The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

E-book Bangkit dan berlari

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Eka Syafiqah, 2024-02-05 02:22:06

Bangkit dan berlari

E-book Bangkit dan berlari

Bangkit Dan Berlari 39 “Maaf Prof jalan sesak teruk.” Tidak diduga laju pula profesor itu membalas, “Pelajar lain pun hadap jalan sesak juga, bukan awak sorang. Aku terkedu sambil menelan air liur. Rasa menyesal jadi sopan, lebih baik masuk secara senyap tadi. Malu pula dengan adikadik yang lain. Aku tebalkan muka melangkah ke tempat duduk belakang. Dengan fizikal yang lesu kerana letih mengadap jalan sesak, aku meletakkan beg di kerusi. Mata pula jadi mengantuk, aku tidak ubah kelihatan seperti pelajar malas dan selekeh pada ketika itu. Kelas yang berlalu terasa amat panjang, dalam hati mula berkata-kata. “Bila nak rehat solat maghrib ni?”. Perut pun dah lapar semula dan mengeluarkan lagu-lagu sentimental sehingga ke Balada Rock. Pengajaran Profesor satu pun tidak melekat dalam kepala kerana aku letih dan sukar untuk memahami syarahan yang disampaikan. Fikiran aku mudah menerawang, sesekali ke café membayangkan makanan yang lazat dan tidak sabar untuk membasahkan muka dengan air wuduk kerana terlalu letih, aku perlu kan air…air…air… macam unta haus di padang pasir. Selesai kelas pada jam 9.30 malam jika tiada sebarang perbincangan, aku akan terus memecut laju untuk pulang ke Bandar Seri Putra. Memang perjalanan yang meletihkan dan aku stres kerana keletihan ini. Sampai di rumah sekitar jam 10.45 malam. Selesai mandi dan solat, aku terus menghadap bayi yang baru berusia tiga bulan sambil melayan anak sulung yang berusia dua tahun. Mereka masih memerlukan perhatian sepenuhnya, dan tidur malam aku masih sering terganggu kerana tangisan mereka. Aku berdoa agar anak-anak yang masih kecil ini sentiasa sihat, jika mereka demam aku tidak dapat menumpukan perhatian pada assignment jauh sekali untuk mengulang kaji pelajaran. Kelas Master yang aku hadiri digabungkan bersama pelajar mode full time. Situasi itu menimbulkan suasana dua alam yang nyata berbeza. Pelajar full time yang rata-ratanya masih bujang sentiasa kelihatan bersemangat dan ceria. Sedangkan aku, pelajar part time yang sentiasa kelihatan letih, kami memang tidak sepadan untuk berkumpulan.


40 Aku tidak sesuai untuk berkumpulan dengan pelajar full time kerana pasti akan menyusahkan mereka, dan mereka sukar memahami apa yang dihadapi oleh pelajar part time yang bekerja dan sudah berkeluarga. Aku temui Siti Rogayah dan Faridah Hanum yang sama mode dengan aku. Faridah memberitahu aku, dia sering tidur jam 4.00 pagi untuk menyiapkan assignment dan Rogayah bertukar tempat kerja kerana mahu memudahkan perjalanan sampai awal ke kelas. Hebat sungguh mereka ini, aku seronok menerima sahabat baharu. Namun aku tetap tidak yakin pada diri pada ketika itu, apabila melihat mereka lebih hebat sepatutnya aku terinspirasi tetapi sebaliknya yang berlaku. Masuk semester kedua suami aku mula menemani aku ke fakulti kerana anak kedua sudah sembilan bulan dan boleh ditinggalkan bersama neneknya. Ditambah lagi insiden aku hampir terlanggar belakang lori itik pada jam 12.00 malam kerana terlelap, suami setia menemani aku ke fakulti. Alhamdulillah aku bernasib baik dan masih panjang umur, kalau tidak, pasti sudah glamour aku dengan lori itik itu masuk Harian Metro kerana kemalangan. Maka bermulalah perjalanan aku ke kelas bersama suami. Sementara aku menghabiskan kelas, dia akan duduk di luar dan solat berjemaah di surau bersama warga fakulti. Sempatlah dia berbual dengan pensyarah dan pelajar yang lain. Macam-macam cerita yang dapat dikutip, pelbagai ujian dan rintangan sehingga ada pelajar PJJ yang sudah empat tahun tetapi masih belum selesai kuliah. Rintangannya besar, sudahlah jauh, memakan belanja untuk berulang-alik. Assignment pula bertimbun untuk diselesaikan di samping menghadap kerja harian. Patutlah masih ramai yang belum berumah tangga, hendak habiskan belajar katanya. Bulan berganti dalam semester dua, selesai kelas aku menuju ke arah suami yang sedang duduk sendirian di meja luar kelas. Kasihan pula melihat dia setia menunggu di luar kelas, sedangkan dia tidak dapat sambung belajar kerana memberi peluang kepada


Bangkit Dan Berlari 41 aku dahulu. Fikiran negatif mula bermain… “Apa yang aku buat ni? buang duit, buang masa, buang tenaga...” Sepanjang kelas yang aku jalani ini, hanya keletihan yang aku dapat ingat dengan baik. Rasa lesu, lemah sendi, kepala mudah berpinar, mudah lapar dan sukar untuk fokus dalam kelas. Adakalanya aku mudah marah, urusan di pejabat membuatkan aku rungsing, ditambah lagi kata-kata sinis yang aku terima. “Dah tahu anak kecik buat apa sambung belajar?” Ada benarnya tetapi tidak perlu diluahkan kerana hanya menyakitkan hati dan menambah sesak kepala orang yang menanggung. Kalau tidak mampu beri bantuan, lebih baik diam sahaja. Urusan pejabat biar aku uruskan sendiri sekalipun lambat, aku tetap hadap sehingga selesai. Tahun 2012 misi melengkapkan Master aku, gagal. Setelah aku analisa sendiri banyak faktor yang mendorong aku gagal. Paling besar adalah halangan dalam diri aku sendiri. Aku tidak bersedia menghadapi dugaan bekerja dan belajar, justeru aku tewas. Sakit hati di tempat kerja dan di fakulti menjadikan aku hilang mood. Sepatutnya mood ini aku tangani dengan sikap yang positif namun aku sendiri gagal mengawal emosi sendiri. Cabaran letih menjadikan aku bebal untuk menyiapkan assignment, aku tidak mampu berfikir secara kreatif. Tidak menyalahkan pihak lain, namun aku sendiri tidak bersedia menghadapi cabaran yang ada. CGPA aku yang rendah di bawah paras 3.00 pada semester dua membuatkan aku semakin tidak yakin untuk meneruskan pengajian. Aku kecewa setelah mencuba pada semester satu dan dua. Aku give up dan menarik diri pada tahun itu. Kegagalan aku adalah gagal menghabiskan pengajian peringkat master di UiTM. Aku pasrah walaupun kecewa, aku tidak mampu lagi menghadapi letih dan tugasan yang banyak daripada fakulti. Hati aku bagai rasa nak pecah, fikiran aku kusut apabila memikirkan kegagalan ini. Sering bermain di minda, aku tidak pandai, aku tidak cekap, aku tiada harapan untuk majukan diri. Aku mahu meraung tetapi tetap dipendamkan kerana ini adalah pilihan yang aku buat sendiri.


42 Aku meneruskan hari-hari yang berlalu dengan mendung di jiwa. Kenapa aku gagal? Di mana silapnya…? Aku mula jadi pendiam tanpa aku sedari, sehingga ditegur seorang teman di pejabat atas perubahan sikap aku pada waktu itu. Aku tidak ada strategi untuk berjaya, aku hanya menyelesaikan tugasan harian. Pengalaman aku tidak seberapa dengan usia aku. Walaupun ada dorongan daripada suami dan rakan-rakan lain, namun aku tetap gagal. Gagal meneruskan pengajian kerana aku tidak mampu menghadapi penat emosi dan penat fizikal kerana berkejaran menghadapi tugasan fakulti dan pejabat yang merungsingkan. Ditambah lagi dua orang anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian. Cukuplah pengajaran dua semester, sebuah perjalanan yang menagih pelbagai pengorbanan, wang, tenaga dan masa. Peristiwa kegagalan ini berlarutan sehingga tahun 2013, di mana suamiku memaklumkan sahabatnya bernama Syerad baru sahaja menamatkan MBA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). “Nak sambung tak?” soalnya kepada aku “Haish, bidang library pun tidak dapat nak habiskan, takkan MBA,” balasku. Dia menyakinkan aku lagi, “Syerad kata Graduate School of Business (GSB) UKM ni lain, best dan enjoy kelasnya”. Aku terpancing, hilang rasa serik belajar sebelum ini. Aku sendiri terkejut, cepatnya aku berubah. Nyata dalam jiwa aku masih terpendam keinginan untuk menyambung pengajian. Tawaran menarik GSB adalah kelas pada hari Sabtu sahaja untuk pelajar MBA mode part time. Siap ada bantuan pembiayaan pengajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah skim My Brain. Tempoh pengajian hanya satu tahun tiga bulan, setiap semester hanya empat bulan dengan cuti dua minggu sebelum ke semester seterusnya. Terdetik juga dalam hati, “Biar betul…. bunyi macam mudah sangat. Macam tawaran scammer pulak.” Aku bertambah yakin apabila suami aku membawakan brochure GSB yang diberikan oleh Syerad. “Kalau Multi-Level


Bangkit Dan Berlari 43 Marketing (MLM) Syerad dah dapat bonus ni,” gurauku dengan suami. Dia tersenyum dan membalas. “Syerad nilah testimoni GSB, boleh dapat komisen ni,” guraunya. Suami dan aku mula mencuba nasib, permohonan MBA amat mudah hanya secara online. Selesai melengkapkan keperluan permohonan sambil termenung, aku bertanya kepada suami. “Betul ke apa yang kita buat ni?” soalku. “Kalau Syerad boleh, kita pun boleh,” balas suamiku. Aku tersenyum walau dalam hati masih rasa ragu. Tanpa sesi temu duga dan hanya berbekalkan sijil-sijil Ijazah Sarjana Muda Perpustakaan kami diterima masuk menjadi pelajar MBA. Pengajian pada kali ini hanya rakan terdekat sahaja yang tahu. Aku lebih selesa begitu dan memudahkan modus operandi aku untuk memohon cuti tanpa dicemburui oleh sesiapa. Pada hari pendaftaran aku dan suami ke GSB di UKM Bangi. Sungguh tidak di sangka, staf di GSB amat ramah dan mampu mengingati nama aku dan suami. Wow hebat, perkara yang simple tetapi memberi kesan yang besar pada jiwa pelajar seperti aku. Aku nekad hendak habis belajar di sini. Walaupun yurannya mahal tetapi aku yakin melalui pembiayaan My Brain dan pengeluaran KWSP aku mampu melunaskannya. Hati aku semakin tenang. Semasa sesi pendaftaran aku terpandang sepasang suami isteri yang berada di bucu tangga. Susuk tubuh wanita yang bertudung labuh di sisi suaminya yang tinggi lampai itu, menggamit pandangan aku. “Nampak baik kakak tu,” getus hatiku. Aku merapati mereka dan mula menegur untuk berbual ringkas. Namanya Kak Liza seorang Guru Akaun Sekolah Menengah dan suaminya yang mesra dipanggil Abang Ayeb seorang Branch Manager SME Bank di Pahang. “Nanti kita jumpa di kelas ya kak...” sebelum melangkah keluar aku melambai dan mereka tersenyum. Maka bermulalah kelas MBA aku di UKM Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur. Setiap hari Sabtu aku dan suami akan berulang-alik dari Bandar Seri Putra ke sana. Jujur aku tidak sangka, kelas MBA tersebut amat menggembirakan dalam segala aspek.


