The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Menemui Cinta di Taman Perbukuan adalah catatan pendirian dan pegangan peribadi serta wasiat untuk anak-anak

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by cheguridhwan81, 2020-01-25 09:22:17

Menemui Cinta di Taman Perbukuan

Menemui Cinta di Taman Perbukuan adalah catatan pendirian dan pegangan peribadi serta wasiat untuk anak-anak

Keywords: falsafah

Oleh kerana falsafah Islam merujuk kepada arahan al Quran dan Hadith, idea kemajuan
wajib mengikuti kedua-dua sumber ilmu Islam yang utama tersebut. Manusia yang berjaya
adalah manusia yang bertaqwa. Menurut Muhammad Asad ‘mentaati sunnah adalah kewujudan
dan kemajuan mengikut Islam’ manakala Syed Muhammad Naqiub al Attas menyatakan
‘perubahan, pembangunan dan kemajuan mengikut kacamata Islam ialah pengembalian kepada
Islam yang tulen yang dianjur dan diamalkan oleh Rasulullah’.

Ibrah daripada idea kemajuan bertunjangkan Islam, gerakan mahasiswa Islam yang
menggerakkan intelektualisme perlulah beringat jangan sesekali terjerumus dalam perangkap
idea dan gagasan pemikiran Barat yang meminggirkan agama Islam dan menuju ke arah atheis.
Islam memerlukan syariat, bukannya Islam Amerika yang berteori, diskusi sembang kencang dan
berdebat tanpa lilitan aqidah dan tanpa syariat.

Kemajuan dan pembangunan mengikut Islam bukannya berlandaskan materialistik tetapi
kemajuan dan pembinaan diri insan sebagai individu berkualiti dari segi iman, taqwa dan akhlak.
Daripada iman-taqwa, kemudian diikuti kemajuan dan pembangunan-pembinaan akal
seterusnya kepada kemajuan dan pembangunan budaya dan material.

Kualiti Individu Seseorang Mahasiswa

Mahasiswa mesti mempunyai kualiti diri sebagai individu. Kualiti diri yang dimaksudkan ialah;

1. Mempunyai worldview Islam yang jernih dan lurus berdasarkan tauhidik
2. Akhlak berdasarkan tauladan Rasulullah SAW
3. Al Quran dan al Sunnah sebagai sumber ilmu Islam yang paling berautoriti dan menjadi

panduan dan rujukan dalam setiap perkara.
4. Mencari guru berwibawa untuk memperlengkapkan diri menjadi insan berkualiti.

5. Mencipta suasana ilmu dalam diri dan persekitaran dengan membaca buku bidang sains
sosial, mewujudkan kumpulan diskusi, ziarah-perbincangan dengan ulama-sarjana,
belajar bahasa asing [dikategorikan sebagai bahasa Islam, Bahasa Dakwah dan Bahasa
Ilmu] dan menghadiri majlis ilmu.

Pesanan Imam Hassan al Banna

Mahasiswa memerlukan worldview dan pegangan yang Islamik [Surah al Nisa: 174-175]. Islamlah
yang mencorak kehidupan manusia [Surah al Baqarah: 138] melalui perubahan worldview.
Mahasiswa perlu meninggalkan medan bercakap/pidato/forum beralih ke medan bekerja yang
serius dan produktif [Surah al Saf:2-4].

Islam mengiktiraf dan mengakui KUASA Rakyat. Islam mewajibkan setiap muslim
memerhati tindak-tanduk kerajaan. Mereka perlu memberi NASIHAT, bantuan dan
membahaskan perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan. Islam mewajibkan pemerintah
mengutamakan kepentingan rakyat dengan memberi KEADILAN kepada yang berhak dan
menghukum sesiapa yang bersalah. Islam mewajibkan rakyat taat setia kepada pemerintah selagi
pemerintah berada di jalan yang betul. Rakyat perlu memastikan pemerintah berada dalam batas
undang-undang dan mengembalikannya ke landasan yang benar [Surah al Maidah: 48-50].

Imam Hassan al Banna tidak bersetuju dengan amalan politik kepartian. Amalan politik
kepartian menjerumuskan negara ke arah perbalahan dan konflik sesama sendiri atau secara
dalaman.

Politik Kampus

Di kampus, seseorang mahasiswa perlu mengetahui dan mengutamakan tugas asasi mereka
sebagai penuntut ilmu. Ketinggian ilmu melahirkan kepakaran yang bakal membantu umat Islam
dan negara pada masa hadapan. Terdapat tiga elemen penting semasa berada di universiti iaitu

[1] pengalaman dalam organisasi dan kepimpinan, [2] membina jaringan persahabatan dan
pengaruh dan [3] meningkatkan kemahiran komunikasi. Tiga perkara yang dilakukan
semestinya tidak melampaui batas kita sebagai penuntut ilmu. Jangan sesekali mengabaikan
tugas asasi kita.

Seseorang mahasiswa boleh menyertai politik tetapi bukan politik kepartian walaupun
dilatih atau ditarbiah oleh parti politik. Seseorang mahasiswa boleh menyertai politik kampus.
Seseorang mahasiswa boleh menyertai politik negara atas konteks kebersamaan dalam sesuatu
isu bukannya menjadi orang suruhan kepada parti politik [Surah al Qasas: 55]. Politik menurut
Imam Hassan al banna merujuk kepada ertikata politik yang mutlak iaitu mengambil berat soal
dalaman dan luaran ummah tanpa terikat dengan mana-mana parti.

Seseorang mahasiswa yang terlibat dalam politik kepartian atau politik negara secara
terbuka boleh membuka ruang kepada tindakan disiplin, tahanan polis atau kes mahkamah bakal
menganggu tugas asasi sebagai mahasiswa. Mahasiswa sebagai insan terpelajar perlu mengelak
menjadi HERO Jadian dan boneka untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Kita tidak boleh mengimbau zaman Anwar Ibrahim, lagenda gerakan mahasiswa Malaysia.
Pendekatan seharusnya berbeza mengikut zaman. Pada zaman ini, tak berbaloi kamu menjadi
HERO untuk parti politik.

Intelekualisme Mengakari Gerakan Mahasiswa?
‘Saya tidak risau dengan anak muda berusia 30 tahun ke bawah, sememangnya mereka
mempunyai semangat, tenaga, idea dan kedegilan yang mereka ada untuk berusaha mencari
identiti, spritual, pelajaran, pengalaman dan membaca buku sebanyak mungkin. Usia 30 hingga
35 tahun, mereka memantapkan pilihan pegangan mereka dan usia 40 tahun, pegangan telah
menjadi darah dagingnya’- Duan Lias

Menurut Sheikh Syakib Arsalan, antara faktor ketertinggalan umat Islam ialah kebodohan
dan jumlah ilmu pengetahuan yang mereka ada. Adakah mahasiswa yanng kononnya terpelajar
mempunyai kedua-dua faktor berkenaan?. Justeru, para mahasiswa perlu menjalani proses
pembinaan intelektualisme semasa alam kampus.

Raja Ahmad Aminullah pernah menceritakan dalam bukunya tentang pengembaraan
beliau ke Mexico. Beliau melihat penduduk Mexico mengupayakan dunia ilmu mereka melalui
wacana hatta di kedai buku mahupun galeri seni meskipun penduduk miskin adalah majoriti
rakyat Mexico. Mereka merakyatkan ilmu untuk rakyat bawahan.

Wacana, baca buku, diskusi dan menulis, itu semua boleh menyemarakkan
intelektualisme. Menurut kamus dewan, intelektualisme ialah pengabdian kepada penggunaan
intelek atau daya fikir. Manakala satu lagi maksud ialah doktrin yang menekankan bahawa
pengetahuan terhasil dengan penaakulan tulen.

Di universiti, mahasiswa adalah anak muda yang merdeka bebas daripada pengawasan
ibubapa. Mereka bertindak mengikut akal dan hati nurani sendiri. Risiko dan tanggungjawab atas
diri mereka sendiri. Kecenderungan ini membuka ruang mencari indentiti tersendiri melalui
intelektualisme.

