The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by eydaamarsiah, 2021-07-06 10:41:29

NOVEL : KUPILIH DIA

KUPILIH
DIA

ROHAIDAH BINTI MARUJI

Universiti Malaysia Sabah,
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.

Tel : (+6088) 320 000

Cetakan Pertama 2021

Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan memetik atau mencetak
kembali mana-mana bahagian isi buku ini dengan apa cara sekali
pun secara elektronik, cetakan, mekanik, rakaman atau cara lain
sebelum mendapat izin bertulis daripada pemilik hak cipta terlebih

dahulu.

Penasihat Akademik : Prof Madya Dr Sim Chee Cheang
Diterbitkan oleh : Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF),

Universiti Malaysia Sabah, Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu,
Sabah, Malaysia.

AKADEMI SENI DAN TEKNOLOGI KREATIF (ASTiF),
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

Kalam Penulis

Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada Allah SWT di
atas kurniaan nikmat kesihatan yang diberikan. Dengan izin-

Nya dapat juga saya menyiapkan tulisan ini. Terima kasih
juga kepada insan-insan yang sering memberi komen yang
membina dan mendidik diri ini agar sentiasa memperbaiki
kesilapan diri. Segala didikan, komentar dan sokongan yang

diberikan amat saya hargai.

Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada
kedua ibu bapa serta keluarga di atas sokongan moral yang

diberikan. Di kesempatan ini, saya juga ingin menitipkan
jutaan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang
tidak jemu menyokong sejak dari mula lagi. Tanpa mereka,
agak mustahil untuk saya menyempurnakan novel saya yang

tidak seberapa ini.

Rohaidah Maruji



BAB 1

Punggung Naira berasa kebah. Sejak dari tadi dia
terlalu khusyuk menatap skrin komputer di hadapannya.
Laporan yang diminta oleh Encik Kamal sudah pun siap.
Naira menarik nafas lega.

“Finally….”
Naira duduk bersandar pada kerusi. Sudah dua
malam dia gagal untuk tidur dengan lena. Dia
bertungkus-lumus menyiapkan laporan yang diminta oleh
bosnya. Disebabkan itu jugalah dia hanya dapat tidur
selama dua jam semalam.
Kepala Naira berdenyut-denyut. Inilah akibatnya
jika dia terlalu tertekan. Migrainnya selalu datang
menyerang pada waktu begini. Ikutkan hati… mahu saja
dia mengambil cuti pada hari itu. Tetapi apabila
memikirkan kerja-kerja yang bertimbun yang masih
belum diselesaikan, dia segera melupakan hasrat itu.

1

‘Kalau bukan disebabkan budak tu mesti aku
takkan rasa mengantuk sekarang ni.’ Hatinya
mendengus.

Naira terpaksa membuat semua kerja sendirian.
Dia masih berasa geram dengan sikap rakan sekerjanya
yang suka mengambil cuti secara tiba-tiba. Kebetulan
juga pada hari yang sama rakan baiknya, Sofea tidak
hadir kerja kerana terpaksa menghantar keretanya yang
rosak ke bengkel.

Naira menutup rapat matanya. Dia ingin
merehatkan minda buat seketika. Tidak lama kemudian,
telefon bimbitnya berdering. Naira mengeluh keras.

“Huh, kacau betul! Siapa lagi ni?”

Mata yang terpejam pantas dibuka. Lantas dia
mencapai telefon bimbitnya. Panggilan diangkat serta-
merta.

“Alright, Sofea. Jumpa kat sana, okey?”

Naira segera berkemas-kemas sejurus panggilan
tamat. Dia kemudian mula melangkah kaki ke dalam bilik

2

Encik Kamal sambil membawa fail yang sarat dengan
kertas.

Kereta Naira diparkir berhadapan dengan sebuah

restoran makanan laut. Sofea telah berjanji kepada Naira

untuk makan malam bersama. Sofea yang

mencadangkan untuk makan malam di situ

memandangkan dia tahu yang Naira sangat gemar

makan makanan laut. Mereka sudah berjanji untuk

bertemu di situ pada pukul sembilan malam. Naira

menjeling ke arah jam tangan jenama Daniel Wellington

yang dipakainya.

“Mana pulak dia ni?” Kata Naira dengan nada
separuh berbisik. Dia mencari kelibat seseorang yang
sudah lama dikenalinya.

Tok. Tok. Tok.

Naira tersentak.

“Ish, kau ni! Terperanjat aku tau.”

3

Sofea sudah pun ketawa kecil dari luar. Naira
membuka pintu kereta lalu mencapai beg tangan yang
berada di tempat duduk penumpang.

“Dah lama ke kau sampai, Naira?” Soal Sofea
“Taklah, baru je.” Ujar Naira. “Ni ke restoran yang
kau cakap tu?” Mata Naira dilemparkan ke dalam restoran
yang tidak jauh dari situ. Sofea mengangguk.
“Ha’ah ni lah tempatnya. Jomlah kita masuk
cepat! Disebabkan tadi kau terpaksa cover semua kerja
aku, malam ni aku ‘payung’ kau!”
Lantas bibir Naira mengukir senyum.
“Ini yang aku sayang kau ni. Okey, jom!”
Naira dan Sofea mula mengatur langkah masuk
ke dalam restoran.

Naira sedari tadi duduk bersandar di kerusinya. Dia
merasakan perutnya sudah hampir meletup. Sebenarnya
dia sudah menjamah sedikit makanan semasa berada di

4

rumah tadi. Niatnya hanya ingin menjamah sedikit sahaja
ketika ibunya mempelawa untuk makan malam. Namun,
daging salai masak lemak cili api masakan ibunya itu
sangat memikat selera. Habis nasi sepinggan
dilantaknya.

“Aik, takkan dah kenyang kot. Makanan tak habis
lagi ni.” Kata Sofea. Dia kemudian menghirup kuah sup
tomyam yang masih panas di dalam mangkuknya.

Naira mengangkat kedua tangan tanda give up.
Dia mengusap perutnya yang sudah kenyang.

“Aku dah kenyanglah, Sofea. Rasa macam nak
termuntah dah ni.”

Sofea menggeleng sambil ketawa kecil.

