The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Osyuhada98, 2021-04-19 08:06:49

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

MEMAHAMI DAN MENGUASAI

KESUSASTERAAN DALAM
PENGAJARAN BAHASA
MELAYU

ARIFF MOHAMAD

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

KANDUNGAN

PRAKATA
1 MENGENALI KESUSASTERAAN DAN BAHASA

MELAYU
2 KESUSASTERAAN DALAM KURIKULUM

BAHASA MELAYU
3 KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL
4 KESUSASTERAAN MELAYU MODEN
5 PERBINCANGAN KARYA SASTERA
6 GAYA BAHASA DALAM KARYA SASTERA
7 STRATEGI PENGAJARAN KESUSASTERAAN

DALAM BAHASA MELAYU
8 TEKNIK PENGAJARAN KOMSAS DALAM BAHASA

MELAYU
9 PENGAJARAN KOMSAS MENGIKUT GENRE
10 APRESIASI KESUSASTERAAN MELAYU
RUJUKAN

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Prakata

Bahasa dan kesusasteraan sering dianggap berada dalam dua
bahagian yang berasingan. Namun begitu, perkaitannya amat rapat
simbiosisnya seperti ‘irama dan lagu’. Bagi tujuan pendidikan Bahasa
Melayu, bahan kesusasteraan telah digunakan sejak dahulu lagi. Sejak
tahun 2000, bahan kesusasteraan ini telah dinamakan sebagai
komponen sastera (Komsas) sesuai dengan kepentingan dan
keseriusan memasukkannya dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu.

Buku Memahami dan Menguasai Kesusasteraan dalam
Pengajaran Bahasa Melayu ini tidak lebih daripada sekadar buku
panduan pembelajaran dengan tujuan untuk pemahaman tentang
kandungan kursus di universiti. Kandungan buku ini adalah rumusan
daripada pandangan beberapa banyak pihak yang dipetik dan
dinyatakan rujukannya.

Buku ini menggabungkan tiga aspek, iaitu kesusasteraan,
bahasa dan pengajaran (pendidikan). Buku ini merupakan panduan
untuk kegunaan bakal guru di sekolah-sekolah menengah. Secara
khusus bagi yang mengambil kursus Kesusasteraan dalam
Pengajaran Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Penghargaan kepada Dr. Siti Khariah Mohd Zubir dan dan
Allahyarham Dr. Naffi Mat yang pernah bersama-sama menulis untuk
dua buku yang berasingan berkaitan kursus ini.

Selamat membaca, memahami dan menguasai.

DR. ARIFF MOHAMAD
Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan melayu,
Fakulti Bahasa dan Komunikasi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjong Malim, Perak.

April 2020

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

MENGENALI KESUSASTERAAN DAN BAHASA MELAYU

Pendahuluan

Kesusasteraan adalah bidang ilmu kemanusiaan yang terangkum
pelbagai unsur, antaranya falsafah, gambaran kehidupan, nilai-nilai
pendidikan, nasihat-nasihat untuk diteladani selain untuk tujuan
berhibur. Kesusasteraan dicorakkan oleh hasil karya dalam pelbagai
bentuk yang disebut genre. Dalam penghasilan karya kesusasteraan,
aspek yang sangat rapat bahasa. Tanpa bahasa sesebuah karya
sastera tidak dapat lahir. Bahasa tersebut diungkapkan oleh seseorang
pengarang yang tentunya menggambarkan masyarakat pada
zamannya dan keistimewaan serta keindahan bahasa yang
diungkapkannya.

Perkataan ‘kesusasteraan’ daripada segmen ‘su’ yang
bermaksud ‘elok, indah dan molek’ dan ‘sastera’ yang dimaksudkan
sebagai ‘ajarkan’ ataupun ‘berikan panduan’. Perkataan ‘tera’
bermaksud media, karya, bahan atau alat yang merupakan gagasan,
idea atau pemikiran pengarang. Jadi, kata majmuk ‘susatera’ itu
bermakna karya bahasa yang elok (lisan atau tulisan) yang mempunyai
ciri-ciri istimewa dan bernilai seni dalam penciptaannya yang berbeza
dengan penggunaan bahasa sehari-hari. Kesusasteraan sebagai satu
bidang ilmu yang luas. Setiap tamadun bangsa di seluruh dunia
bergerak seriring dengan hasil pemikiran masyarakat yang dibawakan
dalam sasteranya. Secara umum, sastera adalah pengucapan
masyarakat melalui pengarang dalam bentuk lisan yang kemudian
berkembang dalam bentuk penulisan, dan penerbitan.

Shahnon Ahmad (1991) menyatakan bahawa pada prinsipnya
kesusasteraan adalah satu media yang amat berkesan lagi halus
dalam menyampaikan kisah-kisah manusia, pembentukan manusia
dan nilai-nilai manusia melalui berbagai-bagai genre dalam sastera.
Usaha untuk membangunkan peribadi manusia melalui kesusasteraan
diakui amat berkesan kerana teknik pengajaran melalui seni amat
halus dan benar-benar sesuai dengan daya persepsi manusia. Karya
yang baik adalah karya yang mengandungi keindahan yang mampu
membangkitkan rasa ketenteraman hidup mengikut penilaian Islam.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Manakala Hashim Awang (1985) menjelaskan sesuatu hasil
karya sastera itu mestilah menerapkan unsur-unsur dan nilai-nilai
murni yang dapat diteladani oleh pembaca dan masyarakat. Menurut
beliau lagi antara fungsi paling utama sastera Melayu adalah untuk
mengajar dan menghibur. Semenjak sastera Melayu dicipta hingga
kini, sastera membawa unsur bagi menghibur dan mendidik individu
serta masyarakat.

Memetik pendapat tokoh pendidikan, Profesor Datuk Dr. Wan
Hashim Wan Teh yang disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 4 April
2000, beliau menyatakan bahawa, “Manusia secara semula jadi
mempunyai ciri-ciri positif dan negatif dalam diri mereka. Medium
sastera, sama ada dalam bentuk cerpen, teater atau puisi berfungsi
membendung sikap buruk manusia. Semua genre sastera yang
bermutu tinggi mempunyai nilai seperti kehalusan budi, menyemai sifat
pengasih, saling menghormati dan merangsangkan pemikiran kreatif.
Pendidikan kesusasteraan di sekolah sama ada dalam bahasa Melayu
atau bahasa Inggeris dapat membantu pelajar menguasai bahasa
berkenaan dengan lebih cepat, baik dan teratur”.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Fungsi Kesusasteraan dan Hubungannya dengan Pendidikan dan
Masyarakat

Sastera sebagai cerminan masyarakat, bangsa atau kelompok sosial
tertentu. Corak hidup masyarakat zaman dahulu dicerminkan melalui
puisi lama seperti pantun dan peribahasa. Mereka menggunakan alam
sebagai perbandingan dan perlambangan dalam masyarakat serta
sebagai sumber pengajaran dan perlambangan dalam masyarakat
serta sebagai sumber pengajaran dan kata nasihat. Ini dapat dikesani
dalam pantun berikut sebagai contoh;

Tumbuh lengkuas di rumpun paku,
Padi benih dimakan tempua;

Rimba luas jalan berliku,
Sungai jernih dicari jua.

Demikian juga dapat diperhatikan dalam pengungkapan
peribahasa, contohnya “Biduk lalu kiambang bertaut” dan “Berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing.”

Kesusasteraan membentuk pemikiran kritis dalam masyarakat.
Hal ini dibawakan dengan cara masyarakat meneroka dan kemudian
menghayati makna yang diperoleh daripada karya-karya yang
bermanfaat. Persoalan yang dibawakan dalam sastera merangkumi
nilai kemanusiaan dan dapat dikaitkan dengan realiti kehidupan.
Sastera bukan kata-kata yang indah dan khayalan seperti yang
dipersepsikan oleh manusia yang tidak memahami. Kesusasteraan
adalah ilmu yang luas, mendalam dan menuntut tafsiran. Para pemikir
dan pendakwah menggunakan sastera untuk menyampaikan pesan
dan ajarannya. Ini pernah dilakukan oleh Jalaludin Rumi dan beberapa
ulama Nusantara. Sastera berkait dengan kehidupan manusia
menyentuh tentang keagamaan, politik, soal ekonomi, budaya,
sejarah, alam sekitar, teknologi dan bidang lain. Antaranya, terdapat
karya sastera yang menggambarkan sesuatu latar tempat, keadaan
dan masa yang tertentu. Sebagai contoh karya tradisional, Bustan al-
Salatin (Syeikh Nurudin al-Raniri) menggambarkan tentang tentang
pemerintahan Aceh suatu ketika dahulu.

Kesusasteraan juga sebagai penyalur pemikiran atau makna
serta nilai yang terkandung dan tersirat dalam sesebuah masyarakat.
Misalnya masyarakat Melayu lama kaya dengan nilai budi yang
kemudiannya dipanjangkan lagi dengan pengungkapan berkaitan budi

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

seperti budi bahasa, budi yang baik, hutang budi, budi bicara, budi
pekerti, menabur budi. Selain itu diterapkan nilai serta nilai kasih
sayang dan hubungan baik dalam masyarakat. Ini dapat dikesan dalam
pantun;

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengikat tuah;

Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.

Kesusasteraan merupakan bidang ilmu yang mengolah serta
menegaskan kesarwajagatan manusia. Oleh sebab itu, kandungan isi
dan pemikiran, persoalan, dan mesej dalam sesebuah karya sastera
terikat dengan sesuatu zaman, budaya, dan peraturan
kemasyarakatan. Justeru, bahan sastera berperanan sebagai bahan
yang mencerminkan budaya dan masyarakat pendukungnya.

Karya kesusasteraan dapat juga merangsang daya fikir
pembaca ke arah lebih kreatif dan kritis dengan menilai, mengulas dan
mengkritik karya sastera secara menyeluruh serta lebih berkesan.
Ketika pembacaan karya sastera, terdapat dua proses berfikir utama
yang digunakan iaitu menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan. Proses berfikir menyelesaikan masalah ialah proses
mental bagi mencari idea dan langkah untuk mengatasi kekurangan
atau halangan secara kritis dan kreatif. Namun proses ini bergantung
kepada hasrat dan motivasi setiap individu.

Karya kesusasteraan juga dapat menanamkan unsur-unsur
kebudayaan Melayu yang menjadi teras kebudayaan nasional di
Malaysia. Ini termasuklah nilai-nilai akhlak dan budi pekerti yang
sesuai untuk kehidupan masa kini. Nilai dalam karya sastera
bermaksud sifat ketinggian dalam pemikiran, keagamaan,
kemasyarakatan, dan sebagainya yang lahir daripada jiwa dan peribadi
yang bersih, benar, suci dan tulen. Nilai ini biasanya dikaitkan dengan
watak dan yang diutamakan adalah nilai yang positif manakala nilai
negatif pula dijadikan sebagai pengajaran. Pengajaran yang terdapat
dalam karya sastera ialah seperti mesej, amanat, atau peringatan yang
berupa pedoman yang hendak disampaikan oleh pengarang. Nilai
murni pula terbahagi kepada nilai kemanusiaan dan nilai
kemasyarakatan. Secara tidak langsung, nilai-nilai dan pengajaran ini
dapat membentuk sahsiah yang baik pada diri pelajar yang membaca
bahan sastera.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Karya-karya Kesusasteraan

Karya kesusasteraan yang juga disebut genre terdiri daripada
1. Prosa – naratif, cerita, ayat dalam karangan yang terbahagi dua
iaitu prosa tradisional yang merangkumi kisah hikayat, karya
sejarah dan cerita-cerita rakyat. Manakala satu lagi adalah
prosa moden, yang kini banyak dihasilkan dalam bentuk cerpen
dan novel.
2. Puisi – bentuk berangkap, ada intonasi dan unsur-unsur
tertentu. Puisi juga terbahagi dua iaitu puisi tradisional, yang
terhasil dalam bentuk pantun, syair, gurindam, seloka, teromba,
nazam dan lain-lain manakala satu lagi puisi adalah puisi moden
yang hanya dikenali sebagai sajak.
3. Drama – mengandungi format penulisan yang mempunyai
situasi, penerangan suasana, aksi dan diikuti dengan dialog.

Perincian tentang genre kesusasteraan ini dibincangkan dalam
bab berikutnya.

