The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

E-book Bangkit dan berlari

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Eka Syafiqah, 2024-02-05 02:22:06

Bangkit dan berlari

E-book Bangkit dan berlari

Bangkit Dan Berlari 89 Hanya sekali sekala dugaan datang, ia sesekali tidak akan melenyapkan nikmat dan kesenangan yang telah dikurniakan-Nya sebelum ini. Begitu jugalah jika dilihat pada dugaan dan ujian yang menimpa orang lain, alangkah bersyukurnya kita kerana dugaan yang kita perolehi tidaklah sebesar mana. Allah SWT telah mengurniakan nikmat yang tidak terkira kepada hamba-hamba-Nya tanpa meminta balasan. Walaubagaimanapun sebagai balasan terhadap kurniaan nikmat tersebut kita hendaklah sentiasa memelihara dan memperbanyakkan syukur serta sentiasa mengabdikan diri kepada Allah SWT. Aturan Hidup Ketentuan Allah Aku selalu guna ungkapan ini, jika menangis kerana ujian dunia, tersenyumlah kerana janji-janji Allah. Kita hidup untuk Allah bukan untuk dunia. Aku perlu bersifat lapang hati ketika menerima ketentuan Allah dengan bersangka baik terhadap segala aturan-Nya sekalipun bertentangan dengan kehendak dan keinginan sendiri. Apabila kita mengaitkan segala kejadian di dunia adalah hasil aturan dan kehendak Allah SWT, kita akan melihat semuanya dari perspektif positif. Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi hambaNya. Keimanan akan menyuntik kekuatan insan untuk berhadapan dengan ujian yang menimpa dan jauhkan diri daripada rasa kecewa dan putus asa. Keimanan inilah yang akan membinaperibadi yang teguh mengharungi cabaran dunia. Terima kasih Allah. Kegagalan adalah Inspirasi Aku percaya sekiranya aku tidak gagal, aku tidak menjadi insan sehebat ini di sisi Allah SWT. Hidup ini bukan untuk makhluk tetapi semata-mata kerana Allah SWT. Jika aku impikan lebih banyak kejayaan, aku perlu bertahan dengan kegagalan sepanjang menjalani hidup. Mungkin aku rasa kecewa dengan takdir atau ketentuan yang sedang aku dihadapi. Pada masa dahulu, aku sering berkata, ‘mengapa aku diuji, mengapa bukan orang lain, mengapa aku...’ dan terus-terusan aku mengaju pelbagai persoalan tetapi Allah MAHA Penyayang.


90 Dengan dugaan kegagalan, aku belajar erti kesabaran. Sabar dengan musibah. Kegagalan yang menimpa bermakna aku yakin bahawa kehidupan di dunia ini adalah medan ujian dan cubaan. Aku gagal sekali tetapi ada orang lain yang gagal dua kali. Mungkin juga ada yang gagal berkali-kali. Di sebalik kegagalan itu pasti ada hikmahnya. Allah sebaik-baik perancang. Ketahuilah Allah sedang menguji dan pastinya perancangan Allah SWT adalah sempurna serta terbaik. Kejayaan Peperiksaan SPM Tahun 2000 (Sijil Terbuka) Alhamdulillah, sujud syukur ya Allah. Sesungguhnya Allah SWT sebaik-baik perancang. Seribu satu perasaan melanda ketika aku hendak mengambil keputusan SPM pada pagi itu. Hanya satu yang bersarang di benakku sejak seminggu lalu untuk menunggu saat ini. Hanya untuk emak abah. Dapatkah aku berikan keputusan yang cemerlang untuk kebanggaan mereka? Hanya pada-Mu Ya Allah aku meminta. Engkau sebaik-baik Pemberi. Hari yang ditunggu telah tiba, aku pergi mengambil keputusan SPM dengan abah. Keluar sahaja daripada kereta, terdengar di corong pembesar suara sekolah. “Pelajar yang bernama Dayang Norazurah binti Ibrahim mohon ke bilik pengetua sekarang”. Apa hal agaknya? Aku bagitahu abah, “nama chek tu bah”, (chek panggilan diri aku dalam keluarga). Tiba-tiba pengetua jerit, “Dayang, awak berjaya!” dengan tangan tunjuk best. Aku tidak tentu arah. Pengetua memberitahu aku berjaya dengan cemerlang dan layak masuk universiti. Aku terus panggil abah dan ajak dia masuk ke dewan untuk ambil keputusan. Aku mahu dia sama-sama rasa momen yang cukup manis ini. Kedengaran juga Ibu bapa pelajar lain mengucap tahniah, tarik tangan abah, salam-salam abah, ucapan demi ucapan. Aku beratur untuk mengambil keputusan di dalam dewan. Berdebarnya, laju degup jantung. Kini giliran aku. Allah, berpinar mata aku tengok slip SPM. Syukur Alhamdulillah, banyak A dan semua subjek teras dapat A. Cikgu beritahu kalau kiraan agregat aku


Bangkit Dan Berlari 91 dapat pangkat 1. Aku peluk slip SPM. Aku rasa puas hati dengan apa yang aku lalui dalam tempoh enam bulan ini, sudah berbalas. Aku rasa tidak sabar untuk tunjukkan keputusan itu kepada emak. Dengan rasa kasih dan sayang, aku ingin titipkan doa untuk semua cikgu-cikgu yang telah mengajar aku sehingga aku berjaya. “Ya Allah, ampunilah guru-guru kami dan mereka yang telah mengajar kami. Sayangilah mereka, muliakanlah mereka dengan keredaan-Mu, tempatkan mereka di tempat yang disenangi di sisi-Mu, Wahai Yang Maha Penyayang.” Akhirnya dengan izin Allah SWT dan segalanya dipermudahkan, aku layak menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Segamat, dalam jurusan Pengajian Maklumat - Diploma Pengajian Maklumat tahun 2001-2004. Kegagalan itu memberi peluang untuk aku tidak mengulangi kesilapan yang sama. Aku tidak takut dengan kegagalan kerana perjalanan seribu batu bermula daripada satu langkah. Mungkin ujian yang aku lalui ini adalah ujian yang kecil tetapi bagi aku pada usia itu, ujian itu terbesar dalam hidupku. Terima kasih Allah, atas ujian yang Kau berikan padaku dan Kau balas kenikmatan yang cukup indah. Aku tanam dalam diri, bahawa pada ketika ini mungkin hari ini, esok atau pada kemudian hari nanti apabila aku diuji lagi, ia akan mendewasakan aku. Itulah pengalaman yang paling berharga. Terima kasih Maha Pencipta. Percutian bersama keluarga di Terengganu, 2022


92 Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya besarnya balasan tergantung dari besarnya ujian, dan apabila Allah cinta kepada sesuatu kaum Dia akan menguji mereka, sesiapa yang reda (terhadap ujian itu) maka baginya keredaan Allah. Namun sesiapa yang murka (tida reda) maka baginya kemurkaan Allah.” (Riwayat at-Tirmizi, no. 2396, hadis hasan gharib). Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesunguhnya Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang sedemikian) Allah pasti mengetahui orang yang beriman dan juga mengetahui orang yang berdusta. Surah al-‘Ankabut ayat 2-3. scan untuk gambar Konvokesyen UiTM 2014 bersama keluarga


Bangkit Dan Berlari 93 Yang Telah Allah Tetapkan Lia Hadi “Jatuh itu biasa. Bangkit setiap kali jatuh itu luar biasa. Jatuh kerana manusia, bangkitlath kerana-Nya. Allah sentiasa inginkan kebaikan untuk kita, Dialah Allah ya Barr Yang Maha Baik, Dialah yang paling dekat dengan kita!” – Ustazah Asma’ Harun. Laungan azan subuh yang berkumandang rumah mengejutkan Azira dari lena mimpinya. Ya Allah, ampunkanlah hamba-Mu ini. Aku terlepas bicara rinduku bersama-Mu, rintih Azira dalam hati. Terbit sesalan di hatinya kerana lewat masuk tidur seperti biasa. Dia perlu menguruskan tugasan yang dibawa pulang dari pejabat. Tidur lewat mana mungkin mudah untuk dia bangun menunaikan solat malam. Pasti hari yang akan dilalui itu akan mengundang sepi dan resah kerana temu janji dengan kekasih hati telah dimungkiri. Usai sempurna solat subuh dan membaca beberapa helaian kalam suci Allah, Azira termenung seketika sambil jari jemari halusnya menguis tikar sejadah berlakarkan Raudhah. Perkenalan di antara Haris dan Azira bermula dari zaman universiti sehinggalah mereka dilengkapi dengan kehadiran sepasang cahaya mata kembar. Kelahiran Aidan dan Ariana 19 tahun lepas, adalah anugerah terindah dan amanah kepada mereka berdua, malah turut mengundang rezeki yang tidak pernah terduga. Syarikat perniagaan Haris yang baharu hendak bertapak melonjak naik apabila mendapat tawaran yang mencecah jutaan ringgit. Walaupun dilimpahi kemewahan, Azira tetap menjalani rutin harian sebagai seorang pegawai kanan di jabatan kerajaan manakala jadual Haris pula bertambah padat.


94 Perniagaan Haris semakin rancak dan acap kali dia pulang lewat ke rumah. Hanya apabila azan subuh hampir berkumandang, baharu Haris muncul di muka pintu dengan wajah kepenatan. Bicara Haris juga tidak lagi selembut dahulu. Tiada lagi usikan manja. Paling ketara Haris cepat mengeluarkan kata-kata kesat andai tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara. Kerana terlalu menyayangi Haris yang merupakan cinta pertamanya, Azira menepis segala rasa sangsi terhadap Haris. Mama Azira yang tinggal serumah turut sedar akan perubahan Haris. Hati seorang ibu mudah dijentik apabila terasa sesuatu yang kurang enak menyelubungi jiwa anaknya. Pada suatu malam mama Azira menghampiri puterinya dan menyuarakan rasa hatinya. “Azira, kenapa mama tengok Haris sekarang selalu sangat balik lewat?” soal mama Azira. “Haris banyak kerja mama. Lagi pun semua yang dia buat untuk keluarga juga.” “Mama dah banyak makan asam garam. Mana ada seorang suami yang setiap hari balik waktu subuh. Tak kan tiada rasa rindu pada isteri dan anak,” bisik mama Azira sambil membelai rambut puterinya. Hati Azira yang pernah dilanda perasaan sangsi terhadap perubahan sikap Haris mula berteka-teki apabila mendengar luahan mamanya. Pada suatu pagi, Haris pulang ke rumah dan terus merebahkan diri ke sofa di ruang tamu. Belum sempat Azira menyuruh suaminya naik ke bilik dan mandi, kedengaran kuat dengkuran Haris. “Teet teet…teet teet”, bunyi whatsapp daripada telefon bimbit Haris yang diletakkan di atas meja kaca, memecah keheningan subuh. Azira menoleh dan sempat membaca nama pengirim dan pesanan yang tertulis “Love & miss u syg”. Terkedu Azira seketika sambil tangannya perlahan-lahan cuba menyentuh telefon bimbit Haris. Arghh…ada password, keluh Azira dalam hatinya. Azira melihat jam di dinding. Dia perlu bersiap untuk ke pejabat. Azira bingkas bangun menuju ke kamar tidurnya sambil air matanya mula berjuraian. Persoalan mula bermain di benaknya.