Apa yang sangat penting dengan intelektualisme dalam gerakan mahasiswa?. Peranan
penting intelektualisme dalam gerakan mahasiswa memberi panduan dalam perjuangan mereka.
Mahasiswa yang mempunyai intelektualisme harus menjelaskan masalah kepada masyarakat
dan cuba mencari penyelesaian masalah dan mengemukakan alternatif dalam usaha mengatasi
masalah rakyat dan negara. Jika mereka berjaya menghasilkan idea atau menyelesaikan
masalah, kejayaan itu perlu disebar luas kepada masyarakat.

Dalam pembinaan intelektualisme gerakan mahasiswa, paling penting ialah membaca,
mengkaji, berbincang dan menulis. Tanpa budaya membaca, gerakan mahasiswa tidak akan

berjaya membina intelektualisme mereka. Budaya membaca bukannya membaca bahan picisan
tetapi bahan ilmiah. Pembacaan haruslah merentasi ideologi dan aliran pemikiran. Kerencaman
pemikiran yang menghasilkan keraguan telah menjadi kecanduan wacana-diskusi memerlukan
kita mencari penawar untuk menghilang ketagihan atau kecanduan tersebut dengan worldview
Islam.

Intelektualisme juga dapat dibina dengan aktiviti bersama pensyarah mereka. Mereka
boleh ziarah dan bersoal jawab dengan para pensyarah. Dalam perbincangan dengan para
pensyarah, mahasiswa boleh bertanya dan berdialog tentang bahan bacaan yang mereka baca
dan kaji. Dengan itu para mahasiswa boleh mengembangkan lagi pemikiran mereka.

Mereka juga perlu aktif dalam kumpulan perbincangan berbentuk forum dan diskusi
buku. Mereka juga menubuhkan kumpulan sendiri untuk meningkatkan kefahaman mereka
terhadap bahan yang dibaca. Kumpulan ini mengadakan perlu mengadakan majlis ilmu untuk
berkongsi hasil dapatan.

Dengan adanya intelektualisme, barulah perjuangan mahasiswa dilakukan dengan
kefahaman bukannya emosi. Melalui kefahaman idea-idea ini, gerakan mahasiswa boleh bangkit
memperjuangkan isu yang difahami oleh mereka.

Pimpinan mahasiswa boleh memasuki kursus kepimpinan dan pemikiran seumpama yang
dianjurkan oleh Sekolah Politik [IKD], Sekolah Demokrasi [DAP]dan Wacana Pandangan Alam
Islam atau Worldview of Islam Series [WISE- dianjur oleh Himpunan Keilmuan Muslim-HAKIM].

Kita memerlukan pengalaman yang pelbagai dalam intelektualisme untuk menambahkan
pengetahuan kita dalam sesuatu perkara. Dan paling penting kita memerlukan Pandangan Alam
Islam yang jernih dalam mendepani serangan pemikiran dari pelbagai penjuru alam. Sebagai
asas Pandangan Alam Islam, buku di bawah boleh dijadikan asas kelurusan dan kejernihan
pemikiran kita:

1. Islam dan Sekularisme karya Syed Muhammad Naquib al Attas
2. Prolegomena to the Metaphysics of Islam karya Syed Muhammad Naquib al Attas.
3. Himpunan Risalah Imam Hassan al Banna.
4. Fiqhud Da’wah karya Muhammad Natsir.

Untuk meneliti pemikiran Syed Muhammad Naquib al Attas, buku Falsafah dan Amalan
Pendidikan Syed Muhammad Naquib al Attas tulisan Wan Mohd Nor Wan Daud dan buku Risalah
Untuk Kaum Muslimin tulisan Syed Muhammad Naquib al Attas sendiri boleh dijadikan
permudah-cara dalam menghadami pemikiran beliau. Pada zaman ini, umat Islam kurang tiga
perkara;

1. Pemimpin yang boleh menyatukan umat Islam.
2. Sarjana yang memahami pemikiran dan ketamadunan Barat dan Islam.
3. Pendebat merangkap sarjana perbandingan agama sebagai Dr Zakir Karim Naik.

Gerakan mahasiswa seharusnya bersedia dan berusaha untuk mengasuh anggotanya supaya
melahirkan pemimpin-sarjana berdasarkan ketiga-tiga perkara di atas.

Worldview Islam yang lurus dan jernih adalah kunci intelektualisme gerakan mahasiswa yang
Islamik.

Pengaruh Organisasi Luar Melalui Pengkaderan.
Organisasi luar yang saya maksudkan ini adalah organisasi politik atau badan bukan kerajaan
(NGO). Organisasi yang mengadakan latihan dan program pengkaderan.

Sistem pengkaderan yang menghasilkan ramai mahasiswa mentaati organisasi luar
bukannya ketaatan kepada Islam. Oleh sebab itu, ada sesetengah kelompok mahasiswa
mengadakan protes terhadap sistem pengkaderan tersebut dengan mengelak atau memutuskan

hubungan dengan parti politik atau NGO terbabit. Ini berlaku apabila sistem pengkaderan ini
dianggap menjadi alat indoktrinisasi terhadap para mahasiswa oleh parti atau NGO secara
melampau-paksaan.

Ada kelompok mahasiswa ingin ‘indiependen’ bukannya wakil [cawangan?] sesebuah
parti atau NGO di kampus. Kelompok mahasiswa bukannya hamba atau orang suruhan parti di
luar kampus. Mereka mempunyai jiwa merdeka dan mahu kebebasan bukannya dikongkong dan
mengakuri arahan pihak luar.

Pada hemat saya, gerakan mahasiswa yang mempunyai hubungan dengan pihak luar
bukanlah satu ‘dosa’ besar atau perkara yang haram. Kita bebas tetapi berpihak. Saya suka
pandangan Hasbie Muda [anggota AMANAH], “saya fikir tiada masalah jika persatuan-persatuan
tersebut mempunyai hubungan dengan pertubuhan luar tetapi mereka perlu diberi kebebasan
agar tidak terikat dengan sebarang arahan atau peraturan yang bersifat mengekang. Biarlah
hubungan kumpulan tersebut dengan pertubuhan induknya sebagai perhubungan rakan kongsi
dan bukannya hubungan antara pemberi arahan dan pelaksana arahan.” Menurut Nazree Yunus
pula, mantan Presiden PMIUM dan Pengerusi GERAK [anggota PKR] “Realitinya Gerakan
Mahasiswa dan Gerakan Anak Muda akan berpihak kepada perjuangan Kebenaran & Keadilan”

Penulis pernah mendengar cerita seseorang tentang sebuah gerakan mahasiswa Islam
[GMI] di negara ini melanggar arahan Tuan Guru Haron Taib, Ketua Dewan Ulama PAS agar
demonstrasi tidak dilakukan dalam kampus. Sahabat penulis itu mendakwa GMI itu telah
memutuskan hubungan Dewan Ulama PAS dan Jabatan Pembangunan Mahasiswa Dewan
Pemuda PAS.

Contoh lain, PMUM mempunyai hubungan baik dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia
(PSRM) ranting Pantai. Menariknya, Syed Hamid mantan pimpinan Kelab Sosialis Universiti
Malaya telah aktif dalam PSRM ranting Pantai. Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia
(KAMMI) merupakan ‘sayap mahasiswa’ Partai Keadilan Sejahtera (PKS), bahkan ramai kader

KAMMI yang mengasaskan PKS. Jamaat Islami di Pakistan dan Bangladesh mempunyai sayap
politik kampus mereka, Chatra Shibir.

Sebenarnya, pengaruh luar juga menjadi salah satu sebab pihak penguasa dan HEP
mengongkong gerakan mahasiswa. Pihak penguasa dan HEP mendakwa gerakan mahasiswa
dipengaruhi oleh pembangkang.

Pada hemat penulis, realitinya memang gerakan mahasiswa menjalinkan hubungan
dengan pihak luar. Statusnya sahaja yang membezakan mereka sama ada cawangan atau rakan
kongsi. Penulis juga berpendapat bahawa hubungan dengan pihak luar bergantung kepada
keperluan zaman dan atas kebaikan bersama untuk kesejahteraan rakyat-negara.

