MARA KNOWLEDGE CENTRE Projek Biblioterapi MARA
Bangkit & Berlari Cetakan November 2022 Penerbitan © Majlis Amanah Rakyat Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan ulang cetak mana-mana bahagian, isi kandungan dan ilustrasi dalam apa jua bentuk dan dengan cara apa sekalipun, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tanggungjawab hak cipta tidak ada kena mengena dengan penulisan yang terkandung di dalam buku ini. Penerbit dan penulis tidak bertanggungjawab ke atas sebarang maklumat yang disalahgunakan. Penaung Dato’ Sri Azhar bin Abdul Manaf Ketua Pengarah MARA Penasihat Rohayah binti Mohd Zain Timbalan Ketua Pengarah Nor Zaini binti Abu Kassim Pengarah BITK Ketua Editor Zuliana Haslinda binti Anhar Zubir Timbalan Pengarah I BITK Editor & Penyelaras Zurina binti Abdul Aziz (MKC) Editor & Semakan Merujuk Tafsir Pimpinan Ar- Rahman Ustaz Asri bin Hassan (Presiden AKRAB) Editor & Proof Read Hjh. Rahmah binti Saad (Big M Resources) Grafik Norain binti Muhammad Diterbitkan oleh: MARA Knowledge Centre Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif Tingkat 4, Ibu Pejabat MARA, 21 Jalan MARA, 50609 Kuala Lumpur. (Dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia MARA) Dicetak oleh: Firdaus Press 28, Jalan PBS 14/4, Taman Perindustrian Bukit Serdang, 43300 Seri Kembangan, Selangor. Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-penerbitan Bangkit dan Berlari/ MARA Knowledge Centre ISBN: 978-967-2264-10-1 1. Motivation—Enthusiasm 2. Bibliotherapy—MARA--Anecdotes. 3. Majlis Amanah Rakyat--Officials and employees--Anecdotes. 4. Government publications--Malaysia. I. Judul II. Biblioterapi MARA BF575.E6
Bangkit Dan Berlari i MARA amat menyokong usaha dalam meningkatkan minat membaca dalam kalangan warga kerja MARA dan menggalakkan aktiviti yang mendorong ke arah minda positif. Penerbitan buku Biblioterapi MARA adalah bertepatan dengan visi MARA iaitu menjadi penggerak dan pencetus kelahiran modal insan MARA yang kompeten, profesional dan beramanah selaras dengan tuntutan hala tuju MARA. Biblioterapi adalah terapi menggunakan buku. Terapi ini telah lama wujud dan Islam adalah satu-satunya agama di dunia ini yang perintah pertamanya adalah membaca. Ayat perintah dalam Surah Al- 'Alaq iaitu Iqra’ bermaksud 'Bacalah’. Biblioterapi merupakan terapi menerusi bahan bacaan yang menyokong kesihatan mental dan membantu aspek psikologi, emosi dan sosial individu. Bahan bacaan yang tepat dengan isu dihadapi akan menggalakkan simulasi dan penyelesaian masalah serta memberikan kelegaan emosi, disamping merubah perspektif baharu terhadap sesuatu isu dan melahirkan modal insan lebih kreatif dan berinovasi. Sekapur Sirih Ketua Pengarah MARA Bangkit Dan Berlari i
ii Maklumat yang saya terima bahawa negara-negara lain seperti United Kingdom, Amerika Utara, Amerika Selatan, Australia dan Indonesia telah mempraktikkan biblioterapi sebagai terapi dalam masyarakat mereka. Justeru saya berpandangan biblioterapi boleh diaplikasi di MARA dan selaku Ketua Pengarah, saya amat menggalakkan program seumpama ini untuk manfaat warga kerja. Bertepatan dengan ujian pandemik Covid-19 yang kita lalui, penulisan dan pembacaan mampu untuk memberikan kelegaan emosi serta membendung gejala kemurungan awal. MARA amat prihatin dan mementingkan kesihatan mental dan emosi warga kerja, justeru MARA Knowledge Centre (MKC) selaku perpustakaan memainkan peranan penting dalam mendokong dan menyebarkan kebaikan biblioterapi. Tahniah Biblioterapi MARA kerana berjaya merangkul pingat Emas sehingga ke peringkat antarabangsa. Yakinlah, apa yang kita lalui pada hari ini merupakan salah satu peluang yang amat berharga untuk kita mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT di akhirat kelak. Teruskan usaha murni yang sedang kita lakukan ini, dan terus bersiap sedia bagi melaksanakan tugasan demi MARA. Tahniah dan syabas atas kejayaan yang dicapai. Teruskan khidmat bakti bagi menghadapi segala kemungkinan yang penuh mencabar nanti. Ayuh bersama kita ‘Bangkit dan Berlari’. Sekian. #teguhkitamenangbersama #bangkitdanberlari #biblioterapimara #maramembaca #maramenulis #innovateyourself #innovateyourlife Dato’ Sri Azhar bin Abdul Manaf Ketua Pengarah MARA ii
Bangkit Dan Berlari iii Assalamualaikum wbt, Buku Biblioterapi ‘Bangkit dan Berlari’ adalah kesinambungan daripada Projek Biblioterapi MARA ‘Hikmah Saat Aku Di Uji’ yang dimulakan sejak tahun 2020. Biblioterapi merupakan satu inovasi di dalam psikologi yang dapat membantu merawat tekanan perasaan dengan menggunakan terapi buku. Memandangkan tidak banyak buku terapi di pasaran yang menepati tiga fasa biblioterapi iaitu identifikasi, katarsis dan wawasan (insight) maka, langkah proaktif telah dilakukan melalui kumpulan KIK (Kreatif dan Inovatif) untuk membangunkan Projek Biblioterapi MARA yang bertujuan bagi menambahbaik perkhidmatan yang ditawarkan di MARA Knowledge Centre (MKC) dan semua perpustakaan di Institusi Pendidikan MARA (IPMA). Alhamdulillah, kejayaan demi kejayaan telah dicapai melalui kumpulan KIK ini dengan memenangi pingat EMAS di pertandingan inovasi antarabangsa iaitu Malaysia Technology Expo (MTE) - Sustainable Development Goal (SDG) yang selaras dengan SDG no. 3 iaitu Good Dari meja Ketua Editor Bangkit Dan Berlari iii
iv Health and Wellbeing. Malah kejayaan manis di dalam Konvensyen ICC /KIK Malaysia 2022 bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada 23-24 November 2022 telah memperlihatkan projek Biblioterapi ini merangkul Anugerah 2 Bintang Emas. Tidak memeranjatkan, MKC menerima anugerah Emas dalam Anugerah Pementoran MARA 2022 dan juga telah dinobatkan sebagai Perpustakaan Terbaik dengan merangkul anugerah Johan untuk Anugerah Inovasi dan Pengurusan Kualiti anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2022. Perpustakaan MARA menawarkan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah kepada warga MARA iaitu Biblioterapi. Penutup bagi tahun 2022 Biblioterapi MARA merangkul lagi Emas dalam Anugerah i-MARATech bagi kategori Inovasi Produk Staf MARA (IPSM). Ini menjadikan 5 anugerah Emas telah berjaya dirangkul menerusi projek Biblioterapi MARA sepanjang tahun 2022. Projek Biblioterapi ini juga telah direplikasikan di semua 90 IPMA. Pustakawan dan kaunselor setiap IPMA sama-sama berganding bahu untuk menjayakan projek ini bagi mengurangkan tahap stress, anxiety (kebimbangan) dan early-depression dalam kalangan warga kerja MARA dengan bimbingan Kumpulan KIK Metamorfosis. Maklum balas positif dan kajian daripada analisa DASS (Depression Anxiety Stress Scales) telah membuktikan bahawa terapi buku ini telah menunjukkan penurunan tahap stress, anxiety dan depression bukan saja untuk warga MARA malah untuk wargakerja di Sektor Perkhidmatan Awam dan beberapa buah perpustakaan lain di sekitar ibukota. Kesinambungan dari kejayaan ini, diteruskan lagi dengan menghasilkan buku Biblioterapi seterusnya bertajuk ‘Bangkit dan Berlari’ yang membawa tema ujian dalam kehidupan. Lebih ramai penulis dalam kalangan warga kerja MARA tampil dengan karya masing-masing dengan cerita tersendiri. Siapa sangka, wargakerja MARA bukan sahaja hebat menjalankan tugas masing-masing malah berbakat dalam menzahirkan nukilan perasaan di atas kertas putih. Syabas, wargakerja MARA...!! Anda memang serba boleh, berjiwa kental dan terus bersemangat menjalankan amanah sebagai khalifah di bumi Allah. Teruskan menempuh apa jua takdir yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa kerana perjalanan hidup kita telah tersusun cantik di hadapan mata. Jangan lagi menoleh ke belakang, mengenang kisah iv
Bangkit Dan Berlari v duka lama yang berbekas di jiwa. Pandanglah ke hadapan dengan segaris senyuman di wajahmu. Jika terjatuh, Bangkitlah dan Berlari kerana perjalanan masih jauh di hadapan. Ingatlah tangan-tangan keramat yang menarik kita kembali ke atas… genggam erat tangan-tangan itu kerana mereka adalah sahabat sejati yang ikhlas menemani tatkala duka. Ayuhhh…bangkitlah dan terus berlari. Sekian. #teguhkitamenangbersama #bangkitdanberlari #biblioterapimara #innovateyourself #innovateyourlife #maramembaca #maramenulis Zuliana Haslinda binti Anhar Zubir Ketua Editor Bangkit Dan Berlari v
vi Nukilan yang dicatatkan dalam buku ini adalah hasil daripada pengalaman sebenar para penulis menempuhi ujian kehidupan yang telah ditakdirkan. Keihklasan hati penulis berkongsi cerita bertujuan menjadi aspirasi kepada para pembaca untuk mengambil intipati daripada isi cerita Bangkit dan Berlari untuk menuju kebahagiaan dan kejayaan dunia & akhirat. Perpustakaan pada hari ini bukan sahaja berperanan sebagai repositori dan platform ilmu, malah turut berperanan dalam melahirkan masyarakat yang positif dan memiliki minda yang sihat. Sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan perpustakaan, penyediaan buku serta ruang biblioterapi yang selesa untuk tarikan dan galakan membaca harus dilaksanakan. Justeru kolaborasi di antara Pustakawan, Kaunselor dan AKRAB turut memainkan peranan dalam menjayakan aktiviti biblioterapi yang bersesuaian dengan warga MARA. Biblioterapi adalah terapi menggunakan buku dengan tujuan untuk merawat jiwa dan minda tanpa kos yang tinggi untuk kesejahteraan Prakata vi
