153 Pada perkiraan rakyat negeri itu dengan menyertai Malaysia, maka Sabah dan Sarawak akan dapat mencapai kemerdekaan lebih awal dari Britain. Selain itu, mereka juga bimbangkan ancaman komunis yang semakin merbahaya. Sekiranya Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, ancaman komunis lebih mudah diatasi dengan bantuan Kuala Lumpur nanti. Selain dari faktor kemajuan dan kemakmuran yang telah dicapai oleh Persekutuan Tanah Melayu sejak mencapai kemerdekaan, penampilan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri dan ketegasan kerajaan Persekutuan terhadap komunis telah menarik sokongan penduduk Sabah dan Sarawak untuk menyertai Malaysia. Jumlah peratusan ini meliputi satu per tiga dari penduduk di negerinegeri ini yang menyokong, satu per tiga tidak menentang, tetapi mensyaratkan hak-hak mereka dijamin terlebih dahulu, manakala satu per tiga lagi tidak bersetuju dan mahukan kemerdekaan secara berasingan. Kebanyakan kumpulan yang menentang merupakan golongan minoriti dan golongan bukan Bumiputera. Mereka bimbang akan kehilangan hakhak mereka juga takut akan didiskriminasikan oleh kerajaan yang bakal terbentuk nanti. Di samping itu, juga mereka bimbangkan soal dominasi Melayu. Singapura pula telah menghantar referendum menyokong penubuhan Malaysia. Setelah meninjau pandangan rakyat serta para pemimpin Sabah dan Sarawak, maka satu persetujuan telah dicapai oleh suruhanjaya tersebut. Persetujuan tersebut ialah (i) Perlembagaan yang bakal di tubuh hendaklah berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. (ii) Malaysia adalah nama persekutuan yang bakal dibentuk. (iii) Persetujuan dalam soal penghijrahan baik luar negeri mahupun dari Semenanjung dan Singapura, di mana kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa dalam menentukan kemasukan orang luar. (iv) Majlis Undangan Sabah dan Majlis Negeri Sarawak diberi hak untuk menentukan hal-ehwal yang berkaitan dengan agama. (v) Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan di kedua-dua negeri. 3. Pungutan Suara Singapura Oleh kerana Singapura merupakan negeri yang telah mencapai taraf berkerajaan sendiri, maka ia tidak termasuk dalam bidang penyiasatan Suruhanjaya Cobbold. Walaupun barisan pemimpin Singapura mengalualukan rancangan penubuhan Malaysia dan mengatakan kesediaan
154 mereka untuk bergabung, namun banyak pihak di Singapura menentang hebat rancangan ini. Antaranya ialah kumpulan kiri dan Parti Barisan Sosialis. Bagi membuktikan bahawa tidak ada sebarang paksaan dalam menyertai Malaysia oleh pihak Singapura ke atas rakyatnya, maka satu pungutan suara telah dibuat dan mendapati bahawa 71 peratus penduduk Singapura memilih untuk menyertai Malaysia.8 4. Jawatankuasa antara Kerajaan (JAK) Setelah persetujuan telah dicapai di kalangan pemimpin dan penduduk, satu usaha telah dijalankan bagi merangka serta membentuk syarat pembentukan kerajaan Persekutuan yang terperinci. Sehubungan itu, pada Ogos 1962 Jawatankuasa Antara Kerajaan telah dibentuk. Ia telah dipengerusikan oleh Lord Landsdowne dan dianggotai oleh Tun Abdul Razak, Donald Stephen, Abang Haji Mustapha, Temenggung Jugah, dan seorang wakil dari Britain, serta seorang wakil dari Persekutuan Tanah Melayu. Dalam jawatankuasa ini, pemimpin-pemimpin Parti Perikatan Sabah mahukan kepentingan dan masalah rakyat Sabah yang dikemukakan dan Tuntutan 20 dipertimbangkan. Tuntutan tersebut antara lain mengandungi perkara-perkara yang berkaitan dengan agama, pendidikan, imigresen, bahasa, dan perwakilan ke Parlimen. JAK telah menubuhkan lima jawankuasa kecil bagi mengkaji dan meneliti aspek-aspek perlembagaan, kewangan, perundangan, kehakiman, dan organisasi jabatan. Setelah bersidang beberapa kali dan mengambil kira semua perkara yang berkait dengan tuntutan rakyat dari negeri yang akan bergabung dengan Tanah Melayu, maka satu laporan telah dikeluarkan dan menjadi asas kepada Perjanjian Malaysia. Penubuhan Persekutuan Malaysia kemudiannya diisytiharkan di Stadium Negara pada 16 September 1963. Tahukah anda, sebenarnya Malaysia telah dirancang dan dipersetujui untuk ditubuhkan pada 31 Ogos 1963, iaitu satu tarikh yang sama dengan sambutan hari kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang ke enam. Namun, ia terpaksa dilewatkan kerana Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu, U Thant menganggarkan bahawa laporan tersebut boleh disiapkan pada 14 September 1963. Kelewatan ini juga disebabkan oleh tentangan dari Indonesia.9
155 SOALAN DALAM TEKS 7.2 1. _______________________merupakan jawatan kuasa yang ditubuhkan bagi penyelesaikan perbezaan pandangan politik dalam proses pembentukan Malaysia. A. Jawatan Kuasa Perundingan Penubuhan Malaysia B. Jawatan Kuasa Perhubungan Antara Kaum C. Suruhanjaya Cobbold D. Suruhanjaya Commonwel 2. Berikan tuntutan oleh rakyat Sabah dan Sarawak yang telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Cobbold. 3. Apakah faktor utama yang dibimbangi oleh golongan minoriti di Sabah dan Sarawak sekiranya negeri itu menyertai Malaysia? Semak jawapan anda di akhir bab ini. 7.5 REAKSI-REAKSI PENUBUHAN MALAYSIA Walaupun telah diisytiharkan penubuhan Malaysia, namun terdapat juga reaksi-reaksi negatif daripada beberapa pihak. Antaranya, tentangantentangan dari dalam negara sendiri, Kerajaan Brunei, Kerajaan Filipina, dan Kerajaan Indonesia. Kita akan teliti dengan lebih lanjut reaksi-reaksi tersebut. 7.5.1 Tentangan Dalaman Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 telah berjaya dilaksanakan walaupun mendapat tentangan dari beberapa pihak, sama ada dari dalam ataupun luar negeri. Tentangan dari dalam negeri telah diterima dari kerajaan Kelantan, iaitu Parti PAS yang telah mengambil tindakan mahkamah dan mendakwa penubuhan Malaysia sebagai tidak sah ke atas Kelantan. Saman yang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan yang bertarikh 10 September 1963. Walau bagaimanapun, tuntutan saman tersebut telah gagal.
156 7.5.2 Kerajaan Brunei Reaksi penentangan juga datang dari Brunei yang pada peringkat awalnya menyokong malah menunjukkan minatnya untuk bersama-sama Sabah dan Sarawak, serta Singapura untuk menyertai Malaysia. Persetujuan ini lahir dari pertimbangan Sultan Brunei, Sultan Ali Sarifuddin yang memikirkan bahawa negara Brunei adalah sebuah negara yang kecil dan memerlukan perlindungan. Namun, Brunei akhirnya menolak pelawaan penggabungan ini atas beberapa faktor seperti tentangan rakyat Brunei yang diwakili oleh Parti Rakyat Brunei yang dipimpin oleh A.M. Azahari. Tentangan kuat yang diberikan oleh Parti Rakyat Brunei ini juga mendapat sokongan dari Partai Komunis Indonesia.10 Parti Rakyat Brunei telah melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Brunei dan mencadangkan penubuhan Kerajaan Borneo Utara bagi menggantikan penubuhan Malaysia. Pada pandangan pemerintah Brunei, sekiranya menyertai Malaysia dibimbangi pemberontakan akan lebih merebak. Walau bagaimanapun, pemberontakan akhirnya berjaya ditumpaskan oleh kerajaan Brunei dengan bantuan Britain. Faktor lain ialah keengganan Sultan Brunei untuk membayar cukai ke atas pendapatannya hasil dari petroleum seperti yang dicadangkan oleh kerajaan Persekutuan, iaitu Brunei hanya berhak sepenuhnya ke atas pendapatan petroleum untuk jangka masa sepuluh tahun. Sebaliknya, kerajaan Brunei menuntut untuk menguasai sepenuhnya hasil petroleum tersebut. Selanjutnya, Sultan Brunei menolak kedudukannya dalam senarai raja-raja yang akan menjadi Yang Di Pertuan Agong. Baginda mahukan kedudukan yang lebih tinggi dan tempoh pemerintahan yang lebih lama, iaitu sejak pemerintahannya di Brunei dan bukannya sejak Brunei menyertai Malaysia. 7.5.3 Kerajaan Filipina Selain dari Brunei negara jiran yang lain yang menentang penubuhan Malaysia ialah Filipina. Tentangan yang telah ditunjukkan oleh negara ini adalah dengan cara mengemukakan tuntutan ke atas Sabah. Tuntutan ini bermula dari idea Filipina, iaitu Presiden Machapagal yang merupakan seorang tokoh yang sememangnya berminat dalam soal-soal kewilayahan. Subjek utama beliau ialah Sabah yang di dakwa sebagai sebahagian dari wilayah Filipina. Filipina juga menuntut Sabah bagi pihak keluarga Sultan Sulu yang pada masa dahulu merupakan penguasa ke atas negeri ini. Walau bagaimanapun, Sabah telah diserahkan kepada pedagang Austria dan kemudiannya telah berpindah milik kepada British. Dalam soal ini juga, Sultan Sulu dan kemudian pewaris-pewarisnya telah menerima bayaran $5,000,000 setahun. Pada pandangan kerajaan Malaysia isu ini telah selesai.11
157 Sebagai tindak balas kepada sikap Filipina, kerajaan Malaysia telah tinjauan dari rakyat Sabah dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan didapati bahawa majoriti rakyat negeri itu memilih untuk berada di bawah kerajaan Malaysia. Namun, kerajaan Filipina telah menolak hasil laporan tersebut. 7.5.4 Kerajaan Indonesia Tentangan yang paling hebat yang diterima oleh Malaysia berhubung dengan penubuhan Malaysia ialah dari Indonesia yang telah melancarkan konfrontasi dari tahun 1963 hingga 1966. Pada peringkat awal, Indonesia tidak mahu campurtangan dalam soal penubuhan Malaysia kerana ia tidak melibatkan wilayah negara itu. Pada 20 November 1961, kerajaan Indonesia yang diwakili oleh Menteri Luar, Dr. Subandrio pernah mendoakan selamat maju jaya kepada usaha-usaha kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menubuhkan Malaysia dalam satu ucapannya di Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu.12 Tetapi pendirian ini telah bertukar kemudiannya, dan Indonesia telah mengecam penubuhan Malaysia dan menganggap ia sebagai neo-kolonialisme atau satu bentuk penjajahan baru.13 Parti Komunis Indonesia memainkan peranan yang penting dalam penentangan dan kecaman terhadap pembentukan Malaysia.14 Sokongan pihak Indonesia terhadap pemberontakan Parti Rakyat Brunei merupakan susulan kecaman Indonesia kepada Persekutuan Tanah Melayu. Tuduh menuduh antara pemimpin-pemimpin Malaysia dan Indonesia telah dilemparkan dalam akhbar-akhbar di negara masingmasing. Hubungan Malaysia dengan Indonesia menjadi semakin tegang dan pada 20 Januari 1963 Menteri Luar Indonesia iaitu Dr. Subandrio telah mengumumkan konfrontasi ke atas Malaysia dengan melancarkan kempen “Ganyang Malaysia!”.15 Konfrontasi ialah satu istilah yang digunakan untuk menunjukkan penentangan. Presiden Sukarno memilih istilah ini untuk menunjukkan tentangannya terhadap Malaysia. Indonesia telah melancarkan konfrontasi ke atas Malaysia dalam aspek kemasyarakatan dan ekonomi. Walaupun pada asalnya Indonesia menyatakan tidak akan melancarkan konfrontasi ala-tentera tetapi keadaan menjadi semakin genting apabila tentera-tentera Indonesia telah menyusup masuk ke wilayah-wilayah Malaysia, seperti di pantai Pontian dan pantai Muar di Johor.16 Terdapat beberapa usaha yang telah dijalankan bagi menamatkan konfrontasi Indonesia dan Malaysia serta memperbaiki hubungan Malaysia dan Filipina. Ia termasuklah usaha Tunku menubuhkan gagasan Maphilindo dalam satu Sidang Puncak yang di adakan di Manila
158 pada 30 Julai hingga 5 Ogos 1963, tetapi pertubuhan ini berkubur di tengah jalan17. Selain itu, perundingan antara ketiga-tiga ketua pemimpin negara ini juga turut diadakan di Tokyo pada 20 Jun 1964. Perundingan ini juga menemui jalan buntu. Konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia akhirnya tamat berikutan dengan kejatuhan Sukarno akibat kegagalan cubaan coup-de-tet yang telah dilancarkan oleh Parti Komunis Indonesia pada 30 September 1965 dalam satu peristiwa yang dikenali sebagai G30S/PKI.18 Rundingan perdamaian dan pemulihan hubungan Indonesia dengan Malaysia telah diadakan di Bangkok pada tahun 1966.19 SOALAN DALAM TEKS 7.3 1. Selain dari tujuan untuk mencapai kemerdekaan, apakah sebab sampingan yang telah menjadi daya penarik kepada sokongan rakyat Sabah dan sarawak untuk menyertai Malaysia? A. Perwatakan dan kewibawaan Tunku sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu. B. Dorongan dari Singapura. C. Sokongan dari keluarga Brooke D. Takutkan pengaruh Parti Rakyat Brunei. 2. Berikan dua alasan terhadap keengganan Brunei untuk menyertai Malaysia. 3. Senaraikan dua tuntutan yang telah dikemukakan oleh rakyat Sabah dalam Tuntutan 20. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 7.6 KESIMPULAN Penubuhan Malaysia jelas menunjukkan keinginan rakyat Sabah, Sarawak, dan Singapura, malah Brunei sendiri untuk mencapaian kemerdekaan melalui Malaysia. Ia juga menunjukkan hasil dari satu persetujuan yang telah diterima oleh pihak yang terlibat. Walaupun usaha-usaha untuk menubuhkan Malaysia terpaksa menghadapi banyak halangan, satu perkara penting yang dapat diperhatikan bahawa penggabungan wilayah-
159 wilayah ini adalah dibentuk secara demokratik, iaitu melalui pungutan suara dan tidak ada unsur ugutan dari mana-mana pihak. Oleh yang demikian, kita dapati apabila Singapura kemudiannya menimbulkan pelbagai masalah kepada kerajaan pusat, negara itu akhirnya diizinkan keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965. SOALAN PENILAIAN KENDIRI 1. Parti politik di Singapura yang menentang gagasan Malaysia ialah A. Parti Tindakan Rakyat B. Parti Radikal C. Parti Barisan Sosialis D. Parti Buruh 2. Sebab utama pemimpin-pemimpin politik di Sabah dan Sarawak menentang gagasan Malaysia di peringkat awal kerana A. bimbang persaingan ekonomi dari Singapura. B. jangkaan bahawa Tanah Melayu akan menguasai Sabah dan Sarawak secara mutlak. C. tidak mahu membangkitkan kemarahan Indonesia dan Filipina. D. tidak yakin dengan kandungan Perlembagaan Malaysia 1957. 3. Faktor utama yang membangkitkan penentangan Parti Rakyat Brunei di bawah pimpinan A.M. Azahari terhadap gagasan Malaysia ialah A. keinginan menyatukan wilayah di bawah pemerintahan Sultan Brunei B. membentuk gabungan Brunei dan Indonesia. C. kebimbangan mengenai kehilangan kuasa politik dan ekonomi. D. khuatir tentang kedudukan kaum bumiputera yang bakal bersaing dengan bangsa lain. 4. Penentangan yang paling serius yang terpaksa dihadapi oleh Kuala Lumpur berikutan dengan penubuhan Malaysia ialah A. Pengantungan hubungan diplomatik oleh kerajaan Britain. B. Terjejasnya hubungan ekonomi dengan Australia. C. Amaran gerakan ketenteraan oleh kerajaan Amerika Syarikat. D. Penentangan bersenjata dan pembekuan hubungan ekonomi oleh Indonesia.