Bangkit Dan Berlari 95 Apa benar sangkaan aku selama ini? Apa benar segala yang Mama cuba sampaikan? Apa benar Haris ada perempuan lain dalam hidupnya? Siapa Effa? Apa yang harus aku lakukan demi rumahtangga aku…? Tiba di pejabat Azira tidak mampu untuk fokus terhadap kerjanya. “Kenapa nampak pucat, mata bengkak ni? Ehh, Azira nangis ya?,” Kak Wan yang seumpama kakak angkat Azira, bertanya. Azira mengangkat mukanya perlahan-lahan melihat Kak Wan sambil bahunya terhincut-hincut menahan tangis. “Jom Azira, kita pergi minum sekejap,” Kak Wan bingkas menarik tangan Azira keluar dari pejabat. Di dalam kereta Azira tidak dapat menahan sebak dan terus memeluk Kak Wan. Selepas menarik nafas dan reda daripada tangisan, Azira meluahkan segala yang telah berlaku serta perubahan Haris selama ini. “Kak Wan, kenapa Allah duga Zira macam ini? Jahat sangatkah Zira?” tanya Azira dalam esak tangisnya.“Azira, Allah sayang Zira. Allah uji kita sebab Allah sayang kita. Allah nak tarik kita dekat kepada-Nya. Allah nak dengar rintihan kita kepada-Nya,” pujuk Kak Wan lagi. Azira mengesat air mata yang membasahi pipinya sambil memandang jauh ke luar tingkap menyedari kekhilafan dirinya. Badai yang melanda rumah tangga cuba dipertahankan. Azira bersemuka dengan Haris dan meminta penjelasan daripadanya. Terbit kekesalan di wajah Haris dan dia memohon maaf. Azira tidak terus menghukum Haris kerana dia turut sedar akan kekurangan dirinya. Azira kurang mengenal cinta Allah. Haris adalah cinta pertama Azira dan dia terlalu mengagungkannya. Azira lalai cinta sejati selayaknya diperuntukkan kepada Sang Khaliq. Perlahan-lahan Azira mula berubah demi meraih cinta RabbNya. Kalam suci Allah mula menjadi sahabat baiknya. Haris juga sudah jarang pulang lewat. Azira bersyukur kerana Haris sudah insaf di atas perbuatannya.


96 Aidan dan Ariana pula akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia. Selain sibuk dengan urusan pejabat, masa Azira juga semakin padat untuk memastikan si kembar tidak ketinggalan menghadiri kelas tambahan serta bengkel menjawab soalan. “Ayah, handphone Aidan macam dah rosak. Skrin gelap dah tak boleh tengok apa-apa. Kalau emergency nanti nak call tak boleh,” beritahu Aidan kepada ayahnya semasa makan malam. “Aidan guna dahulu handphone ayah yang lagi satu untuk sementara. Ayah ada urusan di luar malam ini dan minggu depan baru ayah balik. Nanti dah balik, ayah hantar handphone Aidan ke kedai, kita tengok apa yang rosak,” balas Haris. “Mama, cantik tak handphone baru Aidan ni? Mama trylah,” jerit Aidan mengusik mamanya dari meja belajarnya. Bangga sungguh Aidan dapat menggunakan telefon bimbit jenama iPhone 13 Pro Max milik ayahnya. Ariana hanya tersenyum melihat keletah kembarnya. “Ayah bagi pinjam. Jaga elok-elok,” nasihat Azira sambil membelek telefon bimbit Haris. “Macam mana Mama nak cuba, ada password ni. Mama tak pandailah guna iPhone. Mama setia dengan Samsung saja”, usik Azira. “Mama tekan 280992. Ayah bagi password ini tadi,” balas Aidan. Mendengar jawapan kembarnya, Ariana yang sedang mendengar lagu di hujung katil, melompat bangun dan duduk di sebelah Azira. “Mama, mama tak rasa ke password tu seumpama tarikh lahir?” bisik Ariana kepada mamanya. “Ayah kan selalu guna tarikh lahir kita sebagai password. Tapi nombor ini macam tiada kena mengena pun dengan kita.” Kata-kata Ariana membuat Azira terfikir seketika. Betul juga, tidak pernah Haris simpan nombor sebegini sebagai password. Argh…bisikan syaitan semua ni, tepis Azira. Selepas memasukkan kata laluan tersebut, kelihatan gambar mereka sekeluarga yang diambil semasa Hari Raya yang lepas menghiasi wallpaper telefon bimbit. Azira tersenyum mengingati momen tersebut.


Bangkit Dan Berlari 97 Sedang Azira mencuba telefon bimbit tersebut, tanpa sengaja jarinya tertekan aplikasi Whatsapp. Nama pengirim yang tertera sebagai Lenny terus menarik perhatian Azira kerana pesanan terakhir daripada pengirim tersebut kepada Haris adalah emoji berbentuk hati berwarna merah. Semenjak peristiwa yang hampir memusnahkan rumah tangga mereka dahulu, Azira telah berjanji tidak akan lagi membaca pesanan whatsapp Haris sebagai tanda hormat seorang isteri kepada suami. Malah Haris juga telah berjanji itu adalah yang pertama dan terakhir dia melakukan kesilapan. Namun firasat hati seorang isteri merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dengan rasa berdebar Azira menekan bagi membuka penuh kiriman whatsapp daripada Lenny itu. Hampir terlepas telefon bimbit tersebut daripada tangan Azira. Aidan dan Ariana terus menerpa apabila melihat mama mereka menangis. Terpapar gambar Haris berpelukan dengan seorang wanita berambut perang yang memakai gaun hitam tanpa lengan paras lutut di sebuah pusat peranginan. Luahan mesra di antara Haris dan Lenny jelas menunjukkan baharu sebulan gambar tersebut diambil semasa percutian bulan madu mereka. Dalam diam Haris telah menjalin hubungan sulit dengan pelbagai wanita selepas rahsia kecurangannya terbongkar tiga tahun lepas. Azira tertipu dengan kebahagiaan palsu yang dilakonkan Haris. Luluh jantung Azira apabila membaca pelbagai pesanan mesra beberapa orang wanita kepada Haris. Pesanan pengirim bernama Mummy Cherry membuat Azira terasa dirinya jijik dan hina. Aidan dan Ariana yang turut sama menangis hanya mampu memeluk erat mama mereka. Dentuman guruh yang kuat membuat Azira tersedar daripada lamunannya. Ditatapnya sekali lagi sejadah berona hijau itu dan fikirannya kembali melayang jauh. Takdir Allah mengatasi segalagalanya. Ketetapan Allah tiada siapa yang boleh menghalang. Perbincangan bersama Haris berkesudahan dengan talak satu yang dilafazkan kepada Azira.


98 Tiada guna berdebat dengan Haris kerana dia tetap berkeras dengan pendiriannya bahawa semua yang berlaku bukan salah dirinya tetapi takdir yang telah tertulis untuknya. Malah, Azira yang dipersalahkan seolah-olah tidak boleh menerima qada’ dan qadar. Lenny menjadi pilihan Haris kerana dia lebih menepati cita rasa wanita yang diingininya. Bukan seperti Azira yang telah memilih jalan hidup untuk dicintai Allah Al-Kabir. Ya Allah, aku tahu ini adalah ketetapan-Mu dan aku yakin apa yang Engkau tetapkan, itulah yang terbaik buatku. Andai bahagia itu bukan milikku di dunia, aku pasti Engkau menyimpannya buatku di sana, kerana Engkau tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Mu, bisik Azira di dalam hatinya. Mata Azira melirik ke arah kalendar yang terletak di sudut katilnya. Pada tarikh hari ini, cukup setahun Haris menjatuhkan talak kepadanya, di hari genapnya 18 tahun usia perkahwinan mereka. Azira menarik nafas dalam-dalam sambil menanggalkan telekung dan melipat sejadah dengan kemas. Dalam hatinya tidak putus-putus dia melafazkan kalimah Alhamdulillah. Terima kasih Ya Rabb. Sesungguhnya aku bersyukur dengan ujian yang Engkau berikan. Perpisahan bukanlah suatu hukuman malah ada hikmah yang penuh dengan warna-warni kehidupan. Benar, Engkau As-Sami’ Yang Maha Mendengar. Engkau perkenankan doaku yang merintih merayukan pertolongan dari-Mu. Engkau kurniakan aku kekuatan dan kesabaran mengharungi hidup tanpa seorang suami di sisi. Azira tersenyum dan bingkas bangun menuju ke meja kecil di sudut kamarnya. Azira tekad menyiapkan manuskrip yang telah seminggu terbiar tidak terusik. Manuskrip jatuh bangun seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu akan dihadiahkan kepada keduadua putera dan puterinya sebagai bimbingan dan dorongan untuk mereka melayari ranjau kehidupan. Sesungguhnya takdir Allah itu cantik dan indah. Yakin dan bersangka baiklah kepada Allah walau apa pun yang terpaksa dihadapi. Tidak mungkin untuk kita mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Takdir Allah tidak pernah salah. Hanya


Bangkit Dan Berlari 99 apabila akal menjangkaui hukum pasti akan kucar-kacir. Tetaplah berdoa dan bersabar meski terkadang ia sukar dan menyakitkan. Bangkitlah kerana Allah. Jadilah hamba yang dekat pada-Nya. Taatlah perintah dan suruhan-Nya serta tinggalkanlah segala larangan-Nya. Pada saat Allah memberi ujian, diamlah seribu bahasa, senyumlah tanpa kata, rasai nikmat ujian dari Allah kerana ujian itu tanda Allah sayang kepada hamba-Nya. Ujian Allah satu rahmat kerana ia mendekatkan kita dengan-Nya. Ketetapan Allah selalu yang terbaik untuk setiap langkah hamba-Nya. Ya Allah, ketika aku jatuh bantulah aku untuk bangkit semula dan ketika aku lemah kuatkanlah aku agar mampu terus melangkah dan berlari ke depan melalui satu demi satu episod kehidupan. Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah al-Baqarah ayat 155-156.


100 Belajarlah mencintai takdir hidup kita kerana adakalanya apa yang kita rancang itu tidak kesampaian. Kita perlu bersangka baik dengan takdir yang kita alami kerana setiap dugaan itu ada hikmahnya. Apabila bercerita tentang takdir dan ketentuan-Nya, saya ingin berkongsi kisah saya berpindah tempat kerja. Saya percaya, setiap orang yang pernah berpindah tempat kerja, pasti ada cerita masing-masing sama ada pahit atau manis. Ada yang seronok dapat berpindah, terutamanya jika memang memohon berpindah di tempat yang diingini. Dan ada juga yang berduka kerana dipindahkan secara paksaan atau berpindah ke tempat yang bukan atas pilihan sendiri. Aku baharu mendapat berita yang benar-benar mengejutkan dan mengganggu emosi. Rasa sesak nafas, bermacam-macam perasaan timbul. Rasa sedih memikirkan akan meninggalkan tempat kerja, berpisah dengan rakan-rakan serta anak-anak didik yang amat disayangi. Hubungan yang telah terbina sekian lama menyebabkan saya sukar menerima kenyataan akan dipindahkan. Malah saya juga merasa bagaikan bermimpi. Tidak sedar rupa-rupanya saya sudah berkhidmat selama tujuh tahun di Kolej Profesional MARA Seri Iskandar, Perak. Istimewanya tempat ini kerana ia merupakan tempat pertama saya berkhidmat dalam Institusi Pendidikan MARA. Sebelum itu saya pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di Putrajaya dan pernah mengajar di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Klang, Selangor. Pada hari pertama saya melaporkan diri di kolej ini, seorang staf bertanya saya, “Adik nak ambil jurusan apa?”.“Eh bukan, saya datang ke sini untuk mengajar bukan sambung belajar,” ujar saya. Di Sebalik Takdir June Jariah


Bangkit Dan Berlari 101 Agaknya pada masa itu, saya nampak macam budak-budak lepasan SPM. Memang saya tidak boleh lupa kenangan ini. Sebenarnya, isu perpindahan ini bukan satu perkara yang baharu. Sepanjang berkhidmat di Perak, saya pernah dua kali memohon berpindah. Pada tahun 2010 saya pernah memohon berpindah ke Kolej Kemahiran Tinggi Petaling Jaya sebagai pilihan pertama dan Ibu pejabat MARA di Kuala lumpur sebagai pilihan kedua. Namun dimaklumkan tiada kekosongan bagi mengisi jawatan di tempat tersebut. Manakala pada tahun 2013, sekali lagi saya cuba memohon berpindah ke Institut Kemahiran MARA, Kuala lumpur dan Kolej Profesional MARA Beranang, Selangor. Namun masih juga gagal kerana tiada keperluan pensyarah baharu di sana. Saya pasti kalian tertanya-tanya, mengapa saya memohon berpindah bukan? Ini kerana saya berhasrat hendak menyambung pengajian ke peringkat sarjana di universiti yang sama semasa ijazah dahulu iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jika berpindah di sekitar Kuala Lumpur atau Selangor, jarak di antara tempat kerja dengan universiti pilihan hati tidaklah jauh. Namun disebabkan tiada kekosongan maka saya pendamkan hasrat untuk menyambung pelajaran tersebut. Bagi memujuk hati yang berduka, saya akhirnya pasrah dan reda dengan ketentuan ilahi. Saya sedar, “Aku cuma hamba-Mu yang lemah. Sedangkan Allah yang memegang segala takdir, rezeki, jodoh, baik buruk nasib, bahkan nyawaku!” Saya mula berfikir kita hanya mampu merancang, sedangkan Allah jua yang menentukan. Allah sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Kunfayakun. Maka, apabila surat rasmi dan pemakluman berita perpindahan tersebut telah diterima di tangan sendiri, akhirnya saya sedar dan akur. Harapan dan impian saya untuk berpindah ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau ke negeri Selangor tidak menjadi kenyataan, sebaliknya saya dihantar ke negeri yang lain. Tidak terlintas langsung saya akan berpindah ke Melaka kerana tiada dalam senarai yang dipohon. Rasa kecewa juga kerana


