The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by pssskbatukikir, 2021-04-30 09:51:17

Uthmaniyah Melaka

Uthmaniyah Melaka

Wilayah kerajaan Islam Cordoba yang wujud dari tahun 929 hingga 1031
Masihi meliputi negara Portugal dan Sepanyol pada hari ini. Oleh itu,
dendam Portugis dan Sepanyol terhadap umat Islam amat tinggi kerana
negara mereka pernah dikuasai pemerintah Islam. Portugal dan Sepanyol
juga mengambil manfaat ilmu pelayaran yang dipelajari dari sumber-sumber
Islam bagi melakukan penjelajahan ke timur jauh.

Kejayaan itu memberi kebimbangan yang besar kepada para paderi
Kristian di Eropah pada ketika itu. Namun begitu, kemangkatan
Sultan Muhammad al-Fatih sejurus selepas kejayaan menakluki kota
Otranto, membantutkan kemaraan Uthmaniyah ke seluruh Itali.1

Oleh itu pada 8 April 1481, Pope Sixtus IV mengeluarkan arahan
kepada raja-raja di Eropah untuk melancarkan perang salib ke atas
Turki Uthmaniyah. Bagi menyahut arahan dari pemimpin Kristian

1 Christopher D. Nelson. 2017. Otranto, Battle of (1480-1481). Dlm Jeffrey M. Shaw
dan Timothy J. Demy (penyt.) War and Religion : An Encyclopedia of Faith and
Conflict (Jilid I). Hlm 623

142

itu, kerajaan Portugal bersama kerajaan-kerajaan lain di Eropah
memutuskan untuk menghantar pasukan tentera bagi mengusir
penguasaan Uthmaniyah ke atas kota tersebut. Kerajaan Portugal
telah menghantar sepasukan tentera perang di bawah pimpinan
Garcias Meneses untuk membantu kerajaan-kerajaan Kristian yang
lain menentang angkatan tentera Uthmaniyah. Maka pada 1 Mei 1481,
kota Otronto berjaya direbut kembali dari tentera Uthmaniyah.2

Peristiwa ini memberi amaran kepada kerajaan-kerajaan Kristian
di Eropah bahawa kekuatan Uthmaniyah perlu dibendung. Mereka
mendapati bahawa salah satu cara untuk melemahkan Uthmaniyah
ialah dengan merampas perdagangan rempah dunia dari tangan umat
Islam di mana perdagangan rempah ini memberi manfaat ekonomi
kepada kerajaan-kerajaan Islam termasuk Uthmaniyah. Kebetulan,
pada waktu itu, Melaka menjadi pusat perdagangan rempah di timur.

Sejurus selepas keluar dari zaman kegelapan ilmu pengetahuan,
Portugal yang kedudukannya secara geografi lebih jauh dari Alam
Melayu berbanding Turki Uthmaniyah telah sedar tentang kepentingan
Kota Melaka bagi perdagangan di dunia. Prof Azyumardi Azra telah
memetik teori Schrike tentang matlamat Portugis menguasai Melaka.
Menurut Schrike, niat Portugis untuk meluaskan penguasaannya di
kepulauan Melayu mesti dilihat dari kesinambungan perang salib yang
berlaku di Eropah dan Timur Tengah. Hakikatnya, Portugis sangat
bercita-cita untuk meningkatkan kemasyhuran, maruah dan kekayaan
yang disertakan dengan semangat keagamaan yang tinggi.3

2 Kenneth M. Setton. 1978. The Papacy and The Levant (1204-1571) (Jilid II).
Hlm 372
3 Azyumardi Azra. 2002. Jaringan Global dan Lokal Islam Nusantara. Hlm 38

143

Setelah tewas berkali-kali dengan tentera Islam dalam perang salib,
keperitan orang-orang Portugis, Sepanyol serta orang-orang Kristian
di Eropah bertambah apabila Sultan Muhammad al-Fatih berjaya
menakluki Konstantinople yang merupakan ibu kota empayar Rom.
Peristiwa ini menambahkan dendam mereka terhadap umat Islam.
Bangsa-bangsa Eropah terutamanya Portugis dan Sepanyol sedar
bahawa kunci untuk menewaskan kekuatan umat Islam ialah dengan
menguasai perdagangan dunia. Komoditi utama perdagangan dunia
pada ketika itu ialah rempah dan tempat pengeluaran rempah di dunia
adalah di kepulauan Nusantara.

Di samping itu, Kota Melaka menjadi pelabuhan utama bagi
perdagangan rempah di dunia. Perkara ini sangat disedari oleh
bangsa-bangsa Eropah yang baru sahaja keluar dari zaman kegelapan.
Mereka tidak mampu menewaskan kuasa-kuasa besar Islam seperti
Uthmaniyah dan Mamluk dengan serta merta. Maka cara mereka
untuk melemahkan penguasaan Islam ialah dengan menakluki sumber
kekayaan kuasa-kuasa besar Islam itu. Maka dengan itu, Portugis
merancang untuk menakluki Melaka dan Maluku. Kota Melaka
sebagai pelabuhan utama perdagangan rempah, manakala Maluku
pula ialah pengeluar utama rempah ratus.

Perkara-perkara ini meningkatkan keazaman Portugis untuk menjajah
kepulauan Melayu yang merupakan sumber kekayaan dunia pada
ketika itu melalui penguasaan perdagangan rempah. Berikutan dengan
terusirnya orang-orang Islam dari Semenanjung Iberia (Portugal dan
Sepanyol) pada tahun 1492, semangat mereka untuk menewaskan
umat Islam dan mengambil alih khazanah ilmu-ilmu Islam semakin
berkobar-kobar.

144

Portugis dan Sepanyol banyak mendapat manfaat dari ilmu-ilmu yang
ditinggalkan oleh para ilmuwan Islam terutamanya dalam ilmu bidang
pelayaran. Usaha Portugis untuk menjelajah ke dunia timur berhasil
apabila pada 27 Mei 1498, satu ekspedisi pelayaran Portugis yang
diketuai oleh Vasco de Gamma berjaya mendarat di Calicut. Dengan
itu, semangat mereka semakin berkobar-kobar untuk meluaskan
penguasaan mereka di bahagian timur terutama di India dan kepulauan
Melayu.4

Schrieke yang menekankan tentang semangat perang salib yang
menjadi antara faktor peguasaan Portugis ke timur dengan menyatakan
seperti berikut :-

Semangat agama yang tercermin dalam tradisi Perang Salib dan
kenangan perjuangan yang pahit kepahitan melawan orang-orang
Islam di Semenanjung Iberia sudah pasti terus menjadi suatu motivasi
yang sangat penting ......Unsur agama juga tetap menjadi satu faktor
yang signifikan dalam politik Sepanyol pada masa-masa berikutnya.
Bagi penduduk di Semenanjung Iberia, penganut Islam dipanggil
‘Moor’ dan mereka menjadi sasaran kebencian.5

Pada zaman perang salib, Portugis, Sepanyol dan orang-orang
Kristian di Eropah secara keseluruhannya meletakkan kebencian
yang ketara di dalam hati mereka terhadap orang-orang Islam.
Sekian lama minda orang-orang Portugis sangat berkait rapat

4 Izziyah Suryani Arshad. 2009. Kekuasaan Portugis Di Timur dan Hubungannya
Dengan Kerajaan Uthmaniyah. Dlm Farid Mat Zain (penyt.). Daulah Uthmaniyah
dan Alam Melayu. Hlm 3
5 Kenneth M. Setton. 1978. The Papacy and The Levant (1204-1571) (Jilid II).
Hlm 372

145

dengan kisah lagenda pemimpin Kristian yang hidup pada abad
ke-12 yang mereka begitu sanjungi iaitu Prester John. Beliau
dikatakan pernah menewaskan orang-orang Islam dan berjaya
memiliki wilayah kekuasaan hingga ke timur. Dengan ‘bantuannya’,
mereka berharap bahawa mereka mampu berperang dengan orang-
orang Islam dan menamatkan penguasaan orang-orang Islam
ke atas dunia.

Kekuatan yang dimiliki oleh orang-orang Islam ini antara punca
utamanya ialah penguasaan mereka ke atas jalur perdagangan dunia.
Orang-orang Islam menguasai jalur perdagangan ke timur melalui
darat dan laut. Pedagang-pedagang Islam menguasai jalur perdagangan
di darat yang melalui jalan sutera dan jalur perdagangan laut yang
melintasi Lautan Hindi. Situasi ini membuatkan kerajaan-kerajaan
Islam di barat seperti Mamluk dan Uthmaniyah berada dalam keadaan
yang kukuh.

Saingan terhadap perkembangan agama, perdagangan dan kuasa
politik di Lautan Hindi bermula sejak tahun 1942 lagi iaitu ketika
orang-orang Eropah terutamanya yang berada di Semenanjung Iberia
keluar dari zaman kegelapan ilmu pengetahuan. Pada tahun 1492,
orang-orang Sepanyol berjaya menguasai Granada, wilayah Islam
terakhir di Andalusia. Oleh itu, mereka mengambil manfaat daripada
ilmu-ilmu yang ditinggalkan oleh orang-orang Islam.

Mereka juga mengamalkan polisi “Inkuisisi Sepanyol” iaitu proses
pembantaian umat Islam dan penghapusan kesan-kesan Islam. Perkara
yang sama telah dilakukan oleh Portugis ketika mereka menawan
Andalusia barat dari Umat Islam. Umat-umat Islam dan bangsa Yahudi

146

yang melarikan diri dari kekejaman Sepanyol itu sebahagian besarnya
melarikan diri ke Istanbul bagi mendapatkan perlindungan dari Sultan
Beyazid II.

Sebelum berlakunya saingan di Lautan Hindi antara Sepanyol dan
Portugis, seorang pelayar Potugis yang bernama Bartolomeu Dias
telah berjaya tiba di bahagian paling selatan Afrika pada tahun 1488.
Beliau juga membuktikan bahawa pelayaran ke India boleh dilakukan
dari situ.6

Namun pada tahun 1492, seorang pelayar Itali iaitu Christopher
Columbus yang berkhidmat dengan Raja Sepanyol, dikatakan
telah menjumpai ‘dunia baru’ iaitu Amerika apabila mereka berniat
menjelajah Lautan Hindi. Perkara ini menimbulkan rasa tidak senang
buat Portugis.