160 5. Pilih kenyataan yang TIDAK BENAR mengenai dakwaan Indonesia tentang rancangan penubuhan Malaysia. I. Perluasan pengaruh orang Cina dan komunis. II. Kemungkinan Tanah Melayu akan menjadi lebih kuat. III. Tanah Melayu turut bercita-cita bergabung dengan Indonesia. IV. Brunei didesak untuk menyertai gagasan penubuhan Malaysia. A. I dan II B. I, II dan III C. II dan III D. III dan IV 6. Berikan dua justifikasi yang telah diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengenai kepentingan penubuhan Malaysia. 7. Nyatakan dua orang tokoh serta dua parti politik Sabah yang menentang keras rancangan penubuhan Malaysia pada peringkat awal. 8. Apakah alasan utama yang digunakan oleh Lee Kuan Yew dalam meyakinkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengenai keperluan terhadap pembentukan Malaysia dengan mengambil kira penyertaan Singapura. 9. Berikan dua bentuk konfrontasi yang telah dilancarkan oleh Indonesia terhadap Malaysia. 10. Siapakah dua orang tokoh tempatan yang dipilih untuk menganggotai Jawatan Kuasa Cobbold? Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini. JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS SDT 7.1 1. Dua orang tokoh tempatan ialah (i) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. (ii) Ghazali Shafie.
161 2. Dua sebab yang menarik minat mereka (i) Pembangunan yang giat dijalankan bagi memajukan masyarakat. (ii) Kegigihan kerajaan Tanah Melayu menentang PKM. SDT 7.2 1. B 2. Tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak ialah (i) Hak dalam menentukan hal ehwal agama. (ii) Kerajaan negeri berkuasa menentukan soal peghijrahan. 3. Faktor utama yang dibimbangi: (i) Dominasi penduduk Melayu. SDT 7.3 1. A 2. Dua alasan Brunei: (i) Enggan membayar cukai pendapatan hasil dari sumber petrolium mengikut peratusan yang dipersetujui oleh Kuala Lumpur. (ii) Sultan Brunei mempertikaikan tempoh perlantikan sebagai Yang DiPertuan Agung. 3. Dua tuntutan: (i) Aspek yang berkait dengan bahasa. (ii) Aspek yang berkait dengan soal imigresen.
163 BAB 8 PERLEMBAGAAN MALAYSIA OBJEKTIF BAB Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menerangkan maksud perlembagaan. 2. Mengenal pasti keperluan perlembagaan dalam sesebuah negara. 3. Membincang dan menjelaskan unsur tradisi yang terdapat dalam perlembagaan Malaysia. 8.1 PENGENALAN Tahukah anda apakah perlembagaan? Perlembagaan ialah suatu kumpulan undang-undang yang tertinggi untuk menentukan bagaimana pemerintahan sebuah negara itu mesti dijalankan. Perlembagaan sesebuah negara menerangkan dan memperuntukkan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh pelbagai anggota negara itu, seperti hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan yang diperintah. Seperti negara lain yang berdaulat di dunia, Malaysia mempunyai suatu Perlembagaan Persekutuan yang berfungsi sebagai undang-undang tertinggi negara. Perlembagaan Persekutuan menentukan pelbagai perkara mengenai kebebasan asasi, kewarganegaraan, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, perundangan, peruntukan kewangan, pilihan raya, kehakiman, perkhidmatan awam dan lain-lain. Dengan lain perkataan, bolehlah kita anggap bahawa Perlembagaan Persekutuan yang mencorakkan sistem pemerintahan di Malaysia. Perlembagaan Malaysia diasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan tanah Melayu yang telah digubal dan dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid. Suruhanjaya ini memulakan tugasnya dalam bulan Jun 1956 dan telah menyiapkan laporan perlembagaan menjelang bulan Februari 1957. Laporan ini kemudiannya dibahaskan oleh parti politik utama negara ini dan diluluskan oleh Majlis Perundangan dalam bulan Jun tahun yang sama. Perlembagaan Persekutuan mula dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 apabila Tanah Melayu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan mengandungi semua negeri-negeri Melayu, Pulau Pinang, dan Melaka.
164 Tahukah anda bahawa perlembagaan Malaysia merupakan satu perlembagaan yang boleh dipinda dan berubah mengikut keperluan semasa? 8.2 PERKEMBANGAN DAN PINDAAN PERLEMBAGAAN Setiap perlembagaan bertulis mengalami perubahan atau boleh dipinda dari semasa ke semasa. Pindaan perlembagaan dibuat kerana sikap, fahaman dan kehendak rakyat telah berubah. Kadangkala keputusan mahkamah juga menyebabkan perlembagaan dipinda. Sejak Perlembagaan Persekutuan tanah Melayu digubal, ianya telah mengalami beberapa perubahan dan pindaan. Namun begitu, pindaan dan perubahan yang dibuat itu, sehingga kini masih kekal dengan sifat dalam lingkungan rangka perlembagaan asal yang telah diwujudkan itu. Perubahan dan pindaan yang dilakukan dalam perlembagaan itu adalah didasarkan kepada beberapa perubahan yang berlaku di negara kita. Ini merupakan suatu perkara yang biasa, lebih-lebih lagi apabila terdapat sesuatu perkara dalam perlembagaan yang dirasakan tidak begitu sesuai lagi. Contohnya, apabila Persekutuan Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia dengan kemasukan Sabah dan Sarawak, perlembagaan telah dipinda supaya dapat disesuaikan sesuatu undang-undang itu dengan konsep Malaysia. Satu lagi peristiwa yang membawa kepada pindaan perlembagaan ialah tragedi berdarah 13 Mei 1969. ianya berkaitan dengan soal kebebasan hak asasi serta kesetiaan kepada Raja dan Perlembagaan. Kebebasan asasi untuk bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan sewengang-wenangnya tanpa kawalan mencetuskan perkara yang tidak diingini. Di kalangan orang bukan Melayu misalnya, telah dengan lantangnya mempersoalkan kedudukan raja-raja, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Kebangsaan. Akibat daripada tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 itu, Parlimen pada tahun 1967 telah meluluskan akta meminda Perkara 10 Perlembagaan Malaysia mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Terdapat empat perkara yang dilarang bagi perbincangan umum, iaitu perkara-perkara yang dianggap sensitif, seperti soal kewarganegaraan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Kebangsaan, dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Perlembagaan Malaysia juga sentiasa dikaji dari semasa ke semasa. Jika perlu ianya akan dipinda dan diubah mengikut kehendak pemimpin dan kerajaan yang memerintah. Kali terakhir berlaku pindaan Perlembagaan ialah semasa Dewan Rakyat bersidang pada bulan Ogos 1983 yang lalu. Dalam persidangan Dewan Rakyat pada bulan Julai 1983, Dewan telah meluluskan beberapa rang undang-undang yang kemudian diluluskan oleh Dewan Negara.
165 Perlembagaan Malaysia boleh dipinda melalui empat cara, iaitu (i) Dengan mendapat sokongan majoriti biasa. (ii) Dengan mendapat sokongan dua pertiga semasa dalam bacaan kedua dan ketiga dikedua-dua majlis dewan. (iii) Mendapat sokongan dua pertiga semasa bacaan kedua dan ketiga di kedua-dua majlis Parlimen serta persetujuan Majlis Raja-raja. (iv) Dengan mendapat sokongan dua pertiga semasa semasa bacaan kedua dan ketiga di kedua-dua majlis Parlimen serta mendapat persetujuan Yang Dipertuan negeri Sabah atau Sarawak (iaitu bagi pindaan berkaitan dengan negeri-negeri tersebut.) (lihat perbincangan dalam Bab 7, federalisme di Malaysia, Shaikh Mohd Noor Alam Bin S.M.,Hussain, KL: DBP, 1988). SOALAN DALAM TEKS 8.1 1. Apakah maksud perlembagaan? A. Undang-undang memerintah negara. B. Buku yang menentukan cara memerintah negara. C. Undang-undang pembahagian kuasa. D. Kumpulan undang-undang tertinggi negara. 2. Sebuah badan yang diberi tugas merangka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ialah A. Jawatankuasa Perunding Perlembagaan B. Jawatankuasa Persekutuan Tanah Melayu C. Suruhanjaya Cobbold D. Suruhanjaya Reid 3. Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda setelah mendapat persetujuan daripada A. Perdana Menteri B. Jemaah Menteri C. Semua ahli Dewan Negara D. Dua pertiga ahli Parlimen Semak jawapan anda di akhir bab ini.
