipun jiran di sebelah, Dr Moses seorang yang baik dan selalu bertanya khabar, dia tidak betah lagi tinggal di rumah ini. Diambilnya jaket kulit dan topi keledar. Dia keluar usai mengerjakan solat maghrib menaiki motosikal EX5 yang sudah sepuluh tahun menjadi penemannya. Dataran Merdeka menjadi tempat dia melepaskan lelah selepas penat menunggang motor sepanjang jalan. Bila lapar, dia ke kedai mamak yang dibuka 24 jam. Malam itu dia tidak pulang ke rumah langsung. Dia menghabiskan masanya memerhati manusia di Kuala Lumpur, kota yang tidak pernah tidur. Selepas seminggu berkelana, Haji Mokhtar pulang ke rumah. “Ah, tak mampu aku menjadi gelandangan. Busuk sangat bau badanku.” Haji Mokhtar ketawa kecil sambil berlalu menuju ke bilik mandi. 69 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kasih Yang Hilang


“Ayah nak jual rumah ini kepada anak-anak. Siapa yang berminat nak beli?” Haji Mokhtar menghantar mesej kepada grup whatsapp keluarga. Keputusan yang diambilnya selepas melakukan solat istikharah. Bukan mudah untuk meninggalkan rumah yang pernah menjadi kesayangannya ini, tetapi dia perlu meneruskan kehidupan. Selepas itu bertubi-tubi telefonnya berdering. Angah dan adik menghalang niatnya tetapi tidak along. “Tak apa ayah, along beli rumah itu. Along sayang rumah kita. Along rindu mama, ayah.” Tidak langsung disoal ke mana ayahnya akan tinggal selepas itu. Keputusannya menjual rumah menyebabkan dua orang anaknya merajuk dan tidak menghubunginya lagi. ‘Biarlah mereka. Satu hari nanti sejuklah amarah mereka itu.’ Dia memujuk hatinya sendiri. 70 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kasih Yang Hilang


* “Permohonan tuan untuk masuk ke rumah Seri Kenangan, Cheras telah diluluskan. Selamat datang tuan.” Tanpa pengetahuan anak-anaknya, Haji Mokhtar telah memohon untuk memasuki rumah orang tua kerana tidak ingin sendirian di rumah besar itu lagi. Selepas dua bulan, along pulang dari Australia untuk menziarahi Haji Mokhtar. “Ayah okay di sini? Along dah suruh angah dan adik datang melawat ayah. Angah cakap bulan depan dia akan datang ambil ayah untuk ke konvokesyen adik di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.” “Alhamdulillah ayah seronok di sini. Sibuk sangat sebab ada banyak aktiviti. Terima kasih along dan adik-adik kerana memahami ayah.” 71 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kasih Yang Hilang


IBRAH ◆ Jangan sesekali menyesali atau menyalahkan takdir yang sudah tertulis untuk diri dan keluarga. ◆ Sentiasalah bersangka baik kepada Allah. ◆ Sesungguhnya hidup ini adalah satu medan ujian yang berat pada mata dan bahu kita yang menanggungnya. ◆ Allah menguji setiap hamba-Nya itu di atas dasar kemampuan masingmasing. ◆ Pasti ada rahsia dan hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian yang bertimpa.


“Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi syariat-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku)” (Surah al-Baqarah ayat 152)


KELDAI DADAH Tuan-tuan dan puan-puan kita telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kepada warganegara, selamat pulang ke tanah air.” Suara lunak pramugari tenang menampar gegendang telinga Natasha. Langkah Natasha diatur laju menuju ke bahagian bagasi. Dia tidak mahu lewat diambil si jantung hati, semasa hendak bertolak lima jam yang lalu telah dititip pesanan supaya jangan lewat. Wanita yang cantik dan berpendidikan tinggi ini sukakan kehidupan mewah. Oleh kerana terjebak dengan kemewahan inilah, Natasha menggunakan kelebihannya untuk menggoda lelaki, si hidung belang. Telefon yang telah sedia dihidupkan semasa hendak keluar dari kapal terbang berbunyi. Natasha mengambil telefon dari beg tangan ‘MK’ yang baru dibelinya dan tersenyum kerana kekasih yang baharu ditinggalkan menelefon. Lelaki kacukan yang berasal dari negara matahari terbenam telah menjadi cinta hatinya. Perkenalan di media sosial telah menggelapkan ruang fikir Natasha dek kerana perawakan yang bergaya dan cara hidupnya yang mewah. Semua keinginan Natasha dituruti tanpa dibantah. Satu hari, Alberto mempelawa Natasha bercuti di Austria untuk meraikan sambutan hari lahir. Apa lagi, bagai pucuk dicita ulam mendatang. Dengan girang mereka bercuti di bumi Austria selama dua minggu. 74 DI SEBALIK KENANGAN ITU Keldai Dadah