Oleh itu, enam tahun kemudian iaitu pada 18 Mei 1498, seorang
pelayar Portugis yang bernama Vasco de Gama telah mula belayar
ke Lautan Hindi dengan kapal kecil beliau atas arahan Raja Portugal.
Kapal beliau dikemudikan dari timur Afrika ke Lautan Hindi oleh
seorang nakhoda Islam yang berasal dari Gujerat.

Vasco de Gama juga meminta bantuan dari kepakaran seorang pelayar
Islam berbangsa Arab iaitu Ibn Majid. Portugis terpaksa menggunakan
kepakaran pelayar-pelayar Islam kerana pengetahuan mereka terhadap
jalur pelayaran di Lautan Hindi sangat terbatas. Dengan itu, Vasco de

6 Izziyah Suryani Arshad. 2009. Kekuasaan Portugis Di Timur dan Hubungannya
Dengan Kerajaan Uthmaniyah. Dlm Farid Mat Zain (penyt.). Daulah Uthmaniyah
dan Alam Melayu. Hlm 2.

147

Gama akhirnya berjaya berlabuh di Pelabuhan Malabar sebelum ke
Calicut.

Sejak itu, Portugis dan Sepanyol saling bersaing bagi merebut jalur
laluan perdagangan rempah di timur dari tangan pedagang-pedagang
Islam. Mereka bukan sahaja membawa matlamat menguasai
perdagangan rempah, malah mereka juga membawa bersama dendam
agama yang tidak pernah pudar. Sepanyol dan Portugis sedar bahawa
mereka tidak akan mampu menewaskan kerajaan Islam yang terkuat
pada zaman itu iaitu Daulah Uthmaniyah. Apatah lagi Uthmaniyah
baru sahaja berjaya menewaskan Byzantin Rom dan menguasai
Konstantinople iaitu kira-kira 40 tahun yang lalu.

Portugis memulakan rancangan mereka untuk menawan
pelabuhan-pelabuhan di India seperti Goa dan Calicut kerana
pelabuhan ini merupakan salah satu pelabuhan yang sangat
penting dalam perdagangan rempah dunia. Rempah-rempah dari
timur yang dikumpulkan di pelabuhan Kota Melaka akan dibawa
ke India sebelum dibawa ke Istanbul melalui pelabuhan Iskandariah.
Maka pelabuhan Kota Melaka dan pelabuhan-pelabuhan di India
dianggap penting bagi seluruh pedagang Islam di dunia pada ketika
itu.

Misi pelayaran Pedro Alvares Cabral, pelayar Portugis ke
India bagi menyebarkan agama Kristian secara paksaan.
Beliau adalah pelayar dari Eropah yang pertama berjaya
menubuhkan gudang di Calicut, India.

148

Pada 18 Mei 1498, Vasco de Gama menghadap Zamorin (pemerintah) Calicut
untuk memujuknya agar memberikan hak perdagangan yang eksklusif kepada
Portugis sahaja. Vasco de Gama juga memujuk Zamorin agar mengusir
seluruh pedagang Islam dari Calicut. Namun permintaan Vasco de Gama itu
ditolak dengan tegas oleh Zamorin.

149

Halil Inalcik menyatakan bahawa selepas Vasco da Gama tiba
di India, kargo rempah yang pertama tiba di Lisbon pada tahun
1501. Bagi menguasai secara mutlak laluan perdagangan di Lautan
Hindi, operasi armada laut Portugis digerakkan pada kelajuan yang
luar biasa. Maka semua pihak yang berkepentingan merasa bimbang
tentang perkembangan tersebut.

Oleh itu, seawal tahun 1502, pemimpin Venice mengutuskan mesej
ke Kaherah memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya kesan
yang buruk akibat kejayaan Portugis itu. Sehubungan itu, Sultan
Mamluk menghubungi pemerintah-pemerintah di India dan memohon
kepada mereka untuk menutup pasar-pasar mereka ke atas Portugis.
Kerajaan Mamluk juga memohon dan menerima keizinan dari Sultan
Uthmaniyah untuk mendapatkan khidmat pedagang-pedagang Turki
bagi berperang menentang Portugis.7

Sebagai musuh tradisi dalam perang-perang salib di Eropah
dan Timur Tengah, kedatangan orang Portugis ke Lautan India
sememangnya mencurigakan pedagang-pedagang Islam. Sejak
zaman berzaman, pedagang-pedagang Islam ini telah menjadi
pemilik kepada jalur perdagangan di Lautan Hindi. Portugis
yang sememangnya begitu kuat memusuhi orang-orang Islam
berazam untuk menghapuskan orang-orang Islam seramai mungkin
di wilayah yang mereka kuasai.

Maka dengan itu, kedatangan Vasco de Gama ke Calicut sudah tentu
dicurigai oleh pedagang-pedagang Islam. Mereka seolah-olah dapat

7 Abdullah al-Ahsan. 1999. Muslim and European Perceptions of Oceanic "Trade"
in the Fifteenth and Sixteenth Centuries and their Implications for International
Politics. Intellectual Discourse (Jilid 7, No 2). Hlm 173-174

150

menghidu niat jahat kehadiran Portugis di Lautan Hindi itu. Ketika
Vasco de Gama mula menghampiri pelabuhan Calicut pada tahun
1498, sebanyak lapan buah kapal perang milik pemimpin Calicut iaitu
Zamorin cuba menyerang rombongan kapal Vasco de Gama. Namun,
mereka tidak berjaya menewaskan kapal-kapal Portugis itu. Fakta ini
telah dinyatakan oleh Kaushik Roy seperti berikut:-

“Pada tahun 1498, lapan buah kapal perang Zamorin Calicut
menyerang kapal Berrio milik armada perang Vasco de Gama. Kapal
Berrio mempunyai meriam-meriam gangsa sementara anak-anak
kapal-kapal Zamorin hanya dilengkapi dengan busur-busur dan
anak-anak panah, tombak, pedang dan lembing tanpa senjata api.
Kapal-kapal Portugis telah dibina dengan paku-paku besi sementara
kapal-kapal Zamorin diikat dengan sabut kelapa. Bagi menghadapi
kekuatan angkatan laut bersenjata Portugis ini, Zamorin mendapat
bantuan meriam-meriam dari Daulah Uthmaniyah.” 8

Kedatangan Vasco de Gama tidak lain tidak bukan adalah untuk
mengusir pedagang-pedagang Islam dari pelabuhan-pelabuhan di
India beserta dengan menyebarkan ajaran Kristian kepada penduduk-
penduduk di India. Dr. Hussain Randathani pula menyatakan seperti
berikut :-

“Catatan-catatan sejarah menukilkan bahawa semasa pelayarannya,
de Gama akan sentiasa berusaha untuk menukarkan agama orang-
orang India kepada Kristian. Vasco de Gama membawa paderi-paderi
bersama-sama dengannya untuk menyampaikan dakyah Kristian.

8 Kaushik Roy. 2011. War Culture and Society In Early Modern SouthAsia, 1740-1849.
Hlm. 12

151

Perang Diu yang berlaku di India pada tahun 1509 antara perikatan
Uthmaniyah-Mamluk-Gujerat-Calicut menentang angkatan tentera Portugis.

Menurut Fritz Jean, “Beliau sangat kejam terhadap orang-orang
Islam yang enggan patuh padanya dan selalu menggunakan cara
seksaan. Oleh itu, beliau sentiasa dilihat sebagai orang yang sangat
kejam oleh orang-orang India. Beliau sangat degil untuk mendengar
kata-kata dari orang lain kecuali Raja Portugal. Dia telah melakukan
setiap perkara yang dia fikir patut dilakukan, termasuk membunuh
ramai orang yang tidak berdosa, bagi memastikan Portugal memiliki
yang terbaik dan menjadi yang terbaik. Saya tidak suka orang
sepertinya, sama ada hari ini ataupun waktu lampau, iaitu seperti
pelayar Vasco de Gama.” 9

9 Hussain Randathani. 2007. Mappila Muslims : A Study on Society and
Anti Colonial Struggles. Hlm. 83

152

Di Calicut, Vasco de Gama membedil kota Calicut selama tiga hari.
Beliau menawan orang-orang Islam, menyeksa mereka dengan
memotong telinga, hidung dan tangan tahanan-tahanan yang
kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Islam sebelum membakar
mereka hidup-hidup. Antara hobinya semasa berada di India ialah
menggantung orang Islam pada tiang dan menjadikannya sebagai
sasaran dalam latihan memanah. Vasco de Gama kemudiannya pulang
semula ke Portugal pada bulan Ogos 1498.10

Pada tahun 1500, Portugis datang semula ke Lautan Hindi. Kali ini
bersama dengan sebuah angkatan tentera yang diketuai oleh Pedro
Alvares Cabral. Mereka belayar dari Portugal dengan 13 buah kapal.
Pedro Alvares Cabral belayar ke Lautan Hindi dengan tunjuk ajar
dan bimbingan dari Vasco de Gama. Ketika di Lautan Hindi, Portugis
menunjukkan sikap biadap mereka. Atas arahan Pedro Alvares Cabral,
mereka menawan kapal-kapal pedagang Arab dan membunuh sekitar
600 orang anak-anak kapal tersebut. Pedro juga mengarahkan agar
pelabuhan Calicut dibedil dengan meriam-meriam Portugis. Beliau
benar-benar mahu mengusir seluruh pedagang Islam dari pelabuhan
Calicut.11

Atas usaha Portugal meneroka Lautan Hindi dan cuba menghapuskan
penguasaan pedagang Islam, maka pada tahun 1502, Raja Portugal
dianugerahkan oleh Pope Alexander VI sebagai “Penguasa pelayaran,
penjajahan dan perdagangan bagi Habsyah, Arab, Parsi dan India.
Pada tahun yang sama, Vasco de Gama sekali lagi datang ke Calicut

10 Hussain Randathani. 2007. Mappila Muslims : A Study on Society and Anti Colonial
Struggles. Hlm. 79
11 Geraldo Affonso Muzzi. 2014. The Portuguese in Malay Land. Hlm 24

153

Illustrasi pertempuran antara armada laut Uthmaniyah dan armada laut
Portugis di Lautan Hindi.
dengan membawa angkatan tentera. Beliau dikatakan ingin membalas
dendam di atas kematian tentera-tentera Portugis di bawah pimpinan
Pedro Alvares Cabral yang dibunuh oleh orang-orang Islam di Calicut.