166 8.3 TUJUAN PERLEMBAGAAN Kewujudan sebuah perlembagaan bagi sesebuah negara yang berdaulat sangat penting. Ia akan menentukan perjalanan sesebuah negara berjalan dengan lancar atau sebaliknya. Tujuannya ialah 1. Menjamin Keutuhan dan Kedaulatan Negara Perlembagaan boleh menjamin keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara. Ia merupakan undang-undang tertinggi yang perlu dipatuhi dalam menetuka hala tuju sesebuah negara. Tanpa perlembagaan rakyat sesebuah negara tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan taat setia mereka dalam mendirikan sebuah negara yang makmur dan utuh. Semangat nasionalisme tidak akan wujud di kalangan rakyat yang tidak memikirkan dan mencintai negara mereka. Apabila semangat ini tidak terdapat di dalam diri seseorang rakyat, maka tidak akan wujud semangat patriotisme di dalam jiwa mereka sebagai satu syarat untuk menyumbangkan tenaga mereka terhadap negara. Justeru itu, negara menjadi lemah. Apabila sesebuah negara tidak mempunyai kekuasaan yang utuh, pemerintahan yang kuat, musuh dengan mudah mengambil alih kerajaan atau tampuk pemerintahan negara. Jadi dengan adanya perlembagaan negara, rakyat dapat berpegang kepada satu undangundang yang diamalkan dan dihormati bersama untuk memastikan kewujudan sebuah negara yang berdaulat. 2. Sebagai Rujukan Dengan adanya perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, pihak-pihak yang bertentangan antara satu sama lain boleh menjadikan ia sebagai sumber rujukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Keadaan tegang akibat daripada perasaan tidak puas hati dapat dielakkan jika rakyat diwajibkan menurut dan menghormati apa yang tercatat di dalam perlembagaan. Masalah ketidakfahaman boleh diselesaikan dengan tenang berdasarkan undang-undang yang telah sedia ada di dalam perlembagaan. Apabila semua pihak yang bertentangan duduk membincangkan masalah mereka secara bersama, maka masalah yang mungkin timbul tidaklah begitu sukar diselesaikan. Justeru itu, dengan adanya perlembagaan sebagai sumber rujukan utama dari segi perundangan ia dapat menyesuaikan konflik yang berlaku di dalam sesebuah negara dengan lebih mudah. 3. Mewujudkan Kestabilan Negara Walaupun pada dasarnya perlembagaan boleh dipinda, namun ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Sebarang pindaan perlembagaan yang dilakukan dalam mana-mana negara, ia mestilah
167 berdasarkan perlembagaan juga. Jika pindaan boleh dilakukan dengan mudah dan mengikut kehendak pemimpin-pemimpin (penggubal), maka ini akan menghasilkan satu keadaan kucar-kacir di mana pemimpin itu mungkin bertindak sesuka hatinya dan mengabaikan kemahuan rakyat. Oleh itu, jelas betapa perlunya perlembagaan bagi mengekalkan keamanan dalam sesebuah negara. 4. Mengawal Perjalanan Kerajaan Dengan adanya perlembagaan, segala tindakan para pemimpin dapat diketahui atau dipastikan. Ini kerana segala tindak-tanduk mereka mestilah berdasarkan kepada perlembagaan yang telah dicatatkan, bukan bertindak mengikut sesuka hati. Oleh itu, pihak pemerintah tidak dapat melakukan sebarang perbuatan yang boleh menyeleweng daripada perlembagaan. Ini bererti perlembagaan dapat menjamin agar pihak pemerintah tidak berlaku curang atau menyalah guna kuasa yang diperuntukkan kepada mereka. 5. Mengekalkan Keamanan Perubahan pucuk pimpinan yang berlaku selepas proses pilihan raya tidak akan menyebabkan sebarang kesan ke atas negara mahupun corak pemerintahan. Ini kerana setiap pemimpin dari parti politik yang menang mestilah mempunyai cita-cita atau konsep yang sama dalam mengendalikan negaranya. Mereka sepatutnya memerintah negara dengan tujuan yang sama sebagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu yang memerintah. Oleh itu, walaupun terdapat pertukaran pemimpin, tujuan pemerintahan tidak akan terkeluar daripada maksud berusaha memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat. 6. Perlembagaan Menjamin Keamanan Sesebuah Negara Dengan adanya perlembagaan rakyat mendapat jaminan undang-undang bahawa tidak akan ada unsur-unsur diskriminasi di kalangan mereka. Pembahagian kuasa dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan antara rakyat dengan pemerintah serta badan perundangan telah memisahkan antara satu sama lain daripada melakukan penindasan dan salah guna kuasa. Tidak ada pihak mendapat keistimewaan dari segi undang-undang, sebaliknya semua orang harus menghormati dan mematuhi perlembagaan negara. Sikap ini boleh membantu mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat sebagai syarat untuk membolehkan mereka hidup aman damai.
168 8.4 JENIS-JENIS PERLEMBAGAAN Perlembagaan terdiri daripada beberapa jenis iaitu 1. Perlembagaan Panjang dan Pendek Perlembagaan yang diamalkan oleh sesebuah negara dengan negara lain tidak sama. Panjang atau pendek sebuah perlembagaan itu bergantung kepada berapa banyak perkara yang terkandung di dalam perlembagaan tersebut. Sebagai contoh Perlembagaan India sangat panjang, manakala Perlembagaan negara Amerika Syarikat adalah pendek di mana terdapat hanya tujuh perkara sahaja. Sementara di Malaysia pula perlembagaannya sederhana panjang, mengandungi 183 perkara. 2. Perlembagaan Bertulis dan Tidak Bertulis Perlembagaan bertulis adalah perlembagaan yang terdapat dalam bentuk dokumen yang nyata, seperti Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan tidak bertulis merupakan peruntukan yang berselerak dalam akta-akta yang lain tetapi tidak dikodkan. Perlembagaan jenis ini terdapat di United Kingdom. Dalam amalannya perlembagaan tidak bertulis menjadikan parlimen mempunyai kuasa yang sangat tinggi sebagaimana yang wujud di United Kingdom. Sementara di Malaysia yang mengamalkan perlembagaan bertulis, kedudukan parlimen tertakluk kepada perlembagaan kerana dari segi statusnya perlembagaan adalah yang tertinggi. Oleh itu, timbul tanggapan jika sebuah negara mengamalkan perlembagaan bukan bertulis, maka parlimen berkuasa membuat dan meminda undangundang. Manakala dalam negara yang menggunakan perlembagaan bertulis maka pindaan ke atas perlembagaan itu sendiri hanya boleh dibuat melalui tatacara yang khusus yang berbeza dengan acara perundangan yang lain. 3. Perlembagaan Berparlimen dan Perlembagaan Berpresiden Dalam sistem perlembagaan berparlimen ia mempunyai hubungan antara institusi perundangan dan institusi pemerintahan yang begitu rapat sekali. Dalam sistem perlembagaan berpresiden, pengasingan kuasa agak jelas seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat dan Filipina. 4. Perlembagaan Ketat (rigid) dan Perlembagaan Longgar (flexible) Ketat (rigid) atau longgar (flexible) sesuatu perlembagaan dilihat kepada keadaan bagaimana perlembagaan itu boleh dipinda. Perlembagaan itu
169 dianggap sebagai ketat sekiranya sukar dipinda kerana memerlukan majoriti sokongan yang sangat tinggi. Sebaliknya perlembagaan itu dianggap longgar sekiranya ia boleh dipinda dengan hanya memerlukan majoriti kecil sahaja. (simple majoriti). 5. Perlembagaan Bersekutu dan Perlembagaan Tidak Bersekutu Dalam perlembagaan bersekutu, kuasa pemerintahannya dibuat dengan cara pengagihan kuasa. Perlembagaan dengan jelasnya membahagikan kuasa pemerintahan antara kerajaan pusat dan negeri. Umpamanya di Malaysia, kuasa itu diperuntukkan melalui Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Lazimnya kuasa kepada persekutuan lebih banyak berbanding dengan kuasa yang dimiliki oleh negeri. 8.5 CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN Lazimnya semua perlembagaan mempunyai ciri-ciri yang sama dari segi konsep dan dasar pelaksanaannya. Antara lain ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut: 1. Kekal Kestabilan dalam melaksanakan perkara-perkara yang menjadi kebiasaan umum ataupun tatacara yang lazim. Ianya membolehkan rakyat mengetahui hak-hak mereka, menggunakan hak-hak tersebut, dan membolehkan rakyat mengambil bahagian dalam pembangunan negara. 2. Unsur-Unsur Tanggungjawab Pemerintah adalah bertanggungjawab ke atas rakyat. Segala permintaan adalah sebagai panduan kepada tindakan-tindakan kerajaan. Rakyat adalah berhak mengetahui segala perbelanjaan kerajaan dan berhak menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kerajaan. 3. Pilihan Raya Melalui pilihan raya rakyat boleh memilih wakil mereka dalam dewan parlimen. Pemilihan ini menggambarkan kuasa sebenar pemerintahan terletak di tangan rakyat. 4. Pembahagian Kuasa Perlembagaan memperuntukkan kuasa secara jelas supaya tidak timbul pertindihan dan tidak ada pihak yang boleh menyalahgunakan kuasa.
170 Kerajaan memainkan dua peranan penting, iaitu sebagai pemerintah dan pembuat undang-undang. Badan kehakiman pula menjadi badan yang melaksanakan undang-undang yang digubal di parlimen. 5. Terbuka Perkara-perkara yang tidak dianggap sulit mestilah diumumkan agar rakyat tahu dan menilai apa yang berlaku di dalam negara. Segala perbincangan yang dijalankan di parlimen akan disebarkan kepada umum melalui media massa seperti belanjawan tahunan negara dan pembuatan dasar baru. SOALAN DALAM TEKS 8.2 1. Manakah di antara berikut BUKAN tujuan perlembagaan diwujudkan. A. Memelihara keamanan. B. Sebagai rujukan jika berlaku pertikaian undang-undang. C. Mengelakkan eksploitasi dan ketidakadilan. D. Menyekat hak asasi manusia. 2. Pilih kenyataan yang BETUL mengenai perlembagaan Malaysia. A. Perlembagaan Malaysia tidak bertulis. B. Perlembagaan Malaysia panjang. C. Malaysia mempunyai perlembagaan bersekutu. D. Perlembagaa Malaysia tidak boleh dipinda. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 8.6 CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYSIA Terdapat beberapa ciri perlembagaan, iaitu (i) Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan yang bertulis yang dikanunkan dalam sebuah buku. Hal/keadaan ini berlainan daripada perlembagaan United Kingdom yang mengamalkan perlembagaan tidak bertulis.
171 (ii) Perlembagaan Malaysia mengandungi 183 Perkara dan 13 Jadual. Perkara adalah untuk mentakrifkan hak dan kewajipan pemerintah atau warga negara secara kasar. Manakala Jadual pula berfungsi menerangkan secara terperinci mengenai sesuatu perkara itu. (iii) Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan beraja berasaskan demokrasi berparlimen di mana Perkara 32 menjelaskan mengenai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan. (iv) Perlembagaan Malaysia bersifat ketat dan sukar dipinda. Pindaan yang hendak dibuat tidak sama dengan pindaan akta-akta lain yang diluluskan oleh Parlimen. Perkara 159 memperuntukkan bahawa beberapa peruntukan yang hendak dipinda hendaklah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu dan lain-lain hendaklah mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. (v) Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang utama dan tertinggi. Ia memperuntukkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang yang berlawanan dengannya hendaklah terbatal dengan sendirinya. (vi) Dalam perlembagaan Malaysia terdapat idea pengasingan kuasa sebagaimana doktrin itu diamalkan di England. Pembahagian itu dapat dibahagikan kepada tiga bahagian yang berlainan dalam sistem pemerintahan negara, iaitu kuasa menggubal undang-undang, pemerintah dan kuasa kehakiman. (vii) Selain menentukan tanggungjawab Persekutuan dan mengatur perhubungan antara Persekutuan dan Negeri, perlembagaan Malaysia juga menentukan kuasa-kuasa perundangan dan kuasa-kuasa pemerintahan antara kerajaan pusat dan negeri melalui tiga senarai yang dipanggil Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. (viii) Perlembagaan turut memperuntukkan kebebasan asasi. Bahagian-bahagian dalam perlembagaan Malaysia mengenai kebebasan asasi individu adalah bahagian yang mustahak dalam perlembagaan Malaysia bertujuan menjamin hak asasi seseorang warganegara yang sah dari segi undang-undang. Peruntukan ini merupakan salah satu ciri perlembagaan bertulis iaitu menjelaskan dengan nyata mengenai jaminan perlindungan yang diberikan kepada setiap warganegara dan orang-orang lain dalam negara itu.
172 8.7 KANDUNGAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA Bahagian 1 - Negeri-negeri, Ugama dan Undang-undang bagi Persekutuan Bahagian 2 - Kebebasan Asasi Bahagian 3 - Kewarganegaraan Bab 1 - Perolehan Kewarganegaraan Bab 2 - Penamatan Kewarganegaraan Bab 3 - Tambahan Bahagian 4 - Persekutuan Bab 1 - Kepala Utama Negara Bab 2 - Majlis raja-raja Bab 3 - Pemerintah Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan Bab 5 - Acara Perundangan Bab 6 - Keupayaan terhadap harta, kontrak dan guaman Bahagian 5 - Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negerinegeri Bab 1 - Pembahagian kuasa-kuasa perundangan Bab 2 - Pembahagian kuasa-kuasa pemerintahan Bab 3 - Pembahagian beban kewangan Bab 4 - Tanah Bab 5 - Pembangunan negara Bab 6 - Tinjauan Persekutuan, nasihat Persekutuan kepada negeri dan pemeriksaan Persekutuan mengenai kegiatan-kegiatan Negeri Bab 7 - Masjlis Negara bagi Kerajaan Tempatan Bab 8 - Pemakaian bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak Bahagian 7 - Bab 1 - Am Bab 2 - Pemakaian bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak Bahagian 8 - Pilihan raya Bahagian 9 - Penghakiman Bahagian 10 - Perkhidmatan Awam Bahagian 11 - Kuasa-kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, dan Kuasa-kuasa Darurat Bahagian 12 - Am dan Pelbagai Bahagian 12A - Perlindungan Tambahan Bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak Bahagian 13 - Peruntukan Sementara dan Peralihan Bahagian 14 - Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-raja, dan sebagainya.
