Keputusan ini dihantar kepada kabinet kerajaan, ahli parlimen dan badan politik tetapi tidak
diambil perhatian.
Pada 29 Ogos 1968, PBMUM mengadakan sidang tergempar untuk menyokong
penubuhan universiti kebangsaan. PBMUM mahu kewujudan sebuah universiti yang
menggunakan pengantar Bahasa Melayu dalam pengajaran. Dalam sidang tergempar ini, setiap
ahli diberi peluang untuk mengemukakan pendapat tentang konsep penubuhan universiti
kebangsaan untuk dikemukakan dalam Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan 1968.
Sebelum itu pada 28 Ogos 1968, PBMUM dan PKPIM bersama Tun Syed Nasir mengadakan
perjumpaan di Dewan Bahasa dan Pustaka yang disertai 63 cerdik pandai Melayu.
PBMUM mengadakan Simposium Dasar Pelajaran Malaysia pada 28 dan 29 September
1968 di Universiti Malaya bagi menetapkan tahun 1970 sebagai tarikh muktamad penubuhan
universiti kebangsaan dan mendesak penentang cadangan ini meletakkan jawatan terutamanya
Khir Johari. Menurut Tun Syed Nasir, Khir Johari dan Tunku adalah penentang kuat cadangan
penubuhan universiti kebangsaan.
Khir Johari mengutuk resolusi Simposium Dasar Pelajaran Kebangsaan sebagai satu
khayalan kesatuan pelajar dan segolongan intelek yang asyik berforum tetapi tiada usaha
memperbaiki nasib pelajar. PBMUM telah membidas kenyataan Khir Johari dengan
mempersoalkan ketidaksempurnaan pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan mengecam
sikap kerajaan yang double standard dalam pentadbiran seperti meluluskan 10 juta untuk Kolej
MCA] sebagai lambang ketidakadilan kerajaan.
Selain permasalahan kelembapan kerajaan dalam usaha penubuhan universiti
kebangsaan, isu tapak bagi universiti kebangsaan telah mewujudkan polemik di kalangan
pemimpin dan mahasiswa. Abdul Rahman Yaakob mahu universiti kebangsaan dibina di Kuantan
manakala intelektual Melayu seperti Zainal Abidin Wahid mahu universiti kebangsaan dibina di
sekitar Kuala Lumpur sesuai dengan sifat kebangsaan. Isu tapak ini juga membawa pengulatan
51
dikalangan mahasiswa. PBMUM mendakwa sokongan PMUM terhadap tapak universiti di luar
Kuala Lumpur akan merosakkan universiti kebangsaan dalam jangka tempoh panjang dan cuba
mengasingkan pelajar mengikut kaum.
PBMUM dan PKPIM telah membentuk front bagi menggugat cadangan PMUM dan PKPM.
PMUM dan PKPM telah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk Mengkaji Soal Tapak Universiti
Kebangsaan. PMUM berpendapat penubuhan universiti di luar Kuala Lumpur akan meningkat
kesedaran rakyat disamping memberikan keuntungan ekonomi kepada masyarakat. Presiden
PMUM, Abdul Rashid Latif memjelaskan penubuhan universiti perlu memberi faedah kepada
rakyat. Pada 4 November 1969, mahasiswa Universiti Malaya ke kawasan seribu ekar tanah di
Sungai Lembing, Pahang berhampiran Bukit Goh untuk melihat tapak cadangan universiti
kebangsaan.
Masalah tapak universiti kebangsaan selesai setelah Tun Razak melawat beberapa lokasi
yang dicadangkan. Menurut Ariffin Ngah Marzuki, antara lokasi yang dicadangkan adalah Batu 20
Jalan Bangi, Kuala Kubu Bharu, Gombak dan Cheras. Lokasi muktamad universiti kebangsaan
ditentukan pada 18 Januari 1972 iaitu di Batu 18 Jalan Bangi, Kajang dengan keluasan 2300 ekar.
PKPIM melalui Presidennya, Kamaruddin Mohd. Nor menyambut baik cadangan kerajaan tetapi
Presiden PMUM, Sim Kim Chew bersikap dingin terhadap keputusan tersebut. PMUM bersikap
dingin kerana universiti kebangsaan dibina berdekatan bandar sedangkan saranan PMUM agar
universiti itu dibina di luar bandar. Perkara ini berbeda dengan PKPIM yang merupakan payung
PMIUM dan sekutu PBMUM di bawah proksi Nasionalis-Islamis yang inginkan sebuah universiti
bercorak nasional(dekat dengan ibu negara) dan di kawasan bandar. Syed Nasir Ismail dilantik
sebagai Ketua Jawatankuasa Perancang Universiti Kebangsaan dan graduan pertama universiti
ini dikeluarkan pada 12 Mac 1972 iaitu seramai 216 orang.
52
Isu Bahasa di Kolej Tunku Abdul Rahman(KTAR)
Idea penubuhan kolej timbul sejak tahun 1968 apabila Malayan Chinese
Association(MCA) melantik satu Jawatankuasa Khas untuk Perancangan Pelajaran Tinggi bagi
tujuan mewujudkan sebuah kolej. Lantaran itu, KTAR telah direalisasikan penubuhannya pada 24
Januari 1969. Peranan utama KTAR memperluaskan peluang pendidikan. Surat cara diberikan
oleh Menteri Pelajaran pada 15 September 1972. Kampus tetap dibina atas tanah seluas 75
hektar di jalan Genting Kelang, Setapak telah bermula sejak bulan Ogos 1973.
Kerajaan telah memberikan peruntukan sebanyak $8.5 juta untuk kos pembinaan dan
harga tanah kolej tersebut KTAR menawarkan kursus Ijazah secara berkembar dengan universiti
luar negara (Universiti Campbell, North Carolina) dan kursus pra universiti termasuk A Level.
Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mencetuskan protes daripada
masyarakat terutamanya akademia Melayu dan pelajar. Pada 20 Julai 1972, PMUM mendesak
KTAR mengkaji semula penggunaan Bahasa Inggeris kerana menyukarkan kemasukan orang
Melayu ke dalam KTAR. Dakwaan PMUM terbukti benar kerana tendensi pada tahun 1973
menjelaskan pelajar Melayu berkurang dari 30 orang pada tahun 1970 menjadi 26 orang pada
tahun 1973. Selain itu, syarat kemasukan ijazah menggunakan kelayakan Higher School
Certificate (HSC) menyukarkan pelajar aliran Melayu memasuki KTAR. Pelajar mahu mengetahui
polisi kerajaan dalam perkara ini. Desakan pelajar semakin meluas apabila Presiden PKPM, Ismail
Kamari juga mahu kerajaan mengkaji semula rancangan penubuhan KTAR dengan alasan tidak
mencerminkan aspirasi nasional. Pada 16 Ogos 1972, PMUM mengkritik kerajaan gagal bertegas
ke atas KTAR yang dilihat oleh PMUM sebagai anti nasional dan KTAR akan memupuk sifat
perkauman kerana 97 peratus pelajarnya adalah Cina.
PBMUM pula mengkritik Kementerian Pelajaran yang membelakangi cita-cita kebangsaan
dan cubaan kerajaan memperbodohkan rakyat. PBMUM juga mendesak agar kerajaan
mengambil alih KTAR bagi mengawal kuasa ‘autonomi’ KTAR. Tun Hussein Onn menafikan
53
kerajaan tidak mempunyai kawalan ke atas pentadbiran KTAR kerana terdapat wakil kementerian
dalam Majlis Pengurusan KTAR. Bagi mendaulatkan Bahasa Melayu daripada tercemar, PBMUM,
GPMS, PKPIM, PMUK, PMIUM dan wakil ITK telah menghantar memorandum bantahan
mengenai KTAR kepada kerajaan. Front ini diketuai oleh Zulkifli Ahmad, Presiden PBMUM.
Jawatankuasa Bersama Badan-badan Pelajar telah melakukan demonstrasi di Universiti
Kebangsaan semasa kehadiran Menteri Kebudayaan dan Pendidikan Indonesia, Mahsuri. Walau
bagaimanapun, Zulkifli Ahmad meminta maaf atas keterlanjuran pelajar kerana demonstrasi itu
tidak ditujukan kepada Mahsuri.
Tindakan keras PBMUM bertujuan menjaga kepentingan nasional dan bangsa Melayu
serta meningkatkan kesetiaan pelajar kepada negara. PBMUM tidak sanggup melihat pihak
tertentu menodai Bahasa Melayu untuk kepentingan tertentu. Presiden KTAR, Tun Tan Siew Sin
menafikan pihak KTAR mengetepikan kepentingan nasional. Menurut Tan Siew Sin, matlamat
penubuhan KTAR adalah memupuk perpaduan tanpa sebarang sifat perkauman. Polemik KTAR
telah mengecewakan pihak kerajaan. Menurut Tun Hussein Onn, isu ini telah diperbesarkan dan
menjadi isu politik. KTAR akan menukar bahasa pengantar apabila tiba masanya. Penggunaan
Bahasa Inggeris di KTAR tidak seharusnya menjadi isu kerana KTAR bertaraf sekolah tinggi. Tunku
sendiri mengalakkan penggunaan Bahasa Melayu di KTAR.
Menurut Kamarazaman Yaakob, pendekatan PMUM dan PBMUM dalam isu KTAR adalah
berbeza. PMUM menentang KTAR kerana ia dimonopoli anak taukeh Cina dari MCA disamping
Bahasa Inggeris sebagai pengantar. PMUM mahu menyedarkan pelajar Cina yang progresif dalam
PBCUM yang terdiri daripada anak petani dan buruh agar terungkai fahaman cauvanis mereka
dan kewujudan KTAR akan mengancam kedudukan mereka kerana dimonopoli oleh anak taukeh
MCA. Sebaliknya PBMUM menentang atas dasar KTAR dibuka untuk kepentingan orang Cina dan
isu bahasa pengantar.
54
Isu Bahasa: PBMUM vs PMUM
PBMUM mendesak Universiti Malaya melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu untuk
menyesuaikan universiti dengan keperibadian Malaysia. Pentadbir universiti tidak mengeluarkan
kenyataan dan respon terhadap desakan PBMUM. Pada 4 Oktober 1970, PBMUM mengadakan
sudut pidato dan mencabar Naib Canselor berdebat di DTC agar menerima tuntutan PBMUM.
Antara tuntutan PBMUM ialah;
a. Menghapus semua penggunaan bahasa asing dalam pentadbiran dan pengajian.
b. mendesak pentadbir mengeluarkan polisi Bahasa Melayu dengan segera.
c. menukar papan tanda dan kenyataan dalam Bahasa Melayu sebagai menghapus saki-baki
penjajah di kampus.
d. mendesak mengambil tindakan terhadap tenaga pengajar yang menggunakan
Bahasa Inggeris.
Reaksi kegelisahan mahasiswa terhadap Dasar Bahasa Melayu di Universiti Malaya
menyebabkan mereka berdemonstrasi. Seramai 3000 orang mahasiswa mengecap merah dan
hitam pada papan tanda yang menggunakan Bahasa Inggeris di kampus. PBMUM memberi
tempoh dua bulan bagi melaksanakan Bahasa Melayu dan jika gagal, PBMUM akan mengambil
tindakan yang lebih tegas.
Menurut Presidennya Noordin Razak; “kami akan mengambil tindakan yang lebih radikal
selama Dasar Bahasa Melayu tidak dilaksanakan pada bulan Disember”. Pentadbir universiti
akur dengan desakan mahasiswa yang mahu pelaksanaan Bahasa Melayu tetapi pelaksanaan
Bahasa Melayu akan dilakukan pada tahun depan bukannya bulan Disember seperti yang diingini
oleh mahasiswa pada peringkat awal. Menurut Ungku Aziz, perkara ini dilulus oleh Senat
Universiti pada 22 Oktober 1970.
55
Tindakan PBMUM yang radikal menyebabkan PMUM mengecam PBMUM terutamanya
perlakuan PBMUM yang mengecap perkataan ‘UMSU’ di bas PMUM. Tindakan PBMUM dianggap
biadap dan menjatuhkan maruah PMUM. Krisis PBMUM dengan PMUM memuncak apabila
PMUM mengeluarkan kenyataan pedas yang menuduh PBMUM sebagai pengamal vandalisme:
“.....while appreciating the view of the demonstrotors we feel that their purpose could have been
better served by discussion rather than the acts of destruction and vandalism they saw fit to carry
out”
Kenyataan PMUM membangkitkan kemarahan PBMUM. PBMUM mempelawa PMUM
berdebat di DTC pada 7 Oktober 1970 pukul 2.00 petang. PMUM menerima cabaran tersebut
walaupun pada awalnya bersikap dingin. Perdebatan sangat hangat dimana PMUM diwakili oleh
presidennya iaitu Zainal Abidin Yusof dan dipengerusikan oleh Sanusi Osman.
PBMUM mendesak agar PMUM menarik balik perkataan itu dalam masa 24 jam. Pada 8 Oktober
1970, pelajar berkumpul di DTC bagi majlis dialog yang dipengerusikan oleh Khoo Kay Kim. PMUM
bersetuju menarik balik ayat vandal daripada kenyataan itu. PBMUM mendesak agar keseluruhan
kenyataan ditarik balik. Anwar Ibrahim sebagai wakil PBMUM mengugut, PBMUM tidak akan
keluar daripada dewan itu dengan aman jika PMUM tidak menarik balik kenyataan itu. Wakil
PMUM iaitu Zainal Abidin Yusof dan Jai Mohan tunduk desakan PBMUM bagi menjaga
keharmonian kampus.
PBMUM juga mendesak kepimpinan PMUM meletakkan jawatan. Menurut Noordin
Razak, perjuangan PBMUM adalah mendaulat Bahasa Melayu bukannya bertujuan melepaskan
Bahasa Inggeris. Oleh itu, krisis kepercayaan bukannya rancangan PBMUM menjatuhkan PMUM.
PBMUM dengan tegas menafikan penglibatan PBMUM dalam mendesak PMUM mengadakan
undi tidak percaya. Setiausaha Agung PBMUM, Zaki Abdul Rahman menjelaskan undi tidak
percaya itu bukan atas desakan PBMUM kerana PBMUM bukanlah ahli gabungan PMUM.
PBMUM hanya menentang pihak yang cuba memperkecilkan perjuangan Bahasa Melayu.
56
Pada 16 Oktober 1970, PMUM mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada warga
mahasiswa dengan kelebihan 2160 undi majoriti setelah 3 jam proses pengundian. Seramai 4000
orang mahasiswa di DTC mendengar keputusan itu. Dalam pengundian itu, seramai 3183
menyokong, 1023 menentang dan 63 undi berkecuali dan rosak daripada 7000 orang mahasiswa
yang mengundi. Kemenangan ini penting bagi PMUM kerana jika proksi PBMUM menang akan
membawa satu manifestasi yang PBMUM lebih berpengaruh daripada PMUM sebagai badan
induk.
