1 BAB 1 PENGENALAN KEPADA KENEGARAAN MALAYSIA OBJEKTIF BAB Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Memahami objektif dan matlamat kursus Kenegaraan Malaysia secara sepintas lalu. 2. Mendefinisikan konsep negara bangsa. 3. Mengenal pasti ciri-ciri negara bangsa serta faktor-faktor yang menghalang pembentukan negara bangsa. 4. Menilai kedudukan dan keperluan negara bangsa kepada generasi hari ini dan akan datang. 1.1 PENGENALAN Kita sering mendengar orang memperkatakan tentang kenegaraan. Kenegaraan sangat penting dan berkait rapat dengan rakyat, budaya, politik, ekonomi dan sejarah sesebuah negara. Tahukah anda apa maksud kenegaraan? Kenegaraan merupakan satu kursus yang mengajar tentang hal ehwal sesebuah negara untuk melahirkan warganegara yang baik dan bertanggungjawab1 . Warganegara yang baik mesti mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.2 Sementara dalam disiplin sains politik pula, kenegaraan selalu di rujuk sebagai pembinaan negara bangsa.3 Umumnya kenegaraan adalah satu bidang pengajian yang matlamatnya melahirkan rakyat atau warganegara yang baik dan bertanggungjawab dalam usaha membentuk sebuah negara dan bangsa yang bersatu padu dan dihormati di peringkat antarabangsa melalui pembelajaran dan penghayatan kursus kenegaraan. Warganegara yang baik dan bertanggungjawab perlu mengetahui latar belakang warisan budayanya, perkembangan sejarah bangsa dan negaranya. Pengetahuan sejarah perlu diketahui, difahami dan dihayati untuk membantu ke arah menanam dan mengembangkan kesedaran dan kebanggaan terhadap negara. Dengan mempelajari sejarah tanah air, ia menimbulkan rasa kecintaan dan dapat mendedahkan kepada semangat
2 kesetiaan, rasa kesyukuran serta sedia berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara. Di samping itu juga, intipati sejarah dapat membantu golongan muda memahami dan menghargai perjuangan kemerdekaan dan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh negara. Pengetahuan atau pemahaman terhadap sejarah boleh membentuk jati diri yang akan menjadi kebanggaan masyarakat, lantas mempengaruhi sikap kesetiaan (loyalty), dan patriotisme, iaitu sanggup berkorban kerana negara. Pemupukan semangat kesetiaan dan patriotisme di kalangan generasi baru di Malaysia sangat penting dan perlu dipergiatkan setiap masa kerana corak dan keadaan masyarakat Malaysia yang majmuk lagi kompleks. Mereka dipisahkan oleh budaya dan cara hidup yang berbeza. Jurang perbezaan yang besar di antara mereka hasil daripada tinggalan Inggeris ini telah menghalang perpaduan dan integrasi kaum. Perasaan cintakan negara dan semangat sanggup berkorban untuk negara sepatutnya dipupuk di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Kesedaran yang mendalam tentang perlunya masyarakat yang telah diintegrasikan ke dalam satu bangsa dapat dibuat dengan lebih berjaya jika generasi sekarang sedar bahawa negara kita telah melalui pelbagai zaman dan cabaran melalui pendidikan dan penghayatan Kenegaraan Malaysia. Adakah kursus Kenegaraan Malaysia sama seperti kursus sejarah yang diajar di peringkat persekolahan yang memaparkan peristiwa-peristiwa sejarah tanahair sahaja? Kandungan kursus Kenegaraan Malaysia meliputi sejarah pembinaan bangsa dan negara ini sejak zaman pra merdeka hingga kepada pembentukan dasar-dasar kerajaan selepas merdeka. Kursus ini terdiri daripada beberapa gabungan disiplin ilmu seperti sejarah, politik dan ekonomi. Kesemua disiplin ilmu ini diadun menjadi satu kursus Kenegaraan Malaysia yang mengamalkan konsep pengajaran dan pembelajaran yang merentas sempadan ilmu secara bijaksana. Bagi kebanyakan orang, kenegaraan adalah satu kursus yang di dalamnya penuh dengan peristiwa dan fakta sejarah. Kita tidak boleh lari daripada mengetahui sejarah negara dan masyarakat sebagai latar belakang untuk memahami sesuatu bangsa dan negara. Ia akan berfungsi sebagai pelengkap kepada keperluan untuk memahami segala perkara mengenai sesebuah bangsa dan negara. Namun ada banyak lagi perkara yang terkandung dalam masyarakat dan negara itu selain daripada sejarah itu sendiri yang perlu diketahui seperti ekonomi, politik dan sosial yang menjiwai masyarakat dan negara itu. Dengan lain perkataan, kita harus menggabungkan berbagai disiplin ilmu yang berbeza ke dalam satu kursus yang dipanggil Kenegaraan Malaysia.
3 Kombinasi beberapa disiplin ilmu yang membentuk kursus Kenegaraan Malaysia menjadikan kandungannya terlalu luas dengan batasan waktu yang sangat terhad telah memaksa pengajaran dan pembelajaran merentas sempadan ilmu menjadi begitu relevan. Sehubungan itu, faktafakta penting dari pelbagai disiplin ilmu perlu diolah dan dihubungkaitkan secara menyeluruh untuk menerangkan sesuatu fenomena yang berlaku. Pendekatan ini juga diharap boleh menghindarkan suasana membosankan kepada sesetengah pelajar. Lumrah bagi manusia mempunyai minat dan kemahuan yang berbeza, begitu juga dengan pelajar mempunyai minat yang berbeza mengenai subjek yang diajar oleh guru. Jika kita mengambil pendekatan mengajar sesuatu topik secara terpisah mengikut keperluan disiplin ilmu masingmasing, maka isi kandungan menjadi panjang dan mendalam. Selain masa yang terhad dan kandungan kursus yang panjang, sikap turut memainkan peranan penting. Sikap sambil lewa kerana merasakan sudah tahu tentang subjek yang diajar telah mendorong tindak-tanduk negatif di dalam kuliah seperti tidur, berbual, ponteng dan sebagainya. Menginsafi kepentingan perkara ini, kursus ini secara sedar cuba menghindarkan diri daripada mengulangi atau menjadi seperti disiplin ilmu yang berdiri sendiri dengan mempelbagaikan teknik pengajaran supaya lebih menarik tanpa mengetepikan kesesuaian dengan matlamat dan objektif kursus, iaitu mewujudkan negara bangsa yang bersatu padu. 1.2 NEGARA BANGSA Sejak akhir-akhir ini perkataan negara bangsa tidak asing lagi kepada kebanyakan orang khususnya bagi mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang sains politik dan sejarah. Secara mudah, negara bangsa mesti mempunyai tiga komponen utama iaitu negara, individu, dan bangsa. Negara merujuk kepada wilayah kewujudan kelompok manusia, individu ialah manusia, sementara bangsa pula satu kesatuan manusia yang hidup dalam sesebuah negara. 4 Negara bangsa adalah dua perkataan yang berbeza, iaitu negara, dan bangsa. Negara atau ‘state’ adalah satu unit politik yang mempunyai kedaulatan dan mempunyai tanggungjawab dan kuasa menjalankan hal ehwal pentadbiran sendiri.5 Mengikut undang-undang antarabangsa, terdapat empat elemen penting yang mesti ada dalam menentukan kewujudan sesebuah negara. Negara biasanya ditakrifkan sebagai kawasan tertentu yang mempunyai sempadan yang jelas, ada penduduk tinggal di situ, terdapat sebuah kerajaan yang sah memerintah, dan kerajaan itu pula mestilah berkesan dalam menjalankan pemerintahan.6 Bangsa atau ‘state’ pula selaluya diertikan sebagai kewujudan dalam kumpulan manusia tertentu dengan beberapa ciri yang sama. Persamaan ini boleh terjadi daripada berbagai perkara seperti unsur-unsur jasmani,
4 politik, dan kebudayaan.7 Etnik yang hidup dalam keadaan yang terintegrasi tanpa perbezaan yang wujud di antara mereka dapat menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara kerana mereka terhindar daripada sebarang konflik kaum yang merugikan. Bagaimanapun dari segi praktikal, kedua-dua definisi di atas ada kekecualiannya. Sebagai contoh, tidak ada satu negarapun di dunia ini yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada satu keturunan etnik sahaja. Malah ada negara yang mengiktiraf semua etnik yang sama dengannya di sebarang laut sebagai warganegara, sebagai contoh Israel dan China.8 1.2.1 Ciri-Ciri Negara Bangsa Adalah tidak tepat jika kita membuat kesimpulan bahawa jika ada negara dan ada penduduk yang tinggal di negara itu, maka wujudlah sebuah negara bangsa. Apakah ciri-ciri negara bangsa? Sebuah negara itu akan dikategorikan sebagai sebuah negara bangsa apabila ia telah memenuhi beberapa syarat yang diperlukan. Sebuah negara bangsa mempunyai tiga syarat utama sebelum ia dikategorikan sebagai sebuah negara bangsa.9 Pertama, masyarakat yang tinggal di situ hidup dalam bersatu padu tanpa dipisahkan oleh fahaman perkauman yang sempit seperti kedaerahan, kepercayaan, bahasa, budaya, pekerjaan, tempat tinggal dan sebagainya yang boleh membawa kepada perpecahan. Penduduk mesti menerima hakikat bahawa mereka tinggal dalam satu negara yang berbilang kaum dan budaya. Satu nilai kebangsaan yang boleh mengikat mereka sebagai satu kelompok manusia mesti diterima dengan hati yang terbuka. Sebagai contoh Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan−kedua-dua dasar ini bertujuan menyatukan penduduk dengan mewujudkan nilai yang sama sebagai nilai kebangsaan di kalangan mereka untuk dikenali sebagai bangsa Malaysia. Kedua, sebilangan besar rakyat mesti berpegang kepada ideologi politik yang sama iaitu demokrasi liberal. Perbezaan yang wujud di kalangan mereka hanya berbeza dari segi kaedah atau cara untuk mencapai matlamat sahaja. Tidak akan wujud kegawatan politik kerana sebilangan rakyat mempunyai matlamat politik yang sama, iaitu demokrasi. Syarat ketiga ialah kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada sistem pemerintahan dan undang-undang negara. Rakyat mematuhi kepada undang-undang dan yakin bahawa undang-undang dan sistem pentadbiran yang diamalkan mampu memberi perlindungan dan keadilan kepada mereka.
5 1.2.2 Faktor yang Boleh Mempengaruhi Negara Bangsa Ketiga-tiga ciri utama di atas menjadi asas pembentukan negara bangsa mungkin akan tinggal sebagai impian sahaja jika sepuluh perkara berikut tidak diberi perhatian dalam usaha membentuk sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, dan mempunyai nilai yang sama demi kebaikan dan kemakmuran generasi mendatang yang lebih gemilang seperti yang dicadangkan oleh Abd. Rahim iaitu:10 1. Intergrasi Integrasi kaum dan wilayah adalah perkara asas bagi mengukuhkan perpaduan dan penyatuan masyarakat dalam sesebuah negara. Kaumkaum yang telah di integrasi tidak mampu lagi mengekalkan sikap kenegerian, perkauman dan faham kebangsaan yang sempit tetapi mengutamakan matlamat kebangsaan. 2. Nasionaliti Elemen penting dalam kenegaraan dan kewarganegaraan ialah nasionaliti. Konsep asas di sini ialah pemilikan nilai-nilai bersama akan mengikat seorang warganegara yang baik menjadi satu bangsa yang mempunyai kesetiaan, sayang dan sanggup berkorban untuk negara. Perkara yang dimiliki bersama seperti budaya kebangsaan, sistem politik dan bahasa boleh menyatupadukan rakyat yang diiktiraf sebagai nasionaliti kebangsaan. 3. Nasionalisme Nasionalisme sebagai asas membina semangat kekuatan, keyakinan diri, penyatuan dan perpaduan nasional. Nasionalisme kebangsaan yang kuat boleh mengembelengkan semangat, tenaga, keazaman dan cita-cita serta usaha untuk maju. Semua kaum mesti mengutamakan kepentingan nasional daripada kepentingan kaum masing-masing. 4. Patriotisme Patriotisme adalah semangat sanggup berkorban kerana negara. Ia lahir dari perasaan nasionalisme iaitu cintakan negara. Elemen ini menjadikan bangsa itu kuat dan mampu berjuang membangunkan bangsa daripada kemunduran dan penindasan. Sebuah negara bangsa yang kuat perlu kepada rakyat yang mempunyai keberanian, ketahanan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan nasional.
6 5. Globalisme Dalam dunia semakin kecil akibat daripada perkembangan teknologi maklumat telah menjadikan globalisasi sebagai satu ancaman kepada negara bangsa. Pertukaran maklumat yang cepat dan pantas telah menjadikan dunia begitu kecil tanpa sempadan. Oleh yang demikian, nasionalisme dan patriotisme mestilah menjadi benteng terakhir untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh akibat proses globalisasi. 6. Kepelbagaian Budaya Aliran kepelbagaian budaya yang diamalkan oleh pelbagai kelompok etnik boleh menimbulkan cabaran yang serius kepada usaha pembinaan bangsa dan negara. Satu budaya kebangsaan yang boleh diterima oleh semua kaum patut dipupuk dan dimajukan untuk mewujudkan satu budaya yang boleh diterima oleh semua sebagai satu identiti kebangsaan. 7. Pluralisme Sifat pluralisme telah didukung oleh masyarakat bermula sejak zaman penjajahan Inggeris lagi. Dasar pecah dan perintah Inggeris yang membahagikan kaum mengikut sektor telah menghalang perpaduan kaum sebelum merdeka. Sifat pluralisme ini boleh dihapuskan atau dikurangkan melalui penyusunan semula masyarakat. Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan pelbagai dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sebagainya. 8. Liberalisme Fahaman liberalisme yang memberikan kebebasan kepada individu, kelompok dan organisasi tertentu yang tidak terkawal mampu menghalang pembentukan negara bangsa. Keutamaan mengejar kekayaan dan kebendaan telah menjadikan manusia terlalu mementingkan diri sendiri. Sikap seperti ini jika tidak dikawal boleh membelakangkan matlamat dan kepentingan nasional. 9. Neo-Feudalisme Penjelmaan neo-kolonialisme dalam sistem budaya, sosial dan politik menyekat demokrasi. Suasana ini mewujudkan sebilangan kecil elit birokrat dan ahli politik yang kuat dan kebal dari segi undang-undang dalam kerangka perubahan yang mereka buat sendiri perlu diatasi untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia moden.