173 8.8 UNSUR-UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN Pernahkah anda terfikir mengenai asal-usul perlembagan negara kita? Pembentukan perlembagaan Malaysia telah melalui satu proses sejarah yang panjang. Ia terdiri daripada adunan unsur-unsur yang terdapat dalam sistem pemerintahan Melayu lama dan juga penjajah Inggeris. Inggeris yang pernah memerintah lebih satu abad di Tanah Melayu telah meninggalkan banyak kesan ke atas Tanah Melayu, antaranya ialah perlembagaan. Beberapa unsur pemerintahan Inggeris yang pernah diamalkan telah diserap masuk ke dalam perlembagaan seperti jentera Kerajaan, Parlimen, dan kewarganegaraan. Unsur-unsur baru bagi orang Melayu ini dikenali sebagai unsur-unsur moden dalam perlembagaan. Sementara beberapa unsur lama seperti institusi raja, bahasa Melayu, hak istimewa, dan agama Islam dikekalkan. Unsur-unsur lama yang dikekalkan di dalam perlembagaan ini digolongkan sebagai “unsur-unsur tradisi” iaitu amalan pra-British. Unsur-unsur tradisi di dalam perlembagaan ini sangat perlu dipelihara bagi mewujudkan perpaduan kaum dan kestabilan politik sebagai syarat memajukan negara. Empat unsur lama yang pernah diamalkan dalam sistem pemerintahan Kerajaan Melayu lama yang dikekalkan di dalam perlembagaan negara kita, ialah 1. Pemerintahan Beraja Pemerintahan beraja sudah lama wujud dan menjadi amalan turun temurun di negeri-negeri Melayu. Raja atau Sultan menjadi simbol kesetiaan orang Melayu. Pemerintahan dan pentadbiran pada waktu itu berpusat kepada raja dan istana. Kepentingan raja atau sultan ini dapat dilihat dalam kerajaan yang ditubuhkan. Kerajaan itu dari perkataan raja sebagai pusat atau fokus segala sumber rujukan dan kuasa yang membolehkan mereka memerintah secara mutlak. (Sila imbas kembali pelajaran ini dalam Bab 2). Kedudukan Raja-raja Melayu dikekalkan apabila Inggeris campur tangan dalam hal ehwal negeri Melayu pada abad kesembilan belas. Seorang penasihat Inggeris akan dilantik untuk menasihati sultan dalam segala hal ehwal perkara yang berkaitan dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam (lihat Maxwell & Gibson, 1924). Mereka menggunakan kedudukan raja Melayu sebagai simbol perpaduan dan tempat orang Melayu menumpahkan taat setia mereka sebagai daya tarikan supaya orang Melayu tidak menentang Inggeris. Sebarang usaha menentang Inggeris boleh ditafsirkan sebagai menderhaka kepada sultan.
174 Malayan Union ditentang kerana beberapa perkara yang menyentuh kedudukan orang Melayu dan kedaulatan kuasa raja Melayu, sebaliknya menguntungkan orang bukan Melayu. Sultan sekarang kehilangan kuasa apabila Tanah Melayu ditadbir oleh Sir Edward Gent sebagai Gabenor pertama yang berpusat di Kuala Lumpur. Pemberian kerakyatan mengikut prinsip “jus soli” atau mengikut tempat lahir telah menghapuskan hak turun temurun orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini. Kerakyatan telah memberi orang bukan Melayu mempunyai hak yang sama dengan orang Melayu. Persamaan ini telah menambahkan kebimbangan orang Melayu terhadap bukan Melayu apabila mereka menguasai ekonomi perdagangan Tanah Melayu dalam sektor getah dan bijih timah. Bantahan segenap lapisan orang Melayu telah berjaya menggagalkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengekalkan kedudukan raja dan menggantikan jawatan gabenor kepada Pesuruhjaya Tinggi Inggeris ke Tanah Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 telah menetapkan Raja Perlembagaan. Yang Dipertuan Agong (YDA) sebagai Ketua Utama negara memerintah atas nasihat Perdana Menteri dan kabinet. Sementara di peringkat negeri, Sultan dan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan memerintah dengan nasihat Menteri Besar dan majlis mesyuarat negeri. YDA dan raja-raja Melayu kekal kebal dari segi undang-undang dan sebarang perubahan yang hendak dibuat terhadap kedudukan YDA dan Raja-raja Melayu mestilah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja. 2. Agama Islam Islam dan orang Melayu bukan satu perkara baru. Dalam perlembagaan Malaysia, orang Melayu didefinisikan sebagai orang beragama Islam dan mengamalkan cara hidup dan budaya Melayu serta bertutur dalam bahasa Melayu. Sebenarnya orang Melayu telah mengenali dan mengamalkan Islam sejak lebih 500 tahun yang lalu. Antara faktor penting agama Islam cepat diterima oleh orang Melayu kerana sultan pada waktu itu beragama Islam. Orang Melayu yang terkenal sebagai taat dan pantang derhaka kepada Sultan begitu mudah menerima Islam sebagai agama baru mereka, lebih-lebih lagi kedudukan sultan sebagai ketua agama. Kedudukan Sultan sebagai ketua agama telah dikukuhkan lagi apabila Inggeris campur tangan di negeri-negeri melayu pada tahun 1870-an. Bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874, kuasa Raja-Raja Melayu telah dihadkan dalam adat istiadat dan agama Islam sahaja. Selain daripada itu, Sultan hendaklah menerima nasihat daripada seorang penasihat Inggeris.
175 Setelah merdeka, Islam telah dijadikan agama persekutuan dan kerajaan. Sebagai agama rasmi negara, kerajaan mempunyai kuasa untuk memperuntukkan sebahagian daripada perbelanjaan untuk pembangunan dan kemajuan berkaitan dengan agama Islam, seperti perbelanjaan mengurus, membina masjid, dan sekolah agama. Bagaimanapun, sesuai dengan negara demokrasi, agama lain bebas untuk diamalkan tetapi dilarang untuk menyebarkannya kepada penganut agama Islam. 3. Bahasa Melayu Seperti agama Islam, bahasa Melayu juga tidak asing bagi orang Melayu kerana telah ditetapkan oleh perlembagaan bahawa orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu pada masa dahulu adalah penting kerana penduduk yang tinggal di Tanah Melayu pada waktu itu tidak majmuk dari segi bahasa dan budaya yang diamalkan seperti sekarang. Tanah Melayu dihuni oleh sebahagian besar penduduknya orang Melayu. Di samping sebagai bahasa utama di kalangan penduduknya bahasa Melayu juga mejadi Lingua Franca (perantaraan) kepada pedagang yang dating berniaga di Melaka semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Malah semasa Inggeris menjajah Tanah Melayu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Segala minit mesyuarat telah ditulis dalam tulisan jawi. Bermula pada tahun 1946, bahasa Melayu dan Inggeris boleh digunakan dalam mesyuarat tetapi tulisan (minit mesyuarat) mestilah ditulis dalam bahasa Inggeris. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menggantikan Malayan Union masih mengekalkan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa rasmi. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan wujud kembali apabila menyedari masalah perpaduan yang wujud di Tanah Melayu. Pada tahun 1956, bahasa Melayu telah disyorkan oleh penyata Razak supaya diterima pakai dalam sistem pendidikan negara. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan sebagai tolak ansur antara kaum semasa mencapai kemerdekaan telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara pada tahun 1957 dan bermula pada tahun 1961 - Akta Pelajaran mewajibkan bahasa Melayu sebagai pengantar di sekolah-sekolah. 3. Kedudukan Hak Istimewa Orang Melayu Sama seperti agama dan bahasa bagi orang Melayu, hak istimewa juga bukan perkara asing bagi orang Melayu. Tidak timbul soal diskriminasi, persaingan dan konflik antara kaum pada waktu itu. Apabila Inggeris membawa masuk pekerja dalam sektor getah dan bijih timah dengan
176 jumlah yang ramai sebagai tenaga kerja, maka soal yang tidak pernah dipersoalkan selama ini telah timbul. Orang Melayu merasa terancam dan dianak tirikan apabila melihat jumlah pendatang semakin ramai. Tambahan pula dengan kejayaan mereka menguasai ekonomi negara telah memaksa kerajaan memikirkan supaya orang Melayu tidak terlalu ketinggalan jauh dari kaum pendatang. Hak istimewa orang Melayu telah diperkenalkan dalam perlembagaan supaya pembelaan dan Bantuan dapat diberikan kepada orang Melayu sebagai penduduk peribumi. YDA telah diberi kuasa untuk pelihara kedudukan hak istimewa orang Melayu di Semenanjung. Sabah dan Sarawak bila menyertai Malaysia pada tahun 1963. Antara perkara yang terkandung dalam hak istimewa orang Melayu ialah kuota kemasukan dalam sektor awam dan kuota kemasukan ke institusi pengajian tinggi, biasiswa, kemudahan mendapat lesen dan permit perniagaan. Bagaimanapun YDA tidak boleh mengganggu atau menarik balik apa-apa keistimewaan kaum lain untuk diberi kepada peribumi. 8.9 PERANAN UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN Unsur-unsur tradisi yang terdapat di dalam perlembagaan negara unik kerana ia menggabung unsur lama dan baru. Di samping keunikan itu, terdapat beberapa faedah dan kebaikan yang boleh dikecapi oleh rakyat Malaysia. Unsur-unsur tradisi ini boleh menjadikan orang Melayu setanding dengan kaum lain. Orang melayu yang ketinggalan dalam semua bidang jika disbanding dengan kaum bukan Melayu. Peruntukan yang terkandung dalam hak istimewa orang Melayu membolehkan kerajaan membantu orang Melayu supaya mereka tidak ketinggalan terlalu jauh atau terpinggir di negara sendiri. Hak istimewa ini juga dapat mengimbangi kedudukan mereka yang hilang semasa penjajahan Inggeris. Orang Melayu dipinggirkan dari sektor ekonomi perdagangan yang menguntungkan. Sebaliknya orang bukan Melayu telah dibawa masuk sebagai tenaga kerja dalam sector tersebut. Dasar penjajah Inggeris ini seolah-olah menafikan hak orang Melayu dan memberikan dasar ekonomi baru kepada pendatang asing dalam tempoh yang lama. Konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang bertujuan mengekalkan ketuanan Melayu sesuai sebagai penduduk peribumi negara ini. Orang Melayu yang menduduki negara ini sejak sekian lama memang telah sebati dengan sistem pemerintahan beraja. Raja bagi orang Melayu
177 adalah lambang tempat menumpahi taat setia yang tidak berbelah bagi. Di sini raja boleh berfungsi sebagai unsur penyatuan kepada orang Melayu dan penduduk Malaysia yang berbagai kaum supaya bersatu-padu dengan memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi juga. Semua unsur tradisi yang terdapat di dalam perlembagaan Malaysia sebenarnya telah dipersetujui bersama oleh komponen parti Perikatan semasa merangka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. UMNO telah melonggarkan syarat kerakyatan yang diberikan kepada kaum buka Melayu, sebagai ganti kepada persetujuan M.C.A dan M.I.C untuk mengekalkan unsur tradisi di dalam perlembagaan. Persetujuan dan tolak ansur ini dikenali sebagai pakatan murni atau quid pro quo. Untuk memelihara keharmonian kaum di negara ini, orang ramai dilarang mengungkit atau memperkatakan perkara yang telah dipersetujui melalui Akta Hasutan 1948 yang dipinda. Pindaan itu melarang menggolongkan perkara yang telah dipersetujui semasa mencapai kemerdekaan sebagai perkara sensitif. SOALAN PENILAIAN KENDIRI 1. Perlembagaan manakah di antara berikut telah dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia 1963. A. Perlembagaan Persekutuan 1948. B. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. C. Perlembagaan Persekutuan Malaysia. D. Perlembagaan Malayan Union. 2. Bagaimanakah cara orang Melayu dan bukan Melayu bekerja sama merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu? A. Menandatangani perjanjian di antara mereka. B. Menubuhkan parti Perikatan. C. Mengadakan tolak ansur melalui pakatan murni. D. Menetapkan bantuan. 3. Hak istimewa orang Melayu dipelihara oleh A. Perdana Menteri B. Jemaah Menteri. C. Yang Dipertuan Agong. D. Majlis Raja-Raja.
178 4. Apakah kepentingan unsur tradisi dalam perlembagaan? A. Mewujudkan perpaduan kaum. B. Membalas budi orang Melayu. C. Menyekat orang bukan Melayu. D. Memajukan negara. Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini. JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS SDT 8.1 1. D 2. D 3. D SDT 8.2 1. D 2. C
179 BAB 9 JENTERA PENTADIBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN NEGERI DI MALAYSIA OBJEKTIF BAB Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Memahami erti jentera pentadbiran kerajaan di negara ini. 2. Menghuraikan kewujudan dan keperluan jentera pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri. 3. Mengenali dan menghayati prosedur jentera pentadbiran kerajaan yang ada. 9.1 PENGENALAN Di antara ciri utama wujudnya sesebuah negara ialah wujudnya kerajaan. Kerajaan adalah penting sebagai pelaksana dasar-dasar yang menetukan takdir sesebuah negara. Berdasarkan kenyataan tersebut Malaysia seperti negara-negara lain di dunia juga mempunyai sistem dan jentera pentadbiran kerajaan sendiri. Ini adalah penting sebagai satu lambang kepada negara Malaysia yang merdeka. Kerajaan yang ada adalah sebagai tanda bahawa negara Malaysia diuruskan oleh rakyat negara ini sendiri. Oleh itu Malaysia sebagai negara moden memang tidak dapat lari daripada memerlukan satu sistem pentadbiran kerajaan yangcekap dan berkesan untuk memelihara keamanan serta melaksanakan usaha-usaha pembangunan sosioekonomi demi kepentingan rakyat. Bagi memastikan semua ini terlaksana, pentadbir-pentadbir awam adalah merupakan mereka yang memainkan peranan penting dan merupakan jentera utama kepada kelancaran pembangunan negara. Ini kerana merekalah yang bertanggungjawab terhadap perjalanan pentadbiran harian serta terlibat dalam proses pembentukan dan pelaksanaan dasardasar awam. Kepentingan mereka ini adalah jelas walaupun apabila kerajaan yang memerintah bertukar hasil dari kehendak rakyat melalui pilihan raya tetapi mereka masih tetap kekal. Dengan lain perkataan, masa depan sesebuah negara amat bergantung kepada jentera yang menggerakkan sistem pentadbiran yang sedia wujud.
