187 SYUKUR Pada tahun 2018 juga, MARA meluluskan permohonan pembiayaan seminar aku dan beberapa orang pustakawan MARA ke International Federation Library Association (IFLA) yang diadakan di KLCC. Peluang sebegini tidak mungkin dilepaskan memandangkan yurannya yang mahal namun berbaloi untuk aku berkenalan dengan pustakawan dari seluruh dunia, mengenali bahasa, budaya dan melihat usaha mereka dalam memperbaiki bidang perpustakaan di negara masing-masing. Pelbagai idea dari seluruh dunia dikongsi dan dipamerkan. Persidangan ini memberi aku perspektif baharu bahawa Malaysia tidak kurang hebat berbanding negara membangun yang lain. Pada tahun 2023, sekali lagi aku menghadiri IFLA buat kali kedua yang diadakan di Rotterdam, Netherland. Permohonan cuti ke persidangan tersebut tiada sebarang halangan. Aku tidak memohon pembiayaan MARA kerana kesuntukan masa. Pelawaan suami mengikutnya ke IFLA adalah pada saat akhir setelah pembiayaannya ke IFLA diluluskan. Justeru aku hanya menggunakan wang simpanan sendiri bersama suami untuk urusan perjalanan ke sana. Pada aku kelulusan cuti keluar negara selama 8 hari yang diberikan oleh Pengurusan MARA sudah memadai. Pengarah dan Timbalan Pengarah I memberikan sokongan dan galakan untuk aku menyertainya. Ini menambahkan rasa gembira dan dihargai. Hari kedua di Rotterdam, aku dan suami mengambil peluang berjalan menaiki kereta api ke Amsterdam. Kami bercadang untuk melawat Giethoorn, sebuah perkampungan Belanda di atas tasik yang indah dan terkenal. Sedang rancak berbual di dalam kereta api, aku terdiam kerana terdengar perbualan dalam Bahasa Melayu. Terasa kagum kerana orang Belanda boleh berbahasa Melayu. Setelah sampai ke Amsterdam Station sambil turun daripada kereta api, aku sempat menoleh ke arah 2 orang yang kusangka orang Belanda. Ruparupanya merela adalah Pustakawan daripada Malaysia. Aku menyapa mereka dan menceritakan kesilapan telahanku memikirkan mereka orang Belanda. Kami sama-sama ketawa. Sebelum beredar, salah seorang daripada mereka menawarkan pas masuk IFLA kepadaku kerana dia memiliki 2 pas masuk. Sudah pasti aku menerima tawarannya kerana aku masih belum membayar yuran masuk IFLA yang berjumlah RM3,500. Rezeki aku nampaknya berjumpa dan beramah mesra dengan orang Malaysia di Netherland. Alhamdulillah, ini rezeki orang bermusafir agaknya. Sepanjang berada di Netherland juga, aku mengambil kesempatan menjejakkan kaki ke Leiden University melawat Koleksi Nadir di sana. Sebuah universiti yang cantik dengan keindahan sungai serta bangunan tua yang unik dan menarik.
188 SYUKUR Sijil dan anugerah yang diterima, 2022 dan 2023 Bertuah rasanya dapat bekerja di MARA, bukan sahaja mendapat rezeki menjejakkan kaki ke seluruh negeri di Malaysia malah dengan rezeki daripada gaji yang sama juga, aku dapat membuat sedikit simpanan dan menghadiri seminar ke luar negara. Di kelilingi oleh insan yang hebat, baik dan luhur juga adalah rezeki yang tidak ternilai. Bak kata pepatah, jadilah seperti mata lebah yang sentiasa nampak madu, jangan jadi seperti mata lalat yang hanya nampak najis. Pada usia 40-an ini aku amat bersyukur ditakdirkan pelbagai perkara baik termasuk mendapat sahabat yang hebat dan ramai. Semakin berusia semakin ramai sahabat dari pelbagai lapisan termasuk cleaner. Bersama rakan sekerja dan cleaner yang bertugas di bahagianku, kami bersama-sama membina laman yang dilengkapi pelbagai herba dan bunga yang harum untuk terapi dan penyejuk mata. Tatkala mendapat pujian rajin, aku bersyukur dan tersenyum kerana aku berada di kelompok manusia yang menggembirakan dan menghargai. Aku menjadi rajin kerana rasa gembira dengan persekitaran tempatku bekerja. Aku berasa puas apabila dapat menghasilkan pekerjaan yang bagus dan baik serta di kelilingi manusia yang menggembirakan. Benarlah pesanan mantan Pengarah Bahagian Sumber Manusia MARA, “Pekerja Gembira Prestasi Berganda”. Sebagaimana pesanan Rasulullah SAW “Pekerjaan yang kamu sukai akan lebih banyak mendatangkan manfaat berbanding apa yang tidak kamu sukai”.