Pertembungan idea dalam pelaksanaan Bahasa Melayu di universiti berterusan
dikalangan mahasiswa. PBMUM dan PMIUM telah mengadakan sudut pidato pada 20 Jun 1973
dengan kehadiran 1000 orang mahasiswa. PMUM dituduh menyeleweng dalam pelaksanaan
Bahasa Melayu. Persoalan yang dikemukakan oleh golongan Nasionalis-Islamis iaitu mengapa
Bahasa Melayu diketepikan ketika kursus kewartawanan padahal ia dianjurkan oleh PMUM dan
kenapa penulisan Mahasiswa Negara merangkumi 60 peratus dalam Bahasa Inggeris. Presiden
PMIUM, Siddiq Fadil mengecam tindakan PMUM yang mengeluarkan tiket dan poster dalam
Bahasa Inggeris. Setiausaha Agung PBMUM, Mustapha Yaakob mengusulkan agar diadakan undi
tidak percaya terhadap PMUM. PMUM menyangkal tuduhan golongan Nasionalis-Islamis itu.
Pemangku Presiden PMUM, Ishak Ahmad mengakui pihaknya tersalah mencetak poster dan tiket
dalam Bahasa Inggeris tetapi telah mengantikan dengan kupon berbahasa Melayu manakala
Kamarazaman Yaakob (Setiausaha Penerbitan PMUM) menyatakan penggunaan tulisan Bahasa
Inggeris sebanyak 60 peratus dalam Mahasiswa Negara kerana tiada rencana dalam bahasa
kebangsaan.
Gelombang yang menggugat kedaulatan Bahasa Melayu kembali wujud pada tahun 1974.
Peristiwa ini kelihatan terpinggir kerana warga kampus ketika itu lebih asyik menikmati isu Tasek
Utara yang diperjuangkan oleh mahasiswa Sosialis. Majlis Bersama Mahasiswa Fakulti Sains
membantah pemansuhan peraturan lama DFS 257/72 yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai
syarat kelulusan mendapat ijazah Sains Kepujian. Peraturan baru yang diperkenalkan melalui
peraturan DFS 279/74 yang menegaskan Bahasa Melayu setaraf dengan subjek lain. Mahasiswa
Fakulti Sains ini bukan menentang pelaksanaan Bahasa Melayu tetapi menentang Pekeliling DFS
57
279/74 kerana mereka terpaksa mengambil ujian Bahasa Melayu yang diadakan selama 2 tahun
dan wajib lulus sedangkan DFS 257/72 pula memberi peluang sebanyak 3 kali.
Mahasiswa Fakulti Sains mengambil tindakan memulau kelas tutorial, kelas praktikal dan
kuliah pada 11 September 1974. PBMUM, PMIUM, Persatuan Anak Kedah (Zainuddin Abdul
Rashid), Angkatan Siswa/Siswi Sains Melayu (Johari Mohd Said), OMKUM (Wan Hasan), ISUM
(Kamarulzaman Yaakob), Persatuan Anak Terengganu (Baharuddin Muhamad), Persatuan Anak
Selangor (Haron Haji Said) dan Persatuan Anak Melaka (Ramli Ahmad) bertindak balas dengan
bergabung tenaga membuat sudut pidato pada 12 September 1974 bagi menentang Mahasiswa
Fakulti Sains dengan kehadiran 700 orang mahasiswa. Mahasiswa Fakulti Sains meneruskan
pemulauan itu dengan memainkan lagu ‘hot’ tanpa menghiraukan bantahan PBMUM.
Krisis Dalaman PBMUM dan PMUM.
a. Krisis Kepimpinan Mahadzir Khir Dalam PBMUM.
Dalam isu kepimpinan mahasiswa, kita cuba menelusuri permasalahan kepimpinan
PBMUM. Krisis PBMUM mula memuncak apabila PBMUM mengadakan mesyuarat tergempar
ekoran Setiusaha Agung PBMUM, Ismail Kamari meletakkan jawatan pada 18 Oktober 1971
tetapi mesyuarat PBMUM membulatkan keputusan menolak peletakkan jawatan tersebut.
Menurut Mahadzir Khir terdapat anasir-anasir luar yang cuba melumpuhkan PBMUM dan
mengulingkan beliau sebagai presiden. Anasir luar yang dimaksudkan oleh Mahadzir adalah
warisan proksi radikal iaitu warisan perjuangan Anwar Ibrahim dan Noordin Razak. Perkara ini
terbukti dalam mesyuarat pada bulan September 1971 dimana Noordin Razak mengkritik gaya
kepimpinan pasif Mahadzir.
Pengolakan dalam PBMUM kerana perubahan dasar pada zaman Mahadzir yang berbeda
dengan pendekatan tradisi PBMUM yang radikal. Zaman Sanusi Osman, Anwar Ibrahim dan
Noordin Razak telah meninggalkan legasi budaya yang radikal dimana PBMUM menggunakan
58
kekuatan untuk menyelesaikan masalah manakala Mahadzir bukanlah warisan generasi Anwar.
Mahadzir menjelaskan beliau adalah newcomer kepada PBMUM. Keradikalan berkurangan
kerana banyak isu telah diselesaikan dimana Bahasa Melayu mula dilaksanakan di kampus dan
masalah kemiskinan mula diambil berat oleh kerajaan. Pendapat ini disokong Muhamad Abu
Bakar, kepudaran warna perjuangan PBMUM kerana ketiadaan isu-isu besar.
Mahadzir menggunakan kaedah perundingan dan taktikal. Mahadzir Khir mengadakan
program jangka panjang seperti kelas STPM dan jika terpaksa barulah digunakan kaedah
demonstrasi. Kaedah perundingan digunakan dalam menyelesaikan masalah pemilikan tapak
bangunan MARA di Pekan Rabu manakala kaedah demonstrasi digunakan dalam menyelesaikan
isu bahasa yang ditimbulkan oleh Kahar Bador. Walau bagaimanapun, proksi radikal tewas dalam
undi tidak percaya terhadap Mahadzir pada 22 Oktober 1971 walaupun 8 anggota exconya
meletakkan jawatan. Menurut Nawi Yusof, Pengarang Mahasiswa Negara, kekalahan proksi
radikal memusnahkan kabinet bayangan yang telah merancang bergerak secara berkesan dari
tenaga yang berpengalaman.
b. Penyingkiran Sidang Pengarang Mahasiswa Negara.
Pada 6 Jun 1972, Majlis PMUM ke 14 telah menyingkir sidang pengarang akhbar
Mahasiswa Negara kerana mengkhianati dasar perjuangan PMUM. PMUM juga menuduh
pengurusan akhbar Mahasiswa Negara mengalami krisis kewangan apabila ketua pengarang
akhbar Mahasiswa Negara, Vijayan tidak menghantar laporan kepada Majlis PMUM pada 9 Mei
1972. Pada awal bulan Mei 1972, sidang pengarang Mahasiswa Negara mengeluarkan artikel
‘Does UMSU Rag Too’ yang cuba mempersoalkan kebebasan freshees kerana mereka dipaksa
terlibat dalam Freshmen Solidarity March (satu upacara membawa sepanduk mengelilingi
kampus).
PMUM menganggap pemaparan artikel ini memcemar imej PMUM dan Majlis PMUM
membulatkan keputusan memecat sidang pengarang Mahasiswa Negara. Sidang pengarang
59
Mahasiswa Negara tidak berdiam diri dan membidas tindakan PMUM sebagai retrogressive dan
satu sekatan kepada kebebasan akhbar. Kehangatan skandal bertambah serius apabila Presiden
PMUM, Sim Kim Chew dan Setiausaha Agung, Salleh Yusof meletakkan jawatan apabila Majlis
PMUM ke 14 menolak usul Setiausaha Penerbitan PMUM, Lee Chee Keong yang didapati
bertanggungjawab dalam penyelewengan itu. Walau bagaimanapun, peletakan jawatan itu
ditarik balik keesokan harinya.
Pada 19 Jun 1972, Majlis PMUM ke 14 digulingkan dalam undi tidak percaya. Golongan
anti Sim Kim Chew telah melantik Ahmad Sebi sebagai Setiausaha Agung baru. Kumpulan
penentang ini mempunyai pengaruh dalam Majlis PMUM kerana terdiri daripada orang
berjawatan seperti Ramli Sharif (Timbalan Presiden), Ahmad Sebi Abu Bakar (Penolong
Setiausaha Agung), Ishak Abdul Hamid (Setiausaha Kewangan) dan Azman Alias (Setiausaha
Sosial). Kewujudan kumpulan ini berpunca ketidak-percayaan mereka terhadap Sim Kim Chew
yang telah melindungi Lee Chee Keong sedangkan Chee Keong cuai semasa mengawasi akhbar
Mahasiswa Negara sehingga berlaku penyelewengan.
Krisis Kahar Bador dengan PBMUM dan PMUM.
Semasa kepimpinan Mahadzir Khir, hubungan PBMUM dengan PMUM semakin rapat
kerana polisi diplomasi Mahadzir. Krisis Kahar Bador (Dekan Fakulti Sastera) dengan PBMUM dan
PMUM berpunca daripada Surat Pekeliling DFS 4.16/72 yang mengarahkan semua mahasiswa
aliran Melayu di Fakulti Sastera mengambil subjek yang dikuliah dalam Bahasa Inggeris disamping
Special English. PMUM menentang dasar ini kerana bertentangan dengan polisi universiti dan
kesukaran pelajar aliran Inggeris memilih subjek akibat perebutan semasa memilih subjek.
PBMUM pula menggalakkan mahasiswa mengambil subjek dalam Bahasa Melayu. PMUM dan
PBMUM telah mengutus surat kepada Naib Canselor agar tindakan segera dilakukan.
Pada 3 Jun 1972, seramai 200 orang pelajar berkumpul di sudut pidato bagi mengutuk
polisi Kahar Bador dan berdebat dengan Ahmad Ibrahim berkaitan polisi Kahar. Sim Kim Chew
60
(PMUM) mencadangkan agar sistem di fakulti Sastera diubah. Ahmad Ibrahim bersetuju
mengantung arahan tersebut. Kahar Bador dan timbalannya meletakkan jawatan sebagai tanda
protes tindakan Ahmad Ibrahim. Menurut Kahar, arahan dilaksanakan sejak tahun 1970 tetapi
pada tahun 1972 barulah Presiden PBMUM membawa surat bantahan yang menuduh beliau anti
nasional.
Mahasiswa dituduh memaksa Ahmad Ibrahim menandatangani pembatalan arahan
dengan menonjolkan sikap militan. Namun, Mahadzir menafikan PBMUM dan PMUM bersikap
militan. Menurut Kahar, sikap militan mahasiswa diakui oleh Ahmad Ibrahim dalam mesyuarat
fakulti pada 6 Jun 1972 dan beliau juga kesal tindakan PBMUM terburu-buru mendakwa fakulti
menyeleweng daripada Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai anti nasional padahal kursus itu
diluluskan oleh Senat.
Krisis PBMUM dan PMUM dengan Kahar Bador adalah krisis kepercayaan yang
disebabkan konflik peribadi. Sebenarnya, Mahadzir kecewa sikap Kahar selaku Presiden
Kakitangan Akademik(ASA) memandang serong perjuangan PBMUM dengan membuat laporan
negatif kepada Jawatankuasa Kajian Kampus yang ditubuh oleh MAGERAN. Krisis ini berterusan
apabila Timbalan Presiden ASA, Chan Onn Leng cuba memburukkan Ahmad Ibrahim dengan
tuduhan Ahmad Ibrahim berkomplot dengan mahasiswa. PBMUM mengecam tuduhan melulu
Chan. Walau bagaimanapun, hubungan dingin PBMUM dengan Kahar dikendurkan oleh Presiden
PBMUM yang baru iaitu Zukifli Ahmad semasa mengambil-alih kuasa pada 25 Jun 1972. Zulkifli
menghargai jasa Kahar tetapi PBMUM mahu pelaksanaan Bahasa Melayu lebih agresif.
Isu Tanah Penempatan Tasek Utara.
Tasek Utara terletak kira-kira 3 batu dari pusat bandar Johor Bahru. Masalah perumahan
adalah satu permasalahan besar di bandar tersebut kerana tidak selaras dengan program yang
dirancang. Sebelum pilihanraya 1974, Menteri Besar Johor Osman Saat berjanji akan
menyediakan 574 ekar tanah bagi perumahan rakyat. Kegembiraan ini ditambah dengan
61
pengurniaan tanah penempatan kepada penduduk Tasek Utara yang selama ini tinggal di tanah
haram.
Sebelum pilihanraya pada bulan Ogos 1974, pembancian dan pemberian nombor lot
dilakukan secara rasmi dengan syarat menubuhkan cawangan UMNO dan mengundi parti
UMNO. Penduduk kampung dengan gembira telah membaptiskan kampung ini sebagai kampung
Barisan Nasional tetapi ditukar kepada kampung Dato Hussein Onn. Kegembiraan penduduk jelas
seketika apabila kerajaan berkeputusan membina padang golf di tapak perumahan setinggan ini.
Pada 15 September 1974, Majlis Pembandaran Johor Bahru(MPJB) dan polis menceroboh
perkampungan tersebut bagi merobohkan rumah haram. PMUM yang diketuai oleh
Hishamuddin Rais merayu agar usaha itu ditangguh tetapi tidak dilayan. Pada 16 September
1974, Hishamuddin pulang ke kampus bagi mendapat mandat Jawatan Kuasa Kerja PMUM.
PMUM telah meluluskan derma sebanyak $250 kepada peneroka dan mengadakan sudut pidato
yang dimulakan oleh Presiden PMUM ke 17 yang baru dilantik(masih belum mengambil-alih
jawatan) iaitu Hishamuddin Rais. Sokongan PMUKM, KSITM, PMUPM, Persatuan Bahasa Cina
Universiti Malaya, Kelab Sosialis dan Persatuan Anak Johor memberi semangat kepada PMUM.
Dalam sudut pidato sebanyak $75 berjaya dikutip dan sebuah bas PMUM berisi 50 pelajar
dihantar ke Johor Bahru.
Sementara itu, polis dan MPJB meneruskan kerja meroboh rumah tanpa belas kasihan.
Pelajar yang dipimpin oleh Syed Hamid Ali bersama 100 orang peneroka meneruskan
demonstrasi. Pelajar kecewa pemusnahan rumah dilakukan tanpa sebarang notis. Namun,
kerajaan Johor menafikan kenyataan tersebut kerana kerajaan telah memberi notis perpindahan
selama 7 hari. Pada 17 September 1974, pelajar bersama penduduk telah membina penempatan
sementara di Pejabat Menteri Besar di Bukit Timbalan. Seramai 300 orang penduduk
berdemonstrasi dan menghantar wakil mereka, Yatim Tahir untuk bertemu Menteri Besar tetapi
tiada.
62
Pada 18 September 1974, pelajar Singapura terutamanya persatuan pelajar di Politeknik
Singapura, Universiti Nanyang dan Universiti Nasional Singapura mengadakan demonstrasi di
depan Pejabat Konsul Malaysia di republik itu. Mereka mengutip derma dan menyertai pimpinan
PMUM bagi meneruskan perjuangan di Johor Bahru. Pada pukul 10 pagi, pelajar dan peneroka
mula bergerak dari perpustakaan ke Bukit Timbalan. PMUM mengadakan ceramah penerangan
kepada rakyat yang berhampiran di Bukit Timbalan sehingga berjaya mengutip $2000 dan
bekalan makanan.