Di Lautan Hindi berhampiran Calicut, tindakan pertama yang
dilakukan oleh Vasco de Gama ialah menahan kapal-kapal orang
Islam yang membawa jemaah haji. Setelah itu, kapal-kapal itu

154

dibakar. Beratus-ratus wanita dan kanak-kanak yang berada
di atas kapal itu terbakar hidup-hidup. Vasco de Gama juga menawan
empat buah kapal laut yang membawa beras ketika kapal itu
menghampiri Calicut. Seramai 800 orang anak-anak kapal itu ditawan
dan diseksa dengan teruk. Kaki dan tangan mereka diikat lalu tangan,
telinga dan hidung mereka dipotong. Gigi mereka juga dipukul
dengan kayu hingga tercabut. Selain itu, tanpa sebarang alasan, Vasco
de Gama menahan sebuah kapal haji orang-orang Calicut yang baru
pulang dari Mekah. Setelah itu, kapal itu dibakar bersama dengan 400
orang anak-anak kapal.

Kekejaman Vasco de Gama terhadap umat Islam sememangnya
amat ketara. Sepanjang pelayarannya, beliau telah membunuh
ramai pedagang-pedagang Islam dari bangsa Afrika, Arab, India dan
sebagainya. Di Malabar, beliau dan tentera Portugis telah melaksanakan
pembunuhan semaksimum mungkin terhadap umat Islam Kekejaman
Vasco de Gama dan para tentera Portugis ini didorong dari matlamat
Alfonso de Albuquerque. Laksamana Portugis itu pernah memberitahu
Raja Portugal bahawa beliau mahu memusnahkan Mekah. Beliau
telah merancang untuk mengutuskan seramai 400 orang tentera untuk
merampas harta benda umat Islam dan menculik jenazah Rasulullah ‫ﷺ‬
untuk dijadikan tebusan bagi pembebasan Jurusalem dari kekuasaan
Islam.12

Kekejaman Portugis dan tindakan mereka mahu menghapuskan
penguasaan pedagang-pedagang Islam di pelabuhan-pelabuhan di
India mendapat perhatian Khalifah Uthmaniyah. Pemerintah Calicut

12 Hussain Randathani. 2007. Mappila Muslims : A Study on Society and Anti Colonial
Struggles. Hlm. 82

155

juga sudah hilang sabar dengan sikap orang-orang Portugis. Maka
pada tahun 1503, berlakunya peperangan di antara pemimpin Calicut
dan Portugis. Zamorin yang merupakan pemimpin Calicut, sekali lagi
memohon bantuan ketenteraan dan senjata api dari Sultan Bayezid II.

Di dalam buku bertajuk Warfare in Pre-British India, 1500 BCE to
1740 CE, Kaushik Roy menyatakan seperti berikut:-

“Pada 10 Februari 1503, Vasco de Gama bersama dengan 10
buah kapal perang memutuskan untuk berhadapan dengan armada
perang Calicut. Setiap kapal memiliki 30 orang tentera, empat pucuk
meriam besar (dua pucuk di setiap sisi), enam pucuk meriam ringan
dan 12 pucuk senapang lantak yang kecil. Vincente Sodre bersama
dengan lima buah kapal perang mengawal yang persisir pantai
Malabar menyertai anagkatan laut pimpinan Vasco de Gama. Dalam
peperangan laut yang terbuka itu, kapal-kapal perang Sodre dengan
tembakan secara serentak, mampu untuk menenggelamkan tiga
buah kapal besar Calicut. Kapal kargo Koja Casim telah tenggelam
dan perahu-perahu sambak lari berundur. Walau bagaimanapun,

Serangan Portugis ke atas pelabuhan
Jeddah di Tanah Hijaz pada tahun
1517.

156

Zamorin giat melakukan percubaan-percubaan untuk meningkatkan
keupayaan senjata api pada kapalnya. Dalam hal ini, dua orang
tentera upahan berbangsa Itali telah membantu Zamorin. Selain itu,
Zamorin juga memohon bantuan Turki Uthmaniyah untuk dibekalkan
dengan teknologi senjata api armada laut.” 13

Bagi menghadapi Portugis yang memberikan ancaman kepada dunia
Islam pada ketika itu, pakatan Daulah Uthmaniyah dan Mamluk
telah menghantarkan tentera-tentera mereka ke Lautan Hindi untuk
membantu kerajaan-kerajaan Islam di sana. Kehadiran Uthmaniyah
di Lautan Hindi, selain bertujuan menghindarkan rampasan terhadap
perdagangan rempah oleh Portugis, Uthmaniyah mahu melindungi
jemaah-jemaah haji yang diganggu oleh Portugis semasa dalam
pelayaran.

Prof Azyumardi Azra menyatakan seperti berikut:-

Kehadiran angkatan laut Uthmaniyah di Lautan Hindi setelah tahun
1498, tidak hanya mengakibatkan semakin besarnya saham Turki
dalam perdagangan di Lautan Hindi, tetapi juga menyebabkan
terciptanya pelayaran yang lebih selamat bagi jemaah haji. Ini
pada gilirannya (setelah Arab) memberikan sumbangan penting
bagi pertumbuhan kegiatan ekonomi sebagai kesan sampingan bagi
perjalanan ibadah haji. Walaupun pada masa yang sama, Portugis
mulai meningkatkan kehadirannya di kawasan Lautan Hindi,
angkatan laut Uthmaniyah mampu menegakkan kekuasaannya
di kawasan Teluk Parsi, Laut Merah dan di Lautan Hindi umumnya
sepanjang abad ke-16. Perkembangan ini memberikan kesempatan

13 Kaushik Roy. 2015. Warfare in Pre-British India, 1500 BCE to 1740 CE. Hlm. 190

157

baik bagi Muslim Nusantara khususnya yang berasal dari Samudera
Pasai, Melaka dan Aceh untuk mengadakan perjalanan ke Timur
Tengah dan sekaligus menjalinkan hubungan lebih erat dengan
saudara-saudara seiman mereka di sana (Mekah).14

Pada tahun 1507, kerajaan Uthmaniyah telah membantu kerajaan
Mamluk telah membina kubu di Jeddah sebelum belayar ke Lautan
Hindi. Pada bulan Mac 1508, berlakunya satu perikatan antara Zamorin
dan kerajaan-kerajaan Islam. Zamorin yang merupakan pemimpin
Calicut bergabung dengan kerajaan Mamluk, Turki Uthmaniyah,
Kesultanan Bijapur dan Kesultanan Gujerat untuk berperang dengan
Portugis. Maka berlakulah sebuah peperangan yang dipanggil Perang
Chaul. Peperangan ini berlaku di Chaul yang berhampiran dengan
Mumbai. Dalam perang ini, Portugis telah mengalami kekalahan yang
teruk sehinggakan anak Gabenor Portugis di India yang bernama
Lourenco terbunuh. Gabenor Portugis pada ketika itu ialah Francisco
de Almeida. Beliau berasa sangat marah dan berjanji untuk membalas
dendam.

Maka pada bulan Februari 1509, berlaku lagi satu peperangan antara
Portugis dan perikatan Calicut, Gujerat, Mamluk dan Uthmaniyah.
Perang kali ini tercetus kerana Portugis hendak membalas dendam di
atas kekalahan mereka dalam perang Chaul. Peperangan ini berlaku
di Diu yang terletak berhampiran dengan Goa. Dengan sebab itu
peperangan ini dinamakan Perang Diu. Namun dalam perang ini,
perikatan Calicut, Gujerat, Mamluk dan Uthmaniyah mengalami
kekalahan.

14 Azyumardi Azra. 2013. Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara
Abad 17 dan 18. Hlm 370

158

Pada tahun yang sama, Portugis mula menghantar perisik mereka ke
Melaka. Atas arahan Raja Manuel, Diego Lopez de Sequeira dan bala
tenteranya yang berada di India diutuskan ke Melaka sebagai perisik
yang menyamar menjadi duta Portugis. Maka pada 18 Ogos 1509,
Diego Lopez de Sequeira dan Ruy de Araujo berserta dengan 18 orang
Portugis yang lain meninggalkan India dan belayar menuju ke Melaka
sebagai duta Raja Portugis. Mereka sebenarnya ingin merisik tentang
keadaan Melaka sebelum usaha penaklukan dilakukan.

Di India pula, Alfonso de Albuquerque dilantik menjadi gabenor
Portugis di India menggantikan Francisco de Almeida pada tahun
1510. Pada ketika ini, pemerintahan Portugis di India berpusat
di Cochin. Tidak beberapa lama setelah itu, Alfonso de Albuquerque
memulakan usaha untuk menakluki pelabuhan Goa. Pada ketika itu,
Goa berada di bawah pemerintahan Kesultanan Bijapur. Sultan Bijapur
pada ketika itu bernama Sultan Yusuf Adil Shah yang dikatakan
berbangsa Turki dan lahir di Istanbul. Malah ada yang mendakwa
beliau adalah putera kepada Sultan Murad II. Jika dakwaan ini benar,
bererti beliau adalah saudara kandung kepada Sultan Muhammad al-
Fatih.