Perkaitan Bahasa, Kesusasteraan dan Pendidikan

Bahasa dan sastera sebagai wahana bicara, ujaran, tatatertib, tingkah
laku dan percakapan yang baik. Di samping itu, bahasa dan sastera
juga dapat melahirkan generasi yang memiliki jati diri tinggi. Oleh itu,
setiap konsep, prinsip dan kewajaran mempelajari bahasa perlu
difahami dan dihayati. Menurut Mangantar Simanjuntak (1982),
bahasa adalah sistem kognitif manusia yang unik. Bahasa dapat
dimanipulasi oleh manusia bagi menghasilkan sejumlah bahasa tidak
terbatas berdasarkan unsur-unsur yang terbatas sebagai alat
berkomunikasi dan mengumpulkan ilmu pengetahuan. Namun
demikian, bahasa dalam karya sastera adalah menggunakan ‘kata
berjiwa’ dan pemilihan ayat tertentu. Kedua-duanya dikatakan
mengandungi kejujuran dan jiwa penulisnya. Bahasa dalam
kesusasteraan lebih luas, mempunyai variasi dan gaya.

Aftarudin (1990) mengatakan, sastera adalah komunikasi seni
yang hidup bersama bahasa. Tanpa bahasa, sastera tidak mungkin
ada. Melalui bahasa dapat dihasilkan karya berupa sastera lisan
mahupun bertulis. Sastera adalah bentuk dan hasil pekerjaan seni

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

kreatif yang objeknya adalah manusia dan kehidupannya
menggunakan bahasa sebagai medium. Pada prinsipnya sastera
adalah karya imaginatif sebagai refleksi daripada realiti kehidupan
manusia dalam lingkungan tertentu. Sastera adalah bentuk ungkapan
bahasa bersifat artistik. Sastera memiliki karektor dan konvensi-
konvensi tersendiri yang membezakannya dengan bentuk-bentuk
ungkapan bukan sastera.

Brumfit dan Carter (1987) mengatakan dalam konteks lain,
sastera adalah jendela dunia. Sastera membolehkan pembaca
mendapat imbasan dan cebisan berkaitan realiti budaya tradisi
masyarakat tertentu, walaupun realiti itu suatu gubahan seni.
Menggunakan teks sastera penting dalam mempelajari bahasa kerana
itu dapat membantu manusia membina kemahiran dalam memberi
makna. Teks sastera menampilkan contoh bagaimana sumber-sumber
bahasa digembleng secara kreatif dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Sastera adalah karya bahasa (lisan atau tulisan) yang
mempunyai ciri-ciri istimewa dalam penciptaannya dan berbeza
dengan bahasa harian. Salah satu aspek keindahan karya sastera
adalah susunan bahasa yang luar biasa dan menyentuh perasaan.
Sesebuah karya yang indah akan dihayati kerana mesejnya dan diolah
dalam bahasa yang halus dan berkesan. Dengan menggunakan karya
sastera, para pembaca (dan pelajar) dapat menyampaikan sifat-sifat
bahasa dengan berkesan. Di samping itu, pembaca dapat menghayati
keindahan karya dan perhatian mereka tertumpu kepada unsur-unsur
bahasa.

Bahasa Melayu adalah wahana penting dalam pendidikan
kebangsaan. Ini sesuai dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa
perpaduan rakyat, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu
pengetahuan yang mencerminkan akal budi rakyat. Perkara ini meliputi
penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu,
cekap berbahasa dan berkomunikasi serta memahami sistem bahasa
Melayu bagi mengungkapkan segala ilmu dan kegiatan harian.
Matlamat pendidikan bahasa Melayu pada peringkat sekolah adalah
membimbing pelajar-pelajar menguasai kecekapan berkomunikasi
dengan berkesan. Ini penting bagi melahirkan fikiran dan perasaan
berkaitan ilmu pengetahuan, hal-hal persendirian dan kemasyarakatan
sama ada dalam konteks rasmi ataupun tidak rasmi selaras dengan
Dasar Pendidikan Kebangsaan.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Sebagai ikatan simbiosis, hubungan antara bahasa dengan
sastera ditautkan dalam satu perspektif bersifat holistik dan
berintegrasi. Bahasa dan sastera dianggap sebagai dua unsur
kebudayaan manusia yang berkaitan antara satu sama lain. Dunia
sastera tidak pernah terpisah daripada pelbagai persoalan bahasa
kerana bahasa adalah satu-satunya media pengungkapan bagi para
pengarang dan sasterawan dalam menghasilkan karya-karyanya. Hal
ini lebih jelas sekiranya dihubungkan dengan masalah-masalah
keilmuan, iaitu faktor perkaitan dengan ilmu bahasa dan ilmu sastera.
Fungsi sastera atau fungsi puitis (poetic junction) dipandang sebagai
fungsi bahasa.

Sifat sastera adalah mementingkan kehalusan dan keindahan.
Bahasanya indah dengan susunan yang membentuk irama dan bunyi
yang menarik. Bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan. Sekiranya
membicarakan keindahan sastera, kita memperkatakan unsur
keindahan daripada segi bahasa yang sebenarnya. Karya sastera
mempunyai daya tarikan supaya pembaca terus berminat
membacanya. Dengan ciri-ciri ini, bahan sastera dapat dijadikan
sumber bagi mengajar bahasa yang berkesan.

Pengajaran komponen sastera dalam pendidikan bahasa
Melayu berbeza daripada mengajar subjek Kesusasteraan Melayu.
Kesusasteraan Melayu diajar secara khusus. Segala tinjauan dan
kajian yang dibuat pada teks-teks banyak difokuskan kepada struktur.
Antaranya seperti tema, persoalan, aliran dan aspek luaran karya
seperti sejarah perkembangan sesuatu genre dan latar belakang
pengarang.

Hal ini berbeza dengan mengajar komponen sastera dalam
bahasa Melayu, iaitu para pelajar tidak diajar Kesusasteraan Melayu
sebagai bidang ilmu yang khusus tetapi hanya sebagai komponen
yang menjadi sumber bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu.
Apabila membaca karya sastera, pelajar dapat menikmati serta
menghayati Kesusasteraan Melayu yang disampaikan dalam struktur
bahasa yang indah. Manakala penggunaan bahan sastera dalam
pengajaran bahasa digunakan bagi mengajar kefahaman,
perbendaharaan kata dan sebagainya.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Proses belajar dan mengajar bahan sastera dalam pendidikan
bahasa Melayu bersifat kognitif. Ini kerana guru dapat mengukur
perluasan perbendaharaan kata pelajar berhubung bahasa yang
digunakan dalam karya sastera. Fokus mengajar adalah objektif
kognitif khusus bagi meningkatkan kemahiran berbahasa seperti
membaca, bertutur, menulis serta mempelajari peribahasa dan
tatabahasa. Oleh itu, guru perlu bijak memilih, merancang dan
melaksanakan pengajaran menggunakan bahan sastera dalam
pendidikan bahasa Melayu.

Bagi menambah penguasaan bahasa Melayu, pelajar diasuh
dan diberi latih tubi. Latihan ini bagi mengukuhkan kefahaman di
samping latihan membina ayat, memberi makna perbendaharaan kata,
menggunakan peribahasa dengan betul dan memperbaiki struktur
tatabahasa yang salah. Petikan-petikan bahan sastera daripada
pelbagai genre sesuai digunakan sebagai bahan bantu mengajar.
Bahan sastera juga adalah pilihan utama dalam menyediakan soalan-
soalan peperiksaan bagi Kertas Bahasa Melayu kepada semua
peringkat peperiksaan seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM.
Berdasarkan petikan-petikan karya sastera itu, soalan-soalan yang
dibuat memerlukan jawapan bagi memperlihatkan kemahiran
berbahasa. Selain itu, guru juga harus bersedia untuk meguasai
kaedah dan teknik yang berbeza bagaimana bahasa beroperasi,
misalnya dengan pernyataan, dengan huraian, dengan kesan irama,
dengan perbandingan, dengan ilusi, atau dengan maksud-maksud
yang tidak jelas seperti ironi dan metafora.

Kesusasteraan penting bagi murid atau generasi kini untuk
mendalami nilai hidup, sejarah, perjuangan dan budaya bangsa
mereka. Hal ini dapat membawa pembaca kepada pemikiran,
perasaan, pengalaman atau kesedarannya sendiri. Karya sastera
dapat menanam, memupuk dan menyuburkan minat membaca dalam
kalangan pelajar. Setelah pelajar memperoleh minat membaca melalui
penelitian terhadap karya sastera, diharap akan timbul keinginan
mereka untuk membaca karya sastera yang lain. Sebagai contohnya,
apabila murid sudah mulai suka membaca dan menghayati novel
popular, tidak mustahil bahawa perkembangan minda mereka juga
akan meningkat ke satu tahap yang lebih baik di mana seterusnya
mereka akan berusaha mencari karya yang baik dan tinggi nilai
estetiknya.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Bermula dengan membaca karya kreatif, pelajar akan meminati
bahan bacaan yang lain termasuklah bacaan ilmiah untuk
melengkapkan diri masing-masing dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
Komponen sastera dalam Bahasa Melayu menjadi antara usaha untuk
mendidik pelajar supaya gemar membaca. Komponen sastera dalam
Bahasa Melayu juga dapat memberikan apresiasi dan dinikmati pelajar
terhadap seni sastera. Komponen sastera dapat membantu membina
generasi pelajar yang mengenali warisan seni sastera dan akar budaya
bangsanya. Mereka juga memahami hubungan penulisan karya
kesusasteraan dengan peradaban sesuatu bangsa. Melalui karya
sastera juga, pelajar dapat memperkatakan beberapa karya besar
yang lain dan menyebut nama pengarang besar yang terdapat di dalam
dan di luar negara. Di samping itu, karya sastera juga merupakan
manifestasi kesenian melalui media bahan yang kreatif dan indah.
Dalam kata lain, dengan membaca karya sastera pelajar berpeluang
menikmati kehalusan dan keindahan penciptaan hasil karya melalui
gaya bahasa yang terpilih.

Komponen sastera membantu murid memahami kesejagatan
dunia dan nilai kemanusiaan. Penggunaan karya sastera dalam
Bahasa Melayu dapat meningkatkan penguasaan bahasa dan
penghayatan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar kerana
bahasa dan sastera mempunyai pertalian yang erat dalam kehidupan
manusia sejagat.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

2

KESUSASTERAAN DALAM KURIKULUM BAHASA MELAYU

Pendahuluan

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dinyatakan bahawa
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Menengah telah digubal semula
sejajar dengan transformasi kurikulum sekolah rendah yang mula
digunakan sejak tahun 2011. Kurikulum baharu berasaskan standard
ini mengandungi Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan
Standard Prestasi yang didokumenkan sebagai Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu. Standard
Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi yang
merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang mesti dipelajari
dan dikuasai oleh pelajar. DSKP Bahasa Melayu ini menggunakan
pendekatan berbentuk modular dan pembelajaran didik hibur serta
pentaksiran secara holistik bagi mencungkil potensi pelajar untuk
meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan, memperkembangkan
dan menilai keupayaan penguasaan kemahiran berbahasa dengan
mempamerkan keterampilan dan kecekapan berbahasa.

DSKP ini juga mengambil kira Komponen Sastera (KOMSAS)
dalam Bahasa Melayu yang akan dapat memupuk minat membaca dan
melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap karya
sastera dalam kalangan pelajar. DSKP Bahasa Melayu sekolah
menengah menjunjung peranan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan
bahasa pengantar di sekolah serta menjadi pemangkin untuk
memahami akal budi, pemikiran dan sosiobudaya penuturnya ke arah
melahirkan semangat cinta akan bahasa dan tanah air yang dikongsi
bersama dalam satu wawasan demi memartabatkan bahasa Melayu.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Dalam Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Menengah juga
dinyatakan tujuannya adalah untuk melengkapkan pelajar dengan
keterampilan berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi
keperluan diri, memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran, maklumat,
nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan seharian.
Penyataan berkaitan dengan kurikulum ini boleh difahami daripada
naskhah lengkap DSKP yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia.

Secara umum, Kurikulum Standard Bahasa Melayu sekolah
menengah berteraskan empat kemahiran bahasa iaitu: Kemahiran
mendengar, Kemahiran bertutur, Kemahiran membaca Kemahiran
menulis dan juga Sistem Bahasa yang merangkumi tatabahasa, kosa
kata, tanda baca, sebutan dan intonasi dan peribahasa. Setiap satunya
mempunyai modul yang disediakan dalam pelaksanaan pengajaran
dan pembelajaran (PdP) yang juga dinyatakan sebagai Pengajaran
dan Pemudahcara (PdPc). Berkaitan dengan KOMSAS ini, terdapat
modul yang dinamakan Modul Seni Bahasa. Modul Seni Bahasa
memberikan tumpuan pada aspek kebahasaan dan kesusasteraan
yang estetik, indah dan halus dalam bahasa Melayu yang perlu
difahami dan dikuasai oleh pelajar. Penguasaan seni bahasa
merangkumi kemahiran memahami dan mengapresiasi karya prosa
dan puisi melalui PdP Komponen Sastera (KOMSAS), serta
penguasaan bahasa kiasan. Melalui Seni Bahasa pelajar berpeluang
mencipta, menghasilkan dan mempersembahkan karya kreatif
pelbagai genre melalui lisan dan penulisan dalam pelbagai teknik yang
menarik.