102 permohonan tidak seiring dengan keputusan sebenar. Namun seorang sahabat baik saya pernah berkata, “Allah bagi apa yang kita perlu Jun, bukan apa yang kita mahu. Sekurangkurangnya perpindahan tersebut tidak membebankan dan bukanlah jarak yang terlalu jauh sehingga perlu ke seberang laut. Jun patut bersyukur kerana tidak perlu berpindah jauh dan masih boleh meneruskan cita-cita untuk menyambung pelajaran.” Subhanallah! Nasihat sahabat baik saya ini menjadi ubat yang meredakan segala resah gelisah di hati saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Kini sudah lapan tahun saya berhijrah ke negeri bersejarah yang menjadi tarikan pelancong. Sudah pelbagai ceruk tempat saya lawati dan adakalanya menjadi “ejen pelancongan” tidak berbayar kepada kawan-kawan dan keluarga yang datang bertandang ke Melaka. Bagaimanapun bak kata pepatah, tempat jatuh lagikan dikenang apatah lagi tempat pertama saya berkhidmat, tentulah masih segar dalam ingatan. Banyak ilmu yang telah saya timba bawah pimpinan Allahyarham Tuan Haji Jusoh bin Omar, mantan Pengarah KPM Seri Iskandar pada ketika itu. Paling diingati beliau merupakan insan yang banyak mengajar saya dalam aspek penulisan, daripada penulisan minit mesyuarat sehinggalah menulis kertas kerja yang menepati kehendak pihak atasan. Istimewanya, saya telah belajar secara personal dek kerana tidak tahan apabila minit mesyuarat saya kena reject berulang kali olehnya. Malah sampai ke hari ini saya masih lagi diberi tanggungjawab sebagai setiausaha dan apa jua yang berkaitan penulisan. Sepanjang bertugas di sana saya juga pernah menjawat pelbagai jawatan termasuklah jawatan felo. Ia merupakan jawatan yang seringkali ditolak orang lain kerana selain daripada mengajar perlu juga menjalankan kerja-kerja ad-hoc. Melalui pelbagai pengalaman dan tanggungjawab yang dipikul secara tidak langsung, menjadikan saya seperti apa adanya.


Bangkit Dan Berlari 103 Antara perkara yang membuatkan saya rindu di tempat lama ialah keakraban saya dengan teman-teman dan kegiatan kami yang sukakan aktiviti lasak. Ini kerana negeri Perak merupakan negeri yang luas berbanding negeri Melaka. Perak cukup terkenal dengan keindahan muka buminya yang kaya dengan pelbagai flora dan fauna. Sepanjang saya menetap di sana, saya pernah melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti aktiviti water rafting, water abseiling di Sungai Itik, Gopeng, memanjat dan menerokai Gua Tempurung, mendaki Bukit Larut di Taiping, berkhemah, mandi-manda air terjun Lata Iskandar, Lata Kekabu dan pelbagai lata yang ada sehingga saya tidak ingat lagi nama lata tersebut. Selain itu, kenangan manis yang paling tidak dapat dilupakan adalah aktiviti mendaki Gunung Kinabalu bersama teman-teman sekerja. Mereka bukan sahaja teman-teman sehobi tetapi keakraban kami umpama adik beradik tanpa mengira jawatan. Rasa teramat rindu dengan mereka dan segala kenangan sentiasa terpahat dan bermainmain di fikiran hingga kini. Terlalu manis kenangan zaman muda dan bujang tersebut kerana masih belum mempunyai komitmen yang besar. Namun kini ramai yang telah berhijrah ke tempat lain, ada yang telah berkeluarga, berpindah ke negeri asal, ada yang berhenti dan berkhidmat di agensi lain atau ada yang sudah berpangkat. Masing-masing telah membawa haluan kerjaya sendiri. Saya pada awalnya rasa amat bimbang untuk berpindah ke tempat baharu dan takut tidak dapat menyesuaikan diri di negeri orang. Bermacam-macam perasaan berlegar di fikiran pada ketika itu. Namun setelah berpindah, alhamdulillah saya telah diterima dengan baik dan mendapat rakan sekerja yang positif serta saling membantu. Malah sejak perpindahan yang tidak dirancang ini, Allah telah membuka begitu banyak pintu rezeki yang tidak disangka-sangka. Apa yang mengharukan setelah beberapa bulan berpindah, saya mendapat tawaran untuk menyambung pengajian sarjana dengan tajaan MARA sepenuhnya di universiti yang saya impikan. Allahuakbar! Bagaikan tidak percaya. Saya pernah merancang tetapi perancangan


104 Allah jua adalah yang terbaik. Dengan semangat tersebut juga, saya telah memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang dan pernah mendapat Anugerah Dekan. Sesuatu yang sangat di luar jangkaan. Syukur pada Allah yang memberi rezeki! Selain itu saya juga telah bertemu jodoh dengan jejaka pilihan hati, dikurniakan dua orang zuriat yang comel dan berjaya memiliki sebuah mahligai kasih di Melaka. Sungguh menakjubkan perancangan Allah. Tidak dapat saya senaraikan kesemua hikmah di sebalik perpindahan tersebut di dalam coretan ini. Namun apa yang ingin saya tekankan bahawa, Allah jualah sebaik-baik perancang. Benar janji Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 153, “…Sesungguhnya Allah bersama-sama (menolong) dengan orang yang sabar.” Ya Allah, Ya Tuhanku, ampunkanlah hamba-Mu yang lemah ini.” Saya rasa bersyukur dan timbul penyesalan atas prasangka buruk dengan takdir Allah pada awal perpindahan dahulu. Apabila difikirkan dan direnung kembali hikmah di sebalik perpindahan tersebut, saya dapati ia selari dengan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216, “…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. (Dan ingatlah) Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” Ya Allah, tiba-tiba saya rasa malu dan bersalah! Lihatlah apa yang telah Allah katakan. Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu perkara padahal ia adalah terbaik bagi kamu. Ada juga kawan sekerja di tempat lama berseloroh, “Jun, tidak mahu pindah balik ke Perak ke?” Saya ketawa sahaja. Sekarang saya sudah pun berkeluarga dan ingin menetap selama-lamanya di negeri Melaka ini bersama suami dan anak-anak. Semoga saya dapat terus memberi khidmat bakti dengan baik selagi nyawa dikandung badan sebagaimana pepatah Melayu, “dimana bumi dipijak, di situ langit di junjung”. Saya juga berhasrat untuk menabur bakti bukan sahaja sebagai staf MARA malah sebagai seorang pengkaji sejarah di bumi Melaka ini.


Bangkit Dan Berlari 105 Kita perlulah sentiasa bersangka baik dengan perancangan Allah. Usah terlalu bersedih (La Tahzan), bimbang dan menangisi takdir. Sememangnya dalam hidup ini, kita hanya mampu merancang tetapi perancangan Allah jualah yang terbaik. Manusia merancang dengan cita-cita tetapi Allah merancang dengan cinta-Nya. Kita bukan tidak boleh kecewa tetapi jangan dibiarkan kekecewaan itu menguasai diri sehingga mengganggu emosi dan akhirnya merosakkan kerjaya kita sendiri. Kita harus bangkit segera dan berdamai dengan takdir-Nya. Sesungguhnya apa yang dikurniakan kepada kita mempunyai 1001 rahmat dan hikmah yang kita tidak sedari. Kita ambillah hidayah daripada sabda Rasulullah SAW iaitu “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang yang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim, no. 2999). Sesungguhnya Kami mencipta segala sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan) di Luh Mahfuz. Surah al-Qamar ayat 49 Di hadapan kolej bersama anak-anak didik KPMBM scan untuk gambar Meraikan kejayaan bersama sebahagian teman-teman sekuliah Ijazah Sarjana Sains Sosial UKM.


106 Assignment Dari Tuhan Hana Eng Setelah lebih 10 tahun berkhidmat, akhirnya Intan dinobatkan sebagai Pensyarah Cemerlang. Dia teringat amanat arwah ibunya ketika dia mula melangkah ke dunia pendidikan dahulu. Sebelum meninggal dunia, ibu berpesan, “Intan, ibu tidak meninggalkan harta buat Intan. Carilah ilmu kerana ilmu sahaja yang dapat menjamin masa hadapan Intan.” Kata-kata ibu menjadi azam dan amanah untuk Intan melaksanakan tugasan yang Intan namakan ‘Assignment daripada Tuhan’. Setahun selepas pemergian ibu, ayah pula menyusul. Semejak itu Intan bergelar anak yatim piatu. Gelaran yang benar-benar menjadi ujian dalam hidup Intan. Intan perlu meneruskan hidup dan berazam akan mengembalikan kegemilangan zaman ayahandanya. Aku mesti berusaha, bersungguh-sungguh melaksanakan assingnment dari Tuhan ini. Jika kalian di tempat Intan apakah mampu menempuhi ujian ini?. Intan dalam dilema, apabila ditawarkan sama ada ingin melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi dalam negara atau terbang ke luar negara. Rakan sebiliknya, Nur Ziana binti Dato’ Abdul Ghani bertanya, “ Awak dah buat keputusan? ” “Belum. Kalau dalam negara perlu habiskan tiga tahun, kalau di Mesir lebih kurang satu tahun sahaja tetapi saya tidak berani hadap hafazan yang banyak, tiga juzuk tu…” kata Intan.“Tanyalah Tuhan,” jawab Nur Ziana dengan selamba. Itu menjadi jawapan muktamad yang memang sangat membantu. Intan memulakan misinya dengan mengerjakan solat istikharah. Pada kali pertama Intan lakukan, esok paginya semasa Intan keluar ke balkoni, dia ternampak awan membentuk seperti


Bangkit Dan Berlari 107 kapal terbang. Wah …inikah petandanya! Bisik Intan di dalam hati. Misi Intan tidak terhenti di situ, beberapa hari kemudian Intan solat istikharah lagi. Pada kali ini bukan awan tetapi muncul dalam mimpinya deretan lelaki berjubah putih dan berserban memandang padanya dan memberitahu Intan, ” Bumi ini bumi Anbiya’ dan bumi Firaun.” Intan berdoa, “ Wahai Tuhan sekelian alam, aku bersujud, bersimpuh dan menadah kepada-Mu Ya Allah, restuilah pilihanku ini, izinkan hamba-Mu terus melakar pelangi.” Bermula dari situ Intan terus melangkah. Untuk mengumpul dana bagi menyambung pengajiannya, Intan bekerja kilang. Intan bekerja pada shift malam sahaja sementara pada sebelah siang, Intan akan menjuaI bunga Jepun atau bunga kembang pukul sepuluh. Seorang bekas guru di sekolah lama Intan, selalu membeli pokok bunga Jepunnya. Cikgu Zainab binti Dato’ Darus, Intan akan ingat nama itu sampai bila-bila. Setiap kali bunga terjual, Intan akan berlari ke kedai berhampiran, untuk membeli lada kering dan telur untuk dijadikan lauk. Berbunga-bunga hati Intan seperti kembang melatanya bunga Jepun yang dijualnya. Satu semaian Intan jual dengan harga RM3.00. Satu perkara yang menghairankan Intan, Cikgu Zainab seperti diutus oleh Tuhan kerana sering datang membeli bunga, bererti adalah makanan untuknya. Intan juga nekad untuk memohon tajaan Yayasan Negeri Pahang. Intan perlu melalui temu duga untuk mendapatkan tajaan tersebut. Ketika temu duga itu berlangsung, ada tiga orang pegawai di hadapan Intan. Pegawai yang berbaju kot dan bertali leher kelihatan serius menyoal Intan. “ Kenapa awak hendak pilih bidang undangundang syariah?” “Saya Islam dan saya yakin kalau bukan saya yang menegakkan hukum Islam siapa lagi? Ia adalah hak saya.” Ujar Intan.“Oooh yakinnya awak dengan jawapan itu?” ujar Pegawai tersebut. “Ya encik, itu kecenderungan dan minat saya.” Tambah Intan.