180 Di dalam bab ini para pelajar akan didedahkan tentang jentera pentadbiran kerajaan negara ini secara umum. Perbincangan di dalam bab ini akan melihat tiga peringkat pentadbiran kerajaan di Malaysia, iaitu (a) Pentadbiran Peringkat Kerajaan Persekutuan, (b) Pentadbiran Peringkat Kerajaan Negeri, dan (c) Pentadbiran Peringkat Kerajaan Setelah itu perbincangan akan disambung dengan meneliti secara umum pentadbiran peringkat negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pada bahagian akhir pula, kita akan sama-sama pula mengkaji secara ringkas tentang pentadbiran di peringkat Kerajaan Tempatan. Di dalam setiap perbincangan, penulis akan membincangkan menurut susunan kepentingan sebagai contoh Kementerian akan dibincangkan dahulu sebelum berpindah kepada tajuk Jabatan dan seterusnya. 9.2 JENTERA PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN Sebagaimana yang pelajar sedia maklum berdasarkan pembelajaran pada bab yang sebelumnya. Kuasa Eksekutif merupakan salah satu daripada tiga kuasa kerajaan yang terdapat di negara kita. Perlu diingat menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Kuasa Eksekutif Kerajaan Persekutuan adalah terletak pada Yang Di Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara. Walau bagaimanapun dari segi pelaksanaan adalah jelas organisasi tertinggi yang menjalankan Kuasa Eksekutif ialah Kabinet atau Jemaah Menteri. Manakala dari segi perjalanan dasar pula, segala dasar dan arahan Kabinet dilaksanakan oleh pegawai-pegawai awam yang berkhidmat dalam organisasi-organisasi kerajaan yang berkaitan. Organisasi-organisasi berkenaan pada kebiasaannya terletak di bawah salah satu bentuk organisasi kerajaan iaitu sama ada: (a) organisasi-organisasi yang ditubuhkan di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan Malaysia seperti Majlis Tanah Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya, dan (b) organisasi-organisasi yang ditubuhkan di bawah kuasa atau budi bicara kerajaan dan pihak pentadbiran seperti Kementerian, jabatan dan Perbadanan-Perbadanan Awam. Perkara paling penting untuk memastikan kelancaran keseluruhan jentera pentadbiran ini ialah penyelarasan dalam sesebuah organisasi dan di antara berbagai-bagai organisasi kerajaan. Menerusi penyelarasan ini, sebuah jentera pentadbiran yang cekap dan berkesan dapat direalisasikan.
181 9.2.1 Kabinet Berdasarkan penjelasan di atas, para pelajar diharap dapat memahami dengan jelas bahawa kabinet merupakan organisasi tertinggi yang menjalankan kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan dan ini dilakukan di atas nama Yang Di Pertuan Agong (YDPA). Secara umumnya, kabinet dibentuk oleh parti yang mempunyai kedudukan majoriti di dalam Dewan Rakyat. Kedudukan majoriti ini seperti yang kebanyakan para pelajar sedia maklum diperoleh daripada satu proses pemilihan oleh rakyat yang kita kenali sebagai pilihan raya yang adil dan bebas. Kabinet atau jemaah menteri ini diketuai oleh seorang ketua yang dikenali sebagai Perdana Menteri. Perdana Menteri dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong daripada salah seorang ahli Dewan Rakyat dan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan tersebut. Di Malaysia adalah menjadi kebiasaan Perdana Menteri dilantik daripada kalangan kumpulan politik atau parti politik yang mendapat kerusi majoriti di Dewan Rakyat. Sebagai Ketua Eksekutif sebenar, Perdana Menteri bertanggungjawab untuk memaklumkan dan menjelaskan kepada Yang Di Pertuan Agong tentang pentadbiran negara. Di antara tugas-tugas utama Perdana Menteri ialah mempengerusikan kabinet serta mengetuai kerajaan dalam hal-hal berkaitan dasar negara. Secara keseluruhan kabinet dianggotai oleh jemaah kabinet atau menteri yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Mereka yang dilantik menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah dari kalangan ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Di Malaysia, barisan kabinet terdiri adripada kalangan ahli-ahli parti politik yang memenangi majoriti kerusi Dewan Rakyat sewaktu pilihan raya umum. Dari segi tanggungjawab ke atas tugasan mereka, anggota kabinet adalah bertanggungjawab secara kolektif atau bersesama ke atas setiap keputusan dasar yang dibuat oleh kabinet. Lazimnya kabinet bermesyuarat sekali dalam seminggu atau pada tiap-tiap minggu pada setiap bulan dan ini dilakukan pada setiap hari Rabu. Setiausaha kabinet ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN). 9.2.2 Organisasi Kerajaan yang Ditubuhkan Atas Budi Bicara Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, selain daripada organisasiorganisasi yang ditubuhkan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan Malaysia terdapat juga organisasi-organisasi yang dibentuk atas budi bicara kerajaan bagi membantu melicinkan lagi kelancaran pentadbiran.
182 9.2.2.1 Kementerian Di antara organisasi yang dimaksudkan ialah kementerian yang merupakan agensi tertinggi dalam struktur pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Kementerian pula boleh kita lihat dengan jelas menerusi pembahagian, iaitu Jabatan Perdana Menteri, dan kementeriankementeriannya lain. (a) Jabatan Perdana Menteri Jabatan Perdana Menteri merupakan satu kementerian yang amat penting. Ini kerana fungsi utamanya sebagai perancang, perumus dan penyelaras segala dasar negara di samping menentukan kelancaran pelaksanaan dasar-dasar tersebut oleh kementerian-kementerian lain secara cekap dan berkesan. Kepentingan jabatan ini juga jelas terserlah berdasarkan ia diketahui oleh Perdana Menteri sendiri. Perdana Menteri pula dibantu secara langsung oleh Timbalan Perdana Menteri, Menterimenteri utama dan Timbalan-timbalan Menteri yang khusus bagi Jabatan Perdana Menteri. Ketua pegawai pentadbir atau pegawai pentadbir utama bagi jabatan ini ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN) sendiri yang bertugas sebagai penasihat langsung dan pentadbir utama kepada Perdana Menteri. Di abwah pentadbirannya terdapat berbagai unit, bahagian atau jabatan tertentu yang berperanan untuk melicinkan jentera pentadbiran seperti: (i) Bahagian Perancangan Ekonomi – Unit Perancangan Ekonomi Negara (EPU) (ii) SERU – Sosio-Economy Research Unit (iii) MAMPU – Manpower Administration & Modernisation Planning Unit (iv) JAKIM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (b) Kementerian-Kementerian Seperti juga Jabatan Perdana Menteri, kementerian-kementerian lain juga adalah penting. Ianya hanya berbeza dari segi pengkhususan kerjanya sahaja. Pengkhususan ini dibuat bagi memastikan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada sektor-sektor penting di dalam negara ini. Ia lazimnya diketuai oleh seorang menteri yang bertanggungjawab di dalam melaksanakan bidang kuasa yang disebut Portfolio. Kementerian adalah bertanggungjawab di dalam menggubal dasar, merancang program dan melaksanakannya di bawah arahan polisi seorang menteri.
183 Struktur organisasi kementerian terdiri daripada ibu pejabat kementerian, jabatan dan perbadanan di bawah kawalannya. Seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian juga mempunyai pegawai utama bagi mengetuai pentadbiran di setiap kementerian. Pegawai Tadbir Utama di kementerian pada kebiasaannya ialah Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan dibantu oleh beberapa orang pegawai kanan terutamanya dari Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Menteri yang memegang portfolio pula selalunya dibantu oleh seorang atau kadang kala dua orang Timbalan Menteri dan juga Setiausaha Parlimen. Timbalan Menteri ini dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong daripada kalangan ahli mana-mana Majlis Parlimen, iaitu sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri. Setiausaha Parlimen pula dilantik terus oleh Perdana Menteri daripada orang yang menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara. 9.2.2.2 Jabatan Jabatan merupakan agensi pentadbiran kerajaan di bawah tanggungjawab sesebuah kementerian. Para pelajar dapat melihat terdapat satu atau kadang kala banyak jenis jabatan di bawah sesebuah kementerian. Sebagai contoh, hanya ada satu jabatan sahaja di bawah tanggungjawab Kementerkian Pendidikan berbanding dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang mempunyai Jabatan Imigresen, Jabatan Polis (Polis Diraja Malaysia) dan Jabatan Penjara di bawah tanggungjawabnya. Kebanyakan jabatan ini mempunyai ibu pejabat di peringkat kementerian dan cawangan-cawangan di peringkat negeri. Adalah jelas bahawa peranan jabatan adalah untuk melaksanakan perkara-perkara dan dasar-dasar seperti yang ditetapkan oleh kerajaan melalui kementerian masing-masing. Jabatan diwujudkan terutamanya cawangan-cawangan di peringkat negeri adalah bagi membantu mengurangkan beban ibu pejabat kementerian, melancarkan pentadbiran dan juga memudahkan rakyat. Tanggungjawab setiap cawangan adalah untuk melaksanakan tugas-tugas dan kegiatan pejabat yang berkaitan dengan dasar-dasar yang telah dibuat kementerian. Sebagai contoh, tugas cawangan Jabatan Imigresen di setiap negeri ialah untuk menjalankan urusan berkaitan pengeluaran passport dan visa juga pengesahan dan sebatan ke atas sebarang kemasukan ke negara ini. Sesebuah jabatan mempunyai seorang ketua yang diberi gelarang yang berbeza-beza menurut tugas masing-masing seperti Polis Di Raja Malaysia diketuai oleh Ketua Polis Negara (KPN). Manakala cawangancawangan jabatan pula mempunyai ketua masing-masing yang diberi nama sebagai Pengarah Negeri (bagi peringkat negeri) dan pegawai daerah (bagi peringkat daerah).
184 9.2.2.3 Perbadanan Awam Selain daripada organisasi-organisasi yang berhubung secara langsung dengan pentadbiran kerajaan atas urusan pentadbiran negara, wujud juga beberapa organisasi yang berhubung dengan pentadbiran kerajaan tetapi tidak secara langsung. Organisasi ini pada kebiasaannya ditubuhkan oleh kerajaan atas tujuan membantu kelancaran pentadbiran kerajaan dengan memberikan sedikit autonomi atas kuasa ke atas beberapa perkara. Organisasi inilah yang kita kenali sebagai Perbadanan Awam dan ia merupakan pertubuhan perbadanan yang diperbadankan oleh kerajaan sama ada melalui undang-undang atau ditubuhka di bawah Akta Syarikat untuk maksud-maksud tertentu. Terdapat dua jenis Perbadanan Awam iaitu (a) Badan-badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen dan Enakmen Dewan Undangan Negeri. Sebagai contoh ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). (b) Badan-badan yang Tidak Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat, 1965. taraf badan ini sama seperti sebuah syarikat sektor swasta dan bergerak secara bebas di dalam kegiatan ekonomi. Apa yang berbeza dengan sektor swasta ialah ekuitinya dimiliki sama ada sebahagian atau semuanya oleh kerajaan seperti MAS, PERNAS, BBMB dan MISC. 9.2.3 Organisasi di Bawah Peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Kalau para pelajar masih ingat, sebelum ini telah dijelaskan bahawa terdapat organisasi-organisasi kerajaan yang ditubuhkan menerusi peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dua organisasi penting yang ditubuhkan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu Suruhanjaya, dan Majlis. Kedua-dua organisasi adalah bagi membantu memantapkan lagi jentera pentadbiran kerajaan. (a) Suruhanjaya Terdapat dua jenis suruhanjaya yang tetap dalam Kerajaan Persekutuan iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Suruhanjaya Perkhidmatan. Kerajaan juga boleh menubuhkan Suruhanjaya Khas yang lazimnya berbentuk sementara untuk mengkaji sesuatu perkara atau masalah dan membuat perakuan-perakuan kepada kerajaan. Justeru itu, Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah memperuntukkan penubuhan tiga suruhanjaya bagi membantu kelancaran jentera pentadbiran kerajaan iaitu
185 (i) Suruhanjaya Pilihan Raya (ii) Suruhanjaya Perkhidmatan (iii) Suruhanjaya Khas untuk tujuan tertentu (seperti Suruhanjaya siasatan kemalangan keretapi di Gemas) Suruhanjaya Perkhidmatan pula ditubuhkan untuk memberi layanan yang adil kepada semua anggota perkhidmatan dari segi pelantikan, kenaikan pangkat dan tindakan tatatertib. Terdapat lima Suruhanjaya Perkhidmatan Persekutua yang mengawal taraf dan syarat perkhidmatan yang berlainan iaitu (i) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (ii) Suruhanjaya Perkhidmatan Pasukan Polis (iii) Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (iv) Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (v) Majlis Angkatan Tentera Bagi menjamin kebebasan suruhanjaya-suruhanjaya yang ditubuhkan, ahli-ahlinya mestilah dilantik secara khas. Ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya adalah dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah berunding dengan majlis Raja-Raja. Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan pula dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Begitu juga ahli-ahli Suruhanjaya Khas yang ditubuhkan kerana sebab-sebab tertentu adalah dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri. (b) Majlis-Majlis Terdapat dua jenis Majlis yang ditubuhkan di dalam system kerajaan persekutuan iaitu (i) Majlis yang ditubuhkan di bawah peruntukan Perlembagaan Malaysia. Majlis ini ditubuhkan menurut Perlembagaan Malaysia bagi melicinkan tugas-tugas pentadbiran seperti strategi dan menyelaras sesuatu dasar. Terdapat empat buah majlis yang telah ditubuhkan di bawah peruntukan ini, iaitu Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan Negara, Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan, dan Majlis Angkatan Tentera. (ii) Majlis yang ditubuhkan untuk membantu melicinkan perjalanan jentera pentadbiran kerajaan.
