The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by stkssupim, 2022-09-22 02:47:49

MPU23012 - PENGAJIAN ISLAM

Modul Rujukan

Keywords: MODUL

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

budaya yang tersendiri. Namun oleh kerana pengaruh globalisasi yang
membolehkan cara hidup dan berfikir masyarakat Barat ditonjolkan dengan
berleluasa, maka hari ini kita dapati budaya hidup dan cara berfikir masyarakat Barat
telah mengatasi cara hidup dan berfikir masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.

Pengaruh globalisasi dalam bidang ekonomi dan politik telah membawa sistem
politik dan ekonomi Barat menggantikan sistem politik dan ekonomi tradisional
masyarakat lain. Barat yang lebih kuat dari segi ekonomi, politik, ketenteraan dan
sains telah memaksa semua negara di dunia untuk mengamalkan sistem liberal
demokrasi seperti yang diamalkan di Eropah dan Amerika. Mana-mana masyarakat
yang tidak menerima sistem liberal demokrasi Barat akan dianggap sebagai
masyarakat yang kejam, zalim dan tidak bertamadun. Dengan tekanan dan
pengaruh globalisasi ini, akhirnya masyarakat dunia akan menjadi masyarakat
unipolar yang berkiblatkan kepada Eropah dan Amerika. Semua yang datang dan
berasal dari Eropah dan Amerika dianggap baik, maju dan bertamadun, manakala
semua yang berasal dari Timur dianggap kejam, zalim dan mundur.

Kehadiran globalisasi tidak hanya memberi impak negatif malah impak yang positif
iaitu globalisasi memungkinkan pencarian, penyebaran dan pemindahan ilmu dan
maklumat dilakukan dengan mudah, pantas dan murah. Hal ini kerana satu daripada
unsur dan pemangkin penting dalam era globalisasi masa kini ialah Internet. Melalui
Internet, segala ilmu dan maklumat yang dihasilkan di mana-mana bahagian di dunia
ini dapat dipindahkan dan diketahui oleh masyarakat di bahagian dunia yang lain.
Keadaan ini dapat merapatkan jurang ilmu pengetahuan dan tamadun antara
penghuni dunia.

Globalisasi dengan kemudahan Internet dan juga kemajuan perhubungan fizikal
seperti kereta api dan perhubungan udara yang canggih dapat merapatkan
perhubungan antara bangsa dan mewujudkan suasana saling memahami antara
pelbagai masyarakat dunia. Keadaan ini dapat membantu ke arah keharmonian dan
keamanan dunia sejagat. Globalisasi juga membolehkan keperluan penduduk dunia
dari segi makanan, perkhidmatan dan keperluan-keperluan lain dapat dipenuhi
dengan murah dan mudah. Hal ini kerana sesuatu makanan, hasil perkilangan atau
perkhidmatan yang dikeluarkan di sesuatu tempat di dunia dapat diperolehi di

201

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

bahagian dunia yang lain melalui perkhidmatan pengangkutan yang cepat, cekap
dan murah.

Secara ringkasnya, globalisasi mempunyai kesan yang positif dan negatif. Ianya
terpulang kepada kebijaksanaan manusia untuk memanfaatkan globalisasi ini.
Dengan itu, masyarakat Islam mestilah memanfaatkan fenomena globalisasi sebaik
mungkin. Antara cara yang dapat digunakan oleh umat Islam untuk memanfaatkan
globalisasi ialah dengan mendapatkan ilmu dan maklumat uamg bermanfaat
sebanyak mungkin.

Selain itu, kemudahan Internet juga mestilah digunakan sebagai satu medan
dakwah bagi menyebarkan ajaran Islam dan menyampaikan nilai-nilai murni kepada
masyarakat seluruh dunia. Pada hari ini, kita dapati hanya masyarakat Barat yang
sangat aktif menggunakan kemudahan teknologi perhubungan dan komunikasi
termasuk Internet untuk menyebarkan cara hidup, cara berfikir dan sistem nilai
mereka kepada masyarakat lain di dunia. Hasilnya, kita dapati cara hidup Barat
semakin meluas diterima di seluruh dunia termasuk dalam kalangan masyarakat
Islam sendiri. Umat Islam mestilah berusaha untuk mengubah keadaan ini dengan
menjadi lebih aktif menyebarkan dakwah Islam melalui teknologi komunikasi dan
maklumat. Hal ini akan membolehkan cara hidup, cara berfikir dan sistem nilai Islam
pula disebarluaskan dan diterima pakai secara meluas di seluruh dunia. Bagi
membolehkan hal ini terjadi, umat Islam mestilah berusaha melengkapkan diri
dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Inilah jihad dan perjuangan fi sabilillah yang
tinggi dan mesti dilakukan oleh anda, para penuntut sekalian.