Bangkit Dan Berlari vii minda. Sehubungan itu, biblioterapi wajar dilaksanakan oleh semua perpustakaan untuk manfaat bersama. MARA Knowledge Centre selaku perpustakaan di Ibu Pejabat MARA menjadi pemangkin biblioterapi di MARA menyedia latihan biblioterapi kepada semua pustakawan MARA dan mempromosi kebaikan biblioterapi kepada warga MARA dengan kerjasama Unit Kaunseling, Bahagian Sumber Manusia di Ibu Pejabat MARA. MARA Knowledge Centre meneruskan lagi projek Biblioterapi MARA dengan menerbitkan buku kedua yang bertajuk Bangkit dan Berlari. Justeru setiap penceritaan telah digarap agar mudah difahami dan dijiwai oleh pembaca bagi memperolehi katarsis iaitu kelegaan emosi. Buku ini memberi terapi kepada pembaca bahawa setiap insan punyai masalah malah lebih berat lagi. Melalui pembacaan ini ia akan merubah gaya pemikiran baru ke arah yang lebih positif. Selagi hidup pasti diuji, namun bagaimana sebagai hamba-Nya kita bertindak balas terhadap sesuatu ujian yang menimpa, melihat hikmah dalam setiap ujian dan menimba pengalaman supaya lebih berdaya tahan dan lebih bijak menempuhi kehidupan yang mendatang. Biblioterapi MARA turut menerima pelbagai pengiktirafan yang membanggakan dan menaikan imej MARA di dalam dan luar negara. Dengan sokongan padu daripada pihak Pengurusan MARA, Biblioterapi MARA akan terus mengorak langkah mencipta kejayaan dan menghasilkan impak yang memberi manfaat buat MARA dan negara tercinta. Sekian. #teguhkitamenangbersama #bangkitdanberlari #biblioterapimara #innovateyourself #innovateyourlife #maramembaca #maramenulis Zurina Abdul Aziz Editor II Bangkit Dan Berlari vii
viii Isi Kandungan Cerita Ku Tulis Dengan Cinta 1 Peluang Kedua 9 Misi 2013-2017 15 Aku Kaunselor Novis 30 IM770 Ke MBA 37 Aku Budak Bodoh 48 Pelangi Kiriman-Nya 57 Transnasional 5 pagi 67 Aku Ada Dia 74 Hikmah Kandungan Pertamaku 80 Terima Kasih Maha Pencipta 85 Yang Telah Allah Tetapkan 93 Di Sebalik Takdir 100 Assignment Dari Tuhan 106 Abah Yang Kurindui 113 Aku Terima Ketentuan Ilahi 119 Melupakan Kisah Silam 123 Sebutir Mutiara Di Utara 131 Kucipta Bahagia 136 Bingkisan Rindu Tiada Penghujung 143 Anugerah Ke Jannah 150 Kegembiraan Berganda 156 Sesegar Embun Pagi 163 Masfufah Ab Rahim Mimi Haniza Jaafar Zuliana Haslinda Anhar Zubir Salpiah Suradi Zurina Abdul Aziz Norhafiza Mohamed Aima Syamimi Mohd Rodzuan Samsiah Kandar Liza Zainal Nur Syafiqah Saharuddin Dayang Norazurah Ibrahim Lia Hadi June Jariah Hana Eng Sharifah Rafidah Wan Bagus Marina Nawi Nor Aishah dan Mohd Aizat Ema Maliha Mohd Kamal Nor Analiza Abdul Azik Saleha Yunus Nureen Ashyikin Abas Amirul Asyraf Abdul Razak Jairah Bedesly
Bangkit Dan Berlari 1 Dia tersenyum memandangku, berpakaian serba putih, wangi bak kasturi. Manis wajahnya, bersih, bercahaya. “Ada nur di wajahnya…” gumamku sendirian, senyum dalam diam. Itu ungkapan nakal lucu teman siswi ketika di kampus, pada saat usiaku menginjak 20 tahun, melengkapkan ijazah pertamaku dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ungkapan yang acap kali serius untuk menggambarkan cahaya keimanan yang terpancar (kononnya) lewat berpapasan wajah siswasiswa yang bening bak semilir petang. Dia ibarat malaikat yang diutus Tuhan untuk balasan kesabaranku selama mihnah-Nya bertamu. Dia bak sayid yang dipagar bulan bintang kemuliaan fitrah nan suci. Aku menghampirinya, malumalu. Beban rindu yang kutanggung selama ini ringan secara tibatiba. Kulihat dia menghulurkan tangan menahan gerakku, mengunci nafsu. “Sabarlah wahai kekasih, sedetik lagi kita pasti bersama,” tuturnya gemersik kedengaran, merdu mengkhayalkan. Aku terpinga-pinga. Tubuhku kejang, pegun dan kaku. Sesaat pipiku terasa basah oleh air mata. Aku terjaga! Kiranya aku bermimpi pada dini hari itu, dengan telekung masih membaluti tubuh. Aneh! Mengapa mimpi itu begitu jelas? Berbekas syahdunya di hati. Aku keharuan. Alam bening, nirmala. Sedetik cuma, tercemar dek suara unggas dan ayam bersahutan. Aku bingkas sujud syukur. Bibir mengalunkan tasbih dan tahmid memuji Dia yang Maha Pengasih. Inilah ilham buatku. Inilah jawapan yang kutunggu. “Dia berbahagia di sana! Maha suci Allah!” Hatiku berbunga mekar “Fa Sobrun Jamil.” Maka sesungguhnya sabar itu indah. KuTulis Dengan Cinta Masfufah Ab Rahim
2 Patah Tak Tumbuh Lagi, 18 Februari 2007 Panas! Aku dikitar resah. Demam Ramzan belum kebah. Penunjuk suhu jelas menunjukkan bacaan 40 darjah Celsius! Aku kebingungan, namun pantas membantu sang suami meneguk sisa air yang masih berbaki di meja sisi. Paracetamol sudah berbelas biji ditelan namun tiada tanda-tanda suhunya akan turun. “Uwek…” Ramzan muntah lagi. Pada kali ini jernih tidak berwarna. Perutnya kosong sejak semalam. Entah bahana apa, segala isi perutnya terkeluar tanpa dapat ditahan. Aku tambah bingung. Rasa belas menyelinap benakku. “Andai dapat kutanggung separuh deritamu wahai suamiku!” Ramzan memandangku dan bersuara lemah, “Mama boleh tuamkan ais?” Suaranya perlahan. Hampir tidak kedengaran. Ramzan memanggilku mama dan aku memanggilnya papa. Jarang sekali dia memanggilku dengan nama sebenar. Baru minggu lepas kami dating berdua meraikan ulang tahun perkahwinan keempat di pusat beli belah Alpha Angle di Wangsa Maju, tanpa Ilham dan Aleyah, belahan jiwa kami yang kerap disangkakan kembar kerana jarak usia mereka yang cuma setahun. Pengasuh dengan mudah memberi kerjasama. Momen indah melatari jiwa. Aku bergegas ke dapur membuka peti sejuk, mencari ketulketul ais lalu kubalut dengan tuala kecil. Dahi Ramzan kutuam lembut. Sekilas kuraut manik-manik peluh yang merembes keluar dengan jari runcingku yang kurus tidak berisi. Demam bermula sejak Ramzan pulang dari Pahang mengail udang galah di Sungai Rompin untuk habuan zuriat ketiga kami yang masih dalam kandungan. Hanya sepurnama lagi. Tanpa alahan yang teruk, aku pun tidaklah mengidam. Kebetulan abangnya tinggal dan bekerja di Bandar Muadzam. Kerap juga dia ke sana. Tidak terlintas di fikiranku yang kembaranya pada kali ini ibarat satu petanda aku akan kehilangan dia buat selama-lamanya. Sebagai isteri, aku kasihan melihat suamiku berhempas–pulas memenuhi keperluanku. Enggan menurutkan nafsu pembawakan budak, aku tidak meminta yang bukan-bukan. Andai mengidam sekalipun, kuusahakan sendiri dek terbiasa berdikari. Ramzan berbeza.
Bangkit Dan Berlari 3 Keprihatinannya ketara. Mengenalinya lama sebelum kami bernikah. Ramzan sedar aku bukanlah jenis yang meminta-minta, lantas dia ikhlas dalam memberi. Jodoh kami kuat meskipun pada awalnya ibu tidak menyukai pilihanku. Suamiku seorang pendidik yang baik. Dia tekun bekerja untuk memberiku bahagia dan selalu berusaha mengambil hati ibu bapaku. Kesempitan hidup di kota metropolitan dan cabaran demi cabaran pada fasa awal perkahwinan, banyak mengajarku erti kesabaran dalam menempuh asam garam kehidupan. Demam berlarutan memaksa aku membawa Ramzan ke sebuah hospital swasta yang tersohor di Kuala Lumpur. Dia disahkan positif denggi. Pada awalnya blood count masih tinggi (90), masih tidak terlewat, kata doktor di jabatan kecemasan. Namun ketiadaan doktor pakar yang diamanahkan memantau keadaan pesakit di wad mengakibatkan berlakunya pendarahan yang kronik, blood count jatuh lima dalam masa hanya semalaman! Akhirnya apa yang paling aku takuti terjadi. Ramzan tewas pada kesakitan sakarat yang maha dahsyat. Nazak! Seandainya ku tahu, pasti aku bertegas menemaninya pada malam itu, namun dia mengisyaratkanku agar pulang mengambil dua anak kecil kami dari rumah pengasuh. Aku akur dalam keterpaksaan. 24 Februari 2007 Pagi yang hening. Jam 10. Wad ICU. Kamar sesak dengan ibu bapaku, ibu bapa mertua dan ipar-duaiku. Di atas katil Ramzan terbujur kaku. Tubuhnya dilingkari tiub berselirat. Lehernya ditebuk. Lapan beg darah sudah dimasukkan tetapi sia-sia. Seorang doktor berbangsa India menggeleng tatkala melihat kelibat wanita sarat mengandung menghampirinya. Terdiam. Terkejut. Serba salah barangkali. Perlahan tuturnya, “I don’t think he can make it. Not even today. I’m so sorry, puan. We have done everything we could. You can have 30 minutes before we turn off his life machine”. Aku terkesima. Mengundur setapak. Ku rasakan langit seakan-akan runtuh menghempapku “No, this is not true!” Jeritanku terlepas. Terlupa pada alam. Pada saat itu aku ingin rebah! Ibu datang
4 memelukku sambil menangis. Aku hilang kawalan. Hampir histeria. Mujur abah cepat menyedarkan. Sergahnya membuat aku terpanah. “Kita orang Islam! Kena reda dengan ketentuan Allah. Jangan jadi seperti orang yang tak ada agama. Sabar!” Aku terdiam, menelan sedu-sedan. Seketika, aku pasrahkan diri mencapai mashaf dari dalam tas tangan yang kubawa sebagai bekalan seandainya dia harus pergi. Saat ini aku perlu menghadiahi Ramzan sesuatu buat kali terakhir. Mengiringi perjalanannya ke alam barzakh. Surah Yasin. Bacaanku halus, suara putus-putus. Nada sedih, irama melankolik. Meruntun jiwa insan yang mendengarnya. Kurenung wajah Ramzan yang pucat. Kucapai tangannya yang dingin. Kuangkat lalu kuletakkan di atas ubun-ubunku. Tangisanku pecah jua. Tidak mampu lagi menahan hiba. Terimbas kenangan lalu. Sudah menjadi tabiat Ramzan untuk meletakkan telapak tangannya di situ sebagai isyarat dia reda. Andai tergigit lidah, aku sudah masak dengan sikapnya yang benci melarutkan perselisihan. Sekiranya bertengkar, aku jarang diberikan waktu untuk merajuk. Akan dipaksanya aku segera meluahkan segala yang terbuku. Ketegasan itu sukar untuk kuterima. Bahkan kerap kupersoalkan. Namun pada saat ini, meyakini suamiku pergi dalam keadaan reda padaku, benar-benar membebaskan aku daripada belenggu dosa derhaka. Suasana hening pilu membawa aku kembali ke alam nyata. Tangan Ramzan yang kaku masih di kepala. Air mataku berlinangan, namun mulutku terkunci tanpa esakan. Terimbas lagi pada suatu masa, pernah aku bersumpah pada Ramzan, juga pada bayi di dalam rahim ini. “Walau apapun yang terjadi, mama tidak akan menangis lagi sepanjang kehamilan ketiga ini!” Hasil pembacaan, aku berazam untuk menurut saranan Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah yang mengkaji hubungan emosi ibu hamil dengan ragam janin tatkala membesar. Kata beliau; “Ibu hamil jangan menangis, nanti kesannya pada emosi bayi.” “Betulkah?” Terngiang-ngiang suara Ramzan menyapa gegendang telinga.
