Bangkit Dan Berlari 139 kami. Kucing-kucing tersebut seolah-olah faham dengan panggilan tersebut. Semua arahan dan kata-kata kami seolah-olah seperti difahami dan dituruti. Kerana memiliki kucing yang banyak, setiap hari merupakan hari yang sibuk dan penuh aktiviti. Sibuk mengemas rumah, membersihkan kawasan sangkar, memberi makan dan meluangkan masa bermain bersama mereka. Kesemuanya ada keunikan yang tersendiri. Personaliti kesukaan dan perangai mereka berbeza-beza. Bukan bermaksud sebelum pandemik kami tidak kenal rapat, namun hikmah pandemik kali ini memberikan ruang masa yang lebih banyak dan lebih berkualiti bersama kesemua kucing kesayangan kami. Kadangkala aku dan suamiku ketawa bersama melihat telatah mereka. Makan bersuap, tidur berhimpit, aktif bermain dan melompat ke sini sana. Ada yang pemalu, ada yang melucukan dan pelbagai ragam yang ada. Terasa bahagia melayan kerenah mereka semua. Setiap hari merupakan hari yang indah dan penuh rasa bahagia dengan adanya mereka. Hanya kami berdua sahaja berkongsi perasaan ini. Pandemik kali ini bukan sahaja telah mencipta pelbagai momen terindah dalam kehidupan aku dan suamiku, malah menjadikan hubungan perkahwinan ini lebih kukuh dan utuh. Kami lebih banyak ruang masa bersama, berbual mesra, dan bergurau. Kami banyak mencipta ruang berdiskusi. Merencanakan masa hadapan kami. Ruang dan peluang ini bukan sahaja meningkatkan persefahaman di antara kami berdua, malah telah mewujudkan Kenangan sebelum pasu berderai
140 hubungan yang lebih rapat dan erat. Kami banyak mencapai kata sepakat, memahami kehendak dan keperluan emosi masing-masing. Sungguh! Aku merasa sungguh bahagia. Aku sangat menghargai kesempatan dan detik kehidupan yang penuh kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Selain mewujudkan ruang persefahaman komunikasi, kami banyak melalui hari-hari terluang dengan berkebun. Ya berkebun! Aku memang suka berkebun dan berinteraksi dengan pepohon hijau. Berkebun merupakan terapi diri yang membantu aku melupakan kata-kata cela orang yang hanya mengecewakan dan menyebabkan aku berputus asa. Bagi aku, interaksi dengan pepohon hijau dan alam semula jadi merupakan terapi diri selain mampu membentuk mood, perasaan dan tenaga positif dalam diri. Melihat tumbuhnya tanaman menghijau dan mengeluarkan hasil membuatkan kami lebih gembira dalam menikmati kehidupan tatkala pandemik ini. Dari kecil aku memang suka berkebun. Bila ada masa terluang aku akan menanam sayur-sayuran dan memetik sendiri hasilnya yang aku kira sangat memuaskan dan membanggakan. Suamiku juga membantu merealisasikan minat aku dalam berkebun dengan mencipta alatan dan bahan keperluan untuk memenuhi minatku. Sekali lagi dia terlibat sama dalam semua perkara yang aku gemari dan minati. Aku berbangga dan bersyukur mempunyai suami sepertinya. Tidak kurang juga aku menyokong aktiviti kegemaran suamiku iaitu berbasikal. Dek kerana pandemik dan PKP yang mengehadkan pergerakan dan aktiviti luar rumah, aku menghadiahkan dia dengan sebuah basikal gim. Kami bersama-sama beraktiviti di dalam rumah. Suamiku beraktiviti dengan basikal gim dan aku dengan minat berzumba. Selain mengekalkan kesihatan fizikal, kami dapat berekreasi bersama-sama dengan penuh keseronokan dengan aktiviti kesukaan masing-masing. Sambil bersukan dan bergurau senda bergelak ketawa kerana melihat telatah diri masing-masing. Ruang dan peluang yang kami ada memberikan banyak manfaat meneroka perkara baharu. Dahulu, kami hanya punya ruang masa bersama pada hari minggu sahaja. Namun kini, kami punya
Bangkit Dan Berlari 141 ruang masa yang banyak bersama. Masak bersama, meneroka resipi dan menu baharu merupakan satu proses perkembangan jiwa yang berharga buat kami berdua. Kalau dahulu, makan bersama merupakan perkara wajib yang kami lakukan bersama. Kini semua proses memasak sehinggalah menghidang merupakan aktiviti yang dilakukan bersama. Sungguh aku bersyukur tatkala mencari kebahagiaan dalam kehidupan ini, kami bertemu dengan kebahagiaan yang lebih banyak. Sesungguhnya bahagia itu amatlah mahal harganya kerana ia tidak boleh diperoleh dengan percuma dan tanpa usaha. Kami lebih banyak bermuhasabah diri dan mendekatkan diri dengan pencipta. Saling mengingati dan saling menjaga antara satu sama lain. Solat dan berdoa bersama-sama diimamkan oleh seorang lelaki yang merupakan teman sejiwa merupakan sesuatu yang terindah. Dalam mencari bahagia di dunia, kami bersepakat mencari bahagia di akhirat. Memperbetulkan dan memperkemaskan ibadah salah satu ikrar kami. Masa yang banyak dihiasi dengan ibadah berkualiti diharapkan akan menjadikan kami manusia yang lebih mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan Allah. Betullah kata suamiku,“Kitalah yang mencipta dan mencorakkan kehidupan kita. Andai kita meniti kehidupan ini dengan penuh sabar, bersyukur dan saling menghargai, kita akan merasa nikmat kehidupan sepenuhnya.” Sungguh! Aku terharu dengan kata-kata yang diungkapkan. Tidak semua orang akan faham dan perlu faham tentang kehidupan dan perjalanan hidup kita. Hanya kita yang melalui sahaja tahu nikmat kehidupan yang dicipta. Mencari bahagia bukanlah semata-mata mengharapkan satu pihak sahaja untuk memahami dan mendalami perasaan pasangan. Namun cinta tanpa syarat, memahami dan saling melengkapi di antara satu sama lain merupakan cara mencari dan mengekalkan kebahagiaan. Titik persefahaman perlu dicari, dicipta dan diwujudkan di antara dua jiwa. Kata-kata orang luar tidak sepatutnya menjadi
142 ukuran dan nilaian dalam kehidupan peribadi kami. Apa sahaja yang keluar dari mulut orang luar merupakan tahap nilaian mereka sendiri. Mereka sama sekali tidak melalui kehidupan yang sedang kami lalui. Hanya kami berdua sahaja tahu perkara yang akan menggembirakan, membahagiakan dan memenuhi kehendak diri. Tidak sesekali aku akan memutuskan perhubungan dengan orang yang mencerca dan menghina kekurangan diri, tetapi aku perlu menjadi lebih kuat dalam mengharungi kehidupan selagi nyawa dikandung badan. Tidak perlu bermusuh, malah akan aku anggap kata-kata nista dan cercaan itu sebagai satu ruang memperbetulkan niat dan mengukuhkan emosi diri. Sesungguhnya aku akan lebih bahagia dengan mensyukuri apa yang aku miliki berbanding membenci dan mencari kesalahan pada diri orang lain yang tidak memberi apa-apa erti dalam kehidupan kami. Aku akan tetap bangkit dan melangkah meneruskan hari-hari mendatang dengan positif. Aku akan terus berdoa agar kami akan terus merasai dan memiliki kebahagiaan ini. Bersama suami tersayang scan untuk gambar Sesungguhnya Kami mencipta segala sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan) di Luh Mahfuz. Surah al-Qamar ayat 49. Ketika itu Zakaria pun berdoa kepada Tuhannya, “Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu keturunan yang baik! Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan.” Surah Ali 'Imran ayat 38. Dan (ingatlah kisah) Zakaria di waktu itu dia berdoa kepada Tuhan, “Wahai Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi!” Surah Al-Anbiya’ ayat 89. “Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku seorang anak yang termasuk dalam golongan orang yang soleh!” Surah as-Saffat ayat 100.