Orientasi Isu Mahasiswa ke Orientasi Isu Rakyat

Gerakan mahasiswa mempunyai tanggungjwab terhadap rakyat terpinggir dan tertindas. Dalam
menangani isu ini, penulis melihat kebajikan masyarakat mesti dijaga dan dibela oleh gerakan
mahasiswa.

Ada juga mahasiswa mendekati isu-isu rakyat atas nama ideologi pegangan mereka. Ada
kalangan mahasiswa ini dari kelompok sosialis dan anarkis. Ada mahasiswa menjalankan aktiviti
kebajikan seperti Buku Jalanan, Dapur Jalanan dan Sekolah Jalanan.

Gerakan mahasiswa mahu pihak penguasa dan pihak berkenaan memudah cara dalam
mendepani isu rakyat tanpa penindasan dan bersifat pro rakyat. Seorang pemimpin mahasiswa
menulis, isu mahasiswa meliputi hanya 10%, manakala isu rakyat meliputi 90%. Justeru, gerakan
mahasiswa perlu bijak memilih isu dan perlu melakukan pengkajian terlebih dahulu. Perjuangan
isu mahasiswa kurang sokongan kerana majoriti mahasiswa bukan hardcore GMI adalah pasif dan
menjaga periuk nasi mereka. Jadi perjuangan mereka akan kelihatan hambar dan tidak berjaya
mempengaruhi massa kampus dan memburukkan reputasi gerakan mahasiswa di mata rakyat.

Jika mahasiswa berjuang dengan menggunakan pendekatan orientasi isu rakyat
terutamanya isu orang muda seperti isu PTPTN, isu tanah, isu kos hidup, minyak dan rasuah,
perjuangan mahasiswa akan mendapat simpatis daripada rakyat. Ini akan memarakkan lagi
perjuangan mahasiswa untuk kebaikan rakyat. Contoh, kita melihat perjuangan mahasiswa
Universiti Trisakti pada tahun 1998, pemimpin mahasiswa memperjuangkan isu rakyat dimana
ekonomi Indonesia terus merosot ketika itu. Begitu juga demonstrasi Baling, ia berlaku
disebabkan petani mengalami kemerosotan harga getah yang memiskinkan mereka yang
tersedia miskin.

Untuk berjaya dalam perjuangan mahasiswa, pemimpin mahasiswa memerlukan
kebijaksanaan memanipulasi isu rakyat dan berkebolehan membuat keputusan semerta
(sewajibnya dengan doa, solat istikharah dan tawakal). Pemimpin gerakan mahasiswa perlu
memainkan peranan penting agar gerakan mahasiswa memenuhi asiprasi rakyat bukan sahaja
dalam lingkungan mahasiswa sahaja.
Radikalisme Anak Muda.
Pengolakkan dan konflik sekitar anak muda akan mempengaruhi mereka untuk bertindak lebih
radikal. Keradikalan ini bermula sudah lama dan sejak zaman berzaman. Pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka, faham ‘jebat” yang sering bertentangan dengan faham ‘Tuah’. Ia diteruskan lagi
dengan perseteruan antara kaum muda dengan tua, dan kewujudan Kesatuan Melayu Muda,
Angkatan Pemuda Insaf dan lain-lain.

Menurut kamus Dewan, radikalisme ialah satu fahaman (kepercayaan) yang radikal dalam
politik atau fahaman yang mahu perubahan mendadak dalam arena politik dan sosial.
Revolusioner adalah orang yang menyokong revolusi. Ungkapan Revolusioner dan radikal dilihat
keras ekoran menerima konsep radikal daripada sarjana Barat.

Kerajaan seringkali berpandangan negatif terhadap kehadiran student power di negara ini
dengan tuduhan militan, revolusioner dan mengucar-kacir masyarakat. Sikap revolusioner perlu

bagi membangunkan sebuah negara yang adil dan maju. Shahnon Ahmad mendefinisi sikap
revolusioner; ‘Revolusioner adalah bersuara keras dan bertindak keras meruntuh dan
menghancur sesuatu itu disertakan pula dengan daya cipta untuk membina yang baru sebagai
ganti yang lapuk yang diruntuh dan dirubah’.

Mahasiswa sebagai golongan intelektual perlu bersikap pemberani yang berlandaskan
ilmu dan pengalaman yang dijernihkan oleh kebenaran yang diyakini bukannya bersikap surealis;
bersuara kuat untuk meruntuh dan menghancur tanpa penciptaan dan pembinaan semula.
Seorang revolusioner mengharapkan jiwa tertekan kerana dengan jiwa itulah dia akan bangun
untuk mengantikan penindas-penindas.

Sikap radikal, revolusioner dan militan mahasiswa tidak perlu dibimbangi. Tun Abdul
Razak, mantan Perdana Menteri Malaysia yang kedua pernah berkata; “Jikalau kita tinjau
belakang semasa kita masih menuntut, tentulah kita dapat melihat perkara itu dari sudut yang
betul”.

Kebangunan sesuatu bangsa akan dicerakin oleh mahasiswa yang sedar akan
tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara kerana hidup mereka biar berjasa.

Pendekatan kekerasan yang dimaknakan disini ialah pendekatan demonstrasi.
Kebiasaannya demonstrasi dimulai dengan ceramah dan nyanyian semangat serta slogan-slogan.
Semasa era 1970an, demonstrasi dimulakan selepas pidato di sudut pidato.

Masalah yang timbul ialah apabila pihak berkuasa memprovokasi pihak mahasiswa
sehingga mahasiswa bertindak spontan menggunakan kekerasan.

Kejadian demonstrasi perlu dikaji dari segi personaliti dan psikologi para mahasiswa.
Semangat, emosi dan keyakinan diri daripada jiwa memberontak menghasilkan tindakan yang
keras. Fikir sebelum bertindak dan jangan menjadikan sahabat mahasiswa lain sebagai kambing

hitam dikala pimpinan utama mahasiswa terselamat daripada dikenakan tindakan. Akhirnya,
kebanyakan daripada mereka setelah dewasa mengetawakan sifat mereka semasa muda.

Gerakan mahasiswa adalah salah satu cabang gerakan anak muda. Kelompok anak muda
memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak atau kelompok anti establishment. Kelompok
pendesak ini bukannya sahaja menentang HEP dan kerajaan tetapi turut bertembung dengan
kelompok pro establisment sehingga menimbulkan konflik.

Aktor Politik Mahasiswa

Gerakan mahasiswa sangat bergantung kepada aktor-aktor mereka. Watak dan falsafah
perjuangan aktor adalah tunjang kepada aktivisme gerakan mahasiswa. Cuma persoalan yang
timbul, adakah tindakan aktor politik mahasiswa berdasarkan kepentingan diri, ideologi atau
perjuangan mahasiswa/rakyat?.

Mari kita lihat perubahan pendekatan PBMUM setelah dipimpin oleh aktor yang
berlainan. Kemenangan Mahadzir khir dalam perebutan tampuk Presiden PBMUM mengubah
pendekatan PBMUM daripada pendekatan radikal kepada pendekatan sederhana. Perubahan
PBMUM zaman Awang Had Salleh lebih kepada sastera, Sanusi Osman kepada komitmen politik,
zaman Anwar dan Nordin Razak ialah zaman radikal. Pada era 1998 hingga 2014, gerakan
mahasiswa mengalami perubahan ketara dari segi pendekatan faktor Anwar memainkan gerakan
besar kepada penyatuan mahasiswa Nasionalis-Islamis dengan Mahasiswa pro PAS.

Kehebatan aktor politik mahasiswa mencakupi keberanian, kemampuan kewangan,
jaringan pengaruh, kepetahan berpidato, kegeniusan dan penampilan beragama mereka. Beza
dua orang aktor politik mahasiswa terletak pada keberanian mereka dalam menangani sesuatu
isu. Jika pemimpin mahasiswa tidak berani, perjuangan mereka akan kelihatan hambar di mata
masyarakat dan politikus.

