The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by aisyahainulmardhiah, 2023-05-22 22:18:44

SADN 1033 combined

SADN 1033 combined

52 1. Faktor Ekonomi Sememangnya sebagaimana yang anda ketahui, ekonomi adalah faktor paling penting mengapa British campur tangan di Tanah Melayu. Ini banyak dikaitkan dengan perkembangan revolusi perusahaan atau perindustrian yang berlaku di Eropah. Perusahaan yang membabitkan keperluan bahan mentah seperti bijih timah sedang berkembang pesat dan ini memaksa British memberi perhatian yang lebih terhadap Tanah Melayu yang kaya dengan bijih timah, ditambah pula dengan sektor perlombongan bijih timah yang kebanyakannya dikuasai oleh saudagarsaudagar British dan Cina yang berkerakyatan British.19 Selain itu, sekatan-sekatan perdagangan yang dilakukan oleh Belanda terhadap pengaruh kuasa lain di Indonesia turut menyekat kemaraan British di kawasan lain di rantau ini. Ini menyebabkan mereka terus menumpukan perhatian kepada Tanah Melayu bagi mendapatkan hasil yang diperlukan. 2. Faktor Ancaman dan Persaingan Pengaruh Asing Akibat revolusi industri dan keperluan kepada bijih timah, maka Tanah Melayu menjadi harta paling berharga buat British. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama kuasa-kuasa lain turut berminat dan mengintai peluang untuk melibatkan diri dalam pergolakan politik yang ada. Keadaan ini disedari British lebih-lebih lagi apabila mereka menyedari penguasaan penuh Belanda di Indonesia dan Sepanyol di Filipina. Selain itu, British turut menyedari kepentingan Tanah Melayu sebagai jalan perdagangan dunia, di mana Selat Melaka menjadi penghubung di antara kawasan timur dan barat. Tidak dapat dinafikan persaingan imperialisme di kalangan negara-negara besar, terutamanya dari Eropah untuk membuka tanah jajahan juga membuat British memikirkan keperluan lebih awal campur tangan di Tanah Melayu sebelum kuasa penjajah yang lain berbuat terlebih dahulu. 3. Pergolakan Politik di Tanah Melayu Di sekitar tahun 1860an hingga 1880, suasana di Tanah Melayu terutamanya di negeri-negeri pantai barat berada dalam keadaan huru hara akibat pergolakan politik yang melibatkan perebutan takhta dan perang saudara. Suasana bertambah buruk apabila setiap pergolakan melibatkan kawasan-kawasan perlombongan dan membabitkan buruh imigran Cina yang dibawa masuk oleh British. Kebimbangan British dapat dijangka kerana kepentingan British dalam sektor perlombongan bijih timah adalah besar dan dibimbangi akan terjejas dengan teruk.20


53 Perlombongan tidak dapat dijalankan kerana penglibatan buruh-buruh Cina yang menganggotai kumpulan kongsi-kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San dalam pergolakan politik. Peralatan perlombongan musnah akibat pergaduhan dan peperangan. Suasana tidak tenteram tidak memungkinkan pekerjaan di lombong dapat dibuat kerana ketakutan akibat peperangan. Situasi ini mendatangkan kerugian dan dibimbangi akan memusnahkan industri perlombongan bijih timah. Selain itu, pergolakan yang berlaku akan merebak dari satu kawasan ke kawasan atau negeri yang lain, sebagai contoh perang saudara di Larut Perak dibimbangi akan merebak ke Pulau Pinang yang juga mempunyai ramai imigran Cina.21 4. Perubahan Pucuk Pimpinan di Britain Parti Konservatif yang diketuai oleh Disraeli telah memenangi pilihan raya di Britain pada tahun 1873. Mereka telah mengambil alih kuasa dari Parti Liberal yang memerintah. Di antara dasar baru yang di ambil oleh Parti Konservatif selepas memenangi pilihan raya ialah dengan mengubah dasar Pejabat Tanah Jajahan untuk masuk campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu. Tindakan ini mengakhiri dasar Parti Liberal yang tidak berminat untuk campur tangan kerana berpegangkan matlamat dasar penjajahan kolonialisme untuk mengaut keuntungan sahaja tanpa mengambil sebarang risiko untuk bertanggungjawab terhadap apa-apa yang terjadi di negeri yang mereka jajahi.22 Perubahan ini di lihat jelas dipengaruhi oleh perkembangan semasa pada masa tersebut, di mana bentuk penjajahan berbentuk imperialisme yang ditunjangi oleh kemegahan nasionalisme dan jingoisme. Bagi memastikan Britain tidak ketinggalan dari segi pengiktirafan antarabangsa sebagai satu kuasa empayar yang kuat, kerajaan Konservatif di bawah Disraeli bersedia menanggung sebarang risiko dan tanggungjawab untuk campur tangan dan menguruskan tanah jajahan yang ada. Mereka bersedia mengaut sebanyak-banyak keuntungan dari negeri-negeri yang dijajah dan bersedia memikul beban tanggungjawab dan mengatasi sebarang masalah sewaktu proses mendapatkan keuntungan tersebut. 3.4.3 Dasar-Dasar Penjajahan British di Tanah Melayu Sewaktu tempoh penjajahan, British telah membuat dan melaksanakan pelbagai dasar yang meliputi aspek sosial, ekonomi, dan politik. Dalam melaksanakan dasar-dasar penjajahan, secara langsung ataupun tidak langsung telah mengubah wajah asal Tanah Melayu. Justeru itu, pada bahagian ini saya akan membincangkan dasar-dasar yang dilaksanakan British sehingga mengubah sistem kehidupan masyarakat Melayu yang sedia ada.


54 Hakikatnya, semua dasar yang dilaksanakan oleh British adalah berasaskan dasar ‘pecah dan perintah’. Walau bagaimanapun, berbeza dengan negara-negara lain, dasar pecah dan perintah yang dilakukan oleh British di Tanah Melayu bukan melalui paksaan. Ia dilakukan secara berhati-hati dan perlahan-lahan seolah-olah ianya berlaku secara semula jadi. Oleh kerana dasar-dasar yang dilaksanakan British di Tanah Melayu terlalu banyak, saya hanya menumpukan kepada beberapa dasar penting yang mempunyai kesan yang besar dan meliputi faktor-faktor penting kepada proses perubahan di Tanah Melayu seperti dasar pelajaran, ekonomi, dan pentadbiran. Pembahagian ini dibuat bagi memudahkan para pelajar untuk menghubungkaitkan dasar-dasar yang ada dengan dampak proses penjajahan yang dibuat berasaskan dasar utama tersebut. Sebelum perbincangan ini pergi lebih jauh, apa yang harus anda ingati ialah, perbincangan ini akan hanya meliputi beberapa dasar British yang penting sahaja, dan tidak meliputi semua dasar British yang telah dilaksanakan oleh mereka sepanjang tempoh penjajahan. Selain itu, saya harap anda semua mengimbas kembali ingatan anda kepada apa yang telah anda pelajari dalam bab yang lepas berkenaan Masyarakat Melayu Tradisi (MMT). Ini adalah perlu untuk membantu anda membuat perbandingan dan juga membantu memberi gambaran yang lebih jelas kepada apa yang akan kita bincangkan dalam topik ini dan topik berikutnya iaitu dasar-dasar penjajahan dan dampak-dampaknya dari segi sosial, ekonomi, dan politik. 1. Sosial Dasar paling utama yang telah dilaksanakan oleh British ialah kemasukan imigran asing dari China dan India ke Tanah Melayu. Mereka yang didatangkan sebagai buruh-buruh di lombong dan ladang telah dibawa masuk tanpa had. Ini dilakukan oleh British bagi memenuhi matlamat penjajahan mereka yang ingin mengaut sebanyak-banyak keuntungan dari Tanah Melayu tanpa memperdulikan keadaan masyarakat Melayu pada masa tersebut. Jumlah migrasi yang ada pada suatu ketika telah hampir mengatasi jumlah penduduk asal negara ini. Kemasukan buruh-buruh asing yang dibawa khusus kerana tujuan melombong dan menoreh getah kemudiannya telah membentuk masyarakat baru dalam negara ini. Mereka juga telah diletakkan di kawasan-kawasan yang terpisah daripada kaum-kaum lain. Interaksi sememangnya tidak berlaku kerana masing-masing bergerak dalam kawasan yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi masing-masing. Ini adalah penting bagi British yang berusaha menghalang kewujudan perpaduan antara kaum. British amat menyedari jika perpaduan antara


55 kaum dapat dilaksanakan, boleh menyukarkan pentadbiran mereka. Ini jelas merupakan gambaran pada tonggak dasar kolonialisme British sendiri iaitu dasar pecah dan perintah. Di samping itu, antara dasar lain yang harus di beri perhatian ialah dasar pendidikan British. Dasar ini perlu ditekankan kerana pendidikan akan membentuk keadaan sosial masyarakat. Sistem pendidikan British pada umumnya dilaksanakan berdasar sistem vernakular yang mana pendidikan dibuat berdasarkan kaum masing-masing. Ini bermaksud sistem pendidikan tersebut adalah bergantung sepenuhnya kepada bahasa dan sukatan pelajaran kaum masing-masing. Justeru itu, wujud banyak sekolah yang berasaskan kaum, iaitu Sekolah Cina, Sekolah Tamil, Sekolah British dan Sekolah Melayu. Sekolahsekolah Cina dan Tamil menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengantar dan sukatan pelajaran yang diambil terus daripada negara asal mereka. Sementara Sekolah British pula banyak dijalankan oleh mubaligh Kristian dan berasaskan pendidikan British yang diambil daripada negara Britain sepenuhnya. Manakala sekolah Melayu pula masih berasaskan pelajaran agama dan bercampur sedikit dengan pendidikan akademik yang mempunyai pengaruh British. Dasar ini secara umumnya ialah untuk memenuhi matlamat dasar penjajahan British yang cuba memastikan taraf pendidikan di sekolahsekolah sedia ada tidak akan seragam dan sekaligus memastikan taraf pendidikan yang diterima oleh rakyat terutamanya orang-orang Melayu adalah di tahap yang rendah. Ini bagi memastikan masyarakat Melayu terus ketinggalan dan memudahkan British memberi alasan bahawa Tanah Melayu belum mampu untuk bebas dan mentadbir negara bersendirian.23 Bagi memenuhi tujuan tersebut, ukuran rendah atau tinggi taraf pendidikan orang Melayu sering di sukat bersama taraf pendidikan di negara Britain. Walaupun pada hakikatnya masyarakat Melayu adalah rajin berasaskan pekerjaan dalam sistem ekonomi tradisi tetapi British sering menanamkan kata-kata bahawa masyarakat Melayu adalah malas dan mudah berpuas hati. Sedangkan pada masa yang sama, adalah jelas orang Melayu tidak diberi kesempatan mendapat pendidikan yang terbaik.24 Keadaan menjadi semakin parah lagi apabila British membawa imigranimigran asing terutamanya dari India untuk bekerja sebagai pendidik di Tanah Melayu. Secara umumnya, jelas memberi gambaran bahawa taraf pendidikan di Tanah Melayu terutamanya kepada masyarakat Melayu akan terus kekal tidak dapat melebihi taraf pendidikan Inggeris yang


56 sebenar kerana mereka hanya dididik oleh pendidik dari negara yang terjajah juga. Situasi di atas jelas menonjolkan ketidakikhlasan British dalam memajukan pendidikan orang-orang yang mereka jajahi. 2. Ekonomi Dari aspek ekonomi, jelas menunjukkan penjajahan British telah mengubah hala tuju ekonomi tradisi di Tanah Melayu yang pada asalnya berasaskan ekonomi sara diri kepada bentuk ekonomi moden yang lebih bersifat komersial atau perdagangan dan keuntungan. Bolehkah anda memahami tujuan British tersebut? Ini boleh di lihat dari sudut kehendak dasar kolonialisme yang telah kita bincangkan pada awal bab ini. Perkembangan ekonomi moden bermula dengan kewujudan hasil bijih timah di Perak yang menghasilkan Perjanjian Pangkor 1874. Apa yang menarik, perlaksanaan ekonomi moden ini dilakukan oleh British secara berhati-hati bagi memastikan tujuan asal dasar kolonialisme British untuk mengenepikan masyarakat Melayu daripada sebarang kemajuan akan tercapai. Ini perlu kerana masyarakat Melayu yang maju di lihat sebagai ancaman kepada pentadbiran penjajahan. Justeru itu, orang-orang Melayu di sisih dengan tidak diajak atau digalakkan sama sekali untuk terlibat dalam sektor perlombongan ini. Mereka yang dapat melibatkan diri hanyalah golongan pembesar yang mempunyai pengaruh ke atas sesuatu kawasan. Ini dilakukan oleh British dengan menghebohkan propaganda mereka yang kononnya menghormati sistem ekonomi tradisi masyarakat Melayu yang lebih tertumpu kepada penanaman padi, penangkapan ikan dan penternakan selain mencari hasil hutan.25 Sebaliknya bagi memastikan sektor perlombongan ini terlaksana dengan lebih pesat, pihak British telah membawa buruh-buruh asing dari negara China. British mengambil peluang mendapatkan buruh-buruh yang murah dari negara China yang sedang menghadapi pelbagai masalah bencana alam seperti gempa bumi, banjir, dan kebuluran. Begitu jugalah apabila sektor perladangan getah meningkat dengan pesatnya di Tanah Melayu, pihak British terus mengenepikan orang-orang Melayu dengan membawa masuk secara besar besaran.buruh-buruh dari India. Semua ini dilakukan oleh pihak British dengan matlamat supaya masyarakat Melayu terus kekal dengan aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak menguntungkan, dan pada masa yang sama pihak British dapat juga mempergunakan orang-orang Melayu bagi menghasilkan barang keperluan makanan kepada British dan buruh-buruh asing yang di bawa masuk. Ini dilakukan dengan menggalakkan penanaman padi oleh orang


57 Melayu yang sekaligus membantu menyediakan makanan untuk penduduk di Tanah Melayu yang semakin bertambah dengan kemasukan buruh asing yang tiada batasan. Walau bagaimanapun, apabila segalanya telah diperolehi, konsep kolonialisme awal telah bertukar menjadi lebih agresif hasil daripada sikap tamak untuk menguasai segala-galanya di Tanah Melayu. Konsep imperialisme yang lebih campurtangan dan menguasai segalanya di tanah jajahan dilaksanakan. Ini berdasarkan keperluan semasa di mana negara Eropah yang lain turut berlumba bukan sekadar mendapatkan hasil tetapi menguasai negara dan rakyat di sesuatu tanah jajahan sebagai lambang pengaruh dan kemegahan. 2. Politik Dari segi politik, dasar penjajahan British cuba memastikan raja-raja Melayu atau sultan-sultan akan berada di bawah telunjuk mereka. Ini dilakukan British atas kesedaran bahawa pengaruh raja dan sultan ke atas rakyat jelata. Mereka bimbang seandainya raja dan sultan tidak di bawah kawalan mereka, akan berlaku kekecohan yang akhirnya mendorong raja dan sultan bersama rakyat menentang penguasaan mereka ke atas tanah Melayu. Anda boleh lihat dengan jelas apabila sistem residen British mula perkenalkan di Perak, dan bagaimana Raja Abdullah yang merupakan salah seorang waris raja yang berkuasa di negeri Perak bersama pembesar dan rakyat bangkit membunuh Residen J.W.W. Birch yang dilantik kerana tidak berpuas hati. Berasaskan kesedaran inilah, apabila British memulakan campur tangan mereka selepas Perjanjian Pangkor 1874, mereka telah memperkenalkan sistem residen. Sistem residen yang merupakan sistem penasihatan oleh British dalam urusan pentadbiran negeri Melayu telah dilaksanakan di negeri-negeri yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu— Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Di dalam sistem ini, nasihat residen dalam hal-hal selain agama Islam dan adat istiadat orang Melayu haruslah diikuti raja-raja.26 Walau bagaimanapun, sebenarnya langkah campur tangan dan penasihatan ke atas negeri Melayu telah lebih awal di buat di negerinegeri Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang dikenali sebagai NegeriNegeri Selat. Di negeri-negeri ini, British memerintah secara terus dari Pejabat Tanah Jajahan di London. Hanya dalam konteks negeri-negeri Selat, British berkuasa penuh terhadap negeri-negeri tersebut kerana sama ada ianya dijajah atau dipajak sepenuhnya dan ianya di tadbir oleh seorang gabenor bagi negeri-negeri Selat.


