87 REZEKIKU BERSAMA MARA Alhamdulillah 18 April 2011, puteri sulungku selamat dilahirkan walaupun terpaksa melalui prosedur induce dek kerana penyakitku. Aku melalui proses berpantang seperti ibu-ibu lain dan alhamdulillah sendi-sendiku semakin pulih. Jadi doktor beranggapan sakit aku disebabkan pembawakan budak. Namun sepanjang berpantang, aku melalui fasa post-natal depression kerana keputusan perpindahanku masih belum keluar. Soalan yang pastinya ditanya apabila keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan datang melawat adalah bila nak pindah? Aku menjadi pendiam, suka menyendiri dan tidak suka berjumpa dengan orang. Aku jadi takut akan berpisah dengan anak dan suamiku. Akhirnya doa kami Allah makbulkan. 3 minggu sebelum cuti bersalinku tamat, keputusan perpindahanku ke Kemaman akhirnya diluluskan. Alhamdulillah syukur… Di Kemaman kami sekeluarga hidup dengan gembira. Kawan-kawan dan bos pun sangat baik dan memudahkan. Namun aku sangkakan panas sampai ke petang. Tidak mengapa Tuhan. Aku mengerti kalau hujan juga perlu diturunkan. Sakitku kembali menyerangku sewaktu bayiku berusia 8 bulan. Aku menjadi terlalu letih ditambah pula aku menyusukan anakku. Aku merasa sukar untuk mendukung anakku dalam waktu yang lama. Sendi-sendiku sakit dan lemah. Aku dirujuk ke Hospital Kuantan kerana Kemaman tidak mempunyai pakar Rheumatoid Artritis. Doktor tidak dapat memberiku ubat yang kuat kerana aku menyusukan anakku. Kami juga ikhtiar cara tradisional dan mencuba rawatan alternatif. Allah Maha Mengetahui…Maha Pemberi Rezeki…aku disahkan mengandung anak kedua sewaktu anak sulungku berusia 1 tahun 3 bulan. Alhamdulillah syukur…Masih ada ruang untukku bersyukur saat berhadapan dengan masalah dan ujian. Namun, keadaan kesihatanku semakin merosot. Kakiku semakin membengkak sehingga aku terpaksa menyeret kaki sewaktu berjalan. Badanku kurus, mukaku cengkung walaupun mengandung. Mukaku pucat dek kerana bacaan HB yang terlalu rendah. Walau bagaimanapun aku masih gigih pergi bekerja biarpun terpaksa menolak gear kereta menggunakan kedua-dua belah tangan. Tanganku tidak kuat walaupun untuk mengangkat laptop. Biar pun pergerakanku lambat, aku cuba semampuku untuk mendidik anak bangsa. Alhamdulillah kawan-kawan dan jiran-jiran di Kemaman banyak membantuku biar pun kami berjauhan dari keluarga. Selepas kelahiran anak keduaku, keadaan kesihatanku beransur baik walaupun kesannya masih ada. 3 jari tangan kananku membengkok. Kakiku
88 REZEKIKU BERSAMA MARA masih sakit untuk berjalan banyak walaupun bengkaknya sudah surut. Aku tetap teruskan berurut dan rawatan-rawatan lain. Aku juga cuba mengambil steroid dan ubat yang kuat apabila anakku tamat fasa menyusu. Alhamdulillah ubat tersebut berkesan mengawal radang di sendi-sendiku. Ketika anak keduaku berusia 4 tahun, aku disahkan mengandung anak ketiga. Pada kali ini, keadaan kesihatanku sangat baik. Mungkin kerana dos tinggi ubat yang aku ambil sebelum mengandung. Aku masih mampu menyelaras program besar biar pun sarat mengandung 8 bulan. Aku sangat bersyukur dan gembira. Allah perkenankan doaku. Ketika anak ketigaku berusia 4 bulan, suamiku menerima perkhabaran untuk ditukarkan semula ke Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, aku mula merasakan perubahan pada badanku. Aku mula berasa sakit untuk mendukung anakku. Sendi-sendiku sakit semula dan ini merupakan petanda sakitku menyerang kembali. Aku berasa tidak mampu untuk menguruskan 3 orang anak seorang diri dengan keadaan sakit dan berjauhan dari suami dan keluarga. Aku nekad untuk memohon perpindahan ke Kuala Lumpur walaupun sudah 7 tahun selesa berada di Kemaman. Alhamdulillah, pengarahku memahami masalah yang aku hadapi walaupun pada waktu itu aku satu-satunya pensyarah untuk unitku. Pengarah menyokong perpindahanku dan turut membantuku berbincang dengan pihak ibu pejabat. Kawan-kawan di ibu pejabat turut sama membantu memudahkan urusan perpindahanku. Kawan-kawan di Kemaman banyak bertanya khabar sewaktu ketiadaan suamiku. Para pelajar turut sama membantuku. Alhamdulillah akhirnya keputusan perpindahanku diluluskan. Terima kasih kawan-kawan dan Tuan Haji. Terima kasih MARA. Di Kuala Lumpur, aku melihat ada sinar cahaya untuk kehidupan kami sekeluarga. Allah mudahkan kehidupan kami di Kuala Lumpur. Keadaan kesihatanku bertambah baik. Memandangkan Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya, maka akses kepada fasiliti kesihatan amat mudah. Aku menerima rawatan di salah sebuah hospital swasta terbaik di sini. Doktor mengesyorkan aku mendapatkan rawatan secara biologik yang sesuai dan selamat untuk ibu yang menyusukan anak. Aku juga menerima rawatan fisioterapi di sini. Jarak di antara IKM dan hospital yang dekat memudahkan aku berulang-alik ke hospital dua kali seminggu untuk rawatan fisioterapi. Di hospital ini aku juga dirujuk kepada pakar jantung, pakar lutut dan pakar tangan untuk membantu merawat kesihatanku dengan lebih terperinci.
89 REZEKIKU BERSAMA MARA Walaupun penyakitku perlu dikawal dengan suntikan dan ubat-ubatan namun aku tetap bersyukur penyakitku mampu dikawal daripada menjadi semakin serius. Aku masih mampu hidup normal dan bekerja seperti orang lain. Masih ramai lagi orang yang sakit diragut kehidupan normal mereka. Syukur Ya Allah… Aku telah berkhidmat selama 15 tahun dengan MARA sebagai guru usahawan bawah 3 pusat yang berbeza. Alhamdulillah rezekiku bersama MARA. Pada saat kawan-kawanku belum ditawarkan pekerjaan, MARA telah menawarkan peluang pekerjaan. Pada saat aku sakit, MARA membantu memudahkan urusanku dari segi permohonan cuti, untuk mendapatkan rawatan yang terbaik dan untuk berada di samping keluarga. Sebenarnya di sebalik semua hunjaman ujian yang Allah berikan masih ada jalan keluarnya. Aku gembira menjadi seorang guru usahawan kerana pergaulan dan pendedahan dengan para usahawan membentuk diriku pada hari ini. Aku berasa bangga menjadi sebahagian daripada MARA, sebuah organisasi Bumiputera yang terbesar dan tertua di Malaysia. Aku tahu Allah mahu mengajarkanku cara memandang setiap ujian. Pandang hidup ini dari sisi cahaya. Pada setiap ujian yang tiba, ada dosa yang terhapus, ada hikmah yang menanti. Semakin kita buka mata hati kita untuk berdamai dengan takdir, semakin terbuka akal kita untuk berfikir. Ada banyak rasa yang patut aku syukuri. Ada banyak nikmat yang tidak boleh dijual beli. Aku juga dapat pengalaman baharu dan berbeza apabila berhadapan dengan masalah yang kita tidak jangka. Aku bersyukur kerana terpilih untuk diuji, lantaran ujian daripada Allah adalah tanda sayang, tanda rindu dan tanda kasih Dia kepada hamba Nya. Dia hendak hapuskan dosa kita. Dia hendak beri kita pahala dan Dia hendak tinggikan darjat kita. Kata Tuhan, kehidupan bersarang dengan ujian. Lulus atau gagalnya sahaja yang masih rahsia. Aku tahu Engkau membuatkan aku tersungkur kerana tidak mahu ingatanku terhadap-Mu terkubur. Aku redha dengan ujian-Mu ini. Ya Allah kerana pada setiap derita yang kurasa, tetap juga ada percikan bahagia. Kerana-Mu Ya Allah, aku akan terus tabah dan bersyukur atas kesakitan yang dialami. Aku percaya semua petaka ini akan mendekatkan diriku dengan Tuhan dan daripadanya aku belajar erti pergantungan. Qawiy! Bertahanlah.
Fikirkan hal-hal yang paling hebat, dan kamu akan menjadi terhebat. Tetapkan akal pada hal tertinggi, dan kamu akan mencapai yang tertinggi.”
1 SMS masuk . “Tahniah! Anda telah ditawarkan perkhidmatan dalam MARA sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Sila semak e-mel anda untuk maklumat lanjut.” Pada tanggal 26 Jun 2015 bermulalah kisahku bersama MARA. Allahuakbar, pada saat aku sudah tidak lagi mengharap, Allah kurniakan aku rezeki ini. Hampir setahun aku menunggu keputusan ini. Rupa-rupanya aku merupakan calon simpanan. Besarnya nikmat Allah kepadaku. “Maka nikmat Tuhan-Mu yang manakah yang kamu dustakan?” Ungkapan alhamdulillah acap kali terpacul di mulutku. Sungguh aku tidak menyangka. Insan yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan akan dipilih menjadi Guru MARA. Termenung aku sejenak memikirkan kepayahan yang aku lalui untuk sampai ke tahap ini. Banyak tapisan yang perlu aku lalui untuk menjadi Guru MARA. Aku perlu melalui ujian fizikal. Ya Allah, berat badan dah cecah 70kg. Badan berisi. Mampukah aku melepasi bleep test ke tahap 3? Tawakal sahaja. Masih terbayang-bayang di ingatanku, seawal pagi aku tiba di Akademi Kecemerlangan MARA di Jawi, Pulau Pinang. Berbekalkan tenaga dan keupayaan yang ada, alhamdulillah berjaya melepasi tahap 3. KEMANISAN NURSYAMIMI FAURUDDIN DI SEBALIK KESABARAN
92 KEMANISAN DISEBALIK KESABARAN Selesai bleep test, aku perlu menduduki ujian psikometrik dan bersedia untuk microteaching. Terasa kerdil saat ini kerana aku tiada pengalaman mengajar. Inilah kali pertama aku mengajar di dalam kelas, sebelum ini hanya mengajar tuisyen secara perseorangan. Alhamdulillah... Allah permudahkan segala urusanku sehingga ke peringkat temuduga. Satu ketika dahulu, aku pernah gagal menyempurnakan hasrat keduadua ibu bapaku untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Aku pernah kecundang di matrikulasi. Kemudian aku melangkah pula ke sebuah universiti tempatan dalam jurusan Asasi Undang-Undang. Betapa banyak modal yang telah ibu bapa aku laburkan demi masa hadapanku tetapi aku bazirkan begitu sahaja. Semasa meneruskan pengajian di peringkat asasi, berlinang air mata menghafal pelbagai akta dan perlembagaan. Ternyata perjalanan menjadi seorang peguam itu penuh dengan liku apabila aku perlu mendapat MUET Band 4 untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah. 4 kali aku menduduki MUET barulah aku berjaya mendapat Band 4, namun apabila dikenang kembali “Mengapa sukarnya perjalanan aku kali ini? Adakah bidang undang-undang di luar kemampuanku?”. Aku melakukan solat istikarah untuk mencari jawapan dan Allah dorong hati ini untuk menukar bidang. Walaupun aku memohon bidang lain, aku masih berharap untuk bekerja di dalam mahkamah. Jika sebelum ini aku hanya melihat perbicaraan kes mahkamah di dalam televisyen, pada kali ini aku ingin berada sebaris dengan mereka yang bekerja dalam mahkamah. Justeru itu, aku memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Bahasa Melayu untuk menjadi penterjemah di dalam mahkamah. Impian aku pada kali ini tercapai apabila aku berjaya menamatkan pengajian ijazahku dengan CGPA 3.66 dan dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Naib Canselor. Untuk kali pertamanya dalam hidupku, aku menyaksikan kegembiraan ibu bapaku melihat kejayaan ini. Segala kejayaan ini tidak akan dapat aku kecapi tanpa doa daripada ibu bapaku dan petunjuk daripada Allah. Tamat sahaja pengajian ijazah, berpuluh-puluh permohonan kerja aku isi. Hari demi hari aku menanti jawapan dengan penuh sabar. Entah berapa banyak resume dicetak untuk dihantar ke pelbagai syarikat swasta mahupun kerajaan. Alam pekerjaanku bermula apabila aku ditawarkan untuk menjadi editor di sebuah syarikat penerbitan. Aku menerima tawaran ini sebagai satu platform untuk menimba pengalaman. Ibuku sering berkata bahawa dia ingin melihat aku menjadi guru. Aku sama sekali tidak menghiraukan kata-kata ibuku kerana aku masih setia untuk berkhidmat di dalam mahkamah.