44 Dalam kelas aku mengenali pelbagai pelajar part time lain daripada pelbagai institusi seperti Shell, Maybank, Kuwait Finance House, FAMA, Founder Takoyaki, Malindo Airlines, PDRM dan ramai lagi. Ternyata kelas ini amat menggembirakan kerana hampir setiap minggu kami akan ada aktiviti seperti pot luck dan makan bersama di sekitar Kuala Lumpur. Malah adakalanya kami makan bersama pensyarah yang tidak sombong dan merendah diri walaupun bergelar Dato’ dan Profesor. Aku adalah graduan perpustakaan, tipulah kalau aku katakan subjek MBA kacang giler…. kira-kira perakaunan pun aku tidak pernah buat, apa lagi mengenali simbol dalam subjek Finance. Hampir berasap juga otak aku ini dibuatnya. Namun berkat belajar bersama suami dan rakan-rakan lain yang sudi memberikan tuisyen secara percuma, aku mampu menempuhinya dengan membuat hafalan. Inspirasi aku adalah Kak Liza dan Abang Ayeb yang tabah berulang pada setiap minggu dari Pahang ke Kuala Lumpur bersama lima orang anaknya demi menyelesaikan MBA. Peristiwa yang tidak mungkin kami lupakan adalah Kak Liza hampir due untuk bersalin anak ke-5 dan kami perlu menyiapkan pelbagai tugasan berkumpulan bersama. Justeru aku mencadangkan Kak Liza dan Abang Ayeb hanya siapkan assignment Perakaunan, manakala assignment selebihnya aku dan suami uruskan. Abang Ayeb bersetuju, maka bermulalah semangat kerjasama lagak kumpulan Wonder Pet dengan slogan “Apa yang penting? kerjasama …” Berkumpulan dengan Kak Liza dan Abang Ayeb adalah satu kelebihan buat aku kerana aku dapat menumpang kelebihan kak Liza sebagai Cikgu Akaun yang berwibawa. Tambahan pula watak Abang Ayeb yang lucu dan ramah menjadikan kami lebih akrab. Alhamdulillah berkat kerjasama itu, aku dan suami berjaya mendapat CGPA 3.67 manakala Abang Ayeb memperolehi CGPA 4.00 diikuti rapat oleh Kak Liza. Keyakinan diri aku mula bertambah, aku tidak bodoh cuma strategi harus betul dan tepat. Tiada satu pun kelas yang aku rasakan bosan dan tidak menggembirakan. Setiap hari aku tidak sabar menunggu hari Sabtu, tidak sabar hendak berjumpa rakan-rakan kelas MBA.


Bangkit Dan Berlari 45 Semasa semester satu jugalah, aku berkenalan dengan arwah Kak Mardiana yang merupakan pegawai di Bahagian Pendidikan Tinggi Ibu Pejabat MARA. Pada ketika itu Kak Mardiana adalah senior semester dua dan kami bertemu ketika membeli makanan di café. Kak Mardiana seorang yang peramah dan pemurah. Dia juga menawarkan untuk menghantar resume aku ke MARA kerana ada jawatan kosong di Perpustakaan Ibu Pejabat MARA menurutnya. Wow, sungguh tidak diduga ada peluang mengisi jawatan kosong sebagai penjawat awam pula tu…Sudah tentu aku berminat untuk mencuba. Semester terus berganti, aku dan suami tetap berkumpulan dengan Abang Ayeb dan Kak Liza. Mujurlah mereka tetap sudi berkumpulan dengan kami. Bersama mereka dan rakan-rakan sekelas yang lain kami sering mengadakan tuisyen subjek kritikal seperti Investment, Economy dan Finance. Untuk lulus subjek kritikal aku perlu menghafal. Manakala untuk subjek yang tidak memerlukan pengiraan seperti Marketing, Business Law, Strategic Management, Organisational Behaviour dan lain-lain aku cuba untuk score dengan memperbanyakkan pembacaan dan perbincangan. Pada tahun 2014, secara rasminya aku dan suami berjaya menamatkan MBA dengan CGPA 3.5, not good but not bad. Maklumlah aku tiada asas subjek business sebelum ini, sambil tersenyum keyakinan diri kian bertambah. Ternyata selepas awan hitam ada mentari yang bersinar. Semasa MBA, aku tidak merasa terbeban dengan assignment yang banyak, malah aku enjoy menyiapkannya walaupun hingga larut malam. Tugasan pejabat pun aku selesaikan seperti tiada sebarang masalah kerana hati aku gembira. Setiap hari Ahad selepas perbincangan aku akan keluar bersama suami, anak-anak dan mak mertua ke taman di sekitar Putrajaya untuk makan di luar atau membiarkan anak-anak bermain di taman. Pada hari konvokesyen, aku berjumpa dan bergambar bersama Kak Liza dan Abang Ayeb. Sungguh tidak di duga berita Kak Liza dan Abang Ayeb keluar di dada akhbar dengan tajuk “Kembara Ilmu 250 km Berbaloi” dalam Harian Metro. Kisah pasangan berulang-alik


46 dari Pahang ke UKM pada setiap minggu telah mendapat keputusan cemerlang sehingga menerima segulung Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) tercatat pada 1 November 2014. Kisah aku tidak sehebat Kak Liza dan Abang Ayeb, namun aku kongsikan dalam buku ini semoga memberi inspirasi kepada yang pernah gagal tetapi tidak mahu berputus asa. Macam tidak percaya, cabaran semasa MBA juga cukup banyak. Namun, dapat ditempuhi dengan baik serta dengan hati yang tenang dan gembira. Allah punya rancangan yang terbaik untuk kita semua. Hikmah aku gagal memegang Ijazah Pengurusan Maklumat adalah kerana ada takdir lain untuk aku, iaitu MBA. Halangan dan cabaran yang aku terima semasa menjalani Master di UiTM menjadikan aku lebih matang dan tahu mengatur strategi untuk masa hadapan . Cabaran yang pernah aku tempuhi itu juga menjadikan aku lebih bersemangat untuk membuktikan bahawa aku bukan insan gagal. Cuma kejayaan belum milik aku pada waktu itu. Ternyata kelas MBA yang aku ikuti bukan sekadar memberi aku segulung Ijazah Sarjana, malah nilai persahabatan dan gaya pemikiran baharu dalam diri. Pengalaman gagal itu menjadikan aku lebih cekal dan bersemangat untuk bangkit dan berlari menuju masa hadapan. Inilah kisah aku dari IM770 ke MBA. Kelas MBA 2013


Bangkit Dan Berlari 47 “…Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.” Surah al-Baqarah ayat 30. Maka sesungguhnya (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa setiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. Surah asy-Syarh ayat 5-6. Majlis Graduasi UKM bersama suami scan untuk gambar


48 Coretan ini ditulis sebagai saksi perjalanan aku sebagai budak bodoh kepada diri aku sekarang. Aku, Fiza dilahirkan dalam keluarga yang penuh dengan kasih sayang. Aku menjadikan aku anak yang manja kerana aku anak yang akhir. Abah aku tegas orangnya, sempurna itu prinsipnya. Emak aku pula sejak awal telah menekankan yang perempuan itu perlu ada kerjaya walaupun dia sendiri suri rumah tangga. Dia suri yang cemerlang pada pandanganku. Aku punya abang yang aku anggap sebagai idola, katakatanya lembut tetapi isinya umpama peluru. Kakak aku pula sering mendahului adik daripada dirinya, pandai tetapi pendiam, hatinya mudah tersentuh walau lagaknya agak kasar. Pada tanggapanku keluarga aku sempurna. Alhamdulillah. Aku seorang yang periang sejak kecil. Bagaimanapun aku agak ‘blur’. Aku kerap kemalangan, panjat tingkap bersama kawankawan sebaya, orang lain okey sahaja. Aku jatuh ditimpa cermin tingkap, berjahit kepala. Beramai-ramai kami bermain di belakang kereta, apabila pemandunya datang untuk memandu kereta itu, kawan-kawan lain melepaskan kereta. Namun aku tetap pegang kereta itu, lalu diseret sejauh 100 meter, habis luka kaki aku. Itulah aku, budak ‘blur’ dan budak yang kuat berangan. Aku tidak tahu apa yang aku angan-angankan pada waktu itu. Aku masuk tadika ketika berumur lima tahun. Cikgu suruh aku tulis angka 8, susah. Lalu aku buat keputusan sendiri. Aku buat dua bulat, satu di atas dan satu bulat lagi di bawah. Caranya lain tetapi nampak sama. Aku kena marah dengan ustazah. Aku pelik di mana salahnya. Sepanjang darjah satu hingga darjah empat, aku di kelas terakhir. Aku tidak tahu dan tidak ingat apa yang aku belajar. Aku tidak mampu menghafal sifir, sekalipun sifir 2. Aku Budak Bodoh Norhafiza Mohamed


Bangkit Dan Berlari 49 Aku tidak mampu membaca dengan lancar. Abah sering dipanggil ke sekolah, “Kenapa Norhafiza begini encik, dia ada kakak atau abang tak di rumah yang boleh mengajar dia?” Soalan itu yang sering ditanya cikgu. Kakakku cemerlang, dia suka mengajar aku tetapi akhirnya dia yang menangis kerana dia marah adiknya lambat faham. Emak aku tersenyum, dalam diam dia menangis. Aku sedar aku budak bodoh. Ketika aku di darjah empat, aku tulis huruf ‘b’ dan huruf ‘d’ terbalik. Susahnya hendak tulis huruf ‘b’ dan ‘d’. Di dinding bilikku penuh aku tulis, ‘Aku budak Bodoh’. Kadang-kadang aku tulis ‘Aku doboh’. Aku hanya suarakan di dinding bilikku. Apabila cikgu marah, abah marah, kakak marah, kawan-kawan tidak mahu berkawan, aku tulis di dinding, ‘Aku Bodoh’. Perjuangan Aku Ketika aku dalam darjah lima, kami sekeluarga berpindah ke Alor Setar, Abah dinaikkan pangkat. Pada waktu itu abang sudah masuk universiti, kakak di sekolah asrama penuh. Aku tinggal dengan mak abah yang penuh dengan kasih sayang umpama aku anak tunggal. Sekolah di Alor Setar ada tujuh kelas di sekolah lama aku hanya ada empat kelas. Aku di kelas ke empat. Abah aku memilih sekolah perempuan semua sebagai pilihan pertama kerana di tempat lama pun aku bersekolah perempuan. Oleh kerana sekolah tersebut sudah penuh, aku dihantar ke sekolah campur yang asing bagiku. Pada hari pertama. Cikgu PK Hem bertanya, ‘Dulu di kelas dapat nombor berapa?’ Dengan yakin aku membalas, ‘Nombor empat’. Lantas cikgu membalas, okey, awak masuk kelas nombor 4. Lawak rasanya, nombor empat di sekolah lama berbeza dengan sekolah baharu. Sekolah lama nombor empat daripada empat kelas tetapi di sekolah baharu, nombor empat daripada tujuh kelas. Maka bermulalah fasa struggle di sekolah baharu ini. Aku perlu menyesuaikan dua keadaan yang sangat berbeza, bersekolah campur lelaki dan perempuan dan sekelas dengan kawankawan yang pandai. Pada masa itu, aku sudah “set” dalam minda, ‘Aku Bodoh.’ Sampailah pada suatu masa cikgu meminta karangan


50 aku dan huruf ‘B’ dan ‘D’ aku masih terbalik. Aku masih ingat, Cikgu Fatimah yang lembut orangnya itu, merah padam mukanya memarahi aku selama 30 minit. Pada masa itu aku masih dalam fasa perkenalan, aku budak perempuan pemalu, tiba-tiba aku kena marah. ‘Apa ni, sudah darjah lima awak tidak boleh beza ‘b’ dan ‘d’, macam darjah 1’, ‘Berangan nak sekolah perempuan semua, nasib sekolah tu penuh, kalau tidak awak mesti diberhentikan’. Semua itu bergerak dalam fikiran aku, setiap malam. Selalunya cikgu marah, aku buat tidak tahu. Buat seperti tiada apa-apa yang berlaku. Pada kali ini lain, aku balik sekolah dengan menaiki basikal. Sepanjang perjalanan pulang itu aku menangis, menangis dan terus menangis. Sampai di rumah aku peluk mak, kuat. “Mak, adik bodoh mak. Awat adik bodoh mak, abang kakak pandai. Awat adik bodoh mak?” Mak aku turut menangis. “Sabaq adik, adik pandai, mak yakin anak mak pandai.” Selepas itu, cikgu tidak menghiraukan aku, putus asa agaknya dengan budak bodoh ini. Aku suka matematik, cikgu matematik selalu kata, awak pandai tetapi kalau awak hafal sifir lagi pandai. Aku tidak mampu hafal, aku rajin belajar tetapi aku tidak mampu. Bodohkah aku…? Tiba-tiba ada cikgu yang tawarkan tuisyen. Untuk pertama kalinya fikirku, kalau pergi tuisyen aku lagi susah hendak belajar. Bagaimanapun ayat Cikgu Fatimah sentiasa ada di telinga. Aku minta kebenaran abah, abah kata boleh. Alhamdulillah. Aku pergi tuisyen yang pada mulanya aku tidak faham apa-apa. Namun yang hadir hanyalah jasadku. Kawan baik kelas aku pergi tuisyen lain, dia ajak aku sekali. Aku tanya abah lagi. “Abah adik nak tuisyen lagi”. Bermaksud aku ada dua tempat tuisyen. Abah bagi lagi, maklumlah aku anak bongsu. Manja dengan abah, mungkin abah nampak kesungguhan aku. Abah bayar yuran kedua-dua kelas tuisyen itu. Setiap hari dari hari ahad hingga khamis, aku hadir kelas tuisyen. Apabila aku memaksa diri menghadiri kedua-dua tuisyen itu, baharu aku faham. Rupa-rupanya aku perlu ulang pembelajaran tersebut. Kawan-kawan aku juga mungkin perlukan usaha untuk faham tetapi aku perlu