58 Langkah penasihatan yang terakhir ialah sistem Penasihat Negeri di negeri-negeri Melayu yang lain iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Johor—dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Di dalam negeri-negeri ini, Penasihat British akan membantu pentadbiran raja-raja dan sultan-sultan Melayu melainkan dalam hal-hal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Sistem pentadbiran kemudiannya telah berubah terus mengikut arus pemodenan yang di bawa penjajah dan lebih mirip kepada suasana pemerintahan di negara asal mereka. Apabila semua negeri-negeri Melayu telah dapat dikuasai British menerusi sistem Residen dan Penasihat, kemudiannya telah mewujudkan persekutuan atau sistem kerajaan berpusat. Bermula dengan cadangan Malayan Union dan kemudiannya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu diikuti pula sistem kabinet dan menteri diperkenalkan. Selepas pilihanraya 1952 dan 1955 sistem kerajaan berketua Menteri dan kabinet untuk pentadbiran telah dilaksanakan. Menerusi peringkat yang telah anda lihat, secara sedikit demi sedikit raja-raja disisihkan dari rakyat dan tanggungjawab pemerintahan. 3.4.4 Kesan Gerakan Penjajahan Barat di Tanah Melayu Tanah Melayu akhirnya telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Setelah lebih kurang 400 tahun di bawah cengkaman penjajah barat, Tanah Melayu akhirnya bebas dan merdeka. Biarpun telah mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu pada hakikatnya tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa Tanah Melayu yang ada setelah merdeka dan Tanah Melayu yang wujud sebelum era penjajahan kuasa barat adalah dua suasana yang amat berbeza. Kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kepada negara ini bukanlah sedikit dan meliputi pelbagai sudut kehidupan termasuk ekonomi, politik dan sosial masyarakat di Tanah Melayu. Hasil penerapan dasar-dasar kolonialisme dan imperialisme barat yang dijalankan, corak pemerintahan, kegiatan ekonomi juga cara bersosial masyarakat di Tanah Melayu telah jauh berbeza. Hasil daripada itu dapatlah kita lihat dan gariskan tiga kesan utama yang wujud dalam masyarakat di Tanah Melayu dari segi sosial, ekonomi, dan politik. 1. Sosial Perubahan terbesar hasil dasar sosial British ialah kewujudan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Masyarakat ini yang juga kita kenali sebagai masyarakat majmuk adalah sebagai memenuhi aspirasi dasar kolonialisme. British telah mewujudkan satu masyarakat baru di Tanah Melayu. Tanah Melayu yang asalnya di diami masyarakat Melayu sahaja kemudiannya telah dipaksa menerima kedatangan imigran asing bagi


59 memenuhi hasrat British untuk mengaut sebanyak-banyak keuntungan di Tanah Melayu. Imigran dari China dan India ini didatangkan khusus bagi memenuhi keperluan buruh untuk ditempatkan di lombong-lombong bijih timah dan di ladang-ladang getah. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat majmuk telah lama wujud sewaktu kewujudan Empayar Melayu Melaka yang menjadi pusat perdagangan terkenal pada sekitar kurun 13 - 15 Masihi. Namun begitu, pentafsiran masyarakat majmuk di zaman Empayar Melayu Melaka adalah jelas berbeza dengan masyarakat majmuk yang diwujudkan selepas kedatangan penjajah barat. Ini kerana masyarakat majmuk yang wujud di waktu kerajaan Melayu Melaka adalah jelas bersifat sementara kerana kebanyakan mereka adalah pedagang-pedagang asing yang datang untuk memperniagakan hasil mereka sahaja. Biarpun wujud sebilangan daripada mereka yang kekal tinggal dan bermastautin atas sebab perkahwinan atau sebagainya, jumlah mereka adalah kecil dan tidak mengubah suasana asal masyarakat terutamanya disegi perubahan strukur politik, ekonomi, dan sosial. Ini terutamanya disebabkan kesediaan mereka pada kebiasaannya untuk mengasimilasikan diri mereka ke dalam kebudayaan dan adat resam masyarakat Melayu. Masyarakat majmuk di Tanah Melayu selepas kedatangan kuasa barat dan imigran asing pula telah mengubah hampir keseluruhan sistem masyarakat di Tanah Melayu. Di samping itu kedatangan masyarakat imigran juga telah mengubah komposisi kaum yang selama ini dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu. Jumlah kedatangan imigran yang tiada had telah hampir-hampir mengakibatkan jumlah orang Melayu di atasi oleh imigran-imgran asing. Suasana ini jelas amat merbahaya kepada kedudukan orang-orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu.27 Dari segi pendidikan pula sistem vernakular yang dilaksanakan oleh British telah mengakibatkan perpecahan ketara di antara penduduk berbilang kaum. Anda sendiri boleh fahami apabila melihat bagaimana sukatan pelajaran dan bahasa yang digunakan di sekolah-sekolah vernakular yang tidak sedikit pun melambangkan suasana negara ini. Ini kerana dasar British tidak merangsang berlakunya perpaduan di antara kaum. Selain itu, sistem pendidikan yang wujud jelas telah mengenepikan orangorang Melayu daripada mencapai kemajuan. Pendidik bertaraf rendah dan sikap British yang tidak berhasrat membantu kemajuan orang Melayu dalam pendidikan mengakibatkan orang-orang Melayu menjadi kaum yang paling ketinggalan pada masa tersebut. Ini harus difahami kerana hasrat British sendiri yang tidak mahu keupayaan orang-orang Melayu dalam pendidikan menjadi masalah kepada mereka apabila kesedaran telah diterima.


60 2. Ekonomi Umumnya, dasar penjajahan British terhadap Tanah Melayu telah mengubah sistem ekonomi tradisi yang sedia wujud di Tanah Melayu. Masihkah anda semua ingat lagi, apakah sistem ekonomi tradisi? Sistem ekonomi tradisi, ialah sistem yang berasaskan ekonomi sara diri dan bertumpu kepada penanaman padi, penangkapan ikan, dan penternakan ladang. Sistem ini telah berubah apabila British menjalankan dasar ekonomi kolonialismenya dengan menjadikan sistem ekonomi yang wujud bermatlamatkan keuntungan. Dalam perlaksanaan dasar ekonomi, British secara langsung dan tidak langsung telah mengasingkan kaum-kaum utama di Tanah Melayu iaitu orang-orang Cina, India dan Melayu mengikut kegiatan ekonomi masingmasing. Kegiatan ekonomi telah memisahkan setiap kaum mengikut kegiatan ekonomi dan sekaligus setiap kaum dikenali melalui kegiatan ekonomi mereka, sebagai contoh orang India dikenali sebagai penoreh getah, orang Melayu sebagai nelayan atau penanam padi, manakala orangorang Cina sebagai pelombong. Hasil daripada pembahagian kaum mengikut kegiatan ekonomi, masyarakat yang wujud di Tanah Melayu turut terasing mengikut lokaliti atau kawasan kegiatan ekonomi masingmasing. Keadaan ini telah mengurangkan interaksi kaum dan akhirnya telah mewujudkan masalah perpaduan dikalangan kaum-kaum di negara ini. 3. Politik Dari segi politik, sistem masyarakat yang pada asalnya taat dan hidup di bawah pemerintahan raja dan sultan telah berubah sama sekali. Kekuasaan raja dan sultan Melayu telah dikurangkan ke peringkat hanya menjadi lambang kepada negeri atau negara. Sistem pemerintahan yang dianjurkan oleh penjajah terutama oleh British jelas condong dan mirip kepada corak pemerintahan di negara mereka. Bermula dengan pengenalan sistem residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan kemudiannya diikuti pula dengan sistem penasihat British di NegeriNegeri Melayu Tidak Bersekutu. Pengenalan kepada kedua-dua sistem ini telah mula mengurangkan kuasa pemerintahan raja-raja Melayu dan juga pembesarnya, dan menyebabkan satu perubahan besar kepada corak pentadbiran Melayu Tradisi. Fungsi residen dan penasihat British ini telah mengambil alih peranan yang dahulunya dimainkan oleh pembesar-pembesar Melayu terutamanya dalam soal menasihati Sultan dan mendapatkan hasil untuk negeri melalui cukai.


61 Selain itu, pada masa pemerintahan Melayu Tradisi segala kerja pentadbiran dijalankan oleh masyarakat Melayu, tetapi setelah kedatangan kaum imigran asing proses pentadbiran telah turut melibatkan mereka. Biarpun jumlah orang Melayu lebih ramai yang terlibat dalam proses pentadbiran, tetapi penglibatan imigran asing dalam proses pentadbiran adalah satu dimensi baru dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Apa yang jelas, sedikit demi sedikit proses penjajahan telah mengubah wajah asal sistem pentadbiran di Tanah Melayu, lebih-lebih lagi apabila sistem pilihanraya diperkenalkan dan kuasa perdana menteri dan kabinet juga pegawai daerah mula mengambil alih segala tugasan pentadbir Melayu Tradisi, iaitu sultan dan pembesar. SOALAN DALAM TEKS 1. Nyatakan sebab-sebab mengapa kuasa kolonialisme barat berminat untuk menguasai Tanah Melayu. I. Kedudukan geografinya yang strategik di segi jalan II. Perdagangan III. Bahan mentah yang banyak IV. Pasaran baru V. Pangkalan tentera A. I, II dan I B. I, II dan IV C. II, III dan IV D. I, II, III dan IV 2. Nyatakan dampak utama penjajahan dari aspek sosial. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 3.5 KESIMPULAN Berdasarkan perbincangan bab ini, bolehlah kita membuat beberapa rumusan berkenaan apa yang kita kenali sebagai penjajahan. Di segi istilahnya secara umum dapatlah kita rumuskan bahawa gerakan penjajahan itu sebagai kolonialisme atau imperialisme. Biarpun begitu,


62 apabila dibincangkan secara khusus kedua-dua istilah kolonialisme dan imperialisme pada hakikatnya adalah berlainan dari sudut dasar, perlakuan atau aktiviti penjajahan. Di sudut kolonialisme ianya jelas dipengaruhi faktor-faktor agama (god), kemegahan (glory), dan keuntungan atau kekayaan (gold). Imperialisme pula jelas memperlihatkan aktiviti-aktiviti yang menggambarkan kesinambungan sifat-sifat kolonialisme seperti kemegahan, kemudiannya dilanjutkan oleh faham nasionalisme yang membawa aktiviti etnosentrisme yang memuliakan kaum sendiri. Dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa gerakan penjajahan terutamanya dari barat yang dilaksanakan British di negara ini adalah merupakan gabungan keduakedua dasar yang kita bincangkan itu. Apa yang jelas ditonjolkan oleh kedua-dua dasar tersebut ke atas negara ini ialah bagaimana ianya telah mengubah wajah kehidupan asal yang ada di negara ini meliputi aspek sosial, ekonomi, atau politik. Dasar-dasar kemasukan imigran, pendidikan vernakular, pemecahan ekonomi mengikut kaum, sistem residen dan dasar pemerintahan berpusat telah mengakibatkan cara hidup tradisi yang telah dibincang dalam bab sebelum ini terhimpit dan tidak dihiraukan oleh penjajah British. Sebuah masyarakat yang tunggal iaitu masyarakat Melayu tradisi yang mengamalkan ekonomi tradisi, sara diri juga sistem pemerintahan bertunjangkan sistem beraja dan pembesar dan telah berjaya mengharungi kehidupan ratusan tahun akhirnya hilang sedikit demi sedikit. Akhirnya satu masyarakat baru muncul iaitu masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang kaum dan bangsa, satu sistem ekonomi moden yang mementingkan keuntungan dan mengamalkan sistem pentadbiran berpusat yang menggantikan kuasa raja dan pembesarpembesar. Berdasarkan semua fakta-fakta tersebut, jelas gabungan dasardasar kolonialisme dan imperialisme yang diamalkan British dalam gerakan penjajahannya di negara ini akhirnya telah mewujudkan Tanah Melayu sebagai negara baru dengan rakyat dan sistem kehidupan yang baru. SOALAN PENILAIAN KENDIRI 1. Di antara berikut yang manakah merupakan sebab UTAMA penjajahan British dilakukan di Tanah Melayu? A. Ekonomi B. Politik C. Sosial D. Agama


63 2. Pada tahun 1786, Syarikat Hindia Timur telah mengambil alih Pulau Pinang dari Sultan Kedah kerana kepentingan dari segi A. Ekonomi B. Politik C. Ketenteraan D. Perdagangan 3. Dasar penjajahan ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan British sewaktu memerintah negara ini berkait rapat dengan konsep A. Kolonialisme B. Imperialisme C. Kapitalisme D. Zionisme 4. Apakah yang dimaksudkan dengan 'etnosentrism' ? A. Kepercayaan bahawa agama itu asas pegangan semua orang B. Kepercayaan bahawa masyarakat lain itu lebih mulia dan lebih baik dari masyarakat sendiri. C. Kepercayaan bahawa masyarakat sendiri lebih mulia dan lebih baik dari masyarakat lain. D. Kepercayaan bahawa agama dan bangsa perlu mempunyai satu identiti tersendiri. 5. Kenapakah Inggeris tidak campur tangan sebelum suku ketiga abad ke-19 di Tanah Melayu? 6. Nyatakan dampak utama penjajahan dari aspek ekonomi di Tanah Melayu. Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini. JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS SDT 3.1 1. D 2. Antara perbezaan yang wujud di antara kolonialisme dan imperialisme ialah


64 (a) Imperialisme adalah berasaskan dasar-dasar yang dibentuk dan berpusat kepada ibunegara-ibunegara kuasa penjajah. (b) Kolonialisme adalah penguasaan kuasa asing dalam menjalankan polisi imperialismenya. SDT 3.2 1. A 2. Faktor-faktor utama yang menggalakkan berlakunya proses imperialisme ialah (a) Etnosentrisme (b) Jingoisme (c) Agama (d) Keinginan mencapai sebagai kuasa besar (e) Kapitalisme SDT 3.3 1. D 2. Antara dampak utama penjajahan dari aspek sosial ialah (a) Wujudnya masyarakat majmuk. (b) Tiada perpaduan diantara kaum. (c) Bilangan penduduk bertambah ramai dimana kaum. imigran asing mula mencabar jumlah penduduk tempatan.