Bangkit Dan Berlari 5 “Sumpah!” Ada ketegasan dalam jawapanku. Pelukan kasih suami mengulit tubuhku. Perlahan rambutku dielus. Kiranya Ramzan sangat mengerti kesedihan dan penderitaanku sepanjang dua kehamilan terdahulu. Kami pasangan jarak jauh. Keadaan memaksa dia pulang ke Melaka meninggalkan ku sendirian di Kuala Lumpur. Ramzan diberhentikan kerja kerana kegawatan ekonomi. Membantu perniagaan kawannya di Melaka merupakan satu-satunya jalan dia menafkahi kami. Tahun lepas dia pulang ke Kuala Lumpur dan membuka bengkel di Cheras. Alam menjadi saksi pada hari itu, aku menangis sepuaspuasnya. Sumpah yang dibuat termungkiri jua! “Maafkan mama, papa.” Wajah Ramzan yang pudar cahaya itu kukucup sedih. “Maafkan mama, anakku.” Perut yang sarat mengeras ku elus sambil menyeka deraian air mata. Hadiah yang Tidak Diingini, 26 Februari 2007 “Sabar ya Kak Mas. Wan tahu akak seorang yang tabah. Pasti ada hikmah di sebalik pemergian arwah. Sama-sama kita doakan agar rohnya diampuni. Selamat hari jadi kak. Wan berdoa semoga akak dipanjangkan umur dan Allah memudahkan urusan akak serta meluaskan rezeki anak yatim arwah,” ujar Hazwan, adik Ramzan yang datang menghantarkan sijil kematian ke rumah keluargaku di kampung. Aku memandangnya layu. Mataku bengkak kerana terlalu banyak menangis. Lidahku kelu. Sudah dua hari Ramzan meninggal dunia. Kebetulan kematiannya tidak dapat didaftarkan dengan segera kerana pejabat pendaftaran tutup pada hari Ahad. Pagi Isnin 26 Februari 2007 maka sempurnalah sijil kematiannya didaftarkan. Tarikh keramat itu bersemadi di hati kerana ia juga adalah tarikh ulang tahun kelahiranku yang ke-29! Allahuakbar! Menghadapi masa depan tanpa Ramzan apa harus aku lakukan…? Selama ini Allah mengizinkan aku menyambut hari lahir dengan gembira, dikirimi pelbagai hadiah. Namun pada saat ini, layar hidupku bertukar nada. Aku terpilih antara jutaan manusia untuk diuji sebegini hebat.
6 Sijil kematian suami ku terima dengan tangan menggeletar. Betapa sadisnya kurasakan bingkisan ini. Alangkah sinisnya gurauan ini! Ya Allah, ini bukan hadiah yang aku inginkan! Seperti empangan pecah, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Bermulanya episod keenggananku meraikan ulang tahun kelahiran. Tahun-tahun mendatang menyaksikan acara memotong kek berganti upacara tahlil dan kunjungan ke pusara. Tiada lagi ketawa gembira. Hanya kepasrahan. Perlahan-lahan aku belajar berdamai dengan takdir. Merenung wajah Ilham dan Aleyah yang ceria bermain, aku menemukan kekuatan untuk meneruskan hidup. Gelak ketawa kanakkanak yang tidak mengerti apa-apa mendamaikan jiwa. Gurau senda mereka mengisi ruang kosong di hati. Aku berhenti meratapi cinta yang pergi. Namun, menghitung detik melahirkan cahaya mata ketiga tanpa suami di sisi seolah-olah menunggu dijatuhkan hukuman mati. Beberapa hari selepas kematian arwah, aku jatuh sakit. Komplikasi kehamilan dan kemurungan membuatku tidak berupaya untuk bergerak. Bertambah buruk, aku diserang batuk yang kuat sehingga aku menyangkakan maut bakal menjemputku pula. Tanpa daya, aku hanya mampu berdoa agar cepat melahirkan. 31 Mac 2007 Aku dikejarkan ke hospital kerana kontraksi awal. Seharian di kamar bersalin dengan hanya ditemani jururawat bidan, akhirnya bayi perempuan yang comel persis wajah ayahnya selamat dilahirkan. Dia aku namakan Khadijah. Kelahirannya bertepatan dengan sambutan Maulidur Rasul yang disambut besar-besaran oleh umat Islam di seluruh dunia. Abah mengazani cucunya sebelum meletakkannya di ribaku. “Semoga kau menjadi anak solehah dan setabah wanita kecintaan nabi, wahai Khadijah.” Doa ibu yang tulus menembusi Arasy Rabbani. 31 Julai 2022 Siang berganti malam. Bulan berganti tahun. 15 tahun yang panjang. “Puan, ini laporan prestasi Khadijah yang terkini. Tahniah, pangkat Mumtaz. Jumlah juzuk yang telah dihafaz adalah 15.
Bangkit Dan Berlari 7 Sahsiah dan prestasi keseluruhannya amat memuaskan.” Begitu ku baca ulasan mu’allimah di Ribat Tahfiz Sheikh Ismail Al-Jailani yang mentarbiyah Khadijah sejak Mac 2021, setelah dia nekad berhenti dari SBPI Selandar yang berprestij. Aku yang pada awalnya berang dengan keputusan anakku, kini tersenyum bahagia. Alhamdulillah, terima kasih atas kurniaan ini. Khabar gembira ini ku terima tidak lama setelah Ilham berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dan lulus ujian syahadah di madrasah yang sama. Ilham menyambung pelajaran di Kolej Universiti Islam Melaka mengikuti program fast track SPM yang khas untuk pelajar-pelajar tahfiz. Aleyah pula menyambung pengajian di Kolej MARA setelah lulus SPM dengan cemerlang. Dia lepasan MRSM Ulul Albab. Dia juga menghafal al-Quran. Masa yang dahulunya terasa begitu lambat, kini pantas berlalu pergi. Tidak kunafikan, bergelar balu pada usia muda terlalu perit dan penuh liku. Fitnah serta kata nista menjadi halwa telinga. Tidak sedikit kawan yang menjauhi. Bahkan, sering aku diperdaya oleh manusia jahat bertopengkan simpati dan empati. Hanya pada Allah kuserahkan nasibku. Matlamatku hanya satu iaitu membesarkan anak-anakku dan mendidik amanah ini menjadi insan kamil. Sepeninggalan arwah, aku dibelenggu hutang keliling pinggang. Namaku turut disenaraihitamkan melalui program pemulihan kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akibat menjadi penjamin suamiku. Bertahun-tahun aku berusaha melunaskan beban hutang. Akhirnya, berkat kesabaran, kabus mula menampakkan sinar. Aku yang dahulu jatuh, kini bangkit dan berlari. Menarik nafas lega, aku mula mengumpul harta. Pekerjaanku juga bertukar lebih mulia dan terjamin. Kesibukan bekerja sambil menguruskan rutin anak-anak membuatku Gambar terkini permata hatiku iaitu Syira, Ilham & Khadijah
8 Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca al-Quran, mempelajarinya dan mengamalkannya, maka pada hari kiamat nanti Allah SWT akan memakaikanya mahkota daripada cahaya yang sinarnya terang seperti sinar matahari dan kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan dua pakaian yang tidak ternilai di dunia. Mereka berdua bertanya; “Mengapa kami dipakaikan sebegini?” Lalu dikatakan kepada mereka; “Ini disebabkan anak kamu berdua mengamalkan alQuran.” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 2086, dengan mengatakan, hadis sahih mengikut syarat Muslim dan tidak dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim). Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya. Surah al-Hijr ayat 9. Bergambar kenangan di UIA semasa majlis konvokesyen. scan untuk gambar lupa sejenak pada lelah dunia. Munculnya mentari pagi mengusir awan kelabu di ufuk timur. Hempasan badai beralun menjadi desiran ombak bahagia. Kejayaan anak-anak yang seimbang duniawi-ukhrawi menjadi azam yang menyala pada saat Ramzan meninggal dunia kerana komplikasi denggi berdarah. Pada umur 28, dia ditakdirkan mati muda. Siapalah aku untuk mempersoalkan qada dan qadar Allah. Justeru aku gandakan usaha untuk memastikan matinya tidak sia-sia. Tiga benih cinta kami telah kuasuh sebaik mungkin agar kelak mereka dapat memberikan kami syafaat di negeri abadi. Insya-Allah. Kurenung potret arwah suamiku di birai katil, laju bibirku menuturkan; “Terima kasih sayang! Aku akan terus bangkit dan berlari mendepani masa hadapan.
Bangkit Dan Berlari 9 Peluang Kedua Mimi Haniza Jaafar Mimi. Itu nama panggilanku. Periang, ramah, soft-hearted dan paling mudah keluarga dan kenalan mengkategorikan aku sebagai orang yang pot-pet pot-pet. Secara keseluruhannya, hidup aku tidak melalui fasa-fasa yang susah. Semuanya mudah dan jika diuji pun, tidak menjentik sikap dan karakter aku. Namun, bak kata pepatah, langit tidak selalunya cerah. Akan datang langit yang membawa hujan dan ribut taufan dalam setiap kehidupan manusia ini. Kanser. Inilah awan hitam yang mendatangi aku pada tahun 2015. Sejenis penyakit yang difahami oleh semua orang sebagai penyakit yang tiada penawar dan penyembuhnya. Hanya maut menjadi penyudah. Lebih mudah, rata-rata orang mendefinasikan kanser itu sebagai mati. Kanser tidak mungkin diubati dan kanser sebagai pemusnah segala impian yang disulam. Aku juga tidak terkecuali daripada golongan yang mengambil pemahaman secara mudah ini. Nisbah kata untuk mengorek lebih banyak ilmu dan info tentang kanser, bukanlah keperluan buat aku. Iyalah, tidak ada keperluan. Lebih baik aku ambil kisah perkara lain yang lebih perlu diutamakan sepanjang rutin harian aku. Bermulanya fasa baharu dalam kehidupan aku apabila aku merasakan ada ketulan besar di sebelah atas payudara kiriku pada kedudukan jam 10, namun tidak sakit. Hmmm… mungkin kerana pada masa itu perubahan hormon kerana kitaran haid semakin hampir. Aku biarkan sahaja berhari-hari malah menghampiri dua bulan. Pelik. Ia masih di situ tanpa perubahan biarpun kitaran haid datang dan pergi. Aku mula bertanya dalam diri apakah sebabnya.