Bangkit Dan Berlari 51 menggandakan tiga kali untuk faham. Itulah keadaan aku pada ketika aku. Walaupun cikgu tuisyen Bahasa Inggeris aku sama untuk kedua-dua tuisyen, aku tidak merasa bosan. Sebabnya aku masih lagi dalam proses belajar. Sampaikan cikgu Bahasa Inggeris tersebut pelik, kenapa aku ambil dua tuisyen. Dia beritahu dia akan ulang benda yang sama. Saya balas, saya okey cikgu, saya lambat. Pada mulanya aku hanya ikut kawan. Rupa-rupanya pada ketika itu, aku baru memahami cara aku. Aku memang work hard, aku tidak mampu bekerja sebagai orang work smart. Masa aku penuh, pagi sekolah, balik rumah mandi, solat makan, aku pergi Qiraati (mengaji), selepas mengaji aku pergi tuisyen. Masa aku penuh setiap hari. Malamnya aku belajar lagi mencari cara untuk aku faham. Semakin aku ulang ‘b’ dan ‘d’, alhamdulillah aku tidak keliru lagi. Baru aku mampu ketawa di dalam kelas apabila cikgu bergurau. Sebelum itu aku merasakan aku tidak layak ketawa. Gurauan itu bukan untuk aku. Aku mengkaji diriku lagi, aku tidak mampu hafal sifir. Caranya aku akan mengira tambahan setiap sifir di tepi-tepi kertas soalan. Teknik ini aku kaji sendiri dengan cara aku. Aku tidak mampu dan membuang masa mengingati sifir mahupun sifir 4. Apabila menjawab soalan yang melibatkan sifir 8, aku conteng di tepi, 8+8=16, 16+8=27, 17+8=32 dan seterusnya. Apabila soalan yang melibatkan sifir 7, aku buat perkara yang sama semula. Apabila soalan lain yang melibatkan sifir yang sama, aku akan rujuk jadual sifir binaan aku. Aku berperang dengan masa ketika peperiksaan kerana aku perlu membuat dua mahupun tiga kali ganda kerja berbanding orang lain. Aku belajar fokus pada masa ini disebabkan musuh aku ialah masa. Jika masa peperiksaan satu jam, aku akan menghadap kertas satu jam tanpa mendongak. Baharu aku tahu diri aku sendiri. Cikgu hairan melihat kertas soalan aku yang penuh dengan angka. Aku temui mudahnya sifir 9. Bermula dengan 9, 8,7,6… kemudian aku tambah 1 di nombor 8, 1,2,3… hanya untuk aku pada ketika itu. Aku seorang yang ‘praktikal’ aku tidak mampu memproses ilmu tersebut tanpa menulis.


52 Masuk ke darjah enam, keluarga aku terkejut aku mampu kekal kelas nombor empat dalam sekolah. Aku mendapat nombor 10 di dalam kelas. Bagi aku nombor 10 itu ialah nombor satu bagi aku. Aku dapat kekal kelas nombor 4 dengan usaha aku sendiri. Aku semakin menghapuskan ayat bodoh dalam kepala aku. Keputusan UPSR, aku mendapat 2A,2B,1C. Mungkin bagi kebanyakan orang, itu keputusan biasa. Namun bagi aku, ia keputusan yang sangat baik dan cemerlang. Ketika di darjah 5, aku masih keliru b dan d, aku menjalani dua tahun yang penuh dengan struggle. Abah dan mak menerima keputusan aku, alhamdulillah walaupun kakak aku mendapat straight A dalam UPSR. Abah dan Mak aku pada ketika itu dijemput ke pentas menerima keputusan UPSR kakak aku. Bangganya mak abah. Aku tahu mak abah tidak kecewa dengan aku, sebab itulah aku. Aku tidak mampu menjadi sepandai kakak. Keputusan aku itu, sudah cukup untuk mak abah bersyukur. Indahnya Percaturan Allah Fasa di sekolah menengah, aku lebih kepada membina keyakinan diri. Aku mampu bersembang mesra dengan cikgu. Aku sertai taekwondo, aku membina kekuatan, aku aktif di atas pentas. Pertandingan bercerita, bersajak, pidato, semua dalam genggaman aku. Aku lancar berkata-kata. Masih aku ingat pertama kali aku berada di pentas, menyertai Pertandingan Bercerita. Ketika keputusan diumumkan tempat nombor tiga, ia bukan aku, nombor dua juga bukan. Aku sudah bangun dan berjalan ke belakang. Tiba-tiba pengumuman juara, nama Norhafiza dipanggil. Aku terhenti melangkah. Aku tidak mampu menoleh, sehingga pengacara majlis memanggil untuk kali kedua. Aku melangkah ke pentas, aku mendapat kekuatan. Aku menjadi semakin berani, dalam kelas aku dalam lingkungan lima teratas. Aku mendapat keyakinan diri. Aku mampu membalas jawapan yang rasional ketika program team building, menjadikan aku wakil dalam tingkatan. Aku menjadi pengawas pada ketika itu. Perkataan BODOH sudah semakin jauh daripada aku.


Bangkit Dan Berlari 53 Keputusan PMR masih dalam fasa sederhana. Aku di sekolah biasa. Abah dan Abang ambil keputusan memilih aliran teknikal untuk aku. Abah dalam bidang Kejuruteraan Awam, abah memilih jurusan yang sama untuk aku. Tingkatan empat dan lima aku penuh dengan keseronokan belajar. Aku faham konsep kejuruteraan awam, sebab ia nampak. Aku nampak apabila melakukan ujian Probe Machintos (ujian ketahanan tanah). Aku belajar dalam buku cara-cara pemilihan tandas, aku nampak secara wujudnya di setiap tandas. Aku belajar sistem penahanan cerun menggunakan tembok gabion yang aku nampak di sepanjang lebuh raya. Aku semakin faham, aku orangnya praktikal. Target aku semasa di tingkatan lima ialah aku mahu memasuki universiti peringkat diploma kerana ijazah terlalu tinggi buat aku. Aku mengimpikan diploma, cukup untuk aku menjadi wanita bekerjaya seperti impian Mak. Tanpa aku sangka, aku mendapat tawaran ke Matrikulasi. Tidak pernah aku impikan ke program Matrikulasi. Atas nasihat abang, aku ke program Matrikulasi. Bermula sekali lagi episode struggle dalam perjalanan belajar aku. Aku dalam fasa pertengahan, tiba-tiba pula aku perlu bersaing dengan kawan-kawan cemerlang satu Malaysia. Dalam kuliah seramai 200 orang belajar serentak. Dua jam habis satu bab. Aku keluar kuliah dengan penuh bintang di kepala. Pada ketika ini, aku hanya belajar bertawakal. Aku menangis setiap kali solat. Ya Allah mudahkan urusan aku. Aku sertai usrah, aku banyak muhasabah diri. Alhamdulillah. Aku bertawakal, mungkin selepas matrikulasi aku perlu mengambil diploma semula. Tidak mengapa, aku reda. Semasa menunggu keputusan matrikulasi aku bersedia menunggu semua kemungkinan termasuk aku tidak dapat tawaran ke program ijazah. Pelangi Indah Usai Hujan Tiba masanya, keputusan cukup-cukup sahaja. Alhamdulillah tidak gagal. Aku mendapat tawaran ke Malaysia Teknikal Universiti (MTUN) dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan. Aku mohon bidang


54 Kejuruteraan Awam, meneruskan minat aku semasa di sekolah teknik. Fikirku ini namanya aku “dilelong”. Perkataan yang kerap diulang semasa matrikulasi, jika keputusan suam-suam kuku sahaja, kita akan dilelong. Akulah salah seorangnya. Aku mendapat tawaran tersebut dalam keadaan yang menerima dan just follow the flow. Aku tanam dalam hati, inilah yang sudah ditentukan. Dalam percaya dan tidak, aku melangkah ke program ijazah. Ini bukan impian aku, aku mahukan diploma. Sekali lagi aku berbisik dalam hati, ikut sahaja perjalanan ini. Sejujurnya aku ingin bercerita, dalam semua tahap pendidikan aku, aku paling ‘bahagia’ belajar semasa di peringkat ijazah. Aku enjoy belajar. Aku faham, aku hadam, aku ‘bahagia’ menjawab soalan. Masih aku ingat kata-kata kawan-kawan aku. “Stres tau duduk sebelah Fiza semasa menjawab peperiksaan, dia akan meminta tambahan kertas.” Aku senyum sahaja. Sungguh, aku tidak pernah ada lebihan helaian dalam buku jawapan, kadang-kadang aku akan meminta lebih kertas daripada pengawas peperiksaan. Apabila aku angkat tangan, pengawas peperiksaan seperti dapat mengagak. “Awak nak kertas lebih?” Aku mengangguk. Aku tidak akan keluar awal sewaktu peperiksaan. Aku menggunakan masa sepenuhnya untuk menjawab soalan. Mungkin itu tabiat aku sejak kecil. Aku akan menjawab soalan umpama aku makan. Pelik kan? Yang sebenarnya hobi aku makan. Aku enjoy makan, aku juga akan hadam soalan dan cuba sehabis mungkin menjawab soalan itu. Aku akan huraikan dan akan pastikan ‘kepala aku ringan’ apabila masa tamat dan aku keluar dari dewan. Pensyarah meminta empat perkara, aku akan senaraikan enam. Aku pastikan lebih. Alhamdulillah aku agak cemerlang di universiti. Dengan kuputusan yang agak baik aku ditawarkan kerja sebagai jurutera usai habis program ijazah tetapi masih belum bergraduasi. Rezekiku lagi, bulan Ogos aku konvo, bulan September aku ditawarkan kerja. Kekal hingga sekarang. Kerja kesukaan aku, mengajar. Dua tahun dalam kerjaya, aku ditawarkan program sarjana.


Bangkit Dan Berlari 55 Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan aku. Setelah setahun menghabiskan program sarjana, pensyarah kegemaranku di universiti, menawarkan aku program Ijazah Kedoktoran. Panjang juga masa yang aku ambil untuk berfikir. Perjalanan PhD sangat panjang. Bergelar isteri dan ibu dalam masa yang sama menjalani PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh) agak mencabar. Aku gunakan konsep ‘follow the flow’ juga, mengikut rentak yang ada. Jika keadaan mengizinkan banyaklah progresnya. Pernah juga setahun aku tidak membuat apa-apa. Aku mahukan PhD namun aku masih mahu menjadi isteri, ibu dan anak yang sempurna kepada keluarga. Sebagai gantinya, panjanglah tempoh aku menyiapkan tesisku. Namun ketika keputusan pembentangan VIVA diumumkan dan Pengerusi menyebut, ‘Congratulation, you pass with minor correction’. Tidak semena-mena, terlintas dalam fikiran aku. Aku Bodoh. Cuma pada kali ini aku tersenyum. Ya, aku bodoh tetapi alhamdulillah aku mampu memegang gelaran Doktor Falsafah. Doakan aku, aku masih menunggu untuk bergraduasi. Semoga ada rezekiku. Inilah dia perjalanan aku insan yang bernama manusia. Kadang-kadang aku tersenyum, ada jiran-jiran sewaktu kecilku pelik dengan jawatan aku sekarang. Aku senyum sahaja apabila mendapat reaksi seperti itu. Semua kejayaan ini aku hadiahkan buat mak dan abah. Dalam diam mak seperti tidak kisah, apabila aku tidak boleh membaca, mak terus berdoa. Sepanjang hari aku minum “air Yasin” yang mak buat. Mak kata itu sahaja yang mak mampu tolong. Setiap kali peperiksaan besar, mak akan minta jadual. Rupa-rupanya aku menjawab soalan dengan kusyuk, pada ketika itu, mak juga kusyuk membaca Surah Yasin. Terima kasih abah yang sentiasa melayan kehendak adik. Abah tegas sebab abah mahukan anak-anaknya berjaya pada suatu hari nanti. Aku percaya semua ini atas usaha aku, keluarga dan ditetapkan Allah. Allah yang izinkan semua ini berlaku. Titik perubahan aku ketika


56 penghijrahan sekolah semasa aku darjah lima. Pada ketika itu, aku seperti ‘baharu’, tiada rekod pencapaian, cikgu-cikgu lama, kawankawan aku tidak mengenaliku. Aku bangkit dalam tempoh ini. Terima kasih Cikgu Fatimah, walaupun aku merasakan cikgu membenci aku pada ketika itu, namun kata-kata itu yang membuat aku sedar. Kata-kata itu adalah kata keramat yang merubah diri aku. Kata-kata itu keras seperti menampar pipi aku supaya aku sedar dan bangkit, jangan tidur lagi. Alhamdulillah, untuk pertama kalinya aku berkongsi coretan ini secara terbuka. Niat aku hanya satu, jika ada anak seperti aku pada waktu kecil, jangan besedih, berikan dia masa. Aku percaya kejayaan tetap akan tiba bagi sesiapa yang tidak berputus asa. Maka sesungguhnya (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa setiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. Surah asy-Syarh ayat 5-6. scan untuk gambar Konvokesyen UPM 2012 Master Kejuruteraan Pembuatan Mak dan Abah Tersayang