Pada 19 September 1974 iaitu jam 3.15 pagi polis menyerbu masuk ke dalam penempatan
sementara dan menangkap Hishamuddin Rais, Kaliman Jaya, Syed Hamid Ali dan Mohd Amin
Ahmad. Penahanan pimpinan pelajar dan para peneroka ini membangkitkan reaksi penentangan
di kampus. Reaksi ini dicetuskan pada 20 September 1974 dengan mengadakan demonstrasi di
depan Pejabat Perdana Menteri agar pimpinan yang ditahan dibebaskan dan ia disertai 2500
orang pelajar. Tindakan polis yang ganas dengan menggunakan belantan dan gas pemedih mata
menyebabkan PMUM mengambil tindakan drastik iaitu merampas kuasa di kampus pada 21
September 1974. Bantahan terhadap penangkapan pimpinan pelajar diteruskan oleh pemimpin
pelajar dan peneroka di hadapan mahkamah pada 23 September 1974 sehingga segelintir
pimpinan pelajar ditangkap seperti Hasan Karim(UPM), Adi Satria(UM) dan Khoo Su Boon(UM).
Rampasan Kuasa Pelajar Pada 21 September 1974.
Peristiwa Tasek Utara telah mencetuskan huru-hara dalam politik kampus Universiti
Malaya. Dalam peristiwa tersebut sekelompok pemimpin mahasiswa sosialis iaitu Hishamuddin
Rais, Abu Zer Ali, Yunus Ali dan Adi Satria telah ditangkap bersama pimpinan Parti Sosialis Rakyat
Malaysia (PSRM) iaitu Setiausaha Agung PSRM Pusat, Syed Hamid Ali, Mohd Amin Ahmad
(Setiusaha PSRM Johor) dan Majid Yaakob (pemimpin tempatan) pada 19 September 1974 atas
alasan menganggu tugas pegawai kerajaan. Penahanan itu menyemarak semangat para
mahasiswa untuk berdemonstrasi agar rakan-rakan mereka dibebaskan.
63
Tribulasi atau mehnah yang hebat itu menyebabkan mahasiswa terutamanya ahli Kelab
Sosialis Universiti Malaya telah merampas kuasa dengan mengambil alih pentadbiran Universiti
Malaya pada 21 September 1974. Presiden PMUM, Kamarazaman Yaakob bersama 2000 orang
mahasiswa telah menyerbu bangunan Canselori, pintu masuk universiti dan tempat strategik
yang lain. PMUM telah berbincang dengan Pemangku Naib Canselor, Ahmad Ibrahim dan
Pengerusi Majlis Universiti, Syed Alwi Syed al Hadi agar menyerahkan kuasa pentadbiran
sementara kepada PMUM. Rampasan kuasa mahasiswa ini mendapat sokongan daripada
pertubuhan mahasiswa tempatan iaitu KSITM dan wakil ITK.
Tindakan rampasan kuasa pada jam 2.30 petang dilakukan setelah PMUM mengadakan
mesyuarat tergempar dengan Jawatan Kuasa Asrama dan badan gabungan PMUM. PBMUM dan
PMIUM turut serta pada mulanya dalam mesyuarat itu tetapi menarik diri setelah mesyuarat
tersebut bersetuju membentuk Majlis Tertinggi Sementara (MTS) PMUM. Setelah berjaya
merampas kuasa, mereka bercadang mengadakan majlis penerangan pada malam itu di Dewan
Tunku Canselor(DTC).
Pada malam itu, kegemparan berlaku apabila pihak yang mengelarkan diri mereka, Majlis
Tindakan Nasional (MTN) melakukan counter rampasan. Rampasan kuasa MTS hanya mampu
bertahan selama 12 jam setelah digagalkan oleh MTN. MTN didokongi oleh golongan Nasionalis
mengadakan perjumpaan di Dataran Sastera, Fakulti Sastera bersetuju menubuhkan MTN bagi
mengagalkan usaha MTS. MTN berjaya melakukan counter-rampasan pada jam 8.00 malam bagi
membolehkan Universiti Malaya dibuka pada esoknya. MTN membahagikan tiga ketumbukan
yang mempunyai objektif merampas kuasa daripada golongan Sosialis sebelum jam 9.00 malam.
Pada jam 8.45 malam, ketumbukan MTN menawan rumah persatuan dan pusat keselamatan.
Ketumbukan lain menawan pintu masuk universiti.
Menurut Kamarazaman Yaakob, Presiden PMUM sesi 1973/74, MTN bertindak ganas
telah mengugut dan ‘menculik’ beliau dan ahli Majlis PMUM di rumah persatuan sebelum dibawa
ke DTC. MTN menggunakan keris, pisau, rantai dan kayu berpaku bagi mengertak anggota MTS.
64
Di DTC, Aziz Shamsudin, Presiden PBMUM mendesak Presiden PMUM menarik balik rampasan
kuasa dan Ungku Aziz memainkan isu bahasa sehingga mencetuskan suasana tegang. Suasana
tegang tersebut menyebabkan Presiden PMUM mengambil keputusan menarik balik rampasan
kuasa.
Pada 22 September 1974, MTN telah menyerah kuasa pentadbiran kepada pihak
pentadbir universiti. MTN mendapat sokongan PBMUM, PMIUM dan Kelab Silat Gayung
Universiti Malaya (KSGUM). Presiden MTN, Ahmad Abdul Latif dan timbalannya Hamzah
Zainuddin menjelaskan counter-rampasan dilakukan bagi menghalang huru-hara di kampus
apabila ditemui minit mesyuarat dan alatan untuk membuat molotov milik PMUM. Pengaruh
kerajaan dalam MTN kelihatan apabila MTN mendapat sokongan penuh daripada kerajaan
terutamanya Ghazali Shafie dan Dr. Mahathir. PBMUM pula menyokong MTN kerana tidak mahu
MTS diperkudakan oleh mahasiswa sains yang ingin mengugurkan pelaksanaan Bahasa Melayu.
Suasana di kampus masih tidak stabil apabila mahasiswa di kolej-kolej tertentu masih lagi
setia kepada pimpinan PMUM. Presiden Kolej kelima, Salehuddin Hashim dan mahasiswa kolej
tersebut menghalau pihak MTN yang mengunjungi kolej mereka. Bagi membasmi pengaruh
PMUM, pihak pentadbiran telah bertindak tegas ke atas ahli Kelab Sosialis yang terlibat dalam
rampasan kuasa itu. Tindakan susulan yang dahsyat oleh pihak pentadbiran universiti dengan
mengantung PMUM pada 25 September 1974 dibawah Seksyen 16 Akta 30. Kerajaan menyokong
tindakan Majlis Universiti mengantung PMUM dan sebuah pertubuhan yang dikenali Badan
Pemulihan Sementara diwujudkan bagi menjamin kebajikan pelajar. Namun, pada 26 September
1974, PMUM menghantar memorandum agar keputusan Majlis Universiti ditarik balik.
Kamarazaman Yaakob menyatakan keputusan itu tidak sah kerana menyalahi Perkara 6 Ceraian
51 perlembagaan universiti.
65
Isu Pendidikan.
Pendidikan merupakan wahana penting bagi memajukan sesebuah bangsa dan negara.
Jurang dalam pendidikan masih meluas di antara sekolah di bandar dengan sekolah di luar bandar
terutamanya kemudahan fizikal dan tenaga akademik. Menurut Laporan Keciciran 1973, 6
peratus murid di sekolah Inggeris(kebanyakan di bandar) gagal ke sekolah menengah, manakala
sebanyak 25 peratus pelajar aliran Melayu terpaksa berhenti. PBMUM cuba memperjuangkan isu
pendidikan terutamanya nasib pelajar aliran Melayu.
Pada 12 Jun 1972, negara digegarkan dengan peristiwa pelajar Sekolah Izzuddin, Ipoh
ditutup apabila pelajar berpiket. Seramai 300 pelajar mendakwa kemudahan di sekolah amat
menyedihkan dan kementerian tidak mengiktiraf sijil mereka. Sekolah ini ditubuhkan pada tahun
1959 dan pernah berpiket pada tahun 1963 kerana uniform sekolah. Mereka mula meninggalkan
sekolah pada 13 Jun 1972.
PBMUM dan PKPM menyokong piket pelajar Sekolah Menengah Agama Izzuddin dan
menyeru agar kerajaan mengambil-alih sekolah agama itu. Zukifli Ahmad (PBMUM) bimbang
tindakan pelajar memulau kelas kerana pelajar merasakan pihak sekolah gagal menyediakan
kemudahan asas. Sekolah Menengah Kebangsaan Polo sebagai contoh hanya memiliki tenaga
akedemik seramai 24 orang bagi mengajar tingkatan 4, 5 dan 6. PBMUM menegaskan mereka
mempunyai bukti Jabatan Agama tidak melayan permohonan mereka yang ingin menjadi guru.
Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia turut mendesak agar kerajaan
mengambil-alih sekolah agama yang daif. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperluaskan
peluang pendidikan di luar bandar dan membantu rakyat berpendapatan rendah telah disokong.
Isu Penguasaan Ekonomi oleh Jepun.
Perdana Menteri Jepun, Ka Kuei Tanaka mengadakan program lawatan ke negara Asia
Tenggara bagi memperkukuhkan perdagangan Jepun dengan negara di rantau ini. Jepun berjaya
66
membentuk Gagasan Pasaran Bersama Asia pada tahun 1970 bagi mempertingkatkan
perdagangan antara negara Asia. Kedatangan Tanaka dilihat sebagai kewujudan imperialis baru
yang ingin menguasai ekonomi Malaysia. Pada 27 Mac 1973, PMUSM dan PMUM memberi
amaran akan mengadakan kempen anti Jepun kerana dasar perdagangan luar Jepun sangat
membahayakan ekonomi negara. Walaupun kehadiran kilang Jepun memberikan banyak peluang
pekerjaan tetapi pengaliran wang negara keluar merugikan negara. Menurut Syed Husin Ali,
pengantungan ekonomi Malaysia kepada modal luar perlu dikawal. Modal luar menyebabkan
pengaliran keuntungan meningkat tetapi pembayaran buruh menurun. Tun Dr. Ismail sendiri
menasihatkan Jepun agar tidak membolot semua perdagangan kerana akan melahirkan jurang
status antara negara kaya dengan negara miskin.
Pada 12 Januari 1974, pelajar mengadakan demonstrasi di lapangan terbang Subang
semasa ketibaan Tanaka. Antara slogan-slogan dinyatakan pada kertas manila adalah ‘Kami
tentang Militarisme Jepun’ dan ‘Tanaka Datang Untuk Membeli Selat Melaka’. Menurut
Kamarazaman Yaakob, kenyataan mereka dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris membuat
rombongan Jepun tercengang-cenggang kerana tidak memahami kedua-dua bahasa. PMUM,
PMIUM, PBMUM, Kelab Sosialis dan Kelab Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya ingin
menyampai memorandum kepada Tanaka tetapi dihalang. Menurut Hishamuddin Rais, PMUM
kesal sikap Jepun yang menganggap Selat Melaka milik antarabangsa bukan hakmilik Malaysia
dan Indonesia.
Demonstrasi pada 12. Januari 1974 itu berakhir dengan aman tanpa provokasi dan
tindakan melulu. Reaksi pelajar Malaysia berbeza dengan reaksi sahabat mereka di Indonesia dan
Thailand. Di Indonesia, pelajar merusuh sehingga kerajaan Indonesia mengisytiharkan darurat
manakala di Thai seramai 3000 orang pelajar merusuh di jalanan. Rusuhan pelajar ini adalah
manifestasi pelajar dalam menghalang kemaraan imperialis bentuk baru yang cuba menguasai
ekonomi negara mereka.
67
Penaklukan Israel ke atas Palestin
Pada 7 Oktober 1973, pertempuran antara tentera Arab(Syria dan Mesir) dengan tentera
Israel tercetus di Bukit Golan dan Terusan Suez. Tindakan Israel mendapat sokongan Amerika
Syarikat menyebabkan slogan kutukan anti imperialis bergema di seluruh dunia. Pada 9 Oktober
1973, PMUM secara rasmi mengutuk tindakan Israel yang mencetuskan Perang Arab-Israel bagi
memperluaskan tanah jajahan. Menurut Hishamuddin Rais, Setiausaha Agung PMUM, tindakan
Israel disifatkan menyalahi peraturan dunia. PMUM menyeru Negara-negara Berkecuali
meluluskan usul kutukan kepada Israel.
Pada 12 Oktober 1973, pelajar bersama orang ramai berarak daripada jalan Chow Kit
dengan membawa sepanduk anti Amerika. Mereka berkumpul di Bangunan AIA, jalan Ampang
pada pukul 2.45 petang. Perarakan yang disertai 1000 orang itu berakhir dengan pancutan
pemedih mata oleh polis. Tindakan polis menyemarak semangat golongan pelajar dan rakyat
dengan mengadakan demonstrasi pada 13 Oktober 1973 bersama 15 gabungan pertubuhan
termasuk PMUM, PMUSM dan KSITM. Di depan bangunan AIA, mereka melaungkan slogan anti
Amerika dan Israel. Protes ini dilakukan kerana Amerika menyokong Israel dan sebagai simbolik
mereka membakar patung Menteri Pertahanan Israel, Moshe Dayan yang memakai baju bendera
Amerika. Pada pukul 12.00 tengah hari, Hakim Mahkamah Rendah, A. Selvarajah memberi
amaran agar demonstrasi itu bersurai dalam masa 15 minit tetapi pelajar dan rakyat tidak
mengendahkannya. Akhirnya, Ketua Polis(Yahaya Yeop Ishak) mengarah gas pemedih digunakan.
Akhirnya ‘nakhoda gagah perkasa’(captain courageous), Anwar Ibrahim memimpin
demonstrasi pelajar pada 16 Oktober 1973 yang disertai 2000 pelajar. Mereka yang terdiri
daripada PMUM, PMUK, PMUPM, wakil ITK, KSITM, MBM dan Yayasan Anda berkumpul di depan
Bangunan AIA. Perkara yang menarik dalam demonstrasi ini adalah penyatuan dua kelompok
berpengaruh dalam universiti iaitu golongan Sosialis dan Islamis dalam satu isu nasional.
Golongan Sosialis yang dipimpin oleh Hishamuddin Rais menyerahkan kuasa ‘pengayuh’
demonstrasi pada hari itu kepada golongan Islamis yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Menurut
68
Hishamuddin Rais, kejadian ini adalah episod pertama bantahan yang diselaras bersama antara
kelompok Sosialis dan Islamis selepas Peristiwa 14 Jun 1971 dalam demonstrasi rakyat Patani.
Dalam demonstrasi tersebut, pelajar merempuh kedutaan Amerika dan membakar
bendera Amerika serta cuba memasuki ke dalam bangunan First National City Bank tetapi
dihalang oleh polis. Selepas dibenarkan bertemu wakil duta Amerika, wakil Fatah iaitu Abu
Yaakob bercakap bagi menaikkan semangat pelajar; Perjuangan anda adalah perjuangan kami.