108 Pegawai tersebut mengangguk-angguk seolah-olah bersetuju. Intan berjaya dalam temu duga tersebut dan Yayasan Pahang menaja sepenuhnya pengajian Intan di sana. Hari yang ditunggu-tunggu tiba, hari untuk Intan berlepas ke bumi Mesir. Intan membawa sebuah beg besar dengan rombongan kira-kira 25 orang rakannya yang lain. Mereka berlepas dengan menaiki Boeing 747 menghala ke Jordan untuk transit sebelum meneruskan penerbangan ke bumi Kaherah, Mesir. Di Mesir, Intan di tempatkan di penempatan baharu pelajar Malaysia di Haiyyu Asyir (seksyen 10) manakala pelajar lama di Haiyyu Sabie’ (seksyen 7). Pelajar Pahang merupakan antara pelajar terawal sampai. Pegawai atasan juga ditempatkan di sana sebagai pemantau pelajar. Intan berjaya menyambung pengajian di bumi Mesir dengan ditanggung penuh oleh kerajaan negeri. Semasa di Mesir, Intan belajar memaksimumkan kemahiran diri, mengambil segala peluang yang ada dan mencuba perkara baharu. Intan yakin sikap ini akan membantu dirinya dalam mencapai kejayaan yang lebih bermakna. Ya Allah jadikanlah hari ini, hari terakhir aku berharap pada manusia. Ya Allah pada saat engkau mengangkat martabatku nanti, aku berjanji untuk berbakti dan tidak menghina yang lemah. Intan dilantik sebagai pengawas Bahagian Selenggaraan Am bersama-sama dengan Ammu Razak, seorang pelajar senior. Ada dua buah banggunan Malaysia iaitu sebuah bangunan bagi pelajar Pahang dan sebuah bangunan untuk pelajar negeri lain dari Malaysia. Mikiaaak! … mikiaak! (tong gas), mendengar sahaja perkataan itu, Intan tahu itulah tanda, masanya untuk dia bertugas. Jika letrik terpadam, gas tiada atau berlaku kerosakan apartmen, mesti Intan dan Ammu Razak datang untuk membantu. Pernah pada satu malam, letrik bangunan C terpadam. Dua orang pekerja Arab datang untuk membetulkan wayar utama. Entah apa yang digodeknya, tiba-tiba meletup dan seorang pekerja Arab itu terbakar misainya, tinggal sebelah sahaja. Ammu Razak ketawa besar, orang Arab itu juga hilang sakitnya dan turut ketawa.


Bangkit Dan Berlari 109 Intan pula menjadikan kisah tersebut modal bercerita untuk menaikkan suasana ceria dalam kalangan rakan-rakannya. Pengalaman belajar di luar negara menuntut kita bekerjasama dengan rakan-rakan seperjuangan. Merekalah tempat mengadu dan saling membantu, menggantikan ibu bapa dan saudara mara yang jauh di tanah air. Intan juga selalu dijadikan tempat rujukan rakan sehingga mereka menggelarnya Dato’ Duta. Kali pertama Intan ke Universiti Al-Azhar, Intan dan kawankawannya menaiki komuter atau bas untuk ke sana… kebiasaannya bas atau kereta api itu tidak berhenti tetapi hanya di bawa perlahan untuk kita melompat naik dan ini merupakan antara pengalaman Intan dan kawan-kawan perempuannya, mereka terpaksa hadapi keadaan ini setiap kali ke kuliah. “Ijri! ijri ! “ (lari-lari) jerit pak cik Arab kepada pelajar-pelajar Malaysia yang sememangnya ayu dan lemah lembut. Sesampai di Universiti Al-Azhar yang besar dan tersergam indah, mereka berlari-lari anak sebab budaya orang arab tidak berjalan lemah gemalai tetapi mereka berjalan tangkas bagai menuruni bukit lagaknya. Di hadapan pintu masuk terdapat pokok buah anggur yang buahnya menjuntai di atas kepala, memang melekakan. Farid sebagai ketua pelajar mengejutkan Intan daripada keasyikannya. “Intan! Esok ingat minta semua pelajar perempuan kumpulkan kerneh!” “ Ooo okey kerneh ya ?” “ Ya kerneh!” jawab Farid tegas. Intan terus berlari-lari anak mengejar langkah Farid dan beberapa rakan lain. Hampir lima minit masa berlalu, tiba-tiba Intan bertanya “Farid kerneh tu apa?” “Looo ‘kerneh’ tu kad matriklah. Aku ingat kau tahu.” “Hahaha”...serentak Lebai, Suzan, Jim, Ramiza dan rakan-rakan yang bersama mereka tergelak besar. Lebai Idris ketawa paling kuat dan dia yang paling kuat mengejek. Intan hanya mampu menggaru kepala. Semasa orientasi, Intan dan rakan-rakan dibawa melawat piramid. Piramid itu diperbuat daripada batuan-batuan besar. “ Okey semua, sebelum sampai kamu semua kena baca tiga Qul tahu.”


110 Ada yang bergurau, “Qul,qul,qul dah siap!” membangkitkan rasa lucu dalam kalangan rakan-rakan dan ada juga yang cuak dengan sikap pelajar tersebut. Pintu masuk piramid kecil sahaja. Intan dan rakan-rakan perlu merangkak turun. “Haaa jaga kepala tu,” jerit Syed Ibra pelajar senior dalam kalangan mereka. “Baru tahu langit tinggi rendah, kalau tidak, besar kepala, pandai sangat melawan! “kata Syed Ibra dengan loghat Pahangnya yang pekat. Keadaan dalam piramid panas. Ada lopaklopak segi empat seperti para untuk meletakkan mayat-mayat firaun dan ahli keluarganya. Intan tidak berada lama di situ kerana keadaan yang tidak menyenangkan itu. Betullah, jangan main-main dengan ayat Allah SAW. Setelah pulang ke asrama, pelajar yang bergurau sebut tiga Qul tadi, terkena gangguan kerana tidak memasang perisai diri semasa masuk ke kawasan banyaknya jin dan sihir-sihir jahat di situ. Pada sebelah malamnya, pelajar tersebut nampak lembaga hitam bertenggek di tangga. Lembaga itu berbisik supaya memecahkan kaca dan tikam diri sendiri. Banyak kes yang sedemikian berlaku antaranya tidak dapat menyebut nama Allah kerana lidah keluar sampai ke pinggang, apabila masuk ke tandas, barulah lidahnya itu jadi normal semula. Sepanjang Intan belajar di Mesir Intan berkenalan dengan pelbagai bangsa, orang Arab Mesir, Bosnia, Indonesia dan ramai lagi. Intan berkenalan dengan keluarga Bosnia yang mendapat perlindungan perang di Mesir. Rumah mereka di sebelah laluan Intan pulang dari universiti. Setiap petang anak-anak Bosnia ini akan memanggil namanya. Intan! Intan! jerit mereka. Terasa sangat glamour kerana pejalan kaki lain akan tercari-cari siapakah Intan yang dimaksudkan itu. Mereka juga mengajar Intan beberapa patah perkataan bahasa Bosnia. Sesekali Intan akan membawa mereka keluar ke taman bunga, kasihankan keadaan mereka yang menjadi mangsa peperangan itu. Pada suatu hari, dengan bantuan bawaab (pekerjaan seperti runner), Intan ke klinik kerana ada sedikit masalah kesihatan.


Bangkit Dan Berlari 111 Sementara menunggu giliran di klinik tersebut, seperti biasa Intan akan melukis. Intan melukis suasana kampung di Malaysia iaitu sebuah rumah kampung, pokok kelapa dan beberapa ekor ayam berkeliaran di halaman rumah. Tiba- tiba doktor yang bertugas lalu di sebelah Intan dan terpandang hasil kerja Intan “Masya-Allah kata doktor tersebut. “Your drawing is very nice, can I have it?” Terkejut Intan dengan pandangan doktor tersebut kerana bagi Intan itu adalah lukisan biasa. Doktor tersebut menjemputnya masuk dan memanggil Intan dengan panggilan ‘princess’. “Please Come in dear.” Selepas beberapa ujian dibuat. Syukur Alhamdulillah sangkaan Intan bahawa dia menghidapi kanser meleset, ia hanya jangkitan sementara. “Can I have it? “ tanya Doktor tersebut. “Of course, you can have it,” jawab Intan. “In return I want you to have these pewters, that I’ve bought a couple months before. I really like you to have them, princess.” Seronok sangat Intan di atas sistem barter yang dipersetujui bersama itu. Setiap kali Intan ke klinik untuk mendapatkan khidmat perubatan, biasanya Intan akan menjadi jurubahasa kepada kawankawannya sehingga seorang doktor di sana menawarkannya berkerja secara part time. Doktor tersebut juga meminta lukisan-lukisan Intan untuk diletakkan di dinding kliniknya. Bagaikan mimpi bagi Intan. Budaya orang Arab adalah memuliakan guru mereka. Di dalam kelas, Intan selalu dapat duduk di bahagian hadapan berbanding pelajar Malaysia lain. Hal ini kerana Intan selalu memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar Arab berkaitan Bahasa Inggeris. Bukan sahaja pengalaman menyeronokkan, Intan juga pernah mengalami suasana gempa bumi di Mesir. Pada suatu hari ketika Intan sedang membaca Yasin, tiba-tiba katil tempat Intan duduk bergoyang dan almari bersebelahannya bagaikan hendak jatuh ke atasnya. Intan yang jahil dengan keadaan itu menuju ke balkoni dan melihat ke bawah. Terdengar bunyi seolah-olah ada kenderaan berat jengkaut (JCB) bergerak di dalam tanah. Intan terus berlari menuruni tangga tetapi gempa bumi itu berhenti dengan tiba-tiba.


112 Pada malamnya Intan mengalami keadaan yang sama. Lampu bergoyang dengan laju tetapi alhamdulillah, gempa bumi itu sebentar sahaja. Keadaan ini menyedarkan Intan betapa kecilnya kita. Orang sombong memang boleh menghentak kaki menunjukkan kesombongannya tetapi bagaimana jika Allah SWT tunjukkan kekuasaan-Nya, apabila bumi tempat kita berpijak menjadi goyah dan tidak kukuh lagi. Ke mana kita hendak lari? Mampukah kita terbang atau berenang? Soalnya, selama mana kita mampu itu? Insaf. Sesungguhnya jika kita bersyukur, berusaha dan memaksimumkan bakat diri, insya-Allah kita dapat melaksanakan ‘assignment dari Tuhan’ dengan baik. Jangan pernah menyesali episod duka kita, sebab itu adalah salah satu cara Allah SWT mengajar hati kita untuk terus hidup. Dan Intan memilih untuk bersyukur daripada meratapi nasib diri sebagai yatim piatu. Kalian teruskan perjalanan walau sesukar apa pun dan yakinlah Allah sentiasa bersama. Maka ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat-Ku). Surah al-Baqarah ayat 152. Wahai orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik-baik (yang halal) yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar-benar hanya beribadat kepada-Nya. Surah al-Baqarah ayat 172. Rakan-rakan Jurusan Syariah dan Undang-undang scan untuk gambar Bersama Bawwab yang menjadi runner di Mesir