Komponen Sastera dalam Kurikulum Bahasa Melayu

Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
bertujuan untuk mengukuhkan kecekapan berbahasa, memupuk minat
membaca dan penghayatan terhadap karya sastera serta
menyerapkan ilmu dan kemahiran sastera. PdP KOMSAS menyokong
pembentukan individu, pembangunan minda, sosioemosi, estetik,
kreativiti dan nilai diri bersesuaian dengan budaya dan citra
masyarakat negara ini. Pengajaran dan pembelajaran menggunakan
bahan KOMSAS juga merangsang pembentukan jati diri individu yang

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

seimbang dan menyeluruh. Jenis karya atau genre yang dipelajari
dalam KOMSAS ialah novel, cerpen, puisi moden (sajak), puisi
tradisional, drama dan prosa tradisional. Teks dan tajuk karya
KOMSAS dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 yang digunakan dalam
PdP tertakluk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian
Pendidikan Malaysia yang berkuat kuasa mulai tahun kegunaannya.

Kesusasteraan selalu dihubungkan dengan karya-karya yang
ditulis, iaitu hasil daripada peradaban satu-satu masyarakat.
Kesusasteraan mempunyai nilai-nilai pengajaran, nilai murni atau nilai
moral, selain menerapkan kehalusan, perasaan, intuisi, harapan dan
emosi. Unsur kehalusan baik daripada sudut bentuk, isi dan maknanya
merupakan sifat utamanya yang membezakan kesusasteraan
daripada karya-karya tertulis yang barangkali bercorak deskriptif dan
informatif. Cara lain setengah-setengah sarjana membezakan di
antara karya berbentuk sastera dan bukan sastera ialah dengan
mengatakan bahawa sastera itu pada dasarnya hasil imaginasi
manusia. Dalam penulisan puisi, soal imaginatif ini masih belum pasti,
kerana apakah tidak realiti pada tahap perasaan dan emosi? Andainya
puisi-puisi sudah sepenuhnya berasaskan imaginasi, karya seumpama
puisi sufisme sukar diterima sebagai khayalan, walaupun mungkin di
luar pengalaman orang biasa.

Bahasa adalah medium semua genre kesusasteraan. Oleh
kerana bahasa itu alat perhubungan, dapat juga dikatakan bahawa
kesusasteraan itu memenuhi fungsi berkomunikasi. Sastera adalah
hasil ciptaan yang menggunakan bahasa yang sifatnya konotatif, yang
mempunyai organisasi dengan unsur-unsur yang berkaitan antara satu
sama lain. Hasil-hasil ini mengandungi estetik yang secara sedar atau
tidak datangnya dari keinginan pengarang untuk mempengaruhi
pembaca dengan tujuan penulisannya.

Dalam pendidikan bahasa, bahan kesusasteraan telah lama
digunakan namun tidak meluas. Sehingalah pada 22 Jun 1999, Menteri
Pendidikan Malaysia ketika itu, Y.B Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun
Abdul Razak telah mengumumkan bahawa semua pelajar sekolah
menengah aliran sastera, sains, teknik, vokasional dan agama
diwajibkan mempelajari sama ada Kesusasteraan Melayu atau
Kesusasteraan Inggeris. Bagi memastikan semua pelajar sekolah
menengah dan rendah tidak terkecuali, maka penggunaan karya
sastera diwajibkan sebagai komponen dalam pengajaran dan

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Komponen
sastera (KOMSAS) dilaksanakan secara berperingkat, bermula Mac
2000 untuk Tingkatan Satu dan Empat, kemudian diteruskan pada
tahun 2001 untuk Tingkatan Satu, Dua, empat dan Lima. Pada tahun
2002, Komsas diajar kepada keseluruhan pelajar Tingkatan Satu
hingga Lima. Hasilnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinilai pada
tahun 2001 manakala calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dinilai
pada tahun 2002. Kementerian Pendidikan telah menetapkan bahawa
enam waktu seminggu diperuntukkan kepada pelajar bagi mengikuti
mata pelajaran Bahasa Melayu dengan nisbah empat waktu untuk
Bahasa Melayu dan dua waktu untuk KOMSAS.

Menurut Dr. Sharifah Maimunah Syed Zain, ketika itu Timbalan
Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dalam wawancara
yang disiarkan dalam Dewan Sastera (Februari 2000), Komponen
Kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu sekolah
menengah bertujuan memperkenalkan kepada pelajar tentang enam
genre sastera yang meliputi genre novel, cerpen, drama, puisi dan
prosa tradisional, dan puisi moden (sajak).

Menurut beliau lagi, pelajar berpeluang membaca sekurang-
kurangnya satu teks novel dan satu teks antologi bagi setiap tingkatan.
Pembacaan ini secara tidak langsung dapat memupuk dan
meningkatkan minat membaca sekali gus menikmati dan
mengapresiasi karya sastera, mengetahui ilmu sastera secara
ringkas, mengenali penulis dan sejarah perkembangan sastera, serta
mengukuhkan kemahiran berbahasa pelajar dari segi kemahiran
mendengar dan bertutur, membaca, dan menulis.

Menurut Kamarudin Husin (1998), pengenalan mata pelajaran
Kesusasteraan Melayu sebagai komponen bahasa Melayu banyak
diperkatakan oleh guru-guru dan juga ahli akademik yang prihatin.
Tidak kurang juga sebahagian besar berasa bangga dan berpuas hati
kerana yang diperjuangkan selama ini dilaksanakan. Secara umumnya
kesusasteraan diajar di sekolah-sekolah sebagai penyumbang ilmu
pengetahuan dan kemahiran bertindak sebagai alat untuk
menyemadikan nilai-nilai kerohanian. Selain itu ianya dapat
membolehkan pelajar-pelajar menyedari betapa penting melindungi
warisan budaya.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Subjek Bahasa Melayu diajari sejak tahun satu (sekolah rendah)
hinggalah ke peringkat universiti memandangkan kepentingannya
sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara Malaysia.
Jadi, menerusi subjek bahasa Melayu ini, ilmu sastera diperkenalkan
sekali gus dihayati oleh semua pelajar tidak mengira latar, tempat,
bangsa, dan juga aliran. Secara umumnya kesusasteraan diajar di
sekolah-sekolah sebagai penyumbang ilmu pengetahuan dan
kemahiran bertindak sebagai alat untuk menyemadikan nilai-nilai
kerohanian. Selain itu ianya dapat membolehkan pelajar-pelajar
menyedari betapa penting melindungi warisan budaya mereka.

Terdapat tujuh objektif pengajaran dan pembelajaran KOMSAS
iaitu yang pertama untuk meningkatkan dan mengukuhkan
keterampilan berbahasa, yang kedua untuk memupuk budaya
membaca dan yang ketiga untuk menghayati karya sastera. Selain itu,
PdP KOMSAS juga bertujuan untuk menerapkan nilai pengajaran dan
seterusnya agar murid dapat menghasilkan karya sastera. Objektif lain
yang berkaitan dengan pengajaran KOMSAS adalah agar murid dapat
mengenal tokoh dan sejarah perkembangan sastera dan yang akhir
adalah untuk menghayati keindahan bahasa dalam karya dan
menggunakan dalam penulisan.

Berkaitan objektif tersebut, dijelaskan bahawa dalam pengajaran
Bahasa Melayu mempunyai kewajarannya, dengan rasional-rasional
berikut;

1. Dengan tujuan membangkitkan minat dan kesedaran pelajar
tentang bentuk bahasa yang komunikatif dengan kepelbagaian
kosa kata, ungkapan, frasa dan struktur ayat.

2. Membentuk kepekaan tentang kelainan, keindahan,
kekreatifan, kerasionalan, keintelektualan, kesaintifikan,
keunikan mutu dan gaya bahasa kesusasteraan Melayu.

3. Meningkatkan kesedaran dan menghayati nilai-nilai murni dan
etika yang terdapat dalam teks prosa dan puisi kesusasteraan
Melayu klasik dan moden.

4. Memupuk dan membangkitkan minat membaca karya sastera
(sama ada yang dikaji atau karya lain)

5. Memperlihat isi dan mesej (nilai, pemikiran, falsafah,
pengajaran) dan mudah difahami dan mengaitkan dengan diri,
masyarakat dan agama.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

6. Menyedari kepentingan ilmu pengetahuan (fakta) dari sudut
budaya, ekonomi, sosiopolitik dan lain-lain daripada karya
(fiksyen).

7. Menguasai bahasa figuratif (seperti metafora dan yang lain)
secara tersurat atau tersirat.

8. Mengaitkan dengan pengkajian bidang bahasa yang lain seperti
sintaksis, morfologi, semantik, fonologi, psikolinguistik,
sosiolinguistik dan lain-lain.

Bahan sastera yang digunakan sebagai bahan dalam pengajaran
merupakan satu cara untuk mendekatkan para pelajar dengan karya-
karya kreatif yang di dalamnya terkandung pelbagai kisah yang boleh
dijadikan panduan dalam kehidupan. Terdapat banyak peranan yang
dibawa oleh sesuatu bahan sastera atau karya kreatif. Di antara
peranan karya kreatif atau bahan sastera adalah:

1. Karya kreatif boleh mendidik dan mengenali insan dan segala
perihal keinginan dan kaedah yang berkesan, indah serta penuh
cabaran.

2. Karya kreatif boleh mendorong manusia hidup secara
intelektual dalam erti kata lain giat berusaha, merenungi dan
menyoal sesuatu serta sedia menghadapi cabaran dalam
kehidupan.

3. Karya kreatif turut memberi keupayaan yang rasional, melihat
dan merenungi kebenaran dan realiti secara lebih terperinci dan
halus.

4. Karya kreatif mampu menjadi cermin untuk melihat pelbagai
selok-belok perilaku dan sikap manusia dalam pelbagai situasi.
Ini boleh memberi pengalaman yang berkesan dalam waktu
yang singkat menerusi keindahan bahasa dan pengolahan
keperihalan manusia.

5. Karya kreatif membantu mengembang dan membina rasa cinta,
rasa belas kasihan, rasa benci yang munasabah, bersabar dan
menolak sesuatu dengan penuh rasionaliti dan pertimbangan.

6. Karya kreatif mampu menyedarkan tentang realiti-realiti yang
baik dan palsu, yang nyata dan di luar nyata serta yang tersurat
dan tersirat. Kesusasteraan mampu menyeronokkan melalui
alam mimpi dan fantasi yang indah serta menyenangkan. Juga
boleh menjadi tarikan kepada daya menilai, daya pemikiran
melalui jenaka, ironi satira sarkastik dan juga keganasan.

7. Karya kreatif juga dapat membangkitkan emosi ke pelbagai
tahap yang berjaya dikhayalkan malah kadang-kadang

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

mencetuskan beberapa lapisan emosi dan mood secara
serentak dan penuh kejutan. Lambat laun akan menentukan
arah pandangan semesta, memperjelaskan lagi hubungan diri
dalam segala kompleksitinya, hubungan diri dengan insan-insan
lain, hubungan diri dengan benda bukan hidup yang meliputi
alam persekitaran yang sering memperindahkan kehidupan
seharian dan hubungan diri dengan Tuhan yang menjadi
penentu dan pengesah dalam keperihalan kehidupan ini.
8. Tidak dapat dinafikan penggunaan karya sastera dalam
pengajaran sedikit sebanyak dapat membantu
mengembangkan daya pemikiran para pelajar. Hal ini demikian
kerana selain memperkenalkan karya-karya sastera kepada
pelajar, masih terdapat pelbagai unsur lain yang dapat dipelajari
dalam karya sastera yang seterusnya diserap ke dalam diri
pelajar.

Othman Puteh (1996) menyatakan Kesusasteraan Melayu
sebagai komponen wajib dalam Bahasa Melayu sekolah menengah
dapat melahirkan pelajar-pelajar yang minat membaca,
mengapreasisikan dan menghasilkan karya-karya kreatif di samping
mengetahui perkembangan sastera tanah air. Pelaksanaan KOMSAS
ini juga mempunyai objektif dan matlamatnya yang tersendiri.
Hakikatnya adalah untuk menanam kesedaran terhadap unsur nilai
dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh melalui pembacaan
pelbagai bahan ilmu.