189 SYUKUR Sabda Rasulullah SAW Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mendalami ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan ke syurga.
Berdoalah, Allah mendengarmu. Bersabarlah karena Allah akan menjawab doamu pada waktu yang tepat.
Lembaran 1: Surat dari Jauh Di sudut ruang yang sepi, Arif duduk termenung. Matanya terpaku pada surat yang baru sahaja dia terima. Surat itu, yang menempuh perjalanan jauh dari United Kingdom, adalah lebih daripada sekadar kertas dan tinta. Surat itu membawa khabar yang tidak pernah terbayang hatta dalam mimpi terburuknya. "Saudara Arif, anda telah gagal dalam pengajian anda dalam bidang perubatan di universiti kami. Selamat maju jaya di peluang seterusnya. Yang benar, Dekan Fakulti Perubatan." Begitu kata-kata itu tertulis, ringkas namun setiap perkataan itu ibarat halilintar yang memukul jantungnya. Arif, yang sejak kecil selalu menjadi bintang di langit pendidikan, kini merasa dirinya seperti bintang yang jatuh. Sekolah rendah, Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains MARA, hinggalah ke peringkat A-Level, namanya selalu sahaja termaktub sebagai penerima anugerah pelajar cemerlang. Bilangan A yang dikumpul oleh Arif daripada bangku sekolah rendah hingga A-Level, tidak cukup dibilang dengan jari tangan. Namun pada saat ini, Arif buat pertama kali, baharu merasa betapa pahitnya kegagalan. PELUANG ARIF SAN KEDUA MENGEJAR MIMPI
192 PELUANG KEDUA MENGEJAR MIMPI Di kamar yang hanya diterangi cahaya lampu meja, Arif membiarkan fikirannya melayang jauh. Dia mengingat kembali hari-hari di universiti, saat dia berjalan di koridor dengan penuh semangat, saat dia menghabiskan malam di perpustakaan. Adakah perkara yang dia terlepas pandang? Adakah ada kesalahan yang tidak disedarinya? Pada malam itu, Arif tidak dapat tidur. Dia terjaga, memeluk surat itu erat-erat, seolah-olah cuba memahami setiap kata, setiap makna yang tersembunyi. Ini bukan hanya tentang kegagalan dalam sebuah ujian. Ini adalah tentang menghadapi kenyataan, tentang memahami bahawa dalam hidup, kadangkadang kita harus jatuh agar boleh melihat langit dari sudut pandang yang berbeza. Surat itu akhirnya dia letak di atas meja belajarnya, sebuah simbol kegagalan yang kini harus dia telan. Namun dalam kegagalannya, ada pelajaran yang mahal yang perlu dia cari, ada hikmah yang masih tersembunyi. Dan dari situlah, perjalanan Arif untuk mencari makna baharu dalam hidupnya bermula. Lembaran 2: Pencarian Makna Hidup Selamat pulang ke tanah air, Arif menumpang di rumah ibu saudaranya jauh dari keriuhan kota di Maktab Perguruan Islam, Bangi. Di sini, Arif menyibukkan dirinya dengan buku-buku sastera yang tersusun di perpustakaan mini di rumah ibu saudaranya. Di sini, di antara dinding-dinding yang dipenuhi bukubuku sastera lama dan aroma tinta, Arif menemukan ketenangan. Arif mula berdamai dengan takdir. Setiap hari, sebelum fajar menyinsing, Arif bangkit untuk beribadah, mencari ketenangan dan kekuatan dalam doa dan zikir. Pada saat paling tenang itulah, dia merasa semakin dekat dengan pencipta-Nya, merasakan kasih dan rahmat-Nya yang