The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by noorwainieyakub, 2023-09-12 04:09:39

KOUBASANAN POGUN TOKOU

176 ANAK RANTAU Madelin Anak Dolam PPISMP Pendidikan Seni Visual Dari Bumi Kenyalang aku melangkah menuju ke negeri di bawah bayu jauh dari orang-orang yang aku sayangi meninggalkan rumah demi mencari ilmu untuk masa depan yang pasti. Senang derita aku hadapi keluh-kesah juga ku nikmati demi kejayaan yang aku inginkan untuk kebahagian orang-orang yang aku kasihi. Masakan dan bebelan ibu amat ku rindui nasihat ayah sentiasa ku pegang pergaduhan adik-beradik terbayang-bayang di minda memori ini amat bermakna kekal sentiasa tersemat di hati apapun rintangan akan ku hadapi demi segulung ijazah yang harus ku kecapi.


177 TIADA DI SAMPINGKU Via Clarisa Morgan PPISMP Pendidikan Seni Visual Betapa cepatnya masa berlalu apabila dia sentiasa berada di sampingku dia yang selalu menemaniku sejak saat pertamaku di bumi kami seumpama gunting yang tidak boleh dipisahkan. Betapa cepatnya masa berlalu apabila dia tiada di sampingku di saat aku gembira mahupun sedih di saat tugasan telah menggunung di saat aku berjalan meneroka tempat baharu di saat aku meniup lilin kek ulang tahun sendirian masing-masing pergi menimba ilmu hanya mampu berhubung melalui taipan maya terasa seperti dia berada di bulan yang sukar untuk dicapai. Betapa cepatnya masa berlalu apabila dia tiada di sampingku aku seumpama sebuah basikal tidak beroda aku seumpama seekor anak kucing yang keseorangan tidak tahu apa yang patut dilakukan. Dialah ketenangan, kesenangan dan kebahagiaan yang telah kuambil remeh yang tidak kuhargai secukupnya.


178 RINTIHAN SI BONGSU Claudia Amber Fredoline PISMP Pendidikan Seni Visual (PSV) Jun 2022- Mei 2027 Aku menangis tidak bernada dadaku berombak, tekakku terik hibaku tak terungkap mengenangkan dikau di rantauan rontaan batinku terlalu kuat tak terdengar fajar hening Pulanglah ibu supaya aku mendengus dan kakiku dihentak apabila engkau menyuruhku mengemas rumah meskipun kiniku boleh kerjakannya sendiri. Pulanglah ibu supaya aku kata kan ‘nanti’ apabila engkau meminta bantu di dapur meskipun sekarang aku mahir memasak pelbagai juadah namun seleraku masih tumpul. Pulanglah ibu jiwaku merindukan pangkuanmu meskipun bayaku sudah lanjut diriku belum mandiri dari kasihmu..


179 MERDEKA DIHAYATI, PERJUANGAN DIAMATI Nur Amirah Izzati Binti Sakmud PISMP Reka Bentuk Teknolgi Kata mereka langit itu indah lalu mengapa ia pernah terluka berbicara melalui titisannya membasahi sosok bergelar pahlawan bangsa yang berjuang melawan kematiannya rintihan kuat kedengaran Sesekali mengisi seluruh ruangan bersama linangan air mata nyatanya dia telah berangkat pulang kepada sang pencipta seorang sosok ayah dan suami tercinta si kecil menatap ibunya saking tidak mengerti apa-apa Melihat figura kejung di hadapannya hanya mata memainkan peranannya si ibu kosong tatapannya sembari memeluk bingkai gambar keluarga kecilnya kehilangan seorang insan tercinta, senyuman syurganya dalam sekelip mata. Bukankah rencana Tuhan itu menarik kerana di saat hujan jatuh, tuhan menciptakan pelangi bagi menghapuskan segala derita yang disangka tiada noktahnya tarikh keramat 31 gos berhasil dicoret menjadi sebuah senario indah yang menyembuhkan semua sesak di dada “merdeka!, merdeka!, merdeka!” laungan menembusi segenap nusantara. Tercipta kisah sebuah negara Malaysia, namanya.


180 Yang sarat dengan harapan seluas cakerawala ingin tampil utuh di era dunia merdeka berhasil menggapai hasrat yang terpendam bagai rembulan dan matahari, senja dan fajar negaraku dan 31 ogos berpisah tiada insan kerdil menadah tangan Menzahirkan kesyukuran kepada-Nya sorakan tepukan bergema memenuhi ruangan berhasil membuat lengkung indah di bibirnya stadium merdeka menjadi saksi segalanya generasiku, aku merayu kentalkan jiwamu, tajamkan mindamu. Usah termakan janji manis mereka bertopengkan syaitan yang menanti kehancuran kita saat merdeka datang menjelang bukan bendera dikibarkan semata jiwa dan semangat juga harus dikobarkan bukan hanya lagu berkumandang. Tapi aspirasi juga perlu terdengar lantang raikanlah dengan girang hayatilah makna sebalik kehadirannya hargailah selayaknya titik peluh pejuang bangsa bermandikan darah dan air mata demi lembah tercinta memberi kejayaan bangsa sepanjang masa kerana, siapa kita untuk menebak masa hadapan. Mungkin sahaja kebebasan ini akan dirobek semula mengulang kisah lampau


181 Yang sakit menikam dada semoga merdeka tak hanya sekadar berbentuk kata, tapi bisa terasa lebih nyata dirgahayu ke-65 negaraku, malaysia akan aku cinta sepanjang usia.


