KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
menunjukkan kepandaian dan kebolehan bangsa yang dijajah sama
dengan penjajah. Kemajuan fizikal seperti bangunan-bangunan batu
boleh dibuat malah batu-batu itu boleh disimpan di rumah kayu.
Tafsiran di sini bahawa penjajah (Inggeris, contohnya) bukanlah perlu
diagungkan sebaliknya berada di bawah kekuasaan yang dijajah
(Melayu) juga jika kena caranya. “Bata” yang mewakili penjajah dan
“rumah” yang mewakili yang dijajah menunjukkan perkaitan kuasa dan
dikuasai secara perlambangan. Begitu juga dengan perbuatan
membuat not (wang kertas) daripada upih pinang adalah siratan yang
halus tentang kuasa, material dan harga diri.
Pengarang menyampaikan perlakuan watak ini untuk ditafsirkan
oleh pembaca. Perilaku Mat Lela adalah sindiran terhadap individu
dalam masyarakat itu sendiri. Pengarang menghantar pesanan
bahawa dalam kebijaksanaan ada kebodohan dan sebaliknya, dalam
kegilaan ada rasionalnya. Walaupun perlakuan Mat Lela ini asing
dalam masyarakat sebenar, namun dalam sebuah fiksyen watak Mat
Lela hidup dengan cara dan tersendiri. Latar kepengarangan novel ini
adalah sebelum kemerdekaan Tanah Melayu (Malaysia) ketika itu.
Suara untuk mengkritik penjajah mahupun pemerintah seharusnya
dikawal. Melalui penceritaan dan penulisan, pengarang menyelar sikap
pemerintah dan keburukan penjajahan malahan sikap masyarakat.
Menurut Hooker (2000: 163), struktur naratif novel ini, yang
diterbitkan selepas beberapa tahun novel Putera Gunung Tahan,
menyamai hikayat Melayu yang tradisional. Kedua-dua karya itu
pengarang mencampur-adukkan unsur keajaiban dan kekaguman
dengan realiti. Tujuannya adalah untuk menimbulkan unsur-unsur
fantasi dan menonjolkan jarak antara “cereka” dengan “fakta” yang
menunjukkan adanya unsur paradoks dan ilusi yang dibayangkan oleh
pengarang kepada pembacanya sebagai satu ciri dalam karyanya.
Novel ini meneruskan perjuangan menentang materialisme melalui
sikap beberapa orang wataknya. Sikap Mat Lela terhadap wang kertas,
sebagai yang tersirat campur tangan Inggeris dalam kehidupan orang
Melayu dan pencetus perbalahan, mendorongnya untuk mengeluarkan
mata wangnya sendiri. Dalam novel ini watak Bulat bertanya, mengapa
orang Melayu dan orang Sakai hidup merana dan miskin? Watak Alang
menjawab sebabnya adalah kerana mereka berpecah-belah, tidak
semuafakat, tidak bersatu hati untuk kebaikan bersama, tetapi lebih
memilih sebagai pengusaha secara kecil-kecilan.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Drama
Drama dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu drama bertulis dan drama
pementasan. Drama bertulis ialah skrip atau sejenis karangan
berdialog yang berbentuk prosa dan puisi yang mengisahkan tindakan,
peristiwa, kejadian yang dilalui, dilakukan dan dialami oleh manusia
pada sesuatu tempat dan masa yang tertentu dengan pelbagai
persoalan dan realiti kehidupan. Selain itu, drama bertulis boleh
dipentaskan dan dinikmati oleh pembaca dan tidak memerlukan ruang
pentas, pelakon dan alat bantuan seni yang lain.
Drama pementasan ialah cerita atau kisah yang dilakonkan atau
karya yang dipersembahkan oleh pelakon di atas pentas yang dikenali
sebagai teater atau sandiwara dengan pelbagai persoalan dan realiti
kehidupan. Selain itu, drama pementasan boleh ditonton dan
memerlukan ruang pentas, pelakon dan alat bantuan seni yang lain.
Genre drama merupakan cerita berdialog atau cereka yang
mengandungi konflik yang memaparkan kehidupan yang dilakonkan
atau karya yang dipersembahkan oleh pelakon di atas pentas yang
dikenali sebagai sandiwara atau yang dipersembahkan melalui radio
serta televisyen dalam bentuk prosa dan puisi yang mengandungi
dialog di samping menampilkan pelbagai persoalan dan realiti
kehidupan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) drama ialah karya
yang dipersembahkan oleh pelakon di pentas, radio atau televisyen.
Drama merupakan genre sastera dalam jenis cereka (fiksyen).
Kini, banyak karya drama diteroka dalam bentuk buku, ditayangkan
melalui televisyen, dan diperdengar melalui radio. Perkataan “drama”
berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud “gerak” atau dalam
bahasa Inggeris disebut action. Dahulunya, dalam bahasa Melayu,
drama lebih dikenali dengan kata “sandiwara”. Drama dicipta untuk
dipentaskan atau dilakonkan. Drama memerlukan pelakon untuk
memainkan peranan watak. Barisan pelakon melakonkan aksi-aksi
yang ditetapkan dan melafazkan dialog yang disediakan. Terdapat
dialog berbentuk puisi sehingga dinamakan drama puisi. Ada juga
drama yang ditulis bukan dengan tujuan dipentaskan, tetapi hanya
untuk dibaca. Drama jenis ini dinamakan drama bacaan.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Menurut Maman S. Mahayana (1995), drama ialah gambaran
hidup manusia, fantasi dan juga pengalaman hidup dalam proses
sosialisasi dengan masyarakat. Selain itu, beliau juga merujuk drama
sebagai suatu bentuk penulisan atau genre kesusasteraan yang
bertujuan untuk dipentaskan. Beliau turut menyimpulkan bahawa
drama merupakan karya kreatif yang berbentuk skrip, berupa satu
komposisi penciptaan prosa atau puisi yang membawa pemikiran,
tema dan persoalan-persoalan yang menggunakan dialog sebagai
mekanisme penulisan. Jelasnya lagi, drama merupakan bentuk seni
yang bersifat dramatik, iaitu seni yang mengutamakan kesan dan
tekanan emosi sebagai penambat.
Selain dipentaskan, drama juga merupakan teks yang
dibukukan. Di Malaysia, antara drama yang sering diperkatakan
dihasilkan oleh Sasterawan Negara Nordin Hassan, Anuar Nor Arai,
Zakaria Ariffin dan Hatta Azad Khan.
Puisi Moden (Sajak)
Sajak sebagai puisi moden yang dikatakan karya sastera yang puitis
dan sarat dengan unsur estetik. Sajak berbentuk bebas dan tidak
terikat pada jumlah perkataan, suku kata, rima dan kepanjangan. Sajak
dibina dalam bentuk rangkap demi rangkap. Namun terdapat juga
sajak yang ditulis dalam satu rangkap, malahan hanya beberapa baris
juga dianggap sajak.
Coledrige mengatakan sajak adalah ”kata-kata terbaik dalam
susunan yang terbaik”. Pemikihan kata (diksi) dalam sajak seharusnya
tepat. Sajak terhasil melalui luahan rasa dan ketajaman daya
pemikiran pengarang. Pengarang sajak juga disebut sebagai ’penyair’.
Sajak juga biasa disampaikan secara deklamasi. Deklamasi
sajak mempunyai cara dan gaya yang pelbagai. Deklamasi dapat
menunjukkan isi dan nada yang terkandung dalam sajak tersebut.
Deklamasi berkaitan nasionalisme biasanya bernada keras, manakala
tentang luahan rasa akan bernada lembut. Berbanding karya sastera
yang lain, sajak lebih mudah dikesan sama ada isi yang dibawakan
secara tersurat atau tersirat. Contohnya, apabila pengarang (penyair)
menyatakan ’rumah’, kemungkinan yang boleh dikaitkan adalah
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
sebuah ’negara’. Begitu juga dengan penggunaan kata yang lain
seperti istana, bahtera, bunga, merah, darah dan lain-lain.
Berikut diberikan contoh sebuah sajak bertajuk ”Melegakan
Hakikat” oleh Ariff Mohamad.
Mencari makna wujud diri
ketika guruh berdentuman
ayuh lari, dari kenyataan ini
kerana kekalahan membahagiakan.
Hidup dikelilingi kilat menyabung
hujan dan panas beriringan
sesekali diusik tewas keampuhan
sesekali diusap menjuarai keyakinan.
Kerap fikiran dan naluri bertentangan
menyerapi makna langkah kembara
peringatan serta kewaspadaan berselisih
dalam benak menyangkuti kebenaran.
Hidup, yang dipelajari, ditekuni
mewadahkan hikmah menyeluruh
menutup segala sangsi diri
di sejadah, menunduk di bawah langit.
Setiap waktu yang terbuka
kecewa dilegakan dengan pasrah
pada detik yang tertutup
derap langkah membasuh pengalaman.
Pada banyak keadaan
berkias untuk mencari hikmah
sunyi dan bising gelora hati
jalan dicari, melegakan hakikat.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Penutup
Setiap genre mempunyai bentuk dan ciri-ciri yang tersendiri.
Kesusasteraan Melayu moden semakin rancak dan berkembang
dengan adanya hasil karya yang dicetak dan dipasarkan. Selain itu,
galakan pihak pemerintah dan penerbitan swasta telah memperbanyak
hasil-hasil karya diterbitkan. Selain bentuk buku, hail karya diterbitkan
secara eceran dalam akhbar mingguan, majalah dan keluaran lain.
Pada masa kini, kesusasteraan semakin berkembang dengan penerbit
alam maya melalui web dan blog.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
5
PERBINCANGAN KARYA SASTERA
Pendahuluan
Perbincangan karya sastera yang dimaksudkan di sini adalah
mengenal pasti aspek-aspek yang terdapat pada keseluruhan karya
secara umum dan secara mendalam. Selain aspek luaran yang dilihat,
aspek dalaman seperti falsafah dan pemikiran juga diberi perhatian.
Sesebuah karya lahir bukan hanya bersifat luaran tetapi juga diselitkan
kiasan yang bertujuan untuk mematangkan daya fikir pembaca,
mengaitkan dengan realiti kehidupan juga bertindak sebagai kiasan
dan sindiran kepada masyarakat. Secara umum aspek perbincangan
ini juga dilihat sebagai kajian struktur karya, walaupun terdapat
sesuatu yang tidak dianggap struktur, yang dimaksudkan sebagai
bersifat dalaman itu.
Struktur karya prosa dan puisi merupakan kajian dalam
pendidikan Kesusasteraan dan Bahasa Melayu. Secara asasnya,
struktur melihat unsur-unsur yang membina sesebuah karya tersebut
secara luaran atau tersurat. Namun ada juga yang mengkaji dari sudut
dalaman atau yang tersirat. Namun begitu tidak semua struktur
tersebut lengkap dan memenuhi setiap satunya. Struktur bergantung
pada karya tersebut. Misalnya dalam cerpen ada tema, ada nilai dan
pengajaran dan watak dan perwatakan. Struktur dan ciri-ciri tersebut
ada persamaan dengan puisi namun tidak semuanya seperti watak
dan plot tidak banyak ditemui atau tiada langsung dalam sebuah puisi.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Antara struktur karya (termasuk yang bersifat dalaman) yang
kerap dikaji dan dibincangkan adalah:
1. Sinopsis
2. Tema dan persoalan
3. Watak dan Perwatakan
4. Plot
5. Latar
6. Sudut Pandangan
7. Nilai dan Pengajaran
8. Biografi Penulis
9. Pemikiran dalam Karya
Sinopsis
Sinopsis adalah huraian ringkas atau pendek yang memberi gambaran
akan keseluruhan karya. Sinopsis juga sebagai ringkasan tentang
perkara penting dalam buku atau disertasi atau sesuatu perkara.
Dalam pengkajian dan ulasan sastera, sinopsis wajar diberikan agar
para pembaca dapat mengetahui keseluruhan cerita atau perkara yang
ingin disampaikan oleh pengarang atau penulis. Bagi cerpen, novel
dan drama, sinopsis selalu dibawakan dengan mengikuti pergerakan
dan cabaran yang dilalui oleh watak utama ataupun latar utama dalam
cerita tersebut. Sinopsis hanya dapat diberikan dengan membaca
karya tersebut hingga selesai. Bagi puisi, dinamakan ‘maksud’ bagi
keseluruhan sajak atau rangkap demi rangkap.