Malam sebelum pulang ke tanah air, Alberto membawa Natasha ke sebuah kelab eksklusif untuk meraikan perhubungan mereka yang akan memasuki fasa yang lebih intim iaitu perkahwinan. Sepanjang malam mereka berkaraoke dan minum semahunya sehingga mabuk teruk. Natasha sudah tidak ingat apa-apa lagi sehingga terbangun keesokan paginya. “Wake up, honey. Wake up. We’re late!” terkocoh-kocoh Alberto bangun dikejutkan Natasha. Mereka berdua bergegas ke bandar untuk pulang ke Malaysia. Semasa dalam penerbangan Alberto meminta Natasha pulang dahulu ke Malaysia kerana dia perlu menyelesaikan urusan berkaitan perniagaannya di Jakarta. Kebetulan tiket penerbangan mereka perlu transit di Lapangan Terbang Sukarno, Jakarta. Tanpa mengesyaki apa-apa, Natasha membawa pulang sebuah bagasi untuk diberikan kepada rakan perniagaan Alberto apabila tiba di Malaysia. Setelah dua jam empat puluh lima minit di perut kapal terbang, turunlah Natasha sambil tersenyum mengenangkan saat-saat manis bercuti bersama kekasih hati yang baru dikenali selama dua bulan. Dua buah bagasi sudah diletakkan di atas troli dan terus ke tempat pemeriksaan kastam di KLIA. Setelah diimbas, pegawai kastam yang bertugas menemui Natasha dan terus dibawa ke bilik siasatan. Natasha yang terpingapinga mulai panik apabila diberitahu dalam bagasinya ada barang terlarang. 75 DI SEBALIK KENANGAN ITU Keldai Dadah


Bermulalah episod tragis buat Natasha. Kastam telah menjumpai dadah yang disorokkan di dalam perut Natasha tanpa disedarinya. “Celaka betul, Alberto!” Biar sebanyak mana pun maki hamunnya, tidak ada sesiapa yang dapat menolongnya kini. Hidupnya musnah sekelip mata kerana kecuaian dan kepercayaan tidak berbelah bagi buat kekasih hati. Kemewahan yang dikejar hilang terus daripada hidupnya. Menangis sudah tidak berguna lagi. Perbicaraan memakan masa yang lama. Dibuang keluarga adalah hukuman mandatori buat dirinya. Jiwanya berkecamuk. Rasa kecewa merundung. Penyesalan tidak berguna lagi. Semua bukti yang bersabit jelas membuktikan dia bersalah. Natasha dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun lima bulan. Natasha adalah penganut agama Kristian Ortodok. Semasa di dalam penjara, Natasha sangat berminat dengan Islam setelah bertemu dengan Fatimah yang juga menjadi mangsa keldai dadah. Melihat cara hidup Fatimah yang tenang dan sentiasa beribadah membuka hati Natasha. “Fatimah, sudikah kamu mengajarku tentang Islam?” rayu Natasha kepada Fatimah. Bermula detik itu, Natasha mula mendapat ketenangan dan mengambil keputusan menganut agama Islam. Tambahan dia sudah tiada sesiapa lagi apabila keluar penjara nanti kerana dia sebatang kara. Setelah tiga tahun mendalami Islam maka hari yang bersejarah sekitar tahun 2015 dalam bulan Ramadan, kalimah syahadah diungkapkan. Baki lagi dua tahun lima bulan digunakan sepenuhnya untuk mendalami Islam. Kini Natasha binti Abdullah sudah ceria dan tabah mengharungi hukuman. 76 DI SEBALIK KENANGAN ITU Keldai Dadah


Setelah masa hukuman tamat dan perlu ke luar dari penjara sekali lagi Natasha keliru. Ke mana harus dituju? Dia tiada sesiapa dan tempat tinggal untuk berteduh. Perkara ini telah lama bermain di benak fikirnya namun tiada penyelesaian. Singgahlah dia di sebuah masjid untuk bersembahyang asar. Seusai menadah tangan bermunajat doa untuk diberi penyelesaian arah tuju hidupnya datang seorang wanita bertelekung menyapa, “adik, kakak lihat adik macam dalam kesusahan. Boleh kakak bantu?” tanya perempuan yang tidak pernah dikenalinya. Titisan air mata menderu laju sambil sedusedan membuka cerita. “Kakak bekerja di sebuah rumah orang tua berdekatan masjid ni, mari ikut kakak ke sana. Mungkin ada ruang untuk adik tinggal di sana sementara waktu.” Ajak kakak yang budiman. Natasha terus mengikut jejak kakak tersebut sehingga ke pejabat pengurusan. Dilihatnya kakak itu masuk ke kamar ketua institusi. Sepuluh minit kemudian kakak itu keluar bersama penguasa menuju ke arahnya. Dia dibenarkan tinggal di Rumah Seri Kenangan, Cheras ini sehinggalah kini. Menariknya duduk di sini, walaupun agak berusia namun masih lagi ada yang ingin cuba merapati untuk dijadikan teman hidup. Natasha juga sering disapa oleh penghuni lelaki terutamanya abang Jasman yang masuk ke Rumah Seri Kenangan ini selepas dibuang keluarga. Natasha masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku dan sering mengelak untuk berteman hidup. 77 DI SEBALIK KENANGAN ITU Keldai Dadah