182 PAHLAWANKU Nur Azlina Binti Mohd Ridwan PISMP Reka Bentuk Teknolgi Pahlawanku kau umpama sosok insan kiriman tuhan yang kuat dan berani menempuh musuh jajahan di mana lagi akan aku temukan sosok sepertimu yang rela berkorban Pahlawanku percikan darahmu deras bagai hujan membasahi tubuh tanda sebenar peritnya perjuanganmu namun kau tetap gagah menempuh demi mempertahankan tanah air tercintamu Pahlawanku kujunjung segala jasa dan perjuangan dikau lakukan meredah berbagai seksaan musuh jajahan tidak sesekali pengorbananmu kami lupakan tugu negara sebagai bukti peringatan Pahlawanku kulihat patungmu tegak di sudut sana tersentak fikiranku tanpa kata sedang kukini menikmati hidup aman di samping bahagia tanpa kuperlu angkat senjata Pahlawanku ku berusaha berjuang dengan caraku keringat perjuanganmu bukan hanya pada buku sambil mengenang jasamu dulu sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan negaramu Pahlawanku kau telah berjuang menempuh jajahan itu aku dan generasiku berjanji tak kan memilih bisu


183 pasti kami cuba sehabis mampu perjuangkan usaha kemerdekaanmu dari segala aspek yang termampu. Pahlawanku kami mencintaimu dalam hingga ke kalbu ini bukan janji manis yang akan kami tukar menjadi debu tapi sumpah suci tak mungkin membuatmu sayu berjuang terus demi mempertahankan jasamu.


184 HALUAN MERDEKA Safiah Muzainah Jeffrydin PISMP Reka Bentuk Teknologi Hati yang terikat meminta dibuka kebebasan niat. Tunku Abdul Rahman mengetuai sokongan bangsa menjadi kekuatan perundingan di london dimulakan 31 ogos 1957 tarikh permata negara gerimis turun membawa berkat tanah melayu menjadi saksi bangsa melayu bersatu merdeka dilaungkan. Lafaz syukur diucap tujuan telah dicapai negara kita telah bebas 65 tahun berlalu diri ini belum benar-benar merdeka tidak memahami hak-hak bangsa. Gemar menjatuhkan orang lain tidak menghargai peluang yang ada kita masih belum merdeka. oleh itu bersama-sama kita menjadi bangsa bersatu bangkit menjadi negara maju itulah matlamat kita bangsa yang sepenuh hati merdeka


185 EVASIFMU MENGHAKIS SEMANGAT MERDEKA Syahira Binti Edris PISMP Reka Bentuk Teknologi Dahulu nilai merdeka disanjung tinggi dahulu tangisan menghayati darah pejuang, dahul, tiada pengorbanan tanpa dikenang. Merdeka ! merdeka ! merdeka ! bergetarkah hatimu dilaungkan keramat agung? bergelegakkah semangatmu bak api membara? atau hanya jelingan kasih tidak bermakna kerana bejatnya identiti di tanah warisan satria dahulu. ke mana pergi atma perjuangan? ke mana hilang nazar tunak kesetiaan? hendonisme membelah keris kemerdekaan sumpah dijajah oleh ghairah yang berlagu. Merdeka ! merdeka ! merdeka ! inilah generasi segalanya di hujung jari semakin berpaling dari budaya hakiki minda hanyut akal jatuh tidak berani wujud segelintir jadi racun dan duri. ayuh berdiri, bangkit dan bersatu darah pahlawan menjerit di seluruh tubuh Sukma mendidih destruktif dibunuh jangan dibiar sekecil kuman menawan besarnya harapan. untukmu tanah air bumi yang ku pijak kaki melangkah gagah perkasa tangan menjulang bendera berkibar tidak rabak selagi jiwa merdeka kukuh bermegah.


186 PELANGI SELEPAS HUJAN Adennesther Phillipus PISMP Bahasa Kadazan Dusun Dari hujan aku belajar mengenai bahasa air bagaimana jatuh berkali-kali tanpa mengeluh pada takdir kehidupan Kerana aku tahu selepas turunnya hujan langit menjadi cerah awan gelap bertukar putih Masa sukar telah pun berlalu parut yang menyakitkan seolah-olah sembuh perjuangan yang memenatkan sudah tidak dirasai kerana aku tahu akar dari pendidikan adalah pahit namun buahnya pasti manis Semanis madu hujan yang turun membawa ku berkelana ke masa lalu di mana aku menyedari bahawa guru merupakan seniman terhebat fikiran yang kosong menjadi terbuka menghasilkan pasport untuk masa depan yang merupakan senjata untuk mengubah dunia kuakui betapa pahitnya belajar namun ku sedari betapa hinanya kebodohan sepanjang hidup hati kecilku seringkali memberontak seringkali menyuruh ku untuk berputus asa Kerana dugaan yang bertimpa-timpa