“Dari mana kau tau tempat ni?” Soal Naira tiba-
tiba.

“Hari tu abang aku yang ajak makan kat sini. Dia
ada pesan suruh beritahu kau sebab dia pun tahu yang
kau tu ‘hantu’ makanan laut. Tu yang aku ajak kau
datang sini.”

5

Lantas Naira membesarkan bola matanya. Dia
yang tadi duduk bersandar sudah duduk tegak.

“Amboi, sesedap mulut kau je cakap aku ‘hantu’
kat abang kau, ye? Kau jangan menyesal eh kalau suatu
hari nanti ‘hantu’ ni yang jadi kakak ipar kau!” Naira
senyum senget. Dia sengaja hendak mengusik rakan di
depannya itu.

“Eh, kau jangan mengada! Abang aku dah ada
tunang. He’s a loyal one, you know?”

Sofea mencebik bibir.

“Alaa... tak supporting lah kau ni, Sofea. Kalau
aku jadi kakak ipar kau hari-hari kita dapat jumpa. Kita
kan B.F.F. Best Friend Forever. But soon, I’ll be your
pretty sister in law. Takkan kau tak nak ada kakak ipar
secantik kawan kau ni.”

Naira mula mengangkat bakul sendiri.

“Eh, kau tak payah nak mimpi, Naira! Kau nak aku
ketuk kepala kau dengan sudu besi ni baru kau nak
sedar? Abang aku dah nak kahwin dah tu. Kau jangan

6

macam-macam!” Sofea memberi amaran. Memang mahu
kena si Naira ini… berani dia nak cantas tunang orang.

Sejurus mendengar kata-kata Sofea, Naira terus
ketawa mengekek.

“Kau ni serius sangatlah. Aku bergurau aje. Aku
ni bukannya sejenis perosak kebahagiaan orang lain,
okey? Chill…”

Naira menyambung ketawanya yang belum habis.

“Hmm… iya, aku tahu. Sebab itu aku berkawan
dengan kau. Kalau kau ni sejenis perampas, memang dah
lama aku tinggalkan kau! Haa… masa tu baru kau tahu
betapa pentingnya Sofea dalam hidup kau,” ujar Sofea
sambil tangannya yang nakal mencubit pipi Naira. Dia
terjerit kecil. Deraian tawa Sofea memecah kesunyian.
Lantas mata-mata yang ada tertumpu ke arah meja
mereka.

“Syhh… kau janganlah ketawa kuat sangat! Malu
orang tengok…” tegur Naira. Lantas Sofea tersenyum
kambing di situ.

7

Sofea kembali menikmati juadah makanan di
hadapannya. Dia tidak mahu membazir… membazir itu
kan amalan syaitan? Naira pula fokus dengan telefon
pintarnya. Setelah beberapa lama senyap, Sofea
membuka mulut.

“Naira, esok kau free tak lepas kerja?”

Naira mengangkat muka. Matanya menatap mata
Sofea.

“Hmm… rasanya free. Kenapa?”

“Boleh tak esok kau teman kan aku pergi bengkel?
Mekanik tu cakap esok dah boleh ambil kereta aku. Dan
kalau boleh, aku nak tumpang kau sekali pergi tempat
kerja esok pagi.”

“Sure, boleh!” Laju saja Naira menjawab.
Kepalanya diangguk beberapa kali.

“Thank you, Naira! Kaulah kawan aku yang paling
baik sekali. Dah lah baik, cantik pulak tu,” puji Sofea ada
makna. Naira mendengus.

“Kau puji ikhlas ke tak tu? Kalau tak ikhlas aku tak
nak tumpangkan kau esok!”

8

“Eh, mestilah ikhlas!” Kening Sofea bersambung.
“Tak baik tau bersangka buruk dengan kawan sendiri.”

“Yelah kau.” Balas Naira pendek.
Naira dan Sofea berkawan sejak dari kecil. Mereka
tinggal di kawasan yang sama dan sering bertemu antara
satu sama lain. Hubungan mereka sangat rapat. Naira
sangat mengenali Sofea. Begitu juga Sofea yang sangat
mengenali Naira. Jadi tidak hairanlah kalau kedua-
duanya sering bergurau sekalipun gurauan itu agak kasar
buat orang lain yang mendengarnya.

9

BAB 2

“Apa yang best sangat main benda tu? Ibu yang
naik rimas tengok kamu siang malam hadap benda alah
ni. Hujung minggu macam ni kan baik buat aktiviti luar.
Bersukan ke, jumpa kawan ke… Ini tak! Asyik hadap
game dia itu aje.” Bebel Puan Aina yang baru keluar dari
bilik.

Naufal diam. Tangannya masih leka menekan
setiap butang pada controller PS5 miliknya. Dia sengaja
membiarkan ibunya itu melontarkan segala kerisauan
yang ada dijiwa. Dia bukan tidak tahu yang ibunya tidak
suka melihat anaknya melakukan perkara sia-sia. Apalagi
tahun ini Naufal bakal menduduki peperiksaan SPM.

“Ibu bagi kelonggaran kepada kamu pada setiap
hari ahad untuk buat apa sahaja aktiviti lain selain
belajar. Tapi bukan bermakna ibu benarkan kamu
bermain game dari siang sampai ke malam. Jangan
sampai ibu daftar semula nama kamu masuk kelas
tambahan dengan Cikgu Hashim,” kata Puan Aina dalam

10

nada tegas. Naufal pula sudah tidak senang mendengar
bebelan si ibu.

“Yelah… Yelah!” Dia bingkas bangun dari tempat
duduknya seraya menekan butang off. Dia mula
mengemas port lepaknya di dalam rumah itu kemudian
berlalu pergi menuju ke bilik mandi. Dia tidak mahu
leteran ibunya itu berpanjangan.

“Dah dekat pukul 12 tengah hari baru nak mandi.
Apa nak jadilah dengan kamu ni, Naufal!”

Encik Hamzah yang mendengar leteran isterinya
dari tingkat bawah hanya menggeleng kepala. Secawan
kopi panas di atas meja diangkat lalu dihirup perlahan-
lahan. Tidak lama kemudian terdengar bunyi tapak kaki
yang sedang menuruni anak tangga.