Natasha cuba menjalani hidup yang bersisa ini dengan tenang dan bahagia tanpa ada ikatan dengan sesiapa. Harapannya yang paling agung adalah berjumpa semula dengan semua ahli keluarga yang telah lama tidak dihubungi dan mencarinya. “Ya Allah, Kau perkenankanlah agar aku beroleh apa yang diinginkan. Ringankanlah beban fikirku dan rezekikanku dengan kesihatan yang baik. Aamiin ….” Natasha meraup wajahnya usai berdoa. Inilah doa yang saban waktu diulangulangnya. Dia inginkan kematian yang husnul khatimah. Pergi tanpa ada dosa. Itulah harapan dan impian yang paling didambanya. 78 DI SEBALIK KENANGAN ITU Title


IBRAH ◆ Menerima ketentuan atau ujian daripada Allah S.W.T dengan reda dan ikhlas. ◆ Berhati-hati, jangan mudah meletakkan kepercayaan kepada orang yang baru dikenali. ◆ Peringatan buat kita semua agar, berhati-hati di lapangan terbang dan jangan ambil mudah menolong menjaga atau membawa bagasi orang lain. ◆ Tetapkan keputusan yang diambil demi perjuangan berkorban dengan keimanan. ◆ Selagi masih berpeluang menjadi khalifah-Nya pertingkatkan iman dan perbaiki amalan.


Allah SWT berfirman; “Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku, dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasan-Ku.” (Surah Taahaa ayat 39)


KERANA SEBIJI DURIAN Musim durian datang lagi. Raja buah itulah kegemarannya sedari kecil hinggakan dia digelar ‘Hantu Durian’.” Masih terkenang zaman kecilnya disebabkan sukanya dia memakan durian, ayah telah memajak dusun durian di Balik Pulau, Pulau Pinang buatnya. ‘Hari ini aku mesti beli juga durian. Durian D24. Biar mahal sekalipun, aku akan beli. Pasti sedap bila dimakan dengan pulut yang ditanak oleh Aini. Nanti aku ajaklah cucu aku, si Haziq untuk makan sekali.’ Di fikirannya terbayang-bayang momen dia sedang menikmati keenakan pulut durian. Tidak tahan sungguh Jasman digoda melihat deretan gerai menjual durian di tepi jalan menuju ke pejabatnya. Godaannya bagai menghantui dirinya. Petang itu, Jasman singgah di salah sebuah gerai. “Saya nak durian D24. Buka siap-siap ya dan masukkan dalam bekas. Taklah busuk kereta saya tu nanti.” Jasman menahan air liur melihat satu demi satu ulas durian berwarna kuning dimasukkan ke dalam bekas. Aduh tak sabar rasa di hati untuk sampai ke rumah. 81 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kerana Sebiji Durian


Melihat muka Jasman yang begitu bersemangat, penjual durian itu mempelawanya, “Pak cik nak rasa tak. Saya belanja.” Bagai orang mengantuk disorong bantal, Jasman duduk mencangkung menikmati ulas durian tersebut. “Sedaplah. Macam durian dekat Balik Pulau. Bukalah sebiji untuk saya. Nak makan dekat sini.” Penjual durian itu ketawa melihat reaksi spontan Jasman lalu memilih sebiji durian yang paling baik. Jasman menikmati durian tersebut dengan begitu berselera sekali sehingga dia lupa akan penyakit darah tinggi dan kencing manis yang dihidapinya. “Okay, kira semua.” Dia mengangkat bungkusan berisi durian usai membayar, laju kakinya melangkah ke kereta. Tiba-tiba matanya menjadi gelap dan dia terjatuh ke dalam longkang. Hospital Kuala Lumpur Jasman memandang ke luar jendela di sebelah kiri katilnya. Kelihatan ramai orang keluar masuk pintu utama hospital. Mungkinkah hari ini ada pelawat yang akan datang menziarahinya? Dia keliru akan keadaan dirinya. Kenapa dia berada di sini? Mana pergi isterinya yang cantik dan sudah dikahwini selama 42 tahun ini. Tahukah Aini, dia sedang berada di sini menjalani rawatan demi rawatan untuk mengembalikan kesihatan dirinya? 82 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kerana Sebiji Durian