65 BAB 4 NASIONALISME OBJEKTIF BAB Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Mendefinisikan perkataan nasionalisme. 2. Memahami perkembangan nasionalisme di negara kita. 3. Mengenal pasti faktor-faktor kebangkitan nasionalisme. 4. Menghuraikan peranan dan aktiviti individu dan pertubuhan dalam perjuangan nasionalisme. 5. Menilai dan menghargai hakikat dan sejarah perjuangan para nasionalis terdahulu yang telah berkorban demi kepentingan generasi hari ini. 4.1 PENGENALAN Tahukah anda nasionalisme atau faham kebangsaan sangat penting dalam usaha pembentukan negara bangsa dalam sesebuah negara. Umumnya hampir setiap sejarah pembentukan negara dan bangsa di dunia ini bermula dengan gerakan perjuangan rakyat iaitu nasionalisme. Begitu juga dengan negara kita Malaysia. Nasionalisme dan semangat negara bangsa telah bermula di Eropah pada abad ke-18, khususnya selepas berlaku Revolusi Perancis pada tahun 1789. Tahukah anda, apakah yang dimaksudkan dengan nasionalisme? Menurut Hans Kahn, nasionalisme merupakan gerakan untuk menciptakan masyarakat yang lebih terbuka dan untuk mendapatkan kebahagiaan perseorangan, bagi menjamin kemerdekaan warganegara dan membebaskan akal dan fikiran. Dengan kata lain, nasionalisme itu adalah satu semangat.1 Oleh itu, kebudayaan seperti agama, bahasa dan lain-lain boleh menimbulkan semangat nasionalisme. Melalui elemenelemen tersebut juga, diharapkan mampu mewujudkan semangat yang dapat melahirkan satu identiti yang baru bagi negara yang dijajah. Semangat nasionalisme juga dapat melahirkan perasaan bersatu padu di antara rakyat yang dijajah. R. S. Chavan pula mentafsirkan nasionalisme sebagai sentiment, loyalty of symmpathy. 2 Nasionalisme merupakan pemikiran


66 dan tindakan yang menunjukkan cinta kepada bangsa dan negara. Elemen penting yang terkandung dalam nasionalisme ialah patriotisme iaitu perasaan cinta kepada tanah air. Nasionalisme juga merangkumi gerakan yang dilancarkan bagi menjamin ataupun mengembalikan kebaikan golongan majoriti iaitu selalunya rakyat bagi meruntuhkan status quo yang sekian lama seperti gerakan revolusi yang telah berlaku dalam Revolusi Perancis. Dalam konteks Asia Tenggara, semangat nasionalisme wujud dengan serius dalam abad ke-20. Manakala dalam konteks orang Melayu pula, nasionalisme merujuk kepada perjuangan mereka untuk mendapatkan kembali kedudukan unggul dalam negaranya sendiri, iaitu sebelum kedatangan penjajah. Secara keseluruhannya, nasionalisme adalah bertujuan untuk membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing. Namun begitu pengertian nasionalisme dalam konteks lepas merdeka pula lebih merupakan sebagai satu perjuangan bagi mempertahankan maruah dan mempertinggikan martabat serta kedaulatan negara. 4.2 BENTUK DAN PERKEMBANGAN NASIONALISME Secara umum, sarjana yang melihat perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu dari sudut masyarakat peribumi (Melayu) dan masyarakat imigran. Dari sudut masyarakat peribumi, kita boleh klasifikasikan kepada dua bentuk perkembangan ataupun gerakan iaitu gerakan radikal (bersenjata), dan sederhana iaitu gerakan yang dijalankan melalui pertubuhan dan desakan media massa. Walau bagaimana pun pengkelasan ini hanya untuk memudahkan pengkaji-pengkaji menerokai perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu. Bagi skop dan pendekatan pelajaran ini, saya akan membahagikan pergerakan nasionalisme kepada dua iaitu pergerakan bersenjata dan tidak bersenjata. 4.3 GERAKAN NASIONALISME BERSENJATA Jika kita kaitkan pengertian semangat nasionalisme dengan sebarang penentangan masyarakat tempatan terhadap kuasa asing, maka perkembangan semangat nasionalisme di Malaysia boleh dikatakan bermula apabila orang Melayu Melaka menentang kuasa-kuasa asing yang cuba menjajah mereka seperti kuasa Portugis dan Belanda, dan juga di Kedah yang menentang penguasaan Siam. Cuba anda senaraikan beberapa siri pemberontakan masyarakat tempatan terhadap penjajah Inggeris?


67 Terdapat beberapa sebab utama mengapa masyarakat tempatan melancarkan pemberontakan terhadap penjajah Inggeris, antaranya ialah faktor sosioekonomi, agama dan adat resam, serta kepimpinan. Aspek sosioekonomi boleh dikatakan sebagai sebab utama terhadap kewujudan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin dan penduduk tempatan. Ini kerana penguasaan British terhadap Tanah Melayu telah menyebabkan wujud perubahan sosial dan ekonomi dalam masyarakat tempatan. Pembaharuan-pembaharuan yang dijalankan oleh British tidak boleh diterima oleh masyarakat tempatan pada masa itu. Contohnya dalam soal pengutipan cukai. Sebelum kedatangan British, pembesarpembesar Melayu mempunyai autoriti dalam aktiviti ekonomi ini. Namun demikian, berikutan dengan penjajahan British, mereka telah mengambil alih kuasa pemungutan cukai ini dan telah turut mengenakan beberapa cukai yang lain ke atas penduduk tempatan. Perkara ini telah membangkitkan kemarahan di kalangan rakyat di Tanah Melayu pada masa itu. Dari segi kepimpinan pula, penguasaan British di Tanah Melayu di lihat sebagai mencabar kewibawaan pembesar Melayu sebagai pemimpin tradisi tempatan. Sikap pihak British yang cuba campur tangan dalam hal ehwal agama dan adat-adat Melayu juga telah turut menimbulkan kemarahan masyarakat tempatan. Sehubungan dengan itu tercetus usaha dan percubaan untuk membebaskan diri daripada cengkaman British seperti percubaan Sultan Kedah untuk menduduki kembali Pulau Pinang pada tahun 1789, pemberontakan Dol Said di Naning (1895), peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch (1875), pemberontakan Datuk Bahaman di Pahang (1895), pemberontakan Tok Janggut di Pasir Putih (1915), dan penentangan yang dilancarkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu pada tahun 1928. Penentangan masyarakat tempatan terhadap pihak Inggeris bermula akibat tindakan British sendiri yang disifatkan sebagai cuba campur tangan dalam urusan pentadbiran Naning yang ditadbirkan oleh Dol Said. Tindakan British yang cuba menghalang Penghulu Dol Said menyelesaikan kes-kes jenayah di Naning serta penguatkuasaan undangundang yang dilaksanakan ke atas Melaka turut dijalankan di Naning telah menimbulkan kemarahan penduduk tempatan. Selain itu British juga cuba menghalang hubungan yang telah sedia wujud antara Dol Said dan Belanda. Halangan ini jelas apabila mereka cuba menyekat Dol Said daripada menghantar hasil tahunan Naning kepada Belanda sebagai tanda persahabatan. Akibat tindakan British ini, Dol Said telah melancarkan pemberontakan terhadap penjajah British. Siri pemberontakan ini berlangsung dalam


68 tempoh dua tahun, iaitu dalam tempoh 1831 sehingga 1833. Dol Said kemudiannya telah dikalahkan oleh tentera British dan menyerah diri pada 4 Februari 1833. 3 Rata-rata pergerakan menentang Inggeris pada masa tersebut merupakan gerakan-gerakan kecil dan bersifat gerakan tani (peasent movement). Contohnya, penentangan yang dilakukan oleh Tok Janggut di Pasir Putih, Kelantan. Pemberontakan yang dipimpin oleh Haji Mat Hassan atau dikenali sebagai Tok Janggut telah mengejutkan British apabila Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya bertindak membakar Pejabat Daerah, kebun-kebun, dan kediaman milik pegawai-pegawai British. Bagi menumpaskan penentangan ini, Penasihat British Kelantan telah meminta bantuan pasukan polis dari Singapura dan bantuan polis tambahan. Peristiwa ini dikenali sebagai Perang Tok Janggut. Pertempuran telah berlaku di antara Tuk Janggut dan pengikutpengikutnya dengan tentera-tentera British. Beliau kemudiannya telah dibunuh oleh British dan mayatnya diarak di Pasir Putih dan Kota Bharu serta digantung di Padang Merdeka selama beberapa ketika sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.4 Tindakan British terhadap mayat Tok Janggut ini merupakan satu penghinaan besar yang telah dilakukan oleh British ke atas umat Islam. Namun demikian, ia bermaksud untuk memberikan pengajaran kepada orang Melayu supaya tidak menentang mereka. Pada umumnya, dari segi gerakan-gerakan nasionalisme awal dalam bentuk bersenjata ini dapat di lihat sebagai berbentuk menyeluruh, iaitu berlaku di hampir kebanyakan negeri di Tanah Melayu dan juga di Sabah. Daripada segi motif pemberontakan, kita dapat rumuskan bahawa hampir kesemuanya mempunyai persamaan, iaitu bertujuan untuk menghalau penjajah dan mengembalikan nilai-nilai murni dalam kehidupan lama serta menegakkan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Walaupun gerakan nasionalisme peringkat awal yang berbentuk gerakan bersenjata, namun hampir kesemuanya telah gagal mencapai matlamat perjuangan. Tahukah anda mengapakan gerakan-gerakan ini gagal mencapai matlamatnya? Kegagalan gerakan-gerakan ini adalah kerana tidak wujud jaringan yang kukuh di kalangan penduduk di Tanah Melayu dalam menentang penjajah. Secara umumnya, gerakan ini hanya berbentuk setempat dan tidak menampakkan satu bentuk gerakan massa. Selain itu, ia juga hanya berbentuk sementara dan bergerak secara kecil-kecilan, serta boleh dikategorikan sebagai gerakan tani sahaja.


69 Sementara itu, dalam masa yang sama, penyatuan dari segi semangat kebangsaan di kalangan penduduk di Tanah Melayu pada akhir tahun 1890-an dan awal tahun 1900-an sukar di laksanakan kerana tidak wujud perpaduan dan rasa kekitaan di kalangan penduduk. Menurut J.M. Gullick, penduduk Tanah Melayu yang tinggal di negeri-negeri berlainan masing-masing mempunyai perasaan benci-membenci dan curigamencurigai antara satu sama lain. Contohnya orang Perak benci dan cemburu terhadap orang luar Perak, manakala orang Selangor menganggap orang Kedah yang menetap di Selangor sebagai hina dan asing. Sementara itu orang Pahang tidak suka terhadap polis-polis yang bukan dari negeri mereka.5 SOALAN DALAM TEKS 4.1 1. Mengapakah gerakan penentangan awal orang Melayu terhadap pihak British sering menemui kegagalan? I Tidak wujud rasa kekitaan dan perpaduan di kalangan penduduk tempatan. II Mereka hanya menumpukan perhatian kepada kegiatan ekonomi tanpa. III Memikirkan soal masa depan bangsa. IV Perjuangan mereka hanya bersifat kecil-kecilan dan sementara. V Ketiadaan pemimpin yang unggul dan mampu mengetuai. VI gerakan tersebut. A. I dan II B. II dan III C. I, II dan III D. I, III dan IV 2. Nyatakan dua pengertian nasionalisme yang anda fahami? 3. Senaraikan sebab-sebab berlakunya pemberontakan penduduk tempatan terhadap pemerintah British pada peringkat awal penguasaan mereka di negara ini? Semak jawapan anda di akhir bab ini.


70 4.4 SEMANGAT NASIONALISME BUKAN BERSENJATA Semangat kebangsaan bukan bersenjata lebih berupa semangat kebangsaan yang digerakkan oleh tokoh-tokoh intelektual tempatan yang berusaha membawa perubahan pemikiran dalam masyarakat. Selain itu, ia juga meliputi perkembangan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang bersifat bukan politik, separa politik dan yang bersifat politik. Perkembangan nasionalisme ini juga lebih disebabkan oleh pendedahan dan peluang-peluang yang diperoleh oleh masyarakat terhadap ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka terhadap perkembangan politik luar negeri. Ia dikategorikan sebagai nasionalisme bukan bersenjata kerana pendekatan yang digunakan oleh para tokoh pada masa tersebut adalah secara ilmuan iaitu menggunakan media massa, madrasahmadrasah juga sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian. Mereka juga banyak melahirkan cita-cita mengenai pembaharuan, aspirasi ke arah kemajuan ekonomi, politik dan sosial melalui tulisan-tulisan dan pandangan mereka yang dimuatkan dalam akhbar-akhbar dan majalah zaman itu. Nasionalisme bukan bersenjata ini juga turut meliputi perkembangan pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai kaitan langsung dengan kaumkaum bukan Melayu, khususnya Cina dan India sama ada yang bersifat bukan politik mahupun politik. Corak dan perkembangan nasionalisme di kalangan mereka juga sama dengan perkembangan nasionalisme di kalangan penduduk peribumi. 4.4.1 Golongan Agama Kesedaran nasionalisme Melayu moden di Tanah Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan gerakan pembaharuan ataupun islah Islam yang sedang berkembang di Asia Barat pada masa itu. Gerakan ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Syed Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh, dan Rashid Ridha. Idea pembaharuan mereka banyak dimuatkan dalam media massa seperti majalah-majalah yang diterbitkan oleh mereka iaitu antara lainnya ialah Al-Manar dan AlUrwatuk Wuthqa. Gagasan pembaharuan yang diutarakan oleh mereka telah berjaya mempengaruhi sebilangan besar pelajar-pelajar Melayu dari Tanah Melayu yang melanjutkan pengajian mereka di Timur Tengah seperti di Universiti Al-Azhar. Mereka telah menubuhkan persatuan kebajikan yang dinamakan Al Jamiah Al Khariah yang berperanan menjaga kebajikan pelajar-pelajar dan menyatukan mereka. Selain itu, pelajarpelajar tersebut telah menerbitkan akhbar Seruan Azhar dengan kerjasama daripada pelajar-pelajar Islam dari Indonesia. Mereka juga telah