10 Namun, tidak ada satu perkataan pun aku luahkan kepada sesiapa termasuk suami. Pertanyaan itu hanya mampu berlegar dalam otakku. Mulutku bagaikan terkunci untuk bercerita dengan sesiapa pun. Tanda tanya mula berinjak kepada kerisauan yang mula mengganggu diri. Aku mula bercerita kepada sahabatsahabat sekolah yang bekerja dalam bidang perubatan dan aku dinasihatkan agar segera membuat pemeriksaan lanjut di klinik. Namun, aku masih tidak berganjak daripada pendirian dan terus mendiamkan diri. Memandangkan pada masa itu aku dan suami sedang meraikan kegembiraan apabila beliau ditawarkan bekerja di Petronas Carigali Sdn Bhd, walaupun secara kontrak. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu merosakkan kegembiraan kami sekeluarga. Itulah kemuncak kerjaya untuk suamiku. Sehinggalah aku mula yakin bahawa aku perlu memaklumkan perkara ini kepadanya. Atas nasihat dan pujukannya, aku akur untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik. Dari pejabat, aku segera ke klinik panel iaitu Klinik Pertama, di Medan MARA. Setelah melaksanakan pemeriksaan, doktor memberitahu memang ada ketulan (lump) yang bersaiz anggaran 5cm di sebelah atas payudara kiriku. Sama ada ia kanser atau ketumbuhan biasa, doktor tidak dapat memastikan. Pada masa itu, hati aku mula rasa bagaikan hendak pecah namun aku tahan air mataku, cuba memaksa diri untuk kuat. Sudah pasti aku bimbang ketulan itu adalah kanser. Siapa yang tidak gentar. Dalam waktu yang sama aku cuba menidakkan kemungkinan ia kanser. Ibarat menipu diri sendiri. Doktor menyediakan dan memberi aku surat rujukan untuk aku mendapatkan pemeriksaan lanjut secara lebih terperinci di Hospital Selayang. Keluar sahaja dari klinik, segera aku hubungi suami dan emosi aku terus koyak. Sukar untuk aku gambarkan perasaan takut aku pada masa itu. Langkah tidak terasa memijak bumi mengenangkan apakah kemungkinannya kelak. Apa yang harus aku lakukan untuk menghadapi ujian ini…?
Bangkit Dan Berlari 11 Aku Rakan Hospital 30 Mei 2015, bermulalah perjalananan hidupku menjadi rakan hospital. Bermula dengan ujian awal di Hospital Selayang sehinggalah kes aku dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan seterusnya kerana aku memilih untuk pembedahan beserta atau bina semula payudara. Pilihan terbaik yang disarankan oleh pakar bedah PPUM untuk reconstruction adalah pengambilan kulit dan lemak bawah perut bersama otot yang membawa bekalan darah atau bahasa perubatannya TRAM. Di sepanjang rawatan susulan di hospital untuk berjumpa doktor dan pemeriksaan lanjut, rata-rata aku memilih untuk pergi seorang diri. Aku pun tidak tahu dari mana kekuatan ini hadir untuk pergi ke hospital dan menghadapi sakit kronik ini seorang diri. Mungkin aku sejenis manusia yang tidak suka menjadi beban pada orang lain selagi aku mampu bertindak sendirian. Aku dijadualkan untuk menjalani pembedahan pada 31 Julai 2015 iaitu seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri pada tahun itu. Sempatlah raya itu aku menikmati makanan apa sahaja yang tidak boleh aku makan selepas pembedahan, dan juga mencari kekuatan daripada kasih sayang dan doa ahli keluarga. Barang-barang keperluan sepanjang aku berada di wad sepertimana pesan jururawat dari Klinik Surgeri telah aku siapkan dalam sehari sebelum mendaftar masuk ke wad. Beg aku letakkan di tepi tangga rumah. Apa yang membuat aku terpanggil hendak mencatatkan tarikh kejadian ini kerana dalam empat orang anak aku, aku perasan, anak ketiga , Amir mula diam sebaik sahaja balik dari sekolah. Air mukanya tidak ceria langsung dan aku sebagai ibu, faham apa yang berperang dalam hati dan mindanya. Hatinya sayu apabila mengenangkan esok aku akan ke hospital dan pasti akan lama berada di wad. Sedangkan aku hendak pergi berkursus pun dia sudah menangis lama. Hai anak... lembut benar hatimu. Aku cuba untuk memujuknya. Minta dia doakan aku selamat dan pulih. Seboleh-bolehnya aku sorok perasaan sayu aku sendiri kerana aku tidak mahu dia meihat air mata aku juga sudah penuh di kolam mata. Rasa hendak pecah dada ini menahan sebak.
12 30 Julai 2015 (Khamis), pagi-pagi lagi Amir sudah bangun dan duduk di tepi katil aku sambil tunduk. Ada riak sedih yang teramat sangat di wajahnya dan sebaik aku memeluknya , dia menangis lagi. Duhai anak.... mahu sahaja aku meraung tetapi aku tidak boleh tunjukkan aku sedih. Kalau aku sedih dan rebah, mereka juga akan lagi rebah. Suami menghantar aku ke PPUM. Aku sudah beritahu dia, aku tidak mahu dia menemani aku sepanjang aku meunggu untuk masuk ke wad dan aku suruh dia kerja macam biasa. Aku tidak suka susahkan dia. Kerana pada fikiranku, bukan boleh buat apa-apa... dan, aku pun perlu masa untuk bersendirian, melayan perasaan. 31 Julai 2015 (Jumaat), aku menjalani pembedahan seperti yang dirancang. Seawal jam 7.00 pagi aku dibawa masuk ke bilik pembedahan. Aku serahkan hidupku pada Allah. Aku hanya sedar pada lewat petang dengan rasa lapar dan dahaga yang amat sangat. Suami ada di sebelah, mengambil sedikit roti dan air lalu menyuap ke mulutku. Hibanya hati ini hanya Allah yang tahu. Aku makan sedikit sahaja, selepas itu aku pejam semula. Suami berbisik, beritahu dia hendak balik sebab sudah malam. Aku angguk. Katanya tengah hari esok dia akan datang bawa anak-anak. Selepas mencium pipiku, dia balik dan aku kembali lenyap dalam tidur. Aku berada di wad selama lapan hari dan selama tempoh itu, aku tidak hanya terlantar melayan sakit di atas katil. Aku puas berjalan dalam wad demi mencari kekuatan untuk segera pulih dan pulang ke rumah. Pasca Pembedahan Fasa seterusnya ialah melawan penyakit ini. Apa yang paling penting dalam perjalanan berjuang untuk pulih daripada kanser adalah selepas pembedahan. Proses melengkapkan rawatan kimoterapi dan radioterapi bukan proses yang mudah terutamanya kimoterapi. Aku perlu melengkapkan enam kitaran kimoterapi dan sepanjang tempoh itu, mental dan fizikal aku diuji. Rambut luruh
Bangkit Dan Berlari 13 sehingga botak, kuku hitam, kulit kusam, muka sembab, bulu mata gugur, dan sebutlah apa pun, ya semuanya aku harung. Mudah demam, mudah sakit perut, gusi berdarah, kulit sensitif, tekak dan mulut kena ulser. Layan. Aku layankan sahaja walau acap kali mental dan emosi koyak. Menangis sendirian di rumah mengenang entah berapa lama aku akan hidup. Terutama apabila dapat perkhabaran junior kerja yang sama-sama disahkan menghidap kanser pergi mengadap Ilahi. Allahyarhamah Sariza binti Ismail. Al- Fatihah untukmu, dik. Setelah selesai kimoterapi dan radioterapi, aku perlu mengambil ubat-ubatan dan rawatan sampingan selagi doktor sarankan. Aku akur. Aku kembali masuk bertugas mulai April 2017. Bermulalah fasa seterusnya aku dalam perjuangan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dengan bergelar pesakit kanser. Bukan mudah. Aku seboleh-bolehnya akan membuktikan pada keluarga dan rakan sekerja bahawa aku mampu kuat seperti orang lain. Aku paling tidak suka dikatakan sebagai beban. Dan, kadangkala aku marah dengan diri sendiri kerana terlalu memikirkan apa orang akan kata daripada memikirkan kebaikan untuk diri sendiri. Namun, jika aku hanyut dengan gelaran pesakit kanser, aku tidak akan kuat dan sihat seperti sekarang. Kini setelah bertahun-tahun, aku sedar, keyakinanku dan terima kasihku pada Allah menjadikan aku kuat dan sihat. Walau aku baharu diberitahu oleh doktor bahawa selama ini sebenarnya aku adalah pesakit kanser tahap 4, aku tidak goyah. Sedih itu pasti tetapi aku tahu, tahap 4 tidak bermakna aku perlu mereput mengenang nasib dan meratapi diri. Ketika menjalani rawatan.
14 Aku perlu kuat semampunya untuk aku terus sihat. Dan kini, hari ini, aku mendapat kekuatan baharu iaitu aku perlu utamakan diri aku. Aku mesti tahu bila untuk berhenti dan bila untuk aku bangkit dan berlari. Menjadi pejuang kanser memerlukan kekuatan mental yang kuat. Kekuatan mental itu hanya akan kita dapat dari Allah. Kebergantungan pada Allah adalah kunci segala-galanya. Tidak aku nafikan juga, adanya ahli keluarga dan sahabat jujur yang akan menjadi peneman aku di sepanjang perjuangan aku. Ujian ini sebenarnya menguatkan keimanan dan ketakwaan, menjadikan aku insan yang lebih berkualiti jasmani dan rohani. Semoga Allah menerima amalanku dan memberikan aku kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang sedemikian) Allah pasti mengetahui orang yang beriman dan juga mengetahui orang yang berdusta. Surah al-‘Ankabut ayat 2-3. “Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosadosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5667). scan untuk gambar
Bangkit Dan Berlari 15 Cikgu Zue baru selesai kelas tambahan Biologi bersama pelajar tingkatan 5, di Makmal Biologi 2. Pelajar-pelajar bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Mereka beransur-ansur meninggalkan makmal untuk menikmati minum petang di Dewan Selera. Cikgu Zue mengemas barang-barangnya dan bergegas untuk menjemput anak-anak kesayangan dari Sekolah Agama Ayer Pa’ Abas yang tidak jauh dari sekolah tempatnya mengajar.Telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. “Assalamualaikum Puan… saya Hasnim dari Bahagian Sumber Manusia (BSM). Boleh saya bercakap sebentar dengan Puan?”. “Waalaikumsalam Encik Hasnim. Apa boleh saya bantu?” Cikgu Zue agak terkejut menerima panggilan daripada BSM di ibu pejabat MARA. “Saya ada berita baik, puan. Tahniah, puan telah terpilih untuk bertugas di Pejabat MARA Luar Negara (PML)! “ Dia hampir tidak percaya. Cikgu Zue menampar pipinya beberapa kali. Teringat kepada Kak Shalina yang beria-ria mengajaknya mencuba nasib memohon untuk bertugas di luar negara setelah terbaca iklan di MARAnet. Terbayang juga sewaktu dia menghadiri sesi Saringan Ujian Bertulis berbahasa Inggeris di ibu pejabat bulan lalu. Berkajang-kajang yang dicatatkan berkenaan teori kepimpinan yang kebetulan sedang dipelajarinya, sehingga lenguh tangan kanannya menulis dan habis dakwat pen Faber Castell hitam. Masih segar di ingatannya bagaimana terkesimanya dia semasa menghadiri sesi temu duga berkumpulan. Bukan calangcalang calon yang terpilih ke peringkat akhir, terasa dirinya begitu kerdil apabila semua calon kelihatan sungguh hebat dan berebutrebut hendak menjawab soalan ‘penyelesaian masalah’ yang Misi Zuliana Haslinda Anhar Zubir 2013-2017