Diserang angin ahmar asbab durian D24, Jasman cuma mampu berbicara selepas dua bulan dirawat. Dia masih ingat ayat pertamanya yang diajukan kepada seorang doktor. “Kenapa saya ada di sini, di mana ni, mana isteri saya, mana anakanak saya?” “Sabar, pak cik kena berehat. Pak cik baru sahaja boleh bertutur ni.” Lembut tutur kata doktor yang memujuk menyapa halwa telinga Jasman. Lama juga Jasman menunggu jawapan daripada doktor yang telah merawatnya selama ini. “Pak cik dihantar oleh seorang lelaki yang terjumpa pak cik jatuh longkang. Malangnya pak cik tidak dapat bertutur, jadi kami tidak mendapat maklumat yang lebih mengenai ahli keluarga pak cik. Kami telah cuba mendapatkan bantuan polis untuk menghubungi waris tetapi gagal. Tidak ada orang di rumah tersebut.” Panjang lebar sungguh jawapan doktor berbangsa India itu. Jasman berasa semakin keliru mendengar jawapan daripada Doktor James. Setiap hari menunggulah Jasman akan kehadiran isteri yang dicintai atau anak cucu yang sangat dirindui. Malangnya sehingga ke hari terakhirnya di wad, tiada sesiapa yang datang untuk menjemputnya pulang. “Pak cik, disebabkan pak cik tidak mempunyai waris, kami telah menghubungi Rumah Seri Kenangan, Cheras sebagai tempat penginapan sementara pak cik. 83 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kerana Sebiji Durian


Sekiranya ada waris yang datang menuntut pak cik nanti, bolehlah pak cik keluar dari rumah orang tua itu nanti.” Petang itu, Jasman seorang pensyarah yang baru saja pencen dan mendapat wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menjadi penghuni rumah orang tua. Satu perkara yang tidak pernah terlintas di hati dan akalnya dan sehingga kini dia tidak mendapat jawapan kenapa ia berlaku. “Sudahlah Jasman. Usah dikenang cerita lama. Maafkanlah kesilapan isteri dan anak menantu engkau,” “Aku tak boleh faham, Natasha. Aku takkan maafkan apa yang Aini lakukan terhadap aku. Bagaimana dia tergamak mengambil semua wang KWSP aku dan menghilangkan diri. Dijualnya rumah yang menjadi istana kami selama ini. Habis segala kereta, harta dan wang ringgit hasil keringat aku selama ini dilarikan begitu saja” “Sudahlah tu Jasman. Nanti lagi teruk kesihatan awak. Doktor bukan sudah berpesan jangan stres sangat. Nanti lambat sembuh.” 84 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kerana Sebiji Durian


“Aku sedih, Natasha. Bagaimana anak-anak yang aku tatang dan mewahkan dengan kekayaan boleh melupakan aku dalam sekelip mata sahaja.Aku tidak akan sesekali memaafkan mereka.” “Istighfar Jasman, istighfar banyak-banyak. Kau ingat tak Ustaz Abdullah pernah berpesan, kita kena sentiasa memaafkan orang lain agar kita dapat memasuki syurga dengan lebih mudah.” “Biar masa yang merawat semua kesedihan awak. Berdoalah agar suatu hari nanti Allah membuka pintu hati isteri dan anak-anak untuk datang ke sini mencari awak.” Ah Natasha! Pandai sekali dia memujuk hati aku yang keras ini. Salah seorang yang akrab denganku di rumah orang tua ini. Dialah yang kerap memujuk aku agar reda dengan ujian yang Allah berikan ini. Alhamdulillah. Terima kasih Allah kerana menghadirkan seorang Natasha untuk menemani hari-hari sunyi aku di sini. 85 DI SEBALIK KENANGAN ITU Kerana Sebiji Durian


IBRAH ◆ Setiap daripada kita mengimpikan kehidupan bahagia tanpa adanya perselisihan faham yang boleh membawa kepada perceraian. ◆ Redalah sekiranya kita ditakdirkan berpisah namun teruskan kehidupan yang masih berbaki. ◆ Ditinggalkan bukanlah satu pengakhiran. Sebaliknya ia merupakan satu permulaan, untuk seseorang itu memulakan kehidupan yang baru, tanpa perlu bertahan dengan kesakitan yang sama. ◆ Bersangka baiklah dengan Allah kerana Dia tidak akan pernah meninggalkan hamba-Nya. ◆ Reda yang diselitkan dengan kemaafan akan menzahirkan kebahagiaan.


“Pleasure of love lasts a moment. Pain of love lasts a lifetime” (Bette Davis)


Click to View FlipBook Version