Pius Malakandathil menukilkan seperti berikut:-

“Keinginan Uthmaniyah untuk mengawal laluan-laluan perdagangan
di antara Eropah dan dunia timur begitu juga dengan pusat-
pusat perdagangan yang strategik yang berada dalam laluan
perdagangan ini mula menyala dengan penaklukan Konstantinople
pada tahun 1453 oleh Muhammad II. Kemajuan berikutan
peristiwa genting itu menunjukkan bahawa minat Uthmaniyah
tidak hanya terbatas kepada pengawalan laluan perdagangan di

159

timur semata-mata, tetapi melanjutkan kepada kemungkinan yang
paling jauh iaitu memperolehi kekayaan dari setiap sumber
perdagangan di India dan mewujudkan lingkungan pengaruh pada
tahap-tahap yang berbeza. Kita menemui ramai pengembara-
pengembara dan pedagang-pedagang berhijrah ke India dari
Konstantinople pada waktu itu selepas penaklukan kota tersebut
oleh Uthmaniyah. Bukti yang paling jelas ialah tokoh kelahiran
Konstantinople iaitu Yusuf Adil Shah, yang kemudiannya menjadi
pemerintah Bahman ke atas sebuah wilayah yang luas di Konkan
termasuk Bijapur dan Goa.”15

Stuart Cary Welch pula menukilkan seperti berikut:-

“Menurut sejarawan Ferishta yang menulis sejarah yang terperinci
bertajuk History of Muhammadan Power in India semasa berkhidmat
di Istana Sultan Ibrahim Adil Shah II ketika akhir abad ke-16,
pengasas dinasti Adil Shah (Sultan Yusuf Adil Shah) di Bijapur adalah
anak kepada Sultan Uthmaniyah, Sultan Murad II yang mana beliau
keluar dari Turki ketika pelantikan abangnya iaitu Sultan Muhammad
II (al-Fatih) sebagai sultan.”16

Alfonso de Albuquerque menyerang Goa pada 17 Februari 1510 iaitu
setahun sebelum beliau menyerang Kota Melaka. Kerajaan Bijapur di
bawah pimpinan Sultan Yusuf Adil Shah turut mendapat sokongan dan
bantuan dari kerajaan Uthmaniyah dan Mamluk. Maka pada kali ini
perikatan tentera Islam Uthmaniyah, Mamluk dan Bijapur bersama-

15 Pius Malakandathil, 2010. Maritime India : Trade, Religion and Polity in the
Indian Ocean. Hlm 110
16 Stuart Cary Welch. 1985. India Art and Culture : 1300-1900. Hlm. 121

160

sama menentang Portugis. Namun, Alfonso de Albuquerque berjaya
menawan Goa dalam masa yang singkat.

Ketika di Goa, Alfonso de Albuquerque sekali lagi mendapat berita
bahawa angkatan tentera Uthmaniyah yang menjalinkan perikatan
dengan Raja Calicut telah tiba di Aden, Yaman. Kedatangan tentera
Turki Uthmaniyah adalah untuk membantu tentera-tentera Islam dalam
peperangan dengan Portugis di Lautan Hindi. Dalam Portuguese
Documents On Malacca From 1509-1511 dinyatakan seperti berikut:-

“Gabenor menerima maklumat bahawa orang-orang Rume (Turki
Uthmaniyah) telah berada di Aden. Mereka menjalinkan perikatan
dengan Raja Calicut dan Hidalco..”17

“Gabenor ketika dalam khidmatnya kepada Raja sebagaimana yang
sebenarnya, meneruskan usahanya untuk menakluki Goa dan beliau
berfikir bahawa beliau mampu membantu Raja, tetapi hakikatnya
beliau tidak mampu melakukannya buat masa sekarang, disebabkan
beberapa peristiwa yang terjadi berlainan dengan apa yang
diramalkannya, di mana beliau telah menerima maklumat bahawa
orang-orang Rume (Turki Uthmaniyah) akan menyerang tenteranya
di India.18

Sejurus selepas menawan Goa, Alfonso de Albuquerque menjalankan
dasar “Portuguese Inquisition” dengan melakukan pelbagai kezaliman
dan keganasan terhadap umat Islam di Goa. Walaupun tidak bersahabat
dengan kerajaan Mamluk, Sultan Uthmaniyah menawarkan bantuan

17 M.J Pintado. 2012. Portuguese Documents on Malacca From 1509-1511. Hlm 293
18 Ibid. Hlm 295

161

untuk melindungi Mekah dan Madinah, dan pada tahun 1507 beliau
mengutuskan pekerja-pekerja dan senjata api untuk membina benteng
di Jeddah, di mana serangan dipercayai akan terjadi, dan untuk
melengkapi armada kapal perang dengan senjata untuk berperang
dengan Portugis di India. Kejayaan dalam perang Chaul, berhampiran
Mumbai, pada 1508, pada tahun berikutnya armada-armada perang
ini turut digunakan dalam perang Diu di Gujerat. Bagi menghadapi
perikatan Mamluk-Uthmaniyah ini, Albuquerque berazam tu
menakluki Goa pada tahun berikutnya.19

Alfonso de Albuquerque sendiri pernah melaporkan pada Raja Manuel
tentang peperangannya melawan Turki Uthmaniyah dan Mamluk di
Goa sebelum beliau menakluki Melaka. Beliau menyatakan seperti
berikut:-

“Saya telah menawan Goa atas arahan Yang Mulia dan juga kerana
ia merupakan sebahagian daripada arahan Marshal. Saya juga
telah melakukan perkara ini kerana ketua pasukan (perikatan)
telah ditubuhkan untuk menghalau kami keluar dari India. Jikalau
kumpulan yang dihimpunkan oleh orang Turki (Uthmaniyah) di
Sungai Goa (cukup bilangan dan lengkap bersenjata) telah belayar,
dan jika pasukan Mamluk telah tiba sebagaimana yang diharapkan,
semuanya pasti akan kalah.” 20

Albuquerque telah memilih Goa sebagai pusat pemerintahannya kerana
kapal-kapal laut yang berpusat di situ boleh mengawal laluan laut di

19 Licoln Paine. 2013. The Sea and Civilization : A Maritime History of The World.
Tanpa penomboran halaman
20 T.F. Earle dan John Villiers. 1995. Albuquerque Ceasar Timur : Teks-teks Pilihan
daripada Afonso de Albuquerque dan Anaknya. Hlm 30

162

antara India dan Arab, ianya senang dipertahankan dan beliau telah
mengawal perdagangan terhadap kerajaan Deccan dan Vijayanagar.
Di samping itu, kejayaan penaklukan ke atas Goa juga menyebabkan
Sultan Gujerat dan Zamorin di Calicut terpaksa bersetuju untuk
membenarkannya membina kubu-kubu di wilayah mereka.

Ramai orang-orang Portugis menentang penaklukan ke atas Goa,
di sebalik lokasinya yang strategik, atas alasan bahawa daerah itu
tidak sihat dan mahal untuk dibiayai dan ianya akan menggalakkan
penentangan yang berlanjutan terhadap orang-orang Portugis.
Albuquerque telah memujuk Raja Portugal bahawa Goa patut dikuasai
(Portugis menguasainya sehingga 1961). Dengan sebab itu, beliau
sering berkata bahawa beliau layak mendapat penghargaan yang lebih
banyak dari Raja Manuel ke atas dirinya disebabkan mempertahankan
Goa terhadap orang-orang Portugis berbanding usaha beliau
menaklukinya dalam dua peperangan daripada orang-orang Turki.21

Selepas berjaya mengalahkan kerajaan-kerajaan di India yang
mendapat bantuan Daulah Uthmaniyah, orang-orang Portugis
yang dipimpin oleh Alfonso de Albuquerque mula bergerak
ke Selat Melaka bagi tujuan menakluki pelabuhan yang terkaya dan
terpenting di dunia iaitu pelabuhan Kota Melaka. Kerajaan Uthmaniyah
yang telah menghulurkan bantuan ketenteraan dan senjata api kepada
kerajaan-kerajaan di India dalam menentang Portugis juga sebenarnya
melakukan perkara yang sama kepada Kesultanan Melaka. Sama
ada bantuan secara langsung ataupun tidak langsung. Ini kerana
Melaka sangat penting bagi perdagangan dunia Islam pada ketika itu.

21 Licoln Paine. 2013. The Sea and Civilization : A Maritime History of The World.
Tanpa penomboran halaman

163

Sekiranya Melaka dapat ditawan, maka hilang penguasaan pedagang-
pedagang Islam terhadap perdagangan dunia di mana ianya akan bertukar
ke tangan Portugis.

Kapal perang laut Uthmaniyah
pada zaman Sultan Bayezid II.

164

TURKI UTHMANIYAH

DALAM ANGKATAN

MTENETLERAAKA

Pada 11 September 1509, sebuah angkatan tentera Portugis yang
diketuai Diego Lopez de Sequeira berserta dengan 18 orang
Portugis yang lain tiba di Melaka. Salah seorang panglima
perang Portugis yang bernama Ruy de Araujo turut terlibat dalam
rombongan tersebut. Setelah mereka berlabuh di pelabuhan Melaka,
Diego Lopez de Sequeira telah memerintahkan salah seorang anak
buahnya yang bernama Texeira untuk menyampaikan hadiah-hadiah
dari Raja Portugal kepada Sultan Melaka.

165

Tujuan utama kedatangan angkatan tentera Portugis itu ke Melaka
ialah untuk mengintip dan mendapatkan maklumat tentang keadaan
Kesultanan Melayu Melaka sebelum usaha penyerangan dilakukan.
Dengan sebab itu, mereka berlagak seperti rombongan diplomatik.

Portugis menyatakan kepada Sultan Melaka bahawa kedatangan
mereka ke Melaka adalah untuk menjalinkan hubungan diplomasi.
Dengan sebab itu, mereka mahu meminta izin kepada Sultan Melaka
untuk membina gudang dan kubu di pelabuhan Melaka bagi tujuan
melindungi pedagang-pedagang mereka. Namun, niat sebenar mereka
adalah ingin menakluki Melaka.

Orang-orang Portugis yang mula tiba di Melaka itu memulakan
aktiviti perdagangan di Kota Melaka. Mereka mula membeli barang-
barang dagangan di Melaka. Tindakan mereka itu mencetuskan
perasaan curiga di kalangan pedagang-pedagang Islam dari luar. Maka
pedagang-pedagang Islam itu pun pergi berjumpa Bendahara Melaka
dan mereka menceritakan tindak tanduk Portugis di Kota Melaka.
Mereka juga mencadangkan agar orang-orang Portugis itu ditangkap
atau diusir dari bumi Melaka.

