The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by psssmktebobon123, 2020-10-11 07:43:12

Pergilah-Air-Mata

Pergilah-Air-Mata

Hanni Ramsul

“Subhanallah! Kamu kat mana ni?”
“Subang. Kat Sunway. Cepat sikit abah. Bawa
Rahman sekali. Suruh dia datang ambil kereta saya.”
“Eee... abah tak tahulah kamu berdua ni!”
“Okeylah abah. Cepat sikit, ya!”
Talian cepat-cepat diputuskan. Dia malas mahu
mendengar leteran bapanya. Dia memandang wajah Sabrina.
Rasa ingin sahaja marah, tetapi memikirkan ada empat orang
lelaki sedang memerhatikannya, dibatalkan niatnya itu.
“Encik, sila ikut kami.”
Badrul mengangguk lemah sambil mencapai tangan
Sabrina, mengekori lelaki-lelaki itu menuju ke arah kereta
peronda polis. Nasib baik saat ini kawasan itu lengang. Tidak
ada mata yang memandang. Kalau tidak, tidak tahu di mana
hendak disorokkan muka.

DATUK HAMIDI tersenyum.
“Maaf atas salah faham ni, Datuk.”
“Tak apa, saya faham. Encik cuma jalankan tugas.”
Badrul cuma memandang. Lelaki berkopiah yang

bersalaman dengan bapanya itu direnung.
“Encik Badrul, lain kali kalau keluar dengan isteri,

jangan lupa bawa ‘lesen’.
Badrul tersenyum kelat. Faham ‘lesen’ yang

dimaksudkan oleh lelaki itu.
“Boleh kami pergi sekarang?” soal Datuk Hamidi

masih bersama senyumnya.

201

Pergilah Air Mata

Badrul turut tersenyum nipis. Dia tahu, senyuman
bapanya itu sekadar menutup rasa marah di hati.



“KAMU ni! Tak serik-serik ya?” sergah Datuk Hamidi sebaik
sahaja mereka keluar dari pekarangan balai.

“Benda dah nak jadi, nak buat macam mana, abah?”
kata Badrul sambil tersengih.

Datuk Hamidi membuang pandang. Geram! Kalau
tidak memikirkan dia kini berada di kawasan awam, mahu
saja dia menengking anak menantunya itu sekuat hati. Tidak
pandai menjaga maruah diri!

“Saya minta maaf, abah.” Sabrina bersuara perlahan
setelah berdiam diri sejak tadi.

Datuk Hamidi menatap wajah Sabrina yang
ketakutan. Melihat wajah itu, hatinya yang panas tiba-tiba
menjadi sejuk. Marahnya sedikit hilang. “Kalau tahu nak
keluar sama, bawa kad nikah tu sekali. Benda macam ni pun,
kamu berdua tak boleh nak fikir, ke? Apa, seronok sangat ke
kena tangkap basah ni? Sampai dua kali kena tangkap?”

Badrul menjeling ke arah Sabrina. “Ini semua kau
punya pasal, tahu tak?”

“Apa pulak?” soal Sabrina sedikit resah. Dia pula
yang dipersalahkan.

“Yang kau peluk aku tu, kenapa?”
Wajah Sabrina tiba-tiba bertukar warna. Malu pada
Datuk Hamidi apabila kata-kata itu meluncur laju dari bibir
Badrul.
Datuk Hamidi sembunyi senyum. Sedikit lucu

202

Hanni Ramsul

mendengar kata-kata marah anaknya, juga melihat wajah
Sabrina yang menahan malu. Hendak marah pun, rasanya
tiada guna. “Sudah! Sama aja. Dah tak boleh tunggu sampai
rumah ke?”

Sabrina tunduk. Perlahan-lahan menggetap bibir.
Tuhan saja yang tahu apa yang dia rasai saat ini. Kata-kata
Badrul itu telah menyebabkan bapa mertuanya fikir yang
bukan-bukan.

Datuk Hamidi memandang wajah anak dan
menantunya. “Kalau kat luar pun kena tangkap basah sekali
lagi, nampaknya rancangan kamu tu kira batallah, ya?”

“Rancangan apa abah?”
“Tak jadilah kamu nak kahwin dengan Dayana?”
Badrul diam. Mendengar soalan itu, dia terus
teringatkan lelaki yang bersama Sabrina tadi. Dia yakin,
Sabrina memang ada agenda yang tersembunyi. Sabrina tidak
akan dapat menjadi isteri yang baik untuknya. Gadis itu cuma
bermain wayang. “Saya nekad. Saya tetap nak kahwin dengan
Dayana. Secepat yang mungkin!”
Datuk Hamidi mengeluh panjang.
Sabrina merenung kosong wajah Badrul yang tiba-
tiba bertukar serius.
“Abah malas nak masuk campur lagi. Kamu buatlah
apa yang kamu suka.”
Badrul diam. Marah bapanya sudah sampai ke
kemuncak. Dia tahu itu.
Datuk Hamidi mengatur langkah meninggalkan
Badrul bersama Sabrina.
“Betul ke awak tetap nak kahwin dengan Dayana?”
soal Sabrina tiba-tiba.

203

Pergilah Air Mata

“Kenapa? Kau dah setuju, kan?”
Sabrina diam. Memang dia sudah bersetuju. Tetapi,
kenapa tiba-tiba hatinya menjadi gundah? Kenapa tiba-tiba
dia mengharapkan Badrul batalkan niatnya itu.
“Kenapa? Kau ubah fikiran ke?”
“Tak. Saya cuma tanya aja.”
“Baguslah!”
Sabrina diam lagi.
“Cepat! Abah dah tunggu tu!”
Sabrina panjangkan langkah apabila Badrul
menarik lengannya. Laju dia berjalan cuba menyaingi
langkah Badrul. “Kereta saya macam mana? Awak turunkan
saya kat Sunway. Saya nak ambil kereta.”
“Jangan harap! Kau nak ambil kereta atau kau nak
jumpa kekasih kau tu?”
“Saya cuma terserempak dengan dia tadi.”
Badrul matikan langkah. Dia berdiri menghadap
wajah Sabrina. “Terserempak? Oh… terserempak. Kalau
pegang tangan pula apa namanya? Terpegang?”
Sabrina ternganga. Salah faham lagi! “Bukanlah.
Saya… saya….”
“Saya apa?”
“Lupakanlah….” Akhirnya Sabrina bersuara lemah.
Sia-sia dia terangkan pada Badrul.
“Ingat sikit. Kau tu isteri orang. Lepas ni, aku tak
nak kau keluar ke mana-mana lagi. Kau tu isteri aku.
Tanggungjawab kau jaga maruah aku!”
“Tanggungjawab awak, apa pulak?”
Terlontar soalan itu dari bibir Sabrina. Cepat-cepat

204

Hanni Ramsul

dia menutup mulutnya. Tersasul melepaskan geram pada
Badrul.

Badrul menjegilkan matanya. “Kau nak persoalkan
tanggungjawab aku pulak? Kau nak aku jalankan
tanggungjawab aku ke?”

Laju Sabrina menggeleng. Tidak perlu. Lelaki itu
tidak perlu bertanggungjawab ke atas dirinya. Dia tidak
perlukan tanggungjawab Badrul sebagai suami.

“Tak payah! Saya tersalah cakap sebenarnya,” ujar
Sabrina sambil mengatur langkah meninggalkan Badrul.

Badrul berlari kecil. Menyaingi semula langkah
Sabrina yang laju. “Aku temankan kau pergi ambil kereta.”

“Kereta awak macam mana pulak?”
“Rahman bawa!”
“Kereta abah?”
“Abah drive sendiri.”
Sabrina diam.
Badrul turut diam. Cuma melangkah laju ke arah
Datuk Hamidi yang sudah menunggu di dalam kereta.

205

Pergilah Air Mata

bab 18

“MAK nak pertunangan tu
diteruskan juga.”
Sabrina menarik
nafas panjang. Hampir dua minggu kata-kata itu
mengganggunya. Hampir dua minggu kata-kata itu membuat
air mata terus menemani tidurnya. Membuat dia kembali
melayan menungnya yang tidak berpenghujung. Dia sendiri
tidak faham mengapa dia berasa begitu kecewa. Sepatutnya
dia tidak perlu berasa kecewa. Dia tidak boleh salahkan
Ikmal. Ikmal tidak bersalah. Dia juga tidak boleh salahkan
ibu Ikmal. Maria juga tidak boleh dipersalahkan. Ini semua
kesilapannya. Kalau dia tidak tersilap dengar dulu, semua ini
pasti tidak akan berlaku. Pasti saat ini, cincin yang tersarung
di jari manis Maria, berada di jarinya. Kasihan Maria. Pasti
temannya itu terpaksa menurut permintaan ibu Ikmal.
Sabrina meraup wajahnya perlahan-lahan. Kenapa
dia perlu berasa sedih? Padahal dia sudah lama kehilangan
Ikmal. Sejak Badrul melafazkan akad, dia sudah pun
kehilangan Ikmal. Perlahan-lahan, dia pejamkan mata.
Berusaha membuang kesedihan itu sejauh mungkin.