Tema dan Persoalan
Tema adalah gambaran tentang gagasan, fikiran atau persoalan pokok
yang menjadi tunjang sesebuah cerita atau persoalan utama yang
diutarakan atau dikemukakan oleh pengarang sesebuah karya
ataupun isi atau inti pemikiran yang ingin disampaikan. Tema tidak
akan dapat dikesan hingga setelah tamat membaca keseluruhan karya
tersebut.
Contohnya novel Anak Din Biola bertemakan ketabahan hati
seorang anak yatim untuk memenuhi wasiat ayahnya agar dia menjadi
penggesek biola yang terkenal. Novel Pahlawan Pasir Salak pula
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
bertemakan perjuangan orang-orang Melayu menentang campur
tangan Inggeris dalam urusan pungutan cukai.
Persoalan adalah perkara-perkara lain atau sampingan yang
ingin dikemukakan oleh pengarang bagi memantapkan tema dalam
sesebuah karya ataupun isi-isi sampingan yang membentuk idea
dalam karya.
Contohnya persoalan- persoalan dalam novel Anak Din Biola;
i. Kesungguhan anak yatim yang berusaha untuk memenuhi
wasiat, amanat dan impian arwah ayahnya. Hal ini
digambarkan melalui watak Budiman yang tekun belajar
muzik sehingga berjaya.
ii. Sikap belas kasihan terhadap nasib yang dialami atau
menimpa diri anak-anak yatim seperti yang ditunjukkan oleh
Datin Seri Norbayu yang membimbing Budiman dalam
bidang muzik.
Contoh lain persoalan-persoalan dalam novel Pelari Muda pula
adalah;
i. Orang yang rajin berusaha akan berjaya. Kamarul gigih ingin
menjadi seorang atlet yang berjaya satu hari nanti.
ii. Tanggungjawab seorang guru untuk masa hadapan
muridnya. Sikap ini ditunjukkan oleh Cikgu Zainal yang mula
mengesan bakat Kamarul sebagai atlet.
iii. Jurulatih yang tegas melahirkan atlet yang berjaya. Ini
dibuktikan dengan sikap dan ketegasan Encik Kadir demi
kejayaan atlet di bawah kendaliannya.
Watak dan Perwatakan
Watak ialah pelaku dalam sesebuah karya atau tokoh dalam cerita atau
pendukung atau pelakon yang memainkan peranan bagi
menggerakkan atau menghidupkan sesebuah cerita dalam sesebuah
karya.
Watak protagonis ialah pelaku utama yang menghidupkan cerita
dalam sesebuah karya atau watak yang memainkan peranan paling
penting, iaitu watak dasar atau watak pusat yang mempunyai peranan
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
utama dalam cerita watak utama yang berperanan penting dalam
sesebuah cerita dan menggerakkan keseluruhan cerita atau drama.
Watak Antagonis pula adalah watak yang memainkan peranan dalam
sesebuah karya yang menentang pelakon atau watak utama. Selain itu
terdapat watak pembantu dan watak sampingan yang turut bersama-
sama watak utama yang bertujuan untuk menggerakkan cerita,
menimbulkan konflik dan membantu menyelesaikan masalah dalam
penceritaan.
Berikut diberikan contoh watak dan perwatakan dalam cerpen
“Oren” karya Saifullizan Yahya.
Watak Perwatakan
Watak Utama/
Protagonis
i. Ayah Seorang ayah yang kepada tiga orang
anak.
Bersikap prihatin
- Ayah terlanggar ibu Oren semasa
dalam perjalanan pulang dari
pejabat. Ayah merasa bersalah
lalu membawa anak kucing itu
pulang ke rumah.
Bertanggungjawab
- Ayah seorang yang
bertanggungjawab kerana
menjaga keselamatan dan
kebajikan kucing-kucing yang
dipeliharanya.
Penyayang
- Setiap petang ayah membelai-
belai bulu kucing kesayangannya.
Watak Anak pertama dalam keluarga. Dia
Sampingan mempunyai dua orang adik iaitu Azura
ii. Aku dan Anis.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
iii. Oren Bersikap prihatin
- Sentiasa memberi perhatian
kepada kucing-kucing yang
dipeliahra oleh keluarganya. Risau
setelah mendapati Oren hilang.
Berfikiran matang
- Memahami keadaan ayahnya dan
berusaha untuk menjaga hati
ayahnya.
Seekor kucing yang kehilangan ibu.
Nama Oren diberi bersempena dengan
warna bulunya.
Pandai membawa diri
- Tidak menunjukukkan sifat manja
kepada tuannya dan mengalah
dengan Kelabu, iaitu kucing
baharu yang dibela oleh keluarga
Ayah.
Cepat merajuk
- Oren berasa tersisih dan tidak lagi
disayangi oleh keluarga Ayah.
Plot
Plot ialah rentetan peristiwa yang timbul kesan daripada sebab dan
akibat. Plot juga merupakan siri sebab dan akibat ini dikumpulkan
dalam sesuatu cerita menjadi plot. Bilangan plot bergantung kepada
panjang atau pendek sesebuah cerita. Plot yang biasa terbahagi
kepada lima iaitu:
1. Permulaan (juga disebut Pengenalan)
2. Perkembangan
3. Perumitan (atau Konflik)
4. Klimaks (Kemuncak atau Kegetiran)
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
5. Peleraian (Penyelesaian, Pengakhiran dan Penamat)
Namun demikian, terdapat karya sastera yang tidak mengikuti
plot secara susunan tersebut. Terdapat banyak cara yang digunakan
oleh pengarang dalam menyampaikan cerita. Hal ini antaranya
menggunakan teknik imbas kembali (flashback), teaser (menunjukkan
aspek getir atau suspens dalam cerita), bayangan masa hadapan dan
lain-lain.
Teknik plot ialah cara plot dibina untuk mewujudkan cerita yang
menarik dan tidak membosankan. Ada banyak teknik yang digunakan,
antaranya imbas muka (perkara yang diangan-angankan), pemerian
(penceriaan yang terperinci tentang sesuatu), suspens (mencetuskan
perasaan ingin tahu pembaca), kejutan, dialog, monolog luaran dan
monolog dalaman.
Berikut diberikan plot dalam cerpen “Annyss Sophillea” karya
Nisah Haron sebagai contoh. Semua peristiwa dalam cerpen ini
disusun secara kronologi (turutan):
- Annyss pergi ke bumi untuk mencari kembarnya dan mengenali
penduduk bumi , Akmal.
- Annyss balik ke Asltonia menaiki eustary setelah memberikan
kalung kenangan kepada Akmal
- Sampai di Asltonia, Annyss terus ke kubur ibu bapanya dan
berjanji untuk mencari Eryique
- Pada masa itu juga Strenn telah muncul dan mahu Annyss
menjadi isterinya yang telah merampas kuasa Alstonia.
- Annyss telah menolak kemahuan Strenn dan mengertak Strenn
bahawa dia telah menemui Eryique dan akan membawa
kembarnya ke istana.
- Annyss telah pergi ke Pinggir Rimba Besar Asltonia dan di situ
dia bertemu Akmal yang datang dari bumi bersama eustary
yang di serunya.
- Mereka berdua telah memasuki terowong rahsia dan di hujung
terowong itu terdapat sebuah bilik kurungan dan mereka
meneemui Eryique di situ.
- Strenn telah datang bersama konco-konconya. Eryique masih
ingat lagi Strenn telah menculiknya dan menyembunyikannya di
bilik kurungan pada malam dia ditabalkan menjadi Maharaja
Alstonia.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
- Berlaku pertarungan diantara Strenn dan Eryique. Pada ketika
Akmal melihat Eryique semakin lemah , dia telah mengeluarkan
pistol dan menembak Strenn.
- Annyss dan Eryique telah berpadu tenaga dengan meletakkan
tangan mereka di dada Akmal. Cahaya biru meresap ke dalam
tubuh Akmal lalu Akmal terselamat.
Bagi mengembangkan plot ini, pengarang telah menggunakan
teknik plot, contohnya;
i. Teknik dialog
“Apa yang kau mahu datang ke sini?” tegas Annyss.
“Sekadar bertanya khabar”
“Kalau itu yang kau inginkan, khabarku masih baik.”
ii. Teknik suspens
Mendorong untuk pembaca membaca cerita berkenaan.
Contohnya; Pembaca ingin tahu Annyss Sophillea menunaikan wasiat
untuk mencari Eryique ataupun tidak. Dapatkah Annyss menemui
Eryique yang hilang tiba-tiba? Siapakah di antara Eryique dan Strenn
yang akan menang di dalam pertarungan tersebut?
iii. Teknik kejutan
Teknik yang tanpa disangka-sangka oleh pembaca di dalam cerpen
tersebut, contohnya;
Pada awalnya pembaca menyangka Eryique adalah tunang kepada
Annyss tetapi sebaliknya adalah kembar Annyss.
Akmal menembak Strenn walaupun dia tahu di Alstonia tidak boleh
mencederakan orang lain.
Akmal tidak mati kerana Annyss dan Eryique telah bersatu
menyelamatkannya.
Latar
Latar adalah keterangan atau gambaran persekitaran yang berkaitan
atau yang meliputi perihal masa, tempat, masyarakat atau suasana
yang terjadinya sesuatu peristiwa dalam sesebuah karya yang
dihasilkan. Secara umum latar dibahagikan kepada tiga iaitu latar
tempat, latar masa dan latar masyarakat. Menurut S. Othman Kelantan
(1987) latar ialah tempat seperti desa atau kota, kamar, rumah dan
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
sebagainya untuk dijadikan ruang bagi watak-watak bergerak dan
berpijak. Latar juga mencakupi persekitaran, suasana, masa dan
pemikiran watak dan berfungsi untuk menjelaskan sifat realiti
masyarakat.
Ali Ahmad (1989) pula mengatakan, latar sebagai latar belakang
seperti tempat dan masa, di mana aksi-aksi atau peristiwa itu berlaku.
Bukan latar belakang yang lahir sahaja seperti latar belakang sebuah
kampung dan sebagainya yang perlu dimasukkan, tetapi juga unsur-
unsur batin seperti keadaan jiwa penduduk-penduduk kampung
tersebut. Hashim Awang (1984) mendefinisikan latar sebagai latar
belakang sesebuah cereka. Latar juga merujuk kepada waktu dan
tempat berlakunya sesuatu yang melibatkan watak-watak.
Latar Tempat
Mana Sikana (1986) menjelaskan bahawa latar tempat sesuatu
kejadian atau peristiwa itu berlaku, seperti desa terpencil, sebuah
kampung yang sudah menerima kemudahan moden, bandar, pekan
dan sebagainya. Antara latar tempat yang terdapat dalam novel Julia
ialah :
i. Dalam kapal terbang
- Penerbangan kami, MH 125 menggunakan Boeing 777.
Pesawat yang pernah mencipta sejarah pada 2 April 1997,
terbang sejauh 10 823 batu nautika dari Seattle ke Kuala
Lumpur. Aku duduk di tempat duduk 39J dan mama di tempat
duduk 39K bersebelahan dengan tingkap.
ii. Kawasan rumah di Perth Australia
- Angin dingin musim bunga menderu apabila aku keluar dari
rumah dan tercegat di depan - - Rumah Pak Cik Khairil pada
pagi yang bersejarah buatku.
iii. Dalam Kelas Hidayah Islamic College di Hawksburn Road,
Rivervale.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Latar Masa
Latar masa pula menunjukkan bila peristiwa itu berlaku. Ia merujuk
kepada zaman, era, sejarah dan musim. Secara khusus pula mungkin
berlaku pada waktu pagi, petang, malam, jam dua belas malam, subuh,
tahun silam, bulan lalu, baru seminggu, dan esok atau lusa (Othman
Puteh, 1993).
i. Waktu Pagi
- 9.35 pagi – Boeing meluncur laju di landasan meninggalkan Kuala
Lumpur.
- Ketika sesi perbincangan, pengetua muncul di pintu kelas dan
memanggil Sister Fatimah.
ii. Waktu Petang
- Julia menghadiri perbincangan dengan pengurusan BMPRO
Catering.
- Selepas check-in di hotel dan menunaikan solat, Julia dan
pekerjanya yang lain pergi ke
utara melalui Lebuh Raya Jitra-Bukit Kayu Hitam.
iii. Waktu Malam
- Ketika mama Julia tidak jadi keluar mengikut Pak Cik Khairil ke
pusat seperti yang
dirancangkan olehnya siang tadi.
- Ketika Julia berasa dunianya kosong kerana kawan-kawan yang
sama-sama melepak,
bermotor, -ronda-ronda sudah membawa diri meninggalkannya.