Bangkit Dan Berlari 57 Pelangi Kiriman-Nya Aima Syamimi Mohd Rodzuan Rezeki daripada-Nya, aku dikurniakan seorang puteri diberi nama Zulaikha meskipun aku telah didiagnosis mengalami masalah kesuburan dan kitaran haid yang tidak menentu. Zulaikha, berusia tiga tahun, budak banyak akal dan petah berbicara. Zulaikha membuatkan aku tidak merasa sunyi walaupun aku dan suami mempunyai perhubungan jarak jauh kerana tuntuan kerjanya. Aku bertugas sebagai pegawai di sebuah organisasi ternama di pusat bandar. Kesibukan aku di pejabat setiap hari diimbangi dengan mengalas tanggungjawab sebagai ibu dan memegang peranan bapa pada masa yang sama untuk Zulaikha. Suami aku jarang sekali pulang ke rumah atas permintaan kerjayanya. Aku sentiasa mengambil sudut pandang positif kepada sesuatu yang berlaku atau perlu dihadapi. Biarlah sekeruh mana keadaan itu, sesesak mana nafas di dadaku, aku tetap tempuhi. Sebenarnya kecekalan ini kerana aku sudah melalui bahtera hidup yang dilanda badai bermula sejak aku kecil lagi. Aku dibesarkan dan dididik oleh bapa tiri, Encik Syed seawal usiaku 11 bulan. Aku hanya mengenali bapa kandungku, Encik Kamarul, ketika usiaku 16 tahun iaitu ketika aku terpilih melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di utara Malaysia. Kebetulan nenek sebelah bapa kandungku, menjemput aku dan sekeluarga ke kenduri perkahwinan sepupuku di Ipoh, Perak. Dalam perjalanan ke utara, mummy dan daddy putuskan untuk hadir ke kenduri bagi menyantuni jemputan nenekku. Di kenduri itulah aku bertemu empat mata dengan abah untuk kali pertama seumur hidupku.


58 Mataku hanya bergenang, cuba kutahan daripada terus menitis. Ya, pasti dalam pertemuan pendek itu, aku dan abah hanya diam seribu bahasa, lidah terkelu dan masing-masing mengelak daripada membuat eye contact. Pada usia itu, pasti pelbagai persoalan masih belum aku dapat jawapannya daripada semua pihak. Ada emosi yang tertangguh dan belum selesai walaupun kisah perpisahan dan perceraian mummy dan abah sudah berlalu sekian lama. Perasaanku bercelaru pada ketika itu tambahan lagi aku bakal berpisah jauh daripada keluarga dan akan tinggal di asrama. Abah tidak pernah menjengah atau melawat mahu pun menziarahi aku sepanjang dibesarkan oleh ibu dan bapa tiriku. Tentang nafkah seorang bapa kepada anak, tidak usah ditanya. Ibuku, Puan Hazwani juga hanya berkata pada aku. “Biarlah dia. Dia pasti tahu tanggungjawab dia. Urusan di mahkamah pun dah selesai. Tanggungjawab dia biarlah dia uruskan sendiri dengan Allah. Selagi mummy mampu menjaga kamu dengan hasil titik peluh mummy. Insya-Allah, Zulaika akan cukup semuanya.” Begitulah pasrah dan redanya Puan Hazwani. Aku juga tidak pernah ajukan persoalan tentang apa yang telah berlaku dan kenapa tindakan abah terhadap aku. Ia sekadar berkisar dalam minda dan dititipkan dalam doa kepada Yang Maha Esa. Aku sentiasa berkata pada diri aku, “Itu semua urusan orang tua dan ini ujian untuk aku. Aku tahu Allah uji aku kerana aku mampu. Biarlah ia berlalu pergi. Aku terima ujian ini dengan hati terbuka. Aku hanya hamba-Nya yang berdosa.” Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Walaupun banyak awan gelap yang aku hadapi, namun Allah berikan aku pelbagai bentuk rezeki, antaranya bapa tiriku yang sangat baik dan menyayangi diriku seperti anaknya sendiri. Nikmat kebijaksanaan yang dipinjamkan oleh Allah sehingga aku memperolehi Ijazah Sarjana Muda daripada universiti tempatan. Sepanjang pengajian pula, aku ditaja oleh MARA sepenuhnya, dikelilingi oleh rakan-rakan baik yang sentiasa ada menjadi teman tatkala susah dan senang.


Bangkit Dan Berlari 59 Sebelum diijabkabulkan di antara aku dan Megat, mummy sentiasa mengingatkan aku agar pastikan aku ada kereta dan rumah kediaman sendiri sebelum berumah tangga. Dengan kata lain, bersiap sedia bukan sahaja daripada segi ilmu berkeluarga malahan harta. Aku akur dan bersetuju dengan nasihat mummy. “Mungkin nasihat mummy berdasarkan pengalaman lampaunya.” Terdetik dalam fikiranku. Awan mendung mendatangi lagi dalam hidup aku setelah bergelar isteri dan ibu. Aku langsung tidak berkira dalam pengurusan kewangan keluarga, andai suamiku memerlukan wang. Aku pasti akan menghulur tanpa rasa sebarang curiga. Bagiku, wang bukan masalah. Yang penting kami sentiasa ada ketenangan dalam setiap urusan. Aku dimurahkan rezeki dalam dunia pekerjaan. Sejak bergelar suami isteri, suamiku jarang pulang atas urusan kerja, aku akur. Aku terpaksa menghadapi dugaan mengandungkan Zulaikha seorang diri di ibu kota oleh kerana suamiku ditugaskan di Utara berbulan-bulan. Muntah, loya, pening dan sakit pinggang aku hadapi seorang diri. Aku pernah terjatuh daripada tangga, mujur Zulaikha bayi yang kuat sejak dalam kandungan lagi. Suamiku hanya datang menjengah isteri yang sarat mengandung pada usia kandungan enam bulan dan hanya mengambil cuti dua hari. Alhamdulillah. Aku bersyukur atas peluang yang Allah berikan untuk masa kami bersama. Aku lalui perit jerih sepanjang membesarkan Zulaikha seorang diri. Anak kecil tidak terlepas daripada sakit demam. Seawal usia sebulan, Zulaikha dikejarkan ke hospital kerana batuk tidak berhentihenti sehingga warna mukanya berubah menjadi biru. Ya, suamiku tidak dapat pulang untuk meringankan beban emosiku yang baharu sahaja 30 hari berpantang. Banyak lagi siri Zulaikha dikejarkan ke hospital dan klinik, aku menguruskannya sendiri. Biasalah budak kecil antibodi agak lemah, lintasan dalam hatiku. Aku berpegang teguh semangat dan tabahnya mummy dalam mendidik dan membesarkan aku tanpa bantuan abah.


60 Aku sentiasa sabar dengan ujian Allah, sehingga tidak kelihatan tanda bendera merah dalam alam perkahwinanku. Mungkin aku sebenarnya trauma dan risau akan sejarah mummy berulang dalam kisah hidupku. Aku sentiasa berfikir dugaan berumah tangga untuk lima tahun pertama tetap ada seperti yang aku dan suamiku sedang lalui. Isu kewangan, komunikasi dan untuk memahami di antara satu sama lain serta pelbagai isu lagi. Menurut bacaanku, itu semua adalah biasa bagi hubungan suami isteri jarak jauh dan pada awal perkahwinan. Tanpa ada angin berlalu, tiba-tiba, suamiku menulis dalam mesej di aplikasi whatsapp setelah tiga bulan tidak pulang ke rumah atas alasan menjalankan tugas. “Abang perlukan masa untuk hidup sendiri, tanpa Aleesya dalam hidup Abang. Segala yang berlaku dalam hidup Abang adalah kerana terpaksa!”tulisnya. Terpaksa? Apa maksud terpaksa? Perkenalan sejak semester pertama di universiti. Bertunang atas permintaan keluarga dia setelah melihat tingkah laku aku sepanjang tempoh berkawan. Ikatan pertunangan untuk tempoh dua tahun juga diminta oleh keluarga dia bagi persediaan dan persiapan. Manakala sepanjang tempoh perkahwinan, aku tidak pernah meninggikan suara jika berlaku sebarang salah faham. Aku hanya menangis apabila suamiku memulakan bicara dengan perkataan yang kurang enak didengar. Sepanjang Zulaikha dibesarkan, semuanya atas bahuku. Semua kepayahan dalam berumah tangga, masih aku rahsiakan daripada mummy dan daddy. Apatah lagi kepada keluarga mertua. Aku mula rasa sesuatu yang tidak kena pada perhubungan aku dengan Megat. Aku hanya memaklumkan kepada ibu bapa mertua dan meminta bantuan ibu bapa mertuaku untuk menasihati Megat agar bertanggungjawab kepada aku dan Zulaikha. Namun suamiku juga tidak pulang ke rumah ibu bapanya. Mereka hanya menasihati dia melalui panggilan telefon dan mesej. Alasan dia masih sama. Kerja.


Bangkit Dan Berlari 61 Aku pun pelik. Kenapa majikan Megat membuat arahan dan tuntutan kerja sehingga Megat mengabaikan Zulaikha dan aku? Ibu bapa Megat juga menasihatiku untuk terus bersabar dan mencari masa yang sesuai agar membuat perbincangan secara bersemuka. Aku membuat pembacaan di laman sesawang tentang ilmu berumah tangga dan meluahkan cerita sikap dan layanan Megat kepada rakan baikku sepejabat, Kak Zuraifah dan Dr Jamaliah yang merupakan seorang kaunselor. Dr Jamaliah juga memberikan khidmat nasihat di tempat kerja. Berkotak-kotak tisu habis setiap kali aku bertemu Dr Jamaliah. Manakala, Kak Zuraifah mencadangkan aku untuk mengadu kes ini kepada pihak berkuasa, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID). Bulan seterusnya, pihak PAID memanggil aku dan suamiku untuk menghadiri sesi runding cara. Megat hadir dengan lagak angkuh. Tiada sedikit pandangan atau rasa cinta pada aku. Dalam sesi tersebut sekali lagi, suamiku menyatakan semua yang berlaku adalah terpaksa. Terpaksa nikah dengan aku. Menitis air mata aku mendengar perkataan yang diulang-ulangnya. Apakah pengorbananku selama ini sia-sia? Tiada nilai? Aku buat segalagalanya demi amanah sebagai seorang isteri dan ibu. Panel kaunseling meminta Megat dan aku cuba cari masa untuk duduk sebumbung dan mengamalkan solat jemaah serta saling memaafkan di antara satu sama lain. Cadangan tinggal cadangan sahaja. Dia tidak pulang ke rumah. Setelah 10 bulan Megat tidak balik ke rumah dan dia tidak menjawab panggilan serta mengabaikan mesej aku melalui aplikasi WhatsApp, aku mula membuka mulut. Aku ceritakan kepada mummy dan daddy. Mereka terdiam dan terkejut. Daddy membalas dengan nada yang hiba dan berat. “Kita pihak perempuan Aleesya. Pada daddy, Megat telah membuat keputusan untuk kehidupan dia. Aleesya perlu buat keputusan untuk diri sendiri dan Zulaikha. Aleesya lepaskanlah dia.