Sebagai umat Islam, kita mestilah memanfaatkan globalisasi untuk kebaikan Islam
dan masyarakat alam seluruhnya. Hal ini kerana Islam merupakan agama yang
bersifat global. Untuk tujuan ini, masyarakat Islam mestilah mempunyai persediaan
yang lengkap dari segi akidah dan ilmu pengetahuan.

202

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

4.1.5 Salah faham terhadap Islam

Islam merupakan agama yang paling banyak disalahfahami oleh manusia. Salah
faham terhadap Islam bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat bukan
Islam, malah sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Pelbagai
tuduhan, tohmahan dan anggapan salah dibuat terhadap Islam yang
menggambarkan kesalahfahaman masyarakat terhadap Islam. Semua ini berlaku
kerana kejahilan terhadap hakikat agama Islam itu sendiri. Topik ini akan
membincangkan beberapa contoh salah faham terhadap Islam dan jawapannya
berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Berikut ialah antara salah faham oleh
masyarakat bukan Islam terhadap umat Islam di seluruh dunia.

a. Islam agama yang menganjurkan keganasan

Tuduhan ini mula popular dan semakin mendapat tempat selepas berlakunya
peristiwa hitam 11 September 2001 apabila sekumpulan pemuda disyaki beragama
Islam merampas kapal terbang penumpang di Amerika Syarikat dan merempuh
bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York yang menyebabkan lebih 6,000
orang mati. Selepas peristiwa tersebut, berlaku pula beberapa siri letupan bom di
seluruh dunia terhadap kepentingan Amerika yang juga disyaki dilakukan oleh
beberapa kumpulan pemuda Islam. Bermula daripada peristiwa-peristiwa tersebut,
anggapan bahawa Islam merupakan agama yang mengajar keganasan mula
mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bukan Islam seluruh dunia.

Tohmahan ini adalah salah sama sekali. Tentulah tidak tepat untuk menghukum
agama yang telah pun wujud semenjak hampir 1,500 tahun dahulu dan telah
memberikan sumbangan yang besar terhadap keamanan dan kemajuan tamadun
dunia dengan hanya berdasarkan kepada satu atau beberapa peristiwa yang hanya
disyaki dilakukan oleh segolongan kecil penganutnya pada zaman mutakhir ini.
Islam telah pun wujud hampir 1,500 tahun dahulu. Dalam tempoh tersebut, Islam
telah membuktikan bahawa ia adalah agama yang sangat mementingkan keamanan
dan keselamatan manusia seluruhnya. Pada zaman keagungan Islam, masyarakat
manusia pelbagai agama telah hidup dengan aman dan makmur di bawah

203

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

pemerintahan Islam. Mereka bukan sahaja menikmati kehidupan yang bahagia
sebagai rakyat biasa, malah ada antara mereka yang dilantik sebagai pembesar
atau menteri yang diberikan kuasa-kuasa tertentu dalam pemerintahan negara
Islam.

Bukti keadilan Islam juga dapat dilihat dalam banyak peristiwa semasa Peperangan
Salib antara tentera Islam dengan tentera Kristian. Para sejarawan termasuk dari
Barat mencatatkan bahawa semasa pakatan tentera Kristian dari seluruh Eropah
menawan Constantinople yang ditadbir oleh pemerintah Islam, mereka membunuh
hampir 80,000 penduduk Constantinople dan semua masjid diruntuhkan. Menurut
catatan sejarah, jalan raya Constantinople seolah-olah menjadi sungai darah dengan
bahagian-bahagian tubuh badan manusia yang telah dipotong-potong dapat dilihat di
merata tempat. Bagaimanapun apabila tentera Islam berjaya menawan kembali
Constantinople dari tentera Kristian lebih 70 tahun selepas itu, dilaporkan bahawa
tidak ada darah orang awam baik yang beragama Islam mahupun yang beragama
Yahudi atau Kristian yang gugur dan tiada satu pun gereja yang diruntuhkan. Begitu
juga apabila tentera Islam terpaksa berundur dari Sepanyol selepas mentadbir
negara itu untuk sekian lama, orang Yahudi juga turut mengikut tentera Islam untuk
berundur dan kembali ke Timur Tengah. Mereka lebih selesa dan merasa lebih
selamat untuk tinggal di bawah pemerintahan Islam daripada berada di bawah
pemerintahan tentera Kristian.