Bangkit Dan Berlari 113 Disember 1996 apabila peperiksaan SPM kertas akhir tamat, akulah insan yang paling bahagia. Selepas ini aku bolehlah duduk di rumah menjaga abah yang tidak sihat. Aku rasa sangat seronok. Tidak sabar rasanya aku hendak balik dan duduk dekat-dekat dengan mereka. Aku anak perempuan tunggal dalam keluarga, empat orang yang lain, anak lelaki. Ya, abah sudah tidak sihat sejak aku di tingkatan empat lagi tetapi pada masa itu keadaan abah tidaklah begitu serius. Saluran jantung abah bocor. Abah merokok menyebabkan jantung abah tidak dapat berfungsi dengan baik. Keadaan itu kerap mengganggu tidur abah siang dan malam. Hospital menjadi rumah keduanya dan mak pula perlu membantu abah apabila pernafasannya tersekat abah memerlukan oksigen. Masa terus berlalu, keputusan SPM diumumkan dan aku tidak berhasrat untuk menyambung pelajaran. Namun desakan mak dan abah, aku menyambung pelajaran ke tingkatan enam. Mak dan abah tiada harta yang dapat ditinggalkan untuk kami kecuali pelajaran. Aku sambung belajar di sekolah yang berdekatan dengan rumah supaya mudah untuk aku membantu mak menjaga abah. Mak bekerja dalam sektor awam sebagai kerani. Abah memang tidak dapat bekerja dengan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Mak terpaksalah menggalas semua tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Memang berat tanggungjawab mak. Disember 1996Abah berjaya mendapat tempat untuk rawatan jantung di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Ini berita gembira Abah Yang Kurindui Sharifah Rafidah Wan Bagus


114 untuk abah setelah sekian lama menunggu giliran. Alhamdulillah. Moga dengan ikhtiar ini abah boleh sembuh semula. Pada suatu petang mak berpesan, “Mak nak bagitau, mak dan abah akan ke Johor Bahru, bawa abah buat pembedahan saluran jantung. Mak akan bawa abang Khalid kamu untuk bantu mak di sana. Abang Masyhur akan jaga kamu semua di sini.” Allahu, rasa nak jatuh jantung aku apabila mak bagitau berita ini. “Bila mak?” tanya aku.“Insya-Allah 2 Januari 1997 kami akan bertolak. Pembedahan abah akan dibuat pada 13 Januari setelah semua prosedur selesai dan insya-Allah pada 10 Februari kami akan balik semula. Mak usu akan membantu menjaga kamu di sini juga.” Ujar Mak dan turut menerangkan juga kepada kami semua tentang pembedahan tersebut. Mak beritahu urat kaki abah akan dipotong sedikit untuk menggantikan saluran jantung abah. Ia akan membantu menyalurkan oksigen ke jantung. Ini bermakna mak, abah dan abang Khalid akan menyambut Ramadan dan hari raya di perantauan. Ramadan bermula pada 10 Januari 1997 dan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 8 Februari 1997. Kami akan berdikari dan kami akan beraya sendiri tanpa mak dan abah. Semua terdiam dan mula menangis. Ya, kami menangis mengenangkan pembedahan abah. Bermacam-macam bermain di fikiran. Jika pembedahan itu berjaya, alhamdulillah, jika tidak? Semua adalah ketentuan Allah SWT. Kita hanya mampu merancang, perancangan Allah lebih baik. 2 Januari 1997 Kami sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Abah, mak dan abang bersedia untuk ke Johor Bahru untuk pembedahan abah. Mak, abah dan abang hanya menginap di hospital memandangkan kami tiada saudara mara di sana. Untuk menginap di hotel jauh sekali kerana kekangan kewangan. Mak menggunakan telefon awam untuk memaklumkan abah selamat menjalani pembedahan. Alhamdulillah. Tiba masa yang ditunggu, hari ketiga Raya Aidilfitri, mak, abah dan abang balik ke Sarawak. Syukur Alhamdulillah Ya Allah.


Bangkit Dan Berlari 115 Abah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk pemantauan. Lega rasanya dapat berjumpa kembali dengan mak, abah dan abang. Raya tahun ini pun tiada persiapan seperti tahun-tahun sebelumnya, tiada baju raya, tiada kuih raya. Apa yang diharapkan semua dapat berjalan dengan lancar dan selamat untuk Abah. Mac 1997 Abah sudah boleh keluar dari Hospital Umum Sarawak. Abah sudah boleh duduk di rumah. Alhamdulillah. Abah nampak semakin sihat, sudah boleh jalan-jalan dan tidur dengan lena. Abah pun sudah boleh pergi berjumpa kawan-kawan. Mak pula sudah boleh bekerja semula seperti biasa. Abah sudah boleh buat rutin harian cuma tidak boleh buat kerja berat. Jantung abah masih perlu dipantau. Masa terus berlalu. Abah mula sakit lagi. Mengadu susah bernafas. Abah dimasukkan ke hospital semula untuk pemantauan. “Ya Allah… selamatkan abah aku Ya Allah.” April 1997 Abah dibenarkan keluar dari hospital. Abah perlukan pemantauan dan makanannya juga perlu dijaga. Masa terus berlalu. Abah mula menampakkan perkembangan yang positif. Alhamdulillah. Abah menelefon bapa dan mak saudara di kampung. Pada masa ini arwah atok masih ada. Abah bersembang dengan semua yang ada di kampung memaklumkan dia sudah sihat. Gembiranya kami tengok abah gembira. Abah juga mula teringin hendak makan makanan kegemaran dia. Abah teringin hendak makan udang, makan Laksa Sarawak. “Abang tidak boleh makan semua tu dulu, abang kena berpantang,” kata mak menasihati. “Abang hendak makan juga, nanti sudah mati tidak boleh makan lagi,” jawab abah. Mak mengalah. Dia temankan abah makan di kedai kegemaran abah.


116 “Abah panggil,” kata mak kepada aku. Ketika ini aku sedang mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan STPM yang tidak berapa lama lagi. Aku ulang kaji pada waktu malam, bagi aku lebih selesa sebab tenang. Mak berbisik pada aku, "abah kata kenapa semua anak-anak menjauhkan diri daripada dia." Yalah…tahun itu merupakan tahun penting bagi aku dan adik aku. Aku akan mengambil peperiksaan STPM dan adik pula SPM. Aku temankan abah. “Abah ingin pulang ke kampung. Abah nak duduk rumah ibu Umi dan abah nak kau temankan abah,” abah mulakan perbualan dengan aku. “Tapi abah… saya kan nak buat ulang kaji, STPM dah tak lama lagi,” balas aku. Abah mencelah lagi, “Tak apa, nanti selepas kau habis STPM, kita baliklah. Abah pun teringin nak tengok anak abah kahwin.” “Allah..saya sekolah lagilah abah..boyfriend pun tak ada.”Abah gelak… aku pun gelak juga. Aku tidak tahu pada masa itu, ruparupanya itu adalah perbualan akhir aku dengan abah... Khidmat terakhir aku kepadanya. Selepas bersembang, abah tertidur. Jam menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Aku juga masuk tidur. Bilik aku bersebelahan dengan bilik mak dan abah. Bilik kami berada di tingkat atas. Bilik abang dan adik di tingkat bawah. Tiba-tiba mak kejutkan aku minta tolong aku temankan abah. Abah batuk. Mak ke bawah membawa tuala kecil yang telah digunakan apabila abah batuk. Abah batuk lagi, aku capai satu lagi tuala untuk lap mulut abah selepas dia batuk. “Allah,” getus hatiku. Abah batuk berdarah. Aku panggil mak, bagitahu mak yang abah batuk berdarah. Mak mula menangis. Abah sudah macam tidak larat dengan batuknya. Aku panggil semua abang dan adik. Abang-abang dan adik-adik bantu papah abah turun ke tingkat bawah.


Bangkit Dan Berlari 117 Abah macam tidak berdaya lagi. Mak panggil atok dan nenek yang tinggal sebelah rumah kami. Kami adik-beradik sudah mula menangis melihat keadaan abah. Rasa macam tidak percaya tengok keadaan abah. Atok suruh kami duduk di sisi abah, ajar abah, teman abah. Atok suruh abang Masyhur ajar abah mengucap. Abah nazak. Abah akan tinggalkan kami. Tinggalkan mak. Tinggalkan semua. Allah… 14 Julai 1997 bersamaan 20 Safar 1418H. Abah pergi buat selama-lamanya menemui Ilahi di sisi isteri tercinta dan anak-anak. Abah…terima kasih jadi abah yang terbaik dalam hidupku. Hingga sekarang aku amat merindui dan ingin berjumpa denganmu dalam mimpiku. Moga abah damai di sana. Kini sudah 25 tahun abah meninggalkan kami. Aku meneruskan kehidupan bersama mak dan adik-beradik tanpa abah di sisi. Walau rindu yang teramat mendalam dirasakan, namun aku tetap melangkah meneruskan pengajian sehingga peringkat Sarjana di UiTM Shah Alam dan kini berkhidmat di Melaka sebagai Pustakawan. Abah tetap tersemat dalam sanubari. Tatkala rindu memaut hati, aku sedekahkan al-Fatihah dan Surah Yaasin buat abah yang kusayang. Mak, aku berjanji akan menjaga mak hingga ke akhir hayat. Walaupun aku jauh dari mak yang berada di Sarawak, aku pastikan kerap menefon mak untuk berbual dan bertanya khabar. Mudahmudahan aku sempat menjaga mak tatkala aku masih lagi ada bersamanya. Dan aku juga berdoa mudah-mudahan emak tidak terguris hati ketika hayatnya atas kekurangan kami semua. Aku akan tetap terus bangkit dan berlari meneruskan hidup bersama keluargaku dan terus berbakti kepada mak sebagai anak perempuan kesayangan mak. Kami sayang mak.


118 Bersama mak dan adik beradik di Hari Raya Aidilfitri tahun 2018 scan untuk gambar Dan Tuhan kamu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan (sebarang perkataan kasar) kepada kedua-duanya sekalipun perkataan ‘hah’, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Surah al-Isra’ ayat 23. Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara; Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Riwayat Muslim, no. 1631). Arwah abah


Bangkit Dan Berlari 119 Aku Terima Ketentuan-Illahi Marina Nawi Penulisan ini adalah hasil pengalamanku yang disahkan sebagai pesakit buah pinggang tahap lima pada Ogos 2020. Sebelum aku disahkan sebagai pesakit kronik itu, aku berasa sangat letih, tidak bermaya dan hilang selera makan. Aku cuba pergi ke pejabat seperti biasa, namun aku terasa sangat lemah walaupun untuk berjalan di dalam rumah. “Eh! kenapa aku ni? Aku sakit apa?” Bisikku sendirian. Aku terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk beberapa hari. Setelah tiga hari berlalu, aku cuba bersiap untuk ke pejabat semula namun keadaan diriku masih lemah. Aku mengambil cuti sakit dan mengambil keputusan untuk pergi ke klinik panel. Aku berkunjung ke klinik ini sejak umurku tujuh tahun, doktor yang merawatku memang mengenaliku dan dia menyarankan aku mengambil ujian darah kerana mukaku yang sangat pucat. Doktor memberi aku cuti sakit selama dua hari. Selepas dua hari, aku masih lemah dan berhajat ingin menyambung cuti sakit. Keputusan ujian darah menunjukkan buah pinggang aku sudah kecut dan aku berada dalam status tahap lima. Doktor meminta aku ke hospital dengan kadar segera. Aku seperti tidak percaya. “Doktor, saya tidak sakit, saya sihat.” Áku memang tidak percaya dan tidak mahu ke hospital. Pada masa yang sama, rakan sepejabatku telah bertanya berkenaan status aku yang sudah lama tidak datang kerja. Akhirnya pada hari ketiga setelah keputusan ujian darah keluar, pandangan aku tiba-tiba kabur dan aku tidak dapat melihat sesuatu dengan jelas. Aku melihat semua objek seperti bertingkattingkat, sukar digambarkan. Adikku menghantar aku ke Hospital.