Atas desakan pedagang-pedagang Islam itu, Bendahara Melaka pun
mengarahkan agar semua Portugis itu ditangkap dan dipenjarakan.
Maka kesemua orang-orang Portugis yang sedang berada di Kota
Melaka ditangkap termasuk Ruy de Araujo. Namun begitu, Diego
Lopez de Sequeira berjaya melarikan diri. Beliau pun belayar
meninggalkan Melaka dengan segera.

Berita penaklukan Goa oleh orang-orang Portugis pada tahun 1510
itu juga tersebar di Melaka. Ini mengukuhkan alasan Sultan Melaka

166

untuk menolak berhubung baik dengan Portugis. Namun pada tahun
1510 itu juga, Melaka sedang mengalami konflik dalam pentadbiran.
Sultan Mahmud Syah yang merupakan Sultan Melaka pada waktu
itu telah membunuh Bendahara Melaka iaitu Tun Mutahir dan ahli
keluarganya kerana termakan hasutan dan fitnah dari berapa pembesar
Melaka yang lain seperti Raja Mudeliar dan Si Kitul. Sultan Mahmud
telah melantik Bendahara Tepok yang umurnya sangat tua sebagai
Bendahara Melaka yang baru bagi menggantikan Tun Mutahir. Selain
itu, Sultan Mahmud Syah juga telah menggantikan Hang Nadim
dengan Khoja Hassan sebagai Laksamana Melaka.

Cara Sultan Mahmud mentadbir Melaka ini menyebabkan musuh
sangat mudah menjatuhkan Melaka. Tidak seperti Sultan-sultan
Melaka yang terdahulu, Sultan Mahmud Syah agak lemah dalam
mentadbir Melaka. Baginda didakwa memiliki beberapa sikap negatif
seperti terburu-buru, mudah terpengaruh dengan hasutan, agak kejam
dan lain-lain. Sikap baginda itu menjadikan Kesultanan Melaka berada
dalam keadaan goyah dan genting walaupun Kesultanan Melaka
memiliki kekuatan angkatan tentera yang besar dan hebat. Di samping
itu, Sultan Mahmud Syah pada ketika itu dikelilingi oleh pembesar-
pembesar yang mudah dirasuah dan bersikap tamak. Sikap menerima
rasuah dan tamak itu membuatkan mereka mudah membelot dan
khianat pada tanah air mereka sendiri.

Kegagalan Diego Lopez de Sequeira membina pengaruh
di Melaka telah mendapat perhatian yang besar oleh Raja Manuel,
Raja Portugal pada ketika itu. Alfonso de Albuquerque yang baru
dilantik menjadi gabenor Portugis di India diberi tanggungjawab

167

untuk menyerang Melaka. Raja Portugal telah mengutuskan sebuah
angkatan perang yang diketuai oleh Diego Mendez Vasconcelos untuk
menyerang Melaka.

Ketika angkatan tentera Portugis itu tiba di Goa, Alfonso de
Albuquerque tidak membenarkan Vasconcelos untuk terus menyerang
Melaka kerana angkatan tentera Portugis yang dibawa oleh beliau
sangat kecil dan tidak cukup kelengkapannya untuk menyerang
angkatan tentera Melaka. Alfonso de Albuquerque sebenarnya telah
mendapat maklumat bahawa Melaka memiliki angkatan perang yang
kuat. Jadi beliau ingin membina dahulu kekuatan angkatan tentera
Portugis di Goa sebelum pergi menyerang Melaka.

Apabila Alfonso de Albuquerque merasakan bahawa masanya
telah tiba untuk beliau pergi menyerang Melaka, beliau pun mula
menyiapkan segala kelengkapan dan angkatan tentera untuk belayar
ke Melaka. Maka pada awal bulan Mei 1511, Alfonso de Albuquerque
mula bertolak dari India menuju ke Melaka bersama dengan 1,400
orang tentera di mana 800 orang daripada mereka adalah berbangsa
Portugis, manakala 600 orang yang lain berbangsa India. Angkatan
tentera pimpinan Alfonso de Albuquerque menaiki sebanyak 19 buah
kapal. Alfonso de Albuquerque menaiki kapal Portugis yang paling
besar yang dinamakan Flor de la Mar.

Pelayaran angkatan tentera Portugis ke Melaka itu dipandu oleh
seorang nakhoda Gujerat. Apabila sampai di Pedir (Pidie), Alfonso
de Albuquerque mendapat tahu bahawa ada pembesar Melaka yang
sedang belayar ke Melaka dari Pedir untuk menghantar mesej kepada
Sultan Melaka tentang kehadiran angkatan tentera Portugis di Pedir.

168

Illustrasi perang antara Melaka dan Portugis pada tahun 1511.

169

Albuquerque pun menahan kapal tersebut dan membunuh semua
anak-anak kapal itu.

Sultan Melaka sudah bersiap sedia di atas kedatangan angkatan tentera
Portugis di Melaka. Namun konflik yang berlaku dalam Melaka di
samping dengan pengkhianatan dari dalam menyebabkan kekuatan
Melaka menjadi rapuh. Pada awal Julai tahun 1511, angkatan tentera
Portugis yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque itu tiba di
Melaka. Albuquerque menghantar utusan menghadap Sultan Melaka.
Beliau mahu Sultan Melaka membebaskan semua tahanan Portugis.

Sultan Melaka memberikan syarat kepada Albuquerque bahawa
baginda akan membebaskan semua tahanan Portugis dengan syarat
Portugis mesti mengeluarkan semua kapal-kapal Portugis dari
Melaka dengan serta merta. Alfonso de Albuquerque tidak bersetuju
dengan syarat Sultan. Beliau nekad mahu menyerang kota Melaka.
Beberapa orang pedagang asing yang bukan Islam dari China dan
India bertindak membantu Portugis. Pedagang-pedagang China telah
memberi askar-askar Portugis meminjam jong dan tongkang mereka.
Manakala sebahagian pembesar-pembesar Melaka yang dirasuah
mula menyalurkan maklumat sulit tentang pertahanan Melaka kepada
Alfonso de Albuquerque.1

Di pihak Melaka, pedagang-pedagang Islam dari Arab, Parsi, India,
Turki, Turki Uthmaniyah dan lain-lain bersiap sedia untuk bergabung
dalam angkatan tentera Melaka. Penyertaan bangsa asing yang
beragama Islam dalam angkatan tentera Melaka diakui sendiri oleh
penulis-penulis Portugis. Fernao Lopes De Castanheda mencatatkan

1 Bahasa Othman. 1989. Melaka Sejarah Awal Negara Kita. Hlm 56-67

170

bahawa bangsa Turki Uthmaniyah yang lengkap berbaju besi
berperang bersama orang-orang Melayu dalam menghadapi Portugis
di Kota Melaka pada tahun 1511.

Penglibatan tentera-tentera Islam dari luar negara dalam perang
menentang Portugis membuktikan semangat persaudaraan yang tinggi
di kalangan orang-orang Islam pada waktu itu. Mereka menganggap
bahawa perang tersebut bukan semata-mata perang merebut wilayah,
tetapi perang mempertahankan agama Islam.

Fernao Lopes De Castanheda mencatatkan dalam History of The
Exploration & Conquest of The Indies By The Portuguese seperti
berikut:-

Gabenor meminta bantuan orang Cina dalam menyediakan kepadanya
dua buah jong yang beliau menjangkakan bahawa beliau akan
memerlukannya untuk serangan ke atas kota, yang dipertahankan oleh
dua puluh ribu orang tentera. Sepuluh ribu daripada mereka adalah
tentera biasa, yang merupakan pahlawan yang handal dan lengkap
bersenjata, begitu juga dengan orang pejuang-pejuang Arab yang
bersenjatakan pedang bengkok, pedang-pedang dan perisai-perisai
yang dibekalkan kepada mereka oleh orang-orang Gujerat. Selain
daripada dua puluh ribu orang tentera tersebut, yang merupakan
penduduk tempatan, terdapat ramai tentera Jawa, Turki, Rumes
(Turki Uthmaniyah) yang berbaju besi, dan orang-orang Parsi yang
merupakan pemanah yang mahir. Sultan juga mempunyai dua puluh
gajah perang. Tidak hairanlah mengapa Sultan tidak mempunyai

171

sebarang keraguan untuk membuat keputusan ke atas bala tenteranya
bagi menghadapi mana-mana peperangan.2

Penyertaan bangsa Turki Uthmaniyah dalam angkatan tentera Melaka
boleh diramalkan bahawa wujudnya bantuan secara langsung dari
kerajaan Uthmaniyah kepada Melaka. Kewujudan bantuan Daulah
Uthmaniyah ke atas Kesultanan Melayu Melaka dalam menghadapi
Portugis adalah sangat munasabah. Ini dikuatkan lagi dengan
kenyataan dari Prof Madya Dr. Saim Kayadibi. Beliau menyatakan
seperti berikut:-

“Sultan Uthmaniyah dengan serta-merta telah mengutuskan angkatan
tentera laut dan ketenteraan bagi membantu orang-orang Melayu
ketika Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511.” 3

Di samping itu, terdapat orang-orang dari Cambay, Gujerat, Bengal
dan Calicut dalam angkatan tentera Melaka yang mana beberapa tahun
sebelum itu, orang-orang Cambay, Gujerat Bengal, dan Calicut telah
mengadakan perikatan dengan angkatan tentera Uthmaniyah untuk
menyerang Portugis di Lautan Hindi.

Tome Pires mencatatkan dalam Suma Oriental seperti berikut:-

2 M.J Pintado. 2012. Portuguese Documents on Malacca From 1509-1511.
Hlm 317
3 Saim Kayadibi. 2012. Islamization of the Southeast Asia: The Role of Turks.
International Conference on Islam In Asia and Oceania : Historical, Cultural and
Global Perspectives. The International Istitute of Islamic Thought and Civilization
(ISTAC), 9-11 October 2012. Kuala Lumpur

172

Illustrasi lukisan Portugis tentang penaklukan Melaka pada tahun 1511.
Kelihatan tentera asing berserban yang beragama Islam yang menyertai
angkatan tentera Melaka telah terkorban.