206

Hanni Ramsul

“Puan!”
Sabrina berpaling, memandang Jamilah yang
tercegat memandangnya. “Kak Milah. Ada apa kak?”
Sabrina mengukir senyum melihat wajah Jamilah
yang sedikit hiba. Sedikit rasa hairan terselit di hatinya.
“Kenapa Kak Milah? Ada yang mengganggu akak ke? Akak
ada masalah ke?”
Jamilah kelihatan sedikit gelisah.
Sabrina kerutkan kening. “Kenapa ni? Kalau akak
ada masalah, cakap dengan saya. Mana tahu kalau saya boleh
tolong.”
Jamilah tersenyum kecil. “Tak adalah. Akak tak ada
masalah… cuma….”
“Cuma apa?”
Jamilah terdiam seketika.
“Duduklah. Cakap dengan saya, apa dia? Apa yang
mengganggu akak?” pelawa Sabrina tatkala melihat Jamilah
kelihatan serba salah.
Perlahan-lahan Jamilah melabuhkan punggungnya
di kerusi besi, di halaman banglo.
Sabrina tersenyum sambil menunggu bicara dari
mulut Jamilah.
“Akak nak tanya satu soalan, puan jangan marah
ya?”
“Berapa kali saya cakap, jangan panggil saya puan.
Panggil saya Ina. Saya bukan puan dalam rumah ni. Tolong
ya… panggil saja saya Ina.”
“Hmmm… maaf kalau akak tanya. Kenapa Ina
izinkan Encik Badrul kahwin lain? Ina tak kisah ke?”

207

Pergilah Air Mata

“Saya perlu kisah ke, kak? Hmmm… mereka dah
bertunang pun. Minggu depan, kahwin.” Sabrina tersenyum
kecil.

“Ina sanggup bermadu? Macam mana nanti kalau
Encik Badrul tak berlaku adil?”

Sabrina diam. Entah kenapa soalan Jamilah
membuat dia sedikit tersentap. Membuat jantungnya
berdegup kencang. Soalan itu membuatkan dia tersedar yang
selepas ini, dia akan berkongsi Badrul dengan perempuan
lain. Namun, apa bezanya? Sekarang pun dia tidak pernah
memiliki Badrul. Jadi, bermakna dia tidak akan berkongsi
Badrul dengan sesiapa, kerana Badrul tidak pernah menjadi
miliknya.

Sabrina cuba mengukir senyum. Namun dia tahu,
senyumnya tidak ikhlas.

“Akak tengok, Ina ni bukan macam yang kami
sangka sebelum ni.”

“Dahlah, kak. Anggap aja semua ini suratan takdir.”
“Apa yang berlaku sebenarnya? Kenapa Ina tak
jelaskan semuanya pada Datuk dan Datin? Pada Encik
Badrul?”
Sabrina tersenyum kecil. Perlukah semua
penjelasan tu? Sedang kata-katanya sering dicantas dengan
sindiran yang menyakitkan perasaan. Rasanya, lebih baik dia
simpan segala kebenaran itu di dalam hati.
“Dah letih mulut saya cuba terangkan apa yang
berlaku. Tak ada siapa pun yang nak percaya. Malah, anggap
saya sengaja mereka-reka cerita. Tak guna saya terus bercakap
benda yang benar, kalau semua orang tak nak percaya. Tak
guna. Biarlah... saya percaya suatu hari nanti, kebenaran ni
akan terbongkar juga,” ujarnya perlahan.

208

Hanni Ramsul

Jamilah kelu. Kata-kata Sabrina menyucuk
perasaannya. Dia yakin Sabrina seorang yang baik. Sabrina
tidak sejahat seperti yang Datin Hamidah fikirkan. Seperti
yang Badrul sangkakan. Sabrina memiliki pekerti yang
tinggi.

“Akak terkejut bila dapat tahu Ina setuju nak
bermadu. Padahal, Ina pun baru sangat berkahwin dengan
Encik Badrul.” Jamilah bersuara lagi.

Sabrina tersenyum mendengar kata-kata Jamilah
itu. “Perkahwinan saya tu tak dirancang, kak. Tak sepatutnya
berlaku pun. Tapi, perkahwinan Encik Badrul kali ni, dengan
gadis yang dicintainya. Tak adil kalau kita halang kebahagiaan
dia, kan?”

“Tapi... kebahagiaan Ina, macam mana pulak?”
Sabrina berdeham perlahan. Sukarnya untuk
menjawab soalan itu.
“Kebahagiaan saya tak penting, kak. Biarlah takdir
yang tentukan segalanya. Saya malas nak fikir semua tu.”
Sabrina bersuara tenang.
“Akak doakan kebahagiaan Ina. Akak minta maaf
atas sikap akak yang dulu.”
Sabrina memandang wajah Jamilah. Wajah itu
nampak benar-benar menyesal. Perlahan-lahan dia mencapai
tangan Jamilah. Mengusap lembut tangan perempuan itu.
“Saya tak pernah salahkan akak. Tak pernah ada
rasa marah pun. Ada sebab untuk akak berperasaan begitu.
Lupakanlah perkara yang dah lepas tu. Terima kasih sebab
akak percayakan saya. Sekurang-kurangnya, masih ada orang
yang sudi percayakan saya,” luah Sabrina.
Jamilah tersenyum hiba.

209

Pergilah Air Mata

“Ehem! Relaks nampak. Dah tak ada kerja ke, Kak
Milah?” tegur Badrul yang berdiri di belakang Jamilah.

Jamilah tersentak. Segera dia angkat punggung.
“Maaf, Encik Badrul,” kata Jamilah sebelum
berlalu.
Badrul tidak memberi sebarang reaksi. Dengan
santai, dia melabuhkan punggung ke kerusi.
“Hmmm… tolong bawa sarapan saya ke sini!”
laungnya pada Jamilah.
Langkah Jamilah terhenti. Dia berpatah balik
mendapatkan Sabrina. “Puan Sabrina nak saya bawakan
sarapan ke sini juga ke?”
“Tak payah. Saya tak rasa lapar,” kata Sabrina sambil
menggeleng.
“Bawa sekali untuk cik puan ni. Banyak sikit.”
Badrul bersuara sambil menatap wajah Sabrina yang
langsung tidak ceria.
“Baiklah.”
Badrul memandang kosong ke arah Jamilah yang
berlalu pergi.
Sabrina pula kembali menyambung menungnya
sambil menongkat dagu. “Oh pocot!”
Badrul tersenyum kecil mendengar Sabrina
melatah.
Sabrina menarik muncung. Mukanya hampir
tersembam ke meja apabila Badrul tiba-tiba menolak
tangannya yang sedang menongkat dagu.
“Pagi-pagi buta dah termenung sana, termenung
sini,” rungut Badrul perlahan.

210

Hanni Ramsul

“Tak ada kerja ke? Kalau tersembam tadi, macam
mana?” soal Sabrina sedikir geram.

“Macam mana apa? Sakitlah!”
Sabrina membuang pandang.
“Kau ni kenapa? Tiba-tiba start termenung balik?
Dah dua minggu aku tengok kau asyik termenung. Tak
makan….”
“Suami nak kahwin lain, mestilah saya susah hati.”
Sabrina cuba berlawak.
“Ha… ha… ha… so funny,” balas Badrul bersama
tawa yang dibuat-buat. Dia tahu bukan itu punca gadis itu
termenung.
Sabrina tersenyum tawar.
“Tension kena kurung atau rindu kat kekasih kau?
Susah hati sebab kau dah tak boleh nak jumpa dia? Dah tak
boleh nak lepaskan rindu dendam macam hari tu?”
Sabrina menahan nafas. Sakit hati mendengar
soalan Badrul yang berbaur tuduhan itu. Penjelasannya
langsung lelaki itu tidak mahu dengar. Sebaliknya, Badrul
lebih suka membuat spekulasi sendiri. “Awak jangan tuduh
saya yang bukan-bukan!”
“Aku tak tuduh. Aku nampak dengan mata aku
sendiri.”
Sabrina mengeluh perlahan. “Kalau saya ceritakan
pada awak, awak percaya tak?”
“Tentang apa? Tentang kau? Kalau tentang kau,
sorrylah. Susah sikit nak percaya. Apa yang aku nampak, buat
aku makin susah nak percayakan kau.”
Sabrina diam. Kalau itu jawapannya, memang tiada
guna dia membuka cerita. Buat sakit hati aje. Sudahnya, dia

211

Pergilah Air Mata

mengalihkan pandangan ke arah Jamilah yang sedang
menatang hidangan ke arah mereka. Dia mengukir senyuman
pada Jamilah.