tiada henti. Dalam bersendirian itu, Arif muhasabah dirinya. Dia teringat bait lagu nasyid UNIC yang pernah bergema di telinganya, "Ujian adalah, tarbiyah dari Allah. Adakah kita kan sabar ataupun sebaliknya?" Lirik ini seringkali menjadi halwa telinganya namun tidak pernah menjadi santapan di hatinya. Pada kali ini, Arif merasakan lagu itu sedang berbicara dengannya, mengingatkannya bahawa setiap ujian yang datang adalah bentuk kasih sayang dari Allah, sebuah cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Arif mula memahami bahawa ujian yang dia alami, kegagalan yang dia rasakan, bukanlah untuk menjatuhkan dirinya tetapi untuk menguatkan dan membentuknya menjadi insan yang lebih baik. Dia mulai sedar bahawa Allah tidak akan memberikan ujian di luar kemampuan hamba-Nya. Ujian ini, kegagalannya, adalah tanda bahawa Allah sayang padanya, dan ingin Arif
193 PELUANG KEDUA MENGEJAR MIMPI kembali ke pangkuan-Nya. Dengan resolusi baharu ini, Arif merasa hatinya menjadi lebih tenang. Dia mulai mengerti bahawa kadang-kadang, Allah mengambil sesuatu daripadanya bukan untuk menyakitinya tetapi untuk membukakan jalan lain yang lebih baik, yang mungkin belum dia lihat. Di maktab itu, antara solat, introspeksi, pembacaan al-Quran dan puisi, Arif menemukan ketenangan dan kedamaian yang selama ini dia cari. Dia belajar untuk memeluk dan menerima takdirnya, untuk memandang kegagalan bukan sebagai pengakhiran tetapi sebagai permulaan sebuah perjalanan mencari erti diri. Lembaran 3: Pertemuan yang Mengubah Arah Arif masih ingat pada petang Sabtu yang hangat itu. Pada tengah hari itu, Arif dan bapanya bertolak dari Bangi ke Subang Jaya. Tujuan mereka adalah untuk bertemu dengan Pak Long Nazir, saudara yang terkenal dengan kebijaksanaannya dan ketokohan dalam bidang kewangan. Rumah Pak Long Nazir, penuh dengan koleksi buku-buku lama dan foto-foto kenangan, seolah-olah menceritakan sejarah panjang perjalanan hidupnya. "Arif, aku dengar kamu kembali dari UK dengan tangan kosong ya?" gurau Pak Long Nazir sambil menghirup teh 'o' yang berwarna keemasan. "Bukan tangan kosong, Pak Long tetapi dengan hati yang penuh," balas Arif, cuba menyembunyikan rasa malunya di sebalik senyuman kelatnya itu. Pak Long Nazir tertawa kecil, "Hati yang penuh ya? Penuh dengan apa? Harapan atau kekecewaan?" Arif hanya tersenyum. Dia tahu, di sebalik gurauan Pak Long, tersimpan nasihat yang dalam. "Aduh, Rif, jangan sedih begitu. Gagal sekali tidak bererti gagal selamalamanya," ujar Pak Long Nazir, cuba menceriakan suasana. "Lihat sahaja aku, berkali-kali gagal dalam perniagaan tetapi masih berusaha dan terus mencuba," tambahnya sambil tertawa. Bapa Arif menambah, "Betul kata Pak Long kamu tu Arif. Kamu masih muda, masih banyak peluang lain yang boleh kaucuba." Pak Long Nazir, dengan mata yang bersinar, seolah-olah memiliki rahsia besar yang hendak dikongsikan, berkata, "Kamu ini bijak, Arif. Aku lihat keputusan SPM dan A-Level kamu, cemerlang. Mungkin rezekimu bukan dalam bidang perubatan, mungkin dalam bidang lain. Pernah terfikir untuk mencuba jurusan perakaunan? Pernah kau dengar ACCA?"