Perjuangan kita tidak akan serender. Berjuang sehingga berjaya.
Selepas itu, pelajar mara ke Pejabat Kebudayaan Lincoln yang dipercayai pejabat CIA.
Pelajar membaling batu dan mengugut untuk menceroboh bangunan tersebut. Anwar Ibrahim
telah menggunakan slogan terkenal iaitu ‘Lincoln tutup, Lincoln lingkup’ bagi membangkitkan
kemarahan pelajar dan strategi ini berjaya.
Suasana gawat dan tidak terkawal menyebabkan Ghazali Shafie turun padang bagi
memujuk pelajar dengan mengadakan dialog selama 45 minit. Demonstrasi ini bersurai selepas
beliau mengajak pelajar bersembahyang Zohor dan berdialog sekali lagi sehingga pukul 3.00
petang. Lantaran itu, Ghazali Shafie berjanji memanjangkan perkara ini kepada Perdana Menteri.
Helah Ghazali Shafie yang menggunakan modal agama dan berjanji kepada pelajar untuk
menyelesaikan masalah terburai apabila Tun Razak menjelaskan pendirian rasmi kerajaan tidak
dapat menerima desakan pelajar. Malaysia tidak boleh terlalu menekan Amerika kerana Amerika
boleh mengeluarkan timbunan getah yang akan menjejaskan eksport getah Malaysia semasa
perjumpaan dengan wakil pelajar (termasuk Anwar dan Hishamuddin).
Isu Kemiskinan di Baling.
Peristiwa di Baling adalah kemuncak bagi gerakan pelajar di Malaysia. Baling merupakan
daerah pendalaman yang terasing daripada pembangunan. Majoriti rakyat di kawasan ini terdiri
daripada penoreh getah dan petani. Mengikut laporan kerajaan pada tahun 1970, jumlah
69
keluarga pekebun getah di Malaysia ialah 350,000 keluarga dan seramai 226,400 atau 64.7
peratus daripada jumlah keluarga itu adalah di bawah paras kemiskinan. Kemiskinan yang
dihadapi oleh masyarakat Baling berterusan apabila pada tahun 1974 ekonomi dunia berada
dalam suasana meleset. Inflasi negara meningkat menyebabkan harga barang turut meningkat.
Harga gula naik 10 sen, tepung gandum meningkat daripada 20 sen kepada 50 sen, minyak tanah
dan susu pekat setin 75 sen. Namun, harga getah hanya naik 7 sen sekilo menyebabkan golongan
marhaen ini kekurangan wang untuk membeli barangan harian. Secara purata, pendapatan
keluarga Melayu di luar bandar adalah kecil menyukarkan lagi perbelanjaan mereka.
Kemiskinan yang dideritai oleh kelas bawahan ini menyebabkan mereka turun ke jalanan
untuk meluahkan isi hati. Demonstrasi bermula pada 19 November 1974 yang disertai oleh 1000
orang rakyat dan pada 21 November 1974, seramai 13,000 orang rakyat dari sekitar pekan Baling
iaitu kawasan Weng, Kupang, Selama, Kuala Pegang, Siong, Sungai Balang telah berarak ke pekan
Baling. Mereka menuntut agar kerajaan menaikkan harga getah dan menurunkan harga makanan
dalam masa 10 hari. Selepas tempoh yang diberikan tamat tanpa reaksi kerajaan, masyarakat
tani mengadakan demonstrasi di pekan Baling pada 1 Disember 1974 dengan kehadiran 30,000
orang penduduk dari Baling dan Sik.
Siapakah yang mengerakkan kebangkitan rakyat di Baling? Sebenarnya, ketika itu daerah
Baling dikepung oleh pihak berkuasa. PMIUM cuba menghantar ahli mereka ke sana tetapi gagal.
Kelab Sosialis UM bertindak bijak dengan menghantar seorang perisik mereka, Abu Zer Ali ke
Baling. Abu Zer dengan kelicikannya berjaya menyusup ke dalam daerah Baling dan tinggal
beberapa hari bersama keluarga petani. Ketika membuat laporan kepada Kelab Sosialis UM, Abu
Zer menyatakan rakyat Baling LAPAR dan kebuluran. Mereka hanya makan ubi gadung sebagai
makanan utama. Hampir sebulan hujan tidak berhenti.
Menurut Abu Zer lagi, warga desa yang berhimpun untuk mengadakan demonstrasi itu
digerakkan oleh aktivis kampung. Mereka adalah ahli jaringan Parti Persaudaraan Islam
70
(PAPERI).23 Mereka sebenarnya menunggu Musa Hitam yang turun daripada helikopter. Melihat
ribuan rakyat yang marah, majlis tersebut tidak lama dan bersurai.
Penderitaan masyarakat tani di Baling menarik perhatian pelajar di kampus dan kezahiran
pendapat mereka terhadap isu ini dengan mengadakan demonstrasi di kelab Sultan Sulaiman
pada 3 Disember 1974. Persatuan pelajar yang bergabung di bawah satu barisan terdiri PKPIM,
PKPM, KSITM, PMUK, PMIITK, PMIUPM, PBCUM, Kelab Sosialis dan PMUM. Perhimpunan ini
disuraikan oleh polis pada pukul 9.50 pagi dan mereka berundur serta berkubu di Masjid Negara.
Polis menyerbu Masjid Negara setelah Iman Masjid Negara meminta polis masuk ke dalam masjid
kerana pelajar mengugut akan merosakkan peralatan masjid. Seramai 1138 orang pelajar ditahan
termasuk 77 wanita. Perkara yang menarik, demonstrasi pelajar pada kali ini bersifat kolektif
kerana diadakan di beberapa tempat di negara ini. Seramai 300 pelajar USM turut
berdemonstrasi di Sungai Nibong dan seramai 200 pelajar Politeknik Ungku Omar berhimpun di
depan Sekretariat Negeri Perak.
Pada 4 Disember 1974, polis menyuraikan 200 pelajar yang berdemonstrasi di hadapan
Universiti Malaya pada pukul 10.10 pagi. Pada jam 10.20 pagi, seramai 200 orang pelajar sekali
lagi berkumpul di depan pagar universiti dengan bersenjatakan batu dan kayu tetapi bersurai
pada pukul 10.57 pagi dan terus berkumpul di DTC. Pada pukul 3 petang, pelajar bersama
penduduk Kerinchi telah melakukan demonstrasi di jambatan Lebuhraya Persekutuan.
Pada 6 Disember 1974, seramai 4000 orang pelajar berkumpul di DTC kerana protes agar
mendesak Majlis Senat Universiti menangguhkan peperiksaan yang akan bermula pada 13
Januari 1975 sehingga 8 Februari 1975. Namun, kerajaan mengarahkan peperiksaan diteruskan
seperti dijadual dan semua kuliah berjalan seperti biasa. Ketika kekecohan di DTC, sebahagian
pelajar telah meletakkan batu dan paip konkrit bagi menghadang jalan raya sehingga berlaku
kesesakan di jalan Pantai. Lantaran itu, mereka mengadakan demonstrasi dan membahagikan
risalah agar rakyat bersimpati dan mengetahui perjuangan mereka.
23 PAPERI ditubuhkan pada 20/4/1965 kesinambungan Hizbul Muslimin yang telah diharamkan oleh British.
71
Pada 8 Disember 1974, gerakan pembersihan dilakukan di universiti tempatan iaitu
Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan, Universiti Sains Malaysia dan Institut Teknologi Mara.
Operasi ini dijalankan bagi menangkap pemimpin-pemimpin pelajar yang menjadi force kepada
demonstrasi. Menurut Ghazali Shafie, gerakan ini mahu membersihkan anasir buruk dan
menyelamat para pelajar daripada menjadi mangsa. Kerajaan bertindak tegas kerana pelajar
menyalahgunakan kelebihan autonomi unversiti bagi melakukan kebebasan jenayah(criminal
freedom). Universiti dijadikan sebagai sanctuary (kubu perlindungan) dan zon selamat bagi para
pelajar. Kondisi ini tidak berkekalan, pada pukul 2.10 pagi polis mula menyerbu kampus dan
menangkap 11 orang pelajar termasuk 10 pimpinan pelajar.
Pelajar yang ditahan adalah Idris Jusi (PKPM), Abdul Rahman Rukaini (PMUKM),
Hasanuddin Yeop (PMUKM), Ahmad Shah (PKPIM), Adi Satria (PMUM), Basroh Hassan (PMUKM),
Ibrahim Ali (KSITM), Mohamad Hussein (KSITM), dan Ishak Jaafar. Hishamuddin Rais dan
Kamarazaman Yaakob bersama pemimpin lain berjaya menerobos kepungan polis di kampus.
Selain pelajar, pensyarah juga ditahan seperti Syed Husin Ali, Gurdial Singh, Lim Mah Hui, Tunku
Shamsul Bahrin, Nakhaie Ahmad dan Sabihah Samad serta Anwar Ibrahim wakil dari Majlis Belia
Malaysia (MBM). Syed Husin telah didakwa sebagai agitator pelajar yang berkospirasi dengan
komunis dan mengancam keselamatan negara. Menurut Hishamuddin Rais, pihak PMUM tidak
bersetuju dengan memorandum yang dihantar oleh wakil pelajar seperti Idris Jusi dan Ibrahim
Ali yang bersifat perkauman.
Peristiwa Baling berpunca daripada penurunan harga getah sehingga berlaku khabar
angin terdapat kematian akibat kebuluran dan kekurangan wang. Syed Husin Ali mendefinisi
kemiskinan adalah kekurangan keperluan hidup yang asas seperti makanan, pakaian dan tempat
tinggal. Kemelut hidup berlaku kerana ketiadaan atau ketidakcukupan pendapatan, harta dan
pelajaran yang dapat menentukan taraf hidup.
72
Kemiskinan adalah isu kepada petani dalam menggerakkan demonstrasi petani di Baling.
Kekecohan di Baling bermula apabila keluarga petani kampung Siput, Mukim Siong iaitu dua anak
Ariffin Manas dan Kalsom Abdullah yang bernama Siti Zawiyah yang berusia 3 tahun dan Masitah
berusia 7 bulan meninggal dunia pada hari yang sama iaitu 20 November 1974 ekoran
kekurangan zat makanan. Walau bagaimanapun, Ariffin mendakwa ada pihak cuba menyogok
beliau sebanyak $1000 untuk membuat akuan palsu dengan mengatakan anaknya mati
kebuluran. Menurut laporan polis, Zawiyah meninggal pada pukul 1.45 petang dengan sijil
kematian A 588698 manakala Masitah meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi dengan sijil
kematian A 888697.
Peristiwa Baling dan Tasek Utara memberi dampak negatif kepada kestabilan kampus.
Pertembungan golongan pelajar pro kerajaan (kelompok Nasionalis-Islamis) dengan pelajar
progresif (kelompok Sosialis) dilihat menyukarkan proses pembelajaran. Pelajar dihalang ke
kuliah, tutorial dan makmal dan suasana di kolej terutamanya Kolej Keempat dan Kolej Ketujuh
agak tegang. Ketegangan ini ditimbulkan oleh golongan pelajar progresif sebagai protes
penahanan pemimpin mereka. PBMUM mengecam tindakan pelajar progresif yang dilihat
semakin melampau kerana bersikap anti akademik. PBMUM menubuhkan Jawatankuasa
Pemulihan Keadaan Kampus yang akan berunding dengan pihak pentadbir universiti bagi
membolehkan aktiviti pembelajaran dilakukan dengan selamat.
KESIMPULAN
Secara idealnya, gerakan pelajar telah mencapai kemuncak dalam perjuangan mereka.
Mereka berjaya merampas kuasa pentadbiran universiti, memasuki arena politik negara dan
menyuarakan kehendak rakyat marhaen. Gerakan pelajar menjadi alternatif bagi rakyat kerana
pada masa ini pihak oposisi tidak mempunyai pengaruh yang kuat ekoran peristiwa 13 Mei 1969
dan pembentukan Barisan Nasional. Parti Sosialis Rakyat Malaya sendiri terpaksa meminta
bantuan kelompok pelajar Sosialis dalam kempen pilhan raya mereka. Tahun 1974 merupakan
tahun keramat bagi gerakan pelajar kerana pelajar berterusan menggugat kerajaan sehingga
73
kerajaan terasa tercabar. Natijahnya, AUKU diwujudkan bagi membelenggu dan membisukan
gerakan pelajar di Malaysia. Awan gelap menyelimuti gerakan pelajar selepas era 1974 walaupun
sekali-sekala fajar cuba menjelma tetapi kepanasan tidak sehebat gerakan pelajar pada era ini.
74
Bab Empat
TAHUN-TAHUN MENCABAR
“sila bertindak dan berbuat seperti yang pernah saya buat ketika menjadi
mahasiswa. Tapi bersedialah seperti saya dulu untuk masuk penjara”
Anwar Ibrahim
Sikap progresif pelajar pada tahun 1974 membawa satu impak negatif kepada kerajaan sehingga
kerajaan membuat perancangan menghalang student power ini. Gerakan pelajar atau gerakan
mahasiswa ini dianggap mengancam kestabilan negara walaupun isu-isu yang diperjuangkan
adalah permasalahan rakyat. Kekangan yang dihadapi oleh gerakan pelajar ekoran keaktifan
mereka dalam politik dan selalu mempersoalkan kelemahan kerajaan boleh mengancam status
quo kerajaan. Dalam bab ini penulis cuba mengarapkan pengaruh luar dalam politik kampus,
tindakan kerajaan dan kesan perjuangan gerakan pelajar selepas pindaan AUKU 1975.
PERSOALAN POLITIK DALAM GERAKAN PELAJAR
Dalam pembikinan AUKU, kerajaan secara rasionalnya bimbang peningkatan kesedaran
berpolitik dalam masyarakat pelajar. Kebimbangan ini menjadi fobia kepada kerajaan dalam
mentadbir negara kerana banyak persoalan yang ditimbulkan oleh pelajar. Pada tahun 1974,
tradisi mencabar golongan pelajar telah menggugat kestabilan politik kerajaan dalam
mengekalkan status quo.
Sebelum ini, penulis menjelaskan secara ringkas persoalan politik dalam gerakan pelajar.
Persoalan politik pelajar dinukilkan oleh Raja Azlan, Pro Canselor Universiti Pulau Pinang.
Menurutnya, mahasiswa harus bertanggungjawab terhadap masyarakat dan perlu melakukan
sesuatu untuk rakyat. Oleh itu, gerakan pelajar haruslah menggunakan tenaga-idea mereka bagi
mendepani permasalahan masyarakat dan negara.
Kerajaan seharusnya memberi kelonggaran dalam politik. Khoo Kay Kim mencadangkan
agar kerajaan hanya mengawal gerakan pelajar bukannya menghalang penglibatan pelajar dalam
75
gelanggang politik kerana pelajar adalah sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai hak
mengundi. Tekanan yang diberikan oleh kerajaan menaikkan semangat pelajar bangkit melawan
kerajaan yang mencabar hak mereka. Mereka mahu mengekalkan image the student dan
sebarang gelombang yang menganggu perjuangan mereka akan ditentang.