Malah, banyak ayat al-Qur’an yang melarang umat Islam daripada bermusuhan
dengan orang bukan Islam kecuali jika mereka dahulu yang memulakan
permusuhan. Selain itu, Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan contoh yang sangat
baik dalam hal ini. Semasa Baginda memerintah negara Islam Madinah, kota
Madinah turut didiami oleh orang bukan Islam. Namun, Baginda telah mewujudkan
satu kontrak sosial yang dikenali sebagai Piagam Madinah yang menjamin hak-hak
orang bukan Islam dalam negara Islam Madinah untuk hidup dengan aman damai
dan menjalani ajaran agama mereka tanpa gangguan.

Ajaran al-Qur’an dan petunjuk al-Sunah inilah yang memandu masyarakat Islam
dalam membentuk sikap dan hubungan yang baik serta adil dengan masyarakat
bukan Islam pada sepanjang sejarah. Dengan itu, beberapa peristiwa yang berlaku

204

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

mutakhir ini tidak wajar dijadikan asas untuk mendakwa Islam sebagai agama
keganasan yang tidak toleran.

b. Islam disebarkan melalui mata pedang

Islam juga sering digambarkan sebagai agama yang disebarkan melalui mata
pedang iaitu melalui kekerasan dan peperangan. Tuduhan ini juga tidak berasas
sama sekali. Al-Qur’an melarang umat Islam melakukan kekerasan dan peperangan
terhadap orang bukan Islam untuk memaksa mereka menerima Islam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

… tiada paksaan dalam agama.

(al-Baqarah: 256)

Peperangan terhadap orang bukan Islam hanya dibenarkan jika orang bukan Islam
yang memulakan peperangan atau melakukan persiapan untuk berperang atau
melakukan kezaliman terhadap orang Islam atau menyekat usaha menyebarkan
dakwah Islamiyyah secara aman. Dalam keadaan ini sahaja umat Islam dibenarkan
untuk melancarkan peperangan terhadap orang bukan Islam. Malah, peperangan ini
mestilah dilakukan dalam batasan yang tertentu untuk mengurangkan jumlah
kemusnahan harta benda dan kematian. Dasar Islam dalam peperangan telah
ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. sepanjang pemerintahannya.

Satu catatan sejarah yang paling menarik tentang hakikat penyebaran ajaran Islam
dapat dilihat dalam peristiwa penaklukan kota Baghdad oleh orang Mongolia semasa
pemerintahan Bani Abbasiyyah. Selepas berjaya menawan kota Baghdad dan
memerintah kota tersebut untuk beberapa tahun, akhirnya tentera dan pembesar
Mongolia secara sukarela memeluk agama Islam. Mereka tidak dipaksa untuk
memeluk Islam kerana mereka sangat kuat dan berkuasa. Namun begitu, mereka
memeluk Islam setelah mengkaji dan memahami kebenaran dan kesucian Islam. Hal
ini merupakan satu-satunya peristiwa mengagumkan dalam sejarah manusia apabila

205

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

pihak yang berjaya menawan sesuatu bangsa lain akhirnya menerima dan memeluk
agama bangsa yang ditawannya.

Hakikatnya, penyebaran Islam juga dapat dilihat dengan penerimaan Islam di tanah
besar China dan Tanah Melayu. Islam disebarkan di China dan Nusantara oleh para
pendakwah yang juga merupakan para pedagang. Para pedagang ini tidak mungkin
memaksa masyarakat di negara China yang sangat kuat pada ketika itu untuk
memeluk Islam. Hal ini bermakna Islam disebarkan melalui contoh teladan yang baik
dan kebijaksanaan yang tinggi di negara China. Masyarakat Islam di negara China
pada masa kini berjumlah lebih 60 juta orang iaitu jumlah masyarakat Islam yang
terbesar di negara bukan Islam. Sejarah turut mencatatkan bahawa agama Islam
disebarkan di Nusantara termasuk di Tanah Melayu semasa zaman Parameswara
memerintah Melaka bukanlah melalui peperangan dan kekerasan. Semua peristiwa
ini menggambarkan bahawa dakwaan Islam disebarkan melalui mata pedang adalah
salah sama sekali.