Dalam karya sastera terdapat pelbagai disiplin ilmu lain seperti
politik, ekonomi, sejarah, psikologi dan sebagainya. Oleh itu, sastera
harus dilihat dalam konteks multi disiplin, bukan semata-mata sebagai
karya kreatif dan imaginatif sahaja. Melalui bahan-bahan sastera yang
bermutu tinggi dan pelbagai dalam sistem pendidikan diharapkan
dapat melahirkan generasi pelajar yang menguasai bahasa Melayu
yang ekspresif dan kreatif sebagai keterampilan komunikasi yang
berkesan. Karya-karya sastera yang digunakan terdiri daripada
pelbagai genre, meliputi sastera tradisional dan moden yang
mempunyai nilai-nilai sastera yang tinggi dan merangkumi elemen-
elemen keilmuan, keindahan, pengalaman dan emosi.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Falsafah Mengajar Komponen Sastera

Naffi Mat (2006) menyatakan bahawa mengajar sastera dalam subjek
bahasa Melayu adalah berlandaskan falsafah berkaitan keperluan dan
kesesuaian menerapkan ilmu kesusasteraan. Salah satu daripada
falsafah pengajarannya adalah mewujudkan insan seimbang dan
harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani seiring dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perkara ini dapat digambarkan
secara jelas melalui penggunaan genre cerpen.

Melalui genre, kita dapat menenteramkan perasaan. Ini kerana
cerita dalam cerpen memberi kesan kesatuan, lengkap dan berupaya
menyampaikan amanat ataupun mesej. Setiap genre cerpen yang
dipilih sebagai teks tidak mempunyai mesej bercorak menghasut
ataupun menyemarakkan semangat yang menimbulkan keinginan
jahat. Cerpen yang dipilih juga cukup indah kerana memiliki unsur-
unsur sempurna, padat, harmoni dan jelas.

Selain itu, menurut beliau, pengajaran komponen sastera dapat
memperkemaskan lagi usaha melahirkan golongan masyarakat
berilmu, berketerampilan dan berakhlak mulia. Hasil pembelajaran
dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan yang luas. Penguasaan
ilmu sastera yang digabungkan dengan ilmu-ilmu lain membolehkan
pelajar menikmati keseronokan.

Dengan menerapkan unsur sastera, secara tidak langsung
dapat melahirkan pelajar suka membaca. Ini kerana di Malaysia, sukar
mencari orang yang suka membaca. Mempelajari komponen sastera
memberi peluang warga Malaysia menyedari aktiviti membaca perlu
disertai dengan minat. Ini kerana minat membaca wujud apabila kita
ingin mengetahui sesuatu sama ada berkenaan penulis ataupun
aspek-aspek lain dalam bahan yang dibaca. Perkembangan sahsiah
pelajar dibentuk apabila mereka melangkah ke sekolah menengah iaitu
dengan mempelajari nilai-nilai murni ataupun yang lebih penting nilai-
nilai kemanusiaan. Ini dapat dihayati melalui bacaan berkaitan
pelbagai genre sastera yang dipelajari. Perkara utama dalam proses
belajar dan mengajar cukup jelas bagi memberi suatu pengalaman
suka duka yang terpancar dalam karya sastera.

Sehubungan itu, diakui bahawa pelajar adalah aset utama yang
memerlukan kekuatan bahasa. Kesusasteraan Melayu menyimpan

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

khazanah berbudaya tinggi kerana masih ada nilai-nilai kesantunan
tersembunyi di dalam kehidupan masyarakat. Ini adalah satu cara
mengangkat martabat bahasa Melayu di peringkat global. Kesedaran
meletakkan peranan bahasa Melayu sebagai perkara utama bagi
mendidik bangsa Malaysia sudah lama dicatatkan dalam
Perlembagaan Malaysia iaitu melalui Perkara 152.

Koh Boh Boon (1986) mengulas berkaitan kurikulum Bahasa
Melayu dengan menyatakan bahawa selama ini pemahaman dan
penghargaan sistem Bahasa Melayu serta penggunaan Bahasa
Melayu dengan berkesan untuk tujuan berkomunikasi. Namun, dalam
keghairahan terhadap pemahaman dan penggunaan Bahasa Melayu,
secara sengaja atau tidak sengaja, aspek kesusasteraan diabaikan.
Dengan demikian, pentingnya fungsi bahasa berkaitan dengan
pemupukan budaya membaca. Untuk memenuhi peningkatan minat
ingin terus membaca, antara lain bahan-bahan sastera digunakan.
Menurut beliau, oleh kerana novel atau cerpen merupakan cerita
dengan peristiwa-peristiwa dan watak-wataknya, dan disebabkan
semua kanak-kanak dan remaja memang mempunyai rasa ingin tahu
yang kuat serta suka mendengar cerita, maka seorang guru Bahasa
Melayu boleh memikat perhatian murid dan melibatkan mereka secara
aktif dalam aktiviti pembelajaran.

Abdullah Sani Yahaya (2001) memetik kata-kata;
Kesusasteraan ialah cermin diri dan akal budi sesuatu bangsa,
sementara bahasa adalah suara hati.” Kata-kata ini menarik perhatian
ramai kerana dengan kata rangsangan seperti itu sudah tentu dapat
meletakkan dan menggambarkan bagaimana hubungan yang akrab
antara kesusasteraan dan bahasa itu berlaku. Hal ini pernah disentuh
oleh sarjana terkenal, Teeuw (1983) yang menyatakan keakraban
bahasa dan kesusasteraan tidak dapat dinafikan lagi. Hasil karya
sastera juga dapat didekati oleh manusia kerana bahasa bangsa itu
melalui bacaan dan penghayatan hinggakan isi yang digarapkan dapat
dinikmati oleh para pelajar. Di sinilah bahasa memainkan peranannya
sebagai medium utama. Lebih jauh lagi, kesusasteraan itu, dapat
mendidik para pelajar budi dan daya manusia, peri kemanusiaan
terpimpin. Yang demikian kesusasteraan itu berupaya mengangkat
martabat kemanusiaan.

Seterusnya, Abdullah Sani Yahaya (2001) menyatakan bahawa
peranan sastera dalam pembinaan bahasa Melayu dapat dilihat dari

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

sudut tertentu seperti sumber data penyusunan tatabahasa,
pertumbuhan tradisi persuratan, sumber data perkamusan,
pengucapan sastera dan retorik, peningkatan estetik bahasa dan
bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran. Walau apapun bahasa
sastera yang disebut mempunyai grammar of style tersendiri, namun
pada dasarnya bahasa dalam karya itu masih tetap dalam ruang
bahasa umum juga dan menjadi sumber kepada penyusunan
tatabahasa. Inilah satu persoalan yang tidak dapat dinafikan oleh
sesiapapun bahawa teragung seperti Sejarah Melayu telah menjadi
sumber penyusunan kamus Bahasa Melayu.

Gambaran yang sama telah dibuktikan bahawa karya sastera
seperti Bustanus Salatin dan Tajus Salatin. Rumus-rumus ayatnya
dapat dipertahankan apabila pola ayat dasar masih dapat menerbitkan
ayat-ayat mengikut sistem yang jelas dalam bahasa Melayu. Selain itu,
matlamat pendidikan bahasa ialah untuk memberi kesempatan kepada
pelajar-pelajar tentang kepentingan kemahiran bahasa dalam
meneroka bidang-bidang baru dalam ilmu pengetahuan lain yang
berbagai-bagai. Dengan yang demikian karya sastera yang terpilih
dapat dijadikan bahan pengajaran bahasa dengan asas bahawa karya
sastera adalah suatu paparan pengalaman manusia. Adalah jelas
bahawa karya sastera yang baik menjadi rangka luar kepada pelajar
belajar dan mendalami asas penulisan yang baik. Secara tidak
langsung pelajar dapat tentang kaedah menyusun pelunjuran idea,
baik lisan mahupun tulisan. Pelajar-pelajar ini akhirnya akan dapat
dibentuk oleh guru dan memperkasakan daya kreatif dalam kemahiran
berbahasa.

Menurut Naffi Mat (2006) juga, menggunakan bahasa sastera
begitu relevan dalam mengajar bahasa Melayu. Dalam mencipta karya
sastera, pengarang menggunakan bahasa sebagai media utama dan
berbentuk falsafah dalam menyampaikan mesej, idea dan pandangan
hidup dunianya. Cara ini secara tidak langsung dapat memberikan
sumbangan bagi meningkatkan penguasaan dan perkembangan
bahasa seseorang. Sifat sastera ialah mementingkan kehalusan dan
keindahan. Bahasanya indah dengan susunan yang membentuk
irama dan bunyi yang menarik. Bahasa dan sastera tidak dapat
dipisahkan. Sekiranya membicarakan keindahan sastera, kita
memperkatakan tentang unsur keindahan daripada segi bahasa yang
sebenarnya. Karya sastera mempunyai daya tarikan supaya pembaca

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

terus berminat membacanya. Dengan ciri-ciri ini, bahan sastera dapat
dijadikan sebagai sumber bagi mengajar bahasa yang berkesan.

Brumfit dan Carter (1987) mengatakan dalam konteks lain,
sastera adalah jendela dunia. Sastera membolehkan pembaca
mendapat imbasan dan cebisan berkaitan realiti budaya dan tradisi
masyarakat tertentu, walaupun realiti itu suatu gubahan seni.
Menggunakan teks sastera penting dalam mempelajari bahasa kerana
membantu membina kemahiran dalam memberi makna. Teks sastera
menampilkan contoh bagaimana sumber-sumber bahasa digembleng
secara kreatif dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Sumbangan Sastera untuk Pembentukan Jati Diri

Di Malaysia, bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak
kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam
Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa
Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula
diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta
Pendidikan 1996. Kandungan perwartaan tersebut ialah: Dengan
berbekalkan kelulusan Bahasa Melayu, mereka mempunyai aset yang
kukuh untuk menduduki mana-mana institusi pekerjaan dengan
kerajaan.

Komponen sastera diserap ke dalam pendidikan bahasa Melayu
sebagai satu usaha untuk mempertingkatkan kualiti bahasa kepada
pelajar di samping menangani kedudukan sastera Melayu yang
semakin dilupai dan dipinggirkan. Malah penyerapan bahan sastera
memberi nafas baru kepada pelajar untuk mengenali sastera dan
tokoh-tokoh sastera dengan lebih dekat. Pelaksanaan ini memberikan
lagi makna kesusasteraan sebagai salah satu aspek kemanusiaan
yang penting, yang menyentuh keperihalan manusia melalui media
bahasa yang berseni, merakam pemikiran serta pengalaman manusia
menerusi struktur yang indah lagi berkesan.

Penggunaan komponen sastera sebagai bahan sisipan dalam
pengajaran bahasa dapat dilandaskan untuk menanam rasa cinta

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

kepada bahasa, bangsa dan negara, dan menjadi landas untuk
membina jati diri bangsa di kalangan pelajar, antaranya:

1. Melatih pelajar yang peringkat usia awal remaja untuk
memperolehi maklumat sebagai agenda ilmu merentas
kurikulum, menganalisis teks sastera bagi memperolehi makna-
makna tertentu secara simbolik dan filosofis. Kemahiran ini
merupakan satu kemahiran yang tinggi untuk membentuk
pelajar yang analitis, kritis dan kreatif di samping menanam
rasa cinta terhadap sastera. Peringkat ini juga untuk melahirkan
pelajar yang matang dan bersifat meneroka terutama ilmu.

2. Ilmu yang terdapat di dalam teks sastera bukan sahaja boleh
digunakan untuk mempelajari Bahasa Melayu, tetapi turut boleh
dimanfaat bagi subjeks lain seperti sains, sejarah, teknologi
maklumat, pendidikan Islam atau moral dan sebagainya.

3. Dapat memberi ruang kepada pelajar dan juga guru terhadap
variasi bahasa yang diwujudkan dalam teks. Komunikasi yang
terdedah yang dipaparkan oleh pengarang dengan
menggunakan alat stilistik merupakan satu penanda ke arah
sistem bahasa yang harmonis dan bernilai estetik. Dalam
disiplin stilistik, unsur-unsur bahasa kreatif yang digunakan
untuk memberi kesan kepada teks, baik apa genre sekalipun,
masih lagi berada dalam lingkungan sistem bahasa masyarakat
sekitar. Ini sejajar dengan kata-kata Ernest Cassirer yang
dipetik oleh Chapman (1974): “No poet can create an entirely
new language. He has to adopt the fundamental rules of his
language.”