Latar Masyarakat
Latar masyarakat ialah latar yang memberi gambaran tentang keadaan
masyarakat di tempat sesuatu kejadian atau peristiwa itu berlaku. Ini
termasuklah gambaran tentang keadaan cara hidup mereka, cara
mereka berfikir, cara mereka bermasyarakat dan sebagainya yang
memperlihatkan keseluruhan peribadi manusia-manusia di situ
(Hashim Awang, 1984). Antara latar masyarakat yang terdapat dalam
novel Julia;
i. Latar masyarakat korporat yang sibuk dengan aktiviti-
aktiviti perniagaan.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
- Datuk Bakar dan Datin Maznah pemilik BMPRO Holding Sdn. Bhd.
dan beberapa buah anak syarikat yang sentiasa sibuk dengan
urusan perniagaan.
ii. Masyarakat remaja yang menghadapi masalah keruntuhan
akhlak berpunca daripada masalah keluarga.
- Julia terlibat dengan pergaulan bebas berpunca daripada sikap
mama yang tidak mempunyai masa untuk memberikan kasih
sayang dan perhatian kepadanya.
iii. Masyarakat yang mementingkan pendidikan agama.
- Julia telah dihantar ke Hidayah Islamic College, Perth, Australia
oleh orang tuanya untuk mendapat pendidikan agama di sana.
iv. Masyarakat yang mementingkan agama dalam kehidupan.
- Julia telah insaf selepas mendapat pendidikan agama, amat kuat
berpegang pada agama. Bagi Julia, pergaulan antara lelaki dan
perempuan mestilah dibatasi oleh batasan agama.
Sudut Pandangan
Sudut pandangan adalah cara seseorang pengarang
mempersembahkan cerita kepada pembaca. Sudut pandangan dalam
sesebuah cerita dapat menjelaskan bagaimana cara seseorang
pengarang itu mengisahkan ceritanya. Dalam sesebuah cerita, ada
kalanya pengarang sendiri memainkan peranan sebagai watak, dan
ada kalanya pula pengarang hanya bertindak sebagai pencerita
sahaja, tanpa melibatkan dirinya dalam cerita tersebut. Melalui sudut
pandangan yang digunakan, pembaca akan mengetahui sejauh mana
pengarang itu menguasai peristiwa-peristiwa atau watak-watak yang
dipaparkannya dalam cerita. Secara ringkasnya sudut pandangan
dapatlah dikatakan sebagai pusat pengisahan sesebuah cerita.
Ismail Ahmad dalam buku Memahami Novel dan Cerpen,
memetik pendapat Thrall dan Hibbard, sudut pandangan ialah satu
cara pembaca dipersembahkan dengan bahan-bahan cerita atau
pandangan dari mana peristiwa-peristiwa di dalam sesebuah cerpen
atau novel diriwayatkan.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
M.H.Abraham dalam Glosary of Literary Terms sudut
pandangan ialah soal mengenai perkataan siapakah atau fikiran
siapakah yang sedang kita baca apabila kita membaca sebuah sajak
atau satu cerita. Danziger, dalam An Introduction to Literary Criticism
mengatakan sudut pandangan adalah hubungan pengarang kepada
karyanya. Menurut Anwar Ridhwan dalam Sudut Pandangan Dalam
Cereka, sudut pandangan adalah satu istilah yang digunakan dalam
analisa dan kritikan cereka untuk menerangkan cara bagaimana
pembaca dihidangkan dengan bahan cerita, atau bagaimana
pengarang memilih cara terbaik untuk mengemukakan ceritanya.
Menurut Othman Puteh dalam buku Penulisan Cerpen Visi dan
Langgam menjelaskan betapa pentingnya memilih sudut pandangan
cerita. Sebelum menulis, pengarang perlu bertanya dirinya tentang hal
yang berikut:
i. Siapakah watak dalam cerita yang mempunyai banyak
masalah atau konflik yang hebat?
ii. Penderitaan, emosi, penghayatan watak yang manakah
yang berupaya mengheret atau menghanyutkan emosi
pembaca?
iii. Cerita watak siapakah yang akan dipaparkan?
Terdapat empat sudut pandangan dalam penulisan karya
sastera iaitu;
1. Sudut Pandangan Orang Pertama
2. Sudut Pandangan Orang Ketiga Terbatas
3. Sudut Pandangan Orang Ketiga Serba Tahu
4. Sudut Pandangan Orang Ketiga Objektif
Sudut Pandangan Orang Pertama menggunakan ‘aku’ atau ‘saya’
sebagai pencerita. Pencerita adalah watak yang terlibat dalam cerita,
mungkin watak utama, watak sampingan atau watak pemerhati.
Pencerita berada dalam lingkungan cerita, dapat menceritakan fikiran
dan perasaan dirinya sahaja, tetapi tidak boleh watak-watak yang lain.
Sudut Pandangan Orang Ketiga Terbatas (juga disebut Sudut
Pandangan Aliran Kesedaran) memperlihatkan pengarang sebagai
pencerita tetapi tidak menceritakan semua peristiwa atau watak seperti
yang dilakukan oleh pencerita dalam sudut pandangan ketiga serba
tahu. Pengarang hanya memilih watak-watak tertentu sahaja dan
penceritaan bertumpu kepada watak tersebut. Watak yang dipilih
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
diceritakan dengan jelas dan terperinci manakala penceritaan terhadap
watak-watak lain adalah terhad dan terbatas.
Sudut Pandangan Orang Ketiga Serba Tahu seperti seseorang
pengarang itu melihat dari mata burung (bird view). Pengarang
mengetahui pergerakan semua watak dan isi hatinya. Melalui sudut
pandangan ini, pengarang bebas menentukan pergerakan watak,
perjalanan cerita dan membuat keputusan bagi watak.
Sudut Pandangan Orang Ketiga Objektif pula memperlihatkan
pengarang sebagai pencerita, hanya dapat menceritakan apa-apa
yang dilihat atau didengarnya sahaja tentang sesuatu watak atau
peristiwa dalam cerita. Sudut pandangan jenis ini didapati pengarang
bertindak sebagai pelapor atau pencatat terhadap keseluruhan
pergerakan cerita. Oleh sebab pengarang tidak memerihalkan setiap
watak atau peristwa secara terperinci, maka pembaca akan dapat
membuat tafsiran sendiri tentang watak atau peristiwa yang
dipaparkan dalam cerita.
Contoh Sudut Pandangan Orang Ketiga dalam novel Restu
...Pak Usop memang tenang orangnya. Wataknya cukup
menarik menurut tafsiran lkram. Pak Usop tidak pernah
membiarkanperasaan marahnya meliarketerlaluan. Kalau pun dia
dimarahi oleh ahli-ahli Persatuan Peladang yang tidak berpuas hati,
Pak Usop cuma menjawab dengan senyuman. Senjata yang paling
ampuh pada dirinya ialah kekuatan hatinya dalam mengawal api
kemarahan. Pak Usop memang seorang yang warak. Sikap tenang
dan sabar yang dimilikinya adalah hasil daripada sifat warak dan
takwanya kepada Allah... (hlm. 70)
...lkram terus menunggu seorang diri dengan sabar. Lori
persatuan yang dinanti tidak juga kunjung tiba. Senja terus merangkak
pergi... Suasana sekitar tempat menanti itu semakin kelam... Ikram
cekalkan hati. Dia mesti terus menunggu di tepi jalan besar itu seorang
diri. Malam semakin gelap. Bulan sabit sudah muncul di kaki
Iangit...Ikram masih duduk terbatuk seorang diri di tepi longgokan buah
nanas bawah pokok rambai ... (hal. 114)
Dalam novel Restu, Sudut Pandangan Orang Ketiga Terbatas
terdapat dalam perkembangan plot yang membabitkan kejadian-
kejadian imbas kembali Ikram yang diceritakannya kepada Jalil, iaitu
bermula pada bab 4 hingga bab 18. Walaupun peristiwa-peristiwa dan
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
bab 4 hingga bab 18 adalah cerita kisah kehidupan Ikram adalah cerita
kisah kehidupan Ikram dan keluarganya sejak mula pindah ke Penarik
Hulu sehingga Ikram berpindah ke Johor Bahru diceritakan oleh watak
Ikram kepada Jalil, tetapi pengarang tidak menggunakan sudut
pandangan orang pertama bercerita ganti nama diri orang pertama
yang merujuk diri lkram sebagai pencerita dalam cerita imbas kembali
ini secara langsung. Pengarang masih menggunakan sudut
pandangan orang ketiga memberi kebebasan kepada watak utama
untuk berinteraksi, beraksi dan berfikir sendiri
Nilai dan Pengajaran
Nilai adalah segala perbuatan, perlakuan atau tindakan yang bermutu,
berdarjat, bertaraf atau elok yang harus dijadikan contoh dan teladan.
Nilai yang diambil dalam sesebuah karya adalah nilai murni ataupun
nilai moral. Nilai murni adalah nilai yang baik yang sepatutnya dicontohi
seperti hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, kejujuran,
kebersihan fizikal dan mental, kesyukuran, bertanggungjawab, tolong-
menolong, semangat bermasyarakat, nasionalisme dan lain-lain. Nilai
murni merupakan perkara penting sebagai penyerapan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.
Nilai ini biasanya dikaitkan dengan watak dan yang diutamakan
adalah nilai yang positif manakala nilai negatif pula dijadikan sebagai
pengajaran. Pengajaran yang terdapat dalam karya sastera adalah
seperti mesej, amanat, atau peringatan yang berupa pedoman yang
hendak disampaikan oleh pengarang. Nilai murni pula terbahagi
kepada nilai kemanusiaan dan nilai kemasyarakatan. Secara tidak
langsung, nilai-nilai dan pengajaran ini dapat membentuk sahsiah yang
baik pada diri pelajar yang membaca karya sastera. Kefahaman nilai
dan selok-belok kehidupan yang patut dicontohi, digunakan dan
dilaksanakan secara bijaksana dan bermakna.
Perbincangan berikut adalah berdasarkan nilai murni dalam
karya. Diberikan beberapa contoh daripada cerpen “Budi yang Tak
Terbeli” karya Khadijah Hashim:
i. Bertanggungjawab
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
- Kesanggupan diri seseorang untuk memikul dan melaksanakan
tugas serta kewajipan dengan sempurna.
ii. Kerajinan
- Usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan,
kecekapan, kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam
melakukan sesuatu perkara. Jemah rajin mengusahakan hasil
pertanian dan tidak tahu duduk diam.
iii. Tolong-menolong
- Membantu dengan wang, tenaga, fikiran dan lain-lain. Timah
sanggup menunggu rumah Jemah dan menjaga ayam itik
Jemah semasa Jemah pergi ke rumah Murni.
iv. Hemah tinggi
- Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan
seharian. Sifat ini dimiliki oleh Murni yang berusaha
menggembirakan ibunya dan dalam masa yang sama tidak
mahu suaminya tersinggung.
v. Kesederhanaan
- Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan
tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan@ perlakuan
tanpa mengabaikan kepentingan diri orang lain. Walaupun
mempunyai wang, tetapi Jemah lebih selesa hidup dalam
kesederhanaan.
Pengajaran pula nilai yang menyarani individu atau yang
mengajar manusia supaya berbuat sesuatu yang baik, yang disenangi
dan yang diterima oleh setiap anggota masyarakat dan agama dan
meninggalkan apa sahaja yang bertentangan dengan kehendak
masyarakat. Pengajaran adalah sesuatu yang menjadi didikan atau
teladan kepada pembaca setelah selesai membaca sesebuah karya.
Pengajaran dalam sesebuah novel atau cerpen mahupun puisi dapat
dikesan dan dinilai melalui tindakan atau aksi seseorang watak
ataupun kumpulan-kumpulan watak tertentu.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Berikut adalah beberapa pengajaran diambil daripada novel
Putera Gunung Tahan;
i. Kita hendaklah cinta akan tanah air. Kita hendaklah sedar
bahawa sebagai warganegara, kita mesti mempertahankan
tanah air daripada dijajah.
- Pengajaran ini terpancar pada watak perempuan tua dan Ratu
Bongsu. Perempuan tua pernah berjuang bersama dengan
pahlawan Melayu Pahang yang terbilang menentang penjajah.
Malah, perempuan tua berhijrah ke kaki Gunung Tahan kerana
tidak mahu dirinya dijajah Inggeris. Ratu Bongsu pula sanggup
mati kerana mempertahankan puncak Gunung Tahan. Baginda
menolak mentah-mentah tawaran lumayan Tuan William
supaya menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada Inggeris.