62 Dia sudah tidak lagi mahu bertanggungjawab ke atas Aleesya.” Ujar daddy. Mummy hanya diam membungkam. Kata-kata daddy membuatkan aku rebah. Rasa dihempap segunung beban di bahu. Itu pandangan pertama daripada seorang lelaki yang aku yakini. Daddy pasti lebih memahami tindakan dan tindak tanduk insan bernama lelaki. Aku terus berfikir apa lagi keputusan terbaik untuk diri aku dan Zulaikha. Ujian yang pernah dilalui oleh mummy turut perlu aku rasai. Siapa sangka. Aleesya hanya mulakan bicara melalui aplikasi whatsapp ‘Jika Megat pilih untuk hidup sendiri, kita proceed ke arah itu’. Dengan segera Megat membalas kembali. ‘Baik, awak tolong uruskan pengisian borang Penceraian Secara Persetujuan Bersama dan kita jumpa di Mahkamah Syariah nanti’. Semudah itu. Aku tergamam dan hiba. Maka jelaslah, maksud mesej tujuh bulan lepas ialah Megat mahukan perceraian. Aku langsung tidak memahami isi tersurat dalam mesej tersebut. Aku mengambil masa yang lama untuk memahami. Apabila diajak berbincang dan bertemu empat mata, Megat tidak memberi sebarang respons dan mengelak untuk mengangkat panggilan telefon. Malahan Megat menyatakan sejujurnya 10 bulan itu, Megat memang berniat menggantung aku tidak bertali. Jatuh berkecai jantung aku membaca balasan mesej Megat. Adakah Megat tidak nampak semua pengorbanan aku dalam perkahwinan selama empat tahun ini? Aku tidak pernah menyusahkan Megat. Semua soal kewangan, tempat tinggal, kenderaan malah belanja makan minum untuk diriku dan Zulaikha tidak pernah menjadi masalah bagi aku. Di sinilah sebenarnya salah aku, aku kurang ilmu tentang nafkah seorang suami kepada seorang isteri daripada sudut agama. Niat aku hanya mahu meringankan beban Megat namun terlupa


Bangkit Dan Berlari 63 tuntutan sebagai seorang isteri untuk mengingatkan dan menasihati Megat tentang tanggungjawabnya. Isunya ialah keberadaaan Megat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa. Tingkah laku Megat berubah sejak aku positif mengandungkan Zulaikha. Aku hanya berfikir itu mungkin perubahan diri Megat kerana pembawakan budak. Tiada sedikit usaha daripada Megat untuk pilih jalan berdamai dan menjelaskan apa yang perlu aku lakukan untuk memperbaiki perhubungan kami berdua. Tibalah hari perbicaraan di mahkamah. Daddy menemaniku. Aku berpakaian serba hitam melangkah masuk ke dewan. Perbicaraan selesai dengan mudah. Menggigil kaki aku keluar melangkah daripada mahkamah. Daddy hanya memegang erat tanganku dan membisu. Fikiranku melayang dan meletakkan seribu kesalahan pada diriku. Mudahnya Megat melafazkan talak kepadaku. Lagak angkuhnya, berjalan berlalu pergi setelah dibenarkan untuk beredar daripada dewan perbicaraan. Malah Megat memuat naik status di aplikasi whatsapp dengan bangga dia telah melepaskan aku sebagai isteri. Bak kata pepatah, habis madu sepah dibuang. Megat telah menghulurkan sampul surat putih yang berisi wang sebagai bayaran mutaah semasa di kaunter pendaftaran nikah/ cerai & rujuk PAID. RM500. Ketika itu, ikutkan hati aku mahu menjerit sekuat hati untuk melepaskan kemarahan. Namun air mata sahaja yang jatuh ke pipi. Selesai pendaftaran penceraian. Pada malam itu, aku tidur bertemankan air mata sambil memeluk erat Zulaikha. Aku masih dalam lembah menyalahkan diri sendiri. Aku muntah berkali-kali. Aku merasakan diriku seorang perempuan bodoh. Adakah aku bodoh dan buta…? Ya…aku buta mencintai dan setia kepada insan yang tidak menghargai diriku dan Zulaikha. Aku terus mencari jawapan daripada Allah. Perkara yang tidak disangka berlaku dalam hidup. Adakah sesiapa yang menikah


64 tetapi berniat atau impikan untuk diceraikan di kemudian hari? Aku mengenali Megat sejak 10 tahun dahulu. “Segala yang berlaku dalam hidup adalah kerana terpaksa!” Ungkapan kata-kata ini daripada Megat berulang-ulang berlegar dalam kotak mindaku. Selain itu, Megat juga mengatakan pada sesi runding cara yang lalu “Saya nikahi dia ini hanya atas dasar kasihan. Saya kasihan dia sebab masalah perceraian ibu bapa dia”. Semua bait-bait yang tidak sedap didengar ini terngiangngiang dalam gegendang telingaku pada malam itu. Dengan nada sebak yang mendalam ketika runding cara itu aku berkata, “Saya tidak minta Abang kasihani saya dengan kisah silam ibu bapa saya. Itu kisah mereka, bukan kisah kita.” Ujarku kepada Megat. Aku mengumpul kekuatan untuk bangkit daripada terus menyalahkan diri sendiri dan berdamai dengan apa yang ditakdirNya. Mummy pun tidak banyak berbicara sebab hatinya juga luluh kerana puteri kesayangannya perlu melalui episod duka yang sama yang pernah dia lalui. Nampak sama, namun rasa yang berbeza. Zulaikha semakin matang dan seolah-olah memahami apa yang dilalui uminya. Setiap kali aku menangis di tikar sejadah Zulaikha memeluk dan ucapkan “Umi, Ika ada. Jangan la nangis. Allah ada dengan kita, Umi”. Bukan mudah untuk bangkit semula, demi Zulaikha, aku cuba bangkit dan mengumpul kekuatan dalam diri. Aku berharap masa akan mengubati luka dalam hati ini. Aku mula memperbanyakkan lagi pembacaan dan melayari laman sesawang yang membantu aku untuk menaikkan semula semangat dan motivasi diri yang hilang dibawa linangan air mata. Antara pemilik akaun Instagram yang membantu aku ialah penulisan daripada Hafizul Faiz, tentang melepaskan. Penulis ini diperkenalkan oleh Syahirah kepadaku. Megat adalah watak yang memberikan impak besar dalam hidup aku.


Bangkit Dan Berlari 65 Ujian Allah itu untuk kita sedar. Dia merindui kita. Aku mendekatkan diri kepada-Nya. Aku sujud mencari jawapan, serta terus berzikir. Senyuman semakin terukir di bibirku. Air mukaku tidak lagi kusam dengan air mata. Allah juga hadirkan insan-insan yang dapat membantu aku untuk memulihkan perasaan dan luka batinku. Aku juga selalu berkunjung ke beberapa buah masjid untuk mencari ketenangan yang hilang. Aku membawa diri dan Zulaikha ke pusat peranginan sekitar Malaysia. Aku kembali menjalani hobi seperti mengunjungi kafe hipster bersama Diyana dan Nadhirah. Kembali melakukan aktiviti memasak pelbagai jenis makanan, membuat kek resipi daripada Suhazree dan mendaki bukit serta gunung bersama rakan-rakan iaitu Encik Malik, Syahirah, Dinie, Kak Jun dan Kak Shikin. Kemurunganku berakhir dan berlalu pergi. Namun kisah silam bersama Megat tidak pernah luput daripada ingatanku. Aku berdoa kepada Ilahi agar sejarah ini berakhir hanya dalam episod hidup aku dan tidak akan dilalui oleh Zulaikha kelak. Hari demi hari, bulan demi bulan berlalu, jawapan daripada Allah bukan jawapan kepada soalan yang berlegar dalam minda aku. Jawapan daripada Allah ialah sebuah ketenangan dalam menjalani kehidupan selepas badai. Alhamdulillah. Itulah ungkapan yang sering membasahi bibir aku. Aku sentiasa reda dan bersyukur dalam setiap ujian dan rezeki Maha Pencipta buatku. Kerana setiap rintih hujan dan awan gelap yang ditakdirkan hadir dalam hidup, pasti Allah akan kirimkan pelangi indah buat hamba-Nya yang sabar dan reda. Orang yang tenang akan menang. Allah Maha Baik kepada semua hamba-Nya. Hidup adalah medan ujian untuk menaikkan darjat seseorang hamba-Nya, justeru aku akan terus bangkit dan berlari dengan yakin dan pasti Allah sentiasa bersamaku.


66 Diwajibkan ke atas kamu berperang (untuk menentang penceroboh) sedangkan berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. (Dan ingatlah) Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. Surah al-Baqarah ayat 216. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesunguhnya Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang sedemikian) Allah pasti mengetahui orang yang beriman dan juga mengetahui orang yang berdusta. Surah al-‘Ankabut ayat 2-3. Mahkamah Rendah Syariah Puteri Kesayangan scan untuk gambar


Bangkit Dan Berlari 67 Transnasional? Sebuah syarikat bas ekspres yang dikenali di Malaysia. Jam 5.00 pagi? Itu waktu bas bertolak dari Melaka ke Kuala Lumpur setiap hari, Isnin hingga Jumaat dan saya menjadi penumpangnya yang setia untuk tempoh lebih 10 tahun. Sebenarnya, tempoh lebih 10 tahun ini merupakan tempoh saya berulang kerja dari rumah di Melaka ke pejabat di Kuala Lumpur. Sebelumnya, saya adalah tenaga pengajar di salah sebuah Institusi Pendidikan MARA. Selepas 10 tahun bekerja sebagai guru, saya ditawarkan untuk menyertai bahagian di Ibu Pejabat MARA. Selepas perbincangan dengan keluarga terutama suami, maka pilihan paling munasabah adalah untuk saya berulang kerja. Kaedah ini juga dicadangkan oleh seorang senior dalam perkhidmatan yang pernah berulang kerja dari Melaka ke Kuala Lumpur. Jam 5.00 pagi merupakan perjalanan yang membolehkan saya masuk bekerja pada jam 7.30 pagi, supaya saya boleh pulang kerja pada jam 4.30 petang. Perjalanan dua hala sejauh 280km ini mengambil masa empat jam minimum bergantung kepada keadaan lalu lintas Kuala Lumpur dan lebuhraya. Bahasa mudahnya, saya keluar bekerja sebelum matahari terbit dan tiba di rumah selepas matahari terbenam. Transnasional Pagi Samsiah Kandar 5


68 Rutin tipikal hari bekerja, saya bangun pada jam 3.50 pagi untuk bersiap; keluar rumah pada jam 4.30 pagi ke stesen bas untuk perjalanan bas jam 5.00 pagi ke Kuala Lumpur. Bas Transnasional jam 5.00 pagi ini akan menurunkan penumpang di Central Market dan dari sini saya akan menaiki bas Metro ke pejabat. Untuk perjalanan pulang ke Melaka pula, saya akan keluar pejabat jam 4.30 petang, berkejar ke Hentian Bandaraya berdekatan Sogo dan menaiki tren LRT Star ke Puduraya, kemudian ke Stadium Bukit Jalil (ketika Puduraya dibangunkan semula) dan akhirnya ke Terminal Bersepadu TBS apabila ia siap dibangunkan. Semasa di Puduraya sangat mudah kerana tempoh berjalan kaki hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit. Stadium Bukit Jalil paling mencabar kerana perlu melintas jalan yang sibuk dan kaunter tiket yang jauh daripada bas yang akan dinaiki. TBS pula memerlukan saya berjalan laju dengan menaiki tangga berliku dan tinggi dalam masa 30 minit untuk membolehkan saya menaiki bas jam 5.30 petang ke Melaka. Adalah bonus dengan perasaan seperti menang loteri jika dapat menaiki bas jam 5.15 petang kerana saya akan dapat tiba di rumah sebelum jam 7.30 malam. Saya juga memasak makan malam dan biasanya saya masak hidangan ringkas one-pot dish sahaja. Setiap malam saya akan tidur pada jam 11.00 malam paling lewat supaya dapat bangun awal. Rutin ini lama kelamaan menyebabkan saya tidak dapat mengelak daripada rasa penat dan jemu. Penat kerana jauh dan jemu kerana saya terpaksa bazirkan empat jam sehari di dalam bas tanpa dapat berbuat apa-apa walaupun membaca, kerana saya tidak boleh membaca di dalam kenderaan. Keadaan menjadi semakin sukar apabila saya mendapat tawaran menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas beberapa bulan memulakan kerja di Kuala Lumpur. Bagi memudahkan urusan menghadiri kelas pada petang Jumaat dan kembali ke Melaka selepas kelas, saya akan memandu dari Melaka. Saya bertolak seawal 4.30 pagi pada hari Jumaat kerana saya memandu seorang diri. Pada awal pagi begini kenderaan tidak


Bangkit Dan Berlari 69 banyak di lebuhraya dan saya dapat mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu pagi di Kuala Lumpur. Sesi kelas saya pula ialah dari jam 3.00 hingga 6.00 petang dan 7.30 hingga 10.30 malam. Selesai kelas, saya akan memandu pulang ke Melaka. Esok awal pagi saya akan memandu semula ke Bangi untuk kelas pada jam 8.30 hingga 11.30 pagi dan pulang semula ke Melaka selepas itu. Sebenarnya, ketika arahan pertukaran dikeluarkan pada pertengahan April itu, kesihatan saya tidak memuaskan. Saya tidak tahan sejuk, pernafasan saya wheezing apabila berada lama dalam bilik berhawa dingin (masih tidak sembuh sepenuhnya selepas tiga bulan mengambil antibiotik). Saya juga ada mengalami sakit dada atau angina pain selepas angiogram yang dijalankan tidak menemukan sebarang sumbatan pada jantung saya. Ada ketikanya saya mengalami sakit dada yang agak kuat; maka saya akan mengambil ubat tahan sakit. Walaupun begitu, saya masih perlu berhati-hati dengan ubat tahan sakit kerana saya juga menghidap migrain tegar yang memerlukan pengambilan ubat ini. Saya sangat menyedari bahawa ubat tahan sakit bukanlah penawarnya; ia hanya berfungsi sebagai pengurang kesakitan tetapi punca sakit masih tidak hilang. Perkara di atas inilah yang perlu saya hadapi apabila saya memilih untuk bekerja di Kuala Lumpur dan menyambung pengajian. Saya tidak dapat kembali bekerja di Melaka kerana tiada kekosongan jawatan. Sebenarnya, saya juga tidak membayangkan untuk berpatah balik mengajar semula semasa menerima tawaran ke ibu pejabat. Menyambung pengajian pula merupakan impian peribadi saya sejak bergelar pelajar lagi, rezeki yang sangat dialu-alukan sementelah saya telah bertahun-tahun menunggunya. Dalam kepenatan memandu berulang-alik dari Melaka-Kuala LumpurBangi-Melaka-Bangi-Melaka, kelas sarjana itu merupakan saat yang dinantikan pada setiap minggu. Kepuasan belajar dan bergaul dengan rakan sekuliah sangat mengujakan sehingga hilang semua kepenatan sepanjang minggu itu. Selepas dua tahun mengharungi keadaan begini, saya menjadi letih fizikal, emosi dan mental. “Kegilaan apakah yang sedang aku