186 Majlis ini pula pada kebiasaannya ditubuhkan berasaskan kepentingan atau keperluan pentadbiran kerana sesuatu atau kejadian atau perkara penting seperti: Majlis Tindakan Negara – ditubuhkan untuk menyelaras perlaksanaan semua program dan projek pembangunan. Majlis Ekonomi Negara – ditubuhkan untuk bertanggungjawab mengenai semua aspek ekonomi negara seperti jawatankuasa adhoc MAPEN yang pernah mewujudkan dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) ataupun Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diwujudkan bagi membantu menguruskan dan mencari jalan untuk mengatasi kegawatan ekonomi. Majlis Keselamatan Negara – ditubuhkan untuk bertanggungjawab dalam menyelaraskan kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan keselamatan negara. SOALAN DALAM TEKS 1. Menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia ada beberapa Majlis yang ditubuhkan bagi membantu melicinkan urusan pentadbiran kerajaan seperti yang tersebut di bawah ini KECUALI A. Majlis Tanah Negara B. Majlis Kewangan Negara C. Majlis Angkatan Tentera D. Majlis Amanah Rakyat 2. Senaraikan beberapa unit di bawah tadbiran Jabatan Perdana Menteri yang membantu jabatan ini melaksanakan program-programnya dengan lebih berkesan (a) ………………………………………… (b)………………………………………… (c) ………………………………………… Semak jawapan anda di akhir bab ini.
187 9.3 JENTERA PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI Sebagaimana yang kita bincangkan pada struktur Kerajaan Persekutuan, setiap Kerajaan Negeri di Malaysia juga mempunyai struktur bagi jentera pentadbiran masing-masing. Lazimnya struktur bagi jentera pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia adalah lebih kurang sama. Walau bagaimanapun terdapat juga perbezaan biarpun ia berbeza hanya sedikit terutama di negeri-negeri di Sabah dan Sarawak. Dalam bahagian ini kita akan meneliti dan membincangkan secara umum bagi mengenali jentera pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri serta menyentuh sedikit tentang penyelarasan pentadbiran di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. 9.3.1 Majlis Mesyuarat Kerajaan Sebagaimana yang para pelajar sedia fahami di peringkat persekutuan, Kuasa Eksekutif adalah pada Yang Di Pertuan Agong. Oleh tiu di setiap Kerajaan Negeri pula adalah jelas Kuasa Eksekutif terletak pada Raja atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri mengikut perlembagaan negeri masing-masing. Di Semenanjung Malaysia, Kuasa Eksekutif ini pada kebiasaannya adalah dijalankan atau dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) atas nama raja atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri bagi negeri masing-masing. Manakala pelaksanaan Kuasa Eksekutif di Sarawak dijalankan oleh badan yang sama seperti Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Semenanjung yang digelar Majlis Tertinggi. Di Sabah pula badan yang sama taraf disebut sebagai kabinet. Kalau para pelajar telah faham proses di peringkat persekutuan, adalah mudah bagi anda memahami kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang menyerupai kabinet di peringkat Persekutuan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah merupakan organisasi pembentukan dasara yang tertinggi bagi peringkat pentadbiran negeri. Seperti Yang Di Pertuan Agong dan Kabinet Persekutuan, dalam kebanyakan perkara, Raja atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri harus bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Majlis Mesyuarat Kerajaan ini pada kebiasaannya diketuai oleh seorang yang digelar sebagai Menteri Besar bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Raja arau Sultan. Manakala gelaran Ketua Menteri digunakan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai pemerintahan beraja. Menteri Besar merupakan ketua eksekutif di peringkat kerajaan negeri seperti mana Perdana Menteri di peringkat pentadbiran Persekutuan. Lazimnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri ini dilantik oleh Raja atau Sulltan atau Yang Di Pertua Negeri daripada orang yang menjadi ahli Dewan Undangan Negeri dan mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli
188 Dewan tersebut. Amalan di negnegeri-negeri di Malaysia adalah jelas menunjukkan Menteri Besar atau Ketua Menteri adalah dilantik dari kalangan peminmpin golongan politikatau parti politik yang menguasai majority kerusi Dewan Undangan Negeri hasil daripada satu proses pemilihan atau pilihan raya yang dijalankan secara adil dan bebas. Dalam pada itu, pemimpin parti politik itu juga mestilah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya. Dengan lain perkataan, pemimpin parti politik tersebut tidak dapat dilantik menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri andainya beliau sendiri tidak memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya walaupun beliau adalah tokoh yang paling layak dan popular. Bagi membantu Menteri Besar atau Ketua Menteri, Raja atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri mestilah atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri melantik tidak lebih daripada lapan atau kurang daripada empat orang ahli lain dari kalangan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Kumpulan ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik inilah kemudiannya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah kolektif atau bersesama bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri. Di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini terkandung juga tiga ahli pegawai (exofficio) iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang. Sebagaimana Ketua Setiausaha Negara dan peranannya di kabinet, Setiausaha Kerajaan Negeri pula adalah Setiausaha kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 9.3.2 Jabatan Jabatan ditubuhkan di dalam pentadbiran negeri adalah bagi membantu memantapkan lagi kelancaran pentadbiran. Berdasarkan keperluankeperluan pentadbiran itulah, maka terdapat dua jenis jabatan di peringkat negeri, iaitu jabatan negeri, dan cawangan jabatan persekutuan. Jabatan-jabatan negeri itu sendiri dibahagikan kepada jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada Kerajaan Negeri, dan jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 9.3.2.1 Jabatan Negeri Wujudnya jabatan negeri ini adalah penting berasaskan hubungannya yang secara langsung dengan pentadbiran utama kerajaan negeri. Ini boleh para pelajar lihat berdasarkan peranan setiap jabatan tersebut. Di antara jabatan negeri yang paling penting ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Penasihat UndangUndang Negeri, dan Unit Perancang Ekonomi Negeri.
189 (a) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Para pelajar tentu masih ingat fungsi Jabatan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan. Fungsi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ini sama seperti Jabatan Perdana Menteri yang merupakan jabatan negeri yang utama dan merupakan nadi pentadbiran di peringkat negeri. Ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang merupakan pegawai pentadbir utama dan penasihat pentadbir utama kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan. Jabatan yang sama taraf di Sarawak juga dikenali sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri manakala di negeri Sabah ia lebih dikenali sebagai Jabatan Ketua Menteri. Fungsi umum Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ini adalah jelas menggambarkan kepentingannya kerana ia adalah pusat untuk merancang dan menyelaras dasar negeri di samping menentukan pelaksanaan dasar-dasar tersebut oleh agensi-agensi kerajaan negeri yang lain termasuk pejabat-pejabat daerah. (b) Pejabat Kewangan Negeri Pejabat Kewangan Negeri pula secara umumnya merancang dan melaksanakan dasar-dasar kewangan dan belanjawan kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran pembangunan ekonomi negeri yang pesat. Antara lain fungsi Pejabat Kewangan Negeri ialah mengusahakan caracara untuk mencari dan mendapatkan sumber kewangan wang untuk kegunaan Kerajaan Negeri. Ini pada kelazimannya dilakukan menerusi pelaksanaan berbagai-bagai cukai serta pemerolehan melalui pinjamanpinjaman. Pejabat kemudian akan mengagihkan sumber-sumber kewangan kepada agensi-agensi kerajaan melalui belanjawan tahunan. (c) Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri pula bertanggungjawab untuk memberikan nasihat mengenai berbagai-bagai perkara berkaitan dengan undang-undang kepada Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan. (d) Unit Perancang Ekonomi Negeri Unit Perancang Ekonomi Negeri bertanggungjawab merancang dan menyelaras usaha-usaha pembangunan ekonomi negeri agar semuanya berjalan lancar. Di antara fungsi utama unit ini ialah menyelaraskan penyediaan rancangan-rancangan pembangunan negeri lima tahun. Begitu juga dalam menyelia dan memerhati pelaksanaan berbagai-bagai projek pembangunan serta tidak ketinggalan dalam memberi khidmat nasihat kepada kerajaan negeri atas masalah-masalah ekonomi negeri yang umum.
190 9.3.2.2 Jabatan Negeri dan Persekutuan Selain daripada jabatan-jabatan yang berkait langsung kepada pengurusan pentadbiran negeri, terdapat juga jabatan-jabatan yang mempunyai tanggungjawab kepada kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Di antara jabatan-jabatan yang mempunyai tanggungjawab kepada keduadua pengurusan pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Jabatan Parit dan Taliair. Jabatanjabatan sedemikian bertanggungjawab bagi perkara-perkara yang termasuk dalam senarai bersama. 9.3.2.3 Jabatan Persekutuan di Negeri-Negeri Cawangan Jabatan Persekutua diwujudkan di peringkat negeri bertujuan untuk memudahkan dan melancarkan lagi proses pentadbiran selain memberi kemudahan kepada rakyat. Di antara beberapa Cawangan Jabatan Persekutuan di negeri ialah seperti Jabatan Imigresen Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri. Cawangan-cawangan tersebut adalah tanggungjawab secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun cawangan-cawangan ini tertakluk kepada usaha-usaha penyelarasan oleh Kerajaan Negeri. 9.3.2.4 Pejabat Setiausaha Persekutuan dan Pejabat Kewangan Persekutuan Seperti yang telah dinyatakan sejak awal lagi, wujud beberapa perbezaan pentadbiran di Sabah dan Sarawak. Ini tidaklah menghairankan kerana negeri-negeri tersebut sememangnya mempunyai beberapa keistimewaan dalam beberapa segi yang berkaitan dengan kuasa kerajaan negeri. Ini adalah jelas berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang telah dipersetujui sewaktu penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963. Walau bagaimanapun atas tujuan-tujuan penyelarasan dan melicinkan lagi pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri, maka ditubuhkan Pejabat Setiausaha Persekutuan dan Pejabat Kewangan Persekutuan. Fungsi dan tugas utama Pejabat Setiausaha Persekutuan ialah menyelaras aktiviti-aktiviti jabatan-jabatan dan perbadanan-perbadanan awam persekutuan di negeri, menguruskan hal-hal perkhidmatan pegawaipegawai awam persekutuan dan menjaga kepentingan kerajaan persekutuan termasuk kepentingan harta benda. Selain itu, pejabat ini juga bertanggungjawab dalam memastikan perhubungan yang erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri berkenaan. Bagi tujuan tersebut pejabat berkenaan diketuai oleh seorang Setiausaha Persekutuan.
191 Manakala Pejabat Kewangan Persekutuan pula adalah bertanggungjawab kepada Kementerian Kewangan Persekutuan dalam menjalankan tugastugas kewangan seperti pemeriksaan anggaran belanjawan agensi-agensi persekutuan di Sabah dan Sarawak. Tujuan penubuhannya ialah untuk mempercepatkan proses membuat keputusan tanpa perlu merujuk kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur. 9.3.3 Suruhanjaya Sekarang cuba anda imbas kembali perbincangan di awal bab ini. Anda tentu sudah sedia maklum akan kewujudan beberapa suruhanjaya di bawah Kerajaan Persekutuan. Sebagaimana Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri juga boleh menubuhkan suruhanjayasuruhanjaya berbentuk tetap atau khas. Pelantikan ahli-ahli suruhanjaya dilakukan oleh Raja atau Sultan atau yang Di Pertua Negeri. Ini dilakukan atas nasihat Menteri Besar atau ketua Menteri. Contoh suruhanjaya tetap yang ada di negeri-negeri ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri dan suruhanjaya ini wujud hampir di kesemua negeri di Malaysia.Walau bagaimanapun ada juga negeri seperti Melaka yang tidak mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri. Bagi negeri yang tidak mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri ini, pelantikan ke jawatan-jawatan negeri dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan. 9.3.4 Perbadanan Awam Kerajaan Negeri juga mempunyai perbadanan-perbadanan awam yang merangkumi badan-badan tidak berkanun (syarikat kepunyaan kerajaan). Contoh badan-badan berkanun yang terdapat di setiap negeri ialah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) atau Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Manakala contoh bagi badan-badan tidak berkanun negeri pula ialah seperti Amanah Saham Darul Iman (ASDI) atau Amanah Saham Johor (ASJ) dan Labuan Wood Products Sdn. Bhd. Dari segi perhubungan antara perbadanan-perbadanan awam tersebut dengan agensi-agensi kerajaan negeri ia adalah lebih kurang sama dengan apa yang terdapat antara perbadanan-perbadanan awam persekutuan dengan agensi-agensi utama kerajaan persekutuan. 9.3.5 Pentadbiran Negeri di Semenanjung Malaysia Selain pentadbiran negeri di peringkat negeri yang telah kita bincangkan, terdapat juga tiga peringkat pentadbiran negeri yang menjadi sebahagian daripada penggerak jentera pentadbiran kerajaan negeri secara keseluruhan. Di Semenanjung Malaysia, kita dapat lihat tiga peringkat yang wujud iaitu daerah, mukim, dan kampung.