Kerajaan selalu berpandangan negatif terhadap kehadiran student power di negara ini dengan
tuduhan militan, revolusioner dan mengucar-kacir masyarakat. Sikap revolusioner perlu bagi
membangunkan sebuah negara yang adil dan maju. Shahnon Ahmad mendefinisi sikap
revolusioner; ‘Revolusioner adalah bersuara keras dan bertindak keras meruntuh dan
menghancur sesuatu itu disertakan pula dengan daya cipta untuk membina yang baru sebagai
ganti yang lapuk yang diruntuh dan dirubah’.
Pelajar sebagai golongan intelektual perlu bersikap pemberani yang berlandaskan ilmu
dan pengalaman yang dijernihkan oleh kebenaran yang diyakini bukannya bersikap surealis;
bersuara kuat untuk meruntuh dan menghancur tanpa penciptaan dan pembinaan semula.
Seorang revolusioner mengharapkan jiwa tertekan kerana dengan itulah dia akan bangun untuk
mengantikan penindas-penindas.
Oleh itu sikap radikal dan militan pelajar tidak perlu dibimbangi. Tun Abdul Razak24 pernah
berkata; “Jikalau kita tinjau belakang semasa kita masih menuntut, tentulah kita
dapat melihat perkara itu dari sudut yang betul” Kebangunan sesuatu bangsa akan dicerakin oleh
pelajar yang sedar akan tanggungjawab mereka pada masyarakat dan negara kerana hidup biar
berjasa.
24 Pernah aktif dalam Kelab Fabian ketika belajar di UK. Kelab Fabian Sosialis ditubuh di UK pada 1884. Aliran
Fabianisme menekan negara kebajikan dan cenderung kepada memiliknegaraan harta. Jelas, Fabianisme mahu
mewujudkan masyarakat EGALITARIAN yang saksama. Beliau juga pernah menjadi ahli Parti Buruh British. Tun
Abdul Razak boleh disifatkan sebagai nasionalis berjiwa sosialis dan internasionalis.
76
PENGARUH POLITIK LUAR DALAM GERAKAN PELAJAR.
Penegasan kerajaan dalam melaksanakan AUKU kerana kemasukan gelombang parti
politik luar ke dalam gerakan pelajar. Penulis akan membincangkan kehadiran pengaruh Parti
Komunis Malaya(PKM) dan Parti Sosialis Rakyat Malaya dalam gerakan pelajar di kampus
Universiti Malaya.
1. Pengaruh Parti Sosialis Rakyat Malaya(PSRM)
Ideologi Sosialis bukanlah satu yang asing dalam politik kampus Universiti Malaya kerana
Kelab Sosialis telah ditubuhkan sejak bulan Disember 1967 lagi. Kelab Sosialis sendiri mempunyai
hubungan dengan PSRM ranting Lembah Pantai. Pelajar Sosialis ini telah menguasai Majlis PMUM
bagi menyuarakan isu rakyat seperti isu kemiskinan, pertempatan setinggan, penguasaan
kapitalis dan kemunculan imperialis moden. Keterlibatan mereka dalam pilihanraya 1969 dan
1974 membimbangkan kerajaan terutamanya penyertaan mereka dalam rapat umum.
Keterlibatan mereka dalam pilihan raya 1974 adalah kesinambungan penyertaan mereka
semasa pilihan raya 1969. Penyertaan Kelab Sosialis dalam rapat umum dan majlis anjuran PSRM
secara kerap menyebabkan Tun Razak menuduh PSRM menggalakkan pelajar mewujudkan
suasana tegang di dalam negara terutamanya dalam peristiwa bulan Disember 1974 dan Januari
1975. Penyertaan pelajar Sosialis dalam pilihan raya 1974 adalah jelas. PMUM dan PMUSM
secara terbuka mengisytiharkan manifesto mahasiswa dan menyediakan bas PMUM ke
Terengganu, Kelantan dan Melaka. Kepimpinan PMUM dan PMUSM terdiri daripada
Hishamuddin Rais (Setiausaha Agung PMUM) dan Fatimah Sham (Presiden PMUSM)
sememangnya mengimani fahaman Sosialis.
Penyertaan PMUM dalam pilihan raya mendapat bantahan daripada golongan pelajar
Nasionalis seperti PBMUM, Kelab Silat Gayung, Organisasi Mahasiswa Kelantan dan PMIUM
kerana PMUM cuba menyeret pelajar dalam kancah politik parti tertentu. Hasil gabungan pelajar
77
Sosialis dengan PSRM terbukti berkesan apabila pengaruh PSRM di Terengganu meningkat
sebanyak 30 peratus undi popular. Sebenarnya PSRM menafikan keterlibatan mereka dalam
mempengaruhi pelajar dalam sesuatu isu. Isu Tasek Utara sebagai contoh, perjuangan PSRM dan
gerakan pelajar berkebetulan sama dalam isu kemiskinan dan rumah setinggan. Perjuangan ini
perlu ditangani secara bersama antara gerakan pelajar dengan PSRM.
Penulis melihat gelombang Sosialis dalam gerakan pelajar agak tersusun dan terancang
sebagaimana pendapat Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad. Penyusunan proksi pelajar
Sosialis peringkat nasional mula dikesan pada awal tahun 1974. Pada 16 Februari 1974, golongan
pelajar Sosialis mencadangkan agar ditubuhkan Front Bertindak Pelajar Malaysia bagi menjamin
kepentingan badan pelajar dan cadangan diusulkan oleh PKPM. Pada 9 Mac 1974, wakil 50 buah
pertubuhan pelajar berkumpul di DTC bagi membincangkan permasalahan antarabangsa,
nasional dan kampus. Pada 11 Mac 1974, Front Pelajar melalui wakil mereka Idris Jusi
menyatakan memorandum pertama mereka menaikkan taraf Institut Teknologi MARA, tapak
Institut Teknologi Kebangsaan dan biasiswa.
Penubuhan Front Pelajar ini dapat dipersoalkan kerana hanya dihadiri oleh golongan
pelajar Sosialis sahaja bagi mencerakinkan agenda yang lebih besar. Persoalan ini ditegaskan oleh
Pemangku Presiden GPMS, Fawzi Basri yang mempersoalkan Front Pelajar tidak disertai oleh
GPMS dan PKPIM. Tanpa kehadiran PKPIM dan GPMS, Front Pelajar cuba menolak pengaruh
golongan Islamis dan Nasionalis dalam Front Pelajar sendiri.
2. Pengaruh Parti Komunis Malaya(PKM)
Kemenangan pro Komunis di Vietnam sangat membimbangkan tentang kezahiran teori
domino di rantau Asia Tenggara. Kebimbangan kerajaan Malaysia terbukti apabila mengambil
tindakan keras dengan mengharamkan Persatuan Bahasa Tionghua/Cina Universiti Malaya
(PBCUM) kerana diserapi anasir-anasir komunis. Dalam serbuan polis pada 14 Disember 1974,
polis menemui senapang kayu dan dokumen dianggap bukti penyertaan pelajar Cina dalam
78
komunis. Namun, Kamarazaman Yaakob menjelaskan peralatan seperti senapang kayu
digunakan dalam pementasan drama. Pihak kerajaan menegaskan aktiviti kebudayaan
merupakan alat propaganda PKM.
Sebelum peristiwa Baling, kerajaan telah memberi amaran tentang kehadiran pihak anti
nasional dan subversif dalam memanipulasi kenaikkan harga getah untuk mengancam kestabilan
negara. Gerakan pelajar dilihat bekerjasama dengan pihak komunis dalam peristiwa Baling.
Menurut Mahathir Mohamad, gerakan pelajar yang berdemonstrasi dalam peristiwa Baling bagi
mengalihkan tumpuan kerajaan dalam membanteras pihak komunis dan melemahkan tenaga
polis.
Penyusupan anasir komunis dalam PBCUM dikesan pada pertengahan 1970an dimana
jawatan setiausaha penerbitan dimenangi oleh seorang pro komunis. Pada bulan Jun 1971,
kumpulan Sosialis Muda berjaya menguasai Jawatankuasa Kerja PBCUM dengan pemimpinnya
berjaya memenangi jawatan presiden. Pada 14 Oktober 1974, pasukan keselamatan menjumpai
dokumen pada seorang penganas komunis yang dibunuh di kampung Tanah Hitam, Perak.
Dokumen itu menjelaskan pelantikan Tham Ah Mok sebagai agen komunis dalam PBCUM.
Pada 26 Januari 1974, satu lagi dokumen dijumpai pada seorang lagi penganas komunis
yang ditembak di Behrang, Slim River, Perak. Dokumen itu menjelaskan PKM cuba menyusupi
pertubuhan Cina iaitu Kheng Chew, Ting Song dan PBCUM. Namun, komplot komunis dibocorkan
oleh Quah Lai Chee. Pengaruh komunis cuba diterap melalui aktiviti kebudayaan(drama ‘Musim
Bunga Datang Daripada Dunia Manusia’) dan penulisan(majalah Penyuluh dan Sastera Universiti).
Perkara ini terbukti apabila konsert ‘Persatuan Besar Kilat Musim Bunga’ dibatalkan, radio Suara
Revolusi milik PKM mengutuk tindakan kerajaan. Pengaruh komunis lumpuh dalam PBCUM
apabila polis menyerbu pusat kegiatan PBCUM di Sea Park, Petaling Jaya pada 9 Disember 1974.
79
SEJARAH PENUBUHAN AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI (AUKU).
Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke
dalam pertubuhan pelajar membimbangkan kerajaan. Kerajaan berkeputusan mengawal aktiviti
politik di kampus. AUKU] diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan oleh parlimen pada
17 Mac 1971 dan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 April 1971. Kebangkitan
pelajar pada tahun 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan pada
AUKU. Pada 8 April 1975, Dr. Mahathir Mohamad mengusulkan agar AUKU dipinda dan ianya
dikuatkuasa pada 12 Mei 1975.
Pengarahan kepada AUKU berlaku apabila kerajaan menegaskan pelajar tidak dibenarkan
bergabung atau menyokong mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja. Penegasan ini
merupakan satu kesedaran kerajaan bagi mencegah ketidakstabilan melalui perundangan.
Larangan ini termaktub dalam Undang-undang Darurat(kuasa perlu) no. 74, Artikel 150(2) yang
dipinda pada 18 Februari 1971. PMUM membantah perundangan ini, Jai Mohan (Setiausaha
Agong) menjelaskan larangan ini akan menjauhkan pelajar dengan rakyat dan menyekat idea
pelajar untuk menyumbang ke arah pembangunan. Sokongan pihak pelajar kepada mana-mana
pertubuhan politik tidak bermakna pelajar menyokong pertubuhan politik tersebut.
AUKU diusulkan setelah kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 yang tidak berkesan
mengekang peranan pelajar terutamanya keterlibatan pelajar dalam pilihanraya 1969. Para
pimpinan parti oposisi dan pelajar membidas AUKU terutamanya Bahagian III (fasal 15 dan Fasal
16) dan Bahagian V (Seksyen VI Fasal 48, Seksyen VI Fasal 50 dan Seksyen VI Fasal 51). Di
Parlimen, Dato Asri meminta AUKU ditangguhkan manakala Lim Kit Siang dan Dr. Tan Chee Khoon
mempersoalkan prosedur penubuhan persekutuan pelajar peringkat nasional dan antarabangsa.
Kerajaan bersedia melonggar perkara tertentu dalam AUKU tetapi AUKU perlu diteruskan bagi
menghalang anasir-anasir subversif dalam gerakan pelajar.
80
Pada 6 Julai 1971, PBMUM dan PKPM menghantar memorandum kepada kerajaan. Gan
Yap Swe, Setiausaha Agung PKPM dan Noordin Razak, Presiden PBMUM yang mewakili 15
pertubuhan pelajar menyatakan AUKU akan membantut pemikiran kritikal dan rasional pelajar.
PMUM pula mengadakan forum pada 23 Ogos 1971 dan 9 Disember 1971 disamping sudut pidato
pada 4 Disember 1971. Namun, reaksi pelajar tidak berjaya memujuk kerajaan melonggarkan
AUKU.
Pada tahun 1975, kerajaan memugarkan kembali AUKU agar lebih tegas bagi mengekang
budaya politik pelajar yang semakin radikal dan revolusioner. Perkara ini terbukti dalam tindakan
pelajar sepanjang tahun 1974 terutamanya isu Tasik Utara dan Baling. Menurut Dr. Mahathir
Mohamad, AUKU adalah alat mengekang pelajar daripada membuat kacau apabila sesi 1975/76
bermula. Usul agar pindaan AUKU 1975 ditangguh ditolak. Penolakkan penangguhan ini
memulakan era baru bagi gerakan pelajar dalam perjuangan mereka.
Pendirian PMIUM Dalam Krisis Institut Teknologi Mara.
Selepas pindaan AUKU 1975, gerakan pelajar semakin permisive terhadap isu nasional dan
kampus. Walau bagaimanapun, dunia pelajar digemparkan apabila pelajar ITM Shah Alam dan
kampus Jalan Othman, Kuala Lumpur merampas kuasa pada 6 Januari 1976. Kejadian ini
merupakan peristiwa pertama bagi gerakan pelajar menggugat kembali keabsahan kuasa AUKU.
Rampasan ini berlaku apabila pelajar tidak berpuas hati terhadap pimpinan Dato Lokman Musa
mengetatkan disiplin pelajar terutamanya etika pemakaian yang melarang pelajar berambut
panjang.
Mulai 5 Januari 1976, peraturan tatatertib baru bagi pelajar ITM akan dikuatkuasakan.
Ramai pelajar tidak bersetuju kerana bertentangan dengan hak asasi seseorang pelajar. Bagi
pelajar lelaki, potongan rambut tidak melebihi kolar, dilarang memakai selipar dan baju panas
semasa kuliah, dilarang memakai pakaian olahraga di dewan makan. Pelajar lelaki harus memakai
tali pinggang hitam, baju kemeja dan kasut. Pelajar wanita tidak dibenarkan memakai pakaian
81
menjolok mata seperti mini skirt, pakaian jarang atau terlalu ketat. Dato Lokman memberi
amaran sesiapa yang ingkar akan dihukum seperti dilarang daftar, amaran, denda $200, gantung
atau disingkir.
Cadangan Dato Lokman dikecam hebat oleh KSITM. Pelajar mempersoalkan tindakan
Dato Lokman kerana hanya golongan minoriti yang berambut panjang. Dato Lokman hanya
mementingkan perkara remeh dan pemakaian seseorang padahal persoalan ini bukanlah
penentu moralnya. Pemimpin KSITM, Rosman Abdul Hamid menegaskan KSITM telah melakukan
perubahan drastik dengan mengharamkan judi, majlis tari menari pada tahun 1972. Mantan
Presiden KSITM, Ibrahim Ali, menyatakan pihak pentadbir perlu menyeru dan menggalakkan
pelajar mengikuti peraturan bukannya mengambil tindakan sekeras itu. Apa gunanya dilakukan
di dalam kampus jika di luar kampus terdapat arak, rasuah dan tarian bogel di kelab malam masih
dibenarkan. Tindakan Dato Lokman dilihat tidak perlu kerana KSITM telah menubuhkan
kumpulan dakwah bagi mengatasi gejala sosial. Kebebasan pelajar telah disekat dan pelajar telah
menjadi remaja ke sekolah telah menjatuhkan imej ITM sebagai institusi pengajian tinggi yang
berasaskan kebebasan intelektual.