4. Menanam rasa bertanggungjawab yang mendalam terhadap
pelbagai aspek budaya dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai
sebuah negara yang didiami pelbagai bangsa dengan
komposisi Melayu, Cina, India dan bangsa lain, hubungan rasa
kebersamaan, persefahaman, tolak ansur dengan
menyesuaikan diri dengan persekitaran amat penting untuk
mewujdukan keutuhan dan rasa hormat kepada sistem hidup.
Karya sastera yang dijadikan teks formal telah disaring khusus
dan di dalamnya tersirat dengan elemen-elemen tentang
pembinaan bangsa, budaya dan pola kehidupan
bermasyarakat. Lantaran itu, guru berperanan untuk
memanfaatkan maklumat itu melalui strategi pembacaan
taakulan. Ini sejajar dengan pandangan A. Aziz Deraman
(2001), bahasa Melayu hendaklah berupaya mengungkapkan
keseluruhan peranannya dalam semua bidang dan cara

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

kehidupan bangsanya yang meliputi akal fikiran dan daya
ciptaan dalam tuntutan kemasyarakatan atau persekitaran
dengan segala keperluan, termasuk politik, ekonomi dan sosial.
Bahasa Melayu mesti dapat menonjolkan fikiran bangsanya
dalam bidang pencapaian ilmu pengetahuan tinggi,
kesusasteraan, falsafah dan mampu menjadi perantaraan yang
membina lambang atau citra yang menjadi sebahagian daripada
keperluan kehidupan dan warisan tamadunnya.
5. Pelajar telah digerakkan supaya menyusun paradigma ke atas
satu landasan serta menghadapi pergolakan dan transformasi
yang sedang berlaku dengan pesat. Mengikut Ismail Noor dan
Muhammad Azaham (2000), anak muda sekarang sedang
melengkapkan diri mereka dalam bidang ilmu teknologi
komunikasi maklumat (ICT), sama ada di institusi pengajian
tinggi tempatan atau luar negara. Dengan premis ini, KOMSAS
mampu menjanakan pemikiran kreatif dalam mengolah gaya
hidup yang berdepan dengan ledakan budaya ‘jajahan’ IT, langit
terbuka, langit tanpa sempadan dan gelombang mikro
maklumat ‘tanpa visa tanpa pasport.’
6. Sastera sebagai satu mekanisme untuk membina serta
mematangkan lagi emosi pelajar, di samping memperkasakan
pelajar melalui didikan agama dan moral. Memperkasakan jiwa
nurani bukan satu kerja remeh, bahkan memerlukan tuntutan
yang tinggi daripada pendidik khususnya. Karya sastera itu
penuh dengan gejolak kehidupan manusia yang digarap begitu
indah oleh pengarang yang mempunyai tahap imaginasi yang
tinggi. Dengan cerita-cerita yang pelbagai dari acuan kehidupan
manusia yang pelbagai status, diharapkan dapat membina serta
mempertingkatkan emosi simpati, empati, sabar, proaktif, jujur,
insaf, murah hati, yakin, berani dan sebagainya. Dengan
bimbingan guru, pelajar-pelajar dapat menyeimbangkan emosi
positif dengan emosi negatif sebagai satu formula untuk
mencapai kematangan yang lebih positif positif.

Dalam menghadapi gelombang globalisasi pada zaman ini,
pengajaran bahasa Melayu tidak mampu lagi setakat melihat
penguasaan kemahiran, tetapi aplikasinya harus mempunyai wawasan
yang lebih jauh, iaitu mengemukakan tiga bidang penggunaan bahasa,
iaitu (a) bidang interpersonal, (b) bidang maklumat, dan (c) bidang
estetik. Teks-teks yang merangkumi semua genre sastera mempunyai
pelbagai mesej yang berupa ilmu pengetahuan. Dalam bidang

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

maklumat secara tidak langsung, pelajar memperolehi sumber ilmu
yang dipaparkan secara tersirat dan tersurat untuk keperluan disiplin
ilmu yang lain atau cross-knowledge.

Ternyata dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu memerlukan sastera sebagai mekanisme untuk membina nilai
estetik pada bahasa kebangsaan. Perkaitan ini dianggap saling perlu
memerlukan. Secara tidak langsung akan dapat mempertingkat kualiti
penggunaan bahasa dalam kalangan pelajar di samping menanam
sikap cintakan bahasa kebangsaan negara.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

3

KESUSASTERAAN MELAYU TRADISONAL

Pendahuluan

Mengikut Kamus Dewan (2005) perkataan genre didefinisikan sebagai
kategori atau jenis karya sastera atau seni yang dicirikan dengan
sesuatu gaya, bentuk, atau kandungan tertentu. Genre dimaksudkan
ialah jenis-jenis atau bahagian-bahagian karya kesusasteraan. Genre
dalam Kesusasteraan Melayu adalah puisi tradisional, puisi moden
(sajak), prosa tradisional, cerita pendek (cerpen), novel dan drama.
Berikut dibincangkan genre dalam kesusasteraan Melayu bermula
dengan kesusasteraan Melayu tradisional.

Kesusasteraan Melayu tradisional bermula penyampaian
bercorak lisan yang dituturkan dan diwarisi generasi ke generasi tanpa
diketahui pengarang asalnya. Namun demikian tradisi ini berkembang
dengan penulisan yang merangkumi pelbagai bentuk seperti hikayat,
perundangan dan sejarah. Kesusasteraan Melayu Tradisional antara
genre yang disenaraikan dalam komponen sastera. Kesusasteraan
merupakan antara bukti ketinggian peradaban sesebuah negara.
Dalam konteks kesusasteraan Melayu di Malaysia, perkembangan
kesusasteraan telah mengalami sejarah dan perjalanan panjang
merentas tempoh dan zaman sejak 1800 kepada era pemodenan, pra
kemerdekaan negara, pasca merdeka hingga ke alaf baru.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Puisi Tradisional

Puisi tradisional diertikan sebagai puisi lama atau dikenali juga sebagai
puisi lisan. Kamus Dewan (2005) mendefinisikan puisi tradisional
sebagai hasil karya yang bersifat tradisi, sesuatu kebiasaan yang kekal
turun-temurun. Hal ini bererti untuk sesuatu itu dikatakan tradisional
karya tersebut telah lama lahir. Puisi Melayu tradisional sudah lama
wujud dan hidup subur dalam kalangan masyarakat Melayu. Puisi
tradisional juga suatu karangan berangkap atau suatu bentuk
pengucapan yang memiliki susunan perkataan yang bermakna,
istimewa, baik, indah, imaginatif dan kreatif. Selain istilah puisi
tradisional, terdapat persamaan jika ada yang menyebutnya sebagai
puisi klasik ataupun puisi lama.

Puisi tradisional merujuk kepada susunan perkataan dalam
bentuk karangan berangkap (Za’ba, 1962) atau suatu bentuk
pengucapan dalam susunan yang istimewa berbanding dengan
pengucapan biasa seperti yang digunakan dalam pertuturan sehari-
hari serta bahasa yang mementingkan kebenaran daya intelektual dan
logika (Harun Mat Piah, 1989). Puisi Melayu tradisional juga dikenali
sebagai puisi lisan yang berkembang dalam kesenian rakyat.
Setengah-setengah bentuk puisi seperti mantera dan teromba
mengandungi unsur ritual.

Antara puisi tradisional ialah pantun, syair, nazam, gurindam,
mentera, seloka, teka-teki, peribahasa berangkap, teromba, talibun,
prosa berirama dan dikir. Karya-karya ini hadir dalam pelbagai
kegiatan dan pengalaman masyarakat Melayu zaman lampau seperti
nyanyian rakyat, penceritaan cerita-cerita lipur lara dan sebagainya.
Pada waktu masyarakat Melayu hidup dalam alam tradisionalnya,
benda-benda yang terdapat dalam alam sekeliling menjadi sumber
ilham yang mencetuskan pelbagai jenis puisi. Perhubungan dengan
alam ini diterjemahkan dalam pelbagai ragam perlakuan sama ada
untuk nasihat, menyindir, berhibur, menegur dan sebagainya.

Namun pada umumnya, puisi tradisional memperlihatkan
penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi
nilai keindahan, menimbulkan rangsangan dan kesan kepada
pengalaman dan perasaan. Selain itu, bentuk atau struktur puisi
tradisional ini terbina atas sifat yang khusus atau juga disebut terikat
pada bentuk yang tetap, berkerat-kerat atau berturutan dalam baris

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

yang sejajar. Hal ini dapat dilihat pada ciri-ciri yang terdapat pada
pantun dua kerat. Hanya terdapat dua baris dalam serangkap pantun
dan baris pertama ialah pembayang dan baris kedua pula merupakan
maksudnya. Rima akhir bagi pantun dua kerat ialah a,a. Manakala
pantun empat kerat pula, bentuknya terdiri daripada empat baris dalam
satu rangkap, dua baris pertama ialah pembayang dan dua baris
terakhir merupakan maksudnya. Rima akhirnya pula terikat kepada
a,b; a,b.

Selain itu, ungkapan kata dan bahasa di dalam puisi Melayu
tradisional ini dipengaruhi oleh unsur-unsur muzik, lagu, intonasi,
rentak, irama dan keharmonian bunyi. Hal ini secara tidak langsung
menambah nilai estetika puisi itu sendiri. Di samping itu, baris rima dan
iramanya disusun membentuk pola atau ikatan tertentu yang
dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, keseimbangan bunyi dan
panjang pendek perkataan.

Puisi Melayu tradisional juga terbina daripada kesatuan kata,
makna dan rasa sesuatu objek hasil pengamatan, penyaringan dan
pemberian makna terhadap objek, perlakuan manusia dan alam
sekeliling dalam bentuk kreatif-imaginatif. Penyair contohnya,
mencipta kata (yang disaring dengan teliti daripada puluhan kata asas)
bagi menzahirkan erti yang bermakna dengan kelunakan rasa batin.
Sementara pembaca juga dituntut untuk berdialog dengan teks dalam
suatu proses decoding kata secara simbolik untuk akhirnya dapat
dinikmati keindahan sesebuah puisi.

Puisi Melayu tradisional juga dapat menimbulkan rangsangan
dan kesan kepada pengalaman dan perasaan. Jika dilihat pada
penggunaannya pula puisi Melayu tradisional biasanya digunakan
dalam kehidupan seharian masyarakat sebagai pengajaran dan
hiburan, dalam upacara keramaian, ritual dan keagamaan. Ada juga
puisi yang dianggap sebagai suci dan puisi ini berhubung rapat dengan
sistem kepercayaan dan adat istiadat, umpamanya ungkapan adat
perpatih. Bahasa yang padat dan kental dalam puisi tradisional ini
mengandungi unsur perlambangan, imejan, kiasan dan perbandingan
yang bersifat tradisional untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan
perasaan hati.

Pada hakikatnya, puisi Melayu tradisional adalah merupakan
warisan leluhur lahir daripada daya kreatif berdasarkan pemikiran dan

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

pengalaman terdahulu. Puisi-puisi yang beraneka ragam bentuknya
dicipta atau digubah dengan menampilkan warna suasana masyarakat
Melayu dan dilatari pula dengan menampilkan warna suasana
masyarakat Melayu dan dilatari pula dengan menampilkan warna
suasana masyarakat Melayu tradisional suatu ketika dahulu bahkan
sebahagiannya dapat bertahan sejak dahulu hingga sekarang ini.
Contoh pantun dinyatakan berikut;

Pantun 2 kerat

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Kura-kura dalam perahu,
Pura-pura tidak tahu.

Pantun 4 kerat

Buah jambu disangka kandis,
Kandis ada di dalam cawan,

Gula madu disangka manis,
Manis lagi senyuman tuan.

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;

Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Pantun 6 kerat

Kuda liar berkeliling kota,
Kota terbuat dari kayu,

Tempat berkawal lasykar Feringgi;
Kami mendengar khabar berita,
Bunga kembang sudah pun layu,

Gugur ke bumi tak harum lagi.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Pantun 8 kerat

Bagus rupanya bunga melur,
Putih rupanya bunga pinang,
Berukir bertangkai perak,
Permainan raja perempuan;

Cawan, cerek sudah teratur,
Pinggan, mangkuk sudah terhidang,
Penganan mulia sudah terletak,
Samalah duduk kita makan.

Daripada bentuk pantun, dikategorikan juga pantun mengikut
pembahagian tema. Antaranya;

Pantun Budi

Tanam serai tanam halia,
Tanam juga pokok sengkuang,

Orang berbudi disanjung mulia,
Ke mana pergi tiada terbuang.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;

Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Pantun Kasih Sayang

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;

Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Pantun Kanak-kanak

Jangan gergaji pokok talas,
Nanti lesung dimakan pahat,

Jangan menjadi orang malas,
Perut kosong badan tak sihat.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Pantun Kiasan

Tebang gelam, tebang kenanga,
Batangnya tumbang menimpa gedung,

Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.