194 PELUANG KEDUA MENGEJAR MIMPI Arif menatap Pak Long dengan rasa tidak percaya. "Perakaunan? ACCA?" ulangnya, seolah-olah kata-kata itu asing baginya. "Ya, ACCA! Itu bidang yang memerlukan kecerdasan dan ketelitian, seperti yang kau miliki. Aku yakin pelajar pintar sepertimu ini boleh lulus peperiksaan ACCA ini dalam masa 2 tahun sahaja," ujar Pak Long Nazir, sambil menepuknepuk meja, penuh semangat. Bapanya, melihat ada cahaya baharu di mata Arif, berkata, "Bagaimana kalau kita daftarkan kamu ke Kolej Poly-Tech MARA Kuala Lumpur? Di sana ada menawarkan program ACCA." Arif, yang pada mulanya ragu-ragu dengan cadangan itu, kini mula bersemangat. "Mungkin inilah jalan yang harus saya tempuhi," katanya, dengan suara yang semakin bersemangat. "Ingat, Arif," kata Pak Long Nazir, sambil menepuk bahu Arif. "Dalam hidup ini, jalan hidup setiap orang berbeza. Ada orang rezekinya jalan lurus. Ada orang rezekinya jalan penuh duri dan berbengkang-bengkok. Yang penting, kita harus mencari jalan kita sendiri dan tidak berhenti berusaha". Arif merasa lega, seolah-olah beban yang selama ini dipikulnya satu demi satu mulai terangkat. Dia kini bersedia untuk memulakan lembaran baharu dalam kamus hidupnya, sebuah lembaran di mana dia akan belajar banyak perkara baharu dan menemukan dirinya yang sebenarnya. Lembaran 4a: Kolej Poly-Tech Kuala Lumpur, Perjuangan Baharu Selama ini Arif berada di kelompok pelajar elit, di Sekolah Menengah Sains, di Maktab Rendah Sains MARA, di kolej persediaan ke luar negara, di universiti ternama di bumi United Kingdom. Bagaimanapun itu semua hanyalah memori hari semalam, yang sangat jauh dan asing baginya. Kini, di Kolej PolyTech MARA Kuala Lumpur, dia memulakan lembaran baharu dalam hidupnya, dengan hati yang penuh harapan dan tekad yang kuat. Di kaki lima kolej, Arif berjalan dengan langkah yang berbeza. Dia tidak lagi terbang di awangan di langit United Kingdom seperti hari semalam tetapi dia kini kembali berpijak di bumi yang nyata. Setiap langkahnya pada hari ini, penuh dengan azam untuk menimba ilmu. Dia mengingatkan dirinya bahawa langkahnya pada hari ini, bukanlah langkahnya yang pertama. Bahkan langkahnya telah bermula lebih sedekad yang lalu, sewaktu dirinya masih anak kecil, ketika digigit bayu pagi sambil menunggu bas Pak Halim membawanya ke Sekolah Kebangsaan Telok Kechai. Di kelas, Arif bertemu dengan rakan-rakan baharu. Mereka adalah pejuangpejuang muda yang juga memiliki mimpi besar. Ada Syed Nabil, yang
195 PELUANG KEDUA MENGEJAR MIMPI selalu ceria dan penuh semangat; Afif, yang tenang tetapi penuh tekad; dan Along, yang selalu hadir dengan jenaka untuk memecahkan suasana. Mereka menjadi satu pasukan, satu keluarga, yang saling mendukung dalam perjuangan menundukkan peperiksaan yang antara paling sukar di dunia, ACCA. "Kawan-kawan, ACCA ini ibarat medan perang, ya," kata Along pada suatu hari, sambil menyusun nota-notanya. "Tapi jangan takut, kita ini kan seperti pasukan elit Hamas. Kita akan lalui peperangan ini bersama-sama." Arif merasa amat bertuah kerana sokongan dan kata-kata semangat daripada rakan-rakannya. Di tengah-tengah tekanan belajar dan jadual kelas yang padat, persahabatan mereka menjadi sumber kekuatan. Perpustakaan Kolej Poly-Tech MARA Kuala Lumpur yang pada mulanya sunyi sepi, kini menjadi riuh dengan kelibat Arif dan rakan-rakannya mentelaah dan mengulang kaji pelajaran. Perjalanan mereka mengambil ACCA di Kolej Poly-Tech MARA tidak selalu mudah. Ada subjek yang sangat mencabar, ada ujian yang hampir sekelas gagal untuk mencapai markah lulus. Namun berkat doa, usaha dan sokongan di antara satu sama lain, mereka berjaya mengharungi semua 9 subjek Fundamental ACCA yang sukar itu. Arif dan rakan-rakan baharunya kini faham bahawa kejayaan bukanlah sekadar mencapai segulung ijazah tetapi menongkah liku-liku perjalanan hidup juga satu bentuk kejayaan. Dalam kembara ilmu di Kolej Poly-Tech MARA ini, mereka menemukan kekuatan baharu dalam diri mereka. Ini adalah perjalanan tentang persahabatan, tentang tekad dan tentang kekuatan untuk bangkit kembali. Lembaran 4b: Sang Guru Di Kolej Poly-Tech MARA, selain teman sekelasnya, ada satu insan yang sangat berpengaruh dalam perjalanan Arif, dialah Puan Saburiah. Insan ini bukan sahaja seorang pensyarah perakaunan yang dihormati kerana kepakarannya, dia juga dicintai oleh anak didiknya kerana kebesaran hatinya. Bagi Arif dan rakan-rakannya, Puan Saburiah tidak terhad sebagai seorang pengajar tetapi dia juga seperti ibu yang selalu memberi semangat dan nasihat. “Arif, sepanjang karier saya sebagai seorang guru, jarang saya menemui seorang pelajar yang begitu cintakan ilmu seperti kamu. Teruslah mencari ilmu, dengan ikhlas dan dedikasi. Percayalah, ilmu yang kamu gali dengan penuh keikhlasan ini akan menjadi cahaya yang memandu kamu pada hari yang mendatang,” itulah pesanan Puan Saburiah yang Arif abadikan sampai bila-bila.