Aktor politik mahasiswa perlu berhati-hati agar tidak menjadi kuda tunggangan pihak
tertentu yang mempunyai kepentingan politik. Aktor politik mahasiswa jangan sesekali percaya
dengan janji politikus. Aktor politik mahasiswa juga perlu berhati-hati dengan teman
seperjuangan atau senior yang mementori kerana mereka juga mempunyai kepentingan politik.
Tidak padan kita naik turun mahkamah sehingga selepas alam kampus dikala senior yang
mementori kita sudah menjadi PTD dan politikus terus menang dalam pilihanraya.

Panduan Ideologi

Ideologi berkaitan dengan politik. Ideologi mengerakkan politik kemahasiswaan dalam sesuatu
isu. Persoalan politik mahasiswa dinukilkan oleh Raja Azlan, Pro Canselor Universiti Pulau Pinang.
Menurutnya, mahasiswa harus bertanggungjawab terhadap masyarakat dan perlu melakukan
sesuatu untuk rakyat. Oleh itu, gerakan mahasiswa haruslah menggunakan tenaga-idea mereka
bagi mendepani permasalahan masyarakat dan negara.

Kerajaan seharusnya memberi kelonggaran dalam politik. Khoo Kay Kim mencadangkan
agar kerajaan hanya mengawal gerakan mahasiswa bukannya menghalang penglibatan
mahasiswa dalam gelanggang politik kerana mahasiswa adalah sebahagian daripada masyarakat
yang mempunyai hak mengundi. Tekanan yang diberikan oleh kerajaan menaikkan semangat
mahasiswa bangkit melawan kerajaan yang mencabar hak mereka. Mereka mahu mengekalkan
image the student dan sebarang gelombang yang menganggu perjuangan mereka akan
ditentang.

Sebelum kita berbahas tentang ideologi, marilah kita melihat latarbelakang watak aktor
pimpinan mahasiswa. Latarbelakang keluarga, buku dibaca, sekolah dah jurusan diambil sangat
mempengaruhi panduan ideologi seseorang. Jurusan seseorang pimpinan mahasiswa dalam
PBMUM sebelum tahun 1972 sangat mempengaruhi perjuangan PBMUM. Sebelum tahun 1972,
Mahadzir Khir dan Ismail Daud sahaja daripada bidang lain iaitu sejarah, semua Presiden PBMUM
datang daripada jurusan pengajian Melayu. Begitu juga dalam PMIUM, selepas era kebangkitan

mahasiswa pro PAS, jarang sekali PMIUM dipegang oleh bukan kalangan mahasiswa daripada
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Sebab itu semangat pejuangan Islam berbeza kerana
Presiden PMIUM sangat dekat dengan perjuangan Islam.

Kampus sendiri mempunyai kepelbagaian pemikiran dalam kalangan warga varsiti
terutamanya para mahasiswa dan para pensyarah. Ledakan ubudiyyah dan pencernaan ideologi
telah berlaku dalam kampus sehingga mencetuskan pertembungan fikrah sesama mahasiswa
yang berada dalam proses pembentukkan identiti diri.

Mahasiswa sendiri telah memilih aliran fikiran yang mereka idamkan. Ada yang hanyut
dengan hedonisme, Marxisme, Sosialisime, Liberalism dan faham Islam.

Secara mudahnya, ideologi bermaksud suatu ilmu yang mengkaji sesuatu idea atau
pemikiran. Di bawah ada beberapa definisi tentang ideologi;

1. Menuruf Prof Rahman Shaari, ideologi dalam politik ialah idea, pemikiran atau
pegangan yang dapat mempengaruhi pengikut untuk berada dalam prosedur
tertentu. Manakala, perbedaan antara pejuang ideologi politik dengan pejuang politik
sosial ialah pejuang ideologi sosial tidak menghendaki orang lain mengundi
kumpulannya.

2. Menurut Frans Magnis Suseno, ideologi dimaksud sebagai keseluruhan sistem
berfikir, nilai-nilai dan sikap dasar rohaniah sebuah gerakan, kelompok sosial atau
individu.

3. Menurut Taqiyuddin An-Nabhani, ideologi(Mabda’) adalah suatu aqidah aqliyah yang
melahirkan peraturan. Aqidah yang dimaksudkan adalah suatu idea dasar yang
menyeluruh mengenai alam semesta, manusia, dan kehidupan.

Dalam gerakan mahasiswa, ideologi adalah sumber pegangan dalam membentuk corak
berfikir dan cara bertindak para mahasiswa. Menurut Altbach, perjuangan mahasiswa

berasaskan ideologi politik tertentu. Antara ideologi yang berpengaruh dalam gerakan
mahasiswa di Malaysia ialah sosialisme, nasionalisme dan ‘faham Islam’. Pertembungan antara
ideologi menyumbang kepada pembentukan pemikiran mahasiswa bahkan mencetuskan
kehangatan pertembungan politik dalam politik kampus.

Jemaah Islam Kampus [JIK] dan Kuasa Ketiga

Politik negara mempengaruhi politik kampus. Politik dalaman gerakan Islam akan mempengaruhi
politik dalaman gerakan mahasiswa Islam (GMI) atau Jemaah Islam Kampus (JIK). Ada JIK
mempunyai hubungan sebagai rakan kongsi, rakan kebersamaan dalam sesuatu isu dan
‘cawangan’ gerakan Islam di luar kampus. Status hubungan JIK dengan gerakan Islam di luar
kampus mempengaruhi perjalanan organisasi JIK.

Dalam JIK, ada pertembungan dalaman antara dua kelompok yang berbeza aliran.
Kemenangan kelompok yang bertembung banyak memberi impak kepada perjalan JIK dan entiti-
entiti yang dikuasai oleh JIK seperti PMI. JIK bukan hanya dikuasai oleh kelompok yang menang
tetapi pengaruh senior-senior terdahulu juga masih menebal dalam JIK sehingga mencetuskan
pengeseran dalaman disamping hubungan tidak baik dengan gerakan Islam di luar dan gerakan
mahasiswa Islam induk peringkat kebangsaan.

Sewajarnya, generasi semasa yang menguasai JIK perlu bersikap neutral dan tidak
memihak kepada para senior mereka yang sudah tentu mahu mempengaruhi JIK. Pada masa yang
sama, mereka telah menyertai parti-parti tertentu yang mahu menjadikan JIK sebagai kuda
tunggangan mereka. Justeru, JIK perlu menegaskan bahawa senior mereka boleh menasihati
tetapi jangan sesekali cuba membawa kepentingan parti politik mereka ke dalam JIK.

JIK kena profesional dalam hubungan dengan gerakan mahasiswa Islam peringkat
kebangsaan dan gerakan Islam. Walaupun ada JIK mengisytiharkan diri mereka bebas daripada
pengaruh mana-mana pihak, JIK masih perlu bersama dalam isu yang memerlukan kebersamaan

terutamanya isu rakyat dan negara. Kebersamaan dalam isu tidak semestinya menjadi
‘cawangan’ gerakan Islam.

Nasihat Untuk JIK

1. Persahabatan, budi pertolongan, pengaulan dan kekerapan bersama dalam perjuangan
jangan sesekali melunturkan aqidah perjuangan kamu dan mempengaruhi prinsip dan
pendirian kita dalam perjuangan.

2. Jangan sesekali mencampur-adukkan pemikiran Islam dengan pemikiran Barat.
Permulaan untuk terherot daripada Islam apabila hujah-dalil kita banyak dicampur-
aduk dengan pemikiran Barat atau asing sehingga akhirnya, hujah-dalil didominasi oleh
hujah-dalil pemikiran Barat dan asing bukan lagi dalil-hujah Islam. Hujah-dalil pemikiran
manusia mengatasi hujah-dalil wahyu.

3. Jangan sesekali mencampur-adukkan perjuangan Islami dengan puak Sekularisme-
Pluralisme-Pluralisme (SEPILIS). Kebersamaan dalam tahaluf hanya bersifat longgar
bukannya melanggar prinsip Islam. Kita telah melihat bagaimana sesetengah pimpinan
gerakan Islam tertentu yang menyertai pertubuhan beraliran SEPILIS tenggelam dek
pimpinan SEPILIS.