93 KEMANISAN DISEBALIK KESABARAN Ketika rakan-rakan seperjuanganku sudah dipanggil untuk bekerja dalam pelbagai bidang di sektor kerajaan dan swasta dengan gaji yang lumayan, aku masih kekal sebagai editor. Adakala terdetik di hati ini bahawa kejayaan aku semasa ijazah seolah-olah tidak berguna kerana aku gagal menceburkan diri dalam karier yang diidamkan. “Eh, Mimi. Kenapa menangis?” Lamunanku terhenti apabila aku disapa oleh seorang sahabat dari belakang. Dialah sahabat yang menyaksikan air mata terharuku menerima tawaran daripada MARA. E-mel yang diterima tertulis bahawa aku perlu melaporkan diri di MRSM Beseri pada 27 Julai 2015. Melihat penempatan ini, aku masih tidak mengetahui lokasi sebenar sekolah tersebut. Tanpa berlengah, aku terus menghantar surat tawaran yang dimuat turun daripada e-mel kepada ibu bapaku. Gembiranya ibuku apabila hasratnya untuk melihat aku menjadi guru telah dimakbulkan oleh Allah. Mulai saat itu, impianku untuk bekerja di dalam mahkamah aku simpan dalam lipatan kenangan. Benarlah kata ibuku, tak semua yang kita impikan akan jadi kenyataan. Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertamaku ke negeri Perlis Indera Kayangan. Inilah kali pertama aku sekeluarga menjejakkan kaki ke sini. Perasaan bercampur baur apabila aku terpaksa merantau di negeri orang tanpa mempunyai saudara mara terdekat. Aku percaya bahawa sesuatu yang berlaku ada hikmah dan Allah telah merencanakan yang terbaik untuk aku. Segala-galanya berlaku atas ketentuan Ilahi. Setahun bersama MARA, aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam Diploma Pendidikan di sebuah universiti swasta. Peluang sebegini sama sekali berbeza dengan pengalaman belajar sebelum ini kerana aku ditaja sepenuhnya oleh MARA. Terlalu istimewa layanan yang diberikan oleh MARA kerana aku tinggal di sebuah hotel bertaraf 3 bintang di tengah-tengah ibu kota selama seminggu dan diberi elaun makan. Genap 2 tahun menyambung pengajian, aku berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.83. Pencapaian yang lebih cemerlang jika dibandingkan dengan ijazahku sebelum ini. Aku diraikan dalam satu majlis konvokesyen yang gilang-gemilang di PICC, Putrajaya. Pada usia 26 tahun, aku sekali lagi diuji. Setahun melayari kehidupan berumah tangga bersama sahabat yang belajar di universiti yang sama, kami terpaksa memilih untuk berjauhan kerana suamiku ditawarkan untuk menjadi Guru Matematik di MRSM Sungai Besar. Bermulalah episod duka lara seorang isteri. Pulang dari sekolah, hidupku terasa sunyi kerana aku tinggal keseorangan. Aku cuba memohon pertukaran ke maktab yang berdekatan dengan suamiku. Hampir setahun aku menunggu,
94 KEMANISAN DISEBALIK KESABARAN permohonan masih tidak diluluskan. Lama-kelamaan, aku sudah terbiasa dengan kehidupan PJJ. Tiba-tiba... Cuti akhir tahun 2016 telah menjadi titik noktah perjalanan PJJ kami. Sekali lagi aku menitiskan air mata kerana MARA. Berkat kesabaranku menanti pertukaran untuk tinggal sebumbung dengan suamiku, akhirnya berjaya. Pengharapan yang sedikit tetapi Allah beri lebih. Aku cuma berharap ditempatkan di maktab berdekatan dengan suamiku tetapi aku telah ditukarkan ke MRSM yang sama dengan suamiku. Syukur. Air mata sebak, terharu dan gembira menyelubungi diriku. Sungguh berat hati ini untuk meninggalkan bumi Perlis. 3 tahun yang berlalu banyak memori yang tercipta. Ketika itu, aku teringat kembali kisah sedihku sepanjang berjauhan dengan suamiku. Aku dan suami terpisah hampir 400km. Setiap minggu suamiku berulang-alik ke Perlis untuk bertemuku. Setiap minggu aku terpaksa melalui bibit sedih saat melepaskan tangan insan bergelar suami demi kerjayanya. Sungguh perit perasaan itu. Bayangkan suamiku pulang setiap petang Jumaat dan pergi dengan lambaian selamat tinggal setiap pagi Ahad. Aku tahu suami aku sangat letih tetapi dia juga tiada pilihan kerana itulah rezeki yang sudah tertulis. Setiap bulan juga kami terpaksa menampung perbelanjaan dua buah rumah yang berbeza. Duit mengalir seperti air. Tidak sempat menyimpan. Sebulan sekali, kami akan pulang ke Pahang untuk melawat ibu mertuaku yang terlantar sakit. Gaji bulan ini, habis bulan ini. Jarang sekali dapat bawa gaji ke bulan hadapan. “Sayang, janganlah sedih. Allah aturkan cantik dah untuk kita. Tempat yang terbaik untuk seorang isteri adalah di sisi suaminya,” kata suamiku sambil mengesat air mataku. Tiada ungkapan dapat dituturkan saat ini melainkan terima kasih MARA kerana menjaga kebajikan kakitanganmu. Terima kasih MARA kerana mempertimbangkan permohonanku. Kehidupan PJJ selama setahun banyak mengajarku erti berdikari dan bertahan demi sebuah perhubungan. Minggu-minggu terakhir aku di MRSM Beseri diselubungi rasa sayu. Aku menerima banyak hadiah dan surat daripada rakan-rakan dan pelajar-pelajarku. Aku bersyukur kerana MARA memberi peluang untuk aku membina kehidupan baharu bersama suamiku dan pulang ke pangkuan keluargaku. Melangkah kaki meninggalkan MRSM Beseri, bukan sahaja membawa kenangan terindah malah, tahun yang sama juga aku dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017. Berita ini sangat mengejutkan kerana aku tidak pernah sekali menyangka dalam masa 2 tahun berkhidmat, aku akan menerima anugerah ini. Satu masa yang singkat untuk aku yang
95 KEMANISAN DISEBALIK KESABARAN hanyalah seorang guru novis. Aku sekali lagi diraikan dalam satu majlis yang penuh dengan kemeriahan di MAEPS Serdang dan diberikan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1000 berserta sijil. Kejayaan ini membuatkan aku melangkah masuk ke MRSM Sungai Besar dengan azam yang baharu untuk terus menjadi guru yang cemerlang demi mendidik anak bangsa. Setelah 5 tahun berkhidmat sebagai Guru MARA, aku menerima surat tawaran ke jawatan tetap. Aku perlu mengikuti Program Transformasi Minda (PTM) selama 14 hari untuk pengesahan jawatan. Andai difikirkan kata-kata guru yang pernah mengikuti program ini, aku memang tidak cukup kuat untuk menempuhinya tetapi aku tiada pilihan. Berbekalkan semangat yang berkobarkobar, aku berjaya menghadapi segala cabaran sepanjang program ini. Pengalaman paling manis yang aku tidak akan lupa ialah ketika aku dinobatkan sebagai Peserta Terbaik PTM Kategori Wanita. Syukur Ya Allah. Program yang pada awalnya kusangkakan sukar, sebenarnya mengandungi banyak pengisian yang bermanfaat. Terima kasih MARA kerana program ini menguatkan mental dan fizikalku. Lebih-lebih lagi program ini banyak mengajarku mengenali dan mencintai MARA. 1 Oktober 2023 menjadi tarikh keramat dalam hidupku. Tarikh aku menerima pemberian taraf berpencen. Mulai detik ini, kubulatkan tekad dengan berpegang kepada prinsip, 'Usah ditanya apa yang MARA beri kepada kita tetapi tanyalah apa yang kita sumbangkan untuk MARA?', kerana MARA terlalu banyak berjasa kepadaku. Tanpa MARA, aku tidak akan bergelar seorang pendidik. Tanpa MARA, hilanglah punca pencarian rezeki keluargaku. Sesungguhnya aku tidak pernah menyesal bersama MARA dan melupakan hasratku untuk menjadi peguam. Kerjaya guru tidak menjanjikan kekayaan tetapi darjat seorang guru terlalu tinggi di mata Ilahi. Marah mereka mengajarku erti kesungguhan. Segala kejayaan dan kebahagiaan yang dikecapi pada hari ini, aku dedikasikan istimewa buat ibu bapaku. Sesungguhnya MARA telah menjadi majikan yang terbaik untukku. Terima kasih MARA. Syukur ke hadrat Ilahi kerana aku insan yang terpilih untuk menjadi sebahagian daripada warga MARA.
Dunia ini tiada jaminan melainkan satu peluang.
MARA sangat banyak membantu aku dalam mentransformasikan kesihatan mental setelah aku dapat bekerja dengan organisasi ini. Perceraian ibu bapa ketika usia aku 2 tahun meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwaku. Aku menjadi mangsa keadaan disebabkan perebutan hak jagaan. Sejak kecil aku didera dari segi mental, fizikal dan emosi. Disebabkan penderaan berpanjangan yang aku alami sepanjang tempoh aku membesar ini, aku mengalami depression, anxiety, trauma dan mudah panik. Aku juga gagal fokus untuk setiap perkara yang aku buat disebabkan aku terlalu takut. Keadaan yang berterusan selama berbelas tahun ini menyebabkan aku jadi orang yang tidak berkeyakinan dalam setiap perkara yang aku buat. Aku simpan azam dalam diri bahawa aku mesti keluar daripada situasi ini. Masanya tiba apabila aku mula berkhidmat dengan MARA pada 18 Mac 2002. Aku sudah berkhidmat dengan MARA hampir 22 tahun. Banyak tranformasi yang berlaku dalam hidup aku sepanjang waktu itu. Dengan gaji yang aku terima setiap bulan pada peringkat permulaan, aku usahakan mencari bahan ilmiah untuk rawatan diri disebabkan aku masih takut dan tidak yakin untuk berjumpa doktor untuk mengatasi trauma aku ini. Aku bersyukur, kos perubatan semua ditanggung oleh MARA. Aku kerap sakit dan selalu MC untuk 15 tahun pertama perkhidmatan. Aku teruskan NAFAS SITI GHUZAIMAH MOHD GHAZALY BARU
98 NAFAS BARU usaha untuk mencari maklumat dan praktis yang patut aku buat dan perlu ada untuk aku pulih semula. Pergaulan aku dengan rakan sekerja semasa mula-mula bekerja dahulu memang tidak berapa baik. Aku takut dengan orang sekeliling. Selama ini aku cuma seorang diri. Tidak ada pergaulan langsung, baik dengan orang luar, atau dengan saudara mara malah dengan adik-beradik sendiri pun tidak. Sejak bekerja itulah, aku mula asah kemahiran berkomunikasi. Aku seorang yang sangat protective. Aku jadi garang dan tidak suka diusik. Aku mula dapat kurangkan sifat garang dan mula boleh bergurau apabila aku mula bekerja di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuala Lumpur. Apabila aku sudah balik ke KL , aku mula fokus untuk pelajaran aku. Pertama sekali aku usahakan untuk dapatkan lesen kereta. Aku kumpul duit gaji sedikit demi sedikit untuk aku bayar ujian dan kelas memandu. Semasa aku di IKMKL, aku sudah merancang hendak membeli rumah selepas aku dapat pengesahan jawatan berstatus tetap dan berpencen. Bagaimanapun aku tidak dapat gunakan duit KWSP sepenuhnya untuk urusan pembelian rumah. Adikku pada masa itu baru berhenti kerja. Dia memintaku meminjamkan wang untuk membayar ansuran kereta. Justeru aku membantunya. Alhamdulilah walaupun dalam situasi sebegitu aku dapat juga membeli sebuah rumah pada tahun 2008 dan bayaran bermula pada tahun 2011. Potongan pinjaman terus dibuat dengan MARA melalui pemotongan gaji. Rumah yang dibeli berharga RM45,000. Walaupun tidak mahal, aku sangat bersyukur kerana dapat membeli rumah sendiri. Pada tahun 2007 aku diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Puan Norizan Wahab dan Encik Idris Alias mencalonkan namaku kepada Encik Zakaria Hassan untuk APC tahun itu. Pencalonan tersebut disebabkan penglibatanku dalam projek di luar kerja hakiki untuk IKM KL. Untuk rawatan kesihatan, bermula dari tahun 2007 sampai 2009 aku menggunakan GL MARA untuk rawatan hospital kerana menghidapi endometriosis. Keadaan ini menyebabkan aku senggugut teruk tatkala datang bulan. Pada setiap bulan aku terpaksa mengambil MC selama 2 hari. Pada tahun 2011 aku berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan. Perkahwinanku hanya bertahan selama 4 tahun dan 4 bulan sahaja. Sebelum aku berkahwin, aku telah menceritakan kepada bakal suami bagaimana aku dibesarkan. Dia berjanji tidak akan melakukan apa yang dilakukan oleh keluargaku. Namun, dia telah memungkiri janji.