173

Orang-orang Melayu telah membina tembok yang kuat. Mereka juga
menempatkan banyak lancang (kapal) di laut, perahu di sungai, jong-
jong serta kapal Gujerat di laut. Semuanya siap untuk berperang.
Pada saat itu di Melaka, terdapat seorang panglima yang berasal
dari Gujerat. Dia ditugaskan untuk mempersiapkan angkatan
perang (Melaka). Nampaknya, dia sendiri sahaja cukup kuat untuk
mengatasi kapal-kapal dan tentera kita (Portugis).4

Joao de Barros pula mencatatkan dalam On The Deeds & Discoveries
& Conquests Made By Portuguese In The Seas and Eastern Lands
seperti berikut:-

Albuquerque datang untuk membantu (dua orang kaptennya) dan
kerana dia tidak sabar untuk memiliki semula kedudukan di jambatan
itu, dan mengukuhkan kedudukannya di situ. Tiga panglima Sultan
terbunuh termasuk Tuan Bandar yang telah diamanahkan untuk
mempertahankan jambatan tersebut. Tuan Bandar merupakan
seorang Bengali dan amat bijak serta licik.5

Di samping itu bantuan-bantuan senjata dari India ke Melaka juga
membawa kemungkinan bahawa bantuan senjata itu sebenarnya
dari Turki Uthmaniyah. Sebagai contoh, ketika Zamorin di Calicut
berperang dengan Portugis di Lautan Hindi pada tahun 1498, mereka
menerima bantuan meriam api dari Daulah Uthmaniyah. Manakala
Portugis pula telah menjumpai meriam paling besar yang digunakan

4 Armando Cortesao (1944), The Suma Oriental of Tome Pires An Account of East,
From The Sea to China and The Book of Francisco Rodrigues (Volume II).
Hlm 279
5 M.J Pintado. 2012. Portuguese Documents on Malacca From 1509-1511.
Hlm 165

174

oleh tentera Melaka yang dikatakan berasal dari Calicut. Maka tidak
mustahil Daulah Uthmaniyah menyalurkan bantuan meriam kepada
Melaka melalui India.

Bantuan meriam dari Uthmaniyah kepada kerajaan Calicut dinyatakan
oleh Kaushik Roy di dalam buku War Culture and Society In Early
Modern South Asia, 1740-1849. Kaushik Roy menyatakan seperti
berikut:-

“Pada tahun 1498, lapan buah kapal perang Zamorin Calicut
menyerang kapal Berrio milik armada perang Vasco de Gama.
Kapal Berrio mempunyai meriam-meriam gangsa sementara anak-
anak kapal-kapal Zamorin hanya dilengkapi dengan busur-busur
dan anak-anak panah, tombak, pedang dan lembing tanpa senjata
api. Kapal-kapal Portugis telah dibina dengan paku-paku besi
sementara kapal-kapal Zamorin diikat dengan sabut kelapa. Bagi
menghadapi kekuatan angkatan laut bersenjata Portugis ini,
Zamorin (Raja Calicut) mendapat bantuan meriam-meriam dari
Daulah Uthmaniyah.” 6

Manakala beberapa orang penulis Portugis seperti Fernao Lopes De
Castanheda dan Joao de Barros menyatakan bahawa meriam paling
besar yang ditemui oleh Portugis di Melaka adalah dari Calicut. Di
sini terdapat kemungkinan besar bahawa asal meriam besar itu adalah
dari Daulah Uthmaniyah kerana kerajaan Calicut sendiri menerima
bantuan meriam dari Daulah Uthmaniyah.

6 Kaushik Roy. 2011. War Culture and Society In Early Modern SouthAsia, 1740-1849.
Hlm. 12

175

Fernao Lopes De Castanheda mencatatkan dalam History of The
Exploration & Conquest of The Indies By The Portuguese seperti
berikut:-
Antara meriam-meriam yang ditemui adalah beberapa pucuk meriam
besar, yang mana ianya dikatakan dihantar oleh pemerintah Kerajaan
Calicut kepada Sultan Melaka. Maka banyak senjata-senjata telah
ditemui.7
Manakala Joao de Barros pula mencatatkan dalam On The Deeds
& Discoveries & Conquests Made By Portuguese In The Seas and
Eastern Lands seperti berikut:-

7 M.J Pintado. 2012. Portuguese Documents on Malacca From 1509-1511.
Hlm 351

Replika Meriam Agung Kesultanan Melaka yang dipanggil Portugis sebagai
'Peca de Malacca'. Meriam yang asli berada di Muzium Ketenteraan di
Lisbon.

176

Terdapat tiga ribu pucuk meriam daripada lapan ribu pucuk meriam
yang dimiliki oleh musuh (tentera Melaka) telah ditemui yang mana
jumlahnya dimaklumkan oleh Ruy de Araujo tatkala dia memberikan
maklumat (kepada Albuquerque selepas dia dibebaskan, sebelum
berlakunya serangan ke atas kota). Beberapa pucuk meriam sangat
berat, dan salah satu daripada meriam-meriam yang sangat berat
itu adalah sangat cantik yang mana ianya dihadiahkan oleh Raja
Calicut tidak beberapa lama sebelum ini.8
Charles Truxillo dalam Crusaders In The Far East : The Moro Wars In
The Philippines In The Context of The Ibero-Islamic World War pula
menyatakan seperti berikut :-

8 Ibid. Hlm 181

177

Dari 1492-1663, orang Iberia dan umat Islam telah terkunci dalam
pertempuran untuk mengawal bahagian Afro-Eurasia. Sepanyol dan
Portugis memulakan perjuangan dengan penaklukan Granada dan
bahagian-bahagian Afrika Utara. Akhirnya, Portugis menjalankan
perang menentang Islam di Lautan Hindi, mengganggu perdagangan
umat Islam dan wilayah-wilayah Islam yang strategik (seperti Kilwa,
Mombasa, Hormuz, Diu, Melaka, dan Ternate). Sebagai tindak
balas, orang Islam di laut-laut Selatan dan Afrika Utara memanggil
Uthmaniyah untuk memohon bantuan kerana Uthmaniyah ialah
kekuasaan Islam yang terulung zaman tersebut, berjuang menentang
Sepanyol dan Portugis di Mediterranean. Empayar Uthmaniyah
menentang kuasa Portugis di Lautan Hindi, dan melancarkan
ekspedisi ke India, Habsyah dan Afrika Timur. Masyarakat di
Semenanjung Tanah Melayu bertindak balas ke atas pencerobohan
orang-orang Iberia (Portugis) dengan mengadakan perikatan
bersama umat Islam dan memohon kepada Sultan Uthmaniyah
untuk bantuan. Orang-orang Turki Uthmaniyah juga melancarkan
perang di bahagian Eropah Tengah terhadap orang-orang Danubian
dari kerajaan Flabsburgs. Di samping itu, mereka cuba untuk
mengundurkan kemaraan Russia, dan melancarkan perang terhadap
kerajaan Shafawi di Iran yang terdiri daripada penyebar-penyebar
fahaman Syiah.9

Jika Sultan Uthmaniyah sedar tentang bahaya ancaman Portugis
terhadap umat Islam di India, mustahil baginda tidak menyedari
perkara yang sama bakal berlaku di Melaka. Jika Daulah Uthmaniyah
menghantar bantuan kepada umat Islam di India ketika menghadapi

9 Charles Truxillo. 1953. Crusaders In The Far East : The Moro Wars In The
Philippines In The Context of The Ibero-Islamic World War. Hlm 115

178

Makam Sultan Bayezid II yang terletak di Istanbul, Turki.

Portugis, maka tidak mustahil Daulah Uthmaniyah turut melakukan
perkara yang sama pada Melaka.

Namun, salah satu sebab yang menjadikan bantuan secara langsung
dari Daulah Uthmaniyah kepada Melaka pada tahun 1511 tidak
dapat dikenal pasti dalam catatan-catatan sejarah adalah kerana
situasi yang dihadapi sendiri oleh Daulah Uthmaniyah. Ketika
Melaka diserang Portugis pada tahun 1511, Daulah Uthmaniyah
juga sedang mengalami detik-detik yang sukar. Tahun 1511 itu
adalah waktu-waktu terakhir pemerintahan Sultan Bayezid II
di mana baginda wafat pada bulan Mei 1512.

Pada penghujung tahun 1511, Sultan Bayezid II menghadapi pelbagai
masalah dan tentangan dari dalam dan luar negara. Di dalam Daulah
Uthmaniyah, berlaku pergaduhan sengit di antara kedua-dua puteranya
iaitu Putera Salim dan Putera Ahmad. Pergaduhan ini hampir
mencetuskan perang saudara antara pengikut Putera Salim dan Putera

179

Ahmad. Situasi ini menyebabkan Sultan Beyazid II sibuk meredakan
ketegangan yang berlaku di antara kedua-dua putera baginda itu.
Tentangan yang dihadapi oleh baginda dari luar Uthmaniyah pula ialah
dari kerajaan Shafawi dan Sultan Bayezid II sedang sibuk menangani
tentangan dari kerajaan Syiah Shafawi dan kerajaan-kerajaan Kristian
di Eropah.

Kerajaan Shafawi yang bermazhab Syiah dan berpusat di Tabriz, Iran
pada ketika itu diperintah oleh Sultan Shah Ismail. Pada tahun 1511,
Sultan Shah Ismail cuba menyebarkan mazhab Syiah dalam Daulah
Uthmaniyah sebagai langkah awal beliau untuk menumbangkan
Daulah Uthmaniyah. Maka Sultan Bayezid II pun menghantarkan
angkatan tenteranya keseluruh pelusuk Daulah Uthmaniyah untuk
membendung gerakan pemberontak yang berfahaman Syiah yang
didalangi oleh Sultan Shah Ismail itu. Kemuncaknya, Perdana Menteri
Uthmaniyah iaitu Ali Pasha terbunuh ketika menentang pemberontak-
pemberontak Syiah ini.10

Kesibukan yang dialami oleh Sultan Bayezid II pada tahun 1511 ini
menyebabkan baginda tidak dapat memberi perhatian dan tumpuan
khusus terhadap Melaka. Namun catatan Castanheda tentang
kewujudan orang-orang Turki Uthmaniyah yang berbaju besi dalam
angkatan tentera Melaka membuktikan bahawa wujudnya bantuan
ketenteraan dari Uthmaniyah kepada Melaka. Orang-orang Turki
datang ke Melaka dengan membawa baju besi membawa erti bahawa
matlamat utama kedatangan mereka ialah untuk memberi bantuan
ketenteraan.