7 10. Demokrasi Syarat utama membina negara bangsa ialah mewujudkan dan menyebarluaskan fahaman dan amalan demokrasi. Rakyat boleh mengambil bahagian yang aktif dalam membentuk segala keputusan dalam segala hal supaya tidak timbul perasaan tidak puas hati. Kritikan yang membina dan bertanggungjawab harus dibenarkan seluas-luasnya untuk kebaikan bersama. Amalan demokrasi ini boleh melahirkan warganegara yang tahu kebebasan dan tanggungjawab kepada bangsa dan negara. SOALAN DALAM TEKS 1.1 1. Pilih definisi yang betul mengenai negara bangsa. A. Negara yang mempunyai penduduk yang tinggal di situ. B. Negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum. C. Negara merdeka yang mempunyai sempadan dan pemerintah tinggal di situ. D. Negara yang mempunyai sempadan dan pemerintah yang jelas dan sah serta mempunyai penduduk bersatu melalui integrasi. 2. Nyatakan tiga ciri utama negara bangsa. 3. Berikan tiga faktor yang boleh mempengaruhi pembentukan sebuah negara bangsa. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 1.2.3 Proses Pembinaan Negara Bangsa Proses pembentukan sebuah negara bangsa memakan masa yang panjang. Hague dan Harrop menentukan sesebuah negara bangsa hanya terbentuk setelah melalui empat proses berikut:11 (i) State-building (bina negara) (ii) Nation-building (bina bangsa) (iii) Mass participation (penyertaan rakyat) (iv) Politics of distribution (pengagihan nilai-nilai dalam masyarakat)
8 Perubahan dari satu tahap kepada satu tahap di atas adalah berbeza dari satu negara ke satu negara yang lain. Perubahan ini berlaku kerana konflik12 yang terjadi antara etnik atau kaum disebabkan oleh wujud jurang perbezaan yang terlalu besar di antara mereka semasa atau selepas penjajahan Inggeris. Sebarang tindakan untuk memenuhi kehendak dan kepentingan kaum tertentu akan sentiasa disalahertikan oleh kaum yang lain. Apabila berlaku konflik, maka perubahan perlu dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut dan proses pembinaan negara dan bangsa akan memasuki tahap selanjutnya sehinggalah pembentukan sebuah negara bangsa menjadi kenyataan. Di Malaysia pembentukan negara atau ‘state’ yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum hanya dimulakan pada tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan mula melonggarkan pemberian kerakyatan bersyarat kepada penduduk bukan Melayu. Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 yang diperoleh dari Inggeris mengukuhkan lagi asas itu dan diikuti pula penubuhan Malaysia pada tahun 1963 sebagai tanda pembentukan negara Malaysia yang berdaulat.13 Pada waktu itu, Malaysia hanya mendapat sebuah negara ‘state’ daripada Inggeris sebagai simbol kemerdekaan. Malaysia diperintah oleh Parti Perikatan yang sah dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Bagaimanapun, penduduk yang tinggal di Malaysia masih belum diintegrasikan sebagai sebuah bangsa. Mereka masih dikenali mengikut kaum dalam segala bidang. Pada tahap pertama ini, interaksi dan perpaduan kaum berada pada tahap yang paling rendah. Pada tahap kedua, memperlihatkan berlakunya perhubungan awal yang longgar antara kaum. Perhubungan longgar antara kaum yang dipisahkan oleh jurang perbezaan yang sangat besar ini dijelaskan oleh Furnivall sebagai mempunyai ciri-ciri masyarakat majmuk14 apabila terdapat lebih daripada satu etnik termasuk penduduk bumiputera yang tinggal di situ, mereka bercampur tetapi tidak bersatu, tinggal berdekatan tetapi terpisah, mengamalkan budaya, pekerjaan dan pendidikan yang berbeza. Pada tahap ini, interaksi antara mereka berada pada paras minimum seperti mereka hanya bertemu di pasar ketika menjalankan urus niaga sahaja. Pada tahap ketiga, perhubungan kaum menjadi agak rencam, pelbagai dan saling bergantung yang akhirnya memerlukan kepada satu iklim persefahaman yang harmoni bagi mendamai dan memenuhi kepentingan kaum supaya perpaduan dapat diwujudkan. Kemudian jurang perbezaan yang wujud di antara mereka cuba dirapatkan, persamaan dan kerjasama antara kaum dicari serta diperluaskan sebagai ikhtiar mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Pada tahap ini, masyarakat telah diintegrasikan ke dalam satu bangsa yang bersatu dengan memiliki nilainilai yang sama, dan membentuk sebuah negara bangsa Malaysia.
9 1.3 NEGARA BANGSA MALAYSIA Dunia sekarang sedang memasuki “gelombang ketiga” itu ledakan teknologi maklumat. Teknologi yang berkembang pesat ini menyediakan rangkaian lebuh raya maklumat yang membolehkan manusia berhubung dan bertukar maklumat di seluruh dunia dalam masa yang pantas. Fenomena ini telah menjadikan dunia begitu kecil seperti ‘desa sejagat’. Perkembangan mutakhir ini telah menimbulkan banyak persoalan mengenai perlunya sebuah negara bangsa Malaysia. Pendapat yang mengatakan Malaysia tidak perlu negara bangsa dan rakyat yang bersatu padu, mempunyai semangat nasionalisme serta patriotisme adalah tidak tepat. Nasionalisme masih perlu sebagai senjata untuk memelihara keutuhan negara dan membina kekuatan dalaman daripada ancaman asing dalam bentuk baru seperti globalisasi.15 Kita harus menerima hakikat bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dengan pelbagai budaya serta bimbang akan dijajah, maka nasionalisme masih perlu ditanam setiap jiwa rakyat Malaysia. Jurang perbezaan besar yang wujud antara kaum telah sengaja dibuat sejak zaman penjajah Inggeris lagi bagi memenuhi kehendak dan matlamat mereka untuk mencari keuntungan.16 Perpecahan dan perasaan kekitaan yang begitu tebal di kalangan rakyat pada di waktu itu menjadi penghalang wujudnya semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme sebelum perang adalah berteraskan kepada kaum. Orang bukan Melayu masih menumpukan perhatian mereka ke tanah besar China dan India kerana mereka tidak menganggap Tanah Melayu sebagai tanahairnya, sementara orang Melayu menumpukan perhatian kepada Timur Tengah dan Indonesia sebagai teras perjuangan mereka.17 Keadaan berpuak-puak penduduk Malaysia masih jelas kelihatan walaupun negara telah mencapai kemerdekaan. Semasa kita mencapai kemerdekaan sebenarnya kita hanya mendapat sebuah negara ‘state’ daripada penjajah Inggeris. Konsep bangsa ‘nation’ yang sebenarnya belum wujud lagi kerana penduduk pada masa itu didukung oleh faham perkauman yang terlalu tebal. Perasaan iri hati dan tidak percaya antara kaum berleluasa sehingga akhir meletus tragedi 13 Mei 1969.18 Banyak dasar kerajaan dijalankan seperti Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK), Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang bertujuan menyusun semula masyarakat. Namun sehingga hari ini jurang perbezaan antara kaum masih lagi besar. Struktur sosial, ekonomi dan politik masih tidak banyak yang berubah. Justeru itu tidak hairanlah jika ada sarjana yang membuat kesimpulan bahawa Malaysia belum lagi mencapai taraf negara bangsa tetapi sebagai satu negara banyak bangsa.19 Menyedari hakikat ini, tibalah masanya bagi negara mengorak langkah untuk melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang belum terlaksana. Keperluan untuk Malaysia melahirkan
10 sebuah bangsa ini pernah disokong oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya semasa pelancaran Rancangan Pemasyarakatan Perpaduan di Kuala Lumpur: “… kita menjadi bangsa Malaysia hanya sebagai politikal identiti sahaja, … matlamat kita ialah satu bangsa Malaysia yang mudah dikenali sebagai unik bagi warganegara Malaysia tanpa menghapuskan unsur-unsur budaya kaum-kaum yang berlainan keturunan”. 20 Walaupun pada zahirnya kita tidak nampak usaha penjajahan seperti yang pernah dilakukan oleh penjajah akan berlaku lagi, namun kita harus waspada kepada ancaman luar dan neo-kolonialisme. Apakah jaminan negara yang sudah merdeka tidak akan dijajah lagi? Nikmat yang dikecapi akan hilang dalam sekelip mata sekiranya berlaku kecuaian, kelalaian dan sebab-sebab lain. Dalam keadaan dunia memasuki zaman semakin maju dan canggih, penjajahan, penindasan dan penghinaan ke atas kita boleh dirangka dalam pelbagai bentuk baru sama ada melalui minda, gaya hidup dan sebagainya. Musuh negara ada di mana-mana, mereka sentiasa mencari jalan untuk memecahbelahkan keharmonian kaum dan ingin menjatuhkan negara dengan apa cara sekalipun. Jika kita leka, cuai dan lupa kepada sejarah, tidak mustahil Malaysia akan jatuh sekali lagi ke tangan musuh. Perpecahan dan konflik kaum yang berlaku di dunia akhir-akhir ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita supaya lebih waspada.21 Di sinilah letaknya kepentingan semangat nasionalisme dan patriotisme di kalangan rakyat yang boleh dipupuk melalui pendidikan sejarah yang terdapat dalam kursus Kenegaraan Malaysia. Nasionalisme mesti dipupuk dan disebarluaskan kerana ia akan melahirkan pula semangat patriotisme, iaitu sanggup berkorban demi negara seperti berjuang mempertahankan negara daripada ancaman asing.22 Bagaimanapun, nasionalisme yang hendak ditanam mestilah melihat nasionalisme yang positif. Nasionalisme sempit yang berpaksikan perkauman hendaklah ditolak. Ia hanya mendorong kepada perpecahan lantas mengundang kepada kemunduran kerana konflik dan peperangan yang berpanjangan. Nasionalisme Malaysia yang tidak berteraskan kepada perkauman diharapkan dapat mengikat rakyat menjadi bangsa Malaysia yang bersatu padu. Usaha mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan adil pada masa depan perlu bermula dari sekarang yang penuh dengan kebimbangan dan ketidakpastian. Masa depan bangsa Malaysia yang unggul dengan kerjasama, perpaduan, tolak ansur hanya wujud jika batas-batas perkauman dan jurang ketidaksamaan pembahagian antara kaum menjadi kabur melalui dasar-dasar kerajaan yang dijalankan.23
11 Perasaan mencintai negara akan wujud jika rakyat mengetahui fakta sejarah negara. Melalui sejarah seseorang itu akan dapat mengetahui dan memahami berbagai peristiwa termasuk pertumbuhan, perkembangan dan pembangunan malah kemerosotan sesebuah negara, bangsa dan masyarakat. Pengetahuan dan pemahaman tentang asal usul dan perkembangan tamadun manusia masa lampau boleh membantu generasi hari ini menghargai segala bentuk warisan, usaha dan sumbangan manusia yang terdahulu. Penghargaan ini boleh mendorong seseorang itu memiliki perasaan bangga dan sayang kepada diri, keluarga, bangsa dan tanah air sendiri. Di samping itu, ia juga boleh dijadikan panduan untuk kita menjalani masa depan yang lebih cemerlang dengan mengambil iktibar supaya kita terlepas daripada mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh generasi yang terdahulu. Pendidikan sejarah Malaysia boleh menjamin kestabilan politik dalam bentuk mewujudkan asas jati diri, meningkatkan rasa kepunyaan dan seterusnya membangkitkan perasaan cinta dan bangga yang agung kepada negara. Perasaan cinta kepada negara boleh timbul jika kita memahami latar belakang sejarah sesebuah negara. Sebagai contoh, orang bukan Melayu dengan lapang dada akan menerima Malaysia sebagai negaranya jika mereka tahu pengorbanan orang Melayu dan UMNO semasa pilihanraya umum tahun 1955. Orang Melayu boleh memenangi pilihanraya tanpa perlu bekerjasama dengan MCA dan MIC, kerana majoriti pengundi pada masa itu adalah orang Melayu.24 Masyarakat Melayu merupakan teras negara, namun kita tidak harus menafikan kewujudan masyarakat lain yang telah turut sama menyumbang kepada kekukuhan dan kemantapan negara Malaysia sehingga hari ini. Kepentingan sejarah sesuatu bangsa khasnya harus berteraskan kepada sejarah masyarakat peribumi bagi pemantapan pembinaan negara bangsa. Dalam hal ini, masyarakat Melayu harus menjadi tunggak ketuanan, patriotisme dan nasionalisme negara bangsa. Ini boleh memastikan keutuhan negara dan bangsa akan terjamin. Budaya sebagai teras keutuhan dan kekuatan bangsa amat penting walaupun setelah pencerobohan kuasa asing. Ia akan terus berperanan walaupun ketika masyarakat khususnya orang Melayu berada di luar rantau Melayu. Sebab itulah sejarah penting bagi melanjutkan usaha pembinaan bangsa dan negara berdasarkan peristiwa masa lampau, dan membentuk perubahan yang bersesuaian dengan keadaan semasa dalam membina dan menghadapi cabaran paradigma baru.