c. Islam agama yang kolot dan ketinggalan

Tuduhan juga sering dilemparkan kepada agama Islam sebagai agama yang kolot,
mundur, ketinggalan dan hanya sesuai untuk masyarakat yang kurang bertamadun
sahaja. Tuduhan ini dilontarkan sebahagian besarnya berpunca daripada hakikat
kedudukan umat dan masyarakat Islam seluruh dunia hari ini yang secara umumnya
sangat mundur, tidak berilmu dan berpecah belah. Bagaimanapun, jika kajian
dilakukan secara jujur dan objektif terhadap isi kandungan ajaran Islam dan
perjalanan agama Islam sepanjang sejarah manusia, kita akan dapati Islam
merupakan satu agama yang dinamik, progresif dan sangat mementingkan ilmu
pengetahuan. Hakikat kemunduran dan kekurangan ilmu dalam kalangan
masyarakat Islam di dunia hari ini tidak boleh dijadikan asas bagi membuktikan
bahawa agama Islam merupakan agama yang mundur dan membelakangkan ilmu
pengetahuan. Malah, hakikatnya masyarakat Islam mundur hari ini kerana mereka
telah membelakangkan agama Islam. Masyarakat Islam hari ini hanya dikatakan
Islam pada nama sahaja. Dari segi pemikiran, kehidupan dan penghayatan, mereka

206

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

tidak lagi mengikuti ajaran Islam. Justeru, mereka mundur dan lemah seperti mana
yang dialami sekarang.

Dari segi dasarnya, Islam sangat mengutamakan ilmu pengetahuan. Oleh sebab
itulah ayat yang pertama diwahyukan oleh Allah s.w.t iaitu iqra’, telah menggesa
Rasulullah s.a.w. untuk membaca. Gesaan ini bukan sahaja ditujukan kepada
Rasulullah s.a.w., tetapi juga untuk umat Baginda seluruhnya. Anda pasti
mengetahui bahawa membaca merupakan jambatan ilmu. Hal ini sudah cukup untuk
membuktikan betapa pentingnya kedudukan ilmu dalam Islam. Dengan penekanan
terhadap kepentingan ilmu, anda dapati agama Islam telah membawa masyarakat
Arab yang asalnya hidup secara primitif dan mundur, berubah menjadi satu
masyarakat yang maju dan gagah. Dari segi ilmu pengetahuan, mereka telah
menjadi pelopor kepada penemuan pelbagai bidang sains dan teknologi yang
warisannya masih kekal hingga ke hari ini. Dari segi politik, mereka telah menguasai
hampir sepertiga daripada keluasan dunia.Sumbangan masyarakat Islam dalam
bidang sains, pemikiran dan falsafah inilah yang akhirnya mempengaruhi
kebangkitan Eropah dari era kegelapan
(dark ages) kepada era kebangkitan (enlightenment) yang membuka jalan kepada
kegemilangan sains dan teknologi seperti yang kita saksikan hari ini.

Islam bukanlah agama yang berdasarkan tahyul, khurafat dan mitos. Ia merupakan
agama yang berdasarkan kepada wahyu, akal, kebijaksanaan dan pembuktian. Oleh
sebab itu, agama Islam dapat terus bertahan malah semakin berkembang dengan
majunya ilmu pengetahuan dan taraf pemikiran manusia. Tiada ajaran Islam yang
bercanggah dengan fakta dan kebenaran yang mutlak. Anda dapati ramai para
saintis yang unggul pada masa kini sangat mengagumi ajaran Islam. Mereka dapati
banyak kenyataan yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam al-Qur’an hampir 1,500
tahun yang lalu sangat menepati dengan banyak penemuan sains pada zaman
moden ini.

Untuk memahami hal ini, anda boleh merujuk kepada pelbagai buku
umpamanya The Bible, The Qur’an and Science oleh Dr. Maurice Buccaille dan lain-
lain. Semua fakta ini membuktikan kedudukan agama Islam yang sebenarnya dari
segi kebenaran dan keunggulannya.

207

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

d. Islam tidak mementingkan kehidupan dunia

Satu tanggapan salah yang agak popular juga dalam kalangan masyarakat Islam
sendiri tentang ajaran Islam ialah agama Islam tidak mementingkan kehidupan
dunia. Dengan itu, pada pandangan mereka, masyarakat Islam perlu menumpukan
sepenuhnya kepada amal ibadat khusus untuk mendapatkan kebahagiaan pada hari
akhirat. Kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia hanya milik orang bukan
Islam. Dengan itu, biarkan orang bukan Islam berusaha untuk kejayaan hidup di
dunia manakala orang Islam tumpukan kepada kejayaan hidup di akhirat. Hal ini
merupakan satu tanggapan salah yang sangat berbahaya bagi umat Islam dan
bercanggah dengan mesej Islam yang sebenarnya.