71 membentuk sebuah persatuan, iaitu Perkumpulan Pemuda IndonesiaMalaya (PERPINDO) bagi dijadikan landasan utama dalam menyalurkan idea-idea mereka. Kerjasama yang diwujudkan antara pelajar dari keduadua buah negara ini didorong oleh persamaan-persamaan yang wujud dalam sejarah negara dan perjuangan bangsa Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia. Selain itu, persamaan dari segi rumpun bangsa, agama dan bahasa serta keturunan juga telah mengeratkan hubungan sesama pelajar. Idea reformasi (islah) yang sedang berkembang di Asia Barat itu telah dibawa ke Tanah Melayu oleh para pelajar lepasan universiti di Timur Tengah seperti Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin, Haji Abas Mohammad Taha, dan Syed Syeikh Al-Hadi. Tokoh-tokoh ini merupakan individu yang memainkan peranan yang sangat besar dalam pergerakan nasionalisme pada zaman tersebut. Pusat pergerakan mereka ialah di Singapura, Pulau Pinang, dan beberapa tempat lagi. Mereka bertugas sebagai guru agama, mubaligh, pengarang, dan juga peniaga. Pembaharuan yang disarankan oleh golongan islah ini banyak dimuatkan dalam akhbar-akhbar dan majalah yang diterbitkan oleh mereka. Antara majalah dan akhbar yang telah diterbitkan ialah Majalah Al-Iman (1906) dan Al-Ikhwan (1926) di Singapura, manakala di Pulau Pinang pula mereka menerbitkan akhbar Idaran Zaman (1925) dan akhbar Saudara (1928). Akhbar dan majalah ini antara lainnya memuatkan pandanganpandangan golongan reformis terhadap perlunya bangsa Melayu bangkit seiring dengan bangsa lain untuk sama-sama bersaing mengejar kemajuan. Di samping itu, mereka juga menanamkan cita-cita untuk membawa bangsa Melayu dalam persaingan dengan bangsa-bangsa lain untuk samasama dikenali. Contohnya dalam akhbar Chahaya Pulau Pinang menyatakan, antara tujuan penerbitannya ialah “…bagi kita Melayu ini mencari kepandaian dan perkhabaran yang baik-baik seperti orang yang di bahagian atas angin itu; oleh itu, telah dikeluarkan akhbar yang beriwayatkan perkhabaran yang di bahagian atas angin dan di bawah angin supaya hidup nama Melayu ini di dalam dunia…”6 Mereka juga telah menggunakan media sebagai alat untuk mengkritik bangsa Melayu yang masih mengamalkan adat-adat lama yang disifatkan sebagai kolot serta bertentangan dengan ajaran Islam. Menurut akhbar tersebut, telah tiba masanya bagi orang-orang Melayu untuk mengorak langkah ke arah sesuatu yang lebih berani untuk mendapatkan kemajuan.


72 Mereka telah mengambil contoh bagaimana tindakan Jepun yang telah menyerang China yang di lihat sebagai perjuangan yang cukup berani kerana China jauh lebih besar dan kuat berbanding dengan Jepun. Golongan reformis yang dikenali sebagai Kaum Muda, muncul sebagai tenaga sosial yang baru yang kemudiannya telah menyebabkan berlakunya pertentangan nilai di antara mereka dengan golongan yang sedia ada dalam masyarakat Melayu pada masa itu, iaitu Kaum Tua. Kaum Tua merupakan pemimpin pendapat bagi masyarakat Melayu pada masa tersebut. Dalam konteks perbezaan pandangan, Kaum Muda di lihat sebagai golongan anti-establishment dan membawakan gerakan pembaharuan Islam. Mereka menentang pandangan dan pendapat yang dibawakan oleh Kaum Tua. Kaum Muda telah menjadikan madrasahmadrasah sebagai pusat kegiatan mereka, manakala Kaum Tua telah menjadikan pondok sebagai institusi mereka Pada umumnya, golongan reformis Islam terdiri daripada golongan yang tidak puas hati dengan keadaan masyarakat Islam pada masa itu. Bagi mereka dalam perlumbaan dengan tamadun Barat, penganut Islam telah jauh ketinggalan. Implikasinya, kebudayaan Islam dianggap sebagai tidak mengikut arus perubahan zaman terutama apabila menghadapi gelombang tamadun Barat. Mereka juga berpandangan bahawa Islam bukanlah faktor yang telah melemahkan umat Islam tetapi mereka sendiri tidak mengamalkan ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Menurut W.R. Roff, kebangkitan kesedaran diri (self-consciousness) dan ketegasan diri (self-assertiveness) pada dekad-dekad terakhir sebelum Perang Dunia Kedua lebih diakibatkan oleh ancaman-ancaman terhadap hak dan kepentingan orang Melayu dan juga faktor-faktor ekonomi. Selain itu, kelahiran gerakan ini juga berkait rapat dengan kebimbangan terhadap arus sekularisme dan imperialisme Barat yang sedang melanda Tanah Melayu khususnya dan di seluruh dunia amnya. Walau bagaimanapun, terdapat banyak perkara yang berkait dengan idea-idea dan unsur-unsur yang telah berjaya memajukan Barat dan selaras dengan ajaran Islam yang wajar dicontohi. Menurut Roff, dalam perspektif ini Kaum Muda adalah penghubung antara pure-tradisionalisme dan pure-sekularism. 7 Tahukah anda apakah langkah-langkah yang dijalankan oleh Kaum Muda bagi mencapai matlamat untuk memajukan bangsa Melayu yang rata-rata pada masa itu masih berfahaman lama?


73 Dalam persoalan memartabatkan bangsa Melayu, Kaum Muda melihat ilmu sains dan sistem pendidikan Barat lebih efisien untuk kehidupan moden berbanding dengan sekolah-sekolah pondok yang dipelopori oleh Kaum Tua. Pada umumnya juga sekolah-sekolah pondok tradisional kebanyakannya menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan pengajaran yang bersifat penghafalan dan pengucapan semata-mata dan tidak bersifat aplikasi. Sebagai satu platform terhadap usaha-usaha dan cita-cita mereka dalam memajukan masyarakat Melayu pada masa itu, Kaum Muda telah menubuhkan Pertubuhan Melayo-Muslim dan mengasaskan lebih banyak sekolah-sekolah moden yang dikenali sebagai madrasah bagi menandingi sekolah-sekolah aliran Inggeris. Beberapa tahun selepas itu madrasah telah menjadi begitu popular sehingga sebahagian daripada sekolah-sekolah pondok telah menukar nama mereka kepada madrasah. Dari segi kurikulum, madrasah telah memperuntukkan mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, asas-asas matematik dan mata pelajaran mantik (logik) serta mata pelajaran ekonomi dan perdagangan. Pembaharuan dari segi kurikulum yang diadakan dalam sistem pendidikan yang diajar di madrasah-madrasah pada masa itu bertujuan untuk menyaingi sistem pendidikan di sekolah-sekolah aliran Inggeris. Di sekolah Inggeris, tidak ada mata pelajaran ekonomi dan perdagangan tetapi terdapat mata pelajaran simpan kira. Sebuah sekolah agama yang agak mendahului zaman pada masa tersebut ialah Sekolah Al-Diniah di Kampung Lalang, Sungai Rengas, Perak yang di asaskan pada tahun 1924. Ia telah diasaskan oleh Syeikh Al-Junid yang berasal dari Sumatera. Di sekolah ini, murid-murid didedahkan dengan mata pelajaran perdagangan bukan sahaja dari segi teori tetapi juga dari segi praktikal. Sehubungan dengan itu, murid-murid telah diberikan pendedahan tentang selok-belok perniagaan dengan mengadakan amali di kedai-kedai menjual getah dan kedai-kedai runcit. Apa yang lebih menarik lagi, madrasah ini juga telah mengadakan inisiatif ke arah melahirkan pengusaha-pengusaha Muslim dengan mengeluarkan barangan harian seperti kicap dan sabun.8 Sementara itu pada tahun 1929, Haji Wan Mahmud bin Haji Wan Daud iaitu salah seorang pengasas Madrasah Muhammadiah di Kota Bharu telah menulis buku Siasah Perniagaan. Ia merupakan tulisan yang pertama dalam bidang perdagangan yang ditulis dalam bahasa Melayu.9 Isu kemelesetan ekonomi yang sedang dialami oleh kebanyakan negara di dunia pada masa itu juga telah mendorong para pejuang nasionalis Melayu untuk turut menekankan objektif perjuangan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu. Perjuangan pada peringkat ini juga banyak menggunakan akhbar sebagai medium dalam menyampaikan


74 idea-idea semangat kebangsaan dan seruan ke arah kemajuan serta pembangunan. Antaranya ialah akhbar Idaran Zaman yang pada masa itu dipimpin oleh Muhammad Yunus Abdul Hamid, iaitu kawan rapat kepada Syed Syeikh Al-Hadi. Antara perkara yang sering menjadi pokok perbincangan dalam akhbar ini ialah mengenai sikap masyarakat Melayu yang dikatakan tidak mahu berusaha dan lambat berubah. Selain itu, penulis juga mengkritik sikap masyarakat Melayu pada masa itu yang tidak mahu merebut peluang-peluang yang ada di negara sendiri. SOALAN DALAM TEKS 4.2 1. Senaraikan dua perkara penting yang diperjuangkan oleh Kaum Muda. 2. Apakah sebab utama berlakunya konflik antara Kaum Muda dengan Kaum Tua? A. Kaum Tua tidak bersetuju dengan kerjasama yang terjalin antara Kaum Muda dengan nasionalis Indonesia. B. Kaum Muda menentang fahaman lama yang diamalkan oleh Kaum Tua. C. Kaum Muda cuba campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran negeri yang banyak dikuasai oleh Kaum Tua. D. Kaum Tua kecewa dengan pendirian Kaum Muda yang menyokong British. Semak jawapan anda di akhir bab ini. Apakah peranan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dalam perkembangan semangat kebangsaan di negara kita? 4.4.2 Golongan Menengah Melayu MPSI yang telah ditubuhkan pada tahun 1922, merupakan institusi terulung atau institusi induk dalam melahirkan pemikir-pemikir Melayu yang kemudiannya merupakan pelopor kepada gerakan kebangsaan tanah air. Tokoh-tokoh lepasan MPSI seperti Harun Amminurashid, Abdul


75 Hadi Husin, Ibrahim Yaakub, Abdul Ghafar Baba, Senu Ab. Rahman, Syed Nasir, Pak Sako, Buyong Adil, dan ramai lagi pelatih-pelatih perguruan di maktab ini merupakan mereka yang mempunyai kesedaran yang cukup tinggi mengenai nasib dan masa depan bangsa dan tanah air. Guru-guru dari MPSI telah mendapat banyak idea perjuangan daripada perkembangan semangat kebangsaan yang berlaku di Indonesia—sedang menentang penjajahan Belanda. Majalah-majalah dan buku-buku terbitan Indonesia menjadi bahan bacaan utama mereka. Perjuangan tokoh-tokoh pertubuhan Indonesia seperti Boedi Utomo, Sarekat Islam, Partai Komunis Indonesia, Muhammadiah, Partai Nasional Indonesia, dan lainlain telah mempengaruhi pemikiran mereka. Perjuangan rakyat Indonesia dalam menentang kuasa penjajah telah memberikan ilham kepada mereka untuk bangkit menentang British di Tanah Melayu. Bagi mengembeleng tenaga ke arah pembentukan semangat kebangsaan yang lebih menyeluruh dan mantap, tokoh-tokoh MPSI seperti Zainal Abidin Ahmad, Buyong Adil, Ibrahim Yaakub dan lain-lain lagi telah menubuhkan dua buah persatuan, iaitu (i) Ikatan Pemuda Semenanjung (1929) (ii) Ikatan Semenanjung Borneo (1930) Ikatan Semenanjung Borneo dan Ikatan Pemuda Pelajar ditubuhkan secara sulit dan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan politik Indonesia seperti Partai Nasional Indonesia yang dipimpin oleh Sukarno. Walaupun MPSI pada masa itu berada di bawah pentadbiran pengetua O.T. Dussek, seorang pegawai British, tetapi beliau banyak memberikan dorongan kepada pelajar-pelajar mengenai kepentingan kemajuan dan pendidikan. Sehubungan dengan kesedaran dan rasa prihatinnya terhadap kemunduran bangsa Melayu pada masa itu. Beliau juga telah memberikan kelonggaran kepada guru-guru di maktab untuk mengembangkan ideaidea politik. Sehubungan itu semangat kebangsaan di kalangan pelatihpelatih perguruan Melayu ini telah berkembang dengan pesatnya. Sikap O.T. Dussek itu didorong oleh hubungan peribadi yang rapat beliau dengan guru-guru di maktab tersebut. Selain itu, beliau sangat berminat dan cenderung terhadap kebudayaan dan bahasa Melayu. Minat dan kecenderungan ini timbul sejak O.T. Dussek mula berkhidmat sebagai pegawai kolonial British di negara ini. Beliau juga sangat menyedari tentang kemunduran yang dialami oleh penduduk Melayu terutamanya dalam pendidikan. Faktor-faktor ini menyebabkan timbul simpati beliau terhadap cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh bangsa Melayu.


76 Namun begitu, perkembangan gerakan nasionalisme di MPSI tidak berkekalan apabila kerajaan British bertindak menempatkan tokoh-tokoh pendidik muda ke kawasan yang berlainan dan sukar untuk berhubung antara satu sama lain. Langkah ini merupakan antara strategi penjajah yang bimbangkan perkembangan semangat kebangsaan akan terus merebak di kalangan cerdik pandai Melayu itu dan seterusnya dapat mempengaruhi rakyat. Ini jelas apabila pada tahun 1927, Abdul Hadi Hasan telah ditukarkan ke Kelantan dan diberikan jawatan sebagai Nazir. Pada tahun 1936, O.T. Dussek telah dipencenkan dan kembali ke England, manakala pada tahun 1939, Harun Aminurrashid telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Pelajaran Melayu dan ditugaskan ke Brunei.10 Adakah anda masih ingat, bagai manakah tokoh-tokoh Kaum Muda menyebarkan idea-idea pembaharuan mereka di kalangan masyarakat? Tokoh-tokoh MPSI telah menggunakan media massa iaitu akhbar-akhbar seperti Warta Malaya dan Majlis untuk menyebarkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat. Pada tahun 1938, mereka telah menubuhkan sebuah parti politik Melayu yang pertama, iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang diasaskan oleh Ibrahim Yaakub. Oleh kerana parti ini merupakan parti yang agak kuat menentang penjajah dan enggan bekerjasama dengan Inggeris, ia dilabelkan sebagai radikal oleh kerajaan British dan dianggap sebagai parti berhaluan kiri. Antara agenda besar yang diperjuangkan oleh KMM ialah menuntut kemerdekaan dari Inggeris dan menubuhkan Kesatuan Malaya Raya, iaitu menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia. Mereka terus mengadakan usaha-usaha bagi menguatkan lagi perpaduan dan mempertingkatkan kesedaran semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu. Pada bulan Ogos 1939, semua persatuan Melayu telah mengadakan Kongres Melayu di Kuala Lumpur Hasil daripada kongres ini telah melahirkan sebuah persatuan Melayu yang bersifat kebangsaan iaitu Persatuan Melayu SeMalaya. Ia merupakan langkah pertama dalam menyatukan semua orang Melayu. Dalam masa dua tahun, KMM telah berkembang dengan begitu pesat dan banyak cawangannya ditubuhkan di seluruh Tanah Melayu. Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan di pihak kerajaan British. Akibatnya, KMM telah diharamkan oleh pihak British pada tahun 1940. Selain itu, British juga mengesyaki bahawa ahli-ahli KMM telah bekerjasama dengan Jepun. Sehubungan itu juga pemimpin utama KMM seperti Ibrahim Yaakub dan 150 ahli KMM yang lain telah ditangkap dan KMM di labelkan sebagai parti radikal oleh pihak berkuasa British.