187 meruntuhkan semangat untuk berperang Mengubah nasib keluarga pelangi yang muncul selepas hujan umpama kejayaan kita tidak ada kemanisan tanpa kepahitan Kebahagiaan memerlukan pengorbanan tanpa adanya hujan tumbuhan menjadi layu belajarlah untuk menghadapi badai badai dalam hidupmu


188 PEJUANG KEMERDEKAAN Elyzabit Maurus PISMP Bahasa Kadazan Dusun 31 Ogos kini menjelang di tahun 2022 Kemerdekaan Tanah Melayu telahpun genap 65 tahun namun jasa pejuang negara tak pernah dilupa pejuang penyemarak merdeka. Yang sanggup berkorban demi negara yang rela berhempas pulas dengan senjata yang rela membelakangkan kepentingan diri yang sanggup berputih mata demi tanah air. Namun masih ada yang menyia-nyiakan pengorbanan itu masih ada yang yang lupa darah yang mengalir demi tanah air saling menjatuhkan, saling tak berperikemanusiaan sedarlah, pejuang negara kita telah berkorban demi kita. Bangkitlah dan majulah wahai keluarga malaysia bersatulah kita demi menyemarakkan semangat kemerdekaan membanteras kejahatan, mengharumkan nama negara keluarga malaysia, teguh bersama, negaraku merdeka.


189 NYAH KAU PEROSAK BANGSA! Jasnita Konolius PISMP Bahasa Kadazan Dusun Bahasa jiwa bangsa laksana bulan dan matahari hilang bahasa pilulah bangsa yang menjadi tunggak negara kita. Tatkala meniti arus kemodenan bahasa pula dipertaruhkan pewaris bangsa mulai alpa bahasa penjajah jadi pedoman. Bahasa penyatuan bangsa jangan dicemar warisan lama hingga pupus ditelan zaman nyah kau perosak bangsa!


190 MERDEKA.COM Siti Aisyah Binti Kohimin PISMP Bahasa Kadazan Dusun Keringat laju membasahi wajah dan tubuhku pendakianku kini berbaki 3 kilometer namun itulah yang ku baca di pusat pemeriksaan sebelum ini aku sudah tidak percaya lagi dengan angka yang aku jumpa itu semua ukuran yang tak pasti bahkan aku juga tidak pasti gunung apa yang aku daki. Hutan hijau menyelimuti diriku sentiasa memberikan ku kekuatan untuk meneruskan pendakian membekalkan aku oksigen yang mencukupi. di saat aku tercungap-cungap mencuri nafas pohon kekar tempat ku bersandar disaat pitam mula menelan diriku bahkan si bunga liar menjadi penyeri fikiran kusutku. Jejari matahari mengusap wajahku membangunkan aku dari lenaku yang sekejap pendakian harus diteruskan! aku dijanjikan dengan pemandangan yang mampu menghidupkan jiwa yang mati oleh merdeka.com bahkan, disebabkan itu tanpa berfikr panjang aku mendaftar pendakianku Aku sudah bosan dengan menonton perarakan aku sudah lihat berpuluh perarakan merdeka sepanjang 20 tahun hidupku dalam hatiku ‘aku juga ingin menjadi sebahagian daripada ‘perarakan’’ jalur gemilang terlipat kemas dan rapi didalam kantung sebesar tong gasku


191 bahkan aku hampir memacakkan bendera itu di kaki gunung Benarlah semua apa yang aku baca di ruangan maklumbalas pelanggan belum pernah aku melihat pemandangan memukau jiwa seperti ini kabus mulai beransur pergi meninggalkan aku alam mula membuka hijab memperlihatkan keindahannya hampirku terlupa akan jalur gemilang yang sepatutnya sudah terpacak bahkan, suara angin juga tidak kedengaran begitulah lapangnya yang kurasakan. Kini kusedar tersurat dan tersiratnya ‘merdeka’ bukan cuma bebas dari dijajah dieksploitasi dan dihina namun juga memiliki jiwa yang lapang seluas bumantara bahkan bianglala, tetap muncul walau tanpa hujan.


192 STADIUM MERDEKA Muhammad Aisy Bin Mohd Hisyam PISMP Sejarah Aku pandang di sisi kananku Teriak bonda membawa girang, Laungan azimat tamat perang. Aku pandang lagi di sisi kiriku Tangisan ayah disambut senyuman Dikesat tak habis dibiar tak sudah. Bersaksikan langit biru aku kerah sepenuh raga Keringat yang jatuh membasah bumi tanda cinta akan bangsa, Semangat menyala semarak api di atas bara Laungan serampak beribu insan bergema di Kuala Lumpur. Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdekalah bangsaku Selama kita masih bersatu.