Dalam al-Qur’an, Allah s.w.t. menceritakan sifat orang yang beriman yang sentiasa
berdoa, maksudnya:

Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan hidup
di dunia dan kebaikan hidup di akhirat, dan peliharakanlah
kami daripada seksaan neraka.

(Surah al-Baqarah: 201)

Ayat ini jelas sekali mengajarkan kita supaya sentiasa berdoa untuk kebahagiaan di
dunia dan akhirat. Anda semua tentu tahu bahawa kebahagiaan di dunia dan akhirat
ini tidak tercapai sekadar berdoa sahaja. Ertinya, kita perlu berusaha untuk kejayaan
di dunia sama seperti kita perlu berusaha untuk kejayaan di akhirat. Hal ini
bermakna, semasa di dunia, kita mesti berusaha melakukan segala kerja dan
amalan sama ada yang berkaitan dengan Allah semata-mata seperti sembahyang
dan berpuasa mahupun yang berkaitan dengan manusia seperti muamalat
perniagaan, pertanian mahupun perindustriaan dengan baik dan bersungguh-
sungguh mengikut perintah Allah s.w.t. Kita akan mencapai kejayaan dengan
melakukan kerja dan amalan kita seperti ini. Hal ini bermakna untuk mencapai
kejayaan di akhirat, kita juga perlu mencapai kejayaan di dunia. Kejayaan di dunia
yang dicapai melalui usaha yang bersungguh-sungguh dalam pelbagai bidang
kehidupan mengikut seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

208

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

Selain itu, anda perlu juga memahami pengertian konsep ibadat dalam Islam.
Konsep ibadat dalam Islam merupakan satu konsep yang luas. Ibadat bukan sahaja
bermaksud sembahyang, berpuasa, berzakat, haji, membaca al-Qur’an dan
sebagainya, tetapi ibadat juga termasuk bekerja mencari rezeki dalam bidang
perniagaan, pertanian, perindustrian, perkhidmatan dan lain-lain, dengan syarat ia
dilakukan secara yang baik menepati syariah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Hal
ini bermakna, jika seseorang berusaha dengan tekun mencari rezeki untuk diri
sendiri dan tanggungannya bagi meningkatkan taraf hidup mereka, maka ia dikira
sebagai ibadat. Dia bukan sahaja akan mendapat kejayaan di dunia, tetapi ia juga
akan diberi pahala oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti. Hal ini bererti dia akan mendapat
kejayaan di dunia dan di akhirat. Inilah konsep ibadat dalam Islam. Islam tidak
memisahkan antara dunia dan akhirat. Semuanya merupakan ciptaan Allah untuk
manfaat manusia. Dengan itu, manusia mestilah memanfaatkan kedua-duanya
sebaik mungkin dengan merancang dan berusaha untuk kejayaan di kedua-dua
alam tersebut.

Inilah pandangan Islam yang sebenar tentang kehidupan di dunia dan di akhirat.
Dengan itu, pandangan yang mengatakan Islam hanya mementingkan kehidupan
akhirat semata-mata adalah pandangan yang salah dan tidak menepati hakikat
ajaran Islam yang sebenar. Kehidupan dunia yang ditolak oleh Islam ialah kehidupan
dunia yang penuh dengan kejahatan dan maksiat. Sebaliknya, kehidupan dunia
yang dilalui dengan baik mengikut lunas-lunas Islam adalah kehidupan yang disukai
dan diredai Allah s.w.t. dan akan diberikan ganjaran yang baik juga di akhirat nanti.

4.1.6 Radikalisme dan Extremisme dalam beragama

Dalam The Concise Oxford Dictionary (1987), radikal berasal dari bahasa Latin
“Radix, Radicis” yang bererti akar, sumber, atau asal mula. Radikalisme berasal dari
kata radikal. Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia, “Radikalisme” didefinisikan
sebagai fahaman atau aliran yang menginginkan perubahan atau pembaharuan
sosial dan politik dengan cara yang melampau serta drastik.