Ratu Bongsu beranggapan bahawa keruntuhan moral
masyarakat melayu adalah akibat daripada pengaruh dan
pemerintahan Inggeris.
ii. Kita hendaklah berani untuk mempertahankan hak kita.
- Keberanian di sini merujuk kepada pahlawan-pahlawan Melayu
menentang Inggeris seperti Bahaman, Mat Gajah dan Mat Kilau.
Perempuan tua tidak berasa gentar sedikit pun ketika
menghadapi Tuan Robert yang tamak dan sombong. Malah
perempuan tua berjaya mengajar Tuan Robert supaya mengikut
adat perkahwinan orang sakai. Ratu Bongsu pula berani
berhujah dengan Tuan William. Ratu Bongsu berjaya
menunjukkan bukti bahawa orang Inggeris banyak membawa
keburukan kepada orang Melayu.
iii. Kita hendaklah menanamkan sifat berkasih sayang.
- Sifat kasih sayang ini terpancar pada watak perempuan tua
yang bimbang akan keselamatan anaknya, Ratu Bongsu.
Perempuan tua bimbang akan niat jahat Tuan William kepada
Ratu Bongsu dan menasihatinya supaya berhati-hati terhadap
Tuan William kerana Tuan William adalah penjajah. Sifat
penyayang Ratu Bongsu pula dapat dilihat dengan jelas ketika
Ratu Bongsu jatuh cinta kepada Mem William. Cinta Ratu
Bongsu itu adalah oleh Mem William. Hal ini membuktikan
bahawa kasih sayang sebenarnya tidak dapat dibatasi oleh
perbezaan bangsa dan keturunan. Keadaan ini bersamaan pula
dengan keadaan orang bunian yang sayang akan Ratu Bongsu.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
iv. Kita hendaklah berfikiran secara bijaksana sebelum
membuat keputusan.
- Nilai bijaksana ini terpancar melalui tindak-tanduk Ratu Bongsu.
Ratu Bongsu berpura-pura tidak mengetahui kehadiran kapal
terbang yang berlegar di ruang udara puncak Gunung Tahan.
Tindakan ini bertujuan mengelakkan rasa curiga Tuan William.
Dalam masa yang sama Ratu Bongsu mengarahkan rakyatnya
yang terdiri daripada orang bunian supaya bersembunyi dan
tidak menjelma. Sebagai kesannya, semua orang bunian
selamat dalam serangan itu. Sebaliknya Tuan William mati
akibat menyedut gas beracun. Kematian Tuan William ini
berpunca daripada kebijaksanaan Ratu Bongsu juga yang
mengarahkan Kusina mengurung Tuan William di dalam bilik di
istana. Tuan William tidak menyangka bahawa dirinya akan
terkorban akibat daripada serangan yang dirancangkan
olehnya sendiri.
v. Kita hendaklah mempunyai sifat-sifat belas kasihan
terhadap orang lain.
- Kumpulan orang Sakai menolong perempuan tua kerana
bersimpati dan berasa belas kasihan kepadanya. 3o tahun
dahulu perempuan tua telah ditinggalkan oleh kawan-kawannya
di dalam hutan seorang diri. Ketika itu, perempuan tua sakit
hendak bersalin. Selepas bersalin, sekumpulan orang Sakai
datang membantu. Mereka membawa perempuan tua ke
perkampungan mereka dan di situlah perempuan tua menetap.
Kumpulan orang Sakai ini mempunyai perasaan belas kasihan
jika dibandingkan dengan perasaan kawan-kawan perempuan
tua yang lebih mementingkan diri sendiri.
vi. Kita seharusnya mempunyai pendirian yang tegas.
- Pendirian perempuan tua terhadap penjajah Inggeris tetap tidak
berubah. Perempuan tua tidak mahu menyerahkan kulit
harimau putih kepada Tuan Robert walaupun Tuan Robert
amat ingin memilikinya. Bagi perempuan tua, Tuan Robert amat
tamak. Ratu Bongsu pula bertekad untuk mempertahankan
puncak Gunung Tahan meskipun tawaran Tuan William amat
lumayan. Ratu Bongsu tidak terpengaruh pada wang lima ribu
ringgit sebulan dan sebuah istana. Ratu Bongsu tetap tidak
akan menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada Tuan
William. Cintanya kepada tanah air tetap tidak berubah.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
vii. Kita hendaklah taat kepada agama.
- Perempuan tua mempertahankan agama islam dengan cara
menolak ajaran agama Kristian yang disyorkan oleh Tuan
William. Kegiatan dakwah yang dijalankan oleh perempuan tua
turut menunjukkan ketaatannya kepada Allah yang Esa.
Perempuan tua mengajar perempuan-perempuan sakai tentang
Tuhan yang wajib disembah dan Nabi Muhammad sebagai
pesuruh-Nya yang terakhir. Walaupun perempuan tua hidup
seorang diri di tengah-tengah masyarakat Sakai yang
menyembah pokok, batu, busut dan sebagainya, pegangan
agamanya tetap tidak berubah.
viii. Dalam kehidupan bermasyarakat kita hendaklah sentiasa
nasihat-menasihati antara satu sama lain.
- Perempuan tua menasihati Tuan Robert supaya tidak bertindak
mengikut perkahwinan hawa nafsu, sebaliknya hendaklah
mengikut adat istiadat perkahwinan orang Sakai. Perempuan
tua menasihati Ratu Bongsu supaya hati-hati terhadap Tuan
William dan tidak terlalu percaya kepada Tuan William kerana
Tuan William adalah orang dagang. Ratu Bongsu menasihati
Tuan William supaya menulis surat kepada isterinya.
ix. Kita janganlah tamak akan harta keduniaan semata-mata
sehingga mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.
- Tuan William tamak kerana hendak menawan puncak Gunung
Tahan sehingga dirinya terkorban dalam nahas serangan yang
dirancang olehnya sendiri.
x. Kita janganlah mudah terpengaruh dengan cara hidup Barat.
- Contohnya, ada orang Melayu yang bergaul bebas tanpa batas
di rumah “penglipur lara”. Tuan William dapat melihat
kecurangan isterinya bersama seorang pemuda ketika dia tiada
di rumah melalui Teropong Terus milik Ratu Bongsu. Sebagai
seorang isteri kita hendaklah setia kepada suami kita dan
jangan melakukan kecurangan terhadap suami ketika
ketiadaannya di rumah.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Pemikiran dalam Karya
Pemikiran adalah sesuatu yang berada dalam pengetahuan,
pengalaman dan tanggapan seseorang. Dalam hal ini, pemikiran
dalam karya berkaitan dengan idea atau yang ingin dinyatakan oleh
seseorang. Hal ini dinyatakan secara terus terang, iaitu secara
tersurat. Namun demikian, terdapat juga yang disampaikan secara
simbolik, kiasan ataupun tersirat.
Pemikiran adalah proses mencari makna serta usaha untuk
mendapat sesuatu keputusan yang wajar. Namun demikian, dalam
karya kesusasteraan, pemikiran juga dikaitkan dengan falsafah
sebagai ilmu yang dapat memberi manfaat kepada khalayak. Ilmu ini
di dalamnya terkandung kebenaran untuk berfikir dan menyelidik ke
dasar ilmu itu, pengajaran yang diperoleh bukan sahaja sebagai
pengetahuan tetapi juga perlu dipraktikkan.
Berpandukan teori kesusasteraan, aspek pemikiran dianggap
sebagai kajian instrinsik atau bersifat dalaman. Aspek ini bersifat
mencapah dan boleh diaplikasi menggunakan teori lain dalam
pengkajian teks sastera, antaranya teori semiotik, teori resepsi
mahupun teori tempatan seperti Pengkaedahan Melayu, Persuratan
Baru, Takmillah dan lain-lain. Namun demikian, aspek pemikiran wajar
disentuh dan diberi perhatian memandangkan bahawa hasil karya
kesusasteraan lahir daripada masyarakat daripada renungan dan
pengalaman para pengarang.
Falsafah dan pemikiran diertikan sebagai ilmu yang dapat
memberi manfaat kepada khalayak. Ilmu ini di dalamnya terkandung
kebenaran untuk berfikir dan menyelidik ke dasar ilmu itu, pengajaran
yang diperoleh bukan sahaja sebagai pengetahuan tetapi juga perlu
dipraktikkan.
Shahnon Ahmad (1995), menyatakan: “Manusia dalam karya-
karya mereka lebih memperlihatkan kerapatan komunikasi antara
manusia dengan manusia sahaja untuk bertemu dan meleraikan
keperihalan yang bermasalah.” Berdasarkan petikan tersebut,
seseorang pengarang menggunakan saluran karya sastera untuk
menyampaikan pemikirannya sebagai saluran komunikasi kepada
pembaca.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Pemikiran dalam karya adalah sesuatu idea yang bernas yang
disampaikan oleh pengarang. Pemikiran dapat dikesani secara tersirat
atau tersurat. Sesebuah karya yang baik mempunyai pemikiran yang
bernas, ada falsafah, ada kiasan dan sindiran. Contoh mudah melihat
pemikiran seperti kisah Perlumbaan Arnab dan Kura-kura,
pemikirannya adalah sindiran bahawa yang kuat tidak semestinya
menang dan hebat selama-lamanya. Dalam karya yang bermutu,
unsur pemikiran menjadi perkara yang dibincangkan.
Pemikiran juga berkait dengan bidang tertentu seperti politik
dalam masyarakat (termasuk perihal sosiopolitik), kebudayaan,
antropologi, pendidikan, ekonomi dan juga warisan seni, sejarah dan
sebagainya. Pemikiran juga dapat dikesan dari sudut prinsip
keagamaan, nilai moral, ideologi, patriotisme dan jantina (contohnya
semangat feminisme). Feminisme dalam karya ini dapat dikesani
dengan pembelaan terhadap watak wanita atau perempuan.
Mendalami aspek pemikiran pengarang dapat membina jati diri
pembaca dan pelajar khususnya agar menjadi individu yang
mempunyai ciri keperibadian yang unggul.
Falsafah dan pemikiran keagamaan contohnya diterapkan di
dalam novel Terminal 3, dengan cara pengarang mengajak pembaca
supaya sentiasa patuh kepada ajaran tuhan biarpun berada di mana
sahaja. Hal ini demikian kerana suruhan tuhan adalah kewajiban bagi
umat Islam. Watak Rimpa dan Bang Maily dilukiskan sebagai seorang
yang tidak pernah meninggalkan sembahyangnya walaupun di mana
sahaja mereka berada. Sewaktu di Terminal Tiga, apabila waktu solat
sudah tiba Rimpa tetap menunaikan solat biarpun dia berada di
terminal. Ketaatan kepada tuhan juga dapat dilihat pada watak Bang
Maily yang begitu khusyuk ketika menunaikan perintah tuhan.
Pengarang juga memaparkan falsafah kegigihan dan keyakinan
dalam diri watak untuk berjaya. Othman Puteh mengajak pembaca
supaya sentiasa gigih berusaha dalam hidup tanpa mengenal putus
asa selagi belum berjaya. Rimpa watak utama dalam novel ini biarpun
datang dari kawasan pedalaman Sabah tetapi berkat kegigihan,
kesabaran, keyakinan dan keberaniannya, dia berjaya melanjutkan
pelajaran ke Akademi Seni Kebangsaan. Biarpun berdepan masalah
kewangan dan tanggungjawab terhadap keluarga namun semua aral
itu tidak menghalang usahanya untuk berjaya mencapai cita-citanya.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Biografi Pengarang
Biografi merupakan riwayat hidup tidak kira sama ada pengarang itu
masih hidup atau telah meninggal dunia. Antara perkara yang perlu
dinyatakan dalam biografi penulis adalah nama sebenar, nama
samaran, tarikh dan tempat lahir, pendidikan, pekerjaan, hasil karya
yang telah dihasilkan dan kejayaan atau anugerah yang telah diterima.
Terdapat biografi yang ringkas dan sebaliknya. Biasanya dalam
biografi dipaparkan gambar pengarang atau sasterawan tersebut agar
dikenali khalayak pembaca.