10 Mehmet Maksudoglu. 2011. Osmanli History and Institutions. Hlm 223

180

Serangan pertama Portugis di bawah pimpinanan Albuquerque ke
atas Melaka berlaku pada 25 Julai 1511. Mereka menembak peluru-
peluru meriam mereka dari laut menuju ke Kota Melaka. Serangan
meriam Portugis itu dibalas dengan serangan meriam dari angkatan
tentera Melaka. Perahu-perahu Portugis yang bergerak dari kapal-
kapal mereka dibedil dengan peluru-peluru meriam dari askar-askar
Melaka. Namun, sebahagian mereka berjaya mendarat ke pelabuhan
Melaka dan berlakulah pertempuran hebat di darat.

Peperangan pertama ini dimenangi oleh angkatan tentera Melaka.
Portugis mengalami kekalahan teruk sehingga menyebabkan mereka
terpaksa berundur. Di samping itu, sebahagian kapten Portugis
memujuk Alfonso de Albuquerque untuk menghentikan usaha
penaklukan Melaka. Kekalahan yang mereka alami itu menyebabkan
mereka yakin bahawa mereka tidak akan dapat menawan Melaka.
Fernao Lopes De Castanheda mencatatkan dalam History of The
Exploration & Conquest of The Indies By The Portuguese seperti
berikut:-

Apabila Albuquerque menyedari bahawa kejadian yang berlaku
ternyata bertentangan dengan apa yang telah diramalkan,
beliau memutuskan agar seluruh angkatan tentera kembali
ke kapal armada. Ia tidak boleh dilaksanakan untuk mengutuskan
sebahagian tentera ke kapal armada untuk membawa balik makanan
kerana setiap tentera yang bersama dengannya memang benar-
benar diperlukan. Tidak mungkin untuk mereka dapat mengukuhkan
kubu di jambatan dalam keadaan tenteranya mengalami keletihan
sebagaimana dirinya. Mereka tidak mampu untuk membangunkan kubu
kayu. Jika beliau mara ke kawasan masjid, pasti akan mengalami

181

kekalahan, disebabkan musuh akan mengatasi tentera-tenteranya.
Atas sebab-sebab sedemikian, beliau mengambil keputusan untuk
berundur.11

Apabila tidak menerima sebarang jawapan, Kapten Major berunding
dengan kapten-kaptennya tentang apa yang perlu dilakukan. Beliau
telah memutuskan bahawa oleh kerana Melaka adalah terlalu
kuat, maka amat bodoh untuk memeranginya. Di samping pulang
ke pelabuhan, mereka harus kembali ke India sebelum "monsun
kecil" berakhir. Jika mereka tidak pulang, mereka perlu menunggu
tiga atau empat bulan untuk "monsun besar", dan tiada tempat untuk
menunggu, mereka akan merasa kehilangan. Adalah lebih baik untuk
kehilangan orang-orang tawanan yang masih tinggal di darat dari
kehilangan seluruh armada, yang pasti akan hilang jika mereka
menentang musuh yang telah bersedia untuk melakukan sedaya upaya
bagi memusnahkannya, jika armada Portugis kekal lebih lama.12

Sejak kekalahan pertama dengan angkatan tentera Melaka, Alfonso
de Albuquerque mula menyusun kembali strateginya untuk menawan
Kota Melaka. Beliau cuba mendapatkan maklumat-maklumat sulit
tentang pertahanan Melaka dari pembesar-pembesar dan pedagang-
pedagang asing beliau telah sogok. Fernao Lopes De Castanheda
mencatatkan bagaimana maklumat sulit Melaka dibocorkan kepada
Portugis. Beliau mencatatkan seperti berikut:-

Terdapat begitu banyak insiden yang menunjukkan kesombongan
Sultan, yang mana Gabenor tidak dapat bersabar lagi, lalu memutuskan

11 M.J Pintado. 2012. Portuguese Documents on Malacca From 1509-1511.
Hlm 333
12 Ibid. Hlm 97

182

untuk memulakan perang ke atas Sultan. Ini kerana beliau kini tahu
tentang maklumat terperinci berkaitan pertahanan di kota ini,
misalnya tentang bilangan angkatan tentera yang dimiliki Sultan
dan di mana senjata-senjata api diletakkan. Beliau memberikan
arahan agar serangan ke atas kota dilakukan oleh pasukan bot-bot
kapal, sebahagian daripada mereka bersenjatakan meriam berat, dan
juga dengan menggunakan dua bot panjang yang telah ditawan.13

Rui D 'Araujo menyatakan pendapatnya kepada Gabenor bahawa
sekiranya dia berjaya menawan jambatan, maka Sultan akan menyerah
diri. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang dilihat selepas itu,
pendapat ini adalah salah, dan juga Rui D 'Araujo tidak tahu keadaan
sebenarnya, tetapi hanya bercakap berdasarkan apa yang dilihatnya
sahaja. Ketua-ketua orang Cina memberikan maklumat yang lebih
baik mengenai kekuatan angkatan tentera Melaka, dan mereka
melihat bahawa kuasa Portugis adalah begitu kecil, iaitu hanya
satu per sembilan belas daripada ukuran tentera Melaka. Mereka
menasihati Gabenor agar tidak mendarat dan memberikannya fakta
sebenar tentang angkatan tentera Melaka. Musuh boleh dikalahkan
dengan baik dengan melakukan kepungan, kata mereka, kerana
tentera Melaka akan terputus bekalan mereka sendiri dan bergantung
kepada makanan yang masuk melalui jalan laut. Jadi, jika bekalan
melalui jalan laut terputus, maka angkatan Melaka boleh mengalami
kebuluran dan membawa kepada kekalahan.14

Setelah dua minggu berundur dari menyerang Melaka, maka Alfonso
de Albuquerque memutuskan untuk menyerang Melaka sekali lagi.

13 Ibid. Hlm 325
14 Ibid. Hlm 327

183

Berikutan itu, pada 8 Ogos 1511, angkatan tentera Portugis telah
menyerang Melaka buat kali kedua. Namun pada kali ini angkatan
tentera Melaka telah tewas. Kota Melaka dapat ditawan oleh Portugis.
Mereka pun mula membina kubu mereka yang diberi nama A Famosa.
Di samping itu, Portugis turut membina gereja mereka di Melaka.

Portugis turut melakukan “Portuguese Inquisition” ke atas Melaka
iaitu satu proses penghapusan Islam secara total. Semua masjid-masjid
dirobohkan atau ditukar menjadi gereja. Batu-batu nisan pada makam
umat Islam habis dibongkar dan dicabut. Umat Islam juga dipaksa
memeluk agama Kristian. Mereka diseksa dengan seksaan yang penuh
kejam seperti mana yang dilakukan ke atas umat-umat Islam di India.15

Sultan Mahmud Syah dan para pembesarnya telah melarikan diri ke
Johor dan kemudiannya baginda melarikan diri ke Kampar, Sumatera.
Putera baginda yang bernama Sultan Alauddin Riayat Syah II telah
ditabalkan menjadi Sultan Kerajaan Johor Lama yang berpusat di Kota
Tinggi. Dari situ baginda melakukan beberapa serangan dan ancaman
terhadap Portugis di Melaka. Seorang lagi putera Sultan Mahmud
Syah iaitu Sultan Muzaffar Syah pula dirajakan di Perak. Kedua-dua
buah kerajaan Melayu itu menggantikan Kesultanan Melayu Melaka
yang diranapkan oleh Portugis.

15 Ibid. Hlm 353

184

UUSATHAHMANIYAH

MERAMPAS MELAKA
DARI PORTUGIS

Setelah Portugis menguasai Melaka, pedagang-pedagang Islam
mula beralih ke Aceh. Pedagang-pedagang Islam tidak dapat
lagi berdagang di Kota Melaka kerana Portugis melakukan
kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam. Kapal-kapal
perdagangan Islam di pelabuhan Melaka juga semuanya habis dibakar
oleh Portugis. Sehubungan itu, semua pedagang-pedagang Islam dari
Arab, Parsi, Turki Uthmaniyah, India dan lain-lain yang mana sebelum
ini menjadikan Melaka sebagai tempat perdagangan yang utama telah
memilih Aceh sebagai pelabuhan utama yang baru. Ini disebabkan
Kesultanan Aceh bangkit sebagai sebuah kekuasaan Islam yang baru
di rantau ini bagi menggantikan Melaka.

185

Dr. Ahmad Dahlan menukilkan di dalam buku yang bertajuk Sejarah
Melayu seperti berikut:-

“Sejak Portugis menguasai Pelabuhan Melaka, saudagar-saudagar
Islam dari Gujerat, Turki, Parsi dan Jazirah Arab enggan belabuh di
Melaka dan memilih Aceh sebagai tujuan.” 1

Sebelum wujudnya Kesultanan Aceh, telah wujud beberapa
kerajaan Islam di Wilayah Aceh seperti Samudera Pasai, Pedir
dan Lamuri. Pada tahun 1514, Sultan Ali Mughayat Syah telah
mengasaskan Kesultanan Aceh dan menjadikan Kutaraja (Banda
Aceh) sebagai pusat pemerintahannya. Pada tahun 1524, Sultan
Ali Mughayat Syah telah berjaya menakluki Pedir dan Samudera
Pasai lalu menyatukannya di bawah Kesultanan Aceh. Sejak itu,
Aceh mula menjadi satu kuasa besar di rantau ini menggantikan
Kesultanan Melayu Melaka. Malah Aceh boleh dianggap sebagai
sebuah kerajaan Islam paling gemilang dan paling unggul
di Nusantara.