12 SOALAN DALAM TEKS 1.2 1. Apakah faktor yang menggerakkan perubahan berlaku semasa proses pembinaan negara bangsa? A. Integrasi B. Kerjasama C. Konflik D. Permuafakatan 2. Nyatakan empat tahap yang perlu dilalui oleh sesebuah negara sebelum menjadi negara bangsa. 3. Berikan tiga ciri masyarakat majmuk. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 1.4 KESIMPULAN Walaupun Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara maju dan terdedah kepada globalisasi yang melanda akibat daripada ledakan teknologi maklumat, pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu masih diperlukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada masyarakat majmuk. Jika penduduk Malaysia masih ditentukan dengan garis perkauman yang tebal di antara mereka bermakna Malaysia terdedah kepada konflik perkauman yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja seperti sebutir bom jangka. Begitu juga dengan ancaman luar yang akan datang tidak kira masa dalam berbagai bentuk sama ada secara langsung atau tidak langsung. Negara tidak akan maju kerana masa dan kos yang tinggi digunakan untuk menangani masalah ini. Usaha kerajaan dalam menyusun semula masyarakat melalui dasar-dasar yang dijalankan selepas peristiwa 13 Mei 1969 merupakan langkah baik menuju pembentukan sebuah negara bangsa. Semangat nasionalisme menjadi pemangkin dan pelengkap kepada usaha kerajaan ini. Setiap warganegara sepatutnya bersedia menggantikan nasionalisme sempit berasaskan perkauman kepada nasionalisme kebangsaan lantas melahirkan pula semangat patriotisme yang tidak berbelah bagi terhadap negara.
13 Generasi hari ini harus menilai kedudukan masyarakat pada masa dahulu dan menjadikannya sebagai iktibar untuk membentuk sebuah negara bangsa Malaysia baru yang bersatu padu, dihormati dan berdaulat melalui pembelajaran dan penghayatan kursus Kenegaraan Malaysia. SOALAN PENILAIAN KENDIRI 1. Pilih kenyataan yang BETUL mengenai negara bangsa. A. Negara bangsa tidak penting lagi kerana dunia sedang memasuki era ledakan teknologi maklumat. B. Negara bangsa wujud dari nasionalisme sempit yang didukung oleh penduduknya. C. Negara bangsa penting kepada negara yang belum maju dan mempunyai penduduk yang berbagai kaum dan budaya. D. Nasionalisme bukan merupakan syarat utama pembentukan negara bangsa. 2. Pilih kenyataan yang BETUL mengenai masyarakat majmuk. I Bahasa ibunda yang berbagai-bagai. II Agama dan kaum yang berlainan. III Kepelbagaian adat resam. IV Sistem politik mengikut kaum. A. I, II dan III B. I, II dan IV C. II, III dan IV D. I, II, III dan IV 3. Berikut adalah penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan KECUALI A. Mengukuhkan perpaduan. B. Mengetepikan semua kebudayaan lain. C. Melambangkan keperibadian negara. D. Menggayakan cara hidup masyarakat Malaysia.
14 4. Pilih kenyataan yang BETUL mengenai nasionalisme. I Gerakan mendapat kembali kedudukan yang unggul dalam negara sendiri. II Gerakan kesedaran untuk memperluas identiti bangsa kepada pihak lain. III Gerakan yang memperlihatkan kekuasaan atau kekuatan sesuatu bangsa. IV Gerakan memperlihatkan kesetiaan kepada tanah air. A. I dan II B. I dan IV C. II dan III D. II dan IV 5. Nyatakan dua sebab kenapa Malaysia perlu membentuk sebuah negara bangsa. 6. Apakah bentuk nasionalisme yang diamalkan di Malaysia sebelum merdeka? Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini. JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS SDT 1.1 1. D. 2. Tiga ciri negara bangsa ialah (i) Masyarakat yang bersatu padu. (ii) Sebilangan besar penduduk mengamalkan ideologi politik yang sama iaitu demokrasi liberal. (iii) Kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap sistem pemerintahan dan undang-undang negara. 3. Pilih tiga daripada sepuluh berikut: Integrasi Nasionaliti Nasionalisme
15 Patriotisme Globalisme Kepelbagaian budaya Pluralisme Liberalisme Neo-feudalisme Demokrasi. SDT 1.2 1. C 2. Empat tahap pembentukan negara bangsa ialah (i) state building (bina negara). (ii) nation building (bina bangsa). (iii) mass participation (penyertaan rakyat). (iv) politics of distribution (pengagihan nilai-nilai dalam masyarakat). 3. Tiga ciri masyarakat majmuk ialah (i) Penduduk berbilang kaum. (ii) Amalkan berbilang budaya. (iii) Interaksi kaum sangat longgar.
17 BAB 2 SISTEM MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL SEBAGAI ASAS PEMBINAAN NEGARA OBJEKTIF BAB Setelah anda mengikuti bab ini, anda seharusnya dapat: 1. Memahami struktur masyarakat Melayu tradisional. 2. Menghuraikan sistem poltik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu tradisional. 3. Mengenal pasti nilai-nilai murni dalam sistem masyarakat Melayu tradisional yang dijadikan asas dalam pembinaan negara. 2.1 PENGENALAN Apabila membicara atau menggambarkan perihal sistem masyarakat Melayu tradisional (selepas ini ditulis masyarakat Melayu tradisi atau MMT sahaja), ia merupakan satu perbincangan pensejarahan atau kehidupan kemasyarakatan yang tidak boleh dipisahkan dari merujuk kepada zaman Kesultanan Melayu Melaka (KMM). Titik tolak permulaan pada zaman ini kerana telah wujudnya sebuah kerajaan yang dapat membentuk sebuah masyarakat Melayu yang mempunyai sistem dan strukturnya tersendiri. Apa yang lebih dipentingkan lagi ialah keupayaan sesetengah dari sistem dan struktur tersebut telah dapat dikekalkan dan diterima pakai sehingga ke hari ini. Sama ada MMT sebelum dari zaman KMM sudahpun mempunyai tradisi-tradisinya, perbincangan ini tidaklah memberikan tumpuan kepada persoalan itu kerana telah banyak diperbincangkan1 oleh sarjana dan di luar skop penulisan modul ini. MMT merupakan satu istilah. Pendefinisiannya haruslah merujuk kepada definisi siapa itu orang Melayu dan zaman tradisi yang diwakilinya.2 Secara umumnya, MMT boleh ditakrifkan sebagai satu gambaran orang Melayu yang mengamalkan sesuatu adat-istiadat (kebiasaan) yang telah sebati dan kekal secara turun temurun dalam kehidupan mereka. Ini memberi erti bahawa mereka tidak begitu terpengaruh dengan perubahan dan suasana sekeliling. Dalam erti kata lain, perubahan diterima dengan penyesuaian keadaan setempat. Dengan ini unsur-unsur tradisi dari segi politik, ekonomi dan sosial yang ada pada masyarakat Melayu dapat dikekalkan sepanjang zaman.
18 SOALAN DALAM TEKS 2.1 1. Kenapakah KMM menjadi titik mula bagi membincangkan MMT? Semak jawapan anda di akhir bab ini. 2.2 KONSEP-KONSEP PENTING 1. Sistem Kamus Dewan mendefinisikan ‘sistem’ sebagai “cara atau kaedah yang teratur dan tersusun baik-baik (yang biasanya dijadikan pegangan) untuk melakukan sesuatu”.3 2. Struktur Struktur merupakan pola-pola atau corak (patern) yang wujud secara relatif di antara elemen-elemen yang terdapat dalam struktur itu. Elemenelemen tersebut ialah kelompok, institusi, hierarki, dan norma-normanya. 3. Ke -RAJA -an Dalam MMT, Ke-Raja-an menggambarkan sebuah pemerintahan atau sebuah kerajaan yang memerintah, bukannya konsep negeri atau negara sebagaimana pengertian hari ini. Ia juga sering dipanggil Ke-Sultan-an. Ke-RAJA-an juga membawa maksud kekuasaan Raja ke atas pemerintahannya yang berpusat. Raja itu Kuasa atau kata-kata Raja itu ialah undang-undang. Dengan kata lain, Raja berkuasa mutlak. Maka pada masa itu sesebuah kerajaan akan dikenali seperti Kerajaan Melayu Melaka atau Kesultanan Melayu Melaka4 , Aceh, Kedah, Patani, Perak, Pahang, Brunei dan lain-lainnya. 4. Melayu Gambaran tentang siapakah orang Melayu, ciri-ciri dan sifat-sifatnya pada masa itu telahpun ditulis dengan panjang lebar oleh pengarang seperti Sir Frank Swettenham, Sir Hugh Clifford, Richard Winstedt dan lain-lainnya (Lihat huraian mereka seperti dalam senarai bacaan). Apa yang diistilahkan sebagai Melayu dalam perbincangan ini ialah dari segi lokasinya iaitu orang Melayu di Semenanjung Malaysia sebagai mewakili sebahagian besar Melayu di Alam Melayu.
19 SOALAN DALAM TEKS 2.2 1. Apakah anda telah memahami konsep-konsep yang diper-bincangkan? Semak jawapan anda di akhir bab ini. 2.3 PENEMPATAN 1. Lokasi Sesebuah Kerajaan Melayu digambarkan bermula dengan sebuah penempatan di kuala atau di tepi sungai yang mempunyai ciri-ciri asas seperti ada nilai strategik (pertahanan), berpotensi berkembang (politik dan wilayah) dan mempunyai kemudahan jalan laluan (ekonomi dan perdagangan). Sebagai contoh, Kerajaan Melayu Melaka dibuka di Kuala Sungai Melaka yang mempunyai sebuah bukit di sebelah kanan mudik (Bukit China dan bukit Kota A Famosa) yang amat sesuai untuk dijadikan Pos Pemerhati. Di sepanjang sungainya wujud satu lembahan yang sesuai dijadikan kawasan penempatan penduduk dan juga untuk aktiviti pertanian. Manakala di kuala sungainya yang dalam dan dilindungi oleh pulau-pulau kecil, menjadikan ia terhalang dari tiupan angin kencang. Ini membolehkan Kuala Sungai Melaka amat sesuai untuk dijadikan sebuah pelabuhan yang boleh menguasai laluan di Selat Melaka dan juga laluan darat di kawasan pedalamannya. Faktor-faktor ini kemudiannya telah menjadikan nama Kerajaan Melayu Melaka terkenal ke seluruh dunia. Melalui rangkaian penempatan di tepi sungai mahupun di tepi pantai yang kemudiannya berkembang ke pedalaman telah dapat membentuk kelompok penempatan yang lebih meluas atau penempatan baru. Penempatan-penempatan ini akhirnya membentuk satu kelompok pemerintahan. Biasanya kelompok pemerintahan ini tidak akan berkembang maju sehinggalah ia didatangi oleh seorang Raja atau Sultan yang akan memberikan pemerintahannya. Inilah yang telah dibuktikan oleh sejarah mengenai kewujudan sistem pemerintahan di Melaka, Kedah atau Perak misalnya. Di Kuala Sungai Melaka digambarkan telah mempunyai perkampungan nelayan sebelum Parameswara berhasrat membuka sebuah kerajaan di situ. Begitu juga dengan Perak yang telah mempunyai pemerintah atau ketua-ketua tempatan di hulu, hilir, darat dan baruhnya sebelum ketibaan Sultan pertama yang menubuhkan Kerajaan Melayu Perak.5
20 Sebuah penempatan yang paling asas, dikenali sebagai kampung atau nama tradisinya dusun. Ia diketuai oleh seorang ketua yang dipanggil ketua kampung atau tok empat atau penghulu. Biasanya sebuah kampung didiami oleh sebuah keluarga besar ataupun oleh beberapa buah keluarga yang menjadi peneroka awal. Biasanya kampung dibuka (diterokai) kerana mempunyai potensi menjadi sebuah kawasan sawah padi (bendang) dan dusun buah-buahan (pertanian), di samping menjadi tempat perlindungan daripada bencana peperangan, melarikan diri daripada penindasan atau serangan wabak penyakit berjangkit. Ada juga kadangkala sesuatu tempat yang telah dijadikan tempat persinggahan bermalam (sementara) bagi laluan darat kemudiannya diterokai menjadi sebuah perkampungan yang baru. Biasanya ia mempunyai kriteria di atas, iaitu mudah sumber air untuk tujuan pertanian. Bagi sebuah penempatan MMT yang telah berkembang, ia mempunyai kawasan tempat tinggal (rumah-rumah) di tepi sungai. Rumah-rumah ini biasanya memanjang mengikut arah hulu sungai dan di sekelilingnya di tanam dengan pokok kelapa dan pokok buah-buahan kekal (dusun) seperti durian, langsat, cempedak, petai, nangka, manggis, rambai dan sebagainya yang mengikut keutamaan dan kesesuaian setempat. Di atas atau pedalaman dari kawasan ini dijadikan kawasan tanaman kontan dari jenis sayur-sayuran seperti ubi dan labu, jagung, tebu, dan pisang. Pada masa awal penerokaan, ditanam padi huma atau padi bukit yang dibuat serentak dengan tanaman kontan. Kawasan inilah juga kemudiannya menjadi tempat awal penanaman getah setelah kedatangan penjajah. Kawasan tanaman padi (sawah atau bendang) pula tidak jauh dari sini, di kawasan yang biasanya ada anak bukit dan anak sungai kecil yang membentuk kawasan paya yang luas dan mempunyai tahap kesuburan yang tinggi. Inilah kawasan yang dijadikan sawah semasa musim hujan dan dijadikan tempat makan binatang ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau pada musim panas.6 2. Kegiatan Kemasyarakatan Bagi kegiatan bermasyarakat seharian, masjid atau surau dan pasar-pasar sehari (atau dalam istilah masyarakat di Sabah dipanggil Tamu dan bagi masyarakat di utara Kedah dan Perlis dikenali dengan Nat) menjadi tempat berkumpul masyarakat. Masjid atau surau menjadi tempat mengerjakan ibadah khusus (kegiatan keagamaan) dan pendidikan, serta dijadikan tempat berkumpul bagi membincangkan hal-hal kemasyarakatan. Sebab itulah kita dapat melihat sehingga ke hari ini, ruang-ruang yang terdapat di sesebuah masjid itu mestilah mengandungi ruang sembahyang, bahagian anjung untuk tempat berbicara (tempat bersembang atau berlabun) yang terpisah dari ruang sembahyang dan