Ciri Puisi Tradisional

Puisi tradisional dibezakan oleh bentuk masing-masing secara khusus
dan tersendiri. Bentuk terdiri daripada terikat dan tidak terikat. Contoh
bentuk terikat: pantun, syair manakala contoh bentuk tidak terikat:
seloka, gurindam. Bentuk dan struktur binaannya diikat oleh peraturan
tertentu (berkerat-kerat atau berturutan). Selain itu, puisi tradisional
bersifat lisan dan diwarisi turun-temurun, walaupun tidak popular.
Bahasa yang digunakan padat, indah dan imaginatif. Baris dan rima
disusun ikut pola tertentu (ikut jumlah suku kata, perkataan dan
ungkapan). Puisi tradisional mengutamakan diksi (pemilihan kata).
Diksi dipengaruhi oleh irama, keharmonian bunyi dan rentak Pada
zaman dahulu, puisi tradisional digunakan dalam upacara keramaian
termasuk juga acara ritual (pengubatan dan pemujaan).

Pantun merupakan puisi tradisional yang popular. Ciri utama
pada sebuah pantun adalah mempunyai pembayang dan maksud. Dua
baris yang pertama dinamakan pembayang manakala dua baris
kemudian dinamakan maksud. Rangkapnya boleh berdiri sendiri. Suku
kata dalam baris pula berjumlah antara 8 hingga12 suku kata manakala
jumlah perkataan dalam sebaris adalah antara 3 hingga 5 patah
perkataan. Pola rima akhir dinamakan: ab; ab atau aa; aa, yakni
persamaan bunyi pada baris pertama dengan ketiga, dan kedua
dengan keempat (ab; ab). Dalam penulisan dan penyampaian,
terdapat hentian sebentar dalam satu baris (jeda). Contoh pantun;

Buah langsat masak di pohon, (a)
Buah berangan masih kelat-kelat, (b)

Tangan diangkat doa dipohon, (a)
Semoga majlis mendapat rahmat. (b)

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Syair pula mempunyai empat baris pada setiap rangkap.

Keempat-empat baris dalam satu rangkap berfungsi sebagai satu

kesatuan idea tetapi rangkap itu tidak boleh berdiri sendiri . Terdapat

hentian sebentar dalam satu baris (jeda). Jumlah suku kata juga 8

hingga 12 manakala jumlah perkataan 3 hingga 5. Jumlah suku kata

dan jumlah perkataan dalam sebaris ini menyamai ciri-ciri pada sebuah

pantun. Pola rima akhir aa; aa. Isi syair selalunya mengisahkan perihal
percintaan, pengajaran, falsafah dan keagamaan. Contoh syair (“Syair
Menyambut Pelajaran”);

Anakku sayang salahmu nyata,
Dalam pelajaran bertutur kata,
Duduk menulis kalam di lata,
Kembali kepada sekalian pendeta.

Kerana pelajaran beratur pangkatnya,
Jangan dicampur yang bukan masanya,
Kerja demikian besar salahnya,
Faham tak lekat dalam keduanya.

Pendengaran pasti menjadi haru,
Yang ditulis pun tentu keliru,
Laksana menumbuk beralas nyiru,
Berasnya luluh antah menderu.

Ilmu lisan tatkala disyarahkan,
Sekalian anggota wajib satukan,
Ke hati semuanya kamu kumpulkan,
Barulah pendengaran dapat difahamkan.

Semasa mendengar orang berkata, ‘
Tangan menulis pula serta,
Telinga diasingkan daripada mata,
Mustahillah faham terangnya nyata.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Sebuah syair yang terkenal ialah “Syair Bidasari”. Berikut
diturunkan sebahagiannya.

Dengarlah kisah satu riwayat,
Raja di desa negeri kembayat,
Dikarang fakir dijadikan hikayat,
Dibuatkan syair serta berniat.

Adalah raja sebuah negeri,
Sultan Agung bijak bestari,
Asalnya baginda raja bahari,
Melimpah pada dagang berperi.

Khabarnya orang empunya termasa,
Baginda itulah raja perkasa,
Tiadalah ia merasa susah,
Entahlah kepada esok dan lusa.

Seri padukan sultan bestari,
Setelah ia sudah beristeri,
Beberapa bulan beberapa hari,
Hamillah puteri permaisuri.

Demi ditentang duli mahkota,
Makinlah hati bertambah cinta,
Laksana mendapat bukit permata,
Menentang isterinya hamil serta.

Beberapa lamanya dalam kerajaan,
Senantiasa ia bersuka-sukaan,
Datanglah masa beroleh kedudukan,
Baginda meninggalkan takhta kerajaan.

Datanglah kepada suatu masa,
Melayanglah unggas dari angkasa,
Unggas geroda burung perkasa,
Menjadi negeri rosak binasa.

Datang menyambar suara bahana,
Gemparlah sekalian mulia dan hina,
Seisi negeri gundah gulana,

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Membawa dirinya barang ke mana.

Baginda pun sedang dihadap orang,
Mendengarkan gambar seperti perang,
Bertitah baginda raja yang garang,
Gempar ini apakah kurang.

Seloka pula bentuk bebas. Keseluruhan baris dibina dalam 1
bait. Seloka merupakan sebuah karangan berangkap yang
mengandungi unsur sindiran, jenaka malahan ejekan. Bentuk syair
terikat dibina dalam bentuk 4 baris serangkap. Jumlah suku kata 8
hingga 12 dan jumlah perkataan 3 hingga 5 setiap baris. Contoh seloka
yang dipetik daripada Warisan Puisi Melayu (1995);

Buah pinang buah belimbing,
Ketiga dengan si buah mangga,

Sungguh senang berbini sumbing,
Walau marah ketawa juga.

Gurindam pula mempunyai jumlah perkataan 3 hingga 5 dengan
pola akhir a, a. Bentuk yang terikat mengandungi dua baris serangkap
yang berpasangan. Baris pertama sebagai syarat dan baris kedua
sebagai jawapan. Bahasa yang digunakan adalah lebih bernas dan
serius. Isi gurindam berupa perihal nasihat, pengajaran dan
menyatakan kebenaran. Contoh gurindam iaitu Gurindam yang ditulis
oleh Raja Ali Haji dalam Puisi Melayu Tradisional (1997).

Apabila terpelihara mata,
Sedikit cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tidaklah damping.
Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota pun roboh.

Apabila dengki sudah bernanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Mengumpat dan memuji hendaklah fikir,
Di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikit pun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.

Gurindam 12 adalah gurindam yang terkenal ditulis oleh Raja Ali
Haji di Pulau Penyengat, Riau pada 23 Rejab 1262H (1847).

“Gurindam 1”
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang ma'rifat.
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.

“Gurindam 2”
Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam dan seloka
adalah pancaran nilai dan pemikiran masyarakat Melayu tradisional.
Bentuk dan isi pemikirannya bukan sahaja berguna dalam konteks
zamannya relevan untuk setiap masa ruang dan latar masyarakat
Melayu sehingga kini.

Prosa Tradisional

Terdapat pelbagai pendapat sarjana mengenai prosa tradisional.
Pendapat Ali Ahmad dan Siti Hajar Che Man (1992), menyatakan
bahawa sastera Melayu tradisional adalah seiring dengan
kesusasteraan Melayu bercorak Islam. Hal ini berlaku kerana dapat
dikatakan bahawa zaman setelah Islam ini berlaku sehingga
kedatangan penjajah Inggeris dan Belanda pada akhir kurun ke-19,
merupakan zaman kegemilangan kesusasteraan bercorak Islam.
Kebanyakan khazanah kesusasteraan Melayu yang dapat
dikumpulkan pada abad ke-19 dan ke-20 terakam dalam bentuk
manuskrip bertulisan jawi. Pengumpulan khazanah manuskrip ini
diusahakan oleh agensi-agensi ilmu dan orang perseorangan.
Sebahagian besar koleksi manuskrip ini merupakan hasil karya dari
zaman Islam ini. Ismail Hussein (1974), menganggarkan terdapat lebih
kurang 5,000 naskhah manuskrip seumpama itu. Kini lebih banyak
manuskrip yang dapat ditemui oleh para pengkaji dan pihak
Perpustakaan Negara.

Ismail Hamid (1996) mendefinisikan prosa tradisional ini
sebagai kesusasteraan Melayu lama yang bermula dari zaman
sebelum mengenal huruf dengan diikuti zaman Hindu dan seterusnya
zaman Islam. Beliau menyatakan bahawa perkembangan sastera ini
bermula dalam bentuk sastera lisan dan diikuti dengan sastera
bercorak tulisan pada zaman Islam. Sementara hasil kesusasteraan
Melayu pengaruh Hindu pula dituliskan ke dalam bahasa Melayu
hanya kedatangan Islam.

Agama Hindu telah berkembangan di Alam Melayu sebelum
Islam, tetapi warisannya lebih banyak ditemui tertulis dalam bahasa
Jawa Kuno. Sebelum kedatangan Islam, orang Melayu sudah
mempunyai kerajaan mereka sendiri seperti Kerajaan Srivijaya.
Sastera Melayu dianggarkan sudah tercipta pada masa itu, tetapi
warisan dari zaman tersebut tidak ditemui. Oleh yang demikian,

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

melihat kepada warisan kesusasteraan Melayu tradisional yang
tersimpan sehingga kini jelas menunjukkan bahawa sastera Melayu
bercorak tulisan bermula setelah kedatangan Islam.

Apabila agama Islam tiba di Alam Melayu, maka media tulisan
telah diperkenalkan dengan menggunakan huruf-huruf Arab sebagai
skrip penulisan dalam bahasa Melayu. Pengenalan tulisan Arab dalam
bahasa Melayu bertujuan untuk menulis risalah-risalah tentang agama
Islam dalam bahasa tersebut demi menjadikannya sebagai bahan
rujukan dan bacaan bagi orang Melayu. Sejak itu, kegiatan menulis
risalah-risalah agama Islam dalam bahasa Melayu berlaku dengan
pesatnya. Di samping penulisan tentang agama Islam, usaha-usaha
penulisan dalam bidang ilmu yang lain juga turut dilakukan, khasnya
dalam bidang kesusasteraan yang bercorak Islam.

Prosa tradisional sebagai seni bahasa yang termasuk dalam
cabang kesenian yang mengandungi budaya sesuatu masyarakat.
Prosa tradisional ini dikatakan wujud kerana kecerdikan manusia yang
mencari jalan bagi mendapat hiburan. Ahli cendekiawan ini mencari
dan menyelidiki alam sekitar mereka bagi mengetahui hakikat alam di
samping mencari kebenaran.

Prosa tradisional terdedah pada unsur tokok tambah dan
pengguguran di dalam karyanya mengikut kesesuaian zaman
disampaikan. Selain daripada bentuk cerita atau naratif lisan
(contohnya cerita asal-usul, mitos, lagenda dan cerita rakyat), terdapat
juga prosa dalam bentuk cerita tulisan (antaranya sastera agama,
sejarah, panji, hikayat dan epik) dan prosa bukan naratif atau cerita
(sastera ketatanegaraan, undang-undang dan sastera kitab).

Menurut Ismail Hamid (1987) lagi, apabila agama Islam tiba di
Alam Melayu, maka media tulisan telah diperkenalkan dengan
menggunakan huruf-huruf Arab sebagai skrip penulisan dalam bahasa
Melayu. Pengenalan tulisan Arab dalam bahasa Melayu bertujuan
untuk menulis risalah-risalah tentang agama Islam dalam bahasa
tersebut demi menjadikannya sebagai bahan rujukan dan bacaan bagi
orang Melayu. Sejak itu, kegiatan menulis risalah-risalah agama Islam
dalam bahasa Melayu berlaku dengan pesatnya. Di samping penulisan
tentang agama Islam, usaha-usaha penulisan dalam bidang ilmu yang
lain juga turut dilakukan, khasnya dalam bidang kesusasteraan yang
bercorak Islam.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Selain itu, Zuber Usman (1966) pula mendefinisikan prosa
tradisional sebagai seni bahasa yang termasuk dalam cabang
kesenian yang mengandungi budaya sesuatu masyarakat. Prosa
tradisional ini dikatakan wujud kerana kecerdikan manusia yang
mencari jalan bagi mendapat hiburan. Ahli cendekiawan ini mencari
dan menyelidiki alam sekitar mereka bagi mengetahui hakikat alam di
samping mencari kebenaran. Seterusnya, Haron Daud (1994) pula
mendefinisikan prosa tradisional ini sebagai kesusasteraan klasik yang
mencerminkan masyarakat zamannya. Hal ini juga mencakupi corak
kepercayaan masyarakat tradisional yang berhubung dengan konsep
ketuhanan, alam ghaib, kewujudan alam dan manusia. Bentuk
kepercayaan ini akhirnya telah mencorakkan cara hidup dan sikap
masyarakat.