“Kenapa awak tak sarapan kat dalam?”
“Suka hati akulah.”
Sabrina menjeling sekilas. Berlagak! “Awak nak
minum apa? Jus ke Milo?”
“Milo.”
Sabrina mencapai teko dan menuangkannya ke
dalam cawan. Kemudian dia menghulurkannya kepada
Badrul. Pinggan berisi bihun goreng ditolak hampir pada
Badrul.
“Aku nak roti. Bihun ni untuk kau. Makanlah.”
“Tak naklah. Saya tak ada selera.”
“Ada aku bagi pilihan ke? Aku kata makan,
makanlah.”
“Tak naklah. Nanti saya lapar, saya makanlah.”
“Dah dua minggu aku tengok kau tak lapar-lapar.
Nanti boleh tinggal tulang aja, kau tau. Jangan nak mengada-
ada. Makan!”
Sabrina mengeluh panjang. Wajah selamba Badrul
yang sedang menikmati roti bakar dipandang geram. Dia
paling tidak suka dipaksa. “Saya masuk dululah.”
Pantas Badrul mencapai lengan Sabrina. Menarik
agar wanita itu duduk di kerusinya semula. “Makan!”
Sabrina memandang bihun di dalam pinggan.
Bagaimana dia ingin makan, kalau seleranya sudah mati?
“Nak aku suap ke?” gertak Badrul sambil mencapai
garpu.

212

Hanni Ramsul

“Tak naklah!” Sabrina bersuara geram.
“Makan!”
“Kenapa awak ni? Nak paksa-paksa orang pulak?”
“Aku takut kau mati kebulur nanti. Cepat makan!”
“Yalah… yalah!”
Badrul tersenyum melihat Sabrina mula menarik
pinggan dan menyuap bihun ke mulut. Hampir dua minggu
dia melihat makan Sabrina tidak teratur. Selalu hilang di
meja makan. Kalau ada pun, cuma beberapa kali. Itupun
sekadar memandang hidangan. Bukan menikmati hidangan.
“Kau nak keluar?” soal Badrul sambil meneguk air
Milonya.
Sabrina angkat muka. Pinggan ditolak ke tepi.
Tajam mata Badrul memerhati perlakuannya, membuat dia
menarik semula pinggan bihun perlahan-lahan.
“Awak bagi saya keluar? Betul ke?” soal Sabrina
bagai tidak percaya. Bermakna, hukumannya sudah berakhir?
“Jangan happy sangat. Keluar dengan aku la.”
Sabrina memandang hairan. “Awak tak keluar
dengan Dayana ke? Sepatutnya waktu-waktu macam ni, awak
sibuk cari barang-barang perkahwinan awak. Masa dah
suntuk. Saya rasa awak tak perlu buang masa keluar dengan
saya.”
“Sebab tu aku ajak kau keluar. Temankan aku cari
barang.”
“Kenapa? Dayana ke mana?”
“Dia ke Beijing.”
“Hah? Kan minggu depan awak dah nak kahwin.
Kenapa pula dia ke sana?”

213

Pergilah Air Mata

“Jangan banyak cakap, boleh tak?”
Sabrina mengunci mulut. Pelik dengan sikap
Dayana. Sepatutnya Dayana sekarang seronok membuat
persiapan kahwin mereka. Bukan pergi ke luar negara.
“Dia ada urusan kerja kat sana,” jelas Badrul.
Sabrina mengangguk perlahan. Urusan kerja pada
saat-saat akhir perkahwinannya? Penting betul kerja pada
Dayana. “Dia tak minta cuti ke?”
“Tak. Memang dia suka kerja. Biarlah. Itu lebih baik
daripada kerjanya memerangkap lelaki. Ya tak?”
Sabrina diam. Badrul menyindirnya. Sengaja mahu
mencabar kesabarannya.
“Boleh ke tak?”
“Awak tak kisah ke? Nanti kalau terserempak
dengan sesiapa, macam mana? Tak pasal-pasal rahsia yang
awak simpan, terbongkar macam tu aja.”
“Aku tanya, boleh ke tak? Bukan suruh kau buat
andaian sendiri!”
“Boleh. Saya siap dulu. Bihun ni, saya makan
kemudian.”
“Jangan nak mengada-ada. Habiskan dulu. Lepas tu
baru bersiap!”
“Banyak sangat ni.”
“Habiskan!”
Sabrina menyambung suapan dalam terpaksa.
Badrul terus mematung di hadapannya. Nampaknya memang
lelaki ini mahu menunggu dia habiskan makanan di pinggan.
“Apa yang awak nak beli? Barang hantaran semua
dah sedia ke?”

214

Hanni Ramsul

“Entah. Aku pun tak tahu. Aku cuma bosan duduk
kat rumah.”

Sabrina mengangguk-angguk perlahan.
“Dan, lagi satu… tolong bawa kad akuan nikah ya.
Aku tak nak kena tangkap kali ketiga. Kalau kena jugak,
memang aku wajib mandi bunga.”
“Awaklah yang bawa.”
“Kau aja yang bawa. Jangan lupa tu.”
“Ala… setakat pergi shopping, takkan kena
tangkap.” Sabrina bersuara sambil mencebik.
“Mana tahu, tiba-tiba kau peluk aku kat shopping
mall pulak.”
Sabrina angkat muka. “Malaslah saya nak cakap
dengan awak. Saya bukannya sengaja. Berapa kali nak cakap?
Tak payahlah nak ungkit-ungkit benda yang dah lepas tu.”
Badrul tersengih melihat Sabrina yang tiba-tiba
angkat punggung. Wajah gadis itu memerah. Tidak pasti
sama ada malu atau marah.
“Bihun ni?”
“Awak yang habiskan.”
Badrul pandang pinggan di hadapannya.
“Okey. Dah separuh kau habiskan. Tak apa... kau
boleh bersiap sekarang. Ingat pesan aku tadi.”
Sabrina berlalu bersama wajah yang mencuka,
membuat Badrul tergelak senang. Senang dapat melihat
wajah cemberut Sabrina.

215

Pergilah Air Mata

bab 19

SABRINA termenung di celah-
celah baju yang bergantungan.
Memandang kosong Badrul yang
asyik membelek kemeja. Dia menggaru kepala yang tidak
gatal. Bosan menemani Badrul dari satu bahagian ke satu
bahagian yang lain. Dari tadi lelaki itu cuma merayau-rayau
tanpa arah tujuan. Matanya terkebil-kebil melihat seorang
lelaki datang menepuk bahu Badrul dari belakang. Membuat
Badrul sedikit tersentak.
“Apa ni? Macam perempuan… keluar shopping!”
Sabrina tersenyum. Betul. Dia sokong kata-kata
lelaki yang tidak dia kenali itu.
“Dar! Apa kau buat kat sini?”
Lelaki itu tersenyum. “Aku baru lepas lunch. Kau
shopping sorang aja ke? Sejak bila ada hobi shopping ni?”
“Taklah. Aku dengan….”
Sabrina terus tercegat melihat Badrul menoleh ke
kiri dan kanan. Pasti lelaki itu mencarinya.

216

Hanni Ramsul

“Mana pulak perginya… sekelip mata dah hilang.”
“Teruklah kau Bad. Kalau budak kecil yang kau
bawa, sah-sah (tentu) dah lama budak tu kena culik.”
Badrul diam. Matanya meliar mencari Sabrina.
Terpandang Sabrina yang terselit di celah-celah baju. “Apa
kau buat kat situ?”
Sabrina sedikit terkesima. Tersenyum kecil apabila
dua pasang mata kini terarah padanya. Perlahan-lahan dia
melangkah keluar dari celahan kemeja.
“Aku dengan dia ni, Sabrina.”
“Oh… nilah Sabrina. Hai! Saya Darius.”
Sabrina tersenyum. Lelaki ini mengenalinya?
Perlahan-lahan dia menganggukkan kepala tanda menyapa.
Darius senyum. “So, apa kau cari ni?”
“Saja. Tak tahu nak beli apa pun,” balas Badrul
sambil menyambung membelek helaian kemeja di
hadapannya.
Darius mencebik. Kembali memberi perhatian pada
gadis manis di hadapannya. “So, Sabrina. Apa khabar? Banyak
yang Badrul cerita pasal awak.”
Sabrina memandang Badrul yang sedang
membelakanginya. “Mesti semua yang buruk-buruk, kan?”
“Don’t worry, saya ni jenis yang susah nak percaya
pada cerita-cerita dari mulut orang ni. Saya lebih suka nilai
sendiri dengan pandangan mata saya.”
Sabrina tersenyum kelat. “Betullah tu....”
Darius tergelak. “Tak adalah. Bad bukan jenis yang
suka memburukkan orang lain. Mungkin dia ada tanggapan
tertentu pada awak. Tapi, cuma dia saja yang tahu. Dia tak

217

Pergilah Air Mata

akan kongsi cerita buruk seseorang. So, saya dapat tahu,
minggu depan dia akan kahwin dengan Dayana. Awak yang
bagi persetujuan?”