70 lakukan ni? Saya bertanya kepada diri sendiri ketika bas Transnasional dua tingkat perjalanan 5.00 pagi itu membelok masuk ke Jalan Istana Lama. Saya menghabiskan minimum 25 jam di atas jalan raya setiap minggu! Waktu-waktu begini sebenarnya waktu monolog dengan diri sendiri selepas berhenti solat subuh di Hentian Sebelah Sungai Besi Utara. Rasa hendak menangis tetapi menangis tidak dapat menyelesaikan masalah saya. Dalam membuat pertimbangan untuk langkah seterusnya, saya tidak menemui penyelesaian. Secara jujurnya, sebagai pekerja, apabila dibandingkan dengan pengalaman sebelum ini, bekerja di Kuala Lumpur inilah termasuk dalam kategori pekerjaan impian kerana ketuanya yang berpengalaman luas, rakan sekerja yang saling membantu dan persekitaran kerja yang kondusif dan menyeronokkan. Saya tidak akan berhenti pengajian kerana kesusahan saya bukanlah kesusahan berkaitan akademik. Pada saat ini, tetaplah keterujaan belajar itu yang memujuk rasa. Selain mendapat ilmu baharu, saya juga dapat membina hubungan dengan rakan-rakan sekuliah yang bekerja dalam pelbagai organisasi dan juga ahli akademik universiti. Semua ini sebenarnya sangat memudahkan kerjaya saya di ibu pejabat. Apabila gagal mendapatkan penyelesaian, saya terus memujuk diri melalui monolog dengan diri sendiri. Betul, perjalanan ke tempat kerja melelahkan tetapi saya akan sampai ke tempat kerja yang menawarkan pengalaman baharu; bekerja bersama-sama rakan setugas yang sangat membantu, komited dan tekun bekerja dalam suasana ceria dan harmonis dengan tunjuk ajar ketua yang berpengalaman dan tidak lokek ilmu. Lama kelamaan, saya menjadi seronok untuk melalui perjalanan 280km dua hala ini apabila saya memilih untuk menjadi ceria dan positif serta berlapang dada. Saya dapati banyak perkara menjadi lebih mudah dan saya menjadi lebih senang untuk berkawan walaupun asalnya saya seorang yang agak pendiam. Sifat berlapang dada dan memilih menjadi positif ini juga membantu saya memperbaiki hubungan dengan suami. Dek


Bangkit Dan Berlari 71 kesibukan belajar dalam keadaan berulang alik, saya sejujurnya tidak mempunyai masa yang panjang dengan anak-anak dan suami. Untuk anak-anak, hari Ahad adalah hari untuk kami menghabiskan masa bersama-sama; untuk suami waktu beliau menghantar saya ke terminal bas pada waktu pagi dan mengambil saya pada waktu petang merupakan waktu kami berdua. Saya mesti menghargai masa pendek yang saya ada kerana keluarga kecil saya masih memerlukan perhatian dan kasih sayang saya. Alhamdulillah, walaupun penat sehingga terasa boleh luruh tulang belulang, saya masih boleh tersenyum apabila menyalami tangan suami. Sebagai tanda usaha bersama, suami pula akan tetap menelefon pada waktu tengah hari walaupun dia sedang sibuk. Selepas dua tahun ini jugalah saya menyedari bahawa akan ada ketikanya perjalanan saya akan mengambil masa lebih lama disebabkan perkara yang bukan dalam kawalan saya seperti kemalangan di lebuh raya ataupun kelewatan bas kerana kesesakan lalu lintas. Dalam tempoh setahun, biasanya ada beberapa kali insiden ini terjadi. Antara kejadian kelewatan perjalanan yang pernah terjadi adalah kemalangan maut selepas R&R Ayer Keroh Utara, kejadian banjir kilat di Kajang dan juga kemalangan maut di kawasan Rembau. Dalam kejadian pertama, bas 5.00 pagi hanya dapat bergerak meneruskan perjalanan dalam jam 8.00 pagi dan saya tiba di pejabat kira-kira jam 10.00 pagi. Dalam kejadian kedua, bas 5.30 petang itu terpaksa berpatah balik dan masuk susur Kajang dan melalui jalan ‘dalam’ untuk keluar melalui Putrajaya; serta berhenti rehat di R&R Nilai Selatan dan tiba di Tol Ayer Keroh kira-kira jam 12.00 tengah malam. Perjalanan mengambil masa yang lebih lama kerana pemandu tidak arif dengan jalan ‘dalam’ Kajang dan sebenarnya dia terpaksa mengikut arahan serta tunjuk ajar rakan sekerja yang memandu bas lain melalui telefon bimbit. Aplikasi Waze belum wujud lagi pada waktu ini. Dalam kejadian ketiga dan paling extreme, bas jam 5.30 petang itu tersekat sebelum R&R Senawang dan hanya bergerak


72 semula pada jam 11.00 malam kerana berlaku kemalangan maut yang melibatkan beberapa jenis kenderaan. Laluan kontra tidak dibuka dan berlaku kesesakan teruk di semua hentian dan bas jam 5.30 petang itu terpaksa pula memasuki R&R Senawang kerana terdapat penumpang yang telah turun dan berjalan kaki ke hentian tersebut. Pada malam itu, saya tiba di Tol Ayer Keroh kira-kira jam 1.00 pagi. Mujurnya, jam 1.00 pagi hari Sabtu. (Peristiwa ini berlaku lama selepas saya tamat pengajian sarjana). Apabila secara emosinya saya dapat menerima hakikat kelewatan beberapa kali dalam setahun ini, saya menjadi lebih tenang dan dapat berlapang dada; selalu saya pujuk diri bahawa tidak semua orang dapat mengalami perkara sebegini. Saya boleh bersyukur kerana Allah telah memberi saya peluang ini. Maka perjalanan saya tidak menjadi bebanan yang menyesakkan dan memenatkan. Beruntungnya saya kerana dalam keadaan belajar separuh masa, bekerja berulang setiap hari sejauh 280km dan keadaan kesihatan yang tidak memuaskan ini saya dihadiahkan senaskah buku Manzil bersaiz kecil oleh seorang rakan. Sebenarnya, beliau melawat saya di pejabat selepas membeli sejumlah buku tersebut yang dipesan oleh rakannya. Apabila membaca terjemahan ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalamnya, termasuk 6 ayat-ayat Syifa’, ayat-ayat Munjiyat dan doa Abu Darda’, saya merasa terpujuk. Saya membaca ayat Manzil ini bersama terjemahan setiap ayatnya supaya saya memahami maksudnya. Saya sudah beberapa kali dimasukkan ke wad untuk menjalani beberapa ujian perubatan tetapi keputusannya tetap negatif. Bagaimanapun saya tetap merasa kesakitannya. Apabila mengamalkan membaca Manzil ini, ada ayat Syifa’ yang sangat pendek; Asy-Syu'ara' iaitu “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan penyakitku”. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang Maha Baik, lama kelamaan sakit dada itu semakin jarang berlaku seolah-olah perubahan sikap berlapang dada, positif, dan ceria itu memberi kesan kepada tahap kesihatan saya.


Bangkit Dan Berlari 73 Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan menurunkan bersamanya penawar.” (Riwayat Al-Bukhari 5678). Daripada pengalaman saya menjadi penumpang setia Bas Transnasional 5 pagi selama 10 tahun itu, dapatlah saya katakan kesediaan emosi dan mental adalah perkara utama yang membolehkan saya bertahan dengan kepayahan yang saya lalui itu. Segala kepayahan itu telah terbayar apabila saya berjaya hadir majlis konvokesyen pengajian sarjana saya. Ini merupakan antara detik bahagia dengan kehadiran ibu, suami dan keluarga tersayang. Belajarlah dengan sentiasa mencari sesuatu yang positif dalam setiap yang kita alami kerana banyak nikmat Allah yang kita terlepas pandang dan tidak hargai hanya kerana kita terlalu fokus terhadap kemahuan sendiri, sedangkan Allah yang lebih mengetahui masa hadapan kita. Bersangka baiklah terhadap Allah. Bersama keluarga di Konvokesyen UKM Nabi SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku.” (Riwayat al-Bukhari, no. 7405 dan Muslim, no. 2675). Diwajibkan ke atas kamu berperang (untuk menentang penceroboh) sedangkan berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. (Dan ingatlah) Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. Surah al-Baqarah ayat 216. scan untuk gambar


74 Bodoh…itu yang selalu aku rasa setiap kali dibandingkan dengan adik-beradik aku. Sebagai anak nombor dua, aku sering dibandingkan dengan abang sulung dan adik bawah aku. Entah kenapa seperti satu pertandingan siapa lebih pandai dan ini berlaku apabila bersama dengan kaum keluarga saudara sebelah ibu. Setiap kali keluarga berkumpul di kampung soalan seperti “UPSR berapa A?”, “SRP berapa A?”, “SPM berapa A?” adalah soalan provokasi yang membuatkan aku rasa bodoh sekali… Bukanlah bodoh aku itu tidak punya satu ‘A’ pun…ada, cuma tidak sebanyak abang dan adik bawah aku. ‘A’ mereka untuk setiap mata pelajaran, ‘A’ aku hanya mata pelajaran tertentu. Maka mereka belajar di sekolah berasrama penuh (SBP) dan aku hanya sekolah menengah harian. Cukup untuk membezakan ‘darjat’ kepandaian kami adik-beradik di mata keluarga sebelah ibu. Dan bodoh aku ini juga diiktiraf cikgu di sekolah. “Dare you ah…” sampai sekarang terngiang-ngiang dan terbayang wajah cikgu subjek Prinsip Akaun berbangsa Cina, sewaktu aku menjawab soalannya hendak sambung belajar bidang apa selepas SPM. Aku pada mulanya rasa gembira apabila dia menyapa tetapi jawapanku yang aku akan sambung belajar dalam bidang perakaunan (diploma) dibalas sebegitu buat aku merasa sedih. Ya...dia tidak salah jika dia terkejut mendengar jawapanku. Jika aku seorang cikgu, pasti aku juga akan merasa begitu. Seorang pelajar dengan keputusan SPM subjek Prinsip Akaun P7 (lulus sahaja) berani sambung bidang perakaunan? Adakah dia serius? Pasti aku akan jadi seperti dia, terkejut, pasti. Aku Ada Dia Liza Zainal


Bangkit Dan Berlari 75 Namun itu bukan melemahkan semangat aku untuk belajar. Hakikatnya memang aku tidak pilih bidang ini sebagai pilihan utama semasa mengisi borang UPU (permohonan kemasukan ke universiti). Ia pilihan terakhir. Aku minat bidang ini, cuma kerana keputusan SPM, membuatkan aku kurang yakin. Dan Allah takdirkan aku masuk ITM (kini dikenali sebagai UiTM) untuk sambung bidang Diploma Perakaunan. Dan Allah uji aku lagi. Dalam minggu pertama pengajian, aku dapat berita yang aku diterima masuk ke matrikulasi ekonomi di UUM. Aku berada dalam dilema. Kalau ikut keputusan subjek ekonomi SPM. memang aku cemerlang dengan A1 tetapi aku tibatiba merasa terbeban apabila belajar semakin tinggi. Yuran matrikulasi UUM empat angka berbanding tiga angka di ITM. Aku telefon ibu meminta pandangannya. Ibu hanya beri jawapan untuk aku pilih apa yang terbaik untuk aku, makanya dilema aku belum terungkai. Lalu Allah gerakkan hati aku untuk bertanya dengan Koordinator Program Diploma Perakaunan. Ternyata tindakan aku berjumpa dia adalah tepat. Dia memberi perbandingan, pasaran kerja dan tangga gaji lepasan ekonomi dan perakaunan, ternyata bidang perakaunan mempunyai prospek yang lebih tinggi. Dan aku dengan yakin meneruskan pengajian di ITM. Pencapaian aku agak bagus ketika aku di peringkat diploma. Pada ketika ini perasaan ‘bodoh’ itu sudah hilang. Aku mula yakin yang aku boleh berjaya dalam bidang ini. Walaupun aku bukan budak paling cemerlang tetapi sudah beberapa kali aku dapat mencapai keputusan terbaik dalam subjek-subjek tertentu. Dan pada ketika ini juga, aku banyak fokus untuk baiki diri, mengenali diri sebagai hamba-Nya. Aku kukuhkan ilmu, iman dan amal bersama-sama dalam persatuan Jemaah Pengajian Islam. Dan aku dapat rasakan, semakin aku mendekatkan diri kepada Allah, semakin mudah untuk aku belajar. Walaupun kadang-kadang bertembung program persatuan dengan kuiz subjek-subjek akaun, aku masih dapat keputusan yang cemerlang, bahkan pernah dapat