Contoh dua biografi adalah seperti berikut:
i. Biografi Dr. Othman Puteh
Dr Haji Othman Puteh dilahirkan di Kampung Kuala, Kuala Sungai
Baru, Melaka pada 5 Januari 1944 dan meninggal dunia pada 19
Oktober 2003. Beliau mengikuti latihan perguruan di Maktab
Perguruan Sultan Idris (MPSI, 1963-1964). Beliau memperoleh Ijazah
Sarjana Muda Persuratan (1977), Ijazah Sarjana Sastera (1981) dan
Ijazah Doktor Falsafah (1992) dari Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM). Antara karya beliau adalah Matra, Tasik dan Laut (1984), Ario
(1988), Munajat di Perkebunan (1990), Jeneral (1992), Kalut (1997)
dan Terminal Tiga (1997).
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
ii. Biografi Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan
Anwar Ridhwan atau nama sebenarnya Anwar bin Rethuwan
dilahirkan di Sungai Besar, Selangor pada tahun 1949. Beliau
berkelulusan ijazah doktor falsafah dari Universiti Malaya. Antara
pencapaian beliau dalam bidang kesusasteraan termasuklah
memenangi hadiah Karya Sastera Malaysia, melalui cerpen
“Perjalanan Terakhir” (1971), “Dunia Adalah sebuah apartmen (1973),
“Sesudah Perang” (1976), “Sasaran”, “Sahabat”, dan “Menjadi Tua”
(1982/83). Novel Arus terpilih sebagai penerima Hadiah Sastera
Malaysia 1984/85. Kumpulan cerpen beliau, Naratif Ogonshoto terpilih
sebagai pemenang kategori kumpulan cerpen pada Hadiah Sastera
Perdana 2002/2003.
Selain itu, beliau turut memenangi hadiah pertama Hadiah
Novel GAPENA-Yayasan Sabah 1979 melalui novel Hari-hari Terakhir
Seorang Seniman. Novel ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Inggeris, bahasa Jepun dan bahasa Perancis. Cerpennya berjudul
“Dari Kijev ke Moskva” dinobatkan sebagai pemenang hadiah pertama
(utama) Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1992. Beliau merupakan
penerima SEA Write Award 2002 dan Sasterawan Negara ke-10 pada
tahun 2009. Kini bertugas di Akademi Seni Budaya dan Warisan
Kebangsaan (ASWARA).
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Penutup
Walaupun terdapat beberapa kaedah dalam menganalisis dan
mengulas sesebuah karya sastera, analisis dan perbincangan secara
struktur lebih menjadi perhatian. Perbincangan secara struktur lebih
memperlihat keseluruhan karya, melalui aspek yang membangunkan
sesebuah karya tersebut.
Dalam perbincangan struktural, aspek yang diberi perhatian
ialah tema, diikuti dengan persoalan-persoalan. Aspek-aspek lain
bergantung kepada fokus dan perhatian perbincangan ataupun
analisis. Aspek tersebut ialah watak dan perwatakan, plot, latar, sudut
pandangan, nilai dan pengajaran dan biografi pengarang. Aspek
pilihan pula yang wajar dibincangkan ialah pemikiran dalam karya.
Satu lagi aspek dalam karya yang sering dibincangkan adalah gaya
bahasa. Perbincangan gaya bahasa dihuraikan dalam bab berikutnya.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
6
GAYA BAHASA DALAM KARYA SASTERA
Pendahuluan
Hasil karya kesusasteraan sebagai komunikasi antara penulis dengan
khalayak pembaca dengan menggunakan bahasa. Tidak ada karya
sastera jikalau tidak ada bahasa. Ahli-ahli bahasa ingin menentukan
bahawa manipulasi bahasa yang menimbulkan kelainan-kelainan
dalam penggunaan bahasa hingga menjadi gaya-gaya tertentu dalam
sastera itu seharusnya tunduk kepada hukum-hukum kebahasaan,
khususnya hukum-hukum tatabahasa.
Oleh kerana sifat sastera itu senantiasa berkembang dan
berubah sejajar dengan perkembangan pemikiran dan perasaan
manusia yang diungkapkan dalam kesusasteraan itu maka bahasa
pengucapan itu pun berkembang dan berubah juga. Jika ilmu
pengetahuan melahirkan konsep-konsep dan istilah-istilah baharu, itu
akan menjadikan bahasa bertambah kaya dengan kata-kata baru,
maka idea, gagasan, pemikiran dan perasaan yang berkembang dan
berubah menyebabkan lahirnya pengucapan-pengucapan baru pula
dalam penyampaiannya melalui kesusasteraan. Dengan cara itu
kesusasteraan, seperti ilmu pengetahuan, ikut mengembangkan
bahasa tetapi lebih dari segi pengucapan daripada pertambahan kata-
kata.
Pengungkapan dalam sastera menimbulkan kelainan daripada
biasa yang teratur mengikut lunas struktur tatabahasa. Sarjana
sastera yang terus-menerus mengikuti perkembangan falsafah, aliran
fikiran yang berkembang dalam kalangan pembawa-pembawa fikiran
baru senantiasa merasa ada sesuatu yang mengikat mereka dalam
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
pernyataan atau mengucapkan pemikiran-pemikiran baru itu. Malahan
dirasakan yang mengikat itu ialah hukum-hukum tatabahasa. Hal ini
dapat dianggap suatu kekeliruan. Kekeliruan itu timbul kerana
pemahaman tentang manipulasi bahasa dipisahkan daripada
pemahaman tentang tatabahasa. Kadang-kadang pemikiran abstrak
dan absurd juga dapat menimbulkan kekeliruan ini kerana adanya asas
pemikiran yang menentang sesuatu yang mempunyai norma dan
aturan sehingga norma dan aturan tatabahasa juga dirasakan seperti
mengikat dan mengongkong.
Kajian Gaya Bahasa
Kajian terhadap teks sastera terbatas pada kelainan-kelainan bahasa
dalam hubungan dengan kehendak-kehendak tatabahasa di samping
kelainan-kelainan yang bersifat figuratif, iaitu penggunaan peribahasa,
bahasa kiasan, sindiran, ungkapan dan sebagainya, berubah kepada
kajian yang dianggap lebih objektif dan saintifik.
Secara stilistik, kajian terhadap teks sastera tidak lagi dari sudut
kebahasaan saja tetapi juga dari sudut isi yang disampaikan dengan
penggunaan bahasa itu. Ini disebut kajian bentuk dan kajian isi, yang
diandaikan sebagai apa yang diperkatakan (isi) dan apa cara
mengatakan (bentuk atau bahasa). Dengan stilistik pendekatan
terhadap kajian teks sastera meninggalkan cara pendekatan yang
subjektif dan impresionis dan memasuki cara baru yang lebih objektif
dan lebih saintifik.
Cara-cara linguistik moden seperti ciri fonologi, ciri sintaksis
(jenis sruktur ayat), ciri makna kata (yang padu dan yang abstrak,
kekerapan penggunaan kata nama, kata kerja, kata adjektif) dan juga
ciri-ciri bahasa yang bersifat figuratif (bahasa kiasan, gaya retorik,
peribahasa, ungkapan dan lain-lain), digunakan untuk mengenal
kesendirian atau kelainan karya tertentu, pengarang tertentu dan
zaman atau generasi tertentu. Juga digunakan ciri kesan tenaga
pengucapan dan isi dari erti dan makna. Terdapat penganalisis
menghubungkan ciri-ciri linguistik dan gaya untuk menyelusuri
kejiwaan pengarang atau caranya yang tersendiri memahami dunia
atau mengumpulkan pengalaman manusia. Juga ada yang
menghubungkan dengan fungsi serta kesan estetik dan emosi tertentu.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Bagaimanapun, akhirnya timbul pendapat bahawa kuasa
menentukan arah penggunaan bahasa khusus dalam kesusasteraan.
Ini terangkum dalam apa yang dinamakan autonomy of the aesthetic
(kuasa sendiri bagi estetik). Di dalam kesusasteraan Inggeris, terdapat
istilah poetic licence ialah satu lesen atau kebebasan yang diberikan
kepada seorang artis atau penulis untuk lari daripada unsur-unsur
sebenar atau fakta-fakta sebenar supaya hasil karya dapat mencapai
hasil yang dikehendaki. Segala kelainan dalam kesusasteraan ditandai
dengan ’kesenian’ atas nama estetik seolah-olah linguistik tidak
campur tangan.
Stilistik adalah kajian stail yang mengkaji segala kemungkinan
gaya kesusasteraan untuk menilai dan mendapat kefahaman sebenar
tentang sesebuah teks kesusasteraan. Segala hubungan yang
menimbulkan kelainan-kelainan gaya bahasa, baik gaya individu,
mahupun implikasi-implikasi lain yang melibatkan lahirnya hasil
sastera diperhatikan dan diberi saluran-saluran kajian khusus.
Bagi seorang penulis sastera syarat yang pertama untuk
menghasilkan tulisan yang berkesan, berunsur estetik dan pemikiran,
ialah penguasaan bahasa. Penguasaan bahasa memungkinkan
seseorang memanipulasi segala kemungkinan penggunaan bahasa.
Yang dimanipulasi itu termasuk segala yang tercakup oleh ilmu
linguistik umum, khususnya tatabahasa, yakni fonologi, morfologi,
sintaksis dan semantik.
Pemilihan Kata (Diksi)
Kosa kata atau perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu memang
banyak. Tiap kata mempunyai erti dan makna. Makna yang hendak kita
kita sampaikan itulah yang menjadi perkara utama bagi memilih kata
mana yang akan digunakan. Kalau makna yang hendak disampaikan
mengenai tempat orang tinggal maka dipilih kata ‘rumah’. Kita tidak
memilih kata ‘baju’ kerana kata baju tidak ada hubungannya dengan
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
tempat orang tinggal dan sama sekali tidak memberi makna tempat
orang tinggal.
Bahasa wujud kerana kata (perkataan). Tiada kata tiadalah
bahasa. Perhubungan untuk menyampaikan dan menerima gagasan
antara seorang dengan seorang dan seterusnya antara seluruh
anggota masyarakat dengan anggota masyarakat yang lainnya di
seluruh jagat ini adalah melalui bahasa. Bahasa itu terbentuk daripada
unit-unit yang disebut kata. Unit-unit atau kata-kata itu disusun menjadi
gugusan kata yang berupa frasa, klausa dan ayat. Susunan ini
mempunyai peraturan-peraturan yang rapi yang disebut tatabahasa.
Kata dalam gugusan-gugusan yang diatur dengan peraturan
tatabahasa itu kadang-kadang berubah maknanya atau kadang-
kadang bertambah variasi maknanya atau berkurang ketegasan
maknanya.
Penyampaian idea atau gagasan atau penerimaannya banyak
bergantung pada ketepatan pilihan kata untuk dimasukkan dalam
susunan frasa, ungkapan dan ayat. Semua ini memerlukan
pengetahuan tatabahasa. Tetapi yang paling penting sekali manusia
mesti menguasai banyak kata. Makin banyak kosa kata seseorang
makin mudah dia memilih untuk menyatakan gagasannya dan mudah
pula dia mengerti akan gagasan yang disampaikan kepadanya.
Oleh itu, sebelum melakukan pemilihan kata kita mesti lebih
dahulu menguasai kosa kata yang amat banyak dan luas. Seorang
pengarang sastera, khususnya, tidak mungkin menceritakan seluruh
kehidupan manusia, mendeskripsikan fizikal dan mentalnya, perasaan
dan pemikirannya, kalau kosa katanya hanya cukup untuk kegunaan
dalam rumah di antara keluarga saja. Dia juga perlu mendeskripsikan
alam yang hidup, yang tidak hidup dan yang mati dengan segala
perasaan, sesuai dengan berbagai-bagai suasana masa dan peristiwa.
Cara memperbanyak kosa kata adalah dengan membaca, bergaul,
belajar dan berlatih menggunakannya sepanjang masa seperti
menguasai kosa kata untuk keperluan keluarga di rumah sambil
berlatih semenjak kanak-kanak.
Sinonim atau disebut juga kata seerti (pada dasarnya sinonim
tidaklah benar-benar seerti) adalah beberapa kata yang merujuk
kepada satu reference atau satu konsep. Misalnya: rumah, istana,
mahligai, pondok, teratak dikatakan sinonim kerana tiap-tiap satu kata
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
itu menunjukkan satu reference yang sama, iaitu tempat tinggal atau
tempat kediaman. Dan kata sedih, pilu, dukacita, susah hati dikatakan
bersinonim kerana tiap-tiap kata itu menunjuk kepada satu konsep
atau idea, iaitu semacam perasaan.