Bangkit Dan Berlari 143 Tanggal 29 Oktober 2015. Emak dimasukkan ke hospital. Serangan kanser usus emak sudah sampai ke tahap tiga. Emak sanggup menunggu aku mempunyai kereta agar dapat membawanya ke hospital. Sayu hati ini tatkala diri ini tidak dapat menghantarnya ke hospital pada hari itu. Tuntutan kerja jauh di Gerik, Perak membantutkan niat itu. Bagaimanapun, kereta akulah yang membawanya ke hospital. Hari demi hari, rindu dan sedih bercampur baur. Jasad di Gerik, hati di Sungai Buloh. Terkenang emak bersendirian di hospital. Tiada sesiapa boleh menemaninya. Masing-masing mempunyai komitmen bersama keluarga. Justeru, aku menggalas tugas itu dengan sepenuh hati. Setiap minggu tanpa gagal, aku bermusafir ke Sungai Buloh dengan menaiki bas. Selama lima minggu, empat kali aku berada di Sungai Buloh dan hanya sekali pulang ke Hutan Melintang. Ya, Abah berada di Hutan Melintang ditemani alongku. Hati seorang suami membuak-buak ingin bertemu isterinya kerana rindu dan sedih, semua itu disimpannya sendiri. Doa dari jauh mengiringi. Perjalanan menaiki bas pada hari Jumaat selama lima minggu dipenuhi cabaran. Ada ketikanya, tiket bas express habis. Aku naik bas lompat-lompat. Janji, sampai! Ada ketikanya, tiket semua jenis bas habis dijual. Aku menunggu penuh harapan. Tunggu lagi. Namun, hampa. Aku bingkas berdiri, “Adik, tiada langsung ke tiket ke Pudu? Akak duduk di tangga bas pun boleh,” kataku kepada adik di kaunter tiket. Sejurus bas tiba, adik tadi berbincang dengan pemandu bas. Alhamdulillah, rezeki tidak pernah salah alamat. Bahagia itu Bingkisan Rindu Tiada Penghujung Saleha Yunus
144 hanya aku yang rasa. Sakit duduk di kerusi lipat yang disediakan di tangga tidak mampu menghapuskan rasa bahagia itu. Empat jam perjalanan yang penuh makna. Setelah itu, aku menaiki LRT (Transit Aliran Ringan) dari Stesen Pudu ke Kelana Jaya. Dari situ, abang iparku mengambilku dan terus ke rumah kakakku atau ke hospital. Begitulah rutinku. Letih yang berbaloi. 12 November 2015 Tarikh keramat. Buat pertama kalinya emak dibedah. Sebahagian usus kecil dipotong dan disambung dengan usus besar. Air mata mengalir kerana tidak dapat bersama pada ketika itu. Namun kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya dengan memohon doa daripada semua pelajar agar dipermudahkan urusan emak. Doa anak-anak yang sedang bermujahadah menuntut ilmu sangat diperlukan pada ketika ini. Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar. Terima kasih anak didikku. Terima kasih Allah masih meminjamkan ibu kepadaku. Bermulalah putaran 360 jadualku sebagai anak dan guru. Cuti Rehat Khas digunakan sepenuhnya untuk emak sahaja. Pada 17 November 2015, emak keluar wad diikuti dengan temu janji di Hospital Sungai Buloh pada 2 Disember 2015. Temu janji seterusnya adalah 15 Disember tahun yang sama di Hospital Kuala Lumpur. Letih, namun keletihan itu terubat tatkala menatap wajah emak. Betapa berkatnya doa seorang emak. Betapa luasnya kasih seorang emak. Kalau tidak, masakan aku sanggup memandu sejauh 230 kilometer di tengah-tengah malam buta sematamata ingin memeluk tubuh emak. Ya, perjalanan menaiki kereta bermula jam 10.00 malam dan sampai pada jam 2.00 pagi. Hanya satu tujuan. Aku ingin menatap wajah emak dan memeluk erat tubuhnya. Hilang semua masalah yang tersirat. Allah Maha Besar. Hikmah dakapan seorang insan bergelar emak. Tahun berganti. Tanggal 12 Januari 2016, kimoterapi bermula. Aku sedih melihat emak menahan sakit. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Kenapa bukan aku yang menanggung semua itu? Aku tahu Allah uji tanda sayang. Begitu sayang Allah kepada
Bangkit Dan Berlari 145 emakku. Emak adalah insan yang sangat kuat melawan sakitnya. Masih mampu tersenyum. Emak mengajarku erti sabar dan reda. Terima kasih emak. Setiap kali kimoterapi, aku akan menemani emak di hospital. Hospital telah menjadi rumah keduaku pada saat ini. Toto dibentang di samping emak setiap kali bermalam di hospital. Aku menyaksikan emak menahan panas saat ubat kimoterapi meresap ke dalam tubuhnya... Tiada tangisan. Aku bertanya, “Emak rasa macam mana?” Lalu emak memberitahu dengan bersahaja, “Emak rasa panas, adik.” Kuatnya emak. Aku merenung wajah emak diiringi tangisan dalam hati. Sebak. Februari menjelang. Aku memohon kepada doktor agar rawatan kimoterapi dilaksanakan di Hospital Teluk Intan. Hospital itu berdekatan dengan rumah. Alhamdulillah, permohonan pertukaran hospital diluluskan. Doktor juga memberi pilihan sama ada emak boleh meneruskan kimoterapi dengan kaedah suntikan ataupun oral (berbentuk pil atau kapsul). Emak memilih pil. Emak tidak mahu duduk di wad lagi dan emak tidak mahu menyusahkan anaknya berulang-alik ke Sungai Buloh dari Gerik. Allahu... emak, tiada terdetik rasa susah itu. Melihat dirimu cukup membahagiakanku. Sepuluh bulan bertahan dengan menggunakan kaedah oral. Namun ia tidak dapat membunuh sel kanser yang telah mencapai tahap 4. Susuk tubuh emak semakin kurus kesan makan pil sebanyak lapan kali. Akhirnya, emak sekali lagi dimasukkan ke hospital. Doktor menyarankan agar emak melaksanakan kimoterapi secara suntikan. Ini bermakna, emak perlu bermalam di wad. Episod duka berulang. Tidak sanggup rasanya melihatmu sekali lagi berperang dengan rasa panas itu. Pertarungan emak sekali lagi bermula. Emak dimasukkan ke wad pada 6 Disember 2016. Kitaran kimoterapi dilaksanakan sehingga kitaran yang keenam sahaja. Selang masa dua minggu antara setiap kitaran perlu dibuat untuk merehatkan emak daripada kesan sampingan. Sungguh, hati ini sangat pilu! Aku sebagai saksi sakit yang ditanggung emak. Tanganku digenggam erat. Aku tahu
146 emak sedang menahan sakit. Oleh sebab itu, aku rela mengambil cuti demi menemani emak di wad. Sedih apabila mengenangkan saat emak melalui pembedahan lagi demi memasukkan kimo port. Kimo port adalah sejenis alat yang diimplankan di bawah kulit di bahagian sebelah atas dada, berdekatan dengan tulang selangka. Kimo port ini memudahkan suntikan rawatan kimoterapi mengalir terus ke dalam darah. Namun emak sudah tidak mampu menahan sakit, maka kimoterapi terhenti pada Mac 2016. Hanya temu janji rawatan susulan perlu dipatuhi. Tiada lagi bermalam di wad. Tiada lagi wayar mencucuk tangan emakku. Emak kini berehat di rumah sahaja. Semua persiapan telah disediakan buat emak. Katil khas buat emak. Kerusi tandas mudah alih untuk emak. Kerusi roda buat emak. Rutin memandikan dan menyiapkan emak, kuteruskan. Tugas itu diambil alih oleh along dan kakak ketika aku perlu pulang ke sekolah. Pada saat kaki melangkah, pada saat itulah hati mula rindu. Berat rasanya. 4 bulan sebelum saat itu tiba… Tanggal 5 Mei 2017, sesudah subuh, keretaku menyelusuri jalan raya menuju ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Temu janji pertama selepas tamatnya kimoterapi. Doktor memberitahu bahawa CEA (carcinoembryonic antigen) meningkat. Ini petanda sel kanser sedang aktif. Doktor mencadangkan untuk membuat biopsy (mengambil sampel sel daripada badan untuk ujian makmal). Selain itu, doktor memberitahu rawatan kimoterapi tidak memberi kesan di kawasan bengkak di luar bahagian usus. Ya. Ada satu kawasan bengkak yang dapat dirasa denyutannya. Kadangkadang bengkak itu membesar, kadang-kadang mengecil. Pelik. Selepas beberapa hari, emak dibawa ke Bahagian Kecemasan. Emak muntah hijau berhari-hari. Doktor hanya beri ubat sahaja. Sejurus pulang, kami membawa emak ke rumah seorang ustaz untuk minta air penawar. Alhamdulillah, keadaan emak lebih baik. Namun sekejap sahaja. Keputusan drastik diambil. Kami bawa emak ke Klang untuk berubat lagi.