Sebelum era penerbitan dan percetakan yang pesat, sastera
lisan popular dalam masyarakat. Sastera lisan mempunyai beberapa
ciri yang tersendiri. Ciri yang pertama ialah sastera itu diucapkan
melalui perantaraan mulut. Sastera rakyat dianggap sebagai ekspresi
budaya dan berkembang melalui tradisi lisan. Ciri yang kedua ialah
sastera itu lahir dalam masyarakat yang belum mencapai taraf
kehidupan yang maju atau bercorak bandaran.

Ciri yang ketiga ialah menggambarkan ciri-ciri budaya satu-satu
kumpulan masyarakat. Oleh itu, sastera lisan membawa ekspresi
budaya yang diwarisi hingga masa kini. Ciri keempat sastera lisan itu
dianggap sebagai milik masyarakat yang tidak pernah diketahui
pengarangnya, perubahan cerita berlaku kerana cerita diwarisi dan
disebarkan melalui pertuturan. Manakala ciri kelima ialah sastera lisan
mempunyai sejarah yang tua usianya daripada sejarah itu sendiri.
Sastera ini tidak terhad kepada sesuatu daerah atau suku bangsa
sahaja.

Terdapat karya sastera lisan yang diwarisi daripada satu
generasi kepada generasi seterusnya. Hasil karya ini tidak dapat
dipastikan penciptanya secara individu. Disebabkan demikian, karya
itu dianggap milik masyarakat malahan sebagai bukti betapa tinggi
pemikiran orang Melayu terdahulu. Namun demikian, karya sastera
tradisional terdedah kepada unsur tokok tambah dan pengguguran dan
wujud dalam pelbagai versi. Kemajuan penerbitan dan percetakan dan

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

juga teknologi telah membawa kepada dokumentasikan dalam bentuk
tulisan yang lebih tersusun.

Sastera tradisional yang mulanya disampaikan secara lisan
dapat dilihat dalam pembahagian seperti berikut:

1. Mitos
- Mitos bermaksud cerita zaman dahulu yang dianggap benar
oleh masyarakat yang memilikinya, sehingga kejadian luar
biasa dalam mitos dianggap keramat.
- Mitos mengandungi cerita tentang dewa-dewi, asal-usul dan
kewujudan institusi tertentu.
- Dalam kesusasteraan Melayu, terdapat empat mitos iaitu
mitos kerajaan dan negeri; mitos penerimaan Islam, mitos
perbomohan, dan mitos kejadian.
- Mitos berfungsi untuk memberitahu khalayak tentang asal
kejadian, mengawal norma masyarakat agar mereka
berhati-hati terhadap unsur alam sama ada di bumi, laut atau
udara.
- Mitos turut mengukuhkan kepercayaan masyarakat
terhadap sesuatu dan menjadi panduan hidup masyarakat
supaya kehidupan menjadi lebih tersusun, terkawal, teratur
dan mempunyai peraturan.
- Mitos menggambarkan pola pemikiran masyarakat seperti
kekayaan kepada makhluk halus dan kejadian luar biasa.
- Mitos mempunyai kaitan dengan hal-hal di sekeliling
masyarakatnya. Juga memerihalkan tentang sesuatu
kepercayaan, peraturan hidup, undang-undang, etika moral
dan pantang larang.

2. Cerita binatang (haiwan)
- Juga dikenali sebagai fabel iaitu kumpulan cerita pendek-
binatang sebagai watak utama.
- Watak binatang boleh bertingkah laku seperti manusia.
Contohnya Cerita Kancil dengan Buaya, Kancil dengan
Harimau dan Arnab dengan Kura-kura.
- Tujuan cerita adalah untuk menyampaikan pengajaran
akhlak dan juga kiasan kepada tingkah laku manusia.
- Juga sebagai hiburan kepada kanak-kanak di samping
ajaran moral yang jelas dan kandungan nilai-nilai murninya.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

3. Cerita jenaka
- Cerita jenaka merupakan bahagian cerita rakyat yang
berunsurkan jenaka atau lucu. Bahan ceritanya berpusat
pada kelakuan atau perbuatan si pelaku dalam cerita jenaka
tertentu.
- Antara perlakuan watak termasuklah cerdik, dungu, lurus
dan kejadian secara kebetulan yang mengubah untung
nasib watak tertentu. Fungsi cerita jenaka untuk memberikan
hiburan, mengkritik anggota masyarakat yang tidak beradab,
sombong dan mementingkan diri sendiri serta untuk
memberikan pendidikan.
- Watak yang ditampilkan mempunyai sifat yang lucu malahan
sebagai bodoh, lurus, dan nasib kurang baik namun ada juga
yang pintar dan licik.
- Mengandungi unsur-unsur sindiran, kritikan sosial, dan
hiburan.
- Contohnya Cerita Pak Pandir, Pak Belalang, Pak Kaduk, Si
Luncai dan Lebai Malang. Demikian juga yang mengambil
latar luar seperti Musang Berjanggut dan Abu Nawas.
- Latar masyarakat yang digambarkan ialah latar rakyat biasa,
khususnya masyarakat Melayu lama.
- Faktor yang menyebabkan cerita jenis ini lucu;
i. Sifat watak terlalu bodoh atau terlalu pintar
ii. Wujud unsur-unsur kebetulan
iii. Jalan cerita yang lucu
iv. Penggunaan kata-kata yang lucu khususnya gambaran
fizikal watak.

4. Cerita lagenda
- Lagenda ialah cerita tentang tokoh yang berkaliber sama
ada rekaan atau benar.
- Genre ini ada kaitannya dengan sejarah yang mempunyai
empat kategori, iaitu lagenda tokoh ternama, lagenda
pendosa dan tempat tertentu.
- Lagenda tokoh ternama mengisahkan tokoh agama dan
tokoh sejarah. Tokoh sejarah terbahagi dua kumpulan, iaitu
tokoh sejarah setempat dan tokoh sejarah menjelajah,
contoh tokoh sejarah setempat ialah Hang Tuah, Merong
Mahawangsa dan Puteri Saadong. Manakala contoh tokoh
sejarah menjelajah ialah Iskandar Zulkarnain.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

- Secara umum, cerita lagenda dapat dibahagikan kepada
tiga;
i. Lagenda alam ghaib-berkaitan pengalaman peribadi tokoh
atau watak tentang sesuatu kepercayaan melibatkan alam
ghaib, hantu, dan sebagainya.
ii. Lagenda perseorangan-tentang watak dan hubungannya
dengan kepimpinan, kepahlawanan, keagamaan, dan
ekonomi.
iii. Lagenda setempat-tentang mana-mana tempat dan
hubungannya dengan cerita berunsur orang tua, tanda alam
dan tokoh.

5. Cerita lipur lara
- Bentuk cerita yang mementingkan perihal pengembaraan
putera puteri raja.
- Kesudahan cerita dengan kebahagiaan.
- Penceritaan dibahagikan kepada tiga peristiwa;
i. Kelahiran
ii. Pengembaraan
iii. Penyelesaian
- Watak digambarkan kacak, handal, dan penuh kesaktian serta
memiliki keistimewaan sejak lahir lagi.
- Sebahagian besar tema percintaan antara dewa-dewi.
- Asalnya disampaikan secara lisan oleh tukang cerita diiringi
pasukan muzik seperti gendang, serunai, rebab, gong
dan sebagainya.

6. Sastera Hikayat
- Karya sastera hikayat yang mengalami proses yang dapat
dibahagikan mengikut zaman yang diwakilinya, iaitu
kesusasteraan hikayat zaman Hindu, zaman Hindu-Islam dan
zaman Islam.
- Kebanyakan ceritanya berkisar tentang hal-hal yang ada
unsur-unsur Hindu, banyak membawa cerita yang berunsurkan
hiburan semata-mata.
- Dikemukakan wira-wirawati yang mengalami pelbagai dugaan,
ujian dan rintangan dan akhirnya memperoleh kebahagiaan.
- Bahasa yang digunakan ialah ayat-ayatnya meleret-leret dan
panjang-panjang serta mencampuradukkan kedua-dua undur
Hindu dan Islam seperti Hikayat Berma Syahdan dan Hikayat
Malim Deman.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

7. Sastera Epik
- Sastera epik juga sastera kepahlawanan yang menceritakan
nilai kepahlawanan dan keperibadian mulia.
- Watak utamanya menjadi tokoh yang sempurna dan disanjung
bangsa.
- Terdapat dua jenis epik, iaitu epik kebangsaan dan epik
Melayu-Islam. Karya yang termasuk dalam epik kebangsaan
ialah Hikayat Hang Tuah.
- Manakala karya yang termasuk dalam epik Melayu-Islam ialah
Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah.
- Karya epik ini juga mengandungi unsur legenda, mitos dan
cerita rakyat.
- Kepahlawanan merupakan ciri utama bagi kesusasteraan epik.
- Di samping itu, unsur keajaiban yang melibatkan alam ghaib
dan kuasa sakti menjadi ciri utama kesusasteraan epik.

8. Sastera Panji
- Karya sastera panji ialah karya-karya yang berbentuk hikayat
dan syair secara umumnya berkisar di sekitar kisah
pengembaraan dan percintaan watak utamanya yang selalu
menggunakan gelaran “raden”.
- Banyak dalam bahasa Jawa dan Melayu, selain bahasa Siam.
- Kebanyakannya memaparkan unsur-unsur yang sama iaitu
percintaan, pengembaraan, peperangan dan penyamaran.

9. Sastera Agama
- Menceritakan kisah pada nabi dan tokoh-tokoh Islam seperti
berkisar tentang kehidupan Nabi Muhammad seperti Hikayat
Nur Muhammad, Hikayat Isra’ dan Mikraj dan sebagainya.
Keduanya ialah cerita tentang tokoh-tokoh yang ada dalam
keluarga Rasulullah seperti Hikayat Fatimah, Hikayat Khadijah
Kahwin dan sebagainya. Ketiganya, cerita tentang Nabi dan
Rasul yang lain seperti yang digambarkan dalam Qisas al-
Anbia, Hikayat Nabi Musa dan sebagainya.
- Selain itu tentang tokoh sebelum kedatangan Islam dan tokoh-
tokoh sebelum kedatangan Islam seperti terdapat dalam cerita
Iskandar Zulkarnain, Hikayat Sama’un dan sebagainya serta
cerita tentang para sahabat nabi yang lain.
- Selain itu juga tentang wali Allah, ahli sufi dan sebagainya yang
diceritakan dalam Hikayat Lukman al-Hakim, Hikayat Raja

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Jumjumah dan sebagainya. Terakhir ialah cerita tentang watak
dan peristiwa lain seperti yang dikisahkan dalam Hikayat
Perang Khaibar dan sebagainya.

10. Sastera Sejarah
- Sastera sejarah pula biasanya mengandungi unsur-unsur
mitos digunakan secara meluas sama ada hal-hal yang
mempengaruhi pemikiran.
- Hasil sastera ini amat penting kepada masyarakat serta
bermanfaat dan besar kegunaannya untuk para penyelidikan,
contohnya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Bustan al-
Salatin, Hikayat Acheh, Hikayat Pahang dan sebagainya.
- Memperlihatkan tema mengagungkan raja dan negara kota.
- Contoh lain Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Patani dan
Hikayat Merong Mahawangsa.

Terdapat juga hasil prosa tradisional yang merupakan bukan
cerita ataupun disebut prosa bukan naratif. Karya ini dibahagikan
kepada tiga jenis, iaitu Kesusasteraan Kitab, Kesusasteraan
ketatanegaraan dan Kesusasteraan Undang-undang.

Prosa Melayu tradisional yang dimiliki oleh sesuatu kelompok
bangsa dalam sesebuah masyarakat sebenarnya ialah cerminan cara
hidup kaum itu. Kenyataan ini pernah dibuktikan oleh pengkaji
etnografi seperti Ruth Benedict (1935). Beliau mendapati bahawa
prosa tradisional wujud dalam sesuatu kelompok bangsa itu. Demikian
juga dapatan kajian yang dilakukan oleh William Bascom (1965).
Beliau mendapati wujudnya empat fungsi penting dalam prosa
tradisional, iaitu sebagai alat pendidikan, alat pengawal norma
masyarakat, alat pengesahan sesuatu institusi dalam masyarakat dan
sistem projeksi masyarakatnya.