Pada 5 Januari 1976, ITM dibuka untuk penggal pertama, pelajar senior mula tunjuk
perasaan bagi membantah cara pentadbir melaksanakan peraturan disiplin. Mereka bertindak
tidak mendaftar diri untuk kuliah kecuali pentadbir menarik balik arahan sebagaimana dituntut
KSITM. Seramai 1000 orang pelajar terlibat dalam demonstrasi di dataran berhampiran Pejabat
Pentadbiran ITM pada pukul 9.00 pagi. Presiden KSITM, Abdullah Baba menyatakan tindakan
pentadbir ITM tidak berunding terlebih dahulu dengan KSITM menyebabkan protes tersebut.
Sebaliknya peraturan tersebut diperbesarkan dalam media massa dan ia memberi gambaran
buruk kepada pelajar dan KSITM. KSITM telah memperjuangkan pemurnian akhlak dikalangan
pelajar sejak tahun 1971. Perkara yang dituntut KSITM adalah;
a. denda $200 adalah keterlaluan sedangkan pelajar hanya menerima elaun $20
sebulan.
82
b. Jumlah wakil pelajar telah dikurangkan dalam jawatankuasa tersebut
daripada 6 kepada 3 adalah tidak relevan
c. Jawatankuasa itu dipengerusi oleh Dato Lokman sendiri adalah sesuatu
yang tidak adil.
Menurut Syed Osman, KSITM tidak menentang keseluruhan cadangan tersebut tetapi
cara pelaksanaan kurang baik terutamanya ia diluluskan oleh pihak pentadbiran tanpa
perbincangan dengan KSITM.
Pada 7 Januari 1976, ITM Kuala Lumpur telah ditutup apabila pelajar telah menguasai dan
mengambil alih kampus di Shah Alam dan Jalan Othman di Petaling Jaya. Seramai 4000 hingga
5000 pelajar menguasai kampus. Dato Mansor sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pentadbir ITM
menjelaskan tindakan itu disebabkan pelajar menggunakan ‘tindakan paksaan’ dalam proses
pendaftaran pelajar senior selama dua hari. Pelajar di dalam kampus kekurangan bekalan
makanan dan pelajar yang ingin membeli makanan telah dihalang oleh pelajar senior. Para
pemberita yang cuba mendekati pagar telah dikejar oleh pelajar.
KSITM telah menafikan keterlibatan mereka dalam penguasaan kampus itu. Presiden
KSITM, Abdullah Baba menyatakan pihaknya tidak menghalang pelajar dan pensyarah balik ke
kampus. Walau bagaimanapun, KSITM tidak mengiktiraf keputusan Dato Lokman berikutan
sidang tergempar pada 6 Januari oleh Dewan Siswa KSITM. KSITM kesal dan terperanjat apabila
Dato Mansor menutup ITM. KSITM telah meminta Menteri Dalam Negeri, Dato Ghazali Shafie
tidak menggunakan badan beruniform dalam menyelesaikan isu ini. KSITM hanya bertindak
sebagai pentadbir keselamatan dan kebajikan pelajar apabila pihak pentadbiran meninggal
kampus jam 2.30 petang pada 6 Januari.
Pada 9 Januari, seramai 3000 orang pelajar telah keluar dari kampus jam 4 pagi tetapi
pihak pentadbir masih tidak dibenarkan masuk. Pelajar yang meninggalkan kampus telah dicaci.
Pihak pentadbir cuba memujuk pelajar yang belum meninggalkan kampus dan memberi amaran
83
mereka tidak akan dibenarkan mendaftar diri bila kampus dibuka. KSITM telah menyerah kepada
Dato Mansor bagi menyelesaikan isu ini setelah perbincangan selama 5 jam. Pelajar
mengemukakan beberapa penyelewengan seperti masalah keciciran pelajar dan penggunaan
duit pelajar mesyuarat pentadbiran di Bukit Fraser.
Pada 10 Januari 1976, perwakilan pelajar bersama Pemangku Presiden Majlis Belia
Malaysia, Azaham dan Dato Lokman cuba memujuk pelajar. Dato Lokman merayu sebanyak dua
kali agar 120 pelajar menyerah diri dan kedegilan mereka menyebabkan mereka disingkir.
Semasa suasana tegang ini, polis menyerbu masuk ke dalam kampus terutamanya di asrama
kedua iaitu pusat gerakan pelajar.
Dr Mahathir selaku Menteri Pelajaran mengelarkan pelajar tersebut Gestapo yang
memakai kain kuning di kepala sebagai pengecut kerana cabut lari meninggalkan kumpulan
dakwah dan wanita. Gestapo seramai 200 orang ini mengugut menelanjang dan mencincang
perempuan. Gestapo ini adalah sekumpulan pelajar radikal dan militan. Perkara ini terbukti
dengan penemuan senjata seperti kapak dan peluru.
Tindakan pelajar ITM merampas kuasa dengan isu rambut mengecewakan kerajaan
kerana kerajaan kerugian $100,000 sehari. Tindakan pelajar itu dikecam oleh badan bukan
kerajaan seperti PERTIWI dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam. Ketua Satu PERTIWI (Zakiah
Hanum) sebagai contoh mengatakan pelajar berambut panjang tidak manis dan melanggar
tatasusila orang Melayu. Kenyataan PERTIWI bersifat hipokrit kerana PERTIWI sendiri pernah
mendesak kerajaan membatalkan arahan pemakaian tudung di sekolah kerana tidak praktikal
dan mahal. PMIUPM turut mengkritik keras tindakan pelajar ITM. Setiausaha Agung PMIUPM,
Zaki Ayoub menjelaskan tindakan pelajar ITM itu mempertahankan amalan menyimpan rambut
panjang sebagai amalan jahiliah.
Walau bagaimanapun, PMIUM dam PMUKM telah menyokong tindakan pelajar ITM.
PMIUM telah menyatakan tindakan pentadbir ITM sebagai mencabul hak kebebasan pelajar.
84
Sokongan terbuka PMIUM dinyatakan dengan menghantar surat bantahan kepada akhbar
tempatan dan pihak pentadbir ITM. PMIUM melihat krisis tersebut tidak mengancam
keselamatan dan boleh diselesaikan dengan diplomasi. Penjelasan PMIUM disokong dengan
kenyataan pengawal keselamatan yang menyatakan pelajar tidak melakukan perkara buruk dan
pelajar hanya tidak menyukai Dato Lokman. Walaupun pos pengawal di pos bulatan, asrama 1
dan 2 diambil alih oleh pelajar, pengawal keselamatan tetap dibenarkan bertugas.
PMIUM menyokong usaha KSITM mendapat hak sebagai kesatuan yang mewakili pelajar
ITM. PMIUM juga mendesak Dato Lokman meletakkan jawatan dan menerima pandangan KSITM
yang tidak mengiktiraf kepimpinan Dato Lokman. Sokongan PMIUM merupakan sokongan yang
berterusan. PMIUM kesal penyingkiran 45 pelajar ITM pada 10 Februari 1976 yang disyaki
perancang rampasan kuasa tersebut. Tindakan menemuduga semula pelajar adalah tidak adil
dan bertujuan buruk yang jelas bertentangan dengan hak pelajar yang sah di sisi undang-undang
perlu dihentikan.
Pada 9 Februari 1976, Menteri pelajaran telah menubuh Jawatankuasa Penyiasat Krisis
ITM bagi menyiasat kejadian itu. PMIUM meragui ketelusan jawatankuasa ini sebagai badan
bebas. PMIUM mengusulkan agar satu badan bebas yang dianggotai badan pelajar dan belia
kerana golongan ini dilihat bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian yang adil.
Isu Afghanistan
Fenomena penentangan terhadap penaklukan Soviet Union ke atas Afghanistan
merupakan fenomena sedunia. Isu ini tercetus apabila Presiden Afghanistan, Hafizullah Amin
digulingkan oleh bekas Naib Presiden, Babrak Karmal yang dibantu oleh gerila Islam. Majlis
Revolusi telah mengambil alih sementara kuasa pentadbiran setelah golongan Marxis dari
kumpulan Khalq (kumpulan yang diimani oleh Hafizullah) ditumbangkan oleh kumpulan
Parcham. Bagi membendung gelombang hijau daripada mengakari bumi Afghanistan, pihak
85
Beruang Merah mengatur langkah mencerobohi Afghanistan dengan menggerakkan 15,000
orang anggota tentera ke sempadan dan memasuki Afghanistan pada 31 Disember 1979.
Kemasukan Rusia ke wilayah Afghanistan dikutuk oleh warga dunia seperti di India, Iran,
Jerman, Indonesia, dan Sudan. Di Malaysia, ABIM, PMUKM dan PKIPM mengutuk kelakuan
durjana Soveit dan meminta umat Islam di negara ini bersatu menghadapi musuh. Presiden
PMUKM, Fadullah Shuib meminta agar bantuan segera dikumpul bagi membantu perjuangan
rakyat Afghan semasa demonstrasi aman di kampus UKM.
Pada 8 Januari 1980, gabungan persatuan pelajar dan belia termasuk PMUM dan ABIM
merancang mengadakan perhimpunan raksasa. Perhimpunan ini di bawah pimpinan saudara
Anwar Ibrahim. Seramai 5000 orang hadir memberi sokongan dan melaungkan kalimah Allahu
Akbar. Pidato malam tersebut diberikan oleh tetamu-tetamu khas termasuk Mufti Kuwait dan
mereka secara muafakat mendesak agar Soviet berundur daripada Afghanistan. Sebanyak $6100
dikumpulkan bagi sumbangan Tabung Afghanistan.
Keesokkan paginya, Perhimpunan Perpaduan Islam Anti Soviet diadakan di Masjid Jamek
Kampung Baru dan slogan-slogan seperti ‘Hapuskan Soviet’ dan ‘Hari ini Afhganistan, esok
Malaysia’ terus bergema. Perjuangan gerakan pelajar diteruskan di kampus masing-masing
terutamanya oleh PMUTM, KSITM dan PMUM.
KESIMPULAN
Kewujudan AUKU dilihat bagi mengekang keterlibatan pelajar universiti dalam politik
nasional. Kemaraan pengaruh komunis dalam gerakan pelajar juga membimbangkan kerajaan.
AUKU mempunyai impak pro dan kontra ke atas gerakan pelajar. Secara idealnya, AUKU telah
melesukan gerakan pelajar daripada membicarakan tentang isu nasional. Imej bersama rakyat
dan jurubicara masyarakat semakin luntur di kalangan pelajar universiti. Kebanyakan kegiatan
pelajar bercorak kemasyarakatan hanya berbentuk tempelan yang ingin memenuhi tentatif
86
program. Kegiatan kebudayaan dan kesenian mula mendominasi aktiviti di kampus terutamanya
di kolej-kolej. Kebangkitan pelajar ITM merupakan satu kegemparan dalam dunia pelajar setelah
AUKU dikuatkuasa, manakala isu Afghan pula memperlihatkan kebangkitan awal kelompok
Islamis dalam gerakan pelajar semasa era 1980an.
87
BAB 5
ZAMAN KEBANGKITAN GERAKAN MAHASISWA ISLAM
“akta boleh memisahkan persatuan-persatuan peringkat kampus dari pendaftaran
tetapi akta tidak dapat memisahkan persatuan-persatuan tersebut dari segi realiti
kerana kekuatan ideologi Islam yang sama-sama didokong tidak membenarkan
permisahan”
Mahmud Mohd (YDP PKPIM 1976/77)
Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) telah memberi impak besar dalam masyarakat
kampus. AUKU dilihat mengekang gerakan pelajar dalam memperjuang isu-isu nasional sehingga
gerakan pelajar menggunakan pendekatan keilmuan dan diplomasi bagi mengantikan
demonstrasi. Pada tahun 1980 hingga 1985, muncul gerakan pelajar Islam bagi merampas
tampuk kekuasaan Majlis Perwakilan Pelajar agar cita-cita Islam tercapai. Dalam bab ini, penulis
akan mengupas regenerasi semula gerakan pelajar Islam, permasalahan dan cabaran yang
dihadapi oleh gerakan pelajar terutamanya pelajar Islam. Penulis juga melihat isu yang
diperjuangkan oleh pelajar dan pendekatan yang diaplikasi dalam menghadapi permasalahan di
era AUKU.
FAKTOR KEBANGKITAN SEMULA ISLAM DI KAMPUS PADA TAHUN 1980AN.
Kebangkitan Islam mula dimainkan pada awal 1970an setelah pembantaian secara radikal
terhadap Ikhwanul Muslimin dan kepulangan pelajar Islam dari Barat dan Timur Tengah.
Mengikut Ustaz Asahaari Mohamad, Syeikhul Al Arqam yang diharamkan, peristiwa 13 Mei 1969
merupakan tempoh peralihan pemikiran dan gaya hidup jahiliah Moden ke pemikiran dan gaya
hidup Islam. Pada masa ini, orang Melayu mula dahaga agama dan Islam sendiri dianggap sumber
perpaduan Melayu. Walau bagaimanapun, Islam pada masa itu masih di tahap ‘jambul’ [kerana
wanita menutup aurat tetapi menampakkan jambul]. Islam secara praktikal dan ‘berjubah’ mula
bersemarak setelah Iran membuktikan Islam boleh menjadi teras kepada kerajaan moden.
Dibawah ada beberapa faktor kebangkitan Islam era 1980an.
88
1. Revolusi Islam Iran
Revolusi Islam Iran memberi impak besar kepada dunia Islam terutamanya kepada
gerakan Islam. Revolusi Iran memberi satu fenomena luar biasa pada abad ke-20 dan satu
pengalaman baru kepada sejarah dimana golongan mullah telah membuat pentafsiran baru
kaedah bernegara dalam konteks pemikiran politik moden. Gerakan Islam sedunia telah
mendapat inspirasi dan harapan dalam eksperimen negara Islam dalam zaman moden oleh Iran.
Iran mengaplikasikan konsep kepimpinan ulama iaitu wilayat-i-faqih dalam pentadbiran negara.
Gerakan Islam Iran yang dipimpin oleh golongan ulama mula cuba menggugat kerajaan
Iran sejak kurun ke-16 lagi semasa pemerintahan dinasti Safavid di bawah Shah Abas yang
berdepan dengan Mullah Ahmad Ardabli. Pada tahun 1826 iaitu pada zaman Dinasti Qajar, ulama
Iran bangkit menentang Rusia yang menindas rakyat Iran di wilayah yang dijajah oleh Rusia dalam
Perang Rusia-Iran pada tahun sebelumnya. Pada tahun 1829, Mujtahid Mirza Hasan Dhirazi
memprotes tindakan kerajaan memberi monopoli pengeluaran dan pemasaran tembakau
kepada British. Pada tahun 1905 hingga 1911, ulama seperti Sayyed Muhammad Bihbihani dan
Sayyed Muhammad Tatatabai berjuang menempatkan Islam dalam dasar pemerintahan negara
semasa Revolusi Perlembagaan.