77 4.4.3 Golongan Bangsawan Melayu Selain MPSI, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang telah ditubuhkan pada tahun 1905 juga merupakan sebuah institusi pendidikan yang turut memainkan peranan besar dalam perkembangan semangat nasionalisme di Tanah Melayu. Maktab ini dibina khusus bagi menempatkan anak-anak pembesar-pembesar Melayu di negara ini bagi menerima pendidikan. Ia telah mengambil contoh sebuah sekolah lelaki yang terkenal di England iaitu Sekolah Eton. Tujuan utama penubuhan maktab ini ialah sebagai sebuah pusat untuk memberikan latihan kepada anak-anak golongan bangsawan Melayu yang berjaya dalam pelajaran bagi mengisi jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran Inggeris. Selain melahirkan tenaga birokrat Melayu yang akan melaksanakan dasardasar British, MCKK juga merupakan simbol kebanggaan bagi mereka yang menuntut di sini. Sebagai sebuah institusi pengajian yang bersifat elit, ia telah menjadi tumpuan dan simbol status bagi pembesar-pembesar Melayu. Dalam masa yang sama maktab ini telah berkembang dengan baik dan telah mencapai hasrat pihak British dalam mendapatkan tenaga pelapis Melayu bagi mengisi jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran Inggeris di negara ini. Sementara itu, pihak penjajah Inggeris pula lebih cenderung untuk bekerjasama dengan mereka yang di lihat oleh Inggeris sebagai mempunyai pendirian politik beraliran sederhana. Antara tokoh penting yang mendapat pendidikan di MCKK ialah Dato’ Onn Ja’afar, Raja Chulan Raja Abdullah dan Muhammad Eunos Abdullah. Kumpulan ini merupakan golongan yang menyokong British dan mempunyai arah pemikiran yang lebih terbuka dan di lihat oleh British sebagai lebih liberal, agak sederhana dan boleh dibawa berunding. Walaupun pergerakan mereka bersifat lebih pro kepada British, namun mereka turut mengemukakan banyak tuntutan terhadap kerajaan British mengenai beberapa perkara penting yang berkait dengan nasib dan masa depan masyarakat Melayu. Antara tuntutan mereka ialah menyarankan pihak Inggeris supaya mengambil lebih banyak langkah untuk memperbaiki taraf hidup orang Melayu, memberikan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada orang Melayu di dalam jabatan-jabatan kerajaan juga melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti termasuk ke Oxford dan Cambrigde. Selain itu, kumpulan cerdik pandai Melayu ini juga turut mengemukakan kritikan kepada pihak penjajah mengenai kemasukan masyarakat imigran secara berleluasa ke Tanah Melayu. Bantahan ini adalah didorong oleh kesedaran bahawa keadaan ini akan mengancam peluang-peluang yang sepatutnya dikecapi oleh orang Melayu. Kritikan-kritikan terhadap pihak berkuasa pada masa ini disalurkan melalui akhbar-akhbar seperti Warta Malaya. 11


78 Pada tahun 1926, Kesatuan Melayu Singapura (KMS) iaitu sebuah pertubuhan yang agak bersifat politik telah ditubuhkan oleh Eunos Abdullah. KMS bertujuan membimbing masyarakat Melayu Singapura untuk memajukan diri dalam lapangan politik, ekonomi, pendidikan, dan kemasyarakatan. Tahun-tahun berikutnya terutamanya dalam lingkungan 1930-an, memperlihatkan penubuhan beberapa parti politik Melayu yang bersifat kenegerian. Pada tahun 1935, Kesatuan Melayu Selangor yang diasaskan oleh Raja Sir Uda dan Tengku Ismail telah ditubuhkan. Negerinegeri lain seperti Pahang, Perak, Negeri Sembilan, dan lain-lain masingmasing menubuhkan parti politik. Namun demikian, sifat parti-parti politik yang wujud pada masa ini masih kurang jelas dan lebih menunjukkan satu pertubuhan yang bersifat elit dari segi keanggotaannya dan tidak menyeluruh. Sebuah pertubuhan yang bersifat kebangsaan yang julung-julung kalinya telah ditubuhkan ialah Persatuan Sahabat Pena. Pada tahun 1939, Persatuan Sahabat Pena telah menganjurkan satu kongres di Singapura bagi mengumpulkan seluruh tenaga politik Melayu. Beberapa persidangan susulan telah diadakan pada tahun-tahun yang berikutnya, namun cita-cita ke arah kewujudan satu kesatuan yang lebih mantap tidak berjaya dilaksanakan berikutan dengan serangan Jepun ke atas Tanah Melayu pada tahun 1941. Perkembangan setakat ini menunjukkan bahawa nasionalisme yang diperjuangkan oleh golongan atasan Melayu lebih bersifat sederhana dan mendapat perhatian dan sokongan dari pihak penjajah berbanding dengan perjuangan yang dibawakan oleh kumpulan berhaluan kiri seperti KMM. Pada keseluruhannya, perkembangan nasionalisme sebelum Perang Dunia Kedua memperlihatkan tiga aliran yang paling dominan, iaitu 1. Kumpulan yang berorientasikan gagasan pembaharuan Islam—dipelopori oleh kumpulan yang boleh dikelompokkan sebagai kumpulan elit agama. 2. Golongan menengah Melayu berlatarbelakangkan pendidikan Melayu—membawa pemikiran politik yang agak radikal. 3. Golongan atasan yang berpendidikan Inggeris— mempelopori gerakan politik yang berhaluan sederhana. Secara umumnya, boleh dikatakan bahawa semangat kebangsaan pada peringkat ini adalah bersifat Pan-Malayan. Ia adalah satu pertubuhan yang mampu melengkapi orang-orang Melayu bagi mengharungi dunia moden.


79 4.5 PERKEMBANGAN NASIONALISME DI ZAMAN PENDUDUKAN JEPUN Pendudukan Jepun selama lebih tiga tahun (1942-1945) telah meninggalkan banyak kesan ke atas kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Layanan berbeza-beza yang diberikan kepada kaum-kaum di negara ini telah melahirkan bentuk semangat nasionalisme yang berbeza di kalangan mereka. Bagi orang-orang Melayu, era pendudukan Jepun telah memberikan erti yang besar dalam perkembangan semangat kebangsaan. Dalam erti kata lain, pendudukan Jepun telah menyuburkan kesedaran orang Melayu dalam perkara ini. Faktor utama yang mendorong kepada perkembangan ini ialah langkah Jepun yang telah memberikan peluang kepada anak-anak Melayu menceburi dalam bidang pentadbiran telah memberikan keyakinan kepada mereka mengenai keupayaan untuk mentadbir tanah air sendiri. Peluang-peluang ini merupakan perkara yang tidak mereka perolehi semasa pemerintahan Inggeris dahulu.12 Di samping itu juga, kemenangan Jepun dalam Perang Pasifik telah menjatuhkan imej British sebagai sebuah kuasa besar dan empayar Barat di rantau ini. Perkara ini menjadi satu propoganda yang begitu hebat dalam meniupkan semangat kebangsaan di kalangan rakyat pada ketika itu. Berikutan dengan pendudukan Jepun, ahli-ahli KMM yang telah ditahan oleh British telah dibebaskan. KMM berperanan besar dalam membantu Jepun bagi mendapatkan maklumat mengenai Tanah Melayu sebelum kemasukan mereka ke negara ini. Ibrahim Yaakub kemudiannya telah dilantik sebagai ketua KMM dan diberikan jawatan penting dalam pentadbiran. Masihkah anda ingat mengapakah KMM diharamkan oleh British? Konsep Melayu Raya iaitu cuba menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia yang diperjuangkan oleh KMM juga telah menimbulkan kebimbangan pihak Jepun. Memandangkan kepada tuntutan pengabungan dan kemerdekaan Tanah Melayu dengan Indonesia begitu kuat dan mengetahui hubungan KMM dengan Malayan People AntiJapanase Army (MPAJA), Jepun telah bertindak mengharamkan KMM. Tindakan ini sangat mengecewakan pejuang-pejuang Melayu yang selama ini kagum dan menyokong Jepun. Ia juga sebenarnya telah


80 menampakkan niat Jepun yang sebenarnya bahawa mereka tidak jujur terhadap orang-orang Melayu yang menyokong mereka selama ini. Pejuang Melayu pada masa itu juga mula sedar bahawa mereka tersilap langkah kerana penyokong Jepun. Perkembangan semangat kebangsaan kaum Cina dan India sebelum perang lebih banyak tertumpu kepada suasana politik di tanah asal mereka. Bagi masyarakat Cina, perkembangan faham komunis di negara China telah turut mencorakkan arah semangat kebangsaan mereka di negara ini. Namun demikian, pada peringkat awal mereka kurang berminat untuk bergiat cergas dalam perkembangan politik tempatan ketika itu kerana motif utama penghijrahan mereka ke negara ini ialah atas kepentingan ekonomi. Selain itu, kumpulan imigran ini tidak bercadang untuk menetap di Tanah Melayu. Namun demikian, perkembangan politik masyarakat Cina memperlihatkan minat mereka terhadap faham komunis semakin meluas. Fenomena ini disebabkan oleh hubungan yang kuat di antara mereka dengan negara asal mereka iaitu China. Ini telah mendatang kesulitan kepada pentadbiran British apabila mereka enggan patuh kepada institusi tempatan dengan menubuhkan kongsi-kongsi gelap dan parti-parti politik seperti Kuomintang dan Parti Komunis yang sealiran dengan perkembangan politik di China sendiri. Tokoh yang memainkan peranan penting dan bertanggungjawab dalam menapakkan kegiatan komunis di Tanah melayu ialah Alimin, iaitu seorang pemimpin komunis Indonesia. Beliau telah singgah di Singapura dalam perjalanannya ke Canton bagi menghadiri Persidangan Buruh Seluruh Pasifik pada tahun 1924.13 Beberapa tahun selepas dari peristiwa ini pergerakan komunis telah berjaya melatih penduduk tempatan sebagai kader-kader komunis. Fahaman komunis di Tanah Melayu telah terbentuk hasil daripada pengaruh secara langsung dari Parti Komunis China (Communist Party of China – CPC) dan mendapat arahan dari Biro Komunis Antarabangsa Bagi Timur Jauh (Comintern). Fahaman komunis di Tanah Melayu bergerak selari dengan Parti Komunis China. Ia bermula sejak tahun 1923 dan disebarkan di sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu. Mulai tahun 1926, usaha-usaha untuk menyusun organisasi komunis telah dijalankan oleh masyarakat Cina di Tanah Melayu. Peranan ini dimainkan oleh Main School (Sekolah Utama) yang ditubuhkan di sekitar tahun-tahun 1926 hingga 1927—merupakan badan eksekutif terpenting dalam perkembangan ideologi komunis di Tanah Melayu.


81 Apakah kesan jangka panjang pengenalan sistem pendidikan British yang menggalakkan penubuhan sekolah-sekolah mengikut kaum di negara kita? Sambutan yang diberikan oleh masyarakat Cina terhadap ideologi komunis antara lain menunjukkan semangat kenegerian mereka terhadap negara asal iaitu China. Pada bulan Mac 1930, Parti Komunis Malaya telah ditubuhkan hasil gabungan daripada dua pertubuhan Cina yang terkenal di Tanah Melayu, iaitu Parti Komunis Nanyang dan Kesatuan Sekerja Nanyang (Nanyang General Labour Union). Sehubungan itu, perkembangan parti komunis di Tanah Melayu telah dikendalikan secara langsung oleh Comintern dan bukan lagi oleh China. 14 Sokongan yang kuat yang diberikan oleh masyarakat Cina terhadap PKM ialah kerana didorong oleh rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan pada masa itu. Dalam soal ini juga masyarakat Cina sering beranggapan bahawa mereka perlu mendapat peluang lebih daripada apa yang mereka telah perolehi. Oleh yang demikian, mereka mengharapkan akan mendapat lebih keutamaan sekiranya PKM memerintah negara ini. Bagi memperkemaskan lagi jentera organisasi, pada 30 April 1930, Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditubuhkan. Antara cita-cita besar PKM ialah menegakkan sebuah Kerajaan Republik Soviet Malaya hasil koordinasi proletar dan petani. PKM kemudiannya telah melancarkan pemberontakan bersenjata berikutan dengan penolakan British terhadap Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan oleh barisan parti politik kiri yang diwakili oleh All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang di dalangi oleh PKM. Peristiwa Darurat 1948 merupakan titik tolak penting dalam perkembangan politik masyarakat Cina di Tanah Melayu. Peristiwa itu dan perkembangan ideologi komunis di Tanah Melayu berkait secara langsung dengan soal perkauman. Bagi mengatasi masalah ini, Jawatan Kuasa Perhubungan Kaum telah ditubuhkan. Bagi mengalihkan tumpuan dan sokongan masyarakat Cina terhadap PKM yang disifatkan sebagai parti orang Cina, British telah menggalakkan pemimpin-pemimpin Cina menubuhkan parti politik Cina yang sah. Pada bulan Februari 1949, Malayan Chinese Association (MCA) telah ditubuhkan dan diketuai oleh Tan Cheng Lock. MCA merupakan sebuah parti alternatif bagi orang Cina bagi mengurangkan sokongan masyarakat ini terhadap PKM. Manakala bagi pihak orang Cina pula, ia satu saluran bagi mengemukakan tuntutan dan kepentingan mereka terhadap British. Bagi masyarakat India pula, pola perkembangan semangat nasionalisme mereka juga mirip kepada perkembangan semangat nasionalisme orang-