99 NAFAS BARU Aku sekali lagi menjadi mangsa penderaan mental, fizikal dan emosi. Aku kecewa dan lelah. Pada tahun 2015, aku memfailkan tuntutan cerai. Proses kedua di mahkamah barulah selesai talak 1. Terasa umpama terbang semua sakitku apabila mahkamah memberikan kebenaran untuk bercerai. Tahun 2012, aku menyambung pengajian diploma di Politeknik Shah Alam, Selangor dalam bidang Pengajian Perniagaan (Pengurusan). Pada mulanya aku mendapat tawaran Skim Pinjaman Pelajaran Secara Sambilan (SPPSS) bagi pengajian diploma. Disebabkan aku tidak berapa mahir dengan IT dan baru lepas naik cuti bersalin, aku terlewat sebulan mendaftar pengajianku. Aku memohon untuk menangguh pengajian dan membuat permohonan SPPSS semula kepada pihak MARA tetapi tidak diluluskan kerana tempohnya telah tamat. Justeru, aku perlu membayar sendiri yuran pengajian tersebut. Pada semester 4, aku kehabisan tabungan dan gajiku semakin sedikit kerana pinjaman peribadi untuk urusan perceraian dahulu. Aku meminta kebenaran Bahagian Sumber Manusia untuk membuat pinjaman pelajaran dengan Bahagian Penganjuran Pelajaran. Alhamdulillah, permohonan tersebut diluluskan dan dikecualikan daripada bayaran pinjaman kerana aku berkhidmat dengan MARA. Pada semester akhir, aku terpaksa membeli sebuah kereta berikutan beberapa siri serangan ibu tiriku terhadap mak. Pada masa itu, mak tinggal sendirian di rumah. Justeru untuk memudahkan aku melihat mak, aku memohon pinjaman kenderaan kakitangan MARA. Aku berjaya mendapat sebuah kereta kecil. Walaupun aku masih tidak layak membeli kereta dek kerana hutang yang banyak namun, bosku Encik Kamaruzaman Jaafar yang mesra di sapa En KZ dan rakan sepejabatku Zurina dan Noor Hanani telah membantu mempercepatkan proses ini. Selepas 2 bulan aku mengambil kereta, barulah aku berani membawa kereta tersebut ke tempat kerja dan ke kelas. Aku mendapat kemudahan tempat letak kereta kakitangan MARA di Dang Wangi dengan caj hanya RM35 sebulan. Tahun 2019, aku telah memohon untuk gred E29 bagi memudahkan aku berpindah setelah 15 tahun berkhidmat di Bahagian Kewangan. Kini aku berkhidmat di Bahagian Penganjuran Pelajaran (BPP). Aku amat berterima kasih kepada MARA kerana memberi peluang untuk laluan kerjaya yang lebih baik kepadaku. Pada Mac 2021 aku sekali lagi mendapat peluang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (BBA) di
100 NAFAS BARU Bersama rakan kelas Ijazah Sarjana Muda. Anak yang menjadi penguat semangat UKM, juga menggunakan kemudahan pinjaman pelajaran MARA. Pada tahun 2022 pula, aku berjaya memperolehi pinjaman komputer untuk kegunaan pengajianku. Kini, aku sedang menjalani semester 5 BBA di UKM bersama 7 orang lagi rakan-rakan MARA yang lain. Diharapkan kami akan dapat menghabiskan pengajian pada awal tahun 2024 dan seterusnya menyelesaikan pinjaman yang diberikan. MARA sangat banyak membantuku secara sedar atau pun tidak. MARA telah memberi nafas baharu kepadaku melakar jalan hidup yang lebih baik. Aku berjaya keluar daripada semua trauma berpanjangan yang aku alami dan MARA membantu memberi kesembuhan kepadaku. MARA turut memberi ku peluang untuk maju dalam kerjaya. Terima kasih MARA kerana telah membuka jalan untukku mencapai cita-citaku yang pernah terbengkalai dan membantu aku membaiki tahap kesihatanku. Terima kasih yang tidak terhingga kepada MARA. Hanya sumbangan kecil sahaja yang dapatku berikan kepada MARA. MARA sentiasa dihati.
101 NAFAS BARU Jika kita boleh bersyukur dengan apa yang kita ada, kita tidak akan risau dengan apa yang bukan milik kita.
Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula ke pada Ilahi.
Pada malam yang hening itu, aku tergerak untuk membuka sistem e-pelajar universiti USM. Ada pemakluman terkini dalam kotak pesanan. Tanpa lengah aku membuka surat pemakluman itu, bergenang air mataku apabila membaca surat tersebut . Sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh setiap insan bergelar pelajar PhD. Bermula pada tarikh ini, secara rasminya berakhir sudah perjalanan panjangku dalam medan perjuangan menuntut ilmu, apabila surat senat bertarikh 29 September 2022 telah secara rasminya mengistiharkan bahawa aku telah berjaya menamatkan pengajian PhD. Secara rasminya aku layak menggunakan singkatan ‘Dr’ di hadapan namaku. Allahuakbar, alhamdulillah, tiada apa yang boleh aku ucapkan selain kesyukuran pada yang Maha Kuasa, ibu bapa, isteri dan anak-anak. Pastinya tidak lupa pihak MARA yang telah memberi peluang, ruang serta bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian PhDku ini. Perjalananku menyambung pengajian ini mengambil masa yang cukup lama dengan segala mehnah dan tribulasi. Izinkan aku untuk mencoret sedikit catitan sebagai bekal membina semangat kepada warga MARA yang sedang dan akan menyambung pengajian nanti untuk teruskan langkah perjuangan murni ini tanpa jemu dan putus asa. Insya-Allah moga sinar cahaya kejayaan kalian semua akan muncul pada suatu hari nanti. Mungkin pada saat kalian membaca coretan ini, kalian akan mendapat sedikit manfaat bagi meneruskan perjuangan PhD kalian semua. Amin, amin. KEMBARA DR MOHD ILMAN CHE ABDULLAH INSAN MENCARI HAKIKAT ILMU
104 KEMBARA INSAN MENCARI HAKIKAT ILMU Lama dahulu, semasa peringkat ijazah pertamaku lagi, aku telah memasang cita-cita pada suatu hari nanti, aku akan menyambung peringkat sarjana dan seterusnya peringkat PhD. Arwah nenekku selalu berkata, “ Abang sambunglah belajar sampai PhD, mek nak tengok juga cucu mek ada PhD.” Aku sekadar membalas, “Insya-Allah mek, nanti kalau ada rezeki, abe sambunglah PhD tu.” kataku kepada arwah nenekku. Mek itu, kata gantinama yang aku gunakan untuk memanggil nenek sebelah ibuku. Aku menamatkan pengajian ijazah pertamaku setahun lewat berbanding rakan-rakanku yang lain kerana aku terlibat dalam kemalangan semasa pengajian dan terpaksa bercuti sakit selama 6 bulan dengan kecederaan yang agak teruk. Aku terpaksa menjalani 2 kali pembedahan major bagi memasukkan plate besi di 'acetabulum' yang remuk dan melukai saluran saraf ke bahagian kaki. Alhamdulillah aku berjaya menamatkan pengajian sarjana muda walaupun lewat setahun. Tanpa melengahkan masa, aku teruskan niat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Hasil maklumat dari kawankawan, aku berjaya mendapatkan seorang pensyarah di salah sebuah IPTA berdekatan dengan rumahku yang bersedia untuk menerimaku sebagai pelajar sarjana. Tanpa melengahkan masa, aku pun menyiapkan kertas cadangan projek penyelidikanku berkaitan bahan aktif yang dikenali sebagai arecoline dalam buah pinang (areca cathecu) dan kesan toksik bahan aktif tersebut terhadap nyamuk Aedes (Aedes aegypti). Walaubagaimanapun, tidak lama selepas itu, aku mendapat tawaran untuk bekerja dengan MARA sebagai pegawai Pendidikan Siswazah dengan taraf DC di sebuah IPMA, nun jauh di utara Semenanjung Malaysia. Aku pun tidak sangka permohonan dan temudugaku untuk kekosongan jawatan guru MARA di MRSM Tun Ghaffar Baba tempoh hari, berjaya melihatkan persaingan calon-calon yang ditemuduga. Mengambil kira pelbagai aspek dan peluang yang mungkin ada sekiranya aku berkhidmat dengan MARA. Maka aku mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajian sarjanaku di universiti tersebut dan mengambil tawaran berkhidmat dengan MARA. Satu keputusan terbaik pernah aku lakukan dalam hidupku. Maka pada tahun 2007, bermulalah aku sebagai warga kerja MARA dengan status sementara namun jauh di sudut hatiku, aku berjanji untuk meneruskan cita-citaku bagi menyambung pengajianku di peringkat lebih tinggi. Cuma kekanganku adalah dengan taraf sementara, tidak melayakkan aku untuk mendapat kemudahan kaki tangan MARA yang sedang melanjutkan pengajian. Namun pihak Bahagian Sumber Manusia (BSM) tidaklah menghalang dan
105 KEMBARA INSAN MENCARI HAKIKAT ILMU memberi kebenaran kepadaku. Setelah menunggu hampir 5 tahun dan belum dipanggil untuk menyambung Diploma Pendidikan, maka pada tahun 2011, aku nekad untuk menyambung pengajian sarjanaku dalam bidang biologi secara penyelidikan penuh berkaitan kajian mengenai spesis burung di Malaysia. Disebabkan hal ini, aku perlu mencari universiti berdekatan dengan tempat kerjaku dan penyelia yang mampu memahami kekanganku sebagai pelajar sambilan tanpa kemudahan cuti belajar. Alhamdulillah, aku berjaya mendapat tempat di universiti tersebut maka pada tahun 2012, bermulalah aku sebagai pelajar sambilan. Aku memilih untuk menyambung pengajianku dalam bidang biologi secara penyelidikan penuh. Suatu pilihan yang tidak ramai rakan sekerjaku ambil kerana cabaran dan liku-liku yang bakal ditempuhi. Namun aku tekad untuk mengambil bidang dan mode penyelidikan tersebut. Benar sekali telahanku, sarjana biologi mode penyelidikan ini rupa-rupanya cukup mencabar. Hampir setahun masa pengajian sarjanaku dihabiskan begitu sahaja. Kerap kali aku seolah-olah tidak ketahuan apakah sebenarnya yang aku ingin cari dalam penyelidikanku ini. Kadang-kadang aku hanya mampu membuka komputer dan merenung kosong tanpa menulis walau sepatah perkataan pun. Begitulah yang berlaku sepanjang hampir setahun tersebut dan kadangkadang aku terasa ingin berhenti sahaja. Tidak terkira dah air mata yang tertumpah semasa sedang membaca artikel-artikel berkaitan spesis burung yang kadang-kadang langsung aku tidak fahami. Yang aku nampak adalah burung-burung berterbangan yang tuntasnya seperti semangatku yang telah hilang untuk meneruskan pengajian ini. Cumanya sepanjang setahun, aku bergelumang dengan spesis burungburung ini, aku berjaya mendapatkan kemahiran untuk menentukan spesis burung berdasarkan suara yang dikeluarkan oleh burung-burung ini. Sekilas mendengar suara burung di udara ataupun di dahan-dahan pokok seperti “ cutttttt tut tut” aku dengan pasti boleh nyatakan ini adalah “white breasted king fisher” kalau “kuilllllll, kuilllllll” maka ini adalah “Asian koel” Namun sehingga akhir semester kedua, aku masih belum mampu siapkan satu kertas cadangan dan kaedah kajian yang harus aku gunakan. Selepas solat istikharah dan mendapatkan pandangan dari rakan dan keluarga, maka aku tekad membuat pertukaran penyelia dan tajuk kajian. Namun begitu, tidak sama sekali aku menyalahkan penyeliaku ini. Tentunya penyeliaku sangat terkejut dengan keputusan yang aku ambil namun setelah aku terangkan dengan baik, beliau akhirnya pasrah dan bersetuju.