Bangkit Dan Berlari 147 Minggu ini, aku perlu hadir ke kelas Diploma Pendidikan bertempat di UNITAR, Kelana Jaya. Jadi, aku bawa emak dan abah duduk di rumah kakakku di Sijangkang, Klang selepas berubat. Aku terlelap saat memandu sebab keletihan. Namun, alhamdulillah Allah melindungi kami. Emak dan abah adalah nyawaku. Selagi ada masa dan kudrat, akan aku tabur bakti buat mereka. Asbab doa mereka yang tidak henti, Allah permudahkan pelbagai urusanku. Urusan belajar hingga ke urusan pekerjaan. 15 Jun 2017, sekali lagi emak dimasukkan ke wad. Emak semakin tenat. Aku bergegas pulang ke kampung dan menuju ke hospital. Aku melihat air mata emak menitis menandakan takut, risau dan sedih jika aku tidak datang menemaninya. Mana mungkin aku meninggalkannya bersendirian pada saat begitu. Tidak tegar aku berbuat begitu. Memegang erat tangannya cukup melenyapkan seribu masalah yang aku hadapi. Temu janji seterusnya adalah pada 7 Julai 2017 di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Hari yang tidak pernah luput dalam ingatan. Luluh jantung ini tatkala doktor berbisik kepadaku, “Kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Hanya tunggu masa.” Allahuakbar. Hatiku meraung. Air mata ditahan daripada menitis. Doktor menerangkan lagi, biopsy tidak boleh dilaksanakan kerana risikonya tinggi. Sekeliling usus emak telah bengkak. Fikiranku melayang ketika memandu pulang ke rumah. Aku hanya diam. Sepi. Hari Raya Aidilfitri tahun itu disambut sederhana. Kami belikan emak jubah. Jika dahulu, badannya berisi, sekarang tidak lagi. Namun tetap manis tersenyum pada saat mengenakan busana jubah berwarna ungu. Tidak kusangka, ini adalah hari raya terakhirku bersama emak. Allah gerakkan hatiku agar pulang ke kampung pada minggu itu. Pada awalnya, aku tidak mahu pulang kerana kelas berlangsung pada hari Sabtu. Tambahan lagi, minggu hadapan adalah cuti sekolah. Namun perbualan aku bersama kakak mengubah keputusan itu. “Adik tidak balik minggu ini? Emak tanya akak tadi,” kata kakak. Ayat sependek itu sudah cukup membuatku tahu bahawa emak ingin aku pulang. Syurgaku, aku
148 pulang untukmu. Sebelum pulang, aku mohon doa daripada anakanak didikku seusai kelas tamat. Tiga hari di samping emak. Aku dapat membersihkan emak. Aku dapat menyuapkan buah-buahan untuk emak. Selera emak berlainan sungguh pada hari itu. Bahagia aku melihatnya makan dengan banyak walaupun giginya tiada. Emak memakai gigi palsu. Semenjak sakit, emak tidak lagi boleh memakai gigi palsunya. Emak tetap comel tanpa gigi. 11 September 2017, hari Isnin jam 4.00 pagi. Kaki melangkah berat meninggalkan kampung. Namun tuntutan kerja meruntun aku untuk terus memandu kereta pulang ke tempat kerja. Hanya tangisan dengan sepotong ayat ‘adik sayang emak’ mampu diucapkan pada ketika itu. Sehingga kini, sayup suara emak meninggalkan pesan, ‘Adik hati-hati ya’ tersemat di kalbu. Sungguh, hiba rasanya. Telefon berdering seusai waktu Maghrib. Alunan suara disertai tangisan mengajakku pulang. Kakakku berkata, “Adik, baliklah cepat. Emak sudah tiada.” Luluh jantung. Deras air mata mengalir. Hilang doa seorang emak. Tiada kata keluar daripada bibir. Tangan pantas mengemas pakaian dan mencapai kunci kereta. Aku memandu laju. Pada saat ini, aku hanya ingin memeluk sekujur tubuh yang sudah tidak lagi bernyawa. Peluk seeratnya. Bagaimana aku harus mengharungi episod duka inI? Bilakah kedukaan ini akan reda? You will heal, it just takes time. Mustahil sakit itu akan hilang. Sakit rindu. Rindu pada yang telah tiada jauh lebih pedih daripada rindu pada yang masih ada. Namun Allah Maha Mengetahui segala isi bumi. Setiap minit dan saat, semuanya sudah ditentukan oleh-Nya. Sakit emak telah hilang. Emak boleh berehat. Kami semua sayang emak. Sebagai manusia yang percaya pada qada dan qadar, aku harus sabar dan reda dengan ketentuan ini dan terus bangkit melalui hari-hari dan memori bersama emak. Emak sentiasa ada dalam hati. Al-Fatihah buat emak tersayang.
Bangkit Dan Berlari 149 scan untuk gambar Bersama abah dan arwah emak di Wellington Kenangan percutian bersama arwah emak Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara; Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Riwayat Muslim, no. 1631). Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kerendahan diri dan ucapkanlah (untuk mereka dengan berkata), “Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku semasa kecil!” Surah al-Isra’ ayat 24. “Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari berlakunya perhitungan (hari Kiamat)!” Surah Ibrahim ayat 41.