193 CORETAN WATAN MERDEKA Muhammad Iqmal Bin Osman PISMP Sejarah Wahai bangsaku ingatlah setibanya tarikh keramat 31 ogos berbekalkan selembar tekad dan iltizam terbitnya kalimat laungan merdeka di segenap bibir anak watan jika bukan dek kerana pahlawan yang memerah keringat bermandi darah diiringi doa dan tangisan air mata di medan pertempuran Barangkali bangsa ini bangsa yang berpeleseran tidak punya negara kini, watan merdeka ini telah mencecah usia ke-65 cuma timbul kerisauan di lubuk sanubari jiwa apakah benar generasi modenisasi ini sudah merdeka? sedangkan bertali arus hedomisme barat meresap ke akar umbi merentap nurani yang alpa pada ilahi Hinggakan warisan ketimuran beransur-ansur lenyap dibenam bumi bangsaku zahirkan setia kita demi pertiwi junjunglah adat selaku nakhoda bumi bertuah usah biar petualang kembali lagi dalam lain dimensi kerana jika petualang ini dibiar terus meliar maka terhakisnya keaslian jati diri berlantaikan tanah berbumbungkan langit yang serupa cukup hanya sekali tragedi 13 mei menjadi saksi runtuhkan tembok kebencian dan perkauman jangan sekali goyah diperalatkan anasir luar berpaksikan intelektual kelas pertama abad ke-21 bersama-sama membingkai permuafakatan yang utuh mencapai kesepakatan yang teguh demi sebuah keluarga Malaysia.


194 PENERUS GENERASIKU Ayuliana Binti Sudin PISMP Bahasa Melayu Penerus generasiku Ku didik, ku tatang bagai minyak yang penuh Agar jiwamu berilmu Matahari yang menerangi alam di kala siang Ku harap seperti ilmu menerangi jiwamu. Penerus generasiku Malam penuh dengan kegelapan Begitu juga jiwa tanpa ilmu Satu pesan ku buatmu Jaga tingkah mu dengan pemberi ilmu. Penerus generasiku Ku harap kau tahu tiada kejayaan tanpa halangan Jangan didengar rayuan syaitan yang durjana Kuatkan diri, cekalkan hati jalan terus menuju cahaya Dikala larianmu mulai perlahan Ingatlah!, aku menanti dengan senyuman .


195 PENDIDIKAN KEKASIHKU SELAMANYA Ealiza Annur Binti Duryap PISMP Bahasa Melayu Semuanya bermula ketika aku lahir ke dunia Aku dipertemukan denganmu tanpa sebarang syarat Ketika itu bermulalah kisah cinta kita berdua Kerana engkau akan menjadi penemanku selagi ku bernyawa. Pendidikan engkau umpama emas dan permata Tanpamu diriku umpama lilin yang tak bernyala Rasa tidak berguna selalu ada Kerana aku tak punya apa-apa jikalau engkau tak ada. Diriku dan dirimu akan bersama Walau di mana jasad ini berada Kau tetap yang paling utama Kerana engkaulah segalanya. Terima kasih wahai pendidikan Kaulah penyulu kehidupanku di dunia Kaulah menjadi sahabatku di dunia Kaulah heroku untuk selama-lamanya.


196 PEMANCAR SINAR KEJAYAAN Elia Neville binti Lobinus PISMP Bahasa Melayu Ku ikuti jejak langkah kaki ini membawaku menuju lorong-lorong tak punya hujung Namun, sering kudengar sang pelita memanggilku dengan untaian sang pelita ku dituntun. Dialah pemberi paling setia tiap akar ilmu miliknya pelita dan lampu segala untuk siapapun sebelum dewasa. Dia laksana pelita di malam gelita memancarkan sinar penuh rela tak pernah mengenal erti putus asa tak pernah menagih puji dan puja. Jika hari ini siapapun berjaya jika hari ini siapapun menjadi dewasa Sejarahnya bermula dengan pendidik dengan lembut tuturnya sabar tingkahnya mengajar tulis baca sungguh layak diberi gelaran Pemancar Sinar Kejayaan.


197 SEDARLAH Josie Carol Mahin PISMP Bahasa Melayu Mimpi hanyalah sebuah permainan hidup setiap malam ia kembali namun tak berkekalan bahkan saat diri mula tersedar mimpi tersebut mulai dilupakan. Pesan orang tua tidak salah untuk bermimpi mimpilah untuk masa hadapan fikirlah sebaik mungkin demi kebaikan diri utamakan pelajaran sekolah untuk belajar guru sebagai pembimbing buku menjadi panduan tanpa semua ini, siapalah murid. Wahai anak bangsa bakal pemimpin negara ilmu itu tidak ada batasnya peluang yang ada usah dilepaskan melalui pengalaman adanya pengajaran. ingatlah bahawa gagal bukan bermaksud kalah berjaya tak semestinya berkekalan kerana usaha adalah kunci kejayaan. sesungguhnya pendidikan yang cukup melahirkan individu yang bijak dan rasional


198 KEAMANAN YANG DITINGGALKAN Kilsih Kapusoh PISMP Bahasa Melayu Wahai pejuang tanah air engkau sungguh masyur di telinga kami engkau sungguh gagah di mata kami dan engkau sungguh tabah di hati kami. Walau badai menimpa walau peluru melesat walau meriam berdentum kau tetap berdiri tegak pertahankan negara. Angin membelai wajah Ombak menghempas kaki matahari senyum menyapa dapat kami jalani dengan tenang. Kau tinggalkan ketenangan kau tinggalkan kenangan terima kasih pejuang negara berlumur darah di medan perang demi tanah air.