16 dikemukakan oleh panel penilai. Walaupun begitu, Cikgu Zue memilih untuk memberi peluang kepada mereka dan hanya bersuara pada ketika yang sesuai. Soalan-soalan panel lebih berkisar tentang situasi tertentu di luar negara dan tindakan yang patut dilakukan oleh pegawai MARA yang berada di sana bagi menangani situasi tersebut. Cikgu Zue telah memberikan jawapan dan idea yang terbaik. Pada pendapatnya, pelajar-pelajar di luar negara perlukan seorang ‘ibu’ tempat mengadu masalah, memberikan kata-kata semangat dan menjadi tempat pelepas rindu. Pegawai yang bertugas di luar negara juga perlu sentiasa tenang menghadapi apa jua situasi kecemasan serta menunjukkan kemahiran diplomatik yang baik untuk menjaga nama baik MARA di sana. Cikgu Zue telah memberikan jawapan dengan tenang. Jika ada rezeki, alhamdulillah. Jika bukan rezekinya di sana, hatinya merasa puas kerana telah mencuba sehabis baik. “Helo puan…hello…puan masih ada di talian kan… puan, surat rasmi akan menyusul nanti ya.” “Terima kasih banyak sampaikan berita ini, Encik Hasnim. Saya bersyukur kerana terpilih.… tetapi ada satu masalah…saya sedang buat Master dan masih belum siapkan tesis saya. Bolehkah saya minta tangguh? “Oh... tidak mengapa puan… tesis nanti puan boleh minta tolong kawan-kawan puan printkan. Puan perlu hadir sesi kursus di Institute Diplomacy and Foreign Relations (IDFR) selama dua minggu dan mula lapor diri pada hujung Disember nanti setelah selesai understudy di Bahagian Penganjuran Pelajaran (BPP).” Allahuakbar…segala perasaan bercampur baur. Rasa gembira dengan rezeki yang tidak disangka-sangka. Rasa teruja dengan bidang tugas baharu yang sangat berbeza daripada sekarang, tinggallah dunia pendidikan. Rasa was-was juga, mampukah Cikgu Zue menggalas amanah besar yang diberikan, nun jauh di luar negara? Rasa risau juga, urusan perpindahan
Bangkit Dan Berlari 17 keluarga nanti. Mampukah anak-anaknya beradaptasi di tempat orang? Bagaimana dengan ‘bidang tugas’ suami pula? Sekarang ini suami Cikgu Zue agak sibuk menguruskan perniagaan dobinya. Mahukah dia ikut serta ke luar negara? Pengajian Sarjana Kepengetuaan pula masih dalam proses pengumpulan data. Mampukah tesisnya disiapkan segera sebelum berangkat ke luar negara? Bagaimana pula dengan urusan perpindahan rumah? Sekarang Cikgu Zue tinggal di kuarters guru, barang-barang perlu diangkut keluar ke rumah kediaman yang telah siap pembinaan tahun lalu. Terlalu banyak yang perlu diuruskan. Perlukah dia terima tawaran ini? Jika orang lain di tempat Cikgu Zue, apa agaknya yang perlu dibuat sekarang? Tesis oh Tesis “Kerja gila. You tak kan boleh siapkan tesis dalam masa dua bulan. You gila…!” Tersentak Cikgu Zue apabila supervisornya, Prof Datin Faridah berpendapat sedemikian apabila diberitahu tentang tugas baharu di Indonesia tidak lama lagi. “You mesti minta tangguh. Fokus betul-betul untuk siapkan tesis you. Saya tidak mahu you buat sambil lewa. Minta tangguh!” berangin betul Prof Datin pada petang itu. Entah di mana silapnya. Marah agaknya, apabila Cikgu Zue minta pinjam bukunya yang ada di atas meja untuk rujukan tesisnya. Sahabat sejati, Zakpar terkebil-kebil melihat drama petang itu. “Sabarlah Zue... Datin stres kot,” Zakpar memujuk. Cikgu Zue hanya tersenyum. “Saya tak kisahlah… saya akan buktikan nanti. Saya akan buat tesis in English… akan siap on time lagi… hahah… tengoklah nanti,” Cikgu Zue menjawab penuh semangat. “Tapi frust juga tidak dapat pinjam buku-buku Prof Datin tu. Macam best-best sahaja buku-bukunya. Kita try cari di library UM nantilah.” Tersengih Cikgu Zue.
18 Maka bermulalah struggle Cikgu Zue. Dia hadir kursus asas Diplomatik di Institute of Diplomacy and Foreign Relations (IDFR) bersama-sama suaminya selama dua minggu. Anak-anak yang masih kecil dititipkan di rumah pengasuh. Mujurlah pengasuh sudi menjaga makan minum mereka, menghantar dan menjemput mereka dari sekolah. Cikgu Zue dan suaminya perlu menghadiri Kursus Pra Penempatan untuk Pegawai dan pasangan untuk meningkatkan kemahiran diplomatik, pentadbiran dan etika sosial supaya lebih memahami amalan diplomasi antarabangsa yang dapat memudahkan urusan penempatan nanti. Pelbagai ilmu baharu yang dipelajari seperti kemahiran berkomunikasi, etika sosial di meja makan, protokol, media skills, grooming dan cross-cultural awareness. Kursus ini sangat membantu sebagai persediaan untuk bertugas di Perwakilan Malaysia di luar negara. Bukan hanya pegawai yang bertugas, malah pasangan turut samasama perlu memainkan peranan untuk menyokong aktiviti-aktiviti di luar negara. Agak sibuk Cikgu Zue dengan latihan understudy di Bahagian Penganjuran Pelajaran (BPP) yang memberi latihan tentang perolehan kerajaan, urusan pembayaran yuran pelajarpelajar di luar negara dan tugas-tugas menjaga kebajikan pelajar. Dalam kesibukan, Cikgu Zue juga berulang alik ke Universiti Malaya untuk menyiapkan penulisan tesisnya dengan analisa data dan sebagainya. Anak-anak dan suaminya pula bersama-sama menguruskan perpindahan barang-barang ke rumah kediaman di Krubong Perdana. MISI 2013 Bermula Jam menunjukkan pukul 2.00 petang. Kapal terbang Malaysia Airline System MH5893 dari Kuala Lumpur telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta. Kelihatan wajah ceria Cikgu Zue dan keluarganya berjalan menuju
Bangkit Dan Berlari 19 ke Terminal 3 Bandara. Kedatangan mereka disambut oleh Encik Hadi, Pengarah MARA Indonesia dengan senyuman mesra. “Ooooo…ini Ibu Zue ya… selamat datang ke Jakarta. “Seorang lelaki berpakaian rasmi, separuh umur menyambut dengan senyuman di ruangan bagasi. “Saya Pak Hadi. Di sini semua jadi bapak dan ibu. Selamat datang ke Jakarta,” Pak Hadi memulakan bicara. Encik Hadi bersalaman dengan suami Cikgu Zue. “Semua anak-anak ikut sekalikah?” tanya Pak Hadi sambil tersenyum memandang tiga orang anak Cikgu Zue yang tersengeh-sengeh sambil menggalas beg. “Ya ada semua tetapi nanti yang sulung akan balik semula ke MRSM. Mahu ambil SPM di sana nanti. Dia akan tinggal bersama dengan atuk neneknya di Kuantan,” Cikgu Zue menerangkan sambil memegang lembut tangan anak perempuannya. “Dua orang lagi ini, sekolah di sinilah nampaknya.” “Oh, boleh sekolah di International School Academic College Group (ACG) nanti. Ramai anak staf yang belajar di situ.” “Jom kita ke tempat penginapan dan berehat dahulu. Esok saya brief tugas-tugas Pengarah MARA Luar Negara di pejabat ya.” Maka bermulalah misi di Indonesia. Perjalanan dari Bandara Soekarno-Hatta ke tempat penginapan berjarak 40km mengambil masa hampir empat jam! Macet! Kesesakan lalu lintas sungguh luar biasa. Begitu banyak kenderaan di Kota Jakarta, sesak dengan motosikal yang menyelinap di kiri dan kanan. Rumah-rumah di kiri kanan jalan nampak berhimpit-himpit dan penuh sesak. Ramai sungguh penduduk di Kota Jakarta. Jam di tangan pun telah disetkan satu jam lewat. Cikgu Zue memandang ke luar. Di sinilah rezekinya dan keluarga ditentukan oleh Allah Azzawajalla. Mungkin dua atau tiga tahun menjadi perantau di sini. Terbayang wajah ibu dan ayah dan sanak saudara di Malaysia. Terpisahlah nampaknya, demi menjalankan tugas. Semoga misi baharu ini dapat dilaksanakan
20 dengan jayanya demi nama baik MARA dan hubungan baik di antara dua negara. Bertugas di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta yang mempunyai misi terbesar dunia merangkumi agensi-agensi di bawah satu bumbung seperti MARA, Education Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam, JAKIM, Tourism Malaysia, Jabatan Penerangan dan lain-lain lagi pasti menjanjikan pengalaman baharu yang mencabar. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menjalinkan hubungan baik dengan TYT Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan semua agensi-agensi tersebut. Berdebar-debar Cikgu Zue semasa kunjungan hormat (courtesy call), pertama kali bertemu dengan TYT Duta Besar di biliknya pada hari itu. Dengan berkebaya batik Malaysia berwarna merah jambu dan memegang bakul sia baba nyonya Melaka, Cikgu Zue memperkenalkan dirinya. “Dato’ Seri, saya Puan Zuliana, Pengarah MARA Indonesia yang menggantikan Pak Hadi. Mohon tunjuk ajar Dato’ Seri untuk saya menjalankan tugas dengan baik di sini,” Cikgu Zue menyusun kata dengan santun sekali. “Oh… Baguslah MARA hantar lady officer. Come sit down. Bila you sampai?” begitu mesra Dato’ Seri Zahrain memulakan perbualan. Hilang sudah debaran di dada Cikgu Zue. “Oooo.. you cikgu… baguslah, senang nak tengok students di sini,” Dato’ Seri Zahrain mengangguk-angguk apabila Cikgu Zue memperkenalkan dirinya. Tugas di MARA Indonesia banyak berkisar tentang menjaga kebajikan pelajar. Kesemua pelajar di seluruh Indonesia adalah dalam jurusan perubatan dan pergigian. Mereka adalah pelajar yang terpilih yang menunjukkan pencapaian akademik yang baik. Cikgu Zue melayan mereka seperti anak-anaknya sendiri, sehingga kekal panggilan ‘mummy Zue’. Jika ada masalah semasa pengajian seperti ‘exit exam policy’ iaitu syarat graduasi atau elaun pengajian, kepada Mummy Zuelah mereka mengadu.