150 Masih segar dalam ingatanku 10 tahun yang lalu, tanggal 30 Ogos 2012. Aku dan suami buat pertama kalinya menatap wajah permata hati kami yang sulung sejurus lahir ke dunia. Kami merasa sangat teruja menatap wajah comel dan kulit putih gebu, Firas Zayyan. Ya, nama anak istimewaku, Firas Zayyan. Menyorot kembali proses tumbesarannya, bayi Firas mengalami penyakit jaundice atau demam kuning dalam tempoh yang agak lama atau prolong jaundice. Firas hampir diserang sawan tarik ketika berusia hampir dua tahun akibat demam panas. Firas juga tidak memberi respons apabila aku dan suami cuba berkomunikasi dengannya. Apabila Firas semakin membesar, dia tidak memanggil diriku dan suami dengan panggilan ummi atau ayah apabila mahukan sesuatu sebaliknya hanya menunjukkan isyarat jari. Kami juga dimaklumkan oleh penyelia TASKA, bahawa Firas tidak bergaul dengan rakan-rakan sebayanya dan dia hanya melakukan halnya sendirian seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Firas tidak boleh meneruskan pembelajaran dari TASKA ke TADIKA aliran perdana kerana tidak mencapai tahap perkembangan dan kemahiran seperti kanak-kanak yang seusia dengannya. Demi kebaikan Firas, aku dan suami telah membawanya ke hospital untuk berjumpa dengan doktor pakar bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh dan kemuncaknya, Firas disahkan Autisme dan didiagnos Global Development Delay (GDD) atau lewat perkembangan global pada usia empat tahun. Ia juga adalah hasil pemeriksaan susulan dan beberapa siri ujian serta terapi yang dilakukan oleh doktor pakar ke atas Firas sebelum ini. Pada usianya lima tahun, kami telah menghantar Firas ke Pra Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang merupakan Anugerah Ke Jannah Nureen Ashyikin Abas
Bangkit Dan Berlari 151 sekolah aliran perdana yang mempunyai prasekolah PPKI yang terletak di ibu kota. Teringat aku pada hujung tahun 2016 ketika mahu mendaftarkan Firas ke Pra Sekolah PPKI tersebut, kami melakukan proses pendaftaran dalam masa yang amat singkat dan ini memberi tekanan kepada kami. Kami sudah kesuntukan masa memandangkan pada ketika itu hanya beberapa hari sahaja bakal menjengah ke tahun baharu 2017. Justeru segala dokumen iaitu surat, gambar dan dokumen lain perlu diselesaikan segera. Kami berulang alik ke Jabatan Pendidikan bagi urusan surat permohonan masuk ke Pra Sekolah aliran PPKI dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi urusan permohonan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk Firas. Semua dokumen perlu diserahkan kepada pihak sekolah berkenaan apabila sekolah telah dibuka serta membolehkan Firas meneruskan pembelajaran di pra sekolah tersebut. Alhamdulillah kami bersyukur Allah telah mempermudahkan segala usaha kami, Firas dapat memasuki sekolah tersebut. Setelah hampir dua bulan, kad OKU Firas dimaklumkan telah siap dan tiba masanya aku dan suami harus mengambil kad tersebut di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tatkala suamiku memberikan kad OKU itu kepadaku, aku tidak dapat menahan sebak dan gugur juga air mataku melihat nama dan gambar Firas di kad OKU itu. Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, jiwaku koyak lagi apabila melihat sekali lagi kad OKU tersebut dan aku renung gambar Firas sedalam-dalamnya. Justeru hati kecilku berkata, Firas manja sayang... Firas anak istimewa ummi dan ayah… Firas adalah amanah dan anugerah daripada Allah yang tidak ternilai di dunia ini. Inilah takdir yang telah ditentukan oleh Allah untuk ummi dan ayah. Ummi reda dan berlapang dada. Air mataku mengalir deras pada ketika itu, tidak dapat kutahan lagi sehingga suamiku yang sedang fokus pada pemanduannya terpaksa menenangkan diriku beberapa kali. Aku akui pada awalnya agak sukar dan sedih untuk menerima hakikat anakku OKU. Hanya Allah yang mengetahui bagaimana hati dan perasaan aku, seolah-olah hilang semangat dan aku turut menyalahkan diri sendiri. Beberapa kali juga aku tewas dan menangis apabila aku termenung keseorangan teringatkan Firas.
152 Malah yang membuatkan aku bertambah sedih, apabila ada kalangan keluarga terdekat aku yang sukar menerima hakikat sebenar keadaan Firas. Apa kalian akan lakukan sekiranya dalam situasi aku? Berapa lama aku harus bersedih? Mujurlah di sebalik kesedihan itu masih ada ahli keluargaku yang lain boleh menerima Firas seadanya. Ia sedikit sebanyak dapat memujuk perasaan hibaku pada ketika itu. Mereka melayani dan menyantuni Firas dengan begitu mesra. Dalam kesedihan itu juga, aku masih beruntung kerana rakan-rakan sepejabat sering memberikan kata-kata semangat dan motivasi agar aku tidak berputus asa serta terus kuat. Bukan tidak reda, namun aku hanyalah insan biasa. Aku adalah ibu yang inginkan yang terbaik buat anakku. Namun ini adalah takdir Allah untukku dan keluarga. Aku harus menjalani hidup ini yang telah ditetapkan dengan hati yang terbuka. Pasti banyak hikmah yang menanti. Firas pada usia kecilnya adalah anak yang tidak terlalu agresif. Fizikalnya sihat, malah agak berisi dan lebih tinggi berbanding rakan sekelasnya yang lain. Tingkah lakunya masih boleh dikawal, serta boleh mendengar arahan yang mudah asalkan tidak dalam nada memarahi dan meninggikan suara kepadanya. Sesungguhnya perancangan Allah itu sangat indah, aku disahkan hamil lagi anak kedua. Aku berbual dengan Firas memberitahunya bahawa tidak lama lagi Firas akan mempunyai seorang adik. Firas hanya tersenyum dan mengangguk tanda mengerti. Kerap juga Firas memegang perutku ketika itu dan memanggil adiknya secara bersahaja. Tanggal 26 Oktober 2017, lahirlah zuriat keduaku. Bayi perempuan comel yang kami namakan Nadhira Aisyah. Lengkaplah kini keluarga kecilku. Kami sangat gembira dengan kehadiran ahli keluarga baharu ke dalam rumah kami. Pada awalnya, Firas kelihatan janggal dan tidak selesa. Maklumlah sebelum ini, hanya dia seorang sahaja kanak-kanak di rumah. Lama-kelamaan Firas dapat
Bangkit Dan Berlari 153 menyesuaikan diri dan kelihatan sangat menyayangi adiknya. Hampir dua tahun berlalu, Firas telah pun berumur tujuh tahun pada ketika itu. Dia telah menyambung pembelajarannya ke sekolah kebangsaan yang terletak di ibu kota dan ditempatkan dalam aliran kelas PPKI. Dalam kelas tersebut hanya terdapat maksimum lapan orang murid termasuk Firas. Ini membolehkan guru-guru memberikan sepenuhnya tumpuan kepada murid kelainan upaya semasa sesi pembelajaran diadakan. Aku dan suami difahamkan oleh cikgu, bahawa Firas adalah murid yang sederhana perwatakannya tetapi sangat mendengar kata dan amat rajin. Semasa hari pencapaian akademik, cikgu juga memaklumkan Firas sangat rajin semasa di sekolah. Di dalam kelas, Firas adalah murid pertama yang akan membuka semua tingkap dan menutup semula tingkap apabila sudah selesai kelas pada hari tersebut. Mengulas mengenai pencapaian akademik Firas, ada beberapa mata pelajaran yang Firas berjaya memperolehi markah yang agak tinggi dan ada juga yang sederhana. Aku dan suami sudah tentu rasa bersyukur ke hadrat Ilahi dan bangga dengan pencapaian Firas sungguhpun Firas adalah anak kelainan upaya. Aku dan suami amat menghargai segala tunjuk ajar dan curahan ilmu oleh semua guru yang telah berusaha mendidik anak istimewa ini. Kini Firas telah berusia 10 tahun, kelakuan Firas telah berubah menjadi agak agresif. Perubahan ini adakalanya menguji tahap kesabaranku dan suami. Andai ada permintaannya yang tidak kami penuhi, Firas akan memberontak dan menjerit sekuat hati. Sehingga pernah berlaku kejadian yang tidak diingini, apabila Firas secara tidak sengaja telah memecahkan pasu bunga di dalam rumah saudara terdekat ketika kami datang menziarah. Firas memang tidak betah duduk diam. Dalam istilah sekarang Firas boleh dikatakan hyper active. Kejadian kedua pula berlaku ketika kami membawa Firas bersama untuk menziarahi kenalanku. Firas dengan selamba berlarilari memasuki dapur, bilik dan mengusik barang-barang kenalanku.