4. Penyertaan dalam diskusi, forum, kursus dan latihan serta pembacaan buku aliran SEPILIS
tidak bermakna kalian menjadi SEPILIS tetapi berpeluang menjadi SEPILIS sebagaimana
tokoh Islam yang hebat, Nucholish Madjid yang terjerumus ke lubang SEPILIS. Jangan
termakan dengan kebaikan mereka tetapi lihatlah aqidah mereka bercelaru menolak
Islam. Kuat iman dan luruskan worldview dalam mendalami aliran SEPILIS dan berdoa
agar hidayah bersamamu.

5. Tidak bersetuju bukan menandakan putus persahabatan atau bermusuh. Tidak bersetuju
kerana prinsip dan pendirian dalam perjuangan.

6. Keputusan politik kebanyakannya ijtihad. Jika ada dalil bersumberkan wahyu, kita boleh
menilai untuk mengikuti ijtihad tersebut. Dalam politik, pertama Dasar Politik
berdasarkan Perlembagaan, kedua, pendekatan digunakan dan ketiga, ketokohan.
Ketokohan sentiasa membuatkan kita tertipu kerana banyak ucapan tidak diamalkan dan
tidak dilaksanakan, banyak ucapan indah daripada rupa, ramai berucap hatinya berbolak-
balik iman dan pendirian mereka, dan ramai yang berucap tiada kualiti kerja. Berjuang
berdasarkan dasar bukannya tokoh.

7. Untuk selamat dalam politik. Jadikan perundangan Islam dan negara Islam sebagai KPI
semasa mahu memilih sesebuah gerakan Islam. Mana-mana tokoh Islam atau gerakan
berbau Islam yang menolak atau beralasan untuk melambatkan hudud atau negara Islam,
tolaklah politik mereka walaupun pendapat tersebut datang daripada ulama besar.

8. Bahaya pragmatik yang berakar kepada matlamat menghalalkan cara dan mahukan
populariti. Jika mereka bercakap, mereka bercakap berdasarkan kesesuaian audien
walaupun ia bersifat tidak benar dan mahu memuaskan hati penonton. Pendirian mereka
tidak tetap dan berubah demi kemenangan dan kepentingan diri. Tiada dalil wahyu
kecuali kemahuan nafsu mereka. Jika di Kelantan, hujah mereka berdasarkan ayat-ayat al
Quran, jika di Kuala Lumpur, hujah mereka berdasarkan kalimat Shakespeare. Mereka
bersifat dualisme dalam satu isu. Lihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru
Abdul Hadi Awang, mereka memperkenalkan Islam dengan dalil wahyu dimana-mana
tempat dan waktu, dan rujukan juga wahyu. Tidak salah menggunakan hujah para pemikir
Barat atau Timur tetapi jangan sampai dalil wahyu dengan pendapat para pemikir hanya
setaraf atau lebih malang hujah pemikir tersebut mendominasi daripada dalil wahyu.

9. Mahasiswa mesti kritikal terhadap sumber ilmu dari segi kebenaran. Jangan sesekali
mudah menerima ilmu atau maklumat dapat rujukan sumbernya. Jangan mudah
menerima pemikiran Barat tanpa mengkritiknya.

Solusi

Mahasiswa mesti istiqamah dengan gagasan Islam. Mahasiswa kena betulkan worldview Islam
mereka. Jangan sesekali terpengaruh dan berjuang untuk SEPILIS. Politik kepartian bukanlah
segalanya.

Kita lihat orang politik, hari ini musuh dan esok kawan. Jangan sesekali terpengaruh
dengan pujukan dan janji orang politik, jika tidak kamu akan kecewa.

Senior kamu bukan segalanya. Tokoh politik yang kamu gauli dan mendekati bukan
segalanya. Pengaulan dan hubungan rapat dengan tokoh atau pemimpin tertentu bukan
segalanya.

Segalanya bergantung kepada kebenaran ilmu, adab seseorang dan istiqamah dalam
perjuangan.

‘Zaman muda, zaman melawan. Lawan jangan sampai hilang keimanan’

Bab 12
Menyantuni Alam Politik

Menerima Islam secara keseluruhan bermakna kita mengakui politik Islam. Kita wajar menyokong
gerakan politik Islam sebagai alternatif kepada pemerintah pada hari ini kerana korupsi, kronisme
dan nepotisme [KKN] dan krisis iman-akhlak semakin teruk.

Pandangan Alam [Worldview] Islam

Siapa kita?
Ke mana arah tujuan kita?
Apakah wasilah kita gunakan dalam kehidupan ini?

Dalam setiap perkara sama ada dalam pemikiran dan pendekatan, ketiga-tiga persoalan di atas
perlu diambil kira dan didepani sebelum berfikir dan bertindak.

Secara mudahnya, pandangan alam [worldview] ialah pandangan seseorang yang
dipengaruhi oleh identiti, istilah-bahasa, nilai, konsep dan ideologi sendiri yang ada dalam dalam
pemikiran dan budaya sesebuah masyarakat. Worldview Islam ialah pandangan seseorang
terhadap alam [konsep, nilai, istilah-bahasa, identiti,] berdasarkan pandangan tauhidik. Kerangka
pemikiran tersendiri ini berbeza dengan kerangka pemikiran Barat.

Worldview Islam membentuk suatu gagasan yang akan berjaya jika wujud keyakinan yang
kuat agar gagasan tersebut didokongi, wujudnya keikhlasan dalam mendokonginya, semangat
membara dan kesediaan untuk berkorban dalam merealisasikannya. Gagasan yang dimaksudkan
ialah Islam yang suci, agama yang tiada cacat cela, tiada keburukan dan tidak akan menyesatkan
sesiapa yang menganutinya [Surah Ali Imran: 18. Surah al Maidah: 3]. Gagasan Islam ini
membangun atas landasan Islam [yakni al Quran], menjadikan Islam satu-satu rujukan, berjuang
demi Islam, memartabatkan kalimah Islam, hanya menerima Islam sebagai pemimpin, tidak akan

tunduk kepada mana-mana hukum selain hukum Islam dan tidak mengantikan Islam dengan
sistem, metodelogi, konsep dan ideologi yang lain selain Islam [Surah Ali Imran: 85].

Landasan Islam ialah al Quran yang menjadi sumber ilmu menyuluhi kebenaran untuk
mendapat petunjuk Allah SWT [Surah Saba’: 46-50] dalam kehidupan seharian. Al Quran bukan
sahaja menjadi bahan hafazan tetapi membina worldview, kerangka pemikiran dan akhlak
seseorang muslim. Seorang muslim wajib mengambil Rasulullah SAW [Surah Ali Imran: 110. Surah
al Baqarah: 143] sebagai aspirasi kehidupan mereka dalam usaha menjadi muslim yang baik.
Imam Hassan al Banna merangkumkan gagasan Islam ini kepada lima prinsip di bawah;

1. Allah adalah matlamat kami
2. Rasulullah adalah pemimpin kami
3. Al Quran adalah perlembagaan hidup kami
4. Jihad adalah jalan kami
5. Mati syahid adalah cita-cita kami

Kelima-lima ini menjadi prinsip dalam merealisasikan worldview Islam dalam konteks Imam
Hassan al Banna.

Worldview Islam boleh disimpulkan dengan berpasak kepada tauhid yakni merasa yakin dan
menjadi saksi bahawa, ‘TIADA TUHAN SELAIN ALLAH’. Daripada kalimah inilah worldview Islam
terbentuk sekaligus menjadi panduan tindakan seseorang muslim. Tauhidlah yang memberi rupa
kepada peradaban Islam berbeza dengan tamadun Barat.[Ismail al Faruqi].

Hamid Fahmi Zakarsyi menyatakan worldview Islam adalah pancaran konsep-konsep dasar
yang ada dalam wahyu. Proses penurunan wahyu secara kronologi itu telah membentuk
pemikiran dan worldview Islam dalam pembinaan ketatanegaraan dan budaya masyarakat
Madinah. Dimulai dengan tahap tauhidik, tahap penyataan konsep-istilah dan tahap membentuk

tradisi keilmuan berdasarkan konsep-istilah tadi. Maka, peradaban Islam telah bermula di
Madinah.