Sabrina tersenyum hambar.
“Dah lama saya nak jumpa dengan awak sebenarnya.
Tapi, Badrul tak pernah nak kenalkan awak kat saya.”
“Awak ni, kawan baik dia ke?”
Darius tersenyum. “Jom, ke sana!”
Dia bersuara sambil memberi isyarat agar Sabrina
mengikutnya.
Sabrina memandang dengan wajah teragak-agak.
“Ala... bukannya jauh pun. Bad boleh nampak kita.”
Sabrina menoleh sekali lagi pada Badrul yang leka
memilih kemeja. Kemudian memandang wajah Darius.
Perlahan-lahan dia mengangguk. Melangkah mengekori
Darius ke sebuah kerusi kayu yang tersedia di situ.
“So, memang awak izinkan Bad kahwin dengan
Dayana?” soal Darius sebaik melabuhkan punggung di situ.
Sabrina mengangguk sambil mengambil tempat di
sebelah Darius.
“Kenapa?” tanya Darius.
Sabrina memandang wajah Darius. Hairan
mendengar soalan lelaki itu. “Awak kawan Badrul, kan?
Takkan awak tak tahu Dayana tu kekasih Badrul?”
Darius tergelak kecil. “Bukan tu maksud saya. Saya
tahu hubungan Bad dengan Yana. Cuma, saya hairan dengan
apa yang berlaku ni. Awak tak patut izinkan.”
“Kenapa pula?” soal balas Sabrina. Semakin
berkerut dahinya, peliknya!

218

Hanni Ramsul

Darius mengeluh perlahan. Dia pandang ke arah
Badrul. “Saya rasa dia terlalu terburu-buru….”

“Maksud awak?”
Darius berpaling. Memandang wajah Sabrina. “Awak
tahu kenapa Badrul ke Cherating hari tu?”
Sabrina mengangkat bahu. Manalah dia tahu.
“Sebab kecewa dengan Dayana.”
“Kecewa dengan Dayana? Kenapa?”
“Lamaran dia ditolak. Dayana belum bersedia nak
kahwin. Awak tak pelik ke, dalam masa sesingkat ni, dia boleh
ubah fikiran? Dan, Badrul pula… terus setuju.”
“Mungkin dia rasa masanya dah tiba. Dan, tentulah
Badrul setuju. Sebab tu yang dia nak, kan?”
“Berkahwin dalam keadaan tergesa-gesa macam ni,
suatu hari mereka pasti menyesal. Percayalah cakap saya.”
“Tak kut. Mereka kan saling mencintai….”
“Cinta dengan tanggungjawab, tak sama Sabrina.
Saya kenal Dayana. Dia memang very independent lady.
Pentingkan kerjaya. List utama dia, kerjaya. Saya yakin,
paling kurang pun dalam tiga empat tahun ni, keutamaan dia
memang pada kerja. Sebab tu dia tolak lamaran Badrul. Bila
Badrul beritahu dia akan kahwin dengan Dayana minggu
depan, memang saya tak percaya. Saya yakin Dayana belum
bersedia mengambil tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Dia sedang melakukan satu kesilapan apabila dia bersetuju
berkahwin dengan Badrul. Badrul pula, sedang melakukan
kesilapan apabila menerima perkahwinan tu tanpa fikirkan
apa akan terjadi lepas dia kahwin nanti.”
Sabrina mendengar tanpa bicara.
“Awak pula silap, apabila setuju dia berkahwin lain,”

219

Pergilah Air Mata

tokok Darius selepas mengambil nafas seketika. Dia
mengerling Sabrina di sebelahnya.

Sabrina sedikit tersentak. “Apa pula saya? Pandai-
pandai Encik Darius ni. Saya tak ada kena-mengena
langsung!”

“Apa pulak? Memang awak silap. Sepatutnya awak
jangan setuju dulu. Awakkan dah kahwin dengan Badrul.
Saya yakin, lama-lama Badrul boleh terima perkahwinan dia
dengan awak ni.”

Sabrina diam.
“Betul tak?”
Mendengar soalan Darius, Sabrina tergelak kecil.
“Tak betul kut. Ada sesetengah perkara, memang tak boleh
dipaksa. Insya-Allah, dia dengan Dayana tak akan ada masalah
kut. Janganlah doakan yang bukan-bukan.”
“Kalau mereka berdua tak ada masalah, awak nanti
macam mana?”
“Saya? Kenapa dengan saya?”
“Buat-buat tanya pula. Takkan selamanya awak nak
bermadu?”
Sabrina tersenyum kelat. Dia memandang wajah
Darius. Sedikit pelik. Kenapa dia boleh berbual perkara-
perkara sebegini dengan lelaki ini? Barangkali kerana
keramahan Darius? Berbicara dengan Darius seolah-olah dia
sudah mengenali lelaki ini terlalu lama. Satu lagi perkara
yang menyenangkan tentang Darius. Lelaki ini tidak
memandangnya dengan pandangan pelik sebagaimana Badrul
dan keluarganya. Lelaki ini nampak ikhlas.
“Dengar tak saya tanya?”
Sabrina cuma menjawab dengan sekuntum senyum

220

Hanni Ramsul

yang tidak begitu menjadi. Dia sendiri kurang pasti dengan
perasaannya.

Darius tersenyum sambil menjongket bahu. Faham,
Sabrina tidak mahu menjawab soalannya. “Satu lagi…
Dayana mana? Kenapa Badrul keluar dengan awak? Kata tak
boleh tengok muka awak. Geram. Sakit hati….”

Sabrina menelan liur. Itukah yang Badrul beritahu
Darius? Geram? Sakit hati? “Dia cakap, Dayana pergi
Beijing….”

Lambat-lambat Sabrina menjawab. Entah kenapa,
perasaannya tiba-tiba menjadi sensitif. Kata-kata Badrul ligat
diproses. Membuat dia berasa hiba tiba-tiba.

“Hah?”
Sabrina tersentak. Perlahan-lahan dia mengurut
dada. Wajah terkejut Darius dipandang tidak berkelip.
“Beijing? See... betul tak cakap saya?”
Sabrina tersenyum kecil. Emosional sungguh
Darius. “Urgent kut?”
Darius menggeleng perlahan. Menatap wajah
Sabrina. Bukan tidak cantik gadis di hadapannya ini. Kalau
dia menjadi Badrul, mungkin dia akan pasrah sahaja dengan
takdir ini. Sabrina tidak kelihatan seperti seorang gadis yang
tidak baik. Tidak ada cacat cela langsung di matanya.
“Pelik saya dengan Badrul. Pelik dengan Dayana.
Pelik juga dengan awak,” tutur Darius.
Sabrina tersengih kecil. Apalah yang dipelik sangat
tu?
“Awak dah ada kekasih?”
Sabrina terkesima. Terkejut sungguh mendengar
soalan yang terlalu jauh tersasar dari persoalan yang sedang

221

Pergilah Air Mata

mereka bualkan. “Kenapa tiba-tiba awak tanya soalan macam
tu?”

“Yalah... kalau tak ada, saya nak cuba nasiblah. Saya
ni baik orangnya. Tak banyak kerenah. Boleh jadi macam-
macam….”

Sabrina tergelak.
“Macam-macam?” soalnya sambil menutup mulut
dengan jari-jemarinya. Menyembunyikan gelak lucunya.
“Yalah. Macam-macam. Saya boleh jadi penghibur,
kalau awak sedang berduka. Boleh jadi kelakar kalau awak
ingin ketawa. Boleh jadi romantik, kalau awak mahu
romantik. Boleh jadi penyelamat kalau awak dalam
kesusahan. Boleh jadi teman, kalau awak kesepian….”
Sabrina menyambung gelaknya.
Darius turut ketawa. “Nak tahu lagi?”
Sabrina menggeleng sambil berusaha membuang
tawanya.
“Awak patut lebih banyak ketawa. Cantik sangat….”
Sabrina terus menahan tawa sambil menggeleng
perlahan. Sungguh dia senang dengan lelaki ini. Darius bijak
membuang laranya buat seketika. Bijak membuat dia terlupa
sejak kebelakangan ini dia hidup dengan air mata. “Awak
pandai buat lawak.”
Darius tersenyum kecil. Senang melihat wajah itu
sudah sedikit ceria. Tidak seperti sebentar tadi. Wajah itu
nampak muram tanpa seri. “Saya tak suka tengok gadis
cantik bermuram. Kurang aset daripada Ilahi.”
“Kurang aset?”
“Yalah... kan elok kalau wajah cantik ni, ceria
selalu.”

222

Hanni Ramsul

“Oh… yang cantik ajalah? Yang tak cantik, macam
mana?”

“Errr… samalah. Yang tak cantik, pun samalah. Tak
elok bermuram.” Darius menjawab sambil tergelak. Terkena
dengan kata-kata Sabrina.

Sabrina turut tersenyum sambil menggeleng.
“Awak memang bermulut manis.”

Darius tersenyum sambil menjongket bahu. “So,
soalan saya tadi? Awak dah ada kekasih ke semasa kena
tangkap dengan Badrul?”