Penentangan terbuka Ayotullah Khomenei bermula pada tahun 1963 dan beliau telah
diusir ke Paris. Suasana tegang di Iran bermula pada 7 Januari 1978 apabila SAVAK telah
menyiarkan kenyataan memburukkan Khomenei. Ulama di Qom telah membuat demontransi
secara aman tetapi ditembak oleh SAVAK sehingga beratus terkorban. Api kemarahan rakyat
mula merebak apabila demonstrasi mula meluas ke Tabriz, Kazarun dan Tehran. Shah Iran telah
mengisytiharkan undang-undang tentera dan melantik panglima tentera, Ghulam Reza Azhari
sebagai Perdana Menteri. Pada 16 Januari 1979, Shah Iran meninggalkan Iran bersama
89
keluarganya atas alasan kesihatan. Pemerintahan diserahkan kepada Dr. Shahpur Bakhtiar
sebagai Perdana Menteri. Suasana berterusan sehingga Bakhtiar melarikan diri pada 11 Februari
1979 setelah tentera menyokong revolusi. Khomenei pulang dari Paris dan menubuhkan Republik
Islam Iran pada 1 April 1979.
Kejayaan Iran telah menarik gerakan pelajar terhadap konsep politik Islam sebagai cita-
cita sosial mereka. Oleh sebab itu, PMIUM telah mengorak langkah menceburi pilihan raya
kampus bagi menguasai tampuk kekuasaan PMUM. Pada tahun 1979, PMIUM yang disaluti imej
ABIM telah menaja calon MPP. Redzuan Othman bertanding di Fakulti Sastera dan calon
bercenderung idealis PAS, Yazid Othman bertanding di kawasan umum menentang golongan
Nasionalis. Kehadiran golongan pelajar Islam membawa perubahan dalam hala tuju politik
kampus agar lebih Islamis.
2. Pengaruh Islam di Barat.
Menurut Zulkifli Yusof, Presiden PMUM sesi 1985/86, perkembangan Islam di Barat turut
mempengaruhi gerakan pelajar Islam di kampus. Pengaruh Islam dibawa pulang oleh graduan
Islam yang belajar di Barat. Graduan Islam ini membawa idea-idea Islam yang ingin menjadikan
Islam sebagai gaya hidup. Mereka yang pulang menyertai sektor profesional dan pendidikan
sehinggakan mewujudkan kelas menengah Melayu yang Islamis.
Negara Malaysia sebagai sebuah negara membangun memerlukan tenaga pakar dalam
mengembleng tenaga-idea bagi menjalankan pembangunan negara. Bagi memenuhi keperluan
tenaga kerja pakar, kerajaan mengambil keputusan menghantar pelajar ke luar negara bagi
mendalami ilmu-ilmu baru dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Pada tahun 1971
hingga 1973 sebanyak 1962 biasiswa dikeluarkan oleh kerajaan diberikan kepada pelajar untuk
pelbagai lapangan. Selain pemegang biasiswa kerajaan, terdapat 18,000 orang pelajar
persendirian Malaysia di luar negara.
90
Pada tahun 1976, sekitar 4000 orang pelajar Malaysia di London dan sebahagian daripada
mereka adalah orang Melayu. Pelajar di perantauan ini telah berkumpul bagi merayakan hari
kebesaran, berforum dan beriadah di suatu tempat yang sama bagi mengeratkan perhubungan
mereka. Kebejatan sosial di Barat menyedarkan mereka bahawa pembangunan material di Barat
telah mengabaikan pembangunan rohaniah. Menurut Ralph Wendell, agama telah kehilangan
pengaruh di Barat. Peratusan mengatakan agama tiada pengaruh meningkat dari 14% pada tahun
1957 kepada 75% pada tahun 1970. Kontradiksi sekular ini menyebabkan para pelajar mencari
wahana Islam bagi menjamin akidah dan menghayati Islam sebagai cara hidup mereka.
Wahana Islamis milik masyarakat Melayu di United Kingdom adalah Kesatuan Melayu
United Kingdom (KMUK), Malaysian Islamic Study Group (MISG), Islamic Representive Council
(IRC), Kelab UMNO dan Suara Islam. Golongan pelajar yang menyertai kumpulan Islam kelihatan
berbeda dari segi pertuturan dan pemakaian. MISG muncul pada tahun 1963 yang menumpukan
kepada cita-cita Islamiyah dan objektifnya mengekalkan nilai spiritual dan menjayakan kehidupan
Islam. MISG menyuarakan pandangan Islam mereka melalui penerbitan majalah Reflection dan
Qiblat. MISG juga bergabung dengan Federation of Islamic Students Organisation (FOSIS) yang
ditubuh pada 1962. FOSIS adalah pertubuhan antarabangsa bagi pelajar Islam.
MISG mencanang kehidupan berpaksi tauhid, berlandaskan hukum Allah dan aktiviti Islam
yang sebenar. Idealisme MISG mendekati idea Maududi seorang tokoh Islam Pakistan. Lantaran
kawalan FOSIS ke atas MISG, kumpulan serpihan mula muncul iaitu Suara Islam (Voice of Islam)
dan IRC. IRC ditubuhkan pada 1975 dan mempunyai pengaruh kuat di kalangan pelajar A-Level
dan maktab teknik di Liverpool dan Manchester. IRC lebih terpengaruh dengan idea Ikhwanul
Muslimin. Mereka menyalurkan idea mereka melalui buletin yang dikenali Furqan. IRC menubuh
unit kecil bagi mentarbiyah ahlinya dan cuba menerobos pertubuhan lain dalam kaedah
memulakan tranformasi dari dalam.
Suara Islam ditubuhkan pada tahun 1975 merupakan pertubuhan pelajar paling radikal
dan bersifat politicised. Suara Islam terpengaruh dengan idea Jamaat-i-Islami yang
91
mementingkan kekuasaan politik melalui parti politik Islam. Mentor utama Suara Islam adalah
Javed Ansari(ahli Jamaat-i-Islami) yang menjadi pengajar ekonomi. Suara Islam berkontrontasi
secara terbuka dengan penentang idealis Islam mereka. Menurut Chandara Muzaffar, pelajar
dogmatik inilah yang mencorak pemikiran pelajar tempatan di dalam negara.
Kepulangan pelajar yang terdidik dengan idealis Islam banyak mempengaruhi
persekitaran politik, sosial dan ekonomi negara. Mereka adalah golongan kelas menengah telah
diberi tugas untuk membantu negara. Golongan pelajar ini cuba melakukan Islamisasi dalam
masyarakat. Menurut Siddiq Fadil, Islamisasi mempunyai makna ‘proses merubah sesuatu
supaya lebih Islamik’. Kebanyakan pelajar idealisme Islam menjadi pensyarah mengajar di
Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah
menerapkan idea mereka di kalangan pelajar tempatan. Pelajar Islam tempatan mula menjadi
pensyarah mereka sebagai mentor dalam aktiviti gerakan pelajar mereka.
3. Pengaruh Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Selepas kegagalan gabungan UMNO dengan PAS, golongan Nasionalis-Islamis yang telah
disingkirkan dari tampuk kepimpinan PAS. Kaum muda PAS menjadi indikator dalam usaha
menjatuhkan kepimpinan Dato Asri pada Oktober 1982 dengan slogan PAS di bawah ‘kepimpinan
ulama’. Kaum muda PAS dipelopori oleh bekas tokoh ABIM dan pimpinan kelab pelajar Islam di
luar negara. Bekas pimpinan ABIM ialah Fadzil Mohd. Nor(Timbalan Presiden ABIM), Abdul Hadi
Awang (Pesuruhjaya ABIM Terengganu), Nakhaie Ahmad(Lajnah Dakwah) manakala pimpinan
pelajar luar negara seperti Khalid Samad (Suara Islam).
Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada bulan Mac 1982 dan kejatuhan Dato
Asri dalam PAS pada 23 Oktober 1982 membolehkan kumpulan muda menghakis budaya
nasionalis dalam PAS. Tokoh ideolog seperti Ustaz Abdul Hadi Awang merupakan tokoh yang
banyak berjasa kepada PAS dalam memberikan kefahaman jalinan agama dengan politik dimana
Islam menolak ‘politik suku, agama suku’. Lantaran itu, wujud idea negara Islam yang menjadi
92
sistem Islam sebagai falsafah dan gagasan dalam kehidupan. Perkembangan kaum muda PAS
yang menghiasi akhbar, majalah-majalah dan kaset ceramah pada tahun 1980an membawa
pengaruh besar dalam perjuangan pelajar Islam bagi mengembalikan Islam sebagai cara hidup di
kampus terutamanya selepas Anwar Ibrahim terjun ke dalam UMNO.
PENGUASAAN PELAJAR ISLAM DALAM POLITIK KAMPUS PADA AWAL 1980AN.
Kemenangan kumpulan Islamis dalam Revolusi Iran mencetus fobia kepada masyarakat
sekular terhadap kebangkitan semula Islam. Gerakan pelajar Islam yang digelar orang dakwah
dilihat satu elemen yang menakutkan kerana ia cuba menggugat ideologi sekular yang dianuti
oleh pemerintah, penguasa universiti dan pelajar sendiri. Kerajaan sendiri mengkritik kegiatan
dakwah di kalangan pelajar yang dilihat berlaku ketidakfahaman para pendakwah terhadap
kemurnian Islam itu sendiri. Kezahiran Islam dalam cara hidup pelajar seperti berpurdah
melahirkan kegelisahan kepada pihak pentadbir. Di Universiti Teknologi Malaysia, Anuiddin
Wahid tidak menggalakkan pelajar memakai purdah. Bahkan pelajar Universiti Malaya pula
terpaksa menandatangani perjanjian larangan pemakaian purdah oleh Ungku Aziz. [Lihat Utusan
Malaysia, 24.6.1986.] Namun, gerakan pelajar Islam terus subur dan cuba membentuk kuasa
politik di kampus.
Peningkatan kesedaran Islam pada tahun 1970an telah meletakkan PMIUM sebagai
wadah penting dalam perjuangan Islam di kampus. Walau bagaimanapun, PMIUM bukanlah satu
kuasa politik yang mendominasi politik kampus sebagaimana Kelab Sosialis. PMIUM pada ketika
itu bersifat Nasionalis-Islamis yang berjuang untuk kepentingan Islam dan bangsa Melayu
termasuk isu bahasa dan kemiskinan. Siddiq Fadil Presiden PMIUM sesi 1972/73 telah berjaya
mengikis semangat nasionalisme sempit dan mengarahkan semangat tersebut mengikut
perspektif Islam. Kewujudan golongan Nasionalis-Islamis ini mestilah dibuktikan dengan
komitmen yang tegas termasuk pelaksanaan Islam sepenuhnya serta langkah amali yang konkrit
secara bersungguh-sungguh. Oleh sebab itu, PMIUM cuba menghalang upacara kemaksiatan di
Universiti Malaya seperti majlis ball night dan unsur judi dalam pestaria.
93
Perjuangan Islam PMIUM tidak serasi dengan aktiviti PMUM yang bercorak kebudayaan
dan kemaksiatan sehingga berlaku ‘perang dingin’ antara PMIUM dengan PMUM.. Oleh sebab
itu, PMIUM disingkir daripada AJK Orientasi sesi 1975/76 dan hanya diterima semula pada sesi
1977/78 tetapi pada sesi 1978/79 sekali lagi PMIUM disingkirkan. Keadaan ini mendorong
PMIUM mengubah corak perjuangan dengan memasuki politik kampus agar mereka lebih
progresif untuk mengambil alih tampuk pimpinan PMUM. Cubaan pertama PMIUM untuk
memenuhi cita-cita siasah dengan meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kampus. Pada
tahun 1977, PMIUM meletakkan calon mereka iaitu Sidek Baba [pensyarah UIA, orang kuat
ABIM], Syed Muhamad Dawilah al Idrus [pensyarah USM], Nasaruddin Abdul Jalil dan Naharuddin
Abdullah. Sidek Baba dan Naharuddin Abdullah berjaya memenangi kerusi.
Pada pilihan raya sesi 1979/80, PMIUM memenangi 10 kerusi tetapi gagal memperolehi
majoriti 2/3. Antara calon PMIUM adalah Redzuan Othman di fakulti Sastera dan Yazid Othman
bagi kerusi umum. Kumpulan Islam membentuk Barisan Mahasiswa bagi menentang Gabungan
Mahasiswa. Pilihan raya sesi 1979 telah menelurkan budaya berparti dalam politik kampus.
Barisan Mahasiswa yang ‘menang tipis’ telah memilih Anual Bakri sebagai Presiden PMUM dan
Yazid Othman sebagai Naib Presiden. Kerajaan pelajar Islam mula mencegah aktiviti mungkar
seperti jamuan arak dan budaya makan malam tahunan yang dihiasi program mungkar. Aktiviti
persatuan perlu terbatas kepada aktiviti tidak bercorak ‘yahudi’. Penubuhan kerajaan pelajar
Islam yang pertama ditentang hebat oleh proksi Nasionalis. Barisan Mahasiswa tidak dapat
membentuk kabinet PMUM yang mantap kerana Gabungan Mahasiswa mendapat 11 kerusi
daripada 21 kerusi. Kesilapan Barisan Mahasiswa adalah memperuntuk tiga kerusi untuk orang
bukan Melayu tetapi tiada orang bukan Melayu mahu bertanding untuk Barisan menyebabkan
Gabungan Mahasiswa menang mudah.
Pada 4 Ogos 1979, Barisan Mahasiswa cuba menubuhkan kabinet tetapi Ketua Gabungan
Mahasiswa, Yusuf Abdul Rahman cuba melakukan undi tidak percaya. Kelompok Islamis
mengambil tindakan bijaksana dengan keluar mesyuarat agar korum 2/3 tidak mencukupi untuk
94
mengundi. Yusuf Abdul Rahman menyifatkan tindakan 10 anggota Barisan tidak demokrat.
Barisan mencabar Gabungan agar meletak jawatan supaya pilihan raya dapat diadakan semula.
Kekecohan ini menyebabkan pendaftar HEP Yunus Nawal dan Puan Chua campurtangan.
Akhirnya, Gabungan bersetuju bekerjasama walaupun cuba dihalang oleh ketuanya. Barisan
kabinet PMUM diketuai oleh Anual Bakri Haron(Presiden), Yazid Othman(Timbalan), Redzuan
Othman (Setiausaha Agung), Zaidan Ali(Bendahari), Amir Hamzah Abdul, Anuar Yusof, Yahya
Husin, Mohd Nor Anuar, Abdul Ghani Ghulam Din, Abdullah Rahman, Fong Seng Wah, Cheng
Huck Joo, Rosli Ahmad dan Yusuf Abdul Rahman.