Maszlee Malik pula telah membahagikan worldview Islam kepada beberapa elemen:

1. Konsep Tauhid sebagai Pandangan Alam Islam.
2. Homo Islamicus dan peranannya.
3. Etika dan akhlak yang mantap.
4. Kefahaman berteraskan manhaj yang benar dan jelas
5. Hidup atas semangat Islah.
6. Superpower Islam
7. Menjadi ejen perubahan sosial dan pekerja kemanusiaan.
8. Ibadat yang sempurna.

Dalam Islam, tauhid adalah pasak kepada worldview masyarakat Islam [Surah al Baqarah: 2,
Surah al Zukhruf: 45]. Manusia akan menjadi hamba kepada Allah SWT [Surah al Zariyat:56] dan
kematian adalah pengakhiran penilaian amalan di dunia [Surah al Mulk: 2]. Menurut Maszlee
Malik, kerangka tauhid memberi kuasa memilih kepada manusia untuk menentukan corak
kehidupan mereka sama ada ke syurga atau ke neraka [Surah al Syams: 8-10. Surah al Nahl: 36.
Surah al Ma’dah: 56. Surah al Mujadilah: 19, 22.].

Homo Islamicus menjadikan kehidupan Rasulullah SAW sebagai panduan asasi dalam
kehidupan seorang mukmin. Dua tugas utama Homo Islamicus ialah [1] mengabdikan diri kepada
Allah dan [2] memakmurkan dunia mengikut panduan Allah melalui rasul-Nya. Memakmurkan
dunia termasuk menyebarkan kalimah syahadah ke seantero dunia untuk dakwah [Surah al
Baqarah: 143. Surah Ali Imran: 144, 110].

Rasulullah SAW mempunyai akhlak yang agung [Surah al Qalam: 4]. Kita mesti mengamal dan
menyebarkan akhlak tersebut kepada umat Islam dan selurih manusia. Dalam menjayakan

kehidupan yang berkualiti dan saleh, sewajarnya seseorang itu merapati para ulama [Surah at
Taubah: 119] untuk membentuk suasana yang lebih Islamik.

Penulis tertarik dengan pembinaan intelektualisme generasi awal ABIM sebagaimana
dinyatakan oleh Siddiq Fadzil. Mereka berusaha memahami semula Islam, sejarah dan
tamadunnya lewat karya tokoh-tokoh Islam yang rata-rata memaparkan Islam dalam citra asli
yang segar dengan latar konteks realiti dan semangat zaman. Siddiq Fadzil menyatakan lagi,
‘pembinaan tradisi haraki dan intelektualismenya generasi awal ABIM mengamalkan sikap
terbuka yang kalkulatif dan terukur, dalam pengertian kesediaan belajar dan memanfaatkan
segala sumber (ilmu dan pengalaman) yang relevan termasuk sumber-sumber luar negara
(kesarjanaan dan gerakan Islam di pelbagai rantau dunia) dengan tetap mengakar pada realiti
(sejarah dan sosio budaya) KeMalaysiaan’.

Untuk meluruskan worldview Islam kita, penulis mencadangkan agar kita membaca karya di
bawah;

1. Risalah Untuk Kaum Muslimin karya Syed Muhammad Naquib al Attas
2. Islam dan Sekularisme karya Syed Muhammad Naquib al Attas
3. Prolegomena to the Metaphysic of Islam karya Syed Muhammad Naquib al Attas
4. Himpunan Risalah Imam Hassan al Banna
5. Ceramah-ceramah Hassan al Banna
6. Towards Understanding Islam karya Maulana Abul Ala’ al Maududi
7. Islamic Way of Life karya Maulana Abul Ala’ al Maududi
8. Petunjuk Sepanjang Jalan karya Sayyid Qutb
9. Muqawwimat al Tasawwur al Islamiy karya Sayyid Qutb
10. Khasa’is al Tasawwur Islamiy karya Sayyid Qutb
11. Al Tawhid: Kesannya Terhadap Pemikiran dan Kehidupan karya Ismail al Faruqi
12. The Reconstruction of Religious Thought in Islam karya Muhammad Iqbal
13. Ensiklopedia Sirah karya Afazlur Rahman

14. Himpunan Ceramah-ceramah Imam Hassan al Banna

Insha Allah, dengan pembacaan 14 buah karya di atas, kita dapat meluruskan dan
memantapkan worldview Islam kita yang tulen.

Homo Islamicus
Siapa kita?. Kita diibaratkan kain putih yang mengikuti bagaimana kita diwarnakan.

Pengalaman, latar belakang, sistem pendidikan, guru dan suasana persekitaran kita
banyak mempengaruhi worldview kita dalam bertindak. Kita perlu memilih warna diri kita yang
memungkinkan kita sebagai manusia liberal, manusia sekular, manusia komunis dan lain-lain.
Worldview mana yang mendominasi pemikiran kita.

Fokus utama Islam ialah pada pembinaan diri individu, diikuti oleh keluarga, masyarakat,
negara, empayar dan alam. Nabi Muhammad adalah contoh tauladan paling agung dan utama
yang menjadi model melahirkan individu yang disebut oleh para sarjana Islam sebagai Manusia
Sempurna atau Manusia Universal atau Insan Adabi. Justeru, dalam pembinaan seorang individu,
Syed Muhammad Naquib al Attas memperjuangkan konsep manusia yang baik selaras dengan
konsep Manusia Sempurna tadi berbanding menghasilkan Warganegara yang Sempurna.

Manusia yang Baik atau Insan Adabi merangkumi makna dinyatakan ini, “Manusia Baik
ialah manusia yang beradab yakni orang yang insaf sepenuhnya bertanggungjawab dirinya
kepada Tuhan Yang Hak; memahami dan menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap
dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek
dalam dirinya menuju kesempurnaan sebagai insan adabi”[Syed Muhammad Naquib al Attas].

Pada hemat penulis, homo Islamicus adalah manusia yang baik. Kita mesti menganggap
diri kita sebagai homo Islamicus, barulah worldview Islam mudah meresap ke dalam pemikiran
dan tindakan kita. Kita kena buang worldview asing yang menempel dalam pemikiran kita.

Worldview Islam juga perlu mendominasi pemikiran kita dan berupaya menge-nyahkan isme-
isme yang terlekat pada pemikiran kita.

Selagi kita tidak menganggap diri kita sebagai homo Islamicus, worldview Islam hanya
pengetahuan setaraf dengan worldview asing ciptaan manusia. Ini disebabkan keyakinan atau
keimanan kita masih pada tahap yang rendah. Keyakinan atau keimanan perlu disemai dengan
ilmu yang benar. Keakuran kepada sumber ilmu Islam yakni wahyu dapat menguatkan lagi
keimanan kita. Dalil kita bukan pada hujah manusia tetapi dalil wahyu yang datang daripada
Tuhan Yang Hak.

Takrif Melayu dan Politik
‘Raja jangan menjadi musang, menteri jangan menjadi tikus’- Syair Politik Tok Kenali

Menurut Perlembagaan Malaysia, Melayu ialah ‘seorang yang menganuti agama Islam,
lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu’. Ciri Melayu tersebut
bergandingan dengan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan, Hak Istimewa Orang Melayu dan pemerintahan beraja. Unsur tradisi dalam dalam
Perlembagaan Malaysia ini banyak membentengi Orang Melayu dan Agama Islam daripada
dicerobohi dan dicabuli oleh keganasan Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme (SEPILIS) dan
menjaga semangat muhibbah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ilmu politik Islam tidak mementingkan bentuk atau sistem pemerintahan kerana kualiti
dalam kepimpinan datang daripada individu insan adabi atau Manusia yang Baik.

Demokrasi atau monarki bukanlah persoalan besar. Paling penting berusaha memberi
kesejahteraan kepada rakyat dan mendidik rakyat supaya menjadi insan yang bertaqwa.