154 Sejak kejadian itu, aku dan suami bertekad untuk tidak membawanya ke rumah kenalan kami lagi, kecuali ahli keluarga terdekat sahaja yang kebanyakannya boleh menerima dan memahami kelakuan Firas. Kami khuatir akan berlaku perkara yang tidak diingini, yang boleh mendatangkan pelbagai masalah di kemudian hari. Biarlah kami bertindak awal sebagai langkah pencegahan. Kadang-kadang kami terpaksa berkeras dengan Firas, dengan tujuan mengajar sekiranya Firas sukar dikawal. Apabila keadaan kembali tenang, kami akan berkomunikasi secara lembut dan sopan dengannya. Pada ketika itu, dia akan memahami apa yang kami cuba sampaikan dan mengapa kami bertindak sedemikian. Lama kelamaan sifat agresif Firas semakin berkurangan. Namun, cara keras itu berlaku sebelum aku mahir menangani situasi Firas. Semakin lama aku jadi lebih memahami cara menangani anak autisme, dengan tidak terlalu berkeras dengannya, sebaliknya perlu berfikir cara untuk menyelami hatinya. Dengan cara ini perlahanlahan anak autisme akan memahami dan tidak agresif. Kami tidak pernah berasa malu dengan masyarakat sekeliling walaupun Firas kelainan upaya. Terus-terang aku dan suami tidak pernah mengambil pusing dengan sindiran pedas, jelingan menjengkelkan dan segala tohmahan yang berunsur negatif yang pernah dilemparkan terhadapku dan suami mengenai Firas. Kami mengambil pendekatan untuk sentiasa kekal tenang dan positif serta menerangkan kembali keadaan sebenar Firas. Aku dan suami sentiasa berdoa agar Firas boleh membesar normal seperti anak yang lain. Adalah menjadi impian dan harapan kami agar Firas boleh berdikari tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain. Setelah 10 tahun aku jadi lebih sedar bahawa Firas telah membantu aku menjadi ibu yang cekal dan tabah. Tidak terduga olehku kekuatan yang hadir untuk aku menempuhi semua ini. Anak syurga inilah yang telah Allah anugerahkan untukku menjadi hambaNya yang lebih reda dan kuat mengingati-Nya.
Bangkit Dan Berlari 155 Bagi ibu bapa lain yang turut mempunyai anak istimewa, janganlah berputus asa dan jangan bersedih. Sebaliknya, kuatkan semangat dan tetap bersyukur atas kurniaan Allah. Carilah ilmu untuk persediaan menjaga anak kelainan upaya kerana ilmu itu membantu mengurangkan tekanan. Anak kelainan upaya adalah anak istimewa serta merupakan amanah yang tidak ternilai yang Allah kurniakan kepada kita walaupun permulaannya amat perit untuk ditelan. Sebagai hambaNya tetaplah reda atas segala ketentuan-Nya dan terus bangkit meneruskan kehidupan. Setiap ujian, kepayahan dan kesusahan pasti Allah janjikan rezeki yang luas kerana anak isimewa adalah Anugerah ke Jannah. Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anakanak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jua pahala yang besar. Surah al-Anfal ayat 28. Katakanlah (wahai Muhammad), “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), hanya kepada Allah jualah orang yang beriman bertawakal.” Surah at-Taubah ayat 51. Harta benda dan anak pinak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya disisi Tuhan kamu dan lebih baik sebagai asas yang memberikan harapan. Surah al-Kahf ayat 46. Firas semasa kecil Firas & Ummi scan untuk gambar
156 Pada suatu pagi di pejabat. Suasana sibuk apabila para pegawai dan petugas lain sedang tekun menyiapkan tugasan masingmasing untuk Hari Inovasi. “Mirul, kau lupa nak lampirkan deraf rekaan dalam emel kepada Pengarah!”. “Alamak, maaf bos saya terlupa!” aku membalas. “Mirul, ada kesalahan ejaan dalam sijil, mohon betulkan secepat mungkin ya.” “Baik puan, saya akan selesaikan secepat mungkin.” “Mirul, Unit Integriti dah hantar ke bahan rekaan untuk poster Pesanan Integriti minggu ni?” “Saya dah semak dalam emel saya bos, mereka belum hantar lagi. Nanti saya tanya mereka semula.” Begitulah situasi aku sepanjang dua tahun bertugas di MARA ini. Banyak urusan perlu diselesaikan segera. Selalunya pada waktu makan tengah hari, aku akan bersendirian di pejabat ataupun di perpustakaan sambil duduk di kerusi urut yang disediakan. Semasa rehat itu jugalah aku mencari idea untuk penulisan tesis. Bukan mudah untuk aku membahagikan masa di antara pengajian master dan kerja hakiki. Idea untuk penulisan tesis mencurah-curah sewaktu di pejabat. Bagi mengelakkan idea itu hilang begitu sahaja, aku akan drafkan dahulu di dalam tab peribadi dan melengkapkan penulisan tesis di rumah. Aku baharu berkhidmat di MARA dan masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan kerja dan rakan sepejabat. Masih banyak perkara yang perlu aku pelajari. Dalam fasa ini aku perlu bersabar Kegembiraan Berganda Amirul Asyraf Abdul Razak
Bangkit Dan Berlari 157 dan menimba pengalaman bekerja bersama teman sepejabat. Setelah mencatat deraf tesis, kadangkala aku akan turun untuk makan tengah hari di kedai nasi kandar berdekatan bangunan MARA untuk pekena sepinggan nasi kandar berserta teh ais. Seperti biasa aku keluar berseorangan. Namun pada hari ini, seorang teman terserempak dengan aku di restoran tersebut ketika aku sedang menjamah hidangan seorang diri. “Mirul, makan seorang je ke? Kenapa tak ajak aku makan sekali?” Seorang lelaki tiba-tiba menyapa aku dari belakang. Dia adalah teman sepejabatku. “Bukan aku tak mahu ajak kau, aku takut kau sibuk dengan kerja. Itu pasal aku tak mahu kacau,” balas ku. “Alah kau ni, waktu kerja, aku kerja, waktu rehat aku rehat. Mana mungkin aku nak berlapar waktu tengah hari ni,” ujar temanku. “Kalau sudi, jomlah temankan aku makan.” Ujarku dan kami sama-sama tersenyum sambil berjalan ke kedai nasi kandar. Selepas kami memesan sepinggan nasi kandar beserta minuman sirap ais, rakan sepejabatku terus duduk di hadapanku untuk menemani aku. Seperti biasa, kami akan berborak kosong berkenaan apa sahaja untuk mengisi masa. Pelbagai topik yang kami bualkan seperti bola, politik, isu semasa, namakanlah apa sahaja, semua kami akan bincangkan bersama. Tiba-tiba dia bertanyakan sesuatu… “Mirul, aku tertanya juga. Kadang-kadang aku tengok kau ini macam kurang gembira dengan kerja. Semasa di pejabat, aku nampak kau macam murung je. Kau okey ke?” soalnya. “Dah namanya kerja, walaupun tidak suka aku tetap kena sukakannya. Kalau tidak, macam mana aku nak terus bekerja dan cari makan?” balasku.