199 MERDEKA BUKANLAH SUATU LAUNGAN Muhammad Akmal Bin Mohd.Zaini PISMP Bahasa Melayu Enam dekad sudah berlalu Tiada lagi bedilan peluru Seperti yang pernah berlaku Suatu ketika dahulu Cina, India dan Melayu Tiga kaum yang akhirnya bersatu Agar tercapai matlamat yang satu Negara aman sentosa selalu. Namun, sedihnya hari ini Erti merdeka tidak lagi dihayati Katanya sanggup berjuang sehingga mati Hakikatnya Mentaliti dibiarkan dijajah dengan rela hati. Warisan Melayu diabaikan Tradisi Melayu ditinggalkan Adat Melayu diperkotak-katikkan Katanya lapuk dan membosankan. Yang teruna hilangnya jati diri Yang dara hilangnya maruah diri Katanya, begitulah gaya masa kini Hakikatnya hanya memusnahkan diri. Wahai anak harapan Hayatilah erti kemerdekaan Merdeka bukanlah suatu laungan Tetapi sesuatu yang memerlukan penghayatan.


200 LANGIT BIRU TANAH BERTUAH Nur Farzanah Binti Salim PISMP Bahasa Melayu Ku renung ke atas langit nan biru awan kelihatan berarak bebas cahaya matahari membahang menyinari mencerahkan tanah bertuah yang merdeka ini. Kulihat jalur pelangi indah menghiasai kebiruan langit cerah secerah semangat pahlawan kemerdekaan demi memerdekakan tanah air tercinta meskipun darah ditumpahkan. Kini kita telah mencapai merdeka 65 tahun telah kita rasakan ketenangan berkat pahlawan lampau tanah airku telah berjaya menjadi tanahku yang bertuah. Marilah seluruh bangsa Malaysia perjuangkan pertahankan tanah bertuah kita ini biarkan indah bagai langit biru atas sana.


201 DIRGAHAYU MALAYSIAKU Nur Mariahafiqahani Binti Joe Meyer Herbert Meyer@Awang PISMP Bahasa Melayu Dirgahayu Malaysiaku tanah tumpahnya darahku akan ku banjiri dirimu dengan ilmu akan ku semai cinta di tanahmu akan ku palu kuat gongmu. Dirgahayu Malaysiaku perjuanganku tidaklah akan seperti perjuangan pejuangpejuangmu yang lalu yang sanggup bergadai nyawa bertumpah darah demi memerdekakanmu namun percayalah akanku perjuangkan rasa cinta ini kepada generasi-generasi baharumu sehingga mampu ku angkat kewujudanmu di hamparan langit biru. Dirgahayu Malaysiaku 65 tahun telahpun berlalu tiada lagi jajahan asing membelenggu masih harum semerbak kebebasan berpusu tidak akan pernah lenyap dikau meskipun dunia semakin memaju. Dirgahayu Malaysiaku merdekalah dikau seindah namamu merdekalah dikau seterang sinarmu merdekalah dikau seagung tugumu merdekalah dikau sekuat pencintamu.


202 PAHLAWAN Nur Umi Syazwanie Binti Rosli PISMP Bahasa Melayu Pahlawan! titik peluhmu menjadi saksi perjuanganmu tumpah darahmu menjadi bukti pengorbananmu janji setiamu hanya untuk membela tanah pusaka. Pahlawan! kau bebaskan tanah dari dakapan barat dari orang inggeris yang datang merobek kesucian dan merenggut kebahagiaan dengan rela kau kerahkan kudratmu sepenuhnya tanpa mengharapkan sedikitpun balasan. Pahlawan! walaupun hilangmu tanpa jejak pergimu tanpa nama pusaramu tanpa bunga namun percayalah jasamu sentiasa dikenang.


203 TERIMA KASIH PEJUANG Siti Mazlinah Binti Abdul Naib PISMP Bahasa Melayu Keranamu kami begitu nyaman menghirup nafas di negara bertuah negara yang bangun maju meninggalkan zaman penjajah. Kini, desa dan kota bertukar wajah Keranamu. Berkat jasamu kini dapat ku lihat berkat semangat juang mu kini dapat terus ku kenang walau raga mu hancur terkubur tanah serta terurai zaman. Perjuanganmu untuk kemerdekaan hingga bercucuran keringat bertumpahan darah mengerahkan seluruh jiwa dan raga demi satu kata Merdeka! Terima kasih pejuang berkat semua itu kami anak bangsa dapat terus merasai keamanan kami anak bangsa dapat terus bersatu walau dalam perbezaan kami anak bangsa terus dapat bersama merasa indahnya anugerah kemakmuran. Terima kasih pejuang Tanpamu apalah erti Malaysia hari ini.


204 JIKA AKU YANG DI SITU Hairul Warda Binti Mohdzaifol Azhar PISMP Reka Bentuk Teknologi Sedang aku menghirup udara pinjaman tuhan terdetik dari mana datangnya kekuatan mereka bagaimana rasanya jika aku yang di situ? terasa ingin mengalir titisan permata ini pelik bukan? Tidak pernah mengenali apatah lagi bertemu mata umur juga jauh berbeza, berpuluh tahun dulunya namun seboleh-bolehnya menangis mengenang jasa mungkin kerana perjuangan mereka terlalu besar sukar digambarkan jika aku yang di situ. Mungkin tidak segagah mereka ya, tidak mungkin akan segagah mereka jauh sekali lagaknya dari mana datangnya kekuatan itu? mungkin dari rasa cinta yang terlalu tinggi cinta kepada sesuatu yang perlu mereka jaga cinta kepada yang mereka anggap permata amat berharga sehinggakan terlalu benci kepada anasir yang berani menyentuh negara mereka. Mungkin cintaku terhadap negaraku sudah besar namun, cinta mereka lebih besar mereka yang aku panggil pejuang hebat dan cintaku, tidak sedalam insan hebat itu. ya aku sedar, aku perbaiki itu.