Sabrina diam. Selintas dia teringatkan Ikmal.
Senyumnya hilang serta-merta. “Semua dah jadi sejarah kut.
Sekarang ni, saya cuma seorang isteri.”

Darius diam seketika. Melihat wajah muram itu,
juga buat seketika. “Saya harap, Badrul tak akan sia-siakan
awak. Saya yakin, awak orang baik-baik.”

Sabrina tersenyum tawar.
“Amboi! Siap boleh dating ke? Melampau betul. Aku
ajak kau keluar, sebab nak suruh temankan aku shopping.
Bukan nak suruh kau berdating dengan kawan aku.”
Sabrina mengangkat muka.
Darius turut mendongak memandang wajah Badrul
yang tidak begitu manis. “Hai… takkan cemburu kut?”
Selamba Darius bersuara sambil angkat punggung.
Badrul cuma membuang pandang mendengar
usikan itu.
“Okeylah. Tak nak kacaulah kalau ada yang
cemburu. Aku pergi dululah. Sabrina, seronok bersembang
dengan awak.” Darius bersuara lagi.

223

Pergilah Air Mata

Sabrina tersenyum kecil sambil mengangguk.
“Aku pergi dulu Bad. Lawa isteri kau. Kalau tak nak,
seribu kali aku nak.”
“Bagus! Pergi cepat-cepat,” sampuk Badrul sambil
menolak tubuh sasa Darius.
Darius tergelak sambil berlalu. Sempat mengangkat
tangan pada Sabrina tanda meminta diri.
Sabrina tersenyum.
“Amboi, lebar senyum. Kau ni, pantang tengok
lelaki, ya? Gatal!”
Senyum Sabrina mati tiba-tiba. Tajam sungguh
kata-kata Badrul. Perlahan-lahan dia angkat punggung.
“Dah beli ke barang yang awak nak tu?” soalnya
cuba mengubak topik.
“Belum. Aku tak tahu nak pilih. Kau tolong
pilihkan.”
“Saya mana tahu apa yang awak suka. Awak nak beli
apa sebenarnya?”
“Kemeja dan t-shirt.”
“La… tu aja? Barang hantaran memang semua dah
ready, ya?”
“Itu semua mama dah siapkan. Cepatlah. Kau
pilih.”
Laju Badrul menarik tangannya.
“Tunggulah Dayana balik. Beli dengan dia.”
Badrul tidak menjawab. Cuma renungannya sahaja
cukup untuk memberitahu Sabrina bahawa itu amaran
supaya dia menutup mulut.
Sabrina diam sambil membelek kemeja di

224

Hanni Ramsul

hadapannya. Sehelai kemeja merah jambu dihulurkan kepada
Badrul.

“Pink? Kau ingat aku ni perempuan ke?”
Sabrina kerutkan kening. “Biru?”
“Dah banyak.”
“Merah?”
“Macam India la.”
Sabrina mencebik. “Oren?”
“Kau ingat aku pakai kemeja nak pergi buat show
sarkas ke?”
“Okeylah… warna oren. Sesekali pakai warna
ceria….”
“Aku tak suka warna oren.”
“Hijau?”
“Macam katak!”
Jawapan itu ternyata membuat Sabrina tergelak
besar. “Hitam?”
“Pun sama. Dah banyak.”
“Awak pilihlah sendiri. Cerewat sangat!”
“Kalau aku boleh pilih, aku tak minta kau tolong.”
“Last. Lepas ni, awak pilih sendiri.”
Badrul mendengar tanpa sebarang reaksi.
Sabrina mencapai sehelai kemeja berwarna ungu
gelap berjalur hitam. Jalur halus yang nampak cukup cantik
di mata Sabrina. “Yang ni?”
Badrul diam seketika. Meneliti kemeja yang Sabrina
hulurkan. Agak menarik.
“Okey,” jawabnya sepatah.

225

Pergilah Air Mata

Sabrina tersenyum lega. Cuma seketika. Senyumnya
mati tiba-tiba.

“Kenapa?” tanya Badrul.
Sabrina memandang wajah Badrul. Perlahan-lahan
dia menggeleng sambil sekali lagi mencuri pandang ke arah
orang yang sangat dia rindui. Ikmal bersama Maria. Sedang
berjalan bersama sambil membelek baju wanita. Dia
mengeluh perlahan. Hati, janganlah merintih….
Melihat wajah Sabrina yang berubah muram,
Badrul memandang ke arah yang sama. “Dia lagi? Aku tak
tahulah sama ada dunia ni terlalu kecil, atau dia tu memang
dah jadi bayang-bayang kau. Atau… kau ada cakap dengan
dia, yang kau nak ke sini?”
Sabrina menggeleng.
“Siapa tu? Cepat betul dia lupakan kau ya?”
“Pergilah bayar.” Sabrina mengubah topik.
Badrul tersenyum kecil. “Aku kasihan tengok kau
ni. Agaknya, tu kekasih dia atau mangsa baru dia?”
“Awak… tolonglah…!”
“Kenapa? Sakit? Itulah, lain kali jangan bodoh
sangat. Percaya sangat pada lelaki. Dah jadi macam kau ni,
baru padan muka. Lelaki macam tu, memang banyak kat
dalam dunia ni. Hidup senang atas duit perempuan.
Perempuan bodoh macam…”
Pang!
Badrul ternganga.
Sabrina memuncung.
Perlahan-lahan, Badrul menyapu pipinya yang
sedikit pedih. Nasib baik tidak kuat tangan Sabrina melayang

226

Hanni Ramsul

ke pipinya. Nasib baik juga mereka berada di tempat yang
tersorok. “Kau! Berani kau tampar aku.”

“Jangan burukkan dia. Dia baik. Dia lelaki baik!”
“Memang baik. Sebab baiklah dia hantar kau ke
bilik aku.”
Sekali lagi Sabrina mengangkat tangan.
Namun kali ini, sempat Badrul menahan.
“Awak tak kenal dia, awak jangan tuduh dia yang
bukan-bukan.”
Sabrina bersuara geram sambil merentap
tangannya. Geram mendengar tuduhan-tuduhan Badrul yang
sama sekali tidak berasas itu.
“Ada sebab kenapa aku tuduh dia. Dan, kau…
jangan suka-suka angkat tangan lagi. Kalau kau buat lagi,
siap kau!”
Sabrina membuang pandang. “Sorry. Saya tak
sengaja.”
Dengan separuh hati, Sabrina meminta maaf.
Mendengar ungkapan maaf itu, mulut Badrul
terkunci. Amarah yang ingin dihamburkan, hilang begitu
sahaja.
“Saya nak balik!”
“Tak nak jumpa buah hati kau dulu ke?”
Sabrina menjeling tajam.
Badrul tersenyum sinis. Pantas tangannya memaut
bahu Sabrina. “Aku rasa, aku nak jumpa kekasih kau kejap.”
“Tak naklah. Saya nak balik!”
“Kenapa? Kau tak nak tunjukkan kebahagiaan kau
depan dia? Aku tengok macam tengah bahagia sangat gayanya

227

Pergilah Air Mata

tu? Tak nak ke?” duga Badrul dengan keningnya terangkat
naik.

“Tak naklah. Saya nak balik!”
“Kita ke sana. Aku memang geram sangat tengok
muka lelaki tu!” Badrul berkeras sambil menarik Sabrina.
“Please….”
Hibanya kedengaran suara itu. Badrul berhenti
melangkah. Dia memandang wajah Sabrina.
“Please… saya tak nak ke sana. Saya tak nak mereka
nampak saya. Saya tak nak tengok mereka. Please awak….”
Badrul mengeluh perlahan. Menatap seketika muka
Sabrina yang sudah merah menahan tangis.
“Dah... dia buat dah... muka seposen dia tu. Malas
betul la aku nak layan kau ni. Hah! Yalah… yalah… aku bayar
dulu, lepas tu kita balik.”
Sabrina mengeluh lega. Sungguh dia tidak mahu
berhadapan dengan Ikmal dan Maria saat ini. Sukarnya untuk
dia menerima kenyataan yang Ikmal sekarang sudah menjadi
tunang Maria. “Terima kasih, awak….”
Badrul merengus tanpa menjawab. Cuma menarik
tangan Sabrina menuju ke kaunter bayaran.

228

Hanni Ramsul

bab 20

TANPA sedar, ada air jernih yang
mengalir membasahi pipi. Untuk
apa? Dia sendiri tidak tahu. Yang
pasti, tatkala melihat Badrul dan Dayana di atas pelamin, dia
terasa jiwanya tiba-tiba kosong. Dan, tatkala mereka berdua
berpeluk mesra untuk bergambar, air matanya menitis tanpa
sedar.
“Ina….”
Sedikit tersentak, Sabrina menoleh.
Jamilah memandang wajahnya dengan renungan
simpati.
Perlahan-lahan dia mengukir senyum. Dari tingkat
atas, dia memandang majlis persandingan yang dibuat di
ruang tamu. Badrul segak dengan baju Melayu berwarna
ungu gelap. Dan Dayana cukup jelita dengan kebaya lace dari
warna sedondon.
“Masuklah ke dalam.” Jamilah bersuara sambil
melabuhkan punggung ke sofa panjang. Simpatinya
membuak-buak melihat wajah Sabrina.