82 orang Cina, iaitu mengikut arus dan pergerakan politik di negara asal mereka iaitu India. Gerakan-gerakan dan perjuangan menuntut kemerdekaan oleh pemimpin-pemimpin mereka seperti Mahatma Ghandhi telah banyak mempengaruhi pemikiran masyarakat India di Tanah Melayu terutamanya mereka yang agak berpelajaran. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu mereka telah menubuhkan Indian National Army (INA) hasil daripada pakatan dan kerjasama Jepun dengan Subhas Chandra Bose. Pihak Jepun juga telah membenarkan Tanah Melayu dijadikan pusat gerakan bagi INA.15 Kerjasama ini lebih berupa sokongan kuat Jepun terhadap rakyat India untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan British. Sehubungan dengan itu, pihak Jepun telah mengeksploitasi dan memperalatkan pemimpin-pemimpin India untuk bekerjasama dengan mereka. Subhas Chandra Bose iaitu pemimpin kaum India di Tanah Melayu telah melaungkan slogan kebebasan untuk semua terutama kepada buruh-buruh yang tertindas dan menekankan bahawa tujuan utama gerakan INA adalah untuk membebaskan India daripada penjajahan British. Beliau mencadangkan pemakaian cogankata “Chalo Delhi” (Pergi ke Delhi) untuk menaikkan semangat nasionalisme di kalangan buruh India. Bagi mencapai matlamat perjuangan, INA dengan kerjasama Indian Independence Leagua telah membentuk kerajaan sementara. Di samping itu, sukarelawan INA telah mencapai jumlah 16,000 orang. Beberapa usaha lain juga diadakan seperti penubuhan pasukan tentera wanita India iaitu The Rani of Jhenshi.16 Setelah tamat Perang Dunia Kedua, kaum India terus memperjuangkan kepentingan politik mereka selari dengan perkembangan politik di India yang sedang menuntut kemerdekaan dari British. Perjuangan mereka di Tanah Melayu antara lain bermatlamatkan kemenangan bagi perjuangan kebangsaan di India dan menjaga kepentingan masyarakat India di Tanah Melayu. Di samping itu, mereka juga turut bersama-sama memperjuangkan kepentingan politik dengan kaum-kaum lain di negara ini. Bagi memantapkan lagi perjuangan mereka serta sokongan dan dorongan daripada pemimpin-pemimpin di India sendiri, pada bulan Ogos 1949, Kongres India Tanah Melayu atau Malayan Indian Congress (MIC) telah ditubuhkan. John A. Thivy telah dilantik sebagai Yang Dipertua Kongres yang pertama. 4.6 PENUBUHAN PARTI PERTUBUHAN MELAYU BERSATU (UMNO) Berbalik kepada perkembangan semangat nasionalisme orang Melayu, aspirasi untuk mencapai kemerdekaan terus bersemarak apabila British kembali memerintah Tanah Melayu apabila tamat Perang Dunia Kedua.


83 Penyatuan seluruh orang Melayu dalam semangat kebangsaan buat pertama kalinya telah terbentuk berikutan dengan langkah British mengemukakan cadangan Malayan Union pada tahun 1945. Walaupun orang Melayu menentang Malayan Union sejak dari awal lagi namun, pada peringkat permulaannya usaha mereka tidak begitu padu. Sehubungan itu beberapa pandangan telah dikemukakan dalam akhbarakhbar supaya masyarakat Melayu bergabung tenaga agar penentangan tersebut lebih berkesan. Pada 1 Mac 1946, satu persidangan bagi pertubuhan Melayu telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru. Persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini dihadiri oleh semua persatuan di tanah air termasuklah Persatuan Orang Asli. Wakilwakil persatuan ke persidangan ini akhirnya bersetuju menggabungkan semua persatuan ke dalam satu badan induk yang dinamakan sebagai Kongres Melayu Se-Malaya yang dipengerusikan oleh Dato’ Onn bin Jaafar. Kongres ini juga telah mengambil kata putus untuk menubuhkan sebuah parti politik Melayu. Pada 11 Mei 1946, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau ringkasnya PEKEMBAR telah ditubuhkan. Ia dikenali sebagai UMNO iaitu ringkasan daripada terjemahan pertubuhan tersebut dalam bahasa Inggeris—United Malays National Organisation.17 SOALAN DALAM TEKS 4.3 1. KMM tidak mendapat kerjasama dari pihak British kerana A. ia dipimpin oleh golongan radikal. B. kebanyakan ahli parti ini terdiri daripada golongan agama yang anti British. C. parti ini telah bekerjasama dengan PKM D. ia dipimpin oleh nasionalis Indonesia 2. Nyatakan dua buah pertubuhan yang bersifat separa politik yang telah ditubuhkan oleh golongan elit Melayu lulusan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Semak jawapan anda di akhir bab ini.


84 4.7 KESIMPULAN Secara keseluruhannya, semangat nasionalisme di Tanah Melayu agak perlahan berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Ini kerana keadaan penduduk di negara ini yang pelbagai bangsa, agama, dan adat resam. Faktor tersebut telah menyebabkan proses pembentukan dan penyatuan kesedaran politik lambat berlaku. Dinamika nasionalisme di negara kita bergerak ke arah yang lebih mantap dan tersusun berikutan dengan wujudnya badan politik seperti KMM yang mempunyai jaringan yang agak kuat dengan pergerakan nasionalisme luar negeri. Walaupun KMM telah mendapat sokongan yang agak besar daripada kalangan cerdik pandai Melayu, namun parti ini tidak mampu bertahan lama akibat tekanan yang diberikan oleh pihak berkuasa British. Perkembangan nasionalisma di negara kita memperlihatkan UMNO telah berjaya menyatukan orang Melayu dan terus kekal berpanjangan hasil daripada bentuk perjuangan mereka yang lebih sederhana dan sedia bekerjasama dengan Inggeris dan parti-parti bukan Melayu. Secara umum, dapat disimpulkan bahawa nasionalisme merupakan satu proses yang perlu dilalui oleh setiap bangsa dalam usaha untuk membentuk dan memperkukuhkan identiti mereka sebagai sebuah negara dan bangsa yang bebas merdeka. Perkara ini perlu dihayati untuk membolehkan kita menghargai segala pergorbanan generasi terdahulu. Kita kini mungkin telah bahagia tetapi kita sering lupa bagai manakah segala kebahagiaan yang kita nikmati hari ini bermula. SOALAN PENILAIAN KENDIRI 1. “Gerakan ini telah meletus di Pasir Putih, Kelantan dan diketuai oleh seorang pemimpin tempatan yang bernama Haji Mat Hassan. Mereka telah bertindak membakar Pejabat Daerah, kebun-kebun dan banglow pegawai-pegawai Inggeris…” Apakah bentuk gerakan yang boleh dikaitkan dengan petikan di atas dalam konteks perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu? A. Rusuhan oleh rakyat terhadap raja yang memerintah disebabkan oleh sikap raja yang memihak kepada Inggeris. B. Rasa tidak puas hati masyarakat tempatan terhadap kaum imigran.


85 C. Penentangan terhadap penurunan harga hasil-hasil pertanian. D. Penentangan awal orang Melayu terhadap pihak British. 2. Pilih kenyataan yang TIDAK berkaitan dengan Kaum Muda. A. Mereka telah menerbitkan majalah Al-Iman pada tahun 1906. B. Idea-idea baru mereka sering ditentang oleh Kaum Tua. C. Mereka terpengaruh dengan nilai-nilai sekular yang telah dibawa oleh orientalis Barat. D. Mereka telah menubuhkan pusat-pusat pengajian yang dikenali sebagai madrasah. 3. Apakah faktor utama dalam negeri yang bertanggungjawab membangkitkan semangat kebangsaan di negara ini sebelum Perang Dunia Kedua. A. Taraf sosio-ekonomi orang Melayu yang sangat rendah. B. Sikap pegawai-pegawai Inggeris yang angkuh dan sombong. C. Persaingan yang hebat antara masyarakat tempatan dengan kaum imigran dalam bidang ekonomi. D. Hubungan orang Melayu dengan para nasionalis Indonesia. Soalan 4 dan 5 adalah berdasarkan kepada kenyataan di bawah. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dalam tempoh 1941 sehingga 1945 telah memberikan kesan yang cukup besar terhadap perkembangan nasionalisme Melayu. 4. Apakah parti politik Melayu yang telah mendapat kerjasama paling kuat pada peringkat awal pendudukan Jepun di negara ini? A. Kesatuan Melayu Muda. B. Angkatan Pemuda Insaf. C. Kesatuan Melayu Singapura. D. Angkatan Wanita Sedar. 5. Mengapakan tempoh di atas dikaitkan dengan tempoh yang sangat kritikal dalam sejarah perhubungan kaum di Malaysia? A. Kaum-kaum di negara ini masing-masing berlumbalumba menuntut kemerdekaan dari Jepun.


86 B. Layanan yang berat sebelah oleh Jepun terutamanya di antara orang Melayu dan Cina telah menyebabkan timbul perasaan dendam di antara satu sama lain. C. Jepun telah melancarkan dasar pecah perintah sepanjang tempoh pemerintahan mereka di negara ini. D. Orang Cina telah mendapat bantuan moral dan senjata dari British bagi menghapuskan masyarakat Melayu. 6. Nyatakan dua faktor utama yang mendorong kebangkitan semangat kebangsaan di kalangan penuntut MPSI. 7. Nyatakan perkara-perkara utama yang diperjuangkan oleh nasionalis-nasionalis dari MCKK. 8. Mengapakah masyarakat India diberikan kelonggaran oleh pihak Jepun untuk bergiat dalam politik semasa tempoh pendudukan mereka di Tanah Melayu 1941-1945? 9. Nyatakan dua sebab mengapakah masyarakat imigran tidak berminat terhadap perkembangan politik di Tanah Melayu sebelum tahun 1945? 10. Apakah dua matlamat utama perjuangan nasionalisme di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini. JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS SDT 4.1 1. A 2. Pengertian nasionalisme: (i) Semangat cintakan negara yang melebihi dari segalagalanya. (ii) Perasaan individu atau kumpulan ataupun sesuatu bangsa yang ingin membebaskan diri dari sebarang bentuk penjajahan oleh kuasa asing. 3. Rujuk muka surat 66 – 69.


87 SDT 4.2 1. B 2. Sebab wujud konflik antara Kaum Muda dengan Kaum Tua: (i) Masyarakat Melayu mengubah amalan-amalan kolot dan pemikiran mereka. (ii) Mengamalkan ajaran-ajaran Islam dengan sebenarbenarnya dan memajukan ekonomi bangsa. SDT 4.3 1. C 2. Pertubuhan separa politik yang ditubuhkan oleh lulusan MCKK: (i) Kesatuan Melayu Singapura (ii) Sahabat Pena


89 BAB 5 KEMERDEKAAN TANAH MELAYU OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Mendefinisikan istilah kemerdekaan. 2. Menghuraikan pertumbuhan dan peranan parti-parti politik. 3. Membincangkan perubahan dasar British ke arah berkerajaan sendiri. 4. Memahami dan menghayati langkah-langkah menuju kemerdekaan. 5.1 PENGENALAN Apabila kita sebut merdeka, apakah yang terbayang difikiran anda? Sudah pasti istilah ini bukan merupakan sesuatu yang asing atau pertama kali anda dengar. Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan merdeka? Sebenarnya istilah ini mempunyai pengertian yang berbagai-bagai— bergantung kepada keadaan mana ia di rujuk. Bagi individu, apabila menyebut tentang merdeka, mungkin ia bermaksud kebebasan melakukan apa sahaja yang di sukai tanpa kongkongan atau bantahan orang lain. Bagaimana pula jika kita merujuk istilah merdeka dalam konteks sesebuah negara? Kemerdekaan bagi sesebuah negara bermaksud negara berkenaan bebas daripada kongkongan dan cengkaman kuasa asing yang menekan, khususnya dikenali sebagai penjajah. Kebebasan bermakna rakyat negara tersebut berhak mengatur dan memilih corak kehidupan mereka, seperti mempunyai sistem pemerintahan dan perlembagaan sendiri tanpa terikat dengan kuasa asing yang menjajah. Setiap negara yang pernah dijajah oleh kuasa asing mempunyai pengalaman dan sejarahnya yang tersendiri dan sudah tentu ia berbeza di antara sebuah negara dengan negara yang lain. Bayangkan jika anda terpaksa mengikut arahan orang yang anda tidak suka, dan pada masa yang sama anda tidak boleh melakukan sesuatu mengikut kehendak diri sendiri. Apakah perasaan anda dan apakah tindakan yang akan diambil?


90 Seperti yang telah dibincangkan di dalam Bab 4 mengenai semangat kebangsaan, sebenarnya perjuangan masyarakat tempatan menentang kemasukan kuasa asing telah bermula sejak pertengahan abad yang ke-16 lagi. Penjajahan kuasa asing bermula di Tanah Melayu dengan kejatuhan negeri Melaka ke tangan Portugis (1511), kemudian Belanda (1641), dan seterusnya Inggeris apabila mereka berjaya menguasai negeri Pulau Pinang (1786), Perak (1874), dan diikuti oleh negeri-negeri Melayu yang lain. Selain itu, Tanah Melayu juga pernah dijajah oleh Jepun. Negerinegeri Melayu di Utara pula pernah diperintah oleh kerajaan Siam. Kerajaan Brooke di Sarawak dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah juga telah berjaya meluaskan wilayah kekuasaannya, sama ada dengan cara paksa atau membeli wilayah-wilayah berkenaan daripada pemerintah tempatan. Sesungguhnya kehadiran penjajah telah mencetuskan tentangan yang hebat di kalangan masyarakat tempatan. Gerakan tentangan yang dipimpin oleh tokoh-tokoh pentadbir, agama, dan rakyat biasa akhirnya dapat dipatahkan oleh pihak penjajah akhirnya. Sungguhpun perjuangan di peringkat awal menentang penjajah ini gagal, namun ia tetap membuktikan bahawa masyarakat tempatan tidak menerima kedatangan dan penglibatan kuasa asing dalam negeri mereka. Cuba anda imbas kembali perbincangan dalam Bab 4 mengenai semangat kebangsaan. Pada pandangan anda, mengapakah siri penentangan awal orang Melayu terhadap Inggeris telah menemui kegagalan? 5.2 PERKEMBANGAN POLITIK TAHUN 1945-1955 Perkembangan politik di antara tahun 1945 sehingga tahun 1955 memperlihatkan bahawa pihak British mula menunjukkan sikap bertolak ansur. Seperti yang diketahui, pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama lebih kurang tiga setengah tahun (1942-1945) telah meninggalkan kesan yang mendalam sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun psikologi kepada masyarakat keseluruhannya. Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting untuk anda fahami ialah tempoh pemerintahan Jepun telah menyemarakkan lagi semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu dan menafikan anggapan selama ini bahawa kuasa Inggeris tidak dapat dikalahkan.1 Malayan Union yang diperkenalkan oleh Kerajaan British selepas pengunduran tentera Jepun di Tanah Melayu (1946), telah ditentang habis-habisan oleh semua lapisan masyarakat dan pertubuhan Melayu. Orang Melayu sedar akan kerugian dan bencana yang akan mereka terima sekiranya Malayan Union dilaksanakan. Kerajaan British yang sedar akan kebangkitan nasionalisme Melayu, akhirnya tiada pilihan kecuali menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu.