120 Pada masa ini aku semakin lemah dan tidak ada selera makan. Aku telah disahkan mengalami kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani dialisis segera. Dialisis ini adalah proses pembersihan darah untuk mengeluarkan toksin dalam badan melalui mesin dialisis. Pada masa ini juga tekanan darah aku tinggi. Aku masih berharap, aku tidak perlu dialisis seumur hidup. Pak cikku juga merayu pada doktor agar aku tidak perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup. Aku memang terkejut malah penyakit ini paling aku takuti kerana pengalaman ayahku yang juga merupakan seorang pesakit buah pinggang masih segar di ingatan. Pada malam tersebut, jarum telah dimasukkan ke badanku melalui paha untuk rawatan dialisis secara kecemasan. Aku memang sangat takut kerana aku tidak pernah dimasukkan ke hospital. Namun, aku bersyukur, ia tidak sakit dan aku mendapat sokongan doktor yang baik. Aku dibawa ke Bilik Dialisis dan disambungkan dengan wayar ke mesin hemodialisis selama empat jam. Selama proses dialisis aku tidak boleh bergerak, badan aku pula mengalami kegatalan yang amat sangat dan suhu bilik amat sejuk. Aku harus akur dengan rawatan ini. Aku teringat pada keluarga dan kawan-kawanku dan aku merasakan aku tidak boleh bekerja lagi kerana keadaanku yang tidak mengizinkan. Setelah seminggu berada di wad, aku berasa semakin sihat. Walau bagaimanapun beberapa keputusan perlu aku buat. Doktor meminta aku untuk membuat pilihan di antara dialisis air atau dialisis darah. Aku memang buntu. Setelah berfikir, aku mengambil keputusan untuk dialisis darah kerana dialisis air memerlukan aku melakukannya sendiri. Untuk menjalani dialisis darah, aku perlu membuat pembedahan kecil di bawah lengan. Namun sebelum itu aku perlu menjalani pembedahan kecil pada tengkuk terlebih dahulu sebagai tapak sementara untuk proses dialisis, sebelum operasi di bawah lengan berjaya dilaksanakan. Satu persatu aku merasai kesakitannya itu dan aku pasrah. Akhirnya tiba masa yang sangat menggerunkan apabila aku perlu menjalani pembedahan kecil untuk proses fistula iaitu


Bangkit Dan Berlari 121 pembuatan tapak di bawah lengan bagi proses dialisis. Proses dialisis memerlukan dua jarum khas dicucuk ke dalam fistula untuk mengalirkan darah dan disambungkan ke mesin hemodialisis melalui tiub darah. Suasana di bilik operasi sangat menakutkan. Ia mengambil masa satu jam dan tempoh itu ibarat lapan jam untuk aku. Namun hasil sokongan doktor, pembedahan aku berjaya. Mujurlah tidak berapa sakit. Sekali lagi saat yang menakutkan apabila fistula aku sudah matang dan boleh digunakan, justeru proses dialisis boleh dilakukan. Aku gerun kerana aku pernah melihat ayahku menahan kesakitan apabila jarum yang besar hendak disuntik. Proses dialisis ini tiga kali seminggu seumur hidup pesakit. Ia memang sakit dan aku mengalaminya setiap kali dialisis. Kadang-kadang sakit dan adakalanya amat menyakitkan apabila fistula tersebut membengkak. Kini sudah dua tahun aku sebagai pesakit buah pinggang. Aku sudah menerima hakikat sebagai pesakit aku perlu menjalani dialisis untuk terus hidup dan semakin sihat. Cabaran sebagai pesakit ialah tapak fistula aku sempit. Aku telah menjalani pembedahan kecil sebanyak tiga kali untuk membesarkan urat melalui kaedah belon. Ia amat menyakitkan jika pembedahan dilakukan dalam keadaan sedar. Aku sentiasa menjaga tapak fistula sebaik-baiknya dengan sentiasa melakukan senaman bola di tangan dan tuam dengan air suam di tapak fistula. Itulah rutin harianku. Di sebalik kesakitan yang aku alami dan debaran yang aku tidak ketahui kerana tapak fistula ini penting untuk proses dialisis. Aku masih boleh bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa. Aku sangat bersyukur, pihak MARA juga membenarkan aku menjalani dialisis dan menaja rawatan dialisis aku. Mengenai kewangan, usah dikata. Terlalu banyak duit yang diperlukan untuk pesakit buah pinggang. Kos rawatan dialisis RM270.00 untuk setiap sesi. Aku perlu membayar RM70.00 di mana kos sebulan mencecah RM800.00. Ini tidak termasuk rawatan mengambil ujian darah dan sebagainya. Namun aku pasrah dengan ketetapan dan ujian Allah dan masih berharap buah pinggang aku akan sembuh suatu hari nanti.


122 Di sebalik ujian sakit, ada kemanisan yang aku dapat. Apa kalian akan lakukan sekiranya berada dalam situasi yang sama seperti aku? Apakah kalian akan bersedih sahaja atau menerima suratan ini? Bagi yang mengalami sakit seperti aku, terimalah dengan hati yang terbuka, reda, teruskan rawatan dan berikhtiar untuk sembuh. Pesakit buah pinggang boleh hidup seperti biasa cuma memerlukan pengawalan pemakanan serta banyak minum air. Kadangkala ada rezeki yang tidak diduga. Paling penting adalah penjagaan tapak fistula agar pesakit boleh menjalani dialisis dengan baik. Aku terima ketetapan ini dengan hati yang terbuka dan akan terus bangkit meniti hari-hari yang mendatang. Setiap yang hidup pasti akan diuji dan ujian yang menimpa setiap orang pasti tidak akan sama bagi orang lain. Ujian itu tanda Allah sayang kita, teruskan bangkit dan berlari jangan kita berputus asa. Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah al-Baqarah ayat 155-156. “Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosadosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5667). scan untuk gambar Mesin untuk rawatan dialisis


Bangkit Dan Berlari 123 Namaku Aishah juga dikenali sebagai Acu, sudah bersuami dan mempunyai dua orang anak perempuan yang telah dewasa. Kisahnya bermula pada tahun 2012, apabila aku dinaikkan pangkat sebagai pembantu tadbir kanan di Perpustakaan MARA. Setahun selepas aku bekerja di bahagian ini, aku mula mengalami masalah kesihatan. Pada suatu hari, aku muntah sehingga lapan kali sehari malah air yang aku minum juga terkeluar semula. “Acu, okey ke?” soal rakan sekerjaku.“Tak tahulah dari tadi asyik muntah, mungkin keracunan makanan,” balasku. Suami dan rakan sekerja merasa khuatir dengan keadaan aku dan mereka mencadangkan aku ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor tidak menemui sebarang simptom penyakit yang berbahaya. Doktor memberikan beberapa preskripsi ubat namun aku tetap muntah, dan aku hilang selera. Empat bulan selepas itu, aku mengalami koma. Selama sebulan setengah aku dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Berkat doa ahli keluarga dan semua rakan, serta dengan izin Allah aku sedar semula. Orang pertama yang aku lihat adalah suami dan anak-anakku. “Alhamdulillah, syukur ya Allah,” ucap suamiku. Aku sangat bersyukur kerana masih lagi bernafas. Namun, kegembiraan aku terhenti, apabila aku tidak dapat merasai kakiku. “Kenapa saya tak boleh rasa kaki saya,” soalku kepada doktor. Aku mula meraung seperti orang gila, anggota keluargaku berusaha untuk menenangkan aku. Melupakan Kisah Silam Nor Aishah & Mohd Aizat


124 Doktor pula memberi suntikan ubat penenang untuk meredakan perasaan marah aku. Selepas enam jam, rasa marah aku mulai surut. Setelah aku tenang, doktor memberikan penjelasan dan menerangkan kesan sampingan yang akan aku hadapi untuk sepanjang hidup aku. Perasaan marah mula membara semula. Aku tidak dapat menerima hakikat yang aku telah hilang keupayaan untuk berjalan dan aku terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Bukan itu sahaja, aku turut hilang deria rasa daripada bahagian atas badan hingga ke hujung kaki. Organ dalaman dan saraf yang terkesan menyebabkan aku turut menjadi pelupa. Kenapa dengan aku? Aku mempersoalkan keadaan diriku sendirian. Hal ini menyebabkan aku menjadi seorang yang panas baran. Fikiranku sering bercelaru, dan marah-marah walaupun perkara itu hanya perkara kecil. Aku mula meninggikan suara kepada semua orang termasuk suamiku sendiri kerana aku berasa sangat tertekan dengan keadaan aku sekarang. Aku masih di HKL, keadaan ini menjadikan aku hampir separuh gila. Aku sering membayangkan perkara yang bukan-bukan. Aku sering membayangkan siling yang berada di atas katil aku seperti sebuah pokok dan pokok itu mahu menimpa aku. “Argh…tolong!” jeritan yang selalu didengari oleh pesakit yang sebilik denganku. Aku sering terjerit-jerit dan meracau-racau. Pesakit yang berada di sekeliling aku mula merasa tidak selesa dan ada yang mula rasa menyampah dengan sikap aku. Ada pesakit yang mengadu kepada jururawat supaya aku dipindahkan ke bilik lain. “Nurse, tolong pindahkan dia ke bilik lain. Dia mengganggu pesakit lain nak berehat,” adunya. Aku juga sering menimbulkan masalah kepada jururawat terutamanya ketika mandi. Setiap kali jururawat memandikan aku, dengan sengaja aku memercikkan air kepada jururawat itu dan menyebabkan dia basah kuyup dan memarahi aku. “Puan Aishah cukuplah, habis basah uniform saya ni,” rungut jururawat tersebut. Namun aku menganggap ia sebagai satu hiburan. Hanya itulah penghibur hatiku yang kecewa.


Bangkit Dan Berlari 125 Setelah enam bulan berada di HKL, dan hanya berbaring di atas katil yang keras tanpa berbuat apa-apa, aku dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras. Aku berada di hospital tersebut selama sebulan setengah. Di sana aku memulakan rawatan fisioterapi. Selama sebulan setengah itu, pelbagai senaman dan terapi telah aku lakukan demi kembali sihat seperti dahulu. Aku bersungguh-sungguh ingin kembali sihat dan boleh berjalan. Aku juga berjaya mengurangkan sikap panas baran aku berkat terapi dan doa. Namun aku masih lagi seorang yang pelupa. Tangan aku sentiasa berasa sakit dan kebas hingga sekarang. Disebabkan aku sentiasa keluar masuk ke hospital, dua tahun lebih aku tidak dapat bekerja. Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberikan aku cuti selama tiga bulan bergaji penuh, tiga bulan seterusnya separuh gaji, dan enam bulan tanpa gaji. Ia diikuti untuk tahun kedua juga. Apabila masuk tahun ketiga, pihak MARA menghubungi aku dan bersedia untuk memberikan aku peluang untuk bekerja semula tetapi aku perlu menghadiri sesi temu duga. Aku perlu bekerja semula untuk membantu ekonomi keluarga dan menyelesaikan komitmen pinjaman MARA aku. Sampai bila aku perlu meratapi nasib aku ini? Aku perlu bangkit dan hadapi semua dugaan ini, aku kuat! Bisikku di dalam hati. Sepanjang sesi temu duga berjalan, aku memberikan yang sehabis baik untuk memastikan aku dapat bekerja semula dan menabur bakti kepada MARA. Alhamdulillah, aku menerima e-mel dan panggilan daripada pihak MARA yang mengatakan aku lulus temu duga itu. Aku sangat bersyukur kerana aku ditempatkan semula di Perpustakaan MARA atau sekarang dikenali sebagai MARA Knowledge Center (MKC). “Wah, perpustakaan lagi. Dapatlah saya jumpa dengan semua geng saya,” ujarku kepada suami. Aku membayangkan yang aku akan berjumpa semula dengan rakan sekerjaku yang dahulu. Aku sangat rindu dan tidak sabar untuk berjumpa dengan mereka semua. Mereka mungkin merindui aku juga. Bisikku sendirian. Tibalah hari aku melapor diri di MKC. Hari tersebut aku bangun seawal jam 5.30 pagi. Suami aku turut membantu aku memakai baju dan memakaikan lampin pakai buang.