Menurut Yusuf Abdul Rahman, Barisan adalah golongan radikal dan perkauman.
Gabungan berjuang berdasarkan untuk perpaduan dan kebajikan pelajar. Gabungan
menawarkan dasar kompromi dimana jika pihak menjawat jawatan presiden tidak boleh
memegang jawatan setiausaha agung tetapi Barisan membolot kesemua jawatan utama. PMUM
tidak berfungsi dengan baik menyebabkan Anual Bakri mahu berbincang dengan Yusuf di Dataran
Ekonomi. Pada mulanya Yusuf menolak pelawaan tersebut tetapi setelah diugut oleh Roselan
Abdul Rahman untuk menarik balik sokongan terhadap Gabungan, beliau bersetuju berbincang.
Krisis PMUM selesai apabila Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung meletakkan
jawatan iaitu Anual Bakri, Yazid Othman dan Redzuan Othman [kini pensyarah Jabatan Sejarah
UM, bekas Naib Presiden ABIM]. Kebuntuan kepimpinan PMUM sejak 23 Julai 1979 dapat
diselesai dengan kompromi iaitu Yazid Othman sebagai Presiden, Yap Ching Kiat (Timbalan), Rosli
Ahmad (Setiausaha Agung), Zaidin Ali(Bendahari) dan Redzuan Othman (Penolong Setiausaha
Agung). Tekanan HEP dan masalah pemilihan personaliti menyebabkan golongan Islamis tewas
dalam pilihan raya kampus 1980/81 pada 18 Julai 1980 kepada golongan Nasionalis.
Selain itu, kemenangan Gabungan disebabkan kegagalan Barisan menangani kes
kepincangan perasmian TIG (aktiviti sukan), kegagalan baktisiswa di Sabah dan kegagalan
program ke Indonesia. Calon ternama golongan pelajar Islam yang tewas adalah Zaidan Ali, Yazid
Othman, Abdul Ghani Golamadin dan Che Yazid Che Seman. Roselan Abdul Rahman dilantik
sebagai Presiden PMUM manakala Rosley Ahmad dilantik sebagai Naib Presiden. Kekalahan
95
kumpulan Islamis dalam pilihan raya kampus di Universiti Malaya wajar ditelusuri daripada aspek
tekanan psikologi yang dicanang oleh akhbar tempatan terutamanya Utusan Malaysia. Utusan
Malaysia memberi gambaran kotor dengan mewujudkan polemik ‘Regim KAMI’ di kampus-
kampus universiti tempatan. Kekalahan kumpulan Islamis yang disifatkan sebagai pelampau
agama di UKM disebar secara meluas di muka utama akhbar tersebut. Secara terancang, isu
perjudian semasa Pestaria 1980 dihangatkan kembali dengan tuduhan sempitnya pemikiran
pimpinan PMUM terutamanya Yazid Othman. Tekanan psikologi menyebabkan pelajar terpaksa
menolak kumpulan pelajar Islamis.
Pada pilihan raya sesi 1981/82 yang diadakan pada 24 Julai 1981 Islamic Group yang
dipimpin oleh Ahmad Shabery Cheek telah berjaya menguasai MPP. Kumpulan Islam dikenali
sebagai ‘Kepimpinan Dinamis Mahasiswa Progresif’ berjaya memenangi pilihan raya kampus dan
Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Presiden PMUM. Kemenangan ini meningkat imej
kumpulan Islamis yang tercalar pada pilhan raya sesi yang lepas.
Penguasaan golongan Islamis atau PMIUM terhadap politik kampus tidak berterusan
kerana PMIUM memboikot pilihan raya kampus sesi 1983/84 kerana masih terdapat unsur judi
dalam Pesta Ria sesi tersebut. Kemantapan PMIUM membolehkan calon-calon mereka
menguasai pilihan raya kampus 1985/86. Kemenangan ini menelurkan aspirasi baru kepada
pelajar Islam kerana kumpulan Islam mula memdominasi kampus-kampus di seluruh negara.
PMUM mengorak langkah menubuhkan Barisan Bertindak Mahasiswa Negara(BBMN) yang
menyelaras aktiviti pelajar Islam di bawah pimpinan Zulkifli Yusof (Presiden PMUM).
MENGIMBAU SEJARAH: KRISIS GERAKAN PELAJAR ISLAM 1980an
Anwar Ibrahim banyak mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup kepimpinan pelajar
sehingga beliau menjadi idola di kalangan pelajar termasuklah penampilan berpakaian beliau.
Kemasukan tokoh ABIM ini ke dalam UMNO pada tahun 1982 telah mengoncang institusi gerakan
pelajar Islam kerana menongkah arus perjuangan Islamis yang lebih menghampiri perjuangan
96
PAS. Ketokohan Anwar Ibrahim dilihat sebagai pelapis bagi mengantikan tugas Dato Asri sebagai
presiden.
Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO menelurkan kecelaruan pemikiran di
kalangan penggerak gerakan pelajar Islam. Di Universiti Malaya, muktamar PMIUM sesi 1983/84
terpaksa ditangguh. Perebutan kuasa tertinggi dalam PMIUM dimenangi oleh Mohamad Hussein
dari proksi PAS setelah mengalahkan proksi ABIM-PKPIM yang pro Anwar. Pemangku Presiden
PMIUM, Azami Zaharim mencadangkan Takiyuddin Hasan sebagai presiden dan Mohamad
Hussein sebagai timbalan tetapi ahli exco PMIUM bersetuju melantik Mohamad Hussein sebagai
presiden dan Takiyuddin sebagai timbalan. Kekecohan berlaku apabila Takiyuddin menarik diri
dalam muktamar dengan memberi laluan kepada Mohd Taib Ahmad. Kumpulan pro Pas yang
menjatuhkan juak ABIM terdiri daripada Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan [exco Kerajaan
Kelantan], Syed Putra Syed Ahmad, Azmi Ali dan Fuad Zarkhashi (bekas Presiden PBMUM,
sekarang Dr., orang kuat UMNO Johor) dan Mohd Taib Ahmad berbincang di kg. Kerinchi bagi
menaikkan kumpulan pro PAS. Mereka dikenali Kerinchi 6. Azami Zaharim yang pro ABIM-PKPIM
membantah tetapi gagal apabila proksi ABIM hanya mendapat 35 undi. Kekalahan proksi pro
Anwar Ibrahim menandakan kelunturan pengaruh ABIM-PKPIM di kampus Universiti Malaya dan
kemunculan PAS sebagai wadah perjuangan pelajar Islam yang baru.
PKPIM-ABIM mula melakukan pewarnaan semula bagi mengarahkan matlamat
perjuangan di kampus. Proksi ini mula kembali semula mengakari PBMUM yang semakin
kelesuan. Pengaruh PKPIM-ABIM terkelihatan dalam PBMUM dengan kehadiran Saifudin
Abdullah sebagai Presiden PBMUM [mantan EXCO PMIUM sesi 1981/82 yang pro ABIM-PKPIM].
Pertembungan golongan Islamis pro PAS dengan golongan Islamis pro ABIM-PKPIM yang telah
bergabung dengan golongan Nasionalis (pro kerajaan dan universiti) telah merancak kembali
suasana politik kampus. Golongan PKPIM-ABIM dan IRC bergabung tenaga membentuk BMB
mula bertempur dengan NADI-Kelab PENA-PMIUM. Disinilah muncul pemimpin seperti
Shamsuddin Moner yang licik bermain politik.
97
Di UKM, muncul kumpulan Angkatan Tindakan Mahasiswa (ATMA) yang
memperjuangkan dasar-dasar Islam dan kumpulan Tindakan Siswa Bersatu (TSB). Kegiatan
mahasiswa dalam Persatuan Anak Negeri, Persatuan Fakulti dan Kolej menjadi medan perebutan
kuasa antara ATMA dan TSB. ATMA telah menghidupkan Ikatan Studi Islam (ISIUKM) yang tidak
aktif walaupun ditubuhkan pada 1976. Setelah Anwar Ibrahim masuk UMNO, ATMA terbahagi
dua kumpulan iaitu pro PAS dan pro Anwar. Persaingan dua kumpulan masih terkawal sehingga
sesi 1984/85 dimana ATMA telah memenangi PRK sesi itu. Sepatutnya mahasiswa pro PAS, Wan
Ismail Wan Jusuh sepatutnya menjadi Presiden PMUKM. Kelompok PAS dalam ATMA tarik diri.
Mustafa Kamil Ayub dilantik sebagai Presiden PMUKM sesi 84/85. PRK sesi 85/86, ATMA
terbahagi dua ATMA Bendera Biru (Pro ABIM) dan ATMA Pro PAS (Bendera Hijau). ATMA tewas
PRK sesi ini. ATMA pro PAS telah menubuhkan kumpulan baru yang dikenali Islam Penyelamat
Ummah (IPU). IPU menguasai ISIUKM sejak sesi 86/87. IPU dikenali sebagai MAMPU (Membina
Angkatan Mahasiswa Penggerak Ummah).
Selama ini, ABIM-PKPIM menguasai PMIUTM. Pada tahun 1983, pengaruh ABIM dalam
PMIUTM telah disingkir oleh Kumpulan Islam Tulen (KIT) yang juga dikenali Hizbi Islami.
Kumpulan telah memenangi PRK 1983/84.
Mahasiswa Pro PAS VS Mahasiswa Pro IRC
Pada awal 1980an, kedua-dua kumpulan iaitu Ikhwan Alami dan IRC UK bergabung
membentuk IRC. Perjuangan mereka secara rahsia dan melalui proses pentarbiahan.
Pertembungan antara IRC (baca:JIM atau IKRAM) dengan PAS bermula sejak peringkat sekolah
melalui proses pentarbiahan, pengkaderan dan penguasaan persatuan pelajar (BADAR). Ada
pengaruh utama yang menyebabkan pertembungan ini ialah terdapat mentor dalam kalangan
guru dan pentadbir sekolah, anak anggota JIM dan PAS dan penyertaan pelajar dalam
pertubuhan pelapis (Kelab Remaja JIM). Antara medan utama pertembungan ini adalah di
sekolah berasama penuh terutamanya sekolah agama seperti Kolej Islam Klang (KISAS).
98
Kemudian anak-anak JIM/IKRAM/IRC melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan
bergiat dalam kegiatan universiti. Pembawaan ‘ideologi’ JIM/IRC/IKRAM turut sama dibawa
bersama mereka. Di universiti, selain daripada anak-anak anggota, ada juga pelajar universiti
yang sememang dilatih dan diindoktrinasi di sekolah-sekolah milik JIM/IKRAM, ABIM, HALUAN
dan PAS. Mereka ini turut berpengaruh dalam mengerakkan aktiviti gerakan Islam di kampus.
IRC pernah memegang tampuk pentarbiahan mahasiswa terutamanya pentarbiahan
mahasiswa di Universiti Malaya. Penyusupan mereka secara rahsia. Pentarbiahan mereka untuk
memilih kader berkualiti untuk diserapkan dalam IRC bukannya PAS yang menguasai Jemaah
Islam Kampus(JIK). Pada era tahun 1986-1988, berlaku perselisihan faham antara kelompok pro
PAS dengan pro IRC. Akibatnya, IRC disingkirkan dalam PMIUM. Ekoran penyingkiran ini, IRC
bertindak balas menyingkirkan kelompok pro PAS daripada Persatuan Mahasiswa Akademi
Pengajian Islam UM (PMAPIUM). Kemudian kelompok pro PAS berjaya menguasai PMAPIUM
pada sesi 1988/89. Pada tahun seterusnya, IRC menghantar wakil dalam Barisan Mahasiswa
Bersatu(BMB) yang pro HEP. Antara pimpinan IRC terkenal ialah Nazman Mustafa.
Di UKM, IPU pernah membentuk Majlis Syura hasil gabungan mahasiswa pro PAS dan pro
IRC. Lujnah tarbiah dipegang oleh IRC manakala lujnah politik oleh IPU. Pada tahun 1987, berlaku
pengeseran apabila IPU mendakwa IRC menarik ahli-ahli IPU untuk masuk dalam IRC dan
melakukan program untuk kepentingan IRC tanpa pengetahuan Majlis Syura. Pada mesyuarat
agung Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan Islam UKM(PMFPI) sesi 1988/89, IRC bertanding
untuk melawan calon-calon IPU. Perkara ini berlanjutan dalam muktamar ISIUKM dimana calon
IPU dan IRC bertarung secara terbuka sehingga terpaksa dilakukan dua kali kerana kehadiran
yang luar biasa.
Di UTM, IRC gagal menguasai PMUTM dan PMIUTM tetapi mereka kembali bangkit
apabila Syed Mohd Famy dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor HEP. IRC cuba menguasai kolej
melalui HEP. Pada sesi muktamar PMIUTM sesi 1988/89, ada juga berlaku pertembungan antara
IRC dengan pro PAS. Kekalahan mereka menyebabkan mereka berundur daripada PMIUTM.
99
Tindakan IRC menarik keanggotan PMI sehingga membentuk Jemaah dalam Jemaah
adalah satu tindakan terkutuk. Ia satu penyusupan yang tidak beradab dalam berjemaah, apatah
lagi mengunakan kekuatan orang lain untuk memperkuatkan diri sendiri tanpa pengetahuan
pihak terbabit.
ISU DAN PEDEKATAN: MAHASISWA PROGRESIF AWAL 1980AN: PENERUS TRADISI
MENGGUGAT
Pendekatan dan isu yang ditangani oleh Mahasiswa Progresif era 1980an berbeda dengan
Mahasiswa era 1970an. Mahasiswa progresif beraliran Islam tidak lagi menumpukan isu bahasa
dan kemiskinan seperti yang disarankan oleh pelajar Nasionalis dan Sosialis tetapi isu yang
ditangani lebih banyak bersifat pro Islam atau proses pemurnian Islam di kampus seperti isu anti
Amerika, anti Israel dan anti konsert. Di bawah terdapat beberapa isu dan pendekatan yang
digunakan oleh Mahasiswa Progresif dalam menangani masalah mereka di UM. Tindakan mereka
ini dilihat sebagai penerus tradisi menggugat dan tradisi mencabar di kampus UM.
Isu Pestaria Kebajikan
Pestaria Kebajikan dibuat sempena majlis konvoksyen universiti. Kelaziman pestaria
mempunyai program bercorak maksiat termasuk judi, konsert, arak dan ratu cantik. Lantaran itu,
kelompok Islamis selalu menentang program yang bertentangan dengan Islam sehingga
mencetuskan konflik dengan penguasa universiti. Pestaria paling bersih daripada maksiat dalam
era 1980an hanya mampu dilakukan pada tahun 1986 sahaja di bawah pimpinan kelompok
Islamis. Pestaria 1980 dijalan pada 19 Jun hingga 22 Jun dan disertai makan malam amal pada 23
Jun 1980. Pestaria ini bertujuan bagi mengutip derma untuk rumah-rumah kebajikan.
Permasalahan pestaria 1980 berlaku kerana pestaria itu belum mendapat kelulusan
daripada MPP tetapi pihak tertentu(Gabungan yang disokong oleh HEP) cuba membuat seperti
100