106 KEMBARA INSAN MENCARI HAKIKAT ILMU Setelah permohonanku dibawa ke peringkat mesyuarat bagi penukaran penyelia di Institut Pengajian Siswazah (IPS), permohonanku telah dipertimbangkan oleh pihak universiti. Permohonan pertukaran penyelia dan tajuk kajianku diluluskan. Pada kali ini, aku bertukar daripada kajian mengenai spesis burung kepada spesis ikan di persisiran pantai. Maka semester ketiga, aku terpaksa bermula dari kosong, mulai mencari artikel baharu, membuat kertas cadangan baharu dan membuat persampelan rintis. Alhamdulillah ini merupakan keputusan yang tepat kerana dalam semester keempat aku berjaya menyiapkan kertas cadangan dan telah memulakan proses pengumpulan data sampelku. Dan ini semua terpaksa ku buat pada hujung minggu kerana aku tiada kemudahan cuti tanpa rekod kerana menyambung pengajian. Aku masih ingat, kadang-kadang aku terpaksa membawa isteriku yang pada ketika itu sarat mengandung anak ketiga kami bersama-sama 2 lagi anak yang masih kecil untuk mengambil sampel kajian ikan di tepian pantai. Kadangkadang aku terpaksa pulang dengan tangan kosong tanpa seekor ikan pun dek kerana ombak yang mengganas dengan angin yang menderu-deru. Perasaanku umpama seorang nelayan yang dilambung ombak namun pulang dengan tangan kosong, melihat mata sayu anak-anak yang mengharapkan si ayah membawa pulang sedikit rezeki. Kerap kali aku terfikir semasa berseorangan menangkap ikan di pagi hari tanpa ditemani oleh sesiapa. Kalaulah terjadi sesuatu kepadaku, pasti tiada siapa tahu. Paling tidak pun pasti keluar berita, 'Seorang pelajar sarjana ditemui terapung di pantai ….'. Ataupun seorang warga kerja MARA ditemui terapung di pantai. Nauzubillah, cepat-cepat aku hapuskan mainan perasaan tersebut dan mulakan dengan doa selamat agar urusan persampelanku berjalan lancar tanpa sebarang insiden. Alhamdulillah sepanjang aku membuat persampelan ikan selama 13 bulan, hampir 700 ekor ikan berjaya aku tangkap tanpa sebarang insiden besar, kecuali calar balar di kakiku terkena teritip yang tajam dan tersekat di dalam lumpur pantai sampai terputus seliparku. Pada waktu lain, aku turut mengambil inisiatif mengikuti kelas statistik berbayar, program anjuran IPS seperti Latex, R, Mendeley dan lain-lain bengkel teknik menulis tesis. Semua ini aku bermula dengan kosong namun aku tekadkan diriku untuk habiskan pengajian ini. Namun aku tidak sesekali lupa dengan tugas hakikiku sebagai pendidik dan masih perlu menyelesaikan tugas hakiki mendidik pelajar-pelajarku. Allah itu Maha Kaya, akhirnya pada tahun 2016 aku berjaya menamatkan pengajian sarjanaku dalam biologi mode penyelidikan secara sambilan. Aku mengambil masa hampir 4 tahun untuk menyelesaikan pengajianku. Segala
107 KEMBARA INSAN MENCARI HAKIKAT ILMU kesusahan yang aku hadapi sepanjang menghabiskan sarjanaku ini, aku jadikan bekal untuk aku terus menyambung pengajian PhDku. Selesai sahaja majlis konvokesyen aku tetapkan iltizamku untuk meneruskan cita-citaku menyambung pengajian PhD ini. Pada kali ini, aku tekad untuk cuba memohon universiti di luar negara sementelah aku telah pun disahkan jawatan pada tahun 2014. Berpuluh-puluh e-mel, aku hantar ke penyelia di universiti di United Kingdom. Aku lampirkan curriculum vitae dan ringkasan cadangan penyelidikan kepada mereka. Banyak prospektus universiti luar negara yang aku mohon seperti Plymouth University, University of Aberdeen, University of Edinburgh dan lainlain universiti sekitar UK. Teruja betul apabila prospektus yang aku mohon dari universiti UK tersebut sampai ke tempat kerjaku walaupun hanyalah sekadar prospektus. Teruja yang bagaikan sudah mendapat surat tawaran tanpa syarat gamaknya. Sepanjang pencarian aku untuk mencari penyelia pengajian PhDku, aku kagum juga dengan penyelia 'mat salleh' ini kerana hampir kesemuanya membalas e-mel yang aku hantar dan ada yang mengucapkan selamat maju jaya dalam pencarian penyelia PhD. Ada yang menyatakan dengan jujur beliau tiada geran penyelidikan dan tidak mampu untuk mengambil seorang lagi pelajar PhD. Ada yang memperkenalkan rakan mereka sebagai penyelia yang mungkin berpotensi dan akhirnya berkat cadangan dari seorang pensyarah 'mat salleh' ini aku berjaya mendapat seorang penyelia dari universiti di Selatan UK. Aku namakan beliau Dr Benjamin. Beliau berminat dengan kajianku dan aku pun mula mengisi segala borang permohonan dalam talian untuk mendapatkan “conditional offer letter”, membuat pasport antarabangsa dan sebagainya. Sambil-sambil itu aku cuba hubungi Bahagian Sumber Manusia (BSM) untuk dapatkan maklumat sekiranya ada kemungkinan untuk dapatkan kebenaran dan penajaan dari BSM bagi pengajian secara sepenuh masa atau Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) di luar negara. Aku sedar peluang ini sangatlah tipis namun aku katakan pada diriku,“lebih baik gagal kerana mencuba daripada gagal kerana belum cuba.” Telahanku ternyata betul, MARA buat masa itu tidak buka untuk CBBK apatah lagi di luar negara. Baik, aku terima dengan hati terbuka penerangan pegawai BSM tersebut dan aku teruskan dengan pelan B. Umpama kata Rentap, pejuang bangsa 'agi hidup agi ngelaban' aku teruskan dengan perancangan kedua, mohon sambung di IPTA tempatan dalam kajian berkaitan logam berat dalam ikan dan kesan kepada kesihatan manusia.
108 KEMBARA INSAN MENCARI HAKIKAT ILMU Rezeki bekas penilai semasa sarjana sebagai penyelia dan akhirnya bulan Jun 2017 bermulalah fasa diriku sebagai pelajar PhD di universiti tersebut secara pengajian luar kampus. Sejujurnya pengalaman menyambung pengajian peringkat PhD ini tidak sedramatik semasa aku menyambung program sarjana. Tiada drama air mata pada malam hari kerana tidak tahu apa yang ditulis. Pada waktu ini, aku telah mahir dengan statistik, sebut sahaja hipotesis kajian, maka aku boleh cadangkan apakah ujian-ujian statistik yang sesuai digunakan. Jika tidak sesuai apakah alternatif yang boleh digunakan? Pada ketika ini, aku sudah pun disahkan jawatan dan layak mendapat segala kemudahan pegawai MARA yang menyambung pengajian secara luar kampus. Pegawai BSM yang menguruskan urusan menyambung pengajianku juga banyak membantu terutamanya berkaitan penulisan artikel. Aku dan rakanrakan yang sedang menyambung pengajian dihantar untuk berkursus bagi mendalami selok belok penulisan artikel saintifik oleh salah seorang pensyarah muda yang cukup terkenal dalam bengkel penulisan artikel di negara ini. Suatu yang aku hargai kerana pada akhir pengajian PhD itu, aku mampu menerbitkan 2 artikel bertaraf Scopus dan 1 artikel bertaraf ISI dan Scopus. Alhamdulillah, kira agak baik bagi pelajar sambilan sepertiku. Kemahiran komputerku turut tertambah baik, aku tidak lagi membuat kerja-kerja suntingan secara manual, semuanya secara automatik melalui sistem perisian seperti Mendeley. Pada kali ini aku sudah mampu membahagikan masaku dengan baik, waktu untuk kerja hakiki dan waktu untuk pengajian PhDku. Pada tahun 2019, aku mendapat kenaikan pangkat sebagai Ketua Jabatan dengan anak buah seramai 36 orang pada ketika itu. Bayangkan betapa sukarnya aku untuk mengendalikan anak buah seramai 36 orang dengan pelbagai ragam, jarak usia yang jauh dan gred KUP yang lebih tinggi daripadaku. Namun aku anggap ini sebagai cabaran yang insya-Allah pengalaman ini akan berguna pada suatu hari nanti. Maka sejak tahun 2019, bermulalah aku sebagai seorang ketua jabatan yang menyambung pengajian secara sambilan dalam bidang biologi berkaitan ikan. Aku perlu pandai menguruskan masa dengan baik hal-hal kerja hakiki yang perlu disegerakan, mana yang boleh dilewatkan dan ruang yang tersisa aku gunakan juga untuk melihat dan membaca artikel berkaitan kajian PhDku. Masa terus berjalan dan alhamdulillah pada bulan Jun 2021, aku berjaya menyiapkan deraf tesis PhDku untuk dihantar ke IPS bagi dinilai.