76 terbaik dalam batch aku. Semakin aku yakin bahawa Allah telah atur dan rancang perjalanan hidup yang terbaik untuk aku di situ. Setelah tamat pengajian diploma, aku menyambung pengajian ijazah dalam bidang yang sama di UiTM. Namun pada ketika ini aku diuji sekali lagi, bahkan ujian paling berat untuk aku hadapi sebagai seorang anak, kakak dan pelajar. Ibu bapa aku berpisah ketika aku masih dalam semester pertama pengajian ijazah di UiTM, Shah Alam. Pada saat ini aku baru mula hendak sesuaikan diri di universiti yang besar di sebuah bandar yang besar dengan kos sara hidup yang tinggi. Jarak tempat pengajian pun lebih jauh. Ketika pengajian diploma, aku hanya perlu berulang-alik dari Ipoh ke Manjung. Bagaimanapun ketika pengajian ijazah, aku terpaksa transit dari Shah Alam – KL – Ipoh. Jadi bayangkan, pada saat ibu bapa berpisah aku terpaksa berulang-alik setiap minggu untuk memberi sokongan pada ibu dan adik-adik yang masih kecil. Bahkan aku pernah membawa mereka ke Shah Alam tatkala ibu dalam depresi yang teruk pasca perpisahan. Selama dua semester aku begini, sehinggakan aku sendiri jatuh sakit kerana depresi. Kesannya keputusan pengajian aku selama dua semester ini sangat teruk. Aku hanya fokus untuk lulus dan dapat ke semester seterusnya. Setelah ibu aku kembali tenang, baharulah aku dapat fokus betul-betul untuk mencapai keputusan yang lebih baik. Namun aku memang tidak dapat baiki CGPA selama dua semester dan ia memberi kesan kepada keputusan pengajian ijazah keseluruhannya. Aku mampu capai CGPA 2.89, kelas kedua bawah. Sedih, aku rasa harapan untuk menjadi pensyarah di IPT semakin tipis. Kelayakannya adalah sekurang-kurangnya kelas kedua atas (second class upper). Namun, aku pasrah. Bagaimanapun sekali lagi Allah tunjukkan pada aku yang Dia adalah Maha Pemberi rezeki. Selepas berkahwin selama tiga tahun, aku dipelawa oleh rakan sepengajian di ITM untuk mohon jawatan kontrak sebagai Tenaga Pengajar Bahasa Inggeris di Institut


Bangkit Dan Berlari 77 Kemahiran MARA Lumut. Aku tidak boleh lupa kata-katanya yang dia teringat kemahiran aku berbahasa Inggeris semasa kami berdebat berkenaan peranannya dan rakan-rakan siswa yang sangat pasif dalam memimpin persatuan. Kerana itu dia terfikir untuk mempelawa aku memohon jawatan sebagai pengajar Bahasa Inggeris. Aneh tetapi benar, ibarat mendapat pengiktirafan daripada musuh. Dan kerana itu, aku kekal bersama dengan MARA selama hampir 20 tahun. Daripada seorang pengajar Bahasa Inggeris kontrak, kepada pengajar tetap Keusahawanan sehinggalah akhirnya aku mendapat peluang menjadi pensyarah perakaunan yang kini sudah menjangkau 13 tahun. Ya, daripada seorang pelajar yang berkelulusan P7 subjek prinsip akaun SPM, mendapat ijazah perakaunan kelas kedua bawah, akhirnya aku faham bahawa Allah beri aku pengajaran yang sangat bermakna. Rezeki aku atau sesiapa pun hamba-Nya bukanlah bergantung kepada sijil semata-mata. Kalau Dia sudah tentukan itu rezeki kita, tiada siapa yang boleh halang hatta dengan syarat-syarat atau kelayakan yang ditulis dalam polisi sekalipun. Aku yakin semua rezeki yang Dia mudahkan itu kerana aku benar-benar berserah kepada-Nya. Walaupun pada saat aku merasa sedih kerana terasa bodoh atau pada saat aku diperlekehkan dengan keputusan yang teruk atau kerana tidak cukup syarat untuk menjadi pensyarah, aku tetap berserah pada-Nya. Aku bukan sahaja diuji dengan kepayahan belajar dengan beban menjaga adik-adik yang masih kecil di rumah tetapi aku juga terpaksa menghadapi cemuhan saudara mara. Bahkan, apa yang lebih teruk ibu bapa pula berantakan sejak aku kecil hingga aku dewasa. Kerana itu juga ibu aku jatuh sakit dan aku menghabiskan cuti semester menjaga ibu di hospital. Dan apabila ibu bapa berpisah, aku menjalankan tanggungjawab yang lebih berat iaitu membantu ibu uruskan keperluan keluarga. Pada awalnya aku rasa setiap ujian itu amat berat. Tipulah kalau aku kata tidak pernah menangis. Bahkan aku jadi sakit kerananya.


78 Namun aku menangis dengan mengadu sepuas-puasnya pada Dia. Aku adukan kepayahan aku, kesakitan jiwa dan raga, mental dan emosi. Dan setelah aku reda, Allah tambah rezeki aku daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Bahkan Allah beri aku peluang lebih banyak. Paling tidak kusangka apabila akhirnya aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat falsafah kedoktoran, yakni PhD. Berkali-kali aku ucap dan ulang rasa syukur kepada-Nya apabila aku kenang diri yang aku anggap pada suatu waktu dahulu seorang yang bodoh. Ya, akhirnya secara tidak dirancang aku teruskan pengajian ke peringkat falsafah kedoktoran dalam bidang Kewangan Islam dan Muamalat serta berjaya tamat pengajian dengan jaya. Allah telah beri aku satu pengajaran yang sangat besar. Setiap ujian Dia pasti akan menggantikannya dengan ganjaran yang lebih baik apabila kita terima ujian-Nya dengan tenang dan sabar. Setiap kesakitan akan diganti dengan kebahagiaan. Kita hanya perlu yakin dan reda serta mengharap pertolongannya. Itu adalah penawar paling baik terhadap kesakitan kerana ujian. Kita bukan sesiapa jika tidak kerana-Nya. Dengan bermuhasabah dan meminta keampunan-Nya, pasti Dia akan beri kita jalan keluar daripada segala masalah. Aku yakin benar itulah formulanya. Allah telah nyatakan melalui kalam-Nya dalam al-Quran, Rasulullah juga sudah sampaikan melalui hadisnya. Kita hanya perlu usaha, doa, sabar, yakin dan redha. InsyaAllah hidup pasti tenang selepas badai melanda. Bangkit dan terus berlari ke garisan penamat. Yakinlah kerana kita ada Dia. Bersama pelajar-pelajar semester 5 diploma perakauan di KPM Bandar Penawar pasca Covid


Bangkit Dan Berlari 79 Umrah Januari 2020 yang memberi kekuatan kepada diri untuk teruskan perjuangan sebagai ibu, pelajar dan hambaNya. Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku. Maka (jawablah) bahawasanya Aku (Allah) dekat (dengan mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman dengan-Ku, semoga mereka selalu berada dalam kebenaran. Surah al-Baqarah ayat 186. scan untuk gambar


80 Hikmah Kandungan Pertamaku Nur Syafiqah Saharuddin Sejak tadi terdengar gelak tawa anakku bergurau senda dan bermain kejar-kejar bersama abah mereka. Hujung minggu memang hari untuk mereka beriadah. Aku hanya melihat dari jauh sambil mendukung anak kelimaku yang masih kecil. Syukur wahai Sang Pencipta kerana memberi aku nikmat kebahagiaan ini. Terkadang bukan kebahagiaan yang mendatangkan syukur tetapi dengan bersyukurlah kita akan rasa bahagia. Sedang asyik anak-anakku berkejaran, tiba-tiba anak sulung aku terjatuh dan lututnya berdarah. Aku melihat suamiku cemas. Dia berlari mendapatkan anakku itu dan menenangkannya. Insiden itu mengembalikan ingatan aku pada kisah silam yang membuatkan aku hampir putus harapan dalam perkahwinan ini. Masih jelas di ingatan aku peristiwa tersebut. Aku dan suami berkenalan selama dua tahun sebelum kami mengambil keputusan untuk memasuki alam rumah tangga. Selepas dua bulan aku bernikah, aku hamil. Seperti pasangan lain kami berdua sangat gembira dan tidak sabar untuk menunggu kelahirannya. Siapa sangka pada usia kandungan sulungku memasuki tiga bulan, suamiku tiba-tiba berubah. Dia kurang bercakap dan banyak menghabiskan masa di dalam tandas. Aku cuba menepis segala kerisauanku yang mula bermain di dalam mindaku. Aku menyalahkan emosi mengandung yang menyebabkan aku semakin sensitif terhadap sebarang perubahan memandangkan morning sickness aku juga agak teruk. Keadaan semakin merisaukan apabila suamiku seolah-olah benci melihat aku. Dia selalu menghina sehingga aku tidak yakin lagi


Bangkit Dan Berlari 81 terhadap diri sendiri. Aku menjadi obsessive terhadap diri sendiri. “Rambut aku berbau ke?” Soalku kepada kakakku. Tanpa aku sedari perubahan diriku disedari oleh rakan terdekat dan ahli keluarga. Mereka mula mempersoalkan sikap aku yang terlalu obsessive dengan penampilan diriku. Aku cuba berlagak tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku dan menyalahkan emosi mengandungku. Pada suatu hari suamiku terlupa membawa telefon bimbitnya. Sudah menjadi kebiasaannya dia akan membawa telefon bimbitnya kemana-mana dia pergi atas alasan dia ingin menonton siaran bola sepak. Ting..ting..ting, berdesup-desup bunyi whatsapp masuk ke telefon bimbitnya. Perasaan ingin tahu yang aku pendam selama ini membuatkan aku mencapai dan membaca mesej tersebut. Hampir terlepas telefon bimbit di genggamanku apabila aku melihat nama Nadia dan membaca mesej kemesraan mereka. Menggeletar tangan aku menahan marah dan rasa sedih yang tidak terkata. “Siapa Nadia bang?” soal aku pada malam itu sambil menonton televisyen. Raut wajah suamiku terus berubah. Dia kelihatan marah kerana aku mencuri baca mesej di antara dia dan perempuan itu. “Siapa benarkan kau pegang telefon aku?” sedikit keras suaranya. Hampir gugur air mata ini kerana suamiku yang selama ini aku kenal sangat penyayang tiba-tiba berubah. “Siapa dia bang? Kenapa awak mesej mesra dengan dia?” “Apa hubungan awak dengan dia?”. “Berapa lama awak bercinta dengan perempuan tu?” soalku bertubi-tubi dalam nada kecewa. “Diam! Aku rimaslah dengan kau ni, sudahlah sentiasa busuk,” herdik suamiku. Berlakulah pergaduhan di antara kami suami isteri pada malam tersebut. Pergaduhan yang sangat besar sehingga hampir sahaja suamiku menjatuhkan talak. “Jangan sampai aku jatuhkan haish...” Prangg… tiba-tiba kedengaran bunyi pinggan kaca pecah yang dihempas ke lantai. Berderai air mataku melihat kelakuan suami yang seperti orang lain. Aku tidak kenal suamiku lagi.