Kata-kata yang tepat maknanya itu perlu sekali bila
menerangkan atau memberi deskripsi hal-hal yang faktual yang
biasanya berhubung dengan ilmu dan penerangan. Tetapi kata-kata
yang tidak tepat maknanya terasa indah dan serasi dengan perasaan
bila mendeskripsi sesuatu yang berunsur estetik. Ini barangkali kerana
bahasa Melayu mempunyai tradisi gaya bahasa kiasan dan
perbandingan.
Kata-kata yang serasi dan sesuai maknanya dalam konteks
sebuah wacana ada hubungan dengan beberapa hal, termasuklah hal
suasana, status manusia, dan hal-hal hubungan sosial. Yang
terpenting diperhatikan ialah dalam memilih kata-kata atau ungkapan
atau ayat yang mengandungi makna tepat haruslah jangan terbit
pengertian yang menyimpang daripada apa yang dimaksudkan. Dan
dalam memilih kata, ungkapan dan ayat yang sesuai haruslah jangan
ada yang merosakkan suasana. Jangan dalam menggambarkan
suasana baik dipakai kata-kata atau ungkapan atau ayat yang
maknanya menimbulkan disharmoni, pertentangan, kegelisahan dan
sebagainya. Dan jangan dipakai atau dipilih kata, ungkapan atau ayat
yang menimbulkan makna atau pengertian yang menyentuh perasaan
atau kehormatan dalam menggambarkan perhubungan sosial yang
muhibah.
Seterusnya dinyatakan pelbagai bentuk dan jenis gaya bahasa
yang mungkin kerap ditemui ataupun jarang sekali ditemui dalam
kajian karya kesusasteraan. Ada sebahagian gaya bahasa yang
dinyatakan perlu kepada pengkajian yang lebih mendalam. Namun
demikian, dapat dikenal pasti bahawa variasi dan gaya bahasa ini
menunjukkan kreativiti pengarang di samping luas dan mendalam
bahasa yang diujarkan dan digarap dalam karya kesusasteraan.
Berikut dinyatakan jenis gaya bahasa dan contoh.
1. Gaya Bahasa Pengulangan
2. Gaya Bahasa Perbandingan
3. Gaya Bahasa Pertautan
4. Gaya Bahasa Pertentangan
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
5. Gaya Bahasa Penyirnaan
6. Peribahasa
7. Pelbagai Gaya Bahasa Retorik dan Kiasan
Gaya Bahasa Pengulangan
Gaya bahasa pengulangan adalah gaya bahasa yang mengandungi
unsur-unsur pengulangan bunyi, suku kata, kata, frasa, atau bahagian
ayat yang dianggap penting untuk menghasilkan kesan dan memberi
tekanan dalam sesebuah konteks yang sesuai. Ada juga yang
mengkategorikan gaya bahasa ini sebagai gaya bahasa penegasan.
Antara gaya bahasa pengulangan ialah Repitisi, Aliterasi, Anafora,
Responsi, Asonansi dan Epifora. Terdapat pendapat yang mengatakan
satu lagi jenis iaitu Rima dalam kategori ini.
Repitisi adalah pengulangan kata dalam ayat. Contoh:
Suka tidak bencipun tidak.
Biarkan dia, biar.
Aliterasi adalah gaya bahasa yang wujud perulangan konsonan
yang sama. Biasanya digunakan dalam puisi, kadang-kadang dalam
prosa antara lain untuk penekanan. Contohnya;
Keras-keras kerak kena air lembut juga.
Berjenang berbatu kawi
Anafora adalah pengulangan kata atau ungkapan pada awal
baris. Contohnya;
Hari ini menanam jagung, hari esok menanam serai.
Aku teringatkannya. Aku yakin akan bertemunya.
Responsi adalah pengulangan kata atau ungkapan pada tengah
baris. Contoh:
Hari ini kita berkampung, hari esok kita bercerai.
Setahun sudah berlalu, semua sudah berubah.
Asonansi adalah gaya bahasa yang wujud perulangan bunyi
vokal yang sama. Biasanya dipergunakan dalam puisi, kadang-kadang
juga dalam prosa untuk memperoleh kesan penekanan atau sekadar
keindahan. Contohnya:
Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Manusia dikenal sifat budinya
Epifora adalah pengulangan kata atau ungkapan pada akhir
baris. Contoh:
Alam jadi sepi, hatiku juga semakin sepi.
Terang bulan di langit, bintang bersinar di langit.
Rima adalah persamaan pada bunyi yang dikesan pada kata
akhir setiap baris. Rima hanya ditemui dalam karya puisi. Dalam
pantun disebut Rima akhir ab, ab. Namun dalam sajak Rima adalah
bebas yang jarang sekali disusun ab.. dan seterusnya.
Gaya Bahasa Perbandingan
Gaya bahasa perbandingan pula adalah bentuk bahasa perbandingan
yang indah yang digunakan untuk menambahkan kesan dan
kemaknaan tertentu dengan cara membandingkan sesuatu perkara
dengan perkara yang lain. Antara gaya bahasa perbandingan ialah
Simile, Metafora, Personafikasi dan Hiperbola.
Simile atau Persamaan adalah perbandingan yang bersifat
eksplisit yang menyatakan sesuatu sama dengan hal yang lain yang
menggunakan kata-kata: seperti, sama, sebagai, bagaikan, laksana,
dan sebagainya. Contoh:
Dia dipandang sebagai bunga di taman
Semua terhidang seperti permaidani terhampar
Metafora adalah perbandingan dua hal secara langsung dalam
bentuk yang ringkas. Kebiasaannya metafora menggunakan dua kata,
iaitu yang bersifat konkrit (boleh dilihat atau dipegang) dan yang
bersifat abstrak (yang tidak boleh dilihat). Metafora sebagai
perbandingan langsung tidak menggunakan kata seperti, bak, bagai,
bagaikan, dan sebagainya. Contoh:
Bunga bangsa
Percikan iman
Personafikasi atau prosopopoeia adalah gaya bahasa kiasan
yang menggambarkan benda-benda mati atau barang-barang yang
tidak bernyawa seolah-olah memiliki sifat-sifat kemanusiaan.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Personifikasi (penginsanan) merupakan suatu corak khusus dari
metafora, yang mengiaskan benda-benda mati bertindak, berbuat,
berbicara seperti manusia. Contohnya;
Angin yang meraung di tengah malam yang gelap itu
menambah lagi ketakutan kami.
Rasa serba salah mencekik dirinya.
Hiperbola adalah gaya bahasa yang mengandungi suatu
penyataan yang berlebihan, dengan membesar-besarkan sesuatu hal.
Contohnya;
Kemarahanku sudah menjadi-jadi hingga hampir-hampir
meledak aku.
Jangan dipilih kawan berhantu.
Gaya Bahasa Pertautan
Gaya Bahasa Pertautan yang mengaitkan atau menghubungkan
sesuatu perkara dengan perkara yang lain seperti sesuatu frasa
ditautkan dengan frasa yang lain dengan menggunakan nama ciri dan
pelbagai lagi. Antara gaya pertautan ialah Alusi, Eufemisme dan
Eponim.
Alusi menunjukkan kesamaan antara orang, tempat, atau
peristiwa. Biasanya, alusi ini adalah suatu referensi yang eksplisit
(luaran) atau implisit (dalaman) kepada peristiwa-peristiwa, tokoh-
tokoh, atau tempat dalam kehidupan nyata atau dalam karya-karya
sastera yang terkenal. Misalnya dulu sering dikatakan bahwa Melaka
adalah Venice timur. Demikian dapat dikatakan: Mahsuri kecil itu turut
memperjuangkan persamaan haknya.
Eufemisme adalah ungkapan yang lebih lembut (sopan, manis),
gata bahasa ini untuk menggantikan ungkapan yang dianggap kasar.
Contohnya; buang air kecil untuk kencing. Demikian tunasusila bagi
menggantikan maksud tidak beradab.
Eponim pula adalah gaya di mana seseorang yang namanya
begitu sering dihubungkan dengan sifat tertentu, sehingga nama itu
dipakai untuk menyatakan sifat itu. Contohnya: Hercules dipakai untuk
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
menyatakan kekuatan, manakala Hellen dari Troya untuk menyatakan
kecantikan.
Gaya Bahasa Pertentangan
Satu lagi kategori gaya bahasa ialah Gaya Bahasa Pertentangan.
Gaya bahasa ini mengemukakan makna yang bertentangan dengan
makna sebenarnya. Dalam kategori ini termasuklah Inversi dan
Paradoks.
Inversi adalah keterbalikan kata atau penyongsangan kata.
Contohnya ayat; Dimasukkan padi itu ke dalam mulutnya (Ayat
susunan yang betul ialah; Padi itu dimasukkan ke dalam mulutnya.)
Begitu juga ayat; Harum berbau juadah tersohor, yang sepatutnya
ialah Juadah yang tersohor itu berbau harum.
Paradoks adalah gaya bahasa yang mengandung pertentangan
yang nyata dengan fakta-fakta yang ada. Paradoks dapat juga bererti
semua hal yang menarik perhatian karena kebenarannya. Contoh:
Musuh sering merupakan kawan yang akrab.
Dia mati kelaparan di tengah-tengah kekayaannya yang
berlimpah-limpah.
Gaya Bahasa Penyirnaan
Penyirnaan dari kata sirna, iaitu bemaksud tersembunyi atau hilang.
Dalam penulisan, terdapat kata yang diolah mengikut kebiasaan
masyarakat. Gaya bahasa ini adalah bentuk bahasa yang mengalami
unsur-unsur penguguran bunyi, suku kata, kata, frasa atau bahagian
ayatnya. Antara jenis gaya bahasa dalam kumpulan ini adalah Kata
singkatan atau Sinkof (Sinkope). Bahasa singkatan atau Sinkof
(Sinkope) adalah penyingkatan perkataan seperti ku (aku), tak (tidak),
saja (sahaja), sorang (seorang).
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Peribahasa
Peribahasa adalah pengungkapan yang unik dalam bahasa Melayu.
Peribahasa adalah ungkapan ringkas yang terdiri daripada kata-kata
yang mempunyai pengertian tertentu. Peribahasa lazimnya
mengandungi pengajaran, prinsip hidup dan teladan. Pengungkapan
peribahasa sangat rapat dengan pandangan terhadap alam yang
dikaitkan dengan kehidupan seharian.
Dalam peribahasa terdapat pecahan yang lain iaitu
perumpamaan, perbidalan, simpulan bahasa dan kiasan. Contoh
peribahasa; Ibarat mencurah air ke daun keladi dan; Belakang parang
diasah lagikan tajam.
Pelbagai Gaya Bahasa Retorik dan Kiasan
Dalam kajian gaya bahasa yang lebih meluas, terdapat gaya bahasa
retorik yang lebih mendalam kajiannya. Antaranya jenis gaya bahasa
Asindeton, Polisindeton, Kiasmus, Ellipsis, Eufemismus, Litotes,
Histeron Proteron, Pleonasme dan Tautologi.
Selain itu terdapat juga gaya bahasa Perifrasis, Prolepsis atau
Antisipasi, Erotesis atau Pertanyaan Retoris, Silepsis dan Zeugma,
Koreksio atau Epanortosis dan Oksimoron. Seterusnya terdapat gaya
bahasa kiasan yang lain antaranya Epitet, Sinekdoke, Metonimia,
Antonomasia, Hipalase, Ironi, Sinisme, dan Sarkasme, Satira,
Inuendo, Antifrasis, dan Pun atau Paronomasia.
Penutup
Gaya bahasa dan stilistik sering dianggap mempunyai persamaan.
Namun demikian terdapat perbezaan dari segi tujuan dan konsep
kajian. Gaya bahasa merujuk kepada bentuk pengucapan yang
tersendiri dalam karya-karya kesusasteraan, juga yang bukan
kesusasteraan. Manakala stilistik merupakan antara cabang kajian
dalam linguistik atau kajian bahasa. Dalam perbincangan karya-karya
kesusasteraan dalam pengajaran bahasa Melayu dan pengajaran
kesusasteraan Melayu keseluruhannya, istilah yang digunakan ialah
gaya bahasa.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
7
STRATEGI PENGAJARAN KESUSASTERAAN
DALAM BAHASA MELAYU
Pendahuluan
Istilah strategi pada awalnya digunakan dalam dunia militer yang
diertikan sebagai cara penggunaan seluruh kekuatan militer untuk
menang suatu peperangan. Sekarang, istilah strategi banyak
digunakan dalam berbagai bidang yang bertujuan memperoleh
kejayaan dalam mencapai tujuan. Istilah pembelajaran (instruction)
bermakna sebagai “upaya untuk pembelajaran seseorang atau
kumpulan melalui berbagai upaya (effort) dan berbagai strategi,
kaedah dan pendekatan ke arah pencapaian tujuan yang telah
direncanakan”. Pembelajaran juga sebagai kegiatan guru secara
terancang dalam reka bentuk instruksional untuk membuat pelajar atau
murid belajar secara aktif.