Politik moden bergantung kepada sejarah, realiti semasa dan kehendak rakyat. Politik
moden yang terkenal dan popular di dunia pada hari ini mengunakan sistem pemerintahan
demokrasi.

Malaysia mempunyai tradisi pemerintahan beraja.Ia mempunyai pengaruh Hindu,
kemudian diIslamisasi kepada ciri-ciri Islam berdasarkan pertimbangan aqidah dan syarak. Sistem
pemerintahan beraja dalam tradisi Melayu bersifat ada raja baru terbentuk kerajaan berbeza
dengan tradisi Eropah dimana faktor tanah menjadi unsur penting dalam pembinaan sesebuah
kerajaan. Khoo Kay Kim menyatakan perkataan ‘kerajaan’ itu sendiri membawa makna, ‘keadaan
mempunyai seorang raja’.

Sebelum kedatangan Islam, raja menjadi sumber kekuasaan yang memancarkan
kehidupan dan kebudayaan orang Melayu. Raja mempunyai kekuatan luar biasa dan berasal
daripada keturunan dewa atau dewata. Apabila Islam datang ke Alam Melayu, sumber kehidupan
adalah ‘addin’ iaitu satu cara hidup yang berpasakkan tauhid yakni segala berpunca daripada
Allah. Pemerintahan berorientasikan syariat.

Perbezaan pemerintahan Hindu dengan Islam berdasarkan worldview masing-masing:

HINDU ISLAM
Raja sebagai penjelmaan tuhan iaitu Bayangan Allah di muka bumi
Devaraja
Penitisan atau keturunan tuhan Dewa Siva Disebabkan ketokohan, taqwa, akhlak
dan Dewa Vishnu. Kuasa mutlak ditolak

Berorientasikan raja. Raja dan rakyat bertanggungjawab kepada
Raja mempunyai shakti Allah
Daulat

Kepimpinan Islam

Asal usul kepimpinan Islam bukanlah mengamalkan sistem pemerintahan beraja melalui dinasti.
Rasulullah SAW tidak menjelaskan bentuk pemerintahan tetapi Rasulullah SAW secara tak
langsung menjelaskan prinsip-prinsip atau asas pemerintahan sepanjang 10 tahun baginda
memerintah Madinah. Oleh itu, sistem atau bentuk pemerintahan tidak mutlak dan boleh
disesuaikan mengikut kesesuaian tempat dan semangat zaman.

Perkara yang paling penting daripada sistem atau bentuk pemerintahan ialah prinsip yang
perlu ada bagi seseorang individu yang dilantik sebagai pemimpin. Kepimpinan Islam terletak
kepada siapa orangnya [individu], barulah diikuti dengan sistem atau bentuk pemerintahan.
Antara syarat asas pemimpin Islam [Abdul Hadi Awang] ialah

1. menganuti Islam
2. berilmu terutamanya dalam hukum syarak
3. memahami masalah semasa
4. adil
5. kemampuan maknawi dan jasmani
6. lelaki
7. berpengaruh

Sistem pemerintahan Islam ialah sistem berasaskan Syura dimana rakyat diberi peluang untuk
terlibat dalam pengesahan pelantikan seseorang pemimpin.

Hikmah Rasulullah SAW tidak melantik penganti baginda ialah memberi peluang kepada
manusia melakukan ijtihad dalam urusan pelantikan pemimpin dan bentuk pemerintahan
mengikut kesesuaian zaman. Terdapat tiga kaedah pelantikan zaman khalifah;

1. Kaedah mesyuarat secara terbuka dihadiri oleh penduduk Madinah dalam pelantikan
Khalifah Abu Bakar

2. Kaedah mencadangkan seorang pemimpin sebagaimana Khalifah Umar al Khattab dan
disahkan oleh rakyat.

3. Kaedah mencadangkan beberapa pemimpin dan disyurakan oleh majlis khas untuk
menilai calon pemimpin, kemudian mendengar pendapat rakyat dan majlis melantik
berdasarkan pendapat rakyat. Kemudian pemimpin disahkan oleh rakyat.

Pemerintahan beraja mengikut dinasti keluarga bermula sejak zaman Daulah Umaiyyah.
Pelantikan pemimpin berdasarkan keturunan dan diwarisi oleh keturunan keluarga tersebut.

Prinsip asas kepimpinan Islam [Ahmad Redzuwan Mohd Yunus] ialah

1. Berpandukan al Quran dan al sunnah
2. Menegakkan kebenaran
3. Syura
4. Keadilan
5. Kebebasan
6. Bai’ah

Dalam pelantikan pemimpin, pengesahan rakyat atau bai’ah menunjukkan Islam mengiktiraf
KUASA RAKYAT dalam menentukan persetujuan dan pengabsahan seseorang pemerintah.

Kekuasaan dalam Negara Islam hanyalah kepunyaan Allah bukannya kepunyaan mutlak
rakyat dan bukan kepunyaan sekelompok elit atau individu tertentu. Yang mentadbir negara
adalah masyarakat yang mewakilkan kuasa mereka kepada seorang pemimpin. Allah SWT
sebagai penguasa alam mengangkat manusia sebagai KhalifahNya [Surah al Baqarah: 30] melalui
amanah yang diwajibkan untuk melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup. Menurut ulama,

khalifah ialah ‘menggalang ganti Rasulullah SAW (selepas wafatnya) di dalam memelihara
agama dan mentadbir dunia dengannya (yakni dengan agama).

Konsep Khalifah dalam kepimpinan inilah yang mewajibkan diri kita sebagai rakyat beragama
Islam dan menyakini Islam sebagai satu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan
dalam ekonomi, sosial dan politik memilih pemimpin dalam kalangan beragama Islam yang taat.
Pemimpin Islam akan memelihara atau menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama.
Akhlak dan iman pemimpin ini akan mewujudkan integriti dan prestasi yang baik dalam
pembangunan dan kemajuan selari dengan amanah, tanggungjawab dan mendahului
kepentingan rakyat.

Memilih Pemimpin Dalam Kalangan Bukan Islam.

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambillah
dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang
QAWIYY, lagi AMEEN” [Surah al-Qasas: 26]

“Jadikanlah daku (Nabi Yusuf) pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir);
Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara
mentadbirkannya (ALEEM)” [Surah Yusuf: 55]

QAWIYY : Kekuatan atau prestasi
AMEEN : Sifat amanah atau integriti
HAFEEZ : Sifat amanah atau integriti
ALEEM : ilmu (termasuk kemahiran) yang boleh membina prestasi

Integriti dan prestasi adalah elemen penting dalam menilai seseorang pemimpin.
Punbegitu paling penting kita mengetahui siapa Nabi Musa AS dan Nabi Yusuf AS. Mereka adalah
manusia yang beriman dan bertaqwa dengan Allah SWT. Kemudian barulah kita menilai integriti

dan prestasi Nabi Musa dan Nabi Yusuf. Syarat pertama memilih pemimpin adalah [1] Islam,
beriman, berakhlak dan bertaqwa kepada Allah. Kemudian,[2] pemimpin itu memimpin negara
Islam dengan sumber Islam iaitu al Quran dan hadith, [3] kemudian barulah integriti dan prestasi
dan seterusnya [4] pelaksanaan perundangan Islam dan Negara Islam. Pada hemat saya, setiap
pemimpin perlu mempunyai kekuatan dalaman yakni [1], kemudian kekuatan luaran.

Menurut Syamsuddin Arif, dalam tradisi intelektual Islam, ada tiga persoalan yang selalu
dibicarakan terkait kepemimpinan politik dalam negara. Pertama, soal pemimpin yang kurang
layak (imāmatul mafḍūl). Kedua, soal pemimpin yang suka maksiat (imāmatul fāsiq). Dan ketiga,
soal pemimpin non-Muslim (imāmatul kāfir).

Dalam dunia politik hari ini, kebanyakan politikus yang terlibat dalam politik sudah tentu
kelompok yang sudah layak menjadi pemimpin melalui ilmu dan pengalaman kepimpinan di
pelbagai peringkat. Perkara yang membezakan seseorang pemimpin di antara mereka lebih baik
atau kurang baik sahaja.