Bangkit Dan Berlari 21 Cikgu Zue juga sering membuat lawatan mengejut untuk melihat pelajar-pelajarnya yang sedang membuat latihan praktikal atau dipanggil ‘magang’ di rumah sakit (hospital) terpilih bagi memastikan proses tersebut dapat berjalan dengan lancar. Pernah pada suatu ketika, pelajar terbeban dengan masalah mendapatkan pasien (pesakit) untuk latihan praktikal pergigian, Mummy Zue telah datang untuk berbincang dengan pihak pengurusan universiti tersebut untuk membantu mereka. Tidak seperti di universiti di Malaysia, pasien untuk membuat rawatan gigi seperti tampalan gigi, crowning, membuat gigi palsu dan sebagainya lebih mudah didapati. Di sini, pasien pula yang meminta bayaran untuk mendapat rawatan percuma. Kadang-kadang yang diminta tidak masuk akal. Alhamdulillah berkat perbincangan yang baik dengan pihak universiti, masalah ini dapat diselesaikan. Isu Exit Exam “Mummy, beberapa orang pelajar kita di universitas di Medan perlu bantuan tentang isu exit exam. Mummy boleh datang segera?” panggilan telefon daripada wakil pelajar di Medan diterima. “Ok… mummy bincang dengan Education Malaysia dulu ya… insya-Allah mummy ke sana nanti untuk berjumpa dengan pihak universitas. You all okeykah? Duit cukup? Elaun sudah masuk kan?” bagai seorang ibu yang prihatin, Cikgu Zue bertanya kepada anak-anaknya. “Elaun dah masuk, mummy, terima kasih banyak. Kami tunggu mummy datang ya.” Beberapa hari kemudian sampailah Mummy Zue ke Medan dengan ditemani pembantunya, Encik Radhi. Walaupun hanya mereka berdua mengurus dan mengendalikan Pejabat MARA Indonesia, mereka bertungkus lumus memberikan khidmat terbaik tanpa mengira siang dan malam. Isu ‘exit exam’ yang mewajibkan pelajar-pelajar perubatan tahun akhir menduduki Ujian Kompetensi Mahasiswa Profesi Dokter (UKMPPD) sangat
22 hangat pada waktu itu. Walaupun ujian ini tidak diiktiraf oleh sistem pendidikan di Malaysia, ujian ini wajib diduduki bagi mendapatkan surat izin praktik sebagai pengamal perubatan oleh semua pelajar perubatan Malaysia walaupun mereka semua akan pulang berkhidmat di tanah air. “Adat menuntut ilmu di negara orang, kita mesti patuh dengan undang-undang di sini,” nasihat Mummy Zue semasa perjumpaan dengan pelajar. Perjumpaan itu diadakan di ruang tamu rumah Adeeba, pelajar tahun akhir Fakultas Kedokteran Universitas Sumatera Utara, Medan. “Tapi mummy, kita bukan nak kerja di sini. Kalau nak kerja di sini memang wajiblah menduduki ujian exit exam tu. Kita kan nak balik bertugas di Malaysia,” Munirah menyuarakan pendapatnya. “Ya, mummy faham tetapi kena juga menduduki exit exam tu, baru boleh graduate. Kita kena study dan perbanyakkan buat latihan, lagipun exit exam ni lebih menguji praktikal. Mummy yakin, you all boleh score dengan cemerlang. Tentang yuran tambahan, mummy sudah bincang dengan pihak universitas. Jangan risau ya, fokus saja kepada exam tu, tiga bulan lagi kan?. Ada banyak masa lagi tu,” Mummy Zue memujuk lembut, bagai pujukan ibu kepada anak-anaknya. Beberapa bulan kemudian, berita gembira diterima. Alhamdulillah 95 peratus pelajar MARA lulus exit exam. Namun begitu, terdapat beberapa orang pelajar yang terpaksa mengulang peperiksaan. Ada sedikit masalah bahasa, kata mereka. Namun akhirnya mereka lulus juga. Jakarta banjir! Hujan lebat turun tanpa henti sejak semalam disertai dengan kilat dan guruh. Beberapa kawasan di Jakarta telah mula dinaiki air. Mummy Zue resah gelisah memikirkan beberapa orang pelajar pergigian Universiti Trisakti yang tinggal di Grogol, Jakarta Pusat. Bagaimanalah agaknya keadaan mereka?
Bangkit Dan Berlari 23 “Assalamualaikum Nadia, di sana okey ke? Air naik tak?”. “Waalaikumsalam mummy…air masih naik mummy…tetapi sekarang paras betis saja, kami okey di sini.” “Eh… better kemas barang dan bersedia untuk pindah. Mana tahu hujan berpanjangan. Elok Nadia dan kawan-kawan duduk di Malaysia Hall. Mummy risau ni… pergi sana ya.” “Ok mummy... kami kemas-kemas ni.” “Jumpa di Malaysian Hall esok pagi ya. Mummy nak cari barang-barang makanan you all dan barang-barang keperluan diri.” Malam itu juga, dengan ditemani Kak Kamisah, mereka mendapatkan makanan kering seperti biskut, mi segera, beras, telur, minyak, makanan dalam tin dan barang-barang keperluan seperti syampu dan sabun untuk diedarkan kepada pelajar-pelajar di Malaysian Hall. Seramai 53 orang pelajar Malaysia telah dipindahkan sementara ke Malaysian Hall. Kebanyakan mereka baru selesai menjalani latihan klinikal di luar Jakarta. Alhamdulillah kesemua pelajar selamat dan keadaan mereka telah dimaklumkan kepada ibu bapa mereka. Banjir telah menjejaskan banyak kawasan penempatan pelajar di sekitar Jakarta Pusat. Paras air Sungai Ciliwung melimpah kerana air yang mengalir deras dari daerah Depok. Bahkan di kawasan Pluit, air telah naik setinggi 1.5meter. Ngeri juga banjir pada kali ini. Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyatakan bahawa seramai 14 kematian telah direkodkan akibat banjir tersebut. Kebanyakan mereka meninggal dunia kerana renjatan elektrik apabila kawasan kediaman mereka dinaiki air. Ramai yang menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir. Mujurlah kesemua pelajar yang terlibat telah dipindahkan ke Malaysian Hall. Kawasannya agak tinggi dan pelajar boleh tinggal sementara dengan selesa sehingga keadaan kembali pulih.
24 Bakti Sosial di Makassar “Mummy, terima kasih atas sokongan kepada Program Khidmat Sosial di Makassar nanti. Semua persediaan kami sudah buat. Mummy boleh datang untuk rasmikan program nanti kan? Datuk Bandar Makassar akan hadir tau. Kami tunggu di Bandara ya… flight mummy pukul berapa?” Jeffrizal, pemimpin pelajar di Makassar menelefon pada pagi itu. “Ya...insya-Allah Mummy datang. Program ini akan jadi kenangan terindah sebelum Jef dan rakan-rakan pulang ke tanah air. Kita buat betul-betul ya...all out,” bersemangat sekali pelajarpelajar merancang program kemasyarakatan tersebut. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Di mana kita menuntut ilmu, maka di situlah kita taburkan bakti sebagai membalas jasa. Untuk membentuk keperibadian mulia dalam kalangan bakal doktor-doktor MARA, kerja-kerja khidmat bakti sosial sangat digalakkan oleh Pejabat MARA Indonesia. Seramai 30 orang pelajar perubatan MARA dari Fakulti Kedoktoran Universiti Hasanudin di Makassar telah mengakhiri pengajian perubatan mereka dengan menawarkan khidmat berkhatan, bekam dan kempen derma darah kepada masyarakat setempat. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Seramai 500 orang penduduk sekitar Makassar tidak melepaskan peluang untuk mendapat khidmat percuma (gratis, kata orang sini). Datuk Bandar Makassar, Bapak Kamaruddin Munde yang berbaju batik Makassar begitu ramah orangnya. “Makasih, ya buk. Saya senang sekali, anak-anak siswa ini bagus sekali layanannya kepada pasien. Untuk perawatan kok bisa gratis ya, kalo di sini bayarannya sekitar 300 ribu setiap pasien…wahhh…bagus sekali ya,” pujinya. Senyum tidak putus-putus terukir di wajahnya semasa mereka sama-sama berjalan sambil melihat proses berkhatan yang sedang dijalankan oleh pelajar-pelajar MARA dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI).
Bangkit Dan Berlari 25 “Iya Pak… anak-anak ini udah belajarnya di sini. Sebaiknya dikembalikan jasa mereka kepada orang-orang di sini sebelum mereka pulang ke Malaysia. Terima kasih juga Bapak atas dokongannya kepada anak-anak ini. Kita satu rumpun ya, harus saling mendokong dan membantu,” indah sekali kata-kata yang disusun. Semoga hubungan baik di antara Malaysia-Indonesia akan terus rapat demi kemakmuran bersama. Kes di Universiti Sumatera Utara Panggilan penting dari ibu pejabat MARA diterima pada pagi itu. “Zue, you kena tolong settlekan kes di USU tu… pelajar-pelajar kita masih belum dapat scroll. Kes ini sudah bertahun-tahun berlarutan. You kena tolong…” “Okey bos, insya-Allah...I will do my best,” pantas Cikgu Zue membalasnya. Kasihan pelajar-pelajar perubatan di Universitas Sumatera Utara, Medan. Di sebabkan isu pengurusan sebuah kolej universiti swasta di utara tanah air yang mengalami kekangan kewangan, pelajar-pelajar pula menjadi mangsanya. Pihak MARA mengambil inisiatif untuk membantu menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan sehingga beberapa tahun ini. Tiada gunanya menunding jari ke sana sini sedangkan perkara yang lebih penting adalah ‘menyelamatkan’ pelajarpelajar ini. Atas dasar tanggungjawab dan menjaga hubungan baik di antara dua negara, masalah ini perlu diselesaikan segera. Isu ini juga telah dibincangkan semasa mesyuarat diplomatik di Kedutaan Besar Malaysia yang dipengerusikan oleh TYT Duta Besar Malaysia ke Jakarta, Dato’ Seri Zahrain. Cikgu Zue bertindak pantas dengan bersemuka bersama Rektor Universitas Sumatera Utara dengan ditemani oleh Konsulat Malaysia di Medan, Tuan Rozian Ghani (pada waktu itu) bagi membincangkan hal ini. Pada awalnya, pihak universiti menyuarakan rasa kurang senang kerana yuran pengajian pelajar-
26 pelajar telah beberapa tahun tertunggak. Tiada langsung garis senyuman di wajah mereka. Di sinilah, kemahiran diplomasi memainkan peranan penting. Kepercayaan yang hilang perlu dikembalikan. Kesungguhan, kejujuran dan kesabaran sangat diperlukan untuk menyelesaikan masalah ini. Alhamdulillah, berkat hubungan baik yang dipupuk oleh TYT Duta Besar Malaysia ke Indonesia bersama delegasi yang telah membuat kunjungan hormat ke Medan dan beramah mesra dengan pihak universiti telah berjaya ‘melembutkan hati’ mereka. Jalan keluar telah kelihatan, walaupun agak samar-samar pada awalnya. Banyak kerja di sebalik tabir yang telah dilakukan. Bermula daripada usaha untuk mendapatkan data pembayaran yuran terkini dari pihak universiti (walaupun kurang kerjasama diterima pada awalnya), mendapatkan maklumat sahih daripada pelajar yang terbabit yang sedang menjalani latihan perubatan (HO) di tanah air dan menyalurkan maklumat penting kepada ibu pejabat. Alhamdulillah, berkat usaha semua pihak, kes ini dapat diselesaikan dengan penuh diplomasi. Akhirnya, seramai 115 orang graduan perubatan twinning programme tersebut telah menerima sijil tamat pengajian dan transkrip peperiksaan yang melayakkan mereka menjadi doktor perubatan. Pengerusi MARA pada ketika itu, Tan Sri Annuar Musa telah mengadakan pertemuan bersama pihak universiti dan menyelesaikan bayaran tertunggak. Disebabkan kolej swasta berkenaan telah tutup operasi, maka mana-mana pelajar yang masih mengikuti pengajian di kolej swasta tersebut telah ditukarkan ke kolej perubatan yang lain di Melaka. Kerja kerja Diplomatik Selain daripada bertanggungjawab menjaga kebajikan pelajar dan mempromosi produk-produk usahawan tanah air ke Indonesia, tugas sebagai Pengarah MARA Luar Negara (PML) juga memerlukan komitmen untuk menjalankan tugas-tugas diplomatik.