126 “Cepatlah bang, nanti jalan jem lambat pula saya sampai,” gesaku. “Tak sabar-sabar nak jumpa kawan-kawanlah tu,” balas suami. Aku hanya tersenyum mendengar kata-katanya. Apabila aku sampai ke pejabat, suami aku menolak kerusi roda ke tempat aku melaporkan diri. Aku semakin berdebar-debar. Bolehkah rakan-rakan menerima aku dalam keadaan aku yang sekarang ini? bisikku dalam hati. Namun, tidak semua yang kita mahukan akan menjadi kenyataan. Rupa-rupanya rakan sekerjaku yang lama, telah berpindah ke bahagian lain dan ada juga yang telah berpindah ke negeri lain. Aku merasa seperti orang asing di tempat yang lama. Bolehkah mereka menerima aku dalam keadaan aku berkerusi roda ini? Apa langkah aku seterusnya untuk bekerja dalam suasana yang baharu? Walaupun, MKC sekarang dipenuhi dengan muka-muka baharu yang aku tidak kenal, mereka tetap melayaniku dengan baik. Aku tetap merasa gembira kerana dapat meneruskan pekerjaan aku bersama rakan sekerja yang baru. Selain itu, pihak MARA juga turut menyediakan kemudahan yang secukupnya kepada aku dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang lain yang bekerja di MARA. Antara kemudahannya adalah kotak khas OKU untuk meletakkan kenderaan, laluan pejalan kaki “ramp” dan kemudahan tandas OKU. Aku sangat bersyukur kerana mempunyai majikan yang sangat prihatin terhadap pekerja seperti aku. Setelah beberapa tahun aku di MKC, aku tidak lagi menjalani rawatan fisioterapi. Aku mulai mencari rawatan alternatif yang lain tetapi aku masih lagi mengikuti senaman yang disyorkan oleh doktor pakar. Aku juga menjalani rawatan akupuntur untuk mengurangkan rasa sakit dan membuatkan tubuh aku menjadi lebih tenang dan lebih ringan. Akupuntur adalah prosedur mencucukkan jarum pada titik tertentu di bahagian badan. Jarum yang telah dicucuk akan merangsang bahan kimia dalam otot, saraf tunjang dan otak. Hal ini akan membantu badan dalam proses kesembuhan dan keseimbangan


Bangkit Dan Berlari 127 emosi. Semua rawatan alternatif ini ditanggung sepenuhnya oleh aku dan suami. Selain daripada rawatan jasmani, aku turut mendekatkan diri kepada Allah dan lebih bermuhasabah diri. Aku sentiasa berusaha, bertawakal dan berdoa, mudah-mudahan Allah memberikan aku kesembuhan dan dapat kembali seperti dahulu. Setelah keadaanku reda, sekali lagi Allah mengujiku. Pada tahun 2017, hari Jumaat jam 10.00 pagi, anak bongsuku meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya pada usianya 22 tahun. Anak bongsuku baru sahaja menamatkan diploma di Politeknik Behrang. Cita-citanya hendak menyambung pelajaran ke peringkat ijazah tidak kesampaian. Pemergiannya sangat dirasai, kerana dia merupakan anak aku yang paling rapat dengan aku. Apabila dia sudah tiada, aku merasai kehilangan. Aku mula merasa putus asa dan mula mempersoalkan mengapa Allah terus menguji aku dengan ujian seberat ini. “Tidak cukupkah dengan ujian yang Engkau berikan kepada aku?” rintihku kepada Sang Pencipta. Aku dan suami sangat menyesal kerana memberikan anak bongsuku sebuah motorsikal untuknya berulangalik ke tempat kerja. “Kalaulah aku mampu belikan dia kereta, tentu anak bongsu aku masih hidup,” aku merintih lagi. “Sudah memang ajalnya, kita tidak boleh nak kawal,” balas suamiku. Minggu itu, aku mula kembali menjadi seorang yang panas baran dan tidak boleh ditegur. Suami dan anak sulungku sentiasa menasihati aku supaya percaya dengan qada dan qadar. “Semua yang berlaku ini, pasti ada hikmahnya. Itu maknanya Allah lebih sayangkan dia,” balas suamiku. Kata-kata suamiku bagaikan satu tamparan yang membuatkan aku tersedar. Aku mula bermuhasabah diri dan berdoa memohon keampunan Allah. Ya Allah, ampunilah aku kerana mempersoalkan takdir Mu. Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa keluargaku. Setelah bermuhasabah diri, baru aku sedar semua ujian yang diturunkan ini ada hikmahnya. Mindaku jadi lebih terbuka, hatiku turut lebih reda. Cara pemikiranku berubah dan tertumpu kepada


128 orang yang menyayangi dan dapat menerima aku seadanya termasuk majikanku yang sangat prihatin. Aku jadi lebih menghargai apa yang ada di sekelilingku. Alhamdulillah, kini aku sudah bergelar seorang nenek dengan tiga orang cucu. Aku sangat berterima kasih kepada MARA kerana masih memberikan aku peluang untuk bekerja. Selain itu, aku merasa beruntung kerana mempunyai suami yang sentiasa setia bersama aku dan terus memberikan sokongan moral untuk aku meneruskan kehidupan ini terutamanya selepas aku kehilangan anak bongsuku. Aku berjaya menangkis semua perasaan negatif dan berfikiran positif selepas bermuhasabah diri. Alhamdulilah aku sudah boleh menerima kehidupan aku yang sekarang ini. Malang tidak berbau, sekali lagi Allah SWT menguji aku dengan Covid-19 pada September 2021. Aku mendapat jangkitan daripada salah seorang jururawat di hospital yang positif Covid-19 sewaktu aku mendapatkan rawatan buah pinggang. Aku dimasukkan ke hospital dan ditahan di wad Covid 19 selama dua bulan setengah. Pelbagai pemeriksaan kesihatan dijalankan ke atas badanku, bagaikan tikus makmal. Selepas dua bulan setengah, aku meminta izin untuk pulang tetapi doktor masih tidak mengizinkan. “Saya tak boleh benarkan Puan Aishah balik ke rumah, selagi pernafasan puan belum lancar,” jawab doktor. “Tapi, saya rindu suami dan cucu-cucu saya,” balasku. “Sebenarnya, ada cara untuk saya lepaskan puan daripada hospital tetapi saya risau puan tak mampu,” jawab doktor. “Apa caranya?” soalku serius.“Puan Aishah perlu membeli mesin pernafasan oksigen untuk diletakkan di rumah,” jawab doktor. “Berapa anggaran harga mesin itu doktor?” balasku. “Anggarannya lebih kurang RM6,000 sehingga RM8,000,” jawab doktor. Mendengar harga mesin itu, menyebabkan aku terdiam sejenak. “Mahalnya” bisik hatiku.“Jika Puan Aishah dapat buktikan kepada saya yang puan telah membeli mesin itu, saya izinkan Puan Aishah balik ke rumah,” jawab doktor.“Saya bincang dahulu dengan suami saya,” jawabku.


Bangkit Dan Berlari 129 Kenangan bersama Aizat pelajar praktikal Satu minggu selepas itu, suami menghubungiku. “Acu, duit nak beli mesin oksigen itu sudah cukup, Acu boleh balik rumah,” ujar suami. Aku terus mendapatkan spesifikasi mesin oksigen yang perlu dibeli. Doktor memberikan aku segala maklumat yang diperlukan dan aku sampaikan kepada suamiku. Syukur, semua spesifikasi yang ditetapkan oleh doktor berjaya didapati sepenuhnya. Seperti yang dijanjikan doktor membenarkan aku pulang. Aku tidak sabar untuk kembali ke pejabat kerana rindu dengan suasananya. Aku kurang gemar duduk terperuk di rumah kerana berasa sunyi. Di pejabat aku dapat bertemu dan bertegur sapa dengan rakan-rakan sepejabat yang lain. Ujian yang telah aku lalui menjadi azimat untuk aku menjadi kuat dan terus bangkit meneruskan hidupku. Aku tidak mahu kisah silam itu menjadi alasan untuk aku tidak berubah dan terus memperbaiki diri. Walaupun hingga kini, kakiku masih belum kuat untuk berjalan dan tanganku masih lemah. Doakan aku semakin kuat untuk menghadapi setiap ujian. Doakan aku mampu bangkit dan berlari kembali. Segalanya telah tertulis untukku, aku perlu menempuhinya dengan hati yang ikhlas dan reda.


130 Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesunguhnya Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang sedemikian) Allah pasti mengetahui orang yang beriman dan juga mengetahui orang yang berdusta. Surah al-‘Ankabut ayat 2-3. Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah al-Baqarah ayat 155-156. “Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5667). Anakanda yang dirindui dalam kenangan scan untuk gambar


Bangkit Dan Berlari 131 Sebutir Mutiara Di Utara Ema Maliha Mohd Kamal 8 Jun 2021 “Kalau begini, nampaknya akak kena memandu seorang diri, tidak boleh orang lain ikut sama,” kata polis muda yang nampak sebaya adik lelakiku. Ahh sudah… bentakku dalam hati. “Awak biar betul dik! Bukan dekat ni, dari Melaka nak ke Perlis. Tak kanlah tidak boleh berhenti tidur di Perak? Kampung akak di Manjung saja. Esok pagi, akak sambunglah perjalanan ke Perlis, boleh?” Aku cuba mengumpan, harapnya mengena. “Maaf kak, tak boleh. Ini SOP. Kalau boleh, saya memang nak beri kebenaran pada akak. Tapi nanti, kalau polis di Perak saman akak RM1,000 macam mana? Akak keluarlah sebelum subuh, insya-Allah sebelum maghrib sampai Perlis,” balasnya lagi. Sedari awal aku sudah jangka perjalanan aku akan berliku untuk berhijrah ke negeri Indera Kayangan. Belum dikira sebentar tadi aku sudah berulang alik ke balai polis hampir tiga kali dek kerana proses dokumentasi yang tidak lengkap. Itulah padahnya jika engkau tidak membaca informasi dengan betul. “Okey ye kak, saya luluskan permohonan rentas negeri akak tetapi nanti pandu perlahan-lahan ye. Jauh ni kak. Semoga akak selamat sampai,” kata polis muda itu lagi.“Erm… baiklah, terima kasih,” balasku lambat-lambat. Dua hari selepas pekeliling pertukaran aku keluar di MARANet, Mak bertanya, “Rumah sewa dah dapat?” Aku menggeleng. “Belum lagi Mak tetapi orang dah minta tolong kawan-kawan yang berasal dari sana untuk carikan. Mana tahu kot ada yang kosong,” jawabku perlahan. “Rasanya orang kena minta tangguh dengan HQ, tak sempat rasanya nak selesaikan semua urusan perpindahan.”


132 “Cepatlah buat surat, nanti tak lulus pulak. Jangan lupa telefon bos kamu di pusat baharu tu, maklumkan yang kamu akan lapor diri lambat sikit,” ujar Mak. “Lagi satu, tak usah harapkan orang untuk cari rumah sewa, kamu carilah sendiri. Senang nanti berurusan terus dengan tuan rumah,” nasihat Mak.“Baik Mak,” balasku pendek. Risau dengan tempoh dua minggu yang diberi sebelum pekeliling perpindahan berkuatkuasa. Mana hendak difikirkan tentang kelas-kelas aku yang perlu diserahkan kepada rakan sejawatan, timbunan kerja yang mesti diselesaikan sebelum nota serah tugas diisi, ditambah pula dengan barang-barang yang perlu dikemas untuk pindah. Argh… semuanya menyesakkan kepala aku. Pada waktu-waktu begini, timbul pula rasa menyesal. Keluhku semakin panjang.“Dah kau yang minta pindah kan? Hadap sahajalah apa yang terjadi,” kata ngah, kakak aku yang kedua. Dalam pedas itu, ada betulnya katakata ngah. Bahkan, bukan dia seorang sahaja yang mempersoalkan tindakan aku menghadiri temu duga kenaikan pangkat sekaligus menjadi asbab perpindahan ini. “Kau sudah elok duduk dengan mak ayah kau, buat apa nak ke sana pula Ma?” soal seorang rakan sekerja. “Susah nanti kau nak minta balik area sini Ma, fikir baik-baik sebelum kau pergi,” tambah seorang rakan yang lain. Semakin bercampur baur perasaan aku. Mengimbau perbualan sekitar tahun 2017 “Mak jadi polis daripada umur Mak 18 tahun hingga dah nak pencen, Mak tak pernah bosan ke?” aku bertanya Mak pada suatu petang sewaktu memandu pulang dari tempat kerja. “Kenapa tanya? Kamu bosan ke dengan kerja sekarang?” lembut tutur Mak sambil cuba menebak perasaanku melalui pertanyaannya. Keluhan kecil aku lepaskan lalu kualihkan pandangan ke jalan raya. “Orang tidak tahu kenapa tetapi orang rasa lost. Harihari datang kerja buat perkara yang sama. Tiada peningkatan diri. Banyak yang orang rasa orang nak buat tetapi tidak tahu dari mana nak mula,” ujar ku.