196 PELUANG KEDUA MENGEJAR MIMPI Dengan bimbingan Puan Saburiah, Arif tidak hanya menjadi mahasiswa yang lebih baik tetapi juga menjadi individu yang lebih kuat dan tabah menghadapi cabaran hidup. Pelajaran yang diberikan Puan Saburiah tidak hanya tentang perakaunan tetapi juga tentang kehidupan, tentang bagaimana bangkit daripada kegagalan dan meneruskan perjalanan dengan harapan baharu. Lembaran 5: Menggapai Mimpi Baharu Hari bersilih ganti, sudah hampir 2 tahun Arif mengikuti pengajian ACCA di Kolej Poly-Tech MARA. Kini Arif sudah hampir sampai ke garisan penamatnya, dia sudah berada di semester akhir, di 3 subjek profesional ACCA, subjek yang hanya 30 peratus calon di dunia mampu menempuhnya tanpa merasa kegagalan. Afif yang selalu tenang, berkata, "Setiap angka yang kita hitung, setiap teori yang kita pelajari, itu semua adalah catatan untuk masa hadapan kita." Dan Along, yang selalu membuatkan mereka tertawa, "Jangan khuatir sahabatku. Kalau kita gagal hari ini, masih ada 70 peratus calon lain yang akan mengulangi subjek ini bersama kita pada semester hadapan." Akhirnya, hari yang ditunggu-tunggu tiba. Hari pengumuman keputusan peperiksaan akhir ACCA. Arif, dengan degupan jantung yang kencang, membuka hasil ujiannya. Wajahnya bersinar-sinar bagai disinari mentari, pada saat dia melihat kata-kata 'Pass' di layar komputernya. Dia tidak hanya lulus tetapi lulus dengan cemerlang. Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Arif adalah satu-satunya calon ACCA di Kolej Poly-Tech MARA yang lulus semua subjek profesional ACCA pada 2010. Semua teman-teman seperjuangannya telah kecundang dalam peperiksaan ACCA berkenaan dan mereka perlu mengulang semula pada peperiksaan berikutnya. Hari konvokesyen Kolej Poly-Tech MARA, Arif yang menerima Anugerah Tokoh Pelajar Cemerlang, berdiri di hadapan para graduan dan memberikan ucapan, "Kejayaan saya pada hari ini bukanlah hasil usaha saya sendiri. Kejayaan ini adalah hasil istiqamah kedua ibu bapa saya yang tidak putusputus berdoa dan memberikan sokongan kepada saya. Kejayaan ini adalah keikhlasan guru-guru saya yang mengajar, daripada saya tidak tahu apa-apa. Dan akhir sekali, kejayaan saya ini adalah keringat dan air mata rakan-rakan walaupun tidak bergraduasi pada hari ini tetapi sentiasa bersama saya ketika suka dan duka. Pada hari ini kita semua adalah pemenang, bukan kerana kita tidak pernah gagal tetapi kerana kita tidak pernah menyerah kalah."