21 tempat mengambil air sembahyang (kolah dan telaga jika tempatnya jauh dari sungai). Ketiga-tiga ruang ini biasanya berada dalam satu bangunan utama masjid atau surau bagi memudahkan pergerakan. Kegiatan di masjid bermula dengan mengambil air sembahyang, berhenti di ruang berbicara dan masuk ke dalam bagi menunaikan sembahyang (solat). Ataupun masuk ke ruang berbicara kemudiannya baru mengambil air sembahyang di ruang yang hanya bersebelahan sahaja, lepas itu barulah bersembahyang. Manakala di luar bangunan utama ini akan didirikan tempat memasak dan tempat bermayang bagi menjalankan kerja-kerja masakan terutamanya untuk kegiatan bulan puasa dan harihari perayaan kebesaran agama. Sayugia diingatkan bahawa susunan ruang bangunan sebegini bagi menyesuaikan dengan keadaan setempat dan semasa. Syarat bagi mendirikan masjid bagi sesebuah kariah mestilah pemastautin lelaki balighnya melebihi 40 orang. Dengan itu tidak semua kampung mempunyai masjid. Beberapa buah kampung yang dikumpulkan menjadi mukim, disitulah yang akan didirikan masjid— biasanya di kampung yang ketuanya berjawatan lebih kanan dan kampung itu merupakan kampung asal lagi utama. Oleh yang demikian, tempat-tempat atau ruang yang dinyatakan di atas amatlah diperlukan oleh para jemaah yang datang dari kampung sekitar dengan cara berjalan kaki ataupun berperahu menggunakannya sebelum menunaikan sembahyang. Lebih-lebih lagi bagi menunaikan sembahyang Jumaat. Kegiatan pendidikan dibuat pada pagi Jumaat sehinggalah sampai waktu sembahyang yang dijalankan oleh guru-guru agama dari mukim lain ataupun imam-imam tempatan. Bagi kampung-kampung yang tidak mempunyai masjid, surau akan memainkan peranan. Susunan ruangnya adalah lebih mudah dengan hanya ada ruang sembahyang dan tempat membasuh kaki di tepi tangga untuk naik ke surau. Biasanya surau ini terletak di tepi sungai dan berhampiran dengan rumah ketua kampung. Selain dari belajar sesama sendiri dengan imam di kampung, imam dari masjid atau guru agama tempatan juga akan datang mengajar pada malam-malam tertentu dalam setiap bulan. Biasanya imam ini akan bermalam di kampung tersebut bagi membolehkannya mengajar kaum wanita (ibu) pada sebelah petang dan mengajar kaum bapa pula pada waktu antara Maghrib dengan Isya’. Bagi kanak-kanak dan orang dewasa, mereka hanya belajar (istilah masa itu mengaji) al-Quran dan fardu ain di rumah imam atau orang kampung yang berkebolehan seperti bilal, (biasanya dipanggil pak lebai) siak, atau di rumah keluarga induk yang berilmu dan berkebolehan mengajar alQuran.7
22 Manakala pasar pula menjadi tempat berjual beli (perniagaan) dan bertukar-tukar barangan. Dalam keadaan masyarakat yang mengamalkan kehidupan yang mudah atau secukup hidup, proses berjual beli tetap juga berlaku. Ini kerana tidak semua masyarakat dapat menyediakan keperluannya sendiri. Ada yang perlu didapati dari orang lain atau daripada tempat lain. Maka akan berlakulah pertukaran barang atau proses jual-beli. Proses ini tidaklah berlaku setiap hari kerana faktor jalan laluan, pengangkutan dan masa bagi mengumpulkan barang-barang tersebut. Tempat bagi bertukar barangan dan jual-beli ini ialah pasar sehari di tempat-tempat tertentu yang biasanya di kuala sungai atau anak sungai yang mudah mempertemukan orang ramai. Penduduk setempat membawa hasil pertanian dan ternakan yang boleh ditukar atau dijual, manakala pedagang dari luar (dalam konteks ini masih orang Melayu tetapi datang dari luar kawasan-mukim atau daerah) membawa barang dagangan mereka. Setelah berlaku pertukaran barang atau berjual beli, mereka balik semula ke destinasi masing-masing. Bagi penduduk setempat masa pergi dan balik selalu dilakukan beramai-ramai dengan perahu, rakit ataupun berjalan kaki. Di sini juga berlakunya proses asimilasi dan permuafakatan setempat. Pergerakan terpaksa dilakukan secara beramai-ramai atau berkumpulan kerana faktor pengangkutan dan juga kerana masalah keselamatan. Walaupun pada umumnya hampir setiap keluarga mempunyai perahu sebagai alat pengangkutan, tetapi dengan cara bergerak beramai-ramai akan lebih menjaminkan keselamatan dari ancaman binatang buas, karam dalam sungai ataupun dirompak di tengah perjalanan. Pergerakan sebegini juga akan lebih mempereratkan lagi silaturrahim sesama mereka dengan adanya semangat tolong menolong dan saling membantu. Maka kelihatanlah masyarakat berada dalam suasana bermuafakat kerana amat berpegang kepada adat dan agama sebagaimana digambarkan oleh ungkapan “hukum bersendikan adat, adat bertiangkan agama”. Dalam erti kata lain, adat dan agama telah dapat menyatu dan memperatkan perhubungan dan pergaulan dalam MMT. 3. Faktor Penyatuan Dalam konteks bernegara seperti hari ini, MMT tidak dapat memperlihatkan gambaran suasana sedemikian. Ini kerana konsep negara dan bangsa dalam sebuah kerajaan Melayu tidak begitu jelas. Rakyat sering mengaku menjadi “rakyat jelata” atau “orang”, seperti rakyat Sultan Kedah atau orang Perak (oghang Peghak). Walaupun begitu, penyatuan yang boleh memberikan persamaan kepada semua MMT di seluruh pelusuk Alam Melayu ialah penggunaan bahasa Melayu dan perkembangan sasteranya yang sama, corak kehidupan sederhana yang penuh dengan budi bahasa dan susur budayanya, agama Islam yang
23 menjadi anutan dan pegangan serta pemilikan ke atas tanah adalah hakmilik Raja (tidak ada pemilikan kekal kecuali atas anugerah). Oleh yang demikian, dalam MMT tidak ada batas sempadan kekal (tetap) yang bertanda, yang akan memisahkan antara sesama penduduk tetapi hanya ada perakuan kawasan dan tanda kesetiaan. Kekuatan sesebuah kerajaan diukur pada bilangan (ramai) penduduk yang memperakui kekuasaan pemerintahan dengan memberi kesetiaan, bukannya kepada keluasan kawasan secara mutlak. SOALAN DALAM TEKS 2.3 1. Secara ringkas, nyatakan perihal penempatan dalam mencorak MMT. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 2.4 PENDUDUK MMT boleh diklasifikasikan kepada dua kelas,iaitu pemerintah dan rakyat. Golongan pemerintah terdiri daripada Raja/Sultan, kerabat terdekat, pembesar istana dan pembesar tempatan. Golongan rakyat pula terdiri daripada rakyat bebas dan golongan hamba. Mereka ini tinggal di sepanjang tepi sungai yang sesuai dan di tepi laut dengan membentuk sebuah penempatan yang berkembang menjadi mukim, daerah/jajahan dan negeri (dalam istilah hari ini). Penempatan juga berkembang ke pedalaman (darat), iaitu ke hulu lembahan sungai yang berakhir ke kaki bukit. Kedudukan atau lokasi sesuatu penempatan akan mencorak bentuk jenis pekerjaan penduduknya. Pada asalnya merupakan satu bentuk pekerjaan untuk keperluan asas seharian sahaja. Akhirnya pekerjaan asas ini menjadi pekerjaan utama yang berupaya mengeluarkan hasil keluaran tempatan. Pada umumnya penduduk mengusahakan kawasan pertanian bagi menghasilkan keperluan makanan sendiri. Jika ada lebihan akan digunakan sebagai keperluan pertukaran ataupun simpanan semasa kecemasan. Di samping itu dilakukan juga usaha-usaha mencari hasil bumi dan galian, hasil hutan atau hasil laut secara sambilan berselang seli dengan kerja utama pertanian. Bagi yang kerja utamanya ke laut, mereka akan beralih ke kerja galian dan hutan semasa musim tengkujuh. Ataupun mereka akan pergi ke pulau-pulau yang mempunyai gua untuk mengeluarkan hasil sarang burung atau hasil lainnya seperti baja.
24 Secara keseluruhannya, penduduk mempunyai satu sistem kehidupan yang sederhana dengan ekonomi sara diri dan bertukar barangan perniagaan yang dijalankan sesama sendiri antara penduduk di tepi pantai dengan di tepi sungai dan lembahannya. Orang tengah (pengantara) dalam perniagaan ialah pemerintah dan pemimpin tempatan. Perniagaan diperluaskan dengan kawasan jiran tetangga melalui jalan darat atau laut. Perkembangan dalam kehidupan juga kemudiannya menjadikan sebahagian kecil penduduk menjadi pedagang-pedagang sehingga ke peringkat antarabangsa (dunia luar).8 SOALAN DALAM TEKS 2.4 1. Senaraikan klasifikasi MMT bersama-sama dengan pecahannya. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 2.4.1 Pemerintah Secara umum, susun-lapis golongan pemerintah dari kedudukan tertingginya ialah Raja atau Sultan. Diikuti oleh kerabat terdekat yang terdiri dari kalangan isteri-isteri, ibu-ibu, anak-anak, adik beradik dan bapa serta emak saudara bersama anak-anak mereka. Kelompok ini dibantu oleh pembesar istana yang diketuai oleh Bendahara, diikuti oleh Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari, Ketua Hulubalang (Hulubalang Besar) dan lain-lain Orang Besar Istana. Satu lagi kelompok pemerintah yang penting ialah Pembesar Tempatan yang diistilahkan sebagai Orang Besar Empat Lipatan dengan gelarannya Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua, Dato’ Penghulu dan Ketua Kampong. Mereka menjalankan tugas di mana penempatan mereka didirikan berasaskan kedudukan dan statusnya dalam hierarki pemerintahan. 2.4.2 Rakyat Kalangan rakyat terbahagi kepada rakyat bebas dan golongan hamba. Rakyat bebas terdiri daripada kalangan orang kaya (berharta), ahli agama, orang yang ada kepandaian yang dikenali sebagai utas, tukang atau pandai dalam bidang membuat senjata, emas, perahu, rumah, pemuzik atau ahli Nobat dan kerja perbomohan serta mengurut. Rakyat jelata juga terdiri
25 daripada kalangan peniaga dan pedagang, dan orang biasa yang menjadi petani, penternak atau nelayan. Kelompok rakyat jelata ini boleh menaikkan taraf mereka dengan kehendak pemerintah kerana telah membuat jasa dan bakti atau melalui perkahwinan. Maka wujudlah di kalangan mereka ini Orang Bernama, Berjasa atau Bergelar. Bagi kalangan hamba pula, mereka menjadi sedemikian kerana warisan dari keturunan, berhutang, hukuman, tawanan atau kerana kemahuan sendiri untuk menghambakan diri atas sebab dan alasan tertentu.9 2.5 MASYARAKAT SETEMPAT Masyarakat Melayu meliputi satu rumpun suku-kaum yang besar. Jika di lihat dari segi kawasan penempatannya, ia meliputi dari kawasan Champa di Indo-China sampai ke kepulauan Madagaskar di Afrika. Namun apa yang diperbincangkan di sini hanyalah kepada suku-kaum yang ada di Semenanjung Malaysia sahaja. Mereka itu boleh dibahagikan kepada tiga kelompok utama. Pertama ialah orang Melayu yang berasal di sini (tanpa mengambil kira lagi pandangan yang mengatakan mereka ini juga asalnya datang dari sebelah utara). Kedua ialah orang Melayu mendatang dari Sumatera terdiri daripada orang Aceh, Pasai, Minangkabau, Riau, Mendeleng dan Rawa; dari Kalimantan, terdiri daripada orang Banjar; dari Jawa terdiri daripada orang Jawa dan Sunda; dan orang Bugis pula dari Sulawesi. Dari sebelah utara pula ialah kalangan masyarakat Patani dan Siam yang membentuk masyarakat Sam-Sam, iaitu satu kelompok masyarakat yang mengakui sebagai orang Siam tetapi mengamalkan adat istiadat, cara kehidupan dan agama orang Melayu, kecuali masih berbahasa Siam lama (Selatan). Manakala kelompok ketiga ialah orang luar yang telah membentuk satu lagi kelompok baru masyarakat Melayu. Mereka ialah daripada kalangan orang Arab dan India Muslim yang telah mengasimilasikan kehidupan dengan orang Melayu. Proses ini adalah melalui perkahwinan antara mereka yang kebanyakannya pendakwah Islam dan juga pedagang-pedagang dengan anak perempuan golongan pemerintah dan orang besar. Perkembangan ini telah membentuk satu lagi kelompok Melayu yang dikenali sebagai Melayu keturunan Arab dan juga Jawi Pekan atau Orang Peranakan (Anak Mami). Sebahagian mereka tinggal dalam kelompok sendiri dan ramai yang tinggal bersama kelompok besar Melayu.10
26 SOALAN DALAM TEKS 2.5 1. Huraikan kelompok-kelompok yang terdapat dalam MMT. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 2.6 BIDANG PEKERJAAN DAN HASIL KELUARAN Pekerjaan utama MMT banyak dipengaruhi oleh tempat tinggal mereka. Bagi yang tinggal di tepi laut, mereka menjadi nelayan dan juga pedagang. Manakala di tepi sungai dan pedalaman, menjadi petani atau istilah pada masa itu ialah “buat bendang”. Namun begitu, oleh kerana kerja nelayan dan buat bendang mengikut musim, maka mereka juga melakukan kerja sampingan sementara menunggu tiba kembali musim kerja utama. Antara kerja-kerja yang dilakukan dalam bidang pertanian ialah menanam padi. Dalam masa yang sama atau secara bermusim mereka menanam lada, buah pinang, sagu, cengkih, gambir, tebu, jagung, cutch dan sebagainya mengikut tempat dan kesesuaian tanah. Mereka juga menjalankan kerja penternakan seperti memelihara lembu, kerbau dan kambing, ayam itik dan memproses kulit binatang ternakan. Pada masa sampingan, para petani atau nelayan melakukan kerja-kerja mencari bahan galian seperti bijih timah, habuk emas dan bijih besi. Manakala kerja di hutan juga dilaksanakan seperti mencari kayu-kayan, rotan dan pewarna (dye), madu lebah, lilin (wax), damar, kayu gaharu, cendana dan kasturi, memburu gajah bagi kegunaan pengangkutan serta dijual gading dan giginya, memburu harimau untuk kegunaan tulang dan kulitnya, memburu badak bagi keperluan kepada sumbu atau gadingnya dan memburu rusa untuk daging dan tanduknya. Bagi nelayan, mereka mempunyai satu lagi pekerjaan tetap atau sampingan dengan mencari sarang burung di guagua yang terdapat di kawasan pulau atau gua-gua di tepi pantai, membuat jeruk telur ikan (fish maws), memproses sirip jerung, mencari dan memproses tripang (gamat) atau dikenali sebagai sea slugs atau beach de mer, menyelam tiram, membuat garam dan ikan masin.