“Awak tak bersiap nak ke masjid lagi ke?” tanya
Puan Aina. Dia sudah pun melabuhkan punggungnya di
atas kerusi bersebelahan Encik Hamzah.

“Awal lagi nak bersiap. Takkan awak dah lupa
waktu zohor pukul berapa lepas marah anak awak tadi?”

11

perli halus Encik Hamzah. Niatnya hanya ingin bergurau
dengan isterinya itu.

Puan Aina menjuih bibir.

Encik Hamzah kelihatan begitu fokus membaca
berita di surat khabar. Walaupun teknologi sudah
semakin canggih di mana maklumat bisa dicapai melalui
hujung jari, namun Encik Hamzah masih setia dengan
surat khabarnya. Dia bukan tidak mempunyai telefon
pintar. Tetapi dia lebih gemar mengikuti perkembangan
semasa menerusi surat khabar dan kadangkala melalui
televisyen.

Puan Aina memaling kepala tatkala mendengar
bunyi hentakan kaki dari arah tangga. Matanya tajam
memandang Najla.

“Kamu nak ke mana, Najla?” soal Puan Aina
apabila mendapati Najla sudah pun siap berkemas
dengan pakaian seperti hendak menghadiri majlis
kenduri.

Encik Hamzah turut berpaling ke arah Najla.

12

“Najla nak pergi Seremban, ibu. Ada majlis
kahwin kawan kakak Najla. Dia suruh kitorang jadi
bridesmaid kakak dia.” Jelas Najla sambil membetulkan
tas tangan di bahunya.

“Kamu pergi dengan siapa?" tanya Encik Hamzah
pula.

“Sendiri je, ayah. Hmm… Naira mana? Tadi Najla
cari kat bilik dia takde.”

Puan Aina menghela nafas. “Naira pergi rumah
Sofea. Dia nak ambil fail kerja dia yang tertinggal kat
dalam kereta Sofea. Kejap lagi dia baliklah tu.” Jawab
Puan Aina. Tangannya sibuk mengskrol skrin telefon
miliknya.

“Hah? Dah lama ke dia jalan?” soal Sofea lagi. Dia
kemudian mengeluh. “Najla baru je nak pinjam kereta
dia…”

Najla mula risau. Dia takut terlewat menghadiri
majlis perkahwinan kawan kakaknya. Dia mula mencari
nama Naira pada handphone miliknya. Butang dial
ditekan.

13

“Mana pulak budak ni tak angkat call.”

Dahi Najla kelihatan berkerut. Puan Aina dan
Encik Hamzah hanya melihat tingkah laku anak sulung
mereka ketika itu. Tidak lama kemudian Encik Hamzah
mula bersuara.

“Kamu pakai kereta ayah,” kata Encik Hamzah
sambil menyeluk tangan ke dalam poket seluarnya.

“Nah…” Encik Hamzah menghulur kunci kereta
kepada Najla.

“Jadi Ayah naik apa pergi masjid nanti?”

Najla masih berkira-kira untuk mengambil kunci
kereta ayahnya.

“Masjid tu bukannya jauh sangat… jalan kaki pun
boleh. Lagipun kejap lagi Naira sampailah tu. Ayah boleh
pakai kereta dia.” Jelas Encik Hamzah.

Setelah mendengar penjelasan si ayah, Najla
pantas mengambil kunci kereta yang dihulur kepadanya.
Dia mula senyum… tiada lagi kerutan di dahi seperti awal
tadi.

14

“Terima kasih, ayah! Najla jalan dulu ya…”

Najla mula bersalaman dengan orang tuanya. Dia
tergesa-gesa hendak mengejar masa.

“Hati-hati bawa kereta. Jangan laju sangat!”
pesan Puan Aina.

“Baik bos!” Balas Najla ringkas.

Kelibatnya menghilang dari muka pintu. Tidak
lama kemudian kedengaran bunyi deruan enjin kereta.

Suasana kembali sunyi untuk beberapa ketika.
Sesekali Encik Hamzah memandang wajah Puan Aina
yang masih duduk disebelahnya. Encik Hamzah
kehairanan. Tiada sebarang kata yang dikeluarkan dari
mulut isterinya itu. Namun reaksi mukanya jelas
menunjukkan yang dia sedang memikirkan sesuatu.

“Awak ni dah kenapa? Macam ada masalah aje…”
soal Encik Hamzah kehairanan. Matanya merayap pada
wajah Puan Aina.

Lamunan sang isteri lantas terhenti. Reaksi
mukanya berubah sedikit berbanding tadi. Lalu dia

15

mendekatkan wajahnya ke arah Encik Hamzah. Air
mukanya kelihatan serius.

“Agaknya Najla pergi Seremban dengan siapa
bang? Takkanlah dia berani pergi ke sana sorang-
sorang.” Puan Aina melontarkan kerisauan yang
bermukim di hatinya. Encik Hamzah pula masih kelihatan
tenang.

“Mungkin dia pergi dengan kawan dia kot. Apa
yang awak nak risau sangat? Dia bukannya tak tahu jalan
pergi dan pulang.” Ujar suaminya sambil membetulkan
surat khabar di tangan. Puan Aina kelihatan sedikit
kecewa dengan respon suaminya itu.

“Bukan itu maksud saya, bang. Saya rasa…
Najla…” Puan Aina lambat-lambat bertutur. Otaknya
masih ligat mencari jawapan yang sesuai.

“Awak rasa apa?” tanya Encik Hamzah tidak
sabar.

“Saya rasa... Najla dah jumpa pengganti!”

“Ish, awak ni…” pintas suaminya. “Macam mana
awak boleh fikir sampai ke situ pulak?” Encik Hamzah

16

menggeleng kepala. Entah mengapa tiba-tiba saja
isterinya boleh berfikir sampai ke tahap itu.

“Dah... dah… daripada awak fikir yang bukan-
bukan, lebih baik awak fikir lauk apa yang awak nak
masak untuk tengah hari nanti.” Encik Hamzah mula
melipat surat khabar di tangan. Dia kemudian
mengangkat punggung dari kerusi dan menuju ke anak
tangga meninggalkan isterinya di situ.