158 “Kerja kau dulu macam mana?” soalnya. “Sama je, aku tak rasa seronok dengan syarikat yang aku kerja dulu. Jadi kerja aku sekarang ni taklah seteruk kerja aku yang dulu, jadi aku masih boleh hidup.” “Habis, kerja di mana baharu kau akan suka?” soalnya lagi sambil tersenyum perli. “Jujurnya, aku pun tidak tahu kerja apa yang aku akan gembira. Sebab memang lumrah, apabila bekerja, aku akan ada dua kehidupan iaitu kehidupan di rumah dan di pejabat. Kehidupan di pejabat ni, kena tinggalkan sebelum balik ke rumah supaya tidak bercampur hal peribadi dan hal kerja. Kalau tidak, memang tak ke manalah rumah tangga aku. Dan jujurnya aku cakap, sekurangkurangnya apa yang aku hadapi sekarang lebih baik daripada apa yang aku hadapi beberapa tahun lalu,” ujarku. “Maksud kau?” soal rakanku. “Begini, selepas aku tamat pengajian, aku terus berusaha mencari kerja supaya aku boleh sekurang-kurangnya sara diri aku sendiri dan tidak mahu bergantung dengan keluarga. Ayah aku pun masih ada lagi pada ketika itu, namun dia sudah tidak berupaya untuk meneruskan kerja selepas hampir setiap tahun dia keluar masuk hospital akibat serangan angin ahmar. Jadi aku memang hendak mencari kerja yang ada gaji bagus untuk meringankan beban keluarga. Apabila aku dapat tawaran untuk bekerja di sebuah syarikat peruncitan terbesar di Malaysia, aku terus terima tawaran kerja tu.” “Okeylah kerja pertama kau di syarikat besar.” “Secara kasarnya memanglah nampak okey sebab syarikat besar, gaji pun sedaplah. Cuma suasana kerja di sana memang bukan seperti yang aku harapkan. Ruang pejabat yang sekecil bilik tidur untuk enam orang pekerja duduk sekali, aku pula kurang ngam dengan bos, kerja enam hari seminggu dan juga suasana kerja yang tidak sihat membuatkan aku hampir menyerah kalah. Aku terpaksa bertahan disebabkan permintaan ayahku dan merelakan diri untuk aku perlahan-lahan mencari pekerjaan baharu tanpa melepaskan pekerjaan sedia ada.”
Bangkit Dan Berlari 159 “Berapa lama kau bertahan di sana?” “Tidaklah lama kalau pada pandangan orang lain tetapi bagi aku dah cukup lama untuk tempoh setahun lebih.” “Macam mana kau buat keputusan untuk akhirnya berhenti?’ Aku terdiam sebentar menahan sebak sebelum menjawab pertanyaan dia. “Selepas ayah aku meninggal dunia. Arwah pergi ketika pertengahan bulan Syawal akibat serangan jantung. Doktor percaya yang ia kesan daripada serangan angin ahmar yang berkalikali dialaminya. “Takziah Mirul, apa yang terjadi selepas tu?” “Perasaan aku mula terumbang-ambing. Aku hilang seorang ayah dan teman yang sentiasa percayakan aku dan merupakan kawan baik aku. Susah aku nak sesuaikan diri di dunia ni dengan ketiadaan dia. Terlalu banyak memori dengan arwah kerana kami amat rapat.” “Kalau dulu setiap pagi pada hujung minggu, aku dan arwah akan keluar makan di kedai mamak bersama-sama, tapi sekarang aku keluar sendiri tanpa ayah. Tekanan akibat rindu tu membuatkan aku mula tertanya-tanya tentang fitrah kewujudan aku, dan aku mula terasa yang aku hanya membuang masa dalam hidup jika aku terus bekerja di situ.: “Namun aku tidak tahu ke mana untuk aku pergi dan fikiran aku kian bercelaru. Daripada kecelaruan itu timbullah kemarahan dan ketidaksabaran, sehingga pada suatu ketika aku pernah bertengkar dengan bos dan rakan sekerja akibat gagal mengawal emosi. Sesuatu yang aku masih gagal kawal walaupun sekarang.” “Aduh sampai bergaduh dengan bos, kau ni memang panas baran juga. Habis tu macam mana kau buat keputusan untuk berhenti?”. Soal temanku. “Macam aku kata tadi, aku dah serik dengan suasana kerja sebegitu dan akhirnya aku buat keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan cari pekerjaan baharu. Itu pun bukan suatu jalan yang mudah juga. Pada asalnya, ibu dan kakak aku
160 cukup menentang idea untuk aku meletak jawatan tanpa ada tawaran kerja baharu tetapi aku tetap teruskan juga. Sebab arwah pernah berkata yang dia ingin melihat aku sambung pelajran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah.” “Bila yang kau sedar MARA ada buka tawaran kerja?” “Aku kurang ingat, tetapi aku nampak iklan yang diberi oleh seorang sahabat aku tentang kekosongan jawatan di MARA, lantas aku terus memohon dan dipanggil temu duga. Semasa temu duga di Beranang aku ditemani beberapa orang sahabat rapat untuk bermalam di sana. Ketika itu aku sudah tiga bulan menganggur dan hanya hidup dengan duit simpanan sepanjang aku bekerja dulu. Jadi memang aku berharap jawatan tersebut. Selain MARA, aku juga cuba memohon pekerjaan di beberapa syarikat lain. Yang sedihnya, dua minggu selepas habis sesi temu duga, kerajaan pula bertukar,” ujarku panjang lebar. “Apa masalahnya kalau kerajaan bertukar?” “Apa yang aku tahu, apabila kerajaan bertukar, polisi turut bertukar. Aku risau juga segala proses pengambilan dibatalkan.” “Kau tidak kerja di mana-mana ke sementara menunggu tawaran MARA?” “Ada, aku kerja di beberapa syarikat kecil dan sederhana tapi tidaklah lama sebab Perintah Kawalan pergerakan (PKP) pula diumumkan. Syarikat yang aku bekerja tu ada yang bungkus atau mengurangkan jumlah pekerja. Memandang aku pekerja baru yang dalam kontrak, aku lah yang jadi sasaran. Senang cerita, hampir seluruh tahun 2020 aku menganggur.” “Secara jujur aku sudah lupakan impian untuk bekerja di MARA pada masa tu, dan hampir berputus asa sepenuhnya. Sehinggalah pada suatu hari ketika aku duduk di hadapan komputer, aku ternampak emel yang bertajuk “TAWARAN JAWATAN PEGAWAI EHWAL EKONOMI E41.” Aku pun terus melompat kegembiraan, siap baca berulang kali bagi memastikan yang emel tersebut bukan emel palsu. Satu rumah aku umum yang aku berjaya menjadi pegawai MARA.”