Harun Mat Piah (1993) menyatakan bahawa kesusasteraan
Melayu tradisional merujuk kepada karya yang mempunyai ciri-ciri
berikut:
i. Bersifat kolektif, dan dianggap sebagai milik bersama masyarakat.
Oleh itu, kebanyakan karya tidak dinyatakan nama penulis atau
pengarang.
ii. Hasil karya yang bersifat feudal terutama dalam aspek pemilihan
tema, watak, dan latar.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

iii. Karya yang terbatas pencipta dan khalayaknya, kerana hanya
golongan tertentu sahaja yang terlibat aktif dalam penciptaan serta
perkembangannya.
iv. Hasil karya yang merujuk kepada karya yang dilahirkan sebelum
tahun 1800M, sama ada secara lisan atau tulisan. Penggunaan alat
cetak yang bermula pada sekitar awal 1800M.
v. Bersifat fungsional, yakni semua karya yang dicipta, digunakan
dalam kehidupan sosial masyarakat sehari-hari, mempunyai sasaran,
dan peranan yang tertentu dalam masyarakat khalayaknya.

Kesusasteraan Melayu tradisional mempunyai pelbagai genre
yang diungkapkan secara lisan dan tulisan. Genre lisan merangkumi
bentuk cerita dan bukan cerita. Bentuk cerita termasuklah cerita mitos,
cerita legenda, dan cerita dogeng atau dongeng rakyat. Bentuk bukan
cerita pula merangkumi bahasa rakyat, peribahasa, teka-teki, nyanyian
rakyat dan puisi tradisional. Genre tulisan meliputi kesusasteraan
hikayat, kesusasteraan sejarah (historiografi), kesusasteraan epik,
kesusasteraan panji, kesusasteraan undang-undang, kesusasteraan
ketatanegaraan, kesusasteraan kitab, cerita-cerita nabi dan
kepustakaan ilmu tradisional. Hal ini berbeza daripada kesusasteraan
Melayu moden yang mempunyai genre yang terbatas. Dalam bentuk
prosa, terdapat novel dan cerpen manakala dalam bentuk puisi,
terdapat sajak.

Prosa tradisional menggunakan gaya bahasa dan langgam
bahasa yang berbeza daripada gaya bahasa masa kini, sehingga kita
dengan mudah dapat membezakan bentuk dan corak bahasa
kesusasteraan Melayu tradisional dengan kesusasteraan Melayu
moden. Hasil karya ini mempunyai nilai tersendiri daripada masyarakat
yang mewarisinya, dipandang tinggi dan kadang-kadang hasil karya
tersebut dianggap keramat dan suci sehingga segolongan masyarakat
yang mewarisinya menyimpan secara misteri. Bentuk dan cirinya
menjadi tradisi yang mantap dengan mempamerkan nilai-nilai klasik
dalam “kelaziman sasteranya” seperti isi dan teknik penulisan,
sehingga penggolongannya ke dalam genre-genre tertentu dapat
dilihat dengan jelas. Misalnya, terdapat perbezaan yang nyata antara
genre lipur lara dengan genre sejarah atau dengan genre
kesusasteraan kitab atau jenis genre kesusasteraan undang-undang.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Penutup

Hasil karya kesusasteraan yang bermula daripada seorang pengarang
kemudian sampai kepada khalayaknya, yakni pembaca. Dalam
konteks kesusasteraan Melayu tradisional, terdapat hasil karya yang
tidak menyatakan nama pengarangnya. Sastera lama terutama yang
bermula daripada tradisi lisan ini dianggap sebagai milik masyarakat
itu sendiri. Dalam konteks moden, karya terus berkembang dengan
berbagai-bagai tema dan teknik penghasilannya.

Puisi Melayu tradisional sebenarnya adalah merupakan warisan
daripada ketinggian kreativiti masyarakat terdahulu. Demikian juga
puisi tradisional yang beraneka ragam bentuknya dicipta atau digubah
dengan menampilkan warna suasana masyarakat.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

4

KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

Pendahuluan

Kesusasteraan Melayu moden adalah kesinambungan daripada
kesusasteraan Melayu tradisional. Perkembangan pemikiran
masyarakat dengan usaha membina dan membangunkan tamadun,
seiring dengan hasil-hasil karya berbentuk penulisan yang dihasilkan
oleh para pengarang yang berada dalam kelompok masyarakat.

Seperti kesusasteraan tradisional, kesusasteraan moden juga
dibahagikan kepada prosa dan puisi. Bagi prosa, karya yang
dikategorikan adalah genre cerita pendek (cerpen), novel dan drama.
Bagi puisi moden, di Malaysia puisi moden hanyalah dikenali sebagai
sajak yang juga secara umum disebut sebagai puisi.

Cerpen

Kesusasteraan Melayu turut berkembang dengan penghasilan karya
mengikut zaman. Cerpen, singkatan bagi cerita pendek merupakan
hasil kesusasteraan yang dikategorikan dalam prosa moden. Cerpen
ialah cerita pendek merupakan kisah rekaan yang ringkas yang
panjangnya antara 500 hingga 12,000 patah perkataan. Perkataan
pendek itu masih tidak jelas ukurannya dan dikatakan pendek juga
kerana genre prosa ini berbanding dengan novel, dari segi dalamannya
serta memiliki kesan tunggal, keterbatasan ciri tidak beragam dan tidak
rumit atau kompleks.

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

Menurut A.Wahab Ali (2004), cerpen boleh dikatakan sebagai
satu aspek budaya. Aspek-aspek ini menjadi bahan cerpen, dicampur
dengan hasil pemikiran dan penglihatan penulis-penulisnya. Pendapat
lain pula dinyatakan oleh Ilias Haji Zaidi (1981), beliau menyatakan
cerpen ini satu cerita pendek yang semuanya mesti dipusatkan pada
suatu idea. Tidak diberi kemungkinan munculnya idea-idea baru, yang
berpecah. Cerpen juga boleh dikatakan sebagai cerita pendek yang
tergolong dalam kategori karya sastera kreatif imaginatif, genre cereka
atau prosa naratif.

Genre cerpen merupakan antara genre yang banyak dihasilkan
sekarang ini. Terdapat cerpen disiarkan dalam akhbar dan majalah
selain diterbitkan dalam bentuk antologi dan kumpulan cerpen bagi
individu. Di Malaysia, antara cerpen yang sering diperkatakan
dihasilkan oleh Sasterawan Negara Keris Mas, Sasterawan Negara
Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, Baharudin
Kahar, S. M Zakir, Zainal Rashid Ahmad dan Rebecca Ilham.

Novel

Novel ialah cerita rekaan panjang yang mengisahkan kehidupan
manusia. Adakalanya kehidupan manusia ini digambarkan melalui
watak binatang atau objek lain. Novel terbahagi kepada dua iaitu dari
segi luaran yang menunjukkan jumlah perkataan, bab dan halaman.
Manakala dari segi dalaman pula termasuklah watak dan perwatakan,
plot, latar, sudut pandangan, gaya bahasa dan nada. Novel terbahagi
kepada beberapa jenis berdasarkan kandungan atau persoalan yang
dikemukakan, antaranya ialah novel pengembaraan, kekeluargaan,
sejarah, satira, biografi dan sosial.

Menurut Shahnon Ahmad (1979), novel adalah satu bentuk
penafsiran rencaman hidup manusia menerusi satu bentuk sastera
iaitu cereka. Novel adalah satu rangkuman tiga faktor utama yang
timbal-menimbal antara satu dengan yang lain iaitu pengalaman
peribadi, realiti rencaman hidup dan imaginasi. Ketiga-tiga faktor ini
mencetuskan idea pokok yang kemudiannya dirombak dan disirat
kembali untuk dijadikan sebuah karya yang unik dengan segala ciri
terpadu di dalamnya. Dan idea yang tercetus dari ketiga-tiga faktor itu

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

berpusar pada satu tahap saja iaitu kehidupan manusia dalam segala
liku-liku, keserabutan dan rencamannya.

Menurut H.B. Jassin dalam bukunya Tifa Penyair dan
Daerahnya, novel menceritakan sesuatu kajian yang luar biasa
daripada kehidupan manusia. Luar biasa kerana dari kejadian inilah
terlahir suatu konflik, suatu pertikaian yang mengalih jurusan nasib
mereka. Seterusnya menurut A.Wahab Ali (1988), novel ialah kisah
yang dijalin di dalam satu yang secara terperinci yang benar-benar
berlaku dan kisah-kisah yang imaginatif ataupun cerita rekaan yang
dihasilkan dalam bentuk prosa sebagai sebuah cerita rekaan.
Perkataan novel itu dipinjam daripada perkataan “novel” dan perkataan
ini digunakan bagi menamakan sejenis prosa naratif yang munasabah
panjangnya yang terdapat dalam kesusasteraan tersebut yang muncul
sekitar tahun 1920-an.

Daripada aspek etimologinya, perkataan novel berasal daripada
perkataan Itali novella yang bermakna “cerita terkini”. Lazimnya bentuk
ceritanya ialah yang berkaitan dengan kelakuan sosial, pengalaman,
atau kisah kehidupan manusia di satu-satu tempat dan pada sesuatu
masa. Dalam sesebuah novel, biasanya panjang dan kompleks, iaitu
melebihi 20,000 patah perkataan, malah lebih panjang daripada
cerpen dan memerlukan latar, watak dan masa yang panjang.
Terdapat sesetengah novel yang pendek dan dikenali sebagai novelet.

Selain sifat fizikalnya, novel juga terdiri daripada beberapa bab.
Novel yang ditulis, lazimnya melebihi daripada satu bab. Setiap bab
mempunyai hubungan yang rapat dan ada kaitan antara satu dengan
bab yang lain kerana bab-bab itu memerlukan kesatuan cerita bagi
sesebuah novel. Sesebuah novel juga selalunya melebihi 80 halaman.

Novel juga mempunyai sifat dalamannya. Sifat dalamannya
ialah unsur-unsur yang membina sesebuah novel yang terdiri daripada
tema dan persoalan, plot, watak dan perwatakan, sudut pandangan
serta gaya bahasa.Jika diteliti novel-novel Melayu asli sebelum
merdeka, khususnya aspek perwatakan, didapati tidak jauh dengan
aspek perwatakan dalam hikayat Melayu tradisional, iaitu watak yang
jahat itu kekal jahat, manakala watak yang baik selalunya baik tetapi
dalam perjuangan watak yang jahat sentiasa berakhir dengan
kekalahan, sementara watak yang baik berkesudahan dengan
kemenangan.Pengalaman hidup manusia yang pelbagai ragam itu

KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD

menjadi sumber pengarang atau novelis untuk menghasilkan karya
yang imaginatif lagi kreatif.

Menurut Sohaimi Abdul Aziz (2004), novel adalah satu daripada
genre sastera yang popular selain puisi dan drama. Novel membawa
pengalaman pembaca sehingga menyebabkan mereka sukar
memahaminya dengan mudah. Novel boleh membawa pembaca
menjadi lebih sensitif dan bijaksana untuk menanggapi kehidupan
kerana novel secara langsung berhubung dengan kehidupan yang
dekat atau jauh dimata dan dibatin.

Di Malaysia, antara novel yang sering diperkatakan dihasilkan
oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Sasterawan Negara Shahnon
Ahmad, Sasterawan Negara Arenawati, Sasterawan Negara A. Samad
Said, Azmah Nordin dan Sri Rahayu Mohd Yusop.

Contohnya novel Ishak Haji Muhammad bertajuk Anak Mat Lela
Gila dapat ditafsirkan sebagai penyampaian yang secara berlucu dan
bergurau-senda namun tersirat makna yang tersembunyi. Mat Lela
mempunyai perlakuan yang ganjil berbanding orang biasa, maka dia
dianggap gila. Keanehan watak Mat Lela sengaja digarap oleh
pengarang untuk ditafsirkan. Sebagai sebuah karya yang “bermain”
secara kreatif, garapan tentang watak Mat Lela menimbulkan unsur
humor. Mat Lela merupakan penjelmaan watak Melayu yang
mempunyai sifat humor dan tersendiri kerana kegilaan dan
keanehannya.

Mat Lela mengingatkan pembaca kepada watak-watak jenaka
dalam cerita rakyat seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin, Si
Luncai dan Pak Kaduk. Walaupun ada interpretasi yang menuntut
pemikiran semula daripada sudut positif dan negatif, namun dalam
kehidupan seharian watak-watak sebegini tetap wujud sepanjang
zaman. Malahan terdapat dalam mana-mana bangsa di dunia ini.
Kebodohan, kegilaan dan keanehan merupakan satu sindiran dan
kiasan kepada masyarakat umum. Mat Lela mewakili segelintir
anggota masyarakat yang mengasingkan diri dan melakukan sesuatu
mengikut kehendak hatinya.

Selain itu, pengarang turut memberi komentar terhadap
perlakuan masyarakat umum dibandingkan dengan perlakuan Mat
Lela itu. Daripada dimensi politik, tindakan mengumpulkan bata-bata


Click to View FlipBook Version