“Ish, orang tua ni!”
Puan Aina lantas bangun dari tempat duduknya.
Dia bergegas ke dapur dengan muka yang tidak puas
hati.

17

BAB 3

Naira mengutip kertas-kertas yang berselerak di
atas meja. Petang nanti dia ada mesyuarat dengan
pengerusi syarikat di tempat kerjanya itu. Satu-persatu
kertas dimasukkan ke dalam fail.

“Hai, Naira!”
Jari Naira yang ligat mengutip kertas terhenti
seketika. Dia mendongakkan kepala ke arah suara itu.
“Hishh… dia lagi!”
Naira menggigit bibir saat melihat kelibat seorang
lelaki di muka pintu. Dia langsung tidak mengalu-alukan
kedatangan lelaki itu. Dia juga tidak menunjukkan
sebarang reaksi apatah lagi menyimpul senyuman.
Lantas Naira kembali menyambung semula kerja-kerja
mengemasnya. Dia mengeluh keras.
‘Apa benda lagi yang lelaki ni nak? Tak serik lagi
ke?’ Hatinya mendengus. Dia semakin rimas.

18

“Awak nak pergi kafe ke?”

“Ye, Harry…” jawab Naira acuh tak acuh.
Mukanya tidak memandang wajah lelaki yang sudah
berdiri di depan.

Harry menggaru kepala yang tidak gatal.

“Kita pergi sama-sama nak?” Pelawa Harry. Dia
cuba untuk membina hubungan yang baik sesama rakan
sekerja. Lagi pula dia kan pekerja baru… dia kenalah
pandai mencari kawan untuk selesakan diri bekerja di
situ.

Naira kemudian memusing badannya ke arah
Harry. Matanya tajam melihat mata lelaki di hadapannya
itu. “No! Saya pergi dengan Sofea. Awak pergilah cari
orang lain teman awak makan, okey?”

“Alaa… bukannya selalu, Naira. Saya belanja
awak makan, nak tak?” Harry tidak mengalah. Dia masih
tidak berputus asa untuk mengajak gadis itu makan
tengah hari bersama. Dia membalas kata-kata Naira
sambil menguntum senyum di bibir.

Naira menggeleng. “No means no!”

19

“Alaa.. jomlah, Naira.”

“Tak nak!” Bentak Naira. Ton suaranya naik
sedikit berbanding tadi. Harry tersentak. Jauh di sudut
hati dia agak terkilan dengan tindakan gadis itu.

“Kau ni memang jenis yang tak faham bahasa ke?
Boleh tak kau jangan paksa aku? Aku tak sukalah! Dah
beribu kali aku ulang ayat yang sama.”

Naira memang tidak akan berkias lagi. Dia cakap
apa yang terlintas dalam hatinya. Dia sudah mula
membahasakan dirinya dengan ‘aku’. Dia sebenarnya
sudah naik rimas dengan Harry yang sering memaksanya
ke kafe bersama pada waktu rehat.

Nasib saja ketika itu hanya tinggal mereka berdua
di dalam pejabat. Semua rakan kerja yang lain sudah pun
berada di kafe. Kalau saja waktu itu ramai orang… sudah
pasti mereka turut terkejut mendengar suara Naira.

“Naira!”

Naira berpaling. Kelihatan Sofea yang sudah
berada di muka pintu memanggil rakan baiknya.

20

“Jom!” Ajak Sofea. Dia yang sudah faham dengan
situasi itu hanya buat tidak tahu.

Naira segera mencapai beg tangannya lalu
menuju ke arah pintu. Dia tidak mahu berlama-lama di
situ. Makin lama dia di situ, makin naik darahnya. Apatah
lagi ketika itu dia sedang datang bulan. Cepat saja dia
nak melenting.

“Aku kesianlah dengan Harry tu…” Sofea tiba-tiba
bersuara.

“Kesian kenapa?” soal Naira tidak faham.
“Yelah… kau tiba-tiba tinggikan suara kat dia
tadi.”
Naira tidak memberi sebarang respon. Dia hanya
fokus menyuap nasi goreng pattaya ke dalam mulutnya.
Sofea menggeleng.
“Kalau ye pun kau tak suka dia, kau janganlah
tinggikan suara macam tu. Malulah dia,” tegur Sofea.

21

Naira masih berdiam. Jauh di sudut hati, terbit
rasa bersalah kepada Harry. Baginya, Harry bukanlah
seorang lelaki yang jahat. Dia cuma tidak suka apabila
dipaksa melakukan benda yang dia tidak mahu lakukan.

“Lagipun dia budak baru. Aku perasan yang dia tu
tak banyak kawan sangat dekat pejabat kita. Yelah… dia
kan bukan asal sini. Maybe dia nak cuba berkawan
dengan kau kot. Cuma kau aje yang tak nak layan dia.”

Naira berfikir sejenak. Ada betulnya juga apa
yang dikatakan oleh si Sofea itu. Mungkin Harry berasa
selesa dengannya kerana dialah satu-satunya orang yang
memberi tunjuk ajar kepada lelaki itu sejak hari pertama
kemasukannya di situ. Naira mula sedar dengan sikap
keterlaluannya tadi. Dia memandang wajah Sofea.

“Kau rasa aku perlu tak nak minta maaf kat dia?”

Sofea menepuk dahi.

“Kau ni... nak kata kurang bijak, tak jugak. Dah
kau yang meninggi suara kat dia, mestilah kau yang kena
mintak maaf!”

“Tapi…” kata-kata Naira terputus.

22

“Tapi apa?”

“Aku malulah. Aku tak tahu nak cakap apa dengan
dia.” Naira membuang pandangannya jauh ke depan. Dia
menggigit jari tangannya sambil memikirkan sesuatu.
Sofea tepuk dahi lagi.

“Ya Allah, Naira. Takkan itupun aku nak kena ajar.
Kau cakap ajelah yang kau nak minta maaf. Cakap yang
kau takde niat nak tinggikan suara kat dia…” ujar Sofea.

“Hmm… Tengoklah nanti macam mana,” kata
Naira dalam nada tidak pasti. Dia kembali menikmati nasi
goreng di depannya.