205 SAJAK GURU PEMBINA INSAN Josslyn Binti Amadeus PISMP Reka Bentuk Teknologi Guru insan yang mencipta keajaiban mempunyai berbagai watak mulia tidak lelah menimba ilmu kini membentuk insan yang mulia. Guruku yang tercinta umpama lilin yang membakar diri seperti pokok yang berbakti kepada manusia sanggup mengorbankan masa untuk murid-muridnya ilmu yang diberi tiada batasan. Guru memberikan harapan dalam kehidupanku memberikan keterangan dalam kegelapan tidak jemu menaburkan ilmu aku menghargaimu umpama mutiara yang berharga.


206 MALAYSIAKU Nurul Qistina Binti Jamaluddin PISMP Reka Bentuk Teknologi Tanah Melayu dari perak ke johor 31 ogos 1957 merdeka 65 tahun tiada lagi penghinaan penderitaan. Tanah Borneo dari kenyalang ke bawah bayu hendak kami merdeka maju sang pewira hadir bertemu janji-janji terikat padu. Sejarah hari itu 16 september 1963 menjadi saksi kamu lahirnya malaysiaku ibu pertiwiku!


207 MERDEKA! Ainul Shuhada Binti Muhamad Sofi PISMP Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Merdeka! Merdeka! Merdeka! 65 tahun kita telah merdeka Adakah kita masih dijajah Kemerdekaan ini bukanlah mudah Menuntut langkah yang amat payah Ramai yang parah lantas berserah Berserah pada takdir yang terserah. Mari kita ungkap kembali Sejarah kemerdakaan yang berlari Mari kita sama-sama isikan kemerdekaan Dari kekuatan yang kita bina sendiri. Kita rempuh dunia tanpa sempadan Dengan cengkaman tanpa sempadan Mengatur langkah peribadi. Anak muda Bangkitlah Bangkit, bangunlah semula Bangkit, tawanlah semula Peliharalah keamanan merdeka sepanjang zaman.


208 TEKAD SEORANG ANAK Pooja Anak Bayoi PISMP Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Di suatu senja Aku duduk termangu di tepi jendela Wajah ayah ibu menghiasi kamar mindaku Jiwaku merintih, hatiku meronta Mengenangkan ayah dan ibu nun jauh di desa. Kerinduan hatiku menggunung tinggi Aku rindu belaian kasih mereka Aku rindu dakapan hangat mereka Namun apakan daya diriku harus berkorban demi segulung ijazah kebanggaan. Kini Aku bangkit dari kegalauan jiwaku Kepiluan hati membelit pembuluh darah kuhembus Tekadku menimba selaut ilmu Tekadku menyemai benih-benih kebjiksanaan. Ayah dan ibu Pesanmu terpahat di hati Walau penuh onak duri menanti Tekadku menjadi generasi berpendidikan Kerna harapanku bersinar terang menghiasi cakerawala yang menyinari dikau permata hatiku.


209 MALAYSIAKU TANAH TERCINTA Pooja Anak Bayoi PISMP Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Malaysiaku Namamu gah di persada dunia Rakyatmu hidup rukun bersama Tidak kira kaum, agama dan bangsa Hidup bersatu sepanjang masa Di bawah langit yang sama. Malaysiaku Kaya dengan kepelbagaian adat budaya Terkenal dengan keindahan flora dan fauna Didiami masyarakat berhati mulia Aman, damai, bahagia sentiasa Di bawah naungan payung diraja. Malaysiaku Ikrarku kepadamu hanya satu Setia menjaga kedaulatan dan keharmonianmu Hingga ke akhir nafasku Tetap berjuang walau hadapi jalan berliku Agar namamu harum selalu. Ayuh keluarga Malaysia Kitalah penentu masa depan negara Kitalah pewaris negara Malaysia Tekadkan azam majukan negara Robohkan segala tembok prasangka Tetap teguh walau diduga, Kekal sejahtera selama-lamanya.


210 TEKAD Pooja Anak Bayoi PISMP Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Ayah dan ibu Permata hati tiada galang ganti Penghibur hati nan sepi Penawar lara yang membelit jiwa. Ayah Masih segar di kotak mindaku Pesanan hidup yang dititipkan Tekadku menimba selaut ilmu Tekadku menyemai benih-benih kebijaksanaan Demi segulung ijazah kebanggaan. Ibu Pesanmu terpahat di peti hatiku Walau penuh onak duri menanti Tekadku menjadi generasi berpendidikan Tekadku ingin bersinar terang menghiasi cakerawala Kerna pendidikan umpama bintang menyinari kegelapan malam.