82 Pada malam tersebut aku tidak boleh melelapkan mata. Sambil teresak-esak menangis, aku menelefon kakak sulungku untuk meluahkan segala isi hati yang terbuku selama ini. Sekali lagi, hati ini remuk dan hancur terinjak, dia yang kuharapkan kini jauh beranjak. Apa patut aku lakukan sekarang…? Ahli keluargaku menasihatiku agar memberitahu ahli keluarga sebelah suami bagi berbincang menyelesaikan masalah ini. Apatah lagi usia kandunganku sudah hampir memasuki fasa akhir dan bakal bersalin beberapa bulan lagi. Aku menelefon Kak Amy, kakak kepada suamiku dan menceritakan segala-galanya. Mujurlah keluarga suami sangat membantu sepanjang ujian ini menimpa kami. “Sudah Lai… jangan terlalu banyak fikir, bahaya untuk kandungan. Nanti Kak Amy jumpa perempuan tu,” nasihat kakak iparku. Rupa-rupanya perempuan itu kerani di tempat kerja suamiku. Kakak iparku bekerja di organisasi yang sama cuma berlainan jabatan. Kakak iparku berjumpa Nadia dan menasihatinya agar tidak mengganggu suamiku lagi. Selepas pertemuan tersebut, berlaku kejadian aneh apabila kakak iparku sering merasakan dirinya diperhatikan. Anak-anaknya kerap menangis pada waktu malam kerana kerap melihat wanita tua berwajah hodoh memandang mereka dengan mata yang tajam. Perkara itu semakin serius setiap kali kakak iparku pergi berjumpa Nadia sehinggalah kejadian kakak iparku mulai muntah darah. Hal itu membuatkan suami kakak iparku mula berfikir untuk membawa isterinya pergi mendapatkan rawatan perubatan Islam. “Abang bukan nak tuduh Nadia menghantar benda mistik tetapi kita cuba usaha dulu ya sayang,” pujuk Abang Fad. Kak Amy dan aku juga kurang percaya dengan hal-hal mistik ini namun kami akur dengan usaha Abang Fad. Daripada kejadian itu maka terbongkarlah segala misteri yang berlaku dalam perjalanan rumah tangga aku. Menurut ustaz tersebut, Nadia memang menggunakan ilmu hitam dan berniat untuk meruntuhkan rumah tangga kami. Kakak iparku turut menjadi mangsa kerana cuba menghalang niat dia.


Bangkit Dan Berlari 83 Allahuakbar, tidak terlintas dalam fikiranku ujian sebegini. Ustaz Ali berusaha semampu yang boleh untuk mengubati suamiku. Tidak mudah proses perubatan ini kerana Nadia sentiasa menghantar kembali ilmu hitamnya kepada suami. Dua bulan lebih kami mengambil masa untuk berubat berulang alik. Kami dari Kuala Lumpur ke Perak sepanjang tempoh tersebut. Perak ibarat rumah kedua kami, mujur suami mempunyai keluarga angkat di sana. Alhamdulilah atas izinNya, suami kembali pulih. Kandunganku juga semakin sarat dan bakal melahirkan cahaya mata yang pertama. Tidak disangka, aku berjaya menempuhi perjalanan ini dengan keadaan sedang sarat mengandung. Muhammad Ikhwan anak sulungku memang kuat sejak dari dalam perutku lagi kerana sepanjang mengandungkannya, aku selalu berada dalam situasi yang tertekan. Mujur tidak membawa kemudaratan kepada kandunganku. Kini Muhammad Ikhwan sudah berusia 11 tahun dan bakal memasuki alam dewasa. Dia memang anak yang sangat cerdik dan abang yang penyayang kepada empat orang adiknya. Sifat penyayang itu benar-benar mewarisi sifat abahnya. Suamiku memang seorang yang penyayang. Sepanjang melayari hidup berumah tangga ini, jarang sekali aku penat dalam urusan hal anak. Boleh dikatakan segala urusan anak dia yang menguruskannya. Kini kami mempunyai lima orang cahaya mata sebagai penyeri di dalam rumah tangga ini. Ramai manusia yang tenggelam dalam keluhan kesusahan dan kesedihan, sehingga terlepas kesempatan berharga untuk bersyukur atas nikmat yang mereka perolehi. Aku bersyukur dengan ujian yang diturunkan ini kerana membuatkan aku semakin dekat dengan Sang Pencipta. “Mama..mama..mama,” jeritan anak-anakku menghentikan lamunanku. “Ya kenapa?” soalku. Rupa-rupanya waktu sudah pun hampir ke maghrib. “Jom kita balik…” ujar anak ku. Hidup ini penuh dengan nikmat walau ada saatnya yang menyakitkan, namun lebih banyak saat yang membahagiakan. Yang duka kita lupakan, yang bahagia kita panjatkan kesyukuran. Walau apa jua ujian mendatang, aku akan tetap bangkit dan berlari.


84 “Wahai anak-anakku, pergilah kamu dan carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) dan jangan kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah! Sesungguhnya tidak ada yang berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir.” Surah Yusuf ayat 87. Maka sesungguhnya (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa setiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. Surah asy-Syarh ayat 5-6.


Bangkit Dan Berlari 85 Terima Kasih Maha Pencipta Dayang Norazurah Ibrahim Andai dapat kuundurkan masa... Yang paling jauh itu adalah masa silam yang tidak akan kembali. Seburuk manapun masa silam yang dilalui, ia tidak akan dapat diputar kembali dan diperbaiki, (kata-kata Imam Ghazali). Yang paling penting adalah belajar daripada kegagalan yang lalu dan tidak berputus asa. Insya-Allah kalau aku boleh berjaya, semua orang pun pasti boleh melakukannya. Gagal Peperiksaan SPM (V) Aku terpanggil untuk berkongsi kisah pengalaman pembelajaran aku pada masa lalu. Ramai dalam kalangan kawan rapat menyangka aku seorang pelajar yang cemerlang, realitinya tidak. Umum berpendapat kejayaan dalam peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia SPM (V) menjadi kayu ukur seseorang itu berjaya dalam hidup. Namun begitu, persepsi itu adakalanya tidak boleh diguna pakai. Ada yang berjaya dalam hidup, meskipun tidak cemerlang dalam pelajaran. Kemurungan Selepas keluar keputusan SPM, aku tidak keluar bilik, tidak mahu makan serta tidak berjumpa orang lain. Aku teramat sedih, apatah lagi mak dan abah aku, tentulah mereka juga turut bersedih. Keputusan itu bukan gagal semua tetapi gagal untuk aku mendapat keputusan yang terbaik. Aku katakan pada diri, aku perlu kuat, aku mesti harung dan paling penting, aku perlu berfikiran positif atas kegagalan ini. Apa yang harus buat? apakah langkah aku yang seterusnya.


86 SPM (V) Penilaian Agregat Aku salah seorang calon peperiksaan dalam penilaian agregat. Tahun 1999 adalah tahun penentuan sama ada aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Aku pelajar dalam jurusan Pengurusan Perniagaan (5PPN2) Sekolah Menengah Vokasional Alor Gajah, Melaka, kini dikenali sebagai SMK Dato Seri Md. Zin Ghani. Aku tinggal di asrama pada ketika ini di dorm 6, seronok, ramai kawan yang dapat berkongsi susah senang serta guru yang dedikasi, dan sentiasa mengajar dengan bertenaga dan melayan murid seperti anak sendiri. Hatiku dijentik, aku terus bangkit ‘Simpanlah apa yang engkau rasa dalam diam, serahsia mungkin. Hingga debaranya hanya engkau dan Allah yang mampu mendengarnya’ Pada suatu malam aku bangkit solat hajat dan mohon Allah SWT permudahkan urusanku. Pada masa itu, aku masih remaja, tidak tahu hala tuju kehidupan lagi. Kawan-kawan lain mungkin sudah dapat tawaran sambung belajar tetapi aku belum buat sebarang keputusan. Dengan kuasa Allah SWT, hatiku dijentik. Pada pagi itu aku sudah tekad. Dengan membawa semua dokumen, aku terus berjumpa pengetua, Cikgu Sariman. Aku tunjukkan keputusan peperiksaanku dan memberitahunya aku hendak mengambil peperiksaan semula. Pengetua meminta kepastian hasratku itu kerana peperiksaan untuk tahun hadapan sudah berubah, bukan penilaian agregat tetapi sijil terbuka iaitu penilaian kepada gred A, B, C, D, E. Tanpa berfikir panjang, aku tekad akan mengambil peperiksaan tersebut sekali lagi untuk melayakkan aku ke universiti. Pengetua menerima aku belajar di sana dan menetapkan aku mengambil peperiksaan sebagai calon luar. Aku terus mendaftar sebagai calon luar. Aku hendak membuat bayaran pendaftaran tetapi ditolak, katanya belajar dahulu kemudian baru buat bayaran. Pengetua ini banyak memberi nasihat. kepadaku. Satu pesanannya yang aku ingat, “Saya bagi awak peluang dan awak


Bangkit Dan Berlari 87 jangan berputus asa. Belajar betul-betul ambil pengajaran apa yang berlaku.” Pada ketika itu mungkin aku masih belum faham kenapa perlu belajar pandai-pandai. Memang aku tidak serius belajar pada masa itu. Rezeki Allah itu hebat. Pengetua tawarkan aku asrama dan warden benarkan aku pilih hendak tinggal di dorm mana. Aku pilih dorm 3, dorm yang dekat dengan bilik air, surau dan bilik belajar. Aku bersyukur dapat bertemu semula dengan kawan-kawan junior yang dahulu mereka di tingkatan empat kini sudah naik ke tingkatan lima. Aku juga ditempatkan di kelas 5PPN1 bermakna dalam kategori budak pandai. Kalau dahulu semasa peperiksaan tahun 1999, aku mengambil Asas Perakaunan tetapi pada SPM tahun 2000, aku mengambil subjek Prinsip Perakaunan. Susah tetapi ini pilihan aku. Bolehkah aku belajar berbaki enam bulan menjelang peperiksaan SPM pada hujung tahun ini? Aku perlu cabar diri sendiri. Persediaan Kemasukan ke Sekolah Berasrama Mak dan abah tidak tahu aku sudah daftar sekolah semula untuk ambil SPM. Secara diam-diam aku membeli baldi, siapkan baju sekolah, baju untuk tinggal di asrama, aku sorok di bawah katil. Aku akan daftar masuk asrama pada hari Ahad, jadi pada hari Sabtu, barulah aku memberitahu mak abah. Emak abah tidak berkata apa-apa hanya memberi nasihat supaya aku belajar betul-betul. Merasa Putus Asa Sebulan berlalu, aku masih belum dapat fokus kerana rasa rendah diri yang keterlaluan. Aku risau jika tidak dapat belajar dengan baik. Hendak mulakan sesuatu setelah gagal adalah sukar. Mujur ada cikgu dan kawan-kawan yang sentiasa memberi kata-kata semangat. Syukur, Allah hadirkan kawan-kawan yang baik dan membantu. Maklumlah aku pelajar ulangan dan lebih umur pula daripada mereka. Memotivasi Diri Kem motivasi yang aku hadiri ini betul-betul menampar fikiran aku dan membuatkan aku berubah 360° darjah. Tanpa menoleh


88 lagi aku terus berjalan. Aku bersetuju yang kita perlu motivasi untuk belajar bagaimana mendapat hasil yang terbaik. Juga untuk kita teruskan hidup perlu tahu apa yang kita mahukan. Belajar dengan baik untuk peperiksaan bukanlah perkara yang mudah. Ada hari-hari yang aku rasa teruja dan bersedia untuk mencapai yang maksimum... Namun kebanyakan hari adalah aku merasa sangat tertekan sehingga aku kehilangan semua tenaga dan tidak dapat membaca satu mata pelajaran pun. Mungkin kelihatan seperti kecelaruan emosi tetapi aku harus tahu bahawa adalah normal untuk merasakan keadaan seperti ini. Malangnya pemikiran ini tidak boleh dihapuskan untuk melakukan sesuatu yang kita ingini. Jaga Solat, Doa dan Baca al-Quran Mungkin sebelum ini aku lupa akan ikatan dan perhubungan aku dengan Maha Pencipta lagi Maha Berkuasa iaitu Allah SWT. Aku lalai melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Muhasabah diri dan kembalilah bertaubat pada-Nya. Tunai solat lima waktu, solat yang diperintah oleh Allah SWT dan jika berkelapangan dan mampu, aku tunaikan solat sunat lain untuk menambahkan amalan pada Allah. Sesuatu usaha itu tidak akan sempurna jika tidak menyembah diri dan meminta pertolongan Allah SWT, iaitu melalui doa. Aku perbanyakkan doa untuk membina kekuatan. Aku perlu bangkit daripada kegagalan ini. Lebih banyak aku solat dan berdoa dengan hati yang ikhlas, lebih dekat diriku kepada Allah SWT. Reda dan Bersyukur Kegagalan ini juga mengajar aku erti keredaan. Sesungguhnya reda itu merupakan lambang ketaatan kepada Allah SWT dan orang yang reda itu adalah orang yang terpilih. Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. “Bila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka diuji. Barangsiapa reda menerima ujian itu, Allah reda pula kepadanya. Dan barangsiapa yang marah (tidak reda), maka Allah pun murka kepadanya”. (Hadis riwayat Imam At-Tarmizi).


Click to View FlipBook Version