197 PELUANG KEDUA MENGEJAR MIMPI Lembaran 6: Kembali ke MARA, Berkongsi Mimpi Setelah 3 tahun telah berlalu, sejak hari bersejarah konvokesyen Kolej PolyTech MARA. Dengan berbekalkan sijil professional ACCA yang dimiliki, Arif memulakan kerjayanya di sebuah firma audit ternama di ibu kota. Namun, di hati kecilnya, sebuah keinginan lain tumbuh subur: keinginan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, untuk membantu mereka yang mendambakan peluang kedua, sama seperti dirinya. Pada 1 April 2013, Arif telah mengambil keputusan yang penting dalam hidupnya. Dia telah meletak jawatan dari firma audit untuk berbakti kepada MARA, organisasi yang pernah memberikannya peluang kedua. Dia kini bertugas sebagai seorang akauntan di MARA. Arif bersedia untuk memulakan lembaran baharu dalam hidupnya: memberi inspirasi kepada orang lain. Sebagai akauntan, Arif sering diundang untuk memberi taklimat kepada para pelajar tajaan MARA. Pada setiap sesi taklimat, kata-katanya bukan sekadar tentang angka dan kewangan tetapi juga tentang kehidupan, tentang perjuangan dan tentang api semangat yang tidak pernah padam. "Pelajar-pelajar yang saya kasihi, saya di sini bukanlah sekadar sebagai seorang pegawai MARA tetapi adalah sebagai saksi bahawa mimpi, walaupun pahit perjalanan mengejarnya, adalah mimpi yang patut diperjuangkan." ucap Arif pada majlis Pre-Departure Perdana 2015. "Kita di sini, bukan hanya untuk menghafal teori dan menghitung angka. Kita di sini adalah pelajar-pelajar kehidupan. Belajar bagaimana bangkit ketika jatuh dan terus berlari mengejar impian kita." ujarnya lagi sambil mata bersinar. Dalam setiap ucapan, Arif tidak hanya menyampaikan taklimat tetapi juga meniupkan semangat, impian dan harapan. Mimpi untuk mereka yang pernah jatuh tersungkur, agar kembali bangkit dan tidak pernah menyerah. Inilah jalan pilihan Arif, bak kata Robert Frost dalam puisinya, “Two roads diverged in a wood, and I took the one less traveled by, and that has made all the difference.” Hari ini, Arif masih lagi menyalakan api semangat dalam hati generasi muda, membimbing mereka mencari jalan hidup, sepertimana dia menemukan jalan hidupnya.
Berdoalah, Allah mendengarmu. Bersabarlah karena Allah akan menjawab doamu pada waktu yang tepat.
Wajah bening lembut itu, tersenyum ketika memasuki ruangan solat wanita. Suasana sunyi menyambut kehadiran dua warga kerja ke Surau Tingkat 11 untuk Dhuha. Manakan tidak, baru hari keempat Aidilfitri, ramai yang masih bercuti panjang di kampung. “Kaki sakit? Mengapa jalan terhencut-hencut?” sapaanku tanda mengambil tahu. “Saya terjatuh semasa mencuci tandas semalam. Sikit sahaja ini.” Wanita itu menjawab dalam loghat Indonesia yang tebal. Bermula dengan perkenalan singkat, ia menjadi satu titik tolak kepada perkongsian kisah hidup yang sangat mengharukan, seolah-olah ia kunci pembuka peti yang terungkap segala rahsianya. Syarifah Ummiyanti memperkenalkan diri. Wanita ini berketurunan Arab yang boleh ditebak berdasarkan rupa paras dan keterampilannya. Dia berusia 51 tahun, kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya. Orangnya tinggi lampai dan berkulit putih kemerahan. Hidung mancung persis Syarifah Aini. Sepasang mata bundar, bola mata hitam pekat dengan alis mata hitam tebal. Di sebalik uniform merah hati yang membalut tubuhnya, menemukan satu sosok wanita yang bukan kaleng-kaleng. Sharifah Ummiyanti anak sulung daripada 3 orang adik beradik, berasal daripada keluarga penghafaz kitab suci al-Quran. Bapanya bernama Md MARA CHE PIA PENYAMBUNG NYAWA
200 MARA PENYAMBUNG NYAWA Yusuf, seorang bilal masjid juga memiliki sebuah pesantren yang diusahakan oleh keluarga. Suaminya seorang ustaz yang juga penghafaz. Wanita ini mendapat pendidikan agama selama 14 tahun di Pesantren Darul Saadah, Banda Acheh. Dia menunaikan ibadah haji pada awal usia 33 tahun bersama suami. Mereka menjadi pakar rujuk agama dalam komuniti. Pasangan ini mempunyai 4 orang anak lelaki, Muksalmina, Martinis, Samlikha dan Ulul Azmi. Dia berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 2011. Bekerja di MARA sebagai cleaner adalah satu keberuntungan baginya. Majikan yang bertimbang rasa, memenuhi kepuasan yang dicari. Rezeki yang halal. Rakan-rakan sekerja yang sangat memahami dan mengambil berat. Keizinan untuk menunaikan ibadat harian tanpa halangan. Malah diberi galakan semasa senggang melakukan ibadah sunat seperti solat sunat dhuha, membaca al-Quran. Majikan juga memberi kelonggaran untuknya menyertai bacaan Yaasin dan mendengar ceramah agama. Ummi