Sofea menggelengkan kepala

“Suka hati kaulah, Naira. Yang penting aku dah
tegur kau. Selesai bahagian aku!”

Sofea mula lepas tangan. Dia sudah pun
menasihat dan menegur rakannya itu. Sekarang
semuanya terserah kepada Naira.

“Kau tak solat zohor ke?” Naira cuba mengalih
topik.

23

“Two minutes,” balas Sofea sambil mengangkat
dua jarinya di hadapan muka Naira.

“Amboi… solat pun boleh main tunda-tunda, ya?
Melambat-lambatkan waktu solat itu berdosa, tahu tak?”

Kali ini giliran Naira pula menegur Sofea.
“Aku nak habiskan air aku dulu… membazir itu
amalan syaiton, tahu?”
Sofea pantas menghirup air ice lemon tea di
dalam cawannya. Usai menghabiskan air minuman itu,
dia bingkas bangun dari tempat duduknya. Sebuah beg
yang berisi telekung di atas meja mula diangkat dan
kemudian dijinjingnya.
“Aku pergi surau dulu, ya?” Sofea meminta diri.
“Okay, see you in a few minutes...”

24

BAB 4

Harry menarik nafas. Sesekali dia menggosok
matanya. Selepas sahaja habis menyiapkan laporan
harian kerja, dia terus mengemas barang-barang
miliknya. Biliknya sudah bagaikan tongkang pecah.
Segala jenis baju dan seluar bertaburan di atas lantai.
Matanya merayap ke segenap ruang bilik kecil itu.

“Huhh..”

Satu keluhan akhirnya keluar dari mulut Harry.
Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia merantau ke
negeri orang. Sebelum ini dia belum pernah menjejakkan
kaki ke tanah Semenanjung. Semua ini disebabkan kerja.
Dia mendapat penempatan baru di negeri itu dan demi
menjamin masa depan dan demi mengubah nasib
keluarga, dia akur dengan keputusan pihak atasan.
Walaupun berat hati namun dia tetap relakan juga.

Harry duduk melutut. Satu-persatu bajunya
dikutip. Dia mengasingkan baju-bajunya supaya tidak
bercampur. Baju ‘basahan’ atau baju yang dipakai setiap

25

hari dimasukkan ke dalam satu bakul. Manakala baju
kerja dan baju baru pula digantung di dalam almari
menggunakan penyangkut baju.

‘Hujung minggu nantilah baru lipat baju ni
semua…’ kata Harry dalam hati.

Selepas hampir sejam berkemas, akhirnya selesai
juga ‘perjuangannya’. Biarpun biliknya tidak menepati
definisi ‘kemas’ yang sebenar, namun dia sudah merasa
berpuas hati dengan pencapaiannya itu. Mana tidak…
sebelum ini semua urusan kemas-mengemas dilakukan
oleh ibunya. Namun sekarang, tiada lagi yang boleh
diharapkannya. Dia perlu hidup berdikari.

Harry melemparkan tubuhnya ke atas katil. Katil
yang tidak seberapa empuk itulah tempatnya melakar
mimpi di waktu malam.

“Punya siuk dapat baring…”

Harry memejam kedua matanya. Dia ingin
melelapkan mata buat seketika.

‘Inilah nikmat yang sebenar,’ Harry bermonolog.

26

Namun tidak sampai seminit dia menikmati
‘nikmat’ itu, tiba-tiba kedengaran bunyi ketukan pintu
dari luar rumah.

“Assalamualaikum…”
Mata Harry kembali terbuka. Dia bingkas bangun
dari tempat perbaringannya lalu menuju ke ruang tamu.
“Waalaikumsalam…” jawab Harry sambil memulas
tombol pintu. Pintu terkuak dari dalam.
“Hai, Harry…”
“Hai, Qil. Lewat kau balik malam ni. Banyak kerja
ke?” Soal Harry kepada rakan serumahnya, Shaqil yang
baru sahaja pulang dari kerja.
“Ha’ah… tadi aku dah nak balik tapi ada pulak satu
orang pak cik ni datang minta tolong tukar tayar motor
dia yang pancit. Kesian pulak kalau aku tak tolong.” Jelas
Shaqil sambil melangkah masuk ke rumah.
“Oh, patutlah kau lambat...”

27

Shaqil yang baru sahaja masuk ke dalam rumah
terus menuju ke arah dapur. Dia membuka peti ais. Dia
menuang air ke dalam cawan plastik lalu dia minum.

Harry hanya memerhati tindak-tanduk Shaqil. Dia
kemudian melihat kesan minyak hitam pada baju dan
seluar Shaqil. Dia kasihan melihat rakannya itu yang
kadangkala terpaksa bekerja hingga ke larut malam.

“Kau dah makan malam ke, Harry?” soal Shaqil
sambil melabuhkan punggung di atas lantai. Dia
kemudian menyandarkan badannya di dinding simen
rumah sewa itu.

“Belum… aku tunggu kau balik dari kerja baru
makan sama.”

Harry sudah pun duduk di sebelah Shaqil. Shaqil
yang mendengar jawapan Harry pantas melihat wajah
rakan disebelahnya itu.

“Kau tunggu aku? Sweet jugak kau ni rupanya.
Macam dah pasangan kekasih pulak kita dua, kan?” kata
Shaqil sambil mencubit bahu Harry. Dia melakukan aksi
gedik seperti seorang mak nyah di hadapan Harry.

28

“Ish, kau ni! Gelilah aku…”
Harry yang mula naik geli pantas menepis tangan
Shaqil dan kemudian menyapu tengkuk lehernya.
Ketawa Shaqil terus terhambur.
“Apalah kau ni, Harry,” kata Shaqil sambil ketawa.
“Aku main-main aje lah. Kau ingat aku ni ‘lelaki kunyit’
ke? Aku masih straight, tahu tak?”
Shaqil menyambung ketawanya. Entah kenapa
dia berasa begitu lucu melihat tindak balas daripada
Harry.
“Aku gelilah. Kau tengok bulu roma aku ni…”
Harry menunjukkan kepada Shaqil pergelangan
tangannya. Ketawa Shaqil yang tadinya belum habis
makin bertambah tatkala melihat bulu roma tangan Harry
yang berdiri tegak.
“Aku bergurau ajelah. Kau ni selain sweet, lucu
jugak rupanya. Harry… Harry,” kata Shaqil sambil
mengusap perutnya.