Dalam persoalan pemimpin non muslim, Islam menolak pelantikan non muslim bagi
jawatan utama dan penting dalam Negara Islam. Ia bukanlah diskriminasi tetapi sebagai langkah
kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat majoriti Islam. Umat Islam dilarang daripada memilih
pemimpin non Muslim yang tidak bekerjasama dengan pihak Islam.116

Ada sesetengah pihak mendakwa bahawa di Barat demokrasi dan kebebasan adalah
subur, hak asasi manusia terjaga, budaya lebih bertamadun, lebih adil dan ‘aku nampak muslim
di Barat dan Jepun’ ulangi bicara mereka. Syarat keadilan, kemajuan dan kebebasan umpamanya
adalah Islam dan iman. Tanpa Islam dan iman, keadilan yang diperjuangkan adalah palsu dan
melampaui batasan yang Allah SWT nyatakan dalam al Quran. Pada guna kita mempunyai
keadilan dalam sosial yang baik tetapi LGBT dibenarkan atas nama keadilan tersebut. Adakah

116 Surah al Maidah: 51, Surah al Nisa’: 144.

keadilan ini yang kita carikan?. Kita boleh mencontohi Barat dan Jepun tetapi jangan mengambil
budaya dan pandangan alam mereka yang menyesatkan aqidah kita.

Pemerintahan Beraja Menurut Tradisi Melayu-Islam

‘rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya, jikalau tiada akar nescaya pohon tiada
akan berdiri’. Demikianlah Raja-raja Melayu itu dengan segala rakyatnya’ – Tun Sri Lanang.

Bahasa mempengaruhi pemikiran sesebuah peradaban. Bahasa bukan sekadar bahasa
tetapi pengistilahan kata dasar bahasa itu membentuk pemikiran bangsa tersebut. Justeru, teori
kepimpinan Melayu tidak boleh disamakan dengan teori kepimpinan Barat.

Menurut kamus dewan, pimpin ialah dibimbing; dipandu; dituntun dan ditunjuk
Kepimpinan pula ialah keupayaan memimpin. Rumusan Shaharir Mohamad Zin menyatakan
pimpin bermakna memegang tangan seseorang dengan tidak terlucutnya menuju ke arah yang
dipersetujui bersama. Perkara ini menunjukkan seseorang pemimpin perlu memimpin dan
memegang ‘tangan’ (kekuasaan-mentadbir) rakyat dengan amanah.

Teori kepimpinan Barat terutamanya Bahasa Inggeris menggunakan perkataan ‘lead’
bermakna menyebabkan (seorang atau seekor haiwan) mengikut seorang yang membawanya
dengan tangan (membimbing), bakdul, tali dan lain-lain ketika maju ke hadapan. Lead berasal
daripada perkataan latin iaitu kaedan bermakna ‘menyebabkan perginya seseorang daripada
Jermaik, laithan yang bermakna ‘kembara’.

Pemimpin dalam tradisi Melayu perlu mempunyai sifat ‘memimpin’ rakyat dengan
amanah ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat.

Asas kepimpinan Melayu ialah sumpah setia (Wa’ad) antara Seri Teri Buana (raja) dengan
Demang Lebar Daun (rakyat) dinukilkan kata demi kata dalam karya agung Melayu Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu),

Maka sembah Demang Lebar Daun….Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan
anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah
duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum
syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi. (A. Samad Ahmad, 1984:1985).

Demikianlah suara rakyat Melayu menuntut komitmen penguasa agar menghormati
maruah dan kehormatan diri setiap warga umat sebagai manusia mulia.

Seri Teri Buana yang menyetujui tuntutan tersebut dengan memberikan komitmen tegas,
“kabullah hamba….” Kemudiannya diberi amaran bernada sumpahan, “Jikalau raja Melayu itu
mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta
kerajaannya”.

Penyerahan kuasa rakyat kepada raja dan keturunannya bukan menandakan orang
Melayu taat membuta tuli. Wa’ad ini menjadi kesaksian kedaulatan raja berlangsung selagi
selama raja itu adil dan amanah serta menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat. Raja yang zalim
akan dibinasakan oleh Allah SWT.

Kedatangan Islam telah membawa konsep baru dalam pemerintahan beraja dimana raja
diberi taraf sebagai ‘Bayangan Allah di muka bumi’ dalam usaha menentang konsep persamaan
taraf raja dengan Tuhan mengikut zaman Hindu Buddha. Konsep Bayangan Allah di Muka Bumi
menjadi teras kepada institusi pemerintahan agar mengikut syariah Islam dan melindungi ciri-ciri
rohaniah dan kekudusan dalam institusi beraja.

Ketaatan kepada Raja bukanlah berpunca mitos atau membuta-tuli melainkan taat
kepada perintah Allah SWT melalui ketaatan kepada pemerintah yang beriman.

Dalam Itqan ul-Muluk fi Ta’dilus-Suluk merupakan Perlembagaan Terengganu yang
dikuatkuasa pada tahun 1911. Perlembagaan ini mempunyai pengaruh Islam iaitu

1. Islam sebagai agama Rasmi
2. Terengganu dikenali sebagai Kerajaan Islamiyyah Melayuwiyyah menunjuk pemerintah

mahu membangunkan ‘Negara Islam’.
3. Kuasa Sultan tidak boleh mengatasi keluhuran undang-undang yang berpandu syariah.
4. Sultan boleh disingkirkan sekiranya tidak memenuhi kelayakan atau gagal dalam

pemerintahan.
5. Penubuhan Jemaah Mesyuarat Negeri berlandaskan Syura-musyawarah.
6. Jemaah Pangkuan Negeri menentukan pembentukan kerajaan dimana ia berpengaruh

dan berperanan untuk melantik Sultan.

Perlembagaan Acheh diwujudkan pada tahun 1633 dan dikenali sebagai Qanun al-‘Asyi Darus
Salam. Sultan dibantu oleh 3 Balai Musyawarah;

1. Balairung Seri mengumpul hulubalang
2. Balai Gading menghimpun 22 ulama besar Acheh
3. Balai Mahkamah Rakyat dianggotai oleh 73 wakil setiap mukim di Acheh. Balai ini

berperanan berbincang dan memutuskan rancangan bagi kepentingan rakyat.

Jelas, sistem pemerintahan Melayu-Islam berlandaskan Islam dan kuasa rakyat. Cuma
sesetengah Sultan dan anggota keluarga bersifat melampau sehingga Tun Mahathir bersama
anggota parlimen meminda Perlembagaan Malaysia menghapuskan imuniti raja. Jika di
Terengganu lebih kepada pengembalian kuasa rakyat manakala di Acheh menumpukan kepada

pengasingan kuasa. Sekitar politik pemerintahan beraja, KEADILAN, SYURA DAN AMANAH sangat
penting dalam mewujudkan pemerintahan yang adil, stabil dan sejahtera.

Tahaluf Siyasi

Tahaluf Siyasi berpandukan ta’awun ala birri wa al takwa (kerjasama atas kebaikan dan takwa).
Di negara majmuk, pihak Islam menghadapi kesukaran untuk kerjasama atas dasar takwa kerana
sifat Islam pihak Islam yang mahu penubuhan Negara Islam dan pelaksanaan hukum Hudud.
Realiti politik Malaysia umpamanya berteraskan perkauman menyukar perpaduan kebangsaan.
Pada masa yang sama perpaduan kaum atau permuafakatan kaum itu sendiri adalah realiti
politik Malaysia. Jika pihak Islam mahu memerintah Malaysia, mereka perlu melakukan tahaluf
siyasi dengan kaum lain.

Majlis Syura Ulama PAS telah memberi beberapa garis panduan dalam tahaluf siyasi Pakatan
Rakyat yang perlu diikuti oleh pemimpin dan anggota PAS iaitu

1. Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan
kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.

2. Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.
3. Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan

kepada
Pakatan Tahaluf.
4. Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.
5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.
6. Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai

kesinambungan tahaluf siyasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar'iyyah
dari semasa ke semasa.




































Click to View FlipBook Version