Bangkit Dan Berlari 161 “Amboi, dah macam riak pula aku tengok.” Ujar temanku. “Bukan riak, tapi aku terlalu gembira tambahan lagi mak dan kakak aku pun sangat berharap aku dapat kerja di MARA. Menambahkan lagi kegembiraan aku apabila aku turut mendapat tawaran sambung belajar peringkat Sarjana di UiTM. Kedua-duanya ada nama MARA di situ. Kegembiraan berganda bagi aku.” Aku menambah. “Alhamdulillah, aku pula yang terasa kegembiraan kau.” Balas kawanku. “Terima kasih, jadi bila kau bertanya yang aku macam tidak gembira dengan kerja aku sekarang, sebenarnya bukanlah aku tidak gembira sehinggakan aku mahu meletak jawatan, ia cuma sedikit rasa tertekan dengan bebanan kerja semasa dan masih dalam penyesuaian diri.” Ujarku “Bukan apa, sebab aku tengok kau murung sangat sampai senyum pun tak ada.” Katanya. “Kalau aku senyum sorang diri nanti orang kata aku gila?” balasku sambil tersenyum. “Bukan macam tu, sebab aku tengok kau terlalu menyendiri dan berdiam diri, itu yang aku rasa yang kau tak gembira,” rakanku menambah lagi. “Kau punya tanggapan separuh tepat sebenarnya, aku tidaklah gembira tetapi seperti aku cakap tadi, ia hanya kerja dan aku pun hanya manusia biasa, merasa penat apabila bekerja. Namun setiap kali aku rasa hendak berputus asa, aku teringat di mana aku berada pada beberapa tahun dahulu. Aku seorang budak muda yang menjadi keliru di dunia orang dewasa di mana aku perlu bertanggunggjawab sepenuhnya atas segala perbuatan aku. Aku mengaku, beberapa tahun itu merupakan tahun paling gelap dalam hidupku tetapi aku tak mahu duduk lama dalam keadaan tu.” Jelasku. “Sekurang-kurangnya kau dalam keadaan yang lebih baik daripada masa lalu, betul tak?”
162 “Yang itu sangat tepat, namun masih banyak yang aku perlu pelajari untuk peningkatan diri, dan yang pasti hidup ini adalah ujian.” “Eh… dah nak habis waktu rehat. Jom kita pergi. Nanti tak pasal-pasal kena tangkap dengan tataterbit.” Selesai membuat pembayaran, aku dan temanku bergegas kembali ke pejabat menyambung tugasan untuk diselesaikan. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang sedemikian) Allah pasti mengetahui orang yang beriman dan juga mengetahui orang yang berdusta. Surah al-'Ankabut ayat 2-3. Bersama rakan-rakan sepejabat
Bangkit Dan Berlari 163 “Okey kelas, kita sambung mengaji minggu hadapan, jangan lupa baca sendiri sebelum kelas kita ya,” kata Ustazah Mell kepada pelajar-pelajarnya. “Baik ustazah,” jawapan serentak yang diberikan oleh 17 orang pelajar bidang elektrik. Di pejabat yang menempatkan 20 orang pensyarah Fakulti Pengajian Umum, Kolej Kemahiran Kinabalu, kelihatan Teacher Anum sedang termenung sambil menghadap skrin komputernya. “Bah! Apa yang ditenung sampai nak berlubang skrin tu?” teguran Ustazah Mell mengejutkan Teacher Anum. Dia memberi senyuman suram kepada sahabatnya yang duduk bersebelahan mejanya. “Kau okey Anum?” soal Mell. “Tak tahu nak cakap macam mana Mell, hati aku dah tawar. Rasa tak bersemangat nak buat apa pun. Kau pun dah buat banyak benda, tapi dinafikan sumbangan yang kau dah buat. Jika disebabkan persahabatan kita ni yang menghalang kau untuk dapatkan semua tu, aku okey Mell kalau kau tak mahu bersahabat dengan aku lagi.” Balas Anum. Ustazah Mell membiarkan sahabatnya meluahkan yang terbuku di kalbunya. Tatkala melihat air mata bergenang di mata Teacher Anum, Ustazah Mell memeluknya dengan erat untuk menyalurkan sebanyak mungkin kekuatan terhadap sahabatnya itu. Mujur kedudukan meja kedua-dua sahabat itu berada paling belakang daripada meja pensyarah yang lain. Tidak ada rakan pejabat yang perasan akan sesi luahan tersebut. Sesegar Embun Pagi Jairah Bedesly
164 Begitulah rutin dua orang sahabat ini tatkala rebah dengan gangguan emosi oleh kumpulan rakan yang toksik di pejabat. Mereka saling meluah dan setia mendengar keluh kesah yang dialami sahabatnya. Kerja yang dibuat tulus ikhlas bermula dari pukul 7.30 pagi hingga ke pukul 4.30 petang tanpa memikirkan habuan tidak pernah dihargai oleh sesiapa. Berkata manis terhadap ketua yang memimpin, bukanlah kemahiran mereka dua sahabat. Mereka juga tidak memegang prinsip hidup mesti melobi pihak atasan demi mendapatkan sesuatu habuan. Hatta, persahabatan mereka juga ingin diporak-porandakan sehingga seringkali menerima sindiran rakan sepejabat apabila mendengar dua sahabat itu merancang untuk beraktiviti outdoor pada hujung minggu. Emosi diganggu dengan sindiran masalah peribadi. Dipulaukan apabila tidak bersetuju dengan pandangan teman sepejabat. Terasa seperti masih berada di alam persekolahan. Sungguh tidak sihat suasana bekerja seperti ini. Teacher Anum kembali tenang, kedua-dua sahabat itu kembali tersenyum, seolah-olah hati yang kecewa telah terubat. “Jom hiking,” Teacher Anum kembali ceria. “Jom, tak sabar nak bertegur sapa dengan alam,” balas Ustazah Mell dengan senyuman semanis jagung. Bermesra dengan alam dan mencari bukit baharu untuk didaki adalah terapi jiwa bagi mereka. Itulah hobi dua orang sahabat ini sejak sekian lama. Satu kepuasan yang tidak tergambarkan apabila tiba di puncak pendakian, disajikan dengan pemandangan yang sangat indah. Suasana ini dapat menghilangkan rasa penat oleh beban kerja yang tiada penghujungnya. “Subhanallah cantiknya tumbuhan yang ada di sini, cuaca pun sejuk, rasa tenang dan nyaman.” Ustazah Mell meluahkan keterujaannya terhadap Bukit Maragang. “Mell, tengok embun yang ada di sebalik daun-daun hijau ni, sentiasa segar walau sering disentuh manusia yang cintakan alam.”