Strategi yang diterapkan dalam kegiatan pembelajaran disebut
strategi pembelajaran. Tujuan strategi pembelajaran adalah
menghasilkan keberkesanan kegiatan belajar. Pihak yang terlibat
dalam pembelajaran adalah pendidik serta peserta didik (pelajar atau
murid, individu, kumpulan atau komuniti) yang berinteraksi edukatif
antara satu dengan yang lainnya. Isi kegiatan adalah bahan belajar
yang bersumber dari kurikulum suatu program pendidikan.
Proses pembelajaran adalah langkah-langkah atau tahapan
yang dilalui pendidik dan pelajar dalam pembelajaran. Sumber dalam
kegiatan pembelajaran mencakup kemudahan fasiliti tempat dan alat-
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
alat bantu pembelajaran. Dengan demikian, strategi pembelajaran
mencakup penggunaan pendekatan, kaedah dan teknik, bentuk media,
sumber belajar dan bilik darjah (atau tempat yang sesuai) untuk
mewujudkan interaksi edukasi.
Strategi Pengajaran dalam Kurikulum Bahasa Melayu
Dalam mencapai hasrat dan matlamat Kurikulum Standard Sekolah
menengah (KSSM), strategi pengajaran Bahasa Melayu menggunakan
pelbagai prinsip, teknik dan pendekatan untuk memenuhi konsep
bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Strategi
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menekankan prinsip 5P
iaitu penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pemulihan dan
pengayaan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Konsep ini sangat penting dan amat ditekankan
penggunaannya di dalam strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP)
dan juga pengajaran dan pemudah cara (PdPc) Bahasa Melayu bagi
membantu guru merangka strategi yang berkesan dan menarik
tumpuan pelajar. Berikut dinyatakan secara umum konsep yang
termasuk dalam strategi pengajaran ini.
1. Penggabungjalinan merupakan proses penyampaian beberapa
kemahiran dalam satu sesi PdP dan PdPc. Penggabungjalinan
pelbagai bidang kemahiran akan mewujudkan satu pelajaran
yang integratif dan menyeluruh. Melalui proses ini, beberapa
kemahiran dapat dikuasai serentak. Proses penggabungjalinan
ini juga memberi ruang dan peluang bagi pertumbuhan dan
perkembangan murid secara seimbang dan menyeluruh melalui
aktiviti yang dilaksanakan di dalam kelas dan melibatkan murid
secara aktif. Cara ini akan dapat mengelakkan kebosanan
dalam proses pembelajaran.
2. Penyerapan adalah proses menyerapkan pelbagai bidang ilmu
dan disiplin daripada mata pelajaran lain, nilai murni masyarakat
Malaysia serta kemahiran berfikir, kemahiran menaakul dan
kemahiran bahasa membolehkan murid menguasai kemahiran
secara bersepadu menerusi pengalaman pembelajaran
bahasa.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
3. Penilaian adalah sebahagian daripada proses PdP dan PdPc.
Penilaian merupakan aktiviti untuk mendapatkan maklumat
yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu hasil
pembelajaran dan objektif pembelajaran. Melalui penilaian
yang berterusan, guru dapat memastikan tindakan susulan yang
perlu diambil terhadap seseorang murid sama ada dalam
bentuk aktiviti pemulihan atau pengayaan.
4. Pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai
kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang
ditetapkan. Aktiviti pemulihan dilaksanakan mengikut kadar
kemampuan murid dalam menguasai sesuatu kemahiran.
Bahan yang disediakan juga digunakan secara berperingkat-
peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar.
5. Pengayaan disediakan untuk memantapkan kebolehan,
keupayaan, bakat dan minat murid. Dalam aktiviti pengayaan,
bahan yang diberikan adalah berbeza mengikut tahap
penguasaan murid dan boleh digunakan secara bersendirian
atau dengan bimbingan guru. Kebiasaannya bahan ini
diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran dalam
jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka
masa yang ditentukan.
6. Penyelesaian Masalah adalah aktiviti pengajaran yang
mencabar pemikiran murid untuk menyelesaikan masalah.
Murid perlu menggunakan kemahiran, prinsip dan teori yang
telah dipelajari untuk menyelesaikan masalah yang diberikan.
Selain itu, penyelesaian masalah secara kolaboratif perlu
digalakkan dalam aktiviti bilik darjah.
7. Pembelajaran Berasaskan Projek merupakan pengaplikasian
dan penggabungjalinan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang
dipelajari daripada pelbagai disiplin ilmu untuk menyelesaikan
masalah. Murid menggunakan maklumat lama dan baharu
untuk menghasilkan sesuatu yang nyata. Kaedah ini melibatkan
murid mengkaji sesuatu isu, menyiasat dan mempersembahkan
dapatannya. Hal ini juga dapat membantu guru menilai
perkembangan atau kualiti pembelajaran murid. Murid lebih
bermotivasi kerana dapat menghasilkan sesuatu produk.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
8. Pembelajaran Koperatif adalah kaedah pengajaran dalam
kumpulan yang membolehkan murid saling belajar sambil
belajar dan membantu antara satu sama lain untuk
menyelesaikan sesuatu tugasan. Ahli kumpulan bekerja,
berkongsi idea, bahan dan peralatan untuk mencapai matlamat
sendiri dan kumpulan. Pembelajaran koperatif dapat
menghasilkan tugasan kumpulan, mewujudkan interaksi,
semangat bekerja sepasukan dan latihan kepimpinan.
9. Pembelajaran Kecerdasan Pelbagai dapat mengembangkan
potensi kecerdasan, minat dan kecenderungan murid kerana
setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang
berbeza. Kecerdasan pelbagai merangkumi kecerdasan verbal-
linguistik, logik-matematik, muzik, kinestetik, visual-ruang,
interpersonal, intrapersonal dan naturalis.
10. Pembelajaran Kontekstual adalah kaedah pembelajaran yang
mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu
dan masyarakat. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya
menghubungkaitkan pengetahuan baharu secara bermakna
dan menghayati kerelevanan pembelajaran dalam kehidupan
mereka.
11. Pembelajaran Konstruktivisme dalam pendidikan dapat
melahirkan murid yang berkeupayaan untuk membina
pemahaman dan pengetahuan baharu mereka sendiri
berdasarkan pengalaman sedia ada. Pembelajaran ini
menjadikan murid lebih faham, yakin dan seronok belajar
sepanjang hayat mereka.
12. Kemahiran Belajar Cara Belajar perlu diajarkan kepada murid
supaya mereka peka terhadap teknik pembelajaran yang
berkesan. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid
meningkatkan pengetahuan, cekap bertindak untuk
menghadapi dunia yang sering berubah dan berupaya
mengamalkan pembelajaran seumur hidup.
13. Kajian Masa Depan adalah pendekatan pengajaran yang
bertujuan mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu
perkara atau isu yang berlaku pada masa lampau, kini dan masa
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
hadapan. Hal ini bermakna murid dapat membuat ramalan,
menjangka akibat serta menangani perubahan.
14. Pembelajaran Akses Kendiri satu program yang membolehkan
murid belajar secara kendiri melalui penggunaan bahan
pembelajaran. Murid diberikan peluang memilih aktiviti, menilai
hasil kerja dan memantau kemajuan sendiri agar mereka
bertanggungjawab dan berdikari terhadap pembelajaran
mereka.
15. Pembelajaran Luar Bilik Darjah merupakan aktiviti kurikulum
yang dilakukan di luar bilik darjah secara terancang dan
berstruktur. Kaedah ini dapat mengukuhkan pemahaman murid
terhadap konsep yang dipelajari di dalam bilik darjah,
memberikan pengalaman pembelajaran dalam situasi yang
sebenar di samping mengembangkan kemahiran sosial dan
insaniah.
16. Pembelajaran Masteri sejajar dengan penetapan standard
dalam KSSM yang bertujuan untuk memastikan semua murid
menguasai kemahiran atau kecekapan bahasa dengan baik.
Pembelajaran dipecahkan kepada unit yang lebih kecil supaya
mudah dikuasai. Murid mesti menguasai 80 peratus tahap
masteri sebelum beralih ke standard pembelajaran yang
seterusnya.
17. Pendekatan Modular bermaksud memecahkan kemahiran
kepada unit-unit kecil yang dikenali sebagai modul. Kemahiran
bahasa distrukturkan menggunakan pendekatan modular untuk
memastikan penguasaan kecekapan berbahasa yang baik. Tiga
modul yang pertama berasaskan empat kemahiran iaitu
kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran
membaca dan kemahiran menulis. Modul seni bahasa dan
modul tatabahasa menyokong modul-modul tersebut untuk
mengukuhkan kecekapan keterampilan berbahasa. Melalui
pendekatan ini, kemahiran tertentu dapat dilaksanakan dengan
lebih berfokus dan mudah dikuasai oleh murid.
18. Pembelajaran Berpusatkan Murid dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu haruslah berpusatkan murid. Pendekatan ini
membolehkan murid berinteraksi dan menguasai kemahiran
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
belajar mengikut keupayaan sendiri. Oleh itu, murid dapat
membina keyakinan berbahasa dalam pembelajaran mereka.
19. Pembelajaran berasaskan inkuiri merupakan pendekatan
pengajaran yang berpusatkan murid secara menyeluruh. Murid
mencari dan menyelidiki sesuatu perkara atau peristiwa secara
sistematik, kritis dan analitis sehingga dapat merumuskan
jawapan kepada persoalan atau penemuannya sendiri dengan
yakin. Guru berperanan sebagai fasilitator untuk membimbing
proses penerokaan dan refleksi misalnya melalui aktiviti soal
jawab. Ciri-ciri pembelajaran inkuiri berfokus pada hipotesis
yang hendak diuji, sikap keterbukaan penggunaan dan
pengesahan fakta atau bukti dan rumusan.
20. Pendekatan Didik Hibur mewujudkan situasi yang santai dan
berhibur untuk membolehkan murid mencapai sesuatu
kemahiran berbahasa. Antaranya melalui aktiviti bercerita,
lakonan, improvisasi, puisi, unsur kecindan, komik, lagu, muzik,
filem serta seni kreatif yang lain.
Tiga Strategi Utama Pengajaran
Strategi yang digunakan dapat memenuhi objektif, isi dan keperluan
pelajar ketika digunakan. Penggunaan harus diselaraskan dengan
pendekatan dan kaedah mengajar. Dalam melaksanakan prosedur
mengajar, strategi perlu dipilih dan ditentukan dengan cermat. Pastikan
penggunaan beberapa teknik dalam pengajaran mempunyai
keselarasan, berkesinambungan dan berafedah.
Sifat-sifat strategi:
1. Harus menarik perhatian dan menumbuh minat.
2. Merangsangkan pembelajaran.
3. Mampu memberi penjelasan dan memudahkan pemahaman.
4. Berupaya mencorakkan dan mempelbagai aktiviti.
5. Meningkatkan kesan jangka panjang.
6. Mampu mewujudkan suasana yang harmoni dan menghiburkan
dalam konteks keilmuan.
7. Menghakis kebimbangan pelajar dan rasa tidak selamat.
8. Berupaya mencipta komunikasi dan interaksi yang berkesan.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
9. Membolehkan pelajar mencerna idea dan membina konsep-
konsep dengan mudah.
10. Menajamkan daya fakir dan menguatkan keupayaan mental
pelajar di samping unsur-unsur jasmani, rohani dan emosi.
Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh diaplikasikan
melalui banyak cara yang melibatkan objektif pengajaran, aktiviti yang
dirancang, pengelolaan dan pengurusan, kaedah dan teknik serta
penggunaan bahan atau alat bantu. Walau bagaimanapun, klasifikasi
strategi yang lazim dilakukan di sekolah berasaskan tiga elemen iaitu;
1. Guru
2. Pelajar
3. Media atau bahan-bahan
Pemusatan Guru
Guru memainkan peranan aktif dan pemerhatian pelajar bertumpu
kepadanya. Strategi pengajaran yang berpusatkan guru dilaksanakan
dalam beberapa aktiviti dan pengelolaan kelas seperti berikut:
1. Ciri-ciri pengajaran berpusatkan guru.
2. Guru berperanan lebih penting.
3. Guru banyak berkuliah – menyampaikan butiran isi.
4. Komunikasi berlaku sehala.
5. Suasana kepimpinan autokratik.
6. Guru mengutamakan objektif pengajaran.
7. Guru bertindak dan mengawal keadaan.
8. Suasana menyebabkan pelajar kurang aktif, kurang kreatif dan
pasif.