229

Pergilah Air Mata

Sabrina menggeleng. Air mata di pipi disapu
perlahan. “Kak Milah tak sibuk ke?”

Jamilah menggeleng. “Kalau semua ni buat Ina
sedih, janganlah tengok. Pergilah masuk bilik.”

Sabrina menggeleng perlahan. “Tak apa. Saya tak
apa-apa….”

“Kalau tak apa-apa… ni apa ni?” Jamilah bersuara
sambil menyapu air mata di pipi Sabrina.

Sabrina tergelak dalam sendu.
“Saya pun tak tahu, kak. Air hujan kut,” balasnya
cuba berseloroh.
Jamilah tersenyum hiba. Perlahan-lahan menarik
Sabrina rapat ke bahunya.
Sabrina terkedu. Pelukan Jamilah terasa begitu
mendamaikan. Rindunya dia pada pelukan sebegini. Pelukan
yang sudah bertahun tidak dia rasai. Pelukan yang membuat
dia teringatkan mak su. Ibu saudara yang menjaganya sejak
dia kehilangan ayah dan ibu. Ibu saudara yang telah pergi
meninggalkannya tiga tahun lalu. Dengan sedikit teragak-
agak, Sabrina membalas pelukan itu. Terasa hangat pelukan
Jamilah. Sehangat pelukan mak su sewaktu dia perlukan
sokongan arwah ibu saudaranya itu.
“Sabarlah….”
Sabrina sebak mendengar kata-kata pujukan itu.
Terasa apa yang sedang menghimpit dadanya, bakal meledak
keluar. “Saya pun tak tahu kenapa saya rasa macam ni, Kak
Milah. Sebelum ni, saya tak berperasaan macam ni pun.”
“Walaupun Ina kahwin sebab terpaksa, Encik Badrul
tetap suami Ina. Isteri mana yang boleh tersenyum senang
melihat suami bersanding dengan orang lain?”

230

Hanni Ramsul

Sabrina kaku di dalam pelukan Jamilah. Betul ke?
Sebab itu ke air mata menitis di pipinya? “Kenapa sebelum
ni, saya langsung tak kisah?”

Dia bertanya lagi. Benar-benar tidak faham dengan
perasaannya sendiri.

Jamilah diam. Cuma perlahan-lahan mengelus
rambut Sabrina. “Sudahlah tu. Jomlah masuk.”

Sabrina meleraikan pelukannya. Memandang sekali
lagi ke arah ruang tamu yang cukup meriah dengan para
jemputan. Kerlipan flash kamera bagai kilat sabung-
menyabung. Melihat wajah ceria Badrul dan Dayana, hatinya
terasa perit tiba-tiba. Cepat-cepat dia alihkan pandangan.
Terpaut pada renungan Darius. Darius memerhatinya dalam
diam. Di celahan tetamu yang ramai, Darius tercegat
memandangnya.

“Awak pula silap, apabila setuju dia berkahwin
lain.”

Selintas kata-kata Darius tempoh hari menjengah
di ruang ingatan. Inikah kesilapan yang Darius maksudkan?
Dia silap menilai perasaan sendiri. Dia yakin dia boleh lalui
semua ini dengan mudah. Namun, saat ini, baru dia sedar,
terlalu sukar untuk menerima hakikat dia kini terpaksa
berkongsi Badrul dengan Dayana. Walaupun tiada rasa cinta
untuk Badrul, namun lelaki itu pernah melafazkan akad yang
sama untuknya. Melihat Badrul dan Dayana berpakaian
indah, pantas dia teringatkan majlis akad nikahnya yang
penuh dengan air mata. Pipinya lencun tatkala Badrul
melafazkan namanya di hadapan tuk kadi.

Dia melihat segarit senyum di bibir Darius. Dengan
payah dia membalas senyuman itu. “Saya nak masuk dululah,
Kak Milah.”

231

Pergilah Air Mata

Jamilah mengangguk. “Nak akak temankan?”
Sabrina menggeleng pantas. “Tak payah. Kak Milah
mesti sibuk nak layan tetamu. Takut Datin marah pula nanti.
Saya minta maaf ya, Kak Milah. Saya betul-betul tak boleh
tolong Kak Milah. Saya ingat saya kuat, rupa-rupanya saya
lemah sangat. Saya tak sanggup nak tengok semua ni.”
Jamilah tersenyum nipis. Dia memandang wajah
Sabrina yang sedikit sugul. Dalam hati segundah itu, Sabrina
masih sempat memikirkan tentang dirinya. “Tak payah risau
pasal akaklah. Akak dah biasa. Sekarang Ina pergi rehat.
Jangan fikir sangat tentang benda ni.”
Sabrina tersenyum kecil sambil mengangkat
punggung. Dia melangkah lesu menuju ke biliknya. Dalam
enggan, dia berhenti di hadapan bilik Badrul. Menolak daun
pintu tanpa tujuan tertentu. Melihat bilik itu yang dihias
cantik. Bilik pengantin. Dia mengeluh perlahan sambil
menutup semula pintu bilik itu.
Sabrina menyambung langkah menuju ke biliknya.
Dia kini terpaksa tidur di dalam bilik lain. Dalam diam, dia
mulai berasa jauh daripada Badrul.
Ini yang kau mahu Ina. Kau kena terima semua ni.
Sabrina menelan liur. Suara hatinya tidak lebih
daripada membuat dia berasa semakin sedih. Pintu bilik
ditolak perlahan. Bilik tetamu kini menjadi biliknya. Mungkin
hanya bilik ini yang layak untuknya. Pintu bilik ditutup
perlahan. Sepi. Terpisah daripada segala keriuhan di luar. Dia
mengeluh kecil. Bergerak ke katil. Sepinya hati ini saat ini.
Banyak yang tersimpan di hatinya. Ingin rasanya dia luahkan
pada seseorang. Tetapi, saat ini dia tidak mempunyai sesiapa.
Tidak ada teman untuk berkongsi rasa sedih ini.
Dia mencapai telefon. Ingin menghubungi Maria.

232

Hanni Ramsul

Tetapi, untuk apa? Tiba-tiba dia teringatkan layanan Maria
padanya tempoh hari. Berbeza sekali layanan temannnya itu.
Takkan Maria mahu mendengar rintihan hatinya. Ikmal?
Lelaki itu tidak sesuai untuk menjadi tempat dia luahkan
perasaan. Lagipun dia tidak mahu menambah beban di bahu
Ikmal.

Sabrina mengeluh perlahan. Sekarang baru dia
sedar, rupa-rupanya teman akrabnya cuma Maria. Bahu untuk
dia melepaskan tangisnya, cuma Ikmal. Teman-teman lain,
tidak lebih sekadar teman berkongsi cerita gembira.
Kehilangan Ikmal dan Maria, membuat dia hilang dahan
tempat berpaut. Dan, saat ini, dia harus belajar menelan
setiap kepahitan sendirian. Dia harus lebih kuat daripada
sebelumnya.

Telefon bimbit diletakkan semula di atas meja kecil
di tepi katil. Terpandang cincin di jari manisnya. Cincin yang
tidak pernah dia acuhkan selama ini. Cincin perkahwinannya
dengan Badrul. Perlahan-lahan dia menyentuh cincin emas
yang terlalu biasa bentuknya itu. Tiba-tiba timbul rasa sayang
pada cincin itu.

Sekali lagi dia menghela nafas panjang sambil
melangkah ke jendela. Mengintai ke halaman banglo Datuk
Hamidi yang penuh dengan khemah. Badrul berkeras mahu
mengadakan majlis perkahwinannya di rumah sahaja.
Menolak cadangan ibu mertuanya agar majlis itu dibuat di
hotel mewah. Kenapa? Tidak pula dia tahu. Senyum lebar
Badrul dan Dayana yang sedang melayan tetamu, dipandang
sepi. Bahagianya pasangan itu.

“Saya harap awak tak menyesal dengan keputusan
ni. Kalau awak sayangkan Bad, baik awak minta saya batalkan
perkahwinan ni. Saya tak nak nanti timbul masalah….”

233

Pergilah Air Mata

“Tak. Saya tak ada apa-apa perasaan pada Badrul.
Lagipun saya tak berhak menghalang Badrul untuk hidup
bahagia….”

“Saya tak tahu kenapa saya boleh setuju dengan
cadangan Badrul ni. Mungkin sebab saya terlalu cintakan dia,
atau sebab saya cemburukan awak. Tapi, saya terima
perkahwinan ni sebab awak cakap, perkahwinan ni tak
membawa makna pada awak. Awak tak harap apa-apa daripada
perkahwinan ni. Dan Badrul pula, dia cakap, dia akan
lepaskan awak. Sampai masa, dia akan lepaskan awak. Sebab
tu saya terima. Sebab, saya tak nak berkongsi Badrul dengan
orang lain….”