27 SOALAN DALAM TEKS 2.6 1. Nyatakan secara jelas bidang pekerjaan yang terdapat dalam MMT. 2. Nyatakan fungsi masjid kepada MMT I. Sebagai tempat ibadah II. Sebagai tempat perbincangan III. Sebagai tempat menyambut perayaan keagamaan IV. Sebagai tempat pertemuan keluarga A. I dan II B. II dan III C. I, II dan III D. II, III dan IV 3. Berikan gambaran ringkas mengenai susun-atur ruang dalam sebuah masjid. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 2.7 NILAI-NILAI MURNI MMT: SATU PENGAMATAN KEMBALI Keadaan penempatan, corak pekerjaan dan suasana pemerintahan MMT telah membentuk satu corak masyarakat yang tersendiri. Mereka telah menghasilkan satu nilai kehidupan yang tidak sama dengan masyarakat lain. Perkara ini boleh di lihat melalui contoh-contoh di bawah. 2.7.1 Sistem Politik Asas hubungan politik Melayu berteraskan kepada perjanjian dan perakuan antara Demang Lebar Daun (mewakili rakyat) dengan Sang Si Perba (mewakili Raja atau Pemerintah). Perjanjian dan perakuan ini berbunyi:
28 Demang Lebar Daun “Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan menjadi hamba ke bawah duli yang dipertuan, hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku, dan jika ia berdosa, sebesar-sebesar dosanyapun, jangan difadilatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jika berlaku pada hukum syara.” Sang Si Perba “Hendaklah pada akhir zaman kelak, anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.” Demang Lebar Daun “Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak-buah tuanku dahulu mengubahkan ia, maka anak cucu patek pun mengubahkannya.” Sang Si Perba “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”11 Inilah perjanjian awal yang telah mengikat kesetiaan dan memberi perlindungan di antara pemerintah dan rakyat dalam MMT. Ekoran dari itu wujudlah beberapa konsep yang menjadi pengikat dan pengerat hubungan antara kedua pihak, iaitu 1. Konsep Taat Setia dan Penaung Konsep ini menerapkan nilai perhubungan antara pemerintah dengan rakyat. Rakyat memberikan taat setia kepada pemerintah. Pemerintah pula memberi perlindungan kepada rakyat melalui pemerintahan yang adil dan saksama. Dalam erti kata lain, rakyat memperakui ketuanan pemerintah dan pemerintah menjadi penaung dan pelindung kepada rakyat. 2. Konsep Budi dan Anugerah Rakyat memberi perkhidmatan kepada Raja (kerajaan), dan pemerintah memberi anugerah kepada rakyat dengan pangkat, gelaran mahupun tanah atau kawasan sebagai pegangan. Namun apa yang sering digambarkan kepada kita penduduk hari ini ialah tentang kezaliman dan penindasan serta pelbagai pekara buruk yang dilakukan oleh pemerintah dan sebagai tindak balas adanya penderhakaan atau rakyat melarikan diri dari pemerintahan yang zalim. Keadaan ini berpunca dari kedua-dua pihak atau salah satunya kerana tidak lagi berpegang pada janji dan perakuan yang dinyatakan di atas. Ia juga berpunca kerana tidak
29 mengikut beberapa kriteria dan garis panduan yang perlu diikuti dalam membuat perlantikan raja atau pemerintah. Antara kriteria yang telah digariskan ialah Anak lelaki sulung Berakal Berilmu Seboleh-bolehnya anak gahara Mendapat sokongan para pembesar dan ketua-ketua Dilantik dengan penuh adat istiadat12 Jadi, apabila sesatu kriteria di atas tidak dipatuhi dalam membuat perlantikan seseorang Raja atau pemerintah, maka berlakulah kepincangan dalam sistem pemerintahan tersebut. Misalnya, jika tidak dipilih anak lelaki sulung untuk menjadi waris atau menaiki takhta, ia mengakibatkan berlakunya rasa tidak puas hati di kalangan pewaris, keluarga dan pengikutnya—boleh menimbulkan perasaan kecewa, marah dan dendam. Sering kali ia akan berakhir dengan pemberontakan yang mengakibatkan huru hara. Sayugia diingatkan perkara tidak puas hati ini mudah timbul kerana sifat pemerintah pada masa itu bukanlah mempunyai seorang isteri. Biasanya di kalangan isteri ini sering bersaing untuk memastikan anak mereka akan menjadi waris takhta. Keadaan menjadi bertambah sengit sekiranya isteri pertama hanya anak seorang pembesar, adik atau kakak pembesar yang berpengaruh dan isteri kedua pula berdarah raja. Banyak contoh dalam sejarah kerajaan Melayu yang menggambarkan perihal perkara ini. Begitu juga dengan sokongan para pembesar. Pembesar adalah “kaki dan tangan” serta “mata dan telinga” Raja. Oleh itu kesetiaan dan sokongan padu dari mereka dapat membantu melicinkan pemerintahan sesebuah kerajaan. Dalam catatan “Sejarah Melayu” digambarkan Sultan Alauddin Syah terpaksa melakukan penyamaran dengan berkawal dan meronda bagi menangkap pencuri dan perompak kerana Datuk Temenggung tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Begitu juga dengan nasib yang menimpa Raja Muhammad yang tidak dapat menjadi waris takhta KMM setelah Bendahara Paduka Raja Tun Perak menyatakan: “…tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini.” Penolakan ini terpaksa diakuri oleh Sultan Mansor Syah dan menyerahkan Raja Muhammad kepada Seri Bija Diraja untuk disuruh rajakan di Pahang.13
30 SOALAN DALAM TEKS 2.7 1. Apakah ciri-ciri yang harus terdapat pada seseorang anak Raja sebelum layak dilantik menjadi pewaris ataupun sultan. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 2.7.2 Sistem Ekonomi Pada asasnya MMT mengamalkan ekonomi sara diri. Namun kerana tidak semua tempat boleh mengeluarkan semua hasil, maka pertukaran barangan berlaku. Dalam MMT kurang mementingkan keuntungan yang berlebihan tetapi lebih kepada perkhidmatan sosial (kemasyarakatan). Dalam urusan jual belipun masih memperkirakan amalan sedekah jariah. Ini sejajar dengan ajaran Islam yang menetapkan keuntungan perniagaan sehingga tidak sampai ke peringkat menindas pengguna. Sering berlaku memberi lebihan dari yang sepatutnya berdasarkan tukaran atau nilai harga barang tersebut. Contoh yang dapat di lihat secara nyata sekarang ini ialah penjualan kuih-muih dari rumah ke rumah, yang sering diamalkan di kalangan masyarakat nelayan bukanlah semata-mata untuk keuntungan jualan sahaja. Malahan lebih kepada memberi perkhidmatan terhadap masyarakat setempat. Masyarakat pula sentiasa tertunggutunggu kehadiran si penjual untuk membeli kuih-muihnya di samping berkongsi pendapatan dengannya. Apa yang lebih menarik lagi dalam MMT, semua bentuk perniagaan dan perdagangan dilakukan sendiri oleh orang Melayu (penduduk tempatan). Orang Melayu menjadi pembuat, penjual dan kemudian memperdagangkannya. untuk pasaran luar berdasarkan tahap dan bidang masing-masing. Misalnya, di sebuah penempatan, terdapat tukang besi yang membuat pelbagai jenis alatan (senjata) yang boleh di gunakan untuk keperluan pertanian ataupun untuk kegunaan persenjataan. Hasil tangan (barangan) ini akan dibeli oleh penduduk setempat secara terus. Bagi tujuan untuk dijual keluar, biasanya ada pihak lain (peraih atau orang tengah) yang akan membeli dan menjualkannya di luar. Demikian juga dengan penjualan hasil pertanian—seseorang petani yang mempunyai lebihan padi atau beras akan menjualkannya kepada pembeli dari kalangan penduduk kampung atau yang datang dari luar. Lepas itu barulah beras ini diperdagangkan keluar seperti di kawasan pedalaman yang kurang hasil padi atau di kawasan nelayan yang tidak mengerjakan
31 bendang. Ini adalah dalam konteks kawasan setempat dalam sebuah kerajaan. Terdapat juga perdagangan yang melibatkan antara kerajaan dengan kerajaan, misalnya Kerajaan Melayu Kedah terkenal dengan keluasan sawah padinya. Mereka akan memperdagangkan beras ke Kerajaan Melayu Perak di sebelah hulu atau di kawasan utaranya. Begitu juga dengan Kerajaan Melayu Patani yang mengeluarkan hasil garam dan ternakan lembu kerbau. Mereka juga akan memperdagangkan hasil tersebut ke Perak ataupun Kedah dan ke tempat lainnya. Catatan dari penulis-penulis sebelum ini telah menyatakan bahawa orang Melayu juga merupakan pedagang dan pelaut terkenal. Mereka bukan sahaja menjadi pedagang tempatan, pesisir pantai malahan sampai ke peringkat antarabangsa. Meskipun pada zaman keagungan Melaka tidak begitu digambarkan pedagang Melayu keluar dari Melaka, namun hakikatnya, kenyataan telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu dari sebelah utara di kawasan Segenting Kra, sebelah timur dari Kepulauan Filipina dan Kepulauan Sulu serta dari bahagian selatan dari Kepulauan Sulawesi telah pun berdagang dan menjual barangan mereka di Melaka.14 Kenyataan menjadi semakin jelas apabila kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka telah membawa kepada perkembangan Kerajaan Aceh, Kedah, Johor-Riau, Patani dan Brunei serta Sulu. Mereka ini telah melakukan perdagangan keluar sampai ke India dan China. Selain dari bukti-bukti melalui penulisan ilmiah, cerita-cerita rakyat dan perumpamaan yang menjadi pegangan masyarakat Melayu mengenai perdagangan dan perniagaan juga dapat membuktikan kenyataan di atas seperti: “Saudagar buluh kasap, hujung hilang, pangkal lesap’’ “Larangan menjual jarum (besi) dan garam pada waktu malam’’ “Cerita pengembaraan perniagaan seperti Awang Sulung Merah Muda dan Nakhoda Si Tanggang” “Cerita angan-angan Mat Jenin berniaga”16 Adakah masyarakat Melayu tradisional berjiwa korporat? Rujuk rencana oleh Aripin Said “Jiwa Korporat Orang Melayu” dalam Majalah Rakyat terbitan Bank Rakyat, Bil. 2, 1997, 18 – 19.