192 (a) Daerah Sebagaimana pentadbiran negeri yang lain pentadbiran di peringkat daerah atau Pentadbiran Daerah adalah amat penting. Ini memandangkan kebanyakan projek kerajaan dilaksanakan di peringkat tersebut. Pejabat pentadbiran yang utama di kebanyakan negeri di Semenanjung di peringkat daerah ialah Pejabat Daerah. Manakala di Kelantan pejabat pentadbiran daerah ini lebih dikenali sebagai Pejabat Jajahan. Di setengah-setengah negeri, pejabat pentadbiran daerah ini di pecah kepada dua bahagian, iaitu Pejabat Daerah yang menguruskan halehwal keperluan dalam daerah tersebut melainkan hal-ehwal tanah, dan Pejabat Tanah yang menguruskan hanya soal pentadbiran sahaja. Secara umum, peranan pejabat daerah ialah menyelaras usaha-usaha pembangunan daerah dengan kerjasama cawangan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di peringkat tersebut. Pegawai pentadbir utama yang merancang dan menyelaras aktiviti-aktiviti pembangunan daerah di peringkat daerah ialah Pegawai Daerah. Menurut susunan pentadbiran kerajaan negeri beliau adalah secara langsung bertanggungjawab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri. (b) Mukim Mukim adalah merupakan sebahagian daerah atau dengan lain perkataan sesuatu daerah itu terbahagi kepada beberapa mukim. Di Kelantan kawasan yang sama taraf seperti mukim di negeri-negeri lain di Semenanjung dikenali sebagai daerah. Mukim ini pada kebiasaannya diketuai oleh seorang penjawat awam yang dikenali sebagai Penghulu ataupun dikenali sebagai Penggawa di negeri Kelantan. Di setiap mukim atau daerah di Kelantan terdapat Pejabat Penghulu atau Pejabat Penggawa bagi memudahkan lagi urusan pentadbiran antara rakyat dan kerajaan. Peranan utama Penghulu ialah membantu pejabat daerah dan agensi-agensi kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan serta menyelaraskan kegiatan-kegiatan sosioekonomi di kampung-kampung yang berada di bawah jagaannya. (c) Kampung Kampung merupakan pentadbiran negeri yang paling rendah. Ketua pentadbir di peringkat kampung ialah Ketua Kampung (Penghulu di Kelantan) yang dilantik oleh kerajaan Negeri. Peranan utama Ketua Kampung ialah membantu agensi-agensi kerajaan (termasuk pejabat daerah) melaksanakan projek-projek pembangunan. Sebagai contoh Ketua Kampung membantu agensi-agensi kerajaan mendapatkan tapak yang sesuai bagi sesuatu projek di kampungnya. Ketua Kampung juga merupakan penghubung antara kerajaan dengan rakyat. Beliau
193 menjalankan tugas-tugas melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipengerusikan olehnya. Ketuaketua jabatan di peringkat daerah dijemput hadir ke mesyuarat jawatankuasa tersebut. Pembentukan JKKK bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk kampung mengambil bahagian dalam proses perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan. 9.3.6 Pentadbiran Peringkat Negeri di Sabah Terdapat dua peringkat pentadbiran di negeri Sabah iaitu daerah, dan kampung. Ketua pentadbir di peringkat daerah ialah Pegawai Daerah. Beliau dibantu oleh penolong-penolong pegawai daerah dan seorang Ketua Daerah yang bertanggungjawab bagi pentadbiran yang berkaitan hal-ehwal suku kaum di daerah berkenaan. Setiap suku kaum diketuai oleh Ketua Anak Negeri (dikenali juga sebagai Ketua Bumiputera) yang bertanggungjawab kepada Ketua Daerah. Ketua-Ketua Anak Negeri adalah merupakan personel awam manakala Ketua Kampung yang mengetuai kampung bukan sebahagian daripada personel awam. 9.3.7 Pentadbiran Peringkat Negeri di Sarawak Pentadbiran negeri Sarawak pula boleh dibahagikan kepada empat peringkat iaitu bahagian, daerah, daerah kecil, dan kampung. Terdapat sembilan Bahagian di negeri Sarawak dan tiap-tiap satu diketuai oleh Residen. Sesuatu Bahagian dibahagikan kepada daerah-daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah. Setiap suku kaum diketuai oleh Ketua Masyarakat yang bergelar Pemanca. Beliau bertanggungjawab kepada Pegawai Daerah. Sesebuah daerah pula dipecahkan kepada daerah-daerah kecil yang diketuai oleh Pegawai-Pegawai Perkhidmatan tadbir Sarawak. Ketua pentadbir di peringkat kampung ialah Penghulu. 9.3.8 Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Satu ciri utama Persekutuan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Pembahagian Kuasa yang jelas dan bertulis dengan kerajaan negeri. Pembahagian Kuasa terkandung di dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan iaitu pada Jadual Kesembilan yang mengagihkan kuasa kepada tiga senarai: (i) Senarai Persekutuan – menyenaraikan bidang kuasa kerajaan persekutuan di mana kerajaan persekutuan sahaja mempunyai kuasa ke atasnya. Ia mengandungi 27 bidang kuasa antaranya ialah hubungan luar, pertahanan dan kewangan. (ii) Senarai Negeri – menyenaraikan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada negeri di mana kerajaan negeri sahaja
194 mempunyai kuasa ke atasnya. Ia mengandungi 12 bidang kuasa antaranya ialah kanun tanah, perhutanan dan pertanian juga pengurusan air. (iii) Senarai Bersama – menyenaraikan bidang kuasa bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Di dalam bidang perkara di bawah senarai ini, kedua-dua kerajaan mempunyai kuasa ke atasnya. Ia mengandungi 18 bidang kuasa antaranya ialah kebajikan masyarakat, biasiswa, perancangan bandar dan perlindungan binatang liar. SOALAN DALAM TEKS 9.2 1. Jabatan paling penting di dalam pentadbiran setiap kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia ialah A. Pejabat Setiausaha Persekutuan B. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri C. Pejabat Kewangan Persekutuan D. Pejabat Penasihat Negeri 2. Senaraikan bidang kuasa kerajaan negeri yang perlu dikongsi bersama kerajaan persekutuan berdasarkan kehendak Perlembagaan Persekutuan Malaysia. (a) ………………………………………… (b) ………………………………………… (c) ………………………………………… Semak jawapan anda di akhir bab ini. 9.4 KESIMPULAN Daripada perbincangan dan penelitian kita secara umum di atas, dapatlah kita rumuskan bahawa jentera pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri adalah nyawa kepada pentadbiran di dalam negara kita yang merdeka ini. Ia menjadi teramat penting bukan sahaja kerana tujuannya yang utama sebagai alat untuk memastikan kelancaran dan kemantapan pentadbiran di negara ini tetapi juga sebagai alat yang menghubungkan antara rakyat dan kerajaan. Ini adalah jelas selari dengan apa yang dinyatakan oleh ahli falsafah ulung yang juga seorang ahli undang-undang iaitu John Locke tentang kerajaan dan
195 rakyat. Menurut beliau, kerajaan diwujudkan atas kehendak dan aspirasi rakyat, maka untuk itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan rakyat adalah terjamin. Oleh kerana itu sekiranya rakyat tidak mendapat hak-hak mereka adalah menjadi satu hak kepada rakyat untuk mengubah kerajaan yang sedia ada. Di atas pandangan itulah maka ketua pelaksana kuasa eksekutif adalah dilantik menerusi proses pemilihan oleh rakyat atau pilihan raya. Ini dapat memastikan suara rakyat diwakili dalam pentadbiran negara ini. Bagi memastikan kelancaran pula telah jelas buat kita, akan peranan pentadbir-pentadbir awam yang bukan dari kalangan mereka yang dipilih melalui proses politik. Cara ini dapat menjamin kesinambungan kelancaran jentera pentadbiran negara ini biarpun kerajaan telah bertukar. Atau dalam erti kata lain para pentadbir awam akan tetap kekal biarpun kerajaan yang sedia ada akan digantikan oleh kumpulan politik yang lain yang berjaya menewaskan kerajaan sedia ada dalam satu pilihan raya yang adil dan bebas. Bentuk jentera pentadbir sedemikian, yang menggabungkan peranan kumpulan politik dan pentadbir awam yang khusus adalah senjata untuk menjamin kesejahteraan negara dari diancam oleh ketidaklancaran proses pentadbiran akibat daripada pertukaran kerajaan. Kelancaran proses pentadbiran ini lebih terserlah dengan susunan organisasi-organisasi kerajaan yang akhirnya menjuruskan kepada kepentingan rakyat. Hasilnya, semua ini mewujudkan jentera pentadbiran kerajaan yang mantap dan akhirnya menjadikan negara ini lebih teguh dan kuat dalam mewujudkan masa depan yang lebih cemerlang. SOALAN PENILAIAN KENDIRI 1. Berikut adalah beberapa jabatan yang diwujudkan di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan program-programnya dengan lebih berkesan KECUALI A. MAMPU – Manpower and Administration Planning Unit B. SERU – Socio-Economic Research Unit C. TERPU – Technology and Economic Research and Planning Unit D. EPU – Economic Planning Unit 2. Proses sesuatu dasar atau undang-undang untuk diwartakan sebagai dasar atau undang-undang persekutuan perlulah menerusi proses berikut. Pilih proses yang betul. A. Kementerian – Dewan Rakyat – Dewan Negara – Yang DiPertuan Agong
196 B. Dewan rakyat – Dewan Negara – Yang DiPertuan Agong - Kementerian C. Jemaah Kabinet – Dewan rakyat – Dewan Negara – yang DiPertuan Agong D. Dewan rakyat – Dewan Negara – Yang DiPertuan Agong – Jemaah Kabinet 3. Selepas berlaku peristiwa berdarah 13 Mei 1969, negara telah ditadbir untuk sementara waktu oleh A. Majlis Pentadbiran Negara B. Majlis Kerja Tertinggi Kabinet C. Majlis Gerakan Negara D. Majlis Mesyuarat Kabinet 4. Kuasa tertinggi di Malaysia ialah A. Yang Di-Pertuan Agong B. Perdana Menteri C. Perlembagaan Persekutuan Malaysia D. Mahkamah Agong dan Persekutuan 5. Berikut merupakan kenyataan yang benar mengenai kabinet kerajaan Malaysia KECUALI A. Perlantikan Timbalan Perdana Menteri adalah ditentukan oleh Perdana Menteri. B. Menteri-menteri kabinet dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong di atas nasihat C. Perdana Menteri. D. Perdana Menteri berhak melucutkan jawatan menteri kabietnya tanpa persetujuan Yang Di Pertuan Agong. E. Perdana Menteri berhak memilih Timbalannya dari kalangan anggota parti Malaysian Chinese Association (MCA) atau Malaysian Indian Congress (MIC). 6. Pilih kenyataan yang BENAR mengenai Yang Di-Pertuan Agong: I Dilantik oleh Majlis Raja-Raja untuk tempoh sehingga 10 tahun. II Boleh menentukan pembentukan kabinet III Bertanggungjawab memelihara hak keistimewaan orang Melayu IV IV Tidak berkuasa untuk melantik pegawai di peringkat Persekutuan, contohnya Ketua Polis Negara.
197 7. Fungsi utamanya ialah untuk memberi latihan dan iktisas kepada pegawai-pegawai perkhidmatan awam dengan menganjurkan kursus-kursus tertentu bagi tujuan tersebut. Organisasi yang dimaksudkan itu ialah A. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Tenaga Manusia (MAMPU) B. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) C. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) D. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) 8. Unit ini bertanggungjawab dalam menyelaraskan dan melaksanakan dasar dan projek pembangunan di peringkat persekutuan dan negeri. Unit yang dimaksudkan ialah A. Unit Penyelidikan Sosio-Ekonomi B. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Tenaga manusia (MAMPU) C. Unit Perancangan Ekonomi (EPU) D. Unit Penyelarasan Perlaksanaan Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini. JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS SDT 9.1 1. D 2. MAMPU – Manpower and Administration Planning Unit. SERU – Sosip-Ekomomic Research Unit EPU – Economic Planning Unit SDT 9.2 1. B 2. Kebajikan Masyarakat Perlindungan Binatang Liar Perancangan Bandar
199 BAB 10 DASAR-DASAR KERAJAAN OBJEKTIF BAB Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Memahami pengertian dasar-dasar kerajaan. 2. Menerangkan matlamat dan perkembangan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan. 3. Menjelaskan kepentingan dasar-dasar kerajaan. 10.1 PENGENALAN Anda sudah pun berada pada penghujung Modul Kenegaran Malaysia. Bagaimana dengan sembilan topik yang telah anda pelajari setakat ini? Dalam bab ini, kita cuba akan meninjau pula sebahagian daripada dasardasar pembangunan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan selepas merdeka sehingga masa kini. Walau bagaimanapun perlu diingatkan kepada anda bahawa, sejak merdeka terdapat pelbagai dasar yang telah dibentuk oleh kerajaan yang tidak mungkin dibincangkan kesemuanya di sini. Oleh itu, dalam bab ini hanya sebahagian sahaja dasar-dasar utama yang disentuh iaitu Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Wawasan 2020. Bahagian awal bab ini, menyentuh perkara utama yang perlu anda faham iaitu tentang definisi dan kepentingan dasar. Ini diikuti dengan latarbelakang pembentukan dasar-dasar sebelum dan selepas merdeka. Setiap dasar akan merangkumi beberapa perkara utama, antaranya matlamat dan strategi pelaksanaannya. Hasil daripada perbincangan yang dibuat, diharap akan dapat memberikan pemahaman kepada pelajar mengenai peranan dan tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh kerajaan sebagai badan penggubal dasar dalam memastikan program-program pembangunan yang dibentuk akan memberi faedah kepada masyarakat keseluruhannya. Bagaimana pula dengan peranan anda terhadap kerajaan? Tidak dapat dinafikan, bahawa peranan anda sebagai pelajar sememangnya berat. Selain memastikan kejayaan memperoleh ijazah kelak, sebenarnya anda turut berperanan penting dalam menjamin kejayaan setiap dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan.