209

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

Ekstremisme (Extremism) berasal daripada perkataan Extreme yang bermaksud hal
yang berkenaan faham atau kepercayaan yang keterlaluan atau berlebihan (Kamus
Dwibahasa Dewan 1990) Dalam bahasa Arab ia disebut Tatorruf yang bermaksud
duduk di sebelah pihak, jauh dari posisi tengah. Asalnya ia digunakan untuk perkara
nyata / fizikal, tetapi digunakan juga untuk perkara abstrak spt kepercayaan agama,
pemikiran dan tingkah laku (Al- Qaradawi, 1992: 27)

4.1.7 Dialog peradaban

Penduduk dunia terdiri daripada penganut pelbagai agama dan kepercayaan. Dalam
era globalisasi ini, penganut daripada pelbagai agama dan kepercayaan sering
bergaul dan berinteraksi antara satu sama lain. Dengan itu, kemungkinan
berlakunya salah faham antara mereka sentiasa wujud. Bagi mengelakkan perkara
ini, maka dialog peradaban yang membolehkan penganut pelbagai agama dan
kepercayaan berbincang dan mengenali antara satu sama lain adalah sangat
mustahak. Topik ini akan membincangkan secara ringkas tentang dialog peradaban
dan kepentingannya dalam dunia hari ini.

Dialog peradaban secara umumnya merujuk kepada usaha-usaha berterusan bagi
membolehkan penganut daripada pelbagai agama, kepercayaan dan tradisi saling
mengenali, memahami dan menghormati antara satu sama lain. Ia bertujuan untuk
menghapuskan rasa curiga, buruk sangka dan salah faham terhadap penganut
agama atau kepercayaan lain. Hal ini seterusnya akan dapat mewujudkan suasana
kehidupan masyarakat dunia yang aman sejahtera.

Dialog peradaban merupakan satu agenda yang sangat penting pada hari ini. Pada
era globalisasi, masyarakat dunia daripada pelbagai agama dan tradisi dapat
berinteraksi dengan mudah. Mereka terpaksa bergaul antara satu sama lain bagi
memenuhi hajat dan keperluan hidup masing-masing. Dalam suasana ini, jika setiap
pihak menyimpan rasa curiga, buruk sangka dan salah faham terhadap pihak yang
lain, maka lambat laun ia akan menjadi barah yang membunuh dan memusnahkan
masyarakat dunia. Banyak masalah dan tohmahan terhadap sesuatu agama
terutamanya agama Islam dibuat kerana wujudnya perasaan curiga dan salah faham

210

MPU23032 PENGAJIAN ISLAM

terhadapnya. Contohnya, Islam ditohmahkan sebagai agama keganasan pada hal
ajaran Islam sentiasa mengajarkan ke arah keadilan dan kesejahteraan hidup di
dunia dan di akhirat. Islam ditohmahkan sebagai agama kolot pada hal Islam
sentiasa mengajarkan penganutnya untuk mencari ilmu sebanyak mungkin dalam
pelbagai bidang dan memanfaatkannya untuk kemajuan dan kebahgiaan hidup
manusia di dunia dan di akhirat.

Dalam konteks negara Malaysia, dialog peradaban ini merupakan sesuatu yang
sangat penting. Hal ini kerana negara kita merupakan negara yang sangat rencam
dengan kepelbagaian agama, bangsa, bahasa dan budaya. Kepelbagaian ini, jika
tidak ditangani dengan baik, akhirnya akan menjadi faktor yang boleh
menghancurkan kehidupan negara ini. Sebaliknya, jika diuruskan dengan bijak, ia
akan menjadi kekuatan yang akan meletakkan negara ini kukuh dan istimewa di
mata dunia. Salah satu cara untuk mencapai hasrat ini ialah dengan mewujudkan
suasana saling memahami dan menghapuskan prasangka antara satu sama lain.
Untuk itu, dialog peradaban antara penduduk negara ini daripada pelbagai agama
dan kepercayaan mestilah dilakukan.

Daripada perspektif Islam, kepentingan mengadakan dialog peradaban ini tidak
dapat dinafikan lagi. Rasulullah s.a.w. telah banyak kali mengadakan dialog dengan
ketua-ketua musyrikin Arab dan juga delegasi asing yang datang ke Madinah.
Malah, Baginda membenarkan mereka memasuki Masjid Nabi untuk mengadakan
dialog keagamaan dan ketuhanan dengan Baginda. Tegasnya, dialog peradaban
merupakan sesuatu yang amat penting dilakukan bagi mewujudkan kehidupan dunia
sejagat yang aman, sejahtera dan harmoni

211


Click to View FlipBook Version