32 2.7.3 Sistem Sosial Kehidupan penduduk sentiasa dalam suasana bermasyarakat. Ibarat satu tubuh badan, yang antara satu sama lain sentiasa saling membantu dan memerlukan. Asas pekerjaan ialah bergotong royong dan bekerjasama. Tidak banyak memperlihatkan sikap individualistik. Pemilihan jodoh dijadikan contoh perbincangan ini. Ia bermula dengan permuafakatan seluruh keluarga dengan dibantu oleh jiran tetangga yang sebahagian besarnya terdiri dari kalangan keluarga juga. Setelah mendapat kata sepakat, baru dibuat risikan untuk meminang yang berakhir dengan pertunangan. Setelah sampai tempoh atau cukup masa yang dijanjikan, majlis pernikahan dilangsungkan dengan mengadakan kenduri kendara secara yang termampu. Perbelanjaan perkahwinan biasanya ditanggung oleh keluarga dengan muafakat seluruh penduduk sama ada di pihak pengantin lelaki apatah lagi perempuan. Semua kerja dibuat secara bergotong royong tanpa mengharapkan sebarang upah atau ganjaran. Penduduk bersama keluarga meraikan majlis ini sampai ke akhir. Dalam istilah setempatnya dikatakan “sehingga selesai memulangkan pinggan mangkuk dan kawah belanga”. Ia disusuli kemudiannya dengan menziarahi keluarga dan orang kampung. Sekali lagi pengantin ini dirai dan diberi hadiah atau buah tangan sebagai tanda kenangan dari kaum keluarga mengikut kadar kemampuan masing-masing. Peristiwa ini berlaku dikedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan. Ini memberikan satu gambaran tentang tanggungjawab bersama ahli keluarga dan juga masyarakat kepada pihak yang akan membentuk keluarga yang akhirnya menjadi ahli kepada masyarakat tersebut juga. Bagi kerja-kerja pertanian, semua dibuat secara gotong royong. Ia bermula dari proses membuka hutan sehinggalah mendapatkan hasil. Teknologi direka cipta sendiri seperti membuat baji untuk menebang pokok serta membelah kayu. Memasang pelita dan unggun api digunakan untuk meluruskan taliair dan dan batas sawah atau bendang. Membuat lesung bagi mengisar padi dan sebagainya. Banyak lagi contoh-contoh teknologi MMT yang telah direka cipta dan digunakan seperti panduan arah angin, persenjataan dan alat pertukangan, alat memasak dan tenunan hatta kepada pembinaan kapal layar untuk perdagangan. Konsep gotong royong ini amat penting kerana masyarakat tidak mampu melaksanakan sebarang kerja secara bersendirian. Mengambil contoh bagi membuka sebuah kawasan sawah padi misalnya pengusahaan sawah padi dikendalikan oleh seluruh penduduk kampung kerana melibatkan kerja menebas dan menebang pokok, membakar atau memerun, menggali parit dan taliair, membuat batas atau ban bagi takungan air mahupun untuk tujuan sempadan antara tuan punya, ataupun bagi membina pagar dari ancaman babi hutan atau menghalang ternakan memakan pokok
33 padi. Melalui konsep kerjasama, bukan sahaja saling membantu, malahan dapat menyelaraskan kerja. Taliair dan parit tidak boleh dibuat bersendirian kerana melibatkan luas dan kedalaman yang berbeza dari sebelah hulu ke hilir. Begitu juga dengan batas atau ban yang hendak dibina harus mengambil kira kedudukannya agar tidak memasuki ke bahagian orang lain. Menuai padi juga mesti bersama-sama supaya dapat mengelakkan dari terkeluar dari musim panas. Ini kerana padi yang telah dituai harus dijemurkan pada panas matahari supaya mudah semasa memprosesnya menjadi beras. Jika musim hujan tiba, sedangkan kerja mengambil buah padi belum selesai, maka kerugian besarlah petani tersebut dari segi hasilnya. Oleh yang demikian, istilah “muafakat membawa berkat” telah jadi pengikat perhubungan dalam MMT. Tanda-tanda muafakat seterusnya dapat di lihat dalam aktivti keagamaan. Jika pada peringkat permulaan ada digambarkan perihal keadaan masjid dan surau, perbincangan ini cuba memaparkan kerjasama masyarakat semasa mengerjakan ibadah puasa dan menyambut hari raya. Semua pihak, tua-muda, kecil-besar, lelaki-perempuan terlibat sama dalam ibadat puasa dan menyambut hari raya tersebut. Misalnya menghadapi waktu berbuka puasa, memadai dengan membuat sejenis kuih dan menghantar kepada keluarga sekeliling, tuan rumah tersebut akan mendapat balasan. Dengan ini akan dapatlah berbuka dengan beberapa jenis kuih meskipun hanya membuat sejenis sahaja. Demikian juga dengan lauk-pauknya. Suasana diteruskan pada hari raya. Selain menziarahi kubur pada sebelah paginya beramai-ramai, kunjung mengunjung ke rumah saudara mara dilakukan dalam masa beberapa hari. Peraturan adatnya pihak yang muda akan mengunjung keluarga yang lebih tua dari segi usia atau kedudukannya dalam keluarga atas sifatnya sebagai bapa atau datuk saudara (pupu). Semua ini berlaku kerana kuatnya ikatan kekeluargaan dan juga berpegang pada adat serta mengikut ajaran keagamaan. SOALAN DALAM TEKS 2.8 1. Apakah corak kerja bergotong royong masih relevan dengan kehidupan sekarang? Beri ulasan anda. Semak jawapan anda di akhir bab ini.
34 2.8 KESIMPULAN Gambaran murni yang menjadi amalan kehidupan MMT sebahagiannya masih diamal sehingga ke hari ini. Nilai-nilai murni ini telah berjaya meletakkan orang Melayu kepada satu tahap kehidupan yang menjadi sebutan kepada dunia melalui kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka dan kemudiannya diteruskan oleh kerajaan Melayu lain. Kegemilangan ini mula lenyap setelah kerajaan Melayu dicerobohi oleh penjajahan barat secara terus yang mengamalkan dasar “pecah dan perintah” mereka. Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah sejauh manakah kesungguhan menghidup dan mengamalkan kembali nilai-nilai murni MMT setelah negara ini mencapai semula kemerdekaannya. Amatlah mendukacitakan lagi apabila adanya usaha-usaha untuk mempertidakkan kepentingan dan tingginya nilai-nilai murni orang Melayu yang pernah wujud satu ketika dahulu di negara ini. Sama-samalah kita menilaikan diri kita sendiri, di manakah kedudukan kita dalam menghayati kehidupan sebagai seorang Melayu khususnya, dan amnya kita sebagai rakyat Malaysia yang berteraskan kebudayaan Melayu. Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Sesuatu bangsa itu akan lenyap jika tidak dapat mengenal lagi sejarah, tradisi budaya dan adat-istiadat serta agamanya sendiri. SOALAN PENILAIAN KENDIRI Pilih jawapan yang paling tepat. 1. Apakah faktor pembukaan sesebuah petempatan? I Kerana potensi hasilnya II Mencari perlindungan peperangan III Mengelak diri daripada pernindasan IV Penghijrahan A. I dan II B. I, II dan III C. II, III dan IV D. I, II, III dan IV 2. Apakah pentingnya kerajaan Melayu mempunyai kuasa berpusat? A. Memudahkan kawalan pada hierarki pemerintahan B. Senang bagi rakyat untuk mengadap C. Mudah bagi pembesar mengutip cukai D. Mudah dalam mempertahankan kerajaan
35 3. Dalam MMT terdapat dua golongan pembesar. Siapakah antaranya pembesar tempatan? A. Laksamana B. Penghulu bendahari C. Penghulu D. Panglima besar 4. Terdapat beberapa ciri yang telah mengubah nilai-nilai murni yang menjadi amalan MMT KECUALI A. Perpindahan B. Perkahwinan C. Pendidikan D. Kematangan 5. Susun aktiviti MMT ketika menyambut hari raya puasa. I Berpuasa sepanjang bulan. II Menyambut malam tujuh likur. III Takbir dan tahmid dimalam hari raya. IV Sembahyang hari raya. A. I dan II B. II, III dan IV C. I, II dan III D. I, II ,III dan IV Soalan Struktur: 6. Kenapakah sungai menjadi penting kepada masyarakat Melayu tradisi? (a) ____________________________________________ (b) ____________________________________________ (c) ____________________________________________ (d) ____________________________________________ Soalan Esei: 7. Masyarakat Melayu dikatakan baru dalam dunia perniagaan. Ia hanya muncul setelah wujudnya DEB. Bincangkan kenyataan ini. Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.
36 JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS SDT 2.1 - Kesultanan melayu Melaka (KMM) merupakan kerajaan Melayu yang mula-mula sekali dapat membentuk masyarakat yang bersistem dan berstruktur. - Sistem dan struktur yang wujud dapat dikekalkan dan diamalkan sehingga hari ini, terutamnya berkaitan dengan keagamaan Islam. SDT 2.2 2. Pemahaman terhadap konsep amat penting kerana ia menjadi panduan kepada pemahaman anda kepada perbincangan seterusnya. SDT 2.3 - Penempatan MMT memanjang mengikut tebing sungai atau pei laut yang sesuai dijadikan kawasan tempat tinggal. - Sesebuah penempatan mesti mengambil kira: kawasan pertanian - kawasan dibuat rumah - kawasan dusun buah-buahan - kawasan tanaman kontan - mempunyai kawasan yang sesuai untuk tanaman padi sawah bagi kawasan nelayan: - kawasan untuk dibuat rumah - kawasan tanaman kelapa dan tanaman kontan - terlindung dari tiupan angin SDT 2.4 1. MMT dibahagikan kepada kepada dua kelas, iaitu pemerintah dan rakyat Golongan pemerintah: - Raja/Sultan - Kerabat Terdekat 1. 1.
37 - Pembesar Istana - Pembesar Tempatan Golongan rakyat: - Rakyat biasa - Hamba SDT 2.5 1. Kelompok-kelompok dalam MMMT: - Melayu tempatan - Melayu mendatang - Kelompok baru masyarakat Melayu SDT 2.6 1. Pekerjaan utama MMT: - petani atau lebih dikenali sebagai bendang - nelayan - pedagang - kerja sampingan yang tetap mengikut penempatan - mencari hasil galian - memproses hasil hutan, laut dan mencari sarang burung - kerja-kerja pertanian kontan - memburu binatang 2. D 3. Sila rujuk muka surat 21. SDT 2.7 1. Ciri-ciri yang perlu ada pada anak raja untuk menjadi pewaris/sultan: - anak lelaki sulung - berakal (lebih kepada nilai budi pekerti dan tingkah laku - berilmu (agama dan kepahlawanan) - anak gahara - sokongan pembesar SDT 2.8 1. Anda boleh bersetuju atau tidak dengan soalan ini.
38 Jika relevan: antara isi perbincangan anda perlu menyentuh tentang perkara berikut: - Konsep gotong royong tidak jauh bezanya dengan konsep TQM yang diamalkan oleh banyak pihak dewasa ini. Kenapa kita mengadaptasikan TQM sedangkan kita sudah ada konsep sendiri? - Mengabaikan semangat gotong-royong, menjadikan konsep kejiranan atau rukun tetangga di kawasan perumahan menghadapi banyak masalah. - Masyarakat semakin hilang identiti apabila budayanya sendiri diabaikan. Bandingkan sahaja kemeriahan dan serinya majlis kenduri perkahwinan di kampung yang masih mengamalkan gotong-royong dengan tempat yang menggunakan khidmat syarikat ‘catering.’ Jika tidak relevan, anda perlu beri hujah yang bernas.
39 BAB 3 GERAKAN PENJAJAHAN OBJEKTIF BAB Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Memahami erti gerakan penjajahan di negara ini. 2. Menghuraikan kewujudan gerakan penjajahan. 3. Menghuraikan dasar-dasar dan dampak-dampak penjajahan di Tanah Melayu. 4. Menghayati dan meneladani peristiwa-peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran dan panduan kepada generasi akan datang. 3.1 PENGENALAN Dalam bab ini kita akan membincangkan aspek-aspek yang berkaitan dengan gerakan penjajahan yang berlaku di negara Malaysia. Sebagaimana yang anda sedia maklum, penjajahan oleh kuasa-kuasa asing ke atas Tanah Melayu telah berlaku sejak ratusan tahun yang lalu. Penjajahan kuasa asing dari Eropah telah bermula pada tahun 1511 apabila Portugis menghancurkan keagungan Empayar Melayu Melaka. Kemudian diikuti oleh kedatangan kuasa Belanda, Inggeris dan Jepun. Penguasaan kuasakuasa asing terutamanya dari Eropah, secara khusus dan umumnya telah meninggalkan kesan kepada corak kehidupan masyarakat atau penduduk asal di negara ini. Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kuasa asing terutamanya British benar-benar telah mengubah corak kehidupan di Tanah Melayu apabila kita bandingkan dengan kehidupan tradisi masyarakat Melayu seperti yang telah dibincangkan dalam Bab 2: Masyarakat Melayu Tradisi. Di samping itu juga, dasar-dasar yang dilaksanakan telah memberi kesan kepada struktur pentadbiran yang sedia wujud dalam masyarakat. Segala perubahan ini berlaku didorong oleh matlamat, usaha, dan juga ketamakan serta kerakusan pihak penjajah yang ingin menguasai hasil mahsul dan keuntungan di negara ini. Beberapa perkara akan dibincangkan dalam bab ini, antaranya mengenai gerakan penjajahan di negara Malaysia. Perbincangan ini akan terbahagi kepada tiga bahagian utama, setiap bahagian akan mengandungi beberapa topik kecil bagi membantu pemahaman bagi setiap bahagian.