200 10.1.1 Definisi dan Kepentingan Dasar Apakah yang anda faham tentang istilah dasar? Dasar atau kadangkala disebut polisi ialah suatu garis panduan pentadbiran atau pegangan mengenai sesuatu idea atau gagasan yang tersusun rapi. Garis panduan pentadbiran ini merangkumi segala arahan, peraturan dan pedoman sebagai landasan dalam melaksanakan cita-cita yang terkandung di dalamnya demi mencapai matlamat kepimpinan negara ke arah sebuah negara yang gemilang dan maju. Pada umumnya dasar yang dibentuk oleh kerajaan mempunyai objektif, strategi pelaksanaan dan penilaian terhadap keberkesanannya. Ia boleh menjadi panduan pentadbiran kepada kerajaan untuk mengatasi masalah yang wujud dalam sesebuah negara. Negara yang tidak mempunyai dasar-dasar tertentu akan kelihatan pincang dan sukar bagi pemimpinnya mentadbir atau merancang pembangunan. Dengan kata lain, pembangunan sukar dilaksanakan tanpa adanya dasar yang menjadi asas atau tapak yang kukuh. Selain itu, dasar amat penting dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani pelbagai masalah yang timbul ekoran kesan peninggalan penjajah. Keperluan dasar selain pembangunan ialah mengatasi masalah ketidakseimbangan yang wujud di dalam masyarakat dan ini dapat menjamin kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Sebenarnya, dasardasar dibentuk bukan sahaja oleh negara-negara maju sahaja, bahkan yang lebih penting lagi bagi negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Proses merancang, menganalisis dan mengadakan perubahan demi perubahan terhadap dasar-dasar yang sedia ada di samping membuat dasar-dasar baru yang bersesuaian dengan hasrat mewujudkan sebuah negara maju menjelang tahun 2020 masih diteruskan sehingga kini. 10.2 LATAR BELAKANG DASAR-DASAR KERAJAAN Sejak negara mencapai kemerdekaan, kerajaan telah menitikberatkan usaha untuk melaksanakan pembangunan dengan lebih sistematik bagi memperbaiki taraf hidup semua kaum. Pembangunan negara merangkumi beberapa bidang seperti ekonomi, sosial dan sebagainya. Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, kerajaan telah menggubal pelbagai dasar pembangunan bertujuan untuk mencapai perpaduan negara bagi mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi yang timbul akibat daripada dasar penjajahan British. Walau bagaimanapun apabila tercetusnya Tragedi 13 Mei pada tahun 1969, kerajaan telah mengambil langkah menilai semula dan memperbaharui strategi-strategi tertentu untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan yang wujud ketika itu.
201 Tragedi 13 Mei juga memberi pengajaran pahit kepada negara dan menunjukkan bahawa seruan-seruan berasaskan isu-isu dan perasaan perkauman yang tidak terbatas dan keterlaluan boleh mengancam keamanan dan kestabilan negara. 10.2.1 Dasar-Dasar Sebelum Merdeka Penjajahan Inggeris di negara kita telah meninggalkan pelbagai kesan dan pengaruh yang besar khususnya terhadap perkembangan, ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan hubungan kaum. Dari perspektif ekonomi, pada dasarnya pihak Inggeris telah memperkenalkan dan mengembangkan sistem ekonomi yang liberal dan menjalankan dasar pecah dan perintah. Bagi mencapai matlamat penjajahan segala dasar dan rancangan ekonomi adalah ditumpukan kepada usaha-usaha mengeksploitasi sumber-sumber galian dan pengeluaran bahan-bahan mentah pertanian bagi memenuhi permintaan yang tinggi di England dan lain-lain negara Eropah berikutan dengan perkembangan Revolusi Industri. Dasar ekonomi ekstraktif yang diamalkan oleh penjajah Inggeris menyebabkan mereka memberi keutamaan kepada perlombongan hasilhasil galian terutama bijih timah dan pembukaan ladang-ladang getah seperti yang berlaku secara besar-besaran di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Bagi mencapai matlamat dasar ekonomi ekstraktif ini, pihak Inggeris memberi galakan dan perhatian terhadap kemasukan modal, institusi, teknologi dan kepakaran dari Eropah di samping membawa masuk buruh-buruh Cina dan India secara besar-besaran di negara ini. Dasar dan amalan Inggeris ini menyebabkan kaum bumiputera yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar terus tersisih dan mundur berbanding dengan kaum-kaum imigran yang kebanyakannya tinggal di bandar-bandar dan terlibat dalam sektor ekonomi moden. Sebaliknya kaum bumiputera berada dalam sektor pertanian dan perikanan tradisional dengan daya pengeluaran yang rendah. Penjajahan Inggeris telah mengakibatkan perubahan sistem ekonomi feudal kepada sistem ekonomi semi-feudal dan semi-kapitalis. Golongan pemerintah tradisional bumiputera kehilangan kekuasaan ekonomi berikutan dengan hilangnya kekuasaan politik mereka ke tangan pihak Inggeris. Justeru itu, pada masa penjajahan Inggeris, perkembangan dan kegiatan-kegiatan ekonomi hanya tertumpu kepada keuntungan dan secara tidak langsung menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik di negara kita. Perkembangan dan kegiatan-kegiatan ekonomi yang hanya tertumpu di kawasan yang mempunyai sumber-sumber kekayaan dan yang boleh mendatangkan hasil yang banyak terutama sekali di sebelah barat
202 Semenanjung. Akibat daripada pertumbuhan ekonomi sedemikian, wujudlah apa yang disebut sebagai dual economy. Ekonomi moden adalah pesat di Pantai Barat Semenanjung seperti di ladang-ladang, lombonglombong dan di bidang perdagangan, sebaliknya ekonomi secukup hidup tradisional terdapat di kawasan luar bandar khususnya di Pantai Timur yang kurang maju. 10.2.2 Dasar-Dasar Selepas Merdeka Selepas merdeka, kerajaan telah memulakan usaha untuk merancang dan melaksanakan pembangunan negara dengan lebih tersusun. Usaha ini dilakukan untuk mengatasi berbagai-bagai masalah sosio ekonomi dan politik yang timbul ekoran kesan peninggalan dasar-dasar pembangunan yang diamalkan oleh pihak penjajah. Tanggungjawab utama kerajaan ialah untuk membangunkan negara agar hasilnya boleh dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tidak kira keturunan atau kaum tertentu. Rancangan-rancangan pembangunan lima tahun telah menjadi strategi utama pembangunan negara untuk dilaksanakan secara berperingkatperingkat. Program pembangunan ini dibuat bagi memastikan seluruh rakyat menikmati kesejahteraan dan kemakmuran yang menjadi matlamat dan hasrat negara merdeka. Tiap-tiap rancangan pembangunan lima tahun mempunyai ciri-ciri dan kesinambungan dasar dan matlamat yang sama. Rancangan tersebut adalah seperti berikut: 1. 1956-1960 Rancangan Malaya Pertama. 2. 1961-1965 Rancangan Malaya Kedua. 3. 1966-1970 Rancangan Malaysia Pertama. 4. 1971-1975 Rancangan Malaysia Kedua. 5. 1976-1980 Rancangan Malaysia Ketiga. 6. 1980-1985 Rancangan Malaysia Keempat. 7. 1986-1990 Rancangan Malaysia Kelima. 8. 1991-1995 Rancangan Malaysia Keenam. 9. 1996-2000 Rancangan Malaysia Ketujuh. Rancangan ini menentukan projek-projek yang perlu dijalankan, mengambil kira soal pembiayaan, dari dalam dan luar negeri dan juga tentang keupayaan jentera pentadbiran melaksanakan tugas-tugas pembangunan yang perlu dijalankan. Rancangan Malaya Pertama dan Kedua telah menumpukan perhatian kepada pembinaan infrastruktur. Rancangan Malaysia Pertama1 menitikberatkan pertumbuhan ekonomi
203 dengan harapan hasil-hasil pertumbuhan ini dapat dibahagikan kepada golongan yang miskin dan kurang bernasib baik. Ia memberi tumpuan kepada pembangunan negara secara menyeluruh meliputi semua bidang ekonomi. Skim-skim luar bandar diberi perhatian dengan rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran. Hasilnya taraf hidup golongan miskin terutamanya masyarakat di luar bandar dapat dipertingkatkan. Rancangan-rancangan pembangunan ini telah mendedahkan kelemahan dari segi strategi dan penentuan andaian-andaian serta mewujudkan suasana kemiskinan dan penguasaan ekonomi yang tidak seimbang di antara kaum-kaum yang ada di negara kita. Keadaan ini telah di dapati mengancam keselamatan dan perpaduan negara dengan tercetusnya Tragedi 13 Mei tahun 1969. Tragedi 13 Mei 1969 telah menyebabkan kerajaan menilai kedudukan perimbangan ekonomi antara kaum. Kerajaan mendapati bahawa jurang perbezaan ekonomi antara kaum adalah terlalu besar. Ini membuktikan bahawa penekanan yang diberi terhadap pertumbuhan ekonomi sematamata adalah tidak memadai untuk mengatasi sepenuhnya masalah sosioekonomi yang tidak seimbang di antara kaum.2 Ia juga menunjukkan bahawa sesuatu usaha pembangunan yang tidak mengambilkira dengan secukupnya keperluan golongan miskin serta keadaan yang tidak seimbang antara kaum akan mengakibatkan sebuah negara yang terbahagi kepada mereka yang menikmati dan mereka yang tidak menikmati faedah pertumbuhan.3 Pembangunan negara seharusnya mempunyai matlamat yang luas, mencakupi bidang keselamatan, perpaduan dan mewujudkan satu masyarakat yang adil. Dasar-dasar kerajaan boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori utama iaitu dasar pembangunan ekonomi, dasar pembangunan sosial dan dasar luar Malaysia. Cuba anda senaraikan dasar-dasar tersebut dan jelaskan perbezaan dan kaitan di antara dasar-dasar tersebut? 10.3 DASAR EKONOMI BARU (DEB) Dasar Ekonomi Baru adalah satu formula yang dirancangkan oleh kerajaan untuk tempoh dua puluh tahun bermula pada tahun 1971 dalam Rancangan Malaysia Kedua sehingga tahun 1990 dalam Rancangan Malaysia Kelima. Dasar ini adalah sebagai kesinambungan rancanganrancangan pembangunan yang lalu. Ia dibentuk untuk membetulkan ketidakseimbangan sosio ekonomi yang wujud di antara kaum, wilayah dan kawasan di Malaysia. Pelan induk untuk dasar ini dikenali sebagai Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP 1) 1971-1990.
204 DEB dilaksanakan melalui strategi serampang dua mata, iaitu (i) Mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan menambahkan pendapatan dan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kaum. (ii) Mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia bagi membaiki ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum. Usaha ini diharap dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. DEB bertujuan untuk mewujudkan satu susunan sosio-ekonomi yang adil bagi rakyat Malaysia mencapai perpaduan negara. Dalam tempoh tersebut, kerajaan berharap dapat mengurangkan ketidakseimbangan di antara kaum Melayu dan bumiputera lain dengan kaum bukan bumiputera dalam semua bidang. Ini kerana terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa terlalu banyak kemiskinan dan ketaksamarataan yang dialami oleh orang Melayu, merupakan sebab utama berlakunya perasaan tidak puas hati dan menimbulkan masalah.4 Keadaan ini ternyata boleh menggugat kestabilan negara sekiranya kemiskinan hanya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja. Banci pada tahun 1970 menunjukkan bahawa sebanyak 49.3 peratus daripada semua keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan. Sejumlah 86 peratus daripada keluarga miskin tersebut berada di kawasan luar bandar, sementara 14 peratus lagi di kawasan bandar. Kebanyakan penduduk-penduduk dari luar bandar terdiri dari orang Melayu. Mereka lebih bertumpu dalam sektor ekonomi yang paling mundur misalnya sebagai penanam padi, pekebun kecil getah dan kelapa dan nelayan.5 Justeru itu, dasar ini dibentuk bagi membetulkan kedudukan ketidakseimbangan sosio ekonomi yang wujud antara kaum. Untuk membasmi kemiskinan, usaha-usaha yang dijalankan merangkumi: (i) Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan di pelbagai sektor untuk diisi oleh semua kaum dan ini boleh mengurangkan kadar pengangguran. (ii) Mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum, antara kawasan dan antara wilayah. (iii) Meningkatkan produktiviti dan pendapatan dengan menambahkan kemudahan semua golongan miskin di luar bandar mahupun di bandar, melalui peluang-peluang kemahiran, tanah, modal dan lain-lain.