pernah bekerja di sebuah agensi kerajaan lain selama 3 bulan. Bekerja di kafeteria dengan gaji RM70 sehari sebagai seorang pelayan. Dia berhenti kerja disebabkan tugasan itu sangat memenatkan. Tambahan pula peluang untuk menunaikan ibadah harian terhad. Ummi menemui kepuasan bekerja di MARA. Baginya suasana di MARA begitu aman, damai dan tiada tekanan. Dia pernah bertugas di pelbagai bahagian, malah merasakan warga kerja MARA sebagai rakan yang ramah, tidak sombong dan sangat menghargai warga kerja bawahan sepertinya. Penyelia juga bersikap bertimbang rasa terhadap pekerja lanjut usia sepertinya. Ummi adalah saksi korban tsunami dahsyat yang melebur Banda Acheh pada tahun 2004. Musibah itu telah melenyapkan bapa, suaminya, Haji Ramlan dan tiga orang anak lelakinya serentak. Jasad mereka hilang ghaib, digulung ombak besar setinggi 30 kaki. Rumah keluarga yang berada di kawasan pelabuhan Ulele di Banda Acheh Darul Salam berhampiran laut, juga tidak menemukan sisa yang telah menjadi padang jarak padang tekukur. Kejadian 19 tahun lepas amat jelas diingatan Ummi. Gempa bumi kali pertama sangat dahsyat. Goncangan gempa sudah cukup meranapkan. Sebahagian besar rumah dan bangunan rosak dan ada yang menyembah bumi. Ummi bersama suami, Haji Ramlan dan 3 orang anak lelaki berumur 7 tahun, 3 tahun dan 11 bulan, di rumah ketika itu. Suasana hiruk pikuk, manusia panik menyelamatkan diri. Memikirkan keselamatan anak lelaki yang berada di pesantren, justeru Ummi pergi mendapatkannya dengan menaiki motosikal. Suami Ummi yang sedang demam pada ketika itu, lebih selesa untuk menjaga anak-anak kecil di rumah. Perjalanan ke Pesantren Salamun mengambil masa hampir 1 jam. Kedudukan pesantren berada di kawasan tanah tinggi. Setelah Ummi berada
201 MARA PENYAMBUNG NYAWA di kawasan berkenaan, baharulah beliau menyedari bahawa ombak tsunami telah menghancurkan seluruh Banda Acheh yang berada di belakangnya. Dia seolah-olah menempah perjalanan menyelamatkan nyawa ke kawasan pedalaman tanah tinggi itu. Melihatkan apa yang berlaku, Ummi langsung jatuh pengsan. Bukan sekadar itu, Ummi mengalami kecederaan yang menjadi parut kekal hingga ke hari ini. Sejak itu Ummi hanya tinggal 2 beranak. Sejak datang ke Malaysia, Ummi tidak lagi pulang ke Indonesia. Katanya tiada apa lagi yang ingin dikenang. Semuanya telah dilepaskan menjadi takdir Allah. Pasrah dan redha seadanya. Kental sungguh jiwanya menyembunyikan derita di sebalik senyumannya. Ummi menceritakan lagi, pada hari itu, genap 100 hari kematian satu-satunya anak yang tinggal di dunia. Dikatakan anak bujangnya telah menyusulnya di Kuala Lumpur sejak 2014, bekerja sebagai jurujual di Pasaraya GM. Anak lelakinya itu dalam proses menjalin ikatan yang ingin dirasmikan secara sah dengan seorang gadis Malaysia yang bertugas sebagai jururawat. Pada awal Januari 2023, anak lelakinya pulang mengunjungi keluarga di Banda Acheh. Namun, selepas seminggu berada di kampung halaman, anaknya itu mengalami sakit dada langsung membawa maut pada tarikh 12 Januari 2023. Ummi tidak pulang, dia merasakan tiada apa yang boleh dilakukan kecuali mendoakan segala urusan pengkebumian berjalan dengan lancar. Ummi masih mempunyai seorang adik lelaki kini tinggal di Acheh, meneruskan usaha pendidikan pesantren. Seorang lagi adik lelakinya telah meninggal dunia setelah mengalami sakit di bahagian usus. Gempa bumi yang dikenali sebagai Sumatra-Andaman itu merupakan ketiga terbesar yang dicatat dalam Seismograf selepas gempa bumi Valdivia 1960 dan Gempa Bumi Alaska 1964. Ia mempunyai durasi terpanjang di antara 8 hingga 10 minit. Gempa berkenaan telah menyebabkan planet bumi bergetar satu sentimeter dan memicu pelbagai gempa lain di pelbagai wilayah sehingga ke Alaska. Impak gegaran mengakibatkan tsunami di 14 negara termasuk Malaysia. Semasa gempa, kedudukan lempeng kontinental bumi dikatakan bergeser menaik sehingga 15 meter secara vertikal. Situasi ini menyebabkan dasar laut bergerak menaik sehingga 10 meter. Permukaan laut di lokasi, naik secara tiba-tiba dan mendorong air laut membentuk gelombang besar yang disebut sebagai tsunami. Gelombang yang berlaku menyamai kecepatan sebuah pesawat jet iaitu 500 hingga 1000 kilometer per jam bergerak ke arah pantai. Gelombang raksasa telah membadai 100 kilometer ke sebelah barat pantai Sumatera. Tsunami di Acheh turut dikenali sebagai Tsunami Samudra Hindai, Tsunami Asia Selatan, Tsunami Indonesia, Tsunami Natal dan Tsunami Hari Boxing. Tsunami tersebut menyebabkan korban jiwa sebanyak 280,000 orang di seluruh dunia.