40 Dalam bahagian pertama, kita akan membincangkan pengertian penjajahan. Justeru itu, saya menumpukan kepada perbincangan mengenai definisi bagi istilah-istilah yang berkaitan dengan penjajahan, iaitu kolonialisme dan imperialisme. Dalam bahagian yang kedua pula, kita akan meneruskan perbincangan mengenai perkembangan kedua-dua dasar penjajahan, iaitu kolonialisme dan imperialisme—faktor-faktor penggalak kepada kewujudan dasardasar penjajahan kolonialisme dan imperialisme. Seterusnya, dalam bahagian ketiga, kita akan membincangkan berkenaan gerakan penjajahan barat di Tanah Melayu—sejarah awal dan sebabsebab kedatangan penjajah barat, dasar campur tangan British, dasardasar yang dilaksanakan oleh British, dan dampak penjajahan. Hasil daripada perbincangan yang dibuat kelak diharap dapat memberikan gambaran kepada pelajar berkenaan dasar penjajahan yang kita kenali sebagai kolonialisme dan imperialisme. Seharusnya generasi sekarang dan akan datang dapat menjadikan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa negara di bawah pengaruh penjajahan barat sebagai satu pengajaran yang benar-benar bermanfaat. 3.2 PENGENALAN KEPADA GERAKAN PENJAJAHAN Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah wajar untuk kita bersama-sama membincangkan definisi bagi istilah-istilah yang berkait rapat dengan apa yang kita kenali sebagai gerakan penjajahan. Kolonialisme atau kadangkala kita sebut juga sebagai imperialisme merupakan dua perkataan yang sering disinonimkan dengan gerakan penjajahan ini. Jika di lihat secara umum, kedua-dua perkataan atau istilah ini seolah-olah menggambarkan makna yang sama. Bagaimanapun pada hakikatnya, ianya hanyalah hampir sama pada makna kerana amat berkait rapat. 3.2.1 Definisi Apakah yang tergambar dalam fikiran anda apabila kita memperkatakan tentang istilah kolonialisme dan imperialisme? Tidak dapat tidak saya nafikan, bahawa perkataan pertama yang pasti terlintas difikiran anda ialah perkataan penjajahan. Cheah Boon Kheang dan Abu Talib bersetuju bahawa tidak salah untuk kita menanggap kedua-dua istilah sebagai sama kerana kedua-dua istilah ini sering digunakan saling bertukar ganti.1 Walau bagaimanapun, kedua-dua istilah mewakili makna dan maksud yang berbeza dan tersendiri, biarpun ianya mempunyai
41 kaitan yang amat rapat. Kaitan yang dimaksudkan ialah bagaimana konsep bagi satu istilah iaitu imperialisme, pada hakikatnya mungkin adalah lanjutan atau mempunyai kesinambungan dengan istilah kolonialisme ataupun sebaliknya. Bagi memudahkan pemahaman anda, saya bawakan beberapa definisi yang diberikan oleh kalangan sarjana sebagai panduan untuk memahami dan mengenali istilah-istilah tersebut. 1. Kolonialisme Secara umum, dapatlah kita jelaskan bahawa kolonialisme bermaksud dasar sesebuah negara yang mengeksploitasi sesuatu kawasan serta masyarakatnya yang dianggap lemah. Pengeksploitasian itu meliputi berbagai sudut seperti ekonomi, sosial, budaya, corak pentadbiran, serta politik atau secara ringkasnya meliputi kesemua cara hidup masyarakat tersebut.2 Plano dan Olton di dalam tulisannya mentafsirkan kolonialisme sebagai satu bentuk pemerintahan ke atas sesebuah kawasan dan penduduknya oleh sebuah kuasa asing dengan menjalankan polisi imperialisme. Migrasi turut terlibat (dari negara asal ke kawasan baru) yang seterusnya membentuk satu entiti politik baru ke atas kaum asal yang mempunyai pengetahuan dan teknologi (kemajuan) yang rendah seperti di Asia dan Afrika.3 Tafsiran Plano dan Olton jelas dipersetujui Evans dan Newham yang menggambarkan sifat dasar kolonialisme yang memberi ruang rakyat asing yang minoriti mendominasikan politik dan ekonomi negara tersebut. Ia memisahkan pusat kota metropolitan bagi mengukuhkan kekuasaan dan menindas golongan bawahan. 4 Tidak hairanlah Nadel dan Curtis beranggapan kolonialisme sebagai satu penindasan, penghinaan atau eksploitasi terhadap penduduk peribumi oleh penjajah di tanah jajahan. Berasaskan pandangan Nadel dan Curtis, jelas dapat kita lihat dasar utama tindakan kolonialisme adalah lebih menjurus kepada bentuk penjajahan yang buruk terutama di sudut penindasan, penghinaan dan pengeksploitasian. Penjajah datang hanya untuk mengeksploitasi pelbagai sudut kehidupan masyarakat peribumi seperti dalam bidang ekonomi, sosial, politik, petempatan dan sebagainya.5
42 2. Imperialisme Imperialisme secara umum membawa pengertian perluasan kekuasaan atau pengaruh suatu bangsa terhadap bangsa lain. Manakala, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka secara ringkas mentakrifkan imperialisme sebagai dasar meluaskan sesebuah empayar dengan menjajah negara lain.6 Negara-negara besar atau kuasa-kuasa besar telah wujud sejak awal sejarah manusia lagi seperti di Mesir, Mesopotamia, Assyria, dan Persia. Imperialisme kuno mencapai kemuncak di zaman Rumawi dan Byzantium (Rumawi Timur). Manakala falsafah imperialisme hari ini lebih menjurus kepada definisi moden yang wujud hasil daripada kebangkitan faham nasionalisme moden. Konsep imperialisme yang diterima ramai pada hari ini adalah merupakan kesan letusan kebangkitan gerakan merkantilisme yang juga merupakan kesinambungan sifat kolonialisme dan asas kepada kapitalisme moden. Karl Marx menyatakan imperialisme sebagai satu tingkatan dalam perkembangan kapitalisme sewaktu perluasan kuasa Eropah ke Asia dan Afrika di sekitar tahun 1750an – 1914.7 Nadel dan Curtis pula mentakrifkan imperialisme sebagai satu perkembangan kuasa atau kawalan, sama ada secara langsung atau tidak dalam politik atau ekonomi oleh sesuatu kerajaan, bangsa, atau masyarakat ke atas bangsa atau masyarakat yang lain. Proses ini di dokong oleh idea tersendiri.8 Secara umumnya, definisi-definisi yang diberikan di atas seakan-akan mempunyai persamaan makna dengan istilah kolonialisme. Namun begitu, terdapat perbezaan di mana konsep imperialisme dibentuk di negara asal kuasa penjajah dan kemudiannya dikembangkan ke negara jajahan. Ini disokong oleh penjelasan Fieldhouse yang mendefinisikan imperialisme sebagai satu kecenderungan sesuatu masyarakat atau pemerintahan untuk mengawal masyarakat lain dalam pelbagai tujuan.9 Perbincangan berkenaan istilah adalah penting bagi memahami perbincangan mengenai dasar. Biarpun kedua-duanya mempunyai maksud penjajahan tetapi perlu diterima hakikat bahawa setiap satu istilah atau dasar mempunyai makna tersendiri dan cara masingmasing dalam proses penjajahan.
43 SOALAN DALAM TEKS 3.1 1. Kolonialisme ditakrifkan sebagai A. kawalan kuasa ke atas sebuah negara dengan secara langsung ataupun tidak. B. bentuk penguasaan masyarakat kepada masyarakat lain. C. dasar penjajahan yang mementingkan imperialisme. D. bentuk pemerintahan kauas asing dalam menjalankan polisi Imperialisme. 2. Sila nyatakan dua perbezaan yang wujud di antara kolonialisme dan imperialisme berdasarkan definisidefinisi yang telah anda pelajari. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 3.3 PERKEMBANGAN GERAKAN PENJAJAHAN Dalam bahagian yang lalu, saya telah sebutkan bahawa persamaan dasardasar kolonialisme dan imperialisme adalah dari segi matlamat, iaitu untuk gerakan penjajahan, tetapi adalah baik juga untuk anda memahami faktor-faktor penggalak untuk kedua-dua dasar ini bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Kedatangan kuasa Eropah ke benua sebelah timur adalah bermatlamatkan penjajahan, tetapi adakah hanya hendak mengaut segala keuntungan sahaja tanpa peduli tentang tanah jajahan tersebut atau sebaliknya? Ciri-ciri yang dilahirkan oleh perlakuan penjajah akan menggambarkan wajah atau rupa setiap dasar yang akan kita bincangkan ini. 3.3.1 Faktor-Faktor Penggalak Kolonialisme Para sarjana melihat tindakan-tindakan penjajahan kolonialisme berpunca daripada beberapa faktor. Kebanyakan mereka bersetuju faktor-faktor kedatangan kuasa Eropah ke benua Asia adalah untuk memenuhi inspirasi konsep kolonialisme yang dipengaruhi slogan "Gold, Glory and God". Perry Marvin telah menjelaskan teori kebangkitan kuasa Eropah sebagai kolonialis atau penjajah sebagaimana berikut:
44 1. Gold (Keperluan kepada tanah) Hasil kemajuan ilmu pengetahuan di Eropah, lebih-lebih lagi kesan daripada pengaruh tamadun Islam dan Asia telah mempercepatkan perkembangan masyarakat Eropah. Pada masa yang sama juga, sistem pertanian telah berkembang maju, begitu juga dengan sistem kesihatan dan perubatan yang bertambah baik. Faktor kemajuan ini telah menggalakkan lagi jumlah kelahiran dan mengurangkan jumlah kematian, dan telah menambah bilangan penduduk. Akibatnya, wujud masalah iaitu kekurangan pada tanah-tanah untuk didiami dan dikerjakan.10 Sementara itu, golongan bangsawan yang banyak menguasai tanah-tanah, mula melihat pilihan yang lain bagi menambahkan hasil kekayaan mereka. Mereka mula melihat penerokaan tanah yang baru di luar negara khususnya di Asia dan Afrika sebagai cara terbaik memenuhi ketamakan mereka. Tidak dapat dinafikan, Asia dan Afrika merupakan kawasan yang kaya dengan sumber ekonomi seperti rempah dan juga galian seperti emas. Selain itu, Asia juga merupakan pusat tumpuan persinggahan pedagang (seperti di Melaka) antara China dan India. Kesan daripada penambahan hasil keuntungan melalui perdagangan secara langsung membuat para bangsawan ini tamak dan tidak lagi mahu berurus niaga dengan orang tengah. Bagi mereka, adalah lebih baik terus keluar membuat urus niaga secara langsung dengan pihak pemilik sumber asal terutamanya para pedagang Arab dan Asia yang lain. 2. Glory (Permusuhan tradisi di antara negara-negara Eropah) Penggabungan kuasa Ferdinand The Castille dan Isabella The Aragon di Sepanyol dan perlaksanaan konsep pemusatan kuasa dalam pemerintahan telah berjaya menjatuhkan kerajaan Granada di Andalusia, iaitu kerajaan Islam terakhir di benua Eropah. Faktor ini telah menggalakkan lagi kerajaan Sepanyol yang baru itu untuk meluaskan lagi tanah jajahan mereka. Mereka merasa megah dengan kejayaan penggabungan dan kemakmuran yang dirasai di dalam negeri. Walau bagaimanapun, Sepanyol kemudiannya merasa bimbang dan iri hati melihat negara jiran mereka, Portugal yang menjadi lebih berjaya daripada mereka menerusi aktiviti penerokaan dunia baru seperti kejayaan Vasco Da Gama, Putera Henry dan Bartholomiew Diaz. Kejayaan Portugal ini dirasakan sebagai satu usaha mendapatkan kelebihan sekaligus menjadi satu ancaman kepada Sepanyol.11
45 Justeru itu, adalah menjadi keperluan Sepanyol untuk mendahului Portugal dalam persaingan mendapatkan tanah jajahan yang baru. Sepanyol ingin menunjukkan bukti kekuatan dan pengaruh mereka sebagai satu kuasa besar, ditambah lagi selepas kejayaan menghancurkan kerajaan Islam terakhir di bumi Sepanyol. Persaingan yang asalnya adalah untuk memenuhi keperluan hidup dan kekayaan telah bertukar menjadi satu persaingan memburu kemegahan. Kerakusan memburu kemegahan ini kemudiannya disertai pula oleh negara-negara Eropah lain yang turut tidak mahu ketinggalan meletakkan nama mereka sebagai kuasa besar seperti Belanda, Jerman, Perancis dan Britain. 3. God (Agama) Satu faktor utama yang membantu perkembangan penguasaan kuasa Eropah terhadap kawasan-kawasan di sebelah benua Asia dan Afrika ialah agama. Usaha terhadap pengembangan agama diperkukuhkan oleh legenda dan mitos akan wujudnya kerajaan Kristian di Timur yang diketuai oleh seorang "Messiah" atau "The Great Saviour" atau seorang ‘penyelamat’ bernama Prester John. Pihak gereja yang mewakili pihak berkuasa agama di negara-negara Eropah yang berlumba-lumba menuju ke benua sebelah timur, percaya akan wujudnya sebuah kerajaan Kristian di situ. Mereka percaya dan yakin apabila ditemui kelak, kerajaan Kristian di benua sebelah timur ini akan dapat bergabung dengan negara-negara Kristian di Eropah untuk mengalahkan kuasa Islam yang pada ketika itu menguasai kebanyakan kawasan di Eropah, Asia dan Afrika.12 Perasaan sebegini dapat difahami kuat melekat di hati para peneroka seperti Putera Henry dan juga mereka yang berasal dari kawasan Semenanjung Liberia atau Sepanyol dan Portugal. Selama 500 tahun mereka berjuang untuk mengalahkan dan menjatuhkan Islam sehinggalah musnahnya kerajaan Islam Granada. Perasaan kuat menyokong unsur keagamaan ini amat berkait rapat dengan sistem juga norma-norma kehidupan masyarakat Eropah yang pada ketika itu kuat diikat oleh pengaruh penguasaan gereja terutamanya di Sepanyol dan Portugal. 3.3.2 Faktor-Faktor Penggalak Imperialisme Biarpun wujud seakan persamaan dari segi konteks gerakan penjajahan di antara kolonialisme dan imperialisme, namun imperialisme pada hakikatnya mempunyai faktor-faktor tersendiri yang menjadi asas dorongan kepada kebangkitannya. Dasar-dasar imperialisme adalah lebih
46 di dorong oleh perkembangan semasa di Eropah yang sibuk memperjuangkan faham nasionalisme dan negara bangsa (nation states). Di antara faktor-faktor penggalak yang digariskan oleh ramai sarjana ialah: 1. Etnosentrisme Hasil perkembangan nasionalisme moden yang hebat di kebanyakan negara Eropah pada tahun-tahun 1750an hingga 1914, konsep kemegahan melalui penjajahan berbentuk kolonialisme telah berubah corak menjadi lebih agresif dengan memandang kemegahan dan ketinggian bangsa masing-masing. Walaupun tidak dinafikan idea bangsa terpilih atau ummatan mukhtarah telah lama diwujudkan oleh kaum bani Israel tetapi dalam tempoh yang tersebut, pemikiran sebegini telah semakin bertambah subur. Penjajahan dilakukan bagi memuaskan hati megah mereka dan dilakukan dengan anggapan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Ini dilakukan pada asalnya sebagai sumber kemegahan dengan menjadikan benua Asia sebagai sasaran uatam diikuti dengan benua Amerika dan Afrika. Senario ini kemudiannya telah bertambah agresif apabila mereka mula memandang hina bangsa lain di dalam benua mereka sendiri dan pada kemuncaknya berlakulah Perang Dunia Pertama.13 2. Jingoisme Kesan secara langsung akibat daripada etnosentrisme ini ialah pemupukan semangat patriotisme melampau yang timbul di kalangan kuasa-kuasa Eropah. Akibatnya, perasaan benci yang tinggi timbul di antara kaum dan bangsa yang hidup di Eropah pada ketika itu dan mengakibatkan mereka mula meluaskan percakaran mereka keluar negara dan menjadikan negara-negara yang lemah di Asia, Amerika dan Afrika sebagai sasaran menunjukkan keegoan juga bahan penindasan bagi menunjukkan kuasa mereka.14 3. Agama Agama turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran manusia di Eropah yang mengakibatkan berlakunya imperialisme. Misi agama Kristian yang membawa tugas suci menyelamatkan umat manusia daripada penindasan dan ketidakadilan terutama di negara-negara mundur seperti di Asia dan Afrika telah mewujudkan fahaman "the white men burden" atau "tugas suci orang kulit putih". Fahaman ini memberi maksud bangsa selain orang kulit putih atau Kristian adalah lebih merupakan beban yang ditakdirkan Tuhan kepada mereka (orang kulit putih) untuk di uruskan. Ini telah membawa
47 mereka ke tanah-tanah baru yang diteroka oleh negara mereka. Ditambah pula dengan perasaan megah dan bangga diri yang sedia wujud hasil perkembangan nasionalisme moden, maka kuasa-kuasa Eropah ini lebih agresif melaksanakan aktiviti imperialisme di atas nama untuk menyelamatkan bangsa lain yang mundur.15 4. Keinginan Mencapai Kuasa Besar Kemegahan dan kegilaan yang dihasilkan daripada semangat nasionalisme yang tebal telah menggalakkan kepada wujudnya keinginan menjadi kuasa besar yang menguasai semua manusia di muka bumi ini. Jerman merupakan contoh terbaik bagaimana perasaan nasionalisme yang dipupuk oleh Bismarck pada tahun-tahun 1800an telah mengakibatkan dunia terheret ke dalam kancah Perang Dunia Pertama. Ini berlaku kerana ketamakan untuk menguasai seluruh Eropah.16 Berdasarkan kepada perbincangan yang di atas, saya berharap anda dapat memahami dengan lebih jelas bagaimana kedua-dua istilah atau dasar yang tersebut di atas berbeza di sudut pengertian khusus biarpun secara umumnya membawa maksud penjajahan. Pada permulaan perbincangan ini, kita telah membincangkan definisi dan faktor-faktor penggalak kepada wujudnya gerakan penjajahan sama ada kolonialisme ataupun imperialisme. Jelas ditunjukkan dalam perbincangan kita, bahawa kolonialisme adalah merupakan satu dasar penjajahan di mana penaklukan dibuat ke atas sesuatu tempat baru untuk mendapatkan hasil mahsulnya. Hasil ketamakan mereka, kaum imigran telah dibawa masuk dan kumpulan minoriti orang asing ini kemudiannya secara perlahan-lahan menguasai negara yang terjajah tersebut. Justeru itu, dalam konteks kolonialisme dasar penjajahan dibuat atas dasar kepentingan pihak penjajah di segi pendapatan dan menggunakan kaum imigran sebagai batu loncatan untuk mempunyai kuasa di tanah jajahan mereka. Imperialisme pula, bolehlah di katakan sebagai satu kesinambungan atau lanjutan daripada sifat konsep kolonialisme tetapi lebih keras. Ini kerana penjajahan dilakukan oleh sesuatu bangsa terhadap masyarakat lain. Penguasaan ini melibatkan proses perkembangan kuasa dan kawalan melalui idea dan pemikiran mereka sendiri terhadap sistem politik dan ekonomi bagi meluaskan kuasa sesuatu empayar. Dasar ini lebih cenderung untuk menyebarkan idea kebendaan dan kemegahan dari barat, iaitu dengan menonjolkan sifat keunggulan sesuatu bangsa.