211 BANGKITLAH Siti Syahirah Binti Abdul Latif PISMP Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Bangkitlah anak muda Setelah 65 tahun kita merdeka Masih dibelenggu penjajahan minda Gara-gara arus kemodenan menjadi angkara. Ayuhh anak muda Bangkitlah bila terlena Bukalah minda sebelum terleka Bangkitlah semula Sematkanlah semangat jiwa bangsa Di dada penuh semangat waja. Wahai anak muda Menjadi harapan nusa dan bangsa Bersemangat menuju kejayaan sedaya upaya Menuju ke arah kemegahan tanah air tercinta Menanti saat bebas merdeka penjajahan minda.


212 MALAYSIA MENANG Stepheny Elikca Anak Dieng PISMP Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Merdeka Laungan keramat kemenangan Titik sebuah kebebasan. Malaysia Kewujudanmu penuh liku Bukti swadaya pahlawan negara Pergi bersenjata setia Pulang tiada tarikhnya Mati syahid yang dijanjikan syurga. Malaysia Namamu terpahat seluruh atma Bangkit dari persada luka Berpaksi gagah di pentas perkasa Bersaksi kibaran 14 jalur merah putih Bertiang Jata beratap Rukun Negara Mempertahankan indah pelangi merdeka.


213 SUARA MERDEKA Nurain Syafiqah Binti Khairilashraf PPISMP Bahasa Melayu Berdekad sudah merdeka Bumi Malaya Pertiwi tercinta Bulan di langit menjadi saksi Turunnya bendera Inggeris Gantinya Jalur Gemilang Berkibar di puncak tiang Merdeka ! Merdeka ! Merdeka ! Bergema laungan Memenuhi setiap penjuru Stadium Merdeka Menggetarkan gegendang telinga Menyentuh jiwa yang dahagakan merdeka Rakyat berkaca mata Tanda gembira Suara merdeka tinggi nilainya Jangankan emas Gunung permata juga tak dapat membeli Nilai merdeka perlu dijaga Hasil tumpahnya darah anak bangsa


214 Berkorban pahlawan nyawa sendiri Pertahankan ibu pertiwi tercinta Dari rentapan musuh durjana Minda merdeka tinggi dugaannya Pengaruh penjajah jangan bertapa Didik diri jangan durhaka Kelak tergadai maruah bangsa Ingatlah pesan ini Rakyat merdeka perlu berpadu jiwa Berlainan bangsa disatukan bahasa Adab terjaga bergaul mesra Agar tiada wujud sengketa


215 PEJUANG DALAM DIAM Nurul Izzah Binti Sharifuddin PPISMP Reka Bentuk Teknologi Pejuang betapa besarnya pengorbananmu dikau melangkah beribu batu merentasi hutan belukar meninggalkan permata cinta mengorbankan segala kemewahan dunia semata-mata untuk menanam benih ilmu di tempat pertama kami melihat dunia. Wahai pejuang dalam diam Mungkin diluar sana Tiada siapa mengerti perit jerihmu Sampan dan perahu menjadi sahabat pagimu Tanah merah menjadi peneman harimu Segala onak dan duri, dikau tempuh. Namun tidak pernah dikau menyerah kalah Dalam meneruskan perjalanan panjang ini semata-mata ingin mencurahkan butir-butir mutiara agar kami berjaya mengapai angkasa. Terima kasih wahai pejuang kerana menarik kami dari kegelapan Mengenalkan kami akan dunia Mengadakan taman ilmu di tanah kelahiran kami Walau dikau harus harungi banyak cabaran.


216 Pejuang Akan kami pegang erat segala pesananmu Akan kami wariskan segala ilmumu Kepada anak bangsa Sepertimana dikau berjuang demi negara. Pejuang dalam diam Dikau bukanlah bermain dengan senjata Namun setiap curahan ilmumu sungguh berharga Untuk membentuk kami menjadi pewaris negara Bukan sahaja pandai bermain kata. Malah penuh bekal di dada Takkan ku lupa perjuanganmu Wahai pejuang dalam diam Sebagai seorang pendidik Malaysia.


217 AKULAH PEWARIS NEGARA Nurul Nazeeha Binti Samsudin PPISMP Pendidikan Seni Visual Malaysia Tanah air tempatku berpijak ini Hadiah tak ternilai pejuang bangsa Bersaksi darah dan air mata Yang harus kupertahankan Kerna aku pewaris negara. Negaraku Negara tercinta hamparan setia Kitalah satu-satunya harapan negara Berusaha sepenuh hati sepenuh jiwa Seluhur suara seteguh cita Yang akan berkorban jiwa dan raga. Demi sebuah keamanan Meneruskan perjuangan suci Teguh utuh di persada nusa. Kini Bergemalah di hati pewaris negara Dengan semangat membara Perjuangan mesti diteruskan Demi negara tercinta Demi anak-anak bangsa. Wahai pewaris negara Bersedialah menghadapinya Dengan penuh kerelaan dan keikhlasan Kerana kitalah pewaris negara.


218 SAJAK DUNIA TANPA LIKU Nur Ain Binti Aidil Nazarudin PISMP Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Terbitnya mentari menerangi bumi Sebagai petanda permulaan hari Kebanyakkan insan berpusu-pusu tatkala menyedarinya Namun tanpa kita sedar Masih ada yang memilih untuk terus diulit mimpi Kata mereka Mimpi lebih indah dari realiti Mendengarkan itu Jauh di sudut hati aku turut mengakui Tipulah jika aku katakan Hidup ini seindah bulan yang dikelilingi bintang Seindah siang yang burung merdu berkicauan Seindah petang ketika bayu angin menyentuh pipi Ingin sekali aku lari dari realiti Ingin terus diselimuti mimpi Berada dalam alam fantasi Tapi layakkah aku bergelar insan Andai yang aku mahu hanyalah dunia tanpa liku.