29

“Aku bukannya apa… manalah tahu kau balik
bawa lauk dari luar. Aku mahu muak sudah ni balik-balik
makan telur sama maggi...”

Terkeluar loghat Sabah Harry. Kadangkala dia
tidak dapat mengawal lidahnya untuk bertutur
menggunakan loghat asalnya itu.

“Bahh… ada ni bah aku beli ikan bakar dekat
pasar malam tadi. Sama-samalah kita makan nanti, okey
bah?”

Seperti biasa. Shaqil suka mengajuk cakap Harry
setiap kali dia bercakap menggunakan loghat Sabah.
Shaqil ketawa kecil. Dia sendiri terasa lucu mendengar
kata-kata yang keluar dari mulutnya itu.

“Kalau aku tumbuk muka kau ni kan, endak ni kau
terbangun kerja besok,” Harry menunjukkan sebiji
penumbuk ke arah muka Shaqil.

“Eh, betullah apa aku cakap! Aku ada beli ikan
panggang dekat pasar malam tadi sebelum balik sini.”
Ujar Shaqil sambil ketawa.

30

“Memanglah betul. Tapi cara kau bercakap tu
yang salah. Mana ada orang Sabah bercakap macam tu.
Kecuali dia ‘Sabah sasat’!”

“Sabah sasat?” tanya Shaqil tidak faham.

“Sa…bah se…sat!” jelas Harry.

“Ohh…” balas Shaqil pendek sambil mengangguk
tanda faham.

“Ya… kau pegilah mandi dulu. Lepastu baru kita
makan.”

“Okay bah!” jawab Shaqil. Lantas dia berdiri
menuju ke dalam bilik.

Harry melepaskan ketawa kecil sambil
menggeleng kepala. Dia rasa bersyukur kerana mendapat
kawan seperti Shaqil. Dia bukan sahaja sering mengambil
berat, namun dia juga sering menghormati rakannya itu.
Dia kembali teringat kejadian semasa hari pertama dia
menjejakkan kaki ke rumah itu.

“Harry asal dari Sabah?” tanya Shaqil bagai tidak
percaya. Harry mengangguk. Ketika itu dia baru sahaja
berpindah masuk ke dalam rumah sewa itu.

31

“Ya… saya berasal dari Keningau, Sabah. Sebelum
ni saya kerja di sana, tapi disebabkan saya mendapat
arahan untuk berpindah jadi saya terpaksalah berhijrah
ke sini.” Jelas Harry kepada rakan serumahnya.

“Saya ingat Harry memang berasal dari sini.
Sebab cara awak bercakap sebijik macam orang
Semenanjung…”

“Tidaklah… ini pertama kali saya datang sini.
Mungkin sebab saya selalu menonton drama Melayu
dekat tv… sebab itulah saya tahu menggunakan loghat ni
dengan baik.”

Pertuturan Harry kedengaran agak pelik. Dia
masih cuba biasakan diri untuk bercakap menggunakan
loghat Semenanjung. Mana tidak… hari pertama ketika
dia sampai di Kuala Lumpur dia sudah menghadapi
kesukaran untuk berkomunikasi dengan orang-orang di
tempat itu. Maka bermula dari situlah dia memutuskan
untuk cuba belajar bertutur menggunakan ‘bahasa’ orang
Semenanjung.

32

BAB 5

Tangan Naira laju menekan papan kekunci di
hadapannya. Sesekali matanya merayap ke tempat
duduk Harry yang kosong. Sejak tadi dia tidak melihat
susuk tubuh lelaki itu setelah masuk ke bilik bosnya.
Matanya mengerling ke arah jam yang tergantung di
dinding.

‘Mana pulak pergi mamat ni?’ tanya Naira dalam
hati.

Setelah beberapa lama menunggu kemunculan
Harry di muka pintu, ternyata kesabaran Naira sudah pun
mencapai hadnya. Tanpa berlengah dia terus berdiri.
Kakinya melangkah menuju ke meja Harry.

Jarak meja antara Naira dan Harry tidaklah begitu
jauh. Dia hanya perlu mengambil beberapa langkah
sahaja untuk sampai ke destinasi tersebut.

Walaupun sudah hampir dua bulan Harry bekerja
di syarikat itu, namun itulah kali pertama dia menjejakkan

33

kaki ke meja lelaki itu. Mata Naira meliar ke seluruh
ruangan meja Harry. Dia kemudian mula membelek satu
demi satu kertas yang berada di situ.

Sedang dia membelek kertas yang ada, tiba-tiba
matanya tertancap pada sesuatu. Dia ternampak
sekeping gambar yang terkeluar dari celah-celah kertas
dalam fail milik Harry. Mata Naira ralit melihat wajah-
wajah manis yang tersenyum indah. Di belakang gambar
itu pula tertulis ‘My Family, My Life’. Naira tersenyum.

‘Such a lovely family,’ bisik hati Naira.

“Naira buat apa dekat sini?” tanya seorang lelaki.

Gambar yang tadi dipegang terus disorok ke
belakang. Hampir gugur jantung Naira dibuatnya.

“Errr…”

Naira gigit bibir. Dia tidak tahu hendak berkata
apa. Otaknya ligat berfikir mencari jawapan ‘selamat’.

Harry menunggu jawapan dari Naira. Dia
kehairanan melihat Naira yang tiba-tiba berada di situ.
Setelah beberapa ketika Harry kembali bersuara. “Awak
ada apa-apa nak minta tolong dari saya ke?”

34

“Err… tak adalah. Saya cuma nak jumpa awak.”
Naira tidak mahu putar belit. Dia memberitahu niatnya
yang sebenar kepada lelaki itu.

“Jumpa saya? Untuk apa?” soalnya hairan.
Yalah… tiba-tiba sahaja gadis itu mahu berjumpa
dengannya. Padahal sebelum ini dia sering mengelak
daripada bertemu dengan Harry.