Bangkit Dan Berlari 27 Beliau perlu menyokong dan menjayakan semua program yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia dan Perwakilan Jakarta seperti Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, sambutan Hari Raya Qurban, programprogram kerohanian, program bakti sosial dan program work visit bersama TYT Duta Besar. PML juga perlu menjadi liaison officer (pegawai pengiring) dalam mengkoordinasikan program rasmi seperti Konvensyen Asia-Afrika di Bandung dan mesyuarat penting. Antara kenangan manis adalah mengiring Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, YB Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tunku Jaafar menghadiri Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Indonesia di Istana Merdeka, Jakarta. Tugas yang perlu disempurnakan bermula dengan menyambut kedatangan VIP, membantu check in ke bilik hotel, menyediakan kenderaan untuk tetamu VIP, memberi penerangan (briefing) setiap program dan mengiringnya ke semua majlis yang perlu dihadiri. Liaison officer juga perlu memastikan tetamu selamat di bilik hotelnya setelah program selesai dan bersedia pada keesokan harinya untuk program seterusnya. Tugas ini hanya selesai apabila tetamu berangkat pulang. Penat juga rasanya apabila Cikgu Zue perlu mengiringi tetamu terhormat tersebut sehingga ke lapangan terbang untuk memastikan keselamatannya pulang ke tanah air walaupun perlu bertugas hingga ke dini hari. MISI 2013-2017 selesai Mengenang kembali, banyak juga tugas yang telah dilaksanakan sepanjang berada di Pejabat MARA Indonesia. Memang besar cabaran yang telah ditempuhi. Kelelahan menjalankan tugas tidak kira masa, sentiasa bersedia siang dan malam. Walaupun pada hari cuti Sabtu dan Ahad, jika ada tetamu VIP yang bertandang, mereka perlu dilayani dengan baik, kadangkala hingga lewat malam.
28 Cikgu Zue teringat pesanan arwah opah, yang juga seorang guru. Katanya apabila membuat sesuatu pekerjaan, berilah komitmen dengan sepenuh hati. Walaupun kadangkala tidak dihargai, cukuplah Allah menilainya dan jangan lupa niatkan kerja kita itu sebagai ibadah dan ladang pahala untuk Allah SWT sahaja. “Jangan dicari penghargaan manusia, carilah reda Allah SWT. Pasti hasilnya nanti dapat memberi manfaat kepada orang lain,” pesan Bonda Dr Fatanah, pensyarah di Universiti Malaya, masih tersemat kuat di dalam dada. Walaupun bermula sebagai seorang guru, Cikgu Zue telah membuktikan, seorang guru tidak semestinya hebat di bilik darjah sahaja, malah seorang guru juga mampu beraksi di luar negara jika diberikan ruang dan peluang. Anak homeroom yang mampu dijaga tidak terhad hanya 15 orang pelajar sahaja tetapi lebih 1000 orang pun mampu diberikan perhatian dan kasih sayang. Siapa sangka tesis berbahasa Inggeris mampu disiapkan dalam masa kurang daripada dua bulan walaupun dicabar oleh supervisornya sendiri, malah tesis tersebut berjaya mendapat gred A. Dengan rahmat Allah, Cikgu Zue telah menamatkan pengajian Sarjana dengan keputusan yang membanggakan dan membuktikan bahawa dengan usaha yang gigih dan semangat yang kental, tiada yang mustahil. Alhamdulillah, TYT Duta Besar Malaysia ke Indonesia sangat berpuas hati dengan khidmat cemerlang dan penglibatan aktif MARA Indonesia selama hampir empat tahun di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. Hubungan dengan pelajar-pelajar juga masih berterusan hingga kini. Ramai yang telah berkeluarga dan ramai yang datang berkunjung untuk bertemu dan mengimbau kenangan manis bersama Mummy Zue. Kadangkala mereka bertandang melawat Mummy Zue dengan membawa anak masing-masing.
Bangkit Dan Berlari 29 Alhamdulillah rezeki melimpah sehingga dijemput Allah ke Tanah Suci untuk menunaikan haji melalui kuota diplomatik dan lebih manis lagi pulang ke tanah air setelah selesai MISI 2013- 2017 dengan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan rezeki kenaikan pangkat. Bersyukur selalu dengan rezeki Allah. Jika jatuh sekali, bangkitlah berkali-kali dan teruskan memandang ke hadapan dan berlari. Butakan mata dan pekakkan telinga daripada mendengar perkara negatif. Cabaran dan ujian pasti akan terus datang dan pergi. Teruskanlah melangkah selagi kita dijalan yang benar kerana Allah Maha Tahu segala-galanya dan yakinlah bahawa KEBAIKAN PASTI MENANG, itu janji Allah. Jika terjatuh, bangkitlah dan berlari lagi… “Dan sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan apa-apa yang diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya di hari akhirat). Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna.” Surah an-Najm ayat 39-41. scan untuk gambar Ucapan Pengarah MARA Indonesia kepada perwakilan Jakarta Bersama pelajar perubatan di Medan
30 Aku Kaunselor Novis Salpiah Suradi “Haa psikologi!. Nak jadi apa keluar nanti?” wajah sinis dengan mata melotot menampakkan rasa tidak puas hati. Abang sulung kebetulan menziarah emak. Ada kerja di Lapangan Terbang Senai dan menghantar isterinya bertugas selaku pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. ‘Agaknya orang belajar psikologi tiada masa depan’ gerutu dalam hati. Itu cerita 30 tahun lepas. Rasa canggung dan sebal sering dibandingkan dengan adik-beradik yang lain. Hampir semua terjun dalam bidang kejuruteraan. Abang sulung antara pelajar kumpulan pertama dihantar ke United Kingdom berguru bidang kejuruteraan Aeronautikal pada 1970-an. Seorang kakak lepasan kejuteraan awam bertugas di JKR dan adik perempuan penjadi pensyarah bidang Kejuruteraan Bangunan. Manakala seorang abang lepasan kejuruteraan Petrolium bertugas sebagai konsultan dan seorang lagi menjadi kontraktor jalanraya menetap di Singapura. Apa masalahnya menjadi seorang kaunselor? Menjadi jurutera memperbaiki sinaps otak manusia gagal bersambung. Mencetus celik akal serta bermain dengan hati dan emosi. Bukan kerja mudah. Pada ketika itu, bidang psikologi begitu asing dalam dunia kerjaya di Malaysia. Apatah lagi kerjaya sebagai kaunselor dikaitkan dan sinonim dengan guru sekolah. Langsung tiada glamour. Pra syarat permohonan mempunyai latar belakang bidang sains tulen terutamanya subjek Biologi. Terdapat subjek melibatkan ujikaji di makmal. Namun keburukan itu, menjadi kelebihan. Ditawarkan
Bangkit Dan Berlari 31 jawatan kaunselor Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebelum sempat menamatkan pengajian. Sejak itu, tidak menoleh ke belakang untuk menjadi seorang kaunselor seumur hidup. Sempat menimba pengalaman menjadi remiser pelaburan komoditi anak syarikat Maybank selama empat bulan. Kerjaya yang menguntungkan namun tiada jiwa. Tawaran kedua setelah seminggu menolak tawaran pertama iaitu penempatan di MRSM Kuching Sarawak. Peluang kerjaya lepasan bidang Psikologi terbentang luas. Permintaan jawatan tetap di pelbagai sektor awam melebihi penawaran. Namun, laluan kerjaya kaunselor pada ketika itu sangat terhad. MARA institusi pendidikan menengah yang menawarkan jawatan kaunselor sepenuh masa bermula pada tahun 1983. Pada 11 Julai 1994, mendaftar di kolej pedalaman di Negeri Sembilan. Jalan bengkang bengkok Bukit Tangga sejauh 40 kilometer. Kawasan terpencil hanya boleh diakses dengan tiga jalan utama iaitu Jalan Bukit Tangga dari Seremban, Jalan Genting Sempah dari Selangor dan Jalan Durian Tipus menghala ke arah Pahang. Kawasan paling kering dengan kepadatan penduduk paling sedikit. Dunia kerjaya kaunselor sepenuh masa pada tahun 1990-an masih baharu. Menjadi kaunselor perintis di kolej yang baharu tiga bulan dirasmikan. Kaunselor menjadi kerjaya dua alam. Jawatan sebagai guru tetapi bertugas seperti staf pentadbiran. Kedudukan pentadbiran ketiga penting selepas Pengetua dan seorang sahaja Timbalan Pengetua. Selepas sesi pendaftaran tugas, ditunjukkan pula kedudukan bilik Kaunseling. Termenung selama dua hari. Bilik bersaiz 8 kaki darab 10 kaki lebar hanya dibekalkan dengan meja terpakai tanpa laci, sebuah kerusi beroda, dua kerusi plastik untuk klien serta sebuah kabinet besi empat tingkat juga terpakai. Diserahkan dua fail oleh Guru Bimbingan sementara iaitu Fail Disiplin Pelajar dan Fail Surat Masuk dan Keluar. Masih terngiang-ngiang di telinga arahan pertama Pengetua. “Saya nak maklumkan, bahawa kehadiran kaunselor sangat ditunggu-tunggu oleh guru dan pelajar kolej. Tempoh seminggu
32 untuk cikgu buat Perancangan Program unit dan promosi berserta dengan bajet. Serah kepada saya, kita boleh berbincang”. Setelah perancangan tahunan diluluskan dan promosi unit berjalan lancar. Langkah drastik melengkapkan Unit Kaunseling. Pada ketika itu, tugasan kaunselor masih agak longgar, tiada modul yang berstruktur untuk setiap deskripsi tugas. Strategi pertama menyediakan pelan fizikal Unit Kaunseling berciri kondusif dan terapeutik. Seterusnya, menyediakan sistem fail dan pelaporan mengikut standard yang ditetapkan. Beberapa institusi dijadikan tanda aras dan contoh. Kemudian, mengemaskini maklumat, prospektus dan alat bantu psiko-pendidikan kerjaya yang boleh membantu proses perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Seterusnya pecah kepala juga menyediakan modul-modul yang bersesuaian seperti modul kerjaya, kepimpinan, homeroom, motivasi dan pembangunan diri. Memulakan kerjaya di daerah terpencil ini, mempelajari banyak perkara baharu. Bermula daripada cita rasa menu, loghat bahasa, pergaulan dan budaya. Adat istiadat pepatih masih menebal dalam kehidupan masyarakat Minangkabau tempatan. Mengimbau menu gulai cili api, ikan semilang masak berlado, daging salai lemak rebung, ikan talapia bakar gulai dengan daun asam gelugur muda. Kecur air liur dengan menu Negeri Sembilan. Di tambah dengan mempelajari budaya masyarakat Orang Asli. Berpeluang menjadi Penyelaras Projek Sekolah Angkat selama lima tahun berjaya mendekati kehidupan masyarakat asli Kampung Tohor dan Jeram Lesong. Kerjaya kaunselor menjadikan diri tidak berkira. Berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Semasa bertugas di MRSM, duniaku berkisar dengan tempat kerja, rumah dan komuniti setempat. Jadual tugas yang padat. Pelbagai jawatan diberikan. Sehingga pernah menyandang15 jawatan penting dalam tempoh setahun. Selain mengendali perkhidmatan kaunseling, turut berperanan sebagai Penyelaras Homeroom, Penasihat kelab dan persatuan, serta mengajar subjek elektif. Menyelaras subjek Kemahiran Berfikir untuk
Bangkit Dan Berlari 33 lima buah kelas Tingkatan Dua. Tugasan menyediakan Rancangan Mengajar, menyediakan soalan peperiksaan, permarkahan dan penilaian menjadi rutin. Rutin kerja sepanjang tahun dapat dijangka. Bermula dengan isu-isu ‘homesick’ dan adaptasi pada awal tahun menjelang Minggu Orientasi. Apabila pelajar telah fokus kepada aktiviti di kolej seperti kurikulum, homeroom, persatuan, badan uniform dan sukan, maka mereka akan terkejar ke sana sini. Kemudian Kaunselor beralih kepada isu pengurusan diri dan pengurusan masa. Manakala menjelang minggu peperiksaan maka bermula kepada isu-isu stres atau tekanan. Setelah minggu peperiksaan berakhir, pelajar mempunyai banyak masa senggang. Beralih pula kepada isu disiplin dan vandalisma yang menjadikan kaunselor tidak menang tangan. Setelah keputusan peperiksaan maka pelajar kembali berserabut dengan pilihan kerjaya. Bidang pengajian dan istitusi pengajian tinggi mana hendak hendak dipilih. Bukan setakat pelajar yang pening tetapi kaunselor juga pening apabila ibu bapa mereka menggunakan kuasa 'veto’ terhadap masa hadapan anak. Jawatan sebagai penyelaras program Minggu Orientasi, Minggu Aktiviti, Motivasi Kecemerlangan Pelajar dan Program selepas PMR. Kelaziman Program Motivasi Pelajar dan Program Selepas PMR akan dilakukan secara 'out-door’. Menyelaras program luar kolej dengan membawa satu tingkatan anggaran 200 orang serentak begitu mencabar. Tugas menyelaras berat dan berisiko. Bermula menyediakan kertas kerja, memohon bajet, lantikan jawatankuasa, agihan kerja, pengisian aktiviti, menyediakan modul sehinggalah penilaian program. Malah jika pilihan lokasi agak jauh daripada kolej terpaksa juga membawa tukang masak Dewan Selera, peralatan dapur, bahan basah, bahan kering dan penyediaan menu yang bersesuaian. Terkenang peristiwa pada tahun kedua, menyelaras Program Lepas PMR di Sungai Tekala. Keceriaan menelusuri denai di tepi anak sungai bertukar menjadi aksi mendebarkan apabila mendapati kami mengekori seekor harimau yang sedang berburu.