219 2020-COVID19 Negaraku kini menjejaki Tahun 2020 Disangkakan wawasan 2020 bakal dikecapi Malangnya kita sebagai manusia hanya mampu merancang Selebihnya tuhan yang menentukan Duaribu dua puluh (2020) memberikan impak besar untuk seluruh dunia Virus yang tidak dapat dilihat mengunakan mata kasar telah mengegarkan dunia Dan bukan hanya Malaysia Virus ini dikenali sebagai Corona Virus Walau kita dihimpit dengan kesempitan dunia Namun Kita harus mencari hikmah disebalik kejadian Kini kita dapat melihat manusia mengambil ikhtibar Berhati-hati sebelum membuat tindakan Menyimpan untuk kegawatan Agar tidak terkandas di masa hadapan. Eiman269 JKA 2020 Nukilan Naima Binti Kadir


220 JANGAN KAU MARA LAGI Hadirmu seketika Menerja pelusuk dunia Paniknya manusia Dasyatnya jantung berdegup Bagaikan letusan berapi Meluah larva Tak padan dengan dirimu Saiz sekecil zarah atom Taburanmu sukar dijangka Infeksimu luar biasa Sering positif Kadang negatif Corona virus Ku mohon padamu Segera kau nyah dari bumi Dengan izinNya jua. Amian2626 Tawau 2021 Nukilan Naima Binti Kadir


221 Biodata : Naima binti Kadir merupakan anak kelahiran Sabah berasal dari Tawau pada 26 September 1970. Menerima pendidikan awal di SRJK Abaka, Tawau pada tahun 1977 – 1982 dan meneruskan persekolahan di SMK Muzaffar Syah Melaka sehingga tingkatan lima pada tahun 1987. Seterusnya menerima ijazah Sarjana Muda Bidang Sains Laut di UKM pada tahun 1994. Pada tahun 2008 menerima ijazah Sarjana Pendidikan dalam bidang Pengurusan Disiplin dari Universiti Selangor. Mula bergelar Guru Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan, Tawau pada 1 Jun 1996 sehingga 15 Disember 1996. Seterusnya ditawarkan sebagai pensyarah Sains dan Matematik di Maktab Perguruan Sandakan, Sandakan, Sabah pada 16 Disember 1996 sehingga 5 Mei 2000. Pada tahun 2000, ditempatkan di IPGK Kent sehingga Oktober 2009. Pengalaman kerja beliau diteruskan sebagai Pensyarah Sains di IPGK Tawau pada tahun 2009 sehingga Ogos 2022. Kini ditugaskan sebagai Timbalan Pengarah IPGK Keningau bermula September 2022 hingga kini.


222 NEGARAKU PERNAH KAYA Dahulu negaraku pernah kaya Lubuk Mandi Kechau jalur emas dunia Emas merata di mana-mana Kini emas hanya di kedai sahaja Dahulu negaraku pernah kaya Pembekal bauksit utama dunia Zink di kepala berasaskannya Pencemaran alam melumpuhkannya Pelombong angkat kaki segera Dahulu negaraku pernah kaya 1918 Seri Medan lombong bijih utama Perang Dunia Kedua menghentikannya Alasan keselamatannya Ayuh anak bangsa Negara kita pernah taraf antarabangsa Kini di mana gahnya Di mana kayanya Kita cari dan gali auranya Selidik wahai pakar pengkaji Agar sejarah tidak mati. Nukilan Dr. Saidah Khadijah Ahmad


223 HIDUP DAN JIWA Hidup terlalu keras Kadang terlanggar, tertolak, terjatuh Konkrit batu selembut sutera Angin semilir sekeras batu Jadilah manusia berjiwa Anugerah jiwa manusia Luka tidak berdarah Melihat tidak bermata Mendengar tidak bercuping Tapi bertingkah seperti pendeta Gerak hulu mudik ke hilir Gerak mahu tapi terpinggir Resah jiwa kerana harta Celaru jiwa kerana dunia Sengsara manusia tanpa sederhana Jadi jiwa jadi manusia Alang keruan tidak melata Syukur Tuhan syukur setia Tidak mengata pada yang tiada. Nukilan Dr. Saidah Khadijah Ahmad


224 Biodata : Dr. Saidah Khadijah Ahmad di lahirkan di Sri Medan, Batu Pahat, Johor. Beliau menerima pendidikan di SK Rancangan Klias, Beaufort dan SMK Limauan, Kinarut. Kemudian Ijazah Sarjana Muda Sejarah dan Tamadun dan Diploma Pendidikan, UIA, Master Pengurusan Pendidikan, UTM dan Ijazah Doktor Pendidikan, UNISEL. Bertugas sebagai guru di SMK Nambayan Tambunan (1996-1999) dan pensyarah IPG Kampus Keningau dari tahun 2000 Sehingga kini.


Click to View FlipBook Version