“Saya nak ajak awak lunch kat kafe.” Jawab Naira.
‘Biar betul dia ni? Mimpi apa dia semalam tiba-tiba
ajak aku makan sama. Sebelum ni aku ajak makan bukan
main dia menolak. Jin apa rasuk dia?’
“Helo… Harry…”
Harry tersentak. “Hah? Apa awak cakap tadi?”
soal Harry kebingungan.
Naira menghela nafasnya.
“Saya nak ajak awak lunch. Awak nak ke tak nak
ni?” balas Naira selamba.
“Nak!”

35

BAB 6

“Amboi, jauh kau termenung!”
Lamunan Harry terhenti. Dia membisu sepanjang
jalan sejak dari tadi.
“Kau fikir apa, Harry?” Shaqil mula bertanya.
“Tiadalah. Aku teringat kerja aku yang belum siap
lagi. Esok bos dah nak suruh hantar.” Harry cuba
berselindung. Namun rakannya sudah dapat menghidu
sesuatu.
“Yeke? Tapi tadi aku nampak kau senyum.
Takkanlah kau excited sangat nak buat kerja sampai kau
senyum macam tu sekali. Bukan sekali tau kau senyum,
tapi tiga kali!”
Busted! Sebenarnya Shaqil sudah mula perasan
dengan perubahan sikap Harry yang hanya berdiam diri
sejak singgah di Petronas untuk mengisi minyak. “Nak
membohong pun agak-agaklah. Aku tengok kau ni dah

36

macam orang dilamun cinta. Dari tadi asyik senyum… nak
kata gila, tak jugak.”

“Ehh, mana ada!” Pintas Harry. “Bila masa aku
senyum? Tak ada pun aku senyum dari tadi.” Dia
menafikan kata-kata Shaqil.

“Haa…tengok! Kau senyum bila pun kau tak
perasan. Ni tanda-tanda orang kemaruk cinta ni. Kau dah
jumpa awek kat tempat kerja kau kan?”

Shaqil cuba meneka. Dia ingin mengorek ‘rahsia’
daripada Harry. Perasaan ingin tahunya pada ketika itu
tiba-tiba menggunung.

‘Aku ada senyum ke tadi?’ soal Harry kepada diri
sendiri. Dia sendiri tidak perasan yang Shaqil hanya
memerhatikan segala tingkah lakunya itu.

“Betul kan?” tanya Shaqil lagi.
Harry tersengih. Dia membiarkan soalan rakannya
itu tanpa jawapan.
“That’s the answer! The smile.”

37

Shaqil sudah bisa meneka melalui senyuman di
bibir Harry. Dia kemudian senyum memandang rakannya
yang duduk di kerusi penumpang.

Harry kembali melontar pandangan ke luar
tingkap. Dia masih teringat kejadian tengah hari tadi
sewaktu di kafe.

Buat pertama kalinya dia mendapat peluang
untuk makan tengah hari bersama Naira. Dia masih tidak
percaya yang gadis itu mengajaknya pergi kafe awal tadi.

“Harry, saya nak minta maaf pasal kejadian
haritu. Saya tak berniat pun nak tengking awak. Saya
cuma tak suka bila dipaksa dan kebetulan masa tu mood
saya tengah swing. Saya memang tak sengaja.” Jelas
Naira kepada Harry yang duduk dihadapannya.

Dia betul-betul menyesal dengan kelakuannya
terhadap Harry selama ini. Dia cuba untuk memperbaiki
hubungan mereka sebagai rakan sekerja dalam syarikat
yang sama. Dia tidak mahu lagi bermasam muka.

38

“It’s okay, Naira. Salah saya juga sebab terlalu
memaksa masa tu. Niat saya cuma mahu berkawan
dengan awak. Maaflah kalau saya buat awak tak selesa.”

“It’s okay, Harry. Saya yang sepatutnya minta
maaf dengan awak. Sebagai orang lama dalam syarikat
ni saya sepatutnya menunjukkan contoh yang baik
kepada semua rakan kerja yang lain. Sepatutnya saya
yang perlu bersikap lebih mesra.”

Perasaan bersalah Naira masih belum pudar.
Selagi dia tidak minta maaf selagi itu jugalah dia akan
berasa tidak tenang. Dia perlu mengaku semua
kesalahannya. Ya! Termasuklah kesalahan yang baru
sahaja dia lakukan ketika di dalam office tadi. Dia telah
terambil sesuatu barang kepunyaan Harry.

“Dan lagi satu…”

Ayat Naira tergantung. Dia takut untuk
memberitahu kepada Harry kesalahannya yang lagi satu
itu.

“Apa, Naira?” Harry mula mengamati wajah Naira.
Naira mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya.

39

“Tadi saya terambil gambar ni dekat file awak.
Niat saya cuma nak lihat gambar ni aje. Tapi saya terkejut
masa awak datang tiba-tiba. Sebab itu saya sorok
gambar ni… saya takut awak marah saya selongkar
barang-barang awak. I’m so sorry, Harry…”

Naira menghulur sekeping gambar milik Harry
kepadanya. Dia tidak kisah sekiranya Harry ingin marah
kepadanya waktu itu kerana dia tahu bahawa dia yang
salah. Dia bersalah kerana menyelongkar barang orang
tanpa izin.

Harry mengambil gambar itu dari tangan Naira.
Kemudian gambar itu ditatapnya sejenak. Ada senyuman
dibibirnya.

“Awak tahu, Naira? Sebelum ni saya tak pernah
berjauhan dari keluarga saya. Inilah kali pertama saya
tinggal jauh daripada mereka.”

Harry membuka cerita. Naira hanya mendengar
luahan isi hati Harry. Dia membiarkan Harry meluahkan
apa yang dirasa. Dia dapat merasakan lelaki di
hadapannya itu sedang menanggung rindu. Rindu
kepada keluarga yang jauh.

40

“Saya datang ke sini untuk mencari rezeki buat
keluarga di kampung. Saya mahu bantu mengubah nasib
keluarga. Bapa saya sudah tua… tapi sampai sekarang
dia masih menanam sawah padi.”

Mata Naira sudah berkaca. Dia mengalihkan
pandangannya ke tempat lain. Dia tidak mahu air
matanya yang mengalir dilihat lelaki itu. Dia tersentuh
mendengar luahan dari Harry.