34 Juru pandu merupakan bekas komando tentera menyedari tapak harimau sebesar dulang penghidang minum petang berselang dengan kencing babi tunggal yang masih berbuih. Ketar kepala lutut apabila diarahkan mengambil alih tugas beliau menjadi ‘kepala’ penunjuk jalan pulang semula ke tapak perkhemahan menggunakan denai alternatif. Sementara beliau bertukar peranan menjadi pelindung dan pemerhati kepada semua barisan pelajar agar selamat. Kedudukan kami di rabung bukit memungkinkan kedua-dua ancaman harimau dan babi hutan begitu membahayakan. Alhamdulillah, kami selamat. Tip yang dipelajari ialah menggunakan bahasa isyarat agar semua pelajar tenang, berjalan patuh teratur mengikut arahan tanpa menyedari bahawa mereka dalam keadaan bahaya. Usah mencetuskan kekalutan yang menjadikan keadaan pelajar kucar-kacir dan gagal dikawal. Antara aktiviti motivasi popular dan berkesan ialah Sesi Burung Hantu. Strategi meletakkan pelajar di dalam kawasan hutan pada waktu malam secara sendirian. Aktiviti yang menggerunkan pelajar ini berupaya menyuntik daya tahan diri. Malah kadang kala membentuk daya ketahanan mental dan emosi kaunselor. Satu kejadian Sesi Burung hantu di Hutan Simpan Air Keroh bertukar cemas bilamana jumlah pelajar yang kami kumpul selepas program terlebih seorang. Kebetulan kejadian pada malam Jumaat. Kepakaran seorang ustaz berpengalaman dengan bacaan rukyah dan doa-doa telah menjadikan bilangan pelajar menjadi cukup setelah pengiraan kali ketiga. Bermula dengan isu permasalahan pelajar seperti disiplin, motivasi, prestasi akademik rendah dan perkembangan kerjaya. Kemudian meneroka isu kepincangan kekeluargaan, gejala sosial pergaulan bebas, terjebak dalam aktiviti negatif seperti rokok, vandalism dan ketagihan porno. Sebagai ahli psikologi tidak terkecuali menangani isu pembinaan keyakinan diri, membangun self-esteem, pengukuhan sikap, tingkah laku dan tabiat yang positif. Kaunselor juga berupaya
Bangkit Dan Berlari 35 mengendali isu kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan tekanan. Menjadi matang dengan pengalaman kaunselor berhadapan dengan isu perkahwinan, perhubungan dan komunikasi serta isu seksual. Justeru, kaunselor wajar mempunyai pengetahuan dengan prosedur mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan agensi kerajaan seperi Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan dan Kementerian Kesihatan. Lebih mencabar bila mana berhadapan dengan klien isu mistik. Bukan perkara baharu merujukkan klien kepada yang pakar seperti Darul Syiffa dan Pusat Rawatan Manarah. Kadang-kadang kaunselor menjadi agen ‘ghost buster’ pula bagi menghalau sihir, saka dan santau. Jika tidak kuat pendinding, maka benda mistik ini akan mengikut kaunselor balik ke rumah. Justeru, di belakang seorang kaunselor ada mentor berlatar belakang tokoh agama, ada mentor cendekiawan dan ada mentor pakar bidang. Halatuju tidak tersasar. Tempoh 11 tahun menjadi kaunselor kolej membentuk satu kekuatan untuk melebarkan sayap lebih jauh. Pengalaman berbaloi sempat dinobat Penasihat Homeroom Terbaik, Anugerah Badan Uniform Pandu Puteri Terbaik dan Kelab Masakan Cemerlang. Paling manis apabila dinobat Tokoh Khidmat Masyarakat SeMalaysia oleh MARA pada tahun 2001. Seterusnya, pengalaman tujuh tahun menjadi kaunselor di Bahagian Kemahiran Ibu Pejabat juga megundang risiko lebih besar. Kapasiti enrolmen pelajar lepasan SPM untuk peringkat sijil dan diploma seramai 13,000 orang setahun. Menarik tetapi lebih mencabar. Menyelaras Aktiviti Berkayak mengelilingi Pulau Pinang melibatkan penyertaan 23 institusi Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) merupakan pengalaman mendidik diri. Lebih menarik pengalaman menyelaras Program Berakit dari Kuala Lipis ke Temerloh melalui jalan sungai melebihi 80 kilometer melibatkan peserta daripada institusi yang sama pada tahun berikutnya. Melibatkan pelbagai agensi dan fenomena alam yang tidak boleh dikawal. Menjadikan watak kaunselor akur dan reda
36 Katakanlah (wahai Muhammad), “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam.” Surah al-An'am ayat 162. dengan segala kemungkinan yang timbul. Menjadikan diri kerdil di mata Pencipta. Kini, setelah berkhidmat 28 tahun di organisasi menjadikan diri ini lebih akur pada ketetapan Allah. Menjadi kaunselor bererti mengambil risiko, berjiwa kental dan berdaya tahan. Kaunselor berupaya untuk menjangka dengan memahami senario semasa. Perlunya jiwa sebagai ‘Creator’ berbanding ‘Implementor’. Berupaya membaca fikiran, menterjemah kata hati dan mencernakan dalam tindakan. Kaunselor bukan maksum, ada kelemahan serta banyak kekurangan. Menjadi lebih bijak daripada klien dengan seribu langkah ke hadapan. Jangan berhenti belajar, berguru dan terus mencari ilmu baru. Temu bual Selamat Pagi Malaysia Bersama rakan setugas di Ibu Pejabat Kuala Lumpur scan untuk gambar
Bangkit Dan Berlari 37 IM770 Ke MBA Zurina Abdul Aziz Pada tahun 2012, aku memohon pengajian peringkat Master di UiTM bersama suami. Pada ketika itu kami sama-sama berkhidmat di sebuah kolej swasta. Kami merancang untuk samasama menyambung pelajaran peringkat Master. Beberapa bulan selepas permohonan tersebut kami dipanggil untuk sesi temu duga, dan kami hadir bersama-sama ke UiTM. Selang beberapa bulan, kami menerima emel daripada UiTM memaklumkan bahawa kami berdua diterima menjadi pelajar Master IM770 iaitu Sarjana Pengurusan Maklumat (Perpustakaan). Pasti ini berita gembira, namun jiwa terasa sesak apabila mendapat pemakluman kedua bahawa kelas akan bermula jam 6.00 petang hingga 9.30 malam. Rungsing apabila memikirkan perjalanannya sejauh 63km yang memakan masa 1 jam lebih untuk ke sana kerana kesesakan jalanraya. Kelas kami tiga kali seminggu, aku pula baru sahaja habis dua bulan cuti bersalin. Selepas bersalin anak kedua, stamina masih tidak sekuat semasa bujang. Langkah kaki semakin perlahan dan badan mudah terasa lesu. Aku perlukan vitamin tambahan untuk membantu aku cergas semula menghadapi tugasan pejabat dan di rumah. Di pejabat aku cuba berbincang dengan bos, seorang wanita bujang berusia 48 tahun. Aku cuba membuat permohonan datang kerja seawal jam 7.00 pagi dan keluar jam 4.30 petang. Aku bercadang untuk keluar awal bagi mengelakkan kesesakan trafik untuk sampai ke kelas. Permintaan aku ditolak, dan bos tidak membenarkan aku menyambung pengajian serentak bersama suami kerana pada pandangannya kualiti kerja akan menurun dan banyak kerja yang akan tertangguh nanti. 770
38 Aku akur… walaupun pahit untuk diterima, sekurangkurangnya aku sudah mencuba. Pada waktu itu, suami aku adalah rakan sekerja yang sama bahagian tetapi berlainan unit. Suamiku meminta aku sahaja yang menyambung Master di UiTM manakala dia pula akan sambung Master by Research di Universiti Malaya kerana tidak perlu hadir kelas. Aku sedikit tenang namun masih risau dengan perjalanan yang bakal aku tempuh. Jadi bermulalah perjalanan Master aku di UiTM pada tahun itu mode part time dengan tempoh dua tahun. Pada jam 5.10 petang jika tiada sebarang halangan aku akan terus memandu ke fakulti yang berada di Puncak Perdana, Shah Alam dari Bandar Seri Putra, Bangi. Cabaran pertama aku terpaksa meredah kesesakan trafik di beberapa tempat sebelum sampai ke fakulti. Sejujurnya sudah mula terdetik rasa menyesal menyambung Master kerana perjalanan yang jauh ini amat memenatkan fizikal dan mental. Tambahan pula sudah beberapa kali aku tidak sempat makan, hanya roti untuk mengisi perut bersama air mineral. Perut aku perlukan makanan berat, roti tidak mampu diterima tekak dalam kuantiti yang banyak. Aku jadi stres. Minggu berikutnya aku nekad masuk lambat asalkan aku kenyang sebelum memulakan kelas. Nasib aku kurang baik kerana pensyarah pada hari itu tidak sporting. Aku dileteri kerana masuk lambat, aduhai apalah malangnya nasib aku. Di pejabat aku diperli sebab bergegas keluar, sampai di sini kena leter pula. Seterusnya aku ubah strategi. Sebelum bertolak aku makan nasi yang dibeli sewaktu rehat tengah hari. Walaupun sudah tidak sedap kerana tekak aku yang cerewet ini selalu mengada-ngada mahukan makanan panas, aku paksa untuk menelannya dan pesan pada diri kena makan untuk tenaga… Namun sedihnya aku tetap sampai lewat, selewat jam 6.30 petang kerana kesesakan jalanraya yang teruk di beberapa tempat. Sewaktu memasuki kelas, pensyarah memandang aku dengan pandangan sinis, aku cuba tidak memandang.