9. Suasana tidak menggalakkan penyuburan dari segi emosi dan
sosial.
10. Pelajar kurang membuat generalisasi.
Pemusatan Pelajar
Strategi ini banyak memerlukan peranan dan penglibatan pelajar-
pelajar sendiri. Persediaan dan perancangan guru akan sentiasa
berlandaskan kepentingan pelajar. Ciri-ciri:
1. Guru dan pelajar dapat bekerjasama dalam proses pengajaran
dan pembelajaran. Pelajar lebih aktif.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
2. Komunikasi dan interaksi dua hala.
3. Suasana kepimpinan bersifat demokratik.
4. Lebih mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran
(pelajar)
5. Menggalakkan pertumbuhan dari segi jasmani, rohani, emosi,
intelek dan sosial (JERIS)
6. Menggalakkan pendidikan kendiri, pengarahan kendiri dan
menggunakan kaedah dapatan atau penyiasatan penemuan.
7. Suasana pembelajaran menggalakkan perkembangan ingin
tahu melalui kaedah-kaedah penemuan.
8. Pelajar dapat menonjolkan kebolehan mereka.
9. Memberi peluang pelajar belajar dalam situasi yang lebih
bermakna.
10. Antara aktiviti strategi berpusatkan pelajar: Simulasi,
Perbincangan, Penyelesaian masalah dan Projek.
Pemusatan Bahan (Media)
Bahan berperanan penting menggalakkan aktiviti pembelajaran.
Bahan berperanan membantu tugas guru di kelas untuk menyalurkan
segala ilmu pengetahuan dan menggerakkan aktiviti yang dirancang.
Ciri-ciri:
1. Bahan yang sesuai dapat membantu melancarkan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran.
2. Guru seharusnya bijak memilih media, bahan dan alat yang
sesuai.
3. Objektif pembelajaran tetap diutamakan.
4. Kreativiti guru penting di samping kesediaan pelajar.
5. Menarik minat pelajar.
6. Mewujudkan suasana yang terbuka bagi pelajar.
7. Boleh juga diiringi dengan aktiviti lain yang sesuai.
8. Pelajar dapat menguasai kemahiran baru, berfikir kreatif dan
analitikal.
9. Pelaksanaan strategi berpusatkan bahan: Audio-tutorial (terdiri
daripada objek sebenar, bahan bercetak, bahan tayang,
komputer, slaid, video, bahan audio (dengar) dan rakan-rakan
sekeliling) dan Modul (Bahan-bahan bercetak yang
mengandungi panduan, nota dan soalan-soalan perbincangan
dan ujian)
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Strategi pengajaran dilangsungkan berpandukan pendekatan,
kaedah dan teknik-teknik yang sesuai. Selain itu keterbukaan
pelaksanaan dialu-alukan dengan mengambil model pengajaran
seperti model koperatif dan lain-lain. Berikut dibincangkan pendekatan
dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pendekatan Pengajaran
Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, pelbagai pendekatan
telah diperkenalkan dan terpulanglah kepada guru untuk memilih
mana-mana satu yang difikirkan paling sesuai digunakan untuk
pengajaran ketika itu. Apa yang penting ialah guru benar-benar tahu
dan faham cara-cara dan prosedur pendekatan itu hendak digunakan.
Apabila merancang sesuatu pengajaran itu, guru hendaklah
memastikan semua elemen yang terlibat dengan pendekatan tersebut
diterapkan secara berkesan.
Daripada pendekatan yang dikenalpasti, guru merancang
pengajaran dengan melaksanakan berbagai-bagai teknik dan aktiviti
pengajaran. Perbincangan tentang teknik-teknik pengajaran
dibincangkan dalam bab berikutnya. Beberapa pendekatan mengajar
yang sesuai digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa
menggunakan bahan sastera atau komponen sastera adalah:
1. Pendekatan Struktural
2. Pendekatan Mengalami dan Menghayati
3. Pendekatan Berfokus
4. Pendekatan Respons Pembaca
5. Pendekatan Induktif
6. Pendekatan Deduktif
7. Pendekatan Elektif
8. Pendekatan Komunikatif
9. Pendekatan Pembelajaran Kerjasama (Cooperative Learning)
10. Pendekatan Kontekstual
11. Pendekatan Pembelajaran Abad ke-21 (PA21)
Pendekatan Struktural
Pendekatan struktural merupakan satu pendekatan yang paling klasik
dalam pengajaran komponen kesusasteraan Melayu. Pendekatan ini
bersifat kritikan teks kerana melihat karya dari dua aspek utama iaitu
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
bentuk atau format bahan tersebut di samping kajian terhadap bahasa
yang digunakan penulis dalam karyanya. Berdasarkan pendekatan ini
amalan pengajaran dan pembelajaran bahan sastera lebih
memberatkan aspek terminologi dan elemen-elemen struktur yang
membina bahan tersebut serta perhubungan di antara elemen yang
mengikatnya menjadi satu kesatuan idea dalam bentuk penulisan
kreatif. Seringkali masa pengajaran ditumpukan kepada pencarian
unsur yang membentuk bahan kesusasteraan seperti tema, persoalan,
latar, watak dan perwatakan, sudut pandangan, gaya bahasa, plot, di
samping meneliti aspek peristilahan iaitu memaknakan perkataan-
perkataan sukar serta menjelaskan unsur-unsur bahasa yang terdapat
di dalam bahan.
Kelemahannya ialah corak pengajaran terlalu memberatkan
aspek analisis struktural ini boleh menimbulkan rasa bosan pelajar
terhadap bahan kesusasteraan kerana corak pengajaran begini hanya
mengelirukan pelajar dengan unsur teknikal pembinaan bahan dan
istilah yang sukar difahami.
Pendekatan Mengalami dan Menghayati
Pendekatan mengalami dan menghayati muncul pada awal tahun
1980-an yang diasaskan oleh satu teori yang amat mementingkan
pengetahuan latar atau skema sebagai dasar dalam proses
pembelajaran (Rumelhart, 1972 dlm. Mahzan, 2008). Dalam
pengajaran bahasa menggunakan karya sastera, pelajar mengaitkan
pengalaman, budaya hidup, persekitaran, dan pengetahuan sedia ada
yang terdapat dalam diri mereka dengan bahan yang dipelajari.
Apabila pelajar dapat melihat perkaitan antara bahan dan diri mereka,
tentu akan timbul minat terhadap bahan tersebut kerana bahan
tersebut dirasakan dekat dan relevan dengan kehidupan seharian.
Pelopor pendekatan ini menegaskan bahawa pendekatan ini
mengutamakan pengalaman pelajar yang dibawa ke bilik darjah dan
bagaimana pengalaman sedia ada ini membantu pelajar memahami
karya sastera yang dibacanya sehingga menimbulkan penghayatan
yang memanfaatkan diri individu yang membacanya. Penggunaan alat
bantu mengajar, teknik simulasi, lakonan dan perbincangan serta
sumbang saran amat perlu bagi menggalakkan penghayatan tersebut.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Pendekatan Berfokus
Pendekatan berfokus ini dikembangkan oleh Unit Bahasa Malaysia,
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia
pada tahun 1984. Pendekatan struktural telah menjadi dasar
pengenalan kepada pendekatan ini iaitu pendekatan ini sebenarnya
merupakan cabang pendekatan yang mengkaji struktur karya sastera.
Pendekatan berfokus menumpukan terhadap satu struktur
tertentu dalam karya serta satu lagi struktur sampingan dalam sesuatu
masa pengajaran. Misalnya, pada suatu waktu tertentu struktur watak
dan perwatakan diutamakan manakala struktur latar dijadikan fokus
sampingan. Pendekatan ini boleh digunakan berulang kali dalam karya
yang lain. Sebagai contoh, jika sajak A telah dibincangkan aspek gaya
bahasa, pastikan pelajar dapat menguasai pengetahuan tersebut.
Apabila sajak B dibincangkan pula, aspek persoalan pula dibincangkan
sambil pelajar dapat mengetahui sendiri gaya bahasa yang telah
dipelajari sebelum ini. Begitulah seterusnya.
Pendekatan Respons Pembaca
Pendekatan respons pembaca ialah satu pendekatan yang
diperkenalkan di Amerika Syarikat oleh professor pengajaran
kesusasteraan dan bacaan di State University of New York di Albany,
Louise Rosenblatt. Cabaran pengajaran kesusasteraan menjadi
semakin genting dengan pengenalan unsur baru dalam dunia
pendidikan, khususnya penggunaan komputer dan perkembangan
teknologi maklumat yang meluas.
Pendekatan baru ini haruslah memberikan tumpuan kepada
pelajar itu sendiri sebagai khalayak sastera yang aktif, bukannya
pengulas bahan sastera yang pasif. Tumpuan harus diberikan kepada
pelajar itu sendiri dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang
menggunakan bahan sastera bukan bentuk, makna atau penulis
sesuatu bahan sastera itu. Pendekatan respons pembaca lebih
dikenali sebagai pendekatan yang berpusatkan pelajar kerana fokus
dalam pengajaran dan pembelajaran adalah apakah respons atau
reaksi pelajar terhadap bahan sastera yang dikaji.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Antara andaian dalam teori respons pembaca ini, pembaca
ialah pembina makna yang penting dalam proses transaksi antara
bahan dan pembaca. Proses ini berlaku secara dinamik, reflektif dan
bercorak introspektif. Makna dibaca, ditafsir dan diulang semak oleh
pembaca berasaskan keadaan semasa, lingkungan sosiobudaya,
kepercayaan peribadi si pembaca dan permuafakatan yang dilakukan
oleh sekumpulan pembaca.
Terdapat dua pendirian yang bergerak dalam satu kontinum
iaitu pendirian estetik dan pendirian eferen. Pendirian estetik
bermaksud sesuatu bahan yang mempunyai nilai keindahan dalam
bahasa. Pendirian eferen bermaksud sesuatu bahan tersebut
mempunyai nilai kegunaan dalam kehidupan. Pembaca akan
menentukan tafsiran ketika membaca berlandaskan sama ada mereka
mahu mengambil pendirian estetik atau pendirian eferen bagi sesuatu
bahan. Pendirian ini akan sentiasa berubah berlandaskan keperluan
semasa pembaca.
Pendekatan pengajaran yang tulen sifatnya ini, pasti
menyeronokkan pelajar memandangkan mereka sedar bahawa
sesuatu itu dipelajari untuk diri sendiri dan bukan lagi untuk memberi
makna seperti yang dikehendaki oleh penulis, buku rujukan atau buku
teks. Di samping itu, minat mereka terhadap bahan kesusasteraan
menjadi semakin meningkat kerana setiap bahan memberikan mereka
peluang meninjau atau membuat refleksi terhadap diri mereka sendiri.
Pendekatan ini memberi autonomi kepada pelajar untuk menentukan
apakah yang mereka harap akan diperoleh daripada mengkaji
sesebuah karya kesusasteraan.
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU – ARIFF MOHAMAD
Contoh Strategi Memahami Istilah
Sejauh mana saya memahami istilah dalam syair ini?
Langkah 1
Isikan ruang di bawah setelah membaca syair secara senyap.
Tidak tahu Pernah lihat Saya fikir saya Saya memang
langsung atau dengar, tahu maknanya tahu maknanya
tetapi tidak
tahu maknanya
Langkah 2
- Bandingkan dengan rakan dalam kumpulan. Bincangkan: (Saya
memang tahu maknanya)
- Adakah istilah itu dapat membantu pemahaman syair? (Saya
fikir saya tahu maknanya)
- Apakah terdapat persamaan atau perbezaan dengan rakan?
(Pernah lihat atau dengar, tetapi tidak tahu maknanya)
- Di mana dan dalam situasi apa istilah itu pernah didengar?
(Tidak tahu langsung)
- Bincangkan istilah berdasarkan keseluruhan rangkap syair.
Contoh Strategi Memahami Ciri Syair
Model Penyelesaian Masalah dalam Pengajaran Syair: Pendekatan
Respons Pembaca
- Melihat Keperluan Pelajar
- Apakah yang pelajar perlu tahu tentang syair?
- Apakah yang mereka masih belum tahu tentang syair?
- Apa yang pelajar perlu tahu tentang syair?