91 Apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1948, British telah menyatakan bahawa langkah-langkah ke arah pemerintahan sendiri akan dibuat. Ini menunjukkan bahawa British semakin bersedia untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sungguhpun demikian, anda harus ingat bahawa pada masa tersebut juga Kerajaan British turut memberikan tumpuan menghapuskan keganasan komunis. Peristiwa darurat yang berlaku (1948-1960) meninggalkan kesan yang mendalam kerana ia bukan sahaja menyebabkan banyak nyawa yang terkorban, tetapi beribu juta ringgit terpaksa dibelanjakan untuk menghapuskannya. Apabila keadaan menjadi semakin bertambah baik menjelang tahun 1955, Kerajaan British telah menyakinkan rakyat ke arah pemerintahan sendiri. Antaranya ialah mengambil beberapa langkah membimbing rakyat ke arah sistem dan pemerintahan berbentuk demokrasi seperti memperkenalkan sistem pengundian dan mengadakan pilihanraya. Sehubungan dengan itu, beberapa parti politik ditubuhkan seperti Malayan Chinese Association (MCA) dan lain-lain yang akan dibincangkan berikutnya. Tahukah anda bahawa Kerajaan Inggeris mengenakan satu syarat yang jelas sebelum memberi kuasa untuk memerintah sendiri kepada rakyat di Tanah Melayu? Apakah syarat tersebut? 5.2.1 Perpaduan Kaum Sebagai satu langkah ke arah kemerdekaan, Kerajaan Inggeris telah menetapkan syarat bahawa semua kaum di Tanah Melayu mesti bersatu terlebih dahulu dalam politik sebelum kemerdekaan dapat diberikan.2 Ini bermakna soal perpaduan kaum adalah syarat yang diutamakan. Dengan adanya perpaduan dan kerjasama dalam politik, perkongsian kuasa boleh dilaksanakan. Keharmonian serta keamanan masyarakat dan negara akan terjamin melalui sokongan padu seluruh rakyat. Apakah faktor-faktor utama yang menjadi penghalang kepada perpaduan kaum di Malaysia? 5.2.2 Usaha ke Arah Perpaduan Berhubung dengan persoalan perpaduan kaum, sebenarnya usaha awal telahpun dilaksanakan oleh Dato’ Onn Jaafar. Beliau telah mencadangkan supaya rakyat Tanah Melayu membentuk sebuah pertubuhan yang boleh mewakili semua kaum supaya mereka dapat bekerjasama dan bertolak ansur di antara satu sama lain. Perbincangan


92 telah diadakan dengan Tan Cheng Lock, E.E.C. Thuraisinggam, Malcom Mac Donald dan Roland Braddell. Hasilnya, satu jawatankuasa telah dibentuk yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (Communities Liaison Committee). Jawatankuasa ini yang berasaskan tolak ansur antara politik Melayu dan bukan Melayu telah dilaksanakan pada tahun 1949. Ia dianggotai oleh 15 orang yang terdiri daripada tokohtokoh penting daripada kaum Melayu, Cina dan India. Penubuhan Jawatankuasa ini sangat besar ertinya kerana ia dapat memupuk persefahaman di antara pemimpin-pemimpin kaum di Tanah Melayu. Persefahaman yang dipupuk melalui perundingan dan perbincangan yang diadakan oleh tokoh-tokoh kaum ini boleh menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul ketika itu. Selain itu, parti-parti politik juga mengambil inisiatif ke arah mewujudkan perpaduan kaum. Contohnya, kerjasama UMNO, MCA dan ini diikuti dengan MIC untuk bertanding dalam pilihanraya, dan seterusnya membentuk gabungan parti besar yang dinamakan Perikatan. Perbincangan mengenai pilihanraya akan dibincangkan kemudian. Sebelum itu, kita tinjau dahulu mengenai pertumbuhan parti-parti politik menjelang kemerdekaan. 5.3 PERTUMBUHAN PARTI-PARTI POLITIK Selepas Perang Dunia Pertama, sudah ada usaha memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu melalui penubuhan beberapa parti politik. Penubuhan parti-parti politik ini menunjukkan bahawa perkembangan proses politik di Tanah Melayu menjadi semakin rancak lagi. Penubuhan parti-parti politik ini didorong oleh reaksi rakyat terhadap cadangan Malayan Union (1946) oleh Kerajaan British. Ternyata Malayan Union merupakan pemangkin utama penyatuan orang Melayu untuk bertindak menentang cadangan British tersebut. Mari kita tinjau parti-parti politik yang ditubuhkan di Tanah Melayu menjelang kemerdekaan. 5.3.1 United Malays National Organization (UMNO) Dato’ Onn Jaafar yang menjadi pengerusi Pergerakan Melayu Johor3 telah mencadangkan supaya diadakan Kongres Melayu bagi menyatukan seluruh masyarakat Melayu untuk menentang Malayan Union. Oleh yang demikian, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Kongres tersebut dihadiri oleh 41 buah persatuan Melayu.4 Perlembagaan baru dibuat dan UMNO dengan rasminya ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Matlamat awal penubuhan UMNO adalah untuk menentang gagasan Malayan Union


93 dan menyatupadukan orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Pemimpin pertamanya ialah Dato’ Onn Jaafar. Cadangan Dato’ Onn untuk membuka keahlian parti kepada semua bangsa untuk memupuk perpaduan kaum tidak direstui oleh ahli-ahli UMNO. Penentangan dari ahli parti menyebabkan Dato’ Onn meletakkan jawatan pada tahun 1951. Kepimpinan UMNO kemudiannya diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman dan menukar konsep perjuangan UMNO dari ‘Hidup Melayu’ kepada ‘Merdeka’.5 Di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman, beliau cuba menggerakkan segala usaha untuk mencapai kemerdekaan dengan menggabungkan parti-parti politik yang ada sehingga terbentuknya Parti PERIKATAN yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC pada tahun 1954. Sejak itu, UMNO menjadi teras utama pergerakan ke arah mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.6 Bolehkah anda senaraikan beberapa parti politik lain yang ditubuhkan pada masa yang sama (1946)? Sebahagian daripada parti-parti berkenaan adalah berfahaman sosialis dan dipengaruhi oleh perjuangan golongan nasionalis di Indonesia. 5.3.2 Malayan Indian Congress (MIC) MIC ditubuhkan pada bulan Ogos tahun 1946. Yang Dipertua Kongres yang pertama ialah John A. Thivy. John Thivy pernah terlibat di dalam Persatuan Pusat India di Tanah Melayu dan juga gerakan kemerdekaan India. MIC bermula dengan penggabungan persatuan-persatuan India yang terdapat di Tanah Melayu. Hasil daripada penggabungan tersebut, maka lahirlah parti MIC. Pada peringkat awal perjuangannya, parti ini bertujuan menyokong perjuangan kemerdekaan di India. MIC juga kurang mendapat sambutan di kalangan orang India di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, selepas India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, MIC lebih memberikan tumpuan kepada kegiatan politik di Tanah Melayu. Selain itu, parti MIC juga bermatlamat mengenengahkan isu-isu kerakyatan yang merupakan satu daripada isu utama di Tanah Melayu. Dapatlah dikatakan bahawa matlamat utama penubuhannya ialah untuk menjaga kepentingan politik, ekonomi, dan sosial kaum India di Tanah Melayu dan juga menjadi saluran bekerjasama dengan kaum lain untuk memperjuangkan kemajuan politik. MIC pernah menyertai parti serpihan yang ditubuhkan oleh Dato’Onn setelah beliau keluar daripada UMNO. Walau bagaimanapun, MIC kurang bernasib baik kerana parti pimpinan Dato’ Onn tidak berapa berjaya dalam pilihanraya 1952. Apabila MIC bergabung dalam Parti Perikatan pada tahun 1955, barulah parti ini mendapat sambutan daripada orang India di seluruh Tanah Melayu.


94 5.3.3 Malayan Chinese Association (MCA) MCA ditubuhkan dengan rasminya pada bulan Februari 1949 atas idea British bagi membolehkan sebahagian orang Cina menyokong British dalam menghadapi darurat. Sebenarnya, pada penghujung tahun 1930an, Parti Komunis Malaya (PKM) merupakan satu-satunya parti yang disertai oleh kebanyakan orang Cina. Presiden MCA yang pertama ialah Tan Cheng Lock. MCA ditubuhkan dengan matlamat untuk melindungi hak dan kepentingan ekonomi, politik, dan sosial kaum Cina di Tanah Melayu. Pada masa yang sama, MCA berjanji akan bekerjasama dengan kerajaan untuk mematahkan kegiatan komunis. Penubuhan MCA juga membuktikan kepada kerajaan Inggeris akan kesetiaan kaum Cina terhadap Tanah Melayu. Adalah diharapkan dengan demikian kaum Cina akan bekerjasama dengan kaum-kaum lain untuk memperoleh kemerdekaan. 5.3.4 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) PKMM ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 di Ipoh, Perak, hasil rundingan dan persetujuan dua kumpulan pemuda, iaitu dari golongan Ahmad Boestamam dan golongan Mokhtaruddin Lasso.7 PKMM bermatlamat untuk melahirkan kesedaran politik dan menyatukan bangsa Melayu di Tanah Melayu dan di Indonesia. Berikutan dengan penubuhan UMNO pada tahun 1946, sedikit sebanyak menggugat PKMM. PKMM kemudian turut serta sebagai anggota UMNO buat seketika. Berikutan dengan percanggahan pendapat berkaitan ideologi, kepimpinan, dan soal bendera, PKMM kemudian keluar dari UMNO. PKMM menjadi semakin lemah setelah ahli-ahlinya ditangkap. Walau bagaimanapun, PKMM telah dibubarkan kemudiannya. Serpihan pimpinan PKMM menubuhkan pula Parti Rakyat Malaya pada tahun 1955. 5.3.5 Parti Islam Se-Malaya (PAS) PAS ditubuhkan ekoran daripada satu persidangan Persatuan Ulama SeMalaya yang diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Parti ini jelasnya ditaja oleh Jabatan Agama UMNO.8 Persatuan Ulama turut dianggotai oleh bekas aktivis agama, dan bekas ahli HAMIM yang diharamkan oleh British. Parti ini telah ditubuhkan pada tahun 1955 dengan matlamat untuk menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, serta mengetatkan peraturan kerakyatan.


95 5.3.6 Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) IMP merupakan parti pelbagai kaum yang pertama dan dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Dato’ Onn Jaafar telah keluar dari UMNO dengan semangat ‘perpaduan kaum’ untuk bercantum dengan MCA dan bekas ahli UMNO, serta MIC pada tahun 1951. IMP ditubuhkan setelah usaha Dato’ Onn Jaafar untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah parti berbilang kaum ditolak oleh orang Melayu. Sebenarnya, IMP pernah bekerjasama dengan MIC dari tahun 1951 sehingga tahun 1953. MCA di bawah pimpinan Tan Cheng Lock juga pernah menyertai Dato’ Onn. Namun Tan Cheng Lock yang melihat potensi UMNO semakin mendapat sokongan Melayu telah mengecewakan Dato’ Onn Jaafar. Pada tahun 1952, MCA telah bekerjasama dengan UMNO dalam Parti PERIKATAN. Kegagalan IMP menyebabkan Dato’ Onn berpatah balik memperjuangkan kepentingan Melayu melalui Parti Negara. Parti Negara ditubuhkan pada tahun 1955 oleh tokoh politik berbilang kaum. Tetapi kebanyakan ahlinya adalah terdiri daripada orang Melayu. IMP bermatlamat untuk menyatupadukan orang Melayu. Selain itu, IMP ditubuhkan juga untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya negeri dan persekutuan yang sedang dirancangkan ketika itu.9 5.3.7 Parti Buruh Parti Buruh ditubuhkan di Pulau Pinang oleh pemimpin Kesatuan Sekerja atas nama Parti Buruh Pulau Pinang pada 15 Mei 1951. Parti yang sama ditubuhkan di Selangor, Negeri Sembilan, Perak, dan Melaka. Parti-parti ini bergabung membentuk Parti Buruh SeMalaya di bawah pimpinan Mohd. Sopiee Ibrahim. Parti ini merancang untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1964. Parti Buruh kurang mendapat sokongan dari orang ramai mungkin disebabkan terdapat unsur sosiolisme dan komunisme dalam perjuangan parti. Dalam pada itu, orang Melayu enggan memberikan sokongan disebabkan parti ini berfahaman sosiolis yang tidak mahu mengiktiraf hak keistimewaan orang Melayu. Selain itu, pengalaman politik akibat kezaliman komunis pada masa darurat juga membimbangkan rakyat untuk menerima Parti Buruh.10 Sementara parti-parti lain yang ditubuhkan ialah Parti Progresif Perak (PPP). Ia ditubuhkan pada tahun 1953 dipimpin oleh SP dan DR Senivasagam. PPP menyertai Perikatan dan berjaya menguasai Majlis Perbandaran Ipoh atas nama Perikatan UMNO-MCA-PPP. Menjelang pilihanraya tahun 1955, PPP keluar dari Perikatan dan kemudiannya telah menukar nama Parti Progresif Rakyat. Parti lain ialah Parti Radikal pimpinan Dr. Lim Chong Eu, National Association of Perak (NAP) dipimpin oleh Dato Bukit Gantang Abdul Wahab dan Kesatuan Melayu Semenanjung pimpinan Haji Hashim Ghani.


96 SOALAN DALAM TEKS 5.1 1. Kuasa asing manakah yang meninggalkan kesan paling mendalam kepada Tanah Melayu? 2. Mengapakah Dato’ Onn Jaafar bertindak keluar dari UMNO pada tahun 1951? 3. Parti Malayan Chinese Association (MCA) ditubuhkan pada tahun 1948 berdasarkan kepada cadangan British dengan tujuan _______ A. Menyegerakan proses perpaduan kaum. B. Sebagai daya penarik kepada kaum Cina supaya tidak memberi sokongan kepada Parti Komunis Malaya (PKM). C. Menjaga kepentingan British. D. Mengikut langkah UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 5.4 PERUBAHAN DASAR BRITISH KE ARAH BERKERAJAAN SENDIRI Keadaan politik di Tanah Melayu menjadi semakin rancak ekoran daripada perkembangan penubuhan parti-parti politik ke arah berkerajaan sendiri. Hasrat Kerajaan Inggeris untuk memberikan kemerdekaan dapat di lihat daripada beberapa peristiwa penting yang berlaku pada tahun 1950-an seperti pengenalan Sistem Ahli, Pilihanraya Majlis Tempatan dan Pilihanraya Umum 1955. 5.4.1 Sistem Ahli Pada tahun 1951, kerajaan British telah memperkenalkan Sistem Ahli dalam Mesyuarat Kerja Persekutuan (Majlis Perundangan Persekutuan). Sistem ini merupakan satu lagi langkah penting ke arah mewujudkan perpaduan kaum. Mereka yang dilantik terdiri daripada beberapa warganegara Persekutuan Tanah Melayu untuk menjadi ahli Majlis serta diberi portfolio bertaraf menteri. Berikut adalah senarai menteri dan jawatan yang disediakan dalam Sistem Ahli.