48 Justeru itu, penaklukan di buat bukan sahaja kerana hasil mahsul yang hendak diperoleh di negara tersebut tetapi juga penguasaan terhadap rakyat dan pemerintahan di negara tersebut. Ini dilakukan lebih-lebih lagi berdasarkan kemunculan faham imperialisme ini yang berkait rapat dengan peranan mendapatkan kebanggaan menerusi perluasan kuasa dan pengiktirafan sebagai bangsa terulung dan terunggul di dunia. Pentadbiran biasanya bercorak pemusatan di mana dasar-dasar yang hendak dilaksanakan di negara yang dijajah akan di rujuk dan dibuat di ibu negara yang terlibat seperti London atau Paris.17 SOALAN DALAM TEKS 1. Nyatakan faktor-faktor utama yang menggalakkan berlakunya proses penjajahan kolonialisme. I. Keperluan kepada tanah II. Kemegahan III. Agama IV. Kesan perkembangan kapitalisme moden A. I, II dan III B. I, II dan IV C. II, III dan IV D. I, II, III dan IV 2. Nyatakan faktor-faktor utama yang menggalakkan berlakunya proses imperialisme. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 3.4 GERAKAN PENJAJAHAN BARAT DI TANAH MELAYU Sejarah perkembangan gerakan penjajahan di negara ini telah wujud sejak awal lagi— dilakukan oleh kerajaan atau empayar besar yang terdiri dari negara-negara jiran seperti Srivijaya, Majapahit, Pasai, dan Siam. Bagaimanapun, negara atau empayar yang menawan kawasan-kawasan di Tanah Melayu pada waktu itu tidaklah memberi kesan yang jelas terhadap penguasaan mereka berbanding dengan kuasa barat yang datang kemudian.
49 3.4.1 Kedatangan Penjajah Barat Adakah anda tahu, negara barat manakah yang mula-mula sekali meluaskan kuasa mereka di Tanah Melayu? Portugis yang membuka lembaran baru penerokaan memulakan proses penjajahan barat di Tanah Melayu pada tahun 1509 apabila mereka datang untuk berdagang. Ketamakan dan rasa iri hati yang wujud secara berleluasa di kalangan orang-orang Melayu akhirnya mengakibatkan penaklukan Empayar Melayu Melaka oleh kuasa Portugis pada tahun 1511. Sejarah kemudiannya mencatatkan jatuhnya kuasa Portugis di Melaka ke tangan Belanda pada tahun 1641. Penguasaan Belanda ini berterusan sebelum British mengambil alih Melaka setelah perjanjian Straits Settlement ditandatangani pada tahun 1824. Pada pendapat anda, mengapakah Tanah Melayu amat menarik perhatian kolonialis barat? Persoalan di atas sering ditimbulkan kerana sejarah telah membuktikan bahawa Tanah Melayu sememangnya menarik perhatian penjajah sama ada dari Timur atau Barat. Sarjana telah menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan Tanah Melayu menjadi tumpuan tarikan, iaitu: 1. Kedudukan Geografi Tanah Melayu Kedudukan Tanah Melayu yang merupakan sebuah semenanjung dan betul-betul terletak di antara jalan perdagangan di antara benua sebelah timur dan benua sebelah barat amatlah strategik sebagai sebuah pusat perdagangan. Kawasannya yang meliputi hampir keseluruhan Selat Melaka dan dilindungi pula oleh Pulau Sumatera memberikan satu ruang atau jalan laut yang selamat dan terlindung dari taufan, ribut dan gelora lautan. Keadaan ini memudahkan para pelaut dan pedagang untuk berlabuh dan berlindung pada waktu perjalanan mereka apabila diserang angin monsun sama ada timur laut atau pun barat daya. Ciri-ciri geografi ini menjadi faktor penarik kepada sebarang kuasa besar yang memerlukan keselamatan untuk jalan perdagangan dan perlindungan bagi keselamatan dari ancaman semula jadi ataupun yang dilakukan manusia. 2. Bahan Mentah Tanah Melayu yang kaya dengan pelbagai bahan mentah seperti bijih timah telah menjadi sasaran kuasa-kuasa besar menjajahnya dan menguasai sepenuhnya sumber ekonomi di Tanah Melayu. Tanah Melayu telah terkenal dengan gelaran Golden Chersoneves ataupun Suvarnabhumi yang menggambarkan hasil buminya seperti emas dan timah yang
50 banyak. Manakala, Tanah Melayu juga sering digunakan sebagai pelabuhan entrepot yang mengumpulkan hasil-hasil hutan terutamanya untuk para pedagang sejak awal kewujudan tamadun di tanah semenanjung ini. Bahan-bahan seperti kayu manis, buah pala, rotan, sagu dan lain-lain diperlukan oleh para pedagang selain bekalan air dan makanan untuk bekalan perjalanan mereka. Selepas kedatangan kuasa barat dan penemuan bijih timah secara meluas, Tanah Melayu menjadi bertambah penting bagi kuasa-kuasa penjajah ini. 3. Pasaran Baru Sementara itu, di Eropah pada abad ke-14 dan 15 sedang rancak dengan projek penjelajahan dan penemuan (Exploration and Discoveries). Revolusi perindustrian telah menyebabkan kuasa-kuasa besar di Eropah keluar dari benua Eropah dan mencari penempatan dan pasaran baru bagi perdagangan mereka. Kedudukan Tanah Melayu di tengah jalan perdagangan menjadi tarikan kepada kuasa-kuasa Eropah untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai salah sebuah pusat pasaran dan perdagangan mereka. Pasaran di Eropah menjadi sukar akibat semua kuasa besar mula mencipta dan mengeluarkan bahan baru. Ini mewujudkan persaingan sengit untuk mendapatkan lokasi dan pasaran baru pengeluaran masing-masing. Selain itu, keperluan terhadap bahan mentah yang berkaitan dengan industri seperti bijih timah dan besi juga meningkat dengan mendadak. 4. Pangkalan Tentera Anda telah sedia maklum kedudukan Tanah Melayu di Selat Melaka yang merupakan jalan perdagangan penting di Asia. Faktor kedudukan ini juga sebenarnya amat penting kepada kesesuaiannya menjadi pangkalan tentera. Kalau di lihat sejarah awal kedatangan kuasa penjajah barat ke Tanah Melayu, mereka datang bukan sahaja untuk mencari sebuah pelabuhan persinggahan tetapi juga adalah kerana strategi ketenteraan. Ini boleh anda fahami jika anda bayangkan kedudukan negara mereka yang jauh di Eropah dan kawasan-kawasan yang mereka lawati untuk tujuan perdagangan atau mendapatkan kekayaan adalah jauh di benua Asia. Di dalam konteks ini, perkara utama yang difikirkan oleh kuasakuasa besar ini tentulah keselamatan angkatan atau rombongan mereka. Oleh itu, satu cara terbaik yang perlu mereka lakukan ialah mencari sebuah tempat yang dapat menjadi pelabuhan persinggahan dan sekaligus memenuhi keperluan-keperluan keselamatan dan ketenteraan. Contoh terbaik yang boleh anda lihat ialah kedatangan Kapten Francis Light ke Pulau Pinang yang dipajak oleh British dari Kerajaan Kedah sebagai pelabuhan persinggahan, dan juga sebagai pangkalan tentera untuk
51 mengawal ancaman pelanunan serta kuasa asing yang lain seperti Belanda, Perancis, dan Jerman dari menggugat kapal-kapal perdagangan mereka yang menggunakan laluan di Selat Melaka. Pulau Pinang kemudiannya kalau anda lihat telah menjadi antara tempat terawal dalam senario perluasan kuasa British di Tanah Melayu. 5. Prester John Akhirnya, mungkin anda masih ingat apa telah saya jelaskan pada bahagian awal bab berkenaan kepentingan agama dalam menggalakkan aktiviti penjajahan. Sebagaimana yang anda maklum, pada waktu itu orang-orang Kristian di Eropah sedang rancak menentang penguasaan empayar Islam. Pihak gereja telah menjanjikan kedatangan seorang Messiah atau The Great Saviour atau penyelamat agung. Di antara versi yang timbul dari janji pihak gereja itu ialah kehadiran seorang yang bernama Prester John yang akan muncul di benua sebelah timur. Kepercayaan ini telah menyebabkan orang-orang Kristian seperti Putera Henry dari Portugal telah melancarkan gerakan mencari Prester John di sebelah timur dengan harapan gabungan kerajaan Kristian sebelah timur dan kerajaan Kristian mereka dapat menjatuhkan empayar Islam secara keseluruhannya.18 3.4.2 Dasar Campur Tangan British di Tanah Melayu Anda kini tentu telah memahami sedikit-sebanyak bahawa dasar awal pihak penjajah barat termasuk British adalah jelas, iaitu mereka datang hanya untuk mengaut hasil keuntungan di Tanah Melayu tanpa peduli dan campur tangan dalam hal ehwal urusan orang Melayu dan negerinegeri Melayu. Hanya pada tahun 1874 secara rasmi British mula campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu. Ini dilakukan setelah termeterainya Perjanjian Pangkor, di Perak pada tahun 1874. Bermula daripada perjanjian tersebut, pihak British bukan sahaja mengekalkan kuasanya, malahan terus meluaskan pengaruh mereka di negeri-negeri Melayu yang lain sehinggalah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. Sesungguhnya perjanjian 1874 itu merupakan titik permulaan kepada satu perubahan besar di Tanah Melayu. Berdasarkan perkara-perkara yang telah kita bincangkan sebelum ini, dapatkah anda bayangkan apakah sebab-sebab yang memungkinkan campur tangan tersebut?. Pada hakikatnya, dasar campur tangan British ini dilakukan berdasarkan beberapa faktor yang banyak dipengaruhi oleh keadaan di Tanah Melayu pada masa itu. Di antara faktor-faktor yang digariskan ialah