202 MARA PENYAMBUNG NYAWA Menurut Ummi yang menjadi saksi mata di tempat kejadian mengatakan bahawa air tsunami berkenaan mempunyai kepekatan dan suhu yang berbeza daripada air laut biasa. Sehingga mangsa yang terkena air berkenaan bertukar menjadi kehitaman dalam tempoh yang sangat cepat. Malah terdapat mangsa yang juga turut terkorban walaupun hanya terkena air berkenaan pada kaki, seolah-olah air berkenaan berbisa dan mematikan. Selama tempoh 7 tahun sebelum berhijrah ke Malaysia, Ummi sempat melalui fasa pasca tsunami. Ummi merasai hidup 3 bulan dalam khemah bantuan antarabangsa. Dia juga sempat merasai evolusi pembangunan semula Banda Acheh dengan wajah baharu. Pembangunan lebih terancang, sistematik dan moden hasil bantuan badan-badan dunia dan antarabangsa. Ummi hanya mampu mengunjungi Kuburan Massal Ulele dan Muzium Tsunami bagi mengingati ahli keluarga yang terkorban. Tapak tanah asal milik keluarga telah dibangunkan semula rumah dan kini telah didiami oleh satu-satunya adik yang tinggal bersama keluarganya. Ummi membuat keputusan berhijrah ke Malaysia untuk membina kehidupan baharu. Ummi masih mempunyai impian untuk pulang semula ke tanah tumpah darahnya apabila dia berumur 60 tahun kelak, setelah kos untuk bersara mencukupi. Masa lapangnya kini dihabiskan dengan beribadah. Ummi mempunyai sasaran khatam al-Quran sebanyak 3 kali setiap bulan. Menjadi jemaah dan kariah Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur merupakan satu kelebihan. Beriktiqaf di masjid setiap hujung minggu dan boleh beriktiqaf selama 30 hari ketika bulan Ramadan. Hafalan surah harian yang tidak pernah ditinggal ialah Surah al-Kahfi, al-Mulk, Yaasin, al-Waqiah dan ar-Rahman. Disulami dengan zikir-zikir lazim yang tidak pernah lekang dari bibir. Amalan lain turut diamalkan seperti puasa sunat Isnin dan Khamis serta puasa 3 hari putih setiap bulan. Prinsip yang dipegang teguh Ummi ialah biarlah rezeki sedikit tetapi berkat. Manakala rezeki berkat yang berpanjangan ialah kawan-kawan yang baik. Hati menjadi rentan. Mendengar cerita Ummi dari sudut pandang mata hati. Dhuha hari itu menjadikan diri bermonolog sendirian. ‘Apakah yang Allah ingin sampaikan kepadaku’. Kecilnya dugaan diri berbanding apa yang dialami oleh insan lain pilihan Allah. “Janganlah kamu merasa sedih dan janganlah kamu bersedih hati, tetapi carilah kekuatan di dalam sabar dan berdoa.” Hadis Riwayat Bukhari. Cerita ini dikarang dan ditulis oleh penulis setelah mendapat kebenaran daripada empunya diri.
Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan masanya. Ali - 'Imran : 145 Syarifah Ummiyanti Anak sulung, Muksalmina
Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan. Al - Ankabut : 57
SCAN UNTUK GAMBAR