97 MENTERI JAWATAN 1. Dato’ Onn bin Jaafar Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri 2. EEC Thuraisingham Ahli Pelajaran 3. Tunku Yaakob Ahli Pertanian dan Perhutanan 4. Lee Tian Keng Ahli Kesihatan 5. Dato’ Mahmud Mat Ahli Tanah, Perlombongan dan Perhubungan 6. J.D. Mead Ahli Kerja Raya dan Perumahan 7. J.D. Hodgkinson Ahli Perindustrian dan Perhubungan Sosial 8. O.A. Spencer Hal Ehwal Ekonomi Seorang ahli lagi bertanggungjawab mengetuai portfolio Keretapi dan Pos—menjadikan jumlah kesemuanya ialah sembilan orang ahli. Berdasarkan kepada senarai ahli di atas, di dapati tokoh-tokoh yang dipilih adalah terdiri daripada semua kaum. Ahli-ahli yang dilantik telah diberi tanggungjawab untuk mengetuai beberapa jabatan kerajaan. Mereka merupakan pemimpin-pemimpin tempatan. Apa yang menariknya ialah sistem ini lebih kurang sama seperti Jemaah Menteri yang ada sekarang di Malaysia. Bezanya cuma pada bidang kuasa mereka yang agak terhad. Seiring dengan perkembangan pesat parti-parti politik dan perubahan dasar British, satu pilihanraya umum dirasakan perlu ketika itu bagi penduduk Tanah Melayu untuk memilih pemimpin mereka sendiri yang bakal memerintah di Persekutuan Tanah Melayu di masa depan. Ini memandangkan pilihanraya berkenaan adalah bagi memilih anggota perwakilan di peringkat Penguasa Tempatan sebagai latihan kepada demokrasi berparlimen. 5.4.2 Pilihanraya Tahun 1951 Pilihanraya yang pertama telah diadakan pada 1 Disember 1951 bagi memilih perwakilan di peringkat majlis tempatan iaitu bagi Majlis Perbandaran Georgetown, Pulau Pinang. Pilihanraya ini penting kerana pada ketika ini UMNO dan MCA telah bergabung dalam sebuah Parti Perikatan. Perikatan UMNO-MCA yang menjadi sebuah pertubuhan politik yang berpengaruh telah memenangi kesemua sembilan kerusi yang dipertandingkan. Pada tahun 1953, seorang speaker telah dilantik untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan bagi menggantikan tempat Pesuruhjaya Tinggi British yang tidak lagi menganggotai majlis itu. Ternyata bahawa semua tindakan tersebut dilakukan bagi melatih rakyat tempatan dalam pentadbiran negara sebagai langkah awal ke arah berkerajaan sendiri.


98 5.4.3 Pilihanraya Tahun 1952 Berikutnya, pada bulan Februari tahun 1952 telah diadakan pula Pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur dengan 12 kerusi dipertandingkan. Pilihanraya ini disertai oleh Perikatan UMNO-MCA dan IMP dan calon Bebas. Keputusannya memperlihatkan Perikatan UMNO-MCA memenangi sembilan kerusi. Sementara IMP berjaya memenangi dua kerusi manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh calon bebas. Selain itu, pilihanraya untuk Majlis Bandaran lain turut diadakan pada tahun 1952 seperti di Johor Bahru, Ipoh, Melaka dan Seremban. Manakala pilihanraya pada peringkat negeri diadakan pada tahun 1954. Wakil-wakil yang terpilih membincangkan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan awam di peringkat tempatan. Ini telah memberi pengalaman kepada mereka untuk mentadbir kerajaan dan mendapat pendedahan awal tentang proses pilihanraya. Pilihanraya ini menandakan pembinaan sebuah kerajaan sendiri berlandaskan demokrasi semakin menjadi kenyataan. 5.4.4 Pilihanraya Umum Tahun 1955 Pada tahun 1953, Perikatan UMNO-MCA telah mencadangkan kepada kerajaan British supaya diadakan pilihanraya bagi mewujudkan kumpulan majoriti yang terpilih dalam Majlis Perundangan Persekutuan. Perikatan telah menuntut supaya 60 peratus daripada ahli dipilih melalui pilihanraya, sementara baki sebanyak 40 peratus lagi dilantik oleh British. Cadangan dibuat untuk menjamin kepentingan rakyat tempatan di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh British. Bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka, Perikatan telah memulaukan semua Majlis Mesyuarat Kerajaan di peringkat tempatan, negeri, dan persekutuan. Malah tindakan mereka turut mendapat sokongan rakyat. Sehubungan itu, British kemudiannya menerima dari segi prinsipnya bahawa keanggotaan Majlis Perundangan Persekutuan hendaklah ahli yang dipilih oleh rakyat lebih daripada ahli yang dilantik. Malangnya, Perikatan masih meneruskan pemulauan kerana tidak bersetuju dengan keputusan British. British akhirnya bertolak ansur dengan menetapkan keanggotaan Majlis Perundangan Persekutuan seramai 98 orang. Pecahannya adalah seperti berikut: (i) Lima puluh dua orang dipilih oleh rakyat menerusi pilihanraya dengan seorang dilantik menjadi speaker.


99 (ii) Tiga orang ahli dilantik kerana jawatan, iaitu Ketua Setiausaha, Peguam Negara dan Setiausaha Kewangan. (iii) Sebelas orang dipilih mewakili negeri. (iv) Dua puluh dua orang dipilih untuk mewakili berbagai golongan dan pertubuhan. (v) Tiga dipilih mewakili kaum minoriti seperti Orang Asli, Serani dan Ceylon. (vi) Tujuh ahli dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi, setelah berunding dengan parti yang mempunyai majoriti. Pada bulan Julai 1954, Perikatan telah menyatakan persetujuan mereka berhubung dengan cadangan British. Pilihanraya Persekutuan akhirnya ditetapkan pada 27 Julai 1955. Sementara itu, parti Perikatan menjadi semakin kukuh lagi dengan penyertaan Parti MIC pada tahun yang sama. Tahun 1955 merupakan tahun yang paling penting dalam perkembangan politik tanah air kerana ia merupakan kali yang pertama diadakan Pilihanraya Persekutuan bagi seluruh Tanah Melayu. Tiga buah parti politik yang mewakili tiga kaum terbesar di Tanah Melayu telah bersetuju bergabung dan bertanding dalam pilihanraya tersebut bagi membentuk sebuah parti, iaitu Perikatan. Parti Perikatan telah meletakkan calon-calon bagi kesemua 52 kerusi. Manakala Parti Negara di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar pula mempertandingkan 33 buah kerusi, PAS 11 kerusi dan 18 orang calon bebas juga turut bertanding (lihat Jadual 1). Jika ditinjau daripada jumlah pengundi dan pembahagian kerusi, 84.2 peratus adalah pengundi Melayu, 11.2 peratus adalah pengundi Cina 11.2 peratus dan 3.9 peratus adalah pengundi India, menunjukkan kelebihan yang besar bagi pengundi Melayu. Walaupun begitu, hasil daripada permuafakatan yang wujud, UMNO telah berkompromi dengan MCA dan MIC dengan membahagikan hanya 35 kerusi (69 peratus), MCA 15 kerusi (28 peratus) dan MIC dua kerusi (tiga peratus) (lihat Jadual 2). Jelaslah bahawa dalam pembahagian kerusi tersebut terdapat unsur tolak ansur bangsa Melayu khususnya UMNO dengan kaum lain. Jadual 1 Pilihanraya Tahun 1955: Barisan Calon Mengikut Parti Parti Melayu Cina India Jumlah Perikatan 35 15 2 52 Parti Negara 29 1 - 30 Parti Islam SeMalaya 11 - - 11 Persatuan Kebangsaan Perak 8 1 - 9 Parti Buruh - 2 2 4 Ikatan Melayu Perak 3 - - 3 Parti Progresif Perak 1 - 1 2 Bebas 16 1 1 18


100 Dari segi jumlah pengundi di Tanah Melayu ketika itu, sebenarnya peruntukan kerusi yang diberi kepada MCA dan MIC melebihi daripada jumlah yang sepatutnya diterima. Bilangan kerusi ini adalah tidak memadai berbanding dengan jumlah pengundi bangsa Melayu pada masa itu. Ini memandangkan 50 daripada 52 kawasan yang dipertandingkan adalah dikuasai oleh pengundi-pengundi Melayu. Barangkali UMNO mungkin boleh mencapai kemenangan dalam pilihanraya tersebut tanpa adanya sokongan daripada MCA dan MIC. Kenapa timbul kenyataan sedemikian? Sebenarnya, 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi telah dimenangi oleh UMNO, manakala 20 peratus lagi dimenangi oleh partiparti lain yang bertanding. Ini menunjukkan bahawa Perikatan yang diwakili oleh orang Melayu telah membuat pengorbanan yang besar demi perpaduan masa depan negara. Pengorbanan yang dimaksudkan ialah kesudian orang Melayu yang diwakili oleh UMNO membahagikan sejumlah kerusi untuk dipertandingkan dalam pilihanraya ini kepada kaum Cina dan India yang mempunyai peratus pengundi kurang daripada 20 peratus. Jadual 2 Kedudukan Calon Perikatan dalam Pilihanraya 1955 Parti Peruntukan Kerusi Peratus Kerusi (%) Peratus Pengundi (%) UMNO 35 69 84.2 MCA 15 28 11.2 MIC 2 3 3.9 Pada keseluruhannya, Perikatan berjaya memperolehi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Daripada 51 kerusi yang dimenangi, UMNO memperolehi sejumlah 35 kerusi, MCA 15 kerusi dan MIC dua kerusi. Manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh Parti PAS di kawasan Kerian, Perak.11 Tahukah anda, apakah faktor yang menyebabkan Perikatan berjaya memperolehi kemenangan besar dalam Pilihanraya Tahun 1955 berbanding dengan partiparti lain? Pilihanraya 1955 menandakan bahawa proses mewujudkan demokrasi berparlimen telah menampakkan kejayaan berdasarkan kepada penyertaan parti-parti politik yang bertanding. Jika ditinjau mengenai faktor kemenangan Perikatan, jelas menunjukkan bahawa keistimewaannya terletak bukan sahaja kepada kepimpinan dan kerjasama antara pelbagai kaum, tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah kerana


101 Perikatan mempunyai manifesto yang menyeluruh kepada penduduk Tanah Melayu. Moto Perikatan ialah ‘Menuju Ke arah Kemerdekaan’. Di samping itu, beberapa janji yang lain ialah (i) Pemerintahan berdasarkan demokrasi berparlimen. (ii) Bahasa Melayu dan sebagai bahasa kebangsaan. (iii) Agama Islam sebagai agama rasmi. (iv) Melindungi dan mengekalkan institusi beraja Melayu. (v) Mengubahsuai undang-undang kerakyatan. (vi) Peningkatan taraf ekonomi Melayu. (vii) Menjalinkan hubungan antarabangsa. (viii) Hak asasi manusia. (ix) Sistem pendidikan kebangsaan. (x) Kemerdekaan diperoleh dalam tempoh empat tahun. Di samping, itu Parti Perikatan juga berjanji untuk menamatkan darurat secepat mungkin, melalui penawaran pengampunan kepada pengganas komunis yang majoritinya terdiri daripada bangsa bukan Melayu, khususnya Cina. Ini terbukti dengan adanya proses rundingan pihak kerajaan dengan pemimpin komunis, iaitu Rundingan Baling sejurus selepas Pilihanraya 1955. Manifesto Perikatan ini merupakan hasil tolak ansur dan kerjasama bersepadu semua kaum dalam usaha mempercepatkan proses mencapai kemerdekaan. Apakah kepentingan manifesto kepada parti-parti politik khususnya menjelang pilihanraya? Cuba anda renungkan sejenak mengenai manifesto yang dibuat oleh parti pemerintah di negara kita dalam setiap pilihanraya yang diadakan sehingga menjamin kejayaan mereka. Jadual 3 Kabinet Pertama Persekutuan Tanah Melayu Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri Tunku Abdul Rahman Menteri Pelajaran Dato’ Abdul Razak Hussein Menteri Hasil Bumi Dr. Ismail A. Rahman Menteri Pengangkutan Kolonel H.S. Lee Menteri Tanam-Tanaman Abdul Aziz Ishak Menteri Kesihatan Leong Yew Koh Mengeri Buruh V.T. Sambanthan Menteri Kerja Raya Sardon Jubir Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Sulaiman Abdul Rahman Menteri Perhubungan, Pos dan Telekom Ong Yoke Ling Kemenangan Perikatan telah memberikan peluang untuk mempunyai bilangan wakil yang besar dalam Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan dan seterusnya membolehkan mereka menubuhkan sebuah


102 kerajaan melalui keanggotaan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan. Kabinet yang pertama berjaya dibentuk seperti yang tertera di dalam Jadual 3. Sementara itu, portfolio yang lain seperti Kewangan, Hal Ehwal Luar, dan Pertahanan masih dipegang oleh pegawai British. SOALAN DALAM TEKS 5.2 1. Apakah tujuan diperkenalkan Sistem Ahli? 2. Pilihanraya 1952 juga dikenali sebagai . 3. Yang manakah di antara perkara berikut BUKAN merupakan hasil persetujuan misi kemerdekaan ke London. A. British mendapat hak menempatkan tenteranya di Tanah Melayu. B. Tanah Melayu dimasukkan dalam lingkungan Komanwel. C. Rakyat di Tanah Melayu diberi dua taraf kerakyatan. D. Penubuhan sebuah badan khas bagi menggubal Perlembagaan Tanah Melayu. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 5.5 LANGKAH-LANGKAH MENUJU KEMERDEKAAN Ekoran daripada kejayaan besar yang diperoleh melalui pilihanraya pada tahun 1955, telah mendorong Parti Perikatan untuk meneruskan desakan bagi mempercepatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Dengan kemenangan tersebut, Parti Perikatan semakin bertambah yakin untuk menuntut kemerdekaan lebih awal, walaupun dalam manifestonya telah menetapkan tempoh empat tahun. Namun, hasil daripada beberapa perbincangan yang dilakukan, sama ada di kalangan Raja-raja Melayu mahu pun Parti MCA dan MIC, membuktikan bahawa majoriti penduduk di Tanah Melayu sanggup bertolak ansur dan berkongsi kuasa dalam usaha mewujudkan sebuah pemerintahan sendiri.


Click to View FlipBook Version