“Niat saya bercerita kepada awak bukan untuk
meraih simpati, Naira. Saya harap awak tidak salah
faham.” Jelas Harry.

“Saya tahu, Harry. Awak jangan risau. Saya harap
niat baik awak untuk membantu keluarga sentiasa
dipermudahkan.” Naira melempar senyuman. Kata-
katanya sungguh ikhlas.

“Kalau awak ada apa-apa nak minta tolong atau
perlu something ke apa… just tell me, okay? Insyaallah
saya akan bantu semampu yang boleh.”

Bibir Harry mengukir senyuman. Dia
mengangguk. “Terima kasih, Naira.”

41

BAB 7

Harry sekejap mengiring ke kanan, sekejap
mengiring ke kiri. Tangannya mula lari ke pipi dan
sekejap ke betis. Kemudian dia beralih ke leher pula.
Akhirnya Harry bangun. Dia dapat merasakan nyamuk
seperti sedang membuat pesta. Tangannya ditepuk
beberapa kali tatkala melihat nyamuk yang riang
berterbangan.

Badan Harry sudah rasa melekit akibat
kepanasan. Mereka tidur dalam keadaan yang panas.
Bekalan elektrik secara tiba-tiba sahaja terputus ketika
mereka sedang menjamah makan malam. Kawasan
perumahan mereka itu memang sering mengalami
gangguan bekalan elektrik. Mungkin disebabkan itulah
bayaran sewa rumah mereka untuk setiap bulan tidak
begitu mahal.

Ruang yang kecil dalam rumah itu agak luas.
Tidak banyak perabot yang ada di dalamnya. Ada pun
hanya peti ais kecil, meja, kerusi, kipas angin, sebuah

42

katil dan almari serta beberapa peralatan dapur. Bilik
tidur pula ada dua dan satu bilik air.

Mereka berdua tidur di ruang tamu dengan
beralaskan tilam nipis. Hanya cahaya lilin yang menerangi
ruang tamu ketika itu.

Harry mengipas dirinya dengan tapak tangan.
Namun tetap sama… masih panas. Manalah ada angin
yang dapat mengurangkan kepanasannya waktu itu.

Harry mengeluh. Dia kembali berbaring
menghadap siling.

Kruk, kruk, kruk.

Harry menggapai perutnya. Perutnya tiba-tiba
bergendang.

‘Alamak, laparlah pulak. Mana aku mau cari
makanan pukul 3.00 pagi ni? Sudahlah aku ada gastrik!’

Harry memandang Shaqil yang masih terbaring
dengan mata terpejam. Bunyi dengkuran yang keluar dari
mulutnya menandakan dia sedang tdiur lena. Harry
menggeleng.

43

‘Gila si Shaqil ini! Macam mana dia boleh tidur
mati dalam keadaan panas begini?’

Harry mengangkat punggungnya. Dia menuju ke
dapur untuk mencari kudapan. Dengan bantuan cahaya
lampu dari telefon pintarnya, dia berhasil menemui dua
bungkus biskut kering. Dia membuka plastik biskut itu
lalu disuap ke dalam mulut. Harry mengunyah dengan
begitu lahap sekali sehinggakan dia tersedak. Dia cepat-
cepat mengambil cawan dan menuang air ke dalamnya.

Harry mengusap perutnya. Dia berasa sedikit lega
kerana perutnya sudah tidak lagi meragam kelaparan.
Semasa dia hendak melangkah ke ruang tamu, tiba-tiba
matanya tertangkap sesuatu.

Tangannya mencapai sebuah bekas kosong di
atas meja. Dibeleknya bekas itu ke depan dan belakang.
Inilah bekas tempat simpan tuhau yang dikirim oleh
ibunya di kampung. Perasaan rindu kembali menjalar
dalam diri. Dia mula teringat hari terakhirnya semasa di
kampung halaman.

44

Pemandangan alam jelas terpapar di luar rumah batu
Harry. Suasana desa kelihatan indah nan permai. Sawah
padi menguning riang melambai-lambai. Keindahan alam
yang bisa memukau fikiran. Harry menutup rapat
matanya sambil mendepa kedua-dua belah tangan. Lalu
dia menarik nafas sedalam mungkin. Udara segar segera
meresap ke dalam tubuh.

Sudah terlalu lama dia duduk di kampung itu.
Inilah tanah tempat tumpah darahnya. Kampung inilah
tempatnya menyimpan berjuta memori sejak dari kecil.

Hari terakhir di kampung dimanfaatkan
sepenuhnya. Waktu yang tersisa diluangkan bersama
keluarga tercinta. Ibu Harry menyediakan makanan
kegemaran anaknya. Sejak dari semalam Harry sudah
memberitahu kepada ibunya yang dia ingin makan tuhau
yang dimasak oleh ibunya sebelum berangkat ke
Semenanjung.

Tuhau yang sudah siap terhidang di atas meja
menarik perhatian Harry. Dia menuju ke meja makan lalu
mengangkat tudung saji. Dia menyenduk tuhau
menggunakan sudu lalu disuap ke dalam mulut.

45

“Saya punya ‘stok’ tuhau Mama sudah simpan
ka?” tanya Harry kepada ibunya sambil mengunyah tuhau
di mulut.

“Mama sudah simpan kau punya tuhau dalam
bekas. Tuuuuu sana ada di peti ais,” balas Puan Laila.

“Nanti kau jangan lupa bawa… mengidam kau
nanti. Di sana mana ada jual tuhau.”

Harry tersenyum tatkala mengimbas hari
terakhirnya di kampung. Bekas makanan yang dipegang
tadi kembali disimpan di tempat asalnya. Dia kemudian
melangkahkan kaki ke ruang tamu.

Baru sahaja dia ingin meletakkan punggung di
atas tilam, tiba-tiba cahaya daripada lampu kembali
menerangi ruang rumah. Daun kipas mula berputar. Rasa
panas perlahan-lahan menghilang.

“Syukurr…”
Harry kembali mengatur perbaringannya. Dia kini
bisa tidur dengan aman.

46


Click to View FlipBook Version