Bangkit Dan Berlari 165 Teacher Anum pula memberikan pendapatnya. “Betul tu Anum. Kita kena jadi seperti air embun ni walau puluhan cap jari manusia yang singgah menyentuh urat-urat dedaun ini, mereka tetap segar dan terus membuat manusia rasa nyaman serta teruja.” Kata-kata itu membuatkan Teacher Anum tersenyum sehingga ke telinga. Mereka meneruskan perjalanan sambil menikmati alam semula jadi yang cukup indah di dalam hutan itu. Tiba-tiba Teacher Anum duduk, wajahnya pucat. Tahulah Ustazah Mell, Teacher Anum perlu berehat sebelum meneruskan perjalanan. Ustazah Mell meletakkan beberapa titik peppermint oil di tapak tangannya dan terus menyapu di bahagian dada serta tengkuk teacher Anum sambil berselawat. Syukur, setelah beberapa minit Teacher Anum kembali pulih dan bersemangat meneruskan perjalanan hingga ke puncak Bukit Maragang. Mereka saling membantu tidak mengira tempat, keadaan, dan masa. Lebih mengharukan, mereka saling percaya dan saling menerima seadanya. Itulah antara kekuatan ikatan hubungan persahabatan di antara mereka. Tatkala seorang sedang menunduk menangisi kekecewaan, yang seorang pula akan menyalurkan aura positif agar sahabatnya kembali bersemangat menempuhi mehnah hidup yang mendatang. Setibanya di puncak Bukit Maragang, dua sahabat itu bertambah gembira apabila melihat panorama indah Gunung Kinabalu. Hilang seketika wajah-wajah toksik di pejabat yang sering mengganggu ketenteraman emosi mereka. Terhapus rasa kecewa yang tidak pernah dihargai. Satu terapi kekuatan buat mereka meneruskan perjalanan dalam episod pekerjaan yang masih panjang. Teacher Anum ralit menyentuh embun yang bergayutan di celah-celah daun sambil tersenyum manis. “Mell, cuba sentuh embun ini, sapu di mata, confirm segar. Rasa ada satu semangat baru muncul dalam diri.” Teacher Anum memegang tangan Ustazah Mell dan meletakkan jari jemari mereka di atas dedaunan hijau. Kedua-duanya tersenyum sambil menikmati
166 embun yang sejuk dan nyaman itu. “Kalaulah embun ini boleh temankan kita dalam ofis, mesti kita tak akan menangis lama-lama sebab kecewa dengan persekitaran toksik dalam pejabat kan?” Teacher Anum berkata dengan nada kesal. “Anum, apa pun yang berlaku dalam hidup kita, tetaplah berdoa pada Pencipta, minta kekuatan daripada-Nya, Insya-Allah, Dia akan sentiasa mengurniakan kekuatan menempuh cabaran hidup.” Nasihat Ustazah Mell untuk sahabatnya sekaligus untuk dirinya juga. Teacher Anum menumbuk manja lengan sahabatnya itu sambil tersenyum dan mengusik Ustazah Mell. “Baiklah Ustazah kesayanganku, sahabat till jannah, samasama kita saling sokong ke arah kebaikan. Terima kasih jadi sahabat aku.” Usai teacher Anum meluahkan rasa, bergenang air mata ustazah Mell sambil menatap wajah manis sahabatnya itu. “Terima kasih juga Anum, sudi jadi sahabatku, kita saling mendoakan ya. Walau tidak ada yang sokong kau, aku tetap berada di hadapan dan belakang kau.” Mereka berpelukan sambil mata memandang ke arah Gunung Kinabalu. Semoga kita terus teguh berdiri seperti Gunung Kinabalu walau pelbagai toksik yang memercik di wajah. Semoga kita terus segar, sesegar embun pagi, tetap bersemangat, bangkit dan berlari seperti seorang pejuang yang tidak pernah putus asa dalam mendidik anak bangsa walau sumbangan yang dihulurkan tidak pernah dihargai. Wajah-wajah bersemangat di puncak Maragang Hill
Bangkit Dan Berlari 167 “Sesungguhnya orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersebar dalam kalangan orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Ingatlah Allah Maha Mengetahui (segala perkara), sedangkan kamu tidak mengetahui (yang demikian).” Surah an-Nur ayat 19. “Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya) dengan syurga dan (pakaian daripada) sutera”. Surah al-Insan ayat 12. Sampai di puncak Maragang Hill scan untuk gambar
Dr. Mohammad A.R. Pakar Psikiatri UniKL RCMP Antologi cerpen ‘Bangkit & Berlari’ amat menarik perhatian saya. Perkongsian cerita dan pengalaman nukilan penulis-penulis beri impak berkesan pada psikologi saya. Pasti kepada pembaca yang punyai cerita dan pengalaman yang sama kisahnya akan bawa kepada kesan psikologi yang positif kerana setiap kisah ada pengakhiran yang baik. Ini akan beri harapan kepada pembaca yang sedang mengalami ujian dalam kehidupan mereka. Penghayatan dan keyakinan bahawa setiap kesukaran pasti ada kemudahan untuk atasi permasalahan menghasilkan ketenangan jiwa dan emosi pembaca. Pembaca juga berpeluang memahami hati dan perasaan setiap penulis dan kaedah-kaedah mereka menangani ujian yang dialami. Pengkisahan begini adalah terapi kepada pembaca yang selama ini beranggapan mereka sahaja yang bermasalah. Tahniah kepada penulis-penulis yang berani menceritakan hal privasi. Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa Pendakwah & Pensyarah UTM Penulisan yang sangat memberi inspirasi… sampai di hati… dan sangat wajar dikongsi. Hidup memang mesti terus berlari menuju Ilahi. Dr. Noor Hayati Yasmin Nga Timin Pakar Perubatan Kecemasan, KKM Bangkit dan Berlari, membacanya mengungkapkan pelbagai perasaan. Tanpa sedar air mata mengalir apabila membaca ujian dan cabaran yang dilalui oleh watak dalam setiap kisah. Ada kisah yang dekat di hati seperti kita mengalaminya sendiri. Naskhah ini membuatkan kita menyedari hakikat bahawa setiap orang diberi ujian berbeza dalam kehidupan yang singkat di dunia ini. Tetapi bagaimana kita mahu jadikan ujian itu sebagai titik mula untuk bangkit dan mengerti dengan hikmah yang Allah berikan. Tahniah pada semua penulis dan semoga karya ini menjadi asbab penolong insan lain di dunia dan terkumpul sebagai saham akhirat. Hjh Hasnita binti Hj Ibrahim Ketua Pustakawan Perpustakaan Digital BERNAMA Ahli AKRAB (Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam) BERNAMA Exco PERBIMA (Persatuan Biblioterapi Malaysia) Sekalung tahniah diucapkan kepada penerbitan buku ‘Bangkit dan Berlari’ yang menepati kriteria buku biblioterapi kerana berjaya memaparkan elemen sasaran bibilioterapi antaranya unsur tekanan, kesedihan, kemurungan, masalah kesihatan, penceraian serta pelbagai masalah lain. Buku ini turut menyajikan perkembangan diri yang boleh menyembuhkan emosi, jiwa malah dapat meningkatkan motivasi pembaca. Syabas kepada MARA Knowledge Centre yang telah berhasil menyakinkan penulis-penulis untuk berkongsi pengalaman hidup mereka sebagai iktibar dan pedoman berterusan buat pembaca. Semoga menjadi tabung saham di Jannah bagi semua yang terlibat. Norsa’adah Ahmad Penerbit Buku Setiap orang diuji dengan cara yang berbeza. Membaca buku ini mewujudkan rasa empati dan kita dapat memahami perit getir penulis dalam mengharungi cabaran dalam fasa kehidupan yang sukar. Namun, ketabahan dan kesabaran menjadikan mereka kuat dan keluar daripada kesulitan itu dan ia bukti pengorbanan yang tidak sia-sia. Sinopsis: Nukilan yang dicatatkan dalam buku ini adalah hasil daripada pengalaman sebenar para penulis menempuhi ujian kehidupan yang telah ditakdirkan. Keihklasan hati penulis berkongsi cerita bertujuan menjadi aspirasi kepada para pembaca untuk mengambil intipati daripada Bangkit dan Berlari menuju kebahagiaan dan kejayaan dunia & akhirat. ISBN 978-967-2264-10-1 Bangkit dan Berlari 978967226410 1