Sebaik sahaja Portugis berjaya menguasai Melaka pada tahun
1511, Melaka telah menjadi pusat perdagangan Portugis paling
utama di rantau ini. Di samping itu, Portugis turut menjadikan
Melaka sebagai pusat penyebaran agama Kristian. Portugis juga
telah menjalankan dasar yang sangat kejam terhadap umat Islam
di Melaka. Keadaan ini menyebabkan Daulah Uthmaniyah dan semua
kerajaan-kerajaan Islam di Alam Melayu berusaha untuk mengusir
Portugis dari Melaka. Serangan dan ancaman dari Kesultanan Johor

1 Ahmad Dahlan. 2014. Sejarah Melayu. Hlm. 165

186

Lama juga dilakukan secara berterusan ke atas Portugis di Melaka
semenjak Melaka ditawan Portugis.

Pada tahun 1519, Kesultanan Johor telah mengadakan sekatan makanan
ke atas Portugis di Melaka. Pedagang-pedagang di Selat Melaka
ditegah dari membawa bekalan makanan ke Melaka. Keadaan ini
sangat menyukarkan Portugis sehingga mereka terpaksa menghantar
pegawai mereka yang bernama Antonio Correa untuk mendapatkan
bekalan makanan dari Burma untuk dibawa ke Melaka.2

Pada tahun itu juga iaitu tahun 1519, Portugis di Melaka mendapat
berita bahawa Daulah Uthmaniyah telah menggerakkan angkatan
tenteranya ke Melaka untuk membebaskan umat Islam yang
ditindas sekaligus mengusir Portugis dari bumi Melaka. Berita ini
sangat membimbangkan Portugis. Pihak Portugis kini diserang oleh
kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara dari pelbagai arah. Jika Turki
Uthmaniyah datang menyerang mereka pada ketika itu, sudah pasti
mereka sukar untuk mempertahankan Melaka. Sehubungan itu, cuba
menyekat angkatan tentera Uthmaniyah di Laut Merah.

Prof Azyumardi Azra dalam bukunya yang bertajuk Jaringan
Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad ke-17 dan 18
menyatakan seperti berikut:-

Pada 1519, Portugis di Melaka digemparkan dengan berita tentang
pelepasan armada perang Uthmaniyah untuk membebaskan umat
Islam Melaka dari penjajahan kafir (Portugis). Sebaliknya, berita ini
tentu sahaja menggembirakan kaum Muslimin tempatan. Menurut

2 Ahmad Jelani Halimi. 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Hlm 326

187

Pigafetta, yang melaporkan berita itu, Portugis segera mengirimkan
armada perangnya di Laut Merah untuk menghadang angkatan laut
Turki tersebut. Ketika Portugis melihat sejumlah kapal Turki terdampar
di pantai berhampiran Aden, mereka segera menghancurkannya.3

Pada tahun 1525, seorang Laksamana Uthmaniyah yang bernama
Salman Reis telah mengutuskan satu laporan kepada Sultan
Uthmaniyah pada ketika itu iaitu Sultan Salim tentang ancaman
Portugis di kepulauan Alam Melayu khususnya Melaka. Beliau
mencadangkan agar Daulah Uthmaniyah dapat mengutuskan angkatan
tentera di kepulauan Alam Melayu (Nusantara) supaya mengusir
Portugis dari Melaka.

Prof Azyumardi Azra menyatakan bahawa pihak berkuasa Uthmaniyah
dilihat mendapat maklumat penuh tentang pencerobohan Portugis
di Lautan Hindi. Pada tahun 1528, Laksamana Turki yang terkenal
di Laut Merah, Salman Reis telah mengingatkan Istanbul tentang
ancaman Portugis ke atas wilayah-wilayah Uthmaniyah di rantau
Laut Merah dan Teluk Parsi. Selepas memberi penerangan terperinci
tentang serangan Portugis terhadap pelbagai pelabuhan di Lautan
Hindi, beliau melaporkan tentang kemajuan pergerakan Portugis di
kepulauan Alam Melayu dan bahayanya mereka terhadap perdagangan
rempah yang dimiliki pedagang-pedagang Turki. Salman Reis
akhirnya mencadangkan penghantaran kuasa Uthmaniyah ke sana.4

Pada tahun 1537 itu, tentera Aceh seramai 3,000 orang datang
menyerang Portugis di Melaka. Terjadilah pertempuran di antara

3 Azyumardi Azra. 2013. Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan
Nusantara Abad 17 dan 18. Hlm 42
4 Ibid. Hlm 41

188

kedua-dua pihak selama 3 hari 3 malam. Setelah itu, tentera
Aceh kembali semula ke Aceh. Pada tahun 1537 itu juga, putera
Sultan Ali Mughayat Syah iaitu Sultan Ala’uddin Riayat Shah
al-Qahar telah ditabalkan menjadi Sultan Aceh yang baru.
Seperti mana ayahandanya, baginda juga sangat berkeinginan untuk
mengusir Portugis dari bumi Melaka.5

Maka pada tahun 1547, Sultan Ala’uddin Riayat Shah al-Qahar
telah menyerang Portugis di Melaka. Kali ini dengan bilangan
askar yang lebih ramai. Tentera Aceh hampir berjaya menguasai
Kota Melaka. Mereka telah berjaya menawan Melaka hingga
ke Kampung Keling. Namun tentera Aceh gagal menawan kubu
A Famosa. Kekuatan pertahanan Portugis menyebabkan Aceh gagal
mengusir Portugis dari Melaka. Portugis terus menguasai Melaka
disebabkan kegagalan tentera Aceh menawan kubu A Famosa. Tentera
Aceh terpaksa berundur ke Aceh.6

Sultan Ala’uddin Riayat Shah al-Qahar berfikir bahawa Aceh patut
mendapat bantuan ketenteraan dari Uthmaniyah dalam misi mengusir
Portugis dari Melaka. Baginda mahu menjadikan Aceh sebagai
pengkalan utama Daulah Uthmaniyah di Nusantara untuk menyerang
Portugis di Melaka. Tanpa bantuan Uthmaniyah, amat sukar bagi Aceh
untuk menentang Portugis.

Prof Dr. Abdullah al-Ahsan menukilkan dalam makalahnya yang
bertajuk Muslim and European Perceptions of Oceanic “Trade”

5 Hasanuddin Yusuf Adan. 2013. Islam dan Sistem Pemerintahan Di Aceh Masa
Kerajaan Aceh Darussalam. Hlm 187
6 Ahmad Jelani Halimi. 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Hlm 287

189

in the Fifteenth and Sixteenth Centuries and their Imp.lications for
International Politics seperti berikut:-

“Ancaman Portugis terhadap umat Islam turut membawa (tentera)
Uthmaniyah ke Nusantara. Sejurus selepas kejatuhan Melaka,
pelbagai percubaan dilakukan untuk menawan kembali Melaka dari
umat Islam tempatan iaitu dari Johor, dari kerajaan Aceh yang baru
ditubuhkan dan kerajaan-kerajaan Islam yang berhampiran menemui
kegagalan.”7

Maka pada tahun 1547, Sultan Ala’uddin Riayat Shah al-Qahar
telah mengutuskan seorang duta dari Aceh ke Istanbul untuk
memperkukuhkan hubungan dua hala. Pada tahun 1562 dan 1564,
Sultan Ala’uddin Riayat Shah al-Qahar sekali lagi mengutuskan
utusan ke Istanbul bagi menghadap Sultan Sulaiman al-Qanuni.

Baginda mahu menjalankan perikatan dengan Uthmaniyah untuk
menyerang Portugis di Melaka. Melalui utusannya, Sultan Ala’uddin
Riayat Shah al-Qahar telah menghadiahkan emas, rempah ratus dan
lada kepada Sultan Uthmaniyah.

Pada tahun 1565, Sultan Sulaiman al-Qanuni telah mengutuskan
duta Uthmaniyah ke Aceh sebagai balasan pengutusan duta Aceh ke
Istanbul. Pada tahun 1566, Sultan Sulaiman al-Qanuni telah wafat.
Pengganti baginda iaitu Sultan Salim II telah meneruskan misi Daulah
Uthmaniyah untuk memberikan bantuan ketenteraan kepada Aceh.

7 Abdullah al-Ahsan. 1999. Muslim and European Perceptions of Oceanic "Trade"
in the Fifteenth and Sixteenth Centuries and their Implications for International
Politics. Intellectual Discourse (Jilid 7, No. 2). Hlm 176

190

Pada tahun 1566, Sultan Salim II telah mengarahkan Laksamana
Uthmaniyah iaitu Kurtoglu Hezeir Reis untuk mengetuai angkatan
tentera Uthmaniyah yang diutuskan ke Aceh. Di samping sepasukan
besar angkatan tentera, Sultan Salim II juga mengirimkan sejumlah 15
buah kapal panjang, dua buah kapal besar dan pakar-pakar pembuat
meriam diraja. Namun begitu, Sultan Salim kemudiannya mendapat
berita tentang pemberontakan yang terjadi di Yaman. Jadi baginda
terpaksa mengarahkan agar pasukan tentera yang disiapkan ke Aceh
itu dilencongkan ke Yaman terlebih dahulu.

Kesan dari arahan Sultan Salim II itu, maka bantuan yang tiba ke Aceh
menjadi lebih kecil dari perancangan yang asal. Bantuan ketenteraan
dari Uthmaniyah yang tiba di Aceh pada tahun 1566 ialah sepasukan
angkatan tentera, dua buah kapal perang berserta dengan 5 orang pakar
pembuat senjata api dan meriam.8

Syeikh Nuruddin ar-Raniri menukilkan dalam Bustanus Salatin seperti
berikut:-

Kemudian dari itu maka Kerajaan Sultan Alauddin Riayat Shah ibn
Sultan Ali Mughayat Shah, pada hari Isnin waktu Dhuha 20 bulan
Dzulkaedah ialah yang mengadatkan segala istiadat kerajaan Aceh
Darussalam dan menyuruh utusan kepada Sultan Rum (Uthmaniyah),
ke negeri Istanbul kerana meneguhkan agama Islam. Maka dikirim
Sultan Rum daripada segala jenis-jenis utus dan pandai yang tahu
menuang bedil. Maka pada zaman itulah dituang orang meriam yang
besar-besar. Dan ialah yang pertama berbuat kota di negeri-negeri

8 Ermy Azziaty Rozali. 2016. Turki Uthmaniah : Persepsi dan Pengaruh Dalam
Masyarakat Melayu. Hlm 108-111

191


Click to View FlipBook Version