Bangkit Dan Berlari 133 Mak masih tekun mendengar, membiarkan aku meluahkan segala-galanya. “Bukan orang tidak suka mengajar dan tak bersyukur dengan kerja ni Mak, tapi orang rasa kosong, tidak bermotivasi, tidak terinspirasi,” luahku pada Mak. Pernah aku terbaca, simptom yang aku alami ini ialah tandatanda aku menghadapi stres. Salah satu langkah untuk menanganinya ialah dengan berkongsi masalah dengan individu yang bersedia untuk mendengar. Mak memulakan bicara setelah melihat aku diam, “Hidup kita ini Ma, kita yang tentukan. Kalau kita rasa lelah, berhenti sekejap. Tiada siapa boleh paksa kamu untuk buat apa yang kamu tidak suka, waima Mak sendiri. Jalan hidup kamu, kamulah yang mencoraknya.” Mak menyambung, “Cuma ingat satu nasihat Mak, jangan sesekali kamu jauh daripada Allah. Jangan sesekali kamu rasa kamu berseorangan. Bangun malam dan mohon pada-Nya agar diberi kekuatan untuk kamu fahami apa yang kamu rasa sekarang. Mak tahu kamu boleh laluinya. Pasti Allah tunjukkan jalan.” Benar, 12 tahun adalah satu tempoh yang cukup panjang untuk aku berkhidmat di pusat lama sehingga menjadikan aku berada dalam comfort zone di tempat kerja. Di tambah pula, aku satu-satunya anak yang duduk di rumah bersama-sama Mak dan Abah menjadikan aku sentiasa bersenang-senang dengan kehidupan tanpa ada usaha untuk memajukan diri. Walhal sewaktu mudaku bukanlah sebegitu. Aku yang dahulu amat sukakan cabaran. Dahulu, saban hari aku akan pastikan, ada sahaja benda baharu yang akan aku cuba dan pelajari. Kesungguhan serta keseronokan menuntut ilmu dan mencari pengalaman hidup itu lama-kelamaan sedikit demi sedikit terhakis, dek terlalu selesa sehingga menjadikan aku seorang yang kurang proaktif. 15 Jun 2021 “Pergi sahaja. Tidak perlu nak risaukan kami di sini. Ngah sekeluarga kan duduk di depan rumah ni. Apit satu keluarga pun dekat di Port Dickson sahaja. Nanti lagi dua tahun, mintalah transfer balik sini,” ujar Abah pula. “Kalaulah semudah itu Abah,” gumamku dalam hati.


134 Mak yang sedari tadi diam akhirnya membuka mulut, “Aah, kamu kata kamu hendak ke hadapan, hendak tolong banyak orang. Macam-macam kamu cerita pada Mak kamu nak buat. Jadi pergilah berhijrah. Mungkin itu yang terbaik untuk kamu. Insya- Allah, tiada apa yang hendak ditakutkan. Mak doakan semuanya nanti dipermudah, insya-Allah,” kata-kata Mak dan Abah beberapa hari sebelum aku berangkat. Syahdu tiba-tiba merajai diri. Air mata yang mulai bertakung menunggu masa sahaja untuk tumpah. Cepat-cepat aku seka. Bimbang Mak dan Abah perasan. Bimbang mereka fikir aku bukan lagi anaknya yang kuat semangat seperti dahulu. Jauh di sudut hati, aku tahu. Tuhan sedang berbicara dengan aku erti syukur. Syukur kerana kau masih punya doa daripada Mak dan Abah untuk dijadikan pemangkin semangat menghadapi harihari yang mendatang. Syukur masih mempunyai support system yang kuat untuk aku berpaut tatkala aku lemas dengan perasaan yang entah apa-apa. Seminggu selepas permohonan penangguhan lapor diri dari ibu pejabat diluluskan, segala urusan perpindahan aku dipermudahkan oleh Yang Maha Esa. Oleh kerana tiada ahli keluarga di daerah baharu yang asing ini, maka aku panjatkan sahaja tawakal pada-Nya. Teringat kata-kata seorang teman, “Bagus kau duduk seorang diri di tempat baharu ini, semestinya kau akan berserah bulat-bulat pada Allah dalam segala hal.” Ada benarnya kata orang lama. Jadilah seperti air yang sentiasa mengalir, dikhuatiri ia akan membusuk sekiranya bertakung terlalu lama di satu tempat. Mengalirlah. Agar dapat kau sebarkan kebaikan di tempat lain. Tekad aku cuma satu, mahu keluar daripada kepompong diri supaya dapat aku menggapai impian dan menabur bakti sebagai pendidik selagi keringat aku diperlukan. 21 Jun 2022. Tanpa aku sedari, genap setahun aku berkhidmat di pusat baharu nun jauh di utara tanah air. Benarlah hijrah itu dituntut sebagai seorang Muslim. Cerita hijrah aku mungkin melalui perpindahan dari


Bangkit Dan Berlari 135 tempat kerja lama ke tempat yang baharu. Semestinya cerita hijrah kita tidak akan sama. Banyak pengalaman yang aku perolehi dan aku jadikan sebagai panduan untuk menghadapi hidup yang mendatang. Di kelilingi kenalan serta suasana kerja yang baharu, di samping menggalas tanggungjawab sebagai ketua, sememangnya menjadikan aku lebih cekal dalam meniti baki usia yang aku sendiri tidak tahu bilakah penghujungnya. Doa dan restu daripada Mak dan Abah untuk seorang perantau menjadi bekalan buat penguat jiwa tatkala badai rindu datang menerpa. Dengan azam dan tekad ini, mohon kalian panjatkan doa, semoga aku mampu bersinar, menjadi sebutir mutiara di Utara. Bak kata pepatah: Benih yang baik jika dicampak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau. Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan mendapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (dalam perjalanan), maka sesungguhnya pahala hijrahnya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Surah an-Nisa’ ayat 100. Sesungguhnya Kami mencipta segala sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan) di Luh Mahfuz. Surah al-Qamar ayat 49. Bersama rakan sekerja Bersama pelajar-pelajar scan untuk gambar


136 Perkahwinan kami telah menginjak usia 13 tahun. Namun, aku dan suamiku belum dikurniakan cahaya mata. Namun perkahwinan kami penuh kegembiraan dan kebahagiaan dengan cara kami tersendiri yang kami impikan. Kami cipta corak kehidupan dan iklim rumah tangga yang penuh kasih sayang dan komunikasi yang penuh kegembiraan. Mencipta persefahaman yang hanya kami sahaja yang faham. Jarang-jarang sekali kami bertengkar, bergaduh dan bermasam muka. Bukan tidak pernah bercanggah pendapat, berbeza pandangan dan berselisih faham, namun kami usahakan mencari ruang dan mencapai kata sepakat. Kadangkala apabila berselisih faham suamiku akan segera mencipta lawak untuk mengembalikan keceriaan dalam rumah tangga kami. Tidak pernah kami bermasam muka, bermuram durja berlarutan dan berpanjangan memakan masa berhari-hari dalam kehidupan rumah tangga kami. Aku seringkali geli hati dan tertawa pecah perut melihat telatah dan lawak yang dibuat-buatnya hanya semata-mata untuk menceriakan kembali suasana rumah tangga kami. Dipendekkan cerita, kami tidak akan membiarkan kekecewaan dan masalah rumah tangga berlarutan menguasai iklim dan suasana kehidupan kami. Pernah ada kata-kata nista dan memerli aku yang tidak mengandung walaupun setelah 13 tahun berkahwin. ‘Padi berat’ pernah singgah ditelinga aku yang membawa makna sukar mendapat zuriat, malah tidak kurang juga yang mengatakan aku mandul. Sedih dan kecewa perasaan yang sering hadir apabila terpaksa berhadapan dengan kata-kata sebegitu. Kucipta Bahagia Nor Analiza Abdul Azik


Bangkit Dan Berlari 137 Terkadang terasa ingin lari sekuat hati apabila topik perbualan berkaitan anak diperbahaskan, namun aku gagahkan diri mengurus emosi diri dan tutur bicara agar tidak mencarik suasana serta mengguris hati orang tua. Tidak kurang juga mimik muka dan senyuman yang mempersendakan kekurangan aku tidak memiliki zuriat, namun suamiku menjadi kekuatan menyuntik semangat selain berdiri teguh menyokong emosi untuk aku teguh berdiri menghadapi segala dugaan ini. Bukan aku tidak pernah mengandung. Pelbagai proses pemeriksaan kesihatan kami lalui, semuanya menunjukkan bahawasanya kami sihat dan bersedia untuk mengandung. Namun, apakan daya Allah tidak mengizinkan kami untuk menimang cahaya mata sendiri. Aku pernah mengandung melalui proses Intrauterine Insemination (IUI), namun aku mengalami keguguran pada usia kandungan 8 minggu. Sungguh aku terlalu sedih dan kecewa pada saat itu. Tetapi aku tidak membiarkan emosi dan perasaan itu berpanjangan kerana aku tahu aku masih punya tanggungjawab lain yang perlu digalas. Aku tidak boleh terus bersedih dan hanyut dengan perasaan kecewa serta putus asa. Suamiku sangat memerlukan aku untuk menjalani kehidupan bersamanya. Dia perlukan aku untuk melengkapi kehidupan rumah tangga yang telah kami bina. Aku bangkit! Kuat!. Andai kalian ditempatku apa yang akan kalian lakukan? Mampukah kalian menghadapi penantian zuriat ini? Pandemik yang berlarutan telah banyak menjadikan aku lebih kuat dan positif. Bukan aku tidak positif dahulu, namun situasi kali ini menyediakan kami sebuah ruang masa yang penuh hikmah. Kami punya masa yang banyak dan berkualiti bersama. Terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masih tidak lari daripada kata-kata yang mencemuh dan mengejek aku yang tidak punya zuriat. Aku dikatakan tidak mampu mengandung. “Mesti bosankan terkurung di rumah tanpa anak?”. Kata mereka, kami berdua mesti melalui kehidupan yang bosan, hidup berdua tidak punya anak-anak yang menceriakan dan memeriahkan suasana rumah tangga.


138 Akibat pandemik dan kes yang amat tinggi, kerajaan mengumumkan PKP dan rakyat tidak boleh keluar bebas apatah lagi bercuti serta mencari ruang bersuka ria. Kami berdua hanya berdiam diri dan tersenyum. Ikhlas. Mungkin bagi mereka telah berjaya ‘mengalahkan’ kami dengan kata-kata yang dikira telah berjaya ‘mencederakan’ emosi kami yang tidak dikurniakan zuriat seperti orang lain. Namun mereka tidak ketahui bahawa aku dan suamiku tidak mengambil endah kata-kata seperti itu. Kami punya cara tersendiri untuk bahagia dan melayari bahtera perkahwinan kami. Kami punya rencana bagaimana mencorak kehidupan dan membentuk masa hadapan kami. Orang luar tidak akan memberi kesan dalam kehidupan kami. Kata suamiku, “Seandainya Allah mentakdirkan kita tidak punya zuriat sehingga ke akhir hayat, kita hargailah kehidupan kita bersama dan cipta kehidupan yang sempurna dengan cara kita sendiri.” Kadang kala aku sendiri kasihan kepada suamiku melihat rakan-rakan seusia kami mempunyai anak, namun dia lebih positif dan kuat daripada aku. Langsung tidak mengendahkan kata-kata orang lain. Malah jika ada kata-kata kurang enak dilontarkan kepada aku yang dianggap akan mengganggu emosi aku, dia akan cepatcepat menepis cemuhan itu dengan penuh hikmah. Aku bahagia dan berbangga mempunyai suami sepertinya. Enam tahun lalu suamiku pernah menghadiahkan seekor anak kucing betina berusia dua bulan sebagai hadiah hari lahirku. Aku namakan kucing berwarna calico itu dengan nama Lily. Katanya, “Lily akan menjadi ‘kesibukan’ kita pada masa depan.” Selepas enam tahun, kini pada musim pandemik ini kami betul-betul sibuk. Sibuk menguruskan anak-anak ‘bulus’ sebanyak sembilan ekor. Lily telah melahirkan anak kucing sebanyak lapan ekor. Kesemuanya ditatang bagai minyak yang penuh. Sakit demam dan keperluan mereka kami titik beratkan. Sungguh! Kami sayang kesemuanya sama seperti anak sendiri. Kami sangat sukakan kucing. Malah suamiku membahasakan dirinya sebagai ‘Abah’ dan aku sebagai ‘Ummi’ kepada semua kucing


Click to View FlipBook Version