“Jangan bimbang, Badrul hanya milik awak. Dia
cuma nak awak jadi teman hidupnya.”

“Awak yakin awak tak akan menyesal? Saya harap
awak dah fikir masak-masak. Saya kahwin dengan Badrul dan
awak terpaksa lupakan hak awak sebagai isteri dia sehingga
dia lepaskan awak. Kalau semua tu terlalu berat pada awak,
baik awak ubah keputusan awak sekarang. Sebelum saya
berbincang dengan famili saya. Betul awak tak rasa sayang
pada perkahwinan awak ni? Sikit pun tak ada?”

Sabrina memandang wajah Dayana. Perlahan-lahan
dia menggeleng. “Saya cuma nak tunggu hari Badrul
lepaskan saya. Lagipun, kekasih saya setia menanti saya.”

Sabrina mengeluh panjang. Kata-katanya amat
meyakinkan lewat pertemuannya dengan Dayana sebelum
kata putus tentang perkahwinan itu dibuat. Dia sendiri amat
yakin dengan perasaannya saat itu. Dia tidak berbohong pada
Dayana. Kalau ada pun, cuma satu. Tidak pernah ada kekasih
yang menunggunya. Namun, dia perlu berbohong untuk
meyakinkan Dayana. Memang saat itu, dia cuma mahu Badrul

234

Hanni Ramsul

lepaskannya. Dan kata-kata Dayana bagaikan memberi
kekuatan padanya. Dayana memberitahu, Badrul memang
berhasrat ingin lepaskannya. Sungguh!

Itulah satu-satunya berita yang dia nantikan selama
ini. Tetapi, kenapa kini perasaannya seakan berubah? Kenapa
tiba-tiba dia sayang pada perkahwinan yang tidak pernah dia
acuhkan selama ini? Kenapa dia berasa jauh dengan Badrul
apabila melihat lelaki itu erat memeluk tubuh Dayana. Berasa
sedih melihat gelak tawa gembira lelaki itu?

“Bodoh! Jangan jadi bodoh Sabrina. Kau dah janji.
Kau tak boleh mungkir janji! Kau sendiri yang cakap, kau tak
ada apa-apa perasaan pada dia….”

Sabrina memegang kepala. Dia sudah mula
bercakap sendiri. Gilakah dia? Satu keluhan yang teramat
berat dilepaskan. Dia tidak mahu tengok semua ini. Dia tidak
mahu fikir tentang semua ini. Langsir ditarik perlahan. Dia
bergerak ke katil sambil merebahkan diri di situ. Cuba
membuang rasa sebak yang kembali datang menghimpit
dada. Pergilah wahai air mata. Janganlah memberat di tubir
mata ini lagi.

Sabrina cuba pejamkan mata. Cuba membuat
lena….

BADRUL mengukirkan senyuman di bibirnya. Bagaikan
bermimpi, akhirnya Dayana bergelar isterinya. Dari jauh
dia melihat Dayana sedang berbual mesra dengan ibu dan
bapanya. Acara sudah berakhir. Tetamu sudah beransur
pulang. Halaman yang dari pagi penuh dengan manusia, kini
sudah sunyi sepi.

235

Pergilah Air Mata

“Kak Milah!” panggilnya sebaik melihat kelibat
pembantu rumahnya itu.

Jamilah menoleh. Melangkah merapati Badrul. “Ada
apa Encik Badrul?”

“Hmmm… Sabrina mana? Saya tak nampak dia
pun.” Badrul mengajukan soalan. Agak pelik apabila dia tidak
melihat kelibat Sabrina sepanjang hari.

“Ada kat bilik dia kut. Dia nampak sedih aja tadi,”
jawab Jamilah bersahaja.

“Sedih? Kenapa pulak?”
“Manalah akak tahu. Encik Badrul pergilah tengok
sendiri.”
Baru sahaja dia mahu ajukan lagi soalan, Jamilah
sudah berlalu. Sedih? Sabrina sedih? Kenapa gadis itu mesti
bersedih? Semalam dia melihat Sabrina tersenyum senang
membantu Jamilah menyiapkan persiapan perkahwinannya.
Sebelum ini pun, Sabrina riang bertenggek di ruang tamu
melihat ibunya menghias barang-barang hantaran. Hari ini,
tiba-tiba bersedih pulak?
Badrul mengeluh perlahan. Menghayun langkah
menuju ke tingkat atas. Ingin melihat keadaan Sabrina. Laju
dia melangkah sebelum berhenti seketika di hadapan pintu
bilik Sabrina. Teragak-agak untuk mengetuk pintu. Tiba-tiba
dia jadi serba salah untuk berdepan dengan gadis itu. Dalam
rasa serba salah itu, perlahan-lahan dia mengetuk pintu.
Senyap. Tidak berjawab. Dia mencuba sekali lagi. Sama.
Sudahnya dia menolak daun pintu perlahan-lahan. Tidak
berkunci. Pintu dikuak lebih lebar, sebelum dia melangkah
masuk.
“Tidur lagi. Tak ada kerja lain ke?” Dia merungut
perlahan melihat Sabrina lena di katil.

236

Hanni Ramsul

Badrul melangkah mendekati katil. Dia melabuhkan
punggungnya di situ. Dia memandang wajah Sabrina dalam
lena. Nampak begitu tenang. Dalam benci, dia harus
berterima kasih pada gadis ini. Kerana Sabrina, Dayana
bersetuju untuk mengahwininya. Dia tidak tahu apa yang
Sabrina bualkan dengan Dayana. Tetapi, setelah pertemuan
empat mata antara Sabrina dan Dayana, akhirnya kekasihnya
itu memberi kata putus. Kata putus yang membahagiakannya.

“Thanks…” bisiknya perlahan sambil mengusap
perlahan rambut Sabrina.

Usapannya terhenti tatkala dia terpandangkan
cincin di atas telapak tangan Sabrina. Dia ingat cincin itu.
Cincin ibunya. Cincin yang diberi ibunya untuk digunakan
sewaktu majlis akad nikahnya dengan Sabrina. Dia terpaksa
menggunakan cincin ibunya kerana tidak sempat
menyediakannya. Atau lebih tepat lagi, dia tidak mahu
menyediakannya. Biasanya, cincin itu tersarung elok di jari
manis gadis ini. Kenapa hari ini cincin itu ditanggalkan? Dan,
kenapa jantungnya tiba-tiba berdegup kencang tatkala
melihat cincin itu tidak lagi tersarung di jari Sabrina?

Dengan hati-hati, Badrul mencapai cincin di telapak
tangan Sabrina. Namun sebaik jarinya tersentuh tangan
Sabrina, mata gadis itu tiba-tiba terbuka. Cepat-cepat cincin
yang sudah dia ambil, digenggam erat.

Sabrina terjerit kecil. Pantas berengsot ke kepala
katil sambil mengurut dada. “Awak ni! Tak pandai ketuk pintu
ke?”

Badrul memandang wajah Sabrina. “Dah nak roboh
pintu tu aku ketuk. Kau tu yang tidur mati.”

Sabrina diam. Dia melihat tangannya. Cincin di
telapak tangannya sudah tiada. Mana perginya? Dia melihat

237

Pergilah Air Mata

sekeliling. Tiada. Pantas tangannya menyelak selimut. Tiada.
Kemudian dia bergerak turun dari katil sambil membongkok
mencari di lantai.

“Kau cari apa?”
Sabrina tidak menjawab. Dia malu untuk berterus
terang dengan Badrul. Dia tidak sebodoh itu untuk
membiarkan dirinya yang sedang bersedih ini, dimarahi
Badrul. Terbongkok dia terus mencari di lantai.
Badrul terus memandang. Dia tahu sebenarnya apa
yang dicari oleh Sabrina. Namun, seronok pula dia melihat
wajah Sabrina yang cemas. Daripada membongkok, Sabrina
kini merangkak perlahan-lahan mencari di sekitar katilnya.
Membuat darah lelaki itu menyerbu ke muka tatkala melihat
leher baju kurung Sabrina yang terjatuh. Menampakkan dada
putihnya. Pasti gadis itu tidak sedar.
“Hey!”
Sabrina angkat muka.
“Apa?” soalnya geram.
Badrul tidak menjawab. Cuma matanya tidak
bergerak.
Sabrina menurut arah renungan Badrul dan
renungan itu berakhir ke dadanya. Wajahnya terasa panas
tiba-tiba. Cepat-cepat dia duduk di lantai sambil memegang
leher baju kurungnya.
“Awak pergi keluarlah. Jangan kacau saya!” jerit
Sabrina geram.
Badrul tergelak melihat wajah Sabrina yang merah
menyala menahan malu. “Kau cari apa?”
“Adalah. Bukan urusan awak. Pergilah keluar.
Jangan ganggu saya!”