109 KEMBARA INSAN MENCARI HAKIKAT ILMU Aku kira satu pencapaian yang agak baik bagi diriku memandangkan aku sebelum ini telah menukar penyelia dan tajuk kajian. Pada awal tahun 2022, aku telah mendapat e-mel daripada IPS menyatakan tarikh vivaku adalah pada 15 Februari 2022 secara dalam talian. Satu lagi cabaran kerana pada waktu ini, aku terpaksa menjalankan tugas sebagai Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik (TPHEA) kerana TPHEA sebelum ini telah bersara awal. Bebanan tugas dan waktu yang ada untuk aku menelaah pengajianku cukup terbatas. Kalau dahulu aku hanya perlu menjaga jabatanku namun kini terpaksa pula memantau keseluruhan kakitangan akademik daripada 3 jabatan lain. Namun aku sudah sampai di pecutan terakhir, mau atau tidak aku rasa amat tidak berbaloi untuk aku jadikan isu menjalankan tugas sebagai TPHEA ini sebagai halangan kepadaku. Aku gagahkan juga untuk terus membuat ulang kaji, mana-mana teori yang aku kurang faham aku baca semula, buat nota ringkas dan sebagainya. Habis salinan tesisku conteng kiri dan kanan, atas dan bawah. Doa dan munajat kepada Allah moga aku dilulus viva voce ini. Setiap hari aku baca Surah al-Waqiah sambil bertawasul, aku hanya minta lulus sahaja, aku tidak harapkan dapat pembetulan minor pun. Namun kadangkadang bantuan Allah itu datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Sepanjang sesi viva voce berlangsung, aku dapat memberi penerangan dan penjelasan yang aku kira agak baik dan memuaskan hati panel pemeriksa. Hanya ada 1 soalan yang tidak mampu aku jawab, soalan bersifat teknikal di luar bidang pengajianku. Hampir 2 jam 30 minit aku disoal bertubi-tubi maka pengerusi memaklumkan sesi viva voceku telah tamat dan meminta aku menunggu sementera para panel pemeriksa berbincang. Dalam masa lebih kurang 30 minit aku dipanggil semula masuk dan pengerusi tersebut mengucapkan “Tahniah Dr, kamu lulus PhD dengan skala 2 iaitu pembetulan minor”. Allahuakbar, tiada kata yang dapat aku keluarkan melainkan sujud syukur betapa Allah telah permudahkan urusan vivaku dan yang lebih menarik aku mendapat skala 2 pembetulan minor namun diberikan tempoh masa pembetulan yang cukup panjang iaitu selama 12 bulan kerana ahli panel mengambil kira aku sedang menjalankan tugas TPHEA Pada ketika itu, Penyelia keduaku sempat berkata, “ Awak tau tak, ini pertama kali saya jumpa orang dapat pembetulan minor tetapi tempoh masa diberi sampai 10 bulan.” Aku hanya mampu tersenyum sambil bersyukur, ada hikmah tersembunyi rupa-rupanya apabila aku menjalankan tugas TPHEA ini.
110 KEMBARA INSAN MENCARI HAKIKAT ILMU Aku membuat pembetulan tesisku dengan santai, tidak banyak sebenarnya hanya pembetulan ringkas dan sedikit analisis tambahan yang perlu dibuat. Lebih kurang 4 bulan aku berjaya menghantar tesis PhD yang telah dibaiki dan hanyalah menunggu mesyuarat senat bagi mengesahkan aku sebagai graduan PhD. Sejujurnya seperti yang aku maklumkan sebelum ini, perjalanan pengajian PhDku pada kali ini, aku merasakan ia lebih lancar. Mungkin juga pengalaman perit getir semasa membuat sarjana sedikit sebanyak membantu aku meneruskan pengajian PhD dengan lebih tersusun. Alhamdulillah semua pihak banyak membantu terutama pegawai MARA yang menguruskan pengajianku. Aku ingat lagi selepas sahaja aku lulus viva PhDku, aku e-melkan kepada pegawai MARA ini, aku ucapkan ribuan terima kasih sebab banyak memudahkan urusan aku terutama sewaktu pengumpulan data dan latihan penulisan artikel. Mungkin rasanya pada kali ini ada banyak sokongan daripada ramai pihak seperti pihak MARA terutama pegawai BSM yang sangat memahami, ketua jabatan, staf, rakan sekerja, anak buah dan pastinya tidak lupa isteri, anak-anak, ibu dan ayah. Dan semestinya bantuan dan pertolongan dari Allah SWT dalam membantu hamba yang kerdil ini dalam usaha untuk menamatkan perjuangan ini. Aku mendoakan sesiapa sahaja yang membaca coretan panjangku ini, mampu sedikit sebanyak mendapat semangat untuk teruskan perjuangan ini, cepat atau lambat bukannya ukuran namun matlamat kalian semua untuk bergelar seorang graduan PhD itu yang penting
111 KEMBARA INSAN MENCARI HAKIKAT ILMU Dalam dunia yang banyak memberikan kita kelelahan, Al-Quran datang memberi kekuatan.
Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik.
Aku tidak pernah tahu tentang MARA. Aku bersekolah di sekolah harian biasa sehingga tingkatan 5 dan menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Pada akhir pengajian semester 2 di matrikulasi, aku terlihat satu iklan tajaan menyambung pelajaran di luar negara oleh MARA. Pada saat itulah, aku baharu mengenali MARA (Majlis Amanah Rakyat). Borang permohonan dihantar pada hari terakhir pengajianku di matrikulasi. Pada saat itu, aku melihat borang-borang permohonan menggunung tinggi sehingga melimpah keluar daripada bakul. Tawakal pada Allah. Rezeki tidak pernah salah alamat. Aku tidak pernah terbayang New Zealand apatah lagi akan menjejakkan kaki ke negara Maori. Ya, MARA yang membawa aku ke sini. Aku berasal daripada keluarga miskin. Namun bantuan dan biasiswa daripada kerajaan, NGO dan pihak sekolah membantu keluargaku untuk teruskan kehidupan. Apabila MARA menawarkan tajaan menyambung pelajaran ke luar negara, hatiku berbunga-bunga. GRACIAS SALEHA YUNUS MARA
114 GRACIAS MARA Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya seluruh keluargaku terutamanya mak dan abah. Keterujaan menaiki kapal terbang dan menjejakkan kaki ke luar negara buat pertama kalinya tersimpan dalam memori hingga ke hujung nyawa. Terima kasih Allah. Terima kasih MARA. Pada 16 Februari 2011, aku selamat bergelar seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains sepenuh masa di Victoria University of Wellington, New Zealand. Alhamdulillah. Yuran pengajian sebanyak NZD$23,600 untuk 6 trimester bagiku adalah sangat mahal. Namun, MARA menaja kesemuanya. Bayangkanlah, nilai tajaan bagi seorang pelajar sahaja menelan belanja sekurang-kurangnya RM500,000 sepanjang pengajian. Subhanallah, besar jasa MARA kepada kami, anak-anak MARA. Pengalaman bernilai ini mana mungkin aku lupakan. 4 tahun berkelana di bumi asing sebagai anak perantau buat pertama kalinya meninggalkan keluarga sejauh dan selama ini. Suka duka, pahit manis aku lalui di sini telah menjadikan aku seorang yang berdikari, cekal, bertanggungjawab dan berani. 2010 Aku berada di Universiti Malaya sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Major Matematik, Minor Kimia) di semester 1 tahun pertama. Seusai pulang dari kelas, aku menerima panggilan daripada Puan Noriza yang memanggilku untuk hadir ke temuduga Penajaan Pinjaman Pelajaran MARA di Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut. Sejujurnya, aku sudah lupa bahawa aku pernah mengisi borang penajaan ini. Justeru, aku bertanya pendapat mak dan cikgu aku akan tawaran ini. Emak agak berat melepaskan aku pergi ke temuduga itu kerana tidak mahu aku berjauhan dengannya kelak. Setelah dipujuk oleh kakakku, emak mengizinkan. Cikguku pula menggalakkan aku pergi. Peluang keemasan ini hanya datang sekali. Maka, aku pergi. Perjalanan berliku untuk sampai ke Jalan Raja Laut. Aku merupakan orang yang terakhir sampai ke temuduga itu kerana tayar kereta pancit ketika dalam perjalanan. Alhamdulillah, akhirnya sampai ke destinasi dan mengakhiri temuduga dengan pantasnya. Jika Allah sudah kata rezeki kita, maka tetap rezeki kita. Benarlah, rezeki tidak pernah salah alamat. Aku satu-satunya pelajar matrikulasi dalam kohort aku yang berjaya ditawarkan ke New Zealand. Selebihnya adalah pelajar dari Kolej Profesional MARA dan Kolej MARA Seremban. Perjalanan baharu. Rakan baharu. Cabaran baharu. Pengalaman berharga yang MARA tawarkan ini tidak dipersia-siakan.
115 GRACIAS MARA 17 Januari 2011 Masih segar di ingatan, beberapa bulan sebelum terbang ke New Zealand, permohonan visa untukku dan seorang kawanku masih belum lulus. Kami disahkan menghidap penyakit Thalassemia. Oleh sebab itu, permohonan visa mengambil masa lebih lama berbanding dengan orang lain. Debaran itu masih terasa. Kami sungguh takut pada ketika itu kerana ada seorang kawan kami tidak dapat menyambung pelajarannya ke sana kerana permohonan visa tidak diluluskan. Dia menghidap penyakit serius sehingga tidak dibenarkan terbang ke New Zealand. Ya, kawalan aktiviti keluar masuk New Zealand sangat ketat. Perancangan Allah hanya Allah yang lebih tahu. Alhamdulillah, permohonan visa kami diluluskan sebulan sebelum berangkat ke bumi Aotearoa, Negeri Awan Putih Panjang. Yakin dan sabar dengan perancangan Allah. 13 Disember 2014 Sekeping sijil digenggam setelah berhempas pulas belajar selama 4 tahun. Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Major Matematik dan Statistik) dianugerahkan kepadaku. Alhamdulillah, walaupun tidak hadir di Majlis Graduasi untuk tahun terakhir, namun Allah limpahkan rezeki yang lain. Hasil simpanan daripada elaun pengajian MARA dan kerja sampingan ketika belajar, akhirnya aku dapat membawa mak dan abah terbang ke New Zealand. Hanya Allah yang tahu betapa indahnya memori itu. Memori yang tidak akan dapat dikembalikan. Mungkin bagi orang lain yang berasal daripada keluarga mewah, hal ini nampak biasa. Namun, bagiku ia sungguh luar biasa. Allah Maha Baik. 8 Jun 2015 MARA on Boarding Programme (MOB) untuk pengambilan guru MARA yang baharu. Seminggu di sini terasa seperti sebulan. Setiap program yang diaturkan dalam program ini nescaya memberi manfaat kepada kami. Fizikal dan mental harus kuat sepanjang di sini. Sungguh, program yang MARA laksanakan sebelum menjejakkan kaki ke institusi MARA mendidik kami menjadi lebih tabah, sabar, berani dan kuat menghadapi cabaran akan datang. Terima kasih MARA. Seminggu program, namun manfaatnya sepanjang hayat. MRSM Gerik. 15 Jun 2015. Pertama kali menjejakkan kaki di MRSM. Subhanallah. Walaupun niat hendak belajar di MRSM pada suatu ketika dahulu tidak tercapai, namun Allah takdirkan berbeza. Takdir Allah ini lebih indah. 6 bulan setelah tamat belajar, Allah rencanakan dengan mudah dapat berkhidmat kembali dengan MARA.
116 GRACIAS MARA Teringat kembali saat ditemuduga untuk mendapatkan jawatan guru MARA. Aku jauh berkelana ke ILKM Jawi, Kepala Batas dengan menaiki bas dan menumpang tidur di rumah sahabat baikku. Micro teaching, ujian psikometri, ujian kecergasan dan temuduga secara berkumpulan adalah elemen yang diuji dalam sesi temuduga keesokan harinya. Alhamdulillah, Allah Maha Baik. Terima kasih MARA atas peluang ini. 4 tahun di MRSM Gerik memberi sejuta kenangan pahit manis dan pengalaman dalam pelbagai aspek. Pendakian 3 jenis gunung iaitu Gunung Tebu di Terengganu serta Gunung Brinchang dan Gunung Berembun di Cameron Highlands bersama pelajar adalah antara pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Di sini juga aku diamanahkan menjadi homeroom pertama. Anak homeroom yang aku didik daripada mereka di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Homeroom, where the heart is. Selain itu, pengalaman menjadi guru asrama dan guru (jurulatih, pengiring, pengadil) bola jaring juga memberi seribu kemanisan dalam hidup. Pelajar-pelajar inilah yang ada di sisi pada saat aku berada di titik paling bawah dalam hidupku. Ya, saat kehilangan emak tercinta pada tahun 2017. Itulah saat aku rasa duniaku gelap. 1 Disember 2018 Sijil Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah akhirnya digenggam setelah 2 tahun lamanya. Orang lain bercuti, kami menapak ke kelas. Namun, rezeki kami kerana kami menginap di hostel sepanjang kelas berlangsung sewaktu cuti sekolah. Semuanya ditaja oleh MARA. MARA sahaja yang menempatkan graduan bukan lulusan Pendidikan sebagai Guru MARA. Aku adalah salah seorang daripada graduan itu. MARA menaja para pendidiknya untuk mendapatkan lulusan diploma pendidikan ketika berkhidmat dengan MARA. Aku sayang MARA. Terima kasih MARA. 10 Jun 2019 Tahniah! Alhamdulillah. Allah Maha Mendengar. Terima kasih MARA kerana meluluskan permohonan berpindah ke MRSM Sungai Besar. Permohonan kali ketiga akhirnya berjaya. Aturan Allah itu cantik. Aku mendaftar di tempat baharu yang hanya 30 minit sahaja dari rumahku. Aku boleh melihat abah setiap hari. Abah disahkan terkena minor stroke pada awal Januari 2019. Sejak itu, aku yang menemani abah di hospital dan aku berulang-alik dari Gerik ke Hutan Melintang. Aku yang membawa abah ke setiap temujanji doktor dan fisioterapi. Aku bahagia tatkala pekeliling perpindahan kali ini terselit nama Saleha Yunus. Ia datang tepat pada waktunya. Rezeki tidak akan pernah salah alamat.
117 GRACIAS MARA Hampir menjengah 4 tahun aku berada di MRSM Sungai Besar. Bahagianya hanya Allah yang tahu. Dikurniakan insan sekeliling yang sangat menyokong di antara satu sama lain. Rakan-rakan sekerja yang membantu tatkala perlu. Kemuncaknya ialah penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2021. Subhanallah, Masya-Allah. Allah Maha Pemurah. Terima kasih MARA atas penganugerahan ini. Sungguh banyak peristiwa indah berlaku pada tahun 2022. Pada tahun itu, aku disahkan jawatan sebagai guru MARA dan MARA memberi pengecualian bayaran pinjaman sepenuhnya. Terima kasih MARA. Masih banyak kenangan manis selama berkhidmat dengan MARA. Setiap tahun kecuali tahun 2019, aku mewakili maktab dalam GURKA, KAGUM dan SUZONS. Ketiga-tiga akronim tersebut adalah untuk sukan guru dan kakitangan MARA. Kemuncak kejayaan adalah ketika dapat mewakili MARA Perak ke SUKMAS (Sukan MARA Se-Malaysia) dalam pertandingan bola jaring. Alhamdulillah kami meraih naib johan. Selain itu, MRSM Sungai Besar juga pernah meraih johan keseluruhan SUZONS pada tahun 2022. Sungguh, program sukan yang MARA perkenalkan ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara seluruh warga MARA. Apa lagi yang hendak dikata. Jasa MARA tiada sudahnya. Terima kasih MARA. Aku sudah bersama MARA selama 12 tahun. Semoga dipermudah segalasegalanya dan aku akan terus berbakti kepada nusa dan bangsa.
Dalam hidup ini adakalanya kita perlu menangis, agar kita sedar hidup ini bukan hanya untuk bergembira & berketawa, adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menghargai nilai setitis air mata, kalau kita tidak merasa kesulitan hari ini, kita tidak akan rasai kemanisan kemudian hari.
“Awak bawa slaid?” Dengan selamba Pak Yem (Gelaran mesra mantan Datuk Ketua Pengarah MARA) bertanya. Aku terus menyahut, “Bawa, bawa” “Eh, muda sangat ni, awak umur berapa? “Salleh, check fail.” Sambil tersenyum Aku berkata, “Mudalah bagus Pak Yem, lagi lama saya boleh menyumbang kepada MARA.” “Pandai, pandai.” “Cepat, cepat present, kita dah lewat ni.” Masih segar terbayang sewaktu sesi temuduga bersama Datuk KP. Aku adalah calon kedua terakhir. Calon dalam kategori muda, 34 tahun. Sesi temuduga aku pada sebelah petang. Nama aku belum dipanggil, rasanya sudah jam 6.00 petang pada waktu itu. Resah menunggu lama, aku mengambil keputusan untuk menunaikan kewajipan sebagai hamba kepada Maha Pencipta. Aku solat asar. PHD DR. AZWANI ISMAIL KECIL TETAPI SIGNIFIKAN
120 PHD KECIL TETAPI SIGNIFIKAN Aku nekad, walaupun pada bila-bila masa sahaja nama aku mungkin akan diseru. Syukur, keputusan aku tepat, usai solat, namaku dipanggil. Sesi temuduga berjalan dengan lancar. Alhamdulillah Allah permudahkan. Aku dapat membuat pembentangan dengan penuh yakin dan tiada soalansoalan provokasi. Memang itu yang aku mohon pada setiap kali selepas solat, Allah Maha Mendengar. Aku sebenarnya takut untuk memohon Cuti Belajar Bergaji Penuh ini (CBBP), tempoh perkhidmatan dengan MARA masih baharu, masih teringat kata-kata seorang senior, “Tak payahlah mohon, tak kan dapatlah! Ramai lagi seniorsenior, tak ada siapa yang pandang…” Disebabkan termakan dengan kata-kata negatif ini, aku membuat keputusan untuk sambung sarjana secara persendirian. Aku keluarkan duit KWSP untuk membayar yuran pengajian. Namun Allah Maha Mengetahui. Maha Hebat, telah diatur dengan cantik perjalanan aku untuk menggenggam PhD. Aku dipertemukan dengan seorang senior yang sangat positif dalam semua perkara. Kami ditempatkan secara bersebelahan di unit e-learning. Beliau ialah allahyarham Puan Mazni Sulaiman, seorang rakan sekerja, kawan, kakak yang baik hati. Beliau seorang yang sangat merendah diri walaupun mempunyai suami dan anak anak yang berjaya. Beliaulah orang yang kuat mendorong aku untuk mengisi dan menghantar borang permohonan. “Pergi Wani, ini peluang terbaik, jangan takut, mungkin pada kali ini rezeki Wani,” beliau menggesa aku agar ke BSM bertemu dengan pegawai yang menguruskan hal ehwal pengajian staf. Beliaulah insan yang telah menemani aku ke Bahagian Sumber Manusia. Walaupun allahyarham sendiri tidak berjaya menyelesaikan PhDnya atas sebab yang sangat kukuh, namun beliau tetap bersemangat. Beliau sentiasa ada untuk membantu aku dalam menyiapkan proposal dan slide pembentangan. Bulan berganti bulan, aku menunggu penuh debaran. Khabar angin bertiup kencang, katanya hanya 5 orang akan terpilih, itu sahaja peruntukan kewangan yang MARA ada. Aku pasrah.
121 PHD KECIL TETAPI SIGNIFIKAN Namun rezeki tidak salah alamat. Akhirnya penantian aku berbayar apabila aku menerima surat tawaran belajar cuti bergaji penuh. Aku terima (CBBP). Alhamdulillah, Tidak tergambar kegembiraanku. Rasa seperti ingin melompat, menjerit! Tidak pernah terbayang aku akan menyambung pengajian hingga ke tahap ini. Ibuku adalah insan pertama aku hubungi untuk memberitahu khabar gembira ini. Ucapan tahniah datang bertalu-talu dari keluarga, rakan-rakan. Hati berbunga-bunga. Aku tidak sabar untuk belajar lagi… CABARAN PHD “Ridiculous…penulisan seperti budak first degree!” Suara pensyarah tersebut memenuhi ruang bilik kecil itu, sambil beliau menghempas tesis calon PhD tersebut. Dia yang memakai baju kemeja warna hijau itu tertunduk apabila diherdik sebegitu. Aku dimaklumkan bahawa beliau juga seorang pensyarah IPT di negara kita. Aku dan rakan sebelah saling berpandangan, kecut hati kami, betulkah kami hendak sambung PhD ini? Ketakutan dan kebimbangan mula menyelubungi hati kami. Memang aku merasa ingin menarik diri. Rasa buntu pada awal perjalanan PhD, namun kekuatan luar biasa datang dalam diri apabila teringatkan aku ditaja sepenuhnya oleh MARA, cuti belajar bergaji penuh. Aku ditaja menggunakan wang daripada pembayar cukai, dari duit rakyat Malaysia. Mana mungkin aku berpatah balik, perjuangan perlu aku selesaikan! Aku gagahkan jua. Aku dipertemukan dengan rakan-rakan yang sangat bersemangat, dari pelbagai agensi dan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Setiap mereka mempunyai cerita tersendiri, kekuatan, kelemahan dan pengalaman yang berbeza. Namun kami bersatu hati dalam menyelusuri perjalanan yang ‘sunyi’ ini. Alhamdulillah benang yang tersimpul terlerai satu persatu. Gua yang gelap semakin bercahaya. Aku semakin bersemangat dalam menjalankan penyelidikan. Walaupun sesekali datang bisikan untuk mengalah. Pernah pada satu hari, aku betul-betul buntu, rasa sangat kelam, terkapaikapai, tambahan ada beberapa rakan kami yang telah menarik diri atas sebab kesihatan, keluarga dan pelbagai masalah. Namun Allah Maha Mendengar rintihan hati hamba-Nya, Allah gerakkan aku untuk menulis penghargaan terlebih dahulu. Aku memujuk hati. “Tak apa tak menulis, Aku siapkan dahulu ruangan Penghargaan..hahaha.”
122 PHD KECIL TETAPI SIGNIFIKAN “Terima kasih buat semua pensyarah, ibu ayah, suami, anak-anak, Pihak MARA yang telah menaja PhD ini, bla-bla…” Kajian belum lagi dibuat tetapi catatan penghargaannya sudah siap! Rupa-rupanya ini sangat membakar semangat aku untuk kembali di landasan yang betul. Aku diberikan 2 orang penyelia tesis yang baik. Aku sentiasa berkampung di bilik mereka. Kadang-kadang pada waktu makan tengah hari aku makan bekal penyelia sendiri. Prof Madya Datin Zahara Azizi, “Makan saja bekal saya, awak tak perlu keluar, buang masa.” Penyelia tesis kedua, Dr Sharifah Putih juga sangat membantu, sifat keibuan mereka amat mendamaikan aku. Allah hadirkan insan yang aku tidak pernah kenal tetapi sanggup turun padang sewaktu aku dalam proses mengutip data kajian. Zaman aku belajar bukan seperti sekarang (tahun 2009), buat soal selidik guna Google Form dan hantar. Sekejap sahaja semua data akan muncul. Aku terpaksa mencetak semua borang soal selidik. Mengagihkan kepada semua responden. Memberi cenderamata buat semua responden, perlu mohon kebenaran khas untuk ke lapangan. Semua ini memerlukan masa dan kos kewangan yang tinggi. Biasiswa dan cuti belajar yang pihak MARA berikan amat membantu aku sebagai pelajar. Bantuan dan doa dari semua adalah penyumbang kejayaan sehingga aku berjaya menyiapkan tesis PhD sebagai GOT student (grade on time), tiga tahun setengah. Aku berjaya menunaikan amanah yang diberikan oleh MARA. Aku dikurniakn 2 zuriat sepanjang proses ini. Haziq anak Proposal Defend dan Aishah anak Viva, malah yang terindah adalah aku telah menerima jemputan dari-Nya untuk menunaikan haji ke Tanah Suci. Mana mungkin semua ini terjadi tanpa izin-Nya dan kemudahan CBBP ini. Masih terbayang saat indah beratur untuk naik pentas menerima skrol PhD. Petugas universiti beberapa kali datang “Awak okey?” Mana tidaknya, perut aku memboyot sudah memasuki 8 bulan pada masa itu. Aishah si bongsuku bersama mama naik ke pentas mengenggam PhD. Terima kasih MARA yang sentiasa memberi peluang bagi staf untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, membuka pintu rezeki yang lebih luas. Asbab PhD juga aku berpeluang untuk berbakti kepada MARA. Perkara pertama yang aku lakukan setelah kembali bertugas di ibu pejabat MARA adalah bersama-sama membangunkan Unit R&D dan inovasi MARA.
123 PHD KECIL TETAPI SIGNIFIKAN Walaupun pada ketika itu hanya 8 orang kakitangan, kami berjaya membuka minda dan jalan untuk warga MARA berinovasi. Pertandingan Inovasi melibatkan semua institusi MARA seluruh Malaysia adalah projek sulung unit kami. Geran-geran penyelidikan juga buat pertama kali dilaburkan oleh pihak MARA bagi meningkatkan budaya penyelidikan dalam kalangan warga MARA. Hasil dapatan para penyelidik warga MARA ini, kami kumpulkan dalam Jurnal Penyelidikan MARA. Peluang seperti ini amat diperlukan oleh para pekerja bagi mengasah potensi diri dan memperkembangkan lagi budaya ilmu dalam kalangan warga MARA. Jasa MARA untuk Aku amat banyak, Aku berpeluang ke banyak negara, menjejak kaki ke universiti-universiti di luar negara bagi membentangkan hasil kajian aku. Tanpa bantuan kewangan dan kelulusan dari pihak MARA, mana mungkin aku boleh terbang setinggi ini. Peluang yang MARA berikan ini membuatkan aku lebih mengenal potensi diri, membuka jaringan kenalan bersama ahli akademik dan bukan akademik yang banyak membantu dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam. Malah Asbab PhD ini memudahkan banyak urusan. Sewaktu bertugas di Kolej Profesional MARA, aku diamanahkan untuk menubuhkan unit R&D. Hasrat Pengarah pada ketika itu mahukan Jurnal Akademia diterbitkan. Alhamdulilah berkat kerjasama banyak pihak, terutama peruntukan kewangan dari MARA, Jurnal Akademia Kolej Profesional MARA berjaya diterbitkan. Sekarang Jurnal ini telah bertukar nama MARA Journal of Academia (MJOA). Hasil penulisan jurnal.
124 PHD KECIL TETAPI SIGNIFIKAN Malah aku juga terlibat dengan penganjuran seminar, MARA Virtual Educational Research Conference (MVERC), networking sewaktu menyambung pelajaran peringkat PhD yang sememangnya banyak membantu terutama dalam mendapatkan key note speaker dan pewasit artikel. Bagi membalas jasa MARA selama ini, aku banyak membentangkan hasil kajian dalam seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Aku juga aktif menulis artikel jurnal, buku akademik serta sumbangan bab dalam buku. Aku juga sangat bersyukur kerana Aku berpeluang untuk membantu para pelajar PhD dari MARA mahupun masyarakat luar. Aku merupakan pakar penilai keesahan kandungan untuk pembinaan soal selidik dan modul berkaitan kurikulum dan pedagogi. Semua ini aku lakukan bagi membalas kembali jasa MARA yang telah melabur wang ringgit dan segala kemudahan yang diberikan kepada aku selaku penerima Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP). Secara tidak langsung akan menaikkan nama MARA di mata masyarakat. Janji aku dengan Pak Yem (Datuk Ibrahim Ahmad), mantan Ketua Pengarah MARA sebelum ini adalah untuk berkhidmat dengan MARA. Setelah tamat PhD pada 2012, aku meneruskan perkhidmatan dengan MARA hingga kini. Pejam celik pejam celik, sudah 23 tahun aku bersama MARA. Pada 16 Jun 1999, bermula di MRSM Kuala Terengganu, MRSM Bitara, Langkawi seterusnya ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Aku pernah bertugas di Bahagian Pembangunan Sumber, Bahagian Inovasi MARA dan sekarang di Kolej Profesional MARA Beranang. Ya betul, PhD kecil tetapi sangat signifikan. Banyak jasa MARA untuk aku dan keluarga. Terima Kasih MARA, terima kasih kepada Maha Pencipta yang sentiasa melimpahiku dengan rahmat dan kasih sayangMu. Nikmat apa lagi yang ingin aku dustakan.
125 PHD KECIL TETAPI SIGNIFIKAN Hidup ini adalah sebuah perjalanan, justeru nikmatilah dengan penuh kesabaran.
Berdoalah, Allah mendengarmu. Bersabarlah karena Allah akan menjawab doamu pada waktu yang tepat.
TAKDIR SITI ROSLINA MOHAMMAD ZAIN YANG INDAH Setiap kali berkongsi cerita, aku mesti teringat akan kisah 23 tahun dahulu sebelum aku bergelar warga kerja MARA. Semuanya bermula apabila aku terbaca iklan MARA di cebisan surat khabar yang menjadi pembungkus nasi lemak. Hati berbisik, ‘belum cuba belum tahu’. 12 April 2001 Memulakan kerjaya sebagai Kaunselor di MRSM Jeli, hatiku menjadi gundah. Maklumlah apa yang dipelajari semasa di universiti, tidaklah sama dengan dunia sebenar. Sementelah MRSM Jeli pada ketika itu baharu beroperasi dan banyak kemudahan yang belum lengkap. Mujurlah pihak pengurusan banyak membantuku di samping rakan-rakan seperjuangan yang lain. Mengimbau beberapa kisah, teringat aku siri jelajah ilmu berguru dengan para sifu kaunselor di beberapa buah MRSM demi kecemerlangan pelajar. Tatacara menyediakan kertas kerja, pengisian aktiviti setiap program dan kaedah mengira bantuan kewangan pelajar, antara yang aku pelajari. Semoga Allah memberi ganjaran berpanjangan buat abang dan kakak para sifu yang telah memberikan ilmu mereka kepadaku.
128 TAKDIR YANG INDAH Pengalaman mengendalikan Kursus Kepimpinan Pemimpin Pelajar bersama masyarakat orang asli telah mengajar aku erti bersederhana dalam hidup… antara keperluan dan kehendak mana yang perlu diutamakan. Sewaktu menyediakan hadiah aktiviti bagi pelajar orang asli, pegawai yang terbabit menyarankan agar dibelikan barang-barang pengurusan diri seperti ubat gigi, syampu dan sabun. Katanya keperluan itu yang penting kerana mereka tinggal jauh di pelosok kampung. Hingga kini, setiap kali menyediakan hadiah untuk programprogram yang dijalankan, timbangtara di antara keperluan dan kehendak menjadi penanda arasku. Malahan telah sebati dalam hidupku sebagai amalan. Terima kasih tuan atas ajaran pengalaman itu! Pengalaman mengikuti Bengkel Kemahiran Komunikasi bersama komuniti setempat juga sangat terkesan dalam hidup saya. “Cikgu… tak larat kami nak makan… kenyang sangat-sangat…”, “Cikgu… kami juga dijamu makan nasi tengah hari…” dan “Cikgu… ini ada satu guni buah yang kami dapat, orang kampung bagi untuk agihkan kepada kawan-kawan yang lain di asrama.” Gelagat anak-anak pelajar sewaktu pulang selepas beramah-mesra secara berkumpulan dengan orang kampung mencuit hatiku. Untungnya mereka kerana pada waktu itu adalah musim buah-buahan dan selepas latihan komunikasi serta program khidmat masyarakat yang dilakukan bersamasama, mereka dijamu menikmati buah durian, rambutan, manggis dan bermacam-macam lagi. Lucu juga tatkala teringat kembali muka ketat mereka bercampur rasa takut sebelum pergi ke rumah orang kampung menjalankan tugasan yang diberi. Namun berubah menjadi pengalaman manis buat mereka. Duhai anak… Cikgu juga belajar daripadamu… rezeki takkan datang bergolek. 6 Jun 2004 Selama 12 tahun bekerja di MRSM Besut tempat bertapaknya kasih dan sayang, menghimpun pelbagai kisah buatku. Sama seperti sebelum ini, MRSM Besut juga ibarat MRSM baharu apabila kembali beroperasi selepas dibuka semula. Di sini, peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat master dan doktor falsafah merupakan pengalaman indah buatku. Peluang yang diberikan oleh pihak MARA termasuk cuti tanpa rekod begitu bermakna walaupun pengajianku adalah tanggungan sendiri. Masih teringat bagaimana kisah kembaraku seorang diri ke bumi Jogjakarta dan Bali, Indonesia untuk membuat pembentangan.
129 TAKDIR YANG INDAH Aku berjumpa dengan Pengarah, Bahagian Pendidikan Menengah MARA membentangkan kertas kajian sebelum dibenarkan berkongsi dengan pihak luar kerana kajianku berkaitan dengan pelajar MRSM. Terketar-ketar namun akhirnya ucapan tahniah diberikan. Alhamdulillah. Banyak sebenarnya JASA MARA KEPADAKU. Di samping kutipan pengalaman melalui program-program yang dilaksanakan dengan bajet yang diberikan, kemudahan pembelian kereta dan rumah juga disediakan. Alhamdulillah dapatlah juga aku memandu kereta baharu dan memiliki rumah. Kebajikan untuk semua warganya dijaga termasuklah menyediakan kemudahan klinik panel. 13 Disember 2016 Aku tidak pernah memohon untuk sebarang pertukaran. Namun, tiba-tiba namaku disenaraikan untuk perpindahan. Rasa terkejut pada mulanya namun redha apatah lagi MRSM Kota Putra adalah bawah program ulul albab. Satu pengalaman yang sudah lama ingin aku rasai. Pengalaman mengadakan sesi kaunseling dengan pelajar ulul albab agak mendebarkan. Maklumlah mereka merupakan pelajar huffaz di mana alQuran sentiasa di bibir. Semasa satu sesi dijalankan, pelajar yang menjadi klienku berkongsi tentang dalil aqli mengenai isu yang dialaminya. Terasa tenang hatiku. Selepas sesi ditamatkan, fahamlah aku bahawa remaja ingin didengari… kadang-kadang sekadar meluahkan apa yang terpendam, dia sudah merasa lega… dan sebenarnya ada sahaja di antara mereka yang hanya ingin berkongsi untuk mendapatkan sokongan walhal mereka telah ada jalan penyelesaian. Menjadi kaunselor harus tabah dan sabar. Kemahiran mendengar itu amat penting. Di sini juga aku belajar sesuatu tentang adab menggunakan media sosial. Alhamdulillah, pengalaman penggunaan media sosial terutamanya whatsapp begitu dijaga. Tiada gurau senda yang keterlaluan dan banyak ilmu agama yang dikongsikan selain penggunaan whatsapp berfokus untuk kerja sematamata. 5 Februari 2018 Sabah, negeri di bawah bayu. Pejam celik tanpa sedar sudah menjangkau 3 tahun aku berkhidmat di sini. Sungguh… tidak terlintas di fikiranku sejauh ini perantauanku. Pelbagai persepsi timbul. Mampukah aku berkhidmat dengan pelajar dari agama dan kaum yang berlainan? Apakah mereka boleh menerimaku? Bagaimana program boleh dijalankan memandangkan lokasi beberapa buah MRSM di sana agak jauh di antara satu sama lain?
130 TAKDIR YANG INDAH Namun, benarlah firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud “… boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. Banyak pengalaman yang kuperolehi dan ada yang menginsafkan diriku. Antaranya menerusi aktiviti Program Ziarah Pelajar iaitu program berjumpa dengan pelajar B40. Di samping dapat mengetahui keperitan keluarga dan situasi pelajar, kecekalan mereka menimba ilmu sangat dikagumi. Walaupun hidup serba kekurangan, namun kemiskinan bukanlah penghalang untuk mereka berjaya dalam akademik malahan itulah yang sepatutnya dicontohi. Untungnya mereka memiliki keluarga yang sentiasa mengambil berat tentang akademik anak-anak. Rata-rata sewaktu ke rumah pelajar, kulihat jadual belajar ditampal di dinding berlubang, piala kemenangan memenuhi rak yang dibuat sendiri dan sudut belajar yang disediakan oleh keluarga pelajar. Walaupun lantai yang dipijak juga patah papannya, pelajar yang diziarahi tetap meneruskan pembelajaran mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Syabas anak! Moga kamu berjaya lebih cemerlang dan cikgu doakan kembali berbakti untuk keluargamu… Amin. Manakala menerusi Program Outreach Jom Masuk MRSM pula, banyak tempat yang dapat kukenali. Teringat aku akan pengalaman berjalan kaki menaiki jambatan gantung yang agak panjang. Perasaan berani bersulam gusar silih berganti namun tetap kugagahi jua. Ya Allah, senyuman ramah mesra dan sopan santun anak-anak pelajar Sabah sehingga kini menjadi kenangan indah cikgu. Terima kasih sayang atas segala-galanya. 12 April 2021 "Eh, ada ke MRSM dalam kebun sawit yang luas ni? atau aku yang sesat?" Itulah ungkapan pertama ketika kereta menyusuri jalan masuk ke MRSM ATM Bera, Pahang. Namun akhirnya tersergam indah bangunan di hadapan. Meneruskan kerjaya di sini tiadalah berbeza sangat dengan tempat sebelum ini. Alhamdulillah selama 2 tahun lebih, kenangan banyak tercipta. Sama seperti ketika berkhidmat di MRSM Jeli dan Besut, Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling juga masih kosong dan perlukan pembelian perabut dan almari termasuk sofa untuk kemudahan pelajar. Pada kali ini jiwaku lebih cenderung memilih tema gaya English berbanding sebelum ini, ala Bali dan spa. Di sini, pengalaman sebagai Penyelaras Program Penyesuaian Diri Pelajar Baharu benar-benar memberiku pengalaman berharga. Apa tidaknya. Semua
131 TAKDIR YANG INDAH perlu dilaksanakan secara dalam talian. Alhamdulillah kerjasama daripada pihak pengurusan dan rakan-rakan sejawat sentiasa ada. Setiap slot akhirnya dapat dijalankan dengan jayanya. Di samping itu, pengalaman siasatan ke rumah pelajar bagi Program Bantuan BUDI MARA juga sukar dilupakan. Perkongsian keluarga pelajar yang dikunjungi memberi banyak makna buatku. Pengorbanan ketua keluarga mencari nafkah, kecekalan isteri turut membuat kerja tambahan seperti menjual kuih serta hubungan rapat kekeluargaan dan kesungguhan pelajar untuk belajar telah mengajarku erti kehidupan sebenar. MARA… sebuah nama gah di hatiku… menjadi amanah abadi. Terima kasih atas kurniaan pengalaman yang mematangkan hidupku. Semoga MARA terus cemerlang di bawah rahmat-Nya… amin. Gambar Pembentangan Di Indonesia
Di sebalik setiap ujian, Allah mengajar kita hati yang tabah itu lebih indah dari hidup yang mudah.
“Anda dijemput untuk menghadiri Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia 2022 bertempat di TM Convention Centre”. Aku baru menerima tawaran untuk menyertai majlis perkongsian ilmu kejuruteraan melalui e-mel. Jika bukan kerana MARA belum tentu aku akan mendapat tawaran seumpama ini. Terlalu banyak jasa yang MARA hadiahkan kepada warga kerjanya. Tinggal lagi sama ada peluang tersebut mahu direbut ataupun tidak. Aku salah seorang yang bertuah kerana menerima pelbagai keistimewaan yang MARA sediakan dalam usaha peningkatan kerjaya. Sekitar tahun 2012 hingga 2014, MARA telah membiayai kos keseluruhan untuk aku menyambung pengajian secara separuh masa di peringkat Sarjana Kejuruteraan Elektrik di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM). Bukan sedikit kos yang ditanggung MARA, ia sekitar RM35,000. Itu tidak dikira lagi diberikan ganjaran cuti tanpa rekod yang diperuntukkan kepada aku untuk melengkapkan sesi pengajian tersebut. Jika bukan kerana MARA, rasanya belum tentu aku akan menyambung pengajian tersebut. Tidak terhenti di situ, pada tahun 2016 sekali lagi MARA menawarkan program peningkatan kerjaya kepada aku. Masih segar dalam ingatanku, aku telah menerima surat tawaran daripada Bahagian Sumber Manusia, MARA. BERDIRI Ir. MOHD HANAFI MOHD ESA KERANA MARA
134 BERDIRI KERANA MARA Surat itu menyatakan aku terpilih untuk ditaja sebagai salah seorang calon untuk Program Persediaan Profesional Kejuruteraan (Ir.) anjuran UniMARA. “Alhamdulilah rezeki…,” bisik hatiku. Aku baru sahaja menerima cahaya mata yang ketiga, 2 minggu sebelumnya dan kini menerima satu lagi berita gembira. Perasaan aku bercampur baur pada ketika itu. Teruja dan gembira kerana program seumpana ini adalah julung kali dianjurkan dan aku salah seorang kakitangan MARA yang terpilih. Dalam masa yang sama bermain pula di minda aku, hasrat untuk menolak tawaran tersebut. Bukan berniat untuk menolak rezeki tetapi sebenarnya aku masih keletihan mental dan fizikal kerana baru sahaja menamatkan pengajian secara separuh masa. Komitmen yang terpaksa aku berikan sepanjang menyambung pengajian boleh dikatakan melebihi seratus peratus. Belajar secara separuh masa seiring menjalankan amanah tugasan hakiki sebagai pegawai latihan vokasional sangat mencabar. Tanggungjawab terhadap keluarga juga mana mungkin boleh diabaikan. Kini isteri aku pula masih dalam tempoh berpantang yang memerlukan perhatian yang lebih sempurna. Jika difikirkan mahu sahaja aku mengambil masa untuk honeymoon sebentar untuk menenangkan kepala yang agak berserabut dengan bebanan beberapa tahun kebelakangan ini. Padang perahu di lautan, padang hati di fikiran, teringat kata-kata guru bahasa dahulu yang meminta berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sesuatu dan hadam sedalam-dalamnya supaya tidak menjerat diri sendiri kelak. Akhirnya setelah meminta petunjuk dan ditimbang tara semua perkara, aku menerima tawaran tersebut. Aku meyakinkan diri bahawa menuntut ilmu antara amalan yang dituntut dalam Islam kerana ia akan membawa pelbagai kebaikan. Boleh juga aku menambah ilmu teknikal dan mungkin suatu hari nanti dapat berkongsi pengalaman dengan sesiapa yang memerlukan. Dengan keputusan ini bermakna sekali lagi kekuatan mental aku bakal teruji, pengurusan masa perlu lebih cekap untuk membahagikan masa di antara keluarga dan tugas hakiki. Sungguh aku tidak menyangka akan menerima tawaran tanggungan pengajian secara berturut-turut dalam masa terdekat. Kali ini MARA menanggung kos sebanyak RM18,000 pula. Tanggungjawab aku pula tidak lain, wajib untuk melengkapkan misi menjadi jurutera profesional. Sungguh aku terharu dengan jasa-jasa MARA.
135 BERDIRI KERANA MARA Tugasan pertama selepas aku menerima tawaran ini, aku perlu mengikuti program persediaan selama 2 minggu di Taman Teknologi Bukit Jalil. Seramai 24 orang calon hadir termasuk 2 lagi calon dari pusat yang sama dengan aku di KKTM Kemaman. Semua calon perlu mendalami beberapa sektor sebelum layak untuk ditemuduga sebagai jurutera profesional. Sektor tersebut memerlukan pengalaman kerja yang merangkumi bidang reka bentuk elektrik, pengurusan dan perancangan, akta dan peraturan serta kod etika kejuruteraan. Kemahiran teknikal ini perlu diterjemahkan ke dalam laporan bertulis dan perlu dihantar kepada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) untuk dinilai sama ada calon tersebut benar-benar layak untuk ditemuduga atau sebaliknya. Sepeninggalan aku, alhamdulillah semua urusan keluarga seolah-olah dipermudahkan. Selain isteri yang diberikan kesihatan yang baik dalam menguruskan hal anak-anak di rumah, rakan sekerja yang juga kebetulan tinggal berjiran, menghulurkan bantuan untuk menumpangkan anak ke sekolah. Ramai juga rakan yang menawarkan bantuan dan bersedia jika berlaku hal kecemasan, kami sekeluarga amat bersyukur dan berterima kasih kepada mereka semua. Perjalanan seterusnya, setiap calon akan dibimbing oleh mentor masingmasing yang telah dilantik. Alhamdulillah aku dan rakan sekerja dari KKTM Kemaman akan bersama mentor yang merupakan seorang jurutera perunding berpusat di Kuala Terengganu. Bermakna tidaklah terlalu jauh untuk aku berulang-alik ke tapak projek dari Kemaman. Benarlah ilmu Allah itu luas, di sinilah aku belajar banyak perkara baharu. Sehingga aku merasakan sedikit gentar dan diri ini tidak layak jika dipanggil untuk ditemuduga. Walaupun begitu dengan peluang yang hadir ini, aku mengambil kesempatan untuk mengasah dan menajamkan ilmu teknikal. Permulaan misi aku berjalan sangat lancar dan beberapa kali pertemuan diatur bersama mentor. Setiap isu berbangkit dibincangkan dengan teliti dan setiap maklumat direkodkan dengan sempurna. Keadaan ini berlanjutan untuk tempoh beberapa bulan sehinggalah pada suatu ketika, tidak tahu di mana silapnya perjalanan aku, seakan-akan terhenti secara tiba-tiba. Segala maklumat teknikal yang diperlukan tidak lengkap, lukisan reka bentuk tiada rujukan yang tepat, dokumen berterabur dan mentor pula seakan-akan sibuk dengan urusan kerjanya. Beberapa kali pertemuan yang dirancang juga gagal disempurnakan. Secara perlahan-lahan momentum aku juga turut menghilang. Ditambah pula dengan bebanan kerja yang semakin menuntut komitmen dengan pelbagai jawatankuasa sehingga pada suatu ketika, aku melupakan terus misi ini.
136 BERDIRI KERANA MARA Sebaik melangkah masuk ke tahun 2020, aku mula membina semangat baharu. Mana mungkin untuk aku terus kekal sebagai seorang yang gagal. Sia-sia aku berkorban dan bersusah payah pada awalnya dahulu jika hanya untuk terus kekal begini. Aku memilih untuk bermula, bermakna aku juga yang perlu selesaikan misi ini ibarat berjalan sampai ke batas, belayar sampai ke pulau. Aku tekad untuk menghidupkan semula impian untuk bergelar sebagai seorang jurutera profesional. Bersama 2 orang lagi rakan sekerja di KKTM Kemaman, kami memohon untuk menjalani Latihan Sangkutan Industri anjuran Centre for Instructor and Advanced Skill Training (CIAST). Tatkala permohonan rakan-rakan lain masih di peringkat penilaian, aku sangat bersyukur kerana sekali lagi MARA menghulurkan bantuan dengan meluluskan permohonan tersebut. Selepas lampu hijau diperolehi daripada pihak MARA, aku terus menyusun strategi baharu supaya tidak kecundang lagi. Mentor baharu telah dikenalpasti, Ir. Mohd Amin bin Baharom, antara individu yang disegani dalam bidang kejuruteraan dan banyak menyumbang kepakarannya bersama Lembaga Jurutera Malaysia. Masih teringat kata-kata Ir. Amin sewaktu kali pertama kami hadir untuk bertemunya di pejabatnya di Shah Alam. “Selagi masih bernafas, saya akan bantu untuk berkongsi ilmu ini kepada sesiapa yang sudi”. Sebagaimana kata-katanya begitulah tindakan Ir. Amin yang begitu berkobarkobar membantu kami. Bermula pada saat itu aku dipertanggungjawabkan untuk menyelia projek bawah seliaan beliau. Berbekalkan semangat baharu seakan-akan kaki semakin pantas untuk berlari. Kali ini aku amat yakin dengan matlamat yang dituju. Namun benarlah bagai dikata, kita hanya mampu merancang. Sekali lagi dugaan datang melanda, siapa sangka ancaman wabak Covid-19 pula muncul secara tiba-tiba. Seakan-akan mimpi apabila pandemik ini melumpuhkan operasi seluruh dunia. Keadaan ini memaksa impian aku sekali lagi tertangguh kerana semua operasi di tapak projek ditutup malah segala aktiviti harian juga sangat terhad. Walaupun terdapat beberapa kelonggaran pergerakan yang diumumkan selepas itu tetapi rakyat masih berjaga-jaga untuk terlibat dengan sebarang aktiviti sosial secara terbuka. Pada ketika itu, aku tidak nampak sebarang sinar bilakah wabak Covid-19 ini benar-benar akan berakhir. “Tidak boleh tidak, aku mesti selesaikan yang tertangguh!” Hati aku berkeras untuk menamatkan penantian ini dengan seberapa segera. Setelah beberapa bulan, misiku tertangguh, kami kembali mencari rentak.