238

Hanni Ramsul

“Amboi! Garangnya. Kak Milah kata kau tengah
bersedih. Tapi, ni bukan bersedih. Ni tengah hot tempered
ni.”

Sabrina menjeling tajam. Cuba membuang rasa
malu yang menjengah.

“Apa awak buat kat sini?” soalnya sedikit hairan.
“Pergilah masuk bilik awak. Janganlah kacau saya.”

Badrul merangkak ke atas katil, kemudian duduk di
lantai sambil bersandar pada tiang katil.

“Kau cari ni ke?” soalnya sambil membuka
genggaman.

Sabrina memandang cincin di telapak tangan
Badrul. Patutlah hilang….

“Awak nak balik ke, cincin tu?” soal Sabrina
perlahan. Dia tahu cincin itu bukan miliknya. Juga bukan
milik Badrul.

Badrul memandang hairan.
“Mama awak nak semula ya?” soal Sabrina lagi.
“Kenapa kau tanggalkan?”
Sabrina diam. Nampaknya dia bakal kehilangan
cincin yang baru sahaja dia hargai akan kewujudannya itu.
Perlahan-lahan dia bangun. Ingin melangkah keluar dari bilik
itu. Langkahnya terhenti apabila tangan Badrul mencapai
jari-jemarinya. Dia pandang wajah Badrul. Segak bersongkok
dengan baju Melayu ungunya. Masih belum berganti pakaian.
“Come!” ujar Badrul sambil menarik tangan
Sabrina.
Sabrina akur. Dia turut melabuhkan punggung di
sebelah Badrul sambil bersandar pada tiang katil.

239

Pergilah Air Mata

“Kenapa kau tanggalkan cincin ni?”
Sekali lagi Badrul bertanya.
Sabrina diam. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia
tanggalkan cincin itu. Mungkin dia ingin menggenggam
semula perkahwinan yang sudah dia lepaskan ini. Dia
pandang wajah Badrul. Mustahil untuk dia berterus terang
dengan Badrul. Tidak penting rasanya.
“Tahniah!” ucapnya sekadar ingin mengubah tajuk
perbualan.
Badrul diam. Ternyata ucapan tahniah Sabrina
berbeza nadanya daripada ucapan tahniah para tetamu yang
hadir tadi. Ucapan daripada Sabrina membuat dia terkedu.
Dia merenung wajah Sabrina. Perlahan-lahan dia mencapai
jari-jemari Sabrina, membuat Sabrina sedikit tercengang.
Sabrina memandang wajah hairan Badrul. Dia
terpaku seketika apabila Badrul menyarungkan semula cincin
itu ke jari manisnya.
“Jangan tanggalkan lagi.”
Sabrina memandang jari manisnya. Tersenyum.
“Terima kasih,” ucapnya perlahan.
Badrul turut tersenyum. Dia menggenggam erat
jari-jemari Sabrina.
Sabrina terkebil-kebil. Kurang selesa dengan cara
Badrul. Tangannya ditarik perlahan-lahan. Namun,
genggaman Badrul tetap erat mencengkam.
“Sabrina….”
Sabrina angkat muka, memandang Badrul.
“Kak Milah kata, kau sedih. Kenapa? Sebab aku
kahwin dengan Dayana ke?”

240

Hanni Ramsul

Sabrina betul-betul tergamam. Lembutnya suara
Badrul mengalunkan soalan itu. Tidak pernah Badrul
bercakap selembut ini dengannya.

“Berterus teranglah dengan aku.”
Sabrina berdeham perlahan. Cuba bersuara. Tetapi
tidak mampu. Sudahnya, dia cuma menggeleng perlahan.
“Apa maksudnya? Aku tak faham!”
“Saya… saya tak sedih pun. Kak Milah tu, pandai-
pandai aja….”
Badrul tersenyum kecil. Perlahan-lahan dia
menjatuhkan tangannya ke bahu Sabrina. Menarik Sabrina
ke dalam pelukannya.
“Thanks…” ucapnya lembut sambil melayangkan
satu kucupan di dahi Sabrina.
Sabrina kaku tidak bergerak. Pelik betul tingkah
Badrul hari ini. Lama bibir itu melekat di dahinya. Membuat
jantungnya tiba-tiba berdegup kencang.
“Untuk apa?” soal Sabrina perlahan.
“Untuk segala-galanya. Aku tahu… Dayana setuju
berkahwin dengan aku, sebab kau. Sebab sesuatu yang keluar
dari bibir kau. Bukan sebab aku ajak dia kahwin. Dia menolak
sehinggalah kau berjumpa dengannya. Aku tak tahu apa yang
kau cakap padanya. Tapi, terima kasih….”
Sabrina tersenyum kecil.
“Awak….”
Badrul menatap wajah Sabrina sambil gadis itu
cuba melepaskan diri daripada pelukannya. Gagal. Kerana
pautan tangannya di bahu Sabrina, lebih kuat daripada kudrat
gadis itu.

241

Pergilah Air Mata

“Awak… keluarlah. Bilik awak kat sebelah.”
Badrul tersenyum kecil. “Kau takut ke?”
Sabrina menjeling. “Nanti Dayana cari awak.
Cepatlah keluar!”
“Menghalau nampak!” balas Badrul sambil angkat
punggung.
Sabrina terus duduk bersandar di katil sambil
memandang cincin di jarinya. Kemudian, Sabrina menyentuh
dahinya yang masih terasa hangat kucupan Badrul.
“Jangan sambung tidur pulak. Dah nak senja.
And… tolong turun makan. Aku tak nampak kau seharian
hari ni. Mesti kau tak makan.”
Sabrina membuat muka selamba.
“Dengar tak?”
“Dengar. Saya tahulah… saya ni bukan budak kecil.
Dah, cepatlah keluar!”
Badrul tergelak. Dia berlalu keluar dari bilik itu.
Meninggalkan Sabrina terkebil-kebil di tengah-tengah katil.
Dia sukakan layanan Badrul sebentar tadi. Badrul tidak
mengeluarkan kata-kata sinis padanya. Lelaki itu melayannya
dengan baik sekali. Dia suka apabila lelaki itu ambil berat
tentang dirinya.
“And… tolong turun makan. Aku tak nampak kau
seharian hari ni. Mesti kau tak makan.”
Walaupun bersama Dayana, Badrul masih perasan
akan ketiadaannya. Sabrina tersenyum. Tidak faham akan
maksud senyuman itu. Bukan senyum gembira, bukan juga
senyum menutup kesedihan. Dia benar-benar keliru dengan
perasaannya kala ini….

242

No. ISBN:- 978-967-5067-37-2
Jumlah muka surat: 871
Harga Runcit:-
Semenanjung M’sia: RM28, Sabah/Sarawak: RM31
Harga Ahli KKN:-
Semenanjung M’sia: RM24, Sabah/Sarawak: RM27

Sinopsis:-
Sebuah bala... sebuah malapetaka telah merantai
Badrul Datuk Hamidi dan Sabrina ke alam rumah tangga.
Badrul yang tidak dapat menerima kenyataan ini
tegar menyakiti hati Sabrina yang tidak bersalah. Air matalah
peneman setia Sabrina di dalam sangkar emas keluarga Datuk

Hamidi. Tanpa ketahuan mereka rupa-rupanya bala tersebut
adalah rancangan seseorang yang tidak senang dengan
kebahagiaan Sabrina.

Hiduplah Badrul dengan salah sangkanya terhadap
Sabrina dan Sabrina dengan kesedihan yang tidak
berpenghujung.

Mujurlah Datuk Hamidi tak mudah melatah,
melayan Sabrina dengan baik.

Namun, lama-kelamaan benci Badrul mula berubah
rindu. Sepanjang masa hanya wajah Sabrina yang melekat di
ingatan, senyuman Sabrina yang menari-nari di mindanya.
Tetapi hatinya masih belum mempercayai Sabrina
sepenuhnya. Masih ada syak yang melingkari sukmanya.

Walaupun bencinya masih ada, perpisahan yang
dipinta oleh Sabrina telah mencarik hatinya.

“Akan kulepaskan jua air mata ini pergi... jauh...
sejauhnya... sehingga sepasang mata ini tidak mampu ingat
pada hangat titisannya dahulu.”

Untuk mengetahui kesudahan perasaan Badrul
terhadap Sabrina, dapatkan PERGILAH AIR MATA di
rangkaian kedai buku MPH, Popular dan kedai-kedai
berdekatan anda.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki
Novel Enterprise melalui online atau pun pos.

Untuk melanggan melalui online, sila layari laman
web kami di:- www.kakinovel.com.

Untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu
tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang

ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/
kiriman wang atas nama:- KAKI NOVEL ENTERPRISE dan
poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise
No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,
D’Wangsa, Wangsa Maju,
53000 Kuala Lumpur.
No. Telefon:- 03-4149 0096
No. Faks:- 